Tafsir Surah al-Infithar Ayat 1 – 9 (Fizikal dan bathin manusia)

Pengenalan:

Surah ini hendak memberitahu kita semua bahawa di akhirat nanti tidak boleh lepas lari dari pengadilan Allah ﷻ. Kalau ditakdirkan masuk neraka, pun tidak dapat melarikan diri langsung.

Dakwa Surah ini ada dalam ayat ke 16. Kebanyakan ayat-ayat dalam surah ini adalah ayat-ayat takhwif ukhrawi. Surah ini diturunkan di Mekah di awal peringkat kenabian.

Ia mengandungi banyak penerangan tentang Hari Kiamat. Di dalam sebuah hadis, Nabi s.a.w pernah bersabda,

“Barang siapa yang ingin melihat gambaran hari kiamat seolah-olah dia melihat dengan matanya sendiri, maka bacalah (surah-surah): (Apabila matahari digulung) dan (Apabila langit terbelah) dan (Apabila gunung hancur)”. (Riwayat Imam Ahmad dan al-Tarmizi).

Ketiga-tiga ayat yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w di atas ialah surah At-Takwir, Al-Infitar dan Al-Insyiqaq.


 

Ayat 1: Ini adalah keadaan yang terjadi selepas tiupan Sangkakala Pertama. Surah ini boleh dibahagikan kepada 5 perenggan makro dan ayat 1 – 5 adalah Perenggan Makro Pertama memberikan gambaran Hari Kiamat. Ini adalah peringkat kehancuran dunia dan peringkat kebangkitan semula.

إِذَا السَّماءُ انفَطَرَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Infiṭār: The Breaking Apart.

When the sky breaks apart

(MALAY)

Apabila langit terbelah,

 

Apabila langit terbelah. Kalimah إِذَا adalah untuk menarik perhatian manusia kepada kejadian yang akan terjadi di masa hadapan; juga إِذَا digunakan untuk menceritakan kejadian yang akan berlaku tiba-tiba. Kerana Kiamat itu nanti akan datang tiba-tiba. Mereka yang ditakdirkan mengalaminya, akan terkejut dengan kedatangan Kiamat itu kerana tidak ada tanda pun ia akan tiba. Tiba-tiba sahaja Sangkakala berbunyi dan bermulalah Kiamat itu.

Di dalam Surah Takweer, temanya adalah ‘kegelapan’ – kita telah baca bagaimana matahari akan hilang cahaya, keadaan malam yang menggelap dan sebagainya. Dan di dalam surah ini pula banyak disebut tentang ‘pecah‘. Ini hendak menceritakan kedahsyatan Hari Kiamat itu.

Kalimah انفَطَرَت dari katadasar ف ط ر yang bermaksud membelah dari hujung ke hujung. Juga bermaksud ‘mengoyakkan’. Ini hendak membayangkan kepada kita bagaimana langit akan dibelah dan dirosakkan dengan teruk sekali. Sekarang kita lihat langit itu nampak indah dan kukuh tetapi tidak selamanya ia akan begitu. Akan tiba masanya ia akan dirosakkan. Allah ﷻ mulakan surah ini dengan kejadian yang amat mengejutkan supaya kita beri perhatian dengan ayat-ayat seterusnya.

Penerima Al-Qur’an yang pertama adalah orang-orang Arab Mekah. Jadi Allah ﷻ bercakap dalam bahasa mereka dan dunia mereka yang mudah mereka lihat. Allah ﷻ memberi bayangan bagaimana langit adalah seperti bumbung khemah. Ini adalah kerana khemah itu dibuat dari kain dan yang boleh dibelah, dikoyak dengan pisau. Dengan perbandingan ini Allah ﷻ hendak memudahkan bangsa Arab memahami apa yang ingin disampaikan.

Mereka disuruh bayangkan bagaimana terbelahnya langit itu adalah seperti bumbung khemah dibelah dengan pisau. Kerana Allah ﷻ hendak mudahkan kita faham, Allah ﷻ bagi analogi yang mudah kita faham. Terutama mereka yang selalu tinggal di dalam khemah. Begitulah kalau kita mengajar manusia pun, memang mereka mudah faham kalau kita gunakan perbandingan (analogi).


 

Ayat 2: Setelah sebut tentang langit, Allah ﷻ sebut tentang bintang pula kerana bintang-bintang itu ada di langit.

وَإِذَا الكَواكِبُ انتَثَرَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the stars fall, scattering,

(MALAY)

dan apabila bintang-bintang jatuh berserakan,

 

Apabila bintang-bintang bertaburan. Apabila langit telah dikoyakkan, tentu bintang-bintang juga akan jatuh berselerakan. Sekarang bayangkan analogi khemah lagi. Bayangkan bagaimana keadaannya jikalau mutiara ada di atas khemah dan khemah itu direntap? Tentu jatuhlah dan berselerakanlah mutiara-mutiara itu bukan?

Begitulah nanti dengan bintang-bintang yang di langit. Inilah kaitan antara ayat 1 dan 2 dan Allah ﷻ hendak beri kita faham dengan cara begini. Kalimah انتَثَرَت digunakan untuk sesuatu yang jatuh kerana digoncang kuat. Sekarang bayangkan beberapa mutiara yang diletak di atas cadar katil, dan kita rentap cadar itu, apa akan jadi kepada mutiara-mutiara itu? Begitulah dahsyatnya keadaan bintang-bintang nanti yang akan berselerakan macam mutiara kecil sahaja.

Sekarang kita lihat kalimah الكَواكِبُ. Dalam Al-Qur’an, ada banyak jenis kalimat yang digunakan untuk merujuk kepada bintang. Dan dalam ayat ini digunakan kalimah كَواكِبُ pula. Allah ﷻ gunakan nama-nama yang berbeza bagi bintang kerana hendak menyampaikan sesuatu yang berbeza dalam setiap ayat itu.

Salah satu nama yang digunakan untuk bintang adalah an-najm. An-najm adalah bintang yang cerah dan kemudian malap dan kemudian cerah balik. الكَواكِبُ pula adalah jenis bintang yang gemerlapan, bintang yang besar. Bukan bintang yang sekejap nampak sekejap tidak (itu adalah an-najm). الكَواكِبُ adalah jenis bintang yang dijadikan pedoman kepada pengembara di waktu malam kerana ia tetap ada.

Perumpamaan ini hebat kerana orang Arab gunakan bintang ini sebagai penunjuk arah di padang pasir dan di lautan semasa mengembara. Ini macam sistem GPS zaman dahulu. Kalau bintang itu jenis sekejap ada, sekejap tiada, tentu susah untuk dijadikan sebagai pedoman. Maknanya, Allah ﷻ hendak memberitahu, walaupun bintang yang besar pun akan jatuh juga.

Allah ﷻ juga gunakan isyarat ‘pedoman’ itu sebagai isyarat bagaimana pada hari itu, manusia akan kelihatan seperti tiada panduan. Kerana keadaan jadi kelam kabut sangat. Perkara yang mereka biasa lihat, biasa pegang, akan jadi tidak menentu dan sudah tidak tetap lagi. Mereka akan jadi amat kelam kabut, sampaikan yang mengandung akan keguguran dan yang ada anak menyusu pun mereka akan baling begitu sahaja.


 

Ayat 3:

وَإِذَا البِحارُ فُجِّرَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the seas are erupted

(MALAY)

dan apabila lautan menjadikan meluap,

 

Apabila lautan pecah. Bayangkan macam tsunami keadaannya (tapi terjadi di seluruh dunia). Waktu itu air laut itu akan mendidih dan akan melimpah ruah naik ke daratan. Kerana kalau air mendidih, ia akan melimpah ruah, bukan?

Bandingkan dengan ayat Takweer:6.

وَإِذَا البِحارُ سُجِّرَت

dan apabila lautan dijadikan meluap

Dalam Surah Takweer itu, digunakan kalimah سُجِّرَت. Maksud سُجِّرَت bermaksud mendidih kerana panas. Sedangkan lafaz فُجِّرَت dalam surah ini lebih kepada pergerakan air itu sendiri. Air itu akan membuak-buak sampai melimpah naik ke daratan. Bayangkan yang laut itu meletup dan airnya melimpah merata-rata. Dan kita pun tahu yang air laut lagi banyak dari tanah daratan.


 

Ayat 4:

وَإِذَا القُبورُ بُعثِرَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the [contents of] graves are scattered [i.e., exposed],

(MALAY)

dan apabila kuburan-kuburan dibongkar,

 

Apabila kubur-kubur dipecahkan. Kalimah ‘qubur’ adalah tanah yang dikorek untuk simpan mayat. Pada masa itu, kubur akan dibongkar dan makhluk yang di dalamnya akan dikeluarkan dari kubur mereka. Kalau sekarang, kita rasa kubur itu akan berkeadaan macam itu sahaja.

Akan tetapi, kubur itu akan pecah juga dan segala apa yang ada di dalamnya akan dikeluarkan. Ini adalah kerana sekarang bumi sedang tenang. Tapi nanti Kiamat, bumi akan bergegar sampaikan kandungan bumi pun akan terhambur keluar.

Kalimah بُعثِرَت bermaksud sesuatu yang dibongkarkan untuk mengeluarkan apa yang di dalamnya. Ini macam kita geledah beg untuk cari barang. Sampai kadang-kadang kita kena keluarkan semua apa yang ada di dalamnya. Begitulah nanti yang akan dilakukan kepada kubur kita nanti dan yang keluar dari kubur adalah mayat manusia.


 

Ayat 5: Ayat 1 – 4 tadi adalah lafaz-lafaz sumpah dari Allah ﷻ. Sekarang Allah ﷻ jawab bagi sumpah (jowabul qosam). Apabila semua itu terjadi nanti, apakah maksudnya?

عَلِمَت نَفسٌ ما قَدَّمَت وَأَخَّرَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

A soul will [then] know what it has put forth and kept back.

(MALAY)

maka tiap-tiap jiwa akan mengetahui apa yang telah dihantarkan dahulu dan yang dilalaikannya.

 

Apabila semua dalam ayat 1 – 4 itu terjadi, manusia dan jin akan tahu apa yang telah dikerjakan dan apa yang telah ditinggalkan oleh mereka. Ini adalah penerangan tambahan dari ayat Takweer:14.

عَلِمَت نَفسٌ ما أَحضَرَت

maka tiap-tiap jiwa akan mengetahui apa yang telah dikerjakannya.

Manusia akan tahu apa yang dia telah dikerjakan dan apa yang telah ditinggalkan. Manusia akan menyesali apa perkara yang telah dibuatnya (yang dihantar ke depan), apa yang telah ditinggalkan. أَخَّرَت (yang ditinggalkan) adalah apa yang sepatutnya dia buat tetapi dia telah tinggalkan dari buat, iaitu dia tidak buat.

Kalimah قَدَّمَت bermaksud sesuatu yang dihantar dahulu. Maknanya, segala amalan kita di dunia ini kita hantarkan dahulu dan akan menunggu kita di akhirat kelak. Kalau kita sudah hantar surat, tidak boleh ambil balik, bukan? Begitu juga dengan amalan kita, kalau sudah buat amalan, tidak boleh tukar balik, sama ada baik atau jahat.

Kerana ianya telah dihantar ke hadapan, ia akan menunggu kita di akhirat. Siapa yang akan bawa? malaikat yang menulis. Oleh kerana kita tidak dapat tukar lagi, maka berhati-hatilah dengan amalan kita. Kena buat sehabis baik, semampu kita.

Tapi ramai yang tidak beramal dengan amal yang baik. Ini adalah kerugian yang amat besar: kita ada peluang untuk buat baik tetapi kita tidak ambil peluang. Ini seperti solat, derma dan sebagainya. Ini semua akan menjadi sebab penyesalan di akhirat nanti.

Tetapi ada juga manusia yang ada peluang untuk buat jahat namun tidak diambil. Itu pun akan ditunjukkan juga. Dan kalau begitu, tentu seseorang itu akan suka nanti. Kerana perkara macam itu pun ada pahalanya. Sebagai contoh, katakanlah kita ada peluang untuk berzina, tetapi kita tidak lakukan – meninggalkan perbuatan dosa itu juga akan dapat pahala. Begitulah pemurahNya Allah ﷻ. Bukan perkara yang kita buat baik sahaja dapat pahala, perkara jahat yang kita tinggalkan pun akan dapat pahala.

Kalimat قَدَّمَت وَأَخَّرَت juga boleh bermaksud ‘dari amal yang awal dan paling akhir’. Iaitu amalan yang kita lakukan dari kita baligh sampailah kita mati nanti. Kadang-kadang kita berubah dari masa kita muda – masa muda buat kebaikan tetapi hampir nak mati, buat benda jahat pula. Itu adalah orang yang rugi sekali. Kerana amal kita dikira dengan amal yang akhir sekali kita lakukan.

Kalimat قَدَّمَت وَأَخَّرَت juga boleh bermaksud amal kita yang berterusan. Ada amal kita yang kita sudah mati pun ada lagi bertambah-tambah, sama ada yang baik atau yang tidak. Sebagai contoh, kita sedekahkan wang untuk buat masjid – selagi masjid itu ada dan digunakan orang, selagi itulah kita akan mendapat pahala berterusan; atau kita ajar seseorang untuk solat contohnya, setiap kali dia melakukan solat, kita akan dapat pahala, walaupun kita sudah mati nanti.

Tetapi, sebaliknya pula, kalau kita ajar orang berjudi, dan dia berjudi selepas itu, setiap kali dia berjudi, kita pun akan dapat saham dosa judi itu dari dia. Maka, kena berhati-hati. Kena pastikan kita ajar orang buat perkara yang baik, jangan ajar buat perkara yang salah. Termasuk dalam perkara yang salah atau amalan yang bidaah. Kalau dulu kita pernah ajar orang buat amalan bidaah, maka beritahu dia balik yang amalan itu salah dan kena tinggalkan.

Oleh itu, bila semua yang terjadi dalam ayat-ayat sebelum ini, maka barulah manusia teringat. Allah ﷻ beritahu kita awal-awal supaya kita boleh bersedia. Jangan kita menyesal yang amat sangat.


 

Ayat 6: Ayat 6 – 8 adalah Perenggan Makro Kedua dan ia mengandungi Dalil Rububiyyah dan bukti adanya Akhirat. Ayat 6 ini adalah ayat zajrun.

يا أَيُّهَا الإِنسانُ ما غَرَّكَ بِرَبِّكَ الكَريمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O mankind, what has deceived you concerning your Lord, the Generous,

(MALAY)

Hai manusia, apakah yang telah memperdayakan kamu (berbuat durhaka) terhadap Tuhanmu Yang Maha Pemurah.

 

Dalam surah sebelum ini, ada soalan dan dalam surah ini juga ada soalan. Dalam Surah at-Takweer, Allah ﷻ tanya: فَأَينَ تَذهَبونَ “ke mana kamu semua hendak pergi?”. Dalam ayat ini, soalan yang diberikan lagi berat: Allah ﷻ bertanya kepada mereka yang telah mengerjakan perbuatan mungkar dan dosa: apakah yang telah menipu mereka? Apakah yang telah menyebabkan mereka lupa kepada Allah ﷻ? Apa yang menipu mereka sampai mereka sanggup buat segala dosa itu?

Setelah apa yang Allah ﷻ telah berikan kepada mereka, telah ajar mereka, tetapi mereka masih lagi buat syirik, buat dosa, maka tentu ada sesuatu yang menyebabkan mereka terpesong, bukan? Allah ﷻ tanya dengan keras: “Siapa yang menipu kamu ni?” Kalimah غَرَّ bermaksud apabila seorang sedang lalai dan kita ambil sesuatu dari mereka macam duit mereka. Selalu pelancong kena macam ini apabila pergi ke tempat baru.

Begitulah, kalau kita lalai dalam kehidupan dunia ini, yang ambil peluang adalah syaitan. Syaitan akan tunggu sahaja bila masa kita lalai, lupa padaNya. Maka kerana itu kena belajar cara-cara Iblis dan syaitan menipu. Kena belajar syarah Talbis Iblis karangan Ibnul Jauzi. Di dalam kitab itu diceritakan bagaimana cara syaitan menipu supaya kita boleh ambil langkah berjaga-jaga.

Allah ﷻ gunakan lafaz Rabb dalam ayat ini kerana Allah ﷻ hendak ingatkan kita tentang sifatNya yang menjaga dan mengurus kita. Segala keperluan kita dalam hidup ini, Allah ﷻlah yang berikan. Allah ﷻ ingatkan kita yang kita adalah hambaNya. Allah ﷻ sudah berikan segalanya, tetapi manusia tetap lupa kepada Allah ﷻ.

Allah ﷻ mengingatkan kepada kita dengan SifatNya كَريمِ  . الكَريمِ bermaksud ‘mulia’ dan juga boleh bermaksud ‘pemurah’. Allah ﷻ sudah pemurah yang amat pemurah, sudah bagi macam-macam kepada kita. Tetapi ramai manusia yang ambil peluang dengan kemurahan Allah ﷻ itu. Begitulah kadang-kadang kalau guru kita baik dan lembut, pelajar ramai yang ambil peluang dengan kebaikan guru itu. Tidak sama kalau guru garang, sebab pelajar akan takut.

Tetapi, bayangkan waktu guru itu hendak beri keputusan kertas ujian, guru itu kata: “saya dulu baik dengan kamu, kenapa kamu buat macam ini?” Bagaimana perasaan pelajar itu nanti? Tentu perasaan dia akan remuk. Dan sekarang bayangkan Allah ﷻ telah beri macam-macam kepada kita. Tetapi kita masih lagi buat salah, tidak kisah dengan kehendak Allah ﷻ. Maka kena baca balik ayat ini, seolah-olah Allah ﷻ berkata: “kenapa kamu masih buat salah lagi? Kerana masih engkar lagi? Sedangkan Aku telah beri macam-macam kepada kamu?”

Kalimah الإِنسانُ bermaksud manusia yang ‘mudah lupa’. Begitulah, ramai manusia yang lupa mereka kena taat dengan Allah ﷻ. Sedangkan makhluk lain seperti binatang, tumbuhan dan alam lain tidak lupa dengan tanggungjawab sebagai hamba kepada Allah ﷻ.

Jadi apa yang melupakan kita kepada tanggungjawab kita? Ini adalah kerana kita terpesona dengan dunia sampai terlupa kepada tanggungjawab kita kepada Allah ﷻ. Sedangkan Allah ﷻ telah begitu pemurah dengan kita, dan Allah ﷻ telah muliakan kita. Maka kerana itu banyak ayat-ayat Al-Qur’an yang mengingatkan kita kepada bahayanya dunia yang memukau kita.


 

Ayat 7: Apakah maksud Allah ﷻ muliakan manusia? Allah ﷻ kenangkan balik apa yang Dia telah lakukan buat kita.

الَّذي خَلَقَكَ فَسَوّاكَ فَعَدَلَكَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who created you, proportioned you, and balanced you?

(MALAY)

Yang telah menciptakan kamu lalu menyempurnakan kejadianmu dan menjadikan kamu seimbang,

 

Manusia ramai yang lupa kepada Allah ﷻ yang telah menjadikan mereka. Menjadikan manusia dari tidak ada kepada ada. Kemudian Allah  فَسَوّاكَ (menyempurnakan kamu). Iaitu Allah ﷻ perbaiki keadaan diri kita supaya jadi lebih baik. Ini macam syarikat kereta yang finetune kereta sebelum dijual. Kereta itu sudah ada, tetapi diperbaiki lagi.

Kalimah فَعَدَلَكَ (menyeimbangkan kamu) maksudnya kita diberi dengan kelebihan ada keseimbangan. Memang banyak keseimbangan yang disentuh dalam Al-Qur’an; bila ada syurga, ada neraka; ada kiri dan ada kanan; ada malam dan ada siang dan macam-macam lagi.

Dari sini, kita sebagai manusia diajar untuk jadi seimbang – antara individu dan masyarakat, ibadat peribadi dan ibadat berjemaah, contohnya. Ini adalah satu perbincangan yang luas. Tetapi secara dasarnya, dalam macam-macam hal kita diseimbangkan. Kerana kita pun suka perkara yang seimbang, ia telah ada dalam fitrah kita.

Allah ﷻ jadikan kita dalam bentuk yang terbaik sekali apabila kita seimbang. Sebagai contoh, kita ada fizikal yang bersifat batin sekali. Sebagai contoh, kita ada mata, dan mata itu boleh melihat – mata itu fizikal dan kebolehan melihat itu adalah sifat batin; kita ada lubang telinga (fizikal) dan ia boleh mendengar (batin). Tidak semua jadi begitu kerana kadang ada manusia yang ada benda yang fizikal tetapi sifat batin tidak ada – biji mata yang fizikal ada, tetapi tidak dapat melihat (buta), lubang telinga ada tetapi tidak dapat mendengar (pekak).

Sifat keseimbanganlah yang menjadi topik terpenting dalam surah ini. Allah ﷻ mengajar kita supaya jangan tengok fizikal luaran sahaja, tetapi lihatlah ke dalam diri kita. Jangan cantikkan luaran diri kita sahaja, tetapi kenalah cantikkan batin kita juga.

Untuk faham dan terima Al-Qur’an pun, kena ada nur keimanan dalam hati kita, baru boleh terima. Mungkin ada yang tanya, apakah hujah yang paling kuat untuk orang kafir menerima hujah dalam Al-Qur’an? Adakah ayat-ayat yang sekali kita baca kepadanya, boleh mengubah mereka dari kafir kepada beriman? Kita kata Al-Qur’an hebat sangat, kan? Tapi kenapa sudah dibacakan ayat-ayat Al-Qur’an kepada orang kafir, mereka tidak beriman pun?

Kita jawab, untuk menerima hujah dalam Al-Qur’an, kenalah ada sedikit nur iman dalam hati manusia. Kerana untuk terima Al-Qur’an, bukanlah dengan hujah intelek sahaja. Kena ada nur dalam hati manusia itu supaya terbuka untuk terima.

Dan nur iman ini semua manusia telah diberikan dalam fitrah manusia, sama ada mereka hendak matikan atau tidak fitrah itu. Macam Firaun, dia telah diberikan dengan segala hujah, ditunjukkan dengan segala mukjizat yang besar-besar, tetapi kerana nur iman langsung tidak ada dalam hati dia, dia tidak terima segala hujah itu.

Sedangkan ahli sihir pun teruk juga asalnya, tetapi mereka ada nur lagi dalam hati mereka, maka mereka dapat terima. Oleh itu, orang yang kafir, kalau mereka membuka hati mereka untuk menerima kebenaran, tentu mereka boleh terima hujah yang ada dalam Al-Qur’an. Tetapi kalau mereka telah matikan langsung nur itu, cakaplah apa sahaja, berilah apa ayat pun, mereka tidak akan terima.


 

Ayat 8:

في أَيِّ صورَةٍ ما شاءَ رَكَّبَكَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

In whatever form He willed has He assembled you.

(MALAY)

dalam bentuk apa saja yang Dia kehendaki, Dia menyusun tubuhmu.

 

Kalimah صورَةٍ adalah sesuatu yang berbentuk yang kita boleh tengok dan boleh dibandingkan, dibezakan dengan bentuk lain. Macam bentuk fizikal kita boleh dibandingkan dengan lembu, dengan monyet dan nampak perbezaannya.

Allah ﷻ menjadikan kita dalam apa saja bentuk yang Dia kehendaki. Kalimah ركب secara literal bermaksud ‘meletakkan sesuatu’. Allah  ﷻ boleh letakkan kita dalam bentuk apa pun. Bayangkan kanak-kanak yang bermain lego – dia letak dan letak pecahan lego itu sampai jadi satu bentuk. Allah ﷻ yang tentukan macam mana rupa kita, Allah ﷻ susun dalam bentuk DNA. Dan kita memang hanya boleh menerima sahaja. Kita tidak boleh hendak minta dijadikan dalam bentuk lain, rupa lain. Kalau tidak cantik pun, tidak cantiklah.

Imam Mujahid bin Jabar رحمه الله mengatakan bahawa makna yang dimaksudkan ialah kita ini mirip dengan ayah, atau ibu, atau paman dari pihak ibu ataukah paman dari pihak ayah, menurut apa yang dikehendaki-Nya. Di dalam kitab Sahihain telah disebutkan dari Abu Hurairah رضي الله عنه:

أَنَّ رَجُلا قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ امْرَأَتِي وَلَدت غُلامًا أسودَ؟. قَالَ: “هَلْ لَكَ مِنْ إِبِلٍ؟ “. قَالَ: نَعَمْ. قَالَ: “فَمَا أَلْوَانُهَا؟ ” قَالَ: حُمر. قَالَ: “فَهَلْ فِيهَا مَنْ أورَق؟ ” قَالَ: نَعَمْ. قَالَ: “فَأَنَّى أَتَاهَا ذَلِكَ؟ ” قَالَ: عَسَى أَنْ يَكُونَ نَزْعَةَ عِرْق. قَالَ: “وَهَذَا عَسَى أَنْ يَكُونَ نَزْعَةَ عِرْقٍ”

bahawa pernah seorang lelaki bertanya, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya isteriku telah melahirkan anak laki-laki yang berkulit hitam.” Baginda bertanya balik, “Apakah engkau mempunyai ternak unta?” Lelaki itu menjawab, “Ya.” Baginda bertanya, “Apakah warna bulunya?” Lelaki itu menjawab, “Merah:” Baginda bertanya, “Apakah di antaranya ada yang berbulu kelabu?” Lelaki itu menjawab, “Benar, ada.” Baginda bertanya, “Lalu dari manakah ia?” Lelaki itu menjawab, “Barangkali dari keturunannya yang dahulu.” Baginda bersabda, “Dan barangkali anakmu ini pun sama berasal dari moyangnya yang dahulu.”

Makna yang dimaksudkan dari berbagai pendapat para mufassir, dapat disimpulkan bahawa Allah ﷻ berkuasa untuk menciptakan nutfah (air mani) menjadi manusia yang buruk rupanya seperti haiwan yang rupanya menjijikkan. Tetapi berkat kekuasaan-Nya dan kasih sayang-Nya kepada makhluk-Nya, Dia menciptakan manusia dalam bentuk yang baik, tegak, sempurna, dan indah penampilan serta rupanya.

Apa-apa sahaja yang Allah ﷻ lakukan terhadap kita, itu adalah hak Allah ﷻ, Allah ﷻ boleh lakukan apa sahaja yang Dia kehendaki. Termasuk qada’ dan qadar kita. Kita kena terima sahaja dan redha dengan apa yang berlaku. Tetapi malangnya, ada orang yang mempersoalkan Allah ﷻ. Mereka tidak dapat terima apa yang Allah ﷻ tentukan pada dirinya.

Mereka kata mereka tidak buat salah pun, tetapi mereka kena juga segala macam musibah – mereka persoal pula: “kenapa Allah ﷻ buat kami jadi begini”? Kerana tidak dapat terima ketetapan inilah, ramai yang tanya: “kenapa ada kesusahan dalam dunia? Kenapa ada orang yang cacat?” Dan macam-macam lagi persoalan mereka.

Kerana salah faham sebeginilah, ada golongan yang atheis yang tidak percaya kewujudan Tuhan ﷻ- kerana pada mereka, macam mana mereka hendak terima Tuhan yang sebegini? Mereka kata, kalau ada Tuhan, takkan Tuhan itu kejam? Bagaimana kita hendak jawab persoalan yang sebegini?

Jawapannya ada dalam kalimah Rabb – Allah ﷻ itu Tuhan kita dan kita adalah hambaNya. Kita tidak ada kuasa apa-apa pun untuk persoal apa yang Dia hendak lakukan. Kita kena terima dengan lapang dada yang kita tidak ada hak hendak mempersoalkan apa yang Allah ﷻ lakukan terhadap kita. Macam seorang hamba di dunia yang tidak ada hak apa-apa pun untuk menolak suruhan dan arahan tuannya.

Zaman sekarang kita sudah tidak ada hamba abdi lagi. Tetapi dari pengetahuan kita semasa zaman ada hamba dulu, memang seorang hamba tidak ada hak untuk mempersoalkan arahan tuannya. Kerana mereka memang tidak ada hak. Begitulah juga kita dengan Allah ﷻ, kita adalah hak Dia. Samalah juga, kalau kita ada barang yang memang kita punya, kita boleh buat apa sahaja yang kita hendak dengannya – nak pakai, nak buang, nak musnahkan, apa sahaja.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ ingatkan kita yang kita tidak boleh hendak persoalkan Allah ﷻ apa sahaja. Dia hendak buat apa sahaja dengan rupa kita – begitulah kalau tidak ada hak untuk mempersoalkan apa yang Allah ﷻ lakukan dengan rupa kita, begitu jugalah kita tidak ada hak untuk mempersoalkan apa yang Allah ﷻ hendak buat dengan nasib kita.

Kita kena ingat yang kita tidak bayar apa-apa pun kepada Allah ﷻ atas segala apa yang kita ada. Allah ﷻ beri secara percuma sahaja kerana Dia rabb. Dan kerana itu, kalau apa pun yang Allah ﷻ kenakan kepada kita, Dia tetap rabb kita.

Inilah yang penting sekali kita kena faham dari keseluruhan Al-Qur’an – Dia Tuhan dan kita hamba. Dan kerana itu kita kena terima sahaja. Dan kalau ada yang susah hendak terima, mereka akan ada masalah. Tidak kiralah sama ada orang kafir atau orang Islam sekali pun.


 

Ayat 9: Tetapi apa yang manusia buat? Ayat 9 – 12 adalah Perenggan Makro Ketiga. Allah ﷻ memberitahu kita, dengan mendustakan Akhirat menyebabkan manusia lalai.

كَلّا بَل تُكَذِّبونَ بِالدّينِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

No! But you deny the Recompense.

(MALAY)

Tidak!, bahkan kamu mendustakan hari pembalasan.

 

Kalimah كَلّا ini sebagai penekanan yang Allah ﷻ marah dengan manusia yang engkar. Selepas diberi segalanya oleh Allah ﷻ, masih ada lagi yang tidak mahu taat kepada Allah ﷻ. Ia adalah lafaz penekanan yang bermaksud Allah ﷻ murka dan marah dengan manusia yang engkar dan lalai.

Maksud ‘dusta’ adalah tidak percaya. Allah kata: Kamu sendiri yang tidak percaya kepada hari pembalasan. Perbuatan takzeeb (mendustakan) terjadi apabila kita kata seseorang itu menipu, menuduh orang itu sebagai penipu, tetapi tuduhan kita itu sendiri adalah penipuan. Apabila seseorang itu kata yang orang yang memberitahu itu menipu, maknanya dia tidak percaya dengan perkara yang disampaikan.

Siapa yang Allah ﷻ kata mereka menipu? Allah ﷻ beritahu bahawa mereka yang engkar itu melakukan takzeeb terhadap deen (agama) sendiri. Bayangkan, mereka kata agama ini yang menipu. Seolah-olah apabila deen/agama kata kena buat A, mereka kata itu adalah penipuan.

Mari kita berbincang sedikit tentang kalimah الدّينِ. Ini adalah satu kalimah yang biasa kita dengar dan baca. Jadi ada banyak sekali pemahaman dan perbincangan tentang perkara ini. Kita cuba bincangkan dengan ringkas sahaja di sini.

Kalimah الدّينِ diambil dari katadasar د ي ن – salah satu maksudnya adalah pinjaman. Ini terjadi apabila kita ambil sesuatu dan kita kena bayar balik. Inilah sebenarnya konsep agama Islam – segala apa yang kita dapat dalam dunia ini, kita kena bayar balik sebenarnya. Ia tidak percuma sebenarnya, tapi bagaimana kita nak bayar?

Kita bayar dengan kita melakukan taat kepada Allah  ﷻ – maksudnya apa yang Allah ﷻ suruh, kita kena lakukan. Itu sudah cukup sebagai bayaran kepada pemberian Allah ﷻ. Memang tidak sama nilai taat kita itu kalau dibandingkan dengan segala nikmat yang Allah ﷻ berikan kepada kita, tetapi Allah ﷻ kata itu sudah cukup, maka alhamdulillah hutang kita terlangsai kalau begitu.

Begitu juga, apa yang kita buat di dunia akan dibayar kepada kita. Setiap kita ada yang perlu kita bayar/berikan – kita kena bayar kepada ahli keluarga kita, anak-anak kita, suami isteri kita, kepada pemimpin dan sebagainya. Itu semua adalah dalam bentuk tanggungjawab. Dan kalau kita tidak penuhi, maka ada yang kita hutang, dan kalau hutang, nanti kena tuntut.

Masalahnya, dituntut itu nanti di akhirat dan itu akan menyusahkan kita. Kerana pada waktu itu, tidak boleh dibayar dengan wang, tapi dibayar dengan pahala. Sudahlah pahala tidak banyak, kena beri kepada orang pula. Dan kalau sudah habis pahala, nak bayar macam mana lagi? Kita ambil pula dosa dia ditampuk ke belakang kita!

Dan kalimah الدّينِ juga membawa maksud bahawa segala apa yang kita lakukan pun akan dibayar juga – maknanya akan dibalas di akhirat kelak – sama ada baik atau buruk. Kalau baik dibalas baik dan kalau jahat akan dibalas buruk pula.

Jadi Allah ﷻ marah sekali dengan mereka yang mendustakan الدّينِ, mendustakan agama. Macam-macam cara manusia boleh lakukan dalam mendustakan agama itu. Di dalam surah sebelum ini, mereka kata Nabi ﷺ majnun (gila). Itu adalah salah satu dari menipu deen. Kerana menolak pembawa wahyu iaitu Rasulullah ﷺ sendiri.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 27 September 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s