Tafsir Surah al-Hijr Ayat 39 – 46 (7 Pintu Neraka)

Hijr Ayat 39: Sekarang kita akan lihat ikrar iblis itu pula.

قالَ رَبِّ بِما أَغوَيتَني لَأُزَيِّنَنَّ لَهُم فِي الأَرضِ وَلَأُغوِيَنَّهُم أَجمَعينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Iblees] said, “My Lord, because You have put me in error, I will surely make [disobedience] attractive to them [i.e., mankind] on earth, and I will mislead them all

(MELAYU)

iblis berkata: “Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya,

 

قالَ رَبِّ بِما أَغوَيتَني

iblis berkata: “Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat,

Lihat bagaimana iblis salahkan Allah ﷻ pula kerana sesatkan dia. Padahal dia yang sesat sendiri. Maka kalau kita salahkan orang lain, salahkan keadaan, salahkan Allah ﷻ kalau kita yang menyebabkan masalah itu, maka itu sudah ikut perangai iblis.

Berbeza sangat antara iblis dan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Apabila Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melakukan kesilapan dan ditegur oleh Allah ﷻ, baginda meminta ampun. Sebaliknya si iblis menyalahkan Allah ﷻ pula.

 

لَأُزَيِّنَنَّ لَهُم فِي الأَرضِ

pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik di muka bumi,

Iblis akan cantikkan dunia untuk manusia. Sampaikan manusia akan terpesona dan leka dengan dunia sehingga lupa Allah ﷻ dan lupa agama.

Memang Allah ﷻ sudah jadikan bumi ini cantik. Habis kenapa iblis kata dia akan cantikkan? Kita kena lihat pada kalimah فِي (dalam). Maknanya dia nampakkan apa yang ada ‘dalam bumi’ ini yang nampak cantik. Iaitu segala perhiasan di dalamnya.

Ia juga bermaksud, iblis akan bagi manusia nampak perbuatan buruk mereka sebagai baik. Ini adalah salah satu daripada Talbis iblis (belitan iblis) iaitu tazyeen. Manusia buat perkara buruk, tetapi nampak cantik sahaja pada pandangan mata mereka. Ini adalah kerana syaitan bisikkan dan puji mereka di atas perbuatan salah mereka itu. Syaitan nampak benda yang salah nampak baik; benda buruk nampak cantik. Termasuk dalam perkara ini, amalan-amalan syirik dan bid’ah. Kedua amalan itu adalah buruk, tetapi iblis mengelabui mata manusia sampai mereka nampak ia cantik sahaja. Bila ia nampak baik, mereka tidak sangka ia berdosa, maka mereka tidak akan tinggalkan dan minta ampun dan bertaubat.

Sebab itulah wujudnya guru agama dan asatizah yang mengajak ajaran mengarut (seperti selak langsir untuk tahu status hadith) namun mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Manusia yang berperawakan agama ini boleh cakap apa-apa sahaja, tetapi ada sahaja orang yang ikut mereka. Ini semua adalah kerana kejahilan manusia dan kerana jahil, maka menjadi lauk sahaja bagi syaitan untuk menipunya.

 

وَلَأُغوِيَنَّهُم أَجمَعينَ

dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya,

Kalimah لَأُغوِيَنَّهُم daripada katadasar غ و ي yang bermaksud lalai leka. Kalau kalimah أغوي, ia bermaksud menyesatkan orang lain. Oleh kerana iblis akan masuk ke dalam neraka, maka dia bertekad dan berjanji akan menyesatkan semua sekali anak Adam. Dia mahu berkata, kerana Allah ﷻ sesatkan dia, maka dia mahu sesatkan anak cucu Adam pula, biar sama-sama masuk dalam neraka. Ini juga disebut dalam A’raf: 16

قالَ فَبِما أَغوَيتَني لَأَقعُدَنَّ لَهُم صِرٰطَكَ المُستَقيمَ
iblis menjawab: “Kerana Engkau telah sesatkan aku, aku benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus,

Akan tetapi di situ diberikan lagi perancangan iblis,

ثُمَّ لَآتِيَنَّهُم مِن بَينِ أَيديهِم وَمِن خَلفِهِم وَعَن أَيمٰنِهِم وَعَن شَمائِلِهِم ۖ وَلا تَجِدُ أَكثَرَهُم شٰكِرينَ
kemudian aku akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat).


 

Hijr Ayat 40: Namun begitu iblis tahu yang dia tidak boleh sesatkan semua sekali. Ini adalah pengecualian.

إِلّا عِبادَكَ مِنهُمُ المُخلَصينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Except, among them, Your chosen servants.”

(MELAYU)

kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis di antara mereka”.

 

Dia tahu tidak semua manusia yang dia dapat sesatkan. Kalimah المُخلَصينَ adalah dalam bentuk isim maf’ul (yang dikenakan, pasif). Maksudnya, Allah ﷻ yang menjadikan mereka ikhlas. Ini kerana manusia tidak mampu untuk menjadikan dirinya ikhlas, melainkan dengan pertolongan Allah ﷻ. Siapa yang Allah ﷻ tolong? Tentulah mereka yang berusaha untuk ikhlas. Maknanya mereka usaha sedikit dan Allah ﷻ akan bantu mereka. Ini kerana kalau kita ‘jaga’ Allah ﷻ, maka Allah ﷻ akan jaga kita seperti disebut di dalam hadith,

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ
كُنْتُ خَلْفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا فَقَالَ يَا غُلَامُ إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ احْفَظْ اللَّهَ يَحْفَظْكَ احْفَظْ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلْ اللَّهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَاعْلَمْ أَنَّ الْأُمَّةَ لَوْ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ وَلَوْ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ رُفِعَتْ الْأَقْلَامُ وَجَفَّتْ الصُّحُفُ
قَالَ هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ
Daripada Abu al-‘Abbas, Abdullah ibn Abbas, رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا beliau berkata: Aku pernah duduk di belakang Nabi ﷺ pada suatu hari, lalu Baginda bersabda kepadaku: Wahai anak! Sesungguhnya aku mahu ajarkan engkau beberapa kalimah: Peliharalah Allah nescaya Allah akan memeliharamu. Peliharalah Allah nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu. Apabila engkau meminta, maka pintalah daripada Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah. Ketahuilah bahawa kalau umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikanmu manfaat kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukan untukmu. Sekiranya mereka berkumpul untuk memudharatkan kamu dengan suatu mudarat, nescaya mereka tidak mampu memudaratkan kamu kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukannya untukmu. Pena-pena telah diangkatkan dan lembaran-lembaran telah kering (dakwatnya).
(Hadith riwayat Imam at-Tirmidzi (2440))
Beliau berkata: Ia adalah Hadith Hasan Sohih

Ikhlas yang dimaksudkan adalah tidak bercampur antara Allah ﷻ dan selain Allah ﷻ. Maknanya dari segi akidah dan amal kerana Allah ﷻ sahaja. Tidak campur sembah Allah ﷻ dan sembah makhluk; juga tidak campur doa kepada makhluk dengan doa kepada Allah ﷻ; cuma bermaksud dalam amal ibadat kita, kita lakukan kerana Allah ﷻ sahaja. Lagi satu syarat, amalan itu mesti bertepatan dengan Sunnah (ada contoh daripada perbuatan ibadat Rasulullah ﷺ dan para sahabat).

Perkara ini telah dibincangkan dengan panjang lebar dalam ayat-ayat yang lain. Ringkasnya, mereka yang mentauhidkan Allah ﷻ sahaja yang akan terselamat daripada bisikan dan godaan syaitan. Selain daripada mereka, itu semua iblis punya, dia kata.

Sememangnya tidak ramai golongan mukhlis ini. Ini seperti yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

أَرَأَيْتَكَ هَذَا الَّذِي كَرَّمْتَ عَلَيَّ لَئِنْ أَخَّرْتَنِي إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ لأحْتَنِكَنَّ ذُرِّيَّتَهُ إِلا قَلِيلا
Terangkanlah kepadaku inikah orangnya yang Engkau muliakan atas diriku? Sesungguhnya jika Engkau memberi tangguh kepadaku sampai hari kiamat, nescaya benar-benar akan aku sesatkan keturunannya, kecuali sebahagian kecil.
(Al-Isra’: 62)


 

Hijr Ayat 41: Penerangan Allah ﷻ tentang ikhlas itu.

قالَ هٰذا صِرٰطٌ عَلَيَّ مُستَقيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Allāh] said, “This is a path [of return] to Me [that is] straight.

(MELAYU)

Allah berfirman: “Ini adalah jalan yang lurus, kewajipan Aku-lah (menjaganya).

 

Kalimah عَلَيَّ bermaksud ‘ke atas-Ku’. Maksudnya ke atas Allah ﷻ untuk tunjukkan jalan yang lurus itu. Ini sama dengan firman-Nya:

وَعَلَى اللَّهِ قَصْدُ السَّبِيلِ
Dan hak bagi Allah (menerangkan) jalan yang lurus.
(An-Nahl: 9)

Atau ia bermaksud, ikhlas itulah jalan yang menghala kepada-Nya. Kerana jalan itu bersambung dengan Allah ﷻ maka ia akan menuju kepada Allah ﷻ.

Atau, ia bermaksud, ke atas Allah ﷻ lah yang akan tinggikan mereka yang mengikut jalan lurus itu.


 

Hijr Ayat 42: Iblis kata dia akan menyesatkan manusia dari jalan Allah ﷻ.

إِنَّ عِبادي لَيسَ لَكَ عَلَيهِم سُلطٰنٌ إِلّا مَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الغاوينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, My servants – no authority will you have over them, except those who follow you of the deviators.

(MELAYU)

Sesungguhnya hamba-hamba-Ku, tidak ada kekuasaan bagimu terhadap mereka, kecuali orang-orang yang mengikut kamu, iaitu orang-orang yang sesat.

 

إِنَّ عِبادي لَيسَ لَكَ عَلَيهِم سُلطٰنٌ

Sesungguhnya hamba-hamba-Ku, tidak ada kekuasaan bagimu terhadap mereka,

Allah ﷻ beritahu kepada iblis yang dia tidak ada kuasa ke atas anak-anak Bani Adam yang ikut jalan-Nya. Iblis tidak akan mampu menggoda mereka. Iaitu orang-orang yang telah Allah ﷻ takdirkan mendapat hidayah, tiada jalan bagi iblis kepada mereka, tidak pula syaitan dapat sampai kepada mereka.

Di dalam ayat ini kita diberitahu yang iblis tidak ada kuasa ke atas hamba-Nya iaitu ikut jalan Allah ﷻ. Akan tetapi timbul persoalan juga kerana ada juga ayat-ayat Al-Qur’an yang menyebut iblis berjaya menipu dan menyebabkan kesalahan pada manusia. Sebagai contoh, iblis telah berjaya menipu Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, bukan? Cuba juga lihat ayat Ali Imran: 155

إِنَّ الَّذينَ تَوَلَّوا مِنكُم يَومَ التَقَى الجَمعانِ إِنَّمَا استَزَلَّهُمُ ٱلشَّيطَـٰنُ بِبَعضِ ما كَسَبوا ۖ وَلَقَد عَفَا اللَّهُ عَنهُم ۗ إِنَّ اللَّهَ غَفورٌ حَليمٌ
Bahawasanya orang-orang yang telah berpaling (melarikan diri) di antara kamu pada hari bertemu dua angkatan tentera (Islam dan kafir dalam perang Uhud) itu, sesungguhnya mereka cuba untuk digelincirkan oleh Syaitan dengan sebab sebahagian daripada perbuatan-perbuatan (yang salah) yang mereka telah lakukan (pada masa yang lalu); dan demi sesungguhnya Allah telah memaafkan mereka, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.

Maknanya, para sahabat juga berjaya ditipu iblis, bukan? Maka apakah maksud ayat ini? Maksudnya iblis tidak terus berjaya menipu hamba Allah ﷻ yang baik. Memang ada kemungkinan mereka terjerumus, namun akhirnya mereka sedar dan kembali bertaubat. Sepertimana Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bertaubat dan juga para sahabat رضي الله عنهم di Perang Uhud itu juga sedar kesalahan mereka lalu bertaubat.

Akan tetapi secara umumnya iblis dan syaitan tidak ada kuasa ke atas manusia. Mereka hanya boleh ajak sahaja. Ini juga akan disebut oleh iblis di dalam khutbahnya nanti di neraka seperti telah disebut dalam Ibrahim: 22

وَقالَ الشَّيطٰنُ لَمّا قُضِيَ الأَمرُ إِنَّ اللهَ وَعَدَكُم وَعدَ الحَقِّ وَوَعَدتُكُم فَأَخلَفتُكُم ۖ وَما كانَ لِيَ عَلَيكُم مِّن سُلطٰنٍ إِلّا أَن دَعَوتُكُم فَاستَجَبتُم لي
Dan berkatalah syaitan tatkala perkara (hisab) telah diselesaikan: “Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan aku pun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya. Sekali-kali tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan (sekadar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku,

 

إِلّا مَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الغاوينَ

kecuali orang-orang yang mengikut kamu, iaitu orang-orang yang sesat.

Kecuali manusia yang mengikut ajakan syaitan itu. Iaitu mereka yang sesat dan terus sesat tidak sedar dan tidak bertaubat. Iaitu mereka yang lupa kepada jalan Allah ﷻ, agama yang lurus, juga lupa tentang syaitan yang sudah jelas menjadi musuh bagi manusia. Mereka lupa tentang syaitan yang akan memberikan was-was dan menghasut mereka. Oleh kerana lupa, maka mereka ikut langkah syaitan. Sepatutnya mereka ikut jalan Allah ﷻ, tetapi akhirnya mereka ikut jalan syaitan pula.

Ada orang yang terlengah, terlalai dalam perjalanan itu. Dia melengong-lengong, membengong-bengong ke kiri ke kanan lalu syaitan berjaya rayu dari tepi jalan, dia pun kehilangan keseimbangan diri lalu diturutinya kehendak syaitan, dia tinggalkan jalan lurus itu, dia menyeleweng, dia melencong. Itulah hanya yang dapat engkau tarik. Akan tetapi kalau dia sadar kembali sebelum terlambat, lalu dia kembali ke jalan-Ku itu dan syaitan ditinggalkannya, maka dia masih tetap Aku terima sebagai hamba-Ku. Namun orang-orang yang tidak lekas sedar, yang menurut syaitan berhanyut-hanyut di jalan sesat yang tidak tentu hujungnya itu, maka celakalah dia!


 

Hijr Ayat 43: Apa akan jadi kepada mereka sesat itu? Sekarang Allah ﷻ sudah tidak bercakap terus dengan iblis lagi.

وَإِنَّ جَهَنَّمَ لَمَوعِدُهُم أَجمَعينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed, Hell is the promised place for them all.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Jahannam itu benar-benar tempat yang telah diancamkan kepada mereka (pengikut-pengikut syaitan) semuanya.

 

Mereka yang sesat itu akan dimasukkan ke dalam neraka yang telah dijanjikan kepada mereka. Itulah balasan yang setimpal untuk mereka kerana mengikut bisikan iblis. Allah ﷻ telah beritahu awal-awal tentang neraka dan telah banyak disebut di dalam Al-Qur’an dan hadith-hadith Nabi ﷺ. Maka kalau masih lagi menuju ke arah neraka, bukanlah salah Allah ﷻ dan Rasulullah ﷺ lagi.

Ayat ini adalah peringatan yang jelas bagi manusia supaya berhati-hati berjalan di dalam hidup ini. Kalau dia terlengah sedikit saja akan lalulah ke atas dirinya perdayaan syaitan iblis itu. Sedang menurut ayat-ayat di atas tadi dan disambungkan lagi dengan beberapa ayat yang lain, penyesalan tidak ada pada iblis. Kutukan Allah ﷻ yang telah diterimanya kerana dia tidak mahu bersujud kepada Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu bukan membuatnya insaf, melainkan menumbuhkan tekad bulat pada dirinya untuk melanjutkan permusuhannya dengan manusia. Lihatlah sampai dia minta diberi kesempatan memperdayakan manusia selama dunia ini masih didiami manusia.

Tuhan pun memberikan kesempatan itu kepadanya. Iblis sendiri pun telah memberikan pengakuan sejak mula, bahawa manusia yang benar-benar memperhambakan diri kepada Allah ﷻ, tidaklah akan dapat dijatuhkannya ke dalam pengaruhnya. Tuhan pun memberikan peringatan pula bahawasanya jalan yang direntangkan Tuhan ini adalah jalan lurus, As-sirotol Mustaqim. Yang menjadikan tujuan hidupnya adlah Allah ﷻ sendiri dan redha-Nya.


 

Hijr Ayat 44: Setelah itu, Allah ﷻ mula menceritakan tentang neraka pula.

لَها سَبعَةُ أَبوٰبٍ لِّكُلِّ بابٍ مِّنهُم جُزءٌ مَّقسومٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It has seven gates; for every gate is of them [i.e., Satan’s followers] a portion designated.”

(MELAYU)

Jahannam itu mempunyai tujuh pintu. Tiap-tiap pintu (telah ditetapkan) untuk golongan yang tertentu dari mereka.

 

لَها سَبعَةُ أَبوٰبٍ

Jahannam itu mempunyai tujuh pintu.

Sekarang kita dapat tahu bahawa ada 7 pintu pada neraka itu. Maknanya, ada jenis-jenis pintu tertentu. Apabila ada 7 pintu, maknanya ada 7 tingkatan neraka. Israil telah meriwayatkan daripada Abu Ishaq, daripada Hubairah ibnu Abu Maryam, daripada Ali رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang mengatakan bahawa pintu-pintu Jahanam itu ada tujuh buah, sebahagiannya berada di atas sebahagian yang lain. Bila pintu yang pertama penuh, maka pintu yang kedua diisi, kemudian pintu yang ketiga, hingga semuanya penuh.

Ikrimah رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan, yang dimaksudkan dengan tujuh buah pintu ialah tujuh tingkatan. Ibnu Juraij رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan bahawa tujuh buah pintu itu yang pertama dinamakan Jahanam, lalu Laza, lalu Hutamah, lalu Sa’ir, lalu Saqar, lalu Jahim, dan yang terakhir ialah Hawiyah. Ad-Dahhak رَحِمَهُ اللَّهُ telah meriwayatkan hal yang semisal daripada Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا. Hal yang sama telah diriwayatkan daripada Al-A’masy رَحِمَهُ اللَّهُ. Berikut adalah penerangan tentang 7 neraka-neraka tersebut:

1. Neraka Hawiyah

Neraka ini letaknya paling dasar atau bawah. Golongan yang akan mengisi neraka Hawiyah adalah orang-orang munafik, yang melakukan kebaikan tetapi hatinya mendustakan Allah ﷻ. Allah ﷻ menjelaskan tentang neraka Hawiyah ini dalam Qaari’ah: 9 – 11:

فَأُمُّهُ ۥ هَاوِيَةٌ
maka tempat kembalinya adalah neraka Hawiyah.

وَمَآ أَدرَٮٰكَ مَا هِيَه
Tahukah kamu apakah neraka Hawiyah itu?

نارٌ حامِيَةٌ
(Iaitu) api yang sangat panas.

2. Neraka Saqar

Neraka yang terletak atas neraka Hawiyah. Dijelaskan dalam Muddatstsir: 42 – 46

ما سَلَكَكُم في سَقَرَ
(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?”

قالوا لَم نَكُ مِنَ المُصَلّينَ
Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang;

وَلَم نَكُ نُطعِمُ المِسكينَ
“Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin;

وَكُنّا نَخوضُ مَعَ الخائِضينَ
“Dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang-orang yang memperkatakannya;

وَكُنّا نُكَذِّبُ بِيَومِ الدّينِ
“Dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan,

3. Neraka Jahim

Neraka Jahim seperti dijelaskan dalam Maidah: 10 akan diisi oleh orang-orang kafir yang mendustakan ayat-ayat Allah ﷻ.

وَالَّذِينَ كَفَرُوا وَكَذَّبُوا بِئآيَٰتِنَا أُولَٰئِكَ أَصْحٰبُ الْجَحِيمِ
Adapun orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itu adalah penghuni neraka Jahim.

Dalam Syu’ara: 91 disebutkan bahawa neraka ini dijanjikan akan diisi orang-orang yang sesat seperti menyembah berhala dan sapi. Yang akan menyeksa golongan ini adalah apa yang mereka sembah, kerana syirik bererti mempercayai ada makhluk yang lebih hebat dan berkuasa dibanding Allah ﷻ.

وَبُرِّزَتِ الجَحيمُ لِلغاوينَ
dan diperlihatkan dengan jelas neraka Jahim kepada orang-orang yang sesat”,

4. Neraka Sa’ir

Dalam Al-Qur’an, makna Sa’ir itu sendiri adalah ‘menyala-nyala.’ Seperti disebut dalam Mulk: 10-11, neraka ini merupakan seburuk-buruknya tempat kembali. Tatkala dilemparkan ke dalam neraka ini, para penghuninya akan mendengar suara yang mengerikan. Golongan yang akan menghuni neraka Sa’ir adalah orang-orang yang mengambil harta anak yatim dan tidak menunaikan zakat.

وَقالوا لَو كُنّا نَسمَعُ أَو نَعقِلُ ما كُنّا في أَصحٰبِ السَّعيرِ
Dan mereka berkata: “Kalaulah kami dahulu mendengar dan memahami (sebagai orang yang mencari kebenaran), tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan ahli neraka Sa’ir”.

فَاعتَرَفوا بِذَنبِهِم فَسُحقًا لِّأَصحٰبِ السَّعيرِ
Akhirnya mereka mengakui dosa-dosa mereka (sebagai orang-orang yang kufur ingkar), maka tetaplah jauhnya rahmat Allah dari ahli neraka Sa’ir.

Di dalam Nisa’: 10 telah diberitahu yang penghuni neraka Sa’ir itu perut mereka akan diisi dan dipenuhi oleh api neraka, kerana semasa hidup orang-orang ini memakan dan mengambil yang bukan hak miliknya.

إِنَّ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوٰلَ الْيَتٰمَىٰ ظُلْمًا إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ نَارًا وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيرًا
Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.

5. Neraka Huthamah

Golongan orang-orang yang akan mengisi neraka Huthamah adalah orang yang suka mengumpat. Neraka Huthamah digambarkan akan membakar manusia daripada api neraka yang panasnya beribu-ribu kali lipat daripada panas api dunia, dan api akan menyala serta membakar hingga ke hati manusia. Ini seperti disebut dalam Humazah: 4-7

كَلّا ۖ لَيُنبَذَنَّ فِي الحُطَمَةِ
sekali-kali tidak! Sesungguhnya dia benar-benar akan dilemparkan ke dalam Huthamah.

وَما أَدراكَ مَا الحُطَمَةُ
Dan tahukah kamu apa Huthamah itu?

نارُ اللَّهِ الموقَدَةُ
(iaitu) api (yang disediakan) Allah yang dinyalakan,

الَّتي تَطَّلِعُ عَلَى الأَفئِدَةِ
yang naik (membakar) sampai ke hati.

6. Neraka Lazha

Golongan yang akan menghuni neraka Lazha adalah orang-orang yang mendustakan Al-Qur’an, iaitu tidak percaya dan tidak mengimani apa yang ada di Al-Qur’an, berpaling daripada keimanan dan mengikuti iblis laknatullah. Sifat tamak dan cinta duniawi akan mengisi neraka Lazha yang di dalamnya ada api yang menyala-nyala sehingga api yang bergejolak akan mengupas kulit kepala mereka, dan membakar tubuh mereka. Ini seperti disebut dalam Ma’arij: 15-16

كَلّا ۖ إِنَّها لَظىٰ
Tidak sekali-kali (sebagaimana yang diharapkannya)! Sesungguhnya neraka (yang disediakan baginya) tetap menjulang-julang apinya,

نَزّاعَةً لِلشَّوىٰ
(Membakar serta) menggugurkan kulit ubun-ubun dan anggota anggota tubuh badan,

 

7. Neraka Jahanam

Neraka Jahanam merupakan tempat terburuk dan pintu yang paling atas (pertama), neraka yang paling dalam dan berat seksaannya. Neraka jahanam dijaga oleh malaikat Zabaniyah dan membawa mereka dengan rantai yang dimasukkan ke dalam mulut dan keluar melalui duburnya, golongan yang akan mengisi neraka ini adalah orang-orang yang tidak sempat bertaubat hingga ajal menjemputnya, dan melakukan maksiat selama hidup di dunia. Tentang Jahannam banyak disebut di dalam Al-Qur’an.

 

لِّكُلِّ بابٍ مِّنهُم جُزءٌ مَّقسومٌ

Tiap-tiap pintu (telah ditetapkan) untuk golongan yang tertentu dari mereka.

Golongan tertentu akan masuk ikut pintu masing-masing. Juwaibir telah meriwayatkan daripada Ad-Dahhak رَحِمَهُ اللَّهُ sehubungan dengan makna firman-Nya: Jahanam itu mempunyai tujuh pintu. Tiap-tiap pintu (telah ditetapkan) untuk golongan yang tertentu daripada mereka. (Al-Hijr: 44) Bahawa ada pintu untuk orang-orang Yahudi, pintu untuk orang-orang Nasrani, pintu untuk orang-orang Sabi-in, pintu untuk orang-orang Majusi, pintu untuk orang-orang musyrik (iaitu orang-orang kafir Arab), pintu untuk orang-orang munafik, dan pintu untuk ahli tauhid. Akan tetapi ahli tauhid mempunyai harapan untuk dikeluarkan, sedangkan yang selain mereka tidak ada harapan sama sekali untuk selama-lamanya.

Menurut pendapat Syeikh Mahmud bin Abdillah al-Alusi رَحِمَهُ اللَّهُ (wafat pada 1207 Hijrah) dalam tafsirnya Ruh al-Ma’ani: “Hikmah pembatasan bilangan pintu-pintu neraka itu kemungkinan kerana sebab-sebab kebinasaan manusia berpunca pada lima pancainderanya (mata, telinga, hidung, lidah dan kulit) juga syahwat dan emosi”.

Ini membawa maksud, penyebab manusia masuk ke dalam neraka adalah pada tujuh anggotanya, maka pintu-pintu neraka juga berjumlah sebanyak tujuh buah pintu. Setiap orang ahli neraka akan dicampakkan melalui pintu-pintu yang disesuaikan dengan amalan masing-masing. Jika seseorang itu suka bermaksiat dengan matanya di dunia, maka dia akan dilemparkan ke dalam neraka melalui salah satu daripada pintu yang dikhaskan untuknya. Sesiapa yang suka bermaksiat dengan lidahnya, maka telah disediakan pintu khas untuknya. Begitulah seterusnya sehingga ia meliputi semua orang yang telah ditetapkan masuk ke dalam neraka.

Sebaliknya, sesiapa yang selalu menjaga ketujuh-tujuh anggota ini daripada maksiat, maka tertutuplah pintu-pintu neraka itu di hadapannya. Untuk orang seperti ini, syurga adalah tempat yang paling sesuai baginya.

Sekian Ruku’ 3 daripada 6 ruku’ surah ini.


 

KEADAAN ORANG MUKMIN DI SYURGA

Hijr Ayat 45: Ini adalah Ayat Tabshir Ukhrawi. Selepas menceritakan tentang neraka, sekarang Allah ﷻ menyentuh tentang syurga pula. Memang kebiasaan Allah ﷻ akan mengimbangkan antara syurga dan neraka, baik dan buruk. Ini supaya kita boleh dapat bezakan antara keduanya.

إِنَّ المُتَّقينَ في جَنّٰتٍ وَعُيونٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, the righteous will be within gardens and springs,

(MELAYU)

Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa itu berada dalam syurga (taman-taman) dan (di dekat) mata air-mata air (yang mengalir).

 

Kepada mereka yang bertaqwa, akan dimasukkan ke dalam syurga. Muttaqeen (orang yang bertaqwa) itu adalah mereka yang taat kepada hukum Allah ﷻ dan berhati-hati dalam segala perbuatannya. Dia sentiasa memikirkan apakah perbuatannya itu halal atau haram.

Dia sentiasa sedar keberadaan Allah ﷻ yang sentiasa memerhatikan apa yang dilakukannya. Dan kerana itu dia amat berhati-hati. Maka dia takut sekali berbuat dosa kerana dia tahu dan sedar yang Allah ﷻ sedang memerhatikannya. Kalau ayah kita depan kita, tentu kita tidak berani buat salah, bukan?

Untuk Muttaqeen ini, mereka akan mendapat balasan tinggal di dalam syurga dengan segala kenikmatan di dalamnya. Dalam ayat ini hanya diberitahu sedikit sahaja – ada taman dan ada mata-air. Ini adalah bayangan kepada keadaan di dalam syurga itu. Ia amat indah dan tidak dapat dibayangkan dengan akal kita.

Namun persoalannya, siapakah golongan Muttaqeen ini? Terdapat banyak ayat-ayat Al-Qur’an yang menyebut sifat mereka untuk kita ikuti, antaranya Ali Imran: 134-135

الَّذينَ يُنفِقونَ فِي السَّرّاءِ وَالضَّرّاءِ وَالكٰظِمينَ الغَيظَ وَالعافينَ عَنِ النّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ المُحسِنينَ
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;

وَالَّذينَ إِذا فَعَلوا فٰحِشَةً أَو ظَلَموا أَنفُسَهُم ذَكَرُوا اللَّهَ فَاستَغفَروا لِذُنوبِهِم وَمَن يَغفِرُ الذُّنوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَم يُصِرّوا عَلىٰ ما فَعَلوا وَهُم يَعلَمونَ
Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).

Bahasa: Ketepatan bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an: kalimah عين asalnya bermaksud ‘mata’ dan ia juga digunakan untuk mata air (sesuatu yang indah dipandang mata).

Jamak bagi عين adalah أعيُن dan عُيُون dan digunakan di dalam Bahasa Arab untuk jamak bagi mata dan juga mata air. Ia boleh bertukar-tukar penggunaannya. Akan tetapi Al-Qur’an sentiasa menggunakan penggunaan yang tepat. Kalimah أعيُن sentiasa digunakan bagi mata dan kalimah عُيُون sentiasa digunakan bagi mata air.


 

Hijr Ayat 46:

ادخُلوها بِسَلٰمٍ ءآمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Having been told], “Enter it in peace, safe [and secure].”

(MELAYU)

(Dikatakan kepada mereka): “Masuklah ke dalamnya dengan sejahtera lagi aman”

 

Ada muqaddar dalam ayat ini. Tiba-tiba ayat ini iltifad (pertukaran) kepada percakapan dengan pihak kedua (sebelum ini menceritakan tentang pihak ketiga). Sekarang disebutkan kata-kata seolah-olah Allah ﷻ sendiri yang menjemput pembaca ayat ini untuk masuk ke dalam syurga itu. Semacam terasa yang kita sendiri akan masuk. Ini adalah kerana Allah ﷻ hendak memberi isyarat, kamu yang sedang membaca Al-Qur’an ini pun boleh masuk juga ke dalam syurga.

Mereka akan dijemput masuk dengan salam oleh Allah ﷻ seperti disebut dalam Yaasin: 58

سَلٰمٌ قَولًا مِّن رَّبٍّ رَّحيمٍ
(Kepada mereka dikatakan): “Salam”, sebagai ucapan selamat daripada Tuhan Yang Maha Penyayang.

Juga daripada para malaikat seperti disebut dalam Ra’d: 23-24

وَالمَلائِكَةُ يَدخُلونَ عَلَيهِم مِن كُلِّ بابٍ
sedang malaikat-malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu;

سَلامٌ عَلَيكُم بِما صَبَرتُم
(sambil mengucapkan): “Salamun ‘alaikum bima sabartum”.

Syurga itu adalah tempat yang aman. Mereka yang dapat masuk ke dalam syurga sudah tentu sudah selamat. Aman dan selamat daripada segala ancaman bahaya dan kesusahan kerana mereka sudah lalui bermacam-macam dugaan semasa di dunia dan akhir sekali adalah laluan Titian Sirat untuk melepasi neraka. Mereka akan aman daripada rasa takut. Jikalau dapat melepasi ujian itu, maka akan dapat masuk ke dalam syurga dan akan dijemput sendiri untuk masuk ke dalam syurga oleh Allah ﷻ sendiri. Alangkah indahnya!

Ada juga pendapat yang mengatakan kalimah سَلٰمٍ merujuk kepada nikmat fizikal dan kalimah ءآمِنينَ merujuk kepada nikmat batin. Kedua-duanya akan diberikan kepada ahli syurga. Bandingkan dengan dunia, kadangkala kita kaya raya mahu makan apa pun dapat, akan tetapi hati tidak tenang. Maka nikmat tenang dan nikmat batin yang lain adalah amat penting dan mungkin lebih berharga, bukan?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 15 November 2023


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahudin

Tafsir Surah al-Hijr Ayat 29 – 38 (Jangan sombong)

Hijr Ayat 29: Setelah dibentuk Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada tanah liat itu, kemudian menjadi tembikar, lalu Allah ﷻ meniupkan roh.

فَإِذا سَوَّيتُهُ وَنَفَختُ فيهِ مِن رّوحي فَقَعوا لَهُ سٰجِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when I have proportioned him and breathed into him of My [created] soul,¹ then fall down to him in prostration.”

  • The element of life and soul which Allāh created for that body, not His own spirit or part of Himself (as some mistakenly believe).

(MELAYU)

Maka apabila Aku telah menyempurnakan kejadiannya, dan telah meniupkan ke dalamnya ruh (ciptaan)-Ku, maka tunduklah kamu kepadanya dengan bersujud.

 

فَإِذا سَوَّيتُهُ

Maka apabila Aku telah menyempurnakan kejadiannya,

Maksudnya setelah Allah ﷻ menjadikan bentuk Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu di dalam bentuk yang terindah. Namun ia cuma di dalam bentuk fizikal sahaja, keras kaku tidak boleh buat apa-apa lagi.

 

وَنَفَختُ فيهِ مِن رّوحي

dan setelah Aku meniupkan ke dalamnya ruh (ciptaan)-Ku, 

Setelah dijadikan bentuk, Allah ﷻ telah tiupkan roh ke dalam jasad Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana kalau tidak ada roh, tidaklah jadi manusia (jadi tembikar sahaja).

Perkataan روحي (RohKu) menjadi perbincangan yang hebat juga dalam kalangan manusia, terutama golomgan ahli sufi dan tarekat yang jahil dengan wahyu dan suka mencari perkara yang tidak perlu difikirkan. Mereka kata roh itu Roh Allah ﷻ (Allah ﷻ tiupkan sebahagian daripada Roh-Nya). Ini adalah salah sama sekali kerana itu sudah mengatakan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu adalah sebahagian daripada Allah ﷻ pula.

Sebenarnya Allah ﷻ cuma mengatakan yang Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah dimasukkan dengan roh ciptaan-Nya. Begini, kalau saya kata: “Itu beg saya”, adakah itu bermaksud beg itu sebahagian daripada saya? Tentu tidak, bukan? Maksud saya adalah beg itu adalah kepunyaan saya. Maka roh yang Allah ﷻ tiupkan ke dalam jasad Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu adalah roh ciptaan Allah ﷻ dan ia adalah kepunyaan Allah ﷻ.

Jelas sekali, Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah ditiupkan dengan roh ciptaan Allah ﷻ dan kita semua pun ditiupkan dengan roh daripada Allah ﷻ juga. Maka tidak ada kelebihan keterlaluan pada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Begitu juga dengan Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kejadian mereka itu adalah kejadian yang telah ditentukan oleh Allah ﷻ. Bukanlah apabila Allah ﷻ kata Dia tiupkan roh ke dalam jasad Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, mereka ada kelebihan ketuhanan pula. Oleh itu, tidak boleh kita sembah Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Apakah pula roh itu? Ini menjadi satu misteri dan perbincangan yang panjang lebar dalam kalangan manusia termasuk ulama’ Islam juga. Kita tidak akan tahu dan cukuplah kita berpegang dengan ayat Isra’: 85 yang memberitahu kita yang kita tidak akan tahu sepenuhnya apakah roh itu.

وَيَسأَلونَكَ عَنِ الرّوحِ ۖ قُلِ الرّوحُ مِن أَمرِ رَبّي وَما أوتيتُم مِنَ العِلمِ إِلّا قَليلًا
Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah: “Roh itu termasuk urusan Tuhan-ku, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit”.

 

فَقَعوا لَهُ سٰجِدينَ

maka tunduklah kamu kepadanya dengan bersujud.

Kalimah فَقَعوا adalah kata arahan (fi’il amar). Ia daripada kalimah و ق ع yang bermaksud ‘jatuh’. Allah ﷻ suruh para malaikat jatuh tunduk untuk sujud kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebelum baginda dijadikan lagi. Maknanya, arahan untuk sujud telah diberikan sebelum baginda dijadikan lagi. Oleh itu, Iblis sudah tahu tentang arahan ini kerana Allah ﷻ sudah beritahu awal-awal lagi.

Namun kita pun sudah tahu yang Iblis sombong kerana sangka dia lebih mulia daripada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana dia dijadikan daripada api dan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dijadikan daripada tanah. Dia guna logik akal sahaja (api naik tinggi dan tanah itu di bawah – maka api lebih mulia daripada tanah kalau begitu). Perkara ini ada disebut dalam ayat lain:

أَنَا خَيْرٌ مِنْهُ خَلَقْتَنِي مِنْ نَارٍ وَخَلَقْتَهُ مِنْ طِينٍ
Aku lebih baik daripadanya, kerana Engkau ciptakan aku daripada api, sedangkan dia Engkau ciptakan daripada tanah.
(A’raf: 12)

Namun Allah ﷻ telah beritahu yang Dia akan tiupkan roh ke dalam jasad Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Maka kemuliaan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bukan kerana tanah tetapi kerana roh itu. Apabila Iblis sombong untuk sujud, dia tidak ada alasan lagi kerana memang telah diberitahu dari awal lagi yang mereka memang kena sujud. Sujud itu adalah kerana mentaati perintah Allah ﷻ, bukannya sujud ibadah atau ikut perintah Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula. Bukanlah tujuan sujud untuk menjadikan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai sembahan pula. Maka ibadah adalah kepada Allah ﷻ, bukannya kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Maka sesatlah golongan yang kata kononnya Iblis itu mempunyai ketinggian tauhid yang hebat sampai tidak mahu sujud kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana dia mahu sujud kepada Allah ﷻ sahaja. Inilah contoh orang yang keliru, tidak faham wahyu dan buat reka fahaman baru.

Para ulama’ khilaf tentang sujud kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini. Ada yang kata ia bukanlah sujud seperti kita sujud dalam solat itu tetapi hanya sebagai tunduk hormat sahaja. Ini kerana mereka susah hendak terima ada makhluk sujud kepada makhluk selain Allah ﷻ. Akan tetapi pendapat ini telah mengubah maksud kalimah ‘sujud’ itu yang kita pun tahu bagaimana rupa sujud itu.

Sebenarnya tidak salah pun kita katakan yang para malaikat itu benar-benar sujud kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana itu adalah arahan daripada Allah ﷻ sendiri. Yang melarang sujud kepada makhluk pun Allah ﷻ juga, maka kalau Dia suruh sujud kepada makhluk, itu pun arahan daripada Dia. Apabila Allah ﷻ telah beri arahan kepada kita maka kita tidak ada ruang untuk kita menggunakan logik akal kita untuk taat ataupun tidak. Semua arahan Allah ﷻ hendaklah ditaati walaupun akal kita mungkin rasa dia tidak patut.

Apabila ia arahan daripada Allah ﷻ, maka ia sudah menjadi ibadat yang wajib ditaati. Sebagai contoh, Nabi Khidr عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah membunuh seorang anak kecil, bukan? Itu kalau dalam keadaan biasa, memang merupakan satu dosa yang besar, tetapi ia adalah daripada Allah ﷻ. Ini disebut dalam Kahf: 74

فَانطَلَقا حَتّىٰ إِذا لَقِيا غُلٰمًا فَقَتَلَهُ قالَ أَقَتَلتَ نَفسًا زَكِيَّةً بِغَيرِ نَفسٍ لَّقَد جِئتَ شَيئًا نُّكرًا
Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang pemuda lalu dia membunuhnya. Nabi Musa berkata “Patutkah engkau membunuh satu jiwa yang bersih, yang tidak berdosa membunuh orang? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perbuatan yang mungkar!”

Satu lagi contoh adalah kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang sudah bersedia menyembelih anaknya Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini pun tentunya tidak masuk akal kalau difikirkan. Akan tetapi kerana ia adalah wahyu arahan daripada Allah ﷻ, maka Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (dan juga Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) telah redha untuk melakukannya seperti disebut dalam Saffat: 102 – 103

فَلَمّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعيَ قالَ يٰبُنَيَّ إِنّي أَرىٰ فِي المَنامِ أَنّي أَذبَحُكَ فَانظُر ماذا تَرىٰ ۚ قالَ يٰأَبَتِ افعَل ما تُؤمَرُ ۖ سَتَجِدُني إِن شاءَ اللهُ مِنَ الصّٰبِري
Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: “Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!” Dia menjawab: “Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar”.

فَلَمّا أَسلَما وَتَلَّهُ لِلجَبينِ
Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipis(nya), (nyatalah kesabaran keduanya).

Maka para malaikat itulah yang benar kerana taat kepada perintah Allah ﷻ. Mereka pun adalah makhluk yang tidak ada pilihan untuk mengingkari arahan Allah ﷻ. Sedangkan iblis pula seperti manusia ada pilihan untuk memilih jalan sendiri. Maka para malaikat terus menepati arahan Allah ﷻ. Yang dilarang adalah sujud kepada makhluk lain tanpa arahan daripada Allah ﷻ. Sampaikan sujud kepada Nabi Muhammad ﷺ pun tidak boleh. Ada hadith tentang perkara ini,

لَا يَصْلُحُ لِبَشَرٍ أَنْ يَسْجُدَ لِبَشَرٍ، وَلَوْ صَلَحَ لِبَشَرٍ أَنْ يَسْجُدَ لِبَشَرٍ، لَأَمَرْتُ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا، مِنْ عِظَمِ حَقِّهِ عَلَيْهَا
Tidak dibenarkan seorang manusia itu untuk sujud kepada manusia. Jika dibenarkan untuk manusia itu sujud kepada manusia nescaya aku akan meminta isteri untuk sujud kepada suaminya kerana besarnya hak suami ke atas isteri itu.”
(Riwayat Ahmad (12614))
Syeikh Syu’aib al-Arnauth menilai hadith ini sahih li ghairihi

Syarah: hadith ini timbul kerana ada sahabat yang hendak sujud kepada Nabi ﷺ maka baginda jelaskan yang itu dilarang. Kalaulah sujud kepada manusia itu boleh, maka isteri lebih patut sujud kepada suaminya. Akan tetapi itu pun tidak boleh. Jangan pula jadikan ini sebagai dalil untuk isteri sujud kepada suami pula.


 

KEDEGILAN iblis

Hijr Ayat 30: Setelah diberikan arahan kepada malaikat, mereka terus sujud.

فَسَجَدَ المَلٓئِكَةُ كُلُّهُم أَجمَعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So the angels prostrated – all of them entirely,

(MELAYU)

Maka bersujudlah para malaikat itu semuanya bersama-sama,

 

Malaikat semua sekali sujud kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana arahan daripada Allah ﷻ. Apabila ada huruf ف pada kalimah فَسَجَدَ itu, ia bermaksud mereka terus sujud, tanpa lengah. Mereka tidaklah kena fikir dulu, berbincang sesama mereka dan sebagainya. Itu semua tidak terjadi, kerana mereka terus sujud. Mereka ikut arahan Allah ﷻ.

Walaupun ada dikatakan tidak boleh sujud kepada makhluk, tetapi kita kena ingat yang arahan ini adalah arahan daripada Allah ﷻ. Kalau Allah ﷻ sendiri yang suruh, maka kita tidak ada pilihan untuk memikirkan sama ada boleh atau tidak untuk tidak melakukannya. Kerana tidak boleh sujud kepada makhluk lain pun adalah arahan daripada Allah ﷻ, bukan?

Kalimah كُلُّهُم sudah menunjukkan semua malaikat sujud tetapi Allah ﷻ tambah dengan kalimah أَجمَعونَ pula sebagai penekanan dalam bentuk balaghah (sangat). Maknanya tidak ada langsung malaikat yang tidak sujud. Disebut ‘semua sekali’ untuk menjelaskan yang iblis bukan malaikat. Kerana malaikat semua sekali sujud tetapi iblis tidak sujud – menunjukkan iblis bukanlah malaikat.


 

Hijr Ayat 31: Siapa yang tidak sujud?

إِلّآ إِبليسَ أَبىٰ أَن يَكونَ مَعَ السّٰجِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Except Iblees;¹ he refused to be with those who prostrated.

  • Who was of the jinn. See 18:50.

(MELAYU)

kecuali iblis. Ia enggan ikut bersama-sama (malaikat) yang sujud itu.

 

إِلّآ إِبليسَ

kecuali iblis.

Kita pun telah tahu bahawa iblis tidak sujud. Ini kita dapat tahu melalui ayat-ayat dalam surah lain, antaranya Baqarah: 34

وَإِذ قُلنا لِلمَلٰئِكَةِ اسجُدوا لِآدَمَ فَسَجَدوا إِلّا إِبليسَ أَبىٰ وَاستَكبَرَ وَكانَ مِنَ الكٰفِرينَ
Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia daripada golongan yang kafir.

 

أَبىٰ أَن يَكونَ مَعَ السّٰجِدينَ

Ia enggan ikut bersama-sama yang sujud.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut bahawa semua sekali malaikat telah sujud. Sekarang disebut bahawa iblis tidak sujud. Ini sebagai dalil tambahan yang Iblis itu bukan jenis malaikat tetapi jenis jin. Ini telah diberitahu dengan jelas dalam Kahf: 50.


 

Hijr Ayat 32: Allah ﷻ menceritakan kisah bagaimana iblis enggan taat kepada Allah ﷻ apabila Allah ﷻ suruh semua sujud kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

قالَ يٰٓإِبليسُ ما لَكَ أَلّا تَكونَ مَعَ السّٰجِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Allāh] said, “O Iblees, what is [the matter] with you that you are not with those who prostrate?”

(MELAYU)

Allah berfirman: “Hai iblis, apa sebabnya kamu tidak (ikut sujud) bersama-sama mereka yang sujud itu?”

 

Allah ﷻ tanya kepada iblis kenapa dia tidak sujud? Semua yang lain sujud, tetapi kamu pula tidak sujud? Kenapakah ini? Bukannya Allah ﷻ tidak tahu apa yang dalam hati iblis itu, tetapi Allah ﷻ hendak mengajar kita.

Ada juga yang cuba berhujah yang arahan sujud itu hanya kepada para malaikat sahaja sedangkan iblis bukan malaikat. Maka tidak salahlah apabila dia tidak sujud. Benarkah begitu? Tidak adakah arahan kepadanya untuk sujud juga? Sebenarnya ada kerana Allah ﷻ juga telah berfirman di dalam A’raf: 12

قالَ ما مَنَعَكَ أَلّا تَسجُدَ إِذ أَمَرتُكَ
Allah berfirman: “Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) di waktu Aku menyuruhmu?”

Dari sini jelas yang arahan untuk sujud juga telah diberikan kepada iblis. Dia juga ada dalam kalangan para malaikat yang diberikan arahan itu, maka dia memang sepatutnya kena sujud.


 

Hijr Ayat 33: Inilah hujah Iblis kenapa dia tidak mahu sujud.

قالَ لَم أَكُن لِّأَسجُدَ لِبَشَرٍ خَلَقتَهُ مِن صَلصٰلٍ مِّن حَمَإٍ مَّسنونٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “Never would I prostrate to a human whom You created out of clay from an altered black mud.”

(MELAYU)

Berkata Iblis: “Aku sekali-kali tidak akan sujud kepada manusia yang Engkau telah menciptakannya dari tanah liat kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang diberi bentuk”

 

قالَ لَم أَكُن لِّأَسجُدَ لِبَشَرٍ

Berkata Iblis: “Aku sekali-kali tidak akan sujud kepada manusia

Bila iblis menggunakan kalimat لَم أَكُن yang berbentuk ‘past tense’, ini maksudnya dari awal lagi iblis memang tidak mahu sujud. Seperti yang kita telah tahu, Allah ﷻ awal-awal lagi telah beritahu yang Dia akan menjadikan manusia dan nanti mereka kena sujud kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Waktu itu lagi iblis sudah buat keputusan untuk tidak sujud.

Maknanya, memang dia sudah kufur dari awal lagi. Cuma kekufurannya itu menjadi nyata hanya apabila dia tidak sujud bersama para malaikat. Sebenarnya Allah ﷻ telah tahu pun apa yang di dalam hatinya.

 

خَلَقتَهُ مِن صَلصٰلٍ مِّن حَمَإٍ مَّسنونٍ

yang Engkau telah ciptakannya dari tanah liat kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang diberi bentuk”

Sekarang iblis menghina kejadian Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula kerana dia rasa dia lebih mulia kerana pada dia, kejadian Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu adalah hina sedangkan kejadian dia adalah mulia. Itu adalah sangkaan akal dia sahaja. Itu pun guna logik akal dia sahaja: [api di atas dan tanah di bawah, maka api lagi mulia daripada tanah]. Ringkasnya antara lain sebab kenapa iblis tidak mahu sujud kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ:

1. Dia rasa dia lebih baik kejadiannya kerana dia terjadi daripada api, sedang manusia terjadi daripada tanah berbau. Sudahlah tanah, berbau pula.

2. Dia rasa dia lebih layak kerana dia dijadikan lebih dahulu, sedangkan manusia dijadikan kemudian.

3. Iblis itu adalah makhluk yang sangat taat pada mulanya. Berjuta-juta tahun dia telah beribadat kepada Allah ﷻ. Tidak ada lagi sejengkal langit pun yang tidak dijadikannya tempat sujud kepada Tuhan. Tiba-tiba di saat penting dia disuruh bersujud kepada orang yang lebih hina pada pandangannya daripada dirinya sendiri.

Maka, janganlah kita terpakai hujah iblis ini. Janganlah kita hina dan muliakan orang lain kerana ras, kulit dan sebagainya. Kemuliaan makhluk bukan kerana itu. Kemuliaan makhluk adalah atas iman dan ilmu. Maka jangan sangka bangsa kita lebih baik daripada bangsa lain, jangan sangka kita yang duduk di sesuatu kampung itu lebih baik daripada pendatang. Jangan juga sangka yang kita yang sudah lama hidup dan sudah lama beribadat ini lebih baik daripada anak muda yang baru berjinak-jinak dengan agama. Entah dia yang baru belajar lebih faham agama daripada kita.


 

Hijr Ayat 34: Hukuman yang dikenakan kepada iblis.

قالَ فَاخرُج مِنها فَإِنَّكَ رَجيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Allāh] said, “Then depart from it,¹ for indeed, you are expelled.

  • Your position in the heavens.

(MELAYU)

Allah berfirman: “Keluarlah dari syurga, sesungguhnya kamu direjam,

 

قالَ فَاخرُج مِنها

Allah berfirman: “Keluarlah dari syurga,

Allah ﷻ menghalau iblis dari syurga. Atau dari langit kerana dhomir ها boleh merujuk kepada syurga atau langit kerana kedua-duanya dalam bentuk muannas (feminine). Ulama’ khilaf adakah iblis ada dapat masuk ke dalam syurga.

Dia sudah tidak layak untuk duduk di syurga lagi. Dulu dia dinaikkan ke langit kerana dia kuat beribadat. Namun setakat banyak melakukan ibadat tetapi tidak taat, kemudian sombong pula, maka dia tidak layak lagi duduk bersama para malaikat. Allah ﷻ juga telah berfirman di dalam A’raf: 13

قالَ فَاهبِط مِنها فَما يَكونُ لَكَ أَن تَتَكَبَّرَ فيها فَاخرُج إِنَّكَ مِنَ الصّٰغِرينَ
Allah berfirman: “Turunlah kamu dari syurga itu; kerana kamu tidak sepatutnya menyombongkan diri di dalamnya, maka keluarlah, sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang hina”.

Akan tetapi kenapa pula iblis ada di dalam syurga itu? Memang iblis sudah pernah masuk syurga? Bukankah sesiapa yang sudah masuk syurga tidak akan dikeluarkan? Maka ulama’ khilaf syurga apakah yang Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Hawwa dan iblis itu berada. Ada pendapat yang mengatakan memang iblis pernah duduk di syurga bersama Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Hawwa. Ada juga pendapat yang mengatakan iblis hanya datang sebentar untuk bercakap dengan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja.

Namun kemudian timbul persoalan: syurga yang mana? Adakah itu syurga yang akan dimasuki oleh orang yang beriman (ahli syurga)? Kalau ia syurga yang sama, kenapa ada larangan pula (tidak boleh makan satu pokok)? Atau ia syurga yang lain? Ini juga ulama’ khilaf. Ada yang mengatakan ia syurga yang sama. Larangan yang diberikan kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Hawwa itu hanya sebagai ujian sahaja. Ada pula yang berpendapat ia syurga yang lain. Kerana syurga yang sebenarnya orang jahat (seperti iblis) tidak boleh memasukinya. Allahu a’lam.

 

فَإِنَّكَ رَجيمٌ

sesungguhnya kamu direjam,

Kalimah رَجيمٌ daripada katadasar ر ج م yang bermaksud ‘batu’. Maka رَجيمٌ bermaksud direjam dengan batu atau seseorang yang dihalau (kerana dihalau dengan batu). Oleh itu, ini bermaksud iblis itu dihalau dari syurga.

Pengajaran penting bagi kita adalah jangan sombong. Sombong lah punca utama iblis dilaknat sebegitu. Kerana itulah orang yang ada sifat sombong walau sedikit pun tidak akan ada peluang untuk masuk ke dalam syurga seperti sabda Nabi Muhammad ﷺ:

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ
Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sebesar zarah perasaan sombong.
(Sahih Muslim (51))

Kita selalu dengar sombong, sombong. Namun apakah ia? Sombong ada dua jenis. Satu jenis sombong seperti Kaum Tsamud ini. Mereka berasa diri mereka sudah besar, lebih bijak pandai, lebih berilmu. Oleh sebab itu, apabila Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyampaikan dakwah kepada mereka, mereka tidak mahu dengar. Orang sombong jenis begini selalu sahaja kita jumpa. Terutama mereka yang sudah banyak belajar agama sekian lama, apabila kita sampaikan ajaran wahyu kepada mereka, mereka tidak mahu terima.

Satu lagi jenis sombong adalah rasa diri lebih hebat daripada orang lain. Mereka berasa mereka lebih kaya, lebih kuat, lebih baik keturunan, bangsa dan lain-lain. Ini pun memang bahaya.

Begitu juga dengan kita yang sudah belajar ini mungkin ada sedikit sebanyak berasa lebih pandai daripada orang lain, bukan? Maka kenalah jaga hati. Kita hendaklah sentiasa berhati-hati dan harus mempunyai rasa rendah diri. Jika ilmu kita banyak pun, ini kerana Allah ﷻ yang berikan kepada kita kerana kita dulupun yang belajar daripada orang lain juga. Jangan sesekali memandang rendah terhadap orang lain yang belum pandai. Entah apabila dia terima agama dan dia belajar, mungkin dia lebih pandai daripada kita. Maka jangan sombong.


 

Hijr Ayat 35: Apa lagi?

وَإِنَّ عَلَيكَ اللَّعنَةَ إِلىٰ يَومِ الدّينِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed, upon you is the curse until the Day of Recompense.”

(MELAYU)

dan sesungguhnya kutukan itu tetap menimpamu sampai hari pembalasan”.

 

Iblis tidak putus-putus akan berterusan dilaknat. Laknat maksudnya tiada harapan untuk kembali. Kerana laknat itu bermaksud telah ditolak, dihalau. Iaitu dijauhkan daripada rahmat Allah ﷻ. Maknanya, iblis tidak akan ada peluang untuk masuk syurga.


 

RAYUAN iblis

Hijr Ayat 36: Setelah mendapat segala hukuman itu, maka berdoalah pula iblis itu. Ada permintaannya kepada Allah ﷻ.

قالَ رَبِّ فَأَنظِرني إِلىٰ يَومِ يُبعَثونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “My Lord, then reprieve me until the Day they are resurrected.”

(MELAYU)

Berkata iblis: “Ya Tuhanku, (kalau begitu) maka beri tangguhlah kepadaku sampai hari (manusia) dibangkitkan,

 

Seteruk-teruk iblis itu pun, dia tahu untuk meminta doa mestilah terus kepada Allah ﷻ. Lihatlah bagaimana dia masih lagi panggil Allah ﷻ itu sebagai Rabbnya. Maknanya, yang melakukan tawasul (perantaraan) dalam doa itu lebih teruk daripada iblis! Bayangkan iblis pun tahu untuk terus doa kepada Allah ﷻ!

Iblis telah meminta supaya ditangguhkan. Maknanya tangguh daripada dimatikan, sampailah Hari Kebangkitan. Dia minta dipanjangkan umurnya kerana dia mahu menggoda anak Adam supaya masuk ke dalam neraka bersamanya. Hal ini merupakan dorongan kedengkian hatinya terhadap Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan anak cucunya. Ini juga telah disebut dalam A’raf: 14

قالَ أَنظِرني إِلىٰ يَومِ يُبعَثونَ
Iblis berkata: “Beri tangguhlah aku sampai waktu mereka dibangkitkan”.

Tahukah anda bahawa doa iblis ini banyak diulang-ulang oleh orang kita? Itulah doa minta panjang umur. Biasa bukan dengar doa minta dipanjangkan umur ini? Maka kalau kita berdoa begitu, maknanya kita mengikut sunnah iblis sebenarnya. Oleh itu ini bukanlah doa yang baik. Sebaliknya kita sepatutnya minta dimatikan dalam keadaan baik iaitu di dalam iman. Antaranya doa sebegini:

اللَهُمَّ اخْتِمْ لنا بِحُسْنِ الْخَاتِمَة وَلاَ تَخْتِمْ عَلَيْنَا بِسُوءِ الخَاتِمَة
“Ya Allah, akhirilah hidup kami dengan pengakhiran yang baik) dan jangan Kau akhiri hidup kami dengan pengakhiran yang buruk.”

Atau, boleh amalkan doa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti disebut dalam Yusuf: 101

تَوَفَّني مُسلِمًا وَأَلحِقني بِالصّالِحينَ
wafatkanlah aku dalam keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang yang soleh.

Apakah gunanya umur yang panjang kalau umur yang panjang itu hanya menambah dosa sahaja? Apakah gunanya jikalau umur yang panjang namun ia tidak dapat membantu kita? Begitulah juga kehendak orang Yahudi seperti disebut dalam Baqarah: 96

وَلَتَجِدَنَّهُم أَحرَصَ النّاسِ عَلىٰ حَيَوٰةٍ وَمِنَ الَّذينَ أَشرَكوا ۚ يَوَدُّ أَحَدُهُم لَو يُعَمَّرُ أَلفَ سَنَةٍ وَما هُوَ بِمُزَحزِحِهِ مِنَ العَذابِ أَن يُعَمَّرَ
Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati mereka itu setamak-tamak manusia kepada hidup (yang lanjut masanya), dan (lobanya mereka kepada hidup itu) melebihi loba orang-orang kafir musyrik. Tiap-tiap seorang daripada mereka suka kiranya dia boleh hidup seribu tahun, padahal umur panjang yang demikian, tidak akan dapat melepaskannya daripada azab (yang disediakan oleh Allah).


 

Hijr Ayat 37: Allah ﷻ terima permintaan iblis itu

قالَ فَإِنَّكَ مِنَ المُنظَرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Allāh] said, “So indeed, you are of those reprieved

(MELAYU)

Allah berfirman: “(Kalau begitu) maka sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang diberi tangguh,

 

Allah ﷻ makbulkan dengan tidak mematikan iblis itu. Apabila digunakan kalimat مِنَ المُنظَرينَ (daripada golongan yang diberi tangguh), ini bermakna ada lagi yang diberi tangguh, tidak dimatikan. Cuma kita tidak tahulah siapa lagi. Tentang Allah ﷻ makbulkan doa iblis ini ada juga disebut dalam A’raf: 15

قالَ إِنَّكَ مِنَ المُنظَرينَ
Allah berfirman: “Sesungguhnya kamu termasuk mereka yang diberi tangguh”.

Di sini kita dapat lihat yang Allah ﷻ memperkenankan permintaannya sebagai istidraj dan membiarkan dia terjerumus lebih sesat lagi. Maka sekiranya seseorang diberikan dengan segala nikmat di dunia ini, atau Allah ﷻ makbulkan doanya, bukanlah bermaksud Allah ﷻ sayang kepadanya kerana iblis pun Allah ﷻ makbulkan doa.


 

Hijr Ayat 38: Namun begitu iblis tidak dimatikan sehingga Hari Kiamat. Tidaklah sampai ke Hari Kebangkitan. Maknanya, apabila tiupan sangkakala pertama sahaja, dia pun akan mati termasuk sekali dengan makhluk-makhluk lain.

إِلىٰ يَومِ الوَقتِ المَعلومِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Until the Day of the time well-known.”

(MELAYU)

sampai hari (suatu) waktu yang telah ditentukan,

 

Kalimah يَومِ الوَقتِ المَعلومِ (Hari yang waktunya telah diketahui). Maknanya, kejadian Hari Kiamat itu semua sudah tahu. Ini adalah kerana ada maklumat yang kita sudah tahu kerana telah pernah disampaikan kepada kita.

Kita semua tahu yang ia akan terjadi, cuma bilalah waktu tepat ia akan terjadi, hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu. Tidak ada sesiapa lagi pun yang tahu, termasuklah para malaikat yang rapat dengan Allah ﷻ pun tidak tahu waktunya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 12 November 2023

Ringkasan Surah al-Hijr


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahudin

Tafsir Surah al-Hijr Ayat 22 – 28 (Nikmat Air dan Penciptaan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ)

Hijr Ayat 22:

وَأَرسَلنَا الرِّيٰحَ لَوٰقِحَ فَأَنزَلنا مِنَ السَّماءِ ماءً فَأَسقَينٰكُموهُ وَما أَنتُم لَهُ بِخٰزِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have sent the fertilizing winds¹ and sent down water from the sky and given you drink from it. And you are not its retainers.

  • Causing precipitation in rainclouds or carrying pollen. Another meaning is “pregnant winds,” i.e., those carrying rainclouds.

(MELAYU)

Dan Kami telah meniupkan angin yang hamil dan Kami turunkan hujan dari langit, lalu Kami beri minum kamu dengan air itu, dan sekali-kali bukanlah kamu yang menyimpannya.

 

وَأَرسَلنَا الرِّيٰحَ لَوٰقِحَ

Dan Kami telah meniupkan angin sebagai penjodoh

Kalimah لَوٰقِحَ daripada katadasar ل ق ح yang bermaksud yang menghamili; vaksin; membaja; pendebungaan. Iaitu angin yang membawa benih atau yang menyebabkan benih boleh tumbuh. Di dalam Al-Qur’an, sekiranya kalimah angin itu di dalam bentuk jamak (الرِّيٰحَ) seperti di dalam ayat ini, ia membawa maksud yang baik dan positif. Sebaliknya jikalau ia di dalam bentuk mufrad, ia bermaksud buruk dan negatif. Contohnya seperti digunakan di dalam Ibrahim: 18

مَّثَلُ الَّذينَ كَفَروا بِرَبِّهِم ۖ أَعمٰلُهُم كَرَمادٍ اشتَدَّت بِهِ الرّيحُ في يَومٍ عاصِفٍ
Orang-orang yang kafir kepada Tuhannya, amalan-amalan mereka adalah seperti abu yang ditiup angin dengan keras pada suatu hari yang berangin kencang.

Maknanya angin di dalam Surah Hijr ini adalah angin yang baik, mempunyai manfaaat, kerana ia membawa sesuatu yang menyebabkan tumbuhan boleh hidup. Mungkin angin itu bawa awan yang di dalamnya ada air untuk ditaburkan kepada tanah yang memerlukan. Dengan air itu dapat menumbuhkan tanam-tanaman di tanah.

Ia juga bermaksud angin yang ada debunga di dalamnya – dengannya dapat menumbuhkan tanam-tanaman yang memerlukan pendebungaan. Proses ini dibuktikan dengan ilmu sains biologi moden yang mengkaji proses penyerbukan atau polinasi. Ia adalah proses fertilisasi tanaman terjadi dengan jatuhnya serbuk sari pada permukaan putik dan ia dinamakan Anemophily.

Selain daripada menggunakan angin, pendebungaan adalah dengan cara serangga, binatang dan air. Proses Anemophily ini merangkumi 12% daripada semua proses pendebungaan seluruh dunia. Ini adalah proses yang dikenalpasti di zaman moden tetapi telah disebut oleh Allah 1,400 tahun dahulu membuktikan ia adalah kalamullah.

 

فَأَنزَلنا مِنَ السَّماءِ ماءً

dan Kami turunkan hujan dari langit,

Kemudian Allah ﷻ turunkan air setelah didebunga tumbuhan itu. Tanaman memerlukan air untuk hidup. Manusia, tumbuhan dan haiwan memerlukan air hujan untuk kehidupan kita. Kalau tidak ada air hujan, memang tidak ada kehidupan. Allah ‎ﷻ ingatkan yang Dialah menurunkan air hujan itu. Ini kita semua sudah tahu namun apakah kepentingannya?

Allah ﷻ hendak mengingatkan kita tentang kehebatan-Nya. Kita mungkin tidak perasan kerana kita hari-hari dapat air. Ia suatu perkara yang mudah diperolehi oleh kita sehingga tidak sedar akan nikmat besar ini. Akan tetapi kalau kita hendak menurunkan air dari langit, tentu kita sesekali tidak mampu. Hebatnya Allah ﷻ turunkan air dari langit tetapi asalnya adalah dari bumi, bukan? Ia diambil dari air laut yang kalau kita terus minum boleh mati kerana ia masin sangat. Memang patut pun air laut itu masin kerana ia adalah tempat kehidupan dan juga kematian banyak kehidupan. Kalaulah air itu tidak masin dan tidak bergelora, tentulah busuk kerana sangat banyak bangkai di dalamnya.

Maka, Allah ﷻ naikkan air laut ke langit melalui proses penyejatan, lalu Allah ﷻ simpan di dalam awan kemudian gerakkan awan itu ke tempat yang memerlukan air. Perkara ini berlaku setiap hari tanpa susah bagi Allah ﷻ. Tidak perlu mesin atau kilang untuk membersihkan air laut itu untuk digunakan kerana sistem Allah ﷻ itu lebih canggih lagi dan kerana itu air yang kita minum adalah air tawar yang manis seperti disebut dalam Mursalat: 27

وَجَعَلنا فيها رَوٰسِيَ شٰمِخٰتٍ وَأَسقَينٰكُم مّاءً فُراتًا
dan Kami jadikan padanya gunung-gunung yang tinggi, dan Kami beri minum kamu dengan air tawar?

 

Allah ﷻ suruh kita fikirkan tentang nikmat yang amat hebat ini. Kita mungkin tidak perasan kerana kita dengan mudahnya memperolehi air setiap hari namun jika kita mahu duduk sejenak dan fikirkan nikmat yang Allah ﷻ berikan kepada kita ini seperti disebut dalam Waqiah: 68-70

أَفَرَأَيتُمُ الماءَ الَّذي تَشرَبونَ
Tidakkah kamu melihat air yang kamu minum?

ءأَنتُم أَنزَلتُموهُ مِنَ المُزنِ أَم نَحنُ المُنزِلونَ
Kamukah yang menurunkannya dari awan (sebagai hujan), atau Kami yang menurunkannya?

لَو نَشاءُ جَعَلنٰهُ أُجاجًا فَلَولا تَشكُرونَ
Kalau Kami kehendaki, Kami akan jadikan ia masin, maka kenapa kamu tidak bersyukur?

Kenapakah Allah ﷻ turunkan dari langit (dari atas)? Kerana kalau Allah ﷻ beri air dari bawah, yang duduk di kawasan tinggi tidak dapat air pula, bukan? Maka Allah ﷻ uruskan supaya air itu diturunkan dari atas supaya yang rendah dapat air, yang duduk di kawasan tinggi pun dapat air juga. Hebat, bukan? Semua kehidupan boleh mendapat air itu seperti manusia, haiwan dan juga tumbuh-tumbuhan. Kita yang duduk di rumah pun boleh dapat air, tidak perlu order di Shopee pun.

 

فَأَسقَينٰكُموهُ

lalu Kami beri minum kamu dengan air itu,

Dengan air itu juga kita minum. Kerana itu kita memerlukan hujan untuk turun. Daripada air hujan itu kita tadah, atau daripada air hujan itu menjadi sungai dan tasik yang kita ambil airnya sebagai air minuman kita. Maka sangatlah pentingnya air hujan itu untuk kita. Air ini pula percuma, tidak perlu kita kena bayar bulan-bulan kepada Syarikat Syabas.

Namun cuba fikirkan selalu apakah kita kata kalau hujan turun? “Alaa… hujan pula, lecehlah….”. Begitulah kita manusia yang selalu kita tidak mengenang rezeki yang Allah ﷻ berikan untuk kita. Sedangkan Allah ﷻ jadikan air itu tawar untuk kita senang minum. Kita mungkin tidak pandang sangat pun nikmat yang amat besar ini kerana kita tidak ada masalah untuk mendapatkan air. Akan tetapi cuba bayangkan kalau air tidak ada? Memang merana pada waktu itu! Waktu itu barulah terasa yang kita ini sebenarnya tidak menguasai air itu dan berharap kepada Allah ﷻ semata-mata!

 

وَما أَنتُم لَهُ بِخٰزِنينَ

dan sekali-kali bukanlah kamu yang menyimpannya.

Bukan kita yang simpan air itu. Semua air yang ada dalam dunia ini, Allah ﷻ yang jaga dan simpan. Allah ﷻ akan berikan kepada kita sedikit demi sedikit mengikut keperluan kita. Bayangkanlah kalau Allah ﷻ turunkan terus air yang diperlukan untuk tahun itu dalam sebulan tanpa henti? Tentu akan banjir besar, bukan?

Allah ﷻ tidak jadikan begitu. Allah ﷻ beri ikut keperluan kita dan kalau kita belum perlu lagi, Allah ﷻ akan simpan. Sepertimana kita simpan air dalam peti ais, Allah ﷻ jaga simpanan air di kutub utara dan selatan. Atau Allah ﷻ letak di pergunungan yang tinggi. Bila perlu, Allah ﷻ berikan cair sedikit dan mengalir kepada kita. Maka kutub utara dan selatan itu bagaikan peti ais untuk dunia ini. Kita sendiri tidak mampu untuk menyimpan air sebanyak itu. Untuk tempat lain, Allah ﷻ jadikan air itu diserap ke dalam tanah dan ia boleh diambil apabila perlu seperti air sungai, air telaga dan tasik.

Allah jadikan kutub utara dan selatan sebagai peti ais dunia

 

Oleh itu, kalau kita ringkaskan bab nikmat Allah ﷻ di dalam air ini adalah:

1. Cara Allah ﷻ menjadikan air itu.

2. Cara Allah ﷻ menyampaikan air itu kepada makhluk

3. Cara penyimpanan air itu untuk kegunaan manusia

4. Air itu sesuai diminum


 

Hijr Ayat 23: Allah ﷻ sebut dua lagi perkara yang kita tidak dapat kawal:

وَإِنّا لَنَحنُ نُحيي وَنُميتُ وَنَحنُ الوٰرِثونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed, it is We who give life and cause death, and We are the Inheritor.¹

  • Allāh (subḥānahu wa ta‘ālā) remains after all creation has passed away.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya benar-benar Kami-lah yang menghidupkan dan mematikan dan Kami (pulalah) yang mewarisi.

 

وَإِنّا لَنَحنُ نُحيي وَنُميتُ

Dan sesungguhnya Kami, benar-benar Kami-lah yang menghidupkan dan mematikan

Ada banyak pengulangan kalimah ‘Kami’ dalam ayat ini (kalau anda tahu bahasa Arab, anda akan perasan). Ini sebagai penekanan daripada Allah ﷻ untuk menekankan bahawa Dialah sahaja yang dapat menghidupkan dan mematikan.

Sudahlah ada kalimah إنَّ sebagai penekanan, dan ditambah dengan Kami, Kami dan Kami sampai tiga kali. Ada satu lagi huruf tahkik (penekanan) iaitu itu huruf ل pada kalimah لَنَحنُ itu. Di sini pengajaran dan peringatan bagi kita adalah kita ini pasti akan mati, tidak akan terkecuali. Maka hendaklah kita buat persediaan untuk mati kerana ia pasti berlaku. Ramai yang hidup di dunia ini senang lenang, bergembira dan memuaskan nafsu serakah mereka tanpa terfikir yang mereka akan mati akhirnya.

 

وَنَحنُ الوٰرِثونَ

dan Kami yang mewarisi.

Semua kita akan mati dan segala yang ditinggalkan akan diwarisi oleh Allah ﷻ. Memang bila kita mati, anak-anak kita akan warisi; dan bila anak kita mati, cucu kita pula yang akan warisi peninggalan kita dan seterusnya anaknya kemudian anaknya. Akhirnya semua akan mati dan musnah seperti disebut di dalam Rahman: 26

كُلُّ مَن عَلَيها فانٍ
Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa:

Apabila semuanya sudah mati dan tiada lagi makhluk yang hidup di atas muka bumi, akhirnya semua benda akan pulang kepada Allah ﷻ. Kerana Allah ﷻ sahaja yang kekal seperti disebut di dalam ayat seterusnya,

وَيَبقىٰ وَجهُ رَبِّكَ ذُو الجَلٰلِ وَالإِكرامِ
Dan akan kekallah Zat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan:

Maknanya Allah ﷻ lah pewaris yang paling akhir sekali. Dialah yang sebenar-benar pewaris. Di sini Allah ﷻ persoalkan kenapa kita pegang sangat harta yang kita ada kerana akhirnya ia akan ditinggalkan pun. Akan tetapi kalau kita infakkan, maka ia akan menjadi pahala selama-lamanya di akhirat. Allah ﷻ berfirman di dalam Hadid: 10

وَما لَكُم أَلّا تُنفِقوا في سَبيلِ اللهِ وَِلِلهِ ميرٰثُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ
Dan mengapa kamu tidak menafkahkan (sebahagian hartamu) pada jalan Allah, padahal Allah-lah yang mempusakai (mempunyai) langit dan bumi?


 

Hijr Ayat 24: Setelah Allah ﷻ kata Dia yang menghidupkan dan mematikan dan akan mewarisi apa sahaja yang ada dalam dunia ini, Allah ﷻ beritahu yang Dia kenal kita semua.

وَلَقَد عَلِمنَا المُستَقدِمينَ مِنكُم وَلَقَد عَلِمنَا المُستَئخِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have already known the preceding [generations] among you, and We have already known the later [ones to come].

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Kami telah mengetahui orang-orang yang terdahulu daripada-mu dan sesungguhnya Kami mengetahui pula orang-orang yang terkemudian (daripadamu).

 

وَلَقَد عَلِمنَا المُستَقدِمينَ مِنكُم

Dan sesungguhnya Kami telah mengetahui orang-orang yang terdahulu daripada-mu dan

Semuanya Allah ﷻ kenal, bermula daripada makhluk yang pertama sekali dicipta. Allah ﷻ kenal kerana Allah ﷻlah yang menjadikan kita semua. Malah sebelum kita dilahirkan ke dunia pun Allah ﷻ sudah kenal kita.

Mungkin المُستَقدِمينَ bermaksud mereka yang melakukan kebaikan. Ini kerana kalimah المُستَقدِمينَ daripada katadasar ق د م yang bermaksud ke hadapan. Dalam Al-Qur’an, ia juga merujuk kepada penghantaran amal kebaikan ke hadapan (iaitu hantar ke langit dan amalan kebaikan itu akan menunggu kita – bagaikan kita simpan amal kebaikan kita itu).

Kalau ini maksud yang digunakan, maknanya Allah ﷻ hendak memberitahu, Dia tahu siapa antara kita yang melakukan amal kebaikan. Tidak perlu diceritakan kepada orang lain, tidak payah tunjuk kepada orang lain, kerana yang penting untuk tahu adalah Allah ﷻ. Manusia lain tidak perlu tahu amal kebaikan kita. Kalau orang lain tahu, itu yang mengundang bahaya kerana takut kita riak dan sum’ah pula dengan amalan kita itu.

 

وَلَقَد عَلِمنَا المُستَئخِرينَ

dan sesungguhnya Kami mengetahui pula orang-orang yang terkemudian

Allah ﷻ amat tahu golongan yang terkemudian. Iaitu mereka yang hidup selepas mereka yang awal, sehinggalah kepada makhluk yang dicipta dekat dengan Hari Kiamat.

Jikalau kita ambil pandangan tentang amalan, المُستَأخِرينَ bermaksud orang yang mengakhirkan amal kebaikan mereka. Mereka lambat-lambatkan/lengah-lengahkan amal kebaikan mereka. Ini dinamakan taswif (daripada kalimah سوف). Ini adalah bahaya. Kadang-kadang kita tahu yang kita kena buat amal kebaikan, tetapi kita lengah-lengahkan (esok boleh buat, tahun depanlah aku mulakan.. )

Ini adalah salah satu daripada senjata syaitan yang amat kuat. Apabila syaitan tidak dapat halang kita melalui ilmu tentang amal kebaikan, dia akan cuba gunakan senjata taswif ini – lengahkan kita daripada membuat amal kebaikan itu (supaya akhirnya tidak buat langsung). Maknanya, Allah ﷻ perhatikan sahaja kita yang menangguhkan untuk buat amal kebaikan ini – sudah tahu kena buat, tetapi tidak buat-buat juga.

Maka ambillah pengajaran daripada ayat ini. Fikirkan balik apakah amalan yang kita sentiasa tangguh-tangguhkan. Mungkin ada orang yang kita mahu berdakwah, tetapi tidak memulakannya lagi; mungkin sudah ada rancangan hendak pergi Umrah, tetapi ditangguhkan kerana sibuk dengan kerja dan keluarga; mungkin sudah ada keinginan untuk infak kepada seseorang, tetapi tidak beri lagi; mungkin sudah teringin pergi ke kelas pengajian, tetapi tidak pergi-pergi lagi sebab sedang tunggu masa lapang (kalau tunggu masa lapang, memang tidak akan ada). Janganlah kita tertipu dengan syaitan lagi.

Ringkasnya ada lagi beberapa pendapat tentang maksud المُستَقدِمينَ dan المُستَئخِرينَ ini. Kiita ringkaskan,

1. المُستَقدِمينَ adalah orang yang sedang hidup sekarang dan المُستَئخِرينَ adalah orang yang belum lahir lagi.

2. المُستَقدِمينَ adalah orang yang telah mati dan المُستَئخِرينَ adalah orang sedang hidup lagi.

3. المُستَقدِمينَ merujuk kepada umat yang baik sebelum kebangkitan Nabi Muhammad ﷺ dan المُستَئخِرينَ adalah umat baginda dan selepas baginda yang beriman. Ini kerana umat sebelum Nabi Muhammad ﷺ pun ada yang beriman dengan Rasul-rasul mereka.

4. المُستَقدِمينَ adalah orang yang beramal dan menghantar amal mereka ke akhirat dan المُستَئخِرينَ adalah orang yang tidak beramal dengan amal kebaikan.

5. المُستَقدِمينَ adalah orang yang berada di hadapan di dalam amal seperti di saf hadapan, di barisan hadapan jihad, atau mana-mana amal dan المُستَئخِرينَ adalah orang duduk-duduk di belakang sahaja.

Ringkasnya Allah ﷻ beritahu kita yang Dia tahu apa sahaja yang kita lakukan, maka tidak boleh sorok. Oleh itu jangan kita lalaikan untuk beramal (jangan menangguh-nangguh) kerana semua orang akan mati, dulu atau sekarang. Hanya menunggu masa sahaja. Takut kalau kita lengahkan, kita tidak sempat beramal pula.


 

Hijr Ayat 25: Apa yang Allah ﷻ akan buat dengan golongan terdahulu dan terkemudian itu?

وَإِنَّ رَبَّكَ هُوَ يَحشُرُهُم ۚ إِنَّهُ حَكيمٌ عَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed, your Lord will gather them; indeed, He is Wise and Knowing.

(MELAYU)

Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang akan menghimpunkan mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.

 

وَإِنَّ رَبَّكَ هُوَ يَحشُرُهُم

Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang akan menghimpunkan mereka. 

Semua makhluk terdahulu dan terkemudian akan Allah ﷻ kumpulkan di Mahsyar nanti. Tidak dapat dibayangkan keadaan di sana nanti – bermula makhluk yang mula dicipta sampailah yang dicipta dekat dengan kiamat. Semuanya duduk di satu tempat bersesak-sesak!

 

إِنَّهُ حَكيمٌ عَليمٌ

Sesungguhnya Dia adalah Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.

Allah ﷻ yang berhak membuat hukum dan keputusan kerana Dialah حَكيمٌ. Kalimah حَكيمٌ juga bermaksud Allah ﷻ Maha Bijaksana dalam apa sahaja yang Dia lakukan. Apa sahaja yang Dia lakukan adalah bijaksana dan tepat, tetapi kita sahaja yang tidak nampak kerana akal kita yang cetek.

Allah ﷻ juga tahu apa sahaja yang kita lakukan kerana Dia Maha Mengetahui dan kerana itu Dia layak menghukum kita. Perkara yang dalam hati kita pun Allah ﷻ tahu juga, apatah lagi perkara lain?

Dua sifat itu kalau berdiri sendiri pun sudah hebat, namun apabila Allah ﷻ gabungkan, ia mengandungi kehebatan yang lain. Allah ﷻ memberitahu kita sempurnanya sifat-Nya dengan gabungan itu. Sifat Allah ﷻ tidak seperti makhluk kerana ada manusia yang bijaksana tetapi tidak ada ilmu, dan ada orang yang ada ilmu tetapi tidak bijaksana. Sedangkan Allah mempunyai ﷻ kedua-duanya.

 

Sekian Ruku’ 2 daripada 6 ruku’ surah ini.


 

PENCIPTAAN NABI ADAM عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ

Hijr Ayat 26: Allah ﷻ tahu segala-galanya tentang kita. Mana mungkin Allah ﷻ tidak tahu sedangkan Dia yang menjadikan kita semua? Maka sekarang Allah ﷻ menceritakan tentang kejadian manusia itu. Allah ﷻ mahu mengingatkan yang manusia dijadikan daripada makhluk yang lemah.

Bermula ayat ini sehingga ke ayat 50 adalah Dalil Aqli Anfusi dan ia adalah Perenggan Makro ke 3. Allah ﷻ memberi kita renungan dan supaya kita mencari kesimpulan dalam diri daripada kisah Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Iblis, mewakili perbincangan tentang Pertentangan Baik dan Buruk. Di sini juga Allah ﷻ memberitahu kita tentang Hukum balasan Baik dan Buruk.

 

وَلَقَد خَلَقنَا الإِنسٰنَ مِن صَلصٰلٍ مِّن حَمَإٍ مَّسنونٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We did certainly create man out of clay from an altered black mud.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang diberi bentuk.

 

وَلَقَد خَلَقنَا الإِنسٰنَ مِن صَلصٰلٍ

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat kering

Inilah asal kejadian manusia, iaitu bagaimana Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dijadikan. Bahan ramuan untuk menjadikan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُada disebut dalam Al-Qur’an dan ini adalah salah satu daripada ayatnya. Mestilah dibaca semua ayat baru dapat gambaran penuh.

Dalam ayat ini disebut yang pada satu peringkat, Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam bentuk صَلصالٍ – tembikar yang kering. Asalnya daripada katadasar ص ل ص ل yang bermaksud ‘bunyi’. Ini adalah kerana kalau tembikar kering itu dijentik, ia ada mengeluarkan bunyi.

Sedarlah kita ini adalah makhluk yang tidak ada apa-apa sebelum kita dijadikan. Maka kerana itu jangan kita sombong kerana kita ini ada di dunia ini dan hidup pun kerana Allah ﷻ yang buat keputusan untuk lahirkan kita.

 

مِّن حَمَإٍ مَّسنونٍ

daripada lumpur hitam yang diberi bentuk. 

Tembikar itu dibuat daripada tanah lumpur yang hitam yang berbau. Tanah lumpur itu bersifat مَسنونٍ (dibentuk). Kalimah مَسنونٍ daripada س ن ن (sunnah, sunan diambil daripada katadasar yang sama). Kerana sunnah itu adalah acuan yang kita kena ikut. مَسنونٍ bermaksud acuan yang dibentuk. Atau, ia sudah ada bentuk tertentu kerana lama dalam keadaan begitu, terbiar sahaja.

Jikalau ia tanah rumput, tentu ia berbau busuk. Tambahan pula ia terbiar sahaja, tidak ada nilai pun. Oleh itu, inilah asal kejadian manusia, maka Allah ﷻ beritahu, kita ini tidak patut bersikap sombong kerana asal kejadian kita bukan hebat mana pun.

Maka inilah asal kejadian manusia iaitu Allah ﷻ jadikan kita daripada bahan yang berasal daripada tanah bumi. Bagaimana caranya, kita tidak akan tahu. Maka ini menolak fahaman Atheis yang kata kita ini adalah daripada keturunan monyet seperti yang diambil daripad teori Darwin. Itu teori sahaja yang tidak bersumberkan kepada dalil. Benda yang teori bukannya betul pun kerana ia tidak dapat dibuktikan pun sampai sekarang. Kalau mereka terus hendak menjadi anak cucu monyet, silakan kerana perangai mereka memang hendak jadi monyet pun.


 

Hijr Ayat 27: Allah ﷻ juga menceritakan asal kejadian jin. Jin dan manusia adalah dua makhluk yang ada taklif (tanggungjawab dalam syariat).

وَالجآنَّ خَلَقنٰهُ مِن قَبلُ مِن نّارِ السَّمومِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the jinn We created before from scorching fire.

(MELAYU)

Dan Kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) dari api yang sangat panas.

 

وَالجآنَّ خَلَقنٰهُ مِن قَبلُ

Dan Kami telah menciptakan jin sebelum itu

Jin telah dicipta awal lagi sebelum kita, maksudnya sebelum Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sebelum kita duduk di dunia ini, merekalah yang menghuni bumi ini dan telah diberi dengan tanggungjawab dalam beragama. Maka ini adalah dalil yang sebelum manusia, yang duduk tinggal di bumi adalah golongan jin. Kerana itulah di dalam Dzariyat:56, jin disebut (taqdim) dahulu kerana merekalah yang dicipta sebelum manusia.

وَما خَلَقتُ الجِنَّ وَالإِنسَ إِلّا لِيَعبُدونِ
Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.

Dalam Al-Qur’an, hanya disebut Malaikat, manusia dan juga jin sebagai makhluk yang ada akal. Kalau makhluk yang lain, kita tidak tahu. Ada juga yang bertanya tentang makhluk yang hidup sebelum jin, siap ada nama tertentu pula. Namun kita tidak tahu tentang perkara itu dan perkara ini termasuk dalam perkara ghaib.

Kalau perkara ghaib, kita memerlukan dalil untuk menerimanya. Maka tidak perlu sibukkan diri dengan mencari maklumat itu kerana ia tidak penting pun. Kalau penting, Allah ﷻ sudah beritahu kepada kita, bukan?

 

مِن نّارِ السَّمومِ

dari api yang sangat panas.

Kalau manusia dijadikan daripada tanah, jin pula dijadikan daripada api yang membahang. السَّمومِ adalah api panas tanpa asap kerana sangat panas. Inilah asal kejadian asal mereka, iaitu bapa mereka al-Jan (seperti bapa kita adalah Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) Sepertimana kita sekarang tidak lagi dijadikan daripada tanah, begitu juga jin-jin sekarang tidak dijadikan daripada api lagi.


 

Hijr Ayat 28: Dalam Surah Baqarah ayat 30, Allah ﷻ memberitahu yang Dia hendak menjadikan manusia sebagai khalifah di bumi. Namun tidak disebutkan tentang bagaimana manusia itu akan dijadikan. Maklumat itu tersebut dalam ayat ini sebagai sejarah bagi kita.

وَإِذ قالَ رَبُّكَ لِلمَلٓئِكَةِ إِنّي خٰلِقٌ بَشَرًا مِّن صَلصٰلٍ مِّن حَمَإٍ مَّسنونٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [mention, O Muḥammad], when your Lord said to the angels, “I will create a human being out of clay from an altered black mud.

(MELAYU)

Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku akan menciptakan seorang manusia dari tanah liat kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang diberi bentuk,

 

وَإِذ قالَ رَبُّكَ لِلمَلٓئِكَةِ

Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat:

Sebelum Allah ﷻ menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi, Allah ﷻ telah beritahu rancangan-Nya ini kepada para malaikat. Ini sebagai pemberitahuan sahaja. Bukanlah Allah ﷻ berbincang dan minta pendapat malaikat pula sebelum menjadikan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Keputusan tetap di tangan Allah ﷻ – Allah ﷻ tetap buat juga walaupun malaikat atau jin tidak setuju.

 

إِنّي خٰلِقٌ بَشَرًا مِّن صَلصٰلٍ مِّن حَمَإٍ مَّسنونٍ

“Sesungguhnya Aku akan menciptakan seorang manusia dari tanah liat kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang diberi bentuk,

Allah ﷻ beritahu bagaimana Dia akan menjadikan manusia itu daripada tanah. Tafsir ini sudah diberitahu di atas tadi.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 27 Mei 2026

Ringkasan Surah al-Hijr


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahudin

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Keindahan Susunan Ayat-ayat Surah Yusuf

Pengenalan

Kenapa kita perlu meneliti kaitan antara ayat-ayat di dalam Al-Qur’an?

Allah adalah sebaik-baik daripada semua penutur. Dan semua ucapan tertakluk kepada organisasi. Semua ucapan, walaupun satu perkataan, adalah sebuah organisasi daripada beberapa huruf. Dari beberapa huruf itu membentuk satu perkataan. Dan setiap ayat ialah susunan kata-kata yang memberi makna apabila diletak bersama-sama. Setiap perenggan ialah organisasi beberapa ayat. Dan setiap bab adalah sebuah organisasi daripada perenggan. Setiap buku merupakan sebuah organisasi daripada beberapa bab yang disusun satu persatu. Dan setiap buku adalah sebahagian dari subjek yang merupakan sebuah organisasi dari pelbagai buku-buku yang membincangkan satu topik yang sama. Buku satu, buku dua, buku tiga, buku empat dan seterunya. Dan dari banyak subjek ia boleh menjadi perpustakaan supaya semua pengetahuan manusia dapat dikongsikan bersama. Perhatikan semua ini bermula dengan susunan secara harfiah satu huruf selepas huruf yang lain, bukan? Dan ini merupakan sesuatu yang diilhamkan oleh Ilahi.

Kita tidak mampu mereka sendiri bahasa. Allah telah beritahu kita yang Dia lah yang telah mengajarkan manusia dengan bahasa. Allah berfirman di dalam Rahman:4

عَلَّمَهُ الْبَيَانَ
Dia lah yang telah mengajar manusia berkata-kata.

Dan sudah tentu anda pernah lalui di dalam mana-mana pendidikan, guru yang paling berkesan yang pernah anda belajar darinya adalah yang paling teratur dalam ucapan mereka. Kalau dapat guru yang merapu, anda pun tidak boleh faham apa yang dia sampaikan. Apabila seseorang bercakap dengan anda dan anda boleh kesan kata-kata mereka yang terdapat permulaan, pertengahan, dan akhir. Apabila anda mendengar seseorang bercakap, mereka mempunyai cara yang jelas untuk menyampaikan semua idea mereka, tentu anda senang faham. Jadi sesuatu penceritaan melibatkan organisasi kata dan ayat-ayat yang baik, tersusun cantik. Ini kerana struktur dan organisasi perkataan dalam ucapan merupakan komponen yang diperlukan berkomunikasi dengan baik. Tetapi jika ucapan tidak mempunyai organisasi, sekejap cakap A kemudian melompat ke D, tentu kita lelah untuk memahaminya, bukan?

Sebaik mana pun kata-kata manusia yang puitis, sehebat mana pun buku yang ditulis, tidaklah dapat menandingi kehebatan Kalam Allah. Imam al-Baihaqi pernah berkata:

“Kelebihan kalamullah (ucapan Allah) berbanding kalam makhluk adalah seperti kelebihan (perbezaan) Allah di atas makhluk-Nya.”

Hamiduddin Farahi (seorang ulama besar dari India, m. 1930) membawa revolusi dalam cara kita melihat struktur teks Al-Qur’an. Beliau terkenal dengan teori Nazm al-Qur’an (Keserasian/Susunan al-Qur’an). Sebelum Farahi, ramai sarjana beranggapan bahawa ayat-ayat al-Quran kadangkala melompat-lompat topiknya tanpa kaitan yang jelas. Farahi menolak pandangan ini sekeras-kerasnya. Kata Farahi:

“Bagaimana mungkin Allah yang telah menyusun tulang-temulang di dalam tubuh manusia dengan begitu teliti, dan menyusun bintang-bintang di langit dengan perkiraan yang tepat, akan membiarkan firman-Nya (al-Qur’an) turun tanpa susunan dan kaitan antara satu ayat dengan ayat yang lain?”

Kalau kita membaca terjemahan Al-Qur’an, memang kita tidak akan nampak susunan yang indah di dalam Al-Qur’an. Ini adalah kerana Al-Qur’an mempunyai susunannya yang tersendiri, bukan seperti susunan manusia yang kita boleh nampak dengan mudah. Kalau kita ada satu pandangan yang susunan ayat kena begini dan begitu, ia tidak boleh dipakai pada Al-Qur’an, kerana susunan ayat-ayat di dalam Al-Qur’an adalah susunan tuan punya perkataan, iaitu Allah sendiri.

Jadi ayat-ayat di dalam Al-Qur’an berkait antara satu sama lain. Kadang-kadang ia tidak jelas kelihatan kerana ia bukan duduk di dalam satu ayat yang sama. Sebagai contoh, Allah sebut Nabi Musa di dalam satu surah, kemudian memberi penjelasan lain tentang baginda di dalam surah yang lain. Maka kita kena baca kesemua ayat tentang Nabi Musa untuk memahami apa yang terjadi. Contoh lain Allah sebut syirik di satu tempat dan kemudian menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan syirik di tempat yang lain. Jadi kita tidak boleh faham ayat Al-Qur’an dengan hanya melihat satu tempat sahaja.

 

Kaitan Antara Permulaan dan Penutup Surah

Sekarang mari kita lihat kaitan antara pembukaan Surah Yusuf (prolog) dan penutupnya (epilog). Prolog Surah Yusuf adalah Ayat 1 – 3 dan Epilog Surah Yusuf adalah Ayat 102 – 111. Selain darinya (Ayat 4 – 110) adalah kisah baginda.


 

Dan kita boleh pecahkan lagi kepada beberapa bahagian lagi supaya kita nampak keindahan kaitan antara dua bahagian ini. Pertamanya kita kaitkan antara Ayat 1 – 2 dengan Ayat 111.

Di dalam Ayat 1, Allah menyebut tentang Al-Qur’an dengan menekankan bahawa ia adalah wahyu Ilahi. Digunakan kalimah تِلكَ (itu) sebagai isyarat ketinggian Al-Qur’an itu. Ia ada di Lauh Mahfuz dan kerana itu digunakan istilah ٱلكِتَـٰبِ yang merujuk kepada kitab yang di langit itu. Ia menekankan kemuliaan Al-Qur’an. Dan kemudian disebut sifat Al-Qur’an iaitu ia adalah ٱلمُبِينِ. Kalimah ٱلۡمُبِينِ ini di dalam bentuk Lazim (Intransitif) dan Muta’addi (Transitif). Ini bermaksud bahawa ia adalah kitab yang jelas. Mesejnya jelas, arahannya jelas, panduannya jelas. Tetapi ia bukan sahaja jelas, ia juga menjelaskan. Menjelaskan. Apakah perbezaan antara jelas dan menjelaskan?

Jikalau kita baca sesuatu dan apa yang kita baca itu jelas, kita akan senang faham. Maksudnya ia jelas. Kemudian apa yang kita baca itu pula menjelaskan sesuatu perkara. Ini bermaksud ia menjelaskan. Jika ia menjelaskan, ia memberi cahaya pada perkara-perkara lain. Ia beza antara terang dan menerangi. Apabila sesuatu bilik terang, maknanya saya boleh nampak apa yang berlaku di dalam bilik itu. Maksud bilik itu menerangi bermakna ruang tamu pun dinyalakan oleh bilik ini. Oleh itu, Al-Quran itu jelas pada dirinya sendiri dan ia juga menjelaskan. Al-Qur’an menjelaskan apa yang perlu hamba lakukan dalam pelbagai situasi. Ia menjelaskan bagaimana emosi anda perlu dikawal. Ia juga menjelaskan bahawa ia adalah Kalam Allah. Ia terus menjelaskan bahawa ia bukan tulisan manusia tapi datang dari Ilahi.

Di dalam Ayat 2, Allah menyebut Al-Qur’an itu adalah قُرءٰنًا (bacaan). Kalau di dalam Ayat 1 tadi disebut ia adalah ٱلكِتَـٰبِ (tulisan). Bacaan tidak sama kesannya dengan tulisan, bukan? Jadi dalam tulisan pun ada, dalam bacaan pun ada. Dan Allah tambah dengan kata ia adalah bacaan عَرَبِيًّا (di dalam Bahasa Arab). Dan kemudian Allah sebut tujuannya adalah لَّعَلَّكُم تَعقِلونَ (agar kamu memahaminya). Digunakan bahasa yang mudah difahami, bahasa yang indah. Tujuannya supaya kita boleh faham menggunakan apa? Menggunakan akal.

Sekarang kita lihat pula Ayat 111. Tapi bukanlah keseluruhan ayat tapi bahagian kedua dari ayat itu. Allah kata Al-Qur’an itu مَا كَانَ حَدِيثً۬ا يُفۡتَرَىٰ (bukanlah cerita yang direka) dan ini menguatkan firmanNya di dalam Ayat 1 تِلكَ yang memberi isyarat bahawa Al-Qur’an adalah kalam Ilahi dan sekarang di dalam Ayat 111 Allah memberitahu lagi yang ia bukan rekaan.

Di dalam Ayat 111, Allah memberitahu تَصدِيقَ ٱلَّذِى بَينَ يَدَيهِ (membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya) dan bukankah di dalam Ayat 1 Allah telah memberitahu yang Al-Qur’an adalah kitab yang المُبينِ (yang menjelaskan)? Ia dilakukan dengan memperbetulkan kisah-kisah yang telah diubahsuai di dalam kitab-kitab yang ada pada Ahli Kitab. Yang mana benar, disabitkan dan yang mana tidak benar, telah diperbetulkan oleh Al-Qur’an yang bersifat المُبينِ.

Ayat 1 menggunakan kalimah المُبينِ dan Ayat 111 menggunakan kalimah تَفصِيلَ. Kedua-dua kalimah ini mengandungi makna ‘menjelaskan’. Dan kedua-duanya memberi makna pemisahan dan penyambungan. Iaitu untuk menjelaskan sesuatu, kena dibezakan dan diletakkan kaitan antara perkara yang berbeza untuk memberi penjelasan.

Di dalam Ayat 111 Allah menyebut tentang هُدًى (petunjuk). Bagaimana untuk mendapat هُدًى ini? Allah telah berikan syaratnya di dalam Ayat 2 iaitu تَعقِلونَ (kalian berfikir). Kerana hanya dengan berfikirlah baru seseorang dapat mengambil petunjuk yang Allah telah sediakan di dalam Al-Qur’an. Dan apabila mendapat petunjuk itu, apa yang pemikir Al-Qur’an akan dapat? Itulah telah diberitahu رَحمَةً yang akan diberikan kepada mereka yang mahu. Syarat utamanya adalah kena menggunakan akal.

Tapi bagi siapa? Di dalam Ayat 111 disebut لِقَومٍ يُؤمِنُونَ (bagi kaum yang mahu beriman). Dan mereka ini adalah golongan yang sama juga disebut di dalam Ayat 2 iaitu mereka yang mahu berfikir تَعقِلونَ. Mereka yang mahu mengukuhkan iman mereka hendaklah berfikir kerana iman itu turun dan naik. Dan cara untuk menaikkan iman adalah dengan ilmu. Semakin banyak ilmu seseorang, semakin tinggi imannya.


 

Sekarang kita perhatikan bahagian awal dari Ayat 3. Allah berfirman نَحنُ نَقُصُّ عَلَيكَ أَحسَنَ القَصَصِ (Kami menceritakan kepadamu kisah yang paling baik). Frasa ini memberikan pelbagai makna. Ini bermakna yang terbaik daripada semua cerita. Ini bermaksud kaedah terbaik untuk menceritakan kisah. Ia bermaksud bahagian-bahagian yang paling indah dalam cerita dan versi cerita yang paling indah, kerana terdapat juga versi yang hodoh, yang ada di luar sana, yang beredar di dunia.

Kemudian perhatikan bahagian pertama dari Ayat 111 لَقَد كَانَ فِى قَصَصِهِم عِبرَةٌ لِّأُوْلِى ٱلأَلبَـٰبِ‌ (Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal). Perhatikan kaitan di antara dua bahagian ini kerana kedua-duanya ada kalimah قَصَصِ, bukan? Di dalam Ayat 3, Allah mengatakan kisah itu kisah yang paling indah, dan di hujungnya, Allah beritahu kenapa ia paling indah, kerana ia ada عِبرَةٌ. Di permulaan surah, Allah sudah beritahu bahawa kisah inilah kisah yang paling indah dan akhirnya setelah kisah itu siap disampaikan, barulah sekarang Allah jelaskan kenapa ia indah.


 

Sekarang perhatikan bahagian terakhir Ayat 3 بِمَآ أَوۡحَيۡنَآ إِلَيۡكَ هَـٰذَا ٱلۡقُرۡءَانَ وَإِن ڪُنتَ مِن قَبۡلِهِۦ لَمِنَ ٱلۡغَـٰفِلِينَ (dengan mewahyukan Al Qur’an ini kepadamu, dan sesungguhnya kamu sebelum (Kami mewahyukan)nya adalah termasuk orang-orang yang belum mengetahui).

Dan perhatikan permulaan Ayat 102 ذٰلِكَ مِن أَنۢبَآءِ ٱلغَيبِ نُوحِيهِ إِلَيكَ‌ۖ وَمَا كُنتَ لَدَيهِم (Demikian itu (adalah) di antara berita-berita yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (Muhammad); padahal kamu tidak berada pada sisi mereka). Di dalam kedua-dua bahagian ini kalimah wahyu iaitu أَوۡحَيۡنَآ dan نُوحِيهِ. Di dalam kedua-dua bahagian ini juga Allah menyebut ketidaktahuan Nabi Muhammad iaitu وَإِن ڪُنتَ مِن قَبۡلِهِۦ لَمِنَ ٱلۡغَـٰفِلِينَ dan وَمَا كُنتَ لَدَيهِم.

Di permulaan surah Allah gunakan ismul isyarah هَـٰذَا ٱلۡقُرۡءَانَ yang bermaksud dekat, dan di hujung Allah gunakan ismul isyarah yang bermaksud jauh ذٰلِكَ. Ini adalah kerana walaupun Nabi Muhammad sudah diwahyukan dengan Al-Qur’an itu, tapi jangan lupa yang ia datangnya dari jauh, dari Allah yang di langit tinggi.

Dan perhatikan di setiap bahagian itu ada ditambah dengan kalimah إِذ (ketika). Pertamanya, Nabi Muhammad pasti tidak tahu ketika Nabi Yusuf bercakap dengan bapanya Nabi Ya’qub. Dan di hujung Allah sebut Nabi Muhammad tidak ada ketika abang-abang Nabi Yusuf bersepakat di dalam rancangan mereka.

Yang hebatnya adalah di dalam dua-dua bahagian ini ada kalimah yang sama. Yang menambahkan keindahan penceritaan ini. Kalau kita bercakap, kita tidak boleh susun pun kata-kata kita kalau tidak ada skrip. Tapi Allah bukanlah macam kita. Dan para sahabat sendiri mungkin tidak perasan perkara ini. Kerana mereka menerima Al-Qur’an secara auditori (قُرۡءَٲنًا) tetapi kita sekarang menerima Al-Qur’an lebih kepada bentuk pembacaan (ٱلۡكِتَـٰبِ). Mendengar dan membaca memberi kesan berbeza kepada pelajar. Jadi kerana itu bagus kalau kita sekali sekala membaca, tapi jangan lupa juga untuk mendengar bacaan Al-Qur’an.


 

Ayat 103 – 110

Kita telah bincangkan tentang kaitan antara permulaan dan pengakhiran surah ini. Di tengah-tengahnya Allah selitkan Ayat 103 – 110 sebagai pengajaran. Seolah-olah Ayat 102 terus bersambung dengan Ayat 111.

ذٰلِكَ مِنۡ أَنۢبَآءِ ٱلۡغَيۡبِ نُوحِيهِ إِلَيۡكَ‌ۖ وَمَا كُنتَ لَدَيۡہِمۡ إِذۡ أَجۡمَعُوٓاْ أَمۡرَهُمۡ وَهُمۡ يَمۡكُرُونَ (١٠٢) لَقَدۡ كَانَ فِى قَصَصِہِمۡ عِبۡرَةٌ لِّأُوْلِى ٱلۡأَلۡبَـٰبِ‌ۗ مَا كَانَ حَدِيثً۬ا يُفۡتَرَىٰ وَلَـٰڪِن تَصۡدِيقَ ٱلَّذِى بَيۡنَ يَدَيۡهِ وَتَفۡصِيلَ ڪُلِّ شَىۡءٍ۬ وَهُدًى وَرَحۡمَةً لِّقَوۡمٍ يُؤۡمِنُونَ (١١١)

Dan di tengah-tengahnya ada Ayat 103 – 110. Kenapa Allah selit ayat-ayat itu di sini? Ia datang selepas sahaja Allah sebut perancangan abang-abang Nabi Yusuf وَمَا كُنتَ لَدَيۡہِمۡ إِذۡ أَجۡمَعُوٓاْ أَمۡرَهُمۡ وَهُمۡ يَمۡكُرُونَ (padahal kamu tidak berada pada sisi mereka, ketika mereka memutuskan rencananya (untuk memasukkan Yusuf ke dalam sumur) dan mereka sedang mengatur tipu daya.) Dan kemudian Allah terus bercakap tentang golongan Quraisy Mekah. Seolah-olah Allah hendak memberitahu Nabi Muhammad, bukan sahaja abang-abang Nabi Yusuf sahaja yang membuat rancangan, tapi ‘abang-abang’ Rasulullah dari kalangan Quraisy juga sedang membuat membuat rancangan terhadap baginda termasuk rancangan untuk membunuh baginda. Bukan sahaja keluarga baginda dari kalangan Bani Ismail (orang Arab) tapi keluarga baginda dari jalur Nabi Ibrahim iaitu Bani Israil juga sedang membuat rancangan terhadap baginda. Allah memberitahu yang golongan Quraisy dan juga Bani Israil itu tidak akan beriman, walaupun baginda hendak sangat mereka beriman.

Kalau kita perhatikan ayat-ayat ini, ia di dalam bentuk khitab kepada seorang. Ini adalah kerana Allah sebenarnya mula-mula bercakap kepada Nabi Muhammad. Akan tetapi ia juga dipanjangkan kepada kita juga, sebagai pembaca Al-Qur’an. Ayat-ayat itu kita telah tafsirkan sebelum ini jadi kita beri ringkasan sahaja di sini. Kalau perasan, ayat-ayat di dalam gugusan ini adalah teguran dari Allah kepada Musyrikin Mekah ketika itu, tentang betapa degilnya mereka.

Ayat 103: Segala banyak tanda-tanda yang Allah telah berikan di dalam alam ini, mereka tetap juga tidak mahu beriman.

Ayat 104: Teruknya mereka itu menolak dakwah Nabi Muhammad, sedangkan bukan baginda minta duit mereka pun.

Ayat 105: Penolakan kepada Nabi Muhammad, bukanlah perkara baru, kerana Allah sendiri mereka telah pernah tolak.

Ayat 106: Dan kalau pun ada yang beriman, iman mereka tidak sempurna, kerana tetap mereka mensyirikkan Allah. Mereka kenal Allah, tahu Allah itu Tuhan, akan tetapi mereka sembah dan berdoa kepada berhala, kepada para Malaikat, kepada orang mati yang mereka anggap sebagai wali.

Ayat 107: Walaupun mereka telah melakukan syirik, akan tetapi mereka rasa selamat sahaja. Ini kerana mereka berharap bantuan dari entiti-entiti yang mereka sembah dan minta tolong seperti para malaikat yang mereka anggap sebagai anak Tuhan, para wali yang telah mati yang mereka anggap boleh membantu mereka. Mereka rasa mereka selamat kerana mereka sangka para malaikat, berhala dan wali itu semua akan ‘payung’ mereka. Kesannya, mereka tidak takut melakukan dosa kerana mereka sangkap mereka akan selamat.

Ayat 108: Oleh kerana mereka itu sangka yang mereka juga melakukan kebaikan atas amalan-amalan mereka, maka Nabi Muhammad disuruh memberitahu manakah jalan yang benar, iaitu jalan yang baginda ikuti. Dan Nabi Muhammad disuruh untuk menekankan yang baginda tidak akan melakukan syirik.

Ayat 109: Apa yang Nabi Muhammad sampaikan itu bukanlah perkara baru tapi itulah juga yang telah disampaikan oleh para Rasul zaman berzaman sebelum baginda. Jadi boleh rujuk sejarah dan perhatikan kesan akibat bagi kaum yang menolak Rasul mereka, apabila mereka dimusnahkan. Umat-umat terdahulu lagi hebat rumah-rumah mereka dari penduduk Mekah itu, tapi mudah sahaja Allah hancurkan. Lihatlah piramid yang sampai sekarang teguh berdiri, tapi penduduknya telah dimusnahkan lama dahulu. Jadi kalau mahu rumah yang kekal abadi, kejarlah rumah di syurga.

Ayat 110: Yang manusia perlukan adalah keselamatan. Sebab itu kita ada rumah, bukan? Akan tetapi keselamatan yang sebenarnya adalah dari Allah. Dan keselamatan itu adalah di akhirat. Allah yang menentukan siapa yang akan diselamatkan. Yang pasti, yang penjenayah tidak akan selamat.


 

Komposisi Cincin

Di dalam Ayat 3, kita telah jelaskan apakah Komposisi Cincin itu. Dan sepanjang tafsir surah ini, kita telah senaraikan Komposisi tersebut. Sebenarnya ada cincin di dalam cincin. Iaitu kita akan buatkan pula cincin untuk Ayat 103 – 110 ini. Tak tahulah pembaca boleh faham ke tidak dengan cincin-cincin ini semua. Kalau tidak faham, boleh skip sahaja. Ia lebih kepada menjadi nota buat saya kerana setiap posting saya akan baca semula sekurang-kurangnya 7 kali (spaced repitition) dalam masa 6 bulan. Dan saya akan rujuk semula setiap kali saya mengajar.

Kaitan antara Ayat 103 & 110. Kebanyakan manusia tidak akan beriman walaupun kita bersungguh-sungguh dakwah kepada mereka. Begitulah yang telah dihadapi oleh para Rasul. Apakah kesan emosi kepada para Rasul? Sehingga para Rasul itu rasa mereka didustakan, nampak seperti tidak ada harapan. Akan tetapi Allah akan beri kemenangan kepada para Rasul itu. Yang selamat akan diselamatkan, dan yang tetap degil akan diberikan dengan azab, dan mereka tidak dapat menolak azab itu.

Kaitan antara Ayat 104 & 109. Para Rasul dan pendakwah tidak meminta upah atau bayaran pun di dalam dakwah mereka mengajak orang beriman kepada Tauhid. Yang mereka mahukan adalah balasan pahala dan ‘upah’ di akhirat kelak dan itulah yang lebih baik. Jadi di sini ia mengajar kita tentang apakah yang lebih penting dan berharga, balasan di dunia atau di akhirat? Tentulah di akhirat lebih baik dan lebih kekal.

Kaitan antara Ayat 105 & 109. Allah menyebut tentang kebanyakan manusia yang tidak mengendahkan tanda-tanda pada langit dan bumi. Oleh kerana itu mereka telah mensyirikkan Allah. Dan bukan sahaja mereka tidak mengendahkan tanda-tanda pada alam, mereka juga mengendahkan para Rasul yang diutuskan kepada mereka. Dan kesan dari penolakan mereka itu apa? Ramai yang telah dikenakan azab pada tempat tinggal mereka, yang orang kemudian boleh perhatikan. Ia sebagai peringatan kepada orang yang datang kemudian.

Kaitan antara Ayat 106 & 108. Allah memberitahu bahawa kebanyakan manusia yang beriman itu, mereka beriman dalam melakukan syirik. Maknanya bukanlah mereka tidak kenal Allah, tidak sembah Allah. Mereka kenal dan mereka beriman dengan Allah. Tapi iman mereka tidak sempurna. Mereka tidak beriman dalam Tauhid kerana mereka masih juga melakukan syirik. Ini sama sahaja dengan Musyrikin Mekah yang kenal Allah tapi di dalam masa yang sama, menyembah berhala. Jadi Iman dan Tauhid tidak semestinya seiring. Ramai yang keliru tentang hal ini sampaikan ada yang melakukan syirik tanpa sedar. Maka Nabi Muhammad disuruh menegaskan tentang jalan baginda iaitu jalan Tauhid yang tidak melakukan syirik.

Ayat 107 pula boleh dibahagikan kepada dua jenis kejadian: azab dan Hari Kiamat. Ada dua Takhwif yang Allah sebut, sama ada Takhwif Dunawi atau Takhwif Ukhrawi. Inilah dua perkara yang Allah selalu ancam kepada pembaca Al-Qur’an supaya beringat.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ringkasan kisah Nabi Yusuf ini.

Kemaskini: 31 Mac 2026

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Surah al-Hijr Ayat 18 – 21 (Allah ‎ﷻ Pemberi Rezeki)

Hijr Ayat 18: Namun ada yang terselamat daripada lemparan api itu.

إِلّا مَنِ استَرَقَ السَّمعَ فَأَتبَعَهُ شِهابٌ مُّبينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Except one who steals a hearing and is pursued by a clear burning flame.

(MELAYU)

kecuali syaitan yang mencuri-curi (berita) yang dapat didengar (dari malaikat) lalu dia dikejar oleh semburan api yang terang.

 

إِلّا مَنِ استَرَقَ السَّمعَ

kecuali syaitan yang mencuri-curi (berita) yang dapat didengar

Kalimah استَرَقَ daripada katadasar س ر ق yang bermaksud ‘curi’. Maksud استَرَقَ adalah percubaan mencuri. Ada dalam kalangan jin yang cuba mencuri dengar percakapan malaikat di langit. Ini kerana para malaikat akan bercakap-cakap tentang arahan daripada Allah ﷻ tentang apa yang akan berlaku hari itu. Berita itu turun dari Lauh Mahfuz dan turun ke langit ke tujuh, seterusnya turun ke langit ke enam dan seterusnya ke bawah hinggalah ke langit yang pertama. Di langit pertama inilah para jin akan menunggu untuk mencuri dengar berita dari langit itu.

Walaupun langit itu ada penjaga, tetapi ada yang berani juga untuk mencuri-curi dengar. Mereka bukannya dapat tembus pun langit itu kerana memang tidak boleh tembus seperti disebut dalam Rahman: 33

يٰمَعشَرَ الجِنِّ وَالإِنسِ إِنِ استَطَعتُم أَن تَنفُذوا مِن أَقطارِ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ فَانفُذوا ۚ لا تَنفُذونَ إِلّا بِسُلطٰنٍ
Wahai sekalian jin dan manusia! Kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi (untuk melarikan diri daripada kekuasaan dan balasan Kami), maka cubalah kamu menembus keluar. Kamu tidak akan menembus keluar melainkan dengan satu kekuasaan (yang mengatasi kekuasaan Kami; masakan dapat)!

Maksudnya mereka tidak mampu untuk menembus langit itu (لا تَنفُذونَ), tetapi mereka boleh mencuri dengar dari bawah sahaja. Sebab itulah kalimah yang digunakan adalah استَرَقَ (curi-curi) dengar. Oleh itu, ada yang mungkin dapat dengar sedikit perbualan antara para malaikat. Atau jin syaitan itu sempat beritahu kepada jin yang di bawahnya selepas mati dilempar api, maka maklumat itu sampai juga ke bawah.

Mereka inilah yang bawa maklumat dan beri kepada kaahin (tukar tenung). Mereka inilah yang mengamalkan ilmu astrologi (ilmu tilik bintang). Mereka sebenarnya mendapat maklumat daripada para jin yang telah naik ke langit. Maka kalau kita percaya kepada orang yang mengamalkan astrologi, boleh baca tarikh lahir dan sebagainya, ini adalah haram kerana mereka mendapat maklumat daripada jin.

Perkara ini ada diriwayatkan daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

إِذَا قَضَى اللَّهُ الأَمْرَ فِى السَّمَاءِ ضَرَبَتِ الْمَلاَئِكَةُ بِأَجْنِحَتِهَا خُضْعَانًا لِقَوْلِهِ كَأَنَّهُ سِلْسِلَةٌ عَلَى صَفْوَانٍ فَإِذَا فُزِّعَ عَنْ قُلُوبِهِمْ قَالُوا مَاذَا قَالَ رَبُّكُمْ ، قَالُوا لِلَّذِى قَالَ الْحَقَّ وَهُوَ الْعَلِىُّ الْكَبِيرُ فَيَسْمَعُهَا مُسْتَرِقُ السَّمْعِ ، وَمُسْتَرِقُ السَّمْعِ هَكَذَا بَعْضُهُ فَوْقَ بَعْضٍ – وَوَصَفَ سُفْيَانُ بِكَفِّهِ فَحَرَفَهَا وَبَدَّدَ بَيْنَ أَصَابِعِهِ – فَيَسْمَعُ الْكَلِمَةَ ، فَيُلْقِيهَا إِلَى مَنْ تَحْتَهُ ثُمَّ يُلْقِيهَا الآخَرُ إِلَى مَنْ تَحْتَهُ ، حَتَّى يُلْقِيَهَا عَلَى لِسَانِ السَّاحِرِ أَوِ الْكَاهِنِ ، فَرُبَّمَا أَدْرَكَ الشِّهَابُ قَبْلَ أَنْ يُلْقِيَهَا ، وَرُبَّمَا أَلْقَاهَا قَبْلَ أَنْ يُدْرِكَهُ ، فَيَكْذِبُ مَعَهَا مِائَةَ كَذْبَةٍ ، فَيُقَالُ أَلَيْسَ قَدْ قَالَ لَنَا يَوْمَ كَذَا وَكَذَا كَذَا وَكَذَا فَيُصَدَّقُ بِتِلْكَ الْكَلِمَةِ الَّتِى سَمِعَ مِنَ السَّمَاءِ
Ketika Allah ﷻ menetapkan suatu urusan di langit, malaikat lantas meletakkan sayapnya dalam rangka tunduk pada perintah Allah ﷻ yang seolah-olah seperti suara gemercingan rantai di atas batu. Apabila rasa takut telah dihilangkan daripada hati mereka, mereka mengucapkan, “Apa yang telah difirmankan oleh Rabb kalian?” Mereka menjawab, “Perkataan yang benar. Dia Maha Tinggi lagi Maha Besar.”
Maka syaitan-syaitan pengintip berita itu pun mendengarkan berita itu. Mereka berada dalam posisi yang saling bersesak-sesakan – Sufyan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menggambarkannya dengan mengiringkan telapak tangannya dan merenggangkan jari-jemarinya. Jika syaitan yang di atas mendengar berita itu, maka segera disampaikan kepada syaitan yang berada di bawahnya. Kemudian yang lain juga menyampaikan kepada syaitan yang berada di bawahnya hingga sampai kepada tukang sihir dan dukun.
Terkadang syaitan pengintip berita itu terkena api sebelum sempat menyampaikan berita itu. Terkadang pula syaitan itu sempat menyampaikan berita itu sebelum terkena api. Lalu dengan berita yang didengarnya itulah tukang sihir atau dukun membuat seratus kedustaan. Orang-orang yang mendatangi tukang sihir atau dukun pun mengatakan, “Bukankah pada hari ini dan itu, dia telah mengabarkan kepada kita bahawa akan terjadi demikian dan demikian?” Akibatnya, tukang sihir dan dukun itu pun dipercayai kerana satu kalimat yang telah didengarnya dari langit.
(Hadith Riwayat Bukhari No. 4800)

Syarah: Melalui hadith ini kita dapat satu penerangan kenapa ada manusia yang boleh mengaku kononnya mereka tahu perkara ghaib seperti perkara yang akan berlaku. Ini adalah kerana mereka mendapat pertolongan daripada jin yang menyampaikan berita itu kepada mereka. Memang ada yang benar, akan tetapi yang banyaknya tidak benar. Namun manusia selalunya akan percaya kesemuanya hanya kerana satu sahaja yang tepat.

Kita di Malaysia tidaklah menggunakan istilah ‘kaahin’ lagi. Akan tetapi mereka itulah bomoh, pawang, uskun (Ustaz Dukun). Sebenarnya dukun, tetapi berselindung di sebalik gelaran ustaz supaya masyarakat Melayu yang jahil senang percaya kepada mereka. Mereka inilah yang tukang cari barang, tukang sembuhkan penyakit orang yang kononnya terkena santau, terkena sihir dan sebagainya. Mereka ini juga yang kononnya boleh tilik nasib dan macam-macam lagi. Malang sekali ramai orang kita yang pergi jumpa mereka ini sedangkan Rasulullah ﷺ telah bersabda:

مَنْ أَتَى كَاهِنًا، أَوْ عَرَّافًا، فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ، فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ
“Sesiapa yang mendatangi dukun atau tukang ramal, lalu dia membenarkan apa yang dikatakannya, maka sungguh dia telah kufur kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ.”
(Riwayat Ahmad (9171) )
Disahihkan oleh Albani dan Arnauth

Itu kalau percaya, maka hukumnya adalah kufur. Bagaimana pula kalau setakat pergi dan bertanya sahaja? Itu pun sudah berdosa kerana Rasulullah ﷺ telah bersabda,

مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَىْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاَةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً
“Sesiapa yang mendatangi tukang ramal (dukun) dan bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh malam.”
(Riwayat Muslim (5957))

 

فَأَتبَعَهُ شِهابٌ مُّبينٌ

lalu dia dikejar oleh semburan api yang terang.

Allah ﷻ kawal langit dan Allah ﷻ tahu apa yang berlaku. Jin yang berani juga untuk curi dengar maklumat langit itu akan dilemparkan dengan api. Mereka yang terkena api dengan tepat akan mati dan kalau kena sipi-sipi, mereka akan tercedera.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ يَبْلُغُ بِهِ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا قَضَى اللَّهُ الْأَمْرَ فِي السَّمَاءِ ضَرَبَتْ الْمَلَائِكَةُ بِأَجْنِحَتِهَا خُضْعَانًا لِقَوْلِهِ كَالسِّلْسِلَةِ عَلَى صَفْوَانٍ قَالَ عَلِيٌّ وَقَالَ غَيْرُهُ صَفْوَانٍ يَنْفُذُهُمْ ذَلِكَ فَإِذَا { فُزِّعَ عَنْ قُلُوبِهِمْ قَالُوا مَاذَا قَالَ رَبُّكُمْ قَالُوا } لِلَّذِي قَالَ { الْحَقَّ وَهُوَ الْعَلِيُّ الْكَبِيرُ } فَيَسْمَعُهَا مُسْتَرِقُو السَّمْعِ وَمُسْتَرِقُو السَّمْعِ هَكَذَا وَاحِدٌ فَوْقَ آخَرَ وَوَصَفَ سُفْيَانُ بِيَدِهِ وَفَرَّجَ بَيْنَ أَصَابِعِ يَدِهِ الْيُمْنَى نَصَبَهَا بَعْضَهَا فَوْقَ بَعْضٍ فَرُبَّمَا أَدْرَكَ الشِّهَابُ الْمُسْتَمِعَ قَبْلَ أَنْ يَرْمِيَ بِهَا إِلَى صَاحِبِهِ فَيُحْرِقَهُ وَرُبَّمَا لَمْ يُدْرِكْهُ حَتَّى يَرْمِيَ بِهَا إِلَى الَّذِي يَلِيهِ إِلَى الَّذِي هُوَ أَسْفَلَ مِنْهُ حَتَّى يُلْقُوهَا إِلَى الْأَرْضِ وَرُبَّمَا قَالَ سُفْيَانُ حَتَّى تَنْتَهِيَ إِلَى الْأَرْضِ فَتُلْقَى عَلَى فَمْ السَّاحِرِ فَيَكْذِبُ مَعَهَا مِائَةَ كَذْبَةٍ فَيُصَدَّقُ فَيَقُولُونَ أَلَمْ يُخْبِرْنَا يَوْمَ كَذَا وَكَذَا يَكُونُ كَذَا وَكَذَا فَوَجَدْنَاهُ حَقًّا لِلْكَلِمَةِ الَّتِي سُمِعَتْ مِنْ السَّمَاءِ
Daripada [Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] daripada Nabi ﷺ baginda bersabda: “Apabila Allah menetapkan satu perkara di atas langit maka para malaikat mengepakkan sayap-sayap mereka kerana tunduk kepada firman-Nya, seakan-akan rantai yang berada di atas batu besar. Ali dan yang lainnya berkata; hal itu sebagaimana firman Allah: “Apabila hati mereka telah menjadi stabil, mereka berkata; ‘Apa yang difirmankan Rabb kita? ‘ mereka menjawab; ‘Al Haq, dan Dia Maha Tinggi lagi Maha Besar.’ Dan para pencuri berita langit (jin) mendengarkannya, (mereka bersusun) sebahagian di atas sebahagian yang lainnya. -Sufyan seraya memberikan isyarat dengan telunjuknya.- Para pencuri berita langit itu mencuri dengar kalimat lalu menyampaikannya kepada yang berada di bawahnya. Boleh jadi jin itu diterjang bintang sebelum menyampaikannya kepada yang di bawahnya hingga ia terbakar, kemudian mereka menyampaikannya kepada lisan dukun atau tukang sihir. Boleh jadi mereka tidak diterjang oleh bintang sehingga dapat menyampaikannya, kemudian dicampur dengan seratus kebohongan. Maka kalimat yang didengar boleh sesuai dengan yang dari langit.”
(Sahih Bukhari (4332))

Maka ada yang selamat daripada mati. Mereka yang tercedera inilah yang menjadi gila dan menjadi hantu mengganggu manusia. Mereka cedera terkena lemparan api itu, telah bertukar menjadi hodoh dan buruk sekali. Mereka jadikan peluang ini untuk tunjukkan rupa buruk mereka sahaja untuk menakutkan manusia yang lemah semangat.

Ada mereka yang bodoh bertanya, bolehkah jin-jin itu sakit kalau terkena lemparan api, kerana jin itu dijadikan daripada api juga? Kalau mereka tanya begini, bolehlah sahaja kita tampar muka mereka dengan tangan atau lempar sahaja dengan tembikar keras. Agak-agak mereka terasa sakitkah? Kita berikan hujah bodoh yang sama: bukankah tangan dan tembikar itu dijadikan daripada tanah juga?

Ada yang mengatakan شِهابٌ مُّبينٌ itu adalah meteor atau ‘tahi bintang’. Ini kerana kalimah مُّبينٌ bermaksud bola api atau kilat itu terang bercahaya dan boleh nampak. Cuma ada yang menolaknya kerana kalau dikatakan meteor itu merejam syaitan, sebelum kebangkitan Nabi Muhammad ﷺ pun sudah ada. Maka meteor itu perkara biasa sahaja, bukannya kerana menghalang syaitan mencuri dengar wahyu yang akan disampaikan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Perkara ini pernah ditanya kepada Imam Zuhri رَحِمَهُ اللَّهُ dan beliau menjawab, benar meteor sudah ada sebelum Nabi Muhammad ﷺ, tetapi setelah mula penurunan wahyu, ia telah digunakan untuk merejam syaitan. Hujah ini dikuatkan dengan hadith,

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ بَيْنَمَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَالِسٌ فِي نَفَرٍ مِنْ أَصْحَابِهِ إِذْ رُمِيَ بِنَجْمٍ فَاسْتَنَارَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا كُنْتُمْ تَقُولُونَ لِمِثْلِ هَذَا فِي الْجَاهِلِيَّةِ إِذَا رَأَيْتُمُوهُ قَالُوا كُنَّا نَقُولُ يَمُوتُ عَظِيمٌ أَوْ يُولَدُ عَظِيمٌ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِنَّهُ لَا يُرْمَى بِهِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلَا لِحَيَاتِهِ وَلَكِنَّ رَبَّنَا عَزَّ وَجَلَّ إِذَا قَضَى أَمْرًا سَبَّحَ لَهُ حَمَلَةُ الْعَرْشِ ثُمَّ سَبَّحَ أَهْلُ السَّمَاءِ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ حَتَّى يَبْلُغَ التَّسْبِيحُ إِلَى هَذِهِ السَّمَاءِ ثُمَّ سَأَلَ أَهْلُ السَّمَاءِ السَّادِسَةِ أَهْلَ السَّمَاءِ السَّابِعَةِ مَاذَا قَالَ رَبُّكُمْ قَالَ فَيُخْبِرُونَهُمْ ثُمَّ يَسْتَخْبِرُ أَهْلُ كُلِّ سَمَاءٍ حَتَّى يَبْلُغَ الْخَبَرُ أَهْلَ السَّمَاءِ الدُّنْيَا وَتَخْتَطِفُ الشَّيَاطِينُ السَّمْعَ فَيُرْمَوْنَ فَيَقْذِفُونَهُ إِلَى أَوْلِيَائِهِمْ فَمَا جَاءُوا بِهِ عَلَى وَجْهِهِ فَهُوَ حَقٌّ وَلَكِنَّهُمْ يُحَرِّفُونَهُ وَيَزِيدُونَ
Daripada [Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا] berkata: Suatu ketika Rasulullah ﷺ duduk bersama beberapa sahabat baginda, ada bintang dilemparkan lalu bersinar, Rasulullah ﷺ bertanya: “Apa pandangan kalian untuk (hal) seperti ini di masa jahiliyah saat kalian melihatnya?” Mereka menjawab: “Dulu kami mengatakan ada orang besar meninggal atau calon orang besar lahir. Rasulullah ﷺ bersabda: “Sebenarnya ia tidak dilemparkan kerana kematian seseorang atau kehidupan seseorang, tapi Rabb kita عَزَّ وَجَلَّ bila memutuskan suatu hal, para malaikat pemikul ‘arsy bertasbih lalu penghuni langit setelah mereka bertasbih lalu para penghuni langit setelah mereka bertasbih hingga tasbih sampai ke langit ini, penghuni langit keenam bertanya kepada penghuni langit ketujuh: Apa yang difirmankan Rabb kalian? Lalu mereka memberitahukannya, setelah itu penghuni setiap langit bertanya hingga khabar sampai ke penghuni langit terendah. Syaitan-syaitan mencuri dengar lalu mereka dilempari, lantas mereka menyampaikannya kepada wali-wali mereka. Yang mereka bawa itu benar, tetapi mereka merubah dan menambah-nambahi.”
(Sahih Bukhari (3148))

Syarah: Maka benar meteor telah ada sebelum Rasulullah ﷺ, akan tetapi ia kemudian telah digunakan untuk melempar syaitan yang cuba mendengar maklumat langit. Saintis mungkin memberitahu kita itu dan ini tentang punca meteor itu, akan tetapi ilmu mereka terhad setakat perkara fizikal sahaja sedangkan ada banyak lagi perkara ghaib yang mereka tidak dapat lihat.

Kesimpulan isi-isi penting adalah seperti berikut:

I. Satu ketika dahulu, para syaitan dalam kalangan jin mempunyai tempat di langit bagi mencuri dengar perkhabaran-perkhabaran langit yang dibawa oleh para malaikat, untuk disampaikan kepada tukang sihir dan dukun dengan tujuan untuk mengelirukan dan menyesatkan manusia dengannya.

II. Maka Allah ‎ﷻ menghalau dan melemparkan para syaitan tersebut ke bumi serta menjadikan bintang-bintang sebagai penjaga di langit dengan direjamkan menggunakan cahaya-cahayanya apabila mereka ingin mencuri dengar perkhabaran langit. Ia merupakan salah satu daripada tujuan Allah ‎ﷻ menciptakan bintang-bintang, selain menjadi perhiasan di langit dan petunjuk jalan kepada orang yang mengembara.

III. Ini merupakan kelembutan dan rahmat daripada Allah ‎ﷻ kepada hamba-Nya supaya dapat menjaga perkhabaran Al-Qur’an daripada diselewengkan oleh ahli sihir dan para dukun yang akan menyebabkan segala yang disampaikan oleh Rasulullah ﷺ tidak jelas dan akan berlakulah kekeliruan sehingga tidak dapat dipastikan siapakah yang benar!


 

Hijr Ayat 19: Ayat sebelum ini menceritakan tentang keadaan di langit, sekarang Allah ﷻ menceritakan keadaan di bumi pula.

وَالأَرضَ مَدَدنٰها وَأَلقَينا فيها رَواسِيَ وَأَنبَتنا فيها مِن كُلِّ شَيءٍ مَّوزونٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the earth – We have spread it and cast therein firmly set mountains and caused to grow therein [something] of every well-balanced thing.

(MELAYU)

Dan Kami telah menghamparkan bumi dan menjadikan padanya gunung-gunung dan Kami tumbuhkan padanya segala sesuatu menurut ukuran.

 

وَالأَرضَ مَدَدنٰها

Dan Kami telah menghamparkan bumi 

Allah ﷻ telah menghamparkan bumi ini untuk kita duduki. Allah ﷻ luaskan dan lebarkan untuk senang kita berjalan di bumi ini dan senang untuk kita buat rumah. Kita boleh lihat lapisan bumi seluas mata memandang. Ini adalah nikmat untuk kita juga.

Allah ﷻ telah menghamparkan bumi ini untuk kita mudah diami. Kalaulah bumi ini berbukit bukau sahaja, tentu susah untuk kita tinggal di bumi ini. Allah ﷻ telah mudahkan kita hidup di bumi ini supaya kita boleh berkembang biak. Allah ﷻ juga berfirman dalam Baqarah: 22

الَّذي جَعَلَ لَكُمُ الأَرضَ فِرٰشًا
Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan

Ayat ini bukanlah dalil yang mengatakan bumi ini datar (flat). Sekarang ini ada kumpulan yang mendakwa bumi ini datar. Ini tidak benar. Memang banyak Allah ﷻ mengatakan bumi ini dihamparkan, namun bukanlah bermaksud bumi ini datar. Bumi ini sfera, cuma kerana ia besar, kita tidak rasa yang ia datar. Bukti-bukti saintifik banyak menunjukkan kepada rupa sfera bumi ini. Akan tetapi kita pun tidaklah mahu berhujah panjang tentang hal ini kerana ia bukan perkara yang penting pun. Kalau ada yang hendak mengatakan bumi ini datar, silakan.

 

وَأَلقَينا فيها رَواسِيَ

dan menjadikan padanya gunung-gunung

Allah ﷻ menjadikan gunung-gunung sebagai pasak. Kalimah رَواسِيَ bermaksud ‘pasak’. Ini adalah kerana bumi yang dihamparkan ini ada kerak tanah yang seperti permaidani. Kalau tidak ada pasak yang menahannya daripada bergerak, maka lapisan kerak kita ini akan bergerak-gerak sentiasa dan menyusahkan kita untuk tinggal di atasnya.

Kalau sentiasa bergerak, hendak buat peta pun payah kerana asyik berubah sahaja. Maka Allah ﷻ letakkan pasak dengan adanya gunung ini. Iaitu di bawah gunung itu, sebenarnya adalah pasak yang memaku kedudukan kerak bumi. Maka kita tetap di atasnya.

‘Pasak’ yang dimaksudkan adalah ‘gunung’ dan ‘banjaran’. Memang Allah ﷻ jadikan bumi ini terbentang tetapi ada juga dijadikan gunung ganang. Ternyata ia adalah untuk kebaikan kita juga. Gunung ganang sebagai ‘pasak’ untuk bumi. Hebatnya Allah ﷻ, sudahlah buat bumi yang luas ini, pasak pun Dia buatkan juga. Kalaulah kita terpaksa pasak bumi ini sendiri, tentu tidak mampu, bukan?

Kalimah رَوٰسِيَ daripada katadasar ر س و yang bermaksud tegas; ditubuhkan; stabil; tidak beralih; kekal; meletakkan sauh; tambatan; ketibaan; akan berlaku. Bumi memerlukan pasak kerana kerak bumi ini terletak seolah-olah sebagai permaidani di atas bumi dan kalau tidak ada pasak, ia akan bergerak-gerak dan kita pun susah untuk hidup di atasnya. Allah ﷻ telah sebut tentang hal ini dalam Luqman: 10

خَلَقَ السَّمٰوٰتِ بِغَيرِ عَمَدٍ تَرَونَها ۖ وَأَلقىٰ فِي الأَرضِ رَوٰسِيَ أَن تَميدَ بِكُم
Dia menciptakan langit tanpa tiang yang kamu melihatnya dan Dia meletakkan gunung-gunung (di permukaan) bumi supaya bumi itu tidak menggoyangkan kamu;

Maka kerak bumi yang bertembung antara satu sama lain akan bertindak – yang bahagian keras akan menusuk ke dalam bumi dan yang lembut akan naik menjadi gunung. Ini dipanggil proses isostasi.

Atau kalimah رَواسِيَ itu daripada kalimah ر س و yang bermaksud ‘sauh’ di mana apabila kapal hendak berlabuh ia akan menurunkan sauh supaya kapal itu tetap dan stabil pada satu tempat. Tanpa sauh, ia akan bergerak.

Di dalam Naba’: 6-7 juga Allah ﷻ sebut bagaimana Dia menjadikan bumi ini mudah untuk diduduki dan kemudian meletakkan pasak padanya.

أَلَم نَجعَلِ الأَرضَ مِهادًا
(Mengapa kamu ragu-ragukan kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang telah mati?) Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan?

وَالجِبالَ أَوتادًا
Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya?

 

وَأَنبَتنا فيها مِن كُلِّ شَيءٍ مَّوزونٍ

dan Kami tumbuhkan padanya segala sesuatu menurut ukuran.

Allah ﷻ beri kehidupan di atas muka bumi ini. Semuanya dalam kadar ukuran yang Allah ﷻ tentukan. Kalimah مَوزونٍ daripada katadasar و ز ن yang bermaksud menimbang; menghakimi; mengukur; seimbang. Maknanya Allah ﷻ jadikan dunia ini mengikut kadar yang Dia tentukan. Allah ﷻ tentukan kadar jarak dan berat dengan tepat kerana kehidupan flora dan fauna mestilah dikawal.

Kalau tidak dikawal, sampaikan ada yang terlebih daripada sepatutnya, ekologi flora dan dan fauna akan rosak dan kehidupan akan terganggu. Contohnya kalaulah beras itu saiznya besar epal, tentu susah kita hendak makan sampai tidak habis dan buang begitu sahaja. Akan tetapi Allah ﷻ jadikan cukup-cukup sahaja saiznya. Maka keperluan hidup kita terpelihara. Semua kehidupan flora dan fauna di dunia ini bergantung antara satu sama lain, dan ada simbiosis di antaranya. Kadar ini ditentukan oleh Allah ﷻ yang Maha Bijaksana.

Amat menarik hujung ayat ini yang mengatakan bahawa segala sesuatu dijadikan oleh Tuhan dengan ditimbang. Penghamparan bumi, peletakan gunung-gunung dan penumbuhan segala yang tumbuh itu, semuanya itu adalah dengan timbangan tertentu. Ada timbangan dan ada imbangan. Letak gunung dalam sebuah negeri, menentukan pula banyak hujan yang jatuh setiap tahun. Lalu menentukan pula keadaan udara di sekitarnya. Menentukan pula hal tumbuh-tumbuhan yang lebih subur tumbuhnya di satu daerah dan kurang suburnya di tempat yang lain. Semuanya ini mempengaruhi pula akan hidup manusia, di dalam daerah-daerah yang didiaminya. Oleh itu adanya perbezaan di antara Tanah Arab dengan benua Eropah. Perbezaan lagi dengan daerah yang di Khatulistiwa. Maka semuanya itu berkait rapat dengan penghamparan bumi, penanaman gunung dan penumbuhan tanam-tanaman. Semuanya ditimbang dengan kebijaksanaan Allah ﷻ.


 

Hijr Ayat 20:

وَجَعَلنا لَكُم فيها مَعٰيِشَ وَمَن لَّستُم لَهُ بِرٰزِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have made for you therein means of living and [for] those for whom you are not providers.¹

  • Allāh has put at your service other men and animals for which He provides. An additional meaning is that Allāh provides means for your living and for all other creatures as well.

(MELAYU)

Dan Kami telah menjadikan untukmu di bumi keperluan-keperluan hidup, dan makhluk-makhluk yang kamu sekali-kali bukan pemberi rezeki kepadanya.

 

وَجَعَلنا لَكُم فيها مَعٰيِشَ

Dan Kami telah menjadikan untukmu di bumi keperluan-keperluan hidup, 

Allah ﷻ telah memberikan sumber kehidupan kepada kita semua yang hidup di atas muka bumi ini. Kalimah مَعٰيِشَ daripada katadasar ع ي ش yang bermaksud hidup dengan cara tertentu; melewati kehidupan seseorang; mata pencarian; kehidupan; cara hidup; kewujudan; ritual; keperluan hidup. Kita minum dan makan daripada sumber yang Allah ﷻ berikan kepada kita. Sama ada daripada tumbuh-tumbuhan atau binatang ternak, semuanya daripada Allah ﷻ belaka. Dengannya kita dapat makan dan meneruskan kehidupan kita.

 

وَمَن لَّستُم لَهُ بِرٰزِقينَ

dan makhluk-makhluk yang kamu sekali-kali bukan pemberi rezeki kepadanya.

Ada hidupan yang kita beri makan seperti binatang ternak, haiwan peliharaan, anak-anak kita dan orang yang bergantung kepada kita. Namun bukan itu sahaja kehidupan kerana ada banyak lagi kehidupan yang hidup bukan kita yang beri makan tetapi Allah ﷻ. Semuanya bergantung kepada Allah ﷻ untuk melangsungkan kehidupan.

Ingatlah yang semua rezeki daripada Allah ﷻ. Kadang-kadang kita rasa rezeki itu daripada kita seperti rezeki yang kita berikan kepada pekerja kita, anak-anak kita, keluarga kita, orang bawahan kita dan sesiapa sahaja. Namun sebenarnya yang beri rezeki itu adalah Allah ﷻ semata-mata, cuma melalui tangan kita sahaja. Allah ﷻ yang beri rezeki kepada manusia, haiwan, ternakan, serangga dan apa-apa sahaja kehidupan di dunia ini. Tidak ada yang tidak memerlukan rezeki daripada Allah ﷻ kecuali semua makhluk memerlukan pemberian daripada Allah ﷻ.


 

Hijr Ayat 21: Semuanya daripada pemberian Allah ﷻ kepada kita semua.

وَإِن مِّن شَيءٍ إِلّا عِندَنا خَزآئِنُهُ وَما نُنَزِّلُهُ إِلّا بِقَدَرٍ مَّعلومٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And there is not a thing but that with Us are its depositories, and We do not send it down except according to a known [i.e., specified] measure.

(MELAYU)

Dan tidak ada sesuatu pun melainkan pada sisi Kami-lah khazanahnya; dan Kami tidak menurunkannya melainkan dengan ukuran yang tertentu.

 

وَإِن مِّن شَيءٍ إِلّا عِندَنا خَزآئِنُهُ

Dan tidak ada sesuatu pun melainkan pada sisi Kami-lah khazanahnya; 

Semua keperluan kita diambil daripada khazanah yang Allah ﷻ berikan sedikit kepada kita. Tidak ada daripada sumber lain melainkan daripada Allah ﷻ sahaja kerana Allah ﷻ kata: وَإِن مِّن شَيءٍ إِلّا عِندَنا. Kalimah إِن di sini bermaksud ‘tidak’ dan bukanlah seperti penggunaan yang biasa iaitu ‘jika’. Maka ketahuilah bahawa segala khazanah alam ini ada pada Allah ﷻ dan kuncinya pun ada pada Allah ﷻ. Bukan kita yang pegang kuncinya dan tidak ada entiti lain yang mengawalnya.

Maka kalau kita perlukan apa-apa, maka mintalah kepada Allah ﷻ. Kenapa hendak minta kepada selain Allah ﷻ seperti Nabi, wali dan malaikat kerana mereka tidak mengawal kunci khazanah itu? Sepatutnya kita berharap dan minta kepada Allah ﷻ sahaja.

Dalam ayat ini Allah ﷻ memberitahu kita yang rezeki itu Dia yang beri. Maka apa kita kena buat untuk mendapat rezeki? Tentulah dengan mendekatkan diri dengan Allah ﷻ, bukannya menjauhkan diri daripada-Nya! Contohnya lihat Ali Imran: 37 bagaimana Maryam diberi rezeki oleh Allah ﷻ kerana beribadat dan mendekatkan dirinya kepada Allah ﷻ.

وَكَفَّلَها زَكَرِيّا ۖ كُلَّما دَخَلَ عَلَيها زَكَرِيَّا المِحرابَ وَجَدَ عِندَها رِزقًا ۖ قالَ يٰمَريَمُ أَنّىٰ لَكِ هٰذا ۖ قالَت هُوَ مِن عِندِ اللَّهِ ۖ إِنَّ اللَّهَ يَرزُقُ مَن يَشاءُ بِغَيرِ حِسابٍ
serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, dia dapati rezeki (buah-buahan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya:” Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini?” Maryam menjawab; “Ia daripada Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak dikira”.

Oleh itu, kunci utama untuk mendapatkan rezeki daripada Allah ﷻ adalah dengan taqwa. Ini disokong dengan firman Allah ﷻ di dalam Talaq: 2-3; yang begitu popular sekali dengan jenama ‘Ayat 1000 dinar’ malah dijadikan sebagai poster dan perhiasan seringkali dibingkai indah dan digantung di dinding. Namun persoalannya: Adakah mereka yang menggantungkan ayat ini di dinding premis mereka benar-benar mengamalkan apa yang dinyatakan dalam ayat ini?

Ayat 1000 Dinar yang popular dijadikan perhiasan dengan kepercayaan untuk murah rezeki

Maka kita hendaklah mendekatkan diri kepada Allah ﷻ untuk menambah rezeki kita, bukannya menjauhkan diri daripada Allah ﷻ. Belajarlah cara bagaimana untuk mencapai taqwa itu sepertimana Allah ﷻ kehendaki, bukan sekadar hanya menghafal dan membingkaikan ayat-ayat Allah ﷻ ini sekadar hiasan sahaja. Bukan itu caranya wahai manusia. Allah ﷻ sudah tentukan rezeki buat kita, maka jangan terlampau sibuk mengejar rezeki sampai keluarga dan ibadah terabai lalu persediaan untuk akhirat juga terabai. Lihatlah yang Allah ﷻ sebut di dalam ayat ini رِزقًا لَّكُم yang bermakna rezeki itu sudah ditentukan buat kita. Pengajarannya jangan risau sangat bab rezeki kerana ia telah ditentukan oleh Allah ﷻ. Selagi kita hidup, selagi itu rezeki akan mengalir buat kita. Bukanlah kita kata jangan bekerja pula, tetapi berpada-padalah. Jangan sibuk siang malam untuk dunia sampai lupa tentang akhirat.

Yakinlah yang Allah ﷻ tahu bagaimana memberi rezeki kepada kita. Ini akan kita yakin jikalau kita faham apa yang Allah ﷻ telah sebut di dalam Dzariyaat: 58

إِنَّ اللهَ هُوَ الرَّزّاقُ ذُو القُوَّةِ المَتينُ
Sesungguhnya Allah Dialah Maha Pemberi rezeki Yang mempunyai Kekuatan lagi Sangat Kukuh.

 

وَما نُنَزِّلُهُ إِلّا بِقَدَرٍ مَّعلومٍ

dan Kami tidak menurunkannya melainkan dengan ukuran yang tertentu.

Daripada khazanah itulah diberikan keperluan kita. Akan tetapi Allah ﷻ tidak beri sekaligus, sebaliknya Allah ﷻ beri mengikut kuantiti yang perlu sahaja. Allah ﷻ yang tentukan ikut keperluan kita. Kita sendiri tidak tahu keperluan kita, tetapi Allah ﷻ yang tahu. Maka berapa kadarnya hanya ada di sisi ilmu Allah ﷻ sahaja.

Maka orang yang beriman benar-benar akan redha dengan apa sahaja bahagian yang Allah ﷻ berikan kepadanya. Tidaklah dia merungut, sibuk sangat dengan apa yang dia dapat. Ramai bukan yang mengadu dan mengeluh kerana pada mereka upah atau rezeki yang mereka dapat itu ciput sahaja? Tidak tahukah dia yang bahagian yang dia dapat itu telah ditentukan oleh Allah ﷻ? Tidak redhakah dia dengan pemberian dan penentuan Allah ﷻ itu?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 3 November 2023

Ringkasan Surah al-Hijr


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahudin