Syarah Usul Tafsir Fawzul Kabir Shah Waliyullah – Asbabun Nuzul

PENTAFSIRAN AYAT QUR’AN TIDAK PERLU KEPADA ILMU ASBABUN NUZUL

Untuk penafsiran setiap ayat, tidak berhajat kepada Asbabun Nuzul (sebab berlaku penurunan ayat). Shah Waliyullah kata ‘setiap ayat’ tidak memerlukan asbabun nuzul, akan tetapi ada juga ayat yang memerlukan asbabun nuzul.

Cuma, tidaklah semua ayat kita kena tahu asbabun nuzul dia baru boleh tafsir. Kebanyakan ayat tidak memerlukan kita tahu asbabun nuzulnya. Kerana kadang-kadang tidak ada pun asbabun nuzul sesuatu ayat itu. Memang tidak banyak asbabun nuzul yang sahih.

Cuma memang ada ahli tafsir yang mementingkan asbabun nuzul dalam penafsirannya. Tapi masalahnya, bila begitu, sampaikan ada asbabun nuzul yang tidak sahih pun dimasukkan. Masalahnya kalau begitu, akan berlaku kesilapan dalam memahami ayat al-Qur’an.

Menekankan penggunaan asbab nuzul akan menyempitkan penafsiran al-Qur’an yang luas. Sedangkan pemahaman ayat al-Qur’an boleh difahami dengan kaedah lafaz umum. Ia tidak dibatasi dengan asbabun nuzul. Tapi orang yang tidak faham dan tidak belajar usul tafsir, mereka sibuk hendak tahu apakah asbabun nuzul sesuatu ayat itu. Mereka tidak sedar yang mereka telah menyempitkan pemahaman makna al-Qur’an itu kerana terlalu terikat dengan asbabun nuzul. Sedangkan ada asbabun nuzul itu tidak terikat dengan pemahaman ayat. Lebih menjadi masalah apabila asbabun nuzul itu sendiri tidak sahih.

Dalam konteks pemahaman makna ayat-ayat, dikenal luas kaedah yang menyatakan: Dasar dalam memahami makna ayat adalah lafaznya yang bersifat umum, bukan sebabnya yang khusus.

Kita kena tahu tujuan asal penurunan al-Qur’an ada 3 iaitu:

a) Menyucikan jiwa manusia daripada godaan hawa nafsu, penyakit-penyakit hati.
b) Melenyapkan fahaman-fahaman batil. Antara fahaman batil adalah menggunakan roh yang telah mati sebagai perantara dalam berdoa. Fahaman ini selalunya dalam minda sahaja dan tidak dizahirkan. Maka kena belajar tafsir al-Qur’an untuk dibongkar kesalahan fahaman ini.
c) Menolak perbuatan dan amalan salah. Termasuk tradisi dan budaya salah yang diamalkan oleh manusia.

Jadi usaha memahami al-Qur’an adalah berfokus kepada tiga tujuan di atas. Dan ayat-ayat al-Qur’an untuk menangani tiga perkara di atas:

Oleh kerana adanya fahaman-fahaman batil lah yang menyebabkan turunnya ayat-ayat jadali (perbahasan).

Oleh kerana adanya amal-amal buruk lah dan kerana tersebarnya kezaliman di antara hamba, menyebabkan turunnya ayat-ayat Ahkaam. Kerana ia mengandungi peraturan yang menjadikan manusia adil. Barulah manusia adil ikut kehendak Allah.

Dan kerana tiada kesedaran dan keyakinan manusia tentang sifat-sifat kesempurnaan Allah, peristiwa-peristiwa yang Allah adakan, tentang kematian dan hal-hal selepasnya, maka turunlah ayat-ayat tazkeer (ayat-ayat peringatan).

 

KRITIKAN TERHADAP BANYAKNYA KISAH-KISAH YANG TIDAK PENTING

Ada kitab tafsir mengandung banyak kisah-kisah yang tidak penting untuk menyokong pentafsiran al-Qur’an. Terdapat mufassir yang bersungguh-sungguh menjelaskan kisah-kisah atau hal yang kurang penting tetapi disalah-anggap sebagai penting dan perlu.

Bukan semua kisah perlu diperincikan tetapi pilihlah saja beberapa kisah yang ada isyarat daripada al-Qur’an tentang penting atau tidak kisah tersebut. Iaitu yang berkenaan peristiwa yang berlaku pada zaman Nabi. Contohnya peristiwa pembelahan bulan. Atau dalam Surah Dukhan berkenaan kemarau yang terjadi.

Mungkin juga ada perkara yang perlu dijelaskan sebelum zaman Nabi. Sebagai contoh permusuhan di kalangan orang Ansar sebelum mereka masuk Islam. Maka kena dikisahkan apakah yang terjadi pada masa dahulu. Kena ceritakan balik bagaimana permusuhan mereka pada waktu itu. Atau kisah Ashabil Fil. Pendek sahaja disebut dalam al-Qur’an.

Maka kisah-kisah sebegini perlu disampaikan. Kerana kalau tidak, pembaca dan pendengar al-Qur’an akan tertunggu-tunggu apakah kisah itu. Sebab isyarat tentangnya sudah ada diberi dalam ayat-ayat, tapi mana latar belakang dan penyudahan kisah itu?

Terdapat pula tuan punya kitab tafsir yang memasukkan pelbagai kisah israiliyat yang tak dipastikan sahih atau tidak. Tujuannya hanya untuk mengumpul kisah berkaitan. Maka kita tidak boleh sangat nak salahkan penulis kitab. Kerana mereka sudah berusaha untuk mengumpulkan ilmu. Mereka tidak sempat hendak menilai sama ada sahih atau tidak. Maka orang yang kemudianlah yang perlu buat kerja penapisan itu.

Dan ini memang kerja yang amat penting. Kerana ada pentafsiran yang memang perlukan kisah sokongan. Tetapi keperluan ini tidaklah banyak tempat dan ada isyaratnya. Jadi kena ada usaha untuk tapis sumber-sumber yang ada. Kena buatkan tapisan supaya keluarkan asbabun nuzul yang sahih dan perlu sahaja.

Bukan setakat ‘sahih’ sahaja, tapi yang ‘perlu’ juga. Kerana sudah ada kitab-kitab yang senaraikan kisah yang sahih. Tapi bukan semua yang perlu untuk memahami ayat-ayat al-Qur’an. Kena tengok isyarat yang ada pada ayat itu sendiri.

Sambung ke perbincangan yang seterusnya.

 

Syarah disampaikan oleh Maulana Hadi

Kemaskini: 24 Mei 2021

Al Fauzul Kabeer fi Usoolit Tafseer by Shah Waliullah

al-fauz-al-kabir-english-by-jalbani-1-pdf

Nota Peta Minda

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s