Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 97 – 99 (Berjalan atas muka)

Ayat 97: Ayat takhwif ukhrawi.

وَمَن يَهدِ اللهُ فَهُوَ المُهتَدِ ۖ وَمَن يُضلِل فَلَن تَجِدَ لَهُم أَولِياءَ مِن دونِهِ ۖ وَنَحشُرُهُم يَومَ القِيامَةِ عَلىٰ وُجوهِهِم عُميًا وَبُكمًا وَصُمًّا ۖ مَأواهُم جَهَنَّمُ ۖ كُلَّما خَبَت زِدناهُم سَعيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whoever Allāh guides – he is the [rightly] guided; and whoever He sends astray¹ – you will never find for them protectors besides Him, and We will gather them on the Day of Resurrection [fallen] on their faces – blind, dumb and deaf. Their refuge is Hell; every time it subsides We increase them in blazing fire.

  • As a result of his own preference.

(MELAYU)

Dan barangsiapa yang ditunjuki Allah, dialah yang mendapat petunjuk dan barangsiapa yang Dia sesatkan maka sekali-kali kamu tidak akan mendapat penolong-penolong bagi mereka selain dari Dia. Dan Kami akan mengumpulkan mereka pada hari kiamat (diseret) atas muka mereka dalam keadaan buta, bisu dan pekak. Tempat kediaman mereka adalah neraka jahannam. Tiap-tiap kali nyala api Jahannam itu akan padam, Kami tambah lagi bagi mereka nyalanya.

 

وَمَن يَهدِ اللهُ فَهُوَ المُهتَدِ

Dan barangsiapa yang ditunjuki Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk

Hanya Allah sahaja yang boleh memberi petunjuk hidayah kepada manusia. Rasulullah dan kita hanya sebagai pendakwah, hanya dapat menyampaikan sahaja ajaran agama, tapi yang membuka hati manusia adalah Allah sahaja.

Dan yang dibukakan hati adalah mereka yang mahu mendapat petunjuk itu. Iaitu mereka yang ada inabah (condong kepada kebenaran). Kalau seseorang itu mahu mendapat kebenaran, maka Allah akan heret mereka kepada kebenaran. Dan mereka yang diheret kepada kebenaran itu adalah orang yang selamat kerana Allah telah beri petunjuk kepadanya.

 

وَمَن يُضلِل فَلَن تَجِدَ لَهُم أَولِياءَ مِن دونِهِ

dan barangsiapa yang Dia sesatkan maka sekali-kali kamu tidak akan mendapat penolong-penolong bagi mereka selain dari Dia.

Akan tetapi ada orang yang Allah telah buat keputusan untuk terus beri mereka duduk dalam kesesatan sampai bila-bila. Iaitu mereka yang berkali-kali menentang kebenaran dari sampai kepada mereka. Apabila mereka diajak sahaja, mereka menolak dan malah menentang.

Maka Allah tutup terus pintu hati mereka dari menerima kebenaran. Tidak ada apa lagi yang boleh dilakukan buat orang itu kerana Allah sudah tutup hatinya dari terima hidayah. Penutupan hati ini dinamakan Khatmul Qalbi.

Dan kena tahu yang bukanlah Allah telah tetapkan untuk sesatkan mereka dari awal, akan tetapi Allah lakukannya kerana orang itu sendiri yang menutup hatinya dari kebenaran dan terus menentang kebenaran apabila sampai kepada mereka.

 

وَنَحشُرُهُم يَومَ القِيامَةِ عَلىٰ وُجوهِهِم عُميًا وَبُكمًا وَصُمًّا

Dan Kami akan mengumpulkan mereka pada hari kiamat (diseret) atas muka mereka dalam keadaan buta, bisu dan pekak. 

Selepas mereka menolak kebenaran, maka mereka akan mendapat nasib yang amat malang di akhirat kelak. Allah akan kumpulkan mereka di akhirat kelak di mana mereka kena berjalan atas muka mereka ke tempat berkumpul. Semua kena berkumpul di Mahsyar, tapi mereka ini akan berjalan atas muka mereka.

Iaitu akan disembamkan muka mereka dan mereka akan bergerak atas muka mereka. Bayangkan ular yang dapat juga berjalan walaupun tidak ada kaki. Dan bukan itu sahaja, mereka juga dalam keadaan buta, bisu, pekak. Memang amat menyesakkan sekali. Kita yang cuba bayangkan pun ini sudah rasa tak selesa, bayangkan kalau mereka yang dalam keadaan begitu? Tentu amat sakit sekali.

Mungkin ada cuba bayangkan, bagaimana nak bergerak dengan muka? Bukankah kita berjalan dengan kaki? Ini tidak mustahil bagi Allah – lihatlah bagaimana ular yang tidak ada kaki pun boleh berjalan. Maka tentu ada caranya.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا ابْنُ نُمَيْرٍ، حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ عَنْ نُفَيْع قَالَ: سَمِعْتُ أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ يَقُولُ: قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، كَيْفَ يُحْشَرُ النَّاسُ عَلَى وُجُوهِهِمْ؟ قَالَ: “الَّذِي أَمْشَاهُمْ عَلَى أَرْجُلِهِمْ قَادِرٌ عَلَى أَنْ يُمْشِيَهُمْ عَلَى وُجُوهِهِمْ”

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ibnu Namir, telah menceritakan kepada kami Ismail, dari Nafi’ yang mengatakan, dia pernah mendengar Anas ibnu Malik mengatakan bahawa pernah ditanya­kan kepada Rasulullah Saw., “Wahai Rasulullah, bagaimanakah manusia digiring dengan diseret atas muka mereka (pada hari kiamat nanti)?” Rasulullah Saw. menjawab: Tuhan yang menjadikan mereka dapat berjalan dengan kaki mereka, dapat pula membuat mereka berjalan di atas muka me­reka.

Kenapa mereka dipekakkan di akhirat? Kerana mereka tidak mahu mendengar Qur’an dibacakan maka mereka akan dipekakkan di akhirat kelak; mereka bertanya tentang perkara yang tidak patut kepada Rasulullah maka mereka dibisukan di akhirat kelak; mereka tidak mahu melihat kebenaran semasa mereka di dunia, maka mereka dibutakan di akhirat kelak. Semua yang dikenakan kepada mereka adalah balasan bagi kesalahan mereka semasa di dunia.

 

مَأواهُم جَهَنَّمُ

Tempat kediaman mereka adalah neraka jahannam. 

Maka tempat kekal mereka adalah di neraka jahannam. Mereka tidak akan keluar sampai bila-bila.

 

كُلَّما خَبَت زِدناهُم سَعيرًا

Tiap-tiap kali api Jahannam itu akan padam, Kami tambah lagi bagi mereka nyalanya.

Azab yang dikenakan kepada mereka tidak akan berkurangan. Apabila api neraka mula hendak kurang panasnya, maka Allah akan tambah api neraka itu untuk seksa mereka. Bila nak mati sahaja api itu, Allah akan tambah kepanasan.

Jadi tidak ada waktu yang mereka tidak dibakar. Dan tidak ada kekurangan pun azab itu walaupun sedikit, dan yang bertambah adalah. Ini seperti yang disebutkan di dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{فَذُوقُوا فَلَنْ نَزِيدَكُمْ إِلا عَذَابًا}

Kerana itu, rasakanlah. Dan Kami sekali-kali tidak akan me­nambah kepada kalian selain dari azab. (An-Naba’: 30)


 

Ayat 98: Syikayah tentang kedegilan puak Musyrikin itu untuk terima kebenaran. Allah jelaskan kenapa mereka dibangkitkan dalam keadaan pekak, buta, bisu dan dibenamkan di atas muka mereka.

ذٰلِكَ جَزاؤُهُم بِأَنَّهُم كَفَروا بِآياتِنا وَقالوا أَإِذا كُنّا عِظامًا وَرُفاتًا أَإِنّا لَمَبعوثونَ خَلقًا جَديدًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That is their recompense because they disbelieved in Our verses and said, “When we are bones and crumbled particles, will we [truly] be resurrected [in] a new creation?”

(MELAYU)

Itulah balasan bagi mereka, kerana sesungguhnya mereka kafir kepada ayat-ayat Kami dan (kerana mereka) berkata: “Apakah bila kami telah menjadi tulang belulang dan benda-benda yang hancur, apakah kami benar-benar akan dibangkitkan kembali sebagai makhluk baru?”

 

ذٰلِكَ جَزاؤُهُم بِأَنَّهُم كَفَروا بِآياتِنا

Itulah balasan bagi mereka, kerana sesungguhnya mereka kafir kepada ayat-ayat Kami 

Semua yang dikenakan kepada mereka itu adalah kerana mereka kufur dengan wahyu. Mereka tidak mahu memikirkan ayat-ayat Qur’an yang dibacakan kepada mereka. Kemudian mereka menolak kebenaran apabila sampai kepada mereka.

 

وَقالوا أَإِذا كُنّا عِظامًا وَرُفاتًا

dan (kerana mereka) berkata: “Apakah bila kami telah menjadi tulang belulang dan benda-benda yang hancur,

Dan mereka berhujah dengan Rasul dan para pendakwah. Mereka tidak percaya kepada hari kebangkitan, oleh kerana itu antaranya mereka berhujah, mereka nanti akan menjadi tulang dan tulang itu pun hancur dimakan oleh tanah.

 

أَإِنّا لَمَبعوثونَ خَلقًا جَديدًا

apakah kami benar-benar akan dibangkitkan kembali sebagai makhluk baru?”

Mereka berhujah: takkan tulang yang sudah hancur itu akan dibangkitkan jadi makhluk yang baru pula? Mereka tak dapat nak gambarkan bagaimanalah tulang yang sudah hancur lebur jadi debu itu boleh jadi bercantum semula. Memang akal mereka tidak dapat terima.

Inilah bahayanya apabila guna akal semata-mata. Memanglah mereka sendiri tidak boleh nak jadikan semula tulang itu. Tapi bukan mereka yang akan jadikan, tapi Allah yang akan bangkitkan semula makhluk.


 

Ayat 99: Jawab kepada syikayah dalam ayat sebelum ini.

۞ أَوَلَم يَرَوا أَنَّ اللهَ الَّذي خَلَقَ السَّماواتِ وَالأَرضَ قادِرٌ عَلىٰ أَن يَخلُقَ مِثلَهُم وَجَعَلَ لَهُم أَجَلًا لا رَيبَ فيهِ فَأَبَى الظّالِمونَ إِلّا كُفورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do they not see that Allāh, who created the heavens and earth, is [the one] Able to create the likes of them? And He has appointed for them a term, about which there is no doubt. But the wrongdoers refuse except disbelief.

(MELAYU)

Dan apakah mereka tidak memperhatikan bahawasanya Allah yang menciptakan langit dan bumi adalah kuasa (pula) menciptakan yang serupa dengan mereka, dan telah menetapkan waktu yang tertentu bagi mereka yang tidak ada keraguan padanya? Maka orang-orang zalim itu tidak menghendaki kecuali kekafiran.

 

أَوَلَم يَرَوا أَنَّ اللهَ الَّذي خَلَقَ السَّماواتِ وَالأَرضَ

Dan apakah mereka tidak memperhatikan bahawasanya Allah yang menciptakan langit dan bumi 

Musyrikin Mekah itu kenal Allah dan mereka sendiri tahu yang Allah lah yang menjadikan alam ini. Mereka beriman yang langit dan bumi yang amat besar ini dijadikan oleh Allah. Maka kenapa mereka meragui kemampuan Allah menghidupkan kembali manusia sedangkan Allah telah jadikan alam ini? Telah disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{لَخَلْقُ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ أَكْبَرُ مِنْ خَلْقِ النَّاسِ}

Sesungguhnya penciptaan langit dan bumi lebih besar daripada penciptaan manusia. (Al-Mu’min: 57)

 

قادِرٌ عَلىٰ أَن يَخلُقَ مِثلَهُم

ada kuasa (pula) menciptakan yang serupa dengan mereka,

Kalau langit dan bumi yang amat besar ini pun Allah boleh jadikan dari tidak ada kepada ada, takkan Allah tak boleh bangkitkan mereka semula sedangkan Allah yang menjadikan langit dan bumi? Kalau manusia dibandingkan dengan langit dan bumi, mana lagi susah untuk dijadikan? Tentu langit dan bumi lagi susah.

Dan mana lagi susah? Jadikan yang tidak ada kepada ada, atau nak buat balik benda yang sudah pernah buat? Tentu nak buat balik lagi senang, bukan? Bayangkan kita sudah pernah memasak, tentu kalau hendak memasak itu lebih mudah dari ketika mula-mula belajar memasak, bukan?

Jadi fikir-fikirkanlah. Bukannya Allah buat benda yang baru, tapi buat benda yang serupa sahaja dengan penciptaan dahulu. Itu semua mudah sahaja bagi Allah.

{أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّ اللهَ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ وَلَمْ يَعْيَ بِخَلْقِهِنَّ بِقَادِرٍ عَلَى أَنْ يُحْيِيَ الْمَوْتَى بَلَى إِنَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ}

Dan apakah mereka tidak memperhatikan bahawa sesungguhnya Allah yang menciptakan langit dan bumi dan Dia tidak merasa payah menciptakannya, kuasa menghidupkan orang-orang mati? (Al-Ahqaf: 33), hingga akhir ayat.

 

وَجَعَلَ لَهُم أَجَلًا

dan telah menetapkan waktu yang tertentu bagi mereka

Allah telah jadikan alam ini dan Allah telah jadikan makhluk-makhluk lain di atas alam ini termasuklah manusia. Tapi tidaklah alam ini akan kekal selama-lamanya. Allah telah tetapkan ajal.

‘Ajal’ adalah jangka masa dari mula sampai habis. Jadi alam ini ada mulanya dan ada akhirnya, begitu juga dengan manusia – ada masa dia hidup dan ada masanya dia akan mati. Jangka masa dari dia mula hidup sampai dia mati itu adalah dinamakan ‘ajal’. Jadi ada orang yang ajalnya 40 tahun dan ada yang 80 tahun dan sebagainya.

 

لا رَيبَ فيهِ

tidak ada keraguan padanya

Dan alam ini juga ada ajalnya dan ia pasti akan terjadi, tidak ada keraguan padanya. Cuma bila masanya, tidak ada sesiapa pun yang tahu, melainkan Allah sahaja.

 

فَأَبَى الظّالِمونَ إِلّا كُفورًا

Maka orang-orang zalim itu engkar, tidak menghendaki kecuali kekafiran.

Orang yang zalim itu أَبَى (engkar untuk taat kepada autoriti yang di atas). Dan kerana engkar untuk taat kepada Allah dan Rasulullah, maka engkar mereka itu membawa kepada kekufuran. Kerana itu bukanlah engkar yang biasa sahaja. Kalau engkar kepada manusia sahaja, itu tidak jadi hal. Tapi kalau engkar kepada Allah dan Rasul, itu akan memasukkan seseorang itu ke dalam neraka.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 26 April 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 97 – 99 (Berjalan atas muka)”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s