Tafsir Surah al-A’raf Ayat 172 – 174 (Perjanjian dengan Allah ﷻ di alam roh)

PENJANJIAN DENGAN SELURUH MANUSIA

A’raf Ayat 172: Allah ﷻ mengambil perjanjian dengan manusia bukanlah seperti perjanjian yang diambil dengan Bani Israel di mana bukit Thur itu diangkat ke atas mereka. Sebenarnya Allah ﷻ ada mengambil perjanjian (bai’ah) dengan kita semua sebelum kita dilahirkan lagi. Kita sahaja yang tidak mengingati peristiwa itu kerana ia berlaku di alam roh. Perjanjian ini dinamakan Perjanjian أَلَستُ.

وَإِذ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَني ءآدَمَ مِن ظُهورِهِم ذُرِّيَّتَهُم وَأَشهَدَهُم عَلىٰ أَنفُسِهِم أَلَستُ بِرَبِّكُم ۖ قالوا بَلىٰ ۛ شَهِدنا ۛ أَن تَقولوا يَومَ القِيٰمَةِ إِنّا كُنّا عَن هٰذا غٰفِلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [mention] when your Lord took from the children of Adam – from their loins – their descendants and made them testify of themselves, [saying to them], “Am I not your Lord?” They said, “Yes, we have testified.” [This] – lest you should say on the Day of Resurrection, “Indeed, we were of this unaware.”

MALAY

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firmanNya): “Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”.

 

وَإِذ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَني ءآدَمَ مِن ظُهورِهِم ذُرِّيَّتَهُم

Dan ingatlah ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam daripada (tulang) belakang mereka,

Ini Allah ﷻ beritahu kisah kejadian semasa Dia menjadikan manusia. Kalimah ذرية digunakan juga di dalam bahasa kita iaitu ‘zuriat’. Ia berasal daripada katadasar ذ ر ء yang bermaksud ‘cipta’. Maka kalimah ذرية bermaksud semua yang telah dicipta dan di sini merujuk kepada anak cucu Nabi Adam عليه السلام yang telah diciptakan. Semua manusia termasuk di dalam kategori ini kerana semua manusia adalah anak cucu Nabi Adam عليه السلام.

Kalimah بَني ءآدَمَ merujuk kepada manusia secara keseluruhan. Akan tetapi kalau perasan, bukan بَني ءآدَمَ sahaja yang digunakan untuk merujuk kepada manusia. Kalau kalimah الْإِنسِ yang digunakan, Al-Qur’an hendak merujuk kepada perbincangan aspek sosial manusia seperti yang digunakan dalam Rahman:33

يٰمَعشَرَ الجِنِّ وَالإِنسِ إِنِ استَطَعتُم أَن تَنفُذوا مِن أَقطارِ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ فَانفُذوا

Wahai sekalian jin dan manusia! Kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi (untuk melarikan diri dari kekuasaan dan balasan Kami), maka cubalah kamu menembus keluar.

Kalau kalimah بَني ءآدَمَ yang digunakan, seperti di dalam ayat yang kita sedang pelajari ini, perbincangan adalah berkenaan aspek sejarah.

Dan jikalau kalimah yang digunakan adalah بَشَرٌ seperti di dalam Ali Imran:47, kandungan perbincangan adalah mengenai aspek semulajadi dan fizikal manusia.

قالَت رَبِّ أَنّىٰ يَكونُ لي وَلَدٌ وَلَم يَمسَسني بَشَرٌ

Maryam berkata:” Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun?”

Kisah ini terjadi ketika di alam roh iaitu apabila kita manusia masih lagi di dalam bentuk roh (belum dilahirkan lagi). Waktu itu kita semua dihadapkan di hadapan Allah ﷻ setelah dikeluarkan daripada tulang sulbi Nabi Adam عليه السلام. Terdapat hadith yang boleh dijadikan sebagai bayangan, iaitu hadith yang agak masyhur kerana ada dalam banyak kitab-kitab Sunan. Cumanya ia adalah tidak sahih:

(ضعيف) عن مسلم بن يسار الجهني أن عمر بن الخطاب سئل عن هذه الآية {وإذ أخذ ربك من بني آدم من ظهورهم ذريتهم وأشهدهم على أنفسهم…} الآية [الأعراف: 172]؟ قال: سمعت رسول الله ﷺ يسأل عنها؟ فقال: «إن الله خلق آدم ثم مسح ظهره فاستخرج منه ذريته فقال: خلقت هؤلاء للجنة وبعمل أهل الجنة يعملون، ثم مسح ظهره فاستخرج منه ذرية فقال: خلقت هؤلاء للنار وبعمل أهل النار يعملون، فقال رجل: يا رسول الله! ففيم العمل؟ فقال: إن الله إذا خلق العبد للجنة استعمله بعمل أهل الجنة حتى يموت على عمل من أعمال أهل الجنة فيدخله الجنة، وإذا خلق العبد للنار استعمله بعمل أهل النار حتى يموت على عمل أهل النار فيدخله النار». [مالك، حم، د، ت، حب، ك، ابن عساكر، ابن أبي عاصم، «الضعيفة» (3071)].

(Lemah) Daripada Muslim bin Yasār al-Juhanī, bahawasanya Umar bin al-Khaṭṭāb رضي الله عنه‎ telah ditanyakan tentang ayat ini: “Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri…” [al-A‘rāf ayat: 172]. Umar رضي الله عنه‎ menjawab: Aku mendengar Rasulullah ﷺ ditanya tentangnya, lalu baginda bersabda: Sesungguhnya Allah ﷻ menciptakan Nabi Adam عليه السلام, kemudian Dia mengusap belakang baginda, lalu mengeluarkan keturunan baginda daripadanya. Maka Allah ﷻ berfirman: “Aku telah menciptakan mereka untuk syurga dan mereka akan beramal dengan amalan penghuni syurga”. Kemudian Allah ﷻ mengusap belakang baginda lalu mengeluarkan keturunan (lain) daripadanya. Maka Allah ﷻ berfirman: “Aku telah menciptakan mereka untuk neraka dan mereka akan beramal dengan amalan penghuni neraka”. Lantas seorang lelaki berkata: “Wahai Rasulullah, lalu untuk apakah beramal?” Baginda menjawab: “Sesungguhnya Allah ﷻ apabila Dia telah menciptakan seseorang hamba untuk syurga, nescaya Dia akan menjadikannya beramal dengan amalan penghuni syurga sehinggalah dia meninggal dunia ketika beramal dengan salah satu amalan penghuni syurga, lalu memasukkannya ke dalam syurga. Manakala apabila Dia menciptakan hamba untuk neraka, nescaya Dia akan menjadikannya beramal dengan amalan penghuni neraka sehinggalah dia meninggal dunia ketika beramal dengan amalan penghuni neraka, lalu memasukkannya ke dalam neraka”. (Riwayat Mālik dalam al-Muwaṭṭa’, Aḥmad dalam Musnadnya, Abū Dāwud dan al-Tirmidhī dalam Sunannya, Ibn Ḥibbān dalam al-Ṣaḥiḥ, al-Ḥākim dalam al-Mustadrak, Ibn ‘Asākir dalam Tārīkh Dimashq dan Ibn Abī ‘Āṣim dalam al-Sunnah. Lihat Silsilah al-Ḍa‘īfah, no. 3071)

Oleh kerana ia adalah kejadian di alam ghaib, maka kita tidak tahu dengan pasti. Cuma kita tahu ia telah berlaku. Malah ada yang mengatakan ia tidak terjadi di alam roh pun kerana tidak ada dalil tentang perkara itu. Ada pendapat lain yang mengatakan kejadian ini berlaku sebelum Nabi Adam عليه السلام diturunkan ke bumi.

Allah ﷻ mampu menjadikan sehingga semua manusia berada di situ. Bagaimana pula boleh begitu, bukankah ramai? Semuanya tidak mustahil bagi Allah ﷻ. Buku yang berjuta jilid pun manusia boleh letakkan di dalam satu thumbdrive kecil, apatah lagi teknologi yang Allah ﷻ ada.

Seperti yang kita tahu, Allah ﷻ bersifat rahmah dan telah memberikan berbagai-bagai peringatan kepada kita. Semua ini Allah ﷻ lakukan kerana Dia mahu kita berjaya dunia dan akhirat. Peringatan itu datang dalam pelbagai bentuk. Sebagai contoh, Allah ﷻ telah memberikan kita kitab wahyu-Nya dan juga para Rasul untuk membimbing kita ke jalan yang benar.

Allah ﷻ juga menugaskan para malaikat untuk menjaga kita dan memberi bisikan untuk melakukan perkara yang baik. Allah ﷻ juga telah meletakkan kita di alam yang amat indah ini dengan segala tanda-tanda yang menjadi dalil kepada kewujudan-Nya. Allah ﷻ juga telah menjadikan pancaindera dan akal dalam tubuh kita untuk kita memikirkan tentang kebenaran dan mencari kebenaran itu. Bukan sahaja alam luar, tetapi alam diri kita sendiri berdiri dengan penuh kesempurnaan ciptaan menjadi tanda adanya Tuhan yang menciptanya yang ia tidak mungkin terjadi sendiri. Kerana itu Allah ﷻ berfirman dalam [Dzaariyat: 20-21]

وَفِي الأَرضِ ءآيٰتٌ لِّلموقِنينَ

Dan di bumi itu terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang yakin.

وَفي أَنفُسِكُم ۚ أَفَلا تُبصِرونَ

dan (juga) pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memperhatikan?

Satu lagi cara Allah ﷻ hendak menetapkan kita di atas jalan kebenaran adalah dengan mengadakan perjanjian dengan kita sebelum kita dilahirkan lagi seperti disebut di dalam ayat ini. Bukan dengan manusia biasa sahaja ada perjanjian, tetapi para Nabi juga ada perjanjian dengan Allah ﷻ di alam roh lagi seperti disebut dalam [Ali Imran: 81]

وَإِذْ أَخَذَ اللَّهُ مِيثٰقَ النَّبِيِّينَ لَمَا ءآتَيْتُكُم مِّن كِتٰبٍ وَحِكْمَةٍ ثُمَّ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مُّصَدِّقٌ لِّمَا مَعَكُمْ لَتُؤْمِنُنَّ بِهِ وَلَتَنصُرُنَّهُ قَالَ ءأَقْرَرْتُمْ وَأَخَذْتُمْ عَلَىٰ ذَٰلِكُمْ إِصْرِي قَالُوا أَقْرَرْنَا قَالَ فَاشْهَدُوا وَأَنَاْ مَعَكُم مِّنَ الشّٰهِدِينَ

Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia daripada Nabi-nabi (dengan firman-Nya): “Sesungguhnya apa jua Kitab dan Hikmat yang Aku berikan kepada kamu, kemudian datang pula kepada kamu seorang Rasul yang mengesahkan apa yang ada pada kamu, hendaklah kamu beriman sungguh-sungguh kepadanya, dan hendaklah kamu bersungguh-sungguh menolongnya”. Allah berfirman lagi (bertanya kepada mereka): “Sudahkah kamu mengakui dan sudahkah kamu menerima akan ikatan janji-Ku secara yang demikian itu?” Mereka menjawab: “Kami berikrar (mengakui dan menerimanya)”. Allah berfirman lagi: “Jika demikian, maka saksikanlah kamu, dan Aku juga menjadi saksi bersama-sama kamu.”

Tradisi bai’ah memang ada di dalam Islam. Rasulullah ﷺ sendiri banyak kali mengadakan bai’ah dengan para sahabat antaranya seperti disebut di dalam [Fath: 18]

لَّقَد رَضِيَ اللهُ عَنِ المُؤمِنينَ إِذ يُبايِعونَكَ تَحتَ الشَّجَرَةِ

Sesungguhnya Allah telah redha terhadap orang-orang mukmin ketika mereka berjanji setia (bai’ah) kepadamu di bawah pohon

Rasulullah ﷺ biasa berbai’at dengan para sahabat. Salah satu isi bai’at sahabat kepada Nabi ﷺ, dinyatakan dalam hadith daripada Abbas bin Abdul Muthalib رضي الله عنه, bahawa ada beberapa orang Madinah yang membai’at Nabi ﷺ. Mereka bertanya,

“Apa yang harus kami bai’atkan?”

Lalu baginda bersabda,

تبايعوني على السمع والطاعة في النشاط والكسل وعلى النفقة في العسر واليسر وعلى الأمر بالمعروف والنهي عن المنكر وعلى أن تقولوا في الله لا يأخذكم في الله لومة لائم وعلى أن تنصروني إذا قدمت عليكم وتمنعوني ما تمنعون منه أنفسكم وأزواجكم وأبناءكم فلكم الجنة

Kalian bai’at aku untuk mendengar dan taat, baik ketika sedang semangat mahupun ketika malas. Untuk memberi nafkah baik ketika sedang sulit mahupun sedang longgar, untuk selalu amar makruf nahi munkar, menyatakan kebenaran syariat Allah ﷻ, tanpa takut dengan celaan apa pun. Dan bai’at untuk membelaku jika aku datang ke negeri kalian, dan melindungiku sebagaimana kalian melindungi diri kalian, isteri kalian, dan anak kalian. Sehingga kalian mendapat syurga.

(HR. Ibn Majah 7012 dan disahihkan Syuaib al-Arnauth).

 

وَأَشهَدَهُم عَلىٰ أَنفُسِهِم أَلَستُ بِرَبِّكُم

dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firman-Nya): “Bukankah Aku tuhan kamu?”

Kandungan bai’ah dengan Allah ﷻ itu adalah tentang Tauhid dan mengenal-Nya. Maknanya Allah ﷻ mengajar kita semua tentang Tauhid di alam arwah lagi iaitu ketika Allah ﷻ menghimpun semua sekali zuriat yang bakal lahir daripada sulbi Nabi Adam عليه السلام. Oleh itu, kejadian asal manusia memang sudah kenal akan Allah ﷻ. Semua bayi yang lahir itu ada fitrah, sudah kenal Tuhan, sudah kenal Tauhid.

Cuma kita lihat ramai yang menjadi kafir kerana mereka lahir dalam suasana berbeza, lahir dalam keluarga kafir, contohnya. Sebab itu sekiranya seorang anak kecil dijaga dalam suasana rapat dengan agama Islam, mereka boleh menjadi Muslim yang baik. Sekiranya seorang anak itu lahir dalam keluarga kafir pun, dia yang boleh kenal Allah ﷻ jika dia belajar, walaupun asalnya dia kafir. Dugaannya besar sedikit kerana dilahirkan dalam keluarga yang kafir.

Maka kita boleh melihat, berapa ramaikah yang lahir dalam keluarga kafir namun akhirnya mati dalam Islam? Banyak sekali. Ini adalah kerana jika mereka membuka hati mereka kepada kebenaran, mereka akan dapat menerimanya, kerana memang telah ada dalam diri mereka yang kenal kepada Allah ﷻ, kenal kepada Tauhid. Inilah yang dinamakan fitrah kejadian manusia.

Cuma yang terus tidak beriman itu adalah kerana mereka menutup hati mereka daripada menerima kebenaran. Itulah sebabnya, mereka dikatakan ‘kufur’, kerana lafaz ‘kufur’ itu berasal daripada katadasar ك ف ر yang bermaksud ‘tutup’. Mereka menutup fitrah mereka supaya tidak timbul.

 

قالوا بَلىٰ ۛ شَهِدنا

Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. 

Allah ﷻ menyoal manusia di alam roh, tidakkah Dia itu Tuhan kita? Kesemua kita dulu menjawab, benar sekali Allah ﷻ itu Tuhan kita. Kita semua bersaksi tanpa syak lagi. Walaupun belum dilahirkan lagi, tetapi Allah ﷻ telah memberi pengetahuan tentang siapakah Dia kepada kita dahulu.

Adakah anda masih ingat lagi perjanjian itu? Tentu tidak ingat, bukan? Minit mesyuarat itu pun tidak ada. Golongan Atheist pun tentu tidak akan mengaku tentang hal ini. Memang kita tidak ingat langsung kejadian itu tetapi ia disemadikan di dalam bentuk fitrah di dalam diri kita. Fitrah kejadian kita sudah mengenal Allah ﷻ sebagai Tuhan kita. Di dalam kitab Sahihain (Riwayat Bukhari dan Muslim) disebutkan melalui Abu Hurairah رضي الله عنه bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

“كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ -وَفِي رِوَايَةٍ: عَلَى هَذِهِ الْمِلَّةِ -فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ، وَيُنَصِّرَانِهِ، وَيُمَجِّسَانِهِ، كَمَا تُولَدُ الْبَهِيمَةُ بَهِيمَةً جَمْعَاءَ، هَلْ تُحِسُّونَ فِيهَا مِنْ جَدْعَاءَ”

Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci).  Riwayat lain menyebutkan: dalam keadaan memeluk agama ini (Islam), maka kedua orang tuanyalah yang menjadikannya seorang Yahudi atau seorang Nasrani atau seorang Majusi, seperti halnya dilahirkan haiwan ternak yang utuh, apakah kalian merasakan (melihat) adanya cacat padanya?

(HR. Bukhari No. 1385)

Maka golongan kafir dan atheist itu sebenarnya menentang fitrah mereka sendiri. Mereka menolak perasaan yang sudah ada dalam diri mereka. Mereka tanam dan tutup rapat-rapat. Sebab itulah pengalaman orang yang masuk Islam itu berbeza benar keadaannya. Mereka kata hati mereka tenang, masalah dalam kepala seperti diangkat terus, mereka secara automatik menangis kegembiraan dan pelbagai lagi pengalaman mereka. Ini adalah kerana mereka sudah berhubung dengan fitrah mereka. Sudah ada congruent (sepadan, sesuai, kongruen) antara diri orang itu dan fitrahnya sendiri.

Maka apakah tujuan Allah ﷻ bertanya kepada setiap roh manusia itu?

 

أَن تَقولوا يَومَ القِيٰمَةِ إِنّا كُنّا عَن هٰذا غٰفِلينَ

Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”.

Allah ﷻ tanya awal-awal di alam arwah sebelum kita lahir lagi, supaya nanti kita tidak beri alasan di alam akhirat yang kita tidak tahu pun tentang tauhid, kita tidak pernah diajar. Pada waktu itu Allah ﷻ akan mengingatkan kembali persaksian mereka dulu sebelum mereka lahir lagi – bukankah kamu telah mengaku dahulu?

Oleh hal yang demikian, sekiranya Allah ﷻ tidak menghantar wahyu, tidak mengutus para Rasul, tidak mengutus penyebar tauhid untuk mengingatkan kita, kita sepatutnya telah tahu. Namun Allah ﷻ dengan rahmat-Nya, telah mengingatkan kita kembali tentang perkara itu. Ini adalah kerana manusia itu sememangnya bersifat pelupa. Mereka dilupakan oleh syaitan. Di dalam kitab Sahih Muslim disebutkan melalui Iyad ibnu Himar bahawa Rasulullah ﷺ telah bersabda:

“يَقُولُ اللَّهُ [تَعَالَى] إِنِّي خَلَقْتُ عِبَادِي حُنَفَاءَ فَجَاءَتْهُمُ الشَّيَاطِينُ فَاجْتَالَتْهُمْ، عَنْ دِينِهِمْ وَحَرَّمَتْ عَلَيْهِمْ مَا أَحْلَلْتُ لَهُمْ”

Allah تَعَالَى, berfirman, “Sesungguhnya Aku menciptakan hamba-hamba-Ku dalam keadaan hanif (cenderung kepada agama yang hak), kemudian datanglah syaitan, lalu syaitan menyesatkan mereka daripada agamanya dan mengharamkan kepada mereka apa-apa yang telah Aku halalkan kepada mereka.”

(HR. Muslim No. 2865)

Mungkin ada yang beralasan ayat ini tidak boleh digunapakai kerana semua kita tidak ingat. Kita telah jelaskan sebelum ini tentang fitrah. Oleh itu, sekiranya manusia boleh memikirkan, membuka minda dan hatinya kepada mesej yang Islam sampaikan, mereka akan dapat ‘rasa’ kebenaran yang ada di dalam Islam.

Malah bukan itu sahaja. Bukankah Allah ﷻ telah memberi kitab wahyu, para Nabi, pendakwah, alam ini segala keindahan dan kehebatannya adalah untuk mengingatkan kembali manusia kepada fitrahnya? Maka manusia tidak ada alasan di akhirat kelak untuk kata dia tidak tahu (غافلين).

Malangnya, ramai manusia yang walaupun telah diberi peringatan, masih lagi tidak mahu menerima peringatan itu. Perasaan dalaman yang sudah tahu Islam itu benar, mereka tutup, mereka tanam, mereka tolak dengan sekuat-kuatnya. Mereka sendiri yang buat keputusan untuk tolak kerana kalau ikut semulajadi, mereka sepatutnya sudah terima. Maka, salahkah Allah ﷻkalau Allah ﷻ beri azab kepada mereka? Tentu tidak. Itulah maksudnya Allah ﷻ tidak zalim jika Allah ﷻ mengazab mereka yang tidak beriman kepada tauhid.

Sememangnya sifat manusia itu pelupa seperti yang diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi  رحمه الله berkenaan tafsir ayat ini:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ [رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ] قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “لَمَّا خَلَقَ اللَّهُ [عَزَّ وَجَلَّ] آدَمَ مَسَحَ ظَهْرَهُ، فَسَقَطَ مِنْ ظَهْرِهِ كُلُّ نَسَمة هُوَ خَالِقُهَا مِنْ ذُرِّيَّتِهِ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ، وَجَعَلَ بَيْنَ عَيْنَيْ كُلِّ إِنْسَانٍ مِنْهُمْ وَبيصًا مِنْ نُورٍ، ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى آدَمَ، فَقَالَ: أَيْ رَبِّ، مَنْ هَؤُلَاءِ؟ قَالَ: هَؤُلَاءِ ذَرِّيَّتُكَ. فَرَأَى رَجُلًا مِنْهُمْ فَأَعْجَبَهُ وَبِيص مَا بَيْنَ عَيْنَيْهِ، فَقَالَ: أَيْ رَبِّ، مَنْ هَذَا؟ قَالَ: هَذَا رَجُلٌ مِنْ آخِرِ الْأُمَمِ مِنْ ذُرّيتك، يُقَالُ لَهُ: دَاوُدُ. قَالَ: رَبِّ، وَكَمْ جَعَلْتَ عُمُرَهُ؟ قَالَ: سِتِّينَ سَنَةً. قَالَ: أَيْ رَبِّ، زِدْهُ مِنْ عُمُرِي أَرْبَعِينَ سَنَةً. فَلَمَّا انْقَضَى عُمُرُ آدَمَ، جَاءَهُ مَلَكُ الْمَوْتِ قَالَ: أَوْ لَمْ يَبْقَ مِنْ عُمُرِي أَرْبَعُونَ سَنَةً؟ قَالَ: أوَ لَمْ تُعْطِهَا ابْنَكَ دَاوُدَ؟ قَالَ: فَجَحَدَ آدَمُ فَجَحَدَتْ ذُرِّيَّتُهُ، وَنَسِيَ آدَمُ فَنَسِيَتْ ذُرِّيَّتُهُ، وَخَطِئَ آدَمُ فَخَطِئَتْ ذُرِّيَّتُهُ”.

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ telah bersabda: Ketika Allah menciptakan Adam, maka Allah mengusap punggung Adam, lalu berguguranlah daripada punggungnya semua manusia yang Dia ciptakan daripada anak keturunannya sampai hari kiamat. Dan Allah menjadikan di antara kedua mata setiap manusia daripada sebahagi­an mereka secerah nur (cahaya), kemudian Allah menampilkannya di hadapan Adam. Maka Adam berkata, “Wahai Tuhanku, siapakah mereka ini?” Allah berfirman, “Mereka adalah anak cucumu.” Adam melihat seorang lelaki daripada mereka yang nur di antara kedua matanya mengagumkan Adam. Adam bertanya, “Wahai Tuhanku, siapakah orang ini?” Allah berfirman, “Dia adalah seorang lelaki dalam kalangan umat yang akhir nanti dalam kalangan keturunanmu, dia dikenal dengan nama Daud.” Adam berkata, “Wahai Tuhanku, berapakah usianya yang telah Engkau tetapkan untuknya “Allah menjawab “Enam Puluh Tahun”. Adam berkata,  “Wahai Tuhanku, aku rela memberikan kepadanya sebahagian daripada usiaku sebanyak empat puluh tahun.” Ketika usia Adam telah habis, dia kedatangan Malaikat Maut, maka Adam berkata, “Bukankah usiaku masih empat puluh tahun lagi?” Malaikat Maut menjawab.”Bukankah engkau telah berikan kepada anakmu Daud?” Ketika Malaikat Maut menjawabnya, maka Adam mengingkarinya, sehingga keturunannya pun ingkar pula. Adam lupa, maka keturunannya pun lupa pula. Adam berbuat kekeliruan, maka keturunannya pun berbuat kekeliruan pula.

(Hadith Riwayat Tirmidzi. 5/267 No. 3076)

Kemudian Imam Tirmidzi رحمه الله mengatakan bahawa hadith ini hasan sahih.


 

A’raf Ayat 173: Allah ﷻ menceritakan satu lagi alasan manusia nanti apabila di akhirat. Alasan ini juga ditolak dengan perjanjian yang telah diadakan di alam roh itu.

أَو تَقولوا إِنَّما أَشرَكَ ءآباؤُنا مِن قَبلُ وَكُنّا ذُرِّيَّةً مِّن بَعدِهِم ۖ أَفَتُهلِكُنا بِما فَعَلَ المُبطِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or [lest] you say, “It was only that our fathers associated [others in worship] with Allāh before, and we were but descendants after them. Then would You destroy us for what the falsifiers have done?”

MALAY

Atau supaya kamu tidak mengatakan:” Sesungguhnya ibu bapa kamilah yang melakukan syirik dahulu sedang kami ialah keturunan (mereka) yang datang kemudian daripada mereka. Oleh itu, patutkah Engkau (wahai Tuhan kami) hendak membinasakan kami disebabkan perbuatan orang-orang yang sesat itu?”

 

أَو تَقولوا إِنَّما أَشرَكَ ءآباؤُنا مِن قَبلُ

Atau supaya kamu tidak mengatakan:” Sesungguhnya tok nenek kamilah yang melakukan syirik dahulu

Ini satu lagi alasan yang diberikan oleh manusia yang ingkar. Nanti akan ada yang berkata, tok nenek mereka dahulu yang mula berbuat syirik dan mengajar mereka amalan dan fahaman syirik itu. Itu sebab mereka ikut. Maka mereka beralasan yang mereka tidak bersalah kerana mereka mengikut sahaja apa yang disampaikan oleh tok nenek mereka dahulu.

 

وَكُنّا ذُرِّيَّةً مِّن بَعدِهِم

sedang kami ialah keturunan (mereka) yang datang kemudian daripada mereka.

Mereka hendak menyalahkan keturunan mereka terdahulu. Mereka kata mereka itu zuriat sahaja dan tentulah mereka mengikut apa yang telah dilakukan oleh keturunan tok nenek mereka dahulu.

Inilah bahayanya kalau mengikut sahaja amalan tok nenek. Ramai yang menggunakan alasan sebegini. Mereka berkata: “Masyarakat kita sudah lama buat… ulama’ dah bahas lama…. takkan mereka salah?…. takkan mereka semua masuk neraka?…. ikut sahajalah jangan banyak soal….kalau salah mesti sudah ada yang tegur….” dan macam-macam lagi alasan mereka.

Ini semua adalah alasan orang yang malas berfikir dan menggunakan otak. Memang senang sahaja kalau kita hanya mengikut, bukan? Jika melawan arus memerlukan usaha yang agak banyak kerana manusia memang selalu mengikut arus perdana sahaja. Sebab itu kita semenjak kecil akan berpakaian seperti orang sekeliling kita, bercakap seperti mereka, makan minum dan sebagainya.

Namun ketahuilah yang ia adalah bahaya kerana amalan tok nenek itu tidak semestinya benar. Yang benar, mesti ada dalilnya. Maka kenalah periksa semula apakah dalil bagi amalan itu. Ini memerlukan KBAT (Kemahiran Berfikir Aras Tinggi) yang tidak banyak orang kita ada. Ramai yang malas berfikir hal agama. Hal keduniaan mencari makan dan kerjaya, mana hendak berbuka puasa, mana hendak bercuti dan sebagainya, mereka fikir habis-habisan. Akan tetapi untuk hal agama, mereka tiba-tiba menjadi lain pula, ambil mudah sahaja, hanya ikut-ikut sahaja. Ini amatlah bahaya kerana kesannya bukan di dunia sahaja, tetapi akan berkekalan di akhirat.

 

أَفَتُهلِكُنا بِما فَعَلَ المُبطِلونَ

Oleh itu, patutkah Engkau (wahai Tuhan kami) hendak membinasakan kami disebabkan perbuatan orang-orang yang sesat itu?”

Mereka mempersoalkan Allah ﷻ pula kenapa hendak mengazab mereka, sedangkan kesalahan itu adalah kesalahan tok nenek mereka. Tok nenek yang buat salah, kenapa kami pula yang kena?

Ada kalimah المُبطِلونَ di sini. Maksudnya amal-amal mereka semua terbatal kerana kesyirikan yang mereka lakukan. Begitulah amalan-amalan yang tidak ada dalil, maka terbatal.

Ini adalah satu alasan orang sesat dan bersalah tetapi masih lagi hendak berhujah dan menyalahkan orang lain. Oleh kerana tidak mahu mereka menggunakan hujah itulah yang Allah ﷻ sudah soal mereka di alam arwah lagi dan telah mendapatkan persetujuan daripada semua manusia yang akan dilahirkan. Maka hendak bagi alasan apa lagi?

Manusia hendaklah ingat yang mereka tidaklah dihukum kerana kesalahan tok nenek mereka. Kesalahan tok nenek ditanggung oleh tok nenek lah. Siapa buat, dialah yang tanggung. Namun, kesalahan ‘mengikut’ tok nenek itu mereka kenalah tanggung. Jangan salahkah tok nenek pula. Kamu juga bersalah kerana mengikut tanpa periksa amalan tok nenek itu. Kamu tidak dipaksa pun untuk mengikut amalan tok nenek. Yang kita disuruh adalah beramal berpandukan wahyu.


 

A’raf Ayat 174:

وَكَذٰلِكَ نُفَصِّلُ الآيٰتِ وَلَعَلَّهُم يَرجِعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And thus do We [explain in] detail the verses, and perhaps they will return.1

  • To the way of Allāh (subḥānahu wa ta‘ālā), from their diversions and deviations.

MALAY

Dan demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu (supaya nyata segala kebenaran), dan supaya mereka kembali (kepada kebenaran).

 

Maka, begitulah dalil bukti daripada Allah ﷻ. Allah ﷻ telah menjelaskan kepada kita semua dan telah memasukkan ke dalam diri kita, kefahaman kepada Tauhid. Maka ajaran dan amalan Tauhid ini sebenarnya sudah sebati dalam diri kita. Maka janganlah kita tolak lagi. Kalau kita buka fikiran dan hati kita untuk mendengar ajaran yang disampaikan oleh para pendakwah yang mengajak kepada tauhid, kita akan dapat rasa yang hanya Islamlah ajaran yang benar.

Apakah الآيٰتِ (tanda-tanda) yang dimaksudkan di dalam ayat ini? Para ulama’ tafsir memberi beberapa kemungkinan:

1. Ia merujuk kepada ayat-ayat dalam Surah Al-A’raf ini. Sudah banyak ayat-ayat disajikan kepada kita. Banyak pengajaran-pengajaran yang kita boleh ambil.
2. Ada juga yang mengatakan yang dimaksudkan adalah ayat-ayat tentang perjanjian yang Allah ﷻ ambil daripada anak-anak Adam.
3. Tentang khabar/kisah umat terdahulu yang membangkang Allah ﷻ dan Rasul mereka dan bagaimana mereka telah dikenakan dengan azab. Kita telah lihat kisah Nabi Nuh, Hud, Saleh, Luth, Syuaib, Musa عليهم السلام dan kaum mereka iaitu penentangan mereka dan apakah akibat daripada penentangan mereka itu.

Tujuan segala tanda ini diberikan adalah supaya manusia kembali (يَرجِعونَ) daripada syirik kepada Tauhid, daripada kesesatan kepada keimanan. Manusia memerlukan peringatan sepanjang masa untuk beringat-ingat. Selagi kita masih ada nyawa dan peluang ini, maka ambillah peluang yang masih berbaki ini. Jangan menyesal di akhirat kelak.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 2 Oktober 2023

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah al-A’raf Ayat 169 – 171 (Ancaman Allah ﷻ menghempap Bukit Thur ke atas kepala Yahudi)

PENGIKUT YANG DATANG KEMUDIAN

A’raf Ayat 169:

فَخَلَفَ مِن بَعدِهِم خَلفٌ وَرِثُوا الكِتٰبَ يَأخُذونَ عَرَضَ هٰذَا الأَدنىٰ وَيَقولونَ سَيُغفَرُ لَنا وَإِن يَأتِهِم عَرَضٌ مِّثلُهُ يَأخُذوهُ ۚ أَلَم يُؤخَذ عَلَيهِم مّيثٰقُ الكِتٰبِ أَن لّا يَقولوا عَلَى اللَّهِ إِلَّا الحَقَّ وَدَرَسوا ما فيهِ ۗ وَالدّارُ الآخِرَةُ خَيرٌ لِّلَّذينَ يَتَّقونَ ۗ أَفَلا تَعقِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And there followed them successors who inherited the Scripture [while] taking the commodities¹ of this lower life and saying, “It will be forgiven for us.” And if an offer like it² comes to them, they will [again] take it. Was not the covenant of the Scripture [i.e., the Torah] taken from them that they would not say about Allāh except the truth, and they studied what was in it? And the home of the Hereafter is better for those who fear Allāh, so will you not use reason?

  • i.e., unlawful gains and pleasures.
  • i.e., a similar temptation.

MALAY

Maka mereka kemudiannya digantikan oleh keturunan-keturunan yang jahat yang mewarisi Kitab (Taurat). Mereka mengambil kebendaan yang hina di dunia ini sambil berkata: “Akan diampunkan kelak dosa kami” Padahal jika datang kepada mereka kebendaan yang hina seperti itu mereka akan mengambilnya lagi. Bukankah telah diambil perjanjian setia daripada mereka di dalam kitab Taurat bahawa mereka tidak memperkatakan terhadap Allah melainkan yang benar? Dan mereka pula telah mempelajari apa yang terkandung di dalamnya? Dan juga (mereka mengetahui bahawa) negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Tidakkah kamu mahu mengerti?

 

فَخَلَفَ مِن بَعدِهِم خَلفٌ وَرِثُوا الكِتٰبَ

Maka mereka kemudiannya digantikan oleh keturunan-keturunan yang jahat yang mewarisi Kitab (Taurat). 

Mereka digantikan dengan generasi yang tidak bersyukur dan tidak mengikut cara hidup yang baik. Ini kita tahu kerana kalimah خَلفٌ yang digunakan dalam ayat ini. Kalau kalimah خَلفٌ (khalfun) yang digunakan, ia merujuk untuk golongan yang derhaka. Ini kerana sekiranya untuk golongan yang taat, yang digunakan adalah kalimah خَلَفٌ (khalafun).

Yang berbeza adalah sama ada digunakan ‘lam sukun’ atau tidak. Itulah satu keindahan bahasa Arab, ubah kedudukan tanda pun sudah membawa maksud yang berbeza. Maka kerana itu penting untuk kita belajar bahasa Arab dan cuba belajar ilmu balaghah (pemahaman daripada bahasa yang tersirat) supaya dapat memahami perbezaan yang tersirat.

Penggunaan kalimah خَلفٌ sekali lagi kita jumpa di dalam Maryam: 59

۞ فَخَلَفَ مِن بَعدِهِم خَلفٌ أَضاعُوا ٱلصَّلَوٰةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوٰتِ ۖ فَسَوفَ يَلقَونَ غَيًّا

Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka)

 

يَأخُذونَ عَرَضَ هٰذَا الأَدنىٰ

Mereka mengambil kebendaan yang hina di dunia ini

Mereka memang dikatakan beragama, kerana mereka mewarisi Kitab Taurat. Tetapi ia tidak berguna kerana mereka telah mengubah agama kepada sebuah industri untuk menguntungkan mereka. Mereka menjual agama untuk mendapat habuan dunia. Kalimah yang digunakan di sini adalah عرض yang berasal daripada katadasar ع ر ض yang mempunyai banyak makna. Antara maksudnya adalah barang yang buruk dan tidak berkualiti.

Mereka menggunakan agama bagi mendapatkan kedudukan tinggi dalam kalangan masyarakat. Para agamawan mereka bercakaran antara satu sama lain untuk merebut kedudukan siapa yang lebih tinggi.

Mereka menjual sokongan dan fatwa mereka untuk mendapat keuntungan dunia. Fatwa dan hukum boleh dijual-beli daripada para agamawan mereka. Mereka sanggup berbuat begitu kerana mereka mementingkan keduniaan dengan menolak akhirat. Mereka sanggup mengubah fatwa agama, asalkan boleh membuat untung. Inilah yang dimaksudkan ‘menjual agama’.

Maka, sekiranya orang Islam ada berkelakuan sebegitu juga, maka mereka pun dikira menjual agama. Perangai macam orang Yahudi juga, dikutuk Allah juga. Sebagai contoh, ada pemuka agama yang menjadi penasihat kepada pemerintah bagi menghalalkan tindakan pemerintah. Mereka sanggup memberi pendapat yang berlawanan dengan agama asalkan kedudukan mereka di mata pemerintah selamat. Nauzubillahi min dzaalik.

Menggunakan agama dan kitab wahyu sebagai punca pendapatan memang selalu dilakukan oleh puak Yahudi seperti yang Allah sebut dalam Baqarah: 79

فَوَيلٌ لِّلَّذينَ يَكتُبونَ ٱلكِتَـٰبَ بِأَيديهِم ثُمَّ يَقولونَ هٰذا مِن عِندِ اللَّهِ لِيَشتَروا بِهِ ثَمَنًا قَليلًا ۖ فَوَيلٌ لَّهُم مِمّا كَتَبَت أَيديهِم وَوَيلٌ لَّهُم مِّمّا يَكسِبونَ

Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: “Ini ialah dari sisi Allah”, supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka daripada apa yang mereka usahakan itu.

Mungkin kita terfikir kenapalah mereka sanggup membuat perkara sedemikian ini? Ia boleh terjadi kerana mereka sangka mereka akan selamat sahaja kerana kononnya mereka itu puak terpilih. Jika masuk neraka pun sekejap sahaja. Ini Allah sebut dalam ayat selepasnya:

وَقالوا لَن تَمَسَّنَا النّارُ إِلّا أَيّامًا مَّعدودَةً

Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari yang tertentu”.

Oleh itu, golongan Yahudi yang kemudian itu mendapat kitab Taurat daripada tok nenek mereka, tetapi kitab sahaja yang mereka ambil namun amalan daripada kitab itu tidak diambil. Maknanya, walaupun mereka ada kitab, tetapi mereka tidak ikut pun. Mereka tidak amal seperti yang sepatutnya. Mereka cuma ambil nama dan kedudukan sahaja supaya mereka boleh mengambil wang daripada masyarakat.

Bagaimanakah pula dengan orang kita yang telah mewarisi Al-Qur’an, tetapi tidak menggunakannya? Apakah tidak sama dengan puak Yahudi itu? Ramai dalam  kalangan kita yang ada Al-Qur’an di rumah, tetapi tidak menggunakannya, tidak faham apa yang disampaikan dalam wahyu Al-Qur’an itu. Yang ramai adalah mereka yang membacanya sahaja.

Kitalah satu-satunya masyarakat yang menterjemahkan perkataan ‘mengeja’ sama maksud dengan ‘membaca’. Sedangkan sepatutnya maksud membaca adalah dengan memahami apa yang kita baca, bukan? Jika tidak faham, sepatutnya tidaklah dikira sebagai membaca, bukan? Itu hanyalah mengeja namanya.

Disebabkan itulah kebanyakan daripada kita tidak faham apa yang dibaca. Jikalau tidak faham, tentulah tidak diamalkan, bukan? Maka akhirnya sama sahajalah dengan golongan Yahudi yang dikutuk dalam ayat-ayat Al-Qur’an ini.

Tambahan pula menjual nama agama dan ayat-ayat Al-Qur’an untuk membenarkan perbuatan mereka yang salah; atau melariskan jualan; atau untuk mendapat kedudukan dalam masyarakat.

 

وَيَقولونَ سَيُغفَرُ لَنا

sambil berkata: “Akan diampunkan kelak dosa kami”

Mereka tahu bahawa apa yang mereka lakukan itu salah, tetapi mereka kata ia bukanlah dosa besar, dosa kecil sahaja. Mereka sangka, lambat laun Allah akan mengampuni dosa mereka. Ini adalah kerana mereka merasakan yang mereka adalah insan terpilih yang Allah tidak akan azab lama.

Sedangkan menukar syari’at daripada yang sepatutnya merupakan dosa besar yang dikenali sebagai suhtun, malah ia adalah lebih besar daripada dosa riba. Namun mereka meremehkan sahaja dosa tersebut. Maka mereka sebenarnya tidak akan selamat. Mereka akan kekal dalam neraka sebenarnya.

Kita adalah makhluk yang banyak berdosa. Ini semua orang kena terima. Akan tetapi yang buruknya adalah apabila membuat dosa, tetapi kemudian cuba untuk meringankan dosa itu. Seolah-olah ia tidaklah besar mana. Maknanya memandang remeh akan dosa. Contohnya mereka kata, “Alahhh, sikit jer ni, takde apa-apa…”, “Orang lain ambil rasuah lagi banyak dari aku lah!”, “Takpe, Allah kan Maha Pemurah?”. Ini adalah contoh kata-kata yang buruk keluar daripada mulut manusia.

Manusia yang baik akan memandang dosa kecil sebagai besar; namun orang yang jahat akan memandang dosa besar sebagai kecil sahaja.

 

وَإِن يَأتِهِم عَرَضٌ مِّثلُهُ يَأخُذوهُ

Padahal jika datang kepada mereka kebendaan yang hina seperti itu mereka akan mengambilnya lagi.

Mereka tahu yang mereka lakukan itu adalah dosa dan mereka berkata mereka akan berhenti melakukannya dan mereka akan diampunkan, dan jika datang lagi peluang untuk mendapatkan habuan dunia lain seperti itu, mereka melakukannya juga lagi. Maknanya, mereka tidak berhenti daripada menggunakan agama ini untuk kepentingan dunia. Mereka tidak rasa bersalah pun sebenarnya. Selagi ada peluang, mereka akan ambil. Mereka tidak bertaubat pun kerana taubat itu bermaksud berazam tidak akan membuat lagi dosa tersebut. Ini menunjukkan mereka tidak bersungguh-sungguh ketika mereka meminta keampunan Allah ﷻ. Masih ada kelumit kesesatan dalam diri mereka.

As-Saddi رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ telah mengatakan sehubungan dengan makna firman-Nya: Maka datanglah sesudah mereka generasi (yang jahat). (Al-A’raf: 169) sampai dengan firman-Nya: padahal mereka telah mempelajari apa yang tersebut di dalamnya (Al-A’raf: 169) bahawa dahulu orang-orang Bani Israel tidak sekali-kali meminta pengadilan daripada seorang hakim melainkan main suap (makan rasuah) dalam keputusan hukumnya. Dan sesungguhnya orang-orang terkemuka mereka meng­adakan pertemuan, lalu mengadakan kesepakatan di antara sesama mereka yang mereka tuangkan (masukkan) ke dalam suatu perjanjian, bahawa mereka tidak akan melakukan hal itu lagi dan tidak akan melakukan penyuapan.

Kemudian ada seorang lelaki dalam kalangan mereka yang tetap melakukan suap dalam perkaranya. Ketika ditanyakan kepadanya, “Mengapa engkau masih tetap memakai suap dalam hukum?” Dia menjawab bahawa Allah akan memberikan keampunan kepadanya. Maka semua orang dalam kalangan Bani Israel mencela perbuatan yang telah dilakukannya itu.

Tetapi apabila dia mati atau dipecat, maka kedudukan­nya diganti oleh orang yang tadinya termasuk orang-orang yang mencelanya. Tetapi pada akhirnya si pengganti ini pun melakukan suap pula. Kerana itulah dalam ayat ini disebutkan, “Apabila datang kepada yang lainnya harta benda duniawi, maka mereka mengambilnya juga.”

Maka ini mengajar kita bahayanya dugaan dunia kerana hendak mengejar kesenangan keduniaan, manusia yang ada ilmu agama pun boleh terpesong dan tergelincir. Jangan sangka kalau kita sudah ada ilmu, kita akan selamat. Ini kerana tarikan keduniaan amatlah kuat.

 

أَلَم يُؤخَذ عَلَيهِم مّيثٰقُ الكِتٰبِ أَن لّا يَقولوا عَلَى اللَّهِ إِلَّا الحَقَّ

Bukankah telah diambil perjanjian setia daripada mereka di dalam kitab Taurat bahawa mereka tidak memperkatakan terhadap Allah melainkan yang benar?

Sanggup mereka melakukan penipuan dalam agama, sedangkan tidakkah mereka telah ambil perjanjian dengan Allah , jangan sekali-kali mereka mengatakan sesuatu tentang agama Allah melainkan yang benar sahaja?

Maka mengapakah mereka berani mengatakan perkara yang tidak benar? Sanggup mereka memperkatakan sesuatu daripada agama walaupun mereka tahu bukannya datang daripada Allah , bukannya daripada wahyu? Tidakkah mereka sedar yang mereka sedang bercanggah dengan perjanjian mereka itu?

Oleh hal yang demikian, ini menjadi pengajaran kepada kita semua. Janganlah memandai-mandai memperkatakan tentang hal agama tanpa bukti. Terutama tentang Allah seperti yang disebut dalam ayat ini. Ada dua perkara yang kita tidak boleh gunakan akal untuk berkata tentangnya iaitu tentang Allah dan tentang ayat Al-Qur’an.

 

وَدَرَسوا ما فيهِ

Dan mereka pula telah mempelajari apa yang terkandung di dalamnya?

Mereka telah belajar pun isi kandungan dalam Taurat itu. Maknanya, mereka bukannya orang yang tidak tahu hukum dan tanggungjawab mereka kerana mereka telah belajar dalam Taurat itu apa yang mereka perlu lakukan. Maknanya, mereka ini bukan orang jahil, tetapi degil sahaja. Mereka ini adalah jenis kafir degil, bukan kafir jahil. Maka di sini kita tahu yang ada ilmu sahaja belum tentu selamat lagi.

Ayat ini ditujukan kepada golongan para ulama’, iaitu mereka yang ada ilmu, yang menjadi rujukan masyarakat. Ulama’ Yahudi telah menyalahgunakan ilmu yang mereka ada untuk kepentingan keduniaan mereka. Mereka mengambil keuntungan daripada apa yang mereka sampaikan kepada masyarakat. Mereka hanya menyampaikan apa yang masyarakat mahu dengar.

Mereka sanggup mengatakan sesuatu yang tidak benar dalam agama, asalkan masyarakat suka dengan apa yang mereka cakap. Ini kerana apabila masyarakat suka, mereka akan membayar upah kepada golongan ulama’ ini. Sebab itulah kebanyakan para asatizah yang mengajar agama yang mementingkan upah, mereka tidak berani untuk menegur kesalahan masyarakat kerana bimbang tidak dijemput lagi.

Oleh sebab itu, sekiranya ulama’ kita ada yang berperangai seperti ini, maka ayat ini pun ditujukan buat mereka. Jangan kita salah faham dengan mengatakan ayat ini hanya ditujukan kepada ulama’ Yahudi sahaja kerana mereka itu dijadikan sebagai contoh jenis kesalahan yang kita mesti elakkan. Kita kena ambil pengajaran daripada pengalaman mereka.

 

وَالدّارُ الآخِرَةُ خَيرٌ لِّلَّذينَ يَتَّقونَ

Dan negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa.

Sudahkah mereka lupa bahawa syurga itu lebih baik dari segenap segi? Mereka sepatutnya tahu tetapi mereka lupa yang ia adalah bagi orang yang dapat menjaga hukum Allah sahaja. Mereka telah ditipu oleh keindahan dunia. Mereka mahukan benda yang rendah (dunia) tetapi mereka telah meninggalkan perkara yang lebih utama dan kekal (akhirat). Sungguh amat rugi perniagaan yang mereka lakukan ini. Sungguh gagal mereka dalam menilai.

 

أَفَلا تَعقِلونَ

Tidakkah kamu mahu mengerti?

Ini adalah tempelak daripada Allah : benda mudah seperti ini pun kamu tidak mampu hendak faham? Apa sudah jadi dengan kamu? Tidakkah kamu gunakan akalmu? Akal kamu letak di mana?


 

A’raf Ayat 170: Ayat tabshir.

وَالَّذينَ يُمَسِّكونَ بِالكِتٰبِ وَأَقامُوا الصَّلوٰةَ إِنّا لا نُضيعُ أَجرَ المُصلِحينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But those who hold fast to the Book [i.e., the Qur’ān] and establish prayer – indeed, We will not allow to be lost the reward of the reformers.

MALAY

Dan orang-orang yang berpegang teguh dengan Kitab Allah serta mendirikan sembahyang, sesungguhnya Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki (keadaan hidupnya).

 

وَالَّذينَ يُمَسِّكونَ بِالكِتٰبِ

Dan orang-orang yang berpegang teguh dengan Kitab Allah

Ayat ini adalah untuk golongan Ahli Kitab yang mengikut ajaran yang terkandung di dalam kitab itu. Mereka mengikut bersungguh-sungguh apa yang disebut dalam wahyu dan mereka terima semuanya. Mereka buat segala yang patut diikuti. Kitab itu boleh berbentuk umum, bukan hanya Kitab Taurat tetapi semua kitab seperti Taurat, Injil, Zabur dan Al-Qur’an.

Di sini digunakan kalimah يُمَسِّكونَ daripada katadasar م س ك yang bermaksud pegang dengan kuat. Maka ia bukanlah semata-mata mengambil sahaja kerana kalau begitu, kalimah seperti يأخذون atau setakat membaca sahaja iaitu يقرءون. Ini mengajar kita bahawa ada sesuatu yang lebih lagi yang perlu dilakukan dengan kitab wahyu itu, bukannya setakat baca menjaga tajwid sahaja seperti yang dilakukan oleh orang Melayu kita. Tidak habis-habis belajar tajwid dan baca tanpa faham Al-Qur’an itu.

 

وَأَقامُوا الصَّلوٰةَ

serta mendirikan sembahyang, 

Ini adalah tanda mereka yang beriman dengan kitab wahyu iaitu orang itu akan menjaga syariat. Mereka yang menjaga syariat akan menjaga ibadat mereka. Tidaklah semata-mata mengaku sebut sahaja beriman, beriman, namun ibadah langsung tidak ada!

Di sini disebut ibadah salat secara khusus kerana ia adalah ibadat yang terpenting. Dalam banyak-banyak ibadah, salatlah yang paling utama. Sekiranya boleh dijaga ibadah salat, maka ibadah lain akan senang dijaga. Ibadah salat sebagai wakil kepada ibadah-ibadah yang lain, namun bukanlah bermaksud kena jaga salat sahaja tetapi semua ibadah lain harus juga dijaga. Takut juga ada yang lurus bendul berkata Al-Qur’an hanya menyebut salat sahaja. Bahaya kalau sel otak tidak bertemu.

Begitulah yang terjadi apabila timbul isu ada ustaz yang kata kalau tidak salat, ibadah puasa tidak diterima. Memang ini adalah pegangan sebahagian ulama’ juga kerana ibadah salat adalah ibadah yang utama. Ia adalah tanda keislaman seseorang. Maka sekiranya seseorang itu memang tidak menjaga langsung ibadah salat, maka puasa dia sebenarnya tidak diterima oleh Allah pun kerana ibadah puasa syaratnya mestilah menjadi Muslim terlebih dahulu.

Orang yang akalnya waras akan tersedar yang dia mesti salat dan juga berpuasa. Namun amat menyedihkan jika terdapat orang yang sel otak tidak berhubung, mereka mula berkata: “Kalau begitu, baik aku tak payah puasa langsung kalau begini!”

Oleh sebab itu, salat amat perlu dijaga. Ia adalah amalan pertama yang dinilai di akhirat kelak seperti disebut di dalam sebuah hadith:

أَوَّلُ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ الصَّلَاةُ، فَإِنْ صَلَحَتْ صَلَحَ لَهُ سَائِرُ عَمَلِهِ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَسَدَ سَائِرُ عَمَلِهِ

Sesungguhnya amalan yang mula dihisab atas seseorang hamba pada hari kiamat adalah salat. Sekiranya baik salatnya maka baik segala amalannya, sekiranya buruk solatnya maka buruk segala amalannya.

(Hadith Riwayat At-Tabrani (1859))

Maka, seandainya salat pun tidak lepas, apatah lagi dengan amalan-amalan yang lain? Oleh kerana itu salat amatlah penting malah bukan salat sahaja tetapi kita kena berusaha untuk mendapatkan khusyuk. Ilmu pertama yang diangkat daripada umat Islam adalah khusyuk seperti disebut di dalam hadith yang lain:

عَنْ عَوْفِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّهُ قَالَ بَيْنَمَا نَحْنُ جُلُوسٌ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ فَنَظَرَ فِي السَّمَاءِ ثُمَّ قَالَ هَذَا أَوَانُ الْعِلْمِ أَنْ يُرْفَعَ

Daripada ‘Auf bin Malik رَضِيَ ٱللَّٰهُ عَنْهُ beliau berkata: Ketika kami duduk-duduk di samping Rasulullah ﷺ pada suatu hari, baginda memandang ke langit lalu bersabda: “Inilah saatnya ilmu diangkat.”

فَقَالَ لَهُ رَجُلٌ مِنْ الْأَنْصَارِ يُقَالُ لَهُ زِيَادُ بْنُ لَبِيدٍ أَيُرْفَعُ الْعِلْمُ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَفِينَا كِتَابُ اللَّهِ وَقَدْ عَلَّمْنَاهُ أَبْنَاءَنَا وَنِسَاءَنَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنْ كُنْتُ لَأَظُنُّكَ مِنْ أَفْقَهِ أَهْلِ الْمَدِينَةِ ثُمَّ ذَكَرَ ضَلَالَةَ أَهْلِ الْكِتَابَيْنِ وَعِنْدَهُمَا مَا عِنْدَهُمَا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

Lalu seseorang daripada kaum Ansar bernama Ziyad bin Labid bertanya: “Apakah ilmu akan terangkat sedangkan di tengah-tengah kami ada kitab Allah, kami mengajarkannya kepada anak-anak kami dan isteri-isteri kami?”. Rasulullah  wa ﷺ menjawab: “Dulu aku menyangka kamu penduduk Madinah yang paling faham.” Setelah itu baginda menyebutkan kesesatan ahli kitab sedangkan keduanya memiliki kitab Allah ‘عَزَّ وَجَلَّ yang mereka miliki.

فَلَقِيَ جُبَيْرُ بْنُ نُفَيْرٍ شَدَّادَ بْنَ أَوْسٍ بِالْمُصَلَّى فَحَدَّثَهُ هَذَا الْحَدِيثَ عَنْ عَوْفِ بْنِ مَالِكٍ فَقَالَ صَدَقَ عَوْفٌ

Setelah itu Jubair bin Nufair menemui [Syaddad bin Aus] di tempat salat lalu menceritakan hadith daripada ‘Auf bin Malik ini kepadanya, beliau berkata: ‘Auf benar.

ثُمَّ قَالَ وَهَلْ تَدْرِي مَا رَفْعُ الْعِلْمِ قَالَ قُلْتُ لَا أَدْرِي قَالَ ذَهَابُ أَوْعِيَتِهِ قَالَ وَهَلْ تَدْرِي أَيُّ الْعِلْمِ أَوَّلُ أَنْ يُرْفَعَ قَالَ قُلْتُ لَا أَدْرِي قَالَ الْخُشُوعُ حَتَّى لَا تَكَادُ تَرَى خَاشِعًا

Setelah itu beliau bertanya: “Tahukah kamu maksud diangkatnya ilmu?”. Syaddad menjawab: Aku tidak tahu. Jubair berkata: “Hilangnya bekas-bekasnya”. Jubair bertanya: “Tahukah kamu ilmu apa yang pertama akan diangkat? Syaddad menjawab: Aku menjawab: Aku tidak tahu. Jubair menjawab: Khusyuk hingga hampir saja kamu tidak akan melihat orang yang khusyuk.

(Musnad Ahmad, no: 23990, Al-Arna’ut menyatakan ia sahih)

Perkara terakhir diangkat adalah salat di mana umat Islam pun sudah tidak melakukan salat, sama seperti Yahudi dan Nasara yang meninggalkan salat. Sekarang pun kita dapat lihat banyak Muslim tidak salat, bukan? Selamba sahaja tidak salat!

Ia ada kaitan dengan khusyuk juga. Apabila sudah tidak ada khusyuk dalam salat, maka nikmat salat sudah tidak ada lagi dan manusia sudah tidak melihat salat sebagai sesuatu yang dapat menenangkan diri mereka.

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ الْبَاهِلِيِّ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَال
لَيُنْقَضَنَّ عُرَى الإِسْلاَمِ عُرْوَةً عُرْوَةً فَكُلَّمَا انْتَقَضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّثَ النَّاسُ بِالَّتِى تَلِيهَا وَأَوَّلُهُنَّ نَقْضاً الْحُكْمُ وَآخِرُهُنَّ الصَّلاَة 

Daripada Abu Umamah Al Bahili, beliau berkata, daripada rasulullah ﷺ   bersabda,“Tali ikatan Islam akan putus seutas demi seutas. Setiap kali terputus, manusia bergantung pada tali berikutnya. Yang paling awal terputus adalah hukumnya, dan yang terakhir adalah salat.

(Hadith Riwayat Ahmad 5: 251)

 

إِنّا لا نُضيعُ أَجرَ المُصلِحينَ

sesungguhnya Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki 

Allah tidak akan menghampakan mereka yang berusaha memperbaiki keadaan mereka daripada seorang yang kufur kepada menjadi seorang yang taat. Daripada amal yang toleh kepada amal yang soleh. Yang buruk menjadi baik. Yang syirik menjadi tauhid. Yang bid’ah menjadi sunnah.

Di dalam ayat ini Allah beritahu yang Dia akan memberikan pahala kepada mereka. Allah tidak pula sebut akan memasukkan mereka ke dalam syurga seperti banyak ayat-ayat yang lain. Di sini Allah memberi motivasi kepada kita supaya beramal dengan kebaikan walau sekecil mana pun; Allah tidak akan sia-siakan.

Maka sekecil mana pun amalan kebaikan, teruslah kita melakukannya. Amalan yang mudah saja seperti senyum kepada orang, menyusun kasut di masjid, memberi bantuan kepada orang walau dengan hanya membantu membukakan pintu atau mengemas meja makan di restoran setelah selesai makan. Teringat saya dengan amalan mulia perbuatan tokoh mulia kita Al-Marhum Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat (mantan Menteri Besar Kelantan Darul Naim) ketika dalam mana-mana perjalanan, beliau akan singgah di masjid yang dilaluinya dan membersihkan tandas secara senyap-senyap. Tidak pernah dihebohkan dalam media sosial sepertimana budaya kebiasaan kita hari ini, apa sahaja perbuatan akan terus sahaja di’viral’ kan ke seluruh dunia.

Di dalam ayat ini digunakan kalimah المُصلِحينَ dan ini jarang digunakan di dalam Al-Qur’an kerana selalunya digunakan kalimah ٱلصَّـٰلِحِينَ seperti dalam Baqarah: 130

وَإِنَّهُ فِي الآخِرَةِ لَمِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ

dan sesungguhnya dia pada hari akhirat kelak tetaplah daripada orang-orang yang soleh

Sekiranya kalimah المُصلِحينَ digunakan ia bermaksud mereka bukan sahaja baik, tetapi memperbaiki diri orang lain juga. Mereka juga bukan sahaja memperbaiki keadaan peribadi mereka, tetapi mereka juga memperbaiki masyarakat. Mereka melakukan islah (pembaikan) dalam masyarakat. Mereka itulah orang yang tetap akan mendapat pahala daripada Allah . Mereka tidak mementingkan dan menyelamatkan diri sendiri sahaja.


 

PERJANJIAN DENGAN BANI ISRAIL

A’raf Ayat 171:

۞ وَإِذ نَتَقنَا الجَبَلَ فَوقَهُم كَأَنَّهُ ظُلَّةٌ وَظَنّوا أَنَّهُ واقِعٌ بِهِم خُذوا ما ءآتَينٰكُم بِقُوَّةٍ وَاذكُروا ما فيهِ لَعَلَّكُم تَتَّقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [mention] when We raised the mountain above them as if it was a dark cloud and they were certain that it would fall upon them,¹ [and Allāh said], “Take what We have given you with determination and remember what is in it that you might fear Allāh.”

  • For their rebellion and disobedience.

MALAY

Dan ingatlah ketika Kami mengangkat gunung (Tursina) ke atas mereka (Bani Israil) seolah-olah gunung itu awan (yang menaungi mereka) dan mereka yakin bahawa gunung itu akan jatuh menimpa mereka, (sambil Kami berfirman kepada mereka): “Terimalah dengan bersungguh-sungguh (Kitab Taurat) yang telah Kami berikan kepada kamu dan ingatlah (amalkanlah) apa yang terkandung di dalamnya, supaya kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa”

 

وَإِذ نَتَقنَا الجَبَلَ فَوقَهُم كَأَنَّهُ ظُلَّةٌ

Dan ingatlah ketika Kami mengangkat gunung (Tursina) ke atas mereka (Bani Israel) seolah-olah gunung itu jadi teduhan

Allah menceritakan bagaimana Dia pernah memaksa Bani Israel supaya beramal dengan kitab Taurat dengan cara takwini (ketentuan daripada Allah ) di mana Allah menzahirkan Qudrat-Nya dengan mengangkat gunung ke atas kepala mereka. Diangkat betul-betul sehingga ia menjadi penutup di atas mereka. Mereka berada di dalam bayang bukit itu. Ia menjadi bagaikan teduhan atas mereka.

Di dalam ayat lain juga ada disebut kisah Bukit Thur ini diangkat seperti di dalam Baqarah: 93

وَإِذ أَخَذنا مِيثَـٰقَكُم وَرَفَعنا فَوقَكُمُ الطّورَ خُذوا ما ءَاتَينَـٰڪُم بِقُوَّةٍ وَاسمَعوا

Dan (ingatlah) ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu semasa Kami angkatkan bukit Tursina itu ke atas kamu (sambil Kami berfirman): “Ambillah (dan amalkanlah ajaran Kitab Taurat) yang Kami berikan kepada kamu itu dengan bersungguh-sungguh, dan dengarlah

Cuma kalimah yang digunakan adalah رفع (angkat) dan di dalam Surah A’raf digunakan kalimah نتق yang juga bermaksud angkat tetapi beza angkat di sini setelah dipecahkan.

Al-Qasim ibnu Abu Ayyub رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ telah meriwayatkan daripada Sa’id ibnu-Jubair, daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما yang mengatakan bahawa setelah (Bani Israel selamat daripada Fir’aun), dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah membawa mereka menuju ke Jerussalem, dan Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengambil lauh-lauh Kitab Taurat yang telah dilemparkannya itu sesudah marahnya reda. Kemudian Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memerintahkan mereka berbagai macam pekerjaan sesuai dengan wahyu Allah yang harus dia sampaikan kepada mereka, dan ternyata pekerjaan-pekerjaan itu berat bagi mereka, lalu mereka menolak, tidak mahu menerimanya, hingga Allah mengangkat bukit dan mengangkatnya ke atas kepala mereka. Bukit tersebut diangkat oleh para malaikat ke atas kepala mereka. Demikianlah menurut riwayat Imam Nasai’iy رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ secara panjang lebar.

Ayat ini mengajar kita yang kadangkala kita mesti menggunakan kekerasan untuk memaksa manusia melakukan kebaikan dan untuk taat kepada syariat. Ini kerana jika kita berlembut sangat, manusia menjadi lemah dan mengambil sikap sambil lewa sahaja untuk perkara yang berkenaan syariat. Ini berlaku kerana kebanyakan manusia akan mudah sahaja mengikut hawa nafsu yang suka meninggalkan ketaatan. Sebagaimana anak kita jugalah, dari muda lagi hendaklah dipaksa mengerjakan salat kerana mereka tentunya malas dan berat untuk mengerjakannya, bukan?

 

وَظَنّوا أَنَّهُ واقِعٌ بِهِم

dan mereka yakin bahawa gunung itu akan jatuh menimpa mereka,

Ketika itu, mereka yakin dan percaya benar dengan ancaman Allah , jika mereka tidak mengikut ajaran dalam Kitab Taurat, mereka akan dihempap pada waktu itu juga. Kalimah ظنّ asalnya bermaksud ‘sangkaan’ seperti kita biasa gunakan husnul zhon. Akan tetapi apabila ada harf أن selepasnya, ia membawa maksud ‘yakin’.

Tentu sekali mereka yakin kerana mereka nampak dengan mata kepala mereka sendiri. Waktu itu baru mereka mahu mendengar arahan, sedangkan sebelum itu apabila disuruh untuk taat kepada Taurat, mereka tidak mahu mendengarnya.

Abu Bakar ibnu Abdullah رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ mengatakan, telah menceritakan kepadanya Al-Hasan Al-Basri رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ, bahawa tatkala mereka (Bani Israel) melihat gunung itu terangkat di atas kepala mereka, maka masing-masing daripada mereka menyungkur bersujud pada pelipis sebelah kiri mereka, sedangkan  mata kanan mereka melihat ke arah bukit itu kerana takut akan menimpa diri mereka. Maka demikian pula di masa sekarang, tidak ada seorang Yahudi pun di muka bumi ini melainkan bila sujud pasti pada pelipis kirinya. Mereka menduga bahawa cara sujud inilah yang menyebabkan terhapusnya seksaan.

Persoalan yang timbul, kenapakah mereka itu dipaksa untuk beramal sedangkan bukankah ada ayat yang mengatakan tidak ada paksaan iaitu Baqarah: 256?

لا إِكراهَ فِي الدّينِ

Tidak ada paksaan dalam agama

Kita kena faham yang tidak ada paksaan untuk masuk agama Islam. Akan tetapi apabila sudah terima dan masuk agama Islam, kenalah beramal dengan ajaran agama. Bukannya boleh dipilih-pilih mana yang hendak dibuat. Perumpamaannya begini: seorang guru tidak boleh menyuruh mana-mana budak untuk membersihkan sekolahnya. Akan tetapi sekiranya budak itu adalah pelajar sekolahnya yang sudah memasuki kawasan sekolah, maka guru itu boleh dan berhak untuk menyuruh pelajar itu membersihkan sekolahnya.

Maka begitulah juga dengan puak Yahudi itu. Setelah mereka menerima Allah sebagai Tuhan dan Nabi mereka sebagai penyampai ajaran agama, maka kenalah menerima ajaran agama. Mereka hendaklah beribadah sebagaimana yang disyariatkan oleh agama ke atas diri mereka.

 

خُذوا ما ءآتَينٰكُم بِقُوَّةٍ

“Terimalah dengan bersungguh-sungguh (Kitab Taurat) yang telah Kami berikan kepada kamu

Ketika diangkat Bukit Thur di atas kepala mereka, mereka diingatkan untuk beramal bersungguh-sungguh dengan kitab Taurat yang diberikan kepada mereka itu. Mereka mesti memegang dengan iktikad bahawa ia adalah benar dan mesti membuktikannya dengan melakukan amalan yang telah diperintahkan di dalamnya.

Nabi Yahya عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga telah diperintahkan untuk memegang kitab dengan kuat seperti disebut di dalam Maryam: 12

يَـٰيَحيَىٰ خُذِ الكِتٰبَ بِقُوَّةٍ

“Wahai Yahya, terimalah Kitab itu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh!

Maksud pegang dengan kuat itu adalah bersungguh-sungguh hafal, bersungguh-sungguh untuk memahami dan mengamalkannya, ikut apa yang diarahkan di dalamnya dan meninggalkan yang dilarang. Maka beginilah seharusnya sikap kita terhadap kitab kita Al-Qur’an ini. Jangan setakat dibaca sahaja seperti perbuatan kebanyakan orang Melayu sekarang.

 

وَاذكُروا ما فيهِ

dan ingatlah apa yang terkandung di dalamnya, 

Maksudnya, mereka kenalah sentiasa bermuzakarah tentang ajaran yang ada dalam kitab Taurat itu – mesti belajar dan mengajar isi Taurat. Begitulah juga yang disuruh kepada kita juga. Kita disuruh untuk berpegang dengan Al-Qur’an ini dan sentiasa tadabbur tentang maksud yang ada dalam Al-Qur’an itu. Kita juga diperintahkan untuk menyebarkan kepada orang lain dan mengajarkannya kepada manusia yang lain.

 

لَعَلَّكُم تَتَّقونَ

supaya kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa”

Mereka diperintahkan untuk taat kepada suruhan itu, mudah mudahan mereka boleh mencapai taqwa apabila mereka melakukannya. Taqwa tidak mungkin akan dicapai jika tidak mengikut kitab wahyu. Begitu juga dengan kita umat Nabi Muhammad ﷺ, bagi mendapat taqwa, mestilah mengikut segala ajaran di dalam Al-Qur’an. Maka bagaimana umat Islam hendak maju jika tidak faham apa yang Al-Qur’an sampaikan?

Oleh itu, fahamlah kita di sini bahawa jika kita mengabaikan perintah Al-Qur’an, maka jadilah kita seperti orang Yahudi itu. Mereka secara melampau tidak beriman, sampaikan Allah kena mengangkat bukit ke atas kepala mereka dan mengancam untuk menjatuhkan ke atas mereka, barulah mereka hendak beriman dan berpegang kepada kitab Taurat itu. Takkan kita pun Allah kena buat seperti itu juga baru benar-benar hendak beriman dan beramal dengan apa yang ada dalam Al-Qur’an ini?

Janganlah sampai begitu sekali, tidak mungkin kita mahu menjadi seperti Bani Israel, sedangkan kita selalu mengutuk mereka? Kita selalu berkata yang kita ini adalah lebih baik daripada mereka, bukan? Maka hendaklah kita sendiri yang berpegang dan beramal dengan Al-Qur’an ini tanpa dipaksa.

Habis Ruku’ 21 daripada 24 ruku’ dalam surah ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 9 April 2023

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah al-A’raf Ayat 165 – 168 (Yahudi Diazab Menjadi Kera)

A’raf Ayat 165: Apakah akibat daripada perbuatan mereka itu?

فَلَمّا نَسوا ما ذُكِّروا بِهِ أَنجَينَا الَّذينَ يَنهَونَ عَنِ السّوءِ وَأَخَذنَا الَّذينَ ظَلَموا بِعَذابٍ بَئيسٍ بِما كانوا يَفسُقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when they [i.e., those advised] forgot that by which they had been reminded, We saved those who had forbidden evil and seized those who wronged, with a wretched punishment, because they were defiantly disobeying.

MALAY

Maka ketika mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu, dan Kami timpakan orang-orang yang zalim dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik (derhaka).

 

فَلَمّا نَسوا ما ذُكِّروا بِهِ

Maka ketika mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang telah diperingatkan kepada mereka, 

Mereka yang menangkap ikan pada hari Sabtu tetap tidak menghiraukan nasihat yang diberikan oleh golongan kedua (yang memberi nasihat). Begitu adilnya Allah yang telah memberi peluang kepada mereka dengan diberi peringatan terlebih dahulu. Begitulah Allah tidak mengazab mana-mana kaum melainkan mereka diutuskan dengan para Rasul untuk memberikan peringatan kepada mereka. Yang menjadi punca manusia dikenakan azab itu adalah kerana sikap lalai dan leka sahaja, bukannya kerana mereka tidak tahu.

Oleh sebab itu, golongan ini sememangnya tidak mempunyai alasan lagi. Mereka telah menggali lubang di tanah pantai dan memasang pukat, dan apabila air pasang, ikan-ikan masuk ke dalam lubang itu dan apabila air surut, ikan-ikan yang banyak itu telah terperangkap di dalamnya. Maka, ikan-ikan itu sebenarnya ditangkap pada hari Sabtu. Mereka sahaja memberi helah dengan mengatakan mereka tidak menangkap ikan pada hari Sabtu. Itu hendak menipu Allah namanya!

Begitulah cara mereka menangkap ikan pada hari Sabtu itu. Tidaklah mereka benar-benar pergi turun menangkap ikan pun. Mereka ‘pusing cerita’ sedikit, seolah-olah mereka tidak menangkap ikan pada hari Sabtu walaupun hakikatnya adalah sebaliknya. Maka Allah murka dan tidak menerima alasan mereka itu.

Berapa ramaikah dalam kalangan kita yang bersikap sebegini dan cuba ‘pusing cerita’ dalam hal agama? Sebagai contoh, bersanding semasa kahwin itu adalah haram, dan kita tidak boleh pergi ke majlis sebegitu. Namun ada yang kata mereka pergi ‘sebelum’ atau ‘selepas’ persandingan itu. Tidakkah itu dikira sebagai ‘pusing’ juga? Hakikatnya, kamu masih lagi meraikan majlis itu, bukan? Sementara itu, terdapat segelintir pula yang beralasan mereka pergi ke majlis Tahlilan atas dasar untuk menjaga silaturahim.

 

أَنجَينَا الَّذينَ يَنهَونَ عَنِ السّوءِ

Kami telah selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu, 

Allah menyelamatkan golongan yang membuat amar makruf nahi mungkar, iaitu mereka yang memberi nasihat dan menegur. Inilah golongan kedua itu.

Kita boleh lihat kalimah yang digunakan adalah يَنهَونَ yang di dalam bentuk fi’il mudhari’ (present tense) yang membawa maksud berterusan. Maknanya mereka bukan melakukannya sekali sahaja, tetapi ini adalah kebiasaan bagi mereka. Mereka sentiasa melakukan amar ma’ruf nahi mungkar. Maka ini mengajar kita jangan menegur sekali sahaja, tetapi sentiasa. Selagi mereka tidak berubah, selagi itu kita tegur dan menasihati mereka.

 

وَأَخَذنَا الَّذينَ ظَلَموا بِعَذابٍ بَئيسٍ

dan Kami timpakan orang-orang yang zalim dengan azab seksa yang amat berat,

Bagi mereka yang degil untuk menerima nasihat dan terus melakukan kesalahan yang dilarang, maka mereka dikenakan dengan azab yang teruk (nanti akan diberitahu apa yang terjadi kepada mereka). Mereka telah ditukar menjadi kera. Selepas tiga hari, mereka mati.

 

بِما كانوا يَفسُقونَ

disebabkan mereka berlaku fasik (derhaka).

Bukan Allah suka-suka mengenakan azab kepada mereka, tetapi kerana mereka fasik, tidak mahu taat kepada hukum. Fasik itu bermaksud keluar daripada ketaatan kepada Allah .

Dalam ayat ini, Allah beritahu yang Dia menyelamatkan golongan yang memberi nasihat. Namun bagaimana pula dengan golongan ketiga? Mereka tidaklah melanggar perintah Allah dengan menangkap ikan, tetapi mereka tidak menegur orang yang membuat kesalahan itu. Malah apabila ada golongan yang menegur, golongan ketiga ini pula menegur golongan yang menegur, mereka kata buang masa sahaja dan tidak perlu ditegur. Bagaimanakah dengan mereka?

Ada khilaf pendapat tentang nasib mereka. Ada yang kata, azab yang dikenakan itu hanya kepada kumpulan yang menangkap ikan sahaja kerana mereka tidaklah bersetuju dengan perbuatan golongan pertama itu dan mereka membenci dengan hati. Ini seperti hadith Rasulullah ﷺ yang bersabda:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

“Sesiapa di antara kamu melihat sesuatu kejahatan, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan lisannya, dan sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan hatinya yang demikian itu (mengingkarkan dengan hati) adalah selemah-lemah iman.”

(Riwayat Muslim (49) dan Ahmad (11514))

Oleh sebab itu, sekurang-kurangnya kita hendaklah membenci kemungkaran dengan hati. Kalau kita bersetuju, maka kita akan dikenakan dengan azab yang sama sahaja dengan para pelaku maksiat itu. Lihatlah apa terjadi kepada isteri Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang disebut dalam Hud: 81

فَأَسرِ بِأَهلِكَ بِقِطعٍ مِنَ اللَّيلِ وَلا يَلتَفِت مِنكُم أَحَدٌ إِلَّا امرَأَتَكَ ۖ إِنَّهُ مُصيبُها ما أَصابَهُم

Maka pergilah dengan membawa keluarga dan pengikut-pengikut kamu di akhir malam dan janganlah ada seorang pun di antara kamu yang melihat ke belakang, kecuali isterimu. Sesungguhnya dia akan ditimpa azab yang menimpa mereka

Maka, pendapat pertama mengatakan mereka selamat. Namun ada juga yang mengatakan, mereka yang senyap tidak menegur itu pun turut dikenakan dengan azab juga kerana kesalahan tidak menegur mereka yang membuat salah. Maknanya kalau hendak selamat, mestilah menegur kesalahan yang dilakukan di depan mata kita. Jangan dibiarkan begitu sahaja kerana ada kemungkinan kita akan dikenakan dengan azab yang sama sahaja dengan mereka yang melakukan kemungkaran itu.

Pendapat ini dikuatkan lagi dengan dalil-dalil seperti Maidah: 78-79

لُعِنَ الَّذينَ كَفَروا مِن بَني إِسرٰءيلَ عَلىٰ لِسانِ داوودَ وَعيسَى ابنِ مَريَمَ ۚ ذٰلِكَ بِما عَصَوا وَّكانوا يَعتَدونَ

Telah dilaknati orang-orang kafir daripada Bani Israel dengan lisan Daud dan Isa putera Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas.

كانوا لا يَتَناهَونَ عَن مُّنكَرٍ فَعَلوهُ ۚ لَبِئسَ ما كانوا يَفعَلونَ

Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan mungkar yang mereka perbuat. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu.

Lihatlah bagaimana kesalahan tidak menegur itu mendapat laknat daripada Nabi mereka sendiri! Kerana tidak menegur itu akan menyebabkan kesalahan yang lebih besar lagi. Inilah yang terjadi kalau kita senyap membisu apabila agama Allah dikhianati dan hukum-Nya dirobek. Kita memang tidak membuat salah, tetapi apabila tidak menegur, orang yang buat salah itu tidak ada rasa bersalah. Mereka senang sahaja membuat kesalahan kerana tidak ada orang yang menegur. Malah, mereka mungkin rasa apa yang mereka buat itu adalah benar.


 

A’raf Ayat 166: Penjelasan tentang apakah azab yang dikenakan.

فَلَمّا عَتَوا عَن مّا نُهوا عَنهُ قُلنا لَهُم كونوا قِرَدَةً خٰسِئينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So when they were insolent about that which they had been forbidden, We said to them, “Be apes, despised.”

MALAY

Maka setelah mereka berlaku sombong takbur (tidak mengambil indah) kepada apa yang telah dilarang mereka melakukannya, Kami katakan kepada mereka: “Jadilah kamu kera yang hina”.

 

فَلَمّا عَتَوا عَن مّا نُهوا عَنهُ

Maka setelah mereka berlaku sombong takbur kepada apa yang telah dilarang mereka melakukannya,

Mereka tidak berhenti daripada membuat perkara yang dilarang. Memang ramai manusia seperti ini. Jenis tidak mendengar kata, tidak mahu menerima nasihat yang baik.

 

قُلنا لَهُم كونوا قِرَدَةً خٰسِئينَ

Kami katakan kepada mereka: “Jadilah kamu kera yang hina”.

Mereka ditukarkan menjadi kera yang hina dina. Mereka hanya dapat hidup tiga hari sahaja dan mati belaka selepas itu. Ini kerana mereka tidak dapat makan dan kerana itu mereka mati tidak lama kemudian. Maknanya mereka tidak ada keturunan.

Ini kena diberitahu yang mereka itu mati kemudiannya, sebab kalau tidak diberitahu, ada sahaja yang akal tidak berapa betul, menggunakan ayat ini sebagai dalil yang kata kera-kera sekarang adalah keturunan daripada mereka pula. Padahal, kera sudah ada pun pada waktu itu. Maka, hujah bodoh itu ditutup dengan kita beritahu, mereka tidak sempat membiak pun, tiga hari sudah mati.

Di sini disebut mereka ditukar menjadi kera sahaja sedangkan dalam Maidah: 60 disebut mereka ditukar kepada kera dan babi.

مَن لَّعَنَهُ اللهُ وَغَضِبَ عَلَيهِ وَجَعَلَ مِنهُمُ القِرَدَةَ وَالخَنازيرَ وَعَبَدَ الطّٰغوتَ

orang-orang yang dikutuki dan dimurkai Allah, di antara mereka (ada) yang dijadikan kera dan babi dan hamba thaghut

Kenapakah ada perbezaan? Ada pendapat yang mengatakan ini adalah pengkhususan iaitu mereka yang melanggar hukum itu ditukar menjadi binatang, tetapi yang golongan muda ditukar menjadi kera dan yang sudah tua gayut ditukar menjadi babi.


 

BANI ISRAIL DIUJI LAGI

A’raf Ayat 167: Sekarang disebut balasan umum yang dikenakan kepada golongan Yahudi

وَإِذ تَأَذَّنَ رَبُّكَ لَيَبعَثَنَّ عَلَيهِم إِلىٰ يَومِ القِيٰمَةِ مَن يَسومُهُم سوءَ العَذابِ ۗ إِنَّ رَبَّكَ لَسَريعُ العِقابِ ۖ وَإِنَّهُ لَغَفورٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [mention] when your Lord declared that He would surely [continue to] send upon them until the Day of Resurrection those who would afflict them with the worst torment. Indeed, your Lord is swift in penalty; but indeed, He is Forgiving and Merciful.

MALAY

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu memberitahu: Bahawa sesungguhnya Dia akan menghantarkan kepada kaum Yahudi itu, (terus menerus) hingga hari kiamat, kaum-kaum yang akan menimpakan mereka dengan azab sengsara yang seburuk-buruknya (disebabkan kejahatan dan kekufuran mereka). Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat azab seksa-Nya, dan sesungguhnya Dia juga Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

وَإِذ تَأَذَّنَ رَبُّكَ

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu memberitahu:

Ini adalah pengumuman daripada Allah . Pengumuman yang kuat. Balasan yang dikenakan kepada mereka itu berpanjangan hingga ke hari Kiamat.

 

لَيَبعَثَنَّ عَلَيهِم إِلىٰ يَومِ القِيٰمَةِ مَن يَسومُهُم سوءَ العَذابِ

Bahawa sesungguhnya Dia akan menghantarkan kepada kaum Yahudi itu, (terus menerus) hingga hari kiamat, kaum-kaum yang akan menimpakan mereka dengan azab sengsara yang seburuk-buruknya 

Kepada golongan Yahudi itu akan dikenakan dengan azab hingga ke hari kiamat. Kaum mereka juga tidak dihargai dan mereka tidak akan ada negara untuk mereka. Mereka dibenci sejak zaman berzaman. Mereka diperangi dan dikalahkan oleh kerajaan demi kerajaan. Semenjak zaman Firaun lagi mereka telah dikenakan dengan azab dibunuh anak-anak lelaki mereka dan anak-anak perempuan mereka dijadikan sebagai hamba.

Di dalam sejarah telah disebut yang menyerang dan mengalahkan mereka seperti Nabi Sulaiman عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nebuchadnezzar II, semasa Rasulullah ﷺ di Madinah golongan Yahudi semuanya telah dihalau dari bumi Madinah walaupun mereka dahulu yang mula-mula datang ke situ, ketika pemerintahan Sayyidina Umar رَضِيَ ٱللَّٰهُ عَنْهُ puak Yahudi telah dikalahkan dan Palestin telah diambil dan ada berbagai-bagai raja dan kerajaan zaman berzaman yang telah mengalahkan mereka.

Lihatlah sekarang bagaimana semua negara di dunia ini tidak suka kepada mereka. Kerana benci kepada merekalah, Hitler telah membunuh ramai dalam kalangan mereka sehingga mereka terpaksa menumpang kuasa lain. Mereka dilayan kerana mereka ada kekayaan dan kepandaian keduniaan mereka sahaja.

Mungkin ada yang kata mereka sekarang kuat di negara Israel itu. Akan tetapi mereka tetap juga dijajah sebenarnya. Sampai sekarang, kita boleh lihat bagaimana Israel itu terpaksa bergantung kepada kuasa Amerika. Sekiranya Amerika sudah tidak peduli dengan mereka dan tidak memberi bantuan, mereka akan hancur.

Bayangkan yang mereka itu negara pun tidak ada, sampai terpaksa mengambil negara orang lain – Palestin. Begitulah kehinaan yang diberikan kepada mereka, sebagaimana pengumuman daripada Allah ini. Dan ini akan berterusan hingga ke hari Kiamat.

 

إِنَّ رَبَّكَ لَسَريعُ العِقابِ

Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat azab seksa-Nya, 

Allah boleh mengenakan azab kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya, pada bila-bila masa. Sekiranya Allah mahu mengenakan azab, Allah boleh sahaja menyegerakan azab itu. Tidak ada sesiapa yang boleh menghalang atau menangguhkannya. Bayangkan bagaimana tragedi Tsunami yang berlaku beberapa tahun dahulu. Siapa sangka dengan sekelip mata sahaja, penempatan yang aman damai boleh menjadi padang jarak padang tekukur?

 

وَإِنَّهُ لَغَفورٌ رَّحيمٌ

dan sesungguhnya Dia juga Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Walau bagaimanapun dalam masa yang sama, jika ada yang sanggup untuk meminta ampun, sanggup mengubah keadaan mereka daripada tidak taat kepada kembali taat kepada Allah , maka ketahuilah bahawa Allah amat pengampun kerana Allah amat mengasihani hamba-Nya.

Selalu Allah sebut di dalam Al-Qur’an kalimah رَحيمٌ selepas Allah sebut kalimah غَفورٌ. Dari sini kita dapat tahu yang Allah bukan sahaja sanggup mengampunkan dosa hamba-Nya, tetapi selepas itu Dia boleh memberikan kasih dan sayang-Nya semula kepada hamba itu. Ini kerana Allah memang suka hamba-Nya yang bertaubat dan kembali kepada-Nya. Bandingkan dengan manusia yang telah berbuat salah kepada kita. Kita mungkin boleh maafkan dia, tetapi susah untuk kita sayang dia kembali seperti sebelum itu, bukan?


 

A’raf Ayat 168: Ini adalah hukuman kedua kepada mereka.

وَقَطَّعنٰهُم فِي الأَرضِ أُمَمًا ۖ مِّنهُمُ الصّٰلِحونَ وَمِنهُم دونَ ذٰلِكَ ۖ وَبَلَونٰهُم بِالحَسَنٰتِ وَالسَّيِّئَاتِ لَعَلَّهُم يَرجِعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We divided them throughout the earth into nations. Of them some were righteous, and of them some were otherwise. And We tested them with good [times] and bad that perhaps they would return [to obedience].

MALAY

Dan Kami pecah-pecahkan mereka (kaum Yahudi itu) berpuak-puak (yang bertaburan di merata-rata) dunia ini. Di antara mereka ada yang soleh dan di antaranya juga yang tidak demikian. Dan Kami uji mereka dengan nikmat pemberian yang baik-baik dan bala bencana yang buruk, supaya mereka kembali (bertaubat).

 

وَقَطَّعنٰهُم فِي الأَرضِ أُمَمًا

Dan Kami pecah-pecahkan mereka (kaum Yahudi itu) berpuak-puak dunia ini.

Kita boleh lihat bagaimana golongan Yahudi dahulu sesama sendiri pun banyak puak. Kita boleh lihat air daripada batu yang diberikan kepada mereka diberikan 12 mata air. Memang mereka itu tidak bersatu semenjak dahulu lagi sampai sekarang dan sehingga ke hujung zaman. Mereka terpecah di berbagai-bagai tempat di merata-rata tempat. Bukan sahaja fizikal mereka berpecah, tetapi begitu juga mereka mempunyai berbagai-bagai fahaman.

Nanti apabila hampir kiamat, Allah akan satukan mereka dan merekalah nanti yang akan berperang dengan Imam Mahdi. Maknanya, pada waktu itu mereka akan bersatu tetapi mereka bersatu dengan Dajjal Laknatullah. Nanti mereka bersatu di bawah pimpinan Dajjal yang akan mengarahkan mereka kepada kesesatan dan keburukan.

Sebelum itu mereka memang berpecah belah dari segi fahaman dan tempat tinggal mereka. Mereka tidak lagi menjadi satu umat. Pengumpulan mereka di satu tempat (di Israel) adalah dalam perancangan Allah untuk memusnahkan mereka secara keseluruhan di mana peperangan besar berlaku dengan mereka.

Yang akan berperang dengan mereka nanti adalah Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Imam Mahdi. Maka baginda tidak perlu mencari mereka di merata tempat tetapi di satu tempat sahaja.

Hal ini sebagaimana diriwayatkan An-Nawwas bin Sam’an رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ:

فَبَيْنَمَا هُوَ كَذَلِكَ إِذْ بَعَثَ اللهُ المَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ، فَيَنْزِلُ عِنْدَ المَنَارَةِ البَيْضَاءِ شَرْقِيَّ دِمَشْقَ، بَيْنَ مَهْرُودَتَيْنِ، وَاضِعًا كَفَّيْهِ عَلَى أَجْنِحَةِ مَلَكَيْنِ، إِذَا طَأْطَأَ رَأْسَهُ قَطَرَ، وَإِذَا رَفَعَهُ تَحَدَّرَ مِنْهُ جُمَانٌ كَاللُّؤْلُؤِ، فَلَا يَحِلُّ لِكَافِرٍ يَجِدُ رِيحَ نَفَسِهِ إِلَّا مَاتَ

Baginda عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ turun di Menara Putih yang terletak sebelah timur kota Damaskus di Syam (Syiria). Baginda menggunakan dua pakaian yang dicelup sambil meletakkan kedua tangannya pada sayap dua malaikat, apabila baginda menundukkan kepala, maka (seolah-olah) menitiskan air, apabila baginda mengangkat kepala maka (seolah-olah) berjatuhanlah titisan-titisan itu bagai manik-manik mutiara. Tidak seorang kafir pun yang mencium nafas Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melainkan akan mati padahal nafasnya sejauh mata memandang

(Sahih, HR Muslim)  

Begitu juga di dalam hadith yang lain:

عن عمران بن حصين رضي الله تعالى عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : لاتزال طائفة من أمتي يقاتلون على الحق , ظاهرين على من ناوأهم حتى يقاتل آخرهم المسيح الدجال   

Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ turun di tengah golongan yang dimenangkan (Ath-Tha-ifatul Manshurah) yang berperang di jalan haq dan berkumpul untuk memerangi Dajjal.

(Sahih HR Muslim, Ahmad, Abu Awanah, Ibnul Jarud, dan Ibnu Hibban.

Kejadian perang ini telah disebut oleh Nabi ﷺ yang bersabda:

لا تَقُومُ السَّاعَةُ حتَّى يُقاتِلَ المُسْلِمُونَ اليَهُودَ، فَيَقْتُلُهُمُ المُسْلِمُونَ حتَّى يَخْتَبِئَ اليَهُودِيُّ مِن وراءِ الحَجَرِ والشَّجَرِ، فيَقولُ الحَجَرُ أوِ الشَّجَرُ: يا مُسْلِمُ يا عَبْدَ اللهِ هذا يَهُودِيٌّ خَلْفِي، فَتَعالَ فاقْتُلْهُ،

Tidak akan terjadi hari kiamat, sehingga kaum Muslimin memerangi Yahudi. Orang-orang Islam membunuh Yahudi sehingga Yahudi bersembunyi di sebalik batu dan pohon. Namun batu atau pohon berkata, “Wahai Muslim, wahai hamba Allah, inilah Yahudi di belakangku. Ke marilah dan bunuhlah dia..”

(Riwayat Bukhari (2926) dan Muslim (2922))

Maka di sini kita tahu yang perpecahan adalah satu azab dan hukuman daripada Allah . Kalau kita pun tidak menjalankan kewajipan kita sebagai umat Nabi Muhammad ﷺ dan hamba Allah , maka kita pun akan dikenakan dengan hukuman  yang sama.

 

مِّنهُمُ الصّٰلِحونَ وَمِنهُم دونَ ذٰلِكَ

Di antara mereka ada yang soleh dan di antaranya juga yang tidak demikian. 

Namun kita kena ingat, kita tidak boleh pukul rata terhadap mereka, kerana ada antara mereka yang masuk Islam dan menjadi orang soleh. Yang kita lawan bukanlah ‘keturunan’ mereka, tetapi ‘sifat’ buruk mereka itu. Ada dalam kalangan mereka yang beriman dengan Kitab Taurat dengan sebenarnya dan mengamalkannya. Sebaliknya ada yang mengubah Kitab Taurat itu mengikut hawa nafsu mereka. Allah sebut tentang mereka yang baik itu antaranya dalam Ali Imran: 113

لَيْسُوا سَوَاءً مِّنْ أَهْلِ الْكِتٰبِ أُمَّةٌ قَائِمَةٌ يَتْلُونَ ءآيٰتِ اللَّهِ ءآنَاءَ اللَّيْلِ وَهُمْ يَسْجُدُونَ

Ahli-ahli Kitab itu tidaklah sama. Di antaranya ada golongan yang (telah memeluk Islam dan) tetap (berpegang kepada agama Allah yang benar) mereka membaca ayat-ayat Allah (Al-Qur’an) pada waktu malam, semasa mereka sujud (mengerjakan sembahyang).

Maknanya apabila Rasulullah ﷺ dibangkitkan ada yang beriman dengan baginda dan masuk Islam. Antara yang disebut adalah seperti Ibnu Salam. Beliau asalnya adalah seorang pendeta, maknanya beliau seorang yang berilmu. Apabila beliau melihat sahaja Rasulullah ﷺ beliau terus tahu yang baginda adalah seorang Rasul. Ini kerana sudah ada tanda-tanda Rasul Akhir Zaman pada baginda yang memang beliau sudah tahu. Tambahan pula dengan raut wajah baginda yang memang jelas menandakan orang yang baik.

Akan tetapi majoriti daripada mereka menyembunyikan kebenaran tentang kerasulan Rasulullah dan menentang baginda dan umat Islam. Walau bagaimanapun kita hendak beritahu di sini yang bukanlah semua. Sampai sekarang pun, ada orang yang asalnya Yahudi, tetapi kemudian telah masuk Islam dan menjadi Muslim yang baik cuma itu adalah bilangan yang kecil sahaja. Namun begitu apabila mereka masuk Islam, mereka memang menjadi Muslim yang baik sekiranya mereka jujur masuk Islam.

 

وَبَلَونٰهُم بِالحَسَنٰتِ وَالسَّيِّئَاتِ لَعَلَّهُم يَرجِعونَ

Dan Kami uji mereka dengan nikmat pemberian yang baik-baik dan bala bencana yang buruk, supaya mereka kembali (bertaubat).

Allah menguji mereka dengan pelbagai ujian dunia, ada yang kaya raya dan ada yang jatuh sakit dan miskin. Ini sepertimana Allah menguji makhluk Dia yang lain. Diberikan dengan ujian itu, mudah-mudahan mereka bersabar dan kembali kepada Allah . Pintu taubat kepada mereka masih terbuka selagi mereka belum mati.

Memang hidup di dunia kita akan menerima ujian hidup yang banyak. Apa-apa sahaja yang terjadi kepada kita adalah ujian sebenarnya. Masalahnya kadang-kadang kita tidak sedar yang sesuatu itu adalah ujian. Ini kerana ujian datang dalam bentuk musibah kesusahan dan kadangkala dalam bentuk kesenangan nikmat. Jika ia datang dalam bentuk musibah, senang kita mengenalinya sebagai ujian.

Namun apabila ia datang dalam bentuk nikmat, itu yang manusia susah hendak kenal. Kita pun sudah lihat bagaimana Yahudi yang menjadi nelayan itu gagal dengan ujian dinampakkan banyak ikan (nikmat) di hari mereka dilarang untuk menangkap ikan. Maka memang ujian nikmat itu lebih sukar. Ini tidak jauh bezanya dengan orang kita juga, jika hidup senang mulalah lupa untuk belajar agama, ibadah pun kurang sebab sibuk berbelanja dan berjalan ke sana sini. Maka kerana itulah sekiranya Allah sayangkan seseorang, Dia akan memberi ujian dalam bentuk kepayahan dan kesusahan hidup. Maka jangan kita mengeluh jika dikenakan dengan ujian kerana itu adalah tanda Allah sayangkan kita.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 6 April 2023

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Tafsir Surah al-A’raf Ayat 161 – 164 (Tangkap ikan hari Sabtu)

A’raf Ayat 161:

وَإِذ قيلَ لَهُمُ اسكُنوا هٰذِهِ القَريَةَ وَكُلوا مِنها حَيثُ شِئتُم وَقولوا حِطَّةٌ وَادخُلُوا البابَ سُجَّدًا نَّغفِر لَكُم خَطيئٰتِكُم ۚ سَنَزيدُ المُحسِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [mention, O Muḥammad], when it was said to them, “Dwell in this city [i.e., Jerusalem] and eat from it wherever you will and say, ‘Relieve us of our burdens [i.e., sins],’ and enter the gate bowing humbly; We will [then] forgive you your sins. We will increase the doers of good [in goodness and reward].”

MALAY

Dan (ingatlah) ketika dikatakan kepada mereka: “Tinggallah dalam bandar ini dan makanlah dari makanannya apa sahaja yang kamu sukai, dan berdoalah dengan berkata: `(Wahai Tuhan kami), gugurkanlah (dosa kami) ‘, dan masuklah melalui pintu (bandar) itu dengan tunduk merendah diri, supaya Kami mengampunkan dosa-dosa kamu. Kami akan menambah (balasan) bagi orang-orang yang berbuat kebaikan”.

 

وَإِذ قيلَ لَهُمُ اسكُنوا هٰذِهِ القَريَةَ

Dan (ingatlah) ketika dikatakan kepada mereka: “Tinggallah dalam bandar ini 

Setelah mereka sesat selama 40 tahun di Padang Pasir Tih, dan setelah habis keturunan yang degil dulu, dan yang tinggal adalah anak cucu mereka, maka mereka telah diarahkan oleh Allah untuk memasuki Bandar Jurusalem. Tempat itu telah ditetapkan untuk mereka. Ia adalah tempat asal Nabi Ya’kob عليه السلام.

Ayat yang lebih kurang sama telah disebut di dalam Baqarah: 58. Cuma bezanya di dalam Surah Baqarah itu Allah memberitahu yang Dialah yang memberi arahan (وَإِذ قُلنَا). Kedua, di dalam Surah Baqarah itu mereka disuruh masuk (ادخُلوا) dan sekarang di dalam Surah A’raf ini mereka disuruh tinggal (اسكُنوا). Ini kerana untuk tinggal, mestilah kena masuk terlebih dahulu.

 

وَكُلوا مِنها حَيثُ شِئتُم

dan makanlah daripada makanannya apa sahaja yang kamu sukai,

Di dalamnya juga nanti mereka akan mendapat nikmat yang banyak, di mana akan ada makanan untuk mereka juga. Allah telah memberi makanan kepada mereka semasa di Padang Tih dan mereka akan mendapat juga makanan di Bandar itu. Asalkan mereka sanggup untuk mengikut perintah Allah .

 

وَقولوا حِطَّةٌ

dan berdoalah dengan berkata: ` (Wahai Tuhan kami), gugurkanlah (dosa kami) ‘,

Oleh kerana mereka telah mendapat segala nikmat itu, maka hendaklah mereka masuk ke Bandar itu, sambil mengucapkan permohonan agar digugurkan dosa mereka. Mintalah ampun kepada Allah kerana telah banyak kesalahan yang mereka lakukan. Itu adalah syarat dan Allah mengajar mereka apa untuk disebut.

 

وَادخُلُوا البابَ سُجَّدًا

dan masuklah melalui pintu (bandar) itu dengan tunduk merendah diri,

Hendaklah mereka semasa memasuki pintu gerbang kota dengan keadaan tunduk, jangan meninggi diri. Mereka dapat masuk ke bandar itu pun disebabkan nikmat yang Allah berikan. Bukanlah mereka menang dengan kekuatan mereka sendiri tetapi kerana qudrat dan pertolongan daripada Allah .

 

نَّغفِر لَكُم خَطيئٰتِكُم

pasti Kami mengampunkan dosa-dosa kamu.

Sekiranya mereka melakukan itu semua, Allah berjanji akan mengampunkan dosa-dosa mereka yang banyak itu. Maka ini adalah satu nikmat yang amat besar kepada mereka asalkan mereka sanggup mengikut arahan. Mereka itu telah lama membuat dosa, telah banyak dosa yang mereka lakukan, namun Allah masih sanggup memberikan keampunan kepada mereka.

Ini kerana Allah mahukan semua hamba-Nya kembali kepada-Nya. Allah akan suka sekiranya hamba-Nya yang berdosa meminta ampun kepada-Nya. Sabda Rasulullah ﷺ:

لَلهُ أشدُّ فرحًا بتوبة عبده حين يتوب إليه

“Allah sangat gembira kepada hamba-Nya yang kembali kepada-Nya.”

(Sahih Bukhari)

 

سَنَزيدُ المُحسِنينَ

Kami akan menambah (balasan) bagi orang-orang yang berbuat kebaikan”.

Allah berjanji akan memberi nikmat tambahan lagi kepada mereka, tanpa disangka-sangka. Mereka sekarang dijanjikan dengan nikmat-nikmat yang lebih banyak lagi. Mereka akan mendapat semua itu asalkan mereka mahu berbuat baik.

Di dalam ayat ini disebut orang yang muhsin. Akan tetapi siapakah yang dimaksudkan muhsin itu? Mereka ini adalah orang yang berbuat baik dan sentiasa berbuat baik. Mereka itu berbuat baik dengan Allah malah bukan dengan Allah sahaja, tetapi sesama makhluk juga. Kena ada dua-dua barulah dikira bersifat muhsin. Sebagai contohnya kita membantu manusia adalah dengan menghilangkan kejahilan mereka dalam agama. Maka yang perbuatan terbaik adalah berdakwah dan mengajar manusia.

Bagaimana pula berbaik dengan Allah ? Dalam sebuah hadith popular yang dikenali dengan nama ‘Hadith Jibril’, di mana Rasulullah ﷺ menjelaskan makna ihsan sebagai berikut,

أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ

“Hendaklah Engkau beribadah kepada Allah ﷻ seakan-akan Engkau melihat-Nya. Kalaupun Engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihatmu”

(Hadith Riwayat Muslim (8))

Daripada hadith ini kita dapat tahu yang berbuat ihsan dalam ibadah ada dua maqam.

    1. Maqam muraqabah adalah menyakini bahawa Allah melihat kita. Inilah maqam bagi kebanyakan manusia.
    2. Maqam musyahadah bererti kita beribadah kepada Allah seakan-akan melihat-Nya iaitu melihat nama dan sifat Allah serta pengaruhnya, bukan melihat zat Allah secara langsung seperti diyakini oleh kaum sufi. Maqam ini lebih tinggi dibandingkan maqam muraqabah.

Sifat-sifat muhsin itu ada juga ditafsirkan di dalam ayat-ayat yang lain. Ia menjadi hujah dan dalil bahawa sifat ihsan itu mesti adalah ihsan kepada Allah dan ihsan kepada manusia kerana dua-duanya disebut di dalam Dzariyat: 16 – 19

إِنَّهُم كانوا قَبلَ ذٰلِكَ مُحسِنينَ

Sesungguhnya mereka sebelum itu di dunia adalah orang-orang yang berbuat kebaikan.

كانوا قَليلًا مِّنَ اللَّيلِ ما يَهجَعونَ

Dulu mereka sedikit sekali tidur di waktu malam.

وَبِالأَسحارِ هُم يَستَغفِرونَ

Dan selalu memohonkan ampunan di waktu pagi sebelum fajar (waktu sahur).

Di sini disebut dua sifat muhsin iaitu kuat melakukan salat sunat di malam hari dan kemudian mereka beristighfar kepada Allah di waktu sahur. Ini adalah contoh ihsan kepada Allah . Selepas itu disambung dengan ihsan kepada manusia.

وَفي أَموٰلِهِم حَقٌّ لِّلسّائِلِ وَالمَحرومِ

Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian.

Apakah pula nikmat yang akan ditambah kepada mereka itu? Ia tidak disebut di dalam ayat Surah A’raf ini akan tetapi ada disebut di dalam ayat-ayat yang lain. Antaranya lihat Yunus: 26

لِلَّذينَ أَحسَنُوا الحُسنىٰ وَزِيادَةٌ ۖ وَلا يَرهَقُ وُجوهَهُم قَتَرٌ وَلا ذِلَّةٌ ۚ أُولٰئِكَ أَصحابُ الجَنَّةِ ۖ هُم فيها خالِدونَ

Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.

Di dalam ayat Surah Yunus ini adalah terdapat kalimah زِيادَةٌ (tambahan) yang lebih kurang sama dengan kalimah سَنَزيدُ dalam ayat daripada Surah A’raf ini. Ada tafsiran daripada hadith yang mengatakan makna زِيادَةٌ itu adalah dapat melihat wajah Allah . Maknanya, sudah dapat masuk syurga sudah hebat, namun ada lagi yang lebih hebat apabila sudah masuk ke dalam syurga, iaitu melihat wajah Allah .


 

A’raf Ayat 162: Bani Israel itu disuruh untuk masuk ke Bandar Jurusalem dengan merendahkan diri dan meminta ampun kepada Allah . Akan tetapi apakah yang mereka lakukan?

فَبَدَّلَ الَّذينَ ظَلَموا مِنهُم قَولًا غَيرَ الَّذي قيلَ لَهُم فَأَرسَلنا عَلَيهِم رِجزًا مِّنَ السَّماءِ بِما كانوا يَظلِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But those who wronged among them changed [the words] to a statement other than that which had been said to them. So We sent upon them a punishment from the sky for the wrong that they were doing.

MALAY

Maka orang-orang yang zalim di antara mereka menukarkan perintah itu dengan perkataan yang tidak dikatakan kepada mereka. Oleh itu, Kami turunkan azab dari langit menimpa mereka, dengan sebab kezaliman yang mereka lakukan.

 

فَبَدَّلَ الَّذينَ ظَلَموا مِنهُم قَولًا غَيرَ الَّذي قيلَ لَهُم

Maka orang-orang yang zalim di antara mereka menukarkan perintah itu dengan perkataan yang tidak dikatakan kepada mereka.

Namun ada dalam kalangan mereka yang zalim yang menyebut perkataan lain daripada yang diajar. Mereka telah mengubahnya dengan kalimah yang lain. Ini telah disebut dalam Baqarah: 59 dengan lebih lanjut.

Kezaliman yang paling besar adalah syirik kepada Allah . Malangnya ramai manusia yang tidak faham tentang makna syirik dan apakah yang termasuk dalam perkara syirik. Oleh kerana itulah ramai dalam kalangan manusia yang melakukan syirik tanpa sedar.

 

فَأَرسَلنا عَلَيهِم رِجزًا مِنَ السَّماءِ بِما كانوا يَظلِمونَ

Oleh itu, Kami turunkan azab dari langit menimpa mereka, dengan sebab kezaliman yang mereka lakukan.

Oleh kerana kezaliman mereka itu, mereka telah dikenakan dengan azab taun dari langit. Ini adalah salah satu pendapat berdasarkan tafsiran yang ada di mana azab dari langit itu ditafsirkan sebagai ‘taun’. Ada juga yang tidak mahu mengatakan ia adalah taun kerana ia tidak disebut secara jelas dalam nas.

Sesiapa yang melakukan dosa pasti akan mendapat balasannya, sama ada di dunia lagi atau di akhirat. Jika tidak dikenakan azab di dunia, pasti mereka akan mendapat azab di akhirat. Maka sekiranya terlepas azab di dunia, jangan gembira sangat kerana akan ada balasan yang menunggu di akhirat kelak.

Ayat-ayat ini menunjukkan betapa susahnya Nabi Musa عليه السلام untuk mentarbiyah kaum baginda kerana mereka amat degil dan dan suka membantah. Maka jangan kita lemah semangat jika kita berhadapan dengan masyarakat kita sendiri yang degil. Ini kerana perkara ini adalah perkara biasa sahaja dalam kalangan manusia.

Habis Ruku’ 20 daripada 24 ruku’ dalam surah ini.


 

PELANGGARAN HARI SABBATH

A’raf Ayat 163: Ini adalah ayat takhwif ukhrawi. Ia adalah kisah penutup dan berkait-rapat dengan Bani Israel. Kisah ini sudah disebut dalam Baqarah: 65. Namun dari segi kronologi, ia disebut lebih awal di dalam Surah al-A’raf ini dahulu kerana surah ini adalah Surah Makkiah.

وَاسأَلهُم عَنِ القَريَةِ الَّتي كانَت حاضِرَةَ البَحرِ إِذ يَعدونَ فِي السَّبتِ إِذ تَأتيهِم حيتانُهُم يَومَ سَبتِهِم شُرَّعًا وَيَومَ لا يَسبِتونَ ۙ لا تَأتيهِم ۚ كَذٰلِكَ نَبلوهُم بِما كانوا يَفسُقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And ask them about the town that was by the sea – when they transgressed in [the matter of] the sabbath – when their fish came to them openly on their sabbath day, and the day they had no sabbath they did not come to them. Thus did We give them trial because they were defiantly disobedient.

MALAY

Dan bertanyalah kepada mereka (wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air; sedang pada hari-hari lain, ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka. Demikianlah Kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka sentiasa berlaku fasik.

 

وَاسأَلهُم عَنِ القَريَةِ الَّتي كانَت حاضِرَةَ البَحرِ

Dan bertanyalah kepada mereka (wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar yang letaknya di tepi laut,

Allah suruh tanya Yahudi yang ada ketika zaman Nabi Muhammad ﷺ itu, tentang kisah penduduk Yahudi yang pernah tinggal di satu kawasan yang berdekatan dengan laut. Kejadian ini berlaku selepas Nabi Musa عليه السلام sudah wafat. Mereka itu pekerjaannya adalah menangkap ikan.

Dari segi bahasa, kalimah حاضِرَةَ bermaksud tinggal di kawasan bandar. Ini berlawanan dengan kalimah بادونَ yang digunakan dalam Ahzab:20 yang bermaksud tinggal di kawasan pedalaman.

يَحسَبونَ الأَحزابَ لَم يَذهَبوا ۖ وَإِن يَأتِ الأَحزابُ يَوَدّوا لَو أَنَّهُم بادونَ فِي الأَعرابِ يَسئلونَ عَن أَنبائِكُم

Mereka mengira (bahawa) golongan-golongan yang bersekutu itu belum pergi; dan jika golongan-golongan yang bersekutu itu datang kembali, nescaya mereka ingin berada di dusun-dusun bersama-sama orang Arab Badwi, sambil menanya-nanyakan tentang berita-beritamu.

Ada pendapat yang mengatakan kota yang dimaksudkan ialah Kota Ailah, terletak di tepi Laut Qalzum (Laut Merah). Cuma tempatnya yang pasti tidak disebut. Al-Qur’an dan hadith pun tidak menyebut tentang perkara ini kerana ia tidak penting. Yang penting adalah pengajaran di dalamnya. Jika disebut tempatnya, maka manusia akan disibukkan untuk mengkaji tentang tempat itu pula. Sebagaimana kita belajar sejarah di sekolah dengan segala fakta-fakta diberitahu seperti tempat dan masa kejadian, adakah kita ambil pengajarannya? Tidak juga, bukan? Oleh sebab itu, tempat itu secara spesifik tidaklah begitu penting.

Apa maksud ‘tanya’ mereka? Ertinya, tanyakanlah kepada orang-orang Yahudi yang ada dalam kalangan kamu tentang kisah teman-teman mereka yang menentang perintah Allah lalu mereka ditimpa seksa Allah yang mengejutkan akibat daripada perbuatan mereka, pelanggaran mereka, dan tipu daya mereka dalam menentang perintah-Nya. Tujuannya adalah untuk mengambil pengajaran daripada kisah mereka.

 

إِذ يَعدونَ فِي السَّبتِ

semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu,

Mereka itu telah melanggar hukum bekerja pada hari Sabtu. Syariat pada waktu itu kepada orang Yahudi adalah, mereka tidak boleh bekerja pada hari Sabtu. Ini adalah kerana hari Sabtu adalah hari untuk mereka berehat daripada bekerja dan mereka hanya dibenarkan untuk beribadat sahaja.

Maka terdapat larangan untuk mereka. Begitu juga seperti Nabi Adam عليه السلام dilarang daripada menyentuh pokok larangan. Di awal surah ini telah disebut tentang larangan kepada Nabi Adam عليه السلام itu. Maka, ada persamaan dalam perkara ini kerana manusia memang diuji dengan diberi sempadan-sempadan yang tidak boleh dilanggar. Allah menguji kita untuk melihat kita langgar atau tidak.

 

إِذ تَأتيهِم حيتانُهُم يَومَ سَبتِهِم شُرَّعًا

ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu mereka itu, ikan-ikan mereka dengan jelas,

Mereka diuji dengan datangnya ikan pada hari Sabtu di permukaan air. Ikan itu timbul dengan jelas dengan menunjukkan tubuh mereka belaka pada hari Sabtu. Mungkin melompat-lompat keluar dari air. Sengaja menguji keimanan Kaum Yahudi di situ.

Di sini digunakan kalimah حوت bagi ikan (jamak حيتان) sedangkan ada kalimah lain bagi ikan yang kita lebih biasa iaitu سمك. Ini adalah kerana سمك digunakan bagi ikan biasa sedangkan حوت digunakan bagi ikan yang besar.

Nota: Ada banyak kalimat berbeza-beza yang digunakan di dalam Al-Qur’an untuk menunjukkan makna ‘zahir’. Ini adalah kerana bahasa Arab ini amat kaya jadi semua kalimat itu walaupun diterjemahkan sebagai ‘menzahirkan’, akan tetapi ada perbezaan antara semuanya itu. Kita senaraikan di sini untuk perbandingan:

1. ظَهَرَ bermaksud luaran, yang senang nampak.; lawannya adalah بطن yang bermaksud ‘perut’, ‘dalaman’. Contohnya seperti Rum:41.

ظَهَرَ الفَسادُ فِي البَرِّ وَالبَحرِ

Telah nampak kerosakan di darat dan di laut

2. جَهْرً pula bermaksud terang jelas. Contohnya di dalam Baqarah:55.

وَإِذ قُلتُم يَـٰمُوسَىٰ لَن نُّؤمِنَ لَكَ حَتّىٰ نَرَى اللهَ جَهرَةً

Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala kami)”

Ia juga digunakan untuk suara yang jelas seperti ‘Solat Jahr’ untuk Subuh, Maghrib dan Isya’.

Oleh itu lihat contoh yang kedua adalah dalam Nisa’:148 yang berkenaan dengan suara,

لا يُحِبُّ اللَّهُ الجَهرَ بِالسّوءِ مِنَ القَولِ إِلّا مَن ظُلِمَ

Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang;

3. بَدَا bermaksud jelas kelihatan tanpa kerelaan orang itu. Ini seperti digunakan dalam An’am:28

بَل بَدا لَهُم مّا كانوا يُخفونَ مِن قَبلُ

bahkan setelah nyata kepada mereka apa yang mereka selalu sembunyikan dahulu;

Satu lagi contoh adalah di dalam A’raf:22

فَلَمّا ذاقَا الشَّجَرَةَ بَدَت لَهُما سَوءٰتُهُما

Tatkala keduanya telah merasai buah pokok itu, nampaklah bagi keduanya aurat-auratnya

Satu lagi contoh adalah Yusuf:35

ثُمَّ بَدا لَهُم مِن بَعدِ ما رَأَوُا الآياتِ لَيَسجُنُنَّهُ حَتّىٰ حينٍ

Kemudian jelas pada mereka setelah melihat tanda-tanda (kebenaran Yusuf) bahawa mereka harus memenjarakannya sampai sesuatu waktu.

4. عُثِرَ digunakan apabila seseorang menipu dan kemudian dia telah tersilap cakap sampaikan kebenaran itu terserlah. Ini seperti digunakan dalam Maidah:107

فَإِن عُثِرَ عَلىٰ أَنَّهُمَا استَحَقّا إِثمًا

Jika diketahui bahawa kedua (saksi itu) membuat dosa,

5. تَّبَيَّن apabila sesuatu itu jelas apabila dibandingkan dengan sesuatu yang lain. Contohnya di dalam Baqarah:256

قَد تَّبَيَّنَ الرُّشدُ مِنَ الغَيِّ

sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).

Satu lagi contoh adalah di dalam An’am:55

وَلِتَسْتَبِينَ سَبِيلُ الْمُجْرِمِينَ

dan supaya jelas pula jalan orang-orang yang berdosa.

6. حَصْحَصَ digunakan apabila sudah jelas apabila kebenaran telah timbul. Contohnya digunakan dalam Yusuf:51

قالَتِ امرَأَتُ العَزيزِ الآنَ حَصحَصَ الحَقُّ أَنا راوَدتُهُ عَن نَفسِهِ

Berkata isteri Al Aziz: “Sekarang jelaslah kebenaran itu, akulah yang menggodanya untuk menundukkan dirinya (kepadaku),

7. تَجَلَّىٰ digunakan apabila sesuatu yang cantik dan terang benderang seperti digunakan dalam A’raf:143

فَلَمّا تَجَلّىٰ رَبُّهُ لِلجَبَلِ جَعَلَهُ دَكًّا

Setelah Tuhannya “Tajalla” (menzahirkan kebesaranNya) kepada gunung itu, (maka) “TajalliNya” menjadikan gunung itu hancur lebur

8. شرع digunakan apabila sesuatu itu jelas kelihatan seperti digunakan di dalam A’raf:163 ini

إِذ تَأتيهِم حيتانُهُم يَومَ سَبتِهِم شُرَّعًا

ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air;

 

وَيَومَ لا يَسبِتونَ ۙ لا تَأتيهِم

sedang pada hari-hari lain, ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka. 

Namun pada hari lain, ikan-ikan itu tidak timbul langsung pula. Sebagaimana biasa kita jarang nampak ikan yang ada di dalam laut, sungai dan kolam, bukan? Itulah dugaan dan ujian yang Allah berikan kepada mereka.

 

كَذٰلِكَ نَبلوهُم بِما كانوا يَفسُقونَ

Demikianlah Kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka sentiasa berlaku fasik.

Ujian itu diberikan kepada mereka kerana mereka selalu melakukan perkara fasik. Fasik ertinya keluar daripada melakukan taat ke arah melakukan maksiat. Fasik yang paling besar adalah keluar daripada daerah keislaman ke arah kufur.

Mereka itu dikatakan fasik. Ertinya, penderhakaan mereka yang tidak mahu taat kepada Allah dan membangkang perintah-Nya. Mereka adalah suatu kaum yang menggunakan hailah (helah tipu muslihat) untuk melanggar hal-hal yang diharamkan oleh Allah .

Sebenarnya Allah lah yang mengarahkan ikan itu untuk menzahirkan diri mereka. Ini adalah ujian kepada mereka. Memang manusia hidup di dunia diberikan uji oleh Allah untuk menilai siapakah yang layak mendapat syurga dan siapakah yang akan ditakdirkan menjadi ahli neraka.

Ujian pula didatangkan dalam pelbagai bentuk. Boleh dikatakan semua perkara yang terjadi kepada kita adalah ujian sebenarnya. Sama ada ia ujian dengan kepayahan atau dengan kesenangan. Cuma kita senang nampak kepayahan dan kesusahan hidup sebagai ujian, namun kita jarang sedar yang kesenangan juga adalah ujian. Susah itu ujian, senang juga ujian. Contohnya adakah kita bersyukur dengan kesenangan itu? Adakah kita menggunakan kesenangan itu ke arah kebaikan? Adakah kita ingat Allah dalam suasana senang? Agak susah, bukan? Kerana itu ramai yang kalah dengan ujian kesenangan jika dibandingkan dengan ujian kepayahan.

Begitulah umat Bani Israel ini yang telah diuji dengan kesenangan (banyak ikan timbul). Mereka gagal dengan ujian nikmat itu. Allah telah menjadikan ujian itu untuk mereka terus menambahkan lagi kesalahan yang mereka telah lakukan. Ini kerana Allah hendak mengazab mereka di akhirat kelak. Selalu Allah menjadikan perkara sebegini kepada mereka yang fasik. Maknanya mereka itu memang sudah fasik pun, cuma kefasikan mereka itu dizahirkan dengan perbuatan mereka.


 

A’raf Ayat 164: Sambungan kisah umat Yahudi yang menangkap ikan pada hari Sabtu itu. Ada sesuatu yang berlaku selepas itu rupanya.

وَإِذ قالَت أُمَّةٌ مِّنهُم لِمَ تَعِظونَ قَومًا ۙ اللَّهُ مُهلِكُهُم أَو مُعَذِّبُهُم عَذابًا شَديدًا ۖ قالوا مَعذِرَةً إِلىٰ رَبِّكُم وَلَعَلَّهُم يَتَّقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when a community among them said, “Why do you advise [or warn] a people whom Allāh is [about] to destroy or to punish with a severe punishment?” they [the advisors] said, “To be absolved before your Lord and perhaps they may fear Him.”

MALAY

Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: “Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan binasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat?” Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: “(Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu, dan mudah-mudahan mereka bertaqwa”.

 

وَإِذ قالَت أُمَّةٌ مِّنهُم لِمَ تَعِظونَ قَومًا

Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: “Mengapa kamu menasihati satu kaum

Semasa sebahagian daripada mereka menangkap ikan pada hari Sabtu itu, ada golongan lain yang menasihati mereka untuk menegah daripada berbuat mungkar itu. Mereka mengingatkan semula kepada puak yang bersalah itu tentang larangan Allah . Mereka mengingatkan kembali untuk menghormati hari Sabtu, jangan menangkap ikan pada hari tersebut kerana telah jelas yang mereka telah melanggar hukum Allah . Mereka yang menangkap ikan itu telah berdalih dengan menggunakan alasan yang mereka tidaklah menangkap ikan pada hari Sabtu, mereka cuma memasang pukat sahaja pada hari Jumaat dan mengangkatnya semula pada hari Ahad. Namun begitu, itu bukanlah alasan yang benar kerana hakikatnya, mereka dengan jelas telah melanggar perintah Allah .

Malangnya, ada pula golongan lain yang menegur golongan yang memberi nasihat. Yang menegur pula yang ditegur balik! Mereka ini umat yang sudah berputus asa dalam memberi nasihat. Sudahlah mereka sendiri tidak menegur kesalahan masyarakat, bila ada yang sanggup menegur, mereka hendak halang pula!

Nota: potongan ayat ini adalah termasuk dalam hukum tajwid ‘Iltiqa’ Sakinain’ dan jarang diketahui oleh kita. Boleh rujuk dalam ilmu tajwid untuk maklumat lanjut.

 

اللَّهُ مُهلِكُهُم أَو مُعَذِّبُهُم عَذابًا شَديدًا

yang Allah akan binasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat?”

Selepas ada satu pihak yang menegur mereka yang melakukan kesalahan itu, ada pula golongan ketiga yang menegur pula orang yang menasihati. Pihak ketiga ini pun tidaklah terlibat dalam menangkap ikan hari Sabtu itu, tetapi mereka pula menegur golongan yang menegur itu: “Kenapa sibuk nak nasihat mereka lagi?”.

Pada mereka, golongan yang sudah melakukan kesalahan itu sudah tidak ada harapan lagi, dan Tuhan akan membinasakan mereka atau mengenakan mereka dengan azab yang amat berat.  Mereka menganggap perbuatan menegur mereka yang gone case itu adalah membuang masa sahaja.

Oleh itu, ayat ini menyebut tentang tiga golongan:

    1. Yang membuat kesalahan menangkap ikan pada hari Sabtu.
    2. Yang menasihati golongan 1.
    3. Yang menegur orang yang menasihat (golongan 2).

Seperti kita jugalah, kadang-kadang kita melihat seseorang itu sudah teruk sangat, kita rasa jika kita nasihat dia bagaikan membuang masa sahaja, bukannya dia hendak dengar pun. Kita merasakan tidak perlu untuk bising-bising untuk nasihat sana dan sini. Oleh itu, ayat ini adalah berkenaan perkara itu. Ia tentang memberi nasihat dan bukan hanya tentang kesalahan menangkap ikan sahaja. Kesalahan menangkap ikan itu sebagai satu contoh sahaja.

Lihatlah pihak ketiga dalam ayat ini yang berkata, mereka yang membuat kesalahan itu sudah ditetapkan oleh Allah akan mendapat azab. Bagaimana dia tahu? Sedangkan ini adalah perkara ghaib dan pintu taubat belum tertutup lagi. Maka, mereka itu sebenarnya telah mendahului takdir. Mereka memandai-mandai menjatuhkan keputusan sendiri. Ini adalah satu kesalahan yang amat besar yang mungkin kita pun pernah melakukannya.

 

قالوا مَعذِرَةً إِلىٰ رَبِّكُم

Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: “(Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri daripada bersalah kepada Tuhan kamu,

Mereka yang memberi nasihat itu adalah golongan yang menjalankan suruhan Allah tentang memberi nasihat dalam amar ma’ruf dan nahi mungkar. Mereka itu menjawab setelah mereka ditegur oleh golongan ketiga yang tidak faham tentang perkara ini: “Kami beri nasihat supaya nanti kami ada alasan (uzur) di depan Tuhan. Nanti apabila Tuhan tanya, apa yang kita telah lakukan sebagai khalifah di bumi, kita boleh jawab yang kita telah beri nasihat, manusia sahaja yang tidak dengar. Tapi kita tidaklah melihat sahaja.”

Maka, inilah sepatutnya menjadi jawapan kita. Kita sudah nampak mereka melakukan kesalahan, dan kita tegur mereka. Kita sudah tidak bersalah dengan Allah kerana kita telah menjalankan suruhan Allah , iaitu memberi nasihat kepada manusia.

Ia juga ada kebaikan untuk kita, kerana apabila kita mengingatkan orang lain, ia adalah peringatan kepada diri kita juga. Ini kerana kita ini adalah insan yang sering terlupa. Maka, apabila kita mengingatkan orang lain, tentulah kita sendiri malu untuk membuat perkara yang salah itu. Oleh itu, walaupun orang yang diberi nasihat itu tidak terima, ia tetap memberi kebaikan kepada kita sebenarnya.

Daripada ayat ini juga memberi maksud sekiranya ada kemungkaran berlaku di hadapan kita, dan kita tidak tegur, maka kita tidak ada alasan yang kuat di hadapan Allah . Kalau kita tegur, maka kita sudah ada alasan. Akan tetapi jikalau kita tidak tegur, apakah alasan kita? Mungkin kita boleh menggunakan hujah yang kita ini lemah dan kerana itu tidak mampu hendak menegur. Perkara ini disebut dalam satu hadis yang masyhur:

عَنْ أَبِي سَعِيْدٍ الخُدْرِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ ﷺ يَقُوْلُ: «مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَراً فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَستَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَستَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإِيْمَانِ» رَوَاهُ مُسْلِمٌ.

Daripada Abu Sa’id Al-Khudri رضي الله عنه, beliau berkata, “Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda, ‘Barangsiapa daripada kalian melihat kemungkaran, ubahlah dengan tangannya. Jika tidak mampu, ubahlah dengan lisannya. Jika tidak mampu, ingkarilah dengan hatinya, dan itu merupakan selemah-lemahnya iman.”

(Hadith Riwayat Muslim (49))

Ini kerana kadangkala boleh mendatangkan bahaya kepada diri kita jika kita menegur kerana ada orang jahat yang kuat. Dia boleh menyakiti kita, memukul kita, penjarakan kita atau lain-lain. Akan tetapi ini pun akan dinilai juga. Kadangkala kita tidak menegur itu hanya kerana takut digelar wahabi sahaja. Sedangkan itu bukanlah perkara yang menyakitkan kita pun.

 

وَلَعَلَّهُم يَتَّقونَ

dan mudah-mudahan mereka bertaqwa”.

Keduanya mereka berkata, mereka memberi nasihat itu supaya yang sedang melakukan kesalahan itu sedar, dan tinggalkan kesalahan mereka itu kalau mereka dapat dengar nasihat. Mungkin ada yang akan mendengar, dan mungkin ada yang tidak. Namun bagaimana kita tahu, selagi kita tidak mula memberikan nasihat? Sampaikan kepada Firaun pun diberi peluang itu seperti disebut dalam Taha: 44

فَقولا لَهُ قَولًا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَو يَخشىٰ

“Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga dia beringat atau takut”.

Kita tidak buat boleh menjatuhkan keputusan hukum sendiri dengan mendahului takdir. Jangan kita lihat orang dan kita cakap dalam hati kita: “Orang ini tidak akan dengar nasihat”. Ini tidak patut kerana kita tidak tahu hati orang lain dan masa depan mereka. Pintu taubat belum tertutup lagi untuk mereka.

Mungkin kalau mereka dinasihati, mereka akan tinggalkan, dan kita pula akan mendapat saham kerana kita yang memberi nasihat itu. Sebaliknya jika mereka tidak berhenti pun, kita sudah tentu mendapat pahala kerana kita telah memberi nasihat itu. Ini kerana Allah bukan memberi pahala jika berjaya sahaja. Kalau tidak berjaya pun Allah beri pahala juga.

Maka, ayat ini amat penting untuk kita ingat sampai bila-bila kerana perkara ini akan selalu terjadi dalam kehidupan kita seharian. Kita kena faham bahawa kita hendaklah termasuk dalam golongan yang menasihati itu. Jangan menjadi pihak yang ketiga pula, menahan orang beri nasihat. Kalau tidak mampu menasihati pun, sekurang-kurangnya diam sahajalah!

Sudahlah mereka itu tidak beri nasihat, mereka pula menahan orang lain untuk beri nasihat. Itu adalah kesalahan besar. Kita sepatutnya membantu orang yang memberi nasihat, bukannya memadamkan semangat orang yang memberi nasihat. Memang yang menghalang menasihati itu, berbuat begitu kerana mungkin mereka dulu pernah memberi nasihat, tetapi orang tidak dengar. Akan tetapi kita telah sebut, bukannya semua orang pasti akan mengikuti nasihat kita.

Oleh itu, ini bukan menjadi alasan untuk tidak memberi nasihat. Kita tidak boleh menyamakan semua orang. Ada orang yang boleh menerima nasihat dan ada yang susah. Yang penting kita kena sampaikan nasihat dan teguran kepada orang lain. Kalau mereka tidak dapat kebaikan daripada nasihat itu, kita yang memberi nasihat ini yang pasti mendapat pahala dan kebaikan.

Di atas telah disebut dua sebab kenapa kita perlu melakukan amar ma’ruf nahi mungkar. Ada satu lagi sebab yang disebut dalam Nisa’: 165

رُّسُلًا مُّبَشِّرينَ وَمُنذِرينَ لِئَلّا يَكونَ لِلنّاسِ عَلَى اللهِ حُجَّةٌ بَعدَ الرُّسُلِ

Rasul-rasul (yang Kami telah utuskan itu semuanya) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang kafir dan yang berbuat maksiat), supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari kiamat kelak) terhadap Allah sesudah mengutuskan Rasul-rasul itu.

Maknanya, supaya mereka yang telah diberi nasihat dan amaran itu tidak ada lagi alasan mereka di hadapan Allah nanti. Tidak boleh lagi mereka memberi alasan, “Eh, takde pun orang nasihat dan bagitahu kami benda kami ini salah? Itu sebab kami terus buat!”

Maka ayat-ayat ini mengandungi galakan yang amat kuat untuk menjalankan tugas amar ma’ruf nahi mungkar. Ingatlah yang kalau kita tidak menjalankan tugas ini, maka semakin berleluasalah maksiat di dunia ini. Kadang-kadang masalah kita bukan kerana kita berbuat maksiat, tetapi sebab kita tidak menegur orang yang berbuat maksiat.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 4 September 2023

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah al-A’raf Ayat 158 – 160 (Penjelasan maksud ummiy)

KESEJAGATAN AGAMA ISLAM

A’raf Ayat 158:

قُل يٰأَيُّهَا النّاسُ إِنّي رَسولُ اللَّهِ إِلَيكُم جَميعًا الَّذي لَهُ مُلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۖ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ يُحيي وَيُميتُ ۖ فَئآمِنوا بِاللَّهِ وَرَسولِهِ النَّبِيِّ الأُمِّيِّ الَّذي يُؤمِنُ بِاللَّهِ وَكَلِمٰتِهِ وَاتَّبِعوهُ لَعَلَّكُم تَهتَدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, [O Muḥammad], “O mankind, indeed I am the Messenger of Allāh to you all, [from Him] to whom belongs the dominion of the heavens and the earth. There is no deity except Him; He gives life and causes death.” So believe in Allāh and His Messenger, the unlettered prophet, who believes in Allāh and His words, and follow him that you may be guided.

MALAY

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah Pesuruh Allah kepada kamu semuanya, (di utus oleh Allah) yang menguasai langit dan bumi, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang menghidupkan dan mematikan. Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, Nabi yang Ummi yang beriman kepada Allah dan Kalimah-kalimahNya (Kitab-kitabNya); dan ikutilah dia, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk”.

 

قُل يٰأَيُّهَا النّاسُ إِنّي رَسولُ اللَّهِ إِلَيكُم جَميعًا

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah Pesuruh Allah kepada kamu semuanya, 

Sekarang Nabi Muhammad ﷺ diarahkan oleh Allah ‎ untuk berkata dan mengumumkan kepada seluruh manusia, bahawa baginda adalah Rasul bukan kepada orang Islam sahaja, bukan kepada penduduk tanah Arab sahaja, tetapi seluruh dunia. Bukan hanya untuk zaman baginda sahaja, tetapi untuk semua zaman sehingga ke hari Kiamat. Malah bukan hanya kepada manusia, tetapi kepada bangsa jin juga. Kerana itulah adalah tambahan kalimah جَميعًا (semuanya) di hujung itu.

Hal ini merupakan kemuliaan dan keutamaan yang dimiliki oleh Nabi Muhammad ﷺ iaitu baginda adalah penutup para Nabi dan diutus oleh Allah kepada seluruh umat di dunia dari zaman baginda. Penjelasan ini sesuai dengan sabda Nabi ﷺ berikut:

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ، صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أُعْطِيتُ خَمْسًا لَمْ يُعْطَهُنَّ أحَدٌ مِنَ الأنْبِيَاءِ قَبْلِي: نُصِرْتُ بالرُّعْبِ مَسِيرَةَ شَهْرٍ، وجُعِلَتْ لي الأرْضُ مَسْجِدًا وطَهُورًا، وأَيُّما رَجُلٍ مِن أُمَّتي أدْرَكَتْهُ الصَّلَاةُ فَلْيُصَلِّ، وأُحِلَّتْ لي الغَنَائِمُ، وكانَ النبيُّ يُبْعَثُ إلى قَوْمِهِ خَاصَّةً، وبُعِثْتُ إلى النَّاسِ كَافَّةً، وأُعْطِيتُ الشَّفَاعَةَ. رواه البخاري

Daripada Jabir ibn Abdullah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata, “Rasulullah bersabda, “Aku telah diberi lima perkara yang tidak diberikan kepada seorang Nabi pun sebelumku: (1) aku ditolong dengan rasa takut yang menghinggapi musuh-musuhku dari jarak sebulan perjalanan, (2) bumi ini dijadikan bagiku sebagai tempat sujud dan alat bersuci, maka di mana saja umatku mendapati waktu salat telah tiba, hendaklah dia mengerjakannya, (3) dihalalkan bagiku harta rampasan perang yang belum pernah dihalalkan bagi seorang Nabi pun sebelumku, (4) diberikan kepadaku hak untuk memberikan syafaat, dan (5) dahulu para Nabi diutus hanya kepada kaumnya saja, sedangkan aku diutus kepada seluruh manusia.

(Hadith Riwayat Bukhari No. 419)

Allah juga telah berfirman di dalam Saba’: 28

وَما أَرسَلنٰكَ إِلّا كافَّةً لِّلنّاسِ

Dan Kami tidak mengutus kamu, melainkan kepada umat manusia seluruhnya

Maka sekarang Allah menyeru semua manusia untuk mengetahui perkara itu. Sekiranya kita perasan, kalimah أَيُّهَا digunakan jikalau kalimah selepasnya ada ال seperti النّاسُ di dalam ayat ini. Kalau tidak ada ال, maka hanya digunakan يا sahaja.

Oleh kerana baginda adalah Nabi untuk semua manusia dan semua zaman, maka ini terkait juga yang baginda adalah Nabi terakhir. Tidak ada lagi Nabi selepas baginda. Tidak ada juga kitab wahyu selepas Al-Qur’an. Kerana itulah Al-Qur’an ini mesti disampaikan kepada seluruh umat manusia. Ini disebut dalam An’am: 19

وَأوحِيَ إِلَيَّ هٰذَا القُرءآنُ لِأُنذِرَكُم بِهِ وَمَن بَلَغَ

dan diwahyukan kepadaku Al-Qur’an ini, supaya aku memberi amaran dengannya kepada kamu dan juga (kepada) sesiapa yang telah sampai kepadanya seruan Al-Qur’an itu.

 

الَّذي لَهُ مُلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

yang menguasai langit dan bumi,

Nabi ﷺ menjadi Rasul yang membawa utusan daripada Allah . Siapakah Allah itu? Allah lah yang memiliki, menguasai dan mentadbir alam ini, langit dan bumi.

Nota: potongan ayat ini adalah termasuk dalam hukum tajwid ‘Iltiqa’ Sakinain’ dan jarang diketahui oleh kita. Maka hendaklah dibaca: jamee anillazi….

 

لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ يُحيي وَيُميتُ

tiada ilah melainkan Dia; Yang menghidupkan dan mematikan. 

Baginda menyebutkan sifat-sifat Allah yang penting. Hanya Dia sahaja yang boleh menghidupkan dan mematikan makhluk. Tidak ada entiti lain yang boleh melakukan perkara yang sama. Maka kerana Dia sahaja yang mampu membuat begitu, maka sembahlah sahaja Dia dan berdoa kepada-Nya sahaja.

Allah bukan sahaja mematikan makhluk yang hidup, namun Allah juga boleh mematikan dan menghidupkan syariat, sebagaimana Allah telah mematikan syariat para Nabi sebelum Nabi Muhammad ﷺ (seperti Yahudi dan Nasara) dan menghidupkan syariat baginda.

 

فَئآمِنوا بِاللَّهِ وَرَسولِهِ النَّبِيِّ الأُمِّيِّ

Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, Nabi yang Ummiy 

Maka, hendaklah semua insan beriman kepada Allah dan Rasul-Nya sekali. Tidak mungkin boleh beriman kepada Allah tanpa beriman kepada Rasul sekali. Maka, bagaimana kita hendak menerima ajaran sesat seperti ajaran Anti-Hadith yang menolak kedudukan Nabi Muhammad ﷺ? Mereka itu sepatutnya ditolak habis-habisan dan kesesatan mereka perlu dijelaskan kepada semua orang.

Disebut sifat Nabi Muhammad ﷺ itu, baginda seorang yang ummiy. Kita telah sentuh tentang sifat ummiy ini dalam perbincangan sebelum ini. Walaupun Nabi Muhammad ﷺ tidak boleh membaca, namun baginda masih boleh mengingati dan menghafal Al-Qur’an. Sebab itulah jika kita mengajar anak kita hafal Al-Qur’an, tidak semestinya dia kena pandai membaca kerana membaca tidak sama dengan menghafal. Al-Qur’an begitu hebat, sekiranya tidak tahu membaca pun boleh menghafal Al-Qur’an kerana ia mempunyai ritma yang indah.

Lihatlah dalam ayat ini, lafaz ‘Rasul’ dan lafaz ‘Nabi’ dua-dua disebut dan diletakkan bersama. Ini bermakna, ada perbezaan antara keduanya, tidaklah sama satu dengan yang lagi satu. Maknanya, ‘Nabi’ dan ‘Rasul’ tidaklah sama. Namun ia adalah perbincangan yang panjang, maka tidak perlu dibincangkan di sini, cuma hanya disentuh sebagai satu perkara yang menarik. Kita telah pernah bincangkan di tempat yang lain.

 

الَّذي يُؤمِنُ بِاللَّهِ وَكَلِمٰتِهِ

yang beriman kepada Allah dan Kalimah-kalimah-Nya

Nabi Muhammad ﷺ itu sendiri beriman dengan Allah . Sebelum orang lain beriman, baginda sendiri sudah beriman. Seterusnya kita pula hendaklah mengikut beriman seperti cara baginda beriman. Oleh itu, hendaklah diambil akidah daripada baginda seperti yang baginda ajar kepada para sahabat baginda. Jangan direka-reka fahaman yang baru dan bid’ah.

Baginda sendiri juga beriman dengan kalimah-kalimah-Nya iaitu kitab-kitab wahyu-Nya. Nabi Muhammad ﷺ sendiri beriman dengan kitab-kitab Allah . Malah maksud ‘kalimah’ lebih lagi daripada hanya merujuk kepada wahyu-wahyu Allah kerana ia boleh juga merujuk kepada nikmat-nikmat daripada Allah seperti disebut dalam Kahf: 109

قُل لَّو كانَ البَحرُ مِدادًا لِّكَلِمٰتِ رَبّي لَنَفِدَ البَحرُ قَبلَ أَن تَنفَدَ كَلِمٰتُ رَبّي وَلَو جِئنا بِمِثلِهِ مَدَدًا

Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan”.

Lihat juga firman Allah dalam Luqman: 27

وَلَو أَنَّما فِي الأَرضِ مِن شَجَرَةٍ أَقلٰمٌ وَالبَحرُ يَمُدُّهُ مِن بَعدِهِ سَبعَةُ أَبحُرٍ مّا نَفِدَت كَلِمٰتُ اللهِ ۗ إِنَّ اللهَ عَزيزٌ حَكيمٌ

Dan seandainya pohon-pohon di bumi menjadi pena dan laut (menjadi tinta), ditambahkan kepadanya tujuh laut (lagi) sesudah (kering)nya, nescaya tidak akan habis-habisnya (dituliskan) kalimat Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

 

وَاتَّبِعوهُ لَعَلَّكُم تَهتَدونَ

dan ikutilah dia, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk”.

Setelah kita tahu semua perkara itu, maka ikutlah Nabi itu dengan sebenarnya. Di sini ditekankan yang bukan setakat percaya sahaja kerasulan Nabi Muhammad ﷺ, namun mesti diikuti. Inilah yang dinamakan ittiba’ Rasul. Percaya tanpa ikut, tidak menyelamatkan seseorang itu daripada lembah kebinasaan.

Jangan kita buat tidak kisah dengan apa yang dilakukan dan dikatakan oleh Nabi Muhammad ﷺ. Maka kerana itulah, kita diingatkan selalu untuk berpegang kepada Al-Qur’an dan Sunnah. Kita sentiasa diingatkan untuk mengikut ajaran Rasulullah ﷺ seperti disebut dalam Ali Imran: 31-32

قُل إِن كُنتُم تُحِبّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعوني يُحبِبكُمُ اللَّهُ وَيَغفِر لَكُم ذُنوبَكُم ۗ وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

قُل أَطيعُوا اللَّهَ وَالرَّسولَ ۖ فَإِن تَوَلَّوا فَإِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ الكٰفِرينَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.

Oleh itu, Yahudi dan Nasara tidak mempunyai pilihan lain selain daripada beriman kepada Nabi Muhammad ﷺ. Di dalam kitab Sahih Muslim diriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ telah bersabda:

“وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَا يَسْمَعُ بِي رَجُلٌ مِنْ هَذِهِ الْأُمَّةِ: يَهُودِيٌّ وَلَا نَصْرَانِيٌّ، ثُمَّ لَا يؤمن بي إلا دخل النار”

Demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaan-Nya, tiada seorang lelaki pun dalam kalangan umat ini yang mendengar perihal diriku, baik seorang Yahudi ataupun seorang Nasrani, kemudian dia tidak beriman kepadaku, melainkan masuk neraka.

(Hadith Riwayat Muslim)
Sahīh (Zubair `Aliza’i)


 

BANI ISRAIL DIUJI

A’raf Ayat 159:

وَمِن قَومِ موسىٰ أُمَّةٌ يَهدونَ بِالحَقِّ وَبِهِ يَعدِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And among the people of Moses is a community¹ which guides by truth and by it establishes justice.

  • Those of them who accepted and followed the final prophet, Muḥammad ().

MALAY

Dan di antara kaum Nabi Musa, ada satu golongan yang memberi petunjuk (kepada orang ramai) dengan perkara-perkara yang hak, dan dengannya mereka menjalankan keadilan.

 

وَمِن قَومِ موسىٰ أُمَّةٌ يَهدونَ بِالحَقِّ

Dan di antara kaum Nabi Musa, ada satu golongan yang memberi petunjuk dengan perkara-perkara yang hak,

Ada juga golongan Ahli Kitab yang beriman, bukanlah semuanya tidak beriman kerana ada seruan Nabi Muhammad ﷺ ini yang disebut juga oleh segolongan Ahli Kitab. Boleh dikatakan mereka ini ramai juga, akan tetapi yang majoritinya, tidak beriman. Mereka yang beriman ini telah memberi petunjuk kepada manusia lain dan mengajak mereka untuk beriman kepada Allah dan Rasul.

Siapakah mereka yang dimaksudkan ini? Mereka itulah yang beriman dengan sebenarnya dengan Taurat dan Injil ketika zaman mereka, dan kemudian apabila Nabi Muhammad ﷺ diangkat menjadi Rasul, mereka juga beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ dan Al-Qur’an.

Memang ada dalam kalangan mereka yang benar-benar beriman dan ini disebut di beberapa tempat dalam Al-Qur’an seperti Ali Imran: 113

لَيْسُوا سَوَاءً مِّنْ أَهْلِ الْكِتٰبِ أُمَّةٌ قَائِمَةٌ يَتْلُونَ ءآيٰتِ اللَّهِ ءآنَاءَ اللَّيْلِ وَهُمْ يَسْجُدُونَ

Ahli-ahli Kitab itu tidaklah sama. Di antaranya ada golongan yang (telah memeluk Islam dan) tetap (berpegang kepada agama Allah yang benar) mereka membaca ayat-ayat Allah (Al-Qur’an) pada waktu malam, semasa mereka sujud (mengerjakan sembahyang).

 

وَبِهِ يَعدِلونَ

dan dengannya mereka menjalankan keadilan.

Mereka menggunakan wahyu daripada Allah itu untuk menegakkan keadilan iaitu menegakkan keadilan mengikut syariat seperti yang disebut dalam kitab wahyu. Dahulu, mereka berhukum dengan Taurat dan Injil, dan selepasnya turunnya Al-Qur’an, maka mereka berhukum dengan Al-Qur’an pula. Ini seperti disebut dalam Qasas: 52

الَّذينَ ءآتَينٰهُمُ الكِتٰبَ مِن قَبلِهِ هُم بِهِ يُؤمِنونَ

Orang-orang yang telah Kami datangkan kepada mereka Al-Kitab sebelum Al-Qur’an, mereka beriman (pula) dengan Al-Qur’an itu.

Ada tafsiran yang pelik bagi ayat ini yang telah diceduk daripada kisah Israeliyyat. Ia tidak boleh dijadikan sebagai sandaran. Kita ceritakan di sini supaya kita berhati-hati dengan perkara ini. Mari kita lihat beberapa tafsiran lemah tentang hal ini.

Ibnu Jarir berkata: Aku telah diberitahu bahawa apabila Bani Israel telah membunuh para nabi mereka dan telah menjadi kafir serta pada ketika itu mereka ada 12 puak, satu puak dalam kalangan mereka telah terlepas daripada apa yang telah mereka lakukan. Satu puak ini telah meminta kepada Allah ﷻ supaya memisahkan mereka dengan puak-puak yang lain. Maka Allah ﷻ membuka satu lubang di atas muka bumi, lalu mereka berjalan hingga mereka keluar di sebelah Negara China. Di sana, mereka menjadi Muslim yang bersih dan mengadap ke kiblat kita.”

Al-Baghawi berkata di dalam tafsirnya: “Al-Kilabi, Dhahak dan Rabi’ berkata: Mereka itu adalah kaum yang tinggal di sebelah Negara China; di timur jauh di sebatang sungai laluan air yang dinamakan dengan Sungai Ardaf. Tidak seorang pun dalam kalangan mereka yang mempunyai harta. Mereka menerima hujan di waktu malam dan mereka hidup sihat serta bertani pada siang hari. Tidak ada seorang pun dalam kalangan kita yang mengetahui mengenai mereka. Mereka berpegang dengan agama kebenaran. “Diceritakan bahawa pada malam isra’, Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bersama Nabi ﷺ telah pergi menemui mereka, Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata: “Ini adalah Muhammad, seorang nabi yang tidak tahu membaca dan menulis.” Maka mereka beriman dengannya dan berkata: “Wahai Rasulullah ﷺ Sesungguhnya Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berpesan kepada kami bahawa sesiapa yang bertemu dengan Ahmad maka sampaikan salam aku kepadanya.” Maka Nabi ﷺ menjawab salam kepada Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kemudian baginda membacakan sepuluh surah Al-Qur’an yang diturunkan di Mekah, menyuruh mereka mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat dan memerintahkan mereka tinggal di tempat mereka berada. Mereka memuliakan hari Sabtu sebagaimana yang dilakukan oleh Orang Yahudi, lalu baginda menyuruh mereka memuliakan hari Jumaat dan meninggalkan perbuatan memuliakan hari Sabtu. Dikatakan mereka adalah Orang-orang Yahudi yang memeluk Islam pada zaman Nabi ﷺ. Pendapat pertama adalah yang lebih sahih.

Tidak syak lagi kisah ini adalah datangnya daripada khurafat Bani Israel. Tindakan yang menghairankan oleh al-Baghawi adalah dia menjadikan cerita dusta ini lebih sahih berbanding pendapat lain yang merupakan pendapat yang lebih layak diterima dan lebih utama dikatakan sahih. Tidak ragu lagi bahawa Ibnu Uraij dan orang lain yang meriwayatkan kisah ini telah mengambilnya daripada Ahli Kitab yang telah memeluk Islam dan sekali-kali tidak mungkin ia diterima daripada Nabi ﷺ yang maksum.

Imam al-Alusi berkata setelah menyebut kisah yang telah disebutkan tadi: “Kisah ini telah dikatakan dhaif oleh Ibnu Khazin”.

Tafsir yang rajih ialah maksud kaum itu ialah segolongan manusia dalam kalangan Kaum Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang mengambil kebenaran sebagai petunjuk dan mengajak manusia kepadanya serta berlaku adil dengan menggunakan kebenaran dalam menyelesaikan hukum-hakam dan isu-isu yang dikemukakan kepada mereka.

Golongan tersebut itu terdapat pada zaman Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan zaman selepasnya. Malah begitu juga, pada zaman Nabi ﷺ seperti Kaab bin Salam dan orang yang seumpama dengannya. Allah telah menjelaskan perkara ini dengan mengatakan bahawa sekalipun sebahagian besar dalam kalangan orang Yahudi itu ingkar dan menolak kebenaran, melanggar hukum-hakam, membunuh beberapa orang nabi, mendustakan sesetengah yang lain, malah dalam kalangan mereka ramai yang mempunyai akhlak dan tabiat yang buruk, akan tetapi di sana terdapat ramai juga yang menggunakan kebenaran sebagai petunjuk dan menggunakannya sebagai asas melaksanakan keadilan.

Mereka tidak menolak kebenaran. Dalam ayat ini terkandung persaksian dan pembersihan bagi golongan itu dan mereka menolak kebanyakan daripada golongan Yahudi yang bukan seperti mereka yang ingkarkan kenabian Nabi Muhammad ﷺ serta memusuhinya.


 

A’raf Ayat 160:

وَقَطَّعنٰهُمُ اثنَتَي عَشرَةَ أَسباطًا أُمَمًا ۚ وَأَوحَينا إِلىٰ موسىٰ إِذِ استَسقٰهُ قَومُهُ أَنِ اضرِب بِّعَصاكَ الحَجَرَ ۖ فَانبَجَسَت مِنهُ اثنَتا عَشرَةَ عَينًا ۖ قَد عَلِمَ كُلُّ أُناسٍ مَّشرَبَهُم ۚ وَظَلَّلنا عَلَيهِمُ الغَمٰمَ وَأَنزَلنا عَلَيهِمُ المَنَّ وَالسَّلوىٰ ۖ كُلوا مِن طَيِّبٰتِ ما رَزَقنٰكُم ۚ وَما ظَلَمونا وَلٰكِن كانوا أَنفُسَهُم يَظلِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We divided them into twelve descendant tribes¹ [as distinct] nations. And We inspired to Moses when his people implored him for water, “Strike with your staff the stone,” and there gushed forth from it twelve springs. Every people [i.e., tribe] knew its watering place. And We shaded them with clouds and sent down upon them manna and quails, [saying], “Eat from the good things with which We have provided you.” And they wronged Us not, but they were [only] wronging themselves.

  • From the twelve sons of Jacob.

MALAY

Dan kami membahagikan mereka (Bani Israil) menjadi dua belas suku, sebagai golongan-golongan besar, dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa, ketika kaumnya meminta air kepadanya: “Pukullah batu itu dengan tongkatmu.” Maka terpancarlah daripadanya dua belas mata air. Tiap-tiap golongan (di antara mereka) mengetahui tempat masing-masing. Dan Kami naungi mereka dengan awan, dan Kami turunkan kepada mereka “Manna” dan “Salwa”. (Lalu Kami berfirman): “Makanlah dari yang baik-baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu”. Dan tidaklah mereka menganiaya Kami (dengan kekufuran mereka), tetapi mereka adalah menganiaya diri mereka sendiri.

 

وَقَطَّعنٰهُمُ اثنَتَي عَشرَةَ أَسباطًا أُمَمًا

Dan kami membahagikan mereka (Bani Israel) menjadi dua belas suku, sebagai golongan-golongan besar,

Mereka dibahagikan kepada dua belas kabilah (dipanggil asbath yang bermaksud keturunan daripada bapa yang sama. Emak mungkin berlainan, tetapi bapa yang sama). Mereka itu berasal daripada anak-anak Nabi Ya’kob عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang dua belas orang. Daripada dua belas anak itu, kemudian menjadi umam (jamak bagi umat. bermaksud umat yang banyak). Setiap satu daripada keturunan mereka menjadi kabilah yang besar.

 

وَأَوحَينا إِلىٰ موسىٰ إِذِ استَسقٰهُ قَومُهُ أَنِ اضرِب بِّعَصاكَ الحَجَرَ

dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa, ketika kaumnya meminta air kepadanya: “Pukullah batu itu dengan tongkatmu.”

Peristiwa ini berlaku ketika mereka sesat di Padang Tih, di mana mereka telah meminta air kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Mereka telah diperintahkan untuk memasuki kota Palestin akan tetapi mereka enggan. Oleh kerana itu, mereka telah disesatkan di padang pasir selama 40 tahun. Kisah ini ada disebut dalam Surah Maidah daripada ayat 21 hingga 26.

Walaupun Allah yang sesatkan mereka, namun tidaklah Allah membiarkan sahaja mereka. Segala keperluan mereka untuk hidup di padang pasir itu, Allah sediakan. Antaranya termasuklah air dan makanan. Maka Allah telah mewahyukan kepada baginda untuk mengetuk satu batu dengan tongkat baginda. Maka terbitlah daripada batu itu 12 mata air.

Kejadian ini adalah daripada Qudrat Allah . Ini adalah salah satu daripada mukjizat Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Lihatlah, baginda hanya mengetuk batu itu setelah disuruh oleh Allah . Maka, bukanlah baginda buat sendiri perkara itu. Sekiranya baginda memandai-mandai ketuk batu itu, tidaklah keluar air daripadanya. Begitulah konsep mukjizat yang kita kena faham. Begitu juga dengan karomah. Hanya apabila ada kehendak Allah , barulah ia terjadi.

 

فَانبَجَسَت مِنهُ اثنَتا عَشرَةَ عَينًا

Maka terpancarlah daripadanya dua belas mata air. 

Setelah baginda mengetuk batu itu, maka terpancarlah dua belas mata air daripada batu itu. Allah sebut air dahulu kerana air yang paling penting dalam kehidupan selepas oksigen. Ini adalah kehendak Allah dan terjadi dengan Qudrat Allah . Akan tetapi kenapakah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dikehendaki mengetuk batu itu? Sedangkan Allah boleh sahaja mengeluarkan air daripada batu itu, malah boleh sahaja mengeluarkan air daripada tanah jika Dia menghendaki?

Mengeluarkan air daripada tanah itu adalah perkara biasa sahaja, tetapi di sini ternyata Allah ﷻ mahu menzahirkan mukjizat. Maka Allah ﷻ memerintahkan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengetuk batu itu sebagai usaha daripada baginda walaupun usaha itu tidak tercapai oleh akal logik kita. Akan tetapi dengan kehendak Allah ﷻ, ia boleh terjadi. Peristiwa ini sama seperti Allah ﷻ memerintahkan Maryam menggoyangkan pokok kurma ketika beliau telah melahirkan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Seorang wanita sihat pun tidak akan mampu untuk menggoyangkan pokok kurma, bukan? Namun di sini menunjukkan bahawa Allah ﷻ mahukan manusia berusaha.

 

قَد عَلِمَ كُلُّ أُناسٍ مَّشرَبَهُم

Tiap-tiap golongan (di antara mereka) mengetahui tempat minum masing-masing. 

Setiap kabilah itu mempunyai mata air masing-masing. Mereka tidak perlu berebut untuk minum. Ini kerana mereka itu tidak bersatu. Jika terdapat satu mata air sahaja, maka berkelahilah mereka.

Kisah ini juga telah disebut di dalam Baqarah: 60. Cuma di dalam Surah Baqarah itu kalimah yang digunakan untuk menceritakan tentang air itu adalah فَانفَجَرَت sedangkan di dalam A’raf digunakan kalimah فَانبَجَسَت dan kedua-duanya boleh diterjemahkan sebagai terpancar atau terpancut. Namun apakah bezanya dari segi bahasa Arab?

Sekiranya kalimah فَانبَجَسَت yang digunakan, ia bermaksud air itu baru terpancar. Sedangkan jika kalimah فَانفَجَرَت pula yang digunakan, ia sudah terpancar dan dalam keadaan memancarkan air yang sudah sangat banyak.

Dari segi balaghah pula, di dalam A’raf yang disebut adalah Bani Israel yang meminta, maka kalimah فَانبَجَسَت digunakan, iaitu agak kurang. Namun dalam Surah Baqarah, yang meminta itu adalah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, maka disebut penggunaan bahasa yang menunjukkan air lebih banyak.

 

وَظَلَّلنا عَلَيهِمُ الغَمٰمَ

Dan Kami naungi mereka dengan awan,

Allah terus mengingatkan mereka dengan nikmat yang telah diberikan kepada mereka. Mereka waktu itu telah disesatkan oleh Allah di Padang Pasir Tih (kerana kesalahan mereka juga). Keadaan di padang pasir tentunya panas membahang, maka Allah telah mudahkan mereka dengan diadakan awan yang sentiasa menaungi mereka. Ke mana sahaja mereka bergerak, awan itu akan ikut. Mereka sentiasa dinaungi oleh awan.

 

وَأَنزَلنا عَلَيهِمُ المَنَّ وَالسَّلوىٰ

dan Kami turunkan kepada mereka “Manna” dan “Salwa”. 

Oleh kerana makanan susah dicari di padang pasir, maka Allah telah memberikan mereka makanan yang sudah siap untuk dimakan iaitu manna yang merupakan sejenis makanan yang melekat di pokok, yang mereka boleh kutip dan terus makan. Maka tidak susah bagi mereka untuk cari makan. Ini adalah nikmat besar yang diberikan kepada mereka kerana dapat makan makanan dari langit.

Salwa pula adalah sejenis burung yang sedap dimakan. Burung itu jinak dan mudah sahaja untuk mereka tangkap. Ada juga pendapat yang mengatakan, burung itu sudah siap bermasak.

Dua jenis makanan ini sentiasa sahaja diberikan kepada mereka, maka mereka tidak perlu memikirkan tentang makanan. Makanan mereka telah tersedia. Sekiranya makan hari ini sudah habis, esok pasti akan dapat lagi. Tidak perlu mereka simpan dalam peti ais.

 

كُلوا مِن طَيِّبٰتِ ما رَزَقنٰكُم

“Makanlah daripada yang baik-baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu”.

Allah kata, makanlah nikmat yang telah diberikan kepada mereka itu. Ingatlah yang itu adalah rahmat Allah yang amat besar kepada mereka. Mereka nampak sendiri dengan mata mereka nikmat yang Allah telah berikan.

 

وَما ظَلَمونا وَلٰكِن كانوا أَنفُسَهُم يَظلِمونَ

Dan tidaklah mereka menganiaya Kami (dengan kekufuran mereka), tetapi mereka adalah menganiaya diri mereka sendiri.

Mereka telah menzalimi diri mereka sendiri dengan tidak menyahut seruan jihad yang Allah telah arahkan. Mereka juga banyak tidak taat kepada arahan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Walaupun mereka kufur ingkar, tetapi kekufuran mereka itu tidaklah menyusahkan Allah , tidaklah melemahkan kuasa Allah sedikit pun. Apa yang mereka lakukan itu membawa keburukan untuk diri mereka sahaja. Mereka yang rugi, bukannya Allah .

Apabila digunakan kalimah يَظلِمونَ dalam bentuk fi’il mudhari’, maka ini bermaksud mereka itu sentiasa menzalimi diri mereka. Bukannya di dalam kisah ini sahaja. Penafsiran ini juga telah disebut seperti di dalam Baqarah: 57

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 21 Mac 2023


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin