Tafsir Surah Ali Imran Ayat 7 (Siapa yang Rasikh?) Part 4

وَما يَعلَمُ تَأويلَهُ إِلَّا اللَّهُ

Padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya melainkan Allah.

Sedangkan Allah ﷻ sahaja yang tahu takwil kepada ayat-ayat mutasyabihat itu. Manusia tidak ada kelebihan itu. Perhatikan kalimah تَأويلَ diulang sekali lagi. Maka ayatnya jadi وَابتِغآءَ تَأويلِهِ وَما يَعلَمُ تَأوِيلَهُ ۥۤ إِلَّا اللَّهُ dan bukannya وَابتِغآءَ تَأويلِهِ وَما يَعلَمُهُ ۥۤ إِلَّا اللَّهُ. Apabila ada pengulangan, ia memberi satu isyarat, atau balaghah. Kenapa?

Hal ini adalah disebabkan oleh perbezaan makna antara kedua-dua takwil berkenaan.

    • Takwil pertama (وَابْتِغَاءَ تَأْوِيلِهِ) merujuk kepada takwil batil yang dicari-cari oleh ahli bid’ah/orang yang sesat hati untuk menimbulkan fitnah.
    • Takwil kedua (وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُ) merujuk kepada hakikat maknanya yang sebenar atau masa berlakunya perkara ghaib tersebut, yang mana tiada sesiapa pun yang mengetahuinya melainkan Allah.

Ia juga sebagai bentuk pengagungan (tafkhim) terhadap kedudukan takwil tersebut. Ia menunjukkan betapa berat dan besarnya urusan takwil ini di sisi syarak, supaya manusia tidak sewenang-wenangnya bercakap tentang urusan agama tanpa ilmu. Ia menunjukkan adanya unsur keterlaluan/memaksa diri (takalluf) dalam usaha bersungguh-sungguh mencari perkara tersebut.

Penggunaan kalimah ما…. إِلَّا adalah satu bentuk penolakan yang kuat. Maknanya tidak ada langsung yang tahu ta’wil itu kecuali Allah. Awal-awal surah ini lagi telah diletakkan alif lam mim yang kita sendiri tidak tahu apakah maksudnya. Memang ada perkara yang kalau kita pecah kepala fikir pun, tidak akan dapat tahu.

Contohnya maksud istiwa’ yang banyak ada di dalam Al-Qur’an dan menjadi perkelahian bodoh di kalangan umat. Hanya Allah sahaja yang tahu dan Allah hanya sebut dengan ringkas tanpa menjelaskan seperti di dalam Ra’d:2

اللهُ الَّذي رَفَعَ السَّمٰوٰتِ بِغَيرِ عَمَدٍ تَرَونَها ۖ ثُمَّ استَوىٰ عَلَى العَرشِ
Allah-lah Yang meninggikan langit tanpa tiang (sebagaimana) yang kamu lihat, kemudian Dia bersemayam di atas ‘Arasy

Kerja bodoh di kalangan manusia adalah berbincangan dari malam ke pagi tak habis-habis tentang hal ini sedangkan kita takkan faham pun benda itu kerana ia di dalam rahsia Allah. Dan kita tidak perlu sibuk untuk faham pun. Macam di mana Allah itu bukan kita perlu tahu kerana kita bukan jaga Allah. Tak berubah apa-apa hukum pun kalau Allah di mana pun. Ingatlah jawapan Imam Malik apabila beliau ditanya tentang hal ini:

Daripada Jaafar bin Abdullah katanya, “Seorang lelaki telah datang kepada Malik bin Anas رَحِمَهُ اللَّهُ lalu berkata, “Wahai Abu Abdillah {الرَّحْمَٰنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَىٰ} bagaimanakah Dia اسْتَوَىٰ’?” Katanya, “Saya tidak pernah melihat Malik begitu marah tentang sesuatu seperti marahnya dia dengan persoalan itu dan dia kelihatan berpeluh.” Katanya, “Orang ramai menunggu apa yang akan disebutnya tentang hal ini.” Katanya, “Kemudian Malik kembali tenang lalu berkata,

الِاسْتِوَاءُ مَعْلُومٌ، وَالْكَيْفُ مَجْهُولٌ، وَالْإِيمَانُ بِهِ وَاجِبٌ، وَالسُّؤَالُ عَنْهُ بِدْعَةٌ
(الِاسْتِوَاءُ itu telah diketahui (wujudnya dalam Al-Qur’an), manakala kaifiatnya (hakikat caranya) adalah tidak diketahui (iaitu rahsia Allah), beriman dengannya adalah wajib, dan bertanya tentangnya adalah bid’ah.)

Sebelum ini kita telah berikan pendapat yang mengatakan ta’wil itu adalah tafsir. Tapi dari segi bahasa, ta’wil itu adalah hakikat maksud sesuatu ayat itu. Dan ini hanya diketahui oleh Allah. Ulama’ hanya boleh cuba tafsir sahaja, tapi tidak boleh ta’wil. Apabila melakukan tafsir, kita sebenarnya cuba untuk mencari maksud apakah yang Allah kehendaki. Tapi tentulah kita tidak pasti, bukan? Kerana yang pasti di sisi Allah kita tidak tahu.

Oleh itu ini sepatutnya merendahkan diri kita yang ilmu dan akal kita terhad. Kita tidak akan tahu dengan pasti. Dan para ulama’ boleh melakukan tafsir dan ta’wil kalau ada sandaran kepada sesuatu pendapat itu. Tapi ada yang memang tidak akan dapat dipastikan kerana ia di luar lingkungan akal kita. Sebagai contoh kita telah berikan adalah seperti huruf-huruf muqatta’ah yang memang takkan dapat kita mencari ta’wilnya.

Tapi tidaklah semua ayat tidak boleh ta’wil. Proses mentafsir ayat-ayat Al-Qur’an itu ada prosesnya dan ulama’ yang ahli sahaja yang boleh melakukannya. Mereka itu ada apa yang dinamakan ‘ilmu alat’. Iaitu ilmu-ilmu lain yang diperlukan untuk mengetahui tafsir ayat. Mereka akan rujuk bahasa, hadis, ayat-ayat yang sama, ayat-ayat sebelum dan selepas ayat yang hendak ditafsir itu, dan banyak lagi prosesnya. Maknanya mereka ada sandaran ilmu-ilmu yang berkenaan apabila hendak mencari maksud sesuatu ayat itu. Akan tetapi itu pun adalah cubaan terbaik ulama’ itu. Dia pun tidak dapat kata dengan pasti yang ia benar atau tidak. Dan ada sesetengah ayat yang memang tidak ada sandarannya, maka mereka kena angkat tangan dan mengaku yang ayat itu tidak boleh ditafsirkan. Kena beriman sahaja lah.

Sepatutnya perkara yang samar-samar itu jangan disibukkan. Saidina Umar pernah memboikot seorang lelaki yang sibuk tentang hal ini. Kisah pemulauan (boikot) ini adalah satu peristiwa yang sangat masyhur dalam sejarah Islam dan direkodkan dalam kitab-kitab muktabar seperti Sunan al-Darimi dan Tafsir Ibn Kathir. Nama lelaki itu adalah Subaygh. Tindakan Umar memboikot Subaygh ini berbeza dengan boikot biasa sesama Muslim. Ia merupakan satu bentuk hukuman ta’zir (tatatertib/siasah syar’iyyah) oleh seorang ketua negara untuk menyekat penyebaran fitnah pemikiran dalam agama.

Kenapa beliau dipulau? Subaygh bin ‘Asl datang ke Madinah dan mula pergi ke majlis-majlis ilmu. Namun, fokus beliau bukan untuk belajar perkara asas, sebaliknya beliau suka mencari dan mempersoalkan ayat-ayat mutashabihat (ayat Al-Qur’an yang maknanya samar-samar atau memerlukan takwilan mendalam) dan perkara-perkara ganjil dalam Al-Qur’an untuk menimbulkan keraguan dalam kalangan orang awam. Apabila perkara ini sampai ke pengetahuan Khalifah Umar al-Khattab, Umar sedar bahawa perbuatan Subaygh ini boleh merosakkan akidah dan keharmonian masyarakat Islam yang baru berkembang.

Maka Umar memanggil Subaygh ke rumahnya. Umar telah pun menyediakan pelepah dan dahan kurma yang keras.

Umar bertanya: “Siapakah kamu?”
Beliau menjawab: “Aku adalah hamba Allah, Subaygh.”
Umar membalas: “Dan aku adalah hamba Allah, Umar!”

Umar terus memukul kepala dan belakang Subaygh dengan pelepah kurma tersebut sehingga luka dan berdarah sebagai pengajaran keras kerana cuba bermain-main dengan ayat Al-Qur’an. Setelah melihat Subaygh kesakitan, Umar berhenti. Subaygh kemudian berkata: “Cukuplah wahai Amirul Mukminin, demi Allah, apa yang (syak wasangka/bisikan syaitan) ada di dalam kepala saya sebelum ini telah hilang sepenuhnya.”

Umar tidak melepaskan Subaygh begitu sahaja. Untuk memastikan pemikiran Subaygh benar-benar bersih dan tidak meracuni orang lain, Umar menghantar Subaygh pulang ke tempat asalnya di Kufah, Iraq. Umar menghantar surat rasmi kepada gabenor Kufah ketika itu, Abu Musa al-Asy’ari, dengan arahan yang sangat tegas: “Jangan ada seorang pun dalam kalangan orang Islam yang duduk (bergaul atau bertegur sapa) dengan Subaygh.” Hukuman boikot sosial ini sangat berat bagi Subaygh. Abu ‘Uthman al-Nahdi (seorang tabi’in) menceritakan: “Apabila Subaygh datang ke suatu majlis yang sedang berkumpul (walaupun ada 100 orang), mereka semua akan bangun dan bersurai meninggalkannya sendirian kerana patuh pada arahan Umar.”

Subaygh menjalani hidup dalam keadaan terpulau sehingga beliau benar-benar insaf. Selepas satu tempoh masa yang lama, beliau datang berjumpa dengan Abu Musa al-Asy’ari dan bersumpah dengan nama Allah bahawa dia telah bertaubat sepenuhnya daripada tabiat buruknya itu dan tidak lagi memegang pemikiran yang meragukan. Abu Musa al-Asy’ari kemudian menulis surat kepada Umar al-Khattab memaklumkan tentang penyesalan dan taubat suci Subaygh. Umar akhirnya membalas surat tersebut dan memaafkan Subaygh, lalu menarik balik perintah boikot tersebut.

Selepas itu, masyarakat kembali bergaul dengannya seperti biasa. Bahkan dalam sejarah direkodkan, apabila muncul kelompok Khawarij (golongan ekstremis) di Iraq pada zaman kemudiannya, orang ramai mengajak Subaygh untuk menyertai mereka. Namun Subaygh menolak dengan tegas sambil berkata: “Tidak, aku telah diselamatkan oleh tarbiyah (pukulan dan boikot) daripada lelaki yang soleh (iaitu Umar al-Khattab).” Isu boikot ini kita ada bincangkan dengan lebih mendalam dalam Hadis #35 Arbain Nawawiah.

 

وَالرّٰسِخونَ فِي العِلمِ

Dan orang-orang yang mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu ugama,

Jadi sebelum ini telah disebut tentang golongan yang sibuk dengan ayat-ayat Mutashabihat tadi. Itu adalah satu masalah yang perlu diselesaikan, tidak boleh dibiarkan. Itu golongan yang tidak boleh pakai, jangan diikut! Kerana memang akan ada sahaja golongan sebegini. Sekarang diberikan jalan penyelesaiannya. Allah beri contoh golongan yang kita kena ikut.

Kalimah الرّٰسِخونَ adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘orang-orang yang tetap dan mendalam ilmu agamanya’. Ia dari kata dasar: ر س خ yang bermaksud tetap, teguh, berakar. Dari ر س خ menjadi fi’il رَسَخَ yang bermaksud lekat, terbenam, kukuh, atau tertanam dengan sangat kuat ke dalam sesuatu tempat sehingga tidak lagi bergerak, bergoyang, atau berganjak. Kalimah ini asalnya digunakan oleh orang Arab untuk menggambarkan dua objek fizikal yang sangat kukuh:

    • Paku yang tertanam kuat: Paku atau tiang yang diketuk masuk ke dalam simen atau bumi dengan sangat dalam sehingga ia tidak boleh dicabut lagi dengan mudah.
    • Gunung yang pasak-Nya dalam: Gunung-ganang yang mempunyai akar yang terbenam jauh ke dalam kerak bumi, menjadikannya teguh dan tidak bergoyang walaupun dilanda angin taufan.

Bagaimana mereka ini boleh dapat ilmu yang mendalam ini? Tentulah bukan dalam masa yang pendek. Ilmu tidak datang begitu sahaja dan dalam masa yang singkat. Orang Tarekat bengong sahaja perasan boleh dapat ilmu Laduni dalam satu malam. Ia memerlukan masa dan ketekunan dan syarat-syarat yang lain. Imam Syafie telah menggariskan 6 syarat utama untuk seseorang itu berjaya memperoleh ilmu, dan salah satu syarat terbesarnya ialah masa yang panjang. Syair beliau berbunyi:

أَخِي لَنْ تَنَالَ الْعِلْمَ إِلَّا بِسِتَّةٍ … سَأُنْبِيكَ عَنْ تَفْصِيلِهَا بِبَيَانٍ
ذَكَاءٌ وَحِرْصٌ وَاجْتِهَادٌ وَبُلْغَةٌ … وَصُحْبَةُ أُسْتَاذٍ وَطُولُ زَمَانٍ

“Wahai saudaraku, engkau tidak akan sesekali memperoleh ilmu melainkan dengan 6 perkara… Aku akan khabarkan kepadamu perinciannya dengan jelas: Kecerdasan (ذَكَاءٌ), Keinginan yang kuat/Tamak ilmu (حِرْصٌ), Kesungguhan (اجْتِهَادٌ), Bekalan/Belanja yang mencukupi (بُلْغَةٌ), Bimbingan seorang guru (صُحْبَةُ أُسْتَاذٍ). Masa yang panjang (طُولُ زَمَانٍ).

Maka ini mengandungi ajakan kepada kita untuk teruskan belajar. Belajar ini bukannya senang, tapi ia perlu. Ia memerlukan kesabaran dan banyak pengorbanan. Janganlah bosan untuk meluangkan masa. Tambahan pula zaman sekarang sangatlah mudah untuk kita mendapatkan ilmu, tanpa perlu keluar rumah pun.

Al-Qur’an mengambil kata رَسَخَ (tertanam kuat) ini dan memindahkannya ke dalam dunia maknawi (akademik dan spiritual). Apabila Allah menyebut وَالرّٰسِخونَ فِي الْعِلْمِ (Dan orang-orang yang mendalam/kukuh di dalam ilmu), ia membawa maksud metafora bahawa:

    • Ilmu yang Menyerap ke dalam Jiwa: Ilmu mereka bukan sekadar di bibir, nota, atau hafalan luaran sahaja. Sebaliknya, ilmu tersebut telah meresap, “terbenam”, dan melekat kukuh ke dalam hati dan sanubari mereka, seumpama akar gunung yang mencengkam bumi.
    • Sifat Rusukh (kekukuhan) ini menyebabkan minda dan akidah mereka tidak mudah bergoyang, tidak ragu-ragu, dan tidak hanyut apabila berhadapan dengan badai fitnah atau putar belit ayat mutashabihat oleh golongan sesat.

Iaitu mereka yang dalam, luas dan sudah kukuh ilmu mereka. Mereka telah belajar habis tentang agama, luar dan dalam. Mereka telah belajar sampai ke kemuncak ilmu yang boleh dicapai oleh manusia. Mereka ada ‘ilmu alat’ untuk mentafsir ayat-ayat Al-Qur’an. Merekalah yang banyak menulis kitab-kitab tafsir yang muktabar. Merekalah yang menjadi rujukan orang-orang yang mahukan kebenaran. Mereka mengamalkan agama dengan menggunakan dalil yang sahih dan hujah yang benar.

Mereka ini bukanlah orang yang biasa. Kedalaman ilmu (Ar-Rusukh fil-‘ilm) adalah suatu kedudukan/tahap yang lebih tinggi daripada sekadar mempunyai ilmu. Maka, seseorang yang mendalam ilmunya (Ar-Rasikh) menuntut dia menjadi seorang alim yang benar-benar melakukan penelitian (muhaqqiq) serta ahli makrifat yang sangat teliti (mudaqqiq), yang mana langkah kakinya telah pasak dan kukuh dalam rahsia-rahsia syariat; sama ada dari sudut ilmu, keadaan jiwa (hal), mahupun pengamalan.

Sebelum ini Allah menyebut tentang golongan yang ada masalah iaitu في قُلوبِهِم زَيغٌ (di dalam hati mereka kecenderungan ke arah kesesatan). Jadi masalah mereka adalah dengan hati, hati yang mencari-cari fitnah dan buat manusia jadi keliru. Sekarang Allah menyebut golongan yang berlawanan dari mereka dan Allah kata mereka mendalam dan tetap ilmunya. Kalau sebelum ini tentang orang yang ada masalah hati, maka sepatutnya lawan bagi mereka adalah orang yang hatinya sucilah, bukan? Tapi Allah bercakap tentang orang yang ada ilmu. Maka ini mengajar kita yang ilmu itu sebenarnya di hati. Ilmu mereka memberi kesan kepada hati mereka, bukan setakat tinggal ilmu itu di otak sahaja. Mereka tidak ada masalah hati seperti golongan yang pertama. Itu yang mesti selesai dahulu (tentang hati). Dan kemudian barulah ilmu yang mantap boleh masuk. Iaitu mereka ini niat di dalam menuntut ilmu mestilah kerana hendak kepada kebaikan dan hendak tahu kebenaran.

Ini mengingatkan kepada kita yang kita belajar tafsir Al-Qur’an, tadabbur ini semua mestilah untuk mendidik hati kita sebenarnya. Itu yang utama. Bukannya untuk jadi pandai, boleh cakap sana sini, tulis sana sini tentang ayat Al-Qur’an, tapi hati kita kosong, hati kita masih kotor, hati kita tidak terkesan dengan ayat-ayat Al-Qur’an itu. Jadi kita kena betulkan kembali niat kita kenapa kita belajar tafsir dan tadabbur ini? Ia untuk hati, hati, hati kita.

Ayat ini agak sukar ditafsirkan kerana ada dua bacaan. Iaitu boleh ada dua tempat berhenti. Ulama’ khilaf tentang tempat berhenti ini. Bacaan Pertama:

وَابتِغآءَ تَأويلِهِ ۗ وَما يَعلَمُ تَأوِيلَهُ ۥۤ إِلَّا اللَّهُ ۗ وَٱلرّٰسِخُونَ فِي العِلمِ يَقولونَ ءَامَنَّا بِهِۦ

Ini adalah apabila berhenti selepas kalimah اللَّهُ. Jika berhenti di sini, makna تَأويلِ adalah “Hakikat Ghaib yang Sebenar” (seperti rupa Zat Allah, roh, tarikh Kiamat). Maka, ilmu ini menjadi rahsia mutlak Allah sahaja. Tugas orang yang mendalam ilmunya (ٱلرّٰسِخُونَ) pula bukan untuk memikirkan hakikat tersebut, tetapi tugas mereka adalah terus beriman (ءَامَنَّا بِهِ).

Akan tetapi ada juga tempat berhenti yang kedua yang menjadi pilihan lain:

وَابتِغآءَ تَأويلِهِ ۗ وَما يَعلَمُ تَأوِيلَهُ ۥۤ إِلَّا اللَّهُ وَٱلرّٰسِخُونَ فِي العِلمِ ۗ يَقولونَ ءَامَنَّا بِهِۦ

Ini adalah apabila berhenti selepas وَٱلرّٰسِخُونَ فِي العِلمِ. Cara bacaan ini bermaksud kita membaca terus nama Allah berserta و (dan) selepasnya tanpa memutuskan nafas. Huruf و di sini berfungsi sebagai Waw ‘Ataf (kata hubung “dan”). Jika dibaca sambung, makna تَأويلِ di sini bertukar menjadi “Tafsir / Penjelasan Makna”. Maksudnya, Allah tahu tafsiran ayat mutashabihat itu, dan para ulama yang mendalam ilmunya (وَٱلرّٰسِخُونَ فِي العِلمِ) juga tahu cara mentafsirkan ayat tersebut dengan betul (mengembalikannya kepada ayat muhkam). Kemudian sambungan ayat “Mereka berkata: Kami beriman…” pula menjadi sifat atau keadaan (hal) jiwa para ulama tersebut ketika mentafsir Al-Qur’an.

Jadi mana satu cara berhenti yang betul? Tidak ada masalah kalau kita telah belajar tafsir. Kedua-dua cara bacaan ini adalah sah, betul, dan saling melengkapi. Jika kita merujuk ta’wil sebagai rupa bentuk Zat Allah, maka kita wajib mengguna pakai Bacaan 1 (Hanya Allah yang tahu). Kita serahkan sahaja kepada Allah. Jika kita merujuk ta’wil sebagai usaha memahami maksud kiasan ayat Al-Qur’an agar tidak sesat, maka kita mengguna pakai Bacaan 2 (Allah dan para ulama sama-sama tahu maksudnya). Mereka pun bukannya tafsir pakai akal, tapi kembali kepada ayat-ayat yang Muhkamat seperti yang kita telah sebut sebelum ini. Contohnya kalau kita terima Allah ada tangan, tentulah kita kata tangan Allah tidak sama seperti tangan makhluk. Maha Suci Allah yang menjadikan susunan Al-Qur’an begitu mukjizat!

Maka maksud ayat-ayat Al-Qur’an hendaklah dirujuk kepada mereka yang ada ilmu yang mendalam. Bahaya kalau memandai sendiri untuk mentafsir ayat-ayat Al-Qur’an. Pernah berlaku satu peristiwa di mana para sahabat bertelagah dan mengangkat suara sesama sendiri kerana berbeza pandangan tentang maksud sepotong ayat Al-Qur’an. Apabila Nabi ﷺ keluar dan mendengar perbalahan itu, wajah baginda bertukar merah padam kerana terlalu marah. Baginda ﷺ bersabda:

مَهْلًا يَا قَوْمِ، بِهَذَا أُهْلِكَتِ الأُمَمُ مِنْ قَبْلِكُمْ؛ بِاخْتِلاَفِهِمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ، وَضَرْبِهِمُ الْكُتُبَ بَعْضَهَا بِبَعْضٍ. إِنَّ الْقُرْآنَ لَمْ يَنْزِلْ يُكَذِّبُ بَعْضُهُ بَعْضًا، بَلْ يُصَدِّقُ بَعْضُهُ بَعْضًا، فَمَا عَرَفْتُمْ مِنْهُ فَاعْمَلُوا بِهِ، وَمَا جَهِلْتُمْ مِنْهُ فَرُدُّوهُ إِلَى عَالِمِهِ
Bertenanglah wahai kaumku! Sesungguhnya umat-umat sebelum kamu telah binasa disebabkan perkara ini; iaitu kerana mereka berselisih dengan Nabi-nabi mereka, dan mereka membenturkan (mempertentangkan) sebahagian isi Kitab Suci dengan sebahagian yang lain. Sesungguhnya Al-Qur’an tidak diturunkan untuk sebahagiannya mendustakan sebahagian yang lain, sebaliknya sebahagiannya membenarkan sebahagian yang lain. Oleh itu, apa yang kamu fahami daripadanya (ayat muhkamat), maka beramallah dengannya. Dan apa yang kamu jahil/samar (ayat mutashabihat), maka kembalikanlah ia kepada orang yang alim (mengetahuinya).”

Riwayat Ahmad, No. 6741 & Ibnu Majah. Syeikh Ahmad Syakir menyatakan sanadnya Sahih.

Maksud larangan Nabi Jangan Membenturkan Ayat: Jangan gunakan ayat mutashabih untuk meruntuhkan atau menimbulkan keraguan terhadap ayat muhkam.

Jadi golongan Rasikh itu tidak memandai-mandai mencari hujah yang bukannya datang dari wahyu. Mereka tidak berani buat begitu dan melanggar arahan Allah. Itulah orang yang betul-betul ada ilmu. Begitulah Allah berfirman di dalam Fatir:28

إِنَّما يَخشَى اللهَ مِن عِبادِهِ العُلَماءُ
Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama.

Di permulaan ayat ini, Allah tekankan yang Al-Qur’an ini diturunkan kepada Nabi Muhammad (هُوَ الَّذيٓ أَنزَلَ عَلَيكَ ٱلكِتَـٰبَ) dan kita telah sebut ia memberi isyarat yang Nabi Muhammad ada autoriti ke atas Al-Qur’an, dan kalau ada tidak faham, boleh tanya kepada baginda. Tapi kalau kita perhatikan, para sahabat tidak ada tanya pun pasal ayat-ayat yang mutashabihat itu. Mereka tidak tanya apa maksud الم، الر, tentang wajah Allah, tangan Allah dan sebagainya. Maknanya mereka tidak tanya soalan yang tidak perlu. Bukan macam kita, soalan bodoh pun ditanya sentiasa. Bukan semua soalan perlu ditanya. Macam kalau guru mengajar dan suruh kita tanya soalan, kita kena tanya soalan yang relevan, bukannya tanya soalan tak perlu seperti apa hendak makan selepas kelas, apa warna baju kena pakai dan lain-lain. Jadi para sahabat tidak bertanya kerana,

1. Mereka Memahami Kaedah Bahasa Arab Secara Semulajadi. Para sahabat Nabi adalah bangsa Arab tulen yang hidup di zaman kemuncak kefasihan bahasa Arab. Bagi mereka, uslub (gaya bahasa) kiasan, majaz, dan metafora adalah perkara biasa yang tidak memerlukan definisi literal. Oleh itu apabila Al-Qur’an menyebut يَدُ اللهِ فَوقَ أَيديهِم  “Tangan Allah di atas tangan mereka” (Fath:10), minda Arab tulen para sahabat terus menangkap maksudnya sebagai perlindungan, kekuasaan, atau perjanjian, bukannya anggota badan fizikal. Tak perlu hendak dijelaskan seperti jelaskan kepada budak-budak.

Bagi mereka, jika raja mereka berkata “Negeri ini berada di bawah tanganku”, mereka tidak pernah terfikir negeri itu duduk di atas tapak tangan raja tersebut. Oleh kerana bahasa mereka tidak tercemar dengan istilah falsafah asing (seperti falsafah Yunani yang masuk beratus tahun kemudian), mereka tidak melihat ayat-ayat tersebut sebagai satu masalah atau “teka-teki” yang perlu ditanyakan kepada Nabi ﷺ. Kita yang bukan orang Arab dan tidak tahu bahasa Arab ini yang selalu jadi keliru.

2. Sifat Keimanan yang Taslim (Tunduk dan Menyerah). Ini adalah faktor paling utama. Keimanan para sahabat dibina atas dasar Taslim total, iaitu percaya bulat-bulat kepada keagungan Allah tanpa perlu mempersoalkannya secara logik akal (Takalluf). Mereka sangat faham batas kemampuan akal manusia. Apabila Allah mensifatkan diri-Nya dengan sesuatu perkara, mereka terus beriman dengan prinsip yang sangat jelas di dalam Syura:11 لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ (Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan-Nya).

Bagi mereka, perbincangan tentang bagaimana bentuk atau rupa (kaifiat) zat Allah adalah satu bentuk kelancangan dan tidak sopan terhadap Tuhan. Sifat tawaduk ilmiah ini membuatkan mereka memilih untuk beriman dengan teks ayat tersebut dan menyerahkan hakikat maknanya kepada Allah (Tafwidh). Yang tidak faham hal inilah yang sibuk buat hujah bodoh seperti, “Kalau Allah di Arasy, masa Arasy belum ada lagi, Allah duduk di mana?”. Soalan bodoh dari orang yang bodoh! Allah bukan perlukan Arasy lah!

3. Mereka Takut Ditimpa Teguran Al-Qur’an. Para sahabat amat berhati-hati dan takut untuk terlalu banyak bertanya tentang perkara-perkara yang tidak mendatangkan amal, kerana Al-Qur’an pernah memberikan amaran yang sangat tegas dalam Maidah:101

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَسئلوا عَن أَشياءَ إِن تُبدَ لَكُم تَسُؤكُم
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan tentang perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu, akan menyusahkan kamu…”

Ayat ini mendidik para sahabat agar menumpukan soalan kepada perkara praktikal seperti hukum-hakam, halal dan haram, serta cara-cara beramal (muhkamat). Mereka tahu bahawa menyibukkan diri dengan perincian ayat mutashabihat hanya akan membuka pintu syaitan untuk membisikkan keraguan, persis seperti yang menimpa umat-umat terdahulu yang binasa kerana terlalu banyak bertanya perkara yang remeh. Dan penyakit ini telah kena kepada umat kita sekarang.

 

يَقولونَ ءآمَنّا بِهِ كُلٌّ مِن عِندِ رَبِّنا

mereka berkata:” Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami”

Ayat-ayat Mutashabihat adalah ujian yang Allah berikan kepada manusia. Sekarang disebut mereka yang lulus ujian itu. Mereka kata mereka beriman dengan ayat-ayat mutasyabihat itu sebagai ayat daripada Allah ﷻ. Beginilah yang kita belajar dari para sahabat. Mereka beriman tanpa banyak bertanya benda yang tidak perlu. Mereka sedar bukan semua benda kita boleh faham. Mereka merendahkan diri dan sedar kelemahan diri.

Ini penting kerana ada satu penyakit orang berilmu. Mereka susah untuk kata mereka ‘tidak tahu’. Kalau ada orang tanya, mereka segan untuk berterus terang, maka mereka akan goreng dan goreng. Walaupun mereka tidak tahu jawapannya, mereka tetap juga akan bercakap dan beri pendapat dari akal mereka. Sedangkan sepatutnya senang sahaja cakap ‘tidak tahu’.

Ada sebuah peristiwa yang sangat masyhur dalam sejarah Islam tentang Imam Malik bin Anas (pengasas Mazhab Maliki) dan sifat tawaduk serta amanah ilmiahnya yang luar biasa. Ia menjadi rujukan utama para ulama sehingga hari ini tentang kepentingan menyebut “Aku tidak tahu” jika tidak pasti tentang sesuatu hukum agama.

Kisahnya begini. Seorang lelaki telah bermusafir dari sebuah tempat yang sangat jauh (ada riwayat menyebut dari Maghribi/Afrika Utara, mengambil masa berbulan-bulan menunggang unta) semata-mata untuk bertemu dengan Imam Malik di Madinah. Lelaki tersebut membawa 40 soalan (ada riwayat menyebut 48 soalan) yang dititipkan oleh penduduk kampungnya untuk mendapatkan fatwa daripada Imam Malik, yang pada waktu itu digelar sebagai Alimul Madinah (Ulama Paling Alim di Madinah).

Apabila lelaki itu membacakan soalan-soalan tersebut satu demi satu kepada Imam Malik, Imam Malik hanya menjawab sebahagian kecil sahaja daripada soalan tersebut (sekitar 4 atau 6 soalan). Bagi baki lebih 30 soalan yang lain, Imam Malik dengan tenang menjawab: “La adri” (لَا أَدْرِي) — Aku tidak tahu.

Lelaki yang datang dari jauh itu berasa sangat terkejut dan kecewa. Dia berkata kepada Imam Malik: “Wahai Abu Abdullah (gelaran Imam Malik)! Aku telah meredah padang pasir dan bermusafir berbulan-bulan untuk datang kepadamu. Penduduk kampungku menghantar aku kerana mereka kata tiada orang yang lebih alim di atas muka bumi ini selain engkau. Apakah yang harus aku katakan kepada mereka apabila aku pulang nanti?”

Imam Malik dengan tegas dan tenang menjawab: “Pulanglah kepada penduduk kampungmu dan katakan kepada mereka: ‘Malik kata dia tidak tahu!'”

Kisah ini bukan menunjukkan Imam Malik itu jahil, tetapi ia menunjukkan beberapa pengajaran yang sangat mahal. Imam Malik sedar bahawa memberi fatwa atau bercakap tentang agama tanpa ilmu yang pasti adalah satu dosa besar. Menjawab “aku tidak tahu” adalah lebih selamat daripada tersalah beri hukum yang boleh menyesatkan orang. Kadang-kadang manusia berasa malu untuk mengaku tidak tahu kerana takut jatuh reputasi. Imam Malik, seorang ulama besar dunia, tidak kisah reputasinya “jatuh” di mata orang awam, asalkan dia jujur di hadapan Allah.

Kerana itu di dalam tradisi Islam, ada satu kaedah yang menyebut: الْقَوْلُ بِلَا أَدْرِي نِصْفُ الْعِلْمِ “Perkataan ‘Aku tidak tahu’ itu adalah separuh daripada ilmu.” Ini kerana orang yang berani mengaku tidak tahu akan terdorong untuk terus belajar, manakala orang yang acah-acah tahu akan berhenti belajar dan merosakkan agama.

Kembali kepada ayat kita. Kalimah ءآمَنّا di dalam bentuk fi’il madhi mereka telah beriman, maksudnya telah lengkap keyakinan  mereka itu. Perhatikan bagaimana mereka ini tawaduk dan merendahkan diri mereka kepada Allah. Mereka terima dengan seadanya, tanpa perlu fikir secara takalluf (perbuatan memberat-beratkan diri, memaksakan diri, atau berlebih-lebihan dalam melakukan sesuatu perkara) kerana dalam mencari ilmu agama, yang paling penting kita kena pastikan adalah sama ada ia adalah wahyu atau tidak. Kalau wahyu, maka kita terima dan beriman dengannya sama ada kita faham ataupun tidak. Tidak perlu hendak sibuk cari fahaman lain yang bukannya datang dari fahaman agama Islam.

Tidak ada malunya kalau kita terima ada perkara yang kita tidak akan dapat tahu. Ini kerana kita hanyalah manusia biasa. Sedangkan mereka yang amat-amat alim jauh lebih daripada kita pun cakap begitu, apatah lagi kita? Sebagai contoh Imam Syafie pernah menulis di dalam kitab Diwan asy-Syafi’i (koleksi puisi/syair beliau), bait yang berbunyi:

كُلَّمَا أَدَّبَنِي الدَّهْرُ … أَرَانِي نَقْصَ عَقْلِي
وَإِذَا مَا ازْدَدْتُ عِلْمًا … زَادَنِي عِلْمًا بِجَهْلِي

“Setiap kali zaman (pengalaman hidup) mendidikku, ia memperlihatkan kepadaku kekurangan akalku,
Dan setiap kali ilmunya bertambah, ia membuatkan aku semakin tahu tentang kejahilanku.”

Maka ini mengajar kita keseimbangan. Ya kita memang hendak tahu banyak perkara dan kita akan berusaha untuk belajar dan mengkaji; akan tetapi kita kena ingat bahawa bukan semua benda kita boleh faham kerana keterhadan diri dan akal kita sendiri.

Ayat-ayat Mutasyabihat itu tidak banyak dalam Al-Qur’an, mungkin tidak sampai seratus ayatnya. Jadi, tidak mengganggu agama kita pun kalau kita tidak faham apakah maksud ayat-ayat mutasyabihat itu.

 

وَما يَذَّكَّرُ إِلّا أُولُو الأَلبٰبِ

Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.

Kalimah الأَلبابِ adalah bentuk jamak kepada لُبّ, yang bermaksud isi, teras, atau sari pati (Kernel/Core). Orang Arab menggunakan perkataan لُبّ untuk merujuk kepada isi buah, bahagian dalam kacang/badam. Iaitu merujuk kepada bahagian dalam yang boleh dimakan selepas kulitnya dikupas. Atau Teras kayu: Bahagian tengah batang pokok yang paling keras dan kukuh. Mereka ini ada ilmu yang mendalam, bukan ilmu kulit sahaja.

Kalimah أُولِي الأَلبابِ selalu diterjemahkan kepada ‘orang-orang yang mempunyai akal’ tetapi ia bukanlah akal sahaja (kerana semua orang ada akal) tetapi akal yang sihat. Akal yang sihat memang mencari-cari kebenaran. Mereka tidak terikut-ikut dengan fahaman yang bukan datang dari wahyu Ilahi. Akal mereka sihat dan murni, suci dari noda kesesatan.

Tidak ramai yang boleh mengambil pengajaran ini melainkan mereka yang ada akal yang waras. Sekali lagi kita perhatikan penggunaan ما….. إِلّا yang bermaksud mereka sahaja yang mengambil pelajaran dari hal ini. Dan kalimah يَذَّكَّرُ di dalam Wazan تَفَعَّلَ (wazan V) yang bermaksud mereka sungguh-sungguh ambil pengajaran. Mereka bukan main-main tapi mereka memikirkan perkara ini dengan mendalam.

Akal yang waras akan terima yang ia hanya diketahui oleh Allah ﷻ. Semua Imam mazhab empat tidak menghuraikan ayat-ayat mutasyabihat. Begitu  juga sahabat yang belajar terus dengan Nabi ﷺ. Sedangkan kalau yang tahu, tentulah mereka yang lebih tahu.

Tabein pun begitu juga kerana mereka belajar terus dengan para sahabat. Imam-Imam Mujtahid pun tidak menghuraikannya juga. Namun yang menghairankan, kenapa lebai kampung pula yang mahu menghuraikannya? Kalau dibaca tafsir ayat-ayat mutasyabihat, panjang berjela mereka hurai, tetapi akhirnya mereka akan kata itu adalah pandangan mereka sahaja dan Allah ﷻ lebih tahu. Itu adalah buang masa namanya. Baik tak payah cakap dari awal, kan?

Ulul Albab adalah mereka yang menggunakan akal yang suci daripada emosi seperti marah, dengki, cinta dan sebagainya. Ini kerana emosi-emosi boleh mengganggu akal. Contohnya, kalau kita sudah cintakan sesuatu, keputusan yang kita buat akan condong kepada sesuatu perkara; kalau sedang marah pula, kita tidak dapat berfikir dengan baik. Dengan akal yang suci, golongan ulul albab akan dapat memikirkan dengan mendalam sesuatu perkara itu. Minda mereka tidak bercampur dengan benda-benda yang buang masa, yang lagha.

Begitupun, selepas mereka fikir dengan mendalam, mereka tidak menghuraikan ayat-ayat mutasyabihat itu. Mereka beriman sahaja dan hati mereka redha dengan iman itu. Hati mereka tenang walaupun tidak tahu.

Maka yang penting adalah belajar dan terus belajar supaya jadi Ulul Albab. Jangan ambil mudah dengan ilmu. Rasulullah ada bersabda,

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَخْوَفُ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمْ ثَلَاثًا: أَنْ يُفْتَحَ لَكُمُ الدُّنْيَا فَتَنَافَسُوا فِيهَا وَتَقْتَتِلُوا, وَأَنْ يُفْتَحَ لَكُمُ الْقُرْآنُ فَيَقْرَأَهُ الْمُؤْمِنُ وَالْمُنَافِقُ، فَيَبْتَغِي الْمُنَافِقُ تَأْوِيلَهُ, وَأَنْ تَزْدَادُوا عِلْمًا فَتَضِيعُوهُ وَلَا تَزْدَادُوا عَمَلًا
Daripada Abu Darda’ RA berkata: Rasulullah ﷺ telah bersabda: “Perkara yang paling aku takuti menimpa kamu ada tiga: Apabila dibukakan kepada kamu kemewahan dunia, lalu kamu saling berlumba-lumba (berebut harta) padanya dan kamu saling berbunuhan/berkelahi. Apabila dibukakan kepada kamu Al-Qur’an (mudah diakses), lalu ia dibaca oleh orang mukmin dan juga orang munafik, lalu orang munafik itu mula mencari-cari ta’wilnya (memutarbelitkan maknanya untuk mencari fitnah). Dan apabila kamu bertambah ilmu pengetahuan, lalu kamu mensia-siakannya dan kamu tidak menambah amalan kamu.”

Hadis diriwayatkan oleh At-Tabarani dalam Al-Mu’jam al-Kabir dan Al-Bazzar. Al-Haithami menyebutkan perawinya adalah perawi kitab Sahih). Syeikh al-Albani dan beberapa ulama penilai hadis yang lain turut memasukkan hadis ini atau bahagian-bahagian daripadanya ke dalam kategori hadis yang boleh dijadikan hujah dan sandaran hukum/iktibar kerana teksnya (matan) tidak bercanggah dengan prinsip agama.

Itulah kita takut sekarang apabila sudah mudah tersebar ayat-ayat Al-Qur’an di media sosial dan seolah-olah semua orang boleh berikan pandangan mereka tentang ayat-ayat kalamullah. Sedangkan mereka tidak belajar dengan betul. Mereka keluarkan pendapat mereka ikut akal mereka. Kerana itu kita risau juga fenomena group tadabbur sekarang. Adakah di kalangan ahli itu orang yang sudah belajar tafsir dengan benar? Atau, mereka tafsir ikut pendapat mereka sendiri sahaja?

 

Glosari Istilah Utama

Muhkamat: Ayat-ayat yang tetap, tegas, dan nyata maknanya; berfungsi sebagai tiang dan asas Al-Qur’an.

Mutashabihat: Ayat-ayat yang samar, mengandungi keserupaan lafaz yang boleh membawa pelbagai makna, atau hakikatnya ghaib.

Ummul Kitab: Gelaran bagi ayat Muhkamat yang bermaksud “Induk Kitab” atau rujukan utama bagi seluruh isi Al-Qur’an.

Zaygh: Kecenderungan hati yang melencong, senget, atau berpaling daripada kebenaran lurus ke arah kesesatan.

Ta’wil: Proses mengembalikan lafaz kepada maksud asal; boleh bersifat positif (tafsir sahih) atau negatif (putar belit hawa nafsu).

Fitnah: Dalam konteks ayat ini, bermaksud kekacauan, huru-hara pemikiran, dan perpecahan masyarakat akibat keraguan agama.

Ar-Rasikhun: Orang yang mendalam, tetap, dan teguh ilmunya; mempunyai akar kefahaman yang kuat dalam jiwa.

Ulul Albab: Individu yang memiliki akal yang waras, sihat, dan murni; mampu melihat teras kebenaran di sebalik kulit luar.

Takalluf: Perbuatan memberat-beratkan diri atau memaksakan akal untuk memikirkan perkara ghaib yang di luar kemampuan manusia.

Tafwidh: Menyerahkan hakikat makna sebenar ayat-ayat samar (seperti sifat Allah) sepenuhnya kepada pengetahuan Allah.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 26 Jun 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Dorar.net

 

Tafsir Surah Ali Imran Ayat 7 (Golongan yang ada masalah Hati) Part 3

فَأَمَّا الَّذينَ في قُلوبِهِم زَيغٌ

adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, 

Kalimah زَيْغٌ bermaksud ‘kecenderungan ke arah kesesatan’. Ia dari kata dasar: ز ي غ yang bermaksud tergelincir, melencong, berpaling, atau condong keluar daripada laluan yang lurus dan betul. Dalam budaya pertuturan Arab klasik (seperti yang direkodkan dalam Lisanul ‘Arab), perkataan ini paling kerap digunakan untuk menggambarkan dua keadaan fizikal ini:

    • Mata yang berpaling/juling (Zāghat al-Abṣār): Apabila pandangan mata seseorang tidak lagi fokus lurus ke hadapan, sebaliknya matanya melirik atau condong ke arah tepi secara tidak normal. Perkataan ini juga digunakan dalam Al-Qur’an di tempat lain (Najm:17) untuk menggambarkan pandangan Nabi ﷺ yang tidak melencong: مَا زَاغَ الْبَصَرُ (“Pandangan baginda tidak berpaling”).
    • Matahari yang mula condong: Keadaan apabila matahari mula bergerak condong meninggalkan titik tengah langit (puncak) untuk terbenam.

Kalimah زَيْغٌ di dalam bentuk nakirah yang boleh merangkumi banyak jenis kecondongan. Asal sahaja ia buruk, ia sudah termasuk dalam زَيْغٌ. Jadi زَيْغٌ ini bermaksud condong dari kebenaran.

Al-Qur’an mengambil konsep “melencong dari laluan lurus” ini untuk menggambarkan keadaan psikologi dan spiritual golongan tertentu. Apabila Allah menyebut فَأَمَّا الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ زَيْغٌ (“Adapun orang-orang yang di dalam hati mereka ada zaygh…”), ia membawa maksud:

  • Hati yang Senget: Hati mereka tidak mahu duduk lurus di atas landasan kebenaran (Al-Haq). Mereka sengaja memilih untuk melencong dan membelok ke arah kebatilan.
  • Kecenderungan kepada Kesesatan: Mereka mempunyai niat yang tersongsang dari awal. Apabila membaca Al-Qur’an, kompas hati mereka tidak berniat mencari hidayah, tetapi sengaja mencari ruang-ruang samar (mutashabihat) untuk memuaskan kecenderungan batin mereka yang sudah pun rosak dan tersasar.

Begitulah ada orang yang baca Al-Qur’an bukannya mencari ‘kebenaran’ tapi mencari ‘pembenaran’. Mereka sudah ada fahaman sendiri yang mereka reka, kemudian cari mana-mana ayat dalam Al-Qur’an yang mereka rasa macam menyokong fahaman sesat mereka. Kena berhati-hati dengan golongan sebegini dan jangan tertipu. Kita akan selamat kalau kita belajar dengan benar.

Di dalam ayat ini Allah kata في قُلوبِهِم iaitu di dalam hati mereka. Ia bukan hal dalam minda, tapi dalam hati. Benda yang dalam hati memang susah untuk diubah. Ia berbeza dengan benda dalam minda. Sebab itu ada sahaja ulama’ yang mengubah pendapat dan pegangan mereka setelah mendapat maklumat tambahan, kerana itu adalah dalam rangka ilmu. Tapi kalau ia sudah tersemat di dalam hati, payah untuk diperbetulkan.

Yang pertama ada masalah ini adalah orang Kristian. Ayat ini turun ketika Kristian Najran yang datang berdebat dengan Rasulullah. Mereka telah mula dengar ayat-ayat Al-Qur’an dan mereka tentulah tidak puas hati kerana ia bertentangan dengan agama mereka. Maka mereka hendak berdebat dengan Rasulullah. Setelah diberikan dengan penjelasan dari baginda menggunakan ayat-ayat Al-Qur’an yang mantap jitu, mereka tetap susah untuk terima. Kerana pegangan mereka itu telah lama tersemat di dalam hati.

Ingatlah, hati yang sudah ada kecondongan kepada syirik dan kesesatan, akan mudah mengikut ayat-ayat  Mutasyabihat yang boleh membawa makna lain daripada ayat-ayat Muhkamat. Hati yang telah punah akan bawa kepada pemahaman makna ayat Al-Qur’an yang punah. Ini amat bahaya. Kerana itu kita banyak berhadapan dengan golongan yang berfahaman sesat yang susah untuk ubah pandangan dan pendapat mereka. Diberi hujah pun masih tak faham-faham lagi kerana mereka pegang akidah mereka itu di dalam hati. Mungkin kerana sudah dipegang dari kecil; atau kerana ia diajar oleh guru yang mereka sangat hormati. Mereka sanggup jaga pak guru lagi dari kebenaran! Bodoh jenis apa pun tak tahulah.

Kerana itu Allah ada beritahu kita yang dari ayat Al-Qur’an, ada yang dapat hidayah tapi ada juga yang jadi sesat kerana ayat Al-Qur’an juga kerana tidak difahami dengan benar. Allah sebut hal ini di dalam Baqarah:26

يُضِلُّ بِهِۦ ڪَثِيرًا وَيَهدِى بِهِۦ كَثِيرًا‌
Tuhan akan menjadikan banyak orang sesat dengannya, dan akan menjadikan banyak orang mendapat petunjuk dengan sebabnya

Sebagai contoh, ada orang yang baca kisah Nabi Ibrahim cuba membunuh anaknya Nabi Ismail dan dia tidak boleh terima. Dia sampai keluar Islam kerananya kerana dia kata agama dan Tuhan apa ini menyuruh bunuh anak! Tapi dia tidak baca keseluruhan kisah itu agaknya jadi dia buat kesimpulan yang sesat kerananya.

Begitulah sampai sekarang kalau kita baca dalam internet, banyak sahaja manusia yang cuba menimbulkan salah faham umat Islam dengan ayat Al-Qur’an sendiri. Jadi amat bahaya kalau kita sendiri tidak faham maksud ayat-ayat itu. Ramai yang keluar Islam pun ada kerana ditipu oleh orang kafir yang sengaja menimbulkan isu dan salah faham ini.

Sepatutnya pemahaman ayat-ayat Mutasyabihat itu mesti difahami dengan merujuk kepada ayat-ayat yang Muhkamat. Namun, mereka yang hati telah punah itu akan takwil ayat-ayat mutasyabihah itu mengikut kehendak hati mereka. Ini kerana mereka hendak bawakan juga fahaman yang tidak sesuai dengan fahaman tauhid. Ini pun ada banyak terjadi dalam masyarakat kita kerana ramai yang belajar dengan mereka yang tidak tahu. Maka punahlah masyarakat kita macam juga penganut Nasara yang takwil ikut suka hati mereka.

Nabi Muhammad ﷺ telah memberikan amaran dan teguran yang sangat keras kepada umat baginda agar berwaspada terhadap individu atau kumpulan yang sengaja menyibukkan diri dengan ayat-ayat mutashabihat demi mencetuskan perbalahan. Dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Sayyidatuna Aisyah, Nabi ﷺ membaca Surah Ali ‘Imran ayat 7, kemudian baginda ﷺ terus memberikan pesanan konkrit:

فَإِذَا رَأَيْتِ الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ فَأُولَئِكَ الَّذِينَ سَمَّى اللَّهُ فَاحْذَرُوهُمْ
Apabila kamu melihat orang-orang yang sibuk mencari-cari apa yang samar (ayat-ayat mutashabihat) daripada Al-Qur’an, maka mereka itulah orang-orang yang telah dinamakan (dicela) oleh Allah (dalam ayat ini), maka berwaspadalah kamu terhadap mereka (jauhilah mereka)!

Riwayat Al-Bukhari, No. 4547 & Muslim, No. 2665)

Yang menakutkan adalah orang-orang yang ada زَيغٌ ini bukanlah orang yang buat maksiat, pergi parti, pergi kelab malam. Mereka ini mungkin orang yang pada mulanya hendak belajar tafsir Al-Qur’an dan juga tadabbur. Tapi kalau mereka tidak jaga hati mereka, mereka boleh jadi زَيغٌ. Mereka jumpa mana-mana ayat yang mereka tidak boleh terima kerana mereka tak faham, maka mereka mencari-cari juga maknanya. Padahal benda itu tidak perlu tahu pun. Dan apabila mencari juga, mungkin terjumpa fahaman yang salah dan sesat kemudiannya. Itu yang bahaya dan menjadi peringatan kepada kita juga.

 

فَيَتَّبِعونَ ما تَشٰبَهَ مِنهُ

maka mereka menurut apa yang samar-samar daripadanya

Golongan Kristian Najran dan sampai sekarang golongan Kristian moden ada baca Al-Qur’an dan mereka cari mana-mana ayat yang mereka boleh gunakan untuk menyokong hujah mereka kerana ia samar-samar. Mereka berniat jahat untuk menjatuhkan Islam. Banyak ayat-ayat yang jelas, ayat-ayat yang mengelirukan yang mereka pilih kerana niat jahat mereka.

Bukan mereka sahaja ada masalah. Ramai yang dalam kalangan orang kita yang suka benar berbincang tentang ayat-ayat mustasyabihat ini. Mereka rasa macam hebat sahaja, membincangkan tentang apa maksud ‘nur’, tentang arasy Allah ﷻ, maksud Alif Lam Mim dan lain-lain lagi. Sedangkan banyak ayat-ayat tentang hukum, mereka tidak belajar dan amalkan pun lagi. Oleh itu kita boleh lihat mereka yang banyak membincangkan ayat-ayat mutasyabihat ini adalah orang yang kurang pandai dalam agama tetapi mereka rasa mereka pandai kerana boleh cakap banyak kerana mereka sangka mereka boleh berbincang tentang perkara yang manusia lain tidak tahu. Itu sangkaan mereka sahaja.

Allah menggunakan kalimah فَيَتَّبِعونَ yang bermaksud mereka ikut dan pegang sungguh-sungguh fahaman salah mereka itu. Kalimah يَتَّبِعونَ bukan sahaja bermaksud ikut tapi ikut dengan menggunakan usaha yang keras. Ia tidak sama kalau digunakan perkataan ‘ikut’ yang biasa seperti (فَتَبِعُوا) atau (فَيَتْبَعُونَ). Begitulah kita kadangkala berhadapan dengan golongan yang keras kepala, pandai susah hendak diajar!

Bukanlah ayat-ayat mutasyabihat itu tidak ada makna. Ini kerana apabila Allah ﷻ meletakkannya dalam Al-Qur’an, tentu ada makna. Cuma kita sebagai manusia tidak dapat memahaminya dan kita tidak perlu tahu pun, kerana dalilnya, Nabi ﷺ sendiri tidak beritahu kita.

 

ابتِغاءَ الفِتنَةِ

untuk mencari fitnah

Tujuan orang Kristian yang kita telah sebut adalah untuk menimbulkan fitnah sahaja. Mereka hendak menjatuhkan agama Islam padahal agama mereka lagi banyak masalah dan banyak benda yang mengelirukan. Contohnya mereka baca di dalam Al-Qur’an ada menyebut tangan Allah. Jadi mereka pun tanya: “Ada lengan tak? Ada darah tak?” Dan macam-macam lagi.

Kalimah ابتِغاءَ maksudnya mencari-cari. Dan ia bukanlah cari biasa kerana kalimah ini di dalam Wazan افْتِعَال yang bermaksud bersungguh-sungguh. Ia bukanlah dicari dengan ilmu tapi pakai tangkap muat sahaja apa yang ada. Niat mereka memang hendak cari benda yang buruk maka mereka akan bersungguh-sungguh cari! Begitulah selalunya yang keliru ini adalah orang yang jahil. Mereka belajar bukan ikut silibus agama yang sepatutnya tapi entah dari mana mereka dapat ilmu mereka itu. Kadang-kadang pelik mereka ini, Al-Qur’an sudah lebih seribu tahun turun dan telah dibincangkan dari dahulu lagi. Tapi tiba-tiba mereka dapat pula pemahaman baru yang entah dari mana!

Kalimah الفِتنَةِ ini pun perlu diperjelaskan. Ini kerana ia ada juga digunakan di dalam Bahasa Melayu dan ramai gunakan maksud itu untuk terjemah ayat Al-Qur’an. Amatlah salah kalau kata ‘fitnah’ dalam bahasa Melayu sama dengan ‘fitnah’ dalam Al-Qur’an! Ini bagi yang tidak belajar tafsirlah tapi ramai yang buat kesalahan ini merata-rata kita dengar. Dalam bahasa Melayu harian, “fitnah” bermaksud menuduh orang lain melakukan perkara yang tidak dibuatnya (rekaan, pembohongan, atau slander). Namun, dalam bahasa Arab dan Al-Qur’an, perkataan Al-Fitnah (الفِتْنَةُ) membawa maksud yang jauh lebih luas, besar, dan mendalam.

Dari segi bahasa asal, فِتنَةِ bermaksud “memasukkan emas ke dalam api untuk menguji ketulenannya.” Daripada akar makna ini, Al-Qur’an menggunakan kalimah fitnah untuk merujuk kepada Ujian, Tapisan, dan Kekacauan. Al-Qur’an menggunakan perkataan ‘fitnah’ dalam pelbagai konteks yang berbeza, antaranya:

1. Bermaksud Ujian atau Dugaan (Al-Ibtila’): Allah menguji manusia sama ada dengan kesusahan atau kesenangan. Contohnya lihat Anfal:28:

وَاعلَموا أَنَّما أَموٰلُكُم وَأَولٰدُكُم فِتنَةٌ
Dan ketahuilah, bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cubaan

2. Bermaksud Syirik atau Kekufuran: Keadaan di mana kebenaran ditindas sehingga manusia berpaling daripada agama. Ayat yang banyak disalahertikan oleh orang kita adalah Baqarah:217

وَالفِتنَةُ أَكبَرُ مِنَ القَتلِ
dan fitnah (syirik/penindasan agama) itu lebih besar bahayanya daripada membunuh.”

3. Bermaksud Azab atau Seksaan: Contoh seperti digunakan di dalam Dhariyat:14

ذوقوا فِتنَتَكُم هٰذَا الَّذي كُنتُم بِهِ تَستَعجِلونَ
(Dikatakan kepada mereka): “Rasakanlah azabmu itu. Inilah azab yang dulu kamu minta untuk disegerakan”.

4. Bermaksud Kekacauan / Huru-hara: Perpecahan dalam masyarakat yang menyebabkan manusia hilang pedoman. Ini seperti yang digunakan di dalam Ali Imran:7 ini. Mereka sengaja memutarbelitkan ayat yang samar (mutashabihat) bukan untuk mencari kebenaran, tetapi untuk membuatkan orang awam keliru, ragu-ragu, dan goyah iman mereka terhadap Al-Qur’an. Contohnya, mereka mempersoalkan, “Kalau Al-Qur’an kata Allah tiada tandingan, kenapa dalam ayat lain kata Allah ada tangan?” Tujuan mereka adalah merosakkan pegangan umat Islam. Apabila timbul keraguan dalam urusan agama, umat Islam akan mula bertelagah, tuduh-menuduh, dan berpecah-belah kepada banyak puak. Perpecahan, perbalahan, dan huru-hara pemikiran inilah yang dipanggil sebagai fitnah dalam ayat ini.

Di sini kita belajar satu lagi perkara. Iaitu golongan sesat ini tidak cukup sesat sendiri, tapi hendak menyesatkan orang lain juga. Kerana itu kita perhatikan golongan jahil dan sesat ini suka untuk memasarkan fahaman mereka di dalam tulisan mereka, di dalam media sosial dan mereka cerita kepada orang lain. Kalau mereka sesat sendiri, itu sudah satu hal; tapi mereka ini hendak menyesatkan orang lain. Kerana mereka memerlukan perhatian dan sokongan dari orang lain juga. Secara psikologi, mereka rasa kalau ada orang lain yang bersetuju dengan mereka, tentulah fahaman mereka benar. Sebab itu ramai yang jaja fahaman sesat mereka merata-rata.

Jadi fitnah di dalam ayat kita ini adalah menimbulkan kacau bilau dan kesesatan kepada orang lain. Ayat lain yang menggunakan istilah ini adalah Burooj:10

إِنَّ الَّذينَ فَتَنُوا المُؤمِنينَ وَالمُؤمِنٰتِ ثُمَّ لَم يَتوبوا فَلَهُم عَذابُ جَهَنَّمَ وَلَهُم عَذابُ الحَريقِ
Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan fitnah kepada orang-orang yang mukmin laki-laki dan perempuan kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azab Jahannam dan bagi mereka azab (neraka) yang membakar.

Perbincangan tentang perkara yang memang tidak boleh difahami akan menyebabkan fitnah dalam masyarakat Islam sahaja sebab akan ada banyak pendapat yang berbeza dan ada yang rasa pendapat dia yang benar dan menyalahkan pendapat lain. Maka hasilnya pecah belah dalam masyarakat sampai ada yang kafir mengkafir. Ini kita telah lihat berlaku sekarang, bukan?

Lebih malang lagi jika daripada penerangan tentang ayat-ayat mutasyabihat itu boleh menyebabkan salah faham tentang Allah ﷻ sampaikan boleh membawa kepada syirik. Ini amat bahaya. Begitulah yang terjadi kepada golongan Ahli Kitab terdahulu. Ada ayat-ayat mutashabihat dalam kitab mereka dan itulah yang mereka sibuk keluarkan fahaman mengarut sampai menjadi terpesong agama mereka dan banyak fahaman akidah. Maka kalau golongan Muslim pun buat perangai yang sama, maka jadi sesat macam merekalah nanti. Maka kena berhati-hati.

Kerana itu kita kena lihat bagaimana cara para sahabat dengan Nabi Muhammad. Walaupun mereka ada tempat untuk bertanya terus kepada Nabi, kita tidaklah ada dengar mereka bertanya tentang tangan Allah, macam ada 7 langit dan macam-macam lagi. Kerana mereka faham yang itu adalah di luar lingkungan akal, maka mereka terus beriman sahaja dengan pemberitahuan dari Allah. Mereka tidak sibuk-sibuk pun macam orang kita.

Fitnah ini dilakukan oleh orang yang jahil sebenarnya, tapi hendak bercakap tentang agama, tentang Allah dan tentang ayat Al-Qur’an. Kerana itulah sekarang keluar banyak fahaman karut di kalangan umat. Ada yang menggunakan ayat Al-Qur’an tapi kerana tidak belajar, mereka gunakan fahaman sendiri sahaja. Contohnya salah tafsir dalam Ayat Baqarah:256

لٓا إِكراهَ فِي الدّينِ
Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam)

Ayat ini maksudnya tidak boleh paksa orang kafir masuk Islam. Mereka kena masuk dengan kehendak sendiri. Tapi ada golongan jahil kata tidak boleh paksa langsung apa-apa ibadah atau suruhan walaupun sudah beragama Islam. Kerana dia rasa dia dipaksa solat, puasa, ikut hukum Hudud dan sebagainya. Dia pakai ayat Al-Qur’an, tapi maksudnya dia tempek sendiri.

 

وَابتِغاءَ تَأويلِهِ

dan mencari-cari takwilnya 

Perhatikan pengulangan sekali lagi kalimah ابتِغآءَ. Secara struktur bahasa biasa, ayat ini boleh diringkaskan tanpa mengulang perkataan tersebut, jadi begini: ابتِغآءَ الفِتنَةِ وَتَأويلِهِ. Namun, pilihan Allah untuk mengulangnya memberikan kesan psikologi, hukum, dan balaghah yang sangat mendalam. Dalam ilmu Balaghah, pengulangan kata ابتِغآءَ ini berfungsi untuk menegaskan bahawa golongan yang berpenyakit hati (zaygh) ini sebenarnya mempunyai dua agenda atau motif jahat yang berbeza, dan setiap satu motif itu digerakkan oleh usaha yang bersungguh-sungguh. Memang maksud ابتِغآءَ adalah mencari dengan bersungguh-sungguh. Pengulangan dua kali juga menjadi satu taukid (penegasan) iaitu dua-dua sekali mereka buat.

Ada lagi satu kesan yang sangat halus dari sudut Usul Fiqh. Jika Allah sebut “kerana mencari fitnah dan ta’wilnya” (tanpa pengulangan), ia boleh memberi faham bahawa: Sesiapa yang mencari ta’wil pasti akan mencetuskan fitnah. Namun dengan meletakkan ابتِغآءَ yang kedua, Allah memisahkan antara dua perbuatan itu. Ini memberi isyarat bahawa mencari ta’wil bagi ayat mutashabih mengikut hawa nafsu (oleh golongan زَيغٌ) adalah satu dosa yang berdiri sendiri. Kemudian menimbulkan kekacauan dalam masyarakat juga adalah satu dosa yang berdiri sendiri. Jadi ada dua kesalahan di sini.

Bahkan, ia memberi ruang pengecualian kepada golongan yang ada ilmu (ٱلرّٰسِخُونَ) yang akan disebut di hujung ayat. Golongan ٱلرّٰسِخُونَ juga mengkaji ta’wil, tetapi tujuan mereka bukan untuk memburu fitnah, melainkan untuk mengukuhkan keimanan. Pengulangan kalimah ini menyelamatkan kedudukan ulama daripada disamakan dengan golongan penyeleweng agama. Ini kerana ada ta’wil yang salah dan ada ta’wil yang benar dan sah. Yang salah adalah apabila hendak menimbulkan fitnah. Yang benar adalah apabila hendak mencari kebenaran.

Tapi perhatikan kalimah الفِتنَةِ ada ال tapi tidak pada kalimah تَأويلِهِ. Maknanya dua-dua mereka buat. Tapi fitnah itu adalah niat utama (kerana itu ada ال) dan caranya adalah dengan mencari-cari ta’wil.

Mereka sengaja membuang masa hendak mencari dan hendak tahu apakah maksud (takwil) ayat-ayat mutasyabihat itu. Padahal ia bukanlah perkara yang perlu diketahui. Mereka telah disibukkan dengan perkara yang tidak perlu. Kalau kita fikirkan sekejap, hendak cari maksud, apa salahnya? Memang Islam mengajar umatnya menggunakan akal pun, bukan? Sebab itu kita kena tengok sebelum ini, iaitu mereka hendak menimbulkan fitnah. Maksud biasa-biasa dan yang betul sahih, mereka tak mahu. Mereka hendak korek cari maksud yang gempak, yang boleh menyebabkan orang kecoh dan keliru. Niat mereka memang sudah tidak baik dari awal lagi. Jadi salah mereka bukanlah kerana hendak mencari makna, tapi kerana niat mereka yang salah.

Mari kita lihat etimologi kalimah تَأويلِ ini. Kalimah تَأْوِيلِ adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘tafsiran’, ‘interpretasi’. Ia dari kata dasar أ و ل yang bermaksud kembali, awal, datang sebelum, menjelaskan, asal.

Perkataan تَأْوِيلِ adalah antara istilah paling penting dalam ilmu Al-Qur’an. Ia ada banyak makna dan maknanya berubah dengan sangat ketara bergantung kepada sama ada kita melihatnya dari sudut bahasa, atau dalam konteks khusus seperti di dalam ayat ini.

Dan kerana itu, kalimah ini boleh dipandang secara positif dan boleh dipandang secara negatif oleh kebanyakan orang. Sebab itu kena belajar sedikit tentang maksud asal atau etimologi sesuatu perkataan itu. Kalau kita hanya baca terjemahan sahaja, dan pakai di semua tempat, tentu keliru. Kerana itu jangan terkejut kalau salah satu maksud ta’wil adalah Hari Akhirat seperti yang digunakan di dalam A’raf:53

هَل يَنظُرونَ إِلّا تَأويلَهُ ۚ يَومَ يَأتي تَأويلُهُ يَقولُ الَّذينَ نَسوهُ مِن قَبلُ قَد جاءَت رُسُلُ رَبِّنا بِالحَقِّ
Tidak ada perkara yang mereka tunggu-tunggukan melainkan akibat atau kesudahan (apa yang telah dijanjikan oleh Allah di dalam Al-Qur’an), pada hari datangnya apa yang telah dijanjikan dalam Al-Qur’an itu (pada hari kiamat kelak), berkatalah orang-orang yang telah melupakannya (yang tidak menghiraukannya dalam dunia) dahulu: “Sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran

Sekarang kita lihat kalau kita pandang maksud ta’wil secara positif: Secara etimologi (bahasa), perkataan ta’wil berasal daripada kata dasar al-awl (أَوْلٌ) yang bermaksud kembali (الرُّجُوعُ). Apabila disebut أَوَّلَ – يُؤَوِّلُ – تَأْوِيلًا, ia membawa maksud mengembalikan sesuatu kepada asalnya, maksud awalnya. Ia juga menjelaskan kesudahan, kesan akhir, atau hakikat sebenar bagi sesuatu perkara. Sebab itu ta’wil juga boleh menjadi hari Kiamat kerana ia kesudahan kita semua.

Kerana itu kalimah تَأْوِيلِ boleh bermaksud ‘tafsir’. Ini kerana apabila seorang ahli tafsir melakukan ta’wil terhadap satu ayat Al-Quran, dia sebenarnya sedang mengambil lafaz ayat yang kelihatan samar atau mempunyai banyak kemungkinan makna, lalu “mengembalikannya” kepada makna sebenar yang dikehendaki oleh Allah. Kerana proses “mengembalikan lafaz kepada maksud sebenar” itu memerlukan penjelasan, hujah, dan penerangan, maka perbuatan ta’wil itu secara automatik menjadi aktiviti mentafsir (menjelaskan ayat). Dan ia bukan senang dan ia hanya boleh dilakukan oleh orang yang ada ilmu. Kalau setakat baca terjemahan sahaja dan kemudian hendak tafsir, memang boleh jadi sesat. Jadi jangan perasan kita boleh tafsir sendiri.

Bukti paling kukuh bahawa ta’wil bermaksud tafsir dalam istilah syarak yang awal ialah doa Nabi ﷺ kepada sepupu baginda, Ibnu Abbas. Dan seperti kita tahu, Ibnu Abbas memang pakar tafsir. Ibnu Abbas berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَضَعَ يَدَهُ عَلَى كَتِفِي – أَوْ عَلَى صَدْرِي – فَقَالَ اللَّهُمَّ فَقِّهْهُ فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيلَ
Bahawa Nabi ﷺ meletakkan tangannya di atas bahuku – atau di atas dadaku – lalu baginda bersabda: “Ya Allah, berikanlah kefahaman yang mendalam kepadanya dalam urusan agama, dan ajarkanlah kepadanya ilmu ta’wil (tafsir Al-Qur’an).

Riwayat Ahmad dalam Musnadnya, No. 2397. Syeikh Ahmad Syakir menyatakan sanadnya Sahih).

Dan memang istilah ta’wil asalnya digunakan untuk bermaksud ‘tafsir’. Kalau kita membuka kitab tafsir agung dan klasik iaitu Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Qur’an karangan Imam Ibnu Jarir at-Tabari (wafat 310 Hijrah), kita akan dapati beliau menggunakan perkataan ta’wil untuk maksud ‘tafsir’ di sepanjang kitabnya. Tafsir at-Tabari adalah kitab tafsir yang paling awal dalam sejarah Islam. Setiap kali beliau mahu memulakan tafsiran ayat yang baharu, beliau akan menulis: القول في تأويل قوله تعالى (Ini adalah pendapat tentang ta’wil (tafsir) bagi firman Allah Ta’ala) dan kemudian beliau akan berikan ayat Al-Qur’an yang hendak ditafsirkan. Dan apabila ayat tersebut mempunyai pelbagai tafsiran daripada para Sahabat atau Tabi’in, beliau akan memanggil golongan pentafsir ini sebagai Ahlul Ta’wil (Ahli Tafsir) seperti contoh: واختلف أهل التأويل في تأويل ذلك (Dan telah berbeza pendapatlah ahli ta’wil (para mufassirin) mengenai ta’wil (tafsiran) ayat tersebut…)

Bagaimanakah kalimah ta’wil yang asalnya bermaksud “menjelaskan/mentafsirkan” boleh bertukar menjadi sesuatu yang buruk dan negatif dalam ayat 7 ini? Perkara ini berlaku kerana tujuan (niat) dan cara (metodologi) golongan tersebut mengendalikan ayat-ayat tersebut. Para ulama membahagikan ta’wil kepada dua jenis, dan ayat ini merujuk kepada jenis yang kedua (negatif).

Dalam ilmu usul fiqh, apabila ta’wil digunakan secara negatif, ia merujuk kepada tindakan memaksa lafaz Al-Qur’an keluar daripada makna yang betul demi memenangkan ideologi, kepentingan peribadi, atau hawa nafsu. Ciri-ciri ta’wil negatif yang digambarkan dalam Ali ‘Imran ayat 7 adalah seperti berikut:

    • Sengaja Mencari Kesamaran (Tasyabuh): Mereka mengabaikan ayat-ayat muhkamat (yang jelas seperti hukum-hakam dan dasar akidah) lalu sengaja memfokuskan tenaga kepada ayat-ayat yang samar.
    • Tujuan Membawa Fitnah: Niat mereka bukan untuk mencari kebenaran atau mendalami ilmu, tetapi untuk menimbulkan keraguan (syubhat) dalam fikiran orang awam supaya umat Islam berpecah-belah dan hilang keyakinan pada agama.
    • Ta’wil Tanpa Disiplin Ilmu: Mereka mereka-reka makna mengikut logik akal yang rapuh tanpa sokongan dalil bahasa Arab yang sah atau hadis Nabi ﷺ.

Dalam sejarah pemikiran Islam, penyimpangan di bawah topeng “ta’wil” atau “tafsir batin” terhadap ayat-ayat mutashabihat telah melahirkan beberapa ideologi yang ekstrem. Golongan tarekat yang melampau (disebut oleh para ulama sebagai Sufi Falsafi atau Batiniah) sering terjebak dalam perkara ini kerana mereka mendahului “rasa” (zauq) dan kasyaf berbanding disiplin bahasa Arab serta ayat-ayat muhkamat. Contoh tafsiran salah mereka:

1. Menghalalkan Gugurnya Syariat. Ini adalah penyelewengan paling besar yang meruntuhkan dasar agama. Mereka mengambil ayat Hijr:99,

وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّىٰ يَأْتِيَكَ الْيَقِينُ
dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu yang diyakini

Tafsiran Salah Golongan Tarekat Ekstrem: Mereka menta’wilkan perkataan “Al-Yaqin” sebagai tingkat maqam/kefahaman rohani yang tinggi. Mereka mendakwa: “Jika seseorang salik (murid tarekat) sudah mencapai makrifat dan hatinya sudah yakin (sampai kepada Allah), maka tuntutan syariat seperti solat, puasa, dan haji sudah gugur baginya.” Sebab itu sampai sekarang ada golongan Tarekat yang tidak solat, atau solat pakai niat.

Tafsiran yang Benar (Muhkam): “Dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu Al-Yaqin (iaitu Kematian).” Sebab itu Nabi ﷺ dan para sahabat tetap solat sehingga menghembuskan nafas terakhir. Ini kerana yang kita yakin pasti itu adalah ‘kematian’. Yang lain kita tidak boleh yakin seperti dapat kahwin, dapat anak, dapat jadi kaya. Itu semua belum tentu. Tapi yang pasti dan kita yakin kita akan dapat, adalah kematian.

2. Doktrin Penyatuan Makhluk dengan Tuhan (Wahdatul Wujud). Golongan Tarekat yang bodoh itu menyalahgunakan ayat-ayat kiasan tentang kedekatan Allah dengan hamba-Nya untuk mendakwa bahawa zat manusia dan zat Tuhan adalah satu. Antaranya Hadid:4

وَهُوَ مَعَكُمْ أَيْنَ مَا كُنتُمْ
Dan Dia bersama kamu di mana sahaja kamu berada

Tafsiran Salah Golongan Tarekat Ekstrem: Mereka menta’wilkan ayat ini secara literal-batiniah bahawa Allah wujud di dalam segala sesuatu. Maka lahir falsafah bahawa tiada bezanya antara penyembah dan yang disembah, kerana segala-galanya adalah manifestasi zat Tuhan. Doktrin ini membawa kepada kekufuran yang nyata.

Tafsiran yang Benar (Muhkam): “Dan Dia bersama kamu di mana sahaja kamu berada.” Para ulama sepakat menyatakan kebersamaan di sini adalah dari sudut Ilmu, Pengawasan, dan Pendengaran Allah (bukan zat Allah duduk bercampur dengan makhluk). Apa sahaja yang kita buat, Allah tahu. Bukannya Allah duduk dalam diri kita!

3. Mengagungkan Guru/Syeikh Melebihi Sempadan Syarak. Sebahagian pengikut tarekat yang taasub mengambil ayat-ayat tentang mencari jalan mendekatkan diri kepada Allah, seperti Maidah:35

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا اتَّقُوا اللهَ وَابتَغوا إِلَيهِ الوَسيلَةَ وَجٰهِدوا في سَبيلِهِ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ
Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepada-Nya, dan berjihadlah pada jalan-Nya, mudah-mudahan kamu mendapat kemenangan.

Tafsiran Salah Golongan Tarekat Ekstrem: Mereka mendakwa Al-Wasilah di sini adalah Zat Syeikh atau Guru Tarekat mereka. Lantaran itu, wujud amalan di mana mereka menyerahkan roh dan jasad bulat-bulat kepada guru, sehinggakan ada yang berdoa meminta hajat terus kepada kubur syeikh atau membayangkan wajah syeikh ketika solat dan doa (Rabithah yang melampau) atas alasan syeikh tersebut adalah “wasilah” mutlak ke syurga.

Pemahaman tentang wasilah ini menyebabkan ramai umat Islam sesat kerana bertawasul kepada Nabi, wali dan malaikat. Mereka tidak belajar maksud wasilah di dalam ayat ini, jadi tok guru dan syeikh buat rekaan apakah maksudnya dengan beri hujah-hujah yang bathil belaka.

Tafsiran yang Benar (Muhkam): “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah Al-Wasilah (jalan/perantara) untuk mendekatkan diri kepada-Nya…” Imam Qatadah dan majoriti ulama menyatakan Al-Wasilah di sini bermaksud amal-amal soleh dan ketaatan.

4. Mentafsirkan Kisah Al-Qur’an Sebagai Simbolik Sahaja. Terdapat juga kecenderungan untuk membuang maksud zahir kisah-kisah mukjizat para Nabi dan menukarkannya kepada simbolik nafsu semata-mata. Contoh: Ketika Allah memerintahkan Nabi Musa memotong lembu (Surah Al-Baqarah), mereka menta’wilkan bahawa “lembu” itu bukan binatang, tetapi simbolik kepada “nafsu amarah” yang perlu disembelih dalam diri murid. Walaupun berniat untuk memberi motivasi rohani (tazkiyatun nafs), kaedah ini jika melampau akan menyebabkan sejarah tulen para Nabi di dalam Al-Qur’an dianggap sebagai cerita dongeng dan kiasan fantasi belaka.

Ini adalah sedikit dari contoh-contoh salah faham golongan Tarekat yang bodoh ini. Tapi masih ada banyak lagi sebenarnya. Letih kita melihat tafsiran-tafsiran pelik sebegini. Oleh kerana mereka tidak ada ilmu wahyu, senang mereka ditipu oleh manusia lain. Syaitan memang akan mengambil peluang orang-orang yang jahil wahyu dengan memasukkan fahaman-fahaman sesat. Kerana itu sampai sekarang ada yang istighasah kepada wali-wali yang telah mati, kononnya itulah ajaran yang bagus.

Satu lagi maksud ta’wil adalah: “mengubah atau memalingkan maksud sesuatu perkataan daripada makna zahirnya kepada makna yang lain“. Ini adalah definisi ta’wil yang paling popular dalam disiplin ilmu Usul Fiqh dan Ilmu Akidah (Ilmu Kalam). Di dalam istilah teknikal ulama terkemudian (Muta’akhirin), takrifan khusus bagi perbuatan ini dipanggil:

الْصَّرْفُ عَنِ الْظَّاهِرِ (Memalingkan (makna teks) daripada zahirnya)

Ini boleh jadi positif dan boleh jadi negatif. Kerana itu, para ulama menetapkan syarat yang sangat ketat. Mengubah maksud ini tidak boleh dilakukan sesuka hati, dan ia terbahagi kepada dua jenis: yang diterima dan yang ditolak.

1. Ta’wil yang Makbul (Diterima / Sahih). Sesuatu perkataan itu boleh dan sah diubah daripada makna zahirnya kepada makna lain yang tersirat, JIKA memenuhi dua syarat ini:

    • Lafaz bahasa Arab tersebut memang mempunyai ruang atau potensi untuk membawa makna kedua itu.
    • Ada dalil atau bukti yang kukuh (sama ada ayat Al-Qur’an lain, hadis sahih, atau logik akal yang muktamad) yang menghalang makna zahir itu daripada digunakan.

Contoh Klasik: Di dalam Isra’:24, Allah berpesan tentang adab dengan ibu bapa:

وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّمْثَةِ
“Dan rendahkanlah untuk mereka berdua sayap kehinaan…”

Ta’wilnya: Perkataan جَنَاحَ bermaksud sayap fizikal (seperti sayap burung). Tetapi manusia tidak mempunyai sayap. Maka, akal dan adat kita menghalang makna zahir ini. Oleh itu, para ulama melakukan ta’wil dengan mengubah maksud sayap kepada maksud “sifat kasih sayang, lemah-lembut, dan rendah diri.” Ini adalah ta’wil yang benar dan diterima 100%.

2. Ta’wil yang Mardud (Ditolak / Tahrif). Jika seseorang mengubah maksud sesuatu ayat kepada maksud yang lain tanpa ada dalil yang sah, semata-mata mengikut selera akal atau ideologinya, perbuatan ini ditolak. Di dalam Islam, ini tidak lagi dipanggil ta’wil, sebaliknya dipanggil Tahrif (تحريف – memutarbelitkan ayat) atau Ta’wil Fasid (ta’wil yang rosak). Inilah perbuatan golongan yang di dalam hatinya ada penyakit melencong (زَيغٌ), yang menggunakan ta’wil jenis ini untuk memburu fitnah.

Contoh Putar Belit (Ta’wil yang Rosak): Golongan Syiah Batiniyyah zaman dahulu pernah menakwilkan firman Allah dalam Baqarah:67, “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyembelih seekor lembu betina (Baqarah)”. Mereka mengubah maksud “lembu betina” di situ kepada Sayyidatuna Aisyah RA (isteri Nabi) semata-mata kerana dendam politik mereka. Ini adalah ta’wil yang sangat sesat dan ditolak kerana tiada sebarang dalil bahasa mahupun syarak.

Maksud ta’wil sebagai “mengubah makna zahir kepada makna lain” inilah yang menjadi medan perbincangan hangat antara aliran Asya’irah/Maturidiyyah (Khalaf) dan Athariyyah/Salafiyyah (Salaf) dalam memahami ayat mutashabihat tentang sifat Allah:

Kaedah Salaf (Tafwidh): Apabila membaca “Tangan Allah”, mereka mengekalkan lafaz itu tanpa mengubah maksudnya, tetapi mereka menyerahkan (tafwidh) hakikat maknanya kepada Allah. Mereka enggan mengubah maksud kepada maksud lain kerana takut tersalah.

Kaedah Khalaf (Ta’wil): Apabila Islam berkembang dan umat mula terdedah kepada ancaman fahaman yang menyamakan Allah dengan makhluk (Antropomorfisme), ulama Khalaf melihat ada keperluan untuk melakukan ta’wil. Mereka mengubah maksud zahir “Tangan” kepada maksud “Kekuasaan atau Nikmat”, dengan bersandarkan dalil akidah bahawa Allah mustahil ada anggota badan fizikal (لَيسَ كَمِثلِهِ شَيءٌ).

Satu lagi isu adalah ta’wil kalimah اِسْتَوَى (Istawā) kepada اِسْتَوْلَى (Istawlā – menguasai/menakluki) yang menjadi perbincangan paling hangat dan klasik dalam sejarah ilmu akidah Islam (Ilmu Kalam), khususnya apabila membincangkan ayat-ayat mutashabihat seperti Taha:5:

الرَّحْمَٰنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَىٰ
Tuhan Yang Maha Pemurah, di atas ‘Arasy Dia Istiwa.

Tindakan mengubah maksud اِسْتَوَى (yang secara zahir bahasanya boleh membawa makna duduk, menetap, atau berada di atas) kepada اِسْتَوْلَى (menguasai) dilakukan oleh Ulama aliran Khalaf (Asya’irah dan Maturidiyyah). Ulama Khalaf berpendapat bahawa tindakan menukar maksud اِسْتَوَى kepada اِسْتَوْلَى adalah Ta’wil yang Makbul (diterima). Bagi mereka, jika ayat ini dibiarkan pada makna zahirnya (iaitu berada di atas atau menetap), ia akan membawa kepada fahaman Tajsim (menjasmanikan Allah) atau Tashbih (menyamakan Allah dengan makhluk). Makhluk sahaja yang memerlukan tempat duduk (kerusi/’Arasy) untuk berada di atasnya. Oleh kerana Allah wujud tanpa memerlukan tempat dan tidak menyamai makhluk ( لَيسَ كَمِثلِهِ شَيءٌ), maka makna zahir itu wajib dipalingkan kepada maksud lain yang layak bagi keagungan Allah, iaitu “Maha Menguasai dan Mentadbir”.

Sebaliknya, Ulama aliran Salaf (termasuk para Sahabat, Tabi’in, Imam-Imam Mazhab yang empat, dan aliran Salafiyyah moden) menolak keras ta’wil ini dan menganggapnya sebagai Ta’wil Fasid (ta’wil yang rosak/tahrif). Ulama Salaf (seperti Imam Ibnul Qayyim) membuat kritikan tajam bahawa perbuatan menambah huruf “Lam” (ل) daripada Istiwa (استوى) menjadi Istawla (استولى) adalah satu bentuk kelancangan terhadap teks Al-Qur’an. Perbuatan ini sama seperti kaum Yahudi yang disuruh oleh Allah mengucapkan Hittah (حِطَّةٌ – ampunkan kami), tetapi mereka sengaja menambah huruf “Nun” menjadi Hintah (حِنْطَةٌ – gandum) kerana mengejek perintah Allah (Rujuk Baqarah:59).

Lagi pun, dari sudut logik bahasa, perkataan استولى (menguasai/menakluki) hanya digunakan dalam bahasa Arab apabila berlaku perebutan kuasa. Seseorang hanya dikatakan استولى (menakluki) sesuatu kawasan setelah dia mengalahkan musuh yang menguasai kawasan itu sebelumnya. Jika kita kata Allah استولى (menguasai) ‘Arasy, ia secara tidak langsung memberi isyarat seolah-olah sebelum itu ‘Arasy dikuasai oleh pihak lain, lalu Allah merampasnya. Ini adalah mustahil dan tidak layak bagi sifat Allah Yang Maha Berkuasa sejak azali. Jadi sebenarnya ta’wil استولى ini tidak benar dan tidak patut dilakukan. Kerana itulah fahaman Salafi lebih selamat.

 

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya

Kemaskini: 18 Jun 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Dorar.net

 

Tafsir Surah Ali Imran Ayat 7 (Ayat Mutashabihat) Part 2

وَأُخَرُ مُتَشَـٰبِهَـٰتٌ

Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat “Mutasyaabihaat”

Cuma selain daripada ayat-ayat Muhkamat yang jelas itu, kitab Allah ﷻ juga mengandungi ayat-ayat yang kurang jelas yang dinamakan Mutasyabihat. Untuk jenis ayat ini, Allah gunakan أُخَرُ sedangkan untuk ayat-ayat Muhkamat, Allah gunakan kalimah أُمُّ ٱلكِتَـٰبِ. Jadi dari perbezaan penggunaan dua kalimah ini pun memberi indikasi kedudukan hirarki antara dua jenis ayat-ayat ini. Kedudukan antara keduanya tidak sama. Maka kita kena menekankan ayat-ayat yang muhkamat itu dahulu. Tak perlu terus sibuk tentang ayat-ayat mutashabihat. Bahaya apabila sesetengah puak menyebut tentang petikan ayat-ayat yang tidak jelas, sedangkan ayat-ayat yang jelas mereka tidak belajar pun lagi. Belum belajar bawa kereta tapi terus hendak drift, ke laut jadinya.

Kalimah مُتَشَـٰبِهَـٰتٌ dari kata dasar ش ب ه yang bermaksud menyerupai sesuatu, membandingkan dengan sesuatu, sesuatu yang tidak jelas. Ia serupa, sampai menyebabkan kekeliruan. Apabila dua benda serupa, kadang-kadang kita jadi keliru. Contohnya kita jumpa dua orang adik beradik kembar. Kita pun keliru ini dia yang mana satu? Begitu jugalah dengan ayat Al-Qur’an. Contohnya apabila disebut tangan Allah, kita pun faham maksud tangan itu. Kalimah tangan kita tahu sebab serupa juga digunakan untuk tangan kita. Tapi adakah tangan Allah serupa dengan tangan kita? Adakah kita hendak bandingkan keserupaan tangan kita dengan tangan Allah? Keliru jadinya. Ini nanti kita jelaskan.

Jadi definisi Ayat-ayat Mutashabihat adalah: Sesuatu (ayat) yang membawa kemungkinan beberapa bentuk takwilan (makna), yang mana ia memerlukan kepada (penjelasan) perkara yang lain untuk memahami maksud sebenar daripadanya. Istilah ini juga diguna pakai bagi apa-apa yang sukar atau samar tafsirannya; disebabkan terdapat keserupaan/kemiripan dengan perkara yang lain.

Kalimah mutashabih juga ada digunakan di dalam Zumar:23,

اللَهُ نَزَّلَ أَحسَنَ الحَديثِ كِتٰبًا مُّتَشٰبِهًا مَّثانِيَ
Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Qur’an yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain

Dari ayat Zumar:23 ini sampai ada pendapat yang mengatakan semua ayat-ayat Al-Qur’an adalah Mutashabihat. Tapi itu pun tidaklah benar. Di dalam Surah Zumar ini, istilah مُّتَشٰبِهًا digunakan untuk memberi maksud keserupaan dalam keindahan dan kebenaran: Seluruh ayat Al-Qur’an, dari Surah Al-Fatihah hingga surah An-Nas, adalah “serupa” dari segi mutunya yang sangat tinggi, bahasanya yang mukjizat, dan kandungannya yang tidak mengandungi sebarang cacat cela atau kontradiksi. Ia saling membenarkan antara satu ayat dengan ayat yang lain tidak pernah bertembung atau berlawanan, bahkan saling menyokong. Sebab itu, dalam konteks Az-Zumar ini, 100% isi Al-Qur’an adalah Mutashabih (iaitu semuanya serupa dari segi kebenaran dan kehebatannya).

Tapi penggunaan istilah مُتَشَـٰبِهَـٰتٌ di dalam Ali Imran ini membawa maksud yang berlainan. Kalimah yang sama digunakan di dalam Al-Qur’an tidaklah semestinya bermaksud yang sama. Kerana itu kita kena lihat apakah konteks ayat itu.

Dari segi istilah, kalimah مُتَشَـٰبِهَـٰتٌ yang digunakan di dalam Ali Imran ini bermaksud ayat-ayat yang maknanya tidak jelas, mengandungi lebih daripada satu kemungkinan tafsiran, dan hakikat sebenar maksudnya tidak dapat diketahui melainkan dengan merujuk kepada ayat lain atau hanya diketahui oleh Allah sahaja.

Sesuatu ayat menjadi mutashabihat kerana manusia tahu maknanya secara bahasa, tetapi tidak tahu “bagaimana” hakikat sebenarnya. Contoh: Ayat-ayat sifat Allah (seperti Tangan Allah, Wajah Allah, Allah di atas Arasy) dan hakikat nikmat Syurga/Neraka serta bila berlakunya Hari Kiamat. Manusia tahu makna “tangan” secara bahasa, tetapi tangan Allah tidak sama dengan makhluk dan hakikatnya tersembunyi daripada akal manusia.

Ada pula ayat yang lafaznya tersendiri dan maknanya langsung tidak boleh dicapai oleh bahasa manusia biasa. Contoh: Huruf-huruf Muqatta’ah di awal surah-surah (Alif Lam Mim, Yasin, Kaf Ha Ya ‘Ain Sad). Definisi mutashabihat di sini ialah sesuatu yang Allah sengaja sembunyikan ilmunya daripada makhluk. Pecah kepala fikir pun, takkan dapat tahu apakah maksudnya.

Lagi lagi yang termasuk di dalam lingkungan ayat-ayat مُتَشَـٰبِهَـٰتٌ adalah jikalau kalimah yang digunakan itu tidak semua orang tahu. Jadi ia boleh mengelirukan maksud yang hendak disampaikan oleh Al-Qur’an. Kisah Saidina Umar al-Khattab yang tidak mengetahui maksud kalimah أَبًّا di dalam Abasa:31 adalah salah satu riwayat yang sangat masyhur. Kisah ini direkodkan oleh para imam tafsir dan hadis, antaranya oleh Imam At-Tabari, Imam Al-Baghawi, dan Imam Al-Hakim. Kisah ini menceritakan tentang sifat tawaduk seorang khalifah yang agung, ketegasannya dalam melarang sikap memandai-mandai (takalluf).

Pada suatu hari ketika sudah menjadi Khalifah, Saidina Umar membaca Surah Abasa di atas mimbar. Apabila beliau sampai pada ayat 31 dan 32:

وَفَـٰكِهَةً وَأَبًّا (٣١) مَّتَـٰعًا لَّكُم وَلِأَنعَـٰمِكُم (٣٢)
Dan buah-buahan serta Abba. (Semuanya itu) untuk kesenangan kamu dan untuk binatang-binatang ternakan kamu.”

Selepas membaca ayat tersebut, Umar berhenti sejenak lalu berkata kepada dirinya sendiri: “Kita sudah tahu apa itu فَاكِهَةً (buah-buahan), tetapi apakah itu أَبًّا??” Umar cuba memikirkan maksud perkataan tersebut kerana ia adalah perkataan bahasa Arab kuno yang jarang digunakan oleh suku Quraisy pada ketika itu. Namun, sejurus selepas itu, beliau memegang tongkatnya (atau memukul tangannya) dan menegur dirinya sendiri dengan tegas:

«لَعَمْرُ اللَّهِ إِنَّ هَذَا لَهُوَ التَّكَلُّفُ، وَمَا عَلَيْكَ يَا ابْنَ الْخَطَّابِ أَنْ لَا تَدْرِيَ مَا الْأَبُّ؟!»
“Demi Allah, sesungguhnya ini (perbuatan memaksa-maksa akal memikirkan perkataan yang tidak diketahui) adalah satu Takalluf (membuat-buat/membebankan diri)! Apakah ruginya ke atasmu wahai anak Al-Khattab sekiranya engkau tidak mengetahui apa itu al-Abb?!”

Beliau kemudian menyambung bicaranya kepada para sahabat di hadapannya: “Ikutilah apa yang telah jelas bagi kamu daripada Kitab ini (Al-Qur’an) untuk kamu amalkan, dan apa yang kamu tidak ketahui, maka serahkanlah urusannya kepada Tuhannya (Allah).”

Para ulama bahasa Arab dan tafsir (termasuk bapa tafsir, Ibnu Abbas) kemudiannya menjelaskan maksud Al-Abb (الْأَبّ): Bermaksud segala jenis tumbuhan atau rumput-rumputan yang tumbuh di atas muka bumi yang tidak ditanam oleh manusia, sebaliknya ia tumbuh sendiri untuk menjadi makanan bagi binatang ternakan. Petunjuk makna ini sebenarnya sudah ada pada ayat selepasnya (ayat 32): “Untuk kesenangan kamu (merujuk kepada buah-buahan) dan untuk binatang ternakan kamu (merujuk kepada rumput/al-abb).”

Ada pula sesetengah ayat Al-Qur’an yang tidak disepakati maksudnya oleh semua ulama’. Contoh klasik adalah Baqarah:228,

وَالمُطَلَّقٰتُ يَتَرَبَّصنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلٰثَةَ قُروءٍ
Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (daripada berkahwin) selama tiga kali quru’

Ulama fiqh tidak sepakat akan maksud قُروءٍ di dalam ayat ini sampaikan ada yang mengatakan ia bermaksud ‘suci’ dan ada yang mengatakan ia bermaksud ‘haidh’. Ini kerana kalimah قُروءٍ boleh merujuk kepada beberapa maksud. Perbezaan pendapat ini telah menyebabkan perbezaan hukum di antara mazhab.

Ada juga ayat-ayat yang dahulunya Mutashabihat akan tetapi dengan kemajuan teknologi, ia menjadi Muhkamat. Contohnya tentang janin di dalam perut ibu. Ketika Nabi sampaikan dahulu, para sahabat tidak tahu apa yang dimaksudkan, akan tetapi dengan kemajuan sains, kita tahu ayat Al-Qur’an yang menceritakan tentang rahim, tentang janin, tentang kegelapan di dalam perut itu, itu semuanya tepat.

Selain itu ada berita sejarah yang Allah beritahu di dalam Al-Qur’an, tidak dapat dipastikan oleh para sahabat. Ketika itu ia Mutashabih, akan tetapi kajian sejarah menunjukkan yang ia tepat. Sebagai contoh nama Haman di dalam Al-Qur’an. Ketika itu tidak dikenali siapakah individu ini sampaikan Ahli Kitab kata mengarut sahaja ayat tentang hal ini. Tapi kemudian memang kajian mendapati memang ada Haman ini dalam sejarah Mesir kuno.

Ada maklumat sains sebagai contoh Al-Qur’an beritahu besi ‘diturunkan’. Kita pun pelik, bagaimana besi ini diturunkan, sedangkan ia memang sudah ada di bumi? Tapi kajian sains mendapati memang benar ia diturunkan ke bumi, bukannya tercipta di bumi lagi. Bukanlah turun semalam, tapi beribu-ribu tahun dahulu.

Kerana itulah kesamaran (Al-Tasyabuh) dalam tafsiran dan makna adalah suatu perkara yang bersifat nisbi (relatif). Maka, boleh jadi sesuatu ayat itu samar bagi seseorang, tetapi tidak samar bagi orang yang lain. Walau bagaimanapun, sepatutnya ayat-ayat muhkamat (yang jelas) tidak mengandungi sebarang kesamaran bagi sesiapapun. Dan ayat-ayat mutasyabihat (yang samar) itu, apabila maksudnya telah diketahui, maka ia berubah menjadi tidak samar lagi. Jadi mutasyabihat boleh menjadi muhkamat.

Kesamaran kadangkala berupa kesamaran pada makna, iaitu apabila maknanya tidak jelas; atau ia berbentuk kesamaran dari sudut percanggahan, iaitu apabila seseorang menyangka bahawa sebahagian ayat Al-Qur’an bertentangan dengan sebahagian yang lain. Perkara ini (percanggahan) tidak mungkin sama sekali berlaku secara realiti di dalam Al-Qur’an, kerana Allah telah berfirman di dalam Nisa’:82:

وَلَوْ كَانَ مِنْ عِندِ غَيْرِ اللهِ لَوَجَدُوا فِيهِ اخْتِلٰفًا كَثِيرًا
Kalaulah Al-Qur’an itu datangnya daripada selain Allah, nescaya mereka akan mendapati di dalamnya percanggahan yang banyak.

Jadi tidak mungkin akan ada percanggahan di dalam Al-Qur’an. Sebaliknya ayat Al-Qur’an itu sebahagiannya membenarkan (dan menyokong) sebahagian yang lain. Jadi kalau kita nampak seolah-olah ada percanggahan, itu maknanya kita yang tidak faham. Jadi kena bertanya kepada yang tahu.

Allah tidak menentukan mana satu ayat Muhkam dan mana satu ayat Mutashabihat. Malah Nabi Muhammad pun tidak tentukan mana satu. Penentuan sama ada ayat itu Muhkam atau Mutashabihat adalah dari kajian para ulama’. Apabila kita bergelumang dengan ilmu tafsir, maka kita akan berjumpa banyak pendapat-pendapat berkenaannya. Ini adalah satu bidang yang memerlukan penelitian. Maka boleh dikatakan tujuan Allah mengatakan dua kelompok ayat ini adalah untuk kita sebagai umat Islam berhati-hati dengan mana-mana ayat Al-Qur’an. Satu ground rule yang selalu dipakai adalah: jikalau satu kalimah itu boleh membawa lebih dari satu makna, maka ia adalah mutashabihat.

Mari kita kaitkan apakah maksud مُتَشَـٰبِهَـٰتٌ dengan Golongan Kristian. Berdasarkan sejarah rombongan Kristian Najran ketika berdebat dengan Nabi Muhammad ﷺ (yang menjadi Asbabun Nuzul awal Surah Ali ‘Imran), terdapat beberapa ayat Al-Qur’an tentang Nabi Isa yang bersifat mutashabihat (samar dari sudut lafaz yang boleh diputarbelitkan). Golongan Kristian Najran itu menggunakan ayat-ayat ini untuk mendakwa bahawa Al-Qur’an sendiri “mengiktiraf” unsur ketuhanan dalam diri Nabi Isa. Antara ayat yang paling utama ialah:

1. Gelaran “Kalimah Allah” (Kalimatullah) bagi Nabi Isa. Di dalam Nisa’:171, Allah berfirman:

إِنَّمَا الْمَسِيحُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ رَسُولُ اللَّهِ وَكَلِمَتُهُ أَلْقَاهَا إِلَىٰ مَرْيَمَ
Sesungguhnya Al-Masih Isa anak Maryam itu, hanya seorang Pesuruh Allah dan Kalimah-Nya yang disampaikan-Nya kepada Maryam

Titik Kesamaran (Mutashabih): Golongan yang mahu mencari fitnah mengambil frasa “Kalimah Allah” lalu menta’wilkannya dengan doktrin Logos (iaitu Isa adalah sebahagian daripada zat Tuhan yang menjelma menjadi manusia).

Cara Jamak dengan Ayat Muhkam: Para ulama’ memulangkan ayat ini kepada ayat induk yang jelas, iaitu Ali Imran:59:

إِنَّ مَثَلَ عيسىٰ عِندَ اللَّهِ كَمَثَلِ ءآدَمَ ۖ خَلَقَهُ مِن تُرابٍ ثُمَّ قالَ لَهُ كُن فَيَكونُ
“Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti kejadian Nabi Adam. Allah menjadikannya dari tanah, kemudian Allah berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” (Kun), maka menjadilah ia.”

Maka, maksud Nabi Isa itu “Kalimah Allah” ialah baginda dicipta secara luar biasa terus melalui kalimah “كُن”, bukannya baginda itu sebahagian daripada Zat Tuhan.

2. Gelaran “Roh daripada Allah” (رُوحٌ مِّنْهُ) bagi Nabi Isa. Sambungan daripada Nisa’:171 tadi, Allah turut berfirman:

وَرُوحٌ مِّنْهُ
dan (Isa juga) ialah roh daripada-Nya (daripada Allah)

Titik Kesamaran (Mutashabih): Perkataan “daripada-Nya” (مِّنْهُ) disalahfaham oleh golongan berpenyakit hati ini seolah-olah roh Nabi Isa itu adalah “cebisan” daripada Roh Zat Allah yang ditiup masuk ke dalam Maryam (doktrin anak Tuhan).

Cara Jamak dengan Ayat Muhkam: Dalam bahasa Arab, sandaran roh kepada Allah di sini dinamakan sebagai Idafah Tasyrif (sandaran untuk memuliakan), sama seperti istilah Baitullah (Rumah Allah) atau Naqatullah (Unta Allah). Kalimah Baitullah tidak bermaksud rumah itu hak milik Allah atau Allah tinggal di situ, tetapi sebagai tanda kemuliaan.

Mata rantai ini disandarkan pula kepada ayat muhkam tentang penciptaan manusia biasa dalam Sajdah:9:

ثُمَّ سَوّٰهُ وَنَفَخَ فيهِ مِن رّوحِهِ
kemudian Dia menyempurnakan kejadiannya, dan meniupkan ke dalamnya roh daripada-Nya

Ini bermaksud, jika Nabi Isa dikira tuhan kerana ada roh daripada Allah, maka seluruh manusia juga patut dianggap tuhan kerana kita semua memiliki roh ciptaan Allah. Kesamaran itu terus terbatal.

3. Keajaiban Nabi Isa boleh Mencipta Burung dan Menghidupkan Orang Mati. Di dalam Ali Imran:49, diceritakan mukjizat Nabi Isa:

أَنِّي أَخْلُقُ لَكُم مِّنَ الطِّينِ كَهَيْئَةِ الطَّيْرِ فَأَنفُخُ فِيهِ فَيَكُونُ طَيْرًا بِإِذْنِ اللَّهِ ۖ وَأُبْرِئُ الْأَكْمَهَ وَالْأَبْرَصَ وَأُحْيِي الْمَوْتَىٰ بِإِذْنِ اللَّهِ
iaitu aku membuat untuk kamu dari tanah liat seperti bentuk burung, kemudian aku meniup padanya lalu menjadilah ia seekor burung… dan aku menyembuhkan orang buta dan orang sopak, dan aku menghidupkan orang-orang yang mati dengan izin Allah

Titik Kesamaran (Mutashabih): Sifat menghidupkan orang mati dan mencipta makhluk adalah hak eksklusif Tuhan. Golongan orientalis atau Kristian Najran memetik ayat ini untuk berkata, “Lihat, Isa boleh menghidupkan orang mati, bermakna dia ada kuasa tuhan.”

Cara Jamak dengan Ayat Muhkam: Allah mengunci setiap mukjizat itu dengan frasa yang sangat jelas (muhkam) di dalam ayat yang sama, iaitu: بِإِذْنِ اللَّهِ (“dengan izin Allah”). Nabi Isa tidak melakukannya dengan kuasa mutlak diri sendiri, tetapi sebagai tanda kenabian yang dipinjamkan oleh Allah. Malah, ayat ini diharmonikan dengan ayat penting iaitu Maidah:116 di mana Allah bertanya terus kepada Isa di akhirat nanti:

وَإِذ قالَ اللَّهُ يٰعيسَى ابنَ مَريَمَ ءأَنتَ قُلتَ لِلنّاسِ اتَّخِذوني وَأُمِّيَ إِلٰهَينِ مِن دونِ اللَّهِ ۖ قالَ سُبحٰنَكَ ما يَكونُ لي أَن أَقولَ ما لَيسَ لي بِحَقٍّ
“Wahai Isa anak Maryam! Adakah engkau pernah berkata kepada manusia: Jadikanlah aku dan ibuku dua tuhan selain Allah?” Nabi Isa menjawab dengan tegas: “Maha Suci Engkau! Tidak layak bagiku mengatakan sesuatu yang aku tidak berhak mengatakannya…”

Melihat kepada ketiga-tiga contoh ini, kita dapat faham kenapa Allah meletakkan Ayat 7 ini selepas bercakap tentang rahim (Ayat 6). Golongan yang sesat akan mengeksploitasi istilah kiasan (mutashabihat) seperti “Kalimah” dan “Roh” untuk menuhankan Nabi Isa, sedangkan Al-Qur’an telah menyediakan ayat-ayat muhkamat yang menegaskan bahawa beliau tetap seorang hamba dan utusan Allah yang dicipta di dalam rahim.

Kita perlu bincangkan kenapa ada ayat-ayat مُتَشَـٰبِهَـٰتٌ ini. Di satu pihak, Al-Qur’an menegaskan diri-Nya sebagai الكِتٰبِ المُبينِ (Kitab yang jelas/menerangkan), seperti di dalam Yusuf:1

الر ۚ تِلكَ ءآيٰتُ الكِتٰبِ المُبينِ
Alif, laam, raa. Ini adalah ayat-ayat Kitab (Al Qur’an) yang nyata.

Akan tetapi sekarang di dalam ayat ini, Allah menyatakan ada ayat-ayat yang Mutashabihat (samar). Sekali imbas, ia kelihatan seperti bercanggah, bukan? Tetapi sebenarnya tidak bercanggah langsung. Para ulama’ telah menjamakkan (mengharmonikan) kedua-dua konsep ini dengan jawapan yang sangat indah dan logik.

Pertamanya Sifat Mubin Merujuk kepada “Keseluruhan” dan “Tujuan” Al-Qur’an. Apabila Al-Qur’an disebut sebagai Mubin (jelas/menerangkan), ia bermaksud:

    • Jelas dari segi kebenaran: Jelas bahawa ia bukan rekaan manusia, bukan sihir, dan bukan puisi.
    • Jelas pada teras ajaran (Akidah & Syariat): Perkara-perkara pokok untuk selamat di dunia dan akhirat semuanya diterangkan dengan sangat jelas (Muhkam). Contohnya: Kewajipan Tauhid, haramnya syirik, kewajipan solat, haramnya berzina, dan perintah berbuat baik kepada ibu bapa. Tiada kesamaran dalam hal ini.

Oleh itu, kewujudan segelintir ayat mutashabihat tidak menafikan sifat Al-Qur’an yang mubin, kerana fungsi utama Al-Qur’an sebagai petunjuk (huda) sudah pun tersampai dengan sangat terang dan jelas.

Keduanya, di dalam ayat 7 surah Ali ‘Imran ini sendiri, Allah memberikan formula bagaimana cara mengendalikan ayat-ayat yang samar. Allah menyebut bahawa ayat-ayat Muhkamat (yang jelas maknanya) adalah Ummul Kitab (Induk/Paksi Al-Qur’an). Ayat yang samar (mutashabihat) tidak boleh berdiri sendiri. Ia mesti dibawa, ditafsir, dan disandarkan kepada ayat yang jelas (muhkam). Apabila ayat samar itu dipulangkan kepada ayat induk, maka makna ayat samar itu akan menjadi jelas (mubin). Mari kita lihat satu contoh klasik, Taha:5:

الرَّحْمَٰنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَىٰ
Tuhan ar-Rahman itu bersemayam di Arash.

Perkataan “bersemayam” atau اسْتَوَىٰ boleh menimbulkan kesamaran. Ramai yang berkelahi tak cukup akal dengan ayat sebegini. Ada pula yang bodoh sampai kafir mengkafir orang lain yang tidak setuju dengan pandangannya. Ada yang menuduh golongan Salafi menjisimkan Allah, mengatakan Allah memerlukan tempat, bergantung kepada makhluk dan sebagainya. Sedangkan senang sahaja untuk selesai isu ini. Soalan dia adalah: Adakah Allah duduk seperti makhluk?

Jadi tafsiran bagi ayat ini perlu dikembalikan kepada ayat yang Muhkam. Iaitu cubalah lihat sikit pada Shura:11

لَيسَ كَمِثلِهِ شَيءٌ
Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan-Nya

Apabila kita jamakkan dua ayat ini, barulah kita akan faham: Allah bersemayam dengan cara yang layak bagi keagungan-Nya, tanpa sama sekali menyerupai makhluk. Kesamaran tadi hilang dan maknanya menjadi mubin (jelas) berkat ayat induk tersebut. Itulah sebabnya kena belajar tafsir Al-Qur’an supaya tidak keliru dan bengong. Pihak yang mengatakan Allah bersemayam di Arasy itu tidak pun kata Allah duduk macam manusia duduk. Yang suruh bayangkan Allah duduk macam patung Buddha gemok tu, siapa yang suruh?

Jadi, ayat-ayat mutashabihat ini tidak boleh dibaca bersendirian. Jadi pening kalau begitu. Ia mestilah dirujuk dan dipadankan dengan ayat-ayat Muhkamat. Nanti sekejap lagi kita akan jumpa golongan yang tebuk ayat mutashabihat sahaja nanti.

Apakah hikmah di sebalik Ayat Mutashabihat? Kenapa Allah tidak jadikan 100% ayat Al-Qur’an itu muhkam dan terus jelas sahaja? Kenapa perlu ada mutashabihat? Supaya tidaklah pening dan berkelahi umat Islam seteruk sekarang. Antara hikmahnya adalah:

  1. Ujian Keimanan dan Hati: Allah mahu membezakan antara orang yang dalam hatinya ada penyakit (suka memutarbelitkan ayat samar untuk fitnah) dengan orang yang mendalam ilmunya (Ar-Rasikhuna fil ‘Ilm) yang berkata, “Kami beriman kepadanya, semuanya daripada Tuhan kami.”
  2. Keterbatasan Akal Manusia: Al-Qur’an menceritakan tentang perkara ghaib (Zat Allah, Syurga, Neraka, Ruh). Akal manusia yang terbatas di dunia ini tidak akan mampu membayangkan hakikat sebenar perkara ghaib tersebut. Maka, Allah gunakan bahasa kiasan (mutashabihat) yang paling dekat dengan bahasa manusia untuk memberi gambaran awal.
  3. Galakan untuk Mengkaji (Tadabbur): Jika semua ayat terlalu terus-terang, manusia tidak akan mengerahkan akal untuk mengkaji bahasa, usul fiqh, sastera, dan falsafah Islam. Ayat mutashabihat menghidupkan budaya ilmu dalam umat Islam. Kerana sekiranya semua yang terkandung di dalam Al-Qur’an itu boleh difahami dengan logik akal (maknanya) dan jelas, nescaya iman tidak akan mengandungi sedikit pun makna tunduk kepada perintah Allah Taala dan berserah diri (taslim) kepada para rasul-Nya.

Tapi kenapa manusia susah hendak faham hal ini? Sampaikan perdebatan yang tidak kunjung padam akan maksud-maksud ayat di dalam Al-Qur’an? Ulama’ menyebut beberapa sebab kenapa manusia tidak faham. Kerana tidak belajar dan oleh kerana itu:

  1. Sebab kurang ilmu, tidak mahu belajar. Malas belajar, pakai tembak sahaja fahaman ikut kepala sendiri.
  2. Kurang fahaman. Ada orang ilmu banyak, tapi tetap tidak faham juga. Kerana Allah bagi cerdik kepada manusia dengan tahap berbeza. Sebab itu penting kita rujuk pandangan ulama’ kerana kita nampak satu lapis sahaja, tapi ulama’ nampak berlapis-lapis. Antara ulama’ pun ada perbezaan kepandaian dan akal. Ada yang hebat dan nampak berguni-guni pengajaran. Ada yang sedikit sahaja.
  3. Kurangnya tadabbur. Iaitu merenung kembali ayat-ayat yang telah dipelajari tafsirnya. Ada yang sudah belajar banyak tapi dia tidak tadabbur iaitu merenung dengan mendalam.
  4. Kefahaman yang buruk. Ada yang belajar dengan orang yang salah, ayat-ayat Mutasyabihat itu mereka terjemahkan ikut kepala sendiri sampai jadi pemahaman yang pelik dan ke laut. Ini bahaya kalau salah belajar dengan orang yang salah. Ini kita akan bincangkan di dalam frasa: في قُلوبِهِم زَيغٌ sekejap lagi.

Kesimpulannya: Al-Qur’an kekal sebagai الكِتٰبِ المُبينِ (Kitab yang Jelas) kerana kompas utama, jalan keselamatan, dan mesej asasnya sangat terang. Ayat mutashabihat pula wujud sebagai ujian iman dan tanda keterbatasan akal kita, yang mana maknanya akan menjadi harmoni dan jelas apabila kita merujuknya kembali kepada ayat-ayat yang kukuh (muhkamat).

Kalau kita perhatikan pun, ayat-ayat mutashabihat ini hanya menyentuh perkara yang selain daripada hukum hakam kerana ayat-ayat hukum memang kena jelas, tidak boleh samar-samar. Ini kerana kalau ayat-ayat hukum itu samar, susah pula manusia hendak ikut.

Ayat-ayat yang samar-samar ini dinamakan ayat-ayat mutashabihat dan ia sukar difahami kalau dibaca sepintas lalu sahaja tanpa belajar. Tapi ia bukanlah ayat hukum yang kita kena ikut. Macam bersemayamnya Allah itu, kita tidak perlu sibuk pun Dia bersemayam di mana, macam mana. Kerja bodoh untuk fikirkan hal itu kerana kita tidak akan dapat mencapainya. Kita serahkan sahaja kepada Allah, selayaknya bagi Allah. Kerana itu Rasulullah telah pernah bersabda,

تَفَكَّرُوا فِي خَلْقِ اللهِ، وَلَا تَتَفَكَّرُوا فِي اللهِ
Berfikirlah kamu tentang makhluk (ciptaan) Allah, dan janganlah kamu berfikir tentang (zat) Allah.”

Riwayat Abu Nu’aim dalam Al-Hilyah, Al-Asbahani; dinilai Hasan oleh Syeikh Al-Albani dalam Silsilah Al-Ahadith As-Sahihah)

Antara yang termasuk dalam jenis ayat-ayat Mutasyabihat ini adalah ayat-ayat yang kita tidak akan faham maksudnya, seperti ayat pertama surah ini – alif lam mim dan banyak lagi ayat-ayat muqatta’ah yang lain; termasuk juga dalam jenis ayat-ayat mutasyabihat adalah penerangan tentang Allah ﷻ  – Allah ﷻ  mempunyai tangan, Allah ﷻ bersemayam di Arasy, Allah ﷻ ada mata, dan sebagainya. Perkara ini ada dibincangkan di dalam bab Usul Tafsir oleh ulama’ yang mahir. Sebelum pergi jauh, mungkin elok dirujuk dulu apakah perbincangan ulama’ dalam hal ini.

Walaupun samar-samar, tetapi ia masih boleh dijelaskan lagi supaya ada kefahaman setakat yang kita perlu tahu sahaja. Kalau baca sendiri dan sepintas lalu, tentu tidak faham. Takut kalau cuba untuk faham sendiri, akan menyebabkan salah faham dan sesat. Maka kenalah belajar tafsir dengan mereka yang mahir untuk memahaminya. Janganlah pula tanya dengan guru-guru yang tidak tahu seperti guru tarekat atau guru yang tidak belajar tafsir pula kerana mereka akan pusing ayat-ayat itu sampai manusia keliru kerana mereka pun keliru juga. Mereka pun tidak belajar tafsir, jadi bagaimana mereka hendak jelaskan? Bukan semua ustaz belajar tafsir penuh. Kalau tidak percaya, cubalah tanya ustaz anda.

Ada ayat-ayat Al-Qur’an yang tidak perlu dihuraikan pun kerana Nabi ﷺ sendiri tidak huraikan. Kalau Nabi sendiri ﷺ tidak huraikan, itu bermaksud kita tidak perlu sibuk hendak cari maksudnya. Ini kerana tugas Nabi ﷺ adalah menyampaikan syariat dan kalau ada ayat-ayat yang boleh menyebabkan kekeliruan, dan ia penting untuk diketahui, maka baginda pasti sudah menjelaskannya. Nabi ﷺ telah selesai menjalankan tugas baginda dalam menyampaikan agama ini kepada umatnya. Segala yang kita patut tahu, Nabi sudah beritahu. Maka, ringkasnya, kalau Nabi ﷺ tidak huraikan, maknanya kita tidak perlu tahu. Tidak perlu pening-pening memikirkannya. Maknanya, bukan semua benda kita perlu tahu dan ada banyak benda kita tidak akan tahu kerana keterbatasan akal kita sebagai manusia.

Memang ada banyak perkara yang kita tidak akan dapat tahu dengan mendalam. Sebagai contoh, tentang roh. Puak Yahudi Madinah pernah menyuruh Musyrikin Mekah tanyakan tentang roh kepada Nabi ﷺ. Mereka pesan kepada Musyrikin Mekah itu, kalau Nabi Muhammad ﷺ boleh beritahu tentang roh, maknanya baginda bukan seorang Nabi sebab dalam kitab mereka telah diberitahu yang jawapannya adalah ‘tidak tahu’. Memang bila ditanya, jawapan yang diberikan oleh Nabi Muhammad ﷺ (setelah diberitahu oleh Allah ﷻ) adalah roh itu adalah urusan Tuhan. Lihat Isra’:85

وَيَسـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلرُّوحِ‌ۖ قُلِ ٱلرُّوحُ مِن أَمرِ رَبِّى وَمَآ أُوتِيتُم مِّنَ ٱلعِلمِ إِلَّا قَلِيلاً
Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah: “Roh itu termasuk urusan Tuhan-ku, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit”.

Memang kita manusia tidak diberikan dengan ilmu menyeluruh tentangnya. Yang kita tahu, Roh itu ada dan ia adalah urusan Allah ﷻ. Maka kena beriman sahaja setakat yang kita tahu. Allah ﷻ sahaja yang tahu secara keseluruhan dan Nabi ﷺ pun tidak huraikan sedangkan kalau ia perkara yang perlu diketahui, sudah tentu Nabi ﷺ telah huraikan. Namun malangnya, dalam masyarakat kita, ada yang apabila membicarakan ayat-ayat mutasyabihat, mereka boleh pula menghuraikannya panjang-panjang sedangkan maklumat daripada nas tidak ada. Semua pakat pakai ilmu khayalan sahaja. Ini amatlah menghairankan. Sebagai contoh, Imam Razi kata sampai ada seribu pendapat yang berbeza tentang roh. Padahal ia adalah perkara yang tidak perlu dihuraikan. Benda yang patut dihuraikan dan dijelaskan tidak pula dihuraikan, tetapi sibuk tentang perkara yang tidak perlu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya

Kemaskini: 18 Jun 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Dorar.net

 

Tafsir Surah Ali Imran Ayat 7 (Ayat Muhkam) Part 1

AYAT-AYAT MUHKAM DAN MUTASHABIHAT

Ali Imran Ayat 7: Ayat ini untuk memperjelaskan tentang kesamaran-kesamaran seperti yang telah disebut dalam pengenalan Surah Ali Imran ini. Antara kesamaran yang ada dalam Kitab Injil, telah disebut Nabi Isa عليه السلام adalah ‘Anak Allah’, ‘Roh Allah’ dan lain-lain lagi. Itu adalah lafaz-lafaz yang samar yang menyebabkan kekeliruan manusia tentang Nabi Isa عليه السلام.

Dalam Al-Qur’an juga ada ayat-ayat yang samar-samar yang boleh menyebabkan orang Islam salah faham. Maka perkara ini perlu diperjelaskan. Ini adalah asas ilmu Al-Qur’an yang kita kena tahu.

هُوَ الَّذيٓ أَنزَلَ عَلَيكَ ٱلكِتَـٰبَ مِنهُ ءَايَـٰتٌ مُّحكَمَـٰتٌ هُنَّ أُمُّ ٱلكِتَـٰبِ وَأُخَرُ مُتَشَـٰبِهَـٰتٌ ۖ فَأَمَّا الَّذينَ في قُلوبِهِم زَيغٌ فَيَتَّبِعونَ ما تَشَـٰبَهَ مِنهُ ابتِغآءَ الفِتنَةِ وَابتِغآءَ تَأويلِهِ ۗ وَما يَعلَمُ تَأوِيلَهُ ۥۤ إِلَّا اللَّهُ ۗ وَٱلرّٰسِخُونَ فِي العِلمِ يَقولونَ ءَامَنَّا بِهِۦ كُلٌّ مِّن عِندِ رَبِّنا ۗ وَما يَذَّكَّرُ إِلّآ أُولُو ٱلأَلبَـٰبِ

SAHIH INTERNATIONAL
It is He who has sent down to you, [O Muhammad], the Book; in it are verses [that are] precise – they are the foundation of the Book – and others unspecific. As for those in whose hearts is deviation [from truth], they will follow that of it which is unspecific, seeking discord and seeking an interpretation [suitable to them]. And no one knows its [true] interpretation except Allah . But those firm in knowledge say, “We believe in it. All [of it] is from our Lord.” And no one will be reminded except those of understanding.

MALAY
Dia lah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Qur’an. Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat “Muhkamaat” (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Qur’an. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat “Mutasyaabihaat” (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbullah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) – adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Qur’an untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu ugama, berkata:” Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami” Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.

 

هُوَ الَّذي أَنزَلَ عَلَيكَ ٱلكِتَـٰبَ

Dia lah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Qur’an.

Allah ﷻ memulakan ayat ini dengan mengingatkan kita bahawa Dialah yang menurunkan Al-Qur’an ini kepada Nabi Muhammad ﷺ untuk disampaikan kepada kita. Siapa هُوَ (Dia) itu? Kalimah هُوَ ini kalau tidak ada pun, ia memberi terjemahan yang sama. Iaitu ayat kalau jadi أَنزَلَ عَلَيكَ ٱلكِتَـٰبَ, ia sama sahaja kerana sudah ada maksud ‘dia’ di dalam kalimah أَنزَلَ. Jadi apabila Allah menambah kalimah هُوَ ini, ia menjadi lebih kuat. Siapakah هُوَ?

Ini telah dijelaskan sebelum ini, iaitu yang tidak sembunyi apa-apa pun dariNya, yang tahu segalanya-galanya, termasuk yang di dalam rahim ibu. Yang hanya Dia yang layak disembah dan dihadapkan doa kita. Tuhan yang sama jugalah yang menurunkan Al-Qur’an ini. Jadi Dia itu yang telah menurunkan Kitab Al-Qur’an ini untuk panduan hidup kita. Maka hendaklah kita ambil perhatian dan ambil manfaat dari Al-Qur’an ini. Sekali lagi, apa manfaat yang kita akan dapat kalau setakat baca dan baca sahaja Al-Qur’an itu?

Allah tahu segala-galanya, maka Dia juga tahu apa yang kita perlukan, bukan? Maka yang kita amat perlukan adalah panduan dari Al-Qur’an. Maka marilah kita mempelajari apakah maksud ayat-ayat Allah ini ya. Sebagaimana Allah jaga janin di dalam perut dengan kasih sayang, maka begitulah Allah turunkan Al-Qur’an ini dengan penuh sifat kasih sayang kepada kita makhlukNya. Jadi semasa kita membaca Al-Qur’an ini, kena ada rasa kasih sayang Allah kepada kita. Allah bukan hendak bebankan kita, bukan hendak menekan-nekan kita dengan hukum hakam di dalam Al-Qur’an, bukan untuk menakutkan kita dengan asyik sebut tentang neraka sahaja. Itu semua adalah untuk kebaikan kita kerana Dia sayang kita, bukan?

Allah berfirman di sini هُوَ الَّذيٓ أَنزَلَ عَلَيكَ ٱلكِتَـٰبَ. Kenapa perlu ditambah عَلَيكَ (ke atas Engkau Muhammad)? Kalau هُوَ الَّذيٓ أَنزَلَ ٱلكِتَـٰبَ pun kita sudah lengkap, sudah setel. Ia kerana hendak menekankan yang Nabi Muhammad ada autoriti ke atas Al-Qur’an. Ayat ini sedang membincangkan tentang adanya ayat Muhkamat (jelas) dan Mutashabihat (samar). Dengan menyebut “Allah menurunkan Al-Kitab ini ke atas pundakmu (wahai Muhammad)”, Allah sedang menegaskan: “Wahai manusia, Al-Qur’an ini turun sebagai tanggungjawab ke atas Muhammad. Oleh itu, jika kamu keliru tentang mana ayat yang jelas dan mana ayat yang samar, rujuklah kepada Muhammad! Baginda adalah pemegang amanah yang sah, bukannya akal logik kamu yang memandai-mandai.”

Sebelum ini telah disebut tentang Al-Qur’an (digunakan istilah Al-Kitab), Taurat dan Injil. Sekarang disebut Al-Qur’an sahaja kerana ia yang paling utama. Ia telah membatalkan (mansukh) kitab-kitab wahyu sebelum ini.

Tetapi kenapa kali ini Allah menggunakan kalimah أَنزَلَ pula? Kita telah bincangkan panjang lebar tentang perbezaan kalimah أَنزَلَ dan نَزَّلَ di dalam Ayat 3 sebelum ini. Digunakan kalimah نَزَّلَ kerana Al-Qur’an diturunkan berperingkat-peringkat sedangkan أَنزَلَ digunakan untuk Taurat dan Injil kerana ia diturunkan sekaligus. Kenapa pula digunakan kalimah أَنزَلَ bagi Al-Qur’an pula kali ini?

Ulama’ mengatakan kerana Al-Qur’an ada diturunkan berperingkat dan ada diturunkan sekaligus. Maknanya ada dua fasa penurunan bagi Al-Qur’an. Iaitu ia diturunkan sekaligus dari Lauh Mahfuz ke langit dunia dan dari langit dunia itulah diturunkan sedikit demi sedikit kepada Nabi Muhammad.

Dari segi susunan ayat, kenapa dari sebut tentang manusia dibentuk di dalam rahim ibu di dalam Ayat 6 tadi, tiba-tiba terus masuk ke dalam penceritaan tentang Al-Qur’an pula? Pengajaran yang kita boleh ambil adalah: tujuan kita dijadikan adalah untuk hidup berpandukan Al-Qur’an. Lahir kamu itu ke dunia, bukan untuk makan, minum, kencing berak sahaja. Begitu juga di dalam Rahman:1-3, Allah sebut Dia mengajar Al-Qur’an kepada kita sebelum disebut penciptaan kita:

ٱلرَّحمَـٰنُ (١) عَلَّمَ ٱلقُرءَانَ (٢) خَلَقَ ٱلإِنسَـٰنَ (٣)
(Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya. (1) Dialah yang telah mengajarkan Al-Quran. (2) Dialah yang telah menciptakan manusia. (3)

Di dalam Surah Rahman itu lagi pelik sebab sebut ajarkan Al-Qur’an disebut penciptaan manusia! Cuma di dalam Surah Ali Imran ini Allah ikut tertib jadikan manusia dahulu, barulah disebut tentang Al-Qur’an. Susunan di dalam Surah Rahmah Allah ubah dan kesannya adalah tasriful ayah, iaitu kepelbagaian susunan ayat Al-Qur’an. Sekejap macam ini, sekejap macam itu… barulah menarik bila kita baca.

Tapi memang ia menekankan yang kaitan manusia dengan Al-Qur’an sangat rapat. Iaitu kalau hidup di dunia tapi tidak tahu tafsir Al-Qur’an, apa yang Allah hendak dari kita, itu hidup yang sia-sia. 60 tahun hidup tapi tak tahu langsung maksud Al-Qur’an, sangatlah merugikan. Apa engkau buat selama kau hidup?! Apa hendak jawab nanti tuan-tuan? Jadi kerana itulah setelah disebut penciptaan manusia dan duduknya di dalam rahim ibu, terus disebut tentang Al-Qur’an.

Di dalam Ali Imran ini Allah sebut Dia menurunkan Al-Qur’an. Itu pun kita sudah kena ambil perhatian. Akan tetapi ia lebih kuat lagi di dalam Surah Rahman itu. Allah gunakan kalimah عَلَّمَ (Dia mengajar). Maknanya Allah turunkan Al-Qur’an ini supaya ia dipelajari maknanya. Bukannya setakat dibaca, dihafal, digantung di dinding rumah, pejabat dan kereta sahaja. Bukannya dibaca kalau ada hajat tertentu, bukannya untuk halau jin, bukannya untuk perubatan. Bukan dan bukan! Ia adalah panduan hidup manusia. Kalau dibaca tapi tidak faham, bagaimana ia boleh menjadi panduan?

 

مِنهُ ءَايَـٰتٌ مُّحكَمَـٰتٌ

Sebahagian besar daripada Al-Qur’an itu ialah ayat-ayat “Muhkamaat”

Sekarang diberikan ilmu asas tentang Al-Qur’an. Maka berikan perhatian mulai sekarang. Maaf kalau tulisan panjang berjela-jela ya.

Kalimah مُحْكَمَاتٌ adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘tetap, tegas, nyata, jelas’. Ia dari kata dasar ح ك م yang bermaksud menahan, menjalankan kuasa, memberi arahan, memberi keputusan, menghakimi, menjadi bijak. Dari kata dasar yang sama kita dapat: Hikmah yang pada mulanya bererti menghalangi. Orang yang ada hikmah akan menghalanginya daripada melakukan kesalahan dan keburukan. Jadi hikmah adalah sesuatu yang fungsinya membawa kepada yang baik dan menghindarkan daripada yang buruk. Untuk mencapai maksud tersebut diperlukan pengetahuan dan kemampuan untuk menerapkannya.

Kalimah مُحْكَم bermaksud sesuatu yang diikat atau tetap bersama sampai ia menjadi kuat. Dalam kamus-kamus klasik bahasa Arab (seperti Mu’jam Maqaayis al-Lughah oleh Ibnu Faris), kata dasar ini asalnya merujuk kepada fungsi “menghalang demi kebaikan”. Sebagai contoh ia digunakan untuk tali kekang kuda (dipanggil Ḥakamah): Fungsi besi ini adalah untuk menghalang dan mengawal kuda tersebut daripada bertindak liar atau lari bertempiaran. Bayangkan juga binaan yang kukuh (Binā’un Muḥkam). Ia merujuk kepada rumah atau dinding yang dibina dengan sangat rapi, padat, dan kuat sehingga terhalang daripada runtuh, retak, atau dirempuh oleh musuh. Seorang hakim dipanggil ‘hakim’ kerana dia menghalang perkara buruk dari berlaku.

Asal perkataan Al-Ihkam (الإحكام) bermaksud ketelitian/kesempurnaan (الإِتْقَان), manakala kata dasarnya membawa maksud: Menegah/Menahan (المَنْع). Seolah-olah Dia (Allah) telah menetapkan ayat-ayat tersebut dengan sekukuhnya, lalu menegah (menghalang) makhluk daripada sebarang cubaan mengubah suai (atau memutarbelitkan) makna di dalamnya; ini adalah kerana kejelasan serta kenyataan makna yang terkandung pada ayat-ayat tersebut.

Al-Qur’an memindahkan makna “menghalang daripada liar/rosak” dan “kekukuhan binaan” ini kepada sebahagian ayat-ayatnya. Itulah yang Allah gunakan sebagai ‘ayat-ayat Muhkamat’. Apabila Allah menyifatkan sebahagian ayat sebagai آيَاتٌ مُّحْكَمَاتٌ (Ayat-ayat yang muhkamat), ia membawa maksud ayat-ayat itu mempunyai makna yang terkunci rapi. Ayat-ayat tersebut mempunyai makna yang sangat jelas, tegas, dan “terkunci” sehingga menghalang timbulnya sebarang keraguan, kesamaran, atau cubaan memutarbelitkan maknanya. Apabila kita membayangkan muhkam sebagai terikat bersama, setiap ayat kita kena kaitkan dengan ayat-ayat yang lain, kerana ayat-ayat Al-Qur’an itu berkaitan. Ini baru boleh menghalang salah faham dari berlaku. Kadang-kadang kita ada perhatikan sesetengah orang baca satu-satu ayat Al-Qur’an dan buat tafsiran sendiri. Ini amat bahaya dan boleh menyesatkan.

Ia juga ayat-ayat yang mengandungi hukum yang muktamad. Ia adalah ayat-ayat yang memuatkan tiang agama seperti hukum syariat (halal dan haram), dasar akidah (Tauhid), dan prinsip akhlak. Maknanya sudah “sempurna dan kukuh”, tidak boleh diubah-ubah atau ikut selera nafsu manusia.

Jadi definisi Ayat-ayat Muhkamat adalah: Sesuatu yang jelas (nyata), yang tidak membawa kemungkinan makna selain daripada satu bentuk takwilan sahaja, yang mana maksud daripadanya dapat difahami secara langsung tanpa memerlukan kepada (penjelasan) perkara yang lain.

Kalau kita rujuk kepada ayat-ayat Al-Qur’an yang lain tanpa panduan pun, boleh jadi keliru. Sebagai contoh di dalam Hud:1 Allah memberitahu kita bahawa keseluruhan ayat-ayat Al-Qur’an itu adalah Muhkam.

الر ۚ كِتٰبٌ أُحكِمَت ءآيٰتُهُ ثُمَّ فُصِّلَت مِن لَّدُن حَكيمٍ خَبيرٍ
Alif, Laam, Raa’. Al-Qur’an sebuah Kitab yang tersusun ayat-ayatnya dengan tetap teguh, kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu. (Susunan dan penjelasan itu) adalah dari sisi Allah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.

Perhatikan penggunaan kalimah أُحكِمَت di dalam ayat Hud:1 itu. Jangan buat kesimpulan lagi. Kita akan belajar sebentar lagi yang bukan semua ayat Al-Qur’an itu Muhkam. Jadi apa maksud Hud:1 ini? Di dalam Surah Hud ini, Allah hendak memberitahu keseluruhan ayat-ayat Al-Qur’an itu tersusun rapi. Ia tersusun rapi dan sempurna sampaikan tidak ada ruang lompong kesalahan di dalamnya. Jadi ia memberitahu sifat Al-Qur’an di dalam bentuk yang lain. Jadi kena bezakan apakah konteks satu ayat dengan ayat yang lain. Kita tidak boleh gunakan satu istilah dan pukul rata kepada semuanya.

Majoriti ayat-ayat di dalam Al-Qur’an itu ada ayat-ayat yang jelas tentang Tauhid dan Aqidah. Oleh itu tidak ada ruang sebenarnya untuk kekeliruan dalam ayat-ayat Muhkamat. Ia adalah ayat-ayat yang kita akan mudah faham kalau kita belajar tafsir. Sebab itulah kita sentiasa tekankan kepentingan belajar tafsir Al-Qur’an supaya manusia boleh faham apakah yang hendak disampaikan.

Ayat-ayat Muhkamat itu juga mengandungi hukum untuk dijadikan panduan oleh makhluk yang dipertanggungjawabkan dengan syariat – manusia dan jin. Maka kerana itu ia kena jelas dan senang difahami. Kalau tidak, bagaimana kita hendak amalkan hukum hakam itu? Maka, ini pun kita kena belajar juga kerana kita kena taat. Kalau kita tidak belajar, bagaimana kita hendak taat?

Cuma, kita kena faham bahawa ayat Al-Qur’an akan memberikan hukum secara ringkas dan cara praktiknya akan diajar oleh Nabi ﷺ dalam hadith. Maksud hadith itu pula akan dijelaskan oleh ulama’. Maknanya, kena belajar dengan ulama’ juga, tidak boleh faham sendiri kerana kalau baca sendiri, kita tidak mungkin akan faham. Kena sedar dirilah yang kita tidak bukannya pandai sangat.

Sebagai contoh, dalam Al-Qur’an Allah ﷻ suruh kita ‘mendirikan solat’ tetapi tidak disebut bagaimanakah cara mendirikan solat itu. Maka perincian cara-cara untuk melakukan solat itu diajar oleh Nabi ﷺ melalui hadith baginda dan kita tidak dapat lihat bagaimana cara Nabi ﷺ solat, maka kita kena belajar dengan ulama’ dan guru untuk mendapatkan cara yang betul untuk mendirikan salat itu. Kalau hendak memandai pakai Al-Qur’an sahaja, jadi pelik dan sesat macam golongan Anti-Hadis dan Qur’aniyyun (Quranist) lah nanti. Itu golongan sesat lagi menyesatkan. Perasan sahaja pandai tapi bodoh.

 

هُنَّ أُمُّ ٱلكِتَـٰبِ

ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu isi Al-Qur’an.

‘Umm’ bermaksud ibu atau induk atau asas. Ayat-ayat Muhkamat itu disebut sebagai Ummul Kitab kerana ia adalah ‘asal kitab’ untuk dijadikan neraca untuk membezakan yang benar dan yang tidak. Ia adalah perdu atau pati kepada Al-Qur’an.

Kenapa Allah gunakan istilah أُمُّ? Dalam bahasa Arab, asal-usul perkataan أُمُّ (ibu) digunakan untuk merujuk kepada “asas, induk, atau tempat kembali bagi segala sesuatu.” Seorang anak, ke mana pun dia pergi atau apabila dia ditimpa kesusahan, dia akan kembali mencari ibunya sebagai pelindung dan tempat rujukan utama. Begitu juga dengan Al-Qur’an. Apabila kita membaca ayat-ayat yang samar, kiasan, atau sukar difahami (mutashabihat), kita wajib mengembalikan dan menyandarkan maksudnya kepada ayat-ayat induk (muhkamat). Ayat muhkamat adalah “ibu” yang memelihara dan membetulkan kefahaman kita supaya tidak tersasar.

Penggunaan kata أُمُّ juga memberi isyarat bahawa ayat-ayat yang jelas dan nyata dari segi hukum, syariat, dan akidah ini merupakan bahagian terbesar (majoriti) di dalam Al-Qur’an. Teras utama Al-Qur’an dibina atas ayat-ayat yang mudah difahami oleh semua manusia tanpa perbalahan (seperti perintah solat, berbuat baik, larangan membunuh, dan keesaan Allah). Jangan hendak fokus kepada ayat yang mutashabihat sahaja. Nanti kita akan jelaskan kenapa ia bahaya.

Balaghah: Kenapa Allah sebut أُمُّ (Tunggal/Singular) sedangkan ayat-ayatnya banyak (هُنَّ – Jamak)? Ini adalah satu lagi kehalusan mukjizat bahasa Al-Qur’an. Allah menggunakan perkataan هُنَّ (mereka – merujuk kepada ayat-ayat muhkamat yang banyak), tetapi Allah tidak sebut أُمَّهَاتُ الْكِتَابِ (ibu-ibu kitab), sebaliknya Allah sebut أُمُّ ٱلكِتَـٰبِ (ibu kitab – dalam bentuk tunggal).

Jawab: Para ulama nahu dan tafsir menyatakan hikmahnya ialah: Walaupun ayat-ayat muhkamat itu jumlahnya sangat banyak dan menyentuh pelbagai topik (ada bab solat, puasa, pusaka, kisah para Nabi), kesemua ayat tersebut sebenarnya berpaksikan kepada satu dasar yang sama, teguh, konsisten, dan tidak bercanggah antara satu sama lain. Mereka bersatu di bawah satu “ibu” yang sama, iaitu kebenaran yang mutlak.

Oleh itu, ayat-ayat Muhkamat ini kita kena tahu, kena faham dan kena ikut. Janganlah lagi jadi orang yang jahil, tidak tahu apa yang disampaikan oleh Al-Qur’an ini. Janganlah hanya belajar agama tanpa belajar tafsir dahulu. Jangan main tebuk-tebuk ayat-ayat tertentu sahaja tapi lihatlah kepada ayat-ayat yang lain juga. Kena belajar keseluruhan 30 juzuk Al-Qur’an supaya dapat pemahaman yang penuh. Kalau main tebuk satu-satu ayat, boleh ke laut jadinya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya

Kemaskini: 17 Jun 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Dorar.net

Tafsir Surah Ali Imran Ayat 5 – 6 (Keagungan Ilmu dan Kekuasaan Allah)

TENTANG ALLAH

Ali Imran Ayat 5: Ini adalah penyempurnaan kepada dalil yang telah disampaikan sebelum ini. Dalil-dalil ini diberi untuk menguatkan hujah bahawa Allah ﷻ itulah sahaja ilah. Sekarang disebut tentang Tauhid Ilmu. Ilmu hanya ada pada Allah sahaja.

إِنَّ اللَّهَ لا يَخفىٰ عَلَيهِ شَيءٌ فِي الأَرضِ وَلا فِي السَّماءِ

SAHIH INTERNATIONAL
Indeed, from Allah nothing is hidden in the earth nor in the heaven.

MALAY
Sesungguhnya Allah tidak tersembunyi kepada-Nya sesuatu pun yang ada di bumi dan juga yang ada di langit.

 

 

إِنَّ اللَّهَ لا يَخفىٰ عَلَيهِ شَيءٌ

Sesungguhnya Allah tidak tersembunyi kepada-Nya sesuatu pun

Hanya pada Allah ﷻ  sahaja yang tidak tersembunyi segala perkara kepada-Nya. Apabila digunakan kalimah شَيءٌ dalam bentuk nakirah (umum) di sini, maknanya semua Allah tahu: kecil, besar, zahir, tersembunyi, semua Allah tahu kerana tidak ada tersembunyi dari Allah. Mana mungkin ia tersembunyi, sedangkan Allah sebut di dalam Ayat 2 yang Dialah القَيّومُ yang mengurus alam ini.

Dari segi akidah, ayat ini terdapat bantahan (sanggahan) ke atas golongan ekstrem Qadariyyah yang mendakwa bahawa Allah tidak mengetahui perbuatan hamba melainkan selepas perbuatan tersebut berlaku (wujud). Lepas makhluk melakukan sesuatu, baru Allah tahu. Mereka adalah sebuah aliran sesat yang diasaskan oleh tokoh seperti Ma’bad al-Juhani dan Ghailan ad-Dimashqi. Berbeza dengan Ahli Sunnah wal Jamaah, mereka memegang prinsip ekstrem bahawa manusia mempunyai kuasa mutlak menentukan takdir sendiri sehinggakan ilmu Allah tidak mendahului perbuatan manusia. Pemimpin agung mereka pernah mengungkap frasa: “Perkara ini berlaku secara tiba-tiba (tanpa ketetapan awal/ilmu awal Allah).

Perkataan شَيْءٌ (sesuatu pun) di dalam kaedah bahasa Arab membawa makna umum. Ia merangkumi:

    • Perkara yang sudah berlaku (masa lalu).
    • Perkara yang sedang berlaku (masa kini).
    • Perkara yang akan berlaku (masa hadapan), termasuklah setiap pilihan dan perbuatan yang bakal dilakukan oleh manusia sebelum mereka diciptakan lagi.

Dengan menggunakan kalimah شَيءٌ itu, ia sebagai dalil bahawa ilmu Allah merangkumi setiap perkara secara makro mahupun secara mikro. Ini kerana kalimah شَيءٌ adalah di dalam bentuk kata nama umum (nakirah). Bila penafian itu guna kata nama umum (nakirah), maknanya ia bermaksud semua sekali, tanpa pengecualian.

Apabila Allah menggunakan kalimat لا يَخفىٰ (tidak tersembunyi), tujuan di sebaliknya adalah untuk menjelaskan tentang kesempurnaan ilmu Allah. Ini kerana sifat-sifat yang dinafikan (daripada Allah di dalam Al-Qur’an) bukanlah bertujuan untuk penafian semata-mata, melainkan bertujuan untuk menetapkan kesempurnaan sifat lawan bagi perkara yang dinafikan tersebut. Apabila Allah menafikan sifat “ada yang tersembunyi” daripada-Nya, lawan bagi tersembunyi/jahil adalah Maha Mengetahui (Al-‘Alim). Maka, penafian tersebut membawa mesej: Ilmu Allah itu tersangat sempurna, meliputi, dan maha terperinci sehinggakan mustahil ada satu zarah pun yang terlepas daripada pengetahuan-Nya.

Bandingkan pula dengan Nabi Isa dan ibunya Maryam. Nabi Isa عليه السلام dan Maryam itu banyak benda mereka tidak tahu, maka mereka bukanlah ilah yang boleh disembah. Malah di dalam kitab wahyu mereka sendiri ada disebut yang Nabi Isa ada benda yang baginda tidak tahu. Jadi memang tidak patut dan buang masa kalau sembah makhluk. Maka ia adalah tempelak kepada golongan Kristian: Yang kau pergi sembah Nabi Isa dan puja Maryam itu buat apa?

Pengajaran bagi kita yang penting adalah jangan buat dosa. Kalau kita boleh sematkan ayat ini dalam otak dan hati kita, kita tidak akan berani hendak buat dosa kerana kita tahu apa sahaja dosa yang kita buat, Allah tahu. Dan nanti Allah akan bentang balik kepada kita dan akan azab kita dengannya (kalau Dia tidak ampunkan). Kalau kita bayangkan Allah bentang balik pun kita sudah segan sangat rasanya. Ramai umat Islam tahu ayat ini, akan tetapi mereka lupa selalu kesannya kepada kita. Kita buat dosa macamlah Allah tahu, bukan?

Yang kita paling takut adalah tidak tersembunyi apa yang di dalam hati kita. Niat kita dan segalanya akan dikeluarkan nanti. Allah berfirman di dalam Tariq:8-10 

إِنَّهُ ۥ عَلَىٰ رَجعِهِۦ لَقَادِرٌ (٨) يَومَ تُبلَى ٱلسَّرَآٮِٕرُ (٩) فَمَا لَهُ ۥ مِن قُوَّةٍ وَلَا نَاصِرٍ (١٠)
Sesungguhnya Allah Maha Kuasa untuk mengembalikannya (hidup semula sesudah mati), (8) Pada hari didedahkan segala yang terpendam di hati (dari iktiqad, niat dan lain-lainnya), (9) Maka (pada saat itu) tidak ada bagi manusia sebarang kekuatan (untuk membela diri) dan tidak ada penolong (yang dapat memberikan pertolongan). (10)

 

فِي الأَرضِ وَلا فِي السَّماءِ

yang ada di bumi dan juga yang ada di langit.

Allah ﷻ Maha Tahu apa yang terjadi di bumi dan juga di langit. Setiap daun yang jatuh dan setiap butir pasir di pantai, Allah tahu. Entah berapa banyak planet dan bintang di langit pun Allah tahu. Manusia langsung tidak tahu apa yang terjadi di bumi, apatah lagi di langit. Pengembaraan manusia ke langit itu hanya pada peringkat langit pertama sahaja dan itu pun hanya sedikit sahaja yang kita tahu.

Kenapa Allah sebut langit dan bumi? Allah menyebut bumi dan langit secara khusus dalam ayat ini adalah kerana kedua-duanya dapat disaksikan oleh kita secara nyata. Manakala perkara-perkara selain daripada itu, kita tidak dapat mengetahuinya melainkan melalui jalan ghaib (khabar wahyu). Kerana itu banyak ayat Allah suruh kita tengok langit dan bumi.

Balaghah: Kenapa Allah sebut bumi sebelum sebut langit? Dari segi Taqdim wa Ta’khir, Allah memulakan penyebutan dengan perkataan ‘bumi’ adalah bagi membolehkan berlakunya peningkatan (beransur-ansur) menuju ke arah perkara yang lebih jauh skop hukumnya. Hal ini kerana banyak perkara di bumi yang diketahui oleh kebanyakan manusia. Sebaliknya, bagi perkara-perkara di langit pula, tiada seorang pun yang mengetahui walau sebahagian daripadanya, apatah lagi untuk mengetahui kesemuanya secara menyeluruh.

Tapi persoalannya sekarang, kenapa tiba-tiba Allah sebut hal ini? Kita pun tahu Allah memang mengetahui segala-galanya. Ayat ini seolah-olah macam ayat jenis Makkiyah, iaitu menceritakan tentang Allah dan SifatNya. Kita kena kaitkan dengan ayat-ayat sebelum ini. Ayat sebelum ini tentang kitab wahyu, bukan? Jadi Allah hendak menegur golongan Ahli Kitab yang menyembunyikan kebenaran tentang Al-Qur’an dan kitab mereka.

Mereka sebenarnya tahu apa yang ada di dalam kitab mereka. Mereka mahir akan kandungannya dan kerana itu mereka sorok kandungannya dari penganut mereka. Kita kena ingat bahawa Taurat dan Injil tidak sama dengan Al-Qur’an. Kalau Al-Qur’an semua boleh pegang. Tapi pada zaman itu, ahli agama Yahudi dan Kristian tidak membenarkan sesiapa sahaja pegang Taurat dan Injil. Ia disorok dari penganut biasa.

Tindakan sebahagian ahli agama Yahudi dan Kristian (Nasrani) yang menyembunyikan, memonopoli, atau melarang penganut awam daripada mengetahui kandungan sebenar Kitab Taurat dan Injil adalah satu fakta yang direkodkan dengan sangat jelas, baik di dalam Al-Qur’an mahupun di dalam sejarah dunia (sejarah gereja dan rabi).

Al-Qur’an mendedahkan perangai sebahagian ulama Yahudi (Rabi) dan pendeta Kristian (Rahib) yang sengaja menyembunyikan kebenaran demi menjaga kepentingan peribadi, kuasa, dan status sosial mereka. Contohnya seperti disebut di dalam Baqarah:146

الَّذينَ ءَاتَينَـٰهُمُ ٱلكِتَـٰبَ يَعرِفونَهُ كَما يَعرِفونَ أَبناءَهُم ۖ وَإِنَّ فَريقًا مِّنهُم لَيَكتُمونَ الحَقَّ وَهُم يَعلَمونَ
Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian).

Kemudian di dalam An’am:91, Allah menempelak sikap orang Yahudi yang hanya menunjukkan sebahagian isi Taurat dan menyembunyikan sebahagian besar yang lain:

تَجعَلونَهُ قَراطيسَ تُبدونَها وَتُخفونَ كَثيرًا
Kamu jadikan kitab itu lembaran-lembaran kertas (yang bercerai-berai), kamu perlihatkan (sebahagiannya) dan kamu sembunyikan sebahagian besarnya

Mereka mengehadkan bacaan dan tafsiran kitab suci hanya kepada kelompok elit agama mereka sahaja. Penganut awam dilarang mempersoalkan teks dan hanya disuapkan dengan fatwa atau dakyah yang telah diubah suai untuk mengekalkan kepatuhan buta penganut kepada institusi keagamaan.

Dalam sejarah teologi Kristian, sekatan terhadap orang awam untuk membaca dan memahami Kitab Injil (Bible) secara langsung amat ketara berlaku pada Zaman Pertengahan (Medieval) di bawah dominasi Gereja Roman Katolik. Gereja pada waktu itu menetapkan bahawa Bible hanya boleh ditulis dan dibaca dalam bahasa Latin (Vulgate). Memandangkan majoriti rakyat marhaen di Eropah (seperti di England, Jerman, dan Perancis) tidak faham bahasa Latin, mereka terpaksa bergantung 100% kepada apa sahaja yang dicakapkan oleh paderi.

Pada Sinod Toulouse (tahun 1229), pihak gereja secara rasmi mengeluarkan dekri yang melarang orang awam (orang biasa yang bukan paderi) daripada memiliki naskhah Kitab Perjanjian Lama atau Baru dalam bahasa ibunda mereka. Sesiapa yang didapati memilikinya boleh dituduh sebagai sesat (heretic). Tokoh-tokoh awal yang cuba menterjemah Bible ke bahasa yang difahami rakyat agar mereka tidak ditipu oleh gereja telah ditangkap dan dihukum bunuh. Contoh paling terkenal: John Wycliffe (Abad ke-14): Beliau menterjemah Bible ke bahasa Inggeris. Selepas beliau meninggal dunia, gereja sangat marah sehingga menggali semula kuburnya, membakar tulangnya, dan mencampakkan abunya ke sungai.

William Tyndale (Tahun 1536) dibakar hidup-hidup di tiang pancang kerana kesalahan menterjemah Bible ke bahasa Inggeris agar rakyat biasa (bahkan budak pembajak sawah) boleh memahami isi kandungan kitab tersebut.

Dalam tradisi Yahudi, taktik yang digunakan sedikit berbeza tetapi membawa matlamat yang sama, iaitu mengawal minda masyarakat. Selain Taurat bertulis, rabi-rabi Yahudi memperkenalkan konsep Oral Torah (yang kemudiannya dibukukan sebagai Talmud). Mereka mendakwa bahawa Taurat bertulis tidak boleh difahami oleh orang awam tanpa tafsiran lisan daripada para rabi. Ini meletakkan kuasa mutlak menentukan halal dan haram di tangan rabi, seolah-olah kata-kata rabi lebih tinggi daripada teks kitab suci itu sendiri. Ilmu-ilmu kitab suci yang mendalam (terutamanya hal-hal berkaitan teologi dan ramalan masa depan, termasuk ciri-ciri kedatangan Nabi akhir zaman) dikhaskan hanya untuk penuntut teologi kanan. Rakyat biasa dididik untuk hanya mengikut ritual luaran tanpa memahami intipati teks asal.

Mengapa Mereka Melakukan Demikian? (Sebab Utama)

Ketakutan Hilang Kuasa dan Pengaruh: Jika orang awam tahu kandungan sebenar, orang awam akan sedar banyak doktrin yang diajar oleh ahli agama adalah rekaan semata-mata, bukan datang daripada Allah.

Kepentingan Kewangan: Di dalam Al-Qur’an disebutkan bahawa para rahib dan rabi memakan harta manusia dengan cara yang batil (Tawbah:34). Monopoli kitab suci membolehkan mereka menjual “surat pengampunan dosa” (indulgences) atau mengutip cukai agama sesuka hati.

Menyembunyikan Kebenaran Islam: Kandungan asal Taurat dan Injil mengandungi nubuat (ramalan/isyarat) yang sangat jelas mengenai kedatangan Nabi Muhammad. Jika penganut mereka membaca teks tersebut dengan jujur, mereka akan beramai-ramai memeluk Islam, yang mana ini bermakna tamatnya empayar kuasa para pendeta tersebut.

Perhatikan bagaimana susahnya para paderi dan rabi menahan penganut agama mereka dari dapat pegang kitab mereka. Tapi kalau mereka jumpa ahli agama kita, mesti mereka minta autograph kerana kagum. Kerana ahli agama kita tak perlu sorok Al-Qur’an pun boleh halang umat dari tahu maksud Al-Qur’an! Semua umat Islam boleh dikatakan ada naskah Al-Qur’an di dalam rumah, dalam phone dan di mana-mana. Akan tetapi mereka tidak faham apa kandungannya. Mereka hanya berpegang dengan kata-kata ustaz dan ahli agama sahaja. Ada ustaz yang teruk sampai halang anak murid dan orang awam dari belajar tafsir Al-Qur’an. Mereka boleh bagi hujah bodoh: kalau belajar tafsir Al-Qur’an boleh jadi sesat! Semoga Allah memburukkan dan mendedahkan kesesatan golongan ustaz sebegitu. Kerana mereka telah menghalang umat manusia dari kenal wahyu, sama seperti paderi dan rabi zaman dahulu kala!

Jadi para pemuka agama Yahudi dan Nasrani itu banyak yang mereka sorok dan sembunyikan dari pengikut mereka. Sampai banyak hal yang tidak diketahui, hilang entah di mana. Banyak kisah-kisah itu dikeluarkan semula oleh Allah di dalam Al-Qur’an.

Terdapat dorongan (galakan) buat manusia agar mendidik dirinya untuk mematuhi apa sahaja yang diperintahkan oleh Allah dan menjauhi apa sahaja yang dilarang-Nya. Serta (mendidik jiwa) agar menyakini dengan pasti bahawa segala amal perbuatannya tidak akan tersembunyi daripada Allah, bahkan ia sentiasa berada dalam pengetahuan-Nya. Maka hendaklah kita beramal dengan sebanyak-banyaknya dan cubalah untuk meninggalkan dosa. Kerana segala-galanya di dalam pemerhatian Allah.


ِ

Ali Imran Ayat 6: Setelah Allah menyebut tentang ilmu-Nya yang merangkumi segala maklumat (perkara), sama ada yang nyata mahupun yang tersembunyi, yang zahir mahupun yang batin; maka Dia menyebutkan pula janin-janin di dalam perut sebagai sebahagian daripada perkara tersebut. Iaitu alam janin yang tidak dapat dikesan oleh pandangan makhluk dan tidak dapat dicapai oleh ilmu pengetahuan mereka. Allah menguruskan hal dalam janin dengan sehalus-halus pengurusan, serta menetapkan takdirnya dengan terperinci.

هُوَ الَّذي يُصَوِّرُكُم فِي الأَرحامِ كَيفَ يَشاءُ ۚ لآ إِلٰهَ إِلّا هُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

SAHIH INTERNATIONAL
It is He who forms you in the wombs however He wills. There is no deity except Him, the Exalted in Might, the Wise.

MALAY
Dia lah yang membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu kamu) sebagaimana yang dikehendakiNya. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

 

هُوَ الَّذي يُصَوِّرُكُم فِي الأَرحامِ كَيفَ يَشاءُ

Dia lah yang membentuk rupa kamu dalam rahim sebagaimana yang dikehendaki-Nya.

Terdapat Balaghah Iltifat di sini. Sebelum ini ayat menyebut Allah dalam pihak ketiga, tiba-tiba khitab bertukar kepada pembaca Al-Qur’an (يُصَوِّرُكُم). Maka ia memberi kesan kerapatan dengan apa yang hendak disampaikan.

Sebelum ini disebut langit dan bumi tidak tersembunyi kepada Allah (فِي الأَرضِ وَلا فِي السَّماءِ) dan sekarang disebut dalam rahim pula (فِي الأَرحامِ) pula. Kalimah الأَرحامِ jamak bagi Rahim (رحِم). Asal usul perkataan ini (dari sudut bahasa) adalah berakar umbi daripada makna kelembutan, kasih sayang, dan belas kasihan. Rahim wanita dinamakan sedemikian kerana daripadanyalah lahirnya sesuatu yang dikasihi, disayangi, dan dikasihani, iaitu anak.

Yang di dalam perut pun tidak tersembunyi bagi Allah. Allah yang menentukan apa yang terjadi dalam rahim itu. Allah ﷻ sahaja yang boleh memberikan rupa paras dan menentukan bagaimana bentuk manusia, bukan Nabi Isa عليه السلام dan Maryam. Mana mungkin sedangkan mereka pun dicipta juga dan pernah duduk dalam rahim ibu mereka. Lihatlah bagaimana semua dalil-dalil yang diberikan boleh dibandingkan kepada Nabi Isa dan Maryam kerana hendak membezakan Allah ﷻ dengan Nabi Isa عليه السلام dan Maryam yang bukan Tuhan. Kita kena ingat yang ayat-ayat ini turun untuk Nasara yang datang dari Najran.

Kenapa Allah sebut tentang perkara dalam perut pula? Allah mengkhususkan penyebutan perihal ‘pembentukan rupa paras manusia’ di antara sekian banyak urusan pentadbiran-Nya adalah kerana ia merupakan antara manifestasi kekuasaan (qudrah) yang paling menakjubkan, dan juga kerana di dalamnya terkandung sindiran halus bagi membantah iktikad kaum Nasrani yang mempercayai ketuhanan Nabi ‘Isa.

Ayat ini menyentuh kekeliruan penganut Kristian tentang Maryam dan Nabi Isa. Kepada mereka, kelahiran Nabi Isa tanpa bapa itu menjadi hujah yang Nabi Isa adalah Tuhan (satu dari tiga). Akan tetapi di sini Allah beritahu yang Dia yang menjadikan dan membentuk manusia di dalam rahim. Maryam dan Nabi Isa tidak ada bahagian di dalam penentuan ini. Jadi penciptaan Nabi Isa itu adalah dalil bukti kuasa Allah, bukannya kuasa Nabi Isa! Kalau Allah boleh cipta manusia dengan ibu dan bapa, Allah jugalah yang mencipta manusia tanpa bapa. Kuasa Allah tidak ada hadnya.

Oleh itu, ini juga satu lagi Balaghah di dalam ayat ini. Ayat 6 ini sebenarnya adalah jenis Jumlah Mu’taridah. Dalam ilmu nahu Arab dan ilmu Balaghah, Jumlah Mu’taridah adalah sepotong ayat suplemen atau sisipan yang diletakkan di antara dua ayat (atau dua frasa) yang sepatutnya bersambung dari sudut topik utama. Tujuannya bukanlah sekadar “saja-saja penyeri”, tetapi untuk memberikan hujah sokongan, penegasan emosi (taukid), atau membersihkan Allah daripada sebarang syubhat sebelum pendengar sempat membuat kesimpulan yang salah.

Untuk melihat di mana berlakunya sisipan (i’tirad) ini, mari kita susun ayat 5 hingga 7 secara berturutan:

Ayat 5 (Dasar): “Sesungguhnya bagi Allah tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi di bumi dan tidak juga di langit.” (Menegaskan ilmu Allah yang maha luas meliputi segalanya).

Ayat 6 (Sisipan / Mu’taridah): “Dialah yang membentuk kamu dalam rahim sebagaimana yang Dikehendaki-Nya. Tiada Tuhan melainkan Dia, Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Ayat 7 (Sambungan Asal Ayat 5): “Dialah yang menurunkan kepadamu Al-Kitab (Al-Quran)…”

Jika kita buang ayat 6 seketika (secara struktur nahu), kita akan dapati ayat 5 dan ayat 7 sebenarnya bersambung secara langsung dari sudut subjek utama (Mubtada’ dan Khabar / Sifat Allah): “Sesungguhnya bagi Allah tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi… (Ayat 5) … [iaitu Tuhan] Yang telah menurunkan kepadamu Al-Kitab (Al-Quran) (Ayat 7).” Maka, kemasukan ayat 6 di tengah-tengah rentetan ini dinamakan sebagai i’tirad (sisipan).

Kenapa Allah sisipkan ayat ini sebagai i’tirad?

1. Untuk mendebat rombongan Kristian Najran yang mendewakan Nabi Isa AS kerana baginda lahir tanpa bapa dan boleh menghidupkan orang mati.
2. Sebagai pembukaan kepada Ayat 7 nanti. Di dalam rahim (Ayat 6), Allah membentuk manusia dengan pelbagai rupa, ada yang sempurna, ada yang cacat, ada lelaki, ada perempuan. Manusia tidak boleh protes rahim tersebut. Begitu juga di dalam Al-Quran (Ayat 7), Allah membentuk ayat-ayat-Nya dengan pelbagai struktur; ada yang jelas (muhkam) dan ada yang samar (mutashabih). Ia adalah ketetapan Allah dan kita tidak boleh mempersoalkan.
3. Sebagaimana Allah memberi roh kepada janin di dalam perut ibu, Allah juga adalah memberi roh wahyu kepada kita. Kita amat memerlukan roh untuk hidup di dunia, tapi kena ingat yang kita juga memerlukan roh untuk hidup di dunia yang membawa kepada kebaikan di akhirat.
4. Sebagaimana apa yang berlaku di dalam rahim itu tersembunyi dari ibunya sendiri, begitu jugalah dengan ayat-ayat Mutashabihat. Kita tidak tahu maksudnya dengan lengkap.

Allah ﷻ sahaja yang menentukan bagaimana rupa kita, tinggi rendah dan sebagainya, semuanya dalam ketentuan Allah ﷻ. Allah kata كَيفَ يَشاءُ (sebagaimana yang dikehendaki-Nya) sebagai penekanan. Maka jangan kita teringin hendak dapat rupa macam orang lain. Jangan kita marah kalau rupa kita tidak cantik atau sebagainya kerana yang menentukannya adalah Allah ﷻ. Kalau kita tidak suka dengan rupa kita, maknanya kita marah kepada Allah ﷻ yang telah menjadikannya begitu.

Ini juga sepatutnya menolak fahaman rasis. Kita bukan pilih lahir di negara mana, bangsa apa, keluarga yang kaya atau miskin. Semua itu Allah yang pilih, bukan kita yang pilih. Maka kita hormati orang lain yang ditakdirkan di dalam bangsa mereka. Bukan sahaja bangsa tidak ditentukan, pandai atau tidak pun Allah yang tentukan. Ada yang lahir-lahir tapi ada masalah bercakap, kemudian ada masalah menulis, kemudian ada yang susah untuk faham pelajaran di dalam kelas. Ini pun kita kena sedar ia adalah pemberian dari Allah. Kalau kita rasa kita pandai, bijak dan cepat tangkap pelajaran yang guru berikan, itu adalah kurnia dari Allah. Dan ada yang tidak diberikan dengan kurniaan itu. Maka kalau kita ada kelebihan, maka hendaklah kita bersyukur di atas nikmat pemberian Allah itu.

Entah berapa banyak manusia yang telah dilahirkan daripada Nabi Adam عليه السلام sampailah nanti ke hari Kiamat. Tidak ada seorang pun yang sama rupa paras dan keadaan mereka. Padahal dari air mani yang sama sahaja. Begitulah hebatnya kuasa Allah. Allah ﷻ telah beritahu dalam ayat yang lain, cap jari setiap manusia itu pun berbeza juga. Semua ini terjadi kerana Allah ﷻ itu Maha Berkuasa dan Dia mampu untuk menjadikan manusia itu berlainan semenjak di dalam janin lagi. Sepatutnya ia meningkatkan iman kita. Apabila kita tengok orang yang berlainan jenis ini, kita patut teringat kepada kehebatan Allah. Bukannya kita tengok cantiknya dia, tapi sepatutnya kita fikir: hebatnya Allah!

Allah beritahu proses pertumbuhan janin di dalam perut itu di dalam Hajj:5

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِن كُنتُم فِى رَيبٍ مِّنَ ٱلبَعثِ فَإِنَّا خَلَقنَـٰكُم مِّن تُرَابٍ ثُمَّ مِن نُّطفَةٍ ثُمَّ مِن عَلَقَةٍ ثُمَّ مِن مُّضغَةٍ مُّخَلَّقَةٍ وَغَيرِ مُخَلَّقَةٍ لِّنُبَيِّنَ لَكُمۡ‌ۚ وَنُقِرُّ فِى ٱلأَرحَامِ مَا نَشَآءُ إِلَىٰٓ أَجَلٍ مُّسَمًّى ثُمَّ نُخرِجُكُم طِفلاً
Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami) dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak;

Allah boleh beritahu proses kejadian itu satu persatu kerana Dia yang buat. Manusia pada zaman ayat ini diturunkan, langsung tidak tahu hal ini. Dan kemudian Allah berfirman di dalam Mukminoon:12-14

وَلَقَد خَلَقنَا ٱلإِنسَـٰنَ مِن سُلَـٰلَةٍ مِّن طِينٍ (١٢) ثُمَّ جَعَلنَـٰهُ نُطفَةً فِى قَرَارٍ مَّكِينٍ (١٣) ثُمَّ خَلَقنَا ٱلنُّطفَةَ عَلَقَةً فَخَلَقنَا ٱلعَلَقَةَ مُضغَةً فَخَلَقنَا ٱلمُضغَةَ عِظَـٰمًا فَكَسَونَا ٱلعِظَـٰمَ لَحمًا ثُمَّ أَنشَأنَـٰهُ خَلقًا ءَاخَرَ‌ۚ فَتَبَارَكَ ٱللَّهُ أَحسَنُ ٱلخَـٰلِقِينَ (١٤)
Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah. (12) Kemudian Kami jadikan “pati” itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh. (13) Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk ia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta. (14)

Dan Rasulullah telah bersabda memberi maklumat tambahan lagi kepada kita tentang kejadian di dalam perut ibu itu. Ini adalah Hadis #4 di dalam Hadith Arbain Nawawiyah.

إنَّ أحدَكُم يُجمَعُ خَلقُه في بَطنِ أمِّهِ أربعينَ يومًا، ثمَّ يَكونُ في ذلك عَلقةً مثلَ ذلِكَ، ثمَّ يَكونُ مُضغةً مثلَ ذلِكَ، ثمَّ يُرسَلُ الملَكُ فيَنفخُ فيهِ الرُّوحَ ويُؤمرُ بأربعٍ، كلِماتٍ: بكَتبِ رزقِه وأجلِه وعملِه وشقيٌّ أو سعيدٌ
“Sesungguhnya setiap seorang daripada kamu dikumpulkan penciptaannya di dalam perut ibunya selama empat puluh hari (sebagai nutfah/air mani), kemudian dia menjadi ‘alaqah (segumpal darah) dalam tempoh yang sama (empat puluh hari), kemudian dia menjadi mudghah (segumpal daging) dalam tempoh yang sama (empat puluh hari). Kemudian diutus kepadanya seorang malaikat lalu ditiupkan roh ke dalamnya, dan malaikat itu diperintahkan dengan empat ketetapan (kalimah): Iaitu menulis tentang rezekinya, ajal mautnya, amalannya, dan sama ada dia seorang yang celaka (ahli neraka) atau bahagia (ahli syurga).”

(Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 3208 & Muslim, no. 2643)

Maka di sini juga terdapat bantahan ke atas golongan Ateis yang menjadikan alam semula jadi (faktor biologi semata-mata) sebagai agen pencipta yang bertindak sendiri secara mutlak. Mereka percaya bahawa pembentukan manusia di dalam rahim berlaku semata-mata kerana hukum alam, tindak balas kimia, genetik, dan faktor biologi yang berasaskan jirim tanpa ada campur tangan Pencipta. Mereka menganggap alam atau proses biologi itu mempunyai kuasa penuh (independent) untuk menentukan bentuk, rupa, dan jantina janin secara automatik berdasarkan rantaian DNA dan evolusi sel semata-mata. Apabila Allah kata: كَيْفَ يَشَاءُ (Sebagaimana yang dikehendaki-Nya), Allah menegaskan aspek Masyi’ah (Kehendak/Iradat Allah).

  • Sains, genetik, dan hukum biologi hanyalah asbab (alat/perantara) yang diciptakan oleh Allah.
  • Agen penggerak dan penentu mutlak yang membentuk wajah, memilih jantina, dan menyusun struktur genetik manusia di dalam rahim bukanlah “alam” yang buta dan tidak berakal, melainkan Allah Yang Maha Berkehendak lagi Maha Bijaksana.

Maka di sini kita boleh faham kenapa tiba-tiba disebut tentang hal dalam perut pula? Tidak lama lagi kita akan bertemu kisah Nabi Isa dan bagaimana baginda dilahirkan tanpa bapa. Maka sekarang Allah mula dengan sebut janin di dalam perut ibunya itu ditentukan oleh Allah rupanya dan segala sesuatu yang terkait dengannya. Allah yang berkuasa menentukan segala itu. Dan kalau Allah hendak lahirkan Nabi Isa dengan cara yang lain, Allah boleh sahaja lakukan.

Maka ayat ini (Ali ‘Imran:6) menjadi dalil bahawa Nabi Isa bin Maryam merupakan seorang hamba yang diciptakan, sama seperti mana Allah menciptakan sekalian manusia yang lain. Hal ini kerana Allah Taala telah membentuk rupa parasnya di dalam rahim dan menciptakannya mengikut apa-apa jua keadaan yang dikehendaki-Nya. Ini seperti Allah di dalam Zumar:6

يَخلُقُكُم في بُطونِ أُمَّهٰتِكُم خَلقًا مِّن بَعدِ خَلقٍ في ظُلُمٰتٍ ثَلٰثٍ ۚ ذٰلِكُمُ اللهُ رَبُّكُم لَهُ المُلكُ ۖ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ ۖ فَأَنّىٰ تُصرَفونَ
Dia menciptakan kamu dalam kandungan ibu kamu (berperingkat-peringkat) dari satu kejadian ke satu kejadian. Dalam tiga kegelapan. Yang demikian ialah Allah Tuhan kamu; bagiNyalah kekuasaan yang mutlak; tiada Tuhan melainkan Dia; oleh itu bagaimana kamu dapat dipesongkan?

Di dalam Ayat 2, Allah berfirman yang Dia الحَيُّ القَيّومُ. Dia yang Maha Hidup dan Dia yang memberi kehidupan. Allah bukan sahaja memberi kehidupan tapi Dia juga menentukan bagaimana rupa kehidupan itu.

Di dalam ayat sebelum ini Allah beritahu yang Dia tahu segala-galanya di langit di bumi dan tidak ada tersembunyi dariNya. Ayat ini pula merendahkan lagi diri kita di hadapan Allah. Kita tidak tahu rupa kita sendiri ketika kita di dalam janin ibu kita. Diri kita sendiri pun kita tidak tahu!

Apatah lagi tentang kitab-kitab wahyu, Taurat, Injil dan Al-Qur’an. Semua itu di dalam perancangan Allah. Kita tidak tahu apakah hikmah Allah menjadikan Taurat dan kemudian biarkan ia diubah-ubah. Kemudian Allah jadikan pula Injil untuk membenarkan kandungan Taurat, dan ia juga diubah! Bukannya Allah tidak tahu ia akan diubah. Kalau Allah mahu mempertahankan Taurat dan Injil tidak diubah, boleh sahaja Allah lakukan, bukan? Tapi bukan begitu di dalam perancangan Allah. Allah mahu turunkan Al-Qur’an yang lengkap ini sebagai pengganti bagi dua kitab itu untuk menjadi panduan hidup manusia sehingga ke Kiamat. Mungkin ada di antara manusia berfikir, kenapa Allah tak buat begitu dan begini? Tapi Allah perli kita, apa yang kamu tahu? Ketika kamu dijadikan pun kamu tidak tahu, ibu kamu dan bapa kamu dan doktor pun tidak tahu apa nanti akan keluar dari perut itu!

Ketika surah ini diturunkan di Madinah, ketika itu umat Islam sudah berinteraksi dengan Yahudi dan Kristian di Madinah. Mereka mempersoalkan kenapa Taurat dan Injil perlu dimansukhkan. Yang Kristian pula mempertahankan status ketuhanan Nabi Isa. Maka ayat ini menjadi permulaan kepada hujah-hujah yang akan diberikan nanti. Kenapa mereka perlu marah kalau kitab mereka diganti dengan Al-Qur’an? Kerana kandungan Al-Qur’an itu bukankah membenarkan kandungan kitab-kitab mereka?

 

لآ إِلٰهَ إِلّا هُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

Tiada ilah melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Allah ﷻ ulang sekali lagi Dakwa Surah di dalam Ayat 2 iaitu hanya Dia sahaja ilah. Oleh kerana Dia juga yang membentuk rupa kamu di dalam rahim ibu kamu, maka sembahlah Dia sahaja, berdoalah kepada Dia sahaja. Begini punya hebat, kenapa kita hendak engkar dengan Allah? Kenapa hendak sembah selain Dia? Kenapa hendak minta kepada selain Dia? Kenapa hendak istighasah kepada Nabi, wali dan malaikat lagi? Adakah Nabi, wali dan malaikat itu membentuk rupa kamu di dalam rahim? Allah berfirman di dalam Infithar:6-9 di mana Allah sebut sifat Dia lagi yang menjadikan rupa kita. Allah sudah beri rupa kita, tapi sanggup kita derhaka dengan Dia?

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلإِنسَـٰنُ مَا غَرَّكَ بِرَبِّكَ ٱلڪَرِيمِ (٦) ٱلَّذِى خَلَقَكَ فَسَوَّٮٰكَ فَعَدَلَكَ (٧) فِىٓ أَىِّ صُورَةٍ مَّا شَآءَ رَكَّبَكَ (٨) كَلَّا بَل تُكَذِّبُونَ بِٱلدِّينِ (٩)
Wahai manusia! Apakah yang memperdayakanmu (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu Yang Maha Pemurah? (6) Tuhan yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan yang kerananya anggota itu diadakan), serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama padan dengan kekuatannya. (7) Dalam bentuk dan rupa apa sahaja yang dikehendakiNya, Dia menyusun kejadianmu. (8) Sebenarnya tidak ada yang memperdayakan kamu (hai golongan yang ingkar)! Bahkan kamu sendiri tidak percayakan adanya hari pembalasan. (9)

Setelah menyebut kalimah Tauhid لآ إِلٰهَ إِلّا هُوَ Allah menyebut tentang dua SifatNya العَزيزُ الحَكيمُ. Pengakhiran ayat ini bertindak sebagai hujah logik. Hanya Zat yang memiliki Kekuasaan Tanpa Batas (Al-’Aziz) untuk mencipta manusia daripada tiada kepada ada, serta memiliki Kebijaksanaan (Al-Hakim) untuk mengatur struktur biologi manusia yang sangat kompleks di dalam rahim sahaja yang layak disembah. Sesiapa yang tidak memiliki dua sifat ini (seperti berhala atau manusia) langsung tidak berhak mendapat pengabdian.

Kalimah العَزيزُ maksudnya Allah Maha Berkuasa untuk buat apa sahaja. Sebelum ini di dalam Ayat 4 kita telah diingatkan yang Allah ﷻ berkuasa dan mampu untuk menyeksa dan memberi azab kepada makhluk-Nya yang ingkar. Sekarang sifat العَزيزُ bermaksud Allah boleh buat apa-apa sahaja termasuk rupa kita. Kalau Allah ﷻ hendak buat, tidak ada sesiapa yang boleh menghalang.

Kalimah al-Hakim maksudnya Allah Maha Bijaksana dalam memberi bentuk dan rupa kepada makhluk. Semua dicipta dengan Hikmah. Maka, jangan persoalkan apa yang Allah ﷻ  telah lakukan. Bersyukurlah dengan rupa paras yang Allah ﷻ telah berikan.

Kaum Kristian mendewakan Nabi Isa kerana baginda lahir tanpa bapa melalui keajaiban di dalam rahim Maryam. Allah menutup ayat ini dengan Al-’Aziz dan Al-Hakim untuk menegaskan bahawa proses pembentukan manusia di dalam rahim, termasuklah Nabi Isa, adalah di bawah kekuasaan penuh (Al-’Aziz) dan perancangan bijak (Al-Hakim) Allah semata-mata. Nabi Isa hanyalah makhluk yang dibentuk, bukannya Pencipta yang membentuk.

Di dalam ilmu Balaghah, gandingan dua nama ini memberikan maksud yang saling menyempurnakan:

Al-’Aziz: Menunjukkan kekuatan Allah yang tidak boleh dihalang oleh sesiapa pun. Jika Allah mahu membentuk bayi itu cacat, sempurna, lelaki, atau perempuan, tiada kuasa yang boleh menghalang-Nya. Apa yang kita perlu lakukan adalah redha sahaja dengan ketentuan Allah.

Al-Hakim: Memastikan bahawa kekuasaan mutlak (Al-’Aziz) tersebut tidak digunakan secara zalim atau sia-sia. Setiap bentuk, rupa, jantina, dan takdir yang Allah pilih untuk janin tersebut diletakkan pada tempatnya yang paling tepat dan penuh hikmah, walaupun kadangkala tidak faham oleh logik manusia. Akal kita tidak mampu untuk menilai kerja-kerja Allah. Tapi percayalah kepada rahmat dan hikmah Allah. Kita tidak perlu faham pun, kita terima sahaja.

Satu lagi tentang gabungan nama ini: Pemerintah dunia yang ada kuasa (’Aziz) selalunya tidak bijaksana atau zalim, manakala orang yang bijaksana (Hakim) pula selalunya tiada kuasa. Namun bagi Allah, Dia memiliki kedua-duanya secara sempurna.

Maka dengan  menerima dua nama dan sifat Allah ini, ia mengajar kita untuk tidak mempersoalkan keputusan Allah di dalam menguruskan kitab-kitab wahyu. Kita terima yang Allah adalah pembuat keputusan untuk kitab mana dan Dia juga yang layak membuat keputusan mana kitab yang hendak dimansukhkan dan kitab mana yang akan menggantinya. Kita yakin tentulah ia untuk kebaikan kerana segala perancangan dan tindakan Allah mestilah ada hikmahnya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 17 Jun 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Dorar.net