Tafsir Surah Burooj Ayat 1 – 5 (Pembunuhan beramai-ramai)

Pengenalan: 

Sebelum ini telah disebut tentang langit dalam surah-surah sebelum ini. Sudah banyak ayat-ayat tentang langit, termasuk dalam juz amma sebelum ini. Tetapi disebut tentang langit-langit itu akan dihancurkan, bukan? Kerana itulah kesudahan kepada langit, ia akan dihancurkan juga akhirnya.

Oleh itu, sekarang langit menunggu sahaja bilakah ia akan dihancurkan. Langit yang kita sedang lihat ini indah dan kukuh akan hancur juga akhirnya. Tetapi Surah Burooj ini adalah tentang keadaan langit sekarang, bukan apa yang akan terjadi.

Dalam surah ini, Allah ﷻ hendak beritahu yang Allah ﷻ tahu semua kekejaman yang dilakukan manusia dan mereka tidak akan ada yang terlepas dari penghukuman Allah ﷻ.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 4 perenggan makro. Ayat 1 – 11 adalah Perenggan Makro Pertama. Allah ﷻ menceritakan tentang Ashabul Ukhdud yang sanggup dibakar hidup-hidup kerana menjaga akidah tauhid mereka.

Allah ﷻ mulakan perenggan ini dengan menceritakan kekuatan langit. Allah ﷻ mulakan dengan sumpahan.

وَالسَّماءِ ذاتِ البُروجِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Burūj: The Great Stars. Also explained as “the planets” or their “high positions in the heaven.”

By the sky containing great stars

(MALAY)

Demi langit yang mempunyai gugusan bintang,

 

Allah ﷻ bersumpah dalam ayat ini. Seperti yang kita telah sebut sebelum ini, apabila Allah ﷻ bersumpah dengan sesuatu, itu menunjukkan kepentingan dan kebesaran perkara itu. Dan seperti kita telah tahu, selalunya sumpah digunakan apabila Allah ﷻ marah kepada mereka yang tidak percaya. Apabila tidak dipercayai, jadi sumpah itu untuk menguatkan kata-katanya.

Sumpah itu juga digunakan sebagai saksi kepada sesuatu pernyataan. Jadi apabila Allah ﷻ menggunakan langit sebagai sumpah, Allah ﷻ hendak menjadikan langit sebagai saksiNya. Tetapi saksi kepada apa? Itu dinamakan jawabul qasm (jawab kepada sumpah) yang akan datang kemudian.

Allah ﷻ bersumpah ‘demi langit yang mempunyai al-burooj’. Ianya adalah gugusan bintang-bintang yang bergemerlapan di langit. Burooj adalah jamak kepada burj yang dari segi bahasa bermaksud sesuatu yang tinggi yang menyebabkan kita perlu mendongak untuk melihatnya. Seperti juga kubu kerana kubu itu adalah sesuatu yang besar dan tinggi dan kita kena dongak untuk melihat keseluruhan kubu itu.

Dan gugusan bintang pun dipanggil burj kerana kita kena dongak ke langit untuk tengok bintang-bintang itu. Orang zaman dahulu selalu tengok langit sebagai panduan mereka dalam perjalanan dan panduan dalam kehidupan. Panduan dalam perjalanan malam kita faham (macam GPS zaman sekarang) tetapi bagaimana dengan panduan dalam kehidupan?

Ini terjadi kerana ada orang yang kaji bintang dan mereka bahagikan bintang-bintang kepada 12 gugusan yang setiap satunya dipanggil buruj. Kalau zaman sekarang dipanggil zodiak. Mereka sangka yang bintang-bintang itu menentukan kehidupan manusia atau menceritakan tentang masa hadapan.

Ini adalah perkara khurafat kerana tidak ada ilmu ini dalam agama Islam dan tidak ada kaitan langsung bintang-bintang itu dengan kehidupan kita. Malangnya, ada juga orang kita yang selalu tengok horoskop untuk melihat nasib mereka. Ini adalah perkara kufur dan kena ditinggalkan.

Kalau anda perasan, dalam surah-surah sebelum ini, bintang digunakan lafaz najm dan kawaakib. Tetapi kenapa digunakan kalimah lain untuk bintang pula dalam surah ini? Ini adalah kerana Allah ﷻ hendak menceritakan bagaimana langit itu ada kubu. Tentu kita dapat bayangkan kubu, bukan? Yang ada di kubu itu selalunya adalah tentera dan dalam kes ini tentera Allah ﷻ adalah para malaikat yang berkumpul di langit menunggu sahaja arahan dari Allah ﷻ apabila perlu.

Mereka tunggu sahaja arahan dari Allah ﷻ untuk turun dan menjalankan tugas mereka. Dan tentera-tentera ini memang telah pernah turun ke bumi memberi bantuan kepada para Nabi عليهم السلام sebelum ini dalam peperangan. Sekarang ini mereka tunggu sahaja arahan dari Allah ﷻ. Antaranya untuk menghancurkan dunia.

Dan ini membangkang pendapat kaum Musyrikin Mekah yang mengatakan bahawa jin ada di langit yang boleh mencuri maklumat dari langit. Dan mereka dakwa Nabi Muhammad ﷺ dapat maklumat dari jin-jin itu sampai mereka panggil Nabi Muhammad ﷺ sebagai majnoon (yang dirasuk jin). Dalam ayat ini dan ayat-ayat lain memberitahu kita yang ini tidak mungkin sebab ada tentera malaikat yang akan menghambat mereka.

Tidak ada sesiapa lagi yang dapat mencuri maklumat dari langit. Dan pastinya Nabi Muhammad ﷺ tidak mendapat wahyu dari langit, tetapi dari Allah ﷻ sendiri melalui perantaraan para malaikat yang dipercayai.

Dan bintang-bintang ini adalah peringatan kepada manusia bahawa ianya akan hancur seperti yang telah disebutkan dalam ayat-ayat sebelum ini. Ini kita telah tahu seperti yang telah diberitahu dalam ayat-ayat dalam surah-surah sebelum ini. Maka apabila kita melihat kepada bintang-bintang itu sekarang, ingatlah bahawa semuanya akan hancur belaka di hari kiamat nanti. Oleh itu, setiap kali kita melihatnya, kita akan teringat yang ianya akan hancur.


 

Ayat 2: Bilakah langit akan hancur? Ini adalah sumpah yang kedua, iaitu tentang hari yang telah dijanjikan.

وَاليَومِ المَوعودِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [by] the promised Day

(MALAY)

dan hari yang dijanjikan,

 

Hari yang dijanjikan itu adalah Hari Kebangkitan. Maka sumpah yang kedua ini bermaksud: Dan demi hari kebangkitan yang telah dijanjikan. Itulah hari di mana langit dan alam ini akan dihancurkan dan itulah hari di mana Allah ﷻ akan membalas segala perbuatan manusia.

Di dalam ayat dalam surah-surah juz amma sebelum ini telah diceritakan yang orang kafir Mekah tidak mahu mempercayai adanya hari kiamat. Allah ﷻ memberi peringatan kepada mereka bahawa hari itu pasti datang kerana telah ‘dijanjikan’ oleh Allah ﷻ sendiri. Dan kalau Allah ﷻ yang berjanji, itu pasti akan terjadi.

Pada hari itu, segala perbuatan salah manusia akan dibalas dengan adil. Allah ﷻ ingatkan mereka supaya jangan lagi buat zalim kepada manusia lain kerana mereka akan dipertanggungjawabkan. Jangan mereka berbuat sesuka hati ikut nafsu, ingatlah yang hari kiamat pasti akan datang dan mereka akan dibalas dengan buruk kalau mereka tidak berhenti dari berlaku zalim lagi.

Walaupun hari itu amat menakutkan, tetapi ini adalah berita baik sebenarnya kepada golongan mukminin. Berita baik yang pertama tadi adalah tentang malaikat-malaikat di langit yang sentiasa bersedia untuk turun membantu muslimin apabila diarahkan oleh Allah ﷻ. Ini adalah kerana apabila pihak kafir yang ada kedudukan dan ada kuasa hendak memadamkan dakwah tauhid, mereka menggunakan kekerasan dan selalunya pihak muslim akan tertindas.

Oleh itu, Allah ﷻ beri berita gembira kepada puak Muslim yang Dia ada tentera para malaikat yang menjadi tentera yang akan membantu umat Islam. Ini telah pernah terjadi seperti dalam Perang Badr di mana Allah ﷻ menurunkan para malaikat untuk membantu tentera Muslim. Jadi dengan berita gembira itu, umat Islam jangan rasa keseorangan.

Berita baik kedua adalah dalam ayat ini – perjanjian tentang hari kiamat. Allah ﷻ hendak beritahu yang akan ada keadilan untuk semua orang nanti. Perbuatan baik akan dibalas baik dan perbuatan jahat akan dibalas dengan balasan yang setimpal. Allah ﷻ hendak beritahu: Memang umat Islam kena tekan, kena seksa dan sebagainya oleh pihak musuh dan kalau mereka selamat di dunia pun, kamu wahai orang kafir tidak akan selamat di hari akhirat nanti.

Maka, apabila umat Islam dengar bahawa semuanya akan dibalas nanti, maka tenanglah hati mereka, dapatlah mereka bersabar dengan kesusahan di dunia ini sekarang. Kerana mereka tahu yang itu adalah sementara sahaja. Kehidupan di akhirat yang lebih penting untuk dikejar. Jadi kalau susah sedikit di dunia pun tidaklah mengapa.


 

Ayat 3: Sumpah yang ketiga.

وَشاهِدٍ وَمَشهودٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [by] the witness and what is witnessed,

(MALAY)

dan yang menyaksikan dan yang disaksikan.

 

Dan demi yang menyaksikan dan yang disaksikan. Kalimah شهد maksudnya sedang melihat dan selalunya bermaksud sesuatu yang ada berdekatan dengan yang melihat. Ini adalah kerana kalau hendak saksi, kenalah ada berdekatan untuk melihatnya, bukan?

Sebagai contoh, kalau ada saksi di mahkamah, hakim akan memastikan yang saksi itu memang ada nampak kejadian yang terjadi, kalau tidak dia akan ditolak sebagai saksi. Jadi, maksud شاهِدٍ adalah mereka yang sedang menyaksikan, atau telah menyaksikan.

Dan salah satu lagi maksud شاهِدٍ adalah ‘pembantu’. Kerana mereka yang duduk dekat dengan kitalah yang boleh jadi pembantu kita. Jadi ada dua makna yang boleh diambil dari kalimah itu.

Penyaksian adalah ringkasan agama Islam. Banyaklah contoh persaksian yang disebut dalam Al-Qu’ran. Oleh kerana dalam ayat ini tidak ada huruf ال dalam kalimah شاهِدٍ dan مَشهودٍ, ini bermaksud ianya dalam bentuk umum – boleh merangkumi banyak penyaksi dan apa yang disaksi, tidak merujuk kepada sesuatu yang khusus. Banyak yang boleh termasuk dalam dua ayat ini.

Sebagai contoh, kita adalah شاهِدٍ yang akan menyaksikan hari pembalasan (مَشهودٍ). Kita telah belajar banyak ayat-ayat tentang kejadian di hari kiamat dan hari akhirat nanti adalah مَشهودٍ dan kita akan menjadi شاهِدٍ nanti. Kerana akan sampai masanya nanti yang kita akan melihat sendiri dengan mata kita keadaan pada hari kiamat itu. Jadi, kita kena fikirkan, sama ada kita hendak menyaksikan kejadian pada hari itu dengan hati yang gembira atau dengan hati yang amat takut?

Contoh lagi, segala makhluk Allah ﷻ bersaksi akan keesaan Allah ﷻ. Makhluk-makhluk lain telah terima yang Allah ﷻ itu adalah Esa, kecuali ramai dari kalangan manusia dan jin yang tidak mahu menyaksikan.

Orang Arab zaman dahulu selalu melalui dan melihat tempat kaum-kaum dahulu yang telah dihancurkan kerana kekafiran dan kesyirikan mereka dan kerana mereka menentang Rasul-rasul mereka. Itu semua adalah مَشهودٍ dan mereka yang melihat itu adalah شاهِدٍ. Allah ﷻ ingatkan dalam ayat ini yang Musyrikin Mekah itu sendiri sudah lihat bagaimana ada kaum-kaum dahulu yang telah dihancurkan kerana mereka menentang rasul mereka dan tidak beriman dengan Allah ﷻ.

Maka ambillah pengajaran dari mereka itu; janganlah mereka melakukan perkara yang sama kepada Nabi Muhammad ﷺ seperti apa yang telah lakukan oleh orang-orang terdahulu terhadap Rasul-rasul mereka. Mereka tidak takut yang mereka akan dibalas seperti itu juga nanti?

Dan tempat-tempat yang telah telah dikenakan azab itu sendiri menjadi saksi kepada keadilan Allah ﷻ di mana apabila mereka menentang Allah ﷻ, maka Allah ﷻ akan balas dengan adil.

Sebelum ini dalam surah-surah sebelum ini telah disebutkan tentang malaikat yang menulis apa yang kita lakukan. Mereka juga شاهِدٍ dan kita مَشهودٍ. Dan kita kena ingat yang ini sedang berlaku sekarang. Setiap perbuatan kita sedang ditulis oleh para malaikat itu. Apabila kita baca ayat ini, secara automatik kita akan teringat tentang segala perbuatan kita dan teringatlah kita yang apa sahaja kita lakukan, ada malaikat yang menyaksikannya walaupun manusia lain tidak nampak.

Nanti di akhirat, kita pula akan melihat malaikat itu. Kita akan jadi شاهِدٍ dan malaikat itu yang menjadi مَشهودٍ. Tetapi sekarang, kita tidak dapat melihat mereka dan mereka yang melihat kita. Jadi, sekarang mereka شاهِدٍ dan kita مَشهودٍ.

Masih lagi tentang malaikat, Nabi Muhammad ﷺ pernah melihat Jibrail عليه السلام di ufuk. Waktu itu Nabi ﷺ menjadi شاهِدٍ dan Jibrail menjadi مَشهودٍ.

Nabi ﷺ juga nanti akan menjadi sebagai saksi kepada apa yang telah kita imankan. Allah ﷻ akan tanya sama ada amalan yang dilakukan oleh ahli bidaah itu Nabi ﷺ pernah ajar atau tidak, dan tentunya Nabi ﷺ akan menjawab bahawa baginda tidak pernah mengajarnya. Jadi ini adalah amaran kepada para pengamal amalan bidaah. Waktu itu nanti Nabi Muhammad ﷺ akan menjadi شاهِدٍ dan mereka menjadi مَشهودٍ.

Tubuh badan kita menjadi saksi kepada apa yang telah kita lakukan. Kaki, tangan, mata, telinga, kulit malah semuanya nanti akan menjadi شاهِدٍ.

Dan kita semua juga sebagai ummah akhir zaman akan menjadi شاهِدٍ kepada agama yang diamalkan oleh manusia. Kita akan menjadi شاهِدٍ bahawa Nabi-nabi setiap umat telah menyampaikan ajaran tauhid. Tetapi bagaimana mungkin kita boleh tahu sedangkan kita tidak hidup sezaman dengan mereka?

Ini terjadi kerana kita baca kisah-kisah mereka dalam Al-Qu’ran dan dalam Al-Qu’ran telah disebut yang para Rasul عليهم السلام semua telah menyampaikan ajaran mereka kepada umat mereka, cuma umat mereka sahaja yang tidak ikut. Jadi, yang boleh jadi شاهِدٍ waktu itu hanyalah mereka yang mempelajari tafsir Al-Qu’ranlah sahaja.

Selain dari Nabi Muhammad ﷺ, Nabi Isa عليه السلام juga akan dipanggil di akhirat kelak untuk menjadi شاهِدٍ bagi Allah ﷻ. Kerana akidah salah umat baginda, dan mereka itu ramai, maka Allah ﷻ akan panggil Nabi Isa عليه السلام dan Allah ﷻ akan tanya Nabi Isa عليه السلام, adakah baginda pernah ajar umat baginda untuk puja, sembah baginda? Tentu sekali baginda jawab tidak pernah.

Semasa baginda hidup, golongan hawariyyun minta baginda jadi شاهِدٍ atas iman mereka. Tetapi sekarang, penganut Kristian sudah lari dari agama yang dibawa oleh Nabi Isa عليه السلام, dan kita disuruh untuk minta mereka jadi شاهِدٍ yang kita adalah Muslim. Iaitu apabila kita dakwah agama tauhid kepada mereka, mereka tidak mahu terima, maka waktu itu kita minta mereka jadi شاهِدٍ yang kita adalah Muslim.

Orang kafir juga boleh dikira sebagai شاهِدٍ kerana orang kafir sekarang bersaksi yang mereka itu kufur, dan mereka kata dengan bangga pula. Nanti mereka akan menyesal atas persaksian mereka itu.

Kalau kita lihat ceramah Nabi Muhammad ﷺ yang terakhir iaitu khutbah terakhir semasa baginda menjalankan ibadah Haji, baginda ada meminta umat Islam waktu itu jadi شاهِدٍ yang baginda telah menyampaikan apa yang perlu disampaikan. Dan baginda kemudian minta Allah ﷻ jadi شاهِدٍ yang baginda telah sampaikan ajaran kepada umat.

Oleh itu, ada banyak sekali dan banyak lagi kisah bagaimana شاهِدٍ dan مَشهودٍ ini dalam Al-Qu’ran dan Hadis, dalam kisah perjalanan hidup manusia. Allah ﷻ sebut pendek sahaja ayatnya, tetapi ia merangkumi amat banyak sekali perkara. Ia boleh dikaitkan dengan banyak perkara.

Dunia juga menjadi شاهِدٍ ke atas kita. Sebagai contoh, hari Jumaat sebagai saksi kepada kita yang Solat Jumaat. Begitu juga, langit dengan segala malaikat sedang menyaksikan apa yang sedang berlaku di dunia.

Asbabun Nuzul ayat ini juga ada berkenaan شاهِدٍ dan مَشهودٍ. Iaitu kisah raja jahat yang mengarahkan dan kemudian melihat rakyatnya yang beriman dimasukkan ke dalam lubang berapi. Ini adalah kisah selepas ini.


 

Ayat 4: Seperti yang disebut sebelum ini, dalam qasam (sumpah), mesti mempunyai jawabnya. Qasam mesti ada jawabal qasam. Dalam surah-surah sebelum ini, telah diberitahu yang jawabal qasam adalah apabila hari kiamat tiba, langit telah pecah dan macam-macam lagi seperti yang telah disebut dalam ayat-ayat sebelum ini, manusia akan tahu apakah yang mereka telah lakukan selama mereka hidup. Itulah jawabal qasam bagi ayat-ayat itu.

Akan tetapi kerana telah disebut beberapa kali dalam surah-surah lain, maka tidak perlu disebut lagi. Jadi tidak ada disebut jawabal qasam dalam surah ini. Maka jawabul qasam yang sama terpakai dalam surah ini juga.

Akan tetapi ada juga yang mengatakan, ayat ke 4 ini adalah jawabal qasam bagi tiga ayat qasam sebelum ini. Namun dari segi bahasa, hujah ini tidak berapa kuat kerana jawabal qasam selalunya ada kalimah ل di dalamnya.

قُتِلَ أَصحٰبُ الأُخدودِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Destroyed [i.e., cursed] were the companions of the trench¹

  • Or “May they be destroyed” or “cursed.” The “companions of the trench” (or ditch) were agents of a tyrannical king who refused to allow his people to believe in Allāh. Their evil deed in obedience to their ruler earned for them the curse of Allāh (subḥānahu wa ta‘ālā).

(MALAY)

Binasa dan terlaknatlah orang-orang yang membuat parit,

 

Ada kisah sejarah dalam ayat ini. Tentang seorang raja yang membunuh rakyatnya yang beriman. Allah ﷻ hendak memberitahu, bukanlah orang Islam zaman Nabi Muhammad ﷺ yang pertama sekali di seksa. Dari dulu juga lagi telah diseksa para mukmin yang berpegang dengan agama mereka dan mempertahankannya.

Kejadian ini dikatakan berlaku di  Najran. Waktu itu ada raja yang sembah patung berhala dan dia paksa semua rakyat dia ikut dia berbuat syirik sekali. Dan apabila ada yang beriman dengan Allah ﷻ, dia akan paksa mereka untuk tinggalkan agama Islam dengan kekerasan.

Dan apabila telah ramai yang beriman, dia arah untuk gali parit dan dinyalakan api besar dan paksa mereka buat syirik, dan kalau mereka tidak syirik juga, dia arahkan tentera untuk tolak mereka ke dalam api. Maka waktu itu orang beriman ramai-ramai kena masuk seorang demi seorang.

Ayat ini berkisah tentang ashâbul ukhdûd (penggali parit) sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Muslim dan at-Tirmizi dari riwayat sahabat Shuhaib ar-Rumy ra. Rasululullah bercerita tentang ashâbul ukhdûd,

Dahulu ada seorang raja yang memiliki penasihat seorang ahli sihir yang ternama. Usianya sudah sangat lanjut. Penyihir tersebut hendak mencari penerus dan pewaris ilmunya yang kelak akan menggantikan posisinya sebagai penasihat raja. Hingga didapatkanlah seorang anak laki-laki yang cerdas. Sayangnya sang anak tersebut  (ghulam) sering berbeza pendapat dan perangai dengan sang penyihir tersebut. Di tengah jalan antara rumahnya dan istana, terdapat sebuah gua yang dihuni oleh seorang rahib. Setiap kali ghulam itu lalu di tempat tersebut dia selalu bertanya beberapa hal kepada sang rahib. Hingga sang rahib mengaku bahawa dia menyembah Allah dan mengesakanNya. Lambat laun Ghulam lebih suka berlama-lama di tempat rahib untuk belajar dan selalu terlambat datang ke tempat tukang sihir. Hingga suatu saat kerajaan memerintahkan menjemput ke rumah kerana hampir saja dia tidak hadir pada suatu hari. Ghulam memberitahu perihal ini kepada rahib. Sang rahib menjawab mencarikan rasionalisasi: Jika penyihir itu bertanya di mana engkau, jawab saja aku ada di rumahku. Jika keluargamu menanyakan keberadaanmu maka beritahu mereka bahawa engkau berada di tempat penyihir. Suatu hari, ketika Ghulam sedang di jalan dia menjumpai sekelompok orang terhenti jalannya kerana ada binatang buas (singa) yang menghalangi mereka. Ghulam segera mengambil batu dan berkata: Ya Allah jika yang dikatakan sang rahib benar maka izinkan aku membunuh binatang ini. Jika apa yang dikatakan sang penyihir yang benar maka aku meminta supaya engkau menggagalkanku membunuh binatang ini. Kemudian dia lempar batu tersebut dan binatang itu mati seketika. Orang-orang pun terperanjat setelah tahu bahawa anak kecil itu yang membunuhnya. Mereka berkata: anak itu tahu suatu ilmu yang tidak diketahui oleh orang lain. Hingga didengarlah oleh seorang pejabat kerajaan yang buta. Dia mendatangi ghulam dan berkata: Jika engkau kembalikan penglihatanku maka akan aku beri hadiah ini dan itu. Ghulam menjawab: Aku tak memerlukan itu dari engkau. Jika aku boleh mengembalikan penglihatanmu apakah engkau beriman kepada Dzat yang mengembalikan penglihatanmu? Dia menjawab: ya. Maka sang buta tersebut dapat melihat dan beriman pada ghulam. Berita ini tersiar sampai ke kerajaan. Hingga sang raja marah besar dan membunuh sesiapa saja yang mengikuti ajaran sang ghulam. Hingga ditangkaplah sang rahib dan sang buta yang telah melihat. Mereka berdua dibunuh dengan sadis, iaitu dibelah badannya dengan gergaji. Ghulam yang ditangkap akhirnya dibawa ke atas gunung bersama beberapa tentera kerajaan untuk dilempar dari atas gunung. Namun, tak ada yang selamat dari atas gunung kecuali ghulam dan dia pun kembali. Sang raja memerintahkan untuk membawa ghulam ke tengah laut untuk dibuang di sana. Badai pun menyerang mereka. Tak ada yang selamat kecuali ghulam. Dia pun kembali lagi. Setiap rancangan yang dibuat untuk membunuhnya gagal. Akhirnya ghulam berkata kepada sang raja: Engkau takkan bisa membunuhku kecuali dengan menyalibku di depan rakyatmu kemudian memanahku sambil berkata “bismillah rabbil ghulam” [dengan nama Allah Tuhan anak kecil ini]. Setelah disalib dan sang raja mengucapkan kata-kata tersebut dengan keras, panah yang meluncur dari busur sang raja itu pun menancap di tubuh ghulam dan menewaskannya sebagai seorang syahid. Orang-orang di sekitarnya berkata: ghulam tahu ilmu yang tidak diketahui orang lain, kita harus beriman kepada Tuhannya. Sang raja murka dan memerintahkan untuk menggali parit dan menyalakan api. Barang siapa yang tak mahu meninggalkan agamanya (agama ghulam) maka akan dilempar ke dalam parit yang menyala-nyala tersebut. Hingga ada seorang ibu yang menyusui anaknya sedang ragu-ragu. Sang bayi yang ada dalam buaiannya pun berkata meyakinkannya: Ibu, sabarlah. Sesungguhnya engkau berada dalam pihak yang benar ”.

Diriwayatkan Imam Muslim dalam Kitab az-Zuhd wa ar-Raqaiq, Bab Qishah Ashabul Ukhdud, nomer hadits: 3005 (Muhyiddin bin Syarah an-Nawawy, Shahih Muslim bi Syarhi an-Nawawy, Cairo: Darul Hadits, Cet.I, 1994 M-1415 H, Vol.IX, hlm. 357-359)

Juga diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi dalam Kitab Tafsir al-Qur’an, Bab wa min Surah al-Buruj, hadits nomer 3340. Beliau berkata: ini hadits hasan gharib. (Sunan at-Tirmizi, Beirut: Darul Kutub al-Ilmiah, Cet.I, 2003 M-1424 H, hlm. 771).

Raja yang dimaksudkan adalah dari Najran, di Negeri Yaman, sebahagian pendapat ada yang mengatakan peristiwa ini terjadi di Habasyah (Ethiopia), pendapat pertama lebih kuat.

Kalimah قُتِلَ dari segi bahasa bermaksud ‘dia telah dibunuh’. Tetapi dalam bahasa Arab, ia juga digunakan sebagai sumpah laknat, iaitu bermaksud melaknat seseorang, semoga orang itu terbunuh.

Kalimah الأُخدودِ bermaksud parit besar yang digali dan ianya besar.

Kalimah أَصحابُ pula adalah sahabat yang sentiasa bersama dengan kita. Sebagaimana para sahabat sentiasa bersama Nabi Muhammad ﷺ. Ia juga bermaksud seseorang yang berkaitan dengan sesuatu. Sebagai contoh, ‘ashabul Qur’an’ adalah mereka yang selalu baca dan mengkaji Al-Qur’an. Nabi Muhammad ﷺ dikatakan sebagai saahib kepada orang Mekah kerana baginda sentiasa bersama mereka, tidak pergi ke mana-mana.

Dalam ayat ini digunakan lafaz أَصحابُ kerana apabila raja dan tentera telah melakukan pembunuhan beramai-ramai di parit besar itu, mereka dikaitkan dengan perbuatan buruk mereka itu. Mereka akan dikenal dengan perbuatan mereka itu sampai bila-bila. Semoga mereka semua dilaknat atas perbuatan mereka itu.

Sambungan dari kisah asbabun nuzul ayat ini: ada seorang budak yang belajar sihir dan dalam masa yang sama, dia juga belajar agama. Dia telah belajar sihir kerana ahli sihir negara sudah lanjut usia dan dia mahu supaya ada orang yang akan mewarisi ilmu sihirnya itu. Maka budak itu telah dilatih dari dia kecil lagi.

Tetapi dalam masa dia belajar sihir itu, dia telah berjumpa dengan seorang lelaki Muslim dan dia berminat untuk belajar agama juga namun dia kena belajar agama dengan rahsia. Jadi, dia telah belajar tentang sihir dan tentang agama Islam. Dipendekkan cerita, akhirnya rahsianya belajar agama telah terbongkar dan dia dipaksa untuk dibunuh.

Disebabkan kerana dia, ramai orang masuk Islam dan raja menjadi marah dan telah menggali parit besar untuk membunuh semua umat yang beriman waktu itu. Kisah ini ada terdapat dalam kitab-kitab tafsir yang lain dan tidak mahu dipanjangkan dalam penulisan ini, maka boleh rujuk di sana.

Kita baca dan dapat bayangkan betapa kejam sekali perbuatan yang dilakukan oleh raja dan tenteranya itu. Tetapi sedarkah kita bahawa kejadian seperti itu masih juga berlaku zaman sekarang? Ini kerana masih ada lagi pembunuhan ramai-ramai dilakukan oleh pemerintah yang ganas. Ramai rakyat yang tidak bersalah yang dibunuh tanpa belas kasihan dan mereka mati terseksa.

Jadi, ayat ini adalah tentang mereka yang telah menggali parit untuk membunuh kaum mukmin. Akan tetapi ulama’ kata itu bukan untuk kejadian pada masa itu sahaja. Ia juga boleh bermaksud umum dan boleh dikenakan kepada orang lain juga, bukannya kepada Raja yang menggali parit itu. Kalau ada orang yang berperangai seperti raja itu, mereka pun akan dikenakan dengan azab juga.

Oleh itu, kepada mereka yang melakukan keganasan itu, ada parit yang berapi akan mereka terima apabila mereka dimasukkan ke dalam neraka nanti. Allah ﷻ tetap akan hukum mereka dengan cara mereka lakukan dulu di dunia. Tetapi di dunia dulu, mereka sekali sahaja dapat kenakan kepada orang mukmin, sebaliknya di akhirat nanti mereka akan dikenakan dengan azab itu berkali-kali.

Oleh itu, Allah ﷻ menceritakan kejadian dunia sekarang dan dunia akhirat dalam satu ayat sahaja.


 

Ayat 5:

النّارِ ذاتِ الوَقودِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Containing] the fire full of fuel,

(MALAY)

yang berapi (dinyalakan dengan) bahan bakar,

 

(Parit) api itu penuh dengan bahan bakaran. Kalau kita masih lagi tengok kepada kisah pada zaman silam itu, kaum mukmin itu dibunuh kerana mereka telah beriman dengan Allah ﷻ. Seperti yang telah disebut, asbabun nuzulnya adalah cerita berkenaan seorang budak yang belajar dengan seorang ulama’ Islam dan telah menyebabkan rajanya marah kerana imannya itu.

Ini adalah kerana rajanya itu mengaku sebagai tuhan kepada penduduk negara itu. Akan tetapi kerana budak itu mempunyai kelebihan yang menyebabkan para penduduk tidak lagi percaya bahawa raja itu mempunyai kelebihan sebagai tuhan. Maka mereka telah memilih untuk beriman dengan Allah ﷻ. Kerana marah, maka raja itu telah mengarahkan supaya semua yang beriman itu dimasukkan ke dalam parit yang berapi. Dan api itu menyala-nyala dengan kuat.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 29 September 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Burooj Ayat 1 – 5 (Pembunuhan beramai-ramai)”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s