Tafsir Surah Saba’ Ayat 1 – 3 (Allah Maha Mengetahui)

Pengenalan Surah: 

Sekarang kita masuk kembali kepada surah-surah Makkiyah dan akan berterusan dengan rentetan surah-surah Makkiyah sehinggalah ke Surah Muhammad. Apabila kita masuk kepada Surah Muhammad nanti, maka akan ada banyak Surah-surah Madaniyyah yang selepas itu bermula dengan Surah Muhammad.

Dalam surah ini kita akan belajar tentang sejarah yang akan memberi kita pemahaman yang lebih lagi tentang Semenanjung Tanah Arab. Iaitu waktu surah ini diturunkan. Kita telah tahu bahawa banyak kawasan-kawasan kaum-kaum terdahulu yang dimusnahkan kerana mereka menolak Nabi dan Rasul mereka tetapi tidak semuanya begitu. Jadi kita akan belajar bagaimana keadaan sebelum Islam bermula dengan Nabi Muhammad dan bagaimana duduk perkara suasana Tanah Arab itu.

Dakwa surah ini adalah untuk menafikan syafaat kasih sayang (Syafaat Qahriyah). Maka mereka yang menyeru selain daripada Allah, tidak akan mendapat berkat dan tidak akan mendapat syafaat daripada yang diseru.

Ini perlu disampaikan kerana ada hujah daripada mereka yang jahil wahyu yang kata, mereka memang tahu para Nabi dan wali itu bukan Tuhan. Cuma mereka seru roh-roh wali dan nabi itu kerana hendak mendapatkan berkat dan syafaat sahaja.  Mereka kata supaya doa mereka lebih makbul.

Maka Allah hendak memberitahu bahawa amalan itu adalah amalan yang syirik. Ini dinamakan Syirik Syafaat. Kalau ada fahaman sebegini pun sudah salah. Maka fahaman salah ini kena diperbetulkan dalam masyarakat Islam kita. Kena sedar yang boleh beri syafaat hanya Allah sahaja.

Begitulah salah faham di dalam masyarakat kita sampaikan orang terpelajar pun boleh kena tipu. Ini kerana mereka belajar agama tapi tidak belajar wahyu Al-Qur’an dan Sunnah. Mereka juga mahu selamat dan mahukan syafaat untuk membantu mereka di akhirat kelak. Maka mereka telah meminta syafaat dengan cara yang salah. Sedangkan sepatutnya jikalau hendak mendapat syafaat maka hendaklah kita mengamalkan tauhid. Orang yang mengamalkan tauhid akan automatik dapat syafaat dari Allah.

Tetapi syaitan akan tipu orang-orang yang jahil wahyu itu supaya mereka ada fahaman yang salah tentang syafaat ini. Dan apabila mereka ada salah faham, maka mereka akan menyeru roh-roh wali dan Nabi untuk mendapatkan syafaat. Maka oleh kerana mereka mengamalkan amalan yang syirik maka mereka akan kekal di dalam neraka selama-lamanya.

Kemudian dalam bahagian kedua surah ini Allah mengajar untuk seru kepada Dia sahaja untuk mendapat syafaat. Maknanya ada dua bahagian: Nafi dan ithbat. Bahagian pertama, kita kena nafikan permintaan syafaat kepada selain Allah dan bahagian kedua adalah ithbat iaitu menetapkan hanya Allah sahaja tempat minta syafaat.

Nafi dan ithbat ini banyak disentuh di dalam agama Islam. Sebagai contoh, dalam tahlil kita la ilaaha illallah pun adalah satu elemen nafi dan ithbat. Iaitu nafikan ilah-ilah selain Allah dan kemudian tetapkan bahawa Allah itu adalah ilah yang sebenar.

Kita memang perlukan syafaat dari Allah jika kita ada dosa yang memungkinkan kita dimasukkan ke dalam neraka. Kerana kalau tidak, kita akan dimasukkan ke dalam neraka dahulu untuk cuci dosa.

Untuk dapat syafaat Allah, perlu banyakkan seru kepada Allah dan lakukan amal ibadat yang sahih. Dan hendaklah kukuhkan fahaman tauhid kita dan ini dapat dicapai dengan menyampaikan ajaran wahyu kepada seramai-ramai orang. Kerana apabila kita dakwah kepada masyarakat, maka Allah akan tetapkan iman kita. Ini adalah kelebihan dakwah maka kita jangan tinggalkan dakwah. Sampaikanlah agama setakat yang kita boleh.

Jadi bahagian pertama (nafi) disentuh di dalam Surah Saba’ ini dan bahagian kedua (ithbat) disentuh di dalam Surah Fatir selepas ini.  Surah Saba’ menolak Syafaat Qahriyah dan Surah Fatir Dakwanya kena sembah dan seru kepada Allah Ta’ala sahaja.

Surah Saba’ ini nanti akan disambung dengan tiga surah yang juga menafikan Syafaat Qahriyah iaitu Surah Sad, Yaasin dan Saffat.

Surah Saba’ ini terbahagi kepada dua bahagian:

Ayat 1 – 21 adalah bahagian 1. Allah menyebut tiga cerita iaitu kisah Nabi Daud, Nabi Sulaiman dan juga jin.

Ketiga-tiga kisah ini menunjukkan bahawa tidak boleh minta syafaat kepada mereka kerana mereka pun tidak tahu perkara ghaib. Kelebihan yang ada pada Nabi Daud dan juga Nabi Sulaiman dalam bentuk mukjizat itu adalah dari Allah dan bukan kelebihan mereka sendiri. Maknanya mereka pun tidak ada kuasa. Maka kenapa nak kena minta syafaat dari mereka pula?

Dan juga akan diberitahu bahawa jin pun tidak tahu perkara ghaib kerana apabila Nabi Sulaiman wafat mereka pun tidak tahu yang baginda telah wafat. Jadi bodoh sangatlah kita jikalau ada yang meminta kepada jin. Ini disebut kerana ada manusia yang minta tolong kepada jin.

Ayat 22 hingga akhir adalah bahagian kedua surah ini. Ia menyebut tentang malaikat. Pun diajar bahawa tidak boleh minta syafaat kepada mereka kerana mereka pun tidak dibenarkan memberi syafaat kecuali kepada orang yang mati dalam tauhid.


 

Ayat 1: Dalil aqli. Surah ini mengandungi 7 perenggan Makro dan Perenggan Makro Pertama adalah dari ayat 1 hingga 9. Ia mengandungi pernyataan aqidah tauhid dan tentang Hari Akhirat.

Ia dimulai dengan ayat 1 & 2 yang menceritakan kepada kita Sifat-sifat Allah. Allah Pemilik dan Penguasa Langit dan Bumi dan segala isinya

الحَمدُ ِللهِ الَّذي لَهُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ وَلَهُ الحَمدُ فِي الآخِرَةِ ۚ وَهُوَ الحَكيمُ الخَبيرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Saba’: (The People of) Saba’ or Sabeans.

[All] praise is [due] to Allāh, to whom belongs whatever is in the heavens and whatever is in the earth, and to Him belongs [all] praise in the Hereafter. And He is the Wise, the Acquainted.

(MELAYU)

Segala puji bagi Allah yang memiliki apa yang di langit dan apa yang di bumi dan bagi-Nya (pula) segala puji di akhirat. Dan Dialah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.

 

الحَمدُ ِللهِ الَّذي لَهُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ

Segala puji bagi Allah yang memiliki apa yang di langit dan apa yang di bumi

Surah ini menarik kerana ianya adalah salah satu daripada lima surah yang dimulai dengan kalimah alhamdulillah. Dan pada empat surah yang dimulai dengan kalimah alhamdulillah itu menjadi seperti pembeza keseluruhan Al-Qur’an kepada empat bahagian. Dan empat bahagian itu pula terbahagi hampir sama banyak sahaja. Ini ada disebut dalam perbincangan Surah Fatihah. Jadi kita sudah masuk kepada bahagian ketiga dalam Al-Qur’an.

Dan kalimah alhamdulillah ini amat rapat dengan kita kerana banyak sekali kalimah ini kita sebut-sebut di dalam kehidupan kita seharian. Setiap hari kita baca kalimah ini dalam solat kita. Dan mulut kita selalu menyebutnya di dalam banyak perkara. Maka bolehlah dikatakan yang kita ini adalah ‘Umat Alhamdulillah’.

Kalimah حمد mempunyai elemen ‘puji’ dan ‘syukur’ di dalamnya. Kita puji Allah kerana Allah memiliki segala yang ada dalam alam ini dengan segala kehebatan yang Allah telah adakan. Dan kita memuji Allah SWT kerana Dia telah berikan kita dengan berbagai nikmat dan rahmat. Setiap yang kita ada ini adalah kerana pemberian dari Allah.

 

وَلَهُ الحَمدُ فِي الآخِرَةِ

dan bagi-Nya (pula) segala puji di akhirat. 

Maka segala puji itu bagi Allah kerana Allah yang memiliki langit dan bumi dan juga hari akhirat. Sebagaimana Allah terpuji di dunia maka Allah juga terpuji di akhirat. Sebagaimana Allah yang memberi rahmat kepada makhluk di alam dunia maka Allahlah juga yang akan memberi rahmat di alam akhirat nanti.

 

وَهُوَ الحَكيمُ الخَبيرُ

Dan Dialah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.

Segala urusan dan rancangan Allah adalah sempurna kerana ia dilakukan atas kebijaksanaan Allah. Kita tidak mungkin akan dapat capai untuk memahami apakah sebabnya Allah melakukan sesuatu perkara itu kerana akal kita tidak akan dapat memahaminya. Maka kita kena terima sahaja perancangan Allah.

Janganlah kita mempersoalkan apa yang Allah lakukan dengan berkata: “eh, kenapa yer Allah jadikan begini dan begini… kenapa tidak jadi begini dan begitu?” Siapalah kita untuk mempersoalkan kenapa Allah melakukan sesuatu perkara itu?

Dan Allah boleh buat semua itu kerana ilmu Allah sempurna. Allah tahu segalanya yang kita tidak tahu. Maka janganlah kita mempersoalkan keputusan Allah dalam menentukan takdir kepada kita.


 

Ayat 2: Tadi Allah sebut tentang ilmu dan sekarang disebut Ilmu Khas bagi Allah.

يَعلَمُ ما يَلِجُ فِي الأَرضِ وَما يَخرُجُ مِنها وَما يَنزِلُ مِنَ السَّماءِ وَما يَعرُجُ فيها ۚ وَهُوَ الرَّحيمُ الغَفورُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He knows what penetrates into the earth and what emerges from it and what descends from the heaven and what ascends therein. And He is the Merciful, the Forgiving.

(MELAYU)

Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi, apa yang keluar daripadanya, apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepadanya. Dan Dialah Yang Maha Penyayang lagi Maha Pengampun.

 

يَعلَمُ ما يَلِجُ فِي الأَرضِ

Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi,

Allah tahu segala yang masuk ke dalam bumi. Yang masuk ke dalam tanah boleh jadi macam-macam seperti air dan juga benih. Semua yang masuk itu Allah tahu dan tidak ada yang tersembunyi dari Allah.

 

وَما يَخرُجُ مِنها

dan apa yang keluar daripadanya,

Dan yang keluar dari tanah adalah seperti tumbuh-tumbuhan, wap air dan sebagainya.

Tetapi itu adalah perkara fizikal sahaja. Kena lihat lebih lagi dari itu, jangan tengok yang luaran sahaja. Dalam ayat ini, Allah hendak memberi isyarat dan peringatan kepada kita yang kita juga akan ‘masuk ke dalam tanah nanti apabila kita mati dan kita akan ‘keluar’ daripada tanah apabila kita dihidupkan semula.

Maka janganlah kita baca ayat-ayat ini dengan mata fizikal kita sahaja tetapi hendaklah kita kaitkan dengan perkara dalaman. Kaitkan dengan diri kita kerana ayat-ayat Al-Qur’an ini adalah untuk kita ambil pengajaran. Dan kalau kita ingat bahawa kita akan mati dan akan dihidupkan semula, maka inilah perkara penting yang akan menyebabkan kita menjaga amalan kita.

Selalunya apabila kita tanam benih dalam tanah, ia mengingatkan kita kepada permulaan kepada kehidupan tanaman itu. Tetapi kalau kita menanam dan menguburkan manusia ke dalam tanah, selalunya kita berfikir yang itu adalah akhir kepada kehidupan dia.

Maka ayat ini hendak mengubah pemahaman kita tentang perkara itu. Kita kena samakan kemasukan manusia ke dalam kubur sama seperti kemasukan benih ke dalam tanah. Sebagaimana kemasukan benih ke dalam tanah itu adalah permulaan kepada kehidupan tumbuhan, maka kita kena lihat kemasukan manusia ke dalam kuburnya itu adalah sebagai permulaan kepada kehidupan yang sebenar.

Kerana akhirat adalah kehidupan yang sebenar dan bukannya kehidupan di dunia ini. Kehidupan dunia ini adalah ujian sahaja dan ianya amat sementara. Kehidupan di akhirat itulah yang kekal abadi selama-lamanya. Dan permulaan kehidupan akhirat bermula dengan masuk ke dalam tanah.

 

وَما يَنزِلُ مِنَ السَّماءِ

dan apa yang turun dari langit 

Allah juga maha tahu semua yang turun dari langit. Yang turun daripada langit adalah seperti hujan, rezeki, wahyu dan juga arahan daripada Allah.

 

وَما يَعرُجُ فيها

dan apa yang naik darinya.

Yang naik di dalam alam fizikal adalah seperti wap-wap daripada bumi. Air apabila panas ia akan jadi wap dan wap yang ringan akan naik ke atas.

Tetapi dalam perkara ghaib, yang naik ke langit itu setiap hari adalah roh-roh manusia yang telah mati. Maka sekali lagi kita diingatkan dengan kematian dan kehidupan selepas mati, bukan?

Begitu juga dengan malaikat yang juga naik ke langit. Setiap hari malaikat yang mencabut nyawa manusia akan mengangkat roh-roh itu sampai ke langit. Malaikat juga banyak yang turun naik melihat amalan manusia dan melaporkan perbuatan manusia kepada Allah.

 

وَهُوَ الرَّحيمُ الغَفورُ

Dan Dialah Yang Maha Penyayang lagi Maha Pengampun.

Selalunya Allah sebut الغَفورُ dulu dalam banyak-banyak ayat Al-Qur’an. Kali ini terbalik pula kerana Allah dulukan menyebut kalimah الرَّحيمُ. Dan ini hanya ada di dalam surah ini sahaja.

Ini adalah kerana di dalam surah ini nanti kita akan belajar tentang umat-umat yang diberikan dengan rahmat dari Allah. Dan apabila mereka tidak menghargai rahmat itu maka Allah memberi peluang kepada mereka untuk bertaubat. Maka dahulukan ‘rahmat’ dan kemudian ‘pengampunan’.

Dan kerana ayat ini memberi isyarat kepada kehidupan dunia yang membawa kepada kehidupan akhirat, maka susunan nama Allah ini juga penting. Kerana semasa kita hidup di dunia kita memerlukan الرَّحيمُ dari Allah tetapi apabila kita sudah memulakan kehidupan akhirat maka kita amat memerlukan sifat الغَفورُ Allah.

Susunan ini juga kerana ayat ini tentang pertanian. Ia adalah isyarat kepada rahmah Allah di dalam Al-Qur’an. Benih dimasukkan ke dalam tanah dan kemudian bercambahnya pokok. Hujan pula Allah turunkan untuk menyuburkan tanaman itu. Jadi bab rahmah itu kita faham, tapi kenapa Allah sebut tentang sifatNya yang pengampun pula? Setiap kali kalimat ghafur dan raheem disebut, ia di dalam ayat tentang manusia kerana manusia memerlukan sifat ghafur Allah. Akan tetapi ayat ini menyebut tentang tumbuh-tumbuhan.

Seolah-olah tumbuhan tidak kena mengena dengan manusia pula. Akan tetapi tentu ada. Allah beri contoh tentang kehidupan tumbuh-tumbuhan yang ditanam dan keluar cambahnya, sepertimana juga manusia yang akan dimasukkan ke dalam tanah apabila mati dan kemudian dibangkitkan kelak apabila akhirat bermula.

Bukan benih sahaja dimasukkan ke dalam tanah, tapi kita nanti. Kita juga akan dibangkitkan. Dan waktu dibangkitkan itu kelak, kita amat memerlukan sifat rahmah Allah. Dan kemudian apabila sudah dibangkitkan, apabila dihadapkan di hadapan Allah dan amalan kita diperiksa, kita terus memerlukan sifat ghafur Allah. Kerana itulah diberikan susunan ini, disebut rahmah dahulu sebelum sifat ghafur. Iaitu ikut susunan keperluan. Inilah keindahan susunan di dalam Al-Qur’an yang amat tepat.


 

Ayat 3: Ayat syikayah. Ayat 3 – 9 ini berkenaan golongan yang tidak mempercayai Hari Akhirat.

وَقالَ الَّذينَ كَفَروا لا تَأتينَا السّاعَةُ ۖ قُل بَلىٰ وَرَبّي لَتَأتِيَنَّكُم عٰلِمِ الغَيبِ ۖ لا يَعزُبُ عَنهُ مِثقالُ ذَرَّةٍ فِي السَّمٰوٰتِ وَلا فِي الأَرضِ وَلا أَصغَرُ مِن ذٰلِكَ وَلا أَكبَرُ إِلّا في كِتٰبٍ مُّبينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But those who disbelieve say, “The Hour will not come to us.” Say, “Yes, by my Lord, it will surely come to you. [Allāh is] the Knower of the unseen.” Not absent from Him is an atom’s weight¹ within the heavens or within the earth or [what is] smaller than that or greater, except that it is in a clear register –

  • Or “the weight of a small ant.”

(MELAYU)

Dan orang-orang yang kafir berkata: “Hari berbangkit itu tidak akan datang kepada kami”. Katakanlah: “Pasti datang, demi Tuhanku Yang Mengetahui yang ghaib, sesungguhnya kiamat itu pasti akan datang kepadamu. Tidak ada tersembunyi daripada-Nya sebesar zarrah pun yang ada di langit dan yang ada di bumi dan tidak ada (pula) yang lebih kecil dari itu dan yang lebih besar, melainkan tersebut dalam Kitab yang nyata (Lauh Mahfuzh)”,

 

وَقالَ الَّذينَ كَفَروا لا تَأتينَا السّاعَةُ

Dan orang-orang yang kafir berkata: “Hari berbangkit itu tidak akan datang kepada kami”. 

Orang-orang kafir tidak percaya yang hari kiamat akan datang. Pada mereka, apabila mereka mati, maka mereka akan mati begitu sahaja, tidaklah ada hari kiamat dan hari kebangkitan semula.

Atau, satu lagi tafsir merujuk kepada kesombongan penentang agama. Mereka yang menentang agama itu kata, mereka sudah buat macam-macam perkara yang menentang agama tapi Kiamat tak datang-datang lagi pun. Mereka tidak dikenakan dengan azab pun. Maka, mereka mengejek baginda: manakah dia balasan yang engkau ancam kami itu?

 

قُل بَلىٰ وَرَبّي لَتَأتِيَنَّكُم

Katakanlah: “Pasti datang, demi Tuhanku, sesungguhnya kiamat itu pasti akan datang kepadamu. 

Kenapa tidak ada Hari Kiamat dan azab itu, bahkan ianya pasti ada. Kamu tunggulah sahaja. Tak payah kamu nak tanya supaya ia dipercepatkan, ia pasti akan datang.

Kalimat وَرَبّي adalah kalimah sumpah (qosam). Allah suruh Nabi Muhammad bersumpah denganNya dan ini jarang berlaku di dalam Al-Qur’an. Kerana Allah selalu bersumpah dengan makhlukNya juga seperti masa, matahari, malam dan siang dan lain-lain lagi. Tapi kali ini Allah bersumpah dengan DiriNya. Maka ini adalah sesuatu yang amat besar.

Ini kerana Allah suruh menegaskan bahawa hari kiamat itu PASTI akan datang. Maka untuk menguatkan pemberitahuan itu, maka Allah suruh baginda bersumpah dengan DiriNya untuk menguatkan lagi penekanan.

 

عٰلِمِ الغَيبِ

Dia Yang Mengetahui yang ghaib,

Allah yang mengetahui ilmu ghaib. Maka apabila Allah beritahu berita ghaib, maka kita kena percaya sepenuhnya. Dan kerana itu Allah SWT sahaja yang tahu bilakah hari Kiamat itu akan datang. Tidak ada sesiapa yang tahu melainkan Allah sahaja. Kerana ilmu ghaib dalam tangan Allah sahaja.

Ini juga mengajar kita satu perkara dalam tauhid yang amat penting iaitu Allah sahaja yang ada ilmu tentang perkara ghaib. Mana-mana maklumat yang diketahui oleh makhluk dari perkara ghaib adalah kerana Allah yang beritahu. Maka jangan kita kata Nabi, wali, jin atau mana-mana makhluk tahu ilmu ghaib. Maka kalau Syiah kata para imam-imam mereka ada ilmu ghaib, maka itu adalah fahaman yang syirik.

 

لا يَعزُبُ عَنهُ مِثقالُ ذَرَّةٍ فِي السَّمٰوٰتِ وَلا فِي الأَرضِ

Tidak ada tersembunyi daripada-Nya sebesar zarrah pun yang ada di langit dan yang ada di bumi

Kalimah عزب bermaksud sesuatu yang terlalu jauh sampai kita tidak berapa nampak. Macam kalau kita berada di tengah lautan dan kita nampak seperti pulau tetapi kita tidak pasti kerana terlalu jauh bagi kita.

Tidak ada apa-apa langsung yang terlalu jauh bagi Allah sampai Dia tidak tahu. Maknanya tidak ada apa langsung yang tersembunyi dari Allah.

 

وَلا أَصغَرُ مِن ذٰلِكَ وَلا أَكبَرُ

dan tidak ada (pula) yang lebih kecil dari itu dan yang lebih besar, 

Tidak ada apa-apa yang Allah tidak tahu walau kecil bagaimana pun. Kalau benda kecil sangat, kita tidak nampak dengan mata, bukan? Ini tidak terjadi pada Allah.  Yang kecil tapi jauh pun Allah masih tahu juga. Atau lebih kecil dari habuk. Atau perkara sub-atomic  iaitu lebih kecil dari atom. Tidak ada yang Allah tidak tahu.

Bukan sahaja yang kecil, yang besar pun Allah tahu juga sebab Dia yang buat. Kalau benda besar sangat kita pun tidak tahu, bukan? Kerana kita tidak nampak keseluruhannya. Contohnya kalau Gunung Kinabalu, kalau kita berada di bawahnya, kita tidak nampak keseluruhan Gunung itu kerana ia besar sangat, kita kena pergi jauh dari situ baru nampak secara keseluruhan.

Maka tidak ada yang terselindung kepada Allah. Sama ada di langit atau di bumi. Sama ada benda kecil atau besar itu berada di langit dan di bumi.

Allah sebut tentang perkara ini kerana mereka yang tidak percaya kepada hari kiamat itu dan kebangkitan semula itu adalah kerana mereka tak dapat terima bagaimana Allah akan kumpulkan tubuh badan kita untuk dibangkitkan semula. Kerana badan kita akan hancur dan bersepah di sana sini, maka bagaimana Allah nak kutip dan cantumkan balik?

Maka Allah nak beritahu walau di mana sahaja pecahan tubuh manusia itu, Allah pasti akan dapat cari dan kumpulkan. Kerana Allah tahu di mana zarah tubuh itu.

 

إِلّا في كِتٰبٍ مُّبينٍ

melainkan tersebut dalam Kitab yang nyata (Lauh Mahfuzh)”,

Semuanya tertulis dalam kitab di Lauh Mahfuz. Iaitu Allah telah takdirkan apa dan bila akan berlaku. Maka kerana Allah taala yang takdirkan maka Allah SWT tahu segalanya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 18 April 2023


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s