Tafsir Surah Ali Imran Ayat 7 (Ayat Muhkam dan Mutashabihat) Part 3

فَأَمَّا الَّذينَ في قُلوبِهِم زَيغٌ

adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, 

Kalimah زَيْغٌ adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘kecenderungan ke arah kesesatan’. Ia dari kata dasar: ز ي غ yang bermaksud menolak, melencong, berpaling, meragui.

Di dalam ayat ini Allah kata في قُلوبِهِم iaitu di dalam hati mereka. Benda yang dalam hati memang susah untuk diubah. Ia berbeza dengan benda dalam minda. Sebab itu ada sahaja ulama’ yang mengubah pendapat dan pegangan mereka setelah mendapat maklumat tambahan, kerana itu adalah dalam rangka ilmu. Tapi kalau ia sudah tersemat di dalam hati, payah untuk diperbetulkan. Lihatlah Kristian Najran yang datang berdebat dengan Rasulullah. Setelah diberikan dengan penjelasan dari baginda menggunakan ayat-ayat Al-Qur’an yang mantap jitu, mereka tetap susah untuk terima. Kerana pegangan mereka itu tersemat di dalam hati.

Ingatlah, hati yang sudah ada kecondongan kepada syirik dan kesesatan, akan mudah mengikut ayat-ayat  mutasyabihah yang boleh membawa makna lain daripada ayat-ayat Muhkamat. Hati yang telah punah akan bawa kepada pemahaman makna ayat Al-Qur’an yang punah. Ini amat bahaya. Kerana itu kita banyak berhadapan dengan golongan yang berfahaman sesat yang susah untuk ubah pandangan dan pendapat mereka. Diberi hujah pun masih tak faham-faham lagi kerana mereka pegang akidah mereka itu di dalam hati. Mungkin kerana sudah dipegang dari kecil; atau kerana ia diajar oleh guru yang mereka sangat hormat. Sanggup jaga pak guru lagi dari kebenaran! Bodoh jenis apa pun tak tahulah.

Kerana itu Allah ada beritahu kita yang dari ayat Al-Qur’an, ada yang dapat hidayah tapi ada juga yang jadi sesat kerana ayat Al-Qur’an juga kerana tidak difahami dengan benar. Allah sebut di dalam Baqarah:26

يُضِلُّ بِهِۦ ڪَثِيرًا وَيَهدِى بِهِۦ كَثِيرًا‌
Tuhan akan menjadikan banyak orang sesat dengannya, dan akan menjadikan banyak orang mendapat petunjuk dengan sebabnya

Sebagai contoh, ada orang yang baca kisah Nabi Ibrahim cuba membunuh anaknya Nabi Ismail dan dia tidak boleh terima. Dia sampai keluar Islam kerananya kerana dia kata agama apa ini menyuruh bunuh anak! Tapi dia tidak baca keseluruhan kisah itu agaknya jadi dia buat kesimpulan yang sesat kerananya.

Begitulah sampai sekarang kalau kita baca dalam internet, banyak sahaja manusia yang cuba menimbulkan salah faham umat Islam dengan ayat Al-Qur’an sendiri. Jadi amat bahaya kalau kita sendiri tidak faham maksud ayat-ayat itu. Ramai yang keluar Islam pun ada kerana ditipu oleh orang kafir yang sengaja menimbulkan isu dan salah faham ini.

Sepatutnya pemahaman ayat-ayat Mutasyabihat itu mesti difahami mengikut ayat Muhkamat. Namun, mereka yang hati telah punah itu akan takwil ayat-ayat mutasyabihah itu mengikut kehendak hati mereka. Ini kerana mereka hendak bawakan juga fahaman yang tidak sesuai dengan fahaman tauhid.

Ini pun ada banyak terjadi dalam masyarakat kita kerana ramai yang belajar dengan mereka yang tidak tahu. Maka punahlah masyarakat kita macam juga penganut Nasara yang takwil ikut suka hati mereka.

Nabi Muhammad ﷺ telah memberikan amaran dan teguran yang sangat keras kepada umat baginda agar berwaspada terhadap individu atau kumpulan yang sengaja menyibukkan diri dengan ayat-ayat mutashabihat demi mencetuskan perbalahan. Dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Sayyidatuna Aisyah, Nabi ﷺ membaca Surah Ali ‘Imran ayat 7, kemudian baginda ﷺ terus memberikan pesanan konkrit:

فَإِذَا رَأَيْتِ الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ فَأُولَئِكَ الَّذِينَ سَمَّى اللَّهُ فَاحْذَرُوهُمْ
Apabila kamu melihat orang-orang yang sibuk mencari-cari apa yang samar (ayat-ayat mutashabihat) daripada Al-Qur’an, maka mereka itulah orang-orang yang telah dinamakan (dicela) oleh Allah (dalam ayat ini), maka berwaspadalah kamu terhadap mereka (jauhilah mereka)!

Riwayat Al-Bukhari, No. 4547 & Muslim, No. 2665)

فَيَتَّبِعونَ ما تَشٰبَهَ مِنهُ

maka mereka menurut apa yang samar-samar daripadanya

Ramai yang dalam kalangan orang kita yang suka benar berbincang tentang ayat-ayat mustasyabihat ini. Mereka rasa macam hebat sahaja, membincangkan tentang apa maksud ‘nur’, tentang arasy Allah ﷻ, maksud Alif Lam Mim dan lain-lain lagi. Sedangkan banyak ayat-ayat tentang hukum, mereka tidak belajar dan amalkan pun lagi.

Oleh itu kita boleh lihat mereka yang banyak membincangkan ayat-ayat mutasyabihat ini adalah orang yang kurang pandai dalam agama tetapi mereka rasa mereka pandai kerana boleh cakap banyak kerana mereka sangka mereka boleh berbincang tentang perkara yang manusia lain tidak tahu. Itu sangkaan mereka sahaja.

Allah menggunakan kalimah فَيَتَّبِعونَ yang bermaksud mereka ikut dan pegang sungguh-sungguh fahaman salah mereka itu. Ia bukan sahaja bermaksud ikut tapi ikut dengan menggunakan usaha yang keras. Ia tidak sama kalau digunakan perkataan ‘ikut’ yang biasa seperti (فَتَبِعُوا) atau (فَيَتْبَعُونَ). Begitulah kita kadangkala berhadapan dengan golongan yang keras kepala, pandai susah hendak diajar!

Bukanlah ayat-ayat mutasyabihat itu tidak ada makna. Ini kerana apabila Allah ﷻ meletakkannya dalam Al-Qur’an, tentu ada makna. Cuma kita sebagai manusia tidak dapat memahaminya dan kita tidak perlu tahu pun, kerana dalilnya, Nabi ﷺ sendiri tidak beritahu kita.

ابتِغاءَ الفِتنَةِ

untuk mencari fitnah

Kalimah ابتِغاءَ maksudnya mencari-cari. Ia bukanlah dengan ilmu tapi pakai tangkap muat sahaja apa yang ada. Begitulah selalunya yang keliru ini adalah orang yang jahil. Mereka belajar bukan ikut silibus agama yang sepatutnya tapi entah dari mana mereka dapat ilmu mereka itu. Kadang-kadang pelik mereka ini, Al-Qur’an sudah lebih seribu tahun turun dan telah dibincangkan dari dahulu lagi. Tapi tiba-tiba mereka dapat pula pemahaman baru yang entah dari mana!

Kalimah الفِتنَةِ ini pun perlu diperjelaskan. Ini kerana ia ada juga digunakan di dalam Bahasa Melayu dan ramai gunakan maksud itu untuk ayat Al-Qur’an. Ini bagi yang tidak belajar tafsir lah. Dalam bahasa Melayu harian, “fitnah” bermaksud menuduh orang lain melakukan perkara yang tidak dibuatnya (rekaan, pembohongan, atau slander). Namun, dalam bahasa Arab dan Al-Qur’an, perkataan Al-Fitnah (الفِتْنَةُ) membawa maksud yang jauh lebih luas, besar, dan mendalam.

Dari segi bahasa asal, فِتنَةِ bermaksud “memasukkan emas ke dalam api untuk menguji ketulenannya.” Daripada akar makna ini, Al-Qur’an menggunakan kalimah fitnah untuk merujuk kepada Ujian, Tapisan, dan Kekacauan. Al-Qur’an menggunakan perkataan fitnah dalam pelbagai konteks yang berbeza, antaranya:

1. Bermaksud Ujian atau Dugaan (Al-Ibtila’): Allah menguji manusia sama ada dengan kesusahan atau kesenangan. Contohnya lihat Anfal:28:

وَاعلَموا أَنَّما أَموٰلُكُم وَأَولٰدُكُم فِتنَةٌ
Dan ketahuilah, bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cubaan

2. Bermaksud Syirik atau Kekufuran: Keadaan di mana kebenaran ditindas sehingga manusia berpaling daripada agama. Ayat yang banyak disalahertikan oleh orang kita adalah Baqarah:217

وَالفِتنَةُ أَكبَرُ مِنَ القَتلِ
dan fitnah (syirik/penindasan agama) itu lebih besar bahayanya daripada membunuh.”

3. Bermaksud Azab atau Seksaan: Contoh seperti digunakan di dalam Dhariyat:14

ذوقوا فِتنَتَكُم هٰذَا الَّذي كُنتُم بِهِ تَستَعجِلونَ
(Dikatakan kepada mereka): “Rasakanlah azabmu itu. Inilah azab yang dulu kamu minta untuk disegerakan”.

4. Bermaksud Kekacauan / Huru-hara: Perpecahan dalam masyarakat yang menyebabkan manusia hilang pedoman. Ini seperti yang digunakan di dalam Ali Imran:7 ini. Mereka sengaja memutarbelitkan ayat yang samar (mutashabihat) bukan untuk mencari kebenaran, tetapi untuk membuatkan orang awam keliru, ragu-ragu, dan goyah iman terhadap Al-Qur’an. Contohnya, mereka mempersoalkan, “Kalau Al-Qur’an kata Allah tiada tandingan, kenapa dalam ayat lain kata Allah ada tangan?” Tujuan mereka adalah merosakkan pegangan umat Islam. Apabila timbul keraguan dalam urusan agama, umat Islam akan mula bertelagah, tuduh-menuduh, dan berpecah-belah kepada banyak puak. Perpecahan, perbalahan, dan huru-hara pemikiran inilah yang dipanggil sebagai fitnah dalam ayat ini.

Ayat lain yang menggunakan istilah ini adalah Burooj:10

إِنَّ الَّذينَ فَتَنُوا المُؤمِنينَ وَالمُؤمِنٰتِ ثُمَّ لَم يَتوبوا فَلَهُم عَذابُ جَهَنَّمَ وَلَهُم عَذابُ الحَريقِ
Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan cubaan kepada orang-orang yang mukmin laki-laki dan perempuan kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azab Jahannam dan bagi mereka azab (neraka) yang membakar.

Perbincangan tentang benda yang memang tidak boleh difahami akan menyebabkan fitnah dalam masyarakat Islam sahaja sebab akan ada banyak pendapat yang berbeza dan ada yang rasa pendapat dia yang benar dan menyalahkan pendapat lain. Maka hasilnya pecah belah dalam masyarakat sampai ada yang kafir mengkafir.

Lebih malang lagi jika daripada penerangan tentang ayat-ayat mutasyabihat itu boleh menyebabkan salah faham tentang Allah ﷻ sampaikan boleh membawa kepada syirik. Ini amat bahaya.

Fitnah ini dilakukan oleh orang yang jahil sebenarnya, tapi hendak bercakap tentang agama, tentang Allah dan tentang ayat Al-Qur’an. Kerana itulah sekarang keluar banyak fahaman karut di kalangan umat. Ada yang menggunakan ayat Al-Qur’an tapi kerana tidak belajar, mereka gunakan fahaman sendiri sahaja. Contohnya salah tafsir dalam Ayat Baqarah:256

لٓا إِكراهَ فِي الدّينِ
Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam)

Ayat ini maksudnya tidak boleh paksa orang kafir masuk Islam. Mereka kena masuk dengan kehendak sendiri. Tapi ada golongan jahil kata tidak boleh paksa langsung apa-apa ibadah atau suruhan walaupun sudah beragama Islam. Kerana dia rasa dia dipaksa solat, puasa, ikut hukum Hudud dan sebagainya. Dia pakai ayat Al-Qur’an, tapi maksudnya dia tempek sendiri.

وَابتِغاءَ تَأويلِهِ

dan mencari-cari takwilnya 

Mereka sengaja membuang masa hendak mencari dan hendak tahu apakah maksud (takwil) ayat-ayat mutasyabihat itu. Padahal ia bukanlah perkara yang perlu diketahui. Mereka telah disibukkan dengan perkara yang tidak perlu.

Kalimah تَأْوِيلِ adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘tafsiran’, ‘interpretasi’. Ia dari kata dasar أ و ل yang bermaksud kembali, awal, datang sebelum, menjelaskan, asal. Perkataan تَأْوِيلِ adalah antara istilah paling penting dalam ilmu al-Quran. Ia ada banyak makna dan maknanya berubah dengan sangat ketara bergantung kepada sama ada kita melihatnya dari sudut bahasa, atau dalam konteks khusus seperti di dalam ayat ini.

Dan kerana itu, kalimah ini boleh dipandang secara positif dan boleh dipandang secara negatif oleh kebanyakan orang. Sebab itu kena belajar sedikit tentang maksud asal atau etimologi sesuatu perkataan itu. Kalau kita hanya baca terjemahan sahaja, tentu keliru.

Ini kalau kita pandang secara positif: Secara etimologi (bahasa), perkataan ta’wil berasal daripada kata dasar al-awl (أَوْلٌ) yang bermaksud kembali (الرُّجُوعُ). Apabila disebut أَوَّلَ – يُؤَوِّلُ – تَأْوِيلًا, ia membawa maksud mengembalikan sesuatu kepada asalnya. Juga menjelaskan kesudahan, kesan akhir, atau hakikat sebenar bagi sesuatu perkara.

Kerana itu kalimah تَأْوِيلِ boleh bermaksud ‘tafsir’. Ini kerana apabila seorang ahli tafsir melakukan ta’wil terhadap satu ayat Al-Quran, dia sebenarnya sedang mengambil lafaz ayat yang kelihatan samar atau mempunyai banyak kemungkinan makna, lalu “mengembalikannya” kepada makna sebenar yang dikehendaki oleh Allah. Kerana proses “mengembalikan lafaz kepada maksud sebenar” itu memerlukan penjelasan, hujah, dan penerangan, maka perbuatan ta’wil itu secara automatik menjadi aktiviti mentafsir (menjelaskan ayat).

Bukti paling kukuh bahawa ta’wil bermaksud tafsir dalam istilah syarak yang awal ialah doa Nabi ﷺ kepada sepupu baginda, Ibnu Abbas. Ibnu Abbas berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَضَعَ يَدَهُ عَلَى كَتِفِي – أَوْ عَلَى صَدْرِي – فَقَالَ اللَّهُمَّ فَقِّهْهُ فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيلَ
Bahawa Nabi ﷺ meletakkan tangannya di atas bahuku – atau di atas dadaku – lalu baginda bersabda: “Ya Allah, berikanlah kefahaman yang mendalam kepadanya dalam urusan agama, dan ajarkanlah kepadanya ilmu ta’wil (tafsir Al-Quran).

Riwayat Ahmad dalam Musnadnya, No. 2397. Syeikh Ahmad Syakir menyatakan sanadnya Sahih).

Dan memang istilah ta’wil asalnya digunakan untuk bermaksud ‘tafsir’. Kalau kita membuka kitab tafsir agung dan klasik iaitu Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran karangan Imam Ibnu Jarir at-Tabari (wafat 310 Hijrah), kita akan dapati beliau menggunakan perkataan ta’wil untuk maksud tafsir di sepanjang kitabnya. Setiap kali beliau mahu memulakan tafsiran ayat yang baharu, beliau akan menulis: القول في تأويل قوله تعالى (Ini adalah pendapat tentang ta’wil (tafsir) bagi firman Allah Ta’ala) dan kemudian beliau akan berikan ayat Al-Qur’an yang hendak ditafsirkan. Dan apabila ayat tersebut mempunyai pelbagai tafsiran daripada para Sahabat atau Tabi’in, beliau akan memanggil golongan pentafsir ini sebagai Ahlul Ta’wil (Ahli Tafsir) dengan lafaz: واختلف أهل التأويل في تأويل ذلك (Dan telah berbeza pendapatlah ahli ta’wil (para mufassirin) mengenai ta’wil (tafsiran) ayat tersebut…)

Bagaimanakah kalimah ta’wil yang asalnya bermaksud “menjelaskan/mentafsirkan” boleh bertukar menjadi sesuatu yang buruk dalam ayat ini? Perkara ini berlaku kerana tujuan (niat) dan cara (metodologi) golongan tersebut mengendalikan ayat-ayat tersebut. Para ulama membahagikan ta’wil kepada dua jenis, dan ayat ini merujuk kepada jenis yang kedua (negatif).

Dalam ilmu usul fiqh, apabila ta’wil digunakan secara negatif, ia merujuk kepada tindakan memaksa lafaz Al-Qur’an keluar daripada makna yang betul demi memenangkan ideologi, kepentingan peribadi, atau hawa nafsu. Ciri-ciri ta’wil negatif yang digambarkan dalam Ali ‘Imran ayat 7 adalah seperti berikut:

    • Sengaja Mencari Kesamaran (Tasyabuh): Mereka mengabaikan ayat-ayat muhkamat (yang jelas seperti hukum-hakam dan dasar akidah) lalu sengaja memfokuskan tenaga kepada ayat-ayat yang samar.
    • Tujuan Membawa Fitnah: Niat mereka bukan untuk mencari kebenaran atau mendalami ilmu, tetapi untuk menimbulkan keraguan (syubhat) dalam fikiran orang awam supaya umat Islam berpecah-belah dan hilang keyakinan pada agama.
    • Ta’wil Tanpa Disiplin Ilmu: Mereka mereka-reka makna mengikut logik akal yang rapuh tanpa sokongan dalil bahasa Arab yang sah atau hadis Nabi ﷺ.

Dalam sejarah pemikiran Islam, penyimpangan di bawah topeng “ta’wil” atau “tafsir batin” terhadap ayat-ayat mutashabihat telah melahirkan beberapa ideologi yang ekstrem. Golongan tarekat yang melampau (disebut oleh para ulama sebagai Sufi Falsafi atau Batiniah) sering terjebak dalam perkara ini kerana mereka mendahului “rasa” (zauq) dan kasyaf berbanding disiplin bahasa Arab serta ayat-ayat muhkamat. Contoh tafsiran salah mereka:

1. Menghalalkan Gugurnya Syariat. Ini adalah penyelewengan paling besar yang meruntuhkan dasar agama. Mereka mengambil ayat Hijr:99,

وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّىٰ يَأْتِيَكَ الْيَقِينُ
dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu yang diyakini

Tafsiran Salah Golongan Tarekat Ekstrem: Mereka menta’wilkan perkataan “Al-Yaqin” sebagai tingkat maqam/kefahaman rohani yang tinggi. Mereka mendakwa: “Jika seseorang salik (murid tarekat) sudah mencapai makrifat dan hatinya sudah yakin (sampai kepada Allah), maka tuntutan syariat seperti solat, puasa, dan haji sudah gugur baginya.” Sebab itu sampai sekarang ada golongan Tarekat yang tidak solat, atau solat pakai niat.

Tafsiran yang Benar (Muhkam): “Dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu Al-Yaqin (iaitu Kematian).” (Sebab itu Nabi ﷺ dan para sahabat tetap solat sehingga menghembuskan nafas terakhir). Ini kerana yang kita yakin pasti itu adalah kematian. Yang lain kita tidak boleh yakin seperti dapat kahwin, dapat anak, dapat jadi kaya. Itu semua belum tentu. Tapi yang pasti dan kita yakin kita akan dapat adalah kematian.

2. Doktrin Penyatuan Makhluk dengan Tuhan (Wahdatul Wujud). Golongan Tarekat yang bodoh itu menyalahgunakan ayat-ayat kiasan tentang kedekatan Allah dengan hamba-Nya untuk mendakwa bahawa zat manusia dan zat Tuhan adalah satu. Antaranya Hadid:4

وَهُوَ مَعَكُمْ أَيْنَ مَا كُنتُمْ
Dan Dia bersama kamu di mana sahaja kamu berada

Tafsiran Salah Golongan Tarekat Ekstrem: Mereka menta’wilkan ayat ini secara literal-batiniah bahawa Allah wujud di dalam segala sesuatu. Maka lahir falsafah bahawa tiada bezanya antara penyembah dan yang disembah, kerana segala-galanya adalah manifestsasi zat Tuhan. Doktrin ini membawa kepada kekufuran yang nyata.

Tafsiran yang Benar (Muhkam): “Dan Dia bersama kamu di mana sahaja kamu berada.” Para ulama sepakat menyatakan kebersamaan di sini adalah dari sudut Ilmu, Pengawasan, dan Pendengaran Allah (bukan zat Allah duduk bercampur dengan makhluk). Apa sahaja yang kita buat, Allah tahu. Bukannya Allah sebelum kita atau Allah duduk dalam kita!

3. Mengagungkan Guru/Syeikh Melebihi Sempadan Syarak. Sebahagian pengikut tarekat yang ta’sub mengambil ayat-ayat tentang mencari jalan mendekatkan diri kepada Allah, seperti Maidah:35

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا اتَّقُوا اللهَ وَابتَغوا إِلَيهِ الوَسيلَةَ وَجٰهِدوا في سَبيلِهِ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ
Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepada-Nya, dan berjihadlah pada jalan-Nya, mudah-mudahan kamu mendapat kemenangan.

Tafsiran Salah Golongan Tarekat Ekstrem: Mereka mendakwa Al-Wasilah di sini adalah Zat Syeikh atau Guru Tarekat mereka. Lantaran itu, wujud amalan di mana mereka menyerahkan roh dan jasad bulat-bulat kepada guru, sehinggakan ada yang berdoa meminta hajat terus kepada kubur syeikh atau membayangkan wajah syeikh ketika solat (Rabithah yang melampau) atas alasan syeikh tersebut adalah “wasilah” mutlak ke syurga.

Pemahaman tentang wasilah ini menyebabkan ramai umat Islam sesat kerana bertawasul kepada Nabi, wali dan malaikat. Mereka tidak belajar maksud wasilah di dalam ayat ini, jadi tok guru dan syeikh buat rekaan apakah maksudnya dengan beri hujah-hujah yang bathil belaka.

Tafsiran yang Benar (Muhkam): “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah Al-Wasilah (jalan/perantara) untuk mendekatkan diri kepada-Nya…” Imam Qatadah dan majoriti ulama menyatakan Al-Wasilah di sini bermaksud amal-amal soleh dan ketaatan.

4. Mentafsirkan Kisah Al-Qur’an Sebagai Simbolik Sahaja. Terdapat juga kecenderungan untuk membuang maksud zahir kisah-kisah mukjizat para Nabi dan menukarkannya kepada simbolik nafsu semata-mata. Contoh: Ketika Allah memerintahkan Nabi Musa memotong lembu (Surah Al-Baqarah), mereka menta’wilkan bahawa “lembu” itu bukan binatang, tetapi simbolik kepada “nafsu amarah” yang perlu disembelih dalam diri murid. Walaupun berniat untuk memberi motivasi rohani (tazkiyatun nafs), kaedah ini jika melampau akan menyebabkan sejarah tulen para Nabi di dalam Al-Qur’an dianggap sebagai cerita dongeng dan kiasan fantasi belaka.

Ini adalah sedikit dari contoh-contoh salah faham golongan Tarekat yang bodoh ini. Tapi masih ada banyak lagi sebenarnya. Letih kita melihat tafsiran-tafsiran pelik sebegini. Oleh kerana mereka tidak ada ilmu wahyu, senang mereka ditipu oleh manusia lain. Syaitan memang akan mengambil peluang orang-orang yang jahil wahyu dengan memasukkan fahaman-fahaman sesat. Kerana itu sampai sekarang ada yang istighasah kepada wali-wali yang telah mati kononnya itulah ajaran yang bagus.

وَما يَعلَمُ تَأويلَهُ إِلَّا اللَّهُ

Padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya melainkan Allah.

Sedangkan Allah ﷻ sahaja yang tahu takwil kepada ayat-ayat mutasyabihat itu. Manusia tidak ada kelebihan itu. Awal-awal surah ini lagi telah diletakkan alif lam mim yang kita sendiri tidak tahu apakah maksudnya. Memang kalau kita pecah kepala fikir pun, tidak akan dapat tahu.

Contohnya maksud istiwa’ yang banyak ada di dalam Al-Qur’an dan menjadi perkelahian bodoh di kalangan umat. Hanya Allah sahaja yang tahu dan Allah hanya sebut dengan ringkas tanpa menjelaskan seperti di dalam Ra’d:2

اللهُ الَّذي رَفَعَ السَّمٰوٰتِ بِغَيرِ عَمَدٍ تَرَونَها ۖ ثُمَّ استَوىٰ عَلَى العَرشِ
Allah-lah Yang meninggikan langit tanpa tiang (sebagaimana) yang kamu lihat, kemudian Dia bersemayam di atas ‘Arasy

Kerja bodoh di kalangan manusia adalah berbincangan dari malam ke pagi tak habis-habis tentang hal ini sedangkan kita takkan faham pun. Dan kita tidak perlu sibuk untuk faham pun. Ingatlah jawapan Imam Malik apabila beliau ditanya tentang hal ini:

Daripada Jaafar bin Abdullah katanya, “Seorang lelaki telah datang kepada Malik bin Anas رَحِمَهُ اللَّهُ lalu berkata, “Wahai Abu Abdillah {الرَّحْمَٰنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَىٰ} bagaimanakah Dia اسْتَوَىٰ’?” Katanya, “Saya tidak pernah melihat Malik begitu marah tentang sesuatu seperti marahnya dia dengan persoalan itu dan dia kelihatan berpeluh.” Katanya, “Orang ramai menunggu apa yang akan disebutnya tentang hal ini.” Katanya, “Kemudian Malik kembali tenang lalu berkata,

الِاسْتِوَاءُ مَعْلُومٌ، وَالْكَيْفُ مَجْهُولٌ، وَالْإِيمَانُ بِهِ وَاجِبٌ، وَالسُّؤَالُ عَنْهُ بِدْعَةٌ
(الِاسْتِوَاءُ itu telah diketahui (wujudnya dalam Al-Qur’an), manakala kaifiatnya (hakikat caranya) adalah tidak diketahui (iaitu rahsia Allah), beriman dengannya adalah wajib, dan bertanya tentangnya adalah bid’ah.)

وَالرّٰسِخونَ فِي العِلمِ

Dan orang-orang yang mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu ugama,

Kalimah الرّٰسِخونَ adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘orang-orang yang tetap dan mendalam ilmu agamanya’. Ia dari kata dasar: ر س خ yang bermaksud tetap, teguh, berakar. Dari ر س خ menjadi fi’il رَسَخَ yang bermaksud lekat, terbenam, kukuh, atau tertanam dengan sangat kuat ke dalam sesuatu tempat sehingga tidak lagi bergerak, bergoyang, atau berganjak. kalimah ini asalnya digunakan oleh orang Arab untuk menggambarkan dua objek fizikal yang sangat kukuh:

    • Paku yang tertanam kuat: Paku atau tiang yang diketuk masuk ke dalam simen atau bumi dengan sangat dalam sehingga ia tidak boleh dicabut lagi dengan mudah.
    • Gunung yang pasak-Nya dalam: Gunung-ganang yang mempunyai akar yang terbenam jauh ke dalam kerak bumi, menjadikannya teguh dan tidak bergoyang walaupun dilanda angin taufan.

Al-Qur’an mengambil kata رَسَخَ (tertanam kuat) ini dan memindahkannya ke dalam dunia maknawi (akademik dan spiritual). Apabila Allah menyebut وَالرّٰسِخونَ فِي الْعِلْمِ (Dan orang-orang yang mendalam/kukuh di dalam ilmu), ia membawa maksud metafora bahawa:

    • Ilmu yang Menyerap ke dalam Jiwa: Ilmu mereka bukan sekadar di bibir, nota, atau hafalan luaran sahaja. Sebaliknya, ilmu tersebut telah meresap, “terbenam”, dan melekat kukuh ke dalam hati dan sanubari mereka, seumpama akar gunung yang mencengkam bumi.
    • Sifat Rusukh (kekukuhan) ini menyebabkan minda dan akidah mereka tidak mudah bergoyang, tidak ragu-ragu, dan tidak hanyut apabila berhadapan dengan badai fitnah atau putar belit ayat mutashabihat oleh golongan sesat.

Iaitu mereka yang dalam, luas dan sudah kukuh ilmu mereka. Mereka telah belajar habis tentang agama, luar dan dalam. Mereka telah belajar sampai ke kemuncak ilmu yang boleh dicapai oleh manusia. Merekalah yang banyak menulis kitab-kitab tafsir yang muktabar. Merekalah yang menjadi rujukan orang-orang yang mahukan kebenaran. Mereka mengamalkan agama dengan menggunakan dalil yang sahih dan hujah yang benar.

Ayat ini agak sukar ditafsirkan kerana ada dua bacaan. Iaitu ada dua tempat berhenti. Bacaan Pertama:

وَابتِغآءَ تَأويلِهِ ۗ وَما يَعلَمُ تَأوِيلَهُ ۥۤ إِلَّا اللَّهُ ۗ وَٱلرّٰسِخُونَ فِي العِلمِ يَقولونَ ءَامَنَّا بِهِۦ

Ini adalah apabila berhenti selepas kalimah اللَّهُ. Jika berhenti di sini, makna تَأويلِ adalah “Hakikat Ghaib yang Sebenar” (seperti rupa Zat Allah, roh, tarikh Kiamat). Maka, ilmu ini menjadi rahsia mutlak Allah sahaja. Tugas orang yang mendalam ilmunya (ٱلرّٰسِخُونَ) pula bukan untuk memikirkan hakikat tersebut, tetapi tugas mereka adalah terus beriman (ءَامَنَّا بِهِ).

Akan tetapi ada juga tempat berhenti yang kedua yang menjadi pilihan lain:

وَابتِغآءَ تَأويلِهِ ۗ وَما يَعلَمُ تَأوِيلَهُ ۥۤ إِلَّا اللَّهُ وَٱلرّٰسِخُونَ فِي العِلمِ ۗ يَقولونَ ءَامَنَّا بِهِۦ

Ini adalah apabila berhenti selepas وَٱلرّٰسِخُونَ فِي العِلمِ. Cara bacaan ini bermaksud kita membaca terus nama Allah berserta و (Dan) selepasnya tanpa memutuskan nafas. Huruf و di sini berfungsi sebagai Wawul ‘Ataf (kata hubung “dan”). Jika dibaca sambung, makna تَأويلِ di sini bertukar menjadi “Tafsir / Penjelasan Makna”. Maksudnya, Allah tahu tafsiran ayat mutashabihat itu, dan para ulama yang mendalam ilmunya (وَٱلرّٰسِخُونَ فِي العِلمِ) juga tahu cara mentafsirkan ayat tersebut dengan betul (mengembalikannya kepada ayat muhkam). Ayat “Mereka berkata: Kami beriman…” pula menjadi sifat atau keadaan (hal) jiwa para ulama tersebut ketika mentafsir Al-Qur’an.

Jadi mana satu cara berhenti yang betul? Tidak ada masalah kalau kita telah belajar tafsir. Kedua-dua cara bacaan ini adalah sah, betul, dan saling melengkapi. Jika kita merujuk ta’wil sebagai rupa bentuk Zat Allah, maka kita wajib mengguna pakai Bacaan 1 (Hanya Allah yang tahu). Kita serahkan sahaja kepada Allah. Jika kita merujuk ta’wil sebagai usaha memahami maksud kiasan ayat Al-Qur’an agar tidak sesat, maka kita mengguna pakai Bacaan 2 (Allah dan para ulama sama-sama tahu maksudnya). Mereka pun bukannya tafsir pakai akal, tapi kembali kepada ayat-ayat yang Muhkamat seperti yang kita telah sebut di atas. Contohnya kalau kita terima Allah ada tangan, tentulah kita kata tangan Allah tidak sama seperti tangan makhluk. Maha Suci Allah yang menjadikan susunan Al-Qur’an begitu mukjizat!

Maka maksud ayat-ayat Al-Qur’an hendaklah dirujuk kepada mereka yang ada ilmu yang mendalam. Bahaya kalau memandai sendiri untuk menafsir ayat-ayat Al-Qur’an. Pernah berlaku satu peristiwa di mana para sahabat bertelagah dan mengangkat suara sesama sendiri kerana berbeza pandangan tentang maksud sepotong ayat Al-Qur’an. Apabila Nabi ﷺ keluar dan mendengar perbalahan itu, wajah baginda bertukar merah padam kerana terlalu marah. Baginda ﷺ bersabda:

مَهْلًا يَا قَوْمِ، بِهَذَا أُهْلِكَتِ الأُمَمُ مِنْ قَبْلِكُمْ؛ بِاخْتِلاَفِهِمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ، وَضَرْبِهِمُ الْكُتُبَ بَعْضَهَا بِبَعْضٍ. إِنَّ الْقُرْآنَ لَمْ يَنْزِلْ يُكَذِّبُ بَعْضُهُ بَعْضًا، بَلْ يُصَدِّقُ بَعْضُهُ بَعْضًا، فَمَا عَرَفْتُمْ مِنْهُ فَاعْمَلُوا بِهِ، وَمَا جَهِلْتُمْ مِنْهُ فَرُدُّوهُ إِلَى عَالِمِهِ
Bertenanglah wahai kaumku! Sesungguhnya umat-umat sebelum kamu telah binasa disebabkan perkara ini; iaitu kerana mereka berselisih dengan Nabi-nabi mereka, dan mereka membenturkan (mempertentangkan) sebahagian isi Kitab Suci dengan sebahagian yang lain. Sesungguhnya Al-Qur’an tidak diturunkan untuk sebahagiannya mendustakan sebahagian yang lain, sebaliknya sebahagiannya membenarkan sebahagian yang lain. Oleh itu, apa yang kamu fahami daripadanya (ayat muhkamat), maka beramallah dengannya. Dan apa yang kamu jahil/samar (ayat mutashabihat), maka kembalikanlah ia kepada orang yang alim (mengetahuinya).”

Riwayat Ahmad, No. 6741 & Ibnu Majah. Syeikh Ahmad Syakir menyatakan sanadnya Sahih.

Maksud larangan Nabi Jangan Membenturkan Ayat: Jangan gunakan ayat mutashabih untuk meruntuhkan atau menimbulkan keraguan terhadap ayat muhkam.

Mereka tidak memandai-mandai mencari hujah yang bukannya datang dari wahyu. Mereka tidak berani buat begitu dan melanggar arahan Allah. Itulah orang yang betul-betul ada ilmu. Begitulah Allah berfirman di dalam Fatir:28

إِنَّما يَخشَى اللهَ مِن عِبادِهِ العُلَماءُ
Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama.

Di permulaan ayat ini, Allah tekankan yang Al-Qur’an ini diturunkan kepada Nabi Muhammad (هُوَ الَّذيٓ أَنزَلَ عَلَيكَ ٱلكِتَـٰبَ) dan kita telah sebut ia memberi isyarat yang Nabi Muhammad ada autoriti ke atas Al-Qur’an, dan kalau ada tidak faham, boleh tanya kepada baginda. Tapi kalau kita perhatikan, para sahabat tidak ada tanya pun pasal ayat-ayat yang mutashabihat itu. Mereka tidak tanya apa maksud الم، الر, tentang wajah Allah, tangan Allah dan sebagainya. Maknanya mereka tidak tanya soalan yang tidak perlu. Bukan macam kita, soalan bodoh pun ditanya sentiasa. Bukan semua soalan perlu ditanya. Macam kalau guru mengajar dan suruh kita tanya soalan, kita kena tanya soalan yang relevan, bukannya tanya soalan tak perlu seperti apa hendak makan selepas kelas, apa warna baju kena pakai dan lain-lain. Jadi para sahabat tidak bertanya kerana,

1. Mereka Memahami Kaedah Bahasa Arab Secara Semulajadi. Para sahabat Nabi adalah bangsa Arab tulen yang hidup di zaman kemuncak kefasihan bahasa Arab. Bagi mereka, uslub (gaya bahasa) kiasan, majaz, dan metafora adalah perkara biasa yang tidak memerlukan definisi literal. Oleh itu apabila Al-Qur’an menyebut يَدُ اللهِ فَوقَ أَيديهِم  “Tangan Allah di atas tangan mereka” (Fath:10), minda Arab tulen para sahabat terus menangkap maksudnya sebagai perlindungan, kekuasaan, atau perjanjian, bukannya anggota badan fizikal. Tak perlu hendak dijelaskan seperti jelaskan kepada budak-budak.

Bagi mereka, jika raja mereka berkata “Negeri ini berada di bawah tanganku”, mereka tidak pernah terfikir negeri itu duduk di atas tapak tangan raja tersebut. Oleh kerana bahasa mereka tidak tercemar dengan istilah falsafah asing (seperti falsafah Yunani yang masuk beratus tahun kemudian), mereka tidak melihat ayat-ayat tersebut sebagai satu masalah atau “teka-teki” yang perlu ditanyakan kepada Nabi ﷺ. Kita yang bukan orang Arab dan tidak tahu bahasa Arab ini yang selalu jadi keliru.

2. Sifat Keimanan Taslim (Tunduk dan Menyerah). Ini adalah faktor paling utama. Keimanan para sahabat dibina atas dasar Taslim total, iaitu percaya bulat-bulat kepada keagungan Allah tanpa perlu mempersoalkannya secara logik akal (Takalluf). Mereka sangat faham batas kemampuan akal manusia. Apabila Allah mensifatkan diri-Nya dengan sesuatu perkara, mereka terus beriman dengan prinsip yang sangat jelas di dalam Syura:11 لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ (Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan-Nya).

Bagi mereka, perbincangan tentang bagaimana bentuk atau rupa (kaifiat) zat Allah adalah satu bentuk kelancangan dan tidak sopan terhadap Tuhan. Sifat tawaduk ilmiah ini membuatkan mereka memilih untuk beriman dengan teks ayat tersebut dan menyerahkan hakikat maknanya kepada Allah (Tafwidh). Yang tidak faham hal inilah yang sibuk buat hujah bodoh seperti, “Kalau Allah di Arasy, masa Arasy tidak ada, Allah duduk di mana?”. Soalan bodoh dari orang yang bodoh!

3. Mereka Takut Ditimpa Teguran Al-Qur’an. Para sahabat amat berhati-hati dan takut untuk terlalu banyak bertanya tentang perkara-perkara yang tidak mendatangkan amal, kerana Al-Qur’an pernah memberikan amaran yang sangat tegas dalam Maidah:101

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَسئلوا عَن أَشياءَ إِن تُبدَ لَكُم تَسُؤكُم
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan tentang perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu, akan menyusahkan kamu…”

Ayat ini mendidik para sahabat agar menumpukan soalan kepada perkara praktikal seperti hukum-hakam, halal dan haram, serta cara-cara beramal (muhkamat). Mereka tahu bahawa menyibukkan diri dengan perincian ayat mutashabihat hanya akan membuka pintu syaitan untuk membisikkan keraguan, persis seperti yang menimpa umat-umat terdahulu yang binasa kerana terlalu banyak bertanya perkara yang remeh.

يَقولونَ ءآمَنّا بِهِ كُلٌّ مِن عِندِ رَبِّنا

mereka berkata:” Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami”

Mereka kata mereka beriman dengan ayat-ayat mutasyabihat itu sebagai ayat daripada Allah ﷻ. Mereka ini tawaduk dan merendahkan diri mereka kepada Allah. Mereka terima dengan seadanya, tanpa perlu fikir secara takalluf kerana dalam mencari ilmu agama, yang paling penting kita kena pastikan adalah sama ada ia adalah wahyu atau tidak. Kalau wahyu, maka kita terima dan beriman dengannya sama ada kita faham ataupun tidak. Tidak perlu hendak sibuk cari fahaman lain yang bukannya datang dari fahaman agama Islam.

Tidak ada malunya kalau kita terima ada perkara yang kita tidak akan dapat tahu. Ini kerana kita hanyalah manusia biasa. Sedangkan mereka yang amat-amat alim jauh lebih daripada kita pun cakap begitu, apatah lagi kita? Sebagai contoh Imam Syafie pernah menulis di dalam kitab Diwan asy-Syafi’i (koleksi puisi/syair beliau), bait yang berbunyi:

كُلَّمَا أَدَّبَنِي الدَّهْرُ … أَرَانِي نَقْصَ عَقْلِي
وَإِذَا مَا ازْدَدْتُ عِلْمًا … زَادَنِي عِلْمًا بِجَهْلِي

“Setiap kali zaman (pengalaman hidup) mendidikku, ia memperlihatkan kepadaku kekurangan akalku,
Dan setiap kali ilmunya bertambah, ia membuatkan aku semakin tahu tentang kejahilanku.”

Ayat-ayat Mutasyabihat itu tidak banyak dalam Al-Qur’an, mungkin tidak sampai seratus ayatnya. Jadi, tidak mengganggu agama kita kalau kita tidak faham apakah maksud ayat-ayat mutasyabihat itu.

وَما يَذَّكَّرُ إِلّا أُولُو الأَلبٰبِ

Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.

Kalimah الأَلبابِ adalah bentuk jamak kepada لُبّ, yang bermaksud isi, teras, atau sari pati (Kernel/Core). Orang Arab menggunakan perkataan لُبّ untuk merujuk kepada isi buah, bahagian dalam kacang/badam. Iaitu merujuk kepada bahagian dalam yang boleh dimakan selepas kulitnya dikupas. Atau Teras kayu: Bahagian tengah batang pokok yang paling keras dan kukuh. Mereka ini ada ilmu yang mendalam, bukan ilmu kulit sahaja.

Kalimah أُولِي الأَلبابِ selalu diterjemahkan kepada ‘orang-orang yang mempunyai akal’ tetapi ia bukanlah akal sahaja (kerana semua orang ada akal) tetapi akal yang sihat. Akal yang sihat memang mencari-cari kebenaran. Mereka tidak terikut-ikut dengan fahaman yang bukan datang wahyu Ilahi. Akal mereka sihat dan murni, suci dari noda kesesatan.

Tidak ramai yang boleh mengambil pengajaran ini melainkan mereka yang ada akal yang waras. Akal yang waras akan terima yang ia hanya diketahui oleh Allah ﷻ. Semua Imam mazhab empat tidak menghuraikan ayat-ayat mutasyabihat. Begitu  juga sahabat yang belajar terus dengan Nabi ﷺ. Sedangkan kalau yang tahu, tentulah mereka yang lebih tahu.

Tabein pun begitu juga kerana mereka belajar terus dengan para sahabat. Imam-Imam Mujtahid pun tidak menghuraikannya juga. Namun yang menghairankan, kenapa ulama’ kampung pula yang mahu menghuraikannya? Kalau dibaca tafsir ayat-ayat mutasyabihat, panjang berjela mereka hurai, tetapi akhirnya mereka akan kata itu adalah pandangan mereka sahaja dan Allah ﷻ lebih tahu. Itu adalah buang masa, namanya.

Ulul Albab adalah mereka yang menggunakan akal yang suci daripada emosi seperti marah, dengki, cinta dan sebagainya. Ini kerana emosi-emosi boleh mengganggu akal. Contohnya, kalau kita sudah cintakan sesuatu, keputusan yang kita buat akan condong kepada sesuatu perkara; kalau sedang marah pula, kita tidak dapat berfikir dengan baik.

Dengan akal yang suci, golongan ulul albab akan dapat memikirkan dengan mendalam sesuatu perkara itu. Minda mereka tidak bercampur dengan benda-benda yang buang masa, yang lagha.

Begitupun, selepas mereka fikir dengan mendalam, mereka tidak menghuraikan ayat-ayat mutasyabihat itu. Mereka beriman sahaja dan hati mereka redha dengan iman itu. Hati mereka tenang walaupun tidak tahu.

Maka yang penting adalah belajar dan terus belajar supaya jadi Ulul Albab. Jangan ambil mudah dengan ilmu. Rasulullah ada bersabda,

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَخْوَفُ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمْ ثَلَاثًا: أَنْ يُفْتَحَ لَكُمُ الدُّنْيَا فَتَنَافَسُوا فِيهَا وَتَقْتَتِلُوا, وَأَنْ يُفْتَحَ لَكُمُ الْقُرْآنُ فَيَقْرَأَهُ الْمُؤْمِنُ وَالْمُنَافِقُ، فَيَبْتَغِي الْمُنَافِقُ تَأْوِيلَهُ, وَأَنْ تَزْدَادُوا عِلْمًا فَتَضِيعُوهُ وَلَا تَزْدَادُوا عَمَلًا
Daripada Abu Darda’ RA berkata: Rasulullah ﷺ telah bersabda: “Perkara yang paling aku takuti menimpa kamu ada tiga: Apabila dibukakan kepada kamu kemewahan dunia, lalu kamu saling berlumba-lumba (berebut harta) padanya dan kamu saling berbunuhan/berkelahi. Apabila dibukakan kepada kamu Al-Qur’an (mudah diakses), lalu ia dibaca oleh orang mukmin dan juga orang munafik, lalu orang munafik itu mula mencari-cari ta’wilnya (memutarbelitkan maknanya untuk mencari fitnah). Dan apabila kamu bertambah ilmu pengetahuan, lalu kamu mensia-siakannya dan kamu tidak menambah amalan kamu.”

Hadis diriwayatkan oleh At-Tabarani dalam Al-Mu’jam al-Kabir dan Al-Bazzar. Al-Haithami menyebutkan perawinya adalah perawi kitab Sahih). Syeikh al-Albani dan beberapa ulama penilai hadis yang lain turut memasukkan hadis ini atau bahagian-bahagian daripadanya ke dalam kategori hadis yang boleh dijadikan hujah dan sandaran hukum/iktibar kerana teksnya (matan) tidak bercanggah dengan prinsip agama.

Itulah kita takut sekarang apabila sudah mudah tersebar ayat-ayat Al-Qur’an di media sosial dan seolah-olah semua orang boleh berikan pandangan mereka tentang ayat-ayat kalamullah. Sedangkan mereka tidak belajar dengan betul. Mereka keluarkan pendapat mereka ikut akal mereka.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 17 Jun 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment