Ali Imran Ayat 17: Ini adalah sambungan kepada ayat sebelum ini. Allah jelaskan apakah sifat hamba yang baik. Doa sahaja tidaklah cukup, tapi mestilah disertakan dengan amalan yang sesuai dengan iman itu. Ada lima sifat yang akan disebut.
Sekarang kita akan belajar cara-cara untuk kawal nafsu dari tergelincir kepada keinginan yang salah. Nafsu itu tidak salah, tapi kena kawal supaya ianya dilakukan kepada benda yang halal sahaja. Macam kereta, kenalah ada brek. Kalau jalan laju sahaja dan brek tidak ada (atau tidak dipakai), tentu akan berlanggar akhirnya. Maka, kita kena sedar yang kadang-kadang nafsu kita memang teringin perkara-perkara yang tidak boleh kerana melanggar syarak. Ini biasa sahaja kerana kita ini memang makhluk yang ada nafsu. Beza orang beriman dan tidak, orang beriman dapat tahan nafsu mereka. Mereka tidaklah ikut kehendak nafsu mereka.
الصّٰبِرينَ وَالصّٰدِقينَ وَالقٰنِتينَ وَالمُنفِقينَ وَالمُستَغفِرينَ بِالأَسحارِ
SAHIH INTERNATIONAL
The patient, the true, the obedient, those who spend [in the way of Allah ], and those who seek forgiveness before dawn.
MALAY
(Dan juga) orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah), dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah), dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur.
الصّٰبِرينَ
orang-orang yang sabar
Yang pertama kena ada sifat Sabar. Tapi perhatikan di dalam 5 sifat ini, kalimah yang digunakan ada ال padanya. Ia memberi isyarat bahawa mereka ini bukan sekali sekala sahaja sabar, sadiq dan seterusnya, tapi sentiasa. Mereka telah menjadi ‘orang itu’. Kerana itulah ia di dalam bentuk isim dan bukannya fi’il.
Dalam beberapa sifat yang disebut ini, Allah sebut sabar dahulu kerana ia amat penting; dan ia kena ada dulu. Kalau tidak ada sabar, yang lain itu kira macam tidak ada lah. Sebelum ini telah disebut tentang kebenaran wahyu dan kita kena ikut wahyu itu. Kemudian disebut penentang yang akan menentang kita kerana kita menerima wahyu. Pertentangan itu pasti akan berlaku. Kita pun sudah bincangkan peperangan antara puak Muslim dan puak kafir sebelum ini. Untuk hadap mereka, memerlukan kesabaran kerana mereka itu sangat teruk dan tidak akan membiarkan kita beriman seperti yang Allah kehendaki. Peperangan juga bukanlah sesuatu yang ringan, ia sangat memerlukan kesabaran untuk kita dapat melakukannya.
Jadi sekarang kita lihat maksud ‘Sabar’. Iaitu menahan diri dari ikut kehendak nafsu syahwat. Dan ia lebih lagi dari itu. Kalimah صبِر daripada katadasar ص بِ ر yang bermaksud untuk mengikat; tabah; tetap; bertahan dengan sabar; berpegang teguh pada akal dan perintah; tenang. Maka ada elemen ikat nafsu di sini. Tetap melakukan perkara yang baik dan tidak goyang ketika mengalami tekanan dan dugaan. Ikut arahan seperti arahan Allah ﷻ untuk meninggalkan perkara yang dilarang.
Kita mungkin rasa kita sudah tahu apa itu sabar, sebab itu kita selalu juga nasihat orang lain: “sabar ya, sabar ya….” Namun tahukah apa itu ‘sabar’ yang sebenarnya dari segi syarak? Dari segi bahasa, الصبر itu adalah الحَبسُ dan المَنعُ. Tahukah apa itu الحبس والمنع? Tidak tahu, bukan? Hendak tahu? Sabar, memang hendak beritahu pun. الحَبسُ bermaksud ‘tahan’ dan المَنعُ bermaksud ‘halang’.
Pertamanya tahan diri daripada marah. Apa-apabila berlaku, jangan melenting, tahan perasaan anda. Kalau boleh mengeluh pun jangan, buat tenang sahaja. Jangan layan perasaan kerana jika anda marah, maka anda telah kalah dengan syaitan. Ini memerlukan kekuatan seperti yang diriwayatkan daripada Abū Hurayrah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ ، إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الغَضَبِ
Orang kuat itu bukanlah orang yang kuat bergusti, akan tetapi orang kuat adalah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah.
(Riwayat Bukhari (6114))
Keduanya, halang tubuh kita sama ada lidah atau anggota yang lain. Lidah jangan laju sahaja untuk menjerit atau memaki orang; jangan tampar muka dan koyakkan baju (perbuatan orang Arab dulu); tangan jangan laju untuk memukul orang, pecahkan barang atau baling pinggan mangkuk. Halang semua itu daripada berlaku.
Begitulah dalam banyak perkara, kita kena sabar. Sabar adalah sikap daripada jiwa yang besar dan terlatih. Iaitu terlatih dengan akhlak-akhlak yang diajar di dalam Al-Qur’an dan Hadis. Hendak sampaikan dakwah kepada umat pun, kena sabar; hendak menegur orang lain, pun kena sabar; hendak buat amal ibadat pun, kena sabar. Memang sepanjang hidup kita di atas dunia ini kena bersabar sepanjang masa. Kena latih diri untuk terima apa sahaja yang Allah ﷻ kenakan kepada kita.
Sebagaimana para Nabi juga mengalami kesusahan dan mereka bersabar, maka kita pun kena bersabar. Kadang-kadang kita terpaksa menghadapi ejekan, tohmahan, amarah daripada orang lain dan sebagainya. Sebab itu Allah ﷻ sebut tentang sabar di dalam Muzzammil: 10 iaitu antara surah yang awal diturunkan kepada Rasulullah ﷺ semasa baginda memulakan dakwah,
وَاصبِر عَلىٰ ما يَقولونَ وَاهجُرهُم هَجرًا جَميلًا
Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu daripada mereka dengan cara yang baik.
Dalam kehidupan seharian kita, kita hendaklah mengamalkan sabar. Terutama sekali jikalau kita ditimpa masalah. Inilah pakaian kita yang kena sentiasa ada. Sabar itu ada tiga jenis:
1. Sabar dalam ketaatan. Iaitu untuk memenuhi arahan daripada Allah ﷻ dan Rasul.
2. Sabar dalam meninggalkan larangan daripada Allah ﷻ dan Rasul. Ini pun memerlukan kesabaran juga.
3. Sabar dalam menerima musibah dan ujian.
Antara 3 jenis sabar ini, manakah yang paling susah? Kita boleh katakan yang paling sukar untuk dijaga adalah ‘sabar dalam mentaati Allah’. Kerana kena lawan dengan nafsu, dan kemudian kena buat. Itu bukan senang. Kalau sabar dalam musibah itu senang sikit, sebab tidak perlu buat apa-apa, buat tenang sahaja, bukan? Begitu juga sabar dalam meninggalkan larangan. Contohnya sabar jangan mengumpat > tidak perlu buat apa-apa, jangan bercakap hal orang lain sahaja. Tidak perlu kita nak kena tape mulut kita.
Daripada tiga jenis pula terdapat tiga peringkat:
1. Menahan diri daripada bercakap apa-apa dan menghalang diri daripada melakukan sesuatu. Ini adalah sabar peringkat pertama iaitu sudah dikira sebagai ‘sabar‘. Ini rasanya agak mudah untuk dilakukan.
2. Peringkat kedua adalah sabar dicampur redha dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah ﷻ. Ini agak sukar sedikit untuk dilakukan kerana ramai yang mempersoalkan ketentuan daripada Allah ﷻ. Orang yang dapat mencapai peringat ini sedar yang Allah ﷻ boleh buat apa sahaja kepada dirinya yang hanya seorang hamba. Dia sedar yang dunia ini adalah ujian dan hari ini Allah ﷻ hendak uji dengan satu musibah.
3. Peringkat ini sabar tertinggi dan paling sukar untuk dicapai. Iaitu sabar campur redha kemudian ditambah dengan syukur pula! Iaitu orang itu boleh bersyukur pula apabila Allah ﷻ kenakan musibah kepada dirinya kerana dia tahu tentu ada hikmah di dalam ujian itu. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Insan: 2-3
إِنّا خَلَقنَا الإِنسٰنَ مِن نُّطفَةٍ أَمشاجٍ نَّبتَليهِ فَجَعَلنٰهُ سَميعًا بَصيرًا
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari setitis mani yang bercampur yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat.
إِنّا هَدَينٰهُ السَّبيلَ إِمّا شاكِرًا وَإِمّا كَفورًا
Sesungguhnya Kami telah menunjukinya jalan yang lurus; ada yang bersyukur dan ada pula yang kafir.
Lihatlah Allah ﷻ sebut bersyukur dengan ujian dan ada yang kufur dengan sebab ujian yang Allah ﷻ berikan. Maka kena letak dalam otak kita yang dunia ini ujian, dan selalunya ujian akan ada keputusan: sama ada lulus atau gagal! Tentu kita mahu lulus, bukan? Sebagai motivasi untuk kita bersabar dalam semua perkara, Allah ﷻ sebut balasan bagi orang yang bersabar di dalam Zumar: 10
إِنَّما يُوَفَّى الصّٰبِرونَ أَجرَهُم بِغَيرِ حِسابٍ
Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira
Apakah maksud ‘tanpa hisab’? Dibalas banyak sangat, sampai tidak boleh hendak kira. Hisab itu bermaksud ‘kira’. Balasan yang Allah ﷻ beri itu terlalu banyak sampai tidak terkira.
Tafsir kedua: ada juga hadith yang menunjukkan bahawa orang-orang yang sabar dengan dugaan berat yang mereka terima, tidak akan dihisab. Mereka terus sahaja masuk syurga. Padahal orang lain akan ditimbang-timbang dan dikira-kira amal ibadat mereka. Ini kerana menunggu untuk dihisab di Mahsyar itu pun sudah satu kesengsaraan juga kerana kena tunggu dalam masa yang amat lama. Maka kalau dapat masuk terus ke syurga tanpa hisab, itu adalah nikmat yang amat besar.
Kalau kita sabar dengan dugaan yang diberikan kepada kita, kita akan mendapat balasan daripada Allah ﷻ yang amat banyak. Ini kerana amalan ibadat seperti solat dan puasa akan dibalas dengan kadar amal kebaikan itu.
Antara sabar yang kita kena amalkan adalah dengan menahan marah. Ini kerana ia adalah sifat orang Mukmin seperti disebut nanti dalam Ayat 133-134
۞ وَسارِعوا إِلىٰ مَغفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُم وَجَنَّةٍ عَرضُهَا السَّمٰوٰتُ وَالأَرضُ أُعِدَّت لِلمُتَّقينَ
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;
الَّذينَ يُنفِقونَ فِي السَّرّاءِ وَالضَّرّاءِ وَالكٰظِمينَ الغَيظَ وَالعافينَ عَنِ النّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ المُحسِنينَ
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;
Maka golongan yang selamat itu adalah orang yang ‘sabar dalam taat’. Maksudnya mereka mengerjakan segala suruhan Allah ﷻ dan meninggalkan larangan-Nya dengan sabar. Kalimah صَبَرُ ini perlu dilihat daripada makna bahasa Arabnya kerana kalau menggunakan bahasa kita, mungkin kita tidak berapa faham. Dari segi syariat, صَبَرُ bermaksud terus melakukan perintah Allah ﷻ dan meninggalkan larangan Allah ﷻ walau apa pun terjadi. Mungkin ada yang mereka rasa susah untuk lakukan, tetapi mereka tetap sabar melakukannya kerana mereka mahu tetap taat kepada Allah ﷻ.
Ini memerlukan kesabaran kerana syaitan akan sentiasa menghasut kita untuk meninggalkan taat. Antaranya syaitan akan beri kita rasa bosan untuk melakukan ibadat. Akan tetapi orang yang beriman akan tetap sabar untuk melakukannya.
Soalan: bilakah perlu sabar? Ia hendaklah bermula sejak pertama kali ia berlaku. Kita selalunya melenting apabila sesuatu yang kita tidak suka terjadi, bukan? Namun dua tiga hari selepas itu barulah datang sabar. Ini tidak dikira sabar kerana itu adalah perkara normal bagi manusia (lama kelamaan apabila sudah terima hakikat, memang semua orang akan jadi sabar). Akan tetapi itu tidak dikira sebenarnya kerana Rasulullah ﷺ beritahu kita yang sabar itu dari mula-mula lagi,
عَنْ أَنَسٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الصَّبْرُ فِي الصَّدْمَةِ الْأُولَى
Daripada [Anas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Kesabaran itu ada pada saat pertama kali tertimpa (musibah) “.
(Sahih Bukhari (908))
Oleh itu sekiranya baru bersabar setelah lama masa berlalu, itu bukannya kerana Allah ﷻ lagi, tetapi kebiasaan manusia. Ia tidaklah mencabar sangat kalau sabar setelah lama ujian itu berlalu maka ia bukanlah sesuatu hebat sangat. Maka golongan yang selamat akan terus sabar dari mula lagi kerana mereka hendak mencari redha Allah ﷻ. Mereka tahu yang Allah ﷻ suka kalau hamba-Nya sabar dengan melakukan taat dan sabar dalam menghadapi ujian daripada-Nya. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Qalam:48 tentang contoh orang yang tidak sabar,
فَاصبِر لِحُكمِ رَبِّكَ وَلا تَكُن كَصاحِبِ الحوتِ إِذ نادىٰ وَهُوَ مَكظومٌ
Maka bersabarlah kamu (hai Muhammad) terhadap ketetapan Tuhanmu, dan janganlah kamu seperti orang yang berada dalam (perut) ikan ketika dia berdoa sedang dia dalam keadaan marah (kepada kaumnya).
Yang dimaksudkan adalah Nabi Yunus عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang tidak sabar dengan penolakan kaumnya. Maka ia menjadi contoh bagi kita untuk bersabar kerana Allah ﷻ. Kerana sabar itu kalau bukan kerana Allah ﷻ, ia tidaklah mendapat pahala. Semua orang boleh sabar sebenarnya. Namun sabar yang dituntut adalah kerana mencari redha Allah ﷻ seperti disebut di dalam ayat Ra’d:22
وَالَّذينَ صَبَرُوا ابتِغاءَ وَجهِ رَبِّهِم
Dan orang-orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya
Mencari ‘wajah Allah ﷻ’ bermaksud mencari redha Allah ﷻ. Disebut wajah Allah ﷻ kerana redha itu ditunjukkan di wajah.
Ramai orang boleh bersabar tetapi bukan kerana Allah ﷻ. Sebagai contoh, seorang pencuri penyabar juga orangnya. Dia akan tunggu sehingga tuan rumah tidur, kemudian sabar untuk membuka pintu rumah orang itu. Kemudian sabar memilih benda-benda yang dia boleh ambil. Atau, bila masuk rumah tengok tidak ada apa yang boleh diambil, dia pun sabar juga dan berlalu pergi rumah orang lain pula. Ini bukanlah sabar terpuji, bukannya kerana mencari redha Allah ﷻ, bukan?
Allah ﷻ janjikan ganjaran yang amat besar bagi orang yang boleh bersabar. Allah ﷻ berfirman di dalam Insan:12. Bayangkan kunci syurga adalah sabar!
وَجَزىٰهُم بِما صَبَروا جَنَّةً وَحَريرًا
Dan Dia memberi balasan kepada mereka kerana kesabaran mereka (dengan) syurga dan (pakaian) sutera,
Sabar itu hanya ada pada orang yang ada sifat taat. Apa-apa sahaja musibah yang menimpa kita, itu adalah ujian kepada kita dan kita kena sabar. Dan ia bukan percuma kerana kita akan dapat pahala atas sabar itu. Ia tidak sama seperti orang kafir. Mereka pun terima musibah juga. Tapi kerana mereka itu hidup dalam derhaka, maka musibah yang menimpa mereka itu adalah permulaan kepada azab.
Benda yang sama sahaja, tetapi kepada orang mukmin, ianya adalah ujian dan sumber pahala manakala benda yang sama kepada orang kafir adalah azab kepada mereka. Ianya adalah azab yang kecil sebelum mereka mendapat azab besar dalam neraka. Kalau mereka sabar mereka dalam dunia pun akhirnya akan masuk neraka juga. Sedangkan kalau kita sabar, dapat pahala.
Sebagai contoh, kalau kita mendapat musibah seperti sakit atau penyakit, kita akan mendapat pengampunan dari Allah – dengan syarat kita sabar dengan ketetapan Allah memberikan sakit kepada kita. Kalau kita tidak sabar, tidak dapat apa yang dijanjikan itu kerana kita seperti tidak redha dengan apa yang Allah telah takdirkan kepada kita.
Juga kita kena ada sabar dari ikut kehendak nafsu yang salah. Kalau kita tidak ikut ajakan nafsu dan bersabar dari melampiaskan nafsu di dunia dengan cara yang haram, kita akan dapat melampiaskannya di syurga dengan cara halal di syurga.
Contohnya, jika kita sabar dari berzina di dunia, kita akan dibalas dengan bidadari yang lebih hebat nanti di syurga. Kita tidak minum arak di dunia, nanti akan dapat sungai arak yang lebih sedap lagi. Kita (lelaki) tidak pakai sutera semasa di dunia, maka di syurga nanti pakaian kita akan sutera yang lebih hebat lagi.
وَالصّٰدِقينَ
dan orang-orang yang benar
1. Benar lagi jujur, tidak licik dalam menipu. Dalam Surah Saba’, ada disebut bagaimana orang yang banyak helah tak masuk syurga. Lihat Saba’:33
وَقالَ الَّذينَ استُضعِفوا لِلَّذينَ استَكبَروا بَل مَكرُ اللَّيلِ وَالنَّهارِ إِذ تَأمُرونَنا أَن نَّكفُرَ بِاللهِ وَنَجعَلَ لَهُ أَندادًا
Dan orang-orang yang dianggap lemah berkata kepada orang-orang yang menyombongkan diri: “(Tidak) sebenarnya tipu daya(mu) di waktu malam dan siang (yang menghalangi kami), ketika kamu menyeru kami supaya kami kafir kepada Allah dan menjadikan sekutu-sekutu bagi-Nya”.
Licik itu jenis orang yang bijak dalam menipu orang lain. Memang dia rasa dia bijak, dapat apa yang dia hendak, dan suka dia menceritakan bagaimana dia dapatkan sesuatu dengan helah. Memang dia akan dapat apa yang dihajatinya itu tapi dia tidak jujur. Tapi balasan azabnya sangat teruk. Rasulullah bersabda,
لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ خَبٌّ وَلاَ بَخِيلٌ وَلاَ مَنَّانٌ
“Tidak akan masuk syurga orang yang khabb (penipu / suka berhelah / licik memperdaya), orang yang bakhil, dan orang yang suka mengungkit-ungkit pemberian.”
(Hadis Riwayat At-Tirmidzi, no. 1963 & Ahmad)
Di dalam hadis lain, Rasulullah menyebut tentang orang yang pandai berhujah sampai dia berjaya dapat mengambil hak orang lain,
إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ، وَإِنَّكُمْ تَخْتَصِمُونَ إِلَيَّ، وَلَعَلَّ بَعْضَكُمْ أَنْ يَكُونَ أَلْحَنَ بِحُجَّتِهِ مِنْ بَعْضٍ… فَمَنْ قَضَيْتُ لَهُ بِحَقِّ مُسْلِمٍ فَإِنَّمَا هِيَ قِطْعَةٌ مِنَ النَّارِ فَلْيَأْخُذْهَا أَوْ لِيَدَعْهَا
“Sesungguhnya aku hanyalah manusia biasa, dan kamu membawa pertikaian kamu kepadaku. Boleh jadi sebahagian daripada kamu lebih pandai berhelah/bersilat kata dengan hujahnya daripada yang lain, lalu aku memutuskannya berdasarkan apa yang aku dengar. Maka sesiapa yang aku putuskan baginya hak seorang Muslim yang lain (disebabkan kelicikannya), sesungguhnya itu adalah sepotong api neraka, maka hendaklah dia mengambilnya atau meninggalkannya.”
(Hadis Riwayat Al-Bukhari no. 6967 & Muslim no. 1713)
Jadi orang Mukmin dan ahli syurga, dia sentiasa bercakap benar. Walaupun kebenaran itu akan merugikannya. Kalau menipu, itu adalah salah satu ciri orang munafik seperti yang disebut di dalam satu hadis yang semua orang tahu,
آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلاَثٌ: إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ، وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ
“Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga: [1] Apabila dia bercakap, dia MENIPU (berbohong), [2] apabila dia berjanji, dia mungkir, dan [3] apabila dia diberi amanah, dia khianat.”
(Hadis Riwayat Al-Bukhari, no. 33 & Muslim, no. 59)
2. Ia juga bermaksud jujur dengan diri sendiri. Sedar yang kita ada keinginan dalam diri kita. Sedar yang Allah sudah letakkan ada keinginan nafsu dalam diri kita. Sebab itu Allah menceritakan keindahan dan nikmat dalam syurga kerana memang itu keinginan manusia. Jangan jadi macam orang Nasara yang menidakkan perasaan itu.
Contohnya paderi mereka tidak dibenarkan berkahwin sampai bila-bila. Ini bahaya kerana apabila ditolak nafsu itu, akan menyebabkan ada masalah dengan diri mereka kerana menidakkan sesuatu yang Allah telah jadikan dalam fitrah manusia. Kalau melawan fitrah, pasti akan ada masalah. Kita pun dengar bagaimana paderi-paderi Kristian telah banyak melakukan kesalahan seksual luar tabiat. Ini adalah kerana mereka menolak sifat yang normal, sampai jadi tak normal.
3. Menjadi orang yang benar juga bermaksud benar yang di luar dan di dalam hati. Jangan sebut beriman di mulut tetapi tidak di dalam hati. Jangan hati cakap lain, tapi perbuatan dari apa yang kita cakap. Jangan ‘cakap tak serupa bikin’.
4. Juga boleh bermaksud membenarkan segala ajaran yang telah disampaikan oleh Nabi. Apa-apa sahaja yang disampaikan oleh Nabi diterima oleh kita. Di dalam surah ini ada disentuh tentang golongan Yahudi. Mereka diajak untuk menerima kebenaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad. Mereka pun tahu yang baginda memang benar, maka terimalah sahaja.
Bukan mereka sahaja, malah kita juga. Maka kita belajar apa yang disampaikan oleh wahyu dan kita terima apa yang disampaikan. Mungkin pada mulanya ia agak pelik kerana lain dari yang kita sudah biasa, tapi kerana ianya dari wahyu, kita terima juga. Sebagai contoh, dalam Al-Qur’an kita belajar tidak boleh menggunakan Nabi, wali dan malaikat sebagai wasilah dalam doa. Ini pelik kerana masyarakat kita banyak mengamalkan amalan ini, malah diamalkan oleh para ustaz juga. Tapi apabila kita belajar yang itu adalah amalan salah, kita sanggup tinggalkan. Inilah dia orang yang membenarkan ajaran wahyu.
Satu contoh lagi, kita tidak buat Kenduri Arwah dan Majlis Tahlil apabila ada kematian. Orang lain akan pelik, seolah-olah kita tidak sayang keluarga kita yang mati. Tapi kita tahu kita tidak buat kerana ia adalah amalan bid’ah. Biarlah orang kata apa.
Mereka yang siddiq ini Allah sebut di dalam Nisa’:69 sebagai orang yang telah diberi nikmat dariNya.
وَمَن يُطِعِ اللَهَ وَالرَّسولَ فَأُولٰئِكَ مَعَ الَّذينَ أَنعَمَ اللَهُ عَلَيهِم مِّنَ النَّبِيّينَ وَالصِّدّيقينَ وَالشُّهَداءِ وَالصّٰلِحينَ ۚ وَحَسُنَ أُولٰئِكَ رَفيقًا
Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).
وَالقٰنِتينَ
dan orang-orang yang sentiasa taat
Orang Arab dahulu simpan air di dalam bekas kulit yang dinamakan قِرْبَةٌ. Asalnya kulit itu di dalam keadaan kering. Apabila air diisi dan dibiarkan bertakung di dalamnya untuk tempoh yang lama, kulit tersebut menyerap kelembapan. Kulit itu bertukar menjadi sangat lembut, lentur, tunduk, tenang, dan ‘mati’ sifat kaku/kerasnya. Kulit itu kini patuh dan mengikut sahaja bentuk air serta beban yang ditampungnya.
Bahasa Arab menggunakan analogi fizikal ini untuk menggambarkan keadaan jiwa manusia sewaktu beribadah kepada Allah. Sebagaimana kulit yang telah lembut itu tidak lagi ‘mengeraskan diri’, begitu juga orang yang Qanit tidak lagi membangkang atau bersikap sombong terhadap perintah Allah. Kulit yang lentur itu berada dalam keadaan tenang dan diam menampung air. Orang yang Qanit berada dalam keadaan diam, tenang, dan khusyuk anggota badannya sewaktu berdiri lama dalam solat (tidak bergerak-gerak atau gelisah). Kelembutan kulit itu terhasil kerana air berada di dalamnya sekian lama. Ini melambangkan bahawa Qunut bukan sekadar taat sesaat, tetapi ketaatan yang berterusan dan konsisten.
Secara bahasa dan istilah tafsir, القٰنِتينَ bermaksud: “Orang-orang yang taat secara berterusan, patuh, rendah diri, dan sentiasa khusyuk berdiri menyembah Allah.” Ulama tafsir membahagikan maksud القٰنِتينَ di sini kepada beberapa dimensi yang mendalam:
1. Ketaatan yang Istiqamah (دَائِمَةُ الطَّاعَةِ): Bukan sekadar taat sekali-sekala, tetapi sentiasa patuh kepada perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya dalam setiap keadaan. Ada sifat kepatuhan dalam diri mereka. Mereka bersedia untuk berkhidmat dalam hal agama. Mereka juga patuh dengan segala arahan dari Allah dan Rasul.
Ini jenis orang yang kalau disuruh lompat, dia tanya “berapa tinggi?”, bukan dia kata, “kenapa nak kena lompat ni?” Maknanya dia bukan jenis nak persoal arahan Allah. Ada orang yang akal dia susah hendak terima maka mulalah dia tanya itu dan ini. Ketahuilah yang kadang-kadang otak dan minda kita tidak dapat terima lagi ‘kenapa’, tapi kita hendaklah terus melakukan apa yang disuruh oleh wahyu. Asalkan arahan itu jelas ada dalam wahyu, maka kita kena terus buat.
2. Kepatuhan yang Disertai Khusyuk & Tunduk: Beribadah bukan sekadar secara fizikal, tetapi hati yang berasa kerdil, takut, dan tunduk patuh (Khusyu’) di hadapan Allah. Allah berfirman di dalam Baqarah:238
وَقوموا لِلَّهِ قٰنِتينَ
dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.
Dan Allah berfirman di dalam Zumar:9,
أَمَّن هُوَ قٰنِتٌ ءآناءَ اللَّيلِ ساجِدًا وَقائِمًا يَحذَرُ الآخِرَةَ وَيَرجو رَحمَةَ رَبِّهِ
“(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya?
3. Lamanya Berdiri Dalam Solat: Dalam sebahagian hadis Nabi, Al-Qunut juga merujuk kepada tempoh berdiri yang lama dalam solat dengan menghayati bacaan Al-Qur’an dan doa. Ini seperti disebut di dalam satu hadis,
سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَيُّ الصَّلاَةِ أَفْضَلُ؟ قَالَ: «أَفْضَلُ الصَّلاَةِ طُولُ الْقُنُوتِ
“Rasulullah SAW telah ditanya: ‘Solat manakah yang paling afdal (utama)?’ Baginda menjawab: ‘Seafdal-afdal solat adalah yang lama qunutnya (iaitu lama berdiri membaca Al-Qur’an).'”
(Hadis Riwayat Muslim, no. 756)
Penerangan: Para ulama pakar bahasa dan tafsir (seperti Imam an-Nawawi) menjelaskan bahawa kalimah الْقُنُوت dalam hadis ini bermaksud الْقِيَام (Berdiri). Jadi, طُولُ الْقُنُوتِ di sini membawa maksud lama berdiri dengan memperbanyakkan atau memanjangkan bacaan Al-Qur’an.
Nabi sendiri menunjukkan contoh teladan di mana baginda berdiri sangat lama dalam solat malam (Tahajjud) sehingga kaki baginda membengkak: ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha menceritakan bahawa Nabi SAW melakukan solat malam sehingga kedua-dua tapak kaki baginda pecah-pecah/bengkak. Apabila ditanya mengapa baginda berbuat demikian sedangkan dosanya yang lalu dan akan datang telah diampunkan, Baginda SAW menjawab:
أَفَلاَ أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا
“Apakah aku tidak suka untuk menjadi seorang hamba yang banyak bersyukur?”
(Hadis Riwayat Al-Bukhari, no. 4837 & Muslim, no. 2819)
Hudzaifah ibn al-Yaman radhiyallahu ‘anhu pernah bersolat malam bersama Nabi. Baginda membaca Surah Al-Baqarah, An-Nisa’, dan Ali ‘Imran dalam satu rakaat sahaja, dibaca dengan perlahan, bertadabbur, dan beristighfar pada setiap ayat azab (Hadis Riwayat Muslim, no. 772). Ini membuktikan betapa lamanya berdiri solat baginda.
وَالمُنفِقينَ
dan orang-orang yang membelanjakan hartanya
Sekarang sudah masuk sifat yang melibatkan perbuatan. Sebelum ini الصّٰبِرينَ adalah sifat dalaman, الصّٰدِقينَ juga adalah sifat dalaman, dan القٰنِتينَ juga sifat dalaman. Orang-orang yang ada sifat dalaman yang indah, ia akan mengeluarkan perbuatan yang indah-indah juga. Mereka kemudian akan rajin infak harta mereka di atas jalan agama. Surah ini banyak menyebut tentang jihad dan jihad itu memerlukan belanja yang besar. Kerana itu banyak ayat-ayat Al-Qur’an menyebut jihad dan infak di dalam satu ayat.
Tapi sekarang kita tidak ada jihad perang. Yang ada adalah jihad ilmu iaitu menyampaikan dakwah kepada manusia. Dan ini juga memerlukan belanja. Maka kita kena terlibat sama di dalam usaha ini.
Dan hendaklah kita ringan tangan kita membantu orang-orang yang susah dan memerlukan. Di dalam ayat ini Allah menyebut sifat mereka yang yakin dengan janji Allah yang Allah yang mengatakan Dia akan balas infak mereka di akhirat. Terlalu banyak ayat-ayat lain tentang kelebihan infak dan cara infak disebut di dalam surah-surah yang lain.
‘Infak’ itu bermaksud ‘mengeluarkan harta’. Maksud dalam ayat ini tentunya berkenaan mengeluarkan harta untuk kebaikan. Kalau kita membeli belah di pasar pun infak juga sebenarnya, tapi itu bukanlah infak di atas jalan agama. Orang yang ‘tamak pahala’ seperti para sahabat akan memberi walaupun mereka sendiri tidak banyak harta.
Memberi sedekah ada satu perkara yang sangat sukar dilakukan. Ini adalah kerana kita susah-susah usaha untuk dapat duit, tapi beri kepada orang begitu sahaja. Kalau belanja untuk kegunaan diri sendiri, tidak mengapa; kalau untuk keluarga pun, masih OK lagi. Tapi kalau beri kepada orang, amat sukar kerana kita nampak duit itu pergi begitu sahaja tanpa apa-apa pulangan, bukan? Maka orang yang mampu melakukannya adalah orang yang ada iman yang tinggi.
Mereka percaya yang walaupun mereka beri kepada orang lain, tapi kebaikannya pulang kepada dirinya sendiri. Ini seperti firman Allah di dalam Baqarah:272,
وَما تُنفِقوا مِن خَيرٍ فَلِأَنفُسِكُم ۚ وَما تُنفِقونَ إِلَّا ابتِغاءَ وَجهِ اللَّهِ ۚ وَما تُنفِقوا مِن خَيرٍ يُوَفَّ إِلَيكُم وَأَنتُم لا تُظلَمونَ
Dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredhaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan daripada harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.
وَالمُستَغفِرينَ بِالأَسحارِ
dan orang-orang yang beristighfar pada waktu sahur.
Mereka rajin memohon ampun di waktu sahur. Perhatikan yang sifat-sifat lain tidak disebut tentang masa. Tapi tentang istighfar ini ada pula disebut masanya, iaitu waktu sahur.
Tapi kalimah sahur itu bukan di dalam bentuk mufrad (single) tapi di dalam bentuk jamak (plural) iaitu الأَسحارِ. Kenapa? Kerana Allah bukan hendak kita sekali sahaja kita istighfar di waktu itu tapi banyak waktu, setiap hari kalau boleh.
Waktu sahur atau waktu pagi itu juga menarik. Ia adalah waktu cerah setelah gelap malam. Maka begitulah juga kedatangan cahaya Al-Qur’an setelah kegelapan kejahilan. Al-Qur’an memberi cahaya panduan kehidupan kepada manusia. Ia juga mengingatkan kita tentang kehidupan setelah mati. Ini kerana kita sebenarnya ‘mati’ ketika kita tidur, bukan? Dan apabila kita bangun, ia melambangkan kehidupan setelah kematian. Maka setiap hari kita diingatkan tentang kehidupan setelah mati.
Iaitu selepas mereka melakukan Solat Tahajjud. Ia adalah waktu yang kita digalakkan sangat untuk solat malam. Ia adalah amalan Rasulullah dan para sahabat. Allah berfirman di dalam Isra’:79
وَمِنَ ٱلَّيلِ فَتَهَجَّد بِهِۦ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰٓ أَن يَبعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحمُودًا
Dan pada sebahagian malam hari bersembahyang tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu; mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.
Waktu Sahur ini adalah waktu kita selalu sahur itulah, iaitu di sepertiga akhir malam. Bukannya selepas Isya’ atau tengah malam. Itu bukan ‘sahur’, tapi ‘supper’. Waktu Sahur itu adalah sepertiga terakhir malam. Bagaimana untuk kira? Malam itu dibahagikan 3, kemudian di dalam bahagian ketiga itulah dikira sebagai السَّحَر dan jamaknya adalah الأَسحارِ.
Kenapa waktu ini penting? Dikatakan (oleh para ulama) hal itu kerana ibadah pada waktu tersebut lebih tinggi keikhlasannya. Orang lain tidak tahu pun kita buat apa pada waktu itu. Jadi tidak ada punca hendak tunjuk kepada orang, jadi adalah ikhlas kerana Allah. Ia lebih berat bagi orang yang baru bermula (Ahlul Bidayah); kerana keenakan tidur pada waktu tersebut. Maka ini menjadi lubuk pahala bagi mereka kerana berusaha untuk melakukannya. Semakin ia susah, semakin banyak pahala. Dan ia lebih menenangkan/melapangkan bagi orang yang telah mencapai tingkatan rohani yang tinggi kerana kesucian jiwa, kekosongan hati daripada gangguan/kesibukan dunia, serta menunjukkan betapa tingginya keprihatinan pemiliknya terhadap urusan akhiratnya.”
Kenapa pula mereka minta ampun sedangkan mereka sedang melakukan kebaikan? Padahal di dalam Ayat 16 sebelum ini pun telah disebut mereka minta ampun. Sekarang mereka minta ampun lagi. Mereka minta ampun kerana takut Allah hukum mereka. Padahal mereka orang yang baru sahaja melakukan kebaikan. Ini maksudnya Ayat 17 ini adalah istighfar setelah taat. Amat lembut hati mereka sampaikan mereka masih rasa bersalah walaupun semasa sedang buat taat. Mereka takut kalau tak cukup apa yang mereka sudah buat. Istighfar jenis ini bernilai amat tinggi pada sisi Allah. Kerana kalau orang yang buat dosa istighfar memang sudah biasa kita dengar, tapi ini orang yang berbuat kebaikan pula. Memang tidak sama.
Kenapa waktu sahur disebut? Kita pun sudah tahu yang tidur adalah satu perkara yang manusia amat suka. Bayangkan kalau tak cukup tidur sahaja, kita sudah tidak selesa. Tapi ada manusia yang tinggi imannya yang sanggup meninggalkan keselesaan tidur untuk beribadah kepada Allah. Sudahlah mereka sanggup meninggalkan keselesaan ada duit banyak dengan mengeluarkan infak, mereka sanggup tinggalkan keselesaan tidur juga. Ini juga melawan nafsu yang besar, iaitu nafsu tidur.
Nota: Ayat ini sebenarnya mengajar kita cara berdoa. Kalau kita lihat ayat ini secara mendalam, kita belajar bahawa doa yang paling baik adalah pada waktu sahur iaitu dalam sepertiga akhir malam, terutama sekali selepas mengerjakan Solat Tahajjud. Waktu sahur adalah waktu yang amat istimewa. Dalam hadis yang sahih, dari Abu Hurairah, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ يَقُولُ مَنْ يَدْعُونِى فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِى فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِى فَأَغْفِرَ لَهُ
“Rabb kita تَبَارَكَ وَتَعَالَى turun ke langit dunia ketika tersisa sepertiga malam terakhir. Lantas Dia berfirman, “Siapa saja yang berdoa kepada-Ku, maka akan Aku kabulkan. Siapa yang meminta kepada-Ku, maka akan Aku beri. Siapa yang meminta ampunan kepada-Ku, maka akan Aku ampuni.”
(Sahih Bukhari no. 1145 dan Muslim no. 758).
Jadi ini adalah waktu terbaik untuk istighfar, juga waktu terbaik untuk berdoa kepada Allah. Kerana waktu itu adalah antara kita dan Allah sahaja. Bukannya pergi buat Kenduri Doa Selamat dan panggil orang Surau Masjid untuk doakan. Bukan begitu caranya. Caranya adalah kita bangun waktu sahur dan berdoa terus kepada Allah bersendirian sahaja. Itu yang Allah akan pandang dan Allah akan balas kepada kita.
Di dalam 5 sifat ini, dimasukkan huruf penghubung و (dan). Maknanya setiap sifat itu berdiri sendiri. Ia boleh jadi,
1. Semua sifat itu ada pada satu individu. Jadi penghubung و memberi isyarat yang individu itu mempunyai semua sifat itu tapi bukan sikit-sikit, tapi pada tahap yang tinggi (kamal) dan kerana itu setiap sifat itu berdiri sendiri.
2. Ia juga boleh berada pada individu yang berbeza. Ada orang yang tinggi sifat sabarnya, tapi sifat lain tidak tinggi sangat walaupun ada. Jadi apabila dipisahkan, tidaklah kita kena semua sifat ini baru kita terpuji. Kalau ada satu sifat yang tinggi pun, ia pun sudah bagus. Cuma kita kena tambah sifat-sifat yang lain.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 28 Julai 2026
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan (deeper look)
Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah
Tafsir Al-Azhar Dr Hamka
Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)


