Usul 14: Dalil dan Madlul

(14) Mengetahui Kesinambungan Di Antara Dalil Dan Madlul Pada Sumpah-Sumpah Allah Di Dalam Qur’an.

Usul keempat belas ialah berusaha memahami maksud segala sumpah Allah di dalam Qur’an. Ia mustahak sekali difahami dengan sebaik-baiknya. Apa yang sangat perlu dipastikan ialah memahami perkaitan di antara dalil dan madlulnya atau dengan kata lain, perkaitan di antara “muqsam bihi” dan “muqsam ‘alaihi’nya. Sumpah-sumpah Allah di dalam Qur’an ini sebenarnya adalah dalil-dalil yang tersendiri.

Antara tokoh ulama yang telah menulis secara khusus tentang topik sumpah Allah di dalam al-Qur’an ialah al-Imam Ibnu al-Qaiyyim, Hameeduddin @ ‘Abdul Hameed alfaraahi dan Ahmad Kamal al-Mahdi. Buku Ibnu al-Qaiyyim bernama at-Tibyaan Fi Aqsaami al-Qur’an. Buku al-Faraahi bernama al-Im’aan Fi Aqsaami al-Qur’an dan buku Ahmad Kamal al-Mahdi pula bernama Aayaat al-Qasam Min al-Qur’an al-Karim.

Di dalam al-Qur’an terdapat sebanyak 200 lebih sumpah. Hampir seratus daripadanya dengan jelas menggunakan perkataan ‘sumpah’. Termasuklah di dalamnya sumpah Allah, sumpah para nabi dan rasul, juga sumpah-sumpah orang-orang lain selain Allah dan rasul-rasulNya.

Bahasa Arab terkenal dengan kesenian ibaratnya. Gaya bahasa yang berbeza diguna untuk menyatakan maksud dan tujuan yang berbeza. Gaya bahasa yang berbeza juga diguna ketika berbicara dengan orang-orang yang latar belakangnya berbeza. Kerana itulah sesuatu cerita (khabar) menurut ilmu Ma’ani (salah satu cabang seni bahasa ‘Arab), semestinya disampaikan sesuai dengan tiga tahap sikap manusia yang akan menerimanya.

    • Al-Ibtida’i (الإبتدائي) digunakan untuk orang yang kosong fikirannya daripada sebarang keputusan tentang sesuatu cerita yang disampaikan. Cerita yang disampaikan kepada orang-orang pada tahap ini tidak perlu diperkuatkan dengan apa-apa kata penguat.
    • At-Thalabi (الطلبي) digunakan untuk orang yang ragu-ragu dan sangsi tentang sesuatu cerita yang disampaikan kepadanya. Dalam keadaan ini eloklah cerita yang hendak disampaikan itu diperkuatkan dengan sedikit kata penguat, supaya keraguan yang berlegar-legar di dalam hatinya bertukar kepada keyakinan.
    • Al-Inkaari (الإنكاري) pula digunakan untuk orang yang menolak cerita yang disampaikan dan langsung tidak percaya kepadanya. Dalam keadaan ini cerita yang hendak disampaikan itu mestilah diperkuatkan dengan kata penguat tertentu. Kata penguat yang digunakan mungkin hanya satu atau dua perkataan sahaja. Mungkin juga lebih dari itu, dalam beberapa bentuk, sesuai dengan keadaan kuat atau lemahnya penolakan oleh pihak yang dihadap cakap.

Sumpah sebenarnya merupakan salah satu bentuk kata penguat bagi sesuatu cerita yang disampaikan. Oleh kerana al-Qur’an itu diturunkan sebagai hidayah dan untuk membimbing semua lapisan dan tahap masyarakat manusia dan jin, sedangkan ada antara mereka yang meraguinya dan ada pula yang langsung tidak mempercayainya, malah mendustakannya, maka semestinyalah sesuatu yang hendak disampaikan kepada mereka diperkuat dengan kata-kata penguat tertentu. Antara kata penguat yang sering digunakan oleh Allah di dalam al-Qur’an ialah sumpah (أسلوب القسم).

Antara tujuannya ialah menghilangkan keraguan orang yang ragu dan menghapuskan terus kekeliruan yang membuatkan mereka menolak dan tidak mempercayainya, dengan mengemukakan satu bentuk kata penguat yang pada hakikatnya merupakan bukti, dalil dan hujah dari pihak Allah kepada aqal dan hati nurani manusia.

 

Enam Perkara Yang Mesti Diketahui Dalam Bab Sumpah:

(1) أداة القسم iaitu Perkataan yang digunakan khusus untuk menunjukkan erti sumpah.

(2) مقسم به iaitu perkataan yang digunakan buat bersumpah.

(3) مقسم عليه iaitu perkara yang diangkat sumpah kerananya.

(4) غرض القسم iaitu tujuan sumpah.

(5) Kesinambungan dan kesesuaian di antara perkataan yang digunakan buat bersumpah dan perkara yang diangkat sumpah kerananya (المناسبة بين المقسم به والمقسم عليه)

(6) Keadaan-keadaan orang yang dikhithab (dihadap cakap) dengan ayat sumpah (أحوال المخاطبين بجملة القسم).

 

Perkataan Yang Digunakan Khusus Untuk Menunjukkan Erti Sumpah.

Pada umumnya empat huruf berikut digunakan untuk menunjukkan erti sumpah.

(a) Baa’ (ب)

(b) Taa’ (ت)

(c) Wau (و) dan

(d) Laam (ل).

Semuanya memberi erti yang sama iaitu ‘demi’. Huruf sumpah dengan majrurnya bergantung (berta’alluq) kepada fi’il qasam yang ditaqdirkan seperti ُأُقْسِمُ ،أَخْلِف dan sebagainya. Daripada gabungan fi’il qasam dan fa’ilnya serta jaar dan majrurnyalah terbentuk ayat sumpah (جملة القسم). Kadang-kadang perkataan ِجَيْر (sungguh) dan َلا جَرَم (sudah tentu, mesti, tidak dapat tidak) juga digunakan untuk menunjukkan erti sumpah.

 

Pembahagian Sumpah Dilihat Kepada Bentuk Jawab Sumpahnya

Setiap ayat sumpah mesti diiringi ayat ‘jawab sumpah’. Syarat ayat jawab sumpah ialah ia mesti digunakan dalam bentuk خبرية (ayat cerita), bukan dalam bentuk تعجبية (ayat yang menyatakan kekaguman atau kekagetan). Contohnya, أقسم بالله لا أنقاد لرأي يجافي العدالة (Aku bersumpah dengan nama Allah, aku tidak akan menurut pendapat yang mengenepikan keadilan). أقسم بالله di dalam contoh ini adalah ayat sumpah. Dan لا أنقاد لرأي يجافي العدالة adalah ayat jawab sumpah. Ayat jawab sumpah seperti ini dipanggil قسم خبري atau قسم فير استعطافي. Ayat jawab sumpah dari jenis ini tiada kedudukannya dalam I’raab لا محل لها من الإعراب.

Jika ayat jawab sumpah dikemukakan dalam bentuk jumlah insya’iyyah dengan tujuan menginsafkan, menyedarkan atau memprovokasi seseorang, maka ayat sumpah seperti itu dipanggil قسم استعطافي. Dalam ayat sumpah seperti ini, jawab sumpahnya mestilah digunakan dalam bentuk jumlah insya’iyyah. Contohnya, بربك هل رحمت الثكلى (Demi Tuhanmu, kenapa tidak engkau mengasihani perempuan yang kematian anaknya itu?!). Ayat sumpah dari jenis ini juga tiada kedudukannya dalam I’raab (لا محل لها من الإعراب).

Pada ayat jawab قسم استعطافي tidak diperlukan apa-apa tambahan lagi. Sementara pada ayat jawab قسم خبري atau قسم غير استعطافي masih diperlukan kepada tambahan perkataan-perkataan tertentu, seperti ل dan قد, harf ل sahaja, haraf nafi, harf ل dan ن تأكيد dan sebagainya.

Sebenarnya sumpah atau qasam dikemukakan untuk menguatkan مقسم عليه. Untuk lebih menguatkannya lagi, kadang-kadang ditambahkan perkataan-perkataan tertentu di dalam ayat sumpah. Misalnya ditambahkan perkataan إي (ya), haraf ijab sebelum perkataan yang digunakan khusus untuk menunjukkan erti sumpah. Penggunaan seperti ini ada di dalam firman Allah berikut:

وَيَستَنبِئونَكَ أَحَقٌّ هُوَ ۖ قُل إي وَرَبّي إِنَّهُ لَحَقٌّ ۖ وَما أَنتُم بِمُعجِزينَ

Bermaksud: Dan mereka akan bertanya kepadamu (wahai Muhammad): Adakah kedatangan azab yang dijanjikan itu benar? Jawablah: Ya, demi Tuhanku! Sesungguhnya ia adalah benar! Dan kamu tidak sekali-kali berkuasa menahan kedatangannya. (Yunus:53),

Untuk meringkaskan ayat dan kerana perbuatan sumpah yang jelas, kadang-kadang  perkataan sumpah dengan haraf jarnya dibuangkan terus. Yang tersebut hanyalah jawab sumpahnya sahaja. Misalnya firman Allah berikut:

لَقَد كانَ لَكُم في رَسولِ اللَّهِ أُسوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَن كانَ يَرجُو اللَّهَ وَاليَومَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثيرًا

Bermaksud: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh tauladan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingat Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang), (al-Ahzaab:21).

Apa yang seharusnya ditaqdirkan sebelum لَقَد كانَ لَكُم di dalam ayat di atas ialah والله (Demi Allah). Di situ أداة قسم dan مقسم نه, kedua-dua sekali dibuang untuk meringkaskan ayat. Yang ditinggalkan hanyalah مقسم عليه atau jawab sumpah sahaja.

Kadang-kadang pula dibuangkan jawab sumpah untuk meringkaskan ayat, kerana ia dikira sebagai sesuatu yang ma’lum. Yang ada hanyalah perkataan sumpah. Menurut sesetengah ulama, qaedah inilah yang berlaku pada firman Allah berikut:

ص ۚ وَالقُرآنِ ذِي الذِّكرِ

Bermaksud: Shaad; demi Al-Quran yang mempunyai kemuliaan serta mengandungi peringatan dan pengajaran. (Shaad:1).

Di dalam ayat ini أداة قسم disebutkan, tetapi jawab qasamnya tidak. Taqdirnya ialah لأعذبنهم على كفرهم (pasti akan Ku azab mereka kerana kekufuran mereka).

Kadang-kadang pula ayat jawab sumpah tidak dibuang sepenuhnya. Yang dibuang daripadanya hanyalah perkataan-perkataan ل dan قد. Contohnya dapat dilihat pada jawab sumpah bagi sumpah-sumpah yang diangkat Allah di permulaan Surah al-Buruj. Setelah mengemukakan tiga ayat sumpah, Allah mengemukakan ayat 4 sebagai jawab sumpahnya begini:

قُتِلَ أَصحابُ الأُخدودِ

Bermaksud: Celakalah kaum yang menggali parit, (al-Buruj:4)

Dibuangkan ل dan قد dari permulaan ayat 4 yang merupakan ayat jawab sumpah.

Meskipun و merupakan haraf qasam (perkataan yang digunakan khusus untuk menunjukkan erti sumpah) yang paling banyak digunakan, termasuk di dalam al-Qur’an sendiri, namun para ulama Nahu bahasa Arab tidak menganggapnya sebagai haraf qasam yang asal. Ini kerana ia tidak memasuki dhamir (kata ganti nama) dan tidak juga digunakan dalam قسم استعطافي, sebelum ayat pertanyaan misalnya. Haraf qasam yang asal bagi mereka ialah ب. Ini kerana ب mempunyai keistimewaan dan kelebihan berbanding haraf-haraf qasam yang lain. Antaranya:

(1) Fi’il qasam harus (boleh) disebutkan bersama-samanya. Contohnya ialah firman Allah berikut:

فَكَيفَ إِذا أَصابَتهُم مُصيبَةٌ بِما قَدَّمَت أَيديهِم ثُمَّ جاءوكَ يَحلِفونَ بِاللَّهِ إِن أَرَدنا إِلّا إِحسانًا وَتَوفيقًا

Bermaksud: Maka bagaimanakah halnya apabila mereka ditimpa sesuatu kemalangan disebabkan (kesalahan) yang telah dibuat oleh tangan mereka sendiri, kemudian mereka datang kepadamu sambil bersumpah: “Demi Allah, kami tidak sekali-kali menghendaki melainkan kebaikan dan perdamaian (bagi kedua pihak yang berbalah). (Nisaa:62).

(2) ب harus (boleh) memasuki dhamir (kata ganti nama). Kerana itu anda harus berkata begini: بك لأفعلن كذا وكذا (Demi engkau, aku pasti melakukan sekian-sekian).

(3) Dalam قسم استعطافي hanya ب sahaja digunakan. Contohnya: بالله هل قام زيد؟ (Demi Allah, adakah Zaid telah berdiri?).

Haraf ت pula hanya digunakan sebelum perkataan Allah dan Rabb sahaja. Anda tidak boleh berkata, تا الرحمن atau تا الرحيم. Bagaimanapun, kata as-Suhalti, sesetengah orang Arab tetap menggunanya sebelum perkataan الرحمن atau perkataan حياتك sebagai haraf qasam.

Menurut az-Zamakhsyari, perbezaan antara ت dan ب qasam ialah ب merupakan haraf qasam yang asal. Sedangkan ت hanya merupakan ganti kepada haraf ب. Sebabnya ب dianggap sebagai haraf qasam yang asal ialah kerana penggunaannya paling luas berbanding haraf-haraf qasam yang lain. Tetapi ت mempunyai kelebihan yang lain, kerana ia kadang-kadang mengandungi ma’na ta’ajjub (kagum).

 

Bahagian-Bahagian Ayat Qasam

Perkataan sumpah sebenarnya adalah أقسم atau أحلف yang muta’addi dengan ب kepada perkataan مقسم به. Selepasnyalah baru dibawakan مقسم عليه yang juga dipanggil jawab sumpah atau جواب القسم. Semua yang tersebut ini dapat anda lihat pada firman Allah berikut:

وَأَقسَموا بِاللَّهِ جَهدَ أَيمانِهِم ۙ لا يَبعَثُ اللَّهُ مَن يَموتُ

Bermaksud: Mereka bersumpah dengan nama Allah dengan bersungguh-sungguh (sambil berkata): Allah tidak akan membangkitkan semula orang-orang yang telah mati… (Nahl:38).

Jadi secara kasarnya dapatlah dikatakan bahawa ayat qasam itu terbahagi kepada tiga:

(1) Perkataan fi’il yang muta’addi dengan ب kepada ‘muqsam bihi untuk men unjukkan erti qasam.
(2) Perkataan yang dijadikan ‘muqsam bihi.
(3) muqsam alaih atau jawab qasam. Ia merupakan sesuatu yang dilakukan sumpah kerananya.

Di dalam ayat di atas sebagai contohnya, perkataan أقسموا yang mut’addi dengan ب kepada perkataan Allah itu adalah fi’il qasam. ب adalah haraf qasam. Perkataan Allah pula merupakan ‘muqsam bihi’ dan ayat لا يَبعَثُ اللَّهُ مَن يَموتُ adalah ‘Muqsam ‘alaih’ atau jawab qasam. Firman Allah ini mengumpulkan dengan jelas semua bahagian ayat qasam.

Oleh kerana qasam (sumpah) selalu digunakan oleh orang-orang ‘Arab dalam bahasa percakapan mereka, diringkaskanlah ayatnya dengan membuangkan perkataan fi’il dan dikekalkan ب sahaja sebagai gantinya. Jika ‘muqsam bihinya isim zahir, ditukarlah ب dengan و sebagai haraf qasam. Keadaan ini dapat dilihat umpamanya pada firman Allah berikut:

وَالنَّجمِ إِذا هَوىٰ

Bermaksud: Demi bintang semasa ia menjunam. (Najm:1).

Dari segi disebut fi’il qasam dan muqsam bihi atau tidak disebut pula qasam terbahagi kepada dua bahagian. (1 ) Qasam zahir. (2) Qasam mudhmar.

Qasam zahir ialah ayat qasam yang disebut dengan terang di dalamnya fi’il qasam dan muqsam bihi. Kadang-kadang fi’il qasam dibuang, tetapi haraf jar و،ب atau ت yang merupakan haraf qasam bersama-sama ‘muqsam bihi nya tetap disebutkan.

Qasam mudhmar pula ialah ayat qasam yang tidak disebut dengan terang di dalamnya fi’il qasam dan muqsam bihi. Bagaimana pun, jawab qasamnya dimulai dengan ل مؤكدة (Laam yang merupakan kata penguat) yang menunjukkan ada sesuatu fi’il qasam dengan ‘muqsam bihi’nya yang dibuang. Antara contohnya ialah firman Allah berikut:

لَتُبلَوُنَّ في أَموالِكُم وَأَنفُسِكُم وَلَتَسمَعُنَّ مِنَ الَّذينَ أوتُوا الكِتابَ مِن قَبلِكُم وَمِنَ الَّذينَ أَشرَكوا أَذًى كَثيرًا ۚ وَإِن تَصبِروا وَتَتَّقوا فَإِنَّ ذٰلِكَ مِن عَزمِ الأُمورِ

Bermaksud: Demi sesungguhnya, kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu dan demi sesungguhnya, kamu akan mendengar dari orang-orang yang telah diberikan Kitab dahulu daripada kamu dan orang-orang yang musyrik banyak (tuduhan-tuduhan dan cacian) yang menyakitkan hati. Dalam pada itu jika kamu bersabar dan bertakwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang patut diutamakaa. (Aali ‘Imraan:186).

Fi’il qasam bersama haraf qasam dan ‘muqsambihi’nya atau haraf qasam sahaja dengan muqsam bihi, iaitu والله seharusnya ditaqdirkan (diandaikan ada) di sini.

 

Antara Qasam Dan Syarat

Qasam dan syarat mungkin terkumpul pada sesuatu tempat. Kedua-duanya memerlukan jawab. Dalam keadaan ini apa yang perlu dilihat ialah mana satu daripada dua perkara itu disebutkan dahulu. Kalau qasam disebut dahulu, maka jawab yang dikemukakan kemudian adalah jawab qasam. Jawab syarat tidak diperlukan lagi. Kalau syarat pula yang disebut dahulu, maka jawab yang dikemukakan kemudian adalah jawab syarat. Jawab qasam tidak diperlukan lagi. Jawab kepada salah satu daripadanya dikira sudah memadai dan mencukupi untuk kedua-duanya. Pada umumnya qasamlah yang disebutkan lebih dahulu daripada syarat. Contohnya:

قالَ أَراغِبٌ أَنتَ عَن آلِهَتي يا إِبراهيمُ ۖ لَئِن لَم تَنتَهِ لَأَرجُمَنَّكَ ۖ وَاهجُرني مَلِيًّا

Bermaksud: Dia (bapanya) menjawab: Patutkah engkau bencikan tuhan-tuhanku, wahai Ibrahim? Demi sesungguhnya jika engkau tidak berhenti (daripada menyeru dan menasihati daku), niscaya engkau akan ku rejam dan (ingatlah! lebih baik) engkau tinggalkanlah daku buat selama-lamanya. (Maryam:46).

Oleh kerana di dalam ayat ini qasam disebutkan dahulu daripada syarat, maka لَأَرجُمَنَّكَ menjadi jawab qasam, bukan jawab atau jaza’ bagi syarat. Taqdir ibaratnya ialah: والله إن لَم تَنتَهِ لَأَرجُمَنَّكَ . Laam yang masuk pada haraf syarat إن itu tidak sama dengan Laam yang masuk pada ارجمنك. Ia masuk pada haraf syarat إن untuk memberitahu bahawa jawab yang akan datang selepasnya adalah jawab qasam, bukan jawab atau jaza’ bagi syarat. Kerana itu ia dipanggil اللام الموطئة للقسم المحذوف atau Laam yang meratakan jalan untuk qasam yang dibuang.

Laam ini biasanya memasuki إن شرطية. Kadang-kadang ia juga memasuki haraf-haraf syarat yang lain selain إن, seperti ما dan من. Sesetengah ahli ilmu Nahu menamakan Laam ini dengan Laam syarat kerana ia memasuki haraf syarat. Walau bagaimanapun, perlu sekali diingat bahawa اللام الموطئة ini tidak semestinya tersebut sebelum haraf syarat. Kadang-kadang dalam keadaan qasam muqaddar atau qasam mudhmar pun, ia tidak disebutkan. Contohnya dapat anda lihat pada firman Allah berikut:

لَقَد كَفَرَ الَّذينَ قالوا إِنَّ اللَّهَ ثالِثُ ثَلاثَةٍ ۘ وَما مِن إِلٰهٍ إِلّا إِلٰهٌ واحِدٌ ۚ وَإِن لَم يَنتَهوا عَمّا يَقولونَ لَيَمَسَّنَّ الَّذينَ كَفَروا مِنهُم عَذابٌ أَليمٌ

Bermaksud: Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan. Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu. pasti orang-orang yane kafir dari antara mereka ditimpa siksaan yang pedih. (Maa’idah:73).

Lihat khususnya bahagian yang bergaris di bawahnya. Taqdir ibaratnya ialah: والله إِن لَم يَنتَهوا hingga ke akhir ayat.

Kebanyakan ulama Nahu dan ahli Tafsir menerima qasam muqadaar (sumpah yang ditaqdirkan) pada sekian banyak ayat al-Qur’an, apabila ada padanya tanda-tanda sumpah. Tanda-tanda sumpah itu antara lainnya ialah: (1) Adanya Laam sebelum إن yang dianggap mereka sebagai اللام الموطئة للقسم المحذوف.

Namun satu perkara perlu sekali diingati bahawa setiap kali dijumpai لئن, tidak semestinya ditaqdirkan qasam (sumpah) yang dibuang. Adakalanya Laam itu semata-mata memberi ma’na ta’kid tanpa mengandungi ma’na qasam pun. Ta’kid itu sendiri sebenarnya merupakan salah satu gayabahasa ‘Arab yang tersendiri. (2) Ada Laam ta’kid pada fi’il jawab. (3) Apabila ada Laam qasam.

 

Beberapa Perkataan Fi’il Yang Bertindak Seperti Fi’il Qasam

Di dalam al-Qur’an terdapat beberapa perkataan fi’il yang bertindak scperti fi’il qasam. Ia juga menghendaki jawab seperti fi’il qasam. Di bawah ini dikemukakan fi’il-fi’il yang dimaksudkan itu:

(1) َتَأَذَّن. Contohnya di dalam al-Qur’an ialah firman Allah berikut

وَإِذ تَأَذَّنَ رَبُّكَ لَيَبعَثَنَّ عَلَيهِم إِلىٰ يَومِ القِيامَةِ مَن يَسومُهُم سوءَ العَذابِ ۗ إِنَّ رَبَّكَ لَسَريعُ العِقابِ ۖ وَإِنَّهُ لَغَفورٌ رَحيمٌ

Bermaksud: Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu memberitahu, bahawa sesungguhnya Dia akan menghantarkan kepada mereka (kaum Yahudi) itu, (terus menerus) hingga hari kiamat, kaum-kaum yang akan menimpakan kepada mereka azab sengsara yang seburuk-buruknya (disebabkan kejahatan dan kekufuran mereka). Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat azab seksaNya dan sesungguhnya Dia juga Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (A’raaf:167).

Di dalam kitab al-Kasysyaaf az-Zamakhsyari menyebutkan, bahawa تَأَذَّن adalah satu fi’il yang bertindak seperti fi’il qasam- Kerana itulah jawabnya لَيَبعَثَنَّ datang seperti jawab qasam.

(2) عاهَدُ. Contohnya di dalam al-Qur’an ialah firman Allah berikut:

وَلَقَد كانوا عاهَدُوا اللَّهَ مِن قَبلُ لا يُوَلّونَ الأَدبارَ ۚ وَكانَ عَهدُ اللَّهِ مَسئولًا

Bermaksud: Padahal sesungguhnya mereka telah pun mengikat janji (bersumpah) dengan Allah sebelum itu, iaitu mereka tidak akan mundur (dari medan perang yang mereka hadhiri). Dan (ingatlah) janji setia dengan Allah itu akan ditanya kelak (tentang penyempurnaannya). (Ahzaab:15).

Di dalam at-Tibyaan Fi I’raab al-Qur’an tersebut, لا يُوَلّونَ adalah jawab qasam. Kerana perkataan عاهَدُوا dipakai dengan erti أقسموا (mereka bersumpah).

(3) ْتَمَّت. Contohnya di dalam al-Qur’an ialah firman Allah berikut:

إِلّا مَن رَحِمَ رَبُّكَ ۚ وَلِذٰلِكَ خَلَقَهُم ۗ وَتَمَّت كَلِمَةُ رَبِّكَ لَأَملَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ الجِنَّةِ وَالنّاسِ أَجمَعينَ

Bermaksud: Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam agama Allah) dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia dan dengan yang demikian sempurnalah janji Tuhanmu: Sesungguhnya Aku akan memenuhi Neraka Jahannam dengan sekalian jin dan manusia (yang berdosa). (Huud:119).

Di dalam Tafsir al-Bahru al-Muhith tersebut, bahawa jumlah تَمَّت itu mengandungi ma’na qasam (sumpah). Maka sesuailah Laam pada لَأَملَأَنَّ selepasnya sebagai Laam jawab qasam.

(4) قَضَينا. Contohnya di dalam al-Qur’an ialah Srman Allah benkut:

وَقَضَينا إِلىٰ بَني إِسرائيلَ فِي الكِتابِ لَتُفسِدُنَّ فِي الأَرضِ مَرَّتَينِ وَلَتَعلُنَّ عُلُوًّا كَبيرًا

Bermaksud: Dan Kami menyatakan kepada Bani Israil dalam Kitab itu: Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau. (al-Israa’:4).

Di dalam Tafsir al-Kasysyaaf az-Zamakhsyari menyebutkan, bahawa harus juga dikatakan قَضَينا sebagai fi’il yang bertindak seperti fi’il qasam. Dan لَتُفسِدُنَّ adalah jawabnya. Seolah-olahnya dikatakan, وأقسمنا لتفسدن (Kami telah bersumpah, bahawa sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan).

(5) وَعَدَ. Contohnya di dalam al-Qur’an ialah finnan Allah berikut:

وَعَدَ اللهُ الَّذينَ آمَنوا مِنكُم وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ لَيَستَخلِفَنَّهُم فِي الأَرضِ

Bermaksud: Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintah di bumi,… (Nuur:55).

Az-Zamakhsyari di dalam al-Kasysyaaf berkata, fi’il qasam di dalam ayat ini dibuang. Taqdirnya fi’il وعدهم الله واقسم ليستخلفنهم. Kata beliau, harus juga dikatakan, وَعَدَ اللهُ iaitu janji Allah itu oleh kerana suatu yang pasti akan berlaku seperti qasam juga halnya. Maka ia disambut seperti disambut ayat qasam. Seolah-olahnya dikatakan begini: اقسم الله ليستخلفنه.

(6) كَتَبَ. Contohnya di dalam al-Qur’an ialah firman Allah berikut:

كَتَبَ اللهُ لَأَغلِبَنَّ أَنا وَرُسُلي ۚ إِنَّ اللهَ قَوِيٌّ عَزيزٌ

Bermaksud: Allah telah menetapkan; “Aku dan rasul-rasul-Ku pasti menang”. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa. (al-Mujadilah:21).

(7) يعلم. Contohnya di dalam al-Qur’an ialah firman Allah berikut:

قَالُواْ رَبُّنَا يَعۡلَمُ إِنَّآ إِلَيۡكُمۡ لَمُرۡسَلُونَ

Bermaksud: Mereka berkata: “Tuhan kami mengetahui bahawa sesungguhnya kami adalah ormg-orang yang diutus kepada kamu”. (Yaasin:16).

Kata az-Zamakhsyari, kalimah رَبُّنَا يَعۡلَمُ dalam kekuatannya sama seperti ayat qasam.

(8) يشهد. Contohnya di dalam al-Qur’an ialah firman Allah berikut:

إِذَا جَآءَكَ ٱلۡمُنَـٰفِقُونَ قَالُواْ نَشۡہَدُ إِنَّكَ لَرَسُولُ ٱللَّهِ‌ۗ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ إِنَّكَ لَرَسُولُهُ ۥ وَٱللَّهُ يَشۡہَدُ إِنَّ ٱلۡمُنَـٰفِقِينَ لَكَـٰذِبُونَ

Bermaksud: Apabila orang-orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau sebenar-benarnya Rasul Allah dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah RasulNya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta. (al-Munafiqun: 1).

Di dalam al-Kasysyaaf Zamakhsyari berkata, perkataan نَشۡہَدُ dan يَشۡہَدُ di dalam firman Allah ini sama seperti sumpah. Kerana di tempat yang boleh digunakan sumpah sebagai penguat, di situ syahadah (penyaksian) bertindak sebagai sumpah.

(9) أخذ الميثاق. Contohnya di dalam al-Qur’an ialah firman Allah berikut:

وَإِذۡ أَخَذَ ٱللَّهُ مِيثَـٰقَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَـٰبَ لَتُبَيِّنُنَّهُ ۥ لِلنَّاسِ وَلَا تَكۡتُمُونَهُ ۥ فَنَبَذُوهُ وَرَآءَ ظُهُورِهِمۡ وَٱشۡتَرَوۡاْ بِهِۦ ثَمَنً۬ا قَلِيلاً۬‌ۖ فَبِئۡسَ مَا يَشۡتَرُونَ

Bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari orang-orang yang telah diberikan Kitab (iaitu): Demi sesungguhnya! Hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya. Kemudian mereka membuang (perjanjian setia) itu ke belakang mereka, serta mereka menukarnya dengan mengambil faedah dunia yang sedikit. Maka amatlah buruknya apa yang mereka dapati dari penukaran (Kalamullah dan janjiNya) itu. (Aali Imraan:187).

Abu al-Baqaa’ al-‘Ukburi (m.616H) di dalam at-Tibyaan Fi I’raabi al-Qur’an menulis, “Oleh kerana أَخَذَ مِيثَـٰقَ menepati makna sumpah, fi’il jawabnya disertai Laam dan Nun ta’kid (Laam dan Nun yang digunakan sebagai kata penguat).

(10) أم لكم أيمان. Contohnya di dalam Al-Qur’an ialah firman Allah berikut:

أَمۡ لَكُمۡ أَيۡمَـٰنٌ عَلَيۡنَا بَـٰلِغَةٌ إِلَىٰ يَوۡمِ ٱلۡقِيَـٰمَةِ‌ۙ إِنَّ لَكُمۡ لَمَا تَحۡكُمُونَ

Bermaksud: Atau adakah kamu mendapat akuan-akuan yang ditegaskan dengan sumpah dari Kami, yang tetap hingga hari kiamat, menentukan bahawa kamu dapat mencapai apa yang kamu putuskan? (al-Qalam:39).

Az-Zamakhsyari dan Abu Hayyaan al-Andalusi mengatakan, أَمۡ لَكُمۡ أَيۡمَـٰنٌ عَلَيۡنَا itu bererti أَمۡ أقسمنا لكم (adakah Kami telah bersumpah untuk kamu). Jumlah إِنَّ لَكُمۡ لَمَا تَحۡكُمُونَ adalah jawab qasam.

 

مقسم به (Muqsam Bihi) Di Dalam Al-Qur’an

مقسم به atau perkataan yang digunakan buat bersumpah di dalam al-Qur an itu ada banyak. Tetapi secara kasar ia dapat dibahagikm kepada beberapa perkara berikut:

(1) Pada 8 tempat Allah telah menjadikan perkataan رن sebagai muqsam bihi. MaksudNya ialah menarik perhatian manusia kepada sifat-sifat rububiyyahNya.

(2) Pada 17tempat, ilmuNya dijadikan sebagai muqsam bihi.

(3) KemuliaanNya dijadikan sebagai muqsam bihi pada 1 tempat.

(4) Kitab suci al-Qur’an dengan lafaz al-Qur’an sendiri dijadikan sebagai muqsam bihi pada 3 tempat.

(5) Pada 3 tempat yang lain pula al-Qur’an dengan lafaz al-Kitab dijadikan sebagai muqsam bihi.

(6) Diri Rasulullah s.a-w. dijadikan sebagai muqsam bihi pada 2 tempat.

(7) Pena atau القلم pada 1 tempat.

(8) Para malaikat pada 2 tempat.

(9) Pada 13 tempat, kejadian-kejadianNya yang hebat di alam semesta dijadikan sebagai muqsam bihi.

(10) Hari kiamat dijadikan sebagai muqsam bihi pada beberapa tempat.

Firman Allah di dalam Surah al-Haaqqah ayat 38 – 40 dan seterusnya merupakan sumpah Allah yang paling tuntas dan komprehensif. Kerana ia mengumpulkan segala yang dapat disaksikan dan segala yang ghaib sebagai muqsam bihi. Lihat firman Allah berkenaan di bawah ini:

فَلَآ أُقۡسِمُ بِمَا تُبۡصِرُونَ (٣٨) وَمَا لَا تُبۡصِرُونَ (٣٩) إِنَّهُ ۥ لَقَوۡلُ رَسُولٍ۬ كَرِيمٍ۬ (٤٠) 

Bermaksud: Maka Aku bersumpah: Demi segala (yang nyata) yang dapat kamu melihatnya, (38)

Dan segala (yang ghaib) yang kamu tidak melihatnya, (39)

Bahawa sesungguhnya Al-Quran itu ialah (wahyu dari Kauai) yang disampaikan oleh Rasul yang mulia. (40). (al-Haaqqah:38-40).

Di dalam al-Qur’an hanya pada 8 tempat sahaja Allah sendiri menyebutkan رب (Tuhan) iaitu diriNya sebagai muqsam bihi. Sedangkan pada tempat-tempat lain semua yang dijadikan sebagai muqsam bihi adalah makhluk ciptaanNya. Kepada Allah, semuanya boleh dijadikan sebagai muqsam bihi. Tetapi kepada manusia, menjadikan sesuatu yang lain selain Allah sebagai muqsam bihi merupakan kesyirikan. Ibnu Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: من حلف بغير الله فقد أشرك Bermaksud: Sesiapa bersumpah dengan selain Allah bererti dia telah melakukan kesyirikan. (Hadits riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibnu Hibbaan, Tumizi, Haakim, al-Bazzaar dan lain-lain).

 

Tempat-Tempat Di Mana Allah Menjadikan ZatNya (Dirinya Sendiri) Sebagai Muqsam Bihi.

Pada semua tempat yang Allah jadikan zat (diriNya sendiri) sebagai muqsam bihi, digunakan perkataan رب (Tuhan). Ia terletak pada 8 tempat. Pada tiga tempat daripadanya, Allah memerintahkan NabiNya supaya bersumpah menggunakan perkataan tersebut. Tempat-tempat berkenaan adalah seperti berikut:

(1) Di dalam Surah Saba’. Allah berfirman:

وَقَالَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ لَا تَأۡتِينَا ٱلسَّاعَةُۖ قُلۡ بَلَىٰ وَرَبِّى لَتَأۡتِيَنَّڪُمۡ عَـٰلِمِ ٱلۡغَيۡبِۖ لَا يَعۡزُبُ عَنۡهُ مِثۡقَالُ ذَرَّةٍ۬ فِى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَلَا فِى ٱلۡأَرۡضِ وَلَآ أَصۡغَرُ مِن ذَٲلِكَ وَلَآ أَڪۡبَرُ إِلَّا فِى ڪِتَـٰبٍ۬ مُّبِينٍ۬

Bermaksud: Dan orang-orang yang kafir berkata: “Hari berbangkit itu tidak akan datang kepada kami”. Katakanlah: “Pasti datang, demi Tuhanku Yang Mengetahui segala perkara ghaib, sesungguhnya Qiamat itu pasti akan datang kepadamu. Tiada tersembunyi daripadaNya sebesar zarrah pun yang ada di langit dan yang ada di bumi dan tiada (pula) yang lebih kecil dari itu dan yang lebih besar, melainkan tersebut dalam Kitab yang nyata (Lauh Mahfuzh)”.(Saba’:3).

(2) Di dalam Surah at-Taghaabun. Allah berfirman:

 زَعَمَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓاْ أَن لَّن يُبۡعَثُواْ‌ۚ قُلۡ بَلَىٰ وَرَبِّى لَتُبۡعَثُنَّ ثُمَّ لَتُنَبَّؤُنَّ بِمَا عَمِلۡتُمۡ‌ۚ وَذَٲلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيرٌ۬

Bermaksud: Orang-orang yang kafir mengatakan bahawa mereka sekali-kali tidak akan dibangkitkan. Katakanlah: Memang, demi Tuhanku, benar-benar kamu akan dibangkitkan, kemudian akan diberitahu kepadamu apa yang telah kamu kerjakan”. Yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.” (at-Taghaabun:7).

(3) Di dalam Surah Yunus Allah berfirman:

وَيَسۡتَنۢبِـُٔونَكَ أَحَقٌّ هُوَ‌ۖ قُلۡ إِى وَرَبِّىٓ إِنَّهُ ۥ لَحَقٌّ۬‌ۖ وَمَآ أَنتُم بِمُعۡجِزِينَ

Bermaksud; Dan mereka (yang meminta disegerakan azab) itu akan bertanya kepadamu (wahai Muhammad): Adakah (kedatangan azab yang dijanjikan) itu benar? Jawablah: Ya, demi Tuhanku’ Sesungguhnya ia adalah benar! Dan kamu tidak sekali-kali berkuasa menahan kedatangannya. (Yunus:53).

Pada tiga tempat ini ayat sumpah digunakan sebagai penguat untuk menyatakan kedahsyatan hari kiamat dan kepastian akan berlakunya. Yang bersumpah dengan nama Tuhan (ربn) pula ialah Nabi s.a.w. Ia juga dikemukakan sebagai dalil, meskipun muqsam bihinya adalah Allah s.w.t. sendiri.

(4) Di dalam Surah az-Zaariyaat Allah berfirman:

فَوَرَبِّ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ إِنَّهُ ۥ لَحَقٌّ۬ مِّثۡلَ مَآ أَنَّكُمۡ تَنطِقُونَ

Bermaksud: Maka demi Tuhan langit dan bumi, sesungguhnya yang dijanjikan itu adalah benar-benar (akan terjadi) seperti yang disebut-sebutkan olehmu. (az-Zaariyaat:23).

(5) Di dalam Surah Ma’arij Allah berfirman:

فَلَآ أُقۡسِمُ بِرَبِّ ٱلۡمَشَـٰرِقِ وَٱلۡمَغَـٰرِبِ إِنَّا لَقَـٰدِرُونَ (٤٠) عَلَىٰٓ أَن نُّبَدِّلَ خَيۡرً۬ا مِّنۡهُمۡ وَمَا نَحۡنُ بِمَسۡبُوقِينَ (٤١)

Bermaksud: Maka Aku bersumpah dengan (kebesaranKu) Tuhan yang menguasai (seluruh alam, meliputi) tempat-tempat terbit (matahari dan bulan bintang) dan tempat-tempat tenggelamnya. Sesungguhnya Kami benar-benar berkuasa – (40) (Membinasakan mereka, serta) menggantikan mereka dengan makhluk-makhluk yang lebih baik dari mereka dan Kami tidak sekali-kali dapat dikalahkan- (41). (al-Maarij:40-41).

(6) Di dalam Surah Maryam Allah berfirman:

فَوَرَبِّكَ لَنَحۡشُرَنَّهُمۡ وَٱلشَّيَـٰطِينَ ثُمَّ لَنُحۡضِرَنَّهُمۡ حَوۡلَ جَهَنَّمَ جِثِيًّ۬ا

Bermaksud: Oleh itu, demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Sesungguhnya Kami akan himpunkan mereka (yang kafir) itu berserta syaitan-syaitan di Padang Mahsyar, kemudian Kami akan bawa mereka duduk berlutut di sekeliling Neraka Jahannam. (Maryam:68).

(7) Di dalam Surah al-Hijr Allah berfirman:

فَوَرَبِّكَ لَنَسۡـَٔلَنَّهُمۡ أَجۡمَعِينَ (٩٢) عَمَّا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ (٩٣)

Bermaksud: Demi Tuhanmu! Kami akan menyoal mereka (yang kafir itu) semuanya (pada hari kiamat kelak), – (92) mengenai apa yang mereka telah lakukan dahulu. (93). (al-Hijr:92-93).

(8) Di dalam Surah an-Nisaa’. Allah berfirman:

فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤۡمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيۡنَهُمۡ ثُمَّ لَا يَجِدُواْ فِىٓ أَنفُسِہِمۡ حَرَجً۬ا مِّمَّا قَضَيۡتَ وَيُسَلِّمُواْ تَسۡلِيمً۬ا

Bermaksud: Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak beriman (dalam erti kata yang sebenarnya) sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya. (an-Nisaa’:65).

Inilah 8 tempat di dalam al-Qur’an di mana Allah bersumpah dengan ZatNya sendiri sebagai Tuhan (رب) dengan menjadikannya muqsam bihi demi mengisyaratkan kepada sifat rububiyyahNya.

Selain itu Allah s.w.t. juga bersumpah di dalam al-Qur’an dengan makhluk-makhluk kejadianNya di alam semesta, fenomena alam, hari kiamat, syafaq, siang, malam dan lain-lain, khususnya di permulaan surah-surah yang diturunkan kepada Nabi s.a.w. di peringkat awal kenabian Baginda s.a.w. Pada kebanyakan surah-surah itu Allah telah menjadikan fenomena alam sebagai muqsam bihiNya.

Az-Zarkasyi di dalam al-Burhan Fi Ulum al-Qur’annya menulis bahawa di permulaan 15 Surah-Surah al-Qur’an Allah tidak bersumpah dengan namaNya, malah sebaliknya telah bersumpah dengan makhluk-makhluk kejadianNya- Suiah-surah berkenaan adalah seperti berikut:

(a) as-Shaffaat (b) az-Zaariyaat (c) at-Thur (d) an-Najm (e) al-Mursalaat (f) an-Naaziaat (g) al-Buruj (h) at-Thaariq (i) al-Fajr (j) as-Syams (k) al-Lail (l) ad-Dhuha (m) at-Tiin (n) al-Aadiyaat (o) al- Ashr.

 

Kenapa Allah Bersumpah Dengan Fonomena Alam Dan Makhluk-Makhluk Ciptaannya?

Sesetengah ahli Tafsir dan ahli ilmu al-Kalam menimbulkan persoalan bahawa kenapa Allah dengan segala keagungan dan kebesaran yang ada padaNya perlu bersumpah apabila hendak menyatakan perkara-perkara tertentu? Dan kenapa pula pada sekian banyak tempat di dalam al-Qur’an, Allah tidak bersumpah dengan namaNya atau ZatNya sendiri, sebaliknya bersumpah dengan fenomena alam dan makhluk-makhluk ciptaanNya? Padahal bukankah nabi s.a.w. telah melarang umatnya daripada bersumpah dengan sesuatu selain Allah?

Beberapa jawapan telah diberikan kepada tiga persolan yang ditimbulkan itu. Antara lainnya adalah seperti berikut:

(1) Sumpah Allah dengan fenomena alam atau makhluk-makhlukNya hanya pada zahir sahaja kelihatan sebagai muqsam bihi. Sedangkan muqsam bihi sebenarnya adalah sesuatu yang mahzuf (dibuang). Sesuatu yang mahzuf itu adalah رب yang juga merupakan nama sifat Allah. Pada وَٱلتِّينِ وَٱلزَّيۡتُونِ (Demi Tuhan Tiin dan Zaitun) misalnya, haruslah ditaqdirkan ورب وَٱلتِّينِ وَٱلزَّيۡتُونِ. Pada وَٱلشَّمۡسِ وَضُحَٮٰهَا pula misalnya, haruslah ditaqdirkan ورب وَٱلشَّمۡسِ وَضُحَٮٰهَا  (Demi matahari dan waktu dhuhaNya) dan begitulah seterusnya.

Ibnu Abi Haatim meriwayatkan bahawa Hasan al-Bashri berkata, Allah s.w.t boleh bersumpah dengan siapa atau apa saja dari makhluk-makhlukNya, sedangkan tiada siapa pun dari makhlukNya boleh berbuat begitu. Mereka hanya dibenarkan bersumpah dengan nama Allah sahaja.

Apabila Allah bersumpah dengan kataNya: لعمرك (Demi hidupmu) kepada Nabi s.a.w., maka itu bererti Dia hendak menyatakan kebesaran dan kedudukan yang tinggi Muhammad s.a-w. di sisiNya kepada makhluk-makhlukNya yang lain. Ibnu Mardawaih meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbaas, katanya, Allah tidak menjadikan sesuatu apa pun yang lebih mulia dan lebih tinggi kedudukannya di sisiNya daripada Muhammad. Kerana Allah tidak pernah bersumpah dengan kehidupan sesiapapun dari kalangan makhlukNya selain beliau s.a-w.

(2) Oleh kerana al-Qur’an itu diturunkan dalam bahasa ‘Arab, maka qaedah penggunaan bahasa oleh orang-orang ‘Arab juga diambil kira ketika Allah hendak menyampaikan maksud-maksud tertentu. Orang-orang ‘Arab apabila hendak menguatkan sesuatu cerita atau membuktikan kebenarannya selalu menggunakan sumpah, maka begitulah juga Allah, apabila hendak menguatkan sesuatu cerita atau membuktikan kebenarannya akan menggunakan gaya bahasa sumpah. Hakikatnya anda baru akan dapat membuatkan seseorang manusia percaya kepada apa yang anda sampaikaa kepadanya dan menerangkan serta memuaskan hatinya apabila ia disokong dengan salah satu daripada dua perkara, iaitu dengan mengemukakan saksi atau bersumpah. Kedua-dua cara itu telah digunakan oleh Allah di dalam al-Qur’an. Itulah sebabnya Allah bersaksi atau bersumpah apabila hendak menyatakan sesuatu perkara yang penting atau sangat-sangat mustahak kepada manusia dalam menjalani kehidupannya di dunia.

(3) Apabila Allah bersumpah dengan fenomena alam dan makhluk-makhluk ciptaanNya, maka ia menunjukkan kelebihan, kepentingan, kegunaan dan khasiat-khasiat yang ada padanya. Oleh itu manusia tidak seharusnya mengabaikan dan tidak mempedulikannya, jika ia mahu berjaya dalam kehidupan di dunia ini.

(4) Kata Ibnu al-Qaiyyim, apabila Allah bersumpah dengan fenomena alam dan makhluk-makhluk ciptaanNya, maka ia mengisyaratkan kepada Zat Tuhan yang Maha Berkuasa dan sifat-sifat Tuhan yang ada kaitan dengan kejadian dan penciptaannya. Ia juga merupakan dalil, bukti dan saksi bagi adanya Tuhan yang mempunyai sifat-sifat yang sempurna. Pada hakikatnya ia sama seperti bersumpah dengan ZatNya sendiri.

(5) Makhluk-makhluk ciptaan Allah yang dijadikan sebagai muqsam bihi itu sebenarnya adalah dalil-dalil dan bukti-bukti yang menunjukkan kebesaran muqsam alaih yang dikemukakan selepasnya. Oleh itu manusia tidak seharus bersikap sambil lewa dan bermudah-mudah terhadap muqsam ‘alaihnya.

 

مقسم عليه (Muqsam ‘Alaih) Di Dalam Al-Qur’an

مقسم عليه atau perkara yang diangkat sumpah kerananya juga ada banyak. Secara kasar ia dapat dibahagikan kepada beberapa perkara berikut:

(1) Menurut Ibnu al-Qaiyyim di dalam at-Tibyaan, Allah pada beberapa tempat bersumpah atas asas-asas iman yang wajib diketahui dan dipercayai manusia. Dengan kata lain, perkara-perkara yang berkaitan dengan perinsip-prinsip imanlah yang dijadikan Allah sebagai muqsam alaih dalam sumpahNya. Hakikat ini dapat anda lihat pada contoh-contoh yang akan diberikan di bawah nanti.

(a) Muqsam ‘alaih berkaitan dengan akidah ketauhidan (keesaan) Allah. Lihat misalnya di dalam firman Allah berikut:

وَٱلصَّـٰٓفَّـٰتِ صَفًّ۬ا (١) فَٱلزَّٲجِرَٲتِ زَجۡرً۬ا (٢) فَٱلتَّـٰلِيَـٰتِ ذِكۡرًا (٣) إِنَّ إِلَـٰهَكُمۡ لَوَٲحِدٌ۬ (٤) 

Bermaksud: Demi (hamba-hambaKu) yang berbaris dengan berderet-deret. (1) (Hamba-hambaKu) yang melarang (dari kejahatan) dengan sesungguh-sungguhnya. (2) (Hamba-hambaKu) yang membaca kandungan Kitab Suci; (3) (Sumpah demi sumpah) Sesungguhnya Tuhan kamu hanyalah Satu, (4) (as-Shaffaat: 1-4).

Ayat keempat dalam petikan di atas merupakan muqsam alaih. Dan ia berkaitan dengan keimanan kepada ketauhidan Allah.

(b) Muqsam ‘alaih ialah kebenaran kerasulan Muhammad s.a.w. Lihat misalnya di dalam firman Allah berikut:

يسٓ (١) وَٱلۡقُرۡءَانِ ٱلۡحَكِيمِ (٢) إِنَّكَ لَمِنَ ٱلۡمُرۡسَلِينَ (٣) عَلَىٰ صِرَٲطٍ۬ مُّسۡتَقِيمٍ۬ (٤)

Bermaksud: Yaa Siin. (1) Demi Al-Qur’an yang penuh hikmat (2) Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad adalah seorang Rasul) dari Rasul-rasul yang telah diutus, (3) yang tetap di atas jalan yang lurus (agama Islam). (4) (Yaasiin:1-4).

Ayat ketiga dan keempat dalam petikan di atas mempakan muqsam ‘alaih. Ia membenarkan kerasulan Nabi Muhammad s.a-w.

(c) Kebenaran al-Qur’an dan bahawa ia memang Kitab yang diturunkan oleh Allah, kadang-kadang menjadi muqsam alaih. Antara contohnya ialah firman Allah berikut:

فَلَآ أُقۡسِمُ بِمَوَٲقِعِ ٱلنُّجُومِ (٧٥) وَإِنَّهُ ۥ لَقَسَمٌ۬ لَّوۡ تَعۡلَمُونَ عَظِيمٌ (٧٦) إِنَّهُ ۥ لَقُرۡءَانٌ۬ كَرِيمٌ۬ (٧٧) فِى كِتَـٰبٍ۬ مَّكۡنُونٍ۬ (٧٨) لَّا يَمَسُّهُ ۥۤ إِلَّا ٱلۡمُطَهَّرُونَ (٧٩) تَنزِيلٌ۬ مِّن رَّبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ (٨٠) 

Bermaksud: Maka Aku bersumpah dengan tempat-tempat beradanya bintang-bitang (75) Sesungguhnya sumpah itu adalah sumpah yang besar kalau kamu mengetahui (76) Bahawasanya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah Al-Qur’an yang sangat mulia, (77) (Ia) tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara (al-Lauhul Mahfuzh), (78) yang tidak dapat disentuh kecuali oleh orang-orang yang disucikan; (79) (Ia) diturunkan dari (Allah) Tuhan sekalian alam. (80). (al-Waaqi’ah: 75-80).

Ayat ke 77 hingga 80 dalam petikan di atas merupakan muqsam ‘alaih. la menyatakan kebenaran al-Qur’an dan keterpeliharaannya. la juga merupakan sebuah Kitab yang benar-benar telah diturunkan oleh Allah, Tuhan sekalian alam.

(d) Hari akhirat yang dijanjikan sebagai hari pembalasan kepada amalan manusia, sama ada baik atau buruk juga kadang-kadang menjadi muqsam alaih. Ia antara lainnya dapat dilihat pada firman Allah berikut:

وَٱلذَّٲرِيَـٰتِ ذَرۡوً۬ا (١) فَٱلۡحَـٰمِلَـٰتِ وِقۡرً۬ا (٢) فَٱلۡجَـٰرِيَـٰتِ يُسۡرً۬ا (٣) فَٱلۡمُقَسِّمَـٰتِ أَمۡرًا (٤) إِنَّمَا تُوعَدُونَ لَصَادِقٌ۬ (٥) وَإِنَّ ٱلدِّينَ لَوَٲقِعٌ۬ (٦)

Bermaksud: Demi angin yang menerbang dan menaburkan (debu, biji-bijian, benih dan lain-lainnya) dengan penerbangan dan penaburan yang sesungguh-sungguhnya; (1) dan awan yang membawa dan mengangkut muatannya (ke tempat yang dikehendaki); (2) dan kapal-kapal yang belayar laju dengan kemudahan yang diberikan kepadanya; (3) dan malaikat-malaikat yang membahagi-bahagikan segala perkara yang ditugaskan mereka membahagikannya; (4) (Sumpah demi sumpah) bahawa sesungguhnya segala yang dijanjikan kepada kamu (mengenai hari akhirat) tetap benar: (5) dan sesungguhnya (hari) pembalasan pasti terjadi. (6). (adz-Dzaariyaat: 1-6).

Ayat 5 dan 6 dalam petikan di atas merupakan muqsam alaih- ia membuktikan hari akhirat yang dijanjikan sebagai hari pembalasan kepada amalan manusia itu memang benar.

(e) Kadang-kadang usaha, pekerjaan dan perihal manusia dijadikan muqsam ‘alaih. Lihat firman Allah di bawah ini sebagai contohnya:

وَٱلَّيۡلِ إِذَا يَغۡشَىٰ (١) وَٱلنَّہَارِ إِذَا تَجَلَّىٰ (٢) وَمَا خَلَقَ ٱلذَّكَرَ وَٱلۡأُنثَىٰٓ (٣) إِنَّ سَعۡيَكُمۡ لَشَتَّىٰ (٤)

Demi malam apabila ia menutupi (cahaya siang). (1) Demi siang apabila ia terang benderang (2) Demi Yang menciptakan (makhluk-makhlukNya) lelaki dan perempuan, (jantan dan betina); (3) Sesungguhnya usaha kamu memang berbeda-beda. (4) (al-Lail:1-4).

Ayat 4 dalam petikan di atas adalah muqsam ‘alaih. la menunjukkan amal usaha manusia berbeda-beda dan tidaak sama. Kerana itu wajar kalau balasannya juga berbeda-beda dan tidak sama.

(2) Menurut Ibnu al-Qaiyyim lagi, sumpah diangkat untuk menguatkan dan memperteguh muqsam ‘ataih. Kerana itu, muqsam ‘alaih seharusnya termasuk dalam perkara-perkara yang elok dan munasabah kalau diangkat sumpah kerananya. Misalnya perkara-perkara ghaib atau perkara-perkara. yang di luar jangkauan ‘aqal manusia. Benda-benda zahir sepeni matahari, bulan, malam, siang, laugit, bumi dan sebagainya memanglah elok dan sesuai dijadikan muqsam bihi, tetapi ia tidak elok dan tidak sesuai dijadikan muqsam ‘alaih.

(3) Di dalam al-Qur’ an Allah telah bersumpah untuk membuktikan keesaanNya pada satu tempat. Untuk membuktikan kebenaran al-Qur’an pada lima tempat Untuk membuktikan kebenaran RasulNya pada lima tempat juga. Untuk membuktikan kebenaran hari kiamat pada dua belas tempat. Dan untuk menyatakan perihal dan sifat-sifat khusus manusia pula pada lima tempat. Perkaitan antara muqsam bihi dan muqsam ‘alaih pada sumpah-sumpah yang tersebut itu pula ada yang terang dan ada pula yang sangat tersembunyi dan seni.

(4) Allah ada bersumpah dengan cara yang terang dan tidak terang tentang ketuhanan, kerasulan, al-Qur’an dan permulaan serta kesudahan kehidupan manusia. Tetapi tentang hari kiamat dan fenomenanya, semua sumpah dibuat dengan cara yang terang. Ini kerana orang-orang musyrikm Mekah terlalu kuat menolaknya. Tentang beberapa sifat Ahli Kitab dan sikap Ahli Kitab terhadap seruan Nabi Muhammad s.a.w. pula kebanyakan sumpah diangkat dengan cara yang tidak terang.

(5) Antara perkara yang membezakan sumpah Allah di dalam al-Qur’an dengan sumpah-sumpah yang digunakan oleh orang-orang ‘Arab di zaman Jahiliah yang dapat dikesan melalui sastera ‘Arab ialah skop muqsam ‘alaih al-Qur’an jauh lebih luas berbanding skop muqsam alaih mereka.

Bersambung.

Syarah Usul Tafsir Fawzul Kabir Shah Waliyullah – Asbabun Nuzul

PENTAFSIRAN AYAT QUR’AN TIDAK PERLU KEPADA ILMU ASBABUN NUZUL

Untuk penafsiran setiap ayat, tidak berhajat kepada Asbabun Nuzul (sebab berlaku penurunan ayat). Shah Waliyullah kata ‘setiap ayat’ tidak memerlukan asbabun nuzul, akan tetapi ada juga ayat yang memerlukan asbabun nuzul.

Cuma, tidaklah semua ayat kita kena tahu asbabun nuzul dia baru boleh tafsir. Kebanyakan ayat tidak memerlukan kita tahu asbabun nuzulnya. Kerana kadang-kadang tidak ada pun asbabun nuzul sesuatu ayat itu. Memang tidak banyak asbabun nuzul yang sahih.

Cuma memang ada ahli tafsir yang mementingkan asbabun nuzul dalam penafsirannya. Tapi masalahnya, bila begitu, sampaikan ada asbabun nuzul yang tidak sahih pun dimasukkan. Masalahnya kalau begitu, akan berlaku kesilapan dalam memahami ayat al-Qur’an.

Menekankan penggunaan asbab nuzul akan menyempitkan penafsiran al-Qur’an yang luas. Sedangkan pemahaman ayat al-Qur’an boleh difahami dengan kaedah lafaz umum. Ia tidak dibatasi dengan asbabun nuzul. Tapi orang yang tidak faham dan tidak belajar usul tafsir, mereka sibuk hendak tahu apakah asbabun nuzul sesuatu ayat itu. Mereka tidak sedar yang mereka telah menyempitkan pemahaman makna al-Qur’an itu kerana terlalu terikat dengan asbabun nuzul. Sedangkan ada asbabun nuzul itu tidak terikat dengan pemahaman ayat. Lebih menjadi masalah apabila asbabun nuzul itu sendiri tidak sahih.

Dalam konteks pemahaman makna ayat-ayat, dikenal luas kaedah yang menyatakan: Dasar dalam memahami makna ayat adalah lafaznya yang bersifat umum, bukan sebabnya yang khusus.

Kita kena tahu tujuan asal penurunan al-Qur’an ada 3 iaitu:

a) Menyucikan jiwa manusia daripada godaan hawa nafsu, penyakit-penyakit hati.
b) Melenyapkan fahaman-fahaman batil. Antara fahaman batil adalah menggunakan roh yang telah mati sebagai perantara dalam berdoa. Fahaman ini selalunya dalam minda sahaja dan tidak dizahirkan. Maka kena belajar tafsir al-Qur’an untuk dibongkar kesalahan fahaman ini.
c) Menolak perbuatan dan amalan salah. Termasuk tradisi dan budaya salah yang diamalkan oleh manusia.

Jadi usaha memahami al-Qur’an adalah berfokus kepada tiga tujuan di atas. Dan ayat-ayat al-Qur’an untuk menangani tiga perkara di atas:

Oleh kerana adanya fahaman-fahaman batil lah yang menyebabkan turunnya ayat-ayat jadali (perbahasan).

Oleh kerana adanya amal-amal buruk lah dan kerana tersebarnya kezaliman di antara hamba, menyebabkan turunnya ayat-ayat Ahkaam. Kerana ia mengandungi peraturan yang menjadikan manusia adil. Barulah manusia adil ikut kehendak Allah.

Dan kerana tiada kesedaran dan keyakinan manusia tentang sifat-sifat kesempurnaan Allah, peristiwa-peristiwa yang Allah adakan, tentang kematian dan hal-hal selepasnya, maka turunlah ayat-ayat tazkeer (ayat-ayat peringatan).

 

KRITIKAN TERHADAP BANYAKNYA KISAH-KISAH YANG TIDAK PENTING

Ada kitab tafsir mengandung banyak kisah-kisah yang tidak penting untuk menyokong pentafsiran al-Qur’an. Terdapat mufassir yang bersungguh-sungguh menjelaskan kisah-kisah atau hal yang kurang penting tetapi disalah-anggap sebagai penting dan perlu.

Bukan semua kisah perlu diperincikan tetapi pilihlah saja beberapa kisah yang ada isyarat daripada al-Qur’an tentang penting atau tidak kisah tersebut. Iaitu yang berkenaan peristiwa yang berlaku pada zaman Nabi. Contohnya peristiwa pembelahan bulan. Atau dalam Surah Dukhan berkenaan kemarau yang terjadi.

Mungkin juga ada perkara yang perlu dijelaskan sebelum zaman Nabi. Sebagai contoh permusuhan di kalangan orang Ansar sebelum mereka masuk Islam. Maka kena dikisahkan apakah yang terjadi pada masa dahulu. Kena ceritakan balik bagaimana permusuhan mereka pada waktu itu. Atau kisah Ashabil Fil. Pendek sahaja disebut dalam al-Qur’an.

Maka kisah-kisah sebegini perlu disampaikan. Kerana kalau tidak, pembaca dan pendengar al-Qur’an akan tertunggu-tunggu apakah kisah itu. Sebab isyarat tentangnya sudah ada diberi dalam ayat-ayat, tapi mana latar belakang dan penyudahan kisah itu?

Terdapat pula tuan punya kitab tafsir yang memasukkan pelbagai kisah israiliyat yang tak dipastikan sahih atau tidak. Tujuannya hanya untuk mengumpul kisah berkaitan. Maka kita tidak boleh sangat nak salahkan penulis kitab. Kerana mereka sudah berusaha untuk mengumpulkan ilmu. Mereka tidak sempat hendak menilai sama ada sahih atau tidak. Maka orang yang kemudianlah yang perlu buat kerja penapisan itu.

Dan ini memang kerja yang amat penting. Kerana ada pentafsiran yang memang perlukan kisah sokongan. Tetapi keperluan ini tidaklah banyak tempat dan ada isyaratnya. Jadi kena ada usaha untuk tapis sumber-sumber yang ada. Kena buatkan tapisan supaya keluarkan asbabun nuzul yang sahih dan perlu sahaja.

Bukan setakat ‘sahih’ sahaja, tapi yang ‘perlu’ juga. Kerana sudah ada kitab-kitab yang senaraikan kisah yang sahih. Tapi bukan semua yang perlu untuk memahami ayat-ayat al-Qur’an. Kena tengok isyarat yang ada pada ayat itu sendiri.

Sambung ke perbincangan yang seterusnya.

 

Syarah disampaikan oleh Maulana Hadi

Kemaskini: 24 Mei 2021

Al Fauzul Kabeer fi Usoolit Tafseer by Shah Waliullah

al-fauz-al-kabir-english-by-jalbani-1-pdf

Nota Peta Minda

Syarah Usul Tafsir Fawzul Kabir Shah Waliyullah – Gaya Bahasa al-Qur’an

GAYA BAHASA AL-QURAN UNIK DAN TERSENDIRI

Gaya bahasa al-Qur’an tersendiri dalam membentangkan apa yang ada di dalam al-Qur’an. Semuanya ada 5 perkara seperti yang telah disebut sebelum ini. Ia tidak terikut dengan bahasa dan kelaziman sedia ada. Allah tidak menurut syarat dan kaedah yang biasa diguna pakai oleh ahli bahasa atau ahli ilmu. Al-Qur’an mempunyai cara tersendiri.

Ia menggunakan bahasa yang bersahaja. Orang-orang yang buta huruf yang jauh dari masyarakat bertamadun pun boleh memahami al-Qur’an membentang 5 jenis ilmu itu. Ia mengikut gaya bahasa Arab yang awal, yang terdahulu. Iaitu golongan Arab yang tidak kenal kitab. Mereka tidak biasa dengan penyusunan kitab-kitab ilmu. Tak sama dengan Yahudi dan Nasrani yang sudah ada kitab ilmu dan sudah biasa dengan kitab sebegitu.

Yang orang Arab ada, adalah dengan syair-syair. Dan Allah menggunakan cara itu. Di dalam syair itu pula ada keindahan hujah. Kalau syair, mungkin kosong sahaja, tapi syair dalam al-Qur’an ada hujah indah di dalamnya. Termasuk dalam menyampaikan ayat-ayat hukum pun, Allah menggunakan bahasa yang indah. Lain sekali kalau kita lihat kitab-kitab fiqh yang berbahasa biasa sahaja.

Dalam ilmu perbahasan pula, Allah guna ayat-ayat yang mematahkan hujah lawan. Hujah-hujah yang nyata dan diakui oleh pihak lawan. Iaitu menggunakan hujah-hujah yang masyhur yang mereka sendiri terima.

Contohnya dalam Maidah, golongan Yahudi dan Nasara kata mereka itu anak-anak Allah dan mereka kononnya dikasihi. Mereka nak kata mereka tak sama dengan orang lain. Kononnya kalau mereka buat salah, mereka tidak dihukum. Allah mematahkan hujah itu dengan ayat seterusnya. Allah tanya balik kenapa Allah azab juga mereka kerana dosa mereka? Bukankah mereka pun ada kena azab juga?

Maknanya gaya hujah itu boleh difahami oleh semua orang. Bahasa, dalil yang Allah guna-pakai boleh difahami oleh semua lapisan pembaca. Berbeza dengan bahasa yang diguna sebahagian disiplin ilmu. Misalnya hal undang-undang, mahkamah, golongan tertentu seperti peguam dan hakim saja boleh faham, orang lain tak mampu memahaminya.

Allah juga menggunakan titahan yang memberi faedah, nasihat yang berguna. Yang membuahkan hasil. Contohnya ayat-ayat yang berbentuk cabar seperti di dalam Baqarah:23. Kalau kamu ragu hendak terima wahyu yang disampaikan oleh Nabi Muhammad, maka buatlah satu lagi surah macam al-Qur’an. Bawalah tulisan yang macam al-Qur’an, ada hukum yang dalam bentuk indah berbahasa syair.

Allah juga tidak menggunakan kaedah mantiq dalam berhujah. Contohnya, kalau ada api, mesti ada asap; kalau ada asap mesti ada api. Allah tak turut cara berdalil sebegini.

Allah juga tak peduli kaedah topikal. Allah tidak menggunakan ‘kaedah sempena’ yang dikira munasabah apabila berpindah dari satu tajuk ke satu tajuk. Misalnya tidak dikumpulkan semua hal berkaitan sempena satu tajuk saja. Memang ada kaitan antara rentetan satu ayat ke ayat yang lain. Ini dipanggil robtul aayat (kaitan ayat). Akan tetapi tidaklah sama dengan kaedah yang digunakan oleh para sasterawan.

Allah paparkan perkara yang penting-penting sahaja. Allah tak ikut susunan sebaliknya Allah akan sebut apa yang penting sahaja tanpa ikut kaedah topik. Allah tidak ikut kronologi episod ikut satu persatu. Contohnya, apabila sebut tentang Nabi Adam, tapi tidak diceritakan dari mula hingga habis. Apa yang penting sahaja disampaikan.

Al-Qur’an adalah mukjizat terbesar Nabi SAW. Ia mengandungi 114 surah dan susunannya ditentukan oleh Allah secara tauqifi (ditentukan oleh Allah). Ia tidak disusun ikut tarikh turunnya ayat. Contohnya Baqarah diturunkan akhir kenabian tapi dalam kitab, ia terletak di awal.

Ia juga tidak disusun mengikut penyusunan kitab ilmiah biasa kerana pada kebiasaannya kitab berkenaan membicarakan satu masalah dengan membahagi-bahagikan kepada bab dan fasal. Contohnya bab bersuci, kemudian sebut satu persatu fasal berkenaan bersuci – wuduk, mandi, dan sebagainya.

Cara ini tidak terdapat dalam al-Qur’an. Allah ikut cara Dia dan ini adalah satu keindahan sebenarnya kalau kita belajar robtul suwaar (hubungkait antara surah) dan robtul aayat (hubungkait antara ayat). Persoalan induk diterangkan secara silih berganti antaranya:

Persoalan akidah, kadangkala digandingkan dengan persoalan hukum.

Sejarah umat terdahulu disatukan bersama nasihat, dorongan atau tanda kebesaran Allah yang ada di alam semesta. Dalam kisah sejarah pun ada terselit penjelasan Tauhid dan sifat-sifat Allah.

Ada peristiwa atau kisah nabi dan umat terdahulu tak ikut susunan pun. Allah bentangkan ikut kehendakNya. Kisah itu pula berulang atau disambung dalam surah-surah yang lain. Satu kisah saja yang Allah bentangkan seperti satu episod yang ada permulaan, perkembangan dan penamatnya iaitu kisah Nabi Yusuf dalam satu surah yang khusus.

Ini satu bentuk mukjizat. Gaya bahasa dan susunan nampak tak tertib tapi ada keberkesanan dan keindahan. Ada hal-hal tertentu yang disebut tiba-tiba ada diselit dengan perkara yang lain.

Walau pun susunan surah tak ikut tertib diturunkan namun ada pula hubung-kait dan munasabahnya antara satu surah sebelum dan sesudahnya.

Sambung kepada perbincangan yang seterusnya.

 

Syarah disampaikan oleh Maulana Hadi

Kemaskini: 24 Mei 2021

Al Fauzul Kabeer fi Usoolit Tafseer by Shah Waliullah

al-fauz-al-kabir-english-by-jalbani-1-pdf

Nota Peta Minda

Syarah Usul Tafsir Fawzul Kabir Shah Waliyullah – Penjelasan 5 Bidang Ilmu

LIMA BIDANG ILMU

Ilmu al-Qur’an tidak terlepas dari 5 ilmu ini.

1. Ilmu Hukum-Ahkam. Ilmu segala Hukum-hakam terbahagi kepada ibadat dan adat (muamalat). Wajib, sunat, makruh, harus, haram.

Ibadah adalah tentang hubungan antara insan dengan Rabb. Dalam istilah tafsir juga disebut umur muslihah. Ibadah boleh dibahagikan kepada dua jenis: badani (ibadah melibatkan badan) dan maali (melibatkan harta). Ada ibadah yang badani dan ada yang maali. Contoh:

solat: badani
zakat: maali
haji: badani & maali sekali

Sementara muamalat tentang dan hubungan insan sesama makhluk. Dalam istilah tafsir juga disebut umur munazimah. Ia mesti ada keadilan, keduanya kena ada bantu membantu (kerjasama). Ia juga mengajar kita yang kena ada usaha ikhtiar sesama hamba dalam kehidupan kita. Takkan boleh kalau kita hidup bersendirian, bukan? Ada yang bercucuk tanam, tangkap ikan, ada yang mengajar dan lain-lain. Takkan ada seorang manusia yang boleh buat semuanya.

Jadi bahagian ini merangkumi hukum-hakam untuk unit keluarga, masyarakat dan rakyat dengan siasah kenegaraan. Dari keluarga jadi masyarakat, dari masyarakat jadi negara (dari kluster kecil kepada kluster yang lebih besar). Rumah – kampung – daerah – negeri – negara. Ia bermula dari pentadbiran keluarga yang comel membawa kepada pentadbiran negara yang molek.

Setiap kluster ada pemimpin dan al-Qur’an mengajar bagaimana menjadi pemimpin dan menjadi pengikut. Kesannya orang ramai akan jadi baik dan dijauhkan dari bahaya. Inilah makna siyasah. Dan yang penting, tentunya kebaikan dari segi akhirat. Memang kita cari kebaikan di dunia, tapi lebih-lebih lagi menjadi kebaikan dan mengelakkan dari keburukan di akhirat.

Jadi ia tidak sama dengan siyasah (politik) ajaran barat kerana mereka tidak melihat kepada kepentingan akhirat. Boleh jadi haram kalau aplikasikan terus ajaran Barat kerana mereka tidak ikut hukum agama, sanggup buat keburukan untuk dapatkan apa yang mereka hendak. Dalam siyasah syar’iyah, semua kebaikan itu kena dinisbahkan kepada akhirat.

Ini yang kita kena fikirkan dan cuba untuk nyatakan dalam kehidupan kita. Sekarang tidak terjadi lagi. Sebagai contoh, sekarang dunia Islam tidak ada lagi khalifah yang memimpin satu dunia. Ini yang kena ada. Tidak pernah lagi umat Islam dapat mengalahkan negara kufar tanpa adanya khalifah. Sebab itu sekarang orang kafir tindas kita, kita tidak dapat buat apa. Kerana kepimpinan umat Islam bukan seperti yang sepatutnya.

Sepatutnya umat Islam satu dunia bersatu di bawah satu khalifah supaya ada kekuatan. Semua bangsa tidak kira bangsa apa, duduk dipimpin di bawah satu khalifah. Malangnya, kita berpecah-pecah sekarang dan kerana itu kita lemah. Jangan kata antara negara dan antara bangsa, sesama Melayu kita pun kita sekarang berpecah. Itu satu bangsa, tapi itu pun sudah tidak tahu nak berpakat.

Ini kerana akal umat yang lemah dan tidak memandang kepada perkara yang lebih besar. Memang memalukan apabila melihat kepada perpecahan kita sekarang. Macam budak-budak! Al-Qur’an ajar perkara ini, tapi malangnya masyarakat Islam bukannya rujuk kepada al-Qur’an pun, bukan?

Jadi semua perkara ini termasuk dalam bab Ahkaam yang luas. Perkara inilah yang perlu diajar oleh golongan faqih (yang pandai dalam hukum). Tapi masyarakat pula malas nak guna otak untuk memikirkan benda-benda yang berat.

2. Ilmu Jaddal. Ilmu Penghujahan. Perbahasan Aqidah (Mukhasamah). Ilmu soal-jawab penyelewengan empat jenis kaum yang sesat. Membincangkan perbezaan Sifat-sifat golongan Yahudi, Nasara, Musyrikin dan Munafikin.

Dalam al-Qur’an, yang sesat ini ada 4 jenis ini sahaja. Yang selain dari itu adalah hanya pecahan dari 4 golongan ini sahaja. Kerana Allah sebut 4 golongan ini sahaja dalam al-Qur’an. Dengan faham 4 ini, kita akan faham yang lain-lain itu. Hari-hari kita minta dilindungkan adalah dari jadi 4 golongan ini.

Bahagian ini belajar berhujah untuk menegakkan hujah dengan 4 golongan ini. Kita ahli haq hendaklah berbeza dengan golongan sesat itu. Akan disebutkan satu persatu mana satu sesat mereka, bagaimana pula melawan dan berhujah dengan mereka. Kita akan belajar ciri-ciri mereka.

Perbahasan tentang hal ini adalah bidang mutakallimin, iaitu orang yang mahir dengan akidah.

3. Ilmu Tazkir tentang Allah. Ilmu Peringatan tentang Sifat-sifat Allah. Ia ada tiga ilmu tapi dalam satu perkara. Tentang Rabb sebagai pencipta Langit dan Bumi dan panduan keperluan hidup manusia. Supaya hamba boleh mengenali Allah. Allah beri hamba ilham dan tafhim tentang Allah dan agama. Kita akan belajar sifat-sifat Allah yang sempurna.

4. Ilmu Tazkir tentang peristiwa yang dijadikan Allah. Tentang peristiwa dan kejadian yang Allah adakan dan zahirkan, sebagai pembalasan baik bagi hamba yang taat, dan azab seksa kepada hambaNya yang ingkar. Yang menjadi peringatan kepada hamba.

5. Ilmu Tazkirah tentang Kematian dan Akhirat. Tentang Kematian (permulaan akhirat bagi manusia), dan selepasnya. Seperti Hari Kebangkitan, Penghimpunan, Hari Mahsyar, Hisab Amal dan timbangan, dan Pembalasan Neraka dan Syurga .

 

Ayat al-Qur’an ada lebih kurang 6 ribu ayat. Jenis ilmu pertama (Ilmu Ahkaam), ayat-ayat tentang hukum-hakam ada kurang-lebih tak sampai 200 ayat sahaja. Jadi tidak banyak kalau dibandingkan dengan perkara-perkara lain. Ada yang kata dalam 500 ayat. Tapi ia diletakkan di bahagian hadapan kerana ia bukan perkara mudah dan sulit dipelajari. Kerana itulah kitab fiqh tebal-tebal belaka.

Dan kedua, kerana dengan itulah zahirnya agama. Beza dengan urusan aqidah kerana itu dalam hati. Yang nampak dengan mata kita adalah perkara-perkara yang melibat hukum hakam.

Selebihnya, lebih 5 ribu lebih ayat adalah tentang empat jenis Ilmu yang lain. Kefahaman yang tepat jelas tentang Aqidah, peringatan tentang Tauhid, pembalasan pada hari Akhirat. Tentang aqidah lebih penting kerana kalau ia salah, amal baik pun tidak berguna.

Ia berbeza dengan pengajian hadis. Perbincangan tentang akidah kurang, tapi tentang amal yang banyak. Kerana al-Qur’an membetulkan aqidah sedangkan hadis membetulkan amal.

 

Sambung kepada perbincangan yang seterusnya.

Syarah disampaikan oleh Maulana Hadi

Kemaskini: 22 Mei 2021

Al Fauzul Kabeer fi Usoolit Tafseer by Shah Waliullah

al-fauz-al-kabir-english-by-jalbani-1-pdf

Nota Peta Minda

Syarah Usul Tafsir Fawzul Kabir Shah Waliyullah – Muqaddimah

MUQADDIMAH

Nikmat paling besar ialah dibuka hati oleh Allah untuk memahami al-Qur’an.

Marilah kita kenang jasa Rasulullah kepada umat yang paling besar iaitu menyampaikan dan mengajarkan al-Qur’an kepada kita. Baginda telah mengajarkan al-Qur’an kepada generasi sahabat dan kemudiannya generasi itu menyampaikan kepada generasi tabiin. Begitulah prosesnya dari satu generasi kepada generasi berikutnya hingga sampailah semuanya kepada sebahagian daripada kita.

Baginda telah menyampaikan riwayah (lafaz) dan dirayah (makna) al-Qur’an kepada kita. Maknanya baginda bukan sahaja sampaikan teks tapi mengajarkan juga makna-makna dari al-Qur’an itu. Maka dengannya kita dapat mengamalkan agama ini.

Maka kita berselawat kepada baginda dan berdoa kepada Allah supaya memberikan segala kebaikan kepada baginda. Dan bukan kepada baginda sahaja, tetapi kepada keluarga baginda juga. Kenapa? Kerana keluarga baginda juga telah ada saham di dalam menyampaikan al-Qur’an ini kepada kita. Atau sekurang-kurangnya mereka telah berkhidmat kepada baginda dan memudahkan tugas baginda dalam menyampaikan agama ini kepada kita.

Juga kepada para sahabat yang menyambung tugas baginda dan kepada para ulama’ yang meneruskan tugas para sahabat.

Risalah ringkas ini ditulis dengan tujuan semoga dapat membantu pelajar dan orang yang belajar tafsir al-Qur’an sebagai satu landasan untuk mudah memahami al-Qur’an. Tulisan ini ringkas akan tetapi amat bermanfaat dan susah untuk mendapati penjelasan seperti ini.

Dengan memahami 5 bidang ilmu ini akan dapat membuka pintu kefahaman 30 juzuk al-Qur’an. Tanpa kefahaman asas ini boleh menyebabkan kefahaman al-Qur’an yang tidak tepat dan terkeluar daripada sasaran.

Pengarang kitab (Shah Waliyullah) menulis dengan kefahaman tersendiri tanpa merujuk kepada lain-lain sumber terdahulu. Dibandingkan dengan penulis lain yang selalunya kumpul-kumpul kupasan dari orang lain sahaja. Penulis bergantung dan berharap kepada Allah sahaja sebagai sumber menyudahkan usaha menerbitkan risalah usul tafsir ini. Ada 5 bab dan dengan 5 bab ini boleh faham 30 juzuk al-Qur’an.

Risalah ini berasal dalam bahasa Parsi kemudiannya diterjemah kepada bahasa Arab, Urdu dan Inggeris.

 

LIMA BAB RISALAH USUL TAFSIR FAWZUL KABIR

Bab 1: Menjelaskan 5 bidang ilmu yang hendak dijelaskan. Al-Qur’an diturunkan seolah-olah dengan 5 jenis ilmu ini. Al-Qur’an hendak menerangkan 5 ilmu ini. Maka ini adalah dasar bagi al-Qur’an.

Bab 2: Menghuraikan makna rahsia susunan al-Qur’an. Yang sukar untuk difahami, terutama kepada umat zaman ini yang jauh dari ‘ilmu alat’. Semoga kesukaran ini dapat dihilangkan dengan penjelasan mudah ini.

Bab 3: Menjelaskan kehalusan susunan dan gaya bahasa al-Qur’an yang indah dan berseni. Boleh difahami setakat kemampuan manusia sahaja. Yang sebenarnya hanya diketahui oleh Allah sahaja.

Bab 4: Menjelaskan kaedah-kaedah tafsir dan perselisihan, perbezaan pendapat di antara para sahabat, tabiin. Memang ini berlaku dalam ilmu tafsir.

Bab 5: Menjelaskan lafaz-lafaz gharaib tentang al-Qur’an. Lafaz ayat yang jarang digunapakai dan sukar difahami dan ini telah dijelaskan dengan hadis-hadis. Termasuk tentang asbabun nuzul yang haram jika tidak diketahui (jika hendak mendalami ilmu usul tafsir). Maknanya kena dipelajari.

* bab 5 ini terletak di dalam kitab yang berasingan (Kitab Fathul Khabir)

Sambung ke tajuk yang seterusnya

 

Syarah disampaikan oleh Maulana Hadi

Kemaskini: 20 Mei 2021

Al Fauzul Kabeer fi Usoolit Tafseer by Shah Waliullah

al-fauz-al-kabir-english-by-jalbani-1-pdf

Nota Peta Minda