Ayat 60: Ayat sebelum ini tentang suruhan merujuk kepada Allah dan RasulNya untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan atau pertembungan pendapat dengan menggunakan Qur’an dan Sunnah. Sekarang dalam ayat ini pula, terdapat larangan untuk merujuk kepada yang selainnya. Ayat ini adalah Zajrun kepada golongan munafiqin.
Asbabun Nuzul ayat: ada seorang munafik (dikatakan namanya adalah Bishr) yang bertelingkah dengan seorang lelaki Yahudi. Mereka telah bermuamalah dan telah ada perselisihan antara mereka. Untuk mencari penyelesaian, mereka bersetuju untuk merujuk perkara itu kepada pihak lain.
Lelaki munafik itu ajak lelaki Yahudi itu untuk jumpa pemuka Yahudi yang bernama Kaab ibn Ashraf untuk selesaikan masalah mereka itu. Lelaki Yahudi itu pula mengajak mereka berjumpa dengan Nabi Muhammad.
Kenapa lelaki munafik itu mengajak berjumpa dengan pemuka Yahudi pula, sedangkan dia mengaku dia Muslim? Ini adalah kerana dia tahu yang dia salah dan dia juga tahu yang Nabi Muhammad itu adil. Maka dia rasa dia akan ada peluang untuk menang kalau masalah mereka itu dihakimi oleh Kaab. Sedangkan lelaki Yahudi itu mengajak berjumpa dengan Nabi Muhammad kerana dia juga tahu yang Nabi Muhammad itu adil dan dia tahu yang dia di pihak yang benar.
Tetapi setelah mereka berbincang lanjut, mereka bersetuju untuk berjumpa dengan Nabi Muhammad. Apabila mereka berjumpa Nabi dan setelah diberikan maklumat tentang perselisihan itu, Nabi telah membuat keputusan yang berpihak kepada lelaki Yahudi itu.
Malangnya, lelaki munafik itu sangsi dengan keputusan Nabi Muhammad kerana dia rasa Nabi Muhammad buat keputusan itu kerana baginda hormat kepada lelaki Yahudi itu sampai baginda telah buat keputusan yang tidak adil. Jadi dia telah ajak lelaki Yahudi itu jumpa Sayidina Umar pula kerana dia rasa Umar lebih tegas dan tidak tunduk atau berlembut dengan orang Yahudi (dia sangka Nabi berlembut dengan Yahudi sebab itu beri keputusan berpihak kepada Yahudi). Dia juga rasa yang Sayidina Umar keras terhadap orang kafir, maka dia rasa dia ada peluang untuk mengubah keputusan itu.
Bila jumpa Sayidina Umar, lelaki Yahudi itu cepat-cepat jelaskan kepada Umar bahawa mereka sebenarnya telah berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW dan Nabi telah memberi keputusan berpihak kepada beliau. Mendengar perkara itu dan setelah pastikan dengan lelaki munafik itu yang itulah yang terjadi, Umar suruh mereka tunggu.
Sayidina Umar telah masuk ke dalam rumah dan bawa keluar pedang dan terus bunuh munafik itu kerana pada beliau, lelaki itu sudah murtad kerana tidak puas hati dengan keputusan Nabi.
أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ يَزعُمونَ أَنَّهُم ءآمَنوا بِما أُنزِلَ إِلَيكَ وَما أُنزِلَ مِن قَبلِكَ يُريدونَ أَن يَتَحاكَموا إِلَى الطّٰغوتِ وَقَد أُمِروا أَن يَكفُروا بِهِ وَيُريدُ الشَّيطٰنُ أَن يُضِلَّهُم ضَلٰلًا بَعيدًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Have you not seen those who claim to have believed in what was revealed to you, [O Muḥammad], and what was revealed before you? They wish to refer legislation to ṭāghūt,¹while they were commanded to reject it; and Satan wishes to lead them far astray.
- False objects of worship or those transgressors who usurp the divine right of government.
MALAY
Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Qur’an yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu. Dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh.
أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ يَزعُمونَ أَنَّهُم ءآمَنوا بِما أُنزِلَ إِلَيكَ
Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Qur’an yang telah diturunkan kepadamu
Mereka sahaja perasan mereka beriman tetapi sebenarnya mereka itu adalah munafik. Lafaz يَزعُمونَ dalam ayat ini bermaksud mereka itu amat yakin dalam anggapan mereka. Mereka sangka mereka telah beriman. Mereka sangka mereka telah beriman dengan Qur’an tapi sebenarnya tidak.
Macam juga dari kalangan masyarakat kita. Kalau kita kata mereka tidak beriman dengan Qur’an, tentu mereka marah. Sebab mereka memang hormat betul dengan Qur’an. Boleh kata hari-hari baca Qur’an (sekurang-kurangnya surah Fatihah). Kemudian mereka letak tinggi di dalam almari, kalau pegang Qur’an mereka akan cium dan letak atas kepala; tapi sebenarnya mereka tidak beriman pun dengan Qur’an kerana mereka tidak belajar isi kandung Qur’an itu.
وَما أُنزِلَ مِن قَبلِكَ
dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu
Mereka juga sangka mereka telah beriman dengan Kitab-kitab suci sebelum ini seperti Taurat dan Injil. Ini merujuk kepada puak Yahudi dan Nasrani. Mereka juga sangka mereka beriman, tapi sebenarnya mereka tidak beriman.
يُريدونَ أَن يَتَحاكَموا إِلَى الطّٰغوتِ
Mereka suka hendak berhakim kepada Taghut,
Mereka sangka mereka beriman, tapi dalam masa yang sama mereka cari penghakiman kepada taghut. Taghut adalah apa sahaja yang mengajak kepada selain Allah. Dan ia juga bermaksud penghakiman yang tidak menggunakan hukum Allah.
Ini merujuk kepada keinginan Bishr untuk membawa penghakiman urusan muamalah mereka itu kepada Kaab bin Ashraf. Jadi kalau kita macam dia juga, maknanya samalah dengan dia. Iaitu tidak mencari penghakiman dari Qur’an dan Sunnah, tapi cari penghakiman dengan cara lain.
Apabila menggunakan sumber lain selain dari Nabi dan Allah sebagai penghukum, itu dikatakan merujuk kepada Taghut.
وَقَد أُمِروا أَن يَكفُروا بِهِ
padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu.
Sedangkan Muslim kena tolak taghut. Ramai yang mengaku Muslim dan kata baca Qur’an dan Sunnah, tapi dalam hal penghakiman, ramai yang pakai sumber yang lain. Mereka rasa seperti undang-undang Islam ini tidak layak dipakai dan tidak dapat menyelesaikan masalah mereka.
وَيُريدُ الشَّيطٰنُ أَن يُضِلَّهُم ضَلٰلًا بَعيدًا
Dan syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh.
Mereka sebenarnya dibisik oleh syaitan untuk tidak berpegang dengan undang-undang Islam. Syaitan nak mereka sesat dari ajaran yang benar. Syaitan yang suruh mereka jauh dari Allah, jauh dari Nabi.
Kita jangan rasa ayat ini tidak kena kepada kita. Memang Nabi Muhammad sudah tidak ada di kalangan kita untuk mengadili sesuatu perselisihan. Tapi bukankah sunnah Nabi ada di kalangan kita lagi? Bukankah kita sepatutnya merujuk apakah kata-kata baginda dengan mempelajari hadis baginda?
Tetapi berapa ramai yang tidak kisah pun dengan hadis dan sunnah Nabi tapi mereka buat keputusan dengan merujuk kepada selain nas dan menggunakan akal fikiran sahaja.
Ayat 61: Mereka yang tidak mahu berhukum dengan hukum yang disampaikan oleh Nabi adalah bersifat munafik.
وَإِذا قيلَ لَهُم تَعالَوا إِلىٰ ما أَنزَلَ اللهُ وَإِلَى الرَّسولِ رَأَيتَ المُنٰفِقينَ يَصُدّونَ عَنكَ صُدودًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And when it is said to them, “Come to what Allāh has revealed and to the Messenger,” you see the hypocrites turning away from you in aversion.
MALAY
Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah berhakim kepada hukum Al-Qur’an yang telah diturunkan oleh Allah dan kepada hukum Rasulullah,” nescaya engkau melihat orang-orang munafik itu berpaling serta menghalang (manusia) dengan bersungguh-sungguh daripada menghampirimu.
وَإِذا قيلَ لَهُم تَعالَوا إِلىٰ ما أَنزَلَ اللهُ وَإِلَى الرَّسولِ
Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah berhakim kepada hukum yang telah diturunkan oleh Allah dan kepada hukum Rasulullah,”
Ini adalah apa yang diajak kepada mereka. Mereka diajak menggunakan hukum yang telah disampaikan oleh Allah dan apa yang disampaikan oleh Rasulullah. Begitulah yang sepatutnya dilakukan oleh orang yang mengaku mukmin.
رَأَيتَ المُنٰفِقينَ يَصُدّونَ عَنكَ صُدودًا
nescaya engkau melihat orang-orang munafik itu berpaling serta menghalang (manusia) dengan bersungguh-sungguh daripada menghampirimu.
Orang munafik tidak terima penghukuman yang menggunakan ayat Qur’an dan sunnah. Mereka akan halang dengan keras. Mereka tidak suka menyelesaikan masalah mereka menggunakan wahyu.
Mereka nak guna akal manusia sahaja kerana kalau guna akal, mereka boleh ubah ikut kehendak mereka. Mereka bukan sahaja tidak mahu menggunakan hukum dari nas, tapi mereka akan menghalang orang lain dari menggunakannya juga. Itu adalah sifat orang munafik.
Tapi kalau mereka rasa hukum yang diberikan berpihak kepada mereka, mereka akan pakai juga. Tapi kalau mereka rasa macam akan berlawanan dengan kehendak mereka, mereka tidak akan bawa.
Begitulah juga masyarakat kita yang munafik. Kalau nas dari agama itu bersesuaian dengan kehendak mereka, mereka akan pakai; tapi kalau tidak sesuai, mereka akan tolak…
Ayat 62: Kita kena tahu bahawa Sayidina Umar ada kelebihan. Memang apa yang dia lakukan itu (membunuh lelaki munafik itu) tidak merujuk kepada Nabi Muhammad, tapi berdasarkan pemahaman beliau tentang agama Islam.
Dia memang pernah buat sesuatu yang bertepatan dengan hukum Allah walaupun hukum itu belum dikeluarkan lagi. Tetapi perbuatan beliau itu telah dibenarkan oleh wahyu selepas itu. Begitu juga perbuatan Umar membunuh lelaki yang telah bertanya hukum kepadanya selepas bertanya kepada Nabi.
Dalam ayat ini, Allah tidak menegur perbuatan Sayidina Umar itu, malah mengiyakan apa yang telah dilakukan oleh beliau.
فَكَيفَ إِذا أَصٰبَتهُم مُّصيبَةٌ بِما قَدَّمَت أَيديهِم ثُمَّ جاءوكَ يَحلِفونَ بِاللهِ إِن أَرَدنا إِلّا إِحسٰنًا وَتَوفيقًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
So how [will it be] when disaster strikes them because of what their hands have put forth and then they come to you swearing by Allāh, “We intended nothing but good conduct and accommodation.”
MALAY
Maka bagaimana halnya apabila mereka ditimpa sesuatu kemalangan disebabkan (kesalahan) yang telah dibuat oleh tangan mereka sendiri, kemudian mereka datang kepadamu sambil bersumpah: “Demi Allah, kami tidak sekali-kali menghendaki melainkan kebaikan dan perdamaian (bagi kedua pihak yang berbalah)”.
فَكَيفَ إِذا أَصٰبَتهُم مُّصيبَةٌ بِما قَدَّمَت أَيديهِم
Maka bagaimana halnya apabila mereka ditimpa sesuatu kemalangan disebabkan (kesalahan) yang telah dibuat oleh tangan mereka sendiri,
‘Musibah’ yang dimaksudkan adalah lelaki munafik itu telah dibunuh oleh Sayidina Umar. Lelaki itu dibunuh kerana salah dia sendiri. Memang patut dia kena begitu.
ثُمَّ جاءوكَ يَحلِفونَ بِاللهِ
kemudian mereka datang kepadamu sambil bersumpah dengan nama Allah,
‘Mereka’ yang dimaksudkan itu adalah keluarga lelaki munafik itu. Keluarga dia telah kelam kabut datang jumpa Nabi sebab tak puas hati dengan perbuatan Umar.
Mereka datang itu kerana hendak bela perbuatan keluarga mereka yang munafik. Sampai mereka sanggup bersumpah atas nama Allah. Ringan sekali sumpah pada lidah mereka. Begitulah orang munafik akan guna apa sahaja untuk menyelamatkan diri mereka dan untuk dapat apa yang mereka hendak. Mereka tidak kisah pun menggunakan nama Allah kerana ringan sahaja nama Allah bagi mereka.
إِن أَرَدنا إِلّا إِحسٰنًا وَتَوفيقًا
kami tidak sekali-kali menghendaki melainkan kebaikan dan perdamaian
Mereka bersumpah dengan nama Allah, yang kedatangan mereka untuk mengadu itu adalah untuk kebaikan dan mendapatkan perdamaian sahaja.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 18 April 2018
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Mutiara al-Qur’an