Tafsir Surah Yunus Ayat 63 – 66 (Pendakwah jangan bersedih)

Yunus Ayat 63: Ayat ini memberikan definisi ‘Wali Allah’. Allah ﷻ sendiri beritahu kita dalam Al-Qur’an apakah sifat Wali Allah itu. Sifat-sifat ini yang perlu ada ada dalam kita dan kita sepatutnya berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Sekiranya kita mempunyai sifat-sifat ini, maka kita pun boleh mencapai taraf Wali Allah.

Maknanya, sesiapa sahaja boleh menjadi Wali Allah jikalau mereka memiliki sifat-sifat ini. Bukanlah wali itu mempunyai sifat yang luar biasa sebagaimana anggapan kebanyakan manusia sekarang. Padahal, Allah ﷻ beri isyarat dalam ayat ini, semua orang boleh menjadi wali Allah.

Manusia sahaja yang letakkan sifat-sifat yang mustahil pada wali itu kemudian mereka sanjung wali-wali itu. Ini selalu dilakukan oleh golongan tarekat sufi kerana kejahilan mereka. Kemudian mereka jadikan wali-wali itu sebagai pemberi Syafaat kepada mereka; mereka puja, sembah dan buat ibadat kepada wali-wali itu sebagai wasilah mereka dalam amalan tawasul mereka.

الَّذينَ ءآمَنوا وَكانوا يَتَّقونَ

Sahih International

Those who believed and were fearing Allah

Malay

(Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.

 

الَّذِينَ ءآمَنُوا

(Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman

Iaitu mereka yang beriman sempurna. Akidah mereka sempurna kerana mereka tidak melakukan syirik. Mereka juga tidak mengamalkan bid’ah kerana sepatutnya mereka ada ilmu Sunnah. Dari segi akhlak pula, mereka tidak melakukan maksiat.

Kita kenalah beriman sempurna. maknanya, ia bukan setakat beriman sahaja kerana ada manusia yang beriman dengan Allah ﷻ, beriman dengan Nabi dan sebagainya lagi yang perlu diimani; akan tetapi malangnya dalam masa yang sama, mereka ada juga beriman dengan perkara lain. Mereka beriman bahawa ada entiti-entiti lain yang mempunyai sifat-sifat Allah ﷻ. Itulah syirik – meletakkan sesuatu yang sama taraf dengan Allah ﷻ dari segi sifat-Nya. Bukan hanya kerana melantik tuhan yang baru, jika hanya diberikan satu sifat Allah ﷻ pun sudah menjadi syirik sebenarnya.

Sebab itulah berbagai-bagai jenis syirik yang dilakukan manusia. Sebagai contoh, Allah ﷻ sahaja yang mempunyai kuasa mutlak untuk memberi dan menentukan siapakah yang boleh menerima syafaat. Namun ada dalam kalangan muslim yang salah sangka menganggap bahawa Nabi Muhammad ﷺ pun ada kuasa untuk menentukan siapakah yang boleh menerima Syafaat. Tanggapan ini ternyata salah sekali kerana seolah-olah mereka telah memberikan kuasa dan hak Allah ﷻ kepada Nabi ﷺ pula.

Untuk mengetahui dan memahami apakah yang dikatakan akidah yang sempurna itu, maka mestilah belajar dan fahami tafsir Al-Qur’an. Ini kerana hal-hal akidah diberitahu dengan jelas dan berulang kali dalam Al-Qur’an. Kerana itulah kita sebagai Muslim harus sedar betapa pentingnya pembelajaran tafsir Al-Qur’an ini. Semoga Allah ﷻ memberikan kita semua taufiq untuk terus bersemangat bagi mempelajari dan memahami isi kandungan Kitab-Nya ini.

 

وَكَانُوا يَتَّقُونَ

serta mereka pula bertaqwa.

Taqwa bermaksud menjaga hukum yang telah diberikan oleh Allah ﷻ. Bukannya setakat bermaksud ‘takut’. Kalau setakat takut, takut sahaja namun tidak pula mengamalkan amalan ibadah tidak benar, maka bukanlah layak dipanggil sebagai wali. Dalam setiap perbuatan dan amalan mereka, mereka akan cukup berhati-hati dan memastikan sama ada amalan itu Allah ﷻ suka ataupun tidak. Mereka buat itu semua kerana mereka takut dengan Allah ﷻ.

Itulah dua sifat terpenting seorang Wali Allah, iaitu mereka beriman dan bertaqwa. Orang alim juga sepatutnya mengajar orang lain. Mereka bukan hanya menyelamatkan dirinya sahaja, tetapi mereka juga menyampaikan ajaran Islam yang benar kepada masyarakat. Kerana itulah suruhan daripada Allah ﷻ (iaitu berdakwah) dan mereka taat kepada Allah ﷻ. Mereka tidaklah duduk di rumah tidak bercampur manusia. Mereka takut kalau mereka tidak sampaikan ajaran Allah ﷻ, mereka akan disoal oleh Allah ﷻ di akhirat kelak. Kalau seorang alim itu tidak mengajar, bukanlah dia seorang wali.

Daripada ayat ini, tahulah kita bahawa bukannya Wali Allah itu seorang yang asyik mengusung tasbih sahaja. Bukanlah mereka itu jenis orang yang berzikir tidak henti-henti seorang diri. Bukanlah mereka dengan pakaian tidak terurus dan compang camping, kuku panjang dan sebagainya. Malangnya ada yang percaya sebegitu. Yang peliknya ada orang gila pun dianggap wali. Mereka siap ada gelaran ‘Wali Majzub’ kepada orang yang sebegini. Mereka akan berkata: “Ingat-ingat sikit, entah-entah dalam kalangan kita ini ada wali Allah…” Ini adalah kata-kata karut yang keluar dari mulut orang yang jahil sahaja.

Makin gila makin wali: Wali Majzub

Bukan setakat wali sahaja, ada yang sampai kata, kena beringat takut-takut dalam manusia yang ramai-ramai ini, Nabi Muhammad ﷺ ada dalam kalangan kita. Subhanallah! Sekiranya kita tidak beri pengajaran agama yang benar dalam kalangan masyarakat kita, maka akan adalah fahaman karut-karut sebegini.


 

Yunus Ayat 64: Apakah balasan yang wali-wali Allah ﷻ itu akan dapat?

لَهُمُ البُشرىٰ فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا وَفِي الآخِرَةِ ۚ لا تَبديلَ لِكَلِمٰتِ اللَّهِ ۚ ذٰلِكَ هُوَ الفَوزُ العَظيمُ

Sahih International

For them are good tidings in the worldly life and in the Hereafter. No change is there in the words of Allah. That is what is the great attainment.

Malay

Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang menggembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada sebarang perubahan pada janji-janji Allah, yang demikian itulah kejayaan yang besar.

 

لَهُمُ الْبُشْرَىٰ فِي الْحَيَوٰةِ الدُّنْيَا

Untuk mereka sahajalah berita yang menggembirakan di dalam kehidupan dunia

Apakah maksud الْبُشْرَىٰ itu?

  1. Ada yang kata ia adalah mimpi yang baik-baik (ru’ya solihah). Ini ada dalilnya di dalam hadith.

إِذَا اقْتَـرَبَ الزَّمَانُ لَمْ تَكَدْ رُؤْيَا الْمُسْلِمِ تَكْذِبُ، وَأَصْدَقُكُـمْ رُؤْيَا أَصْدَقُكُمْ حَدِيثًا، وَرُؤْيَا الْمُسْلِمِ جُـزْءٌ مِنْ خَمْسٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنَ النُّبُوَّةِ.

‘Jika Kiamat sudah dekat, maka hampir-hampir mimpi seorang muslim tidak dusta. Mimpi kalian yang paling benar adalah yang paling benar pembicaraannya. Dan mimpi seorang muslim adalah satu bahagian daripada empat puluh lima bahagian kenabian.’”.

(Riwayat Bukhari dan Muslim

Daripada Ubadah bin Shamit رضي الله عنه, Nabi ﷺ bersabda,

رُؤْيَا الْمُؤْمِنِ جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنَ النُّبُوَّةِ
“Mimpi seorang mukmin adalah 1 daripada 46 bahagian kenabian.”

(Bukhari 6987, Muslim 6043)

Mimpi itu yang memberi keseronokan kepada mereka. Mimpi itu akan memberitahu kepada mereka bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah benar. Ia adalah atas wahyu yang sedia ada, bukannya menjadi wahyu baru pula. Ia adalah hanya untuk memberi semangat kepada mereka untuk meneruskan apa yang telah usahakan.

Bukanlah untuk memberi hukum baru atau amalan yang baru. Ramai yang mengaku wali sambil mendakwa mereka telah mendapat amalan baru. Banyak amalan dalam masyarakat bila ditanya dari mana dapat amalan mereka jawab: sheikh ini dan itu dapat daripada Nabi ﷺ secara mimpi. Ada yang kata secara yaqazah (secara jaga) pun ada juga. Oleh kerana itulah kita kena berhati-hati dengan mimpi yang kita dapat itu kerana ada yang ditipu dalam mimpi. Mimpi itu ada tiga jenis:

      1. Daripada Allah ﷻ
      2. Daripada syaitan
      3. Mainan perasaan

2. Ada juga yang mengatakan الْبُشْرَىٰ yang dimaksudkan adalah kemasyhuran seseorang itu. Mereka menjadi masyhur kerana kebaikan yang telah dilakukannya, kerana penjenayah pun masyhur juga tetapi kerana keburukan. Sebagai contoh, Imam Bukhari رحمه الله telah menulis kitab sahihnya dan lihatlah bagaimana masyhur sekali kitab itu dan dengan baginda sekali. Begitu juga Imam Nawawi رحمه الله yang meninggal di usia muda namun kitab-kitabnya terkenal dan dijadikan rujukan di serata dunia sehingga hari ini.

Sepertimana juga Kitab Sahih Bukhari itu dikaji dan dibaca oleh manusia seluruh dunia. Bila sebut Sahih Bukhari sahaja, semua akan terima hadith di dalamnya sebagai sahih belaka. Nama ‘Bukhari’ pun terkenal di mana-mana. Ibubapa menamakan anak mereka dengan nama Bukhari. (Walaupun sebenarnya itu kurang tepat kerana Bukhari adalah nisbah kepada nama tempat kelahiran beliau, bukannya namanya yang sebenar).

3. Ada yang mengatakan bahawa الْبُشْرَىٰ itu adalah bantuan daripada Allah ﷻ. Dalam usahanya untuk melakukan amalan yang baik, Allah ﷻ mudahkan. Sebagai contoh, Allah ﷻ akan memudahkan wali itu untuk mengadakan kelas pengajian.

4. Ada yang mengatakan mereka akan mendapat kefahaman dan ilmu agama yang luar biasa.

5. Ada juga mengatakan mereka mendapat berita baik tentang nasib mereka. Sebagai contoh, ada sahabat yang diberikan dengan berita gembira yang mereka akan menjadi ahli syurga semasa mereka di dunia lagi. Semasa mereka hidup lagi mereka sudah mendapat berita baik itu.

Orang Mukmin juga akan mendapat berita baik ini. Apabila malaikat mengambil nyawa mereka di hujung hayat, malaikat akan memberikan berita gembira yang mereka akan dimasukkan ke syurga seperti firman Allah ﷻ dalam Fussilat: 30

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنتُمْ تُوعَدُونَ

Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka: “Janganlah kamu bimbang (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.

Maklumat itu diberikan sebaik sahaja mereka mati sebelum mereka dimasukkan ke dalam alam kubur. Apakah yang mereka akan dapat nanti? Disambung di dalam ayat 31 seterusnya,

نَحنُ أَولِياؤُكُم فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا وَفِي الآخِرَةِ ۖ وَلَكُم فيها ما تَشتَهي أَنفُسُكُم وَلَكُم فيها ما تَدَّعونَ

“Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh – pada hari akhirat – apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh – pada hari itu – apa yang kamu cita-citakan mendapatnya.

Hebat sekali kerana mati sahaja akan diberikan dengan berita gembira itu. Mereka juga akan dimasukkan terus ke dalam syurga sementara menunggu Kiamat dan peristiwa di Mahsyar. Dalilnya seperti disebut dalam Nahl: 32

الَّذِينَ تَتَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ طَيِّبِينَ يَقُولُونَ سَلَامٌ عَلَيْكُمُ ادْخُلُوا الْجَنَّةَ بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

(Iaitu) mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka bersih suci (dari kufur syirik dan maksiat), sambil malaikat itu berkata kepada mereka: “Selamat sejahtera kepada kamu; masuklah ke dalam Syurga disebabkan amal baik yang telah kamu kerjakan”.

Ada yang mengatakan ia adalah kemenangan di dunia. Contohnya kepada Rasulullah ﷺ diberikan kemenangan menentang orang kafir, ramai yang masuk Islam semasa baginda hidup lagi dan banyak lagi kelebihan yang diberikan kepada baginda.

Berdoalah sekarang supaya Allah ﷻ memasukkan kita ke dalam golongan ini.

 

وَفِي الْآخِرَةِ

dan di akhirat;

Mereka pun akan mendapat berita gembira di akhirat kelak. Mereka akan dimasukkan ke dalam syurga. Mereka diberikan dengan segala nikmat yang mereka sendiri tidak sangka. Sementara anak cucu yang mereka tinggalkan juga akan dijaga oleh Allah ﷻ seperti disebut satu kisah di dalam Kahf:82

وَأَمَّا الجِدارُ فَكانَ لِغُلٰمَينِ يَتيمَينِ فِي المَدينَةِ وَكانَ تَحتَهُ كَنزٌ لَّهُما وَكانَ أَبوهُما صٰلِحًا

Adapun tembok itu pula, ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada “harta terpendam” kepunyaan mereka; dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh.

 

لَا تَبْدِيلَ لِكَلِمٰتِ اللَّهِ

tidak ada sebarang perubahan pada janji-janji Allah

Kalimah-kalimah yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah janji-janji Allah ﷻ. Tidak ada sesiapa yang dapat mengubah janji-janji Allah ﷻ itu. Ia pasti akan dijalankan.

Kalimah Allah ﷻ itu juga boleh bermaksud Al-Qur’an. Kita juga tidak dapat mengubah ayat-ayat Allah ﷻ. Ayat-ayat Al-Qur’an ini dipelihara dan tidak akan berubah sampai bila-bila.

 

ذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

yang demikian itulah kejayaan yang besar.

Kejayaan yang dimaksudkan adalah mendapat berita gembira daripada Allah ﷻ. Inilah kejayaan yang sebenar. Jelas sekali ini bukan kejayaan biasa tetapi jenis الْفَوْزُ. Ia bermaksud berjaya selamat daripada bahaya. Ini adalah kerana mereka terselamat dari neraka yang amat menakutkan dan kerana itulah ia digelar الْفَوْزُ الْعَظِيمُ.


 

YANG MAHA BERKUASA

Yunus Ayat 65: Ini adalah ayat tasliah (pujukan).

وَلا يَحزُنكَ قَولُهُم ۘ إِنَّ العِزَّةَ لِلَّهِ جَميعًا ۚ هُوَ السَّميعُ العَليمُ

Sahih International

And let not their speech grieve you. Indeed, honor [due to power] belongs to Allah entirely. He is the Hearing, the Knowing.

Malay

Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) merasa dukacita disebabkan kata-kata mereka yang ingkar itu; kerana sesungguhnya segala kekuasaan tertentu bagi Allah; Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Yang Maha Mengetahui.

 

وَلَا يَحْزُنكَ قَوْلُهُمْ

Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) merasa dukacita disebabkan kata-kata mereka yang ingkar itu;

Allah ﷻ memujuk Nabi Muhammad ﷺ dan begitu jugalah kepada para pendakwah Tauhid. Janganlah kita merasa dukacita dengan kata-kata hina manusia kepada kita yang menyebarkan ajaran tauhid. Juga jangalah terlalu bersedih dengan tuduhan yang mereka lemparkan. Ingatlah bahawa Nabi Muhammad ﷺ pun telah ditolak dan dihina oleh kaumnya. Begitu juga dengan kita yang menyebar tauhid ini. Mereka kata kita sesat, kita wahabi dan sebagainya. Memang pedih rasa hati kita. Akan tetapi Allah ﷻ kata, jangan berdukacita dengan kata-kata mereka.

Allah ﷻ memujuk Nabi Muhammad ﷺ kerana baginda ditolak semenjak hari pertama baginda berdakwah lagi. Iaitu ketika baginda memanggil keluarganya untuk kenduri dan hendak menyampaikan ajaran Tauhid. Kemudian ketika baginda memanggil kaumnya dan baginda sampaikan ajaran dan pesanan dari atas bukit. Kisah ini kita boleh tahu melalui Sirah Nabi.

Antara surah terawal yang diturunkan adalah Surah Muzzammil. Di dalam surah yang awal itu pun Allah ﷻ sudah pujuk baginda seperti disebut dalam Muzzammil:10

وَاصبِر عَلىٰ ما يَقولونَ وَاهجُرهُم هَجرًا جَميلًا

Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu dari mereka dengan cara yang baik.

Di dalam ayat Surah Yunus ini Allah ﷻ tidak membiarkan Nabi ﷺ dalam kesedihan. Akan tetapi tidakkah sedih ini adalah perasaan normal bagi mana-mana manusia? Perasaan sedih ini kadangkala tidak mampu kita kawal. Maka maksud Allah ﷻ adalah jangan bersedih keterlaluan sehingga mengganggu sangat perasaan baginda dan mengakibatkan baginda tidak dapat menjalankan kerja dakwah, dan sehingga boleh menyebabkan baginda sakit dan sebagainya. Sedih sikit-sikit itu biasalah. Biasalah manusia ini hatinya lembut seperti sabda Rasulullah ﷺ:

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ دَخَلْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى أَبِي سَيْفٍ الْقَيْنِ وَكَانَ ظِئْرًا لِإِبْرَاهِيمَ عَلَيْهِ السَّلَام فَأَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِبْرَاهِيمَ فَقَبَّلَهُ وَشَمَّهُ ثُمَّ دَخَلْنَا عَلَيْهِ بَعْدَ ذَلِكَ وَإِبْرَاهِيمُ يَجُودُ بِنَفْسِهِ فَجَعَلَتْ عَيْنَا رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَذْرِفَانِ فَقَالَ لَهُ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ عَوْفٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ وَأَنْتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ فَقَالَ يَا ابْنَ عَوْفٍ إِنَّهَا رَحْمَةٌ ثُمَّ أَتْبَعَهَا بِأُخْرَى فَقَالَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ الْعَيْنَ تَدْمَعُ وَالْقَلْبَ يَحْزَنُ وَلَا نَقُولُ إِلَّا مَا يَرْضَى رَبُّنَا وَإِنَّا بِفِرَاقِكَ يَا إِبْرَاهِيمُ لَمَحْزُونُونَ
Daripada [Anas bin Malik رضي الله عنه] berkata; Kami bersama Rasulullah ﷺ mendatangi Abu Saif Al Qaiyn yang (isterinya) telah mengasuh dan menyusui Ibrahim عليه السلام (anak Nabi ﷺ. Lalu Rasulullah ﷺ mengambil Ibrahim dan menciumnya. Kemudian setelah itu pada kesempatan yang lain kami mengunjunginya sedangkan Ibrahim telah meninggal. Hal ini menyebabkan kedua mata Rasulullah ﷺ berlinang air mata. Lalu berkatalah ‘Abdurrahman bin ‘Auf رضي الله عنه kepada baginda: “Mengapa anda menangis, wahai Rasulullah?”. Baginda menjawab: “Wahai Ibnu ‘Auf, sesungguhnya ini adalah rahmat (tangisan kasih sayang) “. Baginda lalu melanjutkan dengan kalimat yang lain dan bersabda: “Kedua mata boleh mencucurkan air mata, hati boleh bersedih, hanya kita tidaklah mengatakan kecuali apa yang diredhai oleh Rabb kita. Dan kami dengan perpisahan ini wahai Ibrahim pastilah bersedih”.
(Sahih Bukhari (1220))

Janganlah dibiarkan perasaan sedih kita berlarutan sehingga memakan diri kita sendiri. Perasaan sedih yang keterlaluan boleh menyebabkan kehidupan kita terganggu. Ia boleh menyusahkan hidup pula apabila hilang fokus untuk melakukan sebarang pekerjaan. Tambahan pula syaitan amat suka kalau kita bersedih dan merekalah antara sebab manusia bersedih seperti disebut dalam Mujadilah:10

إِنَّمَا النَّجوىٰ مِنَ الشَّيطٰنِ لِيَحزُنَ الَّذينَ ءآمَنوا وَلَيسَ بِضارِّهِم شَيئًا إِلّا بِإِذنِ اللهِ ۚ وَعَلَى اللهِ فَليَتَوَكَّلِ المُؤمِنونَ

Sesungguhnya pembicaraan rahsia itu adalah dari syaitan, supaya orang-orang yang beriman itu berduka cita, sedang pembicaraan itu tiadalah memberi mudarat sedikit pun kepada mereka, kecuali dengan izin Allah dan kepada Allah-lah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.

Setan suka kita larut dalam kesedihan

Syaitan mahu kita bersedih supaya kita lemah semangat untuk berdakwah. Ramai yang sentap dan patah semangat ketika sering ditolak sampai meninggalkan terus dakwah. Maka syaitanlah yang menang. Oleh itu jangan hiraukan mereka yang menentang itu tetapi fokus kepada tujuan utama kita iaitu menjaga agama dan teruskan beribadah seperti disebut dalam Hijr: 97-99

وَلَقَد نَعلَمُ أَنَّكَ يَضيقُ صَدرُكَ بِما يَقولونَ

Dan Kami sungguh-sungguh mengetahui, bahwa dadamu menjadi sempit disebabkan apa yang mereka ucapkan,

فَسَبِّح بِحَمدِ رَبِّكَ وَكُن مِنَ السّاجِدينَ

maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan jadilah kamu di antara orang-orang yang bersujud (solat),

وَاعبُد رَبَّكَ حَتّىٰ يَأتِيَكَ اليَقينُ

dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu yang diyakini (ajal).

Ini kerana apabila kita fokus pada ibadah dan buat hal kita, maka kita tidaklah terlalu melayan perasaan sangat. Yang menjadi masalah jika difikir-fikir perasaan orang, kata-kata nista daripada orang. Perbuatan sebegitu hanyalah membuang masa sahaja kerana tidak mampu untuk mengawal apa yang mereka rasa dan kata. Maka kita kena alihkan fikiran kita kepada perkara lain.

Ayat ini juga mengajar kita supaya mengawal perasaan kita jangan sampai menyusahkan diri. Walaupun perasaan tidak boleh dihilangkan, namun haruslah berusaha agar dapat dibendung. Contohnya samalah juga untuk perasaan marah. Bukannya mudah untuk kita hilangkan begitu sahaja. Semua manusia ada perasaan marah, yang itdak ada rasa marah itu lembu, bukannya manusia. Namun begitu janganlah marah sangat sampai kita membuat perkara di luar batasan pula. Tiada pihak yang mendapat keuntungan akibat daripada perasaan marah. Disebabkan rasa marah keterlaluan akibatnya amat buruk sekali sehingga mungkin ada nyawa boleh melayang.

Marah keterlaluan di luar kawalan amat buruk akibatnya

 

إِنَّ الْعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا

kerana sesungguhnya segala kemuliaan itu milik Allah seluruhnya;

Kenapa tidak perlu bersedih? Kerana kemuliaan milik Allah ﷻ. Maksud الْعِزَّةَ adalah القَهرُ (mengatasi), الغَلَبَة (mengalahkan), القُوَّة (kekuatan) dan المَنْعَة (menghalang). Tidak perlu bersedih kerana semua ini ada pada Allah ﷻ, maka para musuh tidak dapat menghalang dan mengalahkan baginda.

Mereka yang menentang itu hendak menghina kita tetapi ingatlah yang kemuliaan yang sebenarnya milik Allah ﷻ. Apabila kita dihina dan dikeji, mungkin kita akan ada rasa terhina, kita rasa kita tidak dihormati. Apa Allah ﷻ kata dalam ayat ini? Kekuasaan dan kemuliaan itu memang milik Allah ﷻ. Sepenuhnya milik Allah ﷻ dan bukannya pada tangan manusia dan bukan juga milik kita. Jangan kita rasa yang kita hilang sesuatu apabila orang menghina kita.

Golongan penentang sangka mereka hebat, kuat, berkuasa, ada kemuliaan. Akan tetapi Allah ﷻ beritahu yang mereka itu tersilap. Kemuliaan sebenarnya milik Allah ﷻ semuanya (جَمِيعًا) dan Allah ﷻ boleh beri kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Allah ﷻ beri kemuliaan kepada Rasulullah ﷺ dan golongan mukmin seperti disebut dalam Munafiqoon:8. Maka jangan takut, jangan sedih, tetapi kuatkanlah semangat kerana kebenaran di tangan kita.

يَقولونَ لَئِن رَّجَعنا إِلَى المَدينَةِ لَيُخرِجَنَّ الأَعَزُّ مِنهَا الأَذَلَّ ۚ وَلِلَّهِ العِزَّةُ وَلِرَسولِهِ وَلِلمُؤمِنينَ وَلٰكِنَّ المُنٰفِقينَ لا يَعلَمونَ

Mereka (golongan munafik) berkata: “Sesungguhnya jika kita telah kembali ke Madinah, benar-benar orang yang mulia akan mengusir orang-orang yang rendah daripadanya”. Padahal kekuatan itu hanyalah bagi Allah, bagi Rasul-Nya dan bagi orang-orang mukmin, tetapi orang-orang munafik itu tiada mengetahui.

 

هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Yang Maha Mengetahui.

Allah ﷻ Maha mendengar apa yang orang ingkar itu kata kepada kita dan Allah ﷻ tahu apa perasaan kita. Allah ﷻ pujuk Rasulullah ﷺ dan para pendakwah Tauhid dengan memberitahu yang Dia mendengar segalanya termasuk kata-kata penentang dan keluhan hati kita. Dari segi psikologi, kalau orang yang kita hormati tahu apa yang kita lalui, maka akan berkuranglah sedih kita, bukan? Tambahan pula kalau Allah ﷻ yang sebut seperti di dalam An’am:33

قَد نَعلَمُ إِنَّهُ لَيَحزُنُكَ الَّذي يَقولونَ ۖ فَإِنَّهُم لا يُكَذِّبونَكَ وَلٰكِنَّ الظّٰلِمينَ بِئآيٰتِ اللهِ يَجحَدونَ

Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa apa yang mereka katakan itu menyebabkan engkau (wahai Muhammad) berdukacita; (maka janganlah engkau berdukacita) kerana sebenarnya mereka bukan mendustakanmu, tetapi orang-orang yang zalim itu mengingkari ayat-ayat keterangan Allah sebenarnya.

Bagi kita pula, dengan kisah-kisah ini sepatutnya memberi semangat kepada kita. Kalau Nabi Muhammad ﷺ pun dihina dan dicaci maki apatah lagi kita orang biasa yang hendak menyebarkan dakwah ini.


 

Yunus Ayat 66: Dalil Aqli tentang kemuliaan Allah ﷻ. Dalam ayat sebelum ini disebut kemuliaan milik Allah ﷻ , sekarang dijelaskan lagi kenapa Allah ﷻ mulia.

أَلا إِنَّ لِلَّهِ مَن فِي السَّمٰوٰتِ وَمَن فِي الأَرضِ ۗ وَما يَتَّبِعُ الَّذينَ يَدعونَ مِن دونِ اللَّهِ شُرَكاءَ ۚ إِن يَتَّبِعونَ إِلَّا الظَّنَّ وَإِن هُم إِلّا يَخرُصونَ

Sahih International

Unquestionably, to Allah belongs whoever is in the heavens and whoever is on the earth. And those who invoke other than Allah do not [actually] follow [His] “partners.” They follow not except assumption, and they are not but falsifying

Malay

Ingatlah! Sesungguhnya bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi dan bahawa mereka yang menyembah sesuatu yang lain Allah sebagai sekutuNya, mereka tidak menurut (sesuatu keyakinan), mereka hanya menurut sangkaan semata-mata, dan mereka hanyalah orang-orang yang sentiasa berdusta.

 

أَلَا إِنَّ لِلَّهِ مَن فِي السَّمٰوٰتِ

Ingatlah! Sesungguhnya milik Allah segala yang ada di langit

Allah ﷻ memiliki sesiapa yang ada di langit. Langit itu kepunyaan Allah ﷻ dan apa dan siapa sahaja yang berada di langit itu, Allah ﷻ yang punya. Kita pun tidak tahu apakah makhluk yang hidup di langit itu melainkan para malaikat. Namun tentunya ada lagi makhluk-makhluk lain yang akal kita tidak dapat capai. Bukankah para malaikat itu tentera Allah ﷻ? Ini seperti disebut dalam Fath:7

وَِللهِ جُنودُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

Dan kepunyaan Allah-lah tentera langit dan bumi.

Bila-bila masa sahaja Allah ﷻ boleh mengarahkan para malaikat untuk memusnahkan musuh-Nya dan musuh umat Islam. Ini seperti disebut dalam Anfal:12. Maka Rasulullah ﷺ tidak perlu risau dan sedih kerana hanya Allah ﷻ berkuasa untuk memberi kemenangan kepada baginda.

إِذ يوحي رَبُّكَ إِلَى المَلىٰئِكَةِ أَنّي مَعَكُم فَثَبِّتُوا الَّذينَ ءآمَنوا ۚ سَأُلقي في قُلوبِ الَّذينَ كَفَرُوا الرُّعبَ فَاضرِبوا فَوقَ الأَعناقِ وَاضرِبوا مِنهُم كُلَّ بَنانٍ

(Ingatlah), ketika Tuhanmu mewahyukan kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku bersama kamu, maka teguhkan (pendirian) orang-orang yang telah beriman”. Kelak akan Aku jatuhkan rasa ketakutan ke dalam hati orang-orang kafir, maka penggallah kepala mereka dan pancunglah tiap-tiap hujung jari mereka.

Sesungguhnya tentera Allah ﷻ pasti menang seperti disebut dalam Saaffat:173

وَإِنَّ جُندَنا لَهُمُ الغٰلِبونَ

Dan sesungguhnya tentera Kami itulah yang pasti menang,

 

وَمَن فِي الْأَرْضِ

dan yang ada di bumi

Allah ﷻ juga memiliki sesiapa saja yang ada di bumi. Begitu banyaknya makhluk yang hidup di bumi, para saintis pun belum sempat untuk mengkatalog segalanya secara lengkap. Malah ada spesis yang baru menjelma yang dulu tidak ada. Maka amatlah banyak makhluk di bumi dan semuanya milik Allah ﷻ belaka, termasuklah kita.

Termasuk yang dimiliki adalah para penentang itu. Semua tindakan mereka di tangan Allah ﷻ. Allah ﷻ boleh musnahkan mereka pada bila-bila masa dengan tentera-Nya. Kalau di langit, tentera Allah ﷻ adalah para malaikat, maka di bumi tenteranya adalah golongan Mukmin. Allah ﷻ boleh beri kemenangan kepada golongan Mukmin untuk mengalahkan golongan kafir.

 

وَمَا يَتَّبِعُ الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ شُرَكَاءَ

dan mereka yang menyembah sesuatu yang selain Allah sebagai sekutuNya, mereka tidak menurut yang mereka sembah itu

Ada dua tafsiran tentang potongan ayat ini:

  1. Ini adalah jikalau ما yang bermaksud ‘apa’. Iaitu apa-apa yang golongan musyrik sembah sebagai ilah-ilah selain Allah ﷻ yang mereka anggap sebagai ‘sekutu-sekutu’ Allah ﷻ. Namun tidaklah sembahan-sembahan mereka itu sama taraf ataupun sekutu kepada Allah ﷻ sebenarnya kerana mereka tidak memiliki apa-apa pun di langit dan di bumi. Malah apa-apa yang mereka sembah itu sebenarnya tidak ada. Maka tentulah mereka tidak memiliki apa-apa. Cubalah fikirkan sendiri apakah faedahnya?
  2. Ini adalah jikalau ما yang bermaksud ‘tidaklah’. Yang menyembah selain Allah ﷻ itu tidaklah mengikut apa yang disuruh oleh sembahan mereka itu kerana sembahan itu bukanlah boleh bercakap pun. Yang jadi ‘jurucakap’ bagi berhala itu hanyalah tok sami/pendita. Mereka sahaja yang cakap ‘oh hari ini berhala suruh sembelih kambing’, ‘berhala suruh korbankan anak dara tahun ini’, ‘berhala nak makan nasi beriyani’, dan sebagainya.
  3. Tafsir lain: mereka bukan ikut pun Nabi, wali dan malaikat yang diseru itu. Contohnya yang seru Nabi Muhammad ﷺ, bukan ikut ajaran baginda pun; yang menyeru wali, mereka bukan mengikut pun amalan para wali itu. Mereka sahaja perasan mereka ikut Nabi dan wali itu.

 

إِن يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ

mereka hanya menurut sangkaan semata-mata,

Mereka sahaja yang menganggap ada entiti lain yang mempunyai kuasa yang sama seperti Allah ﷻ. Akan tetapi entiti yang mereka sembah itu tidak wujud seperti berhala-berhala itu. Mereka tidak ada dalil pun melainkan sangkaan mereka sahaja. Mereka percaya sahaja kata-kata orang sebelum mereka, orang ramai, tok sami mereka, tok dukun dan sebagainya.

Mereka sahaja sangka mereka ikut ajaran Nabi, wali dan malaikat itu tetapi tidak sebenarnya.

 

وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَخْرُصُونَ

dan mereka hanyalah orang-orang yang sentiasa berdusta.

Mereka hanya agak-agak sahaja tanpa mempunyai dalil bukti. Perkataan يَخْرُصُونَ berasal daripada katadasar خ ر ص yang bermaksud menipu, buat agakan berdasarkan maklumat yang tidak lengkap, sangkaan, spekulasi, memalsukan. Pada zaman dahulu ia merujuk kepada perbuatan mengagak bilangan buah kurma di atas pokok untuk dijual. Sebelum pokok itu berbuah, mereka sudah anggarkan berapa banyak buah yang pokok itu akan keluarkan. Mereka yang melakukan begitu hanya mengira dengan sekadar anggaran sahaja.

Kaedah anggaran sebegitu hanya terpakai untuk mengira buah yang ada pada pokok. Namun ingatlah yang dalam agama tidak boleh agak-agak begitu, tetapi hujah agama memerlukan dalil dan bukti yang sahih. Bila tidak ada dalil bukti, maka mereka mulalah menipu kerana خ ر ص juga bermaksud menipu. Itulah bahayanya apabila menilai perkara agama tanpa dalil yang sahih.

Malangnya begitulah kebanyakan manusia, main agak-agak dan percaya sahaja kata orang. Dari dulu sampailah sekarang seperti firman Allah ﷻ dalam Baqarah:78

وَمِنهُم أُمِّيّونَ لا يَعلَمونَ ٱلكِتَـٰبَ إِلّا أَمانِيَّ وَإِن هُم إِلّا يَظُنّونَ

Dan di antara mereka pula ada orang-orang yang ‘buta huruf’, mereka tidak mengetahui akan isi Kitab Taurat selain daripada penerangan-penerangan bohong (daripada ketua-ketua mereka), dan mereka hanyalah berpegang kepada sangkaan-sangkaan sahaja.

Ini amat bahaya kerana kita sepatutnya kena tahu dalil. Beramal kena ada dalil yang sahih. Malang sekali sekarang umat manusia malas belajar. Mereka menggunakan pandangan sempit yang mengatakan orang awam tidak memerlukan dalil, mereka harus terima sahaja kata-kata ulama’. Masalahnya kalau begitu, orang awam belum tentu selamat. Bagaimana sekiranya kata-kata ulama’ yang diikut itu sesat (ulama’ suu’)? Hanya kerana dia malas bertanyakan dalil, malas untuk mengambil tahu lebih sedikit tentang hal agama ini. Padahal dalil itu amat penting, kerana ia menentukan tempat sama ada di syurga atau neraka. Adakah kita sanggup memperjudikan nasib kita di akhirat kelak?

Semenjak awal Tok Adam kita diturunkan di bumi pun Allah ﷻ sudah mengingatkan kita untuk hanya mengikut hidayah daripada-Nya. Hidayah itu pula memerlukan dalil. Jika kita hanya mengikut dalil hidayah, barulah selamat di dunia dan akhirat. Ini Allah ﷻ sebu dalam Baqarah:38

قُلنَا اهبِطوا مِنها جَميعًا ۖ فَإِمّا يَأتِيَنَّكُم مِّنّي هُدًى فَمَن تَبِعَ هُدايَ فَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ
Kami berfirman lagi: “Turunlah kamu semuanya dari syurga itu! Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk daripada-Ku (melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjuk-Ku itu nescaya tidak ada kebimbangan (daripada sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita”.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 16 Jun 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Yunus Ayat 61 – 62 (Sifat Wali)

ILMU ALLAH ﷻ

Yunus Ayat 61:

وَما تَكونُ في شَأنٍ وَما تَتلو مِنهُ مِن قُرءَآنٍ وَلا تَعمَلونَ مِن عَمَلٍ إِلّا كُنّا عَلَيكُم شُهودًا إِذ تُفيضونَ فيهِ ۚ وَما يَعزُبُ عَن رَّبِّكَ مِن مِّثقالِ ذَرَّةٍ فِي الأَرضِ وَلا فِي السَّماءِ وَلا أَصغَرَ مِن ذٰلِكَ وَلا أَكبَرَ إِلّا في كِتٰبٍ مُّبينٍ

Sahih International

And, [O Muhammad], you are not [engaged] in any matter or recite any of the Qur’an and you [people] do not do any deed except that We are witness over you when you are involved in it. And not absent from your Lord is any [part] of an atom’s weight within the earth or within the heaven or [anything] smaller than that or greater but that it is in a clear register.

Malay

Dan tidaklah engkau (wahai Muhammad) dalam menjalankan sesuatu urusan, dan tidaklah engkau dalam membaca sesuatu surah atau sesuatu ayat dari Al-Qur’an dan tidaklah kamu (wahai umat manusia) dalam mengerjakan sesuatu amal usaha, melainkan adalah Kami menjadi saksi terhadap kamu, ketika kamu mengerjakannya. Dan tidak akan hilang lenyap dari pengetahuan Tuhanmu sesuatu dari sehalus-halus atau seringan-ringan yang ada di bumi atau di langit, dan tidak ada yang lebih kecil dari itu dan tidak ada yang lebih besar, melainkan semuanya tertulis di dalam Kitab yang terang nyata.

 

وَمَا تَكُونُ فِي شَأْنٍ

Dan tidaklah engkau (wahai Muhammad) dalam menjalankan sesuatu urusan,

Kalimah شَأْنٍ bermaksud apa-apa sahaja urusan penting yang manusia sedang lakukan. Ia adalah urusan yang besar. Perkara yang dilakukan itu boleh jadi perkara yang baik atau pun tidak.

Apabila ia dinisbahkan kepada Nabi ﷺ, ia tentunya urusan yang penting. Bagi kita, urusan Rasulullah ﷺ walaupun remeh bagi orang biasa, ia tetap penting bagi kita kerana ia melibatkan urusan agama. Alangkan cara kencing berak baginda pun kita belajar untuk kita terapkan di dalam kehidupan kita. Begitulah Rasulullah ﷺ menjadi model bagi seluruh segi kehidupan kita sepertimana firman Allah ﷻ di dalam Ahzab:21

لَّقَد كانَ لَكُم في رَسولِ اللهِ أُسوَةٌ حَسَنَةٌ

Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu teladan yang baik bagimu

 

وَمَا تَتْلُو مِنْهُ مِن قُرْءَآنٍ

dan tidaklah engkau dalam membaca sesuatu ayat dari Al-Qur’an

Dalam menjalani kehidupan kita sehari-hari, macam-macam yang kita lakukan: kita makan minum, bercakap-cakap, bekerja dan sebagainya.

Ayat ini ditujukan kepada Nabi Muhammad ﷺ kerana perkataan تَتْلُو (engkau baca) itu dalam bentuk mufrad – singular. Oleh itu, ia bermaksud ditujukan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Dalam Nabi Muhammad ﷺ melakukan pelbagai perkara dalam kehidupan baginda, baginda juga ada membaca Al-Qur’an.

 

وَلَا تَعْمَلُونَ مِنْ عَمَلٍ

dan tidaklah kamu (wahai umat manusia) dalam mengerjakan sebarang amal,

Dalam potongan ayat sebelum ini, ia hanya ditujukan kepada Nabi Muhammad ﷺ tetapi sekarang Allah ﷻ sedang berkata dengan kita semua kerana perkataan تَعْمَلُونَ dalam bentuk jamak pula. Jelas di sini, bukan baginda sahaja yang mendapat nasihat ini akan tetapi seluruh umat.

Ada juga pendapat yang mengatakan keseluruhan ayat ditujukan kepada baginda walaupun dalam sighah jamak. Ia digunakan dalam bentuk jamak kerana menghormati kedudukan baginda.

Kalimah عَمَلٍ bermaksud apa sahaja perbuatan yang kita lakukan sama ada baik atau pun tidak.

 

إِلَّا كُنَّا عَلَيْكُمْ شُهُودًا

melainkan Kami menjadi saksi terhadap kamu,

Allah ﷻ memberitahu kepada kita bahawa dalam setiap perbuatan kita, sama ada baik atau pun tidak, sama ada sedang membaca Al-Qur’an ataupun tidak, Allah ﷻ sedang menyaksikan perbuatan kita. Maka ini mengajar kita untuk memperbanyakkan amal kebaikan, tidak kira besar atau kecil.

Kepada Rasulullah ﷺ, Allah ﷻ hendak memberi kelegaan kepada baginda. Baginda tidak perlu takut kerana apa sahaja yang baginda lakukan, Allah ﷻ sedang memerhatikan dan memberi perlindungan kepada baginda.

 

إِذْ تُفِيضُونَ فِيهِ

ketika kamu mengerjakannya.

Kalimah تُفِيضُونَ berasal daripada katadasar ف ي ض yang bermaksud ‘melimpah’. Apabila sesuatu bekas itu yang sudah dipenuhi dengan air, lalu air yang di dalamnya ditambah, ia akan melimpah. Bila air melimpah dan terkeluar dari bekasnya, air itu akan merebak ke merata tempat. Maka kalimah تُفِيضُونَ bermaksud kamu menyelam di dalamnya atau menjerumuskan dirimu di dalam air.

Kenapakah digunakan perumpamaan ini? Sebagai contoh, kadang-kadang apabila kita bersembang dengan orang lain, topik yang kita sembang itu akan berlarutan menjadi bermacam-macam perkara seolah-olah melimpah ke merata tempat sampai tidak terkawal dan tidak tahu ke mana lagi.

Maka di sini, kalimah تُفِيضُونَ ini merujuk kepada perbuatan yang kita lakukan sampaikan kita boleh lupa diri. Sebagai contoh, seseorang yang sedang sibuk bekerja sampai dia terlupa yang dia belum makan lagi. Atau seseorang yang sibuk bersembang sampaikan dia lupa yang dia sedang sakit. Atau seperti budak yang bermain game sampai tidak ingat apa-apa lagi. Kalau dalam keadaan begitu, adakah dia akan ingat Allah ﷻ? Sedangkan diri sendiri pun dia boleh lupa, apatah lagi Allah ﷻ?

Oleh itu, waktu kita sibuk bersembang, sibuk dengan kerja, sibuk dengan menonton TV, mendengar lagu dan sebagainya, Allah ﷻ memberitahu bahawa Dia sedang menyaksikan kita. Kita sudah lupa diri, kita sudah tidak mengingati Allah ﷻ, namun Allah ﷻ ingat kepada kita.

 

وَمَا يَعْزُبُ عَن رَّبِّكَ

Dan tidak akan tersembunyi dari pengetahuan Tuhanmu

Kalimah يَعْزُبُ berasal daripada kata dasar غ ز ب yang bermaksud sesuatu yang tersembunyi kerana ia jauh daripada kita. Analoginya adalah seperti sebuah kereta yang bergerak pergi daripada kita, lama-lama ia menjauh dan kita tidak nampak lagi kereta itu.

Tidak ada perkara yang tersembunyi daripada Allah ﷻ. Lalu tidak mungkin Allah ﷻ tidak tahu apa yang kita lakukan, sedangkan tidak ada apa pun yang tersembunyi daripada pengetahuan-Nya.

 

مِن مِّثْقَالِ ذَرَّةٍ

sesuatu daripada sehalus-halus zarah

Zarah dalam bahasa Arab merujuk kepada semut yang paling kecil. Atau habuk-habuk yang kelihatan apabila kita membuka tingkap di pagi hari dan habuk-habuk itu disinari cahaya matahari pagi. Allah ﷻ hendak memberitahu kita yang perbuatan sekecil mana pun Allah ﷻ tahu. Barang yang sekecil atom pun tidak tersembunyi daripada Allah ﷻ. Sedangkan kalau atom itu berada di depan mata kasar kita pun kita tidak akan nampak. Namun Allah ﷻ tahu.

Zarah

 

فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ

yang ada di bumi dan tidak di langit,

Tidak kira sama ada benda itu berada di langit atau pun di bumi, Allah ﷻ boleh tahu.

Balaghah: bab takdim wa ta’khir (awal dan akhirkan). Di dalam potongan ayat ini, ‘bumi’ disebut dahulu, kemudian baru disebut ‘langit’. Selalunya dalam Al-Qur’an akan disebut ‘langit’ dahulu sebelum ‘bumi’. Sebagai contoh, lihat pula dalam Saba:3

وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لَا تَأْتِينَا السَّاعَةُ قُلْ بَلَىٰ وَرَبِّي لَتَأْتِيَنَّكُمْ عَالِمِ الْغَيْبِ لَا يَعْزُبُ عَنْهُ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ فِي السَّمَاوَاتِ وَلَا فِي الْأَرْضِ وَلَا أَصْغَرُ مِن ذَٰلِكَ وَلَا أَكْبَرُ إِلَّا فِي كِتَابٍ مُّبِينٍ

Dan orang-orang yang kafir berkata:” Hari kiamat itu tidak akan datang kepada kami”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Bahkan (tetap datang). Demi Tuhanku yang mengetahui segala perkara yang ghaib, hari kiamat itu sesungguhnya akan datang kepada kamu”. Tiada tersembunyi daripada pengetahuan-Nya barang seberat debu yang ada di langit atau di bumi, dan tidak ada yang lebih kecil daripada itu atau yang lebih besar melainkan semuanya tertulis di dalam Kitab yang terang nyata.

Kenapakah susunannya berbeza dalam ayat ini? Ia adalah cerita yang sama iaitu tidak terlepas apa-apa pun daripada pengetahuan Allah ﷻ.

Segala makhluk dijadikan dengan tujuan aqidiah iaitu untuk membuktikan keesaan Allah ﷻ dan rububiyyah Allah ﷻ bagi menunjukkan yang Allah ﷻ itu ada. Kemudian barulah untuk kegunaan makhluk itu. Sebagai contoh, tujuan untuk dijadikan makanan, pakaian dan sebagainya adalah dijadikan untuk kita manusia gunakan.

Oleh itu, alam ini merupakan tanda bagi manusia tentang kewujudan dan kehebatan Allah ﷻ. Ibn Qayyim رحمه الله mengatakan selalunya didahulukan langit kerana tanda di langit lebih banyak daripada apa yang ada di bumi. Ini adalah kerana langit itu lebih luas daripada bumi, bukan?

Selain itu, susunan yang berbeza dalam ayat Surah Yunus ini kerana terdapat perbezaan konteks antara dua ayat itu. Ayat Surah Yunus ini merupakan tentang ancaman keras. Allah ﷻ mengingatkan yang Dia tahu segala amal kita. Jangan rasa senang hidup di dunia dengan melanggar segala hukum Allah ﷻ. Jangan sangka Allah ﷻ tidak kisah dengan segala perbuatan kita.

Jangan sesekali memandang rendah amalan yang baik walaupun kita nampak kecil sahaja. Disebabkan amalan kita dikerjakan di bumi, maka Allah ﷻ sebut bumi dahulu kerana perbuatan manusia itu dilakukan di bumi. Manakala ayat dalam Surah Saba’ pula tentang kiamat, dan kiamat itu bermula di langit.

 

وَلَا أَصْغَرَ مِن ذَٰلِكَ

dan tidak yang lebih kecil daripada itu

Benda yang lebih kecil daripada atom pun Allah ﷻ boleh tahu. Langsung tidak tersembunyi daripada Allah ﷻ.

 

وَلَا أَكْبَرَ

dan tidak yang lebih besar,

Sekiranya perkara sekecil atom Allah ﷻ boleh nampak apatah lagi kita? Ke mana lagi kita hendak lari dan menyorok supaya Allah ﷻ tidak nampak kita? Tidak ada tempat lain lagi.

 

إِلَّا فِي كِتٰبٍ مُّبِينٍ

melainkan semuanya tertulis di dalam Kitab yang terang nyata.

Kitab yang dimaksudkan adalah Lauh Mahfuz.

Tidak ada perkara langsung yang tersembunyi daripada Allah ﷻ. Tidak ada apa-apa perbuatan kita yang Allah ﷻ tidak tahu. Dalam ayat ini secara spesifik disebut tentang pembacaan Al-Qur’an. Ini menunjukkan kepentingan membaca Al-Qur’an. Oleh itu kita kenalah nilai diri kita sama ada kita selalu baca Al-Qur’an ataupun tidak.

Semasa kita sedang membaca Al-Qur’an, kita kena ingat dan sedar bahawa Allah ﷻ sedang memerhatikan kita. Memang Allah ﷻ sentiasa melihat kita, tetapi di dalam pembacaan Al-Qur’an, kita kena lebih berhati-hati lagi. Hadhirkan perasaan ini semasa kita membaca Al-Qur’an di mana-mana sahaja, sama ada di rumah, di dalam kelas tafsir, dalam kelas tajwid kita, atau di mana-mana sahaja.

Sekiranya kita sedang mempelajari tajwid Al-Qur’an, belajar tafsir, membaca Al-Qur’an dalam solat dan di luar solat, dan kita mula berasa bosan, sebab rasa sangat lama atau sebagainya, maka hendaklah kita rasa dan ingat bawa Allah ﷻ sedang memerhatikan kita.

Bila kita rasa orang lain melihat kita, lebih-lebih lagi jikalau Allah ﷻ yang melihat kita, itu akan membuatkan kita melakukan perkara itu dengan lebih baik lagi. Maka ini mendidik kita dengan مراقبة الله iaitu sedar yang Allah ﷻ sedang memerhatikan kita. Ini penting kerana dosa yang kita lakukan adalah kerana tidak sedar Allah ﷻ sedang memerhatikan kita. Orang yang mencuri, makan rasuah dan sebagainya adalah kerana mereka rasa orang tidak melihat apa yang mereka lakukan. Akan tetapi kalau mereka sedar Allah ﷻ sedang memerhatikan, bagaimana? Tentu mereka tidak berani.

Ini sebagaimana sebuah kisah yang berlaku di zaman Saidina Umar رضي الله عنه.

Suatu malam, beliau bersama seorang pembantunya melakukan rondaan seperti malam-malam sebelumnya. Ketika melewati sebuah rumah kecil dan daif, Umar al-Khattab رضي الله عنه berasa curiga melihat lampu rumah itu yang masih menyala. Rupa-rupanya dalam rumah itu masih ada penghuninya yang belum tidur. Beliau mendekati rumah itu dan cuba meneliti perbualan mereka. Dari sebalik dinding rumah itu, Khalifah Umar al-Khattab رضي الله عنه cuba mengintip dan kelihatan seorang ibu tua dengan seorang gadis sedang sibuk menadahi susu.

“Wahai ibu, kita hanya mendapat beberapa bekas susu ini sahaja untuk hari ini,” kata anak perempuan itu kepada ibunya.

“Anakku, kita campurkan saja susu itu dengan air.” Cadang ibunya. Anak gadis itu tercengang dan ditatapnya wajah ibu yang sudah tua itu.

“Tidak, Ibu.” katanya cepat.

“Khalifah melarang keras penjual susu mencampur susu dengan air.” Tegas anak gadis itu lagi.

“Tapi khalifah tiada di sini dan beliau tidak akan nampak, anakku.” Balas ibunya.

“Wahai ibu, meskipun tidak ada seorang pun yang nampak, tapi Allah tetap melihat. Allah pasti mengetahui segala perbuatan kita walau serapi manapun kita menyembunyikannya,” tegas anak gadis itu kembali.

Ibunya hanya menarik nafas panjang. Kecewa hatinya mendengar anaknya tidak mahu menuruti cadangannya. Namun, jauh di lubuk hatinya dia begitu bangga akan kejujuran anak gadisnya.

“Aku tidak mahu melakukan ketidakjujuran pada waktu ramai mahupun sunyi. Ibuku, aku yakin, Allah s.w.t tetap selalu mengawasi setiap yang kita lakukan setiap saat.” kata gadis itu lagi.

Tanpa berkata apa-apa, ibunya masuk ke bilik dan gadis itu menyelesaikan kerjanya sehingga selesai. Di luar rumah itu, Umar al-Khattab رضي الله عنه tersenyum kagum akan kejujuran gadis muda itu. Lalu Umar al-Khattab رضي الله عنه menarik pembantunya menjauhi rumah itu dan berkata;

“Wahai Aslam, tidakkah kau mendengar akan kata-kata anak gadis itu tadi?” Pembantunya hanya mengangguk tanda dengar. “Tandakan rumah ini supaya esok kita akan kembali ke sini lagi dan agar kita tak lupa rumah yang sentiasa didoakan malaikat ini!” Pesan Umar al-Khattab رضي الله عنه kepada Aslam. Umar al-Khattab رضي الله عنه benar-benar terkesan dengan kata-kata gadis itu bahkan bertekad untuk melakukan sesuatu.

“Siapakah gadis itu? Jelmaan Malaikatkah dia? Keimanannya begitu sempurna dan tertanam kuat.” Ingatan Umar al-Khattab رضي الله عنه pada gadis itu semakin kuat atas keimanan dan kejujurannya, dan tertanya siapakah gerangan gadis itu sebenarnya. Lalu beliau meminta Aslam pergi semula ke rumah itu dan menyiasat latarbelakang gadis tersebut. Pembantunya lalu mula menyiasat perihal gadis itu dengan menemui jiran tetangganya. Dia mendapat tahu bahawa dalam rumah itu hanya terdapat dua penghuni iaitu seorang tua yang sudah ketiadaan suami bersama anak gadisnya itu yang menjadi penjual susu di pasar.

Aslam segera menyampaikan maklumat itu kepada Khalifahnya. Umar al-Khattab رضي الله عنه sangat tertarik dengan maklumat itu dan memikirkan ikatan keimanan gadis itu. Lalu dipanggil semua putera dan puterinya. Beliau menceritakan tentang gadis jujur penjual susu itu, dan mencadangkan penikahan dengan gadis itu.

“Gadis yang akan aku jodohkan ini pasti akan menggembirakan pasangannya kerana dia adalah gadis yang baik-baik dan akan mendapat keturunan yang lebih baik. Gadis itu bukan takut pada manusia. Tapi takut pada Allah yang Maha Melihat.” Kata Umar al-Khattab رضي الله عنه kepada anak-anaknya; Abdullah, Abdurrahman, Hafshah, Ruqayyah, Zaid, Ubaiddillah dan Ashim. Hanya Ashim yang belum bernikah ketika itu.

“Wahai bapaku, aku belum beristeri, nikahilah aku dengannya.” pinta Ashim anak Umar al-Khattab رضي الله عنه yang paling bongsu daripada isterinya yang bernama Jamilah.

“Baiklah, anakku nikahilah dengan gadis itu. Aku sangat menyukai kejujurannya.” kata Khalifah Umar al-Khattab رضي الله عنه. Selepas Ashim bernikah dengan gadis itu, kehidupan mereka sangat bahagia, penuh kasih sayang dan membahagiakan kedua-dua ibubapa mereka. Daripada pasangan inilah yang kelak lahirnya keturunan yang beriman, alim, qadi, ahli politik, pemimpin yang berwibawa serta khalifah umat; iaitu Umar Abdul Aziz atau Umar II yang begitu mirip kepimpinannya dengan moyangnya.

Hebat bukan jika kita dapat mencapai pemahaman dan kesedaran sebegini? Merasakan diri diperhatikan oleh Allah ﷻ setiap saat merupakan suatu bentuk tahap iman yang tertinggi. Maka ajarilah anak-anak kita juga seperti yang Luqman lakukan di dalam Luqman:16

يٰبُنَيَّ إِنَّها إِن تَكُ مِثقالَ حَبَّةٍ مِّن خَردَلٍ فَتَكُن في صَخرَةٍ أَو فِي السَّمٰوٰتِ أَو فِي الأَرضِ يَأتِ بِهَا اللهُ ۚ إِنَّ اللهَ لَطيفٌ خَبيرٌ

(Luqman berkata): “Hai anakku, sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, nescaya Allah akan mendatangkannya (membalasinya). Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui.


 

WALI-WALI ALLAH ﷻ

Yunus Ayat 62: Ayat Tabshir. Ayat ini berkenaan wali yang akan memberitahu kita tentang sifat-sifat wali Allah ﷻ. Mereka adalah orang yang taat setia kepada Allah ﷻ.

أَلا إِنَّ أَولِياءَ اللَّهِ لا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

Sahih International

Unquestionably, [for] the allies of Allah there will be no fear concerning them, nor will they grieve

Malay

Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (daripada sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

 

أَلَا إِنَّ أَوْلِيَاءَ اللَّهِ

Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah,

‘Wali’ pada kita adalah seseorang yang rapat dengan kita. Yang berkawan rapat dengan kita, yang tahu banyak perkara tentang kita. Sepertimana wali untuk pernikahan adalah seorang bapa atau ahli keluarga yang rapat dengan pengantin perempuan.

Maka, ‘Wali Allah’ adalah mereka yang rapat dengan Allah ﷻ. Hubungan mereka dengan Allah ﷻ amat kuat dan pertalian antaranya adalah cinta. Mereka teramat cinta kepada Allah ﷻ.

Mereka bukan sahaja rapat dengan Allah ﷻ, malah mereka juga rapat dengan sesama orang Islam kerana Allah ﷻ. Maknanya mereka berkawan kerana Allah ﷻ. Mereka berkawan bukan kerana kebendaan atau sebab lain tetapi hanya kerana Allah ﷻ.

Ini adalah sebagaimana disebut dalam hadith berikut:

Daripada Umar al-Khattab رضي الله عنه, beliau berkata,

إن من عباد الله لأناسا ماهم بأنبياء ولاشهداء يغبطهم الأنبياء والشهداء يوم القيامة بمكانتهم من الله
عز وجل
من هم وما أعمالهم؟ لعلنا نحبهم
قال: قوم يتحابون بروح الله عز وجل من غير أرحام بينهم ولا أموال يتعاطونها بينهم والله إن وجوههم لنور وإنهم لعلى منابر من نور لايخافون إذا حاف الناس ولايحزنون إذاحزن الناس

Sesungguhnya terdapat sebahagian hamba-hamba Allah, yang mana mereka bukanlah para Nabi dan para syuhada, namun mendatangkan cemburu para Nabi dan para syuhada, sebab mereka ditempatkan sebagaimana para Nabi dan Syuhada ditempatkan oleh Allah عز وجل”.
Mendengar itu, seseorang bertanya kepada Umar رضي الله عنه: “
“Siapakah Mereka, dan apakah amalan mereka agar kami juga ikut mencintainya?”
“Mereka adalah orang-orang yang saling mencintai kerana Allah عز وجل tanpa ada hubungan saudara, dan tidak harta yang saling mereka berikan satu sama lain. Demi Allah, sungguh pada wajah mereka terdapat cahaya, pun mereka di atas berada dalam gudang-gudang daripada cahaya. Mereka tidak takut sama sekali, di saat manusia lain ketakutan, dan mereka tidak bersedih hati, di saat manusia lain bersedih”.
(HR. Abu Daud no. 3527, Abu Nuaim dalam Hilyatul Auliya 1/5, al-Baihaqi dalam Syuabul Iman no. 8584)

Bagaimana mereka boleh rapat dengan Allah ﷻ? Kerana mereka kenal rapat wahyu Al-Qur’an. Dalam ayat-ayat sebelum ini telah banyak disebut tentang Al-Qur’an dan kepentingan membaca dan mempelajarinya. Dengan belajar tafsir Al-Qur’an, memahami, mengamalkan ajarannya dan menyampaikannya dan mengajarnya kepada masyarakat, maka mereka menjadi Wali Allah.

Bagaimana kita boleh kenal wali Allah ﷻ ini? Tandanya ada disebut di dalam sebuah hadith yang menjadi isyarat,

عَنْ أَسْمَاءَ بِنْتِ يَزِيدَ أَنَّهَا سَمِعَتْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ أَلَا أُنَبِّئُكُمْ بِخِيَارِكُمْ قَالُوا بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ خِيَارُكُمْ الَّذِينَ إِذَا رُءُوا ذُكِرَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ

Daripada [Asma binti Yazid], bahawa beliau mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Mahukah aku beritahukan kepada kalian orang yang terbaik daripada kalian?” mereka menjawab, “Tentu, wahai Rasulullah.” Beliau bersabda: “Sebaik-sebaik kalian adalah orang yang mereka, akan mengingatkan kepada Allah عَزَّ وَجَلَّ.”
(Sunan Abi Dawud (4109))

Masyarakat kita memang ada banyak masalah dengan definasi hal wali ini. Suka-suka dan bermudah-mudah sahaja melantik orang yang mereka kehendaki sebagai taraf wali. Ada juga orang yang tanpa segan silu mengaku wali. Saya sendiri pernah menjumpai orang yang mengaku Sultanul Auliya’ (raja segala wali). Sangkaan mereka wali itu mesti berserban besar, berjubah labuh, pegang tasbih sebesar kepala lutut, sangkut pula tasbih di leher, ada kuasa ajaib seperti boleh terbang, isi tangki minyak dengan air sahaja, boleh baca hati orang, dan macam-macam lagi. Sekarang kita hendak belajar siapakah wali yang mengikut laras Allah ﷻ sendiri.

 

لَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ

tidak ada ketakutan terhadap mereka,

Mereka tidak akan takut apabila mereka mati. Mereka juga tidak takut di Hari Mahsyar dan akhirat kerana Allah ﷻ akan menyelamatkan mereka. Semasa di dunia, manusia mempunyai terlalu banyak perasaan takut yang tidak berkesudahan. Sebagai contoh, takut lapar, takut sakit, takut hilang harta dan sebagainya. Kadangkala perasaan takut yang keterlaluan menghantui mereka sehingga mengakibatkan penyakit mental pula seperti ‘anxiety’ (kegelisahan), paranoia, serangan panik dan sebagainya. Namun para Wali Allah tidak akan ada langsung rasa takut dalam situatsi yang orang lain amat takut.

 

وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Mereka tidak akan merasa dukacita kerana semasa mereka hidup di dunia, mereka tidak mengumpul harta, tetapi mengumpul amalan kebaikan. Oleh kerana itu, Allah ﷻ akan memberi segala nikmat kepada mereka sampaikan tidak ada lagi rasa sedih pada mereka.

Kenapa manusia bersedih? Kerana ada perkara yang mereka rasa kekurangan, ada perkara yang mereka tiada, hilang dan sebagainya. Di akhirat kelak, Allah ﷻ akan balas kepada mereka dengan yang lebih baik lagi, sampaikan tidak ada kesedihan lagi kerana kehilangan apa-apa.

Kesedihan juga berlaku apabila terpaksa meninggalkan perkara yang kita sayang seperti keluarga, sahabat kita. Para wali Allah ﷻ tidak sedih meninggalkan dunia ini kerana kalau ada perkara yang mereka tinggalkan, kesedihan mereka itu ditutupi dengan kegembiraan menerima nikmat akhirat yang Allah ﷻ berikan. Kenikmatan akhirat ternyata berganda-ganda lebih hebat. Mereka sudah tidak ingat kekurangan mereka semasa di dunia. Mereka akan hanya diselimuti dengan perasaan gembira sahaja.

Namun sekiranya ahli syurga memang tidak ada takut dan kesedihan lagi apabila masuk syurga, maka apakah kelebihan auliya’ Allah ﷻ ini? Ada pendapat yang mengatakan mereka itu di dunia lagi tidak ada takut dan tidak ada kesedihan. Akan tetapi bukankah sifat takut itu tetap ada?Contohnya disebut dalam Fatir: 28

إِنَّما يَخشَى اللهَ مِن عِبادِهِ العُلَماءُ

Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama.

Sememangnya sifat golongan mukmin itu takut dengan azab seperti disebut dalam Ma’arij: 27

وَالَّذينَ هُم مِن عَذابِ رَبِّهِم مُشفِقونَ

Dan mereka yang cemas takut daripada ditimpa azab Tuhannya

Di dalam hadith ada disebut Rasulullah ﷺ dan para sahabat takut dengan azab, amat berhati-hati dalam tindakan mereka. Sampaikan pernah Saidina Umar رضي الله عنه pengsan kerana terkesan dengan ayat Al-Qur’an. Takut ini adalah jenis takut yang berbeza.

Maka kita kenalah bezakan jenis takut itu. Para wali, para Nabi dan orang beriman itu bukannya tidak mempunyai perasaan takut langsung. Namun takut mereka itu dengan Allah ﷻ sahaja. Bukannya takut dan sedih dengan kehidupan dunia yang fana ini. Mereka tidak terkesan dengan jatuh bangun dunia ini, dengan ketidakselesaan hidup di dunia seperti kemiskinan, harga barang mahal, harta tidak ada dan sebagainya. Mereka itu tenang-tenang sahaja dengan ketentuan daripada Allah ﷻ. Akan tetapi apabila melibatkan hal agama, tentang Allah ﷻ, tentang azab, mereka takut sangat.

Jelas sekali ada kelebihan besar para wali Allah ﷻ ini. Namun bagaimanakah kita boleh mendapatnya? Adakah kita manusia biasa-biasa ini layak? Sudah tentu dan Allah ﷻ telah beri formulanya kepada kita seperti disebut di dalam sebuah hadith,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ قَالَ مَنْ عَادَى لِي وَلِيًّا فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالْحَرْبِ وَمَا تَقَرَّبَ إِلَيَّ عَبْدِي بِشَيْءٍ أَحَبَّ إِلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُ عَلَيْهِ وَمَا يَزَالُ عَبْدِي يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِي يَسْمَعُ بِهِ وَبَصَرَهُ الَّذِي يُبْصِرُ بِهِ وَيَدَهُ الَّتِي يَبْطِشُ بِهَا وَرِجْلَهُ الَّتِي يَمْشِي بِهَا وَإِنْ سَأَلَنِي لَأُعْطِيَنَّهُ وَلَئِنْ اسْتَعَاذَنِي لَأُعِيذَنَّهُ وَمَا تَرَدَّدْتُ عَنْ شَيْءٍ أَنَا فَاعِلُهُ تَرَدُّدِي عَنْ نَفْسِ الْمُؤْمِنِ يَكْرَهُ الْمَوْتَ وَأَنَا أَكْرَهُ مَسَاءَتَهُ
Daripada [Abu Hurairah] menuturkan, Rasulullah ﷺ bersabda: “Allah berfirman; Siapa yang memusuhi wali-Ku, maka Aku umumkan perang kepadanya, dan hamba-Ku tidak mampu mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku cintai daripada yang telah Aku wajibkan, jika hamba-Ku terus menerus mendekatkan diri kepada-Ku dengan amalan sunnah, maka Aku mencintai dia, jika Aku sudah mencintainya, maka Akulah pendengarannya yang dia jadikan untuk mendengar, dan pandangannya yang dia jadikan untuk memandang, dan tangannya yang dia jadikan untuk memukul, dan kakinya yang dijadikannya untuk berjalan, jikalau dia meminta-Ku, pasti Kuberi, dan jika meminta perlindungan kepada-Ku, pasti Ku-lindungi. Dan aku tidak ragu untuk melakukan sesuatu yang Aku menjadi pelakunya sendiri sebagaimana keragu-raguan-Ku untuk mencabut nyawa seorang mukmin yang dia (khuatir) terhadap kematian itu, dan Aku sendiri khuatir dia merasakan kepedihan sakitnya.”
(Sahih Bukhari (6021))

Oleh hal yang demikian, sesiapa sahaja boleh menjadi wali sebenarnya sekiranya cukup kriterianya. Istilah wali itu meluas, bukannya untuk orang tertentu sahaja. Kita boleh menjadi wali, orang lain boleh menjadi wali, para sahabat itu wali malah Rasulullah ﷺ juga seorang wali kerana baginda rapat dengan Allah ﷻ. Ia adalah istilah umum bukannya istilah yang hanya boleh diberikan kepada orang tertentu sahaja.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat seterusnya

Kemaskini: 13 Jun 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Yunus Ayat 58 – 60 (Bergembira dengan Al-Qur’an)

Yunus Ayat 58: Setelah kenal Al-Qur’an, bagaimanakah sikap kita terhadapnya?

قُل بِفَضلِ اللَّهِ وَبِرَحمَتِهِ فَبِذٰلِكَ فَليَفرَحوا هُوَ خَيرٌ مِّمّا يَجمَعونَ

Sahih International

Say, “In the bounty of Allah and in His mercy – in that let them rejoice; it is better than what they accumulate.”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad) “kedatangan Al-Qur’an itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya, maka dengan isi kandungan Al-Qur’an itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak kekal)”.

 

قُلْ بِفَضْلِ اللَّهِ

Katakanlah (wahai Muhammad) “dengan limpah kurnia Allah

Limpah kurnia Allah ﷻ di dalam ayat ini ialah penurunan Al-Qur’an pada kita. Ini adalah kerana ayat sebelum ayat ini ialah berkenaan Al-Qur’an, maka ayat ini adalah tentang Al-Qur’an. Namun begitu ada juga pendapat lain tentangnya yang kita akan sebutkan sebentar lagi.

Kenapakah Al-Qur’an itu dikatakan sebagai ‘Limpah Kurnia’ kepada kita? Kerana entah berapa ramai manusia yang hidup di dalam dunia ini tetapi mereka tidak kenal Al-Qur’an. Namun kita yang semenjak kecil lagi sudah kenal Al-Qur’an ini. Manakala berapa ramai pula manusia dalam dunia ini yang sudah kenal Al-Qur’an, tetapi mereka tidak tahu menggunakan Al-Qur’an itu sebagai panduan hidup dan penawar hati?

Berapa ramai pula yang hari-hari membaca Al-Qur’an namun sepatah habuk pun mereka tidak tahu apa yang di dalamnya kerana tidak langsung tidak mempelajari tafsir Al-Qur’an. Oleh itu jika kita yang diberi peluang dan taufik oleh Allah ﷻ untuk mempelajari tafsir Al-Qur’an ini, ketahuilah bahawa ia merupakan rahmat yang teramat besar sekali.

 

وَبِرَحْمَتِهِ

dan dengan kasih sayang-Nya,

Disebabkan kasih sayang Allah ﷻ kepada kita, Dia telah memberikan Al-Qur’an kepada kita dan meletakkan keinginan dalam diri kita untuk mempelajari tafsir Al-Qur’an ini kepada kita. Maka jangan kita lepaskan peluang ini. Teruskan belajar dan teruskan sampaikan ajaran tafsir ini kepada manusia yang lain.

Janganlah menjadi orang yang bila diajak belajar tidak mahu, bila sampai kepada penulisan ini, bukan hendak dipelajari tetapi mereka menuduh dengan berbagai-bagai tuduhan. Bayangkan, Allah ﷻ sudah membuka peluang kepada mereka untuk mempelajari tafsir Al-Qur’an untuk membetulkan diri mereka, tetapi mereka tetap berdegil? Sikap sebeginilah yang dipanggil sebagai ‘bodoh sombong’.

Ada pendapat daripada Ibn Abbas dan Mujahid yang mengatakan kalimah فَضْلِ اللَّهِ merujuk kepada Islam dan رَحْمَتِهِ merujuk kepada Al-Qur’an. Ada pendapat yang menterbalikkannya (فَضْلِ اللَّهِ adalah Al-Qur’an dan رَحْمَتِهِ adalah Islam). Dan ada pula pendapat lain mengatakan فَضْلِ اللَّهِ adalah Al-Qur’an dan رَحْمَتِهِ adalah apabila kita menjadi ahlinya. Perbezaan pendapat ini tidak banyak bezanya kerana Islam itu ada di dalam Al-Qur’an dan Islam tanpa Al-Qur’an tidak lengkap.

Ada pula pendapat yang mengatakan فَضْلِ اللَّهِ merujuk kepada Al-Qur’an dan رَحْمَتِهِ adalah Rasulullah ﷺ ini dikuatkan dengan Anbiya’:107

وَما أَرسَلنٰكَ إِلّا رَحمَةً لِّلعٰلَمينَ

Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.

Ini pun tiada masalah kerana Islam – Nabi Muhammad ﷺ – Al-Qur’an semua adalah perkara yang penting yang menjadi kurnia dan rahmat daripada Allah ﷻ juga.

 

فَبِذَٰلِكَ فَلْيَفْرَحُوا

maka dengan Al-Qur’an itulah hendaknya mereka bersukacita

Maka bergembiralah dengan Limpah Kurnia dan rahmat Allah ﷻ yang telah diberikan-Nya kepada kita ini. Maknanya hendaklah kita gembira apabila belajar dan membaca Al-Qur’an. Bukannya bergembira dengan berjoget, berqasidah, melompat-lompat pula. Bukan juga bergembira dengan kekayaan dunia seperti yang disebut kepada Qarun dalam Qasas:76

إِذ قالَ لَهُ قَومُهُ لا تَفرَح ۖ إِنَّ اللهَ لا يُحِبُّ الفَرِحينَ

ketika kaumnya berkata kepadanya: “Janganlah kamu terlalu bangga; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri”.

Kalimah فرح di dalam ayat ini adalah bergembira terlebih sehingga menjadi sombong dan bangga diri. Kegembiraan berlebihan sebegitu yang dilarang. Kalau bergembira biasa-biasa sahaja, tidak mengapa.

Apabila perkataan فَبِذَٰلِكَ diletakkan di awal ayat, ia menunjukkan bahawa *hanya* dengan Al-Qur’an ini sahaja yang patut kita bergembira sungguh-sungguh, bukan dengan benda yang lain. Sesiapa yang bergembira dengan benda lain sesungguhnya dia telah tertipu dengan dunia. Ramai yang hendak dengar muzik dan apabila kita katakan ia adalah haram (pendapat yang paling kuat), mereka berdalih dengan berkata hanya untuk bergembira, tenang-tenangkan diri sahaja. Maka kita boleh balas dalih mereka itu: “Habis, apa kamu buat dengan Al-Qur’an?”

Mereka jawab balik, “Kami dengar lagu nasyid sahaja, bukan Coldplay pun….”. Kita katakan, sama sahaja, ia adalah lagu dan muzik juga. Semua itu hendak memesongkan anda daripada Al-Qur’an.

Nota: Ada golongan yang mengatakan bahawa maksud ‘limpah kurnia’ dan ‘rahmat’ Allah ﷻ dalam ayat ini adalah ‘kelahiran Nabi Muhammad ﷺ’. Maka mereka menggunakan ayat ini sebagai dalil untuk mengadakan Mawlid Nabi kerana mereka kata itulah cara meraikan kelahiran Nabi Muhammad ﷺ dan Allah ﷻ suruh bergembira dengan kelahiran itu.

Bergembira dengan Al-Qur’an pula bukanlah dengan berjoget, bergendang dan sebagainya. Bukan seperti golongan tarekat dan Habib yang mengajar manusia berjoget di stadium dan sebagainya semasa menyambut Mawlid dan sambutan-sambutan bid’ah mereka. Itu adalah cara bergembira yang jelas bukan daripada ajaran Allah ﷻ dan Nabi-Nya.

Cara mereka ‘bergembira’ itu jelas sekali adalah hasil daripada pentafsiran yang salah yang hanya dibuat oleh mereka yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an sahaja. Mereka memandai-mandai mentafsir ayat ini sebagai dalil untuk membenarkan perbuatan bid’ah mereka bagi meraikan Mawlid Nabi. Sedangkan tiada yang lebih mencintai dan tahu cara mencintai baginda yang benar selain para sahabat sendiri, bukan? Para sahabat jauh lebih mengenali dan mencintai baginda berbanding kita semua namun mereka tidaklah pula meraikannya. Nabi ﷺ tidak pernah memberitahu bilakah tarikh hari lahirnya atau mengajak para sahabatnya untuk meraikannya pun malah tidak pernah pula mereka bertanya kerana maklumat tersebut bukanlah sebahagian daripada ibadah agama yang perlu diberikan perhatian. Kalaulah ia baik dan penting, sudah tentu telah lama mereka melakukannya kerana mereka lebih pandai dan faham agama daripada kita. Maka hentikanlah perbuatan amalan bid’ah kemudian sandarkan kepada ayat Al-Qur’an dan kepada Nabi ﷺ. Adakah mereka sangka baginda akan bergembira dengan amalan mereka itu?

Mungkin ada yang berkata: “ Apalah salahnya kita hendak bergembira dengan kelahiran Nabi? Adakah yang melarang ini tidak suka dengan kelahiran Nabi?” Bukanlah kita tidak suka dan tidak bergembira dengan kelahiran Nabi ﷺ tetapi yang lebih kita risaukan adalah cara pengambilan sesuatu hukum itu (istinbat) daripada dalil. Sekiranya kita istinbat dengan cara yang salah maka ia akan merosakkan agama, dan ini adalah amat membahayakan sekali apabila melibatkan hukum agama. Ini kerana ia boleh mengakibatkan timbulnya perbuatan yang karut dan tersasar jauh daripada agama yang benar bukan sekadar isu seputar menyambut Mawlid Nabi sahaja malah lebih daripada itu.

Namun begitu salahfaham masyarakat akan menganggap kita yang menegur ini seolah-olah tidak cintakan Nabi ﷺ pula kerana melarang perbuatan menyambut Mawlid baginda. Bukanlah begitu kerana kita juga sayangkan Nabi ﷺ dan semestinya mahu menghargai baginda. Kalaulah menyambut Mawlid ini adalah cara yang sunnah, maka kita pun pasti akan melakukannya juga. Akan tetapi ia tidak begitu. Sebaliknya cara yang sepatutnya untuk kita menunjukkan cinta kita terhadap Rasulullah ﷺ adalah dengan berusaha bersungguh-sungguh mengikuti segala ajarannya dan mengamalkan sunnahnya yang sahih setiap hari dalam setiap sudut kehidupan bukanlah hanya semata-mata bergembira dan meraikan Mawlid baginda sahaja. Malah sebenarnya jika kita mengkaji dan memahami asal usul amalan perbuatan menyambut Mawlid ini, kita tidak sesekali akan meraikannya.

Kita bergembira dengan pengurniaan Al-Qur’an ini kerana dengan Al-Qur’an inilah yang memandu akidah kita menjadi benar. Dengan Al-Qur’an ini jugalah mengajar cara yang benar untuk kita sentiasa ingat kepada Allah ﷻ. Dengan Al-Qur’an ini juga kita mendapat panduan hidup. Juga seperti disebut di dalam ayat sebelum ini, ia adalah penawar bagi hati kita.

Bergembira dengan Al-Qur’an bermaksud: kita membacanya, mempelajarinya dan memahaminya, mengamalkannya dan menyebarkannya kepada orang lain. Itulah maksud yang sebenar. Sesungguhnya itulah tanda kita bergembira dengan Al-Qur’an. Hari-hari kita hendak baca, suka belajar dan mentadabburinya. Pagi baca, tengahari baca, petang baca, malam pun baca lagi. Sebab kita suka, bukan? Macam kita suka dapat iPhone baru, pagi petang siang malam kita hadap main dengannya, bukan? Jika kita setiap pagi hanya selepas Subuh sahaja baca dan pada waktu lain tidak pegang pun Al-Qur’an, maka itu tidaklah menepati maksud gembira dengan Al-Qur’an.

Ini adalah satu tips yang Allah ﷻ ajarkan kepada kita di dalam Nahl: 98 untuk berlindung daripada syaitan apabila mula membaca Al-Qur’an. Ini adalah kerana syaitan tidak suka kita baca Al-Qur’an maka dia akan sibukkan kita dengan berbagai perkara. Oleh itu, mintalah perlindungan dengan Allah ﷻ. Barulah boleh baca banyak, kalau tidak sekejap sahaja sudah terasa bosan.

فَإِذا قَرَأتَ القُرآنَ فَاستَعِذ بِاللهِ مِنَ الشَّيطانِ الرَّجيمِ

Apabila kamu membaca Al Qur’an hendaklah kamu meminta perlindungan kepada Allah daripada syaitan yang terkutuk.

 

هُوَ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُونَ

kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan”.

Sememangnya sifat manusia itu sejak berzaman suka mengumpul. Mereka suka mengumpul koleksi material seperti kereta, setem, baju, beg, kasut, jam tangan, pinggan mangkuk, barang perhiasan, lukisan dan apa sahaja mengikut minat masing-masing. Bagaikan tidak pernah puas dan cukup pengumpulan yang dilakukan oleh manusia. Apa sahaja yang kita himpunkan daripada nikmat dunia ini, walau banyak mana sekalipun, tidak akan dapat menandingi rahmat dan kurnia Allah ﷻ di dalam pemberian Al-Qur’an ini.

‘Mereka’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah mereka yang tidak beriman dan tertipu dengan dunia. Mereka bergembira dengan perkara dunia sahaja sebaliknya untuk orang Mukmin Allah ﷻ ajar untuk bergembira dengan Al-Qur’an.

Kalimah يَجْمَعُونَ bermaksud (menghimpun): Manusia mengumpul berbagai-bagai harta dan perkara dalam dunia ini dengan sangkaan bahawa ia boleh membawa kegembiraan kepada mereka. Akan tetapi semua itu adalah tipudaya dunia sahaja. Mereka berasa gembira apabila melihat mereka memiliki banyak harta serta barangan yang dikumpul. Namun mereka tidak sedar yang semakin banyak barangan yang mereka kumpul, sebenarnya semakin bertambah bebanan tanggungjawab mereka kerana terpaksa menjaga, membersihkan barangan serta memastikan barangan itu sentiasa berada di dalam keadaan baik. Membuang masa sahaja kerana bukanlah barangan itu semua dapat menjaga mereka sebaliknya mereka yang terpaksa mengorbankan masa untuk menjaga barangan itu semua.

Semakin banyak barangan kita kumpul, semakin banyak ‘sampah’ dalam simpanan kita. Ini kerana ketika ia masih baru, ia kelihatan cantik sahaja namun lama kelamaan, ia akan menjadi buruk dan akhirnya bertukar menjadi sampah sahaja. Begitulah lazimnya sifat barangan di dunia yang tidak kekal dan akan rosak dan lusuh setelah sekian lama. Sebagaimana kita juga yang tidak kekal muda dan sihat di mana kita meningkat usia dan akan sakit seterusnya mati. Maka sedarlah kita, bukan begitu caranya mencari kegembiraan. Menjalin hubungan dengan Allah ﷻlah yang pasti dapat menggembirakan hati kita.

Sebaliknya kita sepatutnya ‘mengumpul’ ilmu Al-Qur’an. Ia sentiasa segar dan tidak pernah membosankan apabila membacanya. Mengumpul di sini bukanlah bermaksud membeli koleksi mushaf cantik yang pelbagai bentuk, saiz dan warna kemudian menyusunnya di almari pula. Tiada gunanya mempunyai banyak koleksi mushaf Al-Qur’an tidak kira berapa mahal sekalipun harganya jika hanya disimpan dalam almari sebagai perhiasan tanpa dibaca. “Al-Qur’an is for ourshelves, not our shelves”. Akan tetapi yang benar adalah mengumpulkannya ilmu ayat-ayat Al-Qur’an itu di dalam hati kita dengan menghafalnya agar dalam setiap keadaan kita hadapi, akan ada ayat yang mengingatkan kita kepada ayat Allah ﷻ.

Apabila melihat gunung, teringat ayat Allah ﷻ tentang gunung. Apabila melihat hujan turun, teringat ayat Allah ﷻ tentang hujan turun begitu lah juga apabila melihat matahari, bulan, bintang, laut, tumbuhan dan segala ciptaan dan kejadian Allah ﷻ ini. Maka amatlah dianjurkan untuk kita menghafal Al-Qur’an setiap hari. Jika kita mula menghafal, kita akan mengulang ayat itu berkali-kali dan kita akan ingat pengajaran di dalamnya. Satu hari satu ayat pun boleh.

Setiap kali ada tambahan ayat yang hafal, kita berasa gembira. Begitu juga setiap kali ada ayat baru yang kita belajar, kita akan berasa lebih gembira. Apabila Allah ﷻ beri kita faham makna sesuatu ayat, kita akan bertambah-tambah gembira. Kita sudah mulai jatuh cinta dengan Al-Qur’an dan rindu untuk membacanya selalu. Sebaik-baik waktu untuk membaca Al-Qur’an adalah dalam solat kita. Maka untuk membaca dalam solat, kenalah hafal. Takkan kita mahu membaca dua Qul sahaja dalam solat untuk sepanjang hayat kita?

Barang yang kita kumpul akan rosak dan terhapus. Namun Al-Qur’an yang kita baca dan hafal akan menemani kita sampai ke dalam kubur. Bukankah itu pengumpulan yang lebih baik? Belajar dan baca Al-Qur’an akan memberi pahala yang amat banyak kepada kita. Realitinya mengumpul pahala adalah lebih mudah daripada mengumpul emas/harta. Untuk mengumpul harta bukanlah mudah, kita mesti bekerja keras, berfikir serta merancang pelbagai strategi. Anak isteri pun sering ditinggalkan. Akan tetapi mengumpul pahala itu sepanjang masa boleh dilakukan, bila-bila masa sahaja, bukan?

Al-Qur’an akan menjadi halwa (manisan) di dalam hidup kita. Maka tidaklah patut seseorang yang sentiasa membaca Al-Qur’an, memahaminya dan menghafalnya ada mempunyai perasaan sedih dan takut kerana apa yang dia ada lebih hebat daripada apa sahaja yang manusia lain kumpul di dunia ini.


 

PEMBERIAN DARI ALLAH ﷻ

Yunus Ayat 59: Ayat Dalil Aqli. Ayat ini adalah tentang perkara halal dan haram. Tentang pantang larang yang diamalkan oleh manusia. Kalau sebelum ini disebut tentang kesalahan dalam kepercayaan, sekarang disebut tentang kesalahan dari segi perbuatan pula.

قُل أَرَءَيتُم مّا أَنزَلَ اللَّهُ لَكُم مِّن رِّزقٍ فَجَعَلتُم مِّنهُ حَرامًا وَحَلٰلًا قُل ءَآللَّهُ أَذِنَ لَكُم ۖ أَم عَلَى اللَّهِ تَفتَرونَ

Sahih International

Say, “Have you seen what Allah has sent down to you of provision of which you have made [some] lawful and [some] unlawful?” Say, “Has Allah permitted you [to do so], or do you invent [something] about Allah ?”

Malay

Katakanlah (kepada kaum yang mengada-adakan sesuatu hukum): “Sudahkah kamu nampak baik-buruknya sesuatu yang diturunkan Allah untuk manfaat kamu itu sehingga dapat kamu jadikan sebahagian daripadanya haram, dan sebahagian lagi halal?” Katakanlah lagi (kepada mereka): “Adakah Allah izinkan bagi kamu berbuat demikian, atau kamu hanya mengada-adakan secara dusta terhadap Allah?”.

 

قُلْ أَرَءَيْتُم

Katakanlah: Tidakkah kamu memikirkan

Ayat ini disampaikan kepada manusia untuk mereka menggunakan akal mereka. Cubalah fikir-fikirkan.

 

مَّا أَنزَلَ اللَّهُ لَكُم مِّن رِّزْقٍ

sesuatu yang diturunkan oleh Allah untuk kamu semua dari rezeki

Allah ﷻ telah menurunkan rezeki untuk kita. Rezeki itu bukan sahaja dalam bentuk makanan, tetapi termasuk apa sahaja perkara yang memberi manfaat kepada kita. Sebagai contoh, cahaya matahari: dengan cahaya matahari itu memberi Vitamin D kepada kita; Oksigen yang Allah ﷻ berikan kepada kita; rezeki masa dan bermacam-macam lagi yang tidak terhitung banyaknya. Semua itu adalah rezeki. Rezeki yang kita tidak sedar pun yang Allah ﷻ telah berikan secara percuma semenjak kita lahir ke dunia ini. Rezeki bukan hanya berbentuk fizikal material yang boleh dilihat dengan mata seperti harta benda, makanan dan pakaian sahaja seperti difahami oleh kebanyakan orang.

Rezeki itu luas dan merangkumi banyak perkara. Antara rezeki yang paling utama dan hebat adalah ilmu terutama sekali ilmu wahyu. Begitulah sebelum ini telah disebut tentang bergembira dengan Al-Qur’an, bukan? Kita sebagai orang yang beriman hendaklah mensyukuri rezeki di dalam bentuk Al-Qur’an itu.

 

فَجَعَلْتُم مِّنْهُ حَرَامًا وَحَلٰلًا

Maka kamu jadikan sebahagian daripadanya haram, dan sebahagian lagi halal?”

Allah ﷻ telah memberikan rezeki itu kepada kita tetapi ada manusia yang menentukan halal haram sesuatu perkara itu tanpa dalil daripada Allah ﷻ. Sepatutnya Allah ﷻlah yang layak menentukan mana yang halal dan mana yang haram kerana Dia yang buat dan beri kepada kita. Kenapa kamu memandai-mandai pula?

Kita lihat contoh makanan sebagai rezeki. Ada manusia yang mengharamkan makanan dalam keadaan tertentu:

Contohnya, semasa wanita yan pantang bersalin, dilarang untuk makan ini dan itu (tanpa sebab-sebab kesihatan tetapi sebab kepercayaan ketat pantang larang daripada orang tua-tua serta bidan);
Tidak boleh makan binatang berdarah semasa mengamalkan zikir-zikir Keramat kerana takut tidak menjadi zikir itu;
Orang yang mengamalkan ilmu seni mempertahankan diri persilatan pula diharamkan daripada memakan makanan tertentu;
Ada sesetengah masyarakat dilarang memakan makanan tertentu kerana dikatakan terkena ‘sumpahan’ terhadap keturunan mereka itu;
Dan bermacam-macam lagi pengharaman yang manusia lakukan.

Contoh pantang larang memakan ikan kekacang dan buluh betong untuk suatu keturunan

Bagaimana dengan menghalalkan sesuatu yang haram? Ada umat Islam negara lain yang sudah menghalalkan arak. Satu masa nanti, ada kemungkinan mereka juga akan menghalalkan daging babi pula. Penghalalan ini dilakukan oleh ulama-ulama negara itu. Mereka telah menghalalkan yang haram, kemudian diikuti oleh masyarakat mereka.

Akibatnya memang buruk sekali kerana apabila ulama’ sendiri yang buat, tentunya masyarakat berasa tidak salah. Sebagaimana juga ada golongan agama di negara ini yang menghalalkan perkara yang haram seperti Tawassul, bid’ah dan sebagainya.

Perbincangan tentang hal halal haram ini dan bagaimana manusia keliru tentangnya telah dibincangkan dengan panjang lebar di dalam Surah Al-An’am. Antara contoh perbuatan sesat ini seperti disebut dalam An’am:139

وَقَالُواْ مَا فِى بُطُونِ هَـٰذِهِ ٱلأَنعَـٰمِ خَالِصَةٌ لِّذُڪُورِنَا وَمُحَرَّمٌ عَلَىٰٓ أَزوٰجِنَا‌ۖ وَإِن يَكُن مَّيتَةً فَهُم فِيهِ شُرَڪَآءُ‌ۚ سَيَجزِيهِم وَصفَهُم إِنَّهُ ۥ حَڪِيمٌ عَلِيمٌ

Dan mereka berkata: “Apa yang ada dalam perut binatang-binatang ternak itu (jika ia lahirkan hidup) adalah halal bagi lelaki-lelaki kami dan haram bagi perempuan-perempuan kami”. Dan jika ia (dilahirkan) mati, maka mereka (lelaki perempuan) bersekutu padanya (bersama-sama memakannya). Allah akan membalas mereka tentang apa yang mereka tetapkan (mengenai halal dan haram) itu. Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.

Bukan sahaja tentang makanan, tetapi pakaian pun ada juga yang manusia haramkan tanpa dalil. Sebenarnya banyak perkara yang manusia reka hukum yang baru tentangnya. Sedangkan dunia ini adalah kurnia daripada Allah ﷻ kepada kita untuk kita gunakan namun ramai yang mengharamkan benda yang syarak tidak pernah haramkan. Ini seperti disebut dalam A’raf:32

قُل مَن حَرَّمَ زينَةَ اللَّهِ الَّتي أَخرَجَ لِعِبادِهِ وَالطَّيِّبٰتِ مِنَ الرِّزقِ ۚ قُل هِيَ لِلَّذينَ ءآمَنوا فِي الحَيوٰةِ الدُّنيا خالِصَةً يَومَ القِيٰمَةِ ۗ كَذٰلِكَ نُفَصِّلُ الآيٰتِ لِقَومٍ يَعلَمونَ

Katakanlah: “Siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan (siapa pulakah yang mengharamkan) rezeki yang baik?” Katakanlah: “Semuanya itu (disediakan) bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, khusus (untuk mereka saja) di hari kiamat”. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi orang-orang yang mengetahui.

 

قُلْ ءَآللَّهُ أَذِنَ لَكُمْ

Katakanlah lagi (kepada mereka): “Adakah Allah izinkan bagi kamu berbuat demikian,

Adakah Allah ﷻ membenarkan mereka menghalalkan dan mengharamkan? Atau adakah mereka mempunyai dalil untuk mengharamkan atau menghalalkan sesuatu itu? Manakah dalilnya? Adakah Jibril عليه السلام datang ketika malam hari kepada mereka untuk memberi wahyu untuk membenarkan perbuatan mereka yang menghalalkan yang haram itu, atau mengharamkan yang halal?

Oleh kerana Allah ﷻ yang telah memberikan rezeki itu kepada kita, maka Dia sahaja yang layak untuk menentukan sama ada sesuatu perkara itu halal atau haram. Halal atau haram ini diberitahu oleh Allah ﷻ dalam Al-Qur’an dan juga di dalam hadith Nabi. Manusia tidak boleh suka-suka mengharamkan sesuatu yang halal dan tidak boleh suka-suka menghalalkan yang haram.

Sesiapa yang melakukan perkara itu diancam azab oleh Allah seperti disebut dalam Shura:21

أَم لَهُم شُرَكاءُ شَرَعوا لَهُم مِّنَ الدّينِ ما لَم يَأذَن بِهِ اللهُ ۚ وَلَولا كَلِمَةُ الفَصلِ لَقُضِيَ بَينَهُم ۗ وَإِنَّ الظّٰلِمينَ لَهُم عَذابٌ أَليمٌ

Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan – mana-mana bahagian dari ugama mereka – sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? Dan kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (dari Allah, untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan azab dengan serta-merta kepada mereka (yang berbuat demikian). Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Mereka tidak terus dikenakan azab hanya kerana Allah ﷻ telah berjanji untuk menangguhkan azab. Sepatutnya mereka memang boleh terus dikenakan dengan azab. Mereka hanya selamat sementara waktu kerana diberi tangguh sahaja. Dan disebut pula di dalam Nahl:116

وَلا تَقولوا لِما تَصِفُ أَلسِنَتُكُمُ الكَذِبَ هٰذا حَلالٌ وَهٰذا حَرامٌ لِتَفتَروا عَلَى اللهِ الكَذِبَ ۚ إِنَّ الَّذينَ يَفتَرونَ عَلَى اللهِ الكَذِبَ لا يُفلِحونَ

Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta “ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung.

Maknanya menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal adalah berdusta atas nama Allah ﷻ dan perbuatan ini amat berat. Maka kena berhati-hati dalam memberi hukum. Daripada ayat ini ulama’ mendatangkan kaedah “Asal bagi sesuatu perkara adalah harus”. Ini ada disebutkan oleh beberapa ulama’ di dalam kitab-kitab mereka seperti Imam al-Suyuthi رحمه الله yang berkata:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإِبَاحَة

Asal bagi sesuatu perkara adalah harus.

Sebenarnya kaedah penuh yang disebutkan oleh Imam al-Suyuthi رحمه الله adalah:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإباحَة حَتَّى يَدُل الدَّلِيل عَلَى التَّحْرِيمِ

Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).

Bagaimana pula dengan ibadah? Ada kaedah fikih yang cukup ma’ruf dalam kalangan para ulama,

الأصل في العبادات التحريم

Hukum asal ibadah adalah haram (sampai adanya dalil).

Maka jangan kita menambah-nambah amalan yang Nabi ﷺ tidak pernah suruh. Kita ikutlah sahaja sunnah iaitu amalan Nabi ﷺ. Janganlah perasan mahu buat buat lebih daripada baginda. Baginda sudah tegur para sahabat yang hendak buat begitu,

عَنْ أَنَسٍ أَنَّ نَفَرًا مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَأَلُوا أَزْوَاجَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ عَمَلِهِ فِي السِّرِّ فَقَالَ بَعْضُهُمْ لَا أَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ وَقَالَ بَعْضُهُمْ لَا آكُلُ اللَّحْمَ وَقَالَ بَعْضُهُمْ لَا أَنَامُ عَلَى فِرَاشٍ فَحَمِدَ اللَّهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ فَقَالَ مَا بَالُ أَقْوَامٍ قَالُوا كَذَا وَكَذَا لَكِنِّي أُصَلِّي وَأَنَامُ وَأَصُومُ وَأُفْطِرُ وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي

Daripada [Anas] bahawa sekelompok orang dalam kalangan sahabat Nabi ﷺ bertanya kepada isteri-isteri Nabi ﷺ mengenai amalan baginda yang tersembunyi. Maka sebahagian daripada mereka pun berkata, “Saya tidak akan menikah.” Kemudian sebahagian lagi berkata, “Aku tidak akan makan daging.” Dan sebahagian lain lagi berkata, “Aku tidak akan tidur di atas tilamku.” Mendengar ucapan-ucapan itu, Nabi ﷺ memuji Allah ﷻ dan menyanjung-Nya, kemudian baginda bersabda: “Ada apa dengan mereka? Mereka berkata begini dan begitu, padahal aku sendiri solat dan juga tidur, berpuasa dan juga berbuka, dan aku juga menikahi wanita. Maka siapa yang saja yang membenci sunnahku, bererti bukan daripada golonganku.”
(Sahih Bukhari (2487))

Para sahabat di dalam hadith di atas sangka amalan baginda rupanya tidak banyak. Maka mereka hendak menambah (memberati) pada diri mereka dengan amalan-amalan yang mereka rasa lebih lagi (kerana pada mereka Rasulullah ﷺ tidak berdosa sedangkan mereka berdosa banyak). Itu pun dilarang.

Oleh sebab itu dua perkara ini perlu difahami oleh umat Islam. Jangan memandai mengharamkan sesuatu perkara melainkan dalilnya cukup kuat. Janganlah hanya kerana makan keropok lekor yang ada darah ikan terus menerakakan orang yang memakannya. Jangan reka ibadah baru (bid’ah) dan mengamalkannya melainkan ada dalil tentang amalannya daripada Rasulullah ﷺ dan para sahabat. Malangnya ramai dalam kalangan masyarakat termasuk golongan agamawan seperti tidak tahu kaedah ini. Senang lenang sahaja mereka mengharamkan dan menghalalkan ibadah yang bid’ah.

 

أَمْ عَلَى اللَّهِ تَفْتَرُونَ

atau kamu hanya mengada-adakan secara dusta terhadap Allah?”.

Mereka sebenarnya tidak ada dalil yang sah. Mereka memandai-mandai sahaja; mereka ikut sahaja kata tok nenek mereka. Itu semua adalah dusta kepada Allah ﷻ, dusta atas nama Allah ﷻ kerana Allah ﷻ tidak pernah cakap dan Nabi ﷺ sebagai wakil Allah ﷻ pun tidak pernah cakap. Apabila Allah ﷻ tidak pernah cakap, itu bermakna mereka berdusta. Sesungguhnya berdusta atas nama Allah ﷻ adalah dosa yang besar.

Yang sebenarnya adalah kerana mereka termakan dengan bisikan syaitan. Memang syaitan telah berjanji untuk menyesatkan manusia dalam hal halal dan haram dan mengubah ciptaan Allah ﷻ. Ini seperti disebut dalam Nisa’:119

وَلَأُضِلَّنَّهُمْ وَلَأُمَنِّيَنَّهُمْ وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُبَتِّكُنَّ آذَانَ الْأَنْعٰمِ وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللهِ وَمَن يَتَّخِذِ الشَّيْطٰنَ وَلِيًّا مِّن دُونِ اللهِ فَقَدْ خَسِرَ خُسْرَانًا مُّبِينًا

“Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah”. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.


 

Yunus Ayat 60:Ini adalah kesan dan balasan bagi mereka yang mengubah hukum Allah ﷻ. Adakah mereka yakin mereka akan selamat?

وَما ظَنُّ الَّذينَ يَفتَرونَ عَلَى اللَّهِ الكَذِبَ يَومَ القِيٰمَةِ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَذو فَضلٍ عَلَى النّاسِ وَلٰكِنَّ أَكثَرَهُم لا يَشكُرونَ

Sahih International

And what will be the supposition of those who invent falsehood about Allah on the Day of Resurrection? Indeed, Allah is full of bounty to the people, but most of them are not grateful.”

Malay

Dan apakah sangkaan orang-orang yang mengada-adakan kata-kata dusta terhadap Allah, (tidakkah mereka akan diazabkan) hari kiamat kelak? Sebenarnya Allah jualah yang melimpahkan kurnia kepada manusia (meliputi rezeki pemberianNya dan hukum-hukum Syarak yang diturunkanNya), tetapi kebanyakan mereka tidak bersyukur.

 

وَمَا ظَنُّ الَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ

Dan apakah sangkaan orang-orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah,

Yang dimaksudkan dengan mengadakan dusta terhadap Allah ﷻ adalah dengan melakukan perkara bid’ah (dalam bentuk fahaman agama dan amalan). Mereka berdusta dengan mengatakan bahawa perkara itu baik padahal Allah ﷻ tidak pernah mengatakan sedemikian. Mereka berdusta dengan mengatakan jika dibuat sesuatu amalan itu, Allah ﷻ akan beri pahala. Padahal tidak ada dalil amalan perbuatan itu dalam syarak.

Mereka juga telah berdusta atas nama Allah ﷻ dengan mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram.

 

يَوْمَ الْقِيٰمَةِ

hari kiamat kelak?

Apakah sangkaan mereka pada hari kiamat tentang perbuatan dusta yang mereka lakukan terhadap Allah ﷻ itu? Adakah mereka sangka yang Allah ﷻ akan beri pahala kepada mereka? Adakah mereka sangka yang mereka akan selamat dan tidak dihukum dengan azab oleh Allah ﷻ? Mereka berangan akan dapat syurgakah?

Ada dalam kalangan manusia yang menyangka mereka tidak akan diazab walau apa pun yang mereka lakukan. Mereka berasa mereka akan diselamatkan. Mereka sebenarnya tidak akan selamat. Mereka akan menerima padah yang setimpalnya nanti. Tidak kira siapa mereka, mereka akan dikenakan balasan yang setimpal untuk mereka. Tidak kira mereka ulama, guru tarekat, Habib atau sesiapa sahaja, kalau buat salah, akan dibalas.

 

إِنَّ اللَّهَ لَذُو فَضْلٍ عَلَى النَّاسِ

Sebenarnya Allah mempunyai kurnia ke atas manusia

Sudah tentu mereka yang berdusta atas nama Allah ﷻ akan diberi dengan balasan azab dan mereka tidak akan diselamatkan di akhirat kelak. Akan tetapi mungkin ada yang kehairanan dan tertanya-tanya, kenapa Allah ﷻ tidak memberikan azab terus kepada mereka semasa mereka di dunia ini lagi?

Mereka tidak diberikan dengan azab itu kerana Allah ﷻ dengan rahmat-Nya telah berikan masa penangguhan untuk bertaubat. Allah ﷻ beri peluang kepada mereka berkali-kali. Inilah kurnia Allah ﷻ. Allah ﷻ melambat-lambatkan azab kepada mereka. Apabila mereka melakukan perkara syirik, perkara bid’ah, mereka-reka agama dan mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram, Allah ﷻ tidak terus matikan mereka; Allah ﷻ tidak terus azab mereka. Itulah kurnia Allah kepada mereka.

Limpah Kurnia Allah ﷻ yang besar itu juga adalah penurunan Al-Qur’an dan penurunan Nabi Muhammad ﷺ untuk mengajarkannya kepada kita. Malah banyak lagi nikmat dan rahmat yang Allah ﷻ telah berikan kepada makhluk. Sepatutnya dengan kurnia yang sebegitu banyak, sepatutnya manusia taat sahaja dan jangan memandai hendak mengubah hukum sana sini, reka ibadah sana sini, buat hal sendiri seolah-olah tidak ada Tuhan dan Nabi pula. Sikap kita sepatutnya seperti kata-kata orang beriman di dalam Baqarah:285

وَقالوا سَمِعنا وَأَطَعنا

Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat

 

وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَشْكُرُونَ

tetapi kebanyakan mereka tidak bersyukur.

Majoriti manusia memang tidak bersyukur dan memang majoriti manusia akan dimasukkan ke dalam neraka. Namun apakah maksud ‘syukur’? Syukur adalah taat kepada Allah ﷻ. Setelah Allah ﷻ beri segala nikmat kepada kita, maka tanda kita berterima kasih (syukur) adalah dengan taat kepada arahan-Nya.

Kebanyakan manusia tidak bersyukur dengan kurnia Allah ﷻ apabila tidak mengamalkan tauhid, malah melakukan syirik dan bid’ah dalam kehidupan mereka. Jika mereka bersyukur, tandanya mereka akan taat kepada Allah ﷻ dan ikut ajaran Nabi ﷺ. Namun sebelum taat أَطَعنا, kenalah dengar سَمِعنا terlebih dahulu. Kenalah belajar apa yang perlu ditaati. Malangnya Al-Qur’an dan hadith pun tidak dipelajari, bagaimana hendak tahu?

Lebih malang lagi apabila sudahlah tidak diikut ajaran Nabi ﷺ, tetapi sesuka hati pula menambah-nambah perkara baru dalam agama seperti mengatakan Sambutan Mawlid Nabi itu baik. Mereka itu sebenarnya tidak mengikut ajaran Nabi ﷺ. Mereka seolah-olah tidak berpuas dengan apa yang telah Nabi ﷺ bawakan secara lengkap itu namun ditambah pula ajaran baru dalam agama.

Habis Ruku’ 6 daripada 11 surah ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 13 Jun 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Yunus Ayat 57 (Al-Qur’an sebagai Syifa’)

KEHEBATAN AL-QUR’AN

Yunus Ayat 57: Dalam ayat sebelum ini, disebut bahawa kita akan dibawa untuk bertemu dengan Allah ﷻ akhirnya. Lalu apakah cara untuk kita selamat di akhirat nanti? Tentulah dengan menjadikan panduan Al-Qur’an sebagai pemandu hidup kita.

Maka ayat ini adalah targhib (ajakan) kepada mempelajari dan mengamalkan Al-Qur’an. Kita akan selamat kalau kita berpegang dengan ajaran Al-Qur’an. Dalam ayat sebelum ini, Allah ﷻ menyebut bahawa Dia yang menghidupkan dan mematikan. Dalam ayat ini, Allah ﷻ memberi isyarat bahawa Dia juga menghidupkan hati yang mati dengan Al-Qur’an.

يٰأَيُّهَا النّاسُ قَد جاءَتكُم مَّوعِظَةٌ مِّن رَّبِّكُم وَشِفاءٌ لِّما فِي الصُّدورِ وَهُدًى وَرَحمَةٌ لِّلمُؤمِنينَ

Sahih International

O mankind, there has to come to you instruction from your Lord and healing for what is in the breasts and guidance and mercy for the believers.

Malay

Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Qur’an yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.

 

يٰأَيُّهَا النَّاسُ

Wahai umat manusia!

Al-Qur’an sekarang sedang bercakap kepada semua manusia. Kerana Al-Qur’an ini bukan untuk orang Islam sahaja tetapi kepada semua manusia. Semua manusia patut baca dan faham mesej Al-Qur’an ini. Soalannya sekarang: Apakah yang kita telah lakukan untuk membawa mesej Al-Qur’an ini kepada manusia sejagat?

Al-Qur’an ini dapat menyelesaikan banyak masalah yang dihadapi oleh manusia sejagat. Malangnya, orang bukan Islam sudah mendapat maklumat yang salah daripada media massa. Sampaikan ada yang marah dengan Al-Qur’an sehingga mahu membakarnya! Kitalah yang mesti menjalankan tugas kita memperkenalkan mesej Al-Qur’an yang sebenar kepada mereka.

Al-Qur’an ditujukan kepada semua manusia, bukan umat Islam, bukan orang tertentu sahaja. Semua orang boleh mendapat apa yang dijanjikan di dalam ayat ini asalkan mereka mahu. Maka salahlah fahaman sesetengah umat Islam yang mengatakan Al-Qur’an ini hanya layak bagi orang tertentu sahaja, susah difahami, boleh menjadi sesat kalau belajar, dan sebagainya. Itu semua adalah hujah daripada syaitan kerana syaitan yang tidak mahu kita belajar tafsir Al-Qur’an! Dah kenapa mereka ini tolong jadi jurucakap bagi syaitan pula?

 

قَدْ جَاءَتْكُم مَّوْعِظَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ

Sesungguhnya telah datang kepada kamu nasihat dari Tuhan kamu,

Kalimah مَّوْعِظَةٌ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Al-Qur’an. Allah ﷻ tidak sebut Al-Qur’an di dalam ayat ini kerana Allah ﷻ hendak memberitahu kita sifat Al-Qur’an iaitu ia bersifat مَّوْعِظَةٌ. Kalimah مَّوْعِظَةٌ berasal daripada katadasar و ع ظ yang bermaksud menegur seseorang, menasihati; memberi peringatan tentang kebaikan, kebenaran; mengingatkan seseorang; mengingatkan orang lain untuk meninggalkan syirik dan dosa-dosa yang lain.

Al-Qur’an sememangnya mengandungi nasihat yang amat besar. مَّوْعِظَةٌ adalah jenis nasihat yang menjadikan hati lembut dan terbuka untuk menerima. Apabila hati sudah menjadi lembut, maka senang untuk diajak kepada Allah ﷻ dan taat kepada-Nya. Kesan ajakan keduniaan akan berkurangan. Hati mula ingat kepada Akhirat. Oleh itu jika hati keras, hendaklah selalu membaca Al-Qur’an supaya dapat melembutkan hati itu. Akan tetapi kenalah faham apa yang dibaca barulah ia menjadi nasihat kepada kita. Jika dibaca sahaja tanpa memahami apa yang dibaca, bagaimanakah ia mampu menjadi nasihat, bukan?

Al-Qur’an mengajak kepada kebaikan dan melarang keburukan. Mesti ada kedua-dua elemen itu – ajak kepada kebaikan dan larang kepada keburukan. Kita beri nasihat itu kerana kita memang mahukan seseorang itu beringat serta berhati-hati.

Nasihat itu juga hendaklah dilakukan dengan ikhlas serta efektif. Ayat-ayat Al-Qur’an itu kalau diteliti dan dipelajari tafsirnya dapat memberi nasihat kepada pembacanya dengan berbagai cara. Oleh kerana itu ia merupakan nasihat yang mampu memberi kesan. Bukan jenis nasihat yang mudah dilupakan selepas itu. Ia memberi kesan yang amat dalam menusuk ke dalam hati sanubari. Nasihat itu juga hendaklah diberikan kena tepat pada masanya. Nasihat itu diulang-ulang sehingga masuk ke dalam akal.

Itulah sifat-sifat Al-Qur’an dalam memberi nasihat. Al-Qur’an mengandungi semua kelebihan itu malah lebih lagi. Kita pun kena ingat yang ayat Al-Qur’an adalah Kalam Allah ﷻ, maka ia bukanlah nasihat yang biasa-biasa tentunya. Allah ﷻ yang menjadikan kita, maka Allah ﷻ tahu bagaimana cara untuk mengetuk hati kita. Kerana itu, kita sepatutnya menggunakan Al-Qur’an sebagai pemberi nasihat utama kepada manusia. Kita sepatutnya menggunakan Al-Qur’an itu sebagai pemberi nasihat, bukannya menggunakan elemen yang lain seperti nasyid, qasidah, tulisan khat dan sebagainya.

Nasihat itu datang daripada siapa? مِن رَّبِّكُمْ (daripada Allah ﷻ Tuhan kamu). Bukannya daripada manusia biasa. Oleh itu, ia sepatutnya diterima dengan senang hati oleh kita. Kita kena ambil perhatian dengan nasihat yang diberikan. Kita kena baca Al-Qur’an itu sambil merasakan bahawa Allah ﷻ sedang memberi nasihat terus kepada kita.

Di sini juga, Allah ﷻ menekankan sifat Rabb-Nya dengan penggunaan مِن رَّبِّكُمْ dan bukan مِنَ اللهِ. Ini kerana Rabb adalah sifat yang mendidik makhluk. Itulah maksud ‘tarbiyyah’ yang selalu juga kita gunakan. Oleh kerana Allah ﷻ yang mencipta kita, maka Allah ﷻ juga yang mendidik kita. Maka kita kena agungkan Allah ﷻ dan apabila kita baca Al-Qur’an, kita kena ingat perkara ini (iaitu Allah ﷻ sedang mendidik kita). Mestilah diberi perhatian seperti yang dilakukan oleh jin yang disebut dalam  Ahqaf:29

وَإِذ صَرَفنا إِلَيكَ نَفَرًا مِّنَ الجِنِّ يَستَمِعونَ القُرءآنَ فَلَمّا حَضَروهُ قالوا أَنصِتوا

Dan (ingatkanlah peristiwa) semasa Kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar Al-Qur’an; setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain): “Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!”

Lihatlah bagaimana penghormatan para jin itu menghormati pembacaan Al-Qur’an. Mereka senyap supaya dapat mendengar bacaan Al-Qur’an. Kita pun seharusnya mengikut cara jin ini sebagaimana Allah ﷻ mengajar kita dalam A’raf:204 tentang hal ini,

وَإِذا قُرِئَ القُرآنُ فَاستَمِعوا لَهُ وَأَنصِتوا لَعَلَّكُم تُرحَمونَ

Dan apabila Al-Qur’an itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.

 

وَشِفَاءٌ لِّمَا فِي الصُّدُورِ

dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit yang ada di dalam dada kamu,

Kalimah شِفَاءٌ bermaksud sesuatu yang menghilangkan penyakit. Dalam ayat ini dijelaskan bahawa Al-Qur’an adalah penawar bagi penyakit-penyakit hati. Apa yang ada dalam dada? Hati (lebih tepat ia adalah jantung tetapi orang kita sudah biasa menggunakan istilah hati). Masalah penyakit apa yang ada dalam hati? Pelbagai masalah penyakit dan yang paling teruk adalah akidah yang rosak.

Untuk menerima Al-Qur’an, hati kita mestilah terbuka untuk menerima Al-Qur’an. Kerana itulah disebut hati dan bukannya anggota lain kerana hati itulah yang paling penting seperti disebut dalam sebuah hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim:

أَلاَ وَإِنَّ فِى الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ . أَلاَ وَهِىَ الْقَلْبُ

“Ketahuilah bahawa dalam jasad ada seketul daging, apabila baik maka baiklah jasad, apabila rosak maka rosaklah jasad. Ketahuilah ia adalah hati!”

Apabila ayat ini menyebut فِي الصُّدُورِ (dalam dada) dan tidak spesifik menyebut قَلبٌ (hati), ia merangkumi lebih lagi daripada hati sahaja. Ia merangkumi apa sahaja yang ada di dalam dada, termasuk was-was dari syaitan. Ini bermaksud, Al-Qur’an bukan sahaja penawar kepada penyakit hati, ia juga adalah sebagai penawar kepada bisikan syaitan juga.

Dalam hati ada banyak penyakit, banyak masalah. Al-Qur’an adalah penawar kepada apa sahaja penyakit dalam hati. Sebagai contoh, cemburu, syirik, mementingkan diri sendiri, riak, malas, sombong, sangsi kepada Allah ﷻ dan agama, cinta kepada dunia, kesedihan, kemurungan, ujub, marah, bakhil, syahwat, tekanan perasaan dan macam-macam lagi. Semua penyakit itu memburukkan keadaan kita. Penyakit yang amat berbahaya yang boleh mengakibatkan kita susah di dunia dan akhirat.

Persoalannya apakah punca utama bagi kesemua penyakit hati ini? Ia bermula daripada kejahilan. Sebagai contoh, kerana jahil tentang Allah ﷻlah manusia membuat syirik, kerana jahil tentang qada’ dan qadarlah yang menyebabkan kemurungan, kerana jahil tentang kedudukan dirilah yang menyebabkan manusia menjadi sombong dan sebagainya. Maka ubat bagi kejahilan adalah belajar dan bertanya, kerana Nabi Muhammad ﷺ pernah bersabda:

فَإِنَّمَا شِفَاءُ الْعِيِّ السُّؤَالُ

Sesungguhnya ubat kepada kebodohan adalah bertanya

(Sunan Abu Daud 336. Disahihkan oleh al-Albani)

Al-Qur’an adalah penawar kepada semua penyakit hati itu. Malang sekali apabila terdapat golongan-golongan yang sesat yang kononnya kuat agama telah mengajar bahawa Selawat Syifa’ itulah penawar kepada penyakit hati. Ini termasuklah pengamal perubatan Islam yang mengamalkan selawat ini dan seumpamanya, golongan Tarekat dan seumpamanya dan sekolah-sekolah pondok dan seumpamanya.

Mereka telah rosakkan agama dengan mengajar selawat yang berbau syirik ini sampaikan selawat ini diamalkan di masjid, dibaca ramai-ramai selepas solat, diajar kepada semua masyarakat kerana sudah masuk dalam TV dan media massa.

Ada berbagai ruang lagi Al-Qur’an ini boleh menjadi penawar. Antaranya:

1. Penyakit mental seperti masalah berfikir, malas, susah membuat keputusan dan sebagainya. Lihat contoh Allah ﷻ mengajar manusia di dalam Baqarah:44

۞ أَتَأمُرونَ النّاسَ بِالبِرِّ وَتَنسَونَ أَنفُسَكُم وَأَنتُم تَتلونَ الكِتٰبَ ۚ أَفَلا تَعقِلونَ

Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?

 

2. Penyakit spiritual seperti yang telah disebut tadi adalah tentang syirik. Selain dari itu ada penyakit hati seperti nifaq, fasik dan kufur. Ini banyak disebut di dalam Al-Qur’an sebagai pengajaran kepada kita untuk membasminya. Antaranya,

إِنَّ اللهَ لا يَغفِرُ أَن يُشرَكَ بِهِ وَيَغفِرُ ما دونَ ذٰلِكَ لِمَن يَشاءُ ۚ وَمَن يُشرِك بِاللهِ فَقَدِ افتَرىٰ إِثمًا عَظيمًا

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya. Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar. Nisa’:48

وَإِذَا قِيلَ لَهُم ءَامِنُواْ كَمَآ ءَامَنَ ٱلنَّاسُ قَالُوٓاْ أَنُؤمِنُ كَمَآ ءَامَنَ ٱلسُّفَهَآءُ‌ۗ أَلَآ إِنَّهُم هُمُ ٱلسُّفَهَآءُ وَلَـٰكِن لَّا يَعلَمُونَ

Dan apabila dikatakan kepada mereka (golongan munafik): “Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman”. Mereka menjawab: “Patutkah kami ini beriman sebagaimana berimannya orang-orang bodoh itu?” Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). Baqarah:13

وَمَثَلُ ٱلَّذِينَ ڪَفَرُواْ كَمَثَلِ ٱلَّذِى يَنعِقُ بِمَا لَا يَسمَعُ إِلَّا دُعَآءً وَنِدَآءً صُمُّۢ بُكمٌ عُمىٌ فَهُم لَا يَعقِلُونَ

Dan bandingan (orang-orang yang menyeru) orang-orang kafir (yang tidak mahu beriman itu), samalah seperti orang yang berteriak memanggil binatang yang tidak dapat memahami selain dari mendengar suara panggilan sahaja; mereka itu ialah orang-orang yang pekak, bisu dan buta; oleh sebab itu mereka tidak dapat menggunakan akalnya. Baqarah:171

 

3. Penyakit moral yang teruk. Contohnya Allah ﷻ mengajar kita meneladani akhlak Rasulullah,

لَّقَد كانَ لَكُم في رَسولِ اللهِ أُسوَةٌ حَسَنَةٌ

Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu. Ahzab:21

وَإِنَّكَ لَعَلىٰ خُلُقٍ عَظيمٍ

Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung. Qalam:4

 

4. Bagaimana pula dengan penyakit fizikal? Berkenaan hal ini memerlukan penelitian kerana ditakuti kita menjadikan Al-Qur’an ini sebagai kitab perubatan pula sedangkan ia adalah kitab pedoman hidup. Malangnya ramai uskun (ustaz dukun) menjadikan ayat-ayat Al-Qur’an sebagai azimat penyembuh. Digunakan ayat sekian untuk penyakit sekian dan ayat itu untuk penyakit itu sedangkan tidak ada dalil sandaran baginya.

Mungkin kerana penyalahgunaan Al-Qur’an sebeginilah Hasan al-Basri pernah berkata, “Allah ‎ﷻ; menjadikan ubat terhadap penyakit-penyakit hati, dan tidak menjadikannya ubat untuk penyakit jasmani”. Jelas di sini memang ada pendapat yang tidak bersetuju ayat-ayat Al-Qur’an itu sebagai penawar fizikal. Kecuali penyakit fizikal yang bersifat psikosomatik (sakit fizikal yang timbul atau dipengaruhi oleh fikiran atau emosi).

Saya berpendapat ada beberapa ayat Al-Qur’an yang digunakan sebagai penawar sakit fizikal. Bukanlah semua dan setiap ayat itu mesti ada dalil sandarannya. Di dalam Yunus:57 ini Al-Qur’an disebut secara umum sebagai syifa’, akan tetapi di dalam Isra’:82 menyebut sebahagian (bukan semua) Al-Qur’an  menjadi syifa’.

وَنُنَزِّلُ مِنَ القُرآنِ ما هُوَ شِفاءٌ وَرَحمَةٌ لِلمُؤمِنينَ

Dan Kami turunkan sebahagian dari Al Qur’an suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman

Sebagai contoh, memang ada dalil bahawa Surah Al-Fatihah adalah syifa’. Ini disebut di dalam hadith riwayat Abu Sa’id al-Khudri رضي الله عنه:

انْطَلَقَ نَفَرٌ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفْرَةٍ سَافَرُوهَا حَتَّى نَزَلُوا عَلَى حَيٍّ مِنْ أَحْيَاءِ الْعَرَبِ فَاسْتَضَافُوهُمْ فَأَبَوْا أَنْ يُضَيِّفُوهُمْ فَلُدِغَ سَيِّدُ ذَلِكَ الْحَيِّ فَسَعَوْا لَهُ بِكُلِّ شَيْءٍ لَا يَنْفَعُهُ شَيْءٌ فَقَالَ بَعْضُهُمْ لَوْ أَتَيْتُمْ هَؤُلَاءِ الرَّهْطَ الَّذِينَ نَزَلُوا لَعَلَّهُ أَنْ يَكُونَ عِنْدَ بَعْضِهِمْ شَيْءٌ فَأَتَوْهُمْ فَقَالُوا يَا أَيُّهَا الرَّهْطُ إِنَّ سَيِّدَنَا لُدِغَ وَسَعَيْنَا لَهُ بِكُلِّ شَيْءٍ لَا يَنْفَعُهُ فَهَلْ عِنْدَ أَحَدٍ مِنْكُمْ مِنْ شَيْءٍ فَقَالَ بَعْضُهُمْ نَعَمْ وَاللَّهِ إِنِّي لَأَرْقِي وَلَكِنْ وَاللَّهِ لَقَدْ اسْتَضَفْنَاكُمْ فَلَمْ تُضَيِّفُونَا فَمَا أَنَا بِرَاقٍ لَكُمْ حَتَّى تَجْعَلُوا لَنَا جُعْلًا فَصَالَحُوهُمْ عَلَى قَطِيعٍ مِنْ الْغَنَمِ فَانْطَلَقَ يَتْفِلُ عَلَيْهِ وَيَقْرَأُ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ فَكَأَنَّمَا نُشِطَ مِنْ عِقَالٍ فَانْطَلَقَ يَمْشِي وَمَا بِهِ قَلَبَةٌ قَالَ فَأَوْفَوْهُمْ جُعْلَهُمْ الَّذِي صَالَحُوهُمْ عَلَيْهِ فَقَالَ بَعْضُهُمْ اقْسِمُوا فَقَالَ الَّذِي رَقَى لَا تَفْعَلُوا حَتَّى نَأْتِيَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَنَذْكُرَ لَهُ الَّذِي كَانَ فَنَنْظُرَ مَا يَأْمُرُنَا فَقَدِمُوا عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرُوا لَهُ فَقَالَ وَمَا يُدْرِيكَ أَنَّهَا رُقْيَةٌ؟ ثُمَّ قَالَ: قَدْ أَصَبْتُمْ اقْسِمُوا وَاضْرِبُوا لِي مَعَكُمْ سَهْمًا فَضَحِكَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

“Suatu hari sekelompok sahabat Nabi ﷺ melakukan perjalanan jauh. Di tengah perjalanan mereka singgah di sebuah kampung kabilah Arab. Mereka bertamu, namun penduduk kampung enggan untuk menjamu. Tiba-tiba ketua kampung tersebut telah disengat oleh seekor haiwan berbisa. Penduduk kampung berusaha untuk mengubati dengan segala cara, namun tidak berhasil. Ada di antara mereka yang usul, ‘Andaikan kalian mendatangi sekelompok orang yang baru tiba, siapa tahu ada di antara mereka yang memiliki sesuatu.’ Mereka pun mendatangi para sahabat Nabi ﷺ seraya berkata, ‘Wahai tuan-tuan sekalian, pembesar kami telah disengat oleh haiwan berbisa, dan kami telah berusaha dengan segala cara untuk mengubatinya namun sama sekali tidak berhasil. Apakah ada di antara kalian yang memiliki sesuatu?’ Sebahagian sahabat menjawab, ‘Ya, demi Allah saya mampu mengubati. Namun, kami telah bertamu tetapi kalian enggan menjamu kami. Saya tidak akan mengubatinya kecuali setelah kalian berjanji akan memberi upah.’ Mereka pun bersepakat untuk memberi segerombolan kambing.
Lalu, sahabat tadi menghembus nafas berserta sedikit ludah dari mulutnya dan membaca Alhamdulillahirabbil’alamin. Detik itu juga si ketua kampung bangkit dan mampu berjalan, seolah tidak terkena apapun.
Mereka pun memenuhi janjinya untuk memberi upah. Sebahagian sahabat berkata, ‘Bahagikanlah.’ Orang yang meruqyah menjawab, ‘Jangan lakukan kecuali setelah kita mendatangi Rasulullah ﷺ dan menceritakan kejadian ini. Lalu kita lihat apa yang diputuskan Rasul ﷺ.’
Sesampainya di hadapan Rasul ﷺ mereka bercerita. Baginda pun bersabda, ‘Dari manakah engkau mengetahui bahawa Surah al-Fatihah adalah ruqyah? Apa yang kalian lakukan benar, bahagikan (kambing tersebut) dan beri aku satu bahagian.’ Sambil baginda tersenyum.”
(Hadith Riwayat Bukhari)

Ibnu Qayyim al-Jauziyyah percaya bahawa Surah al-Fatihah merupakan ubat bagi segala penyakit hati dan badan. Beliau menceritakan pengalamannya di dalam kitab Daa wa dawa’. Pada suatu hari ketika berada di Makkah, beliau ditimpa penyakit tetapi tidak menjumpai tabib (doktor) atau ubat yang boleh merawatnya. Lalu beliau cuba mengubati penyakitnya dengan membacakan Surah al-Fatihah pada air zam-zam lalu meminumnya. Kemudian beliau mendapati air itu memberikan kesan yang menakjubkan. Selepas pengalaman itu beliau cuba menjadikan bacaan Surah al-Fatihah sebagai ruqyah bagi penyakit yang dialaminya.

Muawwizatain (Surah An-Nas dan Al-Falaq) juga ada dalilnya,

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَنْفُثُ عَلَى نَفْسِهِ فِي الْمَرَضِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ بِالْمُعَوِّذَاتِ فَلَمَّا ثَقُلَ كُنْتُ أَنْفِثُ عَلَيْهِ بِهِنَّ وَأَمْسَحُ بِيَدِ نَفْسِهِ لِبَرَكَتِهَا فَسَأَلْتُ الزُّهْرِيَّ كَيْفَ يَنْفِثُ قَالَ كَانَ يَنْفِثُ عَلَى يَدَيْهِ ثُمَّ يَمْسَحُ بِهِمَا وَجْهَهُ

Daripada ‘Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا bahawa Nabi ﷺ selalu meniupkan diri baginda sendiri dengan Mu’awwidzat (surah pelindung) dalam sakit yang membawa wafatnya, dan tatkala sakit baginda semakin parah, sayalah yang meniup dengan surah pelindung tersebut dan saya mengusapnya dengan tangan baginda sendiri kerana berharap untuk mendapat berkahnya.” Aku (perawi) bertanya kepada Az Zuhri (perawi); “Bagaimana cara meniupnya?” dia menjawab; “Baginda meniup kedua tangannya, kemudian baginda mengusapkan ke wajah dengan kedua tangannya.”
(Sahih Bukhari (5294))

Oleh sebab itu hanya ayat-ayat yang berdalil sahaja yang boleh digunakan untuk mengubati penyakit fizikal. Memang tidak banyak ayat kerana Al-Qur’an lebih mementingkan penyakit hati lagi daripada penyakit fizikal. Penyakit fizikal boleh diubati dengan mencari penawar fizikal seperti ubatan, jaga pemakanan serta jaga kesihatan dengan bersenam dan sebagainya.

 

وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ

dan juga menjadi hidayah petunjuk, serta rahmat bagi orang-orang yang beriman.

Seperti kita pernah sebut sebelum ini, Al-Qur’an ini adalah untuk setiap manusia. Akan tetapi yang boleh mengambil manfaat daripadanya hanyalah orang-orang yang beriman sahaja. Ia menjadi petunjuk kepada kehidupan dan apabila ia dijadikan panduan, maka manusia itu akan mendapat rahmat.

Al-Qur’an adalah sebagai hidayah petunjuk kepada kita. Apabila kita sudah menerima Al-Qur’an dalam hati kita, barulah kita akan senang untuk menerima petunjuk dalam Al-Qur’an itu. Barulah senang untuk kita menerima hukum-hukum yang Allah ﷻ sampaikan dalam Al-Qur’an. Kita tidak berasa berat untuk taat kepada arahan hukum dalam Al-Qur’an.

Apabila kita sudah menerima hidayah daripada Allah ﷻ, barulah kita akan berasa tenang, rasa betapa manisnya iman. Hendak beribadat pun terasa ringan. Itu bermakna kita sudah mendapat رَحْمَةٌ (rahmat) daripada Allah ﷻ.

Selain daripada orang-orang yang beriman, mereka yang lain tidak akan mendapat manfaat daripada Al-Qur’an ini. Dalam Isra’:82 juga telah disebut:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا

Dan Kami turunkan dari Al-Qur’an ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Qur’an tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.

Dalam Fussilat:44 juga Allah ﷻ telah berfirman:

قُلْ هُوَ لِلَّذِينَ آمَنُوا هُدًى وَشِفَاءٌ وَالَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ فِي آذَانِهِمْ وَقْرٌ وَهُوَ عَلَيْهِمْ عَمًى أُولَٰئِكَ يُنَادَوْنَ مِن مَّكَانٍ بَعِيدٍ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Al-Qur’an itu, menjadi (cahaya) petunjuk serta penawar bagi orang-orang yang beriman; dan sebaliknya orang-orang yang tidak beriman, (Al-Qur’an itu) menjadi sebagai satu penyakit yang menyumbat telinga mereka (bukan penawar); dan ia juga merupakan gelap-gelita yang menimpa (pandangan) mereka (bukan cahaya yang menerangi). Mereka itu – (tidak ubahnya seperti) orang-orang yang diseru dari tempat yang jauh”.

Juga Allah ﷻ telah berfirman bahawa hanya orang bertaqwa sahaja yang akan mendapat penerangan daripada Al-Qur’an dalam Ali Imran:138

هَٰذَا بَيَانٌ لِّلنَّاسِ وَهُدًى وَمَوْعِظَةٌ لِّلْمُتَّقِينَ

(Al-Qur’an) ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia, dan petunjuk serta pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.

Hebat sekali apa yang manfaat yang kita akan dapat kalau berkawan dengan Al-Qur’an. Pernah ada sahabat datang kepada Nabi ﷺ dan mengadu bahawa hatinya tidak tenang. Nabi ﷺ telah menyuruh sahabat itu membaca Al-Qur’an. Jelas bahawa Al-Qur’an itu dapat menenangkan hati.

Oleh itu sekiranya hati kita berasa tidak tenang dan berasa resah gelisah, maka hendaklah kita memperbanyakkan membaca Al-Qur’an. Janganlah dibiarkan sahaja jika kita mempunyai masalah dengan hati kita. Kita sebagai manusia yang bertanggungjawab untuk mencari penawar kepada hati kita itu kerana jika dibiarkan begitu sahaja, ia boleh merebak dan menjadi lebih teruk. Ia boleh sampai kepada tahap yang paling parah, sehingga mungkin boleh timbul rasa putus asa serta tiada harapan yang boleh menjurus ke arah rasa ingin bunuh diri pula. Allah ﷻlah yang telah menjadikan hati kita dan Allah ﷻlah juga yang mengajar kita bagaimana caranya untuk merawat hati kita.

Sebagaimana setiap penyakit memerlukan ubat yang sesuai, maka hendaklah kita menggunakan penawar kepada penyakit hati yang sesuai. Bukan itu saja. Sebagaimana ubat untuk penyakit kita yang lain, ubat itu hendaklah dimakan dan digunakan dengan cara yang betul. Katakanlah kita membeli ubat dan kita hanya meletaknya sahaja di atas meja, atau kita hanya bercakap dan membaca sahaja tentang ubat itu, adakah kita akan sembuh?

Tentulah tidak kerana ubat itu perlu dimakan atau disapukan pada badan kita dengan menggunakan cara yang betul. Kita juga perlu selalu menggunakan ubat itu dan bukan hanya makan sekali dua sahaja dan berharap penyakit kita akan sembuh. Ada ubat yang perlu dimakan setiap hari sepanjang hidup kita seperti ubat penyakit hipertensi ataupun diabetes

Begitulah juga dengan Al-Qur’an ini. Bukan kita lihat sahaja Al-Qur’an itu. Bukan kita gantung Al-Qur’an itu di dinding atau diletakkan di bawah bantal. Bukan kita susun sahaja di dalam almari. Kita kenalah baca setiap ayat di dalam Al-Qur’an itu dan kita perlu memahami apa yang kita baca. Kita juga mesti selalu membaca Al-Qur’an itu, bukan sebulan sekali dan bukan setahun sekali semasa Ramadhan sahaja. Kita mesti baca dan mengkaji Al-Qur’an itu setiap hari.

Bagaimana Al-Qur’an itu boleh menjadi penawar kepada hati manusia? Seperti yang kita tahu, Al-Qur’an itu adalah Kalam Allah ﷻ. Ia adalah seolah-olah Allah ﷻ berkata-kata dengan kita. Allah ﷻ tahu apa yang kita perlukan dan Allah ﷻ telah beri jawapan kepada segala masalah kita di dalam Al-Qur’an.

Sebagai contoh, sekiranya kita berasa sangsi sama ada Allah ﷻ melihat kita ataupun tidak, Al-Qur’an akan memberitahu kita yang Dia sedang melihat kita; jikalau kita berasa lemah dan sedih dengan musibah yang menimpa kita, Al-Qur’an akan memberitahu yang musibah itu adalah sebagai ujian untuk kita.

Jika kita berasa tidak suka kepada sesuatu yang menimpa kita, Al-Qur’an akan memberitahu kita bahawa ada perkara yang kita tidak suka, tetapi ia adalah baik untuk kita; jika kita marah, Al-Qur’an akan ajar kita untuk bersabar. Malah bermacam-macam lagi nasihat yang kita akan dapat daripada pembacaan dan pemahaman Al-Qur’an.

Dengan membaca Al-Qur’an dan memahaminya, hati kita akan menjadi tenang seperti firman Allah dalam Rad: 28

الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللَّهِ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan mengingat Allah”. Ketahuilah dengan “mengingat Allah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.

Di manakah terdapatnya zikir kepada Allah ﷻ itu? Ia terdapat di dalam Al-Qur’an. Cara terbaik untuk mengingati Allah ﷻ adalah dengan membaca Al-Qur’an.

Ada orang yang kita nampak secara luarannya adalah kaya dan cukup segala-galanya dari segi material dan keperluan hidup ini namun hati mereka tidak tenang dan tenteram kerana hati mereka tidak merasa puas. Mereka menggunakan duit mereka untuk beli macam-macam, pergi melancong ke merata tempat, tetapi hati mereka masih tidak puas. Ini kerana apa yang mereka lakukan itu bukanlah penawar sebenar kepada hati mereka tetapi hanyalah sekadar ‘distractions’ (mengalihkan perhatian) daripada masalah sebenar iaitu hati yang tidak tenteram.

Penawarnya ada di dalam Al-Qur’an. Mereka yang tidak menemui penawar di dalam Al-Qur’an itu adalah bagaikan seorang kanak-kanak yang kelaparan, namun ibunya tidak memberinya makan tetapi hanya dipeluk-peluknya sahaja anaknya itu. Penawar kepada tangisan kanak-kanak itu adalah diberi makanan dan bukannya dialihkan perhatiannya dengan hanya memeluknya sahaja. Begitulah juga hati yang tidak tenteram ini yang kelaparan memerlukan ‘makanan’ daripada Al-Qur’an itu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 12 Jun 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

SYIFA DALAM PERSPEKTIF AL-QUR’AN

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Yunus Ayat 54 – 56 (Tebusan tidak diterima)

Yunus Ayat 54: Allah sebut penyesalan mereka dan apa yang sanggup mereka lakukan untuk melepaskan diri mereka.

وَلَو أَنَّ لِكُلِّ نَفسٍ ظَلَمَت ما فِي الأَرضِ لَافتَدَت بِهِ ۗ وَأَسَرُّوا النَّدامَةَ لَمّا رَأَوُا العَذابَ ۖ وَقُضِيَ بَينَهُم بِالقِسطِ ۚ وَهُم لا يُظلَمونَ

Sahih International

And if each soul that wronged, had everything on earth, it would offer it in ransom. And they will confide regret when they see the punishment; and they will be judged in justice, and they will not be wronged

Malay

Dan pada masa itu, sekiranya tiap-tiap seorang yang berlaku zalim (kepada dirinya sendiri atau kepada orang lain) itu mempunyai segala yang ada di bumi, tentulah dia rela menebus dirinya dengan semuanya itu (dari azab yang akan menimpanya); dan mereka tetap akan merasa sesal serta kecewa manakala mereka melihat azab itu; dan Allah putuskan hukum di antara mereka dengan adil serta mereka tidak akan dianiaya dengan keputusan itu.

 

وَلَوْ أَنَّ لِكُلِّ نَفْسٍ ظَلَمَتْ مَا فِي الْأَرْضِ

Dan sekiranya tiap-tiap jiwa yang melakukan kezaliman itu mempunyai segala yang ada di bumi,

‘Zalim’ itu adalah ‘tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya’. Lagi satu maksud: mengurangkan. Ada banyak jenis kezaliman. Ada kezaliman yang dilakukan terhadap Allah , ada yang dilakukan terhadap diri sendiri, dan ada yang dilakukan kepada orang lain.

Zalim yang paling besar adalah zalim terhadap Allah ﷻ iaitu dengan melakukan syirik. Ia dianggap sebagai zalim kerana tidak meletakkan Allah ﷻ pada kedudukan yang sepatutnya dan juga kerana mengurangkan hak Allah ﷻ. Akan tetapi maksud zalim dalam ayat ini adalah dalam bentuk yang umum yang merangkumi semua kezaliman di mana kita tidak memberikan hak kepada manusia lain.

‘Kalaulah mereka yang zalim itu mempunyai harta sebesar bumi ini’. Namun begitu tentulah mustahil untuk seorang individu memiliki semua harta di dalam dunia ini. Orang yang paling kaya dalam dunia pun hanya memiliki sebahagian kecil sahaja malah terlalu kecil sebenarnya daripada keseluruhan kekayaan itu. Maka ayat ini hanyalah berbentuk retorik sahaja.

Apakah yang mereka akan lakukan kalau mereka ada harta sebanyak itu?

 

لَافْتَدَتْ بِهِ

tentulah dia rela menebus dirinya dengannya;

Mereka akan sanggup untuk memberikan kesemua sekali harta mereka untuk menebus diri mereka. Biar tidak tinggal sedikit pun asalkan mereka selamat. Mereka langsung sudah tidak mahukan lagi harta itu. Ini adalah kerana mereka telah melihat sendiri bagaimana hebat dan sengsaranya Hari Kebangkitan itu. Mereka sudah tahu bahawa mereka tidak akan selamat. Mereka tahu yang mereka akan diazab. Dulu mereka tidak sangka seperti disebut di dalam Zumar: 47

وَلَو أَنَّ لِلَّذينَ ظَلَموا ما فِي الأَرضِ جَميعًا وَمِثلَهُ مَعَهُ لَافتَدَوا بِهِ مِن سوءِ العَذابِ يَومَ القِيٰمَةِ ۚ وَبَدا لَهُم مِنَ اللهِ ما لَم يَكونوا يَحتَسِبونَ

Dan sekiranya orang-orang zalim itu mempunyai segala apa jua yang ada di bumi, disertai sebanyak itu lagi, tentulah mereka rela menebus diri mereka dengannya daripada azab seksa yang buruk pada hari kiamat, setelah jelas nyata kepada mereka dari (hukum) Allah, azab yang mereka tidak pernah fikirkan.

Seperti yang kita telah sebutkan, tidak ada manusia yang memiliki keseluruhan harta di dunia ini. Sudahlah tidak ada yang boleh memiliki dunia ini dan isinya, dan kalau dia memiliki seluruh dunia ini pun, dan hendak diberikan sebagai tebusan pun tidak akan diterima. Yang penting pada waktu itu adalah iman. Ini bermakna iman yang ada pada kita lebih berharga dan lebih besar nilainya daripada dunia ini keseluruhannya.

Akan tetapi oleh kerana terlalu sayangkan harta dunia yang tidak bernilai ini, manusia telah meninggalkan iman mereka. Cinta kepada dunia inilah yang menyebabkan manusia melakukan berbagai-bagai dosa. Mereka sudah tidak kisah tentang agama. Inilah yang dinamakan ‘hubbud dunya‘ – cinta dunia.

Mereka terlalu sayangkan harta mereka, sampaikan kalau boleh, mereka hendak bawa ke dalam kubur. Namun apabila mereka melihat azab di depan mata mereka, mereka sanggup memberikan harta-harta mereka walaupun sebanyak dunia kerana pada waktu itu barulah mereka sedar bahawa harta itu sebenarnya tidak bernilai pun. Namun begitu adakah ia diterima? Tidak sama sekali seperti disebut dalam Ali Imran:91

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا وَمَاتُوا وَهُمْ كُفَّارٌ فَلَن يُقْبَلَ مِنْ أَحَدِهِم مِّلْءُ الْأَرْضِ ذَهَبًا وَلَوِ افْتَدَىٰ بِهِ

Sesungguhnya orang-orang yang kafir, lalu mati sedang mereka tetap kafir, maka tidak sekali-kali akan diterima daripada seseorang di antara mereka: emas sepenuh bumi, walaupun dia menebus dirinya dengan (emas yang sebanyak) itu.

Namun betapa malangnya, kesedaran itu tidak akan berguna pada waktu itu. Tebusan daripada mereka itu tidak akan diterima. Walaupun mereka berikan emas sepenuh bumi ini, malah kalau ditambah sekali ganda pun, tidak akan diterima kerana Allah ﷻ tidak memerlukan harta. Harta tidak digunakan di akhirat. Yang digunakan hanyalah pahala dan dosa, itulah yang menjadi mata wang (currency) di sana nanti. Ini seperti disebut dalam sebuah hadith.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ
أتَدْرُونَ مَنْ الْمُفْلِسُ قَالُوا الْمُفْلِسُ فِينَا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ لَا لَهُ دِرْهَمَ وَلَا دِينَارَ وَلَا مَتَاعَ قَالَ الْمُفْلِسُ مِنْ أُمَّتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَنْ يَأْتِي بِصَلَاةٍ وَصِيَامٍ وَزَكَاةٍ وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ عِرْضَ هَذَا وَقَذَفَ هَذَا وَأَكَلَ مَالَ هَذَا وَضَرَبَ هَذَا فَيُقْعَدُ فَيَقْتَصُّ هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَ عَلَيْهِ ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda: “Tahukah kalian siapakah yang disebut dengan orang yang muflis?” Para sahabat menjawab; “Orang yang muflis menurut kami wahai Rasulullah, adalah orang yang tidak punya dirham dan dinar serta harta benda.”

Baginda bersabda: “Seorang muflis daripada kalangan umatku ialah seorang yang datang pada hari Kiamat dengan pahala solat, puasa dan zakat, namun (pada masa yang sama) dia juga membawa dosa mencaci maki, menuduh, serta memakan harta orang lain serta membunuh dan menyakiti orang lain.”

“Setelah itu diberikan kepadanya sebahagian daripada pahala-pahala kebaikannya dan diberikan kepada orang itu pula sebahagian pahalanya, hinggalah akhirnya habis pahalanya namun belum lagi terbayar dosa-dosa yang tertanggung atasnya, lalu diambil sebahagian dosa-dosa mereka tadi untuk dibebankan ke atasnya hingga akhirnya dia dihumban ke dalam neraka (kerana banyak dosa).”

(Riwayat Imam Ahmad No: 8062) Status: Hasan Sahih

Itulah akibatnya jika kita berlaku zalim terhadap orang lain. Maka hendaklah sentiasa beringat agar tidak menzalimi manusia lain apatah lagi jangan sesekali kita berlaku zalim terhadap Allah ﷻ. Segala wang serta harta yang banyak di dunia pun langsung tidak berguna. Namun begitu untuk manusia sebegini, apabila tidak boleh menggunakan harta, mereka tetap juga hendak menyelamatkan diri mereka dengan cara rasuah.Agaknya apa yang mereka akan gunakan? Ini disebut dalam Ma’arij:11-14

يُبَصَّرونَهُم ۚ يَوَدُّ المُجرِمُ لَو يَفتَدي مِن عَذابِ يَومِئِذٍ بِبَنيهِ

Padahal masing-masing diberi melihat setengahnya yang lain; (pada saat yang demikian) orang yang kafir suka kiranya dapat menebus dirinya dari azab itu dengan anak-anaknya sendiri,

وَصاحِبَتِهِ وَأَخيهِ

Dan isteri serta saudaranya,

وَفَصيلَتِهِ الَّتي تُؤويهِ

Dan kaum kerabatnya yang melindunginya,

وَمَن فِي الأَرضِ جَميعًا ثُمَّ يُنجيهِ

Dan juga sekalian makhluk yang ada di bumi – kemudian (diharapkannya) tebusan itu dapat menyelamatkannya.

Bagaimanakah cara mereka hendak menebus diri mereka itu? Mereka akan kata jangan azab mereka, tetapi azablah anak, isteri, saudara dan sesiapa sahaja yang berkaitan dengan mereka. Mereka akan cuba melepaskan diri mereka sehingga sanggup menjual isteri, anak sampailah kesemua makhluk yang ada di bumi ini! Begitu terdesak sekali mereka ini. Perbuatan ini pun tidak langsung akan diterima oleh Allah ﷻ.

Namun hakikat sebenarnya amat mudah bagi Allah ﷻ untuk menerima kita dan menyelamatkan kita jika kita istighfar dan meminta ampun semasa kita masih hidup lagi di dunia ini sekarang. Tidakkah mereka sedar betapa mudahnya untuk mendapat redha Allah ﷻ dan minta keselamatan daripada Allah ﷻ? Tidak perlu bersusah payah untuk memberi segala harta yang ada. Atau menjual anak, isteri serta sekalian makhluk yang ada. Maka ambillah peluang semasa nyawa dikandung badan ini untuk bertaubat dan memperbaiki diri. Buatlah persediaan untuk akhirat.

Perlu diingatkan, harta yang bernilai di sisi Allah ﷻ adalah harta yang diinfak lebih-lebih lagi harta yang kita dicintai. Sebaliknya harta yang banyak itu menjadi sia-sia belaka. Kita tinggalkan harta yang banyak pun hanya akan menjadi rebutan waris kita sahaja.

وَأَسَرُّوا النَّدَامَةَ

dan mereka akan merahsiakan sesal mereka

Kalimah أَسَرُّوا dari katadasar س ر ر yang bermaksud ‘menyembunyikan’ daripada maksudnya yang literal. Maknanya, mereka akan menyesal dengan nasib mereka dan mereka akan menyembunyikan perasaan sesal mereka itu.

Mereka juga menyembunyikan diri mereka daripada orang yang mereka telah sesatkan semasa di dunia. Ramai guru-guru yang mengajar amalan yang salah kepada anak murid dan sekarang mereka rasa amat malu. Ini mengajar kita supaya berhati-hati dengan apa yang kita ajar.

Kalimah bahasa Arab kadang-kadang menyampaikan maksud yang berlawanan daripada perkataan literal yang digunakan. Satu perkataan boleh mengandungi dua maksud yang berlawanan. Maka, kalimah أَسَرُّوا boleh membawa maksud ‘menyembunyikan’ dan juga boleh membawa maksud ‘menzahirkan’. Kebiasaannya, apabila manusia ditimpa malapetaka, dia akan melakukan salah satu atau kedua-duanya sekali. Iaitu pada permulaan dia akan cuba sembunyikan kekesalannya tetapi kemudiannya dia akan menzahirkannya. Begitu juga di dalam ayat lain ada disebut sebutan penyesalan daripada mereka. Yang pasti penyesalan tetap berlaku.

Mungkin pada mulanya, dia akan cuba menyembunyikan kesesalannya itu. Seolah-olah apa yang terjadi kepadanya itu tidak memberi kesan kepadanya. Namun lama kelamaan dia akan menunjukkan juga kesesalannya itu. Kemungkinan dia akan menangis, kemungkinan dia akan meraung kesedihan sambil menggigit tangan (bukan gigit jari lagi). Ini seperti disebut Furqan:27

وَيَومَ يَعَضُّ الظّالِمُ عَلىٰ يَدَيهِ يَقولُ يٰلَيتَنِي اتَّخَذتُ مَعَ الرَّسولِ سَبيلًا

Dan (ingatlah) hari (ketika itu) orang yang zalim menggigit dua tangannya, seraya berkata: “Aduhai kiranya (dulu) aku mengambil jalan bersama-sama Rasul”.

Kalimah النَّدَامَةَ berasal daripada katadasar ن د م yang bermaksud ‘sesal’, ‘sedih’. Juga bermaksud perasaan tidak senang dalam hati. Perasaan tidak senang itu kerana ‘ada sesuatu’ atau ‘tidak ada sesuatu’. Ada yang rasa sedih sebab ‘ada sesuatu’ seperti sakit dan sebagainya. Ada pula yang rasa tidak sedap hati sebab ‘tidak ada sesuatu’ seperti tidak ada duit.

Orang-orang yang tidak beriman dan yang telah berlaku zalim semasa di dunia itu akan merasa sesal, sedih yang amat sangat kerana mereka ketika itu tidak ada iman. Mereka menyesal kerana tidak percaya dengan ajaran tauhid semasa mereka hidup di dunia. Mereka sesal kerana tidak bersiap sedia untuk menghadapi akhirat dengan pahala yang banyak. Mereka akan menyesal kerana mereka tahu yang mereka tidak ada kesempatan untuk menyelamatkan diri mereka lagi.

Bilakah mereka akan berasa sedih dan menyesal yang amat sangat itu?

 

لَمَّا رَأَوُا الْعَذَابَ

apabila mereka melihat azab itu;

Mereka akan menjadi amat terkejut kerana mereka melihat azab yang mereka tidak pernah sangka. Dulu azab yang mereka persoalkan dan minta dipercepatkan itu (kerana tidak percaya) sekarang sudah ada di depan mata mereka.

Mereka amat takut tetapi mereka akan cuba menyembunyikan rasa bersalah mereka. Sepertimana situasi di mahkamah, orang yang bersalah akan cuba menunjukkan muka tidak bersalah. Dengan harapan, hakim dan orang ramai tidak nampak kesalahan pada air muka mereka.

 

وَقُضِيَ بَيْنَهُم بِالْقِسْطِ

dan akan diputuskan hukum di antara mereka dengan adil

Sesal pun tidak boleh berbuat apa lagi. Perbezaan manusia tentang agama akan diputuskan di akhirat kelak oleh Allah ﷻ. Kalau dalam dunia ini sekarang, berbagai-bagai pendapat yang bercanggah antara satu sama lain. Yang tidak beriman akan menolak ajaran tauhid dan sunnah.

Kemudian ada Nabi dan rasul yang ditentang oleh umatnya. Ahli-ahli bid’ah dan yang mengamalkan syirik telah menentang penyebar penyebar tauhid. Ahli sunnah kata mereka yang benar dan ahli bid’ah kata mereka yang benar. Siapakah yang benar sebenarnya?

Siapa yang benar akan diputuskan oleh Allah ﷻ di akhirat kelak. Allah ﷻ akan menghukum siapakah yang benar dan Allah ﷻ akan membalas mereka yang benar dengan kebaikan serta Allah ﷻ akan balas dengan keburukan siapa yang salah. Malangnya semuanya sudah terlambat hanya jika tahu bersalah pada waktu itu. Maka kita mestilah banyak berfikir dan menilai dengan sebaik-baiknya mana satu jalan dan pendapat yang benar.

 

وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

serta mereka tidak akan dianiaya dengan keputusan itu.

Setiap makhluk akan mendapat apa yang layak untuk mereka. Allah ﷻ tidak akan zalim dalam memberi hukum. Allah ﷻ tidak salah dalam membuat keputusan kerana Allah ﷻ tahu segala-galanya. Manusia sahaja yang zalim tetapi Allah ﷻ tidak pernah dan tidak akan zalim.


 

Yunus Ayat 55: Dalil Aqli. Kenapakah Allah ﷻ sahaja yang layak menentukan siapa yang salah dan siapa yang benar? Allah ﷻ berikan dalil di dalam ayat ini.

أَلا إِنَّ لِلَّهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۗ أَلا إِنَّ وَعدَ اللَّهِ حَقٌّ وَلٰكِنَّ أَكثَرَهُم لا يَعلَمونَ

Sahih International

Unquestionably, to Allah belongs whatever is in the heavens and the earth. Unquestionably, the promise of Allah is truth, but most of them do not know

Malay

Ingatlah! Sesungguhnya segala yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaan Allah. Awaslah! Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

 

أَلَا إِنَّ لِلَّهِ مَا فِي السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

Ingatlah! Sesungguhnya segala yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaan Allah.

Dalam ayat sebelum ini diberitahu yang kalaulah orang yang malang di akhirat itu hendak menyerahkan segala harta sepenuh bumi untuk menebus dirinya, ia tidak akan diterima. Hakikatnya mereka sebenarnya memang tidak mempunyai harta kerana di dalam ayat ini Allah ﷻ mengingatkan bahawa semua yang di langit dan di bumi adalah milik Allah ﷻ yang mutlak. Maka, sememangnya mereka tidak mempunyai apa-apa pun untuk dijadikan tebusan.

Oleh kerana apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi adalah milik Allah ﷻ, maka Allah ﷻ lah sahaja yang layak untuk menentukan siapa yang benar dan siapa yang salah. Akal kita sepatutnya faham perkara ini dan sebab itulah ini adalah dalil aqli. Memang surah ini banyak menyebut dalil-dalil aqli. Allah ﷻ sahaja yang layak untuk membuat keputusan itu kerana hanya Dia sahaja yang memiliki alam ini dan tidak berkongsi pemilikan alam ini dengan sesiapapun.

Sekiranya ada makhluk yang tidak bersetuju dengan hukum yang Allah ﷻ telah tetapkan, maka silalah tinggalkan alam ini dan hidup di alam yang lain. Sebagaimana jikalau ada orang yang tidak suka mengikut peraturan rumah kita, kenalah dia keluar dari rumah kita, bukan? Akan tetapi ke mana lagi makhluk itu hendak pergi? Adakah terdapat alam lain yang dia boleh ambil perlindungan?

Apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi termasuklah Nabi, wali dan malaikat itu semuanya adalah kepunyaan Allah ﷻ semata-mata. Oleh itu, kenapa kita tidak terus sembah dan minta doa kepada Allah ﷻ sahaja? Kenapa kita perlu meminta dengan Nabi, wali dan malaikat? Kenapa perlukan perantaraan melalui mereka pula? Allah ﷻ tidak pernah ajar pun. Tidak ada dalil yang jelas membenarkan fahaman salah ini. Yang banyak di dalam Al-Qur’an adalah perintah untuk terus berdoa kepada Allah ﷻ.

 

أَلَا إِنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ

Ingatlah! Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar,

Iaitu janji Allah ﷻ bahawa kiamat dan akhirat akan berlaku; Allah ﷻ menjanjikan syurga khas untuk orang beriman manakala neraka untuk orang yang ingkar dan semua itu akan benar-benar berlaku. Selain daripada itu banyak lagi perkara-perkara yang telah dijanjikan oleh Allah ﷻ yang pasti akan berlaku.

Percayalah kepada janji Allah ﷻ ini. Janganlah tertipu dengan dunia dan syaitan seperti disebut dalam Fatir:5. Ini kerana dunia berjanji dan syaitan juga berjanji, tetapi mereka tidak akan menepati janji mereka.

يٰأَيُّهَا النّاسُ إِنَّ وَعدَ اللهِ حَقٌّ ۖ فَلا تَغُرَّنَّكُمُ الحَيَوٰةُ الدُّنيا ۖ وَلا يَغُرَّنَّكُم بِاللهِ الغَرورُ

Hai manusia, sesungguhnya janji Allah adalah benar, maka sekali-kali janganlah kehidupan dunia memperdayakan kamu dan sekali-kali janganlah syaitan yang pandai menipu, memperdayakan kamu tentang Allah.

 

وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

Ramai manusia yang tidak tahu tentang hari kiamat. Mereka tidak tahu apa yang akan berlaku. Ini adalah kerana mereka sibuk mengejar dunia. Maka kita jangan ikut kebanyakan manusia. Kebanyakan manusia akan masuk neraka. Takkan kita hendak ikut mereka, bukan?

Oleh itu, kepada mereka yang tahu seperti orang Islam, adakah mereka selalu memikirkan tentang janji-janji Allah ﷻ itu? Apa yang kita nampak, ramai yang tidak mengendahkan langsung tentang janji-janji Allah ﷻ itu. Jikalau mereka selalu memikirkan tentang janji-janji Allah ﷻ itu, tentunya amal perbuatan mereka berubah.

Jika mereka benar-benar berfikir, tentu mereka tidak akan berlaku zalim kepada Allah ﷻ, kepada diri sendiri atau kepada orang lain. Tidaklah mereka akan hidup di dunia ini seperti mereka akan terus hidup selama-lamanya. Tidaklah mereka membuang masa dengan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti mengejar dunia tanpa hujungnya.

Kesimpulannya, kita tahu daripada ayat ini bahawa ramai manusia yang tidak tahu dan jika pun mereka tahu, ramai yang tidak memberikan perhatian kepada janji Allah ﷻ itu.


 

Yunus Ayat 56: Dalil Aqli lagi.

هُوَ يُحيي وَيُميتُ وَإِلَيهِ تُرجَعونَ

Sahih International

He gives life and causes death, and to Him you will be returned

Malay

Dia lah yang menghidupkan dan yang mematikan, dan kepadaNyalah kamu akan dikembalikan untuk menerima balasan.

 

هُوَ يُحْيِي وَيُمِيتُ

Dia lah yang menghidupkan dan yang mematikan,

Hanya Allah ﷻ sahaja yang boleh menghidupkan dan mematikan dan tidak ada entiti yang lain yang boleh buat perkara yang sama. Walaupun Namrud berhujah dengan Nabi Ibrahim عليه السلام yang dia pun menghidupkan dan mematikan seperti disebut dalam Baqarah:258

أَلَم تَرَ إِلَى الَّذي حاجَّ إِبرٰهِـۧمَ في رَبِّهِ أَن ءَاتَٮٰهُ اللَهُ المُلكَ إِذ قالَ إِبرٰهِـۧمُ رَبِّيَ الَّذي يُحيي وَيُميتُ قالَ أَناْ أُحيي وَأُميتُ

Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: “Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan”. Dia menjawab: “Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan”.

Namrud berkata dia ‘menghidupkan’ dengan membebaskan orang yang telah dijatuhi hukuman bunuh. Kononnya dia ‘mematikan’ dengan menjatuhkan hukuman bunuh. Akan tetapi betapa ceteknya hujah itu kerana budak sekolah rendah pun tahu bukan itu yang dimaksudkan oleh Nabi Ibrahim عليه السلام. Maknanya bodoh sangat Namrud itu. Sebab itulah namanya tidak disebut pun dalam Al-Qur’an sebab tidak layak disebut. Walaupun kerajaannya lebih besar daripada kerajaan Firaun, tetapi nama Firaun yang banyak disebut. Ini kerana hujah-hujah Firaun bernas-bernas juga. Sebab itu Allah ﷻ banyak membalas hujah-hujah Firaun kerana manusia kebanyakannya menggunakan hujah yang sama (oleh itu ia memerlukan jawapan).

Ini adalah dalil aqli yang Allah ﷻ berikan. Kalau Dia yang menghidupkan dan mematikan, kenapa tidak sembah dan taat kepada-Nya sahaja? Kenapa dicari ilah-ilah lain yang direka itu? Adakah mereka boleh menghidupkan dan mematikan? Tentu tidak.

 

وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

dan kepada-Nyalah kamu akan dikembalikan

Allah ﷻ mengingatkan sekali lagi di dalam ayat ini seperti dalam banyak ayat-ayat yang lain, bahawa kita semuanya akan dikembalikan kepada-Nya. Pada waktu itu kita semua akan menerima balasan yang setimpal untuk kita.

Susunan ayat ini juga memberi isyarat khusus. Susunan biasa adalah تُرْجَعُونَ إِلَيْهِ namun Allah ﷻ tidak gunakan susunan biasa. Apabila kalimah إِلَيْهِ didahulukan (taqdim), ia membawa maksud eksklusif iaitu hanya kepada Allah ﷻ sahaja kita akan dihadapkan. Tidak akan dibawa kepada sesiapa. Tidaklah umat Nabi Isa عليه السلام dibawa kepada Nabi Isa عليه السلام (dan baginda menjadi peguam pula bagi umat baginda). Ini tidak akan berlaku. Fahaman sesat manusia adalah Nabi, wali yang mereka sembah akan menjadi peguam bagi mereka yang akan berhujah bagi pihak mereka kononnya (“Mereka ini puak aku ya Allah, jadi selamatkan mereka”). Ia tidak akan berlaku.

Kalimah تُرْجَعُونَ adalah di dalam bentuk pasif. Maknanya mereka akan dibawa dan dipaksa bertemu dengan Allah ﷻ. Di dalam ayat lain disebut mereka akan dirantai kaki dan leher mereka. Berbeza dengan kalimah تَرْجِعُونَ yang bermaksud mereka sendiri pergi kembali. Mereka tidak mungkin akan pergi berjumpa dengan Allah ﷻ dengan rela hati. Sebagaimana seorang penjenayah yang tidak akan menyerahkan dirinya secara sukarela kepada pihak polis pula, bukan?

Pengajaran penting di dalam ayat ini adalah jikalau Allah ﷻ yang menghidupkan dan Dialah juga yang akan mematikan kita, dan seterusnya kita akan bertemu dengan-Nya, maka kenapakah kita tidak berdoa dan menyembah kepada-Nya sahaja? Kenapa kita buat tidak kisah arahan dan larangan yang telah diberikan-Nya kepada kita?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 11 Jun 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Maariful Qur’an