Tafsir Surah an-Najm Ayat 1 – 9 (Nabi jumpa Jibrail pertama kali)

Pengenalan

Surah Najm ini adalah surah tentang Mi’raj Nabi dari MasjidilAqsa ke langit. Tentang Isra’ (perjalanan dari Mekah ke MasjidilAqsa) telah diberitahu dalam Surah Isra’. Maka Surah Najm ini tentang kenaikan Nabi ke langit pula.

Ianya adalah Surah Makkiah. Ianya adalah surah pertama yang Nabi bacakan secara keseluruhan kepada penduduk Mekah (kerana surah-surah yang lain datang sikit demi sedikit). Dalam surah inilah, ayat tentang sujud telah dibacakan dan baginda terus sujud. Waktu itu baginda membacakan ayat ini di khalayak ramai, iaitu kepada sahabat-sahabat baginda dan juga kepada kaum Musyrikin Mekah.

Yang menariknya, apabila baginda sujud, sahabat kesemuanya telah sujud bersama baginda. Dan yang lebih hebatnya, puak-puak musyrikin yang tidak mahu beriman itu pun terpesona sangat dengan Surah an-Najm yang baginda bacakan dan perbuatan sujud baginda, maka mereka pun ramai-ramai sujud bersama Nabi!

Ini memang menakjubkan. Bayangkan mereka semua sekali yang berada di situ telah sujud, kecuali seorang sahaja yang degil. Begitu pun, dia telah mengambil sedikit tanah dan meletakkan tanah itu ke dahinya. Dia tahan dirinya dari sujud penuh, tapi dia telah terpanggil untuk meletakkan tanah ke dahinya. Kejadian ini boleh dibaca dalam Seerah.

Surah ini juga memberitahu tentang kebenaran kerasulan Nabi Muhammad. Jadi Dakwa Surah ini adalah tentang Risalah (tentang kenabian baginda).

Dan ianya mengandungi teguran kepada amalan-amalan syirik Musyrikin Mekah. Mereka menyembah sembahan-sembahan lain selain Allah. Ini ada fahaman bathil yang tiada asas. Mereka sembah dan seru roh wali-wali dengan menamakan mereka Latta, Uzza, Manat dan lain-lain untuk tujuan supaya mereka yang disembah itu bawa doa mereka kepada Allah. Allah jelaskan bahawa fahaman itu adalah bathil tidak berasas.

Musyrikin Mekah itu kenal Allah dan terima Allah sebagai Tuhan. Mereka terima Allah sebagai pencipta alam dan menguruskan perkara yang besar-besar. Tapi dalam masa yang sama, mereka ada fahaman syirik yang hendak diperbetulkan dalam surah ini. Maka ia juga ditujukan kepada golongan musyrik negara ini juga.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 5 perenggan makro. Ayat 1 – 18 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia memberikan hujah kebenaran wahyu dan menyentuh peristiwa Isra’ Mi’raj.

Sebelum itu, ayat 1 – 10 menyentuh tentang kebenaran Wahyu Al-Qur’an dan kerasulan Nabi Muhammad. Allah menekankan yang Al-Qur’an itu bukan daripada diri Nabi sendiri.

وَالنَّجمِ إِذا هَوىٰ

Sahih International

By the star when it descends,

Malay

Demi bintang semasa ia menjunam, –

 

Dalam ayat ini, Allah bersumpah dengan ‘bintang yang terbenam’. Hanya Allah sahaja yang berhak bersumpah dengan makhlukNya. Allah jadikan makhlukNya sebagai dalil bukti yang Dia yang buat makhluk itu. Allah hendak menzahirkan bukti QudratNya.

Kita pula hanya boleh bersumpah dengan menggunakan nama Allah sahaja. Kita menggunakan sumpah untuk menguatkan kata-kata dakwaan kita. Maka kita kena guna nama Allah sahaja. Tidak boleh guna nama makhluk dan ini dilarang. Dalilnya, Nabi pernah bersabda:

Sesiapa yang ingin bersumpah, maka bersumpahlah atas nama Allah atau (jika tidak) maka diamlah.

Maka orang yang ingin bersumpah hendaklah menyebut “Wallahi”, “Billahi” atau “Tallahi” yang semuanya bermaksud “Demi Allah”. Inilah juga yang digunakan oleh bangsa Arab. Selain dari itu, boleh juga bersumpah dengan salah satu nama Allah seperti al-Rahman, al-Rahim, al-Khalik dan sebagainya. Seumpama: “Demi al-Rahman, aku tidak pernah melakukan hal itu”.

Boleh juga bersumpah dengan sifat-sifat Allah. Sebagaimana Nabi pun selalu lakukan:

Demi yang jiwa Muhammad berada di Tangan-Nya, tidaklah seorang jua dari umat ini yang mendengar tentang aku, baik Yahudi mahupun Nasrani, kemudian dia mati tanpa beriman kepada apa yang aku diutus dengannya (Islam) melainkan dia menjadi dari kalangan ahli neraka.

Memang jiwa Nabi dan juga jiwa kita berada dalam Tangan Allah, maka itu tidaklah salah, tambahan pula Nabi Muhammad selalu gunakan sumpah begitu.

Oleh itu, ada tiga cara untuk bersumpah yang dibenarkan, maka gunakan cara itu sahaja. Maka janganlah kita buat seperti sesetengah orang yang bersumpah dengan ‘cahaya api’, dengan ‘matahari yang tengah naik’, sumpah dengan nama emak dan sebagainya. Itu semua memang berlaku tapi dilakukan oleh mereka yang jahil yang tidak tahu tentang larangan Allah.

Jika seseorang bersumpah dengan sesuatu selain Allah, nama-nama Allah atau sifat-sifat Allah, sumpahnya bukan sahaja tidak sah tetapi dia telah menyekutukan Allah. Ini adalah dosa syirik yang tidak akan diampuni oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala jika orang itu tidak bertaubat. Hadis berikut menjadi rujukan:

Ibn ‘Umar (radhiallahu ‘anhuma) mendengar seorang lelaki bersumpah: “Tidak, demi Ka’bah!” Lalu Ibn ‘Umar berkata kepadanya: “Aku mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa yang bersumpah dengan selain Allah, maka dia telah berbuat syirik.”

Kalimah نَجْمِ merujuk kepada bintang di langit yang manusia boleh lihat – jelas kelihatan di malam hari. Bintang-bintang itu digunakan sebagai penunjuk arah kepada bangsa Arab yang selalu mengembara waktu malam. Oleh itu, salah satu sifat bintang itu adalah sebagai ‘penunjuk di dalam kegelapan’ malam.

Bagaimana pula kaitannya dengan Al-Qur’an? Ianya adalah isyarat kepada Al-Qur’an yang memberi petunjuk kepada kaum yang berada di dalam kegelapan iman.

Apabila ditambah dengan ال, maka ia merujuk kepada satu bintang spesifik. Maka kerana itu ada pendapat yang mengatakan yang bintang ini adalah Bintang Suraya. Kerana ianya adalah bintang yang dikenali oleh masyarakat Arab.

Kalimah هَوَىٰ adalah apabila bintang hilang dari langit, tak nampak lagi (terbenam). Apabila matahari keluar, bintang sudah tidak kelihatan lagi. Ianya akan terjadi setiap hari. Perkataan هَوَىٰ ini selalunya digunakan untuk mengungkapkan objek-objek di langit yang terbenam.

Lagi satu, bintang itu akan jatuh apabila ia digunakan untuk menembak syaitan-syaitan yang cuba untuk mendengar rahsia-rahsia dari langit. Ini seperti yang disebut dalam surah Mulk:5

وَلَقَدْ زَيَّنَّا السَّمَاءَ الدُّنْيَا بِمَصَابِيحَ وَجَعَلْنَاهَا رُجُومًا لِلشَّيَاطِينِ ۖ وَأَعْتَدْنَا لَهُمْ عَذَابَ السَّعِيرِ
Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit yang dekat (langit dunia) dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu sebagai rejaman terhadap syaitan-syaitan; dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang.

Jadi dalam potongan ayat pertama Surah Najm ini, Allah bersumpah dengan bintang untuk memberitahu kepada kita satu perkara yang penting yang akan disebutkan selepas ini. Macam kita juga, apabila hendak menekankan sesuatu perkara yang penting, kita akan kata sebagai contoh: “demi Allah, aku tak tipu, aku cakap benar ni!”.

Allah menggunakan bintang sebagai sumpahNya dalam ayat ini. Bintang adalah satu elemen penting dalam kehidupan orang Arab. Mereka suka melihat bintang. Mereka tidak ada TV nak tonton, supermarket untuk pergi jalan-jalan, internet nak dilayari. Maka, bintanglah yang mereka tenung malam-malam hari untuk mengisi masa lapang mereka. Maka, Allah menggunakan bintang sebagai sumpah kerana ianya penting kepada bangsa Arab.

Pada zaman itu, seperti juga zaman sekarang, ada Kaahin (tukang tenung) yang membaca nasib manusia dengan membaca bintang. Zaman sekarang pun ada juga, tapi lagi senang sekarang mereka boleh tengok suratkhabar dan tengok zodiak mereka. Ada Sagittarius, Pisces dan sebagainya. Mereka tengok ramalan nasib itu sebab nak tahu sama ada mereka akan bernasib baik atau tidak, dan sebagainya. Ini adalah syirik kerana nasib tidak ditentukan oleh bintang.

Malangnya ramailah budak-budak kita yang tertipu. Pada zaman Nabi pun memang sudah ada yang baca bintang ini. Mereka pun ada yang menuduh Nabi Muhammad sebagai ahli nujum atau kaahin juga. Mereka tuduh Nabi Muhammad mendapat maklumat dari bintang juga. Itulah Allah menyentuh hal bintang dalam ayat pertama ini.

Ataupun, mereka ada juga menuduh Nabi mendapat maklumat dari jin-jin yang kononnya menjaga bintang itu. Mana mungkin itu terjadi. Sedangkan kalau jin-jin itu cuba mendapatkan maklumat dari langit pun, mereka akan kena lempar dengan bintang-bintang itu seperti yang disebut dalam Surah al-Mulk.


 

Ayat 2: Inilah perkara penting yang Allah hendak sebutkan sampaikan Allah bersumpah dengan bintang. Tujuan sumpah adalah untuk memberitahu sesuatu perkara yang penting. Jadi apakah yang Allah hendak tekankan?

ما ضَلَّ صاحِبُكُم وَما غَوىٰ

Sahih International

Your companion [Muhammad] has not strayed, nor has he erred,

Malay

Rakan kamu (Nabi Muhammad yang kamu tuduh dengan berbagai tuduhan itu), tidaklah dia menyeleweng (dari jalan yang benar), dan dia pula tidak sesat (dengan kepercayaan yang salah).

 

Kalimah ضَلَّ bermaksud sesat yang disebabkan oleh kejahilan. Iaitu apabila sudah cari tapi tak jumpa. Jadi Allah menekankan dalam ayat ini  yang tidaklah Nabi Muhammad itu sesat setelah mendapat wahyu. Tidaklah Nabi itu seorang yang jahil. Memang baginda telah mencari-cari kebenaran dan apa yang baginda dapat itu adalah kebenaran.

Kalimah غَوَىٰ pula bermaksud terpesong atau keliru. Tidaklah juga baginda terpesong daripada jalan yang benar. Ia juga bermaksud sesat setelah sudah tahu kebenaran tapi tolak untuk menerimanya. Baginda tidaklah juga begitu. Jadi ada sedikit perbezaan antara ضَلَّ dan غَوَىٰ. Apabila wahyu diberikan kepada baginda tentang tauhid, baginda menerimanya dengan rela.

Ayat ini bermaksud, apa-apa sahaja yang Nabi Muhammad sampaikan kepada kita adalah berdasarkan panduan daripada Allah. Ianya berdasarkan ilmu dari Allah dan juga hidayah yang diberikan oleh Allah. Maka tentulah kita tidak akan tersesat kalau pegang ajaran dari baginda.

Tidaklah Al-Qur’an itu menyesatkan dan memesongkan manusia. Malangnya, kadang-kadang ada antara kita yang telah belajar tafsir Al-Qur’an dan juga belajar hadis Nabi, tetapi masih juga terpesong. Itu adalah mereka yang belajar bukan kerana hendak mendapat petunjuk, tapi mungkin kerana hendakkan ilmu supaya mereka boleh berlagak dengan orang lain.

Dalam ayat ini, perkataan صَاحِبُكُمْ – sahabat kamu – digunakan. Allah tidak mengatakan “Nabi Muhammad itu tidak sesat dan tidak keliru”, tapi Allah gunakan perkataan صَاحِبُكُمْ untuk merujuk kepada baginda. Kenapakah begitu?

Perkataan صَاحِبُكُمْ dari perkataan صحب yang bermaksud seseorang yang telah tinggal lama dengan kita. Yang kita memang kenal siapa dia, dan apakah perangainya kerana telah lama kita kenal.

Digunakan perkataan صَاحِبُكُمْ dalam ayat ini untuk mengingatkan kepada Musyrikin Mekah bahawa mereka telah lama kenal dan hidup dengan Nabi Muhammad. Bukan mereka baru kenal baginda semalam tetapi telah 40 tahun baginda tinggal bersama mereka. Mereka pun tahu bagaimana sifat Nabi Muhammad yang amanah dan tidak pernah menipu. Sampaikan mereka menggelar baginda dengan panggilan alAmin (yang amanah).

Sekarang Allah tempelak mereka: Kenapa dulu mereka menggelarnya al-Amin tetapi apabila baginda membawakan agama yang benar, kenapa mereka menggelar baginda al-kaazib – (penipu) pula? Ini adalah satu perkara yang menghairankan.

Dan Allah mengingatkan kepada puak Musyrikin yang Nabi Muhammad itu adalah sahabat mereka dan apabila kita dengan sahabat, sepatutnya dibantu oleh sahabatnya yang lain, bukannya macam yang dilakukan oleh Musyrikin Mekah itu. Mereka bukan sahaja tidak membantu baginda, tapi mereka menentang baginda pula. Allah mengingatkan mereka bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah salah dan tak kena langsung.


 

Ayat 3:

وَما يَنطِقُ عَنِ الهَوىٰ

Sahih International

Nor does he speak from [his own] inclination.

Malay

Dan dia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan ugama Islam) menurut hawa nafsunya sendiri.

 

Takkanlah Nabi Muhammad itu sesat kerana baginda bukannya berkata dari hawa nafsu dirinya sendiri tetapi baginda dipandu sendiri oleh Allah. Kata-kata Nabi sama ada dalam bentuk Al-Qur’an ataupun dalam bentuk hadis, bukanlah dari hawa nafsunya tetapi ianya adalah dari Allah.

Kerana itu kita katakan kata-kata Nabi sebagai ‘sabda’ yang bererti wujud dari lafaz baginda itu ‘makna agama’. Bukan cakap kosong sahaja, tapi ada nilai agama. Kalau untuk Allah, kita gunakan kalimah ‘firman’ pula. Digunakan dua terma itu untuk membezakan mana kalam Allah dan mana kalam Rasul.

Maka Nabi berkata tentang agama dengan wahyu dan panduan dari Allah. Ini berlainan dengan Musyrikin Mekah yang berkata dari hawa nafsu mereka sahaja.

Tapi kalam baginda ada banyak, bukan? Maka kita boleh bahagikan kata-kata Nabi Muhammad itu kepada tiga jenis. Yang pertama adalah kata-kata dalam bentuk Al-Qur’an yang tentunya hanya daripada Allah sahaja.

Yang keduanya adalah kata-katanya dalam bentuk Sunnah ataupun hadis dan itu juga bukanlah dari hawa nafsunya. Kata-kata Nabi dalam bentuk Sunnah itu adalah untuk memperjelaskan apa yang telah disebut di dalam Al-Qur’an. Dengan cara kita dengar dan lihat amalan baginda, kita dapatlah tahu bagaimana mengamalkan Al-Qur’an.

Yang ketiganya, ada juga kata-kata Nabi yang berbentuk ijtihad ataupun dari pemikiran baginda berdasarkan pengetahuan dan fikiran baginda yang sihat. Kita kena ingat bahawa baginda sebagai seorang Nabi telah diberikan dengan akal fikiran yang bijak. Walaupun ianya adalah ijtihad baginda, tapi itu pun bukanlah daripada hawa nafsu baginda. Nabi Muhammad tidaklah sama seperti kita, kerana kita sebagai manusia, kadang-kadang berkata dari hawa nafsu kita sahaja.

Dan kalau kata-kata Nabi yang berasaskan kepada ijtihad itu salah, Allah akan memperbetulkan kata-kata baginda itu dengan diturunkan wahyu. Ada banyak insiden yang kita dapat tahu daripada hadis yang sampai kepada kita, bagaimana Allah telah memperbetulkan kata-kata Nabi Muhammad kalau ianya salah.

Sebagai contoh, pernah seorang lelaki bertanya kepada Nabi, jikalau beliau mati dalam jihad Fisabilillah, adakah beliau akan masuk syurga? Nabi Muhammad beritahu kepada lelaki itu ‘ya’. Semasa lelaki itu sedang bergerak pergi, Nabi Muhammad telah memanggil balik lelaki itu. Kerana Jibril telah memberitahu baginda bahawa orang yang mati pada jalan Allah akan masuk syurga, kecuali mereka yang ada hutang (tidak terus masuk syurga tapi rohnya akan tergantung-gantung).

Nabi Muhammad tidak reka agama, semua perkara yang Nabi Muhammad sebut dengan mulut baginda itu adalah wahyu dari Allah. Maka kata-kata baginda ada nilai sabdaan. Kita pun apabila menyebut balik kata-kata baginda, kita kata: “Rasulullah bersabda….”

Oleh itu, jikalau apa yang Nabi kata itu bukan daripada hawa nafsu baginda, maka kita hendaklah mengambil serius kata-kata baginda itu dan tidak mempersoalkannya lagi. Tidaklah boleh kita berfikir atau mempersoalkan sama ada kata Nabi itu benar ataupun tidak. Kita kena terima sebagai satu kebenaran. Ada satu hadis untuk menjelaskan perkara ini:

قال عبد الله بن عمرو ـ رضي الله عنه: كنت أكتب كل شيء أَسْمَعُهُ مِنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُرِيدُ حِفْظَهُ، فَنَهَتْنِي قُرَيْشٌ، فَقَالُوا: إِنَّكَ تَكْتُبُ كُلَّ شَيْءٍ تَسْمَعُهُ مِنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَرَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَشَرٌ يَتَكَلَّمُ فِي الْغَضَبِ وَالرِّضَا، فَأَمْسَكْتُ عَنِ الْكِتَابِ، فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ فَقَالَ: اكْتُبْ، فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ مَا خَرَجَ مِنِّي إِلَّا حَقٌّ. رواه أحمد في المسند وأبو داود في السنن.

Abdullah bin Amr, ra berkata: Aku menulis semua yang aku dengar dari Rasul Allah SAW kerana aku mahu menyimpannya, maka ada orang Quraisy (mereka pun orang Islam juga) yang melarangku, mereka berkata: Kamu menulis semua yang kamu dengar daripada Rasulullah SAW, sedangkan Rasulullah SAW itu seorang manusia, yang kadang-kadang bercakap dalam kemarahan dan rasa tidak puas hati, maka aku berhenti dari menulisnya. Aku kemudiannya telah menyatakan perkara ini kepada Rasulullah SAW. Baginda berkata: tulislah, demi jiwaku yang di tanganNya, tidaklah yang keluar dariku melainkan haq. Diriwayatkan oleh Ahmad dalam al-Musnad dan Sunan Abu Daud dalam Sunannya.

Tidaklah Nabi salah di dalam memperkatakan tentang hal agama. Cuma kalau kita lihat ada perbezaan di dalam hadis-hadis yang kita baca, itu adalah kerana kesilapan perawi. Atau, kadangkala kita tidak faham apakah yang baginda maksudkan. Maka ini memerlukan pembelajaran khusus tentang hadis Nabi.


 

Ayat 4:

إِن هُوَ إِلّا وَحيٌ يوحىٰ

Sahih International

It is not but a revelation revealed,

Malay

Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Qur’an atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.

 

Jadi, tidak boleh ada keraguan dalam diri kita tentang apa yang Nabi katakan itu mungkin salah atau baginda menipu atau baginda keliru. Semua itu pasti tidak ada. Kerana tugas baginda adalah untuk mengajar kita tentang agama dan Allah tidak akan benarkan Nabi mengajar perkara yang salah. Kita kena yakin bahawa segala suruhan yang Nabi sampaikan kepada kita adalah benar dan kita kenalah mengikutinya.

Ayat ini juga sebagai dalil untuk menyatakan bahawa hadis dari Nabi pun adalah ‘wahyu’ juga. Bukanlah hanya Al-Qur’an sahaja yang dinamakan wahyu. Tapi tidaklah boleh kita baca hadis itu dalam solat kita pula. Hanya wahyu dalam bentuk Al-Qur’an sahaja yang boleh dibaca dalam Solat.

Ayat ini juga mengingatkan kita yang hadis juga adalah wahyu dari Allah. Maka, tidaklah boleh kalau kita tidak jumpa apa-apa hukum dalam Al-Quran, kita kata: “mana ada Qur’an cakap begitu? Tunjukkan kat aku yang Al-Qur’an ada cakap begitu..” Kadang-kadang hukum itu tidak ada dalam Al-Qur’an, tapi ada dalam hadis. Dan kalau dalam hadis, ianya masih lagi hukum dalam syariat, kerana ianya adalah wahyu juga.


 

Ayat 5: Setelah diberitahu yang Nabi Muhammad bersabda berdasarkan wahyu, maka timbul soalan: bagaimana baginda dapat wahyu itu?

Maka Allah menceritakan tentang Jibril yang membawakan wahyu kepada Nabi Muhammad. Jibril adalah ketua malaikat yang dipilih oleh Allah untuk menyampaikan wahyu kepada para Nabi. Jadi Allah hendak menceritakan tentang sifat-sifat Jibril. Beliau adalah wakil bagi para malaikat. Beliau juga diberi pangkat ‘Rasul’ oleh Allah.

عَلَّمَهُ شَديدُ القُوىٰ

Sahih International

Taught to him by one intense in strength –

Malay

wahyu itu (disampaikan dan) diajarkan kepadanya oleh (malaikat jibril) yang amat kuat gagah, –

 

‘Yang sangat kuat’ yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah malaikat Jibril. Jibrillah yang membawakan wahyu kepada para Nabi. Dan apa yang Jibril bawa itu adalah arahan daripada Allah dan bukan dari dirinya sendiri.

Dalam ayat ini, perkataan عَلَّمَ (mengajar) yang digunakan. Maknanya, Jibril bukan sahaja menyampaikan wahyu itu tetapi Jibril telah mengajarnya kepada Nabi Muhammad. Sebagai contoh, apabila Jibril memberitahu tentang sembahyang kepada Nabi Muhammad, bukanlah beliau hanya memberitahu Nabi kena solat sahaja, tetapi beliau juga memberitahu cara-cara untuk mengerjakannya dan juga waktu-waktu solat itu.

Ayat ini mengajar kepada kita bahawa ilmu agama ini perlu dipelajari. Nabi Muhammad pun ada guru dan guru Nabi adalah Jibril. Bukanlah agama ini boleh didapati dengan hanya membaca sahaja. Kerana kalau kita membaca sahaja, ada perkara-perkara yang kita tidak faham yang memerlukan kita untuk bertanya kepada mereka yang boleh menjelaskannya. Itulah sebabnya adalah baik kita berguru dengan guru yang boleh mengajar kita.

Oleh itu saya mengajak anda semua yang membaca penulisan ini untuk menghadiri kelas pengajian tafsir Al-Qur’an di mana-mana. Kerana tentunya semasa anda membaca penulisan ini terdapat banyak persoalan-persoalan yang timbul di hati anda yang memerlukan jawapan. Kita memang memerlukan guru untuk mengajar kita kerana lihatlah bagaimana Nabi Muhammad pun telah diberikan seorang guru oleh Allah Taala.

Ayat ini juga menceritakan satu sifat Jibril itu. Iaitu Jibrail itu mempunyai kekuatan yang hebat. Sebagai contoh, kita telah diberitahu bahawa penerimaan wahyu itu amat berat kepada Nabi Muhammad. Kalau Nabi Muhammad mempunyai kepayahan yang susah untuk menerima wahyu itu, sampaikan kalau baginda sedang duduk atas unta, unta itu pun terduduk kerana beratnya wahyu itu, bayangkan Jibril yang membawanya dari Baitul Izzah kepada Nabi Muhammad. Ianya satu perjalanan yang amat jauh. Maknanya, Jibril itu kuat benar.

Kita juga telah belajar di dalam sirah bagaimana Jibrillah yang telah mengangkat tempat tinggal kaum Luth ke langit dan menghempaskannya kembali ke bumi. Tentulah kerja itu memerlukan kekuatan yang amat hebat.

Begitu juga ada diberitahu di dalam ayat-ayat lain bagaimana pekikan daripada Jibril itu sampai boleh menghancurkan satu kaum. Sebagai contoh, dalam ayat Yaasin:28-29, telah diceritakan bagaimana pekikan Jibrillah yang mematikan penduduk Antokiah semuanya.

Begitulah hebatnya Al-Qur’an itu. Ianya diberikan kepada seorang manusia yang paling afdhal dan paling hebat dan yang menyampaikannya pula adalah juga makhluk Allah yang amat hebat, iaitu Jibril.

Dalam hadis ada diberitahu bagaimana Jibril itu amat kuat dan mulia, sampaikan malaikat lain pun takut dan hormat kepada baginda. Kalau malaikat pun takut kepada Jibril, apatah lagi syaitan, bukan?

Dalam masa yang sama, ada hadis yang mengatakan apabila Jibril membawa turun ayat-ayat Al-Qur’an, baginda ditemani oleh malaikat-malaikat lain, sampaikan ada sampai beratus-ratus malaikat yang mengiringinya.

Ada yang jahil mengatakan bahawa malaikat-malaikat itu turun menemani Jibril sebagai pengawal kepada Jibril, takut Al-Qur’an itu kena curi. Itu adalah pendapat yang amat salah sekali. Kerana Jibril itu adalah makhluk Allah yang amat kuat. Tiada makhluk lain yang dapat kacau beliau buat kerja.

Maka sebenarnya, malaikat yang ramai turun sekali itu adalah kerana sebagai penghormatan kepada ayat-ayat Al-Qur’an yang diturunkan. Bukan sebab nak tolong bantu beri bantuan keselamatan kepada Jibril.

Ini penting untuk difahami kerana kalau kita tidak dapat terima yang Jibril itu kuat, maka ada kemungkinan ada yang kata ada syaitan yang curi wahyu dari Jibril pula. Ini memang tidak pernah berlaku kerana kehebatan Jibril.


 

Ayat 6: Masih lagi tentang Jibril dan sifatnya yang kedua.

ذو مِرَّةٍ فَاستَوىٰ

Sahih International

One of soundness. And he rose to [his] true form

Malay

Lagi yang mempunyai kebijaksanaan; kemudian dia memperlihatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad) dengan rupanya asal, –

ذو مِرَّةٍ

Lagi yang mempunyai kebijaksanaan

Ada tiga terjemahan bagi kalimah مِرَّةٍ ini:

1. Perkataan مِرَّةٍ bermaksud kekuatan tubuh yang amat kuat dan tidak dapat dikalahkan.

2. Perkataan مِرَّةٍ bermaksud ‘kekuatan’ lebih-lebih lagi ‘kekuatan akal’. Jibril bukan sahaja mempunyai kekuatan tubuh tetapi juga mempunyai kekuatan mental yang tinggi. Sangat kuat mengingat. Maksudnya bukanlah Jibril ada tertinggal untuk memberi tahu hal agama kepada Nabi Muhammad kerana terlupa atau tak faham bagaimana nak sampaikan.

3. Perkataan مِرَّةٍ juga bermaksud ‘molek untuk dilihat’. Ini bermaksud Jibril hadir kepada Nabi dalam rupa yang cantik dan indah. Sebab itu, walaupun Jibril menunjukkan dirinya yang asal dengan besarnya dan dengan 600 sayapnya, tetapi tidaklah rupanya itu menakutkan Nabi malah ianya mempersonakan Nabi Muhammad.

 

فَاستَوىٰ

kemudian dia memperlihatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad) dengan rupanya asal

Perkataan اسْتَوَىٰ bermaksud berdiri tegak. Maknanya Jibril datang bertemu Nabi dalam bentuknya yang lengkap dan asal. Ini adalah kali pertama Nabi Muhammad melihat Jibril dalam keadaan asalnya.

Nabi Muhammad dapat melihat Jibrail dengan segala kebesarannya. Baginda dapat melihat Jibril mempunyai 600 sayap. Dan setiap satu sayap boleh menutupi timur dan barat.


 

Ayat 7: Dalam riwayat hadis ada disebut Rasulullah melihat rupa asal Jibril dua kali: pertama kali ketika pertama kali Jibril menyampaikan wahyu. Dan inilah ayat tentangnya.

وَهُوَ بِالأُفُقِ الأَعلىٰ

Sahih International

While he was in the higher [part of the] horizon.

Malay

Sedang dia berada di arah yang tinggi (di langit);

 

Semasa Nabi Muhammad menerima wahyu yang pertama dan baginda didatangi oleh Jibril, Jibril waktu itu menjelma dalam rupanya yang asal dan dia berada di ufuk yang tinggi.

Ufuk yang tinggi itu bermaksud tidaklah tinggi sangat kerana kalau tinggi, Nabi Muhammad kena dongak pula. Tapi ia bermaksud yang Nabi Muhammad dapat melihat keseluruhan Jibril tanpa perlu mendongak pun.

Perkataan ‘ufuk’ adalah garisan di mana kita melihat langit dan bumi bertemu. Itulah tempatnya kita melihat matahari terbit dan terbenam setiap hari. ‘Ufuk yang tinggi’ bermaksud tubuh Jibril memenuhi ufuk itu sampaikan menutupi segala-galanya.


 

Ayat 8:

ثُمَّ دَنا فَتَدَلّىٰ

Sahih International

Then he approached and descended

Malay

Kemudian dia mendekatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad), lalu dia mendekat sedikit demi sedikit,

 

Kalimah دَنَا bermaksud Jibril mendekati Nabi Muhammad dengan turun perlahan-lahan. Kalau turun dengan cepat, nampak macam nak menyerang pula. Maka kedatangan Jibril mendekati itu dalam keadaan aman dan tenang sahaja.

Kalimah فَتَدَلَّىٰ bermaksud Jibril turun. Ianya dari katadasar د ل و yang bermaksud ‘timba’. Ia bermaksud timba yang diturunkan sedikit demi sedikit ke dalam perigi.

Selepas Jibril menampakkan dirinya dalam rupanya yang besar, Jibril kemudian telah turun mendekati Nabi Muhammad sambil mengecilkan dirinya. Kemudian Jibril datang berjalan mendatangi Nabi. Maknanya semakin merupai manusia sedikit demi sedikit. Mulanya dalam bentuk asal dia, tapi semakin datang dekat, semakin menjadi rupa manusia.


 

Ayat 9:

فَكانَ قابَ قَوسَينِ أَو أَدنىٰ

Sahih International

And was at a distance of two bow lengths or nearer.

Malay

Sehingga menjadilah jarak (di antaranya dengan Nabi Muhammad) sekadar dua hujung busaran panah, atau lebih dekat lagi;

 

Kalimah قَابَ adalah jarak antara tengah panah ke hujung – setengah panah. Oleh itu, perkataan قَابَ قَوْسَيْنِ bermaksud jarak sepanjang satu panah. Menunjukkan bahawa kedudukan Jibril dan Nabi Muhammad adalah amat dekat. Dalam riwayat hadis, ada disebut jaraknya adalah ‘dua hasta’.

Kalimat قَابَ قَوْسَيْنِ juga adalah pepatah Arab yang digunakan untuk menyatakan dua kaum yang bersatu. Sebagai satu upacara untuk menyatakan penyatuan mereka, seorang lelaki dari setiap puak itu akan datang ke hadapan dengan busur masing-masing. Kemudian mereka akan merapatkan busur mereka, dan memanah menggunakan satu anak panah. Maknanya, mereka berdiri bersentuhan bahu. Itu adalah sebagai simbol bahawa kaum mereka telah bersatu.

Jadi, kalau perkataan قَابَ قَوْسَيْنِ itu diambil daripada pepatah Arab itu, ini bermaksud bahawa Nabi Muhammad dan Jibril telah bersentuhan antara satu sama lain. Maknanya kedudukan Jibril amat dekat dengan Nabi Muhammad. Sebab itu telah diceritakan bagaimana Jibril telah mendakap Nabi kerana mereka memang berdekatan.

Kenapa Jibril perlu berdekatan dengan Nabi? Kerana semakin dekat kita dengan seseorang, semakin senang untuk kita menyampaikan sesuatu.

أَبُو إِسْحَاقَ الشَّيْبَانِيُّ قَالَ سَأَلْتُ زِرَّ بْنَ حُبَيْشٍعَنْ قَوْلِ اللَّهِ تَعَالَى{ فَكَانَ قَابَ قَوْسَيْنِ أَوْ أَدْنَى فَأَوْحَى إِلَى عَبْدِهِ مَا أَوْحَى }قَالَ حَدَّثَنَا ابْنُ مَسْعُودٍ أَنَّهُ رَأَى جِبْرِيلَ لَهُ سِتُّ مِائَةِ جَنَاحٍ

Abu Ishaq asy-Syaibaniy berkata; Aku bertanya kepada Zirra bin Hubaisy tentang firman Allah Ta’ala dalam an-Najm ayat 9-10: “Fa kaana qaaba qausaini aw adnaa. Fa awhaa ilaa ‘abdihii maa awhaa” (“Maka jadilah dia dekat (pada Muhammad sejarak) sedekat dua ujung busur panah atau lebih dekat (lagi). Lalu dia menyampaikan kepada hamba-Nya (Muhammad) apa yang telah Allah wahyukan”). Dia berkata, telah bercerita kepada kami Ibnu Mas’ud, bahawa baginda shallallahu ‘alaihi wasallam telah melihat Jibril yang memiliki enam ratus sayap”.  (Bukhari, Muslim).

 

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 27 Mac 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s