Ali Imran Ayat 12: Azab itu bukan hanya di akhirat sahaja. Di dunia lagi Allah ﷻ sudah boleh tunjuk. Maknanya sekarang diberitahu kepada orang kafir yang mereka akan dapat azab di dunia dan juga di akhirat, dua-dua mereka dapat.
قُل لِّلَّذينَ كَفَروا سَتُغلَبونَ وَتُحشَرونَ إِلىٰ جَهَنَّمَ ۚ وَبِئسَ المِهادُ
SAHIH INTERNATIONAL
Say to those who disbelieve, “You will be overcome and gathered together to Hell, and wretched is the resting place.”
MALAY
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir itu: “Kamu akan dikalahkan (di dunia ini) dan akan dihimpunkan (pada hari kiamat) ke dalam neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat yang disediakan”.
قُل لِّلَّذينَ كَفَروا
Katakanlah kepada orang-orang kafir itu:
Allah ﷻ suruh beri ancaman kepada orang-orang kafir itu. Orang Kafir yang dimaksudkan dalam ayat ini boleh jadi sama ada musyrikin Mekah, Nasara atau Yahudi. Iaitu mereka yang menentang ajaran wahyu.
Ini adalah pengajaran tentang keberanian. Apabila Allah suruh Nabi berkata begini, ia adalah ketika Islam tidaklah kuat mana lagi. Tapi apabila Allah suruh, baginda lakukan. Begitulah juga kita dalam berdakwah, kadangkala kena cakap perkara yang boleh menyebabkan orang yang mendengarnya tersentap. Akan tetapi kita tetap kena lakukan. Tapi kita kena ikutlah cara Rasulullah. Baginda bukanlah berkata dengan nada yang sombong, akan tetapi dengan cara memberitahu sesuatu yang benar, tanpa diselindung.
Jadi ayat ini menjadi dalil kita wajib sampaikan ancaman Allah di dalam ayat-ayat Al-Qur’an. Tapi adakah kita telah sampaikan? Nabi Muhammad dan para sahabat sudah sampaikan, tapi adakah kita sudah sampaikan? Bagaimana kita hendak sampaikan kalau kita sendiri tidak faham dengan ajaran Al-Qur’an? Maka ini adalah tamparan hebat kepada kita. Bagaimana kita hendak berdakwah kalau kita sendiri tidak tahu agama sendiri?
Jadi Al-Qur’an ini bukan untuk umat Islam sahaja tapi untuk semua manusia termasuk orang kafir. Mungkin ada orang Islam yang sangka Al-Qur’an ini hanya untuk umat Islam sahaja. Dan ini adalah salah faham. Ini amat menyedihkan sekali kerana orang Islam sendiri tidak faham ajaran Al-Qur’an. Maka sekarang ia menjadi tugas kita untuk membumikan ajaran Al-Qur’an ini. Tentunya kita kena mulakan dengan umat Islam sendiri supaya ramai-ramai boleh sampaikan kepada orang lain juga.
سَتُغلَبونَ
Kamu pasti akan dikalahkan
Ini adalah kata-kata yang Allah suruh sampaikan kepada golongan kafir terutama sekali kepada golongan Yahudi. Ini adalah kata-kata yang berat kerana ketika itu umat Islam bukannya kuat. Akan tetapi Nabi Muhammad berkata dengan keyakinan yang tinggi kepada mereka kerana Allah yang suruh sampaikan. Maknanya kemenangan itu sudah pasti.
Dan inilah pemberitahuan yang kena disampaikan kepada golongan kafir itu. Allah ﷻ hendak beritahu yang mereka pasti akan dikalahkan oleh umat Islam. Memang waktu itu mereka nampak mereka kuat, tetapi nanti mereka pasti akan dikalahkan. Mereka memang kaya dan kuat akan tetapi kekayaan dan kekuasaan yang mereka ada itu tidak akan dapat memenangkan mereka dan menyelamatkan mereka dari kekalahan. Kalah atau menang di tangan Allah.
Huruf س di dalam kalimah ini membawa maksud ‘akan’. Dan ia akan berlaku tidak lama lagi (Lil-Istiqlal al-Qarib). Dan ia memang berlaku. Ayat ini diturunkan di Madinah, dan tidak lama selepas itu, janji ini benar-benar tunai apabila orang kafir Quraisy kalah teruk dalam Perang Badar. Dan golong Yahudi mula dihalau keluar dari Madinah.
Deklarasi umum kepada orang kafir ini mempunyai beberapa kepentingan:
1. Ia menguji iman orang Islam. Adakah mereka akan percaya kepada janji Allah ini? Atau adakah mereka hanya akan lihat situasi semasa? Hanya yang kuat iman sahaja akan berpegang dengan janji Allah ini.
2. Ia akan menakutkan orang kafir. Dan apabila takut, mereka akan jadi lemah dan kekuatan mereka pun akan menurun. Mereka mungkin tidak beriman, akan tetapi sedikit sebanyak mereka akan terfikir: (biar betul, apa yang dia tahu sampai berani kata begitu?)
3. Nanti apabila apa yang disebut itu benar-benar berlaku, maka ia akan menjadi satu dalil tentang kebenaran Islam dan kebenaran janji Allah. Maka ia akan menjadi modal bagi orang lain untuk beriman.
4. Ia mungkin nampak keras, akan tetapi ada rahmah di dalam pernyataan ini. Ia memberi peluang kepada orang kafir itu untuk mengubah diri mereka. Mereka masih lagi ada masa. Maknanya Allah tidak terus musnahkan mereka akan tetapi masih beri peluang lagi kepada mereka. Tidakkah ini rahmah?
Ketika ayat ini diturunkan, umat Islam bukannya kuat lagi. Tapi Allah telah janjikan kemenangan kepada mereka. Ini kerana Allah hendak beritahu, kemenangan umat Islam nanti bukanlah kerana mereka kuat, akan tetapi kerana Allah akan tolong. Dan kenapa Allah tolong? Kerana mereka beriman. Allah berfirman di dalam Ghafir:51
إِنّا لَنَنصُرُ رُسُلَنا وَالَّذينَ ءآمَنوا فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا وَيَومَ يَقومُ الأَشهٰدُ
Sesungguhnya Kami tetap membela serta mempertahankan Rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman – dalam kehidupan dunia ini dan pada saat bangkitnya saksi-saksi (pada hari kiamat)
Tapi persoalannya sekarang, kenapa umat Islam sekarang tak menang-menang? Asyik lemah sahaja, asyik kalah sahaja. Ini kerana sekarang kita tidak beriman, jadi Allah tak tolong. Kerana Allah memang berjanji untuk menangkan umat Islam, tapi ada syaratnya: ءآمَنوا iaitu mereka kena beriman. Ini tafsir Al-Qur’an pun tidak tahu, bagaimana Allah akan tolong? Maka kita kenalah kembali kepada Allah, belajarlah tafsir Al-Qur’an ini dan agama dengan benar, barulah Allah akan bantu kita. Dan Allah telah berfirman di dalam Mujadilah:21
كَتَبَ اللهُ لَأَغلِبَنَّ أَنا وَرُسُلي ۚ إِنَّ اللهَ قَوِيٌّ عَزيزٌ
Allah telah menetapkan: “Aku dan rasul-rasul-Ku pasti menang”. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.
Mungkin ada yang mengkritik ayat ini kerana umat Islam sekarang sedang lemah, takkan boleh mengalahkan orang kafir sekarang. Akan tetapi ayat ini bukannya tentang sepanjang zaman. Tapi ia adalah tentang musuh umat Islam ketika ayat ini diturunkan. Iaitu puak Musyrikin Mekah yang dikalahkan di dalam banyak peperangan dengan tentera Muslim dan akhirnya Mekah ditakluk oleh umat Islam. Ia juga merujuk kepada musuh lagi satu iaitu puak Yahudi yang juga dikalahkan oleh umat Islam di Madinah. Sampaikan mereka dihalau keluar dari Semenanjung Arab ketika itu. Tapi itu ketika umat Islam kuat imannya, sekarang iman sudah lemah, maka bantuan Allah tidak kunjung tiba kerana syarat tidak dipenuhi.
Maka kita kena kuatkan kembali Islam. Dengan apa? Dengan kekuatan tentera kah? Ya boleh, tapi itu tidak memastikan kemenangan. Kerana orang kafir lagi banyak duit dan mereka memang bekerjasama antara mereka untuk mengalahkan umat Islam. Allah beritahu kita akan hal ini di dalam Anfal:36
إِنَّ الَّذينَ كَفَروا يُنفِقونَ أَموٰلَهُم لِيَصُدّوا عَن سَبيلِ اللَّهِ ۚ فَسَيُنفِقونَها ثُمَّ تَكونُ عَلَيهِم حَسرَةً ثُمَّ يُغلَبونَ
Sesungguhnya orang-orang yang kafir menafkahkan harta mereka untuk menghalangi (orang) dari jalan Allah. Mereka akan menafkahkan harta itu, kemudian menjadi sesalan bagi mereka, dan mereka akan dikalahkan.
Perhatikan bagaimana orang kafir sanggup mengeluarkan harta mereka untuk menjatuhkan Islam. Sekarang kita terbalikkan: adakah kalian wahai orang Islam sanggup untuk mengeluarkan harta kalian untuk menyelamatkan Islam? Kalau kita baca tentang pengorbanan para sahabat, malu kita. Mereka sanggup korbankan harta dan nyawa mereka untuk menegakkan Islam. Tapi kita? Untuk dakwah ajak orang kepada Tauhid pun takut!
Maka ayat ini beritahu sekali lagi kepada kita yang mereka berusaha untuk mengalahkan umat Islam akan tetapi mereka akan dikalahkan. Tapi bukanlah dengan kekuatan tentera sahaja, tapi dengan kekuatan iman. Dan jihad tentunya memerlukan pengorbanan harta dan jiwa. Tapi yang utama adalah kena ada ilmu dahulu, barulah semua itu sanggup dikorbankan. Maka kembalilah betul-betul kepada Al-Qur’an. Barulah kita tidak buat benda mengarut, amalan mengarut, dan lagha dengan dunia sahaja. Banyak masalah kita ini sekarang kerana sudah lama jauh dari Al-Qur’an sebenarnya. Ia bukan senang kerana banyak pihak akan menentang kita apabila kita sampaikan ajaran Al-Qur’an yang benar. Akan tetapi kita tetap kena berusaha.
Kerana kita mahu selamat di dunia dan di akhirat. Jangan kita berterusan lemah sahaja. Kalau kita lemah, kita ditindas, ditekan, dipijak. Hendak dakwah agama Islam pun susah. Jangan kita rasa kita layak jadi orang lemah sahaja sampai bila-bila. Lihatlah sejarah umat Islam di zaman dahulu. Asalnya mereka memang nampak lemah tapi Allah beri kekuatan kerana keimanan mereka yang kuat. Sampaikan orang Yahudi yang kaya dan kuat pun boleh dikeluarkan dari Madinah setelah beribu tahun duduk di situ. Perhatikan Hashr:2
هُوَ الَّذيٓ أَخرَجَ الَّذينَ كَفَروا مِن أَهلِ الكِتٰبِ مِن دِيٰرِهِم لِأَوَّلِ الحَشرِ ۚ ما ظَنَنتُم أَن يَخرُجوا ۖ وَظَنّوآ أَنَّهُم مّانِعَتُهُم حُصونُهُم مِّنَ اللهِ فَأَتٰهُمُ اللهُ مِن حَيثُ لَم يَحتَسِبوا ۖ وَقَذَفَ في قُلوبِهِمُ الرُّعبَ
Dialah yang mengeluarkan orang-orang kafir di antara ahli kitab dari kampung-kampung mereka pada saat pengusiran yang pertama. Kamu tidak menyangka, bahawa mereka akan keluar dan mereka pun yakin, bahawa benteng-benteng mereka dapat mempertahankan mereka dari (seksa) Allah; maka Allah mendatangkan kepada mereka (hukuman) dari arah yang tidak mereka sangka-sangka. Dan Allah melemparkan ketakutan dalam hati mereka;
Asbabun Nuzul: Sebelum Perang Badr, kaum Yahudi di Madinah menyangka menyangka bahawa tentera Musyrikin Mekah akan menghapuskan umat Islam. Sejurus selepas kemenangan mengejut umat Islam dalam Perang Badar, peta geopolitik di Madinah berubah sepenuhnya. Kemenangan besar itu menimbulkan kegerunan kepada musuh, namun di sebalik tabir, ia mencetuskan krisis dalaman yang sangat hebat dalam kalangan masyarakat Yahudi Madinah. Terdapat sebahagian pengikut atau orang awam Yahudi yang mula melihat kebenaran nubuwwah Nabi Muhammad ﷺ, tetapi hasrat mereka dihalang, disekat, dan ditindas oleh pemuka agama serta pembesar mereka sendiri.
Sebelum Perang Badar, orang-orang Yahudi Madinah (Bani Qainuqa’, Bani Nadzir, dan Bani Quraizah) sering memperlekehkan umat Islam. Mereka menyangka umat Islam akan hancur diratah-ratah oleh tentera Quraisy Mekah yang jauh lebih besar dan lengkap.
Apabila berita kemenangan Badar sampai ke Madinah, ramai pengikut Yahudi yang mula tersedar. Dalam kitab-kitab suci mereka (Taurat), telah tertulis ciri-ciri Nabi akhir zaman yang antara lain akan mendapat kemenangan luar biasa walaupun dalam keadaan tertindas dan kekurangan. Oleh itu kemenangan di Badar menjadi bukti nyata di depan mata mereka bahawa Nabi Muhammad ﷺ benar-benar disokong oleh kekuatan langit. Bibit-bibit mahu menerima Islam mula muncul dalam kalangan mereka yang berfikiran lurus.
Melihat trend di mana pengikut mereka mula goyah dan cenderung kepada Islam, para pemuka agama (ahbar) dan pembesar Yahudi (seperti Ka’b ibn al-Ashraf dan Huyayy bin Akhtab) menjadi panik. Bagi mereka, jika pengikut mereka masuk Islam, mereka akan kehilangan kuasa politik dan pengaruh di Madinah. Sumber kewangan mereka juga akan hilang kkerana orang awam Yahudi sentiasa membayar ufti, sedekah, dan tunduk kepada fatwa pemuka agama mereka. Oleh itu, para pemuka agama ini mengambil beberapa tindakan drastik untuk menghalang pengikut mereka
Mereka menyorok dan mengubah teks Taurat. Mereka mula memadam atau menafsirkan semula ayat-ayat dalam kitab Taurat yang menceritakan sifat Nabi Muhammad ﷺ. Mereka meyakinkan pengikut mereka dengan berkata: “Muhammad ini bukanlah Nabi yang disebut dalam kitab kita. Nabi kita sepatutnya dari keturunan Ishak (Bani Israil), bukan keturunan Ismail (Arab).”
Mereka juga melancarkan Perang Psikologi dan Provokasi: Mereka mula berkumpul di pasar-pasar (terutamanya Pasar Bani Qainuqa’) untuk menyebarkan propaganda. Mereka berkata kepada pengikut mereka dan umat Islam: “Jangan terpedaya dengan kemenangan Badr. Muhammad hanya bertuah kerana bertempur dengan orang Quraisy yang tidak tahu berperang. Kalau dia bertempur dengan kita (orang Yahudi), dia akan tahu siapa sebenarnya pahlawan.”
Melihat ketegangan yang semakin memuncak dan tindakan pemuka Yahudi yang menghasut pengikut mereka serta melanggar Piagam Madinah, Rasulullah ﷺ sendiri telah turun ke Pasar Bani Qainuqa’. Baginda mengumpulkan para pembesar dan pemuka agama Yahudi lalu memberikan amaran yang direkodkan oleh sejarawan Ibnu Ishaq:
“Wahai sekalian kaum Yahudi, berhati-hatilah kamu dengan azab Allah yang telah menimpa kaum Quraisy (di Badar). Masuklah Islam (terimalah kebenaran), kerana sesungguhnya kamu telah mengetahui bahawa aku ini adalah seorang Nabi yang diutus. Kamu telah mendapati perkara itu dalam kitab kamu dan perjanjian Allah dengan kamu.”
Namun, ego pemuka agama ini terlalu tinggi. Mereka menolak pelawaan itu dengan sombong dan terus mengunci minda pengikut-pengikut mereka daripada menerima Islam.
Ayat yang kita sedang bincangkan ini turun sebagai jawapan terus (khitab) kepada pemuka-pemuka Yahudi di Madinah yang sombong dan menghalang manusia daripada Islam selepas Perang Badr. Allah menggunakan ayat 13 (kisah Perang Badar) untuk menyedarkan pengikut-pengikut Yahudi yang masih ragu-ragu: “Sesungguhnya telah ada tanda bagi kamu pada dua kumpulan yang bertemu…”
Puak Yahudi itu bukannya menyambut baik atau berfikir secara rasional, tetapi mereka semakin sombong. Puak Yahudi Bani Qainuqa’ menjawab ucapan Nabi SAW dengan nada yang sangat sombong dan angkuh. Mereka berkata: “Wahai Muhammad! Janganlah kamu terpedaya (atau berasa bangga) dengan dirimu hanya kerana kamu telah membunuh sekumpulan kaum Quraisy yang tidak tahu menahu tentang taktik perang (tidak pandai berperang). Demi Allah, jika kamu berperang dengan kami, kamu akan tahu bahawa kamilah pendekar yang sebenar, dan kamu tidak akan pernah bertemu lawan seperti kami!”
Jawapan yang angkuh ini menandakan bahawa mereka secara rasmi telah mengisytiharkan permusuhan dan mengoyakkan Piagam Madinah. Rentetan daripada peristiwa ucapan ini, Allah menurunkan wahyu di dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 12-13 bagi menjawab kesombongan mereka.
Tidak lama selepas dialog di pasar ini, berlaku satu peristiwa di mana seorang wanita Muslimah diaibkan oleh seorang tukang emas Yahudi Bani Qainuqa’ di pasar tersebut, yang mencetuskan pergaduhan dan pertumpahan darah. Disebabkan mereka telah melanggar perjanjian damai dan menunjukkan penentangan terbuka, Nabi akhirnya mengepung kubu Bani Qainuqa’ selama 15 hari, sehinggalah mereka menyerah kalah dan akhirnya diusir keluar dari Madinah.
Pengajaran kepada kita adalah pemuka agama akan menghalang orang bawahan mereka dari pergi kepada orang lain. Kalau golongan pemuka Yahudi itu banyak mereka takut kalau pengikut mereka masuk Islam, maka begitulah juga dari kalangan pemuka agama kita. Kalau pelajar mereka pergi belajar Sunnah, mereka pun akan kehilangan pengaruh dan pendapatan mereka.
Satu lagi adalah kisah konspirasi Ka’b ibn al-Ashraf. Dia adalah seorang pemuka Yahudi daripada bani Nabhan tetapi ibunya berasal daripada Bani Nadzir (salah satu suku Yahudi utama di Madinah). Dia seorang yang kaya-raya, tampan, penyair yang sangat hebat, dan memiliki pengaruh yang besar di Madinah.
Apabila Perang Badar meletus dan umat Islam mendapat kemenangan yang luar biasa dengan terbunuhnya pembesar-pembesar Quraisy seperti Abu Jahl dan Utbah bin Rabi’ah, Ka’b ibn al-Ashraf tersentak. Dia malah tidak percaya berita itu pada mulanya dan berkata: “Benarkah ini? Mereka (pembesar Quraisy) itu adalah golongan bangsawan Arab dan raja kepada manusia. Jika Muhammad berjaya membunuh mereka, maka perut bumi (mati) adalah lebih baik bagi kita daripada atasnya (hidup).” Apabila berita itu disahkan sahih, maraklah api kebencian dan dendam di dalam hati Ka’b terhadap Nabi Muhammad ﷺ dan umat Islam.
Bagi merealisasikan dendamnya, Ka’b tidak hanya berdiam diri di kubunya di Madinah. Dia mengambil langkah ekstrem dengan bermusafir ke Mekah. Di Mekah, dia menjalankan misi diplomatik dan psikologi dengan membakar semangat Kaum Quraisy. Dia bertemu dengan Abu Sufyan dan pembesar Mekah yang sedang meratapi kekalahan. Ka’b menggunakan kehebatannya mengubah bait-bait puisi ratapan yang sangat menyayat hati bagi menaikkan semula moral orang Mekah yang runtuh, sekali gus menghasut mereka untuk segera melancarkan perang balas dendam (yang kemudiannya mencetuskan Perang Uhud). Kisah dia ini pun ada juga disebut berkaitan dengan Nisa’:51.
Perbuatan Ka’b adalah pencabulan terang-terangan terhadap Piagam Madinah (Sahifah Madinah) yang telah dipersetujui oleh suku-suku Yahudi, di mana mereka wajib mempertahankan Madinah bersama umat Islam daripada ancaman luar, bukannya berpakat dengan musuh luar untuk menyerang Madinah. Setelah berjaya mengikat janji dengan Mekah, Ka’b pulang ke Madinah. Dia memulakan fasa kedua konspirasinya, iaitu merosakkan kestabilan dalaman Madinah. Melalui kedudukan dan hartanya, dia mendanai gerakan-gerakan bawah tanah untuk mencetuskan kembali api permusuhan lama antara suku Aus dan Khazraj, serta menghasut golongan munafik. Tindakan Ka’b ibn al-Ashraf bukan lagi sekadar kebebasan bersuara, tetapi ia adalah pengkhianatan negara tahap tertinggi (high treason). Dia telah menjadi ancaman keselamatan (security threat) yang sangat berbahaya kepada kedaulatan Madinah yang boleh mencetuskan perang saudara.
Melihat keadaan ini, Rasulullah ﷺ bersabda kepada para sahabat: “Siapakah yang sanggup menyelesaikan urusan Ka’b ibn al-Ashraf? Sesungguhnya dia telah menyakiti Allah dan Rasul-Nya.” Seorang pemuda Ansar bernama Muhammad bin Maslamah bersama beberapa orang sahabat (termasuk Abu Na’ilah, yang merupakan saudara susuan Ka’b) menawarkan diri. Menggunakan strategi penyamaran dan taktik psikologi, mereka berjaya memancing Ka’b keluar dari kubunya yang kukuh pada waktu malam dan mengeksekusinya atas jenayah pengkhianatan berat tersebut. Jadi terbuktilah ayat-ayat Allah yang mengatakan harta mereka tidak akan dapat menyelamatkan mereka dan mereka akan dikalahkan.
وَتُحشَرونَ إِلىٰ جَهَنَّمَ
dan akan dihimpunkan ke dalam neraka Jahannam,
Beritahu kepada mereka: Di dunia lagi kamu akan dikalahkan dan di akhirat kelak kamu akan dimasukkan ke dalam neraka.
Perhatikan tiada huruf س di dalam kalimah تُحشَرونَ menjadi ستُحشَرونَ seperti سَتُغلَبونَ. Ini kerana huruf س itu adalah menunjukkan sesuatu yang akan berlaku tidak lama lagi. Sedangkan kejadian akhirat itu akan ambil masa yang lama lagi.
وَبِئسَ المِهادُ
dan itulah seburuk-buruk tempat yang disediakan”.
Neraka itu bukanlah tempat berehat tetapi tempat dikenakan azab. Mereka hidup senang dan indah di dunia, tapi balasannya mereka akan merempat dalam neraka nanti! Tidak ada tempat yang lebih buruk daripada neraka itu. Maka sepatutnya kita takut dan orang kafir pun sepatutnya takut dengan ancaman ini.
Kalimah المِهادُ sebenarnya adalah buaian. Bayi sedap tidur di dalam buaian kerana mereka rasa tenang dan selesa. Tapi adakah di neraka selesa? Tentu tidak! Maka ini adalah sindiran kepada mereka. Duduklah kamu dalam ‘buaian’ di neraka!
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 9 Julai 2026
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir al-Azhar – Prof Hamka

Saya dah log masuk tapi tidak dapat Rm5/=
LikeLike
siapa pula janjikan RM5?
LikeLike
Alhamdullilah syukur pada Allah SWT terima kasih Ya Allah terima kasih kpd penulis
LikeLike
Confirm
LikeLike