HANYA ADA SATU JALAN SAHAJA
Ali Imran Ayat 19: Ilmu tentang apakah yang dimaksudkan dengan ‘ilah’ kena dipelajari sehingga jelas bagi kita. Dan maklumat telah banyak diberikan dalam wahyu, akan tetapi ada juga berlaku banyak perselisihan di kalangan manusia.
Sekarang Allah jelaskan kenapa ada perselisihan itu. Kita juga boleh tahu kenapa ada perselisihan di kalangan masyarakat Muslim kita juga.
إِنَّ الدّينَ عِندَ اللَّهِ الإِسلٰمُ ۗ وَمَا اختَلَفَ الَّذينَ أوتُوا الكِتٰبَ إِلّا مِن بَعدِ ما جآءَهُمُ العِلمُ بَغيًا بَينَهُم ۗ وَمَن يَكفُر بِـَٔايَـٰتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَريعُ الحِسابِ
SAHIH INTERNATIONAL
Indeed, the religion in the sight of Allah is Islam. And those who were given the Scripture did not differ except after knowledge had come to them – out of jealous animosity between themselves. And whoever disbelieves in the verses of Allah , then indeed, Allah is swift in [taking] account.
MALAY
Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.
إِنَّ الدّينَ عِندَ اللَّهِ الإِسلٰمُ
Sesungguhnya ugama di sisi Allah ialah Islam.
Ingatlah bahawa hanya Akidah dan cara hidup Islam sahaja yang diterima. Apabila dikatakan deen/’agama’, ia terdiri dari akidah dan cara hidup (bukan hanya bab ibadah sahaja).
Dan cara hidup pula merangkumi dua perkara – hubungan dengan Allah yang dipanggil ‘ibadat’ dan hubungan dengan makhluk yang dipanggil ‘adat’. Keduanya kena ikut cara Islam iaitu syariat. Semua ada diajar di dalam wahyu dan disampaikan oleh Rasul kita.
Kalimah ‘Islam’ bermaksud menyerahkan diri bulat-bulat 100% kepada Allah. Maka, agama yang dikehendaki oleh Allah adalah menyerahkan diri kita kepada Allah dengan sepenuhnya. Kalau setakat dalam kad pengenalan sahaja pakai nama ‘Muslim’, tapi tidak taat kepada perintah Allah, maka tidak bermakna langsung status Muslim mereka itu. Kerana yang penting adalah kita Muslim di mata Allah. Jangan orang pandang kita Muslim, tapi sebenarnya tidak di sisi Allah.
Menyerah diri kepada Allah itu antaranya dengan taat kepada segala arahanNya. Maka kenalah dipelajari wahyuNya kerana arahanNya ada di dalam wahyu. Kalau tidak belajar, bagaimana hendak taat?
وَمَا اختَلَفَ الَّذينَ أوتُوا الكِتٰبَ
Dan tidaklah berselisih orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu
Kita pun tahu bahawa telah ada perselisihan di kalangan Yahudi dan Nasrani. Yang berselisih itu adalah di antara ulama’ dalam kalangan mereka, sebab itu digunakan lafaz ‘mereka yang diberi Kitab’. Maknanya mereka yang ada ilmu agama. Itulah kalangan agamawan mereka.
Samalah dalam masyarakat Islam pun, dalam kalangan ahli agama pun ramai yang bercakaran. Ramai yang hendak menegakkan fahaman yang mereka anuti. Kadangkala pertelingkahan mereka itu di luar norma kebiasaan manusia. Kadangkala kita orang awam pun rasa malu dengan perbuatan dan pertengkaran mereka.
Kenapa ahli agama ini berselisih? Ulama-ulama dari kalangan Ahli Kitab itu telah merasa diri mereka berkuasa dan merekalah yang membuat agama ikut acuan mereka sendiri.
Sebagai contoh, kita pun tahu bahawa agama asal Nabi Isa adalah tauhid. Tapi ianya telah dipesongkan oleh sesetengah golongan paderi mereka. Terdapat pertentangan antara mereka yang memegang fahaman tauhid dan mereka yang memegang fahaman triniti. Tetapi kerana yang berfahaman triniti itu yang kuat dengan Raja Rom waktu itu, maka fahaman triniti yang dipegang dan dipakai dan mereka yang berfahaman tauhid telah dicari dan dibunuh selagi ada.
إِلّا مِن بَعدِ ما جاءَهُمُ العِلمُ
melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan
Maknanya mereka yang berselisih itu sebenarnya ada ilmu tentang kitab (iaitu ilmu wahyu). Bukannya kerana tidak tahu wahyu. Maknanya mereka ini bukannya masyarakat awam. Manusia awam memang sudah selalu berselisih sebab mereka itu jahil. Tetapi sepatutnya ulamalah yang kena tahu yang mana benar dan mana yang tidak.
Malangnya ada ulama’ yang ikut syariat dan ada yang tidak. Ini biasa sahaja dari dahulu lagi. Maka kita yang orang awam ini kenalah pandai membezakan mana yang menggunakan dalil yang sahih, jangan pakai terima sahaja semua kata ulama’ dan ustaz.
Cara untuk bezakan adalah dengan mempelajari tafsir Al-Qur’an kerana inilah asas agama. Apabila kita sudah ada asas, maka kita dapat bezakan mana yang benar dan mana yang tidak benar. Kerana kita sudah ada kayu ukur.
بَغيًا بَينَهُم
semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka.
Semua perselisihan itu terjadi kerana dengki rupanya. Kerana mereka ingin memiliki kedudukan tinggi di dunia. Semua nak tunjuk pandai kerana hendak duduk di atas. Ramai yang hendak mempertahankan kedudukan mereka kerana takut anak murid sudah tidak percaya kepada mereka.
Sampai mereka sanggup melakukan perkara yang memalukan di kalangan orang awam. Pening orang awam tengok mereka yang dipanggil ulama’ melondehkan sesama sendiri. Mana satu yang benar pun mereka sudah tidak tahu. Orang awam pula banyak yang jahil yang akan ikut sahaja siapa yang memegang tampuk kekuasaan.
Macam sekarang di negara ini, ramai yang menilai siapa yang benar, dengan melihat siapakah yang terkenal, siapakah yang masuk TV, pendapat siapa yang dipakai di dada akhbar dan sebagainya. Mereka sudah tidak mahu belajar sendiri tapi cuma mahu taklid buta sahaja. Mereka cuma melihat mana ustaz yang popular. Tambahan pula sekarang banyak siaran realiti yang mengeluar banyak ustaz-ustaz selebriti.
وَمَن يَكفُر بِـَٔايَـٰتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَريعُ الحِسابِ
Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.
Ini adalah ayat Takhwif Ukhrawi (penakutan dengan azab akhirat). Kita kena ingat yang Allah cepat sahaja dalam membuat keputusan. Bukan macam mahkamah di negara kita yang bertahun-tahun pun tak selesai kes lagi.
Apabila Allah sebut hisabNya amat cepat, ia mempunyai tiga makna,
1. Hisab Allah sudah dekat, boleh datang bila-bila masa sahaja. Maka jangan lengah dengan kehidupan dunia yang sementara ini. Dalilnya adalah Anbiya’:1
اقتَرَبَ لِلنّاسِ حِسابُهُم وَهُم في غَفلَةٍ مُعرِضونَ
Telah dekat kepada manusia hari menghisab segala amalan mereka, sedang mereka berada dalam kelalaian lagi berpaling (daripadanya).
2. Hisab sebelum mati. Allah boleh beri terus balasan semasa di dunia lagi dan kadangkala ia sangat cepat. Contohnya selepas kita baca Al-Qur’an dan selepas solat, kita terus rasa tenang. Dan kalau kita buat dosa, selepas buat dosa sahaja kita rasa bersalah, bukan? Kadang selepas kita buat dosa, Allah terus beli balasannya secara ‘cash’. Sebagai contoh, maka kita melihat aurat orang lain, kemudian Allah beri kepala kita terlanggar dinding.
3. Apabila Allah buat pengiraan hisab di akhirat, ia cepat sahaja. Menunggu di Mahsyar yang lama, sampai keresahan yang amat besar sampaikan makhluk akan pergi dari satu Rasul ke Rasul yang lain untuk minta Allah percepatkan hisab. Dan apabila Mahkamah Pengadilan dimulakan, ia akan selesai dalam masa setengah hari sahaja. Ada yang kata satu hari dan ada yang kata selama memerah susu sahaja. Bagaimana mungkin Allah lakukan audit yang sebegini?
Pernah Saidina Ali ditanya tentang hal ini. Beliau jawab sebagaimana Allah mampu untuk memberikan rezeki kepada semua makhlukNya tanpa tertinggal, maka begitu jugalah Allah mampu untuk membuat pengiraan hisab itu serentak. Kita sahaja yang tidak dapat bayangkan kerana ia adalah perkara ghaib dan akal kita tidak mampu mencapai pemahaman itu.
Ali Imran Ayat 20:
فَإِن حآجّوكَ فَقُل أَسلَمتُ وَجهِيَ لِلَّهِ وَمَنِ اتَّبَعَنِ ۗ وَقُل لِّلَّذينَ أوتُوا الكِتٰبَ وَالأُمِّيّينَ ءأَسلَمتُم ۚ فَإِن أَسلَموا فَقَدِ اهتَدَوا ۖ وَّإِن تَوَلَّوا فَإِنَّما عَلَيكَ البَلٰغُ ۗ وَاللَّهُ بَصيرٌ بِالعِبادِ
SAHIH INTERNATIONAL
So if they argue with you, say, “I have submitted myself to Allah [in Islam], and [so have] those who follow me.” And say to those who were given the Scripture and [to] the unlearned, “Have you submitted yourselves?” And if they submit [in Islam], they are rightly guided; but if they turn away – then upon you is only the [duty of] notification. And Allah is Seeing of [His] servants.
MALAY
Oleh sebab itu jika mereka berhujah (menyangkal dan) membantahmu (Wahai Muhammad), maka katakanlah: “Aku telah berserah diriku kepada Allah dan demikian juga orang-orang yang mengikutku”. Dan bertanyalah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi Kitab, dan orang-orang yang “Ummi” (orang-orang musyrik Arab): “Sudahkah kamu mematuhi dan menurut (ugama Islam yang aku bawa itu)?” Kemudian jika mereka memeluk Islam, maka sebenarnya mereka telah memperoleh petunjuk; dan jika mereka berpaling (tidak mahu menerima Islam), maka sesungguhnya kewajipanmu hanyalah menyampaikan (dakwah Islam itu). Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat (tingkah laku) sekalian hambaNya.
فَإِن حاجّوكَ
Maka jika mereka berhujah membantahmu
Mereka yang menentang itu berbantah tentang hal tauhid, bukannya perkara lain. Ini adalah kerana perkara akidah adalah yang paling besar. Apabila selisih hal akidah inilah yang menyebabkan manusia pecah belah dengan amat teruk sekali.
فَقُل أَسلَمتُ وَجهِيَ لِلَّهِ
maka katakanlah: “Aku telah berserah diriku kepada Allah
Sekarang Allah ﷻ ajar supaya jawab sahaja begini. Jangan cakap banyak lagi dengan mereka. Ini kerana sudah banyak hujah yang diberikan kepada mereka.
Digunakan lafaz ‘wajah’ dalam ayat ini tetapi yang dimaksudkan semua sekali – jiwa, hati dan diri semua sekali. Maknanya, walaupun sebut wajah sahaja, tetapi maksudnya semua sekali. Maksudnya, serah diri kepada Allah ﷻ dengan mengikut syari’at.
وَمَنِ اتَّبَعَنِ
dan demikian juga orang-orang yang mengikutku”
Maksudnya sesiapa sahaja yang mengikut syari’at Nabi Muhammad ﷺ. Kalau mereka kata mereka ikut baginda, mereka juga akan serahkan seluruh diri mereka mengikut Nabi ﷺ dan syari’at Islam. Maka kalau kita mengaku sebagai umat baginda, maka hendaklah kita serahkan diri kita kepada Allah ﷻ dan taat kepada segala suruhan-Nya.
وَقُل لِّلَّذينَ أوتُوا الكِتٰبَ وَالأُمِّيّينَ ءأَسلَمتُم
Dan bertanyalah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi Kitab, dan orang-orang yang “Ummi”: “Sudahkah kamu menyerahkan diri?
Sekarang Allah ﷻ suruh Nabi Muhammad ﷺ tanya kepada Ahli Kitab dan penduduk Mekah yang tidak ada kitab: adakah kamu mahu menyerahkan diri 100% kepada Allah ﷻ dalam hal akidah dan amalan agama?
Tanya mereka: adakah mereka ikut ajaran Nabi-Nabi mereka sendiri yang mengaku mereka itu Muslim? Sebagai contoh, Yahudi kata ikut mereka ikut ajaran Nabi Musa عليه السلام; Kristian pula kata mereka ikut ajaran Nabi Isa عليه السلام; dan orang-orang Arab kata mereka mengikut ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام.
Sekarang tanya mereka: sudahkah mereka kaji apakah fahaman dan amalan Nabi-Nabi mereka itu? Bukankah Nabi-Nabi itu semuanya Muslim (seperti yang mereka kata sendiri)? Oleh itu, adakah kamu mahu kembali kepada ajaran Nabi-Nabi itu dan meninggalkan ajaran-ajaran daripada rabbi, paderi dan ulama’-ulama’ kamu yang berlawanan dengan ajaran para Nabi?
فَإِن أَسلَموا فَقَدِ اهتَدَوا
Kemudian jika mereka memeluk Islam, maka sebenarnya mereka telah memperoleh petunjuk;
Sekiranya mereka mahu serah diri, barulah mereka dikira terpimpin yang sebenarnya. Barulah mereka boleh kata mereka telah menerima hidayah. Kalau tidak, mereka hanya perasan sahaja.
وَّإِن تَوَلَّوا فَإِنَّما عَلَيكَ البَلٰغُ
dan jika mereka berpaling, maka sesungguhnya kewajipanmu hanyalah menyampaikan
Kalau mereka tidak terima, maka Nabi ﷺ diingatkan yang tugas baginda hanya untuk sampaikan sahaja. Baginda tidak dipertanggungjawabkan sama ada mereka ikut atau tidak. Yang penting, baginda sudah sampaikan.
Begitu jugalah dengan kita. Kita hanya dipertanggungjawab untuk sampaikan ajaran wahyu ini kepada seramai yang boleh. Akan tetapi, malangnya ramai yang tidak akan dengar. Namun, tidak mengapa, sekurang-kurangnya kita sudah sampaikan. Mereka terima atau tidak, itu di luar kuasa kita.
Maka ayat ini mengajar kita tentang usaha dakwah. Kadang-kadang mungkin kita rasa kalau kita cakap pun, hanya buang masa sahaja kerana kita rasa orang yang didakwah tidak akan dengar. Atau kita rasa tidak sedap hati untuk berdakwah, sebab walaupun kita sudah dakwah tetapi orang yang didakwah tidak ikut pun. Ramai yang putus asa dalam berdakwah.
Akan tetapi Allah ﷻ beritahu dalam ayat ini yang tidak mengapa kalau mereka tidak ikut, kerana tugas kita adalah untuk sampaikan sahaja. Kita tetap akan dapat pahala setelah kita sampaikan dan kita akan tingkatkan iman kita setelah kita berdakwah. Maka jangan jemu berdakwah dan mengajar. Ini adalah tugas kita semua, kena sampaikan dakwah agama Islam kepada manusia.
وَاللَّهُ بَصيرٌ بِالعِبادِ
Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat (tingkah laku) sekalian hambaNya.
Allah ﷻ sedang melihat usaha kita yang berdakwah. Kalau kita tidak dakwah, Allah ﷻ pun lihat kita dan akan azab kita kerana tidak meneruskan tugas Nabi.
Allah ﷻ juga sedang melihat mereka yang berpaling. Allah ﷻ catit dalam kitab amalan mereka bagaimana mereka telah menolak dan malah mungkin menentang para pendakwah tauhid.
Maka tidak perlulah kita risau sangat dengan apa yang terjadi. Janji Allah ﷻ nampak usaha kita.
Sekian Ruku’ 2 dari 20 ruku’ surah ini
BALASAN BAGI MEREKA YANG DEGIL
Ayat 21: Ini adalah ayat zajrun (ayat teguran) dan takhwif ukhrawi (penakutan azab akhirat).
Mereka yang kufur dalam golongan Kristian Najran itu asyik bertanya kepada Nabi Muhammad ﷺ padahal mereka sudah ada kitab wahyu. Kedatangan mereka itu berjumpa dengan baginda adalah kerana mereka tidak puas hati bila dengar ada pula umat selain mereka yang dapat kitab, maka mereka hendak datang tanya.
Maka Allah ﷻ beri ancaman kepada mereka dalam ayat ini.
إِنَّ الَّذينَ يَكفُرونَ بِـَٔايَـٰتِ اللَّهِ وَيَقتُلونَ النَّبِيّينَ بِغَيرِ حَقٍّ وَيَقتُلونَ الَّذينَ يَأمُرونَ بِالقِسطِ مِنَ النّاسِ فَبَشِّرهُم بِعَذابٍ أَليمٍ
SAHIH INTERNATIONAL
Those who disbelieve in the signs of Allah and kill the prophets without right and kill those who order justice from among the people – give them tidings of a painful punishment.
MALAY
Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah dan membunuh Nabi-nabi dengan jalan yang tidak benar, serta membunuh orang-orang yang menyeru manusia supaya berlaku adil maka sampaikanlah berita yang mengembirakan mereka, dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
إِنَّ الَّذينَ يَكفُرونَ بِـَٔايَـٰتِ اللَّهِ
Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah
Ini adalah ayat ancaman kepada mereka yang ingkar tak mahu nak pakai ajaran dari wahyu. Walaupun telah diajak kepada Islam, tapi masih ramai yang berdegil tidak mahu beriman juga lagi. Ini adalah kerana mereka menutup telinga dan hati mereka dari kebenaran. Maka mereka akan mendapat ancaman dalam ayat ini.
Apa lagi kesalahan yang mereka lakukan?
وَيَقتُلونَ النَّبِيّينَ بِغَيرِ حَقٍّ
dan membunuh Nabi-nabi dengan jalan yang tidak benar,
Allah tegur golongan Bani Israil yang banyak tanya soalan kepada Nabi Muhammad itu. Allah kata tidak payahlah mereka nak tunjuk pandai. Nabi kamu sendiri pun kamu bunuh. Walaupun mereka itu keturunan Yahudi yang duduk tinggal di Madinah dan tidak pernah membunuh Nabi, tapi saki baki perangai jahat itu masih ada lagi dalam diri mereka. Buktinya, mereka pernah ada komplot untuk membunuh Nabi Muhammad sendiri.
Ya, memang benar Bani Israil banyak membunuh Nabi-Nabi dari kalangan mereka. Contohnya, mereka telah bunuh Nabi Zakariya dan anaknya Nabi Yahya. Mereka juga cuba buat komplot untuk bunuh Nabi Isa sendiri, tapi telah gagal. Kalau ada Nabi yang cakap sesuatu yang tak kena dengan jiwa mereka, mereka akan cuba untuk bunuh.
وَيَقتُلونَ الَّذينَ يَأمُرونَ بِالقِسطِ مِنَ النّاسِ
serta membunuh orang-orang yang menyeru manusia supaya berlaku adil
Juga mereka bunuh guru-guru yang mengajar ajaran tauhid dengan benar. Begitulah yang terjadi sekarang kepada pada pendakwah tauhid. Ramai yang tidak disukai dan ditentang dan ditohmah. Kalau ajar agama sahaja tidak mengapa, tapi kalau sudah sentuh tentang tauhid, ramai yang akan melenting.
Sampaikan ada yang mendapat teguran dari orang ramai, malah ada yang ditohmah sampaikan dipenjarakan. Ini terjadi zaman berzaman. Sebagai contoh, lihat sejarah apa yang terjadi kepada Ibnu Taimiyyah dan juga Imam Syafie. Dan sampai zaman sekarang ini pun masih ada lagi perkara ini berlaku.
فَبَشِّرهُم بِعَذابٍ أَليمٍ
maka sampaikanlah berita gembira kepada mereka, dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Sekarang Allah perli mereka. Beri ‘berita gembira’ tapi sebenarnya berita yang diberikan adalah amat menakutkan.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 16 Ogos 2020
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir al-Azhar Dr Hamka
