Tafsir Surah Ali Imran Ayat 17 (Sifat-sifat Ahli Syurga)

Ali Imran Ayat 17: Ini adalah sambungan kepada ayat sebelum ini. Allah jelaskan apakah sifat hamba yang baik. Doa sahaja tidaklah cukup, tapi mestilah disertakan dengan amalan yang sesuai dengan iman itu. Ada lima sifat yang akan disebut.

Sekarang kita akan belajar cara-cara untuk kawal nafsu dari tergelincir kepada keinginan yang salah. Nafsu itu tidak salah, tapi kena kawal supaya ianya dilakukan kepada benda yang halal sahaja. Macam kereta, kenalah ada brek. Kalau jalan laju sahaja dan brek tidak ada (atau tidak dipakai), tentu akan berlanggar akhirnya. Maka, kita kena sedar yang kadang-kadang nafsu kita memang teringin perkara-perkara yang tidak boleh kerana melanggar syarak. Ini biasa sahaja kerana kita ini memang makhluk yang ada nafsu. Beza orang beriman dan tidak, orang beriman dapat tahan nafsu mereka. Mereka tidaklah ikut kehendak nafsu mereka.

الصّٰبِرينَ وَالصّٰدِقينَ وَالقٰنِتينَ وَالمُنفِقينَ وَالمُستَغفِرينَ بِالأَسحارِ

SAHIH INTERNATIONAL
The patient, the true, the obedient, those who spend [in the way of Allah ], and those who seek forgiveness before dawn.

MALAY
(Dan juga) orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah), dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah), dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur.

 

الصّٰبِرينَ

orang-orang yang sabar

Yang pertama kena ada sifat Sabar. Tapi perhatikan di dalam 5 sifat ini, kalimah yang digunakan ada ال padanya. Ia memberi isyarat bahawa mereka ini bukan sekali sekala sahaja sabar, sadiq dan seterusnya, tapi sentiasa. Mereka telah menjadi ‘orang itu’. Kerana itulah ia di dalam bentuk isim dan bukannya fi’il.

Dalam beberapa sifat yang disebut ini, Allah sebut sabar dahulu kerana ia amat penting; dan ia kena ada dulu. Kalau tidak ada sabar, yang lain itu kira macam tidak ada lah. Sebelum ini telah disebut tentang kebenaran wahyu dan kita kena ikut wahyu itu. Kemudian disebut penentang yang akan menentang kita kerana kita menerima wahyu. Pertentangan itu pasti akan berlaku. Kita pun sudah bincangkan peperangan antara puak Muslim dan puak kafir sebelum ini. Untuk hadap mereka, memerlukan kesabaran kerana mereka itu sangat teruk dan tidak akan membiarkan kita beriman seperti yang Allah kehendaki. Peperangan juga bukanlah sesuatu yang ringan, ia sangat memerlukan kesabaran untuk kita dapat melakukannya.

Jadi sekarang kita lihat maksud ‘Sabar’. Iaitu menahan diri dari ikut kehendak nafsu syahwat. Dan ia lebih lagi dari itu. Kalimah صبِر daripada katadasar ص بِ ر yang bermaksud untuk mengikat; tabah; tetap; bertahan dengan sabar; berpegang teguh pada akal dan perintah; tenang. Maka ada elemen ikat nafsu di sini. Tetap melakukan perkara yang baik dan tidak goyang ketika mengalami tekanan dan dugaan. Ikut arahan seperti arahan Allah ﷻ untuk meninggalkan perkara yang dilarang.

Kita mungkin rasa kita sudah tahu apa itu sabar, sebab itu kita selalu juga nasihat orang lain: “sabar ya, sabar ya….” Namun tahukah apa itu ‘sabar’ yang sebenarnya dari segi syarak? Dari segi bahasa, الصبر itu adalah الحَبسُ dan المَنعُ. Tahukah apa itu الحبس والمنع? Tidak tahu, bukan? Hendak tahu? Sabar, memang hendak beritahu pun. الحَبسُ bermaksud ‘tahan’ dan المَنعُ bermaksud ‘halang’.

Pertamanya tahan diri daripada marah. Apa-apabila berlaku, jangan melenting, tahan perasaan anda. Kalau boleh mengeluh pun jangan, buat tenang sahaja. Jangan layan perasaan kerana jika anda marah, maka anda telah kalah dengan syaitan. Ini memerlukan kekuatan seperti yang diriwayatkan daripada Abū Hurayrah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ ، إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الغَضَبِ
Orang kuat itu bukanlah orang yang kuat bergusti, akan tetapi orang kuat adalah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah.

(Riwayat Bukhari (6114))

Keduanya, halang tubuh kita sama ada lidah atau anggota yang lain. Lidah jangan laju sahaja untuk menjerit atau memaki orang; jangan tampar muka dan koyakkan baju (perbuatan orang Arab dulu); tangan jangan laju untuk memukul orang, pecahkan barang atau baling pinggan mangkuk. Halang semua itu daripada berlaku.

Begitulah dalam banyak perkara, kita kena sabar. Sabar adalah sikap daripada jiwa yang besar dan terlatih. Iaitu terlatih dengan akhlak-akhlak yang diajar di dalam Al-Qur’an dan Hadis. Hendak sampaikan dakwah kepada umat pun, kena sabar; hendak menegur orang lain, pun kena sabar; hendak buat amal ibadat pun, kena sabar. Memang sepanjang hidup kita di atas dunia ini kena bersabar sepanjang masa. Kena latih diri untuk terima apa sahaja yang Allah ﷻ kenakan kepada kita.

Sebagaimana para Nabi juga mengalami kesusahan dan mereka bersabar, maka kita pun kena bersabar. Kadang-kadang kita terpaksa menghadapi ejekan, tohmahan, amarah daripada orang lain dan sebagainya. Sebab itu Allah ﷻ sebut tentang sabar di dalam Muzzammil: 10 iaitu antara surah yang awal diturunkan kepada Rasulullah ﷺ semasa baginda memulakan dakwah,

وَاصبِر عَلىٰ ما يَقولونَ وَاهجُرهُم هَجرًا جَميلًا
Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu daripada mereka dengan cara yang baik.

Dalam kehidupan seharian kita, kita hendaklah mengamalkan sabar. Terutama sekali jikalau kita ditimpa masalah. Inilah pakaian kita yang kena sentiasa ada. Sabar itu ada tiga jenis:

1. Sabar dalam ketaatan. Iaitu untuk memenuhi arahan daripada Allah ‎ﷻ dan Rasul.

2. Sabar dalam meninggalkan larangan daripada Allah ‎ﷻ dan Rasul. Ini pun memerlukan kesabaran juga.

3. Sabar dalam menerima musibah dan ujian.

Antara 3 jenis sabar ini, manakah yang paling susah? Kita boleh katakan yang paling sukar untuk dijaga adalah ‘sabar dalam mentaati Allah’. Kerana kena lawan dengan nafsu, dan kemudian kena buat. Itu bukan senang. Kalau sabar dalam musibah itu senang sikit, sebab tidak perlu buat apa-apa, buat tenang sahaja, bukan? Begitu juga sabar dalam meninggalkan larangan. Contohnya sabar jangan mengumpat > tidak perlu buat apa-apa, jangan bercakap hal orang lain sahaja. Tidak perlu kita nak kena tape mulut kita.

 

Daripada tiga jenis pula terdapat tiga peringkat:

1. Menahan diri daripada bercakap apa-apa dan menghalang diri daripada melakukan sesuatu. Ini adalah sabar peringkat pertama iaitu sudah dikira sebagai ‘sabar‘. Ini rasanya agak mudah untuk dilakukan.

2. Peringkat kedua adalah sabar dicampur redha dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah ﷻ. Ini agak sukar sedikit untuk dilakukan kerana ramai yang mempersoalkan ketentuan daripada Allah ﷻ. Orang yang dapat mencapai peringat ini sedar yang Allah ﷻ boleh buat apa sahaja kepada dirinya yang hanya seorang hamba. Dia sedar yang dunia ini adalah ujian dan hari ini Allah ﷻ hendak uji dengan satu musibah.

3. Peringkat ini sabar tertinggi dan paling sukar untuk dicapai. Iaitu sabar campur redha kemudian ditambah dengan syukur pula! Iaitu orang itu boleh bersyukur pula apabila Allah ﷻ kenakan musibah kepada dirinya kerana dia tahu tentu ada hikmah di dalam ujian itu. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Insan: 2-3

إِنّا خَلَقنَا الإِنسٰنَ مِن نُّطفَةٍ أَمشاجٍ نَّبتَليهِ فَجَعَلنٰهُ سَميعًا بَصيرًا
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari setitis mani yang bercampur yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat.

إِنّا هَدَينٰهُ السَّبيلَ إِمّا شاكِرًا وَإِمّا كَفورًا
Sesungguhnya Kami telah menunjukinya jalan yang lurus; ada yang bersyukur dan ada pula yang kafir.

Lihatlah Allah ﷻ sebut bersyukur dengan ujian dan ada yang kufur dengan sebab ujian yang Allah ﷻ berikan. Maka kena letak dalam otak kita yang dunia ini ujian, dan selalunya ujian akan ada keputusan: sama ada lulus atau gagal! Tentu kita mahu lulus, bukan? Sebagai motivasi untuk kita bersabar dalam semua perkara, Allah ﷻ sebut balasan bagi orang yang bersabar di dalam Zumar: 10

إِنَّما يُوَفَّى الصّٰبِرونَ أَجرَهُم بِغَيرِ حِسابٍ
Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira

Apakah maksud ‘tanpa hisab’? Dibalas banyak sangat, sampai tidak boleh hendak kira. Hisab itu bermaksud ‘kira’. Balasan yang Allah ﷻ beri itu terlalu banyak sampai tidak terkira.

Tafsir kedua: ada juga hadith yang menunjukkan bahawa orang-orang yang sabar dengan dugaan berat yang mereka terima, tidak akan dihisab. Mereka terus sahaja masuk syurga. Padahal orang lain akan ditimbang-timbang dan dikira-kira amal ibadat mereka. Ini kerana menunggu untuk dihisab di Mahsyar itu pun sudah satu kesengsaraan juga kerana kena tunggu dalam masa yang amat lama. Maka kalau dapat masuk terus ke syurga tanpa hisab, itu adalah nikmat yang amat besar.

Kalau kita sabar dengan dugaan yang diberikan kepada kita, kita akan mendapat balasan daripada Allah ﷻ yang amat banyak. Ini kerana amalan ibadat seperti solat dan puasa akan dibalas dengan kadar amal kebaikan itu.

Antara sabar yang kita kena amalkan adalah dengan menahan marah. Ini kerana ia adalah sifat orang Mukmin seperti disebut nanti dalam Ayat 133-134

۞ وَسارِعوا إِلىٰ مَغفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُم وَجَنَّةٍ عَرضُهَا السَّمٰوٰتُ وَالأَرضُ أُعِدَّت لِلمُتَّقينَ
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;

الَّذينَ يُنفِقونَ فِي السَّرّاءِ وَالضَّرّاءِ وَالكٰظِمينَ الغَيظَ وَالعافينَ عَنِ النّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ المُحسِنينَ
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;

Maka golongan yang selamat itu adalah orang yang ‘sabar dalam taat’. Maksudnya mereka mengerjakan segala suruhan Allah ﷻ dan meninggalkan larangan-Nya dengan sabar. Kalimah صَبَرُ ini perlu dilihat daripada makna bahasa Arabnya kerana kalau menggunakan bahasa kita, mungkin kita tidak berapa faham. Dari segi syariat, صَبَرُ bermaksud terus melakukan perintah Allah ﷻ dan meninggalkan larangan Allah ﷻ walau apa pun terjadi. Mungkin ada yang mereka rasa susah untuk lakukan, tetapi mereka tetap sabar melakukannya kerana mereka mahu tetap taat kepada Allah ﷻ.

Ini memerlukan kesabaran kerana syaitan akan sentiasa menghasut kita untuk meninggalkan taat. Antaranya syaitan akan beri kita rasa bosan untuk melakukan ibadat. Akan tetapi orang yang beriman akan tetap sabar untuk melakukannya.

Soalan: bilakah perlu sabar? Ia hendaklah bermula sejak pertama kali ia berlaku. Kita selalunya melenting apabila sesuatu yang kita tidak suka terjadi, bukan? Namun dua tiga hari selepas itu barulah datang sabar. Ini tidak dikira sabar kerana itu adalah perkara normal bagi manusia (lama kelamaan apabila sudah terima hakikat, memang semua orang akan jadi sabar). Akan tetapi itu tidak dikira sebenarnya kerana Rasulullah ﷺ beritahu kita yang sabar itu dari mula-mula lagi,

عَنْ أَنَسٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الصَّبْرُ فِي الصَّدْمَةِ الْأُولَى
Daripada [Anas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Kesabaran itu ada pada saat pertama kali tertimpa (musibah) “.

(Sahih Bukhari (908))

Oleh itu sekiranya baru bersabar setelah lama masa berlalu, itu bukannya kerana Allah ﷻ lagi, tetapi kebiasaan manusia. Ia tidaklah mencabar sangat kalau sabar setelah lama ujian itu berlalu maka ia bukanlah sesuatu hebat sangat. Maka golongan yang selamat akan terus sabar dari mula lagi kerana mereka hendak mencari redha Allah ﷻ. Mereka tahu yang Allah ﷻ suka kalau hamba-Nya sabar dengan melakukan taat dan sabar dalam menghadapi ujian daripada-Nya. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Qalam:48 tentang contoh orang yang tidak sabar,

فَاصبِر لِحُكمِ رَبِّكَ وَلا تَكُن كَصاحِبِ الحوتِ إِذ نادىٰ وَهُوَ مَكظومٌ
Maka bersabarlah kamu (hai Muhammad) terhadap ketetapan Tuhanmu, dan janganlah kamu seperti orang yang berada dalam (perut) ikan ketika dia berdoa sedang dia dalam keadaan marah (kepada kaumnya).

Yang dimaksudkan adalah Nabi Yunus عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang tidak sabar dengan penolakan kaumnya. Maka ia menjadi contoh bagi kita untuk bersabar kerana Allah ﷻ. Kerana sabar itu kalau bukan kerana Allah ﷻ, ia tidaklah mendapat pahala. Semua orang boleh sabar sebenarnya. Namun sabar yang dituntut adalah kerana mencari redha Allah ﷻ seperti disebut di dalam ayat Ra’d:22

وَالَّذينَ صَبَرُوا ابتِغاءَ وَجهِ رَبِّهِم
Dan orang-orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya

Mencari ‘wajah Allah ﷻ’ bermaksud mencari redha Allah ﷻ. Disebut wajah Allah ﷻ kerana redha itu ditunjukkan di wajah.

Ramai orang boleh bersabar tetapi bukan kerana Allah ﷻ. Sebagai contoh, seorang pencuri penyabar juga orangnya. Dia akan tunggu sehingga tuan rumah tidur, kemudian sabar untuk membuka pintu rumah orang itu. Kemudian sabar memilih benda-benda yang dia boleh ambil. Atau, bila masuk rumah tengok tidak ada apa yang boleh diambil, dia pun sabar juga dan berlalu pergi rumah orang lain pula. Ini bukanlah sabar terpuji, bukannya kerana mencari redha Allah ﷻ, bukan?

Allah ﷻ janjikan ganjaran yang amat besar bagi orang yang boleh bersabar. Allah ﷻ berfirman di dalam Insan:12. Bayangkan kunci syurga adalah sabar!

وَجَزىٰهُم بِما صَبَروا جَنَّةً وَحَريرًا
Dan Dia memberi balasan kepada mereka kerana kesabaran mereka (dengan) syurga dan (pakaian) sutera,

Sabar itu hanya ada pada orang yang ada sifat taat. Apa-apa sahaja musibah yang menimpa kita, itu adalah ujian kepada kita dan kita kena sabar. Dan ia bukan percuma kerana kita akan dapat pahala atas sabar itu. Ia tidak sama seperti orang kafir. Mereka pun terima musibah juga. Tapi kerana mereka itu hidup dalam derhaka, maka musibah yang menimpa mereka itu adalah permulaan kepada azab.

Benda yang sama sahaja, tetapi kepada orang mukmin, ianya adalah ujian dan sumber pahala manakala benda yang sama kepada orang kafir adalah azab kepada mereka. Ianya adalah azab yang kecil sebelum mereka mendapat azab besar dalam neraka. Kalau mereka sabar mereka dalam dunia pun akhirnya akan masuk neraka juga. Sedangkan kalau kita sabar, dapat pahala.

Sebagai contoh, kalau kita mendapat musibah seperti sakit atau penyakit, kita akan mendapat pengampunan dari Allah – dengan syarat kita sabar dengan ketetapan Allah memberikan sakit kepada kita. Kalau kita tidak sabar, tidak dapat apa yang dijanjikan itu kerana kita seperti tidak redha dengan apa yang Allah telah takdirkan kepada kita.

Juga kita kena ada sabar dari ikut kehendak nafsu yang salah. Kalau kita tidak ikut ajakan nafsu dan bersabar dari melampiaskan nafsu di dunia dengan cara yang haram, kita akan dapat melampiaskannya di syurga dengan cara halal di syurga.

Contohnya, jika kita sabar dari berzina di  dunia, kita akan dibalas dengan bidadari yang lebih hebat nanti di syurga. Kita tidak minum arak di dunia, nanti akan dapat sungai arak yang lebih sedap lagi. Kita (lelaki) tidak pakai sutera semasa di dunia, maka di syurga nanti pakaian kita akan sutera yang lebih hebat lagi.

 

وَالصّٰدِقينَ

dan orang-orang yang benar 

1. Benar lagi jujur, tidak licik dalam menipu. Dalam Surah Saba’, ada disebut bagaimana orang yang banyak helah tak masuk syurga. Lihat Saba’:33

وَقالَ الَّذينَ استُضعِفوا لِلَّذينَ استَكبَروا بَل مَكرُ اللَّيلِ وَالنَّهارِ إِذ تَأمُرونَنا أَن نَّكفُرَ بِاللهِ وَنَجعَلَ لَهُ أَندادًا 
Dan orang-orang yang dianggap lemah berkata kepada orang-orang yang menyombongkan diri: “(Tidak) sebenarnya tipu daya(mu) di waktu malam dan siang (yang menghalangi kami), ketika kamu menyeru kami supaya kami kafir kepada Allah dan menjadikan sekutu-sekutu bagi-Nya”. 

Licik itu jenis orang yang bijak dalam menipu orang lain. Memang dia rasa dia bijak, dapat apa yang dia hendak, dan suka dia menceritakan bagaimana dia dapatkan sesuatu dengan helah. Memang dia akan dapat apa yang dihajatinya itu tapi dia tidak jujur. Tapi balasan azabnya sangat teruk. Rasulullah bersabda,

لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ خَبٌّ وَلاَ بَخِيلٌ وَلاَ مَنَّانٌ
“Tidak akan masuk syurga orang yang khabb (penipu / suka berhelah / licik memperdaya), orang yang bakhil, dan orang yang suka mengungkit-ungkit pemberian.”

(Hadis Riwayat At-Tirmidzi, no. 1963 & Ahmad)

Di dalam hadis lain, Rasulullah menyebut tentang orang yang pandai berhujah sampai dia berjaya dapat mengambil hak orang lain,

إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ، وَإِنَّكُمْ تَخْتَصِمُونَ إِلَيَّ، وَلَعَلَّ بَعْضَكُمْ أَنْ يَكُونَ أَلْحَنَ بِحُجَّتِهِ مِنْ بَعْضٍ… فَمَنْ قَضَيْتُ لَهُ بِحَقِّ مُسْلِمٍ فَإِنَّمَا هِيَ قِطْعَةٌ مِنَ النَّارِ فَلْيَأْخُذْهَا أَوْ لِيَدَعْهَا
“Sesungguhnya aku hanyalah manusia biasa, dan kamu membawa pertikaian kamu kepadaku. Boleh jadi sebahagian daripada kamu lebih pandai berhelah/bersilat kata dengan hujahnya daripada yang lain, lalu aku memutuskannya berdasarkan apa yang aku dengar. Maka sesiapa yang aku putuskan baginya hak seorang Muslim yang lain (disebabkan kelicikannya), sesungguhnya itu adalah sepotong api neraka, maka hendaklah dia mengambilnya atau meninggalkannya.”

(Hadis Riwayat Al-Bukhari no. 6967 & Muslim no. 1713)

Jadi orang Mukmin dan ahli syurga, dia sentiasa bercakap benar. Walaupun kebenaran itu akan merugikannya. Kalau menipu, itu adalah salah satu ciri orang munafik seperti yang disebut di dalam satu hadis yang semua orang tahu,

آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلاَثٌ: إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ، وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ
“Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga: [1] Apabila dia bercakap, dia MENIPU (berbohong), [2] apabila dia berjanji, dia mungkir, dan [3] apabila dia diberi amanah, dia khianat.”

(Hadis Riwayat Al-Bukhari, no. 33 & Muslim, no. 59)

2. Ia juga bermaksud jujur dengan diri sendiri. Sedar yang kita ada keinginan dalam diri kita. Sedar yang Allah sudah letakkan ada keinginan nafsu dalam diri kita. Sebab itu Allah menceritakan keindahan dan nikmat dalam syurga kerana memang itu keinginan manusia. Jangan jadi macam orang Nasara yang menidakkan perasaan itu.

Contohnya paderi mereka tidak dibenarkan berkahwin sampai bila-bila. Ini bahaya kerana apabila ditolak nafsu itu, akan menyebabkan ada masalah dengan diri mereka kerana menidakkan sesuatu yang Allah telah jadikan dalam fitrah manusia. Kalau melawan fitrah, pasti akan ada masalah. Kita pun dengar bagaimana paderi-paderi Kristian telah banyak melakukan kesalahan seksual luar tabiat. Ini adalah kerana mereka menolak sifat yang normal, sampai jadi tak normal.

3. Menjadi orang yang benar juga bermaksud benar yang di luar dan di dalam hati. Jangan sebut beriman di mulut tetapi tidak di dalam hati. Jangan hati cakap lain, tapi perbuatan dari apa yang kita cakap. Jangan ‘cakap tak serupa bikin’.

4. Juga boleh bermaksud membenarkan segala ajaran yang telah disampaikan oleh Nabi. Apa-apa sahaja yang disampaikan oleh Nabi diterima oleh kita. Di dalam surah ini ada disentuh tentang golongan Yahudi. Mereka diajak untuk menerima kebenaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad. Mereka pun tahu yang baginda memang benar, maka terimalah sahaja.

Bukan mereka sahaja, malah kita juga. Maka kita belajar apa yang disampaikan oleh wahyu dan kita terima apa yang disampaikan. Mungkin pada mulanya ia agak pelik kerana lain dari yang kita sudah biasa, tapi kerana ianya dari wahyu, kita terima juga. Sebagai contoh, dalam Al-Qur’an kita belajar tidak boleh menggunakan Nabi, wali dan malaikat sebagai wasilah dalam doa. Ini pelik kerana masyarakat kita banyak mengamalkan amalan ini, malah diamalkan oleh para ustaz juga. Tapi apabila kita belajar yang itu adalah amalan salah, kita sanggup tinggalkan. Inilah dia orang yang membenarkan ajaran wahyu.

Satu contoh lagi, kita tidak buat Kenduri Arwah dan Majlis Tahlil apabila ada kematian. Orang lain akan pelik, seolah-olah kita tidak sayang keluarga kita yang mati. Tapi kita tahu kita tidak buat kerana ia adalah amalan bid’ah. Biarlah orang kata apa.

Mereka yang siddiq ini Allah sebut di dalam Nisa’:69 sebagai orang yang telah diberi nikmat dariNya.

وَمَن يُطِعِ اللَهَ وَالرَّسولَ فَأُولٰئِكَ مَعَ الَّذينَ أَنعَمَ اللَهُ عَلَيهِم مِّنَ النَّبِيّينَ وَالصِّدّيقينَ وَالشُّهَداءِ وَالصّٰلِحينَ ۚ وَحَسُنَ أُولٰئِكَ رَفيقًا
Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).

 

وَالقٰنِتينَ

dan orang-orang yang sentiasa taat

Orang Arab dahulu simpan air di dalam bekas kulit yang dinamakan قِرْبَةٌ. Asalnya kulit itu di dalam keadaan kering. Apabila air diisi dan dibiarkan bertakung di dalamnya untuk tempoh yang lama, kulit tersebut menyerap kelembapan. Kulit itu bertukar menjadi sangat lembut, lentur, tunduk, tenang, dan ‘mati’ sifat kaku/kerasnya. Kulit itu kini patuh dan mengikut sahaja bentuk air serta beban yang ditampungnya.

Bahasa Arab menggunakan analogi fizikal ini untuk menggambarkan keadaan jiwa manusia sewaktu beribadah kepada Allah. Sebagaimana kulit yang telah lembut itu tidak lagi ‘mengeraskan diri’, begitu juga orang yang Qanit tidak lagi membangkang atau bersikap sombong terhadap perintah Allah. Kulit yang lentur itu berada dalam keadaan tenang dan diam menampung air. Orang yang Qanit berada dalam keadaan diam, tenang, dan khusyuk anggota badannya sewaktu berdiri lama dalam solat (tidak bergerak-gerak atau gelisah). Kelembutan kulit itu terhasil kerana air berada di dalamnya sekian lama. Ini melambangkan bahawa Qunut bukan sekadar taat sesaat, tetapi ketaatan yang berterusan dan konsisten.

Secara bahasa dan istilah tafsir, القٰنِتينَ bermaksud: “Orang-orang yang taat secara berterusan, patuh, rendah diri, dan sentiasa khusyuk berdiri menyembah Allah.” Ulama tafsir membahagikan maksud القٰنِتينَ di sini kepada beberapa dimensi yang mendalam:

1. Ketaatan yang Istiqamah (دَائِمَةُ الطَّاعَةِ): Bukan sekadar taat sekali-sekala, tetapi sentiasa patuh kepada perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya dalam setiap keadaan. Ada sifat kepatuhan dalam diri mereka. Mereka bersedia untuk berkhidmat dalam hal agama. Mereka juga patuh dengan segala arahan dari Allah dan Rasul.

Ini jenis orang yang kalau disuruh lompat, dia tanya “berapa tinggi?”, bukan dia kata, “kenapa nak kena lompat ni?” Maknanya dia bukan jenis nak persoal arahan Allah. Ada orang yang akal dia susah hendak terima maka mulalah dia tanya itu dan ini. Ketahuilah yang kadang-kadang otak dan minda kita tidak dapat terima lagi ‘kenapa’, tapi kita hendaklah terus melakukan apa yang disuruh oleh wahyu. Asalkan arahan itu jelas ada dalam wahyu, maka kita kena terus buat.

2. Kepatuhan yang Disertai Khusyuk & Tunduk: Beribadah bukan sekadar secara fizikal, tetapi hati yang berasa kerdil, takut, dan tunduk patuh (Khusyu’) di hadapan Allah. Allah berfirman di dalam Baqarah:238

وَقوموا لِلَّهِ قٰنِتينَ
dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.

Dan Allah berfirman di dalam Zumar:9,

أَمَّن هُوَ قٰنِتٌ ءآناءَ اللَّيلِ ساجِدًا وَقائِمًا يَحذَرُ الآخِرَةَ وَيَرجو رَحمَةَ رَبِّهِ
“(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? 

3. Lamanya Berdiri Dalam Solat: Dalam sebahagian hadis Nabi, Al-Qunut juga merujuk kepada tempoh berdiri yang lama dalam solat dengan menghayati bacaan Al-Qur’an dan doa. Ini seperti disebut di dalam satu hadis,

سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَيُّ الصَّلاَةِ أَفْضَلُ؟ قَالَ: «أَفْضَلُ الصَّلاَةِ طُولُ الْقُنُوتِ
“Rasulullah SAW telah ditanya: ‘Solat manakah yang paling afdal (utama)?’ Baginda menjawab: ‘Seafdal-afdal solat adalah yang lama qunutnya (iaitu lama berdiri membaca Al-Qur’an).'”

(Hadis Riwayat Muslim, no. 756)

Penerangan: Para ulama pakar bahasa dan tafsir (seperti Imam an-Nawawi) menjelaskan bahawa kalimah الْقُنُوت dalam hadis ini bermaksud الْقِيَام (Berdiri). Jadi, طُولُ الْقُنُوتِ di sini membawa maksud lama berdiri dengan memperbanyakkan atau memanjangkan bacaan Al-Qur’an.

Nabi sendiri menunjukkan contoh teladan di mana baginda berdiri sangat lama dalam solat malam (Tahajjud) sehingga kaki baginda membengkak: ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha menceritakan bahawa Nabi SAW melakukan solat malam sehingga kedua-dua tapak kaki baginda pecah-pecah/bengkak. Apabila ditanya mengapa baginda berbuat demikian sedangkan dosanya yang lalu dan akan datang telah diampunkan, Baginda SAW menjawab:

أَفَلاَ أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا
“Apakah aku tidak suka untuk menjadi seorang hamba yang banyak bersyukur?”

(Hadis Riwayat Al-Bukhari, no. 4837 & Muslim, no. 2819)

Hudzaifah ibn al-Yaman radhiyallahu ‘anhu pernah bersolat malam bersama Nabi. Baginda membaca Surah Al-Baqarah, An-Nisa’, dan Ali ‘Imran dalam satu rakaat sahaja, dibaca dengan perlahan, bertadabbur, dan beristighfar pada setiap ayat azab (Hadis Riwayat Muslim, no. 772). Ini membuktikan betapa lamanya berdiri solat baginda.

 

وَالمُنفِقينَ

dan orang-orang yang membelanjakan hartanya

Sekarang sudah masuk sifat yang melibatkan perbuatan. Sebelum ini الصّٰبِرينَ adalah sifat dalaman, الصّٰدِقينَ juga adalah sifat dalaman, dan القٰنِتينَ juga sifat dalaman. Orang-orang yang ada sifat dalaman yang indah, ia akan mengeluarkan perbuatan yang indah-indah juga. Mereka kemudian akan rajin infak harta mereka di atas jalan agama. Surah ini banyak menyebut tentang jihad dan jihad itu memerlukan belanja yang besar. Kerana itu banyak ayat-ayat Al-Qur’an menyebut jihad dan infak di dalam satu ayat.

Tapi sekarang kita tidak ada jihad perang. Yang ada adalah jihad ilmu iaitu menyampaikan dakwah kepada manusia. Dan ini juga memerlukan belanja. Maka kita kena terlibat sama di dalam usaha ini.

Dan hendaklah kita ringan tangan kita membantu orang-orang yang susah dan memerlukan. Di dalam ayat ini Allah menyebut sifat mereka yang yakin dengan janji Allah yang Allah yang mengatakan Dia akan balas infak mereka di akhirat. Terlalu banyak ayat-ayat lain tentang kelebihan infak dan cara infak disebut di dalam surah-surah yang lain.

‘Infak’ itu bermaksud ‘mengeluarkan harta’. Maksud dalam ayat ini tentunya berkenaan mengeluarkan harta untuk kebaikan. Kalau kita membeli belah di pasar pun infak juga sebenarnya, tapi itu bukanlah infak di atas jalan agama. Orang yang ‘tamak pahala’ seperti para sahabat akan memberi walaupun mereka sendiri tidak banyak harta.

Memberi sedekah ada satu perkara yang sangat sukar dilakukan. Ini adalah kerana kita susah-susah usaha untuk dapat duit, tapi beri kepada orang begitu sahaja. Kalau belanja untuk kegunaan diri sendiri, tidak mengapa; kalau untuk keluarga pun, masih OK lagi. Tapi kalau beri kepada orang, amat sukar kerana kita nampak duit itu pergi begitu sahaja tanpa apa-apa pulangan, bukan? Maka orang yang mampu melakukannya adalah orang yang ada iman yang tinggi.

Mereka percaya yang walaupun mereka beri kepada orang lain, tapi kebaikannya pulang kepada dirinya sendiri. Ini seperti firman Allah di dalam Baqarah:272,

وَما تُنفِقوا مِن خَيرٍ فَلِأَنفُسِكُم ۚ وَما تُنفِقونَ إِلَّا ابتِغاءَ وَجهِ اللَّهِ ۚ وَما تُنفِقوا مِن خَيرٍ يُوَفَّ إِلَيكُم وَأَنتُم لا تُظلَمونَ
Dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredhaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan daripada harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.

 

وَالمُستَغفِرينَ بِالأَسحارِ

dan orang-orang yang beristighfar pada waktu sahur.

Mereka rajin memohon ampun di waktu sahur. Perhatikan yang sifat-sifat lain tidak disebut tentang masa. Tapi tentang istighfar ini ada pula disebut masanya, iaitu waktu sahur.

Tapi kalimah sahur itu bukan di dalam bentuk mufrad (single) tapi di dalam bentuk jamak (plural) iaitu الأَسحارِ. Kenapa? Kerana Allah bukan hendak kita sekali sahaja kita istighfar di waktu itu tapi banyak waktu, setiap hari kalau boleh.

Waktu sahur atau waktu pagi itu juga menarik. Ia adalah waktu cerah setelah gelap malam. Maka begitulah juga kedatangan cahaya Al-Qur’an setelah kegelapan kejahilan. Al-Qur’an memberi cahaya panduan kehidupan kepada manusia. Ia juga mengingatkan kita tentang kehidupan setelah mati. Ini kerana kita sebenarnya ‘mati’ ketika kita tidur, bukan? Dan apabila kita bangun, ia melambangkan kehidupan setelah kematian. Maka setiap hari kita diingatkan tentang kehidupan setelah mati.

Iaitu selepas mereka melakukan Solat Tahajjud. Ia adalah waktu yang kita digalakkan sangat untuk solat malam. Ia adalah amalan Rasulullah dan para sahabat. Allah berfirman di dalam Isra’:79

وَمِنَ ٱلَّيلِ فَتَهَجَّد بِهِۦ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰٓ أَن يَبعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحمُودًا
Dan pada sebahagian malam hari bersembahyang tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu; mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.

Waktu Sahur ini adalah waktu kita selalu sahur itulah, iaitu di sepertiga akhir malam. Bukannya selepas Isya’ atau tengah malam. Itu bukan ‘sahur’, tapi ‘supper’. Waktu Sahur itu adalah sepertiga terakhir malam. Bagaimana untuk kira? Malam itu dibahagikan 3, kemudian di dalam bahagian ketiga itulah dikira sebagai السَّحَر dan jamaknya adalah الأَسحارِ.

Kenapa waktu ini penting? Dikatakan (oleh para ulama) hal itu kerana ibadah pada waktu tersebut lebih tinggi keikhlasannya. Orang lain tidak tahu pun kita buat apa pada waktu itu. Jadi tidak ada punca hendak tunjuk kepada orang, jadi adalah ikhlas kerana Allah. Ia lebih berat bagi orang yang baru bermula (Ahlul Bidayah); kerana keenakan tidur pada waktu tersebut. Maka ini menjadi lubuk pahala bagi mereka kerana berusaha untuk melakukannya. Semakin ia susah, semakin banyak pahala. Dan ia lebih menenangkan/melapangkan bagi orang yang telah mencapai tingkatan rohani yang tinggi kerana kesucian jiwa, kekosongan hati daripada gangguan/kesibukan dunia, serta menunjukkan betapa tingginya keprihatinan pemiliknya terhadap urusan akhiratnya.”

Kenapa pula mereka minta ampun sedangkan mereka sedang melakukan kebaikan? Padahal di dalam Ayat 16 sebelum ini pun telah disebut mereka minta ampun. Sekarang mereka minta ampun lagi. Mereka minta ampun kerana takut Allah hukum mereka. Padahal mereka orang yang baru sahaja melakukan kebaikan. Ini maksudnya Ayat 17 ini adalah istighfar setelah taat. Amat lembut hati mereka sampaikan mereka masih rasa bersalah walaupun semasa sedang buat taat. Mereka takut kalau tak cukup apa yang mereka sudah buat. Istighfar jenis ini bernilai amat tinggi pada sisi Allah. Kerana kalau orang yang buat dosa istighfar memang sudah biasa kita dengar, tapi ini orang yang berbuat kebaikan pula. Memang tidak sama.

Kenapa waktu sahur disebut? Kita pun sudah tahu yang tidur adalah satu perkara yang manusia amat suka. Bayangkan kalau tak cukup tidur sahaja, kita sudah tidak selesa. Tapi ada manusia yang tinggi imannya yang sanggup meninggalkan keselesaan tidur untuk beribadah kepada Allah. Sudahlah mereka sanggup meninggalkan keselesaan ada duit banyak dengan mengeluarkan infak, mereka sanggup tinggalkan keselesaan tidur juga. Ini juga melawan nafsu yang besar, iaitu nafsu tidur.

Nota: Ayat ini sebenarnya mengajar kita cara berdoa. Kalau kita lihat ayat ini secara mendalam, kita belajar bahawa doa yang paling baik adalah pada waktu sahur iaitu dalam sepertiga akhir malam, terutama sekali selepas mengerjakan Solat Tahajjud. Waktu sahur adalah waktu yang amat istimewa. Dalam hadis yang sahih, dari Abu Hurairah, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ يَقُولُ مَنْ يَدْعُونِى فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِى فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِى فَأَغْفِرَ لَهُ
“Rabb kita تَبَارَكَ وَتَعَالَى turun ke langit dunia ketika tersisa sepertiga malam terakhir. Lantas Dia berfirman, “Siapa saja yang berdoa kepada-Ku, maka akan Aku kabulkan. Siapa yang meminta kepada-Ku, maka akan Aku beri. Siapa yang meminta ampunan kepada-Ku, maka akan Aku ampuni.”

(Sahih Bukhari no. 1145  dan Muslim no. 758).

Jadi ini adalah waktu terbaik untuk istighfar, juga waktu terbaik untuk berdoa kepada Allah. Kerana waktu itu adalah antara kita dan Allah sahaja. Bukannya pergi buat Kenduri Doa Selamat dan panggil orang Surau Masjid untuk doakan. Bukan begitu caranya. Caranya adalah kita bangun waktu sahur dan berdoa terus kepada Allah bersendirian sahaja. Itu yang Allah akan pandang dan Allah akan balas kepada kita.

 

Di dalam 5 sifat ini, dimasukkan huruf penghubung و (dan). Maknanya setiap sifat itu berdiri sendiri. Ia boleh jadi,

1. Semua sifat itu ada pada satu individu. Jadi penghubung و  memberi isyarat yang individu itu mempunyai semua sifat itu tapi bukan sikit-sikit, tapi pada tahap yang tinggi (kamal) dan kerana itu setiap sifat itu berdiri sendiri.

2. Ia juga boleh berada pada individu yang berbeza. Ada orang yang tinggi sifat sabarnya, tapi sifat lain tidak tinggi sangat walaupun ada. Jadi apabila dipisahkan, tidaklah kita kena semua sifat ini baru kita terpuji. Kalau ada satu sifat yang tinggi pun, ia pun sudah bagus. Cuma kita kena tambah sifat-sifat yang lain.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 28 Julai 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah

Tafsir Al-Azhar Dr Hamka

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Dorar.net

Tafsir Surah Ali Imran Ayat 16 (Tawasul dengan iman)

Ali Imran Ayat 16: Ini adalah sambungan tentang hamba yang sedang menuju ke syurga seperti yang telah disebut dalam ayat sebelum ini. Inilah sifat dan doa mereka. Allah sedang perhati apa yang mereka lakukan. Marilah kita ikuti mereka dan semoga kita semua termasuk dalam kelompok ini. Maka kita kenalah amalkan doa ini juga.

الَّذينَ يَقولونَ رَبَّنآ إِنَّنآ ءآمَنّا فَاغفِر لَنا ذُنوبَنا وَقِنا عَذابَ النّارِ

SAHIH INTERNATIONAL
Those who say, “Our Lord, indeed we have believed, so forgive us our sins and protect us from the punishment of the Fire,”

MALAY
(Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab neraka”;

 

الَّذينَ يَقولونَ رَبَّنا إِنَّنا ءآمَنّا

orang-orang yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman, 

Siapakah الَّذينَ di dalam ayat ini? Ia adalah sambungan dari mereka yang telah disebut di dalam ayat sebelum ini iaitu العِبادِ di dalam ayat وَاللَّهُ بَصيرٌ بِالعِبادِ.

Perhatikan permulaan doa mereka ini (رَبَّنا) tidak ada kalimah seruan yang biasa iaitu يا (wahai) membayangkan dekatnya mereka dengan Allah. Ya memang Allah dekat dengan kita dan mendengar doa kita. Jadi mereka terus berdoa kepada Allah tanpa melalui perantaraan pun kerana Allah memang dekat dengan kita. Allah mendengar apa sahaja seruan kita kepadaNya. Yang mengajar apabila berdoa kena bertawasul melalui perantaraan Nabi, malaikat atau wali itu tidak baca ayat Al-Qur’an agaknya. Atau, kalau mereka baca, mereka tak faham pun apa yang mereka baca.

Mereka punyalah hendak mempertahankan amalan songsang mereka itu sampai membandingkan realiti seorang rakyat biasa tidak akan dapat berjumpa raja, maka kena ada ‘orang tengah’ dan sebab itu mereka tawasul. Siapa suruh mereka bandingkan kerajaan manusia dengan kerajaan Allah? Raja memanglah tidak boleh dengar permintaan semua rakyat, maka kena tapis permintaan rakyat. Akan tetapi Allah bukan makhluk, Allah boleh dengar semua permintaan kita.

Kemudian perhatikan kalimah yang digunakan adalah يَقولونَ (mereka berdoa) yang di dalam fi’il mudhari’. Ia bermaksud ia sedang dilakukan dan terus dilakukan. Kalau fi’il madhi, ia sudah lepas. Jadi apabila ia di dalam bentuk fi’il mudhari’ maka ia memberi isyarat ia berterusan dilakukan. Maka ini mengajar kita yang orang Mukmin yang dapat menjadi ahli syurga itu selalu berdoa kepada Allah. Bukannya sekali sekala, bukannya apabila susah sahaja baru teringat dan berharap kepada Allah.

Di dalam ayat ini kalimah yang digunakan adalah panggilan kepada Allah dengan kalimah seruan رَبَّنا. Selalunya di dalam Al-Qur’an diajar doa dengan kalimah ini. Sedangkan di dalam hadis, banyak doa-doa yang Nabi ajar bermula dengan اللَّهُمَّ (ya Allah). Kalau digunakan رَبَّنا, kita bertawasul dengan sifat Rabb Allah, sifat Rububiyyah. Kalau digunakan اللَّهُمَّ pula kita bertawasul dengan nama Allah, sifat Uluhiyyah.

Mereka mengaku beriman sebelum berdoa meminta ampun. Ini bermaksud mereka bertawasul dengan iman. Mereka menggunakan iman mereka untuk mendekatkan diri mereka kepada Allah. Eh, kenapa ada tawasul pula?

Inilah jenis tawasul yang dibenarkan dan digalakkan. Bukannya tawasul dengan Nabi, wali dan malaikat yang banyak dilakukan oleh masyarakat kita yang jahil dengan wahyu sampai mereka berani mereka-reka amalan baru. Bukanlah semua tawasul tidak dibenarkan. Cuma kena tahu dan belajar manakah jenis tawasul yang dibolehkan. Belajarlah, jangan ikut sahaja apa yang orang lain buat.

Kalimah إِنَّنا ءآمَنّا mempunyai dua taukid di dalamnya (kalimah إِنَّ dan syaddah pada kalimah ءآمَنّا). Jadi ada mubalaghah (bersangatan) di sini. Jadi ia bukan pernyataan iman diri sendiri sahaja. Ia juga menidakkan iman orang lain. Ia dipanggil (Al-Itsbatu ‘alal ghair) dalam ilmu Balaghah. Secara harfiah, ertinya memang “Sesungguhnya kami telah beriman”. Namun, secara balaghah (makna tersirat), susunan ini berfungsi untuk menetapkan suatu sifat pada diri sendiri, sekaligus menafikan (menolak) sifat tersebut dari orang lain. Iaitu ketika orang lain tidak beriman sebegini, kami beriman Ya Allah. Ketika orang lain menerima ajakan kepada Islam, kami terima, walaupun ramai yang tidak mahu beriman. Masuk Islam bukan senang bagi kebanyakan orang. Bayangkan zaman para sahabat, ketika itu mereka diserang oleh golongan Musyrikin. Jadi masuk Islam membahayakan mereka. Zaman sekarang pun, kadangkala Islam dipandang sebagai musuh, maka kalau anak masuk Islam, ada kemungkinan mereka dibuang dari keluarga.

Bagi yang sudah Muslim pun, mereka juga menghadapi tekanan. Ketika orang lain katanya beriman, tapi mereka melakukan amalan syirik seperti bertawasul dengan Nabi, wali, malaikat, kami tak buat semua itu. Kami tidak istighasah kepada selain dariMu Ya Allah….Kami hanya berdoa terus kepadaMu ya Allah.

Ketika orang lain tidak beriman sempurna, kami beriman sepenuhnya. Kami tidak ikut-ikut sahaja apa yang diamalkan oleh masyarakat. Kami belajar dan kami sampaikan ajaran yang benar kepada orang lain. Tapi kami menerima tentangan. Keluarga kami halang, kawan-kawan kami halang… akan tetapi, kami tetap beriman yang sempurna ya Allah.

Jadi kalimah إِنَّنا ءآمَنّا ini berat dan di dalamnya terisi dengan pengorbanan yang tinggi kerana ia bukan senang untuk didapati. Bukan senang masuk Islam, dan bukan senang berada di atas Jalan Sunnah. Ramai yang tidak suka tapi kami abaikan semua itu. Biarlah apa orang kata, walaupun sukar, kami tetap mahu beriman ikut Jalan Sunnah.

Sebelum ini telah disebut nikmat-nikmat dunia yang dikejar manusia. Kalau masuk Islam dan beriman, ada kemungkinan akan kehilangan nikmat dunia itu. Ada yang ditinggalkan pasangan kerana pasangan tidak mahu bersama lagi, ada yang kehilangan kerja, keluarga, harta benda. Malah ada yang dibuang keluarga. Inilah yang dialami oleh para sahabat dahulu dan mereka yang mahu berubah zaman sekarang. Dugaan sangat banyak akan tetapi mereka tetap beriman. Jadi إِنَّنا ءآمَنّا bukanlah kata-kata kosong.

Balaghah: terdapat kaedah iltifat yang digunakan di dalam ayat ini. Kalimah الَّذينَ adalah di dalam pihak ketiga. Sedangkan di dalam Ayat 15 sebelum ini Allah sedang bercakap dengan mereka (أَؤُنَبِّئُكُم). Kesan dari iltifat ini menarik. Dari segi balaghah, apabila Allah mengubah bercakap dari pihak kedua kepada pihak ketiga, kesannya adalah menjauhkan. Kesannya di dalam situasi ayat ini adalah: Allah memberi isyarat yang mereka belum lagi sampai ke tahap golongan mereka itu (الَّذينَ). Ia seperti seorang jurulatih yang kata, “pasukan yang mantap mereka akan buat begini, begini dan begini” sambil bercakap kepada pasukannya. Dia tidak kata: “korang semua dah buat begini, begini dan begini”. Maknanya pasukannya itu belum lagi sampai ke tahap itu dan dia mahu mereka meningkatkan diri mereka ke tahap itu.

 

فَاغفِر لَنا ذُنوبَنا

oleh itu, hapuskanlah dosa-dosa kami 

Huruf ف bermaksud ‘maka’ dan ada kesinambungan dengan frasa sebelumnya. Ia dinamakan الفاء سببيَّةِ Fa’ Sababiyyah (huruf Fa’ yang menunjukkan sebab-akibat). Maksudnya jadi begini: “Disebabkan kami telah beriman kepada-Mu, maka ampunilah dosa-dosa kami.”

Jadi mereka minta ampun dari Allah. Tapi ada dua elemen yang terlibat. Yang pertama, ia bermaksud dosa-dosa yang telah lalu. Jadi ia lebih kurang jadi: “kami telah beriman dengan iman yang sebenar, maka ampunkan dosa kami dahulu ketika kami bukan Islam, ketika kami jahil. Dulu kami sembah berhala, ampunkan ya Allah; dulu kami tawasul kepada Nabi, wali dan malaikat kerana tok guru kami ajar, kami tak tahu ia salah, ampunkan kami ya Allah…!”

Dan keduanya, bukan sahaja dahulu tapi dosa sekarang dan akan datang. Ini kerana kita walaupun telah beriman, tapi kita kena sedar yang kita ini manusia yang tidak sunyi dari dosa. Kena sedar yang walaupun kita telah beriman, tidaklah kita jadi malaikat pula. Jadi seolah-olah mereka berkata: “Walaupun kami percaya dan hendak taat kepadaMu ya Allah, tapi ada banyak dosa kami. Kami pasti akan juga melakukan dosa, tapi ya Allah, ampunkanlah kami apabila kami melakukan kesalahan dan dosa.”

Begitulah kita kena sedar yang kita banyak dosa dan kita berharap sangat Allah ampunkan dosa kita. Jangan perasan yang kita ini baik terus, tidak ada dosa langsung. Ia mengajar kita yang semakin kita beriman, kena semakin merendah diri, bukannya membanggakan diri. Rasulullah ada bersabda,

كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ
“Setiap anak Adam (manusia) pasti melakukan kesilapan (dosa), dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan adalah mereka yang bertaubat.”

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi (No. 2499), Imam Ibn Majah (No. 4251), dan Imam Ahmad (No. 13049). Syeikh al-Albani menilai hadis ini sebagai Hasan (baik/boleh dijadikan hujah).

Bukan ampunkan sahaja, tetapi maksud ghafara adalah tutup terus dosa itu, jangan sebut-sebut lagi. Maka kalau Allah telah tutup, maka tidaklah kita malu di akhirat kelak. Kerana hanya Allah dan kita sahaja yang tahu. Kalau Allah tidak tutup, maka dosa itu akan dipampangkan dan semua akan tahu, maka tentulah kita akan malu, bukan?

Maka orang yang bertaqwa akan segera meminta ampun. Dan kita akan bertemu di dalam Ayat 135 nanti tentang sifat mereka,

وَالَّذينَ إِذا فَعَلوا فٰحِشَةً أَو ظَلَموا أَنفُسَهُم ذَكَرُوا اللَّهَ فَاستَغفَروا لِذُنوبِهِم وَمَن يَغفِرُ الذُّنوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَم يُصِرّوا عَلىٰ ما فَعَلوا وَهُم يَعلَمونَ
Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).

 

Perhatikan kalimah bagi dosa yang digunakan di dalam ayat ini adalah ذُنوبَ. Ada lagi kalimah lain bagi dosa yang digunakan di dalam Al-Qur’an iaitu سَيِّئَات. Kenapa ayat ini menggunakan istilah ذُنوبَ? Secara bahasa, ذَنْب berasal dari akar kata yang bererti “ekor” atau “pengikut”. Oleh itu dosa yang disebut ذَنْب adalah dosa yang memiliki ekor yang akan terus membuntuti pelakunya, baik di dunia mahupun di akhirat, selama dosa itu belum diampuni. Lagi satu ia adalah sesuatu yang memalukan kerana ekor adalah sesuatu yang memalukan bagi manusia.

Jadi digunakan istilah ذَنْب (jamaknya ذُنوبَ) di dalam doa orang Mukmin ini kerana mereka malu dengan dosa mereka. Walaupun mereka orang Mukmin dan dosa mereka tidak banyak, tapi dosa yang sedikit itu pun sudah menyebabkan mereka malu. Ini kerana mereka meletakkan standard yang tinggi pada diri mereka. Ini seperti disebut di dalam hadis,

إِنَّ الْمُؤْمِنَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَأَنَّهُ قَاعِدٌ تَحْتَ جَبَلٍ يَخَافُ أَنْ يَقَعَ عَلَيْهِ ، وَإِنَّ الْفَاجِرَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَذُبَابٍ مَرَّ عَلَى أَنْفِهِ فَقَالَ بِهِ هَكَذَا
“Sesungguhnya orang yang beriman melihat dosa-dosanya seolah-olah dia sedang duduk di bawah kaki sebuah gunung yang dia takut gunung itu akan menghempapnya. Sebaliknya, orang yang jahat (fajir) melihat dosa-dosanya seperti seekor lalat yang hinggap di hidungnya, lalu dia menghalaunya dengan tangannya seperti ini (hanya memandang remeh).”

(Hadis Riwayat Al-Bukhari, no. 6308)

Perumpamaannya begini: katakanlah seorang lelaki setiap hari dia Solat Tahajjud tanpa tinggal. Sekali dia tertinggal sahaja, dia akan rasa rugi, tidak sedap hati. Akan tetapi orang yang tak pernah Solat Tahajjud tidak rasa apa-apa pun, hidup tenang sahaja. Bezanya adalah standard yang mereka letakkan terhadap diri mereka. Jadi bagi orang yang disebut oleh Allah di dalam Ayat 16 ini meletakkan standard yang tinggi pada dirinya, sampaikan kalau ada dosa yang sedikit pun, dia sudah anggap ia sebagai ذُنوبَ.

Maka ayat ini mengajar kita satu konsep yang amat penting, iaitu jangan lupa untuk minta ampun. Walaupun kita beriman, walaupun kita telah melakukan ibadah. Kerana itulah Nabi ajar kita untuk istighfar 3 kali sebaik sahaja beri salam dalam solat. Kenapa? Mari kita bincangkan dan konsep ini terpakai untuk ibadah yang lain juga.

Ini kerana sebagai manusia, solat kita jarang sekali sempurna 100%. Sepanjang solat, fikiran kita sering melayang (ingat kerja, kereta, barang hilang, dan sebagainya). Kita mungkin kurang khusyuk, tergesa-gesa dalam bacaan, atau tidak menghayati setiap rukuk dan sujud. Istighfar di sini berfungsi sebagai “permohonan maaf” atas kelalaian kita di hadapan Allah semasa kita sedang menyembah-Nya. Kita mengakui bahawa solat yang kita persembahkan itu belum cukup layak bagi keagungan-Nya.

Ia juga untuk menjaga hati kita. Apabila seseorang selesai melakukan satu ketaatan yang besar seperti solat, syaitan akan datang dan membisikkan rasa bangga diri: “Hebatnya aku, aku dah solat awal waktu, berjemaah pula tu.” Sifat ujub ini boleh merosakkan pahala amalan. Dengan segera beristighfar sebanyak 3 kali, hati kita dipaksa untuk kekal tunduk dan sedar diri. Kita diingatkan bahawa kita boleh solat pun hanyalah kerana taufik dan izin daripada Allah, bukan kerana kehebatan diri kita sendiri.

Dalam Islam, hampir semua ibadah besar ditutup dengan istighfar atau taubat:

    • Selepas Solat: Beristighfar 3 kali.
    • Selepas Haji: Allah berfirman dalam Baqarah:199 agar memohon ampunan selepas bertolak dari Arafah.
    • Selepas Majlis Ilmu/Pertemuan: Kita membaca Doa Kaffaratul Majlis untuk memohon ampun atas dosa perbualan.
    • Di Hujung Hayat Nabi SAW: Selepas tugas dakwah selesai (Surah An-Nasr), Allah memerintahkan Nabi untuk bertasbih dan beristighfar.

Ini mengajar kita satu konsep suci: Seberapa banyak pun amal soleh yang kita lakukan, kita sentiasa memerlukan keampunan dan rahmat Allah untuk masuk ke dalam syurga-Nya.

 

وَقِنا عَذابَ النّارِ

dan peliharalah kami dari azab neraka”;

Kalau ikut logik kita, tentulah di sini kita akan minta dimasukkan ke dalam syurga, bukan? Tapi Allah ajar kita untuk minta selamat dari neraka. Keimanan tidak mengajar kita perasan yang kita akan pasti masuk syurga dan selamat dari neraka. Di dalam Furqan:65 Allah ajar kepada kita sifat-sifat Ibaadur Rahmaan,

وَالَّذينَ يَقولونَ رَبَّنَا اصرِف عَنّا عَذابَ جَهَنَّمَ ۖ إِنَّ عَذابَها كانَ غَرامًا
Dan orang-orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, jauhkan azab jahannam dari kami, sesungguhnya azabnya itu adalah kebinasaan yang kekal”.

Kita kena doa kepada Allah supaya selamatkan kita dari masuk neraka. Kita pun telah baca tentang banyak ayat-ayat tentang neraka, bukan? Di dalam surah ini pun kita sudah berjumpa. Maka sepatutnya kita amat takut dengan neraka! Jadi kita tak mahu duduk walau sekejap pun. Lihat, dengar dan cium sedikit pun neraka itu kita tidak mahu. Oleh itu, kita minta kepada Allah supaya berilah kepada kita sifat boleh meninggalkan dosa. Kerana kalau asyik buat dosa sahaja akan menyebabkan kita kena masuk neraka sebab neraka adalah tempat cuci dosa.

Kenapa mereka yang baik ini minta supaya mereka diselamatkan dari api neraka? Bukankah mereka telah selamat? Ini mengajar kita supaya jangan rasa selamat, jangan anggap kita sudah selamat dari neraka. Kerana itulah Allah berfirman di dalam Tahreem:6

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا قوا أَنفُسَكُم وَأَهليكُم نارًا
Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka

Jangan kita jadi seperti Yahudi dan Nasara yang perasan mereka selamat dari neraka, kononnya kerana mereka anak kesayangan Allah. Malangnya umat Islam pun sudah ada perasan begitu. Ada yang sangka Nabi Muhammad akan beri syafaat kepada mereka dan mereka akan selamat dari api neraka. Kalau masuk pun, mereka kata hanya sekejap sahaja.

Kemudian kita baca fadhilat sekian banyak amalan itu dan ini. Contohnya pahala berganda solat di MasjidilHaram, sekali baca Tasbih sekian banyak pahala, sekali Selawat sekian banyak pahala. Kita pun duduk kira punya kira, “eh banyak pahala aku ni….kalau ada dosa sikit-sikit, tak luak lagi pahala aku ni!” Itu belum kira lagi entah fadhilat rekaan datang dari amalan yang entah datang dari mana lagi. Kalau kita ada mentaliti begini, maka akan ada masalah. Memang fadhilat ada yang sahih, akan tetapi ia bukan bukan untuk dikira-kira sampai menjadikan kita rasa selamat! Ia adalah sebagai motivasi kepada kita untuk melakukan amalan ibadah, bukannya untuk kita kira-kira sampai tidak takut buat dosa dan perasan selamat dari neraka!

Maka jangan lupa minta dijauhkan dari neraka. Ada hadis yang sebut neraka pun akan doakan kita juga,

مَنْ سَأَلَ اللَّهَ الْجَنَّةَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ قَالَتِ الْجَنَّةُ: اللَّهُمَّ أَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ، وَمَنْ اسْتَجَارَ مِنَ النَّارِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ قَالَتِ النَّارُ: اللَّهُمَّ أَجِرْهُ مِنَ النَّارِ
“Sesiapa yang memohon syurga kepada Allah sebanyak tiga kali, maka syurga akan berkata: ‘Ya Allah, masukkanlah dia ke dalam syurga.’ Dan sesiapa yang memohon perlindungan daripada neraka sebanyak tiga kali, maka neraka akan berkata: ‘Ya Allah, selamatkanlah (lindungilah) dia daripada neraka.'”

(Hadis Riwayat At-Tirmidzi no. 2572, An-Nasa’i no. 5521, sahih menurut Syeikh al-Albani)

Antara doa yang jangan kita lupa baca sebelum beri salam dalam solat adalah supaya dijauhkan dari 4 perkara,

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan dengan-Mu daripada [1] azab neraka Jahannam, daripada [2] azab kubur, daripada [3] fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada [4] keburukan fitnah Al-Masih Ad-Dajjal.”

(Hadis Riwayat Muslim, no. 588)

Doa di dalam Ayat 16 ini sangat hebat. Tapi ia masih lagi pada peringkat awal kerana kita masih lagi di peringkat awal surah ini. Nanti doa ini akan dikembangkan lagi di dalam Ayat 193 di hujung surah ini nanti. Kita boleh lihat ada elemen yang sama, akan doa itu sudah semakin kembang.

رَّبَّنَا إِنَّنَا سَمِعْنَا مُنَادِيًا يُنَادِي لِلْإِيمَٰنِ أَنْ ءآمِنُوا بِرَبِّكُمْ فَـَٔامَنَّا رَبَّنَا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَكَفِّرْ عَنَّا سَيِّئَاتِنَا وَتَوَفَّنَا مَعَ الْأَبْرَارِ
Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: `Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu’, maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti;

Kita telah pernah sebutkan kaitan Surah Ali Imran dengan Surah Baqarah. Doa di dalam Ayat 16 ini ada persamaan dengan doa di dalam Baqarah:201

وَمِنهُم مَّن يَقولُ رَبَّنا ءَاتِنَا فِي الدُّنيا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنا عَذابَ النّارِ
Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami daripada azab neraka”.

Yang pertama kita lihat, kedua-dua doa ini berakhir dengan kalimat: وَقِنا عَذابَ النّارِ. Cuma yang awalnya tidak tepat sama. Doa di dalam Baqarah:201 itu menekankan kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat. Di dalam Ali Imran:16 ini menekankan tentang Iman dan Istighfar. Tapi tetap ada kaitannya:

    • Kebaikan di dunia (فِي الدُّنيا حَسَنَةً) akan didapati apabila beriman (ءآمَنّا).
    • Kebaikan di akhirat (فِي الآخِرَةِ حَسَنَةً) akan didapati apabila kita tiada dosa setelah istighfar (فَاغفِر لَنا ذُنوبَنا).

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 20 Julai 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah

Tafsir Al-Azhar Dr Hamka

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Dorar.net

Tafsir Surah Ali Imran Ayat 15 (Nikmat yang Berkekalan)

NIKMAT YANG BERKEKALAN

Ali Imran Ayat 15: Ayat ini adalah bayangan kepada maksud حُسنُ المَآبِ (tempat kembali yang sebaik-baiknya) yang disebut dalam ayat sebelum ini. Inilah yang kita kena kejar sebenarnya. Sebelum ini Allah telah sebut tentang nikmat dunia yang dikejar. Sekarang Allah akan sebut tentang nikmat di akhirat pula. Maka Allah suruh kita bandingkan: hendak yang tidak kekal atau hendak yang kekal? Boleh fikir atau tidak?

۞ قُل أَؤُنَبِّئُكُم بِخَيرٍ مِّن ذٰلِكُم ۚ لِلَّذينَ اتَّقَوا عِندَ رَبِّهِم جَنّٰتٌ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ خٰلِدينَ فيها وَأَزوٰجٌ مُّطَهَّرَةٌ وَرِضوٰنٌ مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ بَصيرٌ بِالعِبادِ

SAHIH INTERNATIONAL
Say, “Shall I inform you of [something] better than that? For those who fear Allah will be gardens in the presence of their Lord beneath which rivers flow, wherein they abide eternally, and purified spouses and approval from Allah. And Allah is Seeing of [His] servants –

MALAY
Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah”. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya;

 

قُل أَؤُنَبِّئُكُم بِخَيرٍ مِّن ذٰلِكُم

Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? 

Mahukah kalau Allah ‎ﷻ beritahu yang lebih baik daripada nikmat-nikmat dunia yang disebut dalam ayat sebelum ini? Sekarang Allah bercakap kepada seluruh manusia, kerana itu digunakan kalimat أَؤُنَبِّئُكُم dan ذٰلِكُم bukan أَؤُنَبِّئُك dan  ذٰلِكُ.

Penggunaan kalimah قُل menunjukkan kepentingan perkara dan maklumat yang akan disampaikan. Semua ayat Nabi kena sampaikan kepada umat. Tapi apabila Allah suruh beritahu secara khusus, ia memberi isyarat yang maklumat itu sangat penting.

Kalimah خَيرٍ digunakan dalam bentuk nakirah (umum) dan bukannya الخَيرٍ untuk memberi isyarat bahawa “kebaikan” tersebut terlalu besar, terlalu luas, dan tidak mampu digambarkan oleh had pemikiran manusia biasa. Ia melangkaui segala definisi kebaikan yang wujud di dunia.

Allah ‎ﷻ suruh Nabi Muhammad tanya dalam bentuk soalan supaya menarik minat manusia untuk tahu jawapannya. Supaya teruja untuk tahu apa yang hendak disampaikan. Ini adalah salah satu dari cara menarik minat manusia. Tentulah kita mahu tahu, bukan? Tambahan pula yang menyampaikannya adalah Rasulullah dan baginda dapat pun daripada Allah!

Maka kita pun boleh gunakan uslub (metodologi) ini di dalam dakwah kita. Kita boleh cakap: “Nak tak aku bagitahu benda yang menarik dan penting sangat?” Tujuannya adalah untuk menarik minta pendengar.

Kalimah أَؤُنَبِّئُكُم (Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu) daripada katadasar ن ب ا yang bermaksud tinggi; berita; maklumat; nubuwwat; nabi; untuk memaklumkan; mesej; pengumuman (orang yang diberi kitab suci). Maka kalimah أَؤُنَبِّئُكُم bermaksud pemberitahuan tentang ‘berita yang besar’. Bukan setakat khabar biasa sahaja. Kalau khabar (berita biasa) itu, digunakan lafaz ‘خبر’ sahaja. Sebagai contoh, berita biasa (khabar) itu adalah berita pukul 8 yang kita tonton setiap hari dalam berita di TV.

Akan tetapi berita besar adalah berita tentang kejadian tsunami contohnya. Yang kita perlu ambil tindakan. Sebab kalau diumumkan akan ada tsunami, takkan kita hendak duduk relaks lagi, bukan? Tentulah kita akan bertindak dengan segera. Oleh itu, berita-berita besar dalam Al-Qur’an ini bukanlah untuk kita baca sahaja, sebaliknya ada tindakan yang kita kena lakukan – sama ada kita kena berhenti melakukannya kerana ia salah, atau kita kena lakukannya kerana Allah ﷻ suruh kita buat.

Berita-berita itu juga adalah sesuatu yang relevan dengan keadaan masyarakat semasa. Apa yang terjadi zaman dahulu, masih lagi terjadi pada zaman sekarang. Jangan kita lihat kisah para Nabi itu sebagai hanya kisah sejarah sahaja, tetapi kita kena ambil pengajaran daripada kisah mereka. Kerana ia terpakai sampailah ke akhirat.

Lafaz ‘Nabi’ juga diambil daripada kata yang sama, kerana para Nabi itu membawa berita besar kepada umat mereka. Mereka telah menyampaikan berita penting kepada kita yang kita kena tahu, kena faham dan kena ikut. Bukannya kita buat tidak tahu sahaja.

Maka berita dan ilmu yang akan diberitahu ini adalah ilmu yang amat penting. Ia mengajar kita bahawa kita kena melihat perhiasan dunia itu dengan mata berilmu. Bukanlah semuanya indah belaka. Sebagai contoh, wanita. Kalau dapat isteri yang mukminah, baguslah. Tapi kalau dapat isteri yang menyakitkan hati, neraka dunialah jawabnya. Dapat anak ramai, tapi tak boleh pakai pun, tidak ada gunanya. Buat malu keturunan sahaja kalau dapat anak pelesit. Harta yang banyak pun boleh buat kita jadi gelisah sebab kena dijaga, kena dipertahankan. Kadangkala orang yang kaya, tidur pun tidak nyenyak kerana banyak perkara dia kena fikirkan.

Jadi cinta dunia tidak memberikan kita kelebihan apa-apa dari segi agama. Yang sepatutnya kita lebih kejar adalah cinta Allah. Rasulullah ada mengajar satu doa yang bagus. Yang mengajar kita cinta apakah yang kita perlu kejar,

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ حُبَّكَ، وَحُبَّ مَنْ يُحِبُّكَ، وَالْعَمَلَ الَّذِي يُبَلِّغُنِي حُبَّكَ، اللَّهُمَّ اجْعَلْ حُبَّكَ أَحَبَّ إِلَيَّ مِنْ نَفْسِي، وَأَهْلِي، وَمِنَ الْمَاءِ الْبَارِدِ
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu cinta-Mu, dan cinta orang yang mencintai-Mu, serta amalan yang dapat menyampaikan aku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu lebih aku cintai daripada diriku sendiri, keluargaku, dan daripada air yang dingin (ketika dahaga).”

Jami’ Tirmidhi (No. 3490) dan beliau menyatakan bahawa hadis ini statusnya Hasan Gharib.

Jadi di dalam hadis ini kita diajar untuk meraih 3 jenis cinta:

1. Cinta dari Allah
2. Cinta orang yang mencintai Allah. Kita sedar kita lemah, maka kita meminta untuk mencintai orang-orang soleh (para Nabi, ulama, pasangan yang bertakwa). Berada di sekeliling orang yang cintakan Allah akan tempiasnya akan menjaga hati kita.
3. Cinta kepada amalan yang mendekatkan kita dengan cinta Allah. Cinta tanpa pembuktian adalah dusta. Maka kita meminta agar Allah beri kita taufik untuk rajin beramal soleh kerana amalan itulah jambatan yang menyampaikan kita kepada keredaan dan cinta-Nya. Tentunya amalan-amalan yang Sunnah, bukannya amalan bid’ah pula.

Semoga kita mendidik jiwa kita supaya cinta kepada Allah itu lebih lagi. Jangan kita jadi seperti orang yang sebaliknya pula. Allah berfirman di dalam Baqarah:165

وَمِنَ النّاسِ مَن يَتَّخِذُ مِن دونِ اللَّهِ أَندادًا يُحِبّونَهُم كَحُبِّ اللَّهِ ۖ وَالَّذينَ ءآمَنوا أَشَدُّ حُبًّا لِّلَّهِ
Ada di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah; sedangkan orang-orang yang beriman itu lebih cinta kepada Allah.

 

لِلَّذينَ اتَّقَوا عِندَ رَبِّهِم جَنّٰتٌ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ

Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai,

Perhatikan di dalam potongan sebelum ini, Allah sedang bercakap kepada pihak kedua (أَؤُنَبِّئُكُم). Tapi sekarang Allah sedang bercakap tentang pihak ketiga pula (لِلَّذينَ اتَّقَوا عِندَ رَبِّهِم). Maknanya Allah tidak bercakap tentang kita yang sedang membaca, tapi tentang orang-orang yang akan diberikan nikmat itu. Maknanya kita mungkin belum sampai ke tahap itu lagi, maka kita kena berusaha untuk menjadi seperti mereka.

Balasan  yang baik ini hanya bagi orang yang bertaqwa, iaitu mereka yang boleh jaga hukum semasa mereka hidup di dunia. Mereka tidak amalkan syirik dan ada fahaman syirik. Mereka jaga sungguh-sungguh Tauhid mereka. Mereka boleh bersabar daripada tergoda dengan pujukan nikmat dunia. Mereka nampak nikmat-nikmat itu di hadapan mereka tetapi mereka tidak terpengaruh. Kerana mereka tahu itu hanyalah dunia sahaja yang sementara, tidak kekal dan rendah kalau dibandingkan dengan akhirat. Oleh kerana itu mereka letak dunia di tangan sahaja, bukannya di hati.

Balaghah: ada taqdim pada kalimat لِلَّذينَ اتَّقَوا (bagi orang-orang bertaqwa). Kalau susunan yang biasa adalah جَنّٰتٌ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ لِلَّذينَ اتَّقَوا. Jadi apabila Allah taqdim (mendahulukan) sebut لِلَّذينَ اتَّقَوا, ia bermaksud eksklusif iaitu syurga itu khusus untuk mereka yang bertaqwa sahaja. Ia bukan untuk orang kaya sahaja, bukan untuk orang berpengaruh sahaja. Ia adalah untuk orang bertaqwa sahaja. Jadi kalau kita tidak ada taqwa, maka jangan berangan untuk masuk ke syurga! Allahu Akbar!

Dan kemudian Allah tambah عِندَ رَبِّهِم (di sisi Tuhan mereka). Ia untuk menunjukkan betapa hebatnya syurga itu dan syurga itu dekat dengan Allah. Ini seperti doa Asiah isteri Firaun yang minta syurga dekat dengan Allah seperti disebut di dalam Tahreem:11

وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا لِّلَّذينَ ءآمَنُوا امرَأَتَ فِرعَونَ إِذ قالَت رَبِّ ابنِ لي عِندَكَ بَيتًا فِي الجَنَّةِ
Dan Allah ﷻ membuat isteri Fir’aun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, ketika dia berkata: “Ya Rabbku, bangunkanlah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam syurga

Yang Allah ‎ﷻ akan sebut ini beribu juta kali lebih bagus daripada perhiasan dunia yang telah disebut dalam ayat sebelum ini. Bayangkan anak yang kita banggakan itu, tentunya ada masalah dia. Kadangkala anak-anak itulah juga yang memalukan muka kita. Kalau ada harta yang banyak pun, tidaklah menyenangkan semua kerana harta yang banyak pun, kita kena jaga. Begitulah juga dengan mana-mana nikmat di dunia, ada sahaja kekurangannya kalau kita tengok. Yang kita tidak nampak sekarang hanyalah kerana cinta itu buta; kita membutakan mata kita kepada kekurangan yang ada pada nikmat dunia itu sahaja.

Dan digunakan idhafah رَبِّهِم dan bukannya yang lain seperti عند الله kerana Allah mendekatkan mereka denganNya. Allah sandarkan dhomir هم (mereka) dengan kalimah رَبِّ. Apabila Allah menyandarkan nama-Nya kepada golongan yang bertakwa, ia dinamakan sebagai penyandaran untuk memuliakan (Tasyrif). Ia seolah-olah satu pengiktirafan rasmi daripada Allah: “Inilah hamba-hamba-Ku yang istimewa”.

Di dalam ayat ini Allah ‎ﷻ mulakan dengan sebut nikmat dalam bentuk jasmaniah (fizikal). Iaitu Allah beritahu ﷻ yang mereka akan dimasukkan ke dalam syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya. Nikmat di dalam syurga itu tidak dapat digambarkan kerana akal kita tidak akan cukup untuk memahaminya. Akan tetapi Allah memberi bayangan syurga itu supaya kita boleh terliur apabila teringat kepadanya.

Allah ‎ﷻ selalu menyebut sungai di bawah syurga kerana tempat ada airlah yang disukai oleh manusia. Kalau dapat duduk di rumah yang ada air sungai, air laut, itu memang kesukaan manusia. Sebab itu kalau hotel pandang ke arah laut pun (ocean view) sudah lebih mahal dari yang pandang ke arah lain. Tambahan pula kalau hotel itu sendiri di atas air, tentu lagi mahal. Kalau kita hidup di dunia, agak mustahil kita akan dapat duduk di rumah yang ada sungai mengalir di bawahnya, bukan? Tapi di syurga nanti, semua rumah ada sungai-sungai di bawahnya. Dan sungai pula ada empat jenis seperti yang disebut di dalam ayat yang lain. Lihat Muhammad:15

فيها أَنهارٌ مِّن مّاءٍ غَيرِ ءآسِنٍ وَأَنهٰرٌ مِّن لَّبَنٍ لَّم يَتَغَيَّر طَعمُهُ وَأَنهٰرٌ مِّن خَمرٍ لَّذَّةٍ لِّلشّٰرِبينَ وَأَنهٰرٌ مِّن عَسَلٍ مُّصَفًّى
ada sungai-sungai daripada air yang tiada berubah rasa dan baunya, sungai-sungai daripada air susu yang tidak berubah rasanya, sungai-sungai daripada khamr yang lazat rasanya bagi peminumnya dan sungai-sungai daripada madu yang disaring

 

خٰلِدينَ فيها

mereka kekal di dalamnya. 

Kalau tinggal di tempat yang menyenangkan, tetapi sekejap sahaja, itu bukan nikmat sebenar. Macam kita kalau duduk di hotel yang beribu ringgit semalam pun, tetapi dalam hati kita, kita tahu yang kita hanya duduk sekejap sahaja di situ. Esok lusa kena keluar juga. Akan tetapi ahli syurga itu duduknya adalah selama-lamanya. Maka ahli syurga akan tenang sahaja di sana kerana dia tidak takut yang dia akan dikeluarkan.

Ingat tak lagi di dalam Ayat 14 sebelum ini disebut البَنينَ (anak-anak)? Dan antara sebab manusia mendambakan anak adalah untuk kelangsungan nama mereka, kerana mereka tahu yang mereka akan mati. Jadi tidak ada keperluan ini di dalam syurga lagi kerana mereka sendiri akan kekal hidup.

Jadi ahli syurga akan duduk di dalam syurga itu tidak tua-tua, tidak akan mati.

 

وَأَزوٰجٌ مُّطَهَّرَةٌ

Disediakan juga pasangan-pasangan yang disucikan

Kalau duduk tempat nikmat, duduk pula selama-lamanya, tetapi kalau duduk seorang sahaja pun, tentu tidak menggembirakan kerana kita manusia memang tidak suka tinggal berseorangan. Maka Allah ‎ﷻ berikan teman hidup untuk ahli syurga.

Perhatikan kalimah أَزوٰجٌ di sini bermaksud ‘pasangan’ dan ia boleh jadi pasangan lelaki atau wanita, suami dan isteri. Sedangkan di dalam Ayat 14 sebelum ini digunakan kalimah khusus untuk wanita iaitu النِّسآءِ. Maknanya apabila digunakan kalimah أَزوٰجٌ di dalam ayat ini, ia bermakna seorang lelaki akan dapat pasangan wanita yang suci, dan wanita juga akan dapat pasangan suami yang suci juga.

Tetapi kenapa ada perbezaan pula? Kenapa khusus disebut wanita di dalam Ayat 14 dan sekarang menjadi umum pula? Ini kerana dalam Ayat 14, Allah sedang memperincikan perkara-perkara dunia yang menjadi tarikan/ujian terbesar kepada kaum lelaki sebagai penggerak utama aktiviti dunia. Dari segi psikologi dan fitrah, tarikan visual dan fizikal terhadap wanita (النِّسآءِ) adalah ujian yang paling dominan bagi kaum lelaki. Oleh itu, Allah menyebut secara spesifik (النِّسآءِ) untuk memberikan amaran langsung tentang ujian yang paling sukar dikawal oleh lelaki di dunia. Jika Allah sekadar menyebut “pasangan” (أَزوٰجٌ) di dalam Ayat 14, ia kurang memberikan kesan psikologi amaran (tahzir) yang kuat kepada kaum lelaki yang sememangnya mudah tewas dengan fitnah wanita di dunia.

Apabila masuk ke Ayat 15, fokus berubah daripada “ujian” kepada “ganjaran” bagi orang-orang yang bertakwa (لِلَّذينَ اتَّقَوا). Golongan bertakwa ini terdiri daripada lelaki dan juga wanita. Jika Allah mengekalkan penggunaan kalimah النِّسآءِ di dalam syurga (contohnya: “dan bagi mereka wanita-wanita yang disucikan”), ia akan kelihatan seolah-olah ganjaran syurga itu hanya eksklusif untuk lelaki sahaja, manakala orang wanita yang bertakwa tidak mendapat bahagian mereka. Dengan menukarkan kalimah kepada أَزْوَاجٌ (pasangan-pasangan) yang bersifat umum (neutral dari segi jantina), ia bermakna lelaki bertakwa mendapat pasangan mereka (bidadari & isteri dunia yang disucikan). Dan wanita bertakwa juga mendapat pasangan mereka (suami dunia yang disucikan kembali menjadi muda/tampan, atau pasangan yang menyenangkan hati mereka). Ini menunjukkan keadilan mutlak Allah di akhirat kelak dalam meraikan ganjaran buat kedua-dua jantina.

Satu lagi sudut pandang yang sangat halus: Di Dunia (Ayat 14): Hubungan manusia dengan wanita kerap kali didasari oleh syahwat fizikal (sebab itu Ayat 14 menyebut حُبُّ ٱلشَّهَوٰتِ – keinginan syahwat). Perkataan النِّسآءِ (wanita) menggambarkan sosok fizikal yang dipandang. Sedangkan di Syurga (Ayat 15), hubungan itu bukan lagi hubungan syahwat yang rendah atau kotor. Ia dinaikkan taraf menjadi hubungan زوج (Pasangan). Dalam bahasa Arab, زوج bermaksud dua entiti yang bergabung menjadi satu kesatuan yang harmoni dan saling melengkapi (ketenangan jiwa, cinta, dan kasih sayang yang suci). Ini kerana di syurga tidak ada lagi istilah “memuaskan nafsu terhadap wanita” semata-mata, sebaliknya ia adalah “kebahagiaan bersama pasangan” yang suci dari segi fizikal dan rohani (مُطَهَّرَةٌ).

Pasangan itu pula dari jenis yang suci مُطَهَّرَةٌ daripada segi fizikal dan juga dari segi akhlak. Daripada segi jasmani, mereka tidak ada kekotoran najis dan bau yang tidak enak. Tidaklah kita tengah sembang dengan dia, tiba-tiba dia hendak pergi tandas sekejap. Tidak ada haidh langsung, selesema bersin itu apa semua tidak ada. Gigi tak payah gosok pun. Malah amat cantik dipandang mata dan tidak ada cacat cela langsung. Ini adalah dari segi hissi (fizikal).

Dan daripada segi maknawi iaitu dari segi akhlak dan hati, mereka tidak ada langsung sifat buruk. Contohnya, tidaklah ada perasaan cemburu dan marah-marah seperti pasangan kita sekarang. Tidak ada dengki, tidak ada kesedihan

Di dalam ayat sebelum ini disebut salah satu kehendak syahwat adalah wanita. Apabila digunakan kalimah أَزوٰجٌ, tentulah ini lebih baik dari pasangan kita di dunia. Kerana isteri kita itu betapa baiknya dan hebatnya dia, tentulah ada kekurangannya juga, seperti juga manusia yang lain. Akan tetapi pasangan di syurga itu sempurna segala-galanya kerana Allah akan pastikan mereka begitu. Dan jangan lupa, pasangan kita di syurga itu mungkin juga pasangan yang sama juga di akhirat. Cuma tentulah Allah telah sempurnakan isteri dan suami kita itu.

Jadi nikmat fizikal yang kita di dunia tidak akan dapat menandingi nikmat fizikal di syurga kelak. Kita boleh lihat nikmat di syurga itu telah upgrade dari nikmat di dunia. Isteri pun akan diganti dengan isteri yang lebih baik, atau isteri yang sama tapi telah disempurnakan. Akan tetapi tidak disebut pula anak. Ahli syurga itu mungkin tidak ada keinginan kepada anak kerana dia pun tidak pernah dapat anak di dunia. Atau, anak-anaknya sendiri pun sudah dapat masuk ke syurga dan duduk bersamanya dan ini disebut di dalam Thur:21,

وَالَّذينَ ءآمَنوا وَاتَّبَعَتهُم ذُرِّيَّتُهُم بِإيمٰنٍ أَلحَقنا بِهِم ذُرِّيَّتَهُم وَمآ أَلَتنٰهُم مِّن عَمَلِهِم مِن شَيءٍ ۚ كُلُّ امرِئٍ بِما كَسَبَ رَهينٌ
Dan orang-orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan Kami tiada mengurangi sedikit pun dari pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya.

Akan tetapi kalau ahli syurga itu tidak ada anak di syurga, bolehkah dia minta anak juga? Nabi ﷺ menjelaskan bahawa jika seorang ahli syurga sangat menginginkan anak, proses kehamilan, kelahiran, dan tumbesaran anak tersebut akan berlaku dengan sangat cepat (bahkan dalam tempoh satu jam atau sekelip mata sahaja). Hadis tersebut telah diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidzi, Ibn Majah, dan Imam Ahmad:

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: الْمُؤْمِنُ إِذَا اشْتَهَى الْوَلَدَ فِي الْجَنَّةِ كَانَ حَمْلُهُ وَوَضْعُهُ وَسِنُّهُ فِي سَاعَةٍ كَمَا يَشْتَهِي
Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a., beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Seorang mukmin itu apabila dia sangat menginginkan anak di dalam syurga, maka proses mengandungkannya, melahirkannya, dan tumbesaran umurnya (menjadi dewasa) akan berlaku dalam tempoh satu saat (sangat cepat/seketika), seumpama apa yang dia inginkan.”

(Hadis Riwayat al-Tirmidzi, no. 2563, Ibn Majah, no. 4338 & Ahmad. Dinilai sahih oleh Syeikh Al-Albani)

Di dalam ayat sebelum ini disebut harta dari emas dan perak. Tidak disebut di sini kerana harta dan perak itu digunakan untuk mendapatkan apa yang kita kehendaki di dunia. Di syurga, segala apa yang kita kehendaki sudah tersedia, maka tidak ada keperluan kepada matawang seperti emas dan perak lagi. Tapi kalau untuk perhiasan, memang ada dalil yang menyebut ahli syurga akan dipakaikan dengan perhiasan dari emas dan perak. Allah sebut di dalam Hajj:23

يُحَلَّوْنَ فِيهَا مِنْ أَسَاوِرَ مِن ذَهَبٍ وَلُؤْلُؤًا ۖ وَلِبَاسُهُمْ فِيهَا حَرِيرٌ
“Mereka dihiaskan di dalam syurga itu dengan gelang-gelang emas dan mutiara, dan pakaian mereka di situ adalah sutera.”

Dan di dalam Insan:21 disebut perhiasan dari perak:

عَالِيَهُمْ ثِيَابُ سُندُسٍ خُضْرٌ وَإِسْتَبْرَقٌ ۖ وَحُلُّوا أَسَاوِرَ مِن فِضَّةٍ…
“Mereka memakai pakaian sutera halus yang hijau dan sutera tebal (yang berkilauan), dan mereka dihiasi dengan gelang-gelang dari perak...”

Malah peralatan yang digunakan untuk menghidangkan makanan dan minuman di syurga juga diperbuat daripada emas dan perak yang sangat indah. Lihat Zukhruf:71,

يُطَافُ عَلَيْهِم بِصِحَافٍ مِّن ذَهَبٍ وَأَكْوَابٍ…
“Diedarkan kepada mereka piring-piring dan piala-piala daripada emas…”

Dan disebut juga di dalam Insan:15,

وَيُطَافُ عَلَيْهِم بِآنِيَةٍ مِّن فِضَّةٍ وَأَكْوَابٍ كَانَتْ قَوَارِيرَا
“Dan diedarkan kepada mereka bejana-bejana daripada perak dan piala-piala yang bening laksana kaca.”

Malah ketika para sahabat bertanya tentang binaan syurga, Nabi ﷺ bersabda:

لَبِنَةٌ مِنْ ذَهَبٍ وَلَبِنَةٌ مِنْ فِضَّةٍ، وَمِلاَطُهَا الْمِسْكُ الأَذْفَرُ…
“(Binaan syurga itu) satu bata daripada emas dan satu bata daripada perak, simennya (pelekatnya) adalah kasturi yang sangat harum…”

(Hadis Riwayat al-Tirmidzi, no. 2526 & Ahmad. Dinilai sahih oleh Syeikh Al-Albani)

Jadi tidaklah ada kekeringan emas dan perak di syurga nanti. Bagaimana pula dengan kuda? Kalau hendak kuda, kuda pun boleh dapat, tidak ada masalah dalam syurga. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidzi, seorang sahabat datang bertanya kepada Nabi ﷺ kerana dia sangat meminati kuda di dunia:

عَنْ سُلَيْمَانَ بْنِ بُرَيْدَةَ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ رَجُلاً سَأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، هَلْ فِي الْجَنَّةِ مِنْ خَيْلٍ؟ قَالَ: إِنِ اللَّهُ أَدْخَلَكَ الْجَنَّةَ فَلاَ تَشَأْ أَنْ تُرْكَبَ فِيهَا عَلَى فَرَسٍ مِنْ يَاقُوتَةٍ حَمْرَاءَ تَطِيرُ بِكَ فِي الْجَنَّةِ حَيْثُ شِئْتَ إِلاَّ فَعَلْتَ
Daripada Sulaiman bin Buraidah, daripada bapanya, bahawa seorang lelaki bertanya kepada Nabi ﷺ: “Wahai Rasulullah, adakah di dalam syurga ada kuda?” Baginda ﷺ menjawab: “Jika Allah memasukkanmu ke dalam syurga, lalu kamu berkeinginan untuk menunggang seekor kuda yang diperbuat daripada permata yaqut (delima) merah yang boleh terbang membawa kamu di dalam syurga ke mana sahaja yang kamu kehendaki, nescaya kamu pasti akan dapat melakukannya.”

(Hadis Riwayat al-Tirmidzi, no. 2544. Dinilai hasan oleh sebahagian ulama dan mempunyai syawahid/sokongan)

Binatang ternak bagaimana? Pun ada juga kerana ada hadis yang memberi isyarat sebegitu,

صَلُّوا فِي مَرَاحِ الْغَنَمِ، فَإِنَّهَا مِنْ دَوَابِّ الْجَنَّةِ
“Solatlah kamu di kandang-kandang kambing, kerana sesungguhnya ia termasuk binatang syurga.”

(Hadis Riwayat Ibn Majah, no. 769. Sahih)

Tanaman pun tidak perlu sebenarnya sebab semua keperluan makanan kita akan dipenuhi. Tapi kalau ada yang memang suka bercucuk tanam, pun akan dapat juga,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَوْمًا يُحَدِّثُ، وَعِنْدَهُ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ الْبَادِيَةِ: أَنَّ رَجُلًا مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ اسْتأْذَنَ رَبَّهُ فِي الزَّرْعِ، فَقَالَ لَهُ: أَلَسْتَ فِيمَا شِئْتَ؟ قَالَ: بَلَى، وَلَكِنِّي أُحِبُّ أَنْ أَزْرَعَ. قَالَ: فَبَذَرَ، فَبَادَرَ الطَّرْفَ نَبَاتُهُ وَاسْتِوَاؤُهُ وَاسْتِحْصَادُهُ، فَكَانَ أَمْثَالَ الْجِبَالِ، فَقَوْلُ اللَّهُ: دُونَكَ يَا ابْنَ آدَمَ، فَإِنَّهُ لَا يُشْبِعُكَ شَيْءٌ. فَقَالَ الْأَعْرَابِيُّ: وَاللَّهِ لَا تَجِدُهُ إِلَّا قُرَشِيًّا أَوْ أَنْصَارِيًّا، فَإِنَّهُمْ أَصْحَابُ زَرْعٍ، فَأَمَّا نَحْنُ فَلَسْنَا بِأَصْحَابِ زَرْعٍ. فَضَحِكَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ, bahawa pada suatu hari Nabi ﷺ sedang berbicara (menyampaikan ilmu) dan di sisi baginda ada seorang lelaki daripada kalangan Arab Badwi (penduduk pedalaman). Nabi ﷺ bersabda: “Sesungguhnya ada seorang lelaki daripada ahli syurga meminta izin kepada Tuhannya untuk bercucuk tanam. Allah bertanya kepadanya: ‘Bukankah kamu telah berada di dalam segala (nikmat) yang kamu inginkan?’ Lelaki itu menjawab: ‘Benar (wahai Tuhanku), akan tetapi aku ini seorang yang sangat suka bercucuk tanam.’ Nabi bersabda lagi: ‘Lalu lelaki itu pun menabur benih. Maka dengan sekelip mata, benih itu tumbuh, menjadi matang (tegak berdiri), dan sedia untuk dituai, sehinggalah hasilnya bertimbun-timbun sebesar gunung-gunung!’ Lalu Allah SWT berfirman: ‘Ambillah ini wahai anak Adam, sesungguhnya tiada sesuatu pun yang dapat memuaskan hatimu!’ (Mendengarkan kisah itu), lelaki Arab Badwi yang berada di sebelah Nabi tadi terus menyampuk: “Demi Allah (wahai Rasulullah), kamu tidak akan mendapati lelaki itu melainkan dia seorang Quraisy atau seorang Ansar! Ini kerana mereka adalah orang-orang yang suka bercucuk tanam, adapun kami (kaum Badwi) bukanlah orang yang suka bercucuk tanam.” Mendengarkan kata-kata spontan lelaki itu, Rasulullah ﷺ pun tertawa.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari, No. 2348 / Hadis Kitab al-Harth wa al-Muzara’ah)

Apa lagi yang kita hendak sebut dan tanya? Tak perlu sebut semua, letih kita nanti hendak fikirkan. Jawapannya apa sahaja yang kita boleh fikirkan, kita boleh dapat. Nabi ﷺ telah memberikan satu kaedah umum yang sangat indah tentang nikmat syurga:

إِنْ يُدْخِلْكَ اللَّهُ الْجَنَّةَ يَكُنْ لَكَ فِيهَا مَا اشْتَهَتْ نَفْسُكَ وَلَذَّتْ عَيْنُكَ
“Jika Allah memasukkanmu ke dalam syurga, maka kamu akan mendapat apa sahaja yang diingini oleh jiwamu dan apa sahaja yang enak (indah) dipandang oleh matamu.”

(Hadis Riwayat al-Tirmidzi, no. 2545)

 

وَرِضوٰنٌ مِّنَ اللَّهِ

serta keredhaan daripada Allah

Setelah disebut contoh-contoh nikmat jasmani, Allah ‎ﷻ sebut pula nikmat rohani. Nikmat rohani yang akan diberikan adalah keredhaan daripada Allah ‎ﷻ. Kalimah رِضوٰنٌ ini di dalam Wazan (Acuan Kata) فِعْلَان, iaitu رِضْوَان yang di dalam bentuk mubalaghah. Ia bermaksud: Keredaan yang besar, agung, dan sempurna (daripada Allah). Tambahan huruf alif dan nun (ان) di hujung kalimah ini berfungsi untuk memberi penekanan mubalaghah (membawa maksud “sangat melimpah-ruah/sempurna”).

Dan digunakan kalimat وَرِضوٰنٌ مِّنَ اللَّهِ dan bukannya وَرِضوٰنٌ مِّنَه. Sesuatu ganjaran itu menjadi bernilai tinggi bergantung kepada siapa yang memberinya. Apabila nama “ALLAH” (Zat Yang Maha Agung, Maha Perkasa, Pemilik alam semesta) disebut secara eksplisit bersebelahan dengan perkataan “Keredaan” (رِضوٰنٌ), ia memberikan impak rohani yang menggegar jiwa.

Ini adalah nikmat yang paling hebat sebenarnya. Tidak ada yang lebih hebat daripada nikmat ini. Allah sebut tentangnya di dalam Tawbah:72

وَعَدَ اللَّهُ المُؤمِنينَ وَالمُؤمِنٰتِ جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ خٰلِدينَ فيها وَمَسٰكِنَ طَيِّبَةً في جَنّٰتِ عَدنٍ ۚ وَرِضوٰنٌ مِّنَ اللَّهِ أَكبَرُ ۚ ذٰلِكَ هُوَ الفَوزُ العَظيمُ
Allah menjanjikan kepada orang-orang mukmin, lelaki dan perempuan, (akan mendapat) syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, kekal mereka di dalamnya, dan (mendapat) tempat-tempat yang bagus di Syurga ‘Adn. Dan keredhaan Allah adalah lebih besar; itu adalah kejayaan yang besar.

Bayangkan, kalau ayah kita kata dia bangga dengan kita pun, kita sudah suka. Bagaimana kalau majikan kita bangga dan puji kita? Pun kita suka, bukan? Bagaimana kalau Perdana Menteri bangga dengan kita? Lagi besar, bukan? Namun adakah yang lebih besar daripada pujian Allah ‎ﷻ? Tidak ada lagi. Bayangkan Allah ‎ﷻ beritahu kita yang Dia redha dengan kita, dengan apa yang kita telah lakukan semasa di dunia, tidak terbayang nikmat itu. Tambahan pula Allah sendiri ada sebut (melalui hadith) yang inilah nikmat yang terbesar,

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى يَقُولُ لِأَهْلِ الجَنَّةِ: يَا أَهْلَ الجَنَّةِ؟ فَيَقُولُونَ: لَبَّيْكَ رَبَّنَا وَسَعْدَيْكَ، فَيَقُولُ: هَلْ رَضِيتُمْ؟ فَيَقُولُونَ: وَمَا لَنَا لاَ نَرْضَى يَا رَبِّ وَقَدْ أَعْطَيْتَنَا مَا لَمْ تُعْطِ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ؟ فَيَقُولُ: أَنَا أُعْطِيكُمْ أَفْضَلَ مِنْ ذَلِكَ، قَالُوا: يَا رَبِّ وَأَيُّ شَيْءٍ أَفْضَلُ مِنْ ذَلِكَ؟ فَيَقُولُ: أُحِلُّ عَلَيْكُمْ رِضْوَانِي، فَلاَ أَسْخَطُ عَلَيْكُمْ بَعْدَهُ أَبَدًا
Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a., beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya Allah تَبَارَكَ وَتَعَالَى akan menyeru kepada ahli syurga: ‘Wahai ahli syurga!’ Maka mereka pun menjawab: ‘Kami menyahut seruan-Mu wahai Tuhan kami, dan kami sedia melaksanakan perintah-Mu dengan penuh kebahagiaan.’ Allah bertanya: ‘Adakah kamu semua sudah berpuas hati (reda)?’ Mereka menjawab: ‘Bagaimanakah kami tidak reda (puas hati) wahai Tuhan kami, sedangkan Engkau telah mengurniakan kepada kami nikmat-nikmat yang tidak pernah Engkau berikan kepada seorang pun daripada makhluk-Mu yang lain?’ Lalu Allah berfirman: ‘Mahukah Aku kurniakan kepada kamu sesuatu yang lebih utama daripada semua nikmat ini?’ Mereka bertanya: ‘Wahai Tuhan kami, apakah perkara yang lebih utama daripada nikmat (syurga) ini?’ Allah berfirman: ‘Aku melimpahkan keredaan-Ku (رِضْوَانِ) ke atas kamu sekalian, dan Aku tidak akan murka kepada kamu selama-lamanya selepas ini.'”

(Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 6549 & Muslim, no. 2829)

Maka hilanglah segala ketakutan ahli syurga nanti kerana Allah kata Dia tidak akan murka kepada mereka lagi selama-lamanya. Inilah yang kita kena kejar semasa kita hidup di dunia ini.

Kalimah redha ini ada dua maksud sebenarnya. Yang kita telah sebut, Allah redha dan puas hati dengan kita. Satu lagi maksud, ahli syurga itu yang redha dan puas hati dengan apa yang Allah telah berikan. Kalau nikmat dunia, banyak mana pun kita ada, kita pasti tidak akan rasa puas; tetapi kalau dengan nikmat syurga, ditambah dengan redha Allah ‎ﷻ, ahli syurga itu akan puas sepuas-puasnya. Tidak ada lagi bantahan atau kritikan terdapat nikmat itu. Semoga apabila kita mati kelak, Allah akan sambut kita dengan memberi RedhaNya seperti disebut di dalam Fajr:27-28

يَـٰٓأَيَّتُهَا ٱلنَّفسُ ٱلمُطمَٮِٕنَّةُ (٢٧) ٱرجِعِىٓ إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرضِيَّةً (٢٨)
Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata): Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! (27) Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu)! (28) 

Dan ada hadis Rasulullah menyampaikan kepada kita dialog antara ahli syurga dengan Allah yang membayangkan bagaimana mereka telah puas dengan pemberian Allah sampai tidak tahu lagi apa yang hendak diminta.

إِذَا دَخَلَ أَهْلُ الْجَنَّةِ الْجَنَّةَ، قَالَ: يَقُولُ اللهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى: تُرِيدُونَ شَيْئًا أَزِيدُكُمْ؟ فَيَقُولُونَ: أَلَمْ تُبَيِّضْ وُجُوهَنَا؟ أَلَمْ تُدْخِلْنَا الْجَنَّةَ، وَتُنَجِّنَا مِنَ النَّارِ؟ قَالَ: فَيَكْشِفُ الْحِجَابَ، فَمَا أُعْطُوا شَيْئًا أَحَبَّ إِلَيْهِمْ مِنَ النَّظَرِ إِلَى رَبِّهِمْ عَزَّ وَجَلَّ
Apabila ahli syurga telah masuk ke dalam syurga, Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman: “Apakah kalian mahukan sesuatu yang boleh Aku tambahkan lagi untuk kalian?” Ahli syurga menjawab: “Bukankah Engkau telah memutihkan (mencerahkan) wajah-wajah kami? Bukankah Engkau telah memasukkan kami ke dalam syurga dan menyelamatkan kami dari api neraka?”  Rasulullah SAW bersabda: “Lalu Allah pun membuka hijab (tirai pembatas). Maka tiada satu pun nikmat yang telah diberikan kepada mereka yang lebih mereka cintai daripada melihat kepada Tuhan mereka ‘Azza wa Jalla.”

Riwayat Imam Muslim (No. 181)

Begitulah kata-kata ahli syurga itu dan mereka menjawab begini kerana merasakan nikmat yang ada itu sudah terlalu sempurna dan melimpah-ruah sehingga tidak dapat bayangkan ada nikmat yang lebih besar lagi. Maka Allah tambah lagi dengan beri nikmat yang mereka tidak pernah fikirkan iaitu dapat melihat wajahNya.

 

وَاللَّهُ بَصيرٌ بِالعِبادِ

Dan Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya;

Ini adalah جملةٌ مُعترِضةٌ  (Jumlah Mu’taridhah) iaitu Ayat Celahan. Dalam Allah beritahu segala nikmat itu, Allah celah satu maklumat lain iaitu Allah ‎ﷻ sedang melihat kita daripada segi jasmani dan rohani, ke manakah kita akan pergi, dan Allah ‎ﷻ melihat tempat yang sedang kita tuju, sama ada ke syurga atau neraka. Allah ﷻ tahu apa yang kita lakukan dan apa yang kita fikirkan. Semua itu akan dinilai. Maknanya Allah bukan tengok kosong, tapi segala perbuatan kita akan ada balasannya di akhirat kelak.

Potongan ayat ini membawa dua mesej yang berbeza berdasarkan pilihan hidup manusia. Bagi orang yang menolak kebenaran dan hanyut dalam fitnah dunia, ayat ini adalah sebagai ancaman keras kerana Allah melihat penyelewengan mereka. Sebaliknya, bagi orang yang beriman dan berkorban, ayat ini adalah penghibur hati (janji kebaikan) kerana Allah tidak pernah mensia-siakan usaha mereka.

Allah ingin menyatakan bahawa Dia menyaksikan bukan sahaja fizikal manusia, akan tetapi isi hati orang beriman. Keimanan dan tindakan mereka meninggalkan pesona syahwat dunia bukan dibuat-buat atau sekadar ikutan, melainkan lahir daripada lubuk hati yang dipenuhi rasa cinta yang mendalam, kesungguhan yang tinggi, dan impian yang besar untuk mendapatkan apa yang ada di sisi-Nya.

Kalau kita dapat sematkan pemahaman ini dalam diri kita, maka kita akan banyak beramal yang baik dan akan takut untuk buat dosa. Kita akan sentiasa jaga amalan kita dan jaga hati kita. Kerana itu Allah ﷻ selalu sebut tentang perkara ini.

Allah mengakhiri ayat ini dengan memberitahu yang Dia sentiasa memerhatikan kita. Dikatakan (oleh para ulama tafsir) bahawa penutup ini adalah untuk menjelaskan bahawa bukan semua orang yang mendakwa dirinya bertakwa itu benar-benar seorang yang bertakwa. Kita tidak boleh mendakwa sahaja. Sebaliknya, orang yang benar-benar bertakwa ialah sesiapa yang Allah ketahui (dan saksikan) ada ketakwaan di dalam dirinya. Pada penutup ini juga terdapat peringatan dan amaran yang mengejutkan manusia daripada kelalaian agar mereka sentiasa muhasabah (memeriksa) diri mereka.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 19 Julai 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah

Tafsir Al-Azhar – Prof Hamka

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Dorar.net

Tafsir Surah Ali Imran Ayat 14 (Nikmat Dunia yang tidak kekal) Part 2

وَالأَنعٰمِ

dan binatang-binatang ternak

Ini merujuk kepada aset kekal. Kalau keluarga sudah ada, duit pun banyak, status simbol sudah ada, maka orang itu akan fikirkan bagaimana dia hendak kekalkan duitnya yang banyak itu supaya bertambah lagi? Tentulah dia akan fikirkan pelaburan jangka panjang, bukan? Kalau zaman Nabi ﷺ, ia adalah binatang ternakan seperti lembu, kambing, unta dan biri-biri. Binatang ternak itu dibela dari kecil dan apabila besar boleh dijual dengan harga yang mahal.

Ia adalah sumber kewangan yang hebat ketika itu. Kedudukan seseorang menjadi tinggi jikalau dia ada unta yang banyak, kambing yang banyak, ternakan lain yang banyak. Kalau ada unta pun boleh menjadi kebanggaan. Sama seperti kuda mewah, unta merah merupakan simbol harta yang paling berharga, paling premium, dan paling membanggakan di mata masyarakat Arab pada zaman Rasulullah ﷺ. Ada hadis sahih yang menyebut tentang unta merah ini berlaku semasa Perang Khaibar, apabila Rasulullah ﷺ menyerahkan panji kepimpinan kepada Saidina Ali bin Abi Thalib RA. Baginda memberikan pesanan yang sangat berharga:

فَوَاللَّهِ لأَنْ يَهْدِيَ اللَّهُ بِكَ رَجُلاً وَاحِداً خَيْرٌ لَكَ مِنْ أَنْ يَكُونَ لَكَ حُمْرُ النَّعَمِ
“Demi Allah, sesungguhnya jika Allah memberi hidayah kepada seorang lelaki dengan asbab (dakwah) engkau, itu adalah jauh lebih baik bagimu daripada kamu memiliki unta-unta merah.”

(Riwayat Al-Bukhari, no. 3701 & Muslim, no. 2406)

Penerangan: Warna “merah” pada unta zaman tersebut bukan merah terang, melainkan warna coklat kemerahan yang pekat. Unta baka ini sangat jarang ditemui, mempunyai ketahanan fizikal yang luar biasa, dan susuk tubuh yang cantik. Sesiapa yang memilikinya pada zaman itu dianggap sebagai jutawan atau individu kelas atasan yang sangat dihormati.

Zaman sekarang, ia merujuk kepada aset-aset dalam simpanan kita. Contohnya barangan kedai kita, berapa rumah ada, simpanan dalam gudang, dan macam-macam lagi. Manusia akan cuba kumpul aset sebanyak mungkin. Kerana aset ini nilainya selalu bertambah dari masa ke semasa. Rumah dan gedung contohnya, harganya semakin menaik dari tahun ke tahun, bukan?

Tapi bukankah binatang ternak ini perlu dijaga, diusahakan? Kena bagi makan, perah susunya dan berbagai lagi kerja. Kalau upah orang buat pun, kena periksa juga kerja mereka. Begitu juga dengan aset kita yang perlu dijaga, diuruskan, diperhatikan? Jadi kenapa ia menjadi sesuatu yang disayangi, dikehendaki oleh nafsu? Kerana kita telah bincangkan di awal tadi, bahawa benda-benda ini adalah penyebab kepada kegembiraan mereka. Penyebab kepada rasa selamat manusia. Mereka rasa kalau ada semua ini, mereka akan senang hidup, gembira dengan apa yang mereka ada. Kalau susah di usia muda tidak mengapa, asalkan nanti mereka senang semasa tua kerana banyak aset. Ia samalah dengan isteri, anak, kuda pilihan itu semua. Memang ada kerja yang kena dilakukan, tapi ia ada daya tarikannya. Jadi walaupun susah, manusia tetap sanggup untuk berusaha untuknya.

 

وَالحَرثِ

serta tanaman yang dituai

Yang akhir sekali disebut adalah tanaman. Ia disebut akhir sekali kerana harta jenis ini kena diusahakan keras sedikit untuk mendapatnya. Ia lain seperti emas, perak, binatang, aset yang sudah ada dan boleh digunakan terus. Hasil tanaman bukannya boleh dapat begitu sahaja tapi kena diusahakan dan ia bukan senang.

Ia juga boleh merujuk kepada hasil mahsul. Kalau harta lain, tapi kalau wang tunai, lain pula. Bandingkan dengan rumah yang kena dijual untuk mendapatkan nilainya. Kalau wang tunai, boleh terus digunakan. Maka segala usaha manusia pada ternakan dan tanaman adalah untuk mendapatkan hasilnya yang boleh digunakan. Kalau zaman sekarang dalam perniagaan, yang ditunggu adalah keuntungan di hujung tahun (fiscal year). Itulah yang ditunggu-tunggu oleh manusia.

Akan tetapi kesenangan dunia ini bahaya kalau iman dan taufiq tidak ada. Berapa ramai yang gagal dengan ujian kesenangan yang Allah berikan kepada mereka? Sangat ramai! Kita pun belum tentu selamat. Jadi kalau kita hidup cukup-cukup sahaja, itu pun sudah baik sebenarnya. Rasulullah telah bersabda tentang hal ini,

فَوَاللَّهِ مَا الْفَقْرَ أَخْشَى عَلَيْكُمْ، وَلَكِنِّي أَخْشَى عَلَيْكُمْ أَنْ تُبْسَطَ الدُّنْيَا عَلَيْكُمْ كَمَا بُسِطَتْ عَلَى مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ، فَتَنَافَسُوهَا كَمَا تَنَافَسُوهَا، وَتُهْلِكَكُمْ كَمَا أَهْلَكَتْهُمْ
“Demi Allah, bukanlah kemiskinan yang aku takutkan menimpa kamu. Keperihatinanku yang amat sangat ialah apabila kemewahan dunia dibentangkan kepada kamu sebagaimana ia pernah dibentangkan kepada umat sebelum kamu, lalu kamu saling berlumba-lumba mengejarnya lalu dunia itu membinasakan kamu sebagaimana ia telah membinasakan mereka.”

(Riwayat Sahih Bukhari, no. 3158 & Muslim, no. 2961)

 

ذٰلِكَ مَتٰعُ ٱلحَيَوٰةِ الدُّنيا

Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia yang sementara.

Allah jelaskan hakikat semua yang disebut di atas: Semua yang manusia kejar-kejar itu adalah kesenangan sementara sahaja semasa mereka hidup di dunia. Ia tidak kekal, sama ada ia hancur dulu, atau kita yang mati dahulu. Maka kerana itu Allah gunakan kalimah ذٰلِكَ (itu) juga menarik, seolah-olah menjauhkan. Macam tunjuk benda yang jauh dan kata “itulah dia….” Ia sepatutnya bukannya benda yang dekat dan rapat dengan kita. Jangan kita terikat sangat dengannya. Jangan ia dijadikan matlamat dan tujuan hidup pula.

Kena sematkan di dalam minda dan hati kita yang ia hanya sebagai perhiasan sahaja dan untuk kegunaan sahaja. Kerana kalimah مَتٰعُ bermaksud sesuatu yang digunakan walaupun ia tidak bernilai. Sampai saat kematian, mereka akan tinggalkan semuanya sekali. Perkataan مَتٰعُ di dalam Al-Qur’an adalah satu istilah yang sangat mendalam dan unik. Dari segi bahasa, ia berasal daripada kata dasar yang bermaksud “sesuatu yang diambil manfaatnya, dinikmati, atau digunakan untuk memenuhi keperluan buat seketika, kemudian ia akan lenyap, rosak, atau ditinggalkan.”

Bayangkan, ia dikejar bagai nak gila, diluangkan masa siang dan malam; tapi bila mati kena tinggalkan semua. Itulah dunia dan kita kena tahu apakah hakikatnya. Rasulullah sudah mudahkan kita untuk membayangkannya. Ada satu hadis daripada Jabir bin Abdullah:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ مَرَّ بِالسُّوقِ وَالنَّاسُ كَنَفَتَيْهِ، فَمَرَّ بِجَدْيٍ أَسَكَّ مَيِّتٍ، فَتَنَاوَلَهُ فَأَخَذَ بِأُذُنِهِ، ثُمَّ قَالَ: أَيُّكُمْ يُحِبُّ أَنَّ هَذَا لَهُ بِدِرْهَمٍ؟ فَقَالُوا: مَا نُحِبُّ أَنَّهُ لَنَا بِشَيْءٍ وَمَا نَصْنَعُ بِهِ؟ قَالَ: أَتُحِبُّونَ أَنَّهُ لَكُمْ؟ قَالُوا: وَاللَّهِ لَوْ كَانَ حَيًّا كَانَ عَيْبًا فِيهِ لأَنَّهُ أَسَكُّ، فَكَيْفَ وَهُوَ مَيِّتٌ؟ فَقَالَ: فَوَاللَّهِ لَالدُّنْيَا أَهْوَنُ عَلَى اللَّهِ مِنْ هَذَا عَلَيْكُمْ
“Bahawa Rasulullah ﷺ berjalan melalui pasar sambil dikerumuni oleh para sahabat di kiri dan kanan baginda. Lalu baginda berjalan melintasi seekor anak kambing yang telinganya kecil (cacat) dan telah menjadi bangkai. Baginda memegang telinga bangkai kambing itu seraya bersabda:’Siapakah dalam kalangan kamu yang mahu membeli ini dengan harga satu dirham?’Para sahabat menjawab: ‘Kami tidak mahu memilikinya walaupun dengan harga yang paling murah, apa yang boleh kami lakukan dengan bangkai ini? ‘Baginda bertanya lagi: ‘Adakah kamu suka jika bangkai ini diberikan percuma kepada kamu? ‘Sahabat menjawab: ‘Demi Allah, jikalau ia hidup pun, ia tetap ada cacatnya kerana telinganya kecil, apatah lagi sekarang ia sudah menjadi bangkai (tentu langsung tidak bernilai)! ‘Maka Rasulullah ﷺ pun bersabda: ‘Demi Allah, sesungguhnya dunia ini di sisi Allah adalah jauh lebih hina/rendah nilainya daripada hinanya bangkai kambing ini di mata kamu.'”

(Riwayat Muslim, no. 2957)

Kalimah الدُّنيا daripada katadasar د ن و yang bermaksud dekat; lebih rendah; kurang; lebih berkemungkinan; dalam jangkauan; dunia ini. Maka dunia ini sebenarnya rendah jika hendak dibandingkan dengan akhirat. Namun ia adalah dalam jangkauan, senang didapati kerana di depan mata kita sahaja. Maka kerana ia dekat dan kerana ia nampak pada mata kitalah yang kita kejar-kejar sangat itu.

Ramai manusia salah faham dengan dunia. Orang kafir, orang munafik dan orang yang ingkar itu amat suka dan bergembira dengan nikmat yang mereka dapat di dunia. Mereka sangka mereka itu orang terpilih, sedangkan sebenarnya pemberian yang mereka dapat itu adalah istidraj daripada Allah ﷻ – bukan mendekatkan mereka kepada Allah ﷻ, malah menjauhkan lagi daripada Allah ﷻ. Ini kita dapat faham melalui firman-Nya (Al-Mu’minun: 55-56):

أَيَحْسَبُونَ أَنَّمَا نُمِدُّهُمْ بِهِ مِنْ مَالٍ وَبَنِينَ نُسَارِعُ لَهُمْ فِي الْخَيْرَاتِ بَل لَا يَشْعُرُونَ
Apakah mereka mengira bahawa harta dan anak-anak yang Kami berikan kepada mereka itu (bererti bahawa) Kami bersegera memberikan kebaikan kepada mereka? Tidak, sebenarnya mereka tidak sedar.

Ramai yang kalah dengan keindahan dunia. Mereka hanya nampak semuanya dunia, dunia, dunia. Mereka tidak nampak akhirat kerana jauh sangat daripada pandangan mata (malah tidak nampak pun kecuali melalui berita wahyu sahaja). Maka kerana itu Allah ﷻ berulang-ulang menerangkan hakikat dunia ini seperti disebut dalam Hadid:20

اعلَموا أَنَّمَا الحَيَوٰةُ الدُّنيا لَعِبٌ وَلَهوٌ وَزينَةٌ وَتَفاخُرٌ بَينَكُم وَتَكاثُرٌ فِي الأَموٰلِ وَالأَولٰدِ ۖ كَمَثَلِ غَيثٍ أَعجَبَ الكُفّارَ نَباتُهُ ثُمَّ يَهيجُ فَتَرٰهُ مُصفَرًّا ثُمَّ يَكونُ حُطٰمًا
Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur.

Allah ﷻ hendak memastikan kita tahu bahawa dunia ini hanyalah ‘permainan’ sahaja. ‘Permainan’ ini selalunya dikaitkan dengan kanak-kanak kerana itulah sahaja yang mereka ingat dalam kehidupan mereka. Mereka tidak fikirkan tentang makan, tentang kerja, tentang tugas, kerana mereka hanya hendak bermain sahaja. Kanak-kanak itu beriya-iya sangat main permainannya, sampai masanya dia tinggalkan sahaja. Maknanya ia tidak penting dan tidak bernilai, bukan?

Maka takkanlah kita mahu menjadi seperti kanak-kanak pula? Adakah kita masih kanak-kanak lagi yang masih tidak tahu tanggungjawab sebagai seorang insan, sebagai seorang hamba Allah ﷻ? Kalau kita kata seseorang itu berperangai macam ‘budak-budak’ pun, tentu dia akan marah, bukan? Takkan kita hendak kejar sangat benda yang tidak bernilai? Daripada Sahl bin Saad, Rasulullah ﷺ bersabda:

لَوْ كَانَتِ الدُّنْيَا تَعْدِلُ عِنْدَ اللَّهِ جَنَاحَ بَعُوضَةٍ مَا سَقَى كَافِرًا مِنْهَا شَرْبَةَ مَاءٍ
“Seandainya dunia ini mempunyai nilai di sisi Allah setimbang (seberat) dengan sebelah sayap nyamuk, nescaya Allah tidak akan memberikan walau seteguk air pun kepada orang kafir untuk diminum.”

(Riwayat at-Tirmidzi, no. 2320 – Hadis Sahih)

Hadis ini menjawab juga persoalan kenapa Allah beri banyak keduniaan kepada orang kafir? Kerana ia tidak bernilai! Allah beri benda tidak bernilai sahaja kepada mereka. Macam kita kalau ada besi buruk, orang datang hendak ambil kita benarkan sahaja, bukan?

Jangan salah anggap pula ayat ini. Bukan tidak boleh digunakan dan diambil manfaatnya daripada semua perkara yang telah disebutkan itu, namun kenalah mengikut tertib seperti yang Nabi ﷺ. Kena dapatkan dengan cara yang halal dan digunakan dengan cara yang halal. Dan jangan teruk sangat sampai menolak agama dan sampai lupa nak amalkan agama. Jangan leka dengan dunia sampai lupa akhirat.

Jangan jadi seperti Musyrikin Mekah dan golongan Ahli Kitab yang menolak dan melawan Nabi ﷺ sebab semua perkara ini. Mereka lihat ajaran baginda akan menggugat mereka, harta dan pengaruh mereka, maka kerana itu mereka tolak baginda.

Memang Allah telah beri kesukaan kepada hal keduniaan kepada semua orang yang normal. Kalau tidak ada langsung, maka tidak akan ada orang bekerja jadinya. Semua duduk melepet di rumah dan tidur sahaja. Maka kerana ada keinginan inilah yang menyebabkan manusia bekerja dan berusaha untuk mendapatnya dan kesannya semua manusia dapat hidup dengan senang dan selesa.

Puak Islam (yang waras) pun suka juga kepada keindahan dunia tetapi mereka tidaklah menjadikan dunia itu sebagai penyebab untuk mereka hanyut dan alpa dengan dunia. Harta dan kemewahan sepatutnya dipegang di ‘tangan’ sahaja dan bukan sampai ke ‘hati’. Sebagai contoh, para sahabat itu sanggup meninggalkan segala keindahan dunia itu untuk pergi berjihad.

Kerana itulah Hadis #31 dalam Arbain Nawawiyah adalah hadis yang menganjurkan untuk Zuhud. Perhatikan hadis ini,

عَنْ سَهْلٍ بْنِ سَعْدٍ السَّاعِدِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ ﷺ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ: دُلَّنِي عَلَى عَمَلٍ إِذَا عَمِلْتُهُ أَحَبَّنِيَ اللهُ وَأَحَبَّنِيَ النَّاسُ؟ فَقَالَ: اِزْهَدْ فِي الدُّنْيَا يُحِبَّكَ اللهُ، وَازْهَدْ فِيْمَا عِنْدَ النَّاسِ يُحِبَّكَ النَّاسُ
Dari Sahl bin Sa’ad As-Sa’idi radhiyallahu ‘anhu berkata, “Ada seseorang datang kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam lalu berkata, “Wahai Rasulullah, tunjukkanlah kepadaku suatu amal yang apabila aku lakukan, Allah mencintaiku dan manusia juga mencintaiku.” Baginda menjawab, “Zuhudlah di dunia, maka Allah akan mencintaimu. Begitu pula, zuhudlah dari apa yang ada di tangan manusia, maka manusia akan mencintaimu.”

[Riwayat Ibnu Majah, no. 4102. Syaikh Al-Albani dalam Silsilah Al-Ahadits Ash-Shahihah, no. 944 mengatakan bahawa hadits ini hasan].

Maka pengajaran kepada kita adalah dunia dan segala perhiasan ini adalah sebagai ujian dari Allah. Allah berikan untuk menentukan siapa yang tidak terbuai dengan keindahan dunia dan siapa yang gagal dengan ujian ini. Allah berfirman di dalam Kahf:7

إِنّا جَعَلنا ما عَلَى الأَرضِ زينَةً لَّها لِنَبلُوَهُم أَيُّهُم أَحسَنُ عَمَلًا
Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana Kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.

Kerana itu janganlah kita terliur dengan kesenangan yang Allah berikan kepada orang lain. Rezeki itu Allah yang tentukan dan ia sebenarnya adalah ujian bagi mereka yang menerimanya. Entah kesenangan yang mereka ada itu menjadi penyebab kepada kehancuran mereka. Kerana itulah Allah berfirman di dalam Tawbah:55

فَلا تُعجِبكَ أَموٰلُهُم وَلا أَولٰدُهُم ۚ إِنَّما يُريدُ اللَّهُ لِيُعَذِّبَهُم بِها فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا وَتَزهَقَ أَنفُسُهُم وَهُم كٰفِرونَ
Maka janganlah harta benda dan anak-anak mereka menarik hatimu. Sesungguhnya Allah menghendaki dengan (memberi) harta benda dan anak-anak itu untuk menyeksa mereka dalam kehidupan di dunia dan kelak akan melayang nyawa mereka, sedang mereka dalam keadaan kafir.

Ayat 14 ini tidak ada Asbabun Nuzul yang khusus. Akan tetapi dari sudut latar belakang sejarah sewaktu ayat ini turun di Madinah, kaum musyrikin Mekah dan golongan Yahudi di Madinah sering berbangga-bangga dengan kemewahan material mereka. Mereka memandang rendah kepada orang Islam yang berhijrah (Muhajirin) kerana majoritinya datang dalam keadaan sehelai sepinggang dan miskin. Allah menurunkan ayat ini untuk menempelak mereka: Segala kemewahan emas, perak, anak-pinak, dan ladang yang mereka banggakan itu hanyalah “perhiasan sementara” (مَتٰعُ ٱلحَيَوٰةِ الدُّنيا) yang sengaja dijadikan sebagai ujian. Ia bukan kayu ukur kemuliaan di sisi Allah.

Imam Fakhruddin ar-Razi di dalam kitab tafsirnya yang agung, Mafatih al-Ghaib (atau dikenali sebagai Tafsir al-Kabir), ada membincangkan kisah seorang pembesar Arab Nasrani (Kristian) bernama Alqamah bin Ulathah ketika menafsirkan ayat ini berkaitan fitrah kecintaan kepada harta benda. Imam ar-Razi membentangkan analisis psikologi dan sosiologi yang sangat mendalam kenapa tokoh seperti Alqamah dan para pembesar Nasrani enggan memeluk Islam, walaupun minda dan logik mereka mengakui kebenaran hujah Nabi Muhammad ﷺ.

Beliau menjelaskan bahawa keengganan Alqamah adalah kerana ketakutan yang amat sangat akan kehilangan status sosial dan kekayaan material. Sebagai seorang pembesar atau tokoh yang mendapat tajaan, penghormatan, dan kemewahan (seperti harta bertimbun, emas, perak, dan kedudukan politik) daripada empayar besar Rom atau kedudukannya dalam kabilah, dia melihat Islam sebagai “ancaman” kepada zon selesanya. Sekiranya dia memeluk Islam, dia perlu tunduk kepada kepimpinan Nabi Muhammad ﷺ (hilang kuasa mutlak). Segala kemewahan dan bantuan kewangan yang disalurkan atas kapasitinya sebagai tokoh Nasrani akan disekat. Beliau (Imam ar-Razi) menyatakan bahawa Allah sengaja menyenaraikan komponen duniawi: wanita, anak-pinak, emas, perak, dan harta benda, kerana komponen-komponen inilah yang menjadi “hijab” (penghalang) terbesar antara manusia dengan hidayah Allah.

 

وَاللَّهُ عِندَهُ حُسنُ المَآبِ

Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya

Semua perkara yang disebut di atas tidak akan memuaskan nafsu kita pun sebenarnya. Kalau sudah mendapat apa yang mereka kejar, mereka tidak rasa puas pun. Ada sahaja yang kita nampak lebih baik dari apa yang kita ada, bukan? Kalau sudah ada isteri cantik, nanti akan nampak wanita yang lebih cantik daripada isteri kita; kalau sudah kaya, akan ada sahaja orang yang lebih kaya dan sudah timbul rasa tidak puas.

Ketahuilah bahawa hati kita ini tidak akan puas selama kita hidup di dunia ini. Kepuasan yang sebenar hanya ada di syurga sahaja. Itulah tempat pulang yang terbaik. Inilah salah satu dalil yang mengatakan adanya syurga. Kerana kita sedar bahawa apa-apa sahaja di dunia ini tidak akan memuaskan kita, maka tahulah kita bahawa akan ada tempat yang kita akan rasa puas sepuas-puasnya, dan itulah di syurga. Untuk menjadikan hati kita teringin sangat dan mendambakan syurga itu, maka hendaklah kita baca banyak ayat-ayat tentang kelebihan nikmat di dalam syurga. Tak kenal maka tak cinta; kalau tak cinta, maka tentulah kita tidak berharap kepadanya, bukan?

Kalimah المَآبِ dari kata dasar: أ و ب yang bermaksud tempat kembali, bertaubat, tenggelam (seperti bintang tenggelam), pulang, gema, cahaya yang terbit di waktu malam. Oleh itu, dari segi literal, المَآبِ bermaksud “Tempat tumpuan untuk pulang” atau “Sejauh-jauh tempat kembali yang muktamad.”

Di dalam bahasa Arab, terdapat satu lagi perkataan yang bermaksud “kembali”, iaitu رَجَعَ. Namun, Allah memilih perkataan المَآبِ dalam ayat ini kerana perbezaan seni bahasanya yang halus. Perkataan رَجَعَ bermaksud kembali secara umum. Sesiapa sahaja atau apa sahaja benda boleh ‘kembali’ ke tempat asalnya, sama ada dia suka atau terpaksa. Sedangkan perkataan المَآبِ bukan sekadar kembali, tetapi mengandungi unsur pilihan hati, kerinduan, tekad yang bulat, dan perasaan cinta untuk pulang ke tempat asal yang penuh dengan keselesaan dan keselamatan. Itulah perasaan yang kita patut ada terhadap syurga.

Kita telah sebutkan di awal tadi bahawa ujian keindahan dunia ini diberikan kepada semua manusia tidak kira kafir atau orang beriman. Kita juga telah sebut yang orang beriman akan selamat. Kenapa mereka selamat? Kerana mereka sedar bahawa وَاللَّهُ عِندَهُ حُسنُ المَآبِ. Mereka nampak juga dunia itu indah, tapi kerana mereka ada iman dan ilmu, mereka sedar bahawa keindahan dunia tidak boleh melawan keindahan dan kehebatan akhirat yang Allah janjikan kepada orang yang beriman. Maka mereka akan buat timbang-timbangan dan mereka akan selamat kerana mereka sedar mana yang lebih penting. Mereka sanggup tinggalkan keindahan dunia yang melampau supaya mereka dapat menikmati keindahan akhirat yang lebih hebat dan lebih kekal.

Kerana syurga itulah sebaik-baik tempat kembali. Maka hendaklah kita kejar syurga itu dengan beramal dengan amalan yang baik. Jangan terpesona sangat dengan dunia sampai lupa akhirat dan lupa beramal. Jangan sampai dunia menghalang dan melalaikan kita dari membuat persediaan kepada akhirat.

Ada riwayat yang mengatakan bahawa ada utusan Nasrani dari Najran yang datang ke Madinah dengan segala kemewahan, sampaikan salib yang mereka pakai pun diperbuat daripada emas. Mereka keberatan untuk menerima Islam kerana mereka takut kemewahan mereka itu akan ditarik balik.

Juga dikatakan ada sahabat yang terpesona dengan kemewahan yang ada pada utusan Najran itu. Maka kerana itu diturunkan ayat ini kepada mereka sebagai peringatan.

Juga pada zaman sekarang ada orang yang sudah nampak kebenaran Islam, tetapi tidak mahu masuk Islam kerana takut kemewahan mereka ditarik. Ada yang takut keluarga mereka akan buang mereka, ada yang takut perniagaan  mereka akan jatuh, ada takut kawan sudah tidak mahu berkawan dengan mereka lagi. Maka Allah ﷻ ingatkan jangan sampai begitu sekali. Itu semua adalah dunia sahaja.

Terdapat satu riwayat yang menggambarkan bagaimana Saidina Umar bin al-Khattab menyambut penurunan ayat ini. Apabila ayat زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوٰتِ ini diturunkan, Saidina Umar berdoa: “Ya Allah! Memandangkan Engkau telah menghiasi perkara-perkara ini untuk kami (sebagai fitrah), maka kami tidak dapat mengelak daripada menyukainya. Ya Allah, aku memohon agar Engkau menjadikan aku menginfakkan harta-harta ini pada jalan yang betul dan jadikanlah ia sebagai wasilah untuk mendapat keredaan-Mu.” Maka, sejurus selepas itu, Allah menurunkan ayat yang berikutnya (Ayat 15) sebagai jawapan dan neraca timbangan yang sebenar.

Umar sangat faham hal ini kerana beliau pernah berdialog dengan Nabi tentang dunia. Daripada Abdullah bin Abbas, daripada Umar bin al-Khattab, beliau menceritakan situasi apabila beliau masuk menemui Nabi ﷺ yang sedang berbaring di atas sebuah tikar:

…فَدَخَلْتُ عَلَيْهِ فِائْذَا هُوَ مُضْطَجِعٌ عَلَى حَصِيرٍ، لَيْسَ بَيْنَهُ وَبَيْنَهُ فِرَاشٌ، وَقَدْ أَثَّرَ الْحَصِيرُ بِجَنْبِهِ، وَإِنَّهُ لَمُتَّكِئٌ عَلَى وِسَادَةٍ مِنْ أَدَمٍ حَشْوُهَا لِيفٌ…”
..Maka aku masuk menemui baginda, lalu didapati baginda sedang berbaring di atas sebidang tikar yang diperbuat daripada pelepah tamar. Tidak ada sebarang alas (tilam) antara baginda dengan tikar tersebut, sehingga tikar itu telah meninggalkan bekas (belang-belang) pada rusuk baginda. Baginda sedang bersandar pada sebuah bantal daripada kulit yang intinya (kandungan dalamnya) adalah sabut tamar…”

Umar kemudian memandang ke sekeliling bilik Nabi ﷺ dan hanya melihat segenggam gandum serta sehelai kulit binatang yang digantung. Melihat keadaan pemimpin dunia dan akhirat yang sebegitu daif, air mata Saidina Umar terus mengalir. Nabi ﷺ bertanya: “Apakah yang membuatkanmu menangis, wahai anak al-Khattab?” Umar menjawab dengan penuh hiba:

يَا نَبِيَّ اللَّهِ وَمَا لِي لاَ أَبْكِي وَهَذَا الْحَصِيرُ قَدْ أَثَّرَ فِي جَنْبِكَ، وَهَذِهِ خِزَانَتُكَ لاَ أَرَى فِيهَا إِلاَّ مَا أَرَى، وَذَاكَ قَيْصَرُ وَكِسْرَى فِي الثِّمَارِ وَالأَنْهَارِ، وَأَنْتَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ وَصَفْوَتُهُ وَهَذِهِ خِزَانَتُكَ!
“Wahai Nabi Allah! Bagaimana mungkin aku tidak menangis, sedangkan tikar pelepah tamar ini telah meninggalkan bekas pada rusukmu! Dan almari simpananmu ini, aku tidak melihat apa-apa di dalamnya melainkan apa yang aku lihat ini sahaja. Sedangkan Maharaja Rom (Qaisar) dan Raja Parsi (Kisra) hidup mewah dikelilingi buah-buahan dan sungai-sungai (istana megah), manakala engkau adalah Utusan Allah ﷺ dan hamba pilihan-Nya, tetapi beginilah keadaan bilik simpananmu!” Mendengarkan keluhan sedih Umar, Rasulullah ﷺ memberikan jawapan yang sangat tenang dan memukau jiwa:

أَمَا تَرْضَى أَنْ تَكُونَ لَهُمُ الدُّنْيَا وَلَنَا الآخِرَةُ؟
“Wahai Umar, tidakkah engkau reda (puas hati) jika bagi mereka (orang kafir) itu kemewahan dunia, manakala bagi kita pula adalah kebahagiaan akhirat?”

Umar menjawab: “Tentu sekali aku reda, wahai Rasulullah.”Baginda bersabda: “Maka itulah hakikatnya.”

(Riwayat al-Bukhari, no. 4913 & Muslim, no. 1479)

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 14 Julai 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Dorar.net

Tafsir Surah Ali Imran Ayat 14 (Nikmat Dunia yang tidak kekal) Part 1

KESENANGAN YANG SEMENTARA

Ali Imran Ayat 14: Allah ﷻ beritahu kenapa golongan musyrikin dan golongan penentang kebenaran menjadi degil – kerana kelebihan keduniaan yang ada pada mereka. Mereka hanya nampak keindahan dunia sahaja dan mereka kejar dan mereka sanggup langgar segalanya untuk mendapatnya.

Dalam Ayat 10 Allah telah sebut لَن تُغنِيَ عَنهُم أَموٰلُهُم وَلآ أَولٰدُهُم مِّنَ اللَّهِ شَيئًا (harta benda mereka, dan juga anak-pinak mereka tidak sekali-kali akan menyelamatkan mereka dari (azab seksa) Allah sedikit jua pun) maka sekarang ditambah lagi penjelasan tentang dunia.

Begitulah Allah menjadikan dunia ini sebagai ujian dan orang kafir akan gagal dengan ujian ini, dan orang Mukmin akan berjaya. Mari kita lihat apakah ujian yang Allah telah sediakan untuk kita semua.

زُيِّنَ لِلنّاسِ حُبُّ ٱلشَّهَوٰتِ مِنَ النِّسآءِ وَالبَنينَ وَالقَنٰطيرِ المُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالفِضَّةِ وَالخَيلِ المُسَوَّمَةِ وَالأَنعٰمِ وَالحَرثِ ۗ ذٰلِكَ مَتٰعُ ٱلحَيَوٰةِ الدُّنيا ۖ وَاللَّهُ عِندَهُ ۥ حُسنُ المَآبِ

SAHIH INTERNATIONAL
Beautified for people is the love of that which they desire – of women and sons, heaped-up sums of gold and silver, fine branded horses, and cattle and tilled land. That is the enjoyment of worldly life, but Allah has with Him the best return.

MALAY
Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).

 

زُيِّنَ لِلنّاسِ حُبُّ الشَّهَوٰتِ

Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kecintaan kepada benda-benda yang diingini nafsu syahwat, 

Kalimah yang digunakan di sini adalah زُيِّنَ (diperindahkan) iaitu di dalam bentuk mabni majhul iaitu pasif. Kalau sesuatu dihias, diberi nampak cantik, maknanya adalah benda itu asalnya tidak cantik pun. Cuma dimekap bagi nampak cantik sahaja. Kenapa ia dinampakkan cantik? Sebagai ujian bagi kita. Dunia ini memang ujian dan kalau ia tidak cantik, tidaklah ada ujiannya, bukan? Maka Allah jadikan ia nampak cantik supaya menjadi ujian bagi kita. Macam Allah bagi wanita cantik, supaya menjadi ujian bagi lelaki.

Frasa زُيِّنَ لِلنّاسِ merupakan suatu penghibur (penyejuk hati) bagi golongan fakir miskin yang tidak mempunyai kemampuan untuk menikmati segala keinginan (kemewahan) tersebut, yang mana ia hanya mampu dimiliki oleh orang-orang kaya. Mereka tidaklah rasa kehilangan sangat atau FOMO sebab sudah tahu, “oh rupanya dihiaskan sahaja, bukannya cantik sangat pun. Kalau tidak ada pun, tidak mengapalah!” Dan pada masa yang sama, ia menjadi amaran buat orang-orang yang terpedaya dengannya.  Ia menjadi loceng amaran supaya mereka tidak lalai, sombong, atau terpedaya dengan segala hiasan dunia yang sedang mereka miliki itu.

Tidak disebut siapakah yang memperindahkannya. Dan di dalam Al-Qur’an, ada beberapa pihak yang memperindahkan sesuatu. Contohnya golongan Musyrik memperindahkan amalan membunuh anak seperti disebut di dalam An’am:137

وَڪَذٰلِكَ زَيَّنَ لِڪَثِيرٍ مِّنَ ٱلمُشرِڪِينَ قَتلَ أَولَـٰدِهِم شُرَڪَآؤُهُم لِيُردُوهُم وَلِيَلبِسُواْ عَلَيهِم دِينَهُم
Dan demikianlah juga (jahatnya) ketua-ketua yang orang-orang musyrik itu jadikan sekutu bagi Allah, menghasut kebanyakan dari mereka dengan kata-kata indah yang memperlihatkan eloknya perbuatan membunuh anak-anak mereka, untuk membinasakan mereka, dan untuk mengelirukan mereka mengenai ugama mereka. 

Syaitan juga banyak memperindahkan amalan buruk kepada manusia seperti contohnya di dalam Anfal:48

وَإِذ زَيَّنَ لَهُمُ الشَّيطٰنُ أَعمٰلَهُم
Dan ketika syaitan menjadikan mereka memandang baik pekerjaan mereka

Tapi bukanlah semua yang diperindahkan itu buruk. Allah juga ada memperindahkan perkara yang baik kepada manusia seperti disebut di dalam Hujurat:7

وَلٰكِنَّ اللهَ حَبَّبَ إِلَيكُمُ الإيمٰنَ وَزَيَّنَهُ في قُلوبِكُم وَكَرَّهَ إِلَيكُمُ الكُفرَ وَالفُسوقَ وَالعِصيانَ
Akan tetapi Allah menjadikan kamu “cinta” kepada keimanan dan menjadikan keimanan itu indah di dalam hatimu serta menjadikan kamu benci kepada kekafiran, kefasikan, dan kedurhakaan.

Jadi apabila kalimah زُيِّنَ itu di dalam bentuk majhul, maka ia membuka ruang kepada beberapa kemungkinan. Yang pertama, Allah yang meletakkan sifat cinta itu dalam diri manusia. Dan keduanya, nafsu kita. Kerana nafsu kita berbeza antara seorang dengan seorang yang lain, bukan? Jadi nafsu kepada wanita, bukan semua sama. Ada yang biasa sahaja, ada yang sangat berahi kepada wanita, tak boleh tengok wanita berjalan langsung.

Ketiganya, masyarakat juga boleh menjadikan sesuatu itu cantik kepada kita. Kita asalnya tidak teringin pun. Contohnya ada orang yang tidak ada keinginan pun kepada anak asalnya. Tapi masyarakat yang kata dia kena ada anak, sebab anak itu akan jaga dia, anak nampak comel dan sebagainya. Barulah dia hendak kepada anak kerana tekanan dari masyarakat.

Dan keempat, syaitan juga akan ambil peluang untuk memperindahkan perkara yang buruk bagi manusia. Allah memang telah letakkan keinginan yang normal dalam diri manusia. Ini adalah fitrah. Tapi Allah juga telah letakkan keseimbangan. Seorang lelaki selalunya seorang isteri sahaja, harta pun setakat hidup selesa cukuplah. Tapi syaitan akan kacau keseimbangan ini. Syaitan akan hasut syahwat manusia bagi dia hendak semuanya banyak, melampau, berlebihan. Kerana tujuan syaitan adalah hendak merosakkan manusia. Dan kalau benda terlalu banyak, ia boleh merosakkan manusia kerana kita bukannya boleh ada isteri banyak, makanan banyak, harta yang terlalu banyak. Pepatah Arab ada mengatakan: زَادَ عَنْ حَدِّهِ انْقَلَبَ إِلَى ضِدِّهِ (Apabila sesuatu itu melebih-lebih daripada hadnya, ia akan berubah menjadi kebalikannya (membawa keburukan/kemudaratan))

Syaitan juga akan timbulkan keinginan itu terlalu kuat sampaikan dia hasut kita untuk mesti dapatkan juga walaupun terpaksa ambil hak orang, terpaksa curi, menzalimi orang, jual diri dan sebagainya. Itulah kerja syaitan dan sesiapa yang tidak ada iman, akan senang tertipu dengan bisikan syaitan itu.

Apabila disebut لِلنّاسِ (untuk manusia) maka maksudnya semua manusia akan nampak indah semua perkara ini nanti. Tidak kiralah orang kafir atau orang beriman, kita semua kena hadap ujian ini. Kerana kita semua ada nafsu, ada keinginan dan kehendak, bukan? Ia adalah ujian untuk Allah menentukan siapa yang layak masuk syurga dan siapa yang layak masuk neraka.

Akan tetapi perhatikan pula Baqarah:212. Di dalam ayat ini dikatakan dunia ini dihiaskan bagi orang kafir pula.

زُيِّنَ لِلَّذِيْنَ كَفَرُوا الْحَيٰوةُ الدُّنْيَا وَيَسْخَرُوْنَ مِنَ الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا ۘ وَالَّذِيْنَ اتَّقَوْا فَوْقَهُمْ يَوْمَ الْقِيٰمَةِ ۗ وَاللّٰهُ يَرْزُقُ مَنْ يَّشَاۤءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ
Kehidupan dunia (dan kemewahannya) diperhiaskan (dan dijadikan amat indah) pada (pandangan) orang-orang kafir, sehingga mereka (berlagak sombong dan) memandang rendah kepada orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertaqwa (dengan imannya) lebih tinggi (martabatnya) daripada mereka (yang kafir itu) pada hari kiamat kelak. Dan (ingatlah), Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terkira (menurut undang-undang peraturan-Nya).

Jadi bagaimana kita hendak harmonikan dua ayat ini yang nampak seolah-olah bercanggah? Ia tidak bercanggah. Maksudnya semua manusia akan diuji dengan dunia, akan tetapi orang beriman tidak terpesona dan tertipu dengan keindahan dunia itu. Jadi kalau kita pun tertipu, maknanya iman kita tidak kuatlah, sama macam orang kafir sahaja. Bukan kita kata jadi orang kafir, tapi perangai macam orang kafir. Dan kalau kita melayan, entah boleh jadi kafir. Kerana itu kita kena berhati-hati.

Apakah pula maksud الشَّهَوٰتِ? Secara bahasanya, ia bermaksud keinginan yang kuat, kecenderungan nafsu, atau perkara-perkara yang sangat disukai dan didambakan oleh jiwa manusia. Ia merujuk kepada “objek-objek material atau keduniaan yang menjadi hiasan dan tarikan utama kepada nafsu manusia. Ia adalah benda-benda yang kalau tidak ada, kita rasa kehilangan, rasa kosong, rasa tidak lengkap, tidak cukup. Ia bukan jenis barang yang apabila kita nampak, baru kita teringin (sebab kita baru nampak, tapi tak terfikir pun sebelum ini). Jadi syahwat adalah sesuatu perkara yang manusia anggap kalau ia ada, baru mereka akan gembira dan lengkap. Kalau tidak, mereka rasa mereka kosong dan tidak lengkap hidup mereka. Jadi perkara-perkara yang disebut nanti bukanlah tujuan utama, tapi ia adalah penyebab kepada perasaan mereka iaitu supaya mereka rasa gembira, rasa lengkap dan sebagainya.

Dan kemudian Allah tambah pula kalimah حُبُّ (kecintaan). Kalimah ini kalau tidak ada pun, ayat sudah lengkap: زُيِّنَ لِلنّاسِ الشَّهَوٰتِ. Tapi Allah tambah kalimah حُبُّ kerana ia memberi kesan psikologi kepada kita, bukan? Kerana apabila ada cinta, maka ada bias (kecenderungan yang tidak adil, memihak, atau berat sebelah). Contohnya kita kalau ada sesuatu, kita akan beri dahulu kepada anak yang kita paling sayang, bukan? Itu bias.

Dan satu lagi, cinta juga menjadikan kita buta. Kalau kita sayang seseorang, kita pilih untuk membutakan diri kita dari kesalahan dan kekurangan dia, bukan? Jadi حُبُّ adalah sesuatu yang memainkan peranan penting dalam otak kita. Kerana itulah nanti kita akan lihat beberapa perkara yang disebut ini walaupun ada kurangnya dan sisi negatif padanya, tapi kita abaikan itu semua. Kita sudah tidak berfikir dengan rasional lagi. Dunia ini ada sisi buruknya, akan tetapi kita membutakan mata kepada keburukannya.

Maka perhatikan kalimah yang Allah gunakan: حُبُّ الشَّهَوٰتِ. Allah tidak menyebut “Dihiaskan kepada manusia cinta kepada wanita, anak-anak, atau emas…” (iaitu mencintai zat/benda itu sendiri). Sebaliknya Allah menyebut “cinta kepada syahawat (keinginan nafsu) terhadap benda-benda itu.” Sebabnya? Kerana benda-benda itu sendiri (seperti isteri, anak-anak, dan harta) tidaklah salah untuk dicintai. Malah, mencintai isteri dan anak-anak atas dasar tanggungjawab dan kasih sayang adalah terpuji dan berpahala. Yang dicela dan berbahaya adalah apabila seseorang menjadi hamba kepada keinginan nafsu syahwatnya terhadap perkara-perkara tersebut sehingga melalaikan akhirat.

Nanti kita akan perhatikan 6 benda yang diperindahkan. Dari segi kedudukan mereka, tidaklah ia benda yang buruk. Maka yang pertama memperindahkannya adalah Allah. Kerana Allah jadikan dunia ini memang untuk manusia suka kepadanya. Kalau tidak indah pada mata manusia, maka manusia tidak akan mahu kepadanya dan tidaklah ada usaha di dunia ini untuk mendapatkannya.

Cuma kita kena ingat yang segala nikmat yang ada dalam dunia ini hanyalah sampel sahaja, bukan yang “original” (asli). Sebagaimana handphone sampel tentunya tidak sama dengan handphone yang sebenar, bukan? Di syurga, nikmat yang ada nanti adalah yang asli. Contohnya madu di dunia adalah sampel kepada madu di syurga. Madu di syurga itu sangat-sangat hebat. Diberi rasa madu dunia sebagai sampel sahaja. Begitu juga dengan sutera, emas, perak dan macam-macam lagi.

Sampel itu nilainya tidak sama dengan yang asli, namun ‘dinampakkan’ cantik sahaja di mata orang kafir itu. Tapi mereka jauh dari kebenaran sampaikan yang sampel mereka nampak macam asli. Mereka nampak sampel itu cantik sahaja dan kerana itu mereka kejar sampai bersungguh-sungguh. Mereka yang sebegini sudah tidak dapat menilai dengan baik.

Sampaikan apabila sampel itu digugat, mereka sanggup buat apa sahaja untuk menentang mereka yang menggugatnya. Oleh itu, apabila Nabi Muhammad ﷺ membawa ajaran yang mereka nampak boleh menggugat kedudukan keduniaan mereka, maka mereka lawan Nabi ﷺ habis-habisan. Maka ini bermaksud syaitan dan nafsu manusia telah mengambil alih pemikiran manusia yang waras, yang menyebabkan mereka telah tergelincir dari menggunakan nikmat-nikmat dunia itu dengan sebaiknya.

Sekejap lagi akan disenaraikan 6 contoh benda dunia yang manusia suka sangat dan mengejar-ngejarnya. Kalau diperhatikan, senarai nikmat-nikmat yang diberikan dalam Al-Qur’an ini adalah untuk lelaki sahaja. Allah ﷻ tidak berikan senarai untuk perempuan kerana kehendak golongan perempuan amat kompleks. Kemahuan lelaki senang sahaja untuk disenaraikan (contohnya: tiga ‘ta’ sahaja: harta, wanita, tahta). Atau, ia sebagai menjaga maruah wanita dan kehalusan hati wanita. Ya wanita juga inginkan kepada lelaki, tapi tidak manis kalau disebut.

Manusia yang jauh dari kebenaran itu hendak memuaskan nafsu syahwat mereka kesemua sekali. Mereka cinta dan hendak sangat untuk memuaskan nafsu. Jangan salah faham pula, bukannya kita tidak boleh memenuhi nafsu kita itu, tetapi yang salahnya adalah jika tidak ikut tertib yang diajar oleh agama. Sebagai contoh, tidak salah kalau kita hendak memenuhi nafsu makan, tetapi kenalah makan makanan yang halal dan hendaklah didapatkan dengan cara yang halal; tidak salah untuk kita memuaskan nafsu hubungan kelamin antara lelaki dan perempuan asalkan ia dilakukan dengan cara yang halal iaitu dengan pernikahan. Islam adalah agama yang praktikal dan tidak menolak kemahuan nafsu.

Jadi, nafsu itu ada banyak jenis, yang pertama sekali adalah kehendak kepada wanita, kemudian anak, dan kemudian harta yang bertimbun dan seterusnya. Dan sekarang Allah senaraikan kebiasaan yang dikehendaki nafsu manusia (terutama sekali lelaki). Mari kita lihat. Dari senarai ini, ia dimulakan dengan perkara yang paling disukai oleh syahwat lelaki.

 

مِنَ النِّساءِ

iaitu dari perempuan-perempuan

Ini adalah kehendak bagi orang dewasa. Allah tidak bincangkan tentang semua orang seperti kanak-kanak dan orang tua. Lelaki dewasa yang pertama sekali, mereka mahukan wanita. Tanyalah kepada semua lelaki yang normal, inilah perkara pertama yang mereka kejar. Kalau zaman kuno dahulu, kedudukan wanita adalah rendah daripada lelaki, maka mereka jadikan wanita itu sebagai pemuas nafsu mereka sahaja. Zaman sekarang tidaklah seperti dahulu, tapi masih lagi ada persamaannya. Ada lelaki yang menggunakan wanita macam pakai baju sahaja, habis madu sepah dibuang. Ini adalah mereka yang gagal dengan ujian Allah.

Memang wanita ini ujian bagi lelaki. Zaman sekarang, hubungan songsang lelaki dan perempuan sudah seperti tidak ada batasnya. Di mana-mana sahaja boleh nampak wanita yang cantik-cantik dan dihiasi dengan bermacam perkara yang menambahkan kecantikan mereka. Maka dugaan nafsu kepada wanita itu amatlah tinggi sekali. Maka, dengan dugaan hebat seperti itu, adakah lelaki mampu untuk menahan dirinya? Kita tidak dapat nafikan yang ramai yang tergelincir.

Tidak salah kalau seorang lelaki hendak kepada wanita dan malah, kalau hendak lebih dari seorang wanita sekali pun (maksima empat) boleh. Rasulullah juga mengatakan yang baginda cinta kepada wanita. Dalam sebuah hadis yang sangat masyhur, Rasulullah ﷺ secara terbuka menyatakan kecintaan terhadap wanita dan wangian, sebelum menegaskan bahawa kemuncak kebahagiaan baginda adalah di dalam solat:

حُبِّبَ إِلَيَّ مِنَ الدُّنْيَا النِّسَاءُ وَالطِّيبُ، وَجُعِلَتْ قُرَّةُ عَيْنِي فِي الصَّلَاةِ
“Dijadikan aku mencintai daripada perkara dunia kamu: wanita dan wewangian, dan dijadikan penyejuk mataku di dalam solat.”

(Riwayat an-Nasa’i, no. 3939 – Hadis Hasan)

Malah Islam menggalakkan perkahwinan supaya umat Islam ramai. Ia juga dapat mengawal dan memberi ketenangan kepada pasangan suami dan isteri itu. Kerana itu Allah telah letakkan nafsu syahwat kepada pasangan lawan jenis. Malah bagi orang Mukmin, bersenggama dengan isteri yang halal dan memuaskan nafsu mereka juga mendatangkan pahala, seperti disebut di dalam Hadis #25 Arbain Nawawiah tentang sadaqah,

وَفِى بُضْعِ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ. قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيَأْتِى أَحَدُنَا شَهْوَتَهُ وَيَكُونُ لَهُ فِيهَا أَجْرٌ؟ قَالَ أَرَأَيْتُمْ لَوْ وَضَعَهَا فِى حَرَامٍ أَكَانَ عَلَيْهِ فِيهَا وِزْرٌ؟ فَكَذَلِكَ إِذَا وَضَعَهَا فِى الْحَلاَلِ كَانَ لَهُ أَجْرٌ » رَوَاهُ مُسْلِمٌ
dan berhubungan intim dengan isteri kalian adalah sedekah.” Mereka (para sahabat) bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana boleh salah seorang di antara kami melampiaskan syahwatnya lalu mendapatkan pahala di dalamnya? Baginda bersabda, “Bagaimana pendapat kalian seandainya hal tersebut disalurkan di jalan yang haram, bukankah akan mendapatkan dosa? Demikianlah halnya jika hal tersebut diletakkan pada jalan yang halal, maka ia mendapatkan pahala.”

[Sahih Muslim, no. 1006]

Akan tetapi yang menjadi ujian adalah kerana syahwat itu kadang-kadang tidak dapat dikawal. Kehendak itu memang tinggi sampaikan ada yang jadi hamba kepada nafsu seksnya. Tapi yang sepatutnya mengawal kita adalah minda kita dan akhlak kita. Terutama sekali minda yang dipandu agama. Kita tidak ambil kesempatan ke atas wanita kerana kita tahu sesuatu perkara itu salah di sisi agama.

 

وَالبَنينَ

dan anak-pinak (lelaki)

Yang kedua, adalah anak pula. Anak adalah hasil dari perkara pertama tadi iaitu apabila ada hubungan suami dan isteri. Apabila seorang lelaki bersama dengan isterinya, secara batinnya yang mereka mahu adalah anak-anak. Disebut ‘anak-anak’ dalam ayat ini kerana anak-anak adalah lambang pengaruh dan kesenangan dunia, terutama sekali kalau anak lelaki. Kerana itu kalimah yang digunakan di sini adalah البَنينَ yang secara literal bermaksud ‘anak-anak lelaki’.

Kebanyakan ahli tafsir (seperti Imam al-Qurtubi, Ibnu Kathir, dan Imam ar-Razi) menyatakan bahawa perkataan البَنينَ dalam ayat ini khusus merujuk kepada anak lelaki. Anak lelaki yang disebut secara spesifik adalah kerana realiti budaya masyarakat dunia (terutamanya Arab Jahiliyyah dan empayar kuno pada zaman itu) yang meletakkan nilai anak lelaki jauh lebih tinggi berbanding anak perempuan atas beberapa faktor material. Anak lelaki dipandang sebagai aset untuk mempertahankan kabilah, menjadi tentera dalam peperangan, dan menyambung zuriat serta nama keluarga. Anak lelaki juga menjadi tenaga kerja untuk mengusahakan ladang dan perniagaan, sekali gus menjadi simbol kekuasaan dan kemegahan bapa. Sedangkan anak perempuan lemah dan menyusahkan sahaja bagi mereka. Allah berfirman tentang fenomena ini di dalam Nahl:58

وَإِذا بُشِّرَ أَحَدُهُم بِالأُنثىٰ ظَلَّ وَجهُهُ مُسوَدًّا وَهُوَ كَظيمٌ
Dan apabila seseorang daripada mereka diberi khabar dengan (kelahiran) anak perempuan, hitamlah (merah padamlah) mukanya, dan dia menahan marah.

Sampai zaman sekarang pun masih ada lagi mentaliti ini walaupun tidaklah seteruk dahulu. Sebab itu kalau seorang bapa hanya ada anak perempuan, ramai akan suruh dia ‘cuba’ lagi untuk dapatkan anak lelaki pula. Mereka tidaklah cakap, tapi di dalam fikiran mereka, kalau ada anak lelaki lagi bagus. Antaranya kerana kalau dapat anak lelaki, nama kita akan berterusan. Kalau anak perempuan, nanti bila dia dapat anak, akan dipakai nama bapanya, bukan? Kerana itulah pemuka Quraisy menghina Nabi Muhammad apabila anak lelaki baginda meninggal seperti disebut di dalam Kawthar:3. Mereka kata baginda jadi الأَبتَرُ kerana nama keturunannya terputus. Tapi Allah tempelak mereka balik.

إِنَّ شانِئَكَ هُوَ الأَبتَرُ
Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu, dialah yang terputus.

Sebab itulah juga nanti kita akan lihat di dalam Ayat 36, ibu Maryam pun terkejut apabila beliau melahirkan anak perempuan. Kerana dia hendakkan anak lelaki untuk berkhidmat kepada agama. Dan kerana masyarakat ketika itu memandang lebih berat kepada anak lelaki. Apa kata ibu Maryam ketika itu?

فَلَمّا وَضَعَتها قالَت رَبِّ إِنّي وَضَعتُها أُنثىٰ
Maka apabila dia melahirkannya, berkatalah dia: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki)

Sebahagian ulama bahasa dan tafsir berpandangan bahawa perkataan البَنينَ di sini merangkumi kesemua anak (lelaki dan perempuan) melalui kaedah bahasa Arab yang dipanggil التغليب (mengalahkan) — iaitu menggunakan kata nama maskulin untuk merangkumi feminin sekali apabila disebut secara umum. Hujah mereka adalah kerana secara fitrah semula jadi, kasih sayang dan kecintaan ibu bapa terhadap anak-anak (sama ada lelaki mahupun perempuan) adalah sama kuat.

Tidak ada salahnya kalau mahukan anak. Akan tetapi kena ingat yang kedua-dua jantina anak boleh menjadi fitnah (ujian) sekiranya kecintaan kepada mereka menyebabkan ibu bapa lalai daripada ketaatan kepada Allah, seiring dengan ayat Taghabun:15

إِنَّما أَموٰلُكُم وَأَولٰدُكُم فِتنَةٌ ۚ وَاللَّهُ عِندَهُ أَجرٌ عَظيمٌ
Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah cubaan (bagimu), dan di sisi Allah-lah pahala yang besar.

Keinginan kepada anak-anak adalah normal. Ketika kecil, tak henti-henti kita gelak dan senang hati apabila melihat kerenah lucu mereka. Dan setelah mereka dewasa, mereka menjadi kebanggaan ibu bapa pula apabila mereka berjaya. Mereka mungkin tidak cakap kepada anak itu (kadangkala golongan bapa penyegan nak memuji anak), tetapi mereka amat berbangga dengan kejayaan anak. Allah ‎ﷻ sendiri sebut dalam ayat ini bahawa ini adalah salah satu kehendak nafsu manusia. Kalau jumpa kawan-kawan dia, mesti dia akan cerita anak dia buat ini, buat itu.

Ada naluri dalam diri seorang bapa untuk kelangsungan hidupnya. Dia memang tahu yang dia akan mati. Namun jauh di sudut hati dia, kalau dia ada anak, dia rasa yang anaknya itulah yang akan meneruskan keturunannya dan namanya kerana ada orang yang akan mengenangnya. Kerana itu kita baca kisah Nabi Zakariya yang juga menginginkan anak di dalam Anbiya’:89

وَزَكَرِيّا إِذ نادىٰ رَبَّهُ رَبِّ لا تَذَرني فَردًا وَأَنتَ خَيرُ الوٰرِثينَ
Dan (ingatlah kisah) Zakaria, tatkala dia menyeru Tuhannya: “Ya Tuhanku janganlah Engkau membiarkan aku hidup seorang diri dan Engkaulah Waris Yang Paling Baik.

Seorang ayah juga ada keinginan mahukan anaknya menjaganya nanti di hari tuanya. Kerana dia tahu dia akan tua dan akan lemah. Waktu itu, dia akan bergantung kepada anaknya itu. Boleh dikatakan anak itu adalah ‘saham’ untuk hari tuanya.

Allah mulakan dengan menyebut tentang isteri dan anak. Ia adalah isyarat kepada pertalian emosi dengan manusia, terutama sekali dengan keluarga. Ia mengajar kita yang kita sebagai manusia, memang memerlukan pertalian dengan manusia yang lain. Selepas ini, barulah Allah sebut tentang barang pula.

 

وَالقَنٰطيرِ المُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالفِضَّةِ

dan harta benda yang banyak bertimbun-timbun, daripada emas dan perak; 

Nafsu juga mahukan harta yang berlonggok-longgok. Tadi telah disebut isteri dan anak. Apabila sudah ada keluarga, maka yang diperlukan adalah harta untuk menanggung mereka, bukan? Kalimah القَنٰطيرِ adalah jamak bagi قِنطار dan قِنطار sendiri sudah bermaksud timbangan yang tanpa batas. Kalau zaman dahulu, kalau duit banyak, kena letak dalam uncang. Maka kalimah القَنٰطيرِ membayangkan kepada kita harta yang berlipat kali ganda yang beruncang-uncang, dan berlonggok uncang itu. Itu kalau kita hendak bayangkan.

Kenapa disebut duit yang banyak? Ini kerana bagi manusia, yang sedikit tidak cukup, kerana itu Allah sebut harta itu yang المُقَنطَرَةِ (berlonggok dan bertimbun). Kebanyakan manusia memang suka mengumpul harta. Dan memang tidak pernah cukup dengan harta yang sudah ada. Kalau sudah ada sejuta, mereka hendakkan sejuta lagi. Kalau sudah menjadi millionaire, dia hendak menjadi billionaire pula. Ini kita dapat tahu dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما, Nabi ﷺ bersabda:

لَوْ أَنَّ لاِبْنِ آدَمَ وَادِيًا مِنْ ذَهَبٍ أَحَبَّ أَنْ يَكُونَ لَهُ وَادِيَانِ ، وَلَنْ يَمْلأَ فَاهُ إِلاَّ التُّرَابُ ، وَيَتُوبُ اللَّهُ عَلَى مَنْ تَابَ
Seandainya seorang anak Adam memiliki satu lembah emas, tentu dia menginginkan dua lembah lainnya, dan sama sekali tidak akan memenuhi mulutnya (merasa puas) selain tanah (iaitu setelah mati) dan Allah menerima taubat orang-orang yang bertaubat

(Muttafaqun ‘alaih. Bukhari no. 6439 dan Muslim no. 1048)

Dan Allah tidak sebut harta sahaja, tapi harta yang banyak bertimbun-timbun. Kerana harta itu sendiri tidak salah. Tapi kebiasaannya kalau harta bertimbun itulah yang menyebabkan manusia lalai leka, buat kezaliman, lupakan agama dan akhirat.

Disebut dalam ayat ini adalah ’emas dan perak’. Zaman sekarang kita tidak memegang emas dan perak lagi secara fizikal sebagai wang tukaran tetapi wang kertas kita sebenarnya adalah tersandar kepada emas dan perak dalam simpanan di dalam bank simpanan. Kita membawa wang kertas itu sebagai sandaran emas dan perak sahaja. Jadi tetap emas dan perak itu masih lagi terpakai. Zaman sekarang lagi sudah berubah, wang kertas pun tidak dipakai tapi pakai wang yang ada di dalam bank secara online sahaja. Bayar sekarang pun pakai QR sahaja, tak payah bawa wang kertas. Ini kerana wang kita tersimpan di dalam bank dan kita mengira-ngira berapa banyak wang kita di dalam bank itu.

 

وَالخَيلِ المُسَوَّمَةِ

dan kuda peliharaan yang bertanda

Apabila sudah ada keluarga dan ada wang yang banyak, selalunya manusia hendak apa? Mereka hendak beli sesuatu yang hebat, bukan? Sebab itu orang yang sudah berjaya sedikit, mereka akan beli apa? Beli kereta mewah lah! Jadi الخَيلِ di sini adalah isyarat kepada kenderaan. Zaman ketika ayat Al-Qur’an ini diturunkan, kuda adalah tunggangan dan kenderaan yang terpakai waktu itu. Tapi ia bukanlah jenis tunggangan yang semua orang ada. Kerana ia adalah tunggangan yang mewah pada zaman itu. Ia adalah simbol status.

Dan kerana kalimah yang digunakan adalah الخَيلِ yang bukanlah istilah yang digunakan untuk kuda yang biasa iaitu الفَرَس atau الحِصَان atau juga البَرْذَوْن. Apabila digunakan istilah الخَيلِ, ia sudah ada elemen kuda yang dibanggakan kerana perkataan itu sekata dengan kata الْخُيَلَاء yang bermaksud “bangga” atau “sombong” yang merujuk kepada cara berjalan kuda yang mendongak dan megah. Ia ada kaitan dengan kalimah ‘khayal’ kerana apabila kita melihat orang naik kuda macam itu, kita berkhayal bestnya kalau kita pun dapat naik kuda begitu.

Kuda bukannya boleh digunakan untuk bercucuk tanam, bukan? Jadi ia memang menjadi satu status simbol. Zaman sekarang pun orang kaya yang biasa-biasa tidak ada bela kuda dan main kuda. Yang ada main kuda adalah orang kaya gila yang tak tahu nak buat apa dengan duit dia lagi. Jadi dia bela kuda yang bukan mudah dan murah untuk dibela.

Dan satu satu isyarat yang kuda ini bukan kuda biasa adalah penambahan kalimah المُسَوَّمَةِ (yang bertanda). Maksud “tanda” di sini ialah tanda-tanda keindahan semula jadi yang ada pada tubuh kuda tersebut yang membezakannya daripada kuda biasa. Contohnya warna putih di dahi (Al-Ghurrah) atau warna putih di kaki (Al-Tahjil) yang membuatkan kuda itu kelihatan sangat megah dan premium.

Ia juga bermaksud kuda yang diletakkan cap atau tanda logo pada badannya sebagai bukti ia adalah daripada baka bangsawan, baka terpilih, atau milik kerajaan (seperti sistem branding jenama mewah zaman sekarang). Zaman dahulu di Tanah Arab, keturunan kuda pun mereka jaga sanadnya. Kalau zaman sekarang, kereta mesti ada tanda atau lambang, bukan? Orang tengok lambang untuk tahu “owh ini kereta Ferrari, Rolls Royce” dan sebagainya.

Perlu diingatkan yang mempunyai kuda tidaklah secara automatik buruk. Ia bergantung kepada niat pemiliknya. Nabi ﷺ bersabda:

الْخَيْلُ مَعْقُودٌ فِي نَوَاصِيهَا الْخَيْرُ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ: الأَجْرُ وَالْمَغْنَمُ
“Kuda itu terikat kebaikan pada ubun-ubunnya sehinggalah hari Kiamat, iaitu: Pahala (bagi yang jadikannya aset jihad) dan harta rampasan/keuntungan.”

(Riwayat Bukhari, no. 2850 & Muslim, no. 1873)

Baginda juga menyebut dalam hadis yang panjang bahawa ada orang yang memelihara kuda untuk tujuan تَعَزُّزًا (kemegahan/kemuliaan status) dan فَخْرًا (menunjuk-nunjuk/kebanggaan). Ini menunjukkan fungsi kuda pada zaman itu mirip dengan kereta sukan mewah pada hari ini. Kalau ia dibeli untuk tujuan berbangga, maka itu salahlah.

Kalimah المُسَوَّمَةِ di dalam ayat ini juga boleh bermaksud ‘dilatih’ untuk kegunaan khusus. Jadi ia adalah kuda pilihan dan kuda itu yang dibelai, disikat-sikat, dihiasi dengan berbagai perhiasan. Ia dilatih oleh jurulatih yang mahir pula. Ada kuda yang cantik sangat dan menjadi kebanggaan pemiliknya kerana pergerakannya yang teratur dan megah. Ada kuda yang laju dan kuat dan dijadikan sebagai alat lumba sesama sendiri.

Sekarang tentunya tidak ramai yang menggunakan kuda lagi. Adakah ayat ini tidak terpakai lagi? Ia menjadi isyarat kepada kenderaan dan kenderaan pun ada banyak jenis. Tidak sama kereta Proton dan kereta BMW dan tidak sama kereta BMW dan kereta Rolls Royce. Manusia mahukan kenderaan yang terbaik sekali iaitu yang laju, yang mewah dan yang cantik. Walaupun manusia sudah tidak menaiki kuda lagi, tetapi elemen kuda masih ada lagi. Lihatlah logo kereta-kereta mewah itu, banyak yang menggunakan lambang kuda, bukan? Kalau tidak ada lambang kuda pun, bukankah semua kereta dikira kekuatannya dengan ‘kuasa kuda’? Kalau kawan beli kereta baru, kita tanya dia : berapa “horsepower” kereta ini?

Dan ramai yang gila kereta dan kenderaan yang lain. Memang asalnya kenderaan adalah alat untuk pergi dari tempat A ke tempat B sahaja, akan tetapi ia telah menjadi lambang kebanggaan. Kereta yang hebat dibeli, kemudian dihiasi dengan berbagai benda. Tukar warna, tukar tayar, tukar rim dan sebagainya menjadi kebanggaan sesetengah manusia. Industri kereta tidak pernah sunyi dari mengeluarkan model-model yang baru. Kalau hanya untuk membawa kita ke destinasi sahaja, tidak perlu sampai banyak jenis model, bukan? Tapi kerana manusia suka sangat, maka ia menjadi satu industri yang sangat besar.

 

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya

Kemaskini: 14 Julai 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Dorar.net