Tafsir Surah Ali Imran Ayat 13 (Perang Badr)

BANTUAN ALLAH KETIKA PERANG BADR

Ali Imran Ayat 13: Sekarang diberikan satu lagi sejarah orang kafir yang pernah dikalahkan. Kalau sebelum ini sejarah Firaun telah disebut, sekarang disebut sejarah yang dekat sedikit, iaitu ketika di Badr.

قَد كانَ لَكُم ءَايَةٌ في فِئَتَينِ التَقَتا ۖ فِئَةٌ تُقـٰتِلُ في سَبيلِ اللَّهِ وَأُخرىٰ كافِرَةٌ يَرَونَهُم مِّثلَيهِم رَأيَ العَينِ ۚ وَاللَّهُ يُؤَيِّدُ بِنَصرِهِۦ مَن يَشاءُ ۗ إِنَّ في ذٰلِكَ لَعِبرَةً لِّأُولِي ٱلأَبصَـٰرِ

SAHIH INTERNATIONAL
Already there has been for you a sign in the two armies which met – one fighting in the cause of Allah and another of disbelievers. They saw them [to be] twice their [own] number by [their] eyesight. But Allah supports with His victory whom He wills. Indeed in that is a lesson for those of vision.

MALAY
Sesungguhnya telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan yang telah bertemu (di medan perang); satu pasukan (orang-orang Islam) berperang pada jalan Allah (kerana mempertahankan ugama Allah), dan yang satu lagi dari golongan kafir musyrik. Mereka (yang kafir itu) melihat orang-orang Islam dengan pandangan mata biasa – dua kali ramainya berbanding dengan mereka sendiri. Dan Allah sentiasa menguatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dengan memberikan pertolonganNya. Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu pengajaran yang memberi insaf bagi orang-orang yang berfikiran (yang celik mata hatinya).

 

قَد كانَ لَكُم ءَايَةٌ في فِئَتَينِ التَقَتا

Sesungguhnya telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan yang telah bertemu

Allah ﷻ bukan sekadar memberi ancaman kosong sahaja, malah Allah ﷻ memberikan contoh perkara yang telah berlaku. Apabila digunakan kalimah gabungan قَد كانَ maka ia adalah sebagai taukid (penegasan). Dalam ilmu balaghah, ia bertindak sebagai sumpah sebagai penegasan dari Allah. Struktur ini digunakan untuk mematahkan keraguan atau penafian dalam hati pendengar (orang-orang kafir).

Ayat ini datang sejurus selepas amaran bahawa orang kafir akan dikalahkan (سَتُغْلَبُونَ). Maka, ayat قَدْ كَانَ لَكُمْ آيَةً (telah ada bukti bagi kamu) dibawakan sebagai hujah realiti (iaitu Perang Badr) untuk membuktikan bahawa ancaman kekalahan yang Allah sebutkan itu bukan sekadar gertakan kosong, melainkan suatu perkara yang benar-benar telah terbukti di depan mata mereka sendiri. Orang kafir mungkin pandang lekeh sahaja janji Allah sebelum ini, maka sekarang Allah berikan contoh kepada mereka sebagai bukti. Allah ﷻ berikan contoh perkara yang memang berlaku, menunjukkan bagaimana Dia telah menolong golongan yang benar dan mengalahkan golongan sesat. Kalimah yang digunakan adalah ءَايَةٌ yang bermaksud ‘tanda’. Maka kejadian yang akan disebut ini menjadi satu tanda, satu pengajaran kepada kita semua. Tanda ini juga untuk orang kafir yang tidak percaya itu.

Yang dimaksudkan di dalam kisah ini adalah Perang Badr. Surah Ali Imran ini memang ada menyebut tentang Perang Badr dan Perang Uhud. Maka kita belajar sedikit sebanyak tentang sejarah dalam surah ini. Cuma Perang Uhud yang banyak disebut di dalam Surah Ali Imran ini dan Perang Badr banyak disebut di dalam Surah Anfal.

Balaghah: Perhatikan ada iltifat di dalam ayat-ayat ini. Di dalam Ayat 10, orang kafir itu disebut sebagai pihak ketiga (إِنَّ الَّذينَ كَفَروا); di dalam Ayat 12, Allah suruh Nabi Muhammad bercakap dengan mereka (قُل لِّلَّذينَ كَفَروا) dan di dalam Ayat 13 ini, Allah bercakap terus dengan mereka (قَد كانَ لَكُم). Dalam tradisi sastera Arab, apabila kita menyempurnakan celaan kepada seseorang secara tidak langsung (menyebut tentang “mereka” di ayat 10-11), kemudian tiba-tiba kita berpaling dan menuding jari terus ke mukanya (menyebut “kamu” di ayat 12), ia memberikan kesan kejutan psikologi (shock effect) yang sangat berat.

Kenapa digunakan كانَ dan bukan كانت pada ayat قَد كانَ لَكُم ءَايَةٌ sedangkan kalimah ءَايَةٌ di dalam bentuk feminin? Ini kerana kalimah آيَة ialah Muannas Majazi (benda yang dianggap feminin oleh bahasa, bukan hidupan yang beranak). Dalam nahu Arab, jika subjeknya muannas majazi dan kedudukannya dijarakkan daripada kata kerja oleh perkataan lain (iaitu perkataan لَكُمْ berada di tengah-tengah), maka struktur itu membolehkan kata kerja kekal dalam bentuk maskulin كَانَ.

Dari segi balaghah, kalimah لَكُم ditaqdimkan untuk menarik perhatian pendengar agar tertanya-tanya: “Ada apa bagi kami?” sebelum perkataan “ءَايَةٌ” (tanda/bukti) disebut di hujung. Maksudnya begini: Allah mula menarik perhatian dengan kalimat قَد كانَ لَكُم maka pembaca akan tertanya: owh, apa dia untuk kami itu? Barulah Allah kata untuk kamu itu adalah ءَايَةٌ (tanda).

 

فِئَةٌ تُقـٰتِلُ في سَبيلِ اللَّهِ

satu pasukan berperang pada jalan Allah

Yang dimaksudkan adalah tentera Muslim. Allah tidak sebut mereka itu orang Mukmin, tapi Allah sebut tanda mereka sebagai orang Mukmin adalah mereka berjihad di jalan Allah. Allah sebut begini kerana mereka itu benar-benar ikhlas berperang di jalan Allah. Bukan setakat beriman sahaja, tapi mereka tunjukkan tanda iman mereka yang benar itu dengan berjihad untuk menegakkan agama Allah.

Mereka waktu itu seramai 313 orang sahaja (bilangan yang selalu disebut, walaupun angka tepat kita tidak pasti). Perjuangan mereka adalah kerana hendak menegakkan kalimah Allah ﷻ. Musuh mereka yang kafir itu pula berjuang kerana menjaga harta mereka. Tentera musuh lebih dari seribu orang. Akan tetapi seperti yang kita tahu, Allah beri kemenangan kepada tentera Muslim. Jadi, walaupun tentera Muslim waktu itu sedikit, tetapi oleh kerana yakin dengan Allah ﷻ, maka mereka berani menghadapi pihak musuh yang lebih ramai dan lebih lengkap (dari segi peralatan perang) daripada mereka.

 

وَأُخرىٰ كافِرَةٌ

dan yang satu lagi dari golongan kafir 

Yang dimaksudkan adalah Musyrikin Mekah. Bilangan mereka waktu itu seramai seribu orang. Mereka tiga kali ganda lebih ramai daripada puak Islam.

Balaghah: Terdapat kaedah ijaz (ringkasan) yang digunakan di dalam ayat ini. Teknik yang digunakan adalah الاحتباكُ Al-Ihtibak (Pengguguran Bersilang). Kalau kita perhatikan balik:

1. Disebut satu pihak تُقـٰتِلُ في سَبيلِ اللَّهِ maka satu pihak lagi sepatutnya berperang di jalan taghut lah.

2. Disebut satu pihak adalah كافِرَةٌ maka satu pihak lagi mestilah ‘Mukmin’.

Tapi Allah tidak sebutkan satu persatu. Maklumat itu digugurkan (secara bersilang) kerana kita boleh isi sendiri. Kalau disebut, ia akan jadi bosan kerana terlalu panjang jadinya. Dan tidak perlu Allah sebut satu persatu sebab bukan budak sekolah rendah yang baca Al-Qur’an ini secara mendalam. Oleh itu tidak disebut yang pihak kafir ini berperang atas jalan taghut tetapi kita dapat faham bahawa mereka berperang di atas jalan taghut kerana dalam potongan ayat sebelum ini telah disebut bagaimana pihak yang lagi satu (tentera Mukmin) berperang pada jalan Allah ﷻ. Maka dihazafkan (dihilangkan) maklumat yang pihak kafir ini berperang atas jalan taghut kerana telah disebut lawannya.

 

يَرَونَهُم مِّثلَيهِم رَأيَ العَينِ

Mereka melihat lawan dengan pandangan mata – dua kali ramainya mereka

Kalimah مِّثلَي bermaksud dua kali ganda. Tapi persoalannya di sini adalah: Siapa yang nampak siapa? Ada dua tafsir dalam ayat ini. Kerana kalimat yang digunakan pun adalah يَرَونَهُم مِّثلَيهِم iaitu ada dua هُم (mereka). Jadi ‘mereka’ melihat ‘mereka’. Mereka yang mana? Kerana tidak ditetapkan, jadi ia boleh diterbalikkan dan dua-dua boleh ditafsirkan.

1. Waktu itu kumpulan Muslim nampak puak kafir itu dua kali ganda lebih ramai daripada mereka padahal bilangan musuh sebenarnya tiga kali ganda lebih ramai. Maknanya, tidaklah nampak ramai sangat, jadi tidaklah takut untuk berperang.

Atau, apabila mereka melihat bilangan tentera musuh itu dua kali ganda mereka, mereka lebih berharap dan berdoa kepada Allah. Mereka pun sudah menerima janji Allah seperti yang disebut di dalam Anfal:66

فَإِن يَكُن مِّنكُم مِّاْئَةٌ صابِرَةٌ يَغلِبوا مِاْئَتَينِ ۚ وَإِن يَكُن مِّنكُم أَلفٌ يَغلِبوا أَلفَينِ بِإِذنِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ مَعَ الصّٰبِرينَ
Maka jika ada di antaramu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang kafir; dan jika di antaramu ada seribu orang (yang sabar), nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ribu orang, dengan izin Allah. Dan Allah berserta orang-orang yang sabar.

2. Ataupun boleh juga bermaksud, puak kafir yang nampak puak Muslim itu yang dua kali ganda lebih ramai daripada mereka, walaupun realitinya, mereka yang lebih ramai. Ini adalah untuk menakutkan puak kafir itu. Supaya semangat juang mereka menjadi kendur.

Cuma mungkin ada timbul sedikit kekeliruan jikalau kita baca Anfal:44. Surah Anfal memang tentang Perang Badr dan di dalam ayat itu disebut tentera musuh melihat tentera Muslim itu yang sedikit.

وَإِذ يُريكُموهُم إِذِ التَقَيتُم في أَعيُنِكُم قَليلًا وَيُقَلِّلُكُم في أَعيُنِهِم
Dan ketika Allah menampakkan mereka kepada kamu sekalian, ketika kamu berjumpa dengan mereka berjumlah sedikit pada penglihatan matamu dan kamu ditampakkan-Nya berjumlah sedikit pada penglihatan mata mereka

Jadi bagaimana kita hendak jamakkan dua ayat ini? Sebenarnya tidak ada percanggahan kalau kita faham. Sebenarnya ada dua peringkat di dalam perang itu. Ketika di awal perang, tentera musuh nampak tentera Muslim sedikit sahaja. Supaya perang itu tetap jadi kerana pada mereka ini ‘kacang’ sahaja. Kerana itu Allah sebut di dalam Anfal:44 itu لِيَقضِيَ اللَّهُ أَمرًا كانَ مَفعولًا (kerana Allah hendak melakukan suatu urusan yang mesti dilaksanakan). Kalau tentera musuh nampak tentera Muslim ramai, nanti mereka takut dan lari pula!

Tapi dalam peringkat kedua, iaitu setelah mereka bertembung, ketika itulah mereka nampak seperti tentera Muslim lagi ramai pula. Eh, tadi nampak macam nampak sedikit jer!? Ini adalah untuk melemahkan musuh dan bagi mereka jadi takut dan kelam kabut di dalam peperangan itu.

Perhatikan kalimah رَأيَ adalah dalam bentuk Masdar (kata terbitan) yang menjadi penegasan. Ia menjadi bukti bahawa penglihatan tersebut adalah jenis penglihatan mata (visual/mata kasar). Manakala kaedah dalam ilmu bahasa menetapkan bahawa: Penegasan menggunakan Masdar akan menafikan sebarang kemungkinan makna kiasan (majazi). Perkataan “melihat” (رَأيَ) dalam bahasa Arab adakalanya boleh membawa maksud kiasan seperti “melihat dengan mata hati”, “berpandangan (pendapat)”, atau “bermimpi”. Namun, kaedah sastera menetapkan apabila ia ditegaskan dengan masdar رَأْيَ, struktur ini menafikan terus semua makna kiasan tersebut. Kerana itu juga ada penambahan kalimah العَينِ yang menegaskan pandangan itu adalah dengan pandangan bola mata.

 

وَاللَّهُ يُؤَيِّدُ بِنَصرِهِ مَن يَشاءُ

Dan Allah sentiasa menolong dengan pertolongan-Nya, sesiapa yang dikehendaki-Nya,

Walaupun puak kafir waktu itu lebih ramai daripada orang Islam, tetapi Allah ﷻ tolong orang beriman dan beri kemenangan kepada mereka dalam Perang Badr itu. Ini mengajar kita yang ramainya pasukan tentera bukanlah alamat yang mereka pasti akan dapat kemenangan. Ini kerana kemenangan bergantung kepada kehendak Allah ﷻ. Allah ﷻ yang menentukan siapa yang akan menang. Kerana segala kuasa penentuan berada di tangan Allah ﷻ. Kita hanya mampu berusaha sahaja, tapi semuanya ditentukan oleh Allah ﷻ.

Allah memberi bantuan (يُؤَيِّدُ) boleh memberi maksud beberapa jenis bantuan:

1. Bantuan dengan penurunan malaikat. Mungkin kerana itulah tentera Muslim nampak dua kali ganda pada pandangan tentera musuh. Allah berfirman di dalam Anfal:9 tentang hal ini:

إِذ تَستَغيثونَ رَبَّكُم فَاستَجابَ لَكُم أَنّي مُمِدُّكُم بِأَلفٍ مِّنَ المَلىٰئِكَةِ مُردِفينَ
(Ingatlah), ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu, lalu diperkenankan-Nya bagimu: “Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepada kamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut”.

2. Bantuan psikologi iaitu bagi musuh nampak tentera Muslim ada dua kali ganda tadi. Ia menyebabkan mereka menggelabah dan hilang semangat juang.

3. Memberi bantuan ketenangan jiwa (sakinah) kepada tentera Muslim. Ini disebut di dalam Anfal:11

يُغَشّيكُمُ النُّعاسَ أَمَنَةً مِّنهُ وَيُنَزِّلُ عَلَيكُم مِّنَ السَّماءِ ماءً لِّيُطَهِّرَكُم بِهِ وَيُذهِبَ عَنكُم رِجزَ الشَّيطٰنِ وَلِيَربِطَ عَلىٰ قُلوبِكُم وَيُثَبِّتَ بِهِ الأَقدامَ
(Ingatlah), ketika Allah menjadikan kamu mengantuk sebagai suatu penenteraman daripada-Nya, dan Allah menurunkan kepadamu hujan dari langit untuk menyucikan kamu dengan hujan itu dan menghilangkan dari kamu gangguan-gangguan syaitan dan untuk menguatkan hatimu dan memperteguh dengannya kaki(mu).

Secara logik manusia, orang yang berada dalam ketakutan yang amat sangat di ambang peperangan tidak akan dapat tidur atau mengantuk kerana hormon adrenalin yang tinggi. Namun, sebagai mukjizat dan bantuan ketenangan jiwa, Allah menurunkan rasa mengantuk (النُّعاسَ) kepada para sahabat pada malam hari sebelum perang bermula. Sifat mengantuk ini membuatkan kegelisahan mereka hilang serta-merta dan digantikan dengan rasa aman dari Allah (أَمَنَةً مِّنهُ). Badan pun jadi segar kerana baru sahaja tidur (berehat).

 

إِنَّ في ذٰلِكَ لَعِبرَةً لِّأُولِي الأَبصٰرِ

Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu pengajaran yang memberi insaf bagi orang-orang yang melihat

Ini adalah satu pengajaran sampai bila-bila masa. Kalimah عِبرَةً adalah daripada kata dasar ع ب ر yang bermaksud menyeberangi; pertimbangkan; renungkan; mengambil kira; contoh; pengajaran. Kalau seseorang menyeberangi sungai, dikatakan (عَبَرَ النَّهْرَ) bermaksud: “Dia telah menyeberangi sungai.” Dan tangisan juga adalah عَبْرَة kerana air mata “menyeberang” atau melintas keluar dari kelopak mata ke pipi. Ia adalah sesuatu yang “meluap” dan menyeberang dari dalam (hati/perasaan) ke luar (wajah). Maka عِبرَةً merujuk kepada pengajaran yang boleh menyebabkan kita menangis kerana terkesan dengan pengajaran itu. Dan yang lebih penting, ia adalah sesuatu yang mengubah kita ke arah kebaikan. Tahu sahaja tidak berguna jikalau ia tidak mengubah kita.

Ada banyak pengajaran di dalam perang Badr itu yang boleh mendidik manusia. Antaranya, kemenangan itu bukan di tangan tentera yang lebih ramai dan lebih canggih. Boleh sahaja kumpulan yang nampaknya lemah mengalahkan kumpulan yang lebih besar dan kuat. Allah berfirman tentang satu kumpulan di sejarah lampau di dalam Baqarah:249

قالَ الَّذينَ يَظُنّونَ أَنَّهُم مُّلَـٰقُواْ اللَّهِ كَم مِّن فِئَةٍ قَليلَةٍ غَلَبَت فِئَةً كَثيرَةً بِإِذنِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ مَعَ الصّٰبِرينَ
Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: “Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar”.

Akan tetapi yang boleh mengambil pengajaran itu adalah mereka yang kuat pemikiran sampai mendapat mengambil ibrah dari kesudahan sesuatu perkara. Mereka inilah yang boleh gunakan akal mereka yang waras untuk memikirkan. Mereka inilah yang boleh nampak realiti sesuatu perkara. Mereka tidak hanya melihat dengan kosong sahaja tetapi mereka memikirkan sekali apakah kesudahan yang boleh terjadi. Mereka boleh nampak yang tersurat kerana mereka menggunakan akal mereka.

Kalimah yang digunakan di dalam ayat ini adalah أُولِي الأَبصٰرِ. Kalimah الأَبصٰرِ di sini bermaksud pandangan mata zahir. Ini bukanlah pandangan mata batin atau mata hati kerana kalau yang itu, kalimah yang digunakan adalah أُولِي البَصائِر. Akan tetapi أُولِي الأَبصٰرِ adalah orang yang memandang sesuatu dan bukan lihat secara luaran sahaja tapi lebih mendalam.

Di dalam Al-Qur’an, digunakan tiga kalimah untuk merujuk kepada pandangan mata dan setiap satunya ada perbezaan. Iaitu نظر، بصر dan رأى.

Kalimah نظر bermaksud: melihat bentuk sesuatu.

Kalimah بصر bermaksud: melihat sesuatu dengan mengetahui selok belok serta perincian benda yang dilihat itu.

Kalimah رأى bermaksud: melihat dan mengetahui secara mendalam dan hakikat sesuatu perkara itu.

Di dalam ayat A’raf:198 digunakan ketiga-tiga kalimah ini:

وَتَرىٰهُم يَنظُرونَ إِلَيكَ وَهُم لا يُبصِرونَ
dan engkau nampak benda-benda itu memandangmu padahal mereka tidak melihat.

Kalau kita gunakan definisi setiap kalimah ‘melihat’ itu, maka terjemahannya adalah begini: “Engkau wahai Muhammad melihat mereka dengan pandangan yang disertai dengan pandangan yang mendalam (رأى), mereka melihatmu dengan pandangan yang terbatas pada sekadar melihat sosokmu (نظر) dan mereka tidaklah melihatmu dengan penglihatan yang menjadikan mereka mengetahui selok belok dan perincian yang berkaitan dengan peribadimu (بصر).”

Baik, sekarang kita sudah sampai ke penghujung Ayat 13 dan kita sudah melihat 3 perkara utama setakat ini.

1. Allah bercakap tentang DiriNya
2. Allah bercakap tentang Wahyu
3. Tentang mereka yang menolak kebenaran dan bagaimana mereka akan dimusnahkan.

Telah disebut secara ringkas 3 perkara ini dan ia akan dikembangkan lagi di dalam ayat-ayat yang mendatang.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 14 Julai 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Ustaz Solah

Tafsir Al-Azhar – Prof Hamka

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Dorar.net

Tafsir Surah Ali Imran Ayat 12 (Orang Kafir akan dikalahkan)

Ali Imran Ayat 12: Azab itu bukan hanya di akhirat sahaja. Di dunia lagi Allah ﷻ sudah boleh tunjuk. Maknanya sekarang diberitahu kepada orang kafir yang mereka akan dapat azab di dunia dan juga di akhirat, dua-dua mereka dapat.

قُل لِّلَّذينَ كَفَروا سَتُغلَبونَ وَتُحشَرونَ إِلىٰ جَهَنَّمَ ۚ وَبِئسَ المِهادُ

SAHIH INTERNATIONAL
Say to those who disbelieve, “You will be overcome and gathered together to Hell, and wretched is the resting place.”

MALAY
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir itu: “Kamu akan dikalahkan (di dunia ini) dan akan dihimpunkan (pada hari kiamat) ke dalam neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat yang disediakan”.

 

قُل لِّلَّذينَ كَفَروا

Katakanlah kepada orang-orang kafir itu: 

Allah ﷻ suruh Nabi Muhammad sendiri beri ancaman kepada orang-orang kafir itu. Orang Kafir yang dimaksudkan dalam ayat ini boleh jadi sama ada musyrikin Mekah, Nasara atau Yahudi. Iaitu mereka yang menentang ajaran wahyu.

Allah menggunakan kalimah لِّلَّذينَ كَفَروا di dalam ayat ini. Dari segi kehalusan sastera Al-Qur’an, ini adalah tajuk الإظهار في مقام الإضمار (Menzahirkan kata nama pada tempat yang sepatutnya diletakkan kata ganti diri). Berdasarkan urutan ayat sebelumnya, Al-Qur’an sepatutnya memadai dengan hanya menggunakan kata ganti nama ringkas seperti “Katakanlah kepada mereka…” (قُلْ لَهُمْ). Namun, Allah memilih untuk menyebutnya secara penuh dan nyata: “Katakanlah kepada orang-orang yang kafir…” (قُلْ لِلَّذِينَ كَفَرُوا). Pengulangan label “orang-orang yang kafir” ini berfungsi untuk memberikan impak kecaman yang berat. Ia secara terang-terangan menempelak identiti mereka dan menegaskan bahawa mereka sedang diselar bukan atas faktor peribadi, tetapi disebabkan oleh jenayah kekufuran yang mereka pilih.

Kenapa Nabi Muhammad yang kena sampaikan? Allah boleh sahaja turunkan ayat yang khitab kepada mereka. Tapi Allah suruh Nabi sampaikan kerana mereka ada masalah dengan baginda. Puak Yahudi contohnya, terima Allah sebagai Tuhan. Akan tetapi mereka tidak dapat terima Nabi Muhammad sebagai Nabi Akhir Zaman yang mereka tunggu-tunggu selama ini. Maka Nabi sendiri kena sampaikan kepada mereka. Musyrikin Mekah pula terima Allah sebagai Tuhan, dan mereka juga tidak dapat terima Nabi Muhammad sebagai Nabi lantikan Allah, bukan? Maka Nabi disuruh menzahirkan autoriti baginda terhadap mereka.

Ini adalah pengajaran tentang keberanian. Apabila Allah suruh Nabi berkata begini, ia adalah ketika Islam tidaklah kuat mana lagi. Tapi apabila Allah suruh, baginda lakukan. Begitulah juga kita dalam berdakwah, kadangkala kena cakap perkara yang boleh menyebabkan orang yang mendengarnya tersentap. Akan tetapi kita tetap kena lakukan. Tapi kita kena ikutlah cara Rasulullah. Baginda bukanlah berkata dengan nada yang sombong, akan tetapi dengan cara memberitahu sesuatu yang benar, tanpa diselindung.

Jadi ayat ini menjadi dalil kita wajib sampaikan ancaman Allah di dalam ayat-ayat Al-Qur’an. Tapi adakah kita telah sampaikan? Nabi Muhammad dan para sahabat sudah sampaikan, tapi adakah kita sudah sampaikan? Bagaimana kita hendak sampaikan kalau kita sendiri tidak faham dengan ajaran Al-Qur’an? Maka ini adalah tamparan hebat kepada kita. Bagaimana kita hendak berdakwah kalau kita sendiri tidak tahu agama sendiri?

Jadi Al-Qur’an ini bukan untuk umat Islam sahaja tapi untuk semua manusia termasuk orang kafir. Mungkin ada orang Islam yang sangka Al-Qur’an ini hanya untuk umat Islam sahaja. Dan ini adalah salah faham. Ini amat menyedihkan sekali kerana orang Islam sendiri tidak faham ajaran Al-Qur’an. Maka sekarang ia menjadi tugas kita untuk membumikan ajaran Al-Qur’an ini. Tentunya kita kena mulakan dengan umat Islam sendiri supaya ramai-ramai boleh sampaikan kepada orang lain juga.

 

سَتُغلَبونَ

Kamu pasti akan dikalahkan

Ini adalah kata-kata yang Allah suruh sampaikan kepada golongan kafir terutama sekali kepada golongan Yahudi. Ini adalah kata-kata yang berat kerana ketika itu umat Islam bukannya kuat. Akan tetapi Nabi Muhammad berkata dengan keyakinan yang tinggi kepada mereka kerana Allah yang suruh sampaikan. Maknanya kemenangan itu sudah pasti.

Dan inilah pemberitahuan yang kena disampaikan kepada golongan kafir itu. Allah ﷻ hendak beritahu yang mereka pasti akan dikalahkan oleh umat Islam. Memang waktu itu mereka nampak mereka kuat, tetapi nanti mereka pasti akan dikalahkan. Mereka memang kaya dan kuat akan tetapi kekayaan dan kekuasaan yang mereka ada itu tidak akan dapat memenangkan mereka dan menyelamatkan mereka dari kekalahan. Kalah atau menang di tangan Allah.

Huruf س di dalam kalimah ini membawa maksud ‘akan’. Dan ia akan berlaku tidak lama lagi (Lil-Istiqlal al-Qarib). Sebagai contoh, golongan Yahudi akhirnya dihalau semuanya keluar dari Madinah.

Deklarasi umum kepada orang kafir ini mempunyai beberapa kepentingan:

1. Ia menguji iman orang Islam. Adakah mereka akan percaya kepada janji Allah ini? Atau adakah mereka hanya akan lihat situasi semasa? Hanya yang kuat iman sahaja akan berpegang dengan janji Allah ini.
2. Ia akan menakutkan orang kafir. Dan apabila takut, mereka akan jadi lemah dan kekuatan mereka pun akan menurun. Mereka mungkin tidak beriman, akan tetapi sedikit sebanyak mereka akan terfikir: (biar betul, apa yang dia tahu sampai berani kata begitu?)
3. Nanti apabila apa yang disebut itu benar-benar berlaku, maka ia akan menjadi satu dalil tentang kebenaran Islam dan kebenaran janji Allah. Maka ia akan menjadi modal bagi orang lain untuk beriman.
4. Ia mungkin nampak keras, akan tetapi ada rahmah di dalam pernyataan ini. Ia memberi peluang kepada orang kafir itu untuk mengubah diri mereka. Mereka masih lagi ada masa. Maknanya Allah tidak terus musnahkan mereka akan tetapi masih beri peluang lagi kepada mereka. Tidakkah ini rahmah?

Ketika ayat ini diturunkan, umat Islam bukannya kuat lagi. Tapi Allah telah janjikan kemenangan kepada mereka. Ini kerana Allah hendak beritahu, kemenangan umat Islam nanti bukanlah kerana mereka kuat, akan tetapi kerana Allah akan tolong. Dan kenapa Allah tolong? Kerana mereka beriman. Allah berfirman di dalam Ghafir:51

إِنّا لَنَنصُرُ رُسُلَنا وَالَّذينَ ءآمَنوا فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا وَيَومَ يَقومُ الأَشهٰدُ
Sesungguhnya Kami tetap membela serta mempertahankan Rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman – dalam kehidupan dunia ini dan pada saat bangkitnya saksi-saksi (pada hari kiamat)

Tapi persoalannya sekarang, kenapa umat Islam sekarang tak menang-menang? Asyik lemah sahaja, asyik kalah sahaja. Ini kerana sekarang kita tidak beriman, jadi Allah tak tolong. Kerana Allah memang berjanji untuk menangkan umat Islam, tapi ada syaratnya: ءآمَنوا iaitu mereka kena beriman. Ini tafsir Al-Qur’an pun tidak tahu, bagaimana Allah akan tolong? Maka kita kenalah kembali kepada Allah, belajarlah tafsir Al-Qur’an ini dan agama dengan benar, kemudian amalkan, barulah Allah akan bantu kita. Dan Allah telah berfirman di dalam Mujadilah:21

كَتَبَ اللهُ لَأَغلِبَنَّ أَنا وَرُسُلي ۚ إِنَّ اللهَ قَوِيٌّ عَزيزٌ
Allah telah menetapkan: “Aku dan rasul-rasul-Ku pasti menang”. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.

Mungkin ada yang mengkritik ayat ini kerana umat Islam zaman sekarang sedang lemah, takkan boleh mengalahkan orang kafir sekarang. Akan tetapi ayat ini bukannya tentang sepanjang zaman. Tapi ia adalah tentang musuh umat Islam ketika ayat ini diturunkan. Iaitu puak Musyrikin Mekah yang dikalahkan di dalam banyak peperangan dengan tentera Muslim dan akhirnya Mekah ditakluk oleh umat Islam. Ia juga merujuk kepada musuh lagi satu iaitu puak Yahudi yang juga dikalahkan oleh umat Islam di Madinah. Sampaikan mereka dihalau keluar dari Semenanjung Arab ketika itu. Tapi itu ketika umat Islam kuat imannya, sekarang iman sudah lemah, maka bantuan Allah tidak kunjung tiba kerana syarat tidak dipenuhi.

Maka kita kena kuatkan kembali Islam. Dengan apa? Dengan kekuatan tentera kah? Ya boleh, tapi itu tidak memastikan kemenangan. Kerana orang kafir lagi banyak duit dan mereka memang bekerjasama sesama mereka untuk mengalahkan  umat Islam. Allah beritahu kita akan hal ini di dalam Anfal:36

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا يُنفِقونَ أَموٰلَهُم لِيَصُدّوا عَن سَبيلِ اللَّهِ ۚ فَسَيُنفِقونَها ثُمَّ تَكونُ عَلَيهِم حَسرَةً ثُمَّ يُغلَبونَ
Sesungguhnya orang-orang yang kafir menafkahkan harta mereka untuk menghalangi (orang) dari jalan Allah. Mereka akan menafkahkan harta itu, kemudian menjadi sesalan bagi mereka, dan mereka akan dikalahkan.

Perhatikan bagaimana orang kafir sanggup mengeluarkan harta mereka untuk menjatuhkan Islam. Sekarang kita terbalik! Tidak sanggup infak untuk dakwah. Jadi soalan kepada umat Islam adalah: adakah kalian wahai orang Islam sanggup untuk mengeluarkan harta kalian untuk menyelamatkan Islam? Kalau kita baca tentang pengorbanan para sahabat, malu kita. Mereka sanggup korbankan harta dan nyawa mereka untuk menegakkan Islam. Tapi kita? Untuk dakwah ajak orang kepada Tauhid pun takut!

Maka ayat ini beritahu sekali lagi kepada kita yang mereka berusaha untuk mengalahkan umat Islam akan tetapi mereka akan dikalahkan. Tapi bukanlah dengan kekuatan tentera sahaja, tapi dengan kekuatan iman. Dan jihad tentunya memerlukan pengorbanan harta dan jiwa.

Tapi yang utama adalah kena ada ilmu dahulu, barulah semua itu sanggup dikorbankan. Maka kembalilah betul-betul kepada Al-Qur’an. Barulah kita tidak buat benda mengarut, amalan mengarut, dan lagha dengan dunia sahaja. Banyak masalah kita ini sekarang kerana sudah lama jauh dari Al-Qur’an sebenarnya. Ia bukan senang kerana banyak pihak akan menentang kita apabila kita sampaikan ajaran Al-Qur’an yang benar. Akan tetapi kita tetap kena berusaha.

Kerana kita mahu selamat di dunia dan di akhirat. Jangan kita berterusan lemah sahaja. Kalau kita lemah, kita ditindas, ditekan, dipijak. Hendak dakwah agama Islam pun susah. Jangan kita rasa kita hanya layak jadi orang lemah sahaja sampai bila-bila. Lihatlah sejarah umat Islam di zaman dahulu. Asalnya mereka memang nampak lemah tapi Allah beri kekuatan kerana keimanan mereka yang kuat. Umat terdahulu boleh berdakwah sampai ke negara lain kerana kekuatan yang ada. Kalau ada yang buat pasal, mereka akan ditundukkan oleh Kerajaan Islam. Sampaikan orang Yahudi yang kaya dan kuat pun boleh dikeluarkan dari Madinah setelah beribu tahun duduk di situ. Perhatikan Hashr:2

هُوَ الَّذيٓ أَخرَجَ الَّذينَ كَفَروا مِن أَهلِ الكِتٰبِ مِن دِيٰرِهِم لِأَوَّلِ الحَشرِ ۚ ما ظَنَنتُم أَن يَخرُجوا ۖ وَظَنّوآ أَنَّهُم مّانِعَتُهُم حُصونُهُم مِّنَ اللهِ فَأَتٰهُمُ اللهُ مِن حَيثُ لَم يَحتَسِبوا ۖ وَقَذَفَ في قُلوبِهِمُ الرُّعبَ
Dialah yang mengeluarkan orang-orang kafir di antara ahli kitab dari kampung-kampung mereka pada saat pengusiran yang pertama. Kamu tidak menyangka, bahawa mereka akan keluar dan mereka pun yakin, bahawa benteng-benteng mereka dapat mempertahankan mereka dari (seksa) Allah; maka Allah mendatangkan kepada mereka (hukuman) dari arah yang tidak mereka sangka-sangka. Dan Allah melemparkan ketakutan dalam hati mereka;

Asbabun Nuzul: Ketika Perang Badr, kaum Yahudi di Madinah menyangka menyangka bahawa tentera Musyrikin Mekah akan menghapuskan umat Islam. Sejurus selepas kemenangan mengejut umat Islam dalam Perang Badar itu, peta geopolitik di Madinah berubah sepenuhnya. Kemenangan besar itu menimbulkan kegerunan kepada musuh, namun di sebalik tabir, ia mencetuskan krisis dalaman yang sangat hebat dalam kalangan masyarakat Yahudi Madinah. Terdapat sebahagian pengikut atau orang awam Yahudi yang mula melihat kebenaran nubuwwah Nabi Muhammad ﷺ, tetapi hasrat mereka dihalang, disekat, dan ditindas oleh pemuka agama serta pembesar mereka sendiri.

Sebelum Perang Badar, orang-orang Yahudi Madinah (Bani Qainuqa’, Bani Nadzir, dan Bani Quraizah) sering memperlekehkan umat Islam. Mereka menyangka umat Islam akan hancur diratah-ratah oleh tentera Quraisy Mekah yang jauh lebih besar dan lengkap.

Apabila berita kemenangan Badar sampai ke Madinah, ramai pengikut Yahudi yang mula tersedar. Dalam kitab-kitab suci mereka (Taurat), telah tertulis ciri-ciri Nabi akhir zaman yang antara lain akan mendapat kemenangan luar biasa walaupun dalam keadaan tertindas dan kekurangan. Oleh itu kemenangan di Badar menjadi bukti nyata di depan mata mereka bahawa Nabi Muhammad ﷺ benar-benar disokong oleh kekuatan langit. Bibit-bibit mahu menerima Islam mula muncul dalam kalangan mereka yang berfikiran lurus.

Melihat trend di mana pengikut mereka mula goyah dan cenderung kepada Islam, para pemuka agama (ahbar) dan pembesar Yahudi (seperti Ka’b ibn al-Ashraf dan Huyayy bin Akhtab) menjadi panik. Bagi mereka, jika pengikut mereka masuk Islam, mereka akan kehilangan kuasa politik dan pengaruh di Madinah. Sumber kewangan mereka juga akan hilang kerana orang awam Yahudi sentiasa membayar ufti, sedekah, dan tunduk kepada fatwa pemuka agama mereka (mereka bayar untuk dapat fatwa yang berpihak kepada mereka). Oleh itu, para pemuka agama Yahudi ini mengambil beberapa tindakan drastik untuk menghalang pengikut mereka

Mereka menyorok dan mengubah teks Taurat. Mereka mula memadam atau menafsirkan semula ayat-ayat dalam kitab Taurat yang menceritakan sifat Nabi Muhammad ﷺ. Mereka meyakinkan pengikut mereka dengan berkata: “Muhammad ini bukanlah Nabi yang disebut dalam kitab kita. Nabi kita sepatutnya dari keturunan Ishak (Bani Israil), bukan keturunan Ismail (Arab).”

Mereka juga melancarkan Perang Psikologi dan Provokasi: Mereka mula berkumpul di pasar-pasar (terutamanya Pasar Bani Qainuqa’) untuk menyebarkan propaganda. Mereka berkata kepada pengikut mereka dan umat Islam: “Jangan terpedaya dengan kemenangan Badr. Muhammad hanya bertuah kerana bertempur dengan orang Quraisy yang tidak tahu berperang. Kalau dia bertempur dengan kita (orang Yahudi), dia akan tahu siapa sebenarnya pahlawan.”

Melihat ketegangan yang semakin memuncak dan tindakan pemuka Yahudi yang menghasut pengikut mereka serta melanggar Piagam Madinah, Rasulullah ﷺ sendiri telah turun ke Pasar Bani Qainuqa’. Baginda mengumpulkan para pembesar dan pemuka agama Yahudi lalu memberikan amaran yang direkodkan oleh sejarawan Ibnu Ishaq:

“Wahai sekalian kaum Yahudi, berhati-hatilah kamu dengan azab Allah yang telah menimpa kaum Quraisy (di Badar). Masuklah Islam (terimalah kebenaran), kerana sesungguhnya kamu telah mengetahui bahawa aku ini adalah seorang Nabi yang diutus. Kamu telah mendapati perkara itu dalam kitab kamu dan perjanjian Allah dengan kamu.”

Namun, ego pemuka agama ini terlalu tinggi. Mereka menolak pelawaan itu dengan sombong dan terus mengunci minda pengikut-pengikut mereka daripada menerima Islam.

Ayat yang kita sedang bincangkan ini turun sebagai jawapan terus (khitab) kepada pemuka-pemuka Yahudi di Madinah yang sombong dan menghalang manusia daripada Islam selepas Perang Badr. Allah menggunakan ayat 13 (kisah Perang Badar) untuk menyedarkan pengikut-pengikut Yahudi yang masih ragu-ragu: “Sesungguhnya telah ada tanda bagi kamu pada dua kumpulan yang bertemu…”

Puak Yahudi itu bukannya menyambut baik atau berfikir secara rasional, tetapi mereka semakin sombong. Puak Yahudi Bani Qainuqa’ menjawab ucapan Nabi Muhammad dengan nada yang sangat sombong dan angkuh. Mereka berkata: “Wahai Muhammad! Janganlah kamu terpedaya (atau berasa bangga) dengan dirimu hanya kerana kamu telah membunuh sekumpulan kaum Quraisy yang tidak tahu menahu tentang taktik perang (tidak pandai berperang). Demi Allah, jika kamu berperang dengan kami, kamu akan tahu bahawa kamilah pendekar yang sebenar, dan kamu tidak akan pernah bertemu lawan seperti kami!”

Jawapan yang angkuh ini menandakan bahawa mereka secara rasmi telah mengisytiharkan permusuhan dan mengoyakkan Piagam Madinah. Rentetan daripada peristiwa ucapan ini, Allah menurunkan wahyu di dalam Surah Ali Imran, ayat 12-13 bagi menjawab kesombongan mereka.

Tidak lama selepas dialog di pasar ini, berlaku satu peristiwa di mana seorang wanita Muslimah diaibkan oleh seorang tukang emas Yahudi Bani Qainuqa’ di pasar tersebut, yang mencetuskan pergaduhan dan pertumpahan darah. Disebabkan mereka telah melanggar perjanjian damai dan menunjukkan penentangan terbuka, Nabi akhirnya mengepung kubu Bani Qainuqa’ selama 15 hari, sehinggalah mereka menyerah kalah dan akhirnya diusir keluar dari Madinah. Bani-bani yang lain akan menyusul tidak lama lagi sehingga akhirnya mereka telah dikeluarkan terus dari Semenanjung Tanah Arab (yang berlaku pada zaman Khalifah Umar).

Pengajaran kepada kita adalah pemuka agama akan menghalang orang bawahan mereka dari pergi kepada orang lain. Kalau golongan pemuka Yahudi itu mereka takut kalau pengikut mereka masuk Islam, maka begitulah juga dari kalangan pemuka agama kita. Kalau pelajar mereka pergi belajar Sunnah, mereka pun akan kehilangan pengaruh dan pendapatan mereka. Maka kerana itu mereka halang dan mereka buat tohmahan sana sini. Apabila dibawa ke Mahkamah, mereka ternyata telah gagal mempertahankan tohmahan mereka itu.

Satu lagi adalah kisah konspirasi Ka’b ibn al-Ashraf. Dia adalah seorang pemuka Yahudi daripada bani Nabhan tetapi ibunya berasal daripada Bani Nadzir (salah satu suku Yahudi utama di Madinah). Dia seorang yang kaya-raya, tampan, penyair yang sangat hebat, dan memiliki pengaruh yang besar di Madinah.

Apabila Perang Badar meletus dan umat Islam mendapat kemenangan yang luar biasa dengan terbunuhnya pembesar-pembesar Quraisy seperti Abu Jahl dan Utbah bin Rabi’ah, Ka’b ibn al-Ashraf tersentak. Dia malah tidak percaya berita itu pada mulanya dan berkata: “Benarkah ini? Mereka (pembesar Quraisy) itu adalah golongan bangsawan Arab dan raja kepada manusia. Jika Muhammad berjaya membunuh mereka, maka perut bumi (mati) adalah lebih baik bagi kita daripada atasnya (hidup).” Apabila berita itu disahkan sahih, maraklah api kebencian dan dendam di dalam hati Ka’b terhadap Nabi Muhammad ﷺ dan umat Islam.

Bagi merealisasikan dendamnya, Ka’b tidak hanya berdiam diri di kubunya di Madinah. Dia mengambil langkah ekstrem dengan bermusafir ke Mekah. Di Mekah, dia menjalankan misi diplomatik dan psikologi dengan membakar semangat Kaum Quraisy. Dia bertemu dengan Abu Sufyan dan pembesar Mekah yang sedang meratapi kekalahan. Ka’b menggunakan kehebatannya mengubah bait-bait puisi ratapan yang sangat menyayat hati bagi menaikkan semula moral orang Mekah yang runtuh, sekali gus menghasut mereka untuk segera melancarkan perang balas dendam (yang kemudiannya mencetuskan Perang Uhud). Kisah dia ini pun ada juga disebut berkaitan dengan Nisa’:51.

Perbuatan Ka’b adalah pencabulan terang-terangan terhadap Piagam Madinah (Sahifah Madinah) yang telah dipersetujui oleh suku-suku Yahudi bersama Nabi Muhammad, di mana mereka wajib mempertahankan Madinah bersama umat Islam daripada ancaman luar, bukannya berpakat dengan musuh luar untuk menyerang Madinah. Setelah berjaya mengikat janji dengan Mekah, Ka’b pulang ke Madinah. Dia memulakan fasa kedua konspirasinya, iaitu merosakkan kestabilan dalaman Madinah. Melalui kedudukan dan hartanya, dia mendanai gerakan-gerakan bawah tanah untuk mencetuskan kembali api permusuhan lama antara suku Aus dan Khazraj, serta menghasut golongan munafik. Tindakan Ka’b ibn al-Ashraf bukan lagi sekadar kebebasan bersuara, tetapi ia adalah pengkhianatan negara tahap tertinggi (high treason). Dia telah menjadi ancaman keselamatan (security threat) yang sangat berbahaya kepada kedaulatan Madinah yang boleh mencetuskan perang saudara.

Melihat keadaan ini, Rasulullah ﷺ bersabda kepada para sahabat: “Siapakah yang sanggup menyelesaikan urusan Ka’b ibn al-Ashraf? Sesungguhnya dia telah menyakiti Allah dan Rasul-Nya.” Seorang pemuda Ansar bernama Muhammad bin Maslamah bersama beberapa orang sahabat (termasuk Abu Na’ilah, yang merupakan saudara susuan Ka’b) menawarkan diri. Menggunakan strategi penyamaran dan taktik psikologi, mereka berjaya memancing Ka’b keluar dari kubunya yang kukuh pada waktu malam dan membunuhnya atas jenayah pengkhianatan berat tersebut. Jadi terbuktilah ayat-ayat Allah yang mengatakan harta mereka tidak akan dapat menyelamatkan mereka dan mereka akan dikalahkan.

 

وَتُحشَرونَ إِلىٰ جَهَنَّمَ

dan akan dihimpunkan ke dalam neraka Jahannam,

Beritahu kepada mereka: Di dunia lagi kamu akan dikalahkan dan di akhirat kelak kamu akan dimasukkan ke dalam neraka. Maknanya mereka tidak akan selamat di akhirat kelak. Di dunia lagi mereka akan dikalahkan, dan di akhirat mereka akan menerima azab seksa.

Perhatikan tiada huruf س di dalam kalimah تُحشَرونَ menjadi ستُحشَرونَ seperti سَتُغلَبونَ. Ini kerana huruf س itu adalah menunjukkan sesuatu yang akan berlaku tidak lama lagi. Sedangkan kejadian akhirat itu akan ambil masa yang lama lagi.

 

وَبِئسَ المِهادُ

dan itulah seburuk-buruk tempat yang disediakan”.

Neraka itu bukanlah tempat berehat tetapi tempat dikenakan azab. Mereka hidup senang dan indah di dunia, tapi balasannya mereka akan merempat dalam neraka nanti! Tidak ada tempat yang lebih buruk daripada neraka itu. Maka sepatutnya kita takut dengan ayat-ayat sebegini dan orang kafir pun sepatutnya takut dengan ancaman ini.

Kalimah المِهادُ sebenarnya adalah buaian. Bayi sedap tidur di dalam buaian kerana mereka rasa tenang dan selesa. Tapi adakah di neraka selesa? Tentu tidak! Maka ini adalah sindiran kepada mereka. Duduklah kamu dalam ‘buaian’ di neraka!

Balaghah: Dibawakan di dalam ancaman ini dengan ungkapan yang paling panjang lebar iaitu dipanggil الإطناب (ithnab) kerana situasi tersebut memang menuntut gaya bahasa yang panjang lebar (maqam ithnab); demi menambahkan lagi pengajaran (nasihat) serta peringatan dengan menceritakan sifat suatu hari yang pernah menimpa mereka, yang mana mereka sendiri sangat mengetahui tentang hari tersebut, iaitu Perang Badar. Lawan kepada الإطناب adalah Ijaz (إيجاز) iaitu diringkaskan banyak ayat Al-Qur’an. Jadi ada ketika Allah akan ringkaskan dan ada ketika Allah akan panjangkan. Semuanya ada sebab yang tersendiri.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 10 Julai 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Dorar.net

Tafsir Surah Ali Imran Ayat 10 – 11 (Harta dan Anak tidak dapat menyelamatkan)

AZAB BAGI GOLONGAN KAFIR

Ali Imran Ayat 10: Ini adalah ayat Takhwif Duniawi. Setelah menyebut tentang kepastian Hari Akhirat dan permintaan doa minta diselamatkan, maka sekarang diseimbangkan pula dengan disebut tentang lawannya, iaitu mereka yang tidak selamat. Memang begitulah selalu Allah imbangkan. Selepas disebut tentang doa orang Mukmin, sekarang disebut tentang orang kafir pula. Allah memberitahu natijah jikalau tidak taat kepadaNya.

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا لَن تُغنِيَ عَنهُم أَموٰلُهُم وَلآ أَولٰدُهُم مِّنَ اللَّهِ شَيئًا ۖ وَأُولٰئِكَ هُم وَقودُ النّارِ

SAHIH INTERNATIONAL
Indeed, those who disbelieve – never will their wealth or their children avail them against Allah at all. And it is they who are fuel for the Fire.

MALAY
Sebenarnya harta benda orang-orang kafir, dan juga anak-pinak mereka tidak sekali-kali akan menyelamatkan mereka dari (azab seksa) Allah sedikit juapun; dan mereka itulah bahan bakaran api neraka.

 

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا لَن تُغنِيَ عَنهُم أَموٰلُهُم

Sesungguhnya orang-orang kafir, harta benda mereka tidaklah dapat menyelamatkan mereka 

Ini adalah tentang mereka yang kafir kerana degil. Kebenaran telah sampai kepada mereka, tapi mereka menolak dan menentang kebenaran itu. Mereka bukan sahaja tidak mahu menerima kebenaran, malah mereka menentang Islam dan berusaha untuk menjatuhkan Islam. Tidak disebut siapakah mereka di dalam ayat ini, jadi ia boleh jadi sesiapa sahaja dan ketika ayat ini diturunkan, ia merujuk kepada kafir Quraisy dan penentang dari kalangan Yahudi dan Kristian.

Di dalam ayat ini, hanya disebut mereka kufur (الَّذينَ كَفَروا) tanpa disebut mereka engkar dengan apa. Jadi ia boleh jadi macam-macam: engkar kufur dengan Allah, dengan hari akhirat, dengan wahyu, dengan Rasulullah, dengan segala rukun iman. Apabila dakwah Islam telah sampai kepada mereka, kebenaran telah dibentangkan kepada mereka, semuanya mereka tolak.

Dalam konteks peperangan, persediaan peperangan dan belanja peperangan sangat tinggi. Kerana itulah belanjawan bagi Kementerian Pertahanan di mana-mana sahaja di dunia ini adalah sangat tinggi. Maka begitu jugalah ketika zaman dahulu, termasuk zaman Rasulullah dan para sahabat. Untuk berperang, memerlukan kenderaan, alat senjata, bekalan makanan, belanja yang perlu ditinggalkan kepada keluarga di rumah dan sebagainya. Ini memerlukan belanja. Dan kalau dibandingkan antara orang kafir dan umat Islam ketika itu, golongan kafir itu lebih banyak harta mereka, persediaan mereka, kekuatan senjata dan tentera mereka. Tapi di sini, Allah kata ia tidak akan dapat memenangkan mereka apabila mereka berperang dengan Allah. Mereka akan dikalahkan oleh tentera orang yang beriman.

Dan tentunya mereka akan dapat bahagian mereka nanti di akhirat. Mereka itu kaya raya di dunia, akan tetapi harta mereka tidak boleh membantu mereka langsung, tidak kira walau kaya macam mana sekalipun. Mereka di akhirat nanti miskin semiskin-miskinnya. Ada penegasan apabila Allah menggunakan kalimah إِنَّ (sesungguhnya) di awal ayat ini. Ia pasti berlaku. Kemudian ditambah lagi dengan kalimah لَن yang bermaksud ‘tidak akan selama-lamanya’.

Kalimah تُغْنِيَ berasal daripada kalimah أَغْنَى yang bermaksud mencukupi, memberi manfaat, melindungi, atau mendatangkan faedah. Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang semua manusia akan dikumpulkan di Mahsyar kelak. Apa yang bernilai pada waktu itu adalah akidah dan amal kita. Harta-benda tidak akan mempunyai nilai langsung dan tidak akan memberi faedah kepada kita. Maka kalau orang ingkar yang kaya, kekayaan mereka itu tidak akan dapat menyelamatkan mereka.

Harta benda dan kekayaan adalah antara perkara yang boleh melalaikan manusia dan menyebabkan manusia sesat. Ini kerana mereka sudah tidak ada rasa bergantung kerana semua senang dapat, masalah pun kurang. Mereka rasa mereka ‘telah cukup’. Maka mereka lupa kepada Allah. Allah telah sebut hal ini di dalam Alaq:6-7

كَلَّا إِنَّ الْإِنسَانَ لَيَطْغَىٰ ۝ أَن رَّآهُ اسْتَغْنَىٰ
“Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas (durhaka/kufur). Kerana dia melihat dirinya telah cukup (kaya/senang).”

Apabila ada duit banyak, memang senang terpesona dengan dunia kerana senang sahaja untuk mereka buat maksiat sana sini. Hendak belajar agama pun sudah kurang, sebab sibuk ke sana sini. Kemudian untuk mendapatkan harta itu pula, ramai yang menggunakan cara yang salah, menipu, riba, dan sebagainya. Maka agama memang jauh dari manusia sebegini. Bukan semua, tapi ramai.

Maka ini mengajar kita, janganlah kita hanya asyik mengumpulkan harta sahaja. Harta banyak mana pun bukannya boleh menyelamatkan kita kalau kita akan dimasukkan ke dalam neraka. Di dunia ya kita pakai harta dan duit, tapi itu pun bukannya pasti boleh selamatkan kita. Harta yang kita cari dan kumpul, tapi kalau tiba-tiba kita jatuh sakit, harta yang dikumpul selama 10 tahun pun dihabiskan dalam masa seminggu sahaja. Kalau ada duit tapi ubat pun tidak ada, tidak ada gunanya juga, bukan? Duit banyak boleh beli apa sahaja makanan, tapi apabila doktor sudah suruh berpantang, tahan sahajalah makan bubur.

Tapi sebenarnya harta itu sendiri tidak bersalah. Hendaklah kita beramal dengan kebaikan dan harta itu hendaklah kita infakkan. Harta yang ada sebenarnya boleh menjadikan peluang untuk kita buat pahala dengan lebih banyak kalau kita ada kesedaran. Maka jadikan ia sebagai peluang untuk pahala, bukannya lubuk untuk dosa. Perhatikan syarah Hadis #25 tentang kelebihan orang yang ada harta dan mereka gunakan kepada kebaikan,

عَنْ أَبِى ذَرٍّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَيْضًا أَنَّ نَاسًا مِنْ أَصْحَابِ رَسُوْلِ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- قَالُوا لِلنَّبِىِّ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- يَا رَسُولَ اللَّهِ ذَهَبَ أَهْلُ الدُّثُورِ بِالأُجُورِ يُصَلُّونَ كَمَا نُصَلِّى وَيَصُومُونَ كَمَا نَصُومُ وَيَتَصَدَّقُونَ بِفُضُولِ أَمْوَالِهِمْ. قَالَ « أَوَلَيْسَ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لَكُمْ مَا تَصَّدَّقُونَ إِنَّ بِكُلِّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةً وَكُلِّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةً وَكُلِّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةً وَكُلِّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةً وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ وَنَهْىٌ عَنْ مُنْكَرٍ صَدَقَةٌ وَفِى بُضْعِ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ ». قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيَأْتِى أَحَدُنَا شَهْوَتَهُ وَيَكُونُ لَهُ فِيهَا أَجْرٌ قَالَ « أَرَأَيْتُمْ لَوْ وَضَعَهَا فِى حَرَامٍ أَكَانَ عَلَيْهِ فِيهَا وِزْرٌ فَكَذَلِكَ إِذَا وَضَعَهَا فِى الْحَلاَلِ كَانَ لَهُ أَجْرٌ » رَوَاهُ مُسْلِمٌ
Daripada Abu Dzarr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata bahawa ada sejumlah orang sahabat Rasulullah ﷺ berkata kepada baginda, “Wahai Rasulullah, orang-orang kaya telah pergi dengan membawa pahala yang banyak, mereka solat sebagaimana kami solat, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa, dan mereka bersedekah dengan kelebihan harta mereka.” Rasulullah ﷺ bersabda, “Bukankah Allah telah menjadikan bagi kalian jalan-jalan lain untuk bersedekah? Sesungguhnya setiap tasbih merupakan sedekah, setiap takbir merupakan sedekah, setiap tahmid merupakan sedekah, setiap tahlil merupakan sedekah, mengajak pada kebaikan (makruf) adalah sedekah, melarang dari kemungkaran adalah sedekah, dan berhubungan intim dengan isteri kalian adalah sedekah.” Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana boleh salah seorang di antara kami melampiaskan syahwatnya lalu mendapatkan pahala di dalamnya? Baginda bersabda, “Bagaimana pendapat kalian seandainya hal tersebut disalurkan di jalan yang haram, bukankah akan mendapatkan dosa? Demikianlah halnya jika hal tersebut diletakkan pada jalan yang halal, maka ia mendapatkan pahala.”

[Sahih Muslim, no. 1006]

 

وَلا أَولٰدُهُم مِّنَ اللَّهِ شَيئً

dan juga anak pinak mereka dari Allah sedikit pun

Allah mengulang kalimah وَلا sebagai taukid (penekanan) kerana anak-anak juga adalah sesuatu yang penting dalam kehidupan manusia. Kalau tidak ada لا pun boleh: إِنَّ الَّذينَ كَفَروا لَن تُغنِيَ عَنهُم أَموٰلُهُم وَأَولٰدُهُم مِّنَ اللَّهِ شَيئًا. Tapi diulang kalimah لا sebagai taukid kerana kepentingan anak pinak.

Dalam konteks ketenteraan, anak-anak ini bermaksud perajurit-perajurit yang dihantar ke medan perang. Memang anak-anak mudalah yang dihantar zaman berzaman, bukan? Golongan kafir itu ramai tentera mereka, malah mereka ada pengalaman yang banyak dalam peperangan. Mereka juga ada senjata yang boleh digunakan oleh perajurit mereka yang ramai. Akan tetapi itu tidaklah dapat memastikan kemenangan mereka kalau Allah tidak izinkan.

Ayat ini diturunkan setelah kemenangan umat Islam di Badr. Quraisy Mekah telah banyak kehilangan harta dan diri mereka kerana kekalahan itu. Dan mereka pulang dan terus membuat rancangan untuk menggunakan kekuatan mereka dan harta mereka untuk menyerang umat Islam di Madinah. Kali ini mereka hendak menggunakan kekuatan yang lebih lagi untuk menang kali ini. Tapi Allah beritahu di sini yang itu tidak bermakna apa-apa. Bukan mereka sahaja, akan tetapi musuh kedua umat Islam adalah Yahudi dan mereka juga diingatkan di dalam ayat ini.

Juga anak atau pengaruh tidak akan menyelamatkan mereka daripada Allah ﷻ di akhirat kelak kerana ia tidak akan berguna sedikit pun. Kalimah مِّنَ اللَّهِ bermaksud من عَذابِ الله (dari azab Allah). Allah menghazafkan kalimah عَذابِ kerana ia telah diketahui. Harta dan anak pinak itu berguna ketika di dunia, bolehlah. Ada duit semua boleh jalan. Kalau anak ramai, macam-macam boleh buat. Tapi itu tidak akan berlaku di akhirat kelak. Allah berfirman di dalam Syuara’:88-89

يَومَ لَا يَنفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ (٨٨) إِلَّا مَن أَتَى ٱللَّهَ بِقَلبٍ سَلِيمٍ (٨٩)
Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun. (88) Kecuali orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik); (89)

Dua perkara yang menyibukkan manusia adalah harta yang disebut tadi, dan sekarang disebut anak pinak pula. Anak pinak pun ada berkaitan dengan harta juga sebenarnya. Ramai yang sibuk mengumpul harta benda kerana untuk kesenangan anak dan mereka hendak simpan untuk kegunaan anak pinak. Ilmu agama dan akhlak tidak diajar kepada anak pinak itu, tetapi harta yang disibukkan untuk mereka. Padahal, harta itu anak pinak boleh cari sendiri apabila mereka sudah dewasa nanti, bukan? Yang penting untuk mereka di waktu kecil adalah pendidikan agama. Malangnya, ramai ibubapa tidak ambil peduli. Alangkah ruginya!

Lagi satu anak pinak ini senang sangat melalaikan kita. Sibuk kita bermain dengan mereka, sibuk kita risau tentang nasib mereka, tentang makan pakai mereka, tentang permainan mereka, sakit pening mereka dan sebagainya. Bukanlah salah, tapi kalau sampai ia melalaikan kita dari agama, dari beribadah dan dari mendalami ilmu agama, maka ia jadi buruk. Kerana itu ada yang kalau kita ajak kelas agama, sibuk kerana anak hendak peperiksaan, hendak hantar anak ke tuisyen, anak ada program itu dan ini. Jadi lemah ilmu agama kerana sibuk dengan anak sahaja akhirnya.

Balaghah: Kenapa Allah sebut harta dulu sebelum anak? Susunan perkataan di dalam Al-Qur’an tidak pernah berlaku secara kebetulan. Setiap perkataan yang didahulukan atau dikemudiankan mempunyai rahsia balaghah (keindahan bahasa) dan ketepatan psikologi yang sangat tinggi.

1. Dari sudut realiti kehidupan manusia, seseorang itu biasanya akan mencari dan memiliki harta terlebih dahulu sebelum mereka berkahwin dan dikurniakan anak. Harta menjadi wasilah (jalan) untuk membina keluarga. Maka, susunan ayat ini mengikut kronologi tabi’i kehidupan manusia di dunia.

2. Semua manusia di dunia ini sama ada lelaki, wanita, orang tua, orang muda, malah orang yang mandul sekalipun, mempunyai keinginan dan kecenderungan yang sangat kuat terhadap harta. Namun, tidak semua orang mempunyai anak. Ada orang kaya yang tidak dikurniakan zuriat, dan ada golongan muda yang belum masanya memiliki anak. Oleh itu, Allah mendahulukan harta kerana fitnah (ujian) harta itu bersifat lebih umum dan terkena kepada setiap lapisan manusia berbanding anak.

3. Konteks ayat 10 ini sedang berbicara tentang orang-orang kafir. Dalam sejarah manusia, alat utama yang paling kerap menyebabkan manusia menjadi sombong, melampaui batas, dan kufur kepada Allah adalah kekayaan harta benda. Contohnya seperti Qarun, Firaun, dan pembesar Quraisy. Mereka menolak dakwah para Nabi kerana mereka merasa “cukup” dan berkuasa dengan harta yang mereka ada. Sifat anak-anak biasanya hanyalah sebagai penyokong atau penguat (contohnya sebagai tentera) kepada kekayaan tersebut. Oleh itu, punca utama kesombongan (harta) didahulukan.

4. Manusia menghabiskan majoriti waktu hidupnya setiap hari (pagi hingga malam) untuk keluar bekerja demi mencari harta. Walaupun mereka menyayangi anak-anak, usaha dan fikiran manusia secara harian lebih banyak terarah kepada pengurusan harta dan ekonomi. Kadang mereka kata mereka cari harta untuk anak. Akan tetapi mereka mencari harta sampai anak terabai. Anak tidak mendapat kasih sayang ayah, anak tidak mendapat pendidikan agama.

Asbabun Nuzul: Selepas kejayaan umat Islam di Badr, puak Yahudi telah telah cuba menyakitkan perasaan para sahabat yang baru pulang daripada kemenangan Badr. Yahudi kata apa yang para sahabat itu baru hadapi  tidak ada apa-apa sebenarnya; dan mereka kata nanti puak Islam akan menghadapi masalah dan tentangan yang lebih besar (dari mereka). Mereka kata orang Mekah itu tidaklah hebat mana. Mereka (Yahudi) itu lagi hebat. Mereka lagi kaya dan berkuasa, kata mereka. Maka Allah ﷻ turunkan ayat ini untuk memberitahu yang harta dan anak pinak puak kafir itu tidak akan dapat membantu mereka apa-apa pun. Jangan mereka sangka mereka akan selamat dan menang kalau menentang umat Islam. Jangan bangga diri dengan kelebihan keduniaan yang ada.

Harta, anak dan segala kesenangan di dunia ini boleh melalaikan. Apabila hidup senang, manusia ada sangka mereka sudah ‘cukup’, tidak memerlukan sesiapa lagi, tidak memerlukan rahmat Allah lagi. Mereka sangka mereka insan ‘terpilih’. Jadi mereka sangka mereka akan berterusan dapat kesenangan. Mereka sangka Allah sayang mereka, sebab itu beri kesenangan kepada mereka di dunia lagi. Mereka dibuai oleh keindahan dunia. Mereka sangka di akhirat pun mereka akan selamat kerana kalau di dunia sudah senang, maka tentulah di akhirat pun begitu juga. Inilah falasi yang ada dalam diri orang yang jahil. Syaitan bagi mereka rasa mereka sudah selamat, padahal tidak!

Berapa ramai yang gagal dengan ujian Allah ini. Ada yang asalnya duduk di kampung, baik sahaja. Sampai masa solat, berjemaah dia solat. Tapi ada yang dapat peluang duduk di bandar seperti KL, sudah lain jadinya. Nampak kehidupan bergemerlapan, dengan segala hiburan sana dan sini, solat pun sudah lupa. Sudah rasa senang, sudah rasa gembira dengan kehidupan.

Inilah sindrom yang banyak kena kepada kita semua. Iaitu apabila kita susah, kita senang ingat Allah; senang hendak solat, banyak berdoa dan banyak berharap kepada Allah. Akan tetapi apabila kita sudah senang, semakin kurang ingat kepada Allah, sudah kurang berharap. Seolah-olah kita ini ingat kepada Allah ketika susah sahaja. Allah berfirman tentang hal ini di dalam Yunus:12

وَإِذا مَسَّ الإِنسٰنَ الضُّرُّ دَعانا لِجَنبِهِ أَو قاعِدًا أَو قائِمًا فَلَمّا كَشَفنا عَنهُ ضُرَّهُ مَرَّ كَأَن لَّم يَدعُنا إِلىٰ ضُرٍّ مَّسَّهُ ۚ كَذٰلِكَ زُيِّنَ لِلمُسرِفينَ ما كانوا يَعمَلونَ
Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah dia kepada Kami (dalam segala keadaan), sama ada dia sedang berbaring atau duduk ataupun berdiri; dan manakala Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, dia terus membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon hapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya (sebagaimana dia memandang eloknya bawaan itu) demikianlah diperelokkan pada pandangan orang-orang yang melampau apa yang mereka lakukan.

Dalam psikologi barat, terdapat satu pepatah popular yang berbunyi: “There are no atheists in foxholes” (Tidak ada orang ateis di dalam kubu perang yang sedang dihujani peluru). Maksudnya: Seseorang yang dalam keadaan biasa (senang/selamat) menolak, mengabaikan, atau tidak mempedulikan Tuhan. Namun, apabila mereka berhadapan dengan situasi hidup dan mati (seperti kemalangan, peperangan, kesakitan kronik, atau bankrap), minda mereka secara automatik mengaktifkan survival mechanism dan mula berdoa atau berjanji kepada Tuhan demi menyelamatkan diri.

Sifat sindrom ini ialah janji palsu. Sebaik sahaja ancaman atau kesusahan itu hilang, mereka kembali kepada tabiat lama dan melupakan “Tuhan” yang mereka sembah ketika cemas tadi. Dalam istilah Islam, ia dipanggil الإِيمَانُ الِاضْطِرَارِيُّ (Keimanan yang hanya muncul ketika seseorang itu berada dalam keadaan tersangat terdesak).

Bagi kita umat Islam, apakah ayat ini mengajar kita? Iaitu segala apa yang kita ada, tidak akan beri keselamatan, kesenangan dan apa-apa kalau Allah tidak izinkan. Kadangkala kita ada rasa bangga, rasa selamat, rasa cukup apabila kita ada itu dan ini; tidak kiralah sama ada ia harta, duit berkepuk dalam bank, pengikut yang ramai, kuasa politik, apa-apa sahaja. Semua itu tidak ada nilainya kalau Allah tidak beri izin. Kita hendaklah sentiasa bergantung kepada Allah, berharap kepada Allah, merendahkan diri kepada Allah.

Juga kita sepatutnya sedar bahawa apa sahaja yang kita ada di dunia ini adalah sementara sahaja. Allah boleh beri dan Allah boleh tarik dari kita dan kita sampai boleh muflis. Ingatlah yang kita tidak pernah terpisah dari kehendak Allah. Apa sahaja yang kita lakukan, tertakluk kepada kehendak Allah.

Ia juga mengajar kita yang harta dan kuasa boleh memabukkan manusia dan menjadikan mereka jauh dari agama, jauh dari Allah. Ini apabila mereka memandang tinggi dengan apa yang mereka ada. Tapi kalau kita melihat segala kesenangan dan nikmat itu sebagai ujian, maka kita akan selamat. Kaya atau tidak, lemah atau kuat, kita tetap orang yang sama dengan Allah. Kita tetap berbaik dengan manusia yang lain, tidak berubah. Kerana kita tahu, kekayaan dan kuasa itu adalah sementara sahaja, bukan ada apa-apa pun.

Akan tetapi kalau kita gagal dalam ujian ini, maka segala nikmat itu adalah istidraj bagi kita. Ia nampak sebagai nikmat, tapi sebenarnya ia adalah punca kejatuhan kita nanti. Kalau tidak di dunia, di akhirat.

 

وَأُولٰئِكَ هُم وَقودُ النّارِ

dan mereka itulah bahan bakaran api neraka.

Ini adalah ayat jenis Takhwif Ukhrawi (menakutkan manusia dengan azab di akhirat). Ini adalah kemuncak azab bagi mereka yang akan menjadi bahan bakar api neraka. Harta dan anak pinak banyak tapi kena bakar dengan api neraka, buat apa? Mereka sangka mereka itu bernilai kerana mereka ada banyak harta dan banyak anak, tapi mereka jadi bahan bakar sahaja. Bahan bakar di dunia adalah sesuatu yang tidak bernilai seperti kayu kering, bukan? Maka Allah samakan mereka dengan kayu kering yang tidak bernilai.

Dan neraka jangan buat main-main. Ada taukid (penegasan) dengan penambahan kalimah هُم di dalam ayat ini. Kalau tidak ada pun, sudah lengkap sebenarnya. Api neraka sampai takut dengan penambahan ahli neraka sebab neraka akan jadi semakin panas apabila bertambah ramainya ahli neraka. Ini kerana semakin ramai ahli neraka, semakin menyebabkan neraka itu sendiri menjadi sakit disebabkan bertambah kepanasannya. Ini kerana tubuh badan ahli neraka itu sendiri jadi bahan bakar! Bayangkan neraka yang memang kerjanya bakar orang pun rasa panas dengan penambahan ahli neraka. Setiap kali masuk seorang ahli baru, semakin naik suhu kepanasan. Neraka pun tidak tahan seperti disebut di dalam satu hadis,

اشْتَكَتِ النَّارُ إِلَى رَبِّهَا، فَقَالَتْ: رَبِّ أَكَلَ بَعْضِي بَعْضًا، فَأَذِنَ لَهَا بِنَفَسَيْنِ: نَفَسٍ فِي الشِّتَاءِ وَنَفَسٍ فِي الصَّيْفِ، فَأَشَدُّ مَا تَجِدُونَ مِنَ الحَرِّ، وَأَشَدُّ مَا تَجِدُونَ مِنَ الزَّمْهَرِيرِ
“Neraka telah mengadu kepada Tuhannya lalu berkata: ‘Wahai Tuhanku, sebahagian dariku telah memakan (merosakkan) sebahagian yang lain (kerana terlalu panas).’ Maka Allah mengizinkan bagi neraka untuk bernafas sebanyak dua kali: sekali nafas pada musim sejuk dan sekali nafas pada musim panas. Maka (nafas itulah) yang menjadi punca cuaca paling panas yang kamu rasakan, dan cuaca paling sejuk (ekstrem) yang kamu rasakan.”

Sahih al-Bukhari: No. Hadis: 3260; Sahih Muslim: No. Hadis: 617

Untuk takut dengan neraka (dan supaya kita jangan buat dosa), maka kita hendaklah banyak baca ayat-ayat tentang Neraka. Ramai yang seolah-olah tidak takut dengan neraka sebab neraka ini tidak nampak lagi depan mata. Tapi ia boleh dibayangkan kalau kita selalu baca ayat-ayat tentangnya. Adakah kita sangka kita orang Islam tidak dimasukkan ke dalam neraka?! Adakah kita sangka kita tidak boleh dijadikan bahan bakar api neraka juga? Tidak? Jadi kenapa Allah suruh kita mengelak dari menjadi bahan bakar api neraka? Allah telah berfirman di dalam Tahreem:6

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا قوا أَنفُسَكُم وَأَهليكُم نارًا وَقودُهَا النّاسُ وَالحِجارَةُ
Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu;


 

Ali Imran Ayat 11: Sekarang diberikan contoh puak yang gagal dalam sejarah dahulu.

كَدَأبِ ءَالِ فِرعَونَ وَالَّذينَ مِن قَبلِهِم ۚ كَذَّبوا بِـَٔايَـٰتِنَا فَأَخَذَهُمُ اللَّهُ بِذُنوبِهِم ۗ وَاللَّهُ شَديدُ العِقابِ

SAHIH INTERNATIONAL
[Theirs is] like the custom of the people of Pharaoh and those before them. They denied Our signs, so Allah seized them for their sins. And Allah is severe in penalty.

MALAY
(Keadaan orang-orang kafir itu) sama seperti keadaan kaum Firaun, dan orang-orang yang terdahulu dari mereka; mereka mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, lalu Allah menyeksa mereka disebabkan dosa-dosa mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha berat azab seksaNya.

 

كَدَأبِ ءَالِ فِرعَونَ وَالَّذينَ مِن قَبلِهِم

sama seperti keadaan kaum Firaun, dan orang-orang yang terdahulu daripada mereka;

Kalimah كَدَأبِ bermaksud ‘seperti kebiasaan’. Kalimah دَأبِ bermaksud pekerjaan yang dilakukan dengan penuh kesungguhan dan berulang-ulang sehingga menjadi kebiasaan dan berterusan. Sekarang Allah menggunakan kaedah tashbih (perumpamaan). Allah gunakan contoh Firaun sekurang-kurangnya kerana dua sebab:

1. Persamaan dari sudut menolak kebenaran. Mereka yang degil itu sama sahaja dengan Firaun dan pengikutnya.
2. Persamaan dari sudut akibat iaitu mereka akan diseksa nanti. Seksaan yang menimpa Firaun dan golongan sebelum mereka adalah kerana kederhakaan  mereka yang berulang dan berterusan. Kalau degil dengan Allah, nasib yang sama juga akan menimpa pelakunya.

Yang dimaksudkan dengan ‘sebelum mereka’ itu adalah seperti kaum Nabi Nuh, Nabi Saleh, Nabi Hud dan sebagainya.

Kenapa disebut tentang Firaun pula? Kerana golongan Yahudi tahu sangat kisah Nabi Musa dengan Firaun itu. Dan mereka tahu sangat tentang kehancuran Firaun itu. Akan tetapi Allah menempelak mereka kerana mereka bersekongkol dengan golongan yang seperti Firaun, bukannya dengan Nabi Musa dan Nabi Muhammad! Sepatutnya mereka bacalah kembali sejarah mereka dan ambil pengajaran.

Dan ia mengajar kita yang Firaun yang seorang itu mungkin sudah mati, tapi perangai dia boleh sahaja ada pada manusia yang lain. Zaman berubah, tapi sikap Firaun akan ada sahaja di kalangan manusia kerana sejarah berulang. Dalilnya adalah sabda Rasulullah tentang Abu Jahl,

أَتَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ بَدْرٍ، فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَدْ قَتَلَ اللَّهُ أَبَا جَهْلٍ. قَالَ: آللَّهِ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ؟ قُلْتُ: آللَّهِ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ. فَانْطَلَقَ مَعِي حَتَّى أَرَاهُ، فَلَمَّا وَقَفَ عَلَيْهِ قَالَ: هَذَا فِرْعَوْنُ هَذِهِ الْأُمَّةِ
“Aku (Ibnu Mas’ud) menemui Nabi ﷺ pada hari Perang Badar lalu aku berkata: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah telah membunuh Abu Jahl.’ Baginda bertanya: ‘Demi Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia (benarkah)?’ Aku menjawab: ‘Demi Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia.’ Lalu Baginda berjalan bersamaku sehinggalah aku memperlihatkannya (jasad Abu Jahl). Apabila Baginda berdiri di hadapannya, Baginda bersabda: ‘Ini adalah Firaun bagi umat ini.'”

Rujukan: Hadis ini direkodkan di banyak kitab-kitab seperti Al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibnu Hisham, Kitab Al-Maghazi oleh Imam Al-Waqidi, Kitab Dala’il al-Nubuwwah oleh Imam al-Baihaqi, Kitab Musnad Ahmad oleh Imam Ahmad bin Hanbal dan lain-lain lagi.

Dalam istilah, ia menjadi kata kerja تَفَرْعَنَ (Tafar’ana): Dia telah melakukan perbuatan (seperti) perbuatan Firaun.

Dan Firaun dan kerajaannya adalah contoh apabila harta dan kuasa dipandang tinggi sampai menjauhkan dari Allah. Dari segi sosial, apabila sesuatu kerajaan, masyarakat atau kumpulan manusia itu kaya dan berpengaruh, mereka akan dipandang tinggi oleh kebanyakan masyarakat dan mereka akan ditiru. Cara hidup, cara berpakaian, cara bercakap dan macam-macam lagi akan ditiru. Begitulah yang terjadi dengan kerajaan Mesir pada zaman Firaun itu. Mereka telah mencapai satu kejayaan keduniaan yang tinggi sampaikan negara sekeliling memandang tinggi kepada mereka dan hendak mencontohi kerajaan Mesir ketika itu. Allah berfirman di dalam Yunus:88

وَقالَ موسىٰ رَبَّنا إِنَّكَ ءآتَيتَ فِرعَونَ وَمَلَأَهُ زينَةً وَأَموٰلًا فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا رَبَّنا لِيُضِلّوا عَن سَبيلِكَ
Dan Nabi Musa pula (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada Firaun dan ketua-ketua kaumnya barang-barang perhiasan dan harta benda yang mewah dalam kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan kami! (Kemewahan yang Engkau berikan kepada mereka) akibatnya menyesatkan mereka dari jalanMu (dengan sebab kekufuran mereka). 

Kejayaan mereka itu menjadi punca kepada kesesatan manusia. Begitulah yang terjadi zaman berzaman. Manusia yang lemah akalnya akan memandang kepada kejayaan keduniaan. Kerana itu yang menjadi idola masyarakat adalah golongan kaya, artis, ahli sukan, ahli politik dan sebagainya.

Kenapa digunakan ءَالِ فِرعَونَ di sini? Kadang-kadang digunakan pula المَلَأُ seperti di dalam A’raf:127 وَقالَ المَلَأُ مِن قَومِ فِرعَونَ (Dan berkatalah pula Ketua-ketua dari kaum Firaun). Kalimah ءَالِ selalunya digunakan untuk ahli keluarga. Digunakan ءَالِ di sini kerana dinasti Firaun adalah berasaskan kekeluargaan. Firaun mungkin meletakkan kaum kerabat dia di tampuk pemerintahan. Namun dalam bahasa Arab (dan konteks Al-Qur’an), ia mempunyai makna yang jauh lebih luas, iaitu sesiapa sahaja yang mengikut pegangan, agama, atau bernaung di bawah kepimpinan seseorang. Jadi ءَالِ فِرعَونَ merujuk kepada seluruh pengikut Firaun, merangkumi ahli keluarganya, bala tenteranya, golongan menteri, sehinggalah kepada rakyat jelata Mesir (kaum Qibti) yang taat dan menyembah Firaun.

Sedangkan المَلَأُ secara bahasanya bermaksud “pengisi” atau “sesuatu yang memenuhi”. Dalam konteks masyarakat, ia merujuk kepada golongan pembesar, bangsawan, menteri, atau penasihat tertinggi yang memenuhi majlis perhimpunan Firaun. Mereka adalah kumpulan elit yang mempunyai kuasa politik, harta, dan pengaruh (seperti Haman dan Qarun). Jadi mereka ini lebih khusus dan termasuk juga di dalam ءَالِ فِرعَونَ.

Kenapa banyak kali Allah sebut ءَالِ فِرعَونَ di dalam Al-Qur’an? Kenapa tidak sebut Firaun sahaja? Kerana mereka ini enabler dia. Kerana merekalah sokong Firaun. Kalau mereka tidak ada, Firaun pun tidak boleh buat apa-apa sebab dia seorang diri sahaja, lemah dari segi fizikal. Oleh kerana orang di sekeliling dia juga bersalah, maka mereka disebut sekali. Sifat mereka dalam Al-Qur’an disebut sebagai penggerak utama (mastermind) di sebalik kezaliman Firaun. Merekalah yang menghasut Firaun, memberi idea-idea jahat, dan menentang Nabi Musa secara terang-terangan kerana takut kedudukan elit mereka tergugat.

Kenapa mereka degil? Kekufuran golongan kafir itu kerana ada bersangkutan dengan harta juga. Ini seperti yang berlaku kepada Firaun juga. Disebabkan dia kaya dan ada pengaruh besar, maka dia tidak mahu mendengar dakwah Nabi Musa عليه السلام. Bukan hanya Firaun sahaja, malah kaum terdahulu pun menentang Nabi mereka kerana sebab yang sama. Ini memang kebiasaan yang berlaku zaman berzaman. Allah berfirman tentang hal ini di dalam Saba’:34

وَما أَرسَلنا في قَريَةٍ مِّن نَّذيرٍ إِلّا قالَ مُترَفوها إِنّا بِما أُرسِلتُم بِهِ كٰفِرونَ
“Dan Kami tidak mengutus kepada sesuatu negeri seorang pemberi amaran pun, melainkan orang-orang yang hidup mewah di negeri itu berkata: ‘Sesungguhnya kami kufur (ingkar) terhadap apa yang kamu diutus untuk membawanya’.”

Kerana sayangkan keduniaanlah, Musyrikin Mekah melawan Nabi Muhammad ﷺ kerana baginda merupakan seorang anak yatim dan miskin. Mereka amat berbangga dengan harta dan pengaruh yang ada pada mereka. Puak kafir yang menentang Islam akan mendapat nasib yang sama macam yang telah dikenakan kepada Firaun.

Begitulah harta dan anak-anak boleh menyebabkan manusia kafir. Dan ini juga ada disebut di dalam Muddaththir:9-13

فَذٰلِكَ يَومَٮِٕذٍ يَومٌ عَسِيرٌ (٩) عَلَى ٱلكَـٰفِرِينَ غَيرُ يَسِيرٍ (١٠) ذَرنِى وَمَن خَلَقتُ وَحِيدًا (١١) وَجَعَلتُ لَهُ ۥ مَالاً مَّمدُودًا (١٢) وَبَنِينَ شُهُودًا (١٣)
Maka saat yang demikian adalah saat (berlakunya) hari yang sukar. (9) Kepada orang-orang kafir, lagi tidak mudah (mengelak azabnya). (10) (Jangan engkau bimbang wahai Muhammad) biarkanlah Aku sahaja membalas orang (yang menentangmu) yang Aku ciptakan dia (dalam keadaan) seorang diri (tidak berharta dan anak pinak), (11) Dan Aku jadikan baginya harta kekayaan yang banyak, (12) Serta anak pinak (yang ramai), yang sentiasa ada di sisinya. (13)

Harta, anak-anak, kekuasaan di dunia boleh menjadi istidraj. Istidraj adalah kesenangan yang melalaikan manusia sampai mereka lupa hendak ingat kepada Allah ‎ﷻ. Mereka sangka kesenangan itu baik bagi mereka, namun sebenarnya ia adalah buruk bagi mereka. Mereka sahaja tidak sedar yang mereka telah diperangkap. Allah mengurniakan amwal (harta) dan awlad (anak-pinak) yang melimpah-ruah kepada orang kafir. Mereka menyangka kekayaan itu adalah bukti kemuliaan mereka, padahal ia adalah perangkap istidraj yang langsung tidak dapat menyelamatkan mereka di akhirat.

Kemudian Allah membawakan kisah kerajaan yang telah diberikan segalanya: kerajaan yang stabil, sungai Nil yang mengalir, dan tentera yang kuat. Itu adalah puncak istidraj untuk Firaun sehinggakan dia berani mengaku sebagai tuhan, sebelum akhirnya Allah tenggelamkan dia di Laut Merah dalam sekelip mata.

 

كَذَّبوا بِـَٔايَـٰتِنَا فَأَخَذَهُمُ اللَّهُ بِذُنوبِهِم

mereka mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, lalu Allah menyeksa mereka disebabkan dosa-dosa mereka. 

Kerana mereka tidak mahu juga pakai wahyu dari Allah ﷻ, maka Allah ﷻ azab mereka. Ya Allah bersifat rahman, raheem, kasih, sayang; akan tetapi Allah juga boleh membalas kedegilan manusia dengan memberikan azab kepada mereka. Dan azab itu memang patut dikenakan kepada mereka kerana mereka mendustakan ayat-ayat Allah. Mendustakan ayat-ayat Allah ﷻ itu bermaksud tidak mahu ikut apa yang disampaikan dalam wahyu.

Maka di sini kita kena tahu bahawa mereka dikenakan dengan azab kerana dosa mereka sendiri. Ia menjadi bantahan terhadap golongan Jabariyyah (Al-Jabriyyah) yang tidak menyandarkan perbuatan hamba kepada hamba itu sendiri; padahal Allah telah menyandarkan dosa-dosa itu kepada mereka (para hamba), dan sesuatu perbuatan itu tidak disandarkan melainkan kepada sesiapa yang melakukannya secara hakiki.

Golongan Jabariyyah: Sebuah aliran pemikiran yang berpendapat bahawa manusia tidak mempunyai pilihan atau kuasa sama sekali dalam perbuatannya. Manusia dianggap seperti “pelepah kayu yang ditiup angin” atau robot—segala perbuatan baik atau buruk dipaksa (jabr) oleh Allah.

Allah memberi contoh kehancuran Firaun dan kerajaannya sebagai contoh kepada mereka yang berbangga dengan kuasa yang mereka ada. Kalau ada kuasa sebesar Firaun pun, tidak selamat. Jadi bagi puak Quraisy, golongan Yahudi yang rasa mereka itu kuat dan hebat, kena bandingkan dengan Firaun yang jauh lebih hebat dari mereka. Kalau Firaun dan kerajaan besarnya pun Allah boleh musnahkan, maka jangan sangka yang kamu boleh selamat dengan apa yang kamu ada itu. Tidak ada kerajaan, empayar atau dinasti mana-mana pun yang pasti akan kekal selamanya.

Mereka telah menerima seksaan itu di dunia lagi. Ini kerana sebelum ini disebut tidak berguna harta dan anak-anak mereka. Dan kerana di dalam ayat ini digunakan dalam bentuk fi’il madhi (past tense). Jadi ia bermaksud azab yang mereka terima ketika di dunia. Azab akhirat belum bermula lagi. Di akhirat pun mereka akan kena azab juga. Ini seperti firman Allah di dalam Ra’d:34

لَّهُم عَذابٌ فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا ۖ وَلَعَذابُ الآخِرَةِ أَشَقُّ ۖ وَما لَهُم مِّنَ اللهِ مِن واقٍ
Bagi mereka azab dalam kehidupan dunia dan sesungguhnya azab akhirat adalah lebih keras dan tak ada bagi mereka seorang pelindung pun dari (azab) Allah.

Balaghah: Terdapat iltifat di dalam frasa ini. Mulanya di dalam bentuk pihak pertama (كَذَّبوا بِـَٔايَـٰتِنَا) dan kemudian beralih kepada pihak ketiga (فَأَخَذَهُمُ اللَّهُ). Penggunaan kata ganti nama “Kami” adalah untuk menunjukkan keagungan dan kekuasaan mutlak Tuhan yang menurunkan mukjizat tersebut. Kemudian beralih menggunakan nama “Allah” untuk memberikan impak psikologi yang jauh lebih menggerunkan. Ia serta-merta mengejutkan pembaca dan menyuntik rasa takut yang mendalam terhadap kesan buruk jika berani mendustakan ayat-ayat-Nya.

Kenapa Allah menggunakan kalimah أَخَذَ di dalam banyak ayat? Ia asalnya bermaksud ‘mengambil’. Ia mengandungi unsur mubalaghah (keterlaluan) pada dahsyatnya azab mereka; seolah-olah sesiapa yang ditimpakan hukuman tersebut akan menjadi seperti seorang yang ditangkap dan ditawan, yang langsung tidak berdaya untuk melepaskan diri. Boleh bayangkan?

Huruf ب di dalam بِذُنوبِهِم boleh membawa dua maksud:

1. Sebagai الباء للسببيَّة (membawa maksud ‘disebabkan oleh’) iaitu mereka diazab disebabkan oleh dosa-dosa mereka.
2. Ia juga boleh jadi sebagai الباء للملابسة (membawa maksud ‘berserta/berselimutkan’) iaitu mereka mempunyai dosa-dosa lain (selain mendustakan ayat). Ia juga bermakna Allah menyeksa mereka dalam keadaan mereka sedang bergelumang (berselimutkan) dengan dosa-dosa mereka tanpa sempat bertaubat daripadanya.

 

وَاللَّهُ شَديدُ العِقابِ

Dan (ingatlah), Allah Maha berat azab seksa-Nya.

Dan kemudian Allah ﷻ mengingatkan kita betapa beratnya azab dari-Nya. Ia sebagai penutup untuk menambah kegerunan lagi. Tidak dapat dibayangkan dengan akal. Ini hendak menakutkan kita. Jangan main-main dengan ayat-ayat Allah ﷻ. Allah ﷻ beri amaran dalam ayat ini. Allah banyak sebut ayat-ayat Al-Qur’an tentang azab di neraka.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 9 Julai 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Dorar.net

Tafsir Surah Ali Imran Ayat 9 (Takutkan Akhirat)

Ali Imran Ayat 9: Selain daripada doa di atas, mereka sambung juga doa begini. Kenapa penting untuk Allah jaga hati kita? Kerana nanti akan datang hari yang kita akan dikumpulkan dan kita akan dipersoalkan dengan apa yang kita lakukan di dunia ini.

رَبَّنآ إِنَّكَ جامِعُ النّاسِ لِيَومٍ لّا رَيبَ فيهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ لا يُخلِفُ الميعادَ

SAHIH INTERNATIONAL
Our Lord, surely You will gather the people for a Day about which there is no doubt. Indeed, Allah does not fail in His promise.”

MALAY
“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada syak padanya”. Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya.

 

رَبَّنا إِنَّكَ جامِعُ النّاسِ لِيَومٍ لّا رَيبَ فيهِ

“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, pada suatu hari yang tidak ada syak padanya”.

Kita mengiyakan yang Allah ﷻ akan menghimpunkan semua makhluk-Nya termasuk manusia pada Hari Kiamat nanti. Dan hari itu tidak syak lagi akan berlaku. Ini adalah satu peringatan yang penting. Memang sentiasa sahaja Allah mengingatkan kita tentang kematian dan Hari Akhirat. Setiap muka surat Al-Qur’an akan ada peringatan ini.

Akan tetapi perhatikan Allah hanya sebut يَومٍ sahaja. Tanpa disebut hari apa itu. Dari segi tatabahasa, sepatutnya disebut ليَومِ الحِساب. Terdapat balaghah di sini. Di dalamnya terdapat Ijaz (ringkasan gaya bahasa) melalui pengguguran Mudhaf Ilaih (kata sandaran), serta meletakkan Mudhaf (kata dasar) di tempatnya. Maknanya, Mudhaf ada, tapi Mudhaf Ilaih tidak ada. Takdir (maksud tersirat) bagi ayat tersebut ialah: Hari Hisab (hari perhitungan) atau Hari Jaza’ (hari pembalasan).

Tindakan menggugurkannya adalah kerana maksud yang ingin disampaikan itu sudah pun jelas (zahir), di samping untuk menimbulkan rasa gerun (Tahwil) terhadap kedahsyatan hari tersebut, serta menggambarkan betapa ngerinya apa yang bakal berlaku di dalamnya. Ia memberikan impak imaginasi yang sangat menakutkan kepada pendengar. Jiwa manusia akan terasa kerdil dan tertanya-tanya: “Hari apakah itu? Hari yang bagaimana dahsyatnya sehinggakan seluruh umat manusia dari zaman Nabi Adam sehingga manusia terakhir dikumpulkan serentak?” Misteri sebutan itu sengaja dibiarkan untuk membangkitkan rasa takwa dan takut bersalah di hadapan Allah.

Maka motivasi untuk berdoa seperti yang diajar di atas adalah kerana takut kepada hari akhirat nanti. Orang yang yakin adanya hari kiamat akan mendorong dirinya untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan dosa. Memang orang yang baik akan takut dengan hari akhirat nanti seperti disebut di dalam Insan:7-10

يُوفُونَ بِٱلنَّذرِ وَيَخَافُونَ يَومًا كَانَ شَرُّهُ ۥ مُستَطِيرًا (٧) وَيُطعِمُونَ ٱلطَّعَامَ عَلَىٰ حُبِّهِۦ مِسكِينًا وَيَتِيمًا وَأَسِيرًا (٨) إِنَّمَا نُطعِمُكُم لِوَجهِ ٱللَّهِ لَا نُرِيدُ مِنكُم جَزَآءً وَلَا شُكُورًا (٩) إِنَّا نَخَافُ مِن رَّبِّنَا يَومًا عَبُوسًا قَمطَرِيرًا (١٠)
(Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka menyempurnakan nazarnya (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadanya), serta mereka takutkan hari (akhirat) yang azab seksanya merebak di sana sini. (7) Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan, (8) (Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih, (9) Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut Dia kenakan kami azab hari yang padanya muka orang-orang yang bersalah: Masam berkerut-kerut. (10)

Oleh kerana itu mereka berdoa kepada Allah supaya hati mereka jangan dipesongkan setelah mereka beriman. Ini kerana mereka sedar yang amal baik kita ini kena berterusan sampai ke hujung hayat. Kalau beramal baik dari kecil sampai besar, akan tetapi di hujung hayat kita berubah kepada amalan yang buruk, maka tidak selamat kita. Kerana Rasulullah telah beritahu kita,

وَإِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالخَوَاتِيمِ
“Sesungguhnya amalan itu dilihat pada pengakhirannya.”

[Riwayat al-Bukhari (6607)]

Rasulullah juga pernah bersabda di dalam satu potongan hadis yang panjang,

“…فَوَالَّذِي لَا إِلَهَ غَيْرُهُ إِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلَّا ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ فَيَدْخُلُهَا…”
“…Demi Allah yang tiada tuhan selain-Nya, sesungguhnya ada di antara kamu yang beramal dengan amalan ahli syurga sehinggalah jarak antaranya dengan syurga itu hanya sekadar sehasta, namun ketetapan takdir mendahuluinya lalu dia melakukan amalan ahli neraka, maka dia pun memasuki neraka. Dan sesungguhnya ada di antara kamu yang beramal dengan amalan ahli neraka sehinggalah jarak antaranya dengan neraka itu hanya sekadar sehasta, namun ketetapan takdir mendahuluinya lalu dia melakukan amalan ahli syurga, maka dia pun memasuki syurga.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari, No. 3208 & Muslim, No. 2643)

Manusia berpecah belah dalam bermacam-macam fahaman, tetapi akan datang suatu masa yang semuanya akan duduk berhimpun di satu tempat menunggu pengadilan daripada Allah ﷻ. Kalau kita bijak, kita akan buat persediaan untuk hari itu kerana ia pasti datang. Kenapa kita kena buat persediaan? Kerana hari itu لا رَيبَ فيهِ (tidak ada keraguan padanya). Akan tetapi orang yang beriman dan pandai sahaja lah yang yakin dan tidak ragu akan datangnya hari itu. Orang kafir, munafik dan orang jahil tidak yakin. Banyak disebut ayat-ayat tentang keadaan mereka yang tidak percaya adanya hari kiamat seperti Yaasin:78

وَضَرَبَ لَنا مَثَلًا وَنَسِيَ خَلقَهُ ۖ قالَ مَن يُحيِي العِظٰمَ وَهِيَ رَميمٌ
Serta dia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu), dan dia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil dia bertanya: “Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?”

Jadi ada yang tak percaya adanya hari kiamat. Ada pula seperti Yahudi dan Nasara yang sangka mereka itu pasti masuk ke dalam syurga. Ini seperti disebut di dalam Baqarah:111

وَقالوا لَن يَدخُلَ الجَنَّةَ إِلّا مَن كانَ هودًا أَو نَصَـٰرَىٰ‌ۗ تِلكَ أَمانِيُّهُم ۗ قُل هاتوا بُرهَـٰنَڪُم إِن كُنتُم صَـٰدِقِينَ
Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: “Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani”. Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): “Bawalah ke mari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar”.

Mereka perasan mereka pasti ahli syurga. Dan begitulah juga kalau orang Islam sangka mereka pasti masuk syurga, ini sama lah dengan Yahudi Nasara ini. Perasan dan syok sendiri. Mereka sangka kerana mereka sudah orang Islam, mereka pasti masuk syurga! Sedangkan ilmu wahyu mereka tidak ada, amalan pun sedikit, dosa banyak bergudang-gudang… masih yakin masuk syurga! Itulah salah faham yang banyak terjadi di dalam masyarakat kita.

Maka kerana itulah Allah banyak beri penerangan tentang hari akhirat kerana ramai tidak faham. Tapi kalau tidak belajar wahyu, memang ada salah faham, pakai otak sendiri bayangkan begitu dan begini tentang akhirat, syurga dan neraka. Peringatan tentang Hari Kiamat di dalam ayat ini amat berkaitan dengan topik-topik yang kita telah bahaskan sebelum ini:

1. Berkenaan ayat-ayat Mutashabihat. Banyak sangat perbezaan pendapat, nanti di akhirat nanti ia akan diselesaikan.
2. Di dalam dunia ini ada banyak perbezaan pendapat; antara agama dan malah sesama agama pun ada perbezaan pendapat. Ini pun akan diselesaikan.
3. Doa yang kita diajar di dalam ayat sebelum ini tadi menjadi lebih bermakna kerana ia menentukan sama ada kita akan selamat atau tidak di akhirat kelak.
4. Hanya Allah sahaja yang tahu hal-hal ghaib. Nanti sebahagian dari perkara ghaib itu akan dipersembahkan kepada kita dan kita akan lihat dengan mata kita sendiri.

Kita telah banyak bincangkan tentang kesamaran di dalam ayat-ayat Mutashabihat, bukan? Nanti di akhirat kelak, ayat-ayat itu akan menjadi ayat-ayat Muhkam kerana kita akan nampak dengan jelas. Tidak ada keraguan lagi dan kerana itu Allah kata: لا رَيبَ فيهِ.

Maka ini mengajar kita, bukan semua perbezaan pendapat kita dapat selesaikan di dunia ini. Pasti akan ada perbezaan pendapat yang berterusan dan tempat untuk diselesaikan nanti adalah di akhirat kelak. Bukan semua perdebatan ilmu kita kena menang. Jadi kalau kita pegang hal ini, kita tenang-tenang sahaja.

Entah apalah nasib kita di sana nanti. Kita hendaklah doa dan berharap yang ia adalah baik untuk kita. Kenalah kita berusaha bersungguh-sungguh di dunia ini supaya harapan kita itu ada asasnya kerana tidaklah boleh hanya berharap kosong sahaja, namun usaha juga kena ada.

Apabila orang yang berilmu menyebut “Engkau akan mengumpulkan manusia pada hari kiamat”, tujuan mereka menyebutnya bukanlah sekadar memberi tahu Allah tentang Hari Kiamat. Tujuan sebenar mereka adalah untuk menyatakan: “Ya Allah, apabila Hari Kiamat itu tiba nanti, selamatkanlah dan ampunilah kami.” Jadi, permohonan ampun itu sudah terkandung secara automatik di dalam maksud ayat tersebut.

 

إِنَّ اللَّهَ لا يُخلِفُ الميعادَ

Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji-Nya.

Allah ﷻ tidak akan memungkiri janjiNya. Hari kebangkitan itu pasti akan berlaku, pada waktu yang Allah ﷻ telah tentukan, dan pasti semua makhluk akan dikumpulkan di tempat yang Allah ﷻ telah tentukan. Ia menguatkan frasa لا رَيبَ فيهِ (tiada keraguan padanya) sebelum ini.

Kita kena ingat janji Allah ﷻ untuk membalas dengan kebaikan mereka yang berbuat baik dan janji Allah ﷻ juga untuk mengazab mereka yang lalai dan ingkar. Oleh sebab kerana kita tahu Allah ﷻ  tidak mungkin mungkir janji inilah yang kita mesti memastikan yang akidah dan amalan kita sentiasa terjaga. Kerana kita takut dengan janji Allah ini. Kita berharap kita dimasukkan ke dalam syurga, tapi adakah kita ini ahli syurga? Kalau kita ahli neraka, macam mana? Allahu! Maka golongan ٱلرّٰسِخُونَ فِي العِلمِ  itu sangat tahu tentang hal ini dan kerana itu mereka takut dan mereka berdoa sebegini. Maka kita pun patut ikut mereka.

Penutup Perenggan Makro ini ditutup dengan penerangan lagi tentang sifat Allah. Dari mula lagi telah berbagai sifat-sifat Allah diterangkan kepada kita untuk mengenalkan kita kepadaNya. Sekarang kita diberitahu satu lagi sifatNya iaitu Dia tidak memungkiri janji. Segala janjiNya akan dipenuhi. Kalau manusia belum tentu lagi dia akan penuhi janji. Ada yang memungkiri janji, ada yang hendak penuhi tapi tak mampu. Tapi Allah, semua sekali akan dipenuhi.

Allah berjanji untuk beri hidayah, Dia telah berikan; Allah berjanji akan ada hari Kiamat, itu pasti akan berlaku; Allah berjanji akan beri balasan di akhirat, ini juga pasti berlaku; Allah berjanji untuk menjelaskan segala perkara yang diperselisihkan, ini pasti berlaku. Inilah iman yang kita kena pegang. Di dalam dunia yang tidak ada ketentuan, tidak ada kepastian, kita boleh yakin dengan Allah. Tenanglah wahai hati dan yakinlah dengan janji Allah.

Kalau manusia berjanji, belum tentu akan ditepati. Lihatlah janji-janji ahli politik di medan ceramah ketika hendak pilihanraya, mereka berjanji berdegar-degar tapi adakah ia ditepati? Dicapati adalah. Tapi yakinlah dengan janji Allah. Ini kerana manusia ada yang tidak mahu buat apa yang dijanjikannya. Atau pun memang dia hendak buat, tapi dia tidak mampu kerana dia manusia. Akan tetapi Allah pasti Dia boleh lakukan apa yang telah dijanjikan kerana Dia mampu.

Balaghah: Terdapat iltifat (peralihan gaya bahasa) di dalam ayat ini. Perhatikan di permulaan masih bercakap dengan Allah (kalimat رَبَّنَآ إِنَّكَ digunakan). Tapi tiba-tiba bertukar kepada Allah disebut sebagai pihak ketiga (إِنَّ اللَّهَ لا يُخلِفُ الميعادَ). Sampai ada yang mengatakan ini sudah tidak termasuk doa. Tapi ia tetap juga sebahagian dari doa ini dan patutnya dibaca sekali.

Para ulama tafsir dan pakar balaghah menjelaskan beberapa rahsia di sebalik peralihan gaya bahasa ini adalah untuk menzahirkan Keagungan dan Kehebatan (المهابة والتعظيم): Apabila nama “Allah” (لفظ الجلالة) disebut secara eksplisit, ia memberikan kesan gerun, takzim, dan keagungan yang jauh lebih mendalam berbanding jika hanya menggunakan kata ganti nama “Engkau”. Ini kerana berbicara menggunakan kata ganti nama orang ketiga (Ghaib) adalah lebih mendalam (baligh) dalam mengagungkan Allah Tabaraka wa Taala.

Jadi walaupun dari sudut tatabahasa dan iltifat ia kelihatan seperti berubah menjadi ayat penyataan (orang ketiga), dalam konteks adab berdoa, ia dikira sebagai pujian dan pengiktirafan kepada Allah (الثَّنَاء عَلَى الله). Tambahan pula antara adab berdoa yang paling mustajab adalah bertawasul dengan nama dan sifat-sifat Allah. Apabila kita menyebut “Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji”, kita sedang merayu kepada Allah dengan menyebut NamaNya yang mengandungi segala sifat-sifat-Nya, agar Dia memakbulkan doa kita untuk diselamatkan di Hari Kiamat nanti.

Tapi nanti kita akan lihat di dalam Ayat 194 (di hujung surah), kalimah yang digunakan adalah إِنَّكَ لَا تُخْلِفُ الْمِيعَادَ pula. Kenapa ada perbezaan pula? Perhatikan ayat itu:

رَبَّنَا وَءآتِنَا مَا وَعَدتَّنَا عَلَىٰ رُسُلِكَ وَلَا تُخْزِنَا يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ إِنَّكَ لَا تُخْلِفُ الْمِيعَادَ
Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasulMu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji”.

Al-Jawab: Perbezaan (hikmah) antara keduanya ialah: Ayat di sini (awal surah) berada pada maqam gerun (Haibah), kena ia sedang menyebut tentang hari kebangkitan dan perhimpunan; bertujuan supaya golongan yang dizalimi dapat menuntut bela ke atas golongan yang menzalimi. Maka, menyebut nama-Nya yang rasmi (iaitu ‘Allah’) adalah lebih utama pada maqam ini.

Adapun firman-Nya: ‘إِنَّكَ لَا تُخْلِفُ الْمِيعَادَ’ (Sesungguhnya Engkau…) di akhir surah pula, maqam tersebut adalah maqam hamba sedang memohon kepada Tuhannya agar dikurniakan nikmat dengan limpah kurnia-Nya serta diampunkan segala kejahatannya. Maka, maqam tersebut bukanlah maqam yang menonjolkan rasa gerun (sebaliknya rasa harap dan kasih); lalu amat serasilah ia digantikan dengan penggunaan kata ganti nama ‘إِنَّكَ’ (Sesungguhnya Engkau).”

Kalimah الْمِيعَادَ adalah di dalam Wazan مِفْعَال. Dalam saraf (morfologi Arab), acuan kata ini memberi isyarat Mubalaghah (bersangatan). Ia memberi isyarat bahawa Allah bukan sahaja tidak memungkiri satu janji ini, bahkan Dia sentiasa, selamanya, dan secara berterusan menepati segala janji-janji-Nya yang lain kepada para hamba.

Kalimah الْمِيعَادَ juga digunakan untuk dimensi Masa dan Tempat (اسم زمان واسم مكان): Perkataan الْمِيعَادَ boleh bermaksud “Masa yang dijanjikan” (iaitu Hari Kiamat) atau “Tempat yang dijanjikan” (iaitu Padang Mahsyar). Seni sastera di sini sangat halus: Jika seseorang berkata, “Saya tidak mungkir janji,” ada kemungkinan dia menepati janji tetapi dia lewat sampai (mungkir masa) atau tersalah pergi ke tempat lain (mungkir tempat). Namun, apabila Allah menegaskan Dia tidak memungkiri الْمِيعَادَ, ia bermakna Allah menafikan sebarang cacat cela: Perhimpunan itu pasti akan berlaku tepat pada masanya dan tepat pada tempatnya tanpa terlewat atau tersasar walau sedikit pun.

Jika kita membaca Ayat 9 ini secara literal, ia kelihatan seperti sebuah pernyataan atau berita (ayat khabariyyah), bukannya satu ayat permohonan (doa). Kalau Ayat 8 tadi memang jelas ia dalam bentuk doa, tapi bagaimanakah Ayat 9 ini berfungsi sebagai doa? Di sinilah indahnya ilmu tafsir dan balaghah (sastera Arab). Di dalam kaedah bahasa, apabila seseorang menyebut tentang kedahsyatan Hari Kiamat di dalam konteks berdoa meminta ketetapan iman, ia membawa makna tasyawwuk (harapan yang memuncak) dan tawassul (berwasilah) dengan nama-nama Allah. Secara tersirat, ia bermaksud: “Ya Allah, memandangkan Engkau pasti akan mengumpulkan kami semua pada hari pembalasan nanti (di mana orang yang sesat hatinya akan celaka), maka selamatkanlah kami pada hari tersebut dan tetapkanlah iman kami.”

Lagi satu, di dalam balaghah Al-Qur’an, terdapat satu uslub (gaya bahasa) di mana Allah mengajar kita berdoa bukan dengan ayat perintah (seperti: “Ya Allah, ampunkanlah”), tetapi dengan memuji Allah atau mengakui keesaan-Nya. Contoh mudah dalam kehidupan harian kita: Jika seorang anak berkata kepada ayahnya: “Ayah, saya tahu ayah seorang yang sangat pemurah dan selalu tepati janji nak belikan saya basikal…”

Secara literal, anak itu sedang memuji ayahnya. Namun, si ayah tahu maksud sebenar di sebalik ayat itu ialah: “Ayah, tolonglah belikan saya basikal sekarang.” Sama juga dengan ayat 9 ini. Apabila hamba-Nya menyebut: “Wahai Tuhan kami, Engkaulah yang mengumpulkan manusia… Engkau tidak pernah mungkir janji,” ia adalah pujian tertinggi yang mengandungi harapan agar Allah mengurniakan pengakhiran yang baik (husnul khatimah) dan menggolongkan mereka dalam kalangan orang yang selamat di akhirat kelak.

Jadi, itulah doa-doa yang dibaca oleh mereka yang rasikh ilmu mereka. Dan ini menjadi mukaddimah kepada ayat-ayat yang mendatang. Kita akan banyak bertemu kisah Ahli Kitab, tentang perang dan banyak lagi perkara. Tapi sebelum itu semua, Allah telah mengingatkan kita kepadaNya dahulu.

 

Glosari Istilah Kunci

Ar-Rasikhuna fil ‘Ilm: Golongan yang mempunyai ilmu yang mendalam dan tetap teguh dalam kebenaran.

Iltifat: Peralihan gaya bahasa dalam sastera Arab (contoh: dari kata ganti nama kedua kepada ketiga) untuk tujuan penekanan makna tertentu.

Mutashabihat: Ayat-ayat Al-Qur’an yang mempunyai makna samar atau memerlukan penjelasan lanjut, sering menjadi punca perbezaan pendapat.

Muhkam: Ayat-ayat yang jelas, nyata maknanya, dan menjadi asas kepada hukum serta kefahaman agama.

Husnul Khatimah: Pengakhiran hidup yang baik, iaitu mati dalam keadaan beriman dan beramal soleh.

La Raiba Fih: Sesuatu yang tidak ada sebarang keraguan atau syak wasangka padanya (merujuk kepada Hari Kiamat).

Al-Miad: Janji atau waktu/tempat yang telah ditetapkan oleh Allah untuk berlakunya sesuatu (Hari Kebangkitan).

Tasyawwuk: Perasaan harapan yang memuncak atau keinginan yang sangat kuat dalam berdoa kepada Allah.

Thana’: Pujian dan pengiktirafan yang diberikan kepada Allah sebagai sebahagian daripada adab dalam berdoa.

Tawassul: Menggunakan wasilah atau perantaraan (seperti nama-nama Allah) untuk mendekatkan diri dan memohon sesuatu daripada-Nya.

 

Sekian Ruku’ 1 dari 20 ruku’ surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 29 Jun 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Dorar.net

Tafsir Surah Ali Imran Ayat 8 (Doa tetapkan hati)

Ali Imran Ayat 8: Ini adalah sifat kedua mereka yang berilmu tadi. Allah ﷻ sekarang menyebut tentang doa mereka. Doa ini banyak sekali dibaca oleh masyarakat kita. Mari sekarang kita lihat apakah tafsir bagi ayat (doa) ini.

Yang menarik tentang Surah Ali Imran ini, ia bukan sahaja mengajar kita cara berdoa, akan tetapi ada lafaz-lafaz doa yang kita boleh terus amalkan dalam kehidupan kita kerana ia doa-doa yang amat bagus sekali.

رَبَّنا لا تُزِغ قُلوبَنا بَعدَ إِذ هَدَيتَنا وَهَب لَنا مِن لَّدُنكَ رَحمَةً ۚ إِنَّكَ أَنتَ الوَهّابُ

SAHIH INTERNATIONAL
[Who say], “Our Lord, let not our hearts deviate after You have guided us and grant us from Yourself mercy. Indeed, You are the Bestower.

MALAY
(Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.

 

رَبَّنا لا تُزِغ قُلوبَنا بَعدَ إِذ هَدَيتَنا

“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami,

Ini adalah sambungan dari penerangan tentang golongan ٱلرّٰسِخُونَ di dalam ayat sebelum ini. Ini adalah doa mereka. Di dalam Ayat 7, yang condong kepada kesesatan itu adalah في قُلوبِهِم زَيغٌ maka sekarang doanya adalah لا تُزِغ yang diambil dari kata dasar yang sama dengan زَيغٌ. Setelah tahu tentang bahayanya jikalau terpesong kerana ayat-ayat Mutasyabihat itu, maka kita kena minta perlindungan dari Allah. Kerana yang dapat menyelamatkan kita adalah Allah sahaja. Bukannya kita boleh bergantung sangat kepada intelek kita. Setelah tahu pun, kalau Allah tidak jaga, boleh jadi sesat kita ini. Doa ini mengajar kita bergantung kepada Allah dan jangan berbangga dengan ilmu yang ada.

Ini adalah akidah yang kita kena pegang iaitu iman dan kesesatan dari Allah. Allah yang menentukan siapa yang beriman dan siapa yang jatuh sesat. Dan sesungguhnya Dia Maha Melimpahkan kurnia melalui apa sahaja nikmat yang diberikan kepada para hamba-Nya, serta tiada sesuatu pun yang wajib ke atas-Nya.

Yang berdoa ini siapa? Mereka itu adalah golongan ٱلرّٰسِخُونَ فِي العِلمِ. Maknanya ilmu mereka sudah mantap, iman mereka pun kuat. Tapi tetap mereka berdoa sebegini. Sepatutnya yang hatinya condong ke arah kesesatan yang patut berdoa sebegini, tapi yang mantap pula berdoa begini. Ini mengajar kita apa? Yang iman itu turun dan naik. Jangan kita sangka iman ini seketul itu sahaja dan tetap tidak berganjak. Ia boleh naik dan ia juga boleh turun. Ini adalah satu ilmu yang kita kena faham sangat. Rasulullah telah bersabda tentang iman,

الإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ أَوْ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً، فَأَفْضَلُهَا قَوْلُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ، وَأَدْنَاهَا إِمَاطَةُ الأَذَى عَنِ الطَّرِيقِ، وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الإِيمَانِ
“Iman itu ada tujuh puluh lebih atau enam puluh lebih cabang. Yang paling utama ialah perkataan ‘La ilaha illallah’ (Tiada tuhan melainkan Allah) dan yang paling rendah ialah membuang gangguan dari jalan. Dan sifat malu itu adalah satu cabang daripada iman.”

(Sahih Bukhari No. 9 & Sahih Muslim No. 35)

Nota: Adanya istilah “paling utama” dan “paling rendah” menunjukkan iman itu mempunyai tingkatan (boleh naik dan turun).

Perhatikan doa ini terus dengan panggilan: رَبَّنا dan tidak ada pun kalimah يا yang digunakan kalau kita memanggil orang lain. Terus sahaja dibuang kalimah يا sebagai isyarat kedekatan kita dengan Allah. Kita sekarang menyeru Allah رَبَّنا kerana Dialah Tuhan kita, Dialah tempat kita mengharap. Siapa lagi yang boleh jaga iman kita? Kita bertawasul dengan nama Allah رَبَّ. Kenapa digunakan sebutan رَبَّ? Kerana Sifat رَبَّ itulah yang menguruskan segala urusan manusia.

Doa ini adalah tentang ketetapan hati. Kalau kita hendak bincang dan cuba hendak tahu juga perkara yang tidak perlu diketahui, lama-lama hati kita akan punah. Kerana hati kita akan terus tertanya-tanya. Maka kita minta diselamatkan hati kita dari jadi golongan yang mencari-cari takwil ayat-ayat Mutasyahibat yang disebut sebelum ini.

Mereka yang telah mendalam ilmu mereka, akan doa begini. Mereka minta supaya Allah ﷻ jangan palingkan hati mereka. Mereka minta ditetapkan hati mereka atas iman. Ini kerana Allah ﷻ boleh sahaja palingkan hati manusia kalau Dia mahu. Dan ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Akan tetapi jangan pula kita buat anggapan yang Allah senang-senang dan suka-suka hendak palingkan hati manusia. Allah palingkan jikalau orang itu sendiri ada masalah. Ini seperti disebut di dalam Saf:5

فَلَمّا زاغوا أَزاغَ اللَّهُ قُلوبَهُم ۚ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفٰسِقينَ
Maka apabila mereka berpaling (dari kebenaran), Allah memalingkan hati mereka; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.

Ia mengajar kita bahawa hidayah ini bukanlah tetap. Orang yang sudah dapat hidayah, belum tentu terus mendapat hidayah. Ada orang yang boleh terpesong. Jangan sangka kita akan selamat hingga ke akhir hayat kita. Sebelum mati, boleh sahaja hati kita terpesong. Dari buat amalan ahli syurga, tiba-tiba sebelum mati, boleh sahaja buat amalan ahli neraka! Ini kita boleh belajar dari Hadis #4 Arbain Nawawiah,

فَوَ اللهِ الَّذِي لاَ إِلَهَ غَيْرُهُ إِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ حَتَّى مَا يَكُوْنُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلاَّ ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ فَيَدْخُلُهَا، وَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ حَتَّى مَا يَكُوْنُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلاَّ ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ  الْجَنَّةِ فَيَدْخُلُهَا
Maka demi Allah yang tiada Tuhan selain daripadaNya, sesungguhnya seseorang kamu itu tetap akan beramal dengan amalan ahli syurga sehinggalah di antaranya dengan syurga itu jaraknya cuma sehasta sahaja. Tiba-tiba dia telah didahului oleh tulisannya (suratan takdir) sehingga dia beramal dengan amalan ahli neraka, maka masuklah dia ke dalam neraka. Dan sesungguhnya seseorang kamu tetap akan beramal dengan amalan ahli neraka sehinggalah di antara dirinya dengan neraka cuma sehasta saja. Tiba-tiba dia telah didahului oleh tulisannya sehingga dia beramal dengan amalan ahli syurga, maka akhirnya masuklah dia ke dalam syurga itu.”

(Sahih Bukhari, no. 6594 dan Muslim, no. 2643)

Mungkin juga kita sudah jelas tentang sesuatu perkara. Akan tetapi apabila kita mengkaji lebih dalam lagi, akan jumpa pula perkara lain yang membingungkan kita. Begitulah boleh terjadi apabila kita mendalami lebih dalam lagi. Jadi dari faham, boleh jadi tidak faham pula. Kerana itu di dalam ayat ini disebut: بَعدَ إِذ هَدَيتَنا (sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami). Kerana kefahaman ini kita kena ingat, ia datang dari Allah juga. Allah boleh beri, kemudian Allah boleh juga tarik. Maknanya, apa-apa pun kita kena berharap dari Allah, maka kerana itu kerana rajin berdoa supaya Allah tetapkan hati kita dalam iman, dalam ilmu yang benar.

Walaupun sudah berilmu, masalah boleh juga ada  kerana orang berilmu juga ada penyakit, iaitu mereka hendak nampak mereka tahu semua benda, malu untuk kata mereka ada benda yang mereka tidak tahu. Jadi, ada antara mereka yang cuba sedaya upaya akan cakap juga tentang perkara yang tidak perlu diketahui.

Allah ﷻ sudah kata jangan masuk bincang perkara-perkara yang samar, kalau kamu masuk juga – Allah ﷻ  boleh memalingkan hati kita. Oleh itu, kita kena doa supaya Allah ﷻ  menjaga hati kita daripada masuk membincangkan perkara-perkara sebegitu. Kita minta Allah ﷻ tetapkan hati kita.

Perhatikan juga kalimah قُلوبَنا (hati-hati kami). Mereka sedang berdoa tapi mereka tidaklah kata ‘hati aku’, tapi ‘hati kami’. Maknanya mereka bukan hendak lepaskan diri mereka sahaja tapi mereka pun memikirkan juga hati-hati orang lain juga.

Perhatikan di dalam doa ini mereka kata: بَعدَ إِذ هَدَيتَنا (sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami). Maknanya mereka telah beriman, mereka pun mengaku mereka telah beriman. Dan iman itu dari Allah. Pertamanya mereka mengaku yang Allah yang beri iman itu, bukannya kerana kehebatan mereka.

Tapi perhatikan kalimah doa ini adalah بَعدَ إِذ هَدَيتَنا dan bukannya بَعدَ أن هَدَيتَنا. Apakah kesan apabila digunakan إِذ dan bukannya أن? Dari sudut struktur, إِذْ di sini berfungsi sebagai Zharf Zaman Madi (ظرف زمان للمادي), iaitu kata nama masa yang merujuk kepada perkara yang telah pun berlaku pada masa lalu. Penggunaan إِذْ menegaskan bahawa hidayah itu adalah satu nikmat yang sudah pun berlaku dan benar-benar wujud di dalam hati mereka. Ia merujuk kepada satu ketika di mana Allah telah pernah beri hidayah dan iman yang kuat. Jika ayat tersebut berbunyi بَعْدَ أَنْ هَدَيْتَنَا (sesudah Engkau memberi petunjuk kepada kami – menggunakan أَنْ), ia lebih bersifat umum atau teori. Tetapi apabila menggunakan بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا, ia membawa maksud: “Sesudah detik dan waktu yang nyata di mana Engkau telah pun mencurahkan hidayah itu ke dalam hati kami.” Ini adalah bentuk kesyukuran (iktiraf nikmat) sebelum meminta sesuatu.

Kita pun tidaklah pasti kita sedang benar-benar beriman sekarang. Tapi bukankah ada satu ketika yang kita rasa dekat sangat dengan Allah? Kita boleh rasa iman agak tinggi ketika itu? Maknanya, ada masa yang kita memang benar-benar beriman. Kalau sekarang iman itu sudah tidak ada atau lemah, tapi ya Allah, kembalikanlah iman itu ya Allah!

Keduanya, adakah mereka ini riak kerana sebut mereka ada iman? Bukankah riak kalau mengaku diri hebat? Adakah ini termasuk riak? Tidak. Ini adalah salah satu dari Tawasul yang dibenarkan. Kita ada banyak sebut tentang kesesatan amalan Tawasul, akan tetapi bukanlah tidak sunnah amalan itu. Ada sahaja yang sunnah. Cuma malangnya masyarakat kita jahil, jadi mereka buat yang jenis sesat punya. Sedangkan ada sahaja tawasul yang Sunnah iaitu dengan nama Allah, dengan iman, dengan ibadah sendiri. Maka ini termasuk Tawasul dengan Iman.

Oleh itu kata-kata mereka: ‘بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا’ (sesudah Engkau memberi petunjuk kepada kami) bukanlah bertujuan untuk berbangga diri (dengan hidayah yang dimiliki), sebaliknya ia bertujuan untuk bertawasul (merayu) dengan menggunakan nikmat-nikmat yang lalu demi meraih nikmat-nikmat yang akan datang.

Doa ini bertepatan dengan masalah yang disebut di dalam Ayat 7. Di dalam ayat 7, masalahnya adalah hati – في قُلوبِهِم زَيغٌ (yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan); maka doa ini mengajar kita supaya ditetapkan hati kita. Memang hati ini kita punya tapi ia di dalam kawalan Allah. Rasulullah pernah bersabda,

إِنَّ قُلُوبَ بَنِي آدَمَ كُلَّهَا بَيْنَ إِصْبَعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ الرَّحْمَنِ كَقَلْبٍ وَاحِدٍ يُصَرِّفُهُ حَيْثُ يَشَاءُ ثُمَّ يَقُولُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ
Sesungguhnya hati setiap anak Adam itu semuanya berada di antara dua jari daripada jari-jari Ar-Rahman (Allah Yang Maha Pemurah), seperti hati yang satu. Dia membolak-balikkan (mengarahkan) hati itu mengikut kehendak-Nya. Kemudian Rasulullah ﷺ berdoa: “Ya Allah, Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati-hati kami di atas ketaatan kepada-Mu.”

(Hadis Riwayat Muslim, no. 2654)

Di dalam Ayat 7 disebut mereka telah beriman – يَقولونَ ءَامَنَّا بِهِ (Mereka berkata:” Kami beriman kepadanya), maka di dalam ayat ini disambung بَعدَ إِذ هَدَيتَنا (sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami). Setelah beri iman, tetapkanlah iman kami ini ya Allah.

Satu lagi doa yang Rasulullah selalu baca adalah,

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُكْثِرُ أَنْ يَقُولَ: “يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ“، فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، آمَنَّا بِكَ وَبِمَا جِئْتَ بِهِ فَهَلْ تَخَافُ عَلَيْنَا؟ قَالَ: “نَعَمْ، إِنَّ القُلُوبَ بَيْنَ إِصْبَعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللَّهِ يُقَلِّبُهَا كَيْفَ يَشَاءُ”
Daripada Anas RA, beliau menceritakan: Rasulullah ﷺ sentiasa (kerap kali) mengucapkan: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.” Lalu aku bertanya: “Wahai Rasulullah, kami telah beriman kepadamu dan kepada apa yang engkau bawa, adakah engkau masih bimbang terhadap (iman) kami?” Baginda bersabda: “Ya, sesungguhnya hati-hati itu berada di antara dua jari daripada jari-jari Allah, Dia membolak-balikkannya mengikut kehendak-Nya.”

(Hadis Riwayat Al-Tirmidhi, no. 2140. Beliau menyatakan hadis ini Hasan. Ia juga disahihkan oleh Al-Albani)

Nota: Kalau Nabi yang sudah selamat itu pun membaca doa ini, apatah lagi kita yang masih bertatih lagi ini? Jadi jangan lupa amalkan doa-doa ini ya.

Kenapa penting jaga hati? Kerana hati itulah yang penting. Kalau zahir cantik pun, masalah. Macam orang munafik, zahir mereka cantik sampai orang terpesona tengok mereka. Akan tetapi hati mereka ada masalah. Kerana itu Rasulullah ada bersabda dalam hadis yang ramai kita tahu,

…أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً، إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ
Ketahuilah, sesungguhnya di dalam jasad manusia itu ada seketul daging. Jika ia baik, maka baiklah seluruh jasadnya. Dan jika ia rosak, maka rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah, ia adalah hati.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 52, dan Muslim, no. 1599)

 

وَهَب لَنا مِن لَّدُنكَ رَحمَةً

dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu;

Mintalah rahmat yang khas, iaitu keyakinan kepada janji Allah ﷻ; Keyakinan kepada hukum Allah ﷻ seperti keyakinan yang ada pada Nabi dan sahabat, kemantapan iman, ketenangan batin, kemudian dalam melaksanakan ibadah, melaksanakan perintah dan menjauhi larangan Allah, dan lain-lain lagi.

Diminta rahmat itu pula dari sisi Allah. Sebenarnya, semua rahmat datang daripada Allah ﷻ, bukan? Tidak ada manusia atau makhluk lain yang boleh memberi rahmat. Jadi kenapa dimasukkan dalam ayat ini ‘Rahmat dari sisi Engkau’? Ia adalah untuk mengingatkan kita – bahawa Rahmat itu daripada Allah ﷻ sahaja, bukan daripada entiti lain. Bukan juga dari diri kita sendiri. Ya kita sendiri kena belajar, kena jaga hati kita, akan tetapi usaha kita itu tidak akan membuahkan hasil kalau Allah tidak beri izin.

Dan perhatikan taqdim kalimah مِن لَّدُنكَ sebelum disebut رَحمَةً. Ia menekankan sumber rahmat itu iaitu Allah sebelum disebut apa yang kita hendak. Dan kalimah رَحمَةً pula ada tanwin yang menambahkan kekuatan rahmat itu. Maknanya kita meminta rahmat yang khas.

Apabila digunakan kalimah هَب, ia bermaksud pemahaman ilmu itu adalah ‘hadiah’ dari Allah. Allah yang beri kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Ia bukanlah kerana kepandaian dan usaha kita. Ya kita kena usaha belajar, akan tetapi akhirnya ia adalah hadiah dari Allah. Ada orang yang Allah beri, ramai lagi Allah tidak berikan. Maka jangan kita sombong, kerana kita pandai pun kerana Allah yang beri.

Jadi ini ada doa kedua yang diajar kepada kita. Yang pertama adalah لا تُزِغ قُلوبَنا (Janganlah Engkau memesongkan hati kami) dan sekarang yang kedua adalah minta rahmat. Ini adalah susunan yang hebat dan susunan yang benar. Ini termasuk di dalam Kaedah At-Takhliyah Qabla At-Tahliyah (Pembersihan Sebelum Pengisian). Dalam kaedah mendidik jiwa dan berdoa, para ulama menyebut tentang konsep Takhliyah (mengosongkan/membuang yang buruk) mesti mendahului Tahliyah (menghias/mengisi dengan yang baik).

Analogi Mudah: Jika anda ada sebuah cawan yang kotor, anda pasti akan membasuh dan membuang kotoran itu dahulu (Takhliyah / Jangan pesongkan hati), barulah anda tuangkan susu yang bersih ke dalamnya (Tahliyah / Kurniakan rahmat). Jika susu dituang ke dalam cawan yang kotor, susu itu akan rosak. Maka, hati perlu diselamatkan dahulu daripada penyakit penyelewengan, barulah rahmat Allah yang turun itu dapat bertapak dengan subur dan bertahan lama di dalam hati. Kalau diberikan rahmat di dalam keadaan hati masih sesak, rahmat pun tidak boleh masuk.

 

إِنَّكَ أَنتَ الوَهّابُ

sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.

Ini adalah cara untuk berdoa kepada Allah ﷻ, iaitu dengan memuji-Nya. Sama ada puji Allah ﷻ di awal doa atau di hujung doa. Jadi, ini adalah satu contoh doa yang bagus untuk dibaca oleh kita semua. Jadi ini adalah tawasul dengan Asma’ Allah. Inilah cara tawasul yang benar. Bukannya pergi minta tolong kepada orang yang mati!

Kalimah أَنتَ (Engkau) di sini adalah nisbah kepada Allah. Ia adalah ganti nama atau dhomir. Selain dari هو dan ه, ada juga digunakan أَنتَ untuk Allah kerana kita sedang bercakap denganNya. Puak-puak sesat zikir hu, hu, hu, macam burung hantu itu, tidak mahukah pula zikir أَنتَ, أَنتَ, أَنتَ… sebab itu juga merujuk kepada Allah? Harap mereka tidak bacalah cadangan ini, sebab takut mereka amalkan pula. Puak-puak ini bukan boleh harap.

Dan perhatikan ada penekanan (taukid) kalimah أَنتَ. Kalau إِنَّكَ الوَهّابُ pun sudah cukup sebenarnya, tapi penambahan kalimah أَنتَ adalah sebagai penekanan. Kalimah إِنَّ sendiri sudah taukid, jadi ada penekanan yang banyak di sini.

Al-Wahhab (الْوَهَّابُ) adalah salah satu daripada Asma’ul Husna (Nama-Nama Allah yang Indah). Dari segi bahasa, ia berasal daripada perkataan al-hibah (الْهِبَة) yang bermaksud pemberian atau hadiah. Istilah ini digunakan apabila pemberian tanpa mengharap kepada balasan. Macam sekarang ada banyak produk Hibah, bukan? Itu adalah pemberian tanpa balasan yang diberikan selalunya kepada ahli keluarga kita, bukan?

Secara istilah, Al-Wahhab bermaksud Yang Maha Pemberi, iaitu Allah Tuhan Yang Maha Melimpah kurnia-Nya, memberikan segala jenis nikmat dan hadiah kepada makhluk-Nya tanpa mengharapkan sebarang balasan, tanpa diminta, dan tanpa had.

Di dalam bahasa Arab, perkataan Al-Wahhab (الْوَهَّابُ) dibina di atas wazan فَعَّال. Dalam ilmu bahasa, pola ini dipanggil sebagai Sighah Al-Mubalaghah (formula penegasan/superlatif). Wazan ini membawa dua makna yang sangat besar tentang cara Allah memberi:

    • Kualiti (Pemberian yang amat besar/banyak): Allah memberi hadiah yang sangat bernilai tinggi yang tidak mampu diberikan oleh sesiapa pun (seperti hidayah, nyawa, dan ketenangan).
    • Kuantiti & Kekerapan (Memberi dan terus memberi tanpa henti): Allah bukan sahaja memberi sekali dua, tetapi Dia memberi secara berterusan sepanjang masa kepada semua makhluk-Nya serentak.

Ia juga bermakna Allah memberi itu berkali-kali. Macam hidayah dan iman ini, ia turun naik, bukan? Maka apabila ia turun, Allah berikan kembali iman itu. Dan ini kita memang perlukan kerana iman kita tidak semestinya di atas sahaja. Ada ketika ia akan turun dan kita memerlukan kekuatan kembali. Maka ini memberi harapan kepada kita; ada ketika kita mungkin tersasar, tapi Allah boleh sahaja terima kita kembali. Kita mungkin berkali-kali melakukan dosa, malah mungkin dosa yang sama. Akan tetapi Allah masih lagi boleh beri rahmah kepada kita. Jangan putus asa dengan rahmat dan pengampunan dari Allah.

Jadi dengan menyebut nama Allah الْوَهَّابُ ini, kita mengaku dua sifat Allah ini. Kita mengaku yang Allah telah memberi banyak nikmat kepada kita. Antaranya yang berkait dengan ayat ini dan ayat sebelum ini adalah pemberian wahyu dariNya, hidayah, semua kitab-kitab wahyu, pemahaman yang benar, iman yang mantap.

Kita amat memerlukan sifat الْوَهَّابُ yang terus memberi ini kerana kita manusia yang lupa. Jadi apabila kita lupa, janganlah Allah beri sekali sahaja, berilah lagi. Betulkanlah kita apabila kita terpesong dari jalan yang benar.

 

Glosari Istilah Penting

Ar-Rasikhuna fil ‘ilm: Golongan yang mempunyai ilmu yang mendalam, mantap, dan kukuh kefahamannya terhadap agama.

Zaygh (زَيغٌ): Kecondongan atau kecenderungan hati ke arah penyelewengan dan kesesatan daripada kebenaran.

Mutasyabihat: Ayat-ayat Al-Qur’an yang maknanya samar atau memerlukan penjelasan lanjut, sering digunakan oleh golongan sesat untuk menimbulkan fitnah.

Tawasul: Cara atau wasilah untuk mendekatkan diri kepada Allah, dalam konteks ayat ini melalui nama-nama Allah (Asma’ul Husna) dan nikmat iman.

Takhliyah: Proses membersihkan atau mengosongkan jiwa daripada sifat-sifat buruk dan penyakit hati.

Tahliyah: Proses menghiasi atau mengisi jiwa dengan sifat-sifat terpuji dan rahmat Allah.

Al-Wahhab (الْوَهَّابُ): Salah satu Asma’ul Husna yang bermaksud Yang Maha Pemberi secara berterusan, tanpa had, dan tanpa mengharapkan balasan.

Sighah Al-Mubalaghah: Formula tatabahasa Arab yang menunjukkan penekanan atau superlatif (pemberian yang sangat banyak dan sangat kerap).

Hibah (الْهِبَة): Pemberian atau hadiah yang diberikan secara sukarela tanpa mengharapkan sebarang imbalan atau balasan.

Zharf Zaman Madi: Kata nama masa dalam bahasa Arab yang merujuk kepada perkara atau peristiwa yang telah pun berlaku di masa lalu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 29 Jun 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Dorar.net