Tafsir Surah al-An’am Ayat 136 – 137 (Allah jadi No.2)

An’am Ayat 136: Sekarang Allah ‎ﷻ menceritakan apakah perbuatan Musyrikin Mekah. Allah ‎ﷻ menceritakan bagaimanakah kefahaman syirik mereka. Allah ‎ﷻ menceritakan kebodohan yang mereka lakukan di mana mereka mengharamkan perkara yang halal.

Daripada ayat ini kita akan belajar kenapa mereka itu digelar ‘jahiliyyah’. Kita juga akan belajar bagaimana mereka melakukan bid’ah terhadap agama. Mereka sepatutnya mengikut syari’at Nabi Ibrahim عليه السلام tetapi mereka telah menukar pengajaran Nabi Ibrahim عليه السلام itu hingga menjadi amalan yang syirik.

وَجَعَلُواْ لِلَّهِ مِمَّا ذَرَأَ مِنَ ٱلحَرثِ وَٱلأَنعَـٰمِ نَصِيبًا فَقَالُواْ هَـٰذَا لِلَّهِ بِزَعمِهِم وَهَـٰذَا لِشُرَكَآٮِٕنَا‌ۖ فَمَا ڪَانَ لِشُرَڪَآٮِٕهِم فَلَا يَصِلُ إِلَى ٱللَّهِ‌ۖ وَمَا ڪَانَ لِلَّهِ فَهُوَ يَصِلُ إِلَىٰ شُرَڪَآٮِٕهِم سَآءَ مَا يَحڪُمُونَ

Sahih International

And the polytheists assign to Allah from that which He created of crops and livestock a share and say, “This is for Allah,” by their claim, ” and this is for our partners [associated with Him].” But what is for their “partners” does not reach Allah, while what is for Allah – this reaches their “partners.” Evil is that which they rule.

Malay

Dan mereka (orang-orang musyrik) memperuntukkan dari hasil tanaman dan binatang-binatang ternak yang diciptakan oleh Allah itu, sebahagian bagi Allah (dan sebahagian lagi untuk berhala-berhala mereka), lalu mereka berkata: Ini untuk Allah – menurut anggapan mereka – dan ini untuk berhala-berhala kami.” Kemudian apa yang telah ditentukan untuk berhala-berhala mereka, maka ia tidak sampai kepada Allah (kerana mereka tidak membelanjakannya pada jalan Allah), dan apa yang telah ditentukan untuk Allah, sampai pula kepada berhala-berhala mereka (kerana mereka membelanjakannya pada jalan itu). Amatlah jahatnya apa yang mereka hukumkan itu.

 

وَجَعَلُواْ لِلَّهِ مِمَّا ذَرَأَ مِنَ ٱلحَرثِ وَٱلأَنعَـٰمِ نَصِيبًا

Dan mereka memperuntukkan bagi Allah, daripada tanaman dan ternak yang telah diciptakan Allah, satu bahagian ,

Perkataan ذَرَأَ bermaksud ‘menjadikan dan membiakkan’. Selepas Allah ‎ﷻ jadikan, Allah ‎ﷻ biakkan. Perkataan ‘zuriat’ pun ada kena mengena dengan perkataan ذَرَأَ ini kerana zuriat kita dijadikan dan berkembang biak selepas itu.

Dalam ayat ini, diceritakan bagaimana Musyrikin Mekah telah memperuntukkan sebahagian daripada tanaman atau binatang ternak mereka kepada Allah ‎ﷻ dan juga tuhan-tuhan sembahan mereka selain Allah ‎ﷻ.

Lihatlah kebodohan mereka: tanaman dan binatang ternak itu dijadikan oleh Allah‎ ﷻ, tetapi mereka masih juga mahu memberikan sebahagiannya untuk ilah-ilah berhala mereka.

Ayat ini juga adalah tentang ‘nazar’. Nazar berlaku apabila seseorang berjanji dengan Allah ‎ﷻ, jika mereka dapat sesuatu, mereka akan buat sesuatu. Mereka akan beri makan fakir miskin, berpuasa seminggu dan sebagainya. Konsep nazar memang ada dalam Islam. Namun begitu ada masalah sedikit dengan perbuatan ini.

Mereka yang bernazar adalah orang yang ‘kedekut’ kerana mereka berjanji, yang kalau Allah beri ‎ﷻ, barulah buat ibadat. Padahal ibadat itu memang sudah patut dibuat. Maka, walaupun nazar itu boleh dibuat, tetapi ia adalah satu perkara yang tidak elok sebenarnya.

Walaupun begitu, jika sudah bernazar, kena tunaikan juga, kerana kita telah berjanji dengan Allah ‎ﷻ. Kecualilah kalau kita bernazar dengan sesuatu yang haram. Contohnya, kalau kita bernazar hendak makan babi kalau kita dapat anak lelaki. Atau, kita bernazar tidak mahu bersetubuh dengan isteri kalau kita dapat sesuatu projek. Atau, kita bernazar tidak mahu pergi rumah bapa saudara. Itu adalah jenis-jenis nazar yang tidak boleh dibuat dan hendaklah dibatalkan nazar dan mesti membayar fidyah kerana telah melanggar janji kita dengan Allah ‎ﷻ.

Ada juga nazar yang bukan kerana Allah ‎ﷻ dan ini adalah syirik. Inilah topik yang disebut dalam ayat ini. Sebagai contoh, bernazar dengan jin untuk sembelih kambing kalau sembuh satu-satu penyakit. Atau jika hantu pergi meninggalkan orang yang dirasuk, mereka akan sembelih ayam. Ini yang selalu diajar oleh bomoh dan masih lagi banyak diamalkan di kampung-kampung dan malah di bandar-bandar.

Masyarakat kita ramai yang jahil dan tidak tahu agama, maka mereka selalu dirasuk atau diganggu jin. Dan mereka akan panggil bomoh untuk menghalau jin itu. Bomoh itu juga orang yang jahil yang tidak belajar agama, maka mereka tidak tahu yang mereka pun bersekongkol dengan jin. Maka, mereka telah berjanji dengan jin untuk menyembelih binatang. Ada jin yang berjanji akan keluar kalau disembelih binatang.

Itu adalah perkara yang syirik, kerana kita menyembelih makanan kerana jin itu atau makhluk-makhluk lain. Kalau kita makan sembelihan itu, ia adalah lebih haram daripada makan babi, walaupun yang kita makan itu adalah ayam, kambing, atau lembu dan semasa sembelih itu, dibacakan ‘bismillah’. Jika terdapat saudara mara kita yang buat, tegurlah mereka dan katakan kepada mereka itu adalah perkara yang syirik.

Selain daripada itu, ada petani yang memperuntukkan tuaian pertama mereka pada satu-satu tahun itu kepada Allah ‎ﷻ. Dan selebihnya diperuntukkan kepada ‘semangat padi’. Inilah jin yang kononnya menjaga padi. Ini juga diajar oleh tok bomoh yang telah berkawan dengan jin. Sudah lama amalan ini tidak ada di Malaysia. Sudah terhapus rasanya. Walaupun begitu, kita masih boleh melihatnya diamalkan oleh petani Hindu Bali di Indonesia.

Namun begitu masih ada lagi perbuatan pemakanan ‘pulut semangat’ iaitu ‘pulut kuning’ yang banyak orang kita buat. Itu adalah sebahagian daripada majlis pemujaan yang dilakukan dahulu tetapi orang kita tidaklah berniat pulut kuning itu untuk diberi makan kepada jin. Mereka tidak pernah periksa dari mana asalnya ‘pulut kuning’ itu.

Walaupun mereka tidak berniat, tetapi perbuatan itu asalnya adalah daripada perbuatan yang diamalkan oleh mereka yang buat syirik, maka kita tidak boleh mengamalkannya lagi. Sedikit sebanyak, masih ada lagi elemen ‘memuja’ dalam perbuatan itu. Maka, berhentilah daripada membuat pulut kuning, makan pulut kuning dan kena mengena dengan pulut kuning.

Lebih baik tinggalkan sahaja daripada terus berhujah kenapa ia boleh dilakukan. Kita hendak menjaga akidah kita, bukan sekadar mahu menjaga adat resam yang sudah lama ada dalam masyarakat. Ada resam itu tidak bernilai apa-apa kalau akidah kita hancur dan kita masuk neraka. Tidak ada ruginya kalau kita tidak buat pulut kuning dan makan pulut kuning.

 

فَقَالُوا هَٰذَا لِلَّهِ بِزَعْمِهِمْ

lalu mereka berkata: “Ini untuk Allah” mengikut anggapan karut mereka

Mereka kata dengan mulut sahaja yang bahagian yang mereka persembahkan itu untuk Allah‎ ﷻ tetapi sebenarnya tidak.

Mereka akan berikan bahagian yang telah diperuntukkan untuk Allah ‎ﷻ itu kepada orang lain. Mungkin diberikan kepada mereka yang sedang tawaf di Kaabah. Ataupun akan diberikan kepada orang-orang miskin yang memerlukannya. Tetapi bahagian yang telah diperuntukkan kepada sembahan syirik mereka, tidak pula diberikan untuk menolong orang.

Mereka sendiri reka berapa banyak bahagian yang diperuntukkan untuk Allah ‎ﷻ. Ia hanya mengikut sangkaan mereka, bukannya mengikut wahyu dan arahan daripada Allah ‎ﷻ. Mereka juga pandai-pandai menetapkan apakah tanaman dan binatang untuk dikorbankan. Ini tidak sama seperti zakat yang Allah ‎ﷻ telah tentukan berapa banyak yang perlu dikeluarkan.

Inilah bahayanya memandai-mandai reka fahaman dan andaian sendiri. Amat menakutkan apabila manusia reka perkara sebegini. Sebagai contoh, ada akidah tareqat Naqsyabandiah (yang sepatutnya haram tetapi telah dihalalkan bersyarat), yang guru mereka boleh ‘tembak’ sifat buruk anak murid. Di dalam buku Nazim al-Haqqani (pemimpin tarikat Naqsyabandiah al-Aliyyah menjelaskan keistimewaan guru agung:

“Setiap Guru Agung diberi bimbingan yang istimewa. Keistimewaan Guru Agung kami ialah jika dia melihat ciri-ciri buruk, dia akan MENEMBAKnya dengan bedilan yang berat. Baterinya sentiasa dicas untuk menembak ciri-ciri buruk sesiapa sahaja -sama ada dia raja atau pekerja- dengan peluru letupan yang hebat…”. (Mercy Oceans’ Hidden Treasure, hal. 52)

Beginilah bahayanya apabila manusia boleh menerima perkara tanpa asas. Malangnya ramai yang terus menerima sahaja kata-kata manusia dan percaya sungguh-sungguh. Padahal ia adalah perkara ghaib. Dan rekaan fahaman ini berlaku zaman berzaman termasuk dari zaman jahiliyyah lagi. Kita boleh lihat ia berterusan sampai ke hari ini bagi orang yang jahil. Memang jahiliyyah Arab zaman Nabi itu telah terhapus, tetapi kejahilan manusia masih ada lagi.

 

وَهَٰذَا لِشُرَكَائِنَا

dan ini untuk berhala-berhala kami”.

Ada bahagian untuk Allah ‎ﷻ, dan ada bahagian untuk sembahan syirik mereka. Mereka percaya sembahan syirik mereka itulah nanti yang akan membawakan doa mereka kepada Allah ‎ﷻ. Sebab itu mereka ingin membodek dengan memberikan sembahan makanan atau sembelihan itu.

Mereka juga beri kepada sembahan-sembahan mereka kerana mereka beranggapan bahawa sembahan-sembahan itu nanti yang akan menyelamatkan mereka. Atau mereka berakidah yang sembahan mereka itu yang boleh meningkatkan rezeki mereka atau melindungi mereka daripada bala bencana.

Bahagian yang diberikan untuk sembahan syirik mereka itu selalunya lebih besar daripada bahagian yang diberikan untuk Allah ‎ﷻ, kerana mereka lebih takut kepada tuhan syirik mereka daripada takut kepada Allah ‎ﷻ.

Sebagai contohnya, ada yang percaya ‘Semangat Padi’ yang dipuja, diberi makan dan sebagainya, akan menyebabkan tanaman mereka subur dan banyak. Itu dalam hal padi, dalam hal-hal tanaman lain, ada lagi. Dalam menangkap ikan, ada lain pula. Ini masih lagi diamalkan di Malaysia di tempat-tempat tertentu kerana masih ramai lagi masyarakat kita yang mengamalkan amalan syirik, walaupun mereka mengaku Islam.

Ia masih lagi berlaku kerana masyarakat kita memang cenderung kepada syirik. Dan mereka selalunya tidak kisah hal agama, atau kalau mereka kisah, mereka diajar dengan amalan-amalan dan akidah yang syirik oleh guru-guru dalam kalangan ‘ulama su’ (ulama jahat).

Sayidina Umar رضي الله عنه pernah berkata, kita tidak akan faham tentang syirik jikalau kita tidak tahu tentang amalan syirik yang diamalkan oleh Musyrikin Mekah. Oleh sebab itu, penting untuk kita kenali apakah akidah Musyrikin Mekah. Mereka itu percaya bahawa Allah ‎ﷻ adalah Tuhan, Nabi Ibrahim عليه السلام adalah Rasul mereka dan mereka masih lagi mengamalkan serba sedikit syariat daripada ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام. Tetapi dalam masa yang sama, mereka mempunyai akidah syirik dan amalan-amalan syirik yang dilakukan oleh mereka.

Oleh sebab itu, jikalau masyarakat Islam di negara ini percaya Allah ‎ﷻ itu Tuhan, Nabi Muhammad ﷺ itu Rasul, dan kita mengamalkan ibadah-ibadah yang diajar oleh Nabi ﷺ, tetapi di dalam masa yang sama kita melakukan amal syariat dan mempunyai akidah yang syirik, maka kita juga adalah musyrikin. Jangan sangka yang orang Islam tidak boleh jadi musyrikin.

 

فَمَا كَانَ لِشُرَكَائِهِمْ فَلَا يَصِلُ إِلَى اللَّهِ

Maka saji-sajian yang diperuntukkan bagi sekutu-sekutu mereka itu, tidak sampai kepada Allah;

Apa sahaja pemberian yang mereka telah tetapkan untuk sembahan mereka selain Allah ‎ﷻ itu tidak akan sampai kepada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ tentunya tidak memerlukan makanan itu. Apa yang dimaksudkan untuk Allah ‎ﷻ sebenarnya diberikan kepada mereka yang memerlukan, sebagai contoh, mereka yang miskin dan mereka yang melakukan tawaf di Kaabah pada masa itu.

 

وَمَا كَانَ لِلَّهِ فَهُوَ يَصِلُ إِلَىٰ شُرَكَائِهِمْ

dan saji-sajian yang diperuntukkan bagi Allah, sajian itu sampai kepada berhala-berhala mereka.

Pemberian kepada Allah ‎ﷻ kadang-kadang sampai kepada tuhan-tuhan mereka. Sebagai contoh, kalau bahagian untuk tuhan-tuhan mereka tidak cukup (mungkin tuaian tidak cukup pada waktu itu), mereka akan ambil daripada bahagian yang diperuntukkan untuk Allah ‎ﷻ. Mereka berhujah yang Allah ‎ﷻ tidak perlukan pun pemberian itu, maka boleh sahaja diambil-ambil ikut suka. Seperti yang telah disebut, mereka tidak takut dengan Allah ‎ﷻ, mereka lebih takut dengan berhala mereka.

Dan bahagian untuk Allah ‎ﷻ pun mereka tidak akan biarkan begitu sahaja. Mereka akan ambil bahagian yang telah diperuntukkan untuk Allah ‎ﷻ dan diberikan kepada orang lain, kerana mereka kata Allah ‎ﷻ tidak memerlukan pemberian itu. Contohnya, diberikan kepada siak atau sami yang menjaga kuil itu.

 

سَاءَ مَا يَحْكُمُونَ

Amat buruklah ketetapan hukum mereka itu.

Amat buruk apa yang mereka lakukan kerana Allah ‎ﷻ yang telah memberikan segala-galanya kepada mereka, tetapi mereka tidak membalasnya dengan melakukan ibadah yang benar. Yang amat memelikkan, kepada tuhan-tuhan syirik mereka yang tidak boleh memberi mereka apa-apa, mereka lebih-lebihkan pula.

Mereka juga telah pandai-pandai mencipta agama baru dan hukum baru dengan mendatangkan bahagian-bahagian yang tertentu untuk Allah ‎ﷻ dan bahagian-bahagian tertentu untuk tuhan mereka. Allah ‎ﷻ tidak pernah suruh dan ajar pun, tetapi mereka yang pandai-pandai buat sendiri.

Samalah juga dengan amalan-amalan masyarakat kita yang tidak berasaskan daripada ajaran Nabi ﷺ. Semua perkara itu dibuat hukumnya oleh mereka dan mereka akan kata bahawa ia adalah sebahagian daripada agama. Yang menyedihkan, ia diajar oleh ustaz-ustaz dalam masyarakat kita.

Apakah pengajaran ayat ini kepada kita, kerana mungkin ada yang berkata amalan ini tidak lagi dibuat oleh masyarakat kita? Ayat ini mengajar kita bahawa kita tidak boleh membuat perkara baru dalam agama. Walaupun mereka berkata niat mereka adalah baik.

Sebagai contoh, Musyirikin Mekah mengatakan mereka memberi bahagian untuk Allah ‎ﷻ tetapi mereka memandai-mandai memberikan anggaran dan hukum-hukum yang baru walaupun Allah ‎ﷻ tidak menyuruh mereka berbuat begitu. Dan syariat Nabi Ibrahim عليه السلام pun bukan begitu. Oleh itu, membuat perkara baru dalam agama walaupun dengan niat yang baik adalah satu dosa.

Ayat ini juga mengajar kita untuk melebihkan Allah ‎ﷻ dalam kehidupan kita. Jangan jadi seperti Musyrikin Mekah yang menyekutukan Allah ‎ﷻ dengan tuhan-tuhan syirik, malah melebihkan tuhan-tuhan syirik mereka daripada Allah ‎ﷻ. Kita telah ada ibadat yang perlu kita penuhi sehari semalam. Janganlah kerana kita ada perkara-perkara lain yang kita perlu lakukan, maka ibadat yang perlu kita lakukan itu kita ketepikan.

Itu bermakna, kita melebihkan benda lain lagi daripada Allah ‎ﷻ. Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ telah menegur perbuatan Musyrikin Mekah yang melebihkan tuhan-tuhan syirik mereka daripada-Nya.

Kita juga banyak buat kesalahan ini. Jangan kita sangka ayat ini tentang Musyrikin Mekah sahaja kerana ia mengandungi teguran kepada kita juga. Untuk tujuan bersukaria, kita sanggup menghabiskan wang ringgit yang banyak. Tiket konsert kita tidak kisah bayar mahal pun. Namun kalau dalam hal agama, seperti bersedekah atau mendapatkan buku-buku agama, kita tidak sanggup untuk mengeluarkan duit walau sedikit pun.

Begitulah kita telah banyak buat kesalahan melebihkan keduniaan daripada Allah ‎ﷻ. Sebagai contoh, katakanlah kita sudah siapkan satu masa untuk salat sunat atau untuk mengaji Al-Qur’an. Akan tetapi jikalau ada hal dunia yang memerlukan kita, kita dengan mudah sahaja akan tinggalkan masa yang kita telah sediakan untuk beribadah itu untuk selesaikan hal dunia dahulu, bukan?


 

An’am Ayat 137:

وَڪَذٰلِكَ زَيَّنَ لِڪَثِيرٍ مِّنَ ٱلمُشرِڪِينَ قَتلَ أَولَـٰدِهِم شُرَڪَآؤُهُم لِيُردُوهُم وَلِيَلبِسُواْ عَلَيهِم دِينَهُم وَلَو شَآءَ ٱللَّهُ مَا فَعَلُوهُ‌ۖ فَذَرهُم وَمَا يَفتَرُونَ

Sahih International

And likewise, to many of the polytheists their partners have made [to seem] pleasing the killing of their children in order to bring about their destruction and to cover them with confusion in their religion. And if Allah had willed, they would not have done so. So leave them and that which they invent.

Malay

Dan demikianlah juga (jahatnya) ketua-ketua yang orang-orang musyrik itu jadikan sekutu bagi Allah, menghasut kebanyakan dari mereka dengan kata-kata indah yang memperlihatkan eloknya perbuatan membunuh anak-anak mereka, untuk membinasakan mereka, dan untuk mengelirukan mereka nengenai ugama mereka. Dan kalau Allah kehendaki, nescaya mereka tidak melakukannya. Oleh itu biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan itu.

 

وَكَذَٰلِكَ زَيَّنَ لِكَثِيرٍ مِّنَ الْمُشْرِكِينَ

Dan demikianlah telah menjadikan kebanyakan daripada orang-orang musyrik itu memandang cantik

Sebagaimana perbuatan mereka memberi persembahan kepada tuhan-tuhan mereka telah dinampakkan cantik kepada mereka, begitu juga dengan perbuatan syirik yang lain yang akan disebutkan ini.

Kalimat مِّنَ الْمُشْرِكِينَ (daripada sebahagian orang musyrik) bermaksud bukan semua orang musyrik berbuat seperti yang akan disebutkan ini tetapi ‘kebanyakan’ daripada mereka. Apakah perbuatan mereka itu?

 

قَتْلَ أَوْلٰدِهِمْ شُرَكَاؤُهُمْ

membunuh anak-anak mereka (dinampakkan cantik) oleh sekutu-sekutu mereka

Kalimah شُرَكَاؤُهُمْ (syirik-syirik mereka) bermaksud jin dan syaitan yang telah mereka jadikan sebagai kawan rapat mereka itu. Apabila mereka telah bersekongkol dengan jin dan syaitan itu, maka jin syaitan itu telah menyuruh orang-orang musyrik ini melakukan berbagai-bagai perkara yang salah. Antaranya, membunuh anak-anak mereka. Jin-jin itu akan bisikkan kepada mereka supaya membunuh anak sendiri.

Apabila manusia sudah semakin jauh daripada Allah ‎ﷻ, maka ada manusia yang sanggup membunuh manusia-manusia lain termasuk anak-anak mereka sendiri kerana mereka telah disuruh oleh syaitan.

Beginilah yang terjadi kepada kaum-kaum sesat seperti Inca dan Aztek di Amerika Selatan. Mereka akan membunuh anak-anak kecil mereka sebagai persembahan kepada tuhan dan dewa mereka dalam keadaan tertentu. Mereka juga akan buat begitu jikalau sudah lama hujan tidak turun atau mereka dilanda musibah. Begitulah yang dilakukan oleh penduduk Mesir sebelum kedatangan Islam dan bangsa Arab Musyrikin Mekah pun ada berbuat begitu juga.

 

لِيُرْدُوهُمْ

untuk membinasakan mereka

Apabila puak Musyrikin membunuh anak-anak mereka, mereka telah memusnahkan diri mereka sendiri kerana mereka membunuh keturunan mereka dan mereka telah membunuh tenaga kerja yang mereka boleh gunakan. Jika mereka bunuh anak-anak perempuan, ini akan menyebabkan kurangnya perempuan di dalam masyarakat mereka untuk meneruskan keturunan puak mereka.

Macam-macam sebab dijadikan oleh Musyrikin untuk membunuh anak-anak mereka. Sebagai contoh, mereka akan membunuh anak perempuan mereka kerana mereka malu. Mereka tidak boleh menerima hakikat bahawa ada orang lelaki lain yang akan memiliki anak perempuan mereka.

Dan mereka juga membunuh anak perempuan mereka kerana pada pendapat mereka, anak perempuan itu tidak memberi faedah dari segi ekonomi. Mereka tidak kuat untuk membantu mereka berkebun atau bercucuk tanam. Juga tidak dapat membantu mereka dalam peperangan. Dan mereka adalah kaum yang mementingkan anak lelaki dan mereka berbangga jika anak-anak mereka adalah anak lelaki. Jikalau mereka mendapat anak perempuan, mereka rasa seperti ada kekurangan pada diri mereka.

Selain daripada itu, mereka juga membunuh anak-anak mereka tidak kira perempuan atau lelaki kerana mereka takut mereka akan jatuh papa kedana kalau anak mereka ramai. Kerana itu, jikalau mereka dapat anak dan mereka rasa mereka tidak dapat memberi anak itu makan, atau mereka rasa anak itu akan menyebabkan mereka kekurangan makanan kerana ada bertambah mulut yang perlu disuap, mereka akan membunuh anak itu ketika kecil lagi. Ataupun mereka akan menggugurkan bayi di dalam kandungan isteri mereka.

Itu semua adalah fahaman yang salah. Allah ‎ﷻ telah berfirman dalam Al-Isra’:31 tentang larangan-Nya membunuh anak kerana takut kemiskinan.

وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ خَشْيَةَ إِمْلَاقٍ ۖ نَحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَإِيَّاكُمْ ۚ إِنَّ قَتْلَهُمْ كَانَ خِطْئًا كَبِيرًا

Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut kemiskinan. Kamilah yang akan memberi rezeki kepada mereka dan juga kepadamu. Sesungguhnya membunuh mereka adalah suatu dosa yang besar.

Allah ‎ﷻ menceritakan apa yang terjadi pada Zaman Jahiliah. Adakah ia masih lagi berlaku pada zaman sekarang? Tentu kita pernah mendengar bagaimana ada ibu bapa yang tidak mahu anak perempuan. Apabila mereka tahu bahawa isteri mereka mengandungkan anak perempuan, maka mereka akan menggugurkan anak mereka.

Ini bermaksud amalan zaman jahiliyah masih ada lagi sampai sekarang. Di negara ini pun kadang-kadang kita akan mendengar bagaimana ada pasangan yang membunuh anak-anak mereka. Kalau mereka tidak bunuh selepas lahir, mereka akan gugurkan ketika dalam kandungan lagi. Kalau mereka tidak sanggup bunuh, mereka akan tinggalkan anak-anak mereka di jalanan dan sebagainya.

Begitu juga terdapat pasangan suami isteri yang tidak mahukan anak. Mereka rasa mereka tidak dapat memelihara anak itu kerana takut miskin. Mereka rasa mereka tidak mampu menyara hidup anak sampaikan mereka sanggup menggugurkan anak itu dan kalau anak itu lahir, mereka akan memberikan anak itu kepada orang lain. Sedangkan Allah ‎ﷻ telah memberitahu kepada kita bahawa Dialah yang memberi rezeki kepada anak itu. Semasa anak itu di dalam perut ibu itu lagi Allah ‎ﷻ sudah menetapkan rezeki kepada anak itu.

Selain itu terdapat pasangan suami isteri yang apabila mereka tahu bahawa anak mereka akan menjadi cacat, mereka akan menggugurkan kandungan. Itu pun dikira sebagai membunuh anak.

Ada musyrikin yang akan mengorbankan anak-anak mereka untuk berhala-berhala mereka. Ketika zaman Khalifah Umar رضي الله عنه, pernah sungai Nil kekeringan air. Telah menjadi adat mereka turun temurun untuk mengorbankan anak perempuan jikalau Sungai Nil kekeringan. Khalifah Umar رضي الله عنه telah memberhentikan adat khurafat itu. Ini bermakna selepas zaman Islam  pun masih ada lagi pengorbanan anak yang dilakukan.

Akan tetapi bukan semua Musyrikin Mekah melakukan hal ini. Jangan kita pukul rata semua mereka itu. Dan dalam hal ini ada tohmahan besar terhadap Saidina Umar رضي الله عنه. Masyarakat kita umumnya sudah pernah dengar kisah yang Umar رضي الله عنه menyesal kerana beliau telah pernah membunuh anaknya. Akan tetapi kisah ini tidak benar. Umar رضي الله عنه tidak pernah membunuh anaknya. Itu adalah rekaan cerita tipu oleh puak Syiah yang hendak memburukkan nama Saidina Umar رضي الله عنه sahaja kerana mereka amat benci kepada beliau. Cuba fikirkan, kalaulah beliau jenis membunuh anak perempuannya, maka bagaimana pula anaknya Habshah itu boleh membesar sampai boleh menikah dengan Rasulullah ﷺ?

 

وَلِيَلْبِسُوا عَلَيْهِمْ دِينَهُمْ

dan untuk campur adukkan mereka agama mereka.

Mereka mencampuradukkan antara yang hak dan yang batil di dalam agama mereka. Mencampurkan antara agama yang diajar oleh Nabi ﷺ dan amalan-amalan direka oleh manusia. Inilah yang dilakukan oleh Musyrikin Mekah dan inilah juga yang terjadi di negara Malaysia sekarang.

Oleh kerana ramai yang jahil dengan agama dan jauh daripada ajaran wahyu, ramai telah mencampurkan amalan-amalan yang bukan daripada ajaran Nabi ﷺ, seperti Maulid Nabi, bacaan Talqin, salat hajat berjemaah dan banyak lagi amalan-amalan bid’ah sesat yang mereka anggap sebagai agama.

Apabila agama dicampur-adukkan, maka ia akan mengelirukan mereka kerana mereka sudah tidak tahu manakah agama yang benar dan manakah yang tidak. Macam orang kita juga yang sedang tidak tahu manakah arahan agama dan manakah amalan adat turun temurun. Ramai yang hanya mengikut sahaja ajaran-ajaran ustaz-ustaz dan guru-guru yang jahil.

 

وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ مَا فَعَلُوهُ

Dan kalau Allah menghendaki, nescaya mereka tidak mengerjakannya,

Allah ‎ﷻ boleh sahaja halang mereka daripada mengamalkan amalan-amalan sesat itu. Tetapi Allah ‎ﷻ biarkan manusia yang hendak jadi sesat untuk terus melakukannya dan itu adalah ujian bagi manusia. Allah ‎ﷻ hendak lihat adakah mereka taat kepada arahan dan larangan-Nya ataupun tidak.

Dan ia juga menjadi satu ujian bagi kita yang hendak mengamalkan sunnah. Ia merupakan ujian bagi mereka yang hendak mencari kebenaran. Mereka terpaksa melalui amalan-amalan yang salah sebelum mereka menemui agama yang benar. Ada yang menempuh masuk Arqam, ada yang masuk tareqat, ada yang sempat zikir nafas, zikir hu hu hu dan ah ah sebelum menemui jalan yang benar.

Dan ia juga menjadi ujian untuk terus mengamalkan ajaran Sunnah. Bukannya senang untuk mengamalkan Sunnah di dalam masyarakat yang rata-ratanya mengamalkan bid’ah dan dikelilingi oleh mereka yang berpegang kuat dengan amalan yang salah itu. Sampaikan bila kita hendak cuba mengingatkan kepada mereka tentang kesalahan itu, mereka pula yang kata kita yang sesat dan menyusahkan agama.

Kalau berdebat dengan mereka, mereka akan menggunakan hujah akal, kitab itu dan ini dan juga mereka kata ramai yang buat amalan seperti mereka. Mereka kata, takkan salah kalau ramai yang buat? Kita boleh sahaja jawab: memang benarnya ramai yang akan buat amalan salah dan sesat dalam masyarakat kerana Nabi ﷺ pun sudah bersabda, mafhumnya: yang sesat itu 72 golongan, yang benar hanya satu sahaja.

 

فَذَرْهُمْ وَمَا يَفْتَرُونَ

maka biarkan mereka dan apa yang mereka ada-adakan.

Maksud ‘biarkan’ adalah kita jangan terus tegur tentang kesalahan amalan mereka itu tetapi kita ajari mereka tauhid yang benar. Nabi Muhammad ﷺ pun tidak menegur kesalahan-kesalahan penyembahan berhala yang dilakukan oleh Musyrikin Mekah ketika awal Islam.

Begitu juga baginda tidak menegur perbuatan tawaf dalam keadaan telanjang yang dilakukan oleh Musyrikin Mekah waktu itu. Nabi ﷺ juga tidak memecahkan berhala-berhala yang mereka sembah itu. Memang ada kisah bagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام memecahkan berhala-berhala kaumnya, tetapi itu bukanlah syariat Nabi Muhammad ﷺ.

Rasulullah ﷺ tekankan ajaran tauhid dahulu dan beri masyarakat baginda faham tentang tauhid. Ini kerana apabila kita mengajar tauhid yang benar, selalunya yang menerima tauhid itu sendiri akan tahu mana yang salah dan mana yang benar. Mereka akan mula berfikir tentang agama, dan mereka akan menolak perbuatan syirik dengan sendiri, tanpa paksaan daripada kita.

Kerana itulah hanya apabila berlakunya penaklukan Mekah, barulah baginda memberi arahan kepada sahabat-sahabat baginda untuk memusnahkan berhala-berhala yang mengelilingi Kaabah itu. Maka ini mengajar kita untuk memilih masa yang sesuai untuk menegur manusia. Kalau kita sudah ada peluang, maka boleh tegur mereka.

Begitulah kita sekarang dalam melihat amalan bid’ah masyarakat kita. Kita hanya boleh beri ilmu dan ingatkan mereka sahaja. Ini kerana melakukan amalan bid’ah bukannya ada hukuman hudud. Kita juga hanya disuruh berperang dengan golongan yang jelas kekafiran mereka, dan kita tidak disuruh membunuh golongan yang jahil melakukan ibadah bid’ah.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 12 April 2022


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s