Syarah Usul Tafsir Fawzul Kabir Shah Waliyullah – Ilmu Jadal

ILMU JADAL (PERBAHASAN) TENTANG AQIDAH.

Ini adalah tentang perdebatan antara ahli haq yang membela wahyu dengan golongan sesat. Ayat-ayat perbahasan ini merujuk kepada empat kelompok sesat iaitu Yahudi, Nasara, Musyrikin Makkah dan Munafikin. Memang tidak lari dari 4 golongan ini. Begitulah pendapat Shah Waliyullah. Dan 4 golongan ini sudah pun disebut secara ringkas dalam Surah Fatihah.

Kalau kita faham 4 golongan ini maka kita akan faham keseluruhan kumpulan sesat. Jadi ini adalah tentang usul kesesatan. Bila kita faham golongan yang sesat, maka kita bolehlah elak dari termasuk dalam golongan mereka.

Walau bagaimanapun tidaklah merujuk kepada mana-mana kaum atau bangsa tetapi lebih kepada ciri-ciri dan sifat kesesatan mereka. Mana-mana kelompok atau orang yang mempunyai atau menyerupai ciri-ciri sesat tersebut jadilah mereka kelompok yang sesat itu. Dari zaman ke zaman kelompok sesat dikenali dengan berbagai nama tetapi tak lari ciri-ciri daripada empat kelompok asal ini.

Perbahasan dilakukan dengan dua pendekatan.

PERTAMA, dengan mendedahkan akidah batil dengan bukti-bukti keburukan itu dan Allah menyebut penolakan kesesatan tersebut. Contoh al-Kahfi: 4-5. An-Nahl: 57

Al-Kahfi: 4-5 – Dan untuk memperingatkan kepada orang yang berkata, “Allah mengambil seorang anak.” Mereka sama sekali tidak mempunyai pengetahuan tentang hal itu, begitu pula nenek moyang mereka. Alangkah jeleknya kata-kata yang keluar dari mulut mereka; mereka hanya mengatakan (sesuatu) kebohongan belaka.

An-Nah: 57. Dan mereka menetapkan anak perempuan bagi Allah. Mahasuci Dia, sedang untuk mereka sendiri apa yang mereka sukai (anak laki-laki).

KEDUA, dengan memberi penjelasan atas kesamaran, kelemahan akidah golongan sesat itu dan kemudian Allah menyebut penjelasan bagi meluruskan kepercayaan mereka dengan bukti dalil naqli dan aqli. Golongan sesat itu telah berpegang dengan sesuatu yang bukan dalil, maka ia lemah. Cuma dalam al-Qur’an tidaklah jelas nampak dalilnya itu tapi Allah selit sahaja, dan kena belajar tafsir baru nampak. Contoh seperti yang digunakan di dalam Surah Qaf yang mengandungi dalil naqli tentang Kiamat dan sebagainya.

 

Sekarang kita lihat satu persatu golongan sesat itu:

PERBICARAAN KESESATAN MUSYRIKIN

Punahnya mereka kerana menduakan sifat-sifat Allah. Ia boleh jadi bagi mana-mana puak. Sebagai contoh, Yahudi itu sudah sesat akan tetapi mereka pun mungkin ada melakukan kesalahan syirik. Orang yang Muslim pun mungkin juga dalam masa yang sama ada fahaman dan amalan syirik tanpa mereka sedari. Jadi musyrikin ini khusus kepada mana-mana golongan tertentu. Ia boleh jadi kepada sesiapa sahaja.

Kita kena faham yang kufur itu banyak jenis. Yahudi itu kufur, Nasrani juga sudah kufur. Akan tetapi mereka juga mungkin juga ada kufur syirik. Maka boleh berkumpul beberapa asbab kufur pada seseorang dan bukan satu sahaja. Kita yang belajar tafsir kena faham dan sebarkan ajaran al-Qur’an kepada manusia supaya hilang segala sebab yang boleh menjadikan kufur. Barulah boleh dikira Muslim kalau begitu.

Yang Allah beritahu contoh syirik dalam al-Qur’an adalah puak Mekah. Maka kita kena tahu manakah tempat syirik mereka. Kenapakah mereka digelar ‘musyrikin’ di dalam al-Qur’an. Kita kena mahir betul bab mereka supaya kita dapat elak dari jadi seperti mereka. Apakah akidah mereka; apakah perbuatan mereka? Ketahuilah yang orang Mekah itu tidak mengaku mereka kafir. Mereka malah mendakwa mereka sebagai hunafa/ahnaf iaitu beragama hanif – agama Nabi Ibrahim. Mereka mendakwa mereka ikut agama Nabi Ibrahim. Jadi mereka itu sebenarnya orang beragama (mereka ada agama).

Sama macam kita sekarang panggil diri kita ‘muslim’, bukan? Itu baru nama agama, dibandingkan dengan agama Hindu, agama Kristian dan sebagainya. Tapi bagaimana dengan akidah kita, adakah benar? Ditakuti kita mengutuk mereka sebagai musyrikin tapi tidak sedar yang kita pun ada amalan dan fahaman seperti mereka. Maka kerana itu kita kena tahu apakah keadaan mereka secara terperinci. Kalau tidak dapat nak lihat ada persamaan antara akidah Musyrikin Mekah dan akidah di kalangan masyarakat kita sekarang, maka itu bukan lagi orang berilmu. Maknanya dia masih tidak tahu apa itu ‘musyrikin’.

 

LAMBANG-LAMBANG AGAMA NABI IBRAHIM

Musyrikin Mekah memang ada ikut lambang-lambang agama Nabi Ibrahim a.s. Ibadat yang mereka lakukan ialah menunaikan Haji ke Baitullah. Mereka solat menghadap Kaabah (khilaf bagaimana cara mereka melakukan solat), mandi junub, berkhatan, istinjak, membersih diri, cukur bulu ketiak dan ari-ari, kerat kuku, simpan janggut, tidak berperang semasa bulan Haram, menjaga kesucian Masjidil Haram, ada larangan berkahwin sesama mahram dan kerana susuan, bernikah ada aqad ada saksi, memberi nama anak Abdullah, menyembelih haiwan pada halkum bagi haiwan, di dada pada unta, ibadat qurban untuk mendekatkan diri kepada Allah terutama semasa musim Haji.

Lihatlah bagaimana amalan mereka yang kita sekarang panggil ‘jahiliyah’. Mereka lebih dahulu buat dari kita. Kadang orang kita pun tak tahu pun amalan-amalan ini. Tanya pelajar kita apakah bulan haram itu pun mungkin tidak tahu. Maka kena sedar yang mereka itu orang yang ada agama.

Walau pun mereka menghidupkan syiar agama Nabi Ibrahim mereka disebut musyrikin kerana menjadikan berhala sebagai perantara dalam berdoa. Mereka memberi sifat makhluk kepada Allah seperti mempunyai anak. Malaikat dianggap sebagai anak perempuan Allah. Fahaman salah ini adalah rekaan dari nafsu mereka dan tidak dibetulkan dengan kitab agama pada waktu itu.

 

SYIAR AGAMA NABI IBRAHIM

Jadi sebelum ini kita telah lihat lambang-lambang agama Nabi Ibrahim yang masih lagi diamalkan oleh Arab Jahiliyah. Maka masyarakat Makkah sebelum kerasulan Nabi Muhammad adalah penganut agama Nabi Ibrahim. Mereka bukannya kaum tanpa agama. Cuma banyak yang mereka telah tinggalkan dan tukar dari agama yang asal.

Mereka juga ada mengamalkan syiar agama Nabi Ibrahim. Kita tahu hal ini kerana para sahabat bagitahu yang mereka sebelum masuk Islam pun sudah ada amalkan syariat yang sama. Secara umumnya mereka mengamalkan solat dengan berwudhu, puasa pada siang hari, bersedekah kepada anak yatim dan fakir miskin, membantu mereka yang ditimpa musibah bencana alam, menghubung silaturahim. Ini memang ada dalam agama Nabi Ibrahim.

Mereka puji memuji sesama mereka bagi yang mengamalkan amalan-amalan ini. Kerana itu adalah agama yang dipandang tinggi. Macam kitalah juga, kalau ada buat baik, maka dipandang tinggi dan dipuji. Sebahagian mereka menjaga syariat ini, golongan yang tinggalkan amalan ini pun ada tapi masih memuji dan menghormati orang-orang tetap meneruskan syariat. Ada yang amalkan kebaikan ini tapi jumhur dari mereka sudah meninggalkannya. Ini adalah kerana mereka tidak belajar agama. Tapi mereka tahu mana amalan yang baik. Tapi ramai yang tidak amalkan sampaikan nampak macam agama itu dan amalan baik itu tidak ada langsung.

Hukum haramnya bunuh, curi, rompak, zina, haramnya riba, rasuah, juga ada dalam dasar agama Ibrahim yang mereka tahu pun, tetapi sebahagian mereka telah melanggarnya. Ada diamalkan secara ringkas tapi tidak secara menyeluruh. Kerana terikut dengan nafsu amarah mereka. Mereka terheret dengan nafsu tapi masih tahu hukum haram dan dosa.

 

AQIDAH DAN KEPERCAYAAN HATI MEREKA

Aspek aqidah pula mereka percaya kepada Rabb sebagai maha Pencipta dan Pentadbir alam semesta. Ini memang mereka percaya sungguh. Mereka tahu Allah yang mencipta langit dan bumi, Allah lah yang mengurus dan mentadbir segala ‘perkara-perkara yang besar’ dalam alam ini; mereka percaya yang Allah sahaja mampu untuk memilih dan mengutus Rasul-rasul sebagai Nabi.

Mereka juga percaya ada konsep pembalasan bagi apa yang mereka telah lakukan. Mereka tahu yang mereka takdirkan perkara berlaku berlakunya sesuatu perkara itu. Mereka juga percaya para malaikat itu makhluk yang taat dan dekat kepada Allah. Mereka tahu yang golongan malaikat itu layak dihormati.

Itu semua memang benar ada dalam akidah mereka dan syair-syair karangan mereka jadi bahan bukti bagaimana kepercayaan mereka tentang Allah dan malaikat. Mereka tulis apa yang faham dan tahu dalam syair-syair mereka. Kerana itu salah satu perkara kena belajar adalah syair Arab. Boleh belajar tentang nahu bahasa Arab tapi dapat tahu juga tentang kehidupan dan fahaman mereka.

Tetapi kebanyakan mereka terjerumus dalam kesamaran, mereka membuat andaian dan sangkaan yang tidak benar tentang sifat Allah dan malaikat. Mereka juga tidak mempercayai hari pembalasan dan alam akhirat. Maka alasan mereka adalah kerana tidak dapat diterima oleh akal mereka. Kerana mereka telah terima fahaman salah.

Sebagai contoh, mereka terima para malaikat itu ada, tapi mereka reka fahaman yang para malaikat itu anak perempuan Tuhan pula. Kalau minta tolong Allah, kena jadikan para malaikat sebagai orang tengah untuk mudahkan Allah selesaikan masalah mereka. Sedangkan dalam syair mereka, jelas menyebut yang para malaikat itu hamba Allah sahaja, bukannya sebagai perantara.

Mereka mengubah beberapa ajaran Nabi Ibrahim. Mereka pun ada tokoh yang dianggap sebagai tempat rujuk atau pembesar yang mengajar atau mereka-reka cara ibadat kerana tiada rujukan kitab atau nabi. Ini kerana zaman mereka dengan Nabi Ibrahim telah pun berlalu jauh dan ajaran telah banyak hilang dan diubah-ubah. Hingga mereka terjerumus dalam kesesatan. Syaitan telah sesatkan mereka dari bab akidah lagi.

Masyarakat Melayu patut melihat dan membandingkan diri mereka dengan Musyrikin Makkah. Masyarakat kita juga beriman percaya kepada Allah, malaikat dan lain-lain yang ada persamaan dengan Musyrikin Mekah, bukan? Masyarakat kita ramai yang solat, puasa, bersedekah, beramal baik. Tetapi adakah aqidah kita betul murni atau telah bercampur aduk dengan fahaman tradisi, nenek moyang, ajaran tok guru sesat.

Amal ibadat kita betulkah asli, tulen sama macam dengan amalan Rasulullah atau sudah berubah, sudah ada tokok tambah? Kalau ada, maka tidak jauh lari dari apa yang berlaku kepada Arab Jahiliyah Mekah itu yang kita panggil sebagai ‘Musyrikin Mekah’.

Arab Jahiliyah menolak ajaran dari Nabi Muhammad walaupun itulah perkara yang ada disebut dalam syair-syair mereka. Masyarakat Islam negara kita pula tolak ajaran akidah yang benar walaupun ada dalam al-Qur’an dan hadis. Dua-dua gunakan hujah yang sama: “takkanlah…?!” Dua-dua kerana jahil tidak mahu belajar sahaja. Yang ajar ajaran yang benar pula yang dituduh berbagai-bagai sebagaimana Nabi Muhammad juga dituduh.

Maka kita jalankan masjid ilmu. Nabi Muhammad dulu tidak boleh mengajar di Baitullah kerana dihalang. Tapi ada tempat yang mengizinkan Nabi mengajar iaitu berdekatan Safa dan Marwah sekarang (di rumah Abi Arqam). Baginda jalankan kerja mengajar kerana pengajaranlah yang dapat membuang fahaman syirik dan khurafat. Maka guru yang sunnah tidak dapat mengajar di medan yang luas kerana dihalang, maka kita jalankan pengajaran di tempat-tempat lain yang boleh seperti di media sosial contohnya. Atau di rumah-rumah individu seperti yang dilakukan oleh Abi Arqam dahulu.

Pengajaran agama sepatutnya dilakukan di masjid supaya lebih ramai orang dapat belajar. Kerana itulah apabila Nabi Muhammad dapat sampai sahaja ke Madinah, perkara pertama yang dilakukan adalah mendirikan masjid. Semoga ajaran wahyu dapat disebarluaskan di dalam masjid di negara kita tidak lama lagi. Kerana itulah tempat ajaran wahyu sebenarnya, bukannya ajaran bida’ah seperti sekarang.

Sambung kepada perbincangan yang seterusnya.

 

Syarah disampaikan oleh Maulana Hadi

Kemaskini: 29 Mei 2021

Al Fauzul Kabeer fi Usoolit Tafseer by Shah Waliullah

al-fauz-al-kabir-english-by-jalbani-1-pdf

Nota Peta Minda

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s