Tafsir Surah al-An’am Ayat 138 – 140 (Diskriminasi kepada wanita)

An’am Ayat 138: Halal dan haram adalah hukum yang hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh tentukan. Ia akan disampaikan kepada Nabi ﷺ melalui wahyu. Nabi ﷺ sendiri pun tidak berani membuat hukum sendiri. Banyak hadith menyebut yang Nabi Muhammad ﷺ akan mendiamkan diri apabila ditanya dengan sesuatu perkara sehinggalah baginda diberikan dengan wahyu menjawab pertanyaan para sahabat. Ini kerana baginda tidak reka sendiri hukum agama.

Maka, jikalau kita mengatakan sesuatu perkara itu haram untuk dimakan atau dilakukan, maka kita hendaklah membawa wahyu daripada Allah ‎ﷻ sama ada dalam bentuk ayat Al-Qur’an ataupun hadith Nabi ﷺ yang sahih.

Mereka mengatakan Nabi Muhammad ﷺ sesat kerana membawa ajaran baru. Sekarang Allah ‎ﷻ menyebutkan satu persatu salah faham akidah mereka kepada semua. Ini menjadi pengajaran kepada kita.

Kita kena lihat sama ada mana-mana kesalahan itu yang kena dengan kita kerana Allah ‎ﷻ menceritakan tentang amalan dan akidah Musyrikin Mekah ini supaya kita periksa sama ada kita ada melakukan perbuatan yang sama dengan mereka. Bukanlah Allah ‎ﷻ memberitahu kepada kita sebagai satu kisah sejarah sahaja. Ini adalah masalah dengan masyarakat kita. Mereka kutuk dengan hebat perbuatan Musyrikin Mekah, tanpa mereka memeriksa sama ada mereka pun ada mengamalkan amalan yang sama.

وَقَالُواْ هَـٰذِهِۦۤ أَنعَـٰمٌ وَحَرثٌ حِجرٌ لَّا يَطعَمُهَآ إِلَّا مَن نَّشَآءُ بِزَعمِهِم وَأَنعَـٰمٌ حُرِّمَت ظُهُورُهَا وَأَنعَـٰمٌ لَّا يَذكُرُونَ ٱسمَ ٱللَّهِ عَلَيهَا ٱفتِرَآءً عَلَيهِ‌ۚ سَيَجزِيهِم بِمَا ڪَانُواْ يَفتَرُونَ

Sahih International

And they say, “These animals and crops are forbidden; no one may eat from them except whom we will,” by their claim. And there are those [camels] whose backs are forbidden [by them] and those upon which the name of Allah is not mentioned – [all of this] an invention of untruth about Him. He will punish them for what they were inventing.

Malay

Dan mereka berkata lagi: “Ini adalah binatang-binatang ternak dan tanaman-tanaman yang dilarang, yang tidak boleh seorang pun memakannya kecuali sesiapa yang kami kehendaki”, – menurut anggapan mereka; dan (sejenis lagi) binatang-binatang ternak yang dilarang menunggangnya; dan (sejenis lagi) bintang-bintang ternak yang tidak mereka sebutkan nama Allah ketika menyembelihnya; (semuanya itu mereka lakukan dengan) berdusta terhadap Allah. Allah akan membalas mereka disebabkan apa yang mereka telah ada-adakan itu.

 

وَقَالُوا هَٰذِهِ أَنْعَامٌ وَحَرْثٌ

Dan mereka mengatakan: “Inilah haiwan ternak dan tanaman

Mereka telah mengatakan ada jenis-jenis haiwan dan tanaman yang haram dimakan dalam keadaan tertentu dan orang-orang tertentu. Dalam Maidah: 103, ada disebut tentang perkara ini:

مَا جَعَلَ اللَّهُ مِنْ بَحِيرَةٍ وَلَا سَائِبَةٍ وَلَا وَصِيلَةٍ وَلَا حَامٍ ۙ وَلَٰكِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا يَفْتَرُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ ۖ وَأَكْثَرُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ

Allah sekali-kali tidak pernah mensyari’atkan adanya bahiirah, saaibah, washiilah dan haam. Akan tetapi orang-orang kafir membuat-buat kedustaan terhadap Allah, dan kebanyakan mereka tidak mengerti.

Allah ‎ﷻ tidak pernah mensyariatkan hukum yang sebegitu, tetapi mereka yang memandai-mandai buat hukum baru. Inilah bahayanya kalau sudah biasa buat perkara bid’ah, sampaikan hukum pun berani direka mengikut kehendak sendiri.

 

حِجْرٌ لَّا يَطْعَمُهَا

yang dilarang; tidak boleh memakannya,

Perkataan حِجْرٌ berasal daripada حجر yang bermaksud ‘batu’. Apabila orang-orang Arab menggali tanah dan mereka sampai kepada batu, maka mereka terhalang daripada menggali lagi. Maka, ia membawa maksud sesuatu yang dihalang. Ataupun bermaksud, batu adalah satu benda yang tidak boleh dimakan. Oleh sebab itu, perkataan حِجْرٌ  dalam ayat ini bermaksud sesuatu yang terhalang atau terlarang. Dalam konteks ayat ini, ia merujuk kepada larangan untuk memakan.

Terdapat beberapa halangan kepada sesetengah binatang dan sesetengah makanan yang akan disebutkan nanti. Halangan dan larangan itu adalah hukum yang direka-reka oleh puak musyrikin. Mereka pandai-pandai melarang masyarakat awam daripada memakan makanan-makanan itu.

Dalam kefahaman karut mereka, wasilah ialah seekor kambing betina yang melahirkan anak kembar yang terdiri daripada jantan dan betina, maka yang jantan ini disebut wasilah, tidak boleh disembelih dan hanya boleh diserahkan kepada berhala.

Ham adalah unta jantan yang tidak boleh diganggu gugat lagi, kerana telah dapat membuntingkan unta betina sepuluh kali. Binatang-binatang yang disebutkan itu dianggap haram dimakan oleh orang-orang musyrik tanpa dalil.

Zaman sekarang pun perkara sebegini banyak dilakukan. Jangan kita ingat puak Musyrikin Mekah sahaja yang buat. Sebagai contohnya, kita boleh lihat pada zaman sekarang yang dilakukan oleh agama Hindu. Mereka tidak boleh makan lembu dan mereka cuma hanya boleh minum susu lembu sahaja. Ini adalah kerana lembu adalah binatang yang suci dalam agama mereka. Sampaikan kalau di negara India itu, kita boleh lihat lembu berkeliaran di merata-rata tempat tanpa diganggu kerana dianggap suci.

Tidak boleh langsung mengganggu lembu-lembu itu. Orang Islam pun tidak boleh menyembelih lembu secara terang-terangan dan tidak boleh memakannya di khalayak ramai kerana orang-orang Hindu akan marah kepada orang-orang Islam yang berbuat begitu. Boleh sampai berbunuhan pula nanti. Malah setiap lembu ada Surat Beranak, maka itu menyusahkan orang Islam untuk menyembelih lembu-lembu itu. Seolah-olah bagaikan membunuh orang pula. Kalau hendak memakan daging lembu di sana, umat Islam kenalah bela lembu di kawasan terpencil secara senyap dan sembelih pun secara senyap sahaja.

Lembu-lembu itu akan dibiarkan sehingga mereka mati kerana tua. Kalau mereka perlu menangkap lembu itu (mungkin kerana ia mengganggu rel keretapi), mereka sampai kena meminta maaf kepada lembu itu kerana takut mereka akan dikenakan bala. Begitulah teruknya syaitan menyesatkan manusia dalam hal binatang ternakan ini. Padahal lembu ini makanan bagi kita yang Allah‎ ﷻ telah jadikan, tetapi dianggap suci pula.

Bagaimana pula dengan orang kita? Adakah kita pun buat seperti apa yang disebutkan oleh Allah ‎ﷻ dalam ayat ini? Malangnya, amat ramai yang melakukan perkara yang hampir sama seperti ini. Itulah mereka yang mengharamkan makanan yang halal di dalam ‘amalan berpantang’ selepas bersalin. Allah ‎ﷻ tidak pernah suruh kita mengharamkan makanan kepada sesiapa selepas bersalin, tetapi ramai dalam masyarakat kita yang buat seperti itu.

Yang diharamkan itu pula tidak masuk akal. Ada yang haramkan minum air, ada yang haramkan makan ayam. Namun begitu, dalam masyarakat lain, mereka suruh minum banyak air, suruh makan banyak ayam kerana ia baik untuk kesihatan.

Mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan kata-kata ini. Mereka akan kata: “Mana ada haram, cuma tak galakkan makan sahaja”. Itu adalah terminologi yang digunakan. Secara dasarnya, sama sahaja. Tidak beri makan bermaksud mengharamkan makanan itu kerana sebab-sebab tertentu.

Bukan amalan pantang bersalin sahaja makanan diharamkan. Seperti di Kelantan, Terubong Buluh Betung tidak boleh dimakan oleh keturunan raja-raja termasuk juga golongan Nik kerana mereka dikatakan daripada keturunan Buluh Betung. Ada fahaman karut yang mengatakan yang keturunan mereka dahulu asalnya keluar daripada buluh betung. Itulah apabila masyarakat sudah tidak menggunakan akal lagi tetapi hanya percaya dengan cerita-cerita tahyul dan karut.

Ada pula keturunan yang tidak boleh makan ikan Kacang (Barracuda) kerana dikatakan suatu masa dahulu, ikan itu pernah menyelamatkan tok nenek mereka semasa menangkap ikan di laut dan perahu mereka bocor. Oleh kerana hormatkan ikan itu, mereka telah mengharamkan anak keturunan mereka daripada memakannya.

Sesiapa yang mengharamkan memmakan sesuatu makanan yang Allah ‎ﷻ telah halalkan, maka dia telah melakukan perbuatan yang kufur. Ini berbeza dengan makanan yang tidak baik untuk kita. Sebagai contoh, ada makanan yang kita alah/alergik kepadanya. Kalau makan, menyebabkan muka menjadi bengkak, gatal dan sebagainya. Kalau dalam keadaan begitu, maka makanan itu kita tidak boleh makan dan ini tidak mengapa. Kerana Allah ‎ﷻ telah memberitahu kita untuk makan makanan yang halal dan ‘baik’ – halalan tayyiban.

Sebagai contoh, ada yang tidak boleh makan daging kambing kerana kalau dia makan, darah tingginya akan naik (kerana kandung lemak dalam daging kambing biri-biri memang tinggi). Itu bermaksud makanan itu sudah tidak baik bagi dirinya. Tetapi ia tidak baik untuk dirinya sahaja dan tidak boleh digunakan alasan itu kepada orang lain kerana orang lain mungkin tidak ada masalah dengan memakan kambing.

Ada juga makanan yang telah diberitahu oleh doktor tidak elok dimakan dalam sesuatu keadaan. Sebagai contoh, doktor beritahu kepada perempuan bersalin yang mereka tidak elok makan makanan yang tinggi kandungan gula, contohnya. Dan doktor itu pula akan beri arahan itu berdasarkan kepada keadaan pesakit itu. Kerana ada perempuan yang bersalin itu yang kena darah tinggi semasa bersalin, kena penyakit Kencing Manis sebagai bersalin dan sebagainya.

Ataupun pemakanan untuk perempuan yang dibedah berlainan dengan perempuan yang bersalin normal. Itu adalah hasil daripada kajian mereka. Ada sebab untuk mereka kata begitu. Ini tidak termasuk dalam ‘mengharamkan’. Mereka ada asas. Namun, asas apakah yang diberikan oleh Mak Bidan untuk mengharamkan minum air dan makan ayam kepada perempuan yang baru bersalin?

Maka jangan kita mengharamkan atau menidakkan sesuatu makanan kepada diri kita tanpa sesuatu sebab yang sah. Kalau dahulu kita pernah berbuat begini, maka minta ampun kepada Allah ‎ﷻ dan makanlah makanan itu. Ya, kena makan makanan itu sebagai memutuskan pengharaman dan pemantangan yang dilakukan dahulu.

 

إِلَّا مَن نَّشَاءُ بِزَعْمِهِمْ

kecuali orang yang kami kehendaki”, menurut anggapan karut mereka,

Mereka khaskan orang tertentu atau golongan tertentu sahaja yang boleh makan sesuatu makanan. Mereka khususkan sesuatu binatang dan makanan itu hanya kepada golongan-golongan yang dilantik untuk menjaga tuhan-tuhan berhala sembahan mereka. Hanya mereka sahaja yang boleh memakan dan orang lain tidak boleh memakannya.

Dan ia adalah زعم iaitu rekaan dan anggapan karut mereka. Ini adalah satu kesalahan. Oleh itu, kalau kita mengkhaskan sesuatu binatang atau makanan itu hanya boleh dimakan segolongan manusia sahaja, maka itu pun sudah dikira kufur.

Mereka menetapkan sesuatu makanan itu tidak boleh makan hanya berdasarkan kepada fahaman karut mereka. Mereka tidak ada dalil. Macam juga fahaman masyarakat kita dalam mengharamkan makanan kepada diri mereka.

 

وَأَنْعَامٌ حُرِّمَتْ ظُهُورُهَا

dan ada binatang ternak yang diharamkan menungganginya

Musyirikin Mekah mengharamkan jenis-jenis haiwan yang tidak boleh ditunggangi iaitu Saibah dan Bahiirah.

Bahiirah adalah unta betina yang telah beranak lima kali dan anak kelima itu jantan, lalu unta betina itu dibelah telinganya, dilepaskan, tidak boleh ditunggangi lagi dan tidak boleh diambil air susunya.

Sa’ibah adalah unta betina yang dibiarkan ke mana sahaja lantaran sesuatu nazar. Contohnya, jika seorang Arab jahiliyyah akan melakukan sesuatu atau perjalanan yang berat, maka dia biasa bernazar akan menjadikan unta Sa’ibah apabila maksud atau perjalanannya tercapai atau selamat.

 

وَأَنْعَامٌ لَّا يَذْكُرُونَ اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهَا

dan ada binatang ternak yang mereka tidak menyebut nama Allah (waktu menyembelihnya,

Ada binatang yang mereka kata tidak boleh disebut nama Allah ‎ﷻ semasa menyembelih binatang itu. Tidak boleh sebut nama Allah‎ ﷻ kerana binatang-binatang itu telah dikhususkan kepada tuhan-tuhan mereka yang lain. Inilah jenis unta yang dipanggil al-Bahiirah itu. Kita kena ingat bahawa Musyrikin Mekah itu kenal Allah ‎ﷻ itu Tuhan.

Cuma dalam masa yang sama, mereka ada ‘tuhan-tuhan mini’ mereka yang lain dalam bentuk berhala. Latt dan Uzza yang kita selalu dengar itu adalah antara  tuhan-tuhan mini mereka. Mereka pun ada juga menyembelih atas nama Allah ‎ﷻ. Tetapi kalau mereka hendak memberikan sembelihan itu kepada tuhan-tuhan yang lain, mereka tidak boleh sebut nama Allah‎ ﷻ kepadanya.

Sekiranya Allah ‎ﷻ menceritakan sesuatu perbuatan syirik di dalam Al-Qur’an, ini bermaksud amalan itu masih lagi dilakukan dalam dunia ini dan sampai bila-bila hingga kiamat. Mungkin kita tidak nampak berlaku dalam masyarakat kita tetapi pastinya ia berlaku di tempat lain.

Ini kerana kadangkala perkara ini berlaku dalam penuh kerahsiaan. Macam ajaran Tarekat selalunya diajar secara rahsia. Memang kena diajar secara rahsia kerana kalau diajar secara terbuka, maka akan terbukalah kekarutan ajaran mereka itu. Akan ramai yang akan menegur mereka. Mereka yang terdiri daripada golongan yang lemah akal sahaja yang boleh menerima segala kata-kata guru tarekat itu.

 

افْتِرَاءً عَلَيْهِ

membuat-buat kedustaan terhadap Allah.

Mereka kata apa yang mereka buat itu adalah kerana untuk memuaskan hati Tuhan. Tetapi itu semua hanyalah hukum rekaan mereka sahaja. Mereka berdusta di atas nama Allah ‎ﷻ dan nama agama di mana mereka kata Allah ‎ﷻ suka perkara itu.

Ketika zaman Musyrikin Mekah, mereka telah reka perkara dusta terhadap Allah ‎ﷻ dengan mengatakan sesuatu itu baik dan elok untuk dilakukan pada hal Allah ‎ﷻ tidak pernah mengajar mereka begitu. Mereka kata ia baik mengikut kepala otak mereka sahaja. Maka, apakah bezanya dengan masyarakat kita sekarang yang mereka-reka perkara-perkara bid’ah dalam agama dengan mengatakan yang perkara itu baik? Itu sebabnya keluar hujah bodoh: “Benda baik, apa salahnya?”.

Sebagai contoh, mereka mengatakan elok untuk memberi makan kepada pengunjung yang datang semasa mengunjungi sesuatu kematian yang dinamakan ‘kenduri arwah’. Mereka kata apa salahnya beri makan kepada orang padahal perkara itu telah dilarang di dalam agama. Mereka sahaja tidak tahu yang ia dilarang kerana mereka memang jahil daripada wahyu.

Yang menjadi masalahnya adalah kerana ustaz-ustaz yang mengajar pun tidak tahu tentang larangan itu. Ini adalah kerana proses pembelajaran di negara ini bukan berasaskan Al-Qur’an dan hadith sahih, tetapi berdasarkan ‘apa yang orang kata’. Mereka terima sahaja apa yang diajar oleh guru mereka, dan guru mereka pun begitu juga dahulunya. Oleh sebab itu, walaupun seseorang itu bergelar ustaz, tidak semestinya dia faham agama kerana dia sendiri tidak mahir dengan ilmu wahyu. Dia menjadi ustaz sebab tahu ajaran yang diajar turun temurun dalam masyarakat yang tidak semestinya ‘mesra wahyu’.

 

سَيَجْزِيهِم بِمَا كَانُوا يَفْتَرُونَ

Kelak Allah akan membalas mereka terhadap apa yang selalu mereka ada-adakan.

Mereka yang mengadakan hukum-hukum baru yang tidak diberitahu oleh Allah ‎ﷻ atau Nabi, maka mereka itu telah mengambil tugas Allah ‎ﷻ dan Nabi sebenarnya dan mereka akan dibalas atas perbuatan mereka itu.

Ayat-ayat daripada surah ini adalah Allah‎ ﷻ menegur mereka dengan menyebut perbuatan-perbuatan salah yang mereka lakukan. Allah ‎ﷻ sebut satu persatu fahaman dan kesalahan mereka kerana mereka telah diberi dakwah oleh Nabi sudah sekian lama tetapi mereka tidak mahu menerimanya. Nampak kasar apa yang Allah ‎ﷻ lakukan ini, tetapi ini adalah satu metode dakwah juga. Apabila telah lama didakwah namun masih lagi tidak mahu menerima, kita boleh menceritakan perbuatan salah mereka satu persatu.

Walau bagaimanapun, ketika menegur itu, janganlah dari mula-mula lagi kita sudah sebut kesalahan yang mereka lakukan kerana itu boleh menyebabkan mereka melarikan diri. Mereka belum sedia lagi untuk menerima berita tentang kesalahan yang mereka telah lakukan. Kita kena berlembut dalam hal ini. Mula-mula kita ajar konsep supaya mereka sendiri tahu yang apa yang mereka amalkan selama ini salah. Ini supaya mereka dengan sendirinya akan meninggalkan amal perbuatan yang salah itu.

Namun begitu, kalau masih lagi tidak tahu, maka kenalah beritahu secara khusus. Kerana ada yang sudah diberitahu secara halus, tetapi masih lagi tidak faham-faham.


 

An’am Ayat 139:

وَقَالُواْ مَا فِى بُطُونِ هَـٰذِهِ ٱلأَنعَـٰمِ خَالِصَةٌ لِّذُڪُورِنَا وَمُحَرَّمٌ عَلَىٰٓ أَزوٰجِنَا‌ۖ وَإِن يَكُن مَّيتَةً فَهُم فِيهِ شُرَڪَآءُ‌ۚ سَيَجزِيهِم وَصفَهُم إِنَّهُ ۥ حَڪِيمٌ عَلِيمٌ

Sahih International

And they say, “What is in the bellies of these animals is exclusively for our males and forbidden to our females. But if it is [born] dead, then all of them have shares therein.” He will punish them for their description. Indeed, He is Wise and Knowing.

Malay

Dan mereka berkata lagi: “Apa yang ada dalam perut binatang-binatang ternak itu (jika ia lahirkan hidup) adalah halal bagi lelaki-lelaki kami dan haram bagi perempuan-perempuan kami”. Dan jika ia (dilahirkan) mati, maka mereka (lelaki perempuan) bersekutu padanya (bersama-sama memakannya). Allah akan membalas mereka tentang apa yang mereka tetapkan (mengenai halal dan haram) itu. Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.

 

وَقَالُوا مَا فِي بُطُونِ هَٰذِهِ الْأَنْعَامِ

Dan mereka mengatakan: “Apa yang ada dalam perut binatang ternak ini

Ini adalah kalau dalam perut binatang itu ada anak. Binatang yang dimaksudkan itu adalah al-Bahiirah. Ini satu lagi rekaan fahaman karut mereka. Ini sama juga dengan fahaman karut dalam kalangan masyarakat kita yang mengatakan bahawa lembu yang berbintik tidak boleh dijual.

 

خَالِصَةٌ لِّذُكُورِنَا

adalah khusus untuk kaum lelaki kami

Musyrikin Mekah berkata hanya orang lelaki sahaja yang boleh memakannya dan orang wanita diharamkan untuk memakannya.

Memang masih ada lagi fahaman karut di negara kita yang mengkhususkan sesuatu makanan untuk lelaki sahaja dan ada makanan lain pula yang khusus untuk perempuan sahaja. Mereka kata perempuan tidak boleh makan sebab akan jadi begini dan begitu.

 

وَمُحَرَّمٌ عَلَىٰ أَزْوَاجِنَا

dan diharamkan atas wanita kami,”

Ada juga sesetengah makanan yang hanya boleh dimakan oleh orang tua sahaja dan budak-budak tidak boleh makan. Ini pun adalah fahaman yang karut juga.

Ini adalah permulaan diskriminasi antara lelaki dan perempuan. Ini adalah satu diskriminasi yang tidak elok sampaikan dibezakan manakah makanan yang hanya lelaki sahaja yang boleh makan. Memang ini telah berlaku zaman berzaman. Islamlah yang memberikan hak wanita seperti yang sepatutnya.

Padahal Allah ‎ﷻ tidak pernah membezakan makanan untuk lelaki dan makanan untuk perempuan. Oleh itu jikalau zaman sekarang pun kita ada membeza-bezakan mana makanan yang elok dimakan untuk lelaki dan tidak elok dimakan oleh perempuan itu pun adalah satu perbuatan yang haram.

 

وَإِن يَكُن مَّيْتَةً

dan jika yang dalam perut itu dilahirkan mati,

Dia ini pula jika ada anak yang di dalam perut itu mati di dalam kandungan. Ataupun semasa hidupnya binatang itu, wanita tidak boleh menikmati apa-apa hasil daripadanya – hendak minum susu tidak boleh. Tetapi apabila sudah mati, baru boleh makan dagingnya.

 

فَهُمْ فِيهِ شُرَكَاءُ

maka lelaki dan wanita sama-sama boleh memakannya.

Kalau anak yang lahir daripada binatang itu mati maka lelaki ataupun perempuan boleh kongsi memakannya. Tetapi jikalau anak yang lahir itu hidup, maka lelaki saja yang dibenarkan untuk memakan binatang itu.

Memang tidak berapa jelas tentang hukum yang ditetapkan oleh Musyrikin Mekah itu. Ada beberapa pendapat tentang apakah yang dimaksudkan dengan Bahiirah, Hamm dan sebagainya. Ini adalah kerana ia telah lama berlaku. Allah ‎ﷻ cuma menyebut tentang fahaman salah mereka sahaja. Yang penting adalah pengajaran yang kita boleh ambil daripadanya di mana tidak boleh membuat hukum sendiri-sendiri dan tidak boleh ada fahaman yang karut marut.

 

سَيَجْزِيهِمْ وَصْفَهُمْ

Kelak Allah akan membalas mereka terhadap ketetapan mereka.

Kalimah وَصْفَهُمْ berasal daripada perkataan و ص ف yang bermaksud penentuan atau cara-cara. Mereka pandai-pandai menentukan sesuatu yang tidak benar tentang Allah ‎ﷻ. Dalam masyarakat kita pun ada: mereka kata ini golongan Sayed tidak boleh makan, golongan Nik tidak boleh makan. Maka sama sahaja akidah mereka. Ketahuilah yang Allah ‎ﷻ akan membalas perbuatan mereka menyifatkan sesuatu yang salah. Yang mereka pandai-pandai reka dan kemudian mereka katakan ia adalah sebahagian daripada agama.

Apa yang mereka buat itu adalah syirik kerana mereka mengharamkan apa yang halal untuk dimakan. Hukumnya adalah syirik kerana hal mengharamkan dan menghalalkan adalah keputusan Allah ‎ﷻ semata-mata tetapi mereka telah pandai-pandai membuat hukum sendiri dan mengambil alih tugas Allah ‎ﷻ.

 

إِنَّهُ حَكِيمٌ عَلِيمٌ

Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.

Allah ‎ﷻ Maha Bijaksana dalam menentukan mana yang haram dan manakah makanan yang halal untuk dimakan. Apa yang haram itu tidak elok dimakan dan apa yang halal itu adalah elok untuk dimakan. Maka, kita yang tidak tahu apakah hikmat yang telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ itu, hendaklah kita mengikut sahaja apa yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan.

Allah ‎ﷻ juga maha tahu tentang keperluan kita di dalam hidup dan kerana itu Allah ‎ﷻ telah menentukan makanan yang sesuai untuk kita.


 

An’am Ayat 140: Hasil daripada hasutan syaitan, mulanya tentang pantang makanan sahaja. Namun lama kelamaan, syaitan mula mempengaruhi mereka untuk membunuh anak-anak mereka. Itulah bahayanya kalau sentiasa mengikut bisikan syaitan. Mereka akan merosakkan agama kita sedikit demi sedikit.

Mulanya nampak macam tidak ada apa yang kita buat. Tetapi lama kelamaan, apabila kita sudah selalu sangat ikut kata syaitan, maka kita akan terus ikut tanpa soal segala arahan dan pujukan mereka. Apabila kita sudah selalu sangat ikut kata syaitan, syaitan itu akan menguasai kita dan boleh kawal kita. Kita selalu dengar bukan ada orang yang tahu sesuatu perkara itu salah, tetapi dia tidak dapat tahan diri dia daripada membuat perkara itu. Ini kerana syaitan sudah dapat mengawal dirinya.

قَد خَسِرَ ٱلَّذِينَ قَتَلُوٓاْ أَولَـٰدَهُم سَفَهَۢا بِغَيرِ عِلمٍ وَحَرَّمُواْ مَا رَزَقَهُمُ ٱللَّهُ ٱفتِرَآءً عَلَى ٱللَّهِ‌ۚ قَد ضَلُّواْ وَمَا ڪَانُواْ مُهتَدِينَ

Sahih International

Those will have lost who killed their children in foolishness without knowledge and prohibited what Allah had provided for them, inventing untruth about Allah. They have gone astray and were not [rightly] guided.

Malay

Sesungguhnya rugilah orang-orang yang membunuh anak-anak mereka kerana kebodohan, lagi tidak berpengetahuan (sedang Allah yang memberi rezeki kepada sekalian makhluknya), dan juga (rugilah orang-orang yang) mengharamkan apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepada mereka, dengan berdusta terhadap Allah. Sesungguhnya sesatlah mereka, dan tiadalah mereka mendapat petunjuk.

 

قَدْ خَسِرَ الَّذِينَ قَتَلُوا أَوْلٰدَهُمْ

Sesungguhnya rugilah orang yang membunuh anak-anak mereka,

Kita mungkin sudah biasa dengar Arab Jahiliyah membunuh anak-anak perempuan mereka. Akan tetapi kena tahu yang bukan semua daripada puak bangsa Arab yang membunuh anak-anak mereka. Dikatakan bahawa hanya beberapa puak sahaja yang berbuat begitu. Termasuk yang dikatakan mengamalkan pembunuhan anak-anak adalah puak Rabi’ dan Mudhar.

Bangsa Quraisy tidak melakukan perkara ini. Maka, kisah Sayidina Umar رضي الله عنه membunuh anak perempuannya tidak benar sama sekali. Itu hanyalah tohmahan daripada puak Syiah sahaja.

Amat bodoh sekali mereka kerana dengan membunuh anak akan merugikan diri mereka. Mereka rugi di dunia kerana mereka kekurangan anak; ini kerana anak boleh membantu kerja-kerja dan sebagai penenang hati dan sebagainya; dan mereka akan rugi di akhirat kelak kerana mereka akan dihukum dengan amat teruk sekali.

 

سَفَهًا بِغَيْرِ عِلْمٍ

kerana kebodohan lagi tidak mengetahui

Semua yang mereka lakukan itu adalah kerana kebodohan mereka. Ibn Abbas رضي الله عنهما pernah berkata: “Jikalau kamu hendak tahu betapa bodohnya mereka di zaman Jahiliah, maka bacalah perbuatan-perbuatan mereka di dalam surah al-An’am ini bermula daripada ayat 136 dan seterusnya.”

Apabila membaca bagaimanakah perbuatan mereka, kita boleh nampak bagaimana bodohnya perkara-perkara yang mereka lakukan. Maka ini menjadi pengajaran kepada kita supaya tidak ikut kaedah mereka dalam membuat hukum (iaitu ikut nafsu).

 

وَحَرَّمُوا مَا رَزَقَهُمُ اللَّهُ

dan mereka mengharamkan apa yang Allah telah rezeki-kan pada mereka

Allah ‎ﷻ telah memberi kita dan mereka dengan berbagai-bagai rezeki, antaranya termasuklah makanan dan juga anak-anak. Tetapi mereka telah mengharamkan makanan yang boleh dimakan dan mereka juga telah membunuh anak-anak mereka. Itulah sebabnya mereka dikatakan amat rugi.

Mereka rugi di dunia kerana tidak dapat menikmati rezeki itu dan mereka akan rugi di akhirat kerana mereka akan dibalas di atas perbuatan mereka mereka-reka hukum yang baru.

 

افْتِرَاءً عَلَى اللَّهِ

dengan semata-mata mengada-adakan pembohongan terhadap Allah.

Perbuatan mereka itu adalah mengadakan dusta terhadap Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ tidak pernah mengharamkan makanan yang mereka haramkan tetapi mereka yang memandai mengharamkannya. Mereka kata Allah ‎ﷻ suka pula dengan hukum itu. Samalah juga dengan mereka yang mencipta ibadah-ibadah bid’ah dalam agama. Mereka yang reka amalan, kemudian mereka kata amalan itu Allah ‎ﷻ suka.

Mereka sangka mereka buat perkara yang baik dan akan mendapat pahala, ettapi rupanya nanti mereka akan dihukum kerana dosa mengamalkan benda baru yang Allah ‎ﷻ tidak ajar pun.

Sebagai contoh, ada ulama’ yang reka zikir baru, dan mereka ‘beri’ pahala kepada amalan zikir itu. Mereka kata kalau mengamalkan zikir itu, pahalanya sebanyak langit dan bumi.

Sebagai contoh, amalan tarekat Ahmadiyah adalah:

لاَاِلَهَ اِلاّ اللهُ مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللهِ فِي كُلِّ لَمْحَةٍ وَنَفَسٍ عَدَدَمَا وَسِعَهُ عِلْمُ اللهِ
Bahawasanya tiada Tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah pada setiap kerlipan mata dan nafas sebanyak bilangan ilmu Allah.

Ini adalah satu amalan rekaan yang timbul lama selepas Nabi ﷺ wafat. Mereka yang mengamalkan amalan ini mengatakan sekali baca zikir ini, pahalanya sebanyak langit dan bumi. Tentu tidak ada dalil kerana zikir ini tidak pernah ada pada zaman Nabi ﷺ tetapi ia diamalkan kerana golongan tarekat tidak prihatin tentang dalil dan bukti amalan.

Dan ketahuilah zikir ini adalah zikir yang kufur kerana ia berzikir kepada Allah ‎ﷻ dan dalam masa berzikir kepada Nabi Muhammad ﷺ juga. Kita tidak boleh berzikir kepada selain Allah ‎ﷻ. Tetapi, apabila zikir ini diulang-ulang, ia telah menjadi satu zikir.

 

قَدْ ضَلُّوا

Sesungguhnya mereka telah sesat

Mereka sangka mereka terpimpin, tetapi sebenarnya tidak. Mereka sangka apa yang diberitahu oleh pemimpin-pemimpin mereka itu, mestilah benar. Pemuka-pemuka Quraisylah yang mengatakan bahawa makanan ini boleh dimakan atau tidak, sembelihan ini boleh dimakan atau tidak. Mereka yang masyarakat awam hanya mengikut sahaja.

Begitulah juga yang terjadi di dalam kebanyakan masyarakat kita. Apabila sesuatu hukum itu diberitahu oleh ustaz mereka, ramai dalam kalangan masyarakat awam terus terima walaupun ustaz mereka itu tidak beri dalil pun. Mereka sangka para asatizah itu sudah terpimpin tetapi sebenarnya tidak. Amalan itu adalah amalan yang sesat. Kita kena tahu bahawa amalan bid’ah adalah amalan yang sesat. Kerana inilah hadith yang Nabi ﷺ telah beritahu kepada kita. Nabi ﷺ melarang daripada membuat bid’ah kerana ia bahaya kepada agama.

 

وَمَا كَانُوا مُهْتَدِينَ

dan tidaklah mereka mendapat petunjuk.

Mereka yang membuat amalan yang salah telah menyangka bahawa mereka telah membuat perkara baik, dapat pahala, akan tetapi tidak sebenarnya. Petunjuk dalam dunia ini adalah daripada Al-Qur’an dan Hadith sahih. Semua Muslim sepatutnya tahu dan menjadikan dua sumber itu sebagai rujukan yang utama. Namun malangnya, mereka masih lagi menerima pendapat daripada manusia – daripada ulama’, ustaz, tok nenek keturunan mereka dan sebagainya.

Mereka amat jahil dengan nas yang sah. Apabila mereka bercakap, kita tahu yang mereka langsung tidak tahu dalil daripada Al-Qur’an dan sunnah. Tetapi nada bahasa yang digunakan oleh mereka, macamlah mereka itu pandai sangat. Padahal, hujah mereka adalah hujah akal sahaja. Ini amat menyedihkan. Lebih sedih lagi, apabila kita tegur mereka, kita pula yang kena marah dan dituduh sebagai sesat pulam

 

Habis Ruku’ 16 daripada 20 ruku’ dalam surah ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 16 April 2022


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s