Tafsir Surah Yunus Ayat 48 – 53 (Musyrikin Mekah minta azab disegerakan)

Yunus Ayat 48: Ayat Syikayah di mana Allah ﷻ rakam perkataan golongan Musyrikin Mekah.

وَيَقولونَ مَتىٰ هٰذَا الوَعدُ إِن كُنتُم صٰدِقينَ

Sahih International

And they say, “When is [the fulfillment of] this promise, if you should be truthful?”

Malay

Dan mereka (yang kafir) bertanya: “Bilakah berlakunya azab yang telah dijanjikan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar?”

 

وَيَقولونَ مَتىٰ هٰذَا الوَعدُ

Dan mereka (yang kafir) bertanya: “Bilakah berlakunya azab yang telah dijanjikan itu,

Pertanyaan mereka ini dikeluarkan apabila mereka sudah kehabisan hujah untuk menolak Nabi ﷺ. Pertanyaan mereka ini pun bukannya kerana hendak tahu sangat, tetapi dengan tujuan hendak mengejek baginda sahaja.

Juga soalan Musyrikin Mekah ini sebenarnya mencabar Nabi ﷺ untuk menurunkan azab. Nabi ﷺ sudah banyak kali memperingatkan mereka bahawa kemusyrikan yang mereka lakukan itu adalah salah dan mereka akan diazab kerana kesalahan mereka itu. Mereka membalas dengan berkata: “Bila azab itu nak turun kalau benar-benar mereka akan diazab? Bawa turunlah sekarang!”

Mereka menggunakan helah ini apabila mereka dikalahkan dengan hujah. Ini adalah respon sama sahaja seperti puak bid’ah negara kita juga. Bila kita kata Mawlid dan Qasidah itu salah, mereka balas dengan berkata: “Mana azabnya kalau apa yang kami buat ini salah?”

Namun begitu bukanlah golongan penentang sahaja bertanyakan bilakah Kiamat itu, tetapi para sahabat pun ada pernah bertanya kerana mereka pun hendak tahu juga. Kepada sahabat itu jawapan Rasulullah ﷺ sangat hebat, mari kita lihat:

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ؛ أَنَّ رَجُلاً قََالَ : يَا رَسُولَ اللهِ ، مَتَى السَّاعَةُ ؟ قَالَ : وَمَاذَا أَعْدَدْتَ لِلسَّاعَةِ ؟ قَالَ : لاَ ، إِلاَّ أَنِّي أُحِبُّ اللهَ وَرَسُولَهُ ، قَالَ : فَإِنَّكَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ .قَالَ أَنَسٌ : فَمَا فَرِحْنَا بِشَيْءٍ ، بَعْدَ الإِسْلاَمِ ، فَرَحَنَا بِقَوْلِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم : إِنَّكَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ

“Ada seorang lelaki datang kepada Nabi , lalu berkata, ‘Wahai Rasulullah, bilakah Hari Kiamat tiba?’ Baginda bertanya kembali kepadanya, ‘Apa yang sudah kamu persiapkan untuk menghadapi Hari Kiamat?’ Lelaki tersebut menjawab, ‘Cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.’ Kemudian Rasulullah berkata, ‘Sesungguhnya engkau akan bersama-sama orang yang engkau cintai’,”

(Muttafaq ‘alaih)

 

Rasulullah ﷺ sendiri tidak tahu bilakah Hari Kiamat itu tiba, maka baginda tidak dapat memberikan jawapannya sekalipun jika baginda mahu. Akan tetapi jawapan baginda ini mengajar kita bahawa persediaan kita untuk menghadapi Hari Kiamat adalah perkara yang jauh lebih penting berbanding dengan pengetahuan bilakah kiamat itu akan tiba. Ini kerana sekiranya kita tahu bilakah masanya tetapi tidak bersedia maka tiada gunanya juga.

 

إِن كُنتُمْ صٰدِقِينَ

jika betul kamu orang-orang yang benar?”

Mereka mencabar Rasulullah ﷺ dengan berkata: kalau kita benar, manakah azab yang dijanjikan itu? Memang ini adalah sebuah soalan yang amat kurang ajar yang dilontarkan kepada seorang nabi! Sepatutnya mereka meminta supaya diberikan hidayah, ditunjukkan bukti kebenaran, diberikan masa kepada mereka. Bukannya minta diturunkan azab terus. Memang banyak kali golongan penentang kebenaran melakukan perkara terkutuk ini dan beberapa kali disebut di dalam Al-Qur’an. Antaranya di dalam Sad:16

وَقالوا رَبَّنا عَجِّل لَّنا قِطَّنا قَبلَ يَومِ الحِسابِ

Dan mereka berkata: “Ya Tuhan kami cepatkanlah untuk kami azab yang diperuntukkan bagi kami sebelum hari hisab”.

Ini adalah anjuran doa yang boleh kita lakukan sekiranya ada perkara yang disampaikan susah untuk kita terima. Biasalah orang kita sudah lama baca Al-Qur’an tetapi tidak sangka ajaran Al-Qur’an itu berlainan dengan fahaman mereka. Maka mungkin ramai yang susah untuk terima. Maka berdoalah lebih kurang begini: “Ya Allah, tunjukkan aku kebenaran sampai aku tidak boleh tolak lagi.” Berdoalah dengan ikhlas dan bukakan hati kepada kebenaran.


 

Yunus Ayat 49: Inilah jawapan yang Allah ﷻ suruh Nabi ﷺ dan kita balas apabila dicabar begitu. Lihatlah jawapan pun Allah ﷻ ajar kepada kita.

قُل لّا أَملِكُ لِنَفسي ضَرًّا وَلا نَفعًا إِلّا ما شاءَ اللَّهُ ۗ لِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۚ إِذا جاءَ أَجَلُهُم فَلا يَستَأخِرونَ ساعَةً ۖ وَلا يَستَقدِمونَ

Sahih International

Say, “I possess not for myself any harm or benefit except what Allah should will. For every nation is a [specified] term. When their time has come, then they will not remain behind an hour, nor will they precede [it].”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak berkuasa menolak mudarat dan tidak juga berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku kecuali apa yang dikehendaki Allah. Bagi tiap-tiap umat ada tempoh yang ditetapkan; maka apabila tempohnya, tidak dapat mereka melambatkannya sesaat pun, dan tidak dapat mereka menyegerakannya”.

 

قُل لَّا أَمْلِكُ لِنَفْسِي ضَرًّا

Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak memiliki kuasa untuk menolak mudarat bagi diriku

Soalan di dalam ayat sebelum ini adalah ‘bila’ Kiamat. Nampaknya di sini seolah-olah Rasulullah ﷺ diperintahkan untuk memberi jawapan yang tiada kaitan dengan pertanyaan bilakah kiamat itu. Sedangkan kalau kita lihat dalam ayat lain seperti Mulk:25-26 nampak seperti jawapan itu kena dengan soalan. Soalan pun sama sahaja.

وَيَقولونَ مَتىٰ هٰذَا الوَعدُ إِن كُنتُم صٰدِقينَ

Dan mereka (yang engkar) berkata: “Bilakah datangnya (hari kiamat) yang dijanjikan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar?”

قُل إِنَّمَا العِلمُ عِندَ اللهِ وَإِنَّما أَنا نَذيرٌ مُّبينٌ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya ilmu pengetahuan (tentang masa kedatangannya) hanya ada pada sisi Allah, dan sesungguhnya aku hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran yang terang nyata”.

Sebenarnya jawapan di dalam Surah Yunus ini sesuai dengan soalan mereka itu kerana apabila mereka tanya bilakah Kiamat, mereka sebenarnya meminta azab. Allah ﷻ suruh Nabi ﷺ jawab yang baginda tidak memiliki kuasa untuk mengenakan mudarat atau azab kepada mereka.

Memang kita manusia tidak mempunyai kuasa untuk beri mudarat; tidak ada kuasa untuk beri azab. Jangan katakan manusia biasa, Nabi Muhammad ﷺ sendiripun tidak ada kuasa itu. Ini menunjukkan yang memang Nabi Muhammad ﷺ itu adalah manusia sahaja, dan bukanlah Nur Muhammad ﷺ pula. Jangan dilebihkan baginda menjadi seseorang yang bukan manusia pula. Malang sekali masyarakat Muslim kita ramai yang jahil tentang perkara ini.

 

وَلَا نَفْعًا

dan tidak juga berkuasa mendatangkan manfaat

Bukan hanya tidak mampu beri azab kepada orang lain, malah untuk mendatangkan manfaat kepada diri sendiri pun baginda tidak mampu. Baginda memang tidak mempunyai kuasa kerana baginda adalah manusia sahaja. Kita adalah makhluk yang lemah. Semua bergantung kepada Allah ﷻ sahaja.

Lihatlah semasa baginda hidup pun baginda tidak boleh memberi manfaat (kecuali yang diizinkan oleh Allah ﷻ), apatah lagi kalau baginda sudah tiada (sudah wafat). Oleh itu amat salahlah fahaman golongan sesat yang berdoa meminta kepada baginda. Itu sudah menjadi syirik. Sekiranya mereka sudah faham yang baginda tidak boleh memberi manfaat, tentu mereka tidak melakukannya. Akan tetapi amat ramai sekali yang meminta dengan Rasulullah ﷺ! Ada yang minta syafaat, ada yang minta berkat, ada yang selak langsir konon bertanya terus tentang hadith. Semuanya karut belaka!

 

إِلَّا مَا شَاءَ اللَّهُ

kecuali apa yang dikehendaki Allah.

Allah ﷻ sahaja yang boleh beri mudarat dan beri manfaat. Hanya Allah ﷻ sahaja yang mempunyai kuasa penuh. Maka ini adalah dalil yang Nabi Muhammad ﷺ tidak ada kuasa. Di dalam A’raf:188 disebut kalaulah baginda ada kuasa itu. Jawapannya adalah lebih kurang sama dalam Surah Yunus ini tetapi ada maklumat tambahan.

قُل لا أَملِكُ لِنَفسي نَفعًا وَلا ضَرًّا إِلّا ما شاءَ اللَّهُ ۚ وَلَو كُنتُ أَعلَمُ الغَيبَ لَاستَكثَرتُ مِنَ الخَيرِ وَما مَسَّنِيَ السّوءُ ۚ إِن أَنا إِلّا نَذيرٌ وَبَشيرٌ لِقَومٍ يُؤمِنونَ

Katakanlah: “Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalaulah aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman”.

Ingatlah bahawa Surah Yunus ini adalah tentang Syafaat. Ayat ini juga menekankan bahawa Nabi ﷺ tidak memiliki Syafaat untuk diberikan mengikut kehendaknya. Bukanlah Nabi Muhammad ﷺ yang boleh menentukan siapa yang akan mendapat Syafaat.

Inilah salah faham yang besar dalam masyarakat kita. Mereka sangka, kalau mereka sayang dan puja Nabi ﷺ, mereka akan mendapat Syafaat daripada baginda. Ingatlah yang sayang Nabi ﷺ sahaja tidak cukup untuk mendapat syafaat. Yang lebih penting adalah kita mestilah mengikut ajaran baginda, barulah akan mendapat Syafaat. Tidaklah dengan cara ‘membodek’ Nabi ﷺ melalui perbuatan menghadiahkan Surah Fatihah itu yang akan dapat menyelamatkan kita pula.

Malangnya, itulah yang banyak dilakukan oleh masyarakat kita sekarang kerana kebanyakannya masih jahil dengan wahyu. Mereka puja Nabi ﷺ melambung-lambung sampaikan kepada tahap melampau, sampai ke tahap syirik pun ada. Mereka pula rasa selamat kerana mereka sangka yang Nabi ﷺ terhutang budi dengan mereka kerana sering mendapat hadiah Surah Fatihah daripada mereka.

Itu semua adalah bohong belaka dan merupakan amalan bid’ah sahaja. Amat jauh fahaman agama mereka daripada fahaman agama yang sebenar. Lihatlah Nabi ﷺ ketika berkata begini adalah ketika baginda masih hidup lagi. Sekiranya semasa hidup pun baginda tidak ada kuasa, maka begitu jugalah apabila baginda telah wafat.

 

لِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ

Bagi tiap-tiap umat ada ajalnya;

Tidak perlulah kelam kabut minta disegerakan azab itu. Sampai masa datanglah ia kerana setiap makhluk ada ajalnya. Ajal adalah tempoh masa hidup di dunia. Begitu juga dengan setiap umat, ada tempohnya. Sebagaimana kita dengar umat-umat dahulu yang telah dibinasakan, setiap umat selepas itu pun ada tempoh mereka juga, termasuklah kita juga.

Ada yang kita dengar kisah mereka yang telah dimusnahkan seperti Aad dan Tsamud, dan banyak lagi umat yang kita tidak pernah dengar pun. Oleh itu, umat kita pun ada ajalnya juga. Apabila sampai masa, kita pun akan hilang daripada mata dunia. Maka janganlah kita perasan yang kita akan hidup selamanya.

Atau, ajal yang dimaksudkan adalah tempoh azab. Mereka tanya sangat bila azab itu akan dikenakan kepada mereka, maka jawapannya setiap azab itu telah ditentukan tempohnya.

 

إِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ

maka apabila sampai ajal mereka,

Maka tunggulah bila sampai masanya. Kita tahu yang umat kita akan sampai ajalnya, tetapi sekarang, kita takut kita akan dipercepatkan ajal umat kita kerana kemusyrikan dan bid’ah yang dibuat oleh masyarakat kita sekarang yang semakin menjadi-jadi. Terang-terangan berbuat syirik, terang-terangan berbuat bid’ah.

 

فَلَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً

tidak dapat mereka melambatkannya sesaat pun,

Sama ada kita bersedia ataupun tidak, ia akan datang juga. Kita tidak ada kuasa untuk mempercepatkan ajal itu atau melambatkannya. Ketentuan itu sepenuhnya pada Allah ﷻ sahaja.

Allah ﷻ tidak beritahu kita tarikh mati kita. Dalam IC ada tarikh lahir, tetapi kenapa tidak ada tarikh mati? Kerana kalau kita tahu tarikh mati kita, maka kita pun tidak senang duduk, tidak senang hendak meneruskan kehidupan ini, bukan? Kerana asyik teringat tarikh tempoh akhir hayat sahaja.

Keduanya, sekiranya kita tahu bila kita akan mati, nanti kita tangguhkan amalan, tangguhkan bertaubat, tidak beramal. Sebab kita hanya akan membuat amalan dan bertaubat hanya apabila sudah dekat dengan tarikh mati, bukan? Manusia kebiasaannya suka melengah-lengahkan masa dan membuat kerja pada saat-saat akhir. Maka teruklah manusia sebegitu, semua akan berbuat jahat sehinggalah menghampiri tempoh tarikh mati. Maka Allah ﷻ merahsiakan tarikh ajal supaya kita sentiasa berjaga-jaga dan membuat kebaikan selagi kita masih hidup.

 

وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ

dan tidak dapat mereka menyegerakannya”.

Kita tidak mampu untuk mempercepatkan ajal umat mana-mana pun. Katakanlah ada umat yang kita tidak suka, kita tidak boleh menghapuskan mereka begitu sahaja. Maknanya, detik terjadinya Kiamat itu sudah ditetapkan. Kita sahaja yang tidak tahu dan kita tidak boleh ubah. Hanya Allah ﷻ yang tahu.

Daripada ayat ini kita mendapat kesimpulan bahawa kita mati apabila tiba saat ajal kita. Bukannya kerana sakit, atau dilanggar lori, jatuh gunung dan sebagainya. Itu semua adalah asbab sahaja. Maka kalau orang tanya kenapa dia mati? Jawapan yang sebenarnya adalah ‘kerana telah habis ajalnya’ atau ‘kerana telah sampai ajalnya’. Kemudian bolehlah tambah, dia sakit jantung dan sebagainya. Mati bukanlah kerana sakit itu. Orang yang tidak sakit pun ada yang mati juga, bukan? Ada juga yang sakit teruk atau ada yang koma sehingga bertahun lamanya namun tidak mati-mati juga kerana belum sampai ajalnya lagi.


 

Yunus Ayat 50:Ayat Zajrun dan Takhwif Duniawi. Allah ﷻ mengajar Nabi ﷺ lagi bagaimana caranya untuk membalas ejekan Musyrikin Mekah itu.

قُل أَرَءيتُم إِن أَتىٰكُم عَذابُهُ بَيٰتًا أَو نَهارًا مّاذا يَستَعجِلُ مِنهُ المُجرِمونَ

Sahih International

Say, “Have you considered: if His punishment should come to you by night or by day – for which [aspect] of it would the criminals be impatient?”

Malay

Katakanlah: “Sudahkah kamu nampak jalan keluar jika datang kepada kamu azab Tuhan itu, pada waktu malam atau pada waktu siang? “Azab manakah yang orang-orang berdosa itu minta disegerakan (sedang sebarang azab wajib ditakuti)?

 

قُلْ أَرَءَيْتُمْ

Katakanlah: “Sudahkah kamu memikirkan?

Tidakkah kamu wahai penentang tauhid pernah memikirkan? Tidakkah kamu nampak? Tidakkah kamu menggunakan akal kamu? Apakah pandangan kamu?

Allah ﷻ sendiri ajar Nabi ﷺ bagaimana untuk menjawab soalan umatnya. Memang selalunya baginda akan tunggu jawapan daripada Allah ﷻ apabila ada soalan ditujukan kepada baginda. Begitulah cara Nabi ﷺ menunggu wahyu. Namun bagaimana dengan kita? Adakah kita juga menjawab persoalan berlandaskan wahyu? Atau kita hanya menggunakan akal kita sahaja?

 

إِنْ أَتىٰكُمْ عَذَابُهُ

jika datang kepada kamu azab Tuhan itu,

Ini merupakan jawapan daripada Allah ﷻ untuk menjawab soalan mereka sebelum ini tentang Kiamat, tentang azab yang dijanjikan kepada mereka dan tentang bilakah azab itu datang. Allah ﷻ suruh mereka berfikir. Allah ﷻ beritahu yang azab itu pasti datang. Namun apakah persediaan kamu? Adakah kamu sanggup? Adakah kamu mampu menolaknya?

 

بَيٰتًا أَوْ نَهَارًا

pada waktu malam atau pada waktu siang?

Kalimah بَيَاتًا daripada perkataan بيت yang bermaksud ‘rumah’ dan kita meluangkan masa kita di malam hari di rumah. Maka, perkataan بَيَاتًا digunakan dalam ayat ini untuk merujuk kepada ‘malam’.

Sekiranya azab itu datang pada waktu siang, mereka akan nampak azab itu dikenakan kepada mereka sebaliknya jika datang ketika malam hari pula mereka tidak akan sedar. Azab itu boleh datang bila-bila masa sahaja. Allah ﷻ tidak menunggu sama ada makhluk bersedia ataupun tidak.

Apa pendapat kamu? Kalau ia datang, tidak kira siang ataupun malam, bolehkah kamu menghalangnya?

 

مَّاذَا يَسْتَعْجِلُ مِنْهُ الْمُجْرِمُونَ

Azab manakah yang orang-orang berdosa itu minta disegerakan?

Kalimah مَّاذَا itu adalah kalimah takjub tentang apa yang mereka lakukan. Kenapakah mereka terburu-buru meminta azab itu? Kenapa mereka teringin sangat azab segera dikenakan kepada mereka? Kenapa benda besar seperti ini pun mereka boleh buat main-main? Apakah yang menguntungkan mereka jika azab itu datang?

Ia boleh datang pada bila-bila masa sahaja. Yang menghairankan adalah mereka itu bagaikan tidak sabar mahu dikenakan dengan azab itu pula. Adakah mereka sudah bersedia? Di dalam Anfal:32 juga disebut permintaan mereka yang amat teruk.

وَإِذ قالُوا اللَّهُمَّ إِن كانَ هٰذا هُوَ الحَقَّ مِن عِندِكَ فَأَمطِر عَلَينا حِجارَةً مِّنَ السَّماءِ أَوِ ائتِنا بِعَذابٍ أَليمٍ

Dan (ingatlah), ketika mereka (orang-orang musyrik) berkata: “Ya Allah, jika betul (Al Qur’an) ini benar dari sisi Engkau, maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab yang pedih”.


 

Yunus Ayat 51:

أَثُمَّ إِذا ما وَقَعَ ءآمَنتُم بِهِ ۚ ءآلئٰنَ وَقَد كُنتُم بِهِ تَستَعجِلونَ

Sahih International

Then is it that when it has [actually] occurred you will believe in it? Now? And you were [once] for it impatient

Malay

Patutkah (kamu mengingkari azab itu), kemudian apabila ia menimpa kamu, kamu mengakui benarnya? (Sedang pengakuan pada masa itu tidak diterima bahkan dikatakan kepada kamu): “Sekarangkah baharu kamu mengakui benarnya, padahal sebelum ini kamu telah menunjukkan keingkaran dengan meminta disegerakan kedatangannya?”

 

أَثُمَّ إِذَا مَا وَقَعَ ءآمَنتُم بِهِ

Adakah apabila ia menimpa kamu, baru kamu hendak mengakui benarnya?

Adakah sudah datang azab baru kamu hendak beriman? Ini amat malang sekali kerana pengakuan pada masa itu tidak diterima. Tidak kira betapa ikhlas pun mereka nanti, tidak akan bernilai langsung.

 

ءآلْئٰنَ

Sekarang?!!

Sekarang baru kamu mengakui benarnya azab itu? Kita akan baca dalam ayat 90-91 bagaimana Firaun pun apabila hampir hendak mati barulah mahu beriman. Dalam ayat itu dengan jelas diberitahu bahawa imannya ketika itu tertolak.

وَجاوَزنا بِبَني إِسرائيلَ البَحرَ فَأَتبَعَهُم فِرعَونُ وَجُنودُهُ بَغيًا وَعَدوًا ۖ حَتّىٰ إِذا أَدرَكَهُ الغَرَقُ قالَ آمَنتُ أَنَّهُ لا إِلٰهَ إِلَّا الَّذي آمَنَت بِهِ بَنو إِسرائيلَ وَأَنا مِنَ المُسلِمينَ

Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam, berkatalah dia: “Aku percaya bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah daripada orang-orang yang berserah diri”.

آلآنَ وَقَد عَصَيتَ قَبلُ وَكُنتَ مِنَ المُفسِدينَ

(Allah berfirman): “Adakah sekarang (baharu engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau dahulu telah kufur derhaka, dan engkau telah pun menjadi daripada orang-orang yang melakukan kerosakan?

Maka, kita jangan tunggu sesuatu terjadi, baru hendak beriman. Sebagai contoh, ada yang sudah jatuh terduduk, barulah mahu beriman. Waktu itu sudah terlambat. Atau kalau nyawa di tenggorok, baru hendak beriman, ia sudah tidak berguna dan tidak diterima. Sebagaimana ada disebut seperti dalam hadith berikut:

Nabi ﷺ bersabda:

إنّ اللّٰهَ يَقْبَلُ تَوبَةَ العَبدِ مَا لَمْ يُغَرْ غِر

“Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selama rohnya belum sampai di kerongkongan.”

(Riwayat Tirmidzi dan beliau mengatakan bahawa ini adalah hadith hasan gharib)

Muhammadiyah on X: "“Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba, selama (ruh) belum sampai di tenggorokan” (HR At Tirmidzi) https://t.co/l3YI103dow" / X

Apabila sudah hampir Kiamat pun taubat tidak diterima lagi. Nabi shalallahu alaihi wa salam bersabda:

لا تنقطع الهجرة حتى تنقطع التوبة، ولا تنقطع التوبة حتى تطلع الشمس من معربها

“Hijrah tidak akan terhenti hingga terputusnya pintu taubat dan pintu taubat tidak pernah terputus hingga matahari terbit dari arah barat.”

(HR. Abu Dawud dan disahihkan Al Albani)

Jika mahu beriman dan bertaubat hanya setelah melihat azab maka iman dan taubat tidak dikira. Sudah tidak laku lagi waktu itu. Ini kerana semua manusia pasti akan beriman jika sudah nampak azab di depan mata, bukan? Maka manakah ujiannya? Allah ﷻ berikan kita ujian beriman walaupun tidak nampak Allah ﷻ, tidak nampak syurga neraka, juga tidak nampak azab.

Kita hendaklah beriman semasa di dunia. Mesti mengaku kesalahan kita semasa kita di dunia lagi, bukan di akhirat kerana ia tidak laku lagi seperti disebut juga di dalam Ghafir:84-85

فَلَمّا رَأَوا بَأسَنا قالوا ءآمَنّا بِاللهِ وَحدَهُ وَكَفَرنا بِما كُنّا بِهِ مُشرِكينَ

Maka ketika mereka melihat azab Kami, mereka berkata: “Kami beriman kepada Allah semata-mata, dan kami kufur ingkar kepada benda-benda yang dengan sebabnya kami menjadi musyrik”. Sesungguhnya orang-orang yang kafir, lalu mati sedang mereka tetap kafir, maka tidak sekali-kali akan diterima daripada seseorang di antara mereka: emas sepenuh bumi, walaupun dia menebus dirinya dengan (emas yang sebanyak) itu. 

فَلَم يَكُ يَنفَعُهُم إيمٰنُهُم لَمّا رَأَوا بَأسَنا ۖ سُنَّتَ اللهِ الَّتي قَد خَلَت في عِبادِهِ ۖ وَخَسِرَ هُنالِكَ الكٰفِرونَ

Maka iman yang mereka katakan semasa melihat azab Kami, tidak berguna lagi kepada mereka; yang demikian adalah menurut “Sunnatullah” (undang-undang peraturan Allah) yang telah berlaku kepada hamba-hambaNya. Dan pada saat itu rugilah orang-orang yang kufur ingkar.

 

وَقَدْ كُنتُم بِهِ تَسْتَعْجِلُونَ

padahal sebelum ini kamu telah meminta disegerakan kedatangannya?”

Mereka akan diejek kerana dahulu mereka yang selalu sangat bertanyakan bilakah azab itu akan diturunkan, seolah-olah minta dipercepatkan sahaja. Nah, sekarang azab sudah sampai, apa kamu henak buat? Ini adalah azab tambahan kepada mereka, kerana diingatkan dengan kata-kata mereka sebelum itu. Sebagaimana kita katakan terhadap kawan yang dikenakan musibah kerana dulu suka mengejek kita apabila kita memberikan nasihat kepadanya, “Itu la dulu kau berlagak sangat, nah sekarang macam mana rasa dia?”


 

Yunus Ayat 52: Apa lagi akan dikatakan kepada mereka?

ثُمَّ قيلَ لِلَّذينَ ظَلَموا ذوقوا عَذابَ الخُلدِ هَل تُجزَونَ إِلّا بِما كُنتُم تَكسِبونَ

Sahih International

Then it will be said to those who had wronged, “Taste the punishment of eternity; are you being recompensed except for what you used to earn?”

Malay

Kemudian dikatakan lagi kepada orang-orang yang berlaku zalim itu: “Rasakanlah azab yang kekal. Tidaklah kamu dibalas melainkan dengan apa yang kamu usahakan (di dunia)”.

 

ثُمَّ قِيلَ لِلَّذِينَ ظَلَمُوا

Kemudian dikatakan lagi kepada orang-orang yang berlaku zalim itu:

Sudahlah azab dikenakan kepada mereka, ditambah lagi dengan kata-kata yang menghinakan. Itu adalah seksaan emosi kerana Allah ﷻ tambah bagi mereka rasa sakit dan tertekan. Allah ﷻ betul-betul hendak beri mereka rasa menyesal sangat.

 

ذُوقُوا عَذَابَ الْخُلْدِ

“Rasakanlah azab yang kekal.

Tidak ada peluang untuk berpatah balik ke dunia. Mereka akan kekal dalam neraka menerima azab yang kekal itu. Kekal terima azab dalam neraka dan tidak ada peluang untuk kali kedua. Mereka ada meminta untuk kembali ke dunia tetapi ia tidak akan dibenarkan seperti disebut dalam Sajdah:12-13

وَلَو تَرىٰ إِذِ المُجرِمونَ ناكِسو رُءوسِهِم عِندَ رَبِّهِم رَبَّنا أَبصَرنا وَسَمِعنا فَارجِعنا نَعمَل صٰلِحًا إِنّا موقِنونَ

Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”.

وَلَو شِئنا لَآتَينا كُلَّ نَفسٍ هُدٰها وَلٰكِن حَقَّ القَولُ مِنّي لَأَملَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ الجِنَّةِ وَالنّاسِ أَجمَعينَ

Dan (bagi menolak rayuan itu Allah Taala berfirman): “Kalaulah Kami telah tetapkan persediaan (memberikan hidayah petunjuk untuk beriman dan beramal soleh kepada tiap-tiap seorang dengan ketiadaan usaha dari masing-masing), nescaya Kami berikan kepada tiap-tiap seorang akan hidayah petunjuknya (sebelum masing-masing meninggal dunia, supaya tidak terkena azab di akhirat); tetapi telah tetap hukuman seksa dariKu: `Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan semua jin dan manusia (yang pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal soleh)”.

 

هَلْ تُجْزَوْنَ إِلَّا بِمَا كُنتُمْ تَكْسِبُونَ

Sudahkah kamu dibalas melainkan dengan apa yang kamu usahakan dulu?”.

Inilah apa yang kamu layak dapat. Tak lebih, tak kurang kerana Allah tidak zalim. Maka kenalah kita beringat. Jangan kita menyesal di akhirat kelak. Mereka yang tidak mengendahkan tentang akhirat dan tidak takut kepada neraka, mereka akan mendapat nasib yang malang seperti disebut dalam Naba’:21-26

إِنَّ جَهَنَّمَ كانَت مِرصادًا

Sesungguhnya neraka Jahannam telah menunggu

لِلطّاغينَ مَآبًا

Untuk orang-orang yang melampaui batas hukum Tuhan, sebagai tempat kembalinya.

لابِثينَ فيها أَحقابًا

Mereka tinggal di dalamnya berkurun-kurun lamanya.

لا يَذوقونَ فيها بَردًا وَلا شَرابًا

Mereka tidak dapat merasai udara yang sejuk di dalamnya, dan tidak pula sebarang minuman

إِلّا حَميمًا وَغَسّاقًا

Kecuali air panas yang menggelegak, dan air danur yang mengalir, –

جَزاءً وِفاقًا

Sebagai balasan yang sesuai (dengan amal mereka yang buruk).

Kita kena baca banyak kali ayat-ayat sebegini supaya timbul rasa takut dalam diri kita untuk membuat dosa. Kena bayangkan bagaimanalah keadaan kita di sana kalau kita terus melakukan dosa. Kalau ada dosa yang telah dibuat, maka bertaubatlah dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh.


 

Yunus Ayat 53: Di sini ada Zajrun, Takhwif Ukhrawi dan juga Syikayah (rungutan daripada Allah ﷻ.

وَيَستَنبِئونَكَ أَحَقٌّ هُوَ ۖ قُل إي وَرَبّي إِنَّهُ لَحَقٌّ ۖ وَما أَنتُم بِمُعجِزينَ

Sahih International

And they ask information of you, [O Muhammad], “Is it true?” Say, “Yes, by my Lord. Indeed, it is truth; and you will not cause failure [to Allah ].”

Malay

Dan mereka (yang meminta disegerakan azab) itu akan bertanya kepadamu (wahai Muhammad): “Adakah kedatangan azab yang dijanjikan itu benar? “Jawablah: “Ya, demi Tuhanku! Sesungguhnya adalah ia benar! Dan kamu tidak sekali-kali berkuasa menahan kedatangannya”.

 

وَيَسْتَنبِئُونَكَ

Dan mereka meminta maklumat daripada kamu:

Mereka yang dimaksudkan adalah Musyrikin Mekah.

Perkataan يَسْتَنبِئُونَكَ berasal daripada katadasar ن ب ء yang bermaksud ‘berita besar’. Mereka mahukan maklumat tentang berita yang besar.

 

أَحَقٌّ هُوَ

Adakah apa yang engkau katakan itu benar?

Beberapa perkara tentang agama telah diberitahu oleh Nabi Muhammad. Tentang Allah, tentang azab, tentang akhirat, syurga neraka dan lain-lain lagi. Sekarang mereka tanya: “eh betulkah?”

Setelah sekian lama, mereka bertanya kepada Nabi ﷺ sama ada betul atau tidak segala perkara yang dikatakan Nabi ﷺ itu. Akan tetapi mereka tanya sebagai persendaan sahaja. Mereka hendak memperkecilkan tentang semua yang Nabi ﷺ katakan itu. Sepertimana kita tanya kepada seseorang apabila kita tidak percaya akan kata-katanya: “Ni betui ke tak betui apa yang kau cakap ni? Lain macam jer aku dengar…..”

 

قُلْ إِي وَرَبِّي إِنَّهُ لَحَقٌّ

Jawablah: “Ya benar, aku bersumpah demi Tuhanku! Sesungguhnya adalah ia benar!

Nabi ﷺ disuruh untuk menjawab dengan yakin bahawa ia pasti akan terjadi. Jangan cakap dengan nada ragu-ragu. Ini kerana jika kita ditanya berkali-kali tentang sesuatu perkara, kita pun akan mula berasa sangsi, bukan? Allah ﷻ tidak mahu Nabi ﷺ rasa begitu. Allah ﷻ suruh Nabi ﷺ beritahu dengan tegas dan yakin. Ini dapat dilihat daripada bahasa yang digunakan kerana ada Lam Taukid pada kalimah لَحَقٌّ itu.

Perkataan إِي seperti maksud نعم (ya). Namun ia selalu digunakan dalam ayat sumpah. Dan huruf و dalam perkataan وَرَبِّي adalah juga digunakan dalam sumpah. Manakala perkataan إِي itu seperti mengatakan ‘ya’ dengan nada keras dan menjerit. Maka ada banyak tanda penegasan di dalam ayat ini.

Bersumpah dengan Allah (وَرَبِّي) itu adalah penegasan. Perkataan إِنَّهُ juga penegasan. Dan akhir sekali, huruf ل dalam perkataan لَحَقٌّ juga adalah penegasan. Pasti bahawa apa yang telah diberitahu oleh baginda itu adalah benar belaka. Maka, keseluruhan potongan ayat ini: إِي وَرَبِّي إِنَّهُ لَحَقٌّ hendaklah dibaca dengan nada tegas!

 

وَمَا أَنتُم بِمُعْجِزِينَ

Dan kamu tidak sekali-kali berkuasa melemahkan”.

Kalimah مُعْجِزِينَ adalah jamak kepada perkataan مُعْجِزِ yang bermaksud ‘seseorang yang boleh melemahkan seseorang daripada melakukan sesuatu’. Yang boleh mengalahkan seseorang. Ia adalah daripada katadasar ع ج ز dan kalimah mu’jizat diambil juga diambil daripada katadasar ini kerana mu’jizat mengalahkan manusia.

Maknanya, mereka tidak akan boleh melemahkan atau mengalahkan Allah ﷻ daripada melakukan apa yang Allah ﷻ hendak lakukan. Tidak kira apa yang mereka lakukan, apa yang Allah ﷻ janjikan akan terjadi. Buang masa sahaja mereka bertanya banyak kali. Ia akan tetap terjadi jika Allah ﷻ kehendaki.

Habis Ruku’ 5 daripada 11 surah ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 12 Jun 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Yunus Ayat 45 – 47 (Berkenalan di Akhirat)

KEHIDUPAN YANG PENDEK

Yunus Ayat 45: Kisah di akhirat kelak

وَيَومَ يَحشُرُهُم كَأَن لَّم يَلبَثوا إِلّا ساعَةً مِّنَ النَّهارِ يَتَعارَفونَ بَينَهُم ۚ قَد خَسِرَ الَّذينَ كَذَّبوا بِلِقاءِ اللَّهِ وَما كانوا مُهتَدينَ

Sahih International

And on the Day when He will gather them, [it will be] as if they had not remained [in the world] but an hour of the day, [and] they will know each other. Those will have lost who denied the meeting with Allah and were not guided

Malay

Dan (ingatlah) masa Tuhan himpunkan mereka (pada hari kiamat kelak), dengan keadaan mereka merasai seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari. Mereka akan berkenal-kenalan sesama sendiri. Sesungguhnya rugilah orang-orang yang telah mendustakan hari menemui Allah untuk menerima balasan, dan yang tidak mendapat petunjuk (ke jalan mencari untung semasa hidup di dunia).

 

وَيَوْمَ يَحْشُرُهُمْ

Dan masa Tuhan himpunkan mereka 

Apabila Allah ‎ﷻ menyebut يَوْمَ (tentang hari itu), ia bermaksud Allah ‎ﷻ suruh kita beringat-ingat. Allah ‎ﷻ juga suruh kita mengingatkan orang lain tentangnya. Hari yang dimaksudkan dalam ini adalah hari di Mahsyar.

 

كَأَن لَّمْ يَلْبَثُوا إِلَّا سَاعَةً مِّنَ النَّهَارِ

mereka merasai seolah-olah mereka tidak tinggal (di dunia) melainkan sekadar satu jam dari siang hari.

Berkumpul di Mahsyar itu terlalu lama sampaikan jikalau dibandingkan penungguan mereka di Mahsyar itu dengan seluruh kehidupan mereka di dunia, hidup pada dunia itu rasa seperti satu jam sahaja. Satu pendapat menyatakan yang penungguan di Mahsyar itu adalah selama 50,000 tahun.

Waktu itu mereka akan terpinga-pinga dan bertanyaan sesama sendiri berapa lama mereka tinggal di dunia (bumi) kerana lama sangat mereka di Mahsyar itu. Kalau ditanya pun mereka tidak akan dapat agak. Ini disebut dalam Mukminoon:112-114

قٰلَ كَم لَبِثتُم فِي الأَرضِ عَدَدَ سِنينَ

Allah bertanya: “Berapa tahunkah lamanya kamu tinggal di bumi?”

قالوا لَبِثنا يَومًا أَو بَعضَ يَومٍ فَاسئَلِ العادّينَ

Mereka menjawab: “Kita tinggal (di bumi) sehari atau setengah hari, maka tanyakanlah kepada orang-orang yang menghitung”.

قٰلَ إِن لَّبِثتُم إِلّا قَليلًا ۖ لَّو أَنَّكُم كُنتُم تَعلَمونَ

Allah berfirman: “Kamu tidak tinggal (di bumi) melainkan sebentar saja, kalau kamu sesungguhnya mengetahui”

Di dalam Naaziat:46 juga Allah ‎ﷻ sebut,

كَأَنَّہُم يَومَ يَرَونَہَا لَم يَلبَثُوٓاْ إِلَّا عَشِيَّةً أَو ضُحَٮٰهَا

Pada hari mereka melihat hari berbangkit itu, mereka merasa seakan-akan tidak tinggal (di dunia) melainkan (sebentar saja) di waktu petang atau pagi hari.

Pengajaran bagi kita adalah dunia ini sekejap sahaja. Kita sekarang mungkin rasa lama hidup di dunia, tetapi sedarlah yang ia tidaklah lama. Maka jangan dilebihkan sangat dunia ini. Ia hanya tempat ujian, tempat kita kumpul pahala untuk dibawa ke akhirat yang kekal abadi. Amat rugi kalau dunia yang tidak bernilai ini kita bersungguh-sungguh menjaganya, namun kita tidak menjaga persediaan kita untuk ke akhirat.

Apakah nilai dunia ini sebenarnya? Daripada Sahl bin Sa’id as-Sa’idi رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda,

لَوْ كَانَت الدُّنْيَا تَعْدِلُ عِنْدَ الله جَنَاحَ بَعُوضَةٍ ، مَا سَقَى كَافِراً مِنْهَا شَرْبَةَ مَاءٍ

Seandainya dunia ini di sisi Allah senilai harganya dengan sayap nyamuk nescaya Allah tidak akan memberi minum barang seteguk sekalipun kepada orang kafir

(HR. Tirmidzi, dan dia berkata: ‘hadith hasan sahih’)

 

Maka jangan simpan hati dan jiwa kita di dunia ini tetapi anggaplah ia sebagai tempat persinggahan sementara sahaja. Rasulullah ajar kita dalam sebuah hadith riwayat daripada Abdullah bin Mas’ud رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda,

مَا لِي وَلِلدُّنْيَا ؟ مَا أَنَا في الدُّنْيَا إِلاَّ كَرَاكِبٍ اسْتَظَلَّ تَحْتَ شَجَرَةٍ ثُمَّ رَاحَ وَتَرَكَهَا

Ada apa antara aku dengan dunia ini? Tidaklah aku berada di dunia ini kecuali bagaikan seorang pengendara/penempuh perjalanan yang berteduh di bawah sebuah pohon. Kemudian dia beristirahat sejenak di sana lalu meninggalkannya

(HR. Tirmidzi No. 3277)

Kutipan SIP Ke-148 Hanya Beristirahat - Solidaritas Insan Peduli

 

 

Oleh itu janganlah kita sia-siakan usaha kita pada dunia sahaja. Ia tidak ada apa-apa nilai, malah terlaknat seperti yang diberitahu kepada kita oleh Rasulullah ﷺ. Sekiranya kita tidak mengambil peluang untuk mengumpul ilmu dan pahala, rugilah kita!

Rasulullah ﷺ bersabda:

{ إِنَّ الدُّنْيَا مَلْعُونَةٌ مَلْعُونٌ مَا فِيهَا إِلَّا ذِكْرُ اللَّهِ وَمَا وَالَاهُ وَعَالِمٌ أَوْ مُتَعَلِّمٌ }

“Dunia itu terlaknat dan segala yang terkandung di dalamnya pun terlaknat, kecuali orang yang berzikir kepada Allah, yang melakukan ketaatan kepada-Nya, seorang ‘alim atau penuntut ilmu syar’i.”

(Tirmidzi, Ibnu Majah. Dalam Shohihul Jami’, Syeikh Al Albani رحمه الله mengatakan hadith ini hasan)

 

Perlulah kita merenungkan hadith ini dengan saksama, di golongan manakah diri kita berada, apakah kita termasuk golongan yang mendapat rahmat dan dijauhkan daripada laknat, ataukah sebaliknya kita termasuk orang-orang yang mendapat laknat, menjadi hamba dunia kerana sebahagian besar aktiviti kita atau ataupun seluruhnya hanya bertujuan untuk meraih kenikmatan dunia yang fana ini.

يَتَعَارَفُونَ بَيْنَهُمْ

Mereka akan berkenal-kenalan sesama sendiri.

Tafsiran pertama: Mereka akan rasa kehidupan di dunia itu sekejap sangat, sekadar masa cukup untuk kenal mengenal sahaja dek kerana lamanya masa di Akhirat kelak. Jika dibandingkan dengan kehidupan dunia itu setakat sempat kenal mengenal sahaja.

Tafsiran kedua: Selama masa yang menunggu di mahsyar itu mereka akan berkenal-kenalan sesama mereka. Sebagai contoh, ada orang yang kita kenal semasa di dunia yang kita mungkin bertemu dengan mereka di akhirat kelak. Atau kita mungkin berjumpa dengan orang-orang yang kita selalu dengar kisah mereka.

Sebagai contoh, kita tidak pernah bertemu dengan sahabat Nabi, namun kita kenal mereka daripada kisah-kisah mereka. Apabila sampai di sana, kita mungkin berada di dalam lingkungan sahabat-sahabat itu dan dapat berkenalan dengan mereka.

Kita boleh kenal orang-orang Islam kerana orang-orang Islam yang mengambil wudhu’ akan bercahaya anggota-anggota wudhu’ mereka di Mahsyar nanti.

Kita juga akan kenal orang-orang yang berdosa daripada tanda-tanda pada diri mereka, seperti yang disebut di dalam Rahman:41

يُعْرَفُ الْمُجْرِمُونَ بِسِيمَاهُمْ فَيُؤْخَذُ بِالنَّوَاصِي وَالْأَقْدَامِ

Orang-orang yang berdosa dapat dikenal daripada tanda-tandanya, lalu dipegang dari atas kepala dan kakinya (serta diseret ke neraka);

Walaupun kita dapat berkenal-kenalan dengan orang-orang lain, tidaklah ada sesiapa pun yang dapat membantu sesiapa. Kalau kenal pun tidak dapat berbuat apa-apa. Ini adalah kerana suasana di Mahsyar itu setiap makhluk akan sibuk dengan dirinya sendiri. Seperti yang tersebut di dalam Maarij:10

وَلَا يَسْأَلُ حَمِيمٌ حَمِيمًا

Dan sahabat karib tidak bertanyakan hal sahabat karibnya, (kerana tiap-tiap seorang sibuk memikirkan hal keadaannya sendiri),

Kalau kita pergi mana-mana, tentunya kita akan cari kawan kita, bukan? Dalam majlis yang ramai orang, kita akan cari juga sesiapa yang kita kenal. Kita pun akan duduk bersama dengannya. Akan tetapi di akhirat nanti, tidak ada suasana seperti itu. Imam Baghawi رحمه الله mengatakan manusia akan kenal kenalan mereka seolah-olah mereka sekejap sahaja tidur di alam kubur. Sangatlah sekejap sahaja kerana selepas itu huru hara Mahsyar akan menyebabkan kekecohan dan tidak ada yang duduk dengan kenalan mereka lagi.

Malah mereka akan lari daripada satu sama lain. Sebab semua manusia akan risau sangat tentang hal diri sendiri dan takut mereka akan dituntut hak mereka oleh kenalan mereka. Ini telah disebut dalam Abasa:34-37

يَوْمَ يَفِرُّ الْمَرْءُ مِنْ أَخِيهِ

Pada hari seseorang itu lari daripada saudaranya,

وَأُمِّهِ وَأَبِيهِ

Dan ibunya serta bapanya,

وَصَاحِبَتِهِ وَبَنِيهِ

Dan isterinya serta anak-anaknya; –

لِكُلِّ امْرِئٍ مِّنْهُمْ يَوْمَئِذٍ شَأْنٌ يُغْنِيهِ

Kerana tiap-tiap seorang daripada mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja.

Tafsiran ketiga: di akhirat nanti akan kenal hati budi masing-masing kerana di sana nanti semuanya akan dibukakan.

Tafsiran keempat: kita akan kenal orang yang kita sudah kenal semasa di dunia. Pada waktu inilah kita akan berkelahi, tuduh menuduh sesama sendiri. Mulalah saling menyalahkan di antara satu sama lain kerana orang itu telah menyesatkan kita dan sebagainya.

 

قَدْ خَسِرَ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِلِقَاءِ اللَّهِ

Sesungguhnya rugilah orang-orang yang telah mendustakan hari menemui Allah untuk menerima balasan,

Manusia yang tidak memikirkan tentang hari perjumpaan dengan Allah ‎ﷻ adalah mereka yang paling rugi kerana tidak membuat persediaan. Ini kerana sekarang mereka merasakan dunia inilah yang penting namun bila mereka di Mahsyar nanti, mereka akan sedar bahawa dunia ini tidak ada apa-apa nilai pun. Sekarang mereka rasa kehidupan di dunia ini lama. Namun sebenarnya tidak.

Oleh kerana merasakan dunia ini penting, maka mereka banyak memikirkan tentang dunia dan berusaha untuk mendapat kelebihan di dunia dan mereka meninggalkan persediaan mereka untuk akhirat. Akan tetapi apabila di Mahsyar nanti, mereka akan tahu bahawa segala usaha yang mereka lakukan untuk dunia itu adalah sia-sia sahaja kerana ia akan ditinggalkan begitu sahaja.

Oleh itu janganlah kita mementingkan dunia ini sangat. Hati kita memang seronok kalau mendapat kemewahan material seperti telefon yang berjenama baru, kereta yang mewah, pakaian yang indah, rumah yang besar dan sebagainya. Waktu mula-mula dapat, kita akan jaga baik-baik. Akan tetapi lama kelamaan perasaan seronok itu hilang juga. Sementara barangan itu tidak akan kekal dan dalam beberapa tahun, ia akan rosak dan terjejas sana sini dan kita terpaksa membaikinya atau terus dibuang sahaja jika tidak dapat digunakan lagi. Itulah tanda dunia ini tidak kekal mana pun. Barangan tidak kekal malah perasaan seronok juga tidak kekal.

Sementara itu, yang rugi juga adalah orang yang beramal dengan amalan yang salah. Mereka mungkin banyak beramal, tetapi kerana salah belajar, mereka beramal dengan amalan yang salah. Yang lebih menakutkan, mereka sangka mereka di atas jalan yang benar! Allah ‎ﷻ sebut dalam Kahf:103-105 tentang hal ini,

قُل هَل نُنَبِّئُكُم بِالأَخسَرينَ أَعمٰلًا

Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?

الَّذينَ ضَلَّ سَعيُهُم فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا وَهُم يَحسَبونَ أَنَّهُم يُحسِنونَ صُنعًا

(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan”.

أُولٰئِكَ الَّذينَ كَفَروا بِئآيٰتِ رَبِّهِم وَلِقائِهِ فَحَبِطَت أَعمٰلُهُم فَلا نُقيمُ لَهُم يَومَ القِيٰمَةِ وَزنًا

Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan dengan-Nya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatnya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak.

Bagaimanakah nanti agaknya mereka apabila ditanya oleh Allah ‎ﷻ: “Kenapa kamu amal benda ini, ada dalilkah?”

 

وَمَا كَانُوا مُهْتَدِينَ

dan mereka bukan orang yang mendapat petunjuk

Mereka tidak mendapat hidayah petunjuk itu kerana mereka sendiri yang memilih untuk tidak mengendahkan hidayah itu apabila ia sampai kepada mereka. Sebagai contoh, apabila mereka diajak untuk pergi ke kelas Tafsir Al-Qur’an, berbagai-bagai alasan yang mereka akan berikan:

    • Kau pergilah dahulu
    • Aku baru dapat projek, jadi aku sibuk sikit
    • Siapa guru kamu itu, kitab apa dia pakai? betulkah apa yang dia ajar?
    • Aku tak pernah dengar pun nama guru kamu.
    • Aku nak belajar agama, bukan nak belajar Tafsir Qur’an.
    • Aku nak belajar bahasa Arab dulu
    • Aku nak belajar baca Qur’an dulu bagi lancar (belajar tajwid)
    • Aku nak betulkan diri aku dulu
    • Waktu kelas itu, aku kena hantar anak aku pergi kelas tambahan, jadi aku tak dapat nak datang.

Malah bermacam-macam lagi alasan yang diberikan. Amat rugi sekali kalau kita tidak mengendahkan Al-Qur’an iaitu tidak mempelajari tafsirnya. Allah ‎ﷻ telah berfirman di Baqarah: 121 tentang manusia yang tidak mengendahkan kitab wahyu.

الَّذينَ ءَاتَينَـٰهُمُ ٱلكِتَـٰبَ يَتلونَهُ حَقَّ تِلاوَتِهِ أُولٰئِكَ يُؤمِنونَ بِهِ ۗ وَمَن يَكفُر بِهِ فَأُولٰئِكَ هُمُ ٱلخَـٰسِرُونَ

Orang-orang yang Kami berikan Kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah dan memutarkan maksudnya), mereka itulah orang-orang yang beriman kepadanya; dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah orang-orang yang rugi.

Ayat ini menyebut tentang manusia yang menolak Al-Qur’an. Akan tetapi kalau tidak mengendahkannya, tidak mempelajarinya, adakah ia tidak sama seperti menolaknya?

Bagaimana pula dengan mereka yang sudah mempelajarinya tetapi tidak berdakwah dengannya, tidak menyampaikan ajaran daripadanya? Ini pun rugi juga seperti disebut di dalam Asr: 2-3

إِنَّ الإِنسانَ لَفي خُسرٍ

Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian,

إِلَّا الَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ وَتَواصَوا بِالحَقِّ وَتَواصَوا بِالصَّبرِ

kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati kepada kebenaran dan nasihat menasihati kepada kesabaran.

Ulama mengatakan تَواصَوا بِالحَقِّ adalah dengan menyampaikan ajaran Al-Qur’an kepada manusia. Jikalau tidak melakukannya, maka ancaman di dalam ayat ke 2 Surah Al-Asr ini adalah manusia di dalam kerugian (إِنَّ الإِنسانَ لَفي خُسرٍ). Agaknya siapa yang akan jadi saksi kita sama ada kita telah sampaikan dakwah Tauhid kepada manusia? Atau nanti ada yang berhujah di hadapan Allah ‎ﷻ, “Ya Allah aku kenal dia ni berpuluh tahun tapi sikit pun dia tak pernah sampaikan kepadaku!”


 

PERINGATAN DIBERI SEBELUM HUKUMAN

Yunus Ayat 46: Takhwif duniawi.

وَإِمّا نُرِيَنَّكَ بَعضَ الَّذي نَعِدُهُم أَو نَتَوَفَّيَنَّكَ فَإِلَينا مَرجِعُهُم ثُمَّ اللَّهُ شَهيدٌ عَلىٰ ما يَفعَلونَ

Sahih International

And whether We show you some of what We promise them, [O Muhammad], or We take you in death, to Us is their return; then, [either way], Allah is a witness concerning what they are doing

Malay

Dan jika Kami perlihatkan kepadamu (wahai Muhammad) akan sebahagian dari balasan azab yang Kami janjikan kepada mereka, atau jika Kami wafatkan engkau sebelum itu, maka kepada Kamilah tempat kembali mereka; kemudian Allah yang memberi keterangan mengenai apa yang mereka lakukan.

 

وَإِمّا نُرِيَنَّكَ بَعضَ الَّذي نَعِدُهُم

Dan jika Kami perlihatkan kepadamu (wahai Muhammad) akan sebahagian daripada (azab) yang Kami janjikan kepada mereka,

Bila kita ditentang dengan begitu teruk dan dikeji oleh puak-puak bid’ah, maka ada terdetik dalam hati kecil kita untuk melihat bagaimanakah keadaan mereka apabila mereka hampir mati nanti. Allah ‎ﷻ jawab perasaan kita di dalam ayat ini kerana Nabi Muhammad ﷺ turut mempunyai juga perasaan geram itu kerana baginda pun manusia juga.

Apakah yang telah dijanjikan kepada Musyrikin Mekah dan orang-orang yang mengamalkan syirik? Janji Allah ‎ﷻ adalah, sesiapa yang melakukan syirik dan dosa, mereka akan diazab. Maka antara hiburan yang Allah ‎ﷻ beri kepada Nabi ﷺ adalah dapat lihat azab dikenakan kepada musuhnya. Seperti kekalahan Musyrikin Mekah di Badr.

Allah ﷻ boleh sahaja memberikan azab itu kepada puak musyrik itu ketika Nabi ﷺ masih hidup lagi, supaya baginda dapat lihat bagaimana mereka yang menentang dan melawan baginda dimusnahkan di hadapan mata baginda. Pernah Rasulullah ﷺ berdoa kepada Allah ﷻ untuk menurunkan azab kepada Musyrikin Mekah seperti disebut di dalam sebuah hadith:

عَنْ مَسْرُوقٍ، قَالَ كُنَّا عِنْدَ عَبْدِ اللَّهِ فَقَالَ إِنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم لَمَّا رَأَى مِنَ النَّاسِ إِدْبَارًا قَالَ ‏”‏ اللَّهُمَّ سَبْعٌ كَسَبْعِ يُوسُفَ ‏”‏‏.‏ فَأَخَذَتْهُمْ سَنَةٌ حَصَّتْ كُلَّ شَىْءٍ حَتَّى أَكَلُوا الْجُلُودَ وَالْمَيْتَةَ وَالْجِيَفَ، وَيَنْظُرَ أَحَدُهُمْ إِلَى السَّمَاءِ فَيَرَى الدُّخَانَ مِنَ الْجُوعِ، فَأَتَاهُ أَبُو سُفْيَانَ فَقَالَ يَا مُحَمَّدُ إِنَّكَ تَأْمُرُ بِطَاعَةِ اللَّهِ وَبِصِلَةِ الرَّحِمِ وَإِنَّ قَوْمَكَ قَدْ هَلَكُوا، فَادْعُ اللَّهَ لَهُمْ قَالَ اللَّهُ تَعَالَى ‏{‏فَارْتَقِبْ يَوْمَ تَأْتِي السَّمَاءُ بِدُخَانٍ مُبِينٍ‏}‏ إِلَى قَوْلِهِ ‏{‏عَائِدُونَ * يَوْمَ نَبْطِشُ الْبَطْشَةَ الْكُبْرَى‏}‏ فَالْبَطْشَةُ يَوْمَ بَدْرٍ، وَقَدْ مَضَتِ الدُّخَانُ وَالْبَطْشَةُ وَاللِّزَامُ وَآيَةُ الرُّومِ‏.‏

Diriwayatkan oleh Masruq: Kami bersama `Abdullah dan dia berkata, “Ketika Nabi (ﷺ) melihat penolakan orang-orang untuk menerima Islam baginda berkata, “Ya Allah! Kirimkan (kelaparan) tahun kepada mereka selama (tujuh tahun) seperti tujuh tahun (kelaparan pada masa) (Nabi) Yusuf. “Maka kelaparan menimpa mereka selama satu tahun dan menghancurkan setiap jenis kehidupan sehingga orang-orang mula memakan kulit, bangkai dan binatang mati busuk. Setiap kali salah seorang daripada mereka memandang ke langit, dia akan (membayangkan dirinya) melihat asap kerana lapar. Oleh itu, Abu Sufyan pergi menemui Nabi (ﷺ) dan berkata, “Wahai Muhammad! Engkau memerintahkan orang-orang untuk mentaati Allah dan menjaga hubungan baik dengan saudara dan kerabat. Tidak diragukan lagi bahawa orang-orang daripada suku kamu sakarat (dalam kesakitan yang sangat), jadi tolong berdoalah kepada Allah untuk mereka. “Maka Allah menyatakan: ” Maka perhatikanlah kamu pada hari di mana langit akan mengeluarkan sejenis asap yang jelas kelihatan . . . Sesungguhnya! Engkau akan kembali (menjadi tidak percaya) pada hari ketika Kami akan menangkap engkau dengan genggaman yang kuat. (44. 10-16) Ibn Mas `ud menambahkan, “Al-Batsha (iaitu genggaman) terjadi dalam perang Badar dan tidak diragukan lagi asap, Al-Batsha, Al-Lizam dan ayat Surat Ar-Rum semuanya telah berlalu.

(Sahih Bukhari (1007))

Syarah: Hadith ini diceritakan yang doa Nabi Muhammad ﷺ itu boleh dimakbulkan oleh Allah ‎ﷻ. Kalaulah baginda berdoa kepada Allah ‎ﷻ untuk memusnahkan mereka, tentu ia akan terjadi. Akan tetapi Rasulullah ﷺ tidak buat begitu. Baginda hanya berdoa kepada Allah ‎ﷻ untuk berikan kemarau sahaja kepada mereka supaya mereka rasa lemah dan rendah diri. Apabila orang lemah dan rendah diri, maka senang mereka menerima nasihat. Kalau sedang senang lenang, memang susah orang hendak dengar nasihat.

 

أَوْ نَتَوَفَّيَنَّكَ

atau jika Kami wafatkan engkau sebelum itu,

Allah ﷻ boleh beri Nabi Muhammad ﷺ melihat azab yang diberikan kepada puak musyrik itu atau Allah ﷻ boleh buat keputusan untuk memberikan azab kepada mereka selepas Nabi ﷺ telah wafat. Maknanya, Nabi Muhammad ﷺ tidak sempat untuk melihat azab itu diberikan kepada mereka yang menentang baginda.

Maknanya, Allah ﷻ boleh beri Nabi Muhammad ﷺ melihat azab itu ataupun memutuskan Nabi ﷺ tidak melihat azab itu dikenakan kepada musuh baginda.

 

فَإِلَيْنَا مَرْجِعُهُمْ

maka kepada Kamilah tempat kembali mereka;

Sama ada baginda dapat lihat ataupun tidak bagaimanakah mereka dimatikan, yang pasti mereka akan dibawa untuk mengadap Allah ﷻ. Mereka akan dibawa kepada Allah ﷻ. Nabi ﷺ lihat atau tidak, itu tidak penting. Yang penting mereka pasti akan dihukum.

 

ثُمَّ اللَّهُ شَهِيدٌ عَلَىٰ مَا يَفْعَلُونَ

kemudian Allah yang akan menjadi saksi atas apa yang mereka lakukan.

Maknanya, Allah ﷻ tahu sangat dengan apa yang mereka lakukan. Allah ﷻ sendiri akan menjadi saksi atas perbuatan mereka itu. Itu sudah cukup.

Ayat ini juga bermaksud yang Allah ﷻ akan membalas mereka dengan azab di atas perbuatan mereka. Bukan setakat menjadi saksi sahaja, tetapi menjadi hakim untuk menjatuhkan hukum sekali. Ini kerana perkataan شَهِيدٌ bukan sahaja bermakna ‘saksi’ tetapi ia juga boleh bermaksud ‘Hakim’. Allah ﷻ sendiri akan menghukum mereka atas kesalahan yang mereka telah lakukan. Allah ﷻ sendiri yang akan buat keputusan tentang apakah azab yang akan diberikan kepada mereka.

Oleh itu, ayat ini sebenarnya untuk menenangkan dan memujuk hati Nabi ﷺ. Janganlah Nabi ﷺ risau tetapi ketahuilah bahawa jika mereka tidak beriman dan menentang baginda, mereka akan dikenakan dengan azab.

Ayat ini juga menjadi penenang hati kita. Berapa ramai yang kita sudah dakwah tetapi mereka menolak dakwah kita dan mereka mengutuk kita, mencaci kita, memarahi kita dengan bermacam-macam tuduhan. Mereka juga beri gelaran kepada kita seperti ‘wahabi’ dengan tujuan untuk menjatuhkan kita. Tenanglah wahai hati dan yakinlah bahawa mereka akan dibalas dengan kata-kata mereka itu.


 

Yunus Ayat 47: Sekarang kita masuk ke Perenggan Makro ke 4 surah ini. Ia bermula daripada ayat ini sehingga ke ayat 58. Allah ﷻ menceritakan tentang debat dengan golongan kafir Quraish yang menentang Rasul ﷺ dan tidak percaya dengan Hari Akhirat.

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ رَّسولٌ ۖ فَإِذا جاءَ رَسولُهُم قُضِيَ بَينَهُم بِالقِسطِ وَهُم لا يُظلَمونَ

Sahih International

And for every nation is a messenger. So when their messenger comes, it will be judged between them in justice, and they will not be wronged

Malay

Dan bagi tiap-tiap satu umat ada seorang Rasul (yang diutuskan kepadanya); setelah datang Rasul masing-masing (menerangkan apa yang mesti diterangkan) maka hukuman pun dijalankan di antara mereka dengan adil dan mereka tetap tidak dianiaya.

 

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ رَّسُولٌ

Dan bagi tiap-tiap satu umat ada seorang Rasul (yang diutuskan kepadanya);

Allah ﷻ dengan rahmat-Nya memberikan Rasul sebagai pemberi peringatan. Setiap kaum ada Nabi dan Rasul mereka yang ditugaskan untuk berdakwah kepada kaum mereka. Tugas mereka adalah memberi peringatan kepada kaumnya yang melakukan syirik, bidaah dan dosa. Sekiranya mereka enggan berubah dan tidak mahu bertaubat maka bersedialah untuk menerima balasan azab yang dahsyat.

Tugas semua Rasul itu sama sahaja, untuk beri peringatan. Banyak sekali disebut antaranya kita boleh lihat dalam Surah Nuh:1-3

إِنّا أَرسَلنا نوحًا إِلىٰ قَومِهِ أَن أَنذِر قَومَكَ مِن قَبلِ أَن يَأتِيَهُم عَذابٌ أَليمٌ

Sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, (dengan berfirman kepadanya): “Berikanlah peringatan dan amaran kepada kaummu sebelum mereka didatangi azab yang tidak terperi sakitnya”.

قالَ يا قَومِ إِنّي لَكُم نَذيرٌ مُبينٌ

dia pun (menyeru mereka dengan) berkata: “Wahai kaumku! Sesungguhnya aku ini diutus kepada kamu, sebagai pemberi ingatan dan amaran yang nyata;

أَنِ اعبُدُوا اللَّهَ وَاتَّقوهُ وَأَطيعونِ

“Iaitu sembahlah kamu akan Allah dan bertaqwalah kepada-Nya, serta taatlah kamu kepadaku;

 

فَإِذَا جَاءَ رَسُولُهُمْ

setelah datang Rasul masing-masing

Tugas Rasul adalah menerangkan apa yang mesti diterangkan. Namun tentulah tidak semua kaum menerima dakwah Rasul mereka.

Sebagaimana kita sekarang, sudah tidak ada rasul yang diturunkan kepada kita tetapi ada pendakwah yang menyampaikan ajaran tauhid. Maknanya, peringatan sudah diberikan kepada kita juga. Jangan pula beri alasan kita tidak ada Rasul kerana Al-Qur’an sudah ada, pendakwah tauhid pun sudah ada.

 

قُضِيَ بَيْنَهُم بِالْقِسْطِ

maka hukuman pun dijalankan di antara mereka dengan adil

Apabila Rasul telah diberikan kepada semua umat itu dan mereka menentang Rasul itu, maka mereka akan dijatuhkan dengan keputusan akan diazab. Mereka tidak ada alasan lagi kerana Rasul telah sampai kepada mereka.  Allah ﷻ tidak akan mengazab sesuatu umat itu melainkan mereka telah diberitahu tentang tauhid dan apakah yang mereka patut lakukan. Mereka juga telah diberi amaran tentang neraka.

Satu lagi tafsiran mengatakan para Rasul itu dibawa ke hadapan umat mereka di akhirat kelak. Iaitu apabila pengadilan dilakukan kerana para Rasul itu menjadi saksi kepada umat mereka. Iaitu sama ada umat mereka itu ikut ajakan dakwah atau tidak. Rasulullah ﷺ juga akan  menjadi saksi kepada umatnya (termasuklah kita) di akhirat kelak seperti disebut dalam Baqarah:143

وَكَذٰلِكَ جَعَلنٰكُم اُمَّةً وَّسَطًا لِّتَکُونُوا شُهَدَآءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيكُم شَهِيدًا

Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.

Saksi penting di akhirat kelak kerana ada umat yang enggan mengaku yang Rasul mereka telah menyampaikan ajaran wahyu kepada mereka. Contohnya disebut tentang umat Nabi Nuh عليه السلام:

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُجَاءُ بِنُوحٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَيُقَالُ لَهُ هَلْ بَلَّغْتَ فَيَقُولُ نَعَمْ يَا رَبِّ فَتُسْأَلُ أُمَّتُهُ هَلْ بَلَّغَكُمْ فَيَقُولُونَ مَا جَاءَنَا مِنْ نَذِيرٍ فَيَقُولُ مَنْ شُهُودُكَ فَيَقُولُ مُحَمَّدٌ وَأُمَّتُهُ فَيُجَاءُ بِكُمْ فَتَشْهَدُونَ ثُمَّ قَرَأَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ { وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا }

Daripada [Abu Sa’id alkhudzri] berkata, “Rasulullah ﷺ bersabda: “Nabi Nuh didatangkan pada hari kiamat lantas ditanya, ‘Sudahkah kamu menyampaikan? ‘ Baginda menjawab, ‘Benar ya Rabbi’. Umatnya kemudian ditanya, ‘Apakah dia memang benar telah menyampaikan kepada kalian? ‘ Mereka menjawab, ‘Belum ada seorang pemberi peringatan kepada kita.’ Lantas Allah bertanya lagi: ‘Siapa yang menjadi saksimu? ‘ Nuh menjawab, ‘Muhammad dan umatnya.’ Lantas kalian didatangkan dan kalian bersaksi.” Kemudian Rasulullah ﷺ membaca ayat: ‘(Dan demikianlah Kami jadikan kalian umat yang wasath) ‘ (Baqarah: 143).

(Sahih Bukhari (6803))

Maka para Nabi akan dipanggil sebagai saksi selain daripada akan dibentangkan kitab amalan di akhirat kelak untuk mengadili manusia.

 

وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

dan mereka tetap tidak dizalimi.

Pertamanya, mereka tidak dizalimi kerana Allah ‎ﷻ telah memberikan Rasul sebagai pemberi peringatan pun kepada mereka. Keduanya, mereka tidak akan diazab melainkan apa yang patut mereka terima. Allah ‎ﷻ tidak mengazab melainkan sudah diberi peringatan. Maka Allah ‎ﷻ tidak zalim apabila Dia mengazab mereka kerana memang mereka patut diazab.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 19 September 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Yunus Ayat 41 – 44 (Ada yang datang kelas bukan hendak belajar)

Yunus Ayat 41: Allah ‎ﷻ ajar apa yang perlu dikatakan kepada mereka yang tetap menolak setalah diberikan dengan dakwah Al-Qur’an.

وَإِن كَذَّبوكَ فَقُل لّي عَمَلي وَلَكُم عَمَلُكُم ۖ أَنتُم بَريئونَ مِمّا أَعمَلُ وَأَناْ بَريءٌ مِّمّا تَعمَلونَ

Sahih International

And if they deny you, [O Muhammad], then say, “For me are my deeds, and for you are your deeds. You are disassociated from what I do, and I am disassociated from what you do.”

Malay

Dan jika mereka terus-menerus mendustakanmu (wahai Muhammad), maka katakanlah: “Bagiku amalku, dan bagi kamu pula amal kamu. Kamu tidak bertanggungjawab akan apa yang aku kerjakan, dan aku juga tidak bertanggungjawab akan apa yang kamu kerjakan”.

 

وَإِن كَذَّبُوكَ

Dan jika mereka mendustakanmu,

Sekiranta para penentang wahyu dan tauhid itu masih lagi menolak, setelah sekian lama diberikan dakwah dan penerangan yang jelas, katakan kepada mereka:

 

فَقُل لِّي عَمَلِي

maka katakanlah: “Bagiku amalku,

Ini adalah jawapan akhir. Katakan kepada mereka: “Aku akan terus melakukan amalanku yang berasaskan Al-Qur’an dan Sunnah. Aku akan bertanggungjawab kepada amalan yang aku lakukan sendiri.” Maknanya, kita akan yang mengamalkan amalan yang benar, tidak kira apa kata-kata mereka.

Apa yang lebih penting, kita akan mendapat balasan kebaikan daripada amalan yang soleh dan sunnah itu. Untuk mendapat pahala, kena amalkan sendiri. Tidaklah boleh berharap pahala sedekah daripada oranglain setelah kita mati. Ini jelas disebut dalam Najm: 39

وَأَن لَيسَ لِلإِنسانِ إِلّا ما سَعىٰ

Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya;

Untuk mendapat pahala atas amalan itu, ia mestilah amal yang soleh, iaitu amalan yang ada contohnya daripada Rasulullah ﷺ dan para sahabat. Tinggalkan amalan yang bid’ah. Sekiranya tidak pasti sama ada sesuatu amalan itu soleh atau tidak, maka tinggalkan dahulu sehingga mendapat dalil tentang amalan itu.

 

وَلَكُمْ عَمَلُكُمْ

dan bagi kamu pula amal kamu.

Terpulang kepada kamu untuk melakukan amalan syirik dan amalan bid’ah kamu. Kamu nanti yang akan bertanggungjawab dengan amalan yang kamu lakukan, bukan kami. Kamu akan menerima kesan daripada amalan-amalan kamu semasa di dunia. Kami telah sampaikan ajakan dakwah, tetapi kamu masih tidak mahu terima kerana degil.

Ayat ini mengajar kita yang apa-apa sahaja yang kita lakukan, kita akan mendapat kesan dan balasannya. Kalau kita berbuat baik, ya orang yang menerima kebaikan itu pun dapat kebaikan itu, tetapi kita pun dapat kesannya dan akan mendapat pahala; begitu juga kalau kita zalim kepada orang, ya orang itu mungkin terseksa tetapi kita pun akan dikenakan kesannya dan mendapat dosa. Apa-apa pun, kita tetap menerima kesannya sama ada di dunia dan pasti di akhirat nanti.

Ayat ini juga mengajar kita yang kita tidak boleh memaksa orang lain untuk mengikut amalan kita. Kita juga tidak boleh menghalang orang untuk beramal ikut cara yang dia hendak buat. Kadangkala kita sudah terangkan sesuatu amalan itu bid’ah dan patut ditinggalkan, tetapi mereka tetap juga mahu melakukannya. Maka kita berhenti setakat itu sahaja kerana kita hanya boleh tegur sahaja, tidak semestinya tunggu mereka terima.

 

أَنتُم بَرِيئُونَ مِمَّا أَعْمَلُ

Kamu tidak bertanggungjawab akan apa yang aku kerjakan,

Perkataan بَرِيئُونَ berasal daripada katadasar ب ر أ yang bermaksud ‘berlepas diri’, ‘tidak bertanggungjawab’, ‘tidak kena mengena’. Maknanya, mereka tidak bertanggungjawab dengan amalan yang kita lakukan. Mereka tidak ada kena mengena. Mereka tidak mahu ikut.

Maknanya mereka tidak ada saham dalam pahala yang kita dapat. Tidak kisahlah sama ada kerana satu bangsa, dalam keluarga yang sama, atau apa-apa sahaja. Sendiri amal, sendiri akan dapat pahalanya.

 

وَأَناْ بَرِيءٌ مِّمَّا تَعْمَلُونَ

dan aku berlepas diri akan apa yang kamu kerjakan”.

Kita juga tidak bertanggungjawab dengan amalan mereka. Mereka yang menanggung sendiri hasil daripada amalan mereka. Kita tidak masuk campur dan kita tidak akan sertai. Memang tidak boleh sertai majlis yang ada elemen syirik dan bid’ah. Kita kena tinggalkan, jangan hirau apa yang orang kata. Kalau ada juga yang tanya, jawab: “Maaf, aku tak sertai majlis bid’ah” dan kemudian terus pergi, jangan tunggu jawapan dia.

Mereka sendiri yang akan menanggung dosa itu kerana manusia lain tidak menanggung dosa orang lain. Sendiri buat, sendiri tanggung seperti disebut di dalam Fatir: 18

وَلا تَزِرُ وازِرَةٌ وِزرَ أُخرىٰ ۚ وَإِن تَدعُ مُثقَلَةٌ إِلىٰ حِملِها لا يُحمَل مِنهُ شَيءٌ وَلَو كانَ ذا قُربىٰ

Dan orang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Dan jika seseorang yang berat dosanya memanggil (orang lain) untuk memikul dosanya itu tiadalah akan dipikulkan untuknya sedikit pun meskipun (yang dipanggilnya itu) kaum kerabatnya.

Oleh kerana ia adalah perkara penting, disebut sekali lagi di dalam Fussilat: 46

مَّن عَمِلَ صٰلِحًا فَلِنَفسِهِ ۖ وَمَن أَساءَ فَعَلَيها ۗ وَما رَبُّكَ بِظَلّٰمٍ لِّلعَبيدِ

Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya.

Malah terdapat satu lagi ayat yang kita semua tahu iaitu Kaafiroon: 6

لَكُم دينُكُم وَلِيَ دينِ

Untukmu agamamu, dan untukkulah, agamaku”.

Begitu juga disebut dalam Baqarah: 139

قُل أَتُحاجّونَنا فِي اللَّهِ وَهُوَ رَبُّنا وَرَبُّكُم وَلَنا أَعمَـٰلُنَا وَلَكُم أَعمالُكُم وَنَحنُ لَهُ مُخلِصونَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Patutkah kamu (hai kaum Yahudi dan Nasrani) membuat bantahan terhadap kami mengenai pilihan Allah dan pengurniaan-Nya? Padahal Dialah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami (faedah) amal kami dan bagi kamu pula (faedah) amal kamu, dan kami adalah (mengerjakan amal dengan) ikhlas kepada-Nya;

Maka ayat-ayat ini menceritakan tentang kesan daripada amalan. Kita mestilah mengingatkanmereka yang kalau mereka buat amalan salah mereka itu, mereka akan mendapat bahaya. Walau bagaimanapun bukanlah bermakna ayat-ayat ini memberi lampu hijau kepada orang lain untuk membuat apa yang mereka hendak buat. Ada orang sangka begitu. Mereka kata tidak perlu ganggu dan dakwah kepada orang lain kerana bagi mereka fahaman mereka dan bagi kita fahaman kita, masing-masing beramallah, kubur pun masing-masing…. Maaf ya, ini adalah tafsiran salah. Ayat-ayat ini sebenarnya adalah ancaman kepada mereka yang tidak mahu beramal dengan kebenaran.

Maka sekiranya mereka tetap tidak mahu beramal, maka kita hendaklah berlepas diri daripada mereka. Namun adakah ini bermakna kita terus berlepas diri kepada mereka yang menolak agama? Kalau begitu, tidak perlu dakwah lagi kepada mereka. Mereka tidak mahu sahaja terima, atau mereka lain pegangan dengan kita, kita terus katakan: “hidup kau, hidup kau, hidup aku, hidup aku, tak campur”. Tidaklah begitu. Kita katakan seperti dalam ayat ini kepada orang tertentu sahaja. Iaitu kepada mereka yang berterusan menolak walaupun telah banyak kali kita dakwah kepada mereka. Seboleh-bolehnya kita teruskan dakwah kepada mereka selagi boleh.

Kita juga katakan ayat ini kepada mereka yang hanya mahu berdebat dengan kita sahaja. Mereka hanya suka melawan sahaja. Kepada mereka sebegini, barulah kita katakan sebegini kepada mereka. Ini kerana perbuatan bertegang leher dengan mereka sehingga berlarutan lamanya hanyalah membuang masa sahaja lebih-lebih lagi kalau kita sudah nampak mereka bukannya mahukan kebenaran. Kadangkala kita boleh mengagak orang itu boleh terima atau tidak. Kalau nampak seperti memang jenis degil teruk sangat, maka biarkan mereka dengan amalan dan fahaman karut mereka.


 

Yunus Ayat 42: Ayat Zajrun (teguran). Ini adalah tentang orang-orang yang tidak akan mendapat hidayah. Kerana apa agaknya mereka jadi begitu?

وَمِنهُم مَّن يَستَمِعونَ إِلَيكَ ۚ أَفَأَنتَ تُسمِعُ الصُّمَّ وَلَو كانوا لا يَعقِلونَ

Sahih International

And among them are those who listen to you. But can you cause the deaf to hear, although they will not use reason?

Malay

Dan di antara mereka (yang ingkar) itu, ada yang datang mendengar ajaranmu (dengan tidak mendapat faedah sedikit pun sebagai orang pekak); maka engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa menjadikan orang-orang yang pekak itu mendengar, juga kalau mereka menjadi orang-orang yang tidak mahu memahami perkara yang didengarnya.

 

وَمِنْهُم مَّن يَسْتَمِعُونَ إِلَيْكَ

Dan di antara mereka itu, ada yang datang untuk dengar-dengar kamu sahaja

Memang ada yang datang untuk mendengar apa yang disampaikan oleh Rasulullah ﷺ, tetapi Allah ‎ﷻ beritahu yang mereka hanya datang untuk ‘dengar-dengar’ sahaja ajaran Nabi ﷺ. Tentulah yang dimaksudkan adalah Al-Qur’an kerana itulah apa yang selalu dibacakan oleh baginda. Mereka dengar, tetapi kemudian tidak beriman. Tidak semestinya mereka yang dengar itu akan beriman.

Mereka dengar secara zahir sahaja. Bukannya dengar kerana hendakkan kepada kebenaran. Begitulah juga dengan kebanyakan masyarakat kita. Mungkin mereka ada dengar tentang kelas tafsir, maka mereka datang untuk ‘dengar-dengar’ sahaja. Mereka datang bukannya kerana hendak mendapat ilmu atau untuk mendapat kebenaran.

Mereka bukannya datang untuk belajar tetapi mereka lebih kepada hendak siasat sama ada apa yang diajar itu betul ataupun tidak. Kononnya, mereka lebih tahu tentang agama. Kalau begini perangai mereka, mereka tidak akan beroleh kebenaran. Sebagai contoh, golongan penyembah kubur pun membaca Al-Qur’an setiap hari, namun tidak mendapat hidayah kerana mereka tetap hanya mahu mendengar dan mempercayai kata-kata daripada mulut sheikh mereka sahaja. Bukannya mereka benar-benar mahu mencari kebenaran daripada Al-Qur’an pun.

Perkataan يَسْتَمِعُونَ berasal daripada katadasar س م ع yang bermaksud ‘mendengar betul-betul’. Bagaikan serius sahaja mendengar kata-kata seseorang tetapi sebenarnya mereka berlakon sahaja.

 

أَفَأَنتَ تُسْمِعُ الصُّمَّ

Adakah engkau berkuasa menjadikan orang-orang yang pekak itu mendengar,

Allah ‎ﷻ ibaratkan mereka sebagai ‘orang yang pekak’. Mereka itu bukanlah betul-betul pekak ‘Pekak’ di sini adalah mereka mendengar dengan telinga mereka, tetapi bukan mendengar betul-betul. Bukan mereka mendengar kerana hendak mencari kebenaran. Mereka nampak sahaja macam mendengar, tetapi tidak.

Walaupun kita kata apapun kepada mereka mereka tidak akan mendengar dan mengambil pengajaran kerana telinga mereka telah tertutup (secara maknawi). Ini adalah kerana niat mereka sendiri bukannya hendak mencari kebenaran. Mereka datang mendengar supaya nanti mereka boleh beritahu kepada orang lain bahawa mereka sudah dengar ajaran Sunnah itu, tetapi ia tidak ada apa-apa, kata mereka. Teruk sekali mereka itu seperti Allah ‎ﷻ sebut dalam Isra’: 46

وَجَعَلنا عَلىٰ قُلوبِهِم أَكِنَّةً أَن يَفقَهوهُ وَفي آذانِهِم وَقرًا ۚ وَإِذا ذَكَرتَ رَبَّكَ فِي القُرآنِ وَحدَهُ وَلَّوا عَلىٰ أَدبارِهِم نُفورًا

dan Kami adakan tutupan di atas hati mereka dan sumbatan di telinga mereka, agar mereka tidak dapat memahaminya. Dan apabila kamu menyebut Tuhanmu saja dalam Al Qur’an, nescaya mereka berpaling ke belakang kerana benci,

Ayat-ayat ini adalah sebagai tasliah (pujukan) kepada Rasulullah ﷺ. Baginda menyalahkan diri baginda apabila umatnya tidak mahu beriman. Baginda takut cara dakwah baginda yang silap. Akan tetapi Allah ‎ﷻ beritahu yang ia bukan salah baginda kerana baginda tidak boleh pun paksa mereka dengar. Baginda hanya boleh sampaikan. Begitu jugalah dengan kita yang menjalankan dakwah ini. Kita tidak boleh paksa manusia, kita hanya boleh sampaikan sahaja.

Ayat ini mengajar kita bahawa untuk mendapat hidayah, hendaklah berikantelinga kita dahulu untuk mendengar apa yang disampaikan oleh manusia yang mengajak kepada kebenaran. Jangan terus tolak, tetapi dengar dahulu. Allah ﷻ telah tegur mereka yang tidak mendengar dalam Anfal: 21-23

وَلا تَكونوا كَالَّذينَ قالوا سَمِعنا وَهُم لا يَسمَعونَ

dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (munafik) yang berkata “Kami mendengar, padahal mereka tidak mendengarkan.

إِنَّ شَرَّ الدَّوابِّ عِندَ اللَّهِ الصُّمُّ البُكمُ الَّذينَ لا يَعقِلونَ

Sesungguhnya binatang (makhluk) yang seburuk-buruknya pada sisi Allah ialah; orang-orang yang pekak dan tuli yang tidak mengerti apa-apapun.

وَلَو عَلِمَ اللَّهُ فيهِم خَيرًا لَّأَسمَعَهُم ۖ وَلَو أَسمَعَهُم لَتَوَلَّوا وَهُم مُّعرِضونَ

Kalau sekiranya Allah mengetahui kebaikan ada pada mereka, tentulah Allah menjadikan mereka dapat mendengar. Dan jikalau Allah menjadikan mereka dapat mendengar, nescaya mereka pasti berpaling juga, sedang mereka memalingkan diri (daripada apa yang mereka dengar itu).

Lihatlah berat sekali perumpamaan yang Allah ﷻ berikan kepada orang yang tidak mahu mendengar kebenaran. Allah ﷻ sifatkan mereka seperti binatang! Allah ﷻ beritahu yang jikalau mereka ada ikhlas di dalam hati mereka untuk mencari kebenaran, pasti Allah ﷻ beri mereka dengar dan faham (bukan dengar sahaja).

 

وَلَوْ كَانُوا لَا يَعْقِلُونَ

Sedangkan mereka orang-orang yang tidak mahu menggunakan akal.

Mereka sendiri tidak mahu menggunakan akal mereka untuk mencari kebenaran. Mereka ada otak, tetapi tiada akal. Atau, ada akal tetapi tidak mahu menggunakannya. Mereka ini adalah seperti firman Allah ﷻ dalam Baqarah:171

وَمَثَلُ الَّذِينَ كَفَرُوا كَمَثَلِ الَّذِي يَنْعِقُ بِمَا لَا يَسْمَعُ إِلَّا دُعَاءً وَنِدَاءً صُمٌّ بُكْمٌ عُمْيٌ فَهُمْ لَا يَعْقِلُونَ

Dan bandingan orang-orang ingkar (yang tidak mahu beriman itu), samalah seperti orang yang berteriak memanggil binatang yang tidak dapat memahami selain daripada mendengar suara pekikan sahaja; mereka itu ialah orang-orang yang pekak, bisu dan buta; mereka tidak menggunakan akal mereka.

Lihatlah bagaimana mereka diibaratkan oleh Allah ﷻ seperti binatang sahaja. Boleh mendengar, tetapi tidak faham apa kita katakan.


 

Yunus Ayat 43: Kalau tadi tentang pendengaran, sekarang disebut tentang penglihatan pula.

وَمِنهُم مَن يَنظُرُ إِلَيكَ ۚ أَفَأَنتَ تَهدِي العُميَ وَلَو كانوا لا يُبصِرونَ

Sahih International

And among them are those who look at you. But can you guide the blind although they will not [attempt to] see?

Malay

Dan di antara mereka pula ada yang memandang kepada perkara-perkara yang engkau tunjukkan (tetapi mereka tidak nampak kebenarannya seperti orang buta); maka engkau (wahai Muhammad) tidak berfaedah menunjuk jalan kepada orang-orang yang buta, juga kalau mereka menjadi orang-orang yang tidak mahu melihat (perkara yang engkau tunjukkan itu).

 

وَمِنْهُم مَّن يَنظُرُ إِلَيْكَ

Dan di antara mereka pula ada yang memandang kepada engkau

Ada juga golongan Musyrikin Mekah itu yang datang duduk bertemu dengan Nabi ﷺ. Mereka mendengar sendiri dakwah yang diberikan oleh baginda. Ataupun kalau mereka tidak bertemu dengan Nabi ﷺ, mereka ada melihat Nabi ﷺ dari kejauhan bagaimana Nabi ﷺ menyampaikan dakwah. Maknanya mereka tahu sendiri bagaimana akhlak baginda tetapi mereka tidak juga mahu beriman.

Kebanyakan manusia ada yang langsung tidak mahu datang ke kelas agama atau kelas tafsir Al-Qur’an tetapi ada juga yang datang menghadiri. Namun begeitu mereka datang itu hanya untuk ‘tengok-tengok’ sahaja. Mungkin mereka hendak melihat suasana kelas dan hendak mengetahui sama ada ramai atau tidak yang datang ke kelas.

Mungkin ada yang diajak kenalan atau ahli keluarga yang telah datang dan mereka hendak ‘tengok-tengok’ sama ada kawan dia belajar ‘ilmu sesat’ pula. Maknanya, mereka datang bukan dengan kehendak hati sendiri. Ataupun selepas datang sekali dua, mereka tidak datang lagi.

Orang yang sebegini berkemungkinan besar tidak akan beriman kerana mereka datang hanya untuk tengok-tengok sahaja, bukan kerana memang niat mereka hendak belajar. Walau bagaimanapun, ada juga yang datang sekali dan terus minat untuk datang lagi. Ini kerana apa yang mereka nampak itu adalah kebenaran yang mereka cari-cari selama ini. Ia semuanya bergantung kepada hati mereka.

Dalam ayat ini disebut mereka melihat Nabi ﷺ. Bagaimanakah cara mereka melihat Nabi ﷺ? Cara manusia melihat orang lain pun berbeza-beza. Ada yang kita lihat dengan perasaan suka dan ada yang kita lihat orang dengan perasaan benci. Perasaan benci itu boleh kelihatan pada air muka kita.

Maka, mereka yang melihat Nabi ﷺ itu tidaklah semestinya melihat dengan rupa yang suka. Kemungkinan besar mereka melihat dengan rupa yang benci. Sebagaimana puak bid’ah yang melihat ahli Sunnah sekarang. Mereka lihat kita dengan perasaan benci sahaja kerana tidak bersetuju dalam banyak perkara.

 

أَفَأَنتَ تَهْدِي الْعُمْيَ

Adakah engkau boleh menunjuk jalan kepada orang yang buta?

Kalau ada orang yang buta bertanyakan jalan kepada kita dan kita tunjuk jalan itu dengan tangan kita, bolehkah orang buta itu nampak? Tentu tidak boleh.

Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ sifatkan mereka yang telah bertemu dengan Nabi Muhammad ﷺ dan telah melihat bagaimana akhlak baginda tetapi masih lagi tidak beriman, diibaratkan seperti mereka yang buta. Bukanlah mata mereka betul-betul buta, tetapi hati mereka yang buta seperti yang disebut dalam Hajj: 46

أَفَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَتَكُونَ لَهُمْ قُلُوبٌ يَعْقِلُونَ بِهَا أَوْ آذَانٌ يَسْمَعُونَ بِهَا فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى الْأَبْصَارُ وَلَٰكِن تَعْمَى الْقُلُوبُ الَّتِي فِي الصُّدُورِ

Oleh itu, tidakkah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya – dengan melihat kesan-kesan yang tersebut – mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala mereka yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.

Mereka ada telinga dan mereka ada mata tetapi mereka tidak menggunakan kedua-duanya untuk menerima hidayah. Allah ‎ﷻ telah beri kepada manusia fakulti-fakulti deria untuk mendapatkan hidayah. Namun mereka sendiri yang tidak menggunakannya.

Maknanya, hidayah sudah sampai kepada mereka, tetapi mereka sahaja tidak mahu terima. Oleh itu jangan salahkan Allah ‎ﷻ jikalau tidak mendapat hidayah kerana hidayah telah sampai pun, tetapi mereka yang tidak menerimanya. Ini perlu disebut kerana ada orang yang menyalahkan Qada’ dan Qadar kerana tidak mendapat hidayah.

Mereka kata mereka tidak beriman sebab Allah ‎ﷻ sudah takdirkan mereka tidak beriman. Mereka salahkan Allah ‎ﷻ pula, sedangkan mereka yang bersalah. Itu adalah pendapat yang salah kerana kita telah ada penglihatan dan dakwah telah diberikan kepada kita, tetapi yang tidak beriman itu adalah kerana mereka menolak hidayah itu.

Hidayah itu akan diberikan kepada mereka yang MAHUKAN hidayah. Iaitu mereka yang dalam hati mereka mahu mencari kebenaran. Tidak kira sama ada mereka itu asalnya orang Islam ataupun tidak. Mereka yang lahir dalam agama bukan Islam tetapi memeluk Islam adalah kerana dalam hati mereka ada keinginan untuk tahu kebenaran.

 

وَلَوْ كَانُوا لَا يُبْصِرُونَ

kalau mereka menjadi orang-orang yang tidak mahu melihat.

Hidayah yang di depan mata mereka pun mereka tidak mahu lihat jika memang mereka tidak mahu kepada kebenaran. Untuk jenis seperti ini, susah kita hendak tolong sebab mereka sendiri tidak mahu ditolong. Allah ‎ﷻ tidak bersalah kalau masukkan mereka ke dalam neraka.


 

Yunus Ayat 44: Adakah Allah ‎ﷻ zalim kerana memasukkan orang-orang yang degil itu ke dalam neraka?

إِنَّ اللَّهَ لا يَظلِمُ النّاسَ شَيئًا وَلٰكِنَّ النّاسَ أَنفُسَهُم يَظلِمونَ

Sahih International

Indeed, Allah does not wrong the people at all, but it is the people who are wronging themselves.

Malay

Sesungguhnya Allah tidak menganiaya manusia sedikit pun, akan tetapi manusia jualah yang menganiaya diri mereka sendiri.

 

إِنَّ اللَّهَ لَا يَظْلِمُ النَّاسَ شَيْئًا

Sesungguhnya Allah tidak menzalimi manusia sedikit pun,

Tidaklah Allah ‎ﷻ menzalimi manusia dengan tidak memberi hidayah kepada manusia. Allah ‎ﷻ sentiasa memberi hidayah, tetapi sama ada manusia terima atau tidak, sahaja. Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ telah memberi pilihan kepada manusia untuk memilih jalan mana yang manusia hendak ambil.

Allah ‎ﷻ tidak memaksa manusia dan jin untuk beriman. Hal ini berbeza sekali dengan malaikat yang semuanya hanya taat kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Mereka tidak ada pilihan untuk tidak taat kepada Allah ‎ﷻ. Namun sekiranya manusia memilih hendak menjadi sesat, Allah ‎ﷻ akan biarkan mereka membuat pilihan sendiri selama mereka di dunia. Namun di akhirat kelak, mereka akan dikenakan azab. Itu adalah janji Allah ‎ﷻ.

Allah ‎ﷻ tidak mengenakan azab yang tidak sepatutnya ke atas hamba-Nya. Jikalau azab dikenakan, itu kerana ia memang layak dikenakan ke atas mereka. Ini pasti kerana Allah ‎ﷻ telah mengharamkan kezaliman ke atas Diri-Nya, maksudnya Allah ‎ﷻ tidak pernah, dan tidak akan zalim selama-lamanya. Ini seperti disebut dalam sebuah hadith:

عَنْ أَبِي ذَرٍّ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِيمَا يَرْوِي عَنْ رَبِّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى ‏ “‏ إِنِّي حَرَّمْتُ عَلَى نَفْسِي الظُّلْمَ وَعَلَى عِبَادِي فَلاَ تَظَالَمُوا

Abu Dharr melaporkan Rasulullah (ﷺ) mengatakan bahawa dia melaporkannya daripada Tuhannya, Yang Maha Agung dan Maha Suci:
“Sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman ke atas diri-Ku dan hamba-hamba-Ku, maka janganlah kamu melakukan kezaliman.”

(Sahih Muslim (2577))

 

وَلَٰكِنَّ النَّاسَ أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ

akan tetapi manusia jualah yang menzalimi diri mereka sendiri.

Allah ‎ﷻ tidak menzalimi makhluk-Nya. Namun makhluk-Nya yang tidak menerima hidayah yang telah disampaikanlah yang menzalimi diri mereka. Oleh kerana dengan tidak menerima hidayah itu, mereka akan hidup dalam dosa dan apabila mati nanti, mereka akan diazab. Itulah yang dinamakan zalim kepada diri sendiri. Merekalah yang mesti menanggung sendiri seperti disebut dalam Isra’:17

مَنِ اهتَدىٰ فَإِنَّما يَهتَدي لِنَفسِهِ ۖ وَمَن ضَلَّ فَإِنَّما يَضِلُّ عَلَيها ۚ وَلا تَزِرُ وازِرَةٌ وِزرَ أُخرىٰ ۗ وَما كُنّا مُعَذِّبينَ حَتّىٰ نَبعَثَ رَسولًا

Barangsiapa yang berbuat sesuai dengan hidayah (Allah), maka sesungguhnya dia berbuat itu untuk (keselamatan) dirinya sendiri; dan barangsiapa yang sesat maka sesungguhnya dia tersesat bagi (kerugian) dirinya sendiri. Dan seorang yang menanggung tidak dapat memikul dosa orang lain, dan Kami tidak akan mengazab sebelum Kami mengutus seorang rasul.

Lihat kalimah يَظْلِمُونَ di dalam bentuk fi’il mudhari’ yang menjadi isyarat bahawa manusia selalu dan sentiasa menzalimi diri sendiri.

Lagi satu, susunan ayat ini juga mengandungi isyarat. Dalam kaedah bahasa Arab, sepatutnya susunannya adalah يَظْلِمُونَ أَنفُسَهُمْ akan tetapi Allah ‎ﷻ ubah susunannya menjadi أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ dengan didahulukan kalimah أَنفُسَهُمْ. Ini tidak salah, tetapi tidak biasa digunakan sebegini. Ia disusun sebegini kerana hendak menekankan أَنفُسَهُمْ (diri-diri mereka) itu. Iaitu Allah ‎ﷻ hendak beritahu yang manusia sebenarnya apabila berlaku zalim, mereka sebenarnya menzalimi diri mereka, bukannya orang lain. Mereka sahaja yang tidak perasan kerana mereka sangka yang dizalimi itu adalah orang lain.

Ya itu pun benar. Namun di akhirat kelak orang yang dizalimi itu akan mendapat pengadilan daripada Allah ‎ﷻ. Mereka boleh menuntut hak mereka daripada orang yang menzalimi mereka. Maka yang menerima kesan buruk akhirnya adalah orang yang menzalimi itu.

Allah ‎ﷻ banyak mengingatkan tentang kezaliman umat-umat terdahulu yang menolak dakwah daripada Rasul mereka. Allah ‎ﷻ juga sebut mereka telah menzalimi diri mereka dengan menolak kebenaran itu. Semua itu menjadi pengajaran kepada kita supaya tidak menjadi seperti mereka. Contohnya Allah ‎ﷻ sebut dalam Tawbah: 70

أَلَم يَأتِهِم نَبَأُ الَّذينَ مِن قَبلِهِم قَومِ نوحٍ وَعادٍ وَثَمودَ وَقَومِ إِبراهيمَ وَأَصحابِ مَديَنَ وَالمُؤتَفِكاتِ ۚ أَتَتهُم رُسُلُهُم بِالبَيِّناتِ ۖ فَما كانَ اللَّهُ لِيَظلِمَهُم وَلٰكِن كانوا أَنفُسَهُم يَظلِمونَ

Tidakkah datang kepada mereka berita penting tentang orang-orang yang sebelum mereka, (iaitu) kaum Nuh, ‘Aad, Tsamud, kaum Ibrahim, penduduk Madyan dan negeri yang telah ditelungkup? Telah datang kepada mereka rasul-rasul dengan membawa keterangan yang nyata, maka Allah tidaklah sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.

Kalau lambat mengambil hidayah itu pun sudah zalim. Bukan hanya menolak sahaja. Ini kerana kalau tidak ambil dengan segera pun sudah salah. Ditakuti Allah ‎ﷻ tutup hati sampai bila-bila. Dalam banyak ayat Allah ‎ﷻ sebut suruh kita bersegera. Maka jangan tangguhkan, apabila sampai hidayah pada kita, terus ambil sahaja. Allah ‎ﷻ sebut dalam Ali Imran: 133

وَسارِعوا إِلىٰ مَغفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُم وَجَنَّةٍ عَرضُهَا السَّمٰوٰتُ وَالأَرضُ

Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi,

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya 

Kemaskini: 9 Jun 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Maariful Qur’an

Sambutan Mawlid Nabi adalah bidaah dholalah

MENILAI SAMBUTAN MAULID

======================
Abu Bakar RA memerintah selama 2 tahun, dan tidak pernah beliau merayakan Maulid sedangkan beliau adalah Ash-Shiddiq umat ini, dan yang menemani Rasulullah SAW di Gua Thur.
======================
Umar RA memerintah selama 10 tahun, dan tidak juga beliau merayakan Maulid, sedangkan beliau adalah al-Faruq dan panduan umat ini.
======================
Uthman RA memerintah selama 13 tahun, dan tidak juga beliau merayakan Maulid, sedangkan beliau adalah suami kepada 2 puteri Rasulullah SAW, orang melakukan hijrah sebanyak 2 kali, dan yang paling tebal malunya dikalangan umat ini.
======================
Ali RA telah memerintah selama 4 tahun, dan tidak juga beliau merayakan Maulid, sedangkan beliau adalah sepupu Rasulullah SAW dan suami kepada ketua wanita syurga (puteri Rasulullah SAW).
======================
Al-Hasan RA telah memerintah selama 6 bulan, dan tidak juga merayakan Maulid sedangkan beliau ialah cucu Rasulullah SAW dan ketua pemuda ahli syurga.
======================
Selama pemerintahan Muawiyah RA, beliau juga tidak pernah merayakan Maulid sedangkan beliau adalah “raja” yang terbaik dari kalangan “raja-raja Islam”.
======================
Kemudian datanglah Kerajaan Umayyah yang di dalamnya terdapat Umar bin Abdul Aziz, serta Kerajaan Abbasiyyah yang di dalamnya terdapat Harun al-Rashid, dan mereka semua turut tidak merayakan Maulid.
======================
Mereka, sekalian ulama’ Islam, para pencinta Rasulullah SAW yang sebenar, tidak pernah merayakan Maulid Rasulullah sepanjang 3 kurun terbaik umat ini, sedangkan merekalah golongan yang paling berilmu dan memahami agama dan kitab Allah. Bagaimana tidak, merekalah golongan Hamalatul Qur’an dan perawi kepada atsar?
======================
Kami berkata, “Sekiranya (sesuatu amalan itu adalah) baik, maka nescaya golongan ini telah mendahului kami (dalam melakukannya)”.
======================
Dan kami ingin mengungkapkan juga kata-kata Imam Malik, “Sesuatu yang tidak menjadi amalan agama pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat, maka sehingga hari ini ia juga bukan merupakan amalan agama”.
======================
Telah diketahui juga, bahawa tidaklah Rasulullah SAW itu berpindah ke alam kedua (kematian) melainkan Allah telah menyempurnakan agama ini untuknya, dan ini adalah nikmat Allah yang sangat besar buat kamu.
======================
Baginda Rasulullah SAW telah memperingatkan kepada kita dalam sunnahnya agar menjauhi segala perkara baru dalam agama, atau melakukan sesuatu yang tidak dilakukan oleh baginda mahupun para sahabat.
======================
Ketahuilah olehmu – semoga Allah merahmati kamu – sesungguhnya sepanjang 3 kurun terbaik umat ini, mereka sama sekali tidak mengenali apa itu perayaan Maulid, dan dengan itu ketahuilah bahawa ia adalah satu perbuatan bid’ah. Ia direka cipta semasa era Kerajaan Fatimiyyah (di Mesir) semasa dipimpin oleh al-Mu’iz li dinillah (penolong agama Allah), sedangkan sebenarnya dia adalah al-Mudhil li dinillah (penghina agama Allah).

Kerajaan Fatimiyyah ini adalah kerajaan Syiah. Maka, sambutan Mawlid adalah ‘Sunnah Syiah’.
======================
Semasa dia memimpin, dia memimpin dengan menampilkan segala ciri kafir bawwah (yang mengeluarkan pelakunya daripada agama Islam) dan kefasikan yang jelas. Dia menghalalkan arak dan segala kemaluan (melalui nikah pelacuran – mut’ah), sepertimana juga dia telah mengisytiharkan bahawa dia keluar daripada mengikut golongan salaf, mencaci dan mengkafirkan sahabat, serta seluruh tokoh-tokoh Islam. Si celaka inilah yang juga merupakan orang pertama yang merayakan Maulid. Dia telah mencipta 6 Maulid: Maulid Nabi, Maulid Fatimah, Maulid Ali, Maulid Hasan, Maulid Husain, dan Maulid untuk dirinya sendiri.
=====================
Kemudian, datanglah golongan jahil dari kalangan umat Islam yang meneruskan tradisi rekaan golongan Fatimiyyah ini secara buta tuli. Ketahuilah, tidak terdapat sebarang dalil agama yang menyokong golongan penyambut Maulid ini. Apa yang ada hanyalah nas-nas yang mereka salah fahami, atau atsar yang tidak sahih. Jika ada yang sahih, maka di situ sebenarnya tiada apa yang menyokong mereka. Ini
adalah kesilapan besar sebahagian orang Islam semasa yang berlawanan dengan fatwa ulama’-ulama’ besar yang telah pun memutuskan bahawa sambutan Maulid ini adalah bid’ah.
=====================
Kami ingin bertanya kepada golongan penyambut Maulid ini dengan 3 pertanyaan, dan kami benar-benar berharap agar mereka menjawapnya:
=====================
1) Merayakan Maulid ini adalah satu ketaatan kepada Allah atau maksiat kepadaNya?
=====================
Sudah tentu mereka akan berkata “Ketaatan”. Jika mereka mengatakan ia adalah maksiat, maka dengan mudah semuanya selesai.
=====================
2) Baik, jika kamu mengatakan “Ia adalah ketaatan dan kamu akan mendapat pahala dengannya”, maka adakah Rasulullah SAW sendiri mengetahuinya atau tidak?
=====================
Jika kamu berkata “Tidak”, maka sungguh kamu adalah golongan celaka kerana mendakwa Nabi teragung sebagai jahil, dan ini adalah kesesatan yang nyata.
=====================
Jika kamu berkata “Baginda mengetahuinya”, maka ketika itu kami ingin berpindah ke soalan yang ketiga iaitu:
=====================
3) Jika kamu mengatakan “Ia adalah amalan ketaatan yang diketahui oleh Rasulullah SAW”, maka adakah baginda pernah menyampaikannya kepada umatnya?
=====================
Jika kamu mengatakan “Baginda tidak menyampaikannya”, maka ini adakah puncak kejelekan kerana dengannya datang bersama tuduhan “Rasulullah SAW menyembunyikan sesuatu daripada risalah Allah”, sedangkan Allah telah berfirman, {Wahai Rasul (Muhammad SAW), sampaikan segala yang Allah turunkan kepadamu dalam risalah. Jika kamu tidak menyampaikannya, siapa lagi yang akan menyampaikan risalahNya?}”.
=====================
Jika kamu mengatakan “Baginda telah menyampaikannya”, maka kami katakan, “Bawakan dalil. Dimana contoh daripada salaf yang mereka melakukannya? Adakah semua dalil daripada sahabat, tabi’in dan at-ba’ tabi’in sepanjang kurun-kurun yang mulia ini telah hilang? Dan tiada siapa yang meneruskan tradisi ini daripada mereka kecuali para najis-najis Fatimiyyah?
=====================
Jika ia sedemikian rupa, maka kami dengan yakin mengatakan ia adalah bid’ah yang direka. Ini bahkan turut disertakan bersama pelbagai kemungkaran besar dan kecil yang berlaku di dalamnya dengan sangkaan merayakan Maulid? Semoga Allah memberi pertolonganNya kepada umat ini.

Bacaan Tambahan.

Tafsir Surah Yunus Ayat 37 – 40 (Cabaran buat surah seperti Al-Qur’an)

CABARAN DARI AL-QUR’AN

Yunus Ayat 37: Sebelum ini telah disebut manusia yang berpegang kepada sangkaan sahaja. Perbuatan ini berbahaya kerana ada kemungkinan tidak benar. Maka sekarang Allah ‎ﷻ sebut tentang Al-Qur’an iaitu sumber utama hukum bagi kita. Golongan agamawan atau orang awam sekali pun, tetap wajib kena faham Al-Qur’an.

وَما كانَ هٰذَا القُرءآنُ أَن يُفتَرىٰ مِن دونِ اللَّهِ وَلٰكِن تَصديقَ الَّذي بَينَ يَدَيهِ وَتَفصيلَ الكِتٰبِ لا رَيبَ فيهِ مِن رَّبِّ العٰلَمينَ

Sahih International

And it was not [possible] for this Qur’an to be produced by other than Allah , but [it is] a confirmation of what was before it and a detailed explanation of the [former] Scripture, about which there is no doubt, from the Lord of the worlds.

Malay

Dan bukanlah Al-Qur’an ini sesuatu yang boleh diada-adakan oleh yang lain dari Allah; tetapi Al-Qur’an itu diturunkan oleh Allah untuk membenarkan Kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya, dan untuk menjelaskan satu persatu hukum-hukum Syarak yang diwajibkan (atas kamu); tidak ada sebarang syak dan ragu-ragu pada Al-Qur’an itu tentang datangnya dari Allah, Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.

 

وَمَا كَانَ هَٰذَا الْقُرْءآنُ

Dan bukanlah Al-Qur’an ini

Allah ﷻ sekarang fokus kepada Al-Qur’an pula. Allah ﷻ sedang memberitahu kepada kita tentang Al-Qur’an kerana ia amat penting untuk keluar daripada fahaman kesyirikan. Terlalu banyak ilmu yang disampaikan di dalamnya. Amat rugi apabila orang kita buat tidak endah sahaja tentang ilmu tafsir Al-Qur’an. Sudah semakin banyak kelas pengajian tafsir dan tadabbur sekarang, Alhamdulillah. Namun masih ramai lagi yang tidak menyertainya. Semoga Allah ﷻ buka pintu hati mereka dan kita.

 

أَن يُفْتَرَىٰ مِن دُونِ اللَّهِ

sesuatu yang boleh diada-adakan oleh yang lain daripada Allah;

Al-Qur’an itu tidak mungkin boleh direka oleh makhluk. Tidak boleh dibuat oleh makhluk yang lemah akalnya. Ia pasti hanya daripada Allah ﷻ. Jika ia bukan daripada Allah ﷻ, tentulah ada banyak kekeliruan dalam ayat-ayat Al-Qur’an ini. Tentulah ada kesalahan di mana-mana.

Akan tetapi kita yang belajar Al-Qur’an ini, tidak pernah ditemui lagi bahagian manakah yang salah dalam Al-Qur’an ini. Sememangnya kita tidak akan menemuinya kerana ia adalah daripada Allah ﷻ. Ia adalah Kalam Allah ﷻ.

 

وَلَٰكِن تَصْدِيقَ الَّذِي بَيْنَ يَدَيْهِ

Al-Qur’an membenarkan Kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya,

Sebelum Al-Qur’an diturunkan, telah ada kitab-kitab terdahulu daripada Kalam Allah ﷻ iaitu kitab samawiyah seperti Taurat, Injil dan Zabur. Sama sahaja perkara berkenaan akidah dan tauhid yang terkandung dalam kitab dulu dan Al-Qur’an. Al-Qur’an membenarkan apa yang telah disebut dalam kitab-kitab tersebut.

 

وَتَفْصِيلَ الْكِتٰبِ

dan untuk menjelaskan satu persatu hukum-hukum dalam kitab terdahulu;

Banyak topik-topik yang ada dalam kitab-kitab terdahulu dan Al-Qur’an memperjelaskannya lagi. Ini kerana kitab-kitab itu telah banyak yang diubah dan ajaran Nabi yang terdahulu telah banyak ditukar. Maka Al-Qur’an datang memperbetulkan ajaran agama.

Lagi satu maksud, ia memperjelaskan tentang hukum-hukum agama yang penting. Perincian mestilah didapati daripada pembelajaran Hadith, akan tetapi perkara utama telah disentuh di dalam Al-Qur’an.

 

لَا رَيْبَ فِيهِ

tidak ada sebarang syak dan ragu-ragu pada Al-Qur’an itu

Tidak ada mana-mana ayat yang bercanggah antara satu sama lain. Semuanya bertepatan dan saling menyokong serta menguatkan maklumat yang diberikan di antara satu ayat dengan ayat yang lain. Maklumat yang ada dalam Al-Qur’an tidak mungkin diketahui oleh makhluk. Ada perkara yang telah lama diberitahu oleh Al-Qur’an berzaman dahulu dan hanya baru berjaya diterokai pada abad moden ini.

Al-Qur’an diturunkan dalam masa 23 tahun. Walaupun diturunkan dalam masa yang lama, tetap tidak ada kekeliruan dalam Al-Qur’an. Sama sahaja topik dan hukum yang diberikan dari mula sampai habis. Tidak ada pertukaran hukum daripada satu ayat ke ayat yang lain.

Cuba bandingkan dengan kita yang menulis sebuah esei dan kita mengambil masa seminggu, tentulah akan ada banyak perubahan yang kita lakukan kerana sekejap kita berfikir begini, kemudian sekejap kita akan berfikir lain pula. Sebaliknya dengan Al-Qur’an, walaupun Al-Qur’an itu diturunkan dalam masa 23 tahun sedikit demi sedikit, tidak ada percanggahan atau pertukaran informasi yang diberikan kerana ia adalah daripada Allah ﷻ dan Allah ﷻ tidak keliru dan berubah fikiran sebagaimana kita makhluk yang lemah ini.

Maka jangan sesekali berasa ragu dengan ajaran yang disampaikan di dalam Al-Qur’an. Adakah anda ada ragu dengan Al-Qur’an? Apakah tanda anda tidak meraguinya? Kalau tidak ada ragu, maka anda sepatutnya menjadikan Al-Qur’an ini sebagai pedoman hidup anda setiap hari untuk setiap sudut dari pagi sehingga ke malam hari. Kalau anda tidak hiraukan, apakah maksudnya? Tepuk dada dan tanyalah iman anda.

 

مِن رَّبِّ الْعٰلَمِينَ

datangnya daripada Allah, Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.

Al-Qur’an itu datangnya daripada Allah ﷻ, bukan daripada makhluk. Allah ﷻ yang telah menjadikan kita dan Dia yang Maha Berkuasa. Dia tahu apa yang kita perlukan maka dianugerahkan kepada kita Al-Qur’an yang hebat ini. Maka, jangan kita ambil sambil lewa sahaja Al-Qur’an ini. Ia adalah panduan hidup kita yang diberikan oleh yang menjadikan kita.

Sekiranya kita ada menerima sepucuk surat yang diposkan kepada kita, tidaklah begitu penting untuk kita tidak baca pun. Namun Al-Qur’an ini telah diberikan khas kepada kita, daripada Allah ﷻ, maka kita kena baca dengan teliti. Kalau kita buat tidak hirau sahaja tentangnya, maka ia menunjukkan ada masalah iman di dalam hati kita.


 

Yunus Ayat 38: Ayat Syikayah (Allah ﷻ sebut semula kata-kata golongan kafir).

أَم يَقولونَ افتَرىٰهُ ۖ قُل فَأتوا بِسورَةٍ مِّثلِهِ وَادعوا مَنِ استَطَعتُم مِّن دونِ اللَّهِ إِن كُنتُم صٰدِقينَ

Sahih International

Or do they say [about the Prophet], “He invented it?” Say, “Then bring forth a surah like it and call upon [for assistance] whomever you can besides Allah , if you should be truthful.”

Malay

(Orang-orang kafir tidak mengakui hakikat yang demikian itu) bahkan mereka mengatakan: “Dia lah (Muhammad) yang mengada-adakan Al-Qur’an menurut rekaannya”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalau demikian, datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Qur’an itu, dan panggillah siapa sahaja yang kamu dapat memanggilnya, yang lain dari Allah (untuk membantu kamu), jika betul kamu orang-orang yang benar!”.

 

أَمْ يَقُولُونَ افْتَرىٰهُ

Adakah mereka mengatakan: “Dia (Muhammad) yang mengada-adakan Al-Qur’an”.

Antara hujah Musyrikin Mekah menolak Nabi Muhammad ﷺ dan Al-Qur’an adalah dengan mengatakan yang Al-Qur’an itu bukannya daripada Allah ﷻ tetapi daripada Nabi Muhammad ﷺ sendiri. Mereka kata Nabi ﷺ reka sendiri. Ini adalah kerana mereka tidak ada hujah untuk melawan Nabi Muhammad ﷺ. Maka mereka terpaksa beri berbagai-bagai hujah untuk merendahkan martabat Al-Qur’an dan juga Nabi Muhammad ﷺ. Antaranya mereka tuduh yang Al-Qur’an itu rekaan baginda sahaja.

Kalau difikirkan dengan akal yang sihat, hujah ini langsung tidak boleh diterima. Mana mungkin baginda boleh mendapat maklumat tentang:

1. Cerita umat dahulu dan Nabi mereka
2. Tentang masa hadapan yang belum berlaku
3. Tentang perkara ghaib yang baginda sendiri tidak nampak?

 

قُلْ فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِّثْلِهِ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalau demikian, datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Qur’an itu,

Ini adalah jawapan balas dan cabaran yang Allah ﷻ berikan kepada mereka yang tidak percaya bahawa Al-Qur’an itu daripada Allah ﷻ dan kata Nabi Muhammad ﷺ menghasilkan sendiri Al-Qur’an itu. Jika mereka kata yang manusia boleh hasilkan Al-Qur’an, sepertimana mereka menuduh Nabi Muhammad ﷺ mengadakan sendiri Al-Qur’an itu, maka cubalah mereka buat sendiri sebuah surah yang sama dengan Al-Qur’an. Tidak perlu banyak, buat sebuah surah sahaja.

Tentulah kalau ikut logik akal, mereka pun boleh buat juga, kerana kalau Nabi Muhammad ﷺ itu orang Arab, mereka pun orang Arab juga. Nabi Muhammad ﷺ pula bukan penyair, tetapi mereka terdiri daripada ramai penyair yang pandai dan terkenal. Sudah tentulah lebih baik lagi surah yang mereka boleh buat. Hah! Maka, silalah hasilkan sebuah surah yang sama hebat juga.

Maka cubalah kamu buat kalau boleh. Namun syaratnya بِسُورَةٍ مِّثْلِهِ surah yang mereka reka itu mestilah mempunyai ciri-ciri Al-Qur’an juga. Mereka boleh buat surah yang pendek tetapi mestilah sedap dibaca, tidak jemu walau dibaca berulang kali dan mestilah juga ada pengajaran di dalamnya. Bukanlah seperti puisi yang hanya sedap didengari tetapi tidak ada pengajaran yang bermakna.

 

وَادْعُوا مَنِ اسْتَطَعْتُم مِّن دُونِ اللَّهِ

dan panggillah sesiapa sahaja yang kamu mampu panggil, yang lain daripada Allah (untuk membantu kamu),

Kemudian jika mereka berasa mereka tidak boleh buat berseorangan sahaja surah seperti Al-Qur’an itu, maka mereka boleh ajak sesiapa sahaja yang mereka boleh ajak untuk menjadi pasukan komiti mereka untuk mencipta surah yang sama seperti yang ada di dalam Al-Qur’an. Ajak sahaja tok syeikh kamu, penyair-penyair kamu, ahli fikir kamu dan sesiapa sahaja.

Kalau mereka kata Nabi Muhammad ﷺ boleh buat Al-Qur’an itu seorang diri, maka tentulah kalau mereka ramai, mereka boleh buat Al-Qur’an yang lebih baik daripada apa yang Nabi Muhammad ﷺ buat. Hah! Maka buatlah sebuah surah yang sama juga.

 

إِن كُنتُمْ صٰدِقِينَ

jika betul kamu orang-orang yang benar!”.

Kalau kamu rasa kamu betul, maka buatlah sebuah surah yang sama seperti yang ada dalam Al-Qur’an itu. Jangan cakap-cakap sahaja, tetapi tunjuklah yang manusia pun boleh buat ayat-ayat Al-Qur’an.

Cabaran ini Allah ﷻ ulang di dalam Baqarah: 23

وَإِن كُنتُمْ فِي رَيْبٍ مِّمَّا نَزَّلْنَا عَلَىٰ عَبْدِنَا فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِّن مِّثْلِهِ وَادْعُوا شُهَدَاءَكُم مِّن دُونِ اللَّهِ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ

Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Qur’an) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Qur’an itu, dan panggillah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain daripada Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.

Dalam Surah Baqarah ini, Allah ﷻ cabar untuk dibawakan مِّن مِّثْلِهِ (yang seperti Al-Qur’an). Sebab Baqarah adalah Surah Madaniah (surah sebelum Hijrah), maka sudah dikurangkan cabaran itu. Sedangkan dalam surah Yunus (surah selepas Hijrah) yang diturunkan di Mekah ini, cabarannya adalah dibawakan sebuah surah yang benar-benar sama dan setanding serta mempunyai ciri-ciri seperti Al-Qur’an.

Akan tetapi setelah sekian lama cabaran itu diberikan seperti di dalam Surah Baqarah dan mereka yang menolak masih tidak mampu untuk menghasilkan sebuah surah yang sebanding, maka Allah ﷻ merendahkan cabaran dengan mencabar kitab yang ‘seperti’ Al-Qur’an sahaja, tidak sama sangat pun tidak mengapa. Ini kita dapat tahu kerana ada penambahan harf من di dalamnya. Namun itu pun mereka tidak mampu buat.

Mereka dimalukan dengan penurunan cabaran itu. Ini seolah-olah Allah ﷻ berkata: “Kalau kamu tak boleh buat banyak ni, buatlah sikit lagi.” Sementara ayat yang dalam Surah Yunus pun sebenarnya sudah dimudahkan lagi cabarannya kerana dalam Hud: 13, cabarannya adalah 10 buah surah:

أَمْ يَقُولُونَ افْتَرَاهُ قُلْ فَأْتُوا بِعَشْرِ سُوَرٍ مِّثْلِهِ مُفْتَرَيَاتٍ وَادْعُوا مَنِ اسْتَطَعْتُم مِّن دُونِ اللَّهِ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ

Bahkan mereka menuduh dengan mengatakan: “Dia (Muhammad) yang mereka-reka Al-Qur’an itu! ” katakanlah (wahai Muhammad): “(Jika demikian tuduhan kamu), maka cubalah buat serta datangkan sepuluh surah rekaan yang sebanding dengan Al-Qur’an itu, dan panggillah siapa sahaja yang kamu sanggup memanggilnya, yang lain daripada Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar”.

Adakah mereka boleh buat? Tentu tidak, seperti yang disebut dalam Baqarah: 24

فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا وَلَن تَفْعَلُوا فَاتَّقُوا النَّارَ الَّتِي وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ أُعِدَّتْ لِلْكَافِرِينَ

Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu daripada api neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir.

Allah ﷻ beritahu sekali lagi dalam Isra’: 88

قُل لَّئِنِ اجْتَمَعَتِ الْإِنسُ وَالْجِنُّ عَلَىٰ أَن يَأْتُوا بِمِثْلِ هَٰذَا الْقُرْآنِ لَا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِ وَلَوْ كَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرًا

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Qur’an ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri”.

Tidak mungkin makhluk boleh menghasilkan ayat-ayat Al-Qur’an yang lain selain daripada yang dihasilkan oleh Allah ﷻ. Walaupun seluruh generasi manusia dan seluruh generasi jin bersatu padu untuk membuatnya.

Allah ﷻ mencairkan lagi cabaran-Nya dalam Thur: 34 di mana Allah ﷻ mengatakan kalau mereka tidak boleh buat sebuah Al-Qur’an, atau sepuluh buah surah, atau hanya sebuah surah pun, maka sekurang-kurangnya bawalah sepatah perkataan yang agak-agak serupa seperti Al-Qur’an.

فَلْيَأْتُوا بِحَدِيثٍ مِّثْلِهِ إِن كَانُوا صَادِقِينَ

(Kalau tidak) maka hendaklah mereka membuat dan mendatangkan kata-kata seperti Al-Qur’an itu, jika betul mereka orang-orang yang benar dakwaannya.

Al-Qur’an itu adalah satu mukjizat daripada Allah ﷻ kepada Nabi Muhammad ﷺ. Macam-macam sifat yang terdapat pada Al-Qur’an itu yang melayakkannya dipanggil mukjizat. Salah satu mukjizat Al-Qur’an yang kita belajar di sini adalah, Al-Qur’an itu tidak boleh ditiru. Tidak boleh dibuat oleh makhluk pun, walau hanya satu ayat yang sama seperti sifat Al-Qur’an yang dibuat oleh Allah ﷻ.

Oleh itu, cabaran ini amat hebat sebenarnya kerana ia mematahkan hujah lawan. Kita lawan hujah mereka dengan hujah yang lain, bukannya kita maki dan caci mereka. Dikatakan ramai juga yang cuba untuk mencipta tulisan yang seperti Al-Qur’an namun sampai sekarang kita tidak dengar mana-mana daripada mereka yang berani untuk mengeluarkan surah ciptaan mereka kepada umum. Tentu mereka takut untuk dikritik kerana pasti apa sahaja yang mereka cipta itu tidak akan sama dengan Al-Qur’an.


 

Yunus Ayat 39: Kenapakah manusia menolak Al-Qur’an?

بَل كَذَّبوا بِما لَم يُحيطوا بِعِلمِهِ وَلَمّا يَأتِهِم تَأويلُهُ ۚ كَذٰلِكَ كَذَّبَ الَّذينَ مِن قَبلِهِم ۖ فَانظُر كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ الظّٰلِمينَ

Sahih International

Rather, they have denied that which they encompass not in knowledge and whose interpretation has not yet come to them. Thus did those before them deny. Then observe how was the end of the wrongdoers.

Malay

Bahkan mereka pula terburu-buru mendustakan Al-Qur’an yang fahaman mereka tidak dapat meliputi segala isi pengetahuannya, dan belum datang kepada mereka kenyataan yang menjelaskan kebenarannya. Demikianlah juga orang-orang sebelum mereka mendustakan (Kitab-kitab Allah yang diturunkan kepada mereka). Maka lihatlah bagaimana akibat orang-orang yang zalim itu (berakhir dengan berbagai bencana yang membinasakan mereka).

 

بَلْ كَذَّبُوا بِمَا لَمْ يُحِيطُوا بِعِلْمِهِ

Bahkan mereka mendustakan Al-Qur’an kerana fahaman mereka tidak dapat meliputinya dengan ilmu pengetahuan mereka,

Mereka tidak tahu langsung tentang Al-Qur’an tetapi mereka sudah tolak awal-awal lagi. Cepat sangat mereka menolak tanpa benar-benar memahami apa yang disampaikan oleh Al-Qur’an. Manusia memang memusuhi apa yang mereka tidak ketahui. Kalau mereka tahu, mereka akan jatuh cinta. Seperti peribahasa Melayu yang berbunyi, “Tak kenal maka tak cinta”.

Orang-orang kafir ramai yang menolak agama Islam dan menolak Al-Qur’an tanpa mereka sendiri pernah membaca Al-Qur’an itu. Sampai ada yang benci sangat sampai hendak buat kempen membakar Al-Qur’an. Padahal jikalau ditanya kepada mereka, adakah pernah mereka membaca Al-Qur’an dan mempelajari Al-Qur’an, mereka akan kata tidak pernah lagi.

Macam orang kita juga yang ramai amat jahil tentang Al-Qur’an. Memang mereka kenal apakah Al-Qur’an itu. Mereka tahu membaca Al-Qur’an itu memang bagus. Mereka pun mungkin setiap hari membaca Al-Qur’an tetapi mereka tidak belajar tafsir, maka mereka sebenarnya tidak ada ilmu pun tentang Al-Qur’an. Kemudian apabila diberitahu apakah maksud ayat-ayat Al-Qur’an itu, mereka kehairanan. Mereka tidak sangka yang pegangan mereka selama hari ini amat berlainan dengan apa yang ada di dalam Al-Qur’an!

Mereka kata tidak sama seperti apa yang mereka faham tentang agama. Mereka kata mereka tidak pernah dengar ajaran seperti itu. Sudah sememangnya mereka tidak pernah dengar sebab mereka tidak pernah belajar. Yang mereka belajar adalah dengan guru-guru yang tidak belajar pun lagi tafsir Al-Qur’an.

Apabila mereka tidak biasa dengar, maka mereka tolak. Mereka kata kita tafsir salah pula. Padahal mereka tidak pernah belajar pun lagi tafsir Al-Qur’an. Sebab itu mereka bungkam apabila kita tanya semula: “Kalau aku tafsir ini salah, jadi apa tafsir yang sebenarnya?” Mereka terus menolak mentah-mentah kerana mereka tidak pernah dengar.

 

وَلَمَّا يَأْتِهِمْ تَأْوِيلُهُ

dan belum datang kepada mereka kenyataan yang menjelaskan kebenarannya.

Kalimah تَأْوِيلُ bermaksud ‘interpretasi’. Ia juga bermaksud ‘penjelasan’. Perkataan تَأْوِيلُ berasal daripada katadasar أ و ل (awal, asal) iaitu bermaksud ‘balik ke asal’. Oleh itu, perkataan تَأْوِيلُ bermaksud ‘pulang kepada maksud yang asal’. Maka ia bermaksud tafsiran kepada Al-Qur’an.

Ia juga bermaksud ‘apabila sesuatu itu terjadi seperti yang dikatakan’. Ia adalah natijah di mana dikatakan kalau menentang, akan dikenakan dengan azab. Namun ia belum datang lagi, bukan? Al-Qur’an banyak menyebut tentang perkara yang akan terjadi. Apabila ia benar-benar terjadi, itu adalah تَأْوِيلُ kepada ayat itu. Ini bermaksud, mereka telah menolak Al-Qur’an itu sebelum perkara yang Al-Qur’an kata akan terjadi belum terjadi.

Maknanya, mereka terburu-buru menolak. Menolak kerana perkara yang disebut di dalamnya belum berlaku lagi. Sebagai contoh, Musyrikin Mekah selalu bertanya kepada Nabi, bilakah Hari Kiamat. Nabi ﷺ akan menjawab yang baginda tidak tahu, kerana memang baginda tidak tahu. Disebabkan Nabi ﷺ jawab begitu, mereka jadikan itu sebagai alasan untuk tidak beriman. Sedangkan kejadian itu memang belum berlaku lagi, bukan?

Mereka juga tidak nampak lagi kejayaan Nabi Muhammad ﷺ dan Islam seperti yang dijanjikan oleh Al-Qur’an. Maka mereka tidak mahu beriman, kerana apa yang disebut dalam Al-Qur’an belum benar-benar berlaku di hadapan mata mereka lagi

Musyrikin Mekah juga selalu mencabar Nabi ﷺ untuk menurunkan azab kepada mereka. Walau bagaimanapun azab tidak terus diturunkan kepada mereka maka mereka makin besar kepala dan terus tetap tidak mahu beriman. Maknanya, mereka tidak beriman kerana mereka tidak dikenakan azab.

Sementara orang kita pula tidak beriman dengan Al-Qur’an kerana mereka tidak tahu takwil Al-Qur’an itu. Mereka memang sudah belajar agama tetapi mereka belum benar-benar faham lagi tentang Al-Qur’an. Ini adalah kerana mereka tidak tadabbur Al-Qur’an itu. Untuk tadabbur, pertamanya kena belajar tafsir Al-Qur’an terlebih dahulu. Allah ﷻ telah mengutuk golongan kafir dan munafik yang tidak tadabbur Al-Qur’an di dalam Nisa’: 82

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْءآنَ

Apakah mereka tidak mahu memikirkan isi Al-Quran?

‘Tadabbur’ adalah membaca ayat Al-Qur’an dan memikirkan maknanya, mengambil pengajaran daripadanya. Bukan hanya baca sahaja dan tahu terjemahan sahaja kerana kalau baca terjemah sahaja, tidak akan nampak keindahan ayat-ayat Al-Qur’an itu. Kalau orang kafir dan munafik pun dikutuk kerana tidak tadabbur Al-Qur’an, maka sama jugalah kalau orang Islam pun tidak tadabbur.

Kalau tidak belajar tafsir dan tadabbur Al-Qur’an, sudah tentu pengetahuan agama seorang Muslim itu tidak kemas. Tidak kira sama ada mereka telah belajar di Mesir atau mana-mana tempat pun. Mereka yang belum habis belajar tafsir sepatutnya tidak patut lagi mengajar kerana mereka akan ajar ajaran yang salah disebabkan mereka sendiri pun belum beres lagi agama mereka. Akan tetapi begitulah sikap manusia. Mereka malas untuk tadabbur Al-Qur’an kerana kalau buat, mereka terpaksa meninggalkan kehendak nafsu mereka yang ternyata mereka tidak mahu tinggalkan. Hati mereka ini telah tertutup seperti Allah ﷻ sebut dalam Muhammad: 24

أَفَلا يَتَدَبَّرونَ القُرءآنَ أَم عَلىٰ قُلوبٍ أَقفالُها

Maka apakah mereka tidak tadabbur Al-Qur’an ataukah hati mereka terkunci?

Kita terpaksa sebut di sini kerana banyak alasan puak bid’ah yang berbunyi: “Ustaz itu dan ini telah belajar di Mesir, tentulah dia tahu”. Ingatlah bahawa ‘belajar di Mesir’ bukanlah dalil yang mengatakan seseorang itu sudah pandai, sudah pasti berada di jalan yang benar. Yang benar adalah mereka yang boleh memberi dalil daripada Al-Qur’an dan hadith, tidak kiralah sama ada dia belajar di Malaysia, Pakistan, India atau Madinah sekalipun.

Maka janganlah terburu-buru menolak dalil yang diberikan daripada Al-Qur’an sebelum memikirkannya. Sekiranya ada tafsir ayat Al-Qur’an yang tidak sama dengan fahaman agama kita, maka janganlah terus menolaknya. Fikirkan dahulu dan berdoalah kepada Allah ﷻ untuk memberikan pemahaman kepada kita.

 

كَذَٰلِكَ كَذَّبَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ

Demikianlah juga orang-orang sebelum mereka mendustakan

Sebelum Musyrikin Mekah lagi, telah ada kaum-kaum yang menolak agama Allah ﷻ, yang telah menolak Nabi-Nabi mereka. Yang mereka dustakan adalah wahyu dan umat Nabi Muhammad ﷺ pula mendustakan Al-Qur’an.

Sebelum golongan musyrik dan bid’ah zaman sekarang menentang ajakan dakwah sunnah, telah ramai lagi golongan yang menolak sebelum mereka semenjak zaman berzaman lagi. Bukan mereka sahaja yang menolak, malah ramai lagi. Terlalu ramai sebenarnya. Ini adalah perkara biasa dan kita tidak perlu hairan. Ramai yang menentang malah menghalang manusia lain mendekati wahyu. Antaranya mereka akan membuat kacau dan buat bising seperti disebut dalam Fussilat: 26

وَقالَ الَّذينَ كَفَروا لا تَسمَعوا لِهٰذَا القُرءآنِ وَالغَوا فيهِ لَعَلَّكُم تَغلِبونَ

Dan orang-orang yang kafir berkata: “Janganlah kamu mendengar Al-Qur’an ini dan tentanglah dia (dengan nyanyian-nyanyian dan jeritan-jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (mengganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya)!”

 

فَانظُرْ كَيْفَ كَانَ عٰقِبَةُ الظّٰلِمِينَ

Maka lihatlah bagaimana akibat orang-orang yang zalim itu

Mereka yang menolak ajaran wahyu dan juga para Nabi mereka, telah berakhir dengan berbagai bencana yang membinasakan mereka. Inilah yang telah terjadi kepada kaum-kaum terdahulu seperti Aad, Tsamud, Firaun dan banyak lagi yang disebut dalam Al-Qur’an (juga banyak lagi yang tidak disebut) sebagai contoh dan pengajaran buat kita semua.


 

ALLAH ﷻ YANG SEBENARNYA MEMBERI HIDAYAH

Yunus Ayat 40: Ayat Tasliah (pujukan) kepada Rasulullah ﷺ dan para pendakwah

وَمِنهُم مَّن يُؤمِنُ بِهِ وَمِنهُم مَّن لّا يُؤمِنُ بِهِ ۚ وَرَبُّكَ أَعلَمُ بِالمُفسِدينَ

Sahih International

And of them are those who believe in it, and of them are those who do not believe in it. And your Lord is most knowing of the corrupters

Malay

Dan di antara mereka ada yang beriman kepada Al-Qur’an, dan ada di antaranya yang tidak beriman langsung kepadanya; dan (ingatlah), Tuhanmu lebih mengetahui akan orang-orang yang melakukan kerosakan.

 

وَمِنْهُم مَّن يُؤْمِنُ بِهِ

Dan di antara mereka ada yang beriman kepada Al-Qur’an,

Dalam banyak-banyak penduduk Mekah yang musyrik itu, ada juga antara mereka yang akan beriman dengan Islam. Tidaklah sia-sia usaha dakwah yang Nabi ﷺ dan sahabat lakukan. Allah ﷻ menghiburkan hati Nabi ﷺ supaya tidaklah baginda bersedih sangat. Allah ﷻ sebut di dalam Luqman: 23

وَمَن كَفَرَ فَلا يَحزُنكَ كُفرُهُ ۚ إِلَينا مَرجِعُهُم فَنُنَبِّئُهُم بِما عَمِلوا ۚ إِنَّ اللهَ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ

Dan barangsiapa kafir maka kekafirannya itu janganlah menyedihkanmu. Hanya kepada Kami-lah mereka kembali, lalu Kami beritakan kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala isi dada.

Allah ﷻ memujuk hati Nabi ﷺ kerana hati baginda amat prihatin terhadap umat baginda. Baginda sedih sangat, malah terlebih sedih kalau mereka menolak kebenaran seperti disebut dalam Kahf: 6. Perasaan itu membahayakan baginda.

فَلَعَلَّكَ بٰخِعٌ نَّفسَكَ عَلىٰ ءآثٰرِهِم إِن لَّم يُؤمِنوا بِهٰذَا الحَديثِ أَسَفًا

Maka barangkali engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Qur’an ini.

Begitu juga dalam masyarakat kita, akan ada orang yang beriman dengan ajaran Sunnah ini apabila disampaikan kepada mereka. Memang sekarang nampak tidak ramai, namun sebenarnya mereka ada di mana-mana. Kadang-kadang mereka yang mengamalkan tauhid yang sebenar itu mendiamkan diri sahaja dan kadang-kadang ada yang duduk di tempat-tempat terpencil.

Mereka tidak ramai dan kerana itu mereka tidak menampakkan diri. Mereka tidak berani hendak menampilkan diri kerana mereka adalah puak minoriti jika dibandingkan dengan puak-puak syirik dan bid’ah yang ramai sekarang. Mereka takut kalau dituduh dan ditohmah oleh masyarakat setempat. Inilah dugaan menjadi orang yang ‘benar’ di dalam masyarakat yang ‘tidak benar’.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut bagaimana ada yang terburu-buru menolak ayat-ayat Al-Qur’an sebelum memikirkannya. Ayat ini pula menyebut ada antara mereka yang akan beriman akhirnya. Mula-mula memang mereka menolak, akan tetapi tidak semestinya sampai bila-bila. Lihatlah bagaimana penentang Nabi Muhammad ﷺ di awal Islam yang menentang tetapi memeluk Islam akhirnya. Sebagai contoh, Abu Sufyan, Umar al Khattab dan Khalid al Walid رضی اللہ عنھم dan ramai lagi.

Maknanya, kadangkala terdapat orang yang menolak dakwah sunnah pada awalnya itu tidaklah semuanya sampai bila-bila akan terus menolak. Apabila sampai masanya, in sha Allah, dia akan terima. Yang penting tugas kita adalah untuk menyampaikan kepada mereka dengan sejelas mungkin.

 

وَمِنْهُم مَّن لَّا يُؤْمِنُ بِهِ

dan ada di antaranya yang tidak beriman langsung kepadanya;

Akan tetapi ada juga yang tidak akan beriman sampai bila-bila. Kita tidak boleh berbuat apa-apa kerana bukan di bawah kuasa kita untuk memberi hidayah, tetapi Allah ﷻ. Kita hanya boleh sampaikan sahaja. Namun manusia yang menolak itu kerana salah satu daripada dua sebab sahaja: sama ada jahil atau degil. Mereka itu tidak akan beriman sampai bila-bila seperti disebut dalam Baqarah: 6

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا سَواءٌ عَلَيهِم ءأَنذَرتَهُم أَم لَم تُنذِرهُم لا يُؤمِنونَ

Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman), sama sahaja kepada mereka: sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman.

 

وَرَبُّكَ أَعْلَمُ بِالْمُفْسِدِينَ

dan Tuhanmu lebih mengetahui akan orang-orang yang melakukan kerosakan.

Allah ﷻ lebih mengetahui keadaan diri mereka. Allah ﷻ beritahu Dia tahu apa yang mereka lakukan kerana Dia akan membalas penolakan mereka kepada Al-Qur’an dan kebenaran lain. Jangan sangka yang mereka akan selamat dunia dan akhirat. Mereka mungkin ramai dan lebih berpengaruh di dunia, namun di akhirat kelak mereka akan menerima balasannya.

Habis Ruku’ 4 dari 11 surah ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 9 Jun 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Maariful Qur’an