Bagaimana pula dengan keadilan secara keseluruhan di atas dunia? Kita selalu lihat ada orang miskin tegar, kemudian ada penyakit kronik pula! Anak pula ada yang autistik. Ada orang yang kaya raya, tapi anak seorang, sedangkan ada orang miskin tapi anak ramai pula. Di manakah keadilannya?
Persoalan ini, iaitu isu kesengsaraan, penderitaan, dan kejahatan di dunia (The Problem of Evil) merupakan antara keraguan paling besar yang sering bermain dalam fikiran manusia, malah dicetuskan sejak zaman berzaman. Apabila melihat kanak-kanak menderita, bencana alam, penyakit kronik, atau kemiskinan tegar, timbul soalan: Jika Allah itu Maha Kuasa dan Maha Adil, mengapa Dia membiarkan semua ini berlaku? Untuk menjawab persoalan ini secara objektif dan berpandukan akidah Islam, terdapat 5 jawapan/konsep utama yang perlu kita fahami:
1. Dunia Ini Tempat “Ujian”, Bukan Tempat “Balasan” (Darus Salam)
Pemikiran utama yang perlu diperbetulkan adalah tujuan dunia diciptakan. Dunia bukanlah Syurga di mana semua perkara mesti sempurna dan membahagiakan. Dunia ditakdirkan dari awal sebagai dewan peperiksaan. Dalam dewan peperiksaan, pasti ada soalan yang sukar, tekanan, dan cabaran. Tanpa kesusahan, konsep “Sabar” dan “Pahala” tidak akan wujud. Allah berfirman di dalam Mulk:2
الَّذي خَلَقَ المَوتَ وَالحَيَوٰةَ لِيَبلُوَكُم أَيُّكُم أَحسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ العَزيزُ الغَفورُ
Dialah yang telah menjadikan adanya mati dan hidup – untuk menguji kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun;
2. Keadilan Allah yang Hakiki Berada di Akhirat
Melihat keadilan Allah hanya pada skop dunia yang singkat ini adalah satu kesilapan besar. Keadilan sebenar tidak ada di dunia; ia disambung dan disempurnakan di Akhirat kelak. Sebagai contoh, orang yang menzalimi orang lain mungkin terlepas di dunia, tetapi tidak akan terlepas di Akhirat. Orang yang ditindas atau menderita di dunia akan mendapat ganjaran tanpa hisab di Akhirat. Malah nanti di akhirat, nikmat atau sengsara di dunia ini tidak diingat lagi pun.
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:”يُؤْتَى بِأَنْعَمِ أَهْلِ الدُّنْيَا مِنْ أَهْلِ النَّارِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، فَيُصْبَغُ فِي النَّارِ صَبْغَةً، ثُمَّ يُقَالُ: يَا ابْنَ آدَمَ، هَلْ رَأَيْتَ خَيْرًا قَطُّ؟ هَلْ مَرَّ بِكَ نَعِيمٌ قَطُّ؟ فَيَقُولُ: لَا وَاللَّهِ يَا رَبِّ! مَا مَرَّ بِي خَيْرٌ قَطُّ، وَلَا رَأَيْتُ نَعِيمًا قَطُّ.
وَيُؤْتَى بِأَشَدِّ النَّاسِ بُؤْسًا فِي الدُّنْيَا مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ، فَيُصْبَغُ صَبْغَةً فِي الْجَنَّةِ، فَيُقَالُ لَهُ: يَا ابْنَ آدَمَ، هَلْ رَأَيْتَ بُؤْسًا قَطُّ؟ هَلْ مَرَّ بِكَ شِدَّةٌ قَطُّ؟ فَيَقُولُ: لَا وَاللَّهِ يَا رَبِّ، مَا مَرَّ بِي بُؤْسٌ قَطُّ، وَلَا رَأَيْتُ شِدَّةً قَطُّ.”
Dari Anas bin Malik RA, katanya: Rasulullah SAW bersabda:
“Akan dibawakan pada hari kiamat kelak orang yang paling mewah/senang hidupnya di dunia daripada kalangan ahli neraka, lalu dia dicelupkan dengan sekali celupan ke dalam neraka. Kemudian ditanyakan kepadanya: ‘Wahai anak Adam, pernahkah engkau melihat/merasai sebarang kebaikan? Pernahkah engkau merasai sebarang kenikmatan?’ Maka dia menjawab: ‘Tidak demi Allah, wahai Tuhanku! Aku tidak pernah melihat kebaikan sedikit pun dan tidak pernah merasai kenikmatan sedikit pun.'”
“Dan akan dibawakan orang yang paling sengsara/menderita hidupnya di dunia daripada kalangan ahli syurga, lalu dia dicelupkan dengan sekali celupan ke dalam syurga. Kemudian ditanyakan kepadanya: ‘Wahai anak Adam, pernahkah engkau melihat/merasai sebarang penderitaan? Pernahkah engkau mengalami sebarang kesusahan?’ Maka dia menjawab: ‘Tidak demi Allah, wahai Tuhanku! Aku tidak pernah merasai penderitaan sedikit pun dan tidak pernah mengalami kesusahan sedikit pun.'”
Sahih Muslim. Nombor Hadis: 2807
(Ertinya: Nikmat Syurga yang bakal diterima akan memadamkan terus memori kesengsaraan dunia).
3. Kebanyakan Kesengsaraan Dicipta oleh Manusia Sendiri
Allah memberikan manusia kebebasan memilih. Dengan kebebasan inilah manusia boleh menjadi sangat baik (menderma, merawat orang sakit) atau sangat jahat (berperang, merompak, menzalimi). Apabila manusia menyalahgunakan kebebasan mereka seperti melancarkan perang, merosakkan alam sekitar hingga berlaku banjir, atau membolot kekayaan hingga orang lain lapar, kesengsaraan itu adalah hasil kejahatan tangan manusia sendiri, bukan kerana Allah zalim. Allah berfirman di dalam Rum:41
ظَهَرَ الفَسادُ فِي البَرِّ وَالبَحرِ بِما كَسَبَت أَيدِي النّاسِ
“Telah timbul pelbagai kerosakan dan kesengsaraan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia sendiri…”
4. Keterbatasan Akal Manusia vs Hikmah Allah yang Luas
Akal manusia sangat terbatas. Kita hanya melihat “satu helaian muka surat”, sedangkan Allah melihat “keseluruhan buku”. Sesuatu yang kita sangka buruk dan sengsara pada zahirnya, sering kali mengandungi kebaikan/hikmah yang sangat besar yang tidak kita ketahui.
Bayangkan seorang kanak-kanak yang dibawa bertemu doktor untuk disuntik vaksin akan menangis dan menganggap doktor serta ibu bapanya jahat dan zalim kerana menyakiti badannya. Namun, orang dewasa tahu bahawa kesakitan jarum yang sedikit itu adalah untuk menyelamatkan nyawanya daripada penyakit yang membunuh. Begitulah kadangkala mudharat yang kena kepada kita, ada kebaikannya yang kita tak nampak. Pepatah Arab ada mengatakan: رُبَّ ضَارَّةٍ نَافِعَةٌ (Boleh jadi sesuatu yang memudaratkan (menyakitkan/buruk) itu membawa manfaat).
5. Kesengsaraan Membawa Manusia Kembali Mengingati Tuhan
Manusia mempunyai sifat semula jadi yang mudah sombong, lupa diri, dan lalai apabila sentiasa berada dalam kesenangan. Kesengsaraan dan musibah berfungsi sebagai “loceng kesedaran” (wake-up call) agar manusia kembali merendah diri dan bergantung kepada Penciptanya. Maka di sini kita boleh nampak ada bagusnya apabila dia kena mudharat. Supaya dia sedar kesalahan yang telah dilakukannya. Allah berfirman di dalam Sajdah:21
وَلَنُذيقَنَّهُم مِّنَ العَذابِ الأَدنىٰ دونَ العَذابِ الأَكبَرِ لَعَلَّهُم يَرجِعونَ
“Dan demi sesungguhnya, Kami telah menguji mereka dengan azab/kesusahan, supaya mereka kembali (bertaubat kepada Kami).”
Begitulah, kadang apabila kita susah, barulah kita senang ingat kepada Allah. Kalau senang dan selesa, ramai yang lupa berharap kepada Allah kerana mereka sudah ada semuanya, bukan?
Mari kita bincangkan pula penggunaan kalimat قائِمًا بِالقِسطِ. Kita telah bincangkan tentang keadilan, bagaimana Allah itu adil, akan tetapi Allah tidak menggunakan kalimah بِالعَدلِ pula tapi بِالقِسطِ. Kenapa digunakan قائِمًا dan kenapa digunakan istilah القِسطِ?
Kalimah القِسطِ selalu diterjemahkan sebagai ‘keadilan’, akan tetapi ini tidak berapa tepat. Kalimah القِسطِ ini mempunyai makna yang lebih mendalam. Kalimah القِسطِ dikaitkan dengan nama Allah المُقْسِطُ. Nama ini pun sudah menarik. Imam al-Ghazali menceritakan hakikat nama المُقْسِطُ dalam kitab beliau Al-Maqsad al-Asna: “Al-Muqsiṭh ialah Dzat yang memberikan keadilan kepada orang yang dizalimi daripada orang yang menzalimi, serta melengkapkan keadilan itu dengan memuaskan hati kedua-duanya sekali.”
Perhatikan kalimah ‘memuaskan hati kedua-duanya sekali’. Ini tentu amat sukar untuk dilakukan kerana ia kena menjadikan yang dizalimi puas dan rela, juga yang menzalimi pun puas dan rela dengan keputusan yang diberikan.
Oleh itu, istilah القِسطِ bukanlah bermaksud keadilan sahaja, kerana (العدل) bermaksud keadilan dalam bentuk kesaksamaan atau keseimbangan (seperti membahagikan sesuatu kepada dua bahagian yang sama. Sedangkan (القسط): bermaksud keadilan yang sempurna, tepat, berkesan, dan meletakkan hak secara mutlak kepada pemiliknya. القِسطِ adalah tahap keadilan paling tinggi di mana tiada sedikit pun kezaliman atau pengurangan hak berlaku. Ada keadilan yang tidak memberikan kepuasan kepada salah satu pihak, contohnya hukuman hanya diberikan kepada pihak yang menganiaya. Tentu dia tidak senang dan puas hati. Tapi bila القِسطِ itu dua-dua pihak akan puas hati dengan keputusan itu.
Banyak ayat-ayat Al-Qur’an Allah menyebut tentang penggunaan القِسطِ ini. Contohnya di dalam Baqarah:282 tentang urusan hutang,
وَلا تَسأَموآ أَن تَكتُبوهُ صَغيرًا أَو كَبيرًا إِلىٰ أَجَلِهِ ۚ ذٰلِكُم أَقسَطُ عِندَ اللَّهِ وَأَقوَمُ لِلشَّهٰدَةِ وَأَدنىٰٓ أَلّا تَرتابوا
Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu.
Apabila berhutang perlu ditulis supaya keadilan itu memuaskan kedua-dua pihak. Maka di dalam hukum alam, Allah bertindak dengan القِسطِ. Semua mendapat bahagian masing-masing, walaupun tidak sama. Kalau adil, semua akan dapat benda yang sama, bukan? Tapi bila القِسطِ, masing-masing dapat bahagian masing-masing yang sepatutnya dia dapat. Sebagai contoh, ada orang miskin tidak banyak harta, tapi Allah beri sesuatu yang tidak diberikan kepada orang kaya, contohnya ketenangan batin. Ada yang ada kelebihan bercakap, tapi tidak diberikan kelebihan menulis yang diberikan kepada orang lain.
Kemudian perhatikan Allah menggunakan kalimah قائِمًا (Pentadbiran yang Berterusan). Ia bermaksud Allah bukan sahaja “bersifat adil”, tetapi Allah sentiasa aktif menegakkan, menguruskan, dan menjalankan keadilan itu pada setiap detik dalam pentadbiran alam semesta. Allah menegakkan undang-undang fizik, rezeki, hukum Syariat, serta balasan pahala dan dosa dengan penuh kesaksamaan tanpa pernah terhenti atau lalai.
لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ العَزيزُ الحَكيمُ
tiada ilah melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Bukankah tadi telah disebut kalimah لآ إِلٰهَ إِلّا هُوَ ini? Kenapa diulang di dalam ayat yang sama? Ia diulang sebagai taukid (penegasan). Kerana ia sangat penting dan kerana manusia ramai yang lalai tentang perkara ini. Ada yang solat jaga, ibadah semua dia jaga, tapi malangnya dia ada fahaman dan amalan yang syirik. Kadang kita nampak orang itu punyalah hebat dan berilmu, tapi rupanya dia ada simpan fahaman syirik. Apakah contohnya?
Contohnya dia melebihkan Nabi Muhammad dari Allah. Sayangnya kepada baginda sampai menyebabkan lalainya terhadap Allah. Ada yang pergi ke Madinah hanya kerana hendak menziarahi kubur Rasulullah, bukannya kerana Allah! Ada yang berdoa kepada Nabi, bukannya kepada Allah. Ada yang sampai kata Nabi Muhammad itulah yang Tuhan. Ada yang bila makan ubat berselawat tiga kali kerana berharap Nabi sembuhkan dia tapi tidak baca Bismillah dan berharap pun kepada Allah! Jadi ada berbagai-bagai fahaman manusia yang terpesong kerana jauh dari pemahaman Tauhid seperti yang diajar di dalam Al-Qur’an.
Maka berkali-kali Allah ulang tentang Tauhid dan bahaya syirik di dalam Al-Qur’an supaya kita sentiasa ingat dan supaya kita belajar dan faham. Iaitu kita hanya sembah dan berdoa kepada Allah sahaja kerana Dia sahaja yang ada sifat ilah. Jangan kita berdoa dan istighasah kepada selain Allah. Jangan minta kepada Nabi, wali dan malaikat. Jangan! Itu semua adalah amalan syirik dan melanggar kalimah Tauhid yang kita sedang baca ini.
Satu lagi sebab kenapa pentingnya kalimah ini diulang adalah kerana kita telah belajar tentang keadilan Allah. لآ إِلٰهَ إِلّا هُوَ pertama kali disebut sebelum disebut tentang keadilan. Kemudian kita belajar tentang keadilan (قآئِمًا بِالقِسطِ) dan sekali lagi diulang لآ إِلٰهَ إِلّا هُوَ. Maknanya kita mentauhidkan Allah dalam kita faham tentang keadilanNya. Tauhid tidak sempurna jikalau kita tidak ada pemahaman ini. Takkan kita boleh sembah dan berserah sepenuhnya kepada Allah jikalau kita mempersoalkan sama ada Allah adil atau tidak?
Ini mengajar apa lagi? Pemahaman tentang Allah boleh meningkat dengan ilmu. Sebelum ini kalimah لآ إِلٰهَ إِلّا هُوَ sudah ada satu makna bagi kita, kemudian kita belajar lagi tentang Allah, maka kita semakin kenal maksud لآ إِلٰهَ إِلّا هُوَ. Semakin kita belajar tentang Allah, semakin kita kenal Dia dan semakin kita memandang tinggi kepadaNya. Kalimah لآ إِلٰهَ إِلّا هُوَ itu sama sahaja, tapi pemahamannya sudah berlainan, bukan? Jadi ini adalah kepentingan ilmu.
Kenapa kita hanya sembah dan berdoa kepadaNya sahaja? Kerana Dia sahaja yang ada sifat العَزيزُ dan الحَكيمُ. Gabungan Al-‘Azīz (العَزِيزُ) dan Al-Ḥakīm (الحَكِيمُ) merupakan antara gandingan Asmaul Husna yang paling kerap diulang dalam Al-Qur’an (disebut hampir 40 kali).
Secara ringkasnya, sifat العَزيزُ bermaksud Allah Maha Perkasa dan boleh hukum sesiapa yang derhaka pada bila-bila masa sahaja kalau Dia mahu. Tapi, Dia juga الحَكيمُ yang menangguh hukuman kepada makhluk di dalam kebijaksanaanNya.
Mari kita bincangkan secara lebih mendalam. Kalimah العَزيزُ berasal daripada kata dasar ‘Izzah yang bermaksud kekuatan, kemuliaan, dan kemenangan. Para ulama tafsir dan akidah (seperti Imam al-Ghazali) menghuraikan sifat العَزيزُ kepada tiga aspek penting:
1. اِمْتِنَاعُ النَّظِير (Tiada Sekutu dan Tiada Bandingan)
Allah itu ‘Aziz bermaksud Zat-Nya sangat sukar dicapai oleh akal makhluk untuk membayangkan hakikat-Nya, dan tidak ada satu pun makhluk yang setanding, serupa, atau mampu menjadi sekutu bagi-Nya. Ia seperti mutiara yang sangat berharga dan nadir (jarang ditemui), tetapi dalam konteks Allah, Ia melambangkan keesaan yang mutlak.
2. الْقَهْرُ وَالْغَلَبَةُ (Maha Mengalahkan dan Tidak Boleh Dikalahkan)
Allah memiliki keperkasaan yang mutlak. Segala ketetapan dan kehendak-Nya pasti akan berlaku, dan tiada sesiapa pun di alam semesta ini yang dapat menghalang atau menentang keputusan-Nya. Jika Allah mahu memberikan kemenangan atau kebinasaan, perkara itu pasti terjadi tanpa ada sekatan. Allah boleh sahaja beri kemenangan kepada pasukan tentera yang lemah dan sedikit.
3. الْقُوَّةُ وَالشِّدَّةُ (Maha Kuat dan Sempurna)
Kekuatan Allah adalah mutlak dan tidak bersandarkan kepada sesiapa pun. Makhluk mendapat kekuatan daripada Allah, manakala Allah memiliki kekuatan daripada Zat-Nya sendiri. Sifat ‘Aziz ini juga bermaksud Allah Maha Suci daripada segala bentuk kelemahan, kekurangan, atau sifat kalah.
Allah maha berkuasa dan Dia boleh buat apa-apa sahaja. Tapi Allah menggunakan kuasa itu dengan penuh kebijaksanaan. Kalimah الحَكِيمُ berasal daripada kata dasar حَكَمَ (Ḥakama) atau حِكْمَةٌ (Ḥikmah), yang membawa tiga skop makna utama dari sudut akidah dan bahasa:
1. Meletakkan Sesuatu Tepat Pada Tempatnya (Al-Ḥikmah)
Sifat kebijaksanaan Allah bermaksud Allah mentadbir dan menciptakan sesuatu dengan ilmu yang sempurna. Setiap ciptaan, takdir, dan hukum-hakam-Nya mengandungi tujuan serta hikmah tersendiri, tiada satu pun yang dijadikan secara sia-sia, kebetulan, atau main-main. Allah berfirman di dalam Mukminoon:115
أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا
Maka adakah kamu mengira bahawa Kami menciptakan kamu secara main-main (sahaja tanpa ada hikmah/tujuan)
2. Memiliki Pengadilan dan Hukum yang Mutlak (Al-Ḥākim)
Al-Ḥakīm juga berkait rapat dengan sifat Allah sebagai Pembuat Hukum / Hakim yang Maha Adil. Hanya Allah sahaja yang berhak menentukan apa yang halal, haram, baik, dan buruk secara mutlak melalui Syariat-Nya. Dan kita telah bincangkan Allah mengadili dan menghukum dengan keadilan penuh.
3. Penciptaan yang Sangat Kemas dan Sempurna (Iḥkām)
Perkataan ini juga membawa maksud Itqān (kesempurnaan ciptaan). Perjalanan alam semesta daripada pergerakan planet, sistem badan manusia, sehinggalah kepada kitaran ekosistem, dicipta oleh Allah dengan sangat halus, rapi, dan teratur tanpa sebarang cacat cela.
Sebelum ini telah disebut Allah itu قآئِمًا بِالقِسطِ (Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan). Itu kita sudah baca, tapi adakah kita faham? Manusia sering mahukan keadilan serta-merta. Mereka mahu orang jahat terus dihukum hari ini, orang baik terus mendapat balasan hari ini. Tetapi kita kena faham yang Allah yang Al-Ḥakīm (Maha Bijaksana) menangguhkan sesuatu keputusan mengikut susunan hikmah-Nya, bukan mengikut kehendak emosi manusia.
Penangguhan hukuman kepada orang zalim selalunya adalah bentuk “Istidraj” (diberi kesenangan sementara untuk memberatkan dosanya) atau peluang untuk dia bertaubat. Sedangkan penangguhan balasan kepada orang yang dianiaya adalah untuk mengangkat darjatnya dan mengumpul pahala sabar yang tanpa batas. Tidakkah itu bagus?
Keadilan memang tidak akan sempurna ketika di dunia ini. Bagaimana seorang penjenayah yang membunuh jutaan nyawa manusia (seperti diktator peperangan) boleh mendapat balasan yang adil di dunia? Walaupun dia dihukum bunuh di dunia, dia hanya “mati sekali” untuk bayaran jutaan nyawa yang diragutnya. Oleh itu kita kena terima yang keadilan sebenar hanya boleh berlaku di Akhirat (Hari Pembalasan), di mana pembalasan neraka atau nikmat syurga bersifat abadi dan setimpal dengan setiap zarah perbuatan. Di sana nanti, orang yang bersalah itu boleh ‘dibunuh’ berkali-kali. Dia tidak akan mati-mati tapi dihentam seolah-olah dia sepatutnya mati.
Kita pun sudah bincangkan keterhadan pemahaman kita kerana akal kita yang lemah. Sesuatu yang nampak seperti ketidakadilan atau musibah pada hari ini, sering kali merupakan perlindungan atau kebaikan besar pada masa hadapan (sebagaimana pepatah Arab yang pernah kita bincangkan: رُبَّ ضَارَّةٍ نَافِعَةٌ – Boleh jadi perkara yang menyusahkan itu membawa manfaat). Kisah Nabi Musa dan Khidir dalam Surah Al-Kahfi adalah contoh terbaik. Apabila Khidir merosakkan kapal milik orang miskin, ia nampak seperti perbuatan zalim. Namun hikmahnya, di hadapan mereka ada raja zalim yang mahu merampas semua kapal yang elok. Kerosakan kecil itu menyelamatkan mata pencarian orang miskin tersebut.
Setiap satu nama Allah ini sudah hebat apabila berdiri sendiri, akan tetapi apabila digabungkan menjadi العَزيزُ الحَكيمُ, ia mengeluarkan maksud tambahan lagi. Kedua-dua sifat ini saling melengkapi bagi membentuk gambaran Kekuasaan yang Sempurna. Kaitan utamanya dapat difahami melalui perbandingan berikut:
1. Kekuasaan yang Dipandu Kebijaksanaan (Bukan Keadilan / Kekejaman Pembuli)
Kelemahan Manusia: Raja, pemimpin, atau manusia yang mempunyai kuasa besar (‘Azīz) selalunya bertindak secara kuku besi, zalim, mengikut hawa nafsu, dan melampaui batas kerana tiada sesiapa yang dapat menghalang mereka.
Kesempurnaan Allah: Allah itu Al-‘Azīz (Maha Perkasa dan Kuasa), tetapi kekuasaan-Nya yang tanpa batas itu diimbangi dengan sifat-Nya sebagai Al-Ḥakīm (Maha Bijaksana). Maka, Allah tidak pernah menzalimi sesiapa pun. Segala tindakan kekuasaan-Nya sentiasa adil dan tepat pada tempatnya. Bandingkan kalau manusia yang ada kuasa besar, selalunya mereka akan salah guna kuasa itu. Ini kita boleh lihat dalam dunia sekarang.
2. Kebijaksanaan yang Disokong oleh Kekuatan Mutlak
Kelemahan Manusia: Seorang saintis atau penasihat mungkin sangat bijaksana (Ḥakīm), tetapi jika dia lemah dan tidak mempunyai kuasa, kebijaksanaannya tidak dapat dilaksanakan.
Kesempurnaan Allah: Kebijaksanaan Allah (Al-Ḥakīm) disokong sepenuhnya oleh Keperkasaan-Nya (Al-‘Azīz). Apabila Allah menetapkan sesuatu perancangan yang penuh hikmah, tiada mana-mana kuasa di langit dan di bumi yang mampu menghalang perancangan itu daripada berlaku.
Surah Ali Imran juga berkenaan jihad dan nanti kita akan belajar. Sifat Al-‘Azīz mengajar kita yang Allah berkuasa memberi kemenangan kepada umat Islam bila-bila masa dengan memberi berbagai-bagai jenis bantuan seperti para malaikat. Akan tetapi Al-Ḥakīm mengajar kita yang pertolongan Allah itu tidak semestinya dari awal, kerana penentuan bantuan dan jenis bantuan itu tertakluk kepada kebijaksanaan Allah.
Tadi kita sudah bincangkan Allah menjalankan keadilan (قآئِمًا بِالقِسطِ). Untuk menjalankan keadilan memerlukan kuasa. Kerana Allah ada kuasa, maka Allah menjalankan keadilan mengikut kehendakNya. Kalau ada kuasa tapi tidak ada hikmah pun tidak berguna, kerana keadilan tidak dapat ditegakkan kerana keadilan memerlukan hikmah. Maka ini mengajar realiti dalam dunia ini yang memerlukan 3 perkara ini supaya sesuatu yang penting itu dapat berjalan.
Ia mengajar kita yang kalau undang-undang keadilan Islam hendak ditegakkan, mesti ada 3 elemen ini. Kerana kalau kita tidak ada kuasa, maka kita tidak akan dapat jalankan undang-undang Allah. Kerana itu Islam kena kuat. Di sebaliknya pula, kalau ada kekuatan, tapi hikmah tidak ada, maka kita akan terpesong dan berbuat zalim pula. Dan kalau hikmah dan kuasa ada, tapi fahaman keadilan tidak ada, maka kita akan berlaku zalim kepada orang lain. Allah ada ketiga-tiga elemen ini, tapi manusia selalunya tidak ada. Kerana itulah sistem pemerintahan manusia tidak sempurna. Sebagai contoh, diktator ada kuasa, tapi tidak ada hikmah dan keadilan; ahli falsafah mungkin ada hikmah, tapi tidak ada kuasa untuk menjalankan keadilan.
Terdapat hadis riwayat sahabat Al-Zubair bin al-‘Awwam RA yang menceritakan ucapan yang dibaca oleh Rasulullah SAW apabila baginda membaca Ayat ke-18 ini di Arafat (iaitu ketika berwukuf semasa Hajjatul Wada’). Lafaz Ucapan Rasulullah SAW Dalam riwayat Ibn Abi Hatim, Ibn Mandah, dan disebut oleh Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya, Saidina al-Zubair bin al-‘Awwam RA menceritakan:
سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ قَرَأَ هَٰذِهِ الْآيَةَ: ﴿شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُولُو الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ﴾ قَالَ: ” وَأَنَا عَلَى ذَٰلِكَ مِنَ الشَّاهِدِينَ يَا رَبِّ
Aku (Zubair bin al-‘Awwam RA) mendengar Rasulullah SAW ketika baginda berada di Arafah membaca ayat ini: (شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُولُو الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ), kemudian Baginda SAW bersabda: “Dan aku atas penyaksian yang demikian itu tergolong dalam kalangan orang-orang yang menjadi saksi, wahai Tuhanku.”
(HR Ibn Abi Hatim & Ibn Mandah). Hadis ini dinilai sebagai Dha’if (Munasabah) dari segi sanad periwayatannya. Di dalam sanadnya terdapat perawi bernama Abu Sa’id al-Baqqali (atau nama asalnya Thawrab bin Ma’n/Thawrab bin Abi Fakhitah) yang dinilai dha’if (lemah hafalan dan riwayatnya) oleh sebilangan pakar hadis seperti Imam al-Nasa’i, Yahya bin Ma’in, dan Ibn Hajar al-‘Asqalani.
Meskipun status sanadnya dha’if dari sudut ilmu riwayat, ia tetap harus dan disunatkan untuk dibaca. Para ulama (seperti Imam al-Qurtubi dan Imam al-Nawawi) menyunatkan sesiapa sahaja yang membaca atau mendengar Ayat 18 Surah Ali ‘Imran ini untuk menyambut dan mengamalkan ucapan Rasulullah SAW tersebut sebagai bentuk penyaksian (tasdiq) dan ikrar tauhid di hadapan Allah ﷻ:وَأَنَا أَشْهَدُ بِمَا شَهِدَ اللَّهُ بِهِ، وَأَسْتَوْدِعُ اللَّهَ هَٰذِهِ الشَّهَادَةَ، وَهِيَ لِي عِنْدَ اللَّهِ وَدِيعَةٌ، وَأَنَا عَلَى ذَٰلِكَ مِنَ الشَّاهِدِينَ (Aku bersaksi dengan apa yang disaksikan oleh Allah daripadanya, dan aku pertaruhkan penyaksian ini kepada Allah sebagai simpanan di sisi-Nya, dan aku termasuk dalam kalangan orang-orang yang menjadi saksi).
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 7 Ogos 2026
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan (deeper look)
Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah
Tafsir Al-Azhar Dr Hamka
Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
