Berkenaan Ruqyah

📚 Hal Berkenaan Ruqyah.

1. Jin/iblis memang berusaha dengan pelbagai cara untuk menyesatkan manusia. Allah memperkatakan tentang iblis dan apakah niatnya dalam Surah Taha Ayat 117;

فَقُلْنَا يَا آدَمُ إِنَّ هَٰذَا عَدُوٌّ لَّكَ وَلِزَوْجِكَ فَلَا يُخْرِجَنَّكُمَا مِنَ الْجَنَّةِ فَتَشْقَىٰ

Maka, Kami berfirman: “Wahai Adam sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu; oleh itu, janganlah ia menyebabkan kamu berdua keluar dari Syurga, kerana dengan yang demikian engkau (dan isterimu) akan menderita.

📑 Iblis adalah bapa kepada jin (sebagaimana Nabi Adam a.s. adalah bapa kepada manusia). Sebagaimana Nabi Adam dikeluarkan dari syurga, anak cucu iblis akan cuba menyesatkan kita dengan pelbagai cara supaya kita kekal bersama mereka dalam neraka. Salah satunya adalah dengan menyesatkan manusia dalam hal-hal perubatan, yang kebiasaannya disebabkan oleh penyakit ghaib seperti kerasukan atau sihir.

2. Ada bermacam-macam cara yang dilakukan oleh jin-jin ini dalam merasuk atau menyihir manusia, dan ada pelbagai kaedah pula yang digunapakai oleh manusia untuk menyelesaikannya.

Dahulu kala, bila berdepan masalah kerasukan atau sihir, masyarakat kita akan berjumpa tok bomoh, tok dukun atau mak bidan yang ada kelebihan untuk melihat, merasa kehadiran atau berkomunikasi dengan jin, mampu memberi arahan kepada jin malahan kononnya mampu membunuh jin, sehinggakan mereka ini menjadi watak penting dalam kehidupan kita. Tok bomoh, tok dukun dan mak bidan ini amat sinonim dengan penggunaan mentera, atau jampi serapah, bersama barang-barang sisipan yang dipanggil pengeras yang wajib dibawa bersama setiap kali berlangsungnya upacara rawatan. Kaedah rawatan mereka pula biasanya berbentuk pemujaan, dengan menyeru nama2 pelik berunsur kehantuan (seperti ‘hai mambang tanah, mambang api, mambang air, mambang mabuk minum brandy’ yang disebut dalam filem Pendekar Bujang Lapok :-)). Ada juga kaedah dipanggil ‘menurun’ di mana jin2 ini akan merasuk ke dalam tubuh tok bomoh, tok dukun atau mak bidan ini dan akan berkomunikasi dengan pesakit yang dirasuk atau wakil yang menghantar pesakit ini.

Kaedah-kaedah seperti ini memang jelas nyata bertentangan dengan ajaran Islam. Lama-kelamaan, sejajar dengan peningkatan kefahaman agama dalam masyarakat kita, golongan pengamal perubatan pembomohan ini semakin terpinggir kerana masyarakat sudah mulai sedar dosa besar yang mereka tanggung jika menggunakan kaedah perubatan yang berasaskan jin ini. Sebagaimana yang disebut di dalam Surah Al Jinn ayat 6:-

وَأَنَّهُ كَانَ رِجَالٌ مِّنَ الْإِنسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ مِّنَ الْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًا

Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada golongan jin, kerana dengan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.

📖 Allah mengatakan dengan tegas kepada mereka dalam Surah Asy Syura Ayat 9;

أَمِ اتَّخَذُوا مِن دُونِهِ أَوْلِيَاءَ فَاللَّهُ هُوَ الْوَلِيُّ وَهُوَ يُحْيِي الْمَوْتَىٰ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Atau patutkah mereka mengambil pelindung-pelindung selain Allah? Maka Allah, Dialah pelindung (yang sebenarnya) dan Dia menghidupkan orang-orang yang mati, dan Dia adalah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

3. Akan tetapi, masalah ini sebenarnya tidak selesai begitu sahaja, malahan menjadi semakin rumit dan mengelirukan masyarakat apabila tok bomoh, tok dukun dan mak bidan ini sudah bertukar watak pula menjadi Ustaz/Ustazah.

Tidak seperti tok bomoh, tok dukun dan mak bidan yang menggunakan jampi serapah, Ustaz/Ustazah ini menggunakan ayat-ayat Al Quran, zikir-zikir serta selawat. Mereka juga ada kelebihan yang sama, iaitu boleh nampak jin, boleh bercakap dengan jin, boleh scan jin, boleh rasa kehadiran jin, dan juga boleh tembak/sembelih/tikam/bunuh/bakar jin. Hebat bukan?

Lihatkah betapa hebatnya tipu daya iblis. Apabila masyarakat sudah mula mendekati Islam, mereka turut mengubah modus operandi mereka dengan menggunakan pendekatan Islam untuk menyesatkan manusia, iaitu melalui satu istilah yang dinamakan PERUBATAN ISLAM

Benarkah Perubatan Islam ini kaedah Islam yang sebenar dalam merawat penyakit ghaib seperti kerasukan dan sihir?

Bagaimanakah caranya untuk kita menyedarkan masyarakat bahawa Perubatan Islam ini sebenarnya tidak Islam?

Benarkah ada manusia yang diberi kelebihan untuk nampak dan rasa kehadiran jin itu sebenarnya? Mari kita lihat jawapannya di dalam Quran.

📖 Lihat Surah Al Jinn Ayat 1;

قُلْ أُوحِيَ إِلَيَّ أَنَّهُ اسْتَمَعَ نَفَرٌ مِّنَ الْجِنِّ فَقَالُوا إِنَّا سَمِعْنَا قُرْآنًا عَجَبًا

Katakanlah (hai Muhammad): “Telah diwahyukan kepadamu bahwasanya: telah mendengarkan sekumpulan jin (akan Al Quran), lalu mereka berkata: Sesungguhnya kami telah mendengarkan Al Quran yang menakjubkan.

Nabi Muhammad diberitahu melalui ‘Wahyu Allah’ bahawa ada segolongan jin yang mendengar bacaan Al Quran baginda. Baginda diberitahu selepas kejadian itu. Tidaklah Baginda nampak mereka semasa mereka berkumpul mendengar bacaan Qur’an itu. Tidaklah Nabi tahu dan ‘rasa’ kehadiran mereka setiap masa. Tidaklah juga para sahabat bersama baginda meremang bulu roma mereka semasa jin-jin itu duduk berkumpul mendengar bacaan Nabi.

Memang ada kisah Nabi berdakwah kepada bangsa jin. Dan ada kisah sahabat berkomunikasi dengan jin. Sebagai contoh Abu Hurairah pernah menangkap syaitan. Tapi bukanlah mereka sentiasa nampak. Ianya hanya waktu tertentu sahaja.

Iaitu ketika Allah angkatkan hijab mata mereka sampai boleh nampak makhluk halus waktu itu bukan dalam keadaan asal makhluk tersebut. Namun, dalam keadaan makhluk tersebut sudah menjadi manusia atau haiwan contohnya. Ini kerana kita memang tidak boleh nampak jin/syaitan dalam keadaan asal mereka seperti dinyatakan dalam firman Allah Surah Al A’raf ayat 27;

يَا بَنِي آدَمَ لَا يَفْتِنَنَّكُمُ الشَّيْطَانُ كَمَا أَخْرَجَ أَبَوَيْكُمْ مِنَ الْجَنَّةِ يَنْزِعُ عَنْهُمَا لِبَاسَهُمَا لِيُرِيَهُمَا سَوْآتِهِمَا ۗ إِنَّهُ يَرَاكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُ مِنْ حَيْثُ لَا تَرَوْنَهُمْ ۗ إِنَّا جَعَلْنَا الشَّيَاطِينَ أَوْلِيَاءَ لِلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ

Hai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga, ia menanggalkan dari keduanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya auratnya. Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dan suatu tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpim bagi orang-orang yang tidak beriman.

❓ Lalu bagaimana dengan mereka yang ada kelebihan ini? Adakah ini satu anugerah daripada Allah? Nampaknya mereka lebih hebat daripada Nabi dan sahabat baginda Rasul.

Zaman jahiliyah juga ada ramai Kaahin. Mereka adalah ahli-ahli nujum. Mereka berkomunikasi dengan jin. Jin-jin itu mencuri dengar maklumat dari langit dan menyampaikan kepada kaahin-kaahin ini. Cerita berkenaan jin yang mencuri dengar berita dari langit ini diceritakan dalam Surah Al Jinn ayat 8-9;

وَأَنَّا لَمَسْنَا السَّمَاءَ فَوَجَدْنَاهَا مُلِئَتْ حَرَسًا شَدِيدًا وَشُهُبًا

dan sesungguhnya kami telah mencuba mengetahui (rahsia) langit, maka kami mendapatinya penuh dengan penjagaan yang kuat dan panah-panah api.

وَأَنَّا كُنَّا نَقْعُدُ مِنْهَا مَقَاعِدَ لِلسَّمْعِ ۖ فَمَنْ يَسْتَمِعِ الْآنَ يَجِدْ لَهُ شِهَابًا رَصَدًا

dan sesungguhnya kami dahulu dapat menduduki beberapa tempat di langit itu untuk mendengar-dengarkan (berita-beritanya). Tetapi sekarang barangsiapa yang (mencuba) mendengar-dengarkan (seperti itu) tentu akan menjumpai panah api yang mengintai (untuk membakarnya).

❓ Bagaimana kaahin-kaahin ini dapat berkomunikasi dengan jin-jin itu? Kerana mereka ada mengamalkan ilmu sihir. Ada cara-cara yang mereka belajar dari generasi mereka yang dahulu.

🚩 Jadi, mereka dapat kebolehan itu kerana mereka melakukan amalan salah. Adakah amalan pengamal-pengamal perubatan sekarang ini amalan yang Sunnah? Sampaikan dengan amalan mereka itu mereka dapat kelebihan boleh scan jin ini? Adakah apa yang mereka dapat itu karomah atau maunah? Atau sebaliknya ia adalah sihir dan istidraj?

4. Memang tidak dinafikan nampak seperti berjaya sahaja mereka menghalau jin. Mereka siap boleh berbincang dengan jin. Mereka boleh pujuk dan ‘psycho’ jin keluar. Malah mereka boleh islamkan jin itu kononnya. Kalau jin itu tidak mahu keluar, mereka boleh paksa keluar. Boleh tarik jin keluar. Ada yang sampai boleh tembak/sembelih/tikam jin dan jin mati. Ada yang letak dalam botol dan buang botol itu. Ada yang sampai kata dapat tangkap 4,000 jin pun.

❓ Masalahnya, bagaimana mereka tahu jin itu mati atau sudah keluar dari badan/rumah mangsa? Macam mana kita hendak pastikan ianya shahih/benar? Sedangkan kita memang tidak boleh nampak jin, bukan? Macam mana nak pastikan? Allahu’alam.

❓ Adakah tanda berjaya (kalau benar berjaya) itu tanda sesuatu itu benar? Apakah bezanya dengan sami Hindu yang boleh juga halau jin jahat keluar dari tubuh badan manusia? Juga tok sami Buddha Siam yang dengan jampi serapah mereka? Atau paderi Kristian yang melakukan exorcism dengan ucapan: “In the name of Jesus, I exorcise you! In the name of Jesus, begone!”. Dalam upacara mereka pun, dikatakan jin keluar juga, bukan?

⚠ Tidaklah tanda ‘berjaya’ itu menunjukkan benarnya sesuatu ilmu dan amalan itu. Sebab sama sahaja dengan agama lain pun. Mereka yang mengamalkan amalan salah, doa/zikir-zikir bidaah dan syirik seperti selawat syifa’, mereka akan dianugerahkan dengan jin dan jin itu akan membisikkan perkara-perkara kepada mereka sampai mereka sangka apa yang mereka buat itu adalah betul dan bagus. Lihatlah Surah Fussilat Ayat 25;

وَقَيَّضْنَا لَهُمْ قُرَنَاءَ فَزَيَّنُوا لَهُم مَّا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَحَقَّ عَلَيْهِمُ الْقَوْلُ فِي أُمَمٍ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِم مِّنَ الْجِنِّ وَالْإِنسِ إِنَّهُمْ كَانُوا خَاسِرِينَ

Dan Kami tetapkan bagi mereka teman-teman yang menjadikan mereka memandang bagus apa yang ada di hadapan dan di belakang mereka dan tetaplah atas mereka keputusan azab pada umat-umat yang terdahulu sebelum mereka dari jin dan manusia, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang merugi.

4. Penggunaan bomoh dan pengamal perubatan ini membuka ruang kepada syirik. Mereka yang berjaya disembuhkan akan menyanjung pengamal-pengamal itu. Mereka akan berkata kepada yang lain: Hebat ustadz tu. Dialah yang keluarkan jin dari aku hari tu.

Mereka ‘lupa’ bahawa Allah yang menentukan segalanya. Allah juga yang menyembuhkannya. Mereka meletakkan kedudukan pengamal-pengamal itu setanding dengan Allah. Ini perbuatan menduakan Allah dalam keadaan tidak sedar! Nauzubillahi min dzalik! Cuba lihat dan renungkan bersama keterangan melalui firman Allah dalam Surah Az Zumar ayat 8;

وَإِذَا مَسَّ الْإِنسَانَ ضُرٌّ دَعَا رَبَّهُ مُنِيبًا إِلَيْهِ ثُمَّ إِذَا خَوَّلَهُ نِعْمَةً مِّنْهُ نَسِيَ مَا كَانَ يَدْعُو إِلَيْهِ مِن قَبْلُ وَجَعَلَ لِلَّهِ أَندَادًا لِّيُضِلَّ عَن سَبِيلِهِ قُلْ تَمَتَّعْ بِكُفْرِكَ قَلِيلًا إِنَّكَ مِنْ أَصْحَابِ النَّارِ

Dan apabila manusia itu ditimpa kemudharatan, dia memohon (pertolongan) kepada Tuhannya dengan kembali kepada-Nya; kemudian apabila Tuhan memberikan nikmat-Nya kepadanya lupalah dia akan kemudharatan yang pernah dia berdoa (kepada Allah) untuk (menghilangkannya) sebelum itu, dan dia mengada-adakan sekutu-sekutu bagi Allah untuk menyesatkan (manusia) dari jalan-Nya. Katakanlah: “Bersenang-senanglah dengan kekafiranmu itu sementara waktu; sesungguhnya kamu termasuk penghuni neraka”.

🚩 Apabila kena masalah gangguan jin, mereka berdoa semoga mereka diselamatkan. Ada yang jumpa pengamal perubatan. Lepas itu, mereka kembali pulih seperti sedia kala selepas mereka jumpa pengamal perubatan itu. Mereka menjadikan pengamal perubatan itu sebagai أَندَادًا (tandingan-tandingan) kepada Allah. Mereka berkata: “Sebab ustadz itulah kami sembuh kini”. Dalam fikiran mereka, ustadz itulah yang ada kuasa. Mereka pula akan cakap kepada orang lain, yang jin takut dengan ustadz itu. Nauzubillahi min dzalik!

5. Pengamal perubatan pula ada yang menggunakan bahan-bahan dalam aktiviti menghalau jin. Mereka ada yang menggunakan garam, lada hitam, belerang, serbuk besi, raksa dan macam-macam lagi. Yang pakai benda pelik juga ada. Mereka katakan bahawa, jin takut dengan benda-benda tersebut.

Siapa yang cakap jin-jin itu takut dengan benda-benda itu? Adakah maklumat itu didapati dari dalil yang sahih? Kita perlukan dalil yang sahih kerana perkara ini adalah perkara ghaib. Kalau manusia, kita tahu mereka tidak suka panas atau pedas atau bunyi bising sebab kita boleh tanya manusia itu. Namun, jin ini adalah makhluk yang ghaib. Mereka hidup dalam alam mereka. Memang banyak kisah-kisah mereka dalam berbagai-bagai kitab. Tapi setakat mana kebenaran maklumat dalam kitab-kitab itu?

Atau adakah maklumat itu sampai dari jin sendiri? Kalau begitu, adakah kita boleh percaya dengan hujah itu?

Pertama, macam mana kita dapat berkomunikasi dengan jin? Kalau boleh berkomunikasi dengan jin, maknanya dia sendiri sudah berkawan dengan jin. Untuk berkawan dengan jin, kena lakukan perkara syirik terlebih dahulu.

Kedua, adakah musuh yang bodoh hendak beritahu kelemahan mereka sendiri? Kalau kita hendak mula bersilat dengan lawan, adakah kita akan cakap kepada dia: “Kau jangan tumbuk bahu aku yer, bahu aku semalam terkehel”. Tentulah jin tidak akan beritahu kelemahan dia. Melainkan dia hendak tipu kita sahaja. Dia sudah berpakat dengan golongan mereka, kalau manusia guna benda ini, buat-buat lari supaya manusia percaya benda itu boleh menyebabkan mereka sakit.

Garam memang ada sifat masin. Kalau masukkan dalam makanan, makanan akan masin. Lada hitam pula sifatnya pedas, sedap kalau masak black pepper. Itu adalah hukum adat. Tapi bagaimana kita boleh percaya ianya boleh memudaratkan golongan jin? Kalau kita percaya semata-mata percaya tanpa dalil yang sahih, maka kita sama seperti golongan yang sembah berhala sebab mereka sangka berhala itu dapat memberi manfaat dan mudharat kepada mereka. Seperti mana Allah berfirman dalam Surah Taha ayat 89;

أَفَلَا يَرَوْنَ أَلَّا يَرْجِعُ إِلَيْهِمْ قَوْلًا وَلَا يَمْلِكُ لَهُمْ ضَرًّا وَلَا نَفْعًا

Patutkah mereka tidak mahu berfikir sehingga mereka tidak nampak bahawa patung itu tidak dapat menjawab perkataan mereka, dan tidak berkuasa mendatangkan bahaya atau memberi manfaat kepada mereka.

Kalau manusia makan ubat batuk untuk menyembuhkan sakit batuk, kita boleh terima kerana sudah ada kajian sebelum ubat batuk itu dicipta. Boleh diperiksa dengan kaedah saintifik. Ianya termasuk dalam ‘hukum adat’ seperti kita terima makan itu mengenyangkan – walaupun pada hakikatnya Allah yang memberi kenyang. Tapi, bagaimana kita hendak periksa bahawa garam, lada hitam dan sebagainya itu boleh menyebabkan jin sakit dan tidak selesa? Adakah kerana kita lihat orang yang sakit itu menggelupur? Adakah itu benar atau hanya lakonan sahaja?

6. Kalau Tauhid kita betul, in shaa Allah jin syaitan tidak dapat memudharatkan kita. Maksudnya di sini, amal ibadat kita kena benar bersandarkan sunnah Nabi dan dalil yang shahih. Kerana akan ada malaikat yang menjaga kita di hadapan dan belakang kita. Ini seperti mana di terangkan dalam firman Allah Surah Ar Ra’d ayat 11;

لَهُ مُعَقِّبَاتٌ مِّن بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ يَحْفَظُونَهُ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ

Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah.

7. Nabi juga sudah mengajarkan cara untuk menghalau jin. Antaranya ialah:

💎 Baca Ayatul Kursi (Surah Al Baqarah ayat 255) kepada pesakit yang kena rasuk atau kena gangguan jin.

💎 Apabila masuk ke dalam rumah, ucap salam terlebih dahulu ‘Assalamualaikum’ dan baca ‘Bismillah’ semasa menutup pintu. Semua jin syaitan dalam rumah akan keluar.

💎 Baca Surah Al Baqarah di dalam rumah. Seeloknya di baca keseluruhan ayat sebanyak 286 ayat atau baca setakat termampu.

💎 Ambil wudhuk sebelum tidur dan baca, Ayat Kursi serta 2 ayat terakhir Surah Al Baqarah. Allah akan kirimkan malaikat untuk melindungi hingga ke pagi.

💎 Dan lain-lain lagi yang tsabit dari amalan Nabi. Sebagai contoh bacaan Surah Al Fatihah dan ayat muawwizatain (Surah An Nas dan Al Falaq).

💎 Doa kepada Allah. Mohon terus kepada Allah supaya hilangkan gangguan makhluk halus ke atas diri kita. Selain itu, adalah ikhtiar utama iaitu jauhi amalan bidaah dan jangan sesekali tinggalkan solat fardhu.

⚠ Jin syaitan akan mengajar manusia untuk melakukan perkara selain dari yang benar supaya mereka terselamat. Maka, berhempas pulaslah manusia melakukan pelbagai amalan pendinding seperti hizb bahr dan tangkal. Tapi sebenarnya, tidak ada kesan kepada jin syaitan itu.

❓ Bagaimana pula kalau kita amalkan seperti yang Nabi ajar, namun tidak menjadi? Kita kena periksa balik diri kita. Mungkin ada yang salah dalam diri kita. Tidak bertaubat dan insaf dari kesalahan lalu. Contoh: tinggal solat dengan sengaja. Bayangkan kalau ayat kursi itu dibaca oleh seorang kafir. Adakah ianya berguna untuk menghalau jin? Jin juga tidak terkesan kerana yang baca tidak percaya kepada Allah. Tidak ada keyakinan kepada Allah.

Sekian. Allahu a’lam.

Kemaskini: Jan 3, 2018

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s