Sekarang kita lihat lagi fahaman salah Musyrikin Mekah. Sebelum ini kita telah lihat tentang Syirik.
Penerangan Tentang Kesalahan Tasybih
Definisi TASYBIH: Fahaman yang mensabitkan (meletakkan) beberapa sifat manusia ada pada Allah. Iaitu mengatakan Allah ada sifat manusia. Sebagai contoh, usyrikin Makkah kata Allah pun ada anak iaitu para malaikat itu dikatakan anak perempuan Allah. Ini telah menyamakan sifat makhluk kepada Allah. Mereka lihat manusia ada isteri, ada anak, maka mereka letak perkara itu pada Allah pula.
Kemudian, mereka sangka dengan menyeru atau menyembah malaikat, maka mereka sangka yang Allah akan memberi juga syafaat atau menunaikan hajat manusia walaupun pada asalnya Allah tidak suka dengan permintaan itu, tapi kerana ada syafaat dari malaikat, Allah terima juga. Ini qiyas mereka dengan perlakuan raja-raja dunia kadang-kadang (dalam menerima syafaat). Mungkin asalnya Raja tak suka, tapi bila pembesar negeri desak, raja pun terima lah juga. Mereka sangka Allah pun begitu juga.
Ini adalah kekeliruan bab syafaat. Di dalam al-Qur’an disebut yang syafaat terbahagi kepada dua. Syafaat kerana Cinta/kasih dan Syafaat kerana takut/bimbang.
Syafaat kerana takut itu tidak terjadi kepada Allah. Takkan Allah terpaksa menerima syafaat kerana takut ada kesan kepadaNya kalau tidak diterima permohonan itu? Kerana Allah maha berkuasa dan tidak boleh dikalahkan. Kalau kepada manusia, mungkinlah boleh terjadi. Contohnya Perdana Menteri satu-satu negara yang lemah terpaksa beri pelepasan kepada warganegara lain yang dikenakan hukum gantung. Memang orang itu bersalah, akan tetapi kerana penjenayah itu rapat dengan Presiden negara lain yang lebih kuat, Perdana Menteri terpaksa lepaskan dia kerana takut tindakan dari Presiden negara lain itu. Allah tidak takutkan sesiapa, jadi ini tidak akan terjadi.
Yang ada boleh jadi, Allah memberi kurniaan atau menunaikan hajat kerana kasih sayang. Ini pun ada terjadi kepada manusia juga. Contohnya kita ambil contoh seorang Perdana Menteri yang kasih kepada isterinya. Ada pula orang yang kena hukum ada hubungan dengan isterinya, maka dia lepaskan kerana orang itu ada kaitan dengan isterinya itu. Mungkin isterinya merayu supaya dilepaskan.
Musyrikin Mekah fikir oleh kerana Allah kasihkan malaikat, maka mereka yang bodek malaikat akan ditunaikan hajat. Begitulah juga fahaman Nasara. Mereka sangka, oleh kerana Allah kasihkan Nabi Isa, maka sesiapa yang berdoa kepada Nabi Isa pun akan ditunaikan Allah. Bagi Yahudi pula, Nabi Uzair yang digunakan sebagai tempat permintaan Syafaat.
Ini adalah salah faham dalam bab Syafaat. Kesalahan pertama adalah dengan melakukan tasybih, iaitu meletakkan sifat manusia kepada Allah dengan dikatakan Allah punya anak.
Kesalahan kedua, fahaman yang malaikat boleh beri syafaat hingga menyebabkan Allah tunaikan hajat mereka. Padahal ini tidak ada dalilnya di dalam wahyu. Ia hanya rekaan dari akal mereka sahaja. Ya Allah boleh beri syafaat akan tetapi kepada mereka yang layak sahaja. Bukan hanya kerana sayangnya Allah kepada orang yang soleh.
Kesalahan ketiga dalam bab Tasybih ini adalah apabila menjisimkan Allah dengan menyangka Allah mendengar dan melihat macam makhluk. Iaitu apabila sangka Allah apabila hendak mendengar dan melihat, mesti ada telinga ada mata. Ini tidak benar kerana Allah bukannya makhluk yang memerlukan telinga untuk mendengar dan mata untuk melihat.
Ini kerana mereka tidak dapat mencapai hakikat pendengaran dan penglihatan Allah (tentunya tidak boleh kita mencapai hakikat ini). Maka mereka menyifatkan sifat Allah sama sahaja dengan sifat manusia iaitu ada mata dan ada telinga untuk melihat dan mendengar. Padahal itu sifat manusia sahaja yang memerlukan mata dan telinga untuk melihat dan mendengar. Sedangkan Allah bukan macam manusia.
Maka banyaklah timbul salah faham di kalangan mereka dalam bab ini. Ada antara mereka yang sangka, jika mereka berbisik-bisik Allah tidak dapat mendengar, Allah dapat mendengar jika mereka berkata dengan kuat. Ini kerana mereka samakan pendengar Allah dengan pendengaran manusia yang tidak dapat dengar kalau orang berbisik-bisik dari jauh.
Kesalahan lain adalah dengan mengisbathkan yang Allah berjirim dan berjisim. Iaitu mereka sangka yang Allah juga memenuhi ruang seperti manusia. Sedangkan itu adalah sifat makhluk. Jangan kita samakan sifat Allah dengan sifat makhluk sampai menjadi fahaman Mujassimah pula.
Penerangan Tentang Kesalahan Tahrif
Definisi TAHRIF: Mengubahsuai fahaman sampai menyebabkan berubahnya cara ibadat. Asalnya masyarakat Makkah tidak menyembah berhala. Mereka mewarisi syariat Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang tidak mengajar sembah berhala dan melakukan syirik. Akan tetapi, 300 tahun sebelum kerasulan Nabi Muhammad ﷺ muncul seorang tukang reka agama baru yang bernama Amru bin Luhay. Dia asalnya datang dari Tanah Yaman dan bekerja di Mekah sampai akhirnya telah diangkat menjadi penjaga kelambu Kaabah, satu kedudukan yang tinggi pada waktu itu.
Dia pernah bermusafir ke negara lain dan dia melihat mereka itu ada yang menyembah berhala. Mereka kata kalau mereka ada masalah maka menyeru berhala itu dan dapat apa yang mereka hendak. Amru telah berminat dengan penjelasan dari mereka dan dia telah membawa berhala yang didapati dari sana ke Mekah. Dialah yang mengajar masyarakat menggunakan berhala untuk beribadat. Itulah permulaan kisahnya berhala datang ke Mekah. Agama Ibrahim dan agama Ismail telah diubahsuai dan diselewengkan.
Dia juga telah reka konsep lain seperti Baha’ir, Sawa’ib dan Hami. Iaitu membebaskan binatang dari dimakan (haram dimakan kerana sebab-sebab tertentu). Dia juga reka cari untung nasib dengan mencampak anak panah (undi nasib). Dan ada lagi perkara-perkara yang direka-reka. Akhirnya semua itu telah menjadi akar umbi dalam kalangan mereka kerana ikut kesan peninggalan tok nenek mereka.
Mereka sangka peninggalan tok nenek adalah hujah yang kukuh dan boleh dipegang. Jadi berpegang dengan amalan dan ajaran tok nenek memang berlaku zaman berzaman sampailah kepada zaman kita sekarang ini juga. Kerana amat banyak amalan tok nenek yang sedang diamalkan sekarang oleh orang kita sekarang.
Penerangan Tentang Kesalahan Mengingkari Akhirat
Kitab-kitab dahulu sebelum al-Qur’an telah menyebut tentang pengumpulan di Mahsyar. Akan tetapi Kitab Taurat dan Zabur tidak menjelaskan dengan terperinci tentang hari akhirat sepertimana yang dijelaskan di dalam al-Qur’an. Nabi-nabi sebelum Nabi Muhammad juga hanya menyebut sedikit saja tentang perkara akhirat. Maka kebanyakan masyarakat Makkah kurang pengetahuan mereka tentangnya, dan mereka merasa pelik apabila mereka mendengar penjelasan yang panjang lebar daripada al-Qur’an.
Oleh kerana perkara akhirat ini asing bagi mereka, mereka sukar menerima tentang adanya akhirat. Mereka ragu-ragu tentang mayat yang hancur dan sudah menjadi tanah akan bangkit dihidupkan kembali. Di dalam al-Qur’an telah disebut kata-kata penolakan mereka tentang peristiwa kebangkitan semula ini seperti:
“Apabila kami telah mati dan telah menjadi tanah dan tulang-belulang, apakah benar kami akan dibangkitkan (kembali)?” [As-Saffat: 16]
Mereka sangka kehidupan berakhir hanya di dunia ini. Ini kerana tidak sampai maklumat tentang akhirat kepada mereka dan tidak ada kitab di kalangan mereka. Maka kerana akal mereka tidak dapat terima, maka mereka ambil keputusan untuk menolak.
Dan mereka berkata, “Kehidupan ini tidak lain hanyalah kehidupan di dunia saja, kita mati dan kita hidup, dan tidak ada yang membinasakan kita selain masa.” Tetapi mereka tidak mempunyai ilmu tentang itu, mereka hanyalah menduga-duga saja. [Jatsiyah: 24].
Ayat-ayat lain yang semakna adalah Yaasiin:78, al-An’am:19. Al-Qur’an telah menjelaskan tentang apakah masalah mereka dalam hal ini. Dan al-Qur’an telah menjelaskan dengan jelas tentang hari-hari Akhirat. Terutama sekali di bahagian akhir keempat al-Qur’an ini (rubu’ empat). Kalau al-Qur’an dibahagikan kepada empat bahagian, ia jadi begini:
rubu’ awal: mewakili Taurat
rubu’ kedua: mewakili Injil
rubu’ ketiga: mewakili Zabur
rubu keempat: hanya ada di dalam al-Qur’an sahaja iaitu tentang akhirat
Maka apabila kita baca keseluruhan al-Qur’an, ia seolah-olah kita membaca empat kitab wahyu sekali, kerana ada elemen-elemen kitab lain di dalamnya.
Penerangan Tentang Kesukaran Menerima yang Manusia Boleh Dilantik Menjadi Nabi
Masyarakat Makkah walau pun menerima kerasulan Nabi Ibrahim, Nabi Ismail, malah kerasulan Nabi Musa, namun mereka keliru kenapa mereka itu ada sifat-sifat manusia yang makan, minum, hidup dan kemudian mati. Maka mereka keliru kenapa manusia boleh dilantik menjadi utusan Tuhan.
Perkara ini telah menjadi hijab atas mereka hingga tak dapat menerima hikmah wahyu disampaikan dengan cara demikian. Mereka mendatangkan berbagai-bagai persoalan untuk merendahkan kedudukan Nabi seperti kenapa kena makan, berkeluarga, kenapa pergi ke pasar dan sebagainya.
Mereka kata utusan Allah sepatutnya mempunyai sifat ketuhanan atau sedikit dari sifat ketuhanan. Oleh itu mereka berhujah sepatutnya malaikat lebih layak jadi utusan Tuhan. Mereka juga mempersoalkan kenapa tidak boleh setiap manusia diberikan dengan wahyu? Mereka tidak nampak pentingnya kenapa Allah melantik manusia juga sebagai Rasul. Kerana itu mereka tidak dapat menerima kenabian Nabi Muhammad walaupun mereka terima kenabian Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Nabi Musa.
Ini macam orang kita yang sukar menerima ajaran dari sesetengah orang kerana dia nampak guru itu ‘biasa’ sahaja. Pada akal mereka, untuk jadi hebat sebagai guru kena ada perkara luar biasa yang terjadi pada guru itu. Sebab itu macam-macam kisah pelik dalam masyarakat kita tentang ‘keramat’ orang-orang terdahulu. Sampai ada orang tidak pakai baju pun mereka kata wali.
Syarah disampaikan oleh Maulana Hadi
Kemaskini: 15 Jun 2021
Al Fauzul Kabeer fi Usoolit Tafseer by Shah Waliullah