Ayat 143:
وَكَذٰلِكَ جَعَلنٰكُم اُمَّةً وَّسَطًا لِّتَکُونُوا شُهَدَآءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيكُم شَهِيدًا ؕوَما جَعَلنَا القِبلَةَ الَّتي كُنتَ عَلَيها إِلّا لِنَعلَمَ مَن يَتَّبِعُ الرَّسولَ مِمَّن يَنقَلِبُ عَلىٰ عَقِبَيهِ ۚ وَإِن كانَت لَكَبيرَةً إِلّا عَلَى الَّذينَ هَدَى اللَّهُ ۗ وَما كانَ اللَّهُ لِيُضيعَ إيمانَكُم ۚ إِنَّ اللَّهَ بِالنّاسِ لَرَءوفٌ رَحيمٌ
And thus we have made you a just community that you will be witnesses over the people and the Messenger will be a witness over you. And We did not make the qiblah which you used to face except that We might make evident who would follow the Messenger from who would turn back on his heels. And indeed, it is difficult except for those whom Allah has guided. And never would Allah have caused you to lose your faith. Indeed Allah is, to the people, Kind and Merciful.
Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-orang (yang beriman).
وَكَذَٰلِكَ
Dengan kesempurnaan inilah,
Ini adalah jawapan ‘penuh kesempurnaan’. Lafaz كَذَٰلِكَ asalnya bermaksud perbandingan antara satu perkara dengan perkara yang lain, tetapi dalam ayat ini, ia bukan bandingan sebab tidak ada bandingan untuk dibandingkan. Kalau kita hendak pakai juga maksud ‘perbandingan’, akan susah untuk tafsir.
Maka kita kena ambil ia bermaksud ‘kesempurnaan’. Untuk mencapai kesempurnaan, [ayat seterusnya]…
جَعَلنَـٰكُم أُمَّةً وَسَطًا
Kami jadikan kamu sebagai ‘umat pertengahan’;
Dan untuk kesempurnaanlah, Kami jadikan kamu umat terbaik. Lafaz وَسَطًا maksudnya ‘yang terbaik’. Umat Islam adalah umat terbaik dari dahulu sampai sekarang; Mereka terpilih kerana mereka mengikut arahan Allah ﷻ. Walaupun sebenarnya hati mereka mungkin tidak suka kerana mereka hendak menghadap ke Kaabah.
Banyak pentafsiran tentang makna perkataan أُمَّةً وَسَطًا (umat pertengahan) ini. ‘Pertengahan’ apakah yang dimaksudkan? Umat Islam duduk di tengah-tengah antara perkara yang terlampau – “between two extremes”. Iaitu antara kepentingan peribadi dan masyarakat. Kita tidak terlalu melebihkan diri sendiri sehingga melupakan masyarakat dan tidak juga melebihkan masyarakat sampai melupakan kepentingan individu.
Kerana itulah ada ibadat dalam Islam yang melibatkan peribadi (seperti salat sunat bersendirian) dan dalam masyarakat (seperti salat berjemaah). Dan ada ibadat yang menggabungkan kedua-duanya seperti ibadat Haji – ia adalah ibadat persendirian (buat sendiri-sendiri) tetapi dilakukan beramai-ramai. Kita hidup bermasyarakat, jadi tidak boleh kepentingan peribadi kita sampai menyakiti orang lain.
Begitu juga kita adalah umat pertengahan antara intelektual dan spiritual. Kita tidak berlebihan antara keduanya. Kita tidaklah terlalu mementingkan intelektual dan tidak terlalu mementingkan spiritual – kita seimbang antara keduanya. Ini adalah kesilapan Ahli Kitab terdahulu. Bangsa Yahudi terlalu mementingkan intelektual. Mereka adalah umat yang berilmu – tetapi mereka pandai sangat (terlebih pandai) sampaikan mereka hendak mengubah kitab mereka sendiri dengan sangkaan ia lebih relevan dengan keperluan semasa.
Dan Kristian pula terlalu melebihkan elemen spiritual sampaikan mereka meninggalkan ilmu – mereka buat ibadat tanpa ilmu. Mereka tidak menerima elemen sains contohnya. Mereka terima bulat-bulat penipuan-penipuan yang dilakukan oleh ahli-ahli agama mereka.
Di sebalik dua agama yang telah sesat itu, adanya Al-Qur’an yang mengandungi kedua-dua elemen ini – intelektual dan spiritual. Oleh itu, jikalau kita hendak menjadi umat pertengahan seperti yang disebut dalam ayat ini, maka kita hendaklah belajar tafsir Al-Qur’an supaya kita dapat memahami apakah yang hendak disampaikan oleh Al-Qur’an iaitu dari Allah ﷻ sendiri.
‘Pertengahan’ juga bermaksud antara pengetahuan dan perbuatan. Jangan kita tahu ilmu sahaja, tetapi kita tidak buat. Begitu juga, jangan kita buat amalan tanpa mengetahui apakah ilmu di sebaliknya dan hukumnya. Begitulah indahnya Islam ini.
لِّتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ
Supaya kamu akan menjadi saksi (di akhirat nanti), ke atas manusia;
Allah jadikan kita sebagai umat pertengahan supaya umat Islam semua menjadi saksi kepada seluruh manusia di akhirat nanti bahawa para Nabi sepanjang zaman telah menyampaikan ajaran agama kepada umat mereka.
Di akhirat nanti, apabila ditanya kepada umat terdahulu adakah Nabi-nabi mereka telah menyampaikan dakwah kepada mereka, puak yang derhaka dari kalangan mereka masih juga mahu berbohong. Mereka akan kata tidak ada Nabi yang sampaikan ajaran kepada mereka (kerana itu mereka sesat).
Maka, Nabi-nabi mereka akan ditanya sama ada mereka telah menyampaikan. Para Nabi itu akan jawab yang mereka memang telah sampaikan, cuma umat mereka itu sahaja yang degil tidak mahu menerima. Kemudian akan ditanya kembali kepada umat mereka. Umat yang degil akan jawab balik yang Nabi itu telah bohong. Nabi-Nabi itu akan jawab yang dalil mereka adalah umat Nabi Muhammad ﷺ, iaitu umat akhir zaman.
Kaum mereka akan kata, bagaimana umat Nabi Muhammad ﷺ boleh menjadi saksi kerana umat Nabi Muhammad ﷺ tidak ada masa itu? Maka umat Islam akan jawab yang mereka boleh jadi saksi kerana mereka telah diberitahu dalam Al-Qur’an dan mereka telah belajar isi kandung Al-Qur’an itu. Dan mereka akan kata, dalam Al-Qur’an telah disebut bagaimana semua Nabi sudah sampaikan ajaran agama kepada umat mereka. Kemudian Nabi Muhammad ﷺ kata benarlah saksi itu.
Orang Islam juga akan menjadi saksi kepada Nabi Muhammad ﷺ bahawa baginda telah menyampaikan segala ajaran baginda kerana baginda juga termasuk dalam lingkungan para Nabi. Kita boleh berkata begitu dengan yakin kerana ajaran baginda telah sampai kepada kita. Apabila ditanya adakah telah disampaikan ajaran Nabi Muhammad ﷺ, kita akan jawab “Ya, sudah sampai”. Kerana ada manusia yang akan kata tidak sampai kepada mereka. Tapi kita akan jawab, bagaimana tidak sampai, sedangkan kita telah dapat ajaran itu.
Oleh itu, apakah jawapan pengikut-pengikut Tarekat dan Sufi yang memegang pendapat bahawa ada ajaran-ajaran tertentu dan kononnya yang khas yang mereka kata Nabi ﷺ hanya sampaikan kepada sahabat-sahabat tertentu sahaja? Apabila mereka berkata begitu, mereka sebenarnya menuduh Nabi Muhammad ﷺ tidak sampaikan semua ajaran kepada semua manusia (ada yang baginda sorok dan bagi kepada orang tertentu sahaja). Itu adalah satu dakwaan yang teramat jahat kepada Nabi ﷺ.
Kita juga akan menjadi saksi kepada orang-orang yang di sekeliling kita. Ini kerana kita kenal belaka siapa yang tidak ikut setelah kita beri dakwah kepada mereka. Kita akan jadi saksi di hadapan Allah ﷻ nanti. Bahawa kita sudah sampaikan kepada mereka tetapi mereka yang tidak mahu juga ikut.
Namun kita kenalah jadi orang yang mengikut sunnah terlebih dahulu dan dakwah kepada mereka. Kalau kita pun tidak dakwah kepada mereka, bagaimana pula kita hendak menjadi saksi?
Begitu juga, kita sepatutnya menjadi ikutan kepada semua manusia. Semua manusia sepatutnya menjadikan kita sebagai contoh ikutan mereka. Namun malangnya, umat Islam kebanyakannya teruk sangat akhlaknya sampaikan tidak berselera orang-orang bukan Islam untuk mengikuti kita. Mereka akan kata: “Kalau Islam itu baik, tentulah penganutnya pun orang yang baik-baik juga”. Jadi, kita sebenarnya telah memburukkan nama agama Islam dengan akhlak kita yang buruk. Ini amat memalukan sekali.
Cara pengamalan agama kita pun tidak betul. Bayangkan ada yang mengaku sebagai Muslim tetapi mencederakan diri mereka sampai berdarah kononnya untuk memohon pengampunan seperti yang dilakukan oleh Syiah; bayangkan ada orang yang berzikir terlompat-lompat, terkinja-kinja seperti kera? Apa agaknya pandangan orang bukan Islam melihat perbuatan mengarut itu?
Bayangkan juga ada orang Islam yang mengambil rasuah terang-terangan, ada yang kerjanya menipu setiap hari, ada yang selamba sahaja menyakitkan orang lain dan sebagainya lagi. Bayangkan seorang yang nampak alim tetapi berlaku zalim terhadap ahli keluarganya sendiri? Orang Islam yang mengutuk sana dan sini, mengadu domba? Semua ini memalukan nama Islam.
Masalahnya, jikalau kita tidak boleh menjadi ikutan kepada orang lain, maka orang-orang bukan Islam itu boleh menjadikan kita sebagai alasan kenapa mereka tidak mahu memasuki Islam. Mereka boleh berhujah di hadapan Allah ﷻ nanti bahawa mereka tidak nampak keindahan Islam disebabkan oleh akhlak buruk penganut Islam.
Namun begitu, alhamdulillah masih ramai lagi yang masuk Islam walaupun mereka telah lihat perangai buruk penganut Islam. Itu adalah kerana mereka telah mengkaji Islam yang sebenarnya dan hasilnya mereka dapat memahami bahawa yang teruk bukannya Islam, tetapi ‘orang Muslim’. Mereka yang tetap juga masuk Islam itu adalah orang-orang yang Allah ﷻ telah berikan hidayah kepada mereka. Ada yang berkata: “Nasib baik saya kenal Islam sebelum saya kenal orang Muslim.”
Dan dalam masa yang sama, memang ada orang-orang mukmin yang telah menjadi sebab kepada orang bukan Islam untuk melihat keindahan Islam. Dari orang-orang mukmin yang berperangai mulia itulah orang bukan Islam dapat melihat keindahan Islam. Bukanlah semua orang-orang Islam itu teruk. Soalannya, adakah kita hendak menjadi antara mereka yang teruk atau antara mereka yang mukmin?
وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا
Dan Rasul (Nabi Muhammad) itu menjadi saksi ke atas kamu;
Nabi Muhammad ﷺ sendiri akan menjadi saksi ke atas umat Islam betapa benarnya penyaksian mereka. Sebelum ini telah disebut bagaimana umat Islam akan menjadi saksi bahawa para Nabi telah menyampaikan ajaran dakwah kepada umat mereka. Kemudian Nabi Muhammad ﷺ pula akan menjadi saksi bahawa benarlah penyaksian kita itu.
Nabi Muhammad ﷺ juga akan menjadi saksi ke atas orang yang beriman. Iaitu mereka yang mengamalkan sunnah dan menyebar ugama. Tentulah kita suka kalau Nabi Muhammad ﷺ sendiri menjadi saksi ke atas kita di Mahsyar nanti. Baginda akan menjadi saksi mengatakan yang kita telah mengikut sunnah. Bayangkan besarnya nikmat kalau begitu. Bayangkan yang Nabi Muhammad ﷺ yang menjadi saksi ke atas kita.
Guru kita pula akan menjadi saksi ke atas kita, gurunya menjadi saksi ke atasnya pula, sampailah kepada sahabat dan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Itulah yang dipanggil sanad. Maka, kenalah kita sebar ugama supaya ada orang yang menjadi saksi kepada kita nanti.
Ia bukan satu kerja yang senang. Hendak suruh manusia jangan bersanding pun sudah susah. Jangan kata hendak larang, tidak pergi pun sudah susah – takut macam-macam orang kata kalau kita tidak pergi. Padahal bersanding itu adalah amalan agama Hindu. Kita tahu bahawa Hindu itu satu agama yang mengamalkan syirik. Kerusi bersanding itulah yang menjadi simbolik kepada pemujaan yang dilakukan oleh penganut Hindu. Iaitu perlambangan perkahwinan Sri Rama dan Sita Devi.
Ditambah pula lagi dengan ‘suap semangat’ dan renjis merenjis – itu adalah cara pemujaan agama mereka dan itu adalah perbuatan kufur kepada Allah ﷻ. Kita lihat sendiri pun sudah tahu ia sama sahaja dengan perbuatan agama Hindu, bukan? Amalan itu semua adalah tinggalan daripada agama Hindu nenek moyang kita dahulu. Sebab mereka dahulu sebelum masuk Islam, beragama Hindu.
Sebenarnya banyak yang mengamalkan lagi amalan-amalan peninggalan agama Hindu kerana sayang kepada perbuatan itu (dikatakan kononnya adat). Jaga sangat adat resam sampai mereka rasa tidak boleh hendak tinggal. Kalau ada yang larang, yang menegur itu pula yang kena marah. Selalunya ia dari orang-orang yang jahil agama sahaja.
Maka kita yang hendak mengamalkan sunnah ini pula yang susah hati bila menegur. Kalau kita tegur, ramai yang akan marah. Alasan yang diberi adalah “tidak sayangkan adat”. Padahal adat itu bercanggah dengan agama Islam. Kalau adat itu tidak bercanggah, kita pun tidak tegur. Tapi janganlah kita takut untuk tegur. Jangan hiraukan penolakan orang yang jahil agama. Mereka yang kena dengar kata kita, bukannya kita yang kena dengar kata mereka.
Satu lagi, Nabi ﷺ akan menjadi saksi ke ‘atas’ kita, bukan ‘untuk’ kita. Ini kalau kita buat amalan yang salah – amalan bidaah dan amalan syirik. Nabi ﷺ akan dipanggil nanti dan Nabi ﷺ akan ditanya sama ada baginda telah mengajar manusia untuk berbuat amalan yang salah itu. Waktu itu, Nabi ﷺ akan berkata itu tidak benar, baginda tidak pernah ajar amalan itu dan baginda tidak dapat menolong kita untuk mempertahankan kita.
Ada dalam satu riwayat, pernah Nabi ﷺ suruh sahabat membacakan Al-Qur’an kepada baginda (kerana baginda suka kalau dibacakan Al-Qur’an kepada baginda). Apabila sampai kepada ayat di mana baginda akan menjadi saksi ke atas umatnya, baginda suruh sahabat itu berhenti membaca dan baginda tidak tahan dan terus menangis. Kerana baginda tahu bahawa baginda akan dipanggil menjadi saksi ke atas umatnya (mengatakan kita tidak mengikut ajarannya). Kita sangka Nabi ﷺ akan menolong kita, namun sebaliknya. Jadi ini amat menakutkan. Ini menimbulkan satu persoalan kepada kita: Adakah kita benar-benar telah mengamalkan sunnahnya?
Oleh itu, jangan kita tersilap sangka seperti puak-puak ahli Kitab. Mereka sangka Nabi-nabi mereka akan menolong mereka, tetapi tidak. Kalau apa yang mereka amalkan itu salah, Nabi-nabi itu tidak akan dapat menolong pengikut-pengikut mereka. Kerana sebenarnya, mereka tidak mengikut pun ajaran Nabi-nabi mereka itu tetapi mereka reka amalan yang baru.
Begitu jugalah dengan masyarakat kita dengan bermacam-macam amalan bidaah yang mereka amalkan. Bagaimana mereka boleh sangka yang Nabi Muhammad ﷺ akan menolong mereka, bagi syafaat kepada mereka padahal amalan yang mereka lakukan itu tidak pernah Nabi ﷺ ajar?
Jangan kita sangka yang kalau kita beragama Islam sahaja, kita akan selamat, Nabi ﷺ akan bantu kita. Itu tidak akan berlaku sama sekali. Bayangkan, Nabi Muhammad ﷺ pernah berkata kepada anaknya, Fatimah رضي الله عنها – kalau Fatimah رضي الله عنها melakukan kesalahan, baginda pun tidak dapat menolong. Kalau anaknya sendiri baginda tidak dapat tolong, bagaimana baginda boleh hendak menolong kita?
وَمَا جَعَلْنَا الْقِبْلَةَ الَّتِي كُنْتَ عَلَيْهَا
Dan tidaklah Kami jadikan kiblat yang kamu dulu menghadap kepadanya itu
Ini adalah jawapan kedua tentang kenapa kiblat mengalami pertukaran. Iaitu dari BaitulMaqdis ke Mekah (Kaabah). Dahulu umat Islam telah mengadap Kiblat ke arah BaitulMaqdis semasa di Mekah. Kiblat itu diteruskan selama 16 bulan atau 17 bulan semasa di Madinah. Kemudian telah ditukar ke arah Kaabah. Sekarang Allah ﷻ jelaskan kenapa Allah ﷻ buat penukaran itu.
Tapi bila pula umat Islam pernah berqiblatkan BaitulMaqdis dan di mana pula ayat suruhan itu? Ini adalah dari suruhan dan hadis dari Rasulullah. Maknanya arahan Nabi sahaja sudah cukup, tidak perlu sampai mesti kena ayat Al-Qur’an. Ini menolak hujah dan pegangan golongan Anti-Hadis yang kata kita hanya perlu pakai ayat Al-Qur’an sahaja. Sedangkan banyak arahan datang dari sabdaan Rasulullah.
إِلَّا لِنَعْلَمَ مَنْ يَتَّبِعُ الرَّسُولَ
melainkan supaya Kami dapat tahu siapa yang ikut Rasul;
Allah ﷻ membuat penukaran arah kiblat itu kerana hendak membezakan antara hamba-Nya: Mana yang ikut Nabi ﷺ semata-mata atau hanya mengikut baginda kerana Nabi ﷺ salat sama dengan kiblat mereka. Kalau mereka sudah tidak lagi ikut kiblat baru itu, bermaksud dahulu dia ikut Nabi ﷺ kerana Nabi ﷺ mengikut dia sahaja. Dan apabila Nabi ﷺ sudah tidak sama dengan kiblat mereka, mereka sudah tidak ikut. Maknanya, hidayat mereka dulu tidak sempurna.
Bukanlah ayat ini bermaksud Allah ﷻ jahil tidak tahu siapa yang sebenarnya beriman. Sebenarnya Allah ﷻ cuma hendak bezakan kepada umat Islam sahaja. Bukanlah Allah ﷻ tidak tahu iman hamba-Nya sampaikan Dia kena buat sesuatu untuk memastikannya pula – kalau ada yang kata begini, itu adalah salah sama sekali. Allah ﷻ Maha Tahu hati hamba-hamba-Nya. Cuma Allah ﷻ hendak menzahirkan iman mereka yang sebenarnya kepada orang Mukmin.
Ia adalah ujian Allah ﷻ kepada sahabat untuk memperlihatkan siapakah yang taat dan siapa yang tidak. Mereka yang taat itu adalah mereka yang sanggup mengikut arahan Nabi ﷺ tanpa banyak soal. Waktu penukaran itu, banyak umat Islam yang telah goyah agama mereka. Ada yang kata adakah Allah ﷻ telah salah beri alamat semasa suruh pakai kiblat yang dahulu? Dan berbagai-bagai lagi isu-isu yang timbul.
Ada yang waktu itu mereka baru masuk Islam dari agama lain. Dan penukaran kiblat itu menyebabkan mereka sangsi kepada Islam kerana nampak Islam macam tidak tetap pendirian – ini adalah kerana mereka masih jahil lagi dan tidak faham agama Islam lagi. Allah ﷻ hendak melihat siapakah yang mahu ikut arahan tanpa soal.
مِمَّنْ يَنْقَلِبُ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ
dan siapa yang berpaling ke belakang;
Iaitu mereka yang tidak ikut Nabi ﷺ, iaitu golongan munafik dan juga golongan Yahudi. Ada dari kalangan mereka yang kembali kepada agama asal, iaitu kufur. Mereka meninggalkan agama Islam kerana mereka salah faham dan mereka sendiri yang tidak tetap pendirian untuk ikut apa yang Allah ﷻ dan Nabi Muhammad ﷺ sampaikan.
Allah ﷻ hendak menguji manusia tentang arahan kiblat ini. Sama ada mereka tetap patuh arahan Allah ﷻ atau tidak. Jadi ada dua golongan yang diuji waktu itu:
1. Muhajirin yang meninggalkan Mekah ke Madinah waktu itu diuji kerana membelakangi Kaabah dan Mekah. Apabila mereka di Madinah mereka kena salat mengadap ke Jurusalem dan membelakangi Mekah. Tentu berat bagi mereka.
2. Golongan Ansar diuji apabila arahan mengadap ke Kaabah. Mereka lebih rapat dengan Jurusalem kerana mereka sudah lama duduk dengan Yahudi dan kiblat Yahudi adalah ke Jurusalem.
Allah ﷻ hendak lihat siapakah yang taat kepada kepada arahan-Nya. Tempat menghadap itu tidak lebih penting daripada arahan Allah ﷻ. Kita kena tetap taat kepada apa sahaja arahan dari Allah ﷻ. Kalaulah ditakdirkan dalam salat kita disuruh menghadap ke banyak arah pun kita kena buat. Katakanlah waktu berdiri Allah ﷻ suruh menghadap satu arah dan bila rukuk kena menghadap lain arah, sujud arah lain pula. Kalau itu yang Allah ﷻ suruh kita buat, kita tetap juga kena ikut.
Apakah pula ujian bagi kita yang tidak hidup pada zaman itu? Kita pun diuji untuk terima arah kiblat ini. Janganlah hendak pening kepala fikir kenapa ke Kaabah? Adakah kita sujud kepada Hajarul Aswad pula? Ini antara soalan-soalan ujian yang bermain di kepala masyarakat kita sampai sekarang.
Memang ia ada ditimbulkan oleh agama lain seperti Hindu dan ramai Muslim yang pening juga. Jawapan kenapa menghadap ke Kaabah adalah kerana ia adalah arahan daripada Allah ﷻ. Senang sahaja jawapannya. Kenapa hendak pening menjawab soalan daripada penganut agama yang mereka itu sendiri tidak tentu arah?
Dalam konteks yang lebih luas, ini adalah ujian untuk taat kepada arahan Allah ﷻ dalam segala hal. Apabila kita tahu sesuatu hukum yang ada dalam nas agama, adakah kita akan ikut? Kita pun tahu, kalau ada dalil, kenalah ikut. Jangan lagi hendak berhujah: “Amalan ini dah lama buat, ustaz itu ajar, tok nenek kita dah amalkan dan takkan mereka salah, adakah mereka masuk neraka….” dan macam-macam lagi hujah-hujah bathil dari manusia yang jahil.
Jangan semakkan fikiran kita. Arahan Allah ﷻ lebih penting daripada terus memikirkan kata-kata orang lain. Kita mesti pentingkan arahan Allah ﷻ, bukannya kata-kata manusia yang pelbagai. Kita sendiri tahu, yang selalu buat bising itu tidak belajar agama pun, jadi kenapa kita hendak hiraukan pendapat mereka? Mereka yang kena ikut kita yang belajar ini, bukan sebaliknya.
وَإِنْ كَانَتْ لَكَبِيرَةً
Dan sesungguhnya yang demikian itu adalah satu perkara yang amat berat untuk dipikul;
Memang menukar arah kiblat bagi para sahabat itu adalah perbuatan yang amat berat bagi mereka. Memang begitulah, untuk mengikut Allah ﷻ dan Rasul semata-mata adalah susah kerana ramai yang tidak mengikutnya. Contohnya, seperti hendak meninggalkan amalan bersanding semasa majlis kahwin. Atau tidak hadir ke majlis tahlil, atau Maulid Nabi.
Ini kerana amalan sesat itu dibuat oleh ramai manusia dalam masyarakat. Jadi kita takut masyarakat tidak dapat menerima kita. Kita takut kepada mereka yang jahil. Ini adalah salah dan mereka yang sebegini adalah lemah iman mereka.
Jadi, pengajarannya, kita kena ada semangat yang kuat untuk mengikut ajaran Nabi ﷺ kita. Jangan hiraukan apa orang kata. Kalau hendak ikut semua kata-kata manusia, tidak lalu kita hendak makan nasi, bukan?
إِلَّا عَلَى الَّذِينَ هَدَى اللَّهُ
melainkan ke atas orang-orang yang mendapat hidayat Allah sahaja;
Kalau Allah ﷻ beri hidayah kepada mereka, mereka akan berasa ringan sedikit untuk mengikut sunnah. Walaupun memang berat (tidak dinafikan) tetapi dimudahkan sedikit. Ini kerana mereka hanya takut kepada Allah ﷻ dan bukan kepada masyarakat sekeliling yang jahil. Semakin tinggi iman dan ilmu kita, semakin mudah untuk kita tidak menghiraukan kata-kata masyarakat sekeliling.
وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُضِيعَ إِيمَـٰنَكُم
Dan tidaklah Allah akan menyia-yiakan ‘iman’ kamu;
Allah ﷻ tidak akan menyia-nyiakan ibadat-ibadat soleh yang sahabat-sahabat Nabi ﷺ lakukan semasa mereka menghadap ke Baitul Maqdis. Tidaklah sia-sia amalan mereka dahulu – mereka masih dapat pahala juga daripada amalan mereka dahulu.
‘Iman’ yang dimaksudkan dalam ayat itu adalah ‘salat’ mereka. Ini menunjukkan kebesaran ibadat Salat sampaikan digunakan kalimah ‘iman’ untuk merujuk kepadanya. Ia hampir setaraf dengan iman sampaikan Allah ﷻ menggunakan perkataan ‘iman’ untuk ‘salat’ dalam ayat ini. Begitu pentingnya salat, sehinggakan ia boleh dijadikan kayu ukur untuk menilai kekuatan iman seseorang. Ini boleh dilihat sama ada dia akan terus salat ataupun tidak apabila timbul kesusahan.
Ada orang yang tidak ada masalah untuk salat kalau dia dalam suasana senang dan tenang; tetapi kalau sibuk dengan hal lain, mereka sanggup tinggalkan Salat. Oleh itu, ketahuilah yang salat itu amat penting sekali kerana ia adalah tali hubungan kita dengan Allah ﷻ. Ini adalah alamat zahir tentang iman seseorang. Kita memang tidak tahu iman dalam hati manusia, tetapi kita boleh kenali dengan zahir mereka.
Asbabun Nuzul petikan ayat ini: Ada sahabat-sahabat yang risau salat mereka semasa menghadap ke BaitulMaqdis dulu tidak sah. Ada orang Yahudi yang mengacau umat Islam dengan mengatakan kalau kiblat sudah ditukar, bermakna ibadat salat mereka semasa menghadap ke BaitulMaqdis itu tidak dikira. Maka kelam kabutlah para sahabat sekalian kerana entah berapa lama mereka salat menghadap BaitulMaqdis.
Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa ia diterima kerana semasa mereka menghadap ke BaitulMaqdis itu, mereka lakukan kerana iman mereka. Waktu itu mereka mengikut arahan Allah ﷻ dan Nabi mereka. Mereka taat kepada Allah ﷻ dan tidak mungkin Allah ﷻ akan mensia-siakan ketaatan mereka itu?
Seperti kita telah sebutkan, arah itu tidak penting, yang lebih penting adalah taat kepada arahan daripada Allah ﷻ. Dahulu Allah ﷻ suruh menghadap ke BaitulMaqdis, sekarang ke Kaabah pula. Kalau Allah ﷻ suruh tukar pula, kita tetap akan ikut (tidaklah ada penukaran lagi kerana tiada lagi Nabi yang menerima wahyu).
إِنَّ اللَّهَ بِالنَّاسِ لَرَءُوفٌ
Sesungguhnya Allah terhadap manusia sangat menyayangi
Bukannya Allah ﷻ tidak sedar tentang kepayahan yang diterima oleh umat-Nya yang terpaksa mengharung segala rintangan dan tohmahan. Allah ﷻ sedar, namun itu semua adalah sebagai ujian untuk kita. Kalau ia adalah senang, bukanlah ujian namanya.
Yang diuji adalah orang yang beriman. Memang yang diuji adalah barang yang berharga. Contohnya, kalau orang beri kita emas atau berlian, tentu kita ingin mengujinya sama ada ia adalah tulen ataupun tidak. Tetapi kalau orang beri kita besi biasa sahaja, adakah kita hendak uji sama ada ia adalah besi ataupun tidak?
Tentu tidak, kerana besi tidak berharga mana. Bermakna, yang diuji adalah benda yang bernilai. Maka ingatlah, yang Allah ﷻ uji adalah orang yang beriman. Kalau kita diuji, bermakna Allah ﷻ hendak uji iman kita sebenarnya. Maka jangan takut dan lelah dengan ujian.
رَّحِيمٌ
Maha Belas kasihan.
Amat tinggi sifat Raheem Allah ﷻ ke atas kita. Kerana itulah orang Mukmin akan mendapat raheem Allah ﷻ di akhirat kelak. Raheem ini hanya diberikan kepada orang Mukmin sahaja di akhirat (Kalau Rahman, semua makhluk boleh dapat semasa di dunia). Maka semoga kita mendapat Raheem Allah ﷻ kelak, ameen.
Kesimpulan ayat ini: ada kelebihan yang diberikan kepada umat Islam dan dengan kelebihan itu, ada tanggungjawab. Dengan kelebihan yang diberikan ada tanggungjawab yang kita kena tunaikan. Maka kita kena belajar apakah tanggungjawab itu.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 27 Julai 2020
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Jalalain
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Saya nak tanya ttg ini,
((Ini adalah jawapan kedua tentang kenapa kiblat mengalami pertukaran. Dahulu umat Islam telah mengadap Kiblat di Mekah semasa di Mekah. Kemudian telah ditukar ke BaitulMaqdis apabila telah berhijrah ke Madinah. Sekarang Allah ﷻ jelaskan kenapa Allah ﷻ buat penukaran itu.))
Boleh tuan berikan sandaran bahawa umat kiblat berubah ketika hijrah ke madinah? Dan mana arah kiblat solat ketika berada di Makkah selepas peristiwa isra mikraj?
barakallahu fiikum
LikeLike
Ini adalah peristiwa yang masyhur diketahui. Dalilnya adalah ayat dalam Surah Baqarah ini dan banyak hadis-hadis. Antaranya dalam sebuah hadits yang dibawakan oleh imam Bukhari dari Ibnu Umar Radhiyallahu anhu yang mengatakan :
بَيْنَا النَّاسُ يُصَلُّونَ الصُّبْحَ فِي مَسْجِدِ قُبَاءٍ إِذْ جَاءَ جَاءٍ فَقَالَ أَنْزَلَ اللَّهُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قُرْآنًا أَنْ يَسْتَقْبِلَ الْكَعْبَةَ فَاسْتَقْبِلُوهَا فَتَوَجَّهُوا إِلَى الْكَعْبَةِ
Ketika jama’ah kaum Muslimin sedang menunaikan shalat Shubuh di Quba’, tiba-tiba ada seorang shahabat mendatangi mereka, lalu mengatakan : “Allah Azza wa Jalla telah menurunkan sebuah ayat kepada Nabi-Nya agar menghadap Ka’bah, maka hendaklah kalian menghadap Ka’bah !” Lantas mereka semua berpaling menghadap ke arah Ka’bah.
LikeLike
Belum mendapat jawapan. Betul, semua tahu apa yang diperkata. Cuma soalan saya, berdasarkan penulisan di atas, seolah-olah apabila datang ke Madinah baru qiblat ke arah baitul maqdis. semasa di Makkah, kiblatnya di mana? Mohon baca balik ayat tuan dan betulkan saya andai saya yang salah interpertasi ayat tuan.
Barallahu fiikum.
LikeLike
OK ok. saya sudah nampak mana salahnya. saya sudah betulkan. cuba baca sekarang, ok tak?
LikeLike
Allahu Yubarik Fiikum
LikeLike
18 September 2020
LikeLike