LIMA BIDANG ILMU
Ilmu al-Qur’an tidak terlepas dari 5 ilmu ini.
1. Ilmu Hukum-Ahkam. Ilmu segala Hukum-hakam terbahagi kepada ibadat dan adat (muamalat). Wajib, sunat, makruh, harus, haram.
Ibadah adalah tentang hubungan antara insan dengan Rabb. Dalam istilah tafsir juga disebut umur muslihah. Ibadah boleh dibahagikan kepada dua jenis: badani (ibadah melibatkan badan) dan maali (melibatkan harta). Ada ibadah yang badani dan ada yang maali. Contoh:
solat: badani
zakat: maali
haji: badani & maali sekali
Sementara muamalat tentang dan hubungan insan sesama makhluk. Dalam istilah tafsir juga disebut umur munazimah. Ia mesti ada keadilan, keduanya kena ada bantu membantu (kerjasama). Ia juga mengajar kita yang kena ada usaha ikhtiar sesama hamba dalam kehidupan kita. Takkan boleh kalau kita hidup bersendirian, bukan? Ada yang bercucuk tanam, tangkap ikan, ada yang mengajar dan lain-lain. Takkan ada seorang manusia yang boleh buat semuanya.
Jadi bahagian ini merangkumi hukum-hakam untuk unit keluarga, masyarakat dan rakyat dengan siasah kenegaraan. Dari keluarga jadi masyarakat, dari masyarakat jadi negara (dari kluster kecil kepada kluster yang lebih besar). Rumah – kampung – daerah – negeri – negara. Ia bermula dari pentadbiran keluarga yang comel membawa kepada pentadbiran negara yang molek.
Setiap kluster ada pemimpin dan al-Qur’an mengajar bagaimana menjadi pemimpin dan menjadi pengikut. Kesannya orang ramai akan jadi baik dan dijauhkan dari bahaya. Inilah makna siyasah. Dan yang penting, tentunya kebaikan dari segi akhirat. Memang kita cari kebaikan di dunia, tapi lebih-lebih lagi menjadi kebaikan dan mengelakkan dari keburukan di akhirat.
Jadi ia tidak sama dengan siyasah (politik) ajaran barat kerana mereka tidak melihat kepada kepentingan akhirat. Boleh jadi haram kalau aplikasikan terus ajaran Barat kerana mereka tidak ikut hukum agama, sanggup buat keburukan untuk dapatkan apa yang mereka hendak. Dalam siyasah syar’iyah, semua kebaikan itu kena dinisbahkan kepada akhirat.
Ini yang kita kena fikirkan dan cuba untuk nyatakan dalam kehidupan kita. Sekarang tidak terjadi lagi. Sebagai contoh, sekarang dunia Islam tidak ada lagi khalifah yang memimpin satu dunia. Ini yang kena ada. Tidak pernah lagi umat Islam dapat mengalahkan negara kufar tanpa adanya khalifah. Sebab itu sekarang orang kafir tindas kita, kita tidak dapat buat apa. Kerana kepimpinan umat Islam bukan seperti yang sepatutnya.
Sepatutnya umat Islam satu dunia bersatu di bawah satu khalifah supaya ada kekuatan. Semua bangsa tidak kira bangsa apa, duduk dipimpin di bawah satu khalifah. Malangnya, kita berpecah-pecah sekarang dan kerana itu kita lemah. Jangan kata antara negara dan antara bangsa, sesama Melayu kita pun kita sekarang berpecah. Itu satu bangsa, tapi itu pun sudah tidak tahu nak berpakat.
Ini kerana akal umat yang lemah dan tidak memandang kepada perkara yang lebih besar. Memang memalukan apabila melihat kepada perpecahan kita sekarang. Macam budak-budak! Al-Qur’an ajar perkara ini, tapi malangnya masyarakat Islam bukannya rujuk kepada al-Qur’an pun, bukan?
Jadi semua perkara ini termasuk dalam bab Ahkaam yang luas. Perkara inilah yang perlu diajar oleh golongan faqih (yang pandai dalam hukum). Tapi masyarakat pula malas nak guna otak untuk memikirkan benda-benda yang berat.
2. Ilmu Jaddal. Ilmu Penghujahan. Perbahasan Aqidah (Mukhasamah). Ilmu soal-jawab penyelewengan empat jenis kaum yang sesat. Membincangkan perbezaan Sifat-sifat golongan Yahudi, Nasara, Musyrikin dan Munafikin.
Dalam al-Qur’an, yang sesat ini ada 4 jenis ini sahaja. Yang selain dari itu adalah hanya pecahan dari 4 golongan ini sahaja. Kerana Allah sebut 4 golongan ini sahaja dalam al-Qur’an. Dengan faham 4 ini, kita akan faham yang lain-lain itu. Hari-hari kita minta dilindungkan adalah dari jadi 4 golongan ini.
Bahagian ini belajar berhujah untuk menegakkan hujah dengan 4 golongan ini. Kita ahli haq hendaklah berbeza dengan golongan sesat itu. Akan disebutkan satu persatu mana satu sesat mereka, bagaimana pula melawan dan berhujah dengan mereka. Kita akan belajar ciri-ciri mereka.
Perbahasan tentang hal ini adalah bidang mutakallimin, iaitu orang yang mahir dengan akidah.
3. Ilmu Tazkir tentang Allah. Ilmu Peringatan tentang Sifat-sifat Allah. Ia ada tiga ilmu tapi dalam satu perkara. Tentang Rabb sebagai pencipta Langit dan Bumi dan panduan keperluan hidup manusia. Supaya hamba boleh mengenali Allah. Allah beri hamba ilham dan tafhim tentang Allah dan agama. Kita akan belajar sifat-sifat Allah yang sempurna.
4. Ilmu Tazkir tentang peristiwa yang dijadikan Allah. Tentang peristiwa dan kejadian yang Allah adakan dan zahirkan, sebagai pembalasan baik bagi hamba yang taat, dan azab seksa kepada hambaNya yang ingkar. Yang menjadi peringatan kepada hamba.
5. Ilmu Tazkirah tentang Kematian dan Akhirat. Tentang Kematian (permulaan akhirat bagi manusia), dan selepasnya. Seperti Hari Kebangkitan, Penghimpunan, Hari Mahsyar, Hisab Amal dan timbangan, dan Pembalasan Neraka dan Syurga .
Ayat al-Qur’an ada lebih kurang 6 ribu ayat. Jenis ilmu pertama (Ilmu Ahkaam), ayat-ayat tentang hukum-hakam ada kurang-lebih tak sampai 200 ayat sahaja. Jadi tidak banyak kalau dibandingkan dengan perkara-perkara lain. Ada yang kata dalam 500 ayat. Tapi ia diletakkan di bahagian hadapan kerana ia bukan perkara mudah dan sulit dipelajari. Kerana itulah kitab fiqh tebal-tebal belaka.
Dan kedua, kerana dengan itulah zahirnya agama. Beza dengan urusan aqidah kerana itu dalam hati. Yang nampak dengan mata kita adalah perkara-perkara yang melibat hukum hakam.
Selebihnya, lebih 5 ribu lebih ayat adalah tentang empat jenis Ilmu yang lain. Kefahaman yang tepat jelas tentang Aqidah, peringatan tentang Tauhid, pembalasan pada hari Akhirat. Tentang aqidah lebih penting kerana kalau ia salah, amal baik pun tidak berguna.
Ia berbeza dengan pengajian hadis. Perbincangan tentang akidah kurang, tapi tentang amal yang banyak. Kerana al-Qur’an membetulkan aqidah sedangkan hadis membetulkan amal.
Sambung kepada perbincangan yang seterusnya.
Syarah disampaikan oleh Maulana Hadi
Kemaskini: 22 Mei 2021
Al Fauzul Kabeer fi Usoolit Tafseer by Shah Waliullah