Tafsir Surah Kahfi Ayat 80 – 83 (Nabi Khidr buka rahsia)

Ayat 80:

وَأَمَّا الغُلٰمُ فَكانَ أَبَواهُ مُؤمِنَينِ فَخَشينا أَن يُرهِقَهُما طُغيٰنًا وَكُفرًا

Sahih International

And as for the boy, his parents were believers, and we feared that he would overburden them by transgression and disbelief.

Malay

Adapun pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang beriman, maka kami bimbang bahawa ia akan mendesak mereka melakukan perbuatan yang zalim dan kufur.

 

وَأَمَّا الْغُلٰمُ فَكَانَ أَبَوَاهُ مُؤْمِنَيْنِ

Adapun budak itu, kedua orang tuanya adalah orang mukmin;

Mengikut kisahnya dalam riwayat, Nabi Khidr sudah tahu yang apabila budak itu besar nanti, kerana bapanya sayang sangat kepada anaknya, anak itu akan  menjadi orang yang sombong dan sesat. Ibubapa dia akan ikut kehendak dia kerana mereka terlalu sayang kepadanya. Ini bermakna dia akan mengheret kedua orang tuanya juga menjadi sesat.

Sedangkan anak itu Allah sudah tahu yang dia akan mati kafir. Maka kalau dia mati umur dewasa pun, dia akan mati kafir juga. Maka lebih baik dimatikan semasa kecil lagi. Mati kecil kafir, mati dewasa pun kafir juga.

Kalimah أَبَوَا bermaksud ‘dua bapa’ dari segi bahasa. Tapi kita tahu yang Allah memaksudkan dua ibu dan bapanya. Kerana takkanlah dia ada dua bapa pula. Allah menggunakan kaedah taghlib (mengalahkan) dalam penggunaan أَبَوَا ini untuk memudahkan. Oleh kerana bapa lebih kuat dari ibu, maka digunakan kalimah ‘bapa’ untuk merujuk kepada ibu juga. Ini adalah salah satu dari keindahan bahasa Arab.

 

فَخَشِينَا أَنْ يُرْهِقَهُمَا طُغْيٰنًا وَكُفْرًا

kami khuatir yang dia akan mendorong kedua orang tuanya derhaka kepada Tuhan dan kafir;

Qur’an tidak menyebut yang anak itu kafir atau akan menjadi kafir. Tapi kita dapat faham kerana telah disebut bahawa ibubapanya mukmin. Jadi lawan kepada mukmin adalah kafir. Ini adalah menggunakan kaedah ‘i’jaaz’ juga.

Bagaimana ibubapa itu boleh jadi kufur pula dengan anak dia? Kerana mereka sayang sangat kepada anak mereka itu, sampaikan mereka akan turut kehendak anaknya itu walaupun ianya adalah permintaan yang berdosa.

Jadi, itu adalah pengetahuan tentang masa hadapan yang telah diberikan kepada Nabi Khidr. Dia telah tahu bahawa jikalau budak itu menjadi dewasa, dia akan menyebabkan ibubapanya derhaka kepada Tuhan.

Dalam ayat sebelum ini, Nabi Musa telah mengatakan bahawa budak itu adalah seorang yang bijak. Jadi, ditakuti bukan dia sahaja yang akan sesat nanti, tapi dengan kebijakannya, dia akan menyebabkan ibubapanya pun akan sesat juga. Kerana bijak tidak semestinya beriman. Kebijakan juga boleh digunakan untuk kerosakan.

Maka, seorang muslim mestilah redha dengan ketetapan yang Allah telah buat untuknya. Mungkin dia tidak tahu kenapakah Allah telah lakukan sesuatu, tapi kita kena redha kerana Allah mempunyai perancanganNya. Sepertimana juga ibubapanya itu terselamat dari kekufuran kerana anaknya tiada lagi. Memang mereka tentu akan sedih apabila anaknya itu mati, tapi mereka mungkin tidak tahu bahawa itu adalah untuk kebaikan dirinya.

Orang kafir ada menggunakan ayat ini untuk mengejek orang Islam. Mereka kata Islam mengajar umatnya untuk berbuat kerosakan dan membunuh. Padahal, ini bukanlah kali pertama arahan membunuh dikeluarkan. Sebelum ini, Yahudi dan Kristian tahu tentang bagaimana Nabi Ibrahim telah diarahkan oleh Allah untuk membunuh anaknya Nabi Ismail.

Mereka terima arahan itu dari Allah, tapi apabila arahan yang sama dikeluarkan oleh Allah kepada Nabi Khidr, mereka tidak terima pula. Itu adalah kerana mereka hanya hendak mengejek-ngejek agama Islam. Mereka bukannya mahu mencari kebenaran. Allah dah ajar kita dalam surah Kahfi ini juga supaya tidak mengendahkan mereka, dan terus membacakan ayat-ayat Allah kepada mereka.

Seperti yang kita tahu, Nabi-nabi Allah telah diberikan dengan tugas yang berat-berat untuk mereka penuhi. Termasuklah dengan Nabi Ibrahim dan Khidr. Arahan membunuh itu hanya kepada mereka sahaja, bukan tertakluk kepada kita. Tidaklah kita membaca ayat-ayat itu dan kita kena ikut juga membunuh seperti itu juga.

Kita kena faham bahawa ada arahan kepada para Nabi yang bukan untuk kita ikuti sebagai sunnah. Orang Islam (yang akal waras) faham tentang kisah-kisah ini. Tidak pernah kita dengar ada ayah mana-mana yang bunuh anak dia dan kata ianya adalah sunnah dari Nabi Ibrahim.


 

Ayat 81:

فَأَرَدنا أَن يُبدِلَهُما رَبُّهُما خَيرًا مِّنهُ زَكوٰةً وَأَقرَبَ رُحمًا

Sahih International

So we intended that their Lord should substitute for them one better than him in purity and nearer to mercy.

Malay

Oleh itu, kami berharap, supaya Tuhan mereka gantikan bagi mereka anak yang lebih baik daripadanya tentang kebersihan jiwa, dan lebih mesra kasih sayangnya.

 

فَأَرَدْنَا أَنْ يُبْدِلَهُمَا رَبُّهُمَا

Maka kami berharap Allah akan mengganti anak yang lain untuk mereka berdua; 

Ada yang mengatakan bahawa semasa Nabi Khidr membunuh budak itu, ibunya sedang mengandung seorang anak lelaki lagi. Maka bukanlah mereka tidak ada anak langsung. Mereka akan dapat anak yang lebih baik dari anak yang dibunuh itu.

 

خَيْرًا مِّنْهُ زَكَوٰةً وَأَقْرَبَ رُحْمًا

yang lebih suci dan lebih menghampiri kepada Allah dan akan lebih kasih dan sayang kepada ibubapanya;

Anak yang lebih baik dari segi agama dan tidak menyebabkan ibubapanya kufur. Ada riwayat yang menceritakan, mereka dapat anak perempuan dan berkahwin dengan seorang Nabi dan anak itu pun Nabi juga.


 

Ayat 82: Tentang dinding pula.

وَأَمَّا الجِدارُ فَكانَ لِغُلٰمَينِ يَتيمَينِ فِي المَدينَةِ وَكانَ تَحتَهُ كَنزٌ لَّهُما وَكانَ أَبوهُما صٰلِحًا فَأَرادَ رَبُّكَ أَن يَبلُغا أَشُدَّهُما وَيَستَخرِجا كَنزَهُما رَحمَةً مِّن رَّبِّكَ ۚ وَما فَعَلتُهُ عَن أَمري ۚ ذٰلِكَ تَأويلُ ما لَم تَسطِع عَّلَيهِ صَبرًا

Sahih International

And as for the wall, it belonged to two orphan boys in the city, and there was beneath it a treasure for them, and their father had been righteous. So your Lord intended that they reach maturity and extract their treasure, as a mercy from your Lord. And I did it not of my own accord. That is the interpretation of that about which you could not have patience.”

Malay

Adapun tembok itu pula, ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada “harta terpendam” kepunyaan mereka; dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya”.

 

وَأَمَّا الْجِدَارُ فَكَانَ لِغُلٰمَيْنِ يَتِيمَيْنِ فِي الْمَدِينَةِ

Dan dinding itu adalah milik dua orang anak yatim di kota itu;

Dinding itu terletak di sempadan tanah kepunyaan dua anak yatim. Sebelum ini pun kita telah tahu bagaimana perangai penduduk kota itu. Mereka tak mahu pun nak beri makan kepada orang musafir seperti Khidr dan Nabi Musa. Jadi kita tahu mereka bukanlah orang yang baik-baik.

 

وَكَانَ تَحْتَهُ كَنْزٌ لَّهُمَا

dan di bawah dinding itu ada tersimpan harta peninggalan untuk mereka berdua;

Harta itu adalah peninggalan bapa mereka. Ianya akan menjadi harta mereka, tapi bukan waktu itu. Kena tunggu bila mereka dah besar nanti. Kalau dinding itu jatuh dan orang kampung itu tahu ada harta, tentu mereka akan terus ambil dan dua anak yatim itu tidak dapat buat apa-apa kerana mereka lemah. Maka Allah nak bagi mereka dewasa dulu untuk ambil harta itu.

 

وَكَانَ أَبُوهُمَا صٰلِحًا

dan bapa mereka adalah seorang yang soleh;

Bapa dia yang soleh yang tinggalkan harta itu kepada mereka di bawah dinding itu. Ini adalah sebagai dalil bagi mengatakan bahawa seorang yang soleh akan dipeliharai keturunannya oleh Allah.

Apabila ayahnya sudah tiada, dia tidak dapat menjaga anaknya lagi, tapi Allah lah yang akan menjaga anak-anaknya itu. Oleh itu, janganlah kita risau tentang anak-anak kita apabila kita sudah tiada lagi.

 

فَأَرَادَ رَبُّكَ أَنْ يَبْلُغَا أَشُدَّهُمَا

Maka Tuhan kamu kehendaki apabila keduanya mencapai dewasa; 

‘Kehendak’ di sini disandarkan kepada Allah. Semasa kisah perahu, kehendak itu disandarkan kepada diri Nabi Khidr. Dan berkenaan dengan budak itu, kehendak itu disandarkan kepada ‘kami’. Kali ini, kehendak itu disandarkan kepada Allah pula. Allah mahu mereka besar dahulu supaya mereka sendiri yang akan keluarkan harta peninggalan ayahnya itu.

 

وَيَسْتَخْرِجَا كَنْزَهُمَا

mereka akan mengeluarkan harta mereka berdua itu

Mereka akan diberikan harta itu apabila mereka telah dewasa kelak. Kerana kalau harta itu diberikan kepada mereka semasa mereka kecil, mereka tentu tidak dapat mempertahankannya daripada orang-orang jahat di kota yang akan cuba nak merampasnya. Oleh itu, Allah akan simpan harta itu sehingga mereka telah dewasa kelak.

 

رَحْمَةً مِّنْ رَّبِّكَ

sebagai satu rahmat dari Tuhan kamu.

Rahmat Allah yang menyusun supaya mereka akan dapat harta itu apabila mereka telah dewasa nanti.

Habis tiga kisah dan penjelasan itu. Sekarang Nabi Khidr beri penjelasan secara keseluruhan.

 

وَمَا فَعَلْتُهُ عَنْ أَمْرِي

Dan tidaklah aku lakukan perkara ini daripada kehendak aku;

Nabi Khidr menjelaskan bahawa segala perbuatannya itu bukan kerana dia yang hendak. Tapi ianya adalah arahan Tuhan. Nampak macam dia yang buat sendiri, tapi tidak. Semua itu adalah wahyu dari Allah. Jadi, ianya bukanlah perkara yang kita boleh belajar. Ianya adalah arahan Tuhan seperti wahyu.

Maka yang boleh dapat hanyalah para Nabi sahaja. Maka berhentilah dari berkeinginan untuk belajar Ilmu Ladunni ini kerana kita semua bukannya Nabi. Memang tidak akan dapat.

 

ذَٰلِكَ تَأْوِيلُ مَا لَمْ تَسْطِعْ عَّلَيْهِ صَبْرًا

Demikianlah penjelasan yang kamu tak sanggup nak sabar ke atasnya;

Memanglah Nabi Musa tak boleh bersabar kerana ianya adalah perkara yang dia tidak ada ilmu tentangnya. Tapi yang sedihnya, ramai yang cari ilmu ladunni ini. Itu semua kerana hendak membangga diri sahaja. Mereka suka nak cakap mereka ada ilmu laduni. Padahal tidak ada riwayat mana-mana pun yang mengatakan ada manusia yang dapat ilmu ini. Dan ilmu ini adalah ilmu yang tidak perlu dipelajari. Dan tidak akan dapat dipelajari.

Ada yang memegang pendapat yang  mengatakan bahawa Nabi Khidr masih hidup lagi sekarang. Tapi tidak ada dalil yang sahih untuk membenarkannya. Dalil yang ada menunjukkan bahawa tidak ada manusia yang akan hidup lama. Tidak ada manusia yang boleh hidup sampai beribu-ribu tahun.

Kalaulah Nabi Khidr masih hidup pada zaman Nabi Muhammad, tentulah dia kena berjumpa dengan Nabi Muhammad untuk membantu baginda. Tapi tidak ada mana-mana riwayat yang mengatakan demikian. Dan kalaulah dia masih hidup waktu itu, Nabi Muhammad pernah bersabda pada satu malam bahawa tidak ada seorang pun yang masih hidup di bumi ini lebih dari seratus tahun sejak malam itu. Tapi, kalau kita percaya kepada kisah Khidr ini, maknanya dia telah hidup beribu tahun lamanya. Ada yang kata, daripada zaman sebelum Nabi Musa lagi. Maka ini tidak mungkin.

Dalam ayat Qur’an ini, tidak disebutkan bahawa nama beliau adalah Nabi Khidr. Tapi kita tahu nama itu dari hadis yang sahih. Diriwayatkan dalam Sahih Bukhari bahawa Nabi pernah bersabda: “Diberi nama Khidr kerana dia duduk di atas rumput kering yang putih, tiba-tiba rumput itu bergerak di belakangnya dan berubah menjadi hijau.”

Ada tiga cerita kecil dalam kisah perjalanan Nabi Musa dalam ayat ini: tentang perahu, tentang anak muda dan tentang dinding di kota. Ada pengajaran dalam setiap ayat-ayat itu:

1. Kisah perahu adalah tentang penjagaan ekonomi. Mereka menyelamatkan pencarian pendapatan orang lain.

2. Kisah anak muda itu adalah tentang penjagaan hubungan kekeluargaan dan menjaga keimanan. Kerana kalau anak itu dibenarkan hidup, dia akan merosakkan iman kedua ibubapanya.

3. Kisah dinding itu adalah tentang penjagaan masyarakat. Bagaimana kita hendaklah menjaga keperluan orang yang tidak dapat menjaga diri mereka sendiri.

Dalam ketiga-tiga kisah itu, ada kesan dan akibat. Walaupun pada luarannya nampak keburukan, tapi pada hakikatnya ada kebaikan untuk mereka di masa hadapan. Kita sahaja yang tidak tahu apakah sesuatu yang terjadi itu adalah untuk kebaikan kita atau tidak.

Maka kita hanya perlu redha sahaja dengan apa yang terjadi kepada kita. Kerana rancangan Allah kadang-kadangnya adalah jauh di masa hadapan. Jadi jangan sedih dengan apa yang berlaku kepada kita. Kena belajar untuk redha dan terima apa sahaja yang terjadi kepada kita. Tentu ada kebaikannya.

Kisah Musa dan Khidr ini juga mengajar tentang pencarian ilmu. Bagaimana hubungan antara guru, bagaimana mengajar dan sebagainya.

Kisah-kisah itu juga mengajar kita tentang akhlak dengan Allah. Apabila kisah berkenaan perahu itu, Khidr kata ‘dia’ yang berkehendak merosakkanya. Dia tidak kata Allah. Tapi apabila berkenaan dengan kisah dinding itu, dia kata ‘Allah’ yang mengkehendaki. Walaupun pada dasarnya, semua itu terjadi dengan kehendak Allah, tapi dia tidak menyebut Allah yang berkehendak untuk merosakkan perahu itu kerana tidak layak Allah berkehendak kepada sesuatu yang nampak buruk.

Walaupun ianya nampak buruk, tapi sebenarnya ianya adalah perancangan Allah untuk kebaikan. Dalam dunia ini, ada ‘realiti luaran’ dan ‘realiti dalaman’. Tentunya ada kebaikan dalam segala perbuatan Allah. Kerana tidak faham perkara inilah, kadang-kadang manusia berkata sesuatu yang tidak berakhlak. Kadang-kadang kalau ada perkara buruk terjadi kepada mereka, mereka akan salahkan Allah: “Kenapa Allah ambil nyawa anak aku?”, “Kenapa Allah tak sayang kepada aku?”. Dan macam-macam lagi.

Balaghah: Hazfu wa zikru. Jenis الإختزال (al-ikhtizal)

Ini terjadi dimana ada hazaf huruf dalam lafaz ayat Qur’an. Ini seumpama penggunaan shorthand. Ada hazaf dari fi’il dalam ayat di atas. Dibuang (hazaf) huruf untuk menunjukkan peristiwa itu lebih kecil atau kurang dari segi kuantiti; atau masa kejadian itu lebih pendek.

Sebagai contoh, kalaulah penggunaan al-ikhtizal ini ada dalam bahasa Melayu, kalau digunakan kalimah ‘makan’, itu bermaksud makan yang biasa. Tetapi, kalau buang huruf n dan perkataan makan itu jadi ‘maka’, maksudnya makan yang sekejap sahaja tidak seperti biasa, atau makan sikit sangat tidak seperti biasa. Tapi tidaklah penggunaan ikhtizal ini ada dalam bahasa Melayu.

Lihat pada kalimah تَسْطِع dalam ayat ini. Ada hazaf dalam bentuk ikhtizal dalam ayat ini kerana kalau dibandingkan dengan ayat 78, kalimah yang digunakan adalah dalam bentuk wazan yang penuh – تَسْتَطِع. Persoalan sekarang adalah kenapa ada perbezaan wazan yang digunakan sedangkan kedua-duanya tentang Nabi Musa yang tak mampu sabar?

Jawapannya kerana dalam ayat 78 Nabi Khidr belum beritahu lagi apakah alasan atas segala perbuatannya yang menyebabkan kegelisahan pada Nabi Musa itu. Nabi Musa tentunya gelisah dan tidak senang duduk kerana baginda belum tahu lagi kenapakah Nabi Khidr buat segala perkara itu. Maka kerana itu, ketidaksabarannya tinggi lagi dari keadaan dalam ayat ini.

Dalam ayat 82 ini pula, Nabi Khidr dah beritahu kerana itu Nabi Musa dah boleh bersabar sikit. Keperluan untuk sabar dah kurang walaupun masih kena sabar juga lagi, sebab mungkin ada yang baginda tidak faham penuh lagi. Tapi dah kurang kalau dibandingkan dengan keadaan dalam ayat 78.

Habis Ruku’ 10 dari 12 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 83: Sekarang kita masuk ke Ruku’ 11 dari 12 ruku’ dalam surah ini. Ini adalah kisah keempat dalam Surah ini. Berkenaan dengan Dzulkarnain. Dia ini dikagumi dan ada yang teringin nak jadi hebat seperti dia, maka ada yang buat perkara-perkara sihir. Ini adalah kesempatan yang diambil oleh syaitan. Ada yang amalkan sihir untuk jadi seperti dia. Dulu terhad kepada Yahudi sahaja tapi sekarang ada umat Islam yang buat juga kerana mereka jauh dari wahyu.

Allah nak ajar bahawa kelebihan yang ada pada Dzulkarnain ini adalah pemberian dari Allah dan dia dapat kerana dia taat kepada Allah, bukan kerana sakti yang ada pada dia.

وَيَسأَلونَكَ عَن ذِي القَرنَينِ ۖ قُل سَأَتلو عَلَيكُم مِّنهُ ذِكرًا

Sahih International

And they ask you, [O Muhammad], about Dhul-Qarnayn. Say, “I will recite to you about him a report.”

Malay

Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: “Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya”:

 

وَيَسْأَلُونَكَ عَنْ ذِي الْقَرْنَيْنِ

Dan mereka bertanya kamu tentang Dzulkarnain;

Ini adalah antara soalan yang ditanyakan oleh Musyrikin Mekah selepas mereka berjumpa dengan Pendita Yahudi untuk menguji Nabi. Mereka pun tidak tahu kisah penuh dengan Dzulkarnain. Kerana mereka bukan jaga pun kitab mereka, ada banyak maklumat yang tidak benar ditambah di sana sini.

Dzulkarnain adalah seorang wali yang menjadi raja. Ada dua orang raja yang soleh dalam sejarah Islam: Nabi Sulaiman dan Dzulkarnain. ‘Dzul karnain’ itu bermakna ‘mempunyai dua tanduk’. Dia dikatakan seorang raja yang pakai topi yang mempunyai dua tanduk. Dan ada pula yang kata dia diberikan gelaran itu kerana dia sudah berhasil mencapai kekuasaan di dua kawasan: di timur dan barat, iaitu tempat matahari terbit dan tempat matahari terbenam.

Dalam sejarah manusia, susah untuk dipastikan dengan tepat siapakah Dzulkarnain ini. Kerana banyak kisah-kisah yang berlegar tentangnya. Ada yang mengaitkannya dengan Alexander the Great. Ada juga yang mengaitkannya dengan seorang raja yang bernama Cyrus yang memerintah di Persia. Negara Persia sekarang adalah Iran zaman sekarang. Jadi tidak perlu kita pening memikirkan siapa sebenarnya kerana Allah tidak beritahu kepada kita. Maka kita ambil pengajaran dari kisahnya sahaja.

Sejarah tentang Dzulkarnain ini ada dalam sejarah Yahudi kerana dikatakan Dzulkarnain adalah raja yang telah membebaskan kaum Yahudi yang pernah dihambakan oleh kaum yang lain. Jadi mereka memandang tinggi kepada Dzulkarnain ini. Sebab itulah, antara soalan yang mereka suruh Musyrikin Mekah tanya kepada Nabi Muhammad adalah tentang beliau.

 

قُلْ سَأَتْلُو عَلَيْكُمْ مِّنْهُ ذِكْرًا

Katakanlah: Aku akan bacakan ke atas kamu dari Qur’an ini sebagai satu peringatan buat kamu;

Nabi akan membacakan sedikit dari kisah tentang Dzulkarnain itu sebagai peringatan kepada manusia. Maknanya, akan diceritakan sedikit, bukan semua sekali. Hanya diceritakan kisah yang ada kepentingan keagamaan. Qur’an ini bukanlah Kitab Sejarah untuk menceritakan semua yang terjadi zaman dahulu.

Sebab itu, tidak diberikan informasi yang mendalam tentang siapakah sebenarnya Dzulkarnain ini. Kerana, siapakah dia sebenarnya tidak penting. Yang penting adalah pengajaran yang boleh diambil dari kisahnya.

Yang kita dapat tahu, lelaki yang bernama Dzulkarnain adalah seorang raja yang memerintah dengan adil. Beliau memerintah menggunakan syariat agama Islam. Tidak dapat dipastikan apakah status beliau yang sebenarnya. Adakah beliau seorang Nabi atau seorang manusia? Ini kerana ada ayat-ayat yang menunjukkan Allah berfirman kepada beliau.

Persoalannya, adakah dalam bentuk wahyu atau ilham sahaja? Itu tidak dapat dipastikan. Yang kita pegang adalah beliau adalah orang yang baik dan beragama Islam (Islam waktu itu).

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 17 Januari 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Nouman Ali Khan

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s