Tafsir Surah al-A’raf Ayat 184 – 186 (Tuduhan gila terhadap Rasulullah ﷺ)

MENOLAK NABI

A’raf Ayat 184: Ayat Zajrun (Teguran daripada Allah )

أَوَلَم يَتَفَكَّروا ۗ ما بِصاحِبِهِم مِّن جِنَّةٍ ۚ إِن هُوَ إِلّا نَذيرٌ مُّبينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then do they not give thought? There is in their companion [i.e., Muḥammad ()] no madness. He is not but a clear warner.

MALAY

Patutkah mereka (ingkar dan) tidak mahu memikirkan (dengan fikiran yang siuman bahawa) sahabat mereka (Muhammad) tidak sekali-kali menghidap penyakit gila (sebagaimana yang mereka tuduh itu), bahkan dia hanyalah seorang (Pesuruh Allah) yang memberi amaran yang jelas.

 

أَوَلَم يَتَفَكَّروا

Kenapakah mereka tidak memikirkan? 

Ini adalah tempelak Allah ke atas kekarutan tuduhan mereka terhadap Nabi Muhammad ﷺ sebelum ini. Mereka mengatakan yang Nabi Muhammad ﷺ itu adalah seorang yang gila. Ini adalah kerana mereka sudah tidak dapat menolak dakwah yang disampaikan oleh baginda. Apabila berlawan hujah tidak boleh, maka mereka menuduh baginda gila sahaja. Macam sekaranglah juga, penentang Sunnah tidak ada hujah, maka jalan paling mudah adalah dengan menuduh ‘Wahabi’ sahaja, habis cerita.

Musyrikin Mekah pun tahu hujah mereka tidak kuat kerana mereka bermesyuarat sesama mereka juga (tentang tuduhan apa yang hendak diberikan kepada baginda) dan mereka tidak ada hujah yang kuat pun. Akhirnya mereka menggunakan sahaja mana-mana hujah, janji boleh melawan baginda semula. Akan tetapi Allah kata hujah mereka itu karut. Sekarang Allah tempelak mereka: Mereka tidak menggunakan otakkah? Kalaulah mereka fikir sedikit, mereka pun sedar yang hujah mereka ini tidak masuk akal.

Di sini dan banyak ayat lain lagi menyebut tentang menggunakan akal yang sihat untuk berfikir. Islam adalah agama yang mesra akal, agama yang logik. Kalau akal kita sihat, kita akan nampak kebenaran yang ada dalam agama Islam. Kita bukannya menerima sahaja apa yang disampaikan di meja penceramah dan di Tik Tok. Kena gunakan akal kita untuk bertanya, “Eh, betul ke ni? Macam pelik jer?”

 

ما بِصاحِبِهِم مِّن جِنَّةٍ

sahabat mereka (Muhammad) tidak sekali-kali menghidap penyakit gila

Allah menegaskan dalam ayat ini, tidak ada sifat gila pada Nabi Muhammad ﷺ. Apabila digunakan lafaz ما dalam ayat ini, menunjukkan penolakan kepada kata-kata Musyrikin Mekah itu kerana memang antara tuduhan mereka kepada baginda adalah baginda itu seorang gila.

Allah menggunakan lafaz ‘sahabat’ kerana Nabi Muhammad ﷺ sentiasa ada bersama dengan mereka, tidak pernah pergi ke mana-mana negara lain, duduk dengan mereka sahaja. Baginda bersama dengan mereka semenjak kecil sampai ke tua. Maksudnya, mereka kenal baginda dan baginda tidaklah berubah perangai. Allah perli mereka, takkan mereka tidak tahu ‘sahabat’ mereka itu.

Maka, yang mereka kata baginda gila itu adalah sebagai tuduhan palsu sahaja kerana sebelum baginda menyampaikan ajaran tauhid, bagindalah orang yang paling dipercayai dalam kalangan mereka sampaikan baginda digelar al-Amin (yang dipercayai). Mereka kalau simpan barang berharga, mereka akan minta baginda simpankan kerana baginda sangat dipercayai. Akan tetapi oleh kerana baginda menyampaikan kebenaran yang tidak selari dengan fahaman dan kebiasaan mereka, terus mereka berubah pandangan terhadap baginda.

Begitu jugalah orang kita apabila diberi dakwah. Kadangkala yang diberi dakwah itu adalah dalam kalangan ahli keluarga, daripada kenalan yang sudah bertahun-tahun kenal. Selama hari itu kenal baik, makan bersama, tidur bersama, boleh sahaja bertegur sapa dan berbaik dalam segala hal. Namun apabila orang itu sudah belajar wahyu dan menyampaikan dakwah sunnah kepada ahli keluarga dan kenalan itu, mereka tiba-tiba berubah sikap pula.

Kawan sekarang sudah menjadi lawan, sudah tidak mahu berjumpa dan bertegur sapa. Hanya kerana kawan itu menyampaikan kebenaran yang mereka tidak mahu terima. Kalau setakat ajar salat sahaja tidak mengapa lagi, tetapi kalau sampaikan ajaran daripada Al-Qur’an dan Sunnah, dituduh sesat pula kerana bertentangan dengan amalan yang dilazimi mereka selama ini. Malah lebih teruk lagi apabila dipulau oleh keluarga dan kawan-kawan.

Lafaz جِنَّةٍ berasal daripada katadasar ج ن ن yang bermaksud ‘tertutup’. Lafaz jin, janin, jannah, majnun (gila) juga diambil daripada katadasar ini, kerana ia adalah elemen tertutup. Jin itu tertutup daripada pandangan kita. Janin tidak nampak sebab dalam perut. Jannah (taman syurga) kita tidak nampak sekarang dan kerana indahnya taman di situ dengan tanaman, sampai tidak nampak tanah di bawah. Malah dikatakan ada kaitan antara gila dan jin kerana pada orang Arab Mekah, orang yang gila itu adalah kerana disampuk jin. Allah menidakkan fahaman salah mereka terhadap Nabi Muhammad ﷺ. Tidaklah baginda gila dan tidaklah baginda disampuk jin.

Akan tetapi itulah tuduhan penentang Tauhid dalam kalangan Musyrikin Mekah.

Qatadah ibnu Di’amah telah mengatakan, telah diceritakan kepada kami bahawa Nabi Allah pada suatu ketika sedang berada di atas Bukit Safa. Lalu baginda menyeru kaum Quraisy, dalam seruannya itu baginda menyebutkan nama-nama pemimpin mereka seorang demi seorang. Baginda mengatakan, “Hai Fulan bin Fulan.” Baginda mem­peringatkan mereka akan seksa Allah dan hari kiamat. Maka ada salah seorang di antara mereka mengatakan, “Sesungguhnya teman kalian ini benar-benar gila, dia terus berkobar-kobar semalaman hingga pagi hari, atau hingga waktu subuh.” Maka Allah menurunkan firman-Nya:

{أَوَلَمْ يَتَفَكَّرُوا مَا بِصَاحِبِهِمْ مِنْ جِنَّةٍ إِنْ هُوَ إِلا نَذِيرٌ مُبِينٌ}

Apakah (mereka lalai) dan tidak memikirkan bahawa teman mereka (Muhammad) tidak berpenyakit gila. Dia (Muhammad itu) tidak lain hanyalah seorang pemberi peringatan lagi pemberi penjelasan. (Al-A’raf: 184)

(HR. Ibnu Jarir dalam Tafsirnya 13/15461, Ibnu Abi Hatim dalam Tafsirnya 5/8592, Mursal)

 

إِن هُوَ إِلّا نَذيرٌ مُّبينٌ

bahkan dia hanyalah seorang (Pesuruh Allah) yang memberi amaran yang jelas.

Nabi Muhammad ﷺ itu bukanlah seorang gila, bahkan baginda telah terpilih untuk memberi peringatan kepada manusia menggunakan wahyu daripada Allah .

Peringatan yang diberikan itu disampaikan dengan cara yang jelas nyata, bahasa yang digunakan mudah difahami. Tidaklah kata-kata baginda berpusing-pusing. Begitu jugalah kita dalam menyampaikan ajaran tauhid kepada manusia lain – hendaklah dengan jelas, jangan gunakan bahasa yang susah difahami.


 

A’raf Ayat 185: Ayat Zajrun (teguran). Allah menegur para penentang wahyu. Sebelum ini disebut yang Musyrikin Mekah menuduh Nabi Muhammad ﷺ sebagai gila. Itu adalah tuduhan yang tidak masuk akal kerana yang baginda ajak adalah menyembah Allah , Tuhan yang menjadikan segala-galanya. Lainlah kalau baginda ajak sembah baginda, barulah gila, bukan? Yang gilanya mereka, kerana sembah berhala yang mereka buat sendiri!

أَوَلَم يَنظُروا في مَلَكوتِ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَما خَلَقَ اللَّهُ مِن شَيءٍ وَأَن عَسىٰ أَن يَكونَ قَدِ اقتَرَبَ أَجَلُهُم ۖ فَبِأَيِّ حَديثٍ بَعدَهُ يُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do they not look into the realm of the heavens and the earth and everything that Allāh has created and [think] that perhaps their appointed time has come near? So in what statement [i.e., message] hereafter will they believe?

MALAY

Patutkah mereka (membutakan mata) tidak mahu memperhatikan alam langit dan bumi dan segala yang diciptakan oleh Allah, dan (memikirkan) bahawa harus telah dekat ajal kebinasaan mereka? Maka kepada perkataan yang mana lagi sesudah (datangnya Kalamullah Al-Qur’an) itu mereka mahu beriman?

 

أَوَلَم يَنظُروا في مَلَكوتِ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

Tidakkah mereka mahu memerhatikan alam langit dan bumi 

Allah suruh kita perhatikan keindahan langit dan bumi yang boleh dilihat dengan mata kasar kita. Renunglah alam ini dan fikir-fikirkan. Kalimah yang digunakan adalah مَلَكوتِ iaitu kerajaan yang agung, bukan kerajaan dunia (ملك). Kerajaan Allah ini adalah luas meliputi langit dan bumi, yang kita nampak dan kita tidak nampak.

Namun Allah suruh kita lihat yang kita nampak sahaja. Itu pun sudah hebat tidak terhingga. Bayangkan Allah jadikan langit itu berdiri tanpa tiang. Kalau ada tiang, tentu kita asyik langgar sahaja. Tanah yang Allah jadikan di bumi ini, mudah untuk kita gunakan untuk bercucuk tanam dan berjalan. Kalau keras sangat susah untuk kita bercucuk tanam di atasnya; kalau lembut sangat, susah kita hendak berjalan pula.

 

وَما خَلَقَ اللَّهُ مِن شَيءٍ

dan segala yang diciptakan oleh Allah,

Allah suruh kita lihat apa sahaja yang Allah ciptakan dalam alam ini. Apa-apa sahaja perkara sama ada besar atau kecil. Kalau yang paling kecil kita boleh lihat adalah zarah debu itu. Itu pun Allah yang buat. Semua itu menjadi tanda kepada mereka yang mempunyai mata hati.

Kalau orang yang suka mengkaji, mereka akan dapati sangat hebatnya penciptaan alam ini. Benda yang nampak mudah dan kita selalu gunakan tetapi ada kehebatan. Contohnya kedudukan planet-planet seperti matahari dan bulan. Kalau bergerak sedikit sahaja dari  kedudukan sekarang, tentu berselerak alam ini. Hidung kita kalau lubangnya di atas pun sudah susah untuk kita bernafas di waktu hujan dan mandi.

 

وَأَن عَسىٰ أَن يَكونَ قَدِ اقتَرَبَ أَجَلُهُم

bahawa mungkin telah dekat ajal kebinasaan mereka?

Perkara pertama tadi Allah suruh lihat alam ini. Perkara kedua yang Allah suruh fikirkan sekarang adalah ajal mereka pula. Tidakkah mereka memikirkan boleh jadi tempoh masa mereka di dunia sudah hampir tamat? Alam ini nanti akan hancur juga akhirnya, sama juga seperti mereka juga. Ingatlah bahawa tempoh untuk memikirkan sudah hampir habis. Ingatlah yang peluang mungkin sudah hampir habis untuk bertaubat. Maka cepat-cepatlah bertaubat, cepat-cepatlah ubah sikap supaya ikut syariat dan wahyu. Kena guna otak yang ada di kepala, bukannya ikut nafsu.

Allah selalu menyebut tentang kematian di dalam Al-Qur’an. Kerana mengingat mati itu juga adalah satu ibadah sebenarnya (zikrulmawt). Kematian adalah sesuatu yang pasti dilalui oleh semua makhluk yang hidup tanpa terkecuali. Bahkan saban hari, kita akan dikejutkan dengan pelbagai berita kematian yang tidak kita sangkakan. Tanpa kita sedar, sebenarnya kematian semakin hari, semakin menghampiri kita. Kita juga diingatkan dengan mati setiap malam apabila kita tidur kerana itu adalah separuh mati sebenarnya (mati sebelum mati) kerana roh kita sudah diangkat separuh.

Kerana itulah orang yang paling cerdik adalah orang yang banyak mengingat mati. Ini disebut sendiri oleh baginda Rasulullah ﷺ,

عَنِ ابْنِ عُمَرَ أَنَّهُ قَالَ : كُنْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- فَجَاءَهُ رَجُلٌ مِنَ الأَنْصَارِ فَسَلَّمَ عَلَى النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- ثُمَّ قَالَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ أَىُّ الْمُؤْمِنِينَ أَفْضَلُ قَالَ : « أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا ». قَالَ فَأَىُّ الْمُؤْمِنِينَ أَكْيَسُ قَالَ : « أَكْثَرُهُمْ لِلْمَوْتِ ذِكْرًاوَأَحْسَنُهُمْ لِمَا بَعْدَهُ اسْتِعْدَادًا أُولَئِكَ الأَكْيَاسُ ».

Daripada Ibnu ‘Umar رضي الله عنه, dia berkata, “Aku pernah bersama Rasulullah ﷺ, lalu seorang Ansar mendatangi baginda, dia memberi salam dan bertanya, “Wahai Rasulullah, mukmin manakah yang paling baik?” Baginda bersabda, “Yang paling baik akhlaknya.” “Lalu mukmin manakah yang paling cerdas?”, dia kembali bertanya. Baginda bersabda, “Yang paling banyak mengingati kematian dan yang paling baik dalam mempersiapkan diri untuk alam berikutnya, itulah mereka yang paling cerdas.”

(Riwayat  Ibnu Majah- Hasan)

 

Kedatangan Dua Malaikat Sebaik Menjengah ke Alam Kubur » ilmusunnah.com

 

Dengan mengingat mati, antaranya,

1. Ia akan menjauhkan kita daripada melakukan kezaliman. Sebab takut kena jawab di akhirat kelak atas kezaliman.

2. Ia akan menggerakkan kita untuk membuat persediaan bertemu Allah kerana tahu yang segala amalan kita akan dipersembahkan kepada-Nya.

 

فَبِأَيِّ حَديثٍ بَعدَهُ يُؤمِنونَ

Maka kepada perkataan yang mana lagi sesudah (datangnya Kalamullah Al-Qur’an) itu mereka mahu beriman?

Maka kalau mereka tidak juga mahu beriman dengan wahyu, perkataan apa lagi yang mereka hendak guna? Sebagai manusia, cara fikir kita sepatutnya adalah dengan wahyu yang Allah sampaikan. Kita kena pegang dengan wahyu daripada Al-Qur’an dan Hadith (yang sahih) kerana tidak ada lagi kitab atau perkataan yang lain yang boleh digunakan dengan tanpa ragu lagi. Semua kitab-kitab tulisan manusia mesti dinilai kesahihannya supaya selaras dengan wahyu daripada Al-Qur’an atau Hadith.

Maka, tidak mahu lagikah kita meluangkan masa untuk belajar maksud wahyu Allah ini? Supaya kita menjadikannya sebagai peringatan dan amalan untuk kita. Belajarlah tafsir Al-Qur’an dan amalkan membaca Al-Qur’an setiap hari dengan pemahaman. Kalau kita faham apa yang kita baca, ia lebih memberi nikmat kepada kita. Lihat apa firman Allah dalam Zumar: 23. Ini kesan apabila faham apa yang dibaca. Cuma orang kita bukannya ‘baca’ Al-Qur’an, tetapi setakat ‘sebut’ sahaja.

اللَهُ نَزَّلَ أَحسَنَ الحَديثِ كِتٰبًا مُّتَشٰبِهًا مَّثانِيَ تَقشَعِرُّ مِنهُ جُلودُ الَّذينَ يَخشَونَ رَبَّهُم ثُمَّ تَلينُ جُلودُهُم وَقُلوبُهُم إِلىٰ ذِكرِ اللهِ

Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Qur’an yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah.

Lebih malang lagi, ramai dalam kalangan ahli agama, para pelajar, para asatizah dalam masyarakat kita rajin menekuni kitab-kitab tulisan manusia yang pelbagai, akan tetapi mereka masih belum lagi habis belajar tafsir Al-Qur’an dan juga mempelajari syarahan kitab-kitab Hadith. Amat menyedihkan sekali apabila ilmu wahyu dipinggirkan. Sampai bila harus begini? Kelas pengajian sudah banyak malah ada yang percuma sahaja, maka jangan lepaskan peluang.


 

A’raf Ayat 186: Dalam ayat-ayat sebelum ini telah disebut tentang golongan penentang yang tetap menentang walaupun telah diberikan dengan berbagai hujah dan dalil. Ini telah menyebabkan Rasulullah ﷺ menjadi resah kerana baginda amat prihatin dengan nasib umat baginda. Baginda mahu semua umatnya terselamat daripada api neraka namun nampaknya ramai pula yang menentang. Maka sekarang Allah pujuk baginda dengan beritahu yang baginda sebenarnya tidak boleh buat apa-apa kerana memang ada yang Allah tentukan mereka itu kekal sesat sampai bila-bila.

مَن يُضلِلِ اللَّهُ فَلا هادِيَ لَهُ ۚ وَيَذَرُهُم في طُغيٰنِهِم يَعمَهونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Whoever Allāh sends astray – there is no guide for him. And He leaves them in their transgression, wandering blindly.

MALAY

Sesiapa yang disesatkan oleh Allah (kerana keingkarannya), maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat memberi petunjuk kepadanya; dan Allah membiarkan mereka meraba-raba (dengan bingung) dalam kesesatan mereka.

 

مَن يُضلِلِ اللَّهُ فَلا هادِيَ لَهُ

Sesiapa yang disesatkan oleh Allah (kerana keingkarannya), maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat memberi petunjuk kepadanya; 

Sekiranya Allah telah putuskan untuk menyesatkan seseorang itu, maka tidak ada sesiapa yang boleh memberi hidayah kepadanya lagi. Rasulullah ﷺ pun tidak boleh selamatkan mereka. Ini adalah sesat jenis peringkat Khatmul Qalbi – penutupan hati. Ini disebut dalam banyak ayat, antaranya Jathiya:23

أَفَرَءيتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلٰهَهُ هَوىٰهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلىٰ عِلمٍ وَخَتَمَ عَلىٰ سَمعِهِ وَقَلبِهِ وَجَعَلَ عَلىٰ بَصَرِهِ غِشٰوَةً فَمَن يَهديهِ مِن بَعدِ اللهِ ۚ أَفَلا تَذَكَّرونَ

Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa dia tetap kufur ingkar), dan dimeterikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?

Penutupan hati ini berlaku apabila orang itu telah sampai kepada satu tahap, di mana Allah marah sangat kepada seseorang itu kerana telah lama menentang dan mendustakan ayat-ayat Allah . Akibatnya Allah menutup hatinya daripada menerima kebenaran sampai bila-bila. Allah sudah tidak hingin kepada imannya. Orang itu tunggu mati sahaja untuk diazab oleh Allah. Nauzubillah! Semoga kita dan orang-orang kenalan kita, tidak sampai kepada tahap ini. Kerana ini adalah tahap yang paling teruk sekali, sudah pasti dia menjadi ahli neraka selama-lamanya.

Maka kita kena berdoa untuk mendapat hidayah daripada Allah kerana hidayah itu daripada Allah . Allah sebut di dalam Layl: 12

 

إِنَّ عَلَينا لَلهُدىٰ

Sesungguhnya kewajipan Kamilah memberi petunjuk,

Kita memang kena berusaha bersungguh-sungguh namun akhirnya hidayah itu tetap milik Allah . Kita hendaklah juga berharap hidayah itu daripada Allah . Maksudnya kena ada dua elemen: usaha dan harap. Kena selalu minta dan kita pun setiap hari meminta kepada Allah di dalam Fatihah:6 iaitu di dalam salat kita,

اهدِنَا الصِّرٰطَ المُستَقيمَ

Tunjukilah kami jalan yang lurus;

 

وَيَذَرُهُم في طُغيٰنِهِم يَعمَهونَ

dan Allah membiarkan mereka meraba-raba (dengan bingung) dalam kesesatan mereka.

Mereka yang telah diberi keputusan itu akan dibiarkan sesat sampai bila-bila, Allah akan biarkan mereka dalam يَعمَهونَ (kebingungan) dan di dalam kesesatan. Mereka itu berada dalam keadaan buta hati. Kita cakap apa sahaja, dakwah apa sahaja, bagi hujah apa sahaja, panggil mana-mana ulama’ dakwah kepada mereka pun, mereka tidak akan beriman. Mereka tidak faham pun apa yang kita cakap (tidak sampai ke akal mereka).

Mungkin sahaja kita akan berjumpa dengan orang sebegini, maka tidak hairanlah bagi kita lagi. Tidaklah kita pelik kenapa mereka masih juga tidak beriman walaupun telah diberi dengan berbagai hujah dengan berbagai cara. Ini kerana kita sudah tahu memang akan ada sahaja orang yang akan menentang kebenaran. Kalau kita cakap bagaimana pun, mereka tidak akan mahu beriman.

Akan tetapi adakah kita langsung tidak dakwah kepadanya? Tetap kena dakwah juga. Sebab kita bukannya tahu siapa yang Allah telah tutup hatinya, bukan ada cop pada dahi dia pun. Kita tetap usaha dakwah kerana mungkin dia masih ada harapan lagi. Keduanya, walaupun dia tidak beriman, kita tetap dapat pahala dakwah walaupun dia tidak terima. Cuma kita tidaklah hairan kalau dia tidak mahu terima.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 11 Jun 2023

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Tafsir Surah al-A’raf Ayat 181 – 183 (Istidraj)

YANG TERPIMPIN DAN YANG SESAT

A’raf Ayat 181: Di dalam ayat 179 Allah ﷻ menceritakan tentang manusia yang degil yang tidak menggunakan akal dan pancaindera mereka untuk menerima kebenaran. Sekarang Allah ﷻ puji golongan yang baik pula. Kenapakah mereka dipuji oleh Allah ﷻ?

وَمِمَّن خَلَقنا أُمَّةٌ يَهدونَ بِالحَقِّ وَبِهِ يَعدِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And among those We created is a community¹ which guides by truth and thereby establishes justice.

  • The followers of Prophet Muḥammad ().

MALAY

Dan di antara orang-orang yang Kami ciptakan itu, ada satu umat yang memberi petunjuk dengan kebenaran, dan dengannya mereka menjalankan keadilan.

 

وَمِمَّن خَلَقنا أُمَّةٌ يَهدونَ بِالحَقِّ

Dan di antara orang-orang yang Kami ciptakan itu, ada satu umat yang memberi petunjuk dengan kebenaran,

Kalimah يَهدونَ بِالحَقِّ bermaksud umat ini telah mendapat hidayah ilmu yang haq (benar) daripada Allah ﷻ, kemudian mereka beramal dengannya, dan kemudian memberi hidayah pula kepada manusia lain. الحَقِّ itu merujuk kepada wahyu. Jelas di sini ada tiga elemen: ilmu – amal – dakwah. Maka kena ada usaha untuk mendapatkan ilmu. Apabila sudah dapat ilmu kenalah amalkan, jangan setakat ada ilmu sahaja. Dan apabila sudah amal sendiri, ajaklah orang lain pula untuk sama-sama beramal dengan kebenaran.

Alhamdulillah, ada umat yang memahami dan memimpin orang lain kepada kebenaran. Hidayah memang milik Allah ﷻ tetapi kita sebagai manusia boleh sampaikan kebenaran kepada mereka dan terpulang kepada mereka untuk terima atau tidak. Umat yang dipuji ini mereka memberi petunjuk dengan menggunakan wahyu Allah ﷻ. Merekalah orang-orang yang belajar wahyu Allah ﷻ dan sampaikan kepada orang lain. Oleh itu, kita yang belajar wahyu ini hendaklah mengajar manusia tentang wahyu, kerana kalau tidak ajar, belum tentu kita selamat lagi. Ini adalah kerana Allah ﷻ hanya beri jaminan iman kita kekal, kalau kita sampaikan kepada orang lain.

Jangan kita simpan ilmu yang kita belajar ini untuk diri kita sendiri sahaja, tetapi kena sampaikan kepada orang lain. Jangan kita buat alasan dengan mengatakan tidak boleh mengajar dan berdakwah kepada manusia untuk memahami wahyu Allah ﷻ. Kita yang mampu bercakap ini, kiranya kita sudah boleh sampaikan kepada manusia kerana modal kita adalah bercakap sahaja.

Allah ﷻ sudah beri kelebihan bercakap itu kepada kita. Kalau perkara lain kita boleh cakap, takkan tentang agama Allah ﷻ ini kita tidak boleh beritahu dan bercakap dengan orang lain? Kalau sembang tentang politik, tentang tempat makan, tentang tempat pelancongan boleh, takkan tentang Allah ﷻ dan wahyu-Nya kita tidak boleh sampaikan pula?

Ramai yang takut atau berat mulut hendak dakwah kepada orang lain disebabkan faktor yang berbagai (malu, takut dan sebagainya). Akan tetapi tahukah anda yang dakwah itu wajib? Antara dalil yang senang kita lihat adalah di dalam Asr: 3

وَتَواصَوا بِالحَقِّ

dan nasihat menasihati kepada kebenaran

Ancaman kalau tidak melakukannya adalah kerugian seperti disebut di dalam surah itu. Kepada mereka yang dapat melaksanakannya lah yang berjaya seperti disebut di dalam Ali Imran: 104

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

Setelah itu, barulah kita boleh berbangga menjadi orang Islam kerana menjalankan tugas dakwah itu seperti disebut di dalam Ali Imran: 110

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ

Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji),

Sekiranya memang tidak boleh juga dan masih rasa tidak mampu juga untuk sampaikan sendiri melalui mulut kita, maka kena ajak mereka datang mengaji sekali dengan kita di tempat kita belajar. Itulah yang paling kurang yang kita boleh lakukan. Maknanya, kita masih menunjuk kepada ajaran yang baik. Mereka yang boleh melakukan perkara inilah yang boleh menjadi umat yang selamat.

Jika ada ilmu dan tidak amalkan, maka perbuatan ini mendapat kemurkaan Allah ﷻ pula. Ini adalah sama seperti yang Allah ﷻ murka kepada golongan Yahudi kerana mereka tahu apa yang benar, tetapi mereka tidak ikuti. Mereka ada ilmu tetapi mereka degil. Allah ﷻ telah berfirman tentang mereka yang sebegini di dalam Fatihah: 7

غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ

Bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai

 

وَبِهِ يَعدِلونَ

dan dengannya mereka menjalankan keadilan.

Dengan kebenaran wahyu itulah juga mereka membuat keputusan dalam kehidupan mereka sendiri. Maknanya mereka berhukum dengan menggunakan wahyu daripada Allah ﷻ. Dalam segenap kehidupan mereka – sama ada secara peribadi atau dalam masyarakat, mereka akan rujuk kepada wahyu Allah ﷻ (sama ada Al-Qur’an atau hadith). Panduan agama telah lengkap di dalam segenap kehidupan kita. Sama ada kita tahu atau tidak sahaja.

Mereka yang dipuji itu telah baca dan belajar apakah hukum Allah ﷻ dalam setiap perkara, maka mereka amalkan. Kalau kita sebagai individu yang tidak ada kuasa pemerintahan, maka gunakan hukum untuk diri kita sahaja dahulu dan dalam keluarga yang di dalam kawalan kita. Jangan pula kita memandai mengamalkan ayat yang ditujukan kepada pemerintah pula. Sebagai contoh, kalau kita tangkap orang mencuri, janganlah kita potong pula tangan orang itu! Serahkan sahaja kepada pemerintah kerana itu adalah tanggungjawab mereka.

Semoga kita termasuk dalam golongan yang disebut ini. Seperti yang disebut di dalam kitab Sahihain riwayat daripada Mu’awiyah ibnu Abu Sufyan رضي الله عنه yang telah menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

“لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي ظَاهِرِينَ عَلَى الْحَقِّ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ، وَلَا مَنْ خَالَفَهُمْ، حَتَّى تَقُومَ السَّاعَةُ –

وَفِي رِوَايَةٍ -: حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ عَلَى ذَلِكَ “

Senantiasa masih ada segolongan dalam kalangan umatku yang membela kebenaran, tidak membahayakan mereka adanya orang-orang yang menghina mereka, tidak pula orang-orang yang menentang mereka hingga hari kiamat terjadi. 

Menurut riwayat lain disebutkan dengan lafaz berikut: hingga datang perintah Allah (hari kiamat), sedangkan mereka tetap dalam keadaan demikian (membela kebenaran).

Kehebatan mereka ini adalah kerana mereka tidak bergantung dengan manusia dan tidak takut dengan manusia, melainkan Allah ﷻ sahaja. Maka ini merupakan berita baik yang diberikan kepada umat Nabi Muhammad ﷺ. Umat-umat sebelum kita pun ada juga yang telah mengamalkannya seperti yang Allah ﷻ puji mereka di dalam A’raf: 159

وَمِن قَومِ موسىٰ أُمَّةٌ يَهدونَ بِالحَقِّ وَبِهِ يَعدِلونَ

Dan di antara kaum Nabi Musa, ada satu golongan yang memberi petunjuk (kepada orang ramai) dengan perkara-perkara yang hak, dan dengannya mereka menjalankan keadilan.

Kejayaan umat Islam yang dahulu adalah kerana mereka mengamalkan ayat ini. Mereka menggunakan wahyu untuk memerintah dan juga mengurus kehidupan mereka. Apabila umat Islam mula meninggalkan wahyu untuk mengurus kehidupan mereka, maka kejatuhan umat Islam sudah bermula. Sampai sekarang pun masih begitu kerana ilmu wahyu amat jauh daripada kita. Yang menjadi kriteria mereka dalam membuat keputusan adalah keduniaan (apa yang baik bagi dunia mereka) dan bukannya mengikut selari dengan kehendak Allah ﷻ dan syariat.

Akan tetapi mereka masih lagi hendak menjaga nama agama. Maka mereka pun masukkanlah sedikit elemen agama ke dalam kehidupan. Contohnya kalau parti politik, letak nama Islam; kalau hendak memulakan majlis walaupun majlis berunsurkan maksiat seperti melancarkan album lagu, dipanggil ustaz untuk dibacakan doa juga; kalau ada kematian, buat Majlil Tahlil; kalau hendak menikah, buat majlis Khatam Al-Qur’an dahulu. Ini semua adalah topeng sahaja belaka. Semata-mata menunjukkan yang mereka itu Muslim tetapi apa yang mereka lakukan itu bukanlah selari dengan syariat pun.

Habis Ruku’ 22 daripada 24 ruku’ dalam surah ini.


 

A’raf Ayat 182: Ayat Takhwif Duniawi (penakutan dengan azab semasa di dunia lagi). Sekarang Allah ﷻ kembali memperkatakan tentang استدراج ‘istidraj’. Dalam surah ini pun sudah pernah disebut tentang istidraj ini. Ayat 181 adalah di mana Allah ﷻ mencelah memberitahu jenis orang yang selamat. Sekarang kembali disebut orang yang tidak selamat. Memang sentiasa bertukar-tukar subjek supaya kita fokus apabila kita membaca ayat-ayat Al-Qur’an.

Ayat ini menjawab persoalan yang ada di kalangan Muslim. Mereka hairan: kalau berbuat baik itu dituntut dan diberikan dengan segala macam ganjaran, kenapa pula orang yang menentang kebenaran itu senang lenang pula hidup mereka? Hidup mereka kaya raya, boleh ke sana sini, buat majlis sana sini, bercampur gaul dengan orang kenamaan dan sebagainya? Kenapa? Allah ﷻ hendak beritahu jangan sangka yang mereka itu sedang mendapat kebaikan, tetapi ia adalah sebaliknya.

وَالَّذينَ كَذَّبوا بِئآيٰتِنا سَنَستَدرِجُهُم مِن حَيثُ لا يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But those who deny Our signs – We will progressively lead them [to destruction]¹ from where they do not know.

  • Allāh will test them with one favor after another in spite of their disobedience, which only increases them in arrogance and sin.

MALAY

Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, Kami akan menarik menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), menurut cara yang mereka tidak mengetahuinya.

 

وَالَّذينَ كَذَّبوا بِئآيٰتِنا

Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami,

Ini adalah mereka yang mendustakan dan tidak menerima wahyu Allah ﷻ dan juga mereka yang menghalang manusia daripada kebenaran. Antaranya, mereka yang sibuk dengan kehidupan mereka sampai melupakan akhirat. Mereka sibuk dengan perkara yang tidak sepatutnya mereka sibuk sangat.

Mereka sibuk sampai melalaikan mereka daripada membuat persediaan kepada akhirat. Mereka sibuk bersiap dan memantapkan kehidupan keduniaan mereka kerana mereka sangka kehidupan mereka yang boleh menyelesaikan masalah mereka, sedangkan Allah ﷻ lah yang boleh menyelesaikan masalah mereka.

Sebagai contoh, ada mereka yang kata, kalau tidak sibuk bekerja, bagaimana hendak hidup? Oleh kerana mereka berfahaman begitu, maka tumpuan mereka lebih kepada dunia sahaja sampai kurang mendekati Allah ﷻ. Sedangkan Allah ﷻ lahyang memberi kehidupan kepada mereka dan jika mereka ada masalah, hanya Allah ﷻ boleh menyelesaikan masalah mereka.

Mereka sendiri tidak belajar agama (ilmu wahyu) dan mereka pun nampak orang yang tidak belajar agama pun tidak ada masalah, malah senang sahaja hidup mereka malah lebih lagi daripada orang agama. Orang yang tidak belajar agama, tidak tahu menahu tentang agama, nampaknya mereka yang selalu lebih senang kehidupan keduniaan mereka daripada mereka yang belajar, bukan?

Maka mereka yang jahil tidak nampak keperluan kepada agama kerana yang mereka mahukan adalah kesenangan dunia sahaja. Malangnya, inilah yang banyak berlaku dalam masyarakat. mereka tidak mendekati pembelajaran tafsir Al-Qur’an dan kerana itu mereka tidak tahu yang akidah mereka telah salah. Sedangkan jika mahu perbetulkan akidah mestilah belajar dan faham tafsir Al-Qur’an.

Malah ada satu lagi ayat (tanda) Allah ﷻ yang mereka dustai iaitu ayat-ayat Allah ﷻ di alam ini. Alam ini dalam urusan pentadbiran Allah ﷻ akan tetapi mereka melupakan hal itu. Contohnya apabila ada Tsunami atau gempa bumi, mereka kata: “Ini adalah kejadian semulajadi, bumi sudah semakin tua”. Padahal ia adalah kehendak Allah ﷻ dan Allah ﷻ yang mentakdirkan ia berlaku. Mereka berpandangan begitu kerana mereka itu jahil tentang qada’ dan qadar.

Kalau tidak dibuka hati kepada agama terutama sekali ilmu wahyu, mereka akan membuat keputusan yang selari bagi mendapatkan kehidupan yang senang di dunia, maka bagi mereka sudah memadai. Oleh itu, maksud ‘mendustakan’ juga bermaksud tidak menerima ayat wahyu dengan berasa tidak kisah dan tidak perlu untuk belajar. Mereka dari mula lagi tidak menerima kepentingan belajar wahyu Allah ﷻ.

Oleh itu, dari mula lagi mereka tidak mahu belajar. Mereka tidak ada keinginan untuk tahu pun kerana mereka rasa kehidupan mereka sudah cukup. Kita boleh lihat entah berapa ramai manusia yang tidak tahu tentang tafsir Al-Qur’an. Oleh kerana itu, mereka jahil tentang agama sebagaimana golongan Nasara. Mereka bukannya menolak terus, tetapi buat tidak endah.

Ingatlah, kalau kita memegang amalan yang salah, maknanya kita sudah menolak amalan yang benar. Malangnya, ramai yang mendustakan amalan yang benar, tanpa mengetahuinya.

 

سَنَستَدرِجُهُم مِن حَيثُ لا يَعلَمونَ

Kami akan menarik menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), menurut cara yang mereka tidak mengetahuinya.

Mereka yang menolak wahyu, akan ditarik oleh Allah ﷻ ke neraka dengan cara yang mereka tidak tahu dan tidak sedar. Sedar-sedar mereka sudah mati dan sudah masuk ke alam akhirat. Inilah mereka yang dapat kenikmatan dunia untuk azab di akhirat – ini dinamakan ‘istidraj’. Ia dilakukan atas ilmu Allah ﷻ, Allah ﷻ sahaja yang tahu siapakah yang patut dikenakan dengan azab ini.

Maksud istidraj adalah mereka ditarik ke arah kesesatan dengan tanpa sedar. Tidaklah Allah ﷻ terus kenakan mereka dengan azab, sebaliknya Allah ﷻ beri mereka nikmat di dunia pula. Kehidupan mereka amat senang sampaikan mereka menjadi lalai leka dan tidak memikirkan tentang akhirat. Mereka dilimpahkan dengan segala nikmat sampai mereka lupa akhirat. Malangnya kalau Allah ﷻ mengenakan istidraj kepada seseorang, dia langsung tidak sedar bahawa dia sedang ditarik ke arah kesesatan.

Namun begitu ini bukanlah bermakna semua nikmat dan kesenangan dunia yang Allah ﷻ kurniakan ini dikirakan sebagai istidraj sekiranya seseorang itu mengamalkan akidah dan amalan yang benar. Maka jangan kita memandai-mandai pula berkata bahawa semua orang kaya itu sudah dikenakan istidraj pula. Ia dikira istidraj kalau orang itu diberi segala kesenangan ketika dia berada di dalam maksiat.

Perkataan istidraj disebut beberapa kali dalam Al-Qur’an. Malah ia telah disebut dalam Ayat 95 surah ini pun,

ثُمَّ بَدَّلنا مَكانَ السَّيِّئَةِ الحَسَنَةَ حَتّىٰ عَفَوا وَّقالوا قَد مَسَّ ءآباءَنَا الضَّرّاءُ وَالسَّرّاءُ فَأَخَذنٰهُم بَغتَةً وَهُم لا يَشعُرونَ

Setelah (mereka tidak juga insaf) Kami gantikan kesusahan itu dengan kesenangan hingga mereka kembang biak (serta senang-lenang) dan berkata (dengan angkuhnya): “Sesungguhnya nenek moyang kita juga pernah merasai kesusahan dan kesenangan (sebagaimana yang kita rasakan)”. Lalu Kami timpakan mereka (dengan azab seksa) secara mengejut, dan mereka tidak menyedarinya.

Istilah istidraj diambil daripada katadasar د ر ج yang bermaksud ‘menaiki tahap sedikit demi sedikit’. Mereka yang dikenakan dengan istidraj itu akan bertambah dosa mereka dari masa ke semasa. Mereka semakin ditarik ke arah kesesatan sedikit demi sedikit. Bukannya tiba-tiba ia terjadi. Ini sebagaimana ujikaji meletakkan katak dalam air dan air itu dipanaskan sedikit demi sedikit. Sampaikan katak itu tidak perasan.

Kerana kesesatan ditarik sedikit demi sedikit itulah yang menyebabkan mereka tidak perasan. Allah ﷻ menambahkan kesenangan hidup mereka di dunia walaupun mereka berbuat dosa. Oleh kerana itu mereka leka daripada agama dan terus membuat dosa. Allah ﷻ buat begini adalah supaya dosa mereka bertambah banyak dan Allah ﷻ akan azab mereka dengan lebih teruk lagi.

Kehidupan mereka senang dan mereka rasa cukup sahaja kehidupan mereka. Oleh itu mereka tidak rasa mereka ada buat salah. Kesenangan yang mereka dapat itu sebenarnya adalah ‘istidraj’. Dalam ayat yang lain Allah ﷻ berfirman:

{فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّى إِذَا فَرِحُوا بِمَا أُوتُوا أَخَذْنَاهُمْ بَغْتَةً فَإِذَا هُمْ مُبْلِسُونَ * فَقُطِعَ دَابِرُ الْقَوْمِ الَّذِينَ ظَلَمُوا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ}

Maka tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka. Kami pun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka; sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami seksa mereka dengan sekonyong-konyong, maka ketika itu mereka terdiam berputus asa. Maka orang-orang yang zalim itu dimusnahkan sampai ke akar-akarnya Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. (Al-An’am: 44-45)

Allah ﷻ berfirman di dalam ayat di atas فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ (Kami pun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka) bermaksud mereka diberikan dengan berbagai-bagai nikmat dunia. Sama ada kaya, sihat, ramai pengikut, dapat pangkat tinggi, dilambung tinggi dan sebagainya. Oleh itu jangan berasa pelik sangat dan dengki dengan kehidupan yang senang dalam kalangan orang yang menentang kebenaran. Itu sebenarnya adalah azab bagi mereka. Mereka sahaja tidak sedar kerana mereka dibuai oleh keindahan dunia dan kesenangan hidup dunia sementara mereka yang mereka sedang alami.

Malah berasa mereka disayangi oleh Tuhan kerana telah mendapat banyak nikmat. Padahal, mereka sebenarnya sedang diazab. Allah ﷻ sebut tentang hal ini di dalam Fajr: 15

فَأَمَّا الإِنسٰنُ إِذا مَا ابتَلٰهُ رَبُّهُ فَأَكرَمَهُ وَنَعَّمَهُ فَيَقولُ رَبّي أَكرَمَنِ

Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia akan berkata: “Tuhanku telah memuliakanku”.

Mereka sangka Allah ﷻ memuliakan mereka, tetapi sebenarnya ia adalah azab! Bagaimana pula ia menjadi azab? Malah ia azab yang amat teruk sebenarnya. Kerana mereka dilekakan dengan dunia sampai mereka tidak teringat langsung untuk bertaubat dan berubah. Dan bukan itu sahaja, Allah ﷻ membiarkan mereka terus di dalam kesesatan dan terus melakukan dosa dengan semakin banyak dan banyak, bertimbun-timbun, supaya Allah ﷻ boleh mengazab mereka dengan teruk sekali di akhirat nanti. Maknanya Allah ﷻ biarkan mereka mengumpul dosa dengan sebanyak-banyaknya!

Akan tetapi jangan sangka orang kafir sahaja yang akan dikenakan dengan azab ini. Orang Muslim pun boleh terkena juga kalau mereka tidak menghiraukan kebenaran. Kerana itulah golongan salaf amat takut kalau mereka diberi dengan kesenangan dunia. Kerana mereka takut entah-entah itu adalah istidraj sahaja!

Namun bukanlah semua nikmat kesenangan itu kita label sebagai istidraj pula. Memang ada orang baik yang Allah ﷻ berikan nikmat kepada mereka. Bagaimana kita hendak bezakan nikmat yang kita ada ini adalah kurniaan daripada Allah ‎ﷻ ataupun istidraj? Rasulullah ﷺ pernah menerangkannya di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada ‘Uqbah bin ‘Amir رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda:

إِذَا رَأَيْتَ اللهَ تَعَالَى يُعْطِي الْعَبْدَ مِنَ الدُّنْيَا مَا يُحِبُّ وَهُوَ مُقِيمٌ عَلَى مَعَاصِيْهِ فَإِنَّمَا ذَلِكَ مِنهُ اسْتِدْرَاجٌ

“Apabila kamu melihat Allah ‎ﷻ memberi kepada hamba daripada (perkara) dunia yang diinginkannya, sedangkan dia terus melakukan maksiat kepada-Nya, maka (ketahuilah) bahawa perkara itu adalah istidraj daripada Allah ‎ﷻ.”

(Riwayat Ahmad (17311), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4220)
dan al-Tabarani dalam al-Ausat (8/110))

Kalau kita dapat nikmat semasa kita taat kepada perintah Allah ﷻ, maka teruslah menjaga syariat. Kalau kita ingkar, Allah ﷻ boleh sahaja mengubah nikmat itu menjadi azab seperti firman-Nya dalam Anfal: 53

ذٰلِكَ بِأَنَّ اللَّهَ لَم يَكُ مُغَيِّرًا نِّعمَةً أَنعَمَها عَلىٰ قَومٍ حَتّىٰ يُغَيِّروا ما بِأَنفُسِهِم ۙ وَأَنَّ اللَّهَ سَميعٌ عَليمٌ

(Seksaan) yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya Allah sekali-kali tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dianugerahkan-Nya kepada suatu kaum, hinggalah kaum itu mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka sendiri, dan sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Sekiranya kita selalu bermaksiat tetapi tetap mendapat nikmat, maka berhati-hatilah. Ibnu ‘Athaillah al-Sakandari dalam kitab al-Hikam berkata bahawa hendaklah seseorang merasa takut jika dia selalu mendapat kurniaan dan kebaikan daripada Allah ﷻ, sedangkan dia masih tetap melakukan maksiat kepada-Nya. Kata beliau:

خَفْ مِنْ وُجُودِ إِحْسَانِهِ إِلَيْكَ، وَدَوَامِ إِسَاءَتِكَ مَعَهُ أَن يَكُونَ ذَلِكَ إِسْتِدْرَاجًا لَكَ، سَنَسْتَدْرِجُهُمْ مِنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ

Hendaklah kamu berasa takut jika kamu terus memperoleh kurniaan Allah ﷻ sedangkan kamu masih berterusan melakukan maksiat kepada-Nya. Ini kerana, ia boleh menjadi satu istidraj (pesona dan tipu daya) sepertimana firman-Nya: ““Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.” (Surah al-Qalam, ayat 44)


 

A’raf Ayat 183: Istidraj itu juga adalah penangguhan azab daripada Allah ﷻ sebenarnya. Allah ﷻ sengaja menangguhkan sahaja agar dia menjadi leka.

وَأُملي لَهُم ۚ إِنَّ كَيدي مَتينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And I will give them time. Indeed, My plan is firm.

MALAY

Dan Aku memberi tempoh kepada mereka; sesungguhnya rancangan balasanKu amatlah teguh.

 

وَأُملي لَهُم

Dan Aku memberi tempoh kepada mereka;

Allah ﷻ akan beri tempoh kepada mereka dengan diberikan segala kesenangan selama mereka hidup di atas dunia ini. Mereka diberi tempoh sampaikan mereka tertipu. Ia adalah seumpama seekor anjing yang dilonggarkan tali yang mengikat lehernya, sampai dia rasa dia sudah lepas, tetapi tidak sebenarnya. Ini sama seperti yang Allah ﷻ sebut tentang orang kafir di dalam Ali Imran: 178

وَلا يَحسَبَنَّ الَّذينَ كَفَروا أَنَّما نُملي لَهُم خَيرٌ لِّأَنفُسِهِم ۚ إِنَّما نُملي لَهُم لِيَزدادوا إِثمًا ۚ وَلَهُم عَذابٌ مُّهينٌ

Dan jangan sekali-kali orang-orang kafir menyangka bahawa Kami membiarkan (mereka hidup lama) itu baik bagi diri mereka; kerana sesungguhnya Kami biarkan mereka hanyalah supaya mereka bertambah dosa (di dunia), dan mereka pula beroleh azab seksa yang menghina (di akhirat kelak).

Maka jangan memandang tinggi kepada orang yang nampak hidupnya senang tetapi tidak menjaga agamanya, kerana mungkin mereka itu adalah orang yang ditarik oleh Allah ﷻ ke arah istidraj kerana menolak kebenaran wahyu sebagaimana yang Allah ﷻ firman di dalam Qalam: 44.

فَذَرني وَمَن يُكَذِّبُ بِهٰذَا الحَديثِ ۖ سَنَستَدرِجُهُم مِّن حَيثُ لا يَعلَمونَ

Maka serahkanlah (ya Muhammad) kepada-Ku (urusan) orang-orang yang mendustakan perkataan ini (Al-Qur’an). Nanti Kami akan menarik mereka dengan beransur-ansur (ke arah kebinasaan) dari arah yang tidak mereka ketahui,

Juga Allah ﷻ sebut di dalam Tariq: 17

فَمَهِّلِ الكافِرينَ أَمهِلهُم رُوَيدًا

Kerana itu beri tangguhlah orang-orang kafir itu iaitu beri tangguhlah mereka itu barang sebentar.

 

إِنَّ كَيدي مَتينٌ

sesungguhnya rancangan balasan-Ku amatlah teguh.

Sesungguhnya perangkap yang Allah ﷻ buat itu sangat kukuh. Kalau sudah termasuk dalam perangkap, tidak boleh keluar lagi. Oleh itu, berhati-hatilah supaya jangan kita terperangkap dengan istidraj sampai lupa untuk membuat persiapan akhirat. Jangan kita rasa hidup kita senang, kita sangka kita sudah selamat. Kena luangkan masa untuk persediaan akhirat.

Namun malangnya ramai yang tertipu dan kalah dengan perangkap Allah ﷻ ini seperti yang Allah ﷻ sebut dalam Mukminoon: 55-56

أَيَحسَبونَ أَنَّما نُمِدُّهُم بِهِ مِن مّالٍ وَبَنينَ

Apakah mereka mengira bahawa harta dan anak-anak yang Kami berikan kepada mereka itu (bererti bahawa),

نُسارِعُ لَهُم فِي الخَيرٰتِ ۚ بَل لّا يَشعُرونَ

Kami bersegera memberikan kebaikan-kebaikan kepada mereka? Tidak, sebenarnya mereka tidak sedar.

Sekiranya Allah ﷻ sayang dan hendak selamatkan seseorang, Allah ﷻ terus beri peringatan kepadanya dengan musibah. Contohnya kalau ada orang mula belajar-belajar hendak ambil rasuah sikit-sikit dahulu. Kali pertama sahaja dia sudah tertangkap. Maka tentu dia tidak berani buat lagi, bukan? Akan tetapi orang yang terlepas kali pertama, kedua dan seterusnya, mereka inilah yang akan terus terpesong dan terus mengambil rasuah kerana dia tidak ada rasa apa-apa kesan buruk di atas perbuatan salahnya itu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 31 Mei 2023

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Tafsir Surah al-A’raf Ayat 180 (Sesat dengan Asmaul Husna)

ASMA’UL HUSNA

A’raf Ayat 180: Ini adalah penerangan kepada Dakwa Ketiga: hanya seru kepada Allah ﷻ sahaja. Jangan seru selain Allah ﷻ.

Kita kena ingat bahawa doa itu adalah ibadah yang paling besar. Ia adalah ‘otak’ kepada ibadah kerana dalam setiap ibadah, ada doa. Namun, ramai yang tidak faham akan perkara ini dan kita boleh lihat bagaimana ramai yang sesat kerana merasakan boleh selesai masalah mereka dengan seru selain Allah ﷻ.

IMG_20230526_113220_854

Ramai dalam kalangan manusia yang seru Nabi, wali dan malaikat dalam doa mereka. Allah ﷻ beritahu dalam ayat ini yang hanya Dia sahaja mempunyai segala kesempurnaan, maka kita hanya boleh seru Dia sahaja.

Ayat-ayat sebelum ini adalah mengenai mereka yang dimasukkan ke dalam neraka kerana kesalahan mereka. Sekarang diberikan penawar dan jalan keluar iaitu dengan menyeru Allah ﷻ sebaik-baiknya dengan menyeru nama-Nya yang terbaik.

وَلِلَّهِ الأَسماءُ الحُسنىٰ فَادعوهُ بِها ۖ وَذَرُوا الَّذينَ يُلحِدونَ في أَسمٰئِهِ ۚ سَيُجزَونَ ما كانوا يَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And to Allāh belong the best names, so invoke Him by them. And leave [the company of] those who practice deviation concerning His names.¹ They will be recompensed for what they have been doing.

  • i.e., use them improperly or deny them.

MALAY

Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan.

 

وَلِلَّهِ الأَسماءُ الحُسنىٰ

Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik

Asmaul Husna maksudnya ‘nama-nama yang terbaik yang ada sifat’. Ia nama yang sesuai bagi Allah ﷻ, tidak ada cacat cela, kekurangan atau keaiban.

Semua benda ada nama, tetapi tidak semua nama sama. Ada dua jenis nama yang disebut dalam Al-Qur’an. Ada nama yang direka oleh manusia tetapi tidak ada sifatnya yang berkaitan langsung. Itulah nama-nama yang diberi kepada ilah-ilah dan sembahan selain daripada Allah ﷻ. Nama-nama itu direka oleh manusia dan kemudian mereka seru mengikut hawa nafsu mereka sahaja. Kebodohan paling nyata sekali kerana mereka yang reka dan kemudian mereka sendiri yang seru pula.

Atau, ada nama manusia yang namanya hebat, tetapi orangnya tidaklah sama dengan nama pun. Contohnya orang bernama Alimuddin (faham agama) namun tidak tahu pasal agama satu habuk pun. Contoh sahaja, maaf ya kalau sesiapa nama Alimuddin. Ia hanyalah nama yang diberi.

Manakala ada pula nama-nama bagi Allah ﷻ yang ada sifat kesempurnaan. Hanya Allah ﷻ sahaja yang sempurna, bukan? Memang nama itu bertepatan dengan sifat-sifat Allah ﷻ yang mulia. Ini banyak disebut di dalam Al-Qur’an dan juga hadith-hadith Nabi. Hadith utama tentang perkara ini adalah riwayat daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, disebutkan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

“إِنَّ لِلَّهِ تِسْعًا وَتِسْعِينَ اسْمًا مِائَةٌ إِلَّا وَاحِدًا، مَنْ أَحْصَاهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ، وَهُوَ وِتْرٌ يُحِبُّ الْوِتْرَ”.

Sesungguhnya Allah mempunyai sembilan puluh sembilan nama, iaitu, seratus kurang satu. Barangsiapa yang dapat menghafalnya, masuk syurga. Dia Maha Esa dan mencintai yang esa.

(Imam Bukhari dan Imam Muslim mengetengahkannya di dalam kitab Sahih-nya)

Namun begitu, perlulah diingatkan bahawa senarai 99 asma’ Allah yang masyhur di negara kita ini, tidaklah sahih. Ia masih memerlukan kajian lagi, manakah nama Allah ﷻ yang 99 itu. Kena ikuti perbincangan khusus tentang Asmaul Husna. Memang kena belajar khusus satu bab ini kerana ia terlalu panjang untuk disentuh kesemuanya di sini.

Walaupun ada hadith menyebut Allah ﷻ ada 99 nama, akan tetapi kita kena tahu yang nama Allah ﷻ bukan terhad kepada 99 sahaja. Ramai yang sangka Allah ﷻ hanya ada 99 nama itu sahaja. Ini adalah kesilapan dalam fahaman.

99 itu adalah antara nama-nama Allah ﷻ. Allah ﷻ ada banyak lagi nama, malah Rasulullah ﷺ sendiri tidak mengetahui kesemuanya. Cuma Allah ﷻ sebut kita hanya mengamalkan 99 nama itu sahaja pun sudah boleh melayakkan kita dimasukkan ke dalam syurga. Perumpamaannya begini, kita ada duit seribu ringgit tetapi kita hendak infakkan seratus sahaja. Adakah itu bermaksud kita hanya ada seratus ringgit sahaja? Tidak, bukan?

Dalil yang Allah ﷻ ada lebih banyak nama adalah seperti disebut dalam sebuah hadith di mana Rasulullah ﷺ mengajar kita sebuah doa:

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ عَبْدُكَ، ابْنُ عَبْدِكَ، ابْنُ أَمَتِكَ، نَاصِيَتِيْ بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ، أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ، سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِيْ كِتَابِكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوِ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِيْ عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيْعَ قَلْبِيْ، وَنُوْرَ صَدْرِيْ، وَجَلاَءَ حُزْنِيْ، وَذَهَابَ هَمِّيْ

“Ya Allah! Sesungguhnya aku adalah hamba-Mu, anak hamba-Mu (anak keturunan Nabi Adam) dan anak hamba perempuan-Mu (Hawa, isteri nabi Adam). Ubun-ubunku di tangan-Mu, keputusan-Mu berlaku padaku, Qadha-Mu (takdir dan ketetapan-Mu) kepadaku adalah adil. Aku mohon kepada-Mu dengan setiap nama (baik) yang telah Engkau gunakan untuk diri-Mu, yang Engkau turunkan dalam kitab-Mu, Engkau ajarkan kepada seseorang daripada makhluk-Mu atau yang Engkau khususkan untuk diri-Mu dalam ilmu ghaib di sisi-Mu, hendaknya Engkau jadikan Al-Qur’an sebagai penenteram hatiku, cahaya di dadaku, pelenyap duka dan kesedihanku.”

(HR. Ahmad (3583) dan selainnya. Darjatnya disahihkan oleh Syeikh Al-Albani رحمه الله. Riwayat Ahmad dan ibnu Hibban dan Tabrani)

Daripada hadith di atas, kita tahu yang ada nama-nama yang Allah ﷻ simpan dan tidak diberitahu kepada sesiapa pun.

Terjemahan hadith di ayat menyebut أَحْصَا sebagai ‘hafal’. Akan tetapi ia bukan setakat hafal sahaja. Sekiranya setakat menghafal sahaja, orang kafir dan munafik pun boleh hafal, tidak mungkin mereka boleh masuk syurga pula? Maka maksudnya lebih lagi iaitu memahami dan mengamalkan nama-nama itu. Salah faham tentang terjemahan inilah yang menyebabkan ramai dalam kalangan orang kita setakat hafal (dan melagukan) sahaja tanpa cuba untuk memahami nama-nama itu dan mengamalkan pemahaman itu di dalam kehidupan kita.

Apakah pula maksud mengamalkan asmaul husna itu? Adakah dengan zikir ya rahman, ya rahman, ya rahman sekian banyak seperti yang banyak diamalkan masyarakat kita? Contohnya ada yang diajar sekiranya berada dalam masalah dan memerlukan pertolongan, maka sebutlah banyak-banyak kali ya bari’, ya bari’ nanti akan ada yang datang tolong. Atau ada pula ajar, untuk rumah dijaga dan dapat perlindungan, baca pula ya hafiz, ya hafiz banyak kali. Ini semua adalah ajaran mengarut yang tidak pernah diajar oleh Allah ﷻ dan juga Rasul-Nya. Para sahabat pun tidak amal begitu. Maka perbuatan ini adalah amalan rekaan dan bid’ah.

Sebenarnya pengamalan adalah berdasarkan pemahaman. Contohnya apabila kita sudah tahu yang Allah ﷻ bersifat Maha Mendengar, maka kita tidaklah berkata perkataan-perkataan yang kotor dan menipu kerana kita sedar yang Allah ﷻ sedang mendengar apa sahaja perkataan kita. Begitulah cara betul untuk mengamalkan asmaul husna.

Hanya Allah ﷻ sahaja yang ada asmaul husna ini kerana itu ditaqdimkan (didahulukan) kalimah وَلِلَّهِ untuk menunjukkan eksklusif. Makhluk tidak ada asmaul husna walaupun Nabi Muhammad ﷺ sendiri.

Ayat-ayat lain yang menyebut tentang Asmaul Husna adalah Taha: 8

اللَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ لَهُ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ

Allah! Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, bagi-Nyalah segala nama yang baik.

Juga di dalam Isra’: 110

قُلِ ادعُوا اللهَ أَوِ ادعُوا الرَّحمٰنَ ۖ أَيًّا ما تَدعوا فَلَهُ الأَسماءُ الحُسنىٰ

Katakanlah: “Serulah Allah atau serulah Ar-Rahman. Dengan nama yang mana saja kamu seru, Dia mempunyai al asmaaul husna

Juga di dalam Hashr: 24

هُوَ اللهُ الخٰلِقُ البارِئُ المُصَوِّرُ ۖ لَهُ الأَسماءُ الحُسنىٰ

Dialah Allah Yang Menciptakan, Yang Mengadakan, Yang Membentuk Rupa, Yang Mempunyai Asmaaul Husna

Maka inilah ilmu mengenal Allah ﷻ yang disebut-sebut sebagai makrifatullah atau makrifah. Untuk kenal Allah ﷻ hendaklah dengan mengenal nama-nama yang Dia sendiri beri kepada kita. Bukannya melalui ilmu makrifah golongan sufi dan tarekat itu. Oleh itu, untuk bezakan, kita panggil gerakan mereka itu sebagai ‘makripat’ supaya kita tidak rosakkan nama ilmu yang sebenarnya.

 

فَادعوهُ بِها

maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu,

Allah ﷻ sahaja yang memiliki nama yang ‘al-husna’ iaitu bukan sahaja ‘baik’, malah terbaik kerana ada ال di situ.

Oleh kerana nama-nama Allah ﷻ ini yang terbaik, maka kita disuruh menyeru-Nya dengan menggunakan nama-nama itu (فَادعوهُ بِها). Kalimah فَادعوهُ berasal daripada kalimah دعاء yang membawa dua maksud:

1. Seru dalam bentuk mengingati-Nya (zikir), mensucikan-Nya dan memuji-Nya. Hanya nama-nama Allah ﷻ sahaja yang layak dizikir.

2. Menyeru Allah ﷻ dalam meminta pertolongan (doa) jikalau ada hajat keperluan dan untuk menyelesaikan masalah. Hanya kepada Allah ﷻ sahaja kita boleh meminta doa.

Maka inilah tawasul (menggunakan perantaraan) yang diajar oleh Allah ﷻ sendiri dan diamalkan oleh Rasulullah ﷺ di dalam banyak doanya. Ramai yang menggunakan wasilah (perantara) yang salah di dalam berdoa dengan meminta kepada Nabi, wali, malaikat dan juga jin. Sedangkan Allah ﷻ mengajar kita untuk menggunakan wasilah nama-Nya sendiri di mana ketika kita berdoa, maka kita seru Allah ﷻ dengan menggunakan asma’-Nya yang sesuai. Kita bukannya kata semua tawasul itu syirik, tetapi kenalah pilih yang sesuai.

Allah ﷻ suruh berdoa kepada-Nya sahaja kerana Dia sahaja yang mempunyai sifat boleh menyempurnakan hajat. Tidak ada selain Allah ﷻ yang boleh menyempurnakan hajat dan permintaan kita. Minta kepada malaikat, jin, Nabi atau wali seperti yang dilakukan oleh sebahagian masyarakat kita adalah sesat dan syirik. Tidak bermanfaat apa pun kerana mereka itu tidak dapat menunaikan hajat. Allah ﷻ sahaja yang boleh menunaikan hajat makhluk. Wahyu semua menyuruh berdoa terus kepada Allah ﷻ, tetapi ramai pula yang mencari-cari hujah kononnya boleh meminta tolong kepada selain-Nya. Pelik sungguh fahaman ini.

Allah ﷻ suruh ‘seru’ Dia dan di dalam hadith di atas disebut أَحْصَا (hafal, faham dan amalkan). Bukannya dijadikan sebagai zikir banyak-banyak atau dijadikan sebagai lagu nasyid pula. Tidak perlu untuk seru Allah ﷻ berkali-kali kerana kalau kita panggil orang pun, kita panggil sekali dua sahaja, bukan? Contohnya kita panggil, “Kassim, mari sini sat!”. Tidaklah kita panggil dia, “Kassim, Kassim, Kassim” dan kemudian dia sudah toleh, kita panggil lagi “Kassim, Kassim, Kassim” tanpa henti. Tentu Kassim kata kita gila! Maka Allah ﷻ pun tidak perlu dipanggil berkali-kali. Kita seru untuk menarik perhatian sahaja, kemudian sebutlah apa yang kita hendak.

Adakah anda sedar apa yang peliknya Nasyid Asmaul Husna yang budak-budak sekolah kita selalu nyanyikan itu? Ia bermula dengan kalimat ini: نَسْأَلُكَ يَامَنْ هُوَ اللهُ الَّذِيْ لآَ إِلَهَ إِلّاَ هُوَ اْلرَّحْمَنُ الرَّحِيْمُ yang bermaksud (Kami memohon-Mu wahai Dia yang bernama Allah yang tidak ada Tuhan yang layak disembah melainkan-Nya, Dia Maha Pemurah Maha Pengasihani….) Namun kemudiannya setelah habis nyanyian tidak pula ada doa, sedangkan di awal itu sebut semua nama itu sepatutnya untuk berdoa. Ini kerana orang kita tidak faham sebenarnya apa yang mereka sebut.

Antara nama yang banyak kali diulang-ulang dalam Al-Qur’an adalah nama-Nya berkenaan ilmu dan qudrat. Hanya Allah ﷻ sahaja yang mempunyai ilmu yang sempurna dan qudrat yang sempurna. Maknanya, Allah ﷻ sahaja tahu apa yang kita perlukan dan Allah ﷻ sahaja mempunyai kuasa untuk memberikan apa yang kita perlukan itu. Selain Allah ﷻ, mereka tidak tahu apa masalah kita, dan tidak ada kuasa untuk memakbulkan permintaan kita. Perbuatan meminta kepada selain Allah ﷻ adalah sia-sia sahaja.

Perbuatan meminta kepada Allah ﷻ sahaja adalah sebahagian daripada ilmu Tauhid iaitu Tauhid dalam Berdoa. Bukankah Allah ﷻ telah berfirman dalam Ghafir: 60:

وَقالَ رَبُّكُمُ ادعوني أَستَجِب لَكُم

Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.

Surah Al-A’raf ini banyak menyebut tentang lalai (ghaflah). Maka, dalam ayat ini diberi jalan penyelesaian kepada masalah ghaflah itu. Fahamilah Asmaul Husna itu dan gunakan nama-nama Allah ﷻ itu dalam doa kita. Allah ﷻ telah menyebut nama-nama-Nya yang mulia dalam Al-Qur’an dan dalam hadith Nabi yang sahih.

Di sini kita diajar cara berdoa kepada Allah ﷻ. Belajarlah bagaimana cara doa Nabi ﷺ yang menggunakan nama-nama itu. Kalau kita belajar hadith, kita boleh lihat sebelum Nabi ﷺ meminta doa, baginda akan mulakan dengan menyebut sifat-sifat Allah ﷻ (nama Allah ﷻ itu semuanya adalah juga sifat). Contohnya,

اللَّهمَّ إِني أسألُكَ بأني أَشْهَدُ أنَّكَ أنْتَ اللهُ ، لا إلهَ إلا أنتَ، الأحَدُ الصَّمَدُ ، الذي لم يَلِدْ ولم يُولَدْ ، ولم يكن له كُفُوا أحَدٌ

Ya Allah, aku memohon kepada-Mu dengan bersaksi bahwa sesungguhnya Engkau adalah Allah, tidak ada sembahan yang berhak disembah kecuali Engkau, yang Maha Esa, tempat bergantung segala sesuatu, yang tidak beranak dan tidak pula diperanakkan, dan tidak ada seorang pun setara dengan-Mu.

HR. Abu Dawud, An-Nasa-iy dan At-Tirmidzi. Syeikh Al-Albani رحمه الله berkata, “sahih”. Rasulullah ﷺ pernah mendengar seseorang berdoa: (doa di atas), lalu Rasulullah ﷺ  bersabda, “Sungguh dia telah memohon kepada Allah dengan menggunakan Nama-Nya yang jika Dia dimintai dengan nama tersebut, Dia pasti memberi, dan jika Dia diseru dengan nama tersebut, Dia pasti mengabulkan.”

Maka setelah kita tahu banyak nama-nama-Nya itu, maka kita boleh sesuaikan permintaan doa kita dengan nama-Nya. Contohnya kalau perlukan pengampunan, sebutlah dahulu nama-Nya yang Maha Pengampun (Al-Ghafur). Kalau perlukan rezeki, sebutlah nama-Nya yang Maha Memberi Rezeki (Ar-Razzaq). Sebab itu penting untuk tahu nama-nama itu supaya kita boleh lebih bijak dalam berdoa.

Apabila kita seru seseorang untuk panggil atau minta sesuatu daripadanya, tentulah kita akan sebut namanya, bukan? Maka begitu jugalah dengan Allah ﷻ, hendaklah kita panggil nama-Nya sebelum kita meminta sesuatu. Dan nama itu semestinyalah nama yang Dia sendiri pilih untuk Diri-Nya. Kalau dengan orang pun kita akan panggil nama yang dia suka, maka dengan Allah ﷻ, lagilah kita kena beradab sopan santun, bukan? Takkan kita hendak mengarut menggunakan zikir semut Danda danda, dindi dindi, dundu dundu, yunaddidu, indidaadan dandanah.

Inilah salah satu perbuatan ‘ilhad’ yang akan diterangkan selepas ini.

 

وَذَرُوا الَّذينَ يُلحِدونَ في أَسمائِهِ

dan tinggalkanlah orang-orang yang berpaling daripada kebenaran dalam menggunakan nama-nama-Nya.

Ini adalah ayat nafi: tinggalkan dan abaikan orang yang menyimpang dengan nama-nama Allah ﷻ. Kalimah ‘الإلحاد’ dari segi bahasa ertinya menyimpang, bengkok, tidak lurus. Sebab itulah kubur kita dipanggil liang lahad kerana dikorek lubang untuk simpan mayat di bahagian tepi, bukan di tengah-tengah.

Ini adalah tentang mereka yang menyimpang dalam penggunaan nama Allah ﷻ. Istiqamah (pandangan yang lurus) dalam bab nama-nama Allah ﷻ dan sifat-sifat-Nya adalah menetapkan nama dan sifat Allah ﷻ berdasarkan hakikatnya yang sesuai bagi Allah ﷻ, tanpa merubah, menggugurkan, merinci bagaimananya dan menyerupakan dengan makhluk, berdasarkan kaedah yang telah ditetapkan oleh Ahlussunnah wal Jamaah dalam bab ini.

Jika telah kita ketahui jalan yang istiqamah dalam bab ini, maka yang bertentangan dengan jalan yang istiqamah itu adalah ‘الإلحاد’ (menyimpang). Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa penyimpangan terhadap nama-nama Allah ﷻ terdiri daripada beberapa macam yang kesimpulannya dapat kita katakan bahawa penyimpangan tersebut boleh terjadi kerana tidak menyakini apa yang harus diyakini dalam bab ini. Maknanya ada fahaman salah dan sesat tentang nama Allah ﷻ. Ada berbagai cara ilhad itu terjadi dan antaranya adalah:

Pertama: Mengingkari salah satu nama Allah ﷻ atau sifat yang terkandung di dalamnya. Misalnya ada yang mengingkari bahawa Ar-Rahman termasuk nama Allah ﷻ, sebagaimana diyakini oleh orang-orang jahiliyah. Ini seperti kita dapat tahu daripada sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Al-Imam Muslim dalam sahihnya mengenai perjanjian Hudaibiah antara Nabi ﷺ dengan Quraish Mekah, seperti berikut:

أَنَّ قُرَيْشًا صَالَحُوا النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيهِمْ سُهَيْلُ بْنُ عَمْرٍو فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِعَلِيٍّ اكْتُبْ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ فَقَالَ سُهَيْلٌ أَمَّا بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ فَلَا نَدْرِي مَا بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ وَلَكِنْ اكْتُبْ مَا نَعْرِفُ بِاسْمِكَ اللَّهُمَّ

“Sesungguhnya Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi ﷺ. Antara wakil Quraish ialah Suhail bin ‘Amr. Sabda Nabi ﷺ: barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu BismikalLahumma (dengan nama-Mu Ya Allah!)”.

Atau dia menetapkan nama, akan tetapi dia mengingkari sifat yang terkandung di dalamnya. Sebagaimana dinyatakan oleh sebahagian ahli bid’ah bahawa Allah ﷻ ‘رحيم بلارحمة’ (Namanya Ar-Rahim, tetapi tidak mempunyai sifat rahmah (kasih sayang). Atau ‘سميع بلاسمع’ (nama-Nya As-Sami’, tetapi tidak mempunyai sifat mendengar.

Ini adalah fahaman yang salah kerana nama Allah ﷻ itu bukan setakat nama sahaja, tapi ada sifatnya sekali.

Kedua: Memberi nama kepada Allah ﷻ dengan nama yang tidak Dia berikan untuk diri-Nya.

Perkara ini dikatakan ilhad (menyimpang) kerana nama-nama Allah ﷻ bersifat tauqifi (kandungannya diterima oleh Rasulullah ﷺ daripada wahyu). Tidak boleh bagi seorang pun memberi nama bagi Allah ﷻ dengan nama yang Dia sendiri tidak berikan nama untuk-Nya. Ini bererti berbicara tentang Allah ﷻ apa yang tidak dia ketahui adalah termasuk perbuatan aniaya terhadap Allah ﷻ. Hal ini sebagaimana dilakukan oleh kalangan filsafat di mana mereka menamakan Allah ﷻ sebagai ‘Al-Illah Al-Fa’ilah’ (Faktor Pelaku) atau sebagaimana orang-orang Nasrani memberi nama bagi Allah ﷻ dengan nama ‘Bapak’, dan semacamnya.

Nota: antara kesesatan dalam kalangan umat Islam adalah mereka mereka nama baru bagi Allah ﷻ, antaranya yang kita biasa dengar sekarang yang ramai diamalkan oleh tarekat sesat adalah zikir Hu, Hu, Hu. Ini adalah sesat kerana kononnya ia merujuk kepada Allah yang sebelum ada nama. Mungkin mereka yang mengamalkannya tidak tahu asal usul penggunaan dhomir itu (atau memang mereka tahu dan menerima akidah sesat itu). Akan tetapi kalau kita fikirkan secara bahasa pun, kalau dhomir ه atau هو ia boleh merujuk kepada sesiapa sahaja, tidak semestinya Allah ﷻ. Sedangkan kita sepatutnya merujuk kepada Allah ﷻ dalam zikir kita.

Ketiga: Menyakini bahawa nama-nama tersebut menunjukkan sifat-sifat makhluk, maksudnya adalah serupa dengan makhluk.

Perkara ini dikatakan ilhad (menyimpang) kerana siapa yang menyakini bahawa nama-nama Allah ﷻ menunjukkan keserupaan Allah ﷻ terhadap makhluk-Nya, maka bererti dia telah mengeluarkannya daripada kandungan yang sebenarnya dan keluar daripada garis istiqamah (lurus) dan menjadikan firman Allah ﷻ dan sabda Rasul-Nya sebagai jalan kepada kekufuran. Ini kerana menyamakan Allah ﷻ dengan makhluk-Nya adalah kufur di mana dia telah mendustakan firman Allah ﷻ,

لَيْسَكَمِثْلِهِشَيْءٌوَهُوَالسَّمِيعُالبَصِيرُ

Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia, dan Dia-lah yang Maha mendengar dan melihat.”

(Asy-Syura: 11)

Juga terhadap firman Allah ﷻ,

هَلْتَعْلَمُلَهُسَمِيّاً

“Apakah kamu mengetahui ada seorang yang sama dengan Dia (yang patut disembah)?”

(Maryam: 65)

Nu’aim bin Hamad Al-Khuzai رحمه الله, guru kepada Imam Bukhari رحمه الله berkata, “Siapa yang menyerupakan Allah dengan makhluknya, maka dia telah kafir dan siapa yang mengingkari sifat yang telah Allah tetapkan untuk diri-Nya maka dia telah kafir. Sifat yang Allah tetapkan untuk diri-Nya bukan menyerupakan-Nya (dengan makhluk).”

Keempat: Mencari akar kata daripada nama-nama Allah ﷻ dan meletakkannya sebagai nama berhala, seperti Al-Laata ‘الللات’ daripada kata ‘الإله’ atau ‘العزى’ daripada kata ‘العزيز’, atau ‘مناة’ daripada kata ‘المنان’.

Begitulah empat pembahagian yang dinukilkan oleh Syeikh Muhamad bin Saleh Al-Utsaimin رحمه الله.

Selain daripada itu, ada lagi penambahan contoh-contoh ilhad daripada ulama’ yang lain:

Kelima: meninggalkan mana-mana nama Allah ﷻ kerana merasakan ia tidak sesuai dalam keadaan tertentu.

Keenam: menggunakan asmaul husna untuk merujuk kepada makhluk. Ini ada pengecualian kerana ada nama-nama Allah ﷻ yang digunakan juga untuk makhluk. Contohnya Rahim, Rasyid, Ali, Karim, Aziz. Namun begitu ada nama yang tidak boleh digunakan oleh makhluk contohnya Rahman, Razzaq, Subhan, Khaliq, Quddus, Ghafar dan lain-lain. Ini kerana nama-nama ini adalah khusus untuk Allah ﷻ sahaja.

Akan tetapi bukankah ramai orang kita menggunakan nama seperti Abdul Rahman, Abdul Razak dan sebagainya? Memang boleh sekiranya ditambah dengan kalimah ‘Abdul’ itu. Oleh itu, yang terbaik adalah ditambah kalimah ‘Abdul’ sebelum nama itu. Namun bagaimana pula apabila kita panggil atau seru dia? Tidakkah kita kata, ‘Rahman’ sahaja, atau ‘Razak’ sahaja? Maka sebenarnya ada masalah di sini yang kita tidak perasan, bukan? Kita takut kita termasuk di dalam ancaman ayat ini. Kerana kebiasaan kita menyebut nama ringkas sahaja (berlainan dengan bangsa Arab yang sebut nama penuh, kalau Abdurrahman nama orang itu, maka Abdurrahman lah dia sebut. Cuma saya tidak tahu kalau nama orang itu Puteri Nurasyikin Jambi, adakah disebut juga nama penuh.)

Ketujuh: menolak terus nama-nama Allah ﷻ yang mempunyai sifat seperti golongan Jahmiyah. Mereka kata nama Allah ﷻ itu adalah sekadar nama sahaja.

Atau jikalau menolak makna nama Allah ﷻ seperti yang dikatakan oleh golongan Mu’tazilah. Mereka kata nama-nama Allah ﷻyang banyak itu hanya satu makna sahaja.

Kelapan: mentakwil nama-nama Allah ﷻ mengikut logik akal seperti golongan Asya’irah. Ini kerana ada golongan yang takut manusia terkeliru dengan sifat-sifat Allah ﷻ yang seolah-olah ada persamaan dengan sifat-sifat manusia. Contohnya manusia melihat, adakah Allah ﷻ juga melihat? Mereka ini golongan yang keliru. Kerana tentunya Allah ﷻ juga melihat, namun penglihatan Allah ﷻ tentulah tidak sama dengan penglihatan makhluk. Allah ﷻ tidak sama dengan makhluk seperti firman Allah ﷻ di dalam Al-Qur’an antaranya Shura: 11

فاطِرُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۚ جَعَلَ لَكُم مِّن أَنفُسِكُم أَزوٰجًا وَمِنَ الأَنعٰمِ أَزوٰجًا ۖ يَذرَؤُكُم فيهِ ۚ لَيسَ كَمِثلِهِ شَيءٌ ۖ وَهُوَ السَّميعُ البَصيرُ 

Dia lah yang menciptakan langit dan bumi; Dia menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan daripada jenis kamu sendiri, dan menjadikan daripada jenis binatang-binatang ternak pasangan-pasangan (bagi binatang-binatang itu); dengan jalan yang demikian dikembangkan-Nya (zuriat keturunan) kamu semua. Tiada sesuatu pun yang sebanding dengan (Zat-Nya, sifat-sifat-Nya, dan pentadbiran-Nya) dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.

Di dalam ayat di atas Allah ﷻ memberitahu kita yang kita sebagai makhluk memerlukan pasangan, tetapi Allah ﷻ tidak memerlukan pasangan; kita beranak dan diperanakkan tetapi Allah ﷻ tidak beranak dan diperanakkan. Formula yang penting adalah kalimat: لَيسَ كَمِثلِهِ شَيءٌ yang sepatutnya menjadi kayu ukur bagi kita. Apa-apa sahaja sifat Allah ﷻ itu pasti lebih hebat lagi daripada sifat-sifat manusia dan makhluk-makhluk yang lain. Pastinya tidak sama seperti yang Allah ﷻ juga telah firmankan di dalam Al-Ikhlas: 4

وَلَم يَكُن لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ

dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia

Kesembilan: mengubah nama-nama Allah ﷻ kepada feminin seperti yang dilakukan oleh Musyrikin Mekah. Contohnya Allah ditukarkan dengan nama al-Lat dan al-Aziz pula ditukarkan menjadi al-Uzza yang mereka namakan untuk berhala mereka. Lebih kurang sama dengan jenis keempat di atas.

Kesepuluh: menzikirkan nama-nama Allah ﷻ untuk mendapatkan sesuatu. Contohnya diajar, kalau hendak kaya, banyakkan zikir ‘ya Razzaq’ berkali-kali atau dengan bilangan tertentu. Atau, kalau ada masalah, zikir ‘ya Bari” berkali-kali. Ramai yang sebut nama Allah ﷻ untuk menyelesaikan masalah mereka dalam doa mereka. Ini adalah penyalahgunaan nama-nama Allah ﷻ dan termasuk dalam penyimpangan yang dilakukan oleh manusia.

Ada juga yang menyebut-nyebut nama Allah ﷻ dengan bilangan tertentu, dengan cara tertentu yang tidak diajar oleh Nabi ﷺ. Mereka menggunakan nama Allah ﷻ dalam bentuk zikir yang pelik-pelik. Contohnya, zikir nama ‘ya Allah’ mereka kata mesti 61 kali, ar-Rahman sekian banyak, al-aziz sekian banyak. Sedangkan Nabi ﷺ tidak pernah ajar perkara ini. Ia diajar oleh golongan sesat kerana mereka kata kononnya setiap huruf itu ada bilangannya dan kalau dizikir mengikut bilangannya, maka ada manfaatnya (ada ‘power’ (kuasa tertentu)).

Nota: Begitulah asal timbulnya nombor 786 yang popular dikatakan merujuk kepada بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ kerana golongan ini telah merujuk kepada jumlah hasil tambah nombor huruf yang ada di dalam kalimah بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ itu.

Malah pernah viral baru-baru ini di laman media sosial di mana terdapat amalan bacaan zikir bismillah 787 kali dengan tujuan untuk menarik rezeki. Dikatakan bacaan bismillah ditambah satu lagi bilangannya daripada 786 kerana mereka percaya Allah ﷻ menyukai nombor ganjil. Maka terjadilah perbuatan yang telah sedia bid’ah malah ditambah pula dengan bid’ah yang baru lagi hanya kerana mengikut sangkaan akal logik golongan mereka yang sesat ini.

Golongan yang mengikutinya pula mudah terpengaruh dan percaya dengan amalan tersebut kerana yang menyampaikan amalan ini terdiri daripada golongan berpengaruh dan kaya raya di dalam masyarakat. Seolah-olah amalan mereka itu terbukti berkesan sekali, Lebih malang lagi ajaran itu pula dengan penuh keyakinan disampaikan secara langsung di hadapan Kaabah Allah ﷻ yang penuh mulia itu! Maka mereka yang mendengar dan menontonnya yakin dan nampak ‘keberkesanan’ amalan tersebut. Begitulah manusia apabila jauh daripada wahyu Allah ﷻ, maka akan mudah terpedaya dengan amalan ilhad sebegini.

Kesebelas: memberi maksud yang lemah kepada Allah ﷻ seperti yang dilakukan oleh golongan Nasrani. Mereka kata ada Tuhan Bapa. Ini melemahkan Allah ﷻ kerana untuk digelar bapa, seseorang itu mesti mempunyai anak. Sekiranya nama itu, diberikan kepada tuhan maka ia adalah sifat yang lemah kerana ia adalah sifat makhluk yang memerlukan anak untuk membantunya. Allah ﷻ tidak memerlukan anak kerana Dia Tuhan.

Kita mesti tinggalkan mereka setelah tahu yang mereka itu melakukan perkara yang salah. Maknanya, jangan ada hubungan rapat dengan mereka. Jangan ikut beramal seperti apa yang mereka lakukan. Juga ia bermaksud mesti tinggalkan mereka yang menghina nama Allah ﷻ.

 

سَيُجزَونَ ما كانوا يَعمَلونَ

Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan.

Mereka akan dibalas dengan apa yang mereka lakukan. Jika salah, maka mereka akan menerima akibatnya di akhirat kelak. Maka, semasa hendak beramal itu, hendaklah diperiksa semula adakah amalan itu amalan yang bagus untuk diamalkan. Janganlah hanya sekadar mengikut sahaja segala amalan yang telah ada sekian lama di dalam keluarga dan masyarakat kita ini.

Mestilah kita pandai bertanya sama ada zikir atau amalan itu adakah daripada amalan Nabi ﷺ kerana sia-sia sahaja jika mengamalkan amalan yang salah malah lebih dahsyat lagi kita pula akan diazab di akhirat nanti. Sudahlah sibuk menghabiskan masa dan tenaga dengan amalan salah itu di dunia lebih malang lagi kemudian diazab pula. Disangka dapat pahala, namun rupanya mendapat dosa!

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 31 Mei 2023

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

islamqa

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Ustaz Noor Derus

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah al-A’raf Ayat 178 – 179 (Bila Kiamat akan berlaku)

HIDAYAH HANYA DARI ALLAH

A’raf Ayat 178: Ini adalah targhib (ajakan) untuk Dakwa yang pertama: kena berani menyampaikan ajaran tauhid. Apa sahaja keadaan dalam membuat keputusan sebar wahyu, kena berani tempuh segala rintangan untuk mengajak manusia ke arah kebenaran. Ini kerana amat pentingnya kebenaran itu.

مَن يَهدِ اللَّهُ فَهُوَ المُهتَدي ۖ وَمَن يُضلِل فَأُولٰئِكَ هُمُ الخٰسِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Whoever Allāh guides – he is the [rightly] guided; and whoever He sends astray1 – it is those who are the losers.

  • As a result of persistence in evil and rejection of truth.

MALAY

Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah (dengan sebab persediaannya) maka dia lah yang beroleh petunjuk; dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan sebab keingkarannya) maka merekalah orang-orang yang rugi.

 

مَن يَهدِ اللَّهُ فَهُوَ المُهتَدي

Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah maka dia lah yang beroleh petunjuk; 

Allah ﷻ boleh memberi hidayah kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Apabila Allah ﷻ telah memberi hidayah, tidak ada sesiapa yang boleh menyesatkannya lagi. Ini adalah apabila dia sudah mencapai tingkatan Robtul Qalbi (kekukuhan ikatan hati) iaitu apabila dia telah melepasi pelbagai ujian.

Oleh itu, jangan kita sesekali berputus asa dengan rahmat Allah ﷻ untuk memberi hidayah kepada kita. Jika kita dahulu pernah membuat syirik, banyak berbuat dosa, membuat amalan bid’ah dan pelbagai kesalahan lagi, itu semua adalah dalam lipatan sejarah. Tinggalkan segera segala kesalahan itu dan mulalah membuat perkara yang baik. Beruntunglah mereka yang mendapat petunjuk daripada Allah ﷻ.

Mereka yang mendapat petunjuk itu adalah kerana mereka hendakkan kebenaran, maka Allah ﷻ bawa mereka kepada kebenaran. Mungkin asalnya mereka tidak tahu, namun hati mereka sudah terbuka untuk menerima kebenaran. Malah mungkin mereka pernah berdoa: “Ya Allah, tunjuklah aku mana ajaran yang benar… ustaz ini kata begini, ustaz itu kata begitu pula… jadi mana yang benar ya Allah?” Maka kerana keterbukaan hatinya itu, Allah ﷻ akan menarik mereka ke arah jalan yang benar dan lurus.

Mereka yang sudah mendapat hidayah itu, walau susah macam mana sekalipun, mereka akan ikut kebenaran dan akan sampaikan kebenaran kepada manusia (mereka tidak simpan untuk diri sendiri sahaja). Mereka tidak takut dengan halangan daripada orang, kata-kata kutukan daripada orang dan sebagainya. Ini kerana dia terpimpin dan mendapat pimpinan daripada Allah ﷻ. Maka sekiranya orang menohmah, menghina dan menggelar dengan gelaran ‘wahabi’, mereka tetap tenang dan selamba sahaja kerana bagi mereka ia tidak sesekali menjadi kudis pun buat diri mereka. Lagi pun mereka tahu yang orang yang menuduh Wahabi itu, tidak tahu apa-apa pun lagi. Mereka itu hanya mengikut kata-kata orang sahaja. Cuba tanya apa itu wahabi, menggelabah mereka hendak jawab sebab mereka tahu sebut sahaja.

Cuma hidayah itu ada dua jenis. Pertamanya hidayah dari segi ilmu iaitu kita belajar atau kita diberitahu tentang sesuatu kebenaran. Ini, semua orang boleh dapat. Firaun dan Abu Jahal pun ada hidayah ini kerana mereka telah disampaikan dengan dakwah dan telah diajar. Abu Jahal pun faham juga maksud ayat Al-Qur’an (sebab fahamlah dia lawan). Kita pun boleh beri hidayah ilmu kepada manusia dengan dakwah, mengajar dan beri nasihat.

Dalil semua manusia boleh mendapat hidayah ilmu adalah Fussilat: 17 di mana kaum Tsamud pun mendapat hidayah.

وَأَمّا ثَمودُ فَهَدَينٰهُم فَاستَحَبُّوا العَمىٰ عَلَى الهُدىٰ

Adapun kaum Tsamud, maka Kami beri petunjuk kepadanya, lalu mereka mengutamakan kesesatan daripada hidayah petunjuk

Yang keduanya adalah ‘hidayah amalan’ atau taufiq (muafakat antara ilmu dan amalan seseorang itu) di mana mereka beramal dengan apa yang mereka tahu. Ini belum tentu semua orang dapat. Berapa ramai yang tahu perkara yang benar tetapi tidak mampu mengamalkannya? Ramai, bukan? Ini kerana mereka tidak ada taufiq. Ini kerana taufiq itu memerlukan kekuatan dan juga keberanian dan ini mesti diminta dengan Allah ﷻ dan semoga Allah ﷻ memberikannya kepada kita. Disebabkan itulah kita sering sahaja mendengar orang berdoa: berilah taufiq dan hidayah.

Cuma kenalah ada hidayah ilmu terlebih dahulu dan itu kenalah belajar. Jangan goyang kaki sahaja sambil mengharap untuk menjadi orang beriman. Sebab itu orang selalu sebut: hidayah itu perlu dicari.

 

وَمَن يُضلِل فَأُولٰئِكَ هُمُ الخٰسِرونَ

dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan sebab keingkarannya) maka merekalah orang-orang yang rugi.

Ada pula manusia yang disesatkan oleh Allah ﷻ. Dari sini kita dapat tahu yang hidayah itu daripada Allah ﷻ dan kesesatan pun daripada Allah ﷻ juga. Maknanya, hidayah adalah hak mutlaq Allah ﷻ. Nabi ﷺ sendiri pun tidak boleh memberi hidayah kepada manusia walaupun bapa saudaranya sendiri. Maka, jika Nabi ﷺ pun tidak boleh, apatah lagi kita.

Oleh kerana hidayah itu milik Allah ﷻ, maka kenalah minta daripada Allah ﷻ. Juga perlu dicari dalam Al-Qur’an kerana Allah ﷻ sebut hidayah ada dalam Al-Qur’an seperti dalam Baqarah: 2

ذٰلِكَ الكِتٰبُ لا رَيبَ ۛ فيهِ ۛ هُدًى لِّلمُتَّقينَ

Kitab Al-Qur’an ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya daripada Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;

Oleh itu jelas di sini, jika tidak belajar tafsir Al-Qur’an, pasti orang itu tidak mendapat hidayah. Pasti. Manalah tempat lagi untuknya mencari hidayah, kita pun tidak tahu. Mungkin dia sahaja perasan dia sudah mendapat hidayah.

Maka memang ada manusia yang Allah ﷻ takdirkan dia sesat sampai mati. Kemudian Allah ﷻ tambah kalimah هم (mereka) di dalam ayat ini walaupun tanpanya kita pun tahu ia merujuk kepada ‘mereka’ kerana telah ada kalimah أُولٰئِكَ (yang juga bermaksud mereka). Ini adalah penekanan daripada Allah ﷻ yang bermaksud *hanya* mereka sahaja yang disesatkan oleh Allah ﷻ.

Namun ingat! Bukanlah Allah ﷻ sengaja menyesatkan mereka, tetapi kerana mereka sendiri yang tidak mahukan kebenaran. Mereka yang tidak mahu mendengar apa yang benar. Mereka tidak mengendahkan apa yang benar, maka mereka tidak peduli lagi untuk mencari kebenaran. Seolah-olah mereka sudah redha dengan kejahilan dan kesesatan yang ada pada mereka.

Malah lebih teruk lagi, jika ada yang datang membawa kebenaran kepada mereka, mereka tidak mahu dengar. Mereka terus tolak kerana mungkin berlainan dengan apa yang mereka telah pegang selama ini. Ini amat bahaya kerana kalau banyak kali mereka tolak dan menentang kebenaran, maka Allah ﷻ menutup hati mereka daripada menerima hidayah.

Ini dinamakan ‘khatmul qalbi’ (penutupan hati). Tidak akan ada peluang hidayah sampai kepada mereka lagi selama-lamanya. Maka amatlah rugi mereka. Tidak ada yang lebih rugi daripada mereka ini. Allah ﷻ sebut tentang golongan ini dalam Baqarah: 6-7

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا سَواءٌ عَلَيهِم ءأَنذَرتَهُم أَم لَم تُنذِرهُم لا يُؤمِنونَ

Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman), sama sahaja kepada mereka: sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman.

خَتَمَ اللهُ عَلىٰ قُلوبِهِم وَعَلىٰ سَمعِهِم ۖ وَعَلىٰ أَبصٰرِهِم غِشٰوَةٌ ۖ وَلَهُم عَذابٌ عَظيمٌ

(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar.

Kalau kita belajar bahasa Arab, kita akan perasan bahawa kalau disebut tentang orang yang diberi hidayah, Allah ﷻ sebut dalam bentuk mufrad (فَهُوَ) tetapi apabila bercakap tentang orang yang disesatkan, Allah ﷻ sebut dalam bentuk jamak (فَأُولٰئِكَ). Ini adalah kerana kebenaran itu hanya satu sahaja iaitu beriman dan ikut Allah ﷻ dan Rasul. Tidak kira ketika zaman mana, mereka itu dikira sebagai satu sahaja. Namun kesesatan itu ada banyak jenis. Ada jenis sesat syirik, sesat kerana menolak ajaran Al-Qur’an, sesat kerana mengikut fahaman salah dan tidak terkira banyaknya.

Apabila Allah ﷻ sebut tentang mereka yang sesat, Allah ﷻ sebut kesan dan hukuman kepada mereka (فَأُولٰئِكَ هُمُ الخٰسِرونَ) sedangkan apabila disebut tentang orang yang mendapat hidayah, tidak disebut pula kesan kepada mereka, hanya dikatakan mereka itu orang yang mendapat hidayah sahaja (فَهُوَ المُهتَدي). Ini adalah kerana mendapat hidayah itu sendiri sudah satu nikmat yang amat besar.

Perumpamaannya seperti orang yang telah dinobatkan oleh raja sebagai orang yang rapat dengannya. Tidak perlu diberi pangkat tertentu kerana rapat dengan raja itu pun sudah memberi maksud dia telah mendapat nikmat. Kerana itulah ulama’ mengatakan kedudukan المُهتَدي itu sendiri adalah satu nikmat. Tentunya di dalam ayat-ayat lain telah disebut lagi tentang kelebihan-kelebihan lain yang diberikan kepada mereka seperti syurga, ketenangan dan sebagainya. Namun, apa yang ditekankan di sini, mendapat kedudukan المُهتَدي dan dapat menjadi hamba Allah ﷻ yang sempurna itu sudah tinggi kedudukannya dan satu nikmat yang amat besar.

Ini kerana mereka telah mendapat kemanisan iman dengan mengerjakan ibadah dan zikir kepada Allah ﷻ. Seperti yang Allah ﷻ beritahu dalam Ra’d: 28

أَلا بِذِكرِ اللهِ تَطمَئِنُّ القُلوبُ

Ingatlah, dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram

Semoga kita termasuk dalam golongan yang mendapat hidayah. Antara ciri orang yang mendapat hidayah adalah mereka yang bersabar apabila menerima ujian seperti yang Allah ﷻ sebut dalam Baqarah: 155-157

وَلَنَبلُوَنَّكُم بِشَيءٍ مِّنَ الخَوفِ وَالجوعِ وَنَقصٍ مِّنَ الأَموٰلِ وَالأَنفُسِ وَالثَّمَرٰتِ ۗ وَبَشِّرِ الصّٰبِرينَ

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:

الَّذينَ إِذا أَصٰبَتهُم مُّصيبَةٌ قالوا إِنّا لِلَّهِ وَإِنّا إِلَيهِ رٰجِعونَ

(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”

أُولٰئِكَ عَلَيهِم صَلَوٰتٌ مِّن رَّبِّهِم وَرَحمَةٌ ۖ وَأُولٰئِكَ هُمُ المُهتَدونَ

Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya.

Lihatlah bagaimana di hujungnya Allah ﷻ sebut merekalah orang-orang yang mendapat petunjuk hidayah.


 

A’raf Ayat 179: Ini adalah penerangan untuk Dakwa Kedua pula. Dakwa kedua: manusia kenalah ikut syariat kerana kalau tidak, dia bebas seperti binatang sahaja. Kita pun tahu yang beza manusia dengan binatang adalah binatang tidak ada taklif (tanggungjawab untuk menegakkan syariat).

Oleh itu, kalau tidak mahu menjadi seperti binatang, maka manusia mesti mengikut syariat yang telah disebut dalam wahyu. Jika manusia mengikut syariat, mereka akan mendapat tempat dalam syurga. Malangnya kebanyakan manusia tidak mengikut syariat dan mengikut hawa nafsu sahaja. Akibatnya mereka akhirnya dimasukkan ke dalam neraka.

وَلَقَد ذَرَأنا لِجَهَنَّمَ كَثيرًا مِّنَ الجِنِّ وَالإِنسِ ۖ لَهُم قُلوبٌ لّا يَفقَهونَ بِها وَلَهُم أَعيُنٌ لّا يُبصِرونَ بِها وَلَهُم آذانٌ لّا يَسمَعونَ بِها ۚ أُولٰئِكَ كَالأَنعٰمِ بَل هُم أَضَلُّ ۚ أُولٰئِكَ هُمُ الغٰفِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have certainly created for Hell many of the jinn and mankind. They have hearts with which they do not understand, they have eyes with which they do not see, and they have ears with which they do not hear. Those are like livestock; rather, they are more astray.¹ It is they who are the heedless.

  • The reference is to their inability (i.e., refusal) to think and reason, while blindly following (as they are accustomed).

MALAY

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.

 

وَلَقَد ذَرَأنا لِجَهَنَّمَ كَثيرًا مِّنَ الجِنِّ وَالإِنسِ

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak daripada jin dan manusia

Allah ﷻ beritahu dalam ayat ini, ramai manusia dan jin yang masuk ke dalam neraka. Kerana itu kalimah yang digunakan adalah كَثيرًا (banyak). Dalam hadith ada disebut bagaimana 999 orang daripada seribu (1000) manusia akan masuk neraka. Maknanya, lebih ramai yang memasuki neraka berbanding yang memasuki syurga.


عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى : ” يَا آدَمُ ، فَيَقُولُ : لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ وَالْخَيْرُ فِي يَدَيْكَ ، فَيَقُولُ : أَخْرِجْ بَعْثَ النَّارِ ، قَالَ : وَمَا بَعْثُ النَّارِ ، قَالَ : مِنْ كُلِّ أَلْفٍ تِسْعَ مِائَةٍ وَتِسْعَةً وَتِسْعِينَ فَعِنْدَهُ يَشِيبُ الصَّغِيرُ وَتَضَعُ كُلُّ ذَاتِ حَمْلٍ حَمْلَهَا وَتَرَى النَّاسَ سُكَارَى وَمَا هُمْ بِسُكَارَى وَلَكِنَّ عَذَابَ اللَّهِ شَدِيدٌ ، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللَّهِ وَأَيُّنَا ذَلِكَ الْوَاحِدُ ، قَالَ : ” أَبْشِرُوا فَإِنَّ مِنْكُمْ رَجُلًا وَمِنْ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ أَلْفًا

Abu Sa’id al-Khudri رضي الله عنه meriwayatkan Nabi ﷺ bersabda: “Allah  تَعَالَى berfirman: Wahai Adam!’ Adam menjawab: Aku menjawab panggilan-Mu, segala kebaikan ada di kedua tangan-Mu. Lalu Allah berfirman: Keluarkanlah rombongan penghuni Neraka. Baginda bertanya: Berapakah jumlah rombongan penghuni Neraka?. Allah menjawab: Untuk setiap seribu orang ada sembilan ratus sembilan puluh sembilan. Saat itu rambut anak kecil mendadak beruban, setiap orang yang hamil keguguran kandungannya, dan engkau lihat manusia mabuk padahal mereka tidak mabuk, melainkan azab Allah sangat pedih. Para Sahabat bertanya: Ya Allah, Siapakah di antara kami yang termasuk satu orang itu? Nabi ﷺ menjawab: Bergembiralah, sesungguhnya satu orang daripada kalian dan seribu orang itu daripada Ya’juj dan Ma’juj.

(Sahih Bukhari, Kitab Ahadith al-Anbiya’, Hadith No. 3121)

Oleh itu, ramai sungguh dalam kalangan manusia yang akan masuk neraka nanti. Cuma disebut jin dahulu kerana jin hidup di dunia sebelum manusia. Mereka juga ada tanggungjawab syariat yang diwajibkan ke atas mereka. Mereka nanti ada yang masuk syurga dan ada yang masuk neraka. Maka, hendaklah kita sentiasa berdoa kepada Allah ﷻ semoga Allah ﷻ lindungi kita dari neraka.

Janganlah kita mengikut-ikut sahaja amalan yang dilakukan manusia, hanya kerana ia banyak dilakukan. Oleh kerana majoriti manusia yang masuk neraka, maka kita janganlah terikut-ikut dengan perbuatan dan amalan manusia yang majoriti. Yang sepatutnya kita kena ikut adalah syariat, bukannya ikut orang. Bahaya kalau ikut perbuatan orang yang ramai kerana majoriti yang masuk neraka, bukannya masuk syurga.

Kalimah الْإِنسِ merujuk kepada manusia secara keseluruhan. Akan tetapi kalau perasan, bukan الْإِنسِ sahaja yang digunakan untuk merujuk kepada manusia. Kalau kalimah الْإِنسِ yang digunakan, Al-Qur’an hendak merujuk kepada perbincangan aspek sosial manusia. Kalau kalimah بَني ءآدَمَ yang digunakan, seperti di dalam A’raf:172, perbincangan adalah berkenaan aspek sejarah.

وَإِذ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَني ءآدَمَ مِن ظُهورِهِم ذُرِّيَّتَهُم

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka,

Dan jikalau kalimah yang digunakan adalah بَشَرٌ seperti di dalam Ali Imran:47, kandungan perbincangan adalah mengenai aspek semulajadi dan fizikal manusia.

قالَت رَبِّ أَنّىٰ يَكونُ لي وَلَدٌ وَلَم يَمسَسني بَشَرٌ

Maryam berkata:” Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun?”

Kenapakah mereka dimasukkan ke dalam neraka? Allah ﷻ beritahu selanjutnya:

 

لَهُم قُلوبٌ لّا يَفقَهونَ بِها

yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya

Ramai dalam kalangan manusia ada hati tetapi mereka tidak menggunakan hati itu untuk mengikut kebenaran daripada wahyu. Hati mereka tidak ingin memahami kebenaran iaitu tentang kebenaran agama. Sebab kalau bab dunia, mereka faham dan mahir sungguh. Ini kerana mereka tidak menggunakan kelebihan yang Allah ﷻ telah berikan kepada mereka iaitu fitrah yang sudah kenal Allah ﷻ semenjak alam roh lagi.

Di sini digunakan kalimah ‘hati’, bukan ‘akal’ kerana sebenarnya hati itulah yang memandu kita. Kita berfikir dengan hati sebenarnya. Yang di kepala itu adalah otak, tetapi akal sebenarnya di hati itu.

Mereka tidak menggunakan hati sedangkan untuk urusan kehidupan lain, mereka menggunakan hati itu. Contohnya untuk pilihan makan, kerja dan pasangan, mereka akan menggunakan akal dan hati mereka juga. Namun untuk mencari kebenaran dalam urusan agama,mereka tidak menggunakan hati yang dikurniakan Allah ﷻ  pula. Kalau tidak dibuka pintu hati untuk menerima kebenaran, maka bagaimanakah kebenaran boleh masuk? Untuk kebenaran masuk ke dalam hati kita, kita kenalah membuka hati kita terlebih dahulu.

Begitulah ramai dalam kalangan masyarakat kita yang bergelar Muslim tetapi yang tidak menggunakan hati untuk menerima ajaran yang ada dalam Al-Qur’an, sedangkan Al-Qur’an sahajalah sumber kebenaran yang ada zaman sekarang. Mereka tidak belajar ayat-ayat Al-Qur’an dan tanya hati mereka: adakah ini kebenaran yang aku patut ikut?

 

وَلَهُم أَعيُنٌ لّا يُبصِرونَ بِها

dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya

Mereka ada mata, tetapi mereka tidak menggunakan mata itu untuk melihat kebenaran. Tidakkah mereka melihat alam ini dan berfikir tentang kebesaran Allah ﷻ? Tidakkah mereka mahu mengetahui siapakah Tuhan yang mencipta alam yang amat indah ini? Malangnya mereka hanya melihat dengan mata zahir mereka sahaja, tidak melihat dengan mata hati. Sedangkan manusia ada mata zahir dan ada mata hati.

Mata zahir digunakan untuk mengetahui ilmu dunia, tetapi ilmu wahyu memerlukan kita menggunakan mata hati untuk memahaminya. Mereka yang terkandas masuk ke dalam neraka itu kerana mereka menggunakan satu mata sahaja – mata zahir.

Mereka itu senang ditipu oleh Dajjal kerana Dajjal itu memang mempunyai satu mata sahaja iaitu isyarat kepada melihat kepada dunia sahaja. Oleh itu, jangan kita melihat dengan mata zahir sahaja, tetapi hendaklah kita memikirkan kebenaran yang ada di sebaliknya. Ini seperti yang Allah ﷻ telah firmankan dalam ayat yang lain:

فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى الأبْصَارُ وَلَكِنْ تَعْمَى الْقُلُوبُ الَّتِي فِي الصُّدُورِ}

Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada. [Al-Hajj: 46]

Balaghah: Ketepatan bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an: kalimah عين asalnya bermaksud ‘mata’ dan ia juga digunakan untuk mata air (sesuatu yang indah dipandang mata).

Jamak bagi عين adalah أعيُن dan عُيُون dan digunakan di dalam Bahasa Arab untuk jamak bagi mata dan juga mata air. Ia boleh bertukar-tukar penggunaannya. Akan tetapi Al-Qur’an sentiasa menggunakan penggunaan yang tepat. Kalimah أعيُن sentiasa digunakan bagi mata dan kalimah عُيُون sentiasa digunakan bagi mata air.

Oleh hal yang demikian, mereka itu walaupun matanya baik-baik sahaja dan boleh melihat tanpa memakai kacamata, yang dimaksudkan di sini bukanlah mata fizikal, tetapi mata hati untuk memahami kebenaran. Mereka memang boleh melihat malah pandai dalam segenap serba serbi keduniaan, namun setakat hal dunia sahaja mereka pandai seperti yang Allah ﷻ sebut dalam Rum: 7

يَعلَمونَ ظٰهِرًا مِّنَ الحَيَوٰةِ الدُّنيا وَهُم عَنِ الآخِرَةِ هُم غٰفِلونَ

Mereka hanya mengetahui yang lahir (saja) daripada kehidupan dunia; sedang mereka tentang (kehidupan) akhirat adalah lalai.

Begitulah umat-umat terdahulu seperti kaum Aad dan Tsamud seperti yang Allah ﷻ sebut dalam Ankabut: 38. Allah ﷻ kata mereka itu sebenarnya pandai-pandai sahaja.

وَعادًا وَثَمودَ وَقَد تَّبَيَّنَ لَكُم مِّن مَّسٰكِنِهِم ۖ وَزَيَّنَ لَهُمُ الشَّيطٰنُ أَعمٰلَهُم فَصَدَّهُم عَنِ السَّبيلِ وَكانوا مُستَبصِرينَ

Dan (juga) kaum ‘Aad dan Tsamud, dan sungguh telah nyata bagi kamu (kehancuran mereka) dari tempat tinggal mereka. Dan syaitan menjadikan mereka memandang baik perbuatan-perbuatan mereka, lalu dia menghalangi mereka dari jalan (Allah), sedangkan mereka adalah orang-orang berpandangan tajam,

Maknanya mereka itu bijak, pandai dalam hal dunia dan mereka memang maju pun. Kita sekarang pun maju sangat dalam hal teknologi dan sains. Akan tetapi jikalau setakat itu sahaja yang kita nampak, maka malanglah.

 

وَلَهُم آذانٌ لّا يَسمَعونَ بِها

dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya

Mereka ada telinga tetapi mereka tidak menggunakan kelebihan telinga itu untuk mendengar wahyu Allah ﷻ. Mereka tidak mahu meluangkan masa pun untuk belajar agama berlandaskan wahyu. Sedangkan mendengar perkara terbaik adalah mendengar ayat-ayat Al-Qur’an. Kerana itulah ramai yang diajak untuk belajar tafsir Al-Qur’an, mereka tidak mahu datang mendengar. Mereka rasa selesa dengan apa sahaja ilmu yang mereka ada. Padahal, mereka tidak ada ilmu wahyu pun, tetapi mereka rasa mereka telah selamat.

Mereka perasan yang mereka sudah boleh menjadi ahli syurga. Padahal tidak akan masuk syurga melainkan mereka yang telah belajar memahami ayat-ayat Al-Qur’an dengan belajar tafsir Al-Qur’an dan kemudian mengamalkannya. Ini kerana jika tidak tahu tafsir Al-Qur’an, syaitan akan mudah hendak tipu sampai manusia itu masuk neraka. Maka, hendaklah kita meluangkan masa kita untuk belajar tafsir kerana dengan mengetahui tafsir wahyu Allah ﷻ ini (dan mengamalkannya), barulah akan selamat kita dunia dan akhirat.

Orang yang masuk neraka itu tidak menggunakan kelebihan-kelebihan yang Allah ﷻ telah berikan. Dengan kata lain, mereka tidak memanfaatkan pun pancaindera yang telah dijadikan oleh Allah ﷻ sebagai jalan untuk mendapat hidayah, seperti pengertian yang terkandung di dalam ayat lain:

وَجَعَلْنَا لَهُمْ سَمْعًا وَأَبْصَارًا وَأَفْئِدَةً فَمَا أَغْنَى عَنْهُمْ سَمْعُهُمْ وَلا أَبْصَارُهُمْ وَلا أَفْئِدَتُهُمْ مِنْ شَيْءٍ إِذْ كَانُوا يَجْحَدُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ

dan Kami telah memberikan kepada mereka pendengaran, penglihatan, dan hati; tetapi pendengaran, penglihatan, dan hati mereka itu tidak berguna sedikit jua pun bagi mereka, kerana  selalu mengingkari ayat-ayat Allah [Ahqaf: 26]

Maka apakah lagi alasan di akhirat nanti apabila ditanya terhadap manusia yang ingkar? Allah ﷻ telah membekalkan dengan hati, juga dengan segala pancaindera yang sepatutnya digunakan untuk memahami kebenaran. Manusia sahaja yang tidak menggunakannya. Malah kita telah belajar sebelum ini yang Allah ﷻ telah memperkenalkan Diri-Nya sebagai Tuhan semasa di alam roh lagi. Masaklah di sana nanti kerana manusia tidak ada lagi alasan!

 

أُولٰئِكَ كَالأَنعٰمِ

mereka itu seperti binatang ternak,

Allah ﷻ kata mereka itu sama sahaja seperti binatang ternak kerana tidak mengikut peraturan. الأَنعٰمِ adalah binatang ternak. Allah ﷻ menggunakan perumpamaan ‘binatang ternak’ seperti lembu, kerbau, unta, kerana binatang ternak adalah binatang yang jenis lemah, lembik sahaja. Mereka bergerak perlahan berbanding dengan binatang lain. Mereka jenis tidak kisah dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka. Jika hendak disembelih pun, mereka relaks sahaja.

Satu lagi sifat mereka adalah bodoh, sebab itu ada orang kata: ‘Bodoh macam lembu!”. Yang Allah ﷻ maksudkan di sini adalah tentang kebodohan lah.

Begitulah manusia yang tidak ada ilmu wahyu, mereka tidak sedar tentang penipuan yang dilakukan oleh syaitan. Mereka tidak nampak bahaya mengikut syaitan itu. Mereka tidak sedar yang mereka sedang menuju ke neraka. Mereka lembik macam zombi, buang masa dengan kehidupan mereka – leka dengan dunia, buang masa dengan main games, dengar lagu dan tengok TV sahaja.

 

بَل هُم أَضَلُّ

bahkan mereka lebih sesat lagi;

Sudahlah Allah ﷻ umpamakan mereka seperti binatang ternak yang tentunya satu perumpamaan yang buruk, sekarang Allah ﷻ tambah lagi dengan mengatakan mereka itu bahkan lebih sesat daripada binatang! Lagi teruk daripada binatang!

Ini adalah kerana binatang itu memang akalnya tidak cukup, maka kita faham kalau sifat mereka begitu. Sedangkan manusia sudah diberi dengan segala pancaindera dan kelebihan yang tidak ada pada binatang. Lebih-lebih lagi Allah ﷻ telah bekalkan akal kepada kita. Namun mereka sia-siakan. Binatang tidak ada semua itu maka binatang tidaklah boleh dipersalahkan, kerana sifat mereka memang begitu. Namun bagaimana dengan manusia? Maka kerana itulah mereka dianggap lebih teruk daripada binatang.

Juga bermaksud mereka itu lebih sesat daripada haiwan ternak, kerana haiwan ternak adakalanya memenuhi seruan penggembala ketika penggembala memanggilnya, sekalipun ia tidak mengerti apa yang diucapkan penggembala itu. Maknanya binatang pun ada yang mengikut arahan. Lain halnya dengan manusia yang langsung tidak mendengar apa-apa arahan.

Lagi satu, binatang faham benda bahaya dan mereka akan menjauhkan diri. Sebagai contoh kalau nampak api, binatang akan lari. Akan tetapi manusia ini kalau benda bahaya pun mereka sanggup buat walaupun akalnya tahu ia bahaya. Sebagai contoh hisap rokok, hisap dadah, makan makanan yang membahayakan kesihatan, mendengar dan mengamalkan ajaran-ajaran bid’ah, bergaul dengan orang yang sesat dan sebagainya.

Haiwan ternak melakukan perbuatan sesuai dengan apa yang diciptakan untuknya, adakalanya berdasarkan tabiatnya, adakalanya pula kerana ditundukkan. Lain halnya dengan orang yang ingkar, kerana sesungguhnya dia diciptakan hanya semata-mata untuk menyembah Allah dan mengesakan-Nya, tetapi ternyata dia ingkar dan mempersekutukan-Nya. Maka mereka lebih teruk kerana tidak menjalankan tugas mereka.

Oleh kerana itu, disebutkan bahawa barang siapa yang taat kepada Allah ﷻ, maka dia lebih mulia daripada malaikat ketika di hari dia kembali ke alam akhirat. Manakala barangsiapa yang kafir kepada Allah ﷻ, maka haiwan ternak lebih sempurna daripadanya.

 

أُولٰئِكَ هُمُ الغٰفِلونَ

mereka itulah orang-orang yang lalai.

Allah ﷻ kata mereka itu lalai leka daripada mencari kebenaran. Mereka rasa senang sahaja, tidak takut dengan apa yang akan terjadi kepada mereka selepas mereka mati nanti. Mereka leka dengan keindahan dunia, seolah-olah mereka akan hidup selama-lamanya.

Lalai leka adalah tema surah ini kerana itulah banyak diperkatakan tentang perkara ini. Allah ﷻ mengingatkan berkali-kali jangan lalai dengan dunia. Allah ﷻ sentiasa mengingatkan kerana inilah masalah sebenar yang dialami oleh manusia. Inilah juga punca utama kenapa manusia menjadi sesat.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 18 September 2023

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah al-A’raf Ayat 175 – 177 (Orang berilmu belum tentu selamat)

ULAMAK YANG MENYIMPANG

A’raf Ayat 175: Ramai manusia yang menyeleweng daripada kebenaran kerana diri dia sendiri yang mengabaikan peluang yang Allah ﷻ sudah beri. Allah ﷻ sudah memberikan akal kepada kita, telah diberikan juga ilmu selain daripada fitrah kejadian kita yang memang sudah kenal Allah ﷻ. Sepatutnya dengan semua perkara itu, manusia akan senang untuk beriman kerana ia selari dengan kehendak hati dan naluri diri sendiri.

Namun mereka yang terus menjadi kafir adalah kerana mereka terus mengikut sahaja fahaman tok nenek mereka yang sesat, dan mereka juga tidak berusaha untuk mencari kebenaran. Kebiasaannya perkara ini terjadi kerana manusia mengejar keduniaan. Manusia memang ramai kalah dengan gemerlapan dunia yang menggoda.

Kita sebagai manusia kena selalu tanya diri sendiri sama ada kita termasuk dalam golongan yang berada atas kebenaran atau tidak? Jangan kita terus sangka yang fahaman yang kita pegang selama ini dan yang dipegang oleh tok nenek kita itu semestinya benar belaka. Harus diperiksa semula.

Jangan kerana dunia, kita jatuh ke dalam kesesatan dan meninggalkan ilmu yang telah ada. Sebagai perumpamaan, di sini Allah ﷻ memberikan perumpamaan satu kisah yang telah berlaku.

وَاتلُ عَلَيهِم نَبَأَ الَّذي ءآتَينٰهُ ءآيٰتِنا فَانسَلَخَ مِنها فَأَتبَعَهُ الشَّيطٰنُ فَكانَ مِنَ الغاوينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And recite to them, [O Muḥammad], the news of him¹ to whom We gave [knowledge of] Our signs, but he detached himself from them; so Satan pursued him, and he became of the deviators.²

  • A man from the Children of Israel at the time of Moses.
  • Those who deliberately persist in error to the point of destruction.

MALAY

Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) Kami. Kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu dia diikuti oleh Syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah dia dari orang-orang yang sesat.

 

وَاتلُ عَلَيهِم نَبَأَ الَّذي ءآتَينٰهُ ءآيٰتِنا

Dan bacakanlah kepada mereka, khabar seorang lelaki yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) Kami.

Terdapat pelbagai pendapat akan siapa yang dimaksudkan dengan lelaki di dalam ayat ini. Pendapat pertama mengatakan ia adalah cerita tentang seorang lelaki yang bernama Bal’ah atau Barsisah. Ada pula yang mengatakan namanya adalah Bal’am bin Ba’ura, seorang alim yang hidup pada zaman Nabi Musa عليه السلام. Beliau adalah seorang yang mengaji kitab Taurat namun dalam masa yang sama, beliau berminat dengan keindahan dunia. Beliau terlalu sayangkan dunia sampai sanggup membuat perkara salah untuk mendapatkan imbuhan dunia berbanding dengan akhirat. Beliau bukan seorang Nabi, tetapi beliau merupakan pengikut Nabi Musa عليه السلام.

Abdur Razzaq telah meriwayatkan daripada Sufyan As-Sauri, daripada Al-A’masy dan Mansur, daripada Abud Duha, daripada Masruq, daripada Abdullah ibnu Mas’ud رضي الله عنه sehubungan dengan makna firman-Nya: Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah Kami berikan kepadanya ayat-ayat Kami (pengetahuan tentang isi Al­-Kitab), kemudian dia melepaskan diri daripada ayat-ayat itu. (Al-A’raf: 175), hingga akhir ayat. Beliau adalah seorang lelaki dalam kalangan Bani Israel, dikenali dengan nama panggilan Bal’am ibnu Ba’ura.

Ada juga pendapat yang mengatakan beliau bukanlah pengikut Nabi Musa عليه السلام. Beliau adalah dalam kalangan Jabbaarin, iaitu golongan yang sepatutnya diserang oleh Nabi Musa عليه السلام dan Bani Israel yang telah terlepas daripada cengkaman Firaun. Puak Jabbaarin itu takut kepada Nabi Musa عليه السلام, maka mereka meminta Bal’am bin Ba’ura untuk berdoa kepada Allah ﷻ untuk mengalahkan Nabi Musa عليه السلام. Ini adalah kerana terkenal doanya makbul kerana beliau mempunyai pengetahuan agama dan ilmu wahyu dan tahu ismul a’zam Allah.

Namun Bal’am kenal yang Nabi Musa عليه السلام itu adalah seorang Nabi dan beliau takut pada mulanya. Beliau tahu yang beliau tidak akan selamat jika beliau menurut permintaan puaknya itu. Akan tetapi kemudiannya puak Jabbaarin itu telah menawarkan imbuhan yang banyak kepadanya. Isterinya memujuk untuk berdoa menentang Nabi Musa عليه السلام. Oleh kerana mahukan harta dunia dan sayangkan isteri (atau takut bini) maka beliau berdoa juga akhirnya untuk mengalahkan Nabi Musa عليه السلام.

Sa’id ibnu Abu Arubah mengatakan daripada Qatadah, daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما, bahawa lelaki tersebut bernama Saifi ibnur Rahib.

Al-Aufi telah meriwayatkan daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما. bahawa beliau adalah seorang lelaki dalam kalangan penduduk negeri Yaman, dikenali dengan nama Bal’am; beliau telah dianugerahi pengetahuan tentang isi Al-Kitab, namun beliau meninggalkannya.

Ada juga pendapat yang mengatakan yang dimaksudkan adalah seorang lelaki musyrik zaman Jahiliyah yang bernama Umayyah bin Abi Sauld. Dia tidak mahu beriman kepada Nabi Muhammad ﷺ malah dia sendiri ingin menjadi Nabi.

Ada juga yang mengatakan yang dimaksudkan adalah Abu Amir Al Fasiq daripada suku Khazraj. Dia ini tidak melakukan kesyirikan, namun setelah Rasulullah ﷺ datang berhijrah ke Madinah, dia tidak mahu beriman kepada Rasulullah ﷺ.

Atau, ia boleh merujuk kepada Bani Israel secara umum yang menolak kebenaran walaupun ada ilmu wahyu.

Begitulah ada banyak pendapat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya kerana tidak ada dalil yang sahih tentang perkara ini. Maka tidak pasti siapakah yang dimaksudkan kerana tidak ada kata putus daripada Rasulullah ﷺ tentang siapakah orang itu. Juga tidak penting untuk kita tahu dengan tepat siapakah dia itu, kerana yang penting adalah pengajarannya. Ia boleh merujuk kepada sesiapa sahaja yang mempunyai perangai yang sama.

Yang penting kita kena pegang adalah, siapa sahaja orang itu, Allah ﷻ kata Dia lah yang mengajar dan memberi ilmu itu kepada orang itu. Malah ia bukan sahaja kepada lelaki itu tetapi setiap ilmu yang manusia ada, adalah daripada Allah ﷻ.

 

فَانسَلَخَ مِنها فَأَتبَعَهُ الشَّيطٰنُ

Kemudian dia mencabut ia daripadanya, lalu dia diikuti oleh Syaitan

Namun setelah mempelajari ilmu daripada al-Kitab, orang itu telah murtad daripada menghayati ayat-ayat Allah ﷻ. Dia tidak ikut apa yang diajar dalam Kitab Taurat itu tentang akidah. Dia keluar terus kerana dia lebih minat kepada syirik.

Lafaz فَانسَلَخَ selalunya digunakan apabila ular bersalin kulit, sebagai isyarat dia menukar dirinya di mana dia telah menukar daripada baik kepada buruk. Dia telah mencabut ilmu itu daripada dirinya.

Lihatlah apabila disebut pemberian ilmu, Allah ﷻ sebut Dia yang beri (ءآتَينٰهُ) tetapi apabila ilmu itu keluar, digunakan kalimah orang itu mengeluarkannya sendiri (فَانسَلَخَ), bukan Allah ﷻ yang keluarkan, kerana ia memang salah orang itu sendiri.

Jika kita ambil pendapat tentang Bal’am seperti yang telah disebut, keputusan untuk meninggalkan ajaran agama adalah kerana terpesona dengan tawaran harta dunia dan kerana mengikut kata isterinya (termasuk hal dunia juga).

Oleh kerana dia sudah bersifat begitu, maka syaitan telah mengambil kesempatan mengikut dia dan terus membisikkan kesesatan kepadanya supaya dia tidak kembali kepada wahyu Allah ﷻ. Syaitan mengekori dirinya ke mana sahaja dia pergi dan syaitan terus menerus menyesatkannya dari jalan yang benar. Syaitan telah menjadi qarin (pendamping) kepadanya. Maka dari sini kita tahu, untuk menyelamatkan diri daripada syaitan adalah dengan ilmu, tetapi jika kita tinggalkan ilmu itu, maka syaitan akan sambar kita.

Atau, dia mengikut syaitan kerana syaitan telah menyesatkannya. Ini kerana kalimah أَتبَعَ bermaksud ‘menjadikan orang lain ikut’. Kerana itulah kalimah الشَّيطٰنُ di dalam bentuk rafa’ (pembuat) kerana dialah yang menjadikan orang itu mengikuti dirinya. Kalau kalimah ‘ikut’, kalimah اتَّبَعَ yang digunakan seperti di dalam ayat selepas ini.

Syaitan itu akan melekat dan menjadi qarin baginya seperti yang disebut dalam ayat Zukhruf: 36 – begitulah jikalau manusia tidak endah (tidak hirau) tentang wahyu Allah ﷻ, syaitan akan menjadi qarin yang akan ikut dia ke mana sahaja dia pergi. Oleh kerana dia meninggalkan perkara yang penting, maka itu memberi peluang kepada syaitan untuk melekat dengannya. Sepatutnya dia melekat dengan wahyu, tetapi jika meninggalkan wahyu, maka yang melekat padanya adalah syaitan.

Kedua-dua makna ikut atau menyebabkan ikut itu benar belaka. Maknanya syaitan yang menghasut dia membuat perkara salah itu, dan bila dia terus melakukan perkara salah itu, maka syaitan terus datang semula dan terus bersama dengannya.

Maka bagi kita yang sudah belajar ilmu tafsir contohnya, janganlah ditinggalkan ilmu yang kita telah dapat ini. Hendaklah terus belajar dan belajar untuk mendalami pemahaman tentang ayat-ayat Al-Qur’an. Dan janganlah tidak beramal pula. Kerana kalau kita tinggalkan, kita akan menjadi sesat sedangkan kita sudah mendapat petunjuk dan ilmu pada asalnya.

Sungguh indah ucapan Fudhail bin ‘Iyadh رحمه الله: “Seorang alim itu masih dianggap jahil (bodoh) apabila dia belum beramal dengan ilmunya. Apabila dia sudah mengamalkan ilmunya, maka jadilah dia seorang yang benar-benar alim.”

EAQADIqUcAsTQDY

فَكانَ مِنَ الغاوينَ

maka menjadilah dia daripada orang-orang yang sesat.

Maka, oleh kerana Bal’am ini (atau sesiapa sahaja) telah meninggalkan ajaran wahyu, maka dia telah sesat dan tidak boleh kembali kepada ajaran yang benar. Begitulah kita kalau kita tinggalkan ajaran daripada Al-Qur’an ini. Untuk berpegang dengan ajaran Al-Qur’an ini, maka kenalah belajar apakah yang disampaikan di dalamnya. Tidak boleh tidak, kena juga belajar tafsir kerana jika dibaca sendiri, atau setakat baca terjemahan sahaja, kita tidak akan faham.

Ia juga menjadi pengajaran kepada kita yang orang berilmu tidaklah lagi selamat kerana jika setakat berilmu sahaja, tetapi tidak istiqamah dengan ilmu, masih lagi ada kemungkinan kita disesatkan oleh syaitan kalau tidak berhati-hati. Ada ilmu pun tetap dibisikkan oleh syaitan juga. Ada ilmu bukan tiket untuk terus masuk ke dalam syurga. Kita kena ada ilmu, kemudian kenalah beramal dengannya, dan terus tetap istiqamah menjaga iman kita. Salah langkah sahaja, orang berilmu pun boleh terjerumus.

Allah ﷻ telah mengingatkan kita lagi tentang orang yang berilmu tetapi disesatkan di dalam Jathiya: 23

أَفَرَءيتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلٰهَهُ هَوىٰهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلىٰ عِلمٍ وَخَتَمَ عَلىٰ سَمعِهِ وَقَلبِهِ وَجَعَلَ عَلىٰ بَصَرِهِ غِشٰوَةً فَمَن يَهديهِ مِن بَعدِ اللهِ ۚ أَفَلا تَذَكَّرونَ

Bagaimana fikiranmu terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan yang dipatuhinya, dan dia pula disesatkan oleh Allah atas ilmunya, dan dimeterikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?

Salah satu tafsir daripada ayat ini adalah tentang orang yang ada ilmu (وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلىٰ عِلمٍ) tetapi menjadi sesat kerana mengikut hawa nafsunya. Kita pun tahu betapa bahayanya ajakan hawa nafsu dan ramainya manusia yang gagal dengan ajakan nafsu.


 

A’raf Ayat 176:

وَلَو شِئنا لَرَفَعنٰهُ بِها وَلٰكِنَّهُ أَخلَدَ إِلَى الأَرضِ وَاتَّبَعَ هَوىٰهُ ۚ فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ الكَلبِ إِن تَحمِل عَلَيهِ يَلهَث أَو تَترُكهُ يَلهَث ۚ ذٰلِكَ مَثَلُ القَومِ الَّذينَ كَذَّبوا بِئآيٰتِنا ۚ فَاقصُصِ القَصَصَ لَعَلَّهُم يَتَفَكَّرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if We had willed, We could have elevated him thereby¹, but he adhered [instead] to the earth² and followed his own desire. So his example is like that of the dog: if you chase him, he pants, or if you leave him, he [still] pants. That is the example of the people who denied Our signs.³ So relate the stories that perhaps they will give thought.

  • i.e., through the revelations, signs or evidences of which he had been given knowledge.
  • i.e., its worldly pleasures.
  • Whether or not they have been exposed to Allāh’s signs or warnings, it is all the same: they will not believe.

MALAY

Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan darjatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir.

 

وَلَو شِئنا لَرَفَعنٰهُ بِها

Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan darjatnya dengan (sebab) ayat-ayat itu. 

Allah ﷻ boleh sahaja mengangkat darjatnya di dunia dan di akhirat, sekiranya dia berikhtiar untuk mengikut segala yang disampaikan dalam wahyu itu. Begitulah kalau berpegang dengan ayat Allah ﷻ, maka Allah ﷻ akan menaikkan darjat seseorang. Keilmuan seseorang itu memang menaikkan darjat seperti disebut dalam ayat yang lain seperti Mujadilah: 11

يَرفَعِ اللهُ الَّذينَ ءآمَنوا مِنكُم وَالَّذينَ أوتُوا العِلمَ دَرَجٰتٍ

Allah meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat

Akan tetapi janganlah berbangga sangat dan sombong dengan ilmu yang ada. Kena ingat yang ilmu itu Allah ﷻ yang beri dan Allah ﷻ boleh sahaja menarik balik; darjat juga Allah ﷻ yang beri dan Allah ﷻ boleh juga menariknya balik. Maka bersyukurlah Allah ﷻ menjadikan kita sebagai orang yang berilmu tetapi hendaklah dijaga juga iman kita. Ini kerana Allah hanya menaikkan darjat orang yang berilmu itu kalau mereka pun beriman juga. Jika tanpa iman, tidak berguna juga ilmu itu.

 

وَلٰكِنَّهُ أَخلَدَ إِلَى الأَرضِ وَاتَّبَعَ هَوىٰهُ

Tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menuruti hawa nafsunya;

Dia sudah ada ilmu Kitab, akan tetapi dia memilih kehidupan dan kesenangan dunia. Dia kalah dengan kehendak nafsunya. Dua perkara yang amat perlu dijaga adalah harta dan pasangan kerana dua perkara ini selalu diulang-ulang boleh menyebabkan manusia terjerumus ke lembah kehinaan.

Kalimah أَخلَدَ berasal daripada katadasar خ ل د yang bermaksud kekal, berterusan, kekal muda, tinggal di satu tempat, tidak berubah. Maka kalimah اِخلَاد bermaksud condong, cenderung atau melekat kepada sesuatu. Oleh itu, ia bermaksud sifat orang itu yang hatinya melekat dengan dunia. Dia kalah dengan tarikan keduniaan.

Kita bukanlah disuruh menolak dunia dan menidakkan kehendak hawa nafsu. Kita memang hidup di dunia dan Allah ﷻ juga telah memberikan nafsu kepada kita. Namun kenalah berpada-pada. Jangan dilebihkan dunia daripada akhirat. Jangan ikut sahaja kehendak nafsu yang berlawanan dengan kehendak Allah ﷻ dan syariat. Keperluan nafsu yang dibenarkan oleh syariat tidak ada masalah untuk dipenuhi. Contohnya makan, berkeluarga, mahukan kepada pasangan dan sebagainya. Asalkan ia dipenuhi mengikut lunas syariat, tidak ada masalah.

Ketahuilah, kita ini ada jasad dan ada roh. Keduanya ada keperluan, kena ada makanan untuk menguatkannya. Tubuh kita dijadikan daripada tanah yang datang dari dunia, maka ia memerlukan makanan dari tanah dunia. Jika tubuh kita tidak makan makanan dunia, maka tubuh kita akan lemah dan boleh mati; roh juga memerlukan makanan tetapi makanannya bukan datang dari dunia kerana ia bukan dijadikan daripada bahan-bahan dari dunia. Makanannya datang daripada Allah ﷻ dan diberikan melalui ayat-ayat wahyu-Nya.

Oleh yang demikian, kenalah ada keseimbangan antara keduanya. Jika kita beri makan kepada jasad sahaja, maka roh akan lemah dan kehendak tubuh itu (nafsu) akan mengalahkan orang itu. Bal’am itu tahu bagaimana memberi makan kepada rohnya itu. Namun dia kalah kepada kehendak nafsu dan kekufuran telah mengambil alih dirinya.

 

فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ الكَلبِ

maka bandingannya adalah seperti anjing,

Condong kepada dunia dan melebihkan dunia Allah ﷻ sifatkan seperti anjing. Ini kerana anjing hanya memikirkan tentang keperluan dan kehendak perut dia sahaja. Lihatlah bagaimana Allah ﷻ menggunakan anjing sebagai contoh bandingan untuk berikan kita kefahaman apakah masalah dengan orang yang sebegini. Di sini Allah ﷻ menggunakan perumpamaan binatang yang hina seperti anjing kerana sifat buruk mereka itu.

Malah orang itu telah menjadi lebih teruk daripada binatang lagi kerana binatang tidak ada roh pun. Maka tidak hairanlah kalau ia hanya fikirkan tentang makanan sahaja. Sedangkan manusia ada roh, tetapi dia telah sia-siakan kelebihan itu dan dia telah gagal menjaga rohnya.

Di dalam ayat ini, Allah ﷻ menjadikan anjing sebagai contoh. Tetapi ada lagi contoh-contoh lain yang Allah ﷻ gunakan seperti keldai, binatang ternak, sarang labah-labah dan lain-lain. Allah ﷻ menggunakan contoh benda yang kita nampak dan boleh dijadikan sebagai bandingan untuk kita senang faham. Namun contoh-contoh bandingan ini hendaklah dipelajari kerana jika dibaca sendiri sahaja mungkin tidak akan faham kerana akal kita tidak sampai. Ini seperti Allah ﷻ sebut di dalam Ankabut: 43

وَتِلكَ الأَمثٰلُ نَضرِبُها لِلنّاسِ ۖ وَما يَعقِلُها إِلَّا العٰلِمونَ

Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buat untuk manusia; dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.

Kerana itulah para salafussoleh, jika baca perumpamaan yang Allah ﷻ berikan dan mereka tidak faham, mereka akan menangis kerana sedih sangat.

Apakah sifat anjing yang kita boleh lihat?

 

إِن تَحمِل عَلَيهِ يَلهَث أَو تَترُكهُ يَلهَث

jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. 

Kenapa mereka itu Allah ﷻ ibaratkan hina seperti anjing? Kerana mereka telah belajar kitab wahyu tetapi meninggalkan al-kitab kerana mementingkan habuan dunia. Allah ﷻ menyamakan mereka itu dengan anjing. Allah ﷻ suruh kita lihat kepada anjing. Kalau kita halau anjing itu, ia akan mengeluarkan lidah dan kalau dibiarkan pun, ia akan mengeluarkan lidah juga.

Kalimah تَحمِل berasal daripada katadasar ح م ل yang bermaksud menanggung beban, menzahirkan, hamil, menunjukkan kemarahan, memberi tanggungjawab kepada orang lain, mengeluarkan sesuatu. Kalimah تَحمِل bermaksud menunjukkan marah dan menghalau seseorang. Kalau ada anjing datang kepada kita entah dari mana, kita akan halau kerana marah, bukan?

Halau atau tidak, anjing itu sentiasa sahaja menjelirkan lidahnya yang panjang dan basah meleleh air liur itu. Ia adalah isyarat kepada seseorang yang tidak pernah kenyang dan hilang dahaga. Anjing itu tidak dapat memasukkan lidahnya ke dalam mulutnya kerana ia sentiasa mahu kepada makanan dari dunia, tidak pernah cukup. Ia bagaikan ketagih dengan dunia.

Melalui kajian fizikal anjing sekarang kita sudah tahu yang anjing tidak mempunyai pori atau liang peluh di bawah kulitnya. Anjing tidak dapat mengeluarkan kepanasan daripada tubuhnya melalui kulit seperti kita, maka mereka terpaksa membuang haba badan dengan menghulurkan lidahnya dan panas dikeluarkan dengan cara itu.

Lebih teruk pula, ditambah lagi anjing bukan jenis makhluk yang boleh duduk diam, asyik lari ke sana sini. Maka ia memang akan cepat panas dan kerana itu kita lihat ia sentiasa sahaja mengeluarkan lidahnya untuk mengeluarkan kepanasan badan. Binatang lain tidak sebegini. Manusia dan binatang menjelirkan lidah dan bernafas kuat hanya dalam keadaan tertentu sahaja, seperti setelah berlari atau bekerja keras daripada biasa.

Oleh itu, ibarat anjing mengeluarkan lidah ini bukan sahaja  menunjukkan mereka hina seperti anjing malah ia turut bermaksud yang hidup mereka akan susah seperti hidup anjing juga. Ia bukanlah kehidupan yang senang tetapi kehidupan yang tidak tenang. Mereka ke sana dan ke mari tidak tentu hala; hanya mencari peluang untuk menambah harta sahaja. Takut sangat jika kehilangan periuk nasi atau fikir bagaimana cara untuk mengisi perut sahaja.

ذٰلِكَ مَثَلُ القَومِ الَّذينَ كَذَّبوا بِئآيٰتِنا

Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami.

Demikian pula keadaan Bal’am dan mereka yang sepertinya, mereka tidak memanfaatkan pelajaran dan doanya untuk menjaga keimanan; perihalnya sama seperti orang yang tidak memilikinya. Malah lebih teruk lagi, sebab dia sudah ada ilmu. Macam kita lah, kita lebih marah kepada orang yang buat salah tetapi tahu, dibandingkan dengan orang yang buat salah kerana tidak tahu perkara itu salah.

‘Mendustakan’ itu bermakna ‘tidak beriman’. Begitulah bandingan untuk mereka yang tidak beriman kepada wahyu daripada Allah ﷻ. Mereka itu seperti anjing sahaja, hanya mahukan keindahan dan nikmat dunia sahaja.

 

فَاقصُصِ القَصَصَ لَعَلَّهُم يَتَفَكَّرونَ

Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir.

Allah ﷻ suruh kita sampaikan kisah tentang Bal’am ini kepada manusia supaya manusia boleh berfikir. Supaya manusia jangan terjerumus di dalam penipuan dunia dan bisikan ajakan daripada syaitan. Supaya jangan tertipu dengan gemerlapan keduniaan yang mengasyikkan.

Semua kisah-kisah dalam Al-Qur’an itu ada pengajarannya. Pelajarilah kisah-kisah itu dan ambil pengajaran daripadanya. Namun seperti yang telah disebut, kenalah belajar tafsir baru dapat tahu pengajarannya.


 

A’raf Ayat 177:

ساءَ مَثَلًا القَومُ الَّذينَ كَذَّبوا بِئآيٰتِنا وَأَنفُسَهُم كانوا يَظلِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

How evil an example [is that of] the people who denied Our signs and used to wrong themselves.

MALAY

Amatlah buruknya bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, dan mereka pula berlaku zalim kepada diri merela sendiri.

 

ساءَ مَثَلًا القَومُ الَّذينَ كَذَّبوا بِئآيٰتِنا

Amatlah buruknya bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami,

Amat buruk sekali kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah ﷻ kerana dunia sampai Allah ﷻ sifatkan mereka seperti anjing. Mereka akan membuat perkara yang teruk sekali kerana mereka tidak kisah tentang akhirat. Mereka sanggup menggadai iman untuk membeli dunia. Oleh kerana mereka tidak beriman, maka tindakan mereka tidak dikawal oleh iman, tetapi dikawal oleh nafsu. Dan nafsu itu boleh menyebabkan mereka melakukan perkara yang amat buruk sekali.

Nota: potongan ayat ini adalah termasuk dalam hukum tajwid ‘Iltiqa’ Sakinain’ dan jarang diketahui oleh kita.

 

وَأَنفُسَهُم كانوا يَظلِمونَ

dan mereka pula berlaku zalim kepada diri merela sendiri.

‘Zalim’ itu adalah meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Oleh itu, apabila mereka tidak beriman dengan tauhid, maka mereka telah menzalimi Allah ﷻ. Apabila menzalimi Allah ﷻ, nasib mereka di akhirat kelak tidak akan selamat. Maka, mereka itu yang menzalimi diri mereka sendiri – mereka yang buat sendiri, bukan orang lain.

Di sini Allah ﷻ mendahulukan (taqdim) kalimah أَنفُسَهُم sebelum يَظلِمونَ. Dari segi susunan bahasa, boleh sahaja disebut يَظلِمونَ أَنفُسَهُم (mereka menzalimi diri mereka). Akan tetapi apabila ditaqdimkan أَنفُسَهُم, ia adalah sebagai isyarat eksklusif iaitu mereka hanya menzalimi diri mereka sahaja, bukannya orang lain. Mereka mungkin ada rasa orang lain pun terkesan juga, namun sebenarnya tidak. Contohnya seperti orang yang tidak salat walaupun disuruh oleh ibubapanya, ibubapanya tidak terkesan pun. Dia sendiri yang mesti menanggung akibatnya nanti di akhirat kelak.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 26 April 2023

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien