A’raf Ayat 181: Di dalam ayat 179 Allah menceritakan tentang manusia yang degil yang tidak menggunakan akal dan pancaindera mereka untuk menerima kebenaran. Sekarang Allah puji golongan yang baik pula. Kenapa mereka dipuji oleh Allah?
وَمِمَّن خَلَقنا أُمَّةٌ يَهدونَ بِالحَقِّ وَبِهِ يَعدِلونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And among those We created is a community¹ which guides by truth and thereby establishes justice.
- The followers of Prophet Muḥammad (ṣ).
MALAY
Dan di antara orang-orang yang Kami ciptakan itu, ada satu umat yang memberi petunjuk dengan kebenaran, dan dengannya mereka menjalankan keadilan.
وَمِمَّن خَلَقنا أُمَّةٌ يَهدونَ بِالحَقِّ
Dan di antara orang-orang yang Kami ciptakan itu, ada satu umat yang memberi petunjuk dengan kebenaran,
Kalimah يَهدونَ بِالحَقِّ bermaksud umat ini telah mendapat hidayah ilmu yang haq (benar) dari Allah, kemudian mereka beramal dengannya, dan kemudian memberi hidayah pula kepada manusia lain. الحَقِّ itu merujuk kepada wahyu. Jadi ada tiga elemen di sini: ilmu – amal – dakwah. Jadi kena ada usaha untuk dapatkan ilmu. Apabila sudah dapat ilmu kenalah amalkan, jangan setakat ada ilmu sahaja. Dan apabila sudah amal sendiri, ajak pulalah orang lain untuk sama-sama beramal dengan kebenaran.
Alhamdulillah, ada umat yang memahami dan memimpin orang lain kepada kebenaran. Hidayah memang milik Allah tetapi kita sebagai manusia boleh sampaikan kebenaran kepada mereka dan terpulang mereka untuk terima atau tidak. Umat yang dipuji ini mereka memberi petunjuk dengan menggunakan wahyu Allah. Merekalah orang-orang yang belajar wahyu Allah dan sampaikan kepada orang lain. Oleh itu, kita yang belajar wahyu ini kena mengajar manusia tentang wahyu, kerana kalau tak ajar, belum tentu kita selamat lagi. Ini adalah kerana Allah hanya beri jaminan iman kita kekal, kalau kita sampaikan kepada orang lain.
Jangan kita simpan ilmu yang kita belajar ini untuk diri kita sendiri sahaja, tapi kena sampaikan kepada orang lain. Jangan kita buat alasan dengan mengatakan tidak boleh mengajar dan berdakwah kepada manusia untuk memahami wahyu Allah. Kalau kita boleh bercakap, kiranya kita sudah boleh sampaikan kepada manusia kerana modal kita adalah bercakap sahaja.
Dan Allah sudah beri kelebihan bercakap itu kepada kita. Kalau perkara lain kita boleh cakap, takkan tentang agama Allah ini kita tidak boleh beritahu dan bercakap dengan orang lain? Kalau sembang tentang politik, tentang tempat makan, tentang tempat pelancongan boleh, takkan tentang Allah dan wahyuNya kita tak boleh nak cakap dan sampaikan?
Ramai yang takut atau berat mulut hendak dakwah kepada orang lain. Dengan sebab yang berbagai (malu, takut dan sebagainya). Akan tetapi tahukah anda yang dakwah itu wajib? Antara dalil yang senang kita lihat adalah di dalam Asr:3
وَتَواصَوا بِالحَقِّ
dan nasihat menasihati kepada kebenaran
Ancaman kalau tidak melakukannya adalah kerugian seperti disebut di dalam surah itu. Kepada mereka yang dapat melaksanakannya lah yang berjaya seperti disebut di dalam Ali Imran:104
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.
Barulah kita boleh berbangga menjadi orang Islam kerana menjalankan tugas dakwah itu seperti disebut di dalam Ali Imran:110
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ
Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji),
Dan kalau memang tak boleh juga, masih rasa tak mampu juga untuk sampaikan sendiri dengan mulut kita, maka kena ajak mereka datang mengaji sekali dengan kita di tempat kita belajar. Itulah yang paling kurang yang kita boleh lakukan. Maknanya, kita masih menunjuk kepada ajaran yang baik. Mereka yang boleh melakukan perkara inilah yang boleh menjadi umat yang selamat.
Kalau ada ilmu dan tidak amalkan, maka ini mendapat kemurkaan Allah pula. Ini seperti yang Allah murka kepada golongan Yahudi kerana mereka tahu apa yang benar, tapi mereka tidak ikuti. Mereka ada ilmu tapi mereka degil. Allah telah berfirman tentang mereka yang sebegini di dalam Fatihah:7
غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ
Bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai
وَبِهِ يَعدِلونَ
dan dengannya mereka menjalankan keadilan.
Dan dengan kebenaran wahyu itulah juga mereka buat keputusan dalam kehidupan mereka sendiri. Maknanya mereka berhukum dengan menggunakan wahyu dari Allah. Dalam segenap kehidupan mereka – sama ada secara peribadi atau dalam masyarakat, mereka akan rujuk kepada wahyu Allah (sama ada Al-Qur’an atau hadis). Panduan agama telah lengkap di dalam segenap kehidupan kita. Sama ada kita tahu atau tidak sahaja.
Mereka yang dipuji itu telah baca dan belajar apakah hukum Allah dalam setiap perkara, maka mereka amalkan. Kalau kita sebagai individu yang tidak ada kuasa pemerintahan, maka gunakan hukum untuk diri kita sahaja dahulu dan dalam keluarga yang di dalam kawalan kita. Jangan pula kita memandai nak amalkan ayat yang ditujukan kepada pemerintah pula. Sebagai contoh, kalau kita tangkap orang mencuri, jangan kita potong pula tangan orang itu! Serahkan sahaja kepada pemerintah kerana itu adalah tanggungjawab mereka.
Semoga kita termasuk dalam golongan yang disebut ini. Seperti yang disebut di dalam kitab Sahihain riwayat dari Mu’awiyah ibnu Abu Sufyan yang telah menceritakan bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda:
“لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي ظَاهِرِينَ عَلَى الْحَقِّ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ، وَلَا مَنْ خَالَفَهُمْ، حَتَّى تَقُومَ السَّاعَةُ –
وَفِي رِوَايَةٍ -: حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ عَلَى ذَلِكَ “
Senantiasa masih ada segolongan dari kalangan umatku yang membela kebenaran, tidak membahayakan mereka adanya orang-orang yang menghina mereka, tidak pula orang-orang yang menentang mereka hingga hari kiamat terjadi.
Menurut riwayat lain disebutkan dengan lafaz berikut: hingga datang perintah Allah (hari kiamat), sedangkan mereka tetap dalam keadaan demikian (membela kebenaran).
Kehebatan mereka ini adalah kerana mereka tidak bergantung dengan manusia dan tidak takut dengan manusia, melainkan Allah sahaja. Maka ini berita baik yang diberikan kepada umat Nabi Muhammad. Umat-umat sebelum kita pun ada juga yang telah mengamalkannya seperti yang Allah puji mereka di dalam A’raf:159
وَمِن قَومِ موسىٰ أُمَّةٌ يَهدونَ بِالحَقِّ وَبِهِ يَعدِلونَ
Dan di antara kaum Nabi Musa, ada satu golongan yang memberi petunjuk (kepada orang ramai) dengan perkara-perkara yang hak, dan dengannya mereka menjalankan keadilan.
Kejayaan umat Islam yang dahulu adalah kerana mereka mengamalkan ayat ini. Mereka menggunakan wahyu untuk memerintah dan juga mengurus kehidupan mereka. Apabila umat Islam mula meninggalkan wahyu untuk mengurus kehidupan mereka, maka kejatuhan umat Islam sudah bermula. Sampai sekarang pun masih begitu kerana ilmu wahyu amat jauh dari kita. Yang menjadi kriteria mereka dalam membuat keputusan adalah keduniaan (apa yang baik bagi dunia mereka) dan bukannya ikut selari dengan kehendak Allah dan syariat.
Tapi mereka masih lagi hendak jaga nama agama. Maka mereka pun masukkanlah elemen agama sikit dalam kehidupan. Contohnya kalau parti politik, letak nama Islam; kalau nak mula majlis walaupun majlis lancarkan album lagu, baca doa juga; kalau ada kematian, buat Tahlil; kalau nak menikah, buat majlis Khatam Al-Qur’an dahulu. Ini semua adalah topeng sahaja belaka. Nak tunjuk yang mereka itu Muslim tapi apa yang mereka lakukan itu bukanlah selari dengan syariat pun.
Habis Ruku’ 22 dari 24 ruku’ dalam surah ini.
A’raf Ayat 182: Ayat Takhwif Duniawi (penakutan dengan azab semasa di dunia lagi). Sekarang Allah kembali memperkatakan tentang استدراج ‘istidraj’. Dalam surah ini pun sudah pernah disebut tentang istidraj ini. Ayat 181 adalah di mana Allah mencelah memberitahu jenis orang yang selamat. Sekarang kembali disebut orang yang tidak selamat. Memang sentiasa bertukar-tukar subjek supaya kita jadi fokus apabila kita membaca ayat-ayat Al-Qur’an.
Ayat ini menjawab persoalan yang ada di kalangan Muslim. Mereka hairan: kalau berbuat baik itu dituntut dan diberikan dengan segala macam ganjaran, kenapa pula orang yang menentang kebenaran itu senang lenang pula hidup mereka? Hidup mereka kaya raya, boleh ke sana sini, buat majlis sana sini, bercampur gaul dengan orang kenamaan dan sebagainya? Kenapa? Allah nak beritahu jangan sangka yang mereka itu sedang mendapat kebaikan, tapi ia adalah sebaliknya.
وَالَّذينَ كَذَّبوا بِئآيٰتِنا سَنَستَدرِجُهُم مِن حَيثُ لا يَعلَمونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
But those who deny Our signs – We will progressively lead them [to destruction]¹ from where they do not know.
- Allāh will test them with one favor after another in spite of their disobedience, which only increases them in arrogance and sin.
MALAY
Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, Kami akan menarik menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), menurut cara yang mereka tidak mengetahuinya.
وَالَّذينَ كَذَّبوا بِئآيٰتِنا
Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami,
Ini adalah mereka yang mendustakan dan tidak menerima wahyu Allah dan juga mereka yang menghalang manusia dari kebenaran. Antaranya, mereka yang sibuk dengan kehidupan mereka sampai lupakan akhirat. Mereka sibuk dengan perkara yang tidak patut mereka sibuk sangat.
Mereka sibuk sampai melalaikan mereka dari membuat persediaan kepada akhirat. Mereka sibuk bersiap dan memantapkan kehidupan keduniaan mereka kerana mereka sangka kehidupan mereka yang boleh menyelesaikan masalah mereka, sedangkan Allah lah yang boleh menyelesaikan masalah mereka.
Sebagai contoh, ada mereka yang kata, kalau tak sibuk bekerja, macam mana nak hidup? Oleh kerana mereka berfahaman begitu, maka tumpuan mereka lebih kepada dunia sahaja sampai kurang mendekati Allah. Sedangkan Allah yang memberi kehidupan kepada mereka. Dan kalau mereka ada masalah, Allah boleh selesaikan masalah mereka.
Mereka sendiri tidak belajar agama (ilmu wahyu) dan mereka pun nampak orang yang tidak belajar agama pun tidak ada masalah, malah senang sahaja hidup mereka malah lebih lagi dari orang agama. Orang yang tidak belajar agama, tidak tahu menahu tentang agama, nampaknya mereka yang selalu lebih senang kehidupan keduniaan mereka dari mereka yang belajar, bukan?
Maka mereka yang jahil tidak nampak keperluan kepada agama kerana yang mereka mahukan adalah kesenangan dunia sahaja. Malangnya, inilah yang banyak berlaku dalam masyarakat. mereka tidak dekati pembelajaran tafsir Al-Qur’an dan kerana itu tidak tahu yang akidah mereka telah salah. Sedangkan kalau nak perbetulkan akidah kena belajar dan faham tafsir Al-Qur’an.
Malah ada satu lagi ayat (tanda) Allah yang mereka dustai iaitu ayat-ayat Allah di alam ini. Alam ini dalam urusan pentadbiran Allah akan tetapi mereka melupakan hal itu. Contohnya apabila ada Tsunami atau gempa bumi, mereka kata: “ini kejadian semulajadi”. Padahal ia adalah kehendak Allah dan Allah yang takdirkan ia berlaku. Ini kerana mereka itu jahil tentang qada’ dan qadar.
Kalau tidak dibuka hati kepada agama terutama sekali ilmu wahyu, mereka akan buat keputusan yang kalau sudah ada kehidupan yang senang di dunia, sudah memadai. Oleh itu, maksud ‘mendustakan’ juga bermaksud tidak terima ayat wahyu dengan tidak kisah untuk belajar. Mereka dari mula lagi tidak terima kepentingan belajar wahyu Allah.
Oleh itu, dari mula lagi mereka tidak mahu belajar. Mereka tidak ada keinginan untuk tahu pun kerana mereka rasa kehidupan mereka sudah cukup. Oleh itu, kita boleh lihat entah berapa ramai manusia yang tidak tahu tentang tafsir Al-Qur’an. Oleh kerana itu, mereka jahil tentang agama macam golongan Nasara. Mereka bukannya tolak, tapi buat tak endah. Kerana kalau tolak wahyu, itu lagi teruk.
Ingatlah, kalau kita pegang amalan yang salah, maknanya kita sudah tolak amalan yang benar. Malangnya, ramai yang dustakan amalan yang benar, tanpa mengetahuinya.
سَنَستَدرِجُهُم مِن حَيثُ لا يَعلَمونَ
Kami akan menarik menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), menurut cara yang mereka tidak mengetahuinya.
Mereka yang menolak wahyu, akan ditarik oleh Allah ke neraka dengan cara yang mereka tidak tahu dan tidak sedar. Sedar-sedar mereka sudah mati dan sudah masuk ke alam akhirat. Inilah mereka yang dapat kenikmatan dunia untuk azab di akhirat – ini dinamakan ‘istidraj’. Ia dilakukan atas ilmu Allah, Allah sahaja yang tahu siapakah yang patut dikenakan dengan azab ini.
Maksud istidraj adalah mereka ditarik ke arah kesesatan dengan tanpa sedar. Tidaklah Allah terus kenakan mereka dengan azab, sebaliknya Allah beri mereka nikmat di dunia pula. Kehidupan mereka amat senang sampaikan mereka jadi lalai leka dan tidak memikirkan tentang akhirat. Mereka dilimpahkan dengan segala nikmat sampai mereka lupa akhirat. Malangnya kalau Allah mengenakan istidraj kepada seseorang, dia langsung tidak sedar bahawa dia sedang ditarik ke arah kesesatan.
Tapi bukanlah salah kalau dapat nikmat dunia itu, asalkan akidah kita dan amalan kita benar. Maka jangan kita kata semua orang kaya itu sudah kena istidraj pula. Ia dikira istidraj kalau orang itu diberi segala kesenangan, tapi dia di dalam maksiat.
Perkataan istidraj disebut beberapa kali dalam Al-Qur’an. Malah ia telah disebut dalam Ayat 95 surah ini pun,
ثُمَّ بَدَّلنا مَكانَ السَّيِّئَةِ الحَسَنَةَ حَتّىٰ عَفَوا وَّقالوا قَد مَسَّ ءآباءَنَا الضَّرّاءُ وَالسَّرّاءُ فَأَخَذنٰهُم بَغتَةً وَهُم لا يَشعُرونَ
Setelah (mereka tidak juga insaf) Kami gantikan kesusahan itu dengan kesenangan hingga mereka kembang biak (serta senang-lenang) dan berkata (dengan angkuhnya): “Sesungguhnya nenek moyang kita juga pernah merasai kesusahan dan kesenangan (sebagaimana yang kita rasakan)”. Lalu Kami timpakan mereka (dengan azab seksa) secara mengejut, dan mereka tidak menyedarinya.
Istilah istidraj diambil dari katadasar د ر ج yang bermaksud ‘menaiki tahap sedikit demi sedikit’. Mereka yang dikenakan dengan istidraj itu akan bertambah dosa mereka dari masa ke semasa. Mereka semakin ditarik ke arah kesesatan tapi sedikit demi sedikit. Bukannya tiba-tiba ia terjadi. Ini macam ujikaji meletakkan katak dalam air dan air itu dipanaskan sedikit demi sedikit. Sampaikan katak itu tidak perasan.
Kerana ia sedikit demi sedikit itulah yang menyebabkan mereka tidak perasan. Allah tambahkan kesenangan hidup mereka di dunia walaupun mereka buat dosa. Oleh kerana itu mereka jadi leka dari agama dan terus membuat dosa. Allah buat begini adalah supaya dosa mereka bertambah banyak dan Allah akan azab mereka dengan lebih teruk lagi.
Kehidupan mereka senang dan mereka rasa cukup sahaja kehidupan mereka. Oleh itu mereka tidak rasa mereka ada buat salah. Kesenangan yang mereka dapat itu sebenarnya adalah ‘istidraj’. Dalam ayat yang lain Allah berfirman:
{فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّى إِذَا فَرِحُوا بِمَا أُوتُوا أَخَذْنَاهُمْ بَغْتَةً فَإِذَا هُمْ مُبْلِسُونَ * فَقُطِعَ دَابِرُ الْقَوْمِ الَّذِينَ ظَلَمُوا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ}
Maka tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka. Kami pun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka; sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami seksa mereka dengan sekonyong-konyong, maka ketika itu mereka terdiam berputus asa. Maka orang-orang yang zalim itu dimusnahkan sampai ke akar-akarnya Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. (Al-An’am: 44-45)
Allah berfirman di dalam ayat di atas فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ (Kami pun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka) bermaksud mereka diberikan dengan berbagai-bagai nikmat dunia. Sama ada kaya, sihat, ramai pengikut, dapat pangkat tinggi, dilambung tinggi dan sebagainya. Oleh itu jangan rasa pelik sangat dan dengki dengan kehidupan yang senang di kalangan orang yang menentang kebenaran. Itu sebenarnya adalah azab bagi mereka. Mereka sahaja tidak sedar kerana mereka dibuai oleh keindahan dunia dan kesenangan hidup mereka yang mereka sedang alami.
Mereka malah rasa mereka disayangi oleh Tuhan kerana dapat banyak nikmat. Padahal, mereka sebenarnya sedang diazab. Allah sebut tentang hal ini di dalam Fajr:15
فَأَمَّا الإِنسٰنُ إِذا مَا ابتَلٰهُ رَبُّهُ فَأَكرَمَهُ وَنَعَّمَهُ فَيَقولُ رَبّي أَكرَمَنِ
Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia akan berkata: “Tuhanku telah memuliakanku”.
Mereka sangka Allah memuliakan mereka, tapi sebenarnya ia adalah azab! Bagaimana pula ia menjadi azab? Malah ia azab yang amat teruk sebenarnya. Kerana mereka dilekakan dengan dunia sampai mereka tidak teringat nak bertaubat dan berubah. Dan bukan itu sahaja, Allah biarkan mereka terus di dalam kesesatan dan terus melakukan dosa dengan semakin banyak dan semakin banyak, bertimbun-timbun, supaya Allah boleh azab mereka dengan teruk sekali di akhirat nanti. Maknanya Allah beri mereka kumpul dosa dengan sebanyak-banyaknya!
Tapi jangan sangka orang kafir sahaja yang akan dikenakan dengan azab ini. Orang Muslim pun boleh kena juga kalau mereka tidak menghiraukan kebenaran. Kerana itulah golongan salaf amat takut kalau mereka diberi dengan kesenangan dunia. Kerana mereka takut entah-entah itu adalah istidraj sahaja!
Tapi bukanlah semua nikmat kesenangan itu kita label sebagai istidraj pula. Memang ada orang baik yang Allah berikan nikmat kepada mereka. Bagaimana kita hendak bezakan nikmat yang kita ada ini adalah kurniaan daripada Allah ﷻ ataupun istidraj? Rasulullah ﷺ pernah menerangkannya di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada ‘Uqbah bin ‘Amir رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda:
إِذَا رَأَيْتَ اللهَ تَعَالَى يُعْطِي الْعَبْدَ مِنَ الدُّنْيَا مَا يُحِبُّ وَهُوَ مُقِيمٌ عَلَى مَعَاصِيْهِ فَإِنَّمَا ذَلِكَ مِنهُ اسْتِدْرَاجٌ
“Apabila kamu melihat Allah ﷻ memberi kepada hamba daripada (perkara) dunia yang diinginkannya, sedangkan dia terus melakukan maksiat kepada-Nya, maka (ketahuilah) bahawa perkara itu adalah istidraj daripada Allah ﷻ.”
(Riwayat Ahmad (17311), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4220)
dan al-Tabarani dalam al-Ausat (8/110))
Kalau kita dapat nikmat semasa kita taat kepada perintah Allah, maka teruslah jaga syariat. Kalau kita engkar, Allah boleh sahaja ubah nikmat itu menjadi azab seperti firmanNya dalam Anfal:53
ذٰلِكَ بِأَنَّ اللَّهَ لَم يَكُ مُغَيِّرًا نِّعمَةً أَنعَمَها عَلىٰ قَومٍ حَتّىٰ يُغَيِّروا ما بِأَنفُسِهِم ۙ وَأَنَّ اللَّهَ سَميعٌ عَليمٌ
(Seksaan) yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya Allah sekali-kali tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dianugerahkan-Nya kepada suatu kaum, hinggalah kaum itu mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka sendiri, dan sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Tapi kalau kita selalu bermaksiat tapi tetap mendapat nikmat, maka berhati-hatilah. Ibnu ‘Athaillah al-Sakandari dalam kitab al-Hikam berkata bahawa hendaklah seseorang merasa takut jika dia selalu mendapat kurniaan dan kebaikan daripada Allah SWT, sedangkan dia masih tetap melakukan maksiat kepada-Nya. Kata beliau:
خَفْ مِنْ وُجُودِ إِحْسَانِهِ إِلَيْكَ، وَدَوَامِ إِسَاءَتِكَ مَعَهُ أَن يَكُونَ ذَلِكَ إِسْتِدْرَاجًا لَكَ، سَنَسْتَدْرِجُهُمْ مِنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ
Hendaklah kamu berasa takut jika kamu terus memperoleh kurniaan Allah SWT sedangkan kamu masih berterusan melakukan maksiat kepada-Nya. Ini kerana, ia boleh jadi satu istidraj (pesona dan tipu daya) sepertimana firman-Nya: ““Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.” (Surah al-Qalam, ayat 44)
A’raf Ayat 183: Istidraj itu juga adalah penangguhan dari Allah sebenarnya. Allah sengaja beri tangguh sahaja untuk beri dia jadi leka.
وَأُملي لَهُم ۚ إِنَّ كَيدي مَتينٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And I will give them time. Indeed, My plan is firm.
MALAY
Dan Aku memberi tempoh kepada mereka; sesungguhnya rancangan balasanKu amatlah teguh.
وَأُملي لَهُم
Dan Aku memberi tempoh kepada mereka;
Allah akan beri tempoh kepada mereka dengan diberikan segala kesenangan selama mereka hidup di atas dunia ini. Mereka diberi tempoh sampaikan mereka tertipu. Ianya seumpama seekor anjing yang dilonggarkan tali yang mengikat lehernya, sampai dia rasa dia sudah lepas, tapi tidak sebenarnya. Ini sama seperti yang Allah sebut tentang orang kafir di dalam Ali Imran:178
وَلا يَحسَبَنَّ الَّذينَ كَفَروا أَنَّما نُملي لَهُم خَيرٌ لِّأَنفُسِهِم ۚ إِنَّما نُملي لَهُم لِيَزدادوا إِثمًا ۚ وَلَهُم عَذابٌ مُّهينٌ
Dan jangan sekali-kali orang-orang kafir menyangka bahawa Kami membiarkan (mereka hidup lama) itu baik bagi diri mereka; kerana sesungguhnya Kami biarkan mereka hanyalah supaya mereka bertambah dosa (di dunia), dan mereka pula beroleh azab seksa yang menghina (di akhirat kelak).
Jadi jangan pandang tinggi kepada orang yang nampak hidupnya senang tapi tidak menjaga agamanya, kerana mungkin mereka itu adalah orang yang ditarik oleh Allah ke arah istidraj kerana menolak kebenaran wahyu sebagaimana yang Allah firman di dalam Qalam:44.
فَذَرني وَمَن يُكَذِّبُ بِهٰذَا الحَديثِ ۖ سَنَستَدرِجُهُم مِّن حَيثُ لا يَعلَمونَ
Maka serahkanlah (ya Muhammad) kepada-Ku (urusan) orang-orang yang mendustakan perkataan ini (Al-Qur’an). Nanti Kami akan menarik mereka dengan beransur-ansur (ke arah kebinasaan) dari arah yang tidak mereka ketahui,
Juga Allah sebut di dalam Tariq:17
فَمَهِّلِ الكافِرينَ أَمهِلهُم رُوَيدًا
Kerana itu beri tangguhlah orang-orang kafir itu iaitu beri tangguhlah mereka itu barang sebentar.
إِنَّ كَيدي مَتينٌ
sesungguhnya rancangan balasanKu amatlah teguh.
Sesungguhnya perangkap yang Allah buat itu sangat kukuh. Kalau sudah termasuk dalam perangkap, tak boleh keluar lagi. Oleh itu, berhati-hatilah supaya jangan kita terperangkap dengan istidraj sampai lupa untuk buat persiapan akhirat. Jangan kita rasa hidup kita senang, kita sangka kita sudah selamat. Kena luangkan masa untuk persediaan akhirat.
Tapi malangnya ramai yang tertipu dan kalah dengan perangkap Allah ini seperti yang Allah sebut dalam Mukminoon:55-56
أَيَحسَبونَ أَنَّما نُمِدُّهُم بِهِ مِن مّالٍ وَبَنينَ
Apakah mereka mengira bahawa harta dan anak-anak yang Kami berikan kepada mereka itu (bererti bahawa),
نُسارِعُ لَهُم فِي الخَيرٰتِ ۚ بَل لّا يَشعُرونَ
Kami bersegera memberikan kebaikan-kebaikan kepada mereka? Tidak, sebenarnya mereka tidak sedar.
Kalau Allah sayang dan hendak selamatkan seseorang, Allah terus beri peringatan kepadanya dengan musibah. Contohnya kalau ada orang mula belajar-belajar hendak ambil rasuah sikit-sikit dahulu. Kali pertama sahaja dia sudah kena tangkap. Maka tentu dia tidak berani buat lagi, bukan? Akan tetapi orang yang terlepas kali pertama, kedua dan seterusnya, mereka inilah yang akan terus terpesong dan terus mengambil rasuah. Kerana dia tidak ada rasa apa-apa kesan buruk kepada perbuatan salahnya itu.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 31 Mei 2023
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan