Tafsir Surah Baqarah Ayat 154 – 157 (Ujian Sabar)

Ayat 154: Ayat yang menyentuh tentang jihad fi sabilillah. Kemuncak perbincangan jihad ada dalam Surah Tawbah. Permulaan tentang jihad itu dimulakan di dalam Surah Baqarah ini.

Sebelum ini Allah ‎ﷻ telah mula menyentuh bab Sabar. Oleh kerana sabar adalah perkara yang besar dan banyak peringkatnya, maka akan diterangkan dengan banyak dalam ayat-ayat seterusnya. Pertamanya, dalam ayat ini Allah ‎ﷻ terangkan sabar peringkat tertinggi.

وَلا تَقولوا لِمَن يُقتَلُ في سَبيلِ اللَّهِ أَموٰتٌ ۚ بَل أَحياءٌ وَلٰكِن لّا تَشعُرونَ

Sahih International

And do not say about those who are killed in the way of Allah , “They are dead.” Rather, they are alive, but you perceive [it] not.

Malay

Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela Ugama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.

 

وَلَا تَقُولُوا

Jangan sekali-kali kamu berkata,

Janganlah kamu salah sangka dengan mengatakan perkara yang silap dalam pandangan kamu. Kena belajar untuk melihat dengan ilmu, bukan dengan pandangan sendiri sahaja.

 

لِمَنْ يُقْتَلُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوٰتٌ

kepada sesiapa yang terbunuh di jalan Allah itu benar-benar mati;

Mereka tidak mati, tapi hidup sebenarnya. Cara bagaimana mereka hidup, kita tidak tahu. Yang kita tahu, mereka itu ada yang hendak pulang ke dunia lagi kerana hendak berjihad lagi di jalan Allah ‎ﷻ. Ini disebut dalam hadith.

Dalam ayat sebelum ini, dinasihatkan kepada umat Islam untuk bersabar. Antara sabar yang paling kuat diperlukan adalah apabila orang yang kita sayangi mati. Antaranya, mereka yang mati semasa berperang di jalan Allah ‎ﷻ.

Allah ‎ﷻ memberitahu kita yang mereka yang mati semasa berjihad di jalan Allah ‎ﷻ mereka tidak mati biasa. Mereka sebenarnya hidup di alam barzakh. Ia adalah Kehidupan Khas. Mereka terus dihantar ke syurga untuk menikmati nikmat di dalam syurga itu. Sebelum Pembicaraan di Mahsyar lagi mereka telah dapat nikmat. Ini adalah kelebihan bagi orang yang Mati Syahid.

Oleh itu, sabar dalam ayat ini adalah sabar atas kematian. Lebih-lebih lagi kalau kematian itu melibatkan orang yang kita kasihi. Sebaik-baik kasih adalah kasih seorang mukmin kepada seorang mukmin yang lain. Apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini kepada seorang mukmin yang lain, maka sabar padanya adalah sabar yang paling tinggi.

Sahabat paling sedih apabila Nabi ﷺ wafat. Begitu juga, apabila ada kematian daripada kalangan sahabat, Allah ‎ﷻ mengajar mereka untuk bersabar kerana mereka amat bersedih. Ia memerlukan kesabaran yang tinggi.

 

بَلْ أَحْيَاءٌ

Bahkan mereka itu hidup

Pada waktu ayat ini diturunkan, orang-orang Islam belum lagi berperang dengan orang kafir. Belum Perang Badr lagi pun tetapi Allah ‎ﷻ sudah mengingatkan mereka bahawa kalau mereka mati, mereka akan dapat kelebihan yang amat banyak. Allah ‎ﷻ mengingatkan mereka untuk bersedia.

Sesungguhnya roh-roh para syuhada’ itu ada di dalam rongga burung hijau. Baginya ada pelita-pelita yang tergantung di ‘Arash. Mereka bebas keluar dari syurga sebagaimana yang mereka mahu, kemudian mereka (roh-roh orang yang syahid) menuju ke arah pelita-pelita itu. Kemudian Rabb melihat kepada mereka dengan jelas, lalu Dia bertanya: “Apakah kalian inginkan sesuatu?”. Mereka menjawab: “Apalagi yang kami inginkan sedangkan kami bebas keluar dari syurga dengan semahu-mahu kami?” Rabb mereka mengizinkan hal itu berlaku kepada mereka sebanyak tiga kali. Tatkala mereka melihat bahawasanya mereka tidak ditinggalkan daripada meminta sesuatu. Mereka berkata, “Wahai Rabb kami! Kami ingin Engkau pulangkan semula roh-roh kami ke dalam jasad-jasad kami sehingga kami dibunuh di jalan-Mu sekali lagi. Maka tatkala Dia melihat bahawasanya mereka tidak mempunyai keinginan lagi, maka mereka ditinggalkan”. [Riwayat Muslim (1887)]

Namun pada waktu itu, telah ada orang Islam yang mati semasa mereka berada di Mekah. Ada yang diseksa dan mereka telah mati di tangan orang Musyrik. Itu pun dikira sebagai mati di jalan Allah ‎ﷻ.

Apabila dikatakan mereka itu hidup, bukanlah hidup mereka itu seperti yang kita faham. Kehidupan itu banyak jenis. Contohnya, bayi yang dalam perut ibu itu sudah hidup, tetapi adakah hidup mereka sama dengan hidup kita? Tentu tidak, bukan? Maka jangan kita sangka hidupnya mereka yang mati syahid itu seperti hidup kita sekarang.

Ada yang buat andaian salah bahawa wali-wali yang telah mati itu boleh hidup semula dan menolong mereka yang di dunia. Oleh kerana salah faham tentang ayat ini, ada yang melakukan perkara yang syirik. Seperti pengikut ajaran Arqam (yang masih lagi bergerak lagi sekarang) – mereka mengatakan bahawa Abuya Asyaari masih hidup lagi dan boleh memberi bantuan kepada mereka.

Mereka dikatakan sampai meminta pertolongan kepada beliau untuk memberikan rezeki kepada mereka. Ini dan banyak lagi fahaman Sufi Tarekat yang mengarut kerana mereka tafsir sendiri ayat-ayat Al-Qur’an ikut kehendak akal mereka.

 

وَلَٰكِنْ لَّا تَشْعُرُونَ

sedangkan kamu tidak tahu bahawa mereka itu hidup.

Kita tidak sedar bahawa mereka itu hidup kerana mereka telah dibawa terus ke syurga. Kita sahaja yang tidak tahu kerana kita tidak hidup di alam barzakh.

Orang-orang yang mati syahid itu, sebelum darah mereka menitis jatuh ke tanah, dosa mereka semua sekali telah diampunkan. Mereka akan dimasukkan ke syurga terus. Mereka hanya keluar balik apabila telah kiamat dan makhluk akan dibicarakan.

Nanti bila Mahkamah Allah dimulakan, mereka akan dipanggil oleh malaikat untuk keluar sekejap untuk dibacakan amalan perbuatan mereka semasa di dunia. Kemudian, mereka akan dimasukkan balik ke syurga untuk menyambung nikmat di syurga.

Daripada Ka’ab bin Malik رضي الله عنه, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

إِنَّمَا نَسَمَةُ الْمُؤْمِنِ طَائِرٌ فِي شَجَرِ الْجَنَّةِ حَتَّى يَبْعَثَهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلَى جَسَدِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Sesungguhnya roh orang mukmin berterbangan di pohon Syurga sehingga Allah membangkitkannya ke dalam jasadnya pada hari Kiamat”. [Riwayat al-Nasa’ie (2073)]

Semoga kita dimasukkan ke dalam golongan itu. Semasa dipanggil itu, mereka rasa mereka duduk di syurga sekadar waktu salat sunat Subuh dua rakaat sahaja. Itu adalah salat paling ringkas yang Nabi ﷺ lakukan.

Maknanya, nikmat yang terlalu banyak yang mereka terima, sampaikan mereka rasa sekejap sahaja mereka nikmati. Padahal, mungkin mereka telah duduk di syurga itu selama beberapa ribu tahun. Kita pun tidak tahu bagaimana keadaan di sana dan bagaimana masa berbeza dengan masa sekarang. Ini adalah kerana kalau kita sedang menikmati keadaan yang menggembirakan, kita selalu rasa sekejap sahaja, bukan?


 

Ayat 155: Ini pula adalah sabar peringkat biasa.

وَلَنَبلُوَنَّكُم بِشَيءٍ مِّنَ الخَوفِ وَالجوعِ وَنَقصٍ مِّنَ الأَموٰلِ وَالأَنفُسِ وَالثَّمَرٰتِ ۗ وَبَشِّرِ الصّٰبِرينَ

Sahih International

And We will surely test you with something of fear and hunger and a loss of wealth and lives and fruits, but give good tidings to the patient,

Malay

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:

 

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ

Dan Kami akan menguji kamu

Pasti Allah ‎ﷻ akan beri ujian. Inilah kehidupan dunia. Maka jangan hairan apabila ujian datang kerana ia adalah pasti. Allah ‎ﷻ sudah janjikan siap-siap kerana dunia ini memang tempat ujian. Jadi tidak perlu hendak mengadu sangat kepada orang lain kalau ada banyak dugaan kerana memang dunia ini adalah tempat ujian.

 

بِشَيْءٍ

dengan segala sesuatu;

Allah ‎ﷻ akan uji kita dengan apa sahaja cara untuk membezakan mana hamba yang ada sifat sabar dan tidak. Begitulah, macam-macam ujian akan Allah ‎ﷻ berikan kepada manusia. Sebagai contoh, ada niat sahaja hendak mengikut sunnah, hendak dakwah kepada orang lain, maka akan terus diberikan ujian.

Macam-macam lagi cara manusia diuji. Ada yang ringan sahaja, dan ada yang agak teruk. Ini adalah rezeki masing-masing. Kalau kita bersabar dengan ujian itu, kita akan mendapat pahala.

Sebelum ini, Allah ‎ﷻ sebut tentang ujian kematian. Kali ini, ujian yang kurang sedikit. Namun masih lagi banyak dan ada yang terkandas dengan ujian ini. Maka berbagai cara Allah ‎ﷻ akan beri ujian kepada kita, antaranya adalah seperti di bawah ini.

 

مِّنَ الْخَوْفِ

dari jenis ketakutan;

Antaranya dengan situasi takut. Seperti pejuang agama yang diuji bertembung dengan musuh yang boleh menyebabkan kematian. Kalau sedang jihad perang itu, mereka takut dengan musuh yang ramai.

Dalam situasi kita yang tidak berperang ini, ia boleh bermaksud takut hendak memberitahu kepada orang tentang tauhid ini. Takut orang kata kita gila, kata kita sesat, tidak mahu terima dan sebagainya. Padahal, bukan boleh menyebabkan kematian pun.

Kadangkala orang gelar kita Wahabi pun sudah kelam kabut, padahal itu kata-kata manusia sahaja. Buat apa hendak kisahkan dengan kata-kata orang jahil? Namun begitulah, hendak cerita dan tegur amalan bid’ah orang pun susah dan berat sangat mulut. Macam rasa hendak mati pun ada.

 

وَالْجُوعِ

dan kelaparan;

Keduanya, ujian dengan lapar. Kadang-kadang kita takut tidak cukup makan. Kalau duduk kampung tempat kita tinggal, memang jarang lapar sebab makanan sentiasa ada. Namun kalau dalam musafir akan selalu bertemu dengan kelaparan. Lebih-lebih kepada para pejuang dan penyebar dakwah.

Kita zaman sekarang takut hendak sebut tentang kesalahan yang masyarakat lakukan. Kalau ustaz yang mengajar, takut sungguh hendak beritahu amalan salah anak murid. Takut anak murid tidak panggil mengajar lagi, hilang punca pendapat (sampul putih). Maka kesilapan dan amalan bid’ah anak murid masyarakat, disenyapkan sahaja.

 

وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوٰلِ

dan kekurangan dari harta benda;

Kalau hendak berjihad zaman dahulu para sahabat kena mengeluarkan duit sendiri. Bukan kerajaan Islam bagi duit untuk mereka berjihad. Mereka bukan kena cari duit untuk pergi berjihad sahaja, tetapi mereka juga kena tinggalkan sedikit duit untuk anak isteri sebagai bekalan. Maka ini memang memerlukan pengorbanan yang tinggi.

Apabila sudah mula pergi berjihad, hendak berniaga pun sudah tidak boleh. Kalau yang bercucuk tanam, sudah tidak boleh menjaga hasil tanaman lagi sebab kena tumpukan kepada peperangan. Ingatlah betapa besarnya pengorbanan yang telah dilakukan oleh para sahabat رضي الله عنهم dahulu.

Bagaimana dengan kita? Kadang-kadang kita diuji dengan ujian infak harta. Infak harta memang dituntut dalam agama. Hendak bina masjid, berdakwah, jihad, musafir, tolong orang lain dan macam-macam lagi memerlukan infak.

Tentu berlaku kekurangan harta sekali sekala. Tapi infak perlu juga tetap dijalankan kerana ramai yang memerlukan, dakwah juga perlu terus dijalankan. Namun kerana ujian ini, ramai yang gagal dan simpan duit kerana syaitan akan menakut-nakutkan kita dengan ancaman jatuh miskin kalau infak.

 

وَالْأَنْفُسِ

dan jiwa-jiwa;

Maksudnya adalah kematian. Ada sahabat yang mati terbunuh dalam jihad. Saudara mara ada yang mati terbunuh dan macam-macam lagi. Ini adalah biasa apabila berlaku kematian.

Maknanya, para sahabat رضي الله عنهم dahulu berhadapan dengan ancaman mati dalam menegakkan agama Islam ini. Amat malu kalau kita pula takut hendak sebut kesalahan masyarakat hanya kerana takut dikata macam-macam. Padahal, bukan boleh mengancam nyawa pun.

Ayat ini juga boleh juga merujuk kepada mereka yang lari daripada peperangan. Meninggalkan medan pertempuran. Ada yang takut semasa bertempur sampai ada yang lari daripada medan peperangan.

 

وَالثَّمَرٰتِ

dan buah-buahan;

Ia bermaksud penyakit. Sebagai contoh, penyakit hama kepada pokok-pokok. Mereka takut pokok yang mereka tanam itu akan sakit dan musnah apabila mereka tidak ada dalam berjihad. Madinah waktu itu adalah umat yang berasaskan pertanian.

Pernah semasa Perang Tabuk, mereka diduga dengan buah-buahan yang sudah hampir boleh dituai apabila panggilan peperangan sampai. Mereka telah menerima arahan untuk perang dan ia adalah wajib kepada mereka kecuali orang tua, anak kecil dan wanita.

Ia amat menduga kepada mereka kerana kalau mereka keluar berperang, sudah tentu apabila mereka pulang nanti, buah-buahan itu sudah jadi busuk kerana tidak dipetik. Kalau diharap kepada anak isteri pun tidak boleh kerana hanya lelaki sahaja yang boleh menuainya kerana ia adalah kerja berat.

Boleh jadi juga ia bermaksud ‘anak-anak‘ – kerana ada yang akan kehilangan anak. Anak-anak yang telah dibela sejak kecil dan menjadi pengarang jantung terpaksa dilepaskan untuk menyertai peperangan jihad. Ini bukan keputusan yang senang.

Kalau zaman sekarang, ini bermaksud melepaskan anak-anak untuk belajar agama. Ada yang takut kalau anak belajar agama kerana tidak tahu nanti hendak kerja apa. Kalau lepas untuk belajar ilmu keduniaan, ada kemungkinan akan dapat kerja, bukan? Maka kena berkorban anak juga supaya ada kalangan kita yang pandai agama dan dapat teruskan usaha mendidik masyarakat.

Kemungkinan juga buah-buahan itu adalah isyarat kepada hasil daripada pelaburan mereka. Ini adalah dugaan dari sudut ekonomi. Ini bagi orang yang berniaga. Mereka sibuk menjaga perniagaan dan harta sampai tidak kisahkan agama dan dakwah.

 

وَبَشِّرِ الصّٰبِرِينَ

Dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang bersabar itu.

Ucapan tahniah daripada Allah ‎ﷻ kepada mereka yang dapat melepasi ujian-ujian yang telah disebut di atas. Telah disebut ujian yang berat-berat di atas kerana Allah ﷻ hendak kita bersedia.

Semua itu besar kemungkinan memang akan berlaku maka Allah ‎ﷻ berikan motivasi dan ucapan tahniah kalau sanggup melepasi ujian-ujian itu. Ini adalah ucapan daripada Allah ‎ﷻ sendiri. Tidakkah kita suka kalau dapat pujian dari Allah ‎ﷻ?


 

Ayat 156: Siapakah yang akan mendapat ucapan tahniah dari Allah ‎ﷻ? Disebut dalam ayat ini yang mereka itu adalah orang-orang yang sabar. Maka ini adalah ciri-ciri orang yang sabar.

الَّذينَ إِذا أَصٰبَتهُم مُّصيبَةٌ قالوا إِنّا لِلَّهِ وَإِنّا إِلَيهِ رٰجِعونَ

Sahih International

Who, when disaster strikes them, say, “Indeed we belong to Allah , and indeed to Him we will return.”

Malay

(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”

 

الَّذِينَ إِذَا أَصٰبَتْهُمْ مُّصِيبَةٌ

Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah cubaan,

Perkataan أَصَابَ asalnya bermakna dipanah dengan anak panah. Dari kalimah itu, ia jadi ‘musibah’ yang dikenakan kepada manusia (macam anak panah tepat kepadanya). Maknanya, memang apa-apa musibah itu memang telah ditakdirkan untuk kita, tidak boleh mengelakkannya lagi.

Kalimah مُصِيبَةٌ bermaksud kesusahan yang diberikan oleh Allah ‎ﷻ dan kena tepat kepada kita. Memang tidak dapat dielakkan lagi kerana memang Allah ‎ﷻ telah tentukan (takdir) untuk kita. Maka kalau kita kena musibah, yang kita kena lakukan adalah redha dengan apa yang Allah ‎ﷻ tentukan untuk kita.

Sekarang kita akan belajar satu lafaz yang kita biasa sebut. Nama lafaz ini adalah istirja’.

 

قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ

mereka berkata: Sesungguhnya kami ini sendiri adalah milik Allah

Alamat orang yang sabar adalah dia tidak merungut apabila ditimpa apa-apa musibah dan tidak keluar kata yang tidak elok daripada mulutnya. Ataupun tidak ternampak rasa tidak puas hati daripada rupa parasnya. Semua yang buruk akan keluar daripada orang yang tidak dilatih dengan sifat sabar

Orang sabar akan kata kita ini adalah milik Allah ‎ﷻ sebenarnya. Allah ‎ﷻ boleh berikan nikmat dan Allah ‎ﷻ boleh ambil balik. Baik nyawa, harta, kesihatan dan segalanya adalah milik Allah ‎ﷻ dan Dia boleh ambil balik.

Ingatlah bahawa semua yang kita ada di dunia ini sekarang bukanlah hak kita. Kalau kita faham kata-kata ini, maka senang untuk kita jadi sabar. Inilah kunci kesabaran kerana kebanyakan masalah dalam dunia ini akan mengalami pelbagai jenis kehilangan. Kehilangan nyawa, harta benda, ahli keluarga, kenalan kita, dan berbagai-bagai lagi.

Namun ingatlah bahawa semua itu bukan hak kita dan diri kita sendiri ini pun adalah hak Allah ‎ﷻ. Jangan kata benda yang rosak dan hilang itu bukan hak kita, diri kita sendiri ini pun bukan hak kita, tetapi hak Allah ‎ﷻ! Maka Allah ‎ﷻ boleh berbuat apa-apa sahaja kepada kita.

Jadi, kalau ada musibah apa sahaja yang terjadi, inilah lafaz zikir yang kita kena sebut. Ada satu hadith di mana pernah pelita dalam bilik Nabi ﷺ terpadam dan Nabi ﷺ mengucapkan perkataan yang disuruh kita ucapkan ini.

Aisyah رضي الله عنها kehairanan kerana yang terjadi hanya perkara kecil sahaja. Nabi ﷺ menjawab bahawa apa sahaja yang mengecewakan manusia adalah musibah.

Diberitakan bahawa pada suatu ketika lampu Nabi ﷺ padam, maka baginda pun mengucapkan istirja`, lalu kata Aisyah رضي الله عنها, “Bukankah ini hanya sebuah lampu!” Jawabnya, “Setiap yang mengecewakan (hati) orang mukmin itu bererti musibah.” Diriwayatkan oleh Abu Daud.

Maka ini mengajar kita yang kalimah istirja’ ini bukanlah untuk kematian sahaja. Ia adalah untuk apa-apa sahaja musibah yang menimpa kita. Ramai yang tidak faham hal ini. Kerana itu kalau kita dapat tahu berita kemalangan (tidak mati) dan kita istirja’, ada yang kehairanan dan berkata: “Eh, dia tak mati lagi….”. Memanglah kita tahu dia tidak mati lagi, tapi itulah ucapan yang terbaik untuk diucapkan.

 

وَإِنَّا إِلَيْهِ رٰجِعُونَ

dan sesungguhnya kepada Dialah juga kami akan kembali;

Kita semua akan kembali kepada-Nya. Kita semua akan kembali kepada-Nya untuk Allah ‎ﷻ buat penilaian sama ada kita hamba yang sabar atau tidak. Ini kita semua sudah tahu. Sekarang hendak disematkan di dalam hati sahaja.

Ujian sabar adalah dalam tiga hari pertama. Bila mula-mula kena musibah itu, kita sudah kena sabar kerana selalunya apabila sudah lama, manusia senang untuk sabar, jadi itu sudah tidak dikira. Namun mula-mula bila ia terjadi yang susah untuk sabar.

Dalam satu riwayat, seorang wanita mengalami kematian dalam keluarganya. Nabi ﷺ nampak keadaan wanita itu dan memberi nasihat kepada wanita itu untuk bersabar. Wanita itu sedang menangis dan tidak perasan yang memberi nasihat itu adalah Nabi ﷺ. Wanita itu kata bolehlah Nabi ﷺ minta dia sabar sebab benda itu tidak jadi pada baginda. Ada yang nampak kejadian itu dan telah menegur wanita itu kerana cakap begitu dengan Nabi ﷺ. Maka selang beberapa hari, wanita itu telah pergi kepada Nabi ﷺ dan beritahu baginda yang dia sudah bersabar dengan apa yang terjadi. Nabi ﷺ kata sabar itu kena ada semasa berlakunya perkara itu. Sabar selepas lama kejadian itu tidak dikira lagi.

Selalu kita dengar apabila terdengar sahaja ada sesiapa yang mati, kita akan cakap begini. Kita bukan kata tentang si mati sangat sebenarnya, tetapi kita mengaku kita juga milik Allah ‎ﷻ. Ingat bahawa kita juga akan mati, cuma dia yang mati itu sahaja yang perlu dahulu. Kita akan menyusul tidak lama lagi.

Ini sepatutnya mengingatkan kita, yang kita akhirnya akan kembali bertemu Allah ‎ﷻ juga. Oleh itu, segala masalah yang kita hadapi, tidak kira betapa besarnya, ia tidak akan berkekalan kerana ia akan berakhir juga.

Maka kalau kita ingatkan diri kita yang hidup di dunia ini sekejap sahaja, kuranglah sedikit kesan di hati kerana dalam hati kita akan sedar (sekejap sahaja musibah ini, nanti sudah mati, hilanglah….).


 

Ayat 157: Apakah balasan kepada mereka yang bersabar dengan apa yang terjadi?

أُولٰئِكَ عَلَيهِم صَلَوٰتٌ مِّن رَّبِّهِم وَرَحمَةٌ ۖ وَأُولٰئِكَ هُمُ المُهتَدونَ

Sahih International

Those are the ones upon whom are blessings from their Lord and mercy. And it is those who are the [rightly] guided.

Malay

Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.

 

أُولَٰئِكَ

Orang-orang (yang bersifat seperti itulah)

Orang-orang yang sentiasa bersabar dengan apa yang terjadi dan melafazkan lafaz istirja’ apabila ditimpa oleh musibah. Namun kenalah melafazkan istirja’ itu dengan faham apakah maksudnya. Kalau sebut tetapi tidak faham pun susah juga kerana kesannya tidak sampai.

 

عَلَيْهِمْ صَلَوٰتٌ مِّنْ رَّبِّهِمْ

ke atas mereka selawat daripada Tuhan mereka;

‘Selawat’ di sini bermaksud seperti ‘syabas’ kalau kita kata kepada orang yang berjaya. Jadi selawat itu adalah dalam bentuk tahniah daripada Tuhan sendiri. Allah ‎ﷻ ucapkan tahniah ke atas mereka kerana mereka boleh sabar. Ini adalah maksud selawat dalam ayat ini. Bahasa urdu dan farsi terjemah selawat dengan lafaz syabas macam kita ambil dan pakai dalam bahasa kita.

Mufassirin ada juga mengatakan bahawa yang dimaksudkan adalah Allah ‎ﷻ memberi arahan khas kepada malaikat-malaikat yang ditugaskan khas untuk mendoakan kepada mereka-mereka yang sabar.

 

وَرَحْمَةٌ

dan akan dapat rahmat

Rahmat yang khas daripada Allah ‎ﷻ. Maka kita kena berharap dengan rahmat Allah ‎ﷻ ini. Kita memang berharap sungguh dengan rahmat dari Allah ‎ﷻ kerana dengan rahmat-Nya sahaja kita boleh masuk ke dalam syurga.

 

وَأُولَٰئِكَ

Dan orang-orang yang bersifat seperti ini,

Iaitu yang mempunyai sifat-sifat  yang telah disebut tadi.

 

هُمُ الْمُهْتَدُونَ

mereka yang benar-benar termasuk orang yang dapat petunjuk.

Mereka jenis inilah yang betul-betul terpimpin. Ini adalah kerana mereka ada ilmu dan mereka praktikkan ilmu yang mereka tahu itu. Maka kenalah ada ilmu dahulu dan mempunyai pemahaman yang mendalam.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

 

Kemaskini: 20 Disember 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

4 thoughts on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 154 – 157 (Ujian Sabar)”

  1. Walaupun umur sya baru 12 tahun,
    sya enjoy bca tafsir dan makin lama alhamdullillah,makin faham.And skrang ni rasa teringin belajar Al quran n amalkan.Tq sebab tulis tafsirSemoga Allah mengurniakan kepada penulis Syurga Firdaus tanpa hisab☺️,moga kita berpimpinan tangan bersama ahli keluarga kita,insyaa Allah❤️

    Like

  2. Oh.. selama ni saya tertanya-tanya apa yang dimaksudkan dengan kekurangan jiwa tu.. rupanya kematian ye..

    Saya ingatkan ia ada kaitan dengan orang yang sakit jiwa, atau kata lainnya penyakit mental.

    Dalam keadaan zaman sekarang ni, agak jaranglah berlaku kematian mendadak dalam kalangan kenalan terdekat kita, melainkan di negara-negara bergolak.

    Apa pendapat tuan mengenai pesakit mental? Adakah mereka diuji dengan kekurangan jiwa? Bahasa mudahnya mungkin orang zaman sekarang labelkan sebagai “mental koyak”.

    Padahal kadang-kadang benda ni terjadi bukan semata-mata disebabkan keadaan sekeliling seseorang tu, tapi boleh jadi juga disebabkan adanya faktor genetik, yang mana kalau kita faham genetik ni pun salah satu takdir atau ketetapan Allah terhadap seseorang tu yang sememangnya tak dapat dielakkan. Yelah mana ada orang boleh pilih pun kan untuk dilahirkan dalam keturunan yang sihat atau sebaliknya?

    Dan setahu saya penyakit mental ni bukanlah penyakit zaman moden pun, bahkan zaman Nabi pun dah ada kan.

    Komen ustaz?

    Like

    1. Ya sakit mental memang tinggi sekarang. lebih tinggi dari zaman dulu. sekarang kalau di Malaysia pun sudah ada 30% dari rakyat Malaysia. dalam spektrum yang berbagai. kalau yang bunuh diri tu dalam 3% rasanya.

      masalah ya bukan dari persekitaran sahaja. banyak sangat. antaranya kerana faktor biologi. boleh baca Change Your Brain, Change Your Life by Daniel Amen. juga disebabkan oleh pembelajaran kita. kerana emotional intelligence tidak diajar di sekolah. mungkin kerana kurang iman, jadi tidak percaya dengan qada’ dan qadar Allah. mungkin juga kerana pemakanan. kerana pemakanan yang kurang probiotic menyebabkan gangguan emosi juga. kerana perut pun ada kaitan dengan otak kita.

      jadi macam-macam hal boleh jadi. masalahnya, ia tidak ditangani dengan yang sepatutnya. selalunya kita tidak ada orang yang boleh ajar tentang hal ini di kalangan kita. kadang tersilap cerita kepada orang yang tidak ada ilmu, lagi teruk jadi orang itu. orang kita pun segan nak jumpa psikiatrik walaupun kalau di hospital kerajaan tu percuma sahaja.

      Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s