Tafsir Surah Mulk Ayat 20 – 22 (Azab yang mendatang)

Mulk Ayat 20: Sekarang kita masuk ke dalam topik yang baru. Ini pula adalah tentang pujaan-pujaan yang dilakukan oleh orang kafir, termasuklah jika ada orang Islam yang melakukannya. Ini kerana ada orang Islam yang jauh dari wahyu, mereka juga ada memuja selain Allah tanpa mereka sedari.

Allah tanya soalan sebagai ejekan kepada mereka.

أَمَّن هٰذَا الَّذي هُوَ جُندٌ لَّكُم يَنصُرُكُم مِّن دونِ الرَّحمٰنِ ۚ إِنِ الكٰفِرونَ إِلّا في غُرورٍ

Sahih International

Or who is it that could be an army for you to aid you other than the Most Merciful? The disbelievers are not but in delusion.

Malay

Bahkan siapa dia yang menjadi tentera bagi kamu, yang akan menolong kamu selain dari Allah Yang Maha Pemurah? (Sebenarnya) orang-orang yang kafir tidak lain hanyalah berada dalam keadaan terpedaya.

 

أَمَّنْ هَٰذَا

Apakah ini (makhluk yang kamu seru)?

Siapakah ini yang dipuja? Iaitu berhala-berhala, roh-roh Nabi seperti Nabi Isa yang dipuja oleh orang Kristian, wali-wali, Nabi Muhammad, malaikat-malaikat dan lain-lain lagi yang dipuja oleh manusia. Apakah mereka ini yang kamu puja?

Bagaimanakah cara mereka dipuja? Manusia puja dengan memberi salam kepada entiti-entiti itu. Dan dengan menghantar bacaan Fatihah kerana nak bodek kepada mereka. Ada yang pergi ke kubur mereka itu dan buat amal ibadat di situ. Ada yang tawaf kubur, ada yang sembelih binatang di kubur. Dan macam-macam lagi cara yang dilakukan oleh manusia yang musyrik.

Itu semua adalah salah. Mereka juga menggunakan roh-roh itu sebagai wasilah (perantara) dalam doa mereka. Mereka memang berdoa kepada Allah, tapi mereka menggunakan perantaraan dalam doa. Padahal, Allah suruh kita doa terus kepadaNya.

 

الَّذِي هُوَ جُنْدٌ لَّكُمْ

yang boleh menjadi tentera bagi kamu?;

Adakah mereka itu boleh membantu kamu? Itulah ‘soalan ejekan’ yang diberikan oleh Allah.

Atau soalan ini boleh jadi begini: manakah dia tentera-tentera kamu?

 

يَنْصُرُكُمْ مِّنْ دُونِ الرَّحْمَٰنِ

yang boleh membantu kamu selain daripada Tuhan Rahman?;

Bolehkah roh-roh yang dipuja untuk boleh menghalang azab Tuhan di Mahsyar nanti? Itu adalah ejekan dari Tuhan kepada manusia yang musyrik.

Tidak boleh sesiapa pun yang boleh tolong orang lain waktu itu. Dan tidaklah ada sesiapa yang boleh menyebabkan Tuhan tidak jadi menghukum seseorang kerana sesiapa pun. Tidaklah kerana kita puja kepada Nabi, wali dan malaikat, mereka itu boleh pujuk Allah dari beri azab kepada pemuja mereka.

Tidak boleh sesiapa yang boleh halang Allah dari kenakan azab kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Dan tidak boleh kita nak pujuk Allah supaya jangan azab sesiapa pun. Waktu itu semuanya dalam keadaan takut menanti apakah nasib mereka. Sudah tidak ada hati nak fikirkan hal orang lain. Semua Nabi, wali dan malaikat itu sendiri dalam keadaan takut sebenarnya.

Tidaklah kerana Allah sayangkan satu golongan itu, sampai Allah hentikan hukuman yang hendak diberikanNya, walaupun mereka orang yang baik-baik dan memang Allah sayang kepada mereka. Ini tidak akan berlaku.

Yang pasti, tidak ada sesiapa yang boleh menghalang Tuhan dari melakukan apa sahaja yang Dia kehendaki. Perkataan مِنْ دُونِ itu bermaksud ‘apa-apa sahaja selain Allah’ dan semua itu adalah rendah dari Allah. Tidak ada yang dapat mencapai tahap kekuasaan Allah. Hanya sia-sia sahaja kalau hendak bertindak melawan Allah.

Kenapa Allah sekali lagi menggunakan nama الرَّحْمَٰنِ dalam ayat ini? Kenapa tidak digunakan nama ‘Allah’? Ini adalah kerana hendak membangkitkan rasa terhutang budi kita dengan Allah. Dengan sifat الرَّحْمَٰنِ itu, Allah telah memberikan segala nikmat kepada kita semua. Kalau dengan manusia yang banyak tolong kita pun, kita akan rasa segan, apatah lagi dengan Allah yang beri lebih lagi kepada kita? Kenapa kita masih lagi sanggup hendak engkar kepada arahan Allah?

 

إِنِ الْكٰفِرُونَ إِلَّا

Sesungguhnya orang kafir yang engkar itu tidak lain tidak bukan;

Apabila manusia sudah semakin maju, mereka rasa mereka sudah pandai. Mereka rasa mereka tidak memerlukan Allah lagi. Begitulah orang kafir rasa sekarang. Mereka rasa mereka sudah menguasai dunia dengan ilmu yang mereka ada. Itu adalah tanggapan yang amat meleset sekali.

 

فِي غُرُورٍ

dalam terpedaya;

Iaitu terpedaya oleh hawa nafsu dan bisikan syaitan. Mereka terpedaya dengan ilmu yang mereka miliki. Mereka sangka mereka boleh berdikari tanpa Allah dengan teknologi yang mereka miliki. Mereka sangka dengan teknologi yang mereka ada, mereka tidak memerlukan Tuhan lagi.

Contohnya, mereka sangka mereka boleh buat hujan sendiri; mereka sangka mereka boleh suburkan tanah yang kontang dengan teknologi yang mereka ada, dan berbagai lagi. Oleh kerana perasaan mereka itu, mereka semakin jauh dari Tuhan. Mereka tertipu sebenarnya. Sebab walau macam mana maju pun kita, kita tidak akan terlepas dari memerlukan Allah.

Perkataan غُرُورٍ bermaksud salah faham dengan sesuatu. Kita sangka lain, tapi sebenarnya lain. Kita sangka apa yang kita lakukan itu adalah benar, tapi sebenarnya tidak. Ini adalah kerana telah tertipu. Begitulah yang terjadi kepada ramai orang kita. Mereka sangka amalan-amalan yang mereka lakukan itu adalah benar dan baik, tapi sebenarnya ianya adalah jauh dari Allah.

Sebagai contoh, ada amalan-amalan orang-orang silat yang memang menyimpang jauh dari agama. Mereka seru itu dan ini, mereka buat amalan yang tidak ada dalam sunnah, mereka baca ayat-ayat tertentu kerana hendak mendapatkan hikmat.

Mereka menerima sahaja amalan itu dan amalkan kerana ianya diberi oleh guru mereka yang diturunkan turun temurun dari guru-guru mereka yang dahulu. Mereka beri alasan bahawa itu memang amalan yang lama (bukan dari amalan Islam), tapi telah ‘diislamkan’ apabila Melayu menerima Islam.

Tapi kalau kita dengar bacaan-bacaan amalan mereka itu, meremang bulu roma kita kerana ianya adalah amalan-amalan pujaan selain Allah, berdoa kepada selain Allah, dan kata-kata yang kita sendiri tidak faham. Tapi orang-orang silat pegang kemas pegangan mereka itu. Kalau kita tegur, mahu disilatnya kita.

Dan begitu juga orang-orang awam yang tidak belajar agama. Mereka hanya ikut sahaja apa yang disampaikan oleh ustaz mereka. Maka, mereka selalu terlibat dalam majlis-majlis bidaah seperti sambutan Maulid Nabi, Majlis Tahlil, Kenduri Arwah, Marhaban dan berbagai-bagai lagi.

Mereka sangkakan amalan-amalan itu adalah amalan-amalan dalam agama. Tapi sebenarnya tidak sama sekali kerana itu adalah amalan bidaah. Itu adalah amalan rekaan manusia yang tidak pernah diajar oleh Nabi. Mereka menggunakan berbagai-bagai alasan antaranya ianya adalah ‘Bidaah Hasanah’ – mereka sendiri tidak faham apakah maksud Bidaah Hasanah itu.

Apabila digunakan perkataan فِي (di dalam) di dalam ayat ini, ianya bermaksud mereka itu benar-benar berada di dalam keadaan sesat mereka itu. Maksudnya mereka telah bergelumang di dalam kesesatan itu. Seperti mereka berada dalam tong tahi yang mereka tidak perasan. Mereka tidak perasan kerana mereka telah lama bergelumang dalam keadaan itu. Mereka tidak nampak lagi pendapat lain yang benar. Kerana lama sangat mereka telah lakukan amalan mereka, mereka sangka ianya adalah benar. Mereka telah dihijab dari kebenaran.

Begitulah yang banyak terjadi dalam masyarakat sekarang. Mereka telah membesar dalam amalan bidaah itu, sampaikan mereka tidak sangka sama sekali yang ianya salah. Sebagai contoh, kalau kita kata Kenduri Arwah dan Majlis Tahlilan itu bidaah, marah sungguh mereka.

Musyrikin Mekah telah terlalu lama mengamalkan ajaran agama yang syirik kepada Allah sampaikan mereka rasa mereka itu dalam kebenaran. Dan apabila Nabi datang membawa ajaran yang benar, mereka pula kata yang Nabi itu yang salah.

Begitulah juga dengan masyarakat kita. Mereka telah lama bergelumang dalam amalan-amalan bidaah, sampaikan apabila ada golongan Sunnah yang kata amalan mereka itu bukan datang dari Nabi, ianya adalah amalan bidaah, tidak ada kebaikan padanya, – mereka pula kata puak Sunnah itu yang sesat. roMereka beri berbagai-bagai nama dan gelaran kepada golongan Sunnah itu – antaranya mereka kata itu adalah pendapat Golongan Muda, atau mereka kata itu adalah pendapat Wahabbi.


 

Mulk Ayat 21: 

أَمَّن هٰذَا الَّذي يَرزُقُكُم إِن أَمسَكَ رِزقَهُ ۚ بَل لَّجّوا في عُتُوٍّ وَنُفورٍ

Sahih International

Or who is it that could provide for you if He withheld His provision? But they have persisted in insolence and aversion.

Malay

Atau siapa dia yang dapat memberi rezeki kepada kamu jika Allah menahan rezekiNya? (Tidak ada sesiapapun), bahkan mereka (yang musyrik itu) kekal terus dalam keadaan sombong angkuh serta melarikan diri (dari kebenaran).

 

أَمَّنْ هَٰذَا

Adakah (roh-roh yang kamu seru) ini,

Siapakah roh-roh yang kamu seru itu? Iaitu roh-roh Nabi, wali dan malaikat. Adakah roh-roh itu ada kuasa?

 

الَّذِي يَرْزُقُكُمْ

yang dapat memberi rezeki kepada kamu?;

Bolehkah mereka memberi rezeki kepada kamu kalau Allah tahan rezekiNya? Padahal, Allahlah yang memberi rezeki kepada manusia.

Yakinlah yang Allah sahaja yang boleh beri rezeki. Jadi jangan risau sangat pasal rezeki. Allah telah tentukan rezeki kepada kita. Ulama’ mengatakan yang kalau kita bergantung harap dengan Allah, Allah akan pastikan kita akan mendapat rezeki. Seperti burung yang keluar di pagi hari, tidak tahu mereka ke mana. Tapi mereka pulang ke sarang mereka dengan ada makanan untuk mereka.

Jangan kita risaukan rezeki anak-anak kita yang ramai. Kita cuma berusaha dan Allah akan pastikan rezeki mereka akan ada. Allah menekankan bahawa rezeki itu datang dariNya. Dalam ayat ke-15, Allah menyuruh kita mencari rezeki di bumi ini, tapi bukanlah bumi itu yang memberi rezeki kepada kita, Allah jua yang beri مِنْ رِزْقِهِ (dari rezekiNya).

Apakah maksud رزق rizq itu? Kita selalu memahaminya sebagai rezeki dalam bentuk wang dan makanan sahaja. Tapi kita kena luaskan pemahaman kita berkenaan ‘rezeki’ itu. Ianya adalah apa sahaja yang memberi faedah kepada kita – termasuklah makanan, udara yang kita hidu, ketenangan fikiran, anak dan sebagainya lagi. Banyak yang boleh dikategorikan sebagai ‘rezeki’.

Dalam Al-Qur’an, Allah selalu menyamakan rezeki dengan ‘hujan’. Kenapa begitu? Mufassir mengatakan kerana ada persamaan antara ‘rezeki’ dan ‘hujan’. Antaranya, kita tidak tahu bilakah hujan akan terjadi. Kalau kita ramalkan bila hujan hendak turun, itu adalah hanya tekaan sahaja, tidak semestinya tepat. Begitu juga tidak boleh ramal bilakah hujan akan turun, kita juga tidak boleh ramal bilakah kita akan dapat rezeki. Allah yang tentukan.

Satu lagi, kita tidak boleh nak kawal hujan. Kita tidak boleh tentukan berapa lebat hujan itu akan turun, di manakah ianya akan turun dan berapa lama ianya akan turun. Begitulah juga dengan rezeki, kita tidak boleh kawal berapa banyak ia akan turun, dan bagaimanakah caranya ia akan diberikan kepada kita.

Semuanya dalam tangan Allah. Bukan kita yang boleh tentukan. Jadi, kalau hendak rezeki, berdoalah kepada Allah sahaja.

 

إِنْ أَمْسَكَ رِزْقَهُ

sekiranya Dia nak halang rezekiNya?

Kita tahu bahawa Allahlah yang memberikan rezeki kepada kita. Tapi kalau Allah hentikan dari beri rezeki kepada kita, adalah sembahan-sembahan lain itu boleh beri rezeki kepada kita? Bolehkah Jesus beri rezeki, Siva, Vishu, berhala-berhala dan tuhan-tuhan lain beri rezeki kepada kamu?

Bolehkah Malaikat Mikail berikan rezeki kepada kita? Begitu juga dengan wali-wali yang kita puja itu. Termasuklah dengan Nabi Muhammad sendiri, bolehkah baginda berikan rezeki kepada kita? Tidak mungkin sama sekali. Yang boleh beri rezeki hanya Allah.

 

بَلْ لَّجُّوا فِي عُتُوٍّ

Bahkan, mereka terus menerus dalam kesombongan

Perkataan لَجُّوا pada dasarnya bermaksud berterusan dalam sesuatu. Bayangkan kalau seorang dalam mahkamah mengaku tidak bersalah dan sampai ke sudah dia tidak mengaku salah. Maknanya, dia berterusan mengatakan ketidaksalahannya.

Tapi لَجُّ bukan setakat itu sahaja. Ia bermaksud seseorang itu tetap dalam keadaannya walaupun dia tahu dia salah dan dia akan sanggup melakukan apa sahaja untuk terus dalam keadaan itu. Jenis orang yang sudah tahu salah tapi tidak mahu mengaku. Masih tetap hendak menegakkan benang yang basah. Sudah diberitahu yang amalan itu salah, tapi dia tetap juga hendak buat.

Perkataan فِي bermaksud dia berada di dalam keadaannya itu sampai dia tidak nampak lagi benda lain.

Perkataan عُتُوٍّ bermaksud ‘sombong’. Bermakna mereka itu tidak mahu mengikut kebenaran itu hanya kerana sombong sahaja. Mereka berterusan dalam kesombongan mereka. Sombong kerana mereka rasa lebih tinggi dari kebenaran itu. Jadi kalau kita beri peringatan, mereka tidak mahu dengar.

 

وَنُفُورٍ

dan lari dari kebenaran; 

Mereka tidak mahu mendengar kebenaran yang disampaikan kepada mereka.

Perkataan نُفُورٍ datang dari maksud asal yang bermakna ‘berkembang’. Ianya menjadi maksud melarikan diri seperti bertempiaran lari dari sesuatu. Macam kalau kita tak suka sangat kepada sesuatu, kita tak mahu berada di situ lagi dan kita akan melarikan diri.

Begitulah yang terjadi kepada masyarakat kita. Kalau kita hendak bercerita tentang tauhid, tentang sunnah dan kesalahan amalan bidaah yang mereka lakukan, mereka tak mahu dengar. Mereka akan melarikan diri seperti kita pula orang yang sesat. Padahal, apa yang kita bawa adalah kebenaran. Apakah ada lagi kebenaran dari Al-Qur’an dan Hadis Sahih?

Jadi, mereka itu melarikan diri kerana mereka sombong. Mereka rasa apa yang mereka buat selama ini sudah betul, maka mereka tidak mahu mendengar hujjah kita. Mereka rasa mereka sudah berilmu, sudah pandai kerana mereka juga kononnya telah bertahun-tahun belajar agama. Mereka kata mereka selalu mendengar ustaz mengajar di masjid dan surau, mereka juga ada yang telah belajar di pondok, di madrasah itu ini, malah universiti, maka mereka sangka mereka sudah pandai. Mereka sangka mereka sudah cukup bagus, itulah sebabnya mereka sombong.

Mereka juga takut kedudukan mereka dalam masyarakat akan jatuh kalau beralih kepada ajaran dan amalan sunnah. Kerana merekalah yang mengajar di surau-surau dan masjid-masjid sekarang.

Merekalah yang jadi tekong apabila doa selamat dibaca, apabila kenduri arwah dan Majlis Tahlil dibuat. Merekalah yang membacakan talqin kepada orang mati. Merekalah imam apabila Solat Hajat berjemaah dibuat. Merekalah yang dipanggil untuk buat tahnik, cukur jambul budak baru lahir dan sebagainya. Kemudian mereka ambil upah atas ‘khidmat’ mereka itu.

Kalau dibawa hujjah sunnah, maka akan jelaslah bahawa amalan mereka yang menaikkan darjat mereka di mata masyarakat itu akan terjatuh. Tentulah punca pendapatan mereka akan berkurangan. Kerana itulah mereka tidak mahu mendengarnya, dan malah mereka akan kata semua ajaran sunnah itu adalah ajaran yang salah.

Mereka tidak suka ajaran sunnah kerana mereka akan hilang punca pendapatan. Mereka tidak dapat upah lagi jadi imam solat Hajat, baca doa selamat, mandi air jampi, buang sial dan sebagainya. Semua itu adalah punca pendapatan mereka.

Masyarakat yang jahil akan mencari mereka untuk baca doa yang menggunakan tawasul, ambil berkat dari mereka, dan selepas itu masyarakat jahil itu akan beri upah kepada mereka. Hilanglah pendapatan mereka kalau masyarakat sudah mengamalkan sunnah. Kerana dalam sunnah, semuanya percuma. Kerana kita tidak boleh ambil upah dalam perkara ibadat. Malah dalam mengajar agama pun kena percuma.

Mereka sudah biasa dan sudah sebati dengan amalan bidaah dan syirik mereka selama ini. Mereka sudah berada dalam kedudukan yang selesa. Mereka rasa mereka orang yang sudah mengamalkan agama. Mereka sangka mereka sudah selamat apabila berjumpa Tuhan nanti. Jadi, mereka tak mahu dengar lagi hujah-hujah lain. Walaupun hujah-hujah itu dari Al-Qur’an dan sunnah.

Ayat ini asalnya diturunkan kepada Musyrikin Mekah. Tapi perbuatan dan fahaman mereka itu bukanlah hanya kepada mereka sahaja. Jangan kita sangka itu hanyalah untuk mereka sahaja. Kerana perangai itu masih ada lagi dalam masyarakat kita. Kita takut kalau-kalau kita pun termasuk dalam golongan itu juga. Kita kena sentiasa periksa apakah perbuatan yang kita buat selama ini benar atau tidak.

Walaupun kita sangka kita sudah mengamalkan sunnah, tapi teruslah belajar untuk memastikan kesahihannya. Jangan kita berhenti dari mencari ilmu. Walaupun pada permulaannya, mungkin kita tidak biasa, tapi teruskan belajar dan dapatkan hujah dan dalil yang kuat supaya kita sampai kepada tahap kebenaran.

Semoga Allah membantu kita dalam usaha kita ini. Berdoalah kepada Allah supaya menunjukkan manakah pendapat yang benar. Kalau ada keinginan, maka Allah akan tarik seseorang itu kepada kebenaran.


 

Mulk Ayat 22: Bandingan mereka yang tidak mahu terima hujah dari wahyu.

أَفَمَن يَمشي مُكِبًّا عَلىٰ وَجهِهِ أَهدىٰ أَمَّن يَمشي سَوِيًّا عَلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ

Sahih International

Then is one who walks fallen on his face better guided or one who walks erect on a straight path?

Malay

Maka adakah orang yang berjalan tersungkur di atas mukanya boleh mendapat hidayah – atau orang yang berjalan tegak melalui jalan yang lurus rata?

 

أَفَمَنْ يَمْشِي مُكِبًّا عَلَىٰ وَجْهِهِ

Apakah satu orang yang berjalan dengan mukanya tersembam di bumi;

Maknanya, orang yang berjalan begitu tidak boleh lihat di hadapannya. Ini adalah orang yang semasa hidupnya tidak memandang Al-Qur’an sebagai pedoman hidupnya maka Allah balas di akhirat nanti tidak melihat di hadapannya.

Ada huruf فَ dalam perkataan أَفَمَنْ itu. Ianya digunakan sebagai menunjukkan bahawa ini adalah sebagai konklusi perbincangan sebelum ini. Setelah diberikan segala hujah dan disuruh manusia melihat segala bukti yang ada, maka apakah balasan yang manusia akan terima?

Mereka akan diberikan dua pilihan: sama ada mengikuti jalan kebenaran atau jalan kesesatan. Mana satu yang mereka hendak pilih? Kepada mereka yang mengikut jalan kesesatan semasa di dunia, di akhirat nanti mereka akan berjalan menggunakan muka mereka.

Perkataan مُكِبًّا bermaksud ‘diterbalikkan’. Macam kalau kita masak roti canai, selepas satu bahagian telah masak, kita akan terbalikkan roti canai untuk masak bahagian yang lagi satu pula. Begitulah nanti manusia akan diterbalikkan di akhirat kelak. Semasa mereka di dunia, muka mereka berada di atas, tapi di akhirat nanti muka mereka akan tersembam di tanah.

Bolehkah Allah membuat manusia berjalan dengan mukanya? Bagaimanakah Allah memperjalankan manusia dengan mukanya? Ini tidak menghairankan kerana Allah boleh memperjalankan ular yang tidak mempunyai kaki, apakah Allah tidak boleh menjalankan manusia menggunakan mukanya?

Anas bin Malik berkata, pernah ditanyakan kepada Nabi tentang bagaimana orang-orang itu berjalan di atas muka mereka? Baginda menjawab: “Bukankah Rabb yang yang telah menjadikan mereka berjalan dengan kaki-kaki mereka mampu untuk menjadikan mereka berjalan di atas wajah mereka?”

Maka, kita tidak pasti bagaimanakah nanti Allah akan memperjalankan mereka dengan muka mereka, tapi kita tahu bahawa Allah mampu untuk buat apa sahaja. Kita mungkin tidak boleh bayangkan, tapi terimalah dengan bulat hati bahawa ianya akan terjadi.

 

أَهْدَىٰ

lebih terpimpin?; 

Allah memberi perbandingan antara orang kafir dan orang mukmin. Adakah orang yang berjalan atas mukanya itu lebih terpimpin? Allah tidak menjawab di sini, tapi dalam sambungan ayat seterusnya, Allah mengatakan bahawa bandingannya adalah orang yang berada di atas jalan yang lurus.

Maka, ini bermaksud orang yang berjalan atas mukanya itu bukanlah orang yang terpimpin. Allah tidak beri jawapan terus kerana Allah hendak kita menggunakan akal kita; inilah tema surah ini yang suruh kita berfikir sendiri.

 

أَمَّنْ يَمْشِي سَوِيًّا

daripada seorang yang berjalan tegak

Bandingkan orang yang berjalan atas mukanya dengan orang yang berjalan tegak dengan dua kaki? Perkataan سَوِيًّا bermaksud yang tegak, lurus yang sama rata. Tidak bengkang bengkok. Adakah sama dengan orang yang sebelum ini?

 

عَلَىٰ صِرٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ

di atas jalan yang lurus;

Mereka ini seumpama orang yang berjalan di atas jalan raya, iaitu jalan yang jelas kalau dibandingkan dengan orang yang berjalan mukanya dalam lumpur. Mereka inilah yang mengambil agama mereka dari sumber yang jelas dan sahih – Al-Qur’an dan sunnah.

Maka, dua jenis golongan ini adalah sama seperti tema Surah Mulk ini: golongan yang benar dan golongan yang salah. Mereka akan diberikan pilihan dan pilihan mereka itu akan menentukan nasib mereka di akhirat kelak. Jadi, jalan manakah yang kita hendak pilih? Jalan selamat atau jalan yang sesat? Nak jalan tegak atau jalan atas muka?

Untuk lebih memahami ayat ini, kita perlu lihat ayat selepasnya ini nanti. Allah telah memberikan pendengaran, penglihatan dan hati kepada manusia. Itulah sumber pancaindera kita untuk membuat keputusan. Kita akan dengar, lihat dan kita akan nilai.

Tapi bukan itulah sahaja pancaindera kita. Kita juga ada deria rasa, sentuh dan sebagainya. Tapi deria-deria lain itu tidak digunakan oleh Allah dalam surah ini kerana deria-deria itu bukan digunakan untuk membuat keputusan dalam agama. Tapi mereka yang buat pilihan dalam agama berdasarkan kepada deria selain pendengaran, penglihatan dan hati, maka mereka akan terjerumus ke dalam lembah kehinaan.

Sebagai contoh, lihatlah seekor anjing yang mencari makanan. Bukankah anjing itu akan meletakkan mukanya ke tanah sahaja semasa mencari makan? Anjing itu akan menggunakan deria hidunya dan rasanya untuk mencari makanan – mana makanan yang dia boleh makan atau tidak. Dia tidak kisahkan pendengaran dan penglihatannya lagi.

Begitulah manusia yang hanya menggunakan deria mereka dengan cara yang salah. Mereka akan hanya fikirkan tentang perut mereka sahaja. Mereka fikir nak makan sahaja. Mereka akan buat keputusan berdasarkan apa yang mereka akan dapat di dunia sahaja dan apakah yang boleh memenuhkan perut mereka.

Maka, kerana itu ada mufti yang akan buat keputusan agama atas arahan pemerintah, kerana kalau mereka lawan, mereka akan diturunkan pangkat dan mereka hilang punca pendapatan.

Ada juga ustaz dan guru agama yang sanggup mengatakan sesuatu amalan bidaah itu baik dalam agama kerana amalan bidaah itulah yang memberi punca pendapatan kepada mereka. Kalau mereka kata salah, maka mereka hilang punca pendapatan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 5 September 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Kuliah tafsir Surah al-Mulk oleh Sheikh (Dr) Haitham Al-Haddad

Kuliah tafsir Surah al-Mulk oleh Sheikh Abdul Nasir Jangda

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah Mulk Ayat 20 – 22 (Azab yang mendatang)”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s