Tafsir Surah Yunus Ayat 17 – 19 (Syirik tentang Syafaat)

Yunus Ayat 17: Ayat ini adalah tentang mereka yang buat bid’ah. Ingatlah bahawa mereka yang membuat amalan bid’ah itu adalah mereka yang menolak ayat-ayat Al-Qur’an. Maka ini adalah ayat Zajrun.

فَمَن أَظلَمُ مِمَّنِ افتَرىٰ عَلَى اللَّهِ كَذِبًا أَو كَذَّبَ بِئآيٰتِهِ ۚ إِنَّهُ لا يُفلِحُ المُجرِمونَ

Sahih International

So who is more unjust than he who invents a lie about Allah or denies His signs? Indeed, the criminals will not succeed

Malay

Dengan yang demikian, tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah, atau yang mendustakan ayat-ayatNya. Sesungguhnya orang-orang yang berdosa itu tidak akan berjaya.

 

فَمَنْ أَظْلَمُ

Maka siapakah yang lebih zalim

Apabila Allah ﷻ bertanya ‘siapakah yang lebih zalim’, itu bermaksud tidak ada yang lebih zalim. Siapakah yang dimaksudkan itu?:

 

مِمَّنِ افْتَرَىٰ عَلَى اللَّهِ كَذِبًا

daripada orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah

Mereka berdusta dengan mengatakan sesuatu amalan itu akan dapat pahala walaupun Allah ﷻ dan Nabi ﷺ tidak pernah mengatakan sedemikian. Dalil pun mereka tidak boleh bawa apabila diminta. Sebagai contoh, ramai ahli bid’ah mengatakan amalan Majlis Tahlil adalah baik dan dapat pahala dan pahala daripada Majlis Tahlil itu boleh disampaikan pula kepada si-mati.

Ini adalah penipuan padahal Allah ﷻ tidak pernah suruh dan Nabi Muhammad ﷺ tidak pernah menganjurkan majlis ini dan tidak pernah mengatakan yang pahala sedekah atau pahala hadiah boleh sampai kepada orang yang telah mati. Perbuatan mereka itu telah melawan apa yang telah ditentukan di dalam ayat Al-Qur’an seperti yang Allah ﷻ telah firmankan dalam Najm: 39

وَأَنْ لَيْسَ لِلْإِنْسَانِ إِلَّا مَا سَعَىٰ

dan bahwasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang telah diusahakannya,

Malah berbagai-bagai lagi amalan bid’ah yang telah direka oleh manusia. Apabila mereka mengatakan sesuatu amalan itu boleh mendapat pahala padahal tidak ada dalil terhadapnya, maka mereka telah berdusta di atas nama Allah ﷻ. Ini kerana hanya Allah ﷻ yang memberikan pahala atas sesuatu amalan itu, dan hanya Nabi Muhammad ﷺ sahaja yang diutuskan untuk mengkhabarkan dan mengajarkannya kepada kita dan memberitahu pahala kepada sesuatu amalan itu.

Oleh itu, amat berat apa yang ahli bid’ah itu lakukan. Mereka sangka apa yang mereka buat itu baik tetapi sebenarnya mereka berdusta di atas nama Allah ﷻ.

Ayat sebegini banyak terdapat di dalam Al-Qur’an kerana ia adalah perkara yang penting. Ia banyak dilakukan oleh manusia. Maka, ia banyak sekali diulang-ulang.

 

أَوْ كَذَّبَ بِئآيٰتِهِ

atau mendustakan ayat-ayat-Nya?

‘Mendustakan ayat-ayat-Nya’ boleh ditafsirkan sebagai ‘menolak ayat-ayat Allah ﷻ’. Entah berapa ramai manusia yang mengaku mereka beragama Islam tetapi kerana mereka tidak belajar agama dengan benar, maka mereka telah menolak ayat-ayat Al-Qur’an tanpa mereka sedari. Mereka sangka apa yang mereka buat itu adalah baik namun apabila mereka menolak ayat Al-Qur’an, mereka sebenarnya telah kufur.

Ayat ini juga mengajar kita supaya ikhlas dalam mentafsir ayat-ayat Al-Qur’an. Jangan kita berdusta dengan memberikan pentafsiran yang lain daripada yang sepatutnya. Jangan kerana kita takut kepada seseorang atau kepada sesuatu puak, kita tukar makna sesuatu ayat itu. Itu juga dikira sebagai ‘berdusta’.

Mungkin orang kita tidak berani menolak Al-Qur’an secara berdepan. Mereka pun tidak berani kata Al-Qur’an ini kata-kata dusta sahaja. Akan tetapi, kalau tidak menghiraukan Al-Qur’an (iaitu untuk memahaminya) maka ia boleh dikira mendustai Al-Qur’an juga. Kenapa? Kerana jika dia benar-benar percaya yang Al-Qur’an ini adalah panduan daripada Allah ﷻ yang boleh membawa ke syurga, maka tentulah mereka akan ambil perhatian, ambil pusing dan mempelajarinya walau dengan apa cara sekali pun.

Akan tetapi kalau buat tidak tahu sahaja, maka seolah-olah mereka anggap Al-Qur’an ini hanyalah kata-kata dusta dan menganggapnya sebagai tidak penting. Berapa ramai orang yang sebegini? Yang tidak pernah terfikir pun untuk mempelajari tafsir Al-Qur’an? Malangnya sangat-sangat ramai, bukan? Ada yang daripada keluarga anda, ada dalam kalangan kawan-kawan anda, majoriti rakyat Muslim Malaysialah kita boleh katakan.

Oleh itu marilah kita popularkan pembelajaran tafsir Al-Qur’an ini. Sampaikan mana-mana tempat belajar kepada kawan-kawan anda. Sambungkan penulisan seperti ini kepada mereka supaya mereka pun boleh baca dan boleh nilai.

 

إِنَّهُ لَا يُفْلِحُ الْمُجْرِمُونَ

Sesungguhnya, tiadalah beruntung orang-orang yang berbuat dosa.

Tidak akan beruntung mereka yang berdusta itu. Mereka mendustakan akidah Tauhid maka mereka ini adalah golongan musyrik. Mereka sangka mereka akan dapat pahala tetapi sebenarnya, mereka akan mendapat dosa. Mereka tidak akan beruntung langsung, malah mereka akan rugi. Mereka rugi di dunia kerana membuang masa dengan amalan mereka itu dan mereka akan rugi di akhirat kelak kerana mereka akan mendapat dosa.

Mereka juga tidak akan menang. Musyrikin Mekah yang menentang Nabi Muhammad ﷺ tidak akan berjaya dan kita pun tahu daripada sejarah bagaimana mereka telah dikalahkan.

Orang-orang yang menentang ayat Allah ﷻ pun tidak akan berjaya. Sebagai contoh, puak-puak bid’ah di negara ini. Mereka tidak akan menang, kerana mereka tidak ada hujah. Hujah-hujah mereka hanyalah hujah-hujah akal dan kata-kata manusia. Sedangkan puak yang mendukung sunnah menggunakan hujah Al-Qur’an dan hadith Nabi.


 

ILAH-ILAH YANG PALSU

Yunus Ayat 18: Huraian lagi tentang kesalahan yang telah dilakukan oleh mereka yang disebut sebelum ini.

وَيَعبُدونَ مِن دونِ اللَّهِ ما لا يَضُرُّهُم وَلا يَنفَعُهُم وَيَقولونَ هٰؤُلاءِ شُفَعٰؤُنا عِندَ اللَّهِ ۚ قُل أَتُنَبِّئونَ اللَّهَ بِما لا يَعلَمُ فِي السَّمٰوٰتِ وَلا فِي الأَرضِ ۚ سُبحٰنَهُ وَتَعٰلىٰ عَمّا يُشرِكونَ

Sahih International

And they worship other than Allah that which neither harms them nor benefits them, and they say, “These are our intercessors with Allah ” Say, “Do you inform Allah of something He does not know in the heavens or on the earth?” Exalted is He and high above what they associate with Him

Malay

Dan mereka menyembah yang lain dari Allah, sesuatu yang tidak dapat mendatangkan mudarat kepada mereka dan tidak dapat mendatangkan manfaat kepada mereka dan mereka berkata: “Mereka (yang kami sembah itu) ialah pemberi-pemberi syafaat kepada kami di sisi Allah”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Adakah kamu hendak memberitahu kepada Allah akan apa yang Dia tidak mengetahui di langit dan di bumi (padahal Allah mengetahui segala-galanya)? Maha Suci Allah dan tertinggi keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan.”

 

وَيَعْبُدُونَ مِن دُونِ اللَّهِ

Dan mereka menyembah selain daripada Allah

Musyrikin Mekah dan puak musyrik yang lainnya, menyembah selain Allah ﷻ. Kita tahu yang mereka sembah berhala (yang mereka buat sendiri) seperti al-Latt, al-Uzza dan sebagainya. Akan tetapi bukan berhala sahaja yang disembah sebagai ilah, sebagai tuhan. Ada banyak lagi yang boleh dikira sebagai مِن دُونِ اللَّهِ (selain Allah ﷻ). Contohnya harta, wanita, takhta, hawa, dan sebagainya. Contohnya Allah ﷻ berfirman dalam Jathiya: 23

أَفَرَءيتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلٰهَهُ هَوىٰهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ

bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan dia pula disesatkan oleh Allah

Kita perlu meluaskan makna ‘sembah’. Sembah bukan sahaja bermakna kita tunduk sujud kepada berhala atau patung, malah ia adalah lebih lagi. Ia bermaksud taat, puja, melakukan ibadat kepada sesuatu.

Oleh itu, apabila kita beri salam, atau hadiah fatihah kepada sesuatu entiti selain Allah ﷻ, maka itu pun sudah dikira ‘sembah’. Hanya kepada Allah ﷻ sahaja kita patut buat ibadat, maka kalau kita ada buat ibadat untuk makhluk lain, itu adalah satu kesyirikan. Kerana kita hanya boleh sembah Allah ﷻ sahaja.

 

مَا لَا يَضُرُّهُمْ وَلَا يَنفَعُهُمْ

apa yang tidak dapat mendatangkan kemudaratan kepada mereka dan tidak (pula) boleh memberi kemanfaatan,

Tentulah satu kebodohan jika membuat sesuatu yang tidak memanfaatkan kita. Contohnya kita kerja di sebuah syarikat tetapi tidak mendapat gaji. Sebulan dua bolehlah lagi kita kerja di situ, tetapi takkan sampai setahun kerja tanpa dapat gaji, bukan? Itu bodoh namanya. Atau seorang wanita yang bernikah dengan seorang lelaki yang langsung tiada apapun untuk diberikan kepadanya, nafkah zahir tidak, nafkah batin pun tidak. Maka, apakah manfaat lelaki itu kepada isterinya itu?

Entiti-entiti yang golongan musyrik itu sembah dan buat ibadat seperti hadiah Fatihah dan beri salam pada malam hari itu, bukanlah boleh memberi manfaat atau mudarat kepada mereka. Segala ibadat itu tiada membawa kesan apapun sama ada kepada mereka atau entiti yang mereka sembah itu. Sia-sia sahaja apa yang mereka lakukan itu.

Malah Nabi Muhammad ﷺ pun tidak boleh memberi manfaat dan memberi mudarat kepada sesiapa pun sekarang kerana baginda sudah lama wafat dan tidak ada dalil yang mengatakan yang baginda akan membantu kita selepas baginda wafat. Baginda telah menjalankan tugas baginda menyampaikan Al-Qur’an dan ajaran agama kepada kita semasa hayatnya.

Namun sebaliknya sedang berleluasa sekarang fahaman-fahaman sesat yang mengatakan roh Nabi Muhammad ﷺ masih hidup dan berkeliaran dalam kalangan kita dan mendengar apa yang kita katakan kepada baginda. Ada Majlis Qasidah, Nabi ﷺ datang, ada Marhaban, Nabi ﷺ datang, sebelum azan kena baca selawat dulu sebab Nabi ﷺ hendak datang. Malah bermacam-macam lagi kepercayaan karut dalam masyarakat kita.

Itu semua tidak ada dalil yang sah melainkan agak-agak sahaja. ‘Agak-agak’ tidak ada nilai dalam agama terutama sekali dalam perkara-perkara ghaib dan akidah. Masyarakat kita masih tidak tahu hendak meminta dalil daripada mereka yang mengajar. Maka, yang mengajar itu boleh cakap apa-apa sahaja dan masyarakat kita hanya terima bulat-bulat.

Sekiranya Nabi Muhammad ﷺ, seorang nabi dan manusia paling mulia pun tidak boleh beri manfaat atau mudarat, apatah lagi manusia biasa lain? Maka, kalau ada yang beri salam dan hadiah Fatihah kepada wali dan malaikat, itu adalah satu ajaran yang amat salah sekali. Malangnya, ia amat berleluasa sekarang dalam masyarakat kita yang jahil tentang tafsir Al-Qur’an dan agama yang benar. Mereka hanya mengikut apa yang dikatakan oleh guru-guru sesat.

 

وَيَقُولُونَ هَٰؤُلَاءِ شُفَعٰؤُنَا عِندَ اللَّهِ

dan mereka berkata: “Mereka itu adalah pemberi syafa’at kepada kami di sisi Allah”.

Ada sebab kenapa pemuja-pemuja itu melakukan ibadah kepada sembahan-sembahan mereka itu. Mereka tahu yang berhala itu bukanlah tuhan, sebab mereka sendiri yang membuat berhala itu dan berhala itu tidak boleh buat apa-apa pun. Namun mereka mempunyai satu fahaman yang sesat.

Lihatlah kata-kata sesat mereka yang Allah ﷻ nukilkan dalam ayat ini yang lahir daripada akidah sesat mereka. Musyrikin Mekah kata berhala yang mereka sembah seperti Latt dan Uzza itu kerana mereka berakidah bahawa berhala-berhala itu akan memberi Syafaat (pertolongan) kepada mereka nanti.

Niat mereka adalah kerana hendak mendekatkan diri dengan Allah ﷻ sebenarnya. Namun walaupun niat mereka begitu, tetapi tetap berlaku syirik juga kerana cara yang mereka lakukan itu adalah salah.

Begitu juga, sekarang ini sudah ramai yang ‘memuja’ Nabi Muhammad ﷺ, mereka nyanyikan Qasidah untuk baginda, beri salam kepada baginda, hadiah Fatihah kepada baginda, dan semua itu mereka lakukan kerana mereka hendakkan Syafaat daripada baginda.

Tujuan mereka adalah untuk mendekatkan diri mereka dengan Allah ﷻ sebenarnya. Ini seperti yang disebut dalam Zumar: 3

وَالَّذينَ اتَّخَذوا مِن دونِهِ أَولِياءَ ما نَعبُدُهُم إِلّا لِيُقَرِّبونا إِلَى اللهِ زُلفىٰ

Dan orang-orang yang mengambil selain daripada Allah pelindung dan penolong (wali-wali): “Kami tidak menyembah (atau memujanya) melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”,

Walaupun tujuan mereka boleh dikatakan baik, tetapi ia adalah dengan cara yang salah dan sesat. Kerana itulah mereka dipanggil dengan gelaran ‘Musyrikin’. Perbuatan yang salah ini lahir daripada salah faham manusia tentang Syafaat. Mereka rasa yang mereka itu tidak layak untuk menerima rahmat daripada Allah ﷻ kerana dosa-dosa mereka, maka mereka memohon pertolongan melalui perantaraan yang mereka lantik sendiri. Allah ﷻ tidak pernah ajar tentang hal ini. Allah ﷻ suruh minta terus kepada-Nya.

Hujah mereka adalah mereka samakan kerajaan Allah ﷻ dengan kerajaan di dunia. Untuk bertemu raja tentunya rakyat kebanyakan tidak boleh, bukan? Maka untuk bertemu raja hendaklah melalui perantaraan dengan orang yang rapat dengan raja. Ya hujah ini masuk akal tetapi kerajaan Allah ﷻ tidak boleh disamakan dengan kerajaan dunia! Allah ﷻ berkali-kali suruh kita terus berdoa kepada-Nya di dalam Al-Qur’an. Kalaulah ia sesuatu yang baik dan bagus, tentulah Allah ﷻ akan sebut caranya di dalam Al-Qur’an.

Inilah salah faham kebanyakan manusia tentang syafaat. Ia menjadi satu syirik (Syirk fis Syafa’ah). Tentang Syafaat ini telah diterangkan dalam ayat-ayat yang lain. Cara mereka untuk mendapatkan syafaat itu adalah salah sama sekali. Antaranya boleh dibaca dalam ayat Maryam: 87

لّا يَملِكونَ الشَّفٰعَةَ إِلّا مَنِ اتَّخَذَ عِندَ الرَّحمٰنِ عَهدًا

Mereka tidak berhak mendapat dan memberi syafaat, kecuali orang yang telah mengikat perjanjian (dengan iman dan amal yang soleh) di sisi Allah yang melimpah-limpah rahmat-Nya!

Satu lagi, kekeliruan ini timbul kerana kita telah diajar dengan fahaman salah yang orang mati boleh mendengar cakap kita. Kalau kita lihat dalam filem dan drama pun, dipaparkan bagaimana manusia bercakap-cakap dengan orang dalam kubur. Kemudian apabila ada orang yang mati, dibacakan talqin kepada mereka seumpama mereka itu boleh mendengar ajaran kita. Ini sebenarnya berlawanan dengan ayat Fatir: 22

وَمَا يَسْتَوِي الْأَحْيَاءُ وَلَا الْأَمْوَاتُ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُسْمِعُ مَنْ يَشَاءُ ۖ وَمَا أَنْتَ بِمُسْمِعٍ مَنْ فِي الْقُبُورِ

dan tidak sama orang-orang yang hidup dan orang-orang yang mati. Sesungguhnya Allah memberi pendengaran kepada siapa yang dikehendaki-Nya dan kamu sekali-kali tiada sanggup menjadikan orang yang di dalam kubur dapat mendengar.

Ayat ini memberitahu kepada kita, hanya Allah ﷻ sahaja yang dapat memberi pendengaran kepada orang yang mati. Kita tidak sekali-kali dapat memperdengarkan percakapan kita kepada mereka.

Oleh kerana salah faham yang timbul tentang syafaat, maka ramai manusia menyembah entiti selain Allah ﷻ kerana mengharapkan syafaat mereka. Asas kepada kesyirikan manusia adalah kerana salah faham tentang perantaraan. Apakah jawapan Allah ﷻ kepada alasan yang mereka berikan?

 

قُلْ أَتُنَبِّئُونَ اللَّهَ بِمَا لَا يَعْلَمُ

Katakanlah: “Apakah kamu mengabarkan kepada Allah apa yang tidak diketahui-Nya

Adakah kamu hendak mengajar Allah ﷻ? Adakah ada perkara yang kamu tahu yang Allah ﷻ sendiri tidak tahu? Adakah kamu pandai sangat, lebih pandai daripada Allah ﷻ? Lihatlah bagaimana sinisnya teguran Allah ﷻ kepada mereka.

Mereka seolah-olah hendak mengajar Allah ﷻ kena ada ini dan itu. Sedangkan kalaulah perkara itu penting dalam agama, sudah tentu Allah ﷻ beritahu di dalam Al-Qur’an sama ada di dalam ayat pendek ataupun panjang. Atau pun Rasulullah ﷺ yang sampaikan kepada kita. Namun tidak ada langsung.

Adakah mereka ajar Allah ﷻ yang perantara mereka seperti Nabi, wali dan malaikat itu adalah wasilah kepada Allah ﷻ? Adakah Allah ﷻ beritahu dia itu dan ini boleh beri syafaat? Sedangkan Allah ﷻ tidak pernah beritahu.

 

فِي السَّمٰوٰتِ وَلَا فِي الْأَرْضِ

baik di langit dan tidak (pula) di bumi?”

Adakah mereka mahu mengajar Allah ﷻ cara beribadat? Adakah mereka hendak beritahu kepada Allah ﷻ bahawa ada pemberi Syafaat di langit dan di bumi yang Allah ﷻ tidak tahu? Adakah kerana mereka cakap perkara yang Allah ﷻ tidak pernah cakap, maka adakah mereka lebih tahu daripada Allah ﷻ?

Maknanya, ayat ini memberitahu kepada kita, jika Allah ﷻ tidak pernah cakap dan ajar kita buat begitu, maknanya ia tidak ada. Janganlah guna akal dan agak-agak sahaja.

Sebagai contoh, adakah Allah ﷻ atau Nabi ﷺ ajar kita untuk selawat dan Qasidah beramai-ramai? Adakah Allah ﷻ atau Nabi ﷺ ajar kita untuk mengadakan majlis Maulid? Janganlah beri dalil dengan menyebut Syeikh ini atau Syeikh itu kata ia boleh dan molek malah digalakkan pula. Jika ada, datangkan dalil daripada Al-Qur’an dan hadith kerana itulah sepatutnya pegangan kita.

Selain daripada itu, ayat ini juga menempelak pemahaman syafaat yang salah dalam kalangan manusia. Syafaat itu adalah pertolongan dalam bentuk rekomendasi. Pemberi syafaat akan tolong dengan meminta pertolongan Allah ﷻ untuk belas kasihan kepada seseorang yang diberikan bantuan itu. Untuk sesiapa beri rekomendasi kepada kita, hendaklah orang itu tahu sesuatu yang kita tidak tahu.

Sebagai contoh, seorang pengurus memberitahu kepada pemilik syarikat yang seorang pekerja itu patut dinaikkan pangkat kerana dia seorang yang rajin. Mungkin pemilik syarikat itu tidak tahu akan kerajinan pekerja itu dan kerana itulah dia perlu diberitahu oleh pengurus.

Akan tetapi di dalam hal syafa’at, apakah lagi yang boleh diberitahu oleh pemberi syafaat itu kepada Allah ﷻ sedangkan Allah ﷻ tahu segala apa yang berlaku di langit dan di bumi? Allah ﷻ telah tahu segalanya tentang semua makhluk-Nya. Tidak ada perkara lain lagi yang boleh diberitahu tentang seseorang melainkan Allah ﷻ telah tahu belaka.

Oleh itu, pemahaman syafaat mereka yang memuja selain Allah ﷻ itu adalah salah.

 

سُبْحٰنَهُ وَتَعٰلَىٰ عَمَّا يُشْرِكُونَ

Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dan apa yang mereka mempersekutukan (itu).

Maha Suci Allah daripada tidak tahu semua perkara, sampai mereka kena beritahu Allah ﷻ, kena ajar Allah ﷻ. Allah ﷻ tidak memerlukan sekutu-sekutu dalam pentadbiran alam ini. Allah ﷻ tidak memerlukan pemberi-pemberi syafaat untuk menyelamatkan sesiapa pun. Pemberi-pemberi syafaat itu tidak boleh memaksa Allah ﷻ dalam membuat keputusan.

Allah Maha Tinggi daripada pemahaman yang mengatakan Dia bersifat seperti makhluk. Dengan manusia, bolehlah untuk kita pujuk atau paksa dia, namun tidak dengan Allah ﷻ.


 

MANUSIA BERPECAH DALAM AGAMA

Yunus Ayat 19: Kadang-kadang selalu kita berdakwah dan ditolak, maka kita pun terfikir alangkah baiknya jika Allah ﷻ menjadikan semua umat ini sebagai satu ummat sahaja; iaitu ummat yang dalam satu akidah sahaja, tidak berpecah belah.

Kita rasa kalau semua manusia menjadi satu ummat, kita fikir yang semuanya akan bersatu padu. Tidaklah nanti kita susah dalam berhujah dan berlawan dengan mereka agaknya. Allah ﷻ jawab dalam ayat ini:

وَما كانَ النّاسُ إِلّا أُمَّةً وٰحِدَةً فَاختَلَفوا ۚ وَلَولا كَلِمَةٌ سَبَقَت مِن رَّبِّكَ لَقُضِيَ بَينَهُم فيما فيهِ يَختَلِفونَ

Sahih International

And mankind was not but one community [united in religion], but [then] they differed. And if not for a word that preceded from your Lord, it would have been judged between them [immediately] concerning that over which they differ.

Malay

Dan (ketahuilah bahawa) manusia pada mulanya tidak memeluk melainkan ugama yang satu (ugama Allah), kemudian (dengan sebab menurut hawa nafsu dan Syaitan) mereka berselisihan. Dan kalau tidaklah kerana telah terdahulu Kalimah ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman hingga hari kiamat), tentulah telah diputuskan hukuman di antara mereka (dengan segeranya di dunia) mengenai apa yang mereka perselisihkan itu.

 

وَمَا كَانَ النَّاسُ إِلَّا أُمَّةً وٰحِدَةً

Manusia dahulunya adalah satu umat,

Umat manusia ini memang umat yang satu semenjak dahulu lagi. Kalimah ummat digunakan dalam empat maksud di dalam Al-Qur’an:

1. Sekumpulan manusia

2. Zaman

3. Imam yang diikuti seperti Nabi Ibrahim عليه السلام

4. Millah (agama).

Di dalam ayat ini ia bermaksud millah, satu agama; iaitu ketika zaman Nabi Adam عليه السلام. Kemudian keturunan mereka berpecah dan terkeluar akidah mereka ketika zaman Nabi Nuh عليه السلام. Dikatakan oleh Ibnu Abbas رضي الله عنهما, antara Nabi Adam عليه السلام dan Nabi Nuh عليه السلام, terdapat sepuluh generasi dan semua mereka di atas Tauhid. Keturunan Nabi Adam عليه السلام tentulah telah berkembang biak dan hidup merata dan bahasa mereka pun mungkin berbeza. Namun Allah ﷻ tetap mengatakan mereka umat yang satu kerana sama-sama di atas akidah Tauhid. Cuma mereka berpecah ketika di zaman Nabi Nuh عليه السلام. Kesyirikan mereka adalah kerana ghuluw dalam mengagungkan 5 orang soleh mereka seperti disebut dalam Nuh: 23

وَقالوا لا تَذَرُنَّ آلِهَتَكُم وَلا تَذَرُنَّ وَدًّا وَلا سُواعًا وَلا يَغوثَ وَيَعوقَ وَنَسرًا

“Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: `Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa’, dan Yaghuth, dan Ya’uuq, serta Nasr.

Lima nama yang disebut itu asalnya adalah orang soleh mereka. Namun lama kelamaan telah disembah oleh golongan yang kemudian kerana ghuluw. Diringkaskan cerita mereka semua telah dimatikan di dalam banjir besar. Oleh itu manusia kembali menjadi umat yang satu selepas itu. Ingatlah apabila turunnya pengikut-pengikut Nabi Nuh عليه السلام daripada bahtera baginda selepas Banjir Besar. Waktu itu semuanya beriman belaka dan tidak melakukan syirik. Ini kerana hanya yang beriman sahaja yang menaiki kapal itu. Tidak ada yang membuat syirik dan tidak juga mereka buat bid’ah. Ada riwayat yang kata ada dalam 40 orang, dan ada pula riwayat yang kata ada dalam 80 orang.

Sekiranya kita berada di atas akidah tauhid yang sama, maka kita dianggap sebagai satu umat sebenarnya. Hanya zaman sekarang sahaja kita berpecah dan membeza-bezakan antara negara itu dan ini, bangsa itu dan ini, walaupun semuanya Muslim belaka. Inilah fitnah zaman ini. Kita telah lama meninggalkan pertalian iman sesama kita. Padahal itulah yang dulunya berlaku. Kerana itulah Khalifah negara Islam seluruh dunia ada satu sahaja.

 

فَاخْتَلَفُوا

kemudian mereka berselisih.

Namun, lama kelamaan keturunan Kaum Nabi Nuh عليه السلام yang beriman itu akhirnya berpecah belah dan berselisih juga. ‘Perselisihan’ itu bermaksud ada yang beriman ada yang kufur. Ada yang masih ikut ajaran Nabi dan ada pula yang reka fahaman baru. Maknanya, amalan syirik ini adalah baru sebenarnya, kerana asalnya manusia adalah ahli tauhid belaka.

Umat Islam semenjak dulu sampai sekarang pun ada banyak perselisihan. Antara sesama Islam pun banyak perselisihan. Sebagai contoh, puak Sunnah mengatakan bahawa orang yang mati tidak boleh mendengar. Ini berdasarkan dalil-dalil yang sahih. Namun sebaliknya puak ahli bid’ah mengatakan yang orang yang sudah mati boleh pula mendengar. Ini adalah perselisihan yang jauh berbeza yang tidak ada titik persamaan langsung antara keduanya.

Bagaimana mungkin kedua-dua pendapat itu benar sedangkan ia jauh berbeza? Tentu ada satu pendapat sahaja yang betul, bukan? Itu baru satu perselisihan, dan ada banyak lagi perselisihan yang timbul antara yang benar dan yang batil.

Oleh kerana ada perselisihan sebegini, maka kita hendaklah mencari manakah pandangan yang betul. Hendaklah kita mencari ilmu dan belajar sampai kita yakin mana satu pegangan yang betul. Tidaklah boleh kita biarkan sahaja dan duduk tanpa berbuat apa-apa kerana tidak mungkin kedua-duanya benar. Sebab ini adalah perkara agama dan kita kena pastikan manakah yang betul. Ini kerana pegangan yang salah akan menyebabkan kita masuk neraka dan kita tentu tidak mahu masuk neraka, bukan?

Malangnya yang ramai dalam negara ini adalah ahli bid’ah dan mereka bukan sahaja tidak mahu mencari kebenaran, tetapi mereka mencaci kita pula apabila kita memberitahu mereka mana yang benar kepada mereka. Mereka hanya ambil jalan mudah dengan menerima sahaja apa kata guru-guru dan ustaz mereka. Mereka tidak minta dalil manakah yang dipakai oleh guru mereka. Mereka tidak mahu menggunakan akal mereka. Mereka membiarkan akal mereka ditetapkan oleh orang lain.

Ayat ini juga memberitahu kepada kita bahawa umat manusia di dunia ini memang ditakdirkan pasti akan ada perselisihan antara mereka. Tidaklah perlu hairan lagi dan tidaklah kita risau apabila melihat perpecahan antara manusia ini. Memang ia akan berlaku dan terus berlaku.

Ingatlah bahawa perpecahan ini sebenarnya memberi peluang kepada kita untuk mengaut pahala berdakwah kepada mereka. Kalau semua umat manusia ini beriman dan sunnah belaka, maka siapakah yang hendak kita dakwahkan lagi?

 

وَلَوْلَا كَلِمَةٌ سَبَقَتْ مِن رَّبِّكَ

Kalau tidaklah kerana suatu ketetapan yang telah ada daripada Tuhanmu dahulu,

Mungkin kita tertanya-tanya: Kenapakah Allah ﷻ tidak memusnahkan terus mereka yang melakukan syirik? Bukankah Allah ﷻ telah memusnahkan kaum-kaum terdahulu yang telah melakukan syirik, seperti kaum Nabi Nuh عليه السلام itu? Kenapa sekarang ini walaupun banyak kesyirikan dilakukan manusia, tetapi Allah ﷻ seperti biarkan sahaja mereka? Kenapa tinggalkan ahli tauhid sahaja yang hidup?

Allah ﷻ tidak memusnahkan terus mereka yang melakukan syirik kerana Allah ﷻ telah menetapkan sesuatu ke atas Diri-Nya. Ketetapan yang Allah ﷻ telah tetapkan itu adalah Dia akan melewat-lewatkan azab ke atas manusia. Allah ﷻ tidak terus musnahkan sahaja mereka yang melakukan syirik.

Allah ﷻ melewatkan azab ke atas mereka sampai mereka mati nanti. Allah ﷻ beri peluang kepada manusia untuk bertaubat. Itu adalah salah satu daripada rahmat Allah ﷻ. Hanya apabila mereka tidak bertaubat, barulah mereka akan diazab di akhirat kelak.

Allah ‎ﷻ beri peluang kepada manusia selagi masih hidup bernafas di dunia. Kalau sudah mati, maka sudah tidak ada harapan lagi. Banyak kali ayat ini diulang-ulang di dalam Al-Qur’an.

 

لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ

pastilah telah diberi keputusan di antara mereka,

Kalau Allah ﷻ memberi terus azab kepada manusia apabila mereka membuat syirik atau dosa, maka akan matilah semua manusia kerana tidak ada manusia yang tidak berdosa. Cuba bayangkan, sebaik seorang manusia yang membuat syirik terus sahaja dia dipanah petir, atau selepas membuat dosa akan terus dilanggar kereta. Maka Allah ﷻ beri peluang kepada kita untuk bertaubat.

 

فِيمَا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ

tentang apa yang mereka perselisihkan itu.

Sekiranya Allah ﷻ mematikan semuanya, tentulah perselisihan yang mereka hadapi itu akan selesai belaka. Namun bukanlah begitu cara Allah ﷻ. Allah ﷻ tidak mematikan manusia walaupun mereka berdosa atau melakukan syirik sekali pun. Kita dulu pun mungkin pernah melakukan syirik kerana jahil tetapi Allah ﷻ masih lagi beri peluang kepada kita, bukan?

Perselisihan akan tetap dan sentiasa berlaku. Yang sepatutnya kita lakukan adalah mencari apakah fahaman yang benar. Itu tentunya kita hanya boleh capai melalui belajar wahyu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 2 Jun 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Yunus Ayat 15 – 16 (Minta Qur’an yang lain)

MUSYRIKIN MEMINTA QUR’AN YANG LAIN

Yunus Ayat 15: Ayat ini adalah jenis ayat tasjil (Allah ﷻ ceritakan betapa degilnya manusia) dan juga ayat Syikayah (pengaduan Allah ﷻ)

وَإِذا تُتلىٰ عَلَيهِم ءآياتُنا بَيِّنٰتٍ ۙ قالَ الَّذينَ لا يَرجونَ لِقاءَنَا ائتِ بِقُرءآنٍ غَيرِ هٰذا أَو بَدِّلهُ ۚ قُل ما يَكونُ لي أَن أُبَدِّلَهُ مِن تِلقاءِ نَفسي ۖ إِن أَتَّبِعُ إِلّا ما يوحىٰ إِلَيَّ ۖ إِنّي أَخافُ إِن عَصَيتُ رَبّي عَذابَ يَومٍ عَظيمٍ

Sahih International

And when Our verses are recited to them as clear evidences, those who do not expect the meeting with Us say, “Bring us a Qur’an other than this or change it.” Say, [O Muhammad], “It is not for me to change it on my own accord. I only follow what is revealed to me. Indeed I fear, if I should disobey my Lord, the punishment of a tremendous Day.”

Malay

Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang jelas nyata, berkatalah orang-orang yang tidak menaruh ingatan menemui Kami (untuk menerima balasan): “Bawalah Qur’an yang lain daripada ini atau tukarkanlah ia”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak berhak menukarkannya dengan kemahuanku sendiri, aku hanya tetap menurut apa yang diwahyukan kepadaku sahaja. Sesungguhnya aku takut, – jika aku menderhaka kepada Tuhanku, – akan azab hari yang besar (soal jawabnya)”.

 

وَإِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ ءآيَاتُنَا بَيِّنٰتٍ

Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang nyata,

Allah ﷻ mengadu tentang golongan yang menolak apabila dibacakan ayat-ayat Al-Qur’an kepada mereka. Pertamanya, dari sini mengajar kita bahawa kita hendaklah membacakan ayat-ayat Al-Qur’an kepada manusia. Kerana begitulah cara dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah ﷺ. Kita hendaklah berdakwah kepada manusia dengan menggunakan Al-Qur’an. Bila mereka telah terima Al-Qur’an dan telah menerima ajakan tauhid, barulah kita ajar mereka dengan hadith-hadith Nabi ﷺ.

Kalimah تُتْلَىٰ bukan sahaja bermaksud baca tetapi ia juga bermaksud ‘ikut’. Ia berasal daripada katadasar ت ل و yang bermaksud baca, membacakan (kepada orang), berlatih, isytihar, ikut, tiru, kejar. Oleh itu ia juga bermaksud ikut seperti yang digunakan juga di dalam Syams: 2

وَٱلقَمَرِ إِذَا تَلَٮٰهَا

dan bulan apabila mengikutinya,

Oleh itu dengan Al-Qur’an, kita bukan setakat baca sahaja, tetapi kena ikut ajaran di dalamnya. Janganlah sebut sahaja tanpa faham; janganlah sudah faham tidak diikuti pula.

Kemudian apabila sudah faham kita kena sampaikan kepada orang lain juga. Oleh itu, bukanlah berdakwah dengan manusia itu menggunakan akal semata-mata. Bukan juga berdakwah dengan menggunakan lagu nasyid, puisi-puisi, sajak-sajak, qasidah-qasidah dan sebagainya. Ketahuilah yang ayat-ayat Al-Qur’an mengandungi hikmah dan mukjizat yang dapat membuka hati manusia. Ia mengandungi hujah-hujah yang tepat dan padu. Kita pun tidak tahu ayat yang mana yang membuka hati manusia, jadi kita bacakan kesemuanya sekali.

Oleh itu, bacakan kepada manusia ayat-ayat Al-Qur’an. Beritahu mereka apakah maksud ayat-ayat itu. Apakah sifat ayat-ayat Al-Qur’an itu? Ia bersifat بَيِّنَاتٍ iaitu jelas nyata. Ini bermaksud ayat-ayat Al-Qur’an itu jelas makna-maknanya, tidak keliru dan tidak pusing-pusing.

Maka di sini Allah beritahu yang ayat-ayat Al-Qur’an itu adalah jelas. Ternyata salah lah pendapat sesetengah orang kita yang kata belajar tafsir Al-Qur’an hanya bagi ustaz dan ulama’ sahaja, orang biasa tidak boleh faham. Pernah seorang kenalan membaca tulisan saya ini tetapi kemudian ditegur oleh seorang ‘ustaz’ yang melarangnya. Ini amat pelik sekali kerana sepatutnya semua orang kena belajar tafsir Al-Qur’an dan bukannya dihalang. Tidak menjadi sesat kalau belajar tafsir Al-Qur’an. Yang jadi sesat bila tidak belajar.

Rasulullah ﷺ telah membacakan ayat-ayat Al-Qur’an kepada Musyrikin Mekah. Akan tetapi apakah reaksi mereka selepas dibacakan dan mereka faham apa yang ada di dalam Al-Qur’an itu?

 

قَالَ الَّذِينَ لَا يَرْجُونَ لِقَاءَنَا

orang-orang yang tidak mengharapkan pertemuan dengan Kami berkata:

Golongan Musyrikin Mekah telah menolak Al-Qur’an yang disampaikan oleh Nabi Muhammad ﷺ. Bukan mereka sahaja tetapi sepanjang zaman akan ada sahaja golongan yang apabila dibacakan ayat-ayat Al-Qur’an kepada mereka, mereka akan menolaknya. Mereka inilah orang yang tidak mahu bertemu dengan Allah ﷻ atau tidak terfikir yang mereka akan bertemu dengan Allah ﷻ. Berkali-kali mereka ini disebut di dalam surah ini.

Allah ﷻ tidak sebut yang mereka itu orang kafir (walaupun sebenarnya mereka memang kafir pun). Ini adalah kerana Allah ﷻ hendak menjelaskan yang salah satu sifat Musyrikin Mekah yang kafir itu adalah menolak Hari Akhirat. Mereka tidak percaya yang Akhirat itu ada dan mereka akan dibangkitkan. Akidah tentang Akhirat telah lama ditolak oleh mereka, walaupun mereka adalah keturunan Nabi Ibrahim عليه السلام dan telah diajar oleh baginda. Mereka tolak kerana mereka tidak mahu dipertanggungjawabkan nanti di akhirat.

Allah ﷻ juga tidak kata mereka itu ‘kufur’ dengan hari akhirat. Mungkin  mereka tahu yang mereka akhirnya akan mati dan akan bertemu dengan Allah ﷻ tetapi apabila dikatakan mereka itu tidak ‘mengharap’ untuk bertemu dengan Allah ﷻ, bermaksud mereka tidak menjadikan pertemuan dengan Allah ﷻ itu sebagai fokus hidup mereka. Oleh kerana itu mereka tidak membuat persediaan untuk menghadapi akhirat. Persediaan bagi orang yang hendak bertemu dengan Allah ﷻ telah disebut di dalam Kahf: 110

فَمَن كانَ يَرجو لِقاءَ رَبِّهِ فَليَعمَل عَمَلًا صٰلِحًا وَلا يُشرِك بِعِبادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا

Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya

Oleh itu, sifat ini termasuk juga sifat orang-orang Islam yang walaupun mengaku beragama Islam tetapi tidak menjadikan hari akhirat sebagai fokus mereka. Mereka hidup di dunia ini seperti tidak akan mati, tidak akan bertemu dengan Allah ﷻ. Sepatutnya mereka lakukan seperti disebut dalam Kahf: 10 ini iaitu beramal soleh dan meninggalkan syirik.

Ini adalah kali ketiga mereka yang tidak mengharap untuk berjumpa dengan Allah ﷻ disebut dalam surah ini. Marilah kita lihat apa kata mereka:

 

ائْتِ بِقُرْءآنٍ غَيْرِ هَٰذَا

“Datangkanlah Al-Qur’an yang lain daripada ini

Musyrikin Mekah tidak suka dengan Al-Qur’an yang dibacakan oleh Nabi ﷺ kerana ia adalah terlalu berat bagi mereka, maka mereka tidak mahu terima. Sukar untuk mereka terima kerana Al-Qur’an itu telah membongkar kesalahan-kesalahan yang mereka telah dan sedang lakukan. Tambahan pula dalam Al-Qur’an itu tidak ada ruang yang membenarkan perlakuan syirik. Mereka tidak mahu berubah, kerana mereka hendak terus melakukan apa yang mereka sudah amalkan itu sejak zaman berzaman.

Oleh kerana Al-Qur’an yang Nabi ﷺ bacakan itu mengandungi segala larangan dan arahan bertentangan dengan amalan mereka, maka mereka mahu Nabi ﷺ bawakan Al-Qur’an yang lain, yang tidak mengandungi teguran tentang Tauhid dan syirik, Mereka mahu melihat dahulu Al-Qur’an yang baru itu, dan jika ia bersesuaian dengan citarasa mereka, barulah mereka akan luluskan. Mereka hendak juga Al-Qur’an, tetapi yang hanya mengikut selera tekak mereka sahaja. Seolah-olah Nabi ﷺ memerlukan kelulusan dan pengiktirafan mereka pula untuk menyampaikan Al-Qur’an!

Kenapakah mereka boleh sanggup kata begitu? Kerana mereka tidak terima yang Al-Qur’an ini adalah daripada Allah ﷻ. Pada mereka ia adalah tulisan atau rekaan daripada Nabi Muhammad ﷺ sahaja, maka bolehlah baginda tukar, bukan?

Mereka tolak Al-Qur’an kerana mereka faham apa yang Al-Qur’an sampaikan (dan ia tidak sesuai dengan jiwa mereka). Mereka tolak setelah mereka faham. Sementara sebaliknya pula berlaku di dalam masyarakat kita hari ini, di mana mereka tolak sebelum faham. Mereka tidak datang belajar pun lagi, tetapi terus tolak dengan tohmahan bahawa ustaz-ustaz yang mengajar tafsir itu adalah Wahabi. Mereka canangkan ustaz-ustaz itu tafsir salah, tafsir ikut fahaman sendiri, tidak layak mengajar tafsir kerana tafsir Al-Qur’an itu bukan sebarangan orang boleh belajar dan mengajar. Kesudahannya ustaz-ustaz yang mengajar tafsir Al-Qur’an ini pula yang dituduh sesat. Mereka yang menuduh ini pula ramai pengikut. Akibatnya semakin ramai yang tidak berani untuk belajar tafsir Al-Qur’an kerana takut di cop sebagai wahabi dan sesat.

Pelik sungguh mereka itu. Mereka itulah ahli-ahli syirik dan ahli bid’ah yang tidak suka dengan tafsir yang diajar. Ini kerana tafsir yang sebenar dengan jelas menghalang amalan syirik dan amalan bid’ah yang mereka suka lakukan. Oleh itu, mereka tolak. Mereka tidak jauh bezanya dengan Musyrikin Mekah yang tidak terima Al-Qur’an yang ini, tetapi mahu Al-Qur’an yang lain.

Bezanya golongan umat Islam sekarang, mereka tidaklah minta ditukarkan Al-Qur’an yang lain tetapi mereka minta tafsir yang lain. Ini kerana mereka kata tafsir yang kita bagi pula yang salah, padahal ia amat jelas dan nyata. Selalunya, yang cakap tafsir kita itu salah ataupun tidak tepat, acap kalinya mereka pun belum belajar lagi tafsir. Namun sebab tidak kena dengan selera syirik dan amalan bid’ah mereka, mereka tolak mentah-mentah. Guru-guru mereka pun mulalah memberikan tafsir ikut apa yang mereka faham, ikut bersesuaian dengan amalan-amalan mereka.

 

أَوْ بَدِّلْهُ

atau ubahlah ia”.

Atau, mereka kata kalau Nabi ﷺ tidak boleh membawa Al-Qur’an yang lain, sekurang-kurangnya, ubah sedikit Al-Qur’an yang sudah ada itu. Maknanya tidaklah tukar semua, tukar sahaja mana bahagian yang mereka tidak setuju. Ubah pula kenalah ikut kemahuan mereka. Yang haram jadi halal dan yang halal jadi haram. Yang azab jadi rahmat dan sebaliknya.

Begitulah juga yang dilakukan oleh ahli bid’ah sekarang. Mereka akan ubah terjemahan Al-Qur’an itu mengikut citarasa mereka. Mereka tidak boleh mengubah ayat Al-Qur’an itu sendiri, tetapi mereka akan ubah tafsir yang telah diberikan oleh ulama-ulama dahulu.

Ayat ini mengajar kita bahawa kita yang mesti mengubah hidup kita mengikut Al-Qur’an, bukannya mengubah Al-Qur’an mengikut kehendak hati kita. Banyak manusia yang apabila Al-Qur’an itu tidak kena dengan cara hidup mereka, mereka mahu mengubah ia kepada makna yang lain. Ini tidak boleh.

Ia juga mengajar yang Al-Qur’an ini bukanlah sentiasa sedap didengar tafsirannya. Kadangkala ia menegur kesalahan yang kita lakukan. Maka kita kenalah ubah mengikut kehendak Allah ﷻ seperti disebut di dalam Al-Qur’an. Bukannya marah kepada Al-Qur’an kerana kalau begitu, marah Allah ﷻ sebenarnya!

Jangan hairan kalau ada sesetengah ayat Al-Qur’an menegur tepat terkena batang hidung kita jika ada fahaman yang salah, atau amalan yang salah yang kita lakukan. Ini biasa sahaja. Sebelum anda yang baca ini kena, saya yang belajar dan menulis ini pun sudah terkena dari awal lagi. Yang sepatutnya kita lakukan adalah terima teguran itu dan ubah diri dan sikap kita supaya selari dengan wahyu, bukannya wahyu itu pula yang ditukar.

Malangnya, ramai yang seperti disebut di dalam ayat ini, mereka menentang. Mereka minta tafsiran yang lain. Mereka mahukan tafsiran yang ikut selera mereka.

 

قُلْ مَا يَكُونُ لِي أَنْ أُبَدِّلَهُ مِن تِلْقَاءِ نَفْسِي

Katakanlah: “Tidaklah mungkin bagiku menggantinya daripada pihak diriku sendiri.

Nabi ﷺ disuruh untuk memberitahu kepada Musyrikin Mekah yang baginda tidak boleh suka-suka untuk mengubah Al-Qur’an itu. Bukan hak baginda untuk mengubah Al-Qur’an yang telah diturunkan itu. Al-Qur’an itu sendiri bukan datang daripada baginda, tentulah baginda tidak boleh ubah. Bukannya baginda buat, tetapi ia datang daripada Allah ﷻ, Tuhan mereka semua juga.

Perkataan تِلْقَاءِ berasal daripada katadasar ل ق ي yang bermaksud ‘berjumpa’. Maka, perkataan تِلْقَاءِ bermaksud ‘tempat perjumpaan’. Ia juga boleh diambil sebagai ‘arah tujuan’ kerana tempat perjumpaan yang telah ditetapkan akan menjadi arah tujuan kita. Oleh itu, ayat ini bermaksud: Nabi ﷺ tidak boleh mengubah Al-Qur’an itu mengikut arah tujuan baginda, tetapi kena ikut apa yang Allah ﷻ kehendaki.

Oleh kerana itu, kita tidak boleh mengubah tafsiran mana-mana ayat. Janganlah kerana kita hendak memuaskan hati sesiapa maka kita ubah makna atau tafsir ayat Al-Qur’an. Tafsir Al-Qur’an ini telah dikupas oleh ulama-ulama salaf yang lebih faham tentang Al-Qur’an ini. Mereka telah mengupas ayat Al-Qur’an ini satu persatu dan kita hanya menyampaikan sahaja.

Pemahaman makna Al-Qur’an itu telah ada, cuma kita berikan contoh-contoh keadaan semasa supaya pembaca lebih faham sahaja. Bukanlah kita suka-suka tafsir ayat Al-Qur’an ini mengikut citarasa kita. Ayat Al-Qur’an itu ditafsirkan dengan ayat Al-Qur’an sendiri, kemudian dengan hadith Nabi ﷺ, kemudian dengan kata-kata sahabat (kerana mereka belajar sendiri dengan Nabi ﷺ), kemudian dengan kata-kata tabein (kerana mereka belajar dengan sahabat), kemudian dengan pemahaman bahasa Arab Quraish. Maknanya, Al-Qur’an ini bukanlah boleh ditafsir dengan akal.

 

إِنْ أَتَّبِعُ إِلَّا مَا يُوحَىٰ إِلَيَّ

Sesungguhnya aku tidak mengikut kecuali apa yang diwahyukan kepadaku.

Tentulah Nabi Muhammad ﷺ tidak boleh mengubah apa-apa kerana Nabi ﷺ juga mengikut apa yang telah diwahyukan kepada baginda. Itulah tugas dan “jobscope” seorang Nabi. Maka kita kena ikut begitu juga. Kalau apa yang ditafsirkan itu mereka tidak suka, kita tidak boleh buat apa-apa, kerana itulah tafsirannya.

Kita pun kena ikut apa yang telah disampaikan oleh Allah ﷻ. Sebab kita kenalah ikut Nabi ﷺ kita, bukan? Barulah kita boleh dikira sebagai pengikut Nabi ﷺ. Kalau Nabi ﷺ pun kena ikut Al-Qur’an, begitulah juga para ulama’, para asatizah dan orang awam sekali pun. Maka tidak boleh kita hendak ubah tafsir untuk ayat yang telah jelas. Manakala tentang ayat-ayat mutashabihat yang tidak jelas maknanya kepada kita dan tidak pernah diberitahu oleh Nabi ﷺ, kita terima tanpa mentakwilkan apakah maksudnya.

 

إِنِّي أَخَافُ إِنْ عَصَيْتُ رَبِّي

Sesungguhnya aku takut jika menderhakai Tuhanku

Nabi Muhammad ﷺ pun takut derhaka kepada Allah ﷻ kalau mengubah Al-Qur’an itu. Kalau Nabi Muhammad ﷺ, seorang Rasul yang mulia yang telah dijamin syurga pun takut dengan Allah ﷻ, lalu bagaimana pula dengan kita manusia biasa ini? Maka takkan kita boleh sesuk hati pula berani hendak tafsir ayat Al-Qur’an mengikut kehendak kita? Malangnya ramai yang buat begitu.

 

عَذَابَ يَوْمٍ عَظِيمٍ

seksa hari yang besar (kiamat)”.

Kesan kalau ubah ayat-ayat Allah ﷻ adalah amat berat, tidak akan selamat pada hari akhirat nanti. Adakah kita sanggup untuk mengadap Allah ﷻ dengan membawa satu dosa yang amat besar itu?


 

Yunus Ayat 16: Satu lagi jawapan yang diajar oleh Allah ﷻ. Maka ini adalah ayat menjawab Syikayah sebelum ini.

قُل لَو شاءَ اللَّهُ ما تَلَوتُهُ عَلَيكُم وَلا أَدرىٰكُم بِهِ ۖ فَقَد لَبِثتُ فيكُم عُمُرًا مِّن قَبلِهِ ۚ أَفَلا تَعقِلونَ

Sahih International

Say, “If Allah had willed, I would not have recited it to you, nor would He have made it known to you, for I had remained among you a lifetime before it. Then will you not reason?”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika Allah kehendaki (supaya aku tidak membacakan Al-Qur’an ini kepada kamu), tentulah aku tidak dapat membacakannya kepada kamu, dan tentulah Dia tidak memberitahu kamu akan Al-Qur’an ini (dengan perantaraanku); kerana sesungguhnya aku telah tinggal dalam kalangan kamu satu masa yang lanjut (dan kamu pula mengenal aku sebagai seorang yang amanah) sebelum turunnya Al-Qur’an ini; maka mengapa kamu tidak mahu memikirkannya?”

 

قُل لَّوْ شَاءَ اللَّهُ

Katakanlah: “Jikalau Allah menghendaki,

Kehendak Allah ﷻ adalah qada’-Nya yang tidak dapat dielak lagi. Apa sahaja yang Allah ﷻ kehendaki, Dia akan jadikan.

 

مَا تَلَوْتُهُ عَلَيْكُمْ

nescaya aku tidak membacakannya kepadamu

Nabi Muhammad ﷺ beritahu yang baginda baca dan sampaikan Al-Qur’an itu kepada umatnya itu kerana Allah ﷻ yang suruh baginda. Ini seperti arahan Allah ﷻ kepada baginda di dalam Ankabut: 45

اتلُ ما أوحِيَ إِلَيكَ مِنَ الكِتٰبِ وَأَقِمِ الصَّلَوٰةَ

Bacakanlah apa yang telah diwahyukan kepadamu dari Al Kitab (Al Qur’an) dan dirikanlah salat.

Kalau bukan kehendak Allah ﷻ, tidaklah Al-Qur’an ini diturunkan kepada kita dan dibacakan kepada kita dan tidaklah kita sedang mempelajari tafsirnya sekarang. Allah ﷻ telah takdirkan yang Al-Qur’an inilah yang menjadi panduan hidup kita sekarang dan kita kena taat kepada Al-Qur’an ini kerana ia daripada Allah ﷻ dan Allah ﷻ suruh kita ikut Al-Qur’an ini.

Kalau Allah ﷻ mahu, tiadalah juga kita perlu bersusah-payah untuk menyampaikan tafsir ini kepada manusia. Namun Allah ﷻ telah memerintahkan kita untuk berdakwah kepada manusia dengan menggunakan Al-Qur’an. Maka janganlah marah kalau kita tulis tafsir ini dan sampaikan kebenaran. Malangnya, ramai yang tidak membuka hati mereka kepada kebenaran dan menuduh kita dengan macam-macam tuduhan. Ia tidak memberi kesan pun kerana kita tahu yang dia itu tidak tahu.

 

وَلَا أَدْرىٰكُم بِهِ

dan tidaklah Dia memberitahu kamu tentangnya (tentang Al-Qur’an)

Kalau bukan atas kehendak Allah ﷻ, kita tidak akan tahu akan Al-Qur’an ini. Namun Allah ﷻ telah takdirkan kita untuk mengetahui tentangnya. Maka bersyukurlah banyak-banyak kalau kita ini orang yang suka untuk belajar tafsir.

Juga Allah ﷻ yang telah pilih dan lantik Nabi Muhammad ﷺ menjadi Nabi untuk menyampaikan Al-Qur’an ini kepada manusia.

Kalimat أَدْرَاكُم berasal daripada kata أدْرَى yang diambil daripada katadasar د ر ي iaitu ‘mengetahui sesuatu daripada tandanya’. Seperti kita tahu ada api daripada asapnya sebagai – walaupun kita tidak nampak api, tetapi kita tahu ada api daripada sebab kita nampak asap itu.

Oleh itu, Musyrikin Mekah sepatutnya tahu yang Al-Qur’an itu adalah benar kerana mereka boleh lihat sendiri sifat Nabi Muhammad ﷺ yang tidak pernah menipu. Takkan Nabi Muhammad ﷺ hendak menipu tentang Al-Qur’an ini pula? Juga mereka tahu sangat bahasa Arab dan mereka tahu yang bahasa yang ada di dalam Al-Qur’an ini bukan bahasa Arab yang biasa dituturkan oleh manusia.

 

فَقَدْ لَبِثْتُ فِيكُمْ عُمُرًا مِّن قَبْلِهِ

Sesungguhnya aku telah tinggal bersamamu lama sebelumnya.

Nabi Muhammad ﷺ telah lama tinggal dengan kaumnya itu. Kalimah عُمُرًا bermaksud umur yang panjang. Bayangkan selama 40 tahun baginda tinggal tetap bersama mereka. Mereka sepatutnya tahu bahawa Nabi Muhammad ﷺ itu adalah seorang yang jujur dan tidak pernah menipu.

Kalau baginda tidak pernah menipu tentang perkara lain, kenapa pula baginda hendak menipu tentang Al-Qur’an ini pula? Sepanjang hidup baginda tidak menipu, tetapi bila sudah umur lanjut tiba-tiba hendak menipu pula? Tentu tidak masuk akal. Maka ini adalah salah satu tanda kepada mereka bahawa Al-Qur’an yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ itu adalah benar.

Nabi Muhammad ﷺ disuruh oleh Allah ﷻ untuk memberitahu kepada kaumnya tentang sifatnya yang mulia. Ini mengajar kita supaya mempunyai sifat-sifat yang mulia, supaya mereka yang kita dakwah itu yakin untuk mengikut kita. Cara hidup kita dilihat oleh manusia lain, seumpama kita ini duta kepada Islam, maka hendaklah kita menjaga budi pekerti kita.

Antara sebab masyarakat yang kafir tidak teringin untuk mempelajari Islam adalah kerana mereka melihat perangai kebanyakan umat Islam yang buruk sekali. Sampaikan mereka boleh kata: “kalau Islam itu adalah agama yang baik, tentulah penganutnya pun baik juga…” Lihatlah bagaimana nama Islam buruk disebabkan perangai umat sendiri yang buruk.

Kadang-kadang orang yang sudah lama hidup dengan kita menilai diri kita. Itulah orang yang kita sudah lama bersama mereka seperti ahli keluarga kita dan rakan kenalan kita. Mereka sudah kenal sangat dengan kita dan kita pun sudah kenal sangat dengan mereka. Kadang-kadang ada yang sama-sama nakal sewaktu kecil dahulu. Kadang-kadang sama-sama ponteng salat ponteng puasa dan sebagainya.

Akan tetapi kita telah belajar Al-Qur’an ini dan belajar agama dan kita telah faham. Namun kadang-kadang, manusia akan menilai kita berdasarkan kepada sifat dan perangai kita yang dahulu. Kalau ini terjadi kepada kita, kita mengakulah yang kita memang sudah lama tinggal dengan mereka dan mereka pun sudah kenal kita dengan perangai kita yang dahulu. Maka kita beritahu mereka, yang dahulu tidak semestinya kekal begitu.

Beritahu mereka: Kalau Allah ﷻ sudah beri hidayah kepada kita, tentu kita boleh berubah. Namun bagaimana dengan mereka? Adakah mereka mahu kekal hidup seperti dahulu juga?

Satu lagi Allah ﷻ suruh mereka berfikir: selama baginda duduk tinggal dengan mereka, adakah pernah Nabi Muhammad ﷺ menulis puisi, sajak dan sebagainya? Tentu tidak pernah. Jangan kata puisi, hendak tulis surat cinta pun tidak boleh sebab baginda tidak boleh membaca dan menulis. Maka kenapa tiba-tiba mereka hendak kata Al-Qur’an yang begini punya hebat boleh datang daripada baginda? Allah ﷻ sebut dalam Ankabut: 48

وَما كُنتَ تَتلو مِن قَبلِهِ مِن كِتٰبٍ وَلا تَخُطُّهُ بِيَمينِكَ

Dan kamu tidak pernah membacakan sebelumnya (Al Qur’an) sesuatu Kitab pun dan kamu tidak (pernah) menulis suatu Kitab dengan tangan kananmu

 

أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Maka apakah kamu tidak memikirkannya?

Tidakkah puak musyrikin itu mahu memikirkan, kenapa Nabi Muhammad ﷺ hendak menyusahkan diri baginda menyampaikan Islam kalau Islam itu tidak benar? Baginda pun tahu betapa susah hidup baginda selepas baginda membawa dakwah Islam ini.

Kalau dulu baginda dipandang tinggi, sampaikan baginda digelar al-Amin (Yang Dipercayai), tetapi baginda kehilangan itu semua selepas baginda bawa mesej tauhid. Baginda sudah mula dicaci, dicemuh, dihina dan sebagainya. Namun baginda teruskan juga kerana itu adalah tugas baginda yang telah diamanahkan oleh Allah ﷻ.

Begitu juga keadaan kita yang membawa dakwah tauhid ini kepada manusia sekarang. Apabila kita bawakan ajaran ini, manusia mencemuh kita, marah kepada kita, caci kita dan sebagainya. Bukanlah kita sengaja hendak meletakkan diri kita dalam keadaan ini. Kalau kita ikut amalan-amalan syirik dan bid’ah dalam masyarakat kita, kita tidak akan ada masalah-masalah ini.

Namun kerana apa yang kita sampaikan inilah kebenaran, maka kita tidak ada pilihan lain. Walaupun apa sahaja dugaan, kita tetap akan sampaikan juga. Maka kenapakah puak-puak bid’ah tidak mahu memikirkan? Mereka sangka kita sukakah untuk dikutuk dan dicaci? Tentu tidak, tetapi kita sampaikan juga kerana ini sudah menjadi tanggungjawab kita. Orang yang tahu kena sampaikan kepada orang yang tidak tahu.

Begitu juga dengan ahli keluarga dan kenalan kita yang sudah lama kenal kita. Tidakkah mereka terfikir bagaimana kita sudah berubah kerana kita sudah belajar tafsir Al-Qur’an? Kita sudah ubah perangai daripada yang buruk kepada yang baik. Kenapakah mereka tidak mahu berubah juga?

Tadi telah disebut Nabi Muhammad ﷺ telah lama tinggal dengan mereka dan mereka tentunya telah kenal baginda, apa yang baginda belajar dan tahu, ke mana baginda telah pergi. Maka setelah baginda mendapat wahyu, tidakkah mereka nampak perubahan pada diri baginda yang lain daripada yang dahulu? Tidakkah mereka fikirkan?

Satu lagi pengajaran bagi kita adalah dalam menilai seseorang. Sifatnya yang selama ini juga boleh diperhatikan adalah sebagai tanda untuk menilai seseorang. Contohnya kalau kita hendak melantik seseorang untuk suatu jawatan yang memerlukan sifat amanah. Kita kenalah perhatikan adakah sebelum ini dia seorang yang amanah? Al-Qur’an sedang mengajar kita untuk pandai menilai manusia. Jangan hanya melihat luaran sahaja, tetapi pandanglah apa yang disampaikannya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 1 Jun 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Yunus Ayat 12 – 14 (Musyrikin banyak berdoa rupanya)

KUFUR NIKMAT

Yunus Ayat 12: Ayat Zajrun (teguran) lagi

وَإِذا مَسَّ الإِنسٰنَ الضُّرُّ دَعانا لِجَنبِهِ أَو قاعِدًا أَو قائِمًا فَلَمّا كَشَفنا عَنهُ ضُرَّهُ مَرَّ كَأَن لَّم يَدعُنا إِلىٰ ضُرٍّ مَّسَّهُ ۚ كَذٰلِكَ زُيِّنَ لِلمُسرِفينَ ما كانوا يَعمَلونَ

Sahih International

And when affliction touches man, he calls upon Us, whether lying on his side or sitting or standing; but when We remove from him his affliction, he continues [in disobedience] as if he had never called upon Us to [remove] an affliction that touched him. Thus is made pleasing to the transgressors that which they have been doing

Malay

Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah dia kepada Kami (dalam segala keadaan), sama ada dia sedang berbaring atau duduk ataupun berdiri; dan manakala Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, dia terus membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon hapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya (sebagaimana dia memandang eloknya bawaan itu) demikianlah diperelokkan pada pandangan orang-orang yang melampau apa yang mereka lakukan.

 

وَإِذَا مَسَّ الْإِنسٰنَ الضُّرُّ

Dan apabila manusia dirasakan dengan mudharat

Manusia akan sentiasa dikenakan dengan kesusahan sebagai ujian bagi mereka. Sememangnya kehidupan di dunia ini penuh dengan ujian. Namun lihatlah satu jenis manusia dan apa yang mereka lakukan apabila mereka disentuh dengan kesusahan, yang sekarang diceritakan dalam ayat ini sebagai pengajaran bagi kita.

 

دَعَانَا لِجَنبِهِ

dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring,

Apabila manusia dikenakan bala, mereka akan bersungguh-sungguh berdoa kepada Allah ﷻ termasuklah golongan musyrikin ini. Waktu mereka terbaring pun, mereka ingat kepada Allah ﷻ dan tidak putus-putus mereka berdoa dan mengharap kepada Allah ﷻ untuk mengeluarkan mereka daripada masalah yang telah dikenakan kepada mereka.

Ini tidak ada masalah sebenarnya. Yang jadi masalah adalah kepada mereka yang hanya berdoa kepada Allah ﷻ apabila mereka ditimpa kesusahan sahaja. Waktu-waktu lain mereka tidak berdoa pula kepada Allah ﷻ kerana mereka tidak ingat kepada Allah ﷻ.

Ini juga hendak memberitahu sifat manusia yang buruk di mana mereka hanya mula berdoa kepada Allah ﷻ apabila sudah teruk sampai terbaring tidak boleh buat apa-apa. Pada waktu itu dia sudah habis ikhtiar dan sekarang barulah mula hendak berharap kepada Allah ﷻ.

Atau sebelum ini dia sudah berdoa secara syirik dengan bertawasul kepada Nabi, wali dan malaikat namun kesusahannya tidak diselesaikan. Pada waktu itu, barulah dia hendak berdoa terus kepada Allah ﷻ.

 

أَوْ قَاعِدًا

atau sedang duduk

Bukan sahaja waktu berbaring, waktu duduk-duduk pun mereka teringat dan berdoa kepada Allah ﷻ. Kalau tadi teruk sangat sampai terbaring, sekarang sudah boleh duduk kerana Allah ﷻ telah angkat sedikit masalah mereka itu tetapi mereka masih lagi berdoa kerana belum baik lagi.

 

أَوْ قَائِمًا

atau berdiri,

Apabila manusia ditimpa kesusahan barulah mereka akan ingat Allah ﷻ dalam semua keadaan sama ada berbaring, duduk ataupun berdiri. Maknanya, sepanjang masa mereka ingat dan doa kepada Allah ﷻ (apabila dalam kesusahan). Doa mereka pula banyak sampai tidak turun tangan mereka seperti disebut dalam Fussilat: 51

وَإِذا أَنعَمنا عَلَى الإِنسٰنِ أَعرَضَ وَنَئا بِجانِبِهِ وَإِذا مَسَّهُ الشَّرُّ فَذو دُعاءٍ عَريضٍ

Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah dia serta menjauhkan diri (daripada bersyukur); dan apabila dia ditimpa kesusahan, maka dia berdoa merayu dengan panjang lanjut.

Bandingkan dengan orang beriman pula seperti disebut dalam Ali Imran: 191

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَـٰمًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring

Maknanya orang beriman itu ingat Allah ﷻ dalam semua keadaan, ketika masih sihat dan selesa. Orang tidak beriman pula, hanya ingat Allah ﷻ apabila sudah ada masalah, sudah sakit dan sebagainya. Yang sepatutnya: Ingatlah Allah ﷻ semasa senang, supaya Allah ﷻ ingat kita di waktu kita susah.

ingatlah-allah

Lihatlah pengajaran daripada kisah Nabi Yunus عليه السلام. Nabi Yunus عليه السلام adalah hamba Allah ﷻ yang sangat rajin mensucikan nama-Nya, rajin bertasbih, dan selalu berusaha memurnikan semua ibadah hanya kepada-Nya.

Allah ﷻ selamatkan Yunus عليه السلام, kerana baginda rajin bertasbih. Bertasbih pada saat kondisi lapang, bukan hanya ketika sedang kesusahan. Andaikan bukan kerana baginda rajin bertasbih, Nabi Yunus عليه السلام akan tetap berada di perut ikan sampai kiamat.

فَالْتَقَمَهُ الْحُوتُ وَهُوَ مُلِيمٌ . فَلَوْلَا أَنَّهُ كَانَ مِنَ الْمُسَبِّحِينَ . لَلَبِثَ فِي بَطْنِهِ إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ

”Maka dia ditelan oleh ikan besar dalam keadaan tercela. Kalau sekiranya dulu dia bukan termasuk orang-orang yang banyak bertasbih, nescaya dia akan tetap tinggal di perut ikan itu sampai hari berbangkit.” [Shaffat: 142 – 144]

Jelaslah ayat ini mengutuk sifat golongan musyrik yang hanya berdoa ketika susah sahaja. Akan tetapi timbul persoalan, bagaimana pula orang yang sudah lama bergelumang dengan kesyirikan, boleh pula berdoa terus kepada Allah ﷻ? Bukankah mereka sudah biasa berdoa kepada perantaraan mereka (Nabi, wali, malaikat atau jin)? Ini tidak pelik sebenarnya, kerana memang berdoa terus kepada Allah ﷻ adalah fitrah semulajadi dalam diri manusia. Cuma golongan yang cenderung kepada syirik sahaja yang mengubahnya. Namun apabila keadaan mendesak, mereka lupakan terus perantaraan mereka dan berdoa terus kepada Allah ﷻ.

 

فَلَمَّا كَشَفْنَا عَنْهُ ضُرَّهُ

tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya,

Ini adalah apa yang mereka lakukan apabila Allah ﷻ mengangkat kesusahan itu. Iaitu, apabila dia sudah menjadi senang semula, masalah pun sudah tiada, lihatlah apa yang dia lakukan.

 

مَرَّ

dia berlalu

Dia berlalu pergi bagaikan tidak ada apa-apa. Maksudnya selepas kesusahan yang dihadapi itu telah diangkat, dia berlalu pergi. Dia hidup balik macam biasa, macam sebelum itu (dalam tidak taat kepada Allah ﷻ).

Dia pun berlalu meninggalkan doanya itu. Sebelum ini dia bersungguh-sungguh berdoa, waktu baring, duduk dan berdiri dia sentiasa berdoa kepada Allah ﷻ, tetapi sekarang dia sudah tinggalkan, kerana dia sudah tidak berharap kepada Allah  ﷻ (habis madu, sepah dibuang).

Kalimah مَرَّ juga bermaksud ‘berterusan’ iaitu dia berterusan dalam derhaka kepada Allah ﷻ. Mereka meneruskan amalan syirik mereka dalam berdoa. Sudah mula berdoa melalui perantaraan rekaan mereka itu.

 

كَأَن لَّمْ يَدْعُنَا إِلَىٰ ضُرٍّ مَّسَّهُ

seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya.

Semasa dia susah, bersungguh-sungguh dia berdoa kepada Allah ﷻ untuk menghilangkan kesusahannya itu. Namun bila kesusahannya itu diangkat oleh Allah ﷻ, dia buat biasa sahaja. Macam dia tidak pernah berdoa kepada Allah ﷻ untuk mengangkat kesusahannya itu dulu. Dia lupa yang Allah ﷻlah yang telah mengangkat kesusahannya itu.

Maksudnya, dia tidak mengucapkan syukur langsung kepada Allah ﷻ kerana telah menyelamatkannya. Dia pun sudah meninggalkan aktiviti berdoa terus kepada Allah ﷻ. Dia hanya ingat kepada Allah ﷻ apabila dalam kesusahan sahaja. Apabila masalahnya diselesaikan, dia lupa yang Allah ﷻlah yang telah menyelesaikan masalahnya itu. Perkara yang sama juga disebut di dalam Luqman: 32

وَإِذا غَشِيَهُم مَّوجٌ كَالظُّلَلِ دَعَوُا اللهَ مُخلِصينَ لَهُ الدّينَ فَلَمّا نَجّٰهُم إِلَى البَرِّ فَمِنهُم مُّقتَصِدٌ

Dan apabila mereka dilamun ombak yang besar seperti gunung, mereka menyeru Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya maka tatkala Allah menyelamatkan mereka sampai di daratan, lalu sebahagian mereka tetap menempuh jalan yang pertengahan.

Juga disebut dalam Ankabut: 65

فَإِذا رَكِبوا فِي الفُلكِ دَعَوُا اللهَ مُخلِصينَ لَهُ الدّينَ فَلَمّا نَجّٰهُم إِلَى البَرِّ إِذا هُم يُشرِكونَ

Maka apabila mereka naik kapal mereka berdoa kepada Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya; maka tatkala Allah menyelamatkan mereka sampai ke darat, tiba-tiba mereka (kembali) mempersekutukan (Allah)

Apa perasaan kita dengan hal ini, adakah patut? Tentu tidak, bukan? Bayangkan ada orang yang masa dia susah berkali-kali meminta pertolongan kepada kita. Maka kita pun beri pertolongan kepadanya tetapi bila dia sudah selesai masalahnya, jumpa kita pun tidak beri salam langsung. Apakah perasaan anda terhadap orang sebegini?

 

كَذَٰلِكَ زُيِّنَ لِلْمُسْرِفِينَ

Begitulah dihiasi kepada orang-orang yang melampaui itu

Kalimah مُسْرِفِينَ adalah ‘orang-orang yang melampau’. Apabila mereka melakukan sesuatu mereka melampau-lampau dalam perbuatannya itu. Terutama sekali di dalam kesyirikan mereka. Lihatlah bagaimana semasa susah, mereka berdoa kepada Allah ﷻ waktu berbaring, waktu duduk dan waktu berdiri. Kemudian apabila masalahnya telah diangkat, mereka melampau pula dalam lupa kepada Allah ﷻ.

Golongan musyrik pula beramal dengan berdoa melalui perantaraan kepada Nabi, wali dan malaikat. Dihiasi perbuatan syirik mereka ini sampaikan mereka sangka inilah amalan yang benar lagi hebat. Mereka rasa hebat beramal sebab amalan itu tok guru mereka ajar, ada dalam kitab sekian dan sekian, orang lain tidak tahu cara ini (kononnya mereka sahaja tahu), dan sebagainya.

Mereka telah melampau dalam kehidupan. Kerana melampau dalam hiduplah yang menyebabkan manusia menghadapi masalah. Melampau dalam bergembira, melampau dalam menonton TV dan sebagainya. Apa-apa sahaja yang dilakukan secara ekstrem akan menyusahkan kita akhirnya.

Ini mengajar kita supaya tidak melampau di dalam hidup kita. Termasuklah di dalam melakukan amal ibadat dan doa sekalipun. Biarlah amal ibadah kita sedikit, tetapi hendaklah ia berterusan (istiqamah). Jangan jadi seperti orang yang melampau seperti yang disebut di dalam ayat ini. Pada waktu dia susah, dia berdoa dengan banyak sekali, namun di waktu yang lain, dia langsung lupa kepada Allah ﷻ.

Bukanlah ayat ini memarahi mereka yang banyak berdoa sampaikan berdoa sewaktu berbaring, duduk dan berdiri. Memang sudah menjadi lumrah manusia akan banyak berdoa apabila mempunyai masalah. Ini adalah normal dan tidak salah. Waktu susahlah yang kita lebih mengharap kepada Allah ﷻ. Yang Allah ﷻ marah adalah bila dalam waktu dia senang, dia lupa kepada Allah ﷻ.

 

مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

apa yang selalu mereka kerjakan.

Orang yang melampau itu nampak cantik amalan yang dilakukannya itu. Dia sangka dia sudah hebat sangat bila banyak berdoa kepada Allah ﷻ. Dia lupa bahawa dia hanya banyak berdoa kepada Allah ﷻ bila dia mempunyai masalah sahaja. Waktu lain, dia lupa langsung.

Ayat ini juga bukanlah menghalang kita daripada berdoa langsung walaupun sebelum itu kita banyak lupa Allah ﷻ. Jangan keliru pula dengan ayat ini dan jangan terbelit dengan hasutan syaitan. Syaitan akan bisikkan kepada kita untuk tidak berdoa. Syaitan akan kata: “kau masa senang tak ingat Allah langsung. Sekarang sudah susah, baru kau nak ingat Dia?! Baik kau jangan doa kepada Allah.” Kalau kita terpedaya dengan bisikan syaitan ini, maka kita telah ditipu dengan teruk sekali.

Selain itu, orang-orang yang melampau selalunya mereka akan nampak amalan-amalan ibadat mereka yang melampau itu elok. Sebagai contoh, apabila berzikir, sampai beribu ribu zikir yang mereka lakukan tetapi dalam mencari ilmu agama, mereka tidak mahu meluangkan masa pula lebih-lebih jika diajak untuk belajar memahami Kitab Al-Qur’an ini. Ada sahaja alasan diberikan oleh mereka.

Begitulah yang terjadi sekarang ini dengan pengikut-pengikut Habib. Mereka sangka amalan zikir mereka, sambutan Mawlid, Qasidah dan selawat rekaan mereka itu cantik sahaja pada pandangan mata mereka. Padahal, iaa adalah amalan bid’ah yang mungkar.

Ataupun orang yang melampau ini akan menggunakan nama lain untuk dosa-dosa yang mereka lakukan untuk ‘mencantikkan’ perbuatan mereka. Sebagai contoh, dalam perbankan mereka menggunakan nama ‘faedah’ padahal yang sebenarnya ia adalah ‘riba’. Ini bertujuan supaya dosa yang mereka lakukan itu nampak ‘cantik’ dan ‘halal’. Untuk amalan bid’ah pula, mereka gelar sebagai ‘Bidaah Hasanah’ kononnya apa yang mereka buat itu sebenarnya ‘baik’. Namun baik pada pandangan mereka sahaja, baik dalam penilaian mereka sahaja.


 

ANCAMAN KEPADA ARAB JAHILIYYAH

Yunus Ayat 13: Ayat 11 disebut tentang manusia yang meminta disegerakan azab. Di dalam ayat ini disebut tentang azab. Sebenarnya tidak perlu minta azab daripada Allah ﷻ kerana Allah ﷻ sudah tahu siapa yang perlu diazab dan bila perlu diazab.

Ini adalah ayat jenis takhwif duniawi (ancaman azab dunia). Ia memberi peringatan agar jangan disangka semua akan selamat di dunia. Ada yang Allah ﷻ beri tangguh dan hanya azab di akhirat, tetapi ada juga yang Allah ﷻ azab semasa di dunia lagi. Maka kena ambil peringatan takut di dunia lagi dikenakan azab. Allah ﷻ menceritakan azab di dunia kerana ada manusia yang tidak nampak azab di akhirat, tetapi mereka takut dengan azab di dunia.

وَلَقَد أَهلَكنَا القُرونَ مِن قَبلِكُم لَمّا ظَلَموا ۙ وَجاءَتهُم رُسُلُهُم بِالبَيِّنٰتِ وَما كانوا لِيُؤمِنوا ۚ كَذٰلِكَ نَجزِي القَومَ المُجرِمينَ

Sahih International

And We had already destroyed generations before you when they wronged, and their messengers had come to them with clear proofs, but they were not to believe. Thus do We recompense the criminal people

Malay

Dan sesungguhnya Kami telah membinasakan umat-umat yang terdahulu daripada kamu semasa mereka berlaku zalim padahal telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka membawa keterangan-keterangan, dan mereka masih juga tidak beriman. Demikianlah Kami membalas kaum yang melakukan kesalahan.

 

وَلَقَدْ أَهْلَكْنَا الْقُرُونَ مِن قَبْلِكُمْ

Dan sesungguhnya Kami telah membinasakan umat-umat sebelum kamu,

Kalimah أَهْلَكْنَا berasal daripada هلك yang bermaksud Allah ﷻ musnahkan dengan menghancurkan mereka sampai tidak ada tinggalkan kesan langsung. Begitulah yang Allah ﷻ lakukan terhadap umat yang terdahulu. Namun sekarang tidak ada lagi. Azab tetap ada, tetapi tidaklah sampai mematikan semua manusia sehingga tidak ada kesan langsung.

‘Kamu’ yang dimaksudkan dalam ayat ini asalnya adalah Musyrikin Mekah. Namun sekarang ia ditujukan kepada kita yang sedang membaca ayat ini dan kepada orang-orang zaman sekarang dan seterusnya hingga ke akhir zaman. Jangan kita sangka ayat-ayat Al-Qur’an ini hanya ditujukan kepada orang lain sahaja tetapi hendaklah kita merasa Allah ﷻ sedang berkata-kata dengan kita.

Memang telah banyak golongan-golongan yang sebelum kita telah dimusnahkan oleh Allah ﷻ. Ini kita boleh tahu daripada sejarah yang kita boleh baca.

 

لَمَّا ظَلَمُوا

apabila mereka berbuat kezaliman,

Mereka yang dimusnahkan itu adalah kerana mereka telah berbuat kezaliman. Ada berbagai-bagai jenis kezaliman yang manusia lakukan. Kezaliman yang paling tinggi adalah apabila manusia melakukan syirik kepada Allah ﷻ. Kemudian mereka menolak dakwah daripada rasul-rasul mereka.

Mereka juga telah melakukan kezaliman sesama mereka dengan menindas orang yang lemah dalam kalangan mereka dan macam-macam lagi.

Maksud ‘zalim’ adalah tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Satu lagi maksud adalah ‘mengurangkan’. Ini seperti disebut dalam Kahf: 33

كِلتَا الجَنَّتَينِ ءآتَت أُكُلَها وَلَم تَظلِم مِّنهُ شَيئًا

Kedua-dua kebun itu mengeluarkan hasilnya, dan tiada mengurangi sedikit pun dari hasil itu;

Lihat ada kalimah تَظلِم di dalam ayat daripada surah Kahf ini. Maka, antara lain maksud zalim adalah mengurangi hak Allah ﷻ. Sepatutnya kita hanya menyembah Dia sahaja, minta doa kepada-Nya sahaja kerana itu hak Allah ﷻ. Malangnya manusia menyembah juga selain menyembah Allah ﷻ. Ini adalah syirik dan kezaliman yang paling besar seperti firman Allah ﷻ di dalam Luqman: 13

وَإِذ قالَ لُقمٰنُ لِابنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يٰبُنَيَّ لا تُشرِك بِاللهِ ۖ إِنَّ الشِّركَ لَظُلمٌ عَظيمٌ

Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu dia memberi pelajaran kepadanya: “Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar”.

 

وَجَاءَتْهُمْ رُسُلُهُم بِالْبَيِّنٰتِ

padahal rasul-rasul mereka telah datang kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata,

Bukanlah mereka yang dimusnahkan itu tidak tahu yang apa yang mereka lakukan itu adalah zalim. Mereka tahu kerana mereka telah diberikan dengan peringatan dan ancaman daripada Rasul-Rasul mereka.

Ancaman-ancaman itu pula adalah jelas nyata, bukan samar-samar. Sama seperti penerangan tentang Tauhid dan syirik di dalam Al-Qur’an yang jelas dan disebut berkali-kali. Kerana itulah Allah ﷻ meletakkan kalimah بِالْبَيِّنٰتِ untuk memberitahu yang segala hujah dan bukti jelas telah diberi, namun mereka menolak kerana degil sahaja, bukan kerana tidak faham.

Mereka itu sudah diberi dengan peringatan yang banyak. Allah ﷻ tidak akan memusnahkan sesuatu kaum itu melainkan mereka telah diberi peringatan dan setelah diberi peringatan itu, mereka ingkar. Kerana itulah kita katakan yang Allah ﷻ tidak zalim sama sekali kerana segala peringatan telah diberi. Ini seperti disebut dalam Syuara’: 208

وَما أَهلَكنا مِن قَريَةٍ إِلّا لَها مُنذِرونَ

Dan Kami tidak membinasakan sesuatu negeri pun, melainkan sesudah ada baginya orang-orang yang memberi peringatan;

 

وَمَا كَانُوا لِيُؤْمِنُوا

tetapi mereka sekali-kali tidak hendak beriman.

Walaupun mereka telah diberi dengan peringatan dan ancaman, tetapi mereka tetap tidak mahu beriman. Mereka tidak mahu beriman itu kerana degil sahaja. Begitulah yang terjadi kepada Musyrikin Mekah dan golongan seperti mereka. Padahal mereka tahu tentang kaum-kaum yang telah dimusnahkan itu seperti Allah ﷻ sebut di dalam Sajdah: 26

أَوَلَم يَهدِ لَهُم كَم أَهلَكنا مِن قَبلِهِم مِّنَ القُرونِ يَمشونَ في مَسٰكِنِهِم ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ ۖ أَفَلا يَسمَعونَ

Dan belumkah lagi ternyata kepada mereka (yang kafir itu): bahawa Kami telah binasakan berapa banyak kaum-kaum yang kufur ingkar dahulu daripada mereka, padahal mereka sekarang berulang-alik melalui tempat-tempat tinggal kaum-kaum itu? Sesungguhnya kebinasaan kaum-kaum itu mengandungi keterangan-keterangan (untuk mengambil iktibar); oleh itu tidakkah mereka mahu mendengar (dan insaf)?

Namun tetap mereka tidak ambil pengajaran. Macam orang kita juga, walaupun tahu kebenaran, tetapi masih tidak mahu terima. Apabila kita berikan dalil daripada Al-Qur’an dan hadith, mereka masih lagi hendak percaya kata-kata ustaz dan guru mereka. Mereka masih lagi tidak mahu beriman dengan Al-Qur’an.

 

كَذَٰلِكَ نَجْزِي الْقَوْمَ الْمُجْرِمِينَ

Demikianlah Kami memberi pembalasan kepada orang-orang yang berbuat dosa.

Tidak kira siapa mereka, sekiranya mereka zalim bermaksud mereka telah berdosa, maka mereka akan diberi balasan yang buruk. Ini adalah ancaman daripada Allah ﷻ yang amat banyak sekali disebut dalam Al-Qur’an.


 

Yunus Ayat 14:

ثُمَّ جَعَلنٰكُم خَلٰئِفَ فِي الأَرضِ مِن بَعدِهِم لِنَنظُرَ كَيفَ تَعمَلونَ

Sahih International

Then We made you successors in the land after them so that We may observe how you will do.

Malay

Kemudian Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) khalifah-khalifah di bumi menggantikan mereka yang telah dibinasakan itu, supaya Kami melihat apa pula corak dan bentuk kelakuan yang kamu akan lakukan.

 

ثُمَّ جَعَلْنٰكُمْ خَلٰئِفَ فِي الْأَرْضِ

Kemudian Kami jadikan kamu pengganti-pengganti di muka bumi

Kalimah خَلَائِفَ berasal daripada katadasar خ ل ف yang bermaksud seseorang yang ganti golongan yang sebelumnya. Selepas kaum yang dahulu tiada, mereka pula yang mengganti. Selepas kaum-kaum yang zalim itu dimusnahkan, dibangkitkan kaum yang lain pula untuk menggantikan mereka. Macam kita umat Islam sekarang adalah ganti kepada umat Islam terdahulu yang telah meninggalkan agama mereka (Yahudi dan Nasara).

Ayat ini juga mengingatkan kita yang kita tidak akan kekal lama di dunia ini. Sebagaimana kita telah menggantikan umat sebelum kita, kita juga akan diganti akhirnya. Maka jangan kita termakan sangat dengan pujukan dunia ini kerana kita akan meninggalkannya juga nanti.

 

مِن بَعْدِهِمْ

sesudah mereka,

Kita ini menggantikan keturunan sebelum kita dan kita pula akan diganti dengan keturunan kita selepas ini. Agaknya bagaimanakah iman keturunan kita nanti? Bagaimanakah dengan anak-anak dan cucu-cucu kita nanti? Adakah mereka terus beriman ataupun sebaliknya?

Kalau kita dapat memastikan anak-anak dan cucu kita beriman, itu sudah cukup baik. Sebab kita hanya dapat bertemu dengan mereka sahaja. Kemudian anak-anak kita pula hendaklah memastikan anak-anak cucu mereka pula beriman. Itulah harapan kita.

Oleh itu kenalah sampaikan ajaran agama kepada mereka. Kita kena ajar mereka. Jangan harap sangat kepada orang lain, kepada ustaz di sekolah, kepada guru sekolah dan sebagainya. Mengajar agama ini adalah tanggungjawab bapa sebenarnya. Oleh itu, kenalah dia juga belajar agama supaya dia sendiri faham agama dan boleh mengajar anak dan isterinya. Kalau tidak dijalankan, entah apalah akidah umat kita selepas kita.

 

لِنَنظُرَ كَيْفَ تَعْمَلُونَ

supaya Kami memperhatikan bagaimana kamu berbuat.

Bukanlah perkara main-main kita mengganti orang yang sebelum kita tetapi ia adalah sebagai ujian. Jangan sangka pangkat khalifah itu adalah untuk anugerah kosong untuk bergembira pula. Apa sahaja yang kita lakukan, akan diperhatikan. Kemudian segala perbuatan kita akan dibalas, bukan diperhatikan sahaja. Allah ﷻ akan lihat apa yang kita lakukan dan di akhirat nanti, akan dibalas segala perbuatan kita itu.

Maka ingatlah yang Allah ﷻ akan melihat apakah amalan yang kita lakukan. Seperti firman Allah ﷻ dalam Mulk: 2

لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا

supaya Dia menguji kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.

Daripada ayat Mulk: 2 ini kita dapat tahu yang amal yang dikehendaki adalah amal yang baik, yang mengikut sunnah dan bertepatan dengan syariat. Bukannya amal yang buruk termasuk amal-amal bid’ah.

Oleh itu yang penting, kita beramal dengan kebaikan. Maknanya, ada tugas kita dijadikan di dunia ini. Kita hidup di dunia ini bukan untuk main-main sahaja, bukan untuk makan, untuk bergembira sahaja, bukan untuk berlagak dengan kedudukan sebagai khalifah di bumi tetapi untuk melakukan amalan kebaikan.

Malah, bukan sahaja Allah ﷻ  melihat amal-amal kita, tetapi Rasul dan juga golongan mukmin pun melihat dan menilai seperti Allah ﷻ sebut dalam Tawbah: 105

وَقُلِ اعمَلوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُم وَرَسولُهُ وَالمُؤمِنونَ ۖ وَسَتُرَدّونَ إِلىٰ عالِمِ الغَيبِ وَالشَّهادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ

Dan katakanlah: “Beramallah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat amalanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.

Maka bukan Allah ﷻ sahaja memerhatikan, tetapi jiran tetangga dan orang di sekeliling juga memerhatikan juga dan mereka menjadi saksi ke atas kita. Dalam hal ini memang ada dalil dan salah satunya adalah hadith yang diriwayatkan oleh sahabat Abu Hurairah رضي الله عنه:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَمُوتُ فَيَشْهَدُ لَهُ ثَلَاثَةُ أَهْلِ أَبْيَاتٍ مِنْ جِيرَانِهِ الْأَدْنَيْنَ بِخَيْرٍ إِلَّا قَالَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى قَدْ قَبِلْتُ شَهَادَةَ عِبَادِي عَلَى مَا عَلِمُوا وَغَفَرْتُ لَهُ مَا أَعْلَمُ

“Tidak ada orang muslim yang meninggal lalu tiga orang tetangga terdekatnya menyaksikan kebaikan padanya kecuali Allah berfirman “Sungguh Aku telah menerima persaksian hamba-hamba-Ku atas apa yang mereka tahu dan Aku telah ampuni pada mayit apa yang Aku ketahui”

(Riwayat Imam Ahmad, no 13,541 status: Hasan Gharib)

Maka amalkanlah ilmu yang baik yang kita telah pelajari. Jangan setakat belajar sahaja, tetapi tidak diamalkan. Pepatah Arab ada mengatakan,

عِلْمٌ بِلَا عَمَلٍ كَالشَّجَرِ بِلَا ثَمَرٍ

“Ilmu tanpa amal bagaikan pohon yang tidak berbuah.”

"Ilmu tanpa amal ibarat pokok tanpa buah."- Pepatah Arab.

 

Maka daripada ayat ini kita tahu yang Allah ﷻ sedang memerhatikan amal kita. Ini dikuatkan lagi dengan hadith terkenal tentang ihsan yang telah dijelaskan oleh Nabi sendiri dalam hadith Arbain no. 2,

أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ

“Ihsan adalah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihatnya, jika engkau tidak melihatnya maka Dia melihat engkau”

Kalaulah kita dapat merasa yang Allah ﷻ melihat apa yang kita sedang lakukan, tentulah ibadah kita mencapai tahap yang tinggi.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 28 Mei 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Yunus Ayat 10 – 11 (Ucapan di syurga)

Yunus Ayat 10: Apakah percakapan mereka di syurga nanti?

دَعوىٰهُم فيها سُبحٰنَكَ اللَّهُمَّ وَتَحِيَّتُهُم فيها سَلٰمٌ ۚ وَءآخِرُ دَعوىٰهُم أَنِ الحَمدُ لِلَّهِ رَبِّ العٰلَمينَ

Sahih International

Their call therein will be, “Exalted are You, O Allah ,” and their greeting therein will be, “Peace.” And the last of their call will be, “Praise to Allah , Lord of the worlds!”

Malay

Doa ucapan mereka di dalam Syurga itu ialah ‘Maha Suci Engkau dari segala kekurangan wahai Tuhan!’ Dan ucapan penghormatan mereka ialah: ‘Selamat sejahtera!’ Dan akhir doa mereka ialah ‘segala puji dipersembahkan kepada Allah yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam’

 

دَعْوىٰهُمْ فِيهَا سُبْحٰنَكَ اللَّهُمَّ

Ucapan mereka di dalamnya ialah: “Maha Suci Engkau ya Allah,

Inilah kata-kata mereka di syurga nanti. Kebanyakan kata mereka adalah puji pujian kepada Allah ﷻ kerana mereka berasa amat-amat bersyukur dengan segala nikmat yang tela mereka peroleh. Juga kerana mereka kagum dengan segala nikmat di dalam syurga itu.

Ini kerana kalimah دَعْوىٰهُمْ berasal daripada katadasar د ع و yang juga digunakan untuk doa. Akan tetapi penghuni syurga tidaklah perlu berdoa untuk mendapat apa-apa lagi kerana semuanya telah diberikan kepada mereka. Teringat sahaja apa-apa nikmat, akan diberikan kepada mereka. Maknanya tidak perlu diminta.

Ada tafsir yang menyebutkan ini seperti disebut dalam sebuah hadith

يقول الله عز وجل: من شغله ذكري عن مسألتي، أعطيته أفضل ما أعطي السائلين.

Allah ‘Azza Wa Jalla berfirman: Barang siapa yang sibuk mengingatiKu (berzikir) sehingga menyebabkan dia lupa utk meminta kepada-Ku, maka Aku akan memberikannya sesuatu yang lebih baik daripada apa yang Aku berikan kepada orang-orang yang meminta kepada-Ku.

Makna hadith ini adalah, dengan berzikir kepada Allah ﷻ sahaja, Allah ﷻ akan ganti dengan memberikan apa sahaja keperluannya tanpa perlu seseorang itu menyebut secara spesifik apa yang diminta. Akan tetapi hadith ini dinilai lemah oleh Syeikh Albani رحمه الله maka tidak boleh dijadikan hujah.

Oleh itu, kalimah tasbih yang mereka sebut itu adalah kalimah puji pujian dan tidaklah dikira sebagai ibadah kerana di syurga tidak ada ibadah lagi. Akan tetapi disebut kerana rasa bersyukurnya mereka. Mereka diilhamkan oleh Allah ﷻ untuk bertasbih seperti disebut di dalam hadith yang telah diriwayatkan daripada Jabir رضي الله عنه berkata: Rasulullah ﷺ telah bersabda:

إِنَّ أَهْلَ الْجَنَّةِ يَأْكُلُونَ فِيهَا وَيَشْرَبُونَ، وَلَا يَتْفُلُونَ، وَلَا يَبُولُونَ، وَلَا يَتَغَوَّطُونَ، وَلَا يَتَمَخَّطُونَ قَالُوا: فَمَا بَالُ الطَّعَامِ؟ قَالَ: جُشَاءٌ وَرَشْحٌ كَرَشْحِ الْمِسْكِ، يُلْهَمُونَ التَّسْبِيحَ وَالتَّحْمِيدَ كَمَا تُلْهَمُونَ النَّفَسَ

“Sesungguhnya ahli syurga makan minum mereka itu dan mereka tidak berludah dan tidak kencing dan tidak berak dan tidak berhingus. Kemudian para sahabat bertanya: Maka bagaimana pula dengan makanan? Jawab Rasulullah ﷺ: Ada sendawa dan keluar peluh seperti wangian kasturi mereka diilhamkan bertasbih dan bertahmid seperti kamu diilhamkan dengan bernafas.”

(Hadis riwayat Muslim No. 2835)

Kata-kata sebegini dikeluarkan oleh mulut mereka kerana mereka takjub. Takjub dengan apa yang mereka akan terima dalam syurga nanti. Seperti yang kita telah sebutkan sebelum ini, kita sentiasa dapat melihat nikmat yang tidak putus-putus yang Allah ﷻ berikan kepada kita, namun kita anggap biasa sahaja. Maka, bagaimana kalau kita di syurga nanti, adakah begitu? Kalau hari-hari kita dapat nikmat, agaknya setelah beribu-ribu tahun mendapat nikmat itu, adakah kita akan rasa biasa sahaja dengan nikmat itu nanti?

Tidak sama sekali kerana di syurga nanti, nikmat yang diberikan kepada kita tidak ada tandingan. Mulut mereka automatik akan sentiasa bertasbih memuji Allah ﷻ. Tidak dapat disebutkan dengan lidah dan tidak dapat dibayangkan dengan akal kita sekarang nikmat itu semua. Mereka akan tetap terpesona dengan segala nikmat itu sampaikan ahli syurga itu akan sentiasa berkata سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ setiap kali mendapat nikmat itu. Walaupun beribu atau berjuta tahun menginap di syurga nanti. Semoga kita termasuk golongan mereka, aameen.

Hebat sekali nikmat-nikmat itu yang akan semakin hebat dan semakin hebat. Sampaikan ahli syurga akan ternanti-nanti apakah nikmat baru yang Allah ﷻ akan berikan kepada kita. Seperti yang disebut dalam Kahfi: 3

مَّاكِثِينَ فِيهِ أَبَدًا

mereka menunggu-nunggu di dalamnya untuk selama-lamanya.

Mereka menunggu-nunggu nikmat apakah lagi yang akan diberikan oleh Allah ﷻ kerana mereka sudah mendapat banyak nikmat sebelum itu malah nikmat mereka itu akan bertambah-tambah kualitinya. Sebab itu mereka tertunggu-tunggu untuk melihat apa pula yang Allah ﷻ akan beri lagi. Belum sempat mereka berasa bosan dengan nikmat yang mereka sedang dapat, Allah ﷻ akan beri nikmat yang lebih lagi. Yang berlainan dengan nikmat yang mereka sudah dapat. Ini disebut dalam Baqarah: 25

كُلَّمَا رُزِقُوا مِنْهَا مِن ثَمَرَةٍ رِّزْقًا قَالُوا هَٰذَا الَّذِي رُزِقْنَا مِن قَبْلُ وَأُتُوا بِهِ مُتَشَابِهًا وَلَهُمْ فِيهَا أَزْوَاجٌ مُّطَهَّرَةٌ وَهُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Setiap kali mereka diberi rezeki buah-buahan dalam syurga-syurga itu, mereka mengatakan: “Inilah yang pernah diberikan kepada kami dahulu”. Mereka diberi buah-buahan yang serupa dan untuk mereka di dalamnya ada isteri-isteri yang suci dan mereka kekal di dalamnya.

Ahli syurga akan diberi dengan buah yang ‘serupa’ tetapi ‘tidak sama’ iaitu buah itu akan lebih sedap lagi daripada yang sebelumnya. Ma sha Allah!

Akan tetapi ada juga pendapat yang mengatakan apabila ahli syurga memerlukan apa-apa sahaja, mereka hanya perlu sebut سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ dan mereka akan terus dapat apa yang mereka kehendaki. Oleh kalau ikut pendapat ini, maka kalimah tasbih yang diucapkan adalah sejenis doa juga.

 

وَتَحِيَّتُهُمْ فِيهَا سَلٰمٌ

dan kata-kata aluan mereka ialah: “Salam” (Sejahtera).

Kalimah التحيات adalah jamak kepada تَحِيَّة. ‘Tahiyat’ bermaksud kata-kata aluan yang baik. Ia adalah kata-kata aluan apabila berjumpa seseorang. Telah lama digunakan dalam bangsa Arab sebelum Nabi Muhammad ﷺ diangkat menjadi Nabi. Ia daripada kalimah ح ي ي yang bermaksud ‘hayat’, ‘hidup’. Kita pun sepatutnya faham kerana kita pun menggunakan kalimah yang sama juga: “sehingga hayat dikandung badan.” Mereka menggunakan kalimah حَيَّكَ الله (hayyakallah) yang bermaksud: semoga Allah ﷻ memanjangkan hayatmu. Ucapan ini dipanggil تَحِيَّة. (Sebagaimana lafaz Allahu Akbar (الله أكبر) dipanggil Takbir, lafaz Alhamdulillah (ٱلْحَمْدُ لِلَّٰهِ ) dipanggil Tahmid).

Apabila Islam bangkit, maka kalimah حَيَّكَ الله tidak lagi digunakan tetapi diganti dengan ‘assalamualaikum’ (ٱلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ). Namun terma tahiyyah masih lagi digunakan untuk ucapan yang diberikan kepada orang lain apabila bertemu. Ia juga digunakan di dalam tahiyyat kita di dalam salat. Dalam Al-Qur’an pun menggunakan perkataan itu. Kita boleh lihat dalam Nisa’: 86

وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا

Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah ia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.

Ahli-ahli syurga akan mengucapkan kata-kata yang sejahtera sahaja sesama mereka. Maknanya ahli syurga akan bertemu sesama sendiri nanti di syurga. Tidak terkata perkataan-perkataan yang lain. Mereka berasa terlalu bersyukur kerana mereka telah selamat daripada api neraka. Mereka akan bercerita tentang berbagai nikmat yang mereka sedang dapati itu. Ini juga ada disebut dalam Waqiah: 25-26

لا يَسمَعونَ فيها لَغوًا وَلا تَأثيمًا

Mereka tidak akan mendengar dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu yang menyebabkan dosa; 

إِلّا قيلًا سَلٰمًا سَلٰمًا

Mereka hanya mendengar ucapan: ” Selamat! Selamat! ” (daripada satu kepada yang lain).

Maka, perkataan تَحِيَّة ada kena mengena dengan ‘kehidupan’. Ayat ini memberi isyarat bahawa kehidupan yang bermakna adalah kehidupan yang penuh salam, penuh selamat dan sejahtera. Itulah yang mereka akan dapat di syurga nanti. Di dunia, belum tentu lagi.

Bukan sahaja ucapan ini digunakan sesama mereka, tetapi daripada Allah ﷻ juga seperti disebut dalam Yaasin:58

سَلٰمٌ قَولًا مِّن رَّبٍّ رَّحيمٍ

(Kepada mereka dikatakan): “Salam”, sebagai ucapan selamat daripada Tuhan Yang Maha Penyayang.

Juga daripada para malaikat seperti disebut dalam Ra’d: 23-24

وَالمَلائِكَةُ يَدخُلونَ عَلَيهِم مِن كُلِّ بابٍ

sedang malaikat-malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu;

سَلامٌ عَلَيكُم بِما صَبَرتُم

(sambil mengucapkan): “Selamat sejahtera atasmu kerana kesabaranmu. ”.

Sekali lagi, kalimah salam ini bukanlah seperti doa yang kita sebut di dunia ini apabila kita memberi ucapan salam ‘Assalamualaikum’ (ٱلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ) itu. Di dalam ucapan salam ini ada mengandungi kalimah doa permohonan kesejahteraan. Akan tetapi di syurga nanti memang sudah sejahtera maka ia adalah sebagai penyataan kegembiraan mereka.

 

وَءآخِرُ دَعْوىٰهُمْ أَنِ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعٰلَمِينَ

Dan penutup kata mereka ialah: “Alhamdulilaahi Rabbil ‘aalamin” (segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam).

Selepas mereka mendapat menikmati setiap nikmat yang mereka dapat di syurga itu, mereka akan mengucapkan perkataan ini – Alhamdulillah. Atau, selepas ahli syurga bertemu sesama sendiri mereka akan ucap tahmid.

Sepertimana kita di dunia, kita berdoa kepada Allah ﷻ dan berkomunikasi dengan manusia lain, begitu juga di syurga nanti. Di syurga, kita berkomunikasi dengan Allah ﷻ dengan menyebut سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ; dan kita berkomunikasi dengan manusia lain dengan menyebut سَلَامٌ. Dengan malaikat pun nanti, kita akan menyebut سَلَامٌ kepada mereka di syurga nanti. Kemudian apabila mendapat nikmat, mereka akan memuji-muji Allah ﷻ. Di akhirat nanti memang banyak disebut tentang tahmid yang diucapkan oleh ahli syurga dan juga para malaikat, seperti disebut di dalam Zumar: 74-75

وَقالُوا الحَمدُ ِلِلهِ الَّذي صَدَقَنا وَعدَهُ وَأَورَثَنَا الأَرضَ نَتَبَوَّأُ مِنَ الجَنَّةِ حَيثُ نَشاءُ ۖ فَنِعمَ أَجرُ العٰمِلينَ

Serta mereka berkata: “Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menepati janji-Nya kepada kami, dan yang menjadikan kami mewarisi bumi Syurga ini dengan sebebas-bebasnya, kami boleh mengambil tempat dari Syurga ini di mana sahaja kami sukai; maka pemberian yang demikian ialah sebaik-baik balasan bagi orang-orang yang beramal”.

وَتَرَى المَلائِكَةَ حافّينَ مِن حَولِ العَرشِ يُسَبِّحونَ بِحَمدِ رَبِّهِم ۖ وَقُضِيَ بَينَهُم بِالحَقِّ وَقيلَ الحَمدُ ِللهِ رَبِّ العٰلَمينَ

Dan (pada hari itu) engkau akan melihat malaikat beredar di sekeliling Arasy dengan bertasbih memuji Tuhan mereka, serta mereka dihakimi dengan adil; dan (masing-masing bersyukur akan keputusan itu dengan) mengucapkan: “Segala puji tertentu bagi Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam!”

Oleh itu, untuk mendapat kelebihan ini, maka kita hendaklah membiasakan dengan perkataan-perkataan ini semasa di dunia lagi. Hendaklah kita selalu memuji-muji Allah ﷻ. Kalau kita bercakap dengan manusia, mulakan dengan memberi salam kepada mereka. Semoga nanti kerana kebiasaan kita menyebarkan salam di dunia ini, kita akan mendapat ucapan salam daripada Allah ﷻ di syurga nanti.

Apabila diberikan ucapan salam itu, bermakna kita sudah masuk ke dalam syurga. Ini kerana Allah ﷻ hanya berjumpa dengan hamba-Nya yang masuk syurga sahaja. Rasulullah ﷺ telah memberitahu kelebihan menyebarkan salam di dalam hadith riwayat Abdullah bin Amr bin al-Ash رضي الله عنه berkata:

أنَّ رجلًا سأَل النبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم : أيُّ الإسلامِ خيرٌ ؟ قال : ( تُطعِمُ الطعامَ، وتَقرَأُ السلامَ، على مَن عرَفتَ، وعلى مَن لم تَعرِفْ )

“Seorang lelaki telah bertanya Rasulullah ﷺ: Islam manakah yang paling baik? Nabi ﷺ bersabda: “Kamu memberi makan, mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal”.

(Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 11, 27, 5767 dan di dalam Riwayat Muslim, no. Hadith 56)

Perkataan الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ dalam ucapan mereka itu juga mengingatkan mereka kepada surah Fatihah yang mereka baca setiap hari yang mereka jadikan sebagai panduan hidup. Kita memang ‘umat Alhamdulillah’ iaitu selalu membiasakan kalimah tahmid ini. Semoga di akhirat nanti kita terus banyak menyebut kalimah tahmid ini seperti golongan yang disebut dalam Fatir: 34

وَقالُوا الحَمدُ ِللهِ الَّذي أَذهَبَ عَنَّا الحَزَنَ ۖ إِنَّ رَبَّنا لَغَفورٌ شَكورٌ

Dan mereka berkata: “Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan duka cita dari kami. Sesungguhnya Tuhan kami benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri.

Kalimah akhir ahli syurga adalah tahmid. Oleh kerana itulah ada ulama’ yang mengatakan mustahab untuk mengucapkan Alhamdulillah di hujung doa kita. Malah Imam Qurtubi رحمه الله menganjurkan untuk membaca ayat daripada Saffat: 180-182

سُبحٰنَ رَبِّكَ رَبِّ العِزَّةِ عَمّا يَصِفونَ

Maha Suci Tuhanmu Yang mempunyai keperkasaan daripada apa yang mereka katakan.

وَسَلٰمٌ عَلَى المُرسَلينَ

Dan kesejahteraan dilimpahkan atas para rasul.

وَالحَمدُ ِللهِ رَبِّ العٰلَمينَ

Dan segala puji bagi Allah Tuhan seru sekalian alam.

Ini adalah kerana ayat-ayat daripada Surah Saffat ini mengandungi ketiga-tiga elemen daripada ayat 10 Surah Yunus ini iaitu Tasbih – Salam – Tahmid.

Habis Ruku’ 1 daripada 11 surah ini.


 

JANGAN MENGEJAR KEBURUKAN

Yunus Ayat 11: Ayat Zajrun (teguran) daripada Allah ﷻ. Ayat ini adalah sambungan tentang golongan malang yang telah disebut dalam ayat 7 dan 8 sebelum ini. Lihatlah ada persamaan kalimat الَّذينَ لا يَرجونَ لِقاءَنا.

وَلَو يُعَجِّلُ اللَّهُ لِلنّاسِ الشَّرَّ استِعجالَهُم بِالخَيرِ لَقُضِيَ إِلَيهِم أَجَلُهُم ۖ فَنَذَرُ الَّذينَ لا يَرجونَ لِقاءَنا في طُغيٰنِهِم يَعمَهونَ

Sahih International

And if Allah was to hasten for the people the evil [they invoke] as He hastens for them the good, their term would have been ended for them. But We leave the ones who do not expect the meeting with Us, in their transgression, wandering blindly

Malay

Dan kalau Allah menyegerakan bagi manusia azab sengsara yang mereka minta disegerakan, sebagaimana mereka minta disegerakan nikmat kesenangan, nescaya binasalah mereka dan selesailah ajal mereka. Oleh itu, (Kami tidak menyegerakan azab yang dimintanya), Kami biarkan orang-orang yang tidak menaruh ingatan menemui Kami itu meraba-raba dalam kesesatannya.

 

وَلَوْ يُعَجِّلُ اللَّهُ لِلنَّاسِ الشَّرَّ

Dan kalau sekiranya Allah menyegerakan kejahatan (yang mereka minta) bagi manusia

‘Kalaulah Allah menyegerakan’ – ini bermaksud, Allah ﷻ tidak segerakan, Allah ﷻ cuma cakap *kalau* Dia segerakan. Allah ﷻ hendak beritahu kepada kita apakah kesannya kalau Allah ﷻ buat begitu. Namun menyegerakan apa?

Kalimah يُعَجِّلُ berasa daripada katadasar ع ج ل yang bermaksud cuba untuk ‘mendapatkan sesuatu sebelum masanya’. Sebagai contoh, untuk mendapatkan sesuatu barang yang kita tempah biasanya 2 hari baru dapat, jika mengikut proses normal. Namun disebabkan oleh sifat gopoh, kita cuba untuk mendapatkan barang itu dalam masa sehari sahaja. Itulah dinamakan عجل. Boleh juga diterjemahkan sebagai ‘tergesa-gesa’ atau ‘gopoh’. Ini berlainan dengan kalimah سرع yang bermaksud bersegera. Ini pula boleh menjadi sesuatu baik sebagai contoh bersegera ke masjid, bersegera buat kebaikan dan sebagainya. Seperti disebut dalam Ali Imran: 133

وَسارِعوا إِلىٰ مَغفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُم وَجَنَّةٍ عَرضُهَا السَّمٰوٰتُ وَالأَرضُ أُعِدَّت لِلمُتَّقينَ

Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;

Kalimah الشَّرَّ pula bermaksud ‘keburukan’. Boleh bermaksud keburukan untuk dirinya. Kadang-kadang manusia mendoakan keburukan untuk diri mereka sendiri. Bagaimana pula begini terjadi?! Lihatlah kadang-kadang, ada manusia yang semasa menghadapi masalah yang mereka sudah tidak sanggup hadapi, mereka ada yang berdoa begini: “Alangkah elok kalau aku mati sahaja….” Ini amat tidak elok sama sekali.

Sekarang Allah ﷻ mengulang kata-kata Musyrikin Mekah yang menentang Nabi Muhammad ﷺ. Mereka tidak ada hujah maka akhir sekali mereka cabar Nabi ﷺ mengenakan azab kepada mereka. Ini seperti yang disebut oleh An-Nadhr Ibn Harits seperti yang Allah ﷻ nukilkan di dalam Anfal: 32,

وَإِذ قالُوا اللَّهُمَّ إِن كانَ هٰذا هُوَ الحَقَّ مِن عِندِكَ فَأَمطِر عَلَينا حِجارَةً مِّنَ السَّماءِ أَوِ ائتِنا بِعَذابٍ أَليمٍ

Dan (ingatlah), ketika mereka (orang-orang musyrik) berkata: “Ya Allah, jika betul (Al Qur’an) ini benar dari sisi Engkau, maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab yang pedih”.

Itulah doa meminta keburukan untuk diri sendiri. Sepatutnya yang diminta adalah petunjuk hidayah. Maka Allah ﷻ tegur kesalahan mereka di sini.

Kita pun ada melakukan kesalahan ini juga kerana kadang-kadang apabila kita marah sangat kepada seseorang sampaikan kita mendoakan keburukan untuk orang itu. Sudahlah doa keburukan untuk diri sendiri, malah untuk orang lain juga. Ini adalah dua contoh bagaimana manusia meminta disegerakan keburukan kepada diri sendiri dan ini tidak baik. Nabi ﷺ telah melarang kita daripada berbuat begini. Nabi ﷺ bersabda:

لا تَدْعُوا عَلَى أنْفُسِكُمْ وَلَا تَدْعُوْا عَلَى أَوْلَادِكُمْ، وَلَا تَدْعُوا عَلَى أمْوَالِكُمْ، لَا تُوافِقُوا مِنَ اللَّهِ تَعالى ساعَةً يُسأَلُ فِيْهَا عطاءٌ فَيَسْتَجِيبَ لكم

“Jangan kamu semua meminta keburukan untuk diri sendiri, anak-anak dan harta kamu, tidak bertepatan satu masa yang dimustajabkan oleh Allah, melainkan akan diperkenankan untuk kamu (apa yang kamu minta tersebut).”

(Sahih Muslim, Kitab az-Zuhd No. 3006)

Di sini juga Allah ﷻ mengajar kita supaya jangan tergesa-gesa dalam berdoa kerana ia boleh memburukkan diri kita sendiri. Sebagai contoh ibubapa janganlah mendoakan keburukan kepada anak kalau anak kita buat perangai. Jangan cepat hendak kata: “Celaka budak ni!” Sebaliknya hendaklah kita mendoakan kebaikan kepada mereka kerana kita tidak tahu bilakah doa kita akan dimakbulkan.

Alangkah ruginya kalau waktu kita katakan yang buruk kepada anak kita, dan Allah ﷻ makbulkan doa itu? Atau kepada diri kita sendiri jangan kita laju sahaja mulut memburukkan diri seperti kita kata, “Matilah aku…..!”. Sebaliknya bercakaplah doa yang baik-baik sahaja. Manusia ini bersifat tergesa-gesa kerana tidak tahu mana yang baik dan mana yang buruk. Ini Allah ﷻ sebut di dalam Baqarah: 216

وَعَسىٰ أَن تَكرَهوا شَيئًا وَهُوَ خَيرٌ لَّكُم ۖ وَعَسىٰ أَن تُحِبّوا شَيئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُم ۗ وَاللَّهُ يَعلَمُ وَأَنتُم لا تَعلَمونَ

dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

Meraih Keseimbangan Hidup Dalam Menghadapi Ketidakpastian (Tafsir Al-Baqarah: 216) - Syarif.id

Keranalah itu kebanyakan kita laju sahaja meminta itu dan ini tanpa memikirkan kesannya. Allah ﷻ sebut tentang hal ini di dalam Isra’: 11

وَيَدعُ الإِنسانُ بِالشَّرِّ دُعاءَهُ بِالخَيرِ ۖ وَكانَ الإِنسانُ عَجولًا

Dan manusia doa untuk kejahatan sebagaimana dia berdoa untuk kebaikan. Dan adalah manusia bersifat tergesa-gesa.

Manakala Allah ﷻ sebut juga di dalam Anbiya’: 37 sifat manusia yang buruk ini:

خُلِقَ الإِنسٰنُ مِن عَجَلٍ ۚ سَأُوريكُم آيٰتي فَلا تَستَعجِلونِ

Manusia telah dijadikan (bertabiat) tergesa-gesa. Kelak akan Aku perlihatkan kepadamu tanda-tanda azab-Ku. Maka janganlah kamu minta kepada-Ku mendatangkannya dengan segera.

Kenapa pula kita hendak kelam kabut mendoakan yang buruk-buruk? Sedangkan apa yang terjadi kepada kita adalah baik-baik belaka. Asalkan kita faham maksud syukur dan sabar dan menggunakannya di waktu yang perlu, seperti sabda Rasulullah ﷺ:

عَنْ صُهَيْبٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

Daripada Shuhaib berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Sungguh mengagumkan urusan orang mukmin, sesungguhnya semua urusannya baik baginya, yang demikian itu tidaklah dimiliki seorang pun kecuali hanya orang yang beriman. Jika mendapat kebaikan (kemudian) dia bersyukur, maka itu merupakan kebaikan baginya, dan jika keburukan menimpanya (kemudian) dia bersabar, maka itu merupakan kebaikan baginya.”

(Sahih Muslim No. 5318)

IMG_20230605_195408_473

Sekiranya kita bersyukur apabila mendapat nikmat, maka kita akan beroleh pahala, malah pahala itu lebih hebat daripada nikmat itu. Manakala jika kita mendapat musibah, bersabarlah. Dengan sabar itu kita beroleh pahala pula. Dapat senang boleh jadi pahala, dapat masalah pun boleh jadi pahala juga! Maka bersabarlah walaupun orang yang kita sayang diambil oleh Allah ﷻ seperti disebut di dalam satu hadith yang telah diriwayatkan daripada daripada Usamah bin Zaid رضی اللہ عنھما, katanya:

Ketika kami sedang bersama Nabi ﷺ, datang seorang utusan daripada salah seorang anak perempuan Baginda yang memanggilnya untuk datang kepada anaknya (cucu Baginda) yang hampir meninggal. Maka Nabi ﷺ bersabda kepadanya:

ارْجِعْ إِلَيْهَا فَأَخْبِرْهَا أَنَّ لِلَّهِ مَا أَخَذَ وَلَهُ مَا أَعْطَى، وَكُلُّ شَيْءٍ عِنْدَهُ بِأَجَلٍ مُسَمًّى، فَمُرْهَا فَلْتَصْبِرْ وَلْتَحْتَسِبْ

Kembalilah kepada dia dan beritahulah dia bahawasanya kepunyaan Allahlah semua yang Dia ambil dan apa yang Dia beri, dan segala sesuatu di sisi-Nya telah ditentukan tempoh waktunya. Maka perintahkanlah agar hendaklah dia bersabar dan mengharapkan pahala.”

(Muttafaqun alaih)

Maka sifat tidak terburu-buru (dipanggil sifat الأَنَاةُ) perlu dibentuk dalam diri kita. Rasulullah ﷺ pernah memuji seorang sahabat yang datang dari Oman untuk bertemu baginda di Madinah. Apabila sampai, beliau tidak terus berjumpa baginda tetapi mengambil masa untuk membersihkan dirinya terlebih dahulu. Rasulullah ﷺ bersabda kepadanya,

إِنَّ فِيكَ خَصْلَتَيْنِ يُحِبُّهُمَا اللَّهُ الحِلْمُ، وَالأَنَاةُ

“Sesungguhnya pada dirimu ada dua perangai yang Allah cintai iaitu mudah memaafkan dan tidak terburu-buru.”

(At-Tirmidzi No. 2011)

Disahihkan oleh Al-Albani رحمه الله

Apakah yang akan terjadi sekiranya Allah ﷻ memakbulkan doa-doa mereka ini yang meminta keburukan disegerakan itu? Sebagai contoh, kalau Allah ﷻ makbulkan doa mereka yang mahu dimatikan sahaja, entah berapa ramai manusia akan mati begitu sahaja, bukan? Akan tetapi disebabkan oleh rahmat Allah ﷻ, Allah ﷻ tidak makbulkan. Ini kerana apa yang mereka minta itu bukanlah mereka benar-benar hendakkan keburukan itu. Mereka minta dalam keadaan tidak sedar. Mulut sahaja cakap begitu.

Selain daripada itu, perkataan الشَّرَّ juga boleh ditafsirkan sebagai ‘kesan buruk’ daripada dosa yang dilakukan oleh manusia. Kalaulah Allah ﷻ terus beri azab kepada manusia di atas dosa mereka, tentulah tidak ada lagi tinggal manusia di dunia ini.

Sebagai contoh, kalau ada yang membuat dosa besar dan dia dihukum dengan dimatikan terus, entah berapa ramai orang yang akan mati. Siapa pula yang akan tinggal di dunia ini? Ataupun, kalau ada yang berkata tidak benar dan Allah ﷻ kelukan lidahnya, entah berapa orang yang tidak dapat bercakap-cakap atau menjadi bisu terus. Maka sebab itulah Allah ﷻ tidak mempercepatkan balasan azab kepada dosa yang manusia lakukan.

 

اسْتِعْجَالَهُم بِالْخَيْرِ

seperti permintaan mereka untuk menyegerakan kebaikan,

Dalam kita meminta doa kepada Allah ﷻ untuk kebaikan, kita sentiasa mahu Allah ﷻ segera berikan kebaikan itu kepada kita. Bagaikan tidak sabar-sabar hendak dapat. Kalau boleh, dimakbulkan pada waktu itu juga.

Bagaimanakah kalau Allah ﷻ mempercepatkan balasan azab atau Allah ﷻ memperkenankan doa manusia untuk keburukan orang lain sebagaimana mereka mahukan kebaikan diberikan segera kepada mereka? Tentulah habis manusia di alam ini.

Alam ini tidak memerlukan manusia. Maknanya, kalaulah manusia pupus, tidak ada seorang pun, alam ini masih masih boleh berfungsi. Manusia adalah satu-satunya makhluk yang tidak diperlukan di alam ini. Daripada kajian saintis, kalau ada binatang-binatang atau serangga yang pupus, tentu ada kesan kepada flora dan fauna dalam alam ini. Namun, sekiranya manusia tidak ada, tidak ada apa-apa kesan pun.

Daripada ayat ini juga mengajar kita yang Allah ﷻ selalunya memberi balasan baik kepada manusia dengan cepat. Namun untuk balasan yang buruk, selalunya Allah ﷻ tangguh. Salah satu Al-Asmā’ al-Ḥusnā (nama-nama Allah Yang Maha Terbaik) adalah Al-Ḥalīm. Secara bahasa, Al-Ḥalīm memiliki makna, antara lain, “tidak buru-buru.” Menurut penuturan Syaikh As-Sa’di رحمه الله, Al-Ḥalīm adalah yang memiliki sifat penyantun yang sempurna, yang sifat santun-Nya juga meliputi orang-orang kafir dan ahli maksiat. Dia menahan hukuman-Nya untuk segera ditimpakan kepada orang-orang yang berbuat zalim dengan memberi mereka waktu untuk bertaubat.

 

لَقُضِيَ إِلَيْهِمْ أَجَلُهُمْ

pastilah diakhiri umur mereka.

Sekiranya disegerakan keburukan kepada manusia, tentulah tidak ada manusia yang hidup di dunia ini, kerana ajal mereka akan disampaikan. Tentu manusia akan rosak binasa kerana dosa-dosa yang mereka telah lakukan dan kerana doa-doa mereka untuk keburukan diri sendiri dan keburukan orang lain tu dimakbulkan Allah ﷻ. Tentulah semua manusia akan mati.

Namun, seperti yang telah disebut, Allah ﷻ tidak buat begitu. Allah ﷻ sanggup beri tangguh kepada kita, beri peluang untuk kita bertaubat. Allah ﷻ sebut di dalam Fatir: 45

وَلَو يُؤاخِذُ اللهُ النّاسَ بِما كَسَبوا ما تَرَكَ عَلىٰ ظَهرِها مِن دابَّةٍ وَلٰكِن يُؤَخِّرُهُم إِلىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى

Dan kalau sekiranya Allah menyeksa manusia disebabkan usahanya, nescaya Dia tidak akan meninggalkan di atas permukaan bumi suatu makhluk yang melata pun akan tetapi Allah menangguhkan (penyeksaan) mereka, sampai waktu yang tertentu;

 

فَنَذَرُ الَّذِينَ لَا يَرْجُونَ لِقَاءَنَا

Maka Kami biarkan orang-orang yang tidak mengharapkan pertemuan dengan Kami,

Sekali lagi Allah ﷻ menyebut tentang mereka yang tidak mengharap untuk bertemu dengan-Nya. Allah ﷻ tidak terus beri balasan kepada mereka. Allah ﷻ boleh beri tangguh kerana Allah ﷻ amat sabar. Mereka itu melakukan kesalahan yang besar maka Allah ﷻ suruh kita tinggalkan mereka, jangan hiraukan mereka, jangan sesekali ikut mereka kerana mereka akan menerima nasib yang buruk.

 

فِي طُغْيٰنِهِمْ يَعْمَهُونَ

bergelimangan di dalam kesesatan mereka.

Allah ﷻ membiarkan mereka terus melakukan kesalahan dan dosa. Allah ﷻ tidak terus beri azab kepada mereka. Allah ﷻ tidak terus balas semasa mereka di dunia. Sebagai contoh, tidaklah orang-orang Hindu yang menyembah berhala mereka itu mati kesakitan selepas mereka memuja berhala mereka.

Orang-orang kita yang jumpa bomoh, selepas itu tidaklah mereka jatuh sakit pula. Mereka rasa macam biasa sahaja. Malah ada yang sembuh sakit mereka konon serasi dengan bomoh itu pula. Bila manusia melakukan dosa dan tidak ada apa-apa yang terjadi kepada mereka, maka mereka merasakan bahawa tidak salah apa yang mereka buat itu. Akibatnya mereka akan terus melakukan dosa tanpa rasa takut.

Musyrikin Mekah berkata kepada Nabi ﷺ, kalau betul mereka salah, maka turunkan azab kepada mereka. Seperti yang disebut dalam Maarij: 1

سَأَلَ سَائِلٌ بِعَذَابٍ وَاقِعٍ

Seseorang telah meminta kedatangan azab yang akan menimpa,

Itu bermakna, mereka sudah meminta keburukan untuk diri mereka. Namun Allah  ﷻ tidak beri. Itu adalah satu rahmat sebenarnya.

Begitu juga dalam surah Ra’d:6 telah disebut bagaimana mereka meminta dipercepatkan azab kepada mereka:

وَيَسْتَعْجِلُونَكَ بِالسَّيِّئَةِ قَبْلَ الْحَسَنَةِ وَقَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِمُ الْمَثُلَاتُ وَإِنَّ رَبَّكَ لَذُو مَغْفِرَةٍ لِّلنَّاسِ عَلَىٰ ظُلْمِهِمْ وَإِنَّ رَبَّكَ لَشَدِيدُ الْعِقَابِ

Mereka meminta kepadamu supaya disegerakan (datangnya) seksa, sebelum (mereka meminta) kebaikan, padahal telah terjadi bermacam-macam contoh seksa sebelum mereka. Sesungguhnya Tuhanmu benar-benar mempunyai ampunan (yang luas) bagi manusia sekali pun mereka zalim, dan sesungguhnya Tuhanmu benar-benar sangat keras seksa-Nya.

Lihatlah bagaimana kurang ajarnya mereka. Sepatutnya mereka meminta kebaikan dan hidayah, sebaliknya mereka meminta agar dipercepatkan azab ke atas mereka pula. Maka hendaklah kita berhati-hati dengan doa kita – jangan kita minta benda yang buruk, sebaliknya mintalah kebaikan daripada Allah ﷻ.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 27 Mei 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Yunus Ayat 6 – 9 (Bahaya tidak belajar tafsir Al-Qur’an)

Yunus Ayat 6: Sambungan lagi tentang alam sebagai penyudahan dalil yang telah disebut sebelum ini.

إِنَّ فِي اختِلٰفِ اللَّيلِ وَالنَّهارِ وَما خَلَقَ اللَّهُ فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ لَآيٰتٍ لِّقَومٍ يَتَّقونَ

Sahih International

Indeed, in the alternation of the night and the day and [in] what Allah has created in the heavens and the earth are signs for a people who fear Allah

Malay

Sesungguhnya pada pertukaran malam dan siang silih berganti, dan pada segala yang dijadikan oleh Allah di langit dan di bumi, ada tanda-tanda (yang menunjukkan undang-undang dan peraturan Allah) kepada kaum yang mahu bertaqwa.

 

إِنَّ فِي اخْتِلٰفِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ

Sesungguhnya pada pertukaran malam dan siang itu

Banyak ayat-ayat yang dimulai dengan kalimat ini kerana Allah ﷻ suruh kita lihat alam ini berkali-kali. Kalimah اخْتِلَافِ bermaksud ‘perbezaan’ iaitu apabila dua perkara berbeza antara satu sama lain. Kalimah اخْتِلَافِ juga bermaksud sesuatu yang ‘datang selepas sesuatu’;  menggantikan sesuatu. Sebagaimana juga perkataan ‘khalifah’ bermaksud seseorang yang menggantikan khalifah yang sebelumnya.

Ayat ini menerangkan bagaimana malam dan siang datangnya silih berganti selepas satu sama lain. Selepas siang maka datangnya malam dan selepas malam maka datangnya siang tanpa henti. Allah ﷻ menjadikan pertukaran ini bukan dengan tiba-tiba, tetapi secara perlahan-lahan seperti disebut dalam Yaasin: 37

وَآيَةٌ لَّهُمُ اللَّيلُ نَسلَخُ مِنهُ النَّهارَ فَإِذا هُم مُّظلِمونَ

Dan suatu tanda (kekuasaan Allah yang besar) bagi mereka adalah malam; Kami tanggalkan siang dari malam itu, maka dengan serta merta mereka berada dalam kegelapan.

Kalimah نَسلَخُ yang digunakan itu asalnya digunakan oleh orang Arab yang bermaksud menyiat atau melapah kulit binatang. Ini selalunya dilakukan dengan perlahan-lahan, bukan? Kerana kalau pertukaran siang ke malam dan malam ke siang itu berlaku dengan tiba-tiba, banyak yang pengsan agaknya sebab terkejut dan tidak sempat biasakan diri dengan perubahan itu.

Begitu juga terdapat perbezaan yang ketara antara siang dan malam. Bagaimana siang itu cerah terang benderang dan malam itu gelap gelita. Maka kerana itulah Allah ﷻ  tidak terus tukar dengan segera tetapi dilakukan secara beransur-ansur.

Dalam ayat ini ada isyarat tentang iman dalam perbezaan siang dan malam itu. Sebagaimana bezanya antara siang dan malam, begitu juga bezanya antara iman dan kufur.

 

وَمَا خَلَقَ اللَّهُ فِي السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

dan pada apa yang diciptakan Allah di langit dan di bumi,

Segala-galanya yang Allah ﷻ telah ciptakan di dalam alam ini menjadi tanda. Allah ﷻ berikan contoh penciptaan-Nya di langit dan di bumi. Lihatlah bagaimana di langit Allah ﷻ menjadikan galaksi, bintang-bintang, planet-planet, meteor-meteor dan sebagainya. Begitu juga Allah ﷻ menjadikan di langit dunia ini ada awan, ada lapisan ozon, ada air, ada pelangi dan sebagainya malah ada lagi penciptaan lain yang kita tidak tahu.

Di bumi pula berjenis-jenis kehidupan yang Allah ﷻ telah ciptakan daripada jenis tumbuh tumbuhan, binatang, manusia, batu-batuan, air dan macam-macam lagi. Tidak cukup nyawa kita untuk mengkaji semua kehidupan yang Allah ﷻ telah jadikan. Dalam kita hidup dalam zaman moden sebegini pun, masih ada lagi kehidupan lain yang kita tidak tahu. Saintis sentiasa sahaja sibuk mengkaji dan menemui kehidupan yang baru dalam alam ini. Namun malangnya ia tidak menambah iman mereka kecuali sedikit sahaja dalam kalangan mereka.

 

لَآيٰتٍ لِّقَوْمٍ يَتَّقُونَ

benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang bertakwa.

Semua penciptaan di langit dan di bumi itu adalah sebagai tanda kekuasaan Allah ﷻ. Maka sembahlah Allah ﷻ dalam akidah Tauhid kerana Dia sahaja yang menjadikan segalanya. Tidak mungkin alam yang hebat dengan segala perkiraan ini boleh dilakukan oleh lebih daripadasatu Tuhan. Kalau ramai Tuhan, maka tentu sudah berantakan alam kita ini.

Tanda itu diberitahu kepada semua, tetapi yang boleh menerima hanyalah mereka yang bertaqwa sahaja. Atau ia diberikan kepada mereka ‘mahu bertaqwa’ kerana perkataan يَتَّقُونَ itu dalam bentuk “present tense”, bermaksud ia merujuk kepada mereka yang berusaha untuk bertaqwa.

Di dalam ayat sebelum ini disebut tanda-tanda itu diberikan kepada orang yang tahu يَعلَمونَ dan sekarang disebut pula ia menjadi tanda-tanda bagi orang yang bertaqwa يَتَّقُونَ. Ini mengajar kita yang untuk menjadi orang bertaqwa, kena ada ilmu.

Taqwa itu bermaksud mereka yang menjaga hukum yang Allah ﷻ telah berikan. Orang bertaqwa akan berhati-hati dalam segenap kehidupannya untuk mengikut perintah Allah ﷻ. Mereka sedar tentang Allah ﷻ melihat setiap gerak gerinya. Dalam setiap perbuatannya, dia akan menilai sama ada perkara itu adalah halal, haram, sunat, makruh atau harus. Menurut al-Raghib al-Asfahani رحمه الله, taqwa bermaksud menjaga diri daripada perbuatan yang membuatkannya berdosa, dan hal itu adalah dengan meninggalkan apa yang dilarang, dan menjadi sempurna dengan meninggalkan sebahagian yang dihalalkan.

Pengajaran yang kita boleh ambil daripada ayat ini adalah segala penciptaan itu menjadi tanda bukan sahaja kepada mereka yang ‘mahu mengetahui’, tetapi kepada mereka yang ‘mahu bertaqwa’. Ada beza antara keduanya kerana ‘mahu tahu’ sahaja tidak cukup. Berapa ramai orang kafir yang mahu tahu tentang Islam? Mereka menghabiskan masa bertahun-tahun untuk mengkaji Islam.

Namun selepas mereka mengetahui tentang Islam, mereka tidak beriman. Mereka hanya mahu tahu dari segi akademik sahaja, bukan untuk dijadikan sebagai panduan hidup mereka. Maknanya, kalau setakat hanya ‘untuk tahu’ pun, tidak selamat lagi. Kita kena jadikan pengetahuan kita itu membawa kepada taqwa.

Semua yang Allah ﷻ jadikan di alam ini ada kegunaannya. Maka adakah kita yang dijadikan ini tidak ada guna dan tujuan? Takkan Allah ﷻ sengaja menjadikan kita tanpa sebab-sebab tertentu? Maka alam ini mengingatkan yang kita juga ada tujuan hidup iaitu untuk hanya untuk sembah Allah ﷻ sahaja, menghambakan diri kepada Allahﷻ sahaja. Ini kerana nanti akan ada masanya yang kita juga akan musnah dan akan dihadapkan di hadapan Allah ﷻ untuk menerima balasan daripada segala perbuatan kita.


 

PENENTANG KEPADA KONSEP PENCIPTAAN SEMULA

Yunus Ayat 7: Ini adalah ayat takhwif ukhrawi yang menceritakan sifat ahli-ahli neraka. Sebelum ini telah disebut tentang alam yang dicipta oleh Allah ﷻ. Sepatutnya manusia melihat segala penciptaan itu dan menggeraknya untuk mengenal Allah ﷻ dan taat kepada-Nya. Akan tetapi manusia terbahagi kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama adalah yang tidak mengendahkan segala tanda-tanda Allah ﷻ itu. Mereka tidak membuat persediaan untuk Akhirat.

إِنَّ الَّذينَ لا يَرجونَ لِقاءَنا وَرَضوا بِالحَيَوٰةِ الدُّنيا وَاطمَأَنّوا بِها وَالَّذينَ هُم عَن ءآيٰتِنا غٰفِلونَ

Sahih International

Indeed, those who do not expect the meeting with Us and are satisfied with the life of this world and feel secure therein and those who are heedless of Our signs

Malay

Sesungguhnya orang-orang yang tidak menaruh ingatan akan menemui Kami (pada hari akhirat untuk menerima balasan), dan yang redha (berpuas hati) dengan kehidupan dunia semata-mata serta merasa tenang tenteram dengannya, dan orang-orang yang tidak mengendahkan ayat-ayat (keterangan dan tanda-tanda kekuasaan) Kami, –

إِنَّ الَّذِينَ لَا يَرْجُونَ لِقَاءَنَا

Sesungguhnya orang-orang yang tidak mengharapkan pertemuan dengan Kami,

Kalimah يَرْجُونَ berasal daripada katadasar ر ج و yang bermaksud untuk berharap; jangkakan; tunggu; harapan; ketakutan; mengemis; permintaan; sempadan; sisi-sisi; menunda; menangguhkan.

Maka perkataan الرجاء ini mengandungi maksud ‘harapan’ dan juga ‘takut’. Ini salah satu contoh jenis kalimah yang ada dua makna yang bertentangan di dalam bahasa Arab. Kedua-duanya boleh digunakan kerana apabila seseorang itu mengharap kepada sesuatu tetapi di dalam masa yang sama, dia takut jikalau perkara yang diharapkannya itu tidak terjadi. Kerana jikalau seseorang itu hanya berharap sahaja, tetapi dia tidak kisah sangat kalau dia tidak mendapatnya, maka itu bukanlah الرجاء.

Ayat ini adalah tentang mereka yang tidak berharap untuk bertemu Tuhan mereka. Mereka tidak teringin untuk bertemu Allah ﷻ yang telah menjadikan mereka. Mereka tidak terfikir pun yang mereka akhirnya akan bertemu dengan Allah ﷻ. Mereka tidak takut pun untuk mengadap Allah ﷻ kerana tidak pernah fikir tentang hal itu. Janganlah kita jadi begitu. Hendaklah kita setiap hari berdoa untuk bertemu dengan Allah ﷻ. Takkan kita tidak teringin hendak bertemu dengan Allah ﷻ yang telah menjadikan kita? Dan hendaklah kita fikir, nanti aku jumpa Allah ﷻ apa yang aku hendak jawab kalau Allah ﷻ tanya aku kenapa buat itu dan ini?

Oleh itu ingat, perkataan الرجاء bermaksud ‘harap’ dan ‘takut’. Daripada makna ‘takut’ itu juga, perkataan لَا يَرْجُونَ dalam ayat ini juga membawa maksud mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah mereka yang tidak takut untuk bertemu dengan Allah ﷻ. Apabila mereka tidak takut untuk bertemu dengan Allah ﷻ, maka mereka tidak takut untuk melakukan apa sahaja semasa di dunia ini, termasuk melakukan dosa.

Kerana itulah kita nampak ramai dalam kalangan orang-orang Islam sendiri yang berbuat dosa seperti dosa-dosa itu tidak ada makna. Oleh itu, ayat ini adalah tentang mereka yang tidak mengharapkan balasan baik yang dijanjikan oleh Allah ﷻ dan tidak takut kepada janji-janji azab daripada Allah ﷻ jikalau mereka melakukan dosa.

Ayat ini juga tentang orang-orang yang tidak menaruh harapan untuk bertemu dengan Allah ﷻ. Kenapakah mereka sampai jadi begitu sekali? Ini adalah kerana Allah ﷻ telah mengunci mati hati mereka daripada mempunyai perasaan begitu. Ini bermakna, mereka ini Allah ﷻ telah menutup hati mereka daripada menerima hidayah. Seperti yang Allah ﷻ telah sebut di dalam Baqarah: 7

خَتَمَ اللَّهُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ وَعَلَىٰ سَمْعِهِمْ وَعَلَىٰ أَبْصَارِهِمْ غِشَاوَةٌ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Allah telah mengunci-mati hati dan pendengaran mereka, dan penglihatan mereka ditutup. Dan bagi mereka seksa yang amat berat.

Apabila telah dikunci mati hati, walaupun datang hidayah kepada mereka, mereka tidak nampak dan mereka tidak terima. Kenapakah pula Allah ﷻ kunci mati hati mereka? Tidakkah ini seperti berlaku kejam kepada mereka? Kita kena tahu bahawa mereka ini tidaklah dikunci hati mereka dari mula lagi.

Mereka ini adalah orang-orang yang telah diberi peringatan dan ajakan Tauhid berkali-kali tetapi setiap kali diajak mereka akan menolak dan tidak mahu mendengar kebenaran. Apabila sudah banyak kali menolak kebenaran yang disampaikan kepada mereka, maka barulah Allah ﷻ menutup hati mereka daripada menerima hidayah kerana Allah ﷻ sudah membuat keputusan untuk memasukkan mereka ke dalam neraka.

Ini adalah satu perkara yang amat menakutkan sekali kerana perkara ini bukan hanya terjadi kepada orang-orang yang kafir sahaja, tetapi boleh terjadi juga kepada orang-orang yang pada zahirnya Muslim dan mengaku beragama Islam, melakukan ibadat-ibadat Islam tetapi dalam masa yang sama mereka menolak ayat-ayat Al-Qur’an (sedar atau tanpa sedar).

Apabila Allah ﷻ sudah mengunci mati hati seseorang itu, maka tidak ada keinginan di dalam hatinya untuk meminta ampun. Walaupun mereka telah melakukan kesalahan, tetapi mereka tidak teringat untuk meminta ampun di atas dosa-dosa mereka. Padahal Allah ﷻ telah beritahu kepada kita bahawa Dia Maha Pengampun.

Kalau kita meminta ampun kepada Allah ﷻ, sudah tentu Allah ﷻ akan mengampunkan dosa-dosa kita. Tetapi mereka yang telah dikunci mati hati mereka, langsung tidak teringat untuk meminta ampun kepada Allah ﷻ dan kerana itu, dosa mereka tidak diampuni. Allah ﷻ tidak timbulkan keinginan itu dalam hati mereka. Oleh itu, jikalau hati kita masih lagi terdetik untuk meminta ampun kepada Allah ﷻ, maka ketahuilah bahawa itu adalah rahmat yang amat besar daripada Allah ﷻ. Itu bermakna, Allah ﷻ tidak kunci mati hati kita.

Ayat ini banyak berulang-ulang dalam surah ini nanti. Kerana ini adalah satu ayat yang penting.

 

وَرَضُوا بِالْحَيَوٰةِ الدُّنْيَا

dan merasa puas dengan kehidupan dunia

Yang mereka mahukan hanyalah kesenangan hidup di dunia sahaja. Mereka rasa mereka sudah cukup, sudah puas, jikalau mereka dapat hidup senang di dunia ini. Seolah-olah mereka melihat kehidupan itu hanyalah kehidupan di dunia sahaja. Mereka tidak mahu memikirkan persediaan untuk menghadapi kehidupan di akhirat nanti.

Begitulah kebanyakan manusia melebihkan dunia sahaja daripada Allah ﷻ seperti yang Allah ﷻ tegur dalam A’la: 16

بَل تُؤثِرونَ الحَياةَ الدُّنيا

Tetapi kamu memilih kehidupan duniawi.

 

وَاطْمَأَنُّوا بِهَا

serta merasa tenteram dengan kehidupan itu

Kalimah اطْمَأَنُّوا bermaksud mereka tidak mahu apa-apa lagi selain daripada dunia. Mereka tidak mengharapkan apa-apa selain daripada apa yang mereka dapat di dunia ini. Mereka tidak mengharapkan kelebihan di akhirat langsung.

Tidak salah untuk kita mencari kekayaan dan kelebihan dunia. Ia hanya salah jikalau kita berhenti setakat itu sahaja. Sepatutnya kita kena mengharap kelebihan di akhirat lebih lagi daripada kita mengharapkan kelebihan dunia. Namun ramai dalam kalangan kita yang apabila mendapat kelebihan dunia, mereka tidak mengharapkan kelebihan di akhirat pula.

Dunia ini tidak ada apa-apa sebenarnya. Mereka yang hanya mencari kesenangan dan kelebihan di dunia ini sahaja, akan merasa kosong. Jiwa mereka tidak akan puas. Walau banyak mana pun kekayaan dan kesenangan yang mereka dapat, mereka tidak akan puas. Dunia ini tidak dapat memuaskan apa yang dikehendaki oleh jiwa manusia.

Selepas mereka menikmati kesenangan yang berbagai-bagai, lama kelamaan mereka akan tertanya kepada diri mereka sendiri: “Inikah sahaja yang aku kehendaki? Inikah sahaja yang aku perlukan dalam hidup ini?” Itulah sebabnya, kita banyak dengar tentang manusia yang menghadapi Mid life crisis. Ini tandanya mereka telah merasa kosong dengan apa yang mereka telah capai.

Dari segi fizikal, mereka sudah mencapai pelbagai kejayaan, tetapi jiwa mereka rasa kosong. Mereka pun tidak tahu apa lagi yang mereka perlu buat untuk memenuhinya. Mereka memang tidak akan rasa benar-benar puas tanpa cahaya agama Islam.

Mereka yang mengisi jiwa mereka dengan ketaatan kepada Allah ﷻ, akan ada rasa satu ketenangan, rasa cukup yang tidak dapat dibayangkan dan tidak dapat dijelaskan dengan perkataan. Maka jangan kita melebihkan dunia yang tidak ada apa-apa ini seperti orang yang malang disebut dalam Takathur: 1

أَلهَٮٰكُمُ ٱلتَّكَاثُرُ

Banyak telah melalaikan kamu,

Tetapi untuk apa? Bukannya boleh kekal pun dunia ini kerana selepas itu Allah ﷻ sebut penyesalan mereka itu,

حَتّىٰ زُرتُمُ المَقابِرَ

sampai kamu masuk ke dalam kubur.

 

وَالَّذِينَ هُمْ عَنْ ءآيٰتِنَا غٰفِلُونَ

dan orang-orang yang lalai terhadap ayat-ayat Kami,

Mereka lalai untuk mempelajari ayat-ayat Allah ﷻ. Mereka tidak berasa penting untuk mengetahui apakah yang hendak disampaikan di dalam Al-Qur’an ini. Bila diajak untuk menghadiri kelas Tafsir Al-Qur’an, mereka tidak mahu datang dan bermacam alasan diberi. Kalau pergi kelas pun hanya sibuk memperbetulkan bacaan tajwid sahaja. Disebabkan itu, mereka lalai untuk taat perintah Allah ﷻ malah melakukan perkara ibadat yang tiada dalil dalam agama pula dek kerana tidak faham isi kandungan Al-Qur’an ini.

Ayat-ayat Allah ﷻ itu terbahagi kepada dua. Ada ayat-ayat yang berbentuk Al-Qur’an dan juga ada ayat-ayat yang bermaksud ‘tanda-tanda’ dalam alam ini. Apabila mereka lalai dengan tanda-tanda yang ada di dalam alam ini, mereka tidak mengambil pengajaran dengan apa-apa sahaja yang berlaku kepada mereka.

Mereka memang dapat melihat alam yang amat indah ini, namun mereka tidak berasa apa-apa, seolah-olah tidak memberi kesan terhadap diri mereka. Tidak timbul rasa kagum akan kehebatan Allah ﷻ yang menjadikan alam ini. Apabila sesuatu terjadi kepada mereka, mereka tidak berfikir bahawa itu adalah hasil perbuatan dan qada’ Allah ﷻ.

Dalam satu bahagian, mereka lalai dengan ayat-ayat Allah ﷻ dalam bentuk Al-Qur’an. Dalam bahagian yang lain pula, mereka juga tidak mengambil pengajaran daripada alam semesta yang Allah ﷻ jadikan ini. Alam yang hebat ini sepatutnya menjadi tanda kepada kita tentang kewujudan Allah ﷻ, kehebatan Allah ﷻ, tetapi mereka tidak mengambil pengajaran daripadanya.

Maka mereka tidak ada alasan lagi apabila dipersoalkan di hadapan Allah ﷻ nanti di akhirat. Kalau mereka kata Allah ﷻ tidak nampak, syurga dan neraka tidak nampak, akan tetapi tidakkah mereka nampak tanda-tanda pada alam ini dan ayat-ayat Al-Qur’an yang penuh dengan kebenaran? Alasan apa lagi yang mereka ada?


 

Yunus Ayat 8: Apakah nasib mereka nanti?

أُولٰئِكَ مَأوىٰهُمُ النّارُ بِما كانوا يَكسِبونَ

Sahih International

For those, their refuge will be the Fire because of what they used to earn.

Malay

Mereka yang demikian keadaannya (di dunia), tempat kediaman mereka (di akhirat) ialah neraka; disebabkan keingkaran dan penderhakaan yang mereka telah lakukan.

 

أُولَٰئِكَ مَأْوَىٰهُمُ النَّارُ

mereka itu tempatnya ialah neraka,

Kalimah مَأْوَ adalah tempat pulang yang akhir sekali iaitu tempat yang kekal abadi. Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.

 

بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

disebabkan apa yang selalu mereka kerjakan.

Mereka dimasukkan ke dalam neraka pun disebabkan oleh kesalahan yang mereka telah lakukan semasa di dunia. Bukan kerana sebab lain kerana Allah ﷻ tidak zalim. Bukanlah Allah ﷻ suka-suka memasukkan mereka ke dalam neraka itu.

Ayat ini juga memberitahu kepada kita bahawa kita hanya dibalas dengan usaha-usaha yang kita lakukan semasa di dunia. Oleh itu tidak ada ‘konsep sedekah’ dan ‘hadiah pahala’ seperti yang difahami oleh kebanyakan masyarakat Islam sekarang.

Amatlah banyak ayat-ayat sebegini dalam Al-Qur’an ini. Namun mereka yang tidak belajar tidak akan tahu. Mereka yang kata pahala boleh sampai, hanyalah menggunakan hujah akal sahaja dan hujah manusia sahaja. Padahal Al-Qur’an dengan jelas mengatakan yang kita hanya mendapat apa yang kita usahakan sahaja. Bukan atas usaha orang lain.


 

DIPIMPIN OLEH IMAN

Yunus Ayat 9: Ini pula adalah ayat Tabshir Ukhrawi yang memberitahu balasan kepada orang yang baik. Selalunya selepas Allah ﷻ sebut tentang orang yang malang, kemudian Allah ﷻ sebut tentang orang yang beruntung pula. Ini adalah satu satu cara Allah ﷻ seimbangkan kisah, tidaklah sebut satu jenis sahaja. Allah ﷻ mengajar perkara yang harus dielakkan dan kemudian Allah ﷻ mengajar perkara yang harus diikuti.

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ يَهديهِم رَبُّهُم بِإِيمٰنِهِم ۖ تَجري مِن تَحتِهِمُ الأَنهٰرُ في جَنّٰتِ النَّعيمِ

Sahih International

Indeed, those who have believed and done righteous deeds – their Lord will guide them because of their faith. Beneath them rivers will flow in the Gardens of Pleasure

Malay

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Tuhan mereka akan memimpin mereka dengan sebab iman mereka yang sempurna itu. (Mereka masuk ke taman yang) sungai-sungainya mengalir di bawah tempat kediaman mereka di dalam Syurga yang penuh nikmat.

 

إِنَّ الَّذِينَ ءآمَنُوا

Sesungguhnya orang-orang yang beriman

Ini pula tentang orang-orang yang ‘beriman sempurna’. Maksud ‘beriman sempurna’ itu adalah mereka yang tidak melakukan syirik. Mereka betul-betul menyembah hanya Allah ﷻ sahaja.

Untuk mengetahui bagaimana mendapatkan iman yang sempurna ini, kenalah belajar tafsir Al-Qur’an kerana hal tentang syirik ini banyak diberitahu dalam Al-Qur’an.

 

وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ

dan mengerjakan amal-amal soleh,

Tidak cukup dengan beriman sahaja, tetapi iman itu perlu dizahirkan dengan melakukan amal ibadat juga. Jangan jadi seperti sesetengah manusia yang kata mereka beriman, tetapi amal ibadat mereka tidak buat. Kononnya mereka kata: “yang penting apa dalam hati; Allah tahu apa yang dalam hati aku”. Itu adalah kata-kata mereka yang tidak berilmu sahaja.

Apakah amal-amal yang soleh itu? Itulah amal-amal ibadat yang diajar oleh Nabi ﷺ. Bukannya amal ibadat yang bid’ah, yang bukan datang daripada Nabi ﷺ. Amal ibadah yang bid’ah, tidak ada nilai langsung, malahan akan mengundang dosa pula. Amatlah malang sekali kepada mereka yang jahil yang tidak tahu apakah maksud bid’ah itu.

Mereka terkeliru kerana mereka diajar oleh guru-guru agama yang keliru juga. Yang paling mereka keliru adalah tentang ‘Bid’ah Hasanah’. Amat banyak sekali dalam masyarakat Islam kita yang keliru tentang Bid’ah Hasanah ini. Semua mereka sangka baik mengikut penilaian akal mereka sendiri, sedangkan sepatutnya semua perkara hanya akan dianggap baik sebagaimana yang Nabi ﷺ anggap ia baik kerana kita disuruh mengikut Nabi ﷺ seperti disebut dalam Ali Imran: 31

قُل إِن كُنتُم تُحِبّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعوني

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku,

Dari segi bahasa, perkataan الصَّالِحَاتِ itu adalah jamak tetapi jamak yang sedikit. Ini memberi isyarat bahawa Allah ﷻ tidak menuntut kita berbuat amal ibadat dengan banyak sekali. Maka, kita tidak perlu buat amal ibadat dengan banyak, tetapi yang lebih penting adalah adalah melakukan amalan dengan cara yang terbaik. Daripada ’Aisyah رضی اللہ عنھا beliau mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,

أَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى أَدْوَمُهَا وَإِنْ قَلَّ

Amalan yang paling dicintai oleh Allah Ta’ala adalah amalan yang berterusan walaupun itu sedikit.

(Riwayat Muslim no. 783)

No photo description available.

Maksudnya, amal ibadat soleh itu dilakukan dengan cara terbaik dan istiqamah (berterusan). Memanglah lebih baik lagi kalau dia melakukan amalan yang terbaik dan dalam masa yang sama, lagi banyak. Yang penting, kita buatlah amal ibadat mengikut kemampuan kita.

 

يَهْدِيهِمْ رَبُّهُم بِإِيمٰنِهِمْ

mereka diberi petunjuk oleh Tuhan mereka kerana keimanannya,

Apabila seseorang itu telah mula beriman, maka Allah ﷻ akan teguhkan iman mereka dengan diberikan hidayah. Allah ﷻ akan tambah dan tambah lagi hidayah kepada mereka. Tetapi perlulah dimulai dengan adanya iman.

Orang yang sudah ada iman, apabila mereka baca dan faham Al-Qur’an, ia akan menguatkan iman mereka. Semakin baca, semakin tebal iman. Berbanding dengan orang yang tidak beriman, lagi dibaca lagi ditambah hijab bagi mereka.

Kepada mereka, Allah ﷻ akan beri ilmu kepada mereka. Bukan itu sahaja, Allah ﷻ akan beri peluang kepada mereka untuk beramal. Ini penting kerana kita boleh membuat amal ibadat dengan banyak pun kerana Allah ﷻ yang benarkan, Allah ﷻ yang dorong kita.

Ada satu lagi tafsir bagi kalimah يَهْدِيهِمْ ini. Iaitu bagi mereka yang telah beriman dan telah beramal soleh, Allah ﷻ akan pandu bawa mereka ke tempat mereka akan menerima nikmat mereka di syurga. Semua ini kerana iman mereka.

 

تَجْرِي مِن تَحْتِهِمُ الْأَنْهٰرُ

di bawah mereka mengalir sungai-sungai

Selalunya ayat yang menyebut tentang sungai-sungai ini akan menggunakan perkataan تَحْتِهِا di mana ها itu dhomir kepada ‘syurga’ – iaitu sungai-sungai itu mengalir di bawah syurga. Namun dalam ayat ini, perkataan تَحْتِهِمُ digunakan di mana هم itu merujuk kepada orang beriman yang dimasukkan ke dalam syurga.

Apakah maksud ‘sungai-sungai itu di bawah mereka’? Ia bermaksud ‘di bawah penguasaan’ mereka. Mereka boleh mengawal sungai-sungai itu. Mereka boleh arahkan sungai itu masuk rumah ikut kanan atau kiri, naik atas siling dan sebagainya. Sungguh hebat sekali!

Bayangkan kalau rumah di dunia, kita tidak ada pilihan sebegini. Kalau kita suruh tukang rumah buat longkang pun, belum tentu menepati apa yang kita hendak. Namun di syurga nanti, macam-macam kelebihan dan nikmat yang Allah ﷻ akan berikan. Ini kerana mereka telah berkorban semasa di dunia, maka Allah ﷻ balas di akhirat nanti dengan berbagai-bagai nikmat.

Allah ﷻ banyak kali menyebut tentang sungai-sungai di dalam Al-Qur’an sebagai motivasi kepada kita untuk beriman dan beramal. Ini kerana manusia memang sukakan air seperti sungai. Ramai yang suka berkelah di sungai tetapi kena pergi jauh sebab sungai selalunya jauh dari tempat tinggal kita. Apatah lagi orang Arab yang tinggal di padang pasir mungkin tidak pernah melihat sungai pun, hanya sekadar mendengar tentang sungai sahaja. Maka Allah ﷻ hendak menarik perhatian manusia. Di sini tidak disebut apakah jenis sungai itu tetapi disebut di dalam ayat yang lain iaitu Muhammad: 15

فيها أَنهارٌ مِّن مّاءٍ غَيرِ ءآسِنٍ وَأَنهٰرٌ مِّن لَّبَنٍ لَّم يَتَغَيَّر طَعمُهُ وَأَنهٰرٌ مِّن خَمرٍ لَّذَّةٍ لِّلشّٰرِبينَ وَأَنهٰرٌ مِّن عَسَلٍ مُّصَفًّى

ada sungai-sungai daripada air yang tiada berubah rasa dan baunya, sungai-sungai daripada air susu yang tidak berubah rasanya, sungai-sungai daripada khamr yang lazat rasanya bagi peminumnya dan sungai-sungai daripada madu yang disaring

 

فِي جَنّٰتِ النَّعِيمِ

di dalam syurga yang penuh kenikmatan.

Kalimah النَّعِيمِ dari segi sorof bermaksud ‘nikmat yang tidak putus-putus’. Mereka akan berterusan mendapat nikmat yang berbagai-bagai sampai bila-bila.

Sebenarnya, di dunia ini lagi kita sudah dapat nikmat yang tidak putus-putus. Sebagai contoh, matahari yang naik setiap hari tanpa henti itu pun adalah sebuah nikmat yang berterusan tidak putus-putus bagi kita. Setiap hari kita mendapat nikmat itu sampaikan kita tidak perasan yang ia adalah satu nikmat.

We always take things for granted (Kita selalu mengambil mudah di atas sesuatu perkara) sebab hari-hari ia terjadi. Kita tidak terpegun pun melihat matahari; tidaklah kita melihat matahari naik, sampaikan kita berkata: “Ma sha Allah! Subhanallah, cantiknya matahari ini!”. Tidak, bukan?

Sekarang dalam ayat ini, Allah ﷻ beritahu kepada kita bahawa di syurga nanti kita akan diberikan dengan nikmat yang tidak putus-putus. Kita akan mendapat nikmat itu sampai bila-bila. Adakah perasaan kita dengan nikmat yang Allah ﷻ berikan di syurga itu nanti sama seperti perasaan kita dengan nikmat tidak putus-putus yang Allah ﷻ telah berikan di dalam dunia ini?

Sedangkan beberapa tahun sahaja kita hidup di dunia, kita sudah tidak merasa apa-apa dengan nikmat-nikmat itu, bagaimana pula kalau kita mendapat nikmat itu lebih lama lagi di syurga nanti? Ini akan dibincangkan dalam ayat seterusnya.

Namun begitu untuk mendapat semua ini mestilah ada sifat-sifat taqwa. Sifat mereka ini disebut dalam Al-Qur’an untuk kita contohi. Antaranya disebut dalam Ali Imran: 134-136

الَّذينَ يُنفِقونَ فِي السَّرّاءِ وَالضَّرّاءِ وَالكٰظِمينَ الغَيظَ وَالعافينَ عَنِ النّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ المُحسِنينَ

Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;

وَالَّذينَ إِذا فَعَلوا فٰحِشَةً أَو ظَلَموا أَنفُسَهُم ذَكَرُوا اللَّهَ فَاستَغفَروا لِذُنوبِهِم وَمَن يَغفِرُ الذُّنوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَم يُصِرّوا عَلىٰ ما فَعَلوا وَهُم يَعلَمونَ

Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).

Apabila ada sifat-sifat itu, barulah boleh berangan untuk mendapat nikmat daripada Allah ﷻ seperti disebutkan selanjutnya,

أُولٰئِكَ جَزاؤُهُم مَّغفِرَةٌ مِّن رَّبِّهِم وَجَنّٰتٌ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ خٰلِدينَ فيها ۚ وَنِعمَ أَجرُ العٰمِلينَ

Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan daripada Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal. 

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 2 Oktober 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah