Tafsir Surah Ali Imran Ayat 7 (Ayat Mutashabihat) Part 2

وَأُخَرُ مُتَشَـٰبِهَـٰتٌ

Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat “Mutasyaabihaat”

Cuma selain daripada ayat-ayat Muhkamat yang jelas itu, kitab Allah ﷻ juga mengandungi ayat-ayat yang kurang jelas yang dinamakan Mutasyabihat. Kalimah مُتَشَـٰبِهَـٰتٌ dari kata dasar ش ب ه yang bermaksud menyerupai sesuatu, membandingkan dengan sesuatu, sesuatu yang tidak jelas. Ia serupa, sampai menyebabkan kekeliruan. Apabila dua benda serupa, kadang-kadang kita jadi keliru. Contohnya kita jumpa orang kembar. Kita pun keliru ini dia yang mana satu? Begitu jugalah dengan ayat Al-Qur’an. Contohnya apabila disebut tangan Allah, kita pun faham maksud tangan itu. Kalimah tangan kita tahu sebab serupa juga digunakan untuk tangan kita. Tapi adakah tangan Allah serupa dengan tangan kita? Adakah kita hendak bandingkan keserupaan tangan kita dengan tangan Allah? Ini nanti kita jelaskan.

Kalimah mutashabih juga ada digunakan di dalam Zumar:23,

اللَهُ نَزَّلَ أَحسَنَ الحَديثِ كِتٰبًا مُّتَشٰبِهًا مَّثانِيَ
Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Qur’an yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain

Di dalam Surah Zumar ini, istilah مُّتَشٰبِهًا digunakan untuk memberi maksud keserupaan dalam keindahan dan kebenaran: Seluruh ayat Al-Qur’an, dari Surah Al-Fatihah hingga surah An-Nas, adalah “serupa” dari segi mutunya yang sangat tinggi, bahasanya yang mukjizat, dan kandungannya yang tidak mengandungi sebarang cacat cela atau kontradiksi. Ia saling membenarkan antara satu ayat dengan ayat yang lain tidak pernah bertembung atau berlawanan, bahkan saling menyokong. Sebab itu, dalam konteks Az-Zumar ini, 100% isi Al-Qur’an adalah Mutashabih (iaitu semuanya serupa dari segi kebenaran dan kehebatannya).

Tapi penggunaan istilah مُتَشَـٰبِهَـٰتٌ di dalam Ali Imran ini membawa maksud yang berlainan. Kalimah yang sama digunakan di dalam Al-Qur’an tidaklah semestinya bermaksud yang sama. Kerana itu kita kena lihat apakah konteks ayat itu.

Dari segi istilah, istilah مُتَشَـٰبِهَـٰتٌ yang digunakan di dalam Ali Imran ini bermaksud ayat-ayat yang maknanya tidak jelas, mengandungi lebih daripada satu kemungkinan tafsiran, dan hakikat sebenar maksudnya tidak dapat diketahui melainkan dengan merujuk kepada ayat lain atau hanya diketahui oleh Allah sahaja.

Sesuatu ayat menjadi mutashabihat kerana manusia tahu maknanya secara bahasa, tetapi tidak tahu “bagaimana” hakikat sebenarnya. Contoh: Ayat-ayat sifat Allah (seperti Tangan Allah, Wajah Allah, Allah di atas Arasy) dan hakikat nikmat Syurga/Neraka serta bila berlakunya Hari Kiamat. Manusia tahu makna “tangan” secara bahasa, tetapi tangan Allah tidak sama dengan makhluk dan hakikatnya tersembunyi daripada akal manusia.

Ada pula ayat yang lafaznya tersendiri dan maknanya langsung tidak boleh dicapai oleh bahasa manusia biasa. Contoh: Huruf-huruf terputus di awal surah (Alif Lam Mim, Yasin, Kaf Ha Ya ‘Ain Sad). Definisi mutashabihat di sini ialah sesuatu yang Allah sengaja sembunyikan ilmunya daripada makhluk.

Lagi lagi yang termasuk di dalam lingkungan ayat-ayat مُتَشَـٰبِهَـٰتٌ adalah jikalau kalimah yang digunakan itu tidak semua orang tahu. Jadi ia boleh mengelirukan maksud yang hendak disampaikan oleh Al-Qur’an. Kisah Saidina Umar al-Khattab yang tidak mengetahui maksud kalimah أَبًّا di dalam Abasa:31 adalah salah satu riwayat yang sangat masyhur. Kisah ini direkodkan oleh para imam tafsir dan hadis, antaranya oleh Imam At-Tabari, Imam Al-Baghawi, dan Imam Al-Hakim. Kisah ini menceritakan tentang sifat tawaduk seorang khalifah yang agung, ketegasannya dalam melarang sikap memandai-mandai (takalluf).

Pada suatu hari ketika menjadi Khalifah, Saidina Umar membaca Surah Abasa di atas mimbar. Apabila beliau sampai pada ayat 31 dan 32:

وَفَاكِهَةً وَأَبًّا ﴿٣١﴾ مَّتَاعًا لَّكُمْ وَلِأَنْعَامِكُمْ ﴿٣٢
Dan buah-buahan serta Abba (rumput-rumputan/tumbuhan). (Semuanya itu) untuk kesenangan kamu dan untuk binatang-binatang ternakan kamu.”

Selepas membaca ayat tersebut, Umar berhenti sejenak lalu berkata kepada dirinya sendiri: “Kita sudah tahu apa itu فَاكِهَةً (buah-buahan), tetapi apakah itu أَبًّا??” Umar cuba memikirkan maksud perkataan tersebut kerana ia adalah perkataan bahasa Arab kuno yang jarang digunakan oleh suku Quraisy pada ketika itu. Namun, sejurus selepas itu, beliau memegang tongkatnya (atau memukul tangannya) dan menegur dirinya sendiri dengan tegas:

«لَعَمْرُ اللَّهِ إِنَّ هَذَا لَهُوَ التَّكَلُّفُ، وَمَا عَلَيْكَ يَا ابْنَ الْخَطَّابِ أَنْ لَا تَدْرِيَ مَا الْأَبُّ؟!»
“Demi Allah, sesungguhnya ini (perbuatan memaksa-maksa akal memikirkan perkataan yang tidak diketahui) adalah satu Takalluf (membuat-buat/membebankan diri)! Apakah ruginya ke atasmu wahai anak Al-Khattab sekiranya engkau tidak mengetahui apa itu al-Abb?!”

Beliau kemudian menyambung bicaranya kepada para sahabat di hadapannya: “Ikutilah apa yang telah jelas bagi kamu daripada Kitab ini (Al-Qur’an) untuk kamu amalkan, dan apa yang kamu tidak ketahui, maka serahkanlah urusannya kepada Tuhannya (Allah).”

Para ulama bahasa Arab dan tafsir (termasuk bapa tafsir, Ibnu Abbas) kemudiannya menjelaskan Al-Abb (الْأَبّ): Bermaksud segala jenis tumbuhan atau rumput-rumputan yang tumbuh di atas muka bumi yang tidak ditanam oleh manusia, sebaliknya ia tumbuh sendiri untuk menjadi makanan bagi binatang ternakan. Petunjuk makna ini sebenarnya sudah ada pada ayat selepasnya (ayat 32): “Untuk kesenangan kamu (rujuk kepada buah-buahan) dan untuk binatang ternakan kamu (rujuk kepada rumput/al-abb).”

Ada pula sesetengah ayat Al-Qur’an yang tidak disepakati maksudnya oleh semua ulama’. Contoh klasik adalah Baqarah:228,

وَالمُطَلَّقٰتُ يَتَرَبَّصنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلٰثَةَ قُروءٍ
Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (daripada berkahwin) selama tiga kali quru’

Ulama fiqh tidak sepakat akan maksud قُروءٍ di dalam ayat ini sampaikan ada yang mengatakan ia bermaksud ‘suci’ dan ada yang mengatakan ia bermaksud ‘haidh’. Ini kerana kalimah قُروءٍ boleh merujuk kepada beberapa maksud. Perbezaan pendapat ini telah menyebabkan perbezaan hukum di antara mazhab.

Ada juga ayat-ayat yang dahulunya Mutashabihat akan tetapi dengan kemajuan teknologi, ia menjadi Muhkamat. Contohnya tentang janin di dalam perut ibu. Ketika Nabi sampaikan dahulu, para sahabat tidak tahu apa yang dimaksudkan, akan tetapi dengan kemajuan sains, kita tahu ayat Al-Qur’an yang menceritakan tentang rahim, tentang janin, tentang kegelapan di dalam perut itu, itu semuanya tepat. Ada berita sejarah yang Allah beritahu di dalam Al-Qur’an, tidak dapat dipastikan oleh para sahabat. Ketika itu ia Mutashabih, akan tetapi kajian sejarah menunjukkan yang ia tepat. Sebagai contoh nama Haman di dalam Al-Qur’an. Ada maklumat sains sebagai contoh Al-Qur’an beritahu besi diturunkan. Kajian sains mendapati memang benar ia diturunkan ke bumi, bukannya tercipta di bumi lagi.

Allah tidak menentukan mana satu ayat Muhkam dan mana satu ayat Mutashabihat. Malah Nabi Muhammad pun tidak tentukan mana satu. Penentuan sama ada ayat itu Muhkam atau Mutashabihat adalah dari kajian para ulama’. Apabila kita bergelumang dengan ilmu tafsir, maka kita akan berjumpa banyak pendapat-pendapat berkenaannya. Ini adalah satu bidang yang memerlukan penelitian. Maka boleh dikatakan tujuan Allah mengatakan dua kelompok ayat ini adalah untuk kita sebagai umat Islam berhati-hati dengan mana-mana ayat Al-Qur’an. Satu ground rule yang selalu dipakai adalah: jikalau satu kalimah itu boleh membawa lebih dari satu makna, maka ia adalah mutashabihat.

Mari kita kaitkan apakah maksud مُتَشَـٰبِهَـٰتٌ dengan Golongan Kristian. Berdasarkan sejarah rombongan Kristian Najran ketika berdebat dengan Nabi Muhammad ﷺ (yang menjadi Asbabun Nuzul awal Surah Ali ‘Imran), terdapat beberapa ayat Al-Qur’an tentang Nabi Isa yang bersifat mutashabihat (samar/samaran dari sudut lafaz yang boleh diputarbelitkan). Golongan Kristian Najran itu menggunakan ayat-ayat ini untuk mendakwa bahawa Al-Qur’an sendiri “mengiktiraf” unsur ketuhanan dalam diri Nabi Isa. Antara ayat yang paling utama ialah:

1. Gelaran “Kalimah Allah” (Kalimatullah). Di dalam Nisa’:171, Allah berfirman:

إِنَّمَا الْمَسِيحُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ رَسُولُ اللَّهِ وَكَلِمَتُهُ أَلْقَاهَا إِلَىٰ مَرْيَمَ
Sesungguhnya Al-Masih Isa anak Maryam itu, hanya seorang Pesuruh Allah dan Kalimah-Nya yang disampaikan-Nya kepada Maryam

Titik Kesamaran (Mutashabih): Golongan yang mahu mencari fitnah mengambil frasa “Kalimah Allah” lalu menta’wilkannya dengan doktrin Logos (iaitu Isa adalah sebahagian daripada zat Tuhan yang menjelma menjadi manusia).

Cara Jamak dengan Ayat Muhkam: Para ulama’ memulangkan ayat ini kepada ayat induk yang jelas, iaitu Ali Imran:59:

إِنَّ مَثَلَ عيسىٰ عِندَ اللَّهِ كَمَثَلِ ءآدَمَ ۖ خَلَقَهُ مِن تُرابٍ ثُمَّ قالَ لَهُ كُن فَيَكونُ
“Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti kejadian Nabi Adam. Allah menjadikannya dari tanah, kemudian Allah berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” (Kun), maka menjadilah ia.”

Maka, maksud Nabi Isa itu “Kalimah Allah” ialah baginda dicipta secara luar biasa terus melalui kalimah “كُن”, bukannya baginda itu sebahagian daripada Zat Tuhan.

2. Gelaran “Roh daripada Allah” (رُوحٌ مِّنْهُ). Sambungan daripada Nisa’:171 tadi, Allah turut berfirman:

وَرُوحٌ مِّنْهُ
dan (Isa juga) ialah roh daripada-Nya (daripada Allah)

Titik Kesamaran (Mutashabih): Perkataan “daripada-Nya” (مِّنْهُ) disalahfaham oleh golongan berpenyakit hati seolah-olah roh Nabi Isa itu adalah “cebisan” daripada Roh Zat Allah yang ditiup masuk ke dalam Maryam (doktrin anak Tuhan).

Cara Jamak dengan Ayat Muhkam: Dalam bahasa Arab, sandaran roh kepada Allah di sini dinamakan sebagai Idafah Tasyrif (sandaran untuk memuliakan), sama seperti istilah Baitullah (Rumah Allah) atau Naqatullah (Unta Allah). Ia tidak bermaksud rumah itu hak milik zat Allah, tetapi tanda kemuliaan.

Mata rantai ini disandarkan pula kepada ayat muhkam tentang penciptaan manusia biasa dalam Sajdah:9:

ثُمَّ سَوّٰهُ وَنَفَخَ فيهِ مِن رّوحِهِ
kemudian Dia menyempurnakan kejadiannya, dan meniupkan ke dalamnya roh daripada-Nya

Ini bermaksud, jika Nabi Isa dikira tuhan kerana ada roh daripada Allah, maka seluruh manusia juga patut dianggap tuhan kerana kita semua memiliki roh ciptaan Allah. Kesamaran itu terus terbatal.

3. Keajaiban Mencipta Burung dan Menghidupkan Orang Mati. Di dalam Ali Imran:49, diceritakan mukjizat Nabi Isa:

أَنِّي أَخْلُقُ لَكُم مِّنَ الطِّينِ كَهَيْئَةِ الطَّيْرِ فَأَنفُخُ فِيهِ فَيَكُونُ طَيْرًا بِإِذْنِ اللَّهِ ۖ وَأُبْرِئُ الْأَكْمَهَ وَالْأَبْرَصَ وَأُحْيِي الْمَوْتَىٰ بِإِذْنِ اللَّهِ
iaitu aku membuat untuk kamu dari tanah liat seperti bentuk burung, kemudian aku meniup padanya lalu menjadilah ia seekor burung… dan aku menyembuhkan orang buta dan orang sopak, dan aku menghidupkan orang-orang yang mati dengan izin Allah

Titik Kesamaran (Mutashabih): Sifat menghidupkan orang mati dan mencipta makhluk adalah hak eksklusif Tuhan. Golongan orientalis atau Kristian Najran memetik ayat ini untuk berkata, “Lihat, Isa boleh menghidupkan orang mati, bermakna dia ada kuasa tuhan.”

Cara Jamak dengan Ayat Muhkam: Allah mengunci setiap mukjizat itu dengan frasa yang sangat jelas (muhkam) di dalam ayat yang sama, iaitu: بِإِذْنِ اللَّهِ (“dengan izin Allah”). Nabi Isa tidak melakukannya dengan kuasa mutlak diri sendiri, tetapi sebagai tanda kenabian yang dipinjamkan oleh Allah. Malah, ayat ini diharmonikan dengan ayat penting iaitu Maidah:116 di mana Allah bertanya terus kepada Isa di akhirat nanti:

وَإِذ قالَ اللَّهُ يٰعيسَى ابنَ مَريَمَ ءأَنتَ قُلتَ لِلنّاسِ اتَّخِذوني وَأُمِّيَ إِلٰهَينِ مِن دونِ اللَّهِ ۖ قالَ سُبحٰنَكَ ما يَكونُ لي أَن أَقولَ ما لَيسَ لي بِحَقٍّ
“Wahai Isa anak Maryam! Adakah engkau pernah berkata kepada manusia: Jadikanlah aku dan ibuku dua tuhan selain Allah?” Nabi Isa menjawab dengan tegas: “Maha Suci Engkau! Tidak layak bagiku mengatakan sesuatu yang aku tidak berhak mengatakannya…”

Melihat kepada ketiga-tiga contoh ini, kita dapat faham kenapa Allah meletakkan Ayat 7 ini selepas bercakap tentang rahim (Ayat 6). Golongan yang sesat akan mengeksploitasi istilah kiasan (mutashabihat) seperti “Kalimah” dan “Roh” untuk menuhankan Nabi Isa, sedangkan Al-Qur’an telah menyediakan ayat-ayat muhkamat yang menegaskan bahawa beliau tetap seorang hamba dan utusan Allah yang dicipta di dalam rahim.

Kita perlu bincangkan kenapa ada ayat-ayat مُتَشَـٰبِهَـٰتٌ ini. Di satu pihak, Al-Qur’an menegaskan diri-Nya sebagai الكِتٰبِ المُبينِ (Kitab yang jelas/menerangkan), seperti di dalam Yusuf:1

الر ۚ تِلكَ ءآيٰتُ الكِتٰبِ المُبينِ
Alif, laam, raa. Ini adalah ayat-ayat Kitab (Al Qur’an) yang nyata.

Akan tetapi sekarang di dalam ayat ini, Allah menyatakan ada ayat-ayat yang Mutashabihat (samar). Sekali imbas, ia kelihatan seperti bercanggah, bukan? Tetapi sebenarnya tidak bercanggah langsung. Para ulama’ telah menjamakkan (mengharmonikan) kedua-dua konsep ini dengan jawapan yang sangat indah dan logik.

Pertamanya Sifat Mubin Merujuk kepada “Keseluruhan” dan “Tujuan” Al-Quran. Apabila Al-Quran disebut sebagai Mubin (jelas/menerangkan), ia bermaksud:

    • Jelas dari segi kebenaran: Jelas bahawa ia bukan rekaan manusia, bukan sihir, dan bukan puisi.
    • Jelas pada teras ajaran (Akidah & Syariat): Perkara-perkara pokok untuk selamat di dunia dan akhirat semuanya diterangkan dengan sangat jelas (Muhkam). Contohnya: Kewajipan Tauhid, haramnya syirik, kewajipan solat, haramnya berzina, dan perintah berbuat baik kepada ibu bapa. Tiada kesamaran dalam hal ini.

Oleh itu, kewujudan segelintir ayat mutashabihat tidak menafikan sifat Al-Qur’an yang mubin, kerana fungsi utama Al-Qur’an sebagai petunjuk (huda) sudah pun tersampai dengan sangat terang dan jelas.

Keduanya, di dalam ayat 7 surah Ali ‘Imran ini sendiri, Allah memberikan formula bagaimana cara mengendalikan ayat yang samar. Allah menyebut bahawa ayat-ayat Muhkamat (yang jelas maknanya) adalah Ummul Kitab (Induk/Paksi Al-Qur’an). Ayat yang samar (mutashabihat) tidak boleh berdiri sendiri. Ia mesti dibawa, ditafsir, dan disandarkan kepada ayat yang jelas (muhkam). Apabila ayat samar itu dipulangkan kepada ayat induk, maka makna ayat samar itu akan menjadi jelas (mubin). Mari kita lihat satu contoh klasik, Taha:5:

الرَّحْمَٰنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَىٰ
Tuhan ar-Rahman itu bersemayam di Arash.

Perkataan “bersemayam” atau اسْتَوَىٰ boleh menimbulkan kesamaran. Ramai yang berkelahi tak cukup akal dengan ayat sebegini. Ada pula yang bodoh sampai kafir mengkafir orang lain yang tidak setuju dengan pandangannya. Ada yang menuduh golongan Salafi menjisimkan Allah, mengatakan Allah memerlukan tempat, bergantung kepada makhluk dan sebagainya. Sedangkan senang sahaja untuk selesai isu ini. Soalan dia adalah: Adakah Allah duduk seperti makhluk?

Jadi tafsiran bagi ayat ini perlu dikembalikan kepada ayat yang Muhkam. Iaitu cubalah lihat sikit pada Shura:11

لَيسَ كَمِثلِهِ شَيءٌ
Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan-Nya

Apabila kita jamakkan dua ayat ini, barulah kita akan faham: Allah bersemayam dengan cara yang layak bagi keagungan-Nya, tanpa sama sekali menyerupai makhluk. Kesamaran tadi hilang dan maknanya menjadi mubin (jelas) berkat ayat induk tersebut. Itulah sebabnya kena belajar tafsir Al-Qur’an supaya tidak keliru dan bengong. Pihak yang mengatakan Allah bersemayam di Arasy itu tidak pun kata Allah duduk macam manusia duduk. Yang suruh bayangkan Allah duduk macam patung Buddha gemok tu, siapa yang suruh?

Jadi, ayat-ayat mutashabihat ini tidak boleh dibaca bersendirian. Jadi pening kalau begitu. Ia mestilah dirujuk dan dipadankan dengan ayat-ayat Muhkamat. Nanti sekejap lagi kita akan jumpa golongan yang tebuk ayat mutashabihat sahaja nanti.

Apakah hikmah di sebalik Ayat Mutashabihat? Kenapa Allah tidak jadikan 100% ayat Al-Qur’an itu muhkam dan terus jelas sahaja? Kenapa perlu ada mutashabihat? Supaya tidaklah pening dan berkelahi umat Islam seteruk sekarang. Antara hikmahnya adalah:

  1. Ujian Keimanan dan Hati: Allah mahu membezakan antara orang yang dalam hatinya ada penyakit (suka memutarbelitkan ayat samar untuk fitnah) dengan orang yang mendalam ilmunya (Ar-Rasikhuna fil ‘Ilm) yang berkata, “Kami beriman kepadanya, semuanya daripada Tuhan kami.”
  2. Keterbatasan Akal Manusia: Al-Qur’an menceritakan tentang perkara ghaib (Zat Allah, Syurga, Neraka, Ruh). Akal manusia yang terbatas di dunia ini tidak akan mampu membayangkan hakikat sebenar perkara ghaib tersebut. Maka, Allah gunakan bahasa kiasan (mutashabihat) yang paling dekat dengan bahasa manusia untuk memberi gambaran awal.
  3. Galakan untuk Mengkaji (Tadabbur): Jika semua ayat terlalu terus-terang, manusia tidak akan mengerahkan akal untuk mengkaji bahasa, usul fiqh, sastera, dan falsafah Islam. Ayat mutashabihat menghidupkan budaya ilmu dalam umat Islam.

Ulama’ menyebut beberapa sebab kenapa manusia tidak faham. Kerana tidak belajar dan oleh kerana itu:

1. Sebab kurang ilmu, tidak mahu belajar. Malas nak belajar, pakai tembak sahaja fahaman ikut kepala sendiri.
2. Kurang fahaman. Ada orang ilmu banyak, tapi tetap tak faham juga. Kerana Allah bagi cerdik kepada manusia dengan tahap berbeza. Sebab itu penting kita lihat pandangan ulama’ kerana kita nampak satu lapis sahaja, tapi ulama’ nampak berlapis-lapis. Antara ulama’ pun ada perbezaan kepandaian dan akal. Ada yang hebat dan nampak berguni-guni pengajaran.
3. Kurangnya tadabbur. Iaitu merenung kembali ayat-ayat yang telah dipelajari tafsirnya. Ada yang sudah belajar banyak tapi dia tidak tadabbur iaitu merenung dengan mendalam.
4. Kefahaman yang buruk. Ada yang belajar dengan orang yang salah, ayat-ayat Mutasyabihat itu mereka terjemahkan ikut kepala sendiri sampai jadi pemahaman yang pelik dan ke laut. Ini bahaya kalau salah belajar. Ini kita akan bincangkan di dalam frasa: في قُلوبِهِم زَيغٌ sekejap lagi.

Kesimpulannya: Al-Qur’an kekal sebagai الكِتٰبِ المُبينِ (Kitab yang Jelas) kerana kompas utama, jalan keselamatan, dan mesej asasnya sangat terang. Ayat mutashabihat pula wujud sebagai ujian iman dan tanda keterbatasan akal kita, yang mana maknanya akan menjadi harmoni dan jelas apabila kita merujuknya kembali kepada ayat-ayat yang kukuh (muhkamat).

Kalau kita perhatikan pun, ayat-ayat mutashabihat ini hanya menyentuh perkara yang selain daripada hukum hakam kerana ayat-ayat hukum memang kena jelas, tidak boleh samar-samar. Ini kerana kalau samar, susah manusia hendak ikut. Ayat-ayat yang samar-samar ini dinamakan ayat-ayat mutashabihat dan ia sukar difahami kalau dibaca sepintas lalu sahaja tanpa belajar. Tapi ia bukanlah ayat hukum yang kita kena ikut. Macam bersemayamnya Allah itu, kita tidak perlu sibuk pun Dia bersemayam di mana, macam mana. Kerja bodoh untuk fikirkan hal itu kerana kita tidak akan dapat mencapainya. Kita serahkan sahaja kepada Allah, selayaknya bagi Allah. Kerana itu Rasulullah telah pernah bersabda,

تَفَكَّرُوا فِي خَلْقِ اللهِ، وَلَا تَتَفَكَّرُوا فِي اللهِ
Berfikirlah kamu tentang makhluk (ciptaan) Allah, dan janganlah kamu berfikir tentang (zat) Allah.”

Riwayat Abu Nu’aim dalam Al-Hilyah, Al-Asbahani; dinilai Hasan oleh Syeikh Al-Albani dalam Silsilah Al-Ahadith As-Sahihah)

Antara yang termasuk dalam jenis ayat-ayat Mutasyabihat ini adalah ayat-ayat yang kita tidak faham maksudnya, seperti ayat pertama surah ini – alif lam mim dan banyak lagi ayat-ayat muqatta’ah yang lain; termasuk juga dalam jenis ayat-ayat mutasyabihat adalah penerangan tentang Allah ﷻ  – Allah ﷻ  mempunyai tangan, Allah ﷻ bersemayam di Arasy, Allah ﷻ ada mata, dan sebagainya. Perkara ini ada dibincangkan di dalam bab Usul Tafsir oleh ulama’ yang mahir. Sebelum pergi jauh, mungkin elok dirujuk dulu apakah perbincangan ulama’ dalam hal ini.

Walaupun samar-samar, tetapi ia masih boleh dijelaskan lagi supaya ada kefahaman setakat yang kita perlu tahu sahaja. Kalau baca sendiri dan sepintas lalu, tentu tidak faham. Takut kalau cuba untuk faham sendiri, akan menyebabkan salah faham dan sesat. Maka kenalah belajar tafsir dengan mereka yang mahir untuk memahaminya. Janganlah pula tanya dengan guru-guru yang tidak tahu seperti guru tarekat atau guru yang tidak belajar tafsir pula kerana mereka akan pusing ayat-ayat itu sampai manusia keliru kerana mereka pun keliru juga. Mereka pun tidak belajar tafsir, jadi bagaimana mereka hendak jelaskan? Bukan semua ustaz belajar tafsir penuh. Kalau tidak percaya, cubalah tanya ustaz anda.

Ada ayat-ayat Al-Qur’an yang tidak perlu dihuraikan pun kerana Nabi ﷺ sendiri tidak huraikan. Kalau Nabi sendiri ﷺ tidak huraikan, itu bermaksud kita tidak perlu sibuk hendak cari maksudnya. Ini kerana tugas Nabi ﷺ adalah menyampaikan syariat dan kalau ada ayat-ayat yang boleh menyebabkan kekeliruan, dan ia penting, maka baginda pasti sudah menjelaskannya. Nabi ﷺ telah selesai menjalankan tugas baginda dalam menyampaikan agama ini kepada umatnya. Maka, ringkasnya, kalau Nabi ﷺ tidak huraikan, maknanya kita tidak perlu tahu. Tidak perlu pening-pening memikirkannya. Maknanya, bukan semua benda kita tahu dan ada banyak benda kita tidak akan tahu kerana keterbatasan akal kita sebagai manusia.

Memang ada banyak perkara yang kita tidak akan dapat tahu dengan mendalam. Sebagai contoh, tentang roh. Puak Yahudi Madinah pernah menyuruh Musyrikin Mekah tanyakan tentang roh kepada Nabi ﷺ. Mereka pesan kepada Musyrikin Mekah itu, kalau Nabi Muhammad ﷺ boleh beritahu tentang roh, maknanya baginda bukan seorang Nabi sebab dalam kitab mereka telah diberitahu yang jawapannya adalah ‘tidak tahu’. Memang bila ditanya, jawapan yang diberikan oleh Nabi Muhammad ﷺ (setelah diberitahu oleh Allah ﷻ) adalah roh itu adalah urusan Tuhan. Lihat Isra’:85

وَيَسـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلرُّوحِ‌ۖ قُلِ ٱلرُّوحُ مِن أَمرِ رَبِّى وَمَآ أُوتِيتُم مِّنَ ٱلعِلمِ إِلَّا قَلِيلاً
Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah: “Roh itu termasuk urusan Tuhan-ku, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit”.

Memang kita manusia tidak diberikan dengan ilmu menyeluruh tentangnya. Yang kita tahu, Roh itu ada dan ia adalah urusan Allah ﷻ. Maka kena beriman sahaja setakat yang kita tahu. Allah ﷻ sahaja yang tahu secara keseluruhan dan Nabi ﷺ pun tidak huraikan sedangkan kalau ia perkara yang perlu diketahui, sudah tentu Nabi ﷺ telah huraikan. Namun malangnya, dalam masyarakat kita, ada yang apabila membicarakan ayat-ayat mutasyabihat, mereka boleh pula menghuraikannya panjang-panjang sedangkan maklumat daripada nas tidak ada. Semua pakat pakai ilmu khayalan sahaja. Ini amatlah menghairankan. Sebagai contoh, Imam Razi kata sampai ada seribu pendapat yang berbeza tentang roh. Padahal ia adalah perkara yang tidak perlu dihuraikan. Benda yang patut dihuraikan dan dijelaskan tidak pula dihuraikan, tetapi sibuk tentang perkara yang tidak perlu.

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya

Kemaskini: 18 Jun 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment