Setelah kita berkenalan dengan Musyrikin Mekah sebelum ini, maka sekarang kita lihat apakah kesesatan mereka. Antara kerosakan agama mereka (tentulah ada banyak lagi) ialah:
-
-
- Syirik (meletak sifat Allah kepada makhluk)
- Tasybih (meletak sifat makhluk kepada Allah)
- Tahrif (ubahsuai, penyelewengan) yang biasanya berlaku kepada kitab. Cuma mereka tidak ada kitab, jadi yang berlaku adalah mereka telah putarbelit cerita asal tentang Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Mereka telah tukar dari cerita yang asal dan sebenar (yang mereka dengar dari tok nenek mereka). Maka kerana itu telah berlaku amalan yang tidak betul di kalangan mereka.
- Mengingkari Akhirat
- Sukar menerima seorang manusia boleh jadi rasul.
- Tersebarnya amalan keji di kalangan mereka dan kezaliman seperti arak, mabuk, pembunuhan, penindasan, korupsi.
- Mengadakan resam (kebiasaan) yang batil.
- Pupusnya amal ibadat antara hamba dan Allah.
-
Kerana kesesatan itulah Allah turunkan al-Qur’an untuk membaiki mereka. Tajuk dari 6 – 8 itu kerana menolak 5 perkara yang utama sebelum itu. Selepas ini kita akan bincangkan satu persatu kesesatan dan masalah mereka. Dan nanti akan diberitahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka.
PENJELASAN TENTANG APA ITU SYIRIK
Kena faham apakah yang dimaksudkan syirik itu. Kebanyakan dari orang Melayu kita sangka syirik itu adalah menduakan Allah. Seolah-olah ada lagi satu tuhan dan apabila sembah tuhan itu. Pada mereka, itu baru syirik.
Ini adalah salah faham yang jauh dari apa yang sepatutnya. Jadi kita kena faham benar apakah yang dimaksudkan dengan syirik itu. Kalau tidak faham, maka kita akan buat syirik tanpa sedar. Syirik bukannya menyembah tuhan selain Allah, kerana Musyrikin Mekah itu kenal Allah dan sembah Allah sebagai tuhan. Tapi kenapa mereka dikatakan sebagai musyrikin?
Kerana itu kena dipelajari tafsir al-Qur’an kerana di dalamnyalah yang banyak menyentuh tentang syirik. Diperjelaskan dan disebut berkali-kali tentang syirik supaya kita faham sungguh apa itu syirik. Untuk faham tauhid dan syirik, kena belajar tafsir al-Qur’an. Jadi kalau tidak belajar tafsir, memang akan jauh dari pemahaman apakah sebenarnya syirik itu. Dan kerana ramai tidak belajar tafsirlah yang menyebabkan ramai dari kalangan masyarakat kita tidak faham apa itu syirik.
Bertahun-tahun belajar Sifat 20 pun tidak faham apakah itu syirik. Kerana memang tidak disentuh dengan kemas di dalam pengajian itu. Mereka tidak nampak di kalangan orang Islam pun ada yang berfahaman dan mengamalkan syirik kerana mereka tidak faham apakah itu syirik. Mereka sangka syirik itu hanya agama lain seperti Buddha dan Hindu.
Ini amat menyedihkan sekali kerana ia adalah perkara yang penting tapi tidak diketahui oleh ramai orang. Syirk akan mengeluarkan kita dari Islam. Amat bahaya sekali kerana tauhid ini seperti satu belon, kalau satu jarum sahaja sudah boleh memecahkan belon itu. Jadi kalau salah faham satu bab syirik pun sudah boleh menjejaskan iman kita.
Definisi syirik: Memberikan apa-apa sifat khusus Allah kepada makhluk. Mereka ithbat (tetapkan) yang ada makhluk yang ada sifat-sifat Allah yang khusus (yang hanya ada pada Allah sahaja sepatutnya). Apa-apa sahaja sifat itu, bukannya kena kata satu makhluk ada semua sifat Allah. Kalau kata makhluk ada satu sahaja sifat Allah pun sudah dikira sebagai syirik.
Selalunya yang diithbatkan dengan sifat-sifat Allah itu ada empat entiti iaitu Nabi, wali, jin dan malaikat. Kena sebut keempat-empat ini kerana ianya disebut di dalam al-Qur’an. Perlu diperjelaskan satu persatu tentang empat golongan ini supaya masyarakat boleh jelas. Kerana tidak faham hal inilah yang menyebabkan ada yang minta tolong kepada jin dan mereka tidak nampak kesesatan dalam hal itu.
Jadi syirik itu meletakkan sifat Allah pada makhluk. Contohnya mengatakan ada entiti selain Allah yang ada kuasa mentadbir alam ini dengan iradah sendiri التصرف فى العالم بالأرادة. Ini adalah sifat Qudrah Allah sahaja. Kita memang mengurus dan mentadbir juga, tapi tidaklah ‘dengan iradah’ sendiri. Kita hanya mengurus dan mentadbir dengan usaha dan ikhtiar kita sahaja, tapi bergantung kepada iradah Allah.
Jadi apa iradah Allah itu? Iaitu ditafsirkan dengan lafaz Kun Fayakun. Ia adalah satu lafaz untuk memberitahu cepatnya iradah Tuhan. Ia sebagai ta’bir sahaja kerana bukannya Allah kena sebut ‘kun’ itu. Ia terus terjadi apabila Allah berkehendak sahaja. Ramai yang silap faham dengan sangka Allah akan sebut kun, kun, kun, dahulu.
Ringkasnya, ada dua sifat Allah yang kebanyakan manusia syirik tentangnya: tentang qudrat dan ilmu dzaati. Kalau kita faham dua perkara ini, maka in sha Allah akan selamat dari syirik. Memang ada lagi bab syirik yang lain tapi dua ini adalah yang utama. Sebab itu Allah sentiasa menyebut tentang dua sifat ini di dalam al-Qur’an. Dan kuasa tasarruf ini adalah berkenaan qudrat Allah.
Ada salah faham di kalangan masyarakat tentang hal ini. Misalnya ada tuan guru diberi pangkat wali. Wali pula mereka kata telah diberikan kuasa boleh mentadbir alam dengan iradah (kehendak) sendiri. Nabi-nabi atau ruh wali-wali pula disangka mempunyai kuasa sakti. Seolah-olah mereka ada kuasa “Kun, Faya kun”!. Dan memang ada yang kata para wali seperti Sheikh Abdul Qadir Jalani adalah kuasa Kun Fayakun, dan mereka tidak sedar pun yang mereka telah melakukan kesyirikan dalam hal ini!
Yang kedua adalah tentang ilmu dzaati العلم الذاتي. Ianya adalah ilmu yang bukan diperolehi dengan usaha dan pancaindera, dalil aqli, mimpi dan ilham dan lain-lain. Ini adalah cara-cara bagi manusia mendapatkan ilmu. Kita manusia ada juga ilmu tapi tidaklah ilmu dzaati atau ilmu hakiki. Dari ilmu Allah lah kita ada ilmu kerana kita tidak ada ilmu dengan sendiri.
Kita cuma ada ilmu dari pemberian Allah sahaja, setakat mana yang Dia hendak beri. Tapi apabila punah akidah, ada yang mengatakan Nabi pun ada ilmu dzaati. Ini kerana mereka sayang sangat kepada Allah sampai ke tahap yang berlebihan dan tidak patut.
Contohnya seperti Golongan Brelwi di Pakistan dan India yang mempunyai cinta melampau kepada Nabi hingga memberi Nabi beberapa sifat istimewa yang sepatutnya hanya ada pada Allah sahaja. Sebagai contoh, mereka berpegang akidah yang Nabi ada kuasa mentadbir urusan alam.
Mereka juga mengatakan Nabi ada ilmu mengetahui hal ghaib. Ini kerana kejahilan yang ada di kalangan mereka. Sama juga dengan golongan Syiah yang sesat. Mereka lebih dahsyat dari Musyrikin Mekah lagi. Ini semua kerana jahil wahyu dan syaitan akan ambil kesempatan dari kejahilan manusia untuk menyesatkan mereka.
Sifat khusus lain bagi Allah adalah seperti kuasa mengubati orang yang sakit, atau melaknati atas makhluk, atau murka ke atasnya, sehingga sempitlah ke atas orang itu rezeki, sakit atau celaka disebabkan oleh kemurkaan itu. Malangnya ada orang kita yang takut dengan sumpah dari makhluk seperti jin.
Memberi rahmat atau berkat juga adalah sifat khusus bagi Allah, yang dengannya dilapangkan rezekinya, atau sihat badannya, atau jadi bahagia dan bertuah kerananya. Akan tetapi ada manusia yang memberikan sifat ini kepada wali, tuan guru atau orang alim. Ada yang kata seseorang itu jadi senang kerana menyembah wali itu dan ini. Dan ada yang memberikan kuasa berkat kepada manusia. Bahkan orang yang baru balik dari mengerjakan haji pun disangka ada berkat. Lihatlah bagaimana senangnya tergelincir dari aqidah yang benar.
Sebahagian wali, syeikh, jin penunggu dianggap boleh menghalang bahaya atau menjauhkan bala dari manusia atau tempat. Orang yang jahil bab tauhid telah menyeru menyeru roh-roh itu secara ghaib, memohon perlindungan kepada wali atau ruh-ruh wali ini atau jin penunggu tersebut.
Ingatlah yang Musyrikin Makkah tidak menyekutukan Allah dalam penciptaan dan urusan alam yang besar-besar. Mereka tidak pun kata yang ada makhluk yang boleh buat semua itu. Dalam hal ini mereka tidak syirik. Mereka pun tahu yang makhluk tidak boleh mencipta dan mengurus benda yang besar-besar. Mereka faham yang Allah sahaja yang boleh mencipta makhluk dan juga dalam mengurus dan mentadbir perkara-perkara besar. Ada disebut beberapa perkara besar dalam al-Qur’an, dan itu semua hanya urusan Allah taala. Contohnya menurunkan hujan hanya boleh dilakukan oleh Allah sahaja.
Musyrikin Mekah juga tahu yang makhluk tidak ada kuasa menghalang atas perkara yang Allah telah putuskan. Mereka pun tahu yang wakil Allah pun tidak boleh halang. Walaupun mereka puja wakil-wakil Allah itu, mereka tahu yang para wakil itu tidak boleh nak halang apa-apa kalau Allah telah tetapkan. Masyarakat kita sebaliknya ada pula masalah ini kerana mereka sangka ada wali yang ada kuasa menghalang musibah. Sebab itu ramai yang menyeru para wali apabila ada masalah.
Maka syirik Musyrikin Mekah itu pada perkara-perkara tertentu dan kepada orang tertentu sahaja. Kekeliruan mereka terjadi apabila mereka melihat raja-raja di dunia melantik pegawai-pegawai sebagai mewakili raja di daerah-daerah yang jauh, yang memerintah dan mengurus bagi pihak raja itu.
Raja itu juga akan menerima syafaat atau sokongan rekomendasi dari wakil-wakil itu. Mana-mana rakyat yang baik dengan wakil-wakil itu, akan mendapat kelulusan dari raja kerana raja akan dengar kata-kata wakil mereka itu. Maka rakyat jelata akan bertawasul (menjadikan wakil) dengan pegawai-pegawai itu dalam urusan mereka supaya memanjangkan permohonan kepada raja. Ini normal kerana raja tidak mampu nak mengurus ke segenap pelusuk negara.
Tapi anggap kerajaan Allah taala pun begitu juga. Maka mereka pun menganggap Allah juga telah menganugerahkan anugerah ketuhanan kepada sebahagian hambaNya. Kerana mereka mungkin tinggi kedudukan dengan Allah, rajin beribadat dan telah buat banyak kebaikan semasa mereka hidup. Musyrikin Mekah sangka mereka yang soleh itu layak dipuja kerana kedudukan mereka itu. Kononnya murka dan suka mereka kepada makhluk ada memberi kesan kepada Allah.
Maka mereka telah menghampirkan diri dengan hamba-hamba yang dianggap soleh itu. Tujuannya supaya urusan biasa dalam hidup dapat dimudahkan dengan Allah. Kerana mereka sangka para wali itu akan mohon selesaikan masalah kepada Allah bagi pihak mereka. Mereka berharap perantaraan para wakil itu. Sedangkan kalau dalam perkara-perkara besar, mereka tetap berdoa terus kepada Allah.
Jadi dalam hal ini, Musyrkin Mekah telah menggunakan qiyas urusan dengan makhluk kepada Allah. Ini adalah qiyas yang salah.
Mereka yang jahil telah menggunakan perantara sebagai wakil-wakil antara manusia dengan Tuhan. Mereka juga melihat raja membuat keputusan dengan mendengar cadangan, sokongan atau nasihat dari para pegawai mereka. Maka sesiapa yang baik dengan pegawai maka orang itu pun akan mendapat keuntungan dengan raja. Maka mereka anggap dan buat sangkaan meleset yang kerajaan Allah taala pun begitu juga. Mereka sangka para wali itu boleh beri syafaat.
Begitulah kaum musyrikin menganggap cara untuk mendapat perhatian Allah ialah dengan cara menggunakan nabi, wali, hamba Allah yang soleh, malaikat atau makhluk alam ghaib sebagai perantara. Mereka juga menyangka kalau dapat keredhaan orang soleh itu, maka akan dapat juga keredhaan Allah. Kalau hubungan buruk dengan wakil Allah itu maka malanglah seseorang itu. Disangka hidup akan sempit, ditimpa bala dan sebagainya.
Kerana akidah salah mereka itu, mereka telah membenarkan untuk sujud kepada wakil-wakil itu, menyembelih ke atas mereka, bersumpah atas nama mereka, juga dibolehkan meminta bantuan kepada mereka atas perkara penting. Akhirnya orang-orang ini lebih banyak menyembah wakil-wakil perantara ini daripada menyembah Allah sendiri secara langsung.
Masalah ini juga berlaku dalam masyarakat kita. Bila berlaku masalah dalam kehidupan, mereka pun cari orang soleh, minta orang soleh untuk tolong doakan atau pun bertawasul dengan ruh-ruh orang soleh yang sudah mati.
Lama kelamaan bila orang soleh mati, ruh mereka dipuja dengan patung diukir sebagai memorial dan kiblat tawajuh (tempat menumpukan perhatian). Akhirnya patung-patung itu disembah macam tuhan sembahan orang jahil. Asalnya, ia hanya sebagai qiblat tawajjuh (tempat fokus) kepada wakil tuhan itu, tapi lama kelamaan yang jahil telah menganggap batu dan ukiran itu sebagai tuhan pula.
Sambung untuk melihat apa lagi salah faham mereka.
Syarah disampaikan oleh Maulana Hadi
Kemaskini: 12 Jun 2021
Al Fauzul Kabeer fi Usoolit Tafseer by Shah Waliullah