Tafsir Surah al-A’raf Ayat 59 – 63 (Kisah Nabi Nuh عليه السلام)

KISAH NABI NUH عليه السلام

A’raf Ayat 59: Sekarang kita masuk kepada Makro kedua surah ini iaitu kisah Nabi Nuh عليه السلام pula. Sebelum ini kita telah dengar kisah Nabi Adam عليه السلام. Allah ‎ﷻ menyusun kisah para Rasul dalam surah ini berturutan. Pelajaran agama yang menyentuh tentang Tauhid, Risalah dan Akhirat (3 perkara utama) telah disebut dengan panjang lebar sebelum ini. Sekarang Allah ‎ﷻ beri contoh apa yang berlaku dalam kalangan para Nabi terdahulu dan masyarakat mereka. Kita dalam belajar memang memerlukan contoh.

Banyak kisah para Nabi disampaikan di dalam Al-Qur’an yang menjadi ibrah (pengajaran) kepada kita. Ini sebagaimana yang Allah ‎ﷻ sebut di dalam Yusuf: 111 لَقَد كانَ في قَصَصِهِم عِبرَةٌ لِأُولِي الأَلبابِ (Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal).

Keduanya, kisah-kisah mereka itu sebagai tasbit al qalbi (menguatkan hati). Ini kerana kita akan belajar kisah-kisah dugaan yang mereka terima dalam menjalankan dakwah mereka. Allah ‎ﷻ hendak beritahu kita: Kalau mereka boleh bersabar, maka kenapa tidak kita? Allah ‎ﷻ sebut di dalam Hud: 120 وَكُلًّا نَقُصُّ عَلَيكَ مِن أَنباءِ الرُّسُلِ ما نُثَبِّتُ بِهِ فُؤادَكَ (Dan semua kisah daripada rasul-rasul Kami ceritakan kepadamu, ialah kisah-kisah yang dengannya Kami teguhkan hatimu).

Ketiga, disebut juga di dalam ayat yang sama, sebagai nasihat dan peringatan وَجاءَكَ في هٰذِهِ الحَقُّ وَمَوعِظَةٌ وَذِكرىٰ لِلمُؤمِنينَ (dan dalam surat ini telah datang kepadamu kebenaran serta pengajaran dan peringatan bagi orang-orang yang beriman)

لَقَد أَرسَلنا نوحًا إِلىٰ قَومِهِ فَقالَ يٰقَومِ اعبُدُوا اللَّهَ ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُهُ إِنّي أَخافُ عَلَيكُم عَذابَ يَومٍ عَظيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

We had certainly sent Noah to his people, and he said, “O my people, worship Allāh; you have no deity other than Him. Indeed, I fear for you the punishment of a tremendous Day.”

MALAY

Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya, lalu berkatalah dia: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang besar (hari kiamat)”

 

لَقَد أَرسَلنا نوحًا إِلىٰ قَومِهِ

Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya,

Kisah Nabi Nuh عليه السلام ini adalah kisah pertama daripada enam kisah (selain kisah Nabi Adamعليه السلام  di awal surah). Kisah pertama sampai yang ke tiga (Nabi Nuh, Hud dan Saleh عليهم السلام) hendak menghuraikan Dakwa Ketiga: hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang layak disembah dan dipuja kerana Dia sahaja yang memiliki sifat yang sempurna.

Nabi Nuh عليه السلام telah diutuskan hanya kepada kaumnya sahaja. Tempat mereka adalah di Iraq sekarang. Selepas Nabi Adam عليه السلام, Rasul yang mula-mula sekali diangkat menjadi Rasul adalah Nabi Nuh عليه السلام (Nabi Adam عليه السلام bukan Rasul tetapi hanya sebagai Nabi sahaja). Baginda adalah keturunan ke 8 Nabi Adam عليه السلام. Ada pendapat yang mengatakan jarak antara Nabi Adam عليه السلام dan Nabi Nuh عليه السلام adalah 10 kurun (satu kurun seratus tahun). Baginda diangkat menjadi Rasul pada umur 40 tahun. Selepas Banjir Besar, baginda terus hidup selama 60 tahun. Maka umur baginda tidaklah 950 tahun sahaja. Itu adalah  jangkamasa baginda berdakwah sahaja.

Gelaran baginda adalah Abul Basyar Thaani (Bapa Manusia Kedua) kerana kita ini semua adalah anak keturunan baginda (selain daripada Nabi Adam عليه السلام). Ini kerana orang lain yang bersama baginda di dalam bahtera itu tidak ada zuriat melainkan baginda sahaja seperti disebut dalam [ Saffaat: 77 ]. Namun bukankah isteri baginda pun mati kerana kufur? Jawapannya baginda pun ada lagi isteri lain.

Baginda adalah Nabi lagi Rasul. Mungkin ada yang kehairanan apa pula beza antara Nabi dan Rasul? Banyak sekali persoalan ini dalam kalangan masyarakat maka kita jelaskan di sini. Ini menjadi perbincangan dalam kalangan ulama’.

1. Ulama’ bersepakat ada beza antara Nabi dan Rasul. Semua Rasul adalah Nabi, tetapi bukan semua Nabi adalah Rasul. Maka pangkat Rasul adalah lebih tinggi lagi.

Memang ada yang kata sama sahaja Rasul dan Nabi (boleh digunakan secara “interchangeable”). Namun pendapat ini lemah kerana ada dalil-dalil dalam Al-Qur’an dan Hadith yang memberi maksud tidak sama sebenarnya Rasul dan Nabi. Maka boleh lupakan pendapat yang mengatakan Nabi dan Rasul sama sahaja. Yang kata begini antaranya adalah golongan Muktazilah.

Di antara dalil yang menunjukkan adanya perbezaan antara nabi dan rasul adalah firman Allah ‎ﷻ,

وَمَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ مِن رَّسُولٍ وَلَا نَبِيٍّ
“Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu seorang rasul pun dan tidak (pula) seorang nabi.”

[ Hajj: 52 ]

Nota: Lihat bagaimana Allah ‎ﷻ sebut Rasul dan kemudian sebut Nabi. Kalau sama sahaja, kenapa perlu disebut secara berasingan?

2. Apakah beza antara keduanya? Tidak ada ketetapan di kalangan ulama’ tentang hal ini. Saya cuba ringkaskan di sini beberapa pendapat:

a. Rasul dan Nabi diberikan wahyu dan syariat tetapi Rasul wajib menyampaikan, manakala Nabi tidak wajib sampaikan. Akan tetapi pandangan ini dikritik kerana sesiapa yang dapat wahyu, kena sampaikan. Lihat [ Ali Imran: 187 ]

b. Rasul mendapat wahyu melalui perantaraan Jibril عليه السلام, sedangkan Nabi hanya dapat melalui cara ilham atau mimpi sahaja.

c. Rasul mendapat syariat baru, Nabi hanya meneruskan syariat yang sudah ada. Namun begitu pandangan ini juga dikritik kerana Nabi Nuh عليه السلام adalah Rasul pertama. Kalau begitu, Nabi Adam عليه السلام menggunakan syariat apa pula? Takkan tidak ada syariat?
Begitu juga Nabi Daud عليه السلام dan Nabi Sulaiman عليه السلام adalah Rasul, tetapi mereka menggunakan syariat daripada Taurat sahaja, tidak membawa syariat baru.

d. Rasul mendapat kitab dan syariat baru; Nabi pula tidak mendapat kitab dan mengikut syariat sebelumnya sahaja. Ini dibantah sama dengan item c.

e. Rasul diutuskan kepada kaum yang ingkar, sedangkan Nabi diutuskan kepada kaum yang sudah beriman. Maka tugas Rasul adalah lebih berat, sedangkan tugas Nabi hanya terus mengajarkan perkara yang sudah diterima. Ini adalah pandangan Ibnu Taimiyah رحمه الله dan kita ambil ini sebagai pandangan yang lebih kuat.
Contohnya Nabi Adam عليه السلام hanya seorang Nabi kerana umat baginda sedikit sahaja dan semuanya beriman tetapi Nabi Nuh عليه السلام adalah Rasul kerana ketika zaman baginda, umatnya sudah ingkar syirik dan perlu diperbetulkan. Dalilnya:

Rasulullah ﷺ bersabda,

فَيَأْتُونَ نُوحًا فَيَقُولُونَ: يَا نُوحُ، إِنَّكَ أَنْتَ أَوَّلُ الرُّسُلِ إِلَى أَهْلِ الأَرْضِ
“Mereka pun mendatangi Nuh, dan berkata, ‘Wahai Nuh, sesungguhnya Engkau adalah rasul pertama bagi manusia.’”

(Bukhari No. 4712)

Itulah antara pendapat yang ada tentang perbezaan antara Nabi dan Rasul.

 

فَقالَ يٰقَومِ اعبُدُوا اللَّهَ

lalu berkatalah dia: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah,

Ini adalah perkara paling penting yang diingatkan oleh Nabi Nuh عليه السلام kepada kaumnya: Nabi Nuh عليه السلام telah menyuruh kaumnya itu sembah Allah ‎ﷻ sahaja. Jangan pula sembah Allah ‎ﷻ dan dalam masa yang sama sembah pula selain Allah ‎ﷻ. Ini dinamakan syirik.

Ini adalah kerana mereka telah menyembah patung-patung berhala yang asalnya dijadikan untuk mengingatkan manusia kepada orang-orang yang soleh dalam kalangan mereka. Maknanya yang perlu diajar dan ditegur adalah tentang akidah umat. Kena ajar ajaran tauhid kepada mereka.

Lihatlah cara dakwah Nabi Nuh عليه السلام di dalam ayat ini. Baginda memanggil mereka dengan panggil baik يٰقَومِ (wahai kaumku). Inilah cara dakwah yang bagus. Kena gunakan bahasa yang baik dengan mad’u (orang yang hendak didakwah). Jangan digunakan panggilan kasar seperti “hoi setan”, “woi bodoh” dan sebagainya.

 

ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُهُ

tidak ada ilah lain bagi kamu selain daripada-Nya.

Kena sembah Allah ‎ﷻ sahaja kerana tidak ada ilah lain yang boleh selesaikan masalah selain Allah ‎ﷻ. Ilah hanyalah Allah ‎ﷻ sahaja dan itulah maksud la ilaaha illallah. Malangnya perkara tauhid sebegini jarang diajar dan dipelajari oleh umat manusia termasuk umat Islam pun. Ramai pandai sebut tetapi tidak faham apa yang disebut.

Maka ramai yang keliru dengan tauhid kerana mereka tidak belajar sekali dengan syirik. Mereka tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan syirik dan contoh-contohnya sampaikan mereka melakukan syirik tanpa mereka sedari. Lihatlah sekarang, meminta dengan pokok pun ada yang kata tidak salah! Memang ke laut dalam sungguh fahaman mereka ini.

Begitulah yang terjadi kepada Kaum Nabi Nuh عليه السلام. Pada mulanya berhala-berhala disembah ialah kerana pada masa lalu ada suatu kaum yang soleh telah meninggal dunia. Kemudian kaum mereka membangunkan masjid-masjid di atas kuburan mereka dan membuat gambar-gambar mereka di dalamnya untuk mengingatkan orang-orang akan tingkah laku dan ibadah mereka, dengan tujuan agar kaum mereka meniru jejak mereka.

Akan tetapi setelah zaman berlalu cukup lama, mereka (kaumnya) mem­buat patung-patung dalam bentuk gambar-gambar orang soleh tersebut. Setelah berlalunya masa yang cukup lama lagi, maka mereka mulai menyembah patung-patung tersebut dan menamakannya dengan nama orang-orang soleh itu, seperti Wad, Suwa’, Yagus, Ya’uq, dan Nasr. Ini disebut dalam [ Nuh: 23 ].

Inilah bahayanya apabila mengagungkan orang-orang yang sebelum kita berlebihan. Mula-mula dengan gambar, kemudian mula hendak bertawasul dengan mereka, kemudian membuat patung, kemudian memuja. Akhirnya dijadikan sebagai tuhan. Sebab itu kena berhati-hati meninggalkan segala perkara yang boleh membawa ke arah syirik. Kerana itulah kita menegur perbuatan berlebihan golongan sesat seperti Habib yang memuja orang-orang yang mati dalam kalangan mereka.

Kalau tidak berhati-hati, syaitan akan meracuni fikiran orang yang leka. Itulah yang terjadi dengan kaum Nabi Nuh عليه السلام. Setelah hal ter­sebut kian parah, Allah ‎ﷻ mengutuskan Nabi Nuh عليه السلام. Nabi Nuh عليه السلام telah memerintahkan mereka agar menyembah Allah ‎ﷻ semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya.

 

إِنّي أَخافُ عَلَيكُم عَذابَ يَومٍ عَظيمٍ

Sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang besar

Ini adalah balasan yang Nabi Nuh عليه السلام takut akan dikenakan kepada kaumnya itu kalau mereka tidak sembah Allah ‎ﷻ sahaja sebagai ilah. Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan menerima azab yang amat besar. Azab yang dikenakan kepada mereka yang melakukan syirik adalah kekal dalam neraka, tidak keluar sampai bila-bila.

Sepatutnya mereka yang membuat kesalahan, merekalah yang patut takut, bukan? Namun Allah ‎ﷻ kata Nabi Nuh عليه السلام pula yang takut. Ini kerana baginda sayangkan mereka dan takut mereka mendapat azab. Ini mengajar kita sebagai pendakwah untuk sayang dan memandang masyarakat dengan pandangan rahmah. Kita dakwah dan tegur kesalahan mereka bukannya kerana hendakkan kelebihan ke atas mereka, atau kerana kita hendakkan kebaikan seperti upah daripada mereka. Kita takut mereka akan menyesal nanti di kemudian hari.

Hari itu pasti akan datang iaitu ‘hari yang besar’. Maknanya tidak kisahlah hari apa di dunia ini, hari jadi kah, hari kemerdekaan kah… semua itu tidak dapat menandingi hari Kiamat nanti. Hari yang paling agung dan menakutkan semua orang. Hari yang akan diberi balasan yang baik kepada yang taat dan balasan buruk kepada yang degil. Maka Nabi Nuh عليه السلام telah memberikan amaran kepada mereka kerana manusia memerlukan amaran, terutama sekali mereka yang degil.

Oleh sebab itu, ringkasan ayat pertama ini begini: ada 3 mesej utama Nabi Nuh عليه السلام iaitu sembahlah Allah ‎ﷻ – jangan buat syirik – kalau buat syirik ada azab.


 

PENOLAKAN KAUM NABI NUH عليه السلام

A’raf Ayat 60: Apakah hujah penolakan daripada kaum Nabi Nuh عليه السلام itu?

قالَ المَلَأُ مِن قَومِهِ إِنّا لَنَرىٰكَ في ضَلٰلٍ مُّبينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Said the eminent among his people, “Indeed, we see you in clear error.”

MALAY

Ketua-ketua daripada kaumnya berkata: “Sesungguhnya kami nampak kamu (wahai Nuh) berada dalam kesesatan yang nyata”.

 

قالَ المَلَأُ مِن قَومِهِ

Ketua-ketua daripada kaumnya berkata: 

Al-Mulu’ adalah orang-orang terkemuka, mulia, pembesar dan pemimpin daripada suatu kaum atau masyarakat yang memiliki “kepedulian” dalam menentukan atau mempengaruhi kebijakan dalam masyarakat. Mereka mempunyai kemampuan berunding atau bermusyawarah untuk memutuskan sebuah persoalan yang berkembang dalam masyarakat.

Mereka ini adalah tentang golongan pembesar kaum Nabi Nuh عليه السلام. Merekalah selalu yang menimbulkan masalah semenjak dari dulu sampai sekarang adalah golongan yang kaya dan yang ada kuasa. Mereka itu sudah besar dan sombong diri dan berasakan diri mereka sahaja yang betul dan pandai. Maka merekalah yang selalunya yang menentang kebenaran daripada sampai kepada masyarakat.

Selalunya mereka akan menentang kebenaran yang dibawa kerana kebenaran itu akan menyusahkan mereka, akan menyebabkan pengaruh mereka berkurangan atau hilang terus, atau akan menyebabkan mereka kehilangan peluang untuk mendapatkan keuntungan dengan mudah lagi. Memang masalah kalau masyarakat pandai dan berilmu – sebab susah untuk menipu mereka lagi.

 

إِنّا لَنَرىٰكَ في ضَلٰلٍ مُّبينٍ

“Sesungguhnya kami nampak kamu (wahai Nuh) berada dalam kesesatan yang nyata”.

Mereka kata Nabi Nuh عليه السلام itu sesat kerana baginda membawa ajaran lain daripada orang lain. Mereka telah lama menyembah patung-patung berhala itu sampaikan mereka sangka yang mereka itulah yang berada atas agama yang benar. Mereka yang sesat, tetapi mereka kata Nabi Nuh عليه السلام pula yang sesat.

Mereka kata Nabi Nuh عليه السلام sesat dan bukan sesat biasa, tetapi sesat yang مبين iaitu yang jelas betul. Kenapa sampai begitu? Kerana mereka yakin sangat yang mereka itu benar. Mereka sangka amalan syirik mereka itulah yang benar. Pelik sungguh mereka pula mahu mendakwah Nabi Nuh عليه السلام yang mengatakan kena sembah Allah ‎ﷻ sahaja, akan ada kebangkitan semula dan lain-lain lagi. Mereka rasa Nabi Nuh عليه السلام sudah sesat bangat.

Beginilah masalah yang dihadapi oleh mereka yang mempunyai kuasa dan sombong untuk menerima kebenaran. Mereka ada kekuatan pengaruh dan kekuatan kewangan sampai membolehkan mereka menolak Nabi Nuh عليه السلام di khalayak ramai. Mereka buat begitu supaya mereka boleh mengawal masyarakat kerana mereka mahu orang ramai yang tidak menggunakan akal sendiri, rasa dalam diri mereka: “Kalau pemimpin aku yang kaya raya dan pandai ini pun tidak terima dia ni, bagaimana pula dengan aku? Takkan aku nak terima dia pula?”

Begitulah, zaman sekarang pun ramai yang berkuasa yang menentang dan menghalang dakwah golongan yang Sunnah. Mereka melontarkan berbagai-bagai cemuhan dan dalil yang bathil untuk menghalang gerakan sunnah. Mereka kata gerakan sunnah ini yang sesat, yang memecah belahkan masyarakat, yang suka mengkafirkan orang dan sebagainya. Itu semua tohmahan sahaja yang tiada asasnya.

Yang sesat sekarang sangka merekalah yang benar. Lihatlah golongan yang hendak mempertahankan Tarekat Naqsyabandiah yang sesat bangat itu. Berbelit-belit hujah mereka hendak mempertahankan tarekat sesat ini. Walaupun telah diberi berbagai hujah kesesatan dan kartunnya kumpulan ini, namun masih ada lagi golongan yang hendak mempertahankannya. Mungkin kerana ada orang besar yang memberi arahan supaya dihalalkan kembali ajaran sesat ini.

Maka kita berhati-hatilah dengan apa yang diperkatakan oleh orang-orang yang dipandang besar dalam kalangan kita. Janganlah kita terus menerima apa yang mereka katakan. Allah‎ ﷻ telah memberikan kita akal dan kebolehan untuk mendapatkan ilmu supaya kita boleh menggunakan akal yang waras untuk melihat yang manakah kebenaran.

Banyak sekali ayat-ayat Al-Qur’an yang menceritakan tentang sesalan yang akan dihadapi oleh mereka yang ikut membuta sahaja apa yang dikatakan oleh para pemimpin mereka. Jangan kita menyesal seperti mereka nanti.


 

A’raf Ayat 61: Penolakan daripada pemuka kaumnya tadi amatlah keras, siap kata Nabi Nuh عليه السلام sesat. Sekarang mari kita lihat pula bagaimana cara jawapan Nabi Nuh عليه السلام. Jawapannya ini menjadi contoh kepada para pendakwah. Tidaklah dibalas keras dengan keras akan tetapi kena ada kelembutan di dalam dakwah.

قالَ يٰقَومِ لَيسَ بي ضَلٰلَةٌ وَلٰكِنّي رَسولٌ مِّن رَّبِّ العٰلَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Noah] said, “O my people, there is not error in me, but I am a messenger from the Lord of the worlds.

MALAY

Nabi Nuh menjawab: “Wahai kaumku! Tidak ada padaku sebarang kesesatan, tetapi aku adalah seorang Rasul dari Tuhan sekalian alam.

 

قالَ يٰقَومِ لَيسَ بي ضَلٰلَةٌ

Nabi Nuh menjawab: “Wahai kaumku! Tidak ada padaku sebarang kesesatan,

Ini adalah jawapan daripada Nabi Nuh عليه السلام. Baginda kata yang baginda tidak sesat sedikit pun. Lihatlah bahawa lafaz baginda ini disampaikan terus kepada kaumnya, bukan kepada ketua-ketua itu kerana para pemimpin itu berhujah kepada rakyat dan masyarakat, maka baginda menjelaskan kedudukan baginda terus kepada masyarakat juga.

Juga lihatlah bahasa lembut yang digunakan oleh baginda. Baginda tidaklah marah mereka semula: “Oh kau kata aku sesat?! Korang tu sepuluh kali sesat tau dak?!!” Bahasa kasar dan kesat bukan bahasa pendakwah. Pendakwah kenalah belajar tenang, belajar buat muka manis dan tidak terkesan dengan kata-kata buruk daripada mad’u (orang yang didakwah) dan para penentang. Ingatlah yang mereka itu orang yang masih lagi tidak tahu, maka kita beri peluang kepada mereka.

Memang kena banyak bersabar kerana para penentang memang banyak yang akan menggunakan kata-kata kesat. Itu adalah kerana kelemahan akal dan ilmu mereka. Janganlah kita terasa sangat. Mereka tidak tahu hendak cakap apa sebenarnya, kerana mereka tidak ada dalil, maka mereka hanya ada makian dan cacian sahaja.

Kalau kita yang hendak berdakwah dan hendak sampaikan sunnah ini pun ikut kasar seperti mereka, memang tidak kenalah cara begitu. Buat apa kita hendak gunakan kata kasar sedangkan dalil ada di tangan kita?

 

وَلٰكِنّي رَسولٌ مِّن رَّبِّ العٰلَمينَ

tetapi aku adalah seorang Rasul daripada Tuhan sekalian alam.

Baginda menegaskan bahawa baginda adalah rasul yang diutus oleh Allah ‎ﷻ, Tuhan sekalian alam. Baginda memperkenalkan diri baginda dan kedudukan yang telah diberikan oleh Allah ‎ﷻ. Maka mereka mestilah mengikut ajaran dan dakwah baginda, tidak ada pilihan lain lagi sekiranya mahu selamat.


 

A’raf Ayat 62: Apakah tugas Nabi Nuh عليه السلام? Nabi Nuh عليه السلام sambung menjelaskan.

أُبَلِّغُكُم رِسٰلٰتِ رَبّي وَأَنصَحُ لَكُم وَأَعلَمُ مِنَ اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

I convey to you the messages of my Lord and advise you; and I know from Allāh what you do not know.

MALAY

“(Tugasku) menyampaikan kepada kamu perintah-perintah yang (diutuskan oleh) Tuhanku, serta aku memberi nasihat kepada kamu, sedang aku mengetahui (melalui wahyu) dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.

 

أُبَلِّغُكُم رِسٰلٰتِ رَبّي

“Aku menyampaikan kepada kamu perintah-perintah yang (diutuskan oleh) Tuhanku,

Kemudian baginda memberitahu tugas baginda, iaitu menyampaikan wahyu Tuhan. Semua yang baginda sampaikan itu bukan daripada dirinya sendiri, tetapi daripada Allah ‎ﷻ. Inilah tugas utama para Rasul, iaitu menyampaikan risalah Allah ‎ﷻ.

Maka tugas Rasul dan para pendakwah hanyalah menyampaikan risalah daripada Allah ‎ﷻ. Menyampaikan ayat-ayat Al-Qur’an dan hadith-hadith Nabi yang sahih. Oleh itu, kenalah mahir dua perkara ini. Bukannya menyampaikan mimpi tok guru, pendapat tok guru, angan-angan tok guru, pendapat akal sendiri, kisah orang itu dan ini. Itu semua bukan yang kena disampaikan.

 

وَأَنصَحُ لَكُم

serta aku ikhlas kepada kamu,

Baginda memberitahu yang baginda hanya memberi nasihat yang ikhlas, dan baginda tidak memaksa. Ia adalah nasihat yang patut dan ikhlas sekali. Baginda beri nasihat itu kerana arahan daripada Allah ‎ﷻ dan kerana baginda risaukan kaum baginda. Bukannya kerana baginda hendakkan kedudukan, hendak merendahkan mereka atau kerana hendakkan imbuhan upah daripada mereka.

Kalimah أَنصَحُ berasal daripada kata dasar ن ص ح. Dari segi bahasa, kalimah نصح bererti sesuatu yang bersih atau murni (tidak bercampur dengan sesuatu yang lain). Sesuatu disebut (الناصح) (an-naashih), jika sesuatu tersebut tidak bercampur dengan sesuatu yang lain, misalnya madu murni atau sejenisnya. Daripada kalimah نصح jadilah kalimah seperti  النصيحة (an-nashiihah).

Ia bukanlah bermaksud ‘nasihat’ seperti dalam Bahasa Melayu kita. Inilah masalahnya apabila Bahasa Arab diMelayukan tetapi ia telah membawa maksud yang tidak sama dengan maksud asal. Selain nasihat, kalimah-kalimah lain yang membawa maksud lain di dalam Bahasa Melayu adalah seperti fitnah, khalwat dan maksiat.

Kalimah أَنصَحُ di dalam ayat ini bermaksud ‘ikhlas’. Bagaimana pula ia membawa maksud ikhlas? Kita mungkin agak-agak faham maksud nasihat, bukan? Kita juga pernah mendengar hadith yang berbunyi الدِّينُ النَّصِيحَةُ (selalu diterjemahkan sebagai: agama itu adalah nasihat). Namun bagaimana pula dengan sambungan hadith tersebut: النَّصِيحَةُ لِلَّهِ وَلِرَسُولِهِ وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ (Agama itu ialah nasihat kepada Allah ‎ﷻ, kepada Rasul-Nya, dan kepada pemimpin-pemimpin orang-orang Islam dan kepada orang awam).

Kalau nasihat kepada pemimpin dan orang awam, kita boleh faham bab nasihat itu tetapi bagaimana ‘nasihat’ kepada Allah ‎ﷻ dan Rasul pula? Tentulah tidak kena kalau kita terjemah sebagai nasihat yang difahami dalam Bahasa Melayu. Kerana itulah makna asal ‘nasihah’ adalah ‘ikhlas’. Iaitu kita ikhlas beribadat kepada Allah ‎ﷻ; kita ikhlas ikut ajaran Rasulullah, kita ikhlas taat dan bila perlu menegur pemimpin dengan ikhlas, kita ikhlas sayang kepada orang awam di sekeliling kita. Maka hendaklah dirujuk balik kepada maksud asal baru boleh difahami.

 

وَأَعلَمُ مِنَ اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ

sedang aku mengetahui (melalui wahyu) daripada Allah akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.

Baginda layak untuk memberi nasihat kepada mereka kerana baginda mengetahui daripada Allah ‎ﷻ perkara yang kaumnya tidak tahu kerana mereka tidak mendapat wahyu. Baginda mendapat ilmu itu daripada wahyu Ilahi dan kerana itulah baginda sampaikan kepada kaum baginda. Maka dengarlah sahaja dan taatlah sahaja. Jangan pula melawan.

Seperti juga kita yang telah belajar wahyu, maka bolehlah kita menyampaikan kepada manusia perkara yang orang lain tidak tahu lagi. Memang kita kena sampaikan kerana kalau tidak sampaikan, maka umat akan jauh daripada wahyu dan jauh daripada agama. Penolakan manusia kepada perkara yang haq adalah kerana mereka tidak menerima kebenaran wahyu.


 

A’raf Ayat 63: Sambungan daripada kata-kata Nabi Nuh عليه السلام kepada kaumnya yang menolak dakwah baginda.

أَوَعَجِبتُم أَن جاءَكُم ذِكرٌ مِّن رَّبِّكُم عَلىٰ رَجُلٍ مِّنكُم لِيُنذِرَكُم وَلِتَتَّقوا وَلَعَلَّكُم تُرحَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then do you wonder that there has come to you a reminder from your Lord through a man from among you, that he may warn you and that you may fear Allāh so you might receive mercy?”

MALAY

“Adakah kamu merasa hairan tentang datangnya kepada kamu nasihat pengajaran dari Tuhan kamu melalui seorang lelaki dari golongan kamu, untuk memberi peringatan kepada kamu, dan supaya kamu bertaqwa dan juga supaya kamu beroleh rahmat?”.

 

أَوَعَجِبتُم أَن جاءَكُم ذِكرٌ مِّن رَّبِّكُم عَلىٰ رَجُلٍ مِّنكُم

“Adakah kamu merasa hairan tentang datangnya kepada kamu nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu melalui seorang lelaki daripada golongan kamu, 

Nabi Nuh عليه السلام sambung lagi dakwah baginda: adakah kamu rasa hairan datang peringatan dalam bentuk wahyu daripada Tuhan kamu melalui lelaki yang sifatnya manusia dalam kalangan kamu? Ini adalah dalam bentuk soalan (istifham) tetapi bukanlah soalan sebenar (istifham haqiqi) tetapi istifham majazi sahaja. Ia hendak menyatakan kehairanan atau takjub sahaja.

Baginda berkata begini kerana umat baginda tidak percayakan baginda kerana baginda manusia sama seperti mereka juga. Pada mereka: “Engkau manusia, kami pun manusia juga, jadi kenapa kami kena dengar cakap engkau?” Seperti juga orang kita apabila kita sampaikan ajaran daripada Sunnah, mereka akan lihat kedudukan kita pula. Sedangkan dakwah tidak semestinya datang daripada orang yang berkedudukan lebih tinggi daripada kita. Dakwah itu adalah kebenaran yang tidak mengenal status.

Beginilah alasan yang diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ apabila baginda berdakwah kepada Musyrikin Mekah. Ini seperti yang disebut di dalam banyak ayat lain antaranya [ Mukminoon: 24 ]

فَقالَ المَلَأُ الَّذينَ كَفَروا مِن قَومِهِ ما هٰذا إِلّا بَشَرٌ مِّثلُكُم يُريدُ أَن يَتَفَضَّلَ عَلَيكُم وَلَو شاءَ اللهُ لَأَنزَلَ مَلٰئِكَةً

Maka pemuka-pemuka orang yang kafir di antara kaumnya menjawab: “Orang ini tidak lain hanyalah manusia seperti kamu, yang bermaksud hendak menjadi seorang yang lebih tinggi daripada kamu. Dan kalau Allah ﷻ menghendaki, tentu Dia mengutus beberapa orang malaikat.

Adakah mereka mahukan malaikat turun baru mereka hendak dengar? Tentulah tidak menghairankan kalau pembawa utusan itu dalam kalangan manusia kerana kaum yang akan didakwahkan itu adalah dalam kalangan manusia juga. Untuk manusia, kenalah manusia juga yang ajar kepada mereka. Kalaulah malaikat yang diturunkan, tentu susah hendak diikuti kerana malaikat berbeza dengan manusia.

Manusia memerlukan contoh daripada manusia juga iaitu contoh bagaimana sebagai manusia yang ada nafsu, ada keperluan, ada perasaan, ada kelemahan, akan tetapi mereka tetap dapat menjadi insan yang taat kepada Allah ‎ﷻ. Berbeza dengan malaikat yang tiada nafsu, tidak makan dan tidak minum.

Tambahan pula Rasul adalah daripada منكم (dalam kalangan kamu) iaitu daripada masyarakat mereka. Maka mereka kenal Nabi Nuh عليه السلام itu. Mereka tahu yang Nabi Nuh عليه السلام itu orang yang baik, ada akhlak yang baik. Begitulah para Rasul adalah orang yang memiliki akhlak yang baik dalam kalangan masyarakat dan dihormati.

Lagi satu, keputusan untuk melantik siapa yang menjadi Rasul adalah hak Allah ‎ﷻ dan ia tidak patut dipersoalkan. Ia bukan hak manusia untuk mempersoalkan mana-mana keputusan Allah ‎ﷻ.

Nabi Nuh عليه السلام kata peringatan itu daripada ‘Tuhan kamu’. Baginda tidak kata dari pada ‘Tuhan aku’ kerana baginda hendak mengingatkan mereka yang Tuhan mereka dan Tuhan baginda itu sama sahaja, walaupun mereka tidak mengaku. Seperti kita juga ketika dakwah kepada orang ‘belum Muslim’ pun kenalah sebut begini. Jangan kata ‘Tuhan kita’ sebab kalau begitu, mereka tidak terasa pun. Sebab pada mereka: “Lantaklah.. itu tuhan engkau, tuhan aku cakap lain.”

Apa yang disampaikan itu adalah ‘peringatan’. Jika kita ingatkan orang, adakah dia kena faham apa yang diingatkan? Tentulah kena faham. Kalau tidak, buang masa sahaja kita ingatkan dia. Maka kalau kita sampaikan Al-Qur’an, kenalah bagi manusia faham apa yang disebut dalam Al-Qur’an. Kalau setakat baca sahaja dan sibuk jaga tajwid, tidak ke mana.

 

لِيُنذِرَكُم

untuk memberi peringatan kepada kamu, 

Tujuan pemberi dakwah itu adalah untuk memberi peringatan dan ancaman. Apakah ancaman itu? Iaitu kalau tidak taat dan tidak sembah kepada Allah‎ ﷻ  sahaja, akan dimasukkan ke dalam neraka.

Apakah maksud ‘peringatan’? Adakah suruh orang buat sesuatu seperti ‘pergi ke sana’ sahaja? Itu bukan peringatan kerana manusia tidak takut. Yang menjadikan ia peringatan adalah kalau ada ancaman di dalamnya. Contohnya kita kata: “Pergi ke sana kalau tidak kau kena denda!” Memang manusia yang degil memerlukan ancaman baru mereka akan buat sesuatu.

 

وَلِتَتَّقوا

dan supaya kamu bertaqwa

Penyebar tauhid itu datang untuk mengingatkan umatnya untuk bertaqwa. Taqwa itu adalah dengan menjaga hukum yang telah disampaikan oleh Allah ‎ﷻ. Dalam setiap perbuatan kita, kita kena sedar yang Allah ‎ﷻ sedang memerhatikan kita. Jika kita sedar Allah ‎ﷻ sedang memerhatikan kita, maka kita akan jaga hukum. Kita akan tanya diri sendiri: “Allah mahu aku buat macam mana dalam hal ini? Apakah hukum perbuatan ini?”

 

وَلَعَلَّكُم تُرحَمونَ

dan juga supaya kamu beroleh rahmat”

Tujuan dakwah itu disampaikan adalah supaya manusia mendapat rahmat daripada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ akan memberi rahmat kepada mereka yang bertaqwa dan menjaga hukum dalam kehidupan mereka. Mereka yang mendapat rahmat daripada Allah ‎ﷻ akan mendapat kehidupan yang baik di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat.

Ini penting kerana untuk memasuki syurga memerlukan rahmat daripada Allah ‎ﷻ. Tanpa rahmat, kita pasti tidak dapat masuk ke dalam syurga. Amalan kita tidak akan cukup timbangan untuk memasukkan kita ke dalam syurga. Kita amat-amat memerlukan rahmat daripada Allah ‎ﷻ.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Ringkasan Surah A’raf

Kemaskini: 29 September 2022


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah al-A’raf Ayat 56 – 58 (Adab Berdoa)

A’raf Ayat 56:

وَلا تُفسِدوا فِي الأَرضِ بَعدَ إِصلٰحِها وَادعوهُ خَوفًا وَطَمَعًا ۚ إِنَّ رَحمَتَ اللَّهِ قَريبٌ مِنَ المُحسِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And cause not corruption upon the earth after its reformation. And invoke Him in fear and aspiration. Indeed, the mercy of Allāh is near to the doers of good.

MALAY

Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.

 

وَلا تُفسِدوا فِي الأَرضِ بَعدَ إِصلٰحِها

Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah membaikinya,

Allah ‎ﷻ berpesan supaya kita jangan membuat kerosakan dalam agama setelah Allah ‎ﷻ menjadikan bumi ini dengan elok sekali. Bumi telah dibaiki dengan tauhid di mana Allah ‎ﷻ telah menghantar Rasul-rasul untuk menyampaikan kebenaran tentang tauhid.

Berbuat kerosakan itu maksudnya derhaka dalam hal agama. Sebagai contoh, Allah ‎ﷻ telah membuat kebaikan di Mekah, ada Kaabah dan ada berkat, tetapi Musyrikin Mekah telah merosakkannya. Mereka melakukan kerosakan dengan melakukan dosa-dosa maksiat terutama sekali dosa syirik.

Ada juga larangan merosakkan bumi dalam bentuk fizikal. Allah ‎ﷻ sudah menjadikan bumi ini cantik sekali, janganlah pula dirosakkan dengan menjarah hasilnya untuk kepentingan sendiri.  Allah ‎ﷻ sudah menjadikan kita tinggal di bumi yang elok-elok sahaja. Tidaklah kita duduk semuanya di atas air, dan tidaklah kita hidup semuanya di atas bumi yang semuanya batu. Kalau semuanya air, susah kita hendak bergerak; kalau semuanya batu, bagaimanalah kita hendak bercucuk tanam?

Kita hidup di atas tanah yang boleh kita gunakan untuk bercucuk tanam, diambil untuk kita buat rumah, boleh dikorek untuk dibuat telaga, cukup keras untuk berjalan di atasnya. Hebat, bukan?

Allah ‎ﷻ mengadakan angin untuk menyejukkan kita, membawa awan, membawa debunga. Allah ‎ﷻ menjadikan matahari untuk memberikan cahaya dan sumber kehidupan untuk tanam-tanaman. Kemudian di dalam tanah ada minyak, ada besi, ada logam-logam lain yang kita boleh gunakan untuk industri kita. Allahuakbar, banyak sangatlah kalau mahu disebut di sini. Nanti bila kita lihat segala apa yang ada dalam dunia ini dan mudahnya hidup kita, maka ingatlah kurniaan Allah ‎ﷻ ini. Bayangkan kalau duduk di Marikh sebagaimana yang Elok Musk teringin hendak pergi itu, bagaimanakah cara kita hendak menjalankan kehidupan kita? Oleh itu, janganlah kita rosakkan bumi yang indah ini. 

Walau bagaimanapun ada sahaja kadangkala kita terpaksa membuat kerosakan yang mempunyai kebaikan di sebaliknya kerana ia bergantung pula dengan keperluan. Contohnya di dalam Surah Kahf ada disebut Nabi Khidr عليه السلام menebuk sampan untuk kebaikan pemiliknya yang miskin. Juga disebut di dalam Surah Hashr arahan Rasulullah ﷺ untuk membakar pohon-pohon tamar puak Yahudi. Dua contoh ini kalau dilihat secara literal ia merupakan kerosakan, akan tetapi ia adalah untuk kebaikan.

Ia juga merujuk tentang alam luar. Alam dalaman kita pun Allah ‎ﷻ telah jadikan molek sekali. Telah diberikan kepada kita fitrah untuk mengenali Allah ‎ﷻ dan fitrah berkehendak kepada Tuhan. Maka jangan kita rosakkan dengan fahaman-fahaman yang salah. Apakah kerosakan yang paling utama? Itulah syirik kerana syirik ini adalah perkara yang amat dibenci oleh Allah ‎ﷻ sehingga Allah ‎ﷻ tidak akan ampuni sampai bila-bila (melainkan orang itu sendiri meminta ampun).

Malangnya ia juga adalah perkara yang agak halus sehinggakan ramai yang sukar untuk faham. Bayangkan ramai tidak faham di mana salahnya meminta kepada orang yang sudah mati dan juga pokok yang tidak pernah hidup. Ramai golongan agamawan yang jahil yang mengajar masyarakat meminta kepada orang yang telah mati. Ramai pula masyarakat yang jahil ikut pula fahaman sebegitu. Apabila ditegur, kita pula yang dimarahi dan dibentak dengan berbagai-bagai tuduhan. Mereka kata kita pula yang ‘gagal faham’. Mereka suruh kita ambil ubat antibodoh sedangkan mereka yang bodoh!

 

وَادعوهُ خَوفًا وَطَمَعًا

dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan takut dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan. 

Allah‎ ﷻ sambung tentang adab dalam berdoa dan berzikir kepada-Nya. Hendaklah menyeru Allah ‎ﷻ dalam keadaan takut dan bimbang. Takut kenapa pula? Takut kalau-kalau doa kita tidak diterima kerana belum tentu doa kita diterima oleh Allah ‎ﷻ kerana dosa-dosa kita.

Juga takut dengan azab Allah ‎ﷻ yang banyak disebut di dalam Al-Qur’an dan Hadith. Kita belum tentu selamat lagi.

Maka kerana itulah kita hendaklah berdoa dengan penuh harapan. Inilah طَمَعًا (tamak) yang baik. Apa-apa sahaja kebaikan yang Allah ‎ﷻ hendak beri, kita sangat tamak terhadapnya, hendak lagi dan lagi. Juga mengharap sangat Allah ‎ﷻ terima dan makbulkan doa kita kerana sekiranya Allah ‎ﷻ tidak makbulkan, kepada siapa lagi kita hendak mengharap? Oleh hal yang demikian, janganlah berdoa sambil lewa sahaja.

Konsep takut dan harap ini memang hendaklah sentiasa ada setiap masa dalam diri kita. Kedua-duanya kenalah ada dan sama banyak kerana kalau takut terlalu banyak, kita susah hendak hidup, asyik takut sahaja; dan kalau harap terlalu banyak, nanti kita ambil mudah pula dalam perbuatan seharian kita. Oleh sebab itu hendaklah diseimbangkan di antara keduanya. Kata ulama’, takut dan harap ini seperti dua sayap pada burung. Kalau salah satu terlebih, burung pun tidak boleh terbang. Maka kita juga perlukan dua konsep ini untuk ‘terbang’ di dunia menuju ke akhirat.

 

IMG_20221001_185125_839

 

إِنَّ رَحمَتَ اللَّهِ قَريبٌ مِنَ المُحسِنينَ

Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.

Daripada ayat ini, kita tahu yang kita hanya berdoa kepada Allah ‎ﷻ sahaja dan Allah ‎ﷻ beritahu yang penerimaan doa itu memang hampir, bagi hamba yang memiliki hati yang baik. Inilah antara maksud ‘muhsin’. Maknanya, kita kena berdoa dengan ikhlas.

Muhsin adalah orang yang melakukan ihsan. Apakah maksud ihsan itu? Ada dua bahagian:

ihsan dengan Allah ‎ﷻ

ihsan dengan makhluk

Ihsan dengan Allah ‎ﷻ itu adalah membaiki hubungan kita dengan Allah ‎ﷻ iaitu dengan menghambakan diri kita dengan sebaik-baiknya. Ini disebut di dalam ‘Hadith Jibril’ yang panjang tetapi ringkasan tentang ihsan adalah:

Kemudian dia bertanya lagi: Maka sekarang khabarkanlah kepadaku darihal Ihsan. Rasulullah ﷺ menjawab: Ihsan ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, tetapi jika engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat engkau.

(Hadith Riwayat Muslim No.8)

Ihsan dengan makhluk itu adalah berbuat baik kepada mereka kerana kita bukan hendak baiki diri kita sahaja, tetapi inginkan kebaikan kepada selain diri kita. Ihsan yang paling tinggi adalah berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepada kita.

Dalam berdoa hendaklah kita berharap kepada Allah ‎ﷻ seperti yang telah disebut di atas kerana kita bergantung kepada rahmat Allah ‎ﷻ yang amat luas. Besarnya rahmat Allah ‎ﷻ, doa daripada orang berdosa pun ada yang diterima; malah, kita pun tahu doa iblis pun Allah ‎ﷻ pernah terima.

Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ، وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لَا يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لَاهٍ

Berdoalah kepada Allah ‎ﷻ dalam keadaan kamu yakin bahawa ia akan diterima (dimakbulkan). Ketahuilah bahawa Allah ‎ﷻ tidak akan menerima (memakbulkan) doa yang datang daripada hati yang lalai lagi alpa.

(Riwayat AT-Tirmidzi (3479))

Cuma di hujung ayat ini Allah ‎ﷻ memberi indikasi yang doa lebih makbul jikalau orang yang berdoa itu sendiri adalah seorang yang baik (muhsin). Ini kerana dosa-dosa boleh menjadi penghalang kepada doa dimakbulkan. Ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad ﷺ:

الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ، يَا رَبِّ، يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟

Seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh (lama), tubuhnya diliputi debu lagi kusut, dia menadah tangannya ke langit dan berdoa, ‘Ya Rabbku, ya Rabbku’. Akan tetapi makanannya haram, minumannya haram, dan dia diberi makan dengan yang haram. Maka bagaimana mungkin doanya dikabulkan.

(Riwayat Muslim (1015))

Cuma jikalau doa kita tidak dimakbulkan lagi, janganlah putus harap. Terdapat sebuah hadith yang membicarakan berkaitan hal ini sebagaimana riwayat Abu Sa‘id al-Khudri رضي الله عنه, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ، وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ، إِلَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثٍ: إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ، وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ، وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنَ السُّوءِ مِثْلَهَا

Tidaklah seorang Muslim itu berdoa (dengan doa) yang tidak mengandungi dosa dan bukan bertujuan memutuskan silaturahim, melainkan Allah ‎ﷻ akan memakbulkannya (doa itu) dengan tiga cara; sama ada Allah ‎ﷻ akan memakbulkan doanya sesegera mungkin, atau Allah ‎ﷻ menyimpan (menjadikannya pahala) baginya di akhirat kelak, atau Allah ‎ﷻ akan menjauhkan daripadanya kejelekan.

(Sahih al-Bukhari (8/75))


 

PERUMPAMAAN KEPADA HARI KEBANGKITAN

A’raf Ayat 57: Kenapakah kita perlu berdoa dan berharap kepada Allah ‎ﷻ sahaja? Kerana Dialah yang mengurus alam ini. Rahmat semua daripada-Nya maka kita hendaklah meminta kepada yang memberi rahmat.

وَهُوَ الَّذي يُرسِلُ الرِّيٰحَ بُشرًا بَينَ يَدَي رَحمَتِهِ ۖ حَتّىٰ إِذا أَقَلَّت سَحابًا ثِقالًا سُقنٰهُ لِبَلَدٍ مَّيِّتٍ فَأَنزَلنا بِهِ الماءَ فَأَخرَجنا بِهِ مِن كُلِّ الثَّمَرٰتِ ۚ كَذٰلِكَ نُخرِجُ المَوتىٰ لَعَلَّكُم تَذَكَّرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And it is He who sends the winds as good tidings before His mercy [i.e., rainfall] until, when they have carried heavy rainclouds, We drive them to a dead land and We send down rain therein and bring forth thereby [some] of all the fruits. Thus will We bring forth the dead; perhaps you may be reminded.

MALAY

Dan Dia lah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmatNya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan ia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya).

 

وَهُوَ الَّذي يُرسِلُ الرِّيٰحَ بُشرًا بَينَ يَدَي رَحمَتِهِ

Dan Dia lah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmat-Nya

Bagaimana kita tahu kedatangan rahmat Allah ‎ﷻ itu? Apabila kita boleh rasa kehadiran angin yang akan membawakan hujan. Apabila angin datang, kita dapat tahu yang di depannya ada rahmat dalam bentuk hujan. Contohnya kalau keadaan sudah lama kemarau dan tiba-tiba ada angin yang kuat, maka manusia sudah gembira kerana telah ada tanda yang hujan akan turun tidak lama lagi.

Pemberitahuan tentang kedatangan hujan ini juga adalah rahmat daripada Allah ‎ﷻ kerana manusia suka kalau dapat maklumat awal. Kalau mereka tahu hujan hendak turun, mereka boleh membuat persiapan. Ini untuk mungkin bersedia dengan besen untuk menadah air, atau untuk mengangkat kain di jemuran, atau sediakan payung jika mahu keluar atau lain-lain perancangan lagi.

Di dalam ayat ini digunakan kalimah الرِّيٰحَ iaitu jamak bagi رِيحٍ. Yang menarik di dalam Al-Qur’an adalah jikalau penyebutan angin itu menggunakan sighah jamak, ia membawa maksud nikmat manakala jikalau ia di dalam bentuk mufrad, ia bermaksud azab. Lihat beza penggunaannya di dalam [ Ali Imran: 117 ]

مَثَلُ مَا يُنفِقُونَ فِي هَٰذِهِ ٱلحَيَوٰةِ الدُّنْيَا كَمَثَلِ رِيحٍ فِيهَا صِرٌّ أَصَابَتْ حَرْثَ قَوْمٍ ظَلَمُوا أَنفُسَهُمْ فَأَهْلَكَتْهُ

Bandingan apa yang mereka belanjakan dalam kehidupan dunia ini (sekalipun untuk amal-amal yang baik), samalah seperti angin yang membawa udara yang amat sejuk, yang menimpa tanaman kaum yang menganiaya diri mereka sendiri, lalu membinasakannya;

Oleh sebab itu, sekiranya Allah ‎ﷻ menghantar banyak angin, itu tandanya Allah ‎ﷻ memberi banyak rahmat kepada makhluk. Hanya satu sahaja angin yang buruk yang membawa azab.

 

حَتّىٰ إِذا أَقَلَّت سَحابًا ثِقالًا سُقنٰهُ لِبَلَدٍ مَّيِّتٍ

hingga apabila angin itu membawa awan berat, Kami halakan ia ke negeri yang mati 

Allah ‎ﷻ menceritakan proses bagaimana air disampaikan ke tanah yang gersang (tanah yang mati). Awan yang telah mengandungi air itu sebenarnya berat. Namun begitu, angin boleh membawanya bergerak ke arah yang Allah ‎ﷻ kehendaki bagaikan angin itu ringan sahaja, seolah-olah tiada apa-apa. Kalimah أَقَلَّت digunakan apabila kita membawa beban yang disangka sebagai ringan.

Proses kejadian ini sangat hebat. Allah ‎ﷻ tidak susahkan manusia untuk mengangkat air untuk mengairi tanaman di mana-mana. Allah ‎ﷻ menguruskan air yang banyak itu dinaikkan dari kolam contohnya dan air itu dibawa ke tempat yang diperlukan. Dengan air itu nanti diturunkan dari langit (dari atas) dan senang pula untuk disebarkan ke tempat yang memerlukan. Begitulah hebatnya kuasa Allah ‎ﷻ memberikan nikmat kepada hamba-Nya.

Allah ‎ﷻ juga yang memilih di mana air hujan itu akan diturunkan. Dalam ayat ini disebut tanah yang mati iaitu jenis tanah yang sudah lama tidak mendapat air dan tumbuhan tidak dapat tumbuh lagi di situ. Maka tanah jenis inilah yang paling memerlukan air hujan dan Allah ‎ﷻ memlih tanah yang sebegitu.

Semua ini ditentukan oleh Allah ‎ﷻ. Kajian meteorologi untuk menentukan tempat-tempat yang akan dikenakan dengan hujan dan berapa banyak hujan. Akan tetapi kajian ini tidaklah sentiasa tepat. Ada sahaja salahnya. Ini kerana kuasa untuk menentukan tempat turunnya hujan itu adalah dalam tangan Allah ‎ﷻ semata.

 

فَأَنزَلنا بِهِ الماءَ

lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu,

Apabila telah sampai ke tempat yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan akan diberikan hujan, air hujan yang ada dalam awan itu akan diturunkan. Lihatlah dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ kata Dia yang turunkan hujan itu, walaupun dari segi sains, awan yang bawa air itu. Namun begitu Allah ‎ﷻ hendak beritahu, bahawa Dia lah yang menentukan segalanya. Kita boleh belajar sains dan tahu proses itu, tetapi hakikatnya, Allah ‎ﷻ yang menurunkan hujan itu. Semuanya tidak akan terjadi kalau tidak ada qadr daripada Allah ‎ﷻ.

 

فَأَخرَجنا بِهِ مِن كُلِّ الثَّمَرٰتِ

kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan.

Kemudian, dengan air itu ditumbuhkan-Nya berbagai-bagai jenis tanaman dan buah-buahan. Air itu satu jenis sahaja, tetapi daripadanya boleh mengeluarkan pelbagai jenis tanaman. Semua ini adalah daripada rahmat Allah ‎ﷻ.

Allah ‎ﷻ menceritakan nikmat yang diberikan kepada kita sebagai makhluk-Nya. Semua manusia mengambil manfaat daripada rahmat Allah ‎ﷻ ini akan tetapi yang merenung dan menghargai nikmat Allah ‎ﷻ ini hanyalah orang yang mempunyai akal.

 

كَذٰلِكَ نُخرِجُ المَوتىٰ لَعَلَّكُم تَذَكَّرونَ

Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat

Lihat begitulah mudahnya Allah ‎ﷻ menghidupkan tanah yang tandus dan mati. Begitu jugalah cara Allah ‎ﷻ akan menghidupkan orang yang mati. Allah ‎ﷻ memberikan perumpamaan bagaimana Dia menghidupkan tanah yang mati/gersang sehingga menjadi segar semula tanah itu dengan tanam-tanaman.

Kelak nanti manusia akan tumbuh semula daripada tulang sulbi (tulang ekor) masing-masing. Begitulah mudahnya tanah gersang dihidupkan dengan air sahaja, dan begitulah nanti dengan mudahnya Allah ‎ﷻ menghidupkan semula makhluk yang telah mati untuk menerima pengadilan di Hari Akhirat kelak. Ini disebut di dalam beberapa hadith:

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

لَيْسَ مِنَ الإِنْسَانِ شَيْءٌ إِلَّا يَبْلَى، إِلَّا عَظْمًا وَاحِدًا وَهُوَ عَجْبُ الذَّنَبِ، وَمِنْهُ يُرَكَّبُ الخَلْقُ يَوْمَ القِيَامَةِ

“Tidak ada pada manusia itu melainkan kesemuanya akan hancur melainkan satu tulang yang dinamakan ‘Ajb al-Zanab dan daripadanya itu akan dibangkitkan manusia pada hari Kiamat”.

(Riwayat Bukhari (4935))

Seperti yang kita tahu, ada sekurang-kurangnya dua tiupan Sangkakala. Tiupan pertama akan mematikan seluruh yang hidup di alam ini dan tiupan kedua akan menghidupkannya. Cuma mungkin kita tidak tahu ada sengkang masa 40 tahun di antara dua tiupan itu.

Abu Hurairah رضي الله عنه mengatakan, Rasulullah ﷺ bersabda:

مَا بَيْنَ النَّفْخَتَيْنِ أَرْبَعُوْنَ

“Jarak antara dua tiupan Sangsakala itu empat puluh.” Lalu para sahabat bertanya, “Wahai Abu Hurairah, apakah 40 hari?” Abu Hurairah رضي الله عنه menjawab, “Aku tidak tahu.” Mereka bertanya lagi, “Apakah 40 bulan?” Abu Hurairah رضي الله عنه menjawab, “Aku tidak tahu.” Mereka bertanya lagi, “Apakah 40 tahun?” Abu Hurairah رضي الله عنه menjawab, “Aku tidak tahu.” Kemudian turunlah hujan dari langit, lalu mereka tumbuh seperti tumbuhnya sayuran. Semua bahagian manusia akan hancur kecuali satu tulang, iaitu tulang ekor. Daripada tulang ekor itulah manusia diciptakan pada hari Kiamat.”

(Hadith Riwayat Bukhari (4554) dan Muslim (5253)).

Walaupun tidak pasti berapa lama, namun ada pendapat yang mengatakan 40 tahun. Ada pula pendapat yang mengatakan selama 40 tahun ini, hujan akan turun yang akan menumbuhkan semula tulang temulang manusia sehingga lengkap. Sama seperti Allah ‎ﷻ menurunkan hujan untuk menghidupkan tanah yang telah mati. Begitulah Allah ‎ﷻ membuat perumpamaan tentang kehidupan semula. Kemudian apabila tulang itu telah lengkap, waktu itulah tiupan kedua Sangkakala akan ditiup dan roh manusia akan dimasukkan ke dalam tubuh itu semula.

Allah ‎ﷻ menyebut banyak kali tentang perkara ini kerana hendak mengajar Musyrikin Mekah tentang kebangkitan semula. Mereka ada masalah untuk menerima kenyataan ini. Pada mereka, apabila mereka mati, mereka tidak akan dihidupkan kembali. Dengan itu, senanglah mereka hendak buat apa sahaja yang mereka suka kerana mereka tidak mahu dipertanggungjawabkan dengan kezaliman yang mereka lakukan.

Kita yang mempercayai tentang hari akhirat sekarang diingatkan yang kita akan dibangkitkan semula nanti selepas kita mati. Perjalanan hidup kita masih panjang lagi. Kematian bukanlah penutup kisah kita tetapi kita akan menghadapi penghidupan yang lebih lama lagi. Ini kita terima secara umum, tetapi benarkah kita yakin dengannya?

Kalau yakin kenapa ramai yang hidup seolah-olah tidak percaya dengan akhirat? Kenapakah ramai yang tidak menghiraukan amalan mereka sama ada baik atau tidak, seolah-olah mereka tidak akan dihidupkan dan dipertanggungjawabkan dengan segala perbuatan kita? Sekiranya kita benar-benar percaya dengan kebangkitan semula dan hari akhirat, tentu kita tidak berani untuk melakukan dosa.


 

PERUMPAMAAN ORANG KAFIR DAN ORANG BERIMAN

A’raf Ayat 58: Selepas Allah ‎ﷻ mencerita tentang air yang menghidupkan tanaman, sekarang Allah ‎ﷻ ceritakan tentang bumi pula. Ada kaitan di antara keduanya.

وَالبَلَدُ الطَّيِّبُ يَخرُجُ نَباتُهُ بِإِذنِ رَبِّهِ ۖ وَالَّذي خَبُثَ لا يَخرُجُ إِلّا نَكِدًا ۚ كَذٰلِكَ نُصَرِّفُ الآيٰتِ لِقَومٍ يَشكُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the good land – its vegetation emerges by permission of its Lord; but that which is bad – nothing emerges except sparsely, with difficulty. Thus do We diversify the signs for a people who are grateful.

MALAY

Dan negeri yang baik (tanahnya), tanaman-tanamannya tumbuh (subur) dengan izin Allah; dan negeri yang tidak baik (tanahnya) tidak tumbuh tanamannya melainkan dengan keadaan bantut. Demikianlah Kami menerangkan tanda-tanda (kemurahan dan kekuasaan) Kami dengan berbagai cara bagi orang-orang yang (mahu) bersyukur.

 

وَالبَلَدُ الطَّيِّبُ يَخرُجُ نَباتُهُ بِإِذنِ رَبِّهِ

Dan negeri yang baik (tanahnya), tanaman-tanamannya tumbuh (subur) dengan izin Allah; 

Maklumat tentang kebenaran agama dan dalil telah diberikan kepada semua manusia. Namun begitu ada manusia yang terima dan ada yang tidak. Sekarang Allah ‎ﷻ membandingkan perbezaan manusia itu dalam ayat ini dengan tanah. Kita pun tahu, ada tanah gersang yang tanaman susah untuk tumbuh di atasnya. Manakala ada tanah yang subur yang senang tumbuh tanaman padanya. Begitu juga dengan manusia.

Ini adalah ayat perumpamaan. Allah ‎ﷻ membandingkan bumi yang subur seperti hati manusia yang subur dan baik. Air hujan di dalam ayat sebelumnya merujuk kepada wahyu Al-Qur’an. Manusia yang subur hatinya akan ada ketaatan kepada Allah ‎ﷻ. Senang wahyu untuk masuk ke dalam hatinya dan dia senang faham ajaran agama. Apabila dia faham, dia senang pula untuk mengamalkannya. Sebagaimana air hujan mudah masuk ke dalam tanah itu untuk menyuburkan tanah itu.

Namun  begitu,  Allah ‎ﷻ mengingatkan sekali lagi, semua itu dengan izin Allah ‎ﷻ juga. Maka kita kena berharap kepada Allah ‎ﷻ untuk beri kefahaman Al-Qur’an dan taufik untuk mengamalkan segala ajaran di dalamnya.

 

وَالَّذي خَبُثَ لا يَخرُجُ إِلّا نَكِدًا

dan negeri yang tidak baik (tanahnya) tidak tumbuh tanamannya melainkan dengan keadaan bantut.

Bumi yang gersang pula tidak tumbuh tanaman di atasnya, kecuali tumbuhan yang tidak baik walaupun air hujan banyak turun padanya. Begitu juga kalau tanah itu tidak digembur lagi, maka ia masih keras, tidak sesuai untuk tanaman lagi. Tanaman tidak menjadi walaupun sudah dilakukan banyak usaha untuk menyuburkannya.

Segala usaha itu sia-sia sahaja dan buang tenaga dan masa. Kalau ada tanaman pun, ada sedikit sahaja dan tidak bagus sangat. Begitulah kalau kita lihat orang kafir, mereka bukan tidak ada kebaikan langsung pada mereka, bukannya mereka tidak ada jasa kepada orang lain dan bumi ini, namun tidak banyak.

Begitu juga dengan orang yang hatinya buruk, tidak bersih. Mereka tidak dapat mengambil manfaat daripada ayat-ayat Al-Qur’an yang dibacakan kepada mereka. Mereka dengar, tetapi mereka tidak dapat mengambil manfaat daripadanya. Sedih kita apabila kita bacakan ayat-ayat Al-Qur’an kepada kawan dan keluarga kita, tetapi mereka tidak ambil endah.

 

كَذٰلِكَ نُصَرِّفُ الآيٰتِ لِقَومٍ يَشكُرونَ

Demikianlah Kami menerangkan tanda-tanda (kemurahan dan kekuasaan) Kami dengan berbagai cara bagi orang-orang yang (mahu) bersyukur.

Beginilah cara Allah ‎ﷻ menjelaskan kebenaran dengan menceritakan perbandingan antara orang yang mahu menerima kebenaran dan orang yang tidak mahu. Air hujan itu perumpamaan bagi Al-Qur’an dan tanah itu adalah perumpamaan bagi hati. Semua penjelasan ini boleh didapati bagi semua orang, tetapi yang mahu menerimanya hanyalah kaum yang ingin bersyukur. Ini adalah kerana orang yang bersyukur itu adalah orang yang taat dengan perintah Allah ‎ﷻ.

قَالَ الْبُخَارِيُّ: حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْعَلَاءِ، حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ أُسَامَةَ عَنْ بُرَيد بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، عَنْ أَبِي بُرْدَةَ، عَنْ أَبِي مُوسَى، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “مَثَلُ مَا بَعَثَنِي اللَّهُ بِهِ مِنَ الْهُدَى وَالْعِلْمِ، كَمَثَلِ الْغَيْثِ الْكَثِيرِ أَصَابَ أَرْضًا، فَكَانَتْ مِنْهَا نَقِيَّةٌ قَبِلَتِ الْمَاءَ، فَأَنْبَتَتِ الْكَلَأَ وَالْعُشْبَ الْكَثِيرَ. وَكَانَتْ مِنْهَا أَجَادِبَ أَمْسَكَتِ الْمَاءَ، فَنَفَعَ اللَّهُ بِهَا النَّاسَ، فَشَرِبُوا وَسَقَوْا وَزَرَعُوا. وَأَصَابَ مِنْهَا طَائِفَةً أُخْرَى، إِنَّمَا هِيَ قِيعَانٌ لَا تُمْسِكُ مَاءً وَلَا تَنْبُتُ فَذَلِكَ مَثَلُ مَنْ فَقُه فِي دِينِ اللَّهِ وَنَفَعَهُ مَا بَعَثَنِي اللَّهُ بِهِ، فَعَلم وَعَلَّم، وَمَثَلُ مَنْ لَمْ يَرْفَعْ بِذَلِكَ رَأْسًا. وَلَمْ يَقْبَل هُدَى اللَّهِ الَّذِي أُرْسِلْتُ بِهِ”.

Imam Bukhari رحمه الله mengatakan, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnul Ala, telah menceritakan kepada kami Hammad ibnu Usamah, daripada Yazid ibnu Abdullah, daripada Abu Burdah, daripada Abu Musa yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ  pernah bersabda: Perumpamaan ilmu dan petunjuk yang diutuskan oleh Allah ‎ﷻ kepadaku (untuk menyampaikannya) adalah seperti hujan deras yang menyirami bumi. Sebahagian dari bumi ada yang subur dan menerima air, maka ia menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan rerumputan yang banyak. Dan sebahagian daripada yang lain ada yang tandus, tetapi dapat menampung air, maka Allah ‎ﷻ memberikan manfaat kepada manusia melaluinya sehingga mereka dapat minum, dapat pengairan dan bercucuk tanam. Dan hujan itu menimpa sebahagian yang lain yang hanya merupakan rawa-rawa (paya), tidak dapat menahan air dan tidak (pula) menumbuhkan rerumputan. Maka demikianlah perumpamaan orang yang mengerti tentang agama Allah ‎ﷻ dan beroleh manfaat daripada apa yang diutuskan oleh Allah ‎ﷻ kepadaku untuk menyampaikannya, sehingga dia berilmu dan mengamalkannya. Juga sebagai perumpamaan buat orang yang tidak mahu memperhatikannya serta tidak mahu menerima petunjuk Allah ‎ﷻ yang disampaikan olehku. 

(Hadith Bukhari No. 77)

Sekiranya air hujan itu diibaratkan sebagai Al-Qur’an, kadangkala hujan ini memberi manfaat tetapi kadangkala ia memberi mudarat, bukan? Seperti banjir dan sebagainya kalau terlalu banyak. Namun bagaimana Al-Qur’an memberi mudarat pula?

Ia menjadi mudarat apabila ia disalahgunakan. Ada yang tidak menjadikan Al-Qur’an sebagai panduan kehidupan tetapi ia disalahgunakan. Ada yang menggunakannya sebagai azimat, ada yang menggunakan ia sebagai sihir.

Ayat Al-Qur’an sebagai sihir?! Bagaimanakah pula ia mungkin menjadi sihir? ia menjadi sihir apabila ia dibaca dengan tujuan yang tidak patut. Ini tidak ada kena mengena dengan tujuan Al-Qur’an diturunkan. Contohnya ada yang menggunakannya sebagai ayat pengasih, kononnya untuk menutup mata polis trafik dan lain-lain lagi.

Ayat-ayat Al-Qur’an juga disalahgunakan oleh orang jahat untuk menghalalkan niat jahat mereka. Mereka menggunakan ayat Al-Qur’an sebagai dalil untuk berlaku zalim. Contohnya ada yang mengatakan isteri kena taat kepada suami tanpa soal dan mereka membacakan ayat-ayat tertentu yang ditafsir dengan cara salah; ada ahli politik yang menggunakannya untuk meraih undi dan mengkafirkan golongan musuh politik mereka. Ini semua adalah penyalahgunaan Al-Qur’an dan ia tidak patut dilakukan. 

 

Habis Ruku’ 7 daripada 24 ruku’ dalam surah ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 1 Sep 2023


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah al-A’raf Ayat 54 – 55 (Adab berdoa)

PENCIPTA YANG AGUNG

A’raf Ayat 54: Ini adalah Dakwa yang ketiga iaitu Allah ‎ﷻ sahaja yang berhak disembah dan dipuja kerana Dia sahaja yang ada sifat kesempurnaan. Oleh kerana itu Allah ‎ﷻ menceritakan sifat-Nya dalam ayat ini:

إِنَّ رَبَّكُمُ اللَّهُ الَّذي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ في سِتَّةِ أَيّامٍ ثُمَّ استَوىٰ عَلَى العَرشِ يُغشِي اللَّيلَ النَّهارَ يَطلُبُهُ حَثيثًا وَالشَّمسَ وَالقَمَرَ وَالنُّجومَ مُسَخَّرٰتٍ بِأَمرِهِ ۗ أَلا لَهُ الخَلقُ وَالأَمرُ ۗ تَبارَكَ اللَّهُ رَبُّ العٰلَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, your Lord is Allāh, who created the heavens and earth in six days and then established Himself above the Throne. He covers the night with the day, [another night] chasing it rapidly; and [He created] the sun, the moon, and the stars, subjected by His command. Unquestionably, His is the creation and the command; blessed is Allāh, Lord of the worlds.

MALAY

Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa lalu Dia bersemayam di atas Arasy; Dia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti) dan (Dia pula yang menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintahNya. Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Berkat Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.

 

إِنَّ رَبَّكُمُ اللَّهُ الَّذي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ في سِتَّةِ أَيّامٍ

Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa

Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah ‘rabb’ dalam ayat ini untuk mengingatkan yang Dialah yang mencipta, memiliki dan mengurus alam ini. Allah ‎ﷻlah sahaja yang mencipta alam ini tanpa ada pertolongan daripada sesiapa. Juga tanpa contoh daripada ciptaan yang sebelumnya. Inilah Tauhid Rububiyyah di mana Allah ‎ﷻ hendak tekankan, Dia yang hebat, bukannya sembahan-sembahan bathil yang mereka lakukan itu.

Bukan sahaja Allah ‎ﷻ mengingatkan Dia yang menjadikan alam ini, malah dalam ayat ini juga Allah ‎ﷻ memberikan maklumat perkara ghaib kepada kita. Allah ‎ﷻ memberitahu yang Dia mencipta alam ini dalam enam ‘masa’. Di sini Allah ‎ﷻ sebut ringkas sahaja (6 hari penciptaan) dan penjelasan lebih panjang Allah ‎ﷻ telah berikan di dalam ayat [ Fussilat: 9-10 ]

Sekiranya Allah ‎ﷻ tidak memberitahu akan hal ini, kita tidak akan tahu kerana kita tidak ada ketika penciptaan alam ini. Apakah maksud ‘enam masa’ itu? Penjelasan tentang perkara ini dijelaskan dalam ayat-ayat yang lain. Secara ringkasnya ada 3 pendapat:

1. Hari seperti yang kita kenal di dunia ini. Ini adalah pendapat jumhur ulama’. Pendapat ini mudah difahami oleh manusia dan ia mengenang kembali yang Al-Qur’an ini pertama kali diturunkan kepada orang Arab yang mengikut bahasa dan kebiasaan mereka. Walau bagaimanapun pendapat ini ada masalah kerana ketika Allah ‎ﷻ menjadikan alam ini, matahari tidak ada lagi, maka bagaimana pula hendak dikira hari itu? Ulama’ jawab, memang tidak ada matahari, tetapi enam hari itu bersamaan dengan enam hari kita juga. Ini seperti juga hari-hari di akhirat kelak bukannya dikira dengan pergerakan matahari kerana sudah tidak ada matahari lagi.

2. Hari di sisi Allah ‎ﷻ iaitu satu hari bersamaan dengan seribu tahun. Ini adalah pendapat antaranya Ibn Abbas رضي الله عنهما dan Imam Ahmad رحمه الله. Ini seperti yang disebut dalam  [ Hajj: 47 ] وَإِنَّ يَومًا عِندَ رَبِّكَ كَأَلفِ سَنَةٍ مِّمّا تَعُدّونَ (Sesungguhnya sehari di sisi Tuhanmu adalah seperti seribu tahun menurut perhitunganmu)

3. Hari itu di dalam bentuk masa yang kita sendiri tidak tahu. Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu dan kita serahkan sahaja kepada Allah ‎ﷻ.

 

Kenapakah Allah ‎ﷻ mengambil masa sehingga 6 hari/masa? Bukankah Allah ‎ﷻ boleh terus jadikan alam ini dalam sekelip mata? Ini disebut berkali-kali seperti di dalam [ Yaasin: 82 ] إِنَّما أَمرُهُ إِذا أَرادَ شَيئًا أَن يَقولَ لَهُ كُن فَيَكونُ (Sesungguhnya keadaan kekuasaan-Nya apabila Dia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Dia berfirman kepada benda itu: ” Jadilah engkau! “. Maka ia terus menjadi.) 

Ya memang boleh akan tetapi Allah ‎ﷻ hendak mengajar kita, dalam kerja yang besar hendaklah ada perancangan dan ambil masa. Ini supaya kita belajar jangan bersikap kelam kabut dalam melakukan sesuatu lebih-lebih lagi perkara yang penting. Sikap kelam kabut mungkin boleh menyebabkan hasilnya tidak seperti yang kita harapkan.

Selain itu, satu lagi pendapat mengatakan bahawa tujuan diambil masa selama 6 masa adalah kerana Allah ‎ﷻ hendak menunjukkan kehebatan-Nya dalam penciptaan kepada para malaikat yang sudah ada ketika itu.

 

ثُمَّ استَوىٰ عَلَى العَرشِ

lalu Dia bersemayam di atas Arasy;

Setelah Dia mencipta alam ini, Dia kemudian telah bersemayam di atas Arasy. Allah ‎ﷻ memposisikan Diri-Nya. Ini kerana selepas kalimah استَوىٰ diikuti dengan kalimah عَلَى. Sekiranya selepas kalimah إلى lain maksudnya seperti yang Allah ‎ﷻ gunakan di dalam [ Baqarah: 29 ]. Di situ, maksudnya ‘menuju’ atau ‘fokus’.

Di dalam bahasa kita, tidak ada terjemahan tepat bagi kalimah استَوىٰ ini maka yang paling dekat yang digunakan adalah kalimah ‘semayam’. Yang pasti Allah استَوىٰ sebagaimana yang layak bagi Allah ‎ﷻ. Kita tidak samakan dengan perbuatan itu dengan perbuatan makhluk. Kita terima seadanya apabila Allah ‎ﷻ beritahu yang Dia istiwa’ di Arasy.

Isu tentang kedudukan Allah ‎ﷻ ini sentiasa menjadi satu pertikaian yang tidak berkesudahan yang hanya membuang masa dalam kalangan masyarakat Islam kita sejak zaman berzaman. Para sahabat tidak berbalah, tabi’in pun tidak berbalah, imam-imam mazhab juga tidak berbalah akan hal ini. Yang berbalahnya hanyalah orang kita yang generasi terkemudian. Amat menyedihkan sekali sehingga timbul gelaran saling kafir mengkafirkan terhadap yang tidak sependapat. Mereka hendak memaksa kita terima juga takwilan mereka tentang istiwa’ Allah ‎ﷻ ini. Mereka mahu juga menolak fahaman Allah ‎ﷻ istiwa’ di Arasy sedangkan itulah yang disebut di dalam Al-Qur’an. Sekiranya mereka ingin memegang pendapat mereka sendiri, silakan, tetapi kenapakah pula mesti dipaksa orang lain untuk mengikutinya?

Oleh kerana itu, kita pun tidak mahu buang masa membincangkan perkara ini sampai berbalah sesama kita. Ini adalah ayat Mutashabihat yang kita tidak tahu maksud sebenarnya. Ubat kepada segala permasalahan ini adalah firman Allah ‎ﷻ dalam ayat yang lain:

{لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ}

Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia, dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat, [ Asy-Syura: 11 ]

Apabila Allah ‎ﷻ beritahu yang Dia bersemayam di Arasy, maka kita mestilah menerimanya tanpa soal. Sebenarnya tidak perlu lagi untuk kita takwilkan maknanya. Tentu lah kita tidak dapat membayangkan bagaimana kedudukan Allah ‎ﷻ di atas Arasy. Yang pasti, kalau Allah ‎ﷻ berfirman yang Dia bersemayam, duduk atau berada di Arasy, itu tidaklah sama dengan duduknya makhluk-Nya kerana Dia sama sekali tidak ada sama dengan makhluk-Nya. Yang pasti, Allah ‎ﷻ tidak memerlukan Arasy itu.

Ketika Imam Malik رحمه الله (wafat 179 H) ditanya tentang istiwa’ Allah ‎ﷻ, maka beliau menjawab:

َاْلإِسْتِوَاءُ غَيْرُ مَجْهُوْلٍ، وَالْكَيْفُ غَيْرُ مَعْقُوْلٍ، وَاْلإِيْمَانُ بِهِ وَاجِبٌ، وَالسُّؤَالُ عَنْهُ بِدْعَةٌ، وَمَا أَرَاكَ إِلاَّ ضَالاًّ.

“Istiwa’-nya Allah ma’lum (sudah diketahui maknanya), dan kaifiyatnya (caranya) tidak dapat dicapai akal (tidak diketahui), dan beriman kepadanya wajib, bertanya tentang hal tersebut adalah perkara bid’ah, dan aku tidak melihatmu kecuali dalam kesesatan.”

Kemudian Imam Malik رحمه الله menyuruh orang tersebut pergi dari majlisnya. Lihat Syarhus Sunnah lil Imaam al-Baghawi (I/171), Mukhtasharul ‘Uluw lil Imaam adz-Dzahabi (hal. 141), cet. Al-Maktab al-Islami, tahqiq Syaikh al-Albani.

Nota: Maksud Imam Malik رحمه الله yang istiwa’ itu ma’lum adalah semua orang yang tahu bahasa Arab sudah jelas memahami maksudnya. Sebab itulah ketika zaman sahabat tidak ada isu pertikaian tentang hal ini sebab semuanya telah faham. Semua imam-imam mazhab pun faham benda yang sama, maka tidak ada perbahasan tentang perkara ini. Ia hanya timbul apabila semakin orang masuk Islam dan mula mempersoalkan perkara yang tidak perlu dibahaskan.

Maksud Imam Malik رحمه الله istiwa itu ghairu ma’qul adalah ia tidak mungkin dicapai pemahaman oleh akal kita. Akal kita tidak akan sampai kalau cuba untuk fikirkan. Maka buat apa peningkan kepala untuk memikirkannya? Bukannya kita disuruh fikirkan. Kita hanya fikirkan arahan Allah ‎ﷻ, bukan tentang keberadaan Dia.

Imam Malik رحمه الله mengatakan pertanyaan tentang perkara itu adalah bid’ah. Benda baru yang tidak pernah ditimbulkan oleh golongan sebelum kita (salaf) yang jauh lebih pandai dan faham agama daripada kita. Imam Malik رحمه الله marah kepada soalan orang yang bertanya itu sampaikan dia menghalau orang itu keluar dari majlisnya.

Al-Hafizh Ibnu Katsir رحمه الله berkata: “…Pandangan yang kami ikuti berkenaan dengan masalah ini adalah pandangan Salafus Soleh seperti Imam Malik, al-Auza’i, ats-Tsauri, al-Laits bin Sa’ad, Imam asy-Syafi’i, Imam Ahmad, Ishaq bin Rahawaih dan imam-imam lainnya sejak dahulu hingga sekarang, iaitu membiarkannya seperti apa adanya, tanpa takyif (mempersoalkan kaifiyahnya/hakikatnya), tanpa tasybih (penyerupaan) dan tanpa ta’thil (penolakan). Dan setiap makna zahir yang terlintas pada benak orang yang menganut faham musyabbihah (menyerupakan Allah ‎ﷻ dengan makhluk), maka makna tersebut sangat jauh daripada Allah ‎ﷻ, kerana tidak ada sesuatu pun dari ciptaan Allah ‎ﷻ yang menyerupai-Nya. Seperti yang difirmankan-Nya:

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ ۖ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

‘Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan-Nya. Dan Allah-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.’ [Asy-Syuuraa: 11]

Oleh sebab itu, jawapan yang tepat adalah Allah ‎ﷻ di langit dan ini disokong dalil-dalil lain di dalam Al-Qur’an: Al-Mulk: 16-17, al-An’aam: 18, al-An’aam: 61, an-Nahl: 50, al-Mu’min: 36-37 dan Faathir: 10. Fahaman ‘Allah ‎ﷻ wujud di mana-mana’ dan ‘wujud tanpa tempat’ itu tidak ada dalilnya. Namun tidaklah pula kita mengkafirkan mereka. Mereka cuma tersilap sahaja.

Ada juga yang berhujah, sekiranya Allah ‎ﷻ bersemayam di atas Arasy, di manakah pula Allah ‎ﷻ berada sebelum itu? Mereka bertanya seolah-olah Allah ‎ﷻ memerlukan Arasy pula. Sedangkan kita tidak pernah pun kata Allah ‎ﷻ memerlukan Arasy.

Abu Raziin Al-Uqailiy bertanya kepada Nabi Rasulullah ﷺ,

يَارَسُوْلَ الله أَيْنَ كَانَ رَبُّنَا قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَ خَلْقَهُ ؟ قاَلَ كَانَ فِيْ عَمَاء مَا فَوْقَهُ هَوَاءُ وَ مَا تَحَْهُ هَوَاءُ ثُمَّ خَلَقَ عَرْشَهُ عَلَى اْلمَاءِ

“Wahai Rasulullah di mana dahulu Rabb kita berada sebelum menciptakan makhluk-Nya? Baginda menjawab, ‘Dia berada di ‘amaa, tidak ada di atas dan bawahnya udara, kemudian Dia menciptakan Arsy-Nya di atas air.’”

(Hadith Riwayat Tirmidzi, dihasankan oleh At-Tirmidzi dan Adz-Dzahabi)

Sekiranya Allah ﷻ tidak memerlukan Arasy, kenapa Dia cipta?

Mulaa Ali Al-Qarii menukilkan dalam syarh Al-Fikhul Al-Akbar,

ﺇﻥ ﺍﻟﻠﻪ ﺗﻌﺎﻟﻰ ﺧﻠﻖ ﺍﻟﻌﺮﺵ ﺇﻇﻬﺎﺭًﺍ ﻟﻘﺪﺭﺗﻪ

“Sesungguhnya Allah ﺗﻌﺎﻟﻰ menciptakan ‘Arsy untuk menampakkan kekuasaan-Nya.” Syarh Risalah Fikhul Akbar

Arasy adalah makhluk Allah ‎ﷻ yang paling tinggi dan Allah ‎ﷻ berada di atas Arasy. Dari segi bahasa, Arasy bermaksud ‘singgahsana’. Ini kerana ia besar dan meliputi segala alam. Rasulullah ﷺbersabda,

إِنَّ الله عَلَى عَرْشِهِ وَ إِنَّ عَرْشَهُ عَلَى سَمَوَاتِهِ وَ أَرْضِهِ كَهَكَذَا وَ قَالَ بِأَصَابِعِهِ مِثْلَ اْلقُبَّةِ

“Sesungguhnya Allah di atas ‘Arsy-Nya dan Arsy-Nya di atas langit-langit dan bumi, seperti begini dan baginda memberikan isyarat dengan jari-jemarinya seperti kubah.”

(Hadith Riwayat Ibnu Abi Ashim dalam As-sunnah 1/252)

Arasy adalah makhluk pertama yang Allah ‎ﷻ ciptakan. Cuma terdapat khilaf ulama’ apakah makhluk yang pertama kali Allah ‎ﷻ ciptakan. Ada tiga pendapat dalam hal ini

1. Al-Qalam (pena menulis takdir)
Ini pendapat Ibnu Jarir At-Thabari dan Ibnul Jauzi رحمهما الله.

2. Al-Maa’ (air)
Ini pendapat Ibnu Mas’ud dan sebahagian salaf رحمهم الله.

3. Al-‘Arsy
Ini pendapat Ibnu Taimiyyah dan Ibnul Qayyim رحمهما الله.

Pendapat terkuat -wallahu a’lam- yang pertama kali Allah ‎ﷻ ciptakan adalah Arasy. Syeikh Al-‘Ustaimin رحمه الله menjelaskan,

ﺃﻭﻝ ﻣﺎ ﺧﻠﻖ ﺍﻟﻠﻪ ﻣﻦ ﺍﻷﺷﻴﺎﺀ ﺍﻟﻤﻌﻠﻮﻣﺔ ﻟﻨﺎ ﻫﻮ ﺍﻟﻌﺮﺵ ، ﻭﺍﺳﺘﻮﻯ ﻋﻠﻴﻪ ﺑﻌﺪ ﺧﻠﻖ ﺍﻟﺴﻤﺎﻭﺍﺕ، ﻛﻤﺎ ﻗﺎﻝ – ﺗﻌﺎﻟﻰ :- ‏( ﻭﻫﻮ ﺍﻟﺬﻱ ﺧﻠﻖ ﺍﻟﺴﻤﺎﻭﺍﺕ ﻭﺍﻷﺭﺽ ﻓﻲ ﺳﺘﺔ ﺃﻳﺎﻡ ﻭﻛﺎﻥ ﻋﺮﺷﻪ ﻋﻠﻰ ﺍﻟﻤﺎﺀ ﻟﻴﺒﻠﻮﻛﻢ ﺃﻳﻜﻢ ﺃﺣﺴﻦ ﻋﻤﻼ ‏

“Yang pertama kali Allah ‎ﷻ ciptakan daripada segala sesuatu yang kita ketahui adalah Arasy, kemudian Allah ‎ﷻ ber-istiwa di atasnya setelah menciptakan langit dan bumi sebagaimana dalam firman Allah ‎ﷻ, ‘Dan Dia-lah yang menciptakan langit dan bumi dalam waktu enam hari. (Sebelumnya) Arasy Allah ‎ﷻ di atas air, untuk menguji kalian siapakah yang paling baik amalnya.”

 

يُغشِي اللَّيلَ النَّهارَ يَطلُبُهُ حَثيثًا

Dia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti)

Allah ‎ﷻlah yang menutup malam ke atas siang. Apabila siang datang, ia menutup malam dan kejadian itu berlaku dengan cepat sekali. Kalimat يَطلُبُهُ حَثيثًا itu bermaksud siang dan malam saling mengejar secara cepat. Kalimah حَثيثًا dari katadasar ح ث ث yang bermaksud mengajak; mendesak; berturut-turut dengan pantas; cepat; dalam pengejaran pantas. Kalimah حَثَّ digunakan di dalam bahasa Arab untuk menerangkan memecut kelajuan tunggangan. Apabila fajar menyingsing, maka hilanglah malam. Tidak ada apa-apa yang boleh menghalang perkara ini sesaat pun kerana ia adalah dalam kekuasaan Allah ‎ﷻ.

Ia berlaku setiap hari, tetapi kita sahaja yang tidak perasan yang kejadian itu semua dalam perancangan dan kekuasaan Allah ‎ﷻ. Kita bagaikan tidak sedar yang kejadian itu merupakan manifestasi kepada kekuasaan Allah ‎ﷻ. Maka selepas ini, apabila berlaku lagi pertukaran siang dan malam ini, ingatlah bahawa Qudrat Allah ‎ﷻ sedang berjalan.

 

وَالقَمَرَ وَالنُّجومَ مُسَخَّرٰتٍ بِأَمرِهِ

dan matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintah-Nya.

Bulan dan bintang dan segala planet-planet bergerak di atas perintah-Nya. Semua itu tidak bergerak tanpa kebenaran daripada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ yang mengatur perjalanan planet-planet dan segala yang berada di langit dan di bumi. Perancangan Allah ‎ﷻ amat rapi dan jitu sekali. Kajian sains telah memberitahu kita yang sekiranya ada sedikit sahaja perubahan dalam kedudukan planet-planet itu, maka akan habis porak perandalah alam ini.

Allah ‎ﷻ suruh kita lihat kepada matahari, bulan dan bintang-bintang ini dan memikirkan kehebatan Allah ‎ﷻ dalam mencipta. Kita manusia ada juga mencipta, namun mesin-mesin kita cipta tidak akan mampu mencapai kehebatan ciptaan Allah ‎ﷻ. Memang pada permulaan ada yang berfungsi secara elok, namun lama kelamaan akan rosak dan luput juga akhirnya. Kadangkala kos untuk dibaiki tinggi pula, maka lebih baik dibuang sahaja. Namun tidak sama untuk matahari, bulan dan bintang yang Allah ‎ﷻ cipta ini yang telah berbilion tahun bekerja (13.8 bilion tahun) tetapi tidak pernah perlu dibaikpulih lagi.

 

أَلا لَهُ الخَلقُ وَالأَمرُ

Ingatlah, milik Allah jualah urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. 

Bukankah Allah ‎ﷻ pemilik segala benda yang dicipta-Nya? Setelah Dia cipta, tentulah Dia juga yang menguruskan alam ini. Dialah juga yang membuat keputusan dan memberi arahan terhadap setiap perkara. Hanya Dia sahaja yang layak dan ada kuasa itu. Tidak ada entiti lain yang ada kuasa ini.

Ini juga mengingatkan kita yang serahkan sahaja urusan penciptaan dan pemerintahan kepada Allah ‎ﷻ. Kita tidak boleh membahaskan sangat perkara-perkara mutashabihat yang akal kita memang tidak mampu memahaminya. Maka kita serahkan kepada Allah ‎ﷻ tanpa takwil.

 

تَبارَكَ اللَّهُ رَبُّ العٰلَمينَ

Maha Berkat Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.

Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang mempunyai berkat dan membuat keputusan di mana berkat itu akan diturunkan. Berkat itu maksudnya kebaikan yang berterusan. Allah ‎ﷻ sahaja yang memiliki berkat. Allah ‎ﷻ sahaja yang Maha Berkat. Maka kerana itu kenalah kita minta berkat daripada Allah ‎ﷻ, bukannya daripada wali dan tok guru. Bab syirik dalam berkat ini disebut dalam ayat-ayat yang lain. Sekiranya tidak tahu perkara ini, maka terjerumus di dalam Syirik dalam Berkat.

Dialah Rabb – yang mencipta dan kemudian Dia yang memelihara alam ini dan menguruskannya. Tidak ada berlaku tanpa urusan daripada-Nya. Setelah Allah ‎ﷻ mencipta kita semua, Allah ‎ﷻ terus mengurus kita dan keperluan hidup kita.

Oleh itu, hanya sembah dan seru Dia sahaja kerana perkara-perkara yang disebut di atas, adalah sifat yang Dia sahaja yang ada. Maka jangan kita mengambil ilah-ilah yang lain seperti Nabi, wali dan juga malaikat.


 

A’raf Ayat 55: Setelah Allah ‎ﷻ memperkenalkan Diri-Nya di dalam ayat sebelum ini, sekarang Allah ‎ﷻ mengajar cara berdoa. Seharusnya begitulah apabila kita berdoa, kita kena kenal dengan siapa yang kita minta. Lihatlah contoh dalam Surah Fatihah, Allah ‎ﷻ memperkenalkan Diri-Nya terlebih dahulu, kemudian baru diajar berdoa meminta hidayah, bukan?

Allah ‎ﷻ menyuruh kita berdoa kepada-Nya dalam segala keperluan kita. Dan Allah‎ ﷻ ajar adab-adab untuk berdoa kepada-Nya. Ini adalah penting kerana kita hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah ‎ﷻ.

ادعوا رَبَّكُم تَضَرُّعًا وَخُفيَةً ۚ إِنَّهُ لا يُحِبُّ المُعتَدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Call upon your Lord in humility and privately; indeed, He does not like transgressors.¹

  • In supplication or otherwise.

MALAY

Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.

 

ادعوا رَبَّكُم تَضَرُّعًا

Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri

Dalam ayat sebelum ini, telah disebut sifat-sifat Allah ‎ﷻ yang sempurna. Oleh kerana Allah ‎ﷻ memiliki segala-gala dengan sifat kesempurnaan, maka kita sebagai hamba kenalah seru Allah ‎ﷻ sahaja. Tidak boleh seru dan pohon doa kepada selain  Allah ‎ﷻ.

Selain doa, hendaklah kita ibadah kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Ini kerana maksud دعاء dari segi bahasa bermaksud ‘seru’ (yang membawa maksud doa) dan ‘ingat’ (yang membawa maksud zikir ibadah, iaitu ingatlah Allah ‎ﷻ dalam ibadah kamu).

Kemudian Allah ‎ﷻ mengajar cara-cara untuk berdoa kepada-Nya. Diajarnya etika dalam berdoa. Jangan ikut suka kita sahaja. Pertamanya, kita kena doa dengan hati yang rendah, dengan hati yang khusyuk iaitu tunduk kepada Allah ‎ﷻ dalam bentuk fizikal dan emosi. Kita sekarang sangat berharap kepada Allah ‎ﷻ dan kerana itu hendaklah kita merendahkan diri kita.

Maka rendahkan diri kita semasa meminta kepada Allah ‎ﷻ. Tidak mungkin kita berasa tinggi diri pula ketika meminta kepada orang lain, bukan? Lebih-lebih lagi kalau kita meminta kepada Allah ‎ﷻ. Sebab itulah, kita selalunya berdoa dalam keadaan tunduk, melutut dan sebagainya. Kita merendahkan diri kita di hadapan Allah ‎ﷻ. Kita mendekati Allah ‎ﷻ dengan cara merendahkan diri kita.

Antara tanda dan cara untuk merendahkan diri semasa berdoa adalah dengan mengingat kembali dosa-dosa kita yang banyak. Pasti kita akan menjadi rendah diri. Maka kita akan mulakan dengan meminta ampun di atas dosa-dosa kita terdahulu. Dan ini adalah salah satu adab dalam berdoa. Sebelum meminta pelbagai-bagai perkara, minta ampunlah dulu. Lihatlah doa para Nabi pun mereka meminta ampun atas kesilapan mereka.

Doa Nabi Yunus عليه السلام dalam [ Anbiya’: 87 ]

وَذَا النّونِ إِذ ذَّهَبَ مُغٰضِبًا فَظَنَّ أَن لَّن نَّقدِرَ عَلَيهِ فَنادىٰ فِي الظُّلُمٰتِ أَن لّا إِلٰهَ إِلّا أَنتَ سُبحٰنَكَ إِنّي كُنتُ مِنَ الظّٰلِمينَ

Dan (ingatlah kisah) Dzun Nun (Yunus), ketika dia pergi dalam keadaan marah, lalu dia menyangka bahawa Kami tidak akan mempersempitnya (menyulitkannya), maka dia menyeru dalam keadaan yang sangat gelap: “Bahawa tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim”.

Juga doa Nabi Adam عليه السلام dalam [ A’raf: 23 ]

قالا رَبَّنا ظَلَمنا أَنفُسَنا وَإِن لَّم تَغفِر لَنا وَتَرحَمنا لَنَكونَنَّ مِنَ الخٰسِرينَ

Keduanya berkata: “Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya pastilah kami termasuk orang-orang yang merugi.

Lihat pula yang pernah diajarkan oleh baginda ﷺ kepada sahabat rapat baginda sendiri iaitu Saidina Abu Bakar As-Siddiq رضي الله عنه.

Daripada Abu Bakr As-Siddiq رضي الله عنه, beliau berkata kepada Rasulullah ﷺ,

عَلِّمْنِى دُعَاءً أَدْعُو بِهِ فِى صَلاَتِى قَالَ قُلِ :اللَّهُمَّ إِنِّى ظَلَمْتُ نَفْسِى ظُلْمًا كَثِيرًا وَلاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ، فَاغْفِرْ لِى مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنِى إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

“Ajarkanlah aku suatu doa yang boleh aku panjatkan saat salat!” Maka Beliau pun berkata, “Bacalah:

‘Allahumma inni Zholamtu Nafsii Zhulman Katsiiran Wa Laa Yaghfirudz Dzunuuba Illaa Anta Faghfirlii Maghfirotan Min ‘Indika Warhamnii Innaka Antal Ghafuurur Rahiim

(Ya Allah, sungguh aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka itu ampunilah aku dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang)”

(Hadith Riwayat Bukhari (834) dan Muslim (2705))

Lihatlah doa-doa ini dimulakan dengan meminta keampunan kepada Allah ‎ﷻ kerana inilah yang penting sekali bagi kita. Selepas menyebut penyesalan di atas dosa-dosa kita dan meminta ampun ke atasnya, maka boleh teruskan dengan permintaan kita yang lain.

 

وَخُفيَةً

dan (dengan suara) perlahan-lahan. 

Selain daripada itu, kita hendaklah menyeru Allah ‎ﷻ sama ada dalam doa dan dalam zikir, dengan suara yang perlahan. Kalimah خُفيَةً juga bermaksud secara rahsia dan tersembunyi, bukan di khalayak ramai. Ini menolak amalan orang yang berdoa dengan suara kuat dan keras, atau berzikir dengan keras. Tidakkah mereka sedar yang mereka sedang mengganggu orang lain? Ini tidak bagus sampaikan ada ulama’ yang memakruhkannya. Oleh itu zikir dan doa perlulah dilakukan dengan perlahan. Doa dan zikir adalah antara kita dan Allah ‎ﷻ, bukan untuk dipertunjukkan/dipertontonkan.

Inilah cara doa yang disukai oleh Allah ‎ﷻ. Lihatlah bagaimana cara doa Nabi Zakariya عليه السلام apabila baginda berdoa (dan doa baginda dimakbulkan, bukan?) di dalam [ Maryam: 3 ]

إِذ نادىٰ رَبَّهُ نِداءً خَفِيًّا

(Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya dengan doa permohonan secara perlahan.

Di dalam kitab Sahihain disebutkan daripada Abu Musa Al-Asy’ari رضي الله عنه yang menceritakan bahawa suara orang-orang terdengar keras ketika mengucap­kan doa mereka. Maka Rasulullah ﷺ bersabda:

أَيُّهَا النَّاسُ، ارْبَعُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ؛ فَإِنَّكُمْ لَا تَدْعُونَ أصمَّ وَلَا غَائِبًا، إِنَّ الَّذِي تَدْعُونَهُ سَمِيعٌ قَرِيبٌ

Hai manusia, tenangkanlah diri kalian, kerana sesungguhnya kalian bukanlah menyeru (Tuhan) yang tuli dan bukan pula (Tuhan) yang ghaib, sesungguhnya Tuhan yang kalian seru itu Maha Mendengar lagi Maha dekat.

(Hadith Bukhari No. 2770)

Semakin kita menyembunyikan doa kita, semakin baik kerana ia akan jadi munajat antara kita dan Allah ‎ﷻ. Kerana itulah doa terbaik adalah di waktu sahur di waktu tidak ada orang lain yang tahu.

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, Nabi ﷺ bersabda,

يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ يَقُولُ مَنْ يَدْعُونِى فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِى فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِى فَأَغْفِرَ لَهُ

Rabb kita tabaroka wa ta’ala turun ke langit dunia ketika tersisa sepertiga malam terakhir. Lantas Dia berfirman, “Siapa saja yang berdo’a kepada-Ku, maka akan Aku kabulkan. Siapa yang meminta kepada-Ku, maka akan Aku beri. Siapa yang meminta ampunan kepada-Ku, maka akan Aku ampuni.

(Hadith Riwayat Bukhari (1145) dan Muslim (758)).

Bukanlah tidak boleh langsung berdoa dengan kuat. Nabi ﷺ pun pernah melakukannya ketika di mimbar dan ketika ada para sahabat meminta baginda doakan. Baginda doakan dan diaminkan oleh para sahabat yang lain. Cuma tidaklah selalu perkara ini dilakukan dan tidaklah dibuat majlis seperti Majlis Doa Selamat pula. Tidak ada majlis khusus untuk berdoa kerana tidak ada contoh daripada Nabi ﷺ dan para sahabat.

 

إِنَّهُ لا يُحِبُّ المُعتَدينَ

Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.

Allah ‎ﷻ tidak suka orang yang melampau dalam agama. Ini dipanggil ghuluw dan banyak disentuh di dalam wahyu. Ini kerana agama kita ini adalah ‘pertengahan’ iaitu tidak lemah dan tidak ekstrem.

Ini termasuk orang yang menunjukkan lafaz doa dia sampaikan orang lain semua boleh dengar, lalu terpesona dengan lafaz doa dia yang hebat-hebat. Ada yang susun doa dan bacakan doa sampai berlagu-lagu jadinya. Oleh itu, jangan keraskan suara kita di dalam doa. Ini termasuk tok imam yang membacakan zikir dengan kuat, siap pakai mikrofon lagi selepas habis salat, berzikir ramai-ramai dengan jama’ah makmum, sampai mengganggu orang lain yang hendak buat salat sunat atau yang hendak berzikir sendirian.

Ketahuilah yang doa selepas salat itu hendaklah dilakukan bersendirian sahaja kerana tidak pernah Nabi Muhammad ﷺ berdoa beramai-ramai dalam doa mereka selepas salat. Maka kerana Nabi ﷺ tidak pernah buat, maka amalan itu adalah amalan bid’ah semata-mata dan perlulah ditinggalkan. Kalaulah ia baik, maka tentu Rasulullah ﷺ dan para sahabat sudah lakukan dahulu. Oleh sebab itu, doa selepas salat ini sebenarnya dilakukan bersendirian sahaja kerana kehendak kita dengan orang lain tentu tidak sama.

Melampau dalam berdoa juga adalah apabila kita mengajar pula Allah ‎ﷻ bagaimana hendak tunaikan hajat kita. Contohnya hendak si polan bayar hutang. Tidak lah perlu disebut: “Ya Allah, bagilah polan berjalan dengan aku kat kedai ni sebab aku nak minta hutang dari dia…” Doa sahaja supaya si polan itu bayar hutang, sudah cukup.

Juga tidak perlu disebut: “Ya Allah, Jika rezeki masih di langit, turunkanlah; Jika di bumi, keluarkanlah; Jika sukar, per-Mudahkanlah; Jika haram, sucikanlah; Jika jauh, dekatkanlah.” Ini tidak perlu. Minta sahaja Allah ‎ﷻ permudahkan rezeki kita. Tahulah Allah ‎ﷻ bagaimana hendak beri rezeki kepada kita. Lihat hadith di bawah ini:

Daripada Abu Nu’amah bahwasanya Abdullah bin Mughaffal رضي الله عنه mendengar anaknya membaca doa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْقَصْرَ الْأَبْيَضَ، عَنْ يَمِينِ الْجَنَّةِ إِذَا دَخَلْتُهَا
“Ya Allah berilah kami istana putih di sisi kanan syurga”.
Mendengar ini, ayahnya spontan memberi nasihat kepada anaknya:
أَيْ بُنَيَّ، سَلِ اللَّهَ الْجَنَّةَ، وَتَعَوَّذْ بِهِ مِنَ النَّارِ، فَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «إِنَّهُ سَيَكُونُ فِي هَذِهِ الْأُمَّةِ قَوْمٌ يَعْتَدُونَ فِي الطَّهُورِ وَالدُّعَاءِ»
“Wahai anakku mintalah kepada Allah syurga dan berlindunglah kepada-Nya dari api Neraka, sebab aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: Akan muncul dari umatku sekelompok kaum yang berlebihan dalam bersuci dan berdoa”
(Hadith Riwayat Ahmad (20554), Abu Daud (96), Ibnu Majah (3864), Syuaib Al-Arnauth menilai hadith ini hasan).

Melampau yang paling teruk adalah apabila meminta kepada selain Allah ‎ﷻ. Contohnya ada meminta kepada wali yang sudah mati. Pertama, siapa boleh pastikan yang telah mati itu memang benar seorang wali? Ada majlis perlantikankah? Keduanya, siapa kata wali itu boleh mendengar doa kita dan dapat membantu kita?

Namun malangnya beginilah akidah sesat sebahagian masyarakat kita yang menganjurkan meminta kepada wali-wali yang telah mati. Apabila kita mempersoalkan adakah orang mati boleh tolong, mereka tetap mempertahankan. Kita katakan: kalau begitu, bolehlah minta dengan pokok? Mereka sanggup mempertahankan akidah sesat itu sehingga mengatakan boleh minta dengan pokok!

Oleh yang demikian, ayat ini adalah antara cara-cara berdoa yang diajar sendiri oleh Allah ‎ﷻ. Memang banyak disebut tentang adab-adab doa ini, antaranya [Anbiya’: 90 ]

إِنَّهُم كانوا يُسٰرِعونَ فِي الخَيرٰتِ وَيَدعونَنا رَغَبًا وَرَهَبًا ۖ وَكانوا لَنا خٰشِعينَ

Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas. Dan mereka adalah orang-orang yang khusyu’ kepada Kami.

Di dalam Anbiya’: 90 ini Allah ‎ﷻ menambah tiga perkara lagi, iaitu berharap sangat dengan pemberian daripada Allah ‎ﷻ. Kemudian hendaklah ada rasa takut dengan cemas iaitu takutkan azab daripada Allah ‎ﷻ dan takut kalau Allah ‎ﷻ tidak memakbulkan doa kita. Dan akhir sekali hendaklah khusyu’ iaitu hadhirkan hati semasa berdoa. Jangan leka dan tidak faham apakah yang didoakan. Kalau kita lihat cara orang berdoa sekarang ini kita boleh katakan mereka bukannya berdoa, tetapi ‘baca’ sahaja lafaz-lafaz doa itu. Ia sudah menjadi perkara automatik yang dilakukan tanpa sedar, tanpa roh.

Oleh itu, kalau tok imam baca doa, adakah makmum yang mengaminkan itu khusyu’ dengan doa itu dan faham apa yang tok imam baca? (Jangan katakan makmum, entah tok imam itu pun tidak faham apa yang dia baca sebab dia hafal sahaja). Dan adakah boleh dizahirkan rasa takut kalau berdoa ramai-ramai? Mungkin tidak, bukan? Sebab itulah kita sarankan doa hendaklah bersendirian sahaja. Dan ya, kita kena faham apakah doa yang kita sebut itu, bukan sekadar membacanya sahaja. Ini ada kita terangkan di dalam perbincangan ayat [ Hud: 46 ].

Berdoa dengan sesuatu yang telah ditetapkan dan seseorang telah mengetahui hasil yang telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ ialah seperti dia mengetahui dia telah gagal kemudian berdoa kepada Allah ‎ﷻ agar lulus, ataupun dia mengetahui bahawa seseorang itu telah meninggal dunia, kemudian dia berdoa kepada Allah ‎ﷻ agar dihidupkannya. Maka berdoa dalam keadaan ini merupakan satu perkara yang sia-sia. Bahkan hal ini termasuk dalam melampui batas dalam berdoa kerana dia berdoa dengan sesuatu yang mustahil.

Syeikh al-Islam Abu al-Abbas Ibn Taimiyah رحمه الله berkata, “Melampui batas dalam berdoa adalah seperti meminta sesuatu yang tidak diperbolehkan untuk memintanya seperti meminta terhadap sesuatu yang diharamkan, meminta sesuatu yang mustahil untuk Allah ‎ﷻ lakukan seperti meminta agar tetap kekal abadi sampai hari kiamat, atau meminta agar diangkat daripada kelaziman manusia seperti dibebaskan daripada keperluan makan dan minum, atau memohon agar dapat mengetahui yang ghaib atau dijadikan orang yang terjaga daripada melakukan maksiat (ma’sum), ataupun dikurniakan seorang anak tanpa berkahwin, atau doa seperti itu yang tidak dicintai oleh Allah ‎ﷻ dan tidak disukai orang yang memintanya.

Satu lagi cara melampau dalam berdoa adalah mendoakan keburukan kepada orang lain (melainkan dizalimi). Dalil ini disebut dalam Al-Qur`an, antara lain firman Allah ‎ﷻ:

لا يُحِبُّ اللَّهُ الْجَهْرَ بِالسُّوءِ مِنْ الْقَوْلِ إِلاَّ مَنْ ظُلِمَ

Allah tidak menyukai ucapan buruk, (yang diucapkan) dengan terus terang kecuali oleh orang yang dianiaya.

[ Nisaa`: 148 ]

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

 

Kemaskini: 1 September 2023

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Tafsir Surah al-A’raf Ayat 48 – 53 (Hanya Allah layak disembah)

A’raf Ayat 48:

وَنادىٰ أَصحٰبُ الأَعرافِ رِجالًا يَعرِفونَهُم بِسيمٰهُم قالوا ما أَغنىٰ عَنكُم جَمعُكُم وَما كُنتُم تَستَكبِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the companions of the Elevations will call to men [within Hell] whom they recognize by their mark, saying, “Of no avail to you was your gathering¹ and [the fact] that you were arrogant.”

  • i.e., great numbers or gathering of wealth.

MALAY

Dan orang-orang yang berada di atas tembok Al-A’raaf menyeru beberapa orang (Ketua kaum kafir) yang mereka kenal dengan tandanya, dengan berkata: “Nampaknya kumpulan kamu yang ramai (atau kekayaan kamu yang besar) dan juga segala apa yang kamu sombongkan dahulu – tidak dapat menolong kamu”.

 

وَنادىٰ أَصحٰبُ الأَعرافِ رِجالًا يَعرِفونَهُم بِسيمٰهُم

Dan orang-orang yang berada di atas tembok Al-A’raaf menyeru beberapa orang (Ketua kaum kafir) yang mereka kenal dengan tandanya, 

Ahli al-A’raf telah menyeru lelaki yang mereka kenal dalam kalangan ahli neraka. Mereka boleh kenal kerana ada tanda pada muka ahli neraka itu.

Ayat sebelum ini disebut mereka tidak memberi salam kerana memang tidak patut diberikan salam pun. Namun begitu Allah ‎ﷻ takdirkan ada perbualan di antara mereka. Ini adalah untuk mengajar kita dan memberi peringatan kepada kita, supaya janganlah jadi seperti mereka.

Maka ini bukanlah perbuatan yang mesra, tetapi perbualan ahli A’raf mengutuk ahli neraka. Mari kita lihat apakah yang dikatakan oleh mereka.

 

قالوا ما أَغنىٰ عَنكُم جَمعُكُم

dengan berkata: “Nampaknya tidak dapat menolong kamu, kumpulan kamu yang ramai 

Telah berkata lelaki yang duduk di al-A’raf itu kepada ahli neraka: Bilangan kamu yang ramai dulu di dunia tidak boleh menolong kamu pun. Ketika di dunia, bilangan kamu ramai dan kamu ada pengaruh. Kamu tertipu dengan ramainya pengikut kamu sehingga kamu berasa kamu benar.

Begitulah dalam dunia sekarang di mana puak yang mengamalkan syirik dan bid’ah dalam masyarakat adalah terlalu ramai. Malah mereka itu yang menjadi golongan majoriti. Mereka berasa mereka benar kerana bilangan mereka ramai. Mereka sangka, kalau mereka salah, tidak mungkin ramai yang ikut mereka dan sependapat dengan mereka. Tetapi begitulah dalam agama Islam, ramai atau majoriti tidak bererti benar. Yang benar adalah amalan dan ajaran yang mengikut apa yang ada dalam nas yang sahih.

Lagi satu tafsir bagi kalimah جَمعُكُم itu adalah ‘apa yang kamu kumpulkan’, iaitu dari segi harta kekayaan. Ini kerana orang yang tidak beriman, mereka mementingkan kekayaan dan harta. Itulah sahaja yang mereka sibuk kumpulkan. Oleh kerana mereka kaya, mereka rasa mereka sudah cukup dan tidak perlukan sesiapa, maka mereka menjadi takabbur. Ini seperti disebut dalam [ Alaq: 7 ]

أَن رَّءَاهُ ٱستَغنَىٰٓ

kerana dia melihat dirinya serba cukup.

Ini kerana mereka suka mengumpul harta dan suka melihat hartanya bertambah banyak seperti disebut dalam [ Humazah: 2 ]

الَّذي جَمَعَ مالًا وَعَدَّدَهُ

yang mengumpulkan harta dan menghitung-hitung,

 

وَما كُنتُم تَستَكبِرونَ

dan juga segala apa yang kamu besarkan dahulu

Lafaz ما كُنتُم تَستَكبِرونَ bermaksud benda yang dipuja, yang diagungkan, dan yang mereka besarkan semasa di dunia dulu. Apa yang mereka puja selain Allah‎ ﷻ itu, tidak dapat menolong mereka langsung.

Atau, kamu rasa diri kamu besar, tidak akan masuk neraka, itu adalah anggapan yang salah sama sekali.


 

A’raf Ayat 49:

أَهٰؤُلاءِ الَّذينَ أَقسَمتُم لا يَنالُهُمُ اللَّهُ بِرَحمَةٍ ۚ ادخُلُوا الجَنَّةَ لا خَوفٌ عَلَيكُم وَلا أَنتُم تَحزَنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Allāh will say], “Are these¹ the ones whom you [inhabitants of Hell] swore that Allāh would never offer them mercy? Enter Paradise, [O people of the Elevations]. No fear will there be concerning you, nor will you grieve.”

  • The humble believers who are now in Paradise. Another interpretation regards them as the people on the elevated partition.

MALAY

(Mereka bertanya pula kepada Ketua-ketua kaum kafir itu dengan berkata): “Itukah orang-orang yang kamu ejek-ejek dahulu dan kamu bersumpah bahawa mereka tidak akan beroleh rahmat dari Allah? (Sekarang dikatakan kepada mereka): ` Masuklah kamu ke dalam Syurga, tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap kamu, dan kamu pula tidak akan berdukacita. ‘ “

 

أَهٰؤُلاءِ الَّذينَ أَقسَمتُم لا يَنالُهُمُ اللَّهُ بِرَحمَةٍ

“Itukah orang-orang yang kamu ejek-ejek dahulu dan kamu bersumpah bahawa mereka tidak akan beroleh rahmat daripada Allah?

Ini adalah sambungan kata-kata ahli A’raf kepada penghuni neraka: Inikah orang-orang (yang dimaksudkan adalah ahli syurga) yang kamu ahli neraka telah bersumpah semasa di dunia yang mereka (ahli syurga) tidak akan dapat rahmat daripada Allah‎ ﷻ kerana mereka orang bawahan?

Maknanya, mereka bercakap tentang ahli syurga sesama mereka. Ini kerana dahulu ketika di Mekah, pemuka-pemuka Mekah telah mengatakan orang-orang bawahan yang mengikuti Nabi Muhammad ﷺ seperti Bilal رضي الله عنه dan pengikut yang lain, tidak akan ke mana-mana. Mereka kata, tidak mungkin orang yang tidak ada kedudukan itu tahu manakah yang baik dan mana yang tidak.

Satu lagi tafsir yang dinisbahkan kepada Ibn Abbas رضي الله عنهما, ini adalah pemberitahuan daripada Allah ‎ﷻ kepada ahli neraka tentang ashabul A’raf. Allah ‎ﷻ beritahu di hujung dialog antara ahli neraka dan ashabul A’raf.

 

ادخُلُوا الجَنَّةَ لا خَوفٌ عَلَيكُم وَلا أَنتُم تَحزَنونَ

Masuklah kamu ke dalam Syurga, tidak ada kebimbangan (daripada berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap kamu, dan kamu pula tidak akan berdukacita. ‘ “

Masih lagi tentang ahli syurga. Dahulu kamu merupakan orang yang membuat syirik, suka mengatakan orang yang mengamalkan tauhid itu tidak akan dapat apa-apa kebaikan, sedangkan sekarang mereka telah diberitahu untuk sila masuk syurga oleh Allah ‎ﷻ. Lihatlah bagaimana sekarang? Kamu masuk neraka, tetapi mereka pula masuk syurga. Maka siapakah yang benar?

Apabila sudah masuk syurga, sudah tidak perlu untuk berasa takut untuk menghadapi masa depan dan tidak berdukacita meninggalkan segala harta dan sanak saudara di dunia, kerana mereka menuju tempat yang lebih baik.

Maka, ayat-ayat ini mengajar kita, kadang-kadang orang yang mengamalkan ajaran yang benar itu tidak ramai, dan mereka tidak ada kedudukan yang tinggi dalam masyarakat. Namun Allah ‎ﷻ bukan melihat kepada ramainya bilangan mereka itu atau kedudukan seseorang dalam masyarakat.

Satu lagi tafsir yang dinisbahkan kepada Ibn Abbas رضي الله عنهما, ini adalah kata-kata Allah ‎ﷻ kepada ashabul A’raf di mana mereka dijemput masuk ke dalam syurga.


 

ORANG KAFIR MINTA SEDEKAH KEPADA ORANG BERIMAN

A’raf Ayat 50: Sekarang bertukar kepada perkataan yang dikeluarkan oleh ahli neraka pula. Allah‎ ﷻ menceritakan kehinaan yang dialami oleh ahli neraka.

وَنادىٰ أَصحٰبُ النّارِ أَصحٰبَ الجَنَّةِ أَن أَفيضوا عَلَينا مِنَ الماءِ أَو مِمّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ ۚ قالوا إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَهُما عَلَى الكٰفِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the companions of the Fire will call to the companions of Paradise, “Pour upon us some water or from whatever Allāh has provided you.” They will say, “Indeed, Allāh has forbidden them both to the disbelievers

MALAY

Dan (Tuhan menerangkan pula kehinaan ahli neraka dengan firmanNya): ahli neraka menyeru ahli Syurga (dengan berkata): “Limpahkanlah kepada kami sedikit dari air atau dari rezeki (makanan) yang telah dikurniakan Allah kepada kamu”. Mereka (ahli Syurga) menjawab: “Sesungguhnya Allah telah haramkan kedua-duanya atas orang-orang kafir”.

 

وَنادىٰ أَصحٰبُ النّارِ أَصحٰبَ الجَنَّةِ

ahli neraka menyeru ahli Syurga: 

Sekarang ahli neraka pula berkata kepada ahli syurga. Ini kerana ahli syurga yang datang dulu bertanya kepada ahli neraka. Jika ahli neraka sengaja datang mengganggu ahli syurga dan menyeru begini, sememangnya tidak boleh.

 

أَن أَفيضوا عَلَينا مِنَ الماءِ

“Limpahkanlah kepada kami sedikit daripada air

Mereka meminta ahli syurga menyimbahkan sedikit air untuk menyejukkan diri mereka dan boleh mereka minum. Mereka meminta sedikit sahaja. Bukannya air yang ahli syurga hendak gunakan pun, tetapi daripada air-air yang melimpah yang mereka tidak perlukan pun.

Lihatlah apa yang diminta oleh ahli neraka itu. Mereka hanya meminta air sahaja, air kosong. Ia adalah perkara kecil sahaja. Namun begitu itulah yang mereka minta kerana di neraka, air kosong pun mereka tidak dapat. Mereka minta kerana mereka tidak ada air yang boleh diminum di neraka. Yang ada hanya air yang panas menggelegak, air nanah serta air kotoran sahaja. Mereka minta kerana mereka terlalu dahaga, ditambah pula dengan kepanasan yang amat sangat dibakar dalam neraka!

 

أَو مِمّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ

atau daripada rezeki yang telah dikurniakan Allah kepada kamu”.

Atau berikanlah apa-apa sahaja yang Allah‎ ﷻ telah beri rezeki pada kamu. Tadi minta air, sekarang minta makanan pula. Mereka tahu yang ahli syurga mendapat banyak makanan melimpah ruah, maka mereka meminta sedikit. Ya lah, tidak luak pun makanan ahli syurga kalau diberikan sedikit kepada mereka.

 

قالوا إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَهُما عَلَى الكٰفِرينَ

Mereka (ahli Syurga) menjawab: “Sesungguhnya Allah telah haramkan kedua-duanya atas orang-orang kafir”.

Ahli syurga menjawab: “Allah ‎ﷻ telah mengharamkan kepada orang kafir. Kami tidak boleh beri.”

Bayangkan alangkah sakitnya hati menerima layanan sebegitu. Bayangkan kita tengah lapar sangat, minta sedikit makanan daripada orang yang kita tahu ada banyak makanan. Tetapi dia kata dia tidak boleh beri atau tidak mahu beri – tentulah kita sakit hati sungguh. Memang itulah yang dikenakan terhadap mereka. Allah ‎ﷻ mahu mengazab emosi mereka supaya mereka lebih terseksa jiwa dan raga.

Ahli syurga jawab Allah ‎ﷻ yang tidak benarkan dan haramkan ke atas ahli neraka. Kerana kalau tidak, entah mereka akan minta lagi di lain waktu. Maka, permintaan mereka ditutup terus.


 

A’raf Ayat 51: Siapakah orang kafir yang tidak layak untuk mendapat makanan dari syurga itu?  Dan yang lebih penting, apakah sifat-sifat mereka?

الَّذينَ اتَّخَذوا دينَهُم لَهوًا وَلَعِبًا وَغَرَّتهُمُ الحَيَوٰةُ الدُّنيا ۚ فَاليَومَ نَنسٰهُم كَما نَسوا لِقاءَ يَومِهِم هٰذا وَما كانوا بِئآيٰتِنا يَجحَدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who took their religion as distraction and amusement and whom the worldly life deluded.” So today We will forget them just as they forgot the meeting of this Day of theirs and for having rejected Our verses.

MALAY

(Tuhan berfirman: Orang-orang kafir itu ialah) orang-orang yang menjadikan perkara-perkara ugama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya). Oleh itu, pada hari ini (hari kiamat), Kami lupakan (tidak hiraukan) mereka sebagaimana mereka telah lupa (tidak hiraukan persiapan-persiapan untuk) menemui hari mereka ini, dan juga kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat keterangan Kami.

 

الَّذينَ اتَّخَذوا دينَهُم لَهوًا وَلَعِبًا

orang-orang yang menjadikan perkara-perkara agama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan,

Mereka itu menjadikan agama sebagai permainan sahaja, bukan sesuatu yang diambil serius. Hanya ketika ada kepentingan dan keperluan sahaja, barulah mereka gunakan agama. Mereka buat perkara yang lalai dan melekakan mereka dalam dunia.

Mereka mengambil mudah sahaja urusan agama – senang sahaja menghalal dan mengharamkan sesuatu perkara. Mereka tidak mengikut peraturan wahyu. Mereka memandai sahaja buat syariat sendiri.

Apakah perbezaan di antara لَهوًا dan لَعِبًا? Apabila diletakkan bersama dalam satu ayat, mesti ada bezanya. لَهوًا bermaksud yang melekakan kita sehingga terlupa kewajipan kita. Ia mungkin benda yang harus malah mungkin bermanfaat. Seperti main bola, ia bagus untuk kesihatan dan bersosial. Akan tetapi jika ia dilakukan secara berlebihan sampai melalaikan kita daripada salat, maka ia sudah menjadi لَهوًا.

Sedangkan لَعِبًا adalah benda yang memang tidak ada manfaat. Seperti main game, asyik menonton Tik Tok tanpa jemu (yang tidak ada manfaat, jika ada manfaat seperti perkara berkaitan perkara berkaitan tidaklah mengapa). Seorang Mukmin tidak sepatutnya membuang masa dengan perkara tidak berfaedah. Seorang Mukmin sentiasa sedar yang dia mempunyai tugas di dunia ini dan terus berusaha untuk mencari manfaat dalam setiap perkara yang dia lakukan.

Tidak menghairankan jika saya katakan perbuatan membaca Al-Qur’an turut boleh menjadi perkara main-main juga. Bagaimanakah berlaku begitu pula? Ia berlaku apabila seseorang membaca Al-Qur’an, namun malangnya tidak pula memahami apa yang dibaca. Maka akhirnya dia sendiri telah melanggar dan melakukan larangan dengan apa yang dia baca itu tanpa sedar. Maknanya dia main-main sahaja sebab tidak mengikut pun apa yang dibaca itu. Itulah masalahnya jika pengajian tafsir Al-Qur’an tidak diambil peduli.

Sementara itu terdapat juga golongan yang main-main dengan hukum. Sebagai contoh paling mudah adalah segolongan wanita yang hanya menutup aurat pada setiap hari Jumaat atau di bulan Ramadhan sahaja. Habis sahaja bulan Ramadhan dia kembali membuka auratnya tanpa rasa bersalah dengan hukum wajib ini. Atau ada golongan lelaki yang hanya salat Jumaat sahaja manakala salat wajib yang lain sehari-hari ditinggalkan begitu sahaja. Atau terdapat juga yang hanya suka berpuasa pada bulan Ramadhan tetapi salat fardu ditinggalkan pula. Maka mereka ini main ikut suka hati mereka sahaja hukum mana yang mereka hendak amalkan.

 

وَغَرَّتهُمُ الحَيَوٰةُ الدُّنيا

dan orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia

Mereka telah diperdaya dengan kehidupan dunia. Dunia itu memang indah dan nafsu kita memang tertarik kepadanya. Namun janganlah sampai kita tertipu dengannya. Malangnya ahli neraka itu telah tertipu dengan keindahan dunia dan segala perbuatan mereka untuk memuaskan mereka di dunia sahaja.

Perkara ini banyak kali disebut dalam Al-Qur’an. Apakah maksudnya? Kita sebagai manusia, tentulah ada keperluan kepada dunia. Kita juga berkeinginan kepada harta, anak, keluarga dan kawan-kawan dan sebagainya. Namun janganlah keinginan itu melebihi daripada keinginan kita kepada akhirat. Keinginan terhadap akhirat mestilah melebihi keinginan terhadap dunia.

 

فَاليَومَ نَنسٰهُم كَما نَسوا لِقاءَ يَومِهِم هٰذا

Oleh itu, pada hari ini (hari kiamat), Kami lupakan (tidak hiraukan) mereka sebagaimana mereka telah lupa tentang pertemuan pada hari ini,

Allah ‎ﷻ beritahu: hari ini Dia lupakan mereka. Janganlah pula kita kata Allah ‎ﷻ boleh lupa, kerana Allah ‎ﷻ tidak pernah lupa. Sifat lupa adalah satu kelemahan, dan jauh sekali Allah ‎ﷻ mempunyai sifat yang lemah.

Oleh sebab itu, hendaklah difahami apakah maksud ‘lupa’ dalam ayat sebegini. ‘Lupa’ dalam ayat ini maksudnya tidak memberi balasan baik. Allah ‎ﷻ tidak menghiraukan mereka, buat-buat lupa. Letak mereka ke tepi dan tidak mahu fikirkan lagi. Sebelum ini disebut yang mereka minta minuman dan rezeki daripada ahli syurga, bukan? Allah ‎ﷻ tidak menghiraukan langsung permintaan mereka.

Ini adalah kerana mereka dulu lupa kepada hari kebangkitan dan hari akhirat. Mereka lupa untuk bersedia menghadapi hari akhirat. Maka memang patut kali ini mereka dilupakan oleh Allah ‎ﷻ. Berkali-kali Allah ‎ﷻ telah memberikan peringatan tetapi mereka buat tidak tahu sahaja.

 

وَما كانوا بِئآيٰتِنا يَجحَدونَ

dan juga kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat keterangan Kami.

Oleh kerana dahulu semasa di dunia mereka mengingkari ayat-ayat Allah ‎ﷻ. Mereka selalu mempersoalkan, selalu sahaja hendak melawan. Dalil yang sahih sudah ada, tetapi mereka tidak mahu terima atau mereka tafsir ikut nafsu mereka.

Begitulah banyak terjadi dalam kalangan masyarakat kita. Sebagai contoh, golongan yang ingin menegakkan hujah akal seperti Kumpulan “Sisters in Islam” di negara kita ini yang memandai-mandai sahaja mahu menukar fahaman wahyu dengan fahaman mereka yang sesat itu. Amat malang sekali ramai betul pengikut mereka. Mereka yang jauh daripada memahami wahyu Allah yang sebenar akan mudah sahaja terpedaya dengan fahaman golongan ini.

Nota: Ada ulama’ kata bahawa ashabul A’raf itu dapat memasuki syurga pada akhirnya. Ini adalah kerana kesudahan akhir nanti hanya ada dua golongan sahaja – ahli syurga ataupun ahli neraka. Namun begitu perinciannya tiada. Mengikut Ibn Abbas رضي الله عنهما, mereka dijemput masuk ke syurga di penghujung ayat 49 di atas.

Antara persoalannya, bilakah mereka akan memasuki syurga? Kemungkinan besar ia berlaku apabila terdapat ahli neraka terakhir yang dapat masuk syurga. Seperti yang kita telah maklum, bukan semua ahli neraka akan kekal di dalam neraka. Ada yang dapat masuk syurga juga akhirnya.

Oleh sebab itu, apabila ada ahli neraka yang terakhir keluar dari neraka dan memasuki syurga, maka ketika itu, ashabul A’raf itu turut memasuki sekali dengan mereka ke dalam syurga. Ashabul A’raf berkeadaan begini bukanlah untuk selamanya tetapi cuma pada permulaan sahaja.


 

SUDAH TERLAMBAT

A’raf Ayat 52: Sebelum ini telah disebut tentang golongan yang masuk neraka. Allah ‎ﷻ memberitahu bukanlah Dia zalim kerana memasukkan mereka ke dalam neraka, kerana Dia telah memberikan wahyu kepada mereka, telah membangkitkan para Rasul untuk memperjelaskan tentang wahyu itu. Maka tidak ada alasan lagi ke atas mereka kerana Allah ‎ﷻ telah patahkan alasan mereka itu.

وَلَقَد جِئنٰهُم بِكِتٰبٍ فَصَّلنٰهُ عَلىٰ عِلمٍ هُدًى وَرَحمَةً لِّقَومٍ يُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We had certainly brought them a Book which We detailed by knowledge – as guidance and mercy to a people who believe.

MALAY

Dan sesungguhnya Kami telah datangkan kepada mereka, sebuah Kitab (Al-Qur’an) yang Kami telah menjelaskannya satu persatu berdasarkan pengetahuan (Kami yang meliputi segala-galanya), untuk menjadi hidayah petunjuk dan rahmat, bagi orang-orang yang (mahu) beriman.

 

وَلَقَد جِئنٰهُم بِكِتٰبٍ فَصَّلنٰهُ عَلىٰ عِلمٍ

Dan sesungguhnya Kami telah datangkan kepada mereka, sebuah Kitab (Al-Qur’an) yang Kami telah menjelaskannya satu persatu berdasarkan pengetahuan

Allah ‎ﷻ telah sampaikan kepada mereka wahyu Al-Qur’an. Dalam Al-Qur’an itu telah jelas memperkatakan tentang agama terutama tentang akidah yang telah diterangkan dengan jelas. Mereka sahaja yang tidak hiraukan.

Allah ‎ﷻ telah menghuraikan Al-Qur’an yang betul-betul kuat dalilnya. Allah ‎ﷻ telah membangkitkan pula Nabi Muhammad ﷺ untuk memperjelaskan bagaimana beramal dengan Al-Qur’an. Itulah maksud ‘ilmu’ dalam ayat ini. Ia berdasarkan ilmu Allah ‎ﷻ yang maha luas dan sempurna. Allah ‎ﷻ tahu apa yang kita perlukan, apa yang telah berlaku, apa yang akan terjadi. Maka, apa yang Allah ‎ﷻ beritahu adalah kebenaran yang kita mesti ikut, tidak ada pilihan lain lagi.

Maka kerana itulah kitab Al-Qur’an ini sesuai digunakan sebagai panduan hidup di mana sahaja, bila-bila masa sahaja. Ilmu yang datang daripada manusia, lama kelamaan akan luput tidak boleh digunapakai lagi kerana sudah tidak sesuai dengan zaman, bukan? Ini kerana manusia tidak ada ilmu yang luas sebagaimana Allah ‎ﷻ.

 

هُدًى وَرَحمَةً لِّقَومٍ يُؤمِنونَ

untuk menjadi hidayah petunjuk dan rahmat, bagi orang-orang yang (mahu) beriman.

Al-Qur’an itu memberi petunjuk dan orang yang mempelajari dan mengamalkannya akan mendapat rahmat bila diamalkan. Ia diberikan kepada semua orang, tetapi yang dapat mengambil manfaat daripadanya hanyalah orang mahu beriman.

Oleh kerana mereka mahu beriman, maka mereka menjadikan Al-Qur’an itu sebagai sumber petunjuk dan sumber rahmat. Itulah sebabnya kita mesti mempelajari Al-Qur’an ini dengan mempelajari tafsir, dan bukan setakat membacanya sahaja tanpa memahaminya. Sekiranya kita tidak mahu mempelajarinya, maka ini bermakna kita adalah orang yang sombong sesombongnya.

Amat pelik sekali bagi umat Islam yang sentiasa meminta hidayah (setiap hari dalam salat ketika membaca Fatihah) akan tetapi tidak dicari hidayah itu di dalam Al-Qur’an. Memang kita minta hidayah dan Allah ‎ﷻ telah beri pun hidayah itu dalam Al-Qur’an. Kita kenalah ada usaha untuk mencari hidayah itu, bukannya hanya minta dengan mulut sahaja.


 

A’raf Ayat 53: Takhwif ukhrawi

هَل يَنظُرونَ إِلّا تَأويلَهُ ۚ يَومَ يَأتي تَأويلُهُ يَقولُ الَّذينَ نَسوهُ مِن قَبلُ قَد جاءَت رُسُلُ رَبِّنا بِالحَقِّ فَهَل لَّنا مِن شُفَعاءَ فَيَشفَعوا لَنا أَو نُرَدُّ فَنَعمَلَ غَيرَ الَّذي كُنّا نَعمَلُ ۚ قَد خَسِروا أَنفُسَهُم وَضَلَّ عَنهُم مّا كانوا يَفتَرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do they await except its result?¹ The Day its result comes those who had ignored it before will say, “The messengers of our Lord had come with the truth, so are there [now] any intercessors to intercede for us or could we be sent back to do other than what we used to do?” They will have lost themselves, and lost from them is what they used to invent.

  • The fulfillment of what is promised in the Qur’ān.

MALAY

Tidak ada perkara yang mereka tunggu-tunggukan melainkan akibat atau kesudahan (apa yang telah dijanjikan oleh Allah di dalam Al-Qur’an), pada hari datangnya apa yang telah dijanjikan dalam Al-Qur’an itu (pada hari kiamat kelak), berkatalah orang-orang yang telah melupakannya (yang tidak menghiraukannya dalam dunia) dahulu: “Sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran, maka adakah untuk kami pemberi syafaat supaya mereka memberi syafaat bagi kami atau (bolehkah) kami dikembalikan (ke dunia) supaya kami dapat beramal, lain daripada apa yang kami telah kerjakan?” Sesungguhnya mereka telah merugikan diri mereka sendiri, dan telah lenyaplah dari mereka perkara-perkara yang mereka ada-adakan dahulu.

 

هَل يَنظُرونَ إِلّا تَأويلَهُ

Tidak ada perkara yang mereka tunggu-tunggukan melainkan akibatnya

Mereka tidak tunggu melainkan hukuman Allah ‎ﷻ yang telah disebut dalam Al-Qur’an itu, iaitu tafsiran Allah ‎ﷻ (takwil) daripada ayat Al-Qur’an untuk mengazab mereka. Itulah janji-janji Allah ‎ﷻ dalam Al-Qur’an. Mungkin susah sedikit untuk faham ayat ini. Kita cuba jelaskan.

Takwil daripada ayat Al-Qur’an itu akan jelas apabila ia benar-benar terjadi. Kita selalu cuba memberi penjelasan tentang ayat-ayat Al-Qur’an itu. Namun itu sebagai cubaan pemahaman daripada kita sahaja. Sebagai contoh, kita cuba menjelaskan tentang azab neraka itu tetapi, ia menjadi amat jelas, apabila ia betul-betul berlaku di depan mata. Itu adalah takwil yang amat jelas sekali. Tidak ada takwil yang lebih jelas daripada itu.

Maka, dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ tanyakan: Adakah mereka ingin tunggu sehingga azab yang dijanjikan itu betul-betul telah ada di hadapan mata mereka? Kenapa bodoh sangat sampai mahu tunggu ia benar-benar terjadi baru hendak percaya? Pada waktu itu semuanya sudah terlambat – sekiranya pada waktu itu baru hendak beriman, sudah tidak diterima lagi iman mereka itu.

 

يَومَ يَأتي تَأويلُهُ يَقولُ الَّذينَ نَسوهُ مِن قَبلُ

pada hari datangnya apa yang telah dijanjikan dalam Al-Qur’an itu (pada hari kiamat kelak), berkatalah orang-orang yang telah melupakannya (yang tidak menghiraukannya dalam dunia) dahulu:

Ketika azab sudah ada berada di depan mata mereka, barulah orang yang tidak hiraukan ayat-ayat Al-Qur’an itu dulu hendak percaya. Mereka mensia-siakan amal dan kehidupan mereka dengan meninggalkan ajaran daripada wahyu. Pada waktu itu baru mereka menyesal, amat-amat menyesal sekali. Apa yang mereka akan kata sebagai alasan mereka?

 

قَد جاءَت رُسُلُ رَبِّنا بِالحَقِّ

“Sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran,

Apabila sudah nampak apa yang telah dijanjikan dalam Al-Qur’an itu nyata di depan mata mereka, baru mereka mahu mengaku yang memang telah datang Rasul kepada mereka yang membawa kebenaran. Tidak ada alasan lagi yang mereka boleh keluarkan, maka mereka mengaku sahaja.

Memang setiap kaum telah diberikan dengan Rasul penyebar tauhid. Sekiranya kita yang tidak ada rasul ini, ia merujuk kepada penyebar tauhid yang telah datang kepada kita. Pada waktu itu baru mereka nampak bahawa apa yang disampaikan oleh Rasul itu atau penyebar tauhid itu adalah benar belaka.

 

فَهَل لَّنا مِن شُفَعاءَ فَيَشفَعوا لَنا

maka adakah untuk kami pemberi syafaat supaya mereka memberi syafaat bagi kami?

Pada ketika itu, mereka bersungguh-sungguh mengharap ada pemberi syafaat yang boleh memberi sokongan kepada mereka, yang boleh rekomen tentang mereka kepada Allah ‎ﷻ kerana mereka tahu yang mereka dalam masalah yang amat besar dan mereka tidak akan dapat menyelamatkan diri mereka sendiri. Mereka mengharapkan sangat kepada bantuan luar. Maka sekarang mereka tanya adakah bagi mereka pemberi syafaat?

 

أَو نُرَدُّ فَنَعمَلَ غَيرَ الَّذي كُنّا نَعمَلُ

atau (bolehkah) kami dikembalikan (ke dunia) supaya kami dapat beramal, lain daripada apa yang kami telah kerjakan?”

Atau mereka meminta supaya mereka diberikan peluang untuk kembali ke dunia untuk membuat amalan lain daripada amalan mereka dahulu. Dulu mereka buat amalan yang salah – amalan syirik dan bid’ah. Sekarang baru hendak mengaku yang amalan mereka itu adalah salah.

Permintaan sebegini amat banyak diceritakan dalam Al-Qur’an. Maka, hendaklah kita ambil pengajaran, supaya kita jangan jadi seperti mereka. Buatlah amal kebaikan semasa kita ada kesempatan di dunia ini lagi kerana kita tidak ada peluang kedua. Peluang kita sekali sahaja semasa kita hidup di dunia ini. Namun kalaulah peluang diberi juga, adakah mereka akan lakukan seperti janji mereka? Tidak, kerana Allah ‎ﷻ sendiri beritahu yang mereka itu menipu sahaja seperti disebut [ An’am: 27-28 ]

وَلَو تَرىٰ إِذ وُقِفوا عَلَى النّارِ فَقالوا يٰلَيتَنا نُرَدُّ وَلا نُكَذِّبَ بِئآيٰتِ رَبِّنا وَنَكونَ مِنَ المُؤمِنينَ

Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka didirikan di tepi neraka (untuk menyaksikan azabnya yang tidak terperi), lalu mereka berkata: “Wahai kiranya kami dikembalikan ke dunia, dan kami tidak akan mendustakan lagi ayat-ayat keterangan Tuhan kami, dan menjadilah kami dari golongan yang beriman”.

بَل بَدا لَهُم مّا كانوا يُخفونَ مِن قَبلُ ۖ وَلَو رُدّوا لَعادوا لِما نُهوا عَنهُ وَإِنَّهُم لَكٰذِبونَ

(Mereka mengatakan yang demikian bukanlah kerana hendak beriman) bahkan setelah nyata kepada mereka apa yang mereka selalu sembunyikan dahulu; dan kalau mereka dikembalikan ke dunia sekalipun, tentulah mereka akan mengulangi lagi apa yang mereka dilarang dari melakukannya; dan sesungguhnya mereka adalah tetap pendusta.

 

قَد خَسِروا أَنفُسَهُم

Sesungguhnya mereka telah merugikan diri mereka sendiri,

Allah ‎ﷻ beritahu jawapan kepada permintaan mereka: mereka telah merugikan diri mereka kerana tidak mengambil peluang semasa hidup dulu supaya beramal yang soleh.

Sekarang peluang sudah tidak ada kerana mereka telah mati, dan bumi telah dihancurkan sehancur-hancurnya, dan tidak akan dipulangkan ke dunia lagi. Permintaan mereka itu sia-sia sahaja. Maka, janganlah kita rugikan diri kita sekarang.

 

وَضَلَّ عَنهُم مّا كانوا يَفتَرونَ

dan telah lenyaplah daripada mereka perkara-perkara yang mereka ada-adakan dahulu.

Segala perkara yang mereka reka tentang agama, tidak ada. Sebagai contoh, mereka reka-reka dengan mengatakan wali dan Nabi yang mereka sembah dan seru itu akan beri bantuan dan syafaat kepada mereka. Namun bantuan yang mereka kata ada itu, tidak sampai-sampai kerana memang tidak ada pun, mereka sahaja yang reka pemahaman tiada asas itu.

 

Habis Ruku’ 6 daripada 24 ruku’ dalam surah ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 15 Sep 2022

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah al-A’raf Ayat 44 – 47 (Penghuni al-A’raf)

JANJI DARI TUHAN

A’raf Ayat 44:

وَنادىٰ أَصحٰبُ الجَنَّةِ أَصحٰبَ النّارِ أَن قَد وَجَدنا ما وَعَدَنا رَبُّنا حَقًّا فَهَل وَجَدتُم مّا وَعَدَ رَبُّكُم حَقًّا ۖ قالوا نَعَم ۚ فَأَذَّنَ مُؤَذِّنٌ بَينَهُم أَن لَّعنَةُ اللَّهِ عَلَى الظّٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the companions of Paradise will call out to the companions of the Fire, “We have already found what our Lord promised us to be true. Have you found what your Lord promised to be true?” They will say, “Yes.” Then an announcer will announce among them, “The curse of Allāh shall be upon the wrongdoers

MALAY

Dan (apabila ahli-ahli Syurga itu berada di tempat masing-masing), berserulah mereka kepada ahli neraka dengan berkata: “Sesungguhnya kami telah dapati apa yang telah dijanjikan kepada kami oleh Tuhan kami, semuanya betul. Maka adakah kamu juga telah dapati apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kamu itu semuanya betul?”. Mereka menjawab: “Benar ada”. Kemudian berserulah penyeru (malaikat) di antara mereka (kedua-dua puak itu) menyatakan: “Bahawa laknat Allah tertimpa ke atas orang-orang yang zalim”.

 

وَنادىٰ أَصحٰبُ الجَنَّةِ أَصحٰبَ النّارِ

Dan ahli syurga menyeru kepada ahli neraka

Sekarang Allah ‎ﷻ menceritakan kejadian yang terjadi dalam syurga dan neraka. Ini selepas mereka sudah masuk ke dalam syurga dan neraka. Apabila digunakan kalimah أَصحٰبُ, ia bermaksud penghuni dan penghuni yang jenis kekal. Maka, ini adalah perbualan antara penghuni kekal syurga dan penghuni kekal neraka.

Dalam syurga, ahli syurga boleh bebas pergi ke sana ke sini. Maknanya, ahli syurga bebas bergerak, tetapi tidak untuk ahli neraka. Dalam mereka bebas bergerak itu, ahli syurga boleh berkata-kata kepada ahli neraka dan mereka akan bersoal jawab. Jarak antara syurga dan neraka tentunya amat jauh akan tetapi daripada ayat ini kita dapat tahu yang mereka boleh berkomunikasi. Bagaimana caranya, kita tidak tahu. Sedangkan zaman sekarang pun sudah ada teknologi “video call”, sudah tentu Allah ‎ﷻ ada teknologi yang lebih canggih daripada itu.

Penghuni syurga akan bertanya khabar kepada penghuni neraka. Mereka masih kenal kenalan mereka yang masuk neraka. Mereka masih boleh cari lagi kerana ada tanda kawan mereka yang mereka kenal. Bagaimana caranya, tentulah kita tidak dapat bayangkan. Ataupun, mereka tidak kenal siapa secara spesifik, cuma kenal itu adalah ahli neraka kerana rupa mereka yang gelap.

Kenapakah ditunjukkan neraka kepada ahli syurga? Supaya mereka lebih menghargai nikmat dapat memasuki syurga. Jika tidak dapat masuk syurga, tentu dia akan masuk neraka yang ditunjukkan kepada mereka itu. Ditunjukkan syurga kepada ahli neraka supaya mereka berasa lebih terseksa kerana mereka telah terlepas peluang untuk beramal agar dapat memasuki syurga yang penuh nikmat.

Ketika orang mukmin yang telah masuk syurga itu di dunia, mereka telah diejek, digelakkan dan dicemuh oleh orang yang ahli neraka itu. Maka sekarang mereka sudah masuk syurga, mereka mulalah ingin bertanya semula kepada ahli neraka yang gelakkan mereka dahulu semasa di dunia. Ini ada juga disebut dalam Mutaffifin: 34-36

فَاليَومَ الَّذينَ آمَنوا مِنَ الكُفّارِ يَضحَكونَ

عَلَى الأَرائِكِ يَنظُرونَ

هَل ثُوِّبَ الكُفّارُ ما كانوا يَفعَلونَ

Maka pada hari ini, orang-orang yang beriman menertawakan orang-orang kafir,

mereka (duduk) di atas dipan-dipan sambil memandang.

Adakah orang-orang kafir telah diberi ganjaran terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan?

 

أَن قَد وَجَدنا ما وَعَدَنا رَبُّنا حَقًّا

dengan berkata: “Sesungguhnya kami telah dapati apa yang telah dijanjikan kepada kami oleh Tuhan kami, semuanya betul.

Mereka kata mereka sudah dapat apa yang dijanjikan dalam Al-Qur’an dan Hadith. Ia adalah sama dan ada belaka seperti apa yang dijanjikan oleh Allah ‎ﷻ iaitu mereka dapat syurga, dapat keampunan, dapat nikmat dan segala-galanya.

Ilmu ada tiga peringkat: ilmul yaqeen, ainul yaqeen dan haqqul yaqeen. Sekarang di dunia, kita tahu tentang akhirat hanya daripada peringkat ilmu sahaja. Kita percaya dengan ayat-ayat Al-Qur’an dan Hadith yang menceritakan tentangnya. Ini adalah ilmul yaqeen. Nanti di dalam kubur, kita akan ditunjukkan dengan akhirat (tempat akhir kita sama ada di neraka atau di syurga). Di Mahsyar juga nanti akan ditunjukkan syurga dan neraka. Ini adalah ainul yaqeen.

Nanti apabila dimasukkan ke dalam syurga atau neraka, barulah benar-benar dapat merasainya kerana memang sudah ada di dalamnya dan sedang mengalaminya. Inilah haqqul yaqeen. Inilah yang dimaksudkan oleh penghuni syurga ini. Dia sudah dapat apa yang dia dulu yakin semasa di dunia.

 

فَهَل وَجَدتُم مّا وَعَدَ رَبُّكُم حَقًّا

Maka adakah kamu juga telah dapati apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kamu itu semuanya betul?”

Mereka mahu juga bertanya sepatah kepada ahli neraka “Bagaimana dengan kamu pula? Adakah kamu dapat juga apa yang dijanjikan oleh Allah? Dapat neraka, seksa dan sebagainya?”

Hal yang sama pernah dikecam oleh Rasulullah ﷺ terhadap orang-orang kafir yang terbunuh dalam Perang Badr. Pemuka Mekah yang kalah itu telah dibunuh lalu mereka telah dimasukkan ke dalam sumur Qulaib. Maka Rasulullah ﷺ pergi ke tempat itu kemudian berseru:

“يَا أَبَا جَهْلِ بْنَ هِشَامٍ، وَيَا عُتْبَةَ بْنَ رَبِيعَةَ، وَيَا شَيْبَةَ بْنَ رَبِيعَةَ -وَسَمَّى رُءُوسَهُمْ-: هَلْ وَجَدْتُمْ مَا وَعَدَ رَبُّكُمْ حَقًّا؟ فَإِنِّي وَجَدْتُ مَا وَعَدَنِي رَبِّي حَقًّا”. وَقَالَ عُمَرُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، تُخَاطِبُ قَوْمًا قَدْ جَيفوا؟ فَقَالَ: “وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، مَا أَنْتُمْ بِأَسْمَعَ لِمَا أَقُولُ مِنْهُمْ، وَلَكِنْ لَا يَسْتَطِيعُونَ أَنْ يُجِيبُوا”.

Hai Abu Jahal ibnu Hisyam, hai Utbah ibnu Rabi’ah, hai Syaibah ibnu Rabi’ah —seraya menyebutkan pemimpin-pemimpin mereka (orang-orang kafir) lainnya—, apakah kalian telah memperoleh dengan sebenarnya apa (azab) yang telah dijanjikan oleh Tuhan kalian kepada kalian? Kerana sesungguhnya aku telah memperoleh apa yang telah dijanjikan oleh Tuhanku kepadaku dengan sebenarnya. Umar رضي الله عنه. bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah engkau berbicara kepada kaum yang telah menjadi bangkai?” Rasulullah ﷺ menjawab melalui sabdanya: Demi Zat yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaan­-Nya, kalian sekali-kali bukanlah orang-orang yang lebih mende­ngar ucapanku daripada mereka, tetapi mereka tidak mampu menjawab.

(Sanadnya sahih mengikut syarat Muslim, Al-Bukhari (3976) memasukkannya dengan sedikit perbezaan, dan Muslim (2875), dan Abu Dawud (2695) meringkaskannya, dan Ahmad (16356) dan lafaznya adalah miliknya)

Walau bagaimanapun hadith ini janganlah pula dijadikan dalil sebagai kata orang mati boleh mendengar. Nabi Muhammad ﷺ buat sekali ini sahaja, maknanya ini adalah kejadian terpencil dan termasuk dalam perkara mukjizat. Maknanya, Allah ‎ﷻ beri ahli lubang kubur itu mendengar kali itu sahaja.

Ini penting diberitahu kerana ramai yang salah faham dengan hadith ini kerana mereka menggunakannya sebagai dalil untuk mengatakan yang orang mati boleh mendengar. Maka, bagi mereka yang jahil akan terus percaya yang kita boleh menyeru mereka yang telah mati, boleh minta mereka doakan untuk kita. Ini adalah fahaman yang salah.

Ini kerana itu kita tidak dengar lagi Rasulullah ﷺ melakukannya. Tidaklah pula para sahabat selepas itu membuat perkara yang sama. Ini menandakan ia bukanlah perkara yang sentiasa berlaku.

 

قالوا نَعَم

Mereka menjawab: “Benar ada”. 

Begitulah yang ahli neraka akan jawab: Ya. Memang mereka pun sudah masuk dalam neraka yang disebut-sebut dulu semasa di dunia.

 

فَأَذَّنَ مُؤَذِّنٌ بَينَهُم أَن لَّعنَةُ اللَّهِ عَلَى الظّٰلِمينَ

Kemudian berserulah penyeru (malaikat) di antara mereka menyatakan: “Bahawa laknat Allah tertimpa ke atas orang-orang yang zalim”.

Waktu itu ada malaikat yang akan umum antara mereka: “Laknat Allah ke atas golongan zalim”. Maksud ‘laknat’ itu adalah mereka tidak akan mendapat rahmat sampai bila-bila.


 

A’raf Ayat 45: Apakah sifat orang zalim itu?

الَّذينَ يَصُدّونَ عَن سَبيلِ اللَّهِ وَيَبغونَها عِوَجًا وَهُم بِالآخِرَةِ كٰفِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who averted [people] from the way of Allāh and sought to make it [seem] deviant while they were, concerning the Hereafter, disbelievers.”

MALAY

Iaitu mereka yang menghalang (dirinya sendiri dan juga orang lain) dari menurut jalan Allah, dan mencari helah menjadikan jalan itu bengkok terpesong, sedang mereka pula tidak percayakan hari akhirat.

 

الَّذينَ يَصُدّونَ عَن سَبيلِ اللَّهِ

Iaitu mereka yang menghalang daripada menurut jalan Allah, 

Ini adalah keadaan mereka semasa di dunia. Sudahlah mereka tidak mahu menerima kebenaran, mereka halang orang lain juga daripada kebenaran. Maknanya boleh jadi fi’il lazim (kena kepada diri sendiri) atau fi’il muta’addi (dikenakan kepada orang lain).

Jika ada orang yang ingin belajar menjadi baik, mereka ajak pula kepada benda yang buruk, kalau ada yang hendak belajar agama, mereka kata itu buang masa; bila ada yang ingin belajar tafsir Al-Qur’an, mereka kata itu tidak perlu dan macam-macam lagi cara mereka untuk menghalang manusia daripada kebenaran.

Adakah kita juga ada membuat perkara ini? Kadangkala kita tidak perasan, bukan? Bagaimana dengan ibu bapa atau suami yang melarang anak-anak dan isteri mereka belajar agama? Ada isteri yang mahu belajar di masjid, surau atau dengan ustaz tertentu. Namun entah kenapa suami itu larang pula. Sudahlah dia sendiri tidak belajar, sekarang isteri dia hendak belajar pun dia halang? Pelik sungguh manusia ini.

 

وَيَبغونَها عِوَجًا

dan mencari helah menjadikan jalan itu bengkok terpesong,

Mereka berusaha supaya jalan Allah ‎ﷻ nampak bengkok iaitu mereka menyelewengkan ajaran agama, sehingga menimbulkan kekeliruan kepada orang lain. Mereka mahu agama Islam itu kelihatan bengkok supaya orang tidak mahu kepada Islam.

Mereka timbulkan isu yang menyebabkan orang yang jahil jadi takut dengan agama, tidak mahu dekat kepada agama. Banyak orang yang buat begitu.

Sebagai contoh, ada orang yang mempersoalkan tentang hukum hudud, tentang perbezaan taraf antara wanita dan lelaki, dan macam-macam lagi. Orang yang faham dan belajar dengan benar tidaklah keliru, tetapi bagaimana dengan mereka yang tidak tahu agama, masih belajar, baru belajar? Mereka itu yang mudah tertipu dan mereka menjadi sesat akhirnya.

Yang selalu terjadi sekarang, orang yang mahukan Sunnah dituduh sebagai Wahabi. Maka orang awam yang tidak tahu apa-apa pun rasa seolah-olah golongan yang digelar Wahabi itulah yang membawa ajaran sesat. Padahal merekalah yang mengamalkan sunnah dengan benar.

Yang ingin mengamalkan sunnah itu tidak penah mengaku mereka Wahabi. Yang sebenarnya tidak ada pun nama ‘ajaran Wahabi’ itu. Cuma ia dijadikan sebagai momokan sahaja. Gelaran ini disebut pula oleh golongan yang amat jahil. Maka jangan hiraukan mereka tetapi kasihanilah kepada mereka kerana mereka itu tidak mengerti.

Mereka banyak melakukan perbuatan membengkokkan agama. Mereka mengamalkan perkara bid’ah kerana kejahilan. Mereka mengamalkan seolah-olah amalan bid’ah itulah agama. Padahal ia membengkokkan agama. Benda yang patut mereka buat, mereka tidak buat; benda yang patutnya mereka tinggalkan pula yang mereka buat.

 

وَهُم بِالآخِرَةِ كٰفِرونَ

sedang mereka pula tidak percayakan hari akhirat.

Mereka yang masuk neraka itu tidak percaya kepada akhirat. Mereka tidak rasa yang mereka akan dibangkitkan semula. Bagi orang kafir, kita memang tahu mereka tidak percaya kepada kiamat dan hari akhirat.

Namun malangnya ada juga orang Islam yang kata mereka percaya kepada akhirat, tetapi cara hidup mereka seperti tidak percaya pun. Mereka buat perkara yang salah, ikut suka mereka sahaja. Seolah-olah akhirat itu tidak ada.


 

KISAH PENGHUNI A’RAF

A’raf Ayat 46: Allah ‎ﷻ menyambung kisah tentang percakapan antara ahli syurga dan ahli neraka itu. Namun sekarang sudah mula disebut ahli A’raf, iaitu lafaz yang diambil dan dijadikan nama surah ini. Siapakah mereka? Rupa-rupanya ada golongan ketiga (selain daripada ahli neraka dan ahli syurga).

وَبَينَهُما حِجابٌ ۚ وَعَلَى الأَعرافِ رِجالٌ يَعرِفونَ كُلًّا بِسيمٰهُم ۚ وَنادَوا أَصحٰبَ الجَنَّةِ أَن سَلٰمٌ عَلَيكُم ۚ لَم يَدخُلوها وَهُم يَطمَعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And between them will be a partition [i.e., wall], and on [its] elevations are men¹ who recognize all² by their mark. And they call out to the companions of Paradise, “Peace be upon you.” They have not [yet] entered it, but they long intensely.

  • Those whose scales are balanced between good and evil deeds.
  • Both the inhabitants of Paradise and those of Hell.

MALAY

Dan di antara keduanya (Syurga dan neraka) ada tembok “Al-A’raaf “(yang menjadi) pendinding, dan di atas tembok Al-A’raaf itu ada sebilangan orang-orang yang mengenal tiap-tiap seorang (dari ahli-ahli Syurga dan neraka) itu, dengan tanda masing-masing. Dan mereka pun menyeru ahli Syurga (dengan memberi salam, katanya): “Salaamun Alaikum” (salam sejahtera kepada kamu). Sedang mereka, sendiri belum lagi masuk Syurga, padahal mereka ingin sangat memasukinya.

 

وَبَينَهُما حِجابٌ

Dan di antara keduanya (Syurga dan neraka) ada tembok “Al-A’raaf “(yang menjadi) pendinding,

Allah ‎ﷻ beritahu bahawa antara syurga dan neraka itu ada dinding. Ada orang yang duduk di situ, iaitu orang yang sama banyak amalan baik dan amalan jahat mereka semasa di dunia dulu.

Setelah ditimbang semua amalan mereka, berat timbangan itu sama sahaja antara baik dan buruk. Oleh itu, mereka tidak layak masuk syurga dan tidak juga dimasukkan ke dalam neraka. Oleh kerana amal baik mereka, mereka diselamatkan dari neraka, namun oleh kerana dosa mereka banyak maka mereka tidak dimasukkan ke syurga lagi. Ada lagi pendapat lain tentang siapakah mereka ini akan tetapi inilah pendapat Huzaifah, Ibn Mas’ud dan Ibn Abbas.

Huzaifah berkata: “Ashabul A’raf adalah kaum yang mana antara kebaikan dan keburukan mereka seimbang, kemudian Allah berfirman kepada mereka: “Masuklah syurga dengan anugerah dan ampunanKu, pada hari ini janganlah kalian takut dan janganlah kalian bersedih hati”. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dalam Tafsirnya, 12/453, no 14688.)

Ibnu Mas’ud berkata: “Pada hari kiamat manusia dihisab, barang siapa yang kebaikannya sedikit lebih banyak daripada keburukannya maka dia masuk syurga, barang siapa yang keburukannya sedikit lebih banyak daripada kebaikannya maka dia masuk neraka”. Kemudian beliau membaca firman Allah pada surat Al-A’raf 8-9. Kemudian dia berkata: “Sesungguhnya timbangan akan menjadi ringan dengan amal meskipun sekecil zarrah, begitu juga sebaliknya, ia bisa menjadi berat dengannya.” Kemudian beliau berkata lagi : “Barang siapa yang kebaikan dan keburukannya seimbang (sama) maka ia adalah ashaabul A’raf,…”. (Tafsir At-Tabari, 12/454)

Pendapat ini ada sandarannya akan tetapi ia adalah daripada hadith yang statusnya munkar (tidak sahih):

سئل رسول الله صلى الله عليه وسلم عمن استوت حسناته وسيئاته؟ فقال: أولئك أصحاب الأعراف لم يدخلوها وهم يطمعون.

Rasulullah ﷺ ditanya mengenai orang yang sama timbangan pahala dan dosanya? Nabi ﷺ menjawab: Mereka itu adalah golongan al-A’raf. Baginda menyebut (ayat al-Qur’an): “Sedang mereka, sendiri belum lagi masuk syurga, padahal mereka ingin sangat memasukinya.” [al-A’raf: 46]

Ada lagi satu pendapat daripada hadith yang juga sangat lemah tentang siapakah mereka:

سئل رسول الله – صلى الله عليه وسلم – عن أصحاب الأعراف؟ فقال: هم رجال قتلوا في سبيل الله وهم عصاة لآبائهم، فمنعتهم الشهادة أن يدخلوا النار، ومنعتهم المعصية أن يدخلوا الجنة، وهم على سور بين الجنة والنار حتى تذبل لحومهم وشحونهم؛ حتى يفرغ الله من حساب الخلائق، فإذا فرغ الله من حساب خلقه، فلم يبق غيرهم؛ تغمدهم منه برحمته، فأدخلهم الجنة برحمته.

Rasulullah ﷺ ditanya tentang ahli al-A’raf? Baginda menjawab: Mereka adalah yang lelaki yang terbunuh di jalan Allah ‎ﷻ (dalam peperangan) sedang mereka derhaka kepada orang tuanya, maka pahala mati syahid menghalang mereka masuk ke neraka, dan maksiat pula menghalang mereka masuk ke syurga. Mereka berada di atas tembok antara syurga dan neraka sehinggalah terhakis daging dan lemak mereka, (dan ianya berterusan) sehinggalah Allah ‎ﷻ selesai menghisab seluruh makhluk-Nya. Apabila Allah ‎ﷻ selesai menghisab seluruh makhluk-Nya, dan tidak ada yang berbaki melainkan mereka (ahli al-A’raf), maka (Allah ‎ﷻ) menaungi mereka dengan rahmat-Nya dan memasukkan mereka ke dalam syurga dengan rahmat-Nya.

Oleh sebab itu, kita tidak tahu dengan pasti siapakah ahli A’raf ini. Ini kerana tidak ada hadith yang sahih tentang siapakah mereka. Akan tetapi secara umumnya ada dua pendapat tentang siapakah mereka itu. Malah ada lagi pendapat-pendapat lain seperti berikut:

3. Anak zina. Ini adalah diriwayatkan daripada Salih maula At-Tuamah daripada Ibnu Abbas رضی اللہ عنھما.

4. Kaum yang soleh, yang ahli ilmu fiqh dan ulama, keberadaan mereka di sana adalah dalam rangka menghiburkan diri mereka saja. Ini adalah diriwayatkan dari Al-Hasan dan Mujahid.

5. Kaum yang mana ayah mereka meredhai sementara ibunya tidak, begitu juga sebaliknya. Ini adalah diriwayatkan oleh Abdul Wahab bin Mujahid daripada Ibrahim.

6. Orang yang mati pada zaman fatrah (zaman kekosongan Nabi). Dan mereka tetap dalam agama mereka, ini diriwayatkan daripada Abdul Aziz bin Yahya

7. Para Nabi, pendapat ini diriwayat daripada Ibnu Al-Anbari.

8. Anak orang-orang musyrik, ini disebutkan oleh Al-Manjuufi dalam tafsirnya.

9. Kaum yang beramal kerana Allah ‎ﷻ tetapi mereka riya’ dalam amalnya. (Zadul Masiir, juz 2/484). Pendapat ini tertolak, kerana mana mungkin ikhlas dan riya’ berkumpul dalam satu masa.

10. Suatu kaum yang melakukan dosa kecil, akan tetapi dosa itu tidak terhapus dengan sakit dan musibah ketika mereka di dunia. Mereka juga tidak melakukan dosa-dosa besar. Maka dosa-dosa kecil itu menghalangi mereka untuk masuk syurga.

11. Para malaikat yang bertugas memilih-milih siapa yang mu`kmin dan yang kafir sebelum mereka dimasukkan ke dalam syurga atau neraka. Namun pendapat ini perlu diteliti kerana yang disebutkan dalam ayat Al-Quran adalah seorang laki-laki Ar Rijal. Dan sebagaimana diketahui para Malaikat tidak pernah berbuat dosa. (Tafsir Al-Qurtubi, 7/212)

Daripada pendapat yang banyak ini, hanya pendapat yang pertamanya yang lebih kuat (kalau kita hendak memilih satu sahaja pendapat). Tambahan pula di awal surah ini (Ayat 8 & 9) telah disebut tentang timbangan amal dan orang yang selamat adalah timbangan amal kebaikannya lebih banyak.

وَالوَزنُ يَومَئِذٍ الحَقُّ ۚ فَمَن ثَقُلَت مَوٰزينُهُ فَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ

Timbangan pada hari itu ialah kebenaran (keadilan), maka barangsiapa berat timbangan kebaikannya, maka mereka itulah orang-orang yang beruntung.

وَمَن خَفَّت مَوٰزينُهُ فَأُولٰئِكَ الَّذينَ خَسِروا أَنفُسَهُم بِما كانوا بِئآيٰتِنا يَظلِمونَ

Dan siapa yang ringan timbangan kebaikannya, maka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, disebabkan mereka selalu mengingkari ayat-ayat Kami.

Apakah pengajaran kepada kita sekarang? Pengajarannya jangan kita ambil remeh tentang amal yang boleh mendatangkan pahala bagi kita. Selagi boleh dapat pahala, maka kita kena kejar, walaupun nampak sedikit kerana entah dengan pahala itulah yang memberatkan timbangan kita nanti dan menyelamatkan kita dari neraka. Entah senyuman kita kepada orang lain, entah sedekah seringgit yang kita berikan.

Seperti sabda Rasulullah ﷺ:

فَاتَّقُوا النَّارَ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَبِكَلِمَةٍ طَيِّبَةٍ

“Jagalah diri kalian dari neraka meskipun hanya dengan sedekah setengah biji kurma. Barangsiapa yang tidak mendapatkannya, maka ucapkanlah perkataan yang baik.”

(Hadith Riwayat Bukhari (1413, 3595) dan Muslim (1016)).

No photo description available.

Malah sebenarnya, seperti kita tahu, setiap amal kebaikan Allah ‎ﷻ akan balas dengan gandaan sepuluh kali ganda sekurang-kurangnya. Sedangkan untuk setiap dosa, balasannya adalah satu sahaja tanpa gandaan. Maknanya sepatutnya mudah untuk kita dapat lebih pahala daripada dosa. Akan tetapi, amat celakalah diri kita kalau waktu itu dosa lebih banyak atau dosa sama banyak dengan pahala. Maknanya banyak sangat dosa yang kita buat sampaikan bilangannya boleh melebihi pahala yang Allah ‎ﷻ telah gandakan itu.

Bagaimanakah agaknya rupa A’raf itu ya? Penerangan tentang dinding ini akan disebut lagi dalam Surah Hadid nanti. Boleh rujuk ayat 13 surah itu.

يَومَ يَقولُ المُنٰفِقونَ وَالمُنٰفِقٰتُ لِلَّذينَ ءآمَنُوا انظُرونا نَقتَبِس مِن نّورِكُم قيلَ ارجِعوا وَراءَكُم فَالتَمِسوا نورًا فَضُرِبَ بَينَهُم بِسورٍ لَّهُ بابٌ باطِنُهُ فيهِ الرَّحمَةُ وَظٰهِرُهُ مِن قِبَلِهِ العَذابُ

Pada hari ketika orang-orang munafik laki-laki dan perempuan berkata kepada orang-orang yang beriman: “Tunggulah kami supaya kami dapat mengambil sebahagian dari cahayamu”. Dikatakan (kepada mereka): “Kembalilah kamu ke belakang dan carilah sendiri cahaya (untukmu)”. Lalu diadakan di antara mereka dinding yang mempunyai pintu. Di sebelah dalamnya ada rahmat dan di sebelah luarnya dari situ ada seksa.

Mengikut pandangan Ibn Jarir رحمه الله dan juga ahli tafsir yang lain, kalimah سور di dalam Surah Hadid ini adalah حِجابٌ yang sama di dalam Surah A’raf. Oleh itu, ia adalah dinding dan bahagian atas sekali itu dipanggil urf (yang menjadi al-A’raf di dalam bentuk jamak). Ia merupakan bahagian yang paling tinggi daripada dinding dan senang dilihat dari jauh.

 

وَعَلَى الأَعرافِ رِجالٌ يَعرِفونَ كُلًّا بِسيمٰهُم

dan di atas tembok Al-A’raaf itu ada sebilangan orang-orang yang mengenal tiap-tiap seorang (daripada ahli-ahli Syurga dan neraka) itu, dengan tanda masing-masing. 

Mereka duduk di atas dinding itu, di kedudukan yang tinggi, dan mereka nampak ahli syurga dan mereka nampak juga ahli neraka. Ini kerana mereka duduk di tengah-tengah. Bagaimanakah keadaannya, tidaklah dapat dibayangkan. Ini kerana yang kita sedang sampaikan ini adalah kisah ghaib dan tidaklah dapat dibayangkan keadaan mereka nanti dengan ilmu pengetahuan kita yang terhad dan cetek ini.

Mereka juga mengenali beberapa golongan manusia yang dalam kalangan ahli syurga dan ahli neraka. Mereka kenal melalui tanda-tanda yang ada pada ahli syurga dan ahli neraka itu. Mereka boleh cam siapakah orang itu kerana ahli syurga putih wajahnya manakala ahli neraka pula hitam wajah mereka.

Kalimah الأَعرافِ adalah jamak daripada kalimah عرف yang bermaksud tempat yang tinggi dan senang dilihat. Keranalah itu Padang Arafah dinamakan begitu kerana ia di kedudukan tinggi. Dari situ boleh dilihat lembah yang di bawah. Maka begitulah juga dengan الأَعرافِ letaknya tinggi, boleh nampak syurga dan neraka.

 

وَنادَوا أَصحٰبَ الجَنَّةِ أَن سَلٰمٌ عَلَيكُم

Dan mereka pun menyeru ahli Syurga (dengan memberi salam, katanya): “Salaamun Alaikum” (salam sejahtera kepada kamu).

Mereka boleh berbual dan berbincang dengan penghuni syurga. Oleh itu mereka akan beri salam kepada ahli syurga.

Memberi salam ini adalah amalan sunnah yang diajar kepada umat Islam. Di dunia lagi kita amat digalakkan dan lihatlah ia juga digunakan untuk beri salam kepada ahli kubur dan juga di akhirat seperti disebut di dalam ayat ini. Malah di syurga nanti salam diberikan sesama ahli syurga dan salam diberikan oleh para malaikat kepada ahli syurga.

Daripada Abdullah bin Amr bin al-Ash رضي الله عنه berkata:

أنَّ رجلًا سأَل النبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم : أيُّ الإسلامِ خيرٌ ؟ قال : ( تُطعِمُ الطعامَ، وتَقرَأُ السلامَ، على مَن عرَفتَ، وعلى مَن لم تَعرِفْ )

“Seorang lelaki telah bertanya Rasulullah ﷺ: Islam manakah yang paling baik? Nabi ﷺ bersabda: “Kamu memberi makan, mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal”.

(Riwayat Bukhari, (11, 27, 5767) dan di dalam Riwayat Muslim (56))

Cuma kalau diperhatikan kalau semasa hidup di dunia, kalimat salam adalah dalam bentuk السلام عليكم dan apabila di akhirat, kalimat yang digunakan adalah سلام عليكم (tanpa ال) seperti di dalam ayat ini. Perhatikan ayat lain apabila salam diberikan kepada ahli syurga:

سَلَامٌ عَلَيْكُم بِمَا صَبَرْتُمْ ۚ فَنِعْمَ عُقْبَى الدَّارِ

“Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu”.

[Al-Ra’d: 24]

Ini adalah kerana apabila ada penambahan ال ia adalah dalam bentuk doa iaitu kita mendoakan kesejahteraan. Dan apabila tanpa ال, iaitu di syurga, ia adalah “statement of fact”, iaitu mereka memang telah mendapat kesejahteraan.

 

لَم يَدخُلوها وَهُم يَطمَعونَ

Sedang mereka sendiri belum masuk Syurga, padahal mereka ingin sangat memasukinya.

Dikatakan yang mereka itu masih belum masuk syurga lagi sedangkan mereka hendak sangat masuk syurga. Mereka dikenakan dengan hukuman oleh Allah ‎ﷻ kerana meremehkan dalam hal amal kebaikan. Oleh sebab itu buat masa itu, mereka hanya boleh memberi salam sahaja kepada ahli syurga.

Namun begitu, tentulah mereka hendak sangat memasuki syurga. Itu digambarkan dengan lafaz يَطمَعونَ daripada katadasar ط م ع (tama’) atau dalam bahasa kita, ‘tamak’ – maksudnya hendak sangat. Terlalu ingin. Maka dalam hal ini, tidak salah untuk tamak kalau yang dikehendaki adalah syurga (atau kebaikan yang lain). Yang tidak bagus adalah tamak haloba.


 

A’raf Ayat 47: Tadi mereka lihat ke syurga dan beri salam kepada ahli syurga, sekarang mereka ditunjukkan kepada ahli neraka pula.

۞ وَإِذا صُرِفَت أَبصٰرُهُم تِلقاءَ أَصحٰبِ النّارِ قالوا رَبَّنا لا تَجعَلنا مَعَ القَومِ الظّٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when their eyes are turned toward the companions of the Fire, they say, “Our Lord, do not place us with the wrongdoing people.”

ABDULLAH BASMEIH

Dan apabila dialihkan pandangan mereka ke arah ahli neraka, mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami bersama orang-orang yang zalim”.

 

وَإِذا صُرِفَت أَبصٰرُهُم تِلقاءَ أَصحٰبِ النّارِ

Dan apabila dialihkan pandangan mereka ke arah ahli neraka, 

Ini adalah apabila dialihkan pandangan mata kepada penghuni neraka pula. Lihatlah bagaimana pandangan mereka ‘dialihkan’. Maknanya, bukan mereka ingin melihat neraka itu, kerana mereka tidak sanggup tetapi mereka akan dialihkan pandangan ke sana. Allah ‎ﷻ mahu tunjukkan juga neraka dan ahli neraka kepada mereka. Ini adalah sebagai azab juga untuk mereka.

Lafaz تِلقاءَ yang digunakan dalam ayat ini bermaksud mereka ditunjukkan dengan jelas keadaan dalam neraka itu. Bukan melihat dengan ekor mata sahaja. Allah ‎ﷻ mahu berikan mereka rasa takut sangat dengan keadaan dalam neraka itu.

 

قالوا رَبَّنا لا تَجعَلنا مَعَ القَومِ الظّٰلِمينَ

mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami bersama orang-orang yang zalim”.

Apabila mereka nampak ahli neraka, mereka cepat-cepat berdoa supaya mereka tidak dimasukkan jadi golongan ahli neraka itu kerana mereka itu sedang duduk di tengah, maknanya mereka boleh jatuh ke neraka atau naik ke syurga. Mereka sedang dalam keadaan yang amat takut. Mereka cepat-cepat berdoa supaya janganlah mereka dimasukkan ke neraka.

Dengan ahli syurga mereka beri salam, tetapi dengan ahli neraka mereka tidak beri salam pun kerana memang tidak sesuai kalau beri salam kepada ahli neraka. Ahli Neraka mana ada dapat kesejahteraan, bukan? Ini adalah seperti mengucapkan RIP (Rest In Peace) apabila Ratu Elizabeth mangkat. Dia tidak akan dapat “peace” (kesejahteraan) pun dalam kuburnya itu.

Ahli A’raf pun sebenarnya tidak mahu bercakap dengan ahli neraka kerana mereka tidak mahu ada kena mengena langsung dengan ahli neraka itu. Sama seperti kita nampak kumpulan “punk” di tepi jalan, hendak beri salam pun kita tidak selera, mahu cepat-cepat pergi dari situ sahaja, bukan?

Oleh itu, mereka terus berdoa kepada Allah ‎ﷻ, jangan jadikan mereka bersama golongan zalim yang duduk dalam neraka.

Habis Ruku’ 5 daripada 24 ruku’ dalam surah ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 11 Sep 2022

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien