Pengenalan:
Ini adalah salah satu dari surah kegemaran Nabi ﷺ. Ini adalah antara surah-surah yang dimulai dengan tasbih kepada Allah ﷻ. Dan ada beberapa surah sebegini dalam Al-Qur’an. Surah-surah itu dinamakan Surah Musabbihat (Surah al-A’la tidak termasuk dalam al-Musabbihaat itu). Nabi ﷺ suka baca Surah al-A’la ini dalam Solat Jumaat dan Eid.
Surah ini diturunkan di Mekah pada Peringkat pertama Kenabian. Iaitu sekitar tahun 1 – 3 Kenabian. Ini bermakna ia diturunkan semasa dakwah dijalankan secara tersembunyi. Sebahagian dari surah ini diturunkan juga sekitar tahun 4 – 6 Kenabian.
Di dalam ayat bahagian akhir Surah at-Tariq, Nabi ﷺ disuruh beri peluang kepada orang kafir. Memang Nabi ﷺ risau tentang apa yang mereka lakukan dan apa yang mereka rancangkan, tetapi Allah ﷻ suruh Nabi ﷺ beri peluang juga kepada mereka. Iaitu baginda tidak boleh mendoakan kehancuran bagi mereka lagi.
Jadi, kalau baginda tidak boleh mendoakan kehancuran mereka, apa yang Allah ﷻ suruh Nabi ﷺ buat sebaliknya? Dalam surah ini diberitahu apakah yang Nabi ﷺ kena sibukkan diri baginda: bertasbih kepada Allah ﷻ.
Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 5 perenggan makro. Ayat 1 – 5 adalah Perenggan Makro Pertama. Allah ﷻ suruh kita bertasbih selepas menerima akidah tauhid dan menerima Allah ﷻ sebagai Maha Pencipta.
سَبِّحِ اسمَ رَبِّكَ الأَعلَى
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Al-A‘lā: The Most High.
Exalt the name of your Lord, the Most High,
(MALAY)
Sucikanlah nama Tuhanmu Yang Maha Tingi,
Allah ﷻ memberitahu kita semua hendaklah sentiasa bertasbih menyucikan nama Tuhan yang Maha Tinggi. Ayat ini adalah arahan kepada Nabi ﷺ dan umat Islam untuk mensucikan nama Allah ﷻ. Atau juga bermaksud meninggikan Allah ﷻ sebagaimana yang sepatutnya.
Apabila ayat ini diwahyukan, maka Nabi ﷺ mengarahkan untuk memasukkan kalimah tasbih di dalam sujud. Maka sahabat baca dan sebut macam dalam bacaan sujud yang kita baca sekarang.
إِيَاسُ بْنُ عَامِرٍ، سَمِعْتُ عُقْبَةَ بْنَ عَامِرٍ الْجُهَنِيَّ لَمَّا نَزَلَتْ: {فَسَبِّحْ بِاسْمِ رَبِّكَ الْعَظِيمِ} [الْوَاقِعَةِ:74، 96] قَالَ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “اجْعَلُوهَا فِي رُكُوعِكُمْ”. فَلَمَّا نَزَلَتْ: {سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأعْلَى} قَالَ: “اجْعَلُوهَا فِي سُجُودِكُمْ”
Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Abdur Rahman, telah menceritakan kepada kami Musa ibnu Ayyub Al-Ghafiqi, telah menceritakan kepada kami pamanku Iyas ibnu Amir; dia pernah mendengar Uqbah ibnu Amir Al-Juhani mengatakan bahawa ketika ayat ini diturunkan, iaitu firman-Nya: Maka bertasbihlah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang Maha besar. (Al-Haqqah: 52; Al-Waqiah 74, 96) Maka Rasulullah ﷺ bersabda kepada kami: Jadikanlah bacaan ayat ini dalam rukuk kalian! Dan ketika turun firman-Nya: Sucikanlah nama Tuhanmu Yang Mahatinggi. (Al-A’la:1) Maka baginda bersabda kepada kami: Jadikanlah bacaan ayat ini dalam sujud kalian! [Sunan ad-Darimi no. 1272. Sanad sahih menurut Syaikh Husein ad- Daroni]
Catatan: Terdapat hadis semisal di dalam Sunan Abu Daud dan dinilai dhaif oleh Syaikh al-Albani pula. Wallahu a’lam.
Allah ﷻ memulakan surah ini dengan menyebut tentang namaNya kerana ada kalimah اسمَ (nama). Padahal dalam surah sebelumnya, Allah ﷻ banyak tidak sebut namaNya sebab murka dengan kaum kafir. Dalam Surah Tariq, Allah ﷻ banyak gunakan diriNya dalam kata ganti kedua atau ketiga. Hanya sebut ‘Dia’ sahaja – hu. Akan tetapi dalam ayat ini, Allah ﷻ suruh tasbih namaNya.
Kalimah سَبِّحِ dari kata dasar س ب ح yang bermaksud berenang. Ia jenis berenang yang kepala tidak masuk dalam air, kepala atas air – terapung di atas air. Ini kerana apabila terapung, seseorang itu tidak tenggelam. Ini memberi isyarat yang Allah ﷻ tidak ada sebarang kecacatan langsung (tidak tenggelam). Allah ﷻ ini Maha Sempurna. Inilah konsep asas dalam maksud ‘tasbih’ iaitu menyatakan kesempurnaan Allah ﷻ.
Kita mesti meletakkan Allah ﷻ di kedudukan yang tertinggi. Iaitu kedudukan yang sesuai denganNya. Allah ﷻ tidak mempunyai sebarang kekurangan dan kita tidak boleh mengatakan sesuatu yang boleh menjatuhkan martabat itu. Sekarang banyak terjadi manusia mempersendakan Tuhan. Banyak kita boleh lihat dalam filem dan media sosial yang bercakap tentang Tuhan seolah-olah Tuhan tidak ada, tidak ada kuasa, dan sebagainya.
Dalam ayat ini, penggunaan huruf ‘ba’ tiada seperti dalam surah-surah yang lain (contoh: Nasr:3 فَسَبِّح بِحَمدِ رَبِّكَ). Apabila ada huruf ba’ dalam ayat-ayat itu, kita kena menyebut nama Allah ﷻ semasa mensucikan Allah ﷻ. Kita boleh gunakan mana-mana nama Allah ﷻ yang telah diajar.
Tetapi kerana tidak ada huruf ba’ dalam ayat ini, jadi kita bukan disuruh untuk berzikir dengan menyebut salah satu dari asmaNya seperti suruhan dalam ayat-ayat yang lain. Yang kita kena lakukan adalah menerima dalam hati, bukan dengan sebut pada lisan sahaja. Iaitu kita kena berfikir tentang Allah ﷻ dengan cara yang meninggikanNya.
Ini penting kerana dalam zaman sekarang, ada penghinaan kepada Allah ﷻ seperti rancangan TV yang menggunakan lawak tentang Allah ﷻ, tentang God dan sebagainya. Senang sahaja manusia melakukan perkara itu. Mereka gunakan kartun, filem dan macam-macam lagi. Ketahuilah yang semua itu adalah perbuatan derhaka dan kurang ajar terhadap Allah ﷻ.
Ini memang banyak terjadi kerana mereka macam tidak suka kepada Tuhan. Malah mereka mempersoalkan kewujudan Tuhan. Kerana mereka buat filem seolah-olah mereka boleh lawan taqdir Tuhan, macam filem yang manusia tahan meteor yang turun ke bumi. Ini memberi isyarat seolah-olah zaman sekarang kita boleh kawal taqdir yang dikenakan kepada kita.
Dalam ayat ini, perkataan ‘rabb’ digunakan. Allah ﷻ tidak gunakan namaNya seperti Allah, ar-Rahman dan lain-lain. Kalimah ‘Rabb’ adalah satu nama yang merangkumi semua nama-nama itu. Allah ﷻlah yang menjadikan kita dan menjaga kita. Dia adalah tuan dan kita adalah hambaNya. Mestilah kita ingat bahawa kita adalah hambaNya dan kita tidak terlepas dari penguasaanNya.
Selepas Allah ﷻ cipta kita, perhubungan kita tidak putus dengan Dia. Ini tidak sama dengan pembuat meja sebagai contoh. Kerana selepas dia buat meja itu, sudah tidak ada hubungan dengan meja itu lagi kerana mungkin telah dibeli orang dan dia pun tidak tahu ke mana meja itu pergi. Tetapi selepas Allah ﷻ jadikan kita, kita selalu di bawah naunganNya.
Apabila kita terima Allah ﷻ sebagai rabb, maka jangan kita persoalkan apakah yang Rabb lakukan terhadap kita. Oleh itu kita kena rendahkan diri kita apabila mana-mana nama Allah ﷻ disebut. Kita kena terima sahaja apa yang Allah ﷻ lakukan terhadap kita. Dan inilah yang tidak dapat diterima oleh mereka yang atheist iaitu mereka yang tidak percaya kepada kewujudan Tuhan.
Allah ﷻ beritahu yang Dia bersifat Maha Tinggi الأَعلَى. Surah sebelum ini tentang ketinggian bintang Tariq. Tetapi Allah ﷻ lebih tinggi lagi daripada bintang Tariq yang diceritakan sebelum ini.
Begitu juga, dalam surah sebelum ini, disebut tentang rancangan puak kuffar hendak menggagalkan usaha Nabi Muhammad ﷺ. Allah ﷻ terus sebut yang Dia lebih tinggi dalam surah yang memberi isyarat bahawa Allah ﷻ lebih tinggi lagi daripada rancangan puak kafir terhadap apa yang mereka ingin lakukan kepada Nabi ﷺ.
Mereka hanya boleh merancang sahaja, tetapi mereka tidak boleh hendak jalankan rancangan mereka itu kerana kalau Allah ﷻ tidak benarkan, ia tidak ada terjadi. Allah ﷻ lebih tinggi lagi dari usaha makhluk. Usaha makhluk langsung tidak memberi bekas kalau Allah ﷻ tidak izinkan.
Oleh itu, ayat ini berkenaan dengan suruhan ‘Tanzih’. Iaitu bersihkan fikiran kita tentang Allah ﷻ. Ini berbeza dengan tasbih kerana ‘tasbih’ itu adalah dengan lisan. Apakah maksud tanzih itu?
Sebagai contoh, ada sifat-sifat Allah ﷻ yang nampak macam sama dengan sifat kita. Ianya nampak lebih kurang sama kerana digunakan kalimah yang sama. Sebagai contoh, Allah ﷻ melihat dan kita juga melihat, bukan? Tetapi kita kena tahu yang penglihatan Allah ﷻ tidak sama dengan penglihatan kita. Penglihatan kita adalah terhad sahaja tetapi penglihatan Allah ﷻ tidak terhad. Kebolehan kita melihat hanya atho’i (diberi) sahaja dan bukan dzaati (dari asal).
Oleh itu, semasa sebut nama Allah ﷻ, kenalah dengan perasaan yang betul, jangan sebut biasa sahaja, tetapi dengan rasa takut dan rasa ta’jub kepada Allah ﷻ.
Ayat 2: Allah ﷻ menyebut lagi SifatNya:
الَّذي خَلَقَ فَسَوّىٰ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Who created and proportioned
(MALAY)
yang menciptakan, dan menyempurnakan (penciptaan-Nya),
Sucikanlah Allah ﷻ yang telah menjadikan dan menyempurnakan semua makhluk. Segala yang ada dalam alam ini dijadikan oleh Allah ﷻ (makhluk). Kerana itu kita kata Allah ﷻ itu adalah al-Khaaliq.
Dan kemudian selepas dijadikan, Allah ﷻ sempurnakan, seimbangkan, letakkan semua pada tempatnya. Kalau kita yang jadikan alam ini, tentu tidak akan jadi begitu. Sampaikan keindahan dan kompleksnya alam ini, sampai saintis tidak habis kaji lagi. Begitu hebat sekali ciptaan Allah ﷻ ini.
Allah ﷻ pertamanya menceritakan tentang DiriNya kemudian menceritakan bahawa Dia yang menjadikan segala sesuatu. Tidak ada yang lain yang dapat menjadikan melainkan Dia.
Dalam ayat ini, Allah ﷻ hanya sebut خَلَقَ (telah menjadikan) tanpa sebut apa yang dijadikan. Ini adalah kerana semua yang ada, Allah ﷻ yang jadikan, jadi tidak boleh hendak sebut semua yang Allah ﷻ jadikan kerana banyak sangat; jadi bahasa yang digunakan, kita sudah tahu yang Allah ﷻ telah jadikan semuanya.
Dalam ayat sebelum ini telah diberitahu yang Allah ﷻ itu rabb dan sekarang disebut salah satu sifat rabb itu adalah mencipta. Ramai yang terima Allah ﷻ sebagai pencipta, tetapi ada yang tidak menerima yang kita kena taat kepada Allah ﷻ. Ini adalah fahaman yang salah kerana Allah ﷻ itu rabb. Rabb itu tuan kepada hamba, dan kita kena taat kepada Allah ﷻ, Rabb kita semuanya.
Ayat 3: Sifat Allah ﷻ lagi:
وَالَّذي قَدَّرَ فَهَدىٰ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And who destined and [then] guided
(MALAY)
dan yang menentukan kadar (masing-masing) dan memberi petunjuk,
Yang telah mengatur segalanya dan memberi petunjuk. Maksudnya, Allah ﷻ adalah arkitek kepada segalanya. Dialah yang merancang segala sesuatu dengan tepat. Perancangan Allah ﷻ itu bukan secara agak-agak sahaja. Begitu jugalah macam arkitek, dia tidak boleh agak-agak kalau hendak bina sesuatu, kena lihat segala sesuatu dengan teliti.
Dan Allah ﷻ lebih hebat lagi kerana semua qadr, iaitu segala sesuatu yang akan berlaku, telah dirancang 50 ribu tahun sebelum sesuatu itu terjadi. Semuanya telah diqadrkan dengan sempurna oleh Allah ﷻ. Macam mana kejadiannya, apakah akan terjadi selepas itu, apakah kesannya dan sebagainya. Sebagaimana pula yang disebutkan di dalam kitab Sahih Muslim dari Abdullah ibnu Amru al- Ash رضي الله عنهما, bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:
” سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ كَتَبَ اللَّهُ مَقَادِيرَ الْخَلَائِقِ قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ بِخَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ قَالَ وَعَرْشُهُ عَلَى الْمَاءِ”
“Allah telah menentukan takdir bagi semua makhluk lima puluh ribu tahun sebelum Allah menciptakan langit dan bumi.’ Rasulullah menambahkan: ‘Dan arsy Allah itu berada di atas air.” [Sahih Muslim, Kitab Takdir No. 4797. Juga At-Tirmizi no. 2082, hadis hasan sahih gharib menurut Imam Abu Isa dan sahih menurut Syaikh al-Albani]
Dan bukan sahaja Allah ﷻ rancang, Allah ﷻ juga memberi petunjuk kepada makhluk itu. Inilah perlaksanaan kepada yang telah dirancang. Iaitu Allah ﷻ beri arahan tentang apa hendak buat. Allah ﷻ bukan sahaja rancangkan, tetapi Allah ﷻ jalankan juga. Kerana kalau kita rancang, tidak semestinya kita dapat jalankan rancangan kita, bukan? Tetapi Allah ﷻ rancang dan Allah ﷻ laksanakan sekali.
‘Petunjuk’ (hidayah) apakah yang dimaksudkan? Sebenarnya ada dua jenis hidayah:
Pertama, hidayah kauniah di mana segala kejadian telah diberikan petunjuk oleh Allah ﷻ bagaimana mereka berfungsi dan yang kedua, hidayah shar’iyyah di mana makhluk diberi petunjuk untuk mengikut pedoman syari’at.
Hidayah kauniah itu semua makhluk dapat seperti langit, lembu, serangga dan segalanya. Ini adalah perlaksanaan semua perkara. Sebagai contoh, macam anak baru lahir, macam mana dia boleh tahu hendak menyusu sedangkan tidak sempat belajar lagi? Allah ﷻlah yang beritahu dan ajar. Kerana itu laju sahaja mulutnya mencari puting tetek ibunya. Ini adalah hidayah kauniah. Semua dalam perancangan Allah ﷻ, Allah ﷻ sediakan segalanya. Maka, hidayah yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Hidayah Kauniah ini.
Ayat 4: Sifat Allah ﷻ lagi:
وَالَّذي أَخرَجَ المَرعىٰ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And who brings out the pasture
(MALAY)
dan yang menumbuhkan rumput-rumputan,
Kalimah المَرعىٰ adalah dzarf makan (tempat dan masa). Kalimah المَرعىٰ datang daripada katadasar ر ع ي yang bermaksud tumbuh-tumbuhan seperti rumput. Oleh itu, المَرعىٰ adalah tempat untuk binatang mengambil makanan.
Allah ﷻ hendak memberitahu yang Dia juga yang mengeluarkan tumbuh-tumbuhan yang menjadi makanan ternakan kita. Ini adalah nikmat dan jasa besar yang Allah ﷻ berikan kepada kita dan Allah ﷻ ingatkan dalam ayat ini. Memang kita tidak makan rumput itu, tetapi ternakan kita memakan rumput itu dan kita pula makan ternakan itu. Ini adalah isyarat bahawa Allah ﷻlah yang memberi makan kepada semua sekali. Allah ﷻ suruh kita lihat makanan binatang ternakan itu dan beritahu kita, “Akulah yang menjadikan makanan binatang itu”.
Lihat dalam surah sebelum ini, telah disebut bagaimana Allah ﷻ ‘keluarkan’ air mani. sekarang Allah ﷻ kata Dia keluarkan tanaman pula. Jadi, dua-dua surah ada elemen ‘mengeluarkan’.
Maka beginilah Allah ﷻ mengatur kehidupan. Allah ﷻ tidaklah menjadikan sesuatu tetapi lepas itu meninggalkan manusia atau hidupan lain tanpa makanan untuk melangsungkan hidup mereka. Allah ﷻ beri makanan yang sesuai – ada untuk manusia, ada untuk binatang. Dan kita pun tahu yang binatang ada banyak jenis dan semua dapat makanan masing-masing.
Sudah beribu-ribu tahun Allah ﷻ beri mereka dan kita makan dan Allah ﷻ terus memberikan makanan kepada makhlukNya. Semua jenis ada makanan masing-masing. Itu semua dalam perancangan dan pengurusan Allah ﷻ taala. Bayangkan kalau kita yang hendak kena beri makanan binatang-binatang itu, tentulah sudah lama mereka mati.
Ayat 5: Selepas dikeluarkan tanaman itu, apa yang Allah ﷻ buat kepada tanaman itu?
فَجَعَلَهُ غُثاءً أَحوىٰ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And [then] makes it black stubble.
(MALAY)
lalu dijadikan-Nya rumput-rumput itu kering kehitam-hitaman.
Dan kemudian Dia menjadikan tumbuh-tumbuhan itu kering kehitaman. Ini isyarat kepada perjalanan hidup dari segar menjadi layu. Sebagaimana tanaman mengalami nasib yang sama, kita pun begitu juga.
Kalimah غُثاءً juga digunakan untuk ‘muntah’ dan juga untuk keadaan apabila tumbuhan terlalu banyak dan menumpuk atas satu sama lain.
Dan kalimah أَحوىٰ adalah apabila warna menjadi merah kehitaman. Ini adalah keadaan apabila tumbuhan telah lama dan masak sepenuhnya. Atau keadaan apabila tanaman sudah menjadi kehitaman dan hampir hendak rosak.
Jumhur mufassir mengatakan ayat ini hendak menceritakan keadaan tanaman yang hidup subur dan kemudian menjadi kehitaman kerana sudah tua. Begitulah perjalanan hidup tanaman. Ia memberi isyarat kepada terhadnya hidup di dunia ini yang tidak kekal.
Akan tetapi ada juga yang kata ayat ini tentang percambahan tumbuhan itu yang menjadi baik, jadi subur. Ini adalah sebagai persediaan kepada janji Allah ﷻ hendak beritahu yang Nabi ﷺ tidak perlu risau yang dia akan lupa ayat-ayat Al-Qur’an dalam ayat seterusnya.
Ayat 6: Sekarang iltifad kepada Nabi Muhammad ﷺ pula. Ayat 6 – 8 adalah Perenggan Makro Kedua. Dalam perenggan ini, Allah ﷻ menjamin untuk mengajar bacaan Al-Qur’an.
سَنُقرِئُكَ فَلا تَنسىٰ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
We will make you recite, [O Muḥammad], and you will not forget,
(MALAY)
Kami sentiasa menjadikan engkau (wahai Muhammad) dapat membaca (Al-Qur’an), sehingga engkau (menghafaznya dan) tidak lupa,
Allah ﷻ berfirman yang Dia akan menjadikan Nabi Muhammad ﷺ boleh membaca Al-Qur’an itu dan baginda tidak akan lupa ayat-ayatnya. Ini merujuk kepada keadaan apabila Nabi ﷺ mula menerima wahyu, dan ketika itu baginda kata yang baginda tidak boleh membaca (rujuk kisah penurunan Surah al-Alaq). Maka, Allah ﷻ kata Dia akan jadikan Nabi Muhammad ﷺ boleh membaca.
Dan keduanya, Allah ﷻ berjanji yang baginda tidak akan lupa ayat-ayat yang telah diberikan kepada baginda itu. Ini merujuk kepada keadaan apabila Nabi ﷺ menerima wahyu, baginda risau yang baginda akan lupa ayat-ayat yang telah disampaikan. Sampaikan ada disebut dalam ayat-ayat yang lain, baginda mula membaca dan cuba mengingat ayat-ayat itu walaupun Jibril عليه السلام belum sempat membacakan untuk baginda. Ini disebut dalam Qiyamah:16 –
لا تُحَرِّك بِهِ لِسانَكَ لِتَعجَلَ بِهِJanganlah kamu gerakkan lidahmu untuk (membaca) Al Qur’an kerana hendak cepat-cepat (menguasai)nya.
Baginda ﷺ memandang berat wahyu yang disampaikan kepada baginda, kerana baginda sedar yang ianya adalah peringatan kepada seluruh manusia dan baginda takut terlupa.
Tambahan pula Nabi ﷺ tidak boleh membaca waktu itu maka baginda cuba untuk menghafalnya dengan segera. Oleh itu, dalam ayat ini Allah ﷻ memberi jaminan kepada Nabi Muhammad ﷺ yang bahawa Allah ﷻ akan menjadikan baginda boleh membaca dan baginda akan ingat, tidak akan lupa ayat-ayat Al-Qur’an yang diberikan kepada baginda.
Di dalam Surah Taha dan Al-Qamar ada lagi disebut tentang kerisauan baginda tentang Al-Qur’an. Allah ﷻ tidak mahu baginda risau sangat kalau ada yang baginda tidak sampaikan. Ini kerana kadang-kadang kalau kita risau sangat, kita tidak dapat fokus kepada perkara yang penting.
Oleh itu, dalam ayat ini Allah ﷻ beri ketenangan kepada baginda. Allah ﷻ tidak mahu Nabi ﷺ sibuk dengan usaha menghafal sampai tidak fokus kepada ayat yang sedang disampaikan. Allah ﷻ hendak beritahu baginda, tentang hafalan, baginda jangan risau, Allah ﷻ akan uruskan.
Sebelum itu Allah ﷻ telah suruh lihatlah bagaimana Dia menguruskan alam ini dengan beri makanan kepada segala haiwan dan bagaimana Allah ﷻ menghidupkan dan menyuburkan tanaman sebagai makanan kepada semua kehidupan.
Kalau Allah ﷻ boleh buat itu semua, maka Allah ﷻ boleh jadikan Nabi ﷺ ingat dan hafal keseluruhan Al-Qur’an itu. Kerana bukanlah Nabi ﷺ yang menguruskan, tetapi Allah ﷻ. Sebagaimana bukan kita yang uruskan makanan binatang-binatang, tetapi Allah ﷻ yang menguruskannya. Lihatlah alam ini bagaimana semuanya telah ditentukan oleh Allah ﷻ sendiri. Maka Allah ﷻ yang akan memastikan Nabi Muhammad ﷺ boleh membaca Al-Qur’an dan tidak akan lupa.
Dari sudut nahu (grammar), kalimah فَلا تَنسىٰ bukan bermaksud ‘jangan lupa’ tetapi ‘tidak akan lupa’. Maka jangan kita silap terjemah pula. Ini tidak sama dengan ayat ‘jangan lupa tentang dunia’ seperti dalam ayat Qasas:77 di mana Allah ﷻ berfirman:
وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا
“dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia’
Dalam ayat Surah Al-Qasas itu, ia adalah larangan, dan tidak sama dengan ayat dari al-A’la ini. Kerana kalau Nabi ﷺ disuruh jangan lupa, tentu Nabi ﷺ lagi teruk rasa, lagilah Nabi ﷺ rasa tertekan pula.
Ayat 7: Walaupun Allah ﷻ berjanji yang Nabi ﷺ tidak akan lupa, tetapi ada ayat yang Nabi ﷺ akan lupa juga, dan ini kerana memang ia telah ditakdirkan oleh Allah ﷻ. Memang ada perkara yang Allah ﷻ hendak Nabi Muhammad ﷺ lupa.
إِلّا ما شاءَ اللَّهُ ۚ إِنَّهُ يَعلَمُ الجَهرَ وَما يَخفىٰ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Except what Allāh should will. Indeed, He knows what is declared and what is hidden.
(MALAY)
kecuali kalau Allah menghendaki. Sesungguhnya Dia mengetahui yang terang dan yang tersembunyi.
إِلّا ما شاءَ اللَّهُ
kecuali kalau Allah menghendaki.
Nabi ﷺ akan ingat, kecuali apa yang memang Allah ﷻ mahu manusia melupakannya. Ini bermakna ada ayat atau hukum yang digunakan pada zaman itu sahaja dan apabila tidak sesuai lagi atau telah dicapai maksudnya, Allah ﷻ akan menyebabkannya dilupai, walaupun oleh Nabi Muhammad ﷺ sendiri.
Ayat ini adalah tentang ‘nasikh dan mansukh’. Kalau Allah ﷻ sudah tidak mahu menjalankan hukum itu lagi, ianya akan dilupakan oleh semua orang, bukan Nabi ﷺ sahaja yang lupa. Dan Allah ﷻ memang boleh buat perkara ini.
Bukanlah sebab Allah ﷻ tukar fikiran tetapi memang itulah kehendakNya. Kerana dari kalimah ما شاءَ اللَّهُ, kita tahu memang Allah ﷻ hendak begitu, bukan tidak sengaja, bukan kerana Allah ﷻ tersilap, bukan Nabi ﷺ yang terlupa dan sebagainya. Allah ﷻ telah rancang yang perkara itu pasti akan dilupakan.
Maka janganlah kita meragui tentang konsep nasakh dan mansukh kerana ianya memang ada dalam agama. Allah ﷻ akan berikan apa yang kita perlukan pada waktunya dan apabila tidak perlu lagi, ianya ditarik semula. Ini adalah tafsir yang pertama.
Ada satu lagi tafsir, iaitu Allah ﷻ jadikan Nabi Muhammad ﷺ lupa bacaan ayat Al-Qur’an dalam solat dan sahabat akan betulkan bacaan baginda. Atau selepas solat, sahabat akan tanya Nabi ﷺ adakah ayat itu telah dimansukhkan kerana Nabi ﷺ silap baca ayat.
Ayat ini hendak menunjukkan bahawa Nabi ﷺ itu memang seorang manusia dan baginda tidak sempurna dan memang sekali sekala terlupa. Bukanlah seorang manusia itu tidak mempunyai kesalahan hatta kalau dia seorang Nabi ﷺ pun. Yang maha sempurna hanya Allah ﷻ sahaja. Ini adalah perkara yang penting kerana Nabi Muhammad ﷺ memang lebih tinggi kedudukan dari kita, tetapi tidaklah sampai ke tahap Tuhan pula.
Dan ini menolak pendapat yang terlalu meninggikan kedudukan baginda melebihi kedudukan seorang Nabi dan manusia. Nabi ﷺ tidak sempurna kerana Nabi ﷺ ada juga buat kesilapan dan ada beberapa ayat Al-Qur’an yang Allah ﷻ menegur kesilapan Nabi ﷺ. Tetapi segala kesilapan itu sedikit sahaja dan kita kena yakin yang tidaklah Nabi ﷺ buat kesilapan tentang ayat Al-Qur’an sampaikan baginda ada tersilap baca ayat atau tersilap susun ayat. Dalam beribu ayat Al-Qur’an, hanya beberapa kali sahaja baginda terlupa ayat Al-Qur’an dan itu pun termasuk dalam perancangan Allah ﷻ juga.
إِنَّهُ يَعلَمُ الجَهرَ وَما يَخفىٰ
Sesungguhnya Dia mengetahui yang terang dan yang tersembunyi.
Allah ﷻ tahu perkara yang terang dan tersembunyi. Kalimah إِنَّهُ (sesungguhnya Dia) penting dalam ayat ini sebagai penekanan. Ini hendak menekankan dan menunjukkan bahawa hanya Allah ﷻ sahaja yang ada ilmu pengetahuan yang sempurna.
Kalimah الجَهرَ merujuk perbuatan yang semua orang boleh nampak dan lawannya adalah سرر (rahsia). Akan tetapi Allah ﷻ tidak gunakan kalimah سرر dalam ayat ini sebagai lawan الجَهرَ tetapi Allah ﷻ gunakan kalimah يَخفىٰ dari خفي yang bermaksud suatu rahsia yang sangat rahsia sampaikan orang pun tidak tahu kewujudan rahsia itu.
Kalimah سرر memang bermaksud ‘rahsia’, tetapi sekurangnya kita tahu yang ada rahsia, cuma kita tidak tahu sahaja kandungan rahsia itu. Dan dalam ayat ini, memang sesuai digunakan kalimah يَخفىٰ itu kerana apabila Allah ﷻ menyebabkan Nabi ﷺ terlupa, tidak ada sesiapa yang tahu ada benda yang Nabi ﷺ terlupa, kerana Allah ﷻ hilangkan terus dari ingatan manusia.
Dari segi balaghah, kalimah يَخفىٰ itu dalam bentuk katakerja kalau dibandingkan dengan الجَهرَ, yang dalam bentuk katanama. Ini adalah katanama lebih kuat dari katakerja. Ini kerana tidak banyak yang dilupakan kalau dibandingkan dengan perkara yang Nabi ﷺ ingat. Jadi, tidak banyak perkara yang termasuk dalam perkara yang dilupakan kepada Nabi ﷺ dan manusia.
Secara umum pula, ayat ini juga hendak mengingatkan kita yang Allah ﷻ mengetahui apa yang dilakukan oleh hamba-hamba-Nya secara terang-terangan dan juga apa yang mereka sembunyikan dari ucapan dan perbuatan mereka. Tiada sesuatu pun yang tersembunyi bagi-Nya.
Ayat 8:
وَنُيَسِّرُكَ لِليُسرىٰ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And We will ease you toward ease.¹
- To the path of Allāh’s religion, which is easy and natural, or toward Paradise, by giving opportunities for righteous deeds.
(MALAY)
Dan Kami tetap memberi kemudahan kepadamu untuk (melaksanakan segala perkara) Agama yang mudah (diterima oleh akal yang sihat).
Allah ﷻ akan memudahkan kefahaman dan amalan dalam agama ini kepada Rasulullah ﷺ.
Allah ﷻ memberi jaminan kepada Nabi ﷺ dalam ayat ini, bahawa tugas dakwah baginda akan dipermudahkan oleh Allah ﷻ. Ini sebagai pujukan kepada Nabi ﷺ yang rasa berat dengan tugas yang diletakkan di atas bahunya. Allah ﷻ beritahu baginda yang semuanya akan dipermudahkan sebagaimana Allah ﷻ telah mempermudahkan untuk Nabi ﷺ membaca dan menghafal Al-Qur’an.
Kalimah نُيَسِّرُكَ bermaksud ‘Kami memudahkan kamu’, bukan ‘Kami memudahkan untuk kamu’. Maknanya, tugas itu tetap susah, tetapi Allah ﷻ akan beri Nabi ﷺ mudah sahaja melakukannya. Kalimah yang normal adalah dengan ada tambahan ‘untuk’ tetapi tidak digunakan dalam ayat ini. Dari segi bahasa, ini adalah sebagai taqrib (pendekatan) untuk memberi isyarat yang Allah ﷻ mendekatkan DiriNya dengan Nabi ﷺ. Ini adalah sebahagian dari ilmu balaghah. Apabila tidak ada satu huruf, ia memberi makna yang berlainan.
Selain dari memudahkan kerja dakwah baginda, Allah ﷻ juga memberitahu bahawa syari’at Allah ﷻ juga adalah mudah untuk diikuti. Syari’at agama Islam tidak macam agama lain yang susah dan tidak patut. Sebagai contoh, dalam syari’at Kristian, paderi tidak boleh kahwin sampai bila-bila, sedangkan itu adalah perkara yang memang termasuk dalam fitrah manusia dan tidak mungkin boleh ditahan-tahan. Dan kerana ianya ditahan, banyak terjadi kes-kes liwat di kalangan paderi Kristian.
Selain dari itu, Allah ﷻ juga hendak memberitahu yang hidup juga akan menjadi mudah apabila kita mengikuti syari’at. Segala hukum dan amalan yang Allah ﷻ wajibkan kepada kita bukanlah untuk menyusahkan kita dan tidaklah susah untuk dilakukan. Ia untuk memudahkan kita hidup di atas muka bumi sebenarnya.
Mereka yang diberi rahmat oleh Allah ﷻ akan merasa mudah untuk mengikuti syari’at Allah ﷻ. Akan tetapi, kepada mereka yang tidak ada iman, mereka akan rasa syari’at itu susah. Pada mereka agama Islam ini susah, ini tak boleh, itu tak boleh, dan mereka rasa rimas. Ini kerana mereka tidak faham bahawa syari’at itu Allah ﷻ tetapkan untuk memudahkan kita sebenarnya.
Ini kerana mereka jahil dan tidak mengkaji bagaimana hukum dari Allah ﷻ bertujuan untuk memudahkan kehidupan kita kerana kalau tidak ada syari’at dari Allah ﷻ, maka kehidupan kita akan jadi rosak dan kacau bilau. Allah ﷻ sudah susun siap-siap untuk kita supaya kita tidak payah fikirkan kerana kalau kita fikirkan pun, kita tidak akan dapat capai keputusan dari syari’at Allah ﷻ.
Maka kita kena percaya dan taat kepada hukum Allah ﷻ kerana syari’at Allah ﷻ itu dibuat oleh Allah ﷻ yang tahu luar dalam tentang manusia kerana Dialah yang menjadikan kita. Maka ianya amat sesuai untuk diamalkan oleh manusia.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 27 November 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Very informative and precise. Tqvm.
LikeLike
Ayat ke 7
Nabi pernah lupa bacaan ayat al quran semasa solat
Boleh terangkan ayat yang mana baginda terlupa
LikeLike
saya tidak tahu.
LikeLike