Tafsir Surah al-A’raf Ayat 111 – 124 (Pertandingan sihir)

A’raf Ayat 111:

قالوا أَرجِه وَأَخاهُ وَأَرسِل فِي المَدائِنِ حٰشِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said,¹ “Postpone [the matter of] him and his brother and send among the cities gatherers

  • After mutual consultation and agreement.

MALAY

Mereka berkata: “Tangguhkanlah dia dan saudaranya (daripada dijatuhkan sebarang hukuman) serta utuslah ke bandar-bandar (di merata-rata negeri Mesir untuk) mengumpulkan (ahli-ahli sihir);

 

قالوا أَرجِه وَأَخاهُ

Mereka berkata: “Tangguhkanlah dia dan saudaranya

Ini adalah keputusan mereka selepas mereka berbincang sesama mereka. Mereka membuat keputusan untuk beri tempoh kepada Nabi Musa dan Nabi Harun عليهما السلام. Jangan hukum atau mengambil tindakan apa-apa lagi kepada mereka. Beri mereka tempoh dan nanti kita bersemuka satu hari nanti. Mereka hendak cuba mengalahkan Nabi Musa عليه السلام supaya tidak kalah di mata masyarakat. Jika terus dibunuh, nanti masyarakat kata apa pula.

 

وَأَرسِل فِي المَدائِنِ حٰشِرينَ

serta utuslah ke bandar-bandar (di merata-rata negeri Mesir untuk) para pengumpul

Mereka kemudian telah menghantar utusan ke setiap daerah dari negara Mesir itu. Mereka telah melantik beberapa pengumpul untuk mengumpulkan semua ahli sihir yang hebat-hebat. Penggunaan lafaz حاشِرينَ itu digunakan untuk mengumpulkan binatang ternak. Maknanya, nanti ahli-ahli sihir itu dipaksa untuk berkhidmat kepada negara.

Tukang sihir pun mereka suruh cari di المَدائِنِ (bandar-bandar) sebab yang di bandar itu selalunya hebat-hebat. Bukan jenis ahli sihir kampung.


 

A’raf Ayat 112:

يَأتوكَ بِكُلِّ سٰحِرٍ عَليمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who will bring you every learned magician.”

MALAY

“Yang kelak akan membawa kepadamu segala ahli sihir yang mahir”.

 

Tujuan mereka adalah supaya para pengumpul itu akan membawakan setiap ahli sihir yang mahir. Bawakan kepada Firaun dan direkrut untuk berkhidmat kepada Firaun. Maka mereka mahu kumpulkan ahli sihir yang hebat-hebat belaka. Bukan yang biasa-biasa tetapi yang memang betul-betul pandai dan berpengalaman. Mereka hendak cari yang jenis عَليمٍ sebab bukankah sebelum ini mereka kata Nabi Musa عليه السلام ahli sihir yang عَليمٍ juga?

Pada zaman itu memang golongan ahli sihir mendapat kedudukan yang tinggi dalam kalangan masyarakat kerana boleh melakukan perkara yang mereka pandang sebagai hebat. Oleh sebab itulah Allah ﷻ menjadikan mukjizat Nabi Musa عليه السلام yang dapat mengalahkan sihir mereka. Memang mukjizat yang Allah ﷻ berikan itu dapat mengalahkan kehebatan zaman para Nabi itu.

Sebagai contoh, untuk zaman Nabi Isa عليه السلام, ilmu perubatan golongan tabib mereka sedang hebat, maka mukjizat Nabi Isa عليه السلام lebih hebat lagi sampai boleh menyembuhkan orang yang buta semenjak lahir dan menyembuhkan penyakit kusta. Manakala ketika zaman Nabi Muhammad ﷺ pula masyarakat Arab sedang mengagungkan kehebatan bahasa mereka, maka baginda diberikan dengan Al-Qur’an yang mengalahkan kehebatan ilmu bahasa mereka.


 

A’raf Ayat 113:

وَجاءَ السَّحَرَةُ فِرعَونَ قالوا إِنَّ لَنا لَأَجرًا إِن كُنّا نَحنُ الغٰلِبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the magicians came to Pharaoh. They said, “Indeed for us is a reward if we are the predominant.”

MALAY

Dan datanglah ahli-ahli sihir itu kepada Firaun lalu berkata: “Sungguhkah kami akan beroleh upah, kalau kami dapat mengalahkannya?”

 

وَجاءَ السَّحَرَةُ فِرعَونَ

Dan datanglah ahli-ahli sihir itu kepada Firaun

Setelah dikumpulkan ahli sihir itu, maka mereka dibawa mengadap kepada Firaun. Kemudian, terjadilah perbincangan di antara mereka.

Berapakah bilangan mereka? Tidak dapat disahihkan kerana terdapat banyak pendapat yang merangkumi daripada angka sembilan ratus sehingga ke tiga ribu. Barangan yang digunakan seperti tali dikatakan diangkut oleh tiga ratus unta.

 

قالوا إِنَّ لَنا لَأَجرًا إِن كُنّا نَحنُ الغٰلِبينَ

lalu mereka berkata: “Sungguhkah kami akan beroleh upah, kalau kami dapat mengalahkannya?”

Asalnya mereka itu dikumpul, dipaksa untuk datang menjadi kuli kepada Firaun. Namun apabila mereka sudah sampai kepada Firaun, yang mereka pentingkan adalah imbuhan untuk mereka: “Adakah kami akan dapat upah, kalau kami menang?”

Seperti biasa, pulangan keduniaan adalah sesuatu yang amat penting kepada kebanyakan manusia yang tidak beriman kerana mereka nampak keduniaan sahaja. Mereka nampak ini peluang untuk meraih kekayaan. Berbanding dengan para Nabi yang tidak meminta bayaran pun seperti disebut di dalam [ Syu’ara: 109 ]

وَما أَسأَلُكُم عَلَيهِ مِن أَجرٍ ۖ إِن أَجرِيَ إِلّا عَلىٰ رَبِّ العٰلَمينَ

Dan aku sekali-kali tidak minta upah kepadamu atas ajakan-ajakan itu; upahku tidak lain hanyalah daripada Tuhan semesta alam.


 

A’raf Ayat 114:

قالَ نَعَم وَإِنَّكُم لَمِنَ المُقَرَّبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “Yes, and, [moreover], you will be among those made near [to me].”

MALAY

Firaun menjawab: “Benar, (kamu akan mendapat upah) dan kamu sesungguhnya (akan menjadi) daripada orang-orang yang damping (denganku)”.

 

قالَ نَعَم

Firaun menjawab: “Benar,

Tidak ada masalah untuk Firaun membayar kepada mereka apa sahaja bayaran upah jika mereka menang. Asalkan mereka mesti mengalahkan Nabi Musa عليه السلام dengan apa cara sekali pun.

 

وَإِنَّكُم لَمِنَ المُقَرَّبينَ

dan kamu sesungguhnya (akan menjadi) daripada orang-orang yang damping”

Namun begitu apa yang lebih hebat, bukan sahaja upah yang mereka akan dapat, tetapi mereka akan dimasukkan dalam golongan yang ‘hampir’. Maknanya rapat dengan Firaun, dan boleh dapat gaji bulanan. Ini hebat kerana kalau diberi upah, itu sekali sahaja, tetapi kalau jadi orang yang hampir, maka mereka boleh mendapat bayaran untuk jangkamasa yang lama.

Ini adalah tambahan imbuhan yang ditawarkan oleh Firaun. Ini tanda Firaun amat bijak sekali. Fikirkan, sekiranya golongan ahli sihir itu menang, mereka akan menjadi popular pula dalam kalangan masyarakat. Daripada biarkan mereka popular atas kedudukan mereka, lebih baik letakkan mereka di bawah payungnya, supaya dia pun akan mendapat publisiti itu nanti. Firaun boleh kata: “Mereka yang menang ini adalah orang-orang aku”.


 

A’raf Ayat 115: Sekarang Allah ﷻ menceritakan keadaan apabila ahli sihir sudah berhadapan dengan Nabi Musa عليه السلام. Sayembara sudah hampir bermula.

قالوا يٰموسىٰ إِمّا أَن تُلقِيَ وَإِمّا أَن نَّكونَ نَحنُ المُلقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “O Moses, either you throw [your staff], or we will be the ones to throw [first].”

MALAY

Mereka berkata: “Hai Musa! Engkaukah yang akan mencampakkan (tongkatmu lebih dahulu) atau kamikah yang akan mencampakkan (lebih dahulu)?”

 

Kisah ini sebenarnya dipendekkan, terus sampai ke hari pertemuan antara Nabi Musa عليه السلام dan ahli-ahli sihir itu. Pertemuan itu dilakukan di tempat awam selepas hari keraian mereka seperti disebut dalam [ Taha: 59 ]

قالَ مَوعِدُكُم يَومُ الزّينَةِ وَأَن يُحشَرَ النّاسُ ضُحًى

Nabi Musa menjawab: “Tempoh yang ditetapkan untuk kamu itu ialah hari perayaan, dan hendaklah orang ramai berhimpun pada waktu dhuha”.

Mereka memberi peluang kepada Nabi Musa عليه السلام untuk membuat pilihan sama ada mereka yang dahulu memulakan pertandingan sihir itu atau Nabi Musa عليه السلام sendiri. Kenapakah mereka suruh lempar? Kerana mereka pasti sudah dengar kisah Nabi Musa عليه السلام melemparkan tongkat baginda yang menjadi ular. Maka cara itu yang mereka guna.

Ulama’ tafsir mengatakan, kerana mereka hormat kepada Nabi Musa عليه السلام dalam perkara inilah yang menyebabkan mereka diberi peluang untuk beriman kepada baginda dan Allah ﷻ.

Atau, kerana mereka sangka mereka pasti akan menang. Maka mereka tidak kisah siapa yang mula lempar dahulu. Ini seperti orang yang benar, mereka tidak kisah berdebat dengan orang lain di mana dan bila-bila masa sahaja.

Ada tafsir yang mengatakan sebelum mereka mula bersayembara, Nabi Musa عليه السلام telah berdakwah kepada mereka. Baginda kata jika baginda mengalahkan mereka, mahukah mereka beriman? Mereka jawab dengan sombong yang mereka tidak akan kalah tetapi jika mereka kalah, mereka akan menyatakan keimanan mereka kepada Nabi Musa عليه السلام di hadapan Firaun.


 

A’raf Ayat 116:

قالَ أَلقوا ۖ فَلَمّا أَلقَوا سَحَروا أَعيُنَ النّاسِ وَاستَرهَبوهُم وَجاءوا بِسِحرٍ عَظيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “Throw,” and when they threw, they bewitched the eyes of the people and struck terror into them, and they presented a great [feat of] magic.¹

  • Their staffs and ropes appeared as writhing snakes.

MALAY

Nabi Musa menjawab: “Campakkanlah kamu (dahulu)!” Maka apabila mereka mencampakkan (tongkat-tongkat dan tali masing-masing), mereka menyilap mata orang ramai dan menjadikan orang-orang itu merasa gerun, serta mereka melakukan sihir yang besar (keadaan dan caranya).

 

قالَ أَلقوا

Nabi Musa menjawab: “kamu campakkanlah”

Allah ﷻ memberikan ilham kepada baginda untuk suruh mereka campak dahulu tali dan tongkat mereka untuk menunjukkan sihir mereka.

Menurut suatu pendapat, hikmah yang terkandung di dalam hal ini —hanya Allah ﷻ yang lebih mengetahui— ialah agar orang-orang melihat apa yang akan diperbuat oleh ahli-ahli sihir itu, lalu mereka memikirkannya. Setelah orang-orang melihat permainan silap mata tukang-tukang sihir itu, maka barulah ditampilkan perkara yang hak lagi jelas, iaitu mukjizat Nabi Musa عليه السلام.

Dengan demikian, pengaruh daripada apa yang ditunjuk oleh Nabi Musa عليه السلام berupa mukjizat akan lebih mendalam kesannya di dalam hati mereka, dan memang kenyataannya demikian, seperti yang disebutkan oleh Allah ﷻ dalam firman selanjutnya nanti.

 

فَلَمّا أَلقَوا سَحَروا أَعيُنَ النّاسِ وَاستَرهَبوهُم

Maka apabila mereka mencampakkan (tongkat-tongkat dan tali masing-masing), mereka menyilap mata orang ramai dan menjadikan orang-orang itu merasa gerun, 

Oleh kerana kepandaian mereka, mereka telah dapat menyihir pandangan mata manusia. Apa yang mereka lakukan itu adalah sihir kepada mata sahaja, tidak terjadi secara hakikat. Itulah sebabnya selalu dikatakan magis itu sebagai ‘silap mata’. Ia hanya penipuan pada pandangan mata manusia sahaja.

Tali-tali yang mereka lempar itu juga nampak menjadi ular seperti yang disebut di dalam [ Taha: 66 ]

قالَ بَل أَلقوا ۖ فَإِذا حِبالُهُم وَعِصِيُّهُم يُخَيَّلُ إِلَيهِ مِن سِحرِهِم أَنَّها تَسعىٰ

Nabi Musa menjawab: “Bahkan kamulah campak dahulu”. Tiba-tiba tali-tali mereka dan tongkat-tongkat mereka terbayang-bayang kepadanya seolah-olah benda-benda berjalan, disebabkan sihir mereka.

Sihir mereka itu telah menyebabkan orang ramai takut, kerana nampak pada pandangan mata mereka, tongkat dan tali yang dilontarkan oleh para ahli sihir itu menjadi ular yang banyak. Telah disebut sebelum ini yang mereka itu ramai jadi tentu pandangan manusia nampak ular yang amat banyak di dataran itu. Dalam surah lain ada disebut yang Nabi Musa عليه السلام juga takut melihat kejadian itu.

Ketepatan bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an: kalimah عين asalnya bermaksud ‘mata’ dan ia juga digunakan untuk mata air (sesuatu yang indah dipandang mata).

Jamak bagi عين adalah أعيُن dan عُيُون dan digunakan di dalam Bahasa Arab untuk jamak bagi mata dan juga mata air. Ia boleh bertukar-tukar penggunaannya. Akan tetapi Al-Qur’an sentiasa menggunakan penggunaan yang tepat. Kalimah أعيُن sentiasa digunakan bagi mata dan kalimah عُيُون sentiasa digunakan bagi mata air.

 

وَجاءوا بِسِحرٍ عَظيمٍ

mereka melakukan sihir yang besar

Allah ﷻ sendiri yang kata mereka telah menunjukkan sihir yang besar dan hebat. Ia adalah sesuatu yang menakjubkan. Ini adalah kerana mereka adalah ahli sihir yang hebat dan kelasnya tersendiri.


 

A’raf Ayat 117: Sekarang giliran Nabi Musa عليه السلام pula.

۞ وَأَوحَينا إِلىٰ موسىٰ أَن أَلقِ عَصاكَ ۖ فَإِذا هِيَ تَلقَفُ ما يَأفِكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We inspired to Moses, “Throw your staff,” and at once it devoured what they were falsifying.

MALAY

Dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa: “Campakkanlah tongkatmu!” Maka tiba-tiba tongkat itu menelan apa yang mereka pura-pura adakan (dengan sihir mereka).

 

وَأَوحَينا إِلىٰ موسىٰ

Dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa:

Allah ﷻ menjelaskan bahawa apa yang dilakukan oleh Nabi Musa عليه السلام selepas itu adalah daripada keputusan Allah ﷻ. Nabi Musa عليه السلام hanya mengikut arahan Allah ﷻ sahaja. Jika bukan Allah ﷻ yang bantu baginda dan beri arahan kepada baginda untuk melakukannya, baginda pun tidak tahu apa yang hendak dilakukan.

Seperti yang telah disebutkan sebelum ini, baginda juga terkesan dengan sihir mereka, maka baginda pun terpegun dan kerana itu Allah ﷻ beri arahan kepada baginda.

 

أَن أَلقِ عَصاكَ

“Campakkanlah tongkatmu!”

Allah ﷻ suruh campak baru baginda campak. Lihatlah bagaimana ini adalah arahan Allah ﷻ. Sekiranya Nabi Musa عليه السلام sendiri yang campak, tongkat baginda itu tidak akan menjadi ular. Inilah hakikat mukjizat, ia terjadi hanya dengan kuasa Allah ﷻ – bukan ada kuasa pada tongkat baginda itu.

Di sini kita dapat tahu yang Nabi Musa عليه السلام bertindak di atas arahan Allah ﷻ (wahyu). Kalau baginda sebagai seorang Nabi pun bertindak atas arahan Allah ﷻ, maka kita pun kenalah juga bertindak di atas wahyu Allah ﷻ. Jangan kita mendahului wahyu atau mengabaikan wahyu di dalam beragama.

Kita mestilah mendalami ajaran wahyu dan mengikuti segala arahan dan meninggalkan segala larangan-Nya. Untuk itu, pengajian agama berasaskan wahyu amat penting bagi masyarakat kita. Hendaklah ditekankan sejak daripada kanak-kanak lagi.

 

فَإِذا هِيَ تَلقَفُ ما يَأفِكونَ

Maka tiba-tiba tongkat itu menelan apa yang mereka ada-adakan

Oleh itu, apabila Allah ﷻ kehendaki, barulah tongkat itu menjadi ular. Walau bagaimanapun, mukjizat itu sama sekali tidak sama dengan sihir. Sihir mereka cuma menipu mata manusia sahaja dan tidaklah tongkat dan tali mereka benar-benar menjadi ular. Namun tongkat Nabi Musa عليه السلام itu benar-benar telah menjadi ular.

Maka ular itu telah memakan habis semua ular jelmaan daripada ahli sihir itu. Lafaz لَقِفَ bermaksud makan sesuatu dengan cepat sekali. Allah ﷻ tidak sebut pun ular ahli sihir di sini tetapi digunakan kalimah يَأفِكونَ (yang mereka ada-adakan). Sekali lagi Allah ﷻ beritahu dalam ayat ini, apa yang dilakukan oleh para ahli sihir itu hanyalah silap mata mereka sahaja, bukannya ular yang betul.

Kalimah يَأفِكونَ ini juga di dalam bentuk fi’il mudhari’ (present continuous tense) yang memberi isyarat orang kafir yang memusuhi Islam sentiasa mengada-adakan pembohongan untuk menentang agama Islam. Maka ia adalah di dalam bentuk umum, supaya tidak terhad kepada kisah ular sahaja. Untuk zaman sekarang, mereka menguasai media yang digunakan untuk menampakkan Islam ini agama yang ganas dan tidak bertamadun. Ini kita boleh lihat di dalam media mereka dan filem-filem mereka.


 

A’raf Ayat 118:

فَوَقَعَ الحَقُّ وَبَطَلَ ما كانوا يَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So the truth was established, and abolished was what they were doing.

MALAY

Maka sabitlah kebenaran (mukjizat Nabi Musa), dan batallah (sihir) yang mereka telah lakukan.

 

فَوَقَعَ الحَقُّ

Maka sabitlah kebenaran

Maka kebenaran telah terserlah. Lafaz وَقَعَ bermaksud ‘jatuh’, iaitu kebenaran telah jatuh ke atas semua ahli sihir itu. Kebenaran telah jelas nyata pada waktu itu kepada semua orang yang melihat. Semua ahli sihir itu sedar yang mereka sedang berhadapan dengan mukjizat, bukannya sihir. Mereka sedar yang mukjizat bukanlah boleh dipelajari. Berbeza dengan sihir yang memang boleh belajar sampai menjadi.

Mereka ini golongan ahli sihir yang pandai-pandai dan bertahap عليم maka mereka dapat membezakan antara mukjizat dan sihir, antara haq dan bathil. Apabila kebenaran telah jelas, mereka nampak dengan mudah kerana mereka memang orang yang ada ilmu. Orang awam pun tentu telah terkesan akan tetapi yang lebih terkesan adalah para ahli sihir itu.

 

وَبَطَلَ ما كانوا يَعمَلونَ

dan batallah (sihir) yang mereka telah lakukan.

Apa yang mereka telah lakukan itu telah terbatal – telah kalah. Ini menunjukkan yang sihir itu boleh dikalahkan dengan kebenaran iaitu apabila kita berpegang dengan Al-Qur’an dan Sunnah. Sihir memang ada diamalkan oleh orang-orang jahat, tetapi mereka tidak dapat memberi kesan kepada orang yang berpegang dengan Al-Qur’an dan Sunnah.

Hukuman melakukan sihir di dalam agama Islam adalah bunuh. Malangnya negara kita tidak ada hukuman bagi orang yang mengerjakan sihir. Padahal sihir itu boleh memudaratkan. Di negara Arab, mereka ada hukuman ini tetapi belum lagi diiktiraf perbuatan sihir di negara kita walaupun telah ada cubaan. Kes Mona Fandey dulu pun ditangkap di atas kesalahan mengerat orang, bukannya sebab dia melakukan sihir.

Di sini kita boleh lihat Nabi Musa عليه السلام sebagai pendakwah tahap Nabi, baginda menggunakan mukjizat yang Allah ﷻ berikan untuk berdakwah. Maka bagi kita apa mukjizat kita ada? Tongkat tidak ada, kalau tangan pula warna itu sahajalah walau berkali-kali masuk baju, bukan? Jangan takut, kita ada mukjizat yang paling hebat sekali, iaitu Al-Qur’an!

Maka kita kena gunakan ayat-ayat Al-Qur’an dalam dakwah kita. Kena sampaikan kepada manusia. Kena ajak dan ajar mereka untuk mereka faham. Bukannya dengan sajak, gendang, mimpi tok syeikh, qasidah, marhaban, nasyid dan sebagainya, tetapi Al-Qur’an tuan-tuan.

Jika berdebat dengan golongan jahil pun, kita gunakan juga ayat-ayat Al-Qur’an.


 

GOLONGAN AHLI SIHIR MENJADI ORANG BERIMAN

A’raf Ayat 119:

فَغُلِبوا هُنالِكَ وَانقَلَبوا صٰغِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they [i.e., Pharaoh and his people] were overcome right there and became debased.

MALAY

Oleh itu, kalahlah Firaun dan ketua-ketua kaumnya di situ dan kembalilah mereka dengan keadaan yang hina.

 

فَغُلِبوا هُنالِكَ

Oleh itu, kalahlah mereka (Firaun dan ketua-ketua kaumnya) di situ

Telah jelas yang ahli-ahli sihir itu telah kalah di medan pertandingan itu. Firaun dan para pembesarnya telah kalah. Dikatakan bahawa yang kalah dalam ayat ini bukan maksudnya ahli sihir, tetapi Firaun dan para pembesarnya. Kerana apa yang terjadi ini adalah rancangan mereka untuk mengalahkan Nabi Musa عليه السلام. Maka telah jelas sekarang yang rancangan mereka tidak berhasil. Golongan ahli sihir itu pun kalah juga.

 

وَانقَلَبوا صٰغِرينَ

dan kembalilah mereka dengan keadaan yang hina.

Maka mereka itu menjadi golongan yang lemah dan hina. Yang hina itu adalah Firaun dan para pembesar. Mereka dulu sangka dengan kekuasaan yang mereka ada, dan kekayaan mereka itu, menjadikan mereka besar dan boleh berbuat apa-apa sahaja. Namun sekarang mereka telah dikalahkan dan menjadi kecil dan hina sekali.

Atau, ia juga boleh merujuk kepada ahli-ahli sihir yang sebelum berlawan dengan Nabi Musa عليه السلام, mereka sangka senang sahaja mereka kalahkah baginda. Akan tetapi sekarang mereka menjadi hina. Namun untuk sementara sahaja kerana nanti selepas ini akan diberitahu bagaimana ahli sihir itu akan dimuliakan.


 

A’raf Ayat 120: Apa yang terjadi kepada ahli sihir itu semua?

وَأُلقِيَ السَّحَرَةُ سٰجِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the magicians fell down in prostration [to Allāh].

MALAY

Dan (kemenangan Nabi Musa menjadikan) ahli-ahli sihir itu dengan sendirinya merebahkan diri mereka sujud,

 

Sekiranya Firaun dan pengikutnya kalah, bagaimana pula dengan ahli sihir? Mereka telah beriman dan mereka terus tunduk sujud. Ini adalah reaksi spontan daripada mereka kerana mereka telah nampak kebenaran di depan mata mereka. Mereka mengalah kerana mereka itu berilmu.

Mereka secara automatik terus jatuh sujud – bukan Nabi Musa عليه السلام suruh mereka sujud pun. Kerana itu kalimah yang digunakan adalah أُلقِيَ iaitu dalam bentuk pasif. Maksudnya bukan mereka buat sendiri. Yang mencampakkan mereka itu adalah kekuatan hujah dalam bentuk mukjizat yang ditunjukkan oleh Nabi Musa عليه السلام. Mereka jadi begitu kerana mereka sedar yang apa yang dilakukan oleh Nabi Musa عليه السلام itu bukan sihir. Mereka amat kenal itu adalah bukan sihir kerana mereka ahli sangat dalam sihir dan mereka tahu yang Nabi Musa عليه السلام tunjukkan itu bukanlah sihir.

Mereka itu adalah orang berilmu. Begitulah, orang berilmu akan kenal mana yang benar dan mana yang tidak. Maka mereka tahu yang kalau itu bukan sihir, maka itu adalah mukjizat. Mereka tahu hanya seorang Nabi sahaja yang boleh melakukan mukjizat.


 

A’raf Ayat 121: Maka mereka telah beriman.

قالوا ءآمَنّا بِرَبِّ العٰلَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “We have believed in the Lord of the worlds,

MALAY

Sambil berkata: “Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam.

 

Mereka telah sujud sebagai pernyataan tunduk dengan tubuh dan dengan lidah, mereka berkata sambil sujud itu dengan menyatakan yang mereka benar-benar beriman dengan Allah ﷻ. Maknanya, mereka bukan sujud sahaja, tetapi mereka melafazkan keimanan mereka dengan kata-kata juga. Maknanya, semua orang sudah nampak yang mereka beriman dengan Nabi Musa عليه السلام.

Ahli-ahli sihir itu berkata mereka beriman dengan رَبِّ العٰلَمينَ iaitu Allah ﷻ. Bukannya kepada Firaun. Ini adalah kerana ditakuti nanti Firaun pusing kata beriman dengan dia pula kerana dia pun mengaku tuhan juga.

Mereka kata mereka beriman بِرَبِّ, bukannya بالله kerana hendak menekankan sifat رَبِّ Allah ﷻ yang mencipta, mengurus dan mentadbir seluruh alam ini. Apakah العٰلَمينَ? Selain daripada Allah ﷻ adalah العٰلَمينَ.


 

A’raf Ayat 122:

رَبِّ موسىٰ وَهٰرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The Lord of Moses and Aaron.”

MALAY

“(Iaitu) Tuhan bagi Nabi Musa dan Nabi Harun”.

 

Mereka jelaskan lagi yang Tuhan yang mereka maksudkan adalah Allah ﷻ, iaitu Tuhan kepada Nabi Musa dan Nabi Harun عليهما السلام. Mereka berkata begitu kerana takut kalau tidak cakap begitu, nanti Firaun kata dia yang mereka maksudkan sebagai tuhan pula.

Ini penting kerana memang Firaun mengaku sebagai tuhan kepada rakyat. Oleh sebab itulah mereka berkata tuhan kepada Nabi Musa dan Harun عليهما السلام. Sememangnya Firaun pandai pusing cerita. Kalau tidak cakap nanti dia kata tukang sihir itu sujud kepada dia pula.

Juga menolak ketuhanan kepada Nabi Musa dan Nabi Harun عليهما السلام kerana takut rakyat sangka Nabi Musa عليه السلام pula Tuhan. Kerana Nabi Musa عليه السلام telah menunjukkan mukjizat yang hebat, bukan? Mereka tegaskan yang hebat adalah Allah ﷻ, bukannya Nabi Musa dan Harun عليهما السلام.


 

A’raf Ayat 123: Apakah reaksi Firaun dengan perbuatan tukang sihir yang asalnya dia yang upah mereka?

قالَ فِرعَونُ ءآمَنتُم بِهِ قَبلَ أَن ءآذَنَ لَكُم ۖ إِنَّ هٰذا لَمَكرٌ مَّكَرتُموهُ فِي المَدينَةِ لِتُخرِجوا مِنها أَهلَها ۖ فَسَوفَ تَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Said Pharaoh, “You believed in him¹ before I gave you permission. Indeed, this is a conspiracy which you conspired in the city to expel therefrom its people. But you are going to know.

  • i.e., in Moses, avoiding the mention of Allāh (subḥānahu wa ta‘ālā).

MALAY

Firaun berkata: “Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku memberi izin kepada kamu? Sesungguhnya ini adalah perbuatan tipu daya yang kamu lakukan dalam bandar ini kerana kamu hendak mengeluarkan penduduknya daripadanya. Oleh itu, kamu akan mengetahui (akibatnya).

 

قالَ فِرعَونُ ءآمَنتُم بِهِ قَبلَ أَن ءآذَنَ لَكُم

Firaun berkata: “Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku memberi izin kepada kamu?

Firaun marah benar dengan tindakan tukang-tukang sihir itu yang telah beriman. Tambahan pula rakyat yang melihat kejadian itu pun terkesan dan dikatakan seramai enam ratus ribu orang awam pun beriman juga. Dia memarahi para ahli sihir kerana beriman tanpa kebenarannya.

Lihatlah begitu teruk sekali fikiran dia, hendak beriman dengan Allah ﷻ pun kena dapat kebenaran dahulu kah? Bayangkan kalau hendak masuk Islam pun kena minta kebenaran kerajaan? Tentu tidak patut.

Saya teringat Sultan Brunei yang bertitah ketika melaksanakan Hudud di Brunei. Baginda berkata mereka tidak perlu tunggu kebenaran sesiapa pun kerana memang Hukum Hudud itu adalah kewajipan yang perlu dilaksanakan. Begitulah yang sepatutnya.

 

إِنَّ هٰذا لَمَكرٌ مَّكَرتُموهُ فِي المَدينَةِ

Sesungguhnya ini adalah perbuatan tipu daya yang kamu lakukan dalam bandar ini 

Ini adalah helah daripada Firaun untuk memperbaiki keadaan. Keadaan sudah teruk bagi dia kerana ramai rakyat telah melihat sendiri pertandingan antara Nabi Musa عليه السلام dan tukang-tukang sihir itu. Semua tukang sihir itu kemudian sujud beriman kepada Nabi Musa عليه السلام. Ini sudah jelas satu kekalahan yang teruk untuk Firaun. Maka dia sudah membuat satu hujah untuk menyalahkan tukang sihir pula.

Firaun telah menuduh yang apa yang telah berlaku itu adalah suatu helah besar yang mereka sudah rancang untuk menggulingkan kerajaan. Dia tuduh semua tukang sihir itu telah berpakat dengan Nabi Musa عليه السلام untuk merancang kejadian itu.

Dalam surah yang lain, Firaun tuduh pula yang Nabi Musa عليه السلام adalah ketua kepada tukang sihir itu. Padahal Firaun yang mengarahkan supaya dikumpulkan semua tukang sihir itu. Akan tetapi bila sudah jadi lain yang dia rancang, dia pandai merubah cerita pula. Ini memang kelebihan Firaun dan ramai rakyat percaya kepadanya.

Ini adalah tuduhan yang mengarut kerana dia juga yang suruh tenteranya mengumpulkan semua ahli sihir itu. Bilakah masa pula Nabi Musa عليه السلام ada berjumpa dengan mereka ramai-ramai itu?

 

لِتُخرِجوا مِنها أَهلَها

kerana kamu hendak mengeluarkan penduduknya darinya. 

Firaun fikir dia kena kawal rakyat dia yang selama ini ikut sahaja apa yang dikatakan olehnya. Maka dia memerlukan sokongan daripada rakyatnya dalam hal ini. Oleh itu, dia menggunakan hujah mengatakan yang tujuan Nabi Musa عليه السلام itu adalah untuk menghalau semua rakyat dari negeri Mesir itu.

Dia hendak membangkitkan kemarahan rakyat kepada Nabi Musa عليه السلام pula dengan menggunakan hujah patriotik. Ini kerana apabila mereka percaya yang Nabi Musa عليه السلام hendak mengeluarkan mereka dari Mesir, tentulah mereka pun akan marah kepada Nabi Musa عليه السلام juga.

 

فَسَوفَ تَعلَمونَ

Oleh itu, kamu akan mengetahui

Firaun juga memberikan amaran keras kepada tukang-tukang sihir itu. Dia kata mereka akan tahu kelak apa akibat yang akan dikenakan kepada mereka. Dia hendak rakyat yang ramai yang sedang melihat itu takut untuk ikut beriman kepada Nabi Musa عليه السلام. Dia hendak menjadikan hukuman kepada para ahli sihir itu sebagai penghalang kepada orang lain daripada beriman.


 

A’raf Ayat 124: Firaun beritahu apa yang dia akan lakukan kepada tukang-tukang sihir itu.

لَأُقَطِّعَنَّ أَيدِيَكُم وَأَرجُلَكُم مِّن خِلٰفٍ ثُمَّ لَأُصَلِّبَنَّكُم أَجمَعينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

I will surely cut off your hands and your feet on opposite sides; then I will surely crucify you all.”

MALAY

“Demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang, kemudian aku akan menyalib kamu semuanya”.

 

لَأُقَطِّعَنَّ أَيدِيَكُم وَأَرجُلَكُم مِّن خِلٰفٍ

“Demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang, 

Ini adalah huraian kepada tindakan yang Firaun ancam dalam ayat sebelum ini: Firaun akan mengerat tangan dan kaki tukang-tukang sihir itu secara bersilang iaitu memotong kaki kiri dan tangan kanan atau kaki kanan dan tangan kiri. Bersungguh dia hendak buat perkara itu sampai dia bersumpah untuk melakukannya. Ini kita tahu kerana ada penekanan pada kalimah لَأُقَطِّعَنَّ.

 

ثُمَّ لَأُصَلِّبَنَّكُم أَجمَعينَ

kemudian aku akan menyalib kamu semuanya”.

Kemudian dia akan menyalib mereka semua sekali iaitu mereka akan disalib di kebun-kebun pokok kurma. Mereka akan dipamerkan di tempat yang ramai orang boleh melihatnya. Oleh sebab mereka telah dipotong tangan dan kaki, maka mereka akan mati kering kerana darah akan keluar daripada tubuh mereka.

Akan tetapi mereka tidak terus mati kerana itu akan mengambil masa juga. Maka kematian mereka itu adalah kematian yang amat menyeksakan. Kerana itulah di dalam ayat ini digunakan kalimah ثُمَّ yang membawa selepas tetapi tidaklah terus dilakukan. Ia tidak sama kalau kalimah فلَأُصَلِّبَنَّكُم digunakan. Maknanya Firaun biarkan dahulu mereka hidup setelah dipotong tangan dan kaki. Mungkin sebagai peringatan kepada orang ramai.

Ibn Abbas رضي الله عنهما mengatakan manusia yang  mula-mula menyalib manusia lain adalah Firaun. Tidak pernah lagi dibuat dalam sejarah dunia hukuman seteruk itu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 12 November 2022

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah al-A’raf Ayat 103 – 110 (Kisah Nabi Musa عليه السلام)

KISAH NABI MUSA عليه السلام

A’raf Ayat 103: Sekarang kita masuk ke dalam kisah keenam. Kisah ini untuk menerangkan Dakwa Pertama – Kena ada sifat berani menghadapi segala dugaan kerana menyampaikan wahyu Allah ﷻ. Kita akan lihat kisah keberanian Nabi Musa عليه السلام. Daripada ayat ini, sampailah ke ayat 162, ia berlegar tentang kisah Nabi Musa عليه السلام.

Kisah baginda ini paling panjang dan paling banyak di dalam Al-Qur’an. Ini kerana banyak pengajaran di dalamnya. Mukjizat yang ditunjukkan juga banyak dan pertentangan kepada baginda juga amat berat.

ثُمَّ بَعَثنا مِن بَعدِهِم مّوسىٰ بِئآيٰتِنا إِلىٰ فِرعَونَ وَمَلَإيْهِ فَظَلَموا بِها ۖ فَانظُر كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ المُفسِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then We sent after them Moses with Our signs to Pharaoh and his establishment, but they were unjust toward them.¹ So see how was the end of the corrupters.

  • i.e., they rejected and opposed the signs.

MALAY

Kemudian Kami mengutuskan Nabi Musa selepas Rasul-rasul itu, dengan membawa ayat-ayat Kami kepada Firaun dan Ketua-ketua kaumnya, lalu mereka berlaku zalim (ingkar) akan ayat-ayat itu. Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang berbuat kerosakan.

 

ثُمَّ بَعَثنا مِن بَعدِهِم مّوسىٰ بِئآيٰتِنا

Kemudian Kami membangkitkan Nabi Musa selepas Rasul-rasul itu, dengan membawa ayat-ayat Kami

Kita telah belajar lima kisah para Nabi sebelum ini. Tentu anda perasan bahawa kisah ini mengikut turutan sejarah. Sekarang kita sampai kepada kisah Nabi Musa عليه السلام kerana baginda datang selepas Nabi Syuaib عليه السلام.

Digunakan kalimah ثُمَّ di dalam ayat ini yang bermaksud kemudian. Akan tetapi apabila ada ثُمَّ ia bermaksud setelah berlalu jangkamasa yang lama. Ini adalah kerana Nabi Musa عليه السلام itu jaraknya jauh daripada Nabi Syuaib عليه السلام. Mereka bukan hidup sezaman seperti yang dikatakan oleh sesetengah pihak. Ini menjadi dalil bagi pihak yang mengatakan kisah dua perempuan yang dibantu Nabi Musa عليه السلام di Madyan itu bukanlah anak Nabi Syuaib عليه السلام.

Di sini Allah menggunakan kalimah بَعَثنا yang bermaksud ‘Kami bangkitkan’. Sedangkan untuk Nabi-nabi yang lain sebelum ini digunakan kalimah أَرسَلنا untuk Nabi Nuh عليه السلام dan yang lain atau hanya disebut إلى sahaja. Ada penekanan apabila Allah menggunakan بَعَثنا untuk Nabi Musa عليه السلام kerana kisah Nabi Musa عليه السلام ini paling banyak di dalam Al-Qur’an. Sampaikan ulama’ mengatakan كاد القرآن أن يكون كله لموسى (hampir-hampir keseluruhan Al-Qur’an itu tentang Nabi Musa عليه السلام).

Kisah baginda disebut di 136 tempat di dalam Al-Qur’an dan kisah musuhnya Firaun pula disebut di 74 tempat. Ini adalah kerana dakwah baginda yang berat dan musuh baginda juga hebat. Teruknya Firaun sampai mengaku tuhan yang tidak pernah dilakukan oleh orang lain.

Selain itu, Nabi Musa عليه السلام juga berhadapan dengan Bani Israel yang semua sangatlah teruk dan kaum yang degil. Kisah baginda banyak diceritakan supaya menjadi pengajaran bagi Nabi Muhammad ﷺ dan kita sebagai umat baginda.

Allah mengutuskan Nabi Musa عليه السلام untuk membawa kebenaran dengan menunjukkan mukjizat daripada Allah . Banyak ayat-ayat dalam Al-Qur’an yang telah menceritakan apakah mukjizat-mukjizat itu. Kisah yang paling banyak adalah mukjizat Nabi Musa عليه السلام di dalam Al-Qur’an (sehingakan terdapat 9 mukjizat yang disebut).

Oleh hal yang demikian, ‘ayat-ayat’ yang dimaksudkan ini merujuk kepada mukjizat-mukjizat itu. Ia juga boleh merujuk kepada Taurat yang diberikan kepada baginda dan umat baginda.

 

إِلىٰ فِرعَونَ وَمَلَإيْهِ فَظَلَموا بِها

dengan membawa ayat-ayat Kami kepada Firaun dan Ketua-ketua kaumnya, lalu mereka berlaku zalim (ingkar) akan ayat-ayat itu. 

Di sini disebut Nabi Musa عليه السلام diutus untuk Firaun dan ahli kabinetnya. Namun begitu, ada pendapat yang mengatakan baginda diutus untuk Bani Israel sahaja seperti Nabi-nabi yang lain. Seorang Nabi itu diutuskan untuk kaumnya sahaja kecuali Nabi Muhammad ﷺ yang diutus kepada semua kaum.

Mengikut pendapat ini, Nabi Musa عليه السلام hanya berhadapan dengan Firaun hanya untuk mendapatkan kembali kemerdekaan Bani Israel supaya selepas itu baginda boleh mendidik mereka. Oleh itu baginda bukanlah Rasul bagi Firaun dan bangsa Qibti.

Akan tetapi ada pendapat lain yang mengatakan baginda juga diutus kepada Firaun juga kerana mereka itu pun perlu diperbetulkan. Bayangkan kalau kita hendak dakwah kepada kampung orang Melayu dan di situ ada orang Cina juga tinggal. Tidak mungkin pula kita berkata: “Takpe apek, saya datang untuk dakwah orang Melayu sahaja.”

Kalimah مَلَإيْهِ merujuk kepada pembesar-pembesar di dalam kabinet Firaun. Mereka inilah yang menjalankan segala polisi Firaun dan menjadi ‘punahsihat’ kepadanya. Maka di mana pula rakyat dalam kalangan bangsa Qibti yang lain, kenapa tidak disebut? Tidak perlu disebut kerana mereka itu ikut sahaja apa kata Firaun dan para pembesar. Pembesar beragama A, mereka pun agama A lah juga.

Ini biasa sahaja kerana begitulah orang awam dalam masyarakat. Sampaikan ada pepatah Arab yang mengatakan آلعوام كالأنعام (orang awam seperti binatang ternak). Maksudnya mereka ikut sahaja pegangan pemimpin mereka. Sebagaimana Firaun yang mengawal fikiran rakyat bawahannya secara total seperti disebut di dalam [ Zukhruf: 54 ]

فَاستَخَفَّ قَومَهُ فَأَطاعوهُ ۚ إِنَّهُم كانوا قَومًا فٰسِقينَ

Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik.

Daripada sejarah Nabi Musa عليه السلام, kita tahu yang baginda pernah melarikan diri daripada Firaun namun selepas 10 tahun, baginda pulang semula ke Mesir kerana telah ditugaskan untuk menyampaikan dakwah kepada Firaun dan ketua-ketua kaumnya.

Maka, untuk menyampaikan dakwah itu, kepada seorang pemimpin zalim yang baginda telah pernah lari dulu, dan kepada pemimpin-pemimpin lain yang juga zalim, tentulah baginda mesti mempunyai sikap yang sangat berani, jikalau tidak berani, tentu baginda tidak sanggup untuk pulang. Oleh itu, jika hendak dibandingkan dengan tugas kita yang hanya berdakwah kepada manusia biasa, sebenarnya tidaklah teruk sangat.

Inilah Dakwa Pertama surah ini, iaitu mesti berani untuk menyampaikan dakwah. Untuk menyampaikan dakwah tauhid, Nabi Musa عليه السلام telah menempuhi pelbagai dugaan yang berat-berat. Kita hendaklah semat kisah ini ke dalam diri kita supaya kita pun mendapat keberanian dalam dakwah.

‘Firaun’ itu bukanlah nama seorang manusia, tetapi ia adalah pangkat seorang pemimpin di Mesir. Ketika Nabi Musa عليه السلام kembali ke istana Firaun, Firaun yang sedang memerintah bukanlah ayah angkatnya yang telah membelanya dulu, tetapi anaknya. Semasa Musa عليه السلام dibela, Firaun pada waktu itu belum mempunyai anak lagi. Namun kemudian dia telah mendapat anak dan anak Firaun itu telah membesar sekali bersama dengan Musa عليه السلام. Oleh itu, ada rasa kekeluargaan antara Nabi Musa عليه السلام dan Firaun itu. Allahu a’lam, ini adalah satu pendapat yang tidak kurang kuat juga.

Ada pendapat yang mengatakan Firaun yang menentang Nabi Musa عليه السلام itu bernama Ramses II. Apabila Nabi Musa عليه السلام menyampaikan dakwah tauhid kepada Firaun dan para pembesar, mereka degil dan menzalimi akan kebenaran. Mereka telah menolak kebenaran dan ingkar dengan ayat Allah ﷻ.

Masalah yang dihadapi oleh Firaun dan para pembesar adalah kerana mereka itu ada sifat sombong untuk menerima kebenaran. Sedangkan masalah yang ada pada Bani Israel adalah mereka lalai. Ini kembali kepada sifat Iblis dan Nabi Adam عليه السلام. Iblis mempunyai sifat sombong dan Nabi Adam عليه السلام pula mempunyai sifat lalai. Kedua-dua sifat ini diulang-ulang dalam surah ini sebagai peringatan kepada kita supaya kita berhati-hati daripada mempunyai dua sifat itu.

Maka mereka telah berlaku ‘zalim’ kepada ayat-ayat Allah ﷻ yang dibawa oleh Nabi Musa عليه السلام. Kenapakah dikatakan zalim? Kerana maksud zalim adalah tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Sepatutnya ayat-ayat Allah ﷻ diimani, tetapi mereka buat tidak endah sahaja malah mereka menolak dengan keras.

Juga ia bermaksud dengan menolak ayat-ayat Allah ﷻ, mereka telah menzalimi diri mereka sendiri. Mereka akan menyebabkan diri mereka akan diazab di dunia dan di akhirat. Cuma mereka sahaja tidak perasan yang mereka sedang menzalimi diri mereka sendiri.

Bani Israel pada waktu itu adalah rakyat bawahan negara Mesir. Mereka dijadikan hamba dan kuli kepada puak Qibti yang memerintah. Bani Israel adalah pendatang ke Mesir, iaitu mereka datang dengan keluarga Nabi Yusuf عليه السلام termasuk Nabi Yaakob عليه السلام dulu. Walaupun mereka asalnya pendatang tetapi mereka mempunyai kedudukan dalam negara ketika itu. Kisah ini boleh rujuk Surah Yusuf.

Namun begitu, lama kelamaan penduduk asal telah mengadakan revolusi dan menjadikan Bani Israil sebagai hamba abdi mereka sahaja. Begitulah serba ringkas kenapa semasa dalam kisah Nabi Musa عليه السلام ini, Bani Israel telah diperhambakan oleh bangsa Qibti.

 

فَانظُر كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ المُفسِدينَ

Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang berbuat kerosakan.

Oleh kerana mereka telah menolak ajakan tauhid daripada Nabi Musa عليه السلام dan Nabi Harun عليه السلام, maka perhatilah kesudahan mereka yang kita pun sudah tahu. Perkara ini diulang berkali-kali di dalam surah ini. Ini diingatkan kepada Musyrikin Mekah dan mereka yang mengamalkan syirik. Malah Firaun sampai mengaku dialah tuhan yang paling tinggi.

Kita tahu kisah Firaun dan begitu juga bangsa Arab kerana telah sampai kepada mereka kisah tentang bagaimana Firaun dan tenteranya telah ditenggelamkan. Ambillah pengajaran daripada kisah-kisah itu, jangan baca sahaja.


 

A’raf Ayat 104: Allah ﷻ memulakan kisah Nabi Musa عليه السلام secara tafsili (satu persatu)

وَقالَ موسىٰ يٰفِرعَونُ إِنّي رَسولٌ مِّن رَّبِّ العٰلَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And Moses said, “O Pharaoh, I am a messenger from the Lord of the worlds

MALAY

Dan berkatalah Nabi Musa: “Hai Firaun! Sesungguhnya aku ini adalah seorang Rasul daripada Tuhan sekalian alam.

 

Kita boleh lihat di sini وَقالَ موسىٰ iaitu Musa عليه السلام cakap berhadapan dengan Firaun. Ini mengajar kita yang dakwah ini sebenarnya berdepan. Kita kena berjumpa dengan orang yang hendak didakwah itu. Memang kita menggunakan juga teknik penulisan tetapi tidak sama kalau jumpa berdepan. Kalau berdepan, lebih jelas dan lebih sampai maksud.

Dalam ayat ini, dimulakan kisah Nabi Musa عليه السلام memperkenalkan diri baginda kepada Firaun dan para pemimpin negara. Beginilah juga Nabi Muhammad ﷺ memperkenalkan diri baginda kepada ahli keluarga dan masyarakat Arab pada waktu itu. Bila para Nabi mula berdakwah kepada umat mereka, begitulah yang mereka lakukan.

Kalau kita hendak berdakwah pun begitulah juga. Kena beritahu yang kita sudah belajar dan sekarang hendak menyampaikan dakwah kita kepada manusia. Biar orang kenal kita siapa dan kenapa mereka kena dengar.

Nabi Musa عليه السلام tekankan di sini yang baginda adalah Rasul utusan رَبِّ العٰلَمينَ yang dalam masa yang sama menidakkan ketuhanan Firaun. Bukankah Firaun mengaku dia tuhan?


 

A’raf Ayat 105: Sambungan kata-kata Nabi Musa عليه السلام.

حَقيقٌ عَلىٰ أَن لا أَقولَ عَلَى اللَّهِ إِلَّا الحَقَّ ۚ قَد جِئتُكُم بِبَيِّنَةٍ مِّن رَّبِّكُم فَأَرسِل مَعِيَ بَني إِسرٰءيلَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Who is] obligated not to say about Allāh except the truth. I have come to you with clear evidence from your Lord, so send with me the Children of Israel.”¹

  • i.e., free them from oppression and allow them to emigrate.

MALAY

“Sudah semestinya aku tidak mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar. Sesungguhnya aku datang kepada kamu dengan membawa keterangan yang nyata dari Tuhan kamu. Oleh itu, bebaskanlah Kaum Bani Israel menyertai aku.

 

حَقيقٌ عَلىٰ أَن لا أَقولَ عَلَى اللَّهِ إِلَّا الحَقَّ

“Wajib aku tidak mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar. 

Wajib bagi baginda sebagai rasul untuk tidak bercakap atas nama Allah ﷻ melainkan perkara yang benar sahaja. Baginda mengingatkan kepada mereka sifat baginda yang tidak pernah mengatakan perkara yang bohong. Maka begitulah juga tentang perkara berkenaan agama. Sudah tentulah baginda memperkatakan perkara yang benar sahaja. Jika dulu baginda tidak pernah berbohong, maka begitulah juga kali ini.

Begitulah juga dengan Nabi ﷺ kita, baginda memulakan dakwah baginda dengan mengingatkan kaumnya bagaimana mereka telah mempercayai baginda sampaikan mereka menggelar baginda ‘al-amin’. Maka kalau dulu baginda tidak pernah berbohong tentang semua hal, tidak mungkin tiba-tiba baginda hendak menipu tentang Allah ﷻ pula.

Maka ini juga mengajar kita supaya hanya berkata benar sahaja, sama ada hal agama atau pun hal-hal lain.

 

قَد جِئتُكُم بِبَيِّنَةٍ مِّن رَّبِّكُم

Sesungguhnya aku datang kepada kamu dengan membawa keterangan yang nyata daripada Tuhan kamu. 

Baginda menekankan yang baginda datang kepada mereka dengan membawakan bukti mukjizat daripada Tuhan. Apabila Firaun dan orang bawahannya hendak mempersoalkan baginda dan apabila mereka minta hendak melihat bukti, baginda telah menunjukkan bagaimana tongkat baginda menjadi ular dan bagaimana tangan baginda bercahaya.

Oleh itu, mukjizat hanya dikeluarkan apabila perlu sahaja. Dalam kes ini, mukjizat Nabi Musa عليه السلام dikeluarkan apabila diminta sebagai bukti yang baginda benar-benar adalah seorang Rasul. Oleh itu, bukanlah para Nabi boleh keluarkan mukjizat sesuka hati mereka setiap kali. Ia hanya dikeluarkan ketika perlu sahaja dan apabila Allah ﷻ izinkan sahaja.

 

فَأَرسِل مَعِيَ بَني إِسرٰءيلَ

Oleh itu, bebaskanlah Kaum Bani Israel menyertai aku.

Selain daripada mengajak manusia kepada tauhid, satu lagi perkara penting yang baginda minta Firaun lakukan adalah untuk melepaskan semua Bani Israel daripada cengkaman perhambaan. Bani Israel dahulu datang dan telah menetap di Mesir. Oleh itu, mereka sebenarnya adalah muhajirin kerana mereka asalnya dari Palestin. Mereka telah berhijrah ke Mesir ketika zaman Nabi Yusuf عليه السلام.

Maksud baginda, lepaskanlah golongan Bani Israel itu daripada tahanan dan penindasan Firaun, dan biarkanlah mereka menyembah Tuhan (Allah ﷻ), kerana sesungguhnya mereka berasal daripada keturunan seorang nabi yang mulia — iaitu ‘Israil’— iaitu Nabi Ya’qub ibnu Ishaq ibnu Ibrahim, kekasih Allah Yang Maha Pemurah.

Nabi Musa عليه السلام meminta mereka dilepaskan kerana Bani Israel telah dizalimi sudah sekian lama sebagai hamba abdi. Begitulah yang terjadi kepada bangsa yang berhijrah itu. Begitulah kebiasaan manusia dengan para pendatang. Kalau ada pendatang yang datang ke negara baru, selalunya penduduk asal tidak suka kepada mereka. Penduduk asal akan melihat pendatang itu sebagai pencuri kepada hasil bumi dan pekerjaan penduduk asal itu.

Lihatlah bagaimana perkara ini berlaku di mana-mana. Sebagai contoh, kita boleh lihat bagaimana Presiden Donald Trump yang cuba untuk merendahkan kedudukan para pendatang ke Amerika. Dia hendak menghalang orang luar daripada datang ke negara itu. Slogannya telah disokong oleh banyak penduduk yang telah lama berada di Amerika.

Manusia akan tetap sahaja menyalahgunakan tenaga daripada manusia yang lain. Pemerintahan Firaun telah menggunakan Bani Israel sebagai tenaga buruh kasar mereka sejak zaman berzaman. Kita boleh kenal pasti perkara ini adalah satu yang zalim dan kejam, bukan? Namun bagaimana pula dengan zaman sekarang? Walaupun tidak ada lagi perhambaan yang diamalkan secara jelas, tetapi masih ada lagi elemen itu dalam dunia ini.

Sebagai contoh, lihatlah bagaimana tenaga kerja buruh kasar selalunya digunakan terhadap mereka yang hidup miskin. Ada syarikat besar yang menggunakan tenaga kerja buruh kasar untuk mengeluarkan produk mereka (seperti iPhone) di kilang-kilang di Negara China. Pekerja kilang itu dibayar dengan gaji yang murah dan diberi tempat tinggal yang sempit dan mereka dikerah untuk bekerja dengan teruk sekali. Itu pun sebenarnya adalah satu bentuk ‘perhambaan’ juga sebenarnya.


 

A’raf Ayat 106: Apa kata Firaun dengan permintaan Nabi Musa عليه السلام itu?

قالَ إِن كُنتَ جِئتَ بِئآيٰةٍ فَأتِ بِها إِن كُنتَ مِنَ الصّٰدِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Pharaoh] said, “If you have come with a sign, then bring it forth, if you should be of the truthful.”

MALAY

Firaun menjawab: “Kalau betul engkau datang dengan membawa sesuatu tanda, maka bawalah dia (supaya aku melihatnya), jika betul engkau dari orang-orang yang benar”.

 

Ini adalah cabaran yang dikeluarkan oleh Firaun kepada Nabi Musa عليه السلام. Firaun tidak percaya kepada kerasulan Nabi Musa عليه السلام dan oleh itu dia hendak menjatuhkan kedudukan baginda. Maka dia mencabar baginda untuk membawakan bukti.

Tanda yang dimaksudkan adalah mukjizat, sesuatu yang menakjubkan sebagai tanda yang baginda benar-benar adalah seorang Rasul. Dia keluarkan cabaran ini kerana dia tidak percaya kepada Nabi Musa عليه السلام. Dia sangka dengan cara itu, Nabi Musa عليه السلام pasti tidak dapat melakukan dan akan senyap begitu sahaja.

Maka tidak salah sebenarnya minta bukti sebelum menolaknya. Betul apa yang dilakukan oleh Firaun di sini sebab dia memang seorang yang bijak. Janganlah kita marah kalau orang minta bukti. Janganlah kata orang yang minta bukti itu seperti Firaun pula kerana memang kita diajar dalam Al-Qur’an untuk minta bukti. Sebagai seorang yang bijak sememangnya mahukan bukti.

Bukanlah seperti Firaun pula yang teruk sikapnya kerana setelah bukti diberikan, dia tetap menolak. Namun begitu ada yang lebih teruk daripada Firaun pula apabila mereka terus tolak sebelum melihat bukti. Ini ada yang berlaku dalam kalangan kita yang menyampaikan kebenaran, terus mereka ditolak tanpa mendengar apa-apa pun. Ini memang jenis orang yang bodoh sungguh.


 

A’raf Ayat 107: Nabi Musa عليه السلام pun menunjukkan mukjizat baginda.

فَأَلقىٰ عَصاهُ فَإِذا هِيَ ثُعبانٌ مُّبينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So he [i.e., Moses] threw his staff, and suddenly it was a serpent, manifest.¹

  • i.e., genuine and not imagined, as a miracle from Allāh.

MALAY

Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang jelas nyata.

 

فَأَلقىٰ عَصاهُ

Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya, 

Nabi Musa عليه السلام mencampakkan tongkat yang di berada tangan baginda. Ini seperti yang telah diajar oleh Allah ﷻ sebelum itu seperti yang telah diceritakan dalam [Taha: 17]

قَالَ أَلْقِهَا يَا مُوسَىٰ

Allah Taala berfirman: “Campakkanlah tongkatmu itu wahai Musa!”

Nabi Musa عليه السلام tidaklah terkejut kali ini apabila tongkat menjadi ular kerana baginda sudah pernah melihatnya. Kali pertama dahulu memang baginda terkejut dan takut sangat.

Nabi Musa عليه السلام melontarkan tongkat ini adalah atas arahan Allah ﷻ. Hanya setelah Allah ﷻ perintahkan baginda lontar, barulah baginda lontar. Ini kerana mukjizat tidak menjadi tanpa izin daripada Allah ﷻ. Kerana itulah mukjizat adalah kuasa Allah ﷻ , bukannya kuasa manusia walaupun Nabi.

 

فَإِذا هِيَ ثُعبانٌ مُّبينٌ

maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang jelas nyata.

Apabila dilontar, maka tongkat itu menjadi ular besar yang jelas. Menjadi ular hidup sebenar, bukan sekadar silap mata. Ia adalah ular yang besar pula kerana kalimah yang digunakan adalah ثُعبانٌ yang bermaksud ular yang besar. Kalimah مبين boleh membaca maksud besar. Kalimah مبين juga bermaksud kejadian ini berlaku di khalayak ramai, bukannya dibuat sorok-sorok seperti yang selalu dilakukan oleh golongan ahli sihir.

Selepas tongkat itu berubah menjadi ular yang besar seraya mengangakan mulutnya, ular itu telah merayap dengan cepat ke arah Fir’aun. Ketika Fir’aun melihat ular itu menuju ke arah dirinya, dia segera melompat daripada singgahsananya dan lari berlindung kepada Musa عليه السلام untuk mencegahnya maka Nabi Musa عليه السلام melakukannya. Tahu juga dia takut. Dikatakan juga ramai kerana ahli istana yang meninggal kerana ketakutan.


 

A’raf Ayat 108: Ini pula adalah mukjizat kedua.

وَنَزَعَ يَدَهُ فَإِذا هِيَ بَيضاءُ لِلنّٰظِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And he drew out his hand; thereupon it was white [with radiance] for the observers.

MALAY

Dan Nabi Musa mengeluarkan tangannya, tiba-tiba tangannya (menjadi) putih (bersinar-sinar) bagi orang-orang yang melihatnya.

 

وَنَزَعَ يَدَهُ

Dan Nabi Musa mengeluarkan tangannya, 

Ini adalah mukjizat Nabi Musa عليه السلام yang kedua. Baginda memasukkan tangannya di celah ketiak (masuk ikut baju baginda). Kemudian baginda mengeluarkan dan ditunjukkan di khalayak ramai. Dari segi bahasa kalimah نَزَعَ bermaksud mencabut sesuatu dengan kuat. Ini seperti keadaan orang nazak kerana waktu itu sedang dicabut roh daripada tubuhnya.

Di dalam ayat ini ringkas sahaja, tidak disebut dari mana tangan baginda ditarik. D dalam ayat Naml: 12 diberitahu yang baginda memasukkan tangan baginda ke dalam baju baginda.

وَأَدخِل يَدَكَ في جَيبِكَ

Dan masukkanlah tanganmu ke leher bajumu

Manakala di dalam ayat Taha: 22 disebut tangan itu dimasukkan ke ketiak baginda

وَاضْمُمْ يَدَكَ إِلَىٰ جَنَاحِكَ

dan kepitlah tanganmu ke ketiakmu

 

فَإِذا هِيَ بَيضاءُ لِلنّٰظِرينَ

tiba-tiba tangannya (menjadi) putih (bersinar-sinar) bagi orang-orang yang melihatnya.

Apabila dikeluarkan tangan baginda, maka ternampaklah tangannya cerah berseri untuk setiap orang yang memandang. Cahayanya sangat cerah sampaikan boleh menerangi sekeliling baginda. Tangannya bercahaya dan mereka yang melihat terkejut dan mereka merenungnya dengan terpesona. Ini kerana tidak pernah terjadi sebelum itu.

Maka di sini sahaja sudah ada dua mukjizat yang baginda tunjukkan. Kenapa ular dan tangan bercahaya? Ulama’ mengatakan ular itu sebagai ancaman jika mereka menolak; dan cahaya tangan itu adalah isyarat yang baginda mengajak kepada jalan yang benar.

Habis Ruku’ 13 dari 24 ruku’ dalam surah ini.


 

SAYEMBARA NABI MUSA عليه السلام DAN AHLI-AHLI SIHIR

A’raf Ayat 109: Para pembesar sudah takut melihat mukjizat yang ditunjukkan oleh Nabi Musa عليه السلام. Maka mereka kena cakap sesuatu (sebagai damage control).

قالَ المَلَأُ مِن قَومِ فِرعَونَ إِنَّ هٰذا لَسٰحِرٌ عَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Said the eminent among the people of Pharaoh, “Indeed, this is a learned magician

MALAY

Berkatalah Ketua-ketua dari kaum Firaun: “Sesungguhnya orang ini (Musa) ialah seorang ahli sihir yang mahir.

 

قالَ المَلَأُ مِن قَومِ فِرعَونَ

Berkatalah Ketua-ketua daripada kaum Firaun: 

Kejadian ini berlaku di dalam istana tetapi berkemungkinan ada orang lain yang melihatnya. Maka tentu yang melihatnya terpesona dan merasakan Nabi Musa عليه السلام itu adalah benar-benar seorang Rasul. Maka, pemuka-pemuka Firaun itu takut kalau orang lain yang melihatnya akan mengikut Nabi Musa عليه السلام, maka mereka kena buat sesuatu.

 

إِنَّ هٰذا لَسٰحِرٌ عَليمٌ

“Sesungguhnya orang ini (Musa) ialah seorang ahli sihir yang mahir.

Mereka kata apa yang dilakukan oleh Nabi Musa عليه السلام itu adalah sihir semata-mata, bukannya apa pun. Ini kerana mereka itu jahil dan hanya biasa melihat silap mata daripada ahli sihir mereka sahaja. Namun mereka pun mengaku yang ia bukan sihir biasa, mereka mengaku yang sihir itu adalah sihir yang hebat. Mereka kata Nabi Musa عليه السلام memang seorang ahli sihir yang hebat dan mahir. Sebab itu mereka tambah kalimah عَليمٌ.

Zaman itu memang zaman manusia mengamalkan sihir di negara Mesir. Mereka sudah biasa dengan sihir. Maka sekiranya ada benda yang pelik daripada kebiasaan, mereka akan kata itu adalah sihir. Namun begitu pun pada mereka, apa yang ditunjukkan oleh Nabi Musa عليه السلام itu memang lebih hebat daripada kebiasaan biasa.

Sebenarnya tidaklah sama sihir dan mukjizat. Sihir itu dilakukan oleh ahli sihir yang hidup dalam serba kekotoran. Lagi mereka kotor, lagi sihir semakin menjadi. Sihir itu sebenarnya tidak mengubah apa-apa realiti pun, cuma permainan mata sahaja. Sedangkan mukjizat itu benar-benar berlaku. Contohnya apabila tongkat menjadi ular, memang benar ia menjadi ular, bukan main olok-olok silap mata sahaja.

Namun tentulah mereka tidak boleh terima, maka mereka kata itu sihir sahaja. Kita boleh lihat yang itu adalah tuduhan sahaja untuk merendahkan kedudukan Nabi Musa عليه السلام. Mereka kata yang baginda tunjuk itu bukanlah apa tetapi sihir sahaja, orang lain pun boleh buat. Maka itu adalah hujah bathil dan beginilah juga tuduhan yang dikenakan oleh Musyrikin Mekah terhadap Nabi Muhammad ﷺ.

Sudah disebut di dalam ayat lain seperti Dzaariyat: 52 yang setiap Nabi akan dituduh gila atau ahli sihir.

كَذٰلِكَ ما أَتَى الَّذينَ مِن قَبلِهِم مِّن رَّسولٍ إِلّا قالوا ساحِرٌ أَو مَجنونٌ

Demikianlah tidak seorang rasul pun yang datang kepada orang-orang yang sebelum mereka, melainkan mereka mengatakan: “Dia adalah seorang tukang sihir atau seorang gila”.

Seperti juga Nabi Muhammad ﷺ yang telah dituduh gila dan juga ahli sihir. Ini sememangnya tuduhan mengarut kerana mana mungkin orang gila itu ahli sihir pula? Kerana ahli sihir adalah orang yang waras.

Manusia yang menolak kebenaran memang akan menggunakan apa-apa cara sahaja untuk menang. Mereka akan menggunakan kuasa yang mereka ada. Ini berlaku ketika zaman Nabi Musa عليه السلام, zaman Nabi Muhammad ﷺ dan pada setiap zaman pun. Yang ada kedudukan, tentulah suara mereka lebih besar dan masyarakat lebih senang hendak percaya. Maka mereka gunakan kedudukan itu.

Begitulah kalau zaman permulaan dakwah Sunnah ini, golongan yang bukan Sunnah yang ada suara yang lebih besar dan kedudukan yang lebih tinggi dalam masyarakat. Maka mereka menggunakan berbagai-bagai cara untuk merendahkan kedudukan golongan orang-orang Sunnah dan ustaz-ustaz Sunnah.


 

A’raf Ayat 110:

يُريدُ أَن يُخرِجَكُم مِّن أَرضِكُم ۖ فَماذا تَأمُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who wants to expel you from your land [through magic], so what do you instruct?”

MALAY

“Dia bertujuan hendak mengeluarkan kamu dari negeri kamu”. (Firaun bertanya): “Oleh itu, apa yang kamu syorkan?”

 

يُريدُ أَن يُخرِجَكُم مِّن أَرضِكُم

“Dia bertujuan hendak mengeluarkan kamu dari negeri kamu”. 

Mereka menuduh tujuan Nabi Musa عليه السلام adalah hendak menghalau mereka yang berkuasa itu dari negara Mesir dengan cara sihir. Maknanya, mereka hendak berkata yang Nabi Musa عليه السلام dan Nabi Harun عليه السلام itu adalah terroris. Mereka menuduh Nabi Musa عليه السلام mahukan kedudukan dalam negara sahaja, mahu menjadi raja.

Atau, ini menggunakan isu perkauman untuk menakutkan masyarakat. Ini seperti kempen ahli politik sekarang juga. Mereka menggunakan isu perkauman kerana ini adalah salah satu kaedah dari zaman dahulu lagi untuk menakutkan manusia.

 

فَماذا تَأمُرونَ

“Oleh itu, apa yang kamu syorkan?”

Siapakah yang berkata dalam ayat ini? Mungkin yang berkata adalah Firaun kepada pemimpin yang lain, atau yang berkata itu adalah para pemimpin itu kepada rakyat bangsa Qibti itu.

Jika mereka bertanya kepada rakyat, maksudnya mereka hendak membangkitkan semangat bangsa Qibti. Mereka hendak beritahu bangsa Qibti, sekarang ada orang luar yang hendak mengambil alih kuasa kita dan menghalau kita dari Mesir, hendak mengambil hamba-hamba kita daripada kita. Sekarang apa yang kamu mahu kami buat terhadap yang hendak mengambil alih kuasa ini?!

Lihatlah Firaun yang teruk itu pun berbincang dahulu dengan ahli kabinetnya sebelum membuat keputusan. Sebagaimana kisah Ratu Balqis juga, beliau berbincang dengan para pembesarnya. Oleh itu, sekiranya para pemimpin membuat keputusan tanpa berbincang dengan para penasihatnya, maka mereka adalah lebih teruk daripada Firaun. Oleh sebab itu, kita sebagai ketua sama ada persatuan, pejabat atau di rumah pun, bawa berbincanglah dengan ahli-ahli yang terlibat.

Allah ﷻ telah mengajar kita tentang perkara ini dalam [ Shura: 38 ]

وَالَّذينَ استَجابوا لِرَبِّهِم وَأَقامُوا الصَّلَوٰةَ وَأَمرُهُم شورىٰ بَينَهُم وَمِمّا رَزَقنٰهُم يُنفِقونَ

Dan juga orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya;

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 6 November 2022

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah al-A’raf Ayat 98 – 102 (Adakah kamu rasa aman daripada Allah ﷻ?)

A’raf Ayat 98:

أَوَأَمِنَ أَهلُ القُرىٰ أَن يَأتِيَهُم بَأسُنا ضُحًى وَهُم يَلعَبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or did the people of the cities feel secure from Our punishment coming to them in the morning while they were at play?¹

  • i.e., occupied with such activities that have no benefit.

MALAY

Atau patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main?

 

Allah ﷻ boleh mengenakan azab kepada mereka yang ingkar itu bila-bila masa sahaja. Sebelum ini disebut pada waktu malam sewaktu mereka sedang berehat. Sekarang disebut waktu Dhuha di siang hari ketika mereka bermain dan bekerja pula.

Kenapakah waktu Dhuha? Waktu dhuha itu adalah awal hari, waktu masih segar lagi, waktu manusia sedang aktif menjalankan urusan keduniaan dan mengejar dunia. Pada waktu itu Allah ﷻ boleh mengenakan azab dengan tiba-tiba. Semua ini tidak mustahil bagi Allah ﷻ.

Memang mereka yang kafir itu melakukan kerja mereka semasa waktu dhuha dan ini tidak semestinya salah, bukan? Namun Allah ﷻ kata mereka bermain-main sahaja. Kalau kita lihat kanak-kanak bermain, itu memanglah perkara sia-sia kerana tidak mendapat faedah apa-apa pun. Begitulah juga dengan orang kafir itu, mereka tidak mendapat apa-apa pun kebaikan dengan usaha pekerjaan mereka itu. Sibuk di dunia tetapi nanti mereka akan masuk ke dalam neraka juga. Maknanya segala perbuatan mereka di dunia ini adalah sia-sia sahaja, tidak ada nilai di akhirat kelak.

Apakah lagi yang dimaksudkan ‘bermain’ itu? Adakah bermain bola, main game atau sebagainya? Tidak, maksudnya dia sibuk dengan dunia, sampai lupa kepada akhirat. Dalilnya dalam ayat [ Hadid: 20 ]

اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ

Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan

Di dalam [ An’am: 32 ] juga Allah ﷻ berfirman:

وَمَا الحَيَوٰةُ الدُّنيا إِلّا لَعِبٌ وَلَهوٌ

Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan

Sebagai contoh, ramai yang rajin bekerja, namun hanya untuk kepentingan dunia sahaja. Itu sahaja yang mereka fikirkan. Bukan kita katakan tidak elok untuk bekerja, tetapi janganlah terlalu leka sangat dengan dunia sampai tidak bersedia dengan simpanan untuk akhirat.

Di dalam ayat daripada surah Hadid dan An’am ini disebut dua perkara: permainan dan lalai. Permainan adalah sesuatu yang sia-sia seperti yang telah diterangkan. Manakala lain pula dengan yang melalaikan itu. Ia mungkin perkara yang ada manfaat, contohnya bersukan. Ia adalah bagus untuk kesihatan, namun kalau sampai melalaikan untuk salat, maka ia sudah menjadi perkara yang melalaikan. Ada perkara yang sia-sia dan melalaikan sekali seperti pergi disko atau suka menonton konsert hiburan. Sudahlah sia-sia, melalaikan lagi.

Maka, di sini ada peringatan dan ancaman daripada Allah ﷻ. Sebenarnya telah diberikan sebelum ini dengan banyaknya kisah umat-umat yang telah dimusnahkan semasa mereka sedang leka dan bergembira. Ini kerana mereka telah menolak kebenaran. Kita jangan jadi seperti mereka. Pertama, jangan menolak kebenaran. Kedua, jangan lakukan perkara yang sia-sia dan melalaikan. Allah ﷻ telah ajar apa yang kita perlu perhatikan iaitu di dalam [ Fatir: 5 ]

يٰأَيُّهَا النّاسُ إِنَّ وَعدَ اللهِ حَقٌّ ۖ فَلا تَغُرَّنَّكُمُ الحَيَوٰةُ الدُّنيا ۖ وَلا يَغُرَّنَّكُم بِاللهِ الغَرورُ

Hai manusia, sesungguhnya janji Allah adalah benar, maka sekali-kali janganlah kehidupan dunia memperdayakan kamu dan sekali-kali janganlah syaitan yang pandai menipu, memperdayakan kamu tentang Allah.

Di sini kita dapat tahu dua perkara yang boleh menjahanamkan kita: dunia dan syaitan. Maka, kita mestilah sentiasa berhati-hati dengan kedua-duanya sekali. Jangan sesekali terpedaya dengan dua perkara ini.


 

A’raf Ayat 99: Sambungan lagi

أَفَأَمِنوا مَكرَ اللَّهِ ۚ فَلا يَأمَنُ مَكرَ اللَّهِ إِلَّا القَومُ الخٰسِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then, did they feel secure from the plan of Allāh? But no one feels secure from the plan of Allāh except the losing people.

MALAY

Patutkah mereka (bersukaria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan (balasan azab) yang diatur oleh Allah? Kerana sebenarnya tidak ada yang merasa aman daripada rancangan (balasan azab) yang diatur oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi.

 

أَفَأَمِنوا مَكرَ اللَّهِ

Patutkah mereka (bersukaria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan (balasan azab) yang diatur oleh Allah?

Mereka tidak takutkah dengan apa yang Allah ﷻ rancangkan untuk mereka? Sedap sahaja mereka menentang wahyu yang disampaikan oleh manusia, mereka buat tidak kisah sahaja, mereka rasa aman sahaja seolah-olah tidak akan ada balasan bagi perbuatan mereka itu.

Begitu juga dengan kita sekarang – adakah kita berasa senang, selesa, aman, masih berasa selamat kalau kita membuat dosa? Ayat ini juga ditujukan kepada kita yang membuat dosa, namun bagaikan tidak berasa apa-apa dengan dosa yang kita lakukan itu.

Bolehkah Allah ﷻ dikaitkan dengan makar? Makar ini adalah perancangan, tetapi perlukah Allah ﷻ merancang? Di sini kita kena berhati-hati. Tentulah Allah ﷻ disifati dengan sifat makar dalam kedudukan yang terpuji. Bukannya seperti makar manusia. Allah ﷻ disifati dengan sifat makar kepada orang yang layak mendapatnya sesuai dengan keagungan-Nya. Sehingga tidak boleh kita hanya menyatakan Allah ﷻ adalah Yang Berbuat Makar (Al-Maakir) begitu saja, tanpa diberi tambahan keterangan “kepada orang yang layak mendapatnya”.

Hal ini kerana Allah ﷻ disifati dengan sifat makar dalam kondisi yang terpuji saja, sedangkan makar itu ada dua jenis, terpuji dan tercela. Sifat makar ditetapkan bagi Allah ﷻ dalam keadaan yang terpuji, kerana hal ini menunjukkan bahawa Sang Pemilik sifat ini (Allah ﷻ) itu Maha Kuat lagi Mampu menghadapi dan membalas tipu daya (makar) musuh-musuh-Nya.

 

فَلا يَأمَنُ مَكرَ اللَّهِ إِلَّا القَومُ الخٰسِرونَ

Kerana sebenarnya tidak ada yang merasa aman daripada rancangan (balasan azab) yang diatur oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi.

Makar Allah ﷻ bermaksud Allah ﷻ menimpakan perkara yang dibenci, bahaya, atau seksa kepada orang yang layak menerimanya tanpa ia sangka-sangka kerana melalui sebab (cara) yang tidak diketahui. Tiba-tiba sahaja boleh dikenakan musibah daripada Allah ﷻ. Sebenarnya, tidak patut manusia (termasuk Muslim) berasa aman daripada rancangan Allah ﷻ itu. Jika sesiapa yang berasa aman sahaja, mereka itu adalah kaum yang rugi sahaja kerana mereka membuat salah, tetapi tidak berasa takut dengan azab Allah ﷻ.

Kerana itulah Al-Hasan Al-Basri رحمه الله pernah mengatakan bahawa orang mukmin mengerjakan amal-amal ketaatan, sedangkan hatinya dalam keadaan takut, bergetar, dan khuatir; sementara orang yang derhaka mengerjakan perbuatan-perbuatan maksiat dengan penuh rasa aman.

Orang yang baik dan beramal tetap berasa khuatir kerana mereka tidak tahu sama ada amalan mereka itu diterima atau tidak, cukup atau tidak. Inilah sifat yang patut kita ada. Jangan rasa aman sahaja dengan amal kita, rasa ia hebat. Kerana entah-entah Allah ﷻ tidak terima. Perumpamaan begini: pelajar sekolah/universiti yang baik, walaupun mereka telah jawab soalan dengan baik setelah tekun belajar, mereka tetap risau; tetapi bagi pelajar yang tidak baik, mereka tidak ambil endah pun dengan jawapan mereka dalam peperiksaan. Mereka cuma fikir hendak bergembira sahaja selepas musim peperiksaan.

Berasa aman daripada makar Allah ﷻ itu bertingkat-tingkat kadar keparahannya, sehingga dosanya pun bertingkat-tingkat. Setiap Muslim yang berbuat dosa, pada hakikatnya ada sedikit sebanyak merasa aman daripada seksa Allah ﷻ, meski terkadang tidak sampai kepada darjat dosa besar. Oleh kerana itu, kita tidak boleh meremehkan dosa, meskipun itu dosa kecil atau hanya sekali saja. Kerana perkara itu boleh menjerumuskan ke dosa besar, bahkan boleh berakhir kepada kekafiran. Wal’iyadzu billah.

Berasa aman daripada makar Allah ﷻ dihukumi kufur akbar jika tidak ada pokok daripada rasa takut (ashlul khauf), iaitu tidak ada sama sekali rasa takut kepada Allah ﷻ dan seksa-Nya.

Berasa aman daripada makar Allah ﷻ dihukumi dosa besar jika masih ada rasa takut (ashlul khauf) yang paling minima. Namun, kadar kesempurnaan takut yang wajib kepada Allah ﷻ itu berkurang. Maka seseorang itu masih ada takut kepada Allah ﷻ, tetapi kadarnya lemah dan yang lebihnya adalah rasa aman daripada makar Allah ﷻ.

Ada tiga perasaan yang manusia harus ada. Cinta, takut, dan harap kepada Allah ﷻ adalah penggerak hati seorang hamba menuju kepada Allah ﷻ. Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah رحمه الله berkata,

اعلم أن محركات القلوب إلى الله عز وجل ثلاثة: المحبة، والخوف، والرجاء. وأقواها المحبة، وهي مقصودة تراد لذاتها؛ لأنها تراد في الدنيا والآخرة بخلاف الخوف فإنه يزول في الآخرة

“Ketahuilah, bahawa penggerak hati menuju kepada Allah ‘Azza wa Jalla itu ada tiga: cinta, takut, dan harap. Dan yang terkuat adalah cinta. Cinta (kepada Allah) itu menjadi tujuan, kerana dikehendaki adanya di dunia dan akhirat. Lain halnya dengan rasa takut, maka takut kepada Allah akan hilang di akhirat (Syurga).”

Kewajipan seorang Muslim adalah menggabungkan antara takut dan harap, tidak boleh berasa aman daripada makar Allah sehingga merosak rasa takutnya kepada Allah . Namun, tidak boleh juga berputus asa daripada rahmat Allah sehingga merosakkan rasa harapnya kepada Allah . Oleh mestilah pandai mengimbangkan antara takut dan harap.

Cuma, kalau rasa takut berlebihan itu tidak mengapa seperti kata Ibnu Qayyim رحمه الله dalam kitabnya Ad Daa’ wa Dawaa’ kerana ia dapat menyelamatkan kita daripada melakukan dosa. Kalau harap yang lebih itu yang bahaya kerana boleh melalaikan kita.

Habis Ruku’ 12 daripada 24 ruku’ dalam surah ini.


 

A’raf Ayat 100:

أَوَلَم يَهدِ لِلَّذينَ يَرِثونَ الأَرضَ مِن بَعدِ أَهلِها أَن لَّو نَشاءُ أَصَبنٰهُم بِذُنوبِهِم ۚ وَنَطبَعُ عَلىٰ قُلوبِهِم فَهُم لا يَسمَعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Has it not become clear to those who inherited the earth after its [previous] people that if We willed, We could afflict them for their sins? But We seal over their hearts so they do not hear.¹

  • They do not benefit from what they hear.

MALAY

Adakah tidak jelas kepada orang-orang yang mewarisi negeri itu sesudah penduduknya (sebelum itu hilang lenyap kerana ditimpa bencana), bahawa kalau Kami kehendaki tentulah Kami akan menimpakan mereka pula dengan azab disebabkan dosa-dosa mereka, dan Kami meterikan di atas hati mereka sehingga mereka tidak dapat mendengar (nasihat-nasihat pengajaran)?

 

أَوَلَم يَهدِ لِلَّذينَ يَرِثونَ الأَرضَ مِن بَعدِ أَهلِها

Adakah tidak jelas kepada orang-orang yang mewarisi negeri itu sesudah penduduknya

Kalimah أَوَلَم itu adalah dalam bentuk ta’jub iaitu hairan sangat dengan mereka ini. Apakah belum nyata dan zahir bagi mereka? Setelah diberikan berbagai-bagai maklumat tentang kebenaran? Adakah mereka tidak faham-faham lagi?

Mereka yang dimaksudkan adalah semua orang yang menentang kebenaran, yang memusakai bumi ini daripada orang-orang sebelum mereka, selepas hancurnya penduduk bumi sebelum ini. Allah sebut tentang mereka: mereka tidak ambil pengajarankah daripada penduduk bumi yang dahulu?

Ayat ini terutamanya ditujukan kepada penduduk Mekah kerana merekalah penerima pertama wahyu Al-Qur’an ini. Bukanlah mereka yang asal duduk di situ tetapi mereka mewarisi tempat itu daripada orang-orang sebelum mereka. Mereka pun sudah mendengar sejarah mereka sendiri, bagaimana telah banyak penduduk dunia ini yang telah dihancurkan kerana kesalahan mereka. Termasuk yang tinggal berdekatan dengan  mereka.

Penduduk Mekah itu tahu tentang kaum Nabi Nuh عليه السلام, tentang kaum Aad dan juga kaum Tsamud. Mereka juga tentu tahu tentang azab yang dikenakan kepada Tentera Bergajah Abrahah. Namun mereka tidak mahu mengambil pengajaran nampaknya. Ini juga telah disebut di dalam ayat yang lain iaitu [ Sajdah: 26 ]

أَوَلَم يَهدِ لَهُم كَم أَهلَكنا مِن قَبلِهِم مِّنَ القُرونِ يَمشونَ في مَسٰكِنِهِم ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ ۖ أَفَلا يَسمَعونَ

Dan belumkah lagi ternyata kepada mereka (yang kafir itu): bahawa Kami telah binasakan berapa banyak daripada kaum-kaum yang kufur ingkar dahulu daripada mereka, padahal mereka sekarang berulang-alik melalui tempat-tempat tinggal kaum-kaum itu? Sesungguhnya kebinasaan kaum-kaum itu mengandungi keterangan-keterangan (untuk mengambil iktibar); oleh itu tidakkah mereka mahu mendengar (dan insaf)?

 

أَن لَّو نَشاءُ أَصَبنٰهُم بِذُنوبِهِم

bahawa kalau Kami kehendaki tentulah Kami akan menimpakan mereka pula dengan azab disebabkan dosa-dosa mereka, 

Tidakkah mereka tahu yang jika Allah kehendaki, Allah boleh sahaja mengazab dan menghancurkan mereka kerana dosa-dosa mereka. Allah boleh sahaja mengenakan azab itu terus kepada mereka. Namun jika Allah belum mengenakan azab-Nya lagi, itu merupakan rahmat daripada Allah kerana mahu memberi peluang kepada mereka untuk mengubah cara hidup mereka.

Untuk penduduk Mekah yang menentang Rasulullah, Allah tidak menurunkan azab kepada mereka seperti kaum-kaum yang terdahulu. Ini adalah kerana Allah ﷻ mahu berikan peluang kepada umat Islam sendiri yang membalas kekufuran mereka itu dengan tangan umat Islam. Kerana itulah adanya peperangan di antara mereka dan Allah beri kemenangan di tangan umat Islam. Akhir sekali adalah kemenangan Pembukaan Kota Mekah.

 

وَنَطبَعُ عَلىٰ قُلوبِهِم فَهُم لا يَسمَعونَ

dan Kami meterikan di atas hati mereka sehingga mereka tidak dapat mendengar

Sebagai balasan kepada mereka tidak menerima kebenaran, Allah telah membuat keputusan untuk mengunci mati hati mereka, sampai mereka tidak dapat mendengar dan faham kebenaran. Ini adalah kerana mereka sendiri yang sombong tidak mahu mengikut kebenaran.

Apabila Allah sudah mengunci mati hati mereka daripada menerima kebenaran, maka tidak akan ada peluang lagi untuk mereka. Mereka tidak akan mendapat kebenaran sampai bila-bila. Tidak kira bagaimana cara sekalipun diberitahu tentang kebenaran itu, mereka tidak akan dapat terima. Ini dinamakan ‘Khatmul Qalbi’.

Penutupan Hati ini bukan sahaja diberikan kepada umat terdahulu dan Musyrikin Mekah tetapi ia boleh dikenakan kepada sesiapa pun sekarang. Maka ini amat menakutkan kita. Kita kena takut sangat jika Allah ﷻ menutup hati kita, keluarga kita atau kenalan kita kerana kesannya amatlah besar.

Namun begitu, Khatmul Qalbi ini bukanlah terus diberikan kepada manusia yang ingkar. Ia hanya diberikan kepada mereka yang memang benar-benar teruk, yang menentang setelah diberikan dengan dalil berkali-kali. Namun begitu, Allah sahaja yang tahu siapakah yang telah dikunci mati hati mereka. Oleh sebab itu, jangan kita katakan kepada orang lain: “Kamu ni dah kena tutup pintu hati dah ni…”


 

HATI YANG TERTUTUP

A’raf Ayat 101:

تِلكَ القُرىٰ نَقُصُّ عَلَيكَ مِن أَنبائِها ۚ وَلَقَد جاءَتهُم رُسُلُهُم بِالبَيِّنٰتِ فَما كانوا لِيُؤمِنوا بِما كَذَّبوا مِن قَبلُ ۚ كَذٰلِكَ يَطبَعُ اللَّهُ عَلىٰ قُلوبِ الكٰفِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those cities – We relate to you, [O Muḥammad], some of their news. And certainly did their messengers come to them with clear proofs, but they were not to believe in that which they had denied before.¹ Thus does Allāh seal over the hearts of the disbelievers.

  • i.e., they persistently denied every warning given them.

MALAY

Negeri-negeri (yang telah Kami binasakan) itu, Kami ceritakan sebahagian daripada khabar beritanya kepadamu (wahai Muhammad); dan sesungguhnya telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka dengan keterangan-keterangan yang nyata, sesudah itu mereka tidak juga beriman kepada apa yang mereka telah mendustakannya dahulu. Demikianlah Allah meterikan di atas hati orang-orang yang kafir.

 

تِلكَ القُرىٰ نَقُصُّ عَلَيكَ مِن أَنبائِها

Negeri-negeri (yang telah Kami binasakan) itu, Kami ceritakan sebahagian daripada khabar beritanya kepadamu

Allah sengaja menceritakan kisah-kisah kaum yang telah musnah itu kepada kita di dalam Al-Qur’an ini. Kita telah membaca kisah Nabi Nuh, Nabi Hud, Nabi Saleh, Nabi Syuaib dan Nabi Luth عليهم السلام. Semua kisah itu disampaikan kepada kita sebagai pengajaran untuk kita.

Allah ﷻ menggunakan kalimah نَقُصُّ dalam bentuk fi’il mudhari’ (present tense) memberi isyarat yang ia disampaikan kepada kita berkali-kali. Sebab itu kisah-kisah ini kebanyakannya berulang-ulang di banyak tempat di dalam Al-Qur’an kerana ia adalah penting untuk memberi pengajaran kepada kita. Semua kisah ini menjadi ibrah bagi kita seperti disebut dalam [ Yusuf: 111 ]

لَقَد كانَ في قَصَصِهِم عِبرَةٌ لِأُولِي الأَلبابِ

Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal

Bukan semua kisah umat terdahulu diceritakan kepada kita, hanya sedikit sahaja iaitu yang sesuai untuk diambil pengajaran. Sebab itu ada kalimah من dalam ayat ini. Sekiranya mahu diceritakan kesemuanya, tidak tahulah tebal mana jadinya Al-Qur’an ini. Daripada kisah yang diceritakan itu, bukanlah semua kisah diberikan dengan terperinci tetapi hanya disebut perkara yang penting sahaja.

Kisah dalam Al-Qur’an bukanlah kisah dalam “Old Testament” dan “New Testament” yang begitu terperinci sekali, satu persatu perkara mereka hendak beritahu. Ini kerana banyak maklumat pun tidak penting sedangkan yang paling penting adalah pengajaran di dalamnya. Jika terdapat terlalu banyak kisah dan terperinci sebegitu ia akan menimbulkan masalah pula kerana kita tidak pasti sama ada ia adalah benar atau tidak. Oleh itu, kita tidak digalakkan untuk terus menerima kisah-kisah Israeliyat.

Allah ﷻ menggunakan kalimah أَنبائِها iaitu kalimah naba’ yang bermaksud berita-berita besar. Disebabkan itulah para Nabi digelar begitu kerana mereka membawa berita-berita besar. Ini tidak sama dengan ‘khabar‘ yang boleh bermaksud maklumat dan cerita biasa sahaja.

 

وَلَقَد جاءَتهُم رُسُلُهُم بِالبَيِّنٰتِ

dan sesungguhnya telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka dengan keterangan-keterangan yang nyata, 

Mereka yang dimusnahkan itu bukan mereka tidak disampaikan dengan hidayah. Para Nabi telah datang kepada mereka dan memberikan maklumat yang cukup tentang apakah kebenaran itu. Allah ﷻ tidak akan mengazab mereka tanpa diberikan dengan peringatan. Mereka itu bukanlah ‘kafir jahil’ tetapi ‘kafir degil’. Maklumat hidayah telah sampai kepada mereka tetapi mereka sahaja yang degil untuk menerimanya.

 

فَما كانوا لِيُؤمِنوا بِما كَذَّبوا مِن قَبلُ

sesudah itu mereka tidak juga beriman kepada apa yang mereka telah mendustakannya dahulu.

Mereka tetap juga tidak mahu beriman setelah diberikan dengan pelbagai dalil. Ini adalah kerana sejak mula lagi mereka tidak mahu beriman. Ini antara tafsiran bagi kalimah قبل (sebelum) yang digunakan dalam ayat ini. Hati mereka memang menolak dari awal lagi, sebelum dengar bukti lagi, mereka sudah menolaknya. Sebagai contoh kita mendengar kisah Abu Lahab yang terus menghina Nabi Muhammad ﷺ apabila baginda mula menyampaikan dakwah baginda di Bukit Safa.

Oleh itu, sekiranya kita berdakwah kepada manusia dan mereka terus menolak sebelum apa-apa lagi (contohnya mereka kata: jangan dengar, ini Wahabi!) maka ia merupakan perkara biasa sahaja.

Kemudian, berkali-kali pula mereka menolak kebenaran yang sampai kepada mereka. Ini setelah diberi dalil pun mereka tolak juga. Ini pun kita selalu jumpa. Setelah diberikan dalil, masih ada lagi yang menolak, bukan? Antaranya mereka kata: “Memanglah ia ayat Qur’an, tapi tok guru kami kata lain…” Ini terjadi kerana mereka menipu fitrah mereka sendiri yang hakikatnya kenal akan kebenaran. Tentang fitrah ini akan disebut dalam ayat 172 nanti.

Juga ia membawa maksud mereka mengikut penolakan tok nenek mereka yang dahulu yang telah pernah menolak dahulu lagi. Mereka ini daripada baka yang sama, ikut sahaja apa yang tok nenek mereka amalkan dahulu. Ini pun kita banyak jumpa, bukan? Antaranya mereka kata: “Ini sudah lama diamalkan, takkan salah pula?”

Akhir sekali, yang mereka dustakan itu adalah perjanjian mereka yang dahulu semasa di alam roh. Ini juga nanti akan dibincangkan dalam ayat 172. Ini disokong di dalam ayat selepas ini.

 

كَذٰلِكَ يَطبَعُ اللَّهُ عَلىٰ قُلوبِ الكٰفِرينَ

Demikianlah Allah meterikan di atas hati orang-orang yang kafir.

Oleh kerana mereka tetap juga berdegil untuk menerima kebenaran, maka Allah ﷻ telah mengunci mati hati mereka yang ingkar. Mereka tidak akan mendapat hidayah sampai bila-bila kerana Allah ﷻ hendak memasukkan mereka ke dalam neraka. Dalam istilah pengajian kita, ia dipanggil Khatmul Qalbi.

Ini adalah kerana hati mereka telah menjadi gelap sampaikan cahaya hidayah tidak dapat masuk lagi ke dalam hati mereka. Ini berdasarkan hadith daripada Abi Hurairah رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda:

إِنَّ الْعَبْدَ إِذَا أَخْطَأَ خَطِيئَةً نُكِتَتْ فِي قَلْبِهِ نُكْتَةٌ ، فَإِنْ هُوَ نَزَعَ وَاسْتَغْفَرَ وَتَابَ صَقَلَتْ قَلْبَهُ ، وَإِنْ عَادَ زِيدَ فِيهَا حَتَّى تَعْلُوَ قَلْبَهُ فَهُوَ الرَّانُ الَّذِي ذَكَرَ اللَّهُ {كَلاَّ بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ}.

Sesungguhnya hamba, apabila melakukan satu kesalahan atau dosa, akan ditulis pada hatinya satu titik hitam. Apabila dia meninggalkan dosa, beristighfar dan bertaubat, nescaya digilap hatinya.

Sebaliknya, apabila mengulangi dosa, akan ditambah padanya titik hitam sehingga memenuhi hatinya, maka itulah dipanggil al-raan (الرَّانُ) yang Allah nyatakan: {كَلاَّ بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ} Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan.

(Hadith Riwayat al-Nasa’iy (11594))

Ayat yang disebut di dalam hadith ini adalah daripada [ Mutaffifin: 14 ]

كَلَّا ۖ بَلْ ۜ رَانَ عَلَىٰ قُلُوبِهِم مَّا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan.

Allah ﷻ menggunakan kalimah يَطبَعُ di dalam bentuk fi’il mudhari’ (present tense) kerana perkara ini bukan hanya terjadi dahulu, tetapi ia berterusan berlaku.

Di hujung ayat ini, Allah ﷻ menggunakan kalimat قُلوبِ الكٰفِرينَ (hati-hati orang-orang kafir) kerana hendak memberitahu yang orang yang menolak kebenaran itu kufur. Selain itu, Allah ﷻ juga hendak memberitahu yang Allah ﷻ tidak zalim. Hati mereka ditutup kerana mereka sendiri yang melakukan perbuatan kufur itu. Yang terjadi itu adalah kerana kesalahan mereka sendiri.


 

A’raf Ayat 102:

وَما وَجَدنا لِأَكثَرِهِم مِّن عَهدٍ ۖ وَإِن وَجَدنا أَكثَرَهُم لَفٰسِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We did not find for most of them any covenant;¹ but indeed, We found most of them defiantly disobedient.

  • i.e., they were found to be unfaithful and negligent of Allāh’s covenant.

MALAY

Dan Kami tidak mendapati bagi kebanyakan mereka sebarang janji (yang ditepati), dan Kami tidak mendapati kebanyakan mereka melainkan orang-orang yang fasik.

 

وَما وَجَدنا لِأَكثَرِهِم مِّن عَهدٍ

Dan Kami tidak mendapati bagi kebanyakan mereka sebarang janji

Allah ﷻ beritahu yang Dia tidak melihat ramai daripada mereka yang memenuhi janji untuk beriman. Yang ramainya, memungkiri janji. Ibnu Abbas رضي الله عنهما mengatakan perjanjian yang dimaksudkan adalah jenis عهد الست iaitu yang akan disebut dalam surah ini juga ayat 172:

وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَنِي آدَمَ مِن ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَى أَنفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُواْ بَلَى شَهِدْنَا أَن تَقُولُواْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَذَا غَافِلِينَ

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) daripada (tulang) belakang mereka, dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firman-Nya): “Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”.

Ibnu Mas’ud رضي الله عنه pula mengatakan perjanjian  yang dimaksudkan tentang iman seperti yang disebut dalam [ Maryam: 87 ]

إِلّا مَنِ اتَّخَذَ عِندَ الرَّحمٰنِ عَهدًا

kecuali orang yang telah mengikat perjanjian (dengan iman dan amal yang soleh) di sisi Allah yang melimpah-limpah rahmat-Nya!

Maknanya mereka itu tidak amanah. Begitulah kebanyakan daripada manusia tidak beriman sebenarnya. Kebanyakan daripada manusia kalau ada masalah dan bermohon pertolongan dengan Allah ﷻ, tentu akan berjanji kalaulah mereka diselamatkan daripada masalah itu, mereka akan beriman dan taat kepada suruhan-Nya. Akan tetapi setelah mereka dibantu oleh Allah ﷻ, mereka akan lupa perjanjian mereka itu.

Namun begitu, bukanlah semua begitu, sebab itu Allah ﷻ sebut di sini لِأَكثَرِهِم (kebanyakan mereka). Allah ﷻ tidak kata semua manusia begini. Ini kerana ada yang ingat janji mereka dan terus taat tetapi ada juga yang teruk sangat sampai langsung tidak berdoa dan berjanji dengan Allah ﷻ!

 

وَإِن وَجَدنا أَكثَرَهُم لَفٰسِقينَ

dan Kami tidak mendapati kebanyakan mereka melainkan orang-orang yang fasik.

Allah ﷻ berfirman yang kebanyakan daripada manusia itu bersifat fasik di mana mereka tidak taat kepada hukum. Mereka menyimpang dari jalan ketaatan serta menyimpang daripada janji yang telah mereka ambil, iaitu janji yang mereka buat semasa mereka diciptakan dan telah difitrahkan di dalam diri mereka.

Janji itu telah diambil daripada mereka sejak mereka masih berada di dalam tulang sulbi, iaitu bahawa Tuhan dan Penguasa mereka adalah Allah ﷻ, tidak ada Tuhan selain Dia. Lalu mereka mengikrarkan janji itu dan bersaksi terhadap diri mereka sendiri mengenainya, tetapi mereka melanggar janji itu dan meninggalkannya di belakang mereka. Kemudian mereka menyembah selain Allah ﷻ bersama-Nya tanpa ada dalil dan bukti yang membenarkannya.

Telah disebut di dalam hadith Sahih Muslim, bahawa Allah ﷻ telah berfirman dalam hadith qudsi:

“إِنِّي خَلَقْتُ عِبَادِي حُنَفَاء، فَجَاءَتْهُمُ الشَّيَاطِينُ فَاجْتَالَتْهُمْ عَنْ دِينِهِمْ، وحَرّمَتْ عَلَيْهِمْ مَا أحللتُ لَهُمْ”

Sesungguhnya Aku telah menciptakan hamba-hamba-Ku dalam keadaan hanif (cenderung kepada agama yang benar), kemudian datanglah syaitan, lalu syaitan menyesatkan mereka daripada agamanya, dan syaitan mengharamkan kepada mereka apa-apa yang telah Aku halalkan bagi mereka.

(Sahih Muslim (5109))

Di dalam kitab Sahihain disebutkan:

“كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ وَيُنَصِّرَانِهِ وَيُمَجِّسَانِهِ”

Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka kedua orang tuanya lah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani, dan Majusi.

(Sahih Bukhari dan Muslim)

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 1 November 2022

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah al-A’raf Ayat 93 – 97 (Ujian dalam senang)

A’raf Ayat 93:

فَتَوَلّىٰ عَنهُم وَقالَ يٰقَومِ لَقَد أَبلَغتُكُم رِسٰلٰتِ رَبّي وَنَصَحتُ لَكُم ۖ فَكَيفَ ءآسىٰ عَلىٰ قَومٍ كٰفِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And he [i.e., Shu‘ayb] turned away from them and said, “O my people, I had certainly conveyed to you the messages of my Lord and advised you, so how could I grieve for a disbelieving people?”

MALAY

Kemudian Nabi Syuaib meninggalkan mereka sambil berkata: “Wahai kaumku! Sesungguhnya aku telah menyampaikan kepada kamu perintah-perintah Tuhanku, dan aku telah memberi nasihat kepada kamu. Oleh itu, macam mana aku hendak merasa sedih terhadap orang-orang kafir (yang telah binasa itu)”.

 

فَتَوَلّىٰ عَنهُم

Maka Nabi Syuaib berpaling meninggalkan mereka

Ini setelah mereka dihancurkan. Nabi Syuaib عليه السلام telah diselamatkan daripada azab yang dikenakan kepada kaumnya itu. Baginda dan pengikut baginda dikeluarkan sebelum azab dikenakan. Ada yang mengatakan mereka telah pergi ke Mekah dan terus tinggal di sana hingga akhir hidup mereka.

 

وَقالَ يٰقَومِ لَقَد أَبلَغتُكُم رِسٰلٰتِ رَبّي

sambil berkata: “Wahai kaumku! Sesungguhnya aku telah menyampaikan kepada kamu perintah-perintah Tuhanku,

Sambil bergerak berpaling daripada mereka itu, Nabi Syuaib عليه السلام berkata: aku telah sampaikan apa yang patut aku sampaikan daripada Tuhanku. Lihatlah yang baginda sampaikan adalah رِسٰلٰتِ رَبّي iaitu ilmu wahyu daripada Tuhan semesta alam. Inilah yang sepatutnya dilakukan oleh ahli agama di mana-mana pun. Bukannya reka ilmu baru dan sumber baru pula.

Kita lihat sekarang sangat banyak ilmu yang direka-reka oleh orang yang dikatakan sebagai ahli agama. Mereka ini memakai serban dan jubah tetapi dibawakan cerita karut. Malah cerita mimpi pun mereka bawa sekali. Ini tidak benar! Malangnya ramai pula orang yang jahil ikut mereka. Inilah musibah umat, senang sangat percaya kepada orang yang tidak ada ilmu wahyu! Maka kita ajak ramai-ramai belajar ilmu Sunnah yang menolak perkara sedemikian.

 

وَنَصَحتُ لَكُم

dan aku telah memberi nasihat kepada kamu. 

Baginda sudah memberikan nasihat kepada mereka semua. Kita telah sebutkan di dalam kisah-kisah para Nabi yang lain maksud نصح itu iaitu ‘ikhlas’. Maka Nabi Syuaib عليه السلام telah menyampaikan dakwah dan nasihat dengan penuh ikhlas.

Di sini mengajar kita yang baginda dan pengikut baginda telah diselamatkan. Kenapa? Kerana mereka telah menyampaikan dakwah. Maka, untuk selamat daripada azab dan murka Allah ﷻ, kita hendaklah menjalankan dakwah dengan niat yang ikhlas. Sekiranya semata-mata tidak melakukan syirik dan kesalahan, tetapi dalam masa yang sama tidak mengajak orang lain melakukan perkara yang sama, maka kita belum tentu selamat lagi.

 

فَكَيفَ ءآسىٰ عَلىٰ قَومٍ كٰفِرينَ

Oleh itu, macam mana aku hendak merasa sedih terhadap orang-orang kafir?

Lalu bagaimana baginda hendak bersedih hati kepada kaum yang telah kafir degil itu? Memang tidak patut untuk berasa sedih terhadap mereka kerana apa yang terjadi kepada mereka adalah disebabkan diri mereka sendiri. Mereka yang pilih jalan mereka. Orang yang begitu, tidak perlu kita bersedih kerana mereka.

Mungkin Nabi Syuaib عليه السلام ada berasa sedih melihat nasib yang menimpa kaumnya itu. Memang baginda yang berdoa supaya mereka dimusnahkan, akan tetapi selepas melihat azab kepada kaumnya itu, hati baginda telah terkesan pula. Maka baginda mengingatkan diri baginda supaya jangan rasa begitu kerana yang dikenakan kepada mereka itu adalah Allah ﷻ sendiri dan disebabkan kesalahan mereka sendiri.

Ini juga mengajar kita, kalaulah ada orang yang kita dakwah dan dia tidak mahu dengar juga. Katakanlah dia mati selepas itu, mungkin kita sedih kerana dia tidak menerima ajaran wahyu ini. Namun kita ingatkan diri kita supaya jangan bersedih sangat kerana apa yang berlaku kepada dirinya itu adalah pilihannya sendiri.

Allah ﷻ sendiri pernah menegur Rasulullah ﷺ yang terlalu bersedih di dalam [ Kahf: 6 ]

فَلَعَلَّكَ بٰخِعٌ نَّفسَكَ عَلىٰ ءآثٰرِهِم إِن لَّم يُؤمِنوا بِهٰذَا الحَديثِ أَسَفًا

Maka barangkali engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Qur’an ini.

Sekali lagi baginda ditegur di dalam [ Fatir: 8 ]

فَإِنَّ اللهَ يُضِلُّ مَن يَشاءُ وَيَهدي مَن يَشاءُ ۖ فَلا تَذهَب نَفسُكَ عَلَيهِم حَسَرٰتٍ

Maka sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang dikehendaki-Nya dan menunjuki siapa yang dikehendaki-Nya; maka janganlah dirimu binasa kerana kesedihan terhadap mereka.

Oleh itu, kita diingatkan supaya jangan menyesal jika kita sudah sampaikan, tetapi orang yang yang didakwah tidak terima kerana itu adalah pilihan mereka. Yang kita patut menyesal adalah kalau kita tidak sampaikan dakwah.

Habis Ruku’ 11 daripada 24 ruku’ dalam surah ini.


 

KAUM-KAUM YANG DIMUSNAHKAN

A’raf Ayat 94: Sekarang Allah ﷻ sebut peringatan-peringatan yang bersifat umum, bukan berkenaan khusus para Nabi yang telah disebut sebelum-sebelum ini. Sebelum ini khusus kisah Nabi Nuh عليه السلام, Nabi Syuaib عليه السلام dan seterusnya. Itu semua adalah kisah-kisah sebagai contoh sahaja iaitu Allah ﷻ tidak ceritakan tentang semua Nabi dan umat mereka. Sekarang penceritaan bersifat umum kepada semua para Nabi dan umat mereka. Kita pun termasuk juga dalam hal ini.

وَما أَرسَلنا في قَريَةٍ مِّن نَّبِيٍّ إِلّا أَخَذنا أَهلَها بِالبَأساءِ وَالضَّرّاءِ لَعَلَّهُم يَضَّرَّعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We sent to no city a prophet [who was denied] except that We seized its people with poverty and hardship that they might humble themselves [to Allāh].

MALAY

Dan (Tuhan berfirman): Kami tidak mengutus dalam sesebuah negeri seorang Nabi (yang didustakan oleh penduduknya), melainkan Kami timpakan mereka dengan kesusahan (kesempitan hidup) dan penderitaan (penyakit), supaya mereka tunduk merendah diri (insaf dan tidak berlaku sombong takbur).

 

وَما أَرسَلنا في قَريَةٍ مِّن نَّبِيٍّ إِلّا أَخَذنا أَهلَها بِالبَأساءِ وَالضَّرّاءِ

Dan Kami tidak mengutus dalam sesebuah negeri seorang Nabi, melainkan Kami timpakan mereka dengan kesusahan dan penderitaan 

Ayat ini pertama sekali ditujukan kepada Musyrikin Mekah yang menolak Nabi Muhammad ﷺ. Allah ﷻ hendak mengingatkan yang sekiranya menolak Nabi lagi Rasul itu, maka sunnatullah daripada-Nya adalah mereka akan dikenakan dengan musibah.

Peringatan ini adalah setelah diberikan lima kisah daripada para Nabi untuk menjelaskan dua Dakwa daripada surah ini. Sepatutnya mereka mengambil pengajaran daripada kisah-kisah itu. Namun jika mereka masih menolak juga, Allah ﷻ akan timpakan kesusahan hidup dan kesakitan tubuh badan kepada mereka.

Allah ﷻ mengingatkan manusia di sini yang Dia yang mengutus para Nabi itu. Dia sahaja yang layak menentukan siapa yang layak menjadi Nabi. Mereka itu diutus kepada قَريَةٍ yang boleh bermaksud kampung, daerah, negeri, negara, wilayah atau apa sahaja tempat yang manusia hidup berkumpul dengan ramainya. Semua tempat dapat pembawa wahyu.

Kita sebagai manusia mesti mengikut ajaran wahyu yang telah disampaikan oleh Nabi ﷺ. Walaupun sekarang Nabi ﷺ sudah tidak ada dalam kalangan kita, akan tetapi ajaran mereka dibawa oleh para ulama’ kerana ulama itu adalah pewaris Nabi ﷺ. Ini seperti disebut di dalam banyak hadith, antaranya: Abu Ad Darda’ رضي الله عنه berkata, “Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda:

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَطْلُبُ فِيهِ عِلْمًا سَلَكَ اللَّهُ بِهِ طَرِيقًا مِنْ طُرُقِ الْجَنَّةِ وَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا لِطَالِبِ الْعِلْمِ وَإِنَّ الْعَالِمَ لَيَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَوَاتِ وَمَنْ فِي الْأَرْضِ وَالْحِيتَانُ فِي جَوْفِ الْمَاءِ وَإِنَّ فَضْلَ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِ الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ عَلَى سَائِرِ الْكَوَاكِبِ وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

“Barangsiapa meniti jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan mempermudahnya jalan ke syurga. Sungguh, para Malaikat merendahkan sayapnya sebagai keredhaan kepada penuntut ilmu. Orang yang berilmu akan dimintakan maaf oleh penduduk langit dan bumi hingga ikan yang ada di dasar laut. Kelebihan seorang alim dibandingkan dengan ahli ibadah seperti keutamaan rembulan pada malam purnama atas seluruh bintang. Para ulama adalah pewaris para nabi, dan para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham, mereka hanyalah mewariskan ilmu. Barangsiapa mengambilnya maka dia telah mengambil bahagian yang banyak.”

(Hadith Riwayat Abu Daud (3641)

Hadith ini walaupun banyak komentar berkenaannya, akan tetapi secara umum kita terima sebagai sahih kerana banyaknya hadith seperti ini. Cuma kita kena ingat, ilmu yang diwarisi daripada Nabi ﷺ, tentulah ilmu wahyu. Oleh itu, ulama’ yang kita terima sebagai pewaris Nabi ﷺ adalah mereka yang membawa ajaran wahyu. Semua perkataan ulama’ perlu dinilai dengan neraca wahyu. Mereka mesti sampaikan ajaran wahyu kepada kita, bukannya pendapat mereka sendiri. Jika pendapat mereka pun, mestilah ada sandarannya daripada wahyu.

Dalam ayat ini Allah ﷻ sebut ‘Nabi’ tetapi mereka itu juga Rasul kerana mereka juga diutus. Cuma digunakan istilah Nabi di sini untuk menekankan yang mereka diutus untuk bawa berita besar (naba’) kepada masyarakat.

Ibn Mas’ud رضي الله عنه mengatakan البَأساءِ melibatkan kesusahan dari segi harta, seperti tanaman tidak menjadi, tidak ada air, udara tidak baik, kelaparan dan sebagainya. Sementara الضَّرّاءِ pula melibatkan kesusahan dari segi fizikal tubuh badan. Ini seperti penyakit yang tidak ada ubat, hilang akal walaupun sementara. Ini kerana kalau kita hilang akal sebentar semasa memandu, boleh menyebabkan kemalangan, bukan?

Sedarlah kita bahawa mudah sahaja Allah ﷻ hendak mengenakan musibah kepada manusia. Lihatlah apa yang terjadi semasa Tsunami dan juga Covid19 yang melanda dunia. Kita tidak sangka semua perkara ini akan berlaku kerana ia ditentukan oleh Allah ﷻ. Allah ﷻ boleh kenakan kepada kita bila-bila masa Dia kehendaki.

 

لَعَلَّهُم يَضَّرَّعونَ

supaya mereka tunduk merendah diri 

Apakah tujuan Allah ﷻ timpakan  musibah itu? Allah ﷻ timpakan terlebih dahulu azab yang ringan itu supaya mereka tunduk kepada Allah ﷻ dan merayu dan taat kepada Allah ﷻ . Maka ia sebenarnya adalah rahmat daripada Allah ﷻ supaya mereka beringat. Supaya mereka terkesan dan terkenang untuk kembali taat kepada Allah ﷻ. Ini seperti yang Allah ﷻ sebut di dalam [ Sajdah: 21 ]

وَلَنُذيقَنَّهُم مِّنَ العَذابِ الأَدنىٰ دونَ العَذابِ الأَكبَرِ لَعَلَّهُم يَرجِعونَ

Dan demi sesungguhnya, Kami akan merasakan mereka sedikit daripada azab dunia sebelum azab yang besar (di akhirat kelak), supaya mereka rujuk kembali bertaubat.

Ini kerana selalunya manusia menolak kebenaran disebabkan sikap ego dan sombong mereka yang berpunca daripada kehidupan mereka yang sempurna, senang, kaya dan berpengaruh. Mereka rasa sudah cukup sehinggakan tidak memerlukan sesiapa lagi. Maka, Allah ﷻ akan turunkan ego mereka dengan memberi susah kepada mereka, supaya mereka boleh sedar dan ikut kepada penyebar tauhid dan ikut ajaran daripada mereka.

Ini mengajar kita jangan marah sekiranya dikenakan musibah kerana ia mungkin sebagai peringatan daripada Allah ﷻ kepada kita untuk kita periksa balik diri kita. Adakah kita di atas landasan iman atau tidak? Jika kita tergelincir, maka Allah ﷻ berikan musibah untuk sedarkan kita semula. Maka kena beringat-ingat; lebih baik kita sedar diri dalam kesenangan, daripada kita lupa Allah ﷻ dan Allah ﷻ ambil kesenangan itu untuk mengingatkan kita. Kita pun tentunya tidak mahu susah, bukan? Maka jangan tunggu susah baru hendak ingat kepada Allah ﷻ .


 

A’raf Ayat 95: Ayat tadi adalah ujian dalam bentuk kesusahan, sekarang dalam bentuk kesenangan pula.

ثُمَّ بَدَّلنا مَكانَ السَّيِّئَةِ الحَسَنَةَ حَتّىٰ عَفَوا وَّقالوا قَد مَسَّ ءآباءَنَا الضَّرّاءُ وَالسَّرّاءُ فَأَخَذنٰهُم بَغتَةً وَهُم لا يَشعُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then We exchanged in place of the bad [condition], good, until they increased [and prospered] and said, “Our fathers [also] were touched with hardship and ease.”¹ So We seized them suddenly while they did not perceive.¹

  • Instead of being grateful to Allāh for His blessings, they merely attributed them to the changing fortunes of time.
  • That they had been tried and tested.

MALAY

Setelah (mereka tidak juga insaf) Kami gantikan kesusahan itu dengan kesenangan hingga mereka kembang biak (serta senang-lenang) dan berkata (dengan angkuhnya): “Sesungguhnya nenek moyang kita juga pernah merasai kesusahan dan kesenangan (sebagaimana yang kita rasakan)”. Lalu Kami timpakan mereka (dengan azab seksa) secara mengejut, dan mereka tidak menyedarinya.

 

ثُمَّ بَدَّلنا مَكانَ السَّيِّئَةِ الحَسَنَةَ حَتّىٰ عَفَوا

Setelah itu Kami gantikan kesusahan itu dengan kesenangan hingga mereka meningkat

Kalau mereka tetap juga tidak mengubah keadaan mereka kepada iman (dengan musibah kesusahan itu), Allah ﷻ tukar keadaan buruk mereka itu menjadi baik. Ini mungkin menghairankan kepada sesetengah orang, kenapa Allah ﷻ memberikan kebaikan pula kepada mereka sedangkan mereka tidak taat? Jika ikut logik akal kita, tentulah setelah diberikan musibah masih juga tidak sedar diri, maka tentu langkah seterusnya adalah azab yang lebih teruk, bukan?

Kenapa pula mereka ditukarkan dengan diberi nikmat pula? Kita kena faham bahawa kebaikan yang diberikan kepada mereka itu adalah sebagai istidraj sahaja, iaitu sebagai ujian kepada mereka. Ini sebenarnya menakutkan untuk kita perhatikan nanti. Manusia mungkin senang faham jika ujian itu dalam bentuk kesusahan, namun ramai tidak faham ujian dalam bentuk kesenangan. Maka kita mesti sentiasa ingat: susah itu ujian, senang juga adalah ujian.

Mereka diubah nasib mereka sehingga banyak kebaikan mereka peroleh sehingga penduduk bertambah ramai, keadaan bertambah maju, harta semakin banyak. Anak bertambah ramai dan harta bertambah banyak. Kalimah yang digunakan di sini adalah حَتّىٰ عَفَوا. Kalimah عَفَوا asalnya bermaksud Allah ﷻ menghapuskan terus dosa seperti yang kita biasa dengar dalam doa kalau bertemu lailatul qadr  اللهم إنك عفو كريم تحب العفو فاعف عني  (Ya Allah! Sesungguhnya Dikaulah Maha Pengampun dan amat suka memberi ampun, maka berikanlah daku keampunan). Juga ia bermaksud Allah ﷻ membiarkan sahaja tanpa diambil tindakan.

Di sini ia bermaksud Allah ﷻ membiarkan mereka mendapat nikmat dan di dalam kesenangan. Malangnya ia menyebabkan mereka bertambah jauh daripada iman, mereka lebih menikmati kehidupan dunia sehingga melupakan akhirat dan semakin menjauh daripada agama yang benar.

Maka ini mengajar kita, bukannya kita kena tumpukan perhatian kita untuk mendapatkan kekayaan dan kemewahan yang banyak. Kita sepatutnya melebihkan iman dan ilmu melebihi keduniaan. Apabila kita lebihkan akhirat, dunia akan datang dengan sendirinya. Kita takut kalau kita berlebihan sangat dengan kekayaan, sebenarnya ia adalah istidraj sahaja.

Ia juga mengajar kita sekiranya mendapat banyak nikmat, tidak semestinya ia adalah rahmat. Ia bukan tanda Allah ﷻ redha dengan kita. Mungkin sebaliknya Allah ﷻ murka dengan kita kerana ia bergantung kepada apa alat yang menikmatinya. Adakah iman atau nafsu? Jika iman yang menikmatinya, maka orang itu akan bersyukur dan taat kepada Allah ﷻ; tetapi jika nafsu yang menikmatinya, maka ia hanya menyebabkan dia leka lalai dan menjauhkannya daripada kebenaran.

 

وَقالوا قَد مَسَّ ءآباءَنَا الضَّرّاءُ وَالسَّرّاءُ

dan mereka berkata: “Sesungguhnya nenek moyang kita juga pernah merasai kesusahan dan kesenangan

Waktu sedang menikmati kesenangan itu mereka berkata: “Tok nenek kami dulu sekejap ditimpa kesusahan dan kemudian senang, ini biasa sahaja…”. Mereka tidak tsabitkan keadaan itu dengan Allah ﷻ kerana mereka sudah jauh daripada agama dan lupa Allah ﷻ . Mereka kata itu adalah ‘bencana alam’ seolah-olah alam yang buat, bukannya Allah ﷻ. Mereka tidak sedar yang mereka sekarang sedang ditipu.

Atau, maksud mereka: “Telah menimpa kami kesengsaraan dan penderitaan, lalu disusuli dengan kemakmuran, sama seperti yang dialami oleh nenek moyang kami di masa silam kerana sesung­guhnya hal tersebut hanyalah terjadi kerana putaran masa.” Mereka sama sekali tidak mengerti tentang urusan Allah ﷻ terhadap diri mereka, tidak pula mereka rasakan ujian Allah ﷻ terhadap diri mereka dalam dua keadaan tersebut. Mereka tidak mengambil pengajaran.

Sebab itu mereka sebut الضَّرّاءُ (kesusahan) dahulu sebelum sebut السَّرّاءُ (kesenangan) sebab pada mereka, betapa susah pun mereka itu, nanti habislah susah itu dan akan senang semula. Sebagaimana jika terkena banjir, nanti surutlah banjir itu. Sekejap sahaja susah, nanti dapat bantuan senanglah semula.

Ini yang kita takut terjadi kepada negara kita ini kerana dulu kita telah dijajah lama. Pada waktu itu kehidupan negara kita amat susah sekali. Namun dalam masa yang sama, masyarakat kita banyak yang mengamalkan bid’ah dan syirik.

Kemudian, Allah ﷻ telah beri kemerdekaan kepada negara kita. Namun begitu,  masih lagi ramai yang mengamalkan bid’ah dan syirik. Selepas kemerdekaan itu, negara kita semakin maju dari tahun ke tahun. Persoalan sekarang: adakah kesenangan yang kita nikmati sekali ini sebagai istidraj?

Bukanlah kita menolak kesenangan ini. Kita terima sahaja kesenangan dan kesusahan dalam hidup kita kerana susah dan senang adalah ujian daripada Allah ﷻ. Namun kita mesti sentiasa ingat untuk beriman dan beramal soleh. Lihatlah hadith seperti apa yang telah disebutkan di dalam hadith Sahihain:

عَجَبًا لِلْمُؤْمِنِ، لَا يَقْضِي اللَّهُ لَهُ قَضَاءً إِلَّا كَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ سَراء شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاء صَبَر فَكَانَ خَيْرًا لَهُ”

Sungguh mengagumkan perihal orang mukmin, tidak sekali-kali Allah ﷻ memutuskan baginya suatu keputusan melainkan hal itu menjadi kebaikan baginya. Jika dia tertimpa kesengsaraan, dia bersabar; dan sabar itu baik baginya, jika beroleh kesenangan, dia bersyukur; dan bersyukur itu baik baginya.

(HR Muslim No. 2999)

The Boost of Hijra on Twitter: "Perkara seorang mukmin itu ajaib. Bagaimana bisa? Semuanya dinilai baik dimata Allah SWT. Ketika ia diberi kesenangan berupa sehat, keselamatan, harta dan kedudukan, maka ia bersyukur

 

فَأَخَذنٰهُم بَغتَةً وَهُم لا يَشعُرونَ

Lalu Kami timpakan mereka (dengan azab seksa) secara mengejut, dan mereka tidak menyedarinya.

Pada waktu mereka sedang leka menikmati nikmat dunia itu, mereka ditimpakan azab dengan tiba-tiba. Mereka langsung tidak bersedia untuk menghadapinya. Memang mereka terkejut sangat. Allah ﷻ biarkan mereka hidup senang dan terus buat dosa sampai leka, sehinggalah sampai satu masa, mereka dikenakan dengan azab yang menjatuhkan mereka.

Azab tiba-tiba ini lebih hebat kerana mereka yang menerimanya tidak bersedia langsung. Ia tidak sama kalau kita sudah tahu dan bersedia dengan musibah. Sebagai contoh ada tempat yang sudah biasa banjir, maka mereka sudah bersedia. Namun begitu, pada tahun 2022, banyak tempat yang tidak pernah dinaiki banjir, tiba-tiba teruk banjirnya. Memang perit kerana mereka tidak pernah sangka yang mereka akan terkena banjir. Maka, azab yang tidak disangka-sangka ini lebih teruk kesannya.

Kita amat takut jika kita pun akan mengalami nasib yang sama. Nauzubilli min dzaalik. Tidak berapa lama dahulu, hidup kita susah sangat apabila dilanda Covid19. Tidak boleh keluar, ramai yang mati, takut sangat kalau berjangkit, ekonomi pun sudah tidak bagus, ramai hilang pekerjaan dan ramai yang bunuh diri. Hidup kita amat terkesan. Namun adakah ini memberi kesan kepada iman kita? Adakah kita baiki keadaan diri dan agama kita?

Kemudian Allah ﷻ sekarang sudah mudahkan kembali hidup kita, boleh bekerja dan pergi ke sana sini. Adakah kita sudah lupakan musibah yang Allah ﷻ telah kenakan kepada kita itu? Atau adakah kita kembali kepada perbuatan maksiat kita yang dahulu, wal hasil balik asal sahaja? Maka kesenangan yang kita dapat setelah susah dahulu berupa istidraj daripada Allah ﷻ?

Perkara ini begitu besar sekali sampaikan banyak ayat Allah ﷻ sebut tentangnya seperti [ An’am: 44 ]

فَلَمّا نَسوا ما ذُكِّروا بِهِ فَتَحنا عَلَيهِم أَبوٰبَ كُلِّ شَيءٍ حَتّىٰ إِذا فَرِحوا بِما أوتوا أَخَذنٰهُم بَغتَةً فَإِذا هُم مُّبلِسونَ

Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (daripada mendapat sebarang pertolongan).

Maka ini mengajar kita yang jika kita duduk di dalam kesenangan, jangan rasa senang hati sangat kerana kita tidak tahu, entah-entah Allah ﷻ sedang kenakan istidraj kepada kita.


 

BELAJARLAH DARI SEJARAH

A’raf Ayat 96:

وَلَو أَنَّ أَهلَ القُرىٰ ءآمَنوا وَاتَّقَوا لَفَتَحنا عَلَيهِم بَرَكٰتٍ مِّنَ السَّماءِ وَالأَرضِ وَلٰكِن كَذَّبوا فَأَخَذنٰهُم بِما كانوا يَكسِبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if only the people of the cities had believed and feared Allāh, We would have opened [i.e., bestowed] upon them blessings from the heaven and the earth; but they denied [the messengers], so We seized them for what they were earning.¹

  • Of blame for their sin.

MALAY

Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

 

وَلَو أَنَّ أَهلَ القُرىٰ ءآمَنوا وَاتَّقَوا

Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertaqwa, 

Ini merujuk kepada penduduk negeri mana-mana pun, kalaulah mereka beriman dan menjaga hukum dan amal. Itulah yang sepatutnya yang dilakukan oleh manusia.

Apabila Allah ﷻ letak kalimah ءآمَنوا dan اتَّقَوا bersebelahan, maka ini mengajar kita yang ia tidak sama. Maka, iman dan taqwa tidaklah sama ya. Ulama’ memberikan pendapat tentang apakah bezanya. Ada yang mengatakan ءآمَنوا adalah perkara dalam hati dan اتَّقَوا adalah perbuatannya. Ada juga yang mengatakan kalimah ءآمَنوا bermaksud melakukan yang Allah ﷻ perintah dan kalimah اتَّقَوا merujuk perbuatan meninggalkan apa yang dilarang.

 

لَفَتَحنا عَلَيهِم بَرَكٰتٍ مِّنَ السَّماءِ وَالأَرضِ

tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi.

Jika beriman dan bertaqwa, nescaya di dunia lagi akan dibukakan pintu berkat dari langit yang boleh membawa mereka kepada syurga. Maksud barakah adalah sesuatu yang banyak dan semakin bertambah dan bertambah. Oleh itu, apabila Allah ﷻ kata ‘berkat’,  maka ia membawa maksud kebaikan yang bertambah-tambah dan tidak berkurangan. Air, tanaman, binatang ternak, perniagaan maju dan sebagainya.

Contoh berkah adalah air yang sedikit tetapi dapat digunakan oleh orang yang ramai. Contohnya pernah di zaman Nabi ﷺ air semangkuk dapat menghilangkan dahaga ramai orang. Satu lagi contoh adalah sesuatu barang itu boleh dipakai lama (tahan lama). Kadangkala kita makan sedikit sudah kenyang, itu tanda ada berkat; sedangkan kadangkala makan banyak pun tidak puas. Juga kadangkala kerja dapat disiapkan dalam masa yang sekejap sahaja apabila ada berkat; bila tidak ada berkat, kerja tidak habis-habis rasanya.

Kalau kita perhatikan, keberkatan sudah banyak hilang daripada kita. Masa kita tidak cukup untuk buat kerja. Bayangkan orang dahulu dengan masa yang mereka ada, banyak kitab dan kerja yang mereka boleh buat. Berbanding dengan kita, dengan segala teknologi untuk memudahkan kerja, namun kerja masih tidak siap-siap, sibuk memanjang, bukan? Kita sepatutnya hidup senang dengan segala kemudahan yang ada, tetapi hati sentiasa tidak tenang, bukan?

Jangan lupa juga yang turun dari langit adalah wahyu Al-Qur’an. Maka keberkatan di sini juga boleh bermaksud keberkatan Al-Qur’an di mana akan diberi kefahaman Al-Qur’an kepada masyarakat. Allah ﷻ bukannya hendak mengazab kita. Jika kita buat baik seperti yang sepatutnya, Allah ﷻ tidak akan mengazab kita. Seperti firman-Nya dalam [ Nisa: 147 ]:

ما يَفعَلُ اللهُ بِعَذابِكُم إِن شَكَرتُم وَءآمَنتُم ۚ وَكانَ اللهُ شاكِرًا عَليمًا

Apa gunanya Allah menyeksa kamu sekiranya kamu bersyukur (akan nikmatNya) serta kamu beriman (kepadaNya)? Dan (ingatlah) Allah sentiasa Membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya), lagi Maha Mengetahui (akan hal keadaan mereka).

Dalam ayat sebelum ini, disebut mereka yang ingkar tetapi diberikan dengan nikmat sebagai istidraj kepada mereka. Sekiranya beriman dan beramal soleh, Allah ﷻ boleh beri juga nikmat keduniaan kepada kita. Bukannya kalau kita beriman dan beramal dengan cara Islam, hidup kita kena susah dan sengsara. Maka janganlah kata semua nikmat yang kita dapat itu adalah istidraj sahaja – ada yang Allah ﷻ berikan sebagai balasan baik bagi amal kita.

Oleh sebab itu, susah juga untuk tentukan mana berkat dan mana yang istidraj sebab nampak seakan sama sahaja. Ulama’ kata kalau dapat kesenangan tetapi banyak membuat maksiat, itu tanda ia adalah istidraj. Maka boleh nilai sendiri.

Mungkin ada yang bertanya: ramai sahaja yang beriman di sesuatu negeri, tetapi tidak pun dapat berkatnya atau tidak kelihatan keberkatan itu terserlah? Jawapannya adalah syarat itu adalah أَهلَ القُرىٰ ءآمَنوا وَاتَّقَوا iaitu semua penduduk negeri itu beriman dan bertaqwa. Kalau sikit-sikit sahaja, belum lagi memenuhi syarat itu.

 

وَلٰكِن كَذَّبوا فَأَخَذنٰهُم بِما كانوا يَكسِبونَ

Tetapi mereka mendustakan, lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

Namun begitu, masih ramai manusia yang mendustakan kebenaran, mendustakan wahyu, mendustakan agama yang benar. Maka Allah ﷻ mengazab mereka di dunia lagi. Azab itu boleh dikenakan kepada semua penduduk negeri itu seperti disebut dalam [ Anfal: 25 ]

وَاتَّقوا فِتنَةً لّا تُصيبَنَّ الَّذينَ ظَلَموا مِنكُم خاصَّةً

Dan peliharalah dirimu daripada seksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu.

Maka jikalau kita tidak menjalankan kerja dakwah kepada masyarakat sampai mereka melakukan maksiat, Allah ﷻ boleh sahaja kenakan azab musibah kepada semua orang tidak kira siapa. Orang beriman pun boleh dikenakan dengan azab itu.


 

A’raf Ayat 97: Ayat takhwif duniawi. Allah ﷻ hendak menghina orang yang buat maksiat tetapi berasa aman.

أَفَأَمِنَ أَهلُ القُرىٰ أَن يَأتِيَهُم بَأسُنا بَيٰتًا وَهُم نائِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then, did the people of the cities feel secure from Our punishment coming to them at night while they were asleep?

MALAY

Patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur?

Tanya kepada mereka yang tidak mahu beriman itu, adakah mereka berasa aman tidak akan dikenakan azab langsung daripada Allah ﷻ? Tidakkah mereka tahu yang azab itu boleh datang secara senyap pada waktu malam ketika tidur?

Sepatutnya waktu malamlah waktu kita berehat dan bergembira dengan ahli keluarga kita setelah seharian bekerja dan sibuk dengan perkara lain. Tetapi Allah ﷻ boleh sahaja kenakan azab kepada mereka iaitu waktu yang tidak disangka-sangka. Mereka tidak takutkah?

Bukan orang melakukan maksiat sahaja patut berasa takut, orang beriman pun patut rasa takut juga. Jangan hendak berasa aman sangat kerana azab itu boleh kena kepada kita juga bila-bila masa. Azab itu menyeluruh, bukan khusus kepada pelaku maksiat sahaja.

Para sahabat yang telah dijanjikan syurga seperti Saidina Umar رضي الله عنه pun tidak berasa selamat. Beliau selalu bertanya kepada Abu Huzaifah رضي الله عنه, adakah nama beliau termasuk di dalam senarai orang munafik. Jika orang sebegini hebat terkenal dengan tinggi taqwanya pun takut dan tidak berasa aman, takkan jenis kita pula boleh rasa aman?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 26 Oktober 2022

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah al-A’raf Ayat 87 – 92 (Pendakwah dihalau dari negeri)

A’raf Ayat 87:

وَإِن كانَ طائِفَةٌ مِّنكُم ءآمَنوا بِالَّذي أُرسِلتُ بِهِ وَطائِفَةٌ لَّم يُؤمِنوا فَاصبِروا حَتّىٰ يَحكُمَ اللَّهُ بَينَنا ۚ وَهُوَ خَيرُ الحٰكِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if there should be a group among you who has believed in that with which I have been sent and a group that has not believed, then be patient until Allāh judges between us. And He is the best of judges.”

MALAY

“Dan jika ada segolongan daripada kamu beriman kepada wahyu (perintah-perintah Allah) yang aku telah diutuskan untuk menyampaikannya, dan segolongan lagi tidak beriman, maka sabarlah sehingga Allah menjalankan hukum-Nya di antara kita semua, dan Dia lah jua sebaik-baik hakim”.

 

وَإِن كانَ طائِفَةٌ مِّنكُم ءآمَنوا بِالَّذي أُرسِلتُ بِهِ

“Dan jika ada segolongan daripada kamu beriman kepada wahyu (perintah-perintah Allah) yang aku telah diutuskan untuk menyampaikannya,

Ini adalah nasihat daripada Allah ﷻ. Ini setelah Nabi Syuaib عليه السلام sampaikan ajaran tauhid dan ajaran-ajaran lain seperti yang diperintahkan oleh Allah ﷻ. Dalam ramai-ramai daripada kaumnya itu, adalah juga yang mahu beriman.

 

وَطائِفَةٌ لَّم يُؤمِنوا

dan segolongan lagi tidak beriman, 

Namun begitu, tentu ada puak yang tidak mahu beriman, maka apakah perlu kita lakukan? Kita yang menjalankan kerja dakwah ini pun selalu menerima perkara yang sama: ada yang mahu terima dan ada yang menolak atau buat tidak tahu sahaja.

 

فَاصبِروا حَتّىٰ يَحكُمَ اللَّهُ بَينَنا

maka sabarlah sehingga Allah menjalankan hukum-Nya di antara kita semua,

Dalam keadaan seperti itu, maka bersabar sahajalah. Tunggulah dan terus beramal dan berdakwah sehingga Allah ﷻ membuat keputusan di antara kita, mana satu yang lebih baik. Biarlah Allah ﷻ yang tentukan siapa yang dikenakan azab nanti.

Di sini kita diingatkan yang dalam berdakwah memang kena ada sabar yang kuat dan Nabi Syuaib عليه السلام diingatkan di dalam ayat ini. Begitu juga dengan kita yang mengambil jalan sebagai pendakwah Sunnah ini. Ia bukan kerja senang dan banyak yang menentang. Namun Allah ﷻ ingatkan yang hendaklah bersabar. Bukanlah semestinya semua orang yang kita sampaikan dakwah Sunnah ini akan terima. Janganlah terkena penyakit kemurungan pula ya. Banyakkan latihan senyum untuk mengubat diri dan minda.

 

وَهُوَ خَيرُ الحٰكِمينَ

dan Dia lah jua sebaik-baik hakim”.

Bersabarlah menunggu keputusan daripada Allah ﷻ itu kerana Allah ﷻ adalah sebaik-baik hakim yang membuat keputusan. Keputusan yang Allah ﷻ buat tentunya penuh hikmah kerana sesungguhnya Dia akan menjadikan kesudahan yang terpuji bagi orang-orang yang bertaqwa, sedangkan orang-orang kafir mendapat kehancuran dan kebinasaan.

Oleh itu, jangan kita ambil kerja Allah ﷻ dan menghukum orang pula. Serahkan sahaja kepada Allah ﷻ. Mungkin ada orang yang menentang kita dan memburukkan kita, maka mungkin terdetik di hati kita berharap supaya mereka dikenakan dengan azab atau musibah. Jangan begitu. Bukan kerja kita untuk menentukan apa yang akan patut dikenakan kepada mereka. Serahkan sahaja kepada Hakim yang terbaik iaitu Allah ﷻ. Kerja kita hanya sampaikan sahaja.

AKHIR JUZ 8


PENOLAKAN KAUM NABI SYUAIB عليه السلام

A’raf Ayat 88:

۞ قالَ المَلَأُ الَّذينَ استَكبَروا مِن قَومِهِ لَنُخرِجَنَّكَ يٰشُعَيبُ وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَكَ مِن قَريَتِنا أَو لَتَعودُنَّ في مِلَّتِنا ۚ قالَ أَوَلَو كُنّا كٰرِهينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Said the eminent ones who were arrogant among his people, “We will surely evict you, O Shu‘ayb, and those who have believed with you from our city, or you must return to our religion.” He said, “Even if we were unwilling?

MALAY

Ketua-ketua yang sombong takbur daripada kaum Nabi Syuaib berkata: “Sesungguhnya kami akan mengusirmu wahai Syuaib dan orang-orang yang beriman yang menjadi pengikut-pengikutmu dari negeri kami ini, atau kamu kembali kepada ugama kami”. Nabi Syuaib menjawab: “Adakah (kamu hendak melakukan yang demikian) sekalipun kami tidak menyukainya?

 

قالَ المَلَأُ الَّذينَ استَكبَروا مِن قَومِهِ

Ketua-ketua yang sombong takbur daripada kaum Nabi Syuaib berkata: 

Sekali lagi ketua kaum yang sombong untuk menerima kebenaran berbuat onar. Ini sudah berkali-kali kita baca, bukan? Mereka mempunyai kuasa dan kerana itu mereka boleh berbuat onar. Mereka tidak suka kebenaran disampaikan kerana kebenaran memang tidak disukai oleh orang yang jahat.

Tidak disebut nama para pemimpin itu kerana mereka tidak penting. Yang penting adalah pengajaran tentang mereka. Ia disebut secara umum sahaja kerana zaman berzaman jenis manusia seperti ini memang ada.

Kenapakah mereka itu sombong? Kerana jawatan yang mereka ada. Memang begitulah manusia apabila mendapat kuasa. Ramai yang menyalahgunakan kuasa. Mereka berasa mereka boleh berbuat apa sahaja dan mereka tidak mahu mendengar lagi apa yang orang bawahan katakan. Ini mengajar kita jika mempunyai kuasa, maka janganlah bersikap sombong.

Akan tetapi ada satu lagi yang bahaya, iaitu orang pertengahan (“middle management”) yang ada hubungan baik dengan pemimpin di atas. Mereka ini juga ada yang menyalahgunakan kedudukan  mereka untuk melakukan masalah. Ada yang menggunakan istilah ‘Little Napolean’ bagi mereka ini.

Ini mengajar kita di mana sahaja kedudukan kita, jangan berasa besar sangat. Kita duduk di atas pun kerana ada orang di bawah kita. Sekiranya kita berada di atas, boleh sahaja Allah ﷻ jatuhkan kita ke bawah kerana salahguna kuasa kita. Tidak semestinya kita terus duduk di atas. Allah ﷻ yang berikan kedudukan itu dan Allah ﷻ boleh sahaja tarik balik.

Ini juga mengajar kita yang para pemimpin itu menjadi kufur kerana mereka sombong untuk menerima kebenaran. Sifat sombong akan menyebabkan hidayah terhalang daripada masuk ke dalam minda dan hati kita. Kita hendaklah membuka hati dan minda kita kepada kebenaran, tidak kira dari mana ia datang. Sekiranya  hujah disertakan dengan dalil, maka kita kena terima.

Oleh itu, jangan jadi sombong. Ingatlah yang iblis menjadi kufur, menolak kebenaran sampaikan dilaknat oleh Allah ﷻ kerana sifat sombongnya. Ini kita sudah pelajari di awal surah ini.

 

لَنُخرِجَنَّكَ يٰشُعَيبُ وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَكَ مِن قَريَتِنا

“Sesungguhnya kami akan mengusirmu wahai Syuaib dan orang-orang yang telah beriman yang menjadi pengikut-pengikutmu dari negeri kami ini,

Mereka kata mereka akan menghalau Nabi Syuaib عليه السلام dan orang-orang beriman dengan baginda dari daerah mereka. Kalimah لَنُخرِجَنَّكَ ada taukid (penekanan) maka ini bermaksud yang mereka memang benar-benar hendak mengeluarkan Nabi Syuaib عليه السلام dan pengikut baginda, bukan main-main acah sahaja. Mereka ini adalah golongan atasan dan mereka ada kuasa. Nampaknya mereka hendak menyalahgunakan kuasa mereka itu.

Mereka kata akan mengeluarkan baginda مِن قَريَتِنا (dari negeri kami). Padahal Nabi Syuaib عليه السلام pun berasal dari tempat itu juga. Namun begitulah mereka berasa agama amalan mereka itu yang betul, sampaikan orang yang tidak ikut fahaman seperti mereka tidak layak duduk sekali.

Sebenarnya, Nabi Syuaib عليه السلام juga dalam kalangan ahli keluarga orang atasan mereka. Mereka telah menaruh harapan yang tinggi kepada baginda untuk meneruskan pimpinan mereka. Namun apabila baginda lain daripada apa yang mereka harapkan, maka mereka telah berasa putus harap sampaikan mereka hendak menghalau baginda dari negeri itu.

Beginilah para Nabi, para pendakwah dan ulama’ yang kadangkala diusir dari tempat tinggal mereka kerana menyatakan kebenaran. Orang ramai tidak suka apabila kita sampaikan kebenaran. Mereka hendak kawal fikiran dan fahaman manusia, sampaikan kalau ada yang berlainan dengan mereka, mereka akan lawan dan usir dari tempat mereka.

Kenapakah golongan penentang sampai menghalau orang yang membawa kebenaran? Kerana mereka tidak ada hujah yang haq. Mereka tidak ada dalil sandaran bagi amalan dan fahaman mereka, tetapi mereka tidak mahu mengalah menerima kebenaran. Maka begitulah zaman berzaman, yang tidak ada dalil tetap juga tidak mahu menerima kebenaran.

 

أَو لَتَعودُنَّ في مِلَّتِنا

atau kamu kembali kepada agama kami”.

Mereka berikan ultimatum: sekiranya baginda tidak mahu dihalau, baginda hendaklah kembali kepada resam mereka, ikut ajaran agama mereka. Itulah maksud ‘millah’ iaitu seumpama agama rasmi sesuatu negeri. Maka para pemimpin itu mahu Nabi Syuaib عليه السلام dan orang-orang yang telah beriman itu untuk mengamalkan fahaman mereka, iaitu fahaman syirik dan cara perniagaan yang tidak jujur. Pada mereka, itulah agama yang benar, yang normal dan semua orang mesti ikut.

Sepertimana zaman kita sekarang, puak bid’ah mahukan kita kembali ikut mengamalkan bid’ah yang telah lama diamalkan oleh keturunan Melayu ini turun temurun. Pada mereka, kita yang mengamalkan sunnah ini amat pelik. Selagi tidak menerima kembali amalan tok nenek yang bid’ah itu, selagi itulah mereka akan pinggirkan. Segala perkara buruk sahaja dikatanya kepada kita ini. Ini kita kenalah sabar.

Mereka paksa Nabi Syuaib عليه السلام untuk ‘kembali’ kepada amalan asal mereka. Namun kita pun tahu yang para Nabi dipelihara oleh Allah ﷻ daripada amalan syirik kaum mereka walaupun mereka belum mendapat wahyu lagi. Maka, bagaimana pula pimpinan kaumnya itu suruh baginda kembali? Sekiranya untuk pengikut Nabi Syuaib عليه السلام (yang sudah beriman) yang disuruh kembali maka betullah, tetapi bagaimana pula dengan Nabi Syuaib عليه السلام?

Jawapannya Nabi Syuaib عليه السلام tidak pernah terlibat dengan amalan syirik mereka. Cuma selama itu baginda tidak berkata apa-apa. Baginda sudah nampak kepincangan amalan mereka itu, tetapi baginda belum mendapat wahyu lagi, maka baginda tidak dapat hendak menegur mereka secara berdepan lagi. Seperti juga Nabi Muhammad ﷺ juga yang lemas dengan amalan syirik kaumnya sehinggakan baginda mendapat ilham untuk menyendiri di Gua Hira’. Ini kerana baginda belum mendapat wahyu lagi dan tidak ada cara hendak menangani kepincangan dalam masyarakatnya lagi.

 

قالَ أَوَلَو كُنّا كٰرِهينَ

Nabi Syuaib menjawab: “Adakah (kamu hendak melakukan yang demikian) sekalipun kami tidak menyukainya?

Nabi Syuaib عليه السلام jawab: “Apakah kami kena ikut kepada ajaran sesat itu walaupun kami tidak suka?” Tentunya baginda dan orang-orang yang beriman tidak suka dan tidak rela dihalau begitu sahaja tanpa membuat kesalahan apa-apa. Juga tentu mereka tidak mahu mengikut amalan agama kaumnya yang sesat itu. Ia bagaikan menyuruh mereka melakukan sesuatu yang menyakitkan.

Seperti kitalah juga, yang sudah beralih kepada fahaman Sunnah ini, kita tidak akan mahu kembali kepada amalan bid’ah yang dahulu pernah kita sendiri amalkan. Kita tidak akan kembali kerana kita sudah tahu mana intan dan mana kaca. Takkan mahu paksa kita buat amalan bid’ah – baca Yasin pada malam Jumaat, buat Majlis Tahlil, kenduri arwah dan sebagainya itu. Kalau kami tidak suka buat, takkan paksa kami buat juga?

Di sini kita belajar sesuatu daripada teguran Nabi Syuaib عليه السلام ini. Iaitu tidak ada paksaan dalam agama. Buat apa kita hendak paksa orang masuk Islam atau ikut kita? Mungkin pada luaran dia ikut, namun hatinya tidak redha. Mana boleh paksa orang yang tidak suka untuk menerima agama kita. Oleh sebab itulah tidak ada paksaan untuk masuk agama Islam. Ini telah disebut dalam [ Baqarah: 256 ]

لا إِكراهَ فِي الدّينِ

Tidak ada paksaan dalam ugama

Keduanya, Nabi Syuaib عليه السلام mengajar semua orang patut membenci kepada agama lain selain agama Islam. Kita juga hendaklah membenci ajaran yang batil. Itulah juga sebabnya kita tidak boleh menerima fahaman syirik dan amalan bid’ah kerana ia merosakkan agama dan menyebabkan kita tidak akan selamat di akhirat kelak.


 

A’raf Ayat 89:

قَدِ افتَرَينا عَلَى اللَّهِ كَذِبًا إِن عُدنا في مِلَّتِكُم بَعدَ إِذ نَجّٰنَا اللَّهُ مِنها ۚ وَما يَكونُ لَنا أَن نَّعودَ فيها إِلّا أَن يَشاءَ اللَّهُ رَبُّنا ۚ وَسِعَ رَبُّنا كُلَّ شَيءٍ عِلمًا ۚ عَلَى اللَّهِ تَوَكَّلنا ۚ رَبَّنَا افتَح بَينَنا وَبَينَ قَومِنا بِالحَقِّ وَأَنتَ خَيرُ الفٰتِحينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

We would have invented against Allāh a lie if we returned to your religion after Allāh had saved us from it. And it is not for us to return to it except that Allāh, our Lord, should will. Our Lord has encompassed all things in knowledge. Upon Allāh we have relied. Our Lord, decide between us and our people in truth, and You are the best of those who give decision.”

MALAY

“Sesungguhnya kami mereka-reka dusta terhadap Allah, jika kami kembali kepada ugama kamu sesudah Allah menyelamatkan kami daripadanya. Dan tidaklah kami kembali kepadanya sama sekali, kecuali jika Allah Tuhan kami, menghendakinya. Pengetahuan Tuhan kami meliputi akan tiap-tiap sesuatu. Kepada Allah jualah kami bertawakal. Wahai Tuhan kami, buatlah keputusan antara kami dan kaum kami dengan kebenaran (keadilan), kerana Engkau jualah sebaik-baik Hakim”.

 

قَدِ افتَرَينا عَلَى اللَّهِ كَذِبًا إِن عُدنا في مِلَّتِكُم بَعدَ إِذ نَجّٰنَا اللَّهُ مِنها

“Sesungguhnya kami mereka-reka dusta terhadap Allah, jika kami kembali kepada agama kamu sesudah Allah menyelamatkan kami daripadanya.

Kalimah افتَرَينا berasa daripada katadasar ف ر ع yang antara lain bermaksud menipu. Ia sama maksud dengan كذب. Nabi Syuaib عليه السلام berkata, sekiranya mereka kembali kepada agama yang sesat itu, maka mereka telah melakukan pembohongan atas nama Allah ﷻ. Sedangkan Allah ﷻ telah menyelamatkan mereka daripada ajaran sesat itu. Berbohong atas nama Allah ﷻ adalah satu dosa yang besar. Ia adalah perbuatan yang paling zalim seperti disebut dalam [ Zumar: 32 ] dan ayat-ayat lain.

فَمَن أَظلَمُ مِمَّن كَذَبَ عَلَى اللهِ

Siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara-perkara yang dusta terhadap Allah

Sebagaimana kita juga, takkan mahu kembali kepada amalan bid’ah dan syirik yang dulu kita amalkan. Takkan kita sanggup berdusta mengatakan perkara itu Allah ﷻ suka sedangkan tidak ada dalil baginya? Kalau kita kata ia perkara ‘baik’, maka kita sudah berdusta atas nama Allah ﷻ, bukan? Kita yang sudah belajar agama, sudah kenal wahyu, sudah tahu mana yang benar dan mana yang salah. Maka, kalau kembali juga buat amalan sesat itu, tentulah itu kesalahan yang amat berat sekali.

Maka Allah ﷻ telah selamatkan Nabi Syuaib عليه السلام dan para pengikutnya yang bermaksud kebenaran telah dimasukkan ke dalam hati mereka. Inilah penyelamatan yang paling penting. Jika Allah ﷻ selamatkan kita daripada syirik dan bid’ah, maka inilah nikmat yang amat besar. Untuk zaman sekarang, diselamatkan ini dengan menerima ajaran Sunnah. Bukannya keselamatan fizikal yang lebih besar, tetapi keselamatan dalam agamalah yang kita paling kita perlukan.

Disebabkan tidak faham perkara inilah, ramai dalam kalangan kita mengadakan Majlis Doa Selamat (juga dipanggil Selamatan) kerana berharap diri mereka dan fizikal mereka diselamatkan (sebagai contoh hendak pergi buat Haji). Namun mereka tidak perasan yang mereka lakukan itu adalah amalan bid’ah yang tidak pernah dibuat Rasulullah ﷺ dan para sahabat baginda. Mereka berdoa meminta selamat dengan cara yang tidak selamat. Tidak ada majlis khusus untuk melakukan doa dalam agama. Sekiranya ia adalah baik, sudah tentulah ia telah dilakukan lama dahulu oleh golongan yang lebih baik daripada kita (golongan salafussoleh).

 

وَما يَكونُ لَنا أَن نَّعودَ فيها إِلّا أَن يَشاءَ اللَّهُ رَبُّنا

Dan tidaklah patut kami kembali kepadanya sama sekali, kecuali jika Allah Tuhan kami, menghendakinya. 

Tidak patut bagi kita kembali kepada ajaran sesat melainkan Tuhan yang kehendaki. Nabi Syuaib عليه السلام tidak akan mahu mengikuti agama sesat mereka kecualilah kalau Allah ﷻ takdirkan millah mereka itu adalah millah Islam, maka waktu itu tentulah mereka akan bersama dengan kaum mereka itu. Entah mungkin mereka menerima dakwah baginda, barulah baginda akan sertai millah mereka.

Allah ﷻ tidak akan mengembalikan mereka kepada amalan agama kaum mereka yang sesat. Maksud Nabi Syuaib عليه السلام dalam ayat ini, mereka akan ikut agama kaum mereka, kalau kaum mereka itu sendiri yang masuk Islam dan mengamalkan millah yang sebenar. Barulah mereka akan sama-sama berada dalam agama yang sama.

Atau, Nabi Syuaib عليه السلام serahkan kepada Allah ﷻ dengan mengatakan إِلّا أَن يَشاءَ اللَّهُ رَبُّنا (kecuali jika Allah Tuhan kami, menghendakinya). Ini adalah kata-kata berlapik daripada baginda kerana memang baginda tidak hingin ikut agama sesat akan tetapi baginda sedar yang semuanya di tangan Allah ﷻ. Allah ﷻ boleh takdirkan orang beriman dan Allah ﷻ boleh takdir seseorang itu menjadi sesat (walaupun setelah beriman). Berapa ramai yang asalnya beriman, namun Allah ﷻ merubah hatinya menjadi sesat? Kerana itu kita memang mestilah benar-benar menjaga hati dan iman kita kerana takut Allah ﷻ boleh palingkan.

 

وَسِعَ رَبُّنا كُلَّ شَيءٍ عِلمًا

Pengetahuan Tuhan kami meliputi akan tiap-tiap sesuatu.

Sedangkan ilmu Tuhan meliputi segala sesuatu. Maka kenalah ikut apa yang Allah ﷻ suruh kita buat. Ilmu Allah ﷻ yang luas itu tidak ada satu pun yang menyuruh berbuat syirik kepada-Nya.

Ilmu Allah ﷻ terlalu luas sehinggakan Allah ﷻ tahu apa yang kita akan buat. Allah ﷻ sahaja tahu sama ada kita akan terus beriman atau tidak. Jangan kita yakin sangat yang kita pasti terus beriman kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku di masa hadapan. Ilmu Allah ﷻ meliputi yang telah lepas, sekarang dan masa hadapan.

 

عَلَى اللَّهِ تَوَكَّلنا

Kepada Allah jualah kami bertawakal.

Apa sahaja ancaman daripada puak kufur itu, kepada-Nya kita bertawakal. Serahkan sahaja kepada Allah ﷻ apa yang akan terjadi. Oleh itu, di dalam kita berdakwah di jalan Allah ﷻ ini, kita mestilah serahkan kepada Allah ﷻ segala urusan kita dan keputusan yang Dia hendak tentukan. Kita hanya boleh sampaikan sahaja.

Kita serahkan kepada Allah ﷻ tentang iman kita. Kita berharap semoga Allah ﷻ menjaga iman kita dan dikekalkan iman kita sehingga kita mati dalam Islam. Namun jangan lupa yang syarat tawakal adalah mesti ada usaha. Bukan goyang kaki dan berharap sahaja. Kena ada usaha untuk menjaga iman kita. Jangan lupa berdoa dan jangan lupa tingkatkan iman. Sebab itu ada doa Nabi ajar supaya minta dikekalkan di dalam iman ini.

Iman ini turun dan naik. Sekiranya kita sedar yang ia turun, maka kenalah buat sesuatu untuk menaikkannya kembali. Antaranya dengan menghadiri majlis ilmu. Jangan terus biarkan diri duduk di dalam kelemahan iman. Pernah rasakan iman sedang turun?

Dalam kehidupan kita, kena banyak tawakal dan ingat kepada Allah ﷻ. Namun ramai yang tidak faham maksud tawakal. Antara perkara yang manusia salah faham tentang tawakal adalah mereka serahkan keputusan kepada Allah ﷻ, tetapi apabila keputusan itu tidak seperti yang mereka kehendaki, mereka marah pula dan tidak puas hati. Tawakal mereka menjadi tidak lengkap. Maka, ringkasnya tawakal itu mestilah ada usaha, serahkan kepada Allah ﷻ apa yang akan jadi, dan apa sahaja ketentuan daripada Allah ﷻ, terima sahaja.

 

رَبَّنَا افتَح بَينَنا وَبَينَ قَومِنا بِالحَقِّ

Wahai Tuhan kami, buatlah keputusan antara kami dan kaum kami dengan kebenaran

Ini adalah doa baginda: “Berilah keputusan antara kami dan kaum kami dengan keputusan yang benar”. Baginda minta keputusan terus daripada Allah ﷻ untuk menyelesaikan pergeseran fahaman antara baginda dan puak yang menentang itu. Kerana itulah juga ‘qadhi’ (hakim) juga digelar ‘fatih’ kerana mereka juga membuat keputusan. Inilah maksudnya menyerahkan kepada Allah ﷻ segala keputusan, apa yang Allah ﷻ akan tetapkan. Nabi Syuaib عليه السلام berdoa kepada Allah ﷻ untuk membantu baginda dan orang yang beriman dalam ayat ini.

Ada ulama’ tafsir berpendapat yang maksud doa baginda ini sebenarnya meminta azab diturunkan kepada kaumnya yang menentang itu kerana baginda sudah nampak tidak ada jalan lagi dengan puaknya yang menentang itu. Ini kerana kalimah yang digunakan adalah افتَح daripada katadasar ف ت ح yang bermaksud ‘buka’. Yang baginda minta adalah dibukakan pintu dakwah yang telah ditutup oleh penentang baginda dalam kalangan pembesar negeri.

Maka untuk buka balik, mereka itu hendaklah dihapuskan dan untuk menghapuskan mereka, pemusnahan itu adalah menyeluruh dikenakan kepada semua yang tidak beriman. Maknanya selepas mereka dimusnahkan nanti, baru dakwah dimulakan dengan puak yang baru yang tidak ada rekod menentang lagi.

 

وَأَنتَ خَيرُ الفٰتِحينَ

Engkau jualah sebaik-baik Pembuat keputusan”.

Kita hendaklah serahkan keputusan kepada Allah ﷻ dan redha dengan apa yang Allah ﷻ tetapkan kerana sesungguhnya Allah ﷻ yang sebaik-baik Pembuat keputusan. Apa sahaja yang Dia tentukan, kita kena yakin yang itu adalah untuk kebaikan.


 

NASIB KAUM NABI SYUAIB عليه السلام

A’raf Ayat 90: 

وَقالَ المَلَأُ الَّذينَ كَفَروا مِن قَومِهِ لَئِنِ اتَّبَعتُم شُعَيبًا إِنَّكُم إِذًا لَّخٰسِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Said the eminent ones who disbelieved among his people, “If you should follow Shu‘ayb, indeed, you would then be losers.”

MALAY

Dan berkatalah pula ketua-ketua yang kafir daripada kaum Nabi Syuaib (kepada orang ramai): “Sesungguhnya jika kamu mengikut Syuaib nescaya kamu menjadilah orang-orang yang rugi”.

 

وَقالَ المَلَأُ الَّذينَ كَفَروا مِن قَومِهِ

Dan berkatalah pula ketua-ketua yang kafir daripada kaum Nabi Syuaib (kepada orang ramai): 

Para pembesar telah menjalankan taktik mereka untuk menakutkan mereka yang beriman. Atau, boleh juga dikatakan kepada orang yang belum beriman tetapi nampak seperti hendak beriman. Mereka tutup pintu daripada orang lain beriman kepada Nabi Syuaib عليه السلام. Sebelum ini mereka telah bercakap dengan golongan yang telah beriman, tetapi dalam ayat ini mereka bercakap dengan orang yang belum beriman.

 

لَئِنِ اتَّبَعتُم شُعَيبًا إِنَّكُم إِذًا لَّخٰسِرونَ

“Sesungguhnya jika kamu mengikut Syuaib nescaya kamu menjadilah orang-orang yang rugi”.

Mereka menakutkan orang yang beriman dengan berkata, sekiranya mereka yang beriman itu tetap mengikut juga Nabi Syuaib عليه السلام (atau yang baru hendak beriman), mereka akan menjadi orang yang paling rugi di mana mereka akan binasa. Mereka kata orang beriman itu akan rugi kerana tinggalkan cara hidup yang telah lama diamalkan, iaitu cara hidup yang majoriti.

Inilah juga taktik yang digunakan oleh golongan pemimpin yang hendak menjatuhkan Sunnah. Golongan penentang akan menakut-nakutkan dengan cubaan memberi berbagai-bagai ancaman dan nasihat buruk. Kita kena tahu ini supaya kita dapat mengenalnya sekiranya ia terjadi kepada kita.

Cuma rugi di sini hanya disebut dalam bentuk umum sahaja. Rugi boleh menjadi pelbagai rugi, bukan? Kalau dilihat kepada perbuatan salah kaum itu, mereka menipu dalam perniagaan. Oleh itu, mungkin yang dimaksudkan, kalau ikut Nabi Syuaib عليه السلام, sudah tidak boleh menipu lagi, maka tidak boleh untung lebih lagi, boleh jadi rugi pula.

Namun rugi yang sebenarnya adalah dalam hal agama iaitu tidak dapat salat berjama’ah, tidak dapat belajar tadabbur Al-Qur’an, tidak dapat mengamalkan Sunnah dan sebagainya. Manakala rugi yang paling besar adalah apabila masuk neraka. Boleh rujuk [ Zumar: 15 ].

Kita juga boleh rugi walaupun kita seorang Muslim kalau tidak menjalankan tugas kita sebagai Muslim. Ini disebut dalam Surah Asr.


 

A’raf Ayat 91: Takhwif Duniawi (penakutan dengan azab dunia). Ini adalah jawapan kepada doa Nabi Syuaib عليه السلام sebelum ini.

فَأَخَذَتهُمُ الرَّجفَةُ فَأَصبَحوا في دارِهِم جٰثِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So the earthquake seized them, and they became within their home [corpses] fallen prone.

MALAY

Maka mereka dibinasakan oleh gempa, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat masing-masing.

 

فَأَخَذَتهُمُ الرَّجفَةُ

Maka mereka dibinasakan oleh gempa, 

Maka kerana dosa mereka, mereka telah ditimpa gegaran dan tempikan dari langit. Perkara ini disebut dengan lebih maklumat lagi dalam [ Hud: 94 ] kerana dalam ayat ini tidak disebut tempikan.

وَلَمّا جاءَ أَمرُنا نَجَّينا شُعَيبًا وَالَّذينَ آمَنوا مَعَهُ بِرَحمَةٍ مِنّا وَأَخَذَتِ الَّذينَ ظَلَمُوا الصَّيحَةُ فَأَصبَحوا في دِيارِهِم جاثِمينَ

Dan tatkala datang azab Kami, Kami selamatkan Syu’aib dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengan dia dengan rahmat dari Kami, dan orang-orang yang zalim dibinasakan oleh satu suara yang mengguntur, lalu jadilah mereka mati bergelimpangan di rumahnya.

Di dalam [ Syu’araa: 189 ] mereka juga dikenakan dengan percikan api dari awan. Maka semua ini dikenakan kepada mereka.

فَكَذَّبوهُ فَأَخَذَهُم عَذابُ يَومِ الظُّلَّةِ ۚ إِنَّهُ كانَ عَذابَ يَومٍ عَظيمٍ

Kemudian mereka mendustakan Syu’aib, lalu mereka ditimpa azab pada hari mereka dinaungi awan. Sesungguhnya azab itu adalah azab hari yang besar.

Ada pendapat yang mengatakan kaumnya itu dipecahkan kepada beberapa kumpulan dan mereka dikenakan dengan azab yang berbeza.

 

فَأَصبَحوا في دارِهِم جٰثِمينَ

lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat masing-masing.

Lalu mereka mati rebah bergelimpangan dalam runtuhan rumah mereka sendiri. Ia juga bermaksud ia terjadi pada waktu subuh.


 

A’raf Ayat 92: Ini adalah kata-kata Allah ﷻ setelah mereka dimusnahkan.

الَّذينَ كَذَّبوا شُعَيبًا كَأَن لَّم يَغنَوا فيهَا ۚ الَّذينَ كَذَّبوا شُعَيبًا كانوا هُمُ الخٰسِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those who denied Shu‘ayb – it was as though they had never resided there. Those who denied Shu‘ayb – it was they who were the losers.

MALAY

Orang-orang yang mendustakan Nabi Syuaib (punah-ranah) seolah-olah mereka tidak pernah mendiami negeri itu. Orang-orang yang mendustakan Nabi Syuaib, merekalah orang-orang yang rugi.

 

الَّذينَ كَذَّبوا شُعَيبًا كَأَن لَّم يَغنَوا فيهَا

Orang-orang yang mendustakan Nabi Syuaib (punah-ranah) seolah-olah mereka tidak pernah mendiami negeri itu. 

Yang dimusnahkan adalah orang-orang yang pernah mendustakan Syuaib عليه السلام semasa mereka hidup dahulu, dan mereka dimusnahkan sehingga langsung tidak meninggalkan kesan seolah-oleh mereka tidak pernah tinggal di tempat itu.

Kalimah يَغنَوا berasal daripada kata dasar غ ن ي yang selalunya digunakan untuk bawa maksud ‘kaya’ atau hidup dengan senang. Maknanya tidak ada kesan mereka pernah tinggal dan hidup senang di tempat mereka dimusnahkan itu. Padahal dulu mereka lama duduk di situ dengan serba kemewahan.

Atau ia bermaksud selepas azab diturunkan kepada mereka dan tempat itu telah dimusnahkan, tidak ada kesan yang dulu tempat itu adalah tempat yang mewah dan indah kerana sudah jadi hancur belaka.

 

الَّذينَ كَذَّبوا شُعَيبًا كانوا هُمُ الخٰسِرينَ

Orang-orang yang mendustakan Nabi Syuaib, merekalah orang-orang yang rugi.

Merekalah orang yang betul-betul rugi di akhirat kelak. Padahal, sebelum ini dalam ayat 90, mereka kata kepada orang beriman bahawa yang ikut Nabi Syuaib عليه السلام yang rugi, maka sekarang Allah ﷻ beritahu bahawa merekalah sebenarnya yang rugi.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 21 Oktober 2022

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien