Pengenalan kepada Surah Sad
Di dalam surah ini Allah hendak memberitahu golongan Nabi dan Wali itu yang disembah dan diseru oleh manusia musyrik itu juga ada dikenakan dengan ujian dan masalah dan mereka pun diuji oleh Allah. Maka kalau mereka juga diuji dan tertakluk kepada kehendak Allah, maka tidak patut mereka itu disembah dan diseru.
Dalam surah ini nanti kita akan belajar bagaimana ada para Nabi yang mengalami masalah seperti sakit dan selepas itu mereka semua berdoa terus kepada Allah mengharapkan bantuan Allah. Ini mengajar kita, kalau para Nabi pun begitu juga, maka tentulah para wali pun lebih-lebih lagi. Maka mereka sendiri tidak ada kuasa, maka kenapa nak minta tolong kepada mereka?
Kekeliruan manusia adalah kerana mereka dengar bahawa para Nabi itu ada mukjizat dan para wali itu mendapat karamah, dan mereka sangka ada kelebihan kepada para Nabi dan Wali itu kerana ada mukjizat dan karamah itu. Sedangkan kita kena faham bahawa kelebihan mukjizat dan karamah itu hanya terjadi apabila Allah hendak ia berlaku dan bukan apabila ada kehendak dari Nabi dan wali itu. Maknanya, Nabi dan wali tidak ada kuasa untuk menjadikan mukjizat dan karamah.
Orang yang jahil dari wahyu sangka bahawa kalau para Nabi dan wali itu ada kelebihan semasa hidup, maka tentu apabila mereka mati, kelebihan itu bertambah lagi. Oleh kerana salah faham ini, maka golongan musyrik itu telah seru Nabi dan wali tanpa bukti dan dalil yang membenarkan.
Fahaman dan perbuatan mereka itu berdasarkan sangkaan sahaja kerana mereka jauh dari wahyu. Allah nafikan salah faham mereka. Mana boleh gunakan konsep ‘agak-agak’ dalam agama. Amalan agama tentu memerlukan dalil.
Oleh itu, kita tahu bahawa masalah ini terjadi kerana mereka itu jauh dari wahyu. Kerana itu mereka senang tertipu oleh syaitan yang sentiasa mengambil peluang terhadap orang yang jahil. Yang faham wahyu Al-Qur’an tidak senang ditipu dan kerana itu kita mengajak sangat orang belajar tafsir Al-Qur’an ini.
Asal surah ini diturunkan kepada Arab Mekah. Kerana itulah bahasa yang digunakan pun tinggi kerana layak untuk mereka. Ini adalah kerana mereka adalah orang sastera. Oleh kerana mereka sepatutnya faham, maka mereka sepatutnya senang fikir dan terima ajaran Al-Qur’an ini.
Allah juga gunakan bahasa yang indah-indah supaya mereka tertarik untuk mendengar apa yang hendak disampaikan dalam Al-Qur’an ini. Ini kerana mereka orang bahasa dan tentu boleh menghargai Al-Qur’an yang menggunakan bahasa yang tinggi ini.
Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 8 perenggan makro. Ayat 1 – 16 adalah Perenggan Makro Pertama dan ia adalah pendahuluan bagi surah ini.
Ia mengandungi Dalil Tauhid Tuhan Yang Satu.
Peringatan tentang kaum-kaum terdahulu yang sombong dan mendustakan para Rasul telah pupus binasa.
Nabi Muhammad ditentang keras oleh Musyrikin Makkah.
ALLAH berikan beberapa kisah Nabi-nabi terpuji yang terdahulu sebagai penguat semangat Rasulullah.
ص ۚ وَالقُرءآنِ ذِي الذِّكرِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Ṣād: (the letter) ṣād.
Ṣād.¹ By the Qur’ān containing reminder…²
- See footnote to 2:1.
- The completion of the oath is understood to be that the Qur’ān is inimitable and thus a miracle from Allāh.
(MELAYU)
Shaad, demi Al-Qur’an yang mempunyai peringatan.
Surah ini dimulai dengan Huruf Muqattaah yang kita telah banyak kali tafsirkan dalam surah-surah yang lain. Ringkasnya kita tidak tahu apakah maksudnya dan kerana itu kita tidak boleh menafsirnya. Kita biarkan sahaja ia begitu kerana kita tidak cukup ilmu untuk menafsirkan.
Ayat ini adalah ayat Qosam (sumpah) dimana Allah bersumpah dengan Al-Qur’an.
Allah memberitahu kepada kita yang Al-Qur’an ini mengandungi peringatan. Nama Al-Qur’an itu sendiri adalah الذكر (peringatan) dan di dalamnya pun memang ada peringatan. Maka memang Al-Qur’an ini sesuatu yang hebat kerana namanya tepat sebagai sifatnya. Bandingkan orang yang bernama Rahman tapi belum tentu lagi dia seorang yang pemurah.
Orang yang mahu mengambil peringatan daripada Al-Qur’an ini akan menjadi orang yang mulia dan orang yang tinggi kedudukannya. Dan mereka akan dikenang dan diingati sebagai orang yang mulia kerana mengamalkan Al-Qur’an dan menyebar Al-Qur’an dalam hidupnya.
Begitulah yang terjadi kepada golongan sahabat yang bertungkus lumus mempelajari Al-Qur’an, menegakkan Al-Qur’an dalam kehidupan mereka dan menyebarkan Al-Qur’an ke serata dunia. Sampai sekarang kita masih lagi menyebut-nyebut nama mereka.
Oleh itu, oleh kerana mereka ingat kepada Al-Qur’an, maka mereka juga diingati.
Ayat 2:
بَلِ الَّذينَ كَفَروا في عِزَّةٍ وَشِقاقٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
But those who disbelieve are in pride and dissension.
(MELAYU)
Sebenarnya orang-orang kafir itu (berada) dalam kesombongan dan permusuhan yang sengit.
Ada yang mengatakan yang ayat ini bukanlah jawab kepada qosam dalam ayat pertama. Selalunya apabila ada sumpah, maka ada jawab kepada sumpah itu. Iaitu apa yang Allah hendak sampaikan sampai Allah bersumpah. Tapi ada keadaan dimana Allah sudah bersumpah tapi tak jawab sumpahnya itu. Ini adalah kerana Allah nak pembaca Al-Qur’an fikirkan sendiri apakah yang Allah hendak tekankan.
Sedikit perbincangan tentang Jawabul Qosam ayat ini: Para ulama tafsir berbeza pendapat sehubungan dengan jawab dari qasam-nya;
1. Sebahagian di antara mereka mengatakan bahawa jawab qasam-nya adalah firman Allah Swt.:
Semua mereka itu tidak lain hanyalah mendustakan rasul-rasul, maka pastilah (bagi mereka) azab-Ku. (Shad: 14)
2. Menurut pendapat lain, jawab qasam-nya adalah firman Allah Swt.:
Sesungguhnya yang demikian itu pasti terjadi, (iaitu) pertengkaran penghuni neraka. (Shad: 64)
Kedua pendapat ini diriwayatkan oleh Ibnu Jarir, dan pendapat yang kedua ini jauh dari kebenaran, dan dinilai da’if oIeh Ibnu jarir.
3. Qatadah mengatakan bahawa jawab qasam-nya ialah:
Sebenarnya orang-orang kafir itu (berada) dalam kesombongan dan permusuhan yang sengit. (Shad: 2)
Ibnu Jarir memilih pendapat ini.
Kemudian Ibnu Jarir meriwayatkan dari sebahagian ahli bahasa yang telah mengatakan sehubungan dengan jawab qasam ini, bahawa jawab-nya adalah Shad yang artinya ‘benar lagi hak’.
Sekian tentang jawaabul qosam ayat ini.
Allah hendak memberitahu bahawa bukanlah Al-Qur’an itu ada masalah, atau Nabi Muhammad tidak pandai hendak berdakwah, tapi mereka tidak terima ajaran Al-Qur’an kerana kedegilan mereka sahaja. Kalau mereka buka hati mereka kepada kebenaran, maka tentu mereka akan nampak kebenaran yang disampaikan oleh baginda.
Jadi Allah hendak memberitahu bahawa orang kafir tidak terima kebenaran kerana mereka berpegang kepada kemuliaan mereka. Mereka pandang Nabi sebagai salah seorang dari golongan yang rendah dan mereka tidak boleh bercampur dengan Nabi dan juga golongan sahabat yang miskin itu. Mereka sangka mereka tinggi sangat dalam masyarakat dan kalau mereka bercampur gaul dengan golongan rendah, kedudukan mereka pun jadi rendah juga.
Kalimah شِقاقٍ pula bermaksud perbezaan antara dua benda. Iaitu perkara yang jauh bezanya, sampai takkan berjumpa. Seperti persimpangan yang berlainan arah dan takkan bertemu. Ia sesuatu yang takkan boleh duduk sekali. Macam batu yang sudah pecah takkan dapat disambung balik.
Apa yang orang kafir tidak boleh sambung? Iaitu orang kafir yang tak mahu sambung antara dalil dan natijah yang sudah diberi. Mereka takkan benarkan antara dua perkara itu duduk bersama. Mereka tetap akan tolak antara dalil dan natijah itu. Mereka tidak akan terima kebenaran.
Ayat 3: Ayat takhwif duniawi. Allah beritahu kesan menolak kebenaran seperti yang telah dikenakan kepada umat lalu.
كَم أَهلَكنا مِن قَبلِهِم مِّن قَرنٍ فَنادَوا وَلاتَ حينَ مَناصٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
How many a generation have We destroyed before them, and they [then] called out; but it was not a time for escape.
(MELAYU)
Betapa banyaknya umat sebelum mereka yang telah Kami binasakan, lalu mereka meminta tolong padahal (waktu itu) bukanlah saat untuk lari melepaskan diri.
كَم أَهلَكنا مِن قَبلِهِم مِّن قَرنٍ
Betapa banyaknya umat sebelum mereka yang telah Kami binasakan,
Sudah banyak umat-umat sebelum mereka yang juga telah menolak kebenaran. Mereka sama macam kamu Musyrikin Mekah sahaja. Dan kerana penolakan mereka itu, Allah telah musnahkan mereka. Adakah kamu nak jadi seperti mereka?
فَنادَوا وَلاتَ حينَ مَناصٍ
lalu mereka meminta tolong padahal (waktu itu) bukanlah saat untuk lari melepaskan diri.
Semasa mereka dikenakan dengan azab dunia itu, mereka telah menyeru minta tolong. Kepada siapa tempat mereka minta tolong waktu itu? Tak disebut kepada siapa mereka minta pertolongan kerana tidak penting kerana tiada siapa yang boleh tolong pun.
Sesiapa sahaja mereka minta tolong, mereka tidak akan dapat menolong. Dan kalau waktu itu baru mereka hendak meminta tolong kepada Allah, Allah tidak beri pertolongan kepada mereka waktu itu kerana sudah terlambat.
Kalimah لاتَ jarang digunakan dan ulama mengatakan yang ianya adalah la nafiah (la tidak). Dalam kalimah ini, telah ditambah huruf ت kepada لا, maksudnya ‘takkan’ pada masa itu. Bukan masa itu untuk minta tolong. Dulu semasa mereka didakwah, mereka tidak minta tolong. Sepatutnya waktu mereka didakwah itulah mereka minta dosa mereka dihapuskan dan minta rahmat dari Allah.
Tapi sekarang bukan masa untuk minta tolong lagi kerana sudah terlepas masa. Maknanya, boleh minta tolong, tapi bukan masa itu. Sudah terlambat untuk mereka meminta tolong. Ini seperti yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:
{فَلَمَّا أَحَسُّوا بَأْسَنَا إِذَا هُمْ مِنْهَا يَرْكُضُونَ}
Maka tatkala mereka merasakan azab Kami, tiba-tiba mereka lari tergesa-gesa darinya. (Al-Anbiya: 12)
Yakni melarikan diri dari azab itu. Maka apa yang dikatakan kepada mereka waktu itu?
{لَا تَرْكُضُوا وَارْجِعُوا إِلَى مَا أُتْرِفْتُمْ فِيهِ وَمَسَاكِنِكُمْ لَعَلَّكُمْ تُسْأَلُونَ}
Janganlah kamu lari tergesa-gesa; kembalilah kamu kepada nikmat yang telah kamu rasakan dan kepada tempat-tempat kediamanmu (yang baik), supaya kamu ditanya (Al-Anbiya: 13)
Ayat 4: Ayat zajrun. Allah menceritakan apakah fahaman mereka terhadap Nabi Muhammad apabila baginda diangkat menjadi Rasul.
وَعَجِبوا أَن جاءَهُم مُّنذِرٌ مِّنهُم ۖ وَقالَ الكٰفِرونَ هٰذا سٰحِرٌ كَذّابٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And they wonder that there has come to them a warner [i.e., Prophet Muḥammad (ṣ)] from among themselves. And the disbelievers say, “This is a magician and a liar.
(MELAYU)
Dan mereka hairan kerana mereka kedatangan seorang pemberi peringatan (rasul) dari kalangan mereka; dan orang-orang kafir berkata: “Ini adalah seorang ahli sihir yang banyak berdusta”.
وَعَجِبوا أَن جاءَهُم مُّنذِرٌ مِّنهُم
Dan mereka hairan kerana mereka kedatangan seorang pemberi peringatan (rasul) dari kalangan mereka;
Mereka tak dapat terima ada manusia dari kalangan mereka pula yang jadi Rasul. Kerana selalunya maklumat datang dari tempat lain, dari tempat yang jauh. Mereka rasa kalau orang yang sama tempat dengan mereka, takkan tahu perkara-perkara ghaib ini?
Dan mereka sangsi kerana kalau orang ada yang sentiasa bersama dengan mereka, takkan dia dapat tahu sesuatu yang mereka sendiri tidak tahu?
Sepatutnya mereka pelik kalau ada makhluk lain yang turun beri peringatan kepada mereka. Sebagai contoh, kalaulah malaikat yang turun beri peringatan dan ajaran, tentu mereka akan kata: takkan malaikat ini tahu masalah kita.. sedangkan dia tidak makan dan tidak ada nafsu.
Dan sepatutnya mereka pelik kalau orang dari luar yang datang beri peringatan kepada mereka. Kerana kalau orang itu orang luar, tentu mereka tidak kenal perangai dan sifat dia, boleh dipercayai atau tidak. Sedangkan sekarang yang beri peringatan kepada mereka adalah Muhammad, seorang insan yang mereka kenal dari kecil yang tidak pernah menipu, boleh dipercayai dan mereka sendiri beri gelaran al-Amin kepada baginda.
Tentulah Nabi Muhammad insan yang paling layak untuk beri peringatan kepada mereka. Kerana baginda kenal mereka dan tahu apakah sikap dan masalah dalam kehidupan mereka. Kalau orang yang datang dari luar, tentu tidak apa hal keadaan mereka, bukan?
وَقالَ الكٰفِرونَ هٰذا سٰحِرٌ كَذّابٌ
dan orang-orang kafir berkata: “Ini adalah seorang ahli sihir yang banyak berdusta”.
Jadi kerana akal mereka tidak dapat terima kerasulan Nabi Muhammad, maka mereka kena tolak. Tapi apakah alasan yang mereka gunakan? Dalam ayat ini diberitahu yang mereka tolak kerasulan baginda dan menuduh wahyu yang baginda sampaikan itu sebagai sihir. Mereka kata baginda itu tidak lain dan tidak bukan adalah seorang ahli sihir.
Bukan sahaja mereka kata baginda ahli sihir, mereka kata baginda seorang penipu pula. Kalimah كَذّابٌ adalah dalam bentuk mubalaghah (ekstrem). Maksudnya mereka hendak mengatakan yang Nabi Muhammad itu sentiasa menipu. Asyik-asyik menipu sampai semua orang sudah kenal sebagai seorang yang penipu.
Antara ‘ahli sihir’ dan ‘penipu’ adalah dua tuduhan yang tidak sama. Mereka pun sudah keliru nak guna alasan dan tuduhan yang mana satu.
Apabila mereka menuduh Nabi Muhammad seorang ahli sihir, maka bermakna mereka kata Nabi ada buat magis. Tapi magis apakah yang baginda pernah lakukan? Sebab magis ini adalah sesuatu yang boleh dilihat. Apa yang Nabi sudah buat perkara luar biasa yang boleh dilihat?
Sepatutnya magis bukan jenis kata-kata. Sedangkan pada mulanya Nabi Muhammad hanya menyampaikan ayat-ayat Al-Qur’an sahaja. Ini menunjukkan yang pada mereka walaupun wahyu Al-Qur’an itu adalah jenis ‘perkataan’, tapi mereka tak dapat nak labelkan. Maka ini menunjukkan mereka pun sudah takjub dengan Al-Qur’an. Jadi mereka kata ianya adalah ‘sihir’ sahaja. Kerana mereka tak tahu nak label apa kepada Al-Qur’an itu.
Satu lagi sebab mereka tuduh Nabi Muhammad itu sebagai seorang ahli sihir kerana kesan pengajaran dari baginda itu seperti sihir kepada manusia. Ada orang yang apabila dengar ajaran Al-Qur’an dari baginda, terus sanggup tinggalkan kesenangan, tinggalkan keluarga, tinggalkan suami atau isteri, sanggup tinggalkan harta, sanggup menerima dugaan dan seksaan; seolah-olah mereka itu kena sihir oleh Muhammad ini. Kerana kalau orang biasa, takkan sanggup nak buat semua itu.
Mereka juga kata baginda seorang penipu yang sentiasa menipu. Tapi orang yang selalu menipu, takkan nak duduk di situ lagi. Mereka takkan duduk di satu tempat kerana mereka sudah tidak boleh nak ‘cari makan’ kalau semua orang sudah tahu dan kenal sebagai penipu. Selalunya mereka akan tipu di satu-satu tempat dan setelah sekian lama, mereka akan cari tempat lain. Tapi Nabi ada sahaja di situ tidak pergi ke mana-mana.
Ayat 5: Kerana sebab inilah yang sebenarnya menyebabkan Musyrikin Mekah pelik dan tidak dapat terima kerasulan Nabi Muhammad SAW. Kerana ianya berlawanan dengan fahaman mereka pada masa itu yang mereka telah pegang lama.
أَجَعَلَ الآلِهَةَ إِلٰهًا واحِدًا ۖ إِنَّ هٰذا لَشَيءٌ عُجابٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Has he made the gods [only] one God? Indeed, this is a curious thing.”
(MELAYU)
Mengapa dia menjadikan ilah-ilah itu Ilah Yang Satu saja? Sesungguhnya ini benar-benar suatu hal yang sangat menghairankan.
أَجَعَلَ الآلِهَةَ إِلٰهًا واحِدًا
Adakah dia menjadikan ilah-ilah itu Ilah Yang Satu saja?
Yang musyrikin hairan dan marah kepada Nabi Muhammad itu adalah kerana baginda mengatakan ilah hanyalah Allah sahaja, tidak ada yang lain.
Sedangkan mereka berfahaman yang banyak ilah selain daripada Allah. Mereka terima juga Allah sebagai ilah, tapi tidaklah Allah sahaja ilah yang tunggal. Di mana mereka kata, ilah-ilah selain Allah itu seperti berhala dan para malaikat adalah ‘wakil’ kepada Allah.
Kerana itulah mereka telah mengadakan berbagai-bagai sembahan selain Allah, seperti berhala dan sebagainya; dan mereka letak pula di Kaabah. Mereka kata, mereka letak berhala itu di Kaabah dan Allah tetap benarkan pun. Maka kerana itu mereka rasa tidak bersalah. Ini adalah andaian yang salah. Tidaklah kerana Allah benarkan mereka buat syirik, bermakna syirik itu benar. Kerana yang salah tetap salah.
Lihatlah bagaimana Allah biarkan sahaja berhala sembahan Musyrikin Mekah itu di Kaabah. Tidaklah berhala itu kena panah petir sampai hancur, atau rosak kena gangguan. Maka jikalau masjid kecil-kecil sekarang pun ada orang menyeru Nabi dan wali, buat Qasidah dan sebagainya, maka tidaklah menghairankan kerana Kaabah pun pernah ada berhala di sekelilingnya.
إِنَّ هٰذا لَشَيءٌ عُجابٌ
Sesungguhnya ini benar-benar suatu hal yang sangat menghairankan.
Mereka hairan dengan apa yang dikatakan oleh Nabi Muhammad. Mereka hairan kenapa Allah tidak ada wakil, kerana mereka bandingkan dengan Raja-raja di dunia yang tentunya ada wakil untuk sampai kepada mereka. Kalau raja di dunia, kita tidak boleh terus jumpa dia dan terus minta kepada dia melainkan melalui wakil-wakil raja itu.
Maka mereka telah buat perumpamaan seolah-olah kerajaan Allah taala sama pula dengan kerajaan manusia di dunia. Siapa pula yang kata begitu? Ada dalilkah? Tidak lain dan tidak bukan adalah andaian akal mereka yang cetek sahaja.
Jadi dari dulu lagi ajaran yang benar itu kadangkala pelik kepada kebanyakan manusia. Memang ajaran tauhid ini pelik kepada mereka yang tidak belajar wahyu. Kerana itu terdapat banyak tentangan dari manusia, termasuk orang yang mengaku beragama Islam pun. Puncanya adalah kerana jahil dari wahyu, dan mengamalkan agama hanya ikut-ikutan – sama juga seperti Musyrikin Mekah dahulu.
Kerana itu ramai yang pelik apabila kita kata tidak boleh bertawasul kepada Nabi, wali dan malaikat; pelik sangat mereka apabila kita kata tidak boleh minta syafaat kepada Rasulullah; pelik benar mereka apabila kita kata tidak ada Majlis Tahlil, Kenduri Arwah, Doa Selamatan dan lain-lain lagi amalan bidaah.
Ini semua kerana jahil wahyu dan jahil agama sahaja. Kalau dapat meluangkan masa untuk belajar, in sha Allah mereka akan faham.
Ayat 6: Apakah kata pemuka-pemuka Quraish kepada anak buah mereka yang berminat kepada ajaran Nabi Muhammad?
وَانطَلَقَ المَلَأُ مِنهُم أَنِ امشوا وَاصبِروا عَلىٰ ءآلِهَتِكُم ۖ إِنَّ هٰذا لَشَيءٌ يُرادُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And the eminent among them went forth, [saying], “Continue, and be patient over [the defense of] your gods. Indeed, this is a thing intended.¹
- Planned by Prophet Muḥammad (ṣ) in order to gain influence and prestige for himself.
(MELAYU)
Dan pergilah pemimpin-pemimpin mereka (seraya berkata): “Pergilah kamu dan tetaplah (menyembah) tuhan-tuhanmu, sesungguhnya ini benar-benar suatu hal yang dikehendaki.
وَانطَلَقَ المَلَأُ مِنهُم
Dan pergilah pemimpin-pemimpin mereka (seraya berkata):
Kalimah المَلَأُ boleh diterjemahkan sebagai ‘Ahli Majlis’ Macam ahli majlis syura atau barisan pemimpin sesuatu masyarakat. Mereka inilah yang dikatakan sebagai ‘orang tua’ dan menjadi rujukan masyarakat setempat. Mereka itu adalah pemuka-pemuka Quraish yang ada kedudukan.
Ini adalah situasi di mana mereka semua duduk dengar depan Nabi. Ini jarang sekali berlaku. Mereka datang dengar apa yang Nabi Muhammad cakap kerana mereka sudah tahu sudah kecoh tentang Nabi Muhammad dan mereka hendak tahu apakah yang disampaikan oleh baginda. Mereka dengarlah sekejap.
Tapi mereka tidak setuju dan tidak lama kemudian mereka bangkit dan berkata seperti dalam ayat ini. Mereka cakap kepada orang lain yang ada di situ dan dengar juga ajaran Nabi. Maknanya, mereka tinggalkan pesanan sebelum mereka meninggalkan tempat itu.
أَنِ امشوا وَاصبِروا عَلىٰ ءآلِهَتِكُم
“Pergilah kamu dan tetaplah (menyembah) tuhan-tuhanmu,
Mereka suruh anak buah mereka untuk pergi dari mendengar ajaran Nabi Muhammad itu. Mereka halau kononnya untuk menyelamatkan ‘akidah’ para pemuda itu semua. Mereka suruh masyarakat terus sabar berpegang dengan amalan-amalan dan fahaman ‘lama’ mereka.
Ini sama macam golongan yang halang manusia datang belajar dengan guru yang ajar tauhid. Ini sama dengan golongan agamawan yang halang ustaz-ustaz Sunnah dari mengajar. Mereka suruh anak-anak murid mereka halang para ustaz Sunnah dari mengajar dan tetap berpegang dengan amalan tok nenek yang telah lama diamalkan. Seolah-olah ustaz Sunnah ini bawa ajaran baru yang menghapuskan amalan adat tok nenek yang telah lama dipegang.
Sedangkan apa yang diajar oleh asatizah Sunnah adalah pembersihan amalan masyarakat. Mana amalan yang salah, kita cuba betulkan dengan beritahu yang amalan-amalan itu tidak sunnah dan hendaklah ditinggalkan. Kerana ianya tidak ada dalil, dan ada banyak lagi amalan yang sahih ada dalil.
Maka apakah salahnya ustaz-ustaz Sunnah itu? Kenapa dihalang? Kenapa pula ada yang nak menjadi seperti المَلَأُ Quraish Mekah itu?
إِنَّ هٰذا لَشَيءٌ يُرادُ
sesungguhnya ini benar-benar suatu hal yang dikehendaki.
Kalimah يُرادُ bermaksud ‘dikehendaki’. Tapi apakah maksudnya dalam ayat ini? Boleh dinisbahkan kepada dua perkara.
- Dinisbahkan kepada penyembahan Musyrikin Mekah waktu itu. Pemuka Quraish itu hendak mengatakan yang amalan mereka menyeru banyak ilah itulah yang dikehendaki oleh Allah dan Allah suka begitu.
- Dinisbahkan kepada kehendak Nabi Muhammad. Pemuka Quraish hendak mengatakan yang perbuatan Nabi Muhammad itu ‘ada udang di sebalik batu’. Mereka nak kata yang Nabi Muhammad ada niat lain. Mereka nak kata yang kononnya mereka dapat rasa sebab mereka itu orang lama dan ada banyak pengamalan. Antaranya mereka nak kata yang Nabi Muhammad berkehendak kepada kedudukan dalam masyarakat. Baginda hendak disanjung-sanjung oleh orang ramai.
Asbabun Nuzul ayat ini:
As-Saddi menceritakan bahawa sesungguhnya sejumlah orang Quraisy mengadakan suatu pertemuan, yang antara lain dihadiri oleh Abu Jahal ibnu Hisyam, Al-As ibnu Wa’il, Al-Aswad ibnu Muttalib, dan Al-Aswad ibnu Abdu Yagus bersama sejumlah pemuka kabilah Quraisy.
Sebahagian dari mereka berkata kepada sebahagian yang lain.”Marilah kita berangkat menuju tempat Abu Talib, kita harus berbicara kepadanya tentang anak saudaranya itu, mudah-mudahan kita terbebas dari gangguannya dan dia tidak lagi mencaci maki sembahan-sembahan kita, maka kita akan membiarkan dia dan Tuhan yang disembahnya.
Kerana sesungguhnya kita khuatir bila syeikh (Abu Talib) ini mati, lalu dia (Nabi Saw.) harus kita tangkap, maka orang-orang Arab akan mencela kita semua. Mereka akan mengatakan bahawa kita membiarkannya. Dan manakala Abu Talib mati meninggalkannya, baru kita berani menangkapnya.
Maka mereka mengutus seorang lelaki dari kalangan mereka yang dikenal dengan nama Al-Muttalib, lalu Al-Muttalib meminta izin masuk kepada Abu Talib untuk mereka, seraya mengatakan, “Mereka adalah para tetua kaummu dan para hartawannya ingin bertemu denganmu.” Abu Talib menjawab, “Persilakanlah mereka masuk.”
Setelah menemui Abu Talib, mereka berkata, “Hai Abu Talib, engkau adalah pemimpin dan penghulu kami, bebaskanlah kami dari anak saudaramu itu, perintahkanlah kepadanya agar dia menahan diri dan tidak lagi mencaci maki sembahan-sembahan kami, maka kami akan membiarkan dia bebas bersama Tuhan yang disembahnya.”
Abu Talib memanggil Nabi Saw. Ketika Rasulullah Saw. telah masuk menemuinya, maka Abu Talib berkata, “Hai anak saudaraku, mereka adalah orang tua kaummu dan orang-orang terhormatnya. Mereka telah meminta agar kamu menahan diri dan menghentikan caci makimu terhadap sembahan-sembahan mereka, maka mereka akan membiarkanmu dan sembahanmu.”
Rasulullah Saw menjawab, “Hai Paman, apakah tidak boleh aku menyeru mereka kepada sesuatu yang lebih baik bagi mereka?”
Abu Talib bertanya, “Apakah yang engkau serukan kepada mereka (untuk mengikutinya)?”
Rasulullah Saw. menjawab, “Aku ajak mereka untuk mengucapkan suatu kalimah, yang dengan kalimah itu semua orang Arab akan tunduk kepada mereka dan mereka dapat menguasai orang-orang Ajam (non-Arab).”
Abu Jahal laknatullah yang ada di antara kaum berkata, Demi ayahmu, katakanlah apakah kalimah itu, sungguh kami akan memberikannya kepadamu dan sepuluh kali lipatnya.”
Rasulullah Saw. bersabda:
تَقُولُونَ: “لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ”
Kalian ucapkan, “Tidak ada Tuhan melainkan Allah.”
Mereka menolak dan mereka berkata, “Mintalah kepada kami selainnya!” Rasulullah Saw. bersabda:
“لَوْ جِئْتُمُونِي بِالشَّمْسِ حَتَّى تَضَعُوهَا فِي يَدِي مَا سَأَلْتُكُمْ غَيْرَهَا”
Sekiranya kalian dapat mendatangkan matahari kepadaku, lalu kalian letakkan di tanganku, aku tidak akan meminta kepada kalian selain darinya (kalimah tauhid itu)
Maka mereka pergi darinya dalam keadaan marah seraya berkata, “Demi Tuhan, kami benar-benar akan mencaci maki kamu dan Tuhanmu yang telah memerintahkanmu menyampaikan hal ini.”
{وَانْطَلَقَ الْمَلأ مِنْهُمْ أَنِ امْشُوا وَاصْبِرُوا عَلَى آلِهَتِكُمْ إِنَّ هَذَا لَشَيْءٌ يُرَادُ}
Dan pergilah pemimpin-pemimpin mereka (seraya berkata), “Pergilah kamu dan tetaplah (menyembah) tuhan-tuhanmu, sesungguhnya ini benar-benar suatu hal yang dikehendaki” (Shad: 6)
Ibnu Abu Hatim dan Ibnu Jarir telah meriwayatkan hadis ini, dan Ibnu Jarir dalam riwayatnya menambahkan, bahawa setelah para pemimpin Quraisy keluar, Rasulullah Saw. menyeru bapa saudaranya untuk mengucapkan kalimah, “Tidak ada Tuhan melainkan Allah Swt.” Tetapi Abu Talib menolak, bahkan berkata, “Tidak, bahkan tetap pada agama para tetua.” Lalu turunlah firman-Nya:
{إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ}
Sesungguhnya kamu tidak dapat memberi petunjuk kepada orang yang engkau sukai (Al-Qasas: 56)
Ayat 7: Hujah Pemuka Quraish yang seterusnya.
ما سَمِعنا بِهٰذا فِي المِلَّةِ الآخِرَةِ إِن هٰذا إِلَّا اختِلٰقٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
We have not heard of this in the latest religion.¹ This is not but a fabrication.
- Referring to Christianity or possibly the pagan religion of the Quraysh.
(MELAYU)
Kami tidak pernah mendengar hal ini dalam agama yang terakhir; ini (mengesakan Allah), tidak lain hanyalah (dusta) yang diada-adakan,
ما سَمِعنا بِهٰذا فِي المِلَّةِ الآخِرَةِ
Kami tidak pernah mendengar hal ini dalam agama yang terakhir;
Mereka rasa yang mereka tahu semua perkara dan kerana itu mereka tidak boleh ditipu. Memang ada orang yang sangka mereka sudah cukup pandai dan orang yang jenis begini memang susah nak mengajar dan memperbetulkan mereka. Kerana mereka sangka mereka lebih pandai dari orang lain.
Mereka kata mereka tak pernah dengar ajaran yang Nabi Muhammad bawa dan kerana itu mereka kata ia tentu ajaran yang tak benar. Lihatlah betapa sombongnya mereka dalam berkata-kata. Macamlah mereka patut tahu semua perkara. Sampaikan mereka sangka, kalau ada benda yang mereka tidak tahu, tentu tidak ada benda itu.
Atau mereka kata ajaran ini pun bukan dari agama terkini iaitu agama Yahudi dan Nasrani. Kerana apabila mereka berjumpa dengan golongan Yahudi dan Nasrai pun, mereka seru selain Allah juga.
Mereka sekarang menggunakan dalil ‘persekitaran’. Dalil sebenarnya tiada tapi guna hujah ‘orang lain tak buat begini’. Macam sekarang orang kita ada yang kata orang sana, kampung sana boleh sahaja buat begini dan begitu. Takkan salah kalau ada orang lain buat juga? Jadi kalau Yahudi dan Nasrani pun ada menyembah selain Allah, takkan salah ajaran mereka yang menyembah berhala pula?
Maka ini adalah antara hujah-hujah untuk menegakkan benang yang basah. Allah sudah sebut hujah-hujah golongan penentang dalam Al-Qur’an. Kerana itu kita lihat hebat sangat Al-Qur’an ini – sebelum mereka buka mulut pun Allah sudah beritahu apakah hujah-hujah mereka. Mereka pun tidak perasan apa yang mereka kata itu sebenarnya ada dalam Al-Qur’an. Ini adalah kerana mereka sendiri jahil dengan Al-Qur’an.
إِن هٰذا إِلَّا اختِلٰقٌ
ini (mengesakan Allah), tidak lain hanyalah (dusta) yang diada-adakan,
Kalimah اختِلٰقٌ adalah dari katadasar خ ل ق yang bermaksud menjadikan dari tidak ada kepada ada tanpa menggunakan contoh apa-apa. Seperti Allah menjadikan alam ini tanpa contoh kepada alam yang lain.
Maknanya Pemuka Quraish itu hendak mengatakan yang ajaran Nabi Muhammad bawa itu adalah ajaran yang direka tanpa dasar. Nabi Muhammad sahaja yang memandai buat ajaran baru.
Ayat 8: Hujah mereka seterusnya.
أَءُنزِلَ عَلَيهِ الذِّكرُ مِن بَينِنا ۚ بَل هُم في شَكٍّ مِّن ذِكري ۖ بَل لَمّا يَذوقوا عَذابِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Has the message been revealed to him out of [all of] us?” Rather, they are in doubt about My message. Rather, they have not yet tasted My punishment.
(MELAYU)
mengapa Al Qur’an itu diturunkan kepadanya di antara kita?” Sebenarnya mereka ragu-ragu terhadap Al Qur’an-Ku, dan sebenarnya mereka belum merasa azab-Ku.
أَءُنزِلَ عَلَيهِ الذِّكرُ مِن بَينِنا
mengapa Al Qur’an itu diturunkan kepadanya di antara kita?”
Mereka itu adalah orang yang hebat-hebat dalam masyarakat. Mereka kaya dan ada pengaruh. Maka mereka kata: Kenapa pula Muhammad boleh dapat wahyu sedangkan mereka sendiri tidak dapat? Takkan Muhammad lebih baik dan bagus dari mereka pula? Sudah tidak ada orang lainkah yang patut diberikan wahyu sampai Muhammad pula yang dapat?
Mereka memandang rendah Nabi Muhammad kerana baginda adalah anak yatim dan miskin pula. Di dalam ayat lain disebutkan oleh firman-Nya:
{لَوْلا نزلَ هَذَا الْقُرْآنُ عَلَى رَجُلٍ مِنَ الْقَرْيَتَيْنِ عَظِيمٍ}Mengapa Al-Qur’an ini tidak diturunkan kepada seorang besar dari salah satu dua negeri (Mekah dan Thaif) ini (Az-Zukhruf: 3)
بَل هُم في شَكٍّ مِّن ذِكري
Sebenarnya mereka ragu-ragu terhadap Al Qur’an-Ku,
Allah menyelit dengan menjelaskan apakah sebabnya mereka berkata begitu. Mereka menolak dan beri berbagai-bagai hujah kerana mereka ragu-ragu. Ini adalah kerana mereka tidak membuka hati mereka kepada kebenaran.
Allah memujuk Nabi Muhammad juga di dalam ayat ini. Allah hendak memberitahu baginda: mereka itu bukan menentang kamu, tapi mereka menentang Aku! Kerana kamu hanya sampaikan apa yang Aku suruh kamu sampaikan, bukannya kata-kata kamu sendiri. Kerana dulu mereka tidak meragui kamu, tapi sekarang apabila kamu menyampaikan ayat-ayat Aku, tiba-tiba mereka menolak. Maka mereka sebenarnya menolak Aku, bukan kamu!
Begitulah orang kita yang menentang ajaran tauhid kerana tak belajar wahyu. Apabila jahil wahyu dan disampaikan ajaran yang sebenar, mereka jadi ragu-ragu pula. Mereka ragu kerana tidak pernah dengar. Dari kecil sudah ada fahaman yang salah dan bila dibawakan ajaran yang sebenar, mereka susah nak terima.
بَل لَمّا يَذوقوا عَذابِ
dan sebenarnya mereka belum merasa azab-Ku.
Allah kata mereka itu berani cakap begitu sebab mereka belum kena azab lagi. Ini adalah ancaman dari Allah. Allah kata mereka itu degil dan ubatnya adalah azab sahaja dariNya. Ini macam budak-budak nakal yang kita tahu mereka ini jenis kena rotan sahaja baru nak dengar apa yang kita hendak sampaikan.
Jadi Allah sudah beri ancaman dalam ayat ini: adakah kamu sudah dikenakan dengan azab baru kamu nak percaya dan tidak ragu-ragu lagi?
Balaghah: Hazfu wa zikru. Hazaf ya mutakallim yang membawa maksud istimrar (berterusan) dan dawam (kebiasaan).
Kalau kita lihat kalimah terakhir dalam ayat ini, عَذَابِ (azabKu) tidak ada huruf ya mutakallim kerana ya’nya telah dihazafkan. Ini adalah kerana ayat ini ditujukan kepada orang kafir, terutama sekali Kafir Quraisy. Mereka telah menolak wahyu kerana mereka belum rasa azab lagi.
Kalimah عَذَابِ ini sepatutnya ada ya mutakallim عَذَابِي kerana ia merujuk kepada azab Allah (azabKu). Dan kalau lihat nahu, ianya adalah dalam i’rab mansub maka patutnya kenalah fathah tapi tidak pula begitu. Ini adalah kerana ada maksud balaghah yang Allah hendak sampaikan.
Oleh itu makna ayat ini dari segi balaghah adalah ia azab yang berterusan dan kekal. Maknanya azab akhirat dan bukannya azab dunia. Azab mereka akan kekal dalam neraka. Maka kerana itulah ya mutakallim dihazafkan dalam kalimah عَذَابِ.
Dan ini boleh dibandingkan dengan A’raf:156 dimana huruf ya’ mutakallim dikekalkan. Kalimah azab dalam ayat itu adalah عَذَابِي dan ya’ mutakallim dikekalkan.
وَاكْتُبْ لَنَا فِي هَٰذِهِ الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ إِنَّا هُدْنَا إِلَيْكَ قَالَ عَذَابِي أُصِيبُ بِهِ مَنْ أَشَاءُ
“Dan tetapkanlah untuk kami kebaikan dalam dunia ini dan juga di akhirat, sesungguhnya kami kembali (bertaubat) kepadaMu”. Allah berfirman: “AzabKu akan Aku timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki,
Ini adalah kerana ayat itu tentang orang yang telah insaf pada zaman Nabi Musa a.s. Ia kisah 70 orang pemimpin Bani Israil yang naik ke Thursina dan Allah telah matikan mereka kerana kesalahan mereka hendak melihat Allah secara nyata. Maka ayat itu adalah apabila mereka merayu kepada Allah. Maknanya mereka telah bertaubat.
Jadi dikekalkan ya mutakallim kerana azab itu adalah azab dunia sahaja dan azab dunia tidak berkekalan. Gempa bumi yang dikenakan kepada mereka itu sekejap sahaja. Allah nak beri teguran sahaja.
Atau, jikalau mereka tidak bertaubat pun, bila mereka mati, azab yang disebut dalam ayat itu akan ditukar kepada azab akhirat pula. Oleh kerana itu ia merujuk kepada azab yang tidak kekal dan kerana tidak kekal, maka Allah gunakan kalimah عَذَابِي dengan mengekalkan ya mutakallim.
Boleh juga rujuk Ibrahim:7 di mana ya’ mutakallim dikekalkan:
وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ
Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”.
Ini adalah ayat yang popular. Tapi mungkin ramai yang kurang faham dari sudut balaghah seperti yang sepatutnya. Kalimah yang digunakan dalam ayat ini adalah عَذَابِي dengan zikru (dikekalkan) ya’ mutakallim.
Ramai yang kata azab yang dimaksudkan dalam itu adalah azab neraka. Tapi sebenarnya azab dunia yang dimaksudkan. Kita dapat tahu kerana ya mutakallim dikekalkan. Maksudnya azab yang tidak kekal, jadi ianya adalah azab dunia.
Dalilnya kita boleh lihat ayat Nahl:112
وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا قَرْيَةً كَانَتْ آمِنَةً مُّطْمَئِنَّةً يَأْتِيهَا رِزْقُهَا رَغَدًا مِّن كُلِّ مَكَانٍ فَكَفَرَتْ بِأَنْعُمِ اللَّهِ فَأَذَاقَهَا اللَّهُ لِبَاسَ الْجُوعِ وَالْخَوْفِ بِمَا كَانُوا يَصْنَعُونَ
Dan (berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar) Allah memberikan satu contoh: Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan.
Mereka telah dikenakan dengan pakaian kelaparan dan ketakutan. Ini adalah kisah Negeri Saba’. Selepas Ratu Balqis sudah tiada, penduduk tempat itu tidak mengamalkan tauhid lagi. Mereka telah menjadi terlalu mewah dan akhirnya mereka telah menjadi malas. Mereka banyak menghabiskan masa dengan temasya dan berjalan melancong sahaja.
Akhirnya Allah kenakan bala kepada mereka dimana empangan mereka yang hebat itu Allah telah pecahkan. Maka negeri mereka jadi mundur dan berada dalam kelaparan. Bukankah kelaparan dan ketakutan ini azab dunia?
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 11 Julai 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi