(15) Mengelak Diri Daripada Menta’wil Ayat-Ayat Mutasyabihat
Antara Ayat-Ayat Muhkamaat Dan Ayat-Ayat Mutasyabihaat
Sebelum pergi lebih jauh, para pelajar Tafsir Al-Qur’an perlu mengetahui perbezaan pandangan ulama’ tentang apa yang dinamakan sebagai ayat-ayat muhkamaat dan ayat-ayat mutasyabihaat. Apa yang disepakati sebagai ayat-ayat mutasyabihaat dan apa pula yang tidak disepakati. Terdapat tiga pendapat ulama’ Tafsir tentangnya:
(1) Ada ulama’ mengatakan ayat-ayat al-Qur’an itu semuanya muhkamaat. Dalil di sisi mereka ialah firman Allah berikut:
الر ۚ كِتٰبٌ أُحكِمَت ءآيٰتُهُ ثُمَّ فُصِّلَت مِن لَّدُن حَكيمٍ خَبيرٍ
Alif, Laam, Raa. Al-Qur’an sebuah Kitab yang tersusun ayat-ayatnya dengan tetap teguh, kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu. (Susunan dan penjelasan itu) adalah dari sisi Allah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya. (Hud:1).
Bagi mereka sebabnya semua ayat al-Qur’an itu muhkamat ialah kerana:
(a) Susunan bahasanya semuanya teguh dan kukuh.
(b) Semua dalil dan buktinya kuat dan teguh.
(c) Setiap ayatnya benar dan betul.
(d) Setiap ayat al-Qur’an bersih daripada segala kekurangan dan terpelihara daripada kesilapan, sama ada pada perkataan atau maknanya.
(e) Ia penuh dengan hikmat dan mashlahah.
(f) Al-Qur’an adalah kalam Allah, Tuhan Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mendalam IlmuNya, maka sudah tentulah ia penuh dengan kebijaksanaan dan ilmu yang tepat dan kemas
(g) Tidak ada di dalamnya perkara sia-sia dan senda gurau. Semuanya tegas dan bukan main-main (serius).
(h) Ia terpelihara daripada segala bentuk kebatilan dan penyelewengan.
Apa yang dikemukakan sebagai sebab bagi muhkamnya (teguh dan kukuhnya) semua ayat-ayat al-Qur’an itu terkandung dalam ayat 1 Surah Huud yang dibentangkan di atas.
Pendapat (1) ini sebenarnya memakai perkataan muhkam atau muhkamaat dalam makna bahasa Arabnya semata-mata. Ia tiada kaitan dengan makna istilahinya yang terpakai dalam Ulum al-Qur’an. Memanglah menurut bahasa ‘Arab muhkam bererti teguh, kukuh, kuat, kemas, teratur dan tersusun dengan baik, benar, betul dan lain-lain seperti telah disebutkan di atas tadi.
(2) Ada yang mengatakan kesemua ayat-ayatnya mutasyabihaat. Dalilnya ialah firman Allah di bawah ini:
اللَهُ نَزَّلَ أَحسَنَ الحَديثِ كِتٰبًا مُّتَشٰبِهًا مَّثانِيَ تَقشَعِرُّ مِنهُ جُلودُ الَّذينَ يَخشَونَ رَبَّهُم ثُمَّ تَلينُ جُلودُهُم وَقُلوبُهُم إِلىٰ ذِكرِ اللهِ ۚ ذٰلِكَ هُدَى اللهِ يَهدي بِهِ مَن يَشاءُ ۚ وَمَن يُضلِلِ اللَهُ فَما لَهُ مِن هادٍ
Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci al-Qur’an yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab Suci itulah hidayat petunjuk Allah; Allah memberi hidayat petunjuk dengan al-Qur’an itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayat petunjuk kepadanya. (az-Zumar:23).
Mutasyabihaat dari segi bahasanya bererti saling menyerupai atau bersamaan antara satu dengan yang lain.
Sebabnya semua ayat al-Qur’an itu mutasyabihaat ialah kerana:
(a) Kefasihan dan kesenian bahasanya sama.
(b) Kebenaran yang terdapat di dalam semua ayat-ayatnya adalah serupa dan sama.
(c) Setiap ayat di dalamnya merupakan mu’jizat dan turun daripada Allah, ia bukan hasil karangan manusia, semuanya adalah sama antara satu dengan yang lain.
(d) Saling membenarkan, menyokong dan mentafsirkan satu sama lain.
(e) Kesamaan dan keserupaan yang sempurna membuatkan ayat-ayatnya tidak bercanggah dan bertentangan antara satu dengan yang lain.
Kedua-dua pendapat yang dikemukakan di atas, baik tentang muhkam atau mutasyabih tidak dipakai dalam makna istilahinya, malah makna-makna yang diberikan itu hanya menurut bahasa ‘Arab semata-mata.
(3) Ada pula yang mengatakan sebahagian ayat al-Qur’an itu muhkamaat, sebahagian yang lain pula mutasyabihaat. Inilah pendapat yang betul dalam bab ini. Dalil yang menjadi pegangan mereka ialah firman Allah berikut:
هُوَ الَّذيٓ أَنزَلَ عَلَيكَ ٱلكِتَـٰبَ مِنهُ ءَايَـٰتٌ مُّحكَمَـٰتٌ هُنَّ أُمُّ ٱلكِتَـٰبِ وَأُخَرُ مُتَشَـٰبِهَـٰتٌ ۖ فَأَمَّا الَّذينَ في قُلوبِهِم زَيغٌ فَيَتَّبِعونَ ما تَشَـٰبَهَ مِنهُ ابتِغآءَ الفِتنَةِ وَابتِغآءَ تَأويلِهِ ۗ وَما يَعلَمُ تَأوِيلَهُ ۥۤ إِلَّا اللَّهُ ۗ وَٱلرّٰسِخُونَ فِي العِلمِ يَقولونَ ءَامَنَّا بِهِۦ كُلٌّ مِّن عِندِ رَبِّنا ۗ وَما يَذَّكَّرُ إِلّآ أُولُو ٱلأَلبَـٰبِ
Dialah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci al-Qur’an. Sebahagian dari al-Qur’an itu ialah ayat-ayat “Muhkamaat” (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) al-Qur’an dan yang selainnya ialah ayat-ayat “Mutasyaabihaat” (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari al-Qur’an untuk menimbulkan fitnah dan untuk mencari-cari Ta’wilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Ta’wilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah.Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata: Kami beriman kepadanya,semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran. (Ali `Imraan:7).
Erti Muhkam Dan Mutasyabih Menurut Istilah
Para ulama’ juga berbeza pendapat dalam mentakrifkan (mendefinisikan) makna muhkam dan mutasyabih. Di bawah ini dikemukakan beberapa takrifnya (definisinya) sepertimana yang dikemukakan oleh para ulama’ usul:
(i) Muhkam ialah sesuatu yang diketahui maksudnya, sama ada kerana kejelasannya atau kerana dapat dita’wil (ditafsirkan). Mutasyabih pula ialah sesuatu yang diketahui Allah sahaja, seperti bilakah akan berlaku hari kiamat, bilakah akan keluar Dajjal dan maksud sebenar huruf-huruf ringkas di permulaan beberapa Surah al-Qur’an. Menurut al-Qurthubi, inilah takrif mutasyabih yang terbaik. Al-Aalusi mengaitkannya dengan pegangan Ahlu as-Sunnah Wa al-Jama’ah. Menurut beliau, inilah takrif yang terpilih. Al-Aamidi mengatakan ta’rif (i) dan (ii) selepas ini adalah yang paling sahih.
(ii) Muhkam ialah perkataan atau ayat yang terang maknanya. Mutasyabih ialah yang tidak terang maknanya.
(iii) Muhkam ialah sesuatu perkataan atau ayat yang terang dan jelas maknanya sehingga tidak mungkin dihapuskan dan tidak difahami. Mutasyabih pula ialah sesuatu perkataan atau ayat yang begitu tersembunyi dan rumit maknanya sehingga tidak dapat ditentukan, baik dengan ‘aqal mahupun dengan naqal. Allah sahaja yang mengetahui tentangnya, seperti tentang bilakah akan berlaku hari kiamat, bilakah akan keluar Dajjal dan maksud sebenar huruf-huruf ringkas di permulaan beberapa Surah al-Qur’an. Al-Aalusi mengatakan ini ialah pendapat tokoh-tokoh ulama’ Hanafiyyah.
(iv) Muhkam ialah sesuatu perkataan atau ayat yang tidak dapat menerima kecuali satu makna atau tafsiran sahaja. Adapun mutasyabih, maka ia adalah sesuatu perkataan atau ayat yang dapat menerima beberapa makna dan tafsiran. Pendapat ini dikaitkan dengan Ibnu ‘Abbaas. Ia dipakai oleh kebanyakan Ushuliyyin. Imam asy-Syafi’e dan Shah Waliyyullah adalah antara tokoh yang menerima pakai ta’rif ini.
(v) Muhkam ialah sesuatu yang dapat difikir dengan ‘aqal. Mutasyabih pula ialah sesuatu yang tidak dapat difikir dengan `aqal, seperti bilangan raka`at sembahyang, kewajipan berpuasa di bulan Ramadhan bukan di bulan Sya’ban dan lain-lain. Ini ialah pendapat al- Mawardi.
(vi) Ayat-ayat yang berkaitan dengan kewajipan dan tanggungjawab adalah muhkam. Sementara ayat-ayat yang berkaitan dengan kisah-kisah, perbandingan dan perumpamaan pula adalah mutasyabih.
(vii) Muhkam ialah ayat-ayat yang berkaitan dengan amalan. Mutasyabih ialah yang hanya berkaitan dengan keimanan.
(viii) Ayat-ayat Naasikh adalah muhkam. Ayat-ayat mansukh pula adalah mutasyabih.
(ix) Muhkam ialah sesuatu perkataan atau ayat yang dapat difahami maksudnya sama ada menerusi dalil jali (terang) atau dalil khafi (tidak terang). Mutasyabih pula ialah sesuatu yang tidak ada langsung jalan untuk memahami dan mengetahuinya.
(x) Muhkam ialah sesuatu yang berdiri sendiri dan dapat difahami dengan sendirinya. Mutasyabih ialah sesuatu yang tidak berdiri sendiri. Untuk memahaminya anda memerlukan kepada sesuatu yang lain.
Perkara-Perkara Yang Termasuk Di Bawah Takrif (Definisi) Mutasyabihaat
Seperti telah disebutkan sebelum ini, bahawa para ulama’ Tafsir terbahagi kepada tiga kumpulan dalam menentukan pembahagian ayat-ayat muhkamaat dan ayat-ayat mutasyabihaat di dalam al-Qur’an. Ada yang mengatakan semua sekali ayat al-Qur’an itu muhkam. Ada yang mengatakan semua sekali mutasyabih dan ada juga yang mengatakan sebahagian daripadanya muhkam dan sebahagian yang lain pula mutasyabih.
Pendapat pertama dan kedua tidak perlu dibawa ke meja perbincangan. Kerana kedua-duanya hanya melihat dan menilai berdasarkan piawaian bahasa semata-mata.
Dalam perbincangan ini pendapat golongan ketiga sahaja yang diambil kira. Ayat-ayat bagaimanakah bagi mereka termasuk dalam muhkamaat dan ayat-ayat bagaimanakah pula yang termasuk dalam mutasyabihaat?
Para ‘ulama’ sekali lagi berbeza pendapat dalam menanggapi persoalan ini. Menurut as-Suyuthi, ayat-ayat mutasyabihaat ialah ayat-ayat yang mengandungi perkataan-perkataan atau makna-makna berikut:
(i) Sifat-sifat Allah.
(ii) Istiwaa’ Allah (di atas ‘Arasy).
(iii) Nafs.
(iv) Wajah.
(v) ‘Ain.
(vi) Yad.
(vii) Saaq.
(viii) Sifat hampir.
(ix) Sifat di atas.
(x) Sifat datang.
(xi) Sifat kasih.
(xii) Sifat marah atau murka.
(xiii) Sifat ridha.
(xiv) Sifat hairan atau kagum.
(xv) Sifat rahmat.
(xvi) Sifat ma`iyyah (وهو معكم).
(xvii) Sifat faraaghah (سنفرغ لكم أيها الثقلان).
Daripada (iii) hingga (xvii) ini semuanya mutasyabihaat apabila dikaitkan dengan Allah.
Dan (xviii) Huruf-huruf ringkas di permulaan sesetengah Surah al-Qur’an (Huruf-huruf Muqatta’ah)
Apa yang disebut as-Suyuthi itu semuanya merupakan sifat-sifat Allah. Semuanya boleh dimasukkan dalam senarai ayat-ayat Sifat, kecuali yang ke (xviii) iaitu huruf-huruf ringkas di permulaan sesetengah Surah al-Qur’an. Itu pun mengikut sesetengah ulama’ Tafsir merupakan ringkasan kepada nama-nama sifat Allah juga.
Pengarang kitab at-Talwih (Sa`aduddin Mas’ud bin ‘Umar at-Taftazani asy-Syafi’e m.793H) menambahkan tiga lagi sifat Allah yang tidak disebut oleh as-Suyuthi tadi. Qidam (sifat sedia), Sama’ (sifat mendengar) dan Bashar (sifat melihat).
Pengarang Kasyful Asrar Syarah Usul al-Bazdawi (Alauddin ‘Abdul`Aziz bin Ahmad bin Muhammad al-Bukhari al-Hanafi m.730H) menulis bahawa hakikat melihat Allah di akhirat nanti, Yad (tangan), Wajah dan Istiwa’ Allah di atas ‘Arasy itu merupakan perkara-perkara yang disepakati `ulama’ tentang mutasyabihaatnya. Sebab itulah tiada nukilan daripada mereka sama sekali berhubung dengan penta’wilannya. Mereka bahkan melarang daripada menta’wilkannya. (Lihat Kasyful Asrar Syarah Usul al-Bazdawi).
Apa yang ditulis oleh Pengarang Kasyful Asrar Syarah Usul al-Bazdawi itu sebenarnya tidaklah terhad pada tiga sifat tersebut sahaja. Malah ia merangkumi semua sifat-sifat Allah.
Pembahagian Mutasyabihaat Berdasarkan Kepelbagaian Sebab Tasyabuh
Di dalam al-Fauzul Kabir Shah Waliyyullah hanya menyebutkan empat perkara sahaja daripada sekian banyak sebab Tasyabuh yang menyebabkan sesuatu ayat itu dianggap sebagai ayat mutasyabihah. Di bawah ini dikemukakan apa yang ditulis beliau di dalam kitab berkenaan:
(1) Disebabkan ada kemungkinan sesuatu dhamir (ganti nama) kembali kepada dua marji’ (nama yang merupakan tempat dhamir dikembalikan) yang berbeza. Contohnya ialah seperti seseorang berkata: أما إن الأمير أمرني أن ألعن فلانا لعنه الله (Ketahuilah sesungguhnya pemerintah (/ketua/pemimpin/gabenor/menteri dan sebagainya) menyuruh saya mela`nat Si Fulan, semoga Allah melaknatnya).
(2) Sesuatu perkataan yang mempunyai (berkongsi) dua makna, seperti لٰمَستُم. Ia boleh bererti bersetubuh dan boleh juga bererti menyentuh dengan tangan.
(3) Disebabkan ada kemungkinan ‘athaf kepada satu perkataan yang dekat dan yang jauh. Contohnya ialah: وامسحوا برؤوسكم وأرجلكم dengan mengambil kira qira’at yang membaca dengan kasrah أرجل.
(4) Disebabkan ada kemungkinan sesuatu haraf dipakai sebagai haraf ‘athaf dan haraf isti’naaf, seperti dalam firman Allah: وَما يَعلَمُ تَأوِيلَهُ ۥۤ إِلَّا اللَّهُ وَٱلرّٰسِخُونَ فِي العِلمِ يَقولونَ ءَامَنَّا بِهِۦ
Menurut Raghib al-Isfahani (Abu al-Qasim al-Husain bin Muhammad m.502H) di dalam al-Mufradaat Fi Gharib al-Qur’an, ayat-ayat mutasyabihaat (yang tidak terang dan tidak jelas maknanya) terbahagi kepada tiga bahagian.
(1) Mutasyabih dengan sebab lafaznya.
(2) Mutasyabih dengan sebab maknanya.
(3) Mutasyabih dengan sebab lafaz dan makna, kedua-duanya sekali.
Mutasyabih dengan sebab lafaz terbahagi pula kepada dua bahagian.
(1) Mufrad.
(2) Murakkab.
Mutasyabih (dengan sebab lafaz) Mufrad terbahagi pula kepada dua:
(a) Mutasyabih kerana keganjilannya (متشابه من جهة الغابة), seperti perkataan أبّ، هلوعا, dan يَزِفّونَ. Perkataan أبّ tidak jelas maknanya. Kerana boleh jadi ia dipakai dengan makna rumput, padang rumput atau dengan makna-makna yang lain lagi. Sesetengah ulama’ berpendapat, أبّ kepada binatang sama seperti buah-buahan kepada manusia. Perkataan هلوعا pula jarang digunakan oleh orang-orang biasa. Ia adalah bahasa sastera yang tidak diketahui semua orang maknanya. Maknanya juga ada beberapa. Antaranya ialah terlalu takut dan tidak sabar, kedekut, lapar dan lain-lain. Demikian juga perkataan يَزِفّونَ. Maknanya tidak diketahui semua orang, selain tidak jelas dan tidak dapat dipastikan maknanya dengan tepat. Kerana ia boleh jadi bererti bergegas datang, bergegas pergi, berlari dan lain-lain.
(b) Mutasyabih kerana lafaznya dikongsi (متشانه من جهة المشاركة في اللفظ), seperti perkataan Yad dan ‘Ain. Yad dan ‘Ain mempunyai beberapa makna. Makna-makna itu berkongsi lafaz yang sama. Walaupun pada asalnya ia bermakna tangan,tetapi sering juga ia dipakai dengan makna-makna yang lain, seperti kuasa, nikmat, pertolongan, pemegang atau hulu sesuatu seperti pedang, kekuatan, keupayaan, milik dan lain-lain.
Mutasyabih murakkab (dengan sebab beberapa lafaz bergabung menjadi satu ayat) terbahagi kepada tiga bahagian:
(a) Mutasyabih kerana ringkas (متشابه للاختصار والإيجاز). Antara contohnya di dalam al-Qur’an ialah firman Allah ini:
وَإِن خِفتُم أَلّا تُقسِطوا فِي اليَتٰمىٰ فَانكِحوا ما طابَ لَكُم مِّنَ النِّساءِ مَثنىٰ وَثُلٰثَ وَرُبٰعَ ۖ فَإِن خِفتُم أَلّا تَعدِلوا فَوٰحِدَةً أَو ما مَلَكَت أَيمٰنُكُم ۚ ذٰلِكَ أَدنىٰ أَلّا تَعولوا
Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman. Nisa’:3.
Di antara Fi’il syarat dan jawab syarat ada sesuatu yang dibuang. Kerana agak panjang, maka ia dibuang untuk meringkaskan cerita. Tafsir bersama-sama dengan apa yang ditaqdirkan dalam firman Allah ini adalah seperti berikut: “Jika ada anak yatim dalam perlindunganmu, (walaupun kamu hendak mengahwininya) tetapi kamu takut tidak akan memberikan kepadanya mas kahwin yang selayak dengannya, maka jangan berkahwinlah dengannya. Sebaliknya carilah perempuan- perempuan lain. Kerana orang perempuan itu ramai, mudah dicari. Maka berkahwinlah dengan…
Boleh juga yang mahzuf (dibuang) itu ditaqdirkan dengan lebih ringkas, begini: “Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka (jangan berkahwinlah dengan mereka) dan (sebaliknya) berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan perempuan (lain), sampai dua, tiga atau empat.
(b) Mutasyabih kerana tafshil (متشابه للتفصيل والبسط). Antara contohnya di dalam al-Qur’an ialah firman Allah di bawah ini:
فاطِرُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۚ جَعَلَ لَكُم مِّن أَنفُسِكُم أَزوٰجًا وَمِنَ الأَنعٰمِ أَزوٰجًا ۖ يَذرَؤُكُم فيهِ ۚ لَيسَ كَمِثلِهِ شَيءٌ ۖ وَهُوَ السَّميعُ البَصيرُ
Dia lah yang menciptakan langit dan bumi; Dia menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri, dan menjadikan dari jenis binatang-binatang ternak pasangan-pasangan (bagi binatang-binatang itu); dengan jalan yang demikian dikembangkanNya (zuriat keturunan) kamu semua. Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya) dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. (Syura:11).
Pada bahagian yang bergaris itulah apa yang dinamakan ‘Mutasyabih kerana tafshil’. Kerana huruf ك yang bercantum di permulaan perkataan مِثلِهِ itu adalah huruf tambahan (زائدة). Jika tidak dikatakan ia huruf tambahan, nescaya tidak akan benar maknanya. Kalau dikatakan لَيسَ مِثلِهِ شَيءٌ tanpa huruf ك itu, nescaya lebih mudah difahami oleh manusia biasa.
(c) Mutasyabih kerana susunan ayat (متشابه لنظم الكلام). Antara contohnya di dalam al-Qur’an ialah firman Allah di bawah ini:
ٱلحَمدُ لِلَّهِ ٱلَّذِىٓ أَنزَلَ عَلَىٰ عَبدِهِ ٱلكِتَـٰبَ وَلَم يَجعَل لَّهُ ۥ عِوَجَاۜ (١) قَيِّمًا لِّيُنذِرَ بَأسًا شَدِيدًا مِّن لَّدُنهُ وَيُبَشِّرَ ٱلمُؤمِنِينَ ٱلَّذِينَ يَعمَلُونَ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أَنَّ لَهُم أَجرًا حَسَنًا (٢)
Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci Al-Quran dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong): (1) (Bahkan keadaannya) tetap benar lagi menjadi pengawas turunnya Al-Quran untuk memberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar) dengan azab yang seberat-beratnya dari sisi Allah dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka akan beroleh balasan yang baik. (2) (Kahfi:1-2).
Bahagian yang bergaris di dalam firman Allah di atas adalah yang berkenaan. Menurut keterangan Ibnu ‘Abbaas, Mujahid dan az-Zamakhsyari, tertib asal ayat itu ialah: ٱلكِتَـٰبَ قَيِّمًا وَلَم يَجعَل لَّهُ ۥ عِوَجَاۜ. Kerana قَيِّمًا menjadi hal kepada ٱلكِتَـٰبَ. Ia sepatutnya terletak terus selepas ٱلكِتَـٰبَ. Tetapi di sini ia dipisahkan dengan satu jumlah (ayat) lain yang sepatutnya terletak selepasnya. Antara rahsia kenapa Allah mengatur ayat itu demikian pada pandangan al- ‘Allamah Mahmud al-Aalusi ialah oleh kerana lafaz قَيِّمًا merupakan sifat musyabbahah dan sighah mubalaghah, tidak mengapa kalau ia dipisahkan daripada Sahibul Halnya. Oleh kerana tidak ada pula benda (khususnya kitab) di dunia ini yang langsung tidak ada kurang dan cacatnya, maka segera diletakkan وَلَم يَجعَل لَّهُ ۥ عِوَجَاۜ terus selepas ٱلكِتَـٰبَ. Tujuannya ialah untuk menafikan kekurangan atau kecacatan di dalam ٱلكِتَـٰبَ yang diturunkan itu. Kerana pada kebiasaannya menurut hukum adat, tidak ada benda yang langsung tidak kurang. Sedikit sebanyak tentu ada kurang dan cacatnya. Ia ditaqdimkan (didahulukan) untuk ihtiraas (menjaga supaya tidak disalah faham) dan ihtimaam (mengambil berat tentang sesuatu yang patut diambil berat).
Mutasyabih dari sudut makna terdapat di dalam ayat-ayat yang mengandungi cerita tentang sifat-sifat Allah dan juga hal ehwal alam akhirat.
Mutasyabih dengan sebab lafaz dan makna pula terbahagi kepada lima bahagian.
(a) Kerana bilangan, jumlah atau kuantiti dan umum serta khusus sesuatu perkara tidak jelas (متشانه من جهة الكمية). Antara contohnya di dalam al-Qur’an ialah firman Allah di bawah ini:
فَإِذَا انسَلَخَ الأَشهُرُ الحُرُمُ فَاقتُلُوا المُشرِكينَ حَيثُ وَجَدتُّموهُم وَخُذوهُم وَاحصُروهُم وَاقعُدوا لَهُم كُلَّ مَرصَدٍ ۚ فَإِن تابوا وَأَقامُوا الصَّلَوٰةَ وَءآتَوُا الزَّكَوٰةَ فَخَلّوا سَبيلَهُم ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفورٌ رَّحيمٌ
Apabila sudah habis bulan-bulan Haram itu, maka bunuhlah orang-orang musyrikin itu dimana saja kamu jumpai mereka, dan tangkaplah mereka. Kepunglah mereka dan intailah di tempat pengintaian. Jika mereka bertaubat dan mendirikan solat dan menunaikan zakat, maka berilah kebebasan kepada mereka untuk berjalan. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi maha Penyayang. (Tawbah:5).
Orang-orang musyrik yang diperintah Allah supaya dibunuh dan lain-lain di dalam ayat di atas masih tidak jelas, apakah semua mereka atau sebahagian sahaja?
(b) Kerana keadaan dan kaifiat yang tidak jelas (متشانه من جهة الكيفية). Sama ada ia wajib, sunat dan sebagainya. Antara contohnya ialah firman Allah ini:
وَإِن خِفتُم أَلّا تُقسِطوا فِي اليَتٰمىٰ فَانكِحوا ما طابَ لَكُم مِّنَ النِّساءِ مَثنىٰ وَثُلٰثَ وَرُبٰعَ ۖ فَإِن خِفتُم أَلّا تَعدِلوا فَوٰحِدَةً أَو ما مَلَكَت أَيمٰنُكُم ۚ ذٰلِكَ أَدنىٰ أَلّا تَعولوا
Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman. Nisa’:3.
Perintah Allah supaya berkahwin dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain); sampai dua, tiga atau empat itu masih tidak jelas hukumnya, sama ada ia wajib, sunat atau harus sahaja. Untuk memastikannya anda perlu merujuk kepada dalil yang lain pula.
(c) Kerana tempat dan sebab turunnya tidak jelas (متشانه من جهة المكان والأمور اللتى نزلت فيها). Antara contohnya dari al-Qur’an ialah:
يَسأَلونَكَ عَنِ الأَهِلَّةِ ۖ قُل هِيَ مَواقيتُ لِلنّاسِ وَالحَجِّ ۗ وَلَيسَ البِرُّ بِأَن تَأتُوا البُيوتَ مِن ظُهورِها وَلٰكِنَّ البِرَّ مَنِ اتَّقىٰ ۗ وَأتُوا البُيوتَ مِن أَبوابِها ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: “(peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji. Dan bukanlah perkara kebajikan: kamu memasuki rumah dari bahagian belakangnya (ketika kamu berihram) akan tetapi kebajikan itu ialah perbuatan orang yang bertaqwa; dan masuklah ke rumah (Kamu) itu melalui pintunya, serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya.” (Baqarah:189).
Lihat bahagian yang bergaris. Orang yang tidak mengetahui latar belakang adat dan ritual orang-orang kafir di zaman Nabi Muhammad dan tidak mengetahui pula sebab nuzul ayat di atas tidak akan faham maksudnya dengan semata-mata memerhati dan membacanya.
(d) Kerana syarat sah atau tidaknya sesuatu perbuatan (seperti sembahyang, zakat, nikah dan sebagainya) tidak jelas (متشانه من جهة الشروط اللتى يصح الفعل أو يفسد). Antara contohnya di dalam al-Qur’an ialah firman Allah ini:
وَأَقيمُوا الصَّلَوٰةَ وَءآتُوا الزَّكَوٰةَ وَاركَعوا مَعَ الرّٰكِعينَ
Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk. (Baqarah:43).
Apakah perintah mendirikan salat dan menunaikan zakat itu perlu dilaksanakan tanpa sebarang syarat? Tentu tidak. Apakah salat dan zakat itu dikira sah walaupun syarat-syaratnya tidak dipenuhi? Tentu tidak. Tidak adakah pula perkara-perkara yang boleh merosakkannya? Tentu ada. Tetapi di dalam ayat yang sama tidak ada keterangan tentangnya. Maka jadilah ia mutasyabih. Walaupun keterangan tentangnya boleh ditemui dalam ayat-ayat atau dalil-dalil yang lain.
(e) Kerana masa turunnya ayat tidak jelas (متشانه من جهة الزمان). Sedangkan penentuan Nasikh dan Mansukh sesuatu ayat misalnya terhenti atas pengetahuan mengenainya. Antara contohnya di dalam al-Qur’an ialah firman Allah di bawah ini:
يَـٰٓأَيُّہَا الَّذِينَ ءآمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. (Ali Imran:102).
Melalui ayat ini Allah memerintahkan orang-orang yang beriman supaya bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Melalui ayat 16 dari Surah at-Taghaabun yang akan datang pula Allah memerintahkan supaya orang-orang yang beriman bertaqwa kamu kepada Allah menurut kesanggupan mereka sahaja. Di sini sudah ada pertentangan di antara dua ayat berkenaan. Untuk menghilangkan pertentangan itu sesetengah ulama’ berpendapat ayat 102 dari Surah Ali Imran dimansukhkan oleh firman Allah di bawah ini:
فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا استَطَعتُم وَاسمَعوا وَأَطيعوا وَأَنفِقوا خَيرًا لِّأَنفُسِكُم ۗ وَمَن يوقَ شُحَّ نَفسِهِ فَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ
Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu dan dengarlah serta taatlah dan nafkahkanlah nafkah yang baik untuk dirimu. Dan barangsiapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, maka mereka itulah orang-orang yang beruntung. (Taghaabun:16)
Tetapi pendapat ini tidak kuat, kerana tidak dapat dipastikan mana satu daripada dua ayat di atas diturunkan dahulu dan mana yang diturunkan kemudian. Kerananya ia menjadi mutasyabih. Adalah lebih baik dipakai kedua-dua ayat tersebut berlandaskan kaedah jama’, dengan mengatakan ayat 102 dari Surah Ali Imran itu berkaitan dengan `aqidah atau amalan-amalan agama yang wajib. Sementara ayat 16 dari Surah at-Taghaabun pula berkaitan dengan amalan-amalan sunat dalam agama yang dilakukan dengan anggota badan,
Daripada keterangan yang lalu dapat disimpulkan bahawa apa yang dibincangkan oleh para Mufassirin berhubung dengan perkara-perkara yang termasuk dalam mutasyabihaat itu tidak terkeluar daripada pembahagian yang telah dibentangkan sebelum ini. Ia secara ringkasnya ada tiga macam.
(1) Mutasyabihaat yang langsung tidak ada jalan untuk mengetahuinya, seperti hakikat sifat-sifat Allah dan perkara-perkara ghaib yang lain.
(2) Mutasyabihaat yang dapat diketahui melalui kajian dan penguasaan qaedah-qaedah tertentu, seperti qaedah bahasa ‘Arab, qaedah Usul Fiqh dan sebagainya.
(3) Mutasyabihaat yang dapat diketahui dan dicapai oleh sesetengah orang yang mantap ilmu agamanya sahaja. Ia berada di antara mutasyabihaat dari bahagian (1) dan mutasyabihaat dari bahagian (2) tadi. Dengan kemantapan ilmunya ia dapat menentukan makna lafaz-lafaz musytarak misalnya berpandukan tanda-tanda dan petunjuk-petunjuk tertentu.
Perkara-Perkara Yang Termasuk Di Bawah Ta’rif (Definisi) Mutasyabihaat menurut Shah Waliyyullah
Daripada tulisan-tulisan Shah Waliyyullah dapat disimpulkan bahawa pada pandangan beliau, perkara-perkara yang termasuk dalam mutasyabihaat ialah:
(i) Yad (tangan).
(ii) Rijl (kaki).
(iii) Dhahik (ketawa).
(iv) Sifat Uluw (tinggi).
(v) Sifat besar atau agung.
(vi) Sifat Rahmat.
(vii) Sifat Marah atau Murka.
(viii) Sifat Murah.
(ix) Istiwa’.
(x) Zat.
(xi) Sama’.
(xii) Bashar.
(xiii) Kalam.
(xiv) Qudrat.
Daripada nombor (i) hingga nombor (xiv) ini, semuanya dikira mutasyabihaat apabila dikaitkan dengan Allah.
(xv) Timbangan amalan.
(xvi) Melintasi Sirat.
(xvii) Duduknya mayat di dalam kubur.
(xvii) Soalan malaikat dalam kubur.
(xix) Kubur menjadi luas atau sempit.
(xx) Mayat bertempik.
(xxi) Mahsyar.
(xxii) Riwayat-riwayat yang berbeza-beza tentang keadaan kebangkitan sesudah mati.
(xxiii) Segala perbandingan dan perumpamaan (khususnya yang berkaitan dengan Allah dan perkara-perkara ghaib).
(xxiv) Semua sifat Allah selain yang tersebut sebelum ini
(xxv) Semua perkara yang berkaitan dengan hari kemudian selain yang tersebut tadi.
Apa yang disebutkan oleh Shah Waliyyullah itu boleh diserapkan ke dalam dua perkara utama sahaja sebenarnya, iaitu:
(i) Sifat-sifat Allah yang boleh mengelirukan keserupaanNya dengan makhlukNya.
(ii) Perkara-perkara yang berkaitan dengan kehidupan sesudah mati.
Secara kasarnya bolehlah dikatakan dua perkara itu sahajalah yang termasuk dalam mutasyabihaat sebenar-benarnya menurut pandangan Shah Waliyyullah. Adapun selain itu, maka semuanya masih termasuk dalam perkara-perkara yang diperselisihkan, sama ada ia termasuk dalam mutasyabihaat atau tidak.
Melihat kepada kepelbagaian takrif yang dikemukakan sebelum ini, masih banyak lagi perkara yang boleh termasuk dalam mutasyabihaat.
Daripada perbincangan Shah Waliyyullah di dalam beberapa buah kitabnya dapat disimpulkan bahawa perkara-perkara yang termasuk dalam senarai mutasyabihaat itu adalah sebagai berikut:
(a) Sifat-sifat Allah yang boleh mengelirukan keserupaanNya dengan makhlukNya.
(b) Perkara-perkara yang berkaitan dengan kehidupan sesudah mati.
(c) Lafaz Musytarak.
(d) Aam.
(e) Majaaz.
(f) Kinayah.
(g) Ta`ridh.
(h) Tempat di mana dhamir (kata ganti nama) berkemungkinan kembali kepada dua marji’ (tempat kembali) yang berbeza
(i) Tempat di mana ada kemungkinan sesuatu lafaz di’athafkan kepada sesuatu yang dekat dan yang jauh daripadanya, kedua-dua sekali.
(j) Tempat di mana ada kemungkinan sesuatu lafaz dipakai sebagai ‘athaf dan juga sebagai isti’naaf.
(k) Semua perkara yang dikenali dalam istilah ulama’-ulama’ Hanafi sebagai
(i) Khafi.
(ii) Musykil dan
(iii) Mujmal.
Perlu sekali diingat bahawa takwilan-takwilan tentang sifat-sifat Allah yang dibuat oleh kebanyakan golongan Khalaf itu bukan kerana mereka tidak menganggapnya sebagai perkara-perkara yang termasuk dalam mutasyabihaat, tetapi kerana mereka menganggap masih ada ruang keharusan membincangkan tentangnya. Sama ada Salaf atau Khalaf semuanya menerima bahawa ayat-ayat sifat itu memang merupakan ayat-ayat mutasyabihaat, yang berbeza cuma Salaf langsung tidak menta’wilkannya. Sementara Khalaf pula menta’wilkannya secara dzanni (على سبيل الاحتمال), bukan secara pasti dan qat’i (لا على سبيل العلم والجزم واليقين).
Alasan Dan Punca Orang-Orang Yang Melarang Dan Membenarkan Perbincangan Tentang Ayat-Ayat Mutasyabihaat
Alasan dan punca perbezaan pendapat ‘ulama’ berhubung dengan boleh atau tidak bolehnya berbincang tentang ayat-ayat mutasyabihaat dan adakah manusia tertentu dapat mengetahuinya selain Allah ialah firman Allah juga. Ia terdapat di dalam Surah Ali Imran ayat 7. Di bawah ini dikemukakan ayat berkenaan:
هُوَ الَّذيٓ أَنزَلَ عَلَيكَ ٱلكِتَـٰبَ مِنهُ ءَايَـٰتٌ مُّحكَمَـٰتٌ هُنَّ أُمُّ ٱلكِتَـٰبِ وَأُخَرُ مُتَشَـٰبِهَـٰتٌ ۖ فَأَمَّا الَّذينَ في قُلوبِهِم زَيغٌ فَيَتَّبِعونَ ما تَشَـٰبَهَ مِنهُ ابتِغآءَ الفِتنَةِ وَابتِغآءَ تَأويلِهِ ۗ وَما يَعلَمُ تَأوِيلَهُ ۥۤ إِلَّا اللَّهُ ۗ وَٱلرّٰسِخُونَ فِي العِلمِ يَقولونَ ءَامَنَّا بِهِۦ كُلٌّ مِّن عِندِ رَبِّنا ۗ وَما يَذَّكَّرُ إِلّآ أُولُو ٱلأَلبَـٰبِ
Dia lah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Qur’an. Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat “Muhkamaat” (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Qur’an. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat “Mutasyaabihaat” (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbullah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) – adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Qur’an untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu ugama, berkata:” Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami”. Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.
Para ‘ulama’ dalam memahami ayat ini, khususnya bahagian yang bergaris di bawahnya itu terbahagi kepada dua kumpulan besar.
(1) Kumpulan pertama berpendapat, tidak ada orang yang mengetahui tentang makna (sebenar) ayat-ayat mutasyabihaat kecuali Allah.
(2) Kumpulan kedua pula berpendapat, selain Allah ada juga orang-orang tertentu yang (dapat) mengetahui makna ayat-ayat mutasyabihaat itu, meskipun tidak secara tafshili (terperinci) dan tidak juga secara qat’i (pasti).
Secara asasnya kumpulan pertama berpendapat firman Allah:
وَما يَعلَمُ تَأوِيلَهُ ۥۤ إِلَّا اللَّهُ ۗ وَٱلرّٰسِخُونَ فِي العِلمِ يَقولونَ ءَامَنَّا بِهِۦ
Waqafnya (berhenti dalam bacaan) adalah pada perkataan Allah. Perkataan selepasnya dimulakan dengan و isti’naaf dan ia menjadi mubtada’. Perkataan يَقولونَ pula adalah khabarnya.
Maka kesimpulannya ialah hanya Allah jua yang mengetahui makna ayat-ayat mutasyabihaat dan ta’wilnya itu. Orang-orang yang mendalam ilmunya berkata, meskipun dalam keadaan tidak mengetahui makna-makna dan ta’wilnya: “Kami beriman kepada ayat-ayat yang mutasyaabihaat, semuanya itu dari sisi Tuhan kami”. Mereka juga menerima kebenarannya dan percaya kepadanya secara ijmal. Tafsiran dan ta’wilannya bagi mereka merupakan antara rahsia-rahsia Allah. Saiyyidina Abu Bakar, ‘Ali, ‘Aaishah, Ubaiy bin Ka`ab, Ibnu Mas`ud, kebanyakan sahabat dan juga kebanyakan Tabi`in adalah antara orang-orang yang termasuk dalam kumpulan pertama ini. Itulah pendapat Ibnu Abbas berdasarkan riwayat yang paling sahih daripada beliau. Inilah juga pegangan Salaf dari kalangan Ahli as-Sunnah Wa al-Jamaah.
Antara alasan kumpulan pertama lagi ialah:
(a) Ibnu Jarir menukilkan qira’at (tafsiriyyah) Ibnu Mas’ud begini:
إن تأويله إلا عند الله والراسخون في العلم يقولون أمنا به
Ta’wilannya hanya ada pada Allah. Orang-orang yang mendalam ilmunya berkata, kami beriman dengannya.
(b) Sebagaimana Allah mencela orang-orang yang mengikuti ayat-ayat mutasyaabihaat dengan maksud menimbulkan fitnah, begitulah Allah mencela orang-orang yang mengikuti ayat-ayat mutasyaabihaat dengan maksud mencari-cari ta’wilnya. Itulah yang dimaksudkan oleh ayat 7 Surah Ali Imran.
(c) ‘Aaishah meriwayatkan setelah Rasulullah membaca ayat 7 Surah Ali ‘Imraan, baginda bersabda: فَإِذَا رَأَيْتِ الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ، فَأُولَئِكِ الَّذِينَ سَمَّى اللَّهُ، فَاحْذَرُوهُمْ (Apabila kamu melihat orang-orang yang mengikuti ayat-ayat mutasyaabihaat, maka itulah orang-orang yang dimaksudkan oleh Allah: Berwaspadalah kamu dengan mereka.” (Riwayat Bukhari, Muslim dan lain-lain).
(d) Adakalanya Allah menyebutkan sesuatu yang tidak dapat dijangkau oleh fikiran manusia di dalam al-Qur’an semata-mata untuk menguji keimanan mereka. Orang-orang yang beriman dan mendalam ilmunya akan menerimanya dengan senang hati dan menyerahkan saja hakikatnya kepada Allah. Itulah yang dimaksudkan oleh Allah melalui ayat 7 Surah Ali `Imran.
Kumpulan kedua berpendapat, waqafnya adalah pada perkataan العلم dan و sebelum perkataan الراسخون adalah waw athaf. Ma’thuf `alaihnya ialah perkataan اللَّهُ yang tersebut sebelumnya. Perkataan يقولون pula menurut mereka menjadi Haal.
Hasil daripadanya ialah selain Allah, orang-orang yang mendalam ilmunya juga mengetahui ta’wilan dan makna ayat-ayat mutasyabihaat itu. Antara tokoh yang termasuk dalam kumpulan kedua ini ialah Mujahid, Rabi’ bin Anas, al-Qasim bin Muhammad, Ibnu Juraij dan lain-lain. Ibnu ‘Abbas adalah antara sahabat yang dinukilkan berpendapat demikian. Golongan Mutakallimin khususnya dari kalangan Khalaf dan majoriti Mu’tazilah juga termasuk dalam kumpulan ini.
Antara alasan kumpulan kedua lagi ialah:
(a) Ahli-ahli Tafsir di sepanjang zaman menta’wil dan mentafsirkan semua ayat-ayat al-Qur’an. Tidak pernah pula ada antara mereka tidak mahu mentafsirkan mana-mana ayat al-Qur’an atas alasan ia adalah ayat mutasyabihaat yang hanya diketahui Allah makna dan ta’wilannya. Dengan sebab itu tiada siapa pun boleh membincangkannya. Ibnu ‘Abbas malah dinukilkan berkata: “Orang-orang yang mendalam ilmu mengetahui ta’wilan mutasyabih. Aku adalah antara orang yang mengetahui ta’wilannya.” Selain itu perbincangan dan tafsiran tentang huruf muqatta’at adalah suatu yang masyhur di kalangan ahli Tafsir dan ia dinukilkan juga daripada beberapa orang sahabat.
(b) Mujahid dan Ibnu Juraij dinukilkan berkata: “Orang-orang yang mendalam ilmunya mengetahui ta’wilannya dan mereka berkata, kami beriman dengannya.”
(c) Kalau tidak ada siapa pun mengetahui ta’wilan dan makna ayat-ayat yang dikatakan mutasyabihaat itu, maka apa gunanya Allah memasukkannya ke dalam al-Qur’an? Bukankah itu bererti Allah berbicara kepada manusia dengan sesuatu yang langsung tidak dimengertinya??
(d) Kalau tidak ada siapa pun mengetahui ta’wilan dan makna ayat-ayat mutasyabihaat, maka tidak ada beza lagi antara orang alim dan orang jahil dan tidak ada lagi tingkatan-tingkatan ilmu yang membezakan seseorang alim daripada seseorang alim yang lain? Dan ini adalah suatu yang bercanggah dengan kenyataan.
Inilah sebenarnya asas bagi perbezaan pendapat dua kumpulan ulama’ di atas.
Huruf-Huruf Muqattha’ah Di Dalam Al-Qur’an
Terdapat 29 surah semuanya di dalam al-Qur’an yang dimulakan dengan Huruf Muqattha`ah. Ia dipanggil Huruf Muqattha’ah kerana setiap hurufnya dibaca secara terpisah dan berasingan daripada huruf-huruf yang lain. Ia tidak merupakan huruf yang membentuk suatu perkataan yang mengandungi makna tertentu. Walaupun pada zahirnya Huruf Muqattha`ah itu berbentuk satu perkataan, namun ia dibaca secara terpisah dengan nama-nama asalnya. Contohnya الم akan dibaca secara terpisah, Alif, Laam, Miim dan كهيعص akan dibaca secara terpisah, Kaaf, Ha, Ya,` Ain, Shaad. Dan begitulah seterusnya dengan lain-lain lagi.
Pada asalnya apa yang disebut itu adalah nama-nama huruf berkenaan. Tetapi tentulah di sebaliknya ada maksud-maksud tersirat yang dikehendaki Allah. Bilangan Huruf Muqattha’ah itu ada 14 semuanya. Jumlah itu merupakan separuh daripada keseluruhan huruf ejaan bahasa ‘Arab. 14 huruf berkenaan adalah seperti berikut:
(ص – ر – ا – ط – ع – ل – ي – ح – ق – ن – م – س – ك – هـ)
Untuk mudah mengingatkannya sesetengah ulama’ menghimpunkan huruf-huruf itu dalam satu ibarat yang berbunyi: (Keterangan orang yang bijaksana putus, ada rahsianya).
Di bawah ini dikemukakan carta perincian 29 surah yang dimulakan dengan huruf-huruf muqattha’at tersebut:
| Nombor Bilangan |
Nama Surah |
Makkiyyah Atau Madaniyyah |
Huruf-Hurufnya | Bilangan Huruf |
| 1 | Al-Baqarah | Madaniyyah | الم | Tiga huruf |
| 2 | Ali Imran | Madaniyyah | الم | Tiga huruf |
| 3 | Al-A’raf | Makkiyyah | المص | Empat huruf |
| 4 | Yunus | Makkiyyah | الر | Tiga huruf |
| 5 | Hud | Makkiyyah | الر | Tiga huruf |
| 6 | Yusuf | Madaniyyah | الر | Tiga huruf |
|
7 |
Ar-Ra’d |
Makkiyyah
Atau Madaniyyah |
المر |
Empat huruf |
| 8 | Ibrahim | Makkiyyah | الر | Tiga huruf |
| 9 | Al-Hijr | Makkiyyah | الر | Tiga huruf |
| 10 | Maryam | Makkiyyah | كهيعص | Lima huruf |
| 11 | Taha | Makkiyyah | طه | Dua huruf |
| 12 | Asy-Syu`araa’ | Makkiyyah | طسم | Tiga huruf |
| 13 | An-Naml | Makkiyyah | طد | Dua huruf |
| 14 | Al-Qashash | Makkiyyah | الم | Tiga huruf |
| 15 | Al-`Ankabut | Makkiyyah | الم | Tiga huruf |
| 16 | Ar-Rum | Makkiyyah | الم | Tiga huruf |
| 17 | Luqman | Makkiyyah | الم | Tiga huruf |
| 18 | As-Sajdah | Makkiyyah | الم | Tiga huruf |
| 19 | Yaasin | Makkiyyah | Dua huruf | |
| 20 | Saad | Makkiyyah | يس | Satu huruf |
| 21 | Al-Mu’min | Makkiyyah | ص | Dua huruf |
|
22 |
Haamim As-Sajdah | Makkiyyah | حم |
Dua huruf |
| 23 | Asy-Syura | Makkiyyah | حم عسق | Lima huruf |
| 24 | Az-Zukhruf | Makkiyyah | حم | Dua huruf |
| 25 | Ad-Dukhaan | Makkiyyah | حم | Dua huruf |
| 26 | Al-Jaatsiah | Makkiyyah | حم | Dua huruf |
| 27 | Al-Ahqaf | Makkiyyah | حم | Dua huruf |
| 28 | Qaaf | Makkiyyah | ق | Satu huruf |
| 29 | Al-Qalam | Makkiyyah | ن | Satu huruf |
Al-Farraa’ (m.207H) di dalam kitabnya Ma`ani al-Qur’an dan Abu Ja’far an-Nahhaas (m.338H) di dalam kitabnya I’raabu al-Qur’an menukilkan daripada Sibawaih dan gurunya Khalil bahawa Huruf-huruf Muqattha`ah yang tersebut di permulaan 29 surah al-Qur’an itu walaupun merupakan isim-isim (kata nama) mu’rab, namun selagi tidak dimasuki `aamil dan tidak dijadikan sebagai sebahagian daripada mana-mana ayat, selagi itulah ia dibaca dengan jazam dan sukun. Dan mestilah diwaqaf pada akhir tiap-tiap satu daripadanya. Az-Zamakhsyari (m.538H), al-Baidhawi (m.791H) Abu as-Sa’ud (m.951H) dan lain-lain muhaqqiqin dalam bidang Tafsir mentarjihkan pendapat Sibawaih dan gurunya Khalil itu. (Lihat al-Farraa’-Ma`ani al-Qur’an j.1 m/s 9, Abu Ja’far an-Nahhaas – I’raabu al-Qur’an j.1 m/s 177,Tafsir al-Kassyaaf, Tafsir al-Baidhawi dan Tafsir Abu as- Sa`ud di bawah ayat 1 Surah al-Baqarah).
Huruf Muqattha`ah Menurut Al-Khulafa’ Ar-Raasyidun
Kedudukan Huruf Muqattha’ah sebagai sebahagian daripada al-Qur’an merupakan suatu perkara yang mutawatir di sisi seluruh umat Islam. Oleh itu mempercayainya sebagai sebahagian al-Qur’an yang diturunkan Allah adalah wajib sama seperti mempercayai ayat-ayat yang lain daripada al-Qur’an. Al-Qur’an sendiri melalui mana-mana ayatnya tidak pernah mentafsir dan menjelaskan makna-maknanya. Tidak pernah juga Rasulullah melalui mana-mana riwayat yang sahih menerang dan menghuraikan makna-maknanya. Jika Huruf Muqattha’ah itu mengandungi ajaran akidah tertentu yang mesti diimani sehingga tidak sah atau kurang iman seseorang yang tidak mempercayainya, tentulah Allah dan RasulNya tidak membiarkannya begitu sahaja tanpa sebarang penjelasan dan penerangan. Atau jika ia mengandungi sesuatu ajaran yang berkaitan dengan syari’at dan amalan tertentu yang tidak dapat tidak mesti dilakukan oleh manusia untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat, tentu juga Allah dan RasulNya telah memaklumkan kepada mereka maksud-maksudnya. Huruf Muqatta’ah ternyata dikekalkan sebagai rahsia yang tidak didedahkan, sama ada oleh Allah, mahupun RasulNya yang diutus sebagai guru al-Qur’an yang pertama. Itulah sebabnya ada diriwayatkan daripada al-Khulafaa’ ar-Rasyidun, sekian ramai para sahabat dan tabi’in bahawa mereka berkata: هي سر الله في القرءان (Ia adalah rahsia Allah di dalam al-Qur’an).
Imam al-Baghawi (Muhyu as-Sunnah Abu Muhammad al-Husain bin Mas’ud al-Baghawi. Seorang muhaddits, faqih dan mufassir yang terkemuka m.516H) menulis:
“Imam Sya’bi dan sekumpulan ulama’ berkata, “الم dan semua huruf ejaan bahasa ‘Arab di permulaan beberapa surah al-Qur’an itu termasuk dalam ayat-ayat Mutsyabihaat yang tidak ada siapa pun mengetahui maknanya selain Allah. Ia merupakan rahsia al-Qur’an. Kita beriman dengan zahirnya (mempercayainya sebagai sebahagian daripada al-Qur’an secara zahir sahaja) dan menyerahkan makna sebenarnya kepada Allah. Tujuan huruf-huruf itu disebutkan tidak lain hanyalah supaya kita mengimaninya. Abu Bakar dan Ali berkata, “Setiap kitab ada rahsianya. Dan rahsia Allah di dalam al-Qur’an ialah Huruf-huruf Muqattha’ah di permulaan beberapa surahnya. Daud bin Abi Hind berkata, “Saya selalu bertanya Sya’bi tentang huruf-huruf itu. Jawab beliau, ”Wahai Daud, sesungguhnya setiap kitab mesti ada rahsianya. Dan rahsia al-Qur’an ialah huruf-huruf Muqattha’ah di permulaan (beberapa) surah. Tinggalkan saja huruf-huruf itu, dan tanyalah apa saja yang kau mahu selainnya.” (Lihat Ma’alimu at-Tanziil j.1 m/s 59)
Ahli Tafsir terkenal al-Qurthubi (Abu ‘Abdillah Muhammad bin Ahmad al-Anshari al-Qurthubi m.671H) menulis di dalam Tafsirnya begini:
“‘Aamir asy-Sya’bi, Sufyan ats-Tsauri dan sekumpulan muhadditsin berpendapat, huruf-huruf Muqattha’ah itu adalah rahsia Allah di dalam al-Qur’an. Allah mempunyai rahsia di dalam setiap kitabNya. Ia termasuk ayat-ayat Mutasyabihaat yang hanya diketahui Allah (maksud sebenarnya). Tidak harus kita memperkatakannya. Apa yang perlu kepada kita ialah mengimani dan membacanya sebagaimana ia telah sampai kepada kita. Pendapat ini dinukilkan daripada Abu Bakar dan ‘Ali bin Abi Thalib r.a. Abu al-Laits as-Samarqandi menukilkan daripada Umar, ‘Utsman dan Ibnu Mas’ud bahawa mereka berkata, “Huruf-huruf Muqattha’ah itu termasuk dalam rahsia tersembunyi yang tidak boleh ditafsirkan. “Kata Abu Haatim, “Kita tidak dapati Huruf-huruf Muqattha’ah di dalam al-Qur’an melainkan di permulaan (beberapa) surah. Dan kita tidak mengetahui apa yang dimaksudkan Allah dengannya. Abu Bakar Ibnu al-Ambaari dengan sanadnya meriwayatkan daripada Rabi’ bin Khutsaim, kata beliau: “Sesungguhnya Allah telah menurunkan al-Qur’an ini. Ada isi kandungan al-Qur’an yang hanya diketahui Allah maknanya. Ada juga yang diberitahuNya kepadamu. Maksud mana-mana ayat al-Qur’an yang Allah khususkan dengan diriNya semata-mata, tidak akan dapat dicapai oleh kamu. Oleh itu janganlah kamu bertanya tentangnya. Adapun yang Dia beritahu kepadamu, itu bolehlah kamu tanya dan tentu ia juga diberitahu kepadamu. Bukan semua kandungan al- Qur’an kamu tahu maksudnya. Dan bukan juga setiap yang kamu tahu kamu amalkan. Sesiapa yang percaya (beriman kepadanya, dia mendapat pahala dan bertuah. Sesiapa yang kufur dan syak terhadapnya, ia berdosa dan menjauh. Huraits bin Dzuhair menukilkan daripada ‘Abdillah (bin Mas’ud) bahawa beliau berkata, “Tidak ada keimanan orang mu’min yang lebih afdhal daripada keimanannya kepada perkara ghaib. Kemudian beliau (Abdullah bin Mas’ud) membaca: الَّذينَ يُؤمِنونَ بِالغَيبِ (orang-orang yang percaya kepada perkara ghaib).” Kata al-Qurthubi, pendapat yang dinukilkan oleh Rabi’ bin Khutsaim tentang ayat-ayat Mutasyabihaat dan hukumnya itu adalah sahih. Keterangan tentangnya akan datang nanti In Sya Allah dalam tafsir Surah Ali Imran. (al-Jaami’Li Ahkaamil Qur’an j.1 m/s 154).
Ketika membincangkan tentang Huruf-huruf Muqattha’ah, Hafiz Ibnu Katsir (m.774H) telah menulis dengan cantik sekali. Kata beliau: “Tiada syak sama sekali bahawa Allah tidak menurunkannya (huruf-huruf Muqattha’ah itu) dengan sia-sia dan percuma sahaja. Silap teruk orang-orang yang mengatakan, “Ada di dalam al-Qur’an huruf-huruf atau ayat-ayat yang dibaca sebagai ibadat semata-mata, sedangkan ia langsung tiada mempunyai makna.” Sebenarnya huruf-huruf Muqattha’ah itu ada makna-maknanya yang tersendiri. Ia bukan kosong daripada makna dan diungkapkan dengan sia-sia sahaja. Jika ada sesuatu riwayat yang sahih berhubung dengan maknanya daripada Nabi, maka kita menerimanya. Jika tidak ada, maka kita menahan diri daripada berkata sesuatu tentangnya di samping kita berkata (seperti tersebut di dalam firman Allah yang bermaksud): “Kami percaya kepadanya. Semuanya datang dari Tuhan kami.” Tiada ijma’` ulama’ berhubung dengan maknanya. Mereka berbeza pendapat dalam masalah ini. Ada beberapa pendapat dinukilkan. Barang siapa mendapati mana-mana pendapat yang disokong oleh dalil, bolehlah dia memilihnya. Sebaliknya dalam keadaan tiada dalil, dia hendaklah bertawaqquf (mengambil sikap tunggu dan berhenti sebentar sebagai langkah cermat) sehingga menemui dalilnya.” (Lihat Tafsir al-Qur’an al-`Adziim j.1 m/s 160).
Daripada pandangan dan hasil kajian tokoh-tokoh Tafsir terkemuka tadi dapat disimpulkan bahawa menurut para Khulafa’ ar-Rasyidin, tokoh-tokoh sahabat dan at-Tabi’in, huruf-huruf Muqattha’ah merupakan salah satu perkara ‘Mutasyabihaat’ di dalam al-Qur’an yang tidak diketahui makna sebenarnya secara tepat, pasti dan yakin oleh sesiapa pun selain Allah. Ia adalah rahsia Allah berupa simbol-simbol di permulaan beberapa surah al-Qur’an. Ibnu Katsir menyingkapkan maksud kata-kata Salaf bahawa “Ia merupakan rahsia Allah di dalam al-Qur’an”, itu bukanlah sama sekali bererti huruf- huruf Muqattha’ah kosong daripada makna dan ia adalah suatu yang sia-sia dan tidak berfaedah. Malah maksudnya ialah oleh kerana tiada saluran yang meyakinkan pada kita untuk mengetahui makna-maknanya, maka itulah sebabnya kita tidak mempunyai pengetahuan yang pasti dan meyakinkan tentangnya. Silap teruk sekali orang-orang yang mengatakan huruf-huruf Muqattha’ah itu langsung tidak mengandungi makna dan maksud. Jika ada pada seseorang dalil yang kuat untuk mentafsir dan menyatakan pandangannya tentang huruf-huruf Muqattha’ah itu, dia boleh saja mengemukakannya. Tetapi tafsiran dan pandangannya itu tidak harus dianggap sebagai pasti tepat dan bersifat qat’i. Sekadar tafsiran berupa andaian yang bersifat dzanni sahaja bolehlah diterima. Penjelasan Ibnu Katsir itu dapat menghilangkan kemusykilan sesetengah pihak bahawa kalau para Khulafa’ ar-Rasyidun sudah mengatakan huruf-huruf Muqattha`ah itu sebagai rahsia Allah di dalam al-Qur’an, kenapa pula ada sahabat-sahabat, Tabi’in, sesetengah ahli Tafsir dan ahli Hadits yang terkemuka masih mentafsir dan menta’wilkannya?
Kenapa mereka masih terus membincang dan memperkatakan tentang rahsia-rahsia, isyarat-isyarat dan hikmat-hikmat di sebaliknya??Jawabnya ialah tafsiran dan ta’wilan mereka berkenaannya bukanlah dipercayai sebagai sesuatu yang qat’i dan pasti, malah ia hanya bersifat dzanni dan andaian sahaja.
Ma’na, Maksud, Hikmat Dan Rahsia Di Sebalik Huruf Huruf Muqattha’ah
Di sana terdapat dua aliran pemikiran ‘ulama’ dalam menanggapi makna, maksud, hikmat dan rahsia di sebalik huruf-huruf Muqattha’ah.
(1) Aliran pertama mewakili golongan `ulama’ yang berpendapat huruf-huruf Muqattha’ah itu tidak dapat diketahui manusia. Ia termasuk dalam bahagian ayat-ayat Mutasyabihaat yang tidak diberikan pengetahuan tentangnya kepada manusia kerana mashlahat-mashlahat tertentu yang dirahsiakan Allah.
Saiyyidina Abu Bakar, Umar, ‘Utsman, ‘Ali, ‘Abdullah bin Mas’ud dan kebanyakan sahabat terkemuka terbilang sebagai tokoh-tokoh dari aliran ini. Asy-Sya’bi, Sufyan ats-Tsauri, Rabii’ bin Khutsaim, Abu Haatim, jumhur mufassirin dan muhadditsin dari kalangan Tabi’in juga merupakan pendokong aliran ini.
(2) Aliran kedua mewakili golongan ulama’ yang berpendapat makna, maksud dan hikmat huruf-huruf muqattha’ah itu dapat diketahui oleh manusia. Antara tokoh-tokoh yang terbilang sebagai pendokong aliran ini ialah Ibnu ‘Abbaas, kebanyakan Ahlil Kalam, Khalil, Sibawaih, al-Farraa’, Ibnu Qutaibah, Ibnu Abi al-Ishba’al-Mishri dan lain-lain.
Bagaimanapun golongan ini berbeza antara satu sama lain dalam menentukan maksud-maksudnya. Ahli-ahli Tafsir menyebutkan lebih dari dua puluh pendapat yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh dari aliran ini berhubung dengan makna dan maksud huruf-huruf Muqattha’ah itu. Penulis memilih tujuh sahaja daripadanya untuk dikemukakan sebagai contohnya. Selebihnya bolehlah dilihat di dalam buku-buku lain yang lebih terperinci.
(i) Setiap huruf daripada rangkaian huruf-huruf Muqattha’ah merupakan ringkasan atau kependekan yang mengisyaratkan kepada perkataan-perkataan tertentu. Sebagai contohnya الم menurut salah satu tafsiran dalam aliran kedua ini merupakan kependekan dan singkatan bagi أنا الله أعلم (Akulah Allah yang paling mengetahui). ا atau أ adalah kependekan yang mengisyaratkan kepada أنا. Sedangkan ل adalah kependekan yang mengisyaratkan kepada Allah (الله) dan م pula adalah kependekan yang mengisyaratkan kepada أغلم.
(ii) Huruf-huruf Muqattha’ah merupakan kependekan yang mengisyaratkan kepada nama-nama sifat Allah yang tertentu. Sebagai contohnya huruf ا atau أ mungkin mengisyaratkan kepada أحد، أول dan sebagainya. Huruf ل mungkin mengisyaratkan kepada لطيف dan sebagainya. Huruf م pula mungkin mengisyaratkan kepada مجيب، معز atau مجيد dan sebagainya.
(iii) Huruf-huruf Muqattha’ah merupakan kependekan yang mengisyaratkan kepada Rasulullah yang dihadap cakap. Ia mengandungi kata seru bersama mana-mana sifat Rasulullah. Sebagai contohnya الم dita’wilkan dengan يا أيها المرسل (Wahai orang yang diutuskan menjadi rasul). أ (Hamzah) merupakan kependekan أيها dan م pula merupakan kependekan المرسل. Sementara huruf-huruf muqattha’ah tertentu pula dianggap mengisyaratkan kepada sifat-sifat Rasulullah tanpa ada kata seru. Kata serunya dianggap mahzuf (dibuang). Sebagai contohnya طه dianggap kependekan يا طاهر (Wahai orang yang bersih suci), حم dianggap kependekan يا أحمد (Wahai Ahmad), dan حم عسق dianggap kependekan yang mengisyaratkan kepada (Wahai Ahmad,azab Allah tidak lama lagi akan datang) dan sebagainya.
(iv) Huruf-huruf Muqattha’ah di permulaan surah-surah tertentu itu mengisyaratkan kepada al-Qur’an yang diturunkan kepada Muhammad ini menggunakan huruf-huruf dan perkataan-perkataan yang kamu sentiasa guna siang dan malam, tetapi kenapa kamu tidak mampu membuat buku seumpamanya yang dapat menandingi dan menyainginya? Ketidakmampuanmu mengadakan satu surah sahaja seumpamanya membuktikan al-Qur’an itu bukan buku karangan manusia. Itulah mu’jizat al-Qur’an yang merupakan kalam Allah. Inilah ta’wilan pilihan az-Zamakhsyari, al-Baidhawi dan al-Mubarrid, ia juga merupakan pendapat pilihan Abul ‘Abbaas Ibnu Taimiyyah, Abul Hajjaaj al-Mizzi,
(v) Orang-orang kafir di zaman Rasulullah selalu membuat bising apabila mendengar ayat-ayat al-Qur’an dibacakan di hadapan mereka. Tindakan mereka itu digambarkan oleh Allah melalui firmanNya:
وَقالَ الَّذينَ كَفَروا لا تَسمَعوا لِهٰذَا القُرءآنِ وَالغَوا فيهِ لَعَلَّكُم تَغلِبونَ
Dan orang-orang yang kafir berkata: “Janganlah kamu mendengar Al-Qur’an ini dan tentanglah dia (dengan nyanyian-nyanyian dan jeritan-jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (mengganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya)!”.(Fusshilat:26).
Dengan menggunakan gaya bahasa yang baharu, di mana beberapa surah dimulakan bacaannya dengan Huruf-huruf Muqattha’ah telah menarik perhatian sebahagian besar daripada mereka. Pembaharuan dalam penggunaan gaya bahasa seperti itu dan keunikannya membuatkan mereka terdiam dan terpegun mendengarnya. Inilah pandangan ahli Nahu bahasa Arab terkemuka yang lebih dikenali dengan Quthrub (Nama sebenarnya ialah Muhammad bin al-Mustaniir bin Ahmad, Abu `Ali. Beliau ialah salah seorang murid Sibawaih m.206H), al-Farraa’ (Yahya bin Ziad bin ‘Abdillah bin Mandzur ad-Dailami m.207H) dan lain-lain.
(vi) Huruf-huruf Muqattha’ah di permulaan sesuatu surah mengisyaratkan secara halus dan seni kepada kisah-kisah, hukum-hakam dan hikmat pengajaran yang terdapat di dalamnya. Isyarat-isyarat itu hanya difahami oleh Nabi dan segolongan orang-orang yang mantap ilmu agamanya (Ar-Raasikhun Fil Ilm) dari kalangan umat ini. Shah Waliyyullah adalah antara tokoh yang cenderung berpendapat demikian. Kecenderungan beliau itu dapat dilihat di akhir Kitabnya yang bernama al-Fauzu al-Kabiir.
(vii) Huruf-huruf Muqattha’ah di permulaan sesetengah surah itu merupakan nama surah-surah berkenaan. Inilah pendapat kebanyakan ahli Tafsir dan ahli Nahu bahasa ‘Arab. Ibnu Jarir at-Thabari menyebut nama Zaid bin Aslam, Qataadah dan Mujahid sebagai tokoh-tokoh Tafsir yang berpendapat demikian. Kata Ibnu Katsir, hadits Bukhari dan Muslim yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dijadikan dalil oleh kumpulan ini. Hadits itu menyebutkan Rasulullah selalu membaca di dalam sembahyang Subuh pada hari Jumaat الم السجدة dan هل أتى على الإنسان. Kalimah الم disebut di dalam hadits itu sebagai sebahagian daripada nama Surah as-Sajdah. Sesetengah surah yang dimulai dengan Huruf-huruf Muqattha’ah tertentu sememangnya terkenal dengan nama huruf berkenaan, seperti Surah Shaad, Surah Qaaf, Surah Yasiin dan tujuh surah yang dimulakan dengan حم. Imam Sibawaih (m.180H) di dalam Al-Kitab (sebuah karangan beliau yang tersohor) telah mengadakan satu bab khusus bertajuk: باب أسماء السور. Di bawahnya beliau menyebutkan ص، طسم، المر، كهيعص، يس، حم dan lain-lain sebagai nama bagi surah-surah tertentu. Abu ‘Ubaidah Ma`mar bin la-Mutsanna (seorang ahli Nahu bahasa ‘Arab yang terkenal m.210H) juga berpendapat demikian. Kata beliau الم شعار للسورة (Alif, Laam, Miim adalah alamat/nama surah). Az-Zamakhsyari (m.538H) berkata: وعليه إطباق الأكثر (Inilah pendapat yang disepakati oleh majoriti ulama’). Syeikh Muhammad Abduh berkata: هو وأمثاله للسور المبتدأة به (Ia dan seumpamanya adalah nama-nama surah yang dimulakan dengannya). Imam Fakhruddin ar-Raazi setelah membincangkan tajuk ini dengan panjang lebar akhirnya berkata: والمختار عند أكثر المحققين من هذه الأقوال أنها أسماء السور (Yang terpilih daripada pendapat-pendapat ini menurut kebanyakan ulama’ muhaqqiqin ialah Huruf-huruf Muqattha’at itu merupakan nama-nama surah).
Pendapat ini meskipun dipilih oleh kebanyakan ‘ulama’, namun ia tidak terlepas daripada kritikan. Antara lainnya ia dikritik kerana dua alasan berikut:
(a) Sebagaimana telah anda ketahui bahawa ada enam surah dimulakan dengan الم. Lima surah dimulakan dengan الر. Tujuh surah dimulakan dengan حم dan dua surah dimulakan dengan طسم. Bukankah nama sesuatu diletak untuk membezakannya daripada yang lain? Kalau sama namanya, tentulah ia tidak akan satu daripada yang lain, malah ia akan jadi semakin mengelirukan.
(b) Di dalam bahasa ‘Arab tidak terdapat nama yang terbentuk daripada gabungan tiga nama ke atas. Paling banyak pun ia hanya tergabung dari dua nama sahaja. Sedangkan kalau Huruf-huruf Muqattha`at itu dikatakan nama surah, maka ada antaranya yang terbentuk daripada lima nama, seperti كهيعص dan حم عسق, ada pula yang terbentuk daripada tiga nama, sebagai contohnya طسم. Kalau begitu bagaimana Huruf-huruf Muqattha’at itu akan dikatakan sebagai nama surah
Jawapan kepada kritikan dan kemusykilan (a) ialah, bukankah surah-surah berkenaan ada nama lainnya? Apabila anda menggabungkan Huruf-huruf Muqattha`at itu dengan nama lain bagi sesuatu surah, ia akan jadi terpisah dan dapat dipastikan dengan mudah yang mana satu daripadanya dimaksudkan. Misalnya dikatakan begini: الم البقرة، الم آل عمران، الم القصص، الم العنكبوت، الم الروم، الم لقمان dan الم السجدة. Demikian juga dikatakan tujuh surah yang dimulakan dengan حم. Ia akan jadi terpisah dan dapat dipastikan apabila anda berkata: حم مؤمن، حم السجدة، حم الشورى، حم الزخرف، حم الدخان، حم الجاثياة dan حم الأحقاف.
Jawapan kepada kritikan dan kemusykilan (b) pula ialah yang tidak ada ialah apabila lebih daripada dua nama digabungkan dalam gabungan ‘Tarkib Mazji’ sahaja. Nama dengan tarkib mazji seperti itulah yang dikatakan tidak ada yang terbentuk daripada gabungan tiga nama ke atas. Contoh tarkib mazji ialah perkataan بعلبك dan perkataan حضرموت misalnya. Adapun kalau beberapa nama tergabung bukan dalam tarkib mazji, maka itu dibolehkan dan ada banyak contohnya dalam bahasa Arab. Apabila anda ditanya begini misalnya: ما قرأت (apa yang telah kau baca?), lalu anda menjawab: قرأت الحمد لله وبراءة من الله ورسوله (Saya telah membaca الحمد لله dan وبراءة من الله ورسوله). Maksud anda berkata begitu ialah untuk menyatakan anda telah membaca surah-surah yang dimulakan dengan perkataan-perkataan tersebut. Jawapan seperti itu tidak salah. Sibawaih berpendapat sebagaimana harus sesuatu syair atau sesuatu rangkap syair digunakan sebagai nama bagi sesuatu qasidah atau nazam, maka begitulah juga harus digunakan nama-nama huruf ejaan bahasa ‘Arab yang tertentu sebagai nama-nama surah.
Siapa Ar-Rasikhun Fil ‘Ilmi?
At-Thabaraani dengan sanadnya meriwayatkan daripada Abu ad-Dardaa’, Abu Umaamah, Waatsilah bin al-Asqa’ dan Anas bin Malik bahawa mereka berkata, Pernah Rasulullah ditanya, “Siapakah orang-orang yang mantap ilmu agamanya?” Jawab Baginda: “Ia adalah orang yang sumpahnya diterima Allah dan benar lidahnya. Di samping itu ia memelihara perut dan farajnya daripada yang tidak halal dan tidak baik. Itulah orang yang mantap.”
Naafi’ bin Yazid berkata, “Orang yang mantap ilmunya ialah orang yang merendah diri kepada Allah dan tawadhu` dalam mencari keredhaan Allah. Dia tidak menyombong terhadap orang-orang yang lebih daripadanya dan tidak juga menghina orang-orang yang kurang daripadanya.”
Pengarang Kasyful Asrar Syarah Usul al-Bazdawi telah menukilkan tiga pendapat berhubung siapakah orang mantap ilmu agamanya.
(i) Orang yang tetap dan istiqamah di atas ilmunya sehingga tidak mungkin (pada adat) dia tergelincir dan ragu terhadap ilmunya
(i) Orang yang memperluaskan furu’ menerusi ijtihad yang dilakukan sehingga ilmunya melekat di dalam hatinya
(iii) Orang yang sampai kepada hakikat sesuatu ilmu melalui ketiga-tiga salurannya, iaitu ma’rifat, ucapan dan amalan.
Kata al-Fakhru ar-Raazi, “Ketahuilah, orang yang mantap ilmunya ialah orang mengenali Zat Allah dan sifat-sifatNya melalui dalil-dalil yang meyakinkan dan qat’i. Dia juga percaya al-Qur’an adalah kalam Allah berdasarkan dalil-dalil yang meyakinkan. Apabila dia melihat sesuatu (nas) yang mutasyabih, sedangkan dalil qat’i menunjukkan apa yang zahir daripada nas yang mutasyabih itu bukan dimaksudkan oleh Allah, pada ketika itu yakinlah dia bahawa maksud Allah adalah sesuatu yang lain selain makna zahirnya. Dan apa yang dimaksudkan Allah itu adalah benar. Dengan menolak makna zahirnya pula tidaklah timbul sebarang keraguan di dalam hatinya terhadap kebenaran al-Qur’an.”
Shah Waliyyullah pula berkata, “Tidak ada yang mengetahui hakikat beradanya Tuhan di atas dan istiwaa’Nya melainkan Dia sendiri dan orang-orang yang mantap ilmunya dari kalangan orang-orang yang dikurniakan Allah ilmu dari sisiNya.”
Mengelak Diri Daripada Menta‘wilkan Ayat–Ayat Mutasyabihat.
Salah satu usul yang perlu sentiasa di letakkan di hadapan untuk selamat dalam mentafsirkan al-Qur’an ialah mengelak diri daripada menta’wilkan ayat-ayat mutasyabihat yang sebenar-benarnya disepakati sebagai mutasyabihaat. Kerana pengetahuan sebenar tentangnya hanya ada pada Allah. Mempercayainya secara kasar dan umum (إيمان إجمالي) sudah pun memadai. Anda tidak dituntut membicarakannya secara terperinci. Apa yang perlu dijadikan panduan dan pedoman ialah ayat-ayat yang terang dan muhkamaat. Inilah yang semestinya dijadikan asas dalam segala perkara.
Sikap Pentafsir Yang Bijaksana Terhadap Ayat-Ayat Mutasyabihaat Ialah:
(a) Menyerahkan maksud sebenar huruf Muqattha`ah kepada Allah dan sedapat mungkin mengelak diri daripada berkata sesuatu secara putus tentangnya.
(b) Mengelak diri daripada mentafshil (membincangkan secara terperinci), dan mentakyifkan (menyatakan kaifiat) perkataan-perkataan كرسي، عرش، استوى، يد، وجه dan menentukan secara pasti dan qathi makna-maknanya.
(c) Firman Allah di dalam ayat 7 Surah Ali Imran: وَما يَعلَمُ تَأوِيلَهُ ۥۤ إِلَّا اللَّهُ (Dan tiadalah mengetahui maksud sebenarnya kecuali Allah), perlulah sentiasa diingati apabila berhadapan dengan ayat-ayat Mutasyabihaat
(d) Sentiasa sedar bahawa sebab dan punca bagi kesesatan dan penyelewengan golongan-golongan yang sesat ialah ta’wilan mereka yang salah terhadap ayat-ayat Mutasyabihaat.
Kemaskini: 15 Jun 2026
Tulisan: Maulana Asri
