Tafsir Surah Ali Imran Ayat 10 – 11 (Harta dan Anak tidak dapat menyelamatkan)

AZAB BAGI GOLONGAN KAFIR

Ali Imran Ayat 10: Ini adalah ayat Takhwif Duniawi. Setelah menyebut tentang kepastian Hari Akhirat dan permintaan doa minta diselamatkan, maka sekarang diseimbangkan pula dengan disebut tentang lawannya, iaitu mereka yang tidak selamat. Memang begitulah selalu Allah imbangkan. Selepas disebut tentang doa orang Mukmin, sekarang disebut tentang orang kafir pula. Allah memberitahu natijah jikalau tidak taat kepadaNya.

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا لَن تُغنِيَ عَنهُم أَموٰلُهُم وَلآ أَولٰدُهُم مِّنَ اللَّهِ شَيئًا ۖ وَأُولٰئِكَ هُم وَقودُ النّارِ

SAHIH INTERNATIONAL
Indeed, those who disbelieve – never will their wealth or their children avail them against Allah at all. And it is they who are fuel for the Fire.

MALAY
Sebenarnya harta benda orang-orang kafir, dan juga anak-pinak mereka tidak sekali-kali akan menyelamatkan mereka dari (azab seksa) Allah sedikit juapun; dan mereka itulah bahan bakaran api neraka.

 

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا لَن تُغنِيَ عَنهُم أَموٰلُهُم

Sesungguhnya orang-orang kafir, tidaklah dapat menyelamatkan mereka harta benda mereka

Ini adalah tentang mereka yang kafir kerana degil. Kebenaran telah sampai kepada mereka, tapi mereka menolak dan menentang kebenaran itu. Mereka bukan sahaja tidak mahu menerima kebenaran, malah mereka menentang Islam dan berusaha untuk menjatuhkan Islam. Tidak disebut siapakah mereka di dalam ayat ini, jadi ia boleh jadi sesiapa sahaja dan ketika ayat ini diturunkan, ia merujuk kepada kafir Quraisy dan penentang dari kalangan Yahudi.

Di dalam ayat ini, hanya disebut mereka kufur (الَّذينَ كَفَروا) tanpa disebut mereka engkar dengan apa. Jadi ia boleh jadi macam-macam: engkar kufur dengan Allah, dengan hari akhirat, dengan wahyu, dengan Rasulullah, dengan segala rukun iman. Apabila dakwah Islam telah sampai kepada mereka, kebenaran telah dibentangkan kepada mereka, semuanya mereka tolak.

Dalam konteks peperangan, persediaan peperangan dan belanja peperangan sangat tinggi. Kerana itulah belanjawan bagi Kementerian Pertahanan di mana-mana sahaja di dunia ini adalah sangat tinggi. Maka begitu jugalah ketika zaman dahulu, termasuk zaman Rasulullah dan para sahabat. Untuk berperang, memerlukan kenderaan, alat senjata, bekalan makanan, belanja yang perlu ditinggalkan kepada keluarga di rumah dan sebagainya. Ini memerlukan belanja. Dan kalau dibandingkan antara orang kafir dan umat Islam ketika itu, golongan kafir itu lebih banyak harta mereka, persediaan mereka, kekuatan senjata dan tentera mereka. Tapi di sini, Allah kata ia tidak akan dapat memenangkan mereka apabila mereka berperang dengan Allah. Mereka akan dikalahkan oleh tentera orang yang beriman.

Dan tentunya mereka akan dapat bahagian mereka nanti di akhirat. Mereka itu kaya raya di dunia, akan tetapi harta mereka tidak boleh membantu mereka langsung, tidak kira walau kaya macam mana sekalipun. Mereka di akhirat nanti miskin semiskin-miskinnya. Ada penegasan apabila Allah menggunakan kalimah إِنَّ (sesungguhnya) di awal ayat ini. Ia pasti berlaku. Kemudian ditambah lagi dengan kalimah لَن yang bermaksud ‘tidak akan selama-lamanya’.

Kalimah تُغْنِيَ berasal daripada kalimah أَغْنَى yang bermaksud mencukupi, memberi manfaat, melindungi, atau mendatangkan faedah. Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang semua manusia akan dikumpulkan di Mahsyar kelak. Apa yang bernilai pada waktu itu adalah akidah dan amal kita. Harta-benda tidak akan mempunyai nilai langsung dan tidak akan memberi faedah kepada mereka. Maka kalau orang ingkar yang kaya, kekayaan mereka itu tidak akan dapat menyelamatkan mereka.

Harta benda dan kekayaan adalah antara perkara yang boleh melalaikan manusia dan menyebabkan manusia sesat. Ini kerana mereka sudah tidak ada rasa bergantung kerana semua senang dapat, masalah pun kurang. Mereka rasa mereka ‘telah cukup’. Maka mereka lupa kepada Allah. Allah telah sebut hal ini di dalam Alaq:6-7

كَلَّا إِنَّ الْإِنسَانَ لَيَطْغَىٰ ۝ أَن رَّآهُ اسْتَغْنَىٰ
“Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas (durhaka/kufur). Kerana dia melihat dirinya telah cukup (kaya/senang).”

Apabila ada duit banyak, memang senang terpesona dengan dunia kerana senang sahaja untuk mereka buat maksiat sana sini. Hendak belajar agama pun sudah kurang, sebab sibuk ke sana sini. Kemudian untuk mendapatkan harta itu pula, ramai yang menggunakan cara yang salah, menipu, riba, dan sebagainya. Maka agama memang jauh dari manusia sebegini. Bukan semua, tapi ramai.

Maka ini mengajar kita, janganlah kita hanya asyik mengumpulkan harta sahaja. Harta banyak mana pun bukannya boleh menyelamatkan kita kalau kita akan dimasukkan ke dalam neraka. Di dunia ya kita pakai harta dan duit, tapi itu pun bukannya pasti boleh selamatkan kita. Harta yang kita cari dan kumpul, tapi kalau tiba-tiba kita jatuh sakit, harta yang dikumpul selama 10 tahun pun dihabiskan dalam masa seminggu sahaja. Kalau ada duit tapi ubat pun tidak ada, tidak ada gunanya juga, bukan? Duit banyak boleh beli apa sahaja makanan, tapi doktor sudah suruh berpantang, tahan sahaja makan bubur.

Tapi sebenarnya harta itu sendiri tidak bersalah. Hendaklah kita beramal dengan kebaikan dan harta itu hendaklah kita infakkan. Harta yang ada sebenarnya boleh menjadikan peluang untuk kita buat pahala dengan lebih banyak kalau kita ada kesedaran. Maka jadinya ia peluang untuk pahala, bukannya lubuk untuk dosa. Perhatikan syarah Hadis #25 tentang kelebihan orang yang ada harta dan mereka gunakan kepada kebaikan,

عَنْ أَبِى ذَرٍّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَيْضًا أَنَّ نَاسًا مِنْ أَصْحَابِ رَسُوْلِ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- قَالُوا لِلنَّبِىِّ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- يَا رَسُولَ اللَّهِ ذَهَبَ أَهْلُ الدُّثُورِ بِالأُجُورِ يُصَلُّونَ كَمَا نُصَلِّى وَيَصُومُونَ كَمَا نَصُومُ وَيَتَصَدَّقُونَ بِفُضُولِ أَمْوَالِهِمْ. قَالَ « أَوَلَيْسَ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لَكُمْ مَا تَصَّدَّقُونَ إِنَّ بِكُلِّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةً وَكُلِّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةً وَكُلِّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةً وَكُلِّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةً وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ وَنَهْىٌ عَنْ مُنْكَرٍ صَدَقَةٌ وَفِى بُضْعِ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ ». قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيَأْتِى أَحَدُنَا شَهْوَتَهُ وَيَكُونُ لَهُ فِيهَا أَجْرٌ قَالَ « أَرَأَيْتُمْ لَوْ وَضَعَهَا فِى حَرَامٍ أَكَانَ عَلَيْهِ فِيهَا وِزْرٌ فَكَذَلِكَ إِذَا وَضَعَهَا فِى الْحَلاَلِ كَانَ لَهُ أَجْرٌ » رَوَاهُ مُسْلِمٌ
Daripada Abu Dzarr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata bahawa ada sejumlah orang sahabat Rasulullah ﷺ berkata kepada baginda, “Wahai Rasulullah, orang-orang kaya telah pergi dengan membawa pahala yang banyak, mereka solat sebagaimana kami solat, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa, dan mereka bersedekah dengan kelebihan harta mereka.” Rasulullah ﷺ bersabda, “Bukankah Allah telah menjadikan bagi kalian jalan-jalan lain untuk bersedekah? Sesungguhnya setiap tasbih merupakan sedekah, setiap takbir merupakan sedekah, setiap tahmid merupakan sedekah, setiap tahlil merupakan sedekah, mengajak pada kebaikan (makruf) adalah sedekah, melarang dari kemungkaran adalah sedekah, dan berhubungan intim dengan isteri kalian adalah sedekah.” Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana boleh salah seorang di antara kami melampiaskan syahwatnya lalu mendapatkan pahala di dalamnya? Baginda bersabda, “Bagaimana pendapat kalian seandainya hal tersebut disalurkan di jalan yang haram, bukankah akan mendapatkan dosa? Demikianlah halnya jika hal tersebut diletakkan pada jalan yang halal, maka ia mendapatkan pahala.”

[Sahih Muslim, no. 1006]

 

وَلا أَولٰدُهُم مِّنَ اللَّهِ شَيئً

dan juga anak pinak mereka dari Allah sedikit pun

Allah mengulang kalimah وَلا sebagai taukid kerana anak-anak juga adalah sesuatu yang penting dalam kehidupan manusia. Dalam konteks ketenteraan, anak-anak ini bermaksud perajurit-perajurit yang dihantar ke medan perang. Memang anak-anak mudalah yang dihantar zaman berzaman, bukan? Golongan kafir itu ramai tentera mereka, malah mereka ada pengalaman yang banyak dalam peperangan. Mereka juga ada senjata yang boleh digunakan oleh perajurit mereka yang ramai. Akan tetapi itu tidaklah dapat memastikan kemenangan mereka kalau Allah tidak izinkan.

Ayat ini diturunkan setelah kemenangan umat Islam di Badr. Quraisy Mekah telah banyak kehilangan harta dan diri mereka kerana kekalahan itu. Dan mereka pulang dan membuat rancangan untuk menggunakan lagi kekuatan mereka dan harta mereka terus menyerang umat Islam di Madinah. Tapi Allah beritahu di sini yang itu tidak bermakna apa-apa. Bukan mereka sahaja, akan tetapi musuh kedua umat Islam adalah Yahudi dan mereka juga diingatkan di dalam ayat ini.

Juga anak atau pengaruh tidak akan menyelamatkan mereka daripada Allah ﷻ di akhirat kelak kerana ia tidak akan berguna sedikit pun. Kalimah مِّنَ اللَّهِ bermaksud من عَذابِ الله (dari azab Allah). Allah menghazafkan kalimah عَذابِ kerana ia telah diketahui. Harta dan anak pinak itu berguna ketika di dunia, bolehlah. Ada duit semua boleh jalan. Kalau anak ramai, macam-macam boleh buat. Tapi itu tidak akan berlaku di akhirat kelak. Allah berfirman di dalam Syuara’:88-89

يَومَ لَا يَنفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ (٨٨) إِلَّا مَن أَتَى ٱللَّهَ بِقَلبٍ سَلِيمٍ (٨٩)
Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun. (88) Kecuali orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik); (89)

Dua perkara yang menyibukkan manusia adalah harta yang disebut tadi, dan sekarang disebut anak pinak pula. Anak pinak pun ada berkaitan dengan harta juga sebenarnya. Ramai yang sibuk mengumpul harta benda kerana mereka hendak simpan untuk kegunaan anak pinak. Ilmu agama dan akhlak tidak diajar kepada anak pinak itu, tetapi harta yang disibukkan untuk mereka. Padahal, harta itu anak pinak boleh cari sendiri apabila mereka sudah dewasa nanti, bukan? Yang penting untuk mereka di waktu kecil adalah pendidikan agama. Malangnya, ramai ibubapa tidak ambil peduli. Alangkah ruginya!

Lagi satu anak pinak ini senang sangat melalaikan kita. Sibuk kita bermain dengan mereka, sibuk tentang nasib mereka, tentang makan pakai mereka, tentang permainan mereka, sakit pening mereka dan sebagainya. Bukanlah salah, tapi kalau sampai ia melalaikan kita dari agama, dari beribadah dan dari mendalami ilmu agama, maka ia jadi buruk. Kerana itu ada yang kalau kita ajak kelas agama, sibuk kerana anak hendak peperiksaan, anak hendak tuisyen, anak itu dan ini. Jadi lemah ilmu agama kerana sibuk dengan anak sahaja akhirnya.

Balaghah: Kenapa Allah sebut harta dulu sebelum anak? Susunan perkataan di dalam Al-Quran tidak pernah berlaku secara kebetulan. Setiap perkataan yang didahulukan atau dikemudiankan mempunyai rahsia balaghah (keindahan bahasa) dan ketepatan psikologi yang sangat tinggi.

1. Dari sudut realiti kehidupan manusia, seseorang itu biasanya akan mencari dan memiliki harta terlebih dahulu sebelum mereka berkahwin dan dikurniakan anak. Harta menjadi wasilah (jalan) untuk membina keluarga. Maka, susunan ayat ini mengikut kronologi tabi’i kehidupan manusia di dunia.

2. Semua manusia di dunia ini—sama ada lelaki, wanita, orang tua, orang muda, malah orang yang mandul sekalipun—mempunyai keinginan dan kecenderungan yang sangat kuat terhadap harta. Namun, tidak semua orang mempunyai anak. Ada orang kaya yang tidak dikurniakan zuriat, dan ada golongan muda yang belum masanya memiliki anak. Oleh itu, Allah mendahulukan harta kerana fitnah (ujian) harta itu bersifat lebih umum dan terkena kepada setiap lapisan manusia berbanding anak.

3. Konteks ayat 10 ini sedang berbicara tentang orang-orang kafir. Dalam sejarah manusia, alat utama yang paling kerap menyebabkan manusia menjadi sombong, melampaui batas, dan kufur kepada Allah adalah kekayaan harta benda. Contohnya seperti Qarun, Firaun, dan pembesar Quraisy. Mereka menolak dakwah para nabi kerana mereka merasa “cukup” dan berkuasa dengan harta yang mereka ada. Sifat anak-anak biasanya hanyalah sebagai penyokong atau penguat (tentera) kepada kekayaan tersebut. Oleh itu, punca utama kesombongan (harta) didahulukan.

4. Manusia menghabiskan majoriti waktu hidupnya setiap hari (pagi hingga malam) untuk keluar bekerja demi mencari harta. Walaupun mereka menyayangi anak-anak, usaha dan fikiran manusia secara harian lebih banyak terarah kepada pengurusan harta dan ekonomi. Kadang mereka kata mereka cari harta untuk anak. Akan tetapi mereka mencari harta sampai anak terabai. Anak tidak mendapat kasih sayang ayah, anak tidak mendapat pendidikan agama.

Asbabun Nuzul: Selepas kejayaan umat Islam di Badr, puak Yahudi telah telah cuba menyakitkan perasaan para sahabat yang baru pulang daripada kemenangan Badr. Yahudi kata apa yang para sahabat itu baru hadapi  tidak ada apa-apa sebenarnya; dan mereka kata nanti puak Islam akan menghadapi masalah dan tentangan yang lebih besar. Mereka kata orang Mekah itu tidaklah hebat mana. Mereka (Yahudi) itu lagi hebat. Maka Allah ﷻ turunkan ayat ini untuk memberitahu yang harta dan anak pinak puak kafir itu tidak akan dapat membantu mereka apa-apa pun. Jangan mereka sangka mereka akan selamat. Jangan bangga diri dengan kelebihan keduniaan yang ada.

Harta, anak dan segala kesenangan di dunia ini boleh melalaikan. Apabila hidup senang, manusia ada sangka mereka sudah ‘cukup’, tidak memerlukan sesiapa lagi, tidak memerlukan rahmat Allah lagi. Mereka sangka mereka insan ‘terpilih’. Mereka mereka dapat, senang pula tu mereka dapat. Jadi mereka sangka mereka akan berterusan dapat kesenangan. Mereka sangka Allah sayang mereka, sebab itu beri kesenangan kepada mereka. Mereka dibuai oleh keindahan dunia. Mereka sangka di akhirat pun mereka akan selamat kerana kalau di dunia sudah senang, maka tentulah di akhirat pun begitu juga. Inilah falasi yang ada dalam diri orang yang jahil. Syaitan bagi mereka rasa mereka sudah selamat, padahal tidak!

Berapa ramai yang gagal dengan ujian Allah ini. Ada yang duduk di kampung, baik sahaja. Sampai masa solat, berjemaah dia solat. Tapi ada peluang duduk di bandar seperti KL, sudah lain jadinya. Nampak kehidupan bergemerlapan, dengan segala hiburan sana dan sini, solat pun sudah lupa. Sudah rasa senang, sudah rasa gembira dengan kehidupan.

Inilah sindrom yang banyak kena kepada kita semua. Iaitu apabila kita susah, kita senang ingat Allah; senang hendak solat, banyak berdoa dan banyak berharap kepada Allah. Akan tetapi apabila kita sudah senang, semakin kurang ingat kepada Allah, sudah kurang berharap. Seolah-olah kita ini ingat kepada Allah ketika susah sahaja. Allah berfirman tentang hal ini di dalam Yunus:12

وَإِذا مَسَّ الإِنسٰنَ الضُّرُّ دَعانا لِجَنبِهِ أَو قاعِدًا أَو قائِمًا فَلَمّا كَشَفنا عَنهُ ضُرَّهُ مَرَّ كَأَن لَّم يَدعُنا إِلىٰ ضُرٍّ مَّسَّهُ ۚ كَذٰلِكَ زُيِّنَ لِلمُسرِفينَ ما كانوا يَعمَلونَ
Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah dia kepada Kami (dalam segala keadaan), sama ada dia sedang berbaring atau duduk ataupun berdiri; dan manakala Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, dia terus membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon hapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya (sebagaimana dia memandang eloknya bawaan itu) demikianlah diperelokkan pada pandangan orang-orang yang melampau apa yang mereka lakukan.

Dalam psikologi barat, terdapat satu pepatah popular yang berbunyi: “There are no atheists in foxholes” (Tidak ada orang ateis di dalam kubu perang yang sedang dihujani peluru). Maksudnya: Seseorang yang dalam keadaan biasa (senang/selamat) menolak, mengabaikan, atau tidak mempedulikan Tuhan. Namun, apabila mereka berhadapan dengan situasi hidup dan mati (seperti kemalangan, peperangan, kesakitan kronik, atau bankrap), minda mereka secara automatik mengaktifkan survival mechanism dan mula berdoa atau berjanji kepada Tuhan demi menyelamatkan diri.

Sifat sindrom ini ialah janji palsu. Sebaik sahaja ancaman atau kesusahan itu hilang, mereka kembali kepada tabiat lama dan melupakan “Tuhan” yang mereka sembah ketika cemas tadi. Dalam istilah Islam, ia dipanggil الإِيمَانُ الِاضْطِرَارِيُّ (Keimanan yang hanya muncul ketika seseorang itu berada dalam keadaan tersangat terdesak).

Bagi kita umat Islam, apakah ayat ini mengajar kita? Iaitu segala apa yang kita ada tidak akan beri keselamatan, kesenangan dan apa-apa kalau Allah tidak izinkan. Kadangkala kita ada rasa bangga, rasa selamat, rasa cukup apabila kita ada itu dan ini; tidak kiralah sama ada ia harta, duit berkepuk dalam bank, pengikut yang ramai, kuasa politik, apa-apa sahaja. Semua itu tidak ada nilainya kalau Allah tidak beri izin. Kita hendaklah sentiasa bergantung kepada Allah, berharap kepada Allah, merendahkan diri kepada Allah.

Juga kita akan sedar bahawa apa sahaja yang kita ada di dunia ini adalah sementara sahaja. Allah boleh beri dan Allah boleh tarik dari kita dan kita muflis. Kita tidak pernah terpisah dari kehendak Allah. Apa sahaja yang kita lakukan, tertakluk kepada kehendak Allah.

Ia juga mengajar kita yang harta dan kuasa boleh memabukkan manusia dan menjadikan mereka jauh dari agama, jauh dari Allah. Ini apabila mereka memandang tinggi dengan apa yang mereka ada. Tapi kalau kita melihat segala kesenangan dan nikmat itu sebagai ujian, maka kita akan selamat. Kaya atau tidak, lemah atau kuat, kita tetap orang yang sama dengan Allah. Kita tetap berbaik dengan manusia yang lain, tidak berubah. Kerana kita tahu, kekayaan dan kuasa itu adalah sementara sahaja, bukan ada apa-apa pun.

Akan tetapi kalau kita gagal dalam ujian ini, maka segala nikmat itu adalah istidraj bagi kita. Ia nampak sebagai nikmat, tapi sebenarnya ia adalah punca kejatuhan kita nanti. Kalau tidak di dunia, di akhirat.

 

وَأُولٰئِكَ هُم وَقودُ النّارِ

dan mereka itulah bahan bakaran api neraka.

Ini adalah ayat jenis Takhwif Ukhrawi (menakutkan manusia dengan azab di akhirat). Ini adalah kemuncak azab bagi mereka yang akan menjadi bahan bakar api neraka. Harta dan anak pinak banyak tapi kena bakar dengan api neraka, buat apa? Mereka sangka mereka itu bernilai kerana mereka ada banyak harta dan banyak anak, tapi mereka jadi bahan bakar sahaja. Bahan bakar di dunia adalah sesuatu yang tidak bernilai seperti kayu kering, bukan? Maka Allah samakan mereka dengan kayu kering yang tidak bernilai.

Dan neraka jangan buat main-main. Ada taukid (penegasan) dengan penambahan kalimah هُم di dalam ayat ini. Kalau tidak ada pun, sudah lengkap sebenarnya. Api neraka sampai takut dengan penambahan ahli neraka sebab neraka akan jadi semakin panas apabila bertambah ramainya ahli neraka. Ini kerana semakin ramai ahli neraka, semakin menyebabkan neraka itu sendiri menjadi sakit disebabkan bertambah kepanasannya. Ini kerana tubuh badan ahli neraka itu sendiri jadi bahan bakar! Bayangkan neraka yang memang kerjanya bakar orang pun rasa panas dengan penambahan ahli neraka. Setiap kali masuk seorang ahli baru, semakin naik suhu kepanasan. Neraka pun tidak tahan seperti disebut di dalam satu hadis,

اشْتَكَتِ النَّارُ إِلَى رَبِّهَا، فَقَالَتْ: رَبِّ أَكَلَ بَعْضِي بَعْضًا، فَأَذِنَ لَهَا بِنَفَسَيْنِ: نَفَسٍ فِي الشِّتَاءِ وَنَفَسٍ فِي الصَّيْفِ، فَأَشَدُّ مَا تَجِدُونَ مِنَ الحَرِّ، وَأَشَدُّ مَا تَجِدُونَ مِنَ الزَّمْهَرِيرِ
“Neraka telah mengadu kepada Tuhannya lalu berkata: ‘Wahai Tuhanku, sebahagian dariku telah memakan (merosakkan) sebahagian yang lain (kerana terlalu panas).’ Maka Allah mengizinkan bagi neraka untuk bernafas sebanyak dua kali: sekali nafas pada musim sejuk dan sekali nafas pada musim panas. Maka (nafas itulah) yang menjadi punca cuaca paling panas yang kamu rasakan, dan cuaca paling sejuk (ekstrem) yang kamu rasakan.”

Sahih al-Bukhari: No. Hadis: 3260; Sahih Muslim: No. Hadis: 617

Untuk takut dengan neraka (dan supaya kita jangan buat dosa), maka kita hendaklah banyak baca ayat-ayat tentang Neraka. Ramai yang seolah-olah tidak takut dengan neraka sebab neraka ini tidak nampak lagi depan mata. Tapi ia boleh dibayangkan kalau kita selalu baca ayat-ayat tentangnya. Adakah kita sangka kita orang Islam tidak dimasukkan ke dalam neraka?! Adakah kita sangka kita tidak boleh dijadikan bahan bakar api neraka juga? Tidak? Jadi kenapa Allah suruh kita mengelak dari menjadi bahan bakar api neraka? Allah telah berfirman di dalam Tahreem:6

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا قوا أَنفُسَكُم وَأَهليكُم نارًا وَقودُهَا النّاسُ وَالحِجارَةُ
Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu;


 

Ali Imran Ayat 11: Sekarang diberikan contoh puak yang gagal dalam sejarah dahulu.

كَدَأبِ ءَالِ فِرعَونَ وَالَّذينَ مِن قَبلِهِم ۚ كَذَّبوا بِـَٔايَـٰتِنَا فَأَخَذَهُمُ اللَّهُ بِذُنوبِهِم ۗ وَاللَّهُ شَديدُ العِقابِ

SAHIH INTERNATIONAL
[Theirs is] like the custom of the people of Pharaoh and those before them. They denied Our signs, so Allah seized them for their sins. And Allah is severe in penalty.

MALAY
(Keadaan orang-orang kafir itu) sama seperti keadaan kaum Firaun, dan orang-orang yang terdahulu dari mereka; mereka mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, lalu Allah menyeksa mereka disebabkan dosa-dosa mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha berat azab seksaNya.

 

كَدَأبِ ءَالِ فِرعَونَ وَالَّذينَ مِن قَبلِهِم

sama seperti keadaan kaum Firaun, dan orang-orang yang terdahulu daripada mereka;

Kalimah كَدَأبِ bermaksud ‘seperti kebiasaan’. Kalimah دَأبِ bermaksud pekerjaan yang dilakukan dengan penuh kesungguhan dan berulang-ulang sehingga menjadi kebiasaan dan berterusan. Sekarang Allah menggunakan kaedah tashbih (perumpamaan). Allah gunakan contoh Firaun sekurang-kurangnya kerana dua sebab:

1. Persamaan dari sudut menolak kebenaran. Mereka sama sahaja dengan Firaun dan pengikutnya.
2. Persamaan dari sudut akibat iaitu mereka akan diseksa nanti. Seksaan yang menimpa Firaun dan golongan sebelum mereka adalah kerana kederhakaan  mereka yang berulang dan berterusan. Yang dimaksudkan dengan ‘sebelum mereka’ itu adalah seperti kaum Nabi Nuh, Nabi Saleh, Nabi Hud dan sebagainya.

Kenapa disebut tentang Firaun pula? Kerana golongan Yahudi tahu sangat kisah Nabi Musa dengan Firaun itu. Dan mereka tahu sangat tentang kehancuran Firaun itu. Akan tetapi Allah menempelak mereka kerana mereka bersekongkol dengan golongan yang seperti Firaun, bukannya dengan Nabi Musa dan Nabi Muhammad! Sepatutnya mereka bacalah kembali sejarah mereka dan ambil pengajaran.

Dan ia mengajar kita yang Firaun yang seorang itu mungkin sudah mati, tapi perangai dia boleh sahaja ada pada manusia yang lain. Zaman berubah, tapi sikap Firaun akan ada sahaja di kalangan manusia. Dalilnya adalah sabda Rasulullah tentang Abu Jahl,

أَتَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ بَدْرٍ، فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَدْ قَتَلَ اللَّهُ أَبَا جَهْلٍ. قَالَ: آللَّهِ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ؟ قُلْتُ: آللَّهِ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ. فَانْطَلَقَ مَعِي حَتَّى أَرَاهُ، فَلَمَّا وَقَفَ عَلَيْهِ قَالَ: هَذَا فِرْعَوْنُ هَذِهِ الْأُمَّةِ
“Aku (Ibnu Mas’ud) menemui Nabi ﷺ pada hari Perang Badar lalu aku berkata: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah telah membunuh Abu Jahl.’ Baginda bertanya: ‘Demi Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia (benarkah)?’ Aku menjawab: ‘Demi Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia.’ Lalu Baginda berjalan bersamaku sehinggalah aku memperlihatkannya (jasad Abu Jahl). Apabila Baginda berdiri di hadapannya, Baginda bersabda: ‘Ini adalah Firaun bagi umat ini.'”

Rujukan: Hadis ini direkodkan di banyak kitab-kitab seperti Al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibnu Hisham, Kitab Al-Maghazi oleh Imam Al-Waqidi, Kitab Dala’il al-Nubuwwah oleh Imam al-Baihaqi, Kitab Musnad Ahmad oleh Imam Ahmad bin Hanbal dan lain-lain lagi.

Dalam istilah, ia menjadi kata kerja تَفَرْعَنَ (Tafar’ana): Dia telah melakukan perbuatan (seperti) perbuatan Firaun.

Dan Firaun dan kerajaannya adalah contoh apabila harta dan kuasa dipandang tinggi sampai menjauhkan dari Allah. Dari segi sosial, apabila sesuatu kerajaan, masyarakat atau kumpulan manusia itu kaya dan berpengaruh, mereka akan dipandang tinggi oleh kebanyakan masyarakat dan mereka akan ditiru. Cara hidup, cara berpakaian, cara bercakap dan macam-macam lagi akan ditiru. Begitulah yang terjadi dengan kerajaan Mesir pada zaman Firaun itu. Mereka telah mencapai satu kejayaan keduniaan yang tinggi sampaikan negara sekeliling memandang tinggi kepada mereka. Allah berfirman di dalam Yunus:88

وَقالَ موسىٰ رَبَّنا إِنَّكَ ءآتَيتَ فِرعَونَ وَمَلَأَهُ زينَةً وَأَموٰلًا فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا رَبَّنا لِيُضِلّوا عَن سَبيلِكَ
Dan Nabi Musa pula (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada Firaun dan ketua-ketua kaumnya barang-barang perhiasan dan harta benda yang mewah dalam kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan kami! (Kemewahan yang Engkau berikan kepada mereka) akibatnya menyesatkan mereka dari jalanMu (dengan sebab kekufuran mereka). 

Kejayaan mereka itu menjadi punca kepada kesesatan manusia. Begitulah yang terjadi zaman berzaman. Manusia yang lemah akalnya akan memandang kepada kejayaan keduniaan. Kerana itu yang menjadi idola masyarakat adalah golongan kaya, artis, ahli sukan, ahli politik dan sebagainya.

Kenapa digunakan ءَالِ di sini? Kadang-kadang digunakan pula المَلَأُ seperti di dalam A’raf:127 وَقالَ المَلَأُ مِن قَومِ فِرعَونَ (Dan berkatalah pula Ketua-ketua dari kaum Firaun). Kalimah ءَالِ selalunya digunakan untuk ahli keluarga. Digunakan ءَالِ di sini kerana dinasti Firaun adalah berasaskan kekeluargaan. Firaun mungkin meletakkan kaum kerabat dia di tampuk pemerintahan. Namun dalam bahasa Arab (dan konteks Al-Qur’an), ia mempunyai makna yang jauh lebih luas, iaitu sesiapa sahaja yang mengikut pegangan, agama, atau bernaung di bawah kepimpinan seseorang. Jadi ءَالِ فِرعَونَ merujuk kepada seluruh pengikut Firaun, merangkumi ahli keluarganya, bala tenteranya, golongan menteri, sehinggalah kepada rakyat jelata Mesir (kaum Qibti) yang taat dan menyembah Firaun.

Sedangkan المَلَأُ secara bahasanya bermaksud “pengisi” atau “sesuatu yang memenuhi”. Dalam konteks masyarakat, ia merujuk kepada golongan pembesar, bangsawan, menteri, atau penasihat tertinggi yang memenuhi majlis perhimpunan Firaun. Mereka adalah kumpulan elit yang mempunyai kuasa politik, harta, dan pengaruh (seperti Haman dan Qarun). Jadi mereka ini lebih khusus dan termasuk juga di dalam ءَالِ فِرعَونَ.

Kenapa banyak kali Allah sebut ءَالِ فِرعَونَ di dalam Al-Qur’an? Kenapa tidak sebut Firaun sahaja? Kerana mereka ini enabler dia. Kerana merekalah sokong Firaun. Kalau mereka tidak ada, Firaun pun tidak boleh buat apa-apa sebab dia seorang diri sahaja, lemah dari segi fizikal. Oleh kerana orang di sekeliling dia juga bersalah, maka mereka disebut sekali. Sifat mereka dalam al-Quran: Mereka adalah penggerak utama (mastermind) di sebalik kezaliman Firaun. Mereka yang menghasut Firaun, memberi idea-idea jahat, dan menentang Nabi Musa secara terang-terangan kerana takut kedudukan elit mereka tergugat.

Kenapa mereka degil? Kekufuran golongan kafir itu kerana ada bersangkutan dengan harta. Ini seperti yang berlaku kepada Firaun juga. Disebabkan dia kaya dan ada pengaruh besar, maka dia tidak mahu mendengar dakwah Nabi Musa عليه السلام. Bukan hanya Firaun sahaja, malah kaum terdahulu pun menentang Nabi mereka kerana sebab yang sama. Ini memang kebiasaan yang berlaku zaman berzaman. Allah berfirman tentang hal ini di dalam Saba’:34

وَما أَرسَلنا في قَريَةٍ مِّن نَّذيرٍ إِلّا قالَ مُترَفوها إِنّا بِما أُرسِلتُم بِهِ كٰفِرونَ
“Dan Kami tidak mengutus kepada sesuatu negeri seorang pemberi amaran pun, melainkan orang-orang yang hidup mewah di negeri itu berkata: ‘Sesungguhnya kami kufur (ingkar) terhadap apa yang kamu diutus untuk membawanya’.”

Kerana sayangkan keduniaanlah, Musyrikin Mekah melawan Nabi Muhammad ﷺ kerana baginda merupakan seorang anak yatim dan miskin. Mereka amat berbangga dengan harta dan pengaruh yang ada pada mereka. Puak kafir yang menentang Islam akan mendapat nasib yang sama macam yang telah dikenakan kepada Firaun.

Begitulah harta dan anak-anak boleh menyebabkan manusia kafir. Dan ini juga ada disebut di dalam Muddaththir:9-13

فَذٰلِكَ يَومَٮِٕذٍ يَومٌ عَسِيرٌ (٩) عَلَى ٱلكَـٰفِرِينَ غَيرُ يَسِيرٍ (١٠) ذَرنِى وَمَن خَلَقتُ وَحِيدًا (١١) وَجَعَلتُ لَهُ ۥ مَالاً مَّمدُودًا (١٢) وَبَنِينَ شُهُودًا (١٣)
Maka saat yang demikian adalah saat (berlakunya) hari yang sukar. (9) Kepada orang-orang kafir, lagi tidak mudah (mengelak azabnya). (10) (Jangan engkau bimbang wahai Muhammad) biarkanlah Aku sahaja membalas orang (yang menentangmu) yang Aku ciptakan dia (dalam keadaan) seorang diri (tidak berharta dan anak pinak), (11) Dan Aku jadikan baginya harta kekayaan yang banyak, (12) Serta anak pinak (yang ramai), yang sentiasa ada di sisinya. (13)

Harta, anak-anak, kekuasaan di dunia adalah istidraj. Istidraj adalah kesenangan yang melalaikan manusia sampai mereka lupa hendak ingat kepada Allah ‎ﷻ . Mereka sangka kesenangan itu baik bagi mereka, namun sebenarnya ia adalah buruk bagi mereka. Mereka sahaja tidak sedar yang mereka telah diperangkap.

Allah mengurniakan amwal (harta) dan awlad (anak-pinak) yang melimpah-ruah kepada orang kafir. Mereka menyangka kekayaan itu adalah bukti kemuliaan mereka, padahal ia adalah perangkap istidraj yang langsung tidak dapat menyelamatkan mereka di akhirat.

Kemudian Allah membawakan kisah yang telah diberikan segalanya—kerajaan yang stabil, sungai Nil yang mengalir, dan tentera yang kuat. Itu adalah puncak istidraj untuk Firaun sehinggakan dia berani mengaku sebagai tuhan, sebelum akhirnya Allah tenggelamkan dia di Laut Merah dalam sekelip mata.

 

كَذَّبوا بِـَٔايَـٰتِنَا فَأَخَذَهُمُ اللَّهُ بِذُنوبِهِم

mereka mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, lalu Allah menyeksa mereka disebabkan dosa-dosa mereka. 

Kerana mereka tidak mahu juga pakai wahyu dari Allah ﷻ, maka Allah ﷻ azab mereka. Ya Allah bersifat rahman, raheem, kasih, sayang; akan tetapi Allah juga boleh membalas kedegilan manusia dengan memberikan azab kepada mereka. Tapi azab itu memang patut dikenakan kepada mereka kerana mereka mendustakan ayat-ayat Allah. Mendustakan ayat-ayat Allah ﷻ itu bermaksud tidak mahu ikut apa yang disampaikan dalam wahyu. Mungkin tidak disebut mereka ‘tolak’ wahyu, tapi apabila mereka tidak mahu ikut apa yang disampaikan, maka itu menjadi tanda yang mereka menolak ajaran wahyu.

Maka di sini kita kena tahu bahawa mereka dikenakan dengan azab kerana dosa mereka sendiri. Ia menjadi bantahan terhadap golongan Jabariyyah (Al-Jabriyyah) yang tidak menyandarkan perbuatan hamba kepada hamba itu sendiri; padahal Allah telah menyandarkan dosa-dosa itu kepada mereka (para hamba), dan sesuatu perbuatan itu tidak disandarkan melainkan kepada sesiapa yang melakukannya secara hakiki.

Golongan Jabariyyah: Sebuah aliran pemikiran yang berpendapat bahawa manusia tidak mempunyai pilihan atau kuasa sama sekali dalam perbuatannya. Manusia dianggap seperti “pelepah kayu yang ditiup angin” atau robot—segala perbuatan baik atau buruk dipaksa (jabr) oleh Allah.

Allah memberi contoh kehancuran Firaun dan kerajaannya sebagai contoh kepada mereka yang berbangga dengan kuasa yang mereka ada. Kalau ada kuasa sebesar Firaun pun, tidak selamat. Jadi bagi puak Quraisy, golongan Yahudi yang rasa mereka itu kuat dan hebat, kena bandingkan dengan Firaun yang jauh lebih hebat dari mereka. Kalau Firaun dan kerajaan besarnya pun Allah boleh musnahkan, maka jangan sangka yang kamu boleh selamat dengan apa yang kamu ada itu. Tidak ada kerajaan, empayar atau dinasti mana-mana pun yang pasti akan kekal selamanya.

Mereka telah menerima seksaan itu di dunia lagi. Ini kerana sebelum ini disebut tidak berguna harta dan anak-anak mereka. Dan kerana di dalam ayat ini digunakan dalam bentuk fi’il madhi (past tense). Jadi ia bermaksud azab yang mereka terima ketika di dunia. Azab akhirat belum bermula lagi. Di akhirat pun mereka akan kena azab juga. Ini seperti firman Allah di dalam Ra’d:34

لَّهُم عَذابٌ فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا ۖ وَلَعَذابُ الآخِرَةِ أَشَقُّ ۖ وَما لَهُم مِّنَ اللهِ مِن واقٍ
Bagi mereka azab dalam kehidupan dunia dan sesungguhnya azab akhirat adalah lebih keras dan tak ada bagi mereka seorang pelindung pun dari (azab) Allah.

Balaghah: Terdapat iltifat di dalam frasa ini. Mulanya di dalam bentuk pihak pertama (كَذَّبوا بِـَٔايَـٰتِنَا) dan kemudian beralih kepada pihak ketiga (فَأَخَذَهُمُ اللَّهُ). Penggunaan kata ganti nama “Kami” adalah untuk menunjukkan keagungan dan kekuasaan mutlak Tuhan yang menurunkan mukjizat tersebut. Kemudian beralih menggunakan nama “Allah” untuk memberikan impak psikologi yang jauh lebih menggerunkan. Ia serta-merta mengejutkan pembaca dan menyuntik rasa takut yang mendalam terhadap kesan buruk jika berani mendustakan ayat-ayat-Nya.

Kenapa Allah menggunakan kalimah أَخَذَ di dalam banyak ayat? Ia asalnya bermaksud ‘mengambil’. Ia mengandungi unsur mubalaghah (keterlaluan) pada dahsyatnya azab mereka; seolah-olah sesiapa yang ditimpakan hukuman tersebut akan menjadi seperti seorang yang ditangkap dan ditawan, yang langsung tidak berdaya untuk melepaskan diri. Boleh bayangkan?

Huruf ب di dalam بِذُنوبِهِم boleh membawa dua maksud:

1. Sebagai الباء للسببيَّة (membawa maksud ‘disebabkan oleh’) iaitu mereka diazab disebabkan oleh dosa-dosa mereka.
2. Ia juga boleh jadi sebagai الباء للملابسة (membawa maksud ‘berserta/berselimutkan’) iaitu mereka mempunyai dosa-dosa lain (selain mendustakan ayat). Ia juga bermakna Allah menyeksa mereka dalam keadaan mereka sedang bergelumang (berselimutkan) dengan dosa-dosa mereka tanpa sempat bertaubat daripadanya.

 

وَاللَّهُ شَديدُ العِقابِ

Dan (ingatlah), Allah Maha berat azab seksa-Nya.

Dan kemudian Allah ﷻ mengingatkan kita betapa beratnya azab dari-Nya. Ia sebagai penutup untuk menambah kegerunan lagi. Tidak dapat dibayangkan dengan akal. Ini hendak menakutkan kita. Jangan main-main dengan ayat-ayat Allah ﷻ. Allah ﷻ beri amaran dalam ayat ini. Allah banyak sebut ayat-ayat Al-Qur’an tentang azab di neraka.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 9 Julai 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Dorar.net

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment