Tafsir Surah Ali Imran Ayat 18 (Allah bersaksi tentang Tauhid) Part 1

TUHAN YANG ESA

Ali Imran Ayat 18: Sebelum ini telah disebutkan tentang golongan Mukmin yang layak dimasukkan ke dalam syurga. Mereka orang yang taat kepada arahan Allah dan mereka ada sifat-sifat yang telah disebut di dalam ayat sebelum ini. Sekarang kita akan lihat apakah asas kepada sifat-sifat itu. Ini adalah pegangan yang kena ada iaitu Tauhid. Kalau tidak ada yang ini, maka segala sifat-sifat baik, segala amal-amal kebaikan tidak berguna langsung.

Perkara  yang akan disampaikan ini sudah ada dalam kitab-kitab sebelum Al-Qur’an. Diulang kembali dalam Al-Qur’an untuk kita pula. Dan diulang banyak kali supaya tidak ada hujah manusia yang mungkin buat alasan yang mereka tidak tahu tentang Tauhid. Alasan itu tidak akan terpakai kerana telah disebut berkali-kali dengan pelbagai cara tentang Tauhid ini.

شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ ۥ لآ إِلٰهَ إِلّا هُوَ وَٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةُ وَأُولُو العِلمِ قآئِمًا بِالقِسطِ ۚ لآ إِلٰهَ إِلّا هُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

SAHIH INTERNATIONAL
Allah witnesses that there is no deity except Him, and [so do] the angels and those of knowledge – [that He is] maintaining [creation] in justice. There is no deity except Him, the Exalted in Might, the Wise.

MALAY
Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

 

شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ

Allah bersaksi bahawasanya tiada ilah melainkan Dia,

Allah bersaksi yang hanya Dia sahaja ilah. Tapi apakah makna ‘saksi’? Seorang saksi itu menyatakan maklumat yang dia tahu. Contohnya saksi di mahkamah itu menjadi saksi kerana dia tahu apa yang terjadi, kerana dia telah melihatnya. Dia tidak boleh cakap agak-agak. Jadi apabila Allah menjadi saksi, Allah sekarang memberitahu dan menyampaikan maklumat kepada makhluk.

Di dalam ayat ini, Allah memberitahu yang Dia sendiri menjadi saksi. Ini adalah persaksian dari Allah sendiri dan tidak ada persaksian yang lebih kuat dan lebih besar dari Allah! Dia tidak jadikan selain Dia, ada ilah-ilah yang lain. Tidak kira siapa pun, sama ada wali, Nabi atau malaikat malah jin. Dan ini adalah persaksian yang sangat kuat dan sudah cukup. Kerana tidak ada lagi kita dengar tentang mana-mana ‘tuhan’  yang lain yang mengaku mereka tuhan? Kita tidak dengar lagi melainkan dari orang gila macam Ayah Pin.

Asbabun Nuzul: Ada satu kisah ini diriwayatkan oleh sebahagian ahli tafsir (seperti al-Qurtubi dan al-Baghawi) daripada jalur al-Kalbi dan Ibn Abbas RA. Dua orang pendeta Yahudi yang sangat alim dari kawasan Syria (Syam) telah mendengar berita tentang kemunculan seorang Nabi terakhir di Kota Madinah. Mereka berdua lalu mengembara ke Madinah untuk bertemu sendiri dengan Nabi Muhammad SAW. Apabila sampai di Madinah dan melihat keindahan serta sifat-sifat fizikal Kota Madinah, salah seorang daripada mereka berkata kepada temannya:

“Ciri-ciri kota ini sangat serupa dengan sifat kota tempat tinggal Nabi akhir zaman yang diceritakan di dalam Kitab Taurat.”

Apabila mereka masuk menemui Rasulullah SAW, mereka mengamati raut wajah dan keperibadian baginda, lalu mengakui bahawa tanda-tanda kenabian pada diri baginda memang menepati apa yang termaktub di dalam Taurat. Lalu mereka berkata kepada Nabi SAW:

“Wahai Muhammad, kami ingin bertanya kepadamu tentang satu perkara yang sangat besar (agung). Jika engkau dapat memberitahu kami jawapannya dengan benar, kami akan beriman kepadamu dan membenarkan kenabianmu.”

Rasulullah SAW menjawab: “Tanyakanlah kepadaku.”

Mereka pun bertanya: “Beritahulah kepada kami, siapakah saksi (atau penyaksian/syahadah) yang paling besar dan paling kuat di dalam Kitab Allah?” (Dalam riwayat lain: “Penyaksian apakah yang paling agung dalam menentukan ketauhidan?”)

Sebaik sahaja pertanyaan itu diutarakan, Allah ﷻ menurunkan terus kepada Rasulullah SAW Ayat 18 Surah Ali Imran ini. Mendengar sahaja Rasulullah SAW membacakan ayat yang baharu diturunkan itu, kedua-dua pendeta Yahudi tersebut terkejut dan terus gembira kerana jawapan tersebut betul-betul menepati apa yang tersimpan dalam ilmu rahsia Kitab Taurat mereka. Tanpa ragu-ragu lagi, mereka berdua terus mengucapkan dua kalimah syahadah dan memeluk agama Islam di hadapan Rasulullah SAW serta membenarkan risalah baginda. Sekian.

Bagaimana cara Allah memberi persaksian kepada kita? Iaitu telah disebut berkali-kali di dalam ayat-ayat Al-Qur’an tentang Siapakah Dia dan kedudukanNya sebagai satu-satunya Tuhan dan ilah. Dan bukan itu sahaja. Allah juga telah menjadikan alam ini sebagai bukti bahawa Dialah sahaja yang mampu mencipta dan menjadikan alam langit dan alam bumi ini. Jadi Allah bersaksi dengan kalam yang ada di dalam Al-Qur’an dan juga dari segi perbuatanNya di dalam alam ini. Jadi Allah tegaskan dengan ‘Kalam’ dan ‘Alam’.

Kenapa Allah perlu menyebut persaksian bahawa Dia adalah satu-satunya ilah? Al-Biqa’i mengemukakan bahawa seorang yang perkasa biasanya akan menyatakan kedudukannya apabila orang bawahannya mula bermalas-malas dalam menjalankan perintah dan mengabaikan tanggungjawab mereka. Apabila itu sudah terjadi, maka sang perkasa akan mengingatkan mereka tentang kedudukannya dan kedudukan mereka. Maka begitulah juga yang sedang dilakukan oleh Allah kerana makhluk mengabaikan tanggungjawab dan tidak menjalankan perintahNya.

Jadi Allah menekankan yang hanya Dia sahaja ilah dan yang selainNya adalah makhluk yang tidak ada kedudukan ilah. Tidak ada tempat menumpang harap yang lain bagi makhluk melainkan kepada Allah sahaja. Hanya Allah sahaja tempat kita sembah, tempat kita berdoa dan tempat kita taat sebenar-benar taat. Inilah perkara utama yang disebut berulang-ulang kali di dalam Al-Qur’an. Dan kerana itulah kita kena faham benar perkara ini. Apabila Allah beritahu yang Dia bersaksi maksudnya Dia telah jelaskan segala dalil dan bukti tentang keesaanNya dengan menurunkan Al-Qur’an dan dibangkitkan para Rasul.

Di dalam Surah Ali Imran ini, ia berkenaan golongan Nasara. Mereka menyembah Nabi Isa sebagai ilah. Maka pernyataan لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ adalah menolak secara terus kesalahfahaman mereka itu.

 

وَٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةُ

dan malaikat-malaikat

Para malaikat juga bersaksi yang hanya Allah sahaja ilah. Bagaimana mereka bersaksi? Dengan ketaatan mereka yang menjalankan arahan Allah tanpa culas dan malas! Kerana mereka tahu yang Allah itulah sahaja Tuhan yang ada. Kita tidak tahu maklumat ini sendiri kerana malaikat tidak pernah mengucap depan kita. Akan tetapi kerana Allah yang beritahu seperti di dalam ayat ini, maka tentulah ia benar. Maka persaksian mereka juga terpakai.

Tentulah para Malaikat yang taat kepada Allah itu berpegang dengan Tauhid dan takkan mereka melakukan syirik. Mereka taat sepenuhnya kepada Allah dan tidak pernah dan tidak akan melakukan dosa. Allah berfirman di dalam Tahreem:6

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا قوا أَنفُسَكُم وَأَهليكُم نارًا وَقودُهَا النّاسُ وَالحِجارَةُ عَلَيها مَلٰئِكَةٌ غِلاظٌ شِدادٌ لّا يَعصونَ اللَّهَ ما أَمَرَهُم وَيَفعَلونَ ما يُؤمَرونَ
Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.

Maknanya ini adalah tamparan khusus bagi mereka yang menjadikan para malaikat sebagai ilah. Ini seperti Musyrikin Mekah yang meminta kepada para malaikat kerana mereka berakidah yang para malaikat itu ‘anak perempuan Allah’.

Maka kalau kita pun berharap kepada para malaikat juga, maka samalah sahaja dengan Musyrikin Mekah. Maka bagaimana dengan golongan pesilat yang ada amalan seru malaikat seperti: “Jibril di depanku, Mikail di kananku……”. Ini adalah amalan minta pertolongan kepada para malaikat. Adakah mereka sangka para malaikat itu makan gaji dengan mereka boleh arah-arah pula para malaikat itu untuk jaga dia? Pernah beberapa tahun lepas viral seorang wanita yang berdoa terus kepada malaikat. Inilah kejahilan yang tersebar sekarang di kalangan umat yang jahil.

Saya dulu semasa di dalam tarekat juga diajar untuk beri salam kepada 10 malaikat. Kerana kononnya supaya mereka kenal (sebab selalu beri salam kononnya). Jadi bila hendak minta tolong kepada mereka, senanglah kononnya sebab mereka sudah kenal. Ini memang ajaran yang sesat. Malangnya masih ramai yang tertipu dengan ajaran sufi tarekat sekarang. Mereka itu buang masa dengan perkara yang sesat.

Para malaikat dimasukkan sebagai saksi kerana mereka memang menyaksikan kuasa Allah, maka mereka nampak sendiri kekuasaan Allah. Selain itu mereka juga menyaksikan segala perbuatan kita manusia. Maka mereka nanti akan menjadi saksi sama ada kita mengamalkan ajaran Allah atau tidak di akhirat kelak.

 

وَأُولُو العِلمِ

serta orang-orang yang berilmu

Ini adalah kelebihan orang berilmu. Ia menjadi dalil kemuliaan dan darjat orang yang berilmu kerana disebut bersama dengan Allah dan para malaikat. Di awal ayat Allah sebut Dia yang bersaksi, kemudian para Malaikat dan sekarang disebut orang-orang berilmu pun bersaksi. Jadi di langit, saksi Allah adalah para Malaikat dan di bumi pula saksi Allah adalah golongan ahli ilmu. Ini adalah kerana kedudukan mereka sangat tinggi di sisi Allah.

Mereka layak menjadi saksi kerana mereka ada ilmu yang mereka dapati dari perjalanan ilmu yang mereka telah lalui dengan meluangkan masa dan tenaga untuk mendapatnya. Mereka juga telah melalui proses kerohanian yang memikirkan-mikirkan tentang alam, tentang ciptaan, tentang siapakah Pencipta alam yang maha indah ini. Dan mereka telah sampai kepada jawapan bahawa hanya Allah sahaja Tuhan yang layak disembah. Jadi mereka bertauhid kepada Allah dengan ilmu.

Mereka sahaja yang akan nampak keadilan yang Allah telah tegakkan. Kalau para malaikat, mereka akan nampak sendiri. Tapi bagi manusia, kita tidak nampak kerja-kerja Tangan Allah, bukan? Ia tidak zahir, akan tetapi orang yang berilmu boleh nampak dengan fikirannya. Keberadaan sesuatu perkara itu bukanlah dinampakkan pada zahirnya. Mereka nampak dengan pandangan mata hati yang suci bersih.

Siapakah yang berilmu itu? Yang pertamanya tentulah para Nabi. Para Nabi yang diberi ilmu wahyu yang sebenar, juga bersaksi perkara yang sama. Mereka telah sampaikan kepada umat mereka dan para pengikut mereka. Kalau kita pun sudah mendapat ilmu tentang akidah ini, maka kita pun dikira orang berilmu juga dan boleh termasuk di dalam golongan ini.

Selain dari para Nabi, manusia biasa pun mampu untuk belajar dan mendalami ilmu. Itulah yang kita kena lakukan. Jangan terus duduk dalam kejahilan sampai mati. Jangan berbangga dengan kejahilan, tapi hendaklah kita menambah ilmu kita. Tak selamat kalau jahil agama.

Jadi ayat ini Allah tidak khususkan sebut para Nabi, tapi Allah sebut أُولُو العِلمِ. Maknanya sesiapa sahaja boleh termasuk di dalam golongan ini. Ia juga menjadi dalil dari sekian banyak dalil tentang kepentingan ilmu, terutama sekali ilmu agama, terutama sekali ilmu wahyu. Nikmat terbesar yang Allah boleh kita dapat bukanlah harta, pangkat, kesihatan, pasangan dan anak-anak, tapi ilmu. Allah berfirman di dalam Mujadilah:11

يَرفَعِ اللهُ الَّذينَ ءآمَنوا مِنكُم وَالَّذينَ أوتُوا العِلمَ دَرَجٰتٍ
Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat.

Rasulullah ada bersabda di dalam Hadis #36 Arbain Nawiyah,

وَمَنْ سَلَكَ طَرِيْقاً يَلْتَمِسُ فِيْهِ عِلْماً سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيْقاً إِلَى الجَنَّةِ
Barangsiapa yang menempuh perjalanan dalam rangka menuntut ilmu, maka Allah akan mudahkan baginya jalan menuju syurga.

Sahih Muslim, no. 2699

Tapi berapa ramai yang tidak ada ilmu wahyu dan amat jauh dari wahyu? Mereka sangka mereka telah banyak belajar ilmu agama, tapi ilmu wahyu (tafsir Al-Qur’an dan syarah hadis) belum belajar lagi. Kerana itu ada amalan-amalan mereka yang pelik-pelik dan seru sana dan sini. Negara kita ini memang boleh dikatakan tidak ada pengajaran wahyu sebenarnya dari dahulu lagi. Pemahaman agama pun masih baru sahaja. Lihatlah tahun 80an baru mula berjinak-jinak orang perempuan hendak pakai tudung tutup aurat. Jadi ilmu agama itu dari dahulu pakai ikut sahaja apa tok nenek buat. Maka tentulah ilmu wahyu itu amat jauh dari kebanyakan dari kita. Kalau dulu, tidak pernah terdengar pun pengajian tafsir Al-Qur’an. Baru sekarang baru bermula dan bercambah pengajaran wahyu di kalangan masyarakat kita. Diharap ini akan berterusan.

Jadi orang berilmu itu bukan sahaja mendapat pujian dari Allah, tapi Allah juga mengutuk orang yang jahil. Jadi ilmu itu bukanlah bonus sahaja, tapi ia adalah keperluan. Mungkin ada orang anggap, “baguslah orang itu ada ilmu, tapi takkan salah kalau tak berilmu…..” Kita kena tahu yang kalau tidak ada ilmu, maka itu adalah masalah. Allah berfirman di dalam Baqarah:78

وَمِنهُم أُمِّيّونَ لا يَعلَمونَ ٱلكِتَـٰبَ إِلّا أَمانِيَّ وَإِن هُم إِلّا يَظُنّونَ
Dan di antara mereka pula ada orang-orang yang ‘buta huruf’, mereka tidak mengetahui akan isi Kitab Taurat selain dari penerangan-penerangan bohong (dari ketua-ketua mereka), dan mereka hanyalah berpegang kepada sangkaan-sangkaan sahaja.

Allah menyentuh tentang golongan yang tidak tahu apa yang terkandung di dalam kitab wahyu. Mereka boleh baca, mereka boleh hafal, tapi sikit habuk pun mereka tidak faham apa yang mereka baca. Ini seperti masyarakat kita yang baca Al-Qur’an bertahun-tahun, mendayu-dayu kalau dia baca Al-Qur’an, tapi dia tidak tahu maksud ayat-ayat yang dia baca itu. Orang yang tidak ada ilmu ini pakai agak-agak sahaja dalam hal agama. Entah betul entah tidak, mereka tibai sahaja. Mereka main-main dengan agama, bagi hujah bodoh, bagi pendapat yang menyesatkan. Hanya kerana tidak mahu belajar.

Orang yang tidak ada ilmu wahyu juga senang ditipu oleh syaitan. Syaitan tipu macam tipu budak-budak sahaja. Sebab itu banyak fahaman pelik dan malah syirik timbul di kalangan manusia kerana mereka tidak ada penapis dari bisikan syaitan iaitu ilmu wahyu. Maka kerana itu tidak akan masuk syurga orang yang tidak faham tafsir Al-Qur’an 30 juzuk kerana dia akan ditipu oleh syaitan yang akan menyebabkan dia tidak akan masuk syurga. Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَقِيهٌ وَاحِدٌ أَشَدُّ عَلَى الشَّيْطَانِ مِنْ أَلْفِ عَابِدٍ
“Seorang yang berilmu (faham agama) jauh lebih berat bagi syaitan untuk digoda berbanding seribu orang ahli ibadah (yang jahil).”

Rujukan: Sunan At-Tirmidzi: Bab Mawaqit / Al-‘Ilm (Hadis no. 2681). Sunan Ibnu Majah: Muqaddimah, Bab Fadhl al-‘Ulama wa al-Hath ‘ala Thalab al-‘Ilm (Hadis no. 222). Syaikh Al-Albani: Mengategorikan hadis ini sebagai Da’if dalam Dha’if al-Jami’ (no. 3968) dan Dha’if Sunan At-Tirmidzi. Walaupun sanad hadis ini dikategorikan sebagai Da’if, makna dan konsepnya adalah SAHIH serta disokong oleh banyak dalil-dalil lain yang sahih daripada Al-Qur’an dan Hadis lain tentang kepentingan ilmu. 

Apakah dalil lagi yang belajar ilmu ini wajib? Penting kita tahu hukum belajar dan faham agama ini, kerana ramai yang rasa tenang sahaja dengan kejahilan mereka. Bagi mereka, belajar ilmu agama ini untuk orang tertentu sahaja. Mereka tidak tahu agama, tidak mengapalah, tapi berangan hendak masuk syurga. Dalil yang belajar ilmu agama itu terutama ilmu kefahaman Tauhid adalah ayat seperti firman Allah di dalam Muhammad:19

فَاعلَم أَنَّهُ لا إِلٰهَ إِلَّا اللهُ وَاستَغفِر لِذَنبِكَ
Maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya tidak ada Ilah (sesembahan, tuhan) selain Allah dan mohonlah ampunan bagi dosamu

Di dalam ayat ini Allah mulakan dengan berkata: فَاعلَم (ketahuilah!). Maka ia adalah perintah dari Allah. Iaitu kita kena tahu, kena belajar, kena ada ilmu. Ilmu apa? Kefahaman أَنَّهُ لا إِلٰهَ إِلَّا اللهُ iaitu kefahaman Tauhid yang sempurna. Kena tahu apa itu إِلٰهَ, kena tahu siapa اللهُ. Ini memerlukan masa untuk memahaminya. Dan kerana tidak faham hal inilah, ramai yang mengamalkan syirik tanpa sedar. Mereka sangka mereka beragama Islam, buat amalan yang mendatangkan pahala, tapi sebenarnya jauh dari kebenaran! Kadang yang mengajar fahaman sesat ini dari kalangan ahli agama juga, pangkat tinggi juga. Tapi mereka ajar berdoa kepada selain Allah, istighasah boleh kepada selain Allah dan sebagainya. Mereka ajar zikir-zikir yang entah dari mana dan bunyi sangatlah bodoh seperti hu,hu,hu,hu dengan kepala terhangguk-hangguk.

Dan kemudian Allah kata apa? وَاستَغفِر لِذَنبِكَ (dan mohonlah ampunan bagi dosamu). Kenapa tiba-tiba minta ampun? Kerana sebelum kenal Tauhid, mesti sudah kenal syirik dulu. Mesti punya sudah ada fahaman syirik, amalan syirik yang telah dilakukan. Setelah belajar wahyu, barulah tahu segala amalan itu syirik belaka rupanya…! Allahu! Maka kerana itulah kena istighfar atas kesalahan dahulu kerana jahil.

Tapi itu bagi yang belajar. Yang tidak belajar, bagaimana? Mereka berterusan beramal dengan amalan syirik dan sangka itulah amalan yang benar. Begitulah malangnya kita sekarang kerana hidup di dalam masyarakat yang jahil wahyu, tapi diangkat menjadi ahli agama dan menjadi rujukan masyarakat. Semoga kita diselamatkan dari musibah ini dan diberikan ilmu yang benar.

Perhatikan Allah sebut persaksian dariNya, dari para malaikat dan kemudian orang berilmu. Di mana para Rasul? Sedangkan mereka lebih tinggi darjatnya dari golongan berilmu yang lain. Ada beberapa jawapan:

1. Para Rasul dan Nabi itu pun termasuk juga di dalam senarai أُولُو العِلمِ.
2. Allah hendak menekankan kepentingan ilmu. Sesiapa sahaja boleh masuk di dalam kumpulan ini, tidak hanya para Nabi sahaja. Sesiapa yang benar-benar tergolong dalam kalangan orang berilmu, pasti dia akan mengikrarkan kesaksian ini. Kalau tidak, dia termasuk ahli jahil, bukan ahli ilmu.
3. Sebagai pengiktirafan kepada orang yang berilmu.

 

قائِمًا بِالقِسطِ

menegakkan keadilan

Allah bukan sahaja layak disembah, tapi Allah juga apabila berhukum, berhukum dengan adil. Dan kerana inilah juga salah satu sebab kenapa hanya Allah layak disembah, iaitu kerana Allah itu Adil. Jadi ini adalah persaksian yang kedua. Kalau tadi tentang kedudukan Allah sebagai ilah, sekarang disebut persaksian tentang keadilan Allah. Tapi apakah maksud adilnya Allah? Ini kita boleh bincangkan dari beberapa sudut.

Pertamanya dari sudut hukum syariat. Keadilan Allah dalam menetapkan hukum-hakam (syariat) bukanlah keadilan cetek ciptaan manusia yang menuntut “semua orang dapat perkara yang sama rata”. Sebaliknya, keadilan Allah dari segi syariat berteraskan prinsip وضع الشيء في موضعه (Meletakkan sesuatu pada tempatnya yang wajar) mengikut hikmah, sifat semulajadi (fitrah), dan kesesuaian hamba-Nya.

Kerana itu kita boleh lihat hukum yang Allah tetapkan sangat sesuai dengan fitrah & kemampuan manusia. Allah tidak menetapkan hukum secara semberono atau zalim. Setiap perintah dan larangan diselaraskan dengan batas fizikal dan mental yang mampu ditanggung manusia. Allah tidak membebankan manusia melebihi kadar kemampuan mereka. Kerana itu Allah berfirman di dalam Baqarah:286

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا
“Allah tidak membebankan seseorang melainkan mengikut kesanggupannya.” 

Dan kita juga boleh perhatikan Allah memberikan Rukhsah (Keringanan) dalam keadaan darurat. Apabila manusia berada dalam keadaan sulit, sakit, musafir, atau terpaksa, hukum-hakam dipindahkan daripada asal (tapi ada kesusahan) kepada keringanan. Contohnya orang sakit atau musafir diberi keringanan berbuka puasa Ramadan dan menggantikannya pada hari lain. Solat boleh diqasarkan/dijamakkan ketika bermusafir. Makanan haram menjadi harus dimakan (sekadar untuk menyelamatkan nyawa) ketika darurat kelaparan (yang boleh menyebabkan kematian). Kerana itulah salah satu prinsip Fiqh adalah: “Kesusahan itu mendatangkan kemudahan” (Al-Masyaqqah tajlibut-taysir).

Akan tetapi kita pun sedar bagaimana Syariat Islam sering dituduh “tidak adil” oleh pemikiran barat moden (seperti dalam isu kewarisan atau nafkah) kerana mereka keliru antara Saksama/Equitable (Adil) dengan Sama Rata/Equal. Mereka tidak faham bagaimana Islam menegakkan keadilan mengikut tanggungjawab dan bebanan kewangan. Contohnya kita boleh lihat di dalam isu Pembahagian Faraid (Harta Pusaka). Dalam Faraid, anak lelaki mendapat 2 bahagian harta peninggalan, sedangkan anak perempuan mendapat 1 bahagian.

Mungkin timbul persoalan di kalangan manusia: Di mana keadilannya? Ia sebenarnya sangat adil kalau kita fikirkan dengan ilmu, kerana anak lelaki memikul tanggungjawab penuh memberi nafkah kepada isteri, anak-anak, dan adik-beradik perempuannya yang belum berkahwin. Manakala anak perempuan tidak wajib membelanjakan hartanya untuk sesiapa pun sebenarnya. Hartanya milik mutlak dirinya sendiri. Apabila dia dapat harta pusaka, ia adalah milik mutlaknya kerana dia tidak menanggung sesiapa pun. Oleh itu, nisbah pembahagian Faraid ini sangat adil apabila dinilai bersama dengan bebanan kewajipan.

Kemudian kita boleh bincangkan bagaimana walaupun syariat dikenakan kepada manusia, akan tetapi Allah tidak menghukum orang yang tidak mempunyai keupayaan menilai secara rasional. Ini adalah puncak keadilan undang-undang Ilahi. Contohnya kanak-kanak yang belum baligh tidak menanggung dosa atau dituntut hukum taklif. Orang yang gila/hilang akal terlepas daripada pembalasan hukum. Orang yang tersilap (khata’), terlupa, atau dipaksa (ikrah) diampunkan dosa hukumannya.

Kemudian hukum jinayat. Mungkin ada yang melihat hukum kesalahan jenayah yang Allah berikan adalah sangat keras. Tapi sebenarnya tiada hukum dikenakan tanpa peringatan / amaran terlebih dahulu. Antara sifat maha adil Allah ialah Dia tidak akan menghukum atau mengazab sesebuah bangsa/individu melainkan selepas mesej petunjuk dan kebenaran sampai kepada mereka. Allah berfirman di dalam Isra’:15

وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّىٰ نَبْعَثَ رَسُولًا
“Dan Kami tidak akan mengazab (sesuatu kaum) sehinggalah Kami mengutus seorang Rasul (untuk memberi peringatan).” 

Memang hukuman yang dikenakan adalah berat, akan tetapi sebelum itu telah diberitahu jangan bunuh, zina dan sebagainya. Dan Allah telah memberi berbagai nasihat dan panduan untuk manusia supaya perkara itu tidak terjadi. Contohnya Allah ajar tentang berjual beli supaya tidak timbul permusuhan di kalangan manusia sampai boleh berbunuhan. Allah juga ajar kita menjadi pergaulan supaya mengelak dari zina berlaku. Begitulah keadilan Allah dalam memberi hukum bukanlah “peraturan kaku” yang menyeksa, melainkan undang-undang penuh rahmat (rahmah) dan hikmah. Setiap hukum diciptakan untuk memelihara 5 Maslahat Utama Manusia (Maqasid Syariah):

    1. Memelihara Agama (Hifz ad-Din)
    2. Memelihara Nyawa (Hifz an-Nafs)
    3. Memelihara Akal (Hifz al-‘Aql)
    4. Memelihara Keturunan/Keluarga (Hifz an-Nasl)
    5. Memelihara Harta (Hifz al-Mal)

Allah juga adil di dalam membalas perbuatan hambaNya. Di dalam ayat sebelum ini telah disebut doa-doa orang Mukmin. Mereka mengaku mereka telah beriman, mereka meminta ampun, mereka sabar, taat dan sebagainya. Adakah Allah akan membalasnya? Jadi kalimat قآئِمًا بِالقِسطِ menjawab persoalan ini, iaitu Allah pasti akan berlaku adil. Segala perbuatan baik mereka itu akan dibalas dengan sempurna, malah berlebih-lebih lagi!

Allah berlaku adil juga bermaksud mereka yang mengamalkan syirik akan dibalas dengan azab yang berkekalan. Ini termasuk puak Yahudi dan Nasara yang melakukan kesalahan akidah dan amalan. Takkan mereka akan dibalas sama dengan orang Mukmin yang taat dan hanya bertauhid kepada Allah? Kalau sama, maka itu tidak adil! Jadi sangkaan mereka yang mereka umat terpilih, anak Tuhan, akan selamat di akhirat itu semua tidak benar sama sekali. Sangkaan mereka itu ditolak oleh Allah di dalam ayat ini.

Begitu juga Allah akan balas segala perbuatan manusia. Yang buat baik akan dibalas baik, yang engkar akan diazab. Takkan Allah dikira adil jikalau orang yang buat baik dibalas sama dengan orang yang buat keingkaran. Kalau sama sama, buat apa berbuat baik kalau begitu?

Walaupun rujukan utamanya kepada sifat Adil ini ialah Allah, sebahagian ulama menjelaskan bahawa tegaknya keadilan itu juga merangkumi peranan ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةُ (para malaikat) dan أُولُو العِلمِ (ahli ilmu) yang melaksanakan perintah Allah untuk menegakkan kebenaran di muka bumi. Mereka dalam keadaan menegakkan keadilan iaitu menegakkan tauhid. Jadi bukan sahaja kena berilmu tapi hendaklah orang berilmu yang menegakkan keadilan.

Mereka yang mempunyai akidah tauhid akan menegakkan keadilan dalam dunia. Keadilan bukan sahaja ada dalam agama Islam, tetapi ianya juga dipandang tinggi dalam semua manusia sejagat walaupun bukan Muslim. Semua orang mahu keadilan di dalam dunia ini. Tetapi ianya ditekankan lebih lagi dalam agama Islam. Islamlah agama yang menekankan kesamarataan pada semua manusia sebelum manusia Barat mengenali apa itu Human Rights. Memang mereka jaga Human Rights sekarang akan tetapi itu adalah perkara baru dalam sejarah dunia. Sedangkan Human Rights sudah lama disebut di dalam Islam sejak diturunkan Al-Qur’an ini.

Maka di sini kita belajar yang kita sebagai manusia terutama sekali umat Islam perlu berlaku adil di dalam semua hal. Sama ada dalam hal agama atau dalam hal kehidupan. Kita jangan berlindung di sebalik pelbagai alasan untuk tidak menegakkan keadilan, sama ada menjaga geng sendiri, takut kehilangan jawatan dan harta, takut dipulau atau apa-apa sahaja. Kita semua ada tanggungjawab untuk berlaku adil. Terutama sekali kepada golongan أُولُو العِلمِ yang telah disebut di atas. Orang yang ada ilmu dan pemahaman yang tinggi, ada tanggungjawab berat ke atas mereka. Kalau ada kesalahan yang dilakukan oleh masyarakat, maka orang yang ada ilmu inilah yang pertama sekali kena bersuara. Pepatah Arab ada menyatakan: السَّاكِتُ عَنِ الْحَقِّ شَيْطَانٌ أَعْرَمُ (Orang yang berdiam diri daripada menyuarakan kebenaran (sedangkan dia mengetahuinya) adalah syaitan bisu).

Dan Islam mengajar lebih lagi dengan cara menyeluruh. Kerana walaupun memang hak manusia itu penting, tapi bagaimana pula dengan hak Allah? Adakah itu tidak lebih penting dari hak kita? Maka apakah hak Allah? Hak Allah adalah hanya Dia sahaja disembah, diibadati, dijadikan tempat pengharapan dan tempat kita meminta tolong. Inilah yang pertama sekali perlu ditegakkan. Jadi Islam bukan sahaja mengajar keadilan kepada alam, akan tetapi kepada Allah juga dan inilah kehebatan agama Islam ini.

Jadi manusia pun disuruh untuk berlaku adil. Bagaimana dengan umat sebelum kita? Allah menegur kumpulan Yahudi dan Nasara yang tidak melakukan keadilan. Mereka telah mengubah agama ikut suka mereka, menggunakan nama Allah, bukan? Puak Yahudi contohnya senang-senang sahaja buat fatwa ikut kehendak pemimpin; Nasara pula telah mengubah akidah monoteisme ke triniti di dalam Council of Nicea pada Tahun 325 yang menggabungkan ajaran Nabi Isa dengan fahaman pagan Rom.

Begitulah juga yang dilakukan oleh puak Quraisy ketika ayat ini diturunkan. Mereka telah menjalankan ketidakadilan. Mereka itu penjaga Ka’bah akan tetapi mereka tidak berlaku adil. Orang lain datang sembah berhala mereka bagi, tapi umat Islam hendak solat, hendak beribadah di situ mereka tidak benarkan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya

Kemaskini: 7 Ogos 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah

Tafsir Al-Azhar Dr Hamka

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

dorar.net

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment