Tafsir Surah Yunus Ayat 32 – 36 (Tiada percanggahan dalam Al-Qur’an)

Yunus Ayat 32:

فَذٰلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُمُ الحَقُّ ۖ فَماذا بَعدَ الحَقِّ إِلَّا الضَّلالُ ۖ فَأَنّىٰ تُصرَفونَ

Sahih International

For that is Allah , your Lord, the Truth. And what can be beyond truth except error? So how are you averted?

Malay

Maka yang demikian (sifatNya dan kekuasaanNya) ialah Allah, Tuhan kamu yang sebenar-benarnya; sesudah nyatanya sesuatu yang betul dan benar, maka tidakkah yang lain daripada itu salah dan karut sahaja? Oleh itu, bagaimana kamu dapat dipesongkan dari kebenaran?

 

فَذَٰلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُمُ الْحَقُّ

Maka yang demikian (sifat-Nya dan kekuasaan-Nya) ialah Allah, Tuhan kamu yang sebenar-benarnya;

Yang boleh buat semua yang telah disebut di dalam ayat sebelum ini hanya Allah ﷻ sahaja. Allah ﷻlah Tuhan yang satu, yang bermaksud Dia lah satu-satunya Tuhan yang sebenar-benarnya dan tidak ada ilah yang lain. Di sini ditekankan sifat Rabb Allah iaitu Dia yang mencipta kita, mentadbir dan mengurus kita dan alam ini.

Sepatutnya apabila mereka sudah terima yang Allah ﷻlah yang memberi rezeki kepada mereka, yang menguasai pendengaran dan penglihatan mereka dan sebagainya, maka sembahlah Allah ﷻ sahaja. Kenapa kamu ragu-ragu lagi dengan Allah ﷻ? Kenapa tidak sembah dan berdoa kepada-Nya sahaja? Allah ﷻ sebut dalam Baqarah: 147

الحَقُّ مِن رَّبِّكَ ۖ فَلا تَكونَنَّ مِنَ المُمتَرينَ

Kebenaran itu adalah datangnya daripada Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu.

 

فَمَاذَا بَعْدَ الْحَقِّ إِلَّا الضَّلَالُ

sesudah nyatanya sesuatu yang betul dan benar, maka yang lain daripada itu sesat belaka.

Tuhan yang satu hanyalah Allah ﷻ dan jika kita tidak menyembah hanya kepada Allah ﷻ sahaja, maka kita akan jatuh ke dalam kesesatan yang nyata. Jika ada penyembahan kepada selain Allah ﷻ, atau meminta kepada selain Allah ﷻ, itu sudah nyata adalah kesesatan yang nyata.

Yang dimaksudkan الحَقُّ adalah sesuatu yang tetap, tidak berubah-rubah seperti Allah ﷻ itu, Muhammad ﷺ itu Rasul, syurga itu ada dan sebagainya. Lawannya adalah bathil yang berubah-rubah dan tidak tetap. Oleh kerana الحَقُّ itu tetap, maka kita boleh berpegang dengannya sampai bila-bila kerana kita tahu yang ia tidak akan berubah.

Daripada ayat ini kita tahu hanya ada dua kemungkinan sahaja, kebenaran atau kesesatan. Tidak ada antara duanya terutama sekali di dalam perkara pokok. Contohnya hanya Allah ﷻ sahaja ilah yang boleh disembah dan dianggap sebagai Tuhan. Cuma di dalam perkara furu’ sahaja dibolehkan adanya perbezaan pendapat dan telah terbuka ruang untuk berijtihad. Ini kita biarkan kepada para ulama’ yang mampu berijtihad.

 

فَأَنَّىٰ تُصْرَفُونَ

Oleh itu, bagaimana kamu boleh dipesongkan daripada kebenaran?

Sungguh hairan sekali bagaimana mereka yang tahu tentang Allah ﷻ, namun masih lagi boleh dipesongkan. Penjelasan tentang tauhid dan syirik ini sudah jelas di dalam Al-Qur’an, kenapa masih lagi boleh terpesong? Kalau tidak tahu dan tidak faham, itu hanya kerana degil sahaja lah, bukan kerana apa. Bayangkan, Musyrikin Mekah yang telah didakwah oleh Nabi Muhammad ﷺ, pendakwah yang terbaik pun mereka tetap tolak juga.

Kepada kita yang beriman ini, selepas membaca ayat ini, maka berdoalah supaya Allah ﷻ tidak memesongkan hati kita daripada iman.


 

Yunus Ayat 33: Tasliah (pujukan) kepada Nabi ﷺ.

كَذٰلِكَ حَقَّت كَلِمَتُ رَبِّكَ عَلَى الَّذينَ فَسَقوا أَنَّهُم لا يُؤمِنونَ

Sahih International

Thus the word of your Lord has come into effect upon those who defiantly disobeyed – that they will not believe.

Malay

(Sebagaimana benarnya ketuhanan itu bagi Allah sahaja) demikianlah benarnya kalimah ketetapan hukum Tuhanmu, terhadap orang-orang yang fasik kerana bahawasanya mereka tidak beriman.

 

كَذَٰلِكَ حَقَّتْ كَلِمَتُ رَبِّكَ

demikianlah benarnya kalimah ketetapan hukum Tuhanmu,

Kalimah كَذَٰلِكَ merujuk kepada apa yang terjadi kepada Musyrikin Mekah – mereka itu tahu siapa Allah ﷻ, tetapi mereka tidak menyembah-Nya sahaja.

Kalimah ketetapan Allah ﷻ bermaksud mereka itu tidak akan beriman. Maka janganlah Nabi Muhammad ﷺ bersedih hati kerana memang mereka telah ditetapkan akan kufur dengan kebenaran. Siapakah mereka itu?

 

عَلَى الَّذِينَ فَسَقُوا

terhadap orang-orang yang fasik

Orang-orang yang fasik adalah mereka yang tidak kisah batasan dalam agama. Fasik maksudnya keluar daripada ketaatan dan fasik yang terbesar adalah kufur. Mereka melanggar sahaja segala hukum kerana mereka mengikut hawa nafsu mereka. Kepada jenis mereka ini kita sudah tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Walaupun kita berikan dalil kepada mereka, mereka tetap tidak akan beriman kerana Allah ﷻ telah tetapkan hati mereka terpesong.

Kenapakah mereka jadi begitu? Kerana mereka asalnya tidak takut kepada Allah ﷻ. Apabila tidak ada rasa takut kepada Allah ﷻ, maka mereka akan menjadi fasik. Mereka juga menolak kebenaran yang sampai kepada mereka. Setelah berkali-kali mereka menolak, barulah Allah ﷻ akan beri ketetapan mereka tidak akan beriman.

 

أَنَّهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ

bahawasanya mereka tidak akan beriman.

Itulah orang-orang yang tahu kebenaran tetapi masih menolaknya. Rasulullah ﷺ sudah beri pelbagai dalil daripada Al-Qur’an dan hujah, namun mereka masih menolak. Begitu jugalah umat sekarang yang menolak kebenaran. Setelah diberi dalil daripada Al-Qur’an dan Sunnah, mereka masih mahu menggunakan pendapat guru mereka. Oleh kerana itu, Allah ﷻ akan menutup hati mereka daripada beriman. Malang sekali ramai orang sebegini dalam masyarakat kita.

Semoga kita diberikan kekuatan untuk berdakwah kepada mereka. Walaupun ramai yang sebegini namun adalah tugas kita untuk menyampaikan ajaran ini kepada mereka yang memerlukan.


 

SOALAN 2: SIAPAKAH YANG MENCIPTA?

Yunus Ayat 34: Soalan seterusnya daripada Allah ﷻ yang menjadi zajrun kepada mereka.

قُل هَل مِن شُرَكائِكُم مَّن يَبدَأُ الخَلقَ ثُمَّ يُعيدُهُ ۚ قُلِ اللَّهُ يَبدَأُ الخَلقَ ثُمَّ يُعيدُهُ ۖ فَأَنّىٰ تُؤفَكونَ

Sahih International

Say, “Are there of your ‘partners’ any who begins creation and then repeats it?” Say, ” Allah begins creation and then repeats it, so how are you deluded?”

Malay

Bertanyalah (kepada mereka wahai Muhammad): “Adakah di antara makhluk-makhluk yang kamu sekutukan dengan Tuhan itu, sesiapa yang mula menciptakan sesuatu kejadian kemudian ia mengembalikan adanya semula (pada hari kiamat)? “Katakanlah: Allah jualah yang mula menciptakan sekalian makhluk kemudian Dia mengembalikan adanya semula (untuk menerima balasan); oleh itu, mengapa kamu rela dipalingkan (kepada menyembah yang lain)?”

 

قُل هَل مِن شُرَكائِكُم مَّن يَبدَأُ الخَلقَ

Bertanyalah (kepada mereka wahai Muhammad): “Adakah di antara makhluk-makhluk yang kamu sekutukan dengan Tuhan itu, sesiapa yang mula menciptakan sesuatu kejadian

Asal ayat ini memang ditujukan kepada Nabi Muhammad ﷺ untuk sampaikan, tetapi sekarang ditujukan kepada kita pula yang mengaji Al-Qur’an ini. Kita pun boleh tanya kepada mereka yang melakukan syirik kepada Allah ﷻ dengan soalan ini:

Adakah sesiapa yang selain Allah ﷻ yang boleh memulakan penciptaan? Iaitu mencipta perkara yang tidak pernah ada lagi. Sebagaimana Allah ﷻ menjadikan alam ini tanpa ada contoh alam lain sebelum adanya alam ini. Adakah sesiapa yang mampu buat begitu selain Allah ﷻ?

Tentu tidak ada. Memang kita ada mencipta, tetapi tidak sama penciptaan kita dengan penciptaan Allah ﷻ. Segala penciptaan manusia bukanlah boleh dikatakan ‘memulakan penciptaan’. Ini kerana kita tiru sahaja apa yang telah ada. Bukan seperti kita, kalau kita merekacipta sebuah kereta, ia mengikut penciptaan alat pengangkutan yang telah ada. Begitu juga, apabila kita menghasilkan kereta itu, kita memerlukan besi yang Allah ﷻ ciptakan, getah yang Allah ﷻ ciptakan dan macam-macam lagi. Maknanya, bukanlah kita cipta dengan sendiri, tetapi kita menggunakan ciptaan Allah ﷻ.

 

ثُمَّ يُعِيدُهُ

kemudian dia mengembalikan adanya semula (pada hari kiamat)?

Adakah ada tuhan selain Allah ﷻ yang boleh memulakan kembali proses kejadian itu? Iaitu apabila makhluk itu mati, Allah ﷻ boleh menjadikan semula makhluk itu. Adakah selain Allah ﷻ yang boleh buat begitu? Tentu tidak. Allah ﷻ sahaja yang boleh memulakan kembali kehidupan selepas kiamat nanti.

 

قُلِ اللَّهُ يَبْدَأُ الْخَلْقَ

“Katakanlah: Allah jualah yang mula menciptakan sekalian makhluk

Hanya Allah ﷻ sahaja yang boleh buat penciptaan yang mula-mula sekali. Kita tidak mampu mencipta sebagaimana Allah ﷻ cipta.

Dalam ayat sebelum ini Musyrikin Mekah itu jawab sendiri. Namun kali ini Allah ﷻ suruh Nabi Muhammad ﷺ yang jawab kerana ada perkara yang mereka tidak terima. Mereka terima yang Allah ﷻ yang menjadikan, tetapi mereka tidak mahu terima yang Allah ﷻ akan menghidupkan kembali makhluk yang telah lama mati.

 

ثُمَّ يُعِيدُهُ

kemudian Dia mengembalikannya semula;

Hanya Allah ﷻ sahaja yang boleh menghidupkan semua makhluk yang telah mati. Tidaklah susah untuk Allah ﷻ menjadikan semula penciptaan kerana Dia juga yang menjadikan penciptaan itu pada pertama kali. Sekiranya Allah ﷻ boleh mencipta untuk kali pertama, tentulah Allah ﷻ juga boleh menjadikannya semula. Tentulah lebih mudah bagi Allah ﷻ kalau kita fikirkan.

Kalau dalam ayat 31 sebelum ini telah disebut yang mereka pasti akan jawab Allah ﷻlah yang beri rezeki dan sebagainya (فَسَيَقُولُونَ اللَّهُ). Akan tetapi soalan di sini tidak disebut jawapan mereka. Ini kerana Musyrikin Mekah itu iktiraf yang Allah ﷻ yang menciptakan, beri rezeki dan sebagainya, tetapi mereka tidak boleh terima tentang kehidupan semula. Malah mereka berhujah dengan Nabi ﷺ tentangnya seperti disebut dalam Yaasin: 78 dan dijawab di dalam ayat selepasnya.

وَضَرَبَ لَنا مَثَلًا وَنَسِيَ خَلقَهُ ۖ قالَ مَن يُحيِي العِظٰمَ وَهِيَ رَميمٌ

Serta dia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu), dan dia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil dia bertanya: “Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?”

قُل يُحييهَا الَّذي أَنشَأَها أَوَّلَ مَرَّةٍ ۖ وَهُوَ بِكُلِّ خَلقٍ عَليمٌ

Katakanlah: “Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Dia Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakan-Nya);

 

فَأَنَّىٰ تُؤْفَكُونَ

oleh itu, mengapa kamu rela dipalingkan (kepada menyembah yang lain)?”

Kalau hanya Allah ﷻ sahaja yang boleh mencipta dan menjadikan semula, kenapa sembah selain daripada Allah ﷻ? Kenapa ada yang beramal ibadat kepada selain Allah ﷻ? Kenapalah kamu rela dipesongkan daripada kebenaran?

Agama lain walaupun mereka tidak kenal nama ‘Allah’, tetapi mereka tahu tentang ‘Tuhan yang satu’ yang menjadikan alam ini dan segala makhluk. Cuma nama Allah ﷻ sahaja mereka tidak tahu. Tanyalah kepada agama-agama lain kalau tidak percaya.

Oleh kerana itu, kenapa mereka tidak hanya sembah Tuhan yang menjadikan alam ini? Apakah kehebatan entiti-entiti yang lain sampaikan mereka hendak sembah juga? Itu adalah kerja yang bodoh.


 

SOALAN 3: SIAPAKAH YANG MEMBERI HIDAYAH?

Yunus Ayat 35: Pertanyaan ketiga. Allah ﷻ sekarang suruh manusia terus berfikir.

قُل هَل مِن شُرَكائِكُم مَّن يَهدي إِلَى الحَقِّ ۚ قُلِ اللَّهُ يَهدي لِلحَقِّ ۗ أَفَمَن يَهدي إِلَى الحَقِّ أَحَقُّ أَن يُتَّبَعَ أَمَّن لّا يَهِدّي إِلّا أَن يُهدىٰ ۖ فَما لَكُم كَيفَ تَحكُمونَ

Sahih International

Say, “Are there of your ‘partners’ any who guides to the truth?” Say, ” Allah guides to the truth. So is He who guides to the truth more worthy to be followed or he who guides not unless he is guided? Then what is with you – how do you judge?”

Malay

Bertanyalah (wahai Muhammad): “Adakah di antara makhluk-makhluk yang kamu sekutukan dengan Tuhan itu, sesiapa yang memberi petunjuk kepada kebenaran? “Katakanlah: “Allah jualah yang memberi hidayah petunjuk kepada kebenaran; (kalau sudah demikian) maka adakah yang dapat memberi hidayah petunjuk kepada kebenaran itu, lebih berhak dituruti, ataupun yang tidak dapat memberi sebarang petunjuk melainkan sesudah ia diberi hidayah petunjuk? Maka apakah alasan sikap kamu itu? Bagaimana kamu sanggup mengambil keputusan (dengan perkara yang salah, yang tidak dapat diterima oleh akal)?”

 

قُل هَل مِن شُرَكائِكُم مَّن يَهدي إِلَى الحَقِّ

Bertanyalah (wahai Muhammad): “Adakah di antara makhluk-makhluk: yang kamu sekutukan dengan Tuhan itu, sesiapa yang boleh memberi petunjuk kepada kebenaran?

Kalimah يَهْدِي dari segi bahasa literal adalah ‘menggerakkan/membawa sesuatu dari satu tempat ke tempat yang lain’. Maknanya, ada melibatkan pergerakan kerana tidak ada apa yang bergerak sendiri. Setiap benda perlu dibawa oleh sesuatu. Ini adalah pimpinan takwini, bukan syar’i. Contohnya menunjuk jalan ke arah tempat air. Allah ﷻ tanya kepada mereka: Adakah ilah yang kamu sembah boleh menunjukkan jalan? Tentu tidak sebab sekiranya berhala itu dibuat daripada batu, bukanlah ia boleh bercakap pun.

Oleh itu, hidayah adalah arahan tentang apakah yang perlu dilakukan. Allah ﷻlah yang telah memberi arahan kepada setiap kejadian. Bagaimana makhluk itu hidup dan menjalankan kehidupannya, semuanya adalah arahan Allah ﷻ. Bayi yang kecil pun sudah tahu bagaimana menyusu susu ibunya. Semua makhluk termasuklah kepada atom yang amat kecil itu pun tertakluk kepada arahan dan kehendak Allah ﷻ. Semua perlakuan makhluk telah ditetapkan oleh Allah ﷻ. Hanya Allah ﷻ yang boleh menggerakkan apa-apa sahaja.

‘Hidayah’ dalam maksud agama pula adalah membawa seseorang daripada kesesatan kepada iman. Kemudian, membawa kepada iman itu adalah dengan memberi panduan agama tentang bagaimana menjalani kehidupan kita dalam dunia ini. Adakah entiti lain yang dapat memberi arahan dan panduan tentang kebenaran?

Berkenaan hidayah ini, terdapat 5 cara manusia boleh mendapatkannya:

    1. Fitrah. Kita memang telah dibekalkan dengan pengetahuan tentang Allah ﷻ.
    2. Pendengaran dan penglihatan bagi orang yang menggunakannya untuk mencari kebenaran
    3. Akal. Sekiranya manusia menggunakan akal dengan saksama, maka mereka akan mencapai kebenaran yang dibawa oleh wahyu. Ini seperti yang disebut dalam Mulk: 10 وَقالوا لَو كُنّا نَسمَعُ أَو نَعقِلُ ما كُنّا في أَصحٰبِ السَّعيرِ (Dan mereka berkata: “Kalaulah kami dahulu mendengar dan memahami (sebagai orang yang mencari kebenaran), tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan ahli neraka”.)
    4. Ilmu. Ini boleh didapati dengan usaha untuk belajar wahyu.
    5. Taufiq. Ini hanya datang daripada Allah ﷻ sahaja. Allah ﷻ sahajalah yang boleh menarik manusia ke arah kebenaran.

 

قُلِ اللَّهُ يَهْدِي لِلْحَقِّ

“Katakanlah: “Allah jualah yang memberi hidayah petunjuk kepada kebenaran;

Sekali lagi Allah ﷻ suruh Nabi Muhammad ﷺ jawab kerana mereka tidak akan jawab. Hanya Allah ﷻ sahaja yang boleh beri hidayah kerana ilmu Allah ﷻ yang lengkap. Kita tidak ada pengetahuan sepenuhnya. Apa sahaja yang kita tahu, ia diberi oleh Allah ﷻ. Jika kita tidak tahu tanpa pengetahuan yang diberikan Allah ﷻ, bagaimana kita hendak memberi petunjuk?

Mari kita buat perumpamaan sebagai contoh. Katakan kita ada membeli sebuah alat elektrik seterika berjenama Philips contohnya, tentu kita akan rujuk kepada manual khas yang didatangkan bersama dengan seterika tersebut. Tentulah kita akan menggunakan manual daripada syarikat Philips itu, bukan? Kalau kita menggunakan manual lain daripada jenama Panasonic sudah tentu arahan di dalam manual itu tidak terpakai untuk seterika kita dan boleh mengakibatkan seterika kita itu menjadi rosak. Bukankah itu suatu kerja yang bodoh?

Begitulah perumpamaan hidayah daripada Allah ﷻ. Allah ﷻyang menjadikan kita, maka Dialah yang tahu apa yang kita perlukan. Kenapa mahu menggunakan pedoman daripada yang selain Allah ﷻ? Begitulah Allah ﷻ yang memberi petunjuk kepada kita seperti jawapan Nabi Musa عليه السلام kepada Firaun dalam Taha: 49-50

قالَ فَمَن رَبُّكُما يا موسىٰ

Firaun berkata: “Jika demikian, siapakah Tuhan kamu berdua, hai Musa?”

قالَ رَبُّنَا الَّذي أَعطىٰ كُلَّ شَيءٍ خَلقَهُ ثُمَّ هَدىٰ

Nabi Musa menjawab: “Tuhan kami ialah yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu: kejadian semulajadinya yang sesuai dengannya, kemudian Dia memberi petunjuk kepadanya akan cara menggunakannya”.

Maka, dalam hal hidayah agama, hendaklah kita mengambil panduan daripada Al-Qur’an dan sunnah, bukan daripada selain itu. Bukan juga diambil daripada kitab tulisan manusia, bukan juga dengan kata-kata ulama’ yang bertentangan daripada Al-Qur’an dan hadith.

Bukan juga kata-kata ustaz yang berdasarkan pendapatnya sahaja atau dia ambil daripada sumber yang lain daripada Al-Qur’an dan hadith. Kita hanya mengikut ulama’ dan ustaz yang memberi pengajaran kepada anak muridnya yang berdasarkan kepada panduan daripada Allah ﷻ. Panduan itu pula adalah daripada Al-Qur’an dan daripada Hadith yang sahih. Lihatlah ayat Isra’: 9

إِنَّ هٰذَا القُرآنَ يَهدي لِلَّتي هِيَ أَقوَمُ

Sesungguhnya Al Qur’an ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus

Allah ﷻ sahaja yang boleh membuka hati manusia untuk menerima hidayah. Namun kita sebagai manusia hendaklah berusaha untuk mendapatkannya. Kemudian kita sampaikan kepada orang lain dan kita hanya boleh sampaikan sahaja. Sama ada orang yang disampaikan itu beriman atau tidak, terpulang kepada Allah ﷻ. Tugas kita adalah menyampaikan dakwah tentang tauhid ini kepada manusia berkali-kali kerana kita mahu menjadi orang yang terbaik seperti sabda Rasulullah ﷺ tentang hal ini:

Daripada Uthman bin Affan رضي الله عنه, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ القُرْآنَ وَعَلَّمَهُ

“Sebaik-baik kamu adalah orang mempelajari Al-Qur’an dan mengajarkannya”.

(Riwayat al-Bukhari (5027))

Sekiranya yang diajak itu tidak mahu terima, pahala telah pasti kita dapat (walaupun mereka tidak terima). Mungkin kalau sekali sahaja kita beritahu, dia tidak dapat terima lagi, maka kita kena ulang. Akan tetapi kita tidak ada upaya untuk membuka hatinya untuk menerima hidayah itu. Allah ﷻ akan balas pahala kepada kita atas usaha dakwah kita itu, bukan atas kejayaan berapa ramai orang yang mengikut ajakan kita.

 

أَفَمَن يَهْدِي إِلَى الْحَقِّ أَحَقُّ أَن يُتَّبَعَ

maka adakah yang dapat memberi hidayah petunjuk kepada kebenaran itu, lebih berhak diturut,

Tentulah yang boleh memberi hidayah itu patut diikuti. Iaitu hendaklah kita ikut panduan yang diberikan oleh Allah ﷻ.

 

أَمَّن لَّا يَهِدِّي إِلَّا أَن يُهْدَىٰ

ataupun yang tidak dapat memberi sebarang petunjuk melainkan sesudah ia diberi hidayah petunjuk?

Takkan ada yang mendapat petunjuk sendiri melainkan diberikan dengan petunjuk. Maka hendaklah berusaha untuk mengikut orang yang sudah mendapat petunjuk. Takkan kita mahu mengikut orang yang tidak terpimpin lagi? Antaranya jangan kita ikut kebanyakan ustaz-ustaz di Malaysia ini. Mereka sendiri masih memerlukan hidayah. Mereka itu majoriti masih belum benar-benar belajar memahami tafsir Al-Qur’an, ilmu hadith masih cetek, oleh itu ilmu tentang akidah pun mereka belum benar-benar jelas dan mahir.

Mereka sendiri belum beres akan perkara asas tentang agama. Mereka pun memerlukan hidayah lagi kerana mereka sendiri belum belajar lagi tafsir Al-Qur’an dan hadith. Lalu bagaimana orang sebegini boleh kita jadikan panduan? Malangnya orang-orang beginilah yang menjadi ikutan masyarakat kita. Ramai yang sebegini menjadi terkenal sehingga ada yang taksub dengan mereka.

Sepatutnya pelajar mereka bertanya kepada mereka: “Ustaz dah belajar habis ke tafsir Qur’an 30 juzuk? Ustaz sudah belajarkah kitab-kitab hadith?” Kalau belum lagi, atau mereka kata ‘ambil sikit-sikit’, maka tahulah kita bahawa mereka itu adalah ustaz yang jahil tentang agama, dan mereka belum layak lagi mengajar manusia. Kalau mereka ajar juga, kemungkinn besar hanya membawa kepada kesesatan.

 

فَمَا لَكُمْ كَيْفَ تَحْكُمُونَ

Maka kenapakah kamu begini? Bagaimana kamu mengambil keputusan?

Kenapakah masih ramai yang belajar agama dengan ustaz yang jahil? Bagaimana kamu wahai manusia membuat keputusan dalam memilih guru? Tafsir Al-Qur’an tidak pernah belajar, ilmu hadtih jugak tidak mahir, akibatnya mereka banyak mengajar bid’ah kepada manusia kerana mereka sendiri tidak faham tentang bid’ah. Manusia yang belajar dengan mereka pun memang sudah jahil, maka mereka percaya dan hanya mendengar dan mengikut sahaja ajaran ustaz-ustaz yang jahil itu juga. Kadangkala apa yang diajar itu hanyalah amalan rekaan semata dan mengikut akal logik serta hawa nafsu sahaja.

Akibatnya, berterusanlah masyarakat kita berada di dalam keadaan jahiliyyah. Oleh sebab itulah, apabila dibawakan ajaran sunnah kepada manusia, mereka kuat menentang, kerana mereka tidak pernah dengar ajaran yang benar sebelum itu. Lebih malang lagi yang membawa ajaran sunnah itu pula yang dtuduh sebagai ajaran yang salah dan sesat kerana berbeza dengan apa yang disampaikan oleh guru dan ustaz mereka.


 

Yunus Ayat 36: Sekarang Allah ﷻ beritahu kenapa ramai manusia yang sesat.

وَما يَتَّبِعُ أَكثَرُهُم إِلّا ظَنًّا ۚ إِنَّ الظَّنَّ لا يُغني مِنَ الحَقِّ شَيئًا ۚ إِنَّ اللَّهَ عَليمٌ بِما يَفعَلونَ

Sahih International

And most of them follow not except assumption. Indeed, assumption avails not against the truth at all. Indeed, Allah is Knowing of what they do.

Malay

Dan kebanyakan mereka, tidak menurut melainkan sesuatu sangkaan sahaja, (padahal) sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan.

 

وَمَا يَتَّبِعُ أَكْثَرُهُمْ إِلَّا ظَنًّا

Dan kebanyakan mereka, tidak menurut melainkan sangkaan sahaja,

Puak pengamal syirik dan bid’ah hanya menggunakan sangkaan akal mereka sahaja. Sebagai contoh, mereka agak-agak sahaja yang mereka yang sudah mati boleh mendengar kata-kata kita. Itulah sebabnya mereka meminta tolong kepada orang mati kerana sangkaan salah mereka ini.

Adakah fahaman mereka itu berdasarkan dalil? Tidak ada. Tidak ada dalil mengatakan yang telah mati memberitahu yang mereka ada mendengar kata-kata manusia yang masih hidup. Tidak juga daripada ayat-ayat Al-Qur’an dan tidak juga daripada hadith Nabi. Padahal Al-Qur’an sendiri menyatakan bahawa mereka yang telah mati tidak dapat mendengar seperti yang disebut dalam Fatir: 22.

وَما أَنتَ بِمُسمِعٍ مَّن فِي القُبورِ

dan kamu sekali-kali tiada sanggup menjadikan orang yang di dalam kubur dapat mendengar

Kebanyakan amalan yang mereka lakukan dan fahaman mereka adalah kerana mengikut apa yang dilakukan oleh orang terdahulu sahaja. Mereka agak-agak sahaja bahawa apa yang dikatakan oleh guru-guru agama dan orang-orang terdahulu itu betul belaka. Itu adalah satu contoh sahaja, banyak lagi contoh-contoh amalan dan fahaman manusia yang berdasarkan kepada sangkaan semata-mata.

Mereka yang tidak berasa salah mengamalkan bid’ah itu adalah kerana mereka tidak tahu yang mereka sedang melanggar ayat-ayat Al-Qur’an. Ini kerana mereka sendiri tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Maka kitalah yang kena sampaikan kepada mereka. Kitalah yang kena dakwah kepada mereka.

Lagi satu hujah yang selalu digunakan mereka, adalah ikhlas. Mereka yakin bahawa sekiranya mereka ikhlas dalam mengerjakan amalan bid’ah mereka itu, maka Allah ﷻ akan terima. Sungguh lemah hujah sebegini. Kadangkala, mereka sudah tahu bahawa amalan mereka itu tidak pernah dibuat dan diajar oleh Nabi ﷺ, tetapi mereka sangka Allah ﷻ tetap akan menerima amalan mereka itu disebabkan mereka benar-benar ikhlas mengerjakannya.

Kita tidak tahu dari manakah asalnya ajaran ini. Jika ikhlas sahajalah yang menjadi syarat untuk diterima sesuatu amalan itu, maka amalan orang kafir yang ikhlas juga boleh diterima. Sebagai contoh, paderi Kristian itu ikhlas dalam menjaga agama mereka dengan amalan mereka. Mereka sanggup tidak berkahwin dan tinggal dalam gereja sahaja kerana mereka percaya apa yang mereka buat itu betul dan tentunya mereka ikhlas.

Namun tentulah amalan mereka ditolak kerana amalan itu bukanlah daripada ajaran Allah ﷻ. Bukan dengan cara yang Allah ﷻ kehendaki. Maka, jika amalan kita pun bukan daripada ajaran agama Islam, adakah kita sangka yang ia akan diterima? Tentu tidak.

Janganlah pula kita sangka kerana kita bergelar orang Islam sahaja, maka Allah ﷻ akan terima. Itu sudah mengatakan yang Allah ﷻ tidak adil di mana amalan salah orang kafir, Dia tidak terima, sebaliknya amalan salah kita, Dia kena terima pula, sebab kita orang Islam. Ingatlah bahawa Allah ﷻ Maha Adil.

 

إِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا

sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu daripada kebenaran sedikit pun.

Tidak ada nilainya sangkaan-sangkaan mereka itu. Lebih-lebih lagi jika dibandingkan dengan kebenaran. Bayangkan dalam mahkamah dunia pun tidak bernilai sangkaan seseorang. Katakanlah kita dipanggil menjadi saksi kepada seseorang yang dituduh membunuh, kita pun berkata: “Saya yakin sungguh dia orang baik, dan saya agak tentu dia tak bunuh orang itu”. Adakah hakim akan terima hujah sangkaan itu? Tentu tidak, kerana tidak bernilai langsung sangkaan dan agak-agak begitu. Samalah juga dalam hal agama.

Maka jangan berpegang dengan sangkaan semata-mata. Mestilah mendapatkan dalil daripada sesuatu fahaman atau amalan dalam agama. Kalau kita ditanya di hadapan Allah ﷻ nanti dari mana kita dapat sesuatu amalan yang kita buat itu, adakah kita sangka yang kita akan selamat dengan mengatakan yang ia adalah daripada sangkaan kita? Adakah kita sanggup untuk menjawab: “Takkanlah orang dulu-dulu nak masuk neraka?”.

Rasulullah ﷺ telah memberi nasihat tentang hal ini seperti disebut di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah رضي الله عنه. Nabi Muhammad ﷺ bersabda;

إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيثِ
“Jauhilah kamu daripada prasangka, kerana sesungguhnya prasangka itu adalah sebohong-bohong rekaan rasa hati (berita hati).”

(Mutafaqun alaihi)

Masyarakat kita terlalu bergantung kepada kata-kata manusia. Halal dan haram itu mereka tentukan dengan kata-kata orang sahaja seperti ulama’ atau asatizah. Namun kita sebagai manusia sebenarnya memerlukan dalil. Mereka berhujah mengatakan sebagai orang awam, hanya cukup bergantung kepada kata-kata ulama’. Pertama, ulama’ di mata orang awam ini adalah orang yang ‘naik mimbar’ sahaja. Maksudnya mungkin dia bukan orang alim pun, tetapi sebab dia pandai bercakap dan diberitahu tugas baca khutbah Jumaat, maka dia terus dianggap ulama’.

Keduanya, walaupun benar ia adalah kata-kata ulama’, akan tetapi ia perlu juga dilandaskan dengan dalil. Ulama’ itu sendiri kenalah memberikan dalil. Mungkin dalam masa yang singkat, ya ulama’ itu beritahu halal atau haram sahaja. Namun kemudian tugas kita yang prihatin dengan agama, kenalah periksa dan mendapatkan dalil. Teringat saya akan kata-kata arwah Tok Guru Nik Aziz رحمه الله yang lebih kurang begini: ‘Binatang seperti lembu kambing sahaja yang tidak perlukan dalil kerana mereka tidak ada kemampuan untuk memahami dalil’.

 

إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِمَا يَفْعَلُونَ

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan.

Kita tidak boleh menipu Allah ﷻ. Allah ﷻ tahu apa yang kita lakukan. Allah ﷻ tahu manakah amalan syirik dan manakah amalan bid’ah yang kita lakukan. Takkan kita mahu menggunakan hujah yang Allah ﷻ pasti akan terima amalan bid’ah dan syirik yang ikhlas?

Allah ﷻ beritahu yang Dia tahu apa yang mereka lakukan kerana hendak memberitahu yang Dia akan balas kesalahan dan kesesatan mereka itu. Mereka tidak akan dibiarkan begitu sahaja. Bersedialah untuk menerima balasannya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemasini: 8 Jun 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Senarai Amalan Bidaah Masyarakat Malaysia

Assalamualaikum,

Persoalan bidaah adalah satu perkara yang amat sensitif di negara ini. Ini adalah kerana ramai yang salah faham dengan maksud ‘bidaah’. Dan ramai pula golongan ustaz di negara ini yang membenarkan ‘bidaah Hasanah’, tanpa memahami apakah maksud ‘bidaah Hasanah’ itu sendiri.

Tujuan post ini bukanlah untuk membicarakan tentang konsep bidaah itu tapi menyenaraikan apakah amalan bidaah di negara ini. Ramai yang bertanya kalau bidaah itu salah, maka apakah amalan bidaah yang masyarakat kita buat? Maka, kita cuba senaraikan di post ini, amalan bidaah yang kita tahu setakat ini. In sha Allah kita akan tambah dari masa ke semasa, kerana amalan bidaah ini pun memang akan bertambah dari masa ke semasa.

Semoga membaca dengan hati yang terbuka.

1. Lafaz usolli dalam solat semasa memulakan solat. Samada secara jahar (kuat) atau sir (senyap) semasa mengangkat takbir.
2. Baca doa lepas iqamah
3. Salam keliling selepas solat jemaah
4. Menyanyikan Kitab Barzanji (bukannya berzanji, tapi Barzanji)
5. Maulid Nabi
6. Solat hajat
7. Talqin
8. Majlis doa selamat.
9. Majlis tahlil.
10. Baca selawat nak makan ubat.
11. Sapu muka lepas solat. Ada yang tambah lagi dengan doa masa sapu kepala dan muka.
12. Tunggu kubur selepas ada kematian
13. Nak mula bawa jenazah, baca Fatihah selangkah, kemudian baca lagi sampai tiga kali.
14. Kenduri arwah.
15. Kenduri nak pergi haji, umrah
16. Hadiah Fatihah selepas dengar ada orang mati.
17. Bayar orang untuk ganti solat si-mati. Ada juga dinamakan Solat Hadiah.
18. Bayar upah kepada orang yang solat jenazah.
19. Kenduri bubur Asyura Bulan Muharram
20. Nisfu syaaban
21. Baca sadaqallahul azim selepas baca Quran
22. Bersanding
23. Amalan ‘batal wuduk’ selepas nikah
24. Pakai benda lain selain benda manis dalam tahnik. Contohnya, garam, gula, cincin emas, cincin perak.
25. Sembelih baca selawat
26. Tawasul pada Nabi, wali dan malaikat
27. Sedekah/hadiah Fatihah kepada Nabi Muhammad atau mana-mana Nabi.
28. Marhaban.
29. Potong jambul sahaja kepada bayi yang baru lahir. Sepatutnya kena cukur habis.
30. Qasidah
31. Angkat tangan doa semasa doa khutbah Jumaat
32. Gantung ayat Quran di rumah, pejabat dan sebagainya.
33. Azan sebelum keluar rumah kepada mereka yang nak pergi haji
34. Collection kenduri kahwin.
35. Doa khusus awal dan akhir tahun.
36. Berdoa berjemaah selepas solat jemaah
37. Zikir berjemaah selepas solat jemaah.
38. Zikir/wirid dengan suara kuat selepas solat
39. Membaca selawat rekaan manusia selain daripada hadis yang sahih. Iaitu jikalau ia mengandungi elemen syirik. Sebagai contoh, Selawat Syifa’, Selawat Tafrijiyyah.
40. Bernazar selain daripada amal ibadat. Contohnya, bernazar untuk puasa boleh, sebab puasa adalah salah satu ibadat. Tapi bernazar untuk cukur kepala tidak, kerana cukur kepala bukan ibadat. Cukur kepala adalah khusus kepada Tahallul haji dan umrah sahaja.
41. Mengkhususkan baca Yaasin malam Jumaat
42. Lafaz niat puasa: nawaitu sawma ghadin…
43. Korek lubang dubur kononnya nak betul-betul bersih dari najis.
44. Peluk atau salam orang baru balik dari Mekah untuk dapat ‘berkat’.
45. Zikir ‘Allah’ sahaja. Nabi tak zikir lafaz ‘Allah’ sahaja, tapi ada lagi lafaz lain yang disebut. Contoh: Alhamdulillah, Allahu akbar dan sebagainya.
46. Melawat kubur hari raya.
47. Baca Yaasin di kubur atau ayat-ayat lain.
48. Amalan Bismillah 5,6,7,8,9
49. Beri salam pada kubur tertentu.
50. Tulis nama pada batu nesan.
51. Pacak pokok di kubur, tabur bunga, daun dan apa-apa sahaja.
52. Siram air pada kubur
53. Binaan pada kubur
54. Membaca selawat ketika bersalam
55. Memulakan sesuatu majlis dengan membaca Fatihah
56. Doa selepas solat Jenazah
57. Zikir Alih Hujan.
58. Baca selawat sebelum azan. Sepatutnya selawat dibaca selepas azan, bukan sebelumnya.
59. Amalan membaca dan menggantung Ayat Seribu Dinar
60. Baca Yaasin dan ditiupkan pada air. Selalunya diletakkan banyak botol masa baca Yaasin dilakukan di masjid dan surau-surau. Siap buka tutup botol itu kerana takut bacaan Yaasin itu ‘tidak masuk’. Mereka bawa balik rumah dan bagi anak bini minum.
61. Membaca doa khusus dalam wuduk. Ada doa semasa berkumur, basuh muka, basuh tangan dan sebagainya. Ini tidak ada dalil dari perbuatan Nabi dan sahabat.
62. Telangkup tangan semasa membaca doa semasa sampai kepada bahagian minta ditolakkan bala.
63. Membaca Yaasin kepada mereka yang nazak dan orang yang sudah mati.
64. Menggunakan tasbih dalam berzikir. Seeloknya pakai jari sahaja.
65. Berdoa kepada Rasulullah apabila sampai ke Madinah, supaya dapat melawat kubur baginda. Ini adalah syririk kerana berdoa kepada selain Allah.
66. Baca al-Mulk berjemaah selepas solat di masjid.
67. Selawat diantara solat tarawih.
68. Mandikan kereta baru dengan air solat hajat atau air yang dibaca ayat Al Quran.
69. Bacaan Yaasin 7 mubin
70. Imsak 10 sebelum azan Subuh
71. Puasa Khas Rejab, Syaaban Dan Puasa Tiga Bulan Berturut-turut

Allahu a’lam. Semoga bermanfaat. Mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan senarai ini. Jikalau tidak bersetuju, harap boleh bawakan dalil yang ianya adalah amalan dari Nabi atau Nabi pernah ajar.

Mungkin ramai yang agaknya terkejut dengan list ini. Mungkin ramai yang kata itu semua adalah bidaah Hasanah, tak salah buat. Itu adalah kata-kata mereka yang tidak faham apakah maksud ‘Bidaah Hasanah’ itu. Sedikit bacaan untuk mereka yang berkata begitu: http://www.ilmusunnah.com/abdullah-bin-masoud-membantah-bidah-hasanah/

Terlalu ramai yang jahil tentang maksud Bidaah Hasanah ini. Maka harap mereka melakukan sedikit pembacaan supaya mereka tahu.

Dalil-dalil dari Qur’an dan Sunnah tentang bahayanya bidaah. Harap dapat luangkan masa membacanya.

Senarai selawat karut yang lain: https://www.nahimunkar.org/daftar-sholawat-sholawat-bidah-tersebar-masyarakat-isinya-kebanyakan-mengandung-makna-kesyirikan-datang-hadits-hadits-dhoif-lemah/

Cara untuk mengenali mana bidaah dan mana tidak, boleh baca di sini: kaedah_kaedah_dalam_memahami_bid

Kemaskini: 25 November 2025

Tafsir Surah Yunus Ayat 29 – 31 (Musyrikin Mekah kenal Allah ﷻ)

Yunus Ayat 29:

فَكَفىٰ بِاللَّهِ شَهيدًا بَينَنا وَبَينَكُم إِن كُنّا عَن عِبادَتِكُم لَغٰفِلينَ

Sahih International

And sufficient is Allah as a witness between us and you that we were of your worship unaware.”

Malay

“(Allah mengetahui apa yang sebenarnya); oleh itu, cukuplah Allah sebagai saksi antara kami dengan kamu, bahawa sesungguhnya kami tidak menyedari pujaan atau penyembahan kamu (kepada kami)”.

 

فَكَفَىٰ بِاللَّهِ شَهِيدًا بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ

oleh itu, cukuplah Allah sebagai saksi antara kami dengan kamu,

Inilah kata-kata mereka yang disembah. Mereka menamakan Allah ﷻ sebagai saksi mereka kerana yang menyembah akan membuat bermacam alasan. Di akhirat kelak mereka tidak mengaku pula yang mereka ada menyembah selain Allah ﷻ. Maka yang menjadi saksi sebenar adalah Allah ﷻ. Hanya Allah  ﷻ sahaja yang boleh menjadi saksi kepada mereka yang disembah itu kerana mereka sudah tidak ada lagi apabila mereka disembah.

Mereka sudah lama mati dan tidak tahu pun siapa yang menyembah dan menyeru mereka. Sama seperti Nabi Muhammad ﷺ sekarang dipuja dan manusia melakukan ibadat kepada baginda, padahal baginda telah lama wafat. Begitu juga dengan Nabi Isa عليه السلام dan Nabi-Nabi yang lain. Sama juga dengan para wali seperti Syeikh Abdul Qadir Jalani, Imam Bukhari, Imam Shafie dan sebagainya. Tidak ada dalil yang mengatakan mereka boleh mendengar. Yang mendakwa orang mati boleh mendengar itu adalah golongan sesat sahaja.

Yang disembah itu tidak boleh menghalang orang yang buat ibadat kepada mereka kerana mereka sudah lama mati. Orang yang mati tidak dapat mendengar dan menegur sesiapa lagi. Mereka sudah hidup dalam alam lain yang jauh dari alam kita.

 

إِن كُنَّا عَنْ عِبَادَتِكُمْ لَغٰفِلِينَ

bahawa sesungguhnya kami tidak menyedari pujaan atau penyembahan kamu (kepada kami)”.

Ayat ini memberitahu kita bahawa mereka yang disembah itu tidak mendengar langsung seruan dan doa daripada penyembah-penyembah musyrik itu. Mereka tidak tahu pun yang mereka disembah kerana mereka tidak pernah suruh diri mereka disembah. Lihatlah Fatir: 14

إِن تَدعوهُم لا يَسمَعوا دُعاءَكُم وَلَو سَمِعوا مَا استَجابوا لَكُم ۖ وَيَومَ القِيٰمَةِ يَكفُرونَ بِشِركِكُم

Jika kamu menyeru mereka, mereka tiada mendengar seruanmu; dan kalau mereka mendengar, mereka tidak dapat memperkenankan permintaanmu. Dan di hari kiamat mereka akan mengingkari kemusyirikanmu

Di sini ditambah satu lagi maklumat: sekiranya mereka boleh mendengar pun, tidaklah mereka mampu untuk membantu apa-apa. Sia-sia sahaja penyembah itu menyeru dan memuja. Begitulah para Nabi, wali dan malaikat yang disembah akan mengatakan sedemikian. Antara kesesatan masyarakat kita adalah sedekah Fatihah kepada Nabi. Padahal Fatihah yang dihadiahkan kepada mereka, tidak sampai pun kepada mereka. Mereka tidak tahu pun ada orang hadiah Fatihah kepada mereka. Begitu juga dengan salam-salam yang diberikan kepada mereka, mereka tidak dapat mendengar langsung. Mereka sudah tidak ada kemampuan untuk berkomunikasi dengan manusia yang hidup lagi.

Dalam Ahqaf: 5 juga disebut tentang perkara ini

وَمَنْ أَضَلُّ مِمَّن يَدْعُو مِن دُونِ اللَّهِ مَن لَّا يَسْتَجِيبُ لَهُ إِلَىٰ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَهُمْ عَن دُعَائِهِمْ غَافِلُونَ

Dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang memanggil sesuatu yang lain daripada Allah, yang tidak dapat menyahut atau memberikan sebarang pertolongan kepadanya (dari dunia) hinggalah ke hari kiamat, sedang makhluk-makhluk yang mereka sembah itu tidak menyedari seruan mereka itu.

Mereka yang disembah itu tidak mendengar dan tidak dapat menyahut pun seruan yang diberikan kepada mereka. Apatah lagi untuk membantu mereka. Disambung dalam ayat 6:

وَإِذَا حُشِرَ النَّاسُ كَانُوا لَهُمْ أَعْدَاءً وَكَانُوا بِعِبَادَتِهِمْ كَافِرِينَ

Dan apabila manusia dihimpunkan (untuk dihitung amalnya pada hari akhirat), menjadilah segala yang disembah itu musuh kepada orang-orang yang menyembahnya, dan segala yang disembah itu juga tidak mengakui serta mendustakan penyembahan mereka kepadanya.

Nabi, wali dan malaikat yang disembah, dipuja, diberi salam dan dihadiahkan Fatihah itu akan menjadi musuh pula kepada yang menyembah mereka. Yang menyembah dan sedekah Fatihah itu sangka mereka akan ditolong, tetapi apa yang terjadi adalah sebaliknya.

Bayangkan dalam mahkamah, kita sangka orang yang kita selalu tegur dan berbuat baik akan menjadi saksi menyebelahi pihak kita, namun rupa-rupanya dia menjadi saksi untuk pihak pendakwaraya yang menuduh kita pula. Alangkah terkejutnya kita pada waktu itu. Itulah nanti perasaan orang-orang musyrik nanti.

Oleh itu, siapakah yang sebenarnya yang disembah? Ini diberitahu dalam Saba: 41

قَالُوا سُبْحَانَكَ أَنتَ وَلِيُّنَا مِن دُونِهِم بَلْ كَانُوا يَعْبُدُونَ الْجِنَّ أَكْثَرُهُم بِهِم مُّؤْمِنُونَ

Malaikat menjawab: “Maha Suci Engkau (daripada adanya sebarang sekutu denganMu). Engkaulah (yang kami hubungi sebagai Pemimpin dan) Pelindung kami, bukan mereka. (Tidak ada hubungan daripada pihak kami dengan mereka mengenai penyembahan mereka kepada kami), bahkan mereka adalah menyembah Jin Syaitan; kebanyakan mereka pula percaya kepada Jin Syaitan itu (sebagai sekutu Tuhan yang dipuja dan dipatuhi)”.

Malaikat digunakan sebagai contoh dalam ayat ini, kerana malaikat adalah antara golongan yang disembah selain Allah ﷻ. Rupanya yang disembah itu adalah jin syaitan rupanya. Setiap kali mereka sedekah Fatihah kepada Nabi, wali dan malaikat itu, seekor jin akan datang berdamping dengan mereka.

Apabila amalan itu berulang-ulang dilakukan, maka jin yang mendampingi mereka itu akan bertambah-tambah dan beranak pinak. Oleh itu tidak hairanlah mereka yang membuat amalan salah itu boleh melakukan dan nampak perkara-perkara pelik sehingga sesetengah dapat berdialog terus pula dengan jin. Ini semua kesan kehadiran entah berapa ratus jin ada di dalam tubuh badan mereka.

Antaranya perkara pelik yang mereka boleh buat adalah ‘scan’ jin. Tentulah mereka boleh merasai kehadiran jin kerana mereka sudah ada banyak jin dalam diri mereka. Mereka menyangka kebolehan mereka ‘scan’ itu adalah suatu kelebihan, malangnya tanpa mereka sedari yang sebenarnya itu adalah keburukan yang jelas bagi mereka. Sekiranya diperiksa amalan mereka, mesti ada banyak amalan bid’ah yang menyeru selain Allah ﷻ.


Yunus Ayat 30:

هُنالِكَ تَبلو كُلُّ نَفسٍ مّا أَسلَفَت ۚ وَرُدّوا إِلَى اللَّهِ مَولىٰهُمُ الحَقِّ ۖ وَضَلَّ عَنهُم مّا كانوا يَفتَرونَ

Sahih International

There, [on that Day], every soul will be put to trial for what it did previously, and they will be returned to Allah , their master, the Truth, and lost from them is whatever they used to invent.

Malay

Pada masa itu tiap-tiap diri dapatlah mengetahui (dan merasai) akan apa yang telah dikerjakan dan mereka dikembalikan kepada Allah Tuhan mereka yang sebenar-benarnya (yang akan membalas dengan adilnya); dan (dengan itu) hilang lenyaplah dari mereka apa yang mereka ada-adakan.

 

هُنَالِكَ تَبْلُو كُلُّ نَفْسٍ مَّا أَسْلَفَتْ

Pada masa itu tiap-tiap diri akan dihakimi akan apa yang telah dikerjakan

Kalimah هُنَالِكَ bermaksud pada ‘waktu’ itu dan pada ‘tempat’ itu. Ia merujuk kepada Hari di Mahsyar. Ia adalah hari yang amat menakutkan kerana kita tidak tahu nasib kita bagaimana. Entahkan selamat, entahkan tidak.

Kalimah تَبْلُو berasal daripada katadasar ب ل و yang antaranya bermaksud cuba, ujian. Maksudnya mereka ‘akan diadili’. Namun sebenarnya, dari segi nahu bahasa Arab, perkataan تَبْلُو itu bukanlah bermaksud ‘dia akan diadili’, tetapi bermaksud ‘dia akan mengadili sendiri’. Ini bermakna, tuan empunya Kitab Amalan akan membaca dan mengadili sendiri kedudukannya berdasarkan Kitab Amalan itu. Ini dijelaskan dalam Isra’: 13-14

وَكُلَّ إِنسَانٍ أَلْزَمْنَاهُ طَائِرَهُ فِي عُنُقِهِ وَنُخْرِجُ لَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كِتَابًا يَلْقَاهُ مَنشُورًا

Dan tiap-tiap seorang manusia Kami kalungkan bahagian nasibnya di lehernya, dan pada hari kiamat kelak Kami akan keluarkan kepadanya kitab (suratan amalnya) yang akan didapatinya terbuka (untuk di tatapnya).

اقْرَأْ كِتَابَكَ كَفَىٰ بِنَفْسِكَ الْيَوْمَ عَلَيْكَ حَسِيبًا

(Lalu Kami perintahkan kepadanya): “Bacalah Kitab (suratan amalmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala yang telah engkau lakukan)”.

Allah ﷻ suruh hamba itu membaca sendiri untuk menzahirkan keadilan-Nya. Maknanya tidak akan ada penipuan (kalau orang lain baca, mungkin dia dakwa yang baca itu salah baca). Dia sendiri akan nampak apakah amalan-amalan yang telah dilakukannya dan dia akan tahu bahawa banyak daripada amalannya yang salah. Dia akan nampak semua sekali yang telah dilakukannya. Ini seumpama anak kita melihat sendiri Kad Laporan sekolahnya banyak ditanda merah sahaja. Tentu dia sudah tahu yang dia akan gagal peperiksaan kalau begitu banyak merah, bukan?

SEMUA sekali perbuatannya semasa di dunia akan direkod. Sampai dia akan terkejut sangat seperti yang telah difirmankan oleh Allah ﷻ dalam Kahf: 49

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا

Dan “Kitab-kitab Amal” akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun.

Mereka akan kehairanan kerana perkara-perkara kecil pun tertulis juga. Kalau yang besar-besar, mungkin mereka boleh terima, namun kalau yang kecil pun ada juga, mereka berasa sungguh hairan sekali. Begitu terperinci sekali Kitab Amalan itu! Begitu terperinci sekali malaikat yang menulis amalan kita meletakkan segala perbuatan kita.

Tidak akan apapun yang akan tersembunyi pada hari itu. Seperti Allah ﷻ telah firmankan dalam Tariq: 9

يَوْمَ تُبْلَى السَّرَائِرُ

Pada hari didedahkan segala yang dirahsiakan,

Kalimah أَسْلَفَتْ bermaksud ‘yang telah dilakukan dahulu’. Ia merujuk kepada amal-amal perbuatan kita semasa di dunia. Semuanya dicatit dan tidak akan ada sedikit pun yang tertinggal.

 

وَرُدُّوا إِلَى اللَّهِ

dan mereka dikembalikan kepada Allah

Kita semua akan dikembalikan kepada Allah ﷻ untuk diadili dan kemudian proses penghakiman akan dijalankan ke atas kita semua. Tidak ada tempat transit untuk bertemu pemberi-pemberi Syafaat langsung. Ini bersalahan dengan fahaman seperti Kristian yang menyangka Nabi Isa عليه السلام akan bantu selamatkan mereka, juga para ahli tarekat yang menyangka wali atau tok guru mereka akan menjadi peguam bagi mereka untuk mempertahankan mereka. Ingatlah yang tidak ada yang akan memberi pertolongan dan perlindungan kepada kita. Semuanya akan mengadap Allah ﷻ dan kena jawab di atas segala perbuatan semasa di dunia.

 

مَوْلىٰهُمُ الْحَقِّ

Pelindung mereka yang sebenar-benarnya

Kita sepatutnya mengharap kepada Allah ﷻ sahaja kerana Dialah wali kita yang sebenarnya. Dialah sahaja yang boleh melindungi kita. Tidaklah perlu terkinja-kinja dan melambai-lambai kepada Nabi ﷺ dalam majlis Ya Hanana di stadium untuk meminta Syafaat daripada Nabi Muhammad. Sekiranya kita layak mendapat Syafaat, Allah ﷻ yang akan berikan kepada kita. Mungkin Nabi ﷺ yang akan sampaikan kepada kita, tetapi tetap keputusan itu ditentukan oleh Allah ﷻ.

Sebaliknya sekiranya tidak layak, lompatlah setinggi mana sekalipun untuk meminta kepada Nabi ﷺ yang sudah wafat itu, kita tidak akan dapat juga kerana pelindung sebenar adalah Allah ﷻ. Pemberi Syafaat adalah Allah ﷻ. Bukannya Nabi Muhammad ﷺ seperti sangkaan kebanyakan orang kita. Nabi Muhammad ﷺ hanya menyampaikan sahaja Syafaat itu.

Oleh kerana masyarakat kita jahil tentang Syafaat, maka ada golongan Habib yang mengambil peluang mengaut keuntungan dengan mengadakan majlis Selawat Perdana kononnya untuk mendapat Syafaat daripada Nabi ﷺ. Entah berapa ribu ringgit diberikan kepada mereka untuk menjadi tekong majlis bid’ah dan syirik itu.

Syirik itu adalah kerana mereka meminta Syafaat daripada Nabi ﷺ padahal yang mempunyai Syafaat mutlak adalah Allah ﷻ. Jika kita beriktikad yang Nabi Muhammad ﷺ juga mempunyai kuasa untuk menentukan siapa yang boleh diberi Syafaat, itu bermaksud kita telah meletakkan Nabi sama kedudukannya dengan Allah ﷻ dan itu adalah syirik. Sepatutnya, Allah ﷻ sahaja yang boleh menentukan siapa yang dapat syafaat, tetapi ada pula yang kata Nabi ﷺ pun mempunyai kuasa itu.

Ini semua berlaku kerana salah faham tentang wali. Mereka bermudah sahaja untuk memberi gelaran wali kepada manusia. Padahal di sini Allah ﷻ berkata Dialah wali yang sebenar. Kamu perasan sahaja ‘wali’ yang kamu lantik itu boleh membantu kamu itu dan ini, padahal entah dia pun belum tentu selamat lagi. Kalau betul dia wali pun, bukannya dia boleh menolong kamu kerana pelindung yang kamu boleh harapkan adalah Allah ﷻ semata-mata.

Kebodohan manusia pula memang tiada hadnya. Terdapat golongan di Malaysia ini, percaya pula ada wali Melayu yang menjaga Ka’bah duduk di setiap empat penjuru itu. Entah saja-saja mahu menunjukkan orang Melayu ini nampak hebat agaknya, Melayu Boleh! agaknya. Lebih melucukan lagi, puak sesat negara lain pula mendakwa tok syeikh mereka yang menjaga Ka’bah. Adakah mereka anggap wali-wali ini berebut tempat untuk menjaga Ka’bah?!

Kepercayaan ini ternyata lebih bodoh daripada Musyrikin Mekah, sebab Musyrikin Mekah yang bertahap jahiliyyah itu pun tahu yang Ka’bah itu Allah ﷻ yang jaga. Sebab itu mereka tidak hairan bila tentera Abrahah datang, sebab mereka tahu Allah ﷻ yang menjaga sendiri Ka’bah itu. Mereka pun tidaklah melantik wali mereka untuk menjaga Ka’bah (semenjak dahulu lagi mereka panggil Ka’bah sebagai Baitullah (rumah Allah)). Begitulah bodoh sangat orang kita; bila diminta dalil, dengan penuh tawaduknya mereka boleh pula cakap: “Semua ini dengan izin Allah”. Alahai, itu sahajakah hujah mereka?

Mereka sangka mereka boleh mendapat perlindungan daripada sembahan mereka itu tetapi mereka salah. Mereka tidak ada pelindung sebenarnya seperti yang Allah  ﷻ sebut dalam Muhammad: 11. Semenjak di dunia lagi Allah ﷻ tidak mahu menjadi pelindung mereka.

ذٰلِكَ بِأَنَّ اللهَ مَولَى الَّذينَ ءآمَنوا وَأَنَّ الكٰفِرينَ لا مَولىٰ لَهُم

Yang demikian itu kerana sesungguhnya Allah adalah pelindung orang-orang yang beriman dan sesungguhnya orang-orang kafir itu tidak mempunyai pelindung.

Dalam ayat ini disebut مَوْلىٰهُم (pelindung mereka). Ini bukanlah bermakna Allah ﷻ akan melindungi mereka. Namun ia bermaksud Allah ﷻ akan jadi pemilik mereka. Allah ﷻ boleh berbuat apa sahaja kepada mereka.

 

وَضَلَّ عَنْهُم مَّا كَانُوا يَفْتَرُونَ

dan (dengan itu) hilang lenyaplah dari mereka apa yang mereka ada-adakan.

Amalan-amalan bid’ah sesat yang diada-adakan oleh manusia seperti ya Hanana, sedekah pahala, beri salam, selawat rekaan, zikir rekaan dan sebagainya itu hilang lenyap. Yang disembah tidak munculkan diri untuk membantu mereka. Segala amalan mereka itu tidak ada nilai dari segi pahala. Tidak memberi manfaat kepada mereka langsung malah menjadi penyesalan kepada mereka.

Begitulah nasib malang yang mereka akan terima. Yang dipuja-puja semasa di dunia pun tidak akan membantu mereka. Sia-sia sahaja segala penat lelah mereka menyembah selain Allah ﷻ. Selesai sudah kisah di Akhirat kelak. Bagaimana nasib mereka? Allah ﷻ sebut dalam Isra’: 97

وَنَحشُرُهُم يَومَ القِيامَةِ عَلىٰ وُجوهِهِم عُميًا وَبُكمًا وَصُمًّا ۖ مَأواهُم جَهَنَّمُ ۖ كُلَّما خَبَت زِدناهُم سَعيرًا

Dan Kami akan mengumpulkan mereka pada hari kiamat (diseret) atas muka mereka dalam keadaan buta, bisu dan pekak. Tempat kediaman mereka adalah neraka jahannam. Tiap-tiap kali nyala api Jahannam itu akan padam, Kami tambah lagi bagi mereka nyalanya.

Habis Ruku’ 3 daripada 11 surah ini.


 

SOALAN KEPADA MUSYRIKIN 1: SIAPAKAH YANG MEMBERI NIKMAT?

Yunus Ayat 31: Ayat Dalil Aqli I’tirafi. Allah ﷻ mengiktiraf akidah yang benar/betul puak Musyrikin Mekah itu. Allah ﷻ bertanya tentang perkara yang memang mereka terima pun kerana memang mereka kenal Allah ﷻ sebagai Tuhan.

قُل مَن يَرزُقُكُم مِّنَ السَّماءِ وَالأَرضِ أَمَّن يَملِكُ السَّمعَ وَالأَبصٰرَ وَمَن يُخرِجُ الحَيَّ مِنَ المَيِّتِ وَيُخرِجُ المَيِّتَ مِنَ الحَيِّ وَمَن يُدَبِّرُ الأَمرَ ۚ فَسَيَقولونَ اللَّهُ ۚ فَقُل أَفَلا تَتَّقونَ

Sahih International

Say, “Who provides for you from the heaven and the earth? Or who controls hearing and sight and who brings the living out of the dead and brings the dead out of the living and who arranges [every] matter?” They will say, ” Allah ,” so say, “Then will you not fear Him?”

Malay

Bertanyalah kepada mereka (yang musyrik itu): “Siapakah Yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Atau siapakah yang menguasai pendengaran dan penglihatan? Dan siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup dari benda yang mati, dan mengeluarkan benda yang mati dari makhluk yang hidup? Dan siapakah pula yang mentadbirkan urusan sekalian alam? “(Dengan pertanyaan-pertanyaan itu) maka mereka (yang musyrik) tetap akan menjawab (mengakui) dengan berkata: “Allah jualah yang menguasai segala-galanya! “Oleh itu, katakanlah: “(Jika kamu mengakui yang demikian), maka mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?

قُلْ مَن يَرْزُقُكُم مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ

Bertanyalah kepada mereka: “Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi?

‘Mereka’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah golongan Musyrikin Mekah kerana ayat ini mula-mula diberikan kepada Musyrikin Mekah. Akan tetapi sekarang ia ditujukan kepada mana-mana musyrik termasuklah musyrik yang mengaku beragama Islam. Jangan kita sangka kita terselamat kerana kita orang Islam.

Rezeki dari langit adalah seperti air hujan dan cahaya matahari. Manakala rezeki dari bumi adalah seperti makanan daripada tumbuh-tumbuhan dan sebagainya. Kita memerlukan rezeki dari langit dan bumi ini untuk hidup. kedua-dua kita perlukan. Sebagai contoh, air hujan turun ke tanah dan kemudian naik ke atas dalam kitaran yang berterusan. Tumbuhan memerlukan air hujan dan cahaya matahari untuk membuat makanan, memerlukan simbiosi yang tetap.

Ini adalah sebagai dalil bahawa Tuhan itu satu sahaja, tidak ramai. Ini kerana kalau ada lebih daripada satu Tuhan sebagai contoh, kalau Tuhan di langit lain dan Tuhan di bumi lain, tentulah kacau bilau jadinya. Katakanlah yang di bumi memerlukan hujan, tetapi tuhan langit pula lambat beri air hujan, maka sudah tidak boleh untuk menumbuhkan tumbuhan. Maka nyatalah wujudnya hanya satu Tuhan sahaja yang dapat menjalankan sebuah simboisis yang mantap dan tersusun sekali. Hanya satu Tuhan yang sama sahaja yang mampu melakukan semua ini tanpa kacau bilau.

Maka, siapakah yang menurunkan rezeki dari langit dan mengeluarkan rezeki dari bumi? Jawabnya tentulah Allah ﷻ. Allah ﷻ meningatkan lagi di dalam Fatir: 3

يٰأَيُّهَا النّاسُ اذكُروا نِعمَتَ اللهِ عَلَيكُم ۚ هَل مِن خٰلِقٍ غَيرُ اللهِ يَرزُقُكُم مِّنَ السَّماءِ وَالأَرضِ ۚ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ ۖ فَأَنّىٰ تُؤفَكونَ

Hai manusia, ingatlah akan nikmat Allah kepadamu. Adakah pencipta selain Allah yang dapat memberikan rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Tidak ada ilah selain Dia; maka mengapakah kamu berpaling?

Dan lagi di dalam Mulk: 21

أَمَّن هٰذَا الَّذي يَرزُقُكُم إِن أَمسَكَ رِزقَهُ ۚ بَل لَّجّوا في عُتُوٍّ وَنُفورٍ

Atau siapa dia yang dapat memberi rezeki kepada kamu jika Allah menahan rezeki-Nya? (Tidak ada sesiapapun), bahkan mereka (yang musyrik itu) kekal terus dalam keadaan sombong angkuh serta melarikan diri (daripada kebenaran).

أَمَّن يَمْلِكُ السَّمْعَ وَالْأَبْصٰرَ

Atau siapakah yang memiliki pendengaran dan penglihatan?

Siapakah yang menciptakan pendengaran dan penglihatan? Yang memberikan keduanya kepada makhluk? Jika Dia mampu beri, tentulah Dia juga boleh mengambilnya semula kerana yang menciptanya juga memilikinya. Siapakahitu? Tentu Allah ﷻ!

Kita sebagai makhluk amat memerlukan kedua-dua deria itu untuk hidup dengan sempurna. Kalau kurang satu atau keduanya, memang boleh hidup, tetapi akan banyak bergantung kepada orang lain.

Kalau diperhatikan, kalimah الْأَبْصٰرَ jamak dan kalimah السَّمْعَ dalam bentuk mufrad sahaja. Mengapa dalam Al-Quran sebutan perkataan ‘pendengaran/telinga’ adalah tunggal sedangkan ‘penglihatan’ adalah jamak/banyak? Mengapa tidak disebut ‘pendengaran-pendengaran dan penglihatan-penglihatan’, atau ‘pendengaran dan penglihatan’? Allah ﷻ Yang Maha Kuasa, dengan ekspresi yang jitu menjelaskan kepada kita akan ketepatan Al-Qur’an.

Deria penglihatan boleh dikawal oleh manusia, kerana ia boleh memilih sama ada mahu melihat atau tidak. Manusia dapat memejamkan matanya untuk hal-hal yang dia tidak suka untuk melihatnya. Namun ia tidak boleh melakukan hal yang sama dengan deria pendengaran, kerana ia tidak mempunyai kawalan ke atas telinga apakah ia ingin mendengar atau tidak.

Dengan kata lain, ketika seseorang berada di sebuah bilik di mana sepuluh orang bercakap, suara mereka akan sampai ke telinganya, sama ada dia mahu mendengar atau tidak. Deria penglihatan berbeza di antara seseorang dengan yang lain; satu orang melihat sesuatu sementara yang lain melihat sesuatu yang lain kerana kelainan yang berbeza penglihatan/ pandangan, sementara orang lain menutup mata dan tidak melihat apa-apa. Untuk pendengaran, kita semua akan berkongsi mendengar suara yang sama jika kita berkumpul di satu tempat.

Oleh kerana itu mata bervariasi pandangan /penglihatan tetapi telinga tetap tunggal.

Anggota badan dan pancaindera kita ada banyak, tetapi Allah ﷻ banyak sebut tentang pendengaran dan penglihatan sahaja. Kenapa? Kerana ia adalah dua anggota dan pancaindera yang paling hebat. Dengan mata ini kita boleh lihat macam-macam; kita boleh agak orang itu jauh atau dekat, betul manusia atau tidak, suka atau gembira daripada raut wajahnya dan bermacam-macam lagi. Artificial Intelligence (AI) pun tidak mampu membuat lagi benda ini. Begitu juga dengan pendengaran, sekali dengar kita boleh agak itu bunyi apa, yang bercakap itu lelaki atau perempuan, tua atau muda dan macam-macam lagi.

Allah ﷻ hendak menunjukkan hebatnya kedua-dua pancaindera yang Dia cipta untuk kita gunakan. Selain daripada hebatnya dua pancaindera ini, ia menjadi dua saluran utama kita belajar dan mendapat ilmu. Maka gunakanlah ia dengan baik. Nikmat Allah ﷻ sudah beri, maka kena manfaatkan ke arah kebaikan.

Juga ia bermaksud Allah ﷻ memiliki pendengaran dan penglihatan untuk Diri-Nya. Yang boleh memberi pendengaran dan penglihatan kepada makhluk mestilah Diri-Nya sendiri pun mempunyai pendengaran dan penglihatan. Allah ﷻ memiliki kedua-daunnya. Bandingkan dengan tuhan berhala musyrikin Mekah. Berhala-berhala itu tidak boleh mendengar dan tidak boleh melihat. Kalau mereka pun tidak boleh mendengar dan melihat, bagaimanakah mereka boleh memberi pendengaran dan penglihatan kepada makhluk yang menyembahnya? Ini adalah sesuatu yang tidak masuk akal. Maka, siapakah yang memiliki pendengaran dan penglihatan, boleh memberinya kepada makhluk dan menguasai kedua-duanya? Jawabnya tentulah Allah ﷻ!

وَمَن يُخْرِجُ الْحَيَّ مِنَ الْمَيِّتِ

Dan siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup daripada benda yang mati,

Allah ﷻlah yang menghidupkan dengan cara mengeluarkan yang hidup daripada yang mati. Contohnya mengeluarkan anak ayam daripada telur yang mati. Begitu juga biji benih yang nampaknya mati tetapi bila ditanam boleh mengeluarkan tumbuh tumbuhan yang hidup.

وَيُخْرِجُ الْمَيِّتَ مِنَ الْحَيِّ

dan mengeluarkan benda yang mati daripada makhluk yang hidup?

Contohnya mengeluarkan telur ayam daripada ibu ayam. Ia adalah sebahagian daripada kitaran kehidupan. Yang hidup (ayam) mengeluarkan benda mati (telur) kemudian telur itu mengeluarkan benda hidup (anak ayam) yang membesar dan akhirnya mati.

Begitu juga seperti yang kita tahu, semua yang hidup akan mati termasuklah kita. Siapakah yang menentukan kematian? Adakah berhala yang mereka sembah boleh memberikan kehidupan dan boleh mematikan yang hidup? Tentu tidak. Siapakah yang boleh buat begitu? Jawabnya tentulah Allah ﷻ!

وَمَن يُدَبِّرُ الْأَمْرَ

Dan siapakah pula yang mentadbirkan urusan sekalian alam? “

Siapakah yang menguruskan segala perkara dalam alam ini daripada yang sekecil-kecilnya hingga ke yang sebesar-besarnya? Allah ﷻ tanya ini kepada Musyrikin Mekah itu. Mereka tahu jawapannya.

Perkataan الْأَمْرَ dengan huruf ال bermaksud SEMUA perkara. Allah ﷻ menguruskan kehidupan kita dan juga kehidupan makhluk yang lain dan segala yang hidup mahupun yang mati. Tidak ada selain Allah ﷻ yang uruskan. Allah ﷻ tidak serahkan tugas itu kepada sesiapa, baik Nabi, malaikat atau wali.

فَسَيَقُولُونَ اللَّهُ

maka mereka (yang musyrik) akan menjawab (mengakui) dengan berkata: “Allah jualah yang menguasai segala-galanya! “

Musyrikin Mekah pasti akan jawab semua soalan di atas adalah Allah ﷻ belaka. Mereka memang kenal Allah ﷻ sebagai Tuhan. Malah semua orang musyrik di dunia ini tahu akan perkara ini. Mereka jelas tentang Tauhid Rububiyyah. Namun bagaimana pula penganut agama yang kufur boleh jawab begitu? Sebenarnya kebanyakan agama kafir di dunia ini percaya kepada kewujudan ‘Tuhan yang satu’. Cuma sahaja mereka tidak sebut sebagai ‘Allah’.

Mereka sebenarnya tahu ada Tuhan yang bersifat seperti sifat yang telah disebut di atas. Tetapi dalam masa yang sama, mereka menyembah juga sembahan-sembahan yang lain. Ini disebut dalam Yusuf: 106

وَمَا يُؤْمِنُ أَكْثَرُهُم بِاللَّهِ إِلَّا وَهُم مُّشْرِكُونَ

Dan kebanyakan mereka tidak beriman kepada Allah melainkan mereka mempersekutukannya juga dengan yang lain.

Malah Musyrikin Mekah yang kita sering kutuk dan panggil mereka golongan Jahiliyyah itu pun kenal Allah ﷻ sebagai Tuhan sebagaimana disebut dalam Luqman: 25

وَلَئِن سَأَلتَهُم مَّن خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ لَيَقولُنَّ اللهُ ۚ قُلِ الحَمدُ ِللهِ ۚ بَل أَكثَرُهُم لا يَعلَمونَ

Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Katakanlah: “Segala puji bagi Allah”; tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.

Ayat ini bermaksud ramai dalam kalangan manusia yang percaya kepada kewujudan Allah ﷻ dan beriman kepada Allah ﷻ, namun dalam masa yang sama mereka juga menyembah selain Allah ﷻ. Tauhid Rububiyyah mereka ada, tetapi mereka ada masalah dengan Tauhid Uluhiyyah. Inilah yang banyak terjadi kepada masyarakat kita. Mereka percaya bahawa Allah ﷻ itu Tuhan yang memberi rezeki dan Allah ﷻ itu yang menguruskan segala-galanya tetapi di dalam masa yang sama mereka sembah, puja dan berdoa kepada makhluk yang lain.

Selalunya mereka sembah kepada Nabi, wali dan malaikat. Mereka buat ibadat kepada mereka dengan beri salam kepada mereka dan hadiah Fatihah kepada mereka, dan macam-macam lagi. Tujuannya adalah supaya entiti-entiti itu kenal mereka, bantu mereka, menyampaikan hajat mereka kepada Allah ﷻ. Ini adalah kerana mereka jahil dengan wahyu Al-Qur’an dan tidak belajar tafsir supaya mereka dapat faham.

فَقُلْ أَفَلَا تَتَّقُونَ

Oleh itu, katakanlah: “(Jika kamu mengakui yang demikian), maka mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?

Sekarang Allah ﷻ menempelak mereka. Kalau mereka sudah tahu yang Allah ﷻ berkuasa penuh, tanya kepada mereka mengapa mereka tidak takut kepada-Nya sahaja dan menjaga hukum yang telah diberikan oleh-Nya?

Musyrikin Mekah percaya kepada ketuhanan Allah ﷻ. Mereka tahu bahawa Allah ﷻlah yang memberi rezeki, Allah ﷻlah yang mencipta dan mengurus segala-galanya. Namun mereka menjadi musyrik kerana selain daripada menyembah Allah ﷻ, mereka juga menyembah entiti-entiti lain yang mereka anggap seperti ilah. Inilah masalah zaman berzaman.

Maka Allah ﷻ mengingatkan mereka dengan berbagai-bagai nikmat yang telah diberikan kepada manusia untuk mengingatkan mereka untuk sembah Dia sahaja. Kerana selain daripada-Nya tidak boleh buat apa-apa pun. Allah ﷻ mengingatkan perkara ini dalam Luqman: 10-11

خَلَقَ السَّمٰوٰتِ بِغَيرِ عَمَدٍ تَرَونَها ۖ وَأَلقىٰ فِي الأَرضِ رَوٰسِيَ أَن تَميدَ بِكُم وَبَثَّ فيها مِن كُلِّ دابَّةٍ ۚ وَأَنزَلنا مِنَ السَّماءِ ماءً فَأَنبَتنا فيها مِن كُلِّ زَوجٍ كَريمٍ

Dia menciptakan langit tanpa tiang yang kamu melihatnya dan Dia meletakkan gunung-gunung (di permukaan) bumi supaya bumi itu tidak menggoyangkan kamu; dan memperkembang biakkan padanya segala macam jenis binatang. Dan Kami turunkan air hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan padanya segala macam tumbuh-tumbuhan yang baik.

هٰذا خَلقُ اللهِ فَأَروني ماذا خَلَقَ الَّذينَ مِن دونِهِ ۚ بَلِ الظّٰلِمونَ في ضَلٰلٍ مُّبينٍ

Inilah ciptaan Allah, maka perlihatkanlah olehmu kepadaKu apa yang telah diciptakan oleh sembahan-sembahan(mu) selain Allah. Sebenarnya orang-orang yang zalim itu berada di dalam kesesatan yang nyata.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 7 Jun 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Yunus Ayat 26 – 28 (Melihat Allah ﷻ)

Yunus Ayat 26: Sekarang Allah ﷻ sebut tentang keadaan di syurga nanti

لِلَّذينَ أَحسَنُوا الحُسنىٰ وَزِيادَةٌ ۖ وَلا يَرهَقُ وُجوهَهُم قَتَرٌ وَلا ذِلَّةٌ ۚ أُولٰئِكَ أَصحٰبُ الجَنَّةِ ۖ هُم فيها خٰلِدونَ

Sahih International

For them who have done good is the best [reward] and extra. No darkness will cover their faces, nor humiliation. Those are companions of Paradise; they will abide therein eternally

Malay

Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.

 

لِّلَّذِينَ أَحْسَنُوا الْحُسْنَىٰ

Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik, dikurniakan ‘kebaikan’

Kalimah أَحْسَنُوا (berbuat baik) itu bermaksud, pertama sekali beriman dengan sempurna. Untuk beriman dengan sempurna, bermaksud tidak melakukan syirik. Untuk tidak melakukan perbuatan Syirik, kenalah tahu dahulu apakah maksud ‘syirik’ dan manakah perbuatan yang syirik.

Untuk mengetahui tentang syirik, maka setiap daripada kita perlulah mempelajari tafsir Al-Qur’an kerana hal berkenaan syirik ini banyak diceritakan di dalam Al-Qur’an. Janganlah kita sedap mulut sahaja berkata “Aku tidak syirik” tetapi dalam masa yang sama, tidak tahu pun tentang syirik. Bila tidak tahu, maka ada kemungkinan seseorang itu ada melakukan perbuatan syirik tanpa sedar. Itu sebab bila puak Habib buat amalan di kubur, ramai yang ikut kerana jahil tentang wahyu.

Keduanya, amalan yang dilakukan mestilah berdasarkan kepada dalil daripada Al-Qur’an dan hadith Nabi. Bukannya amalan bid’ah yang banyak dilakukan oleh masyarakat kita. Jika amalan banyak, tetapi amalannya adalah bid’ah, maka itu bukanlah amalan yang baik tetapi amalan yang mengundang dosa. Penat sahaja buat amalan itu namun akhirnya kena seksa nanti di akhirat.

Selain daripada ihsan dengan Allah ﷻ, kita juga hendaklah berlaku ihsan dengan manusia. Berbuat baik dengan mereka, bantu mereka, bergaul baik dengan mereka, dan yang paling baik adalah menyampaikan ilmu agama kepada mereka dengan memberi nasihat kepada mereka.

Maka ada dua jenis hubungan yang kita kena jaga, hablu minallah dan hablu minannas. Tali hubungan dengan dengan Allah ﷻ dan tali hubungan dengan manusia. Jangan jaga ibadat sahaja tetapi kemudian mengabaikan tanggungjawab kita dengan manusia pula.

Kepada mereka yang أَحْسَنُوا (berbuat baik) ini, mereka akan dibalas dengan الْحُسْنَىٰ iaitu kebaikan yang banyak yang bersangatan, yang bermaksud syurga. الْحُسْنَىٰ di dalam bentuk feminin kerana ia merujuk kepada الجنة yang juga di dalam bentuk feminin. Janji Allah ﷻ ini disebut lagi dalam Rahman: 60

هَل جَزاءُ الإِحسٰنِ إِلَّا الإِحسٰنُ

Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik – melainkan balasan yang baik juga?

Ahli syurga akan menikmati kenikmatan sepanjang masa. Tidak ada amal ibadat yang perlu dilakukan lagi di dalam syurga itu kerana ia adalah tempat menikmati dan memuaskan syahwat sahaja, bukan tempat buat kerja lagi. Tidak ada malam di syurga, bermaksud tidak ada tidur kerana tidak ada matahari dan bulan pun.

Kenapa tidak tidur? Ahli syurga akan sentiasa di dalam keadaan jaga kerana aktiviti kita waktu itu adalah menikmati dan memuaskan nafsu kita sahaja dan jika kita tidur, maka tidaklah dapat menikmati nikmat itu. Kita tidak akan bosan dengan nikmat yang Allah ﷻ berikan di dalam syurga itu. Sebagai contoh, kita akan makan dengan banyak sekali. Nafsu makan kita adalah sebesar nafsu makan 1,000 orang supaya kita dapat makan dengan banyak.

 

وَزِيَادَةٌ

serta tambahan lagi

Daripada balasan kebaikan yang mereka telah lakukan semasa di dunia, mereka sepatutnya hanya mendapat الْحُسْنَىٰ sahaja. Itu pun sudah besar rahmat yang kita dapat. Namun begitu dengan rahmat Allah ﷻ, Allah ﷻ beri lebih lagi daripada apa yang mereka sepatutnya terima. Itulah sebabnya Allah ﷻ sebut tentang ‘tambahan’ dalam ayat ini.

Tambahan yang dimaksudkan ini adalah ‘dapat melihat Wajah Allah ﷻ’. Mereka yang menjadi ahli syurga sahaja yang dapat melihat Allah ﷻ. Ini adalah satu nikmat yang amat-amat besar sekali. Allah ﷻ sebut dalam Qiyama: 22-23

وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَّاضِرَةٌ

Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri;

إِلَىٰ رَبِّهَا نَاظِرَةٌ

Melihat kepada Tuhannya.

Daripada Suhaib رضي الله عنه, bahawa Rasulullah ﷺ membaca ayat surah Yunus ini lalu bersabda:

إِذَا دَخَلَ أَهْلُ الْجَنَّةِ الْجَنَّةَ – قَالَ – يَقُولُ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى تُرِيدُونَ شَيْئًا أَزِيدُكُمْ فَيَقُولُونَ أَلَمْ تُبَيِّضْ وُجُوهَنَا أَلَمْ تُدْخِلْنَا الْجَنَّةَ وَتُنَجِّنَا مِنَ النَّارِ – قَالَ – فَيَكْشِفُ الْحِجَابَ فَمَا أُعْطُوا شَيْئًا أَحَبَّ إِلَيْهِمْ مِنَ النَّظَرِ إِلَى رَبِّهِمْ عَزَّ وَجَلَّ

Apabila seorang ahli syurga memasuki syurga, Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman: “Apakah kamu ingin aku tambahkan lagi nikmat kepadamu?” Mereka menjawab: “Tidakkah Engkau telah memutihkan wajah-wajah kami? Tidakkah Engkau telah memasukkan kami ke dalam syurga dan menyelamatkan kami daripada api neraka?” Lalu Allah ﷻ membuka hijab (dan menampakkan diri-Nya, dan tidaklah mereka itu diberikan sesuatu yang lebih mereka cintai berbanding nikmat melihat Tuhan mereka Allah عزَّوجل.

(Sahih Muslim (181) dan Sunan Ibn Majah (187))

Lihatlah di dalam hadith ini Rasulullah ﷺ menggunakan kalimah أَزِيدُكُمْ juga yang bermaksud tambah itu. Oleh itu, hendaklah kita berdoa setiap hari supaya kita mendapat nikmat ini. Takkan kita tidak teringin untuk melihat Allah ﷻ? Kita sepatutnya ada menyimpan niat untuk melihat Allah ﷻ yang telah menjadikan kita, yang kita puja hari-hari sepanjang hidup kita.

Tentang wajah Allah ﷻ ini, kita terima yang Allah ﷻ memang ada wajah kerana Dia sendiri sebut begitu. Tidak perlu untuk mentakwil-takwil lagi nanti akan menjadi perkara yang lain. Cuma kita kena faham yang wajah Allah ﷻ tidaklah sama dengan wajah kita. Bagaimana kita hendak tolak sedangkan ada banyak dalil tentangnya? Rasulullah ﷺ sebut wajah Allah ﷻ tetapi tidak pula baginda mengajar kita untuk mentakwil benda lain. Maka tidak perlu sibuk bersilat untuk menukar maknanya pula.

Oleh itu, terimalah sahaja yang kita boleh melihat wajah Allah ﷻ. Jangan ikut fahaman sesat Mu’tazilah yang kata kita takkan dapat melihat wajah Allah ﷻ walaupun di syurga nanti. Ini kerana mereka berdalilkan A’raf: 143

وَلَمّا جاءَ موسىٰ لِميقٰتِنا وَكَلَّمَهُ رَبُّهُ قالَ رَبِّ أَرِني أَنظُر إِلَيكَ ۚ قالَ لَن تَرىٰني

Dan ketika Nabi Musa datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku (ZatMu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihatMu”. Allah berfirman: “Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihat-Ku,

Makna huruf لن dalam ayat ini menyulitkan analisis kebanyakan ulama’ tafsir, mengingat pada asalnya huruf لن diletakkan untuk menunjukkan makna ta’bid (tidak akan boleh selama-lamanya). Kerana itulah orang-orang Mu’tazilah berpendapat bahawa melihat Dzat Allah merupakan suatu hal yang mustahil di dunia ini dan di akhirat nanti.

Akan tetapi pendapat ini sangat lemah, kerana ada banyak hadith mutawatir daripada Rasulullah ﷺ yang menyatakan bahawa orang-orang mukmin dapat melihat Allah di akhirat nanti.

 

وَلَا يَرْهَقُ وُجُوهَهُمْ قَتَرٌ

dan air muka mereka pula tidak diliputi oleh kegelapan

Allah ﷻ sebut tentang wajah kerana di wajahlah emosi kita seperti gembira akan kelihatan. Muka mereka di syurga itu akan berseri-seri. Bukan sahaja dia akan berseri-seri di syurga sahaja, tetapi dari permulaan Hari Kiamat sampailah mereka masuk ke dalam syurga. Maknanya, di Mahsyar lagi muka sudah berseri kegembiraan.

Kalimah قَتَرٌ adalah asap hitam yang keluar daripada api. Atau kita boleh katakan ia sebagai debu hitam. Maknanya, mereka akan selamat daripada api neraka dan sebab itu wajah mereka tidak hitam. Selamat daripada api neraka pun sudah dikira satu nikmat dan balasan yang besar juga.

Begitulah balasan yang mereka dapat kerana mereka dahulu takut untuk beri Allah ﷻ murka maka mereka menjaga segala tindakan mereka semasa di dunia. Ini seperti Allah ﷻ sebut dalam Insan: 10-11,

إِنّا نَخافُ مِن رَّبِّنا يَومًا عَبوسًا قَمطَريرًا

Sesungguhnya kami takut akan (azab) Tuhan kami pada suatu hari yang (di hari itu) orang-orang bermuka masam penuh kesulitan.

فَوَقٰهُمُ اللَّهُ شَرَّ ذٰلِكَ اليَومِ وَلَقّٰهُم نَضرَةً وَسُرورًا

Maka Tuhan memelihara mereka daripada kesusahan hari itu, dan memberikan kepada mereka kejernihan (wajah) dan kegembiraan hati.

 

وَلَا ذِلَّةٌ

dan tidak ada kehinaan.

Muka mereka tidak ditutupi dengan kehinaan. Malah mereka akan dimuliakan. Maknanya juga, yang selain daripada ahli syurga akan dihinakan.

 

أُولَٰئِكَ أَصْحٰبُ الْجَنَّةِ

Mereka itulah ahli Syurga,

Allah ﷻ menceritakan kebaikan yang kita akan dapat di syurga nanti. Banyak diberitahu dalam Al-Qur’an tentang nikmat-nikmat dalam syurga. Tambahan maklumat ada dalam hadith.

Sekiranya kita jenis manusia yang teringin untuk masuk syurga, hendaklah kita tahu tentang syurga. Tahu serba sedikit apakah nikmat yang diberi dalam syurga. Kena tahu supaya kita ada motivasi untuk ke sana. Mereka yang langsung tidak tahu, menunjukkan mereka tidak minat pun hendak masuk syurga.

 

هُمْ فِيهَا خٰلِدُونَ

mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.

Apabila dikatakan kekal dalam syurga, bermaksud kita tidak takut yang kita akan dikeluarkan dari syurga itu. Allah ﷻ telah berjanji yang ahli syurga akan kekal di dalamnya. Ini adalah satu ketenangan yang Allah ﷻ berikan kepada penghuni syurga.

Kalau dalam dunia, katakanlah kita ini orang kaya, adakah jaminan yang kita tetap kaya? Lihatlah betapa ramai mereka yang kaya raya dan bergelar jutawan sekalipun. Ramai yang terpaksa terus bekerja keras bagi memastikan mereka dapat mengekalkan kekayaan mereka itu. Tidaklah mereka terus sahaja bersenang lenang di dalam kekayaan tanpa berbuat apa-apa langsung. Hati pun sentiasa resah setiap kali perniagaan mereka mengalami kerugian sama ada besar ataupun kecil. Ini menunjukkan mereka pun sedar kekayaan mereka tidak akan kekal jika mereka tidak terus berusaha untuk mengekalkannya. Namun berbeza sekali dengan ahli syurga, ada jaminan yang mereka akan kekal di dalam syurga. Ini merupakan sebuah nikmat yang amat besar. Tiada tarikh luput untuk penduduk syurga.


 

PERINGATAN TENTANG NERAKA

Yunus Ayat 27: Ayat Takhwif Ukhrawi. Selepas Allah ﷻ sebut tentang keadaan di dalam syurga, sekarang Allah ﷻ imbangkan dengan sebut tentang ahli neraka pula.

وَالَّذينَ كَسَبُوا السَّيِّئَاتِ جَزاءُ سَيِّئَةٍ بِمِثلِها وَتَرهَقُهُم ذِلَّةٌ ۖ مّا لَهُم مِّنَ اللَّهِ مِن عاصِمٍ ۖ كَأَنَّما أُغشِيَت وُجوهُهُم قِطَعًا مِّنَ اللَّيلِ مُظلِمًا ۚ أُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ ۖ هُم فيها خٰلِدونَ

Sahih International

But they who have earned [blame for] evil doings – the recompense of an evil deed is its equivalent, and humiliation will cover them. They will have from Allah no protector. It will be as if their faces are covered with pieces of the night – so dark [are they]. Those are the companions of the Fire; they will abide therein eternally.

Malay

Dan untuk orang-orang yang melakukan kejahatan (syirik dan maksiat), balasan tiap-tiap satu kejahatan mereka ialah kejahatan yang sebanding dengannya serta akan ditimpakan kehinaan; tiadalah bagi mereka pelindung dari (seksa) Allah; muka mereka (hitam legam) seolah-olahnya ditutup dengan beberapa bahagian (yang gelap-gelita) dari malam yang gelap-gelita. Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

 

وَالَّذِينَ كَسَبُوا السَّيِّئَاتِ

Dan untuk orang-orang yang melakukan kejahatan,

Apabila Allah ﷻ sebut tentang perbuatan baik, Allah ﷻ hanya menggunakan kalimah أَحْسَنُوا (berbuat baik) tetapi apabila disebut tentang perbuatan dosa, Allah ﷻ menggunakan kalimah كَسَبُوا (melakukan). Sedangkan perbuatan baik pun memerlukan usaha perbuatan juga, bukan? Namun Allah ﷻ membezakan antara keduanya kerana hendak memberitahu kita bahawa perbuatan jahat ini memerlukan usaha sebenarnya. Lagi senang buat baik daripada buat jahat, bukan? Contohnya antara zikir dengan mengumpat, mana lagi susah? Mengumpat lagi susah, bukan? Mesti cari orang, hendak kena cakap, kena reka cerita dan macam-macam lagi. Sedangkan zikir itu senang sahaja buat di mana-mana.

Kalimah السَّيِّئَاتِ adalah bermaksud dosa-dosa yang dilakukan. Merangkumi berbagai jenis dosa. Dosa yang paling besar adalah dosa syirik. Selain daripada dosa syirik, ada banyak lagi dosa-dosa lain. Namun yang paling banyak Allah ﷻ sebut dalam Al-Qur’an adalah tentang syirik. Antara yang manusia jarang tahu adalah dosa amalan bid’ah. Apakah balasan kepada mereka yang melakukan dosa-dosa itu?

 

جَزَاءُ سَيِّئَةٍ بِمِثْلِهَا

balasan tiap-tiap satu kejahatan mereka ialah kejahatan yang sebanding dengannya

Mereka akan dibalas dengan kadar yang sama dengan kejahatan yang mereka lakukan. Berbeza dengan kebaikan yang kita lakukan. Jika kita berbuat baik, kita akan dibalas berganda-ganda; namun jika berbuat jahat, kita hanya dibalas sama dengan kejahatan yang dilakukan.

Sekurang-kurang balasan yang akan diberikan kepada kebaikan yang dibuat adalah sepuluh kali ganda daripada kebaikan itu. Ia boleh digandakan lebih banyak lagi mengikut kehendak Allah ﷻ. Begitulah Allah ﷻ dalam membalas kejahatan, Allah ﷻ adil (عَدلٌ) tetapi bila balas perbuatan baik, Allah ﷻ beri kurnia lebih (فَضلٌ). Begitulah pemurahnya Allah ﷻ dan kita tahu hal ini daripada hadith riwayat Ibn Abbas رضي الله عنهما, daripada Nabi ﷺ,

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الحَسَنَاتِ وَالسَّيِّئَاتِ ثُمَّ بَيَّنَ ذَلِكَ، فَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِ مِائَةِ ضِعْفٍ إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيرَةٍ، وَمَنْ هَمَّ بِسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ سَيِّئَةً وَاحِدَةً

“Sesungguhnya Allah ﷻ telah menetapkan nilai kebaikan dan kejahatan, kemudian Dia menjelaskannya. Maka barangsiapa berniat mengerjakan kebaikan tetapi tidak dikerjakannya, Allah ﷻ mencatatnya sebagai satu kebaikan yang sempurna. Jika dia berniat untuk berbuat kebaikan lalu dia mengerjakannya, Allah ﷻ mencatatnya sebagai 10 sampai 700 kali kebaikan atau lebih banyak lagi. Jika dia berniat melakukan kejahatan, tetapi dia tidak mengerjakannya, Allah ﷻ mencatatkan padanya satu kebaikan yang sempurna. Jika dia berniat melakukan kejahatan lalu dikerjakannya, Allah ﷻ mencatatnya sebagai satu kejahatan.”

(Riwayat al-Bukhari, No. 6491)

Lihatlah dalam hadith ini kita diberitahu yang jikalau berniat sahaja pun sudah dapat pahala! Kalau berniat jahat dan tidak jadi buat (kerana tahu ia berdosa dan takut kepada Allah ﷻ) maka itu pun dapat pahala! Wah hebat sungguh, bukan?

Cuma jika jadi buat dosa itu barulah dicatatkan dosa bagi orang itu. Azab yang dikenakan juga bersesuaian dengan kesalahan yang dilakukan. Kalau kesalahan syirik yang dilakukan, maka akan kekal dalam neraka; kalau kesalahan dosa (tanpa syirik) maka akan dimasukkan ke dalam neraka untuk sesuatu tempoh (tetapi tidak kekal).

 

وَتَرْهَقُهُمْ ذِلَّةٌ

serta akan ditutup dengan kehinaan;

Muka mereka akan hitam kehangusan. Mereka dibalas dengan kehinaan kerana semasa di dunia mereka menghina agama. Apabila tidak taat dan mengikut ajaran agama, itu sebenarnya menghina agama.

Seperti yang telah diberitahu, mereka akan dibalas dengan apa yang mereka lakukan semasa di dunia. Oleh kerana semasa di dunia mereka menghina agama, maka mereka pun akan dibalas dengan kehinaan di akhirat nanti. Semoga Allah ﷻ selamatkan kita.

 

مَّا لَهُم مِّنَ اللَّهِ مِنْ عَاصِمٍ

tiadalah bagi mereka penyelamat daripada Allah;

Sudahlah mereka tidak dapat menyelamatkan diri mereka sendiri, mereka pun tidak ada sesiapa pun lagi yang akan menjadi pelindung mereka. Kalimah عَاصِمٍ berasal daripada katadasar ع ص م yang bermaksud melindungi, menghalang, mempertahan, menjaga, daripa kejahatan. Kerana itulah para Nabi dikatakan ma’sum kerana dilindungi daripada melakukan dosa.

Perkataan ‘daripada Allah’ bermaksud ‘daripada seksa Allah’. Tidak ada yang akan menyelamatkan mereka daripada seksaan Allah ﷻ. Ataupun ayat ini boleh bermaksud mereka tidak akan mendapat pertolongan ‘daripada Allah’. Iaitu, Allah ﷻ tidak akan menolong dan menyelamatkan mereka.

Apabila ada perkataan لَهُم (untuk mereka) dalam ayat ini, ia adalah penekanan bahawa ahli neraka sahaja yang tidak ada penyelamat dan penolong. Namun sebaliknya kepada ahli syurga, akan ada عَاصِمٍ (penyelamat) untuk mereka nanti. Apabila azab Allah ﷻ sudah ditentukan, tidak ada sesiapa yang apa pun yang dapat memberi perlindungan, kecuali kalau Allah ﷻ kasihi seperti kata Nabi Nuh عليه السلام kepada anaknya di dalam Hud: 43

قالَ لا عاصِمَ اليَومَ مِن أَمرِ اللَّهِ إِلّا مَن رَحِمَ

Nabi Nuh berkata: “Hari ini tidak ada sesuatu pun yang akan dapat melindungi daripada azab Allah, kecuali orang yang dikasihani oleh-Nya”.

Orang yang dikasihi oleh Allah ﷻ sahaja akan dapat pertolongan. Pelaku dosa yang tetap tidak akan dapat bantuan. Mereka berharap Allah ﷻ akan menolong mereka namun tidak sekali-kali. Sebagai contoh, orang yang membuat amalan bid’ah, mereka sangka mereka sudah buat benda yang baik, maka mereka sangka Allah ﷻ akan selamatkan mereka tetapi rupanya mereka akan dihukum kerana amalan bid’ah adalah perbuatan dosa.

Oleh itu, berhati-hatilah dengan bid’ah. Fahamilah apa maksud bid’ah dan kenalilah mana amalan bid’ah. Jangan buat walau satu pun amalan bid’ah. Tiada siapa pun paksa kita untuk membuat amalan bid’ah itu. Kalau kita tidak buat pun tidak mendatangkan mudarat pun kepada kita.

 

كَأَنَّمَا أُغْشِيَتْ وُجُوهُهُمْ قِطَعًا مِّنَ اللَّيْلِ مُظْلِمًا

Muka mereka seolah-olahnya ditutup dengan potongan dari malam yang gelap-gelita.

Di dunia kita boleh tutup kehinaan kita. Kita buat-buat gembira, buat-buat tidak kisah. Orang ramai kebanyakannya tidak tahu pun kehinaan yang kita ada. Akan tetapi di akhirat, ia tidak dapat ditutup. Semuanya akan jelas kelihatan kepada semua yang melihat. Akan ada tanda yang akan diberikan. Allah ﷻ sebut tentang hal ini di dalam Ali Imran: 106

يَوْمَ تَبْيَضُّ وُجُوهٌ وَتَسْوَدُّ وُجُوهٌ فَأَمَّا الَّذِينَ اسْوَدَّتْ وُجُوهُهُمْ أَكَفَرْتُم بَعْدَ إِيمٰنِكُمْ فَذُوقُوا الْعَذَابَ بِمَا كُنتُمْ تَكْفُرُونَ

(Ingatlah akan) hari (kiamat yang padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih berseri, dan ada muka (orang-orang) menjadi hitam legam. Adapun orang-orang yang telah hitam legam mukanya, (mereka akan ditanya secara menempelak): “Patutkah kamu kufur ingkar sesudah kamu beriman? Oleh itu rasalah azab seksa neraka disebabkan kekufuran kamu itu”.

 

أُولَٰئِكَ أَصْحٰبُ النَّارِ

Mereka itulah ahli neraka,

Allah ﷻ menceritakan sifat-sifat ahli neraka supaya kita dapat mengelak daripada melakukan perkara yang sama mereka lakukan. Allah ﷻ menceritakan apakah yang akan dikenakan kepada mereka supaya kita takut sangat dengan balasan yang buruk itu.

 

هُمْ فِيهَا خٰلِدُونَ

mereka kekal di dalamnya.

Kesalahan dosa syirik akan menyebabkan seseorang itu akan kekal dalam neraka. Walaupun semasa hidupnya dia mengaku Islam, mengucap syahadah dan beramal dengan amalan Islam seperti salat dan puasa tetapi kalau dalam masa yang sama, dia ada mengamalkan amalan syirik, maka dia akan kekal dalam neraka.

Inilah bahayanya dosa syirik. Itulah sebabnya kita kena faham betul-betul dengan dosa syirik ini. Supaya kita dapat elak dan dapat beritahu kepada orang lain. Alangkah malangnya kalau kita sangka kita beragama Islam namun akhirnya masuk neraka dan kekal pula di dalamnya?

Jangan bermain-main dengan perkara syirik. Jika ada elemen syirik, tinggalkan. Kalau ada yang kata ia syirik tetapi ada pula yang kata ia tidak syirik, tinggalkan. Kalau ada yang kata ia syirik kecil, pun tinggalkan juga. Baik kita selamat daripada susah menjawab di akhirat kelak.


 

TUHAN-TUHAN PALSU DAN PENGIKUT MEREKA

Yunus Ayat 28: Ayat Takhwif Ukhrawi. Allah ﷻ menceritakan apa yang akan terjadi di akhirat kelak, bermula dari Mahsyar.

وَيَومَ نَحشُرُهُم جَميعًا ثُمَّ نَقولُ لِلَّذينَ أَشرَكوا مَكانَكُم أَنتُم وَشُرَكاؤُكُم ۚ فَزَيَّلنا بَينَهُم ۖ وَقالَ شُرَكاؤُهُم مّا كُنتُم إِيّانا تَعبُدونَ

Sahih International

And [mention, O Muhammad], the Day We will gather them all together – then We will say to those who associated others with Allah , “[Remain in] your place, you and your ‘partners.’ ” Then We will separate them, and their “partners” will say, “You did not used to worship us,

Malay

Dan (ingatlah) masa Kami himpunkan mereka semua (pada hari kiamat), kemudian Kami berfirman kepada orang-orang musyrik: “Tunggulah di tempat kamu semua, kamu dan makhluk-makhluk yang kamu jadikan sekutu”; sesudah itu Kami putuskan perhubungan di antara mereka. Dan berkatalah makhluk-makhluk yang mereka sembah itu (sebagai berlepas diri): “Bukanlah kami – yang kamu puja dan taat (sebenarnya kamu hanya memuja dan mentaati hawa nafsu kamu sendiri)!

 

وَيَوْمَ نَحْشُرُهُمْ جَمِيعًا

Dan masa Kami himpunkan mereka semua (pada hari kiamat),

Semua makhluk akan dikumpulkan. Manusia, jin, malaikat, binatang dan lain-lain. Bermula daripada makhluk yang mula-mula dicipta sampai yang akhir sekali dimatikan pada Hari Kiamat akan dikumpulkan. Tidak dapat dibayangkan betapa ramainya makhluk pada waktu itu. Sedangkan dikumpulkan orang Islam di waktu Haji pun sudah nampak ramai, apatah lagi kalau SEMUA makhluk dari dulu sampai yang akan datang. Tidak akan ada yang terlepas seperti Allah ﷻ sebut dalam Kahf: 47

وَحَشَرنٰهُم فَلَم نُغادِر مِنهُم أَحَدًا

dan Kami himpunkan mereka (di Mahsyar) sehingga Kami tidak akan tinggalkan seorang pun daripada mereka

Malah binatang pun akan dikumpulkan nanti seperti yang kita boleh andaikan daripada An’am: 38

وَما مِن دابَّةٍ فِي الأَرضِ وَلا طٰئِرٍ يَطيرُ بِجَناحَيهِ إِلّا أُمَمٌ أَمثالُكُم ۚ مّا فَرَّطنا فِي الكِتٰبِ مِن شَيءٍ ۚ ثُمَّ إِلىٰ رَبِّهِم يُحشَرونَ

Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu juga. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).

Yang buat jahat akan takut kerana semua orang akan nampak kesalahan mereka di dunia dulu. Yang buat baik pula akan suka kerana semua akan nampak kebaikan mereka di dunia. Semasa di dunia, mereka mungkin dipandang lekeh, tetapi mereka akan mendapat pengiktirafan di akhirat kelak.

 

ثُمَّ نَقُولُ لِلَّذِينَ أَشْرَكُوا

kemudian Kami berfirman kepada orang-orang musyrik:

Sekarang arahan kepada golongan musyrik (yang menyembah selain Allah ﷻ). Ada perutusan khas pula kepada ahli musyrik. Begitu besar dosa yang mereka lakukan sehinggakan mereka akan disebut secara khusus.

Di manakah pula orang beriman? Mereka sudah masuk syurga untuk menerima balasan nikmat mereka. Mereka telah dipisahkan daripada orang jahat seperti disebut dalam Yaasin: 59

وَامتٰزُوا اليَومَ أَيُّهَا المُجرِمونَ

Dan (dikatakan kepada orang-orang kafir): “Berpisahlah kamu (daripada orang-orang mukmin) pada hari ini, hai orang-orang yang berbuat jahat.

Yang disuruh tunggu itu adalah orang kafir musyrik sahaja. Bilakah pula ia berlaku? Setelah berlalu masa yang lama kerana kalimah yang digunakan di sini adalah ثُمَّ. Mereka diazab dengan keadaan menunggu keputusan diberikan kepada mereka. Maka menunggulah mereka dalam keadaan takut. Ini sebagaimana kita di mahkamah menanti sahaja apa keputusan daripada hakim. Lagi lama tunggu, lagi takut kita rasa. Benarlah seperti kata pepatah: ‘Penantian itu adalah suatu penyeksaan’. Di akhirat kelak, bukan hanya sekadar sejam dua, tetapi beribu tahun lamanya. Kalau dibandingkan dengan kehidupan di dunia, seolah tidak ada apa-apa pun kehidupan dunia itu seperti firman Allah ﷻ di dalam Taha: 104

إِذ يَقولُ أَمثَلُهُم طَريقَةً إِن لَبِثتُم إِلّا يَومًا

ketika orang yang lebih tepat pendapatnya di antara mereka berkata pula: “Tiadalah kamu tinggal melainkan satu masa yang amat singkat”.

 

مَكَانَكُمْ أَنتُمْ وَشُرَكَاؤُكُمْ

“Tunggulah di tempat kamu, kamu dan makhluk-makhluk yang kamu jadikan sekutu”;

Kalimah مَكَانَكُمْ bermaksud ‘duduk tetaplah di tempat kamu semua’. Orang yang mempunyai autoriti, kadang-kadang tidak perlu cakap banyak. Tidak perlu menggunakan ayat yang penuh. Lebih-lagi dalam keadaan marah. Sebagai contoh, polis apabila hendak tangkap orang jahat dia cuma berkata ‘Jangan bergerak!’ maka kecut perutlah orang yang jahat itu. Itu semasa di dunia, di akhirat kalau Allah ﷻ yang beri arahan, maka berganda lagilah menakutkan.

Ayat ini menceritakan bagaimana golongan musyrik akan dikumpulkan dengan apa yang mereka sembah. Pada waktu itu mereka akan gelisah kerana di akhirat, mereka sudah mula tahu dan sedar yang apa yang mereka lakukan selama di dunia dulu adalah salah. Mereka tentunya tidak mahu dikaitkan lagi dengan sembahan mereka. Mereka tidak mahu dilihat bersama dengan entiti yang mereka sembah.

Ini adalah kerana mereka tidak mahu kesyirikan mereka diungkit. Sebagaimana kita kalau kita ditangkap membuat salah, tentu kita buang apa-apa sahaja yang boleh digunakan sebagai bukti. Jika kita bunuh orang dengan pisau, tentu kita akan campak atau sembunyikan pisau itu. Akan tetapi bayangkan kalau pendakwaraya bawa keluar pisau itu di mahkamah? Apa perasaan kita pada waktu itu?

Yang disembah itu ada pelbagai jenis. Ada makhluk hidup yang disembah dan ada juga makhluk tidak bernyawa seperti berhala, batu, bintang dan sebagainya. Selain daripada itu, dalam kalangan makhluk itu pula, ada yang tidak suruh mereka disembah dan ada yang memang suruh mereka disembah. Contohnya Firaun, memang dia suruh kaumnya sembah dia.

Maka semua yang disembah akan dipanggil. Namun ada mufassir yang mengatakan bahawa yang dipanggil ini adalah makhluk bernyawa yang disembah. Tambahan pula, sembahan yang tidak bernyawa seperti berhala telah dimasukkan sebagai bahan bakar api neraka, maka berhala-berhala itu tidak ada lagi untuk dipanggil. Ini menguatkan pendapat yang mengatakan bahawa sembahan yang disembah adalah makhluk-makhluk bernyawa yang disembah.

Yang disembah itu kadang-kadang adalah orang yang baik-baik. Sebagai contoh, Nabi Isa عليه السلام adalah manusia baik. Baginda tidak pernah suruh orang menyembahnya. Begitu juga dengan Imam-imam Syiah (dikatakan sahaja mereka itu Imam Syiah, sedangkan mereka tidak pernah mengaku pun menjadi Imam), tidak pernah suruh penganut Syiah sembah mereka.

Begitu juga dengan Nabi Muhammad ﷺ dan Nabi-nabi lain. Termasuk juga dengan para wali dan malaikat. Mereka itu semuanya baik-baik belaka. Mereka tidak pernah suruh manusia sembah mereka. Akan tetpi kenapa Allah ﷻ pun panggil mereka datang berkumpul? Bukan salah mereka pun?

Mereka dipanggil sekali adalah kerana Allah ﷻ hendak menjatuhkan harapan puak musyrik itu. Mereka mengharap sangat kepada sembahan mereka itu boleh menyelamatkan mereka. Namun lihatlah bagaimana sama sahaja mereka yang disembah itu – kena duduk di hadapan Allah ﷻ untuk diadili. Mesti dikumpulkan sekali dengan mereka.

Maknanya, yang disembah itu memang tidak ada kuasa langsung. Tidak boleh beri Syafaat pun pada mereka yang menyembah itu rupanya. Apabila yang menyembah melihat situasi itu, maka habis punahlah harapan mereka. Dulu mereka sangka Nabi, wali dan malaikat itu boleh beri Syafaat kepada mereka, tetapi tidak sama sekali.

 

فَزَيَّلْنَا بَيْنَهُمْ

sesudah itu kami asingkan di antara mereka.

Kemudian Allah ﷻ akan mengasingkan antara mereka yang menyembah dan mereka yang disembah. Maknanya, akan nampak jelas mana yang menyembah dan mana yang disembah. Ini kerana yang disembah itu tidak semestinya bersalah.

Juga bermakna diputuskan perhubungan antara mereka. Memang tidak ada hubungan pun semasa di dunia dulu, tetapi sekarang di akhirat akan lebih jelas lagi perpisahan antara mereka itu.

 

وَقَالَ شُرَكَاؤُهُم

Dan berkatalah makhluk-makhluk yang mereka sembah itu:

Yang disembah akan berkata waktu itu. Maka berkatalah para Nabi, para wali dan para malaikat yang dipuja, yang dihadiahkan Fatihah, yang diberi salam kepada mereka dahulu. Berhala yang tidak bernyawa pun mungkin dibolehkan untuk bercakap pada waktu ini.

Apakah yang akan mereka katakan? Adakah mereka akan bersetuju? Adakah mereka akan berterima kasih?

 

مَّا كُنتُمْ إِيَّانَا تَعْبُدُونَ

“Bukanlah kami – yang kamu puja dan taat

Yang menyembah sahaja yang sangka mereka menyembah pujaan mereka itu tetapi sebenarnya tidak. Yang menyembah sahaja yang sangka sedekah Fatihah yang mereka beri itu sampai; mereka sahaja yang sangka salam mereka sampai kepada yang diberi salam itu. Sebenarnya tidak sampai pun. Mereka seumpama bertepuk sebelah tangan sahaja.

Sembahan-sembahan yang memang ada suruh mereka disembah pula, tidak akan mengaku yang mereka ada suruh orang lain sembah dulu. Mereka cuba mengelak.

Sementara yang tidak pernah suruh disembah, akan mengatakan yang bukan mereka yang disembah tetapi yang sebenarnya yang menyembah itu sebenarnya menyembah diri mereka sendiri dan juga jin syaitan. Ini juga disebut dalam Maryam: 82

كَلَّا سَيَكْفُرُونَ بِعِبَادَتِهِمْ وَيَكُونُونَ عَلَيْهِمْ ضِدًّا

Tidak sekali-kali! Bahkan benda-benda yang mereka pertuhankan itu mengingkari perbuatan mereka menyembahnya, dan akan menjadi musuh kepada mereka.

Yang menyembah itu amat memuja sembahan mereka, tetapi di akhirat kelak, yang disembah itu sebaliknya akan menjadi musuh mereka. Mereka sangka mereka akan ditolong, sebab sudah banyak Fatihah dan salam telah diberi, tentu mereka mendapat pertolongan daripada sembahan mereka itu. Namun itu hanyalah sangkaan mereka yang salah sahaja.

Bagaimana dengan tok guru mereka yang mengajar untuk sembah selain Allah ﷻ ini? Dalam Baqarah: 166 ada disebut,

إِذْ تَبَرَّأَ الَّذِينَ اتُّبِعُوا مِنَ الَّذِينَ اتَّبَعُوا وَرَأَوُا الْعَذَابَ وَتَقَطَّعَتْ بِهِمُ الْأَسْبَابُ

(Iaitu) ketika ketua-ketua yang menjadi ikutan itu berlepas diri daripada orang-orang yang mengikutnya, sedang kedua-dua pihak melihat betapa ngerinya azab seksa itu, dan (ketika) terputusnya segala hubungan di antara mereka.

Ini semua terjadi berpunca daripada sikap suka mengikut hawa nafsu sahaja. Mereka sembah selain Allah ﷻ itu kerana nafsu mereka suruh mereka setelah ditipu oleh syaitan. Ini seperti disebut dalam Jathiya: 23

أَفَرَءيتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلٰهَهُ هَوىٰهُ

Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya,

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 5 Jun 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Yunus Ayat 23 – 25 (Manusia melupakan Allah ﷻ apabila dapat nikmat)

Yunus Ayat 23: Dalam ayat sebelum ini, telah disebutkan bagaimana contoh seorang yang dilanda ombak yang kuat di lautan. Dalam keadaan susah begitu, apabila sudah buntu tiada tempat untuk mengharap, maka dia akan berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada Allah ﷻ.

Doanya pun ikhlas sahaja iaitu berdoa hanya kepada Allah ﷻ sahaja tidak dicampur dengan doa kepada selain Allah ﷻ. Itulah maksud ‘ikhlas’ iaitu tulen, murni, tidak bercampur dengan yang lain. Namun apakah yang terjadi apabila Allah ﷻ mengeluarkannya daripada musibah itu?

فَلَمّا أَنجٰهُم إِذا هُم يَبغونَ فِي الأَرضِ بِغَيرِ الحَقِّ ۗ يٰأَيُّهَا النّاسُ إِنَّما بَغيُكُم عَلىٰ أَنفُسِكُم ۖ مَتٰعَ الحَيوٰةِ الدُّنيا ۖ ثُمَّ إِلَينا مَرجِعُكُم فَنُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ

Sahih International

But when He saves them, at once they commit injustice upon the earth without right. O mankind, your injustice is only against yourselves, [being merely] the enjoyment of worldly life. Then to Us is your return, and We will inform you of what you used to do.

Malay

Kemudian bila sahaja Allah selamatkan mereka, mereka dengan serta-merta merebakkan perbuatan derhaka di bumi dengan tidak ada sebarang alasan yang benar. Wahai manusia! Sesungguhnya perbuatan kamu menderhaka itu hanyalah bala bencana terhadap diri kamu sendiri. (Dengan itu kamu hanya dapat merasai) kesenangan hidup di dunia (bagi sementara); kemudian kepada Kamilah tempat kembalinya kamu, maka Kami akan memberitahu apa yang kamu telah lakukan.

 

فَلَمَّا أَنجٰهُمْ

Kemudian bila sahaja Allah selamatkan mereka,

Dengan rahmat Allah ﷻ, Allah ﷻ selamatkan mereka yang berdoa kepada-Nya. Ingatlah bahawa Allah ﷻ sahaja yang dapat menyelamatkan sesiapa sahaja.

 

إِذَا هُمْ يَبْغُونَ فِي الْأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ

mereka dengan serta-merta melakukan perbuatan derhaka di bumi dengan tidak ada sebarang alasan yang benar.

Selepas mereka selamat, mereka berbuat zalim iaitu mereka melakukan syirik tanpa dalil. Mereka juga melakukan amal-amal yang mungkar. Yang paling besar adalah syirik. Tidak ada dalil membenarkan perbuatan yang mereka lakukan itu. Banyak contoh-contoh perbuatan syirik kita telah sebut dalam penulisan ini. Masyarakat Arab Jahiliah kita sudah tahu apa kesyirikan yang mereka lakukan. Namun bagaimana dengan musyrikin dalam kalangan kita?

Mereka yang membuat amalan syirik dan bid’ah itu tidak mempunyai dalil yang haq. Dalil yang mereka berikan untuk amalan mereka itu adalah dalil yang bathil. Antaranya, mereka akan kata ada dalam kitab itu dan ini. Ketahuilah bahawa itu bukanlah dalil yang sah. Itu adalah dalil yang diberi oleh mereka yang jahil sahaja. Mereka hanya mengikut sahaja apa yang diajar oleh orang-orang terdahulu dan itu dilarang oleh Allah ﷻ. Kemudian bila kita tanya dalil, mereka ambil sahaja entah dari mana hujah mereka untuk membenarkan perbuatan salah mereka itu.

Dalam ayat sebelum ini telah diceritakan bagaimana golongan musyrik itu benar-benar berdoa kepada Allah ﷻ dan berjanji dengan ikhlas yang mereka akan menjadi orang baik, orang yang bersyukur. Namun lihatlah apa yang terjadi. Sepatutnya mereka bersyukur kepada Allah ﷻ kerana telah menyelamatkan mereka, namun sebaliknya mereka melakukan semula perbuatan derhaka kepada Allah ﷻ.

Perkataan يَبْغُونَ berasal daripada katadasar ب غ ي yang bermaksud ‘mahukan sesuatu’ iaitu mahukan sesuatu yang lebih daripada bahagian kita. Oleh kerana terlalu mahukan sesuatu itu, maka mereka sanggup membuat apa sahaja untuk mendapatkannya sehingga kadangkala sanggup melakukan kezaliman. Ini kerana disebabkan ia adalah lebih daripada apa yang patut kita dapat, maka kita akan ambil bahagian orang lain. Rasulullah ﷺ telah memberi ancaman tentang perbuatan ini seperti disebut dalam sebuah hadith:

عَنْ أَبِي بَكْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ ذَنْبٍ أَجْدَرُ أَنْ يُعَجِّلَ اللَّهُ لِصَاحِبِهِ الْعُقُوبَةَ فِي الدُّنْيَا مَعَ مَا يَدَّخِرُ لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ الْبَغْيِ وَقَطِيعَةِ الرَّحِمِ

Daripada Abi Bakrah  رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda: “Tidak ada suatu dosa yang lebih layak dipercepat hukumannya di dunia oleh Allah ﷻ kepada pelakunya di samping (azab) yang disimpan baginya di akhirat daripada berlaku zalim dan memutuskan silaturahim.

(Sunan Tirmidzi No: 2511)

Status: Hadith Sahih

Tidak ada sesiapa boleh melakukan kezaliman dengan haq kerana tidak adil yang membenarkan kezaliman. Tidak disebut apakah perbuatan mereka itu kerana terlalu banyak.

 

يٰأَيُّهَا النَّاسُ

Wahai manusia!

Ini adalah ayat yang ditujukan kepada semua manusia. Mesej yang disampaikan adalah mesej sejagat. Semua manusia mesti dengar. Yang mana tidak dengar, maka kita yang Muslim inilah yang kena sampaikan kepada mereka.

Juga kerana cara berdoa yang sekarang kita bincangkan ini adalah cara berdoa orang kafir. Orang Muslim tidak sepatutnya berdoa cara sebegini. Maka khitab ayat ini tidak ditujukan kepada ‘wahai orang-orang beriman’.

 

إِنَّمَا بَغْيُكُمْ عَلَىٰ أَنفُسِكُم

Sesungguhnya perbuatan kamu menderhaka itu hanyalah bala bencana terhadap diri kamu sendiri.

Maknanya, sekiranya kita derhaka dan berlaku zalim, maka kita sendiri yang akan mendapat kesan keburukan daripadanya. Selalunya orang zalim itu menyangka orang lain yang terkena akibat daripada kezaliman mereka, namun Allah ﷻ beritahu di sini bahawa yang membuat zalim itu yang akan terkena akibatnya. Orang yang buat syirik pula sangka mereka tidak akan dikenakan apa-apa tetapi Allah ﷻ kata perbuatan mereka itu akan menyusahkan mereka. Ini kerana mereka akan dibalas di akhirat kelak jika tidak dibalas di dunia lagi. Kita tidak dapat lari daripada balasan itu.

Ramai yang menyangka, apabila kita zalim kepada orang lain, kita yang mendapat kelebihan. Contohnya, kita ambil harta orang lain, maka kita sangka kita beruntung kerana kita akan mendapat harta itu. Akan tetapi berapa banyak sangatkah harta itu jika dibandingkan dengan azab yang kita akan dapat di akhirat nanti? Ia langsung tidak berbaloi. Hanya semata untuk keuntungan di dunia, sanggup kita menanggung azab di akhirat yang lebih teruk lagi?

 

مَّتَاعَ الْحَيوٰةِ الدُّنْيَا

kesenangan hidup di dunia (sementara);

Kamu buat segala kesalahan itu kerana tertipu dengan kehidupan dunia. Kamu mungkin sangka kamu yang akan mendapat keuntungan di dunia dengan berbuat zalim kepada orang lain, berbuat dosa dengan menindas orang lain dan sebagainya, tetapi itu semua adalah keuntungan yang sementara sahaja di dunia.

Begitulah bahayanya penipuan dunia. Orang Muslim pun kadang-kadang terkeliru dengan kesenangan yang diberikan kepada orang kafir yang menentang kebenaran. Allah ﷻ beritahu jangan kita cemburu dengan apa yang mereka ada. Mereka hanya mendapat kesenangan di dunia sahaja tetapi di akhirat mereka akan merana. Ini seperti disebut dalam Ali Imran: 196-197

لَا يَغُرَّنَّكَ تَقَلُّبُ الَّذِينَ كَفَرُوا فِي ٱلْبِلَٰدِ

Jangan sekali-kali engkau terpedaya oleh usaha gerakan orang-orang yang kafir di dalam negeri (yang membawa keuntungan-keuntungan kepada mereka).

مَتَٰعٌ قَلِيلٌ ثُمَّ مَأْوَىٰهُمْ جَهَنَّمُ وَبِئْسَ الْمِهَادُ

(Semuanya) itu hanyalah kesenangan yang sedikit, (akhirnya akan lenyap), kemudian tempat kembali mereka neraka Jahannam: dan itulah seburuk-buruk tempat ketetapan.

 

ثُمَّ إِلَيْنَا مَرْجِعُكُمْ

kemudian kepada Kamilah tempat kembalinya kamu,

Sama ada kita ingat atau tidak kepada Allah ﷻ, kita akan dikembalikan kepada-Nya. Sama ada kita taat atau tidak kepada Allah ﷻ, kita akan dikembalikan kepada-Nya juga. Ingatlah bahawa semua makhluk akan dikembalikan kepada Allah ﷻ untuk dibalas dengan perbuatan yang mereka lakukan semasa di dunia.

 

فَنُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

maka Kami akan memberitahu apa yang kamu telah lakukan.

Kita akan diberitahu dengan apa yang kita lakukan itu kerana hendak dibalas atas kesalahan yang kita telah lakukan. Bukan sekadar hanya untuk beritahu sahaja, tetapi hendak balas sekali. Balasan ini pasti akan dilakukan kerana Allah ﷻ Maha Tahu segala perbuatan kita secara terperinci.

Bayangkan kita masa di sekolah dulu. Jika kita membuat salah, kita akan dipanggil ke bilik Guru Besar. Ibu ayah kita turut dipanggil juga. Kita dipanggil kerana Guru Besar hendak memberitahu akan kesalahan kita kepada ibu ayah kita. Bagaimanakah perasaan kita sewaktu itu? Rasa tidak selesa, rasa takut, rasa bersalah, rasa biarlah bumi terbelah dan kita masuk ke dalam bumi, dan macam-macam lagi, bukan?

Itu baru hal dunia yang tidak ada apa-apa. Bayangkan jika di akhirat nanti. Kesalahan pula bukannya kecil-kecil tetapi besar-besar belaka. Kesannya bukan setakat balik rumah dipukul dengan ayah, tetapi kita akan dimasukkan ke neraka dan diseksa dengan dengan dahsyat sekali oleh malaikat! Nauzu billah min za lik!


 

KEHIDUPAN YANG SEMENTARA

Yunus Ayat 24: Manusia selalunya berbuat dosa dan kezaliman kerana hendakkan habuan dunia. Mereka menipu orang, menindas orang, berbuat zalim kepada orang lain dan sebagainya kerana hendakkan kelebihan di dalam dunia. Maka dalam ayat ini Allah ﷻ menjelaskan kepada kita apakah hakikat dunia itu.

إِنَّما مَثَلُ الحَيوٰةِ الدُّنيا كَماءٍ أَنزَلنٰهُ مِنَ السَّماءِ فَاختَلَطَ بِهِ نَباتُ الأَرضِ مِمّا يَأكُلُ النّاسُ وَالأَنعٰمُ حَتّىٰ إِذا أَخَذَتِ الأَرضُ زُخرُفَها وَازَّيَّنَت وَظَنَّ أَهلُها أَنَّهُم قٰدِرونَ عَلَيها أَتىٰها أَمرُنا لَيلًا أَو نَهارًا فَجَعَلنٰها حَصيدًا كَأَن لَّم تَغنَ بِالأَمسِ ۚ كَذٰلِكَ نُفَصِّلُ الآيٰتِ لِقَومٍ يَتَفَكَّرونَ

Sahih International

The example of [this] worldly life is but like rain which We have sent down from the sky that the plants of the earth absorb – [those] from which men and livestock eat – until, when the earth has taken on its adornment and is beautified and its people suppose that they have capability over it, there comes to it Our command by night or by day, and We make it as a harvest, as if it had not flourished yesterday. Thus do We explain in detail the signs for a people who give thought.

Malay

Sesungguhnya bandingan kehidupan dunia hanyalah seperti air hujan yang Kami turunkan dari langit, lalu (tumbuhlah dengan suburnya) tanaman-tanaman di bumi dari jenis-jenis yang dimakan oleh manusia dan binatang – bercampur-aduk dan berpaut-pautan (pokok-pokok dan pohonnya) dengan sebab air itu hingga apabila bumi itu lengkap sempurna dengan keindahannya dan berhias (dengan bunga-bungaan yang berwarna-warni), dan penduduknya pun menyangka bahawa mereka dapat berbagai-bagai tanaman serta menguasainya (mengambil hasilnya) datanglah perintah Kami menimpakannya dengan bencana pada waktu malam atau pada siang hari lalu Kami jadikan dia hancur-lebur, seolah-olah ia tidak ada sebelum itu. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu berfikir (dan mengambil iktibar daripadanya).

 

إِنَّمَا مَثَلُ الْحَيوٰةِ الدُّنْيَا

Sesungguhnya bandingan kehidupan dunia

Allah ﷻ memberikan contoh bandingan dengan visual supaya kita senang faham. Ini adalah cara Al-Qur’an memberikan pemahaman kepada kita. Sebab contoh bandingan senang difahami dan lebih-lebih lagi jika ia diterangkan dalam bentuk visual/grafik.

 

كَمَاءٍ أَنزَلْنٰهُ مِنَ السَّمَاءِ

seperti air hujan yang Kami turunkan dari langit,

Allah ﷻ mengingatkan yang Dialah yang menurunkan air hujan yang menjadi sumber rezeki kepada kita. Apabila air hujan turun ke bumi, maka air hujan itu akan diserap ke dalam tanah. Air adalah sumber kehidupan. Di Marikh, saintis sibuk mencari kesan-kesan air untuk menjadi bukti yang ada kehidupan di sana. Apabila air meresap ke dalam bumi, maka tanah itu akan menjadi subur dan sesuai untuk digunakan untuk menumbuhkan tanam-tanaman.

 

فَاخْتَلَطَ بِهِ نَبَاتُ الْأَرْضِ

lalu ia bercampur dengan tanaman-tanaman di bumi

Ada dua makna yang kita boleh ambil daripada kata ‘campur’ dalam ayat ini:

    1. Tanam-tanaman di bumi itu bercampur baur dengan air hujan yang turun dari langit itu tadi. Tanam-tanaman itu akan menyedut air itu untuk digunakan sebagai sumber kehidupan. Maka hiduplah tanaman itu.
    2. Yang dimaksudkan bercampur baur itu adalah tanam-tanaman itu sendiri. Oleh kerana suburnya tanah itu kerana telah disiram dengan air, maka tumbuhan yang tumbuh adalah banyak sangat sampai ia hidup rapat antara satu sama lain dan bercampur antara satu sama lain. Sampai sudah tidak tahu satu-satu daun itu daripada pokok yang mana satu. Berjenis-jenis tanaman keluar, padahal air adalah satu jenis itu sahaja, iaitu air hujan.

 

مِمَّا يَأْكُلُ النَّاسُ وَالْأَنْعٰمُ

daripada jenis-jenis yang dimakan oleh manusia dan binatang

Ada tumbuhan yang dimakan oleh binatang dan ada tumbuhan yang dimakan oleh manusia. Maknanya tanam-tanaman itu dimanfaatkan oleh kehidupan-kehidupan dalam dunia ini. Sememangnya asal makanan kita daripada tanah (tumbuh-tumbuhan) dan inilah makanan yang terbaik. Kita ini banyak sangat makan makanan yang diproses sampaikan berbagai penyakit timbul sekarang disebabkan makan makanan yang tidak tulen.

Maka tumbuh-tumbuhan itu dimanfaatkan oleh makhluk di dunia. Antaranya binatang yang makan tumbuh-tumbuhan itu dan kita pula makan mereka. Semuanya adalah rahmat pemberian rezeki daripada Allah ﷻ.

 

حَتَّىٰ إِذَا أَخَذَتِ الْأَرْضُ زُخْرُفَهَا

Sehinggalah bumi mengambil perhiasannya

Kalimah زُخْرُفَهَا bermaksud ‘kecantikannya’. Yang dimaksudkan adalah kecantikan tumbuh-tumbuhan itu. Bumi menzahirkan keindahannya dengan tumbuh-tumbuhan iaitu kecantikan luaran. Sebagai contoh, orang perempuan apabila hendak keluar rumah, mereka akan mekap diri mereka. Kecantikan ini tidak kekal kerana ia adalah kecantikan luaran sahaja.

Allah ﷻ membayangkan dunia mencantikkan dirinya dengan menggunakan kecantikan alam. Dengan berbagai warna dan rupa tanam tanaman yang ada, menyebabkan dunia ini nampak cantik.

maple-tree
Antara keindahan pokok ciptaan Allah ﷻ yang menghias bumi ini

 

وَازَّيَّنَتْ

dan ia menjadi indah

Ini hendak menceritakan keindahan bumi ini bila tanam tanaman hidup subur. Bunga yang berbagai warna dan buah-buahan yang berbagai-bagai warna dan rupa. Kita pun suka sahaja melihat alam yang indah itu. Tenang sahaja kita rasa melihatnya.

Pelbagai jenis tanaman ini semua terhasil hanya dengan satu jenis air sahaja; iaitu air hujan yang Allah ﷻ. Sebelum datangnya air hujan itu, tanah itu mungkin kering kontang dan tandus tanpa ada tanam tanaman. Namun selepas Allah ﷻ turunkan air hujan, pokok-pokok pun tumbuh dan segala kehidupan menjadi banyak dan indah sekali.

Keindahan alam yang permai

وَظَنَّ أَهْلُهَا أَنَّهُمْ قٰدِرُونَ عَلَيْهَا

dan ahlinya pun menyangka bahawa mereka dapat menguasainya (mengambil hasilnya)

Mereka yang dimaksudkan ‘ahlinya’ dalam ayat ini adalah penduduk bumi terutama sekali petani-petani, peladang-peladang dan tuan-tuan punya tanah yang subur indah itu. Dalam hati mereka, mereka yakin yang mereka dapat menguasai tanam tanaman itu. Mereka sudah mengira-ngira berapa banyak hasil yang mereka dapat tuai daripada tanah itu.

Mereka sangka mereka boleh membuat apa-apa sahaja dengan hasil tanah itu kerana mereka sangka mereka ada kuasa dengan tanaman itu. Mereka sudah merancang-rancang tanpa terfikir bahawa semuanya itu boleh diambil daripada mereka bila-bila masa sahaja.

 

أَتىٰهَا أَمْرُنَا لَيْلًا أَوْ نَهَارًا

datanglah perintah Kami pada waktu malam atau pada siang hari

‘Perintah Allah’ yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah Perintah-Nya untuk memusnahkan tanam tanaman itu. Mungkin datang dalam bentuk ribut, taufan, banjir, serangan penyakit, serangan belalang dan sebagainya.

Perintah itu pula boleh datang pada bila-bila masa sahaja sama ada siang ataupun malam. Sekiranya ia datang pada waktu siang, maksudnya ia berlaku di hadapan mata mereka dan mereka boleh melihat bagaimana hasil mereka dihancurkan begitu sahaja. Ia dikenakan ketika manusia sedang sibuk bermain dan bekerja.

Jika ia datang pada waktu malam, bermakna perintah itu berlaku tanpa pengetahuan mereka pun. Waktu itu pula manusia sedang berehat di rumah masing-masing. Bila perintah Allah ﷻ datang, ia tidak menunggu sama ada manusia itu bersedia atau tidak. Tidak peduli sama ada manusia nampak atau tidak. Malah azab itu dikenakan ketika manusia tidak peka, sedang leka dengan dunia, dan ini menambah kesan azab itu.

 

فَجَعَلْنٰهَا حَصِيدًا

lalu Kami jadikan ia hancur-lebur,

Semuanya dihancurkan. Kita sendiri boleh nampak dengan mata kita bagaimana banyak tanaman yang subur tetapi musnah begitu sahaja. Semua itu adalah isyarat daripada Allah ﷻ kepada kita. Dunia ini ternyata tidak kekal seperti juga tanaman itu.

 

كَأَن لَّمْ تَغْنَ بِالْأَمْسِ

seolah-olah ia tidak ada sebelum itu.

Allah ﷻ boleh menjadikan tanah yang subur dengan tanam tanaman itu kering kontang dan tandus seperti sebelum datangnya air yang menyuburkan tanah itu. Seolah-olah tumbuhan itu tidak pernah subur dulu, tidak tegak berdiri atas batangnya dulu.

 

كَذَٰلِكَ نُفَصِّلُ الْآيٰتِ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu berfikir

Tujuan ayat ini adalah untuk mengingatkan dan memberi manusia berfikir bahawa kehidupan dunia ini tidak kekal. Ia boleh datang dan pergi dengan begitu sahaja. Ia hanyalah sementara. Ramai yang terpesona dengan dunia dan mereka gagal dalam ujian ini dan lupa membuat persediaan untuk akhirat. Segala yang terjadi dalam dunia ini adalah isyarat daripada Allah ﷻ untuk mengajak kita taat kepada-Nya. Sama ada kita nampak atau tidak sahaja. Sama ada kita berikan perhatian atau tidak.

Jangan sangka yang kita boleh menguasai kehidupan ini seperti sangkaan pemilik tanaman yang sangka mereka berkuasa atas tanaman mereka tadi. Kadang-kadang kita sudah membuat segala-galanya untuk memastikan kejayaan di dunia tetapi jikalau Allah ﷻ tidak takdirkan begitu, ia tidak akan menjadi. Kita mungkin sudah memasang pagar untuk ladang kita, sudah menyebur racun serangga, meletakkan ubat sesuai untuk penyakit dan sebagainya. Namun jika Allah ﷻ takdirkan ia akan hancur, segala usaha itu tidak berhasil langsung.

Air hujan di dalam ayat ini adalah isyarat kepada rahmat yang Allah ﷻ berikan kepada manusia. Bila Allah ﷻ berikan rahmat kepada makhluk, segala-galanya akan nampak indah-indah belaka. Sebagai contoh, katalah kita mendapat kerja yang bagus. Tentu kita berasa suka dan kita rasa kehidupan kita lebih indah dan lebih bermakna. Akan tetapi ingatlah bahawa kesenangan itu boleh ditarik oleh Allah ﷻ serta merta dan bila-bila masa sahaja.

Begitu jugalah dengan kehidupan kita. Kita lahir, membesar menjadi dewasa dan sampai ke usia tua. Seperti tumbuhan yang akhirnya akan layu dan mati, begitulah juga dengan kita. Kita pun setiap hari tahu entah berapa ramai yang meninggalkan dunia ini. Itu adalah isyarat bahawa kita pun akan meninggalkan dunia ini juga. Maknanya jangan pegang sangat apa yang kita ada dengan dunia ini kerana ia boleh ditarik bila-bila masa.

Pengajaran dalam ayat ini: Jikalau dunia ini hanya untuk sekejap sahaja, maka janganlah habiskan seluruh usaha kita untuknya. Berilah sekadar yang sepatutnya sahaja. Jangan kita lupa amalan untuk bekalan akhirat kita. Bekalan untuk akhiratlah yang perlu dikumpul sebanyak mungkin kerana ia sahaja yang kekal, sedangkan dunia tidak kekal.

Jangan hanyut dalam dunia. Memang dunia nampak indah dan kita pun mudah terpesona. Namun lama kelamaan, ia akan menjadi pudar. Jika kita mendapat kereta baru, memang mula-mula cantik, namun lama kelamaan ada kemek sana dan sini. Itu tanda yang apa sahaja dalam dunia tidak kekal.

Lagi satu, kena ingat yang kalau kita dapat apa sahaja dalam dunia ini, ingatlah kepada SIAPA yang memberikannya kepada kita. Itulah ALLAH ﷻ! Selalu sangat kita lupa. Kadang-kadang kita lupakan atau melambat-lambatkan salat disebabkan hal dunia. Itu bermakna kita melebihkan dunia daripada akhirat. Padahal salat itu adalah tanda kita bersyukur dengan nikmat yang kita dapat dalam dunia.


 

JEMPUTAN MASUK SYURGA

Yunus Ayat 25: Sebelum ini disebut tentang dunia dan keindahannya yang tidak kekal, sekarang Allah ﷻ sebut tentang syurga pula. Allah ﷻ membandingkan kenikmatan dunia dan syurga. Jangan lebihkan dunia atas syurga kerana dunia tidak kekal dan tidak hebat mana. Maka manusia kena perhatikan dan pilih antara dua tempat ini. Hendak dunia yang tidak kekal atau syurga yang kekal abadi dengan segala nikmatnya?

وَاللَّهُ يَدعو إِلىٰ دارِ السَّلٰمِ وَيَهدي مَن يَشاءُ إِلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ

Sahih International

And Allah invites to the Home of Peace and guides whom He wills to a straight path

Malay

(Itulah dia kesudahan kehidupan dunia), dan sebaliknya Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa, dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) ke jalan yang betul lurus (yang selamat itu).

 

وَاللَّهُ يَدْعُو إِلَىٰ دَارِ السَّلٰمِ

Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa,

Apabila Allah ﷻ menyeru, bermaksud Allah ﷻ mengajak kita. Ada jemputan khas daripada Allah ﷻ. Allah ﷻ hendak kita masuk syurga. Sekarang Allah ﷻ sudah ajak kita, adakah kita akan sambut ajakan Allah ﷻ itu? Takkan hanya mahu sambut ajakan pergi kenduri sahaja?

Kalimah دَارِ السَّلَامِ (negeri selamat) adalah ‘syurga’. Yang dimaksudkan adalah syurga tetapi di sini Allah ﷻ tidak menggunakan kalimah jannah kerana Allah ﷻ hendak beritahu kita apakah sifatnya untuk menarik perhatian kita. Supaya kita mendamba untuk masuk ke dalamnya.

Ia dipanggil ‘selamat sentosa’ kerana di sana, kita akan mendapat keamanan yang sempurna. Tidak ada kekurangan langsung di sana. Tidak akan dapat nikmat itu di dunia. Di dunia ini, ada sahaja barang yang rosak, ada sahaja barang yang luput seperti yang telah disebut sebelum ini. Dalam syurga, tidak ada ketakutan, tidak adanya kekurangan dalam nikmat-Nya. Tidak ada perasaan takut. Yang ada hanyalah aman.

Ibnu Abbas رضي الله عنهما mengatakan yang دَارِ السَّلَامِ adalah salah satu nama syurga. Oleh itu, tidak molek kalau menamakan rumah kita atau negeri kita dengan gelaran دَارِ السَّلَامِ kerana ia adalah nama khas bagi syurga.

Satu lagi pendapat mengatakan Allah ﷻ menamakannya دَارِ السَّلَامِ kerana di sini nanti kita akan banyak mendapat salam. Salam daripada Allah ﷻ, daripada para malaikat, juga sesama ahli syurga. Ini seperti disebut dalam ayat 10 sebelum ini:

دَعوىٰهُم فيها سُبحٰنَكَ اللَّهُمَّ وَتَحِيَّتُهُم فيها سَلٰمٌ

Doa ucapan mereka di dalam Syurga itu ialah ‘Maha Suci Engkau daripada segala kekurangan wahai Tuhan!’ Dan ucapan penghormatan mereka ialah: ‘Selamat sejahtera!’

Oleh itu, kenapa kita melebihkan kehidupan dunia yang tidak kekal dan banyak kekurangan ini sedangkan kita boleh mendapat kehidupan yang kekal abadi yang penuh dengan kesempurnaan?

 

وَيَهْدِي مَن يَشَاءُ إِلَىٰ صِرٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ

dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang betul lurus

Untuk masuk ke dalam syurga, maka kita kena ikut petunjuk jalan ke sana. Jika tidak ikut petunjuk itulah yang menjadikan kita sesat. Dari manakah datangnya petunjuk itu? Daripada Allah ﷻ. Kena ikut ajaran daripada Allah ﷻ dan disampaikan oleh Nabi ﷺ. Bukannya mengikut ajaran manusia, tidak kira ulama’ mana, tok Syeikh mana pun.

Sebagai contoh, ajaran akidah ada diajar oleh Allah ﷻ dan disampaikan oleh Nabi ﷺ. Tidak perlu belajar ajaran akidah rekaan manusia seperti Sifat 20 itu; Akidah salaf lebih mudah untuk dipelajari. Kecuali jikalau ada masalah untuk memahaminya, maka bolehlah untuk cuba pula belajar Sifat 20. Sebagai contoh, terdapat sebuah filem yang berjudul ‘Mentega Terbang’ yang mengisahkan tentang Muslim yang keliru tentang konsep Reinkarnasi. Bagi Muslim seperti ini, fikiran mereka telah bercampur baur dengan apa yang mereka baca daripada internet sampai menyebabkan pemahaman mereka bercelaru (Eh, macam betul jer…). Maka bagi mereka ini, mereka memerlukan hujah balas menggunakan sistem falsafah seperti Sifat 20 itu.

Amalan ibadat juga sudah diajar lengkap oleh Nabi ﷺ, maka tidak perlulah direka amalan baru. Amalan baru adalah amalan bid’ah seperti solat Hajat, Majlis Tahlil dan sebagainya. Hendaklah kita menjauhkan diri daripada amalan-amalan bid’ah itu. Ibadat sudah lengkap diajar oleh Rasulullah ﷺ, maka tidak perlu untuk menambah baik hal-hal ibadat. Gunakan sahaja mana yang ada. Kalau dibenarkan melakukan bid’ah (dalam ibadah) maka akan punah ranah agama ini, dan akibatnya kita tidak kenal lagi agama ini nanti.

Sementara itu, yang mendapat petunjuk itu adalah sesiapa yang Allah ﷻ kehendaki sahaja. Ajakan ini umum iaitu sesiapa sahaja ada peluang untuk mendapatnya, asalkan mahu berusaha. Semoga kita termasuk mereka yang Allah ﷻ berikan hidayah itu. Hendaklah kita sentiasa berdoa supaya Allah ﷻ memberikan hidayah kepada kita. Namun bukanlah berharap sahaja, kenalah ada usaha daripada kita. Maknanya kita sendiri terlebih dahulu hendaklah mempunyai keinginan seperti yang Allah ﷻ sebut dalam Ankabut: 69

وَالَّذينَ جٰهَدوا فينا لَنَهدِيَنَّهُم سُبُلَنا

Dan orang-orang yang berjihad untuk Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami.

Jihad itu maknanya berusaha bersungguh-sungguh. Bukannya goyang kaki dan berharap entah-entah Allah ﷻ boleh masukkan kita ke dalam syurga. Allah ﷻ ceritakan tentang mereka yang dimasukkan ke dalam syurga dan apa yang mereka telah lakukan semasa di dunia, contohnya di dalam Dzariyat: 16-19

ءآخِذينَ ما ءآتٰهُم رَبُّهُم ۚ إِنَّهُم كانوا قَبلَ ذٰلِكَ مُحسِنينَ

sambil menerima segala pemberian Rabb mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu di dunia adalah orang-orang yang berbuat kebaikan.

كانوا قَليلًا مِّنَ اللَّيلِ ما يَهجَعونَ

Dulu mereka sedikit sekali tidur di waktu malam.

وَبِالأَسحارِ هُم يَستَغفِرونَ

Dan selalu memohonkan ampunan di waktu pagi sebelum fajar.

وَفي أَموٰلِهِم حَقٌّ لِّلسّائِلِ وَالمَحرومِ

Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian.

Mereka inilah yang Allah ﷻ akan bawa di atas صِرٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ dan ia adalah satu-satunya jalan yang kita kena ikut. Kalau ikut jalan lain, maka kita akan ada masalah nanti. Inilah jalan hidayah yang hari-hari kita minta di dalam solat kita dan setiap kali kita baca Surah Fatihah. Apakah itu صِرٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ? Ia telah diterangkan dengan panjang lebar dalam penerangan Fatihah: 6.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 9 Jun 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an