Tafsir Surah Ali Imran Ayat 4 (Fungsi Al-Quran Sebagai Al-Furqan)

Ali Imran Ayat 4: Apakah tujuan kitab-kitab itu diturunkan?

مِن قَبلُ هُدًى لِّلنّاسِ وَأَنزَلَ الفُرقانَ ۗ إِنَّ الَّذينَ كَفَروا بِـَٔايَـٰتِ اللَّهِ لَهُم عَذابٌ شَديدٌ ۗ وَاللَّهُ عَزيزٌ ذُو انتِقامٍ

SAHIH INTERNATIONAL
Before, as guidance for the people. And He revealed the Qur’an. Indeed, those who disbelieve in the verses of Allah will have a severe punishment, and Allah is exalted in Might, the Owner of Retribution.

MALAY
Sebelum (Al-Qu’ran diturunkan), menjadi petunjuk bagi umat manusia. Dan Dia juga yang menurunkan Al-Furqaan (yang membezakan antara yang benar dengan yang salah). Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah itu, bagi mereka azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi berhak membalas dengan azab seksa (kepada golongan yang bersalah).

 

مِن قَبلُ هُدًى لِّلنّاسِ

Sebelumnya menjadi petunjuk bagi umat manusia. 

Ini adalah sambungan daripada ayat sebelum ini. Jadi ayat yang penuh adalah begini: وَأَنْزَلَ ٱلتَّورَٮٰةَ وَالْإِنْجِيلَ مِنْ قَبْلُ هُدًى لِلنَّاسِ وَأَنْزَلَ الْفُرْقَانَ (Dan Dia telah menurunkan Taurat dan Injil sebelum itu, sebagai petunjuk bagi manusia, dan Dia telah menurunkan Al-Furqan). Taurat dan Injil telah diturunkan dahulu sebelum diturunkan Al-Qur’an. Akan tetapi perhatikan Allah gabungkan Taurat dan Injil (وَأَنْزَلَ ٱلتَّورَٮٰةَ وَالْإِنْجِيلَ) dan asingkan الْفُرْقَانَ (yang merujuk kepada Al-Qur’an). Tindakan ini dilakukan sebagai peringatan dan isyarat tentang betapa tingginya kedudukan serta darjat Al-Quran berbanding kedua-dua kitab tersebut.

Semua kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah ﷻ adalah sumber hidayah kepada manusia. Tapi perhatikan kalimah مِن قَبلُ (sebelumnya). Maknanya waktu dulu ya memang menjadi sumber petunjuk tapi tidak lagi. Masa kedua-dua kitab itu sudah habis. Sekarang ia telah diganti dengan Al-Qur’an. Jadi tidak perlu lagi hendak rujuk dua kitab itu. Dua-dua agama itu sudah tidak valid seperti firman Allah nanti di dalam Ali Imran:19

إِنَّ الدّينَ عِندَ اللَّهِ الإِسلٰمُ
Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.

Kitab-kitab terdahulu bertindak seperti “fasa persediaan” atau pengenalan, manakala Al-Qur’an adalah pakej lengkap dan penutup yang muktamad bagi panduan hidup manusia.

Di dalam ayat ini, Allah mengatakan Taurat dan Injil itu petunjuk لِلنّاسِ (buat manusia). Tapi ini tidaklah bermaksud kepada keseluruhan manusia pula. Kita tidak boleh terjemahkan kalimah الناس sebagai ‘keseluruhan manusia’ setiap kali ia digunakan. Begitulah setiap kalimah di dalam ayat Al-Qur’an perlu disesuaikan dengan konteks ayat itu. Kalau tidak, pening jadinya. Sebagai contoh lihat nanti Ali Imran:173

الَّذينَ قالَ لَهُمُ النّاسُ إِنَّ النّاسَ قَد جَمَعوا لَكُم فَاخشَوهُم
Mereka juga ialah yang diberitahu oleh النّاسُ kepada mereka: “Bahawa النّاسُ telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya”

Kalau kita terjemah النّاسُ sebagai ‘keseluruhan manusia’ pelik jadinya terjemahan ayat ini, bukan? النّاسُ beritahu kepada النّاسُ. Jadi tidaklah النّاسُ itu setiap kali merujuk kepada manusia keseluruhan. Tambahan pula Taurat itu tidaklah diberikan kepada semua manusia dan tidaklah Injil itu untuk keseluruhan manusia. Taurat dan Injil adalah untuk Bani Israil sahaja. Jesus sendiri sebut di dalam Bible: “I was sent only to the lost sheep of the house of Israel.” (Matthew 15:24, ESV). Semua Nabi kecuali Nabi Muhammad dihantar kepada kaum mereka sahaja. Yang segala segala bangsa boleh masuk Kristian ini adalah rekaan dari mereka sahaja. 

Akan tetapi timbul juga persoalan: Kenapa Allah tidak sebut sahaja Taurat dan Injil itu untuk Bani Israil di dalam ayat ini? Bukankah senang kalau begitu? Tapi penggunaan kalimah di dalam Al-Qur’an memang tepat.

Para ulama tafsir (seperti Imam Ibn Kathir, Imam Al-Qurtubi, dan huraian pakar bahasa al-Quran) menjelaskan struktur ayat ini melalui beberapa sudut pandang. Pertamanya kalimah النّاسُ boleh bersifat khusus. Dalam kaedah bahasa Arab, tidak semua perkataan “النّاسُ” (manusia) dalam Al-Qur’an bermaksud “seluruh manusia dari zaman Nabi Adam hingga kiamat”. Ada kalanya ia merujuk kepada “manusia pada zaman dan tempat kitab itu diturunkan. Dalam konteks Taurat dan Injil, “manusia” di situ merujuk khusus kepada Bani Israil yang menjadi sasaran dakwah kedua-dua kitab tersebut pada waktu itu.

Keduanya, walaupun hukum-hakam (syariat) di dalam Taurat dan Injil hanya wajib diikuti oleh Bani Israil, kandungan teras kitab-kitab tersebut, iaitu Tauhid (mengesakan Allah) dan khabar gembira tentang kedatangan Nabi Muhammad, adalah kebenaran sejagat yang memberi manfaat kepada mana-mana manusia yang membacanya. Sesiapa sahaja daripada kalangan manusia (النّاسُ) yang menemui kitab tersebut pada zamannya akan mendapat petunjuk untuk mengenali Allah yang sebenar. Kerana itulah kita baca dalam Sirah, Waraqah bin Naufal ada belajar dan mahir tentang Taurat dan Injil. Sampaikan beliau boleh baca kitab bahasa Ibrani dan menulisnya semula ke dalam Bahasa Arab. 

Ada juga pendapat yang mengatakan kalimah النّاسُ di dalam Ali Imran:3 ini merujuk kepada Al-Furqan (Al-Qur’an) Jika kita melihat susunan penuh ayat 3 dan 4, Allah menyebut tentang tiga kitab: Al-Qur’an, Taurat, Injil, dan kemudian diakhiri dengan perkataan Al-Furqan. Sebahagian ahli tafsir menjelaskan bahawa frasa “petunjuk bagi manusia” itu menjadi muqaddimah atau persediaan kepada penurunan Al-Furqan (Al-Qur’an). Al-Qur’an diturunkan untuk membetulkan penyelewengan yang berlaku pada kitab-kitab terdahulu, menjadikannya petunjuk mutlak untuk seluruh umat manusia (النّاسُ) tanpa mengira bangsa.

Perhatikan Allah kata Al-Qur’an itu bukan kepada orang beriman sahaja, bukan kepada orang pandai sahaja, bukan kepada orang bangsawan sahaja, bukan kepada ulama’ sahaja tetapi kepada لِلنّاسِ iaitu kepada semua manusia. Maka semua manusia kena belajar wahyu. Jadi kenapa ramai orang tidak mahu belajar tafsir Al-Qur’an?

Alangkah bezanya zaman dahulu dan sekarang. Zaman Nabi dan sahabat dulu tidak ada cetakan Al-Qur’an, tidak ada internet dan media sosial, tapi Al-Qur’an itu sampai kepada semua. Sekarang dengan segala peralatan dan sumber yang canggih, tak semua boleh dapat belajar Al-Qur’an ini. Pelik sungguh!

Kalau zaman dahulu, orang kafir pun sampai kepada mereka Al-Qur’an kerana disampaikan oleh umat Islam. Ini kerana golongan sebelum kita, mereka menjalankan kerja dakwah mereka. Tapi zaman sekarang, orang Islam sendiri pun tidak dapat Al-Qur’an. Al-Qur’an semua kenal, tapi setakat dibaca sahaja. Banyak ustaz tidak boleh ajar tafsir Al-Qur’an kerana mereka sendiri tidak belajar. Bukan mereka sahaja, guru kepada guru mereka pun tidak belajar. Ini adalah kerana tafsir Al-Qur’an telah lama ditinggalkan. Kalau ada ustaz yang mengajar tafsir pun, kelas tertentu sahaja mereka ajar Al-Qur’an. Kepada golongan Asnaf, tidak ada yang santuni mereka. Kasihan golongan miskin; sudahlah miskin dengan harta, ilmu pun mereka miskin juga.

Di dalam ayat ini, Allah kata Al-Qur’an itu هُدًى لِّلنّاسِ. Akan tetapi di dalam Baqarah:2 Allah kata,

ذٰلِكَ الكِتٰبُ لا رَيبَ ۛ فيهِ ۛ هُدًى لِّلمُتَّقينَ
Kitab Al-Qur’an ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;

Kalau dibaca Baqarah:2 itu, mungkin ada orang kata Al-Qur’an ini untuk orang bertaqwa tapi dia bukan bertaqwa lagi, sebab itulah dia tak belajar tafsir Al-Qur’an. Maka sekarang Allah kata wahyu ini sebagai petunjuk لِّلنّاسِ. Semua patut dapat. Tapi kenapa ada perbezaan dengan Baqarah:2 itu? Kalau ada yang tidak faham, mungkin mereka kata ada percanggahan pula di dalam ayat-ayat Al-Qur’an.

Ini kerana hidayah ada dua, hidayah ilmi (atau juga dipanggil irsyadi) dan hidayah taufiq (atau dipanggil juga hidayah amal). Semua orang boleh dapat hidayah ilmi. Semua orang boleh disampaikan bacaan ayat-ayat Al-Qur’an dan diperjelaskan kepada mereka maksud dan tafsir ayat-ayat itu. Akan tetapi yang mendapat hidayah taufiq itu hanyalah orang yang bertaqwa. Atau, orang yang mahu bertaqwa. Mereka sahaja yang akan mengamalkan apa yang mereka pelajari.

Tidak ramai yang dapat hidayah taufiq ini. Kenapa? Kerana mereka sendiri yang tidak mahu. Berapa ramai yang kita sampaikan ilmu tafsir Al-Qur’an ini, ramai yang menolaknya. Berapa ramai yang kita tegur berdasarkan tafsir ayat-ayat Al-Qur’an, tapi ramai yang menentang. Berapa ramai yang kita ajak mereka belajar, tapi ramai buat derk sahaja.

Hidayah ilmi ini kita boleh beri kepada sesiapa sahaja. Kita boleh ajak orang, dakwah kepada mereka, dan jelaskan. Allah berfirman di dalam Syura:52,

وَإِنَّكَ لَتَهدي إِلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ
Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah pasti memberi petunjuk dengan Al-Qur’an itu ke jalan yang lurus

Apakah maksud تَهدي (memberi petunjuk) di dalam ayat ini? Ia bermaksud menyampaikan. Nabi boleh sampaikan ajaran Al-Qur’an kepada semua. Dan baginda telah lakukan. Kita pun boleh juga buat begitu. Akan tetapi bolehkah kita pastikan mereka mendapat hidayah taufiq itu? Sekarang perhatikan pula Qasas:56

إِنَّكَ لا تَهدي مَن أَحبَبتَ وَلٰكِنَّ اللهَ يَهدي مَن يَشاءُ
Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah ﷻ memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya

Kalau kita perhatikan di dalam dua ayat di atas, satu kata إِنَّكَ لَتَهدي (engkau pasti memberi petunjuk) dan kemudian disebut pula إِنَّكَ لا تَهدي (Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk). Jadi dua-dua ayat itu sekali baca adalah berlawanan, bukan? Tapi kalau kita sudah faham hidayah ilmi dan hidayah taufiq, kita tidak akan keliru. Kerana kita tahu yang kita boleh beri hidayah ilmi kepada orang lain, cuma hidayah taufiq itu sahaja milik Allah. Kita boleh sampaikan, tapi sama ada mad’u terima atau tidak, itu terpulang kepada mereka.

Lihat pula Layl:12 di mana Allah berfirman,

إِنَّ عَلَينا لَلهُدىٰ
Sesungguhnya kewajipan Kamilah memberi petunjuk,

Kalau diperhatikan ayat ini, nampaknya Allah telah mewajibkan ke atas DiriNya untuk memberi hidayah. Akan tetapi kalau kita perhatikan, ramai yang tidak dapat hidayah lagi, jadi apa maksud ayat ini? Maksudnya wajib bagi Allah untuk memberikan hidayah kepada sesiapa yang meminta dan berusaha untuk mendapatkan hidayah itu. Bagi mereka yang bersungguh, Allah akan beri kerana Dia telah mewajibkan ke atas DiriNya.

Itulah keadilan Allah. Bagi yang mahu hidayah, Allah beri hidayah; tapi bagi yang hendak sesat, Allah beri kesesatan kepada mereka. Hendak sangat sesat, bukan? Nah! Ambillah!

Adakah kita memerlukan hidayah taufiq ini? Tentu sekali! Akan tetapi jangan lupa ada pra-syarat dia. Iaitu untuk dapat hidayah taufiq ini, perlulah memahami kitab wahyu Al-Qur’an. Kerana itu ayat ini beritahu tujuan kitab wahyu diturunkan adalah untuk memberi hidayah. Jadi mana mungkin kita akan dapat hidayah kalau kitab Allah pun kita tidak tahu? Logik, bukan?

Macam kita memerlukan panduan arah dengan Waze, kenalah kita faham. Bayangkan pakai Waze tapi letak bahasa Russia, tak sesatkah? Dia suruh kanan, kita pergi kiri? Tidakkah bodoh kalau begitu? Jadi kalau baca Al-Qur’an tapi tak faham, kita hendak kata apa orang yang sebegitu? Waze untuk jalan ke destinasi untuk ke kedai makan sahaja, tapi Al-Qur’an ini Allah beri supaya kita selamat sampai ke destinasi akhirat!

Jadi semua kitab wahyu itu tujuannya untuk menyampaikan hidayah. Namun, perlulah kita ingatkan di sini bahawa bukanlah Taurat dan Injil yang ada sekarang menjadi sumber hidayah kepada manusia pula kerana Taurat dan Injil yang ada sekarang bukanlah yang asli, tetapi telah ada campur tangan tambahan daripada kata-kata manusia.

Taurat dan Injil yang asal memang menjadi sumber hidayah, tetapi Taurat dan Injil yang ada sekarang, tidak. Janganlah ada pula yang menggunakan dalil ayat ini dan ayat-ayat lain yang membenarkan dua kitab itu, untuk mengatakan boleh pakai Taurat dan Injil sekarang sebagai sumber hidayah.

Dan kalau kita perhatikan dengan lebih lagi, memang Allah kata Taurat dan Injil itu هُدًى لِّلنّاسِ akan tetapi bagi Al-Qur’an, ia هُدًى لِّلمُتَّقينَ (Lihat Baqarah:2 kembali). Apabila Allah menyebut Taurat dan Injil sebagai petunjuk bagi manusia (secara umum), maksud hidayah di sini ialah paparan info, jalan, dan seruan dakwah. Kitab-kitab itu bersifat menyediakan panduan kepada sesiapa sahaja, sama ada mereka mahu ikut atau tidak. Apabila Al-Qur’an disebut sebagai petunjuk bagi orang bertakwa, maksud hidayah di sini telah meningkat kepada Taufiq, iaitu tumpahan rasa iman dan cahaya kebenaran yang meresap masuk dan menetap di dalam hati, yang hanya dirasai oleh mereka yang mahu menjaga diri mereka (bertakwa). Penggunaan perkataan “bagi orang bertakwa” sengaja dipilih oleh Allah untuk mencabar dan membakar semangat si pendengar. Manusia yang mendengar akan berasa tercabar dan mahu segera beriman supaya mereka termasuk dalam golongan “orang bertakwa” yang mendapat taufiq istimewa tersebut.

 

وَأَنزَلَ الفُرقانَ

Dan Dia telah menurunkan Al-Furqaan

Kalimah الفُرقانَ dari kata dasar ف ر ق yang bermaksud belah, bahagi, bezakan, bahagian, bantuan, kejayaan, hujah, bukti, meninggalkan, berbeza, takut. Jadi الفُرقانَ dari segi bahasa bermaksud ‘Pembeza’. Apabila ada tambahan ال padanya, ia bermaksud Al-Qur’an adalah pembeza yang utama.

Kalimah فُرْقَان mengikut timbangan (wazan) فُعْلَان (Fu’lan). Dalam morfologi bahasa Arab (Ilmu Sarf), penambahan huruf alif dan nun {ان} di hujung kata terbitan (masdar) biasanya membawa maksud mubalaghah (penyangatan atau kesempurnaan). Oleh itu, الفُرقانَ bukan sekadar “pemisah yang biasa”, tetapi “alat atau kayu ukur yang sangat sempurna dan jelas dalam memisahkan dua perkara”.

Maksud الفُرقانَ di sini adalah Al-Qur’an. Memang Al-Qur’an telah disentuh sebelum ini di dalam Ayat 3 (نَزَّلَ عَلَيكَ ٱلكِتَـٰبَ بِالحَقِّ) akan tetapi di situ tidak disebut fungsi Al-Qur’an. Sekarang baru dijelaskan fungsinya. Memang Al-Furqan adalah salah satu nama bagi Al-Qur’an seperti firman Allah di dalam Furqan:1

تَبارَكَ الَّذي نَزَّلَ الفُرقانَ عَلىٰ عَبدِهِ لِيَكونَ لِلعٰلَمينَ نَذيرًا
Maha berkat Allah yang telah menurunkan Al Furqaan (Al Qur’an) kepada hamba-Nya, agar ia menjadi pemberi peringatan kepada seluruh alam,

Tapi ada juga pendapat yang mengatakan ia merujuk kepada sifat semua kitab-kitab wahyu yang telah disebut sebelum ini iaitu Al-Qur’an, Taurat dan Injil. Semua sekali mempunyai sifat yang sama iaitu sebagai pembeza. Kitab Taurat juga pernah disebut sebagai الفُرقانَ seperti di dalam Baqarah:53

وَإِذ آتَينا موسَى الكِتٰبَ وَالفُرقانَ لَعَلَّكُم تَهتَدونَ
Dan (kenangkanlah) ketika Kami turunkan kepada Nabi Musa kitab (Taurat) dan keterangan-keterangan (yang terkandung di dalamnya, yang membezakan antara yang benar dengan yang salah), supaya kamu mendapat petunjuk.

Dan Allah berfirman di dalam Anbiya’:48

وَلَقَد آتَينا موسىٰ وَهٰرونَ الفُرقانَ وَضِياءً وَذِكرًا لِّلمُتَّقينَ
Dan sesungguhnya telah Kami berikan kepada Musa dan Harun Kitab Pembeza dan penerangan serta peringatan bagi orang-orang yang bertakwa.

Kalimah الفُرقانَ juga boleh bermaksud selain dari Kitab Wahyu. Kerana kalau kita lihat di dalam ayat Anbiya’ di atas, dikatakan الفُرقانَ diberikan kepada Nabi Musa dan Harun. Kalau kita katakan الفُرقانَ di situ bermaksud Taurat, ia tidak tepat kerana Taurat hanya diberikan kepada Nabi Musa sahaja, bukan kepada Nabi Harun. Jadi ia boleh bermaksud perkara lain. Kerana itu ada banyak pendapat tentang maksud الفُرقانَ.

Kerana itu kita kena faham apakah maksud ‘pembeza’? Iaitu untuk membezakan mana yang benar dan mana yang tidak. Oleh itu, apa-apa sahaja ilmu agama, hendaklah dibandingkan dengan Al-Qur’an. Al-Qur’an menjadi penentu kebenaran. Kerana memang pasti akan ada perbezaan pendapat di kalangan manusia. Oleh itu bagaimana kita hendak tahu mana yang betul dan benar? Itulah guna Al-Qur’an. Jadi mahu tidak mahu, kita kena belajar tafsir Al-Qur’an. Kerana kalau tidak ada ilmu Al-Qur’an ini, orang cerita segala benda kita ikut macam Pak Turut sahaja. Kerana kita tidak ada atas penentu.

Begitu besarnya rahmat Allah menurunkan Al-Qur’an bagi kita. Malangnya ramai mereka dalam kalangan masyarakat kita tidak belajar Al-Qur’an, tetapi terus belajar ‘agama’ dengan guru yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an pun. Maka banyak ajaran-ajaran mereka ada yang pelik dan berlawanan dengan apa yang diajar oleh Al-Qur’an. Ini kerana apabila guru dan anak murid sendiri tidak belajar tafsir Al-Qur’an, mereka tidak dapat bezakan mana yang benar dan mana yang tidak. Ini adalah masalah besar dalam masyarakat kita, sampai boleh menyebabkan pecah belah dan benci membenci.

Ada yang berpendapat maksud الفُرقانَ dalam ayat ini maksudnya menzahirkan mukjizat. Ini kerana Mukjizat membezakan antara manusia biasa dan para Nabi dan ia adalah sebagai bukti kenabian. Manusia akan percaya kepada Nabi (kepada yang mahu percaya) jikalau mereka menunjukkan bukti dan salah satu bukti kenabian adalah mukjizat. Kerana itu apabila Nabi mula berlawan dengan para ahli tafsir dan baginda menunjukkan mukjizat tongkat, para ahli sihir itu terus beriman dengan baginda kerana mereka terus sedar bahawa apa yang baginda tunjuk itu bukanlah sihir, tapi tanda kenabian.

Banyak kekeliruan tentang mukjizat ini. Allah ﷻ yang menzahirkan mukjizat itu, bukannya dengan kehendak Nabi. Oleh itu, mukjizat bukanlah kuasa yang ada pada para Nabi.

Sebagai contoh, kalau Nabi Musa رضي الله عنه saja-saja mengetuk laut atau sungai dengan tongkatnya untuk menyeberang laut atau sungai itu, laut atau sungai itu tidak akan terbelah. Hanya apabila Allah ﷻ  suruh dan jadikan, barulah ia terjadi. Jadi, kalau Nabi hendak buat sendiri, ia tidak akan terjadi. Oleh itu digunakan lafaz Furqan untuk membezakan antara manusia dan Nabi.

Begitu juga dengan karamah. Karamah pun ramai yang keliru. Mereka sangka karamah itu adalah kuasa para wali. Ini adalah fahaman salah yang amat besar dalam masyarakat kita. Kena ingat yang seperti juga mukjizat bukan kuasa Nabi, karamah juga bukan kuasa wali. Hanya apabila Allah ﷻ hendak tunjukkan, baru ia akan terjadi. Maka, kalau ada orang yang dikatakan ‘wali’, dan dia boleh buat benda-benda ajaib (atas kehendak dia), itu bukan ‘karamah’, tetapi itu adalah ‘sihir’.

Oleh itu, kalimah الفُرقانَ mempunyai beberapa tafsiran ulama’. Antaranya:

1. Ia merujuk kepada Al-Qur’an seperti yang telah disebut. Diulang semula kerana kedudukannya yang mulia.

2. Sebahagian ahli tafsir, termasuk Imam Al-Qurtubi, menukilkan pandangan bahawa Al-Furqan merujuk kepada mukjizat-mukjizat nyata dan hujah-hujah akal yang Allah berikan kepada para rasul.

3. Sebahagian ulama berpandangan bahawa الفُرقانَ di sini bukanlah merujuk kepada satu kitab khusus, melainkan kata nama jenis (Ism Jins) bagi seluruh kitab suci yang diturunkan oleh Allah kepada para Nabi.

Hujah: Setiap kitab yang diturunkan Allah berfungsi sebagai “pembeza” untuk manusia membezakan antara hidayah (petunjuk) dengan kesesatan. Tafsiran ini disokong oleh ayat lain, seperti dalam Anbiya’:48, di mana Allah menggelar kitab Nabi Musa dan Harun sebagai الفُرقانَ:

وَلَقَد آتَينا موسىٰ وَهٰرونَ الفُرقانَ وَضِياءً وَذِكرًا لِّلمُتَّقينَ
Dan sesungguhnya telah Kami berikan kepada Musa dan Harun Kitab Pembeza dan penerangan serta peringatan bagi orang-orang yang bertakwa.

4. Ada juga pandangan yang menyatakan ia merujuk kepada hukum-hakam syariat yang menjelaskan halal dan haram. Dengan adanya ketetapan hukum ini, garis pemisah antara perkara yang dibolehkan (hak) dan perkara yang dilarang (batil) menjadi sangat jelas bagi umat manusia.

5. Ibnu Jarir mengatakan الفُرقانَ di dalam ayat ini adalah akal manusia sendiri. Ertinya Rasul-rasul diutus, kitab-kitab diturunkan dan buat menampung wahyu Ilahi itu, manusia pun diberi akal untuk membezakan yang benar dari yang salah. Wahyu yang Allah berikan pun memang sesuai dengan akal manusia yang murni. Tidak mungkin orang yang teratur cara fikirnya akan menolak kebenaran yang Tuhan sampaikan melalui para Rasul.

6. Ada juga pendapat yang mengatakan الفُرقانَ merujuk kepada Kitab Zabur. Jadi kalau ikut susunan ayat, disebut Al-Qur’an (Al-Kitab) – Taurat – Injil – Zabur. Tapi ia tidaklah disusun mengikut kronologi zaman turunnya. Ini termasuk di dalam Balaghah Taqdim wa Ta’khir. Allah mendahulukan sebutan Al-Qur’an disebabkan oleh kemuliaannya, besarnya ganjaran (pahalanya), peranannya yang memansuhkan kitab-kitab terdahulu, sifatnya yang kekal, serta kesinambungan hukumnya sehingga ke akhir zaman. Kemudian, Allah meletakkan Taurat di kedudukan kedua; kerana di dalamnya sarat dengan hukum-hakam yang banyak, kisah-kisah pengajaran, serta kehalusan kaedah pengeluaran hukum (istinbat). Seterusnya, Allah meletakkan Injil di kedudukan ketiga; kerana ia merupakan sebuah kitab yang mengandungi nasihat dan hikmah yang tidak terkira banyaknya. Akhir sekali, Allah mengiringinya dengan Kitab Zabur. Ini kerana di dalam Zabur terdapat nasihat dan hikmah, namun ia tidaklah mencapai tahap (keluasan) yang ada di dalam Injil.

Akhir sekali kalimah الفُرقانَ ini memberi isyarat kepada perpecahan, pembahagian. Setiap kali Nabi baru muncul, maka akan ada perpecahan di kalangan umat. Ada yang beriman dan ada yang tidak. Ada yang berpegang kepada kebenaran dan ada yang masih hendak berpegang kepada perkara yang bathil. Contohnya apabila Nabi Musa muncul, masyarakat berpecah: ada yang ikut Nabi Musa dan yang tetap ikut telunjuk Firaun. Begitulah juga dengan kebangkitan Nabi Muhammad menyebabkan perpecahan umat manusia ketika itu. Perpecahan di kalangan manusia pasti akan berlaku. Perpecahan antara haq dan bathil. Kita tidak boleh hendak duduk di tengah-tengah kerana itu pun tidak selamat.

 

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا بِـَٔايَـٰتِ اللَّهِ لَهُم عَذابٌ شَديدٌ

Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah itu, bagi mereka azab seksa yang amat berat.

Ini adalah ayat Takhwif Ukhrawi untuk menakutkan mereka yang degil untuk beriman dengan ayat-ayat Allah ﷻ. Manusia kena diberikan ancaman, baru mereka ikut kerana takut. Setelah diberi dengan dakwah tetapi masih tidak mahu beriman, Allah ﷻ janjikan kepada mereka azab yang pedih di neraka kelak.

Apabila ahli wahyu seperti para Rasul dan Nabi, para pendakwah hendak menegakkan wahyu, pasti akan ada yang menentang. Dan selalunya yang menentang itu ada kekuatan. Siapa yang menentang Nabi Musa? Firaun dan dia kuat. Siapa yang menentang Nabi Isa? Golongan Rabi dan mereka juga kuat. Siapa yang menentang Nabi Muhammad? Pemuka-pemuka Quraisy di Mekah dan puak Yahudi di Madinah. Mereka juga kuat. Yang penegak kebenaran ini selalunya lemah sahaja kedudukan mereka. Tapi Allah beritahu di sini yang para penentang itu bukan menentang para pendakwah, tapi menentang Allah! Mereka tidak akan selamat.

Tapi apakah عَذابٌ شَديدٌ itu? Adakah Allah ada sebut contoh-contoh عَذابٌ شَديدٌ di dalam Al-Qur’an? Tentu ada! Terlalu banyak ayat yang Allah telah berikan untuk kita gambarkan azab-azab itu. Berjenis-jenis dan semuanya untuk menakutkan kita. Tapi kalau tak baca dan tidak faham, bagaimana? Itu sebabnya ramai tidak takut neraka! Sebab mereka tidak bayangkan, mereka agaknya sangka neraka itu macam penjara di dunia sahaja. Maka kerana itu ramai tidak takut pun buat dosa.

Malah di dunia lagi mereka boleh kena azab sengsara. Iaitu azab kekacauan fikiran, kesengsaraan hidup dan berbagai lagi kegelisahan yang Allah boleh kenakan kepada manusia kerana tidak mengikut hukum Allah. Sebagai contoh, apabila tidak mengamalkan Hukum Hudud, maka pencuri dan pembunuh berleluasa kerana tidak takut dengan hukuman manusia.

 

وَاللَّهُ عَزيزٌ ذُو انتِقامٍ

Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi berhak membalas dengan azab seksa

Kenapa kita kena ikut ajaran Al-Qur’an dan kena takut dengan Allah? Kerana ia datang daripada Allah ﷻ yang ada sifat عَزيزٌ. Allah ﷻ boleh beri apa sahaja hukum kerana Dia ada autoriti dan autoriti-Nya itu dihormati. Semuanya kena ikut kehendak-Nya, tanpa ada ada sesiapa atau sesuatu pun yang boleh mempersoalkannya apatah lagi melawan dan menolak. Hendak menegur tidak boleh, hendak melarang pun tidak boleh. Kepada mereka yang kufur, Allah ‎ﷻ bersifat عَزيزٌ kepada mereka. Allah ‎ﷻ akan kalahkan mereka. Allah ﷻ akan hukum dan azab mereka dan tidak ada sesiapa yang boleh menahan dan menghalang-Nya.

Para ulama tafsir dan akidah (seperti Imam al-Ghazali) menghuraikan sifat Al-Aziz kepada tiga aspek penting:

1. اِمْتِنَاعُ النَّظِير Imtina’ al-Nazhir (Tiada Sekutu dan Tiada Bandingan)

Allah itu ‘Aziz bermaksud Zat-Nya sangat sukar dicapai oleh akal makhluk untuk membayangkan hakikat-Nya, dan tidak ada satu pun makhluk yang setanding, serupa, atau mampu menjadi sekutu bagi-Nya. Ia seperti mutiara yang sangat berharga dan nadir (jarang ditemui), tetapi dalam konteks Allah, Ia melambangkan keesaan yang mutlak.

2. الْقَهْرُ وَالْغَلَبَةُ Al-Qahru wa al-Ghalabah (Maha Mengalahkan dan Tidak Boleh Dikalahkan)

Allah memiliki keperkasaan yang mutlak. Segala ketetapan dan kehendak-Nya pasti akan berlaku, dan tiada sesiapa pun di alam semesta ini yang dapat menghalang atau menentang keputusan-Nya. Jika Allah mahu memberikan kemenangan atau kebinasaan, perkara itu pasti terjadi tanpa ada sekatan.

3. الْقُوَّةُ وَالشِّدَّةُ Al-Quwwah wa al-Syiddah (Maha Kuat dan Sempurna)

Kekuatan Allah adalah mutlak dan tidak bersandarkan kepada sesiapa pun. Makhluk mendapat kekuatan daripada Allah, manakala Allah memiliki kekuatan daripada Zat-Nya sendiri. Sifat ‘Aziz ini juga bermaksud Allah Maha Suci daripada segala bentuk kelemahan, kekurangan, atau sifat kalah.

Kalimah انتِقامٍ sering diterjemahkan sebagai “dendam” dalam bahasa manusia, tetapi bagi Allah, ia bermaksud “balasan yang setimpal dan adil atas kejahatan”. Sifat ini menunjukkan bahawa Allah tidak membiarkan kezaliman, kekufuran, dan penindasan berlalu begitu sahaja. Dia menyediakan hukuman yang berat bagi mereka yang melampaui batas setelah kebenaran datang kepada mereka.

Para ulama tafsir (seperti Imam Al-Qurtubi dan Ibnu Kathir) menjelaskan bahawa penggabungan dua sifat ini di akhir ayat 4 adalah untuk membina hubungan yang sempurna tentang bagaimana keadilan Allah ditegakkan. Ia menegaskan bahawa hukuman Allah tidak boleh dihalang. Di dunia, seorang pemerintah mungkin mahu menghukum penjenayah, tetapi dia tidak cukup kuat atau dihalang oleh kuasa lain (dia tiada ‘izzah). Sebaliknya, ada pemerintah yang sangat kuat (‘aziz), tetapi dia lemah lembut dan membiarkan sahaja kesalahan tanpa hukuman. Apabila Allah menyebut عَزيزٌ ذُو انتِقامٍ, ia bermaksud: Allah itu Maha Berkuasa untuk melaksanakan hukuman-Nya, dan tiada satu kuasa pun di alam semesta ini yang dapat menghalang atau menyelamatkan sesiapa apabila Allah sudah menetapkan azab-Nya.

Tapi menarik apabila Allah menggunakan ذُو di sini. kalimah Kalimah ذُو انتِقامٍ (yang mempunyai pembalasan dendam)  maksudnya Allah ﷻ boleh terus menghukum manusia dengan memberi azab kepada makhluk pada bila-bila masa sahaja kalau Dia mahu. Maksudnya Allah ﷻ mempunyai kuasa itu, tetapi Allah ﷻ tidak meletak sifat-Nya sebagai al-Muntaqim (yang membalas dendam).

Maknanya, tidaklah Allah terus menghukum. Allah cuma sebut Dia ada sahaja sifat itu, tapi Allah juga bersifat Rahmah, bukan? Jadi bukan semuanya Allah akan balas kerana Allah boleh beri peluang, Allah boleh maafkan hamba-hambaNya. Maksudnya, tidak semestinya Allah ﷻ terus berikan azab-Nya sebagai balas dendam kepada manusia. Allah ﷻ mempunyai sifat-sifat lain yang tidak terus mengazab makhluk-Nya.

Ini kerana Allah banyak beri peluang kepada mereka yang melakukan kesalahan untuk bertaubat dan merubah cara mereka. Hanya mereka yang memang benar-benar bersalah dan tidak sempat bertaubat yang akan dikenakan dengan azab. Allah berfirman di dalam Sajdah:22

إِنّا مِنَ المُجرِمينَ مُنتَقِمونَ
Sesungguhnya Kami tetap membalas (mengenakan azab kepada) orang-orang yang berdosa

Kerana itu di dalam ayat ini digunakan kalimah ذُو انتِقامٍ dan bukan ذو الانتقام (dengan ada ال). Sifat membalas (الانتقام) bukanlah termasuk dalam sifat-sifat Allah yang mutlak, dan ia juga bukanlah sebahagian daripada nama-nama-Nya (Asma’ul Husna). Sebaliknya, Allah hanya disifatkan dengan sifat tersebut secara terikat/bersyarat (muqayyad). Allah memiliki sifat membalas azab yang terikat/khusus kepada orang-orang yang berdosa dan yang seumpama dengan mereka.

Sedikit penerangan tentang penggunaan kalimah ذُو (“pemilik/mempunyai”). Ada lagi kalimah lain bagi maksud yang sama iaitu صَاحِب tapi tidak digunakan untuk Allah. Ini kerana di dalam tatabahasa Arab, kata ذُو hanya boleh disandarkan kepada kata nama yang bersifat makna atau sifat yang agung (Contoh: Zū al-Jalāl = Pemilik Keagungan, Zū al-‘Arsy = Pemilik ‘Arasy). Ia menunjukkan penguasaan mutlak, kemuliaan, dan penyatuan sifat yang tidak terpisah daripada zat-Nya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 12 Jun 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Dorar.net

Tafsir Surah Ali Imran Ayat 3 (Hubungan Al-Qur’an dengan Kitab-Kitab Terdahulu)

Ali Imran Ayat 3: Sekarang Allah beritahu yang Dia yang menurunkan kitab-kitab wahyu. Akan tetapi sebelum ini, Allah mengingatkan kita siapa Dia dengan ayat اللَّهُ لآ إِلٰهَ إِلّا هُوَ الحَيُّ القَيّومُ di dalam Ayat 2. Iaitu Allah menekankan tentang Tauhid. Allah tidak sebut NamaNya sahaja, tapi dikaitkan dengan NamaNya itu konsep Tauhid sekali. Jadi kita kena ingat Siapa yang menurunkan kitab-kitab wahyu ini.

نَزَّلَ عَلَيكَ ٱلكِتَـٰبَ بِالحَقِّ مُصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيهِ وَأَنزَلَ ٱلتَّورَٮٰةَ وَالإِنجيلَ

SAHIH INTERNATIONAL
He has sent down upon you, [O Muhammad], the Book in truth, confirming what was before it. And He revealed the Torah and the Gospel.

MALAY
Dia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Quran) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya, dan Dia juga yang menurunkan Kitab Taurat dan Injil.

 

نَزَّلَ عَلَيكَ ٱلكِتَـٰبَ بِالحَقِّ

Dia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Qur’an) dengan mengandungi kebenaran, 

Struktur ayat dari segi nahu agak menarik. Bagi yang tahu struktur ayat di dalam Bahasa Arab, ia mesti ada mubtada‘ dan khabar. Kalimah ٱللَّهُ adalah mubtada’ dan khabarnya adalah نَزَّلَ عَلَيكَ ٱلۡكِتَـٰبَ. Jadi ayat yang lengkap adalah ٱللَّهُ نَزَّلَ عَلَيكَ ٱلۡكِتَـٰبَ. Kalimat لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلۡحَىُّ ٱلۡقَيُّومُ adalah sisipan atau mu’taridah. Allah menyelitkan maklumat yang amat penting di dalam potongan ayat ini. Tujuannya adalah supaya kita berhenti sejenak dan memikirkan tentang siapakah Allah. Sekarang barulah kita sambung kepada ayat yang utama.

Kalimah ٱلكِتَـٰبَ di dalam ayat ini bermaksud Al-Qur’an. Kenapa Allah tidak menggunakan kalimah ‘Al-Qur’an’ di sini? Penggunaan kata nama ini (bukan sekadar menyebut “Al-Qur’an” yang bermaksud bacaan) adalah satu bentuk pujian dan pengagungan (Tashrif). Penggunaan kata Al-Kitab dengan huruf Alif Lam (ال) di hadapannya memberikan makna Al-Kamal (Kesempurnaan), seolah-olah Allah ingin menyatakan: “Inilah satu-satunya kitab yang paling sempurna dan paling layak dipanggil sebagai Kitab daripada segala jenis kitab yang ada di dunia.” Sebab itu nanti untuk Taurat dan Injil tidak digunakan istilah ‘Al-Kitab’ bagi keduanya.

Selain dari itu, digunakan juga kalimah ٱلكِتَـٰبَ di sini kerana Yahudi dan Israil lebih familiar dengan istilah ini. Dan Surah Ali Imran ini ada menyentuh mereka, jadi digunakan istilah ٱلكِتَـٰبَ. Tapi tidak banyak, kerana istilah Al-Qur’an yang lebih banyak digunakan.

Istilah ٱلكِتَـٰبَ juga digunakan kerana hendak menekankan yang ia adalah kitab wahyu yang mengandungi hukum hakam yang tertulis. Kita kena ikut segala hukum hakam itu.

Balaghah (Iltifat): Jika kita melihat ayat 2 sebelum ini, Allah disebut menggunakan kata ganti nama ketiga: “اللَّهُ لآ إِلٰهَ إِلّا هُوَ…” (Allah, tiada Tuhan melainkan Dia…). Masuk sahaja ayat 3, subjeknya masih Allah (kata ganti nama ketiga/ghaib), tetapi ayat ini ditujukan secara langsung kepada Nabi Muhammad (kata ganti nama kedua/muwajjah – عَلَيكَ / Kepadamu). Perubahan dinamik ini dalam ilmu balaghah dipanggil Iltifat. Ia berfungsi untuk menghidupkan suasana teks, menarik perhatian pembaca, dan menunjukkan keakraban hubungan antara Sang Pencipta (Allah) dan utusan-Nya (Nabi Muhammad). Apabila bercakap terus, ia mengandungi unsur keakraban, kemesraan, dan ketenangan jiwa.

Allah menekankan di sini yang Dia yang menurunkan Al-Qur’an. Bukannya dari Nabi Muhammad, bukannya dari mana-mana tempat lain. Tapi dari Allah! Maka kerana Dia Tuhan kita, maka kenalah kita beri perhatian kepada Al-Qur’an ini. Ramai yang memang sudah menganggap Al-Qur’an ini mulia, mereka baca dan hafal, mereka simpan di tempat yang tinggi. Tapi adakah itu sudah cukup? Ada yang sayang Al-Qur’an, jadi dia gantung di dinding, di kereta, letak di bawah bantal dan sebagainya. Tapi adakah itu cukup? Inilah persoalannya yang kita kena fikir-fikirkan.

Ia juga hendak menolak tuduhan Ahli Kitab. Mereka juga ada kitab-kitab wahyu, tapi apabila Al-Qur’an datang, mereka tolak. Mereka kata kitab-kitab mereka dari Tuhan tapi Al-Qur’an ini dari syaitan! Jadi Allah hendak buat penegasan yang Al-Qur’an ini juga dari Allah.

Allah ‎ﷻ telah menurunkan Al-Qur’an kepada Nabi Muhammad ﷺ. Ini adalah satu kemuliaan yang Allah sebut di dalam ayat ini. Allah tidak sebut orang lain, Allah tidak beri kepada sesiapa dari Bani Israil, tapi kepada Nabi Muhammad, dari Bani Ismail.

Balaghah: Penggunaan kalimah عَلَى. Perbezaan penggunaan huruf jar (kata sendi nama) عَلَى (`ke atas) dan إِلَى (kepada) selepas kata kerja نَزَّلَ membongkar rahsia keindahan balaghah (seni sastera) Al-Qur’an yang sangat mendalam. Ia membawa nuansa makna dan kesan psikologi yang jauh berbeza berbanding jika ditukar kepada إِلَيْكَ (kepada kamu). Berikut adalah 3 perbezaan utamanya mengikut huraian ulama tafsir dan nahu:

1. Kedudukan Tinggi

Menggunakan عَلَى dari sudut bahasa membawa maksud العِلى (ketinggian/di atas). Penggunaan عَلَيْكَ memberikan gambaran visual dan maknawi bahawa Al-Qur’an itu turun dari tempat yang Maha Tinggi (Lauh Mahfuz / Sisi Allah) lalu turun menyelubungi dan menaungi Nabi Muhammad.

Jika menggunakan إِلَى ia sekadar berfungsi sebagai penanda sempadan atau destinasi terakhir sahaja. Kalau ayat itu berbunyi نَزَّلَ إلَيكَ ia hanya bermaksud Al-Qur’an itu dihantar dari poin A dan sampai kepada poin B (iaitu Nabi Muhammad), tanpa memberi penekanan kepada keagungan dan ketinggian darjat sumber penurunan tersebut.

2. Beban Tanggungjawab dan Ketetapan Yang Utuh

Dalam kaedah bahasa Arab, huruf عَلَى sering digunakan untuk perkara yang bersifat tanggungjawab, kewajipan, atau bebanan yang berat (Contoh: كُتِبَ عَلَيكُمُ الصِّيامُ – Diwajibkan ke atas kamu puasa). Penurunan “ke atas” Nabi bermaksud Al-Qur’an itu datang sebagai amanah besar, ketetapan yang kukuh, dan wahyu yang berat untuk dipikul oleh jiwa baginda.

Jika menggunakan إِلَى, ia bersifat neutral. Sesuatu yang dihantar “kepada” anda boleh jadi sebuah hadiah, surat biasa, atau perkara ringan yang terpulang kepada anda untuk menerimanya dengan bersahaja atau tidak. Ia kurang menggambarkan elemen “amanah berat” yang wajib dipikul.

Ia adalah perli kepada golongan Kristian yang tidak jaga agama wahyu mereka. Hukum dan undang-undang sudah tidak mereka jaga lagi. Kerana apa? Kerana bagi mereka, asal terima Nabi Isa sebagai tuhan, semua dosa mereka akan dihapuskan, tunggu nak masuk syurga sahaja. Perasan masuk syurga tak habis mereka ini. Sedangkan agama ini bukan goyang kaki, tapi ada amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul. Dan semua itu disebut di dalam kitab wahyu.

Memang kadang-kadang Allah menggunakan kalimah إلى seperti di dalam Baqarah:4 

وَالَّذينَ يُؤمِنونَ بِمآ أُنزِلَ إِلَيكَ
Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab “Al-Qur’an” yang diturunkan kepadamu

Tapi di dalam Surah Baqarah itu Allah hendak menekankan yang Allah memberikan Al-Qur’an sebagai ‘hadiah’ kepada Rasulullah dan umat Islam. Sedangkan di dalam Ali Imran ini, penekanan adalah kepada tanggungjawab terhadapnya.

Ia bukan sahaja untuk Nabi Muhammad tetapi bagi kita, umat baginda. Kita juga telah dipikulkan dengan tanggungjawab ini untuk menyampaikan ajaran Al-Qur’an kepada manusia. Tidak kiralah orang kafir atau orang Muslim sendiri. Kerana ramai Muslim pun tidak tahu menahu tentang Al-Qur’an ini. Dan ia memang tugas yang berat dan ditentang habis-habisan oleh golongan yang jahil. Antaranya mereka tuduh kita Wahabi, kita tafsir sendiri, dan berbagai lagi tohmahan. Sabar sahajalah.

3. Kemuliaan Khusus Bagi Penerima

Para ulama menyebut, penggunaan عَلَى dalam konteks penurunan wahyu mengandungi unsur penghormatan dan pemuliaan yang tinggi kepada Nabi Muhammad. Ia menunjukkan hati dan jiwa baginda telah dipilih dan “ditinggikan” kedudukannya oleh Allah supaya layak menjadi hamparan untuk menerima penurunan ayat-ayat suci tersebut. Ketika itu baginda sedang menerima penolakan dari puak musyrikin dan juga dari golongan Ahli Kitab. Dengan penekanan عَلَيكَ (ke atas ENGKAU) bermaksud Allah telah memilih baginda kerana baginda yang layak. Jadi jangan hirau kata-kata puak lain.

Di sini juga ada balaghah yang lain iaitu taqdim pada kalimah عَلَيكَ. Kerana susunan yang biasa adalah نَزَّلَ ٱلكِتَـٰبَ عَلَيكَ. Ia bertujuan untuk memberikan makna pembatasan (Al-Hasr) dan pengkhususan (Al-Ikhtisas). Ia hendak menolak dakwaan sebahagian daripada manusia (kaum kafir) yang mendakwa bahawa wahyu turut diturunkan kepada mereka juga, dan bahawa mereka juga mampu untuk mendatangkan wahyu yang semisal ini. Tidak sama sekali. Wahyu itu diturunkan kepada Nabi Muhammad sahaja.

Tapi tentulah ia bukan sahaja untuk baginda. Ia untuk semua umat manusia. Ia menjadi panduan hidup kita yang sepatutnya kita kena pelajari. Kerana Allah ﷻ yang turunkan, maka kita sebagai hambaNya, kenalah tahu apa yang Allah ﷻ hendak sampaikan kepada kita. Maka berhentilah setakat baca sahaja Al-Qur’an siang dan malam tanpa faham apa yang hendak disampaikan. Luangkanlah masa untuk belajar tafsir sedikit demi sedikit.

Kalimah نَزَّلَ maksudnya daripada segi bahasa adalah: menurunkan. Kenapa digunakan kalimah menurunkan? Kerana yang menurunkannya adalah Allah dan Allah di atas langit. Ini adalah satu lagi bukti dari bukti-bukti yang banyak sebagai dalil yang Allah di langit.

Balaghah: Susunan ayat yang biasa dalam tatabahasa Arab sepatutnya: نَزَّلَ ٱلكِتَـٰبَ عَلَيكَ (Dia menurunkan Al-Kitab kepadamu). Namun, Allah mengubah susunannya (Taqdim wa Ta’khir) menjadi: نَزَّلَ عَلَيكَ ٱلكِتَـٰبَ (Dia menurunkan kepadamu Al-Kitab).

Rahsia Balaghah: Mendahului kata ganti nama “kepadamu” (عَلَيكَ) yang merujuk kepada Nabi Muhammad SAW berfungsi sebagai Al-Ihtimam (memberi perhatian khusus) dan Al-Ikram (memuliakan kedudukan Nabi SAW). Allah ingin menegaskan betapa tingginya darjat Nabi Muhammad SAW di sisi-Nya kerana bagindalah insan terpilih yang dada dan jiwanya mampu menerima bebanan wahyu yang sangat berat itu. Allah yang mulia, menurunkan Al-Qur’an yang mulia kepada insan yang mulia iaitu Nabi Muhammad.

Dan Allah kata Dia menurunkan Al-Qur’an itu بِالحَقِّ (dengan kebenaran). Ia bukan turun main-main, tapi ada sebab. Ia bukan untuk hanya dibaca dan dihafal sahaja, tapi ia mempunyai kepentingan berat dan besar. Ada beberapa maksud di sini:

1. Allah ﷻ menegaskan yang Kitab Al-Qur’an itu adalah benar dan ia diturunkan dengan tujuan memberitahu kebenaran – iaitu kebenaran tentang Allah ‎ﷻ. Maka untuk kita tahu kebenaran, kenalah kita belajar tentang Al-Qur’an ini, iaitu dengan mempelajari ilmu tafsir.

2. Proses penurunan Al-Qur’an juga benar. Ia dari Allah dan bukanlah rekaan Nabi Muhammad atau baginda cedok dari mana-mana sumber lain.

3. Memang Nabi Muhammad layak menerima Al-Qur’an ini.

 

مُصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيهِ

yang mengesahkan isi Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya,

Al-Qur’an itu membenarkan ajaran akidah tauhid yang ada dalam Taurat dan Injil dan kitab-kitab yang lain. Kalimah ما بَينَ يَدَيهِ secara literal bermaksud ‘di antara tangannya’. Jadi ia bermaksud apa yang ada pada tangan mereka. Yang merujuk kepada kitab-kitab wahyu seperti Taurat dan Injil. Al-Qur’an bukanlah bawa benda baru tapi perkara sama yang telah disebut di dalam kitab-kitab wahyu sebelumnya. Syariat di dalam kitab-kitab itu mungkin berbeza, tapi hal Tauhid sama sahaja.

Faedah (hikmah) menyebut hal ini adalah untuk menggesa dan mendorong penganut kedua-dua kitab (Yahudi dan Kristian) agar beriman kepada kitab yang diturunkan ini (Al-Qur’an), serta menyedarkan mereka tentang kewajipan beriman kepadanya. Hal ini kerana keimanan kepada kitab yang membenarkan (Al-Musaddiq / Al-Qur’an) secara pasti akan mewajibkan juga keimanan kepada kitab yang dibenarkannya (Al-Musaddaq / Taurat dan Injil yang asal). Kalau sudah percaya dengan Taurat dan Injil, kena jugalah percaya kepada Al-Qur’an juga kerana sumbernya adalah sama sahaja iaitu Allah. Ahli Kitab disuruh fikir: “Kalau Al-Qur’an ini membenarkan apa yang ada pada kita, kenapa kita hendak tolak? Adakah kita menolaknya kerana ia membongkar kepalsuan di dalam agama kita?”

Bagi sebilangan Ahli Kitab yang masuk Islam, ia sepatutnya menjadi ketenangan kepada mereka. Pegangan agama mereka sebelum ini tidaklah mereka tolak semua sekali. Ada sahaja perkara yang sama dipakai juga di dalam agama baru ini (Islam).

Bukanlah Allah ﷻ beritahu kitab-kitab itu sekarang benar. Ini adalah kerana semua kitab-kitab wahyu lain sebelum Al-Qur’an telah diselewengkan. Antara yang diselewengkan adalah konsep Tauhid لآ إِلٰهَ إِلّا هُوَ. Kerana itu sebelum disebut tentang kitab, Allah sebut tentang Tauhid dahulu di dalam ayat sebelum ini kerana itulah yang paling penting.  Namun sebelum ia diselewengkan, kitab-kitab itu juga membawa ajaran yang benar terutama sekali tentang Tauhid. Allah ﷻ hendak memberitahu, sama sahaja ajaran Tauhid di dalam kitab-kitab itu dengan Al-Qur’an.

Jadi di sini Allah hendak menempelak golongan Ahli Kitab yang tidak mahu beriman dengan Al-Qur’an. Sedangkan mereka beriman dengan Taurat dan Injil. Tapi sumber Al-Qur’an adalah sama dengan sumber Taurat dan Injil juga iaitu dari Allah yang satu. Jadi kalau mereka menolak Al-Qur’an, mereka juga sebenarnya menolak kitab mereka sendiri.

Bagaimana contoh cara Al-Qur’an membenarkan kitab-kitab sebelumnya? Bukankah di dalam kitab-kitab itu menyebut kedatangan Nabi Muhammad? Nah sekarang Nabi Muhammad yang dijanjikan telah muncul.

Jadi sebenarnya ada persamaan perkara yang disebut di dalam Al-Qur’an yang sudah ada di dalam kitab-kita mereka. Kerana itu bagi orang yang mahir dengan Taurat dan Injil, apabila dibacakan Al-Qur’an kepada mereka, terus mereka menangis kerana mereka nampak ada persamaan. Tidaklah semua, tapi ada. Kerana itu Allah berfirman di dalam Qasas:53 tentang mereka ini,

وَإِذا يُتلىٰ عَلَيهِم قالوا ءآمَنّا بِهِ إِنَّهُ الحَقُّ مِن رَّبِّنا إِنّا كُنّا مِن قَبلِهِ مُسلِمينَ
Dan apabila dibacakan (Al-Qur’an itu) kepada mereka, mereka berkata: “Kami beriman kepadanya; sesungguhnya; Al-Qur’an itu adalah suatu kebenaran dari Tuhan kami, sesungguhnya kami sebelumnya adalah orang-orang yang membenarkan(nya).

Seperti yang kita tahu, kitab-kita wahyu sebelum Al-Qur’an telah diselewengkan. Tapi tidaklah semua yang ada di dalam kitab-kitab itu langsung tidak boleh pakai. Ada sahaja yang benar; akan tetapi persoalannya, bagaimana kita hendak tahu mana benar dan tidak? Itulah tugas Al-Qur’an sebagai مُصَدِّقً iaitu mana yang benar, itulah yang diulang. Jadi kita cuma perlu baca Al-Qur’an sahaja. Yang mana Al-Qur’an tak sebut, maka itu adalah tanda ia tidak benar.

Selain dari itu, interpretasi ayat dari Bible/Injil juga diperbetulkan di dalam Al-Qur’an. Mungkin ada persamaan antara ayat Al-Qur’an dan Bible/Taurat dari segi teks, akan tetapi ia telah disalahtafsirkan oleh golongan Kristian. Sebagai contoh, di dalam John 1:1 ada disebut  “In the beginning was the Word, and the Word was with God, and the Word was God.” Ayat ini merujuk kepada Nabi Isa (Jesus). Dan di dalam Al-Qur’an ada ayat yang mengatakan Nabi Isa adalah ‘kalimah dari Allah’ iaitu disebut di dalam Ali Imran:45

إِذ قالَتِ ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةُ يٰمَريَمُ إِنَّ اللَّهَ يُبَشِّرُكِ بِكَلِمَةٍ مِّنهُ اسمُهُ المَسيحُ عيسَى ابنُ مَريَمَ
(Ingatlah) ketika malaikat berkata: “Wahai Maryam! Bahawasanya Allah memberikan khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakan seorang anak yang engkau akan kandungkan semata-mata dengan) Kalimah daripada Allah, nama anak itu: Al-Masih, Isa Ibni Maryam

Tafsiran salah mereka akan ayat ini adalah Jesus itu Anak Tuhan atau Logos. Maka mereka menyembah Jesus pula kerana jahil. Inilah antara kekeliruan yang ada di kalangan mereka. Maka Allah perbetulkan pemahaman ini. Nanti akan diterangkan apakah maksud ayat ini pada tempatnya.

Dan Al-Qur’an terus melakukan tugas membenarkan mana yang benar kerana kalimah مُصَدِّقًا adalah di dalam bentuk اسْمُ الْفَاعِلِ yang bermaksud ia bukan melakukannya sekali, tapi berterusan.

 

وَأَنزَلَ ٱلتَّورَٮٰةَ وَالإِنجيلَ

dan Dia juga yang menurunkan Taurat dan Injil.

Sebelum ini telah disebut مُصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيهِ. Tapi apakah yang dimaksudkan dengan بَينَ يَدَيهِ (di antaranya dua tangannya – di hadapan mereka – yang ada pada mereka). Begitu juga di Allah berfirman di dalam Baqarah:4 Allah berfirman:

وَالَّذينَ يُؤمِنونَ بِمآ أُنزِلَ إِلَيكَ وَمآ أُنزِلَ مِن قَبلِكَ
Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab “Al-Qur’an” yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu

Ketika itu Allah hanya sebut وَمآ أُنزِلَ مِن قَبلِكَ tanpa disebut nama kitab-kitab itu. Dan sekarang baru disebut nama Kitab Taurat dan Injil dalam ayat ini, memberi isyarat bahawa surah ini adalah tentang puak Nasara kerana mereka sahaja yang terima Taurat dan Injil. Ini kerana puak Yahudi tidak terima Injil sebagai kalam Allah ‎ﷻ.

Allah sebut dua kitab itu secara spesifik kerana kedudukan kitab yang dibenarkan oleh Al-Qur’an itu akan semakin meningkat tinggi dan tersohor kemuliaannya. Ia juga akan menambahkan lagi penerimaan yang baik serta rasa gerun/hormat di dalam hati-hati manusia terhadap dua kitab itu. Kerana kita sebagai umat Islam pun kena beriman dengan kitab-kitab itu juga.

Ia juga menekankan sifat Allah yang tidak pernah membiarkan manusia di dalam kesesatan. Bukanlah Allah baru berikan wahyu ketika Al-Qur’an diturunkan, tapi sebelum itu lagi telah banyak kitab-kitab wahyu sebagai petunjuk telah diberikan. Yang manusia jadi sesat bukanlah kerana tidak ada panduan, tapi panduan itu yang tidak diikut.

Allah tidak mengutuk kitab-kitab wahyu seperti Taurat dan Injil. Dan memang menjadi kewajipan bagi umat Islam untuk beriman dengan semua kitab wahyu. Dan ia menjadi kebanggaan bagi golongan Ahli Kitab kerana merekalah yang beriman benar-benar kepada semua kitab wahyu itu. Macam kita umat Islam, kita tidak berpeluang kerana kita kenal Al-Qur’an sahaja. Kita beriman juga kepada semua kitab-kitab itu tapi setakat terima yang ia telah diturunkan juga oleh Allah. Sedangkan golongan Ahli Kitab, mereka boleh berbangga yang mereka beriman juga kepada kitab selain Al-Qur’an.

Seterusnya, (penyebutan ini) akan menonjolkan betapa buruk dan kejinya keadaan orang yang kufur terhadap kedua-dua kitab tersebut, serta menjelaskan impak rentetan daripada kekufuran itu yang berupa azab yang sangat pedih dan balasan seksaan (sebagaimana yang akan disebutkan pada ayat berikutnya).

Golongan Nasara pun kena terima Taurat juga kerana itu juga sebahagian daripada kitab mereka. Kalau dalam Bible mereka sekarang, Taurat itu adalah Old Testament dan Injil adalah New Testament. Tapi ia tidaklah sama. Apabila Al-Qur’an menyebut tentang Taurat (التوراة), ia tidak merujuk secara mutlak kepada kitab Torah (atau Pentateuch / Lima Kitab Nabi Musa) yang ada di tangan penganut Yahudi dan Kristian pada hari ini. Para ulama tafsir, perbandingan agama, dan akidah (seperti Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dan Imam Ibn Kathir) membahagikan isu ini kepada beberapa dimensi penting untuk mengelakkan kekeliruan:

Taurat yang dipuji dan disahkan oleh Al-Qur’an adalah Taurat yang asli, iaitu wahyu suci yang diturunkan secara langsung daripada Allah kepada Nabi Musa di Bukit Sina. Ia mengandungi hukum-hakam, syariat, cahaya petunjuk, serta khabar gembira mengenai kedatangan Nabi Muhammad. Manusia pada hari ini tidak mempunyai naskhah asal Taurat dalam bentuknya yang murni tanpa sebarang perubahan.

Kitab Torah yang ada sekarang (yang membentuk bahagian awal daripada kitab Old Testament / Perjanjian Lama) dinamakan oleh para sarjana sebagai Kitab yang telah mengalami Tahrif (Penyelewengan/Perubahan). Al-Qur’an sendiri menegaskan bahawa tangan-tangan manusia telah mengubah isi kandungan kitab tersebut di dalam Baqarah:79

فَوَيلٌ لِّلَّذينَ يَكتُبونَ ٱلكِتَـٰبَ بِأَيديهِم ثُمَّ يَقولونَ هٰذا مِن عِندِ اللَّهِ لِيَشتَروا بِهِ ثَمَنًا قَليلًا ۖ فَوَيلٌ لَّهُم مِمّا كَتَبَت أَيديهِم وَوَيلٌ لَّهُم مِّمّا يَكسِبونَ
Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: “Ini ialah dari sisi Allah”, supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu.

Sebab itulah, Torah moden mengandungi campuran antaranya:

  • Sisa-sisa Wahyu Asal: Hukum-hakam seperti Ten Commandments (Sepuluh Perintah Allah) yang masih selari dengan prinsip Islam.
  • Tulisan Sejarah Manusia: Catatan peristiwa harian, salasilah keturunan, malah bab yang menceritakan tentang kematian dan pengkebumian Nabi Musa sendiri (menunjukkan ia ditulis oleh orang lain selepas kewafatan baginda).
  • Unsur Dongeng & Fitnah: Terdapat dakwaan-dakwaan yang tidak layak di dalam Torah hari ini yang menuduh para Nabi melakukan dosa besar (seperti tuduhan zina atau mabuk terhadap Nabi Luth dan Nabi Daud) — sesuatu yang ditolak sekeras-kerasnya oleh akidah Islam.

Bagaimana dengan Bible? Situasinya hampir sama dengan isu Kitab Taurat. Di dalam Al-Qur’an, Allah menyebut tentang Injil (الإنجيل), manakala kitab yang ada pada penganut Kristian hari ini dikenali sebagai Bible (Al-Kitab) atau Gospel. Secara ringkasnya: Bible yang ada hari ini bukanlah Injil asli yang dimaksudkan oleh Al-Qur’an, melainkan sebuah kompilasi karangan manusia yang hanya mengandungi sisa-sisa atau cebisan daripada wahyu asal tersebut.

Di dalam Islam, Injil ialah satu kitab wahyu tunggal yang diturunkan oleh Allah secara langsung kepada Nabi Isa (Jesus) untuk disampaikan kepada Bani Israil. Kitab Injil asli ini mengandungi ajaran tauhid (menyembah Allah yang Esa), hukum-hakam yang membenarkan sebahagian syariat Taurat, nasihat rohani, serta ramalan tentang kedatangan Nabi terakhir, iaitu Nabi Muhammad.

Sila ambil perhatian: Injil dalam perspektif Islam ialah wahyu yang diterima oleh Nabi Isa, bukannya buku yang ditulis mengenai kisah hidup Nabi Isa seperti yang ada di dalam Bible sekarang. Bible yang ada di tangan penganut Kristian hari ini bukanlah sebuah kitab tunggal yang turun dari langit, tetapi ia merupakan sebuah “perpustakaan besar” (kompilasi) yang mengandungi puluhan buku (kitab-kitab kecil) yang ditulis oleh ramai penulis berbeza dalam tempoh ratusan tahun.

Bible dibahagikan kepada dua bahagian utama:

    • Perjanjian Lama (Old Testament): Mengandungi kitab-kitab Yahudi terdahulu termasuk Torah (Taurat yang telah berubah), Mazmur (Zabur), dan kitab para Nabi Bani Israil yang lain.
    • Perjanjian Baru (New Testament): Bahagian inilah yang sering dikaitkan dengan Nabi Isa. Di dalam Perjanjian Baru ini, terdapat 4 kitab biografi utama yang dipanggil sebagai “The Four Gospels”, iaitu:
        1. Injil Matius (Matthew)
        2. Injil Markus (Mark)
        3. Injil Lukas (Luke)
        4. Injil Yohanes (John)

Para ulama tafsir dan pengkaji perbandingan agama menjelaskan beberapa sebab mengapa Gospels di dalam Bible hari ini telah mengalami penyelewengan (tahrif):

A. Ia Ditulis oleh Orang Lain, Bukan Nabi Isa

Empat Injil yang ada di dalam Bible hari ini bukan dari Allah, malah tidak ditulis oleh Nabi Isa pun. Ia merupakan catatan biografi (kisah hidup dan khutbah) Nabi Isa yang ditulis oleh pengikut-pengikutnya atau generasi selepasnya (Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes) puluhan tahun setelah Nabi Isa diangkat ke langit. Yang peliknya, tidak ada sesiapa pun yang tahu siapakah empat penulis ini, termasuk pengkaji Bible. Malahan, kisah-kisah yang mereka sampaikan banyak percanggahan antara seorang penulis dan penulis yang lain.

B. Ditulis di Atas Pihak Ketiga (ini boleh dilihat dari gaya penceritaan)

Gaya bahasa di dalam Bible moden adalah dalam bentuk penceritaan pihak ketiga, bukannya firman Allah yang langsung atau kalam Nabi Isa sendiri. Contoh ayat Bible: “Dan ketika Yesus berjalan di situ, Ia melihat seorang yang bernama Matius… lalu Ia berkata kepadanya: Ikutlah Aku…” (Matius 9:9). Ini membuktikan teks tersebut adalah penulisan memoir sejarah oleh manusia.

C. Wujud Ratusan Injil Lain yang Dimusnahkan

Dari sudut sejarah kemasukan agama Kristian ke Empayar Rom, terdapat ratusan naskhah “Injil” lain yang ditulis oleh pelbagai kumpulan awal Kristian (seperti Injil Barnabas, Injil Thomas, dll). Namun, semasa Persidangan Nicaea (tahun 325 Masihi), pihak gereja dan pemerintah Rom telah menapis dan memilih 4 Injil ini sahaja sebagai kitab rasmi, manakala Injil-Injil lain yang tidak selari dengan doktrin Triniti kerajaan telah diharamkan dan dibakar. Bagaimana sesuatu yang asli boleh ada banyak salinan yang bercanggah antara satu sama lain?

Mungkin ramai yang tidak tahu, di dalam sejarah rantaian wahyu, Kitab Injil yang dibawa oleh Nabi Isa tidak berfungsi untuk meruntuhkan atau memadamkan sistem perundangan Kitab Taurat (hukum-hakam syariat Nabi Musa), melainkan ia datang sebagai pengesah, pelengkap, dan pembawa keringanan (fleksibiliti). Al-Qur’an menjelaskan dengan sangat harmoni bahawa Nabi Isa diutus untuk membenarkan syariat Musa, namun baginda diberikan autoriti oleh Allah untuk menghalalkan beberapa perkara yang dahulunya diharamkan atas kaum Yahudi sebagai bentuk kasih sayang dan keringanan. Ini kita lihat nanti di dalam Ali Imran:50, Nabi Isa AS berkata kepada Bani Israil:

وَمُصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيَّ مِنَ ٱلتَّورَٮٰةِ وَلِأُحِلَّ لَكُم بَعضَ الَّذي حُرِّمَ عَلَيكُم
“Dan (aku datang) membenarkan apa yang sedia ada di hadapanku dari Kitab Taurat, dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian dari perkara yang telah diharamkan kepada kamu”

Para ulama tafsir menjelaskan bahawa Taurat adalah kitab yang sarat dengan hukum-hakam (Syariah), manakala Injil diturunkan lebih fokus kepada aspek akhlak, penyucian jiwa, kasih sayang, dawah, dan kemaafan. Injil tidak membawa sistem undang-undang yang baru akan tetapi ia “menumpang” kerangka besar hukum syariat yang sedia ada dalam Taurat. Ini disebut sendiri di dalam Bible (Matthew 5:17)

“Think not that I am come to destroy the law, or the prophets: I am not come to destroy, but to fulfil.”

Jadi sifat dan kandungan Taurat lain dan tugas Injil juga lain. Akan tetapi kedua-dua elemen ini ada di dalam Al-Qur’an. Al-Qur’an ada hukum dan ia juga ada elemen spiritual.

 

Balaghah: Perhatikan apabila menyebut tentang penurunan Al-Qur’an, kalimah نَزَّلَ digunakan dan apabila menyebut tentang Taurat dan Injil, kalimah أَنزَلَ pula yang digunakan. Kedua-duanya bermaksud menurunkan, tapi kenapa menggunakan wazan yang berbeza? Apabila digunakan dua-dua kalimah ini di dalam satu ayat, maka kenalah kita bezakan antara keduanya.

Nazzala (نَزَّلَ – Kata kerja berulang/bertahap): Perkataan ini mengandungi makna At-Tadrij (penurunan secara beransur-ansur, sedikit demi sedikit, dan memakan masa yang lama).

Rahsia Balaghah: Allah menggunakan kata Nazzala khusus untuk Al-Qur’an kerana mukjizat ini diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW secara bertahap-tahap selama kira-kira 23 tahun. Istimewanya, di hujung ayat yang sama, apabila Allah menyebut tentang kitab Taurat dan Injil, Allah beralih menggunakan perkataan أَنْزَلَ, kerana kedua-dua kitab terdahulu itu diturunkan sekali gus secara sekelip mata kepada Nabi mereka.

Penurunan Al-Qur’an secara beransur-ansur selama kira-kira 23 tahun mempunyai hikmah dan kelebihan yang sangat besar, sama ada terhadap diri Nabi Muhammad mahupun kepada para sahabat dan umat Islam keseluruhannya. Al-Qur’an sendiri merakamkan persoalan orang kafir yang mempertikaikan mengapa Al-Qur’an tidak diturunkan sekali gus, lalu Allah menjawabnya di dalam Furqan:32

وَقالَ الَّذينَ كَفَروا لَولا نُزِّلَ عَلَيهِ القُرءآنُ جُملَةً وٰحِدَةً ۚ كَذٰلِكَ لِنُثَبِّتَ بِهِ فُؤَادَكَ ۖ وَرَتَّلنٰهُ تَرتيلًا
Berkatalah orang-orang yang kafir: “Mengapa Al Qur’an itu tidak diturunkan kepadanya sekali turun saja?”; demikianlah supaya Kami perkuat hatimu dengannya dan Kami membacanya secara tartil (teratur dan benar).

 

Kelebihan Al-Qur’an diturunkan beransur-ansur

1. Tugas menyampaikan dakwah adalah sesuatu yang teramat berat. Nabi SAW sentiasa berhadapan dengan ujian, ancaman, penghinaan, dan penolakan daripada kaum musyrikin. Apabila wahyu turun secara berkala, ia bertindak sebagai sokongan moral yang berterusan daripada Allah. Setiap kali Nabi berada dalam kesedihan atau menghadapi jalan buntu, Jibril akan datang membawa ayat baharu untuk memujuk, menguatkan semangat, dan memberikan panduan terus kepada baginda.

2. Masyarakat Arab pada zaman tersebut adalah masyarakat Ummi (majoritinya tidak tahu membaca dan menulis) yang bergantung sepenuhnya kepada kekuatan hafalan. Jika Al-Qur’an diturunkan sekali gus dalam sebuah buku yang tebal, sudah tentu ia teramat sukar untuk dihafal, diingati, dan difahami oleh para sahabat. Penurunan beberapa ayat demi ayat membolehkan para sahabat menghafalnya dengan mantap, memahaminya dengan mendalam, dan memindahkan ayat tersebut ke dalam dada mereka dengan sempurna sebelum berpindah ke ayat yang lain. Allah berfirman di dalam Isra’:106

وَقُرءَانًا فَرَقنَـٰهُ لِتَقرَأَهُ ۥ عَلَى ٱلنَّاسِ عَلَىٰ مُكثٍ وَنَزَّلنَـٰهُ تَنزِيلاً
Dan Al-Qur’an itu telah Kami turunkan dengan beransur-ansur agar kamu membacakannya perlahan-lahan kepada manusia dan Kami menurunkannya bahagian demi bahagian.

Jadi maknanya Al-Qur’an ini bukanlah untuk dibaca sahaja tapi untuk difahami dan diamalkan. Kalau setakat dibaca sahaja macam orang Melayu sekarang buat, turun sekaligus pun tidak mengapa, bukan?

3. Masyarakat jahiliah ketika itu sudah sebati dengan tabiat buruk yang mendarah daging seperti menyembah berhala, berzina, berjudi, dan meminum arak. Untuk mengubah budaya ini, Islam menggunakan pendekatan psikologi yang bertahap untuk mengubah masyarakat. Contoh klasik adalah pengharaman arak. Allah tidak mengharamkan arak secara mengejut. Fasa pertama, Allah menyatakan ada manfaat dan ada dosa pada arak, tetapi dosanya lebih besar (Baqarah:219). Fasa kedua, Allah melarang solat dalam keadaan mabuk (Nisa’:43). Fasa ketiga, barulah arak diharamkan secara mutlak dan total (Maidah:90). Saidatuna Aisyah RA pernah berkata:

عَنْ يُوسُفَ بْنِ مَاهَكَ قَالَ: إِنَّمَا نَزَلَ أَوَّلَ مَا نَزَلَ مِنْهُ سُورَةٌ مِنَ الْمُفَصَّلِ، فِيهَا ذِكْرُ الْجَنَّةِ وَالنَّارِ، حَتَّى إِذَا ثَابَ النَّاسُ إِلَى الْإِسْلَامِ نَزَلَ الْحَلَالُ وَالْحَرَامُ، وَلَوْ نَزَلَ أَوَّلَ شَيْءٍ: لَا تَشْرَبُوا الْخَمْرَ، لَقَالُوا: لَا نَدَعُ الْخَمْرَ أَبَدًا، وَلَوْ نَزَلَ: لَا تَزْنُوا، لَقَالُوا: لَا نَدَعُ الزِّنَا أَبَدًا، لَقَدْ نَزَلَ بِمَكَّةَ عَلَى مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَإِنِّي لَجَارِيَةٌ أَلْعَبُ: {بَلِ السَّاعَةُ مَوْعِدُهُمْ وَالسَّاعَةُ أَدْهَى وَأَمَرُّ} وَمَا نَزَلَتْ سُورَةُ الْبَقَرَةِ وَالنِّسَاءِ إِلَّا وَأَنَا عِنْدَهُ. 
Daripada Yusuf bin Mahak, beliau menceritakan bahawa Saidatuna Aisyah RA pernah berkata: “Sesungguhnya ayat yang mula-mula turun daripada Al-Quran adalah surah daripada al-Mufassal (surah-surah pendek di bahagian akhir Al-Quran) yang di dalamnya disebut perihal syurga dan neraka. Sehinggalah apabila manusia telah murni hatinya dan kembali kepada Islam, maka barulah turun ayat-ayat mengenai halal dan haram. Sekiranya perkara pertama yang turun adalah larangan: ‘Janganlah kamu meminum arak’, nescaya mereka akan berkata: ‘Kami tidak akan meninggalkan arak selama-lamanya’. Dan sekiranya turun larangan: ‘Janganlah kamu berzina’, nescaya mereka akan berkata: ‘Kami tidak akan meninggalkan zina selama-lamanya’. Sesungguhnya telah turun di Mekah kepada Nabi Muhammad SAW ketika aku masih seorang kanak-kanak yang suka bermain, ayat (Qamar:46): ‘Bahkan hari kiamat itulah hari yang dijanjikan kepada mereka, dan hari kiamat itu adalah lebih dahsyat dan lebih pahit.’ Dan tidaklah Surah Al-Baqarah dan Surah An-Nisa’ (yang sarat dengan hukum-hakam) itu turun melainkan ketika aku sudah pun menjadi isteri di sisi baginda.”

Sahih Al-Bukhari. No. Hadis: 4993

4. Banyak ayat Al-Qur’an turun sebagai respons langsung kepada peristiwa yang sedang berlaku atau jawapan kepada soalan yang dikemukakan kepada Nabi. Apabila orang Yahudi atau musyrikin mencabar Nabi dengan soalan-soalan sukar (seperti bertanya tentang roh, kisah Ashabul Kahfi, atau Zulqarnain), Allah menurunkan wahyu yang bermula dengan lafaz “Mereka bertanya kepadamu…” (يسألونك) untuk memberikan jawapan yang tuntas.

Ia juga turun untuk menyelesaikan konflik domestik, seperti peristiwa Hadithul Ifki (fitnah terhadap Aisyah) di mana Allah menurunkan ayat untuk membersihkan maruah beliau selepas sebulan berlalu.

5. Al-Qur’an diturunkan dalam tempoh 23 tahun, mengharungi pelbagai fasa kehidupan Nabi SAW: fasa duka di Mekah, fasa hijrah, fasa perang, dan fasa kemenangan di Madinah. Walaupun situasi dan emosi manusia bertukar-tukar sepanjang dua dekad tersebut, gaya bahasa, uslub, kualiti sastera, dan intipati Al-Qur’an tetap konsisten, harmoni, dan langsung tidak mempunyai percanggahan antara satu sama lain. Ini membuktikan secara balaghah dan akidah bahawa ia bukan rekaan fikiran Muhammad, melainkan ia adalah sebagai bukti kalam mutlak daripada Allah Yang Maha Mengetahui.

Jadi Al-Qur’an ada banyak perbezaan dengan Taurat dan Injil. Dan yang utama adalah ia menjadi kayu ukur atas kitab-kitab itu semua. Kalau ada kandungan dua kitab itu yang sama dengan Al-Qur’an, maka ia boleh diterima. Kalau tidak, kena ditinggalkan. Kita pun tidak tahu di manakah kitab tulen bagi Taurat dan Injil itu, kalau pun ada disorok oleh pihak tertentu. Yang pasti, ia sudah tidak boleh dijadikan sumber rujukan lagi bagi manusia kerana telah banyak diselewengkan. Rasulullah bersabda,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: كَانَ أَهْلُ الْكِتَابِ يَقْرَؤُونَ التَّوْرَاةَ بِالْعِبْرَانِيَّةِ، وَيُفَسِّرُونَهَا بِالْعَرَبِيَّةِ لِأَهْلِ الْإِسْلَامِ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «لَا تُصَدِّقُوا أَهْلَ الْكِتَابِ وَلَا تُكَذِّبُوهُمْ، وَقُولُوا: {آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْنَا وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْكُمْ} الآيَةَ». 
Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: “Dahulu Ahli Kitab (kaum Yahudi) sering membaca kitab Taurat dalam bahasa Ibrani, kemudian mereka menafsirkannya ke dalam bahasa Arab untuk disampaikan kepada umat Islam. Melihat keadaan itu, Rasulullah SAW bersabda: ‘Janganlah kamu membenarkan Ahli Kitab dan jangan pula kamu mendustakan (menyalahkan) mereka, tetapi katakanlah: {Kami beriman kepada Allah, dan apa yang diturunkan kepada kami (Al-Quran), serta apa yang diturunkan kepada kamu…} (Surah Al-Baqarah: 136).'”

Sahih Al-Bukhari. No. Hadis: 7362 (Serta disebut juga pada No. 4485)

Ada juga pendapat lain yang mengatakan digunakan kalimah نَزَّلَ bagi Al-Qur’an kerana ia lebih kuat lagi dari kalimah أَنزَلَ. Oleh kerana Al-Qur’an lebih utama, maka digunakan kalimah penurunan yang lebih kuat. Ini bagi pendapat yang mengatakan Taurat dan Injil juga diturunkan bukan sekali gus. Ya, ada juga pendapat itu.

Ada pula yang berpendapat kalimah نَزَّلَ digunakan kerana ia bermaksud ketika ayat ini diturunkan, Al-Qur’an masih lagi di dalam proses penurunan sedikit demi sedikit sedangkan kalimah أَنزَلَ bermaksud penurunan yang telah lengkap, maka ia sesuai untuk Taurat dan Injil.

Perhatikan juga apabila disebut penurunan Al-Qur’an, disebut ia diturunkan kepada Nabi Muhammad (نَزَّلَ عَلَيكَ ٱلكِتَـٰبَ). Akan tetapi tidak disebut kepada siapa diturunkan Taurat dan juga Injil. Tindakan ini adalah sebagai bentuk pengkhususan (Takhsis) dan penghormatan yang agung (Tasyrif) kepada baginda Nabi Muhammad melalui penyebutan tersebut. Nama kedua-dua Nabi tersebut tidak disebutkan di dalam ayat ini kerana paksi perbincangan (fokus utama) sekarang adalah mengenai kedua-dua kitab itu, bukannya mengenai pihak yang menerima penurunan kitab tersebut,

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 21 Jun 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Dorar.net

Tafsir Surah Ali Imran Ayat 1 – 2 (Asas Akidah)

WAHYU SEBAGAI SUMBER HIDAYAH

Ali Imran Ayat 1:

الم

Pembukaan yang sama dengan Surah Baqarah. Ini menjadi satu lagi isyarat bahawa ada kaitan yang rapat antara dua surah ini.

Kita tidak tahu makna huruf ini kerana ia adalah perkara ghaib. Huruf-huruf sebegini dinamakan huruf muqatta’ah. Ia termasuk ayat-ayat Mutashabihaat (samar maknanya dan tidak jelas), bukan Muhkam. Dari segi bahasa bermaksud: huruf yang dipotong-potong atau terputus kerana huruf yang ada disebut satu persatu seperti dipotong-potong. Kita tidak tahu apakah maksudnya. Ia tidak diketahui kerana tidak diajar oleh Nabi ﷺ dan para sahabat pun tidak bertanyakan maksudnya. Rasulullah ﷺ pula tidak beritahu (kalau baginda tahu) kerana ia tidak perlu untuk diketahui kerana kalau ia perlu diketahui oleh umat Islam, pasti baginda sudah menyampaikannya.

Bukanlah ia tidak ada makna kerana Allah ﷻ tidak melakukan perkara yang sia-sia. Cuma kita sahaja yang tidak tahu kerana kemampuan akal kita yang terbatas. Akan tetapi ini juga adalah pendapat kerana Nabi Muhammad ﷺ pun tidak pernah beritahu kita: ia ada makna tetapi kita sahaja tidak tahu.

Walaupun kita tidak tahu maksudnya, namun kita masih boleh mengambil manfaat daripadanya. Ayat-ayat muqatta’ah ini mengingatkan kita bahawa kita mula belajar tafsir surah ini dengan tidak tahu apa-apa melainkan apa yang Allah ﷻ dan Nabi-Nya sampaikan kepada kita sahaja. Memang banyak yang cuba mentafsir maksud huruf-huruf muqatta’ah ini, namun ia bukanlah berdasarkan dalil yang sahih.

Pengajaran yang kita boleh ambil adalah: Kalau Tuhan tidak mahu ajar kepada kita, maka kita tidak dapat tahu walau satu apapun. Maknanya kita ini sangat bergantung kepada Allah ﷻ untuk memberikan ilmu pengetahuan kepada kita. Allah ﷻ akan buka kefahaman sesuatu perkara itu kepada mereka yang Dia mahu berikan pengetahuan. Maka ayat ini juga menunjukkan kepada kita bahawa ada banyak lagi perkara yang Tuhan tidak beritahu kepada kita. Ia merendahkan diri kita supaya kita sedar bahawa kita tidak berilmu sebenarnya, melainkan apa yang Allah ﷻ berikan kepada kita sahaja.

Bangsa Arab ketika zaman Nabi ﷺ amat mementingkan bahasa. Bahasa Arab terbukti memang hebat (sebab itulah Al-Qur’an diturunkan dalam Bahasa Arab). Mereka banyak mengadakan pertandingan sajak dan syair kerana ia merupakan kebanggaan bagi mereka. Sampaikan kalau ada sajak atau syair yang memenangi pertandingan akan digantungkan di Kaabah. Sebab itulah apabila ada ayat-ayat yang dimulai dengan huruf-huruf muqatta’ah ini, ia amat menarik perhatian orang Arab.

Mereka tidak biasa dengan penggunaan Bahasa Arab sebegini kerana kebiasaannya, kalau dieja huruf alif, lam dan mim, tentulah dibaca oleh mereka sebagai ‘alam’. Namun, tidak pula dalam kes Surah Baqarah ini (dan banyak surah-surah lain) ia pelik kerana huruf itu disebut satu per satu. Maka, perkara ini membuatkan mereka tertanya-tanya kerana ia telah menarik perhatian mereka untuk mendengar lebih lagi.

Oleh itu, ada mufassir yang mengatakan bahawa salah satu tujuan huruf-huruf muqatta’ah ini adalah untuk menarik perhatian manusia dan jin untuk mendengarnya. Oleh kerana kebanyakan ayat selepas huruf muqatta’ah adalah tentang Al-Qur’an, maka mereka berpendapat Allah ﷻ hendak menarik perhatian manusia kepada Al-Qur’an. Oleh sebab itu, kita sebagai umat Islam ini sepatutnya tertarik untuk tahu apakah yang Allah ﷻ hendak sampaikan di dalam Al-Qur’an ini.

Ada hikmah lain yang diutarakan. Tujuannya adalah untuk menzahirkan kehebatan Al-Qur’an iaitu sebagai cabaran dan sindiran kepada golongan Arab Mekah ketika itu yang kononnya mahir bahasa itu. Allah ﷻ menyebut huruf yang ada di dalam bahasa Arab mereka itu seolah-olah perli: ‘Inilah dia huruf daripada bahasa kamu juga. Kamu kata Muhammad yang reka Al-Qur’an ini, maka nah, sekarang gunakanlah juga huruf-huruf yang sama untuk membuat satu Al-Qur’an lagi kalau kamu tu hebat sangat!’

Walaupun saya lebih condong kepada pendapat yang mengatakan huruf Muqatta’ah ini ada maknanya (Allah ﷻ sahaja yang mengetahui) akan tetapi memang ada yang berpendapat ia memang tidak ada makna. Ini kerana dalam mana-mana bahasa pun, kalau hanya dengan huruf sahaja, tidak ada makna, maka begitu jugalah dengan Bahasa Arab.

Ringkasnya, ada 4 pendapat tentang Huruf-huruf Muqatta’ah ini:

1. Ada makna dan maknanya alif untuk Allah ﷻ, lam untuk Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan mim untuk Muhammad ﷺ. Akan tetapi pendapat ini tiada dalil dan tidak boleh dipertanggungjawabkan. Maka jangan bersandar kepada sesuatu yang rapuh.

2. Ada makna tetapi hanya Allah ﷻ yang tahu. Ini pun tiada dalil.

3. Tidak ada makna (tetapi ada hikmah – iaitu untuk Allah ﷻ zahirkan kehebatan Al-Qur’an). Antara yang mengatakan tidak ada makna adalah Mujahid, tabein menggunakan tafsir Al-Qur’an.

4. Tawaqquf, tidak menyebelahi mana-mana pendapat tetapi serahkan sahaja kepada Allah ﷻ.


 

Ali Imran Ayat 2: Selepas menyebut huruf Muqatta’ah tadi, sekarang Allah ﷻ memulakan ayat baru. Para ulama tafsir dan balaghah mengategorikan ayat ini sebagai Isti’naf Bayani, iaitu ayat baharu yang berfungsi untuk menjawab satu persoalan tersembunyi (muqaddar) yang timbul secara automatik di dalam minda pendengar selepas membaca ayat pertama tadi. Apabila telinga mendengar “Alif Lam Mim” yang penuh keagungan dan misteri itu, minda pembaca secara tidak sedar akan tertanya-tanya: “Siapakah yang menurunkan huruf-huruf yang agung ini? Dan siapakah pemilik kalam yang penuh mukjizat ini?” Nah, sekarang Allah ﷻ berikan jawapannya.

اللَّهُ لآ إِلٰهَ إِلّا هُوَ الحَيُّ القَيّومُ

SAHIH INTERNATIONAL
Allah – there is no deity except Him, the Ever-Living, the Sustainer of existence.

MALAY
Allah tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan sekalian makhlukNya.

 

اللَّهُ لآ إِلٰهَ إِلّا هُوَ

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia,

Kalimah ini berbunyi اللَّهُ لآ إِلٰهَ إِلّا هُوَ dan bukannya kalimah Tahlil yang kita biasa gunakan iaitu لآ إِلٰهَ إِلّا اللَّهُ. Allah ﷻ gunakan sebagai dhomir (kata ganti nama) kerana Nama Allah telah disebut di awal. Jadi هُوَ itu adalah dhomir sahaja, bukannya nama Allah. Bukannya boleh dijadikan zikir Hu, Hu, Hu, seperti yang diamalkan oleh golongan karut sekarang ini. Beza nama dengan dhomir pun tidak boleh dibezakan, kah?

Frasa ni adalah ayat Dakwa Surah ini. Allah ﷻ menegaskan yang tiada ilah melainkan Dia. Hanya Dia sahaja yang layak dipuja, diibadati, ditaati dan tempat kita minta doa. Di sini terus ada tempelak kepada golongan Kristian yang menuhankan Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Allah ﷻ jelaskan yang ilah itu hanya Allah sahaja.

Dan ayat ini bukanlah kali pertama kita dengar. Kita sebenarnya telah selalu baca iaitu di permulaan Ayat Kursi, bukan? Jadi ada kesinambungan daripada Surah Baqarah yang diteruskan di dalam Surah Ali Imran ini.

Kalimah ini seringkali disebut oleh orang kita. Namun, begitu ramai yang tidak tahu maksud ‘ilah’. Dalam bahasa Melayu, ilah selalunya hanya disebut ‘Tuhan’. Akan tetapi: Siapakah ‘Tuhan’ itu? Ramai dalam kalangan orang Islam tidak faham pun apakah maksud ilah itu, tetapi Musyrikin Mekah amat faham lafaz ilah itu. Sebab fahamlah, mereka lawan Nabi ﷺ kerana tidak ada persetujuan kefahaman dalam tauhid pada ilah. Maknanya, pertentangan itu adalah atas perkara akidah.

Akidah yang Haq adalah tidak membenarkan lafaz ilah berkongsi dengan selain Allah ﷻ. Lafaz ilah itu hanya untuk Allah ﷻ sahaja. Nabi, wali, malaikat dan sesiapa sahaja tidak boleh memilikinya. Sifat ketuhanan hanya milik Allah ﷻ semata-mata.

Sedangkan akidah yang batil itu membenarkan lafaz ilah itu dikongsi dengan selain Allah ﷻ; iaitu kepada roh Nabi, wali, malaikat dan jin. Mereka berkongsi status ilah itu dengan Allah ﷻ. Inilah akidah Musyrikin Mekah. Tugas terbesar Nabi Muhammad ﷺ adalah untuk menerangkan tauhid dan menolak perkongsian ilah dengan selain Allah ﷻ. Itulah Tauhid pada lafaz ilah. Namun, malang sekali, dek kerana tidak faham, umat Islam sekarang pun melanggar apa yang Nabi ﷺ telah murnikan.

Panjang perbincangan tentang maksud ilah dan bagaimana kekeliruan umat Islam sendiri menyebabkan Tauhid mereka tidak kemas. Ini kita telah terangkan di dalam Usul Tafsir.

Dalam konteks akidah Islam, perkataan “Ilah” (إله) bukan sekadar bermaksud “Tuhan yang mencipta”, tetapi bermaksud “Sesuatu yang dipuja, ditaati, dicintai, dan ditakuti secara mutlak melebihi segalanya”. Oleh itu, ia bukan terpakai untuk ‘tuhan’ sahaja. Apabila seorang Muslim meletakkan sesuatu perkara pada kedudukan mutlak tersebut, dia telah menjadikan perkara itu sebagai “ilah” selain Allah, sehinggakan boleh merosakkan atau menggugurkan kalimah tauhid (La ilaha illallah) di dalam dirinya.

Al-Qur’an dan realiti kehidupan manusia menunjukkan beberapa contoh “ilah” moden dan klasik yang sering disembah secara tidak sedar:

1. Hawa Nafsu dan Keinginan Diri (Al-Hawa)

Ini adalah “ilah” yang paling dekat dengan manusia dan paling banyak disebut di dalam Al-Qur’an. Apabila seseorang menjadikan kehendak nafsu sebagai undang-undang tertinggi dalam hidupnya (melebihi perintah Allah ‎ﷻ), maka dia telah mempertuhankan nafsunya.

Bagaimana ia menggugurkan tauhid: Apabila dia tahu sesuatu perkara itu haram secara mutlak (seperti menghalalkan zina, menghalalkan arak, atau menolak hukum syariat secara terang-terangan), tetapi dia tetap menghalalkannya demi memuaskan nafsu diri. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Furqan:43

أَرَءَيتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلٰهَهُ هَوَىٰهُ
Tidakkah engkau lihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya? 

2. Ideologi, Sistem, dan Undang-Undang Manusia yang Mengatasi Syariat

Menjadikan pemikiran manusia, ideologi barat/timur (seperti sekularisme tegar, komunisme, atau liberalisme yang melampau), atau sistem perundangan ciptaan manusia sebagai sesuatu yang lebih suci, lebih benar, dan lebih wajib ditaati daripada hukum Allah.

Bagaimana ia menggugurkan tauhid: Apabila seseorang menyakini bahawa undang-undang Allah sudah lapuk, tidak adil, atau dia secara sedar memberikan hak Hakimiyyah (kuasa mutlak menentukan halal dan haram) kepada manusia, lalu menolak autoriti Allah ‎ﷻ sebagai Pembuat Syariat.

3. Harta, Wang, dan Kebendaan (Al-Mal)

Ini dinamakan sebagai penyembahan materialistik. Bukanlah bermaksud seseorang itu sujud melutut di hadapan duit, tetapi seluruh hidup, cinta, takut, dan harapnya diserahkan kepada harta.

Bagaimana ia menggugurkan tauhid: Apabila dia sanggup melakukan apa sahaja demi wang, termasuk menggadaikan akidah (cth: murtad demi harta), menggunakan sihir/syirik demi melariskan perniagaan, atau menyakini bahawa wanglah yang memberi rezeki dan menghidupkannya, bukan Allah ‎ﷻ.

Sindiran Nabi ﷺ:

تَعِسَ عَبْدُ الدِّينَارِ، وَعَبْدُ الدِّرْهَمِ، وَعَبْدُ الْخَمِيصَةِ، إِنْ أُعْطِيَ رَضِيَ، وَإِنْ لَمْ يُعْطَ سَخِطَ
Celakalah penyembah dinar (wang emas), penyembah dirham (wang perak), dan penyembah khamisah (pakaian mewah/baldu). Jika dia diberi (harta dunia), dia merasa reda (gembira), namun jika tidak diberi, dia merasa marah (benci)

(Sahih Al-Bukhari No. 2887)

4. Pemimpin, Guru, atau Tokoh Agama yang Diikuti Secara Buta Tuli

Menjadikan manusia (sama ada ketua parti, pemimpin negara, malah guru agama sekalipun) sebagai entiti yang “maksum” (tidak boleh salah) sehinggakan kata-kata mereka ditaati walaupun jelas melanggar perintah Allah ‎ﷻ.

Bagaimana ia menggugurkan tauhid: Apabila seseorang itu tahu guru atau pemimpinnya menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal, tetapi dia tetap mengikutinya dengan reda dan yakin.

Dalil Al-Qur’an: Kisah Ahli Kitab yang mempertuhankan paderi mereka di dalam Tawbah:31

اتَّخَذوا أَحبارَهُم وَرُهبٰنَهُم أَربابًا مِّن دونِ اللَّهِ
Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah

Nabi ﷺ menjelaskan ayat ini bermaksud: Mereka mengikut paderi yang mengubah hukum halal/haram Allah.

5. Kuasa Ghaib Selain Allah ‎ﷻ (Sihir, Dukun, dan Khurafat)

Bergantung harap, takut, dan meminta pertolongan kepada makhluk halus, jin, syaitan, azimat, atau kubur keramat untuk mendapatkan perlindungan atau keuntungan.

Bagaimana ia menggugurkan tauhid: Ini adalah syirik jali (nyata). Seseorang itu gugur tauhidnya apabila dia percaya bomoh atau jin tersebut mempunyai kuasa mutlak memberi manfaat dan mudarat secara berasingan daripada kehendak Allah ‎ﷻ.

Apabila kita faham maksud ilah, barulah kita menyembah Allah ‎ﷻ dengan sempurna. Kerana menyembah Allah ‎ﷻ bukan sahaja dari segi perbuatan, tetapi ia mesti dilakukan dengan memenuhi syarat-syaratnya. Kena ada 4 perkara:

1. Cinta (Mahabbah) – Penggerak Utama

Sembah Allah ‎ﷻ dengan rasa cinta bermaksud kita melakukan segala perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya bukan kerana terpaksa, bukan sekadar menggugurkan taklif (kewajipan), dan bukan seperti seorang hamba yang takutkan sebatan tuannya. Kalau sembah Allah ‎ﷻ tanpa rasa cinta, itu bukan ikhlas namanya.

Hakikatnya kita beribadah kerana kita rindu, sayang, dan bersyukur atas segala nikmat-Nya. Apabila ada cinta, ibadah yang berat (seperti bangun tahajjud di waktu sejuk) akan terasa ringan dan manis. Orang yang ada cinta kepada Allah, akan suka untuk buat ibadat dengan banyak.

Kata Ulama: “Sesiapa yang menyembah Allah dengan cinta sahaja tanpa rasa takut, dia boleh menjadi zindiq (bebas melanggar hukum kerana merasa Allah tersangat mencintainya).”

2. Agung (Ta’zim) – Melahirkan Rasa Hormat dan Khusyuk

Ta’zim bermaksud membesarkan dan mengagungkan kehebatan, kemuliaan, serta kekuasaan Allah SWT di dalam hati. Rasa agung ini lahir apabila kita sedar betapa kerdilnya diri kita manusia yang penuh dosa, berhadapan dengan Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Pentadbir Semesta Alam. Rasa ta’zim inilah yang melahirkan sifat khusyuk dalam solat, ketertiban dalam membaca Al-Qur’an, dan rasa gerun untuk meremehkan syariat-Nya.

3. Takut (Khauf) – Benteng daripada Maksiat

Sembah Allah dengan rasa takut bermaksud kita bimbang akan kemurkaan Allah, azab seksa neraka, dan takut sekiranya pengakhiran hidup kita mati dalam keadaan yang buruk (su’ul khatimah).

Takut kepada Allah tidak sama seperti takut kepada harimau (yang membuatkan kita lari menjauhinya). Takut kepada Allah membuatkan kita lari lurus menuju kepada-Nya untuk berlindung. Rasa takut ini berfungsi sebagai “brek” yang menghalang kita daripada melayan nafsu untuk melakukan maksiat ketika bersendirian.

4. Harap (Raja’) – Penawar Putus Asa

Raja’ bermaksud hati yang sentiasa bergantung harap, bersangka baik (husnuzon), dan mendambakan rahmat, keampunan, serta ganjaran syurga daripada Allah. Kita tidak boleh ada rasa yakin yang ibadat kita diterima.

Hakikatnya: Selepas kita penat melakukan ibadah, kita tidak boleh sombong dengan amalan tersebut. Sebaliknya, kita meletakkan harapan yang tinggi agar Allah menerima amalan kita yang serba kekurangan itu. Sifat ini sangat penting sebagai “sayap pengimbang” agar seseorang itu tidak berputus asa daripada rahmat Allah walaupun dia merasakan dosanya teramat banyak.

Inilah keseimbangan yang patut ada pada seorang mukmin, iaitu keseimbangan antara takut dan harap (khauf dan raja’). Dalam kehidupan seorang Muslim, terdapat dua unsur penting dalam hubungan dengan Allah yang perlu diseimbangkan:

1️⃣ Khauf (الخوف) – Takut kepada Allah ‎ﷻ
2️⃣ Raja’ (الرجاء) – Harapan kepada rahmat Allah ‎ﷻ

Kedua-duanya sangat penting untuk memastikan kita berada di jalan yang benar, tidak terlalu takut sehingga berputus asa, dan tidak terlalu berharap sehingga lalai dalam beribadah. Islam mengajar umatnya untuk menyeimbangkan rasa takut (khauf) dan harapan (raja’) supaya tidak terlalu ekstrim ke satu arah:

✔️ Jika terlalu takut (khauf) tanpa harapan (raja’), seseorang mungkin berputus asa dan merasa tidak layak mendapat keampunan Allah ‎ﷻ. Boleh gila jadinya kerana ada takut sahaja.
✔️ Jika terlalu berharap (raja’) tanpa takut (khauf), seseorang mungkin menjadi lalai dan terus melakukan dosa dengan alasan Allah ‎ﷻ Maha Pengampun. Seseorang yang tidak ada rasa takut tidak akan memperbaiki amal ibadat dia kerana sangka Allah terus terima.

Imam Ibnul Qayyim رَحِمَهُ اللَّهُ berkata:

“Hati yang sempurna adalah yang mempunyai dua sayap: satu sayap adalah khauf dan satu lagi adalah raja’. Jika salah satu patah, maka seseorang tidak akan dapat terbang ke akhirat dengan selamat.“

Daripada 4 sifat ini, 2 kena ada sebelum sembah, dan 2 kena ada selepas sembah Allah. Sebelum sembah Allah, kita kena ada Cinta dan Ta’zim. Barulah kita rasa kita kena sembah Allah dan melakukan ibadat kepadaNya. Selepas kita melakukan ibadat, kena ada pula Takut dan Harap. Takut Allah tidak terima ibadah yang baru dilakukan dan di dalam masa yang sama, berharap sangat Allah terima.

 

الحَيُّ القَيّومُ

Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan sekalian makhluk-Nya.

Selepas diberikan Dakwa, seterusnya Allah ‎ﷻ terus beri Dalil kenapa hanya Dia sahaja ilah dan hanya Dia sahaja yang layak disembah. Bukan sahaja Dia layak disembah, tapi apa sahaja yang Dia sampaikan di dalam bentuk wahyu, perlu diikuti. Kerana ini bukannya makhluk tetapi Allah yang mempunyai sifat-sifat yang agung! Jadi jangan buat tidak endah!

Di dalam ayat ini, Allah sebut dua Sifat. Dua nama Allah yang agung ini, iaitu Al-Hayyu (الحَيُّ) dan Al-Qayyum (القَيُّومُ), disebut bersama-sama dalam beberapa tempat di dalam Al-Qur’an (seperti dalam Ayat Kursi). Kombinasi dua nama ini disifatkan oleh para ulama (seperti Imam Ibnu al-Qayyim) sebagai pusat atau paksi kepada seluruh nama-nama Allah yang lain.

 

Al-Hayyu (الحَيُّ) – Yang Maha Hidup

Nama ini bermaksud Allah mempunyai kehidupan yang mutlak, sempurna, kekal abadi, dan tidak didahului oleh ketiadaan serta tidak akan diakhiri oleh kematian.

Sifat Kesempurnaan: Kehidupan Allah bersih daripada segala sifat kekurangan makhluk. Allah tidak mengantuk, tidak letih, tidak sakit, dan tidak tidur (seperti yang disebut dalam Ayat Kursi).

Punca Kehidupan: Hidup-Nya adalah dengan zat-Nya sendiri, bukan kerana ada pihak lain yang menghidupkan-Nya. Malah, Dialah yang memberi pinjaman nyawa dan kehidupan kepada seluruh makhluk.

Kaitan dengan Nama Lain: Nama Al-Hayyu menjadi asas kepada semua nama Allah yang berkaitan dengan Sifat Zat (Sifat Dzatiyyah), seperti Ilmu (Maha Mengetahui), Sama’ (Maha Mendengar), dan Basar (Maha Melihat). Sesuatu yang tidak hidup, mustahil boleh mendengar, melihat, atau mengetahui.

Oleh kerana itu, hanya Dia sahaja ilah kerana Dia sahaja yang Maha Hidup dan tidak mati-mati. Semua makhluk akan mati semuanya. Nanti kita akan belajar tentang Nabi Isa عليه السلام dan Maryam رضي الله عنها. Mereka berdua telah pun wafat walaupun dipuja oleh penganut Kristian. Begitu juga dengan manusia lain dan mana-mana makhluk pun tidak akan kekal. Maka tidak patut mana-mana makhluk dipuja.

Dan ini menyentuh terus akidah Nasara yang percaya Anak Tuhan (Nasi Isa) mati selama tiga hari sebelum dihidupkan balik. Maka Allah tekankan di dalam ayat ini yang Tuhan tak mati-mati. Jadi tuhan jenis apa yang mati pula? Itu bukanlah Tuhan tetapi makhluk!

 

Al-Qayyum (القَيُّومُ) – Yang Maha Berdiri Sendiri & Mentadbir

Nama ini berasal daripada kata dasar Al-Qiyam (berdiri/tegak). Ia mengandungi dua makna yang sangat besar:

Pertama: Allah Maha Berdiri Sendiri dan tidak memerlukan apa-apa atau sesiapa pun. Allah tidak memerlukan ruang, tidak memerlukan bantuan malaikat, dan tidak memerlukan ibadah daripada makhluk-Nya untuk mengekalkan kehebatan-Nya. Sebagai contoh, Allah cipta langit tapi Allah tidak memerlukan langit.

Kedua: Allah ialah Pentadbir, Penjaga, dan Pengurus mutlak bagi seluruh alam semesta. Setiap detik, zarah di langit dan di bumi boleh terus wujud dan berfungsi hanya kerana Allah yang sedang “menegak” dan menguruskannya. Jika Allah berhenti mentadbir sekedip mata sekalipun, seluruh alam ini akan hancur runtuh. Kitalah yang memerlukan Allah, bukan?

Kaitan dengan Nama Lain: Nama Al-Qayyum menjadi asas kepada semua nama Allah yang berkaitan dengan Sifat Perbuatan (Sifat Fi’liyyah), seperti Al-Khaliq (Maha Pencipta), Ar-Razzaq (Maha Pemberi Rezeki), Al-Muhyi (Maha Menghidupkan), dan Al-Mumit (Maha Mematikan).

Allah ‎ﷻlah sahaja Dzat yang Sedia mengurus semua makhluk-Nya, tidak ada kuasa lain. Nabi Isa عليه السلام dan ibunya Maryam رضي الله عنها tidak dapat menguruskan alam ini. Begitu juga, para wali dan para Nabi tidak menguruskan alam ini. Maka untuk apa sembah mereka?

Dua nama dan sifat Allah ini sendiri sudah hebat. Tapi apabila digabungkan, ia memberi makna tambahan. Ibnu al-Qayyim menjelaskan bahawa gabungan dua nama ini menghimpunkan seluruh sifat-sifat Allah tanpa ada yang tertinggal.

    • Al-Hayyu merangkumi semua Sifat Zat yang menunjukkan kesempurnaan diri Allah.
    • Al-Qayyum merangkumi semua Sifat Perbuatan yang menunjukkan kesempurnaan kekuasaan Allah ke atas makhluk.

Apabila kita menyebut Al-Hayyu Al-Qayyum, kita sedang menyeru Tuhan yang Sentiasa Hidup (Mendengar doa kita pada bila-bila masa tanpa mati) dan pada masa yang sama Mempunyai Kuasa Mutlak untuk mengubah dan mentadbir urusan hidup kita (Maha Mengurus). Maka ia mengajar kepada kita untuk bergantung hanya kepada Allah. Berdoalah hanya kepada Allah sahaja, jangan kepada selainNya. Sesiapa yang bergantung dan menyandarkan harapan kepada Allah, dia akan kuat dan dia akan selamat. Kerana itu Allah berfirman di dalam Furqan:58 

وَتَوَكَّل عَلَى الحَيِّ الَّذي لا يَموتُ
Dan bertawakkallah kepada Allah yang hidup (kekal) Yang tidak mati

Kalau bergantung kepada manusia, manusia akan mati akhirnya. Tapi Allah takkan mati-mati. Maka kerana itu berdoalah kepada Allah sahaja, tidak perlu istighasah kepada selain Allah. Banyak sangat polemik tentang istighasah ini sekarang, hanya kerana tidak faham tafsir Al-Qur’an. Apabila tidak belajar, maka kefahaman Tauhid menjadi longgar.

Banyak hadis sahih mengisyaratkan bahawa gabungan nama Al-Hayyu al-Qayyum inilah Ismullah al-A’zam (Nama Allah yang Paling Agung). Rasulullah menyatakan bahawa sesiapa yang berdoa kepada Allah dengan memanggil dua nama ini, nescaya doanya tidak akan ditolak dan permintaannya akan ditunaikan. Sifat inilah yang sering dibaca oleh Nabi ketika baginda berada dalam kesusahan yang amat berat:

«يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيثُ»
(Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri Mentadbir, dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan).

Ini adalah salah satu pendapat. Ada lagi pendapat lain apakah yang dimaksudkan dengan Ismullah al-A’zam itu.

Balaghah: Disebutkan nama yang Maha Agung dan Mulia (iaitu Allah); bertujuan untuk mendidik rasa gerun dan hormat (di dalam hati) apabila mendengarnya, kemudian ia disusuli pula dengan frasa لآ إِلٰهَ إِلّا هُوَ (Tiada Tuhan melainkan Dia). Frasa ini berfungsi sebagai ayat selingan (Jumlah Mu’taridhah) atau penerang keadaan (Jumlah Haliyyah); sebagai bantahan/sanggahan terhadap kaum musyrikin, dan (ditujukan) khusus buat kaum Nasrani (Kristian).”

Dan ia (nama Allah) disusuli pula dengan dua sifat (iaitu الحَيُّ – Yang Maha Hidup, dan القَيّومُ – Yang Maha Berdiri Sendiri/Mengurus makhluk-Nya); bertujuan untuk menolak sebarang kekeliruan terhadap Dzat yang dinamakan dengan nama ini, serta sebagai isyarat kepada punca keesaan-Nya dalam ketuhanan. (Ia juga menunjukkan) bahawa selain daripada-Nya tidak layak langsung untuk memiliki sifat ketuhanan tersebut; kerana selain-Nya itu sama ada tidak hidup (mati/tiada nyawa) atau tidak قَيّومُ (lemah/bergantung kepada yang lain).

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 12 Jun 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Dorar.net

Tafsir Surah Ali Imran: Pengenalan Surah Ali Imran

Mukadimah:

Dalam ayat terakhir Surah Al-Fatihah, telah disentuh tentang empat golongan yang sesat: Yahudi, Musyrikin, Nasara dan munafik. Kisah Yahudi sudah banyak disebut dalam Surah Baqarah. Kisah Nasara pula banyak disebut dalam surah Ali Imran. Maka sekarang kita akan belajar tentang golongan Nasara (Kristian) pula.

Sebenarnya, Yahudi yang mengawal Nasara dari dahulu sampai sekarang. Kita boleh lihat bagaimana Amerika itu tunduk kepada arahan Zionis Israel, bukan? Yang menyesatkan mereka pun asalnya adalah puak Yahudi. Jadi kisah Yahudi pun ada juga dalam surah ini walaupun surah ini tentang golongan Nasara. Ini adalah kerana mereka ada kaitan yang amat rapat. Dua-dua sifat mereka kita kena belajar.

Kita kena tahu apakah sifat Nasara sebab kita telah minta dijauhkan daripada menjadi seperti mereka (dalam Surah Al-Fatihah وَلَا الضَّالِّينَ). Maka kita kena tahu sifat-sifat mereka supaya kita boleh periksa pada diri kita kerana takut kita sendiri atau kenalan dan keluarga kita pula ada sifat seperti mereka.

Surah An-Nisa’ pula selepas surah ini akan menerangkan tentang sifat-sifat munafiqin dan akhirnya, Surah Al-Maidah akan menyebut tentang ketiga-tiga golongan itu. Ia dijelaskan lagi dalam surah Al-Maidah supaya pemahaman mengenai ketiga-tiga golongan itu menjadi semakin jelas kepada kita.

Kemudian Surah Al-An’am pula menceritakan tentang golongan musyrikin. Ini adalah kerana Surah itu turun di Mekah, maka ia menceritakan tentang sifat-sifat Musyrikin Mekah.

Begitulah surah-surah awal ini diberikan kepada kita untuk menjelaskan kesesatan golongan-golongan itu. Semua golongan itu sesat, tetapi ada kelainan antara mereka, iaitu kesesatan mereka berbeza-beza. Dengan mempelajari tafsir surah-surah ini, maka kita akan semakin faham agama kita ini dan beza dengan agama lain. Iaitu kita akan tahu apakah fahaman sesat yang kita kena elak. Ia macam kita belajar memandu: kita belajar apa yang kita buat (cara memandu), tapi dalam masa yang sama, kena belajar apa yang jangan dibuat, apa yang kena elak (jangan masuk jalan sebelah).

Seperti yang kita telah belajar, surah Al-Baqarah ada menyentuh tentang Tauhid, Risalah, Jihad dan Infak. Surah Ali Imran ini akan mengulangi semula empat perkara ini dengan cara sedikit berbeza iaitu akan ditambah penjelasan tentang kesamaran-kesamaran yang ada dalam hati manusia.

Surah Al-Baqarah banyak menyentuh tentang taqwa dan perkara yang berkaitan dengan iman. Sedangkan Surah Ali Imran ini nanti, kita akan lihat banyak memperkatakan tentang Rukun Islam pula.

Memang ada banyak persamaan antara Surah Baqarah dan Ali Imran kalau kita perhatikan. Ada topik-topik dari Surah Baqarah yang diulang dan diperjelaskan lagi di dalam Surah Ali Imran. Kerana apabila surah Al-Baqarah memberitahu tentang hukum-hukum, ada perkara yang menyebabkan manusia keliru kerana ada kesamaran. Maka kesamaran-kesamaran itu dijelaskan dalam surah ini. Ada hukum hakam yang hanya disentuh, dan diperjelaskan di dalam Surah Ali Imran.

Surah Ali Imran ini terbahagi kepada dua bahagian:

Ayat 1 – 92 adalah bahagian pertama dan ia memperkatakan tentang Tauhid dan Risalah.

Ayat 93 – 200 adalah bahagian kedua dan ia mengandungi dalil-dalil Tauhid serta Jihad dan Infak.

Ada juga yang membahagikan:

Ayat 1 – 101 adalah tentang Ahli Kitab

Ayat 102 – 200 adalah tentang Umat Islam

Di dalam ayat terakhir Surah Baqarah ada disebut doa untuk mengalahkan orang kafir. Oleh itu Mesej Utama surah ini adalah untuk mencapai kemenangan Umat Islam dan ini boleh dicapai dengan:

1. Dakwah kepada Ahli Kitab
2. Mengambil manfaat dari kelebihan yang ada pada Ahli Kitab
3. Menjauhi keburukan yang ada pada Ahli Kitab
4. Kesatuan dan kesepakatan umat Islam disamping mereka diikat dengan pergerakan yang tersusun kukuh

 

Kaitan Dengan Surah Lain: 

1. Di dalam ayat terakhir Surah Baqarah kita telah diajar untuk berdoa فَانصُرنا عَلَى القَومِ الكٰفِرينَ (tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir). Oleh kerana untuk mendapatkan kemenangan, kita kena berhadapan dengan orang kafir, maka di dalam Surah Ali Imran ini, kita akan bertemu ayat-ayat tentang Jihad. Di dalam surah ini Allah mengajar umat Islam bagaimana cara mengalahkan mereka, iaitu kena ada kesatuan.
2. Di dalam Surah Fatihah telah disebut tentang golongan الضّالّينَ. Seperti yang telah ditafsirkan di dalam Surah Fatihah, ia merujuk kepada Golongan Nasara (Kristian). Maka akan dijelaskan tentang mereka.
3. Di dalam Surah Baqarah telah disebut tentang Nabi Adam yang lahir tanpa ibu dan bapa. Sekarang di dalam Surah Ali Imran kita belajar tentang Nabi Isa yang lahir tanpa bapa pula.
4. Seperti yang telah disebut, Surah Baqarah banyak sebut tentang golongan Yahudi, sekarang kita belajar tentang golongan Kristian pula.
5. Di permulaan Surah Baqarah disebut tentang kitab-kitab yang diturunkan sebelum Al-Qur’an. Di dalam Surah Ali Imran disebut tentang Taurat dan Injil.
6. Di dalam Surah Baqarah telah disebut perang jihad secara umum. Sekarang disebut tentang Perang Uhud secara terperinci.

Itulah antara kesinambungan dari Surah Baqarah. Tentulah ada lagi. Tapi cukuplah setakat ini supaya nampak memang ada persamaan dan sambungan dari Surah Baqarah.

 

Struktur Makro: 

Ayat 1 – 9: Pendahuluan
Ayat 10 – 32: Menyeru Ahli Kitab kepada Islam
Ayat 33 – 63: Kisah Maryam dan Zakariya untuk membatalkan Akidah 3 tuhan
Ayat 64 – 101: Perincian tentang keburukan Ahli Kitab
Ayat 102 – 120: Arahan untuk memperkukuhkan pergerakan ‘sebaik-baik Umat’
Ayat 121 – 189: Kekalahan dalam Perang Uhud & ulasan tentang sifat nifaq
Ayat 190 – 200: Penutup

Surah Al-Baqarah ada kisah lembu di dalamnya. Antaranya, Allah ‎ﷻ melarang manusia daripada memuja lembu dan sebaliknya Allah ‎ﷻ suruh puja Dia sahaja. Puak Yahudi pula selain daripada puja Allah ‎ﷻ, mereka juga ada memuja lembu. Mereka lakukan begitu kerana mereka lihat ada kepelikan pada lembu. Jadi, walaupun bangsa Yahudi itu cerdik-cerdik belaka, ada juga kebodohan mereka dan kerana itu akidah mereka punah. Maka memang tepat apabila surah itu dinamakan dengan Al-Baqarah kerana itu yang mereka puja.

Kalau Yahudi puja baqarah (lembu), puak Nasara pula puja Ali Imran (keluarga Imran). Mereka ini disebut di dalam Ayat 33 nanti:

إِنَّ اللَّهَ اصطَفىٰ ءآدَمَ وَنوحًا وَءآلَ إِبرٰهيمَ وَءآلَ عِمرٰنَ عَلَى العٰلَمينَ
Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam, dan Nabi Nuh, dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga Imran, melebihi segala umat (yang ada pada zaman mereka masing-masing).

Asal Usul Nama Surah

Imran adalah bapa kepada Maryam yang melahirkan Nabi Isa. Imran mempunyai seorang isteri yang solehah bernama Hannah binti Faqudh. Manakala Nabi Zakaria AS pula berkahwin dengan adik-beradik perempuan kepada Hannah, yang bernama Isyba’ (atau Eshba / Elizabath dalam tradisi sebahagian kitab tafsir dan ahli kitab). Ini bermakna Imran dan Nabi Zakaria AS adalah biras kerana mengahwini dua beradik (Hannah dan Isyba’). Jadi mereka ini adalah keluarga yang hebat-hebat.

Golongan Nasara telah puja ahli keluarga Imran seperti Maryam رضي الله عنها dan Nabi Isa عليه السلام kerana mereka telah jadi keliru dalam hal agama. Kalau Yahudi puja lembu kerana nampak lembu itu pelik, Nasara puja Ali Imran kerana mereka itu ada karamah dan mukjizat. Selain daripada mereka berdua yang dipuja, Nasara juga puja Ruhul Qudus, iaitu Jibril عليه السلام.

Golongan Nasara yang asal tidak begitu. Apabila setelah sekian lama barulah golongan ini menjadi sesat. Macam juga dengan agama Islam, asalnya penganutnya betul di atas landasan kebenaran, tetapi lama kelamaan ada ajaran sesat yang dimasukkan. Ini adalah kerana ramai yang jahil kerana tidak belajar wahyu, maka senang ditipu. Mereka itu macam juga penganut Nasara yang tidak belajar agama mereka. Maka kena jelaskan wahyu kepada orang Islam yang sesat dan Nasara kerana mereka itu sesat kerana jahil sahaja. Oleh kerana jahil, maka ada yang reka dan tambah benda baharu dalam agama. Memang kafirnya Nasara kerana jahil. Memang bahaya apabila agama ini ditambah-tambah dengan perkara baru yang bukan datang dari nas wahyu.

Kerana itu kita ingatkan tentang ajaran Sunnah yang menentang bid’ah. Bid’ah akan merosakkan agama. Dan inilah yang terjadi kepada Nasara dan sekarang kepada orang Islam juga. Mereka menambah-nambah dalam agama mereka. Maka kena sampaikan ajaran Sunnah ini kepada manusia dan kalau mereka mahu kepada kebenaran, mereka akan terima ajakan dakwah yang disampaikan. Ini penting supaya jangan menambah-nambah dalam agama.

Jadi lambang pujaan Yahudi dalam Surah Baqarah adalah baqarah (lembu) sementara pujaan golongan Nasara pula adalah Ali Imran (keluarga Imran). Jadi kekeliruan dan kesesatan mereka diperbetulkan dalam surah Ali Imran ini dan memang sudah ramai Kristian yang telah masuk Islam setelah mereka faham Surah Ali Imran ini, ditambah pula kalau mereka dengar dan belajar Surah Maryam.

Ada masalah yang timbul dalam masyarakat kita di mana ramai yang telah masuk agama Kristian kerana mereka jahil dan senang ditipu. Mereka masuk Kristian kerana mereka nampak Kristian ada hujah, agama kasih sayang, nampak macam baik sahaja mereka itu. Penganut mereka pun kaya raya. Kalaulah mereka tahu apakah yang benar dengan mempelajari tafsir surah Ali Imran ini, mereka tidak akan masuk Kristian. Itulah penting umat Islam kena faham tentang agama Islam supaya tidak tertipu. Kadangkala ada orang yang bangkitkan kekeliruan tentang agama Islam, sedangkan kalau faham betul, kita tidak akan tertipu. Di dalam agama Islam tidak ada kekeliruan sebenarnya. Tapi untuk dapat kefahaman ini, kena belajar tafsir Al-Qur’an dan syarah Hadis yang sahih.

Asbabun Nuzul: Sebelum surah ini turun, ada wakil dari Najran yang datang untuk berdebat dengan Nabi Muhammad ﷺ. Kejadian itu berlaku pada tahun 9 Hijrah iaitu setelah Mekah ditakluki dan negara Islam telah terbentuk di Madinah. Najran adalah daerah yang ramai penganut Kristian. Mereka dengar tentang Nabi Muhammad ﷺ dan Islam dan mereka marah apabila dikatakan yang penganut Kristian sesat dan Nabi Isa bukan Tuhan/Anak Tuhan. Maka mereka datang untuk berdebat dengan Rasulullah ﷺ. Ada lebih kurang seramai 60 orang datang hendak berjumpa Nabi ﷺ di mana 14 daripadanya adalah pemuka agama mereka. Mereka menjadi tetamu umat Islam waktu itu dan mereka ditempatkan di Masjid Nabawi. Umat Islam melayan mereka dengan baik. Walaupun mereka kafir, dan hendak berdebat tentang Islam, namun mereka tetap dilayani dengan baik.

Mereka marah apabila dikatakan yang Nabi Isa عليه السلام itu hanyalah manusia sahaja dan tidak boleh dipuja. Macam orang kita juga, kalau dikatakan yang tok wali tidak boleh dipuja dan tidak boleh bertawasul dengan mereka, ramailah yang melompat marah. Itu memang sudah tanda orang-orang yang jahil dan keliru.

Apabila mereka hendak berhujah dengan Nabi ﷺ, baginda tunggu sahaja. Maka Allah ‎ﷻ turunkan surah ini. Di akhir surah ini nanti ada ajakan mubahalah dengan mereka. Ini kerana setelah diberikan dengan ayat-ayat dari Surah Ali Imran dan hujah-hujah mantap, mereka tetap juga tidak boleh terima. Ia adalah sumpah laknat antara orang kafir dan mukmin. Dalam mubahalah ini, kita minta Allah ‎ﷻ tunjuk siapa yang benar. Ini dilakukan kalau telah diberitahu juga kebenaran dalam ayat-ayat daripada surah Ali Imran ini, namun mereka masih juga berdegil.

Mubahalah ini adalah syariat antara Islam dan musyrik sahaja. Maka jangan pula ada orang Islam hendak mubahalah dengan orang Islam lain. Pernah puak Syiah mengajak mubahalah tetapi akhirnya mereka yang tidak muncul. Mubahalah ini adalah senjata terakhir kepada mereka yang degil sangat. Hafiz ibn Hajar رحمه الله pernah bermubahalah dengan ajaran tarekat sesat di Mesir. Ibn Hajar رحمه الله sudah kata ajaran itu sesat kufur. Maka, selepas mubahalah itu, laknat Allah ‎ﷻ telah dikenakan kepada golongan sesat. Pengamal tarekat itu mati dalam tempoh masa tidak sampai tiga hari.

Surah Ali Imran ini akan menjawab banyak kesamaran. Apakah kesamaran dalam Surah Baqarah yang akan dijawab dalam Ali Imran?

1. Allah ‎ﷻ menggunakan gelaran kepada Nabi Isa عليه السلام yang boleh menyebabkan kesamaran dan kekeliruan kepada manusia terutama penganut Nasara. Antara yang disebut dalam Kitab-kitab sebelum Al-Qur’an, Allah ‎ﷻ sebut Nabi Isa عليه السلام itu adalah ‘Anak Allah’ dan ‘Roh Allah’. Maka, keliru habislah penganut Nasara yang tidak belajar wahyu. Ini berlaku terutama bagi mereka yang tidak belajar kitab mereka dengan benar sebab Kalam Allah ‎ﷻ tidak akan menyesatkan manusia.

Begitulah kalau tidak belajar dengan benar, maka memang boleh jadi sesat. Macam juga yang berlalu kepada umat Islam sekarang pun. Mereka baca ayat Al-Qur’an dan mereka dapat kefahaman yang salah sebab tidak belajar. Ini banyak terjadi, kerana mereka baca sendiri atau belajar dengan orang yang salah faham juga.

Kekeliruan ini dijawab dalam Ayat 7.

2. Mukjizat yang diberikan kepada Nabi Isa عليه السلاه memang hebat. Mukjizat baginda termasuk boleh menghidupkan orang mati, menyembuhkan orang buta asli, pekak asli. Kesemua itu adalah penyembuhan yang dikira luar biasa (zaman sekarang pun masih tidak boleh buat lagi). Baginda juga boleh membuat seekor burung daripada tanah liat kemudian menghidupkannya. Ini tentulah menakjubkan mereka kerana memang mereka umat yang suka kepada bidang kedoktoran/perubatan.

Daripada segi ilmu, baginda juga boleh mengetahui apa yang disimpan dalam rumah. Oleh itu, apabila Nabi Isa عليه السلام boleh buat benda-benda ajaib dan hebat sebegitu, mereka pandang baginda lain macam kerana kelebihan itu semua adalah sifat Tuhan sahaja. Maka mereka telah memuja baginda sebagai tuhan.

Padahal itu adalah mukjizat Nabi Isa عليه السلام dan mukjizat itu hanya dengan kuasa Allah ﷻ sahaja. Ini adalah kekeliruan yang jelas tentang mukjizat. Allah ‎ﷻ hendak menunjukkan yang baginda itu adalah benar seorang Nabi dan keajaiban itu bukanlah boleh dibuat sentiasa tetapi hanya terhad kepada waktu itu sahaja.

Kekeliruan ini dijawab dalam Ayat 49 hingga ayat 51.

3. Ada kitab tulisan ulama’ mereka yang kata Nabi Isa عليه السلام itu adalah ‘anak Tuhan’ dan mempunyai kuasa. Penganut Nasara memandang tinggi kitab-kitab ulama’ mereka itu. Mereka percaya sepenuhnya apa yang dikatakan oleh golongan ulama’ itu. Macam masyarakat kita jugalah, kalau ada dalam kitab, mereka terus anggap macam segalanya adalah benar belaka. Sikit-sikit mereka berhujah dengan kata ada dalam kitab sekian -sekian. Ini kumpulan AADK (Asal Ada Dalam Kitab).

Allah ‎ﷻ hendak beritahu dalam surah Ali Imran ini, kalau ada kitab yang ajar akidah yang salah, itu bukan kitab ulama’, tetapi kitab syaitan. Tidak kira siapa yang tulis. Jangan jadi AADK.

Kesamaran ini dijawab dalam Ayat 79.

4. Terdapat juga kekeliruan tentang Maryam رضي الله عنها. Beliau bukanlah Nabi tetapi wali. Beliau mendapat rezeki dalam bentuk makanan kerana sifat ketaqwaannya. Kita akan belajar kisah Maryam رضي الله عنها yang hanya duduk di loteng membuat ibadat sahaja. Tidak ada orang lain yang boleh naik untuk berjumpa dengannya kecuali Nabi Zakaria. Yang bertanggungjawab menjaga beliau adalah Nabi Zakaria عليه السلام sahaja.

Nabi Zakaria  عليه السلام sahaja yang memberinya makan, dan apabila baginda nampak ada makanan lain bersama Maryam رضي الله عنها, baginda amat terkejut. Makanan itu pula adalah makanan yang segar dan buah-buahan yang di luar musim. Apabila ditanya, Maryam رضي الله عنها menjawab yang itu adalah rezeki daripada Allah ‎ﷻ. Ini adalah balasan kerana ketaqwaan serta sikapnya yang sentiasa menjaga mata dan mulut daripada maksiat. Maka Allah ‎ﷻ memakbulkan doa beliau dan Allah ‎ﷻ menghantar rezeki kepadanya.

Perkara ini cukup luar biasa dan kerana itulah penganut Nasara memuja Maryam رضي الله عنها. Mereka lihat beliau sebagai bukan manusia biasa.

Kekeliruan ini dijawab dalam Ayat ke 37.

5. Terdapat juga kekeliruan mengenai Nabi Zakaria عليه السلام. Baginda juga merupakan ahli keluarga Imran dan ada golongan sesat yang memujanya. Ini kerana kelebihan baginda yang mendapat anak dalam usia sangat tua dan isterinya pula yang tidak pernah mengandung dan melahirkan. Maka mereka memuja dan ada yang meminta berkat atas sebab kelebihannya itu. Sama juga seperti orang kita, ada yang tidak dapat anak maka ada guru sesat yang mengajarkan agar meminta berkat daripada Nabi Zakaria عليه السلام. Sama sahaja akidah mereka ini dengan golongan Nasara.

Allah ‎ﷻ ajar bahawa perkara pelik yang terjadi kepada baginda adalah kurnia daripada Allah ‎ﷻ. Nabi Zakaria عليه السلام sendiri pun terkejut apabila baginda diberikan seorang anak dalam usia yang sangat tua. Maknanya, itu bukanlah kuasa baginda. Kalaulah ia kuasa baginda, takkan baginda terkejut pula. Sebenarnya Nabi Zakaria عليه السلام telah berdoa kepada Allah ‎ﷻ setelah baginda melihat bagaimana Maryam رضي الله عنها boleh mendapat rezeki daripada Allah ‎ﷻ sedangkan Maryam رضي الله عنها bukanlah seorang Nabi. Allah ﷻ yang makbulkan baginda, bukannya baginda ada kuasa pun.

Kekeliruan ini dijawab dalam ayat 38.

Kelima-lima syubhat (kesamaran) di atas adalah tentang Tauhid dan Allah ‎ﷻ telah menjawabnya di dalam surah ini.

 

Syubhat tentang Risalah pula ada tiga.

1. Tentang Kiblat. Mereka kata kalau Nabi Muhammad ‎ﷺ itu benar, kenapa tidak ikut Nabi-nabi lain dalam hal kiblat? Kenapa tidak ikut kiblat yang di BaitulMaqdis? Kenapa berkiblat ke Mekah pula?

Mereka itu jahil atau lupa yang Mekah itu adalah kiblat pada suatu waktu dahulu. Daripada Nabi Adam عليه السلام sehinggalah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail عليهما السلام, Kaabah itulah Kiblat. Cuma bermula Nabi Ishak عليه السلام dan Nabi-nabi عليهم السلام selepasnya sahaja yang bertukar kiblat ke BaitulMaqdis.

Untuk sementara waktu sahaja zaman Nabi Muhammad ﷺ berkiblatkan ke arah BaitulMaqdis dan selepas itu Kiblat telah bertukar semula ke Kaabah iaitu kembali kepada kiblat asal. Kalau mereka kaji, memang tidak salah apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad ﷺ kerana memang Kaabah adalah kiblat juga. Kalau mereka mengkaji agama mereka sendiri, dalam kitab mereka juga ada diberitahu yang Nabi akhir zaman akan berkiblatkan Kaabah. Jadi kenapa mereka menolaknya? Tidak lain dan tidak bukan, adalah kerana jahil sahaja.

Kekeliruan ini dijawab oleh Allah ‎ﷻ dalam ayat 97.

2. Kekalahan dalam Perang Uhud. Mereka mempersoalkan: Bagaimana seorang Nabi boleh kalah? Adakah kerana Allah ‎ﷻ tidak menolong NabiNya? Kekeliruan ini Allah ‎ﷻ jawab dalam ayat 121 – 152. Panjang lebar Allah ‎ﷻ menjawabnya kerana kekalahan itu mempunyai maksud tersendiri.

Allah ‎ﷻ beritahu bahawa bukanlah Dia tidak menolong Nabi-Nya. Allah ‎ﷻ telah tolong umat Islam dalam Perang Badr. Pada peringkat awal Perang Uhud itu sebenarnya Allah ‎ﷻ telah tolong dan memang pihak Muslim sudah menang pun. Namun malangnya, oleh kerana arahan Nabi ﷺ yang tidak ditaati oleh segelintir kaum muslimin yang berperang waktu itu, maka Allah ‎ﷻ menghentikan pertolongan itu. Akhirnya baru Allah ‎ﷻ menolong mereka semula. Allah ‎ﷻ hendak mengajar, selain daripada tauhid kepada Allah ‎ﷻ, kita juga kena taat kepada Rasul. Maknanya kita kena ikut hukum.

3. Tentang makan unta. Dalam syariat Bani Israil, mereka berpegang dengan hukum unta tidak boleh dimakan. Namun dalam syariat Nabi Muhammad ﷺ pula kata unta halal dimakan. Mereka kata halal dan haram ini adalah keputusan Allah ‎ﷻ, bukannya manusia. Mereka tuduh Nabi Muhammad ﷺ ambil kerja Tuhan pula. Maka Allah ‎ﷻ menjelaskan bahawa unta itu sebenarnya halal. Nabi Ya’qub عليه السلام tidak memakan unta kerana dinasihati oleh tabib yang unta tidak sesuai untuk baginda kerana masalah kesihatan baginda. Kerana itulah baginda tidak makan unta. Bukannya unta itu haram kepada semua orang. Anak cucu baginda yang telah tersilap faham sampai mengharamkan kepada umat Bani Israil keseluruhannya.

Oleh kerana mereka yang berbuat begitu, pandai-pandai pantangkan sendiri, maka Allah ‎ﷻ mengharamkan terus kepada mereka. Ini adalah sebagai hukuman kepada mereka untuk menyusahkan mereka. Kepada umat Nabi Muhammad ﷺ, hukuman telah berbalik kepada asal.

Ini telah dijelaskan dalam ayat 93.

 

Kelebihan Surah Ali Imran

Surah Ali ‘Imran (bersama-sama dengan Surah Al-Baqarah) dinamakan sebagai Az-Zahraawan (الزَّهْرَاوَان), yang merupakan bentuk kata nama berkembar (dua) bagi perkataan Az-Zahrah (الزَّهْرَاء). Dari sudut bahasa Arab, Az-Zahrah atau Al-Zahra’ bermaksud yang bercahaya, yang bersinar, yang cemerlang, atau yang putih bersih.

Penamaan ini thabit (tetap) secara langsung daripada lisan Rasulullah SAW melalui hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ الْبَاهِلِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ، اقْرَءُوا الزَّهْرَاوَيْنِ: الْبَقَرَةَ، وَسُورَةَ آلِ عِمْرَانَ، فَإِنَّهُمَا تَأْتِيَانِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ، أَوْ كَأَنَّهُمَا غَيَايَتَانِ، أَوْ كَأَنَّهُمَا فِرْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ، تُحَاجَّانِ عَنْ أَصْحَابِهِمَا 
Daripada Abu Umamah Al-Bahili RA, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Bacalah Al-Qur’an, kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya. Bacalah Az-Zahraawan (dua surah yang bercahaya/gemilang) iaitu Al-Baqarah dan Surah Ali ‘Imran. Kerana sesungguhnya kedua-duanya akan datang pada hari kiamat seolah-olah seperti dua kelompok awan, atau dua naungan, atau dua kelompok burung yang mengembangkan sayapnya, kedua-duanya akan mempertahankan (membela) orang yang rajin membaca dan mengamalkannya…”

(Riwayat Muslim, No. 804)

Penjelasan: Di akhirat kelak, cuaca tidaklah sama semasa di dunia. Kalau Mahsyar nanti, sangatlah panas, maka dari hadis ini, ia memberitahu kita yang dua surah ini akan menjadi penaung bagi kita.

Perkataan أَصْحَابِهِمَا (aṣḥābihimā) di dalam hadis ini dari segi bahasa bermaksud “pemilik/sahabat bagi kedua-dua surah tersebut” (iaitu Surah Al-Baqarah dan Surah Ali ‘Imran). Namun, para ulama hadis (seperti Imam al-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim) menjelaskan bahawa gelaran “Sahabat Al-Baqarah dan Ali ‘Imran” ini bukan sekadar merujuk kepada orang yang membaca harfiahnya sahaja, tetapi mengandungi makna dan kriteria yang khusus.

Dalam bahasa Arab, perkataan صاحب (sahabat) bermaksud sesiapa yang sentiasa mendampingi dan meluangkan masa yang lama dengan sesuatu. Maka, أَصْحَابِهِمَا bermaksud orang yang menjadikan Surah Al-Baqarah dan Ali ‘Imran sebagai wirid harian atau kerap membacanya sehingga kedua-dua surah itu “akrab” dengan hidupnya, bukan sekadar membaca sekali-sekala atau setahun sekali. Ia juga merujuk kepada para penghafal (huffaz) kedua-dua surah ini yang sentiasa menjaga hafalan mereka melalui murajaah (ulangan) di dalam solat mahupun di luar solat, sehinggakan ayat-ayat tersebut melekat kuat di dalam dada mereka.

Dan yang paling utama, seseorang itu tidak dianggap sebagai “sahabat” kepada Surah Al-Baqarah dan Ali ‘Imran sekiranya dia menghafal kelancaran lafaznya tetapi melanggar hukum-hakam di dalamnya. Sahabat bagi kedua-dua surah ini adalah mereka yang:

    • Mengambil akidah tauhid yang terkandung di dalamnya.
    • Menjauhi larangan Riba (yang ditegaskan dalam kedua-dua surah).
    • Mengambil pengajaran daripada kisah-kisah kaum terdahulu (Bani Israil, Perang Uhud, dll).
    • Melaksanakan tuntutan syariat yang digariskan.

Nota: Perhatikan di dalam hadis ini disebut ‘baca’. Kalau dari sudut logik, orang yang baca, mestilah dia faham apa yang dia baca, bukan? Kalau setakat sebut sahaja, itu orang tak panggil baca, tapi mengeja. Orang Melayu sahaja agaknya yang faham maksud ‘baca’ itu dengan sebut ayat-ayat Al-Qur’an tapi tidak faham sikit habuk pun apa yang mereka baca.

Kenapa Dinamakan “Zahrah” (Yang Bercahaya)? Para ulama hadis dan ahli tafsir (seperti Imam al-Nawawi dan Al-Qadi ‘Iyad) menjelaskan beberapa hikmah mengapa Surah Ali ‘Imran dan Al-Baqarah mendapat gelaran yang agung ini:

1. Menjadi Cahaya Penunjuk Jalan di Akhirat. Dinamakan Zahrah kerana kedua-dua surah ini akan memberikan cahaya yang terang-benderang kepada pembacanya pada hari kiamat kelak. Di saat manusia berada dalam kegelapan, ketakutan, dan kebingungan di Padang Mahsyar, cahaya daripada surah ini akan datang menaungi dan memandu mereka.

2. Kandungan Hukum-Hakam yang Menerangi Jiwa. Kedua-dua surah ini sarat dengan syariat, hukum-hakam (seperti muamalat, nikah kahwin, jihad), dan hujah-hujah aqidah yang sangat jelas. Kejelasan isi kandungannya menerangi (memberi cahaya) kepada hati dan akal fikiran orang beriman, sekali gus memandu mereka keluar daripada kegelapan syubhat (kekeliruan) dan syahwat.

3. Besarnya Pahala dan Ganjaran. Perkataan Az-Zahrah juga digunakan untuk menggambarkan sesuatu yang sangat bernilai, indah, dan megah. Ganjaran bagi orang yang membaca, menghafal, dan mengamalkan Surah Ali ‘Imran serta Al-Baqarah adalah teramat besar di sisi Allah, seumpama memiliki permata yang paling berkilau.

4. Pembela di Hadapan Allah (Syafaat yang Jelas). Sifatnya yang “terang” itu juga digambarkan melalui peranannya di akhirat. Kedua-dua surah ini akan menjelma menjadi hujah yang nyata untuk mempertahankan pembacanya di hadapan Allah SWT, sehingga mereka terselamat daripada azab api neraka.

Dari sudut bahasa Arab, az-zahrah (الزَّهْرَة) juga bermaksud bunga (kata jamaknya ialah al-azhaar / الأَزْهَار). Dalam loghat Arab klasik, sekuntum bunga dipanggil zahrah kerana sifatnya yang berseri, mempunyai warna yang terang, indah dipandang, dan menarik perhatian seolah-olah ia memancarkan cahaya di tengah-tengah kebun yang hijau. Kedua-dua surah ini adalah “bunga-bunga Al-Qur’an” yang paling indah, mekar, dan wangi kerana di dalamnya terkumpul intipati syariat Islam yang paling utama.

Kerana itulah juga gelaran anak perempuan Rasulullah SAW, adalah Fatimah Az-Zahra’. Para sejarawan Islam menyatakan beliau digelar Az-Zahra’ kerana wajahnya yang sangat putih bersih, berseri-seri seperti bunga yang mekar, dan memancarkan cahaya kebaikan serta kemuliaan akhlak.

Jadi, apabila anda membaca Surah Ali ‘Imran, anda boleh membayangkan dua makna ini serentak: Ia adalah surah yang memberikan cahaya (Zahrah) yang menerangi kegelapan akhirat, dan ia juga merupakan bunga (Zahrah) syariat yang paling indah dan harum dalam Al-Qur’an. Keduanya adalah benar dari segi linguistik Arab!

Kerana itulah juga Surah Ali Imran ini ada beberapa nama, walaupun yang terkenal dan yang orang tahu adalah Ali Imran. Berikut adalah nama-nama lain bagi Surah Ali ‘Imran:

1. Az-Zahrah (الزَّهْرَاء). Seperti yang telah kita bincangkan sebelum ini, secara bersendirian surah ini dipanggil Az-Zahrah (Yang Bercahaya/Bunga yang berseri). Apabila digabungkan bersama Surah Al-Baqarah, kedua-duanya dipanggil Az-Zahraawan (الزَّهْرَاوَان). Nama ini thabit (sahih) daripada hadis Nabi SAW riwayat Imam Muslim.

2. Al-Aman (الأَمَان). Sebahagian ulama tafsir (seperti yang dinukilkan dalam beberapa kitab tafsir klasik) menggelar surah ini sebagai Al-Aman yang bermaksud “Keamanan” atau “Perlindungan”. Kerana surah ini mengandungi ayat-ayat hujah yang kukuh untuk mempertahankan akidah Islam daripada syubhat (kekeliruan) musuh, sekali gus memberikan rasa aman, ketenangan, dan ketetapan iman di dalam hati orang yang mengamalkannya.

3. Al-Kanz (الْكَنْز). Nama ini bermaksud “Gudang Kekayaan” atau “Harta Karun”. Nama ini bersumberkan daripada athar (kata-kata) sahabat Nabi, antaranya daripada Abdullah bin Mas’ud RA atau Makhul yang menyebut: “Surah Ali ‘Imran adalah Al-Kanz (gudang harta/pahala) bagi orang yang miskin (yang memerlukan pahala) di akhirat kelak.” Ia dinamakan sedemikian kerana saratnya surah ini dengan ilmu tauhid, hukum-hakam yang berharga, dan ganjaran pahala yang melimpah-limpah bagi pembacanya.

4. Al-Ma’niyyah (الْمَعْنِيَّة). Sebahagian ulama menggelarnya Al-Ma’niyyah yang membawa maksud “Yang Dimaksudkan” atau “Yang Diperhatikan”. Kerana surah ini secara khusus diturunkan dengan memberikan perhatian yang sangat besar dalam menjawab, membantah, dan memperincikan perihal Ahli Kitab (khususnya kaum Nasrani/Kristian), serta menjelaskan kedudukan sebenar Nabi Isa AS dan ibunya, Maryam.

5. Surah Tayyibah (سُورَة طَيِّبَة). Ada juga riwayat yang menggelar surah ini dengan nama Tayyibah yang bermaksud “Yang Baik/Suci”. Namun, nama ini kurang masyhur berbanding nama-nama di atas.

 

Selain dari itu, di dalam Surah Ali ‘Imran terdapat rahsia makbulnya doa, iaitu kewujudan Ismullah al-A’zam. Sesiapa yang berdoa kepada Allah dengan menyebut nama-nama agung ini, doanya tidak akan ditolak. Rasulullah SAW bersabda:

اسْمُ اللَّهِ الأَعْظَمُ فِي سُورَتَيْنِ: ﴿وَإِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الرَّحْمَنُ الرَّحِيمُ﴾ [البقرة: 163]، وَفَاتِحَةِ آلِ عِمْرَانَ: الم * اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ
“Nama Allah yang Paling Agung (Ismullah al-A’zam) berada di dalam dua surah, iaitu pada ayat: ‘Dan Tuhan kamu ialah Tuhan Yang Maha Esa, tiada Tuhan melainkan Dia, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani’ (Al-Baqarah: 163) dan pada permulaan Surah Ali ‘Imran: ‘Alif, Lam, Mim. Allah, tiada Tuhan melainkan Dia, Yang Kehidupan-Nya Abadi lagi Sentiasa Mengatur makhluk-Nya’ (Ali ‘Imran: 1-2).”

(Riwayat At-Tirmidzi, No. 3478 & Abu Dawud. Dinilai Hasan oleh Syeikh Al-Albani)

Dalam kalangan para sahabat Nabi SAW, sesiapa yang berjaya menghafal, memahami hukum, dan mengamalkan Surah Al-Baqarah dan Ali ‘Imran, mereka akan dipandang tinggi dan dihormati sebagai ketua atau tokoh rujukan masyarakat. Anas bin Malik RA menceritakan status sosial para penghafal dua surah ini:

كَانَ الرَّجُلُ إِذَا قَرَأَ الْبَقَرَةَ وَآلَ عِمْرَانَ، جَدَّ فِينَا – أَيْ: عَظُمَ فِي عُيُونِنَا وَصَارَ ذَا قَدْرٍ عَالٍ
Dahulu, apabila seseorang lelaki (sahabat) telah selesai membaca/menghafal Surah Al-Baqarah dan Ali ‘Imran, maka dia akan menjadi seorang yang sangat agung (dihormati dan dipandang tinggi) di kedudukan kami.”

(Riwayat Ahmad, No. 12222. Syeikh Syuaib Al-Arnaut menyatakan sanadnya Sahih mengikut syarat Imam Muslim)

Rasulullah SAW menjadikan ayat-ayat terakhir Surah Ali ‘Imran sebagai zikir dan renungan harian baginda, terutamanya apabila terjaga di tengah malam untuk menunaikan solat Tahajjud. Ibnu Abbas RA meriwayatkan suasana malam bersama Nabi SAW:

«…فَاسْتَيْقَظَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَجَلَسَ يَمْسَحُ النَّوْمَ عَنْ وَجْهِهِ بِيَدِهِ، ثُمَّ قَرَأَ الْعَشْرَ الْآيَاتِ الْخَوَاتِمَ مِنْ سُورَةِ آلِ عِمْرَانَ…»
“…Maka Rasulullah SAW terjaga dari tidur, baginda duduk lalu mengusap sisa tidur pada wajahnya dengan tangan baginda. Kemudian baginda membaca 10 ayat terakhir daripada Surah Ali ‘Imran (bermula dari ayat 190 hingga 200). Selepas itu baginda bangun menuju ke bekas air, berwuduk dengan sempurna, lalu berdiri menunaikan solat.”

(Riwayat Al-Bukhari, No. 4569 & Muslim, No. 763)

 

Para ulama tafsir dan ahli sejarah Islam mencapai ijmak (sepakat) bahawa Surah Ali ‘Imran ialah surah Madaniyyah (surah yang diturunkan selepas peristiwa Hijrah Nabi SAW ke Madinah). Kesepakatan ini bukan sahaja bersandarkan kepada riwayat-riwayat athar yang sahih, tetapi ia disokong kuat oleh bukti dalaman (internal evidence) yang ada pada kandungan, tema, dan peristiwa sejarah yang diceritakan di dalam surah ini.

Ini kerana ia mengandungi kisah Perang Uhud & Perang Badar. Ciri paling ketara bagi surah Madaniyyah adalah perbincangan mengenai jihad fizikal, peperangan, dan strategi ketenteraan umat Islam, kerana perintah perang hanya disyariatkan selepas berhijrah. Hampir separuh daripada Surah Ali ‘Imran (bermula dari ayat 121 sehingga hampir ke penghujung surah) membincangkan secara terperinci tentang Perang Uhud yang berlaku pada tahun ke-3 Hijrah. Surah ini juga merakamkan post-mortem Perang Uhud yang menyentuh tentang kesedihan umat Islam, kesilapan pasukan pemanah di bukit, peranan golongan munafik, serta ujian keimanan para sahabat. Malah, surah ini juga menyentuh serba sedikit tentang Perang Badar (tahun ke-2 Hijrah).

Di fasa Mekah (Makkiyyah), fokus dakwah Nabi SAW adalah berhadapan dengan kaum Musyrikin Quraisy yang menyembah berhala. Manakala di fasa Madinah (Madaniyyah), umat Islam mula berinteraksi secara meluas dengan golongan Ahli Kitab (Yahudi dan Kristian). Bahagian awal Surah Ali ‘Imran (sekitar ayat 1 hingga 80) diturunkan khusus berkaitan dengan kedatangan rombongan Kristian dari Najran ke Madinah pada tahun ke-9 Hijrah (Tahun Utusan/’Am al-Wufud). Mereka datang berdialog dan berdebat dengan Nabi SAW tentang status ketuhanan Nabi Isa AS. Al-Qur’an menjawab hujah mereka dalam surah ini, termasuklah pensyariatan ayat Mubahalah (ayat 61).

Surah ini juga menyebut tentang Golongan Munafik (orang yang berpura-pura Islam tetapi menyembunyikan kekufuran) dan mereka hanya wujud di Madinah. Di Mekah, umat Islam adalah golongan yang ditindas, jadi tidak ada sebab untuk sesiapa berpura-pura menjadi Muslim. Surah Ali ‘Imran sarat dengan ayat-ayat yang membongkar belang, kata-kata sinis, dan pakatan jahat orang munafik (seperti Abdullah bin Ubai bin Salul) terutamanya sewaktu mereka berpaling tadah dalam Perang Uhud.

Surah-surah Madaniyyah terkenal dengan pengisian undang-undang awam dan kemasyarakatan (Tasyri’). Dalam Surah Ali ‘Imran, Allah SWT menurunkan hukum-hakam penting.

Selain dari itu terdapat kaedah masyhur dalam Ulum Al-Quran yang berbunyi: “Setiap ayat yang bermula dengan panggilan ‘Wahai orang-orang yang beriman’ (يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا) adalah Madaniyyah, manakala ayat yang bermula dengan ‘Wahai manusia’ (يَا أَيُّهَا النَّاسُ) adalah Makkiyah.” Jika kita semak Surah Ali ‘Imran, panggilan (يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا) ini disebut sebanyak 7 kali (contohnya dalam ayat tentang larangan riba, kewajipan bertaqwa, dan kesabaran). Kehadiran ungkapan ini mengukuhkan lagi hujah para ulama bahawa surah ini adalah Madaniyyah tulen.

 

Sejarah Turun

Secara umumnya bolehlah dikatakan Surah Ali `Imran diturunkan pada tahun ke-3 Hijrah, selepas Perang Uhud. Ketika itu telah pun nyata kesan dan akibat daripada kesyahidan sekian ramai sahabat di medan Perang Uhud, di mana sudah mula terdapat agak ramai isteri yang menjanda dan anak-anak kecil yang menjadi yatim.Semua itu telah menimbulkan masalah masyarakat yang memerlukan penyelesaian.

Ayat ke-33 hingga ke-70 bagaimanapun dipercayai diturunkan pada tahun ke-9 Hijrah, ketika mana rombongan orang-orang Kristian Najran datang ke Madinah dan terjadi perdebatan di antara mereka dengan Rasulullah, sehingga membawa kepada cabaran Rasulullah terhadap mereka untuk bermubahalah.Tetapi mereka tidak berani menyahut cabaran Rasulullah itu.

 

Allahu a’lam. Sambung kepada tafsir ayat

Kemaskini: 7 Jun 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


 

Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)