Tafsir Surah al-A’raf Ayat 188 – 194 (Tinggalkan sombong dan lalai)

A’raf Ayat 188:

قُل لا أَملِكُ لِنَفسي نَفعًا وَلا ضَرًّا إِلّا ما شاءَ اللَّهُ ۚ وَلَو كُنتُ أَعلَمُ الغَيبَ لَاستَكثَرتُ مِنَ الخَيرِ وَما مَسَّنِيَ السّوءُ ۚ إِن أَنا إِلّا نَذيرٌ وَبَشيرٌ لِقَومٍ يُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “I hold not for myself [the power of] benefit or harm, except what Allāh has willed. And if I knew the unseen, I could have acquired much wealth, and no harm would have touched me. I am not except a warner and a bringer of good tidings to a people who believe.”

MALAY

Katakanlah: “Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalaulah aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman”.

قُل لا أَملِكُ لِنَفسي نَفعًا وَلا ضَرًّا إِلّا ما شاءَ اللَّهُ ۚ

Katakanlah: “Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah.

Nabi Muhammad diajar untuk memberitahu yang baginda sendiri sebagai Nabi pun tidak ada apa kuasa untuk diri baginda sendiri melainkan apa yang Allah kehendaki. Baginda adalah manusia biasa, cuma bezanya baginda diberikan dengan wahyu. Tapi tidaklah baginda itu berkuasa seperti Allah atau ada sebahagian dari kuasa Allah.

Maka, janganlah kita memuja dan berdoa kepada baginda, kerana baginda tidak dapat memberikan apa yang kita minta kepada baginda. Kalau minta juga kepada baginda, itu adalah perbuatan syirik. Ianya adalah sia-sia sahaja, kerana baginda tidak ada kuasa untuk memberi manfaat atau mudharat. Kalau kepada diri baginda pun tidak boleh, apatah lagi kalau untuk kepentingan orang lain?

وَلَو كُنتُ أَعلَمُ الغَيبَ لَاستَكثَرتُ مِنَ الخَيرِ

Dan kalaulah aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah

Baginda disuruh beri hujah, kalau baginda tahu perkara ghaib, tentu baginda akan memperbanyakkan keperluan dunia baginda. Sebagai contoh, kalau kita tahu esok akan hujan, tentu kita sudah siap beli payung. Tapi banyak dari kehidupan baginda, kita dapat tahu bahawa baginda tidak tahu langsung perkara ghaib melainkan apa yang Allah beritahu baginda sahaja.

Ibnu Jarir mengatakan bahawa ulama lainnya mengatakan bahawa makna yang dimaksudkan ialah: seandainya aku mengetahui hal yang ghaib, nescaya aku akan membuat perbekalan di musim subur untuk menghadapi musim kemarau; dan di saat harga sedang murah untuk menghadapi masa mahal, iaitu dengan membuat persiapan untuk menghadapinya selagi harga sedang murah’.

وَما مَسَّنِيَ السّوءُ

dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan.

Dan kalaulah baginda tahu tentang perkara ghaib, tentang apa yang akan berlaku di masa hadapan, tentu tidaklah baginda ditimpa apa-apa kesusahan kerana baginda sudah tahu apa yang terjadi dan dapat mengelak darinya. Tetapi dalam sirah kita boleh lihat bagaimana Nabi Muhammad juga selalu ditimpa musibah. Itu menunjukkan yang baginda tidak tahu apa yang akan terjadi di masa hadapan.

إِن أَنا إِلّا نَذيرٌ وَبَشيرٌ لِقَومٍ يُؤمِنونَ

Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman”.

Baginda disuruh mengingatkan manusia bahawa adalah manusia biasa tapi diberi wahyu untuk beri peringatan kepada manusia seluruhnya. Itulah tugas baginda sebagai penerima wahyu pertama iaitu beri amaran dan beri berita gembira.

Peringatan ‘amaran’ disebut dahulu sebelum disebut ‘berita gembira’ kerana surah ini banyak mengandungi peringatan amaran dan ancaman kepada manusia. Kepada mereka yang engkar, diberikan ancaman kepada mereka supaya mereka dapat ingat dan kembali kepada kebenaran.

Dan berita gembira diberikan kepada mereka yang mahu mempercayai wahyu dan sanggup beriman.

Habis Ruku’ 23 dari 24 ruku’ dalam surah ini.


A’raf Ayat 189: Ayat ini ada hubungan dengan Dakwa Kedua – kena taat kepada syariat Allah.

۞ هُوَ الَّذي خَلَقَكُم مِن نَفسٍ واحِدَةٍ وَجَعَلَ مِنها زَوجَها لِيَسكُنَ إِلَيها ۖ فَلَمّا تَغَشّاها حَمَلَت حَملًا خَفيفًا فَمَرَّت بِهِ ۖ فَلَمّا أَثقَلَت دَعَوَا اللَّهَ رَبَّهُما لَئِن آتَيتَنا صالِحًا لَنَكونَنَّ مِنَ الشّاكِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is He who created you from one soul and created from it its mate that he¹ might dwell in security with her. And when he [i.e., man] covers her,² she carries a light burden [i.e., a pregnancy] and continues therein. And when it becomes heavy, they both invoke Allāh, their Lord, “If You should give us a good³ [child], we will surely be among the grateful.”

  • i.e., man or every descendent of Adam.
  • An allusion to sexual intercourse.
  • Physically sound or righteous.

MALAY

Dia lah (Allah) yang menciptakan kamu semua dari diri yang satu, dan Dia mengadakan daripada hakikat itu pasangannya (diri suami isteri), untuk bersenang hati dan hidup mesra yang satu kepada yang lain. Ketika suami mencampuri isterinya, mengandunglah dia dengan kandungan yang ringan, serta teruslah dia dengan keadaan itu (ke suatu waktu). Kemudian ketika dia merasa berat, berdoalah suami isteri itu kepada Tuhan mereka (dengan berkata):” Sesungguhnya jika Engkau (wahai Tuhan kami) mengurniakan kami nikmat yang baik, tentulah kami menjadi orang-orang yang bersyukur”.

هُوَ الَّذي خَلَقَكُم مِن نَفسٍ واحِدَةٍ

Dia lah (Allah) yang menciptakan kamu semua dari diri yang satu, 

Kita semua asalnya dari seorang manusia, iaitu Nabi Adam. Ini mengingatkan kita yang kita ini semua berasal dari keturunan yang sama, maka hendaklah kita berbaik-baik sesama kita.

وَجَعَلَ مِنها زَوجَها لِيَسكُنَ إِلَيها

dan Dia mengadakan daripada hakikat itu pasangannya (diri suami isteri), untuk bersenang hati dan hidup mesra yang satu kepada yang lain.

Kemudian Allah jadikan pasangan hidup bagi manusia. Tujuan dijadikan pasangan hidup itu adalah supaya manusia boleh merasa tenang hidup bersama teman hidupnya. Begitulah Hawa, ibu kita diberikan kepada Nabi Adam sebagai sumber ketenangan kepada Nabi Adam.

Dan begitulah manusia zaman berzaman diberikan dengan pasangan hidup masing-masing. Kita sebagai manusia, memang mempunyai keinginan untuk berpasangan. Apabila cukup umur sahaja, maka mencarilah kita pasangan hidup masing-masing. Ini seperti pengertian yang terkandung di dalam firman-Nya:

{وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً}

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untuk kalian isteri-isteri dari jenis kalian sendiri, supaya kalian cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kalian rasa kasih dan sayang. (Ar-Rum: 21)

Tiada kecenderungan di antara dua jiwa yang melebihi kecenderungan antara sepasang suami isteri. Merekalah orang yang paling rapat kerana semua perkara mereka akan berkongsi. Kerana itulah Allah menyebutkan bahawa seorang penyihir adakalanya menggunakan tipu muslihatnya untuk memisahkan antara seseorang dengan isterinya. Ini kerana syaitan suka kalau hubungan paling rapat ini dimusnahkan sebagai musibah kepada manusia.

فَلَمّا تَغَشّاها حَمَلَت حَملًا خَفيفًا فَمَرَّت بِهِ

Ketika suami mencampuri isterinya, mengandunglah dia dengan kandungan yang ringan, serta teruslah dia dengan keadaan itu

Bermula dari ayat فَلَمّا تَغَشّاها ini, sudah mula cerita lain, bukan lagi tentang Nabi Adam dan Hawa lagi. Kita beritahu kerana ada hadis palsu yang kaitkan ayat ini dengan Nabi Adam dan ianya tidak benar. Malangnya kisah itu ada dalam kitab tafsir, jadi kita kena tekankan bahawa ayat ini adalah kisah umum, merujuk kepada mana-mana pasangan suami isteri.

Apabila pasangan suami isteri telah bersetubuh, si isteri ada kemungkinan akan mengandung. Maka tentunya dia terus menghabiskan masa dengan kandungannya itu. Asalnya wanita itu mengandung sesuatu yang ringan – asalnya air mani sahaja di dalam rahimnya. Waktu itu, si ibu sendiri pun tidak tahu yang dia sedang mengandung. Kemudian air mani itu menjadi alaq dan kemudian menjadi segumpal daging. Maka, asalnya kandungan itu ringan sahaja.

فَلَمّا أَثقَلَت دَعَوَا اللَّهَ رَبَّهُما

Kemudian ketika dia merasa berat, berdoalah suami isteri itu kepada Tuhan mereka

Setelah sekian lama, air mani itu telah melekat menjadi benih, lama kelamaan kandungan wanita itu telah menjadi janin dan anak itu menjadi semakin berat di dalam rahim ibunya. Sehinggalah sudah hampir tiba masa untuk melahirkan anak. Waktu itu kedua-duanya berdoa kepada Allah:

لَئِن آتَيتَنا صالِحًا لَنَكونَنَّ مِنَ الشّاكِرينَ

“Sesungguhnya jika Engkau (wahai Tuhan kami) mengurniakan kami nikmat yang baik, tentulah kami menjadi orang-orang yang bersyukur”.

Waktu itu mereka berdoa kepada Allah, jika Allah berikan anak yang soleh kepada mereka, tentu mereka akan bersyukur kepada Allah. Tentunya ibubapa mengharapkan anak yang soleh kerana itu adalah nikmat yang amat besar. Kerana itu ini adalah doa yang amat baik untuk dibaca oleh ibu yang mengandung dan suaminya.

Maksud ‘soleh’ dalam ayat ini membawa makna tidak ada cacat cela, sihat sejahtera, bukan soleh dalam erti keagamaan. Tapi soleh dari segi afiat. Ini kerana semua ibubapa mengharapkan anak yang sihat.


 

Ayat 190:

فَلَمّا آتاهُما صالِحًا جَعَلا لَهُ شُرَكاءَ فيما آتاهُما ۚ فَتَعالَى اللَّهُ عَمّا يُشرِكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But when He gives them a good [child], they¹ ascribe partners to Him concerning that which He has given them. Exalted is Allāh above what they associate with Him.

  • The ungrateful man and woman or the polytheistic man and woman.

MALAY

Kemudian ketika Allah mengurniakan kepada keduanya nikmat yang baik (sebagaimana yang mereka pohonkan), mereka berdua menjadikan sekutu bagi Allah dalam urusan wujudnya nikmat yang dikurniakan Allah kepada mereka. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan itu.

فَلَمّا آتاهُما صالِحًا

Kemudian ketika Allah mengurniakan kepada keduanya nikmat yang baik

Kemudian, apabila Allah beri sungguh anak yang soleh (anak yang sihat) kepada mereka. Kebanyakan dari manusia memang akan dapat anak yang sihat dalam kandungan. Dari segi statistik, hanya sedikit sahaja anak yang cacat.

جَعَلا لَهُ شُرَكاءَ فيما آتاهُما

mereka berdua menjadikan sekutu bagi Allah dalam urusan wujudnya nikmat yang dikurniakan Allah kepada mereka.

Setelah Allah makbulkan doa mereka, kedua-duanya sanggup menjadikan syuraka’ (pujaan bathil) selain dari Allah, pada nikmat yang Allah telah berikan itu. Iaitu, apabila Tuhan beri mereka anak yang sihat, mereka tidak ajar tauhid kepada anak itu, tapi mereka ajar fahaman dan amalan yang syirik. Mereka bukan ajar amalan yang sunnah, tapi amalan yang bidaah.

Sebab itulah kita tidak boleh katakan yang ayat ini mengenai Nabi Adam dan Hawa kerana tidak mungkin mereka akan melakukan syirik kepada Allah.

Ibnu Jarir pun mengatakan, telah menceritakan kepada kami Bisyr, telah menceritakan kepada kami Yazid, telah menceritakan kepada kami Sa’id, dari Qatadah yang mengatakan, “Dahulu Al-Hasan sering mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan mereka yang disebutkan dalam ayat ini adalah orang-orang Yahudi dan Nasrani. Allah memberi mereka anak-anak, lalu mereka menjadikannya sebagai orang Yahudi dan orang Nasrani.” Tafsir Ibn Kathir.

فَتَعالَى اللَّهُ عَمّا يُشرِكونَ

Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan itu.

Allah Maha Suci dari apa yang mereka lakukan dan ajarkan kepada anak mereka itu. Allah tidak memerlukan sekutu dalam alam ini. Perbuatan mereka itu adalah perbuatan yang amat salah sekali.

Tentang ayat ini, ada tafsiran yang masuk ke dalam kitab-kitab tafsir yang dicedok dari kisah-kisah Israiliyyat yang batil. Sebagai contoh, daripada Ibnu Abbas daripada Ubai bin Kaab telah berkata:

Apabila Hawa telah hamil, syaitan telah datang kepadanya dan berkata kepadanya: Adakah engkau hendak mentaati aku dan aku akan menyelamatkan anak engkau? Berilah namanya Abdul Harith. Hawa tidak melakukan tuntutan syaitan itu. Maka dia melahirkan anak dalam keadaan mati. Kemudian Hawa hamil lagi dan syaitan berkata dengan kata-kata yang sama kepadanya. Hawa tidak menurutinya. Kemudian, Hawa hamil buat kali ketiga dan syaitan datang kepadanya dengan berkata: Sekiranya engkau patuh kepada aku, anak itu akan selamat. Sekiranya tidak, anak itu akan menjadi binatang ternakan. Maka syaitan berjaya menakutkan Hawa lalu dia mentaatinya.”

Ibnu Kathir berkata: Athar ini jelas kelihatan (Allah SWT lebih mengetahui) bahawa ia adalah dari ciptaan Ahli Kitab.

Kisah seperti ini tidak patut diterima kerana mengatakan yang Nabi Adam dan Hawa telah taat kepada Iblis kerana menerima nama yang Iblis suruh mereka namakan anak itu (Abdul Harith). Ini kerana nama ini adalah syirik dan tidak patut dilakukan oleh seorang Nabi. Kerana kononnya nama-nama sebelum itu seperti Ubaidillah telah menyebabkan anak-anak Nabi Adam dan Hawa mati.


Ayat 191:

أَيُشرِكونَ ما لا يَخلُقُ شَيئًا وَهُم يُخلَقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do they associate with Him those who create nothing and they are [themselves] created?

MALAY

Patutkah mereka sekutukan Allah dengan benda-benda yang tidak dapat menciptakan sesuatu pun, sedang benda-benda itu sendiri diciptakan?

Kenapakah mereka sanggup menyekutukan Allah, sedangkan yang disembah itu tidak boleh mencipta apa-apa pun (walaupun nyamuk), malah mereka sendiri pun dicipta. Ini seperti juga di dalam firman Allah Swt. dalam ayat lainnya:

{يَا أَيُّهَا النَّاسُ ضُرِبَ مَثَلٌ فَاسْتَمِعُوا لَهُ إِنَّ الَّذِينَ تَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ لَنْ يَخْلُقُوا ذُبَابًا وَلَوِ اجْتَمَعُوا لَهُ وَإِنْ يَسْلُبْهُمُ الذُّبَابُ شَيْئًا لَا يَسْتَنْقِذُوهُ مِنْهُ ضَعُفَ الطَّالِبُ وَالْمَطْلُوبُ * مَا قَدَرُوا اللَّهَ حَقَّ قَدْرِهِ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ}

Hai manusia, telah dibuatkan perumpamaan, maka dengarkanlah oleh kalian perumpamaan itu. Sesungguhnya segala yang kalian seru selain Allah sekali-kali tidak dapat menciptakan seekor lalat pun, walaupun mereka bersatu untuk menciptakannya. Dan jika lalat itu merampas sesuatu dari mereka, tiadalah mereka dapat merebutnya kembali dari lalat itu. Amat lemahlah yang menyembah dan amat lemah (pulalah) yang disembah Mereka tidak mengenal Allah dengan sebenar-benarnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha kuat lagi Maha perkasa. (Al-Hajj: 73-74)

Jangan sangka ayat ini diberikan kepada orang kafir sahaja. Kerana orang Islam yang tidak faham konsep syirik pun ramai yang mengamalkan syirik tanpa mereka sedari. Ini adalah kerana mereka jahil dengan ajaran wahyu.

Antara kesyirikan yang banyak dilakukan adalah dengan berdoa menggunakan tawasul kepada wali, Nabi dan malaikat. Ini banyak sekali dilakukan oleh masyarakat kita tanpa mereka sedari yang mereka sedang melakukan syirik.


 

Ayat 192:

وَلا يَستَطيعونَ لَهُم نَصرًا وَلا أَنفُسَهُم يَنصُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they [i.e., the false deities] are unable to [give] them help, nor can they help themselves.

MALAY

Dan benda-benda itu tidak dapat menolong mereka, dan tidak juga dapat menolong dirinya sendiri.

Kenapakah ada manusia yang sanggup menyekutukan Allah, sedangkan selain dari Allah tidak ada kuasa langsung untuk membantu dan tidak dapat membantu diri mereka sendiri? Kita pun selalu dengar kisah bagaimana Nabi Ibrahim a.s. telah merosakkan berhala-berhala kaumnya dan meletakkan kapak itu pada berhala yang besar. Mereka dihancurkan pun mereka tidak boleh apa.

Hal yang sama pernah dilakukan oleh Mu’az ibnu Amr ibnul Jamuh dan Mu’az ibnu Jabal (dua Mu’az) ketika keduanya masih muda dan telah masuk Islam, iaitu apabila Rasulullah Saw. telah tiba di Madinah. Keduanya merosakkan berhala-berhala orang-orang musyrik di malam hari, iaitu dengan memecahkannya dan menjadikannya sebagai kayu bakar buat para janda, agar kaumnya mahu mengambil pelajaran dari hal tersebut dan menyalahkan diri mereka sendiri.

Disebutkan bahawa seorang lelaki bernama Amr ibnul Jamuh, seorang pemimpin di kalangan kaumnya— mempunyai sebuah berhala yang menjadi sembahannya, dia selalu memberi berhalanya itu wangian. Tersebut pula bahawa keduanya (Mu’az ibnu Amr ibnul Jamuh dan Mu’az ibnu Jabal) selalu datang kepadanya di malam hari, lalu membalikkan berhala itu dengan kepala di bawah dan melumurinya dengan kotoran haiwan. Ketika Amr ibnul Jamuh melihat apa yang dilakukan terhadap berhalanya itu, maka dia memandikannya dan memberinya lagi wangian, lalu meletakkan sebilah pedang di sisi berhala itu seraya berkata kepadanya, “Belalah dirimu!”

Mu’az ibnu Amr Ibnu Jamal dan Mu’az ibnu Jabal kembali melakukan hal itu terhadap berhala tersebut dan Amr Ibnul Jamuh pun kembali melakukan hal yang sama (yakni membersihkan dan memberinya wewangian). Kemudian pada akhirnya keduanya mengambil berhala itu dan mengikatnya bersama bangkai seekor anjing, lalu menggantungkannya dengan seutas tali di atas sebuah sumur yang ada di tempat itu. Ketika Amr ibnul Jamuh datang dan melihat hal tersebut, dia mula berfikir dan sampailah pada suatu kesimpulan bahawa agama yang dipeluknya itu adalah batil. Lalu dia membacakan sebuah syair:

تَالله لَوْ كُنتَ إِلَها مُسْتَدن … لَمْ تَكُ والكَلْبُ جَمِيعًا فِي قَرنْ

Demi Allah, seandainya kamu adalah tuhan yang disembah, nescayalah kamu dan anjing tidak dapat dikumpulkan bersama-sama.

Akhirnya Amr ibnul Jamuh masuk Islam dan mengamalkan Islam dengan baik, lalu dia gugur dalam perang Uhud sebagai seorang yang mati syahid; semoga Allah melimpahkan redha-Nya kepada dia dan memberinya pahala yang memuaskannya, serta menjadikan syurga Firdaus sebagai tempat tinggalnya.

Jadi, kalau Allah sahaja yang ada kuasa dan sembahan lain tidak ada kuasa, kenapa ramai dari kalangan kita, termasuk orang Islam sendiri yang meminta tolong kepada selain dari Allah? Sebagai contoh, puak Habib yang datang dari Yaman itu, dengan jelas sekali meminta tolong kepada Nabi Muhammad, kepada ahli kubur dan sebagainya. Sedangkan ahli kubur itu tidak ada kuasa pun untuk membantu kerana mereka sendiri pun sudah mati?

Malangnya ramai orang kita ikut mereka. Sedarlah wahai umat Islam sekalian, jangan tertipu dengan ajaran-ajaran yang sesat, sama ada diajar dari dalam negara atau yang dibawa masuk dari luar. Jangan tertipu dengan perawakan baik yang ditonjolkan oleh manusia sedangkan ajaran yang dibawa adalah sesat!


Ayat 193:

وَإِن تَدعوهُم إِلَى الهُدىٰ لا يَتَّبِعوكُم ۚ سَواءٌ عَلَيكُم أَدَعَوتُموهُم أَم أَنتُم صامِتونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if you [believers] invite them to guidance, they will not follow you. It is all the same for you whether you invite them or you are silent.

MALAY

Dan jika kamu (hai kaum musyrik) menyeru benda-benda itu untuk memperoleh petunjuk (daripadanya), mereka tidak dapat menurut (menyampaikan hajat) kamu; sama sahaja bagi kamu, sama ada kamu menyerunya atau mendiamkan diri.

وَإِن تَدعوهُم إِلَى الهُدىٰ لا يَتَّبِعوكُم

Dan jika kamu menyeru mereka untuk memperoleh petunjuk, mereka tidak dapat menurut kamu; 

1. Ada dua pendapat tentang ayat ini. Yang pertama, ‘mereka’ yang dimaksudkan adalah nisbah kepada patung berhala, atau mana-mana sembahan selain Allah. Kalau kamu meminta petunjuk dari patung-patung atau sembahan itu, mereka tidak dapat memberikannya kepada kamu. Ini adalah kerana mereka sendiri tidak dapat mendengar apa yang diminta kepada mereka.

2. Tafsir yang kedua, ‘mereka’ yang dimaksudkan adalah orang-orang sesat yang telah menyembah dan menyeru selain Allah. Kalau kamu ajak mereka untuk mereka meninggalkan kesyirikan yang mereka sedang lakukan, mereka tidak akan ikut kita.

Ini kerana mereka telah tenggelam dalam kesyirikan yang dalam. Mereka percaya sungguh dengan apa yang mereka lakukan itu adalah baik, jadi apa sahaja yang kita kata, mereka tidak mahu terima. Mereka rasa mereka yang betul, mereka lebih pandai, mereka sudah dapat ‘ilmu rahsia’ yang tidak diberikan kepada orang lain.

سَواءٌ عَلَيكُم أَدَعَوتُموهُم أَم أَنتُم صامِتونَ

sama sahaja bagi kamu, sama ada kamu menyerunya atau mendiamkan diri.

1. Oleh itu, sama sahaja kalau kamu seru berhala atau sembahan lain, mereka tidak boleh buat apa-apa. Kerana mereka memang tidak ada kuasa. Atau,

2. Sama sahaja kalau kamu ajak atau kamu tidak ajak manusia yang sesat itu kepada kebenaran, mereka yang sudah mengamalkan syirik itu tidak akan ikut kita. Ini adalah kerana mereka telah ditutup hati mereka dari menerima hidayah lagi. Ini dinamakan Khotmul Qalbi.

Tapi, kita kena ingat untuk tidak berhenti menjalankan dakwah kepada mereka. Kerana kita tidak tahu adakah mereka itu jenis yang telah ditutup hati mereka oleh Allah atau tidak. Kerana yang tahu hanyalah Allah, maka jangan kita buat andaian. Ingatlah kembali kepada tiga golongan dalam kisah Yahudi yang menangkap ikan pada hari Sabtu beberapa ayat yang lalu. Bukankah kita disuruh memberi nasihat juga kepada mereka, walaupun ada golongan yang rasa buang masa sahaja beri nasihat kepada mereka?

Kita kena beri nasihat kerana Allah beri ganjaran kerja dakwah kepada kita bukan atas kejayaan kita mengubah orang itu. Kalau kita telah berdakwah, sama ada orang yang didakwah itu terima atau tidak, kita sudah dapat pahala sebenarnya.

Dan kalaupun orang itu tidak berubah, pasti akan ada perubahan pada diri kita. Sebagaimana Nabi Musa disuruh juga berdakwah kepada Firaun walaupun Allah tahu yang Firaun tidak akan berubah. Kerana berdakwah kepada Firaun adalah latihan kepada Nabi Musa dan menguatkan iman baginda. Begitu juga, apabila kita berdakwah, iman kita akan bertambah dan kita lebih faham agama kerana Allah akan campakkan pemahaman dalam diri kita.


Ayat 194:

إِنَّ الَّذينَ تَدعونَ مِن دونِ اللَّهِ عِبادٌ أَمثالُكُم ۖ فَادعوهُم فَليَستَجيبوا لَكُم إِن كُنتُم صادِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those you [polytheists] call upon besides Allāh are servants [i.e., creations] like you. So call upon them and let them respond to you, if you should be truthful.

MALAY

Sesungguhnya benda-benda yang kamu seru selain Allah adalah makhluk-makhluk seperti kamu. Oleh itu, (cubalah) serulah mereka supaya benda-benda itu dapat memperkenankan permohonan kamu, kalau betul kamu orang-orang yang benar.

إِنَّ الَّذينَ تَدعونَ مِن دونِ اللَّهِ عِبادٌ أَمثالُكُم

Sesungguhnya benda-benda yang kamu seru selain Allah adalah makhluk-makhluk seperti kamu. 

Allah beri hujah lagi: roh-roh Nabi, wali dan malaikat yang kamu seru, buat ibadat itu, mereka pun merupakan hamba Allah, makhluk macam kamu juga. Maksudnya masing-masing lemah, tidak ada kuasa sendiri melainkan diberikan oleh Allah. Buang masa sahaja kamu seru mereka dan Allah marah kalau seru dan puja buat ibadat kepada mereka. Kerana Allah mahu kita seru dan sembah Dia sahaja.

Bahasa yang digunakan dalam ayat ini adalah kataganti kedua. Iaitu Allah bercakap terus kepada mereka yang buat syirik itu. Selalunya Allah tidak buat begini. Ini menunjukkan kepentingan ayat ini.

فَادعوهُم فَليَستَجيبوا لَكُم إِن كُنتُم صادِقينَ

Oleh itu, (cubalah) menyerunya supaya benda-benda itu dapat memperkenankan permohonan kamu, kalau betul kamu orang-orang yang benar.

Dan kalau kamu masih berdegil juga, tak mahu terima ajaran tauhid ini, maka kamu serulah mereka, mintalah kepada mereka kalau kamu rasa kamu benar dan kamu tetap yakin mereka boleh selesaikan masalah dan sempurnakan hajat kamu.

Aduh, ini merupakan cabaran dan perli dari Allah. Kalau Allah sudah perli macam ini, masih lagikah nak buat? Masih lagikah nak bertawasul kepada Nabi, wali dan malaikat? Masih lagikah nak hadiah/sedekah Fatihah kepada mereka? Masih lagikah nak beri salam kepada mereka? Masih lagilah nak seru mereka malam-malam lagi?

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 5 Mei 2023

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah al-A’raf Ayat 188 – 194 (Tinggalkan sombong dan lalai)”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s