Ali Imran Ayat 8: Ini adalah sifat kedua mereka yang berilmu tadi. Allah ﷻ sekarang menyebut tentang doa mereka. Doa ini banyak sekali dibaca oleh masyarakat kita. Mari sekarang kita lihat apakah tafsir bagi ayat (doa) ini.
Yang menarik tentang Surah Ali Imran ini, ia bukan sahaja mengajar kita cara berdoa, akan tetapi ada lafaz-lafaz doa yang kita boleh terus amalkan dalam kehidupan kita kerana ia doa-doa yang amat bagus sekali.
رَبَّنا لا تُزِغ قُلوبَنا بَعدَ إِذ هَدَيتَنا وَهَب لَنا مِن لَّدُنكَ رَحمَةً ۚ إِنَّكَ أَنتَ الوَهّابُ
SAHIH INTERNATIONAL
[Who say], “Our Lord, let not our hearts deviate after You have guided us and grant us from Yourself mercy. Indeed, You are the Bestower.
MALAY
(Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.
رَبَّنا لا تُزِغ قُلوبَنا بَعدَ إِذ هَدَيتَنا
“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami,
Ini adalah sambungan dari penerangan tentang golongan ٱلرّٰسِخُونَ di dalam ayat sebelum ini. Ini adalah doa mereka. Di dalam Ayat 7, yang condong kepada kesesatan itu adalah في قُلوبِهِم زَيغٌ maka sekarang doanya adalah لا تُزِغ yang diambil dari kata dasar yang sama dengan زَيغٌ. Setelah tahu tentang bahayanya jikalau terpesong kerana ayat-ayat Mutasyabihat itu, maka kita kena minta perlindungan dari Allah. Kerana yang dapat menyelamatkan kita adalah Allah sahaja. Bukannya kita boleh bergantung sangat kepada intelek kita. Setelah tahu pun, kalau Allah tidak jaga, boleh jadi sesat kita ini. Doa ini mengajar kita bergantung kepada Allah dan jangan berbangga dengan ilmu yang ada.
Ini adalah akidah yang kita kena pegang iaitu iman dan kesesatan dari Allah. Allah yang menentukan siapa yang beriman dan siapa yang jatuh sesat. Dan sesungguhnya Dia Maha Melimpahkan kurnia melalui apa sahaja nikmat yang diberikan kepada para hamba-Nya, serta tiada sesuatu pun yang wajib ke atas-Nya.
Yang berdoa ini siapa? Mereka itu adalah golongan ٱلرّٰسِخُونَ فِي العِلمِ. Maknanya ilmu mereka sudah mantap, iman mereka pun kuat. Tapi tetap mereka berdoa sebegini. Sepatutnya yang hatinya condong ke arah kesesatan yang patut berdoa sebegini, tapi yang mantap pula berdoa begini. Ini mengajar kita apa? Yang iman itu turun dan naik. Jangan kita sangka iman ini seketul itu sahaja dan tetap tidak berganjak. Ia boleh naik dan ia juga boleh turun. Ini adalah satu ilmu yang kita kena faham sangat. Rasulullah telah bersabda tentang iman,
الإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ أَوْ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً، فَأَفْضَلُهَا قَوْلُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ، وَأَدْنَاهَا إِمَاطَةُ الأَذَى عَنِ الطَّرِيقِ، وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الإِيمَانِ
“Iman itu ada tujuh puluh lebih atau enam puluh lebih cabang. Yang paling utama ialah perkataan ‘La ilaha illallah’ (Tiada tuhan melainkan Allah) dan yang paling rendah ialah membuang gangguan dari jalan. Dan sifat malu itu adalah satu cabang daripada iman.”
(Sahih Bukhari No. 9 & Sahih Muslim No. 35)
Nota: Adanya istilah “paling utama” dan “paling rendah” menunjukkan iman itu mempunyai tingkatan (boleh naik dan turun).
Perhatikan doa ini terus dengan panggilan: رَبَّنا dan tidak ada pun kalimah يا yang digunakan kalau kita memanggil orang lain. Terus sahaja dibuang kalimah يا sebagai isyarat kedekatan kita dengan Allah. Kita sekarang menyeru Allah رَبَّنا kerana Dialah Tuhan kita, Dialah tempat kita mengharap. Siapa lagi yang boleh jaga iman kita? Kita bertawasul dengan nama Allah رَبَّ. Kenapa digunakan sebutan رَبَّ? Kerana Sifat رَبَّ itulah yang menguruskan segala urusan manusia.
Doa ini adalah tentang ketetapan hati. Kalau kita hendak bincang dan cuba hendak tahu juga perkara yang tidak perlu diketahui, lama-lama hati kita akan punah. Kerana hati kita akan terus tertanya-tanya. Maka kita minta diselamatkan hati kita dari jadi golongan yang mencari-cari takwil ayat-ayat Mutasyahibat yang disebut sebelum ini.
Mereka yang telah mendalam ilmu mereka, akan doa begini. Mereka minta supaya Allah ﷻ jangan palingkan hati mereka. Mereka minta ditetapkan hati mereka atas iman. Ini kerana Allah ﷻ boleh sahaja palingkan hati manusia kalau Dia mahu. Dan ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Akan tetapi jangan pula kita buat anggapan yang Allah senang-senang dan suka-suka hendak palingkan hati manusia. Allah palingkan jikalau orang itu sendiri ada masalah. Ini seperti disebut di dalam Saf:5
فَلَمّا زاغوا أَزاغَ اللَّهُ قُلوبَهُم ۚ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفٰسِقينَ
Maka apabila mereka berpaling (dari kebenaran), Allah memalingkan hati mereka; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.
Ia mengajar kita bahawa hidayah ini bukanlah tetap. Orang yang sudah dapat hidayah, belum tentu terus mendapat hidayah. Ada orang yang boleh terpesong. Jangan sangka kita akan selamat hingga ke akhir hayat kita. Sebelum mati, boleh sahaja hati kita terpesong. Dari buat amalan ahli syurga, tiba-tiba sebelum mati, boleh sahaja buat amalan ahli neraka! Ini kita boleh belajar dari Hadis #4 Arbain Nawawiah,
فَوَ اللهِ الَّذِي لاَ إِلَهَ غَيْرُهُ إِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ حَتَّى مَا يَكُوْنُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلاَّ ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ فَيَدْخُلُهَا، وَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ حَتَّى مَا يَكُوْنُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلاَّ ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَيَدْخُلُهَا
Maka demi Allah yang tiada Tuhan selain daripadaNya, sesungguhnya seseorang kamu itu tetap akan beramal dengan amalan ahli syurga sehinggalah di antaranya dengan syurga itu jaraknya cuma sehasta sahaja. Tiba-tiba dia telah didahului oleh tulisannya (suratan takdir) sehingga dia beramal dengan amalan ahli neraka, maka masuklah dia ke dalam neraka. Dan sesungguhnya seseorang kamu tetap akan beramal dengan amalan ahli neraka sehinggalah di antara dirinya dengan neraka cuma sehasta saja. Tiba-tiba dia telah didahului oleh tulisannya sehingga dia beramal dengan amalan ahli syurga, maka akhirnya masuklah dia ke dalam syurga itu.”
(Sahih Bukhari, no. 6594 dan Muslim, no. 2643)
Mungkin juga kita sudah jelas tentang sesuatu perkara. Akan tetapi apabila kita mengkaji lebih dalam lagi, akan jumpa pula perkara lain yang membingungkan kita. Begitulah boleh terjadi apabila kita mendalami lebih dalam lagi. Jadi dari faham, boleh jadi tidak faham pula. Kerana itu di dalam ayat ini disebut: بَعدَ إِذ هَدَيتَنا (sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami). Kerana kefahaman ini kita kena ingat, ia datang dari Allah juga. Allah boleh beri, kemudian Allah boleh juga tarik. Maknanya, apa-apa pun kita kena berharap dari Allah, maka kerana itu kerana rajin berdoa supaya Allah tetapkan hati kita dalam iman, dalam ilmu yang benar.
Walaupun sudah berilmu, masalah boleh juga ada kerana orang berilmu juga ada penyakit, iaitu mereka hendak nampak mereka tahu semua benda, malu untuk kata mereka ada benda yang mereka tidak tahu. Jadi, ada antara mereka yang cuba sedaya upaya akan cakap juga tentang perkara yang tidak perlu diketahui.
Allah ﷻ sudah kata jangan masuk bincang perkara-perkara yang samar, kalau kamu masuk juga – Allah ﷻ boleh memalingkan hati kita. Oleh itu, kita kena doa supaya Allah ﷻ menjaga hati kita daripada masuk membincangkan perkara-perkara sebegitu. Kita minta Allah ﷻ tetapkan hati kita.
Perhatikan juga kalimah قُلوبَنا (hati-hati kami). Mereka sedang berdoa tapi mereka tidaklah kata ‘hati aku’, tapi ‘hati kami’. Maknanya mereka bukan hendak lepaskan diri mereka sahaja tapi mereka pun memikirkan juga hati-hati orang lain juga.
Perhatikan di dalam doa ini mereka kata: بَعدَ إِذ هَدَيتَنا (sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami). Maknanya mereka telah beriman, mereka pun mengaku mereka telah beriman. Dan iman itu dari Allah. Pertamanya mereka mengaku yang Allah yang beri iman itu, bukannya kerana kehebatan mereka.
Tapi perhatikan kalimah doa ini adalah بَعدَ إِذ هَدَيتَنا dan bukannya بَعدَ أن هَدَيتَنا. Apakah kesan apabila digunakan إِذ dan bukannya أن? Dari sudut struktur, إِذْ di sini berfungsi sebagai Zharf Zaman Madi (ظرف زمان للمادي), iaitu kata nama masa yang merujuk kepada perkara yang telah pun berlaku pada masa lalu. Penggunaan إِذْ menegaskan bahawa hidayah itu adalah satu nikmat yang sudah pun berlaku dan benar-benar wujud di dalam hati mereka. Ia merujuk kepada satu ketika di mana Allah telah pernah beri hidayah dan iman yang kuat. Jika ayat tersebut berbunyi بَعْدَ أَنْ هَدَيْتَنَا (sesudah Engkau memberi petunjuk kepada kami – menggunakan أَنْ), ia lebih bersifat umum atau teori. Tetapi apabila menggunakan بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا, ia membawa maksud: “Sesudah detik dan waktu yang nyata di mana Engkau telah pun mencurahkan hidayah itu ke dalam hati kami.” Ini adalah bentuk kesyukuran (iktiraf nikmat) sebelum meminta sesuatu.
Kita pun tidaklah pasti kita sedang benar-benar beriman sekarang. Tapi bukankah ada satu ketika yang kita rasa dekat sangat dengan Allah? Kita boleh rasa iman agak tinggi ketika itu? Maknanya, ada masa yang kita memang benar-benar beriman. Kalau sekarang iman itu sudah tidak ada atau lemah, tapi ya Allah, kembalikanlah iman itu ya Allah!
Keduanya, adakah mereka ini riak kerana sebut mereka ada iman? Bukankah riak kalau mengaku diri hebat? Adakah ini termasuk riak? Tidak. Ini adalah salah satu dari Tawasul yang dibenarkan. Kita ada banyak sebut tentang kesesatan amalan Tawasul, akan tetapi bukanlah tidak sunnah amalan itu. Ada sahaja yang sunnah. Cuma malangnya masyarakat kita jahil, jadi mereka buat yang jenis sesat punya. Sedangkan ada sahaja tawasul yang Sunnah iaitu dengan nama Allah, dengan iman, dengan ibadah sendiri. Maka ini termasuk Tawasul dengan Iman.
Oleh itu kata-kata mereka: ‘بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا’ (sesudah Engkau memberi petunjuk kepada kami) bukanlah bertujuan untuk berbangga diri (dengan hidayah yang dimiliki), sebaliknya ia bertujuan untuk bertawasul (merayu) dengan menggunakan nikmat-nikmat yang lalu demi meraih nikmat-nikmat yang akan datang.
Doa ini bertepatan dengan masalah yang disebut di dalam Ayat 7. Di dalam ayat 7, masalahnya adalah hati – في قُلوبِهِم زَيغٌ (yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan); maka doa ini mengajar kita supaya ditetapkan hati kita. Memang hati ini kita punya tapi ia di dalam kawalan Allah. Rasulullah pernah bersabda,
إِنَّ قُلُوبَ بَنِي آدَمَ كُلَّهَا بَيْنَ إِصْبَعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ الرَّحْمَنِ كَقَلْبٍ وَاحِدٍ يُصَرِّفُهُ حَيْثُ يَشَاءُ ثُمَّ يَقُولُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ
Sesungguhnya hati setiap anak Adam itu semuanya berada di antara dua jari daripada jari-jari Ar-Rahman (Allah Yang Maha Pemurah), seperti hati yang satu. Dia membolak-balikkan (mengarahkan) hati itu mengikut kehendak-Nya. Kemudian Rasulullah ﷺ berdoa: “Ya Allah, Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati-hati kami di atas ketaatan kepada-Mu.”
(Hadis Riwayat Muslim, no. 2654)
Di dalam Ayat 7 disebut mereka telah beriman – يَقولونَ ءَامَنَّا بِهِ (Mereka berkata:” Kami beriman kepadanya), maka di dalam ayat ini disambung بَعدَ إِذ هَدَيتَنا (sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami). Setelah beri iman, tetapkanlah iman kami ini ya Allah.
Satu lagi doa yang Rasulullah selalu baca adalah,
عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُكْثِرُ أَنْ يَقُولَ: “يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ“، فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، آمَنَّا بِكَ وَبِمَا جِئْتَ بِهِ فَهَلْ تَخَافُ عَلَيْنَا؟ قَالَ: “نَعَمْ، إِنَّ القُلُوبَ بَيْنَ إِصْبَعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللَّهِ يُقَلِّبُهَا كَيْفَ يَشَاءُ”
Daripada Anas RA, beliau menceritakan: Rasulullah ﷺ sentiasa (kerap kali) mengucapkan: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.” Lalu aku bertanya: “Wahai Rasulullah, kami telah beriman kepadamu dan kepada apa yang engkau bawa, adakah engkau masih bimbang terhadap (iman) kami?” Baginda bersabda: “Ya, sesungguhnya hati-hati itu berada di antara dua jari daripada jari-jari Allah, Dia membolak-balikkannya mengikut kehendak-Nya.”
(Hadis Riwayat Al-Tirmidhi, no. 2140. Beliau menyatakan hadis ini Hasan. Ia juga disahihkan oleh Al-Albani)
Nota: Kalau Nabi yang sudah selamat itu pun membaca doa ini, apatah lagi kita yang masih bertatih lagi ini? Jadi jangan lupa amalkan doa-doa ini ya.
Kenapa penting jaga hati? Kerana hati itulah yang penting. Kalau zahir cantik pun, masalah. Macam orang munafik, zahir mereka cantik sampai orang terpesona tengok mereka. Akan tetapi hati mereka ada masalah. Kerana itu Rasulullah ada bersabda dalam hadis yang ramai kita tahu,
…أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً، إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ
Ketahuilah, sesungguhnya di dalam jasad manusia itu ada seketul daging. Jika ia baik, maka baiklah seluruh jasadnya. Dan jika ia rosak, maka rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah, ia adalah hati.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 52, dan Muslim, no. 1599)
وَهَب لَنا مِن لَّدُنكَ رَحمَةً
dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu;
Mintalah rahmat yang khas, iaitu keyakinan kepada janji Allah ﷻ; Keyakinan kepada hukum Allah ﷻ seperti keyakinan yang ada pada Nabi dan sahabat, kemantapan iman, ketenangan batin, kemudian dalam melaksanakan ibadah, melaksanakan perintah dan menjauhi larangan Allah, dan lain-lain lagi.
Diminta rahmat itu pula dari sisi Allah. Sebenarnya, semua rahmat datang daripada Allah ﷻ, bukan? Tidak ada manusia atau makhluk lain yang boleh memberi rahmat. Jadi kenapa dimasukkan dalam ayat ini ‘Rahmat dari sisi Engkau’? Ia adalah untuk mengingatkan kita – bahawa Rahmat itu daripada Allah ﷻ sahaja, bukan daripada entiti lain. Bukan juga dari diri kita sendiri. Ya kita sendiri kena belajar, kena jaga hati kita, akan tetapi usaha kita itu tidak akan membuahkan hasil kalau Allah tidak beri izin.
Dan perhatikan taqdim kalimah مِن لَّدُنكَ sebelum disebut رَحمَةً. Ia menekankan sumber rahmat itu iaitu Allah sebelum disebut apa yang kita hendak. Dan kalimah رَحمَةً pula ada tanwin yang menambahkan kekuatan rahmat itu. Maknanya kita meminta rahmat yang khas.
Apabila digunakan kalimah هَب, ia bermaksud pemahaman ilmu itu adalah ‘hadiah’ dari Allah. Allah yang beri kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Ia bukanlah kerana kepandaian dan usaha kita. Ya kita kena usaha belajar, akan tetapi akhirnya ia adalah hadiah dari Allah. Ada orang yang Allah beri, ramai lagi Allah tidak berikan. Maka jangan kita sombong, kerana kita pandai pun kerana Allah yang beri.
Jadi ini ada doa kedua yang diajar kepada kita. Yang pertama adalah لا تُزِغ قُلوبَنا (Janganlah Engkau memesongkan hati kami) dan sekarang yang kedua adalah minta rahmat. Ini adalah susunan yang hebat dan susunan yang benar. Ini termasuk di dalam Kaedah At-Takhliyah Qabla At-Tahliyah (Pembersihan Sebelum Pengisian). Dalam kaedah mendidik jiwa dan berdoa, para ulama menyebut tentang konsep Takhliyah (mengosongkan/membuang yang buruk) mesti mendahului Tahliyah (menghias/mengisi dengan yang baik).
Analogi Mudah: Jika anda ada sebuah cawan yang kotor, anda pasti akan membasuh dan membuang kotoran itu dahulu (Takhliyah / Jangan pesongkan hati), barulah anda tuangkan susu yang bersih ke dalamnya (Tahliyah / Kurniakan rahmat). Jika susu dituang ke dalam cawan yang kotor, susu itu akan rosak. Maka, hati perlu diselamatkan dahulu daripada penyakit penyelewengan, barulah rahmat Allah yang turun itu dapat bertapak dengan subur dan bertahan lama di dalam hati. Kalau diberikan rahmat di dalam keadaan hati masih sesak, rahmat pun tidak boleh masuk.
إِنَّكَ أَنتَ الوَهّابُ
sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.
Ini adalah cara untuk berdoa kepada Allah ﷻ, iaitu dengan memuji-Nya. Sama ada puji Allah ﷻ di awal doa atau di hujung doa. Jadi, ini adalah satu contoh doa yang bagus untuk dibaca oleh kita semua. Jadi ini adalah tawasul dengan Asma’ Allah. Inilah cara tawasul yang benar. Bukannya pergi minta tolong kepada orang yang mati!
Kalimah أَنتَ (Engkau) di sini adalah nisbah kepada Allah. Ia adalah ganti nama atau dhomir. Selain dari هو dan ه, ada juga digunakan أَنتَ untuk Allah kerana kita sedang bercakap denganNya. Puak-puak sesat zikir hu, hu, hu, macam burung hantu itu, tidak mahukah pula zikir أَنتَ, أَنتَ, أَنتَ… sebab itu juga merujuk kepada Allah? Harap mereka tidak bacalah cadangan ini, sebab takut mereka amalkan pula. Puak-puak ini bukan boleh harap.
Dan perhatikan ada penekanan (taukid) kalimah أَنتَ. Kalau إِنَّكَ الوَهّابُ pun sudah cukup sebenarnya, tapi penambahan kalimah أَنتَ adalah sebagai penekanan. Kalimah إِنَّ sendiri sudah taukid, jadi ada penekanan yang banyak di sini.
Al-Wahhab (الْوَهَّابُ) adalah salah satu daripada Asma’ul Husna (Nama-Nama Allah yang Indah). Dari segi bahasa, ia berasal daripada perkataan al-hibah (الْهِبَة) yang bermaksud pemberian atau hadiah. Istilah ini digunakan apabila pemberian tanpa mengharap kepada balasan. Macam sekarang ada banyak produk Hibah, bukan? Itu adalah pemberian tanpa balasan yang diberikan selalunya kepada ahli keluarga kita, bukan?
Secara istilah, Al-Wahhab bermaksud Yang Maha Pemberi, iaitu Allah Tuhan Yang Maha Melimpah kurnia-Nya, memberikan segala jenis nikmat dan hadiah kepada makhluk-Nya tanpa mengharapkan sebarang balasan, tanpa diminta, dan tanpa had.
Di dalam bahasa Arab, perkataan Al-Wahhab (الْوَهَّابُ) dibina di atas wazan فَعَّال. Dalam ilmu bahasa, pola ini dipanggil sebagai Sighah Al-Mubalaghah (formula penegasan/superlatif). Wazan ini membawa dua makna yang sangat besar tentang cara Allah memberi:
-
- Kualiti (Pemberian yang amat besar/banyak): Allah memberi hadiah yang sangat bernilai tinggi yang tidak mampu diberikan oleh sesiapa pun (seperti hidayah, nyawa, dan ketenangan).
- Kuantiti & Kekerapan (Memberi dan terus memberi tanpa henti): Allah bukan sahaja memberi sekali dua, tetapi Dia memberi secara berterusan sepanjang masa kepada semua makhluk-Nya serentak.
Ia juga bermakna Allah memberi itu berkali-kali. Macam hidayah dan iman ini, ia turun naik, bukan? Maka apabila ia turun, Allah berikan kembali iman itu. Dan ini kita memang perlukan kerana iman kita tidak semestinya di atas sahaja. Ada ketika ia akan turun dan kita memerlukan kekuatan kembali. Maka ini memberi harapan kepada kita; ada ketika kita mungkin tersasar, tapi Allah boleh sahaja terima kita kembali. Kita mungkin berkali-kali melakukan dosa, malah mungkin dosa yang sama. Akan tetapi Allah masih lagi boleh beri rahmah kepada kita. Jangan putus asa dengan rahmat dan pengampunan dari Allah.
Jadi dengan menyebut nama Allah الْوَهَّابُ ini, kita mengaku dua sifat Allah ini. Kita mengaku yang Allah telah memberi banyak nikmat kepada kita. Antaranya yang berkait dengan ayat ini dan ayat sebelum ini adalah pemberian wahyu dariNya, hidayah, semua kitab-kitab wahyu, pemahaman yang benar, iman yang mantap.
Kita amat memerlukan sifat الْوَهَّابُ yang terus memberi ini kerana kita manusia yang lupa. Jadi apabila kita lupa, janganlah Allah beri sekali sahaja, berilah lagi. Betulkanlah kita apabila kita terpesong dari jalan yang benar.
Glosari Istilah Penting
Ar-Rasikhuna fil ‘ilm: Golongan yang mempunyai ilmu yang mendalam, mantap, dan kukuh kefahamannya terhadap agama.
Zaygh (زَيغٌ): Kecondongan atau kecenderungan hati ke arah penyelewengan dan kesesatan daripada kebenaran.
Mutasyabihat: Ayat-ayat Al-Qur’an yang maknanya samar atau memerlukan penjelasan lanjut, sering digunakan oleh golongan sesat untuk menimbulkan fitnah.
Tawasul: Cara atau wasilah untuk mendekatkan diri kepada Allah, dalam konteks ayat ini melalui nama-nama Allah (Asma’ul Husna) dan nikmat iman.
Takhliyah: Proses membersihkan atau mengosongkan jiwa daripada sifat-sifat buruk dan penyakit hati.
Tahliyah: Proses menghiasi atau mengisi jiwa dengan sifat-sifat terpuji dan rahmat Allah.
Al-Wahhab (الْوَهَّابُ): Salah satu Asma’ul Husna yang bermaksud Yang Maha Pemberi secara berterusan, tanpa had, dan tanpa mengharapkan balasan.
Sighah Al-Mubalaghah: Formula tatabahasa Arab yang menunjukkan penekanan atau superlatif (pemberian yang sangat banyak dan sangat kerap).
Hibah (الْهِبَة): Pemberian atau hadiah yang diberikan secara sukarela tanpa mengharapkan sebarang imbalan atau balasan.
Zharf Zaman Madi: Kata nama masa dalam bahasa Arab yang merujuk kepada perkara atau peristiwa yang telah pun berlaku di masa lalu.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 29 Jun 2026
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan (deeper look)
Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
