Tafsir Surah al-A’raf Ayat 81 – 86 (Kisah Nabi Syuaib عليه السلام)

A’raf Ayat 81: Ini adalah huraian bagi maksud lafaz الفاحِشَةَ yang telah disebut dalam ayat sebelum ini. Ayat sebelum ini disebut secara umum sahaja.

إِنَّكُم لَتَأتونَ الرِّجالَ شَهوَةً مِّن دونِ النِّساءِ ۚ بَل أَنتُم قَومٌ مُّسرِفونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, you approach men with desire, instead of women. Rather, you are a transgressing people.”

MALAY

“Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas”.

 

إِنَّكُم لَتَأتونَ الرِّجالَ شَهوَةً مِّن دونِ النِّساءِ

“Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan,

Sepatutnya seorang lelaki mempunyai nafsu terhadap wanita, inilah yang normal. Namun sekiranya lelaki ada nafsu terhadap lelaki lain, tidak ada nafsu terhadap perempuan, ini adalah masalah yang besar. Inilah terjadi dalam kaum yang diserahkan kepada Nabi Luth عليه السلام.

 

بَل أَنتُم قَومٌ مُّسرِفونَ

bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas”.

Mereka dikatakan melampau batas kerana boleh jadi kerana mereka telah melakukan syirik iaitu jenis syirik amali. Begitulah apabila sudah melakukan syirik, maka mudah sahaja untuk membuat kesalahan fahsya’, di mana mereka mengatakan halal bagi lelaki mendatangi lelaki. Itu adalah haram, tetapi apabila mereka katakan ia adalah halal, itu bermaksud mereka telah mengubah hukum yang Allah ﷻ telah tetapkan. Menetapkan hukum halal haram adalah hak Allah ﷻ, dan kalau kita ambil hak itu, maka itulah yang dinamakan syirik.

Atau, mereka asalnya melakukan syirik, dan selepas terbiasa dengan syirik, maka hukum agama dan hukum alam pun mereka boleh ubah begitu sahaja. Mereka ikut nafsu, bukan ikut Allah ﷻ.

Atau, maksud melampau batas itu boleh jadi kerana dalam perbuatan homoseksual, mereka membazir benih kerana lelaki tidak boleh mengandung. Juga mereka melampau di dalam perlakuan sampaikan mereka melakukan homoseksual di khalayak ramai. Ini tidak sama dengan melakukannya secara rahsia. Memang patut mereka dihukum dengan azab yang berat.


 

PENOLAKAN KEPADA NABI LUTH عليه السلام

A’raf Ayat 82: Sambungan kisah kemungkaran yang dilakukan oleh kaum Nabi Luth عليه السلام. Ini adalah jawapan mereka kepada dakwah daripada Nabi Luth عليه السلام kepada mereka seperti yang disebut dalam ayat sebelum ini.

وَما كانَ جَوابَ قَومِهِ إِلّا أَن قالوا أَخرِجوهُم مِّن قَريَتِكُم ۖ إِنَّهُم أُناسٌ يَتَطَهَّرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But the answer of his people was only that they said, “Evict them from your city! Indeed, they are men who keep themselves pure.”

MALAY

Dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada berkata: “Usirlah mereka (Nabi Luth dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) suci”.

 

وَما كانَ جَوابَ قَومِهِ إِلّا أَن قالوا أَخرِجوهُم مِّن قَريَتِكُم

Dan tidak ada jawab daripada kaumnya selain daripada berkata: “Usirlah mereka (Nabi Luth dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini,

Kaum Sodom tidak suka dengan nasihat yang diberikan oleh Nabi Luth عليه السلام. Namun mereka tidak ada jawapan balas. Dalil tidak ada, hujah pun tidak ada. Maka, mereka suruh halau sahaja Nabi Luth عليه السلام dan mereka yang bersama dengannya. Oleh itu, dapat dilihat di sini bahawa perbuatan suka menghalau orang yang beri nasihat ini bukan sekarang sahaja berlaku, tetapi sudah lama berlaku.

Seperti juga zaman sekarang, susah juga hendak diberi nasihat, sebab asyik dihalau sahaja. Kita beri nasihat daripada Al-Qur’an dan Sunnah, tetapi apabila pihak di sana tidak ada hujah, mereka gunakan gelaran caci maki sahaja. Sekiranya mereka ada kuasa, mereka akan gunakan kuasa itu untuk menghalau dan menyekat kita.

 

إِنَّهُم أُناسٌ يَتَطَهَّرونَ

sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) suci”.

Ini bukan pujian sebenarnya. Mereka menuduh Nabi Luth عليه السلام dan orang yang beriman itu kaum yang berpura-pura merasakan mereka bersih. Atau mereka hendak berkata: “Kalau mereka itu rasa mereka suci sangat, janganlah duduk negara Sodom ini lagi, keluarlah dari sini.”

Atau, memang mereka anggap Nabi Luth عليه السلام dan orang mukmin itu suci dan mereka tidak suka. Apabila tidak suka, maka mereka hendak keluarkan. Ini sama seperti orang jahat yang tidak suka kalau ada orang baik dalam kalangan mereka. Contohnya kalau ada kumpulan yang mengamalkan rasuah dan jika ada di antara mereka yang tidak suka rasuah, mereka akan benci. Maka mereka tidak suka walaupun mereka tahu yang apa yang mereka lakukan itu adalah salah.

Kita ada dengar ada pejabat yang rata-ratanya orang malas bekerja. Namun. kalau ada dalam kalangan mereka orang yang rajin, mereka tidak suka. Ini kerana kalau ada orang rajin dan baik, mereka susah hendak buat kerja malas mereka itu. Kalau boleh, mereka akan keluarkan orang itu, sampai ada buat surat layang untuk memburukkan individu itu.

Begitulah kalau orang jahat memang tidak suka dengan orang yang baik. Padahal orang beriman itu hanya melakukan kebaikan sahaja. Seperti disebut dalam ayat [ Buruj: 8 ]

وَما نَقَموا مِنهُم إِلّا أَن يُؤمِنوا بِاللَّهِ العَزيزِ الحَميدِ

Dan mereka tidak menyeksa orang-orang mukmin itu melainkan kerana orang-orang mukmin itu beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji

Ini mengajar kita yang kalau melakukan perkara baik, mengajar benda yang benar, menegur kesalahan dalam masyarakat, pasti akan ada pihak yang tidak suka. Ini adalah sunnatullah. Sekiranya semua orang suka dengan kita, itulah yang menjadi masalah kerana kita tahu, kalau kita bawa ajaran yang benar, pasti akan ada yang menentang dan memusuhi kita.


 

KESUDAHAN KEPADA KAUM NABI LUTH عليه السلام

A’raf Ayat 83: Kerana kemungkaran yang mereka telah lakukan, mereka telah diberikan dengan azab. Namun begitu, mereka yang beriman diselamatkan daripada azab itu.

فَأَنجَينٰهُ وَأَهلَهُ إِلَّا امرَأَتَهُ كانَت مِنَ الغٰبِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So We saved him and his family, except for his wife; she was of those who remained [with the evildoers].

MALAY

Maka Kami selamatkan dia dan keluarganya (serta pengikut-pengikutnya) melainkan isterinya, adalah dia dari orang-orang yang tinggal.

 

فَأَنجَينٰهُ وَأَهلَهُ

Maka Kami selamatkan dia dan keluarganya

Seperti biasa, apabila diberikan dengan azab, Allah ﷻ akan menyelamatkan Rasul dan mereka yang beriman dengan baginda. Mereka akan disuruh untuk keluar dari kawasan itu. Kenapakah disebutkan tentang keluarga baginda? Kerana hanya ahli keluarganya sahaja yang beriman sebagaimana yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{فَأَخْرَجْنَا مَنْ كَانَ فِيهَا مِنَ الْمُؤْمِنِينَ * فَمَا وَجَدْنَا فِيهَا غَيْرَ بَيْتٍ مِنَ الْمُسْلِمِينَ}

Lalu Kami keluarkan orang-orang yang beriman yang berada di negeri kaum Lut itu. Dan Kami tidak mendapati di negeri itu kecuali sebuah rumah dari orang-orang yang berserah diri.

[ Az-Dzariyat: 35-36 ]

Namun ada juga pendapat yang mengatakan ada lagi orang lain yang beriman. Antaranya ada dikatakan dua orang wanita yang juga beriman dengan baginda.

 

إِلَّا امرَأَتَهُ كانَت مِنَ الغٰبِرينَ

melainkan isterinya, adalah dia daripada orang-orang yang tinggal.

Semua ahli keluarga Nabi Luth عليه السلام telah diselamatkan (termasuk jikalau ada lagi yang beriman), kecuali isterinya kerana isterinya itu juga kufur dengan hukum Allah ﷻ. Isterinya itu termasuk dalam golongan mereka yang ditinggalkan untuk diazab.

Apakah kesalahan isteri baginda itu? Dialah yang telah menyampaikan maklumat kepada kaumnya perihal tetamu-tetamu yang datang kepada Nabi Lut عليه السلام dengan bahasa isyarat yang hanya dimengerti oleh mereka. Maknanya, dia telah khianat kepada suaminya sendiri.

Oleh sebab itulah, ketika Nabi Luth عليه السلام diperintahkan agar membawa keluar keluarganya di malam hari. Allah ﷻ berpesan kepadanya janganlah diberitahu keberangkatannya kepada isterinya dan janganlah membawa serta isterinya keluar dari negeri itu.


 

A’raf Ayat 84:

وَأَمطَرنا عَلَيهِم مَّطَرًا ۖ فَانظُر كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ المُجرِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We rained upon them a rain [of stones]. Then see how was the end of the criminals.

MALAY

Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah, bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan.

 

وَأَمطَرنا عَلَيهِم مَّطَرًا

Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan

Hujan yang dimaksudkan adalah hujan batu yang dijatuhkan ke atas mereka sebagai hujan azab. Dari manakah kita tahu yang mereka dihujani dengan batu? Ayat ini ditafsirkan oleh ayat lain melalui firman-Nya:

{وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهَا حِجَارَةً مِنْ سِجِّيلٍ مَنْضُودٍ مُسَوَّمَةً عِنْدَ رَبِّكَ وَمَا هِيَ مِنَ الظَّالِمِينَ بِبَعِيدٍ}

dan Kami hujani mereka dengan batu daripada tanah-tanah yang terbakar dengan bertubi-tubi, yang diberi tanda oleh Tuhan kalian dan seksaan itu tiadalah jauh dari orang-orang yang zalim.

[ Hud: 82-83 ])

Namun begitu, di sini tidak disebut bagaimana tempat tinggal mereka telah diangkat dan diterbalikkan. Selain daripada itu mereka juga telah dikenakan dengan pekikan yang kuat. Ini disebut di dalam [ Hijr: 73-74 ]

فَأَخَذَتهُمُ الصَّيحَةُ مُشرِقينَ

Maka mereka dibinasakan oleh suara keras yang mengguntur, ketika matahari akan terbit.

فَجَعَلنا عالِيَها سافِلَها وَأَمطَرنا عَلَيهِم حِجارَةً مِن سِجّيلٍ

Maka Kami jadikan bahagian atas kota itu terbalik ke bawah dan Kami hujani mereka dengan batu dari tanah yang keras.

 

فَانظُر كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ المُجرِمينَ

Oleh itu, lihatlah, bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ tidak sebut itu adalah akibat bagi kaum Luth, tetapi Allah ﷻ sebut ia dikenakan kepada المُجرِمينَ. Ini kerana ia boleh dikenakan kepada sesiapa sahaja yang melakukan dosa. Maka, sekarang Allah ﷻ memberi peringatan kepada semua kaum yang menentang kebenaran, terutama sekali kepada kafir Mekah, jangan mereka melawan undang-undang Allah ﷻ. Mereka boleh dikenakan dengan azab semasa di dunia lagi. Allah ﷻ  tidak perlu tunggu Kiamat untuk mengenakan azab kepada mereka.

Imam Abu Hanifah رحمه الله berpendapat bahawa orang yang melakukan homoseks hukumannya sama seperti yang dikenakan kepada kaum Luth ini, iaitu dilemparkan dari ketinggian (dari gunung atau bukit), kemudian disusul dengan lemparan-lemparan batu, seperti yang dilakukan terhadap kaum Luth. Ulama’ lainnya berpendapat bahawa pelaku homoseks dikenakan hukuman rejam, baik dia telah muhsan (telah pernah berkahwin) ataupun belum. Yang pasti, hukumannya adalah mati.

Pendapat ini merupakan salah satu qaul daripada Imam Syafi’iy رحمه الله. Hujahnya berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Imam Abu Daud, Imam Tirmizi, dan Imam Ibnu Majah رحمهم الله, daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

مَنْ وَجَدْتُمُوهُ يَعَمَلُ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ، فَاقْتُلُوا الْفَاعِلَ وَالْمَفْعُولَ بِهِ”

Barang siapa yang kalian jumpai sedang melakukan perbuatan kaum Lut, maka bunuhlah pelaku dan yang dikerjainya. Sahih menurut Albani.

Sedangkan menurut ulama’ yang lain, pelakunya dikenakan hukuman yang sama seperti hukuman berbuat zina. Dengan kata lain, jika dia seorang yang telah muhsan, maka dikenakan hukuman rejam; dan jika dia adalah orang yang belum muhsan, maka dikenakan hukuman seratus kali sebatan. Pendapat ini merupakan qaul (pendapat) yang lain daripada Imam Syafi’iy رحمه الله.

Habis Ruku’ 10 daripada 24 ruku’ dalam surah ini.


KISAH NABI SYUAIB عليه السلام

A’raf Ayat 85: Ini adalah kisah kelima. Kisah ini masih lagi bersangkut paut dengan Dakwa Kedua – hendaklah menjaga syariat. Syariat yang hendak dijaga di sini adalah syariat perniagaan.

وَإِلىٰ مَديَنَ أَخاهُم شُعَيبًا ۗ قالَ يٰقَومِ اعبُدُوا اللَّهَ ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُهُ ۖ قَد جاءَتكُم بَيِّنَةٌ مِّن رَّبِّكُم ۖ فَأَوفُوا الكَيلَ وَالميزانَ وَلا تَبخَسُوا النّاسَ أَشياءَهُم وَلا تُفسِدوا فِي الأَرضِ بَعدَ إِصلٰحِها ۚ ذٰلِكُم خَيرٌ لَّكُم إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And to [the people of] Madyan [We sent] their brother Shu‘ayb. He said, “O my people, worship Allāh; you have no deity other than Him. There has come to you clear evidence from your Lord. So fulfill the measure and weight and do not deprive people of their due and cause not corruption upon the earth after its reformation. That is better for you, if you should be believers.

MALAY

Dan kepada penduduk Madyan (Kami utuskan) saudara mereka Nabi Syuaib. Ia berkata: “Wahai kaum, sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata dari Tuhan kamu. Oleh itu, sempurnakanlah sukatan dan timbangan, dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia akan haknya; dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi sesudah Allah menjadikannya (makmur teratur) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman.

 

وَإِلىٰ مَديَنَ أَخاهُم شُعَيبًا

Dan kepada penduduk Madyan (Kami utuskan) saudara mereka, Nabi Syuaib. 

Nabi Syuaib عليه السلام telah diutus kepada penduduk daerah Madyan. Penduduk Madyan adalah satu kaum Arab yang tinggal di kota yang bernama Madyan. Kota tersebut terletak di daerah Ma’an, di hujung daerah Syam, di tepian Kota Hijaz, dan dekat dengan laut, tempat ditenggelamkannya kaum Luth. Mereka muncul dalam waktu yang sangat dekat dengan musnahnya kaum Luth.

Nabi Musa عليه السلام pernah sampai ke Madyan ini dan disebut di dalam ayat Qasas:23

وَلَمّا وَرَدَ ماءَ مَديَنَ وَجَدَ عَلَيهِ أُمَّةً مِّنَ النّاسِ يَسقونَ

Dan tatkala dia sampai di sumber air negeri Madyan dia menjumpai di sana sekumpulan orang yang sedang meminumkan (ternaknya)

Madyan adalah nama sebuah kabilah yang terdiri atas anak keturunan Madin bin Madyan bin Ibrahim al-Khalil (Nabi Ibrahim عليه السلام). Nabi mereka adalah Syuaib عليه السلام, anak lelaki daripada Mikyal bin Yasyjan. Maka, Madyan adalah nama orang dan juga nama tempat.

Selain dari Madyan, tempat ini juga dikenali di dalam Al-Qur’an sebagai Aikah (yang bermaksud hutan). Ini seperti disebut dalam [ Syuara’: 176 ]

كَذَّبَ أَصحٰبُ لئَيكَةِ المُرسَلينَ

Penduduk Aikah telah mendustakan rasul-rasul;

Namun ada juga pendapat yang mengatakan Madyan dan Aikah adalah dua tempat berbeza. Setelah Madyan dimusnahkan, Nabi Syuaib عليه السلام telah pergi Aikah dan di situ juga akhirnya penduduknya dibinasakan.

Dalam buku Atlas Sejarah Nabi dan Rasul karya Sami bin Abdullah Al-Maghluts, dijelaskan bahawa Nabi Syuaib عليه السلام adalah putera daripada Mikael bin Yasyjar bin Madyan bin Ibrahim. Ini kerana Nabi Ibrahim عليه السلام memiliki anak sebanyak 13 orang, dua di antaranya adalah Ismail عليه السلام dan Ishak عليه السلام.

Nabi Syuaib عليه السلام adalah seorang Nabi yang pandai berpidato. Hinggakan baginda dikenali sebagai pemidato dalam kalangan para Nabi.

 

قالَ يٰقَومِ اعبُدُوا اللَّهَ ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُهُ

Dia berkata: “Wahai kaum, sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. 

Seperti juga para Rasul yang lain, baginda memulakan dakwah dengan mengajak mereka kepada tauhid. Seperti telah disebut di dalam ayat ini, ada ithbat dan ada nafi di dalamnya.

 

قَد جاءَتكُم بَيِّنَةٌ مِّن رَّبِّكُم

Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata daripada Tuhan kamu. 

Baginda tidaklah bercakap kosong sahaja tetapi telah menyampaikan wahyu kepada kaumnya itu dengan diberikan segala dalil bukti. Baginda juga telah menunjukkan kepada mereka mukjizat untuk membuktikan kenabian baginda. Cuma kita tidak tahu apakah mukjizat yang baginda tunjukkan.

Begitulah juga kita dalam dakwah dan dalam mengajar, hendaklah diberikan dalil dan bukti yang jelas. Jangan cakap kosong sahaja, tanpa diberikan bukti yang sahih, seperti yang banyak dilakukan oleh ustaz-ustaz negara ini – banyak cerita dongeng sahaja. Malangnya ramai pula yang percaya dengan ustaz yang sebegitu.

 

فَأَوفُوا الكَيلَ وَالميزانَ

Oleh itu, sempurnakanlah sukatan dan timbangan,

Sekarang disebut tentang masalah jual beli. Lihatlah hebatnya dan lengkap agama Islam ini, tentang jual beli pun ada disebut di dalam Kitab-Nya. Ini kerana hak-hak hendaklah dijaga sepenuhnya. Sebelum ini telah disebut hak Allah ﷻ iaitu mesti sembah dan menghambakan diri kepada Allah ﷻsahaja. Selain daripada hak Allah ﷻ ada juga hak antara hamba.

Ini seperti yang disebut sekarang. Takaran dan timbangan hendaklah dipenuhi seperti yang sepatutnya. Kalimah الكَيلَ merujuk kepada takaran atau kuantiti seperti cupak, gantang manakala kalimah الميزانَ untuk timbangan berat. Di sini Allah ﷻ mengajar kita untuk menyempurnakan sukatan dan timbangan dalam jual beli. Jangan kurangkan sukatan dan timbangan apabila jual barang kepada manusia. Kaum Nabi Syuaib عليه السلام telah melanggar kedua-dua hak Allah ﷻ dan hak sesama manusia.

Ringkasnya, bukan timbangan sahaja yang perlu dijaga tetapi semua perkara dalam perniagaan termasuk servis yang tidak boleh ditimbang. Jangan menipu dalam perniagaan. Ini banyak kita tahu terjadi dalam masyarakat. Untuk mendapatkan keuntungan yang lebih, ramai yang menipu dalam perniagaan. Tidak kiralah sama ada menjual barang yang murah di pasar tani atau menjual kapal selam yang berharga berbilion ringgit. Apabila ada peluang untuk menipu, ramai manusia yang mengambil peluang itu. Ini tidak patut langsung dan Allah ﷻ benci perbuatan itu.

 

وَلا تَبخَسُوا النّاسَ أَشياءَهُم

dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia akan haknya; 

Berilah apa yang sepatutnya pembeli dapat. Jika sepatutnya mereka mendapat sekilo, berilah sekilo, jangan kurang. Jika mereka sepatutnya mendapat kualiti seperti yang dijanjikan, berilah kualiti itu. Jangan tipu dengan kata hendak diberikan gred A, tetapi diberikan kualiti yang gred B sahaja.

Perkara ini amat penting sampaikan ada disebut dalam surah yang lain. Sila lihat [ Mutaffifin: 1-3 ]

وَيلٌ لِلمُطَفِّفينَ

Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang curang

الَّذينَ إِذَا اكتالوا عَلَى النّاسِ يَستَوفونَ

(iaitu) orang-orang yang apabila menerima timbangan daripada orang lain, mereka minta dipenuhi,

وَإِذا كالوهُم أَو وَزَنوهُم يُخسِرونَ

dan apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka mengurangi.

Malangnya, lihatlah bagaimana masalah kaum Nabi Syuaib عليه السلام ini sampai sekarang masih berlaku lagi. Maka, kitalah yang seharusnya menjadi pemangkin untuk mengubah perkara ini semampu yang kita boleh. Kita jangan sekali-kali mengurangkan takaran dan timbangan kepada manusia. Ini kerana kalau kita buat, ia tidak selesai kepada kita sahaja, tetapi diikuti oleh orang lain juga. Maka, kalau kita bersikap jujur dalam perniagaan kita, in sha Allah akan ada yang ikut kita.

 

وَلا تُفسِدوا فِي الأَرضِ بَعدَ إِصلٰحِها

dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi sesudah Allah menjadikannya (makmur teratur) dengan sebaik-baiknya. 

Jangan buat kerosakan di mukabumi dengan menderhakai syariat selepas syariat itu diperbaiki oleh para Nabi dengan ajar syariat kepada manusia.

Malangnya manusia selalu menipu orang lain. Lihatlah bagaimana sekarang susah kita hendak mempercayai mekanik yang memperbaiki kereta kita. Kita tidak dapat memastikan yang mereka membuat kerja dengan jujur, dan beritahu perkara yang benar kepada kita. Kadang-kadang kalau kita bawa kereta ke tempat lain, kita diberitahu perkara lain pula yang rosak, sampaikan kita tidak tahu siapakah yang kita boleh percaya.

Mereka pula mengambil kesempatan dengan pengetahuan mereka tentang kereta untuk menipu orang yang tidak tahu. Mereka menggunakan istilah yang kita tidak faham. Kalau mereka tidak jujur, mereka kena jawab di hadapan Allah ﷻ nanti kerana penipuan mereka.

 

ذٰلِكُم خَيرٌ لَّكُم إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman.

Sekiranya manusia mengikut undang-undang yang Allah ﷻ telah tetapkan di atas dalam perniagaan dan dalam perkara-perkara lain, itu adalah kebaikan untuk mereka dan mereka akan mendapat keuntungan di dunia dan di akhirat.


 

A’raf Ayat 86:

وَلا تَقعُدوا بِكُلِّ صِرٰطٍ توعِدونَ وَتَصُدّونَ عَن سَبيلِ اللَّهِ مَن ءآمَنَ بِهِ وَتَبغونَها عِوَجًا ۚ وَاذكُروا إِذ كُنتُم قَليلًا فَكَثَّرَكُم ۖ وَانظُروا كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ المُفسِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not sit on every path, threatening and averting from the way of Allāh those who believe in Him, seeking to make it [seem] deviant. And remember when you were few and He increased you. And see how was the end of the corrupters.

MALAY

“Dan janganlah kamu duduk pada tiap-tiap jalan lalu-lalang, dengan menakut-nakutkan dan menghalangi orang-orang yang beriman dari melalui jalan Allah, dan kamu pula menghendaki supaya jalan Allah itu bengkok terpesong. Dan ingatlah semasa kamu dahulu sedikit bilangannya lalu Allah menjadikan kamu kembang ramai, serta perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang berbuat kerosakan.

 

وَلا تَقعُدوا بِكُلِّ صِرٰطٍ توعِدونَ

“Dan janganlah kamu duduk pada tiap-tiap jalan lalu-lalang, dengan menakut-nakutkan

Ini adalah satu lagi sifat buruk kaum Nabi Syuaib عليه السلام, mereka suka duduk di jalanan tempat orang lalu lalang dan menyamun orang dan menakutkan orang beriman dengan duduk di jalan orang beriman lalu.

Maka, ini merupakan isyarat supaya orang Islam jangan duduk bersidai di jalanan. Ini banyak sekali dilakukan oleh orang kita. Sama ada tua atau muda. Mereka berkumpul di jalanan sama ada di kampung ataupun di bandar dan melihat-lihat sahaja orang lalu lalang. Kalau ada yang menarik perhatian mereka, mereka akan tegur dan usik. Sampai orang takut hendak melalui jalan itu. Ini sudah menyusahkan orang. Tiada kerja lain lagi kah?

Penjahat daripada kaum Madyan itu duduk di jalanan dan mengganggu orang yang hendak beriman dan jumpa Nabi Syuaib عليه السلام. Mereka memberikan amaran supaya jangan beriman dengan baginda. Ini kerana orang jahat tidak suka kalau orang beriman mahu beriman. Pada mereka hidup mereka akan menjadi susah untuk berbuat jahat lagi kalau ramai orang yang menjadi baik.

Oleh hal yang demikian, perbuatan ini sangatlah buruk dan sama sahaja seperti perbuatan Iblis dan syaitan seperti disebut di awal surah ini di ayat 16.

قالَ فَبِما أَغوَيتَني لَأَقعُدَنَّ لَهُم صِرٰطَكَ المُستَقيمَ

Iblis menjawab: “Kerana Engkau telah sesatkan aku, aku benar-benar akan duduk (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus,

Cuma bezanya syaitan ini duduk berterusan kerana tidak ada kerja lain. Ini kerana ada penambahan (taukid) huruf ل dan syaddah pada huruf ن di hujung kalimah لَأَقعُدَنَّ. Manusia tidaklah begitu sebab ada kerja lain, hendak kena makan dan sebagainya. Namun ini mengajar kita yang syaitan itu sentiasa akan menghasut kita.

Bagaimanakah dengan kita? Adakah kita menghalang orang dari jalan Allah ﷻ? Anda mungkin rasa tidak, bukan? Namun sekiranya anda menganjurkan program-program yang lagha dan membuang masa, tidakkah ini secara tidak langsung menghalang orang dari jalan Allah ﷻ?

Bagaimana pula dengan mereka yang menghalang manusia daripada belajar tadabbur Al-Qur’an dan Sunnah? Bukankah ramai yang menghalang asatizah Sunnah daripada mengajar kepada masyarakat? Dengan berbagai-bagai cara mereka lakukan seperti tidak diberikan tauliah, ditohmah dengan berbagai-bagai tohmahan yang buruk, ditangkap dan sebagainya.

 

وَتَصُدّونَ عَن سَبيلِ اللَّهِ مَن ءآمَنَ بِهِ

dan menghalangi orang-orang yang beriman daripada melalui jalan Allah,

Ini adalah larangan supaya jangan duduk di jalan untuk menakutkan orang beriman. Mereka mengganggu sampai menghalang mereka untuk kekal di jalan Allah ﷻ. Orang jahat daripada kaum Nabi Syuaib عليه السلام memberi amaran serta melarang kaumnya daripada beriman dengan Nabi Syuaib عليه السلام. Sudahlah mereka samun orang yang di jalanan, mereka larang pula orang lain daripada beriman dengan Nabi Syuaib عليه السلام.

 

وَتَبغونَها عِوَجًا

dan kamu pula menghendaki supaya jalan Allah itu bengkok terpesong. 

Mereka mencari jalan untuk membengkokkan jalan Allah ﷻ. Mereka menyebabkan orang lain nampak agama Allah ﷻ sampai tidak molek, bengkang bengkok. Mereka bertanya soalan-soalan yang menyebabkan orang tidak percaya kepada agama. Mereka akan cuba menimbulkan persoalan serta rasa ragu-ragu dalam hal agama.

 

وَاذكُروا إِذ كُنتُم قَليلًا فَكَثَّرَكُم

Dan ingatlah semasa kamu dahulu sedikit bilangannya lalu Allah menjadikan kamu berkembang ramai,

Allah ﷻ menyeru mereka kepada iman dengan mengingatkan mereka kepada nikmat yang telah diberikan-Nya: ingatlah dulu kamu sedikit sahaja, tetapi Allah ﷻ telah meramaikan kamu. Dahulu daerah mereka tidak ramai orang, namun dengan rezeki perniagaan, orang ramai datang untuk bermuamalah dan penduduk mereka bertambah dan menjadi ramai. Allah ﷻ telah menguatkan mereka dengan cara ekonomi.

Kita manusia memang suka kalau duduk beramai-ramai terutama sekali dengan ahli keluarga kerana kita ini adalah makhluk bersosial. Maka, Allah ﷻ memberikan nikmat ada keluarga. Mulanya dengan seorang, kemudian berkahwin. Kemudiannya mendapat anak-anak dan kemudiannya bercucu pula. Inilah nikmat yang amat besar.

Maka, kita amat kasihan kalau ada yang tidak ada anak-anak untuk menemani mereka di usia yang tua. Malang bagi orang yang tidak mahu ada anak kerana kononnya akan hidup susah. Mereka akan menyesal di usia tua mereka nanti dan waktu itu tidak boleh berbuat apa lagi. Mungkin duduk di rumah orang tua sahaja supaya dapat bersama dengan orang lain yang juga sudah tua.

 

وَانظُروا كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ المُفسِدينَ

perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang berbuat kerosakan.

Perbuatan mereka itu tidak akan dibiarkan begitu sahaja. Lihatlah bagaimana kaum-kaum yang terdahulu daripada mereka yang telah melawan Rasul mereka, bagaimana keadaan mereka setelah diberikan azab daripada Allah ﷻ. Ini adalah ancaman kepada mereka. Allah ﷻ suruh kita kenangkan semula.

Allah ﷻ menggunakan kalimah كيف (bagaimana) azab dikenakan kepada penentang kebenaran. Allah ﷻ tidak sebut ‘bila’ dan ‘di mana’ kerana itu tidak penting. Ramai yang sibuk hendak tahu sejarah kaum-kaum yang telah dimusnahkan itu. Namun, itu semua tidak penting. Yang penting adalah bagaimana kemusnahan telah dikenakan kepada mereka. Dan yang lebih penting ‘kenapa’ mereka dimusnahkan.

Sebagai contoh kita lihat ramai sibuk dengan Egyptology iaitu ilmu tentang kehidupan Firaun dan zaman mereka. Pelbagai perkara dikaji seperti piramid, bahasa dan cara pemerintahan mereka. Namun tidaklah dikaji tentang kenapa mereka itu dimusnahkan. Hanya orang Islam sahaja yang mengambil tahu akan hal ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 14 Oktober 2022

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Tafsir Surah al-A’raf Ayat 75 – 80 (Kisah Nabi Luth عليه السلام)

PENOLAKAN KAUM NABI SALEH عليه السلام

A’raf Ayat 75: Dalam kalangan Kaum Tsamud itu, ada kumpulan yang beriman dan ada yang kufur. Dua ayat selepas ini adalah dialog di antara kedua-duanya.

قالَ المَلَأُ الَّذينَ استَكبَروا مِن قَومِهِ لِلَّذينَ استُضعِفوا لِمَن ءآمَنَ مِنهُم أَتَعلَمونَ أَنَّ صٰلِحًا مُّرسَلٌ مِّن رَّبِّهِ ۚ قالوا إِنّا بِما أُرسِلَ بِهِ مُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Said the eminent ones who were arrogant among his people to those who were oppressed – to those who believed among them, “Do you [actually] know that Ṣāliḥ is sent from his Lord?” They said, “Indeed we, in that with which he was sent, are believers.”

MALAY

Ketua-ketua yang sombong takbur dari kaumnya berkata kepada orang-orang yang dipandang lemah iaitu orang-orang yang telah beriman di antara mereka: “Adakah kamu pasti bahawa Soleh itu diutus dari Tuhannya?” Mereka menjawab: “Sesungguhnya kami beriman kepada apa yang ia diutus untuk menyampaikannya”.

 

قالَ المَلَأُ الَّذينَ استَكبَروا مِن قَومِهِ

Ketua-ketua yang sombong takbur daripada kaumnya berkata

Sekali lagi, yang berbuat onar itu adalah ketua-ketua kaum yang ada kuasa, ada kekayaan dan ada pengaruh. Mereka itu sombong untuk terima kebenaran.

Di sini Allah ﷻ tidak sebut mereka kufur walaupun memang mereka kufur. Namun Allah ﷻ sebut mereka sombong. Maka, di sini kita dapat tahu yang manusia menjadi kufur kerana sombong di mana mereka berasa diri mereka besar, lebih pandai dan tidak memerlukan wahyu lagi.

Kita selalu dengar sombong, sombong. Namun apakah ia? Sombong ada dua jenis. Satu jenis sombong seperti Kaum Tsamud ini. Mereka berasa diri mereka sudah besar, lebih bijak pandai, lebih berilmu. Oleh sebab itu, apabila Nabi Saleh عليه السلام menyampaikan dakwah kepada mereka, mereka tidak mahu dengar. Orang sombong jenis begini selalu sahaja kita jumpa. Terutama mereka yang sudah banyak belajar agama sekian lama, apabila kita sampaikan ajaran wahyu kepada mereka, mereka tidak mahu terima.

Satu lagi sombong adalah rasa diri lebih hebat daripada orang lain. Mereka berasa mereka lebih kaya, lebih kuat, lebih baik keturunan, bangsa dan lain-lain. Ini pun memang bahaya.

Begitu juga dengan kita yang sudah belajar ini mungkin ada sedikit sebanyak berasa lebih pandai daripada orang lain, bukan? Maka kenalah jaga hati. Kita hendaklah sentiasa berhati-hati dan harus mempunyai rasa rendah diri. Jika ilmu kita banyak pun, ini kerana Allah ﷻ yang berikan kepada kita kerana kita dulupun yang belajar daripada orang lain juga. Jangan sesekali memandang rendah terhadap orang lain yang belum pandai. Entah apabila dia terima agama dan dia belajar, mungkin dia lebih pandai daripada kita. Maka jangan sombong.

 

لِلَّذينَ استُضعِفوا لِمَن ءآمَنَ مِنهُم

kepada orang-orang yang dipandang lemah iaitu orang-orang yang telah beriman di antara mereka:

Maka telah berkata golongan pembesar yang sombong itu kepada golongan yang lemah dan yang sudah beriman. Maka, ada dua sifat di situ: lemah dan beriman. Ini kerana ada juga yang lemah dan tidak beriman. Tidaklah dalam semua zaman, semua yang lemah itu akan beriman. Cuma, yang selalu terjadi, ramai dalam kalangan yang beriman itu adalah mereka yang lemah.

Dari segi bahasa, kalimah استَكبَروا (mereka telah sombong) adalah dalam bentuk aktif; maksudnya mereka sendiri yang melakukannya. Sedangkan kalimah استُضعِفوا (dipandang lemah) pula adalah sifat orang yang beriman di dalam bentuk pasif di mana mereka dipandang lemah oleh orang-orang kafir itu. Orang kafir itulah yang memandang orang beriman itu lemah. Sedangkan tidak ada apa-apa masalah pun dengan mereka. Namun, biasalah orang kaya, suka sahaja hendak memandang rendah kepada orang yang kurang daripadanya.

 

أَتَعلَمونَ أَنَّ صٰلِحًا مُّرسَلٌ مِّن رَّبِّهِ

“Adakah kamu pasti bahawa Saleh itu diutus daripada Tuhannya?”

Mereka bertanya kepada golongan yang lemah itu, adakah mereka benar-benar yakin dan pasti yang Nabi Saleh عليه السلام itu benar-benar seorang Rasul? Ini adalah cubaan untuk menimbulkan keraguan dalam diri orang beriman itu. Sama seperti orang kita cuba hendak melemahkan pegangan orang lain, mereka akan berkata: “Bagaimana kamu tahu yang dia itu benar?”

Sama juga seperti orang ateis yang tidak percayakan Tuhan, mereka akan bertanya kepada orang yang ada agama dan percaya Tuhan: “Kau percaya ada orang yang boleh bercakap dengan satu entiti yang tinggal di langit?”

Bagaimanakah jawapan kita kepada soalan sebegitu?

 

قالوا إِنّا بِما أُرسِلَ بِهِ مُؤمِنونَ

Mereka menjawab: “Sesungguhnya kami beriman kepada apa yang dia diutus untuk menyampaikannya”.

Orang yang beriman itu telah menjawab: Segala wahyu yang disampaikan oleh Nabi Saleh عليه السلام itu, kami beriman. Mereka berkata dengan penuh keyakinan.

Begitulah juga kita kalau ada orang yang mempersoalkan kewujudan Allah ﷻ, kita kena jawab dengan penuh yakin, yang kita percaya kepada kewujudan Allah ﷻ itu. Jika dia tidak percaya, maka itu terpulang kepada dirinya sendiri dan dia sendiri yang akan menanggung di atas penolakannya itu. Namun kita mestilah yakin dengan pegangan kita. Jangan terkesan dengan kata-kata manusia yang hendak menimbulkan keraguan itu.

Lihatlah bagaimana orang beriman daripada umat Nabi Saleh عليه السلام itu menjawab dengan penuh yakin. Maksudnya mereka tidak takut dengan pembesar. Begitulah apabila iman sudah meresap masuk ke dalam hati, tidak ada lagi rasa takut terhadap manusia. Kita lebih takut dengan Allah ﷻ. Manusia walaupun ada kedudukan dan kuasa, mereka tidak boleh berbuat apa-apa tanpa keizinan Allah ﷻ. Walaupun mereka memberi ancaman untuk menangkap dan penjarakan kita, sakiti kita, bunuh kita, namun tetaplah di atas iman kerana kita akan bertemu dengan Allah ﷻ akhirnya dan akan mendapat balasan besar di atas keyakinan kita di atas agama.

Semoga kita mendapat iman ini. Mungkin belum ada lagi agaknya. Sekarang ramai takut sangat orang gelar dia sebagai ‘wahabi’. Atau orang pandang dia pelik kerana mengamalkan sunnah. Baru orang cakap sahaja sudah gerun, bagaimana hendak dakwah orang lain? Maknanya iman belum kuat lagi dan iman boleh ditingkatkan dengan ilmu.


 

A’raf Ayat 76: Kata-kata jawapan daripada golongan beriman itu tidak memberi kesan langsung kepada orang kafir yang telah kaya itu.

قالَ الَّذينَ استَكبَروا إِنّا بِالَّذي ءآمَنتُم بِهِ كٰفِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Said those who were arrogant, “Indeed we, in that which you have believed, are disbelievers.”

MALAY

Orang-orang yang sombong takbur itu berkata: “Sesungguhnya kami tetap ingkar akan orang yang kamu beriman kepadanya”.

 

Para pembesar itu tetap ingkar dengan dakwah tauhid yang dibawa oleh Nabi Saleh عليه السلام. Walaupun setelah diberikan dengan berbagai dalil daripada Nabi Saleh عليه السلام dan bukti-bukti kenabian baginda, mereka tetap juga engkar.

Apabila digunakan lafaz بِالَّذي dalam ayat ini, itu bermakna mereka tahu apakah yang dibawa oleh Nabi Saleh عليه السلام. Ini kerana jika mereka tidak tahu, lafaz yang digunakan adalah ما sahaja. Maka ini membuktikan yang mereka bukanlah jahil, tetapi mereka ingkar sahaja.


 

A’raf Ayat 77:

فَعَقَرُوا النّاقَةَ وَعَتَوا عَن أَمرِ رَبِّهِم وَقالوا يٰصٰلِحُ ائتِنا بِما تَعِدُنا إِن كُنتَ مِنَ المُرسَلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So they hamstrung the she-camel and were insolent toward the command of their Lord and said, “O Ṣāliḥ, bring us what you promise us, if you should be of the messengers.”

MALAY

Maka mereka pun menyembelih unta itu, dan mereka menderhaka terhadap perintah Tuhan mereka, sambil berkata: “Hai Soleh! Datangkanlah azab yang engkau telah janjikan kepada kami, jika betul engkau dari Rasul-rasul yang diutus (oleh Allah)”.

 

فَعَقَرُوا النّاقَةَ

Maka mereka pun menyembelih unta itu,

Kaum Tsamud telah diberikan dengan mukjizat unta betina. Unta itu mereka sendiri yang minta sebagai bukti. Namun akhirnya mereka sembelih unta mukjizat itu. Setelah unta tersebut hidup bersama mereka cukup lama dalam kalangan mereka, dan mereka semakin hebat dalam mendustakan Nabi Saleh عليه السلام, maka mereka bertekad untuk membunuh unta betina itu dengan tujuan agar bahagian airnya dapat mereka peroleh setiap harinya – tidaklah lagi berkongsi air dengan unta itu kerana hari unta itu minum, mereka mereka tidak dapat minum air.

Ada kisah yang menyebut dua orang wanita menawarkan diri mereka kepada sesiapa yang berani membunuh unta itu. Ini kerana asalnya walaupun mereka semua benci kepada unta itu, tetapi mereka takut juga untuk membunuhnya kerana takut balasan azab daripada Allah ﷻ.

Menurut suatu pendapat, mereka semuanya sepakat untuk mem­bunuh unta betina itu. Qatadah رحمه الله mengatakan: “telah sampai kepadaku suatu kisah yang mengatakan bahwa lelaki yang membunuh unta itu terlebih dahulu berkeliling menemui semua kaumnya untuk memperoleh persetujuan dalam membunuh unta itu; yang dimintai persetujuan termasuk kaum wanita yang berada di dalam khemah-khemah dan juga anak-anak.”

Maka perbuatan membunuh unta itu disandarkan kepada keseluruhan kabilah, walaupun  yang membunuhnya adalah seorang lelaki sahaja kerana mereka semuanya setuju dengan perbuatannya. Kisah ini juga disebut dalam [ Syams: 12 ].

 

وَعَتَوا عَن أَمرِ رَبِّهِم

dan mereka menderhaka terhadap perintah Tuhan mereka,

Mereka telah menderhaka arahan Allah ﷻ. Lafaz عَتَوا berasal daripada katadasar ع ت و yang bermaksud melawan jenis hendak menunjuk mereka melawan. Ini kerana ada juga jenis melawan tetapi di belakang sahaja. Namun mereka ini memang melawan dengan cara berdepan. Sengaja hendak menunjuk yang mereka tidak suka dan berani.

Allah ﷻ menggunakan kalimah ربّ (Tuhan yang mencipta dan memelihara) di dalam ayat ini. Kalimah ini hendak menekankan yang Allah ﷻ telah berikan segalanya kepada mereka akan tetapi mereka tetap derhaka juga kepada-Nya.

 

وَقالوا يٰصٰلِحُ ائتِنا بِما تَعِدُنا إِن كُنتَ مِنَ المُرسَلينَ

dan mereka berkata: “Hai Saleh! Datangkanlah azab yang engkau telah janjikan kepada kami, jika betul engkau daripada Rasul-rasul yang diutus

Lihatlah betapa kurang ajarnya mereka. Mereka telah membunuh unta mukjizat itu walaupun mereka tahu ada amaran daripada Allah ﷻ tentang larangan mengganggu unta itu. Namun mereka lakukan juga dan mereka kata bawalah kepada mereka azab itu.

Setelah mereka melakukan hal tersebut dan penyembelihan unta betina itu telah selesai mereka kerjakan, beritanya sampai kepada Nabi Saleh عليه السلام. Maka Nabi Saleh عليه السلام mendatangi mereka di saat mereka sedang berkumpul. Ketika Nabi Saleh عليه السلام melihat bahawa unta betina itu telah disembelih, baginda menangis dan berkata, seperti yang dikisahkan oleh firman-Nya:

تَمَتَّعُوا فِي دَارِكُمْ ثَلاثَةَ أَيَّامٍ

Bersuka rialah kalian di rumah kalian selama tiga hari. [ Hud: 65 ], hingga akhir ayat.

Akan tetapi mereka tidak takut, malah mereka menganjing Nabi Saleh عليه السلام untuk membawakan azab itu dengan kadar segera. Pembunuhan unta tersebut terjadi pada hari Rabu. Pada petang harinya kesembilan orang lelaki yang telah membunuh unta itu telah bertekad akan membunuh Nabi Saleh عليه السلام pula. Mereka mengatakan, “Jika dia benar, maka bererti kita mendahuluinya mati sebelum kita mati (kerana azab). Jika dia dusta, maka kita timpakan kepadanya nasib yang sama seperti yang dialami untanya itu.” Ini disebut dalam [ Naml: 50 ].


 

NASIB KAUM NABI HUD عليه السلام

A’raf Ayat 78: Inilah balasan yang dikenakan kepada mereka.

فَأَخَذَتهُمُ الرَّجفَةُ فَأَصبَحوا في دارِهِم جٰثِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So the earthquake seized them, and they became within their home [corpses] fallen prone.

MALAY

Oleh itu, mereka pun dibinasakan oleh gempa bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.

 

فَأَخَذَتهُمُ الرَّجفَةُ

Oleh itu, mereka pun dibinasakan oleh gempa bumi,

Kerana kesalahan mereka itu, mereka telah ditimpa dengan gegaran dan tempikan. Gegaran itu dari bumi, dan tempikan itu dari langit. Ia menyebabkan kekacauan yang amat sangat, dahsyat sekali. Maknanya mereka terima azab dari atas dan bawah. Tempikan itu tidak disebut di sini tetapi ada disebut di dalam [ Hijr: 83 ].

فَأَخَذَتهُمُ الصَّيحَةُ مُصبِحينَ

Maka mereka dibinasakan oleh suara keras yang mengguntur (guruh) di waktu pagi,

 

فَأَصبَحوا في دارِهِم جٰثِمينَ

lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.

Gegaran dan tempikan itu telah mematikan mereka dan mereka jatuh sendiri dalam runtuhan rumah mereka, dalam keadaan mereka menyembah bumi. Keras kaku di situ tidak dipedulikan oleh sesiapa. Kalimah فَأَصبَحوا bermaksud ‘menjadilah mereka’.

Lafaz فَأَصبَحوا juga boleh bermaksud mereka jadi begitu apabila waktu subuh datang. Semua rumah mereka hancur. Lafaz جاثِمينَ asalnya digunakan untuk burung yang sudah tidak boleh terbang lagi, kerana sakit, hanya duduk di tanah sahaja. Memberi gambaran bahawa kaum Tsamud itu jatuh bergelimpangan di atas tanah sahaja.

Mayat mereka bergelimpangan. Di awal kisah mereka telah disebut bagaimana mereka diberikan kelebihan duduk di rumah yang hebat. Namun sekarang, disebut tentang mereka tidak ada kuasa langsung dan mereka mati dalam keadaan hina dina di rumah mereka yang hebat itu.

Rasulullah ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم pernah melalui kawasan ini.

إِنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ قَالَ مَرَرْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى الْحِجْرِ فَقَالَ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَدْخُلُوا مَسَاكِنَ الَّذِينَ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ إِلَّا أَنْ تَكُونُوا بَاكِينَ حَذَرًا أَنْ يُصِيبَكُمْ مِثْلُ مَا أَصَابَهُمْ ثُمَّ زَجَرَ فَأَسْرَعَ حَتَّى خَلَّفَهَا

Abdullah bin ‘Umar ضي الله عنهما menceritakan: (Pada tahun ke 9 Hijri ketika dalam perjalanan ke Tabuk untuk mempertahankan Madinah daripada kemungkinan serangan tentera Rom) kami melalui kawasan al-Hijr (negeri kaum Tsamud yang dimusnahkan Allah ﷻ) bersama Rasulullah ﷺ. Baginda lantas bersabda: “JANGAN KALIAN MASUK KE NEGERI KAUM YANG MENZALIMI DIRI MEREKA SENDIRI (YANG AKHIRNYA DIMUSNAHKAN ALLAH ﷻ) MELAINKAN DALAM KEADAAN MENANGIS BIMBANGKAN AZAB YANG PERNAH MENIMPA MEREKA AKAN TURUT MENIMPA KALIAN.” Kemudian baginda mempercepatkan langkahnya sehingga meninggalkan tempat itu.

(Sahih al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini mengajar kita yang tempat itu bukanlah tempat untuk dilawati. Dan kalau terpaksa lalu pun, mesti menangis. Allah ﷻ kekalkan tempat sebegitu supaya menjadi peringatan dan pengajaran kepada manusia.


 

A’raf Ayat 79:

فَتَوَلّىٰ عَنهُم وَقالَ يٰقَومِ لَقَد أَبلَغتُكُم رِسالَةَ رَبّي وَنَصَحتُ لَكُم وَلٰكِن لّا تُحِبّونَ النّٰصِحينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And he [i.e., Ṣāliḥ] turned away from them and said, “O my people, I had certainly conveyed to you the message of my Lord and advised you, but you do not like advisors.”

MALAY

Maka Nabi Saleh pun meninggalkan mereka sambil berkata: “Wahai kaumku! Aku telah menyampaikan kepada kamu perutusan Tuhanku, dan aku telah memberi nasihat kepada kamu, tetapi kamu tidak suka kepada orang-orang yang memberi nasihat”.

 

فَتَوَلّىٰ عَنهُم

Maka dia (Nabi Saleh) pun meninggalkan mereka

Seperti yang telah diberitahu sebelum ini, Allah ﷻ menyelamatkan orang beriman daripada dikenakan dengan azab itu. Mereka diperintahkan untuk menyelamatkan diri mereka. Mereka diberitahu oleh malaikat yang tempat mereka akan dikenakan dengan azab dan mereka dibawa pergi dari situ.

 

وَقالَ يٰقَومِ لَقَد أَبلَغتُكُم رِسالَةَ رَبّي

sambil berkata: “Wahai kaumku! Aku telah menyampaikan kepada kamu perutusan Tuhanku, 

Lihatlah adab Nabi Saleh عليه السلام. Setelah mereka mati pun baginda masih lagi memanggil mereka dengan gelaran yang baik: ‘Wahai kaumku’.

Nabi Saleh عليه السلام memberitahu yang baginda telah menyampaikan wahyu daripada Tuhan kepada mereka. Mungkin Nabi Saleh عليه السلام berkata sendirian sahaja, selepas mereka dihancurkan. Ini adalah sebagai madah sahaja, mengenangkan kekesalan di atas perkara yang telah berlaku. Atau mungkin sebelum mereka dikenakan dengan azab. Tapi cuma dari bahasa yang digunakan, ia selepas mereka telah dimusnahkan.

Ungkapan ini merupakan kecaman daripada Nabi Saleh عليه السلام terhadap kaumnya setelah Allah ‎ﷻ memusnahkan mereka kerana menentangnya, membangkang terhadap perintah Allah ‎ﷻ, serta takabbur tidak mahu menerima kebenaran, dan berpaling daripada petunjuk menuju kepada kehancuran. Nabi Saleh عليه السلام mengatakan demikian kepada mereka setelah mereka dibinasakan sebagai kecaman dan cemuhan, kerana mereka memang mendengarnya walaupun mereka sudah mati.

Jangan pula dijadikan dalil untuk mengatakan yang orang yang sudah mati mendengar suara mereka yang hidup. Ini adalah mukjizat yang Allah ‎ﷻ berikan pada waktu itu sahaja, dan kejadian yang sama seperti yang diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ seperti yang disebutkan di dalam kitab Sahihain, bahawa ketika Rasulullah ﷺ beroleh kemenangan dalam Perang Badar, maka baginda tinggal di Badr selama tiga hari.

Setelah itu baginda memerintah­kan agar unta kenderaannya dipersiapkan untuk berangkat; hal ini terjadi setelah tiga malam berlangsung, iaitu pada penghujungnya. Rasulullah ﷺ menaiki unta kenderaannya dan berjalan sampai di sumur Qulaib, lalu berhenti berdekatannya dan bersabda:

يَا أَبَا جَهْلِ بْنَ هِشَامٍ، يَا عُتْبَةُ بْنَ رَبِيعَةَ، يَا شَيْبَةُ بْنَ رَبِيعَةَ، وَيَا فُلَانُ بْنَ فُلَانٍ: هَلْ وَجَدْتُمْ مَا وَعَدَ رَبُّكُمْ حَقًّا؟ فَإِنِّي وَجَدْتُ مَا وَعَدَنِي رَبِّي حَقًّا”. فَقَالَ لَهُ عُمَرُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَا تُكَلّم مِنْ أَقْوَامٍ قَدْ جُيِّفُوا؟ فَقَالَ: “وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، مَا أَنْتُمْ بِأَسْمَعَ لِمَا أَقُولُ مِنْهُمْ، وَلَكِنْ لَا يُجِيبُونَ”.

Hai Abu Jahal ibnu Hisyam, hai Atabah ibnu Rabi’ah, hai Syaibah ibnu Rabi’ah, dan hai Fulan bin Fulan, bukankah kalian sekarang telah menjumpai apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kalian sebagai suatu kenyataan. Kerana sesungguhnya aku pun telah menjumpai apa yang telah dijanjikan oleh Tuhanku kepadaku secara nyata. Maka Umar bertanya kepada Nabi ﷺ, “Wahai Rasulullah, mengapa engkau berbicara kepada orang-orang yang telah menjadi bangkai?” Rasulullah ﷺ bersabda: Demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaan-­Nya, kalian sekali-kali bukanlah orang-orang yang lebih mendengar perkataanku daripada mereka, tetapi mereka tidak dapat menjawab.

(Hadith Riwayat Sahih Muslim (2874), An-Nasai’iy (2075), Ahmad (13296))

Kita kena terima kejadian ini sebagai mukjizat waktu itu sahaja, kerana tidak ada lagi contoh lain di mana Nabi ﷺ melakukan perkara yang sama di tempat lain selepas mana-mana peperangan lain. Ramai yang keliru sampai menggunakan hadith ini sebagai dalil untuk menyatakan yang orang mati boleh mendengar, maka mereka buatlah seruan kepada ahli kubur dan sebagainya. Mereka gunakan dalil untuk buat perkara yang syirik . Ini amat malang kerana mereka tidak faham hadith ini.

 

وَنَصَحتُ لَكُم وَلٰكِن لّا تُحِبّونَ النّٰصِحينَ

dan aku telah memberi nasihat kepada kamu, tetapi kamu tidak suka kepada orang-orang yang memberi nasihat dengan ikhlas”.

Baginda juga telah memberikan nasihat yang cukup kepada mereka. Namun mereka sahaja yang tidak suka kepada yang memberi nasihat. Sama sahaja seperti orang kita jugalah, marah betul kalau kita beri nasihat dan nasihat itu tidak kena dengan apa yang mereka rasa betul.

Sebagai contoh, kalau kita kata yang amalan yang mereka lakukan itu adalah bid’ah, mereka melenting kemarahan. Sedangkan sepatutnya mereka bersyukurlah ada orang yang beri nasihat kerana kalau tidak ada yang beri nasihat, siapa lagi yang akan mengingatkan kita kalau kita buat perkara yang salah?

Ada riwayat mengatakan baginda meninggalkan tempat kediaman mereka itu bersama empat ribu pengikut baginda. Mereka telah pergi ke Yaman dan mati di situ. Namun ada juga mengatakan mereka telah pergi Mekah. Allahu a’lam.

Ayat-ayat ini banyak menceritakan kemusnahan kaum – Kaum Nabi Nuh, kaum Aad dan juga kaum Tsamud. Ayat-ayat itu dibacakan kepada Musyrikin Mekah yang sedang menolak Nabi Muhammad ﷺ. Nabi Muhammad ﷺ tidak mahukan kemusnahan kepada kaum baginda. Oleh itu, Allah ﷻ sedang memberi peringatan kepada penduduk Mekah, janganlah jadi seperti umat-umat terdahulu itu. Ini kerana Allah ﷻ boleh sahaja kenakan semua azab itu kepada mereka juga. Kalaulah Nabi Muhammad ﷺ berdoa sahaja kepada Allah ﷻ untuk memusnahkan mereka, pasti mereka akan musnah seperti kaum-kaum terdahulu itu.


 

KISAH NABI LUTH عليه السلام

A’raf Ayat 80: Sekarang kita masuk kepada kisah keempat dan kisah kelima. Kedua-dua kisah seterusnya ini adalah sebagai penerangan kepada Dakwa yang kedua: iaitu kena jaga syariat dan ikut wahyu dan jangan ikut hawa nafsu. Kisah yang keempat adalah Kisah Nabi Luth عليه السلام.

Oleh itu, ini merupakan lima kisah Nabi setelah kisah Nabi Adam عليه السلام sebelum ini. Kesemuanya ada enam kisah para Nabi – tiga yang pertama adalah untuk menjelaskan Dakwa Pertama; Kisah keempat dan kelima adalah untuk menjelaskan Dakwa Kedua dan Kisah keenam nanti untuk menjelaskan Dakwa ketiga. Seperti yang kita telah sebut, Surah al-A’raf ini ada tiga Dakwa yang hendak ditekankan.

وَلوطًا إِذ قالَ لِقَومِهِ أَتَأتونَ الفٰحِشَةَ ما سَبَقَكُم بِها مِن أَحَدٍ مِّنَ العٰلَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [We had sent] Lot when he said to his people, “Do you commit such immorality as no one has preceded you with from among the worlds [i.e., peoples]?

MALAY

Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?

 

وَلوطًا

Dan Nabi Luth 

Allah ﷻ juga telah mengutuskan Nabi Luth عليه السلام kepada satu umat. Nama penuh Luth adalah Ibnu Haran ibnu Azar. Seperti yang kita tahu, Azar adalah bapa Nabi Ibrahim عليه السلام. Oleh hal yang demikian, Nabi Luth عليه السلام adalah anak saudara Nabi Ibrahim عليه السلام. Baginda telah beriman bersama Nabi Ibrahim عليه السلام dan telah hijrah ke tanah Syam bersamanya.

Tempat asal mereka adalah di Babel, berdekatan Basrah di Iraq sekarang. Apabila Nabi Ibrahim عليه السلام dakwah kepada kaumnya, baginda ditolak dan hanya isterinya Sarah dan anak saudaranya Luth عليه السلام sahaja yang beriman. Ini disebut dalam [ Ankabut: 26 ]

فَئامَنَ لَهُ لوطٌ ۘ وَقالَ إِنّي مُهاجِرٌ إِلىٰ رَبّي

Maka Luth membenarkan (kenabian)nya. Dan berkatalah Ibrahim: “Sesungguhnya aku akan berpindah ke (tempat yang diperintahkan) Tuhanku (kepadaku)

Nabi Luth عليه السلام kemudiannya telah dilantik sebagai Nabi. Kadangkala Allah ﷻ melantik lebih daripada seorang Nabi pada satu zaman. Nabi Ibrahim عليه السلام telah berhijrah ke BaitulMaqdis manakala Nabi Luth عليه السلام pula ke Sodom berdekatan BaitulMaqdis.

Nabi Luth عليه السلام dan kaum yang baginda dakwah itu adalah daripada bangsa berlainan. Maknanya, Nabi Luth عليه السلام datang dari luar. Ia tidak sama seperti kebanyakan Nabi yang lain. Kerana itu tidak ditambah kalimah أخاهم di dalam ayat ini kerana mereka bukan kaum baginda.

Allah ﷻ mengutuskan Nabi Luth عليه السلام kepada kaum Sodom dan daerah-daerah sekitarnya untuk menyeru mereka agar menyembah Allah ﷻ, memerintahkan mengerjakan kebajikan, dan melarang mereka melakukan perbuatan mungkar. Ada 5 daerah semua sekali iaitu Sodom, Amurah, Admah, Sububim dan Bali’. Di dalam Al-Qur’an, semua tempat-tempat ini disebut mu’tafikah kerana mereka akan diterbalikkan nanti. Sodom atau Sadum ini kiranya adalah ibunegeri semua daerah itu.

Tempat itu telah mendapat nikmat daripada Allah ﷻ dengan tanah yang baik dan tanaman yang subur. Maka sudah menjadi kebiasaannya apabila manusia sudah tinggi kedudukan mereka, mereka menjadi sombong kerana merasakan diri serba cukup seperti yang disebut Allah ﷻ dalam [ Alaq: 6-7 ]

كَلَّآ إِنَّ ٱلإِنسَـٰنَ لَيَطغَىٰٓ

Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas,

أَن رَّءَاهُ ٱستَغنَىٰٓ

kerana dia melihat dirinya serba cukup.

Ketika itu kaum Sodom tenggelam di dalam perbuatan-perbuatan yang berdosa, hal-hal yang diharamkan, serta perbuatan fahisyah (keji) yang mereka adakan sendiri dan belum pernah dilakukan oleh seorang pun dalam kalangan Bani Adam dan juga oleh lainnya; iaitu mendatangi jenis laki-laki, bukannya jenis perempuan (homoseks). Perkataan ‘liwath’ (liwat) لِوَاطٌ pun sebenarnya diambil daripada nama Luth لوط. Begitu juga perkataan ‘sodomi’ yang juga membawa maksud liwat diambil daripada nama kaum dan tempat mereka iaitu Sodom.

 

إِذ قالَ لِقَومِهِ أَتَأتونَ الفٰحِشَةَ

Ingatlah ketika dia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji,

Nabi Luth عليه السلام diperintahkan oleh Allah ‎ﷻ untuk memperbaiki amalan punah kaum itu di mana orang lelaki mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu mereka – sekarang dikenali sebagai amalan homoseksual yang juga semakin berleluasa diamalkan oleh masyarakat kita. Di sini Allah ‎ﷻ tidak sebut perbuatan liwath mereka itu tetapi Allah ‎ﷻ sebut sifatnya yang buruk.

Di Malaysia, penyakit ini sudah semakin meresapi ke dalam masyarakat kita. Sekarang sudah ada nama khas untuk golongan mereka pula iaitu LGBTQ (Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender dan Queer). Golongan ini habis-habisan sibuk menyuarakan isu untuk mempertahankan ‘hak’ terkutuk mereka itu. Ia adalah satu perbuatan yang hina dan keji. Ia tidak diterima langsung oleh agama Islam. Namun gerakan mereka kuat, sampaikan kita yang menentang amalan salah ini pula yang dipandang sebagai jumud dan tidak menghormati keinginan dan hak orang lain.

Di dalam ayat ini, perbuatan serong itu disebut الفٰحِشَةَ sedangkan jikalau hanya zina sahaja, di tempat lain Allah ﷻ menggunakan kalimah فٰحِشَةَ tanpa ال. Ini memberi isyarat yang perbuatan sumbang homoseksual ini adalah lebih buruk lagi daripada zina. Walaupun perbuatan zina itu adalah haram tetapi masih normal lagi kerana ia adalah perbuatan sumbang di antara lelaki dan wanita, ia merupakan fitrah manusia. Namun bila terjadi sesama jenis, itu sudah menjadi terlalu teruk kerana di luar tabii manusia. Oleh kerana itulah hukumnya lebih keras untuk perbuatan homoseksual.

 

ما سَبَقَكُم بِها مِن أَحَدٍ مِّنَ العٰلَمينَ

yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun daripada penduduk alam ini sebelum kamu?

Dalam ayat ini, jelas menunjukkan bahawa yang pertama sekali melakukan amalan homoseksual ini adalah kaum Nabi Luth عليه السلام itu kerana sebelum itu tidak pernah ada lagi dilakukan oleh manusia. Maksudnya, amalan homoseksual ini tidak normal, ia adalah perkara yang baru.

Kenapa ia amat buruk? Kerana kadangkala manusia mengulang kesalahan  yang telah dilakukan oleh tok nenek mereka. Ini pun sudah buruk namun kita faham kenapa mereka mengikut amalan umat sebelumnya. Tetapi apabila mereka yang mula-mula reka amalan buruk, ini adalah amat teruk sekali. Mereka melakukan perkara yang melawan fitrah manusia dan tidak masuk dek akal langsung. Binatang yang tiada akal pun tidak melakukan perkara terkutuk ini.

Keduanya, sudahlah mereka yang memulakan, kemudian nanti akan diikuti pula oleh generasi selepas mereka. Maka, mereka ini sudahlah berdosa, malah menanggung juga dosa umat selepasnya yang ikut mereka.

Pada zaman sekarang, sudah merebak perbuatan homoseksual ini. Namun begitu, ia masih lagi dipandang serong oleh masyarakat. Walaupun ada gerakan untuk membebaskan pengamal ini, tetapi belum lagi sampai ke tahap itu. Gerakan itu berusaha untuk menjadikan perbuatan homoseksual ini sebagai norma, perkara biasa yang boleh diterima oleh masyarakat dan tidak dipandang salah atas nama hak asasi manusia, kononnya.

Sementara itu, pengaruh filem-filem dari Barat amat kuat sekali mengetengahkan isu ini. Dalam filem-filem tersebut, ditunjukkan bagaimana orang yang mengamalkan homoseksual ini sebagai orang normal sahaja, mereka ditindas dan dipandang serong sampai kalau kita tonton tanpa iman, kita rasa bagaikan tidak ada masalah pun dengan orang homoseksual ini. Begitu kuat pengaruh mereka sehingga filem mereka menunjukkan bahawa golongan yang menolak fahaman mereka pula yang bersalah dan berfikiran sempit serta tidak mengikut peredaran masa. Subhanallah!

Isu hak homoseksual ini menjadi begitu runcing sekali sehinggakan pening para pemimpin dunia sekarang. Mereka tidak berani untuk komen sangat berkenaan homoseksual ini kerana takut mereka hilang undi kerana pengamal homoseksual semakin ramai. Malah ada dalam kalangan pemimpin negara yang sendiri yang mengamalkan perbuatan serong ini.

Namun begitu, walau apa pun terjadi di luar sana, ingatlah yang perbuatan homoseksual adalah perbuatan yang terkeji. Ia tidak dapat diterima langsung oleh masyarakat dan lebih-lebih lagi dalam agama – sampai bila-bila. Agama mana-mana pun tidak menerima amalan LGBTQ. Agama lain mungkin boleh diubah-ubah oleh pemuka agama mereka, dan tidak ada hal bila mereka menerima kumpulan terpesong ini. Namun dalam Islam, hukum tidak sesekali boleh diubah. Allah ﷻ amat tegas dengan perkara ini. Oleh sebab itu, hukuman yang dikenakan ke atas mereka yang mengamalkan homoseksual adalah berat sekali, di mana ia terpulang kepada khalifah. Ada khalifah yang menjalankan hukuman dibuang dari atas bukit sampai mati.

Namun begitu, malang sekali apabila terdapat juga antara mereka yang bergelar imam masjid sudah mula terpengaruh dengan budaya ‘mempertahankan hak’ golongan songsang ini. Baru-baru ini, kecoh di media apabila terdapat imam di sebuah masjid di Jerman yang menyokong serta menggantung bendera LGBTQ ini di masjid mereka, pada malam Jumaat. Begitu lantang imam tersebut menyuarakan sokongannya terhadap golongan ini sambil menyeru agar Muslim lain di Berlin turut bersama beliau merestui golongan ini atas alasan ‘Cinta itu adalah Halal’!

Lihatlah betapa ‘sakit’nya masyarakat Islam mereka di sana itu. Semoga Allah ﷻ melindungi dakyah keji mereka ini daripada meresapi masuk dan mempengaruhi golongan Muslim negara kita.

Yang pasti, perbuatan ini merupakan satu penyakit dan mesti dibanteras dan dicari penawarnya. Ia adalah penyakit psikologi. Ia mengubah perkara yang normal menjadi tidak normal. Normalnya adalah seorang lelaki akan mengadakan hubungan kelamin dengan wanita, bukan dengan lelaki lain.

Penyakit ini selalunya menyerang manusia di awal usia mereka. Kadang-kadang ada kanak-kanak yang sudah ada perasaan berlainan rasa terhadap sesama jenis mereka semenjak kecil lagi. Selalunya ini terjadi apabila mereka sering melihat bahan lucah. Inilah masalah yang kita hadapi sekarang – media massa yang terlalu terbuka sampaikan benda yang tidak elok pun senang untuk didapati.

Oleh itu, sebagai ibubapa, kita hendaklah memainkan peranan kita untuk mengawal apa yang masuk ke dalam minda anak-anak kita. Kalau kita biarkan sahaja, mereka akan mudah mendapat bahan kotor dan nanti susah untuk dibersihkan. Sebagai contoh, jangan biarkan anak-anak dengan bahan media seperti komputer dan tablet tanpa kawalan. Jangan biarkan mereka menggunakannya tanpa kita dapat melihat apa yang mereka sedang lihat.

Seperti penggunaan komputer, pastikan ia ada di ruang tamu, bukan dalam bilik mereka sampaikan kita tidak tahu apa yang mereka sedang lihat. Kita kena lakukan perkara ini kerana tidak ada sesiapa pun yang terselamat daripada bahaya ini. Kalau kita buat senyap pun tentang perkara ini, ia tidak akan pergi ke mana, ia tetap ada.

Lagi satu, jangan biarkan anak-anak berkongsi selimut kerana ini akan menyebabkan mereka terbiasa dengan jantina yang sama. Tidak mustahil minat mereka cenderung pula kepada kaum sejenis nanti.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 14 Oktober 2022

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah al-A’raf Ayat 70 – 74 (Kisah Kaum Tsamud)

A’raf Ayat 70: Apakah balasan daripada kaumnya itu?

قالوا أَجِئتَنا لِنَعبُدَ اللَّهَ وَحدَهُ وَنَذَرَ ما كانَ يَعبُدُ ءآباؤُنا ۖ فَأتِنا بِما تَعِدُنا إِن كُنتَ مِنَ الصّٰدِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “Have you come to us that we should worship Allāh alone and leave what our fathers have worshipped? Then bring us what you promise us,1 if you should be of the truthful.”

  • i.e., Allāh’s punishment.

MALAY

Mereka berkata: “Adakah engkau datang kepada kami supaya kami hanya menyembah Allah semata-mata, dan meninggalkan apa yang pernah disembah oleh datuk nenek kami? (Kami tidak akan menurut) maka datangkanlah azab yang engkau janjikan kepada kami, jika betul engkau dari orang-orang yang benar”.

 

قالوا أَجِئتَنا لِنَعبُدَ اللَّهَ وَحدَهُ

Mereka berkata: “Adakah engkau datang kepada kami supaya kami hanya menyembah Allah semata-mata, 

Mereka hairan dengan ajaran tauhid daripada baginda. Mereka tidak dapat menerima yang mereka hanya boleh puja dan sembah Allah ‎ﷻ sahaja, tidak boleh tawasul (menggunakan perantaraan dalam doa) dan tidak boleh syirik. Ini menunjukkan bahawa mereka kenal Allah ‎ﷻ. Cuma mereka menyembah ilah-ilah lain selain Allah ‎ﷻ juga.

Begitu juga dengan masyarakat Arab yang kenal Allah ‎ﷻ tetapi mereka sembah Allah ‎ﷻ bersama dengan ilah-ilah dan pujaan yang lain. Ini juga tidak jauh beza dengan amalan kebanyakan daripada masyarakat kita yang tidak faham tauhid dan tidak faham maksud ilah. Mereka sangka mereka orang Islam dan beriman namun sebenarnya mereka berbuat syirik.

Begitu jugalah dengan masyarakat kita yang jahil bab tauhid dan syirik. Mereka tidak kenal apakah ilah itu kerana itu ramai yang berdoa menggunakan perantaraan seperti Nabi, wali dan malaikat. Mereka tidak tahu yang perkara itu dilarang dalam Al-Qur’an. Ini adalah kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an kerana larangan itu tidak jelas melainkan jikalau belajar tafsir dengan benar.

Kalimah أَجِئتَنا (adakah engkau datang kepada kami) adalah dalam bentuk istifham. Salah satu bentuk gaya bahasa yang digunakan Al-Quran adalah kalimat tanya atau istifham. Dalam Al-Qur’an sendiri, kalimat pertanyaan atau istifham itu memiliki banyak makna yang disesuaikan dengan konteks kalimat atau pembahasannya.

Istifham (اِسْتِفْهَامٌ) berasal daripada asal kata اِسْتَفْهَمَ yang bererti mencari atau meminta kefahaman. Mencari atau meminta kefahaman tersebut biasanya dengan bertanya. Sehingga, kata اِسْتِفْهَامٌ yang merupakan bentuk masdar daripada kata اِسْتَفْهَمَ tersebut diertikan dengan pertanyaan. Kata tersebut juga dapat diertikan dengan mencari sebuah berita. Ini adalah maksud asal. Akan tetapi bukan semua اِسْتَفْهَمَ itu hendak mendapatkan maklumat.

Kalimah أَجِئتَنا adalah jenis istifham inkari. Makna yang terkandung dalam istifham ini adalah penafian atau pengingkaran sehingga lafaz yang jatuh setelah adat al-istifham adalah sesuatu yang dinafikan.

 

وَنَذَرَ ما كانَ يَعبُدُ ءآباؤُنا

dan meninggalkan apa yang pernah disembah oleh datuk nenek kami?

Mereka tidak dapat menerima ajaran Nabi Hud عليه السلام yang mengajak mereka meninggalkan amalan dan ajaran tok nenek mereka yang dahulu kerana mereka sudah lama mengamalkannya dan mereka yakin bahawa ajaran tok nenek itu adalah benar.

Mereka rupanya menggunakan logik akal di dalam berhujah iaitu tidak mungkin tok nenek kami salah pula? Lama sudah mereka mengamalkan sekian dan sekian. Ini banyak disebut di dalam Al-Qur’an antaranya dalam [ Al-Baqarah: 170 ]

وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ ٱتَّبِعُواْ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ قَالُواْ بَل نَتَّبِعُ مَآ أَلفَينَا عَلَيهِ ءَابَآءَنَآ‌ۗ أَوَلَو كَانَ ءَابَآؤُهُم لَا يَعقِلُونَ شَيـًٔا وَلَا يَهتَدُونَ

Dan apabila dikatakan kepada mereka” Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah” mereka menjawab: “(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya”. Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara ugama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?

Begitulah juga yang dikatakan oleh Musyrikin Mekah, dan begitulah juga yang dikatakan oleh masyarakat kita. Apabila kita ajar ajaran tauhid kepada mereka, mereka bawa hujah yang amalan-amalan yang mereka amalkan itu sudah lama diamalkan oleh golongan terdahulu, jadi takkan salah? Takkan mereka semua masuk neraka?

Ini semua terjadi oleh kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an, hanya tahu baca sahaja bagaikan burung belatok. Mereka sampai tidak sedar yang hujah mereka itu sama sahaja dengan hujah kaum-kaum yang syirik yang menentang Rasul-rasul mereka.

 

فَأتِنا بِما تَعِدُنا إِن كُنتَ مِنَ الصّٰدِقينَ

maka datangkanlah azab yang engkau janjikan kepada kami, jika betul engkau daripada orang-orang yang benar”.

Ini adalah kata-kata manusia yang amat bodoh sekali. Mereka tidak percaya dengan ancaman yang dibawa oleh Nabi Hud عليه السلام, maka mereka kata: “Kalau benarlah kami akan diazab kalau kami buat syirik ini, maka bawakanlah azab yang dijanjikan itu.”

Ini adalah kata-kata ingkar yang amat bahaya sekali. Sepatutnya mereka minta diselamatkan, atau minta diberi hidayah iaitu ditunjukkan mana yang benar, tetapi sekarang mereka minta azab diturunkan terus ke atas mereka? Dan memang ada juga manusia yang kata begini sekarang pun, kerana Allah ‎ﷻ telah memberikan contoh dalam Al-Qur’an. Cuma mungkin jarang didengari kerana ia adalah kata-kata yang amat bodoh dan amat bahaya sekali.

Dalam ayat ini umat Nabi Hud عليه السلام hanya mencabar baginda, akan tetapi Musyrikin Mekah siap terus mencabar Allah ‎ﷻ seperti disebut dalam [ Anfal: 32 ]

وَإِذ قالُوا اللَّهُمَّ إِن كانَ هٰذا هُوَ الحَقَّ مِن عِندِكَ فَأَمطِر عَلَينا حِجارَةً مِّنَ السَّماءِ أَوِ ائتِنا بِعَذابٍ أَليمٍ

Dan (ingatlah), ketika mereka (orang-orang musyrik) berkata: “Ya Allah, jika betul (Al Qur’an) ini benar dari sisi Engkau, maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab yang pedih”.


 

A’raf Ayat 71:

قالَ قَد وَقَعَ عَلَيكُم مِّن رَّبِّكُم رِجسٌ وَغَضَبٌ ۖ أَتُجٰدِلونَني في أَسماءٍ سَمَّيتُموها أَنتُم وَءآباؤُكُم مّا نَزَّلَ اللَّهُ بِها مِن سُلطٰنٍ ۚ فَانتَظِروا إِنّي مَعَكُم مِّنَ المُنتَظِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Hūd] said, “Already have defilement and anger fallen upon you from your Lord. Do you dispute with me concerning [mere] names you have named them,¹ you and your fathers, for which Allāh has not sent down any authority? Then wait; indeed, I am with you among those who wait.”

  • The false objects of worship which you have called “gods.”

MALAY

Nabi Hud menjawab: “Sesungguhnya telah tetaplah kamu akan ditimpa azab dan kemurkaan dari Tuhan kamu. Adakah kamu hendak berbahas denganku mengenai nama-nama yang hanya kamu dan nenek moyang kamu menamakannya, sedang Allah tidak sekali-kali menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya? Maka tunggulah (kedatangan azab itu), sesungguhnya aku juga dari orang-orang yang turut menunggu bersama-sama kamu”.

 

قالَ قَد وَقَعَ عَلَيكُم مِّن رَّبِّكُم رِجسٌ وَغَضَبٌ

Nabi Hud menjawab: “Sesungguhnya telah tetaplah kamu akan ditimpa azab dan kemurkaan daripada Tuhan kamu.

Dalam ayat sebelum ini, kaum Nabi Hud عليه السلام mencabar baginda untuk menurunkan azab yang dijanjikan itu. Nabi Hud عليه السلام jawab bahawa memang Allah ‎ﷻ akan menimpakan bala dan kemurkaan kepada mereka nanti. Kalimah asal bagi رِجسٌ adalah najis tetapi ia digunakan untuk membawa maksud azab dan juga laknat.

Azab sudah mula dikenakan kepada mereka pun dan nanti akan ada azab yang lebih teruk lagi. Azab itu adalah azab jasmani dan juga azab rohani. Maka, tidak perlu sibuk hendak minta azab, sebab memang akan kena pun nanti.

 

أَتُجٰدِلونَني في أَسماءٍ سَمَّيتُموها أَنتُم وَءآباؤُكُم

Adakah kamu hendak berbahas denganku mengenai nama-nama yang hanya kamu dan nenek moyang kamu menamakannya,

Kemudian dikatakan kepada mereka, adakah patut mereka hendak berbantah dan berbahas dengan Nabi Hud عليه السلام dalam hal tauhid, di mana mereka mengeluarkan nama-nama ilah pujaan bathil mereka. Mereka telah mendirikan berhala sembahan mereka. Kemudian mereka sendiri menamakan berhala-berhala itu atau tok nenek mereka yang namakan.

Itu semua adalah rekaan mereka sahaja, bukan benar ada pun. Sepertimana orang kita mahu berhujah dengan nama-nama wali pujaan mereka. Mereka yang beri pangkat kepada wali itu, dan kemudian mereka berhujah dengannya pula.

Sebagai contoh, mereka kata boleh bertawasul dengan Syeikh Abdul Qadir Jalani kerana kononnya beliau itu al-Ghouth, berpangkat tinggi dan boleh menyampaikan doa kepada Allah ‎ﷻ. Bagaimana kita hendak berhujah dengan mereka, sedangkan pangkat itu mereka sendiri yang reka dan mereka sendiri yang beri? Tidak masuk dek akal langsung.

 

مّا نَزَّلَ اللَّهُ بِها مِن سُلطٰنٍ

sedang Allah tidak sekali-kali menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya?

Sedangkan pangkat-pangkat yang mereka reka itu tidak ada bukti pun daripada Allah ‎ﷻ. Seperti orang Kristian yang mengatakan Nabi Isa عليه السلام itu adalah ‘anak Allah’ – siapakah yang beri pangkat itu? Sudah tentu bukan Allah ‎ﷻ, mereka sahaja yang reka.

Begitu juga dengan pangkat wali-wali itu – siapa yang beri, adakah Allah ‎ﷻ yang memberikan kelulusan yang mengatakan Sheikh Abdul Qadir itu seorang wali? Atau Wali Songo itu semuanya wali? Siapakah yang melantik mereka dan bagaimana kita dapat kepastian itu? Mereka ada dapat wahyukah yang mengatakan individu-individu tersebut semuanya adalah wali? Sedangkan pangkat kewalian itu adalah rahsia Allah ‎ﷻ – Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu siapakah wali-Nya.

 

فَانتَظِروا إِنّي مَعَكُم مِّنَ المُنتَظِرينَ

Maka tunggulah (kedatangan azab itu), sesungguhnya aku juga daripada orang-orang yang turut menunggu bersama-sama kamu”.

Sebelum ini mereka telah meminta azab diturunkan. Maka Nabi Hud عليه السلام jawab kepada mereka: tunggulah. Ini adalah keputusan terakhir kerana setelah diberikan dengan berbagai dalil, tetapi masih degil juga lagi, tidak ada harapan lagi, maka kata kepada mereka: tunggulah.

Nabi عليه السلام pun sama-sama tunggu, sebab baginda pun hendak tahu juga apa yang akan terjadi kepada kaumnya itu. Atau, baginda menunggu untuk mendapat nikmat daripada Allah ‎ﷻ.


 

KESUDAHAN KAUM NABI HUD عليه السلام

A’raf Ayat 72: Akhirnya kaumnya itu telah dikenakan dengan azab. Namun Allah ‎ﷻ selamatkan Nabi Hud عليه السلام dan orang-orang yang beriman dengan Nabi Hud عليه السلام.

فَأَنجَينٰهُ وَالَّذينَ مَعَهُ بِرَحمَةٍ مِّنّا وَقَطَعنا دابِرَ الَّذينَ كَذَّبوا بِئآيٰتِنا ۖ وَما كانوا مُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So We saved him and those with him by mercy from Us. And We eliminated those who denied Our signs, and they were not [at all] believers.

MALAY

Maka Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya, dengan rahmat dari Kami, dan Kami (binasakan serta) putuskan keturunan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, dan mereka bukanlah orang-orang yang beriman.

 

فَأَنجَينٰهُ وَالَّذينَ مَعَهُ بِرَحمَةٍ مِّنّا

Maka Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya, dengan rahmat daripada Kami,

Apabila azab dikenakan kepada kaum Aad itu, Allah ‎ﷻ telah menyelamatkan Nabi Hud عليه السلام dan mereka yang beriman. Allah ‎ﷻ mengingatkan bahawa penyelamatan itu adalah daripada rahmat-Nya. Bukannya mereka selamat sendiri. Ini mengajar kita untuk mencari Allah ‎ﷻ untuk selamat kerana usaha kita sendiri tidak akan berjaya. Maka mestilah berharap dan berdoa kepada Allah ‎ﷻ.

Allah ‎ﷻ selamatkan mereka itu dengan rahmat-Nya. Memang kita amat berharap dengan rahmat Allah ‎ﷻ. Tidak ada harapan bagi kita jikalau tidak mendapat rahmat daripada Allah ‎ﷻ. Hendak masuk syurga pun perlukan rahmat, bukan?

Namun bagaimanakah hendak mendapatkan rahmat daripada Allah ‎ﷻ? Tentulah tidak dengan bergoyang kaki sahaja. Hendaklah taat kepada segala perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Antara lain, mestilah bertadabbur dan mengamalkan ajaran Al-Qur’an kerana ia mengandungi rahmat daripada Allah ‎ﷻ seperti disebut di dalam [ Isra’: 82 ]

وَنُنَزِّلُ مِنَ القُرآنِ ما هُوَ شِفاءٌ وَرَحمَةٌ لِلمُؤمِنينَ

Dan Kami turunkan daripada Al Qur’an suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman

Namun begitu dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ tidak pun kata ‘orang-orang beriman’ itu diselamatkan. Allah ‎ﷻ sebut yang ‘bersama’ dengan Nabi Hud عليه السلام. Ini mengajar kita bahawa orang beriman itu akan bersama Nabi mereka, beramal dan beraqidah sama dengan Nabi mereka. Bukannya mereka reka amalan yang baru, tetapi mereka ikut sunnah Nabi mereka. Maka ini mengajar kita untuk lihat amalan agama kita, adakah ia sunnah atau bid’ah?

 

وَقَطَعنا دابِرَ الَّذينَ كَذَّبوا بِئآيٰتِنا

dan Kami (binasakan serta) putuskan keturunan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami,

Allah ‎ﷻ telah memusnahkan keturunan mereka yang kufur itu hingga ke akar umbi. Maknanya, tidak tinggal baka langsung, semuanya mati, pupus terus.

Allah ‎ﷻ mengirimkan kepada mereka angin besar yang sangat dingin. Tidak ada sesuatu pun yang disentuh angin ini, melainkan pasti hancur berserakan, seperti yang disebutkan di dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{وَأَمَّا عَادٌ فَأُهْلِكُوا بِرِيحٍ صَرْصَرٍ عَاتِيَةٍ * سَخَّرَهَا عَلَيْهِمْ سَبْعَ لَيَالٍ وَثَمَانِيَةَ أَيَّامٍ حُسُومًا فَتَرَى الْقَوْمَ فِيهَا صَرْعَى كَأَنَّهُمْ أَعْجَازُ نَخْلٍ خَاوِيَةٍ * فَهَلْ تَرَى لَهُمْ مِنْ بَاقِيَةٍ}

Adapun kaum ‘Ad, maka mereka telah dibinasakan dengan angin yang sangat dingin lagi amat kencang, yang Allah menimpakan angin itu kepada mereka selama tujuh malam dan lapan hari terus-menerus; maka kamu lihat kaum ‘Ad pada waktu itu mati bergelimpangan seakan-akan mereka tunggul-tunggul pohon kurma yang telah kosong (lapuk). Maka kamu tidak melihat seorang pun yang tinggal di antara mereka.

[ Al-Haqqah: 6-8 ]

 

وَما كانوا مُؤمِنينَ

dan mereka bukanlah orang-orang yang beriman.

Mereka yang dimusnahkan itu tidak beriman langsung. Memang layak mereka dimusnahkan. Allah ‎ﷻ tidak zalim walaupun Allah ‎ﷻ membinasakan mereka. Ini adalah kerana mereka memang layak dihancurkan.

Allah ‎ﷻ mengatakan mereka tidak beriman. Mereka sahaja yang perasan mereka beriman, tetapi Allah menegaskan yang mereka tidak.

Habis Ruku’ 9 daripada 24 ruku’ dalam surah ini.


 

KISAH NABI SALEH عليه السلام

A’raf Ayat 73: Sekarang masuk kisah ketiga, iaitu kisah Nabi Saleh عليه السلام dan kaumnya Tsamud. Kita telah belajar kisah Nabi Nuh عليه السلام dan Nabi Hud عليه السلام sebelum ini.

وَإِلىٰ ثَمودَ أَخاهُم صٰلِحًا ۗ قالَ يٰقَومِ اعبُدُوا اللَّهَ ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُهُ ۖ قَد جاءَتكُم بَيِّنَةٌ مِن رَّبِّكُم ۖ هٰذِهِ ناقَةُ اللَّهِ لَكُم ءآيَةً ۖ فَذَروها تَأكُل في أَرضِ اللَّهِ ۖ وَلا تَمَسّوها بِسوءٍ فَيَأخُذَكُم عَذابٌ أَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And to the Thamūd [We sent] their brother Ṣāliḥ. He said, “O my people, worship Allāh; you have no deity other than Him. There has come to you clear evidence from your Lord. This is the she-camel of Allāh [sent] to you as a sign. So leave her to eat within Allāh’s land and do not touch her with harm, lest there seize you a painful punishment.

MALAY

Dan kepada kaum Thamud (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Saleh. Ia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, tiada ilah bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata dari Tuhan kamu; ini adalah seekor unta betina (dari) Allah sebagai keterangan bagi kamu (membuktikan kebenaranku). Oleh itu, biarkanlah unta itu mencari makan di bumi Allah, dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya; (kalau kamu menyentuhnya) maka kamu akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

 

وَإِلىٰ ثَمودَ أَخاهُم صٰلِحًا

Dan kepada kaum Tsamud (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Saleh.

Selepas hancurnya kaum Aad, dibangkitkan kaum Tsamud. Mereka telah diberikan dengan Nabi Saleh عليه السلام, iaitu dalam kalangan mereka, daripada saudara mereka juga. Baginda kenal mereka dan mereka juga kenal baginda. Mereka tahu akhlak baginda dan keturunan baginda yang baik. Maka, apabila mereka tolak juga baginda, maka ini menunjukkan yang mereka itu memang orang yang amat teruk.

Tempat kediaman Kaum Tsamud ini pernah dilalui oleh Nabi Muhammad ﷺ dan sahabat dalam perjalanan ke Tabuk. Namun Nabi ﷺ tidak membenarkan mereka duduk lama di situ. Tempat itu dikenali sebagai Madain Saleh.

وَقَالَ[الْإِمَامُ] أَحْمَدُ أَيْضًا: حَدَّثَنَا عَفَّانُ، حَدَّثَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِ بْنُ مُسْلِمٍ، حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ دِينَارٍ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ بِالْحِجْرِ: “لَا تَدْخُلُوا عَلَى هَؤُلَاءِ المعذَّبين إِلَّا أَنْ تَكُونُوا بَاكِينَ، فَإِنْ لَمْ تَكُونُوا بَاكِينَ، فَلَا تَدْخُلُوا عَلَيْهِمْ أَنْ يُصِيبَكُمْ مثلُ مَا أَصَابَهُمْ”

Imam Ahmad رحمه الله mengatakan pula, telah menceritakan kepada kami Affan, telah menceritakan kepada kami Abdul Aziz ibnu Muslim, telah menceritakan kepada kami Abdullah ibnu Dinar, daripada Abdullah ibnu Umar رضي الله عنهما yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ ketika di Al-Hajar pernah bersabda: Janganlah kalian memasuki daerah mereka yang pernah diazab itu kecuali kalian sambil menangis. Dan jika kalian tidak dapat menangis, janganlah kalian memasukinya, (sebab) dikhuatirkan kalian akan ditimpa azab seperti yang pernah menimpa mereka. 

(Hadith Riwayat Bukhari (433))

 

قالَ يٰقَومِ اعبُدُوا اللَّهَ ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُهُ

Dia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, tiada ilah bagi kamu selain daripada-Nya. 

Mesej dan pesanan yang sama seperti daripada Nabi Nuh dan Nabi Hud عليهما السلام disampaikan juga kepada kaum Tsamud. Ajaran tauhid tidak berubah, sama sahaja sepanjang zaman.

Ada dua bahagian di dalam arahan ini. Pertama ithbat dan keduanya, nafi. Ini sama seperti syahadah kita juga: la ilaaha (ini adalah nafi, menafikan tuhan lain) dan illallah (ini adalah ithbat, menetapkan Allah ‎ﷻ sebagai ilah). Maka dalam ayat ini, kalimat اعبُدُوا اللَّهَ adalah ithbat dan ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُ adalah nafi. Maka lengkaplah kalimah tauhid di dalam ayat ini.

 

قَد جاءَتكُم بَيِّنَةٌ مِن رَّبِّكُم

Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata daripada Tuhan kamu; 

Keterangan yang nyata yang dimaksudkan adalah mukjizat. Mukjizat yang diberikan adalah untuk menguatkan hujah para Rasul. Untuk menunjukkan bahawa mereka itu benar seorang Rasul. Mukjizat diberikan kepada para Rasul kerana mereka menyampaikan perkara yang besar dan berat dan kerana itu Allah ‎ﷻ beri bantuan yang lebih kepada mereka sebagai hujah.

Bagi umat Islam sekarang, sudah tidak ada mukjizat lagi kerana tidak ada Nabi lagi dalam kalangan kita. Akan tetapi di tangan kita masih ada lagi mukjizat Rasulullah ﷺ, iaitu Al-Qur’an. Sampai ke Kiamat kita boleh lihat dan pelajari mukjizat ini. Sedangkan mukjizat para Nabi yang terdahulu, kita sudah tidak dapat lihat.

Bukti yang Nabi Saleh عليه السلام bawakan adalah jelas, iaitu mukjizat. Mereka boleh lihat dengan mata kepala mereka sendiri. Oleh sebab itu, apabila mereka menolak juga nanti dakwah daripada baginda, maka tahulah kita yang mereka ini memang amat teruk sekali.

 

هٰذِهِ ناقَةُ اللَّهِ لَكُم ءآيَةً

ini adalah seekor unta betina (daripada) Allah sebagai keterangan bagi kamu

Mukjizat yang dimaksudkan adalah seekor unta yang dikeluarkan daripada bukit batu. Ia disebut ناقَةُ اللَّهِ kerana ia adalah mulia. Apabila ia disandarkan kepada Allah ‎ﷻ, maka ia adalah mulia seperti Baitullah juga disandarkan kepada Allah ‎ﷻ.

Kaum Tsamud juga yang meminta mukjizat itu daripada Nabi Saleh عليه السلام. Nabi Saleh عليه السلام telah berdakwah kepada mereka semenjak usia muda sehinggalah baginda sudah tua. Mereka sudah bosan dengan dakwah baginda dan akhirnya mereka bercadang untuk meminta sesuatu yang mustahil daripada baginda. Jika baginda tidak dapat beri, maka menanglah mereka kira-kiranya.

Mereka meminta kepada Nabi Saleh عليه السلام untuk mengeluarkan se­ekor unta betina yang unggul daripada batu besar buat mereka. Bukan sahaja itu, unta itu mestilah unta yang sudah bunting 10 bulan dan sihat. Maka Nabi Saleh عليه السلام bersetuju tetapi sebelum itu telah membuat perjanjian dan ikrar dengan mereka: Jika Allah ‎ﷻ mengabulkan permintaan mereka, maka mereka hendaklah beriman kepada Nabi Saleh عليه السلام dan benar-benar akan mengikutinya.

Setelah mereka bersedia dan memberikan janji dan ikrar mereka kepadanya, maka Nabi Saleh عليه السلام bangkit menuju ke tempat salatnya untuk salat dua rakaat dan berdoa memohon kepada Allah ‎ﷻ. Maka batu besar itu mendadak bergerak dan terbelah, kemudian keluarlah daripadanya seekor unta betina yang janinnya bergerak pada kedua sisi lambungnya (iaitu sedang mengandung kembar), sama seperti apa yang mereka minta.

Akhirnya kita pun tahu yang mereka tetap juga tidak beriman. Tidakkah Allah ‎ﷻ tahu? Akan tetapi kenapa Allah ‎ﷻ beri juga? Ini sebagai ujian kepada mereka dan pengajaran kepada kita. Mengajar kita yang manusia yang sombong dan degil itu tidak akan beriman walaupun ditunjukkan dengan mukjizat dan bukti. Ini kerana hati mereka degil untuk menerima kebenaran.

 

فَذَروها تَأكُل في أَرضِ اللَّهِ

Oleh itu, biarkanlah unta itu mencari makan di bumi Allah, 

Setelah dikeluarkan unta betina itu daripada bukit batu seperti yang mereka minta, mereka hendaklah menerima syarat yang diberikan kepada mereka iaitu biarlah ia bebas makan di bumi. Ini kerana Allah ‎ﷻ yang menjadikan unta itu dan Allah ‎ﷻ yang menjadikan bumi ini dan segala tanaman di atasnya, bukan kaum Tsamud itu. Maka tidak salah langsung apa sahaja yang dimakan oleh binatang daripada tumbuhan di alam ini yang bukan diusahakan oleh mereka.

Cuma air mereka kena kongsi. Unta betina itu berserta anaknya sesudah ia melahirkannya tinggal bersama kaum Tsamud dalam suatu masa. Unta itu minum dari air sumur mereka sehari, dan hari yang lainnya air sumur itu merupakan bahagian untuk minum mereka pula. Ini kerana hari unta itu minum, akan habis air dalam telaga itu dan tidak ada bahagian lagi untuk mereka.

Walau bagaimanapun pada hari minum unta itu, mereka dapat minum air susu unta itu yang mereka perah. Air susunya dapat memenuhi semua keperluan minuman mereka menurut kehendak mereka. Maka sebenarnya tidak ada masalah pun. Hal ini dikisahkan oleh Allah ‎ﷻ melalui firman-Nya:

{وَنَبِّئْهُمْ أَنَّ الْمَاءَ قِسْمَةٌ بَيْنَهُمْ كُلُّ شِرْبٍ مُحْتَضَرٌ}

Dan beritakanlah kepada mereka bahawa sesungguhnya air itu terbahagi antara mereka (dengan unta betina itu); tiap-tiap giliran minum dihadiri (oleh yang punya giliran).

[ Al-Qamar: 28 ]

Di dalam ayat yang lain pula:

قالَ هٰذِهِ ناقَةٌ لَّها شِربٌ وَلَكُم شِربُ يَومٍ مَّعلومٍ

Saleh menjawab: “Ini seekor unta betina, ia mempunyai giliran untuk mendapatkan air, dan kamu mempunyai giliran pula untuk mendapatkan air di hari yang tertentu. 

[ Syuaraa’: 155 ]

 

وَلا تَمَسّوها بِسوءٍ

dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya;

Mereka diberi syarat untuk membiarkan unta itu berjalan buat hal dia di bumi Allah ‎ﷻ. Mereka dilarang daripada menyakiti unta itu dengan sebarang gangguan.

 

فَيَأخُذَكُم عَذابٌ أَليمٌ

maka kamu akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Jangan ganggu dan sakiti unta itu, dan sekiranya mereka lakukan juga, mereka akan ditimpa azab yang pedih. Amaran telah diberi semenjak dari awal lagi.

Sebenarnya selepas keluarnya mukjizat unta itu, ada dalam kalangan kaum Tsamud itu telah beriman. Namun begitu ada juga yang kemudiannya telah murtad. Ini kerana ketua kaum yang mengajak mereka kembali kepada agama syirik seperti sebelumnya. Nabi Saleh عليه السلام takut azab akan menimpa kepada mereka kerana mereka telah memungkiri janji. Oleh itu baginda menasihati mereka jangan ganggu unta itu sekurang-kurangnya. Agar azab tidak dikenakan kepada mereka dan memberi peluang lagi kepada mereka untuk bertaubat. Sekiranya mereka mengganggu unta itu, maka tiada harapan lagi bagi mereka.


 

A’raf Ayat 74:

وَاذكُروا إِذ جَعَلَكُم خُلَفاءَ مِن بَعدِ عادٍ وَبَوَّأَكُم فِي الأَرضِ تَتَّخِذونَ مِن سُهولِها قُصورًا وَتَنحِتونَ الجِبالَ بُيوتًا ۖ فَاذكُروا ءآلاءَ اللَّهِ وَلا تَعثَوا فِي الأَرضِ مُفسِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And remember when He made you successors after the ‘Aad and settled you in the land, [and] you take for yourselves palaces from its plains and carve from the mountains, homes. Then remember the favors of Allāh and do not commit abuse on the earth, spreading corruption.”

MALAY

“Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu pengganti sesudah kaum Aad, dan di tempatkannya kamu di bumi, (dengan diberi kemudahan) untuk kamu mendirikan istana-istana di tanahnya yang rata, dan kamu memahat gunung-ganangnya untuk dijadikan rumah. Maka kenangkanlah nikmat-nikmat Allah itu dan janganlah kamu melampau melakukan kerosakan di muka bumi”.

 

وَاذكُروا إِذ جَعَلَكُم خُلَفاءَ مِن بَعدِ عادٍ

“Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu pengganti sesudah kaum Aad,

Ini adalah dakwah Nabi Saleh عليه السلام kepada kaumnya. Baginda suruh mereka ingatlah nikmat yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada mereka. Kaum Tsamud ini telah mengganti (maksud khalifah adalah mengganti) mengambil tempat tinggalan Kaum Aad. Mereka telah dilantik menjadi penduduk baru di tempat itu dengan segala nikmat-nikmat yang ada iaitu di Tanah Arab walaupun bukanlah di tempat yang sama.

Disebut tentang kaum Aad supaya mereka kenang semula apa yang terjadi kepada kaum Aad itu kerana amalan syirik mereka. Maka kaum Tsamud diingatkan supaya janganlah jadi seperti kaum Aad itu pula.

 

وَبَوَّأَكُم فِي الأَرضِ تَتَّخِذونَ مِن سُهولِها قُصورًا

dan di tempatkannya kamu di bumi, (dengan diberi kemudahan) untuk kamu mendirikan istana-istana di tanahnya yang rata, 

Salah satu daripada nikmat besar yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada mereka, Allah ‎ﷻ telah menempatkan mereka di satu daerah yang hebat. Lafaz وَبَوَّأَكُم bermaksud mereka diberikan kemudahan untuk tinggal di mana sahaja yang mereka hendak.

Di tanah lapang, mereka boleh membina istana mereka.

 

وَتَنحِتونَ الجِبالَ بُيوتًا

dan kamu memahat gunung-ganangnya untuk dijadikan rumah. 

Mereka boleh pahat gunung-gunung sebagai rumah mereka. Maknanya, tanah lapang mereka boleh tinggal, di kawasan pergunungan pun mereka boleh tinggal. Maknanya mereka kuat. Musim panas mereka duduk di istana yang di luar dan musim sejuk mereka duduk di rumah dalam gunung ganang. Mereka memang hebat dalam perkara ini. Tinggalan mereka masih lagi boleh dilihat bagaimana cantiknya tempat tinggal mereka.

Peninggalan kaum Tsamud
Peninggalan kaum Tsamud

فَاذكُروا ءآلاءَ اللَّهِ

Maka kenangkanlah nikmat-nikmat Allah itu

Maka kenanglah nikmat yang Allah ‎ﷻ telah berikan itu. Sekiranya kita menghargai segala nikmat yang Allah ‎ﷻ telah berikan, maka kita akan hanya sembah Dia sahaja dan taat kepada segala suruhan-Nya.

 

وَلا تَعثَوا فِي الأَرضِ مُفسِدينَ

dan janganlah kamu melampau dengan melakukan kerosakan di muka bumi”.

Janganlah melampau berbuat kerosakan di muka bumi ini. Kerosakan yang dimaksudkan adalah kerosakan dari segi agama iaitu meninggalkan tauhid dan mengamalkan syirik. Itu adalah kerosakan yang paling besar sekali.

Allah ‎ﷻ tambah di dalam hujung ayat ini dengan kalimah مُفسِدينَ iaitu dalam bentuk hal iaitu mereka buat kerosakan yang buruk kerana bukan semua yang merosakkan itu buruk. Sebagai contoh kisah Nabi Khidr عليه السلام yang merosakkan kapal, ia bersebab; Rasulullah ﷺ pun pernah membakar pohon-pohon tamar puak Yahudi untuk muslihat perang. Maka yang dilarang adalah merosakkan yang boleh mengakibatkan kesan buruk.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 10 Oktober 2022

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Tafsir Surah al-A’raf Ayat 64 – 69 (Kisah Nabi Hud عليه السلام)

KESUDAHAN KAUM NABI NUH عليه السلام

A’raf Ayat 64: Apabila dakwah yang begitu punya lembut dan sempurna daripada Nabi Nuh عليه السلام pun tidak diterima, tambahan pula sudah beratus-ratus tahun baginda mendakwah mereka (950 tahun), maka akhirnya Allah ‎ﷻ membuat keputusan untuk menghapuskan mereka terus dari atas muka bumi.

فَكَذَّبوهُ فَأَنجَينٰهُ وَالَّذينَ مَعَهُ فِي الفُلكِ وَأَغرَقنَا الَّذينَ كَذَّبوا بِئآيٰتِنا ۚ إِنَّهُم كانوا قَومًا عَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But they denied him, so We saved him and those who were with him in the ship. And We drowned those who denied Our signs. Indeed, they were a blind people.

MALAY

Mereka terus mendustakannya, lalu Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya di dalam bahtera, dan Kami karamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang buta (matahatinya daripada melihat kebenaran)

 

فَكَذَّبوهُ

Maka mereka terus mendustakannya,

Mereka telah mendustakan Nabi Nuh عليه السلام dan tidak mengikuti ajaran dan amaran daripada baginda. Mereka tidak menerima ajaran Nabi Nuh عليه السلام itu dan mengatakan yang baginda sebenarnya seorang pendusta, sebab itu mereka tidak ikut.

Ayat ini mengajar kita yang jikalau kita bawa kebenaran, pasti akan ada yang menentang kita. Inilah sunnatullah. Sekiranya semua setuju dengan dakwah kita pula adalah tanda yang kita mungkin tidak membawa ajaran yang benar kerana kalau ia benar, pasti ramai yang akan menentang. Ramai tidak suka dengan kebenaran kerana ia buruk bagi mereka.

Mereka marah sangat sampaikan mereka akan cuba melakukan sesuatu untuk menggagalkan kita atau menyakiti kita. Namun begitu, jangan takut, kerana Allah ‎ﷻ akan selamatkan kita. Dalilnya adalah Allah ‎ﷻ selamatkan Nabi Nuh عليه السلام.

 

فَأَنجَينٰهُ وَالَّذينَ مَعَهُ فِي الفُلكِ

lalu Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya di dalam bahtera,

Oleh kerana mereka telah mendustakan baginda, maka mereka telah diberikan dengan azab banjir besar yang telah membunuh mereka semua. Walau bagaimanapun banjir besar itu tidak memusnahkan Nabi Nuh عليه السلام dan mereka yang beriman kepada baginda. Allah ‎ﷻ selamatkan mereka yang beriman.

Allah ‎ﷻ menyelamatkan mereka dengan menggunakan satu kapal sahaja. Allah ‎ﷻ tidak perlukan kapal itu pun, tetapi ia hanya sebagai asbab sahaja. Yang pasti, Allah ‎ﷻlah yang selamatkan mereka.

Berapa bilangan mereka tidak disepakati oleh para ulama’. Ada yang kata 40 dan ada yang kata 80 dan bilangan-bilangan lain. Ada yang kata berbelas sahaja. Ada pula yang kata ada 40 lelaki dan 40 wanita. Semua ini tidak penting. Tempat mendarat mereka dikatakan di Iraq dan tempat itu digelar Tsamanun (bermaksud 80).

Dikatakan salah seorang daripada mereka itu digelar dengan nama Jurhum dan beliau bercakap bahasa Arab. Ini adalah antara beberapa pendapat. Ia tidak penting kerana yang penting adalah pengajaran, bukan perincian maklumat.

 

وَأَغرَقنَا الَّذينَ كَذَّبوا بِئآيٰتِنا

dan Kami karamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami.

Balasan kepada mereka yang menolak wahyu daripada Allah ‎ﷻ itu adalah mereka ditenggelamkan dalam banjir besar. Ini adalah azab yang dikenakan kepada mereka semasa mereka di dunia lagi. Seterusnya mereka terus dikenakan azab dalam Alam Barzakh dan nanti di neraka kelak. Maka terdapat tiga azab yang mereka kena: dunia, azab kubur dan di neraka.

Mereka dimusnahkan semasa mereka berapa di tahap ketinggian tamadun mereka. Mereka pada ketika itu adalah paling ramai, paling berkuasa. Mereka sudah mabuk dengan kehebatan mereka, maka waktu itulah Allah ‎ﷻ memusnahkan mereka. Kisah lebih panjang tentang apa yang berlaku disebut di dalam surah-surah yang lain, terutama sekali di dalam Surah Hud dan Surah Nuh. Lebih banyak kisah ini disebut dalam Surah Hud.

Allah ‎ﷻ mengingatkan umat manusia yang menentang para Rasul, mereka akan dikenakan dengan azab. Lihatlah yang Allah ‎ﷻ tidaklah kata Dia menenggelamkan kaum Nabi Nuh عليه السلام tetapi ‘mereka yang mendustakan ayat-ayat-Nya’. Maka bukan mereka sahaja yang dikenakan azab ditenggelamkan. Kita pun tahu yang Fir’aun dan pengikutnya juga telah dilemaskan.

Maka ia boleh dikenakan kepada sesiapa sahaja. Ancaman telah diberikan kepada mereka yang sedang menentang Nabi Muhammad ﷺ. Mereka hendaklah bersedia menghadapi azab yang akan dikenakan kepada mereka kerana kedegilan mereka. Itu pun kalau mereka masih lagi hendak menentang Rasulullah ﷺ.

 

إِنَّهُم كانوا قَومًا عَمينَ

Sesungguhnya mereka adalah kaum yang buta

Mereka adalah kaum yang buta hati. Mata fizikal mereka memang boleh nampak, tetapi mata hati mereka tidak nampak kebenaran yang ada dalam wahyu itu. Kebenaran depan mata mereka pun mereka tidak nampak kerana mata hati mereka buka. Maka kita yang masih hidup ini hendaklah banyak-banyak membuka mata hati kita ini. Semoga Allah ‎ﷻ tidak membutakan mata hati kita. Kita berdoa semoga Allah ‎ﷻ beri kita nampak kebenaran dan beri kita taufik untuk mengikutinya.

Habis Ruku’ 8 daripada 24 ruku’ dalam surah ini.


 

KISAH NABI HUD عليه السلام

A’raf Ayat 65: Setelah disebut secara ringkas kisah Nabi Nuh عليه السلام, sekarang disebut Rasul yang seterusnya, iaitu Nabi Hud عليه السلام yang telah diutus kepada bangsa Aad.

Setelah banjir besar Nabi Nuh عليه السلام itu, yang tinggal dalam kalangan manusia hanyalah mereka yang beriman sahaja. Namun begitu keturunan manusia selepas itu telah ada yang mengamalkan syirik juga. Maka dibangkitkan Nabi Hud عليه السلام dalam kalangan mereka untuk mengingatkan mereka dan mengajak mereka kembali ke arah agama Tauhid.

۞ وَإِلىٰ عادٍ أَخاهُم هودًا ۗ قالَ يٰقَومِ اعبُدُوا اللَّهَ ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُهُ ۚ أَفَلا تَتَّقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And to the ‘Aad [We sent] their brother Hūd. He said, “O my people, worship Allāh; you have no deity other than Him. Then will you not fear Him?”

MALAY

Dan kepada kaum Aad, (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Hud. Dia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertaqwa kepadaNya? “

 

وَإِلىٰ عادٍ أَخاهُم هودًا

Dan kepada kaum Aad, (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Hud.

Ini adalah kisah Nabi yang ketiga dalam Surah A’raf ini selepas Nabi Adam عليه السلام dan Nabi Nuh عليه السلام. Sekarang kita berkenalan dengan Kaum Aad. Mereka ini adalah keturunan kelima selepas Nabi Nuh عليه السلام daripada keturunan anaknya, Sam. Mereka ini tinggal di kawasan yang sekarang di antara Oman, Hadramaut dan Yaman. Mereka diberikan kekuatan tubuh yang besar, kuat dan tempat tinggal yang subur dan hebat.

Oleh kerana nikmat yang Allah ‎ﷻ berikan kepada mereka itu, mereka menjadi sombong dan bongkak. Mereka rasa merekalah yang paling hebat. Disebut di dalam [ Fussilat: 15 ]

فَأَمّا عادٌ فَاستَكبَروا فِي الأَرضِ بِغَيرِ الحَقِّ وَقالوا مَن أَشَدُّ مِنّا قُوَّةً

Adapun kaum Aad, maka mereka berlaku sombong takbur di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar, serta berkata: “Siapakah yang lebih kuat daripada kami?”

Inilah bahayanya apabila mendapat nikmat banyak sangat. Takut kita mabuk dengan kekuatan dan kekuasaan sehingga lupa Allah ‎ﷻ dan berlaku zalim. Nikmat kuat dan kuasa itu sendiri tidaklah buruk, cuma bagaimana cara kita menggunakannya sahaja. Jangan digunakan ke arah keburukan dan jangan lupa Allah ‎ﷻ, itu sahaja. Namun malangnya ramai yang gagal dalam ujian ini.

Nabi Hud عليه السلام itu daripada bangsa mereka juga. Memang selalunya Allah ‎ﷻ bangkitkan Rasul dan Nabi dalam kalangan bangsa yang sama. Tujuannya adalah supaya umat senang untuk menerima Rasul itu kerana datang daripada bangsa mereka sendiri. Apabila daripada bangsa mereka sendiri, tentulah Nabi itu kenal mereka dan tahu apakah masalah dan perangai mereka.

Sebab itulah Nabi Hud عليه السلام mengatakan baginda adalah ‘saudara’ mereka tetapi bukankah mereka itu kufur? Ya memang mereka kufur tapi tetap baginda bersaudara dengan mereka dari segi keturunan. Dalam Islam ‘saudara’ ada tiga jenis:

1. Saudara dari segi keturunan seperti Nabi Hud عليه السلام dan kaumnya.

2. Saudara dari segi agama. Seperti firman Allah ‎ﷻ dalam Hujurat:10 إِنَّمَا المُؤمِنونَ إِخوَةٌ (Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara)

3. Saudara kerana mulazamah (sentiasa bersama dan dikaitkan) seperti firman Allah ‎ﷻ dalam Isra’:27 إِنَّ المُبَذِّرينَ كانوا إِخوانَ الشَّياطينِ (Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan)

Anak Nabi Hud عليه السلام ada seorang bernama Ya’rub dan dia telah pergi mengembara dan tinggal di Yaman. Dari situlah datangnya keturunan Arab dan bahasa Arab dan daripada nama Ya’rub inilah datangnya ‘Arab’. Allahu a’lam.

Memang ada golongan yang mengatakan kubur Nabi Hud عليه السلام di Yaman seperti puak Habib. Mereka dengan pasti mengatakan benar kubur baginda di sana. Namun apakah dalilnya? Tidak ada. Tidak ada dalil mana-mana kubur Nabi di dunia ini melainkan kubur Nabi Muhammad ﷺ sahaja. Maka dakwaan mereka adalah kosong sahaja.

Dari manakah mereka dapat kepastian ini? Kepastian mereka perolehi daripada dalam kalangan mereka sendiri yang bermimpi kedudukan kubur itu. Mimpi bukan hujah ya. Lebih-lebih lagi daripada golongan yang kuat tidur seperti mereka. Kemudian mereka rekalah pula amalan sesat seperti ritual mandi sempena menziarahi makam Nabi Hud عليه السلام itu sebanyak dua kali setahun. Tinggalkanlah kumpulan karut seperti itu yang senang sekali mendakwa itu dan ini mengamalkan amalan-amalan dan ajaran karut.

 

قالَ يٰقَومِ اعبُدُوا اللَّهَ ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُهُ

Dia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada ilah bagi kamu selain daripada-Nya.

Lihatlah perkara yang sama dengan apa yang disebut Nabi Nuh عليه السلام. Ini adalah kerana mesej yang diberikan oleh para Rasul adalah sama sahaja. Begitu juga dengan Nabi Muhammad ﷺ. Maka kita pun kena bawakan mesej yang sama kepada masyarakat kita: kena amalkan tauhid dan jangan melakukan syirik kepada Allah ‎ﷻ.

Lihatlah sama sahaja cara Nabi Hud عليه السلام memanggil kaumnya dengan lembut seperti juga Nabi Nuh عليه السلام. Ini mengajar kita yang dalam dakwah, kenalah gunakan bahasa yang lembut. Jangan berkasar dan menghina kerana kita hendak mengetuk hati mereka dan ini hanya dapat dicapai dengan lembut. Kalau gunakan bahasa kasar, orang pun tidak mahu hendak dengar.

 

أَفَلا تَتَّقونَ

Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertaqwa kepada-Nya? “

Oleh kerana tidak ada ilah lain selain Allah ‎ﷻ, kenapa tidak taat kepada Allah ‎ﷻ sahaja? Kenapa masih lagi hendak mengamalkan syirik?

Manusia mesti diingatkan dengan larangan syirik kerana kalau tidak, memang manusia akan senang ditipu dengan syaitan untuk mengamalkan syirik. Kita pun tahu bagaimana banyaknya amalan syirik dalam masyarakat sekarang. Ini adalah kerana ramai tidak faham bab syirik dan mereka tidak sangka yang amalan mereka itu adalah amalan syirik.

Nampak seperti ada persamaan namun tidak sama dengan kalimah dakwah Nabi Nuh عليه السلام dalam ayat 59 sebelum ini. Di dalam ayat itu, Nabi Nuh عليه السلام beri ancaman kepada mereka, tetapi sekarang tidak pula dilakukan oleh Nabi Hud عليه السلام. Ini adalah kerana sepatutnya azab itu masih segar dalam ingatan mereka kerana baru sangat terjadi.

Di dalam ayat ini, Nabi Hud عليه السلام menggunakan kalimat أَفَلا تَتَّقونَ sedangkan dalam ayat lain ada menggunakan kalimah أفلا تقلون (tidakkah kamu berfikir?). Ini mengajar kita yang orang bertaqwa itu menggunakan akal mereka. Yang tidak bertaqwa itu tidak menggunakan akal mereka dengan sebaiknya.


 

PENOLAKAN KAUM NABI HUD عليه السلام

A’raf Ayat 66:

قالَ المَلَأُ الَّذينَ كَفَروا مِن قَومِهِ إِنّا لَنَرىٰكَ في سَفاهَةٍ وَإِنّا لَنَظُنُّكَ مِنَ الكٰذِبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Said the eminent ones who disbelieved among his people, “Indeed, we see you in foolishness, and indeed, we think you are of the liars.”

MALAY

Ketua-ketua yang kafir dari kaumnya berkata: “Sesungguhnya kami nampak kamu berada dalam kebodohan, dan sesungguhnya kami fikir engkau adalah dari orang-orang yang berdusta”.

 

قالَ المَلَأُ الَّذينَ كَفَروا مِن قَومِهِ إِنّا لَنَرىٰكَ في سَفاهَةٍ

Ketua-ketua yang kafir daripada kaumnya berkata: “Sesungguhnya kami (wahai Hud) nampak kamu berada dalam kebodohan,

Sekali lagi disebut tentang ketua kaum yang tidak beriman yang menolak ajaran daripada Rasul mereka. Mereka kata mereka nampak baginda berada dalam keadaan kurang waras, bodoh. Mereka kata begitu kerana mereka lihat baginda telah meninggalkan adat resam tok nenek mereka yang telah diamalkan telah sekian lama. Bagi kaum mereka, Nabi Hud عليه السلام itu bodoh kerana buat begitu.

 

وَإِنّا لَنَظُنُّكَ مِنَ الكٰذِبينَ

dan sesungguhnya kami fikir engkau adalah daripada orang-orang yang berdusta”.

Mereka berkata baginda itu adalah seorang pendusta. Mereka kata Nabi Hud عليه السلام itu menipu sahaja dengan mengatakan yang baginda dapat wahyu daripada Allah ‎ﷻ tetapi tidak pun sebenarnya. Ini semua adalah hujah untuk menjatuhkan kedudukan Nabi Hud عليه السلام. Mereka hendak menjatuhkan status Nabi Hud عليه السلام supaya orang tidak mendengar ajaran daripada baginda.

Begitulah juga yang dilakukan oleh puak Quraish kepada Nabi Muhammad ﷺ. Mereka menyerang peribadi baginda setelah mereka tidak dapat berhujah dengan baginda kerana baginda menggunakan wahyu. Segala hujah yang digunakan kepada para Nabi yang terdahulu yang disebut itu sebenarnya telah digunakan kepada Nabi Muhammad ﷺ juga dan dikenakan juga kepada para pendakwah sekarang.

Allah ‎ﷻ hendak beritahu yang bukan baginda sahaja yang dituduh sebegitu tapi Nabi-nabi yang lain juga. Allah ‎ﷻ hendak memujuk Rasulullah ﷺ dengan memberitahu apa sahaja dugaan daripada kaumnya itu telah pernah dikenakan kepada kaum-kaum yang terdahulu. Maka janganlah bersedih sangat.


 

A’raf Ayat 67: Selepas ini kita boleh lihat jawapan-jawapan yang hampir sama diberikan oleh Nabi Nuh عليه السلام sebelum ini. Hanya ada beberapa perubahan dari segi perkataan sahaja.

قالَ يٰقَومِ لَيسَ بي سَفاهَةٌ وَلٰكِنّي رَسولٌ مِّن رَّبِّ العٰلَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Hūd] said, “O my people, there is not foolishness in me, but I am a messenger from the Lord of the worlds.

MALAY

Nabi Hud menjawab: “Wahai kaumku! Tidak ada padaku sebarang kebodohan, tetapi aku adalah seorang Rasul dari Tuhan sekalian alam.

 

قالَ يٰقَومِ لَيسَ بي سَفاهَةٌ

Nabi Hud menjawab: “Wahai kaumku! Tidak ada padaku sebarang kebodohan, 

Nabi Hud عليه السلام menjawab yang baginda tidak bodoh walau sedikit pun. Akal baginda waras. Mana mungkin seorang Rasul itu dalam kalangan orang yang bodoh. Allah ‎ﷻ memilih para Nabi dalam kalangan mereka yang berotak waras dan cerdik melebihi kaum mereka.

Baginda tidaklah pula balas dengan kata mereka bodoh kerana ini tidak baik dan bukan cara dakwah yang betul. Yang kata orang lain bodoh itu adalah kerana dia sendiri bodoh. Yang sedihnya ada pendakwah yang mudah sahaja keluar daripada mulut mereka: “Bodo mu… mereka ini kena makan ubat antibodo…” dan sebagainya. Lihatlah [ Al-Baqarah: 13 ]

وَإِذَا قِيلَ لَهُم ءَامِنُواْ كَمَآ ءَامَنَ ٱلنَّاسُ قَالُوٓاْ أَنُؤمِنُ كَمَآ ءَامَنَ ٱلسُّفَهَآءُ‌ۗ أَلَآ إِنَّهُم هُمُ ٱلسُّفَهَآءُ وَلَـٰكِن لَّا يَعلَمُونَ

Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman”. Mereka menjawab: “Patutkah kami ini beriman sebagaimana berimannya orang-orang bodoh itu?” Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

Maka di dalam ayat ini menyebut orang yang mengatakan orang beriman itu bodoh, merekalah yang bodoh sebenarnya. Inilah masalah dengan orang yang jahil di mana mereka tidak sedar yang mereka jahil. Sekiranya orang jahil itu sedar yang dirinya jahil, maka perkara akan menjadi lebih senang. Senang untuk kita hendak mengajar dan menyampaikan ilmu kepadanya. Namun yang menjadi masalah adalah orang yang jahil yang perasan dia pandai. Situasi ini dipanggil jahil murakkab namanya iaitu jahil  yang bertimpa-timpa. Sudahlah bodoh, tetapi tidak tahu dia itu bodoh. Kita hendak ajar pun dia tidak mahu terima.

Namun bagaimanakah sikap kita terhadap mereka? Kita bersikap lembut dengan mereka. Kita tidak memaki mereka dan kata mereka yang bodoh, jangan begitu. Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ ajar kita dalam [ Furqan:  64 ]

وَعِبادُ الرَّحمٰنِ الَّذينَ يَمشونَ عَلَى الأَرضِ هَونًا وَإِذا خاطَبَهُمُ الجٰهِلونَ قالوا سَلٰمًا

Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah diri dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandungi) keselamatan.

 

وَلٰكِنّي رَسولٌ مِّن رَّبِّ العٰلَمينَ

tetapi aku adalah seorang Rasul daripada Tuhan sekalian alam.

Nabi Hud عليه السلام mengingatkan mereka bahawa baginda adalah utusan daripada Allah ‎ﷻ. Baginda hanya menyampaikan mesej dan wahyu daripada Allah ‎ﷻ sahaja. Bukannya kata-kata itu daripada baginda sendiri.


 

A’raf Ayat 68:

أُبَلِّغُكُم رِسٰلٰتِ رَبّي وَأَنْا لَكُم ناصِحٌ أَمينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

I convey to you the messages of my Lord, and I am to you a trustworthy adviser.

MALAY

“(Tugasku) menyampaikan kepada kamu akan perintah-perintah (yang diutuskan oleh) Tuhanku, dan aku adalah pemberi nasihat yang amanah, bagi kamu.

 

أُبَلِّغُكُم رِسٰلٰتِ رَبّي

Aku menyampaikan kepada kamu akan perintah-perintah (yang diutuskan oleh) Tuhanku, 

Baginda beritahu yang tugas baginda adalah untuk menyampaikan wahyu daripada Allah ‎ﷻ. Ini sama seperti yang diberitahu oleh Nabi Nuh عليه السلام sebelum ini. Memang para Nabi bawa perintah daripada Allah ‎ﷻ melalui wahyu-Nya. Maka kita pun kenalah begitu juga.

Kerana itulah pelajaran utama yang mesti disampaikan kepada masyarakat adalah pengajian Tafsir Al-Qur’an. Malangnya, inilah yang jarang diajar kepada masyarakat. Kerana itulah masyarakat sekarang amat jauh dengan wahyu Allah ‎ﷻ.

Lihat pada kalimah أُبَلِّغُكُم di dalam ayat ini. Ia di dalam bentuk fi’il mudhari’ (“present and continuous tense”). Ini memberi isyarat yang dakwah baginda adalah berterusan dan bukan bermusim. Baginda terus menerus memberikan dakwah kepada mereka. Maka ini sepatutnya memberi semangat kepada kita yang dakwah tidak ada hentinya. Bukan sekali sahaja kita dakwah kepada seseorang. Kali pertama mungkin dia tidak terima, maka kita datang dan datang lagi.

 

وَأَنْا لَكُم ناصِحٌ أَمينٌ

dan aku bagi kamu, adalah pemberi nasihat yang ikhlas.

Baginda menegaskan yang baginda adalah pemberi nasihat yang jujur. Maksudnya baginda tidak menambah dan tidak mengurangkan daripada wahyu yang Allah ‎ﷻ telah sampaikan kepada baginda. Apa sahaja yang Allah ‎ﷻ suruh sampaikan, baginda akan sampaikan.

Kita pun begitu juga, jangan kita simpan dan sorok ajaran daripada Al-Qur’an ini. Jangan ada rasa perkara yang terlalu berat yang masyarakat tidak dapat terima. Malangnya ada guru agama yang takut hendak sampaikan semuanya kepada masyarakat. Kenapa?

Kerana mereka takut kalau mereka sampaikan juga, masyarakat akan marah. Kerana itulah pengajaran tentang syirik tidak diajar dan pengajaran tentang bahaya bid’ah juga jarang diajar. Ramai guru agama membiarkan sahaja amalan anak murid kerana mereka takut hendak sampaikan. Takut sangat mereka hendak tegur.

Bandingkan dengan kata-kata Nabi Nuh عليه السلام sebelum dalam ayat 62. Ayatnya lebih kurang sahaja tetapi digunakan kalimat أَنصَحُ لَكُم sedangkan Nabi Hud عليه السلام pula menggunakan kalimat ناصِحٌ أَمينٌ pula. Apakah bezanya? Inilah hebatnya Bahasa Arab kerana ia mengandungi makna tersirat.

Kalimah ناصِحٌ di dalam bentuk katanama sedangkan kalimah أَنصَحُ pula di dalam bentuk katakerja. Contohnya ada beza di antara ‘pembaca’ (katanama) dan ‘selalu baca’ (katakerja). Maka ini memberi isyarat kepada kita yang Nabi Nuh عليه السلام lebih banyak dan lama berdakwah kepada kaum baginda. Baginda sebut di dalam [ Nuh: 5 ]

قالَ رَبِّ إِنّي دَعَوتُ قَومي لَيلًا وَنَهارًا

Nabi Nuh berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam 

Tambahan pula baginda berdakwah kepada mereka selama 950 tahun! Ini disebut di dalam [ Ankabut: 14 ]

وَلَقَد أَرسَلنا نوحًا إِلىٰ قَومِهِ فَلَبِثَ فيهِم أَلفَ سَنَةٍ إِلّا خَمسينَ عامًا

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya, maka dia tinggal di antara mereka seribu tahun kurang lima puluh tahun.


 

A’raf Ayat 69:

أَوَعَجِبتُم أَن جاءَكُم ذِكرٌ مِّن رَّبِّكُم عَلىٰ رَجُلٍ مِّنكُم لِيُنذِرَكُم ۚ وَاذكُروا إِذ جَعَلَكُم خُلَفاءَ مِن بَعدِ قَومِ نوحٍ وَزادَكُم فِي الخَلقِ بَسطَةً ۖ فَاذكُروا ءآلاءَ اللَّهِ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then do you wonder that there has come to you a reminder from your Lord through a man from among you, that he may warn you? And remember when He made you successors after the people of Noah and increased you in stature extensively. So remember the favors of Allāh that you might succeed.”

MALAY

“Adakah kamu merasa hairan tentang datangnya kepada kamu nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, melalui seorang lelaki dari golongan kamu, untuk memberi peringatan kepada kamu? Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Nabi Nuh, dan Allah telah menambahkan kamu kelebihan (dan kekuatan) pada bentuk kejadian tubuh kamu. Maka kenanglah akan nikmat-nikmat Allah supaya kamu berjaya”.

 

أَوَعَجِبتُم أَن جاءَكُم ذِكرٌ مِّن رَّبِّكُم عَلىٰ رَجُلٍ مِّنكُم لِيُنذِرَكُم

“Adakah kamu merasa hairan tentang datangnya kepada kamu peringatan daripada Tuhan kamu, melalui seorang lelaki daripada golongan kamu, 

Kata-kata yang sama yang telah disampaikan oleh Nabi Nuh عليه السلام kepada kaumnya. Adakah kaum Aad itu hairan yang penyampai wahyu ini adalah seorang manusia dalam kalangan mereka pula? Penyampai wahyu kepada manusia mestilah dalam kalangan manusia juga, bukan malaikat.

Ini menyentuh secara langsung hujah daripada Musyrikin Mekah yang mempersoalkan kenapa bukan malaikat yang mengajar mereka wahyu daripada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ jawab kekeliruan mereka di dalam ayat ini dan banyak lagi dalam ayat lain.

Ayat ini juga mengajar kita jangan lihat orang yang menyampaikan dakwah. Asalkan mereka bawa ذِكرٌ مِّن رَّبِّكُم kenalah terima. Malangnya ini ada masalah dengan ramai orang dalam masyarakat kita. Mereka akan lihat dulu siapa yang sampaikan ajaran agama dan dakwah kepada mereka. Kalau geng mereka, mereka terima; kalau bukan, mereka terus tolak.

Apabila bukan dalam kalangan mereka, mereka menjadi pelik pula. Sebagaimana kaum Nabi Hud عليه السلام pun pelik أَوَعَجِبتُم (Adakah kamu merasa hairan?) dengan dakwah Nabi Hud عليه السلام. Bukankah ramai masyarakat kita pelik dengan ajaran Sunnah yang berteraskan Al-Qur’an dan Sunnah? Kerana mereka tidak pernah dengar.

Masyarakat kita sudah terbiasa dengan ajaran rekaan dan karut sampaikan bila datang kepada mereka ajaran daripada Al-Qur’an dan Sunnah yang sahih, mereka kehairanan sungguh. Mereka tidak sangka ia adalah ajaran agama Islam kerana wahyu sudah lama ditinggalkan sebenarnya oleh masyarakat kita. Inilah realitinya. Ya memang pahit, tapi itulah realitinya tuan-tuan.

Contohnya mereka tidak terfikir pun tadabbur Al-Qur’an terutama sekali di bulan Ramadhan. Yang mereka sibuk adalah tadarrus Al-Qur’an. Padahal ini bukan sunnah pun. Tiada dalil bagi amalan ini. Para sahabat dulu baca Al-Qur’an sendirian berhad sahaja, bukannya dibuat beramai-ramai. Oh ada yang kata Rasulullah ﷺ bertadarrus dengan Jibril عليه السلام setiap kali Ramadhan. Itu sebenarnya khusus untuk Nabi ﷺ sahaja, untuk Jibril عليه السلام memeriksa hafalan Nabi ﷺ. Kerana itu Nabi ﷺ tidak buat pula majlis tadarrus dengan para sahabat dan sahabat pun tidak ada buat di antara mereka.

Namun kalau kita cakap perkara ini kepada masyarakat, apa yang mereka akan kata? Wah ini sudah pelik….tadarrus pun tidak boleh ustaz ini cakap! Ya memang peliklah kerana sudah terlalu ramai dan menjadi kebiasaan orang kita buat. Yang mereka tidak perasan benda yang lebih penting lagi iaitu tadabbur Al-Qur’an. Ini memang ada dalilnya di dalam Al-Qur’an, bukan? Namun di manakah dalil tadarrus Al-Qur’an beramai-ramai?

Baiklah, masyarakat kita mengikut Imam Syafi’iy, bukan? Tahukah anda berapa banyak beliau habiskan baca Al-Qur’an setiap hari? Setiap hari beliau akan menghabiskan satu Al-Qur’an 30 juzuk. Pada bulan Ramadhan pula beliau akan habiskan 2 kali Al-Qur’an! Anda rasa beliau buat begitu dengan tadarrus? Agaknya kalau beliau tadarrus dengan ramai orang, adakah sempat untukny menghabiskan sehingga 2 kali?

Jin lebih baik

Kalimah أَوَعَجِبتُم adalah berasal daripada katadasar yang sama dengan ajaib iaitu perkara yang kita tidak tahu, rasa asing. Orang kafir melihat Al-Qur’an ini seperti perkara ajaib. Mereka tidak faham dan kerana itu mereka tidak terima. Begitulah sifat orang kafir. Namun begitu ada makhluk Allah ‎ﷻ yang lihat juga Al-Qur’an sebagai ajaib, tetapi mereka beriman dengannya. Siapa? Itulah jin seperti disebut di dalam [ Jin: 1-2 ]

قُل أوحِيَ إِلَيَّ أَنَّهُ استَمَعَ نَفَرٌ مِّنَ الجِنِّ فَقالوا إِنّا سَمِعنا قُرءآنًا عَجَبًا

Katakanlah (wahai Muhammad): “Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya: satu rombongan jin telah mendengar (Al-Qur’an), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: `Sesungguhnya kami telah mendengar Al-Qur’an (sebuah Kitab Suci) yang ajaib!

يَهدي إِلَى الرُّشدِ فَئآمَنّا بِهِ ۖ وَلَن نُّشرِكَ بِرَبِّنا أَحَدًا

Kitab yang memberi panduan ke jalan yang betul, lalu kami beriman kepadanya, dan kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan Tuhan kami.

Allah ‎ﷻ memuji golongan jin itu kerana mereka beriman dengan Al-Qur’an setelah mendengarnya. Sekarang kita tanya diri kita sendiri: Hendak ikut perangai manusia yang kafir atau perangai jin yang beriman?

 

وَاذكُروا إِذ جَعَلَكُم خُلَفاءَ مِن بَعدِ قَومِ نوحٍ

Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Nabi Nuh,

Baginda suruh mereka kenang semula yang Allah ‎ﷻ telah menjadikan mereka sebagai keturunan baru (yang menggantikan kaum sebelumnya) setelah hancurnya kaum Nabi Nuh عليه السلام . Mereka datang selepas kaum Nabi Nuh عليه السلام. Ini adalah dalil yang kaum Aad itu adalah kaum selepas Banjir Besar. Selepas Banjir Besar itu tidak ramai manusia yang masih hidup.

Semua mereka itu adalah beriman belaka kerana mereka sanggup mengikut Nabi Nuh عليه السلام. Namun lama kelamaan anak cucu selepas mereka telah menjadi sesat. Kerana itulah Nabi Hud عليه السلام dibangkitkan untuk memberi peringatan kepada mereka. Maka Nabi Hud عليه السلام mengingatkan mereka, mereka baru sahaja berkembang biak setelah Banjir Besar itu. Takkan hendak mengamalkan semula amalan salah manusia yang menyebabkan mereka semua dilemaskan?

 

وَزادَكُم فِي الخَلقِ بَسطَةً

dan Allah telah menambahkan kamu kelebihan (dan kekuatan) pada bentuk kejadian tubuh kamu.

Mereka disuruh untuk mengingat bagaimana Allah ‎ﷻ telah menambah satu kelebihan kepada mereka melebihi orang lain, iaitu kekuatan tubuh badan. Mereka amat kuat sampaikan mereka boleh mencabut pokok tamar dengan sebelah tangan sahaja.

Ilmu tajwid sedikit. Kalimah بَسطَةً ini jika dilihat di dalam mushaf pelik sedikit, bukan? Memang kalimah asalnya adalah بَسطَةً tetapi digalakkan dibaca بَصطَةً. Kenapa? Kerana susah disebut بَسطَةً itu kerana huruf س ringan tetapi huruf ط berat. Susah untuk menukar daripada makhraj ringan ke makhraj yang berat. Maka bahasa Arab senang: kalau ia susah, dimudahkan. Rupanya digunapakai konsep sama dengan hukum di dalam Islam: kalau susah, dimudahkan. Contohnya tidak boleh berdiri dalam salat, maka boleh salat duduk dan seumpamanya.

Ini termasuk dalam kategori ayat-ayat Gharibah. Kenalah dilihat dalam mushaf, kalau huruf س di atas, maka bacaan dengan huruf ص diutamakan seperti dalam ayat yang kita sedang perhatikan ini.

 

فَاذكُروا ءآلاءَ اللَّهِ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ

Maka kenanglah akan nikmat-nikmat Allah supaya kamu berjaya”.

Hendaklah mereka ingat akan nikmat-nikmat Allah ‎ﷻ yang lain yang telah diberikan kepada mereka. Hasilnya kita akan berjaya. Apakah maksud berjaya? Tentunya berjaya selamat dari neraka dan masuk ke dalam syurga.

Ayat ini nampak mudah pula: Ingat nikmat Allah ‎ﷻ, berjaya masuk syurga. Takkan semudah itu? Maka kena tadabbur lah. Kenapa kalau ingat nikmat-nikmat Allah ‎ﷻ berikan kepada kita akan memasukkan kita ke dalam syurga pula?

Ini kerana kalau kita kenang segala kelebihan dan nikmat yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita, maka kita akan kenal Allah ‎ﷻ yang Maha Pemurah. Dengan itu kita akan senang untuk taat kepada Allah‎ﷻ . Kalau sesiapa sahaja yang telah banyak jasa kepada kita, tentulah kita mahu taat kepada mereka, dan mahu menggembirakan hati mereka, bukan? Apabila kita taat kepada Allah ‎ﷻ, itulah yang mendapatkan rahmat-Nya dan dengan rahmat-Nya kita dapat masuk ke dalam syurga.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 5 Oktober 2022

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah al-A’raf Ayat 59 – 63 (Kisah Nabi Nuh عليه السلام)

KISAH NABI NUH عليه السلام

A’raf Ayat 59: Sekarang kita masuk kepada Makro kedua surah ini iaitu kisah Nabi Nuh عليه السلام pula. Sebelum ini kita telah dengar kisah Nabi Adam عليه السلام. Allah ‎ﷻ menyusun kisah para Rasul dalam surah ini berturutan. Pelajaran agama yang menyentuh tentang Tauhid, Risalah dan Akhirat (3 perkara utama) telah disebut dengan panjang lebar sebelum ini. Sekarang Allah ‎ﷻ beri contoh apa yang berlaku dalam kalangan para Nabi terdahulu dan masyarakat mereka. Kita dalam belajar memang memerlukan contoh.

Banyak kisah para Nabi disampaikan di dalam Al-Qur’an yang menjadi ibrah (pengajaran) kepada kita. Ini sebagaimana yang Allah ‎ﷻ sebut di dalam Yusuf: 111 لَقَد كانَ في قَصَصِهِم عِبرَةٌ لِأُولِي الأَلبابِ (Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal).

Keduanya, kisah-kisah mereka itu sebagai tasbit al qalbi (menguatkan hati). Ini kerana kita akan belajar kisah-kisah dugaan yang mereka terima dalam menjalankan dakwah mereka. Allah ‎ﷻ hendak beritahu kita: Kalau mereka boleh bersabar, maka kenapa tidak kita? Allah ‎ﷻ sebut di dalam Hud: 120 وَكُلًّا نَقُصُّ عَلَيكَ مِن أَنباءِ الرُّسُلِ ما نُثَبِّتُ بِهِ فُؤادَكَ (Dan semua kisah daripada rasul-rasul Kami ceritakan kepadamu, ialah kisah-kisah yang dengannya Kami teguhkan hatimu).

Ketiga, disebut juga di dalam ayat yang sama, sebagai nasihat dan peringatan وَجاءَكَ في هٰذِهِ الحَقُّ وَمَوعِظَةٌ وَذِكرىٰ لِلمُؤمِنينَ (dan dalam surat ini telah datang kepadamu kebenaran serta pengajaran dan peringatan bagi orang-orang yang beriman)

لَقَد أَرسَلنا نوحًا إِلىٰ قَومِهِ فَقالَ يٰقَومِ اعبُدُوا اللَّهَ ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُهُ إِنّي أَخافُ عَلَيكُم عَذابَ يَومٍ عَظيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

We had certainly sent Noah to his people, and he said, “O my people, worship Allāh; you have no deity other than Him. Indeed, I fear for you the punishment of a tremendous Day.”

MALAY

Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya, lalu berkatalah dia: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang besar (hari kiamat)”

 

لَقَد أَرسَلنا نوحًا إِلىٰ قَومِهِ

Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya,

Kisah Nabi Nuh عليه السلام ini adalah kisah pertama daripada enam kisah (selain kisah Nabi Adamعليه السلام  di awal surah). Kisah pertama sampai yang ke tiga (Nabi Nuh, Hud dan Saleh عليهم السلام) hendak menghuraikan Dakwa Ketiga: hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang layak disembah dan dipuja kerana Dia sahaja yang memiliki sifat yang sempurna.

Nabi Nuh عليه السلام telah diutuskan hanya kepada kaumnya sahaja. Tempat mereka adalah di Iraq sekarang. Selepas Nabi Adam عليه السلام, Rasul yang mula-mula sekali diangkat menjadi Rasul adalah Nabi Nuh عليه السلام (Nabi Adam عليه السلام bukan Rasul tetapi hanya sebagai Nabi sahaja). Baginda adalah keturunan ke 8 Nabi Adam عليه السلام. Ada pendapat yang mengatakan jarak antara Nabi Adam عليه السلام dan Nabi Nuh عليه السلام adalah 10 kurun (satu kurun seratus tahun). Baginda diangkat menjadi Rasul pada umur 40 tahun. Selepas Banjir Besar, baginda terus hidup selama 60 tahun. Maka umur baginda tidaklah 950 tahun sahaja. Itu adalah  jangkamasa baginda berdakwah sahaja.

Gelaran baginda adalah Abul Basyar Thaani (Bapa Manusia Kedua) kerana kita ini semua adalah anak keturunan baginda (selain daripada Nabi Adam عليه السلام). Ini kerana orang lain yang bersama baginda di dalam bahtera itu tidak ada zuriat melainkan baginda sahaja seperti disebut dalam [ Saffaat: 77 ]. Namun bukankah isteri baginda pun mati kerana kufur? Jawapannya baginda pun ada lagi isteri lain.

Baginda adalah Nabi lagi Rasul. Mungkin ada yang kehairanan apa pula beza antara Nabi dan Rasul? Banyak sekali persoalan ini dalam kalangan masyarakat maka kita jelaskan di sini. Ini menjadi perbincangan dalam kalangan ulama’.

1. Ulama’ bersepakat ada beza antara Nabi dan Rasul. Semua Rasul adalah Nabi, tetapi bukan semua Nabi adalah Rasul. Maka pangkat Rasul adalah lebih tinggi lagi.

Memang ada yang kata sama sahaja Rasul dan Nabi (boleh digunakan secara “interchangeable”). Namun pendapat ini lemah kerana ada dalil-dalil dalam Al-Qur’an dan Hadith yang memberi maksud tidak sama sebenarnya Rasul dan Nabi. Maka boleh lupakan pendapat yang mengatakan Nabi dan Rasul sama sahaja. Yang kata begini antaranya adalah golongan Muktazilah.

Di antara dalil yang menunjukkan adanya perbezaan antara nabi dan rasul adalah firman Allah ‎ﷻ,

وَمَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ مِن رَّسُولٍ وَلَا نَبِيٍّ
“Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu seorang rasul pun dan tidak (pula) seorang nabi.”

[ Hajj: 52 ]

Nota: Lihat bagaimana Allah ‎ﷻ sebut Rasul dan kemudian sebut Nabi. Kalau sama sahaja, kenapa perlu disebut secara berasingan?

2. Apakah beza antara keduanya? Tidak ada ketetapan di kalangan ulama’ tentang hal ini. Saya cuba ringkaskan di sini beberapa pendapat:

a. Rasul dan Nabi diberikan wahyu dan syariat tetapi Rasul wajib menyampaikan, manakala Nabi tidak wajib sampaikan. Akan tetapi pandangan ini dikritik kerana sesiapa yang dapat wahyu, kena sampaikan. Lihat [ Ali Imran: 187 ]

b. Rasul mendapat wahyu melalui perantaraan Jibril عليه السلام, sedangkan Nabi hanya dapat melalui cara ilham atau mimpi sahaja.

c. Rasul mendapat syariat baru, Nabi hanya meneruskan syariat yang sudah ada. Namun begitu pandangan ini juga dikritik kerana Nabi Nuh عليه السلام adalah Rasul pertama. Kalau begitu, Nabi Adam عليه السلام menggunakan syariat apa pula? Takkan tidak ada syariat?
Begitu juga Nabi Daud عليه السلام dan Nabi Sulaiman عليه السلام adalah Rasul, tetapi mereka menggunakan syariat daripada Taurat sahaja, tidak membawa syariat baru.

d. Rasul mendapat kitab dan syariat baru; Nabi pula tidak mendapat kitab dan mengikut syariat sebelumnya sahaja. Ini dibantah sama dengan item c.

e. Rasul diutuskan kepada kaum yang ingkar, sedangkan Nabi diutuskan kepada kaum yang sudah beriman. Maka tugas Rasul adalah lebih berat, sedangkan tugas Nabi hanya terus mengajarkan perkara yang sudah diterima. Ini adalah pandangan Ibnu Taimiyah رحمه الله dan kita ambil ini sebagai pandangan yang lebih kuat.
Contohnya Nabi Adam عليه السلام hanya seorang Nabi kerana umat baginda sedikit sahaja dan semuanya beriman tetapi Nabi Nuh عليه السلام adalah Rasul kerana ketika zaman baginda, umatnya sudah ingkar syirik dan perlu diperbetulkan. Dalilnya:

Rasulullah ﷺ bersabda,

فَيَأْتُونَ نُوحًا فَيَقُولُونَ: يَا نُوحُ، إِنَّكَ أَنْتَ أَوَّلُ الرُّسُلِ إِلَى أَهْلِ الأَرْضِ
“Mereka pun mendatangi Nuh, dan berkata, ‘Wahai Nuh, sesungguhnya Engkau adalah rasul pertama bagi manusia.’”

(Bukhari No. 4712)

Itulah antara pendapat yang ada tentang perbezaan antara Nabi dan Rasul.

 

فَقالَ يٰقَومِ اعبُدُوا اللَّهَ

lalu berkatalah dia: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah,

Ini adalah perkara paling penting yang diingatkan oleh Nabi Nuh عليه السلام kepada kaumnya: Nabi Nuh عليه السلام telah menyuruh kaumnya itu sembah Allah ‎ﷻ sahaja. Jangan pula sembah Allah ‎ﷻ dan dalam masa yang sama sembah pula selain Allah ‎ﷻ. Ini dinamakan syirik.

Ini adalah kerana mereka telah menyembah patung-patung berhala yang asalnya dijadikan untuk mengingatkan manusia kepada orang-orang yang soleh dalam kalangan mereka. Maknanya yang perlu diajar dan ditegur adalah tentang akidah umat. Kena ajar ajaran tauhid kepada mereka.

Lihatlah cara dakwah Nabi Nuh عليه السلام di dalam ayat ini. Baginda memanggil mereka dengan panggil baik يٰقَومِ (wahai kaumku). Inilah cara dakwah yang bagus. Kena gunakan bahasa yang baik dengan mad’u (orang yang hendak didakwah). Jangan digunakan panggilan kasar seperti “hoi setan”, “woi bodoh” dan sebagainya.

 

ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُهُ

tidak ada ilah lain bagi kamu selain daripada-Nya.

Kena sembah Allah ‎ﷻ sahaja kerana tidak ada ilah lain yang boleh selesaikan masalah selain Allah ‎ﷻ. Ilah hanyalah Allah ‎ﷻ sahaja dan itulah maksud la ilaaha illallah. Malangnya perkara tauhid sebegini jarang diajar dan dipelajari oleh umat manusia termasuk umat Islam pun. Ramai pandai sebut tetapi tidak faham apa yang disebut.

Maka ramai yang keliru dengan tauhid kerana mereka tidak belajar sekali dengan syirik. Mereka tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan syirik dan contoh-contohnya sampaikan mereka melakukan syirik tanpa mereka sedari. Lihatlah sekarang, meminta dengan pokok pun ada yang kata tidak salah! Memang ke laut dalam sungguh fahaman mereka ini.

Begitulah yang terjadi kepada Kaum Nabi Nuh عليه السلام. Pada mulanya berhala-berhala disembah ialah kerana pada masa lalu ada suatu kaum yang soleh telah meninggal dunia. Kemudian kaum mereka membangunkan masjid-masjid di atas kuburan mereka dan membuat gambar-gambar mereka di dalamnya untuk mengingatkan orang-orang akan tingkah laku dan ibadah mereka, dengan tujuan agar kaum mereka meniru jejak mereka.

Akan tetapi setelah zaman berlalu cukup lama, mereka (kaumnya) mem­buat patung-patung dalam bentuk gambar-gambar orang soleh tersebut. Setelah berlalunya masa yang cukup lama lagi, maka mereka mulai menyembah patung-patung tersebut dan menamakannya dengan nama orang-orang soleh itu, seperti Wad, Suwa’, Yagus, Ya’uq, dan Nasr. Ini disebut dalam [ Nuh: 23 ].

Inilah bahayanya apabila mengagungkan orang-orang yang sebelum kita berlebihan. Mula-mula dengan gambar, kemudian mula hendak bertawasul dengan mereka, kemudian membuat patung, kemudian memuja. Akhirnya dijadikan sebagai tuhan. Sebab itu kena berhati-hati meninggalkan segala perkara yang boleh membawa ke arah syirik. Kerana itulah kita menegur perbuatan berlebihan golongan sesat seperti Habib yang memuja orang-orang yang mati dalam kalangan mereka.

Kalau tidak berhati-hati, syaitan akan meracuni fikiran orang yang leka. Itulah yang terjadi dengan kaum Nabi Nuh عليه السلام. Setelah hal ter­sebut kian parah, Allah ‎ﷻ mengutuskan Nabi Nuh عليه السلام. Nabi Nuh عليه السلام telah memerintahkan mereka agar menyembah Allah ‎ﷻ semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya.

 

إِنّي أَخافُ عَلَيكُم عَذابَ يَومٍ عَظيمٍ

Sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang besar

Ini adalah balasan yang Nabi Nuh عليه السلام takut akan dikenakan kepada kaumnya itu kalau mereka tidak sembah Allah ‎ﷻ sahaja sebagai ilah. Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan menerima azab yang amat besar. Azab yang dikenakan kepada mereka yang melakukan syirik adalah kekal dalam neraka, tidak keluar sampai bila-bila.

Sepatutnya mereka yang membuat kesalahan, merekalah yang patut takut, bukan? Namun Allah ‎ﷻ kata Nabi Nuh عليه السلام pula yang takut. Ini kerana baginda sayangkan mereka dan takut mereka mendapat azab. Ini mengajar kita sebagai pendakwah untuk sayang dan memandang masyarakat dengan pandangan rahmah. Kita dakwah dan tegur kesalahan mereka bukannya kerana hendakkan kelebihan ke atas mereka, atau kerana kita hendakkan kebaikan seperti upah daripada mereka. Kita takut mereka akan menyesal nanti di kemudian hari.

Hari itu pasti akan datang iaitu ‘hari yang besar’. Maknanya tidak kisahlah hari apa di dunia ini, hari jadi kah, hari kemerdekaan kah… semua itu tidak dapat menandingi hari Kiamat nanti. Hari yang paling agung dan menakutkan semua orang. Hari yang akan diberi balasan yang baik kepada yang taat dan balasan buruk kepada yang degil. Maka Nabi Nuh عليه السلام telah memberikan amaran kepada mereka kerana manusia memerlukan amaran, terutama sekali mereka yang degil.

Oleh sebab itu, ringkasan ayat pertama ini begini: ada 3 mesej utama Nabi Nuh عليه السلام iaitu sembahlah Allah ‎ﷻ – jangan buat syirik – kalau buat syirik ada azab.


 

PENOLAKAN KAUM NABI NUH عليه السلام

A’raf Ayat 60: Apakah hujah penolakan daripada kaum Nabi Nuh عليه السلام itu?

قالَ المَلَأُ مِن قَومِهِ إِنّا لَنَرىٰكَ في ضَلٰلٍ مُّبينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Said the eminent among his people, “Indeed, we see you in clear error.”

MALAY

Ketua-ketua daripada kaumnya berkata: “Sesungguhnya kami nampak kamu (wahai Nuh) berada dalam kesesatan yang nyata”.

 

قالَ المَلَأُ مِن قَومِهِ

Ketua-ketua daripada kaumnya berkata: 

Al-Mulu’ adalah orang-orang terkemuka, mulia, pembesar dan pemimpin daripada suatu kaum atau masyarakat yang memiliki “kepedulian” dalam menentukan atau mempengaruhi kebijakan dalam masyarakat. Mereka mempunyai kemampuan berunding atau bermusyawarah untuk memutuskan sebuah persoalan yang berkembang dalam masyarakat.

Mereka ini adalah tentang golongan pembesar kaum Nabi Nuh عليه السلام. Merekalah selalu yang menimbulkan masalah semenjak dari dulu sampai sekarang adalah golongan yang kaya dan yang ada kuasa. Mereka itu sudah besar dan sombong diri dan berasakan diri mereka sahaja yang betul dan pandai. Maka merekalah yang selalunya yang menentang kebenaran daripada sampai kepada masyarakat.

Selalunya mereka akan menentang kebenaran yang dibawa kerana kebenaran itu akan menyusahkan mereka, akan menyebabkan pengaruh mereka berkurangan atau hilang terus, atau akan menyebabkan mereka kehilangan peluang untuk mendapatkan keuntungan dengan mudah lagi. Memang masalah kalau masyarakat pandai dan berilmu – sebab susah untuk menipu mereka lagi.

 

إِنّا لَنَرىٰكَ في ضَلٰلٍ مُّبينٍ

“Sesungguhnya kami nampak kamu (wahai Nuh) berada dalam kesesatan yang nyata”.

Mereka kata Nabi Nuh عليه السلام itu sesat kerana baginda membawa ajaran lain daripada orang lain. Mereka telah lama menyembah patung-patung berhala itu sampaikan mereka sangka yang mereka itulah yang berada atas agama yang benar. Mereka yang sesat, tetapi mereka kata Nabi Nuh عليه السلام pula yang sesat.

Mereka kata Nabi Nuh عليه السلام sesat dan bukan sesat biasa, tetapi sesat yang مبين iaitu yang jelas betul. Kenapa sampai begitu? Kerana mereka yakin sangat yang mereka itu benar. Mereka sangka amalan syirik mereka itulah yang benar. Pelik sungguh mereka pula mahu mendakwah Nabi Nuh عليه السلام yang mengatakan kena sembah Allah ‎ﷻ sahaja, akan ada kebangkitan semula dan lain-lain lagi. Mereka rasa Nabi Nuh عليه السلام sudah sesat bangat.

Beginilah masalah yang dihadapi oleh mereka yang mempunyai kuasa dan sombong untuk menerima kebenaran. Mereka ada kekuatan pengaruh dan kekuatan kewangan sampai membolehkan mereka menolak Nabi Nuh عليه السلام di khalayak ramai. Mereka buat begitu supaya mereka boleh mengawal masyarakat kerana mereka mahu orang ramai yang tidak menggunakan akal sendiri, rasa dalam diri mereka: “Kalau pemimpin aku yang kaya raya dan pandai ini pun tidak terima dia ni, bagaimana pula dengan aku? Takkan aku nak terima dia pula?”

Begitulah, zaman sekarang pun ramai yang berkuasa yang menentang dan menghalang dakwah golongan yang Sunnah. Mereka melontarkan berbagai-bagai cemuhan dan dalil yang bathil untuk menghalang gerakan sunnah. Mereka kata gerakan sunnah ini yang sesat, yang memecah belahkan masyarakat, yang suka mengkafirkan orang dan sebagainya. Itu semua tohmahan sahaja yang tiada asasnya.

Yang sesat sekarang sangka merekalah yang benar. Lihatlah golongan yang hendak mempertahankan Tarekat Naqsyabandiah yang sesat bangat itu. Berbelit-belit hujah mereka hendak mempertahankan tarekat sesat ini. Walaupun telah diberi berbagai hujah kesesatan dan kartunnya kumpulan ini, namun masih ada lagi golongan yang hendak mempertahankannya. Mungkin kerana ada orang besar yang memberi arahan supaya dihalalkan kembali ajaran sesat ini.

Maka kita berhati-hatilah dengan apa yang diperkatakan oleh orang-orang yang dipandang besar dalam kalangan kita. Janganlah kita terus menerima apa yang mereka katakan. Allah‎ ﷻ telah memberikan kita akal dan kebolehan untuk mendapatkan ilmu supaya kita boleh menggunakan akal yang waras untuk melihat yang manakah kebenaran.

Banyak sekali ayat-ayat Al-Qur’an yang menceritakan tentang sesalan yang akan dihadapi oleh mereka yang ikut membuta sahaja apa yang dikatakan oleh para pemimpin mereka. Jangan kita menyesal seperti mereka nanti.


 

A’raf Ayat 61: Penolakan daripada pemuka kaumnya tadi amatlah keras, siap kata Nabi Nuh عليه السلام sesat. Sekarang mari kita lihat pula bagaimana cara jawapan Nabi Nuh عليه السلام. Jawapannya ini menjadi contoh kepada para pendakwah. Tidaklah dibalas keras dengan keras akan tetapi kena ada kelembutan di dalam dakwah.

قالَ يٰقَومِ لَيسَ بي ضَلٰلَةٌ وَلٰكِنّي رَسولٌ مِّن رَّبِّ العٰلَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Noah] said, “O my people, there is not error in me, but I am a messenger from the Lord of the worlds.

MALAY

Nabi Nuh menjawab: “Wahai kaumku! Tidak ada padaku sebarang kesesatan, tetapi aku adalah seorang Rasul dari Tuhan sekalian alam.

 

قالَ يٰقَومِ لَيسَ بي ضَلٰلَةٌ

Nabi Nuh menjawab: “Wahai kaumku! Tidak ada padaku sebarang kesesatan,

Ini adalah jawapan daripada Nabi Nuh عليه السلام. Baginda kata yang baginda tidak sesat sedikit pun. Lihatlah bahawa lafaz baginda ini disampaikan terus kepada kaumnya, bukan kepada ketua-ketua itu kerana para pemimpin itu berhujah kepada rakyat dan masyarakat, maka baginda menjelaskan kedudukan baginda terus kepada masyarakat juga.

Juga lihatlah bahasa lembut yang digunakan oleh baginda. Baginda tidaklah marah mereka semula: “Oh kau kata aku sesat?! Korang tu sepuluh kali sesat tau dak?!!” Bahasa kasar dan kesat bukan bahasa pendakwah. Pendakwah kenalah belajar tenang, belajar buat muka manis dan tidak terkesan dengan kata-kata buruk daripada mad’u (orang yang didakwah) dan para penentang. Ingatlah yang mereka itu orang yang masih lagi tidak tahu, maka kita beri peluang kepada mereka.

Memang kena banyak bersabar kerana para penentang memang banyak yang akan menggunakan kata-kata kesat. Itu adalah kerana kelemahan akal dan ilmu mereka. Janganlah kita terasa sangat. Mereka tidak tahu hendak cakap apa sebenarnya, kerana mereka tidak ada dalil, maka mereka hanya ada makian dan cacian sahaja.

Kalau kita yang hendak berdakwah dan hendak sampaikan sunnah ini pun ikut kasar seperti mereka, memang tidak kenalah cara begitu. Buat apa kita hendak gunakan kata kasar sedangkan dalil ada di tangan kita?

 

وَلٰكِنّي رَسولٌ مِّن رَّبِّ العٰلَمينَ

tetapi aku adalah seorang Rasul daripada Tuhan sekalian alam.

Baginda menegaskan bahawa baginda adalah rasul yang diutus oleh Allah ‎ﷻ, Tuhan sekalian alam. Baginda memperkenalkan diri baginda dan kedudukan yang telah diberikan oleh Allah ‎ﷻ. Maka mereka mestilah mengikut ajaran dan dakwah baginda, tidak ada pilihan lain lagi sekiranya mahu selamat.


 

A’raf Ayat 62: Apakah tugas Nabi Nuh عليه السلام? Nabi Nuh عليه السلام sambung menjelaskan.

أُبَلِّغُكُم رِسٰلٰتِ رَبّي وَأَنصَحُ لَكُم وَأَعلَمُ مِنَ اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

I convey to you the messages of my Lord and advise you; and I know from Allāh what you do not know.

MALAY

“(Tugasku) menyampaikan kepada kamu perintah-perintah yang (diutuskan oleh) Tuhanku, serta aku memberi nasihat kepada kamu, sedang aku mengetahui (melalui wahyu) dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.

 

أُبَلِّغُكُم رِسٰلٰتِ رَبّي

“Aku menyampaikan kepada kamu perintah-perintah yang (diutuskan oleh) Tuhanku,

Kemudian baginda memberitahu tugas baginda, iaitu menyampaikan wahyu Tuhan. Semua yang baginda sampaikan itu bukan daripada dirinya sendiri, tetapi daripada Allah ‎ﷻ. Inilah tugas utama para Rasul, iaitu menyampaikan risalah Allah ‎ﷻ.

Maka tugas Rasul dan para pendakwah hanyalah menyampaikan risalah daripada Allah ‎ﷻ. Menyampaikan ayat-ayat Al-Qur’an dan hadith-hadith Nabi yang sahih. Oleh itu, kenalah mahir dua perkara ini. Bukannya menyampaikan mimpi tok guru, pendapat tok guru, angan-angan tok guru, pendapat akal sendiri, kisah orang itu dan ini. Itu semua bukan yang kena disampaikan.

 

وَأَنصَحُ لَكُم

serta aku ikhlas kepada kamu,

Baginda memberitahu yang baginda hanya memberi nasihat yang ikhlas, dan baginda tidak memaksa. Ia adalah nasihat yang patut dan ikhlas sekali. Baginda beri nasihat itu kerana arahan daripada Allah ‎ﷻ dan kerana baginda risaukan kaum baginda. Bukannya kerana baginda hendakkan kedudukan, hendak merendahkan mereka atau kerana hendakkan imbuhan upah daripada mereka.

Kalimah أَنصَحُ berasal daripada kata dasar ن ص ح. Dari segi bahasa, kalimah نصح bererti sesuatu yang bersih atau murni (tidak bercampur dengan sesuatu yang lain). Sesuatu disebut (الناصح) (an-naashih), jika sesuatu tersebut tidak bercampur dengan sesuatu yang lain, misalnya madu murni atau sejenisnya. Daripada kalimah نصح jadilah kalimah seperti  النصيحة (an-nashiihah).

Ia bukanlah bermaksud ‘nasihat’ seperti dalam Bahasa Melayu kita. Inilah masalahnya apabila Bahasa Arab diMelayukan tetapi ia telah membawa maksud yang tidak sama dengan maksud asal. Selain nasihat, kalimah-kalimah lain yang membawa maksud lain di dalam Bahasa Melayu adalah seperti fitnah, khalwat dan maksiat.

Kalimah أَنصَحُ di dalam ayat ini bermaksud ‘ikhlas’. Bagaimana pula ia membawa maksud ikhlas? Kita mungkin agak-agak faham maksud nasihat, bukan? Kita juga pernah mendengar hadith yang berbunyi الدِّينُ النَّصِيحَةُ (selalu diterjemahkan sebagai: agama itu adalah nasihat). Namun bagaimana pula dengan sambungan hadith tersebut: النَّصِيحَةُ لِلَّهِ وَلِرَسُولِهِ وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ (Agama itu ialah nasihat kepada Allah ‎ﷻ, kepada Rasul-Nya, dan kepada pemimpin-pemimpin orang-orang Islam dan kepada orang awam).

Kalau nasihat kepada pemimpin dan orang awam, kita boleh faham bab nasihat itu tetapi bagaimana ‘nasihat’ kepada Allah ‎ﷻ dan Rasul pula? Tentulah tidak kena kalau kita terjemah sebagai nasihat yang difahami dalam Bahasa Melayu. Kerana itulah makna asal ‘nasihah’ adalah ‘ikhlas’. Iaitu kita ikhlas beribadat kepada Allah ‎ﷻ; kita ikhlas ikut ajaran Rasulullah, kita ikhlas taat dan bila perlu menegur pemimpin dengan ikhlas, kita ikhlas sayang kepada orang awam di sekeliling kita. Maka hendaklah dirujuk balik kepada maksud asal baru boleh difahami.

 

وَأَعلَمُ مِنَ اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ

sedang aku mengetahui (melalui wahyu) daripada Allah akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.

Baginda layak untuk memberi nasihat kepada mereka kerana baginda mengetahui daripada Allah ‎ﷻ perkara yang kaumnya tidak tahu kerana mereka tidak mendapat wahyu. Baginda mendapat ilmu itu daripada wahyu Ilahi dan kerana itulah baginda sampaikan kepada kaum baginda. Maka dengarlah sahaja dan taatlah sahaja. Jangan pula melawan.

Seperti juga kita yang telah belajar wahyu, maka bolehlah kita menyampaikan kepada manusia perkara yang orang lain tidak tahu lagi. Memang kita kena sampaikan kerana kalau tidak sampaikan, maka umat akan jauh daripada wahyu dan jauh daripada agama. Penolakan manusia kepada perkara yang haq adalah kerana mereka tidak menerima kebenaran wahyu.


 

A’raf Ayat 63: Sambungan daripada kata-kata Nabi Nuh عليه السلام kepada kaumnya yang menolak dakwah baginda.

أَوَعَجِبتُم أَن جاءَكُم ذِكرٌ مِّن رَّبِّكُم عَلىٰ رَجُلٍ مِّنكُم لِيُنذِرَكُم وَلِتَتَّقوا وَلَعَلَّكُم تُرحَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then do you wonder that there has come to you a reminder from your Lord through a man from among you, that he may warn you and that you may fear Allāh so you might receive mercy?”

MALAY

“Adakah kamu merasa hairan tentang datangnya kepada kamu nasihat pengajaran dari Tuhan kamu melalui seorang lelaki dari golongan kamu, untuk memberi peringatan kepada kamu, dan supaya kamu bertaqwa dan juga supaya kamu beroleh rahmat?”.

 

أَوَعَجِبتُم أَن جاءَكُم ذِكرٌ مِّن رَّبِّكُم عَلىٰ رَجُلٍ مِّنكُم

“Adakah kamu merasa hairan tentang datangnya kepada kamu nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu melalui seorang lelaki daripada golongan kamu, 

Nabi Nuh عليه السلام sambung lagi dakwah baginda: adakah kamu rasa hairan datang peringatan dalam bentuk wahyu daripada Tuhan kamu melalui lelaki yang sifatnya manusia dalam kalangan kamu? Ini adalah dalam bentuk soalan (istifham) tetapi bukanlah soalan sebenar (istifham haqiqi) tetapi istifham majazi sahaja. Ia hendak menyatakan kehairanan atau takjub sahaja.

Baginda berkata begini kerana umat baginda tidak percayakan baginda kerana baginda manusia sama seperti mereka juga. Pada mereka: “Engkau manusia, kami pun manusia juga, jadi kenapa kami kena dengar cakap engkau?” Seperti juga orang kita apabila kita sampaikan ajaran daripada Sunnah, mereka akan lihat kedudukan kita pula. Sedangkan dakwah tidak semestinya datang daripada orang yang berkedudukan lebih tinggi daripada kita. Dakwah itu adalah kebenaran yang tidak mengenal status.

Beginilah alasan yang diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ apabila baginda berdakwah kepada Musyrikin Mekah. Ini seperti yang disebut di dalam banyak ayat lain antaranya [ Mukminoon: 24 ]

فَقالَ المَلَأُ الَّذينَ كَفَروا مِن قَومِهِ ما هٰذا إِلّا بَشَرٌ مِّثلُكُم يُريدُ أَن يَتَفَضَّلَ عَلَيكُم وَلَو شاءَ اللهُ لَأَنزَلَ مَلٰئِكَةً

Maka pemuka-pemuka orang yang kafir di antara kaumnya menjawab: “Orang ini tidak lain hanyalah manusia seperti kamu, yang bermaksud hendak menjadi seorang yang lebih tinggi daripada kamu. Dan kalau Allah ﷻ menghendaki, tentu Dia mengutus beberapa orang malaikat.

Adakah mereka mahukan malaikat turun baru mereka hendak dengar? Tentulah tidak menghairankan kalau pembawa utusan itu dalam kalangan manusia kerana kaum yang akan didakwahkan itu adalah dalam kalangan manusia juga. Untuk manusia, kenalah manusia juga yang ajar kepada mereka. Kalaulah malaikat yang diturunkan, tentu susah hendak diikuti kerana malaikat berbeza dengan manusia.

Manusia memerlukan contoh daripada manusia juga iaitu contoh bagaimana sebagai manusia yang ada nafsu, ada keperluan, ada perasaan, ada kelemahan, akan tetapi mereka tetap dapat menjadi insan yang taat kepada Allah ‎ﷻ. Berbeza dengan malaikat yang tiada nafsu, tidak makan dan tidak minum.

Tambahan pula Rasul adalah daripada منكم (dalam kalangan kamu) iaitu daripada masyarakat mereka. Maka mereka kenal Nabi Nuh عليه السلام itu. Mereka tahu yang Nabi Nuh عليه السلام itu orang yang baik, ada akhlak yang baik. Begitulah para Rasul adalah orang yang memiliki akhlak yang baik dalam kalangan masyarakat dan dihormati.

Lagi satu, keputusan untuk melantik siapa yang menjadi Rasul adalah hak Allah ‎ﷻ dan ia tidak patut dipersoalkan. Ia bukan hak manusia untuk mempersoalkan mana-mana keputusan Allah ‎ﷻ.

Nabi Nuh عليه السلام kata peringatan itu daripada ‘Tuhan kamu’. Baginda tidak kata dari pada ‘Tuhan aku’ kerana baginda hendak mengingatkan mereka yang Tuhan mereka dan Tuhan baginda itu sama sahaja, walaupun mereka tidak mengaku. Seperti kita juga ketika dakwah kepada orang ‘belum Muslim’ pun kenalah sebut begini. Jangan kata ‘Tuhan kita’ sebab kalau begitu, mereka tidak terasa pun. Sebab pada mereka: “Lantaklah.. itu tuhan engkau, tuhan aku cakap lain.”

Apa yang disampaikan itu adalah ‘peringatan’. Jika kita ingatkan orang, adakah dia kena faham apa yang diingatkan? Tentulah kena faham. Kalau tidak, buang masa sahaja kita ingatkan dia. Maka kalau kita sampaikan Al-Qur’an, kenalah bagi manusia faham apa yang disebut dalam Al-Qur’an. Kalau setakat baca sahaja dan sibuk jaga tajwid, tidak ke mana.

 

لِيُنذِرَكُم

untuk memberi peringatan kepada kamu, 

Tujuan pemberi dakwah itu adalah untuk memberi peringatan dan ancaman. Apakah ancaman itu? Iaitu kalau tidak taat dan tidak sembah kepada Allah‎ ﷻ  sahaja, akan dimasukkan ke dalam neraka.

Apakah maksud ‘peringatan’? Adakah suruh orang buat sesuatu seperti ‘pergi ke sana’ sahaja? Itu bukan peringatan kerana manusia tidak takut. Yang menjadikan ia peringatan adalah kalau ada ancaman di dalamnya. Contohnya kita kata: “Pergi ke sana kalau tidak kau kena denda!” Memang manusia yang degil memerlukan ancaman baru mereka akan buat sesuatu.

 

وَلِتَتَّقوا

dan supaya kamu bertaqwa

Penyebar tauhid itu datang untuk mengingatkan umatnya untuk bertaqwa. Taqwa itu adalah dengan menjaga hukum yang telah disampaikan oleh Allah ‎ﷻ. Dalam setiap perbuatan kita, kita kena sedar yang Allah ‎ﷻ sedang memerhatikan kita. Jika kita sedar Allah ‎ﷻ sedang memerhatikan kita, maka kita akan jaga hukum. Kita akan tanya diri sendiri: “Allah mahu aku buat macam mana dalam hal ini? Apakah hukum perbuatan ini?”

 

وَلَعَلَّكُم تُرحَمونَ

dan juga supaya kamu beroleh rahmat”

Tujuan dakwah itu disampaikan adalah supaya manusia mendapat rahmat daripada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ akan memberi rahmat kepada mereka yang bertaqwa dan menjaga hukum dalam kehidupan mereka. Mereka yang mendapat rahmat daripada Allah ‎ﷻ akan mendapat kehidupan yang baik di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat.

Ini penting kerana untuk memasuki syurga memerlukan rahmat daripada Allah ‎ﷻ. Tanpa rahmat, kita pasti tidak dapat masuk ke dalam syurga. Amalan kita tidak akan cukup timbangan untuk memasukkan kita ke dalam syurga. Kita amat-amat memerlukan rahmat daripada Allah ‎ﷻ.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Ringkasan Surah A’raf

Kemaskini: 29 September 2022


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien