Ali Imran Ayat 7: Ayat ini untuk memperjelaskan tentang kesamaran-kesamaran seperti yang telah disebut dalam pengenalan Surah Ali Imran ini. Antara kesamaran yang ada dalam Kitab Injil, telah disebut Nabi Isa عليه السلام adalah ‘Anak Allah’, ‘Roh Allah’ dan lain-lain lagi. Itu adalah lafaz-lafaz yang samar yang menyebabkan kekeliruan manusia tentang Nabi Isa عليه السلام.
Dalam Al-Qur’an juga ada ayat-ayat yang samar-samar yang boleh menyebabkan orang Islam salah faham. Maka perkara ini perlu diperjelaskan.
هُوَ الَّذيٓ أَنزَلَ عَلَيكَ ٱلكِتَـٰبَ مِنهُ ءَايَـٰتٌ مُّحكَمَـٰتٌ هُنَّ أُمُّ ٱلكِتَـٰبِ وَأُخَرُ مُتَشَـٰبِهَـٰتٌ ۖ فَأَمَّا الَّذينَ في قُلوبِهِم زَيغٌ فَيَتَّبِعونَ ما تَشَـٰبَهَ مِنهُ ابتِغآءَ الفِتنَةِ وَابتِغآءَ تَأويلِهِ ۗ وَما يَعلَمُ تَأوِيلَهُ ۥۤ إِلَّا اللَّهُ ۗ وَٱلرّٰسِخُونَ فِي العِلمِ يَقولونَ ءَامَنَّا بِهِۦ كُلٌّ مِّن عِندِ رَبِّنا ۗ وَما يَذَّكَّرُ إِلّآ أُولُو ٱلأَلبَـٰبِ
SAHIH INTERNATIONAL
It is He who has sent down to you, [O Muhammad], the Book; in it are verses [that are] precise – they are the foundation of the Book – and others unspecific. As for those in whose hearts is deviation [from truth], they will follow that of it which is unspecific, seeking discord and seeking an interpretation [suitable to them]. And no one knows its [true] interpretation except Allah . But those firm in knowledge say, “We believe in it. All [of it] is from our Lord.” And no one will be reminded except those of understanding.
MALAY
Dia lah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Qur’an. Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat “Muhkamaat” (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Qur’an. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat “Mutasyaabihaat” (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbullah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) – adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Qur’an untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu ugama, berkata:” Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami” Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.
هُوَ الَّذي أَنزَلَ عَلَيكَ ٱلكِتَـٰبَ
Dia lah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Qur’an.
Allah ﷻ memulakan ayat ini dengan mengingatkan kita bahawa Dialah yang menurunkan Al-Qur’an ini kepada Nabi Muhammad ﷺ untuk disampaikan kepada kita. Siapa هُوَ (Dia) itu? Ini telah dijelaskan sebelum ini, iaitu yang tidak sembunyi apa-apa pun dariNya, yang tahu segalanya-galanya, termasuk yang di dalam rahim ibu. Yang hanya Dia yang layak disembah dan dihadapkan doa kita. Jadi Dia itu yang telah menurunkan Kitab Al-Qur’an ini untuk panduan hidup kita. Maka hendaklah kita ambil perhatian dan ambil manfaat dari Al-Qur’an ini. Sekali lagi, apa manfaat yang kita akan dapat kalau setakat baca dan baca sahaja Al-Qur’an itu?
Allah tahu segala-galanya, maka Dia juga tahu apa yang kita perlukan, bukan? Maka yang kita amat perlukan adalah panduan dari Al-Qur’an. Maka marilah kita mempelajari apakah maksud ayat-ayat Allah ini ya. Sebagaimana Allah jaga janin di dalam perut dengan kasih sayang, maka begitulah Allah turunkan Al-Qur’an ini dengan penuh sifat kasih sayang kepada kita makhlukNya. Jadi semasa kita membaca Al-Qur’an ini, kena ada rasa kasih sayang Allah kepada kita. Allah bukan hendak bebankan kita, bukan hendak tekan kita dengan hukum hakam di dalam Al-Qur’an, bukan untuk menakutkan kita dengan asyik sebut tentang neraka sahaja. Itu semua adalah untuk kebaikan kita kerana Dia sayang kita, bukan?
Allah berfirman di sini هُوَ الَّذيٓ أَنزَلَ عَلَيكَ ٱلكِتَـٰبَ. Kenapa perlu ditambah عَلَيكَ (ke atas Engkau Muhammad)? Kalau هُوَ الَّذيٓ أَنزَلَ ٱلكِتَـٰبَ pun kita sudah lengkap, sudah setel. Kenapa hendak menekankan yang Nabi Muhammad ada autoriti ke atas Al-Qur’an. Ayat ini sedang membincangkan tentang adanya ayat Muhkamat (jelas) dan Mutashabihat (samar). Dengan menyebut “Allah menurunkan Al-Kitab ini ke atas pundakmu (wahai Muhammad)”, Allah sedang menegaskan: “Wahai manusia, Al-Qur’an ini turun atas tanggungjawab Muhammad. Oleh itu, jika kamu keliru tentang mana ayat yang jelas dan mana ayat yang samar, rujuklah kepada Muhammad! Baginda adalah pemegang amanah yang sah, bukannya akal logik kamu yang memandai-mandai.”
Sebelum ini telah disebut tentang Al-Qur’an (digunakan istilah Al-Kitab), Taurat dan Injil. Sekarang disebut Al-Qur’an sahaja kerana ia yang paling utama. Ia telah membatalkan (mansukh) kitab-kitab wahyu sebelum ini.
Tetapi kenapa kali ini Allah menggunakan kalimah أَنزَلَ pula? Kita telah bincangkan panjang lebar tentang perbezaan kalimah أَنزَلَ dan نَزَّلَ di dalam Ayat 3 sebelum ini. Digunakan kalimah نَزَّلَ kerana Al-Qur’an diturunkan berperingkat-peringkat sedangkan أَنزَلَ digunakan untuk Taurat dan Injil kerana ia diturunkan sekaligus. Kenapa pula digunakan kalimah أَنزَلَ bagi Al-Qur’an pula kali ini?
Ulama’ mengatakan kerana Al-Qur’an ada diturunkan berperingkat dan ada diturunkan sekaligus. Iaitu ia diturunkan sekaligus dari Lauh Mahfuz ke langit dunia dan dari langit dunia itulah diturunkan sedikit demi sedikit kepada Nabi Muhammad.
Kenapa dari sebut tentang manusia dibentuk di dalam rahim ibu, tiba-tiba terus masuk ke dalam penceritaan tentang Al-Qur’an pula? Pengajaran yang kita boleh ambil adalah: tujuan kita dijadikan adalah untuk hidup berpandukan Al-Qur’an. Begitu juga di dalam Rahman:1-3, Allah sebut Dia mengajar Al-Qur’an kepada kita sebelum disebut penciptaan kita:
ٱلرَّحمَـٰنُ (١) عَلَّمَ ٱلقُرءَانَ (٢) خَلَقَ ٱلإِنسَـٰنَ (٣)
(Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya. (1) Dialah yang telah mengajarkan Al-Quran. (2) Dialah yang telah menciptakan manusia. (3)
Cuma di dalam Surah Ali Imran ini Allah ikut tertib jadikan manusia dahulu, barulah disebut tentang Al-Qur’an. Susunan di dalam Surah Rahmah Allah ubah dan kesannya adalah tasriful ayah, iaitu kepelbagaian susunan ayat Al-Qur’an.
Tapi kaitan manusia dengan Al-Qur’an sangat rapat. Iaitu kalau hidup di dunia tapi tidak tahu tafsir Al-Qur’an, apa yang Allah hendak dari kita, itu hidup yang sia-sia. 60 tahun hidup tapi tak tahu langsung maksud Al-Qur’an, sangatlah merugikan.
Di dalam Ali Imran ini Allah sebut Dia menurunkan Al-Qur’an. Itu pun kita sudah kena ambil perhatian. Akan tetapi ia lebih kuat lagi di dalam Surah Rahman itu. Allah gunakan kalimah عَلَّمَ (Dia mengajar). Maknanya Allah turunkan Al-Qur’an ini supaya ia dipelajari maknanya. Bukannya setakat dibaca, dihafal, digantung di dinding sahaja. Kerana ia adalah panduan hidup manusia. Kalau dibaca tapi tidak faham, bagaimana ia boleh menjadi panduan?
مِنهُ ءَايَـٰتٌ مُّحكَمَـٰتٌ
Sebahagian besar daripada Al-Qur’an itu ialah ayat-ayat “Muhkamaat”
Kalimah مُحْكَمَاتٌ adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘tetap, tegas, nyata, jelas’. Ia dari kata dasar ح ك م yang bermaksud menahan, menjalankan kuasa, memberi arahan, memberi keputusan, menghakimi, menjadi bijak. Dari kata dasar yang sama kita dapat: Hikmah yang pada mulanya bererti menghalangi. Orang yang ada hikmah akan menghalanginya daripada melakukan kesalahan dan keburukan. Jadi hikmah adalah sesuatu yang fungsinya membawa kepada yang baik dan menghindarkan daripada yang buruk. Untuk mencapai maksud tersebut diperlukan pengetahuan dan kemampuan untuk menerapkannya.
Kalimah مُحْكَم bermaksud sesuatu yang diikat atau tetap bersama sampai ia menjadi kuat. Dalam kamus-kamus klasik bahasa Arab (seperti Mu’jam Maqaayis al-Lughah oleh Ibnu Faris), kata dasar ini asalnya merujuk kepada fungsi “menghalang demi kebaikan”. Sebagai contoh ia digunakan untuk tali kekang kuda (Ḥakamah): Fungsi besi ini adalah untuk menghalang dan mengawal kuda tersebut daripada bertindak liar atau lari bertempiaran. Bayangkan juga binaan yang kukuh (Binā’un Muḥkam). Rumah atau dinding yang dibina dengan sangat rapi, padat, dan kuat sehingga terhalang daripada runtuh, retak, atau dirempuh oleh musuh. Seorang hakim dipanggil ‘hakim’ kerana dia menghalang perkara buruk dari berlaku.
Al-Qur’an memindahkan makna “menghalang daripada liar/rosak” dan “kekukuhan binaan” ini kepada sebahagian ayat-ayatnya. Itulah yang Allah gunakan sebagai ‘ayat-ayat Muhkamat’. Apabila Allah mensifatkan sebahagian ayat sebagai آيَاتٌ مُّحْكَمَاتٌ (Ayat-ayat yang muhkamat), ia membawa maksud ayat-ayat itu mempunyai makna yang terkunci rapi. Ayat-ayat tersebut mempunyai makna yang sangat jelas, tegas, dan “terkunci” sehingga menghalang timbulnya sebarang keraguan, kesamaran, atau cubaan memutarbelitkan maknanya. Apabila kita membayangkan muhkam sebagai terikat bersama, setiap ayat kita kena kaitkan, kerana ayat-ayat Al-Qur’an itu berkaitan. Ini baru boleh menghalang salah faham dari berlaku.
Ia juga ayat-ayat yang mengandungi hukum yang muktamad. Ia adalah ayat-ayat yang memuatkan tiang agama seperti hukum syariat (halal dan haram), dasar akidah (Tauhid), dan prinsip akhlak. Maknanya sudah “sempurna dan kukuh”, tidak boleh diubah-ubah atau mansuh oleh selera nafsu manusia.
Di dalam Hud:1 Allah memberitahu kita bahawa keseluruhan ayat-ayat Al-Qur’an itu adalah Muhkam.
الر ۚ كِتٰبٌ أُحكِمَت ءآيٰتُهُ ثُمَّ فُصِّلَت مِن لَّدُن حَكيمٍ خَبيرٍ
Alif, Laam, Raa’. Al-Qur’an sebuah Kitab yang tersusun ayat-ayatnya dengan tetap teguh, kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu. (Susunan dan penjelasan itu) adalah dari sisi Allah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.
Kita akan belajar sebentar lagi yang bukan semua ayat Al-Qur’an itu Muhkam. Jadi apa maksud Hud:1 ini? Di dalam Surah Hud ini, Allah hendak memberitahu keseluruhan ayat-ayat Al-Qur’an itu tersusun rapi. Ia tersusun rapi dan sempurna sampaikan tidak ada ruang lompong kesalahan di dalamnya. Jadi ia memberitahu sifat Al-Qur’an di dalam bentuk yang lain. Jadi kena bezakan apakah konteks satu ayat dengan ayat yang lain. Kita tidak boleh gunakan satu istilah dan pukul rata kepada semuanya.
Majoriti dalam Al-Qur’an itu ada ayat-ayat yang jelas tentang tauhid dan akidah. Tidak ada ruang untuk kekeliruan dalam ayat-ayat Muhkamat. Ia adalah ayat-ayat yang kita akan mudah faham kalau kita belajar tafsir sebab itulah kita sentiasa tekankan kepentingan belajar tafsir Al-Qur’an supaya manusia boleh faham apakah yang hendak disampaikan.
Ayat-ayat Muhkamat itu juga mengandungi hukum untuk dijadikan panduan oleh makhluk yang dipertanggungjawabkan dengan syariat – manusia dan jin. Maka, ini pun kita kena belajar juga kerana kita kena taat. Kalau kita tidak belajar, bagaimana kita hendak taat?
Cuma, ayat Al-Qur’an akan memberikan hukum secara ringkas dan cara praktiknya akan diajar oleh Nabi ﷺ dalam hadith. Maksud hadith itu pula akan dijelaskan oleh ulama’. Maknanya, kena belajar dengan ulama’ juga, tidak boleh faham sendiri kerana kalau baca sendiri, kita tidak faham.
Sebagai contoh, dalam Al-Qur’an Allah ﷻ suruh kita mendirikan salat tetapi tidak disebut bagaimanakah cara mendirikan salat itu. Maka perincian cara-cara untuk melakukan salat itu diajar oleh Nabi ﷺ melalui hadith baginda dan kita tidak dapat lihat bagaimana cara Nabi ﷺ solat, maka kita kena belajar dengan ulama’ dan guru untuk mendapatkan cara yang betul untuk mendirikan salat itu.
هُنَّ أُمُّ ٱلكِتَـٰبِ
ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu isi Al-Qur’an.
‘Umm’ bermaksud ibu atau induk. Ayat-ayat Muhkamat itu disebut sebagai Ummul Kitab kerana ia adalah ‘asal kitab’ untuk dijadikan neraca untuk membezakan yang benar dan yang tidak. Ia adalah perdu atau pati kepada Al-Qur’an.
Kenapa Allah gunakan istilah أُمُّ? Dalam bahasa Arab, asal-usul perkataan أُمُّ (ibu) digunakan untuk merujuk kepada “asas, induk, atau tempat kembali bagi segala sesuatu.” Seorang anak, ke mana sahaja dia pergi atau apabila dia ditimpa kesusahan, dia akan kembali mencari ibunya sebagai pelindung dan tempat rujukan utama. Begitu juga dengan Al-Qur’an. Apabila kita membaca ayat-ayat yang samar, kiasan, atau sukar difahami (mutashabihat), kita wajib mengembalikan dan menyandarkan maksudnya kepada ayat-ayat induk (muhkamat). Ayat muhkamat adalah “ibu” yang memelihara dan membetulkan kefahaman kita supaya tidak tersasar.
Penggunaan kata أُمُّ juga memberi isyarat bahawa ayat-ayat yang jelas dan nyata dari segi hukum, syariat, dan akidah ini merupakan bahagian terbesar (majoriti) di dalam Al-Qur’an. Teras utama Al-Quran dibina atas ayat-ayat yang mudah difahami oleh semua manusia tanpa perbalahan (seperti perintah solat, berbuat baik, larangan membunuh, dan keesaan Allah). Jangan hendak fokus kepada sesuatu ayat yang mutashabihat sahaja.
Balaghah: Kenapa Allah sebut أُمُّ (Tunggal/Singular) sedangkan ayat-ayatnya banyak (هُنَّ – Jamak)? Ini adalah satu lagi kehalusan mukjizat bahasa Al-Qur’an. Allah menggunakan perkataan هُنَّ (mereka – merujuk kepada ayat-ayat muhkamat yang banyak), tetapi Allah tidak sebut أُمَّهَاتُ الْكِتَابِ (ibu-ibu kitab), sebaliknya Allah sebut أُمُّ ٱلكِتَـٰبِ (ibu kitab – dalam bentuk tunggal).
Para ulama nahu dan tafsir menyatakan hikmahnya ialah: Walaupun ayat-ayat muhkamat itu jumlahnya sangat banyak dan menyentuh pelbagai topik (ada bab solat, puasa, pusaka, kisah par Nabi), kesemua ayat tersebut sebenarnya berpaksikan kepada satu dasar yang sama, teguh, konsisten, dan tidak bercanggah antara satu sama lain. Mereka bersatu di bawah satu “ibu” yang sama, iaitu kebenaran yang mutlak.
Oleh itu, ayat-ayat Muhkamat ini kita kena tahu, kena faham dan kena ikut. Janganlah lagi jadi orang yang jahil, tidak tahu apa yang disampaikan oleh Al-Qur’an ini. Janganlah hanya belajar agama tanpa belajar tafsir dahulu. Jangan main tebuk-tebuk ayat-ayat tertentu sahaja tapi lihatlah kepada ayat-ayat yang lain juga. Kena belajar keseluruhan 30 juzuk Al-Qur’an supaya dapat pemahaman yang penuh. Kalau main tebuk satu-satu ayat, boleh ke laut jadinya.
Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya
Kemaskini: 17 Jun 2026
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
