Tafsir Surah Mulk Ayat 19 – 20 (Azab yang mendatang)

SOALAN 3: TIDAKKAH ENGKAU MELIHAT KUASA ALLAH ‎ﷻ?

Mulk Ayat 19: Ini adalah ayat Dalil Aqli. Kita boleh mengenal Allah ‎ﷻ dengan menggunakan akal yang waras yang Allah ‎ﷻ telah berikan. Sekarang Allah ‎ﷻ hendak beritahu tentang penciptaan pula. Allah ‎ﷻ memberi kita satu lagi contoh dari alam ini untuk kita lihat dan fikirkan. Sebelum ini telah diberikan contoh langit, bintang, bumi, dan sekarang diberikan contoh lain pula iaitu burung yang berterbangan di angkasa.

أَوَلَم يَرَوا إِلَى الطَّيرِ فَوقَهُم صٰفّٰتٍ وَيَقبِضنَ ۚ ما يُمسِكُهُنَّ إِلَّا الرَّحمٰنُ ۚ إِنَّهُ بِكُلِّ شَيءٍ بَصيرٌ

Sahih International

Do they not see the birds above them with wings outspread and [sometimes] folded in? None holds them [aloft] except the Most Merciful. Indeed He is, of all things, Seeing.

Malay

Tidakkah mereka memerhatikan burung-burung yang terbang di atas mereka, burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya? Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Dia Maha Melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

أَوَلَمْ يَرَوْا إِلَى الطَّيْرِ فَوْقَهُمْ

Apakah mereka tidak lihat kepada burung-burung yang di atas mereka;

Allah ‎ﷻ suruh kita lihat kepada burung yang sedang terbang itu. Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan ‘lihat’. Bermakna, kita boleh melihat sendiri keajaiban yang Allah ‎ﷻ telah lakukan. Tidak perlu kita mengkaji dalam-dalam kerana dengan mata sendiri pun kita boleh lihat. Sebelum ini kita telah disuruh lihat langit, bukan? Namun mungkin langit itu besar sangat dan tidak dapat dinilai, maka sekarang lihatlah kepada burung yang juga ada di langit. Maka, Allah ‎ﷻ menyuruh kita lihat ke langit dan melihat bagaimana penciptaan-Nya kepada kebolehan burung itu.

Burung itu terbangnya di langit. Kebanyakan haiwan-haiwan termasuk manusia hanya dapat hidup di darat sahaja. Sebaliknya haiwan yang boleh terbang itu sangat hebat sebab boleh pergi jauh dan bila di atas boleh nampak dengan lebih luas lagi. Kita sebagai manusia memang amat terpesona dengan kebolehan untuk terbang. Kalau boleh, kita pun hendak memiliki kebolehan untuk terbang seperti burung itu kerana rasa bebas untuk ke mana-mana. Jadi burung juga banyak disebut di dalam ayat-ayat Al-Qur’an dan hadith sebagai pengajaran kepada kita. Oleh kerana manusia suka kepada penerbangan, maka manusia telah mencipta kenderaan yang boleh terbang. Kita juga amat suka kalau boleh menaiki kapal terbang dan ia adalah sesuatu yang mempesonakan. Sekarang pun, dalam rekreasi manusia, ramai yang suka perkara-perkara yang melibatkan penerbangan. Kita suka menaiki kapal terbang, helikopter, hang glider dan bermacam-macam lagi. Semua itu menunjukkan ketakjuban kita dengan penerbangan. Akan tetapi kita hanya boleh terbang menggunakan alat, sebaliknya burung itu boleh terbang dengan sendirinya kerana itulah kelebihan yang Allah ‎ﷻ telah berikan. Lain makhluk lain kelebihan mereka.

Namun begitu Allah ‎ﷻ bukan suruh lihat burung begitu sahaja, tetapi ada isyarat kepada azab. Ayat ini pertama kali diberikan kepada Musyrikin Mekah yang sudah tahu sejarah tentera Abrahah yang telah dihancurkan dengan batu-batu yang dibawa oleh burung. Sebelum ini telah disebut tentang azab dari langit dan azab dari langit telah pernah dilakukan oleh Allah ‎ﷻ dengan perantaraan burung. Maka wahai orang Arab Mekah, jangan kamu lupa tentang hal ini. Allah ‎ﷻ boleh sahaja menghantar burung-burung untuk membawa hujan batu sebagaimana yang telah pernah dilakukan terhadap tentera Abrahah. Allah ‎ﷻ sebut kisah mereka di dalam Feel: 3

وَأَرسَلَ عَلَيهِم طَيرًا أَبابيلَ
dan Dia mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong,

صَٰفّٰتٍ وَيَقْبِضْنَ

Kadang-kadang burung itu buka sayap dan kadang-kadang menguncupkan sayapnya;

Perkataan صَافَّاتٍ memperkatakan tentang keadaan burung yang mengembangkan sayapnya. Perkataan itu diambil daripada kata dasar yang bermaksud ‘lurus’. Kalau kita dalam jemaah solat pun, perkataan ‘saf’ digunakan. Ini adalah kerana apabila burung mengembangkan sayapnya, maka akan terlihat bulu-bulu sayap burung itu bagaikan saf-saf yang berdekatan antara satu dengan yang lainnya.

Kalimah يَقْبِضْنَ pula daripada kata dasar ق ب ض yang bermaksud untuk menarik; merampas; menarik masuk (sayap dalam terbang); ambil; pegang; genggam; ketat; menarik; menyesuaikan diri; menerima; segenggam; berikut; lukisan; satu tindakan mengambil; diambil milik. Ia merujuk kepada perbuatan burung menguncupkan sayapnya.

Dari segi nahu, perkataan صَافَّاتٍ dalam bentuk kata-nama (noun) dan perkataan يَقْبِضْنَ dalam bentuk katakerja (verb). Kenapa nahu yang berbeza digunakan? Ini adalah kerana apabila kata-nama digunakan, ia menunjukkan perkara itu selalu dilakukan. Untuk perkataan yang berbentuk kata-kerja, ia hanya dilakukan sekali sekala sahaja. Kalau kita lihat burung, selalunya ia akan mengembangkan sayapnya. Hanya jarang-jarang burung akan menguncupkan sayapnya. Mungkin burung itu akan menguncupkan sayapnya apabila hendak mengubah arah perjalanannya sahaja. Namun selalunya burung akan mengembangkan sayapnya. Begitulah tepatnya bahasa yang digunakan oleh Al-Qur’an. Zamakhsyari رَحِمَهُ اللَّهُ kata ini adalah antara rahsia kenapa dikumpulkan sighah fi’il dan sighah isim di dalam satu ayat.

Tafsiran lain bagi صَٰفّٰتٍ وَيَقْبِضْنَ adalah formasi burung-burung itu. Kadang mereka terbang berkawan dan membentuk formasi yang rapat seperti saf-saf dan kadangkala mereka duduk rapat mendekat antara satu sama lain. Hebatnya formasi mereka bergerak dengan cepat tetapi tidak berlanggar sedikit pun.

Lihatlah kehebatan Allah ﷻ yang membolehkan sekawan burung terbang bebas di udara malah mampu membentuk formasi v.

مَا يُمْسِكُهُنَّ إِلَّا الرَّحْمَٰنُ

Tidaklah yang menghalang burung itu daripada jatuh, melainkan Tuhan Rahman sahaja;

Kita mungkin belajar ilmu fizik bahawa yang menyebabkan burung itu tidak jatuh ke bumi adalah kerana binaan tubuh mereka menyebabkan angin mengangkat mereka (dipanggil drag dalam istilah ilmu fizik). Hakikat sebenarnya Allah ﷻlah yang memegang dan menahan burung itu di langit dan tidak menjatuhkannya. Sepatutnya burung itu duduk di tanah sahaja (kerana graviti) akan tetapi dengan kuasa Allah ﷻlah mereka boleh terbang di langit. Begitu juga dengan keupayaan kita ini, pun terhad juga melainkan diizinkan oleh Allah ﷻ.

Kalau belajar ilmu fizik kita akan belajar bagaimana burung boleh terbang. Akan tetapi bukankah ilmu fizik itu Allah ﷻ juga yang buat, bukan? Dan angin yang menyebabkan burung boleh terbang itu, dijadikan oleh Allah ﷻ juga, bukan? Jangan kita meletakkan kebolehan sesuatu perkara itu kepada alam sahaja. Ingatlah bahawa Allah ﷻ yang bertanggungjawab dalam segala perkara. Sepatutnya, pelajaran sains di sekolah bukan hanya menceritakan tentang kejadian alam ini seolah-olah ia terjadi sendiri sahaja. Sepatutnya silibus sekolah menjelaskan bahawa segala kejadian itu adalah kerana Allah ﷻ. Allah ﷻlah yang menguruskan segala perjalanan alam ini. Daripada sebesar-besarnya sehingga ke sekecil-kecilnya. Patutnya selepas ajar tentang sains, beritahu yang sains ini adalah dalam qudrat Allah ﷻ, bukan terjadi sendiri. Allah ﷻ ingatkan lagi di dalam Nahl: 79 tentang hal burung ini,

أَلَم يَرَوا إِلَى الطَّيرِ مُسَخَّراتٍ في جَوِّ السَّماءِ ما يُمسِكُهُنَّ إِلَّا اللهُ ۗ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآياتٍ لِقَومٍ يُؤمِنونَ
Tidakkah mereka memperhatikan burung-burung yang dimudahkan terbang di angkasa bebas. Tidak ada yang menahannya selain daripada Allah. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang beriman.

Allah ﷻ menggunakan nama-Nya ‘ar-Rahman’ dalam ayat surah Mulk. Allah ﷻ menekankan sifat kemurahan-Nya. Allah ﷻ menggunakan nama ar-Rahman ini untuk membangkitkan perasaan terhutang budi kita kepada Allah ﷻ . Atas segala rahmat yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita, adakah patut kita ingkar kepada-Nya? Adakah patut kita mengambil selain Allah ﷻ sebagai ilah? Adakah patut kita mengambil sembahan-sembahan yang selain daripada Allah ﷻ? Tentu tidak patut sama sekali!

Tidakkah kita rasa keterbergantungan kepada Allah ﷻ di dalam kehidupan ini? Sebagaimana burung-burung itu bergantung kepada Allah ﷻ untuk menahan mereka di angkasa, begitu juga dengan kehidupan kita. Kita ini boleh dapat teruskan hidup kerana Allah ﷻ yang membenarkan kita terus hidup. Kalau Dia buat keputusan untuk mematikan kita, maka akan hilangnya nyawa kita serta merta.

إِنَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ بَصِيرٌ

Sesungguhnya Dia Maha Melihat terhadap segala sesuatu;

Ayat ini bermaksud, dalam semua perkara, Allah ﷻ sedang melihat. Allah ﷻ tahu apa yang sedang terjadi dan Dialah yang menyebabkan terjadinya sesuatu itu. Tidak ada yang tersembunyi daripada pandangan Allah yang Maha Mengetahui.

Sekali lagi, digunakan struktur ayat yang lain daripada kebiasaan bahasa Arab. Struktur yang normal adalah إِنَّهُ بَصِيرٌ بِكُلِّ شَيْءٍ. Namun diubah struktur ayat itu untuk menunjukkan *hanya* Allah ﷻ sahaja yang Maha Melihat segala-galanya. Tidak ada yang lain yang boleh sampai ke tahap Allah ﷻ. Tidak ada sembahan-sembahan lain. Tidak ada tuhan-tuhan lain. Begitulah sekali lagi, tema surah ini digunakan – Allah ﷻ menyuruh kita untuk melihat keindahan kejadian yang telah dijadikan oleh-Nya.


Mulk Ayat 20: Sekarang kita masuk ke dalam topik yang baru. Ini pula adalah tentang pujaan-pujaan yang disembah oleh orang kafir, termasuklah jika ada orang Islam yang melakukannya. Ini kerana ada orang Islam yang jauh daripada wahyu, mereka juga ada memuja selain Allah ﷻ tanpa mereka sedari. Kepada mereka, Allah ﷻ tanya soalan sebagai ejekan kepada mereka.

أَمَّن هٰذَا الَّذي هُوَ جُندٌ لَّكُم يَنصُرُكُم مِّن دونِ الرَّحمٰنِ ۚ إِنِ الكٰفِرونَ إِلّا في غُرورٍ

Sahih International

Or who is it that could be an army for you to aid you other than the Most Merciful? The disbelievers are not but in delusion.

Malay

Bahkan siapa dia yang menjadi tentera bagi kamu, yang akan menolong kamu selain daripada Allah Yang Maha Pemurah? (Sebenarnya) orang-orang yang kafir tidak lain hanyalah berada dalam keadaan terpedaya.

أَمَّنْ هَٰذَا

Apakah ini (makhluk yang kamu seru)?

Siapakah ini yang dipuja? Iaitu berhala-berhala, roh-roh Nabi seperti Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang dipuja oleh orang Kristian, wali-wali, Nabi Muhammad ﷺ, malaikat-malaikat dan lain-lain lagi yang dipuja oleh manusia. Semua itu termasuk ma’bud bathil (pujaan yang salah) kepada manusia. Apakah mereka ini yang kamu puja?

Bagaimanakah cara mereka dipuja? Mereka disembah dan diberikan dengan berbagai-bagai bentuk ibadah dan kata-kata pujian. Kalau kesyirikan yang dilakukan oleh umat Islam, mereka itu dipuja dengan diberi salam kepada entiti-entiti itu. Dengan menghantar bacaan Fatihah kerana hendak bodek mereka. Ada yang pergi ke kubur mereka itu dan buat amal ibadat di situ. Ada yang tawaf kubur, ada yang sembelih binatang di kubur. Malah bermacam-macam lagi cara yang dilakukan oleh manusia yang musyrik. Itu semua adalah cara-cara amalan yang salah dan syirik. Mereka juga menggunakan roh-roh itu sebagai wasilah (perantara) dalam doa mereka. Mereka memang berdoa kepada Allah ‎ﷻ, tetapi mereka menggunakan perantaraan dalam doa. Padahal, Allah ‎ﷻ suruh kita doa terus kepada-Nya. Malah yang lebih teruk lagi apabila ada umat Islam yang melakukan istighasah kepada pujaan-pujaan itu seperti Nabi dan wali

الَّذِي هُوَ جُنْدٌ لَّكُمْ

yang boleh menjadi tentera bagi kamu?;

Adakah mereka itu boleh membantu kamu? Adakah mereka ini yang kamu anggap sebagai tentera kamu? Itulah ‘soalan ejekan’ yang diberikan oleh Allah ‎ﷻ. Lemah sungguh kalau ini yang kamu anggap sebagai tentera kamu. Apabila digunakan istilah tentera, ia memberi isyarat kepada perang. Adakah mereka ini yang kamu hendak gunakan untuk memerangi Allah ‎ﷻ?

Atau soalan ini boleh jadi begini: manakah dia tentera-tentera kamu? Kamu tidak mahu taat kepada Allah ‎ﷻ, maka itu adalah satu bentuk penentangan. Jadi siapakah yang akan menyelamatkan kamu daripada Allah ‎ﷻ? Kamu dan tentera yang mana?

Dari segi bahasa, kalimah جُنْدٌ adalah di dalam bentuk jamak, akan tetapi kata penunjuk yang digunakan adalah di dalam bentuk mufrad iaitu هَٰذَا dan هُوَ. Sepatutnya yang digunakan adalah هَٰؤُلَاءِ dan هم. Ini adalah cara Allah ‎ﷻ menghina mereka kerana menggunakan kata tunjuk mufrad untuk mengatakan yang mereka itu bukannya banyak tetapi sedikit sahaja.

يَنْصُرُكُمْ مِّنْ دُونِ الرَّحْمَٰنِ

yang boleh membantu kamu untuk menentang Tuhan Ar-Rahman?;

Kalimah دُونِ boleh digunakan dalam banyak keadaan dan di sini ia bermaksud ‘terhadap’. Bolehkah roh-roh yang dipuja untuk boleh mengalahkan dan menghalang azab Tuhan di Mahsyar nanti? Itu adalah ejekan daripada Tuhan kepada manusia yang musyrik. Tentulah tidak ada yang boleh mengalahkan Allah ‎ﷻ. Kalau Allah ‎ﷻ mengenakan azab kepada manusia, tidak ada sesiapa pun yang boleh bantu pada waktu itu. Tidaklah ada sesiapa yang boleh menyebabkan Tuhan tidak jadi menghukum seseorang kerana sesiapa pun. Tidaklah kerana kita puja kepada Nabi, wali dan malaikat, mereka itu boleh pujuk Allah ‎ﷻ daripada menjatuhkan azab kepada pemuja mereka. Tidak boleh sesiapa yang boleh menghalang Allah ‎ﷻ daripada mengenakan azab kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Juga tidak boleh kita memujuk Allah ‎ﷻ supaya jangan diazab sesiapa pun.

Begitulah juga nanti di akhirat kelak. Waktu itu semuanya dalam keadaan takut menanti apakah nasib mereka. Sudah tidak ada hati untuk fikirkan hal orang lain. Semua Nabi, wali dan malaikat yang dipuja-puja oleh manusia itu pun dalam keadaan takut sebenarnya.

Maka ini mengajar kita satu perkara penting. Tidaklah kerana Allah ‎ﷻ sayangkan satu golongan itu, sampai Allah ‎ﷻ hentikan hukuman yang hendak diberikan-Nya, walaupun mereka orang yang baik-baik dan memang Allah ‎ﷻ sayang kepada mereka. Ini tidak akan berlaku. Sebagai contoh, kita tidak boleh berharap dengan mana-mana wali dan mana-mana Nabi yang akan selamatkan kita di akhirat kelak. Walaupun kita puja dan seru para wali dan Nabi itu, mereka tidaklah akan menyebabkan kita selamat daripada Allah ‎ﷻ. Yang pasti, tidak ada sesiapa yang boleh menghalang Tuhan daripada melakukan apa sahaja yang Dia kehendaki. Hanya sia-sia sahaja kalau hendak bertindak melawan Allah ‎ﷻ.

Kenapa Allah ‎ﷻ sekali lagi menggunakan nama الرَّحْمَٰنِ dalam ayat ini? Kenapa tidak digunakan nama ‘Allah’? Ini adalah kerana hendak membangkitkan rasa terhutang budi kita dengan Allah ‎ﷻ. Dengan sifat الرَّحْمَٰنِ itu, Allah ‎ﷻ telah memberikan segala nikmat kepada kita semua. Kalau dengan manusia yang banyak tolong kita pun, kita akan rasa segan, apatah lagi dengan Allah ‎ﷻ yang beri lebih lagi kepada kita? Kenapa kita masih lagi sanggup hendak ingkar kepada arahan Allah ‎ﷻ? Kenapa kita masih lagi hendak menentang Allah ‎ﷻ? Kalau ibubapa kita telah banyak berjasa kepada kita, adakah patut kita menentang mereka? Apatah lagi dengan Allah ‎ﷻ?

Kalimah مِنْ دُونِ الرَّحْمَٰنِ juga bermaksud tidak ada selain Allah ‎ﷻ yang ada kuasa, tidak ada yang dapat mempertahankan kalian daripada selain Allah ‎ﷻ. Ini adalah kalau kita gunakan kalimah دُونِ dengan maksud ‘selain daripadanya’.

إِنِ الكٰفِرونَ إِلّا في غُرورٍ

Sesungguhnya orang kafir yang ingkar itu tidak lain tidak bukan dalam terpedaya;

Apabila manusia sudah semakin maju, mereka rasa mereka sudah pandai. Mereka rasa mereka tidak memerlukan Allah ‎ﷻ lagi. Begitulah orang kafir rasa sekarang. Mereka rasa mereka sudah menguasai dunia dengan ilmu yang mereka ada. Itu adalah tanggapan yang amat meleset sekali. Iaitu mereka telah terpedaya oleh hawa nafsu dan bisikan syaitan. Mereka terpedaya dengan ilmu yang mereka miliki. Mereka sangka mereka boleh berdikari tanpa Allah ‎ﷻ dengan teknologi yang mereka miliki. Mereka sangka dengan teknologi yang mereka ada, mereka tidak memerlukan Tuhan lagi. Contohnya, mereka sangka mereka boleh menjadikan hujan sendiri; mereka sangka mereka boleh suburkan tanah yang kontang dengan teknologi yang mereka ada, dan berbagai lagi. Dek kerana perasaan hebat mereka itu, mereka semakin jauh daripada Tuhan. Mereka tertipu sebenarnya. Sebab walau bagaimana maju pun kita, kita tidak akan terlepas daripada memerlukan Allah ‎ﷻ.

Perkataan غُرُورٍ bermaksud salah faham dengan sesuatu. Kita sangka lain, tetapi sebenarnya lain. Kita sangka apa yang kita lakukan itu adalah benar, tetapi sebenarnya tidak. Ini adalah kerana telah tertipu. Begitulah yang terjadi kepada ramai orang kita. Mereka sangka amalan-amalan yang mereka lakukan itu adalah benar dan baik, tetapi sebenarnya ia adalah jauh daripada Allah ‎ﷻ. Sebagai contoh, ada amalan-amalan orang-orang silat yang memang menyimpang jauh daripada agama. Mereka seru itu dan ini, mereka buat amalan yang tidak ada dalam sunnah, mereka baca ayat-ayat tertentu kerana hendak mendapatkan hikmat. Mereka menerima sahaja amalan itu dan amalkan kerana ia diberi oleh guru mereka yang diturunkan turun temurun daripada guru-guru mereka yang dahulu. Mereka beri alasan bahawa itu memang amalan yang lama (bukan daripada amalan Islam), tetapi telah ‘diislamkan’ apabila Melayu menerima Islam. Akan tetapi kalau kita dengar bacaan-bacaan amalan mereka itu, meremang bulu roma kita kerana ia adalah amalan-amalan pujaan selain Allah ‎ﷻ, berdoa kepada selain Allah ‎ﷻ, dan kata-kata yang kita sendiri tidak faham. Sebaliknya orang-orang silat begitu memegang dengan kemas sekali pegangan mereka itu. Kalau kita tegur, mahu disilatnya kita.

Begitulah juga orang-orang awam yang tidak belajar agama. Mereka hanya ikut sahaja apa yang disampaikan oleh para ustaz dan tok guru mereka. Maka, mereka selalu terlibat dalam majlis-majlis bid’ah seperti sambutan Maulid Nabi, Majlis Tahlil, Kenduri Arwah, Marhaban dan berbagai-bagai lagi. Mereka sangka amalan-amalan itu adalah amalan-amalan dalam agama dan dapat banyak pahala. Namun hakikat sebenarnya tidak sama sekali kerana itu adalah amalan bid’ah dan amalan bid’ah tidak ada pahala tetapi dapat dosa sebenarnya. Itu adalah amalan rekaan manusia yang tidak pernah diajar oleh Nabi ﷺ. Mereka menggunakan berbagai-bagai alasan antaranya ia adalah ‘Bid’ah Hasanah’ – mereka sendiri tidak faham apakah maksud Bid’ah Hasanah itu. Mereka ini pandai sebut sahaja kerana kejahilan yang telah mengakar dalam diri mereka setelah sekian lama.

Apabila digunakan perkataan فِي (di dalam) di dalam ayat ini, ia bermaksud mereka itu benar-benar berada di dalam keadaan sesat mereka itu. Maksudnya mereka telah bergelumang di dalam kesesatan itu. Seperti mereka berada dalam tong tahi yang mereka tidak perasan. Mereka tidak perasan kerana mereka telah lama bergelumang dalam keadaan itu. Mereka tidak nampak lagi pendapat lain yang benar. Dek kerana terlalu lama sangat mereka telah lakukan amalan mereka, mereka sangka ia adalah benar. Mereka telah dihijab daripada kebenaran. Begitulah yang banyak terjadi dalam masyarakat sekarang. Mereka telah membesar dalam amalan bid’ah itu semenjak lahir lagi dan diamalkan oleh terlalu ramai orang, sampaikan mereka tidak sangka sama sekali yang ia adalah salah. Sebagai contoh, kalau kita kata Kenduri Arwah dan Majlis Tahlilan itu bid’ah, marah sungguh mereka.

Begitulah juga Musyrikin Mekah telah terlalu lama mengamalkan ajaran agama yang syirik kepada Allah ‎ﷻ sampaikan mereka rasa mereka itu dalam kebenaran. Setelah Nabi ﷺ datang membawa ajaran yang benar, mereka pula kata yang Nabi ﷺ itu yang salah. Begitulah juga dengan masyarakat kita. Mereka telah lama bergelumang dalam amalan-amalan bid’ah, sampaikan apabila ada golongan Sunnah yang kata amalan mereka itu bukan datang daripada Nabi ﷺ, ia adalah amalan bid’ah, tidak ada kebaikan padanya, – mereka pula kata puak Sunnah itu yang sesat. Mereka beri berbagai-bagai nama dan gelaran kepada golongan Sunnah itu – antaranya mereka kata itu adalah pendapat Golongan Muda, atau mereka kata itu adalah pendapat Wahabi.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 9 Februari 2025

Ringkasan Surah Mulk


Rujukan: 

Maulana Hadi

Kuliah tafsir Surah al-Mulk oleh Sheikh (Dr) Haitham Al-Haddad

Kuliah tafsir Surah al-Mulk oleh Sheikh Abdul Nasir Jangda

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Nouman Ali Khan

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah Mulk Ayat 19 – 20 (Azab yang mendatang)”

Leave a reply to CelikTafsir Cancel reply