Tafsir Surah Baqarah Ayat 152 (Jangan Kufur Nikmat)

Baqarah Ayat 152: Sebelum ini telah disebut rahmat yang Allah ‎ﷻ berikan, maka sekarang ingat dan bersyukurlah kepada Allah ‎ﷻ. Itulah yang kita perlu lakukan setelah mendapat nikmat, bukan? Sebelum ini ayat tentang tugas Rasul dan umat baginda kerana Nabi Muhammad ﷺ adalah Nabi akhir zaman, maka tugas Nabi ﷺ terbeban di atas bahu umat baginda. Jadi ada tiga tugas yang disebut dalam ayat sebelum ini:

1. Baca ayat Allah ‎ﷻ kepada hamba Allah ‎ﷻ untuk mengajak hamba Allah ‎ﷻ kenal Allah ‎ﷻ dan taat kepada Allah ‎ﷻ. Ini melibatkan interaksi dengan orang lain.

2. Menyucikan hati manusia. Nabi ﷺ telah ajar cara untuk melakukannya dan masing-masing kena ikhtiar sebab Nabi ﷺ tidak boleh menyucikan hati orang lain. Nabi ﷺ cuma boleh ajar dan beritahu kelebihan melakukannya. Inilah amalan yang dinamakan ‘tazkiyah’. Ini jenis amalan berseorangan.

3. Mengajar kitab Al-Qur’an dan Sunnah. Sunnah adalah cara pelaksanaan. Ini juga amalan yang kena berhubung dengan orang lain. Nabi ﷺ kena ‘ajar’ dan maksud ‘ajar’ itu adalah sehingga orang itu pandai. Namun berkenaan tazkiyah, oleh kerana kena buat sendiri, maka Nabi ﷺ tidak dapat memastikan orang itu pandai, maka Allah ‎ﷻ terangkan lagi dalam ayat seterusnya ini.

Secara ringkas, menyucikan hati dan akhlak ada lima (5) cabang. Apabila cukup lima cabang ini, barulah dikira hati manusia itu bersih dan jiwanya telah terdidik. Barulah boleh hati itu menerima hukum dan amalkan sunnah dengan mudah. Kalau tidak, memang payah sebab hati liar, tidak jinak. Lima cabang itu adalah:

1. Zikir kepada Allah ‎ﷻ.
2. Syukur
3. Sabar
4. Doa
5. Ta’zim

Maka di dalam ayat ini disebut khusus tentang zikir dan syukur. Orang yang tidak mensyukuri nikmat Tuhan yang telah ada, tidaklah akan merasai nikmat Islam itu. Maka zikir dan syukur, adalah dua pegangan teguh yang banyak diterangkan di dalam Al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah ﷺ.

فَاذكُروني أَذكُركُم وَاشكُروا لي وَلا تَكفُرونِ

Sahih International

So remember Me; I will remember you. And be grateful to Me and do not deny Me.

Malay

Oleh itu ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi hukum dan undang-undang-Ku), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur (akan nikmat-Ku).

 

فَاذْكُرُونِي

Maka kalian ingatlah Aku;

Latihlah diri kita supaya sentiasa mengingati Allah ‎ﷻ. Zikir di sini bukanlah zikir lidah biasa tetapi zikir orang yang ada akidah tauhid. Apabila seseorang itu sudah ada akidah tauhid yang kemas dalam diri, barulah zikir itu memberi kesan kepada diri dia sebab semua ayat zikir dalam Al-Qur’an bermaksud ‘zikir tauhid’. Bukanlah setakat dibaca-baca kosong sahaja dengan lidah tapi tidak faham apakah itu tauhid.  Kalau seseorang itu ada fahaman syirik, zikir itu tidak memberi kesan kepada dirinya. Sebab itu kita boleh lihat bagaimana ada orang yang banyak lafaz zikir dia, tetapi dia ada juga akidah tauhid kerana zikirnya itu tidak memberi kesan kepada jiwanya. Dia tidak faham pun apa yang dia zikirkan.

Zikir ada jenisnya. Yang pertama adalah zikir yang diajar Nabi ﷺ seperti membaca Al-Qur’an.

Yang kedua adalah zikir yang diajar Nabi ﷺ pada waktu-waktu tertentu atau tempat-tempat tertentu. Ini dinamakan ‘Zikir Masnoon’. Sebagai contoh, telah diajar apakah doa yang perlu dibaca sebelum masuk tandas, keluar rumah dan sebagainya. Nabi ﷺ sudah ajar supaya umat setiap waktu akan ingat Allah ‎ﷻ dan dalam masa yang sama, ingat tauhid. Kerana semua zikir-zikir itu sebenarnya mengingatkan kepada tauhid. Ini adalah latihan tazkiyah kepada Allah ‎ﷻ. Iaitu supaya apabila hamba berada dalam keadaan dan suasana yang ada potensi boleh merosakkan akidah, kita diajar untuk ingat kepada Allah ‎ﷻ. Oleh itu, setiap waktu kena serah diri kita kepada Allah ‎ﷻ. Ini akan menjalinkan hubungan rapat dengan Allah ‎ﷻ. Kita lakukan zikir ini di waktu manusia lain lalai dengan Allah ‎ﷻ.

Ketiga, ada juga zikir yang tidak ditetapkan masa, terpulang kepada hamba itu bila-bila masa sahaja dia hendak buat. Allah ‎ﷻ akan beri ganjaran mengikut betapa banyak amalannya. Begitulah yang diajar oleh Allah ﷻ di dalam Ali Imran:191

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَـٰمًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَٰطِلًا سُبْحَٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.

Kena jelaskan lagi tentang hal zikir ini. Inilah sahaja yang puak tasawuf banyak buat. Iaitu, mereka banyak mengajar dan menyarankan kepada anak murid mereka untuk berzikir sahaja. Maka, amalan berzikir itulah sahaja yang banyak diamalkan oleh pengikut tarekat. Sampai beribu malah berjuta kali mereka akan buat.

Sedangkan membaca Al-Qur’an lagi banyak pahala. Imam Syafi’iy khatam Al-Qur’an sehari semalam dalam salat. Kalau dalam Ramadhan, beliau khatam dua kali Al-Qur’an sehari semalam. Namun malangnya, orang kita tidak banyak membaca Al-Qur’an, tetapi banyak baca wirid.

Ayat ini digunakan sebagai dalil bagi mereka yang kata bahawa ayat ini menyuruh manusia berzikir kepada Allah ‎ﷻ beramai-ramai kerana mereka melihat perkataan فَاذْكُرُونِي dalam bentuk jamak (plural). Bukan itu maksud ayat ini. Itu adalah tafsiran pemahaman yang salah. Ia hendak memberitahu bahawa kita semua kena berzikir, tetapi bukanlah berzikir beramai-ramai. Berzikir beramai-ramai adalah satu perbuatan bid’ah. Kita digalakkan berzikir, tetapi buat sendiri-sendiri.

Huruf فَ dalam perkataan فَاذْكُرُونِي ini bersambung daripada ayat sebelum itu. Ayat sebelum ini Allah ‎ﷻ telah memberikan Rasul kepada kita, mengajar kita tentang Al-Qur’an dan Hikmah dan telah membersihkan kita. Bermakna, selepas kita tahu bahawa Allah ‎ﷻ telah banyak melakukan kebaikan untuk kita, maka kita sepatutnya senang untuk mengingati Allah ‎ﷻ.

Mengingati Allah ‎ﷻ bukan hanya dengan berzikir meratib sahaja. Kalau kita membaca Al-Qur’an, itu pun sudah dikira mengingati Allah ‎ﷻ. Begitu juga kalau kita pergi ke majlis ilmu. Atau kita bercakap kepada manusia tentang Allah ‎ﷻ dalam percakapan kita, itu juga berzikir kepada Allah ‎ﷻ. Jangan sempitkan maksud zikir itu.

Kekeliruan tentang perkara inilah yang menyebabkan banyak yang keliru sampaikan mereka melebihkan majlis zikir meratib sehingga mereka telah melakukannya ke tahap bid’ah. Begitu penting untuk kita ingat kepada Allah ‎ﷻ sampaikan kalau kita lupa kepada Allah ‎ﷻ, Allah ‎ﷻ akan menyebabkan kita lupa kepada diri kita.

Cuma zikir ini ada tiga elemen: hati – lidah – perbuatan. Maknanya zikir itu bukan di lidah sahaja, tetapi hati pun kena bersama ingat kepada Allah ﷻ. Lidah menyucikan dan memuji Allah ﷻ, fikiran dan hati melalui perhatian terhadap tanda-tanda kebesaran-Nya, dan anggota badan dengan jalan melaksanakan perintah-perintah-Nya.

Kalau kita berzikir menyebut nama Allah tetapi ketika itu kita teringatkan lembu dan kambing, adakah itu elok? Kerana itu ada ulama’ yang mengatakan zikir tanpa hadhir hati tidak ada pahala (ini berlainan dengan bacaan Al-Qur’an – kalau tidak sedar baca Al-Qur’an pun tetap dapat pahala). Cuma ada juga yang kata kalau tidak ingat dengan hati pun, ada juga kelebihan zikir lisan itu. Kerana daripada sebut benda-benda merapu tidak tentu hala, membawang dan sebagainya, lebih baik lidah basah dengan zikir.

Zikir hati dan lidah tetapi di dalam masa yang sama tidak taat kepada perintah Allah ﷻ, pun tidak ada gunanya. Inilah zikir perbuatan yang tidak kurang pentingnya. Sa’id ibn Jubayr berkata,

فمن لم يطعه لم يذكره وإن كثر صلاته وتسبيحه
Sesiapa yang tidak taat kepada-Nya, tidak zikir kepadaNya, walaupun seseorang itu banyak solatnya dan tasbihnya

Kerana itu zikir terbaik adalah Solat kerana di dalam Solat ada ketiga-tiga elemen ini. Lihat firman Allah ﷻ di dalam Ankabut:45

اتلُ ما أوحِيَ إِلَيكَ مِنَ الكِتٰبِ وَأَقِمِ الصَّلَوٰةَ ۖ إِنَّ الصَّلَوٰةَ تَنهىٰ عَنِ الفَحشاءِ وَالمُنكَرِ ۗ وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ ۗ وَاللهُ يَعلَمُ ما تَصنَعونَ
Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu dari Al Kitab (Al Qur’an) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Allah ﷻ sebut mengingat-Nya selepas sebut tentang solat kerana Allah ﷻ hendak memberitahu kelebihan Solat di mana ia bukan sahaja menjaga kita daripada perbuatan mungkar tetapi ia memberi kelebihan kepada kita untuk mengingati Allah ﷻ. Memang sepanjang kita solat adalah latihan untuk sedar kehadiran Allah ﷻ. Kena ingat yang kita sedang mengadap Allah ﷻ ketika itu dan Allah ﷻ sedang memerhatikan kita. Kalau kita dapat khusyuk selama 10 minit kita di dalam solat itu, maka kita teruskan dengan sedar Allah ﷻ memerhatikan kita di luar solat.

Selepas sebut tentang solat, Allah ﷻ sebut وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ. Ia memberitahu bahawa ingatan kita kepada Allah ﷻ adalah sesuatu yang amat besar. Ia lebih besar daripada dunia dan segala isinya. Ia dapat menghalang manusia daripada melakukan keburukan di atas muka bumi ini dan ia akan menyebabkan manusia mudah untuk melakukan kebaikan. Orang yang sanggup melakukan maksiat itu adalah kerana mereka tidak ingat kepada Allah ﷻ. Juga kerana mereka tidak menjaga solat mereka. Mungkin orang boleh tanya: “eh kenapa dia solat, tapi perangai buruk?” Ini kerana kualiti solatnya tidak terjaga, dia mungkin solat kerana terpaksa dan dibuat sambil lewa sahaja. Dia juga mungkin tidak khusyuk di dalam solatnya kerana dia tidak faham pun apa dia cakap di dalam solatnya.

Kalimat وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ bermaksud, ingat kepada Allah ﷻ melalui solat ini lebih besar daripada zikir dengan cara-cara lain. Kerana ada zikir dalam hati, di lisan dan juga di dalam bentuk perbuatan sekali. Orang kita ramai yang suka berzikir dengan berbagai-bagai cara termasuklah dengan cara yang bid’ah. Mereka lupa bahawa cara mengingat Allah ﷻ yang paling utama adalah dengan solat. Yang paling kurang bijak adalah kumpulan sufi tarekat. Mereka diajar oleh tok guru mereka untuk zikir dengan zikir mereka beribu kali dalam sehari. Jadi bila masanya hendak solat sunat? Mereka lebihkan zikir bid’ah mereka itu dari solat. Ini kerana kejahilan mereka yang senang sangat percaya kepada tok guru yang dapat amalan zikir mereka pun entah dari siapa. Ada kata daripada Nabi lah, ada kata daripada Wali lah, ada daripada mimpilah. Inilah kumpulan paling bodoh dalam dunia. Dengan mimpi pun mereka boleh percaya. Malah mereka perasan Nabi datang jumpa mereka semata-mata kerana hendak beri amalan baru. Pigi dah. Maka lakukanlah solat sunat banyak-banyak. Itu lebih baik daripada zikir beribu-ribu.

 

أَذْكُرْكُمْ

Maka Aku akan ingat kepada kalian;

Kalau kita ingat kepada Allah ‎ﷻ, Allah ‎ﷻ akan balas dengan ingat kepada kita. Adakah ingat kosong sahaja? Tentulah tidak. Kalau makhluk ingat kepada kita, tidaklah ada apa-apa sangat. Namun kalau Allah ﷻ yang ingat kepada kita, maka tentulah ada kelebihan dan pahala yang membawa ke syurga.

Maka ini adalah janji Allah ﷻ kepada kita kalau kita ingat kepada-Nya. Bandingkan kalau kita ingat kepada manusia – sebanyak mana pun kita ingat kepada mereka, belum tentu mereka akan ingat kepada kita. Namun dalam ayat ini menyebutkan bahawa Allah ‎ﷻ akan ingat kepada kita kalau kita ingat kepada Dia. Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ meriwayatkan sebuah hadith qudsi daripada Rasulullah ﷺ:

يقولُ اللَّهُ تَعالَى: أنا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بي، وأنا معهُ إذا ذَكَرَنِي، فإنْ ذَكَرَنِي في نَفْسِهِ ذَكَرْتُهُ في نَفْسِي، وإنْ ذَكَرَنِي في مَلَإٍ ذَكَرْتُهُ في مَلَإٍ خَيْرٍ منهمْ، وإنْ تَقَرَّبَ إلَيَّ بشِبْرٍ تَقَرَّبْتُ إلَيْهِ ذِراعًا، وإنْ تَقَرَّبَ إلَيَّ ذِراعًا تَقَرَّبْتُ إلَيْهِ باعًا، وإنْ أتانِي يَمْشِي أتَيْتُهُ هَرْوَلَةً.
Allah berfirman: “Aku bersama sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku, dan Aku bersamanya apabila dia mengingati-Ku. Jika dia mengingati-Ku dalam dirinya, Aku akan mengingatinya dalam diri-Ku, dan jika dia mengingati-Ku dalam satu kumpulan, Aku akan menyebutnya di hadapan kumpulan yang lebih baik daripada mereka. Jika dia mendekati-Ku sejengkal, Aku akan mendekatinya sehasta; jika dia mendekati-Ku sehasta, Aku akan mendekatinya sedepa, dan jika dia datang kepada-Ku berjalan, Aku akan datang kepadanya berlari kecil.”
(Sahih al-Bukhari No. 7405 dan Muslim No. 2675)

Ada ketikanya, kita sentiasa ingat kepada orang-orang yang penting, sama ada pemimpin atau guru agama yang kita sayang – kita ingat mereka sentiasa, namun mereka tidak ingat kepada kita langsung. Itu adalah orang-orang yang penting dan besar daripada kita, tetapi siapakah lagi yang lebih besar daripada Allah ‎ﷻ? Tentulah lebih penting lagi kepada kita kalau Allah ‎ﷻ yang ingat kepada kita. Kalau orang yang kita sayang ingat kepada kita pun kita sudah suka. Tambahan pula kalau Allah ‎ﷻ yang ingat kepada kita. Tentulah itu adalah satu nikmat yang amat besar. Jadi setiap kali kita ingat kepada Allah ﷻ, ketahuilah yang ketika itu juga dan saat itu juga Allah ﷻ sedang ingat kepada kita juga. Apabila Allah ﷻ ingat kepada kita, itu tandanya Allah ﷻ sayang kepada kita dan apabila Allah ﷻ sayang kepada kita, makhluk pun akan sayang kepada kita, ini seperti disebut di dalam hadith yang lain.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى إِذَا أَحَبَّ عَبْدًا نَادَى جِبْرِيلَ إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَحَبَّ فُلَانًا فَأَحِبَّهُ فَيُحِبُّهُ جِبْرِيلُ ثُمَّ يُنَادِي جِبْرِيلُ فِي السَّمَاءِ إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَحَبَّ فُلَانًا فَأَحِبُّوهُ فَيُحِبُّهُ أَهْلُ السَّمَاءِ وَيُوضَعُ لَهُ الْقَبُولُ فِي أَهْلِ الْأَرْضِ (رواه البخاري)
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata, “Bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya Allah تَبَارَكَ وَتَعَالَى jika mencintai seseorang, maka Allah akan memanggil Jibril, ‘(wahai Jibril) Sesungguhnya Allah mencintai fulan maka cintailah dia, sehingga Jibril pun mencintainya. Kemudian Jibril memanggil seluruh penghuni langit seraya berseru, ‘Sesungguhnya Allah mencintai si fulan maka cintailah dia, maka penghuni langit pun mencintainya, sehingga orang tersebut diterima oleh penduduk bumi.”
(Sahih Bukhari No. 1502).

Masa sedang berzikir itu, kita kena yakin yang Allah ‎ﷻ sedang ingat kepada kita. Inilah kelebihan utama dari perlakuan zikir kita itu. Inilah yang kita hendak dan rasa puas dengannya. Kita rasa puas sebab Allah ‎ﷻ ingat kepada kita. Apabila hubungan kita dengan Allah ‎ﷻ kuat, ia memberi kekuatan kepada kita untuk buat kerja Allah ‎ﷻ.

Jadi kena luangkan masa untuk zikir. Inilah yang banyak dilakukan oleh ulama Salafussoleh. Mereka akan meluangkan masa dalam sehari suntuk mereka untuk berzikir kepada Allah ‎ﷻ. Bukanlah mereka hanya meluangkan masa dengan mengajar dan menulis kitab sahaja, tetapi mereka akan meluangkan masa tertentu untuk berzikir kepada Allah ‎ﷻ. Mereka kuatkan tautan antara hati mereka dengan Allah ‎ﷻ.

 

وَاشْكُرُوا لِي

dan bersyukurlah kalian kepada-Ku;

Jadi, cabang tazkiyah yang pertama adalah berzikir kepada Allah ‎ﷻ. Yang kedua, berterima kasih kepada Allah ‎ﷻ di atas segala pemberian-Nya. Pertama, dengan ucap lafaz syukur. Kedua, dengan menggunakan nikmat yang telah diberikan itu seperti yang dikehendaki oleh Allah ‎ﷻ. Kalau kita buat begitu, Allah ‎ﷻ akan tambah nikmat itu. Nikmat yang telah diberikan itu tidak akan berkurangan. Jadi kalau mahu nikmat ditambah, maka kena bersyukur di atas nikmat yang kita telah dapat. Kalau ada berlaku keadaan di mana ada nikmat yang berkurangan, itu adalah tanda hamba itu lupa bersyukur.

Cuma atas terbaca bahawa Allah ﷻ mendahulukan perintah mengingat diri-Nya atas mengingat nikmat-Nya, kerana mengingat Allah ﷻ lebih utama daripada mengingat nikmat-nikmat-Nya.

Satu lagi perkara yang kita perlu lakukan untuk memenuhi syarat syukur kepada Allah ‎ﷻ adalah dengan taat kepada Allah ‎ﷻ. Ini memerlukan pedoman daripada Allah ‎ﷻ juga, kerana kalau Allah ‎ﷻ tidak mengajar kepada kita, kita pun tidak akan tahu bagaimanakah cara untuk bersyukur kepada-Nya. Taat kepada Allah ‎ﷻ boleh dilakukan dengan melakukan ibadat kepada-Nya dan ibadat yang paling penting untuk menunjukkan kesyukuran kita kepada-Nya adalah dengan mengerjakan solat.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut, kalau kita ingat kepada Allah ‎ﷻ, Allah ‎ﷻ akan ingat kepada kita. Oleh itu, salah satu perkara yang kita kena bersyukur adalah Allah ‎ﷻ ingat kepada kita. Itu pun sudah satu nikmat yang besar.

Sebelum ini kita telah jumpa banyak ayat tentang nikmat-nikmat pemberian daripada Allah ﷻ. Semua yang Allah ﷻ telah sebutkan itu Allah ﷻ berikan kepada kita supaya kita boleh bersyukur kerana Allah ﷻ telah mudahkan banyak benda untuk kita. Janganlah guna sahaja, tetapi haruslah bersyukur kepada Allah ﷻ. Kita telah sebut yang syukur itu bukan hanya menyebut alhamdulillah sahaja, tetapi harus taat kepada Allah ﷻ. Jangan pula semua nikmat Allah ﷻ kita mahu gunakan, tetapi hukum Dia kita tidak ikut pula. Ini tidak patut sama sekali.

Namun yang lebih penting kita kena tahu adalah bagaimana cara bersyukur? Adakah hanya dengan menyebut Alhamdulillah sahaja? Itu tidak cukup kerana perbuatan syukur yang sebenar adalah dengan mentaati perintah Allah ﷻ dan meninggalkan larangan-Nya. Barulah dikira benar-benar syukur. Kalau kita mendapat sesuatu daripada orang, adakah kita akan lawan cakap dia? Tentu tidak, bukan? Maka begitulah juga dengan Allah ﷻ. Dengan segala nikmat yang telah diberikan kepada kita, adakah layak kita melawan arahan-Nya? Allah ﷻ ajar kita cara bersyukur seperti disebut dalam Baqarah:172

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا كُلُوْا مِنْ طَيِّبٰتِ مَا رَزَقْنٰكُمْ وَاشْكُرُوْا لِلّٰهِ اِنْ كُنْتُمْ اِيَّاهُ تَعْبُدُوْنَ
Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.

Ternyata di dalam ayat ini Allah ﷻ memberitahu yang jikalau kita mendapat rezeki makanan, maka hendaklah bersyukur. Ayat ini kena dibaca dengan Mukminoon:51 untuk mendapat pemahaman tentang apakah itu syukur.

يا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلوا مِنَ الطَّيِّبٰتِ وَاعمَلوا صٰلِحًا
Hai rasul-rasul, makanlah daripada makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang soleh.

Kalau dibaca kedua-dua ayat ini, kita boleh kaitkan bahawa syukur yang dimaksudkan di dalam Baqarah:172 itu adalah dengan melakukan amal soleh seperti disebut pula di dalam Mukminoon:51. Inilah kaitan antara syukur dan beramal soleh. Maka ia bukanlah dari segi iktikad dan melafazkan Alhamdulillah sahaja, tetapi hendaklah diikuti dengan melakukan amal soleh. Kerana itulah Rasulullah ﷺ banyak melakukan ibadat seperti yang disebut di dalam hadith yang masyhur,

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَلَّى قَامَ حَتَّى تَفَطَّرَ رِجْلَاهُ قَالَتْ عَائِشَةُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَتَصْنَعُ هَذَا وَقَدْ غُفِرَ لَكَ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ فَقَالَ يَا عَائِشَةُ أَفَلَا أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا
Aisyah رضي الله عنها berkata, Rasulullah ﷺ ketika melaksanakan solat maka baginda berdiri hingga kedua kakinya bengkak. Aisyah رضي الله عنها bertanya, “Wahai Rasulullah, apa yang engkau perbuat, sedangkan dosamu yang telah lalu dan yang akan datang telah diampuni?” Lalu baginda menjawab, “Wahai Aisyah, bukankah seharusnya aku menjadi hamba yang banyak bersyukur?”.
(Sahih Muslim No. 5046)

Dari sini kita dapat belajar bahawa semakin banyak nikmat yang kita dapat, hendaklah kita menunjukkan syukur dengan lebih banyak melakukan ibadah.

 

وَلَا تَكْفُرُونِ

dan jangan kalian kufur;

Apabila ayat dalam Al-Qur’an hanya menyebut ‘jangan kufur’, itu bermaksud jangan kufur nikmat Allah ‎ﷻ. Iaitu tidak menghargai segala nikmat yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita dengan tidak mensyukuri-Nya. Kalau kufur kepada Allah ‎ﷻ, ayat Al-Qur’an akan menambah perkataan ‘dengan-Ku’ dalam ayat itu – la takfuruu bi. Oleh itu ketahuilah yang kufur itu ada banyak jenis. Ada kufur yang mengeluarkan seseorang itu daripada Islam dan ada yang tidak. Contohnya seperti ayat Baqarah: 152 ini, ia bermaksud kufur nikmat. Iaitu tidak iktiraf yang Allah ﷻ telah beri nikmat kepada kita. Ada orang yang mendapat segala nikmat namun dia tidak kata itu daripada Allah ﷻ, tetapi daripada kepandaian dia bekerja atau berniaga katanya.

Satu lagi kufur nikmat adalah dengan tidak menggunakan pemberian Allah ﷻ itu untuk kebaikan seperti yang telah disebut di atas tadi.

Juga kena ingat yang kita sekarang menikmati segala pemberian daripada Allah ﷻ. Jika Allah ﷻ yang telah memberikan segalanya kepada kita, takkan kita hendak melawan Dia pula? Bayangkan ada orang yang beri hadiah dan kurnia kepada kita, tetapi kita lawan cakapnya, bagaimana?

Apabila Allah ‎ﷻ menyuruh kita bersyukur dan kemudian ditambah lagi dengan perkataan jangan jadi kufur (tidak mensyukuri-Nya), maka itu adalah satu penekanan kepada kita supaya berterusan mensyukuri kepada Allah ‎ﷻ sebab kalau Al-Qur’an hanya suruh bersyukur kepada-Nya sahaja, mungkin itu boleh dikatakan hanya sementara atau beberapa kali sahaja. Namun apabila sudah ada penekanan sebegini, maka ia adalah supaya kita berterusan mensyukuri Allah ‎ﷻ. Penerangan lebih lanjut telah ada di dalam Ibrahim:7

وَإِذ تَأَذَّنَ رَبُّكُم لَئِن شَكَرتُم لَأَزيدَنَّكُم ۖ وَلَئِن كَفَرتُم إِنَّ عَذابي لَشَديدٌ
Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih”.

Ramai yang kata azab yang dimaksudkan dalam itu adalah azab neraka tetapi sebenarnya ‘azab dunia’ yang dimaksudkan. Kita dapat tahu kerana ya mutakallim dikekalkan. Maksudnya azab yang tidak kekal, maka ia adalah azab dunia. Dalilnya kita boleh lihat ayat Nahl: 112

وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا قَرْيَةً كَانَتْ آمِنَةً مُّطْمَئِنَّةً يَأْتِيهَا رِزْقُهَا رَغَدًا مِّن كُلِّ مَكَانٍ فَكَفَرَتْ بِأَنْعُمِ اللَّهِ فَأَذَاقَهَا اللَّهُ لِبَاسَ الْجُوعِ وَالْخَوْفِ بِمَا كَانُوا يَصْنَعُونَ
Dan (berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar) Allah memberikan satu contoh: Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan.

Mereka telah dikenakan dengan pakaian kelaparan dan ketakutan. Ini adalah kisah Negeri Saba’. Selepas Ratu Balqis sudah tiada, penduduk tempat itu tidak mengamalkan tauhid lagi. Mereka telah menjadi terlalu mewah dan akhirnya mereka telah menjadi malas. Mereka banyak menghabiskan masa dengan temasya dan berjalan melancong sahaja.

Akhirnya Allah ﷻ timpakan bala kepada mereka di mana empangan mereka yang hebat itu Allah ﷻ telah pecahkan. Maka negeri mereka menjadi mundur dan berada dalam kelaparan. Bukankah kelaparan dan ketakutan ini azab dunia? Allah ﷻ sebut dalam Taha:124 yang Allah ﷻ akan berikan kehidupan yang sempit kepada mereka,

وَمَن أَعرَضَ عَن ذِكري فَإِنَّ لَهُ مَعيشَةً ضَنكًا وَنَحشُرُهُ يَومَ القِيامَةِ أَعمىٰ
“Dan sesiapa yang berpaling ingkar daripada ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”.

Maka jangan kita tinggalkan zikir kepada Allah ﷻ. Alhamdulillah Allah ‎ﷻ telah memberikan kepada kita amalan salat untuk memenuhi tuntutan mensyukuri-Nya. Jadi kita kena jaga salat. Maka, cubalah berusaha untuk salat dengan khusyuk dan kita kena tambah dengan amalan-amalan ibadat yang lain.

 

Sekarang mari kita bincangkan Komposisi Cincin bagi Makro Keempat Surah Baqarah ini. Sila rujuk Ayat 5 untuk pengenalan kepada Komposisi Cincin ini. Makro Keempat ini berkenaan Pertukaran Kiblat ke Ka’bah (ayat 142 – 152). Yang menariknya, kedudukannya di tengah-tengah antara Makro-makro yang lain. Dan topiknya pula tentang ‘pertukaran’ yang boleh ke kanan atau ke kiri.

Penerangan tentang kaitan antara topik:

[D1]/[D1′] – Kedua-dua bahagian ini mengandungi kepentingan Nabi Muhammad ﷺ sebagai Rasul untuk diikuti. Di Bahagian [D1] disebut baginda akan menjadi saksi ke atas kita dan disebut pertukaran kiblat itu adalah untuk menguji siapakah yang mengikut baginda dengan benar. Di dalam [D1′] pula disebut tugas baginda untuk menyampaikan ajaran agama kepada manusia.

[D2]/[[D2’] – Kedua-dua Bahagian ini mengandungi arahan kepada Rasulullah ﷺ untuk memindahkan kiblat ke MasjidilHaram. Diberitahu bahawa Ahli Kitab tidak akan mengikuti kiblat baginda ini.

[D3] – Di Bahagian tengah ini disebut setiap manusia ada kiblat mereka masing-masing (مُوَلِّيہَا‌). Ia sesuai di tengah-tengah kerana ia boleh ke kiri atau ke kanan. Manusia boleh taat kepada arahan Allah ‎ﷻ dengan mengadap ke arah kiblat yang baru atau mereka boleh menjadi degil dan ikut kiblat mereka sendiri.

 

Jadi kita sudah melihat Makro Ketiga iaitu makro pertengahan surah ini. Yang menariknya di dalam Makro ini ada kalimah أُمَّةً وَسَطًا (umat pertengahan) dan memang ia terletak di tengah-tengah surah! Hebat sekali susunan yang Allah ‎ﷻ telah buat bagi surah ini.

Sekian Ruku’ 18 daripada 40 surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 7 Julai 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Maariful Qur’an

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Heavenly Order

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

6 thoughts on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 152 (Jangan Kufur Nikmat)”

  1. Walaupun umur sya baru 12 tahun,
    sya enjoy bca tafsir dan makin lama alhamdullillah,makin faham.And skrang ni rasa teringin belajar Al quran n amalkan.Tq sebab tulis tafsirSemoga Allah mengurniakan kepada penulis Syurga Firdaus tanpa hisab☺️,moga kita berpimpinan tangan bersama ahli keluarga kita,insyaa Allah❤️

    Like

  2. Oh.. selama ni saya tertanya-tanya apa yang dimaksudkan dengan kekurangan jiwa tu.. rupanya kematian ye..

    Saya ingatkan ia ada kaitan dengan orang yang sakit jiwa, atau kata lainnya penyakit mental.

    Dalam keadaan zaman sekarang ni, agak jaranglah berlaku kematian mendadak dalam kalangan kenalan terdekat kita, melainkan di negara-negara bergolak.

    Apa pendapat tuan mengenai pesakit mental? Adakah mereka diuji dengan kekurangan jiwa? Bahasa mudahnya mungkin orang zaman sekarang labelkan sebagai “mental koyak”.

    Padahal kadang-kadang benda ni terjadi bukan semata-mata disebabkan keadaan sekeliling seseorang tu, tapi boleh jadi juga disebabkan adanya faktor genetik, yang mana kalau kita faham genetik ni pun salah satu takdir atau ketetapan Allah terhadap seseorang tu yang sememangnya tak dapat dielakkan. Yelah mana ada orang boleh pilih pun kan untuk dilahirkan dalam keturunan yang sihat atau sebaliknya?

    Dan setahu saya penyakit mental ni bukanlah penyakit zaman moden pun, bahkan zaman Nabi pun dah ada kan.

    Komen ustaz?

    Like

    1. Ya sakit mental memang tinggi sekarang. lebih tinggi dari zaman dulu. sekarang kalau di Malaysia pun sudah ada 30% dari rakyat Malaysia. dalam spektrum yang berbagai. kalau yang bunuh diri tu dalam 3% rasanya.

      masalah ya bukan dari persekitaran sahaja. banyak sangat. antaranya kerana faktor biologi. boleh baca Change Your Brain, Change Your Life by Daniel Amen. juga disebabkan oleh pembelajaran kita. kerana emotional intelligence tidak diajar di sekolah. mungkin kerana kurang iman, jadi tidak percaya dengan qada’ dan qadar Allah. mungkin juga kerana pemakanan. kerana pemakanan yang kurang probiotic menyebabkan gangguan emosi juga. kerana perut pun ada kaitan dengan otak kita.

      jadi macam-macam hal boleh jadi. masalahnya, ia tidak ditangani dengan yang sepatutnya. selalunya kita tidak ada orang yang boleh ajar tentang hal ini di kalangan kita. kadang tersilap cerita kepada orang yang tidak ada ilmu, lagi teruk jadi orang itu. orang kita pun segan nak jumpa psikiatrik walaupun kalau di hospital kerajaan tu percuma sahaja.

      Like

  3. Amboiii kmain sdap bidaakn org zikir ramai2 kpala angukkkk ko,
    Sebut² allah boleh d kata bidaah abis org mnyayi mjerik teriak terlolong lgsug x igt allah xnk plak kata bidaah (perkara xprnh d wat oleh zmn nabi

    Like

    1. Assalamualaikum saudari. Selamat datang ke blog ini kalau ini adalah kali pertama anda ke sini. Terima kasih kerana memberikan komen. Semoga ini menjadi penyebab kepada perbincangan ilmiah. Saya sentiasa mengalu-alukan pertukaran pendapat. Pertukaran pendapat dapat mematangkan kita dan menambah ilmu yang ada.

      Seterusnya saya meminta maaf kerana menyentuh amalan yang mungkin anda amalkan. Tujuan saya adalah mengajar ilmu agama dan antara perkara yang perlu disampaikan adalah amalan salah di dalam masyarakat. Ini biasa sahaja iaitu tegur menegur.

      Tentang zikir Allah, Allah secara tunggal menjadi perbincangan di kalangan muslimin. Bagi yang mengatakan ia bid’ah, ini adalah kerana tidak ada dalil bagi amalan ini. Kalau ada dalil, saya memohon supaya dikongsikan kerana saya pun hendak tahu juga. Saya sendiri pun hendak amal kalau ada dalilnya.

      Baik, anda berikan hujah: kenapa tak tegur perbuatan menyanyi pula? Ini komen saya ya,

      1. Anda kata ia tidak ada zaman Nabi. Sebenarnya ia dilakukan oleh non-muslim di zaman baginda. Kalau baca sirah, Nabi sendiri pun pernah hendak ke majlis nyanyian, tapi diselamatkan oleh Allah dan baginda tidak pernah pergi. Dan kalau baca tafsir surah Fussilat ada disebut antara cara musyrikin Mekah hendak ganggu bacaan Al-Qur’an Rasulullah adalah dengan import penyanyi supaya orang ramai sibuk dengar lagu dan tak dengar bacaan Al-Qur’an.
      2. Menyanyi itu perbuatan dosa. Ia bukanlah bid’ah. Macam kita tak cakap minum arak dan berzina sebagai bid’ah. Bid’ah yang kami tentang amalan dalam agama. Kami ahli sunnah memang sudah lama berpegang yang lagu dan muzik adalah haram.

      Like

Leave a reply to CelikTafsir Cancel reply